قَد تَّبَيَّنَ الرُّشدُ مِنَ الغَيِّ
kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran daripada kesesatan
Fahaman tauhid ini sangat jelas kebenarannya sampai tidak perlu dipaksa manusia untuk masuk Islam. Sangat jelas yang petunjuk tauhid itulah yang benar, kalau dibandingkan dengan kesesatan syirik. Manusia yang sudah mempunyai Tauhid di dalam hatinya dan tidak dipesongkan oleh taghut (akan dijelaskan sebentar lagi) pasti akan beriman sepenuhnya. Oleh kerana Iman dan Islam ini sudah amat jelas, maka sepatutnya manusia masuk Islam tanpa mereka perlu dipaksa. Mereka yang tidak jelas itu adalah kerana mereka jahil tidak belajar. Maka hendaklah mereka itu belajar tafsir Al-Qur’an barulah jelas. Ataupun mereka mungkin sudah nampak tetapi mereka menutup hati mereka kepada Islam. Ini kerana mereka tetap hendak ikut hawa nafsu mereka.
Apabila tauhid sudah jelas, maka syirik itu juga jelas sepertimana juga apabila hitam telah jelas maka putih pun jelas. Namun kalau yang tidak belajar ilmu wahyu, mereka tidak akan tahu mana satu tauhid dan mana satu syirik. Oleh itu, apabila kita memberitahu tentang apakah akidah yang benar dan lawannya syirik, masyarakat Islam banyak yang menjadi keliru kerana tidak biasa mendengar tentangnya. Memang pembelajaran tentang Tauhid tidak kemas di negara kita kerana tidak diajar apakah syirik. Jadi ramai yang ada fahaman syirik dan mengamalkan amalan syirik kerana tidak tahu ia adalah syirik.
Nota: Ada banyak kalimat berbeza-beza yang digunakan di dalam Al-Qur’an untuk menunjukkan makna ‘zahir’. Ini adalah kerana bahasa Arab ini amat kaya jadi semua kalimat itu walaupun diterjemahkan sebagai ‘menzahirkan’, akan tetapi ada perbezaan antara semuanya itu. Kita senaraikan di sini untuk perbandingan:
1. ظَهَرَ bermaksud luaran, yang senang nampak.; lawannya adalah بطن yang bermaksud ‘perut’, ‘dalaman’. Contohnya seperti Rum: 41.
ظَهَرَ الفَسادُ فِي البَرِّ وَالبَحرِ
Telah nampak kerosakan di darat dan di laut
2. جَهْرً pula bermaksud terang jelas. Contohnya di dalam Baqarah: 55.
وَإِذ قُلتُم يَـٰمُوسَىٰ لَن نُّؤمِنَ لَكَ حَتّىٰ نَرَى اللهَ جَهرَةً
Dan (kenangkanlah) ketika kamu berkata: “Wahai Musa! Kami tidak akan beriman kepadamu sehingga kami dapat melihat Allah dengan terang (dengan mata kepala kami)”
Ia juga digunakan untuk suara yang jelas seperti ‘Solat Jahr’ untuk Subuh, Maghrib dan Isya’. Lihat juga contoh yang kedua adalah dalam Nisa’:148 yang berkenaan dengan suara,
لا يُحِبُّ اللَّهُ الجَهرَ بِالسّوءِ مِنَ القَولِ إِلّا مَن ظُلِمَ
Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang;
3. بَدَا bermaksud jelas kelihatan tanpa kerelaan orang itu. Ini seperti digunakan dalam An’am: 28
بَل بَدا لَهُم مّا كانوا يُخفونَ مِن قَبلُ
bahkan setelah nyata kepada mereka apa yang mereka selalu sembunyikan dahulu;
Satu lagi contoh adalah di dalam A’raf:2 2
فَلَمّا ذاقَا الشَّجَرَةَ بَدَت لَهُما سَوءٰتُهُما
Tatkala keduanya telah merasai buah pokok itu, nampaklah bagi keduanya aurat-auratnya
Satu lagi contoh adalah Yusuf: 35
ثُمَّ بَدا لَهُم مِن بَعدِ ما رَأَوُا الآياتِ لَيَسجُنُنَّهُ حَتّىٰ حينٍ
Kemudian jelas pada mereka setelah melihat tanda-tanda (kebenaran Yusuf) bahawa mereka harus memenjarakannya sampai sesuatu waktu.
4. عُثِرَ digunakan apabila seseorang menipu dan kemudian dia telah tersilap cakap sampaikan kebenaran itu terserlah. Ini seperti digunakan dalam Maidah: 107
فَإِن عُثِرَ عَلىٰ أَنَّهُمَا استَحَقّا إِثمًا
Jika diketahui bahawa kedua (saksi itu) membuat dosa,
5. تَّبَيَّن apabila sesuatu itu jelas apabila dibandingkan dengan sesuatu yang lain. Contohnya di dalam Baqarah: 256 (ayat yang kita bincangkan ini)
قَد تَّبَيَّنَ الرُّشدُ مِنَ الغَيِّ
sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur).
Satu lagi contoh adalah di dalam An’am: 55
وَلِتَسْتَبِينَ سَبِيلُ الْمُجْرِمِينَ
dan supaya jelas pula jalan orang-orang yang berdosa.
6. حَصْحَصَ digunakan apabila sudah jelas apabila kebenaran telah timbul. Contohnya digunakan dalam Yusuf: 51
قالَتِ امرَأَتُ العَزيزِ الآنَ حَصحَصَ الحَقُّ أَنا راوَدتُهُ عَن نَفسِهِ
Berkata isteri Al Aziz: “Sekarang jelaslah kebenaran itu, akulah yang menggodanya untuk menundukkan dirinya (kepadaku),
7. تَجَلَّىٰ digunakan apabila sesuatu yang cantik dan terang benderang seperti digunakan dalam A’raf: 143
فَلَمّا تَجَلّىٰ رَبُّهُ لِلجَبَلِ جَعَلَهُ دَكًّا
Setelah Tuhannya “Tajalla” (menzahirkan kebesaran-Nya) kepada gunung itu, (maka) “Tajalli-Nya” menjadikan gunung itu hancur lebur
8. شرع digunakan apabila sesuatu itu jelas kelihatan seperti digunakan di dalam A’raf: 163
إِذ تَأتيهِم حيتانُهُم يَومَ سَبتِهِم شُرَّعًا
ketika datang kepada mereka pada hari Sabtu itu ikan-ikan (yang menjadi cubaan kepada) mereka, yang kelihatan timbul di muka air;
Perbezaan antara الرُّشدُ dan الهدى
Di dalam ayat ini digunakan kalimah الرُّشدُ yang selalu diterjemahkan sebagai hidayah, petunjuk, jalan yang benar dan lurus. Ia daripada kata dasar sama ر ش د yang bermaksud mengikut jalan yang benar, diberi hidayah dan petunjuk, arah yang benar, cara yang benar, akal yang dewasa, kemampuan untuk menangani urusan dengan baik.
Walau bagaimanapun terdapat satu lagi kalimah yang lebih kurang sama iaitu الهدى yang juga mempunyai maksud yang lebih kurang sama sahaja. Malah kalau digunakan الرُّشدُ ia juga bermaksud الهدى dan kalau digunakan الهدى ia juga boleh bermaksud الرُّشدُ. Namun, terdapat perbezaan halus pada makna dan konotasinya.
1. الرُّشدُ (Ar-Rusyd) – Kematangan, Kebijaksanaan, Jalan yang Benar & Lurus
Secara bahasa, Ar-Rusyd bermaksud kematangan, kedewasaan, kebijaksanaan, dan ketetapan hati dalam mengambil jalan yang benar. Ia juga merujuk kepada jalan yang lurus dan benar yang membawa kepada kebaikan dan kebenaran. Ar-Rusyd lebih menekankan kepada ketepatan atau kejelasan jalan yang benar setelah dipertimbangkan dan diselidiki. Ia adalah lawan kepada al-ghayy (kesesatan, kebatilan, kegelapan, ketidakbijaksanaan).
Kalimah غَىِّ adalah dalam bentuk isim dan ia bermaksud ‘kesesatan’. Ia daripada kata dasar: غ و ي yang bermaksud tidak berfikir, tidak endah, tidak beri perhatian, tidak sengaja, tidak bertimbang rasa, tidak peduli, pelupa, perjalanan di dalam gelap, tersasar terlalu jauh, kegelapan, hitam yang amat sangat, bahagian awal dari masa muda, perut.
Apabila seseorang mendapat rusyd, ia bermaksud dia telah membuat pilihan yang tepat dan mengambil jalan yang betul, berdasarkan pemahaman yang jelas. Kadang-kadang, rusyd merujuk kepada petunjuk yang dicapai melalui akal dan pemikiran yang sihat, atau kebenaran yang jelas secara logik.
2. الهدى (Al-Huda) – Petunjuk, Bimbingan, Pimpinan
Secara bahasa, Al-Huda bermaksud petunjuk, bimbingan, atau pimpinan ke arah sesuatu. Ia adalah lawan kepada adh-dhalal (kesesatan, kehilangan arah). Al-Huda seringkali merujuk kepada petunjuk yang datang langsung daripada Allah ﷻ melalui wahyu (kitab suci dan rasul-Nya). Ia adalah cahaya yang membimbing manusia keluar daripada kegelapan. Al-Huda juga boleh merangkumi hidayah taufik, iaitu kemampuan atau keizinan daripada Allah ﷻ untuk menerima dan mengikuti petunjuk tersebut. Tanpa hidayah daripada Allah ﷻ, seseorang tidak akan dapat menemukan jalan yang benar.
فَمَن يَكفُر بِالطّٰغوتِ
Oleh itu, sesiapa yang ingkar kepada taghut,
Yang enggan memeluk agama ini pada hakikatnya terbawa oleh rayuan thaghut, sedangkan yang memeluknya adalah yang ingkar dan menolak ajakan thaghut, dan mereka itulah orang-orang yang memiliki pegangan yang kukuh. Maka untuk mendapat iman yang sebenar, kena ditolak taghut itu. Kalimah يَكفُر itu bermaksud tolak.
Kalimah طَّـٰغُوتِ adalah dalam bentuk isim dan ia bermaksud ‘yang disembah selain Allah’. Ia daripada kata dasar ط غ ي yang bermaksud melebihi batas, keluar dari orbit, melepasi kawasan, naik tinggi, marah, sesat, nakal, melawan, sangat jahat, tidak adil dan lain-lain. Oleh itu taghut itu bermaksud segala apa yang dipuja selain daripada Allah ﷻ. Tidak kira apa benda pun. Asalnya ia adalah syaitan tetapi ia kemudian boleh jadi manusia, kerajaan, fahaman, wang dan sebagainya. Orang yang beriman akan menolak taghut itu. Mereka tidak akan sembah, taat dan ikut selain daripada Allah ﷻ. Kalimah taghut ada disebut sebanyak tujuh kali di dalam Al-Qur’an, antaranya di dalam Nisa’: 51
أَلَم تَرَ إِلَى الَّذينَ أوتوا نَصيبًا مِّنَ الكِتٰبِ يُؤمِنونَ بِالجِبتِ وَالطّٰغوتِ
Tidakkah engkau perhatikan (dan merasa pelik wahai Muhammad) kepada orang-orang yang telah diberikan sebahagian daripada Kitab (Taurat)? Mereka percaya kepada benda-benda yang disembah yang lain daripada Allah, dan kepada Taghut,
Thaghut berasal daripada kata tagha’ (طغى) yang bermaksud melampaui batas. Dalam konteks syariat, Thaghut adalah segala sesuatu yang disembah, ditaati, atau diikuti selain Allah ﷻ, dalam keadaan ia (taghut) redha atau memerintahkan untuk disembah, ditaati, atau diikuti, melampaui batas yang ditetapkan Allah ﷻ.
Thaghut merujuk kepada segala bentuk penyimpangan daripada penyembahan kepada Allah ﷻ semata. Ia adalah kepala kesesatan yang mengajak manusia kepada selain Allah ﷻ. Ia boleh jadi syaitan, berhala, manusia, atau apa sahaja yang dijadikan objek ketaatan atau penyembahan selain Allah ﷻ. Jadi taghut ini boleh merujuk kepada banyak benda.
Jenis-Jenis Thaghut
Para ulama Islam telah menghuraikan pelbagai jenis Thaghut berdasarkan Al-Qur’an dan Sunnah. Ibnul Qayyim رَحِمَهُ اللَّهُ menyebutkan Thaghut itu banyak, dan ketua mereka ada lima:
1. Syaitan yang mengajak manusia untuk menyembah selain Allah ﷻ: Ini adalah Thaghut yang paling utama dan sumber segala kesesatan. Syaitan sentiasa membisikkan manusia untuk kufur dan berbuat syirik. Allah ﷻ berfirman di dalam Yaasin: 60
أَلَم أَعهَد إِلَيكُم يٰبَني ءآدَمَ أَن لّا تَعبُدُوا الشَّيطٰنَ ۖ إِنَّهُ لَكُم عَدُوٌّ مُّبينٌ
“Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu!
2. Penguasa zalim yang mengubah hukum Allah ﷻ: Ini adalah pemimpin atau pemerintah yang tidak berhukum dengan apa yang Allah ﷻ turunkan, dan dia memerintahkan rakyatnya untuk mengikuti hukum-hukum ciptaan manusia yang bertentangan dengan syariat Allah ﷻ. Mereka menjadikan diri mereka sebagai pembuat hukum yang setara dengan Allah ﷻ. Perhatikan firman Allah ﷻ di dalam Nisa’: 60
أَلَم تَرَ إِلَى الَّذينَ يَزعُمونَ أَنَّهُم ءآمَنوا بِما أُنزِلَ إِلَيكَ وَما أُنزِلَ مِن قَبلِكَ يُريدونَ أَن يَتَحاكَموا إِلَى الطّٰغوتِ وَقَد أُمِروا أَن يَكفُروا بِهِ
Tidakkah engkau (hairan) melihat (wahai Muhammad) orang-orang (munafik) yang mendakwa bahawa mereka telah beriman kepada Al-Qur’an yang telah diturunkan kepadamu dan kepada (Kitab-kitab) yang telah diturunkan dahulu daripadamu? Mereka suka hendak berhakim kepada Taghut, padahal mereka telah diperintahkan supaya kufur ingkar kepada Taghut itu.
3. Orang yang berhukum (membuat keputusan) bukan dengan apa yang Allah ﷻ turunkan: Ini boleh jadi hakim, kadi, atau siapa saja yang memiliki autoriti untuk memutuskan perkara di antara manusia, tetapi dia memilih untuk berhukum dengan undang-undang buatan manusia yang bertentangan dengan syariat Allah ﷻ, meskipun dia mengetahui hukum Allah.
4. Orang yang mengaku mengetahui ilmu ghaib selain Allah ﷻ: Ini termasuk dukun, tukang tilik, ahli nujum, ahli sihir, atau siapa saja yang mendakwa mengetahui perkara ghaib seperti masa depan, nasib, atau berita dari alam ghaib, kerana ilmu ghaib mutlak adalah milik Allah ﷻ semata. Sedangkan Allah ﷻ telah berfirman di dalam Naml: 65
قُل لّا يَعلَمُ مَن فِي السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ الغَيبَ إِلَّا اللهُ
Katakanlah: “Tidak ada seorang pun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib, kecuali Allah”,
5. Sesiapa yang disembah selain Allah ﷻ dan dia redha dengan penyembahan itu: Ini termasuk individu yang angkuh dan sombong yang rela atau bahkan meminta agar dirinya disembah atau dijadikan tuhan selain Allah ﷻ. Contohnya seperti Firaun. Manusia biasa yang dijadikan objek penyembahan, baik ketika hidup mahupun setelah mati, termasuk dalam kategori ini jika mereka redha atau menyerukan kepada penyembahan tersebut. Dalilnya di dalam Saba’: 40-41
وَيَوۡمَ يَحۡشُرُهُمۡ جَمِيعًا ثُمَّ يَقُولُ لِلۡمَلَـٰٓٮِٕكَةِ أَهَـٰٓؤُلَآءِ إِيَّاكُمۡ ڪَانُواْ يَعۡبُدُونَ (٤٠) قَالُواْ سُبۡحَـٰنَكَ أَنتَ وَلِيُّنَا مِن دُونِهِمۖ بَلۡ كَانُواْ يَعۡبُدُونَ ٱلۡجِنَّۖ أَڪۡثَرُهُم بِہِم مُّؤۡمِنُونَ (٤١)
Dan (ingatkanlah) apabila Allah menghimpunkan mereka semua (pada hari kiamat), kemudian Dia bertanya kepada para malaikat: Adakah orang-orang ini, (kamu setujui) menyembah kamu dahulu? (40) Malaikat menjawab: Maha Suci Engkau (daripada adanya sebarang sekutu denganMu). Engkaulah Pelindung kami bukan mereka. (Tidak ada hubungan daripada pihak kami dengan mereka mengenai penyembahan mereka kepada kami), bahkan mereka adalah menyembah jin syaitan; kebanyakan mereka pula percaya kepada jin syaitan itu. (41)
Ini menunjukkan para malaikat tidak redha disembah. Adapun yang redha adalah taghut seperti syaitan.
Selain itu, ada lagi pembahagian Thaghut kepada tiga jenis utama berdasarkan aspek bagaimana ia ditaati atau disembah selain Allah ﷻ. Pembahagian ini adalah tafsiran dan klasifikasi untuk memudahkan pemahaman mengenai konsep Thaghut. Tiga jenis Thaghut tersebut adalah:
-
- Ma’bud (المعبود): Ini adalah Thaghut yang disembah selain Allah ﷻ. Ia merujuk kepada segala sesuatu yang dijadikan objek ibadah, pujaan, atau sembahan selain Allah ﷻ. Ini termasuklah berhala, patung, kubur-kubur yang disembah, jin, syaitan, matahari, bulan, bintang, dan juga manusia yang disembah atau redha disembah (seperti Firaun). Contoh: Orang yang menyembah berhala batu.
- Muta’ (المطاع): Ini adalah Thaghut yang ditaati selain Allah ﷻ dalam perkara yang bertentangan dengan syariat Allah ﷻ. Ia merujuk kepada pemimpin, penguasa, hakim, atau individu lain yang ditaati secara mutlak dalam perintah atau larangan yang jelas-jelas menyalahi hukum Allah ﷻ, seolah-olah dia memiliki hak untuk membuat hukum di samping Allah ﷻ. Contoh: Penguasa yang membuat undang-undang yang menghalalkan perkara haram atau mengharamkan perkara halal, dan rakyat mentaatinya. Atau orang yang taat kepada syaitan dalam melakukan maksiat.
- Muttaba’ (المتَّبَع): Ini adalah Thaghut yang diikuti selain Allah ﷻ dalam perkara yang bukan syariat Allah ﷻ dan bukan pula petunjuk daripada Allah ﷻ. Ia merujuk kepada individu atau ajaran yang diikuti secara membabi buta, tanpa hujah daripada Al-Qur’an dan Sunnah, sehingga meninggalkan petunjuk Allah ﷻ. Ini termasuklah:
- Dukun, tukang sihir, peramal: Orang-orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib dan diikuti atau dipercayai dalam urusan ghaib.
- Orang yang membuat syariat baru: Individu yang mencipta ajaran atau cara hidup yang tidak ada dasarnya dalam Islam dan mengajak orang untuk mengikutinya sebagai satu agama atau jalan hidup. Ini termasuklah golongan agama yang reka fahaman dan ibadah yang baru (bid’ah). Ini ramai dalam kalangan orang kita yang hanya ikut sahaja tanpa dalil.
- Hawa nafsu yang diikuti secara melampau: Hawa nafsu yang mendorong seseorang untuk melakukan dosa dan melanggar perintah Allah ﷻ.
- Contoh: Orang yang mempercayai ramalan nasib daripada dukun dan mengikutinya, atau orang yang mengikuti tradisi sesat nenek moyang secara membabi buta.
وَيُؤمِن بِاللَّهِ
dan dia pula beriman kepada Allah,
Setelah menolak taghut, kita kena benar-benar beriman dengan Allah ﷻ. Itulah ‘iman yang sempurna’ iaitu tidak menyembah dan taat kepada selain daripada Allah ﷻ. Ini penting kerana manusia ada yang beriman dengan Allah ﷻ, namun dalam masa yang sama, mereka beriman dengan ilah-ilah yang lain lagi. Iman yang sempurna adalah seperti disebut di dalam An’am: 82
الَّذينَ ءآمَنوا وَلَم يَلبِسوا إيمٰنَهُم بِظُلمٍ أُولٰئِكَ لَهُمُ الأَمنُ وَهُم مُّهتَدونَ
Orang-orang yang beriman dan tidak mencampur adukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan merekalah orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.
Sedangkan iman yang tidak diiktiraf kerana ada bercampur dengan syirik adalah seperti disebut di dalam Yusuf: 106.
وَما يُؤمِنُ أَكثَرُهُم بِاللهِ إِلّا وَهُم مُشرِكونَ
Dan sebahagian besar dari mereka tidak beriman kepada Allah, melainkan dalam keadaan mempersekutukan Allah (dengan sembahan-sembahan lain).
Inilah orang-orang yang beriman kepada Allah ﷻ, para malaikat, kitab-kitab dan lain-lain lagi rukun iman; namun di dalam masa yang sama mereka percaya kepada bomoh, mereka minta tolong kepada wali yang mati di dalam kubur, mereka melakukan ibadah kepada selain Allah ﷻ, mereka bertawasul kepada Nabi, wali dan malaikat dan banyak lagi kepercayaan lain yang tidak berlandaskan kepada wahyu. Mereka ini mencampurkan Tauhid dengan syirik tanpa mereka sedari ianya salah.
Lihatlah susunan ayat ini. Mulanya Allah ﷻ sebut يَكفُر بِالطّٰغوتِ dan kemudian barulah disebut وَيُؤمِن بِاللَّهِ. Maka sebelum beriman, kena tolak taghut dahulu barulah sempurna beriman dengan Allah ﷻ. Macam kalimah la ilaaha illallah – kena tolak ilah selain Allah ﷻ dahulu. Dalam istilah disebut kena nafi dahulu sebelum ithbat. Selepas sudah tolak, barulah kita terima masuk iman itu. Begitulah kalau kita hendak memasukkan air ke dalam gelas, kita kena pastikan yang gelas itu bersih daripada kekotoran dahulu. Jangan terus masukkan air yang baru kerana itu akan menyebabkan air itu akan bercampur dengan kekotoran yang sudah ada.
Maknanya, kena ada takhalli (تخلّي) dan tahalli (تحلّي). Secara bahasa, takhalli berasal daripada kata “خلى” yang bermaksud mengosongkan, meninggalkan, atau melepaskan. Secara bahasa, tahalli berasal daripada kata “حلّى” yang bermaksud menghiasi, mengisi, atau memakai perhiasan. Malangnya, masyarakat Islam kita sekarang banyak yang mencampur adukkan iman dan fahaman syirik. Ini adalah kerana mereka itu jahil dengan wahyu dan tidak dapat membezakan mana tauhid dan mana syirik. Kerana itu kita kena ajak umat Islam mempelajari tafsir dan membiasakan diri dengan tadabbur Al-Qur’an.
فَقَدِ استَمسَكَ بِالعُروَةِ الوُثقىٰ لَا انفِصامَ لَها
sesungguhnya dia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus.
Kalimah ٱستَمسَكَ adalah dalam bentuk fi’il madhi dan ia bermaksud ‘telah menggenggam’. Ia daripada kata dasar: م س ك yang bermaksud simpan, menahan, kedekut, memegang sesuatu dengan kuat, menangkap sesuatu, memegang dengan tangan, bijak dalam membuat keputusan. .
Kalimah عُروَةِ bermaksud sesuatu yang boleh dipegang. Ia daripada kata dasar: ع ر و yang bermaksud datang kepada seseorang, ditimpa, meliputi, menghentam, dikenakan, sokongan, pegangan, kekal, harta yang berharga. Ini macam stereng kereta pun boleh dikatakan sebagai salah satu عُروَةِ juga kerana kita pegang padanya. Ia selalu digunakan dalam bahasa Arab untuk merujuk kepada tali yang digunakan untuk menimba air. Ia memberi gambaran sesuatu yang diperlukan kerana air memang kita perlukan sangat.
Kemudian Allah ﷻ gunakan kalimah الوُثقىٰ (simpulan). Ia daripada kata dasar و ث ق yang bermaksud meletakkan kepercayaan kepada seseorang, bergantung kepada seseorang, ikatan atau simpulan. Allah ﷻ berikan perumpamaan tali itu disimpul kuat sampaikan boleh dipegang. Begitulah dalam keadaan yang bergolak, seperti kapal yang dilanda badai lautan, kita kena pegang kepada sesuatu yang boleh meneguh dan menyelamatkan kita. Antaranya adalah tali tetapi tali yang boleh dipegang mestilah yang ada simpul, baru senang dipegang.
Apakah yang dimaksudkan dengan العُروَةِ الوُثقىٰ? Secara umumnya ia adalah inti atau asas kepada keimanan dan petunjuk yang kukuh yang menyelamatkan seseorang dari kesesatan. Namun jikalau kita hendak nyatakan secara spesifik, antara tafsiran yang masyhur adalah:
-
- Kalimah Tauhid (Laa Ilaha Illallah): Ini adalah tafsiran yang paling umum dan kuat. Memegang teguh kalimah tauhid yang menafikan segala bentuk penyembahan selain Allah ﷻ dan hanya mengesakan-Nya adalah pegangan terkuat yang tidak akan pernah putus. Namun kenalah faham apakah maksudnya dan bagaimana ia dipegang dan diamalkan.
- Iman: Secara umum, ia merujuk kepada iman yang sebenar, yang bersih dari syirik dan kemunafikan. Apabila seseorang benar-benar beriman, hatinya akan tenang dan ia akan berada di atas jalan yang benar. Akan tetapi persoalannya, adakah iman kita sempurna? Iman yang sempurna adalah iman tanpa syirik. Oleh itu kena belajar apakah tauhid dan apakah syirik.
- Islam: Sebahagian ulama menafsirkan Al-‘Urwah al-Wuthqā sebagai agama Islam itu sendiri, iaitu penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah ﷻ dan mengamalkan syariat-Nya.
- Al-Qur’an: Al-Qur’an adalah petunjuk yang jelas daripada Allah ﷻ, dan berpegang teguh kepadanya adalah seperti berpegang pada tali yang kuat yang tidak akan menyesatkan. Maknanya kita kena berpegang dengan Al-Qur’an. Maka, kenalah belajar sampai habis tafsir Al-Qur’an ini dan terus mempelajari dan mendalami pemahamannya. Ia mesti selalu dibaca dan dirujuk di dalam kehidupan seharian. Kalau baca tetapi tidak faham (seperti ramai orang kita lakukan), adakah Al-Qur’an boleh menjadi العُروَةِ الوُثقىٰ kepadanya? Tentu tidak sama sekali.
Hendaklah pegang betul-betul dan kuat-kuat kerana kalimah yang digunakan adalah استَمسَكَ. Apabila ditambah huruf س dan ت, maka ia menambah kekuatan dan makna kepada sesuatu kalimah itu. Kalimah yang biasa adalah مسك sahaja. Kenapa kena kuat, kerana gangguan daripada taghut pun kuat juga, bukan main-main punya. Apa yang dipegang mestilah sesuatu yang amat kuat sampaikan tidak putus. Kerana itu dikatakan لَا انفِصامَ (tidak akan putus). Ia daripada kata dasar: ف ص م yang bermaksud mematahkan atau memutuskan, meretakkan tanpa putus. Ia penting kerana kalau kita pegang tali dengan kuat, tetapi tali yang dipegang itu pun senang putus pun tidak berguna juga.
Orang yang menolak taghut dan betul-betul beriman dengan Allah ﷻ akan teguh imannya dan tidak goyah. Tidaklah senang disesatkan dengan fahaman-fahaman mengarut. Tidaklah terikut-ikut dengan amalan dan fahaman yang tidak bersumberkan daripada wahyu. Tidaklah dia terikut-ikut dengan trend semasa. Contohnya apabila ramai orang ikut golongan Habib, tidaklah dia pun tiba-tiba memakai rida’ di bahu pula. Tidaklah dia sibuk hendak memakai logo capal merata-rata. Contoh mereka yang teguh imannya dan tidak goyah adalah seperti ahli-ahli sihir di zaman Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Walaupun mereka diancam bunuh oleh Firaun, mereka tidak kisah. Perhatikan kisah ini dalam Taha: 71-73
قَالَ ءَامَنتُمۡ لَهُ ۥ قَبۡلَ أَنۡ ءَاذَنَ لَكُمۡۖ إِنَّهُ ۥ لَكَبِيرُكُمُ ٱلَّذِى عَلَّمَكُمُ ٱلسِّحۡرَۖ فَلَأُقَطِّعَنَّ أَيۡدِيَكُمۡ وَأَرۡجُلَكُم مِّنۡ خِلَـٰفٍ وَلَأُصَلِّبَنَّكُمۡ فِى جُذُوعِ ٱلنَّخۡلِ وَلَتَعۡلَمُنَّ أَيُّنَآ أَشَدُّ عَذَابًا وَأَبۡقَىٰ (٧١) قَالُواْ لَن نُّؤۡثِرَكَ عَلَىٰ مَا جَآءَنَا مِنَ ٱلۡبَيِّنَـٰتِ وَٱلَّذِى فَطَرَنَاۖ فَٱقۡضِ مَآ أَنتَ قَاضٍۖ إِنَّمَا تَقۡضِى هَـٰذِهِ ٱلۡحَيَوٰةَ ٱلدُّنۡيَآ (٧٢) إِنَّآ ءَامَنَّا بِرَبِّنَا لِيَغۡفِرَ لَنَا خَطَـٰيَـٰنَا وَمَآ أَكۡرَهۡتَنَا عَلَيۡهِ مِنَ ٱلسِّحۡرِۗ وَٱللَّهُ خَيۡرٌ وَأَبۡقَىٰٓ (٧٣)
Firaun berkata: Patutkah kamu beriman kepada Musa sebelum aku memberi izin kepada kamu? Sesungguhnya dialah ketua kamu yang mengajar sihir kepada kamu. Oleh itu, demi sesungguhnya, aku akan memotong tangan dan kaki kamu dengan bersilang, dan aku akan memalang kamu pada batang-batang pohon tamar dan demi sesungguhnya kamu akan mengetahui kelak siapakah di antara kita yang lebih keras azab seksanya dan lebih kekal. (71) Mereka menjawab: Kami tidak sekali-kali akan mengutamakanmu daripada apa yang telah datang kepada kami daripada mukjizat-mukjizat yang terang nyata dan (tidak akan mengutamakanmu daripada) Tuhan yang telah menjadikan kita semua. Oleh itu, hukumkanlah apa sahaja yang engkau hendak hukumkan, kerana sesungguhnya engkau hanyalah dapat menghukum dalam kehidupan dunia ini sahaja. (72) Sesungguhnya kami telah beriman kepada Tuhan kami, supaya diampunkan-Nya kesalahan-kesalahan kami dan dosa-dosa sihir yang engkau paksakan kami melakukannya dan Allah jualah yang lebih baik dan lebih kekal balasan pahala-Nya. (73)
وَاللَّهُ سَميعٌ عَليمٌ
Dan Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
Ini satu lagi sifat Allah ﷻ yang Dia beritahu kepada kita. Dia Maha Mendengar segalanya. Kita pun mendengar juga, tetapi tidaklah pendengaran kita seperti pendengaran Allah ﷻ. Kalau orang jauh sedikit, kita pun sudah tidak dengar.
Allah ﷻ Maha Mengetahui apa sahaja yang kita lakukan. Maka kita kena sedar dan berhati-hati dengan kata-kata kita kerana Allah ﷻ tahu. Kalau kata-kata dan perbuatan kita itu salah, maka Allah ﷻ akan buat penilaian dan buat pembalasan di akhirat kelak.
Satu lagi tafsir kalau kita kita gabungkan dua sifat Allah سَميعٌ عَليمٌ ini. Ia khusus merujuk kepada tauhid dalam berdoa. Kita hendaklah hanya berdoa kepada Allah ﷻ sahaja kerana hanya Dia yang maha mendengar doa kita. Malah hanya Dia yang boleh beri apa yang kita hajati dan perlukan kerana Dia yang maha tahu apa yang baik untuk kita.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 26 Jun 2025
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

