Tafsir Surah Ahzab Ayat 11 – 15 (Golongan munafik dan Ahzab)

Ayat 11: Apa yang mereka alami itu adalah dugaan yang amat berat.

هُنالِكَ ابتُلِيَ المُؤمِنونَ وَزُلزِلوا زِلزالًا شَديدًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

There the believers were tested and shaken with a severe shaking.

(MELAYU)

Disitulah diuji orang-orang mukmin dan digoncangkan dengan goncangan yang sangat.

 

هُنالِكَ ابتُلِيَ المُؤمِنونَ

Di situlah diuji orang-orang mukmin

Orang-orang mukmin di Madinah waktu itu sedang dilanda dengan ujian yang amat besar.

 

وَزُلزِلوا زِلزالًا شَديدًا

dan digoncangkan dengan goncangan yang sangat.

Mereka rasa bumi tempat mereka berpijak itu bergegar-gegar kerana ketakutan yang mereka alami. Memang bumi tidak bergegar, tetapi oleh kerana perasaan mereka amat tertekan sehingga mereka berasa begitu.


 

Ayat 12: Sekarang masuk berkenaan golongan munafik. Memang semua orang Islam di Madinah itu sedang diuji. Tetapi kita pun tahu ada golongan mukmin dan ada golongan munafik. Semua mereka diuji tetapi tidak sama penerimaan ujian dari satu golongan ke satu golongan yang lain. Sekarang Allah ‎ﷻ menceritakan tentang golongan munafik.

وَإِذ يَقولُ المُنٰفِقونَ وَالَّذينَ في قُلوبِهِم مَّرَضٌ مّا وَعَدَنَا اللهُ وَرَسولُهُ إِلّا غُرورًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [remember] when the hypocrites and those in whose hearts is disease said, “Allāh and His Messenger did not promise us except delusion,”

(MELAYU)

Dan (ingatlah) ketika orang-orang munafik dan orang-orang yang berpenyakit dalam hatinya berkata: “Allah dan Rasul-Nya tidak menjanjikan kepada kami melainkan tipu daya”.

 

وَإِذ يَقولُ المُنٰفِقونَ وَالَّذينَ في قُلوبِهِم مَّرَضٌ

Dan (ingatlah) ketika orang-orang munafik dan orang-orang yang berpenyakit dalam hatinya berkata:

Allah ‎ﷻ menyebut dua golongan di dalam ayat ini. Golongan yang pertama adalah golongan munafik yang menyembunyikan kekafiran mereka.

Golongan kedua adalah mereka yang lemah iman walaupun mereka belum menjadi munafik lagi tetapi mereka sudah mula ke arah itu. Kerana dalam hati mereka ada penyakit ragu-ragu.

 

مّا وَعَدَنَا اللهُ وَرَسولُهُ إِلّا غُرورًا

“Allah dan Rasul-Nya tidak menjanjikan kepada kami melainkan tipu daya”.

Ini adalah kata-kata puak munafik itu (dan yang lemah iman). Mereka sanggup kata mereka telah ditipu oleh Allah ‎ﷻ dan Rasulullah ﷺ.

Dalam ayat sebelum ini manusia diberitahu supaya tidak terkesan dengan gangguan syaitan yang boleh menjatuhkan mereka. Dan sekarang oleh kerana mereka sedang menerima dugaan, maka mereka berkata yang mereka sedang ditipu.

Mereka berkata mereka ditipu kerana gambaran pertolongan dari Allah ‎ﷻ tidak nampak lagi pada waktu itu. Mereka kalah dengan ujian yang Allah ‎ﷻ berikan itu.


 

Ayat 13: Apa lagi kata mereka?

وَإِذ قالَت طّائِفَةٌ مِّنهُم يٰأَهلَ يَثرِبَ لا مُقامَ لَكُم فَارجِعوا ۚ وَيَستَئذِنُ فَريقٌ مِّنهُمُ النَّبِيَّ يَقولونَ إِنَّ بُيوتَنا عَورَةٌ وَما هِيَ بِعَورَةٍ ۖ إِن يُريدونَ إِلّا فِرارًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when a faction of them said, “O people of Yathrib,¹ there is no stability for you [here], so return [home].” And a party of them asked permission of the Prophet, saying, “Indeed, our houses are exposed [i.e., unprotected],” while they were not exposed. They did not intend except to flee.

  • The name by which al-Madīnah was known before the arrival of the Prophet (ṣ).

(MELAYU)

Dan (ingatlah) ketika segolongan di antara mereka berkata: “Hai penduduk Yatsrib (Madinah), tidak ada tempat bagimu, maka kembalilah kamu”. Dan sebahagian dari mereka minta izin kepada Nabi (untuk kembali pulang) dengan berkata: “Sesungguhnya rumah-rumah kami terbuka (tidak ada penjaga)”. Dan rumah-rumah itu sekali-kali tidak terbuka, mereka tidak lain hanya hendak lari.

 

وَإِذ قالَت طّائِفَةٌ مِّنهُم

Dan (ingatlah) ketika segolongan di antara mereka berkata:

Ada dari golongan munafik itu yang berani berkata dan berucap kepada khalayak ramai.

 

يٰأَهلَ يَثرِبَ

“Hai penduduk Yatsrib

Yathrib adalah nama asal Madinah sebelum ditukar kepada Madinah. Mereka menyeru kepada ahli-ahli ‘penduduk Yathrib’.

Ini adalah kata-kata yang buruk sekali kerana tempat mereka itu sudah ditukar namanya kepada Madinah. Dan Madinah itu maksudnya Kota Nabi tetapi mereka sekarang menggunakan nama lamanya pula. Ini kerana mereka hendak menaikkan semangat orang-orang untuk kembali kepada keadaan lama mereka sebelum datangnya Nabi Muhammad ﷺ ke Madinah.

Jadi hanya dengan menggunakan panggilan itu menunjukkan yang mereka itu adalah orang-orang munafik. Mereka tidak mengiktiraf kenabian Nabi Muhammad ﷺ. Mereka merasakan Nabi Muhammad ﷺ menyusahkan mereka sahaja kerana telah datang ke tempat mereka dan sekarang telah menyebabkan mereka akan diserang.

 

لا مُقامَ لَكُم فَارجِعوا

tidak ada tempat bagimu, maka kembalilah kamu”.

Mereka berkata mereka tidak ada tempat berdiri lagi. Mereka berkata mereka tidak akan ada peluang untuk mempertahankan bandar mereka itu daripada musuh. Mereka tidak percaya dengan parit-parit yang digali itu dapat menyelamatkan mereka. Mereka berkata yang umat Islam tidak ada peluang.

Dan yang berkata itu mengajak orang lain untuk kembali; tetapi kembali ke mana? Bukankah mereka sekarang di Madinah tempat tinggal mereka? Maksud ‘kembali’ itu adalah kembali kepada keadaan asal mereka sebelum datangnya dari Muhammad ﷺ dan para sahabat dari Mekah.

Ia juga bermaksud kembali kepada agama mereka sebelum Nabi Muhammad ﷺ datang membawa agama Islam. Ini adalah perkara dalam hati mereka yang tersirat. Mungkin tidak disebut di luar, tetapi apa yang ada dalam hati mereka.

Mereka hendak belot dan hendak membiarkan saja Nabi Muhammad ﷺ diambil oleh orang-orang Mekah itu. Begitu jahat sekali apa yang ada di dalam hati mereka. Allah ‎ﷻ sedang membongkarkan apa yang ada di dalam isi hati mereka.

 

وَيَستَئذِنُ فَريقٌ مِّنهُمُ النَّبِيَّ

Dan sebahagian dari mereka minta izin kepada Nabi 

Ada juga kumpulan lain yang tidak berani untuk berkata di khalayak ramai tetapi mereka senyap-senyap pergi berjumpa dengan Rasulullah ﷺ minta izin. Dan mana-mana yang minta izin, Rasulullah ﷺ benarkan.

Dan ada juga yang tidak meminta izin pun, mereka terus balik sahaja. Ini yang lebih teruk lagi, tidak ada hormat langsung kepada Rasulullah ﷺ.

 

يَقولونَ إِنَّ بُيوتَنا عَورَةٌ

dengan berkata: “Sesungguhnya rumah-rumah kami terbuka (tidak ada penjaga)”. 

Mereka meminta izin kepada baginda kerana mereka berkata rumah mereka tidak terjaga.

‘Aurah’ bermaksud sesuatu yang sepatutnya ditutup seperti aurat manusia. Jadi mereka kata rumah-rumah mereka tidak dijaga dan terbuka untuk diserang dari dalam oleh puak Bani Quraizah. Bila mereka dengar yang Bani Quraizah juga akan menyerang mereka, maka puak munafik menggunakan peluang itu minta izin balik ke rumah.

 

وَما هِيَ بِعَورَةٍ

Dan rumah-rumah itu sekali-kali tidak terbuka, 

Alasan mereka itu tidak boleh pakai kerana Nabi Muhammad ﷺ telah mengumpulkan wanita dan kanak-kanak di satu tempat di tengah-tengah kota. Nabi Muhammad ﷺ sebagai panglima tentera bertanggungjawab untuk menjaga keselamatan semua umat Islam waktu itu, bukannya mereka.

Dan baginda telah memastikan wanita dan kanak-kanak di tempat yang selamat. Maka alasan mereka untuk mengatakan yang anak isteri mereka terbuka itu tidaklah benar.

 

إِن يُريدونَ إِلّا فِرارًا

mereka tidak lain hanya hendak lari.

Sebenarnya alasan mereka untuk balik dan melindungi anak isteri itu adalah sebagai hendak untuk melarikan diri sahaja. Mereka takut berada di medan pertempuran maka mereka cari alasan untuk menyorok di rumah.


 

Ayat 14:

وَلَو دُخِلَت عَلَيهِم مِّن أَقطارِها ثُمَّ سُئِلُوا الفِتنَةَ لَآتَوها وَما تَلَبَّثوا بِها إِلّا يَسيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And if they had been entered upon from all its [surrounding] regions and fitnah [i.e., disbelief] had been demanded of them, they would have done it and not hesitated over it except briefly.

(MELAYU)

Kalau mereka diserang dari segala penjuru, kemudian diminta kepada mereka supaya murtad, nescaya mereka mengerjakannya; dan mereka tiada akan bertangguh untuk murtad itu melainkan dalam waktu yang singkat.

 

وَلَو دُخِلَت عَلَيهِم مِّن أَقطارِها

Kalau mereka diserang dari segala penjuru,

Allah ‎ﷻ sedang memberitahu apakah yang akan terjadi kalaulah pertahanan mereka itu pecah dan tentera-tentera musuh dapat memasuki ke dalam kawasan kota mereka, apakah yang mereka akan lakukan.

 

ثُمَّ سُئِلُوا الفِتنَةَ

kemudian diminta kepada mereka supaya murtad, 

Kalau musuh dapat masuk dan kemudian mereka disuruh untuk melakukan fitnah yang terbesar iaitu untuk keluar Islam, apa yang mereka akan cakap?

Dan ini memang pernah terjadi pada zaman moden. Sebagai contoh ada satu kisah imam di satu kawasan di mana kampung mereka diserang oleh komunis dan komunis itu menyuruh imam itu makan babi dan minum bir. Tetapi imam itu tidak mahu dan imam itu telah ditembak mati.

Jadi imam itu telah mempertahankan agamanya. Bagaimana pula dengan puak munafik itu?

 

لَآتَوها وَما تَلَبَّثوا بِها إِلّا يَسيرًا

nescaya mereka mengerjakannya; dan mereka tiada akan bertangguh untuk murtad itu melainkan dalam waktu yang singkat.

Allah ‎ﷻ memberitahu yang munafik di Madinah itu akan keluar daripada Islam dengan rela dan mereka tidak akan meluangkan banyak masa untuk memikirkannya. Maksudnya dengan mudah sahaja mereka akan keluar Islam. Perkara kecil sahaja bagi mereka. Mereka pandang mudah sahaja.

Ayat ini tidak boleh disamakan dengan kebenaran untuk mengaku kufur jikalau kita dipaksa dan diancam nyawa. Kalau kita seorang diri dan ditangkap orang kafir kemudian dipaksa mengaku kufur. Iaitu kalau kita tidak ikut kita akan dibunuh.

Maka dalam keadaan begini, memang boleh untuk kita kata kita kufur. Tetapi situasi di dalam ayat ini adalah tentang satu golongan atau pun sewaktu berada ramai-ramai di antara orang-orang Islam yang lain, maka tidak boleh kita mengaku kufur waktu itu.

Maknanya golongan munafik itu tidak ada pegangan iman pun. Mereka menunggu masa sahaja untuk menyatakan kekufuran mereka. Iaitu mereka menunggu sahaja untuk orang lain minta mereka murtad maka mereka akan melakukannya. Waktu itu memang mereka kononnya menyatakan keimanan mereka tetapi Allah ‎ﷻ hendak memberitahu bahawa mereka itu memang tidak ada iman.


 

Ayat 15: Ini alamatnya mereka itu tidak beriman.

وَلَقَد كانوا عٰهَدُوا اللهَ مِن قَبلُ لا يُوَلّونَ الأَدبٰرَ ۚ وَكانَ عَهدُ اللهِ مَسئولًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they had already promised Allāh before not to turn their backs [i.e., flee]. And ever is the promise to Allāh [that about which one will be] questioned.

(MELAYU)

Dan sesungguhnya mereka sebelum itu telah berjanji kepada Allah yang mereka tidak akan berbalik ke belakang (mundur). Dan perjanjian dengan Allah akan ditanya.

 

وَلَقَد كانوا عٰهَدُوا اللهَ مِن قَبلُ لا يُوَلّونَ الأَدبٰرَ

Dan sesungguhnya mereka sebelum itu telah berjanji kepada Allah yang mereka tidak akan berbalik ke belakang

Mereka itu telah berjanji dengan Allah ‎ﷻ yang mereka tidak akan berpaling dari medan perang. Sudah banyak kali mereka berjanji sebegitu. Masa Uhud pun mereka sudah macam itu. Dulu pun mereka sudah janji tidak lari dari medan perang, tetapi mereka lari juga. Maka mereka memang tidak boleh dipercayai.

Apabila mereka lari dari medan perang di Uhud, mereka telah berjanji yang mereka tidak akan buat lagi. Dan sekarang, iaitu dua tahun selepas Perang Uhud, Allah ‎ﷻ bawakan lagi satu perang untuk menagih kebenaran janji mereka dahulu. Nampaknya mereka gagal lagi.

 

وَكانَ عَهدُ اللهِ مَسئولًا

Dan perjanjian dengan Allah akan ditanya.

Janji mereka kepada Allah ‎ﷻ itu akan ditanya. Allah ‎ﷻ akan tanya apakah kehendak hati mereka dan niat mereka. Mereka tidak akan dilepaskan begitu sahaja. Mereka akan dimasukkan ke dalam neraka kerana kedegilan mereka. Jangan sangka yang mereka akan selamat.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 28 Jun 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah Ahzab Ayat 7 – 10 (Perang Khandak)

Ahzab Ayat 7: Ayat ini kembali khitab kepada Nabi. Ayat 7 ini dan ayat ke 8 adalah Perenggan Makro Ketiga. Iaitu Allah ‎ﷻ memperkatakan tentang perjanjian Allah  ‎ﷻ dengan para Nabi.

وَإِذ أَخَذنا مِنَ النَّبِيّينَ ميثٰقَهُم وَمِنكَ وَمِن نّوحٍ وَإِبرٰهيمَ وَموسىٰ وَعيسَى ابنِ مَريَمَ ۖ وَأَخَذنا مِنهُم مّيثٰقًا غَليظًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [mention, O Muḥammad], when We took from the prophets their covenant and from you and from Noah and Abraham and Moses and Jesus, the son of Mary; and We took from them a solemn covenant

(MELAYU)

Dan (ingatlah) ketika Kami mengambil perjanjian dari nabi-nabi dan dari kamu (sendiri) dan dari Nuh, Ibrahim, Musa dan Isa putra Maryam, dan Kami telah mengambil dari mereka perjanjian yang teguh.

 

وَإِذ أَخَذنا مِنَ النَّبِيّينَ ميثٰقَهُم وَمِنكَ

Dan (ingatlah) ketika Kami mengambil perjanjian dari Nabi-nabi dan dari engkau (sendiri) 

Sebelum ini ada disebut di dalam Surah Nisa’ telah diberitahu bahawa perjanjian perkahwinan adalah perjanjian kontrak yang kuat.

Dan ada ayat yang lain berkenaan dengan perjanjian yang kuat juga iaitu perjanjian para Nabi untuk membantu Nabi yang lain untuk menyampaikan dakwah. Semua para Nabi tertakluk dan telah bersetuju dengan perjanjian itu termasuklah Nabi Muhammad ﷺ sendiri.

Antara perjanjian itu adalah mereka sendiri mestilah dahulu mengikuti ajaran wahyu dari Allah ‎ﷻ. Ini seperti yang telah disebut dalam Shura:13

شَرَعَ لَكُم مِنَ الدّينِ ما وَصّىٰ بِهِ نوحًا وَالَّذي أَوحَينا إِلَيكَ وَما وَصَّينا بِهِ إِبراهيمَ وَموسىٰ وَعيسىٰ ۖ أَن أَقيمُوا الدّينَ وَلا تَتَفَرَّقوا فيهِ

Dia telah mensyari’atkan bagi kamu tentang agama apa yang telah diwasiatkan-Nya kepada Nuh dan apa yang telah Kami wahyukan kepadamu dan apa yang telah Kami wasiatkan kepada Ibrahim, Musa dan Isa iaitu: Tegakkanlah agama dan janganlah kamu berpecah belah tentangnya.

Allah ‎ﷻ mengingatkan Nabi Muhammad ﷺ kerana baginda berasa berat untuk menjalankan perintah Allah ‎ﷻ untuk mengahwini Zainab رضي الله عنها kerana baginda bimbang perbuatan baginda itu akan disalah fahami oleh masyarakat Islam. Allah ‎ﷻ mengingatkan baginda yang baginda telah berjanji untuk taat.

 

وَمِن نّوحٍ وَإِبرٰهيمَ وَموسىٰ وَعيسَى ابنِ مَريَمَ

dan dari Nuh, Ibrahim, Musa dan Isa putra Maryam,

Selepas disebut para Nabi secara umum, sekarang disebut Nabi-nabi Ulul Azmi. Dalam ayat ini Allah ‎ﷻ menyebutkan Nabi-nabi itu mengikut turunan mereka secara tertib. Mereka adalah Nabi-nabi yang hebat dan cekal dalam perjuangan menegakkan agama Islam. Ini adalah sebagai penekanan pentingnya perjanjian ini.

Dalam ayat ini yang disebutkan pertama adalah nabi penutup (Nabi Muhammad ﷺ), mengingatkan kemuliaan yang dimilikinya. Kemudian barulah mereka disebutkan secara tertib berdasarkan urutan keberadaan mereka di bumi ini. Semoga salawat Allah ‎ﷻ melimpahkan kepada mereka semuanya.

Dalam Surah A’raf telah disentuh bagaimana semua manusia yang lahir telah membuat perjanjian dengan Allah ‎ﷻ. Ini semua manusia telah melakukannya di alam roh lagi. Tetapi dengan para Nabi dan Rasul ada perjanjian tambahan.

Balaghah. Allah menggunakan teknik Taqdim wa Ta’khir. Di dalam susunan ayat ini, Allah menyebut (taqdim) Nabi Muhammad SAW terlebih dahulu (melalui kata ganti nama {وَمِنْكَ}).

Allah meletakkan Nabi Muhammad di barisan paling hadapan adalah berdasarkan darjat kemuliaan, keutamaan, dan kepemimpinan baginda (Taqdim al-Syarf) mengatasi seluruh Nabi dan Rasul yang lain. Walaupun dari sudut garis masa duniawi, Nabi Muhammad adalah Nabi yang paling terakhir diutus (Khatamun Nabiyyin), namun dari sudut kedudukan di sisi Allah, baginda adalah ketua dan penghulu bagi sekalian utusan (Sayyidul Anbiya’ wal-Mursalin). Mendahulukan yang paling mulia sebelum yang lain adalah kaedah sastera untuk menarik perhatian utama pembaca kepada figura yang paling agung dalam perjanjian tersebut.

Dalam ilmu balaghah, apabila seseorang itu sedang diajak berbual secara berhadapan (Mukhathab), adalah menjadi satu adab dan kelaziman bahasa untuk menyebut namanya atau merujuk kepadanya terlebih dahulu sebagai bentuk memuliakan tetamu / teman berdialog, sebelum beralih menceritakan tentang orang ketiga yang tiada di situ (Ghaib seperti Nabi Nuh, Ibrahim, dan seterusnya).

Dan perhatikan pula susunan para Nabi yang datang selepas itu. Susunan para Nabi itu mengikut kepada garis masa kronologi sejarah (Al-Tartib Al-Zamani).

 

وَأَخَذنا مِنهُم مّيثٰقًا غَليظًا

dan Kami telah mengambil dari mereka perjanjian yang teguh.

Kalimah ميثاق adalah apabila perjanjian yang dilakukan antara pihak dan kedua-dua pihak sedar tentang kepentingan dan kesan berat daripada perjanjian itu. Jadi ia bukanlah perjanjian yang biasa.

Apakah perjanjian itu? Ia bermaksud perjanjian untuk menyampaikan risalah Tuhan. Maka para Nabi mesti menyampaikan semua wahyu Allah ‎ﷻ dan tidak boleh menyimpan atau menyembunyikan mana-mana wahyu dari Allah ‎ﷻ.

Dan satu lagi perjanjian adalah untuk saling bantu membantu, serta sedia untuk berkorban, sebagaimana yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

{وَإِذْ أَخَذَ اللَّهُ مِيثَاقَ النَّبِيِّينَ لَمَا آتَيْتُكُمْ مِنْ كِتَابٍ وَحِكْمَةٍ ثُمَّ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مُصَدِّقٌ لِمَا مَعَكُمْ لَتُؤْمِنُنَّ بِهِ وَلَتَنْصُرُنَّهُ قَالَ أَأَقْرَرْتُمْ وَأَخَذْتُمْ عَلَى ذَلِكُمْ إِصْرِي قَالُوا أَقْرَرْنَا قَالَ فَاشْهَدُوا وَأَنَا مَعَكُمْ مِنَ الشَّاهِدِينَ}

Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil perjanjian dari para nabi, “Sungguh, apa saja yang Aku berikan kepadamu berupa kitab dan hikmah, kemudian datang kepadamu seorang rasul yang membenarkan apa yang ada padamu, nescaya kamu akan sungguh-sungguh beriman kepadanya dan menolongnya.” Allah berfirman, “Apakah kamu mengakui dan menerima perjanjian­Ku terhadap yang demikian itu?” Mereka menjawab, “Kami mengakui.” Allah berfirman, “Kalau begitu, saksikanlah (hai para nabi) dan Aku menjadi saksi (pula) bersama kamu.” (Ali-Imran: 81)

Dan perjanjian ini terjadi sebelum kita semua dilahirkan lagi. Sebagaimana perjanjian kita semua dilakukan semasa kita dalam bentuk roh lagi, maka perjanjian ini juga semasa para Nabi itu ketika di alam roh juga.


 

Ahzab Ayat 8:

لِّيَسئَلَ الصّٰدِقينَ عَن صِدقِهِم ۚ وَأَعَدَّ لِلكٰفِرينَ عَذابًا أَليمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

That He may question the truthful about their truth.¹ And He has prepared for the disbelievers a painful punishment.

  • i.e., that He may ask the prophets what they conveyed to their people and what response they received. “The truthful” may also refer to those who believed in the message conveyed by the prophets and imparted it to others.

(MELAYU)

Agar Dia menanyakan kepada orang-orang yang benar tentang kebenaran mereka dan Dia menyediakan bagi orang-orang kafir seksa yang pedih.

 

لِّيَسئَلَ الصّٰدِقينَ عَن صِدقِهِم

Agar Dia menanyakan kepada orang-orang yang benar tentang kebenaran mereka

Perjanjian ini penting kerana mereka akan ditanya sama ada mereka telah melakukannya. Allah ‎ﷻ akan tanya sama ada mereka menyampaikan wahyu ataupun tidak. Ini adalah kerana tugas mereka sememangnya berat.

Maka jangan sangka para Nabi sahaja yang akan ditanya. Sebenarnya kita pun akan ditanya. Terutama kita yang sudah belajar ini akan ditanya sama ada kita sampaikan atau tidak kepada orang lain. Cuma tugas kita ringan sedikit kalau dibandingkan dengan para Nabi itu.

 

وَأَعَدَّ لِلكٰفِرينَ عَذابًا أَليمًا

dan Dia menyediakan bagi orang-orang kafir seksa yang pedih.

Tidak dapat dinafikan, ada orang yang sudah belajar tafsir Al-Qur’an tetapi mereka tidak sampaikan ajaran tafsir wahyu ini. Mereka simpan sendiri sahaja kerana takut atau malu untuk sampaikan kepada orang lain kerana mungkin berbeza dari pemahaman masyarakat. Jadi mereka itu dikira telah menyembunyikan wahyu. Mereka akan dikenakan azab juga.

Ada pula orang yang sampaikan ajaran tafsir tetapi mereka telah putar belit ajaran itu maka mereka ini juga akan dikenakan azab.

Maka ini adalah satu pemberitahuan yang amat menakutkan. Kerana jika tidak sampaikan sahaja ajaran wahyu ini sudah dikira sebagai engkar dan dikenakan azab. Dan bukan itu sahaja, kalau ajar tetapi ajar dengan ajaran salah, maka ini juga akan menyebabkan dikenakan azab juga.

Dalam ayat sebelum ini telah disebut perjanjian dengan para Nabi untuk menyampaikan ajaran wahyu. Hendaklah kita sedar yang semua para Nabi telah menyampaikan ajaran wahyu dan kerana itu tentulah mereka tidak kufur dan engkar. Mereka telah selamat akan tetapi yang engkar itu adalah umat mereka yang tidak dengar ajaran wahyu itu lagi dan tidak sampaikan lagi ajaran wahyu ini.

Habis Ruku’ 1 dari 9 ruku’ dalam surah ini.


 

Ahzab Ayat 9: Sekarang kita masuk tentang kisah satu peperangan yang terjadi pada tahun kelima Hijrah. Ayat ini sehingga ke ayat 21 adalah Perenggan Makro ke 4 iaitu tentang Perang Ahzab (yang namanya diambil untuk surah ini). Dengan adanya perang jihad, pemimpin dan orang mukmin dapat mengesan siapakah golongan yang munafik dari kalangan umat Islam.

Sebelum itu telah terjadi dua peperangan yang besar juga iaitu Perang Badar dan Perang Uhud. Tepatnya Perang Ahzab ini terjadi pada bulan Syawal tahun lima Hijriah, menurut pendapat yang sahih lagi terkenal.

Latar belakang Perang Ahzab secara ringkas: Semasa Madinah dibangunkan, telah dimeterai perjanjian antara puak Islam dan juga puak Yahudi di mana kedua-dua pihak telah sama-sama bersetuju untuk mempertahankan Madinah jikalau diserang dari luar.

Tetapi terdapat satu puak Yahudi iaitu Bani Nadir telah didapati bersekongkol dengan pihak musuh iaitu puak Mekah untuk menjatuhkan Madinah dari dalam. Maka kerana kesalahan mereka itu, mereka telah dihalau keluar dari Madinah dan keputusan ini telah termaktub di dalam perjanjian. Jadi tidaklah umat Islam bersalah atau kejam dalam menghalau mereka.

Ketua-ketua puak itu amat marah kepada negara Islam Madinah dan dia telah membuat rancangan untuk menggembleng tenaga dengan puak-puak yang lain untuk menyerang Madinah.

Jadi mereka telah berjumpa dengan Quraisy Mekah dan bersekongkol dengan mereka untuk menggembleng pasukan-pasukan daripada puak-puak Arab yang lain yang juga tidak sukakan Islam. Ketua penjahat dalam kisah ini bernama Abu Amar dan dia telah menggunakan pengaruh Quraisy Mekah untuk mengajak tentera-tentera daripada puak-puak yang lain.

Akhirnya mereka telah berjaya mengumpulkan ramai tentera dan bilangan yang datang untuk menyerang Madinah pada waktu itu adalah sebanyak 12,000 orang. Tentera ini diketuai antaranya oleh Abu Sufyan. Ini lebih banyak daripada bilangan tentera semasa Badr dan juga Uhud. Waktu itu ada lebih kurang 3,000 sahaja bilangan umat Islam di dalam Madinah. Bayangkan mereka akan menerima serangan dari 12,000 orang musuh! Ini adalah sesuatu yang amat menakutkan sekali.

Dari segi geografi, Madinah terletak di antara dua kawasan berbukit di utara dan selatan. Jadi ini adalah sebagai pelindung kepada Madinah supaya tidak ada tentera yang boleh menyerang dari utara dan selatan kerana kawasan berbukit itu memang payah untuk dilalui. Tetapi masih terdapat bukaan serangan dari timur dan barat.

Namun begitu, masih ada lagi masalah pertahanan. Sudahlah ada tentera sebanyak 12,000 yang datang menyerang dari luar. Dan kemudian umat Islam telah mendapat maklumat bahawa ada puak Yahudi iaitu Bani Quraizah yang juga hendak menyerang Madinah daripada bahagian yang lain. Jadi keadaan menjadi semakin menakutkan dan membahayakan.

Bani Quraizah adalah segolongan orang-orang Yahudi, mereka memiliki benteng sendiri yang terletak di sebelah timur kota Madinah. Mereka terikat perjanjian perdamaian dengan Nabi ﷺ dan berada di dalam jaminan keamanan Nabi ﷺ. Jumlah mereka kurang lebih lapan ratus orang.

Mereka telah didatangi oleh Huyay ibnu Akhtab An-Nadri yang terus-menerus memujuk mereka agar melanggar perjanjian mereka dengan Nabi ﷺ dan pada akhirnya mereka bersetuju untuk merosakkan perjanjian tersebut, lalu mereka bergabung dengan tentera bersekutu untuk memerangi umat Islam.

Oleh kerana keadaan ini sudah tegang dan meruncing, maka Nabi Muhammad ﷺ membuka ruang untuk mendengar cadangan daripada umat Islam. Golongan munafik memang sudah takut kerana mereka memang tidak setuju dengan Nabi Muhammad ﷺ sejak dari dahulu lagi dan tidak percayakan agama Islam. Maka mereka gunakan keadaan ini untuk membuat kacau dan kecoh. Ini akan disentuh nanti.

Nabi Muhammad ﷺ tentunya tidak perlu kepada perbincangan dengan para sahabat. Baginda boleh sahaja minta wahyu dari Allah ‎ﷻ untuk memberitahu baginda apa yang perlu dilakukan. Tetapi kenapa diadakan mesyuarat juga?

Ini adalah untuk menetapkan sunnah bermesyuarat apabila ada masalah dalam masyarakat. Nabi Muhammad ﷺ bukannya sentiasa akan ada dengan umat Islam kerana sampai masa nanti baginda akan wafat. Maka sunnah yang perlu diikuti selepas ini adalah: kena diadakan mesyuarat kalau ada perkara penting.

Keduanya, dengan ada perbincangan seperti itu, maka mereka yang terlibat akan memberikan sokongan kerana suara mereka didengari.

Dalam mesyuarat itu, Salman al Farasi memberi cadangan yang akhirnya digunakan. Beliau datang dari Parsi dan beliau memberitahu yang di Parsi, apabila tentera besar berlawan dengan tentera yang kecil, maka tentera yang kecil itu akan menggali lubang yang besar supaya tentera besar tidak dapat menyerang dengan jumlah yang ramai.

Ini kerana tentera besar itu hanya boleh masuk sedikit demi sedikit dan senang untuk dipatahkan kalau mereka sedikit. Maka kerana inilah perang Ahzab ini ada nama lain iaitu Perang Khandak kerana parit di dalam bahasa Arab adalah khunduk.

Maka saranan Salman ini telah diterima dan keputusan telah dibuat untuk menggali di sekeliling Madinah. Panjang parit itu adalah dalam 3 setengah batu. Kedalaman dan lebar parit itu tidak diketahui dengan tepat. Ada riwayat yang mengatakan lebarnya adalah 5 hasta dan dalamnya pun 5 hasta. Tetapi ini tidak dapat dipastikan.

Waktu itu memang payah kerana ketika itu adalah musim sejuk dan makanan pun kurang. Akan tetapi mereka terpaksa juga menggali parit yang besar. Alhamdulillah, dengan ketekunan para sahabat pada waktu itu, parit yang amat panjang dan besar itu telah dapat disiapkan dalam masa enam hari.

Jadi di dalam keadaan yang susah itulah mereka jalankan juga arahan Rasulullah ﷺ. Waktu itulah juga mereka bersyair untuk menghilangkan penat mereka. Maka memang ada syair untuk menghilangkan penat. Bukannya untuk puji Nabi Muhammad ﷺ seperti Qasidah Ya Hanana itu. Maksudnya tidak ada syair atau qasidah untuk majlis agama.

Dan Nabi Muhammad ﷺ sendiri bersama-sama dengan para sahabat menggali parit itu. Bukanlah baginda berikan arahan sahaja sebagaimana ketua kita sekarang kemudian duduk dan tengok sahaja. Dan memang ada kisah tentang satu batu besar yang para sahabat tidak dapat pecahkan. Maka bagindalah yang pecahkan sendiri. Ada kisah terkenal tentang perkara ini juga.

Seperti telah diberitahu, waktu itu makanan tidak ada dan ada sahabat yang mengadu mereka tidak makan berberapa hari dan kemudian Nabi Muhammad ﷺ menunjukkan perutnya yang diikat dengan batu. Maknanya, baginda sendiri pun telah mengikat perut baginda. Mungkin ramai yang sudah tahu kisah batu yang diikat di perut baginda itu.

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنُوا اذكُروا نِعمَةَ اللهِ عَلَيكُم إِذ جاءَتكُم جُنودٌ فَأَرسَلنا عَلَيهِم ريحًا وَجُنودًا لَّم تَرَوها ۚ وَكانَ اللهُ بِما تَعمَلونَ بَصيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, remember the favor of Allāh upon you when armies came to [attack] you and We sent upon them a wind and armies [of angels] you did not see. And ever is Allāh, of what you do, Seeing.

(MELAYU)

Hai orang-orang yang beriman, ingatlah akan nikmat Allah (yang telah dikurniakan) kepadamu ketika datang kepadamu tentera-tentera, lalu Kami kirimkan kepada mereka angin taufan dan tentera yang tidak dapat kamu melihatnya. Dan adalah Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan.

 

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنُوا اذكُروا نِعمَةَ اللهِ عَلَيكُم

Hai orang-orang yang beriman, ingatlah akan nikmat Allah (yang telah dikurniakan) kepadamu

Ingatlah nikmat Allah ‎ﷻ yang telah membantu umat Islam pada waktu itu. Allah ‎ﷻ menceritakan dalam kisah perang ini bagaimana Allah ‎ﷻ membantu orang mukmin tanpa ikhtiar mereka. Kerana perkara ini tidak sama dengan perang-perang yang lain. Umat Islam pada waktu itu hanya dapat menggali parit sahaja dan kemudian mereka tunggu di dalam kawasan dan tidak boleh berbuat apa-apa. Kalau ada yang terlepas masuk barulah mereka akan berperang.

Kalau perang lain selalunya mereka boleh berperang dan membunuh musuh di medan perang. Tetapi kali ini mereka hanya mampu menunggu sahaja. Memang waktu itu berserah kepada Allah ‎ﷻ sahaja.

 

إِذ جاءَتكُم جُنودٌ

ketika datang kepadamu tentera-tentera,

Seperti kita telah sebut, bilangan tentera itu amat ramai. Ia adalah gabungan banyak pihak. Dan kerana itu tentera itu dinamakan ‘ahzab’ iaitu gabungan banyak pihak. Iaitu kalau sekarang dipanggil ‘tentera bersekutu’.

Parit itu telah berjaya digali di mana tentera berkuda dan tentera berjalan kaki pun tidak dapat memasuki ke dalam kota Madinah. Maka pihak musuh membuat keputusan yang mereka kena mengepung Madinah sampai makanan puak Madinah itu habis. Mereka sangka yang orang Islam Madinah akan kehabisan makanan dan akhirnya terpaksa menyerah kalah.

 

فَأَرسَلنا عَلَيهِم ريحًا

lalu Kami kirimkan kepada mereka angin taufan

Akan tetapi Allah ‎ﷻ menghantar angin kuat untuk mengalahkan tentera Ahzab itu. Tetapi tidaklah angin ini terus datang. Ia datang selepas sebulan tentera Ahzab itu mengepung Madinah. Allah ‎ﷻ mengirimkan pasukan bersekutu itu dengan angin yang kencang, kuat lagi dingin, sehingga tiada suatu khemah dan tiada sesuatu pun dari peralatan mereka yang tersisa.

Waktu itu pihak ahzab tidak dapat menyalakan api dan tiada tempat lagi bagi mereka, sehingga pada akhirnya mereka terpaksa membuat keputusan untuk pulang dalam keadaan kecewa dan kerugian.

Memang tidak ada peperangan yang berlaku pun kecuali kecil-kecilan sahaja. Mengikut sejarah hanya ada seorang sahaja yang dapat melompat melepasi parit itu dan masuk ke kawasan Madinah. Dia adalah Amr ibnu Abdu Wadd Al-Amiri dan dia adalah seorang pendekar penunggang kuda yang terkenal sejak zaman Jahiliah.

Dia bersama sejumlah pasukan berkuda meloncati parit itu hingga sampai di bahagian posisi pasukan kaum muslim. Dan Saidina Ali رضي الله عنه telah berlawan dengan Amr dan telah membunuhnya. Peristiwa ini merupakan petanda akan datangnya pertolongan dari Allah ‎ﷻ dan kemenangan. Ini telah menjatuhkan moral tentera dari Mekah itu kerana Amr ibnu Abdu Wadd adalah seorang yang hebat dan tidak ada orang yang berani melawannya sebelum itu.

Maka tentera yang menyerang Madinah itu pun menunggu di luar. Dan Allah ‎ﷻ menghantar angin yang kuat seperti angin puting beliung yang menyebabkan kesusahan kepada mereka. Sampai terangkat habis khemah-khemah mereka.

Dan ini telah menyebabkan mereka lemah semangat kerana mereka itu bukannya semua dari puak Quraisy Mekah tetapi mereka diajak datang untuk menyertai Quraish; dan mereka sangka tugas mereka mudah sahaja untuk mengalahkan tentera Madinah. Waktu itu mereka memang sangka yang serangan mereka itu sekejap sahaja dapat diselesaikan. Tetapi sekarang apa sudah terjadi? Sampai mereka sendiri rasa bahawa kedatangan mereka itu tidak berbaloi.

 

وَجُنودًا لَّم تَرَوها

dan tentera yang tidak dapat kamu melihatnya. 

Selain daripada ‘tentera’ dalam bentuk angin itu, Allah ‎ﷻ juga telah menghantar tentera malaikat yang tidak dapat dilihat oleh pihak musuh. Cuma tidak jelas yang para malaikat ada diturunkan kali ini. Kalau dalam perang Badr, ada kesan-kesan peninggalan mereka.

Atau mungkin malaikat itu memang turun tetapi mereka tidak serang pun. Mereka adalah para malaikat yang turun menggoncangkan hati musuh dan melemparkan ke dalam hati mereka rasa takut dan ngeri, sehingga tiap-tiap pemimpin kabilah dari pasukan bersekutu berkata, “Hai Bani Fulan, berkumpullah dekatku,” lalu mereka berkumpul dan dia mengatakan, “Tolong, tolong!” kerana Allah ‎ﷻ telah melemparkan rasa takut ke dalam hati mereka.

Maka mungkin ‘tentera’ yang dimaksudkan adalah elemen pertolongan Allah ‎ﷻ dalam menyelamatkan umat Islam. Allah ‎ﷻ tidak perlu untuk menghantar tentera malaikat setiap kali. Dalam kes Perang Khandak ini, Allah ‎ﷻ hantarkan angin sahaja.

 

وَكانَ اللهُ بِما تَعمَلونَ بَصيرًا

Dan adalah Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan.

Allah ‎ﷻ Maha Melihat apa yang berlaku. Dan Allah ‎ﷻ tidak membiarkan sahaja tentera Muslim terus duduk dalam kepayahan. Allah ‎ﷻ bantu mereka sampai mereka selamat.


 

Ahzab Ayat 10: Di dalam ayat ini Allah ‎ﷻ hendak menceritakan keadaan di dalam hati mereka pada waktu itu. Allah ‎ﷻ bukan sahaja melihat perkara luaran, tetapi dalam hati Allah ‎ﷻ juga tahu. Allah ‎ﷻ menceritakannya semula.

إِذ جَآءُوكُم مِّن فوۡقِكُم وَمِن أَسفَلَ مِنكُم وَإذ زَاغَتِ ٱلأَبصَـٰرُ وَبَلَغَتِ ٱلقُلُوبُ ٱلحَنَاجِرَ وَتَظُنُّونَ بِٱللَّهِ ٱلظُّنُونَا۟

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Remember] when they came at you from above you and from below you, and when eyes shifted [in fear], and hearts reached the throats, and you assumed about Allāh [various] assumptions.

(MELAYU)

(Iaitu) ketika mereka datang kepadamu dari atas dan dari bawahmu, dan ketika tidak tetap lagi penglihatan(mu) dan hatimu naik menyesak sampai ke tenggorokan dan kamu menyangka terhadap Allah dengan bermacam-macam sangkaan.

 

إِذ جاءوكُم مِّن فَوقِكُم وَمِن أَسفَلَ مِنكُم

(Iaitu) ketika mereka datang kepadamu dari atas dan dari bawahmu,

Allah ‎ﷻ menceritakan apa yang dihadapi oleh tentera Muslim pada waktu itu. Waktu itu tentera kafir datang daripada kawasan atas dan juga kawasan bawah. Ini adalah kerana puak musyrik telah tiba dan mereka turun bermarkas di sebelah timur kota Madinah dekat bukit Uhud. Sebahagian dari mereka bermarkas di dataran tinggi Madinah.

 

وَإِذ زاغَتِ الأَبصٰرُ

dan ketika tidak tetap lagi penglihatan

Dan kerana itu mata mereka melihat dalam ketakutan. Mata mereka sudah tidak tetap pada satu arah. Kerana mereka amat takut sekejap tengok ke sana dan sekejap tengok ke sini. Begitulah kalau orang yang dalam ketakutan, bukan?

Allah ‎ﷻ menceritakan apa yang ada di dalam hati dan mata mereka. Tidak ada sesiapa pun yang boleh menceritakan perkara ini melainkan Allah ‎ﷻ sahaja kerana Allah ‎ﷻ sahaja yang tahu apa yang dalam hati manusia.

 

وَبَلَغَتِ القُلوبُ الحَناجِرَ

dan hatimu naik menyesak sampai ke tenggorokan

Dan kemudian Allah ‎ﷻ menceritakan lebih lagi iaitu apa yang di dalam hati mereka kerana hati mereka waktu itu teramat takut sampaikan rasa hati jantung mereka sudah sampai ke tekak.

Tidak ada sesiapa pun yang boleh menceritakan perkara ini melainkan Allah ‎ﷻ sahaja. Kesan apabila jantung sudah sampai ke tekak maksudnya orang itu takut sampai tidak dapat berkata-kata. Macam ada ketulan pada tekak, bukan?

 

وَتَظُنُّونَ بِٱللَّهِ ٱلظُّنُونَا۟

dan kamu menyangka terhadap Allah dengan bermacam-macam sangkaan.

Allah ‎ﷻ menceritakan perasaan dan fikiran orang Islam di Madinah yang mula longgar iman mereka.

Sebelum itu mereka sangka yang mereka akan menang dengan besar dan mereka dapat menyebarkan agama Islam sampai terus ke Parsi. Tetapi sekarang mereka rasa yang Allah ‎ﷻ sudah tidak membantu mereka.

Ibnu Jarir رحمه الله mengatakan bahawa sebahagian orang yang bersama Rasulullah ﷺ ada yang menduga bahawa kekalahan akan dialami oleh kaum mukmin dan Allah ‎ﷻ akan melakukan hal tersebut.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 27 Mei 2026


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah Ahzab Ayat 5 – 6 (Nama anak kepada nama bapa)

Ayat 5: Apabila ambil anak angkat maka pakai nama bapanya yang sebenar. Allah ‎ﷻ ajar bagaimana caranya.

ادعوهُم لِآبائِهِم هُوَ أَقسَطُ عِندَ اللهِ ۚ فَإِن لَّم تَعلَموا ءآباءَهُم فَإِخوٰنُكُم فِي الدّينِ وَمَوٰليكُم ۚ وَلَيسَ عَلَيكُم جُناحٌ فيما أَخطَأتُم بِهِ وَلٰكِن مّا تَعَمَّدَت قُلوبُكُم ۚ وَكانَ اللهُ غَفورًا رَّحيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Call them¹ by [the names of] their fathers; it is more just in the sight of Allāh. But if you do not know their fathers – then they are [still] your brothers in religion and those entrusted to you. And there is no blame upon you for that in which you have erred but [only for] what your hearts intended. And ever is Allāh Forgiving and Merciful.

  • Those children under your care.

(MELAYU)

Panggillah mereka (anak-anak angkat itu) dengan (memakai) nama bapa-bapa mereka; itulah yang lebih adil pada sisi Allah, dan jika kamu tidak mengetahui bapa-bapa mereka, maka (panggillah mereka sebagai) saudara-saudaramu seagama dan maula-maulamu. Dan tidak ada dosa atasmu terhadap apa yang kamu khilaf padanya, tetapi (yang ada dosanya) apa yang disengaja oleh hatimu. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

 

ادعوهُم لِآبائِهِم

Panggillah mereka (anak-anak angkat itu) dengan (memakai) nama bapa-bapa mereka;

Kena nasabkan anak itu kepada ayah kandungnya sendiri. Ini amat penting dalam Islam kerana nasab itu menentukan banyak perkara seperti wali, harta dan sebagainya. Ia juga menjadi identiti bagi seseorang. Ini kerana seorang anak itu dikenali dengan nama bapanya.

Dulu Zaid dikenali sebagai Zaid bin Muhammad kerana Nabi Muhammad ﷺ telah mengambil Zaid sebagai anak angkat dan adat waktu itu memang boleh pakai nama ayah angkat. Sudah menjadi kebiasaan masyarakat Arab waktu itu.

Tetapi kemudian telah ditukar kepada Zaid bin Harithah kerana bapanya sudah diketahui. Jadi ayat ini memansukhkan perundangan Islam sebelumnya yang membenarkan menamakan anak angkat kepada nasab bapa angkat.

قَالَ الْبُخَارِيُّ، رَحِمَهُ اللَّهُ: حَدَّثَنَا مُعَلى بْنُ أَسَدٍ، حَدَّثَنَا عَبْدُ الْعَزِيزِ بْنُ الْمُخْتَارِ، حَدَّثَنَا مُوسَى بْنُ عُقْبَةَ قَالَ: حَدَّثَنِي سَالِمٌ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ؛ أَنَّ زيدًا بْنَ حَارِثَةَ مَوْلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، مَا كُنَّا نَدْعُوهُ إِلَّا زَيْدَ بْنَ مُحَمَّدٍ، حَتَّى نَزَلَ الْقُرْآنُ: {ادْعُوهُمْ لآبَائِهِمْ هُوَ أَقْسَطُ عِنْدَ اللَّهِ}

Imam Bukhari رحمه الله mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ma’la ibnu Asad, telah menceritakan kepada kami Abdul Aziz ibnul Mukhtar, dari Musa ibnu Uqbah yang mengatakan bahawa telah menceritakan kepadaku Salim, dari Abdullah ibnu Umar yang mengatakan bahawa sesungguhnya kami terbiasa memanggil Zaid ibnu Harisah maula Rasulullah ﷺ dengan sebutan Zaid anak Muhammad, sehingga turunlah firman Allah ‎ﷻ yang mengatakan: Panggillah mereka (anak-anak angkat itu) dengan (memakai) nama bapa-bapa mereka; itulah yang lebih adil pada sisi Allah. (Al-Ahzab:5)

Maka kepada kita yang ada mengambil anak angkat maka jangan namakan anak angkat itu kepada nama kita. Walaupun kalau ambil mereka dari bayi lagi. Ini lebih mudah dan juga akan menyelamatkan kita dari neraka kerana tidak bau syurga mereka yang menamakan anak angkat kepada bapa angkat. Ini berdasarkan satu hadis yang sahih.

مَنِ ادَّعَى لِغَيْرِ أَبِيهِ، وَهُوَ يَعْلَمُهُ، كَفَرَ

Tiada seorang lelaki pun yang menisbatkan dirinya kepada bukan ayahnya sendiri, sedangkan dia mengetahuinya, melainkan dia kafir.

Dalam hadis yang lain:

Sabda Nabi saw yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas :

مَنِ انْتَسَبَ إِلَى غَيْرِ أَبِيهِ , أَوْ تَوَلَّى غَيْرَ مَوَالِيهِ ، فَعَلَيْهِ لَعْنَةُ اللهِ وَالْمَلاَئِكَةِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ

Maksudnya: ” Sesiapa yang memanggil seseorang dengan selain nama ayahnya atau selain dari maulanya maka ke atasnya laknat Allah, para malaikat dan manusia seluruhnya:”

Sunan Ibnu Majah (2609)

 

هُوَ أَقسَطُ عِندَ اللهِ

itulah yang lebih adil pada sisi Allah,

Itulah cara lebih rapat kepada kehendak Allah ‎ﷻ. Itulah cara ikut syariat dan Allah ‎ﷻ suka begitu. Pakai sahaja namanya dan binkan kepada nama ayahnya. Jangan pandai-pandai ditukar kepada nama bapa yang lain. Kalau emak dan ayah dia ada lagi, tentu mereka kecil hati kalau nama anak yang mereka berikan ditukar kepada nama lain pula.

Sama juga tidak perlu menukar nama apabila masuk Islam. Sahabat pun tidak menukar nama mereka apabila masuk Islam. Ini bukanlah perkara yang pelik. Apakah nama Umar sebelum beliau masuk Islam? Nama beliau tetap Umar juga, bukan?

Malah tidak ada istilah ‘nama Islam’ sebenarnya. Jadi tidak perlu tukar pun kalau orang bukan Islam masuk Islam. Ini penting kerana ada orang Cina yang tidak suka masuk Islam kerana tak suka bertukar nama. Maka pakai sahaja nama asal. Lainlah kalau nama dia tidak sesuai dan ada elemen kesyirikan seperti Abdul Uzza atau Vishu. Maka kalau anak angkat pun janganlah diubah namanya.

 

فَإِن لَّم تَعلَموا ءآباءَهُم

dan jika kamu tidak mengetahui bapa-bapa mereka, 

Ini pula kalau kita tidak mengetahui nama ayah anak itu. Sebagai contoh, mungkin waktu itu zaman berperang dan ibu bapa seseorang anak itu telah mati dan dia masih kecil lagi dan tidak tahu siapa ibubapa biologinya.

Ataupun apabila penzinaan berlaku dan tidak tahu siapakah ayah sebenar anak itu kerana mungkin dia adalah bayi dibuang.

 

فَإِخوٰنُكُم فِي الدّينِ وَمَوٰليكُم

maka (panggillah mereka sebagai) saudara-saudaramu seagama dan maula-maulamu.

Maka mereka masih saudara Islam bagi kita. Kita masih tetap harus menjaga mereka kerana mereka memerlukan perlindungan dari kita jika kita mampu. Waktu itu berilah nama yang sesuai asalkan bukan nasabkan kepada nama bapa angkat. Dan bolehlah letak namanya bin Abdullah contohnya, kerana inilah yang selalu dipakai.

Cuma jangan pakai nama bapa angkat kerana takut nanti orang sangka yang anak angkat itu adalah anak kandung bapa angkat itu.

 

وَلَيسَ عَلَيكُم جُناحٌ فيما أَخطَأتُم بِهِ

Dan tidak ada dosa atasmu terhadap apa yang kamu khilaf padanya,

Tidak salah kalau dahulu ada yang menasabkan nama anak angkat kepada nama sendiri sebab tidak tahu lagi. Wahyu yang melarang pun belum turun lagi. Allah ‎ﷻ maafkan kalau belum ada hukum yang diberikan lagi. Kerana bukan sengaja buat salah, bukan sengaja hendak lawan agama.

Allah ‎ﷻ juga maafkan kalau tidak sengaja. Seperti satu hadis berkenaan perkara ini:

“إِنَّ اللهَ رَفَعَ عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ وَالنِّسْيَانَ، وَمَا يُكرَهُون عَلَيْهِ”

Sesungguhnya Allah ‎ﷻ telah memaafkan dari umatku perbuatan keliru, lupa, dan melakukan perbuatan yang dipaksakan kepada mereka.

Atau, tidak salah kalau panggil orang muda sebagai ‘anak’ kerana sayang kepadanya; atau kepada orang tua sebagai ‘bapa’ atau ‘ibu’ kerana hormat kepada mereka. Tetapi tidaklah boleh dianggap mereka itu menjadi anak atau ibubapa yang sebenar pula. Itu adalah panggilan sahaja.

 

وَلٰكِن مّا تَعَمَّدَت قُلوبُكُم

tetapi (yang ada dosanya) apa yang disengaja oleh hatimu. 

Yang Allah ‎ﷻ akan balas adalah mana-mana kesalahan yang memang manusia berniat hendak buat walaupun sudah tahu apakah hukum dan larangan.

Atau, Allah ‎ﷻ tidak akan memberi dosa kepada seseorang yang tidak berniat untuk melakukan dosa kerana dia terlupa. Kecuali kepada mereka yang sengaja berbuat dosa.

 

وَكانَ اللهُ غَفورًا رَّحيمًا

Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Walaupun manusia membuat kesalahan, sama ada sengaja ataupun tidak, Allah ‎ﷻ masih mampu untuk memaafkan mereka. Iaitu kepada mereka yang sanggup untuk bertaubat dan meminta keampunan dari Allah ‎ﷻ.

Allah ‎ﷻ sanggup untuk memberikan keampunan kerana Allah ‎ﷻ Maha Penyayang. Allah ‎ﷻ sayang kepada hambaNya dan kalau hamba itu sanggup untuk kembali mengadap kepada Allah ‎ﷻ dan mengaku kesalahan yang telah dilakukan dan bertekad untuk tidak melakukannya lagi, maka Allah ‎ﷻ sanggup berikan keampunan.


 

Ayat 6: Dari ayat ini dan seterusnya akan menyentuh tentang ‘famili kaunseling’. Memang banyak ada masalah dalam keluarga. Entah berapa banyak pasangan suami isteri yang sudah tidak baik kerana masalah komunikasi antara mereka. Kadangkala memang sudah tidak ada cinta di antara mereka lagi.

Ramai juga kita kenal orang sebegitu, bukan? Dan kita pun susah untuk memberi nasihat sebab kita selalunya hanya dapat mendengar dari satu pihak sahaja dan kita tidak mengetahui situasi yang sebenar. Maka kalau kita tidak tahu, kita kena hati-hati. Jangan kita memandai berikan nasihat kalau kita pun tidak pasti.

النَّبِيُّ أَولىٰ بِالمُؤمِنينَ مِن أَنفُسِهِم ۖ وَأَزوٰجُهُ أُمَّهٰتُهُم ۗ وَأُولُو الأَرحامِ بَعضُهُم أَولىٰ بِبَعضٍ في كِتٰبِ اللهِ مِنَ المُؤمِنينَ وَالمُهٰجِرينَ إِلّا أَن تَفعَلوا إِلىٰ أَولِيائِكُم مَّعروفًا ۚ كانَ ذٰلِكَ فِي الكِتٰبِ مَسطورًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

The Prophet is more worthy of the believers than themselves,¹ and his wives are [in the position of] their mothers. And those of [blood] relationship are more entitled [to inheritance] in the decree of Allāh than the [other] believers and the emigrants, except that you may do to your close associates a kindness [through bequest]. That was in the Book² inscribed.

  • He (ṣ) is more worthy of their obedience and loyalty and is more concerned for them than they are for one another.
  • The Preserved Slate (al-Lawḥ al-Maḥfūth).

(MELAYU)

Nabi itu (hendaknya) lebih utama bagi orang-orang mukmin dari diri mereka sendiri dan isteri-isterinya adalah ibu-ibu mereka. Dan orang-orang yang mempunyai hubungan darah satu sama lain lebih berhak (waris-mewarisi) di dalam Kitab Allah daripada orang-orang mukmin dan orang-orang Muhajirin, kecuali kalau kamu berbuat baik kepada saudara-saudaramu (seagama). Adalah yang demikian itu telah tertulis di dalam Kitab (Allah).

 

النَّبِيُّ أَولىٰ بِالمُؤمِنينَ مِن أَنفُسِهِم

Nabi itu lebih utama bagi orang-orang mukmin dari diri mereka sendiri 

Ketahuilah Nabi ﷺ lebih penting dari diri orang lain. Kerana itu para sahabat memang sanggup mempertahankan baginda dan sanggup berkorban apa sahaja untuk baginda walaupun mereka mungkin mati. Ini kerana tugas Nabi ﷺ lebih penting dari diri mereka sendiri. Nabi ﷺ bukan seperti manusia yang lain. Maka di dalam urusan apa-apa pun kehendak Nabi  ﷺ mesti didahulukan.

Waktu ayat ini diturunkan, golongan munafik bercakap buruk tentang Nabi ﷺ. Ini tidak mengejutkan sebab memang mereka tidak beriman dan mereka sentiasa mencari peluang untuk menjatuhkan nama baik baginda kerana kalau kedudukan baginda jatuh, maka pada mereka agama Islam pun akan jatuh juga.

Memang sudah nampak yang mereka memang tidak beriman kerana kalau betul mereka mukmin, tentu mereka akan pertahankan kedudukan dan nama baik Nabi ﷺ bukannya mengutuk. Maka mereka ditegur terus di dalam ayat ini.

Kita sekarang tidak ada lagi Nabi ﷺ di kalangan kita. Tetapi kita masih tetap mesti melebihkan Nabi Muhammad ﷺ dalam kehidupan kita. Kita mesti mengamalkan sunnah sebagaimana yang baginda telah lakukan. Maka kita kena tahu apakah sunnah Nabi ﷺ itu. Dan kita kena terima dan amalkan ajaran Nabi ﷺ. Ia lebih penting lagi dari ilmu-ilmu yang lain. Dalam ayat lain, Allah ‎ﷻ telah berfirman:

{فَلا وَرَبِّكَ لَا يُؤْمِنُونَ حَتَّى يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لَا يَجِدُوا فِي أَنْفُسِهِمْ حَرَجًا مِمَّا قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُوا تَسْلِيمًا}

Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu hakim dalam perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa keberatan dalam hati mereka terhadap keputusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya. (An-Nisa: 65)

Malah Nabi Muhammad ﷺ itu lebih penting dari ahli keluarga kita sendiri. Kerana keluarga kita masih boleh lagi hendak menipu kita, membuat kesalahan kepada kita, pecah amanah dan sebagainya. Tetapi tidak begitu dengan Nabi Muhammad ﷺ.

Maka kerana itu kita mesti melebihkan kedudukan Nabi Muhammad ﷺ lebih lagi dari ahli keluarga kita sendiri. Kalau lebih dari ahli keluarga kita, maka tentulah lebih lagi dari orang lain, bukan? Di dalam hadis sahih disebutkan:

“وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ نَفْسِهِ وَمَالِهِ وَوَلَدِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ”

Demi Tuhan Yang jiwaku berada di dalam genggaman kekuasaan-Nya, tidaklah seseorang dari kalian beriman sebelum diriku ini lebih dicintai olehnya daripada dirinya sendiri, harta bendanya, anak-anaknya, dan semua orang.

 

وَأَزوٰجُهُ أُمَّهٰتُهُم

dan isteri-isterinya adalah ibu-ibu mereka.

Dan para isteri Nabi ﷺ itu lebih lagi kedudukan mereka kalau dibandingkan dengan wanita-wanita yang lain. Isteri baginda adalah ibu semua orang mukmin seluruh dunia. Itulah pangkat keibuan yang telah diberikan kepada mereka. Dan ini adalah khas untuk para isteri Nabi Muhammad ﷺ sahaja. Ini adalah kerana kalau hati mereka disakiti, maka sebenarnya hati Nabi Muhammad ﷺ juga yang disakiti kerana baginda sayangkan mereka.

Dan oleh kerana mereka itu status ‘ibu’ kita, maka selepas itu haram isteri baginda dinikahi apabila Nabi ﷺ sudah wafat. Ini akan disentuh dalam ayat lain dalam surah ini nanti.

Tetapi apabila dikatakan ‘ibu’ orang mukmin, tidaklah jadi ibu sebenar pula. Maksudnya kita kenalah menghormati mereka dan tidak boleh mengahwini dengan mereka. Tetapi tidaklah mereka itu seperti mahram yang lain, sampai tidak perlu menutup aurat pula dengan mereka. Dan anak-anak mereka bukanlah menjadi adik beradik kita pula, sampai tidak boleh berkahwin dengan mereka. Maka kena bezakan antara ibu sebenar dan ummahatul mukminin.

Jadi apabila Zainab رضي الله عنها dikahwinkan oleh Allah ‎ﷻ dengan Nabi Muhammad ﷺ, maka kita sebagai umat Islam kena menerima ketentuan ini kerana Nabi ﷺ dan juga para isteri baginda bukanlah orang biasa. Jangan bandingkan apa yang dilalui oleh mereka dengan kita.

Oleh kerana kita telah menyentuh tentang para isteri Nabi ﷺ, maka ada eloknya kita sentuh tentang kesesatan Syiah yang berkenaan ayat ini. Kalau kita baca ayat ini dengan jelas mengatakan yang para isteri Nabi ﷺ itu semuanya adalah ‘ibu’ kepada para mukmin. Tapi Syiah memang tidak sukakan Aisyah رضي الله عنها dan Habsah رضي الله عنها sampaikan Syiah kata mereka berdua itu adalah pelacur. Maka mana mungkin kita boleh mengatakan ibu kita pelacur? Sedangkan kita orang mukmin disuruh untuk menghormati mereka?

Maka Syiah terpaksa reka hadis (tidak ada masalah untuk mereka kerana mereka memang jenis tidak kisah pun menipu dalam agama) untuk mengatakan yang Nabi Muhammad ﷺ ada memberikan mandat untuk menceraikan mana-mana isteri baginda setelah baginda wafat nanti. Maknanya kuasa cerai itu kononnya diberikan kepada Saidina Ali رضي الله عنه!

Ini memang karut sekali kerana nanti kita akan lihat dalam surah ini juga, Nabi Muhammad ﷺ sendiri sudah tidak boleh menceraikan para isteri baginda. Maka mana mungkin baginda tidak boleh menceraikan mereka, tetapi Saidina Ali رضي الله عنه pula boleh menceraikan mereka? Memang Syiah ini golongan yang sesat lagi menyesatkan dan kerana itu kita tidak boleh terima mereka.

 

وَأُولُو الأَرحامِ بَعضُهُم أَولىٰ بِبَعضٍ في كِتٰبِ اللهِ مِنَ المُؤمِنينَ وَالمُهٰجِرينَ

Dan orang-orang yang mempunyai hubungan darah satu sama lain lebih berhak (waris-mewarisi) di dalam Kitab Allah daripada orang-orang mukmin dan orang-orang Muhajirin,

Kalau kedudukan Nabi ﷺ dan para isteri baginda tidak sama dengan manusia biasa, maka tali persaudaraan itu lebih kuat dari talian lain. Ini adalah kerana tali keluarga itu adalah berdasarkan darah daging. Kerana itu antara lain, mereka boleh mendapat harta pusaka dari ahli keluarga mereka sedangkan saudara sesama mukmin tidak boleh.

Maka ini juga mengajar kita yang pertalian kekeluargaan itu lebih kuat kalau dibandingkan dengan saudara seislam yang lain. Maka kalau sedekah, kena dahulukan beri bantuan kepada ahli keluarga dahulu; kalau zakat fitrah pun kena berikan kepada ahli keluarga terdekat dan jauh kalau mereka memerlukan sebelum lihat kepada orang lain.

Jadi memang tidak sama dan tidak kisahlah kalau antara golongan Ansar dengan Muhajirin pun. Walaupun Nabi Muhammad ﷺ telah menghubungkan talian persaudaraan antara Ansar dan Muhajirin semasa Hijrah berlaku. Tetapi tidaklah talian itu sama dengan tali persaudaraan darah daging.

Ayat ini memansukh hukum yang sebelumnya berlaku dalam hal waris-mewaris, yang dapat dilakukan dengan halaf (sumpah pertahanan bersama) dan saudara angkat yang diadakan di antara sesama mereka. Sebagaimana yang disebutkan oleh Ibnu Abbas رضي الله عنهما dan lain-lainnya:

Disebutkan bahawa dahulu kaum Muhajirin dapat mewarisi kaum Ansar —mereka itu bukan kaum kerabat dan saudara-saudara orang yang bersangkutan— kerana adanya persaudaraan angkat yang diadakan oleh Nabi ﷺ di antara kedua golongan tersebut.

 

إِلّا أَن تَفعَلوا إِلىٰ أَولِيائِكُم مَّعروفًا

kecuali kalau kamu berbuat baik kepada saudara-saudaramu (seagama) dengan cara yang patut.

Jadi tidak boleh persaudaraan bukan darah daging membolehkan menerima harta pusaka. Yang boleh adalah kalau hendak bagi sedikit harta dengan cara yang baik.

Maksudnya dengan cara wasiat. Persaudaraan sesama Islam itu tidak boleh mendapat harta pusaka tetapi mereka masih boleh menerima wasiat. Namun begitu, ada syaratnya: tidak boleh wasiatkan lebih dari 1/3 dari jumlah harta.

 

كانَ ذٰلِكَ فِي الكِتٰبِ مَسطورًا

Adalah yang demikian itu telah tertulis di dalam Kitab (Allah).

Jadi kenalah mengikut undang-undang yang Allah ‎ﷻ telah tetapkan dalam Al-Qur’an dan Sunnah. Undang-undang Faraid sudah ada dan banyak dijelaskan di dalam Surah Nisa’.

Dan tentang siapa kita halal berkahwin pun sudah tertulis juga ada dalam Surah Nisa’. Maknanya yang tidak boleh dikahwini adalah bekas isteri Rasulullah ﷺ sahaja. Kalau bekas isteri sesiapa pun yang lain masih boleh dikahwini lagi.

Ini kenalah disebut kerana mungkin ada kawan segan untuk berkahwin dengan bekas isteri kawan yang lain. Ini kerana pertalian mereka sebelum itu amat kuat sampaikan mereka rasa berkahwin dengan ipar sendiri.

Ini juga menunjukkan bahawa perkahwinan selepas perceraian adalah mudah sahaja. Selepas sesuatu perkahwinan itu tidak menjadi dan suami isteri itu sudah bercerai, maka suami dan isteri itu boleh sahaja berkahwin dengan orang lain.

Jangan disusahkan bekas isteri (janda) dari berkahwin dengan orang lain sampai ada yang digantung tidak bertali bertahun-tahun lamanya. Dan jangan juga kita letak stigma buruk kepada mana-mana janda sampaikan orang takut untuk berkahwin dengan mereka.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 5 Julai 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah Ahzab Ayat 1 – 4 (Hukum Anak Angkat)

Pengenalan:

Surah ini adalah Surah Madaniyyah. Walaupun dalam susunan mushaf Al-Qur’an, ia terletak pada bilangan ke 33 namun sebenarnya dari tertib turun, ia telah diturunkan setahun sebelum Surah Nur (surah ke 24).

Surah ini memang payah untuk diringkaskan kepada satu-satu topik kerana Allah ‎ﷻ khitab (berkata) kepada Nabi ﷺ, juga kepada Mukminaat dan juga kepada orang Mukmin secara umum. Jadi ada banyak pihak yang disentuh dan banyak topik yang disentuh di dalamnya.

Dari segi akidah, surah ini hendak menafikan syafaat qahriyah. Ini penting kerana syafaat jenis ini banyak dipegang oleh Arab Mekah dan orang Arab keseluruhan pada zaman Jahiliah dan juga oleh golongan Yahudi dan Nasara. Iaitu fahaman wali, Nabi dan juga malaikat boleh beri sokongan kepada penyembah dan penyeru mereka.

Dan orang Islam yang jauh dari wahyu juga ada salah faham dalam perkara ini. Maka memang kenalah mendalami surah ini supaya akidah salah ini boleh diperbetulkan. Maka orang Islam hendaklah mendalami surah ini supaya tidak melakukan perbuatan syirik yang diamalkan oleh golongan jahiliah dulu.

Dan yang keduanya surah ini hendak mematikan adat resam masyarakat Arab iaitu tidak boleh mengahwini bekas isteri anak angkat. Bagi orang Arab, apabila memelihara anak angkat, maka anak angkat itu menjadi seperti anak sebenar. Dan menantu itu menjadi menantu sebenar dan mereka juga tahu bahawa tidak boleh menikahi menantu. Maka salah faham ini hendak diperbetulkan oleh Allah ‎ﷻ. Iaitu anak angkat tidak menjadi anak kandung atau anak sebenar.

Jadi khitab surah ini diberikan kepada Nabi ﷺ, kepada orang mukmin dan mukminaat kerana hendak memberitahu bahawa untuk menukar sesuatu fahaman yang telah dipegang lama, ia memerlukan kerjasama pemimpin, golongan lelaki dan juga wanita. Jadi semua kenalah tunduk taat kepada arahan dan Sunnah Nabi ﷺ.

Ini menunjukkan betapa payahnya hendak menghilangkan adat resam yang tidak patut di dalam masyarakat. Begitu jugalah yang kita alami dalam masyarakat kita sekarang pun. Banyak sekali alasan manusia untuk terus berpegang dengan adat resam (dalam agama) walaupun sebenarnya senang sahaja kerana hanya perlu ditinggalkan sahaja.

Ini kerana pendokong-pendokong adat resam itu akan tetap hendak mempertahankan fahaman salah itu sepertimana juga orang kafir masih hendak mempertahankan agama mereka. Mereka kononnya kata: biar mati emak, jangan mati adat.

Kerana itu Allah ‎ﷻ melarang untuk melakukan amalan-amalan bidaah kerana jikalau sudah dimulakan maka akan susah untuk menghilangkannya nanti. Mungkin pada asalnya ia nampak kecil sahaja tetapi kalau tidak diperbetulkan dari awal, maka akan menyebabkan fahaman salah itu kekal dalam masyarakat. Begitulah masalah yang dihadapi oleh pengamal sunnah sekarang apabila menegur amalan bidaah masyarakat. Kita pula yang dimarah balik.

Surah ini juga menceritakan tentang Perang Ahzab. Perang ini adalah perang yang amat penting dalam Islam dan ada banyak pengajaran yang kita boleh diambil darinya.

Dan dalam surah ini nanti akan disentuh tentang perkahwinan Nabi Muhammad ﷺ dan Saidatina Zainab رضي الله عنها.

Surah ini ada banyak persamaan dengan Surah Nur. Surah Nur itu juga ada menyentuh tentang perang. Dalam Surah Nuh juga menyentuh tentang hukum hakam dan undang-undang di dalam rumah, dan di dalam Surah Ahzab ini akan disebut tentang hukum di luar rumah pula. Ia menyentuh tentang hubungan sosial sesama umat Islam. Juga menyentuh tentang pakaian wanita di luar rumah.

Dalam Surah Nur ada menyebut tentang kontroversi berkenaan ahli rumah Nabi ﷺ dan dalam surah ini juga ada kontroversi berkenaan ahli rumah Nabi ﷺ juga.

Latar belakang Surah: Nabi Muhammad ﷺ mempunyai seorang anak angkat bernama Zaid رضي الله عنه dan baginda amat rapat dengan Zaid رضي الله عنه itu sampaikan baginda menamakannya Zaid bin Muhammad kerana baginda menganggapnya sebagai anak sendiri.

Zaid رضي الله عنه itu sebenarnya berasal sebagai seorang hamba kepada baginda tetapi Nabi Muhammad ﷺ telah membebaskannya dan melayannya seperti anaknya sendiri. Begitulah baiknya Nabi Muhammad ﷺ terhadap manusia.

Apabila sudah berhijrah ke Madinah maka Nabi Muhammad ﷺ mengahwinkan Zaid رضي الله عنه dengan Zainab رضي الله عنها, seorang wanita dari keturunan bangsawan yang berkedudukan mulia. Keluarga Zainab  رضي الله عنها dan Zaid رضي الله عنه sendiri tidak suka dengan perkahwinan ini kerana walaupun Nabi ﷺ sayang kepada Zaid رضي الله عنه, tetapi beliau tetap dipandang berstatus seorang hamba. Tujuan Nabi Muhammad ﷺ mengahwinkan mereka adalah untuk menghilangkan perasaan beza antara kedudukan di dalam masyarakat.

Walaupun mereka tidak sukakan cadangan Nabi ﷺ itu tetapi oleh kerana cadangan itu datang daripada baginda maka perkahwinan itu dilangsungkan juga.

Walaupun Islam tidak menghalang lelaki dan wanita daripada kedudukan yang berbeza untuk berkahwin, tetapi perasaan ini tetap ada di dalam diri manusia dan kita kena lihat dan fikirkan juga. Jadi kita boleh katakan yang perkahwinan ini tidak sekufu. Iaitu perkahwinan yang ‘tidak setara’, atau tidak sama taraf.

Perceraian biasa sahaja berlaku pada masyarakat Arab termasuklah selepas kebangkitan Islam pun. Ia bukanlah sesuatu yang memalukan kerana kalau pasangan itu lihat mereka berdua tidak sesuai selepas berkahwin, maka mereka boleh sahaja bercerai. Ini biasa sahaja berlaku dan tidak perlu dimalukan. Cuma masyarakat kita sahaja yang meletakkan stigma negatif kepada perceraian dan mentaliti ini hendaklah diubah.

Selepas merasai yang perkahwinan tidak berjalan dengan baik, maka Zaid رضي الله عنه banyak kali datang kepada Nabi ﷺ menceritakan beliau tidak sesuai dengan Zainab رضي الله عنها tetapi baginda tetap menyuruh mereka mempertahankan juga perkahwinan itu.

Perkahwinan itu tidak menjadi, maka tentu ada ketidakpuasan hati kerana perkahwinan itu asalnya dicadangkan oleh Nabi Muhammad ﷺ sendiri. Maka untuk menyelesaikan kekusutan itu maka Nabi Muhammad ﷺ perlu mengahwini Zainab رضي الله عنها sendiri untuk menunjukkan bahawa tidak ada masalah dengan Zainab رضي الله عنها.

Tetapi perkahwinan Nabi Muhammad ﷺ dan Zainab رضي الله عنها ini telah mencetuskan kontroversi. Ini adalah kerana dalam adat  orang Arab waktu itu, seorang ayah tidak boleh mengahwini menantunya sendiri walaupun menantu anak angkat. Maka golongan munafik telah menggunakan isu ini untuk menjatuhkan nama baik Rasulullah ﷺ.

Akan tetapi kita kena ingat bahawa Zaid رضي الله عنه itu bukanlah anak Nabi Muhammad ﷺ yang sebenar tetapi anak angkat sahaja. Walaupun Nabi Muhammad ﷺ menggelarkan Zaid رضي الله عنه itu anaknya tetapi ia tidak menjadikan Zaid رضي الله عنه itu anak sebenarnya. Adat ini yang perlu diperbetulkan.

Maka walaupun Nabi Muhammad ﷺ menganggap Zaid رضي الله عنه itu sebagai anaknya sendiri tetapi di dalam Islam ia tidak menjadikan Zaid رضي الله عنه itu benar-benar anaknya. Maka tidak salah bagi Nabi Muhammad ﷺ untuk mengahwini janda Zaid رضي الله عنه itu.

Hukum Zihar

Dalam adat Arab pada waktu itu, menjadikan seseorang sebagai ahli keluarga boleh dilakukan kerana teramat sayang ataupun teramat benci. Seperti Nabi Muhammad ﷺ mengatakan Zaid رضي الله عنه itu anaknya adalah kerana baginda teramat sayang kepada Zaid رضي الله عنه itu.

Akan tetapi di dalam situasi yang lain, apabila seorang suami teramat benci kepada isterinya maka dia mengatakan yang isterinya itu haram seperti haramnya jimak dengan ibu sendiri. Perbuatan ini dinamakan zihar. Dan isu ini juga disentuh di dalam surah ini.


 

Ayat 1: Dari ayat ini sampai ke ayat ke 3 adalah Perenggan Makro Pertama di mana ditekankan kepada kita supaya jangan patuh kepada kehendak orang kafir dan golongan munafikin.

Umat Islam diingatkan supaya menolak adat resam jahiliah yang dahulu mereka telah berjanji untuk tinggalkan. Cukup dengan mematuhi kehendak Allah ‎ﷻ sahaja. Terimalah Allah ‎ﷻ sahaja sebagai tempat berserah dan menggantung harapan.

Allah ‎ﷻ memberitahu kepada Nabi Muhammad ﷺ yang dalam menyampaikan wahyu Allah ‎ﷻ ini mestilah taat dan takut kepada Allah ‎ﷻ, bukannya takut kepada manusia. Mestilah juga sampaikan kebenaran dari wahyu walaupun manusia mungkin tidak suka. Maka baginda mesti menyampaikan semua wahyu dan tidak boleh menyembunyikan sebarang wahyu yang baginda rasakan berat.

Begitu juga kita yang mengajar tafsir Al-Qur’an, kenalah sampaikan semuanya. Jangan kita rasa ralat untuk menyampaikan kerana kita sudah dapat agak manusia tidak suka. Kita kena kurangkan rasa takut terhadap manusia tetapi mesti lebihkan takut kepada Allah ‎ﷻ.

يىٰأَيُّهَا النَّبِيُّ اتَّقِ اللهَ وَلا تُطِعِ الكٰفِرينَ وَالمُنٰفِقينَ ۗ إِنَّ اللهَ كانَ عَليمًا حَكيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Al-Aḥzāb: The Companies or The Combined Forces, referring to the alliance of disbelieving Arab tribes against the Muslims in Madīnah for the battle called “al-Aḥzāb” or “al-Khandaq” (the Trench).

O Prophet, fear Allāh and do not obey the disbelievers and the hypocrites. Indeed, Allāh is ever Knowing and Wise.

(MELAYU)

Hai Nabi, bertakwalah kepada Allah dan janganlah kamu menuruti (keinginan) orang-orang kafir dan orang-orang munafik. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana,

 

يىٰأَيُّهَا النَّبِيُّ

Wahai Nabi,

Dalam surah ini ada lima titah kepada Nabi Muhammad  ﷺ dan ini adalah titah yang pertama. Kalau titah diberikan kepada Nabi ﷺ, tidaklah ia hanya untuk baginda sahaja. Ia juga adalah arahan untuk kita, tetapi arahan itu ditinggikan lagi apabila ia diberikan mulanya kepada Rasulullah ﷺ. Kalau Nabi Muhammad ﷺ pun kena buat, mana mungkin umatnya (iaitu kita) tidak perlu ikut pula, bukan?

Nabi ﷺ dipanggil dengan pangkat baginda (Nabi atau Rasul) dalam banyak ayat-ayat Al-Qur’an. Sedangkan kalau kita perhatikan kepada Nabi-nabi lain, Allah ‎ﷻ panggil mereka dengan nama mereka. Allah ‎ﷻ memberikan penghormatan kepada Nabi Muhammad dengan memanggil baginda dengan pangkatnya. Hanya ada 4 kali (3:144, 33:40, 47:2 dan 48:29) sahaja nama baginda disebut dan itu pun kerana ada sebab yang hendak disampaikan.

 

اتَّقِ اللهَ

bertakwalah kepada Allah

Allah ‎ﷻ memberitahu kepada Nabi Muhammad ﷺ supaya taat dan takut kepada-Nya sahaja dan jangan takut dengan apa yang dikatakan oleh golongan kafir dan juga munafiqin.

Perintah ini lahiriahnya ditujukan kepada orang yang berkedudukan tinggi (Nabi), tetapi makna yang dimaksudkan ditujukan kepada orang yang lebih rendah kedudukannya (umatnya). Kerana sesungguhnya Allah ‎ﷻ itu apabila memerintahkan kepada hamba dan Rasul-Nya dengan perintah ini, maka terlebih lagi kepada orang yang di bawahnya.

Talq ibnu Habib رحمه الله pernah mengatakan bahawa taqwa ialah bila engkau selalu mengerjakan ketaatan kepada Allah ‎ﷻ atas dasar cahaya dari Allah ‎ﷻ dan mengharapkan pahala-Nya, dan bila kamu meninggalkan penderhakaan terhadap Allah ‎ﷻ atas dasar cahaya dari Allah ‎ﷻ dan kerana takut terhadap azab-Nya.

Asbabun Nuzul ayat ini: ada pemuka Quraisy datang ke Madinah dan minta Nabi Muhammad ﷺ menerima berhala-berhala mereka sebagai wasilah. Nabi Muhammad ﷺ marah dan para sahabat juga sudah marah dan hendak membunuh pemuka Quraisy itu. Maka Allah ‎ﷻ turunkan ayat ini sebagai peringatan untuk tidak melakukannya kerana telah ada perjanjian damai dengan Mekah pada waktu itu.

 

 

وَلا تُطِعِ الكٰفِرينَ وَالمُنٰفِقينَ

dan janganlah kamu menuruti (keinginan) orang-orang kafir dan orang-orang munafik. 

Orang kafir itu merujuk kepada Musyrikin Mekah dan orang munafik itu merujuk kepada golongan yang tidak percaya kepada baginda di Madinah. Golongan Munafik itu mengaku beriman tetapi sebenarnya mereka tidak beriman.

Ini kerana mereka ada pemahaman adat resam yang mereka tidak mahu ubah. Mereka bantah ajaran wahyu yang bertentangan dengan adat resam mereka. Kalau kita lihat dalam masyarakat kita pun ada masalah ini.

Ayat ini juga memberitahu kepada Nabi Muhammad ﷺ supaya jangan terpengaruh dengan orang kafir dan orang munafik. Jangan terpengaruh dengan kata-kata orang kafir di Mekah dan juga orang munafik di Madinah yang mengutuk Nabi Muhammad ﷺ kerana berkahwin dengan janda anak angkatnya sendiri kerana Zaid رضي الله عنه itu tidak menjadi anaknya yang sebenar.

Ayat ini diturunkan setelah Zaid رضي الله عنه menceraikan Zainab  رضي الله عنها. Maka waktu itu adalah waktu yang sesuai untuk mengahwini Zainab رضي الله عنها untuk memusnahkan adat resam yang melarang mengahwini bekas isteri anak angkat. Tetapi Nabi Muhammad ﷺ takut untuk mengambil langkah ini. Ini kerana baginda takut apa yang akan dikatakan oleh puak kafir dan juga munafik.

Baginda bukannya takut nama baginda tercalar, tetapi baginda takut gerakan Islam yang tercalar. Takut nanti ada orang yang lemah iman akan terikut-ikut dengan tohmahan yang dikeluarkan oleh puak kafir dan munafik.

Kalau baginda terpengaruh atau terkesan dengan kata-kata mereka, maka baginda dikira telah mengikut hawa nafsu mereka. Maka kita pun janganlah risau sangat kalau memperkatakan perkara yang tidak sesuai dengan adat resam masyarakat.

Antaranya, jangan takut untuk menegur amalan bersanding masyarakat kita walaupun ia telah lama diamalkan. Perkara yang salah tetap harus ditegur. Janganlah hendak jaga sangat adat resam sampaikan amalan agama Hindu pun kita buat juga.

Jangan turut orang kafir dan munafik itu juga bermaksud jangan ikut saranan dari mereka yang tidak patut dilakukan. Sebagai contoh, Musyrikin Mekah ada mencadangkan kepada Nabi ﷺ untuk menerima berhala-berhala sebagai wasilah. Kalau baginda terima, mereka sanggup memberikan separuh dari kekayaan Mekah kepada baginda.

Kalau kita dilarang dari mengikut saranan orang kafir, memang kita boleh faham kerana mereka akan cakap perkara yang berlawanan dengan agama. Tetapi kenapa disebut munafikin juga? Bukankah kalau mereka buat saranan seperti orang kafir, maka tentu pecah tembelang mereka?

Jawapannya, memang mereka tidak cakap dengan terus terang, tetapi kena berhati-hati dengan kata-kata mereka kerana mereka mungkin berselindung dan kata-kata mereka itu sebenarnya menyokong pendapat orang kafir tanpa kita sedari. Maka kita kena perhati mereka yang ada sifat-sifat nifak dan jangan terkesan dengan kata-kata mereka.

 

إِنَّ اللهَ كانَ عَليمًا حَكيمًا

Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana,

Allah ‎ﷻ Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana. Maka kena taat sahaja kepada arahan Allah ‎ﷻ dan tidak mempersoalkan hukum Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ tahu apa yang diperlukan oleh manusia. Maka kerana itu Allah ‎ﷻ tahu hukum apa yang patut dikenakan kepada manusia dan apakah perkara yang perlu ditukar dalam adat resam kalau ia tidak sesuai untuk agama.

Allah ‎ﷻ boleh sahaja memberitahu kepada Nabi Muhammad ﷺ untuk tidak menikahi Zainab رضي الله عنها. Ini tentu menyelamatkan baginda dari kes ini. Tetapi Allah ‎ﷻ mahukan peristiwa itu berlaku dan kemudian menurunkan surah ini kerana hendak memberi pengajaran kepada manusia. Semua ini adalah dalam perancangan Allah ‎ﷻ yang Maha Bijaksana.


 

Ayat 2: Kalau tidak boleh ikut fahaman salah masyarakat, jadi baginda kena ikut yang mana? Ikutlah wahyu yang Allah ‎ﷻ sampaikan. Ia juga adalah titahan kepada kita juga.

وَاتَّبِع ما يوحىٰ إِلَيكَ مِن رَّبِّكَ ۚ إِنَّ اللهَ كانَ بِما تَعمَلونَ خَبيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And follow that which is revealed to you from your Lord. Indeed Allāh is ever, with what you do, Acquainted.

(MELAYU)

Dan ikutilah apa yang diwahyukan Tuhan kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.

 

وَاتَّبِع ما يوحىٰ إِلَيكَ مِن رَّبِّكَ

Dan ikutilah apa yang diwahyukan Tuhan kepadamu. 

Nabi Muhammad ﷺ dan kita hanya perlu mengikut wahyu yang Allah ‎ﷻ telah berikan dan tidak perlu risau dengan kata-kata manusia. Firman Allah ‎ﷻ lebih tinggi dan lebih penting dari kata-kata manusia.

 

إِنَّ اللهَ كانَ بِما تَعمَلونَ خَبيرًا

Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.

Dan Allah ‎ﷻ Maha Mengetahui apa yang diperkatakan dan dilakukan oleh manusia tentang perkara ini dan apa-apa sahaja. Maka kalau Nabi Muhammad ﷺ menegakkan kebenaran tetapi baginda ditohmah dan dikutuk, maka kesabaran baginda itu tidak sia-sia kerana kesabaran baginda itu akan dibalas. Ini kerana Allah tahu apa yang baginda lalui dan akan dibalas dengan pahala atas kesusahan baginda itu.

Maka begitulah juga jikalau kita dituduh dengan pelbagai tuduhan sedangkan kita hanya hendak menegakkan kebenaran. Kadangkala kita menegur ahli keluarga dan kawan-kawan kita yang melakukan amalan syirik dan juga bidaah, tetapi dimarahi dan dikutuk pula.

Maka kita kenalah bersabar dengan apa yang mereka kata itu. Namun begitu, tentunya kesabaran kita itu tidaklah percuma sahaja. Allah ‎ﷻ akan membalas dengan pahala yang amat banyak. Jadi sabar sahajalah jika dikutuk sebagai Wahabi dan sebagainya.


 

Ayat 3: Walau apa yang berlaku, kenalah ikut wahyu dan kemudian serahkan sahaja kepada Allah ‎ﷻ. Apa-apa yang berlaku, itu semua dalam kehendak Allah ‎ﷻ, kita kena terima sahaja.

وَتَوَكَّل عَلَى اللهِ ۚ وَكَفىٰ بِاللهِ وَكيلًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And rely upon Allāh; and sufficient is Allāh as Disposer of affairs.

(MELAYU)

Dan bertawakkallah kepada Allah. Dan cukuplah Allah sebagai Pemelihara.

 

وَتَوَكَّل عَلَى اللهِ

dan bertawakkallah kepada Allah.

Dan hendaklah Nabi ﷺ bertawakal dengan menyerahkan diri dan urusan baginda kepada Allah ‎ﷻ. Jangan baginda risau yang kejadian itu akan menyebabkan Islam dan dakwah baginda terbantut. Allah beri nasihat ini kerana baginda risau sangat nanti manusia sudah tidak percaya kepada baginda.

Walaupun perkara ini adalah hal dalam keluarga baginda, tetapi ia telah menyesakkan hati baginda kerana pada waktu itu baginda sedang menghadapi kemungkinan diserang oleh Mekah.

Dan dalam masa yang sama baginda sedang menghadapi masalah dengan golongan Yahudi di Madinah kerana mereka itu hendak menjatuhkan Islam dari dalam. Pada waktu itu dua puak daripada golongan Yahudi telah pun dihalau. Dan telah ada ketidakpuasan yang kuat dari Yahudi.

Maka di dalam situasi yang agak tegang waktu itu, maka tentulah isu ini menjadi sesuatu yang besar. Dan memang jikalau ketua mengalami skandal seperti ini, ia akan menyebabkan rakyat menjadi lemah semangat dan tidak bersatu dan akan melemahkan umat Islam jikalau tidak ditangani dengan baik.

Kerana itu di dalam percaturan politik, selalunya pihak lawan akan menyerang peribadi pihak lawannya seperti skandal peribadi ataupun isu yang dihadapi oleh ahli politik itu di dalam keluarga dan cara ini amat berkesan walaupun isu-isu dalaman keluarga sepatutnya tidak ada apa-apa pun dengan pemerintahan.

Tetapi manusia memang terkesan dengan perkara-perkara sebegini. Banyak sekali ahli politik dijatuhkan dengan cara ini. Pihak musuh akan korek apa sahaja masalah dalaman ahli politik itu.

 

وَكَفىٰ بِاللهِ وَكيلًا

Dan cukuplah Allah sebagai Pemelihara.

Maka Allah ‎ﷻ memberitahu kepada baginda yang cukuplah Allah ‎ﷻ menguruskan hal baginda dan akan menyelesaikan kekacauan yang dialami oleh baginda. Serahkan sahaja kepada Allah ‎ﷻ.

Ini memang nasihat untuk kita juga. Kadangkala kita risau sangat dengan apa yang berlaku pada diri kita dan kita rasa kita sudah tidak boleh berbuat apa lagi. Memang kita tidak boleh buat apa-apa, tetapi Allah ‎ﷻ boleh melakukan apa sahaja. Allah ‎ﷻ akan susun supaya perkara menjadi baik semula.


 

Ayat 4: Dari ayat ini sampai ayat ke 6 adalah Perenggan Makro Kedua surah ini. Terdapat perbincangan HUKUM ZIHAR DAN ANAK ANGKAT. Dua hukum ini telah sedia ada dalam amalan Arab jahiliyah. Isteri jika tidak dikehendaki lagi hendaklah dilepaskan secara baik bukan secara zihar, atau tergantung hubungan (gantung tanpa tali). Islam datang mengharamkan perbuatan itu.

Selain zihar kita akan tengok hukum anak angkat tidak boleh lagi dibinkan dengan nama bapa angkat. Dan kita akan tengok adakah boleh bernikah dengan janda anak angkat.

مّا جَعَلَ اللهُ لِرَجُلٍ مِّن قَلبَينِ في جَوفِهِ ۚ وَما جَعَلَ أَزوٰجَكُمُ اللّائي تُظٰهِرونَ مِنهُنَّ أُمَّهٰتِكُم ۚ وَما جَعَلَ أَدعِياءَكُم أَبناءَكُم ۚ ذٰلِكُم قَولُكُم بِأَفوٰهِكُم ۖ وَاللهُ يَقولُ الحَقَّ وَهُوَ يَهدِي السَّبيلَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Allāh has not made for a man two hearts in his interior. And He has not made your wives whom you declare unlawful¹ your mothers. And He has not made your claimed [i.e., adopted] sons your [true] sons. That is [merely] your saying by your mouths, but Allāh says the truth, and He guides to the [right] way.

  • By the expression “You are to me like the back of my mother.” Such an oath taken against approaching one’s wife was a pre-Islāmic practice declared by Allāh (subḥānahu wa ta‘ālā) to be a sin requiring expiation as described in 58:34.

(MELAYU)

Allah sekali-kali tidak menjadikan bagi seseorang dua buah hati dalam rongganya; dan Dia tidak menjadikan isteri-isterimu yang kamu zihar itu sebagai ibumu, dan Dia tidak menjadikan anak-anak angkatmu sebagai anak kandungmu (sendiri). Yang demikian itu hanyalah perkataanmu di mulutmu saja. Dan Allah mengatakan yang sebenarnya dan Dia menunjukkan jalan (yang benar).

 

مّا جَعَلَ اللهُ لِرَجُلٍ مِّن قَلبَينِ في جَوفِهِ

Allah sekali-kali tidak menjadikan bagi lelaki, dua buah hati dalam rongganya;

Allah ‎ﷻ tidak menjadikan seorang ‘lelaki’ ada dua hati. Sebagai contoh, kalau hatinya tidak suka kepada isterinya sampai menyebabkan hendak bercerai, maka dia tidak ada satu hati yang lain yang kembali sayang kepada isterinya itu. Maka kalau dia tidak sayang maka tentulah dia tidak sayang.

Dari segi literal pun, ini adalah benar dari segi fizikal. Allah ‎ﷻ sebut ‘lelaki’ sahaja yang tidak akan ada dua jantung di dalam tubuhnya. Ini kerana kalimah جوف bermaksud rongga badan manusia daripada dada hingga ke perut.

Memang lelaki tidak akan ada dua jantung di dalam tubuhnya tetapi wanita berkemungkinan besar akan ada dua hati dalam rongga badannya kerana apabila mereka mengandung, maka mereka ada ‘dua jantung’ di dalam tubuh mereka. Satu jantungnya, dan satu lagi jantung anaknya.

Kerana itu Allah ‎ﷻ menggunakan kalimah جوف tetapi tidak mengunakan kalimah صدور (dada) kerana sampai bila-bila pun lelaki dan wanita tidak akan ada dua jantung di dalam dada. Kerana jantung kedua dalam tubuh wanita itu bukan dalam dada wanita itu tapi dalam rongga tubuhnya.

Tetapi maksud ayat ini adalah seorang lelaki tidak boleh ada cinta dan benci dalam satu masa kerana kalau dia cinta maka dia cinta, dan jika dia benci maka dia benci.

Dan kalau kita tafsirkan di segi akidah pula, ia bermaksud jika seseorang itu sudah percaya kepada Allah ‎ﷻ maka tidaklah boleh dia percaya kepada ilah selain Allah ‎ﷻ. Kalau percaya dan seru kepada ilah selain Allah ‎ﷻ, maka itu adalah syirik. Juga kalau seorang itu Muslim, dia tidak boleh menjadi kafir; kalau dia munafik, tentu dia tidak boleh jadi mukmin dalam masa yang sama.

Ataupun seseorang itu tidak boleh mengikut syariat Allah ‎ﷻ dan dalam masa yang sama dia membuat syariatnya sendiri. Kena pilih satu sahaja.

Maka kalau kita beri label lain pun, ia tidak mengubah hakikatnya. Kalau orang kafir kita panggil sebagai seorang ‘Muslim’, dia tetap kafir, bukan?

 

وَما جَعَلَ أَزوٰجَكُمُ اللّائي تُظٰهِرونَ مِنهُنَّ أُمَّهٰتِكُم

dan Dia tidak menjadikan isteri-isterimu yang kamu zihar itu sebagai ibumu,

Zihar adalah salah satu dari amalan buruk Arab Jahiliyyah. Apabila mereka tidak suka kepada isteri mereka, maka mereka akan kata isterinya itu haram sebagaimana haram untuk mereka meniduri isteri mereka. Ini adalah kerana kalimah ظهر bermaksud ‘belakang badan’. Jadi apabila tengah marah dengan isteri, lelaki Jahiliyah akan berkata: “Engkau bagiku seperti punggung (belakang) ibuku,”.

Apabila dia berkata begitu, maka dia tidak boleh lagi bersama dengan isterinya. Inilah adat dalam masyarakat Arab waktu itu. Namun begitu dalam masa yang sama, dia tidak menceraikan isterinya pun. Maka isterinya tidak boleh untuk berkahwin lain.

Maka statusnya tergantung tanpa tali. Tidak bersama dengan suaminya dan tidak boleh untuk berkahwin lain. Kalau suaminya itu lepaskan terus (cerai), bolehlah dia berkahwin lain, bukan? Tetapi kalau ‘zihar’, perceraian tidak berlaku.

Maka ini adalah kezaliman kerana isteri akan dibiarkan tetapi tidak dilepaskan untuk dia menguruskan dirinya dengan berkahwin lain ataupun balik kampung dan sebagainya. Perbincangan panjang tentang zihar ada di dalam Surah Mujadalah. Ayat ini semakna dengan apa yang disebutkan oleh firman-Nya dalam ayat lain:

{مَا هُنَّ أُمَّهَاتِهِمْ إِنْ أُمَّهَاتُهُمْ إِلا اللائِي وَلَدْنَهُمْ}

padahal tiadalah isteri mereka itu ibu mereka. Ibu-ibu mereka tidak lain hanyalah wanita yang melahirkan mereka. (Al-Mujadilah: 2), hingga akhir ayat.

Maka Allah ‎ﷻ menegur kezaliman itu dan Allah ‎ﷻ melarang dilakukan lagi adat resam itu. Allah ‎ﷻ memberitahu yang isteri mereka yang mereka zihar dengan kata isterinya seperti ibu mereka, tidak akan menjadi ibu mereka sampai bila-bila. Sepertimana seorang lelaki tidak mungkin ada dua hati dalam rongganya.

 

وَما جَعَلَ أَدعِياءَكُم أَبناءَكُم

dan Dia tidak menjadikan anak-anak angkatmu sebagai anak kandungmu

Dan anak angkat yang mereka anggap sebagai anak sendiri itu tidak menjadikan anak-anak sebagai anak kandung mereka. Walaupun mereka kata itu anak mereka atau binkan dengan nama mereka. Itu hanya kata-kata manusia sahaja. Anak-anak itu tetap sebagai anak angkat sahaja.

Sama juga, kita tidak boleh buang anak kita. Mereka tetap menjadi anak kita. Tidak boleh buang anak atau ahli keluarga yang lain. Pertalian itu tetap ada sampai bila-bila. Jadi kalau ada yang tidak mengaku anak, itu hanyalah perasaan marah yang meluap sahaja sampai otak tidak dapat berfikir lagi sampai konon ingin membuang anaknya. Hakikatnya anak itu tetap anaknya.

 

ذٰلِكُم قَولُكُم بِأَفوٰهِكُم

Yang demikian itu hanyalah perkataanmu di mulutmu saja.

Itu adalah kata-kata mereka sahaja dan kata manusia tidak boleh menjadi hukum. Anak angkat itu tidak mungkin menjadi anak sebenar kepada bapa angkatnya kerana dia keluar dari tulang sulbi lelaki lain.

Anak itu juga tidak mungkin ada dua ayah pula sepertimana seorang tidak mungkin ada dua hati dalam rongganya.

 

وَاللهُ يَقولُ الحَقَّ

Dan Allah mengatakan yang haq

Apa sahaja yang Allah ‎ﷻ firmankan, ia menjadi syariat. Kata-kata Allah ‎ﷻ tidak sama dengan kata-kata manusia.

Maka ayat ini boleh disampaikan kepada orang yang berbuat bidaah dalam agama. Kena ingat yang kata-kata manusia tidak menjadi syariat. Kalau mereka reka amalan dan mengatakan amalan ini bagus, Allah ‎ﷻ suka kalau melakukannya, tidaklah ia menjadi syariat dalam agama. Kalau ada yang kata sesuatu amalan itu ‘bidaah hasanah’, ia hanyalah kata-kata manusia sahaja. Tidaklah ia akan menghasilkan pahala. Kerana untuk jadi pahala, kena ada dalil dari Allah ‎ﷻ.

 

وَهُوَ يَهدِي السَّبيلَ

dan Dia menunjukkan jalan.

Dengan wahyu yang Allah ‎ﷻ sampaikan itu akan memimpin manusia sampai kepada Dia. Maka kenalah belajar dan amalkan wahyu yang Allah ‎ﷻ sampaikan. Kalau reka sendiri, amalan itu tidak akan sampai kepada Allah ‎ﷻ.

Allahu a’alam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 28 Jun 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah Luqman Ayat 32 – 34 (Bapa dan anak tidak dapat membantu)

Luqman Ayat 32: Dalam ayat sebelum ini telah disebut tentang kapal dan pergerakan kapal di lautan itu adalah satu nikmat dari Allah. Sekarang disebutkan keadaan di lautan itu dan kesan kepada manusia.

وَإِذا غَشِيَهُم مَّوجٌ كَالظُّلَلِ دَعَوُا اللهَ مُخلِصينَ لَهُ الدّينَ فَلَمّا نَجّٰهُم إِلَى البَرِّ فَمِنهُم مُّقتَصِدٌ ۚ وَما يَجحَدُ بِئايٰتِنا إِلّا كُلُّ خَتّارٍ كَفورٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when waves come over them like canopies, they supplicate to Allāh, sincere to Him in religion [i.e., faith]. But when He delivers them to the land, there are [some] of them who are moderate [in faith]. And none rejects Our signs except everyone treacherous and ungrateful.

(MELAYU)

Dan apabila mereka dilamun ombak yang besar seperti gunung, mereka menyeru Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya maka tatkala Allah menyelamatkan mereka sampai di daratan, lalu sebahagian mereka tetap menempuh jalan yang lurus. Dan tidak ada yang mengingkari ayat-ayat Kami selain orang-orang yang tidak setia lagi engkar.

 

وَإِذا غَشِيَهُم مَّوجٌ كَالظُّلَلِ

Dan apabila mereka dilamun ombak yang besar seperti gunung,

Apabila di lautan, kebiasaannya akan mengalami lambungan ombak yang kadangkala amat menakutkan. Ada masa laut tenang sahaja dan ada masa ianya bergelora. Orang yang biasa ke lautan akan kenal sangat perkara ini.

 

دَعَوُا اللهَ مُخلِصينَ لَهُ الدّينَ

mereka menyeru Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya

Waktu ombak lautan tinggi sampai menutupi mereka, mereka berdoa terus kepada Allah (tanpa melalui perantara). Ini kerana mereka amat takut sekali dan mereka sedar tidak ada yang dapat menyelamatkan mereka melainkan Allah. Maka mereka doa terus kepada Allah.

Tidak sempat lagi pada waktu itu nak minta perantara (wasilah) untuk sampaikan doa mereka. Mereka terus potong ‘broker’ mereka dalam doa. Mungkin waktu itu mereka baru sedar yang tidak perlu broker dalam doa dan lebih cepat dan lebih makbul kalu terus sahaja doa kepada Allah.

 

فَلَمّا نَجّٰهُم إِلَى البَرِّ فَمِنهُم مُّقتَصِدٌ

maka tatkala Allah menyelamatkan mereka sampai di daratan, lalu sebahagian mereka tetap menempuh jalan pertengahan.

Dan apabila Allah selamatkan mereka, mereka kembali kepada keadaan biasa. Mereka melakukan iqtisad. Dan kalimah ini agak susah untuk ditafsirkan kerana ada dua makna yang kita boleh ambil darinya.

Pertamanya, ia boleh bermaksud jalan pertengahan kerana kalimah مُّقتَصِدٌ dari ق ص د yang antara lain bermaksud ‘pertengahan’. Kalimah dari katadasar yang sama juga ada disebut dalam ayat 19 surah ini.

Sekarang Allah sebut lain daripada ayat-ayat sebelum ini kerana kalau dulu Allah sebut apabila mereka kembali ke daratan mereka akan kembali kepada ‘syirik’. Ini seperti yang disebut dalam ayat yang lain yang hampir sama sahaja:

{فَلَمَّا نَجَّاهُمْ إِلَى الْبَرِّ إِذَا هُمْ يُشْرِكُونَ}

maka tatkala Allah menyelamatkan mereka sampai ke darat, tiba-tiba mereka (kembali) mempersekutukan (Allah). (Al-‘Ankabut: 65)

Tetapi di dalam ayat Surah Luqman ini, Allah mengatakan mereka itu kembali normal (pertengahan). Mereka buat biasa-biasa sahaja walaupun sebelum itu mereka telah melalui satu kejadian yang sepatutnya mengesankan mereka di lautan. Sepatutnya mereka betul-betul beriman dengan Allah, tapi mereka biasa-biasa sahaja.

Maknanya orang itu menjadi seperti biasa balik padahal dia baru sahaja melalui kejadian yang menakutkan di mana dia hampir mati di lautan dulu. Waktu itu mereka sudah sedar yang mereka kena doa terus kepada Allah. Akan tetapi Allah merungut tentang mereka dalam ayat ini kerana mereka kembali kepada keadaan biasa mereka sebelum itu.

Sepatutnya kejadian seperti itu mengubah mereka dan menjadikan mereka orang yang lebih baik tetapi mereka kembali jadi biasa sahaja. Mereka tidak ambil pengajaran dari kejadian yang mereka telah lalui di lautan itu. Sepatutnya akidah tauhid mereka menjadi kuat dan mereka faham kena doa terus kepada Allah.

Bukan semua berfahaman begitu kerana Allah berfirman فَمِنهُم (sebahagian dari mereka) sahaja kerana sebahagian daripada manusia itu yang kembali jadi syirik.

Tafsir kedua, iqtisad juga boleh bermaksud ‘jalan yang lurus’. Kalau ini yang dimaksudkan, maka mereka itu berterusan dalam tauhid. Kesan pengalaman mereka di lautan itu telah menjadikan mereka sedar diri dan sedar apakah tauhid yang sebenarnya. Iman mereka memang terus tinggi.

Oleh itu, kita boleh pakai kedua maksud itu: iaitu ada yang jadi baik dan ada yang kekal dalam sifat lama mereka (syirik).

 

وَما يَجحَدُ بِئايٰتِنا إِلّا كُلُّ خَتّارٍ كَفورٍ

Dan tidak ada yang mengingkari ayat-ayat Kami selain orang-orang yang tidak setia lagi engkar.

Begitulah ada manusia yang engkar kepada wahyu Allah. Allah menceritakan tentang manusia yang sudah mengalami pengalaman di lautan pun boleh tidak faham tauhid dalam doa. Maka kalau kalangan kita yang jauh dari wahyu pun tentulah begitu juga.

Allah kata mereka ini خَتّارٍ (tidak setia). Malah kalimah خَتّارٍ digunakan untuk manusia yang tidak setia dan tikam belakang. Maksudnya mereka itu tidak tetap dengan apa yang telah dilalui. Mereka sudah lalui pengalaman yang sepatutnya meningkatkan iman mereka tapi mereka tidak ambil peluang. Seolah-olah mereka patah ke belakang dan tikam belakang fahaman tauhid itu. Sepatutnya mereka sokong fahaman tauhid, tapi mereka serang pula fahaman tauhid.

Kalau orang yang tidak percaya Tuhan, kadang-kadang mereka terseru juga nama Tuhan. Tapi apabila mereka kembali ke daratan, mereka tidak mengaku. Mereka kata semasa mereka seru Tuhan di lautan itu, mereka dalam keadaan keliru. Dan mereka kata, bukanlah Tuhan yang selamatkan mereka, tapi pelampung, kapal laut, atau benda-benda (tapi bukan Allah).

Dan kalau musyrik pula, mereka akan kata yang selamatkan mereka adalah wali ini dan wali itu. Padahal semasa mereka dilambung ombak itu, yang mereka seru adalah Allah sendiri. Tapi bila selamat, mereka kata ilah lain pula yang selamatkan mereka. Maka mereka pergilah ke kuburan wali itu dan mereka sedekah bunga atau sembelih kambing atau apa-apa sahaja sembahan syirik mereka itu.

Dan kerana mereka menentang fahaman tauhid, maka mereka dikatakan sebagai kufur. Kufur itu maksudnya kufur dengan nikmat yang Allah telah berikan kepadanya. Mereka kufur dengan fakta yang Allah lah yang telah selamatkan mereka. Tapi mereka tidak mengaku.

Maka mereka yang jenis seperti ini, senang sahaja untuk terus berpegang dengan akidah syirik atau fahaman atheist mereka.


 

Luqman Ayat 33:

يٰأَيُّهَا النّاسُ اتَّقوا رَبَّكُم وَاخشَوا يَومًا لّا يَجزي والِدٌ عَن وَلَدِهِ وَلا مَولودٌ هُوَ جازٍ عَن والِدِهِ شَيئًا ۚ إِنَّ وَعدَ اللهِ حَقٌّ ۖ فَلا تَغُرَّنَّكُمُ الحَيَوٰةُ الدُّنيا وَلا يَغُرَّنَّكُم بِاللهِ الغَرورُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O mankind, fear your Lord and fear a Day when no father will avail his son, nor will a son avail his father at all. Indeed, the promise of Allāh is truth, so let not the worldly life delude you and be not deceived about Allāh by the Deceiver [i.e., Satan].

(MELAYU)

Hai manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu dan takutilah suatu hari yang (pada hari itu) seorang bapa tidak dapat menolong anaknya dan seorang anak tidak dapat (pula) menolong bapanya sedikit pun. Sesungguhnya janji Allah adalah benar, maka janganlah sekali-kali kehidupan dunia memperdayakan kamu, dan jangan (pula) penipu (syaitan) memperdayakan kamu dalam (mentaati) Allah.

 

يٰأَيُّهَا النّاسُ اتَّقوا رَبَّكُم

Hai manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu

Allah mengingatkan manusia untuk bertaqwa kepadaNya. Taqwa itu maksudnya taat kepada perintah Allah dan meninggalkan segala laranganNya.

Dan ketaatan yang utama adalah tauhid di mana kenalah berdoa terus kepada Allah dan tidak menggunakan perantaraan yang tidak ada diajar di dalam syarak. Antaranya menggunakan Nabi, wali, malaikat dan jin dalam doa.

 

وَاخشَوا يَومًا لّا يَجزي والِدٌ عَن وَلَدِهِ

dan takutilah suatu hari yang (pada hari itu) seorang bapa tidak dapat menolong anaknya

Memang kena bertaqwa untuk selamat di akhirat. Kerana apabila di akhirat nanti, kalau tidak bertaqwa, maka ayah pun tidak dapat menyelamatkan anaknya sendiri. Kalimah يَجزي daripada katadasar ج زي yang bermaksud bayar, membalas. Maksudnya, membalas bagi pihak orang lain.

Hubungan ayah dan anak itu amat rapat dan lebih-lebih lagi dari antara guru dan anak murid. Tapi ayah yang sayang anaknya itu pun takkan sanggup nak serahkan dirinya untuk ganti anaknya kalau anaknya itu ditakdirkan masuk neraka. Maka kalau ayah pun tidak sanggup, maka agaknya ada lagikah yang sanggup? Tentu tidak ada. Kerana keadaan dan azab di akhirat itu amat menakutkan sampai tidak akan ada yang sanggup mengganti sesiapa pun.

Surah ini berakhir dengan cerita ayah dan anak kembali seperti permulaan surah ini. Allah menekankan bahawa ayah tidak boleh bantu anaknya. Seorang ayah memang sayang kepada anaknya tetapi walaupun begitu dia tidak dapat tolong anaknya di akhirat nanti.

Dan ini mengingatkan kita kepada ayat 15 surah ini di mana telah dikatakan anak tidak boleh ikut akidah ayahnya yang syirik. Kerana memang rugi kalau ikut, kerana ayahnya itu pun tidak dapat nak bela anaknya kalau anaknya itu ikut. Memang rugi serugi-ruginya kalau ikut. Memang tidak selamat.

Maka ayah kena berusaha untuk menyelamatkan anaknya dengan mengajar agama kepada anaknya. Kena ajar semasa dari kecil lagi supaya anak itu mendapat pemahaman yang benar tentang agama. Jangan hanya serahkan kepada sekolah sahaja. Kerana anak-anak akan lihat perlakuan ibubapanya dan bukan sahaja guru-guru di sekolah. Perlakuan ibubapa amat memberi kesan kepada pemikiran anak-anak.

 

وَلا مَولودٌ هُوَ جازٍ عَن والِدِهِ شَيئًا

dan seorang anak tidak dapat (pula) menolong bapanya sedikit pun. 

Sebagaimana bapa tidak dapat menyelamatkan anaknya, anaknya juga tidak dapat menyelamatkan ibubapanya. Anak pun tidak sanggup menjadi galang ganti ayahnya di dalam neraka kalau ayahnya kena masuk neraka. Betapa sayang macam mana pun seorang anak kepada ayahnya, dia tidak akan sanggup nak tolong dan ganti ayahnya.

Jangan kata nak ganti tempat di neraka, nak mempertahankan ayahnya pun nanti dia tidak akan sanggup.

 

إِنَّ وَعدَ اللهِ حَقٌّ

Sesungguhnya janji Allah adalah benar,

Janji Allah untuk menjadikan Kiamat dan kemudian mendirikan akhirat untuk beri balasan baik kepada mereka yang baik dan balasan buruk kepada mereka yang kufur itu, amat benar. Allah pasti akan jalankan.

 

فَلا تَغُرَّنَّكُمُ الحَيَوٰةُ الدُّنيا

maka janganlah sekali-kali kehidupan dunia memperdayakan kamu,

Jangan benarkan keindahan dunia menipu kamu. Jangan kamu leka dengan tipu daya dunia.

Kalimah ghurur bermaksud sesuatu yang ambil kesempatan kepada mereka yang lalai leka. Kalau leka dengan dunia, maka syaitan akan ambil kesempatan untuk menyesatkan manusia.

Apakah yang disebut di awal-awal surah ini? Tentang hiburan, bukan? Dan kebanyakan manusia, mereka ditipu berkenaan hiburan kerana itulah sahaja dalam kehidupan mereka. Mereka tertunggu-tunggu bila filem ini dan itu nak keluar, bila game ini dan itu nak keluar, apa rekod baru yang ada di pasaran dan sebagainya.

Memang mereka buang masa sungguh. Mereka tidak sedar yang apa yang mereka tunggu-tunggu itu adalah sampah sahaja. Buat tambah dosa sahaja. Ini kita cakap tentang mereka yang menerima/menonton/dengar hiburan itu. Bagaimana pula mereka yang terlibat dalam industri hiburan itu sendiri? Tentulah lagi teruk, bukan?

Memang buang masa dan tidak produktif langsung kalau kehidupan kita dibuang dengan mengkonsumasi hiburan sahaja. Dan bila sudah habis tengok hiburan yang ada, mereka baca dan cari pula kisah kehidupan artis, mereka buat apa sekarang, apa rancangan artis itu tahun depan dan sebagainya. Maka mereka itu seolah-olah jadi hamba kepada hiburan.

Buang masa sahaja kalau kita terpesona dengan hiburan keduniaan. Bandingkan hiburan yang diberikan oleh Al-Qur’an dengan hiburan oleh filem dan juga lagu tidak sama kerana filem sekali dua saja sudah cukup tetapi Al-Qur’an itu berkali-kali kita baca ianya tetap memberi hiburan kepada kita. Sudahlah beri hiburan halwa telinga, ia memberi rahmat dan pengajaran pula kepada kita.

Zaman dahulu pun ada buang masa juga. Akan tetapi zaman sekarang lebih teruk lagi kerana lebih mudah untuk dapatkan bahan hiburan. Petik sahaja dan keluar rancangan TV dan lebih teruk lagi, sekarang ianya ada dalam poket kita sahaja (handphone)!

Maka apakah yang dapat mengubah fikiran anak-anak muda itu kalau bukan ibubapanya yang memberi pendidikan awal kepada anak dengan mengingatkan mereka tentang bahayanya hiburan dan pentingnya agama? Dan janganlah ibubapa itu pula yang menjadi punca anak-anak suka kepada hiburan pula kerana mereka melihat ibu dan ayah mereka pun begitu. Kerana kadang-kadang anak-anak itu rasa tidak bersalah untuk membuang masa dengan hiburan kerana mereka tahu ibubapa mereka juga buat perkara yang sama.

Dalam Surah Ankabut sebelum ini telah disebut bagaimana ada orang yang menanggung dosa orang-orang yang mengikut mereka. Dan sekarang dalam ayat ini, Allah memberi isyarat bahawa jikalau kita memberi contoh yang buruk kepada anak-anak kita, maka kita pun akan menanggung dosa-dosa mereka juga. Maka ini sepatutnya menyedarkan kita betapa pentingnya kita memberi pendidikan agama yang benar kepada anak cucu kita.

Ramailah yang terpesona dengan tipuan syaitan. Mereka macam dicucuk hidung dan sebenarnya hidung mereka dicucuk oleh syaitan. Syaitan membisikkan dalam hati pengikut itu: “jangan lepaskan peluang semasa hidup di dunia, hidup hanya sekali sahaja… “. Maka tertipulah kebanyakan manusia dengan bisikan ini.

Ramai yang terpesona dengan kehidupan dan kesenangan dunia sampaikan mereka terlupa yang mereka akan mati juga akhirnya. Mereka rancang nak buat itu dan ini, nak pergi ke sana dan sini, nak makan itu dan ini. Tapi mereka lupa, entah mereka ada lagi esok atau tidak?

Maka mereka tidak buat persediaan untuk menghadapi akhirat. Mereka tidak sediakan pahala yang banyak. Kerana ramai manusia terlupalah, banyak sekali ayat-ayat dalam Al-Qur’an yang mengingatkan kepada kematian. Sampaikan mungkin tidak ada satu mukasurat pun yang tidak ada peringatan kepada kematian.

Ada yang mengejar kesenangan keduniaan kerana pada mereka, kalau mereka senang hidup di dunia, itu adalah tanda bahawa Tuhan sayang mereka. Dan kalau Tuhan sayang, tentulah selamat di akhirat. Kerana itu ada orang-orang yang kaya yang rasa mereka itu istimewa dan mereka akan selamat di akhirat kelak. Ini adalah fahaman yang salah dan banyak disebut dalam Al-Qur’an tentang salah faham ini.

Jangan tertipu kerana kesenangan di dunia bukanlah menjadi tanda yang Allah sayang. Kesusahan hidup di dunia dan juga kesenangan itu hanyalah sebagai dugaan hidup di dunia sahaja. Ia tidak sekali-kali menjadi tanda yang Allah sayang dan tentunya tidak menjadi tanda yang seseorang itu akan selamat di akhirat.

 

وَلا يَغُرَّنَّكُم بِاللهِ الغَرورُ

dan jangan (pula) penipu memperdayakan kamu berkenaan Allah.

Kalimah الغَرورُ bermaksud ‘pelalai’ atau ‘penipu’ dan ia boleh jadi apa-apa sahaja. Ia boleh jadi syaitan, manusia, kumpulan manusia, nafsu manusia atau perkara-perkara lain. Ini adalah kerana tidak disebutkan dengan tepat dan jelas.

Dan kelebihan ini adalah ia lebih merangkumi ruang lingkup yang lebih luat. Tidaklah terhad kepada satu-satu sumber sahaja. Kerana ada orang senang tertipu dengan seseorang, ada yang senang tertipu dengan kumpulan yang ramai dan macam-macam lagi.

Tapi ianya selalu diterjemahkan sebagai ‘syaitan’ kerana memang tugas syaitan adalah untuk menipu dan melekakan manusia. Jangan biarkan syaitan mengambil peluang atas kelalaian kita.

Apabila dikatakan يَغُرَّنَّكُم بِاللهِ (menipu berkenaan Allah), ia boleh menjadi macam-macam perkara. Tidak terkira banyaknya. Ada yang ditipu bahawa Allah tidak ada; ada manusia yang ditipu sampai mereka percaya Allah ada ‘anak’, ‘anak angkat’ atau wakil-wakil Allah atas alam ini. Antaranya mereka ditipu sampai mereka percaya Allah wakilkan pemerintahan alami ini kepada sesetengah roh Nabi, wali dan malaikat.

Ada yang ditipu: kalau nak mendekatkan diri dengan Allah, kena dekatkan diri dengan wali-wali itu. Kerana itu ramai yang buat amal ibadat dan seruan kepada ahli kubur seperti yang dilakukan oleh golongan Habib itu.

Ada juga yang ditipu dengan sifat-sifat Allah. Mereka beri pemahaman yang salah tentang Allah. Antaranya ada yang ditipu sampai mereka berfahaman yang Allah itu bersifat Rahman sentiasa, sampaikan semua kesalahan kita akan diampunkan (kerana Allah sangat pemaaf). Maka mereka itu senang hati sahaja buat dosa dan mereka sangka Allah pasti akan maafkan mereka!

Ada yang ditipu dengan qada’ dan qadar. Oleh itu mereka rasa yang mereka telah dijadikan sekian dan sekian, maka tidaklah mereka bersalah. Sebagai contoh, ada golongan gay dan lesbian yang kata, mereka jadi begitu kerana Allah yang jadikan mereka begitu – maka tentulah mereka tidak salah…. alangkah jahilnya fahaman mereka itu!

Antaranya syaitan menipu dengan membisikkan kepada kita yang jikalau kita sedang melakukan kesalahan maka kita boleh minta maaf. Syaitan kata: “Takpe, buat dulu… nanti boleh minta maaf…”

Ada yang ditipu tentang sifat Pemaaf Allah. Mulanya mereka bisikkan supaya manusia itu buat dosa, kemudian syaitan suruh orang itu tangguhkan taubat. Syaitan akan bisikkan: “Nanti kalau kau taubat, nanti kau akan buat dosa lagi… jadi biar kau buat dulu apa kau nak buat, nanti kau taubatlah bila dah tak larat nak buat lagi…bila dah tua nanti, taubatlah….”.

Syaitan bisikkan kepada manusia yang jahil yang bertaubat berkali-kali itu adalah salah dan memalukan. Syaitan kata: “Tak malu ke asyik minta ampun sahaja. Dah banyak kali ni, Allah pun tidak akan ampunakan kamu dah.” Sedangkan memang benar boleh minta maaf kepada Allah walaupun banyak kali (asalkan ikhlas) tetapi syaitan akan tipu manusia. Akhirnya manusia itu tidak bertaubat sampai mereka mereka mati tanpa bertaubat.

Begitulah syaitan menipu tentang Allah kepada manusia yang jahil. Mereka boleh tertipu kerana mereka jauh dari wahyu. Sedangkan kalau mereka tahu wahyu, maka mereka akan kenal Allah seperti yang sepatutnya.


 

Luqman Ayat 34: Dalil aqli.

إِنَّ اللهَ عِندَهُ عِلمُ السّاعَةِ وَيُنَزِّلُ الغَيثَ وَيَعلَمُ ما فِي الأَرحامِ ۖ وَما تَدري نَفسٌ مّاذا تَكسِبُ غَدًا ۖ وَما تَدري نَفسٌ بِأَيِّ أَرضٍ تَموتُ ۚ إِنَّ اللهَ عَليمٌ خَبيرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, Allāh [alone] has knowledge of the Hour and sends down the rain and knows what is in the wombs.1 And no soul perceives what it will earn tomorrow, and no soul perceives in what land it will die. Indeed, Allāh is Knowing and Acquainted.

  • i.e., every aspect of the fetus’ present and future existence.

(MELAYU)

Sesungguhnya Allah, hanya pada sisi-Nya sajalah pengetahuan tentang Hari Kiamat; dan Dialah Yang menurunkan hujan, dan mengetahui apa yang ada dalam rahim. Dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang akan diusahakannya esok. Dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.

 

إِنَّ اللهَ عِندَهُ عِلمُ السّاعَةِ

Sesungguhnya Allah, hanya pada sisi-Nya sajalah pengetahuan tentang Hari Kiamat;

Hanya Allah sahaja yang tahu bilakah Kiamat akan terjadi. Ayat ini mengajar kita yang kita sebenarnya tidak ada masa. Kita jangan buang masa dengan berhibur dan terpesona dengan dunia sahaja. Kerana kita tidak tahu: entah esok Kiamat, siapa tahu?

Hanya Allah sahaja yang mengetahui bilakah akan terjadinya hari kiamat dan tidak ada selain Allah yang tahu. Malah Jibrail dan Nabi Muhammad pun tidak tahu. Ianya boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja, esok atau lusa jika Allah mahu dan kita tidak boleh kata belum keluar semua lagi tanda Kiamat. Memang Allah berikan pengetahuan tentang tanda-tanda Kiamat, tapi kalau Allah buat keputusan untuk jadikan Kiamat itu awal, siapa kita untuk mempersoal Allah?

Ayat ini adalah jawapan kepada soalan orang kafir tentang bilakah Kiamat itu akan berlaku. Banyak sekali disentuh dalam Al-Qur’an tentang perkara ini dan inilah jawapan yang Allah berikan kepada soalan mereka itu. Kadangkala Allah berikan soalan mereka tapi kadangkala Allah tidak sertakan soalan mereka itu.

Jawapan yang penting adalah manusia tidak akan tahu bilakah hari Kiamat itu. Kemudian Allah beri hujah: takkanlah manusia boleh tahu perkara ghaib, sedangkan perkara dalam kehidupan mereka sendiri pun mereka tidak tahu?

Balaghah: Frasa ini menggunakan kaedah Taqdim wa Ta’khir. Ayat ini menutup Surah Luqman dengan menyenaraikan 5 Kunci Keghaiban (مفاتيح الغيب) yang hanya diketahui oleh Allah. Jika ayat ini sekadar mahu menyampaikan maklumat biasa tanpa unsur pembatasan mutlak, susunannya akan berbunyi: {إِنَّ عِلْمَ السَّاعَةِ عِندَ اللَّهِ}.

Kesan utama daripada mendahulukan perkataan عِندَهُ ialah terhasilnya makna pembatasan eksklusif (Al-Hasr). Maknanya berubah secara total menjadi: “Sesungguhnya Allah, HANYA di sisi-Nya sahajalah—dan mutlak tidak ada pada makhluk lain—pengetahuan tentang hari kiamat.” Ia menutup terus dakwaan mana-mana bomoh, ahli nujum, saintis, mahupun makhluk ghaib yang mendakwa boleh meramal tarikh akhir dunia.

 

وَيُنَزِّلُ الغَيثَ

dan Dialah Yang menurunkan hujan, 

Pertamanya Allah ingatkan manusia yang hujan pun manusia tidak tahu bilakah ianya akan berlaku. Manusia amat memerlukan sumber air dari hujan itu tapi mereka boleh tunggu sahaja hujan itu turun. Kerana Allah yang menentukan bilakah hujan itu akan turun. Dan Allah juga yang menurunkan hujan sebanyak mana yang diperlukan oleh makhluk.

Maka ilmu tentang hujan juga dalam ilmu Allah taala. Tiada yang dapat menurunkan hujan melainkan Allah taala sahaja. Allah sahaja yang tahu berapa banyak hujan akan turun, ke manakah hujan itu akan mengalir, disimpan di mana dan apakah yang akan dilakukan oleh air hujan itu. Manusia mungkin boleh buat agakan sahaja berdasarkan kajian mereka, tapi itu pun tidak tepat. Maklumat yang tepat hanya dengan Allah taala sahaja.

Selagi belum sampai hari Kiamat, maka Allah tetap memberikan hujan yang boleh menumbuhkan tanaman di atas muka bumi. Ini kerana selagi Allah tidak buat keputusan untuk mematikan semua makhluk sekaligus, maka keperluan untuk hidup akan diberikan olehNya.

Balaghah: Selalunya Allah menggunakan kalimah ماء untuk menyebut air hujan dalam keadaan normal, iaitu apabila menceritakan rahmat Allah dalam bentuk hujan yang diberikan kepada manusia. Akan tetapi kadangkala Allah menggunakan kalimah lain seperti dalam ayat ini.

Penggunaan kalimah غيث di dalam ayat ini memberi konotasi lebih kuat kepada hujan. Iaitu tentang hujan yang diperlukan oleh manusia untuk menyuburkan tanaman dan memberikan kehidupan.

 

وَيَعلَمُ ما فِي الأَرحامِ

dan mengetahui apa yang ada dalam rahim. 

Bagaimana kamu nak tahu bilakah Hari Kiamat itu akan berlaku sedangkan anak kamu sendiri pun kamu tidak tahu bagaimana keadaannya di dalam ibunya? Sedangkan anak itu kamu amat sayang dan berharap sungguh untuk berjumpa dengannya. Tapi kamu tidak boleh buat apa, cuma tunggu sahaja.

Kamu tidak tahu sama ada ia  nanti besar mana, lelaki atau perempuan, sihat atau tidak, akan jadi pandai atau tidak, akan jadi orang beriman atau tidak. Hanya menunggu sahaja dan berharap sahaja.

Keadaan bayi itu dalam tangan Allah. Allah yang berikan sebagai hadiah kepada kita. Sebagaimana hujan menjadikan bumi ini hamil dengan tanaman dan rezeki, maka manusia juga ada yang hamil dengan rezeki anak.

Selagi belum sampai hari kiamat itu maka ada rezeki yang Allah berikan sama ada dengan cara hujan dan juga dengan cara wanita mengandung.

 

وَما تَدري نَفسٌ مّاذا تَكسِبُ غَدًا

Dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang akan diusahakannya esok.

Bagaimana kamu nak tahu bilakah hari Kiamat itu sedangkan esok apa yang terjadi pun kamu tidak tahu. Tidak ada manusia yang tahu apa yang akan terjadi esok dan kerana itu kadang-kadang dengan satu panggilan telefon saja hidup kita bertukar atau dengan satu kejadian sahaja, kita menjadi orang yang lain dan banyak lagi yang kita tidak sangka-sangkakan berlaku.

Kita tidak tahu apa yang kita akan lakukan esok. Mungkin kita ada merancang apa yang kita hendak lakukan esok tetapi kita tidak pasti sama ada kita boleh melakukannya atau tidak. Jadi oleh kerana kita tidak tahu apa yang kita akan dapat esok, maka kita jangan berlengah lagi untuk melakukan usaha untuk mendapatkan pahala.  Kena ambil peluang masa yang kita ada untuk melakukan sebanyak mungkin amalan yang dapat memberikan pada sebagai bekal kita di akhirat kelak.

 

وَما تَدري نَفسٌ بِأَيِّ أَرضٍ تَموتُ

Dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati. 

Bagaimana kamu mampu untuk mengetahui bilakah akan terjadinya hari Kiamat itu sedangkan manusia tidak tahu di tanah mana dia akan mati nanti. Mungkin dia mati di tandas rumahnya atau di tempat kerja atau di hospital atau di dalam perjalanan ke tempat-tempat lain.

Mungkin kita beriya-iya untuk melakukan pelancongan kepada negara luar tanpa kita sangka yang kita sebenarnya menuju ke tanah yang kita akan mati. Tanah itu menunggu sahaja kita untuk sampai kepadanya. Di dalam sebuah hadis disebutkan:

“إِذَا أَرَادَ اللَّهُ قبض عبد بأرض، جعل له إليها حاجة”

Apabila Allah hendak mencabut nyawa seorang hamba di suatu negeri, maka Allah menggerakkan hamba yang bersangkutan ke negeri itu untuk suatu keperluan.

Jadi  ayat ini mengingatkan kita kepada kematian. Tetapi selalunya kita tidak ingat kepada mati apabila kita sedang menikmati kehidupan. Akan tetapi kita pun selalu terdengar bagaimana ramai manusia yang sedang bercakap atau berjalan atau tengah buat kerja tiba-tiba mati begitu sahaja tanpa apa-apa sebab. Ini adalah kerana ajal dan maut di dalam keputusan Allah.

 

إِنَّ اللهَ عَليمٌ خَبيرٌ

Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.

Jadi ayat ini menyebut lima perkara ghaib yang hanya sahaja yang tahu. Dan pengetahuan tentang perkara itu Allah tidak berikan kepada sesiapa pun. Kita kena berharap dan bergantung kepada keputusan Allah sebagaimana kita hanya serahkan sahaja kepada Allah bilakah Dia hendak melakukan hari Kiamat itu.

Ayat ini semakna dengan apa yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

{وَعِنْدَهُ مَفَاتِحُ الْغَيْبِ لَا يَعْلَمُهَا إِلا هُوَ}

Dan pada sisi Allah-lah kunci-kunci semua yang ghaib, tak ada yang mengetahuinya kecuali Dia sendiri. (Al-An’am: 59), hingga akhir ayat.

Kelima-lima perkara ini disebutkan di dalam sunnah dengan istilah “kunci-kunci keghaiban”.

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا وَكِيع، حَدَّثَنَا سُفْيَانُ، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ دِينَارٍ، عَنِ ابْنِ عُمَرَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَفَاتِيحُ الْغَيْبِ خَمْسٌ لَا يَعْلَمُهُنَّ إِلَّا اللَّهُ: {إِنَّ اللَّهَ عِنْدَهُ عِلْمُ السَّاعَةِ وَيُنزلُ الْغَيْثَ وَيَعْلَمُ مَا فِي الأرْحَامِ وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ مَاذَا تَكْسِبُ غَدًا وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ بِأَيِّ أَرْضٍ تَمُوتُ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ}

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Waki’, telah menceritakan kepada kami Sufyan, dari Abdullah ibnu Dinar, dari Ibnu Umar yang telah menceritakan bahawa Rasulullah Saw. pernah bersabda: Kunci-kunci semua yang ghaib itu ada lima, tiada seorang pun yang mengetahuinya kecuali hanya Allah. Yaitu sesungguhnya Allah, hanya di sisi-Nyalah pengetahuan tentang hari Kiamat; Dialah yang menurunkan hujan; Dia mengetahui apa yang ada di dalam rahim; tiada seorang pun yang mengetahui apa yang akan diusahakannya esok; dan tiada seorang pun yang mengetahui di bumi manakah dia akan mati; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal. Hadis diketengahkan oleh Imam Bukhari secara tunggal. Dia meriwayatkannya di dalam Kitabul Istisqa, bagian dari kitab sahihnya, melalui Muhammad ibnu Yusuf Al-Faryabi, dari Sufyan ibnu Sa’id As-Sauri dengan sanad yang sama.

Sebagai tambahan maklumat, tidaklah lima perkara ini sahaja yang Allah tahu, tapi banyak lagi perkara-perkara yang Allah sahaja tahu. Tapi Allah beri contoh lima perkara ini kerana ianya adalah perkara yang rapat dengan kita. Perkara ghaib yang Allah sahaja tahu itu tidak terhad dan kita pun tidak terkira banyaknya.

Allah Maha Mengetahui sama ada perkara itu halus atau pun kasar. Allah tahu yang luar dan yang di dalam. Ilmu Allah sempurna tidak macam kita yang tahu sikit-sikit sahaja. Allah tahu apa yang kita lakukan dan Allah tahu apa yang ada dalam hati kita. Semua di dalam ilmu Allah taala.

Allahu a’lam. Sekian tafsir Surah Luqman ini. Sambung ke surah seterusnya, Surah Sajdah.

Tarikh: 26 Mei 2026


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi