Tafsir Surah Hud Ayat 82 – 84 (Kisah Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ)

AZAB YANG DIKENAKAN KEPADA MEREKA

Hud Ayat 82:

فَلَمّا جاءَ أَمرُنا جَعَلنا عٰلِيَها سافِلَها وَأَمطَرنا عَلَيها حِجارَةً مِّن سِجّيلٍ مَّنضودٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So when Our command came, We made the highest part [of the city] its lowest and rained upon them stones of layered hard clay, [which were]

(MALAY)

Maka tatkala datang azab Kami, Kami jadikan negeri kaum Luth itu yang di atas ke bawah (Kami balikkan), dan Kami hujani mereka dengan batu dari tanah yang terbakar dengan bertubi-tubi,

 

فَلَمّا جاءَ أَمرُنا جَعَلنا عٰلِيَها سافِلَها

Maka tatkala datang azab Kami, Kami jadikan yang di atasnya ke bawahnya

Azab yang dikenakan kepada mereka itu adalah pada waktu subuh. Ia dilakukan pada waktu subuh iaitu ketika mereka sedang berehat untuk menambah sengsara azab itu. Bayangkan sedang rehat-rehat tiba-tiba datang azab! Pertamanya mereka dikenakan dengan tempikan seperti disebut dalam Hijr: 73

فَأَخَذَتهُمُ الصَّيحَةُ مُشرِقينَ
Maka mereka dibinasakan oleh suara keras yang mengguntur, ketika matahari akan terbit.


Allah ﷻ mengangkat Kota Sodom naik ke atas langit dan terbalikkan di mana bahagian atas menjadi bawah pula. Apabila sudah diangkat ke langit baru diterbalikkan ke bumi. Kerana itulah kaum mereka itu disebut sebagai المُؤتَفِكٰتِ (yang telah ditelungkup) seperti di dalam ayat Tawbah: 70

أَلَم يَأتِهِم نَبَأُ الَّذينَ مِن قَبلِهِم قَومِ نوحٍ وَعادٍ وَثَمودَ وَقَومِ إِبرٰهيمَ وَأَصحٰبِ مَديَنَ وَالمُؤتَفِكٰتِ
Tidakkah datang kepada mereka berita penting tentang orang-orang yang sebelum mereka, (iaitu) kaum Nuh, ‘Aad, Tsamud, kaum Ibrahim, penduduk Madyan dan negeri yang telah ditelungkup?

Begitulah balasan buat mereka – mereka telah terbalikkan fitrah kejadian manusia dengan melakukan homoseksual, maka Allah ﷻ balas dengan menterbalikkan kampung mereka. Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah mengangkat kota tempat tinggal mereka dengan manusia dan binatang sekali ke langit pertama sampaikan penduduk langit pertama dapat mendengar lolokan anjing dan kokokan ayam mereka. Akan tetapi kisah ini adalah daripada Kisah Israiliyat yang kita tidak boleh terus terima.

Yang pasti memang azab itu dibawa oleh para malaikat kerana mereka itu adalah tentera Allah ﷻ.

 

وَأَمطَرنا عَلَيها حِجارَةً مِّن سِجّيلٍ مَّنضودٍ

dan Kami hujani mereka dengan batu daripada tanah yang terbakar dengan bertubi-tubi,

Kalau dibaca ikut susunan ayat ini, seolah-olah mereka telah dibenamkan ke bumi barulah dihujani dengan batu. Namun begitu, timbul persoalan: jikalau sudah terbenam, bagaimana pula mereka dibaling? Maka ulama’ tafsir mengatakan mereka direjam dengan batu sebelum mereka dibenamkan. Bukan seperti mengikut susunan ayat ini. Kena faham sedikit bahasa Arab. Kalau huruf penyambung و itu tidaklah bermakna ia dalam susunan berturut-turut satu persatu. Mari kita berikan beberapa contoh dan bezakan:

    1. جاء زيد ومحمد (Telah datang Zaid dan Muhammad). Ia hanya bermaksud Zaid dan Muhammad telah datang. Ini adalah apabila huruf و digunakan.
    2. جاء زيد فمحمد (Telah datang Zaid, seterusnya Muhammad). Apabila huruf ف digunakan, ia bermaksud selepas sahaja Zaid sampai, terus sahaja Muhammad sampai. Maka kita tahu yang Zaid sampai dahulu.
    3. جاء زيد ثم محمد (Telah datang Zaid, kemudian Muhammad). Apabila ثم digunakan, ia bermakna Muhammad datang selepas Zaid, tetapi kalimah ثم menunjukkan tidaklah cepat sangat. Mungkin setelah sekian waktu berlalu, baru Muhammad sampai.

Oleh itu walaupun di dalam ayat ini disebut mereka dihujani dengan batu selepas disebut tentang mereka dibenam, tidaklah ia bermaksud itu turutannya. Ini kerana huruf و yang digunakan di dalam di dalam ayat ini. Maka berkemungkinan mereka dihujani dengan batu semasa diangkat ke langit. Mereka dihujani dengan batu yang dibakar di neraka. Kalimah سِجّيلٍ itu diambil daripada bahasa Parsi yang bermaksud ‘batu daripada tanah liat’. Iaitu tanah yang sudah keras menjadi batu setelah dibakar atau dijemur lama.

Kalimah مَنضودٍ daripada katadasar ن ض د yang bermaksud untuk menimbun satu di atas yang lain; ditetapkan mengikut urutan; kelompok atas kelompok; berkelompok; gugusan buah yang sarat. Maksud مَنضودٍ adalah batu-batu yang dihujani itu datang bertubi-tubi kepada mereka. Bukan datang sebiji-sebiji tetapi berkali-kali dengan banyak berhamburan bagaikan mesingan (machine gun).


 

Hud Ayat 83:

مُّسَوَّمَةً عِندَ رَبِّكَ ۖ وَما هِيَ مِنَ الظّٰلِمينَ بِبَعيدٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Marked from your Lord. And it [i.e., Allāh’s punishment] is not from the wrongdoers [very] far.

(MALAY)

Yang diberi tanda oleh Tuhanmu, dan siksaan itu tiadalah jauh daripada orang-orang yang zalim.

 

مُّسَوَّمَةً عِندَ رَبِّكَ

Yang diberi tanda oleh Tuhanmu, 

Kalimah مُّسَوَّمَةً daripada katadasar س و م yang bermaksud bertanda. Maksudnya setiap batu itu ada tanda nama masing-masing mangsa. Batu itu ditujukan kepada individu yang telah ditentukan. Tuan punya mangsa batu itu tidak akan dapat melarikan diri. Batu itu tetap akan kena kepadanya. Sampaikan ada riwayat yang mengatakan bagaimana ada penghuni Kota Sodom itu yang berada di luar kota waktu itu tetapi batu itu tetap mencarinya. Dia mati di luar kawasan kampungnya.

Apabila dikatakan batu itu عِندَ رَبِّكَ (dari sisi Tuhanmu) maka ia bermaksud batu itu bukan daripada batu bumi.

 

وَما هِيَ مِنَ الظّٰلِمينَ بِبَعيدٍ

dan tiadalah ia jauh daripada orang-orang yang zalim.

Apakah maksud هِيَ di dalam ayat ini? Ia boleh bermaksud tempat kejadian seksaan itu. Kawasan kaum Nabi Luth عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu tidak jauh dari kawasan orang Musyrikin Mekah. Iaitu sekarang ini di Laut Mati, Jordan. Mereka pun ada melalui kawasan Sodom itu dalam musafir mereka, maka mereka sepatutnya sudah tahu tentang kisah mereka dan ambil pengajaran daripada apa yang terjadi. Allah ﷻ sebut tentang hal ini di dalam Saffat: 137

وَإِنَّكُم لَتَمُرّونَ عَلَيهِم مُّصبِحينَ
Dan sesungguhnya kamu (hai penduduk Mekah) benar-benar akan melalui (bekas-bekas) mereka di waktu pagi,

Atau, هِيَ itu boleh bermaksud azab yang dikenakan kepada kaum Nabi Luth عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu tidak jauh. Maksudnya tidak lama lagi akan dikenakan kepada Musyrikin Mekah jika mereka terus melakukan kezaliman yang mereka lakukan itu, Allah ﷻ ancam dengan azab yang pedih. Maka mereka kena beringat dan memperbetulkan diri mereka. Sekiranya mereka tidak ada dosa, maka mereka akan selamat kerana Allah ﷻ telah berfirman dalam Nisa’: 147

ما يَفعَلُ اللهُ بِعَذابِكُم إِن شَكَرتُم وَءآمَنتُم ۚ وَكانَ اللهُ شاكِرًا عَليمًا
Apa gunanya Allah menyeksa kamu sekiranya kamu bersyukur (akan nikmat-Nya) serta kamu beriman (kepada-Nya)? Dan (ingatlah) Allah sentiasa Membalas dengan sebaik-baiknya (akan orang-orang yang bersyukur kepada-Nya), lagi Maha Mengetahui (akan hal keadaan mereka).

Maka kita janganlah melanggar larangan-larangan Allah ﷻ kerana azab yang dikenakan kepada kita mungkin tidak jauh daripada kita jikalau kita berterusan melakukannya. Kerana itulah kita takut dengan berleluasanya amalan songsang golongan Gay dan Lesbian ini. Sekarang sudah semakin teruk bertambah menjadi LGBTQIA plus pula. Dulunya hanya ada G (gay) sahaja, kemudian ditambah L (Lesbian) dan kemudian menjadi-jadi pula golongan monyet ini. Semakin lama semakin bertambah abjad ini. Sampai ke manakah kegilaan mereka ini?! Adakah kita hendak tunggu turunnya bala ke atas kita baru kita mahu sedar? Ingatlah, jikalau bala turun, dengan kita sekali ini pun boleh terkena juga. Yang menakutkan adalah ayat Anfal: 25

وَاتَّقوا فِتنَةً لّا تُصيبَنَّ الَّذينَ ظَلَموا مِنكُم خاصَّةً
Dan peliharalah dirimu daripada seksaan yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim saja di antara kamu

Oleh itu, jangan beri peluang langsung kepada mereka ini untuk berkembang biak. Jangan kita sangka mereka itu ada hak kerana mereka juga manusia. Mereka langsung tidak ada hak apabila mereka membelakangi hak Allah ﷻ!

Allah ﷻ sudah memberikan berbagai-bagai ancaman tentang hal ini. Allah ﷻ boleh kenakan azab kepada kita semasa kita di dunia lagi. Malah hukuman Hudud juga telah dilaksanakan di zaman lampau terhadap golongan songsang ini. Sememangnya hukuman yang dikenakan kepada pelaku homoseksual adalah berat. Di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan di dalam kitab-kitab Sunan —daripada Ibnu Abbas رضي الله عنهما secara marfu’— disebutkan:

” مَنْ وَجَدْتُمُوهُ يَعَمَلُ عَمَلَ قَوْمِ لُوطٍ، فَاقْتُلُوا الْفَاعِلَ وَالْمَفْعُولَ بِهِ”
Barang siapa yang kalian jumpai sedang mengerjakan perbuatan kaum Luth, maka bunuhlah pelaku dan orang yang dikerjainya.
(Sunan Ibnu Majah (2561))
Status: Hasan

Al-Imam Ibnu Qayyim رَحِمَهُ اللَّهُ dalam “Ad-Daa’ wad Dawa’”:

Mafsadatnya liwat termasuk daripada yang paling besarnya mafsadat (mudarat) dan hukumannya di dunia dan di akhirat termasuk yang paling besarnya hukuman. Sungguh manusia telah berbeza pendapat: Apakah dia lebih besar hukumannya daripada zina? Atau adakah zina lebih besar hukumannya daripadanya? Atau adakah hukuman keduanya sama? Hal ini terdiri daripada tiga pendapat.

I. Saidina Abu Bakar Ash-Shiddiq, Saidina Ali bin Abi Thalib رضي الله عنهم dan juga yang lain berpendapat ia adalah lebih berat daripada zina.

II. Ulama’ seperti ‘Atha’ bin Abi Rabah, Al-Hasan Al-Bashr رحمهم الله dan lain-lain berpendapat ia sama dengan zina, maka hukumannya juga sama.

III. Imam Abu Hanifah رَحِمَهُ اللَّهُ berpendapat ia adalah lebih ringan daripada zina maka hukuman yang dikenakan hanya ta’zir.

Oleh kerana perbezaan pendapat sebegini, maka hukuman yang diberikan dalam sistem perundangan Islam pun tidak sama. Kita boleh senaraikan:

1. Hukuman Bunuh. Beginilah juga pendapat Imam Syafi’i رَحِمَهُ اللَّهُ —menurut suatu pendapat yang bersumber daripadanya dan sejumlah ulama mengatakan bahawa orang yang melakukan perbuatan kaum Luth harus dibunuh, baik dia telah muhsan (telah bernikah) ataupun belum muhsan, kerana berdasarkan hadith di atas.

Hukuman bunuh juga adalah pendapat Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah رَحِمَهُ اللَّهُ sebagaimana disebut dalam “Majmu’ Al-Fatawa’”.

Cara bunuh itu juga pelbagai:

      • Dinaikkan di atas bangunan yang paling tinggi pada suatu negeri kemudian dilemparkan ke bawah sambil dihujani dengan batu, dan ini adalah pendapatnya Ibnu Abbas dan Abu Bakar رضي الله عنهم.
      • Dilemparkan dari atas tembok, dan ini adalah pendapatnya Umar, Uthman dan Ali رضي الله عنهم.
      • Berkata Al-Munziry: Hukuman yang melakukan liwat adalah dibakar dengan api, ini adalah pendapat Abu Bakr, Ali, Abdullah bin Jubair dan Hisyam bin Abdul Malik (sebagaimana di dalam “Ad-Darariy Al-Mudhiyah” (hal. 372). Cuma cara ini dikritik.

2. Hukuman Rejam. Ada riwayat mengatakan Saidina Ali رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ pernah merejam pelaku liwat.

3. Hukuman seperti hukuman Zina. Sa’id bin Musayyab, Atha’ bin Abi Rabbah dan juga yang lain berpendapat hukuman kepada pelaku liwat adalah seperti hukuman zina. Oleh itu jikalau pelakunya muhsan, maka hukumannya rejam dan jikalau bukan muhsan maka disebat dan diasingkan daripada orang ramai.

4. Hukuman Ta’zir. Lain halnya dengan Imam Abu Hanifah رَحِمَهُ اللَّهُ , beliau berpendapat hukuman bagi perilaku homoseksual cukup dengan ta‘zir. Hukuman jenis ini tidak harus dilakukan secara hukuman fizikal, tetapi boleh melalui terapi psikologis agar boleh pulih kembali. Bahkan, Abu Hanifah رَحِمَهُ اللَّهُ menganggap perilaku homoseksual bukan termasuk dalam definisi zina, kerana zina hanya dilakukan pada vagina (qubul), tidak pada dubur (sodomi) sebagaimana dilakukan oleh kaum homoseksual.

Sebahagian ulama’ berpendapat bahawa yang melakukan liwat tidak ada hukum Hudud, kerana hadith Ibnu Abbas رضي الله عنهما (yang dikongsi di atas) adalah hadith dha’if kerana di dalam sanadnya ada ‘Amr ibn Abi ‘Amr. Hadith itu asalnya adalah lemah tetapi menjadi Hasan apabila dikuatkan dengan hadith-hadith yang lain. Cuma yang menolak mengatakan hadith-hadith yang lain pun lemah juga.

Oleh itu kita boleh lihat yang ulama’ tidak sepakat tentang hukuman bagi pelaku liwat. Maka ini adalah kewajipan bagi pemerintah untuk menentukan mana satu pilihan mereka. Yang pasti hukuman tetap harus dijalankan supaya menjadi penghalang kepada orang lain untuk melakukan hal yang sama. Pemimpin hendaklah berperanan sebagai seorang ayah dalam mendidik masyarakat. Jikalau ada anak yang membuat kesalahan tanpa hukuman, maka anak-anak yang lain pun berani untuk melakukan kesalahan yang sama kerana ayah buat dek sahaja.

Habis Ruku’ 7 daripada 10 ruku’ surah ini


 

KISAH NABI SYUAIB عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ

Hud Ayat 84: Ini adalah Kisah Keenam dan berkenaan dengan Dakwa pertama – sembah hanya Allah ﷻ sahaja. Daripada ayat ini sehingga ke ayat 95 adalah Perenggan Makro ke 6 iaitu Kisah Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan kaum baginda.

۞ وَإِلىٰ مَديَنَ أَخاهُم شُعَيبًا ۚ قالَ يٰقَومِ اعبُدُوا اللَّهَ ما لَكُم مِّن إِلٰهٍ غَيرُهُ ۖ وَلا تَنقُصُوا المِكيالَ وَالميزانَ ۚ إِنّي أَرىٰكُم بِخَيرٍ وَإِنّي أَخافُ عَلَيكُم عَذابَ يَومٍ مُّحيطٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And to Madyan [We sent] their brother Shu‘ayb. He said, “O my people, worship Allāh; you have no deity other than Him. And do not decrease from the measure and the scale. Indeed, I see you in prosperity, but indeed, I fear for you the punishment of an all-encompassing Day.

(MALAY)

Dan kepada (penduduk) Mad-yan (Kami utus) saudara mereka, Syu’aib. Dia berkata: “Hai kaumku, sembahlah Allah, sekali-kali tiada Tuhan bagimu selain Dia. Dan janganlah kamu kurangi takaran dan timbangan, sesungguhnya aku melihat kamu dalam keadaan yang baik (mampu) dan sesungguhnya aku khawatir terhadapmu akan azab hari yang membinasakan (kiamat)”.

 

وَإِلىٰ مَديَنَ أَخاهُم شُعَيبًا

Dan kepada (penduduk) Mad-yan (Kami utus) saudara mereka, Syu’aib.

Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diutuskan kepada kaum baginda, penduduk Kota Madyan. Madyan adalah nama salah satu anak Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang kemudian menjadi nama kabilah yang dinamakan Madyan. Kabilah ini tinggal di suatu tempat yang akhirnya dinamakan Madyan dan terletak di dekat pantai Laut Merah di tenggara Gunung Sinai. Kawasan ini terletak di daerah Jordan yang bersempadan dengan Palestin. Ada juga pendapat yang mengatakan Madyan berada di hujung Syam (Syria sekarang) dan bersempadan dengan Hijaz (Arab Saudi). Allahu a’lam kerana kedudukan tempat itu tidaklah penting.

Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berbangsa Arab. Realitinya daripada 25 orang Nabi yang wajib diketahui, hanya empat orang nabi sahaja yang disahkan berasal dan lahir di tanah Arab. Mereka adalah Nabi Hud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ (Yaman), Nabi Soleh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ (Al-Hijr), Nabi Syu’aib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ (Madyan) dan yang terakhir, Nabi Muhammad ﷺ (Mekah). Yang lain semuanya berbangsa Bani Israil.

Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah daripada keturunan mereka, kaum kerabat mereka juga, dari pada keturunan yang terhormat dalam kalangan mereka, sama seperti Nabi Muhammad ﷺ kepada kaum baginda. Ini mengajar kita yang pendakwah terbaik datangnya daripada penduduk setempat. Baru mudah untuk mad’u menerima dakwah itu. Ini adalah sebagaimana pilihanraya juga, calon selalunya datang dari tempat itu juga baru senang mendapat sambutan dan undian. Kalau bangsa lain yang datang, tentu ada penghalang sedikit sebanyak. Allah ‎ﷻ telah sebut tentang hal ini dalam Ali Imran: 164

لَقَد مَنَّ اللَّهُ عَلَى المُؤمِنينَ إِذ بَعَثَ فيهِم رَسولًا مِّن أَنفُسِهِم
Sesungguhnya Allah telah mengurniakan (rahmat-Nya) kepada orang-orang yang beriman, setelah Dia mengutuskan dalam kalangan mereka seorang Rasul daripada bangsa mereka sendiri,

 

قالَ يٰقَومِ اعبُدُوا اللَّهَ ما لَكُم مِّن إِلٰهٍ غَيرُهُ

Ia berkata: “Hai kaumku, sembahlah Allah, sekali-kali tiada Tuhan bagimu selain Dia.

Lihatlah bagaimana mesej yang sama dibawa oleh Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sama seperti mesej Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Nabi Hud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi-nabi lain yang kita sudah baca sebelum ini; iaitu Dakwa Surah ini: sembahlah Allah ﷻ sahaja dan jangan sembah selain Allah ﷻ kerana tiada ilah selain Allah ﷻ. Sembahlah Allah ﷻ sahaja. Inilah Dakwa Pertama. Apabila baginda mengajak mereka untuk menyembah Allah ﷻ sahaja, maka ini memberi isyarat bahawa mereka ini telah melakukan syirik selain daripada kesalahan-kesalahan mereka yang lain.

Ada juga pendapat yang mengatakan Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diutus kepada kaum Madyan dan kaum Aikah, iaitu umat yang menyembah hutan. Namun, ada pula yang mengatakan, kaum Aikah itu adalah suku Madyan tersebut (cuma ada dua nama). Pendapat ini menyatakan bahawa kaum Madyan bekerja sebagai pedagang dan petani. Manakala sembahan mereka adalah hutan belantara yang di dalamnya tumbuh pepohonan yang sangat besar. Namun, bila merujuk pada ayat Al-Qur’an yang lain, kedua umat ini berbeza. Namun, lokasi keduanya berdekatan dan Nabi yang diutus adalah Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Hal ini dibuktikan dengan azab yang ditimpakan kepada kaum Madyan berupa gempa, sedangkan kepada kaum Aikah berupa gumpalan awan dari langit.

Teringat pula ada golongan agama negara ini yang kata boleh minta tolong dengan pokok. Ini amat mengarut dan inilah yang ditolak oleh Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Maka tauhid yang hendak ditekankan di dalam surah ini adalah Tauhid Ibadah atau kita panggil Tauhid Uluhiyyah. Inilah tujuan kita dijadikan seperti disebut dalam Dzariyat: 56

وَما خَلَقتُ الجِنَّ وَالإِنسَ إِلّا لِيَعبُدونِ
Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku.

Mana-mana Nabi akan berkata begini. Iaitu hendaklah manusia menyembah Allah ﷻ sahaja. Jangan sembah yang lain daripada Allah ﷻ. Maka, setiap guru yang mengajar agama pun mestilah sampai perkara ini juga. Kita kenalah ajar akidah kepada manusia kerana itu adalah asas perkara dan ilmu yang paling penting sekali. Itulah ilmu yang mula-mula kena dipelajari.

Hendaklah kita hanya beribadat kepada Allah ﷻ sahaja. Jangan dicampuradukkan perkara ibadat kepada makhluk lain. Contohnya, dalam berdoa, jangan berdoa kepada selain Allah ﷻ dan jangan guna tawasul (perantaraan).

Jangan zikir kepada selain Allah ﷻ. Tidak perlu puja Nabi Muhammad ﷺ sebagaimana golongan Habib buat sekarang. Kita juga kena faham makna ibadat itu luas. Memang kita tidak sujud dan rukuk kepada berhala, tidak sujud dan rukuk kepada tuhan lain. Namun dengan perbuatan kita yang sedekah Fatihah, beri salam, baca selawat yang bukan diajar oleh Nabi, itu semua adalah ‘ibadat’ yang diserahkan kepada selain daripada Allah ﷻ.

Itu pun termasuk ‘sembah’ juga. Kalau kita tidak faham maksud ‘sembah’ dan sempitkan pemahaman itu, kita tidak akan faham dan kita akan keliru kenapa ada amal ibadat yang dilarang dilakukan.

Maka kita lihat di dalam ayat ini memberitahu kita yang Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengajak manusia kepada Allah ﷻ. Inilah yang sepatutnya kita lakukan dalam dakwah. Bukannya mengajak kepada persatuan, mazhab, fahaman, kumpulan, parti, individu tertentu seperti pemimpin, ulama’ dan sesiapa sahaja. Malangnya inilah yang kita lihat yang sering terjadi sekarang. Betapa ramai yang bukannya ajak kepada Allah ﷻ tetapi ajak kepada perkara yang lain. Bila diajak kepada perkara yang lain, maka setiap kumpulan akan berasa merekalah yang hebat dan benar. Maka masing-masing akan mendabik dada dan merendahkan kumpulan yang lain seperti disebut di dalam Mukminoon: 53

فَتَقَطَّعوا أَمرَهُم بَينَهُم زُبُرًا ۖ كُلُّ حِزبٍ بِما لَدَيهِم فَرِحونَ
Kemudian mereka (pengikut-pengikut rasul itu) menjadikan agama mereka terpecah belah menjadi beberapa pecahan. Tiap-tiap golongan merasa bangga dengan apa yang ada pada sisi mereka (masing-masing).

Oleh sebab itulah, mesej dakwah kita mesti jelas iaitu mengajak manusia kepada Allah ﷻ. Tidak payahlah sibuk melabel dan mengesampingkan (pigeonhole) pendakwah itu daripada kumpulan mana. Jangan dilayan orang bodoh yang bertanya “dia kumpulan mana?”, “apa fahaman dia?” kerana yang penting adalah mengajak dulu manusia kepada Allah ﷻ. Beginilah yang Allah ﷻ ajar seperti disebut dalam Nahl: 125

ادعُ إِلىٰ سَبيلِ رَبِّكَ بِالحِكمَةِ وَالمَوعِظَةِ الحَسَنَةِ
Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah

 

 

وَلا تَنقُصُوا المِكيالَ وَالميزانَ

Dan janganlah kamu kurangi takaran dan timbangan,

Seperti yang telah disebut sebelum ini, kita boleh lihat peningkatan dari segi ajaran kepada kaum, bermula daripada Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan sekarang sampai kepada Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Kalau Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, hanya disebut dengan mudah sahaja, namun kemudian apabila masa berlalu dan manusia sudah semakin maju dari segi kehidupan dan pemikiran, maka terdapat penambahan dari segi ajaran daripada Allah ﷻ.

Lihatlah dalam ayat ini bagaimana ajaran daripada Allah ﷻ kepada kaum Madyan tentang perniagaan. Jangan mengurangkan sukatan dan timbangan dalam perniagaan. Iaitu jangan menipu orang lain dalam perniagaan dan itu adalah perkara yang amat buruk sekali. Sebagai peniaga, mestilah bersikap jujur dalam perniagaan.

Kedua-dua المِكيالَ dan الميزانَ adalah alat untuk menimbang, namun apakah beza antara keduanya? المِكيالَ digunakan untuk menimbang barang makanan seperti gandum, jagung, beras; sementara الميزانَ digunakan untuk menimbang benda ringan dan berharga seperti emas dan perak.

Kejujuran di dalam perniagaan amatlah penting kerana ia menjaga hubungan sesama manusia. Kalau kita menipu manusia, maka kita telah berbuat zalim kepada mereka. Kerana itulah banyak ayat Al-Qur’an melarang manusia menipu dalam perniagaan seperti disebut dalam Rahman: 8-9

أَلّا تَطغَوا فِي الميزانِ
Supaya kamu tidak melampaui batas dalam menjalankan keadilan;

وَأَقيمُوا الوَزنَ بِالقِسطِ وَلا تُخسِرُوا الميزانَ
Dan betulkanlah cara menimbang itu dengan adil, serta janganlah kamu mengurangi barang yang ditimbang.

 

إِنّي أَرىٰكُم بِخَيرٍ

sesungguhnya aku melihat kamu dalam keadaan yang baik

Ada dua maksud yang boleh diambil dalam potongan ayat ini:

    1. Penduduk Madyan itu ada kebolehan untuk menjaga amalan mereka dalam perniagaan. Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ nampak mereka mampu melakukannya kalau mereka mahu.
    2. Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ nampak kaumnya itu hidup dengan senang lenang dan berharta. Maknanya harta mereka sudah banyak maka tidak perlu menipu untuk menambah harta mereka. Janganlah segala nikmat itu ditarik daripada mereka kerana kesilapan mereka dalam beragama. Kalimah خَيرِ ditafsirkan sebagai ‘harta’ dan ‘kesenangan’ seperti disebut dalam Aadiyat: 8

وَإِنَّهُ لِحُبِّ الخَيرِ لَشَديدٌ
dan sesungguhnya dia sangat hebat cintanya kepada kesenangan.

Di dalam dakwah Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini telah dapat kita lihat bahawa ekonomi kaumnya dalam keadaan baik, tanah subur, hasil menyenangkan dan sebab itu kekayaan pun melimpah ruah. Akan tetapi akibat gejala daripada hawa nafsu manusia, apabila kemewahan telah mempengaruhi diri, manusia boleh sahaja melakukan penipuan.

Malangnya manusia sanggup mencari keuntungan untuk dirinya sendiri dengan merugikan orang lain. Padahal kejujuran adalah modal yang kekal dan tahan lama, sedangkan penipuan adalah kekayaan sementara yang tidak lama kemudian akan menimbulkan kegelisahan dalam masyarakat kerana orang tidak saling percaya mempercayai lagi. Sebab itu lama kelamaan adil dan makmur menjadi hilang.

Sebenarnya untuk mendapat harta dan kesenangan yang lebih, bukannya dengan menipu orang dan mengurangkan timbangan mereka, tetapi dengan bersyukur. Ini seperti firman Allah ﷻ dalam Ibrahim: 7

وَإِذ تَأَذَّنَ رَبُّكُم لَئِن شَكَرتُم لَأَزيدَنَّكُم ۖ وَلَئِن كَفَرتُم إِنَّ عَذابي لَشَديدٌ
Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan; “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih”.

Akan tetapi apakah maksud ‘bersyukur’ itu? Syukur itu adalah mempergunakan nikmat Allah ﷻ menurut kehendak Allah ﷻ sebagai pemberi nikmat. Kerana itu, dapat dikatakan bahawa syukur yang sebenarnya adalah mengungkapkan pujian kepada Allah ﷻ dengan lisan, mengakui dengan hati akan nikmat Allah ﷻ, dan mempergunakan nikmat itu sesuai dengan kehendak Allah”. Dalam erti kata lain, hendaklah taat kepada Allah ﷻ. Bukannya hanya dengan mengucap الحمد لله dengan mulut sahaja namun dalam perbuatan kita tidak ikut kehendak Allah ﷻ.

Beramal ibadah dan taat kepada arahan Allah ﷻ adalah cara kita menzahirkan kesyukuran kita seperti firman Allah ﷻ dalam Saba’: 13

اعْمَلُوا آلَ دَاوُودَ شُكْرًا
“Beramallah kamu wahai keluarga Daud untuk bersyukur!”

Begitulah contoh yang ditunjukkan oleh Rasulullah ﷺ. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Aisyah رضي الله عنها, Nabi ﷺ berdiri solat (malam) sehingga pecah kedua kaki Baginda. Lalu beliau bertanya kepada Baginda ﷺ:

“Kenapa engkau lakukan ini, hai Rasulullah? Bukankah Allah ‎ﷻ telah mengampunkan dosamu yang telah lalu dan akan datang? Lalu Baginda ﷺ menjawab:
يَا عَائِشَةُ أَفَلاَ أَكُونُ عَبْدًا شَكُورًا
“Wahai Aisyah! Tidakkah engkau menyukai aku menjadi hamba yang bersyukur.”
(Riwayat al-Bukhari (4837))

Di dalam masa yang sama, kita juga hendaklah mengucapkan kesyukuran sebagai tanda kita memang bersyukur seperti firman Allah ‎ﷻ di dalam Dhuha: 11

وَأَمَّا بِنِعْمَةِ رَبِّكَ فَحَدِّثْ
Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepada-Nya.

Untuk melakukan syukur ini juga kita memerlukan hidayah dan taufik daripada Allah ﷻ; kerana itu kita kena berdoa sepertimana doa Nabi Allah Sulaiman عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang disebut dalam Naml: 19:

رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنِي بِرَحْمَتِكَ فِي عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ
Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai; dan masukkanlah daku – dengan limpah rahmat-Mu – dalam kumpulan hamba-hamba-Mu yang soleh”.

 

وَإِنّي أَخافُ عَلَيكُم عَذابَ يَومٍ مُّحيطٍ

dan sesungguhnya aku khuatir terhadapmu akan azab hari yang menyelubungi

Walaupun mereka hidup senang lenang di dunia, namun sekiranya kesenangan dan keuntungan yang mereka dapat itu adalah kerana penipuan mereka di dalam perniagaan, maka itu akan menyebabkan mereka mendapat azab di akhirat kelak, iaitu Hari Akhirat. Kerana waktu itu mereka akan diselubungi dengan azab sampai mereka tidak akan mampu untuk menyelamatkan diri dengan lari ke mana-mana lagi.

Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memberikan peringatan kepada kaumnya kerana baginda risaukan mereka. Begitu juga dengan kita, kita beri peringatan ini kepada keluarga dan masyarakat kita kerana kita sayangkan mereka. Kita bimbangkan nasib mereka nanti di akhirat. Bukan kita berkehendakkan kedudukan tinggi dengan memberi dakwah kepada mereka.

Bukannya kita mahu orang memandang kita tinggi, pandai, bijak, alim dan sebagainya. Bukan kita mahu orang panggil kita ‘ustaz’. Bukan kita mahu orang bayar kepada kita upah dalam mengajar. Bukan, bukan dan bukan.

Kita sampaikan dakwah dan peringatan adalah kerana belas kasihan kepada masyarakat kita yang telah dimomokkan dengan ajaran salah sekian lama. Mereka langsung tidak nampak kesalahan yang dilakukan selama hari ini. Jikalau tidak ada orang yang ingatkan dan betulkan mereka, siapa lagi kalau bukan kita? Kita hendak selamatkan mereka dengan nasib di akhirat. Sekiranya NGO kita hanya selamatkan manusia daripada kelaparan sahaja, NGO orang kafir pun buat begitu juga, bukan?

Azab di akhirat sudah pasti namun jangan lupa bahawa azab di dunia pun boleh dikenakan ke atas mereka. Allah ﷻ mengecam perbuatan mengurangkan timbangan dalam perniagaan. Terhadap orang seperti itu Nabi Muhammad ﷺ. telah memberi ancaman yang kuat sekali seperti dalam hadith Rasulullah ﷺ :

خمس بخمس ما نقض قوم العهد إلا سلط الله عليهم عدوهم وما حكموا بغير ما أنزل الله إلا فشا فيهم الفقر وما ظهرت فيهم الفاحشة إلا فشا فيهم الموت ولا طفَّفوا الكيل إلا مُنِعُوا النبات ولا مَنَعُوا الزكاة إلا حُبِسَ عنهم المطر.
“Ada lima perkara yang dibalas dengan lima perkara: tidak pernah suatu kaum yang melanggar janji, melainkan Allah ‎ﷻ akan membiarkan kaum itu dikuasai musuhnya. Tidak pernah mereka yang memutuskan perkara dengan hukuman yang tidak diturunkan oleh Allah ‎ﷻ, melainkan akan tersebar luaslah kefakiran dalam kalangan mereka. Penzinaan tidak pernah secara meluas di kalangan mereka secara luas, melainkan akan tersebar luaslah bahaya kematian. Tidak pernah mereka yang berbuat penipuan dalam menakar dan menimbang, melainkan mereka akan kehilangan kesuburan tumbuh-tumbuhan dan ditimpa musim kemarau. Dan tidak pernah mereka yang menahan zakat, melainkan akan diazab dengan hujan (kemarau yang panjang).
(Riwayat At-Thabarani dalam Mu’jam al-Kabir No. 10992, ad-Dailami dalam Musnad Firdaus No. 2978, daripada Ibnu Abbas رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ )
Status: Sahih lighairih menurut Syeikh Al-Albani dalam Sahih Targhib No. 765

Allah ‎ﷻ mengatakan Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ takutkan mereka عَذابَ يَومٍ مُّحيطٍ kerana walaupun semasa mereka menipu manusia di dalam timbangan dan manusia tidak tahu, akan tetapi Allah ﷻ tahu akan meliputi mereka nanti di akhirat kelak kerana Allah ﷻ maha tahu segala apa yang mereka lakukan.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 23 Ogos 2023

Ringkasan Surah Hud


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Abdul Muien

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

2 thoughts on “Tafsir Surah Hud Ayat 82 – 84 (Kisah Nabi Syuaib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ)”

  1. “kecuali jika Tuhanmu menghendaki” …boleh jadi juga bermaksud tidaklah syurga dn neraka itu kekal selama2nya kerana kalau begitu sudah ada 2 kekal..Allah kekal..syurga dn neraka juga kekal..tak boleh..maka syurga dn neraka juga akan musnah.
    saya pernah mendengar ceramah mengenai bagaimana terjadinya kemusnahan syurga dn neraka ianya berlaku apabila penghuni syurga ingin hendak melihat wajah Allah..

    Abu Razin al Uqail bertanya Rasulullah (saw), “Adakah setiap kami akan melihat Allah swt.” Baginda menjawab, “Abu Razin, adakah kamu semua melihat bulan purnama?” Saya menjawab, “Benar”. Baginda berkata, “Kamu semua tidak akan ada masalah melihatNya seperti bulan purnama tetapi itu hanya kecil sahaja Allah lebih Mulia dan lebih Besar daripada itu.” Sunan Abu Dawud Vol 3, 1324 (1990)

    Allah Zat yang maha Indah adalah ditirai oleh lapisan tirai nur..sesipa yg terpandang akan Allah pasti akn hancur musnah.

    “Malaikat Jibrail a.s. berkata bahawa ada 70 tirai Nur yang meniraikan Dzat dan sekiranya dia mendekati tirai Nur yang pertama sahaja, dia akan binasa.Al Hadis (Miskatul Masabih) Vol 4, 226 (1994).

    Tirai-Nya adalah Nur dan seandainya terangkat pasti keagungan Dzat-Nya akan membakar makhluk yang terpandang oleh-Nya:Terjemahan Sahih Muslim Bk.1, 228 (1994.

    Apabila tirai nur terangkat maka musnahlah syurga dn neraka dan segala isinya.
    ..Tiap-tiap sesuatu pasti binasa, kecuali Allah. Bagi-Nya-lah segala penentuan, dan hanya kepada-Nya-lah kamu dikembalikan. Al Qasas 28:88

    Like

    1. Terima kasih Tuan Ibrahim atas komen anda. Ada point juga tentang kekekalan syurga dan neraka itu kalau dibandingkan dengan Allah.

      Cuma, tentang permintaan melihat Allah, memang akidah ahli sunnah percaya yang ahli syurga akan dapat melihat Allah dan ini adalah salah satu dari kelebihan ahli syurga. Allahu a’lam.

      Terima kasih sekali lagi.

      Like

Leave a reply to mohd Ibrahim Cancel reply