Tafsir Surah Luqman Ayat 29 – 31 (Sabar dan Syukur)

Ayat 29: Dalil aqli.

أَلَم تَرَ أَنَّ اللهَ يولِجُ اللَّيلَ فِي النَّهارِ وَيولِجُ النَّهارَ فِي اللَّيلِ وَسَخَّرَ الشَّمسَ وَالقَمَرَ كُلٌّ يَجري إِلىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى وَأَنَّ اللهَ بِما تَعمَلونَ خَبيرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Do you not see [i.e., know] that Allāh causes the night to enter the day and causes the day to enter the night and has subjected the sun and the moon, each running [its course] for a specified term, and that Allāh, with whatever you do, is acquainted?

(MELAYU)

Tidakkah kamu memperhatikan, bahawa sesungguhnya Allah memasukkan malam ke dalam siang dan memasukkan siang ke dalam malam dan Dia tundukkan matahari dan bulan, masing-masing berjalan sampai kepada waktu yang ditentukan, dan sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.

 

أَلَم تَرَ أَنَّ اللهَ يولِجُ اللَّيلَ فِي النَّهارِ

Tidakkah kamu memperhatikan, bahawa sesungguhnya Allah memasukkan malam ke dalam siang

Siang dan malam bertukar ganti hari demi hari. Apabila sedang siang, Allah masukkan malam ke dalam siang itu dan menukarkan siang menjadi malam.

Kadang-kadang malam jadi pendek dan kadang-kadang siang jadi pendek. Yakni mengambil sebahagian dari waktu malam dimasukkan ke dalam waktu siang sehingga siang menjadi panjang, sedangkan malam pendek. Hal ini terjadi pada musim panas, kerana di musim panas itu siang hari sangat panjang.

Kemudian secara perlahan panjang siang hari berkurang, sedangkan malam hari bertambah, sehingga pada akhirnya malam hari panjang dan siang hari pendek. Hal ini terjadi pada musim dingin.

Semua urusan penukaran siang dan malam, panjang dan pendeknya malam atau siang itu adalah dalam urusan Allah. Kerana siang dan malam makhluk Allah, maka Dia boleh apa sahaja yang Dia hendak.

 

وَيولِجُ النَّهارَ فِي اللَّيلِ

dan memasukkan siang ke dalam malam

Semasa malam berlangsung, Allah masukkan siang supaya hari menjadi cerah dan siang bermula.

Allah menyebut tentang siang selepas ayat memberitahu dalam ayat 28 sebelum ini yang Dia Maha Mendengar dan Maha Melihat. Jadi tidak kira pada musim mana, sama ada siang atau malam, Allah tahu apa yang kita lakukan.

Nota: pertukaran malam dan siang ini berlaku dengan perlahan-lahan. Ini menjadi bukti bahawa bumi ini berbentuk sfera. Kerana kalau bumi ini leper, tentulah siang dan malam itu terjadi dengan cara mendadak (immediately) di semua tempat. Tapi kerana bumi berbentuk sfera, maka perubahan siang dan malam berlaku sedikit demi sedikit. Ini kerana semakin bumi berpusing mengadap matahari, semakin ada bahagian yang mendapat cahaya matahari.

 

وَسَخَّرَ الشَّمسَ وَالقَمَرَ

dan Dia tundukkan matahari dan bulan

Matahari dan bulan yang besar itu di bawah takluk Allah. Allah menguasai keduanya dan keduanya berkhidmat menurut arahan Allah sahaja. Ada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Zar r.a. yang terdapat di dalam kitab Sahihain. Disebutkan bahawa Rasulullah Saw. bersabda:

“يَا أَبَا ذَرٍّ، أَتَدْرِي أَيْنَ تَذْهَبُ هَذِهِ الشَّمْسُ؟ “. قُلْتُ: اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ. قَالَ: “فَإِنَّهَا تَذْهَبُ فَتَسْجُدُ تَحْتَ الْعَرْشِ، ثُمَّ تَسْتَأْذِنُ ربَّها فَيُوشِكُ أَنْ يُقَالَ لَهَا: ارْجِعِي مِنْ حَيْثُ جِئْتِ”

Wahai Abu Zar, tahukah kamu ke manakah matahari ini pergi?” Aku menjawab, “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.” Rasulullah Saw. bersabda, “Sesungguhnya matahari ini pergi dan sujud di bawah ‘Arasy kemudian ia meminta izin kepada Tuhannya. Maka sudah dekat masanya akan dikatakan kepada matahari, “Kembalilah kamu ke arah kamu datang (yakni terbitlah kamu dari arah barat).”

Maka, kalau Allah yang kuasai matahari dan bulan itu, maka bodohlah mereka yang menyembah matahari dan bulan itu. Memang ada agama yang sembah matahari dan bulan. Kerana itu ada ayat dalam Al-Qur’an yang mengatakan jangan sembah matahari dan bulan, tapi sembahlah Allah yang menjadikan keduanya.

Menarik apabila Allah gunakan siang, malam, matahari dan bulan kerana matahari, siang dan malam mengurus ibadah kita setiap hari; dan bulan pula mengurus ibadah kita mengikut bulan seperti bulan Ramadhan Bulan Syawal dan Bulan Dzulhijjah.

 

كُلٌّ يَجري إِلىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى

masing-masing berjalan sampai kepada waktu yang ditentukan, 

Kalimah يَجري dari ج ر ي yang antara lain bermaksud ‘berlari’. Ini memberi isyarat yang matahari dan bulan ‘berlari’ atau bergerak dalam orbitnya. Ini dibuktikan dengan ilmu falak.

Makhluk Allah seperti matahari dan bulan itu berkhidmat kepada Allah sampai masa yang ditentukan olehNya. Sampai masa nanti, mereka akan hancur, sebagaimana kita juga nanti. Maka ini juga mengingatkan kita kepada Kiamat. Kerana kalau matahari dan bulan pun hancur, maka tentulah kita pun hancur juga.

 

وَأَنَّ اللهَ بِما تَعمَلونَ خَبيرٌ

dan sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.

Apabila kita semua mati, maka nanti Allah akan balas segala perbuatan kita semasa di dunia kerana Allah tahu segala apa yang kita lakukan. Allah rekod semua sekali yang kita lakukan. Nanti semuanya akan dipersembahkan untuk dinilai oleh Allah sama ada ianya berdosa atau layak dapat pahala.


 

Ayat 30: Kenapakah segala penjelasan di dalam ayat-ayat sebelum ini diberikan kepada kita?

ذٰلِكَ بِأَنَّ اللهَ هُوَ الحَقُّ وَأَنَّ ما يَدعونَ مِن دونِهِ الباطِلُ وَأَنَّ اللهَ هُوَ العَلِيُّ الكَبيرُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

That is because Allāh is the Truth, and that what they call upon other than Him is falsehood, and because Allāh is the Most High, the Grand.

(MELAYU)

Demikianlah, kerana sesungguhnya Allah, Dialah yang hak dan sesungguhnya apa saja yang mereka seru selain dari Allah itulah yang batil; dan sesungguhnya Allah Dialah Yang Maha Tinggi lagi Maha Besar.

 

ذٰلِكَ بِأَنَّ اللهَ هُوَ الحَقُّ

Demikianlah, kerana sesungguhnya Allah, Dialah yang hak

Allah sampaikan segala pengajaran dalam Al-Qur’an ini supaya kita yakin yang Allah itulah al-Haq. Dialah sahaja Tuhan dan ilah yang sebenar. Dialah yang maha berkuasa. Oleh kerana itu Dia sahaja yang boleh diseru dan ditaati tanpa soal.

 

وَأَنَّ ما يَدعونَ مِن دونِهِ الباطِلُ

dan sesungguhnya apa saja yang mereka seru selain dari Allah itulah yang batil; 

Tiada seorang pun dari mereka yang dapat menggerakkan suatu zarrah pun kecuali dengan izin-Nya. Seandainya seluruh penduduk bumi berkumpul (bersatu) untuk menciptakan seekor lalat, tentulah mereka tidak akan mampu melakukannya.

Tapi ramai yang menyeru selain Allah, bukan? Allah hendak menekankan bahawa apa yang mereka seru itu adalah perbuatan yang salah dan batal. Ianya tidak dibenarkan dan ianya adalah amalan yang syirik.

Mereka yang menyeru selain Allah itu kerana mereka jauh dari wahyu dan tidak kenal Allah dengan sebenarnya. Mereka ditipu oleh syaitan yang hendak manusia melakukan syirik.

Kerana tidak faham perkara inilah yang menyebabkan ramai dari kalangan orang Islam termasuk kalangan kita yang menyeru roh Nabi, wali dan malaikat dalam doa-doa mereka. Kerana mereka tidak belajar tafsir Al-Qur’an dengan benar, maka mereka sangka itu adalah amalan baik.

 

وَأَنَّ اللهَ هُوَ العَلِيُّ الكَبيرُ

dan sesungguhnya Allah Dialah Yang Maha Tinggi lagi Maha Besar.

Allah sahaja yang layak disembah kerana Dialah yang Maha Tinggi. Dan Dialah yang Maha Besar, tidak ada yang lebih besar dariNya. Kenapa lagi kita nak seru selain Allah kalau selain Allah itu semuanya lebih rendah dan lebih kecil dari Allah?


 

Ayat 31: Dalil aqli. Allah suruh tengok kapal di lautan.

أَلَم تَرَ أَنَّ الفُلكَ تَجري فِي البَحرِ بِنِعمَتِ اللهِ لِيُرِيَكُم مِّن آيٰتِهِ ۚ إِنَّ في ذٰلِكَ لَآٰيٰتٍ لِّكُلِّ صَبّارٍ شَكورٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Do you not see that ships sail through the sea by the favor of Allāh that He may show you of His signs? Indeed in that are signs for everyone patient and grateful.

(MELAYU)

Tidakkah kamu memperhatikan bahawa sesungguhnya kapal itu berlayar di laut dengan nikmat Allah, supaya diperlihatkan-Nya kepadamu sebahagian dari tanda-tanda (kekuasaan)-Nya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi semua orang yang sangat sabar lagi banyak bersyukur.

 

أَلَم تَرَ أَنَّ الفُلكَ تَجري فِي البَحرِ بِنِعمَتِ اللهِ

Tidakkah kamu memperhatikan bahawa sesungguhnya kapal itu berlayar di laut dengan nikmat Allah, 

Sebelum ini telah disebut bagaimana matahari dan bulan ‘berlari’ di dalam orbitnya. Dan sekarang disebut pula bagaimana kapal pula berlari di dalam lautan. Maksudnya ‘belayar’.

Apabila kapal berlayar di atas lautan maka kita tahu bahawa ianya tidak pasti selamat kerana lautan selalunya bergelora. Akan tetapi kita tidak perasan perkara tersebut apabila kita melihat matahari dan bulan. Kerana kita nampak matahari dan bulan tetap sahaja kedudukannya. Maka Allah hendak memberitahu bahawa pergerakan planet di angkasa itu juga seperti perjalanan kapal di lautan juga di mana ia juga berada di dalam takluk Allah. Sebagaimana Allah selamatkan pergerakan kapal di lautan, begitu juga Allah selamatkan pergerakan planet dan bintang di angkasa.

Maka ini mengingatkan manusia, walaupun mereka ada teknologi canggih macam mana pun untuk buat kapal, tapi kalau Allah tidak beri keselamatan kepada mereka, mereka akan tenggelam juga. Kerana tidak ada teknologi yang dapat mengalahkan kekuatan lautan itu.

Kalau orang yang tidak percaya Tuhan pun, cubalah mereka duduk dalam kapal yang sedang dilantun ombak laut yang kuat. Tentu mereka pun takut juga, waktu itu barulah mereka nak berdoa kepada ‘tuhan’ yang mereka tidak percaya itu.

 

لِيُرِيَكُم مِّن آيٰتِهِ

supaya diperlihatkan-Nya kepadamu sebahagian dari tanda-tanda (kekuasaan)-Nya.

Kapal dapat terapung dan bergerak di lautan itu adalah salah satu perkara yang ajaib sebenarnya. Kalau benda berat, selalunya tenggelam dalam air, bukan? Tapi kapal itu boleh terapung dan bergerak dengan laju pula di lautan. Ini semua dalam kuasa Allah.

Maka kalau kita terima perkara ini, maka senanglah untuk kita menyerahkan diri kita kepada Allah dengan sepenuhnya. Kerana kita sudah sedar dan yakin yang tidak ada kuasa selain kuasa Allah. Barulah senang kita nak berharap dan berdoa kepada Allah sahaja. Kerana kuasa sepenuhnya di tangan Allah, bukan?

 

إِنَّ في ذٰلِكَ لَآٰيٰتٍ لِّكُلِّ صَبّارٍ شَكورٍ

Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi semua orang yang sangat sabar lagi banyak bersyukur.

Semua kehebatan yang Allah sebutkan adalah sebagai tanda bagi orang yang sabar. Kalimah صَبّارٍ adalah kalimah sabar tapi dalam bentuk mubalaghah yang memberi isyarat yang orang yang dimaksudkan itu adalah orang yang sabar berkali-kali (sangat penyabar).

Manusia kena belajar sabar dalam segenap perkara dalam kehidupan. Akan ada sahaja kejadian yang menduga kesabaran kita. Sabar ini boleh didapati apabila manusia sedar yang mereka itu hanyalah hamba sahaja dan tidak boleh nak melawan kehendak Allah. Kena sedar yang Allah itu Tuhan dan Dia boleh buat apa-apa sahaja yang Dia hendak. Kalau dapat terima perkara ini, barulah senang untuk dapat sabar.

Bukan sahaja orang itu sabar, tapi dalam masa yang sama dia bersifat شَكورٍ. Iaitu orang yang mencari peluang untuk bersyukur kepada Allah. Kalau dapat sikit atau banyak, dia akan bersyukur kepada Allah. Dia sedar dia itu hamba dan tidak layak untuk dapat apa-apa pun. Jadi apabila Allah beri sesuatu, maka mereka akan rasa bersyukur sangat. Kerana kalau orang yang tahu dia tidak patut dapat apa-apa tapi dia dapat juga, tentu dia bersyukur, bukan?

Ringkasnya, kita kena sabar dalam penderitaan dan bersyukur dalam kenikmatan. Kedua-dua perkara ini akan sentiasa sahaja berlaku dan dua sifat ini kena sentiasa sahaja ada.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 26 Jun 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Luqman Ayat 24 – 28 (Kalimat Allah)

Ayat 24: Jangan endahkan mereka yang menentang dakwah tauhid itu.

نُمَتِّعُهُم قَليلًا ثُمَّ نَضطَرُّهُم إِلىٰ عَذابٍ غَليظٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

We grant them enjoyment for a little; then We will force them to a massive punishment.

(MELAYU)

Kami biarkan mereka bersenang-senang sebentar, kemudian Kami paksa mereka (masuk) ke dalam seksa yang keras.

 

نُمَتِّعُهُم قَليلًا

Kami biarkan mereka bersenang-senang sebentar,

Allah boleh sahaja beri kemudahan dan kesenangan kepada mereka yang engkar. Allah boleh bagi kekayaan dunia kepada mereka kerana kekayaan dunia itu tidak ada apa-apa nilai pun sebenarnya. Macam-macam mereka dapat. Kerana itu kita tidak hairan bagaimana orang yang engkar pula yang dapat banyak habuan dunia.

Kesenangan itu sementara sahaja iaitu semasa hidup di dunia sahaja. Ini kerana Allah nak buai mereka dalam kesesatan mereka. Biar mereka rasa leka dengan dunia yang sekejap dan sedikit itu. Ini kerana mereka sendiri sudah pilih jalan yang salah maka mereka akan kena tipu sahaja.

 

ثُمَّ نَضطَرُّهُم إِلىٰ عَذابٍ غَليظٍ

kemudian Kami paksa mereka (masuk) ke dalam seksa yang keras.

Kesenangan yang mereka dapat itu sedikit dan sekejap sahaja. Semasa hidup di dunia sahaja. Dan dunia ini bukan lama pun dan tidak lama lagi matilah mereka.

Nanti mereka akan ditarik dengan kasar ke dalam azab neraka. Mereka akan dipaksa dengan keras. Mereka akan ditarik macam tuan lembu tarik lembu yang degil. Dan nanti mereka akan dikenakan dengan azab yang amat pedih.


 

Ayat 25: Ayat Dalil Aqli Iktirafi. Allah iktiraf yang mereka memang kenal Allah. Maka mereka yang menentang itu kerana degil, bukannya kerana tidak kenal Allah.

وَلَئِن سَأَلتَهُم مَّن خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ لَيَقولُنَّ اللهُ ۚ قُلِ الحَمدُ ِللهِ ۚ بَل أَكثَرُهُم لا يَعلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And if you asked them, “Who created the heavens and earth?” they would surely say, “Allāh.” Say, “[All] praise is [due] to Allāh”; but most of them do not know.

(MELAYU)

Dan sesungguhnya jika kamu tanyakan kepada mereka: “Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?” Tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Katakanlah: “Segala puji bagi Allah”; tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.

 

وَلَئِن سَأَلتَهُم مَّن خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ لَيَقولُنَّ اللهُ

Dan sesungguhnya jika kamu tanyakan kepada mereka: “Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?” Tentu mereka akan menjawab: “Allah”.

Banyak ayat-ayat sebegini di dalam Al-Qur’an. Allah hendak memberitahu akidah Musyrikin Mekah itu. Bukan semua akidah mereka salah kerana ada yang benar dan Allah iktiraf akidah mereka (yang benar sahaja, bukan semua).

Mereka itu kenal Allah, bukannya tak kenal. Maka Tauhid Rububiyyah mereka memang ada. Mereka tahu yang Allahlah Tuhan dan Allahlah menjadikan alam ini.

Ramai juga umat Islam kita yang tak tahu perkara ini. Mereka sangka Musyrikin Mekah tentulah tidak sembah Allah. Ini kerana mereka tak baca Al-Qur’an dan tidak tahu sirah Nabi.

Masalah dengan Musyrikin Mekah itu, mereka sembah dan seru kepada ilah lain selain Allah. Itulah sebabnya mereka dikenal sebagai ‘Musyrikin Mekah’. Maka kalau masyarakat Muslim kita sembah Allah tapi dalam masa yang sama seru juga roh-roh Nabi, wali dan malaikat, dalam ibadah atau dalam doa, maka mereka juga ada akidah musyrik. Samalah sahaja akidah mereka dengan akidah Musyrikin Mekah itu.

 

قُلِ الحَمدُ ِللهِ

Katakanlah: “Segala puji bagi Allah”;

Kalimah الحمد bermaksud ‘pujian yang khas’ (kerana ada ال) yang sepatutnya hanya diberikan kepada Allah sahaja. Ini kita telah jelaskan dalam tafsir Surah Fatihah.

Oleh kerana Musyrikin Mekah percaya adalah ilah lain selain Allah, maka mereka gunakan kalimah الحمد kepada selain Allah juga. Ini adalah salah dan Allah tekankan bahawa kalimah pujian الحمد hanya untuk Allah sahaja, tidak boleh diberikan kepada mana-mana ilah lain kerana ilah hanya Allah sahaja.

Maka kena faham kalimah alhamdulillah ini. Ramai dari kalangan Muslim kita tak tahu maksudnya. Mereka tidak sedar kepentingan kalimah alhamdulillah. Oleh kerana itu, mereka puji selain Allah secara berlebihan. Sebagai contoh, kita boleh lihat bagaimana golongan Habib dari Yaman itu mengajar dan mengamalkan pujian berlebihan terhadap Nabi Muhammad SAW. Ini adalah salah sama sekali.

 

بَل أَكثَرُهُم لا يَعلَمونَ

tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.

Selama ini Musyrikin Mekah berikan pujian kepada berhala-berhala mereka dan ilah-ilah mereka selain Allah. Maka Allah tekankan bahawa segala pujian yang khusus itu hanyalah untuk Allah.

Maka orang kita pun kena betulkan balik fahaman tentang pujian kepada selain Allah. Jangan puji entiti lain secara berlebihan. Kalau sudah terima Allah sebagai Tuhan yang mencipta alam ini seperti yang diketahui oleh Musyrikin Mekah, maka kenalah terima yang Dia sahaja yang layak disembah dan dipuja.

Ini kerana Allah sahaja yang menguruskan alam ini. Tidaklah Allah jadikan alam ini dan berikan pula tugas mengurusnya kepada Nabi, wali dan malaikat. Tetap Allah juga yang mengurus alam ini. Pemahaman inilah yang ramai tidak tahu termasuk kebanyakan dari masyarakat Islam pun. Ini kerana mereka jahil wahyu.

Jadi ini mengajar kita yang Allahlah yang buat segalanya dan kemudian mengurus alam ini. Maka macam mana boleh ada fahaman sesat yang kata wali itu jaga kawasan ini dan wali itu jaga kawasan itu? Fahaman itu hanya diterima oleh mereka yang jahil wahyu sahaja.


 

Ayat 26: Dalil aqli.

للهِ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ ۚ إِنَّ اللهَ هُوَ الغَنِيُّ الحَميدُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

To Allāh belongs whatever is in the heavens and earth. Indeed, Allāh is the Free of need, the Praiseworthy.

(MELAYU)

Kepunyaan Allah-lah apa yang di langit dan yang di bumi. Sesungguhnya Allah Dialah Yang Maha Kaya lagi Maha Terpuji.

 

للهِ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ

Kepunyaan Allah-lah apa yang di langit dan yang di bumi.

Allah suruh ajak manusia kepada ajaran tauhid dan masuk Islam sepenuhnya. Tapi kalau mereka tak mahu masuk Islam, Allah tak perlukan mereka kerana segala yang ada di langit dan di bumi milik Allah sepenuhnya.

Allah bukan sahaja memiliki alam ini, tapi Allah jugalah yang mengurusnya.

 

إِنَّ اللهَ هُوَ الغَنِيُّ الحَميدُ

Sesungguhnya Allah Dialah Yang Maha Kaya lagi Maha Terpuji.

Allah Maha Kaya maksudnya Allah tidak perlu penyembahan dari makhluk. Allah tetap mulia walaupun tidak ada makhluk yang memujaNya.

Dan Allah tidak perlukan pujian dari makhluk. Kalau manusia tak sebut alhamdulillah pun Allah memang sudah terpuji. Maka kalau kita ucap alhamdulillah, ianya adalah kebaikan untuk manusia sahaja.

Mungkin ada yang terfikir, kenapakah Allah nak sangat manusia puji DiriNya? Jawapannya adalah kerana memang Allah layak dipuji dan memang patut kita puji Dia. Tak sama dengan manusia kerana kalau ada manusia suka dipuji, itu perangai yang buruk. Pujian untuk Allah sebenarnya.


 

Ayat 27: Dalil aqli. Untuk memberitahu ilmu Allah yang sempurna.

وَلَو أَنَّما فِي الأَرضِ مِن شَجَرَةٍ أَقلٰمٌ وَالبَحرُ يَمُدُّهُ مِن بَعدِهِ سَبعَةُ أَبحُرٍ مّا نَفِدَت كَلِمٰتُ اللهِ ۗ إِنَّ اللهَ عَزيزٌ حَكيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And if whatever trees upon the earth were pens and the sea [was ink], replenished thereafter by seven [more] seas, the words of Allāh would not be exhausted. Indeed, Allāh is Exalted in Might and Wise.

 

(MELAYU)

Dan seandainya pohon-pohon di bumi menjadi pena dan laut (menjadi tinta), ditambahkan kepadanya tujuh laut (lagi) sesudah (kering)nya, nescaya tidak akan habis-habisnya (dituliskan) kalimat Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

 

وَلَو أَنَّما فِي الأَرضِ مِن شَجَرَةٍ أَقلٰمٌ وَالبَحرُ

Dan seandainya pohon-pohon di bumi menjadi pena dan laut (menjadi tinta), 

Bayangkan semua pokok dalam alam ini berapa banyak agaknya? Kemudian bayangkan berapa banyak pen boleh dijadikan dari satu pokok. Kemudian darab dengan entah berapa banyak pokok dalam dunia ini pula? Dapat tak bayangkan? Kita pun tidak dapat bayangkan tapi kita pasti yang ianya amat, amat banyak, bukan?

Bila ada pen ia memerlukan dakwat, bukan? Bayangkan dakwat itu diambil dari keseluruhan laut yang ada pada alam ini. Maknanya ambil air dari tujuh lautan.

 

يَمُدُّهُ مِن بَعدِهِ سَبعَةُ أَبحُرٍ

ditambahkan kepadanya tujuh laut (lagi) sesudah (kering)nya,

Kemudian tujuh lautan ditambah sebagai dakwat lagi. Sesungguhnya penyebutan ‘tujuh lautan’ hanyalah mengandung makna mubalagah (ekstrim), bukan dimaksudkan pembatasan, bukan pula menunjukkan pengertian bahawa ada tujuh lautan di dunia ini sebagaimana yang dikatakan oleh orang-orang yang menukil dari berita israiliyat yang tidak dapat dibenarkan dan tidak pula didustakan. Bahkan pengertian ini sama dengan apa yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

{قُلْ لَوْ كَانَ الْبَحْرُ مِدَادًا لِكَلِمَاتِ رَبِّي لَنَفِدَ الْبَحْرُ قَبْلَ أَنْ تَنْفَدَ كَلِمَاتُ رَبِّي وَلَوْ جِئْنَا بِمِثْلِهِ مَدَدًا}

Katakanlah, “Kalau sekiranya lautan menjadi tinta untuk (menulis) kalimah-kalimah Tuhanku, sungguh habislah lautan itu sebelum habis (ditulis) kalimah-kalimah Tuhanku, meskipun Kami datangkan tambahan yang semisal.” (Al-Kahfi:109)

 

مّا نَفِدَت كَلِمٰتُ اللهِ

nescaya tidak akan habis-habisnya (dituliskan) kalimat Allah. 

Apa gunanya pen dari pokok kayu dan dakwat dari lautan itu? Gunakan semua itu untuk tulis kalimat Allah.

Semua itu tidak akan cukup untuk tulis kalimah-kalimah Allah. Kalau semua itu digunakan untuk menulis ‘kalimah Allah’, pun masih tidak cukup untuk menulisnya.

Apakah pula ‘kalimah Allah’ itu? Maksudnya puji-pujian kepada Allah merangkumi segala sifatNya dan segala perbuatanNya. Kerana segala perbuatanNya itu menjadi sebab untuk memujiNya. Maka tentulah tidak cukup air laut 14 lautan pun untuk menulisnya.

Ar-Rabi’ ibnu Anas mengatakan, sesungguhnya perumpamaan ilmu semua hamba Allah dibandingkan dengan ilmu Allah sama dengan setitis air dibandingkan dengan semua lautan yang ada. Allah Swt. telah menurunkan firman-Nya berkenaan dengan hal ini, iaitu: Dan seandainya pohon-pohon di bumi menjadi pena. (Luqman:27), hingga akhir ayat. Yakni seandainya laut dijadikan sebagai tinta untuk mencatat kalimah-kalimah Allah dan semua pepohonan dijadikan sebagai penanya, nescaya semua pena itu akan patah dan semua air laut akan kering kehabisan; sedangkan kalimah-kalimah Allah masih tetap utuh, tiada sesuatu pun yang dapat membatasinya. Kerana sesungguhnya seseorang tidak akan mampu memperkirakan batasannya dan tiada seorang pun yang dapat memuji-Nya sesuai dengan apa yang selayaknya bagi Dia, melainkan hanya Dia sendirilah yang mengetahui pujian itu sebagaimana Dia memuji diri-Nya sendiri. Sesungguhnya pujian Tuhan kami adalah seperti apa yang difirmankan-Nya, dan berada di luar jangkauan apa yang kita katakan.

 

إِنَّ اللهَ عَزيزٌ حَكيمٌ

Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Tidak ada yang dapat melawan kuasa Allah. Allah boleh buat apa sahaja dan tidak ada yang dapat menandingi dan menghalang apa yang Allah hendak lakukan. Bukan sahaja nak halang, nak mempersoalkan pun tidak boleh.

Dan segala perbuatan Allah Maha Terpuji kerana Dia melakukannya dalam kebijaksanaanNya. Semua yang dilakukan adalah tepat dan sebagai yang sepatutnya terjadi. Tidak pernah Allah tersilap melakukan apa-apa. Semua yang terjadi adalah dalam perancangan Allah yang Maha Bijaksana.


 

Ayat 28: Dari ayat yang menceritakan ‘banyak’ (pen dan air laut) sekarang menyebut tentang ‘satu’ pula.

مّا خَلقُكُم وَلا بَعثُكُم إِلّا كَنَفسٍ وٰحِدَةٍ ۗ إِنَّ اللهَ سَميعٌ بَصيرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Your creation and your resurrection will not be but as that of a single soul.¹ Indeed, Allāh is Hearing and Seeing.

  • The re-creation and resurrection of one or of all is accomplished with equal ease by Allāh (subḥānahu wa ta‘ālā).

(MELAYU)

Tidaklah Allah menciptakan dan membangkitkan kamu (dari dalam kubur) itu melainkan hanyalah seperti (menciptakan dan membangkitkan) satu jiwa saja. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

 

مّا خَلقُكُم وَلا بَعثُكُم إِلّا كَنَفسٍ وٰحِدَةٍ

Tidaklah Allah menciptakan dan membangkitkan kamu (dari dalam kubur) itu melainkan hanyalah seperti (menciptakan dan membangkitkan) satu jiwa saja. 

Allah jadikan kita, matikan dan kemudian bangkitkan kita selepas akhirat bermula, mudah sahaja. Allah beritahu kita yang ia tidak ubah macam Dia menjadikan Nabi Adam sahaja.

Maka jangan kita meragui kuasa Allah untuk membangkitkan semua makhluk di akhirat kelak. Memang Musyrikin Mekah tidak dapat terima kebangkitan semula kerana pada mereka ianya susah sangat. Tapi Allah nak tekankan yang ianya senang sahaja bagi Allah. Memanglah manusia tidak akan mampu nak buat, tapi Allah bukannya makhluk. Kuasa Allah tidak terbatas dan tidak ada halangan langsung. Buat satu jiwa ataupun buat semua jiwa, sama sahaja bagi Allah.

Tak sama dengan kita. Kalau kita buat satu benda dengan buat sepuluh benda, tidak sama. Kita lebih senang kalau buat satu sahaja dan kalau kena buat sepuluh benda yang sama, ianya akan jadi lebih susah untuk kita. Tapi konsep yang sama tidak boleh dipakai untuk Allah kerana kuasa Allah tidak terbatas dan tidak terhad. Seperti yang Allah telah sebut dalam ayat yang lain:

{إِنَّمَا أَمْرُهُ إِذَا أَرَادَ شَيْئًا أَنْ يَقُولَ لَهُ كُنْ فَيَكُونُ}

Sesungguhnya perintah-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya, “Jadilah!” Maka terjadilah ia. (Yaasin: 82)

{وَمَا أَمْرُنَا إِلا وَاحِدَةٌ كَلَمْحٍ بِالْبَصَرِ}
Dan perintah Kami hanyalah satu perkataan seperti kejapan mata. (Al-Qamar: 50)
{فَإِنَّمَا هِيَ زَجْرَةٌ وَاحِدَةٌ فَإِذَا هُمْ بِالسَّاهِرَةِ}
Sesungguhnya pengembalian itu hanyalah dengan satu kali tiupan saja, maka dengan serta merta mereka hidup kembali di permukaan bumi. (An-Nazi’at: 13-14)

 

إِنَّ اللهَ سَميعٌ بَصيرٌ

Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

Antara saat kita dilahirkan dan saat kita dibangkitkan nanti, Allah sentiasa mendengar dan melihat semua yang kita lalui dan lakukan. Malah Allah mendengar dan melihat semua perkara. Semuanya itu bagi Allah sama saja seperti mendengar dan melihat satu jiwa. Kalau kita bersembang dengan seorang kawan senang sahaja, tapi bila sudah sampai lima orang pun sudah jadi lain macam. Memang tak dapat nak tumpukan perhatian.

Begitu pula kekuasaan Allah atas makhluk, sama halnya dengan kekuasaan Allah atas satu jiwa, yakni mudah sekali hal itu bagi-Nya.

Ini diberitahu asalnya kepada Musyrikin Mekah kerana mereka ada pemahaman yang salah tentang Allah. Sampaikan mereka sangka kalau mereka bercakap dengan perlahan, Allah tidak dengar apa yag mereka cakap.

Untuk kita, kita kena yakin yang apa sahaja yang kita lakukan dan katakan, Allah sentiasa sahaja melihat dan mendengar. Maka kita kena berhati-hati dengan apa yang kita lakukan dan katakan. Kita selalu lupa sampaikan kita tidak kisah pun melakukan dosa sepanjang hari. Seolah-olah Allah tidak tahu apa yang kita sedang lakukan.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 24 Jun 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Luqman Ayat 20 – 23 (Jangan taqlid kepada tok nenek)

Ayat 20: Dari ayat 20 hingga ke hujung surah (ayat 34) adalah Perenggan Makro Keempat. Ia mengandungi Dalil Tauhid dan Akhirat. Ia juga memberitahu yang punca syirik adalah kerana mengikut ajaran tok nenek.

Ayat 20 ini adalah Dalil Aqli.

أَلَم تَرَوا أَنَّ اللهَ سَخَّرَ لَكُم مّا فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ وَأَسبَغَ عَلَيكُم نِعَمَهُ ظٰهِرَةً وَباطِنَةً ۗ وَمِنَ النّاسِ مَن يُجٰدِلُ فِي اللهِ بِغَيرِ عِلمٍ وَلا هُدًى وَلا كِتٰبٍ مُّنيرٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Do you not see that Allāh has made subject to you whatever is in the heavens and whatever is in the earth and amply bestowed upon you His favors, [both] apparent and unapparent? But of the people is he who disputes about Allāh without knowledge or guidance or an enlightening Book [from Him].

(MELAYU)

Tidakkah kamu perhatikan sesungguhnya Allah telah menundukkan untuk (kepentingan)mu apa yang di langit dan apa yang di bumi dan menyempurnakan untukmu nikmat-Nya lahir dan batin. Dan di antara manusia ada yang membantah tentang (keesaan) Allah tanpa ilmu pengetahuan atau petunjuk dan tanpa Kitab yang memberi penerangan.

 

أَلَم تَرَوا أَنَّ اللهَ سَخَّرَ لَكُم مّا فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ

Tidakkah kamu perhatikan sesungguhnya Allah telah menundukkan untuk (kepentingan)mu apa yang di langit dan apa yang di bumi 

Allah suruh kita menggunakan mata (mata hati) dan akal kita untuk memikirkan tentang alam ini. Semua yang ada di dalam dunia ini dijadikan untuk manusia. Manusia adalah khalifah dan apabila jadi khalifah, maka ada kelebihan yang diberikan kepada manusia.

Alam rendahkan diri kepada Allah. Maka antara arahan Allah adalah menjadikan segala di dunia ini untuk manusia gunakan dengan cara yang baik. Kerana itu kita boleh makan makanan seperti tumbuh-tumbuhan dan binatang ternak. Dan kita boleh duduk di atas bumi dan tinggal di mana sahaja kita mahu. Asalkan jangan ambil tanah orang lain pula.

Allah rendahkan alam ini dengan dua cara:

  • Kita boleh gunakan dengan cara apa yang kita hendak seperti air, angin, tanah, tumbuh-tumbuhan.
  • Allah uruskan alam itu untuk keperluan kita seperti matahari dan bulan. Sebab kita tidak boleh kawal bulan dan matahari tapi ianya tetap berguna untuk kita.

Maka dalam ayat ini Allah Swt. mengingatkan kepada makhluk-Nya akan semua nikmat yang telah Dia limpahkan kepada mereka, bahawa Dia telah menundukkan bagi mereka semua bintang yang di langit sebagai penerangan buat mereka di malam hari dan di siang harinya.

Dia juga telah menciptakan pula bagi manusia awan, hujan, salju serta embun yang ada di langit, dan Dia jadikan langit bagi mereka sebagai atap yang terpelihara. Semua ini adalah jasa dari Allah. Semua alam ini di dalam takluk Allah. Maka Allah yang jadikan kita boleh guna alam ini untuk kegunaan kita.

 

وَأَسبَغَ عَلَيكُم نِعَمَهُ ظٰهِرَةً وَباطِنَةً

dan menyempurnakan untukmu nikmat-Nya lahir dan batin. 

Kalimah أَسبَغَ dari katadasar س ب غ yang bermaksud penuh, banyak, tidak ada kekurangan, mudah, lembut, lengkap. Allah telah beri nikmat yang banyak secara sempurna kepada kita. Memang tidak akan terkira kalau kita nak kira. Maka kenanglah nikmat Allah ke atas kita.

Bila kita kenang, maka sepatutnya kita akan taat kepada segala arahan Allah dan hanya sembah dan seru Allah sahaja.

Ada nikmat yang kita tahu dan nampak tetapi ada banyak lagi nikmat yang Allah berikan tetapi kita tidak sedar. Yang zahir pun kita tidak mampu nak kira, apatah lagi kalau termasuk dengan yang kita tidak nampak. Memang kita diberi dengan kelebihan yang lebih banyak kalau dibandingkan dengan makhluk lain. Maka kena syukur bila Allah telah berikan segala nikmat itu kepada kita.

Satu tafsir zahir dan batin:

  • Zahir  bermaksud apa sahaja yang di luar tubuh kita. Macam kita dapat harta, dapat makanan dan air hujan.
  • Batin pula yang bermaksud di dalam hati kita seperti jiwa dan juga akal. Juga termasuk darah, angin, kesihatan dan segalanya. Tidak semestinya kita nampak semua perkara itu.

 

وَمِنَ النّاسِ مَن يُجٰدِلُ فِي اللهِ بِغَيرِ عِلمٍ

Dan di antara manusia ada yang membantah tentang (keesaan) Allah tanpa ilmu pengetahuan

Dan ada manusia yang berbantah-bantah tentang Allah. Maksudnya berbantah tentang tauhid tanpa berdasarkan ilmu. Kerana kita kena kenal Allah dan kena kenal Allah dalam rangka tauhid. Dan ilmu itu kena diambil dari wahyu Al-Qur’an. Tapi mereka tidak belajar tafsir Al-Qur’an tapi hendak bercerita tentang tauhid.

Jidal ini apabila berdebat dengan keras dan tidak patut dilakukan. Iaitu mereka yang berdebat bukan untuk mencari kebenaran tetapi sengaja untuk berdebat. Mereka pun sengaja keluarkan soalan-soalan seperti: “Allah buat apa sekarang?”, “Allah ada di mana?”, “Allah sahaja ilah atau ada ilah-ilah yang lain?”, dan macam-macam lagi soalan yang dikeluarkan untuk berdebat sahaja.

Ada orang yang suka berdebat dan melihat orang marah dan tidak perlu kita melayan mereka. Kadang-kadang kita pun geram juga dan hendak membalas hujah-hujah mereka tetapi itu sebenarnya buang masa dan hanya buat mereka gembira kerana kita layan mereka. Sedangkan mereka itu bukan bercakap tentang Allah dan tentang agama dengan ilmu tetapi mereka cakap ikut perasaan mereka sahaja.

Maka kita kena pandai memilih suasana yang aman dan tenang untuk bercakap tentang agama dan bukannya dalam keadaan cakap-cakap kosong untuk mengisi masa lapang sahaja. Kena pilih waktu dan orang.

Lihatlah di awal surah ini bagaimana Luqman memilih masa yang sesuai untuk bercakap tentang agama kepada anaknya. Maka kita pun begitu juga kena pandai mencari masa yang sesuai untuk dakwah dan mengajar. Jangan cakap dengan semberono sahaja.

 

وَلا هُدًى وَلا كِتٰبٍ مُّنيرٍ

atau petunjuk dan tanpa Kitab yang memberi penerangan.

Tidak ada dalil aqli atau dalil Naqli ataupun dalil wahyu yang mereka bawakan. Ini kerana mereka jahil ilmu wahyu kerana tidak belajar tafsir Al-Qur’an.

Ini penting kerana apabila kita berdakwah maka kita kena menggunakan ayat-ayat Al-Qur’an. Dan jikalau kita sedang membacakan ayat Al-Qur’an tetapi ada orang yang melawan, maka mereka pula yang berdosa. Kerana apabila ayat Al-Qur’an dibacakan maka manusia sebenarnya kena dengar dan senyap. Kalau ada yang menolak, memang masalah untuk mereka kerana mereka bukan tolak kita, tapi tolak ayat Al-Qur’an dan maknanya menolak Allah!

Memang kadang-kadang mereka itu tidak ada akal tetapi kita tidak mahu menjerumuskan mereka lebih dalam lagi ke dalam dosa. Kerana kita kena ingat yang malaikat sedang menulis apa yang mereka katakan. Kalau mereka melawan sahaja ayat Al-Qur’an, maka malaikat akan terus tulis kesalahan mereka itu.

Dan kita takut kalau Allah terus tutup mata hati mereka (khatmul qalbi). Kalau Allah terus buat keputusan itu, maka tidak ada harapan lagi bagi mereka untuk mendapat hidayah lagi selepas itu.


 

Ayat 21: Dalam kisah Luqman telah disebut bagaimana seorang ayah mengajar agama dengan cara yang baik kepada anaknya. Tetapi sekarang di dalam ayat ini Allah menyebut tentang golongan manusia yang hanya ikut sahaja apa yang dilakukan oleh tok nenek mereka tanpa berfikir. Masalah ini memang banyak berlaku dalam masyarakat kita.

وَإِذا قيلَ لَهُمُ اتَّبِعوا ما أَنزَلَ اللهُ قالوا بَل نَتَّبِعُ ما وَجَدنا عَلَيهِ ءآباءَنا ۚ أَوَلَو كانَ الشَّيطٰنُ يَدعوهُم إِلىٰ عَذابِ السَّعيرِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when it is said to them, “Follow what Allāh has revealed,” they say, “Rather, we will follow that upon which we found our fathers.” Even if Satan was inviting them to the punishment of the Blaze?

(MELAYU)

Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Ikutilah apa yang diturunkan Allah”. Mereka menjawab: “(Tidak), tapi kami (hanya) mengikuti apa yang kami dapati bapa-bapa kami mengerjakannya”. Dan apakah mereka (akan mengikuti bapa-bapa mereka) walaupun syaitan itu menyeru mereka ke dalam siksa api yang menyala-nyala (neraka)?

 

وَإِذا قيلَ لَهُمُ اتَّبِعوا ما أَنزَلَ اللهُ

Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Ikutilah apa yang diturunkan Allah”.

Mulanya Allah ajar supaya manusia ikut ajaran wahyu yang telah disampaikan olehNya kerana Dia adalah Tuhan. Memang apa yang diturunkanNya dalam bentuk wahyu adalah untuk diikuti oleh makhluk jin dan manusia.

Ia juga adalah peringatan kepada kita juga. Kenalah belajar wahyu Al-Qur’an dan juga wahyu Hadis. Kalau nak ikut kehendak Allah, kenalah belajar apa yang disampaikanNya di dalam wahyuNya. Itu sahaja caranya.

 

قالوا بَل نَتَّبِعُ ما وَجَدنا عَلَيهِ ءآباءَنا

Mereka menjawab: “(Tidak), tapi kami (hanya) mengikuti apa yang kami dapati bapa-bapa kami mengerjakannya”. 

Tapi ada juga yang buat tidak kisah kepada wahyu tapi nak juga pakai ajaran dan amalan tok nenek.

Ayah seperti Luqman itu memang ada ilmu dan hikmah tetapi bukanlah semua ibu bapa kita ada hikmah sebegitu. Kena bandingkan ajaran dan amalan mereka dengan sunnah. Kadangkala amalan tok nenek kita tidak semestinya semua benar dan hendaklah diperiksa dengan dalil dan nas.

Tapi malangnya ada manusia yang terima sahaja ajaran yang disampaikan oleh tok nenek tanpa mereka memikirkan sama ada ianya benar ataupun tidak. Pada kebanyakan manusia, kalau sesuatu amalan itu telah lama diamalkan, tentulah ianya pasti benar. Tapi tidak semestinya.

 

أَوَلَو كانَ الشَّيطٰنُ يَدعوهُم إِلىٰ عَذابِ السَّعيرِ

Dan apakah mereka (akan mengikuti bapa-bapa mereka) walaupun syaitan itu menyeru mereka ke dalam seksa api yang menyala-nyala (neraka)?

Maka Allah tegur mereka di dalam ayat ini: adakah mereka hendak ikut juga ajaran tok nenek itu walaupun mereka itu telah ditipu oleh syaitan? Dan penipuan syaitan itu tidak lain dan tidak bukan mengajak kepada neraka? Adakah kamu mahu ikut juga amalan nenek moyang kamu walaupun jalan itu sesat? Tentu tidak, bukan?

Dalam ayat lain Allah Swt. berfirman menjawab mereka:

{أَوَلَوْ كَانَ آبَاؤُهُمْ لَا يَعْقِلُونَ شَيْئًا وَلا يَهْتَدُونَ}

(Apakah mereka akan mengikuti juga), walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui sesuatu apa pun, dan tidak mendapat petunjuk? (Al-Baqarah: 170)


 

Ayat 22: Ayat tabshir. Selepas Allah menceritakan tentang orang yang engkar, sekarang Allah menyebut tentang orang-orang yang selamat. Inilah yang kita kena ikut.

۞ وَمَن يُسلِم وَجهَهُ إِلَى اللهِ وَهُوَ مُحسِنٌ فَقَدِ استَمسَكَ بِالعُروَةِ الوُثقىٰ ۗ وَإِلَى اللهِ عٰقِبَةُ الأُمورِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And whoever submits his face [i.e., self] to Allāh while he is a doer of good – then he has grasped the most trustworthy handhold. And to Allāh will be the outcome of [all] matters.

(MELAYU)

Dan barangsiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah, sedang dia orang yang berbuat kebaikan, maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada buhul tali yang kokoh. Dan hanya kepada Allah-lah kesudahan segala urusan.

 

وَمَن يُسلِم وَجهَهُ إِلَى اللهِ

Dan barangsiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah,

Iaitu mereka yang sanggup menyerahkan jiwaraga mereka kepada Allah s.w.t. Mereka juga sanggup taat kepada keseluruhan arahan dari Allah. Maksud serah itu adalah mereka akan melakukannya tanpa soal.

 

وَهُوَ مُحسِنٌ

sedang dia orang yang berbuat kebaikan, 

Mereka juga orang berbuat kebaikan dan sentiasa membaiki diri mereka. Mereka juga mahu orang lain juga mendapat kebaikan. Mereka taat dengan arahan dan ajaran dari Allah dan RasulNya.

 

فَقَدِ استَمسَكَ بِالعُروَةِ الوُثقىٰ

maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada buhul tali yang kokoh.

Mereka itu seperti pegang sauh di lautan yang bergelora. Ertinya, sesungguhnya dia telah mengambil janji yang kuat dari Allah bahawa Dia tidak akan mengazabnya.

Tali ini adalah isyarat kepada tali akidah. Buhul adalah ikatan pada tali dan ia adalah bahagian yang senang untuk dipegang. Mereka akan selamat di dunia dan akhirat. Mereka akan diselamatkan dari disesatkan oleh syaitan yang sentiasa sahaja hendak memasukkan manusia ke dalam neraka.

 

وَإِلَى اللهِ عٰقِبَةُ الأُمورِ

Dan hanya kepada Allah-lah kesudahan segala urusan.

Amal akan dihantar kepada Allah untuk dinilai. Maka takutlah hari yang kita akan ditunjukkan dengan segala amal kita semasa di dunia dulu.

Juga bermaksud yang Allah yang mengurus segala perkara. Semua urusan kembali kepada Allah untuk ditentukan. Maka kenalah minta tolong kepada Allah.


 

Ayat 23: Ayat tasliah dan takhwif ukhrawi.

وَمَن كَفَرَ فَلا يَحزُنكَ كُفرُهُ ۚ إِلَينا مَرجِعُهُم فَنُنَبِّئُهُم بِما عَمِلوا ۚ إِنَّ اللهَ عَليمٌ بِذاتِ الصُّدورِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And whoever has disbelieved – let not his disbelief grieve you. To Us is their return, and We will inform them of what they did. Indeed, Allāh is Knowing of that within the breasts.

(MELAYU)

Dan barangsiapa kafir maka kekafirannya itu janganlah menyedihkanmu. Hanya kepada Kami-lah mereka kembali, lalu Kami beritakan kepada mereka apa yang telah mereka kerjakan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala isi dada.

 

وَمَن كَفَرَ فَلا يَحزُنكَ كُفرُهُ

Dan barangsiapa kafir maka kekafirannya itu janganlah menyedihkanmu.

Nabi Muhammad telah banyak melakukan dakwah kepada umat baginda. Tapi ada sahaja yang menolak dan tidak mahu beriman. Maka tentulah baginda rasa sedih sangat kerana baginda prihatin kepada mereka. Nabi nak selamatkan semua orang terutama sekali kerana mereka itu adalah kaum baginda.

Maka Allah beri tasliah (pujukan) kepada baginda supaya jangan baginda bersedih kalau mereka tetap kufur walaupun telah diberi ajaran dan dakwah kepada mereka. Ini adalah kerana mereka jadi kufur itu adalah atas diri mereka sendiri. Baginda tidak dipersalahkan kerana baginda telah menjalankan tugas baginda dengan baik sekali.

Begitu juga dengan kita yang menjalankan dakwah. Kalau kita sudah dakwah dan manusia tidak beriman, maka itu bukan salah kita tapi salah mereka.

 

إِلَينا مَرجِعُهُم فَنُنَبِّئُهُم بِما عَمِلوا

Hanya kepada Kami-lah mereka kembali, lalu Kami beritakan kepada mereka apa yang telah mereka kerjakan. 

Jangan risau tentang mereka kerana mereka itu akan dikembalikan kepada Allah dan Allah akan beritahu segala perbuatan mereka untuk dibalas. Serahkan sahaja kepada Allah, kita tidak perlu risau tentang nasib mereka. Tahulah Allah nak buat apa dengan mereka.

 

إِنَّ اللهَ عَليمٌ بِذاتِ الصُّدورِ

Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala isi dada.

Allah tahu apa yang ada dalam dada mereka, kenapa mereka tidak beriman dan sebagainya. Allah akan beri keputusan yang tetap.

Allah juga tahu keikhlasan kita dalam menyampaikan ajaran agama. Kalau kita tidak ikhlas pun Allah tahu juga.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 24 Jun 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Luqman Ayat 16 – 19 (Amalan kalau anak degil)

Ayat 16: Sekarang ayat kembali kepada pelajaran atau ‘kursus’ yang perlu diberikan oleh ibubapa. Apa lagi nasihat yang diberikan oleh Luqman kepada anaknya? Allah menaqalkan apa yang disampaikan oleh Luqman ini kerana hendak mengingatkan bangsa Arab Mekah bahawa apa yang disampaikan oleh Nabi Muhammad itu bukanlah ajaran baru.

يٰبُنَيَّ إِنَّها إِن تَكُ مِثقالَ حَبَّةٍ مِّن خَردَلٍ فَتَكُن في صَخرَةٍ أَو فِي السَّمٰوٰتِ أَو فِي الأَرضِ يَأتِ بِهَا اللهُ ۚ إِنَّ اللهَ لَطيفٌ خَبيرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[And Luqmān said], “O my son, indeed if it [i.e., a wrong] should be the weight of a mustard seed and should be within a rock or [anywhere] in the heavens or in the earth, Allāh will bring it forth. Indeed, Allāh is Subtle and Acquainted.

(MELAYU)

(Luqman berkata): “Hai anakku, sesungguhnya jika ada (sesuatu perbuatan) seberat biji sawi, dan berada dalam batu atau di langit atau di dalam bumi, nescaya Allah akan mendatangkannya (membalasinya). Sesungguhnya Allah Maha Halus lagi Maha Mengetahui.

 

يٰبُنَيَّ

(Luqman berkata): “Hai anakku,

Lihatlah panggilan manja Luqman kepada anaknya ini. Maka ini mengajar kita kena beri nasihat kepada anak dengan memanggilnya dengan panggilan yang baik dan menunjukkan kita sayang kepadanya. Dan kena puji dia dengan menunjukkan yang kita bangga dengan dia.

 

إِنَّها إِن تَكُ مِثقالَ حَبَّةٍ مِّن خَردَلٍ

sesungguhnya jika ada seberat biji sawi, 

Sekarang bayangkan kalau ada ada satu objek yang amat kecil, sekecil biji sawi. Ianya adalah sesuatu yang kita susah nak nampak pun.

 

فَتَكُن في صَخرَةٍ

dan berada dalam batu

Dan bayangkan kalau sebiji sawi itu berada di dalam batu yang besar. Bayangkan tentu susah dan mustahil untuk kita mencari biji sawi itu kerana sudahlah ia kecil, dan kena cari pada semua batu di dunia ini. Kerana kita tak tahu batu yang mana satu, bukan? Sebab hanya disebut batu sahaja.

 

أَو فِي السَّمٰوٰتِ أَو فِي الأَرضِ

atau di langit atau di dalam bumi,

Batu itu pula boleh jadi di mana-mana dalam bumi ataupun di langit. Mana nak cari? Kita hanya dapat cari pun kalau batu itu di bumi sahaja. Itu pun sudah susah kerana entah berapa banyak batu dalam dunia ini, dari sekecil-kecilnya sehingga ke sebesar-besarnya.

Kalau pun kita tahu mana kawasan batu itu, untuk menjadi biji sawi itu di dalam batu itu, maka kita kena hancurkan semua batu di kawasan itu. Tambahan pula kalau batu itu tidak tahu di duniakah atau di langitkah?

Dan kalau kita tahu mana satu batu pun, batu itu kena dihancurkan sehancur-hancurnya kerana nak keluarkan biji sawi itu, bukan? Kerana kalau pecah dua sahaja, entah ia ada di dalam bahagian yang mana kita tak tahu. Bukan senang nak pecahkan batu, bukan?

 

يَأتِ بِهَا اللهُ

nescaya Allah akan mendatangkannya

Tetapi ilmu Allah itu amat luas sampaikan Allah boleh cari dan keluarkan biji sawi itu.

Maka Luqman hendak mengingatkan kepada anaknya itu yang jikalau Allah boleh keluarkan biji sawi itu yang mustahil kita boleh cari, maka adakah kamu sangka yang Allah tidak tahu apa yang kamu lakukan dan apa yang ada di dalam hatimu?

Allah tahu segala apa yang kita telah lakukan, sekecil mana pun. Dan Allah akan tetap balas perbuatan yang baik atau perbuatan buruk, walau sekecil mana pun. Apabila sampai masanya nanti, Allah tetap akan keluarkan.

 

إِنَّ اللهَ لَطيفٌ خَبيرٌ

Sesungguhnya Allah Maha Halus lagi Maha Mengetahui.

Kalimah لَطيفٌ ini susah untuk dijelaskan. Bayangkan seorang lelaki yang gagah dan besar dan suruh dia memegang benda yang halus dan pecahkan supaya tidak rosak maka tentu susah baginya kerana dia tidak dapat mengawal kekuatannya.

Jadi untuk mengeluarkan sesuatu bukan hanya memerlukan kekuatan tetapi juga memerlukan kehalusan. Allah hendak memberitahu yang Dia bukan sahaja gagah tapi Allah boleh menguruskan benda-benda yang halus juga.

Dan kalimah خَبيرٌ bermaksud Allah tahu benda-benda yang halus dan juga dalam hati manusia. Sebagai contoh Dia tahu kerlipan mata kita yang melihat kepada benda yang kita tidak patut lihat. Kadang-kadang  mata kita nakal dan tengok lelaki dan wanita ajnabi, bukan?

Ayat ini juga berkenaan sifat sombong dan takabbur. Telah ada teguran dari Nabi tentang perkara ini:

قَالَ عَلْقَمَةُ، عَنِ ابْنِ مَسْعُودٍ -رَفَعَهُ -: “لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ حَبَّةٍ مِنْ كِبْر، وَلَا يُدْخِلُ النَّارَ مَنْ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ حَبَّةٍ مِنْ إِيمَانٍ”

Alqamah telah meriwayatkan dari Ibnu Mas’ud yang me-rafa‘-kan hadis berikut: Tidak dapat masuk syurga seseorang yang di dalam hatinya terdapat sifat takabur seberat biji sawi, dan tidak dapat masuk neraka seseorang yang di dalam hatinya terdapat iman seberat biji sawi.


 

Ayat 17: Jadi Luqman sudah kenalkan Allah kepada anaknya itu. Selepas faham tauhid maka beliau ajar ibadat pula. Maka ini mengajar kita bahawa apabila mengajarkan anak-anak, kena ajar tauhid dahulu. Begitu juga kita dalam dakwah kepada orang dan ajar kepada orang – kena beri faham tauhid dulu.

يٰبُنَيَّ أَقِمِ الصَّلَوٰةَ وَأمُر بِالمَعروفِ وَانهَ عَنِ المُنكَرِ وَاصبِر عَلىٰ ما أَصابَكَ ۖ إِنَّ ذٰلِكَ مِن عَزمِ الأُمورِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O my son, establish prayer, enjoin what is right, forbid what is wrong, and be patient over what befalls you. Indeed, [all] that is of the matters [requiring] resolve.¹

  • For the reason that they are enjoined by Allāh.

(MELAYU)

Hai anakku, dirikanlah solat dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) dari perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan (oleh Allah).

 

يٰبُنَيَّ أَقِمِ الصَّلَوٰةَ

Hai anakku, dirikanlah solat

Solat adalah ibadat yang paling penting. Maka kena jaga solat dalam apa keadaan pun. Dengan mendirikan solat, maka pertalian dengan Allah akan terjaga dan ia akan mengawal kita dari melakukan dosa.

 

وَأمُر بِالمَعروفِ

dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik

Ini adalah arahan untuk mengajak manusia melakukan kebaikan. Maknanya kena ajak manusia untuk menghidupkan amalan agama dan cara hidup yang baik.

Dan perkara yang paling besar kena ajak manusia adalah kepada tauhid dan perkara paling besar yang kita kena halang manusia adalah syirik. Maka kena jalankan tugas dakwah kepada manusia. Kita bukan nak selamatkan diri kita sahaja tapi orang lain juga. Inilah sifat seorang muhsin.

 

وَانهَ عَنِ المُنكَرِ

dan cegahlah (mereka) dari perbuatan yang mungkar

Dan hendaklah kita halang manusia dari melakukan perkara salah. Kalau lalu depan mata kita, maka kita kena tegur. Tak boleh senyap sahaja dan tengok sahaja kesalahan yang dilakukan oleh manusia. Kita tidak mencari kesalahan orang lain, tapi kalau sudah berlaku kesalahan itu di depan mata kita, maka kita kena tegur.

Malangnya ramai orang buat senyap sahaja. Kerana mereka takut nanti orang lain akan bermasam muka pula kalau ditegur. Tapi kalau kita tidak tegur, bagaimana orang itu nak tahu bahawa apa yang dilakukannya itu adalah salah? Maka tegurlah, kalau dia tak mahu ikut, bukan dalam kuasa kita.

Sebelum ini telah disebut solat. Sebenarnya solat akan jadikan kita berani nak cakap benda perkara ini. Kerana kita tahu yang apa yang kita lakukan ini adalah arahan dari Allah dan kita telah ada hubungan yang baik dengan Allah. Kita sanggup tegur kerana kita akan ada rasa malu nak mengadap Allah kalau kita tak jalankan suruhanNya.

 

وَاصبِر عَلىٰ ما أَصابَكَ

dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu.

Dan memang apabila kita bercakap perkara yang benar dan teguh kepada orang, maka ada yang akan marah kita.  Ataupun mereka mungkin lakukan sesuatu yang tidak baik kepada kita. Allah sudah beritahu awal-awal lagi, maka jangan terkejut kalau ada orang yang akan tolak kita. Maka Allah beritahu kepada kita untuk bersabar. Biarlah apa yang mereka nak kata dan nak buat kepada kita.

Maka kita kena sedar yang perkara ini memang akan berlaku dan kita kena bersedia dan persediaan itu akan menjadikan kita sabar. Kerana kita sudah tahu apa yang akan terjadi, bukan?

Lagi satu maksud sabar adalah sabar dalam melakukan ketaatan. Kerana kadangkala hendak menegakkan kehendak Allah memang payah. Nak solat payah, nak puasa payah, nak baca Al-Qur’an pun payah. Kerana ada sahaja halangan, bukan? Maka kena buat dan kena sabar.

Dan untuk dapat sabar kita kena bersyukur dengan apa yang ada kerana kadang-kadang kita mahukan sesuatu tetapi ia tidak ada, bukan? Maka kita tumpukan perhatian kita kepada benda yang kita ada maka dapatlah kita bersabar.

 

إِنَّ ذٰلِكَ مِن عَزمِ الأُمورِ

Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan

Kalimat عَزمِ الأُمورِ bermaksud perkara yang kita wajib jaga. Maka kita kena jalankan suruhan Allah walau dalam keadaan mana pun. Jangan jadikan perkara kecil sebagai alasan untuk tidak melakukan.

Ia juga bermaksud yang ianya adalah sesuatu yang berat, maka kita memerlukan orang yang tabah untuk melakukannya.


 

Ayat 18: Sebelum ini telah disebut ada perasaan syukur, kena ada rendah diri. Maka Allah sebut tentang akhlak pula dalam ayat ini.

Sebelum ini telah disebut tentang tauhid dan kemudian tentang ibadat feqah dan sekarang tentang akhlak pula.

وَلا تُصَعِّر خَدَّكَ لِلنّاسِ وَلا تَمشِ فِي الأَرضِ مَرَحًا ۖ إِنَّ اللهَ لا يُحِبُّ كُلَّ مُختالٍ فَخورٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And do not turn your cheek [in contempt] toward people¹ and do not walk through the earth exultantly. Indeed, Allāh does not like everyone self-deluded and boastful.

  • Rather, respect them by directing your face and attention to them.

(MELAYU)

Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (kerana sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri.

 

وَلا تُصَعِّر خَدَّكَ لِلنّاسِ

Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia

Maksud تُصَعِّر خَدَّ dari segi bahasa adalah memalingkan muka. Ia juga digunakan untuk unta yang ada penyakit terteleng kepalanya. Ia juga bermaksud ‘buat muka’ seperti mencemik dan sebagainya. Kita tidak perlu cakap, dengan muka sahaja orang boleh tahu apa yang kita nak katakan. Orang tahu yang tindakan itu adalah tanda sombong.

Dalam ayat ini Allah tidak kata pun ‘jangan bercakap buruk’ kepada manusia tetapi Allah kata jangan buat muka pun kepada manusia. Kadang-kadang ada orang buat muka dan bila kita tegur mereka, mereka kata mereka tidak cakap apa-apa pun. Memanglah mereka tidak lafazkan apa-apa tapi sebenarnya mereka sudah sampaikan apa yang dalam hati mereka dengan perbuatan mereka (body language).

Maknanya dengan muka sahaja sudah menunjukkan sikap kita yang sombong atau marah kepada orang lain. Maka kita kena jaga air muka kita. Jangan tunjukkan ketidaksukaan dan kesombongan kita.

 

وَلا تَمشِ فِي الأَرضِ مَرَحًا

dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. 

Jangan berjalan di atas muka bumi ini dengan berlagak. Kadangkala kita boleh kenal orang yang berlagak dengan cara jalan mereka sahaja. Cara jalan mereka pun kita sudah tahu. Maka janganlah kita berjalan seperti mereka.

 

إِنَّ اللهَ لا يُحِبُّ كُلَّ مُختالٍ فَخورٍ

Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri.

Kalimah مُختالٍ dari katadasar خ ي ل dan khail bermaksud kuda yang cantik yang berjalan dengan berlagak dan bayangkan pertunjukan kuda di mana kuda itu buat aksi.

Ia memberi isyarat seseorang yang bangga dengan dirinya sendiri dan rasa hebat. Itu adalah khayal (خيل) sahaja, tidak benar pun. Kerana kita tidak ada apa-apa melainkan Allah sahaja yang beri kepada kita. Maka jangan bayangkan diri kita dalam keadaan yang memang kita tidak dapat capai pun.

Kalimah فَخورٍ pula bermaksud berlagak sangat. Iaitu seorang yang sangat angkuh. Mereka bukan sahaja rasa diri mereka hebat, tapi mereka akan cakap dan tunjuk dengan orang lain. Mereka akan meninggikan diri mereka dan merendahkan orang lain dengan kata-kata mereka. Cara cakap pun orang sudah tahu.

Allah kata Dia tak suka orang yang sebegini. Kalau Allah tak suka, maka memang ada masalah kepada diri kita. Bukan sahaja Allah tak suka, kita pun tak suka dengan orang yang sebegitu, bukan? Maka jangan kita lakukan. Bayangkan, kalau kita pun tidak suka, tentu orang lain pun tidak suka kalau kita buat begitu, bukan?


 

Ayat 19: Lalu apa yang kita kena bertindak?

وَاقصِد في مَشيِكَ وَاغضُض مِن صَوتِكَ ۚ إِنَّ أَنكَرَ الأَصوٰتِ لَصَوتُ الحَميرِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And be moderate in your pace and lower your voice; indeed, the most disagreeable of sounds is the voice of donkeys.”

(MELAYU)

Dan sederhanalah kamu dalam berjalan dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai.

 

وَاقصِد في مَشيِكَ

Dan sederhanalah kamu dalam berjalan

Kalau ayat sebelum ini tentang air muka, sekarang tentang cara berjalan pula. Cara berjalan pun Allah ajar. Kalimah وَاقصِد dari ق ص د yang bermaksud sederhana. Maka berjalanlah dengan sederhana.

Maknanya jalan dengan normal sahaja tanpa berlagak dan tanpa jalan dengan lembik. Tidaklah perlu nak jalan dengan lembik-lembik pula. Tak perlu nak berlakon. Saidina Umar, kalau dia nampak ada orang Islam yang berjalan lembik sahaja, dia akan tempik dan marah kerana mereka itu memalukan Islam. Kerana cara mereka itu menunjukkan seolah-olah Islam ini lemah sahaja.

Ini bukanlah tentang kelajuan berjalan. Kerana kadang-kadang kita nak jalan laju kerana kita nak cepat dan kadang-kadang kita boleh sahaja jalan perlahan kerana kita tidak ada apa yang hendak dikejar. Jadi ayat ini bukan tentang kelajuan berjalan tetap sikap kita semasa sedang berjalan itu.

 

وَاغضُض مِن صَوتِكَ

dan rendahkanlah suaramu.

Dan rendahkan suara kita apabila bercakap dengan orang. Jangan nak garang dengan manusia tidak tentu fasal. Kita kena berhati-hati dalam percakapan kita. Tidak salah kalau kita bercakap dengan lembut. Kerana kalau kita dengan seorang sahabat sahaja, takkan kita nak cakap dengan kuat. Dan kalau kita di khalayak ramai, tentu kita kena cakap dengan kuat supaya orang lain dengar. Jadi ini bukan tentang volume suara kita, tapi cara kita bercakap.

Dalam ayat sebelum ini telah disebut tentang menjalankan amar ma’ruf nahi mungkar. Maka kena jaga suara kita di dalam bercakap walaupun semasa kita sedang menjalankan amar ma’ruf nahi mungkar. Kadang-kadang ada orang yang setelah kita beri nasihat maka dia melawan kita, maka walaupun dalam keadaan itu kita tetap kena sabar dan jaga suara kita supaya jangan tinggi dan jangan menghina orang itu.

Ini juga adalah salah satu dari cara hikmah dalam berdakwah. Kita nak orang dengar cakap kita, maka kenalah kita cakap dengan baik. Kalau kita cakap benda yang betul pun, tapi dengan cara yang salah, maka orang pun susah nak terima kerana keburukan akhlak kita.

Malangnya kadang-kadang apabila kita beri nasihat dan orang melawan, ada yang meninggikan suara ataupun menghina orang itu kembali. Maka musnahlah usaha dakwah itu. Orang pun sudah malas nak dengar kata-kata kita lagi.

 

إِنَّ أَنكَرَ الأَصوٰتِ لَصَوتُ الحَميرِ

Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai.

Keldai selalu digunakan di dalam banyak masyarakat sebagai lambang kebodohan. Kerana itu jikalau seseorang itu meninggikan suaranya, itu bermaksud orang itu bodoh dan tidak memahami ajaran-ajaran agama seperti yang telah disebut sebelum ini.

Ayat 12-19 ini elok dibaca kepada anak yang degil. Baca dan terjemah sekali kepada mereka. Mudah-mudahan mereka dapat terima pengajaran ini. Bukannya kita baca dan tiup pada kepala mereka. Itu cara yang salah dan kita tidak bersetuju dengannya. Yang kita kena buat adalah kita beri pengajaran kepada mereka. Bacakan berkali-kali kepada mereka.

Kalau mereka sudah besar maka kena ajar kepada mereka tafsir ayat-ayat ini supaya mereka faham. Mereka kena tahu yang taat dan berbuat baik kepada ibubapa ini adalah arahan dari Allah.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 23 Jun 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Luqman Ayat 12 – 15 (Kisah Luqman-ul-Hakeem)

Ayat 12: Sekarang kita masuk kepada kisah lelaki yang bernama Luqman ini yang dijadikan nama surah ini. Beliau bukanlah seorang Nabi tapi orang Arab memang kenal beliau. Kisah beliau telah disebut dalam syair-syair mereka. Ada orang Arab yang terpelajar yang ada menyimpan kata-kata hikmat dari Luqman ul Hakeem ini. Antara yang disebut adalah seorang lelaki yang bernama Suwaid bin Samit.

Jadi ini adalah Dalil Naqli berkenaan Luqman. Allah hendak memberitahu orang Arab dan kita juga, ilmu tauhid ini bukan dibawa oleh Nabi Muhammad sahaja. Ianya telah lama ada dan diajar oleh Luqman yang mereka kenal itu. Jadi jangan kata Nabi Muhammad reka ajaran baru pula.

وَلَقَد ءآتَينا لُقمٰنَ الحِكمَةَ أَنِ اشكُر ِلِلهِ ۚ وَمَن يَشكُر فَإِنَّما يَشكُرُ لِنَفسِهِ ۖ وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ اللهَ غَنِيٌّ حَميدٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We had certainly given Luqmān wisdom [and said], “Be grateful to Allāh.” And whoever is grateful is grateful for [the benefit of] himself. And whoever denies [His favor] – then indeed, Allāh is Free of need and Praiseworthy.

(MELAYU)

Dan sesungguhnya telah Kami berikan hikmat kepada Luqman, iaitu: “Bersyukurlah kepada Allah. Dan barangsiapa yang bersyukur (kepada Allah), maka sesungguhnya dia bersyukur untuk dirinya sendiri; dan barangsiapa yang tidak bersyukur, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji”.

 

وَلَقَد ءآتَينا لُقمٰنَ الحِكمَةَ

Dan sesungguhnya telah Kami berikan hikmah kepada Luqman,

Ada juga yang kata beliau adalah seorang Nabi dan ada yang kata beliau seorang wali Allah tetapi pendapat jumhur mengatakan yang beliau adalah wali. Ini biasa sahaja kerana zaman dahulu tidak ada penulisan sejarah seperti sekarang. Kerana itu macam-macam maklumat yang sampai kepada kita.

Ada yang kata beliau dari golongan Aad dan raja Yaman pada masa itu. Iaitu beliau adalah pengikut Nabi Hud a.s. dan antara yang diselamatkan apabila Allah turunkan azab kepada penduduk Aad.

Tapi ada juga yang menolak pendapat ini. Maka kita tidak perlu tahu dengan mendalam pun siapakah beliau. Kerana yang penting adalah apa yang hendak disampaikan, bukannya persona seseorang itu. Kerana itulah Allah selalunya tidak beri penjelasan lanjut siapakah individu dalam Al-Qur’an.

Allah telah berikan kebijaksanaan kepada beliau. Sampaikan beliau dikenali sebagai Luqmanul Hakim – Luqman yang bijaksana. Hikmah yang dimaksudkan adalah tentang ilmu pengetahuan agama.

Allah ingatkan yang kebijaksanaan yang dia ada itu Allah yang beri. Kalimah الحِكمَةَ bermaksud ilmu yang dapat diamalkan. Iaitu ilmu wahyu yang beliau amalkan.

 

أَنِ اشكُر ِلِلهِ

iaitu: “Bersyukurlah kepada Allah.

Muqaddar: beliau diarahkan untuk bersyukur kepada Allah kerana pemberian kebijaksanaan itu. Dia kena ingatkan diri dia untuk bersyukur kepada Allah.

Dan inilah salah satu dari hikmah juga. Orang yang ada hikmah boleh nampak kepentingan untuk bersyukur. Memang kita kena bersyukur dan merendahkan diri. Iaitu sedar bahawa apa yang kita ada bukanlah dari kelebihan diri sendiri tetapi diberikan oleh Allah.  Dan kerana ada kefahaman itu, seseorang itu akan merendahkan diri.

Jadi orang mukmin kena ada syukur dan rendah diri. Kedua-dua sifat ini ia adalah dua sifat yang berkait rapat antara satu sama lain. Kerana orang yang rendah diri akan bersyukur jikalau ada kelebihan pada dirinya.

 

وَمَن يَشكُر فَإِنَّما يَشكُرُ لِنَفسِهِ

Dan barangsiapa yang bersyukur (kepada Allah), maka sesungguhnya dia bersyukur untuk dirinya sendiri;

Allah sebutkan kelebihan bersyukur. Sesiapa yang bersyukur ia akan beri kelebihan kepada dirinya. Inilah hikmah yang tinggi. Sudahlah dapat kelebihan sesuatu, kemudian bersyukur pula lagi dan dapat pahala pula lagi. Dan Allah akan tambah lagi kelebihan yang telah diberi itu. Maka bertambah-tambah lagi kelebihan yang ada.

Dan maksud bersyukur adalah dengan melakukan taat kepada wahyu Allah. Bukannya hanya sebut alhamdulillah, alhamdulillah sahaja. Kena tunjukkan syukur dengan taat kepada hukum Allah.

Dan ayat ini tidak ada menyebut bersyukur kepada Allah sahaja. Ayat ini sebut dalam bentuk umum sahaja. Maka kita kena berterima kasih juga kepada orang yang telah berbuat bakti kepada kita seperti ahli keluarga kita, guru-guru kita, kawan-kawan kita dan sesiapa sahaja.

 

وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ اللهَ غَنِيٌّ حَميدٌ

dan barangsiapa yang tidak bersyukur, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji”.

Dan kalau tidak bersyukur kepada Allah pun Allah tidak memerlukan syukur dan juga ibadah kita kerana Allah itu Maha Kaya. Dan maksud Maha Kaya adalah tidak memerlukan sesiapa. Kita syukur atau tidak, ibadah atau tidak, tidaklah mengurangkan kedudukan Allah.

Kalau seseorang yang kaya dan tidak memerlukan pertolongan orang lain maka tidaklah semestinya dia itu orang yang baik. Tetapi Allah sudahlah Dia sebut Dia kaya, kemudian Allah tambah dengan kalimah حَميدٌ yang bermaksud Allah Maha Terpuji.

Kalimah حَميدٌ berbeza dengan kalimah محمود (yang dipuji). Kerana kalimah محمود memerlukan orang yang memujiNya tetapi kalimah حَميدٌ (terpuji) bermaksud sama ada kita puji Allah pun atau tidak, Allah tetap terpuji. Sebelum ada makhluk yang memujiNya, Dia sudah terpuji.


 

Ayat 13: Sekarang kita masuk kepada penceritaan nasihat Luqman kepada anaknya.

وَإِذ قالَ لُقمٰنُ لِابنِهِ وَهُوَ يَعِظُهُ يٰبُنَيَّ لا تُشرِك بِاللهِ ۖ إِنَّ الشِّركَ لَظُلمٌ عَظيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [mention, O Muḥammad], when Luqmān said to his son while he was instructing him, “O my son, do not associate [anything] with Allāh. Indeed, association [with Him] is great injustice.”

(MELAYU)

Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, di waktu dia memberi pelajaran kepadanya: “Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar”.

 

وَإِذ قالَ لُقمٰنُ لِابنِهِ

Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya,

Ini adalah satu lagi kisah diantara seorang ayah dan anaknya dan ada banyak di dalam Al-Qur’an. Nama anaknya dikatakan ialah Saran, menurut suatu pendapat yang diriwayatkan oleh Imam Baihaqi.

Banyak sekali pengajaran di dalam nasihat Luqman ini kepada anaknya. Allah nak ajar menggunakan konsep penceritaan kerana kita senang terkesan dengan cerita. Ia lebih menarik perhatian dan memberi bekas kepada diri kita.

 

وَهُوَ يَعِظُهُ

di waktu dia memberi pelajaran kepadanya: 

Waktu ini Luqman sedang memberi ajaran agama kepada anaknya. Ini memberi isyarat bahawa anaknya itu sudah dewasa dan boleh memahami nasihat-nasihat yang diberikan kepadanya. Maka ini adalah satu suasana di mana seorang ayah kena pandai mencari masa untuk mengajar kepada anaknya. Jangan pakai cakap sahaja tapi kenalah tengok keadaan yang sesuai.

Kita kena cari peluang untuk nasihat orang lain. Ihsan adalah orang baik yang mahu orang lain pun baik juga. Tak boleh nak selamatkan diri sendiri sahaja. Orang muhsin bukan sahaja memikirkan tentang dirinya tetapi dia memikirkan bagaimana semua orang lain boleh jadi baik.

Terutama sekali seorang ayah kena jalankan tugas beri ajaran kepada anaknya. Kena jalankan tanggungjawab ini dan kena ingat perkara ini. Tanggungjawab ayah bukan beri makan dan pakai sahaja kepada anaknya tapi kena beri ilmu pengetahuan. Dan ilmu yang paling penting adalah ilmu agama. Jangan serahkan bagi ilmu itu kepada guru sekolah sahaja.

Mari kita lihat apa nasihat agung Luqman itu sampai Allah masukkan dalam Al-Qur’an.

 

يٰبُنَيَّ لا تُشرِك بِاللهِ

“Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah,

Yang pertama sekali kena ajar kepada manusia adalah perbetulkan akidah mereka. Maka pertama sekali kena ajar ajaran tauhid kepada anak-anak kita.

Dan ajaran tauhid tidak lengkap kalau tidak belajar tentang syirik. Kita kena belajar perkara yang kita perlu lakukan dan kita kena juga belajar perkara yang kita kena tinggalkan. Ramai belajar tauhid tapi tidak belajar tentang syirik. Maka kerana itu ramai yang amalkan syirik tanpa mereka sedari. Ini amat malang sekali.

Lihatlah bagaimana Luqman menggunakan panggilan mesra kepada anaknya. Maka kena gunakan kasih sayang dalam mengajar. Jangan gunakan kata-kata kasar dengan anak pula. Walaupun dia itu anak kita, tapi kita tetap kena menggunakan kelembutan kerana kalau kita kasar tentu anak kita susah untuk terima.

 

إِنَّ الشِّركَ لَظُلمٌ عَظيمٌ

sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar”.

Dan ajar kepada manusia bahaya syirik itu kerana ianya adalah zalim yang paling besar sekali. Zalim memang sudah teruk dan zalim yang paling teruk sekali adalah syirik.

Maksud ‘zalim’ adalah ‘tidak memberikan seseorang haknya’. Dan kalau kita tidak berikan haq ketuhanan kepada Allah, maka itu adalah zalim yang paling besar sekali. Kalau zalim dengan manusia pun sudah teruk, apatah lagi kalau zalim dengan Allah, bukan?

Kerana itu jikalau ada yang amalkan syirik, maka Allah akan memasukkan pelakunya ke dalam neraka dan tidak akan keluarkan sampai bila-bila. Kerana ianya teruk sangat dan dosa yang paling besar.

Malangnya ramai orang tidak sedar besarnya perkara ini dan kerana itu ramai orang yang tidak belajar bahaya syirik dan kerana itu mereka dengan selambanya amalkan syirik. Apabila tok guru mereka ajar sesuatu amalan, mereka terus amalkan tanpa soal. Malangnya, kadangkala amalan itu adalah amalan syirik.

Kita sedar yang mereka bukannya sengaja nak amalkan syirik tapi mereka tertipu kerana jahil wahyu. Ini adalah kerana apakah maksud syirik diajar di dalam Al-Qur’an dan ramai yang tidak belajar tafsir Al-Qur’an. Maka kerana itu ramai yang tidak mahir bab syirik ini.

Ramai yang tidak tahu bahawa zalim itu bermaksud syirik. Ini termasuk pada sahabat juga pada mulanya. Ini kita tahu dari hadis:

قَالَ الْبُخَارِيُّ حَدَّثَنَا قُتَيْبَةُ، حَدَّثَنَا جَرِيرٌ، عَنِ الْأَعْمَشِ، عَنْ إِبْرَاهِيمَ، عَنْ عَلْقَمَةَ ،عَنْ عَبْدِ اللَّهِ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: لَمَّا نَزَلَتْ: {الَّذِينَ آمَنُوا وَلَمْ يَلْبِسُوا إِيمَانَهُمْ بِظُلْمٍ} [الْأَنْعَامِ: 82] ، شَقَّ ذَلِكَ عَلَى أَصْحَابِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وسلم، وَقَالُوا: أَيُّنَا لَمْ يَلْبس إِيمَانَهُ بِظُلْمٍ؟ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “أنه لَيْسَ بِذَاكَ، أَلَا تَسْمَعَ إِلَى قَوْلِ لُقْمَانَ: {يَا بُنَيَّ لَا تُشْرِكْ بِاللَّهِ إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ}

Imam Bukhari mengatakan, telah menceritakan kepada kami Qutaibah, telah menceritakan kepada kami Jarir, dari Al-A’masy, dari Ibrahim, dari Alqamah, dari Abdullah yang menceritakan bahawa ketika diturunkan firman-Nya: Orang-orang yang beriman dan tidak mencampuradukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik). (Al-An’am: 82) Hal itu terasa berat bagi para sahabat Nabi Saw. Kerana mereka berkata, “Siapakah di antara kita yang tidak mencampuri imannya dengan perbuatan zalim (dosa).” Maka Rasulullah Saw. bersabda, “Bukan demikian yang dimaksudkan dengan zalim. Tidakkah kamu mendengar ucapan Luqman: ‘Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar.’ (Luqman: 13)

Dalam banyak-banyak hukum Allah berikan di dalam Al-Qur’an, tidak ada hukuman yang manusia boleh kenakan kepada manusia yang mengamalkan syirik. Macam mencuri, ada hukuman potong tangan, bukan? Tapi kalau buat syirik, apa hukuman pemerintah boleh kenakan dari dalam hudud? Jadi kerana itu mereka rasa ianya perkara yang ringan sahaja kerana mereka tidak dikenakan dengan sebarang hukuman.

Tapi apakah perkara yang Luqman ajar kepada anaknya? Sebelum ini telah disebut bagaimana bahayanya industri hiburan maka mungkin kita boleh ambil isyarat daripada permulaan surah ini untuk mengatakan bahawa Luqman sedang memberi nasihat kepada anaknya yang muda itu. Kerana bukankah industri hiburan ini banyak mempengaruhi anak-anak muda?

Dalam beliau asalnya memberi nasihat kepada anaknya itu mungkin dalam perkara kehidupan dunia. Beliau kemudian menambah dengan mengajar anaknya tentang tauhid dan juga syirik. ini kerana agak pelik kalau sedang sembang-sembang dengan ayahnya dan tiba-tiba sebut tentang syirik pula.

Tapi Luqman telah bawa pembelajaran itu kepada kisah tentang syirik. Ini kerana syirik itu boleh terjadi dalam banyak perkara. Maka kena kaitkan dengan kehidupan kita dan bagaimana syirik boleh terjadi.

Sebagai contoh, kalau kita rasa kita dapat banyak perkara baik kerana usaha kita dan juga nasib kita dan kepandaian kita sahaja, maka itu pun juga syirik kerana tidak menisbahkan kebaikan yang kita dapat itu kepada Allah. Ini adalah ‘syirik dalaman’. Tak nampak dengan nyata yang seseorang itu sedang buat syirik tapi memang ada, bukan?

Kita boleh lihat bagaimana kalimah ‘syirik’ dan ‘syukur’ itu lebih kurang sahaja bunyinya kerana syirik  itu boleh berlaku apabila berterima kasih kepada selain Allah sedangkan benda itu diberi oleh Allah.


 

Ayat 14: Sekarang Allah pula yang berkata. Ayat 14 – 19 adalah Perenggan Makro Ketiga. Ia mengandungi kata-kata nasihat dari Luqman.

وَوَصَّينَا الإِنسٰنَ بِوٰلِدَيهِ حَمَلَتهُ أُمُّهُ وَهنًا عَلىٰ وَهنٍ وَفِصٰلُهُ في عامَينِ أَنِ اشكُر لي وَلِوٰلِدَيكَ إِلَيَّ المَصيرُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We have enjoined upon man [care] for his parents. His mother carried him, [increasing her] in weakness upon weakness, and his weaning is in two years. Be grateful to Me and to your parents; to Me is the [final] destination.

(MELAYU)

Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu-bapanya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyapihnya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada dua orang ibu bapamu, hanya kepada-Kulah kembalimu.

 

وَوَصَّينَا الإِنسٰنَ بِوٰلِدَيهِ

Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu-bapanya;

Selepas Allah menyebut tentang nasihat seorang ayah kepada anaknya maka Allah terus menyebut berbuat baik dengan ibu bapa kerana ibu bapa itulah yang sepatutnya memperkenalkan anaknya dengan tauhid dan agama.

Satu kelebihan berbuat kepada ibubapa ini, Allah selalu menyebutnya selepas menyebut tentang menyembah kepadaNya sahaja (tauhid). Ini menunjukkan bahawa ianya jatuh nombor 2 sahaja selepas tauhid. Sebagai contoh:

{وَقَضَى رَبُّكَ أَلا تَعْبُدُوا إِلا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا}

Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. (Al-Isra: 23)

Dalam ayat sebelum ini Luqman mengajar anaknya tentang tauhid dan apabila sampai kepada nasihat untuk anak itu tentang berbuat baik dengan ibubapa, bukan Luqman yang memberi nasihat tetapi Allah sendiri yang memberi nasihat kepada anak itu untuk menghormati ibu bapa.

Ini adalah kerana nasihat ini bukan sahaja untuk anak Luqman tapi kepada semua anak dalam dunia ini. Allah ingatkan kepada semua anak untuk berbuat baik kepada ibubapa masing-masing. Kena layan mereka dengan baik dan lebih lagi dari orang-orang lain. Kerana tidak sama ibubapa itu kalau dibandingkan dengan orang lain.

 

حَمَلَتهُ أُمُّهُ وَهنًا عَلىٰ وَهنٍ

ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah,

Kena buat baik kepada ibu kerana ibu telah mengandungkan kita dalam susah payah selama 9 bulan.

Dalam ayat ini disebut tentang ibu sahaja kerana yang paling susah dalam mengandung dan menjaga anak semasa kecil adalah ibu. Allah menceritakan kesusahan yang dialami oleh seorang ibu dalam menanggung kandungan anaknya di mana ibu itu menjadi semakin berat dan menjadi semakin lemah dari masa ke semasa.

Semakin lama ibu itu menanggung anaknya, dia semakin sakit dan dia semakin lemah kerana segala makanan yang dimakan oleh ibu itu dimakan oleh anak itu. Sudahlah anak itu semakin berat, makanan emak dia pun dia ambil. Memang emaknya makan tapi nutrisi makanan itu diambil oleh anaknya yang di dalam kandungan.

 

وَفِصٰلُهُ في عامَينِ

dan menyusuinya dalam dua tahun. 

Sudahlah ibu itu menanggung anak selama sembilan bulan dan kemudian dia kena menyabung nyawa untuk mengeluarkannya. Akan tetapi kerja ibu itu tidak habis lagi kerana dia kena menyusukan anaknya itu selama dua tahun pula. Dalam ayat ini disebut banyak tentang ibu kerana dalam ayat sebelum ini telah disebut tentang bapa.

Jadi seorang ibu itu telah bersusah payah untuk memberi kehidupan kepada anaknya itu dan tugas bapa pula untuk memberi pelajaran kepada anaknya. Ini telah disebut dalam ayat sebelum ini di mana Luqman mengajar anaknya.

Semua ibu dalam dunia ini sama ada beriman ataupun tidak, pernah ada jasa kepada anaknya tetapi bapa belum tentu lagi kerana jikalau bapa tidak menjalankan tugas untuk mendidik, maka mereka tidak menjalankan tugas mereka. Maka kerana itu kedudukan ibu itu lebih tinggi dari kedudukan bapa.

Maka kita lihatlah bagaimana amat ramai sekali bapa yang tidak menjalankan tugas mereka. Ramai yang cari rezeki untuk makan dan pakai keluarga, tapi pelajaran agama tidak diberi. Sudahlah mereka tidak pandai mengajar agama (kerana mereka pun tidak belajar), mereka tidak galakkan anak belajar pula. Macam tidak kisah pun kalau diri sendiri dan anak terus duduk dalam jahil.

Jadi ayat ini mengingatkan anak kepada jasa ibu kerana kadang-kadang ianya dilupakan. Ini kerana seorang anak itu apabila sudah ada akal dan ingatan, maka dia akan nampak yang ayahnya yang selalu bagi makan dan bagi duit kepadanya. Kalau nak makan dan nak beli permainan, selalunya duit itu dari ayah, bukan?

Maka anak itu nampak macam ayahnya yang banyak jasa kepadanya. Sedangkan jasa ibu itu lagi banyak, tapi ia dilakukan semasa mereka tidak ingat apa-apa lagi. Semasa kita lahir dan berumur 3 tahun, kita tidak ingat apa-apa, bukan? Kita tidak ingat susah payah ibu kita waktu itu. Maka Allah yang ingatkan manusia dengan pengorbanan dan susah payah ibu itu.

Sudahlah kena menyusui anak itu, dan anak itu bukan tahu bila masa tidak boleh menyusu. Maka mereka akan minta susu kadang-kadang di malam hari semasa ibu itu sedang nyenyak tidur. Maka tentulah ibu itu susah untuk rehat, bukan? Memang para bapa tidak dapat nak bayangkan kesusahan yang dialami oleh ibu itu. Walaupun bapa duduk di sebelah, tapi bapa hanya melihat sahaja, yang susahnya adalah ibu.

Ayat ini juga mengingatkan kepada ibubapa yang penyusuan anak baru lahir itu seeloknya dilakukan selama dua tahun. Ianya tidaklah wajib tapi digalakkan. Ini seperti yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

{وَالْوَالِدَاتُ يُرْضِعْنَ أَوْلادَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ لِمَنْ أَرَادَ أَنْ يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ}

Para ibu hendaklah menyusukan anak-anaknya selama dua tahun penuh, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan. (Al-Baqarah: 233), hingga akhir ayat.

 

أَنِ اشكُر لي وَلِوٰلِدَيكَ

Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada dua orang ibu bapamu, 

Allah ingatkan balik tentang syukur. Pertamanya kena syukur kepada Allah kerana apa-apa pun, semua yang kita ada ini adalah dari Allah. Walaupun banyak jasa ibubapa, ia tidak dapat menandingi jasa Allah kepada makhlukNya.

Tapi kemudian Allah kembali mengingatkan kepada anak itu untuk berlaku baik bukan hanya kepada ibu tetapi juga kepada bapa sekali di hujung ayat ini. Allah sebut kedua-duanya sekali walaupun di awal ayat tadi sebut tentang ibu sahaja. Ini kerana dengan bapa pun kena buat baik juga. Sama ada mereka beri pendidikan agama atau tidak, mereka tetap ayah kita dan mereka tetap telah berjasa.

Antara tanda syukur kepada ibu bapa adalah dengan menjaga mereka. Jangan biarkan mereka hidup dalam susah. Malangnya ramai yang tidak endahkan ibubapa setelah ibubapa mereka tua. Ramai yang sudah ada kehidupan dan keluarga sendiri, maka susah payah ibubapa mereka sudah tidak hirau lagi.

Kalau mereka tidak perlukan kita jaga mereka pun, kenalah selalu berhubung dengan mereka dan menggembirakan mereka. Di akhir usia, perkara yang dapat menggembirakan mereka adalah anak cucu. Maka kalau tidak duduk sekali pun, selalulah hubungi mereka.

 

إِلَيَّ المَصيرُ

hanya kepada-Kulah kembalimu.

Kenalah bersyukur kepada Allah. Dan kita ingatkan kembali bahawa syukur kepada Allah adalah dengan cara taat kepada segala suruhanNya.

Kena ingat yang semua kita akan kembali kepada Allah dan kalau kita tidak taat kepada Allah, maka bahaya kita nanti kerana kita nanti akan mengadap Allah. Apa yang kita nak bawa kepada Allah kalau banyak arahanNya kita tak ikut?

Dan salah satu dari arahanNya adalah dalam ayat ini iaitu berbuat baik kepada ibubapa dan bersyukur kepada mereka.

Dan syukur kepada ibubapa juga bermaksud taat kepada suruhan mereka. Tapi taat itu ada syaratnya. Bukan semua perkara kita kena taat. Taat kepada Allah memang mutlak tapi taat kepada ibubapa tidak mutlak. Kalau perkara yang salah, kita tidak boleh taat.

Walaupun ibubapa mungkin tidak boleh hukum kita kalau tidak taat kepada mereka, tapi ingatlah bahawa kita akan kembali bertemu Allah. Dan kalau kita tidak taat kepada ibubapa kita, maka Allah akan hukum kita.

Maka taat kepada Allah dan taat kepada ibubapa berkait rapat. Maka kalau kita nak anak kita taat kepada kita, maka kena ajar mereka untuk taat kepada Allah. Kerana kalau mereka taat kepada Allah, maka secara automatik mereka akan taat kepada kita.


 

Ayat 15: Walaupun Allah tekankan tentang kepentingan berbuat baik kepada ibubapa, tetapi Tuhan lebih penting daripada ibubapa. Memang kena taat kepada mereka tetapi taat kepada mereka tidak mutlak.

وَإِن جٰهَداكَ عَلىٰ أَن تُشرِكَ بي ما لَيسَ لَكَ بِهِ عِلمٌ فَلا تُطِعهُما ۖ وَصاحِبهُما فِي الدُّنيا مَعروفًا ۖ وَاتَّبِع سَبيلَ مَن أَنابَ إِلَيَّ ۚ ثُمَّ إِلَيَّ مَرجِعُكُم فَأُنَبِّئُكُم بِما كُنتُم تَعمَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL) But if they endeavor to make you associate with Me that of which you have no knowledge, do not obey them but accompany them in [this] world with appropriate kindness and follow the way of those who turn back to Me [in repentance]. Then to Me will be your return, and I will inform you about what you used to do.

(MELAYU)
Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan dengan Aku sesuatu yang tidak ada pengetahuanmu tentang itu, maka janganlah kamu mengikuti keduanya, dan pergaulilah keduanya di dunia dengan baik, dan ikutilah jalan orang yang kembali kepada-Ku, kemudian hanya kepada-Kulah kembalimu, maka Kuberitakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.

 

وَإِن جٰهَداكَ عَلىٰ أَن تُشرِكَ بي ما لَيسَ لَكَ بِهِ عِلمٌ

Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan dengan Aku sesuatu yang tidak ada pengetahuanmu tentang itu, 

Di awal tadi telah disebut bagaimana Luqman sebagai seorang bapa mengajar anak supaya jangan buat syirik tetapi bagaimana pula jikalau ibu bapa yang suruh buat syirik?

Ini boleh berlaku kalau ibubapa sendiri tidak tahu agama dan jauh dari wahyu. Maka mereka yang mengajar dan mengajak anak mereka untuk melakukan perbuatan-perbuatan syirik. Mungkin mereka itu yang mengamalkan ajaran tarekat yang mengamalkan tawasul, maka mereka telah ajak anak-anak mereka juga buat perkara yang sama.

Dan kalau anak itu sendiri belajar agama dan wahyu dan tahu bahawa perbuatan itu tidak ada dalil (tidak ada ilmu tentangnya), maka bolehkah ikut?

 

فَلا تُطِعهُما

maka janganlah kamu mengikuti keduanya,

Allah kata, jangan ikut mereka. Kerana mereka melakukan perkara yang tidak ada dalil tentangnya, maka kita sebagai seorang Muslim kenalah hanya mengamalkan perkara yang ada dalil sahaja. Maka kerana itu kenalah kita belajar mana yang benar dan mana yang tidak.

Jadi, walaupun kita kena taat kepada ibubapa, maka taat itu tidak mutlak. Hanya taat dalam perkara yang baik dan perkara yang harus sahaja. Kalau mereka suruh buat perkara dosa dan syirik, jangan pula kita ikut mereka. Ketaatan kepada Allah lebih tinggi lagi dari ketaatan kepada manusia.

Memang kadangkala ibu bapa pandai untuk memujuk anaknya melakukan sesuatu, termasuklah mengajak jauh dari agama. Seorang sahabat mengalami masalah ini:

Imam Tabrani mengatakan di dalam Kitabul ‘Isyarh-nya, telah menceritakan kepada kami Abu Abdur Rahman Abdullah ibnu Ahmad ibnu Hambal, telah menceritakan kepada kami Ahmad ibnu Ayyub ibnu Rasyid, telah menceritakan kepada kami Maslamah ibnu Alqamah, dari Daud ibnu Abu Hindun, bahawa Sa’d ibnu Malik pernah mengatakan bahawa ayat berikut diturunkan berkenaan dengannya, yaitu firman-Nya: Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan dengan Aku sesuatu yang tidak ada pengetahuanmu tentang itu, maka janganlah kamu mengikuti keduanya. (Luqman: 15), hingga akhir ayat. Bahawa dia adalah seorang yang berbakti kepada ibunya. Ketika apabila dia masuk Islam, ibunya berkata kepadanya, “Hai Sa’d, mengapa engkau berubah pendirian? Kamu harus tinggalkan agama barumu itu (Islam) atau aku tidak akan makan dan minum hingga mati, maka kamu akan dicela kerana apa yang telah kulakukan itu, dan orang-orang akan menyerumu dengan panggilan, ‘Hai pembunuh ibunya!’.” Maka aku menjawab, “Jangan engkau lakukan itu, Ibu, kerana sesungguhnya aku tidak bakal meninggalkan agamaku kerana sesuatu.” Maka ibuku tinggal selama sehari semalam tanpa mahu makan, dan pada pagi harinya dia kelihatan lemas. Lalu ibuku tinggal sehari semalam lagi tanpa makan, kemudian pada pagi harinya kelihatan bertambah lemas lagi. Dan ibuku tinggal sehari semalam lagi tanpa makan, lalu pada pagi harinya dia kelihatan sangat lemah. Setelah kulihat keadaan demikian, maka aku berkata, “Hai ibu, perlu engkau ketahui, demi Allah, seandainya engkau mempunyai seratus jiwa, lalu satu persatu keluar dari tubuhmu, nescaya aku tidak akan meninggalkan agamaku kerana sesuatu. Dan jika engkau tidak ingin makan, silakan tidak usah makan; dan jika engkau ingin makan silakan makan saja,” Akhirnya ibuku mahu makan.

 

وَصاحِبهُما فِي الدُّنيا مَعروفًا

dan pergaulilah keduanya di dunia dengan baik, 

Maka seperti telah disebut, kita tidak boleh taat kepada mereka jikalau mereka suruh buat syirik tetapi kita masih tetap kena rapat dengan mereka kerana mereka itu ibubapa kita. Tetap kena layan mereka dengan cara yang baik walaupun mereka itu mengamalkan syirik. Jangan pula kita tinggalkan mereka, kutuk mereka, keji mereka dengan kata-kata yang buruk. Ingatlah yang mereka itu tetap ibubapa kita.

Berlaku baik kepada mereka itu sudah menjadi perkara yang مَعروفًا (diketahui ramai) dan bukanlah Islam sahaja yang menyuruh perkara ini tetapi akal manusia dan juga masyarakat yang normal sudah tahu bahawa memang kena berbuat baik dengan ibubapa. Al-Qur’an hanya mengingatkan manusia kembali kepada perkara yang manusia sepatutnya sudah tahu dan sudah buat.

 

وَاتَّبِع سَبيلَ مَن أَنابَ إِلَيَّ

dan ikutilah jalan orang yang kembali kepada-Ku, 

Kita ikut mereka yang telah condong dan taat kepada Allah. Jadi jikalau ibubapa tidak mengajar kita tauhid malah mengajar kita syirik, maka kita tidak boleh ikut ajaran mereka itu tetapi kita tetap kena berbuat baik dengan mereka.

Dan dalam masa yang sama kita kena cari orang untuk kita ikut dan bukan ikut ibu bapa kita jikalau mereka salah. Maka kena cari guru yang benar. Maka kena ada usaha dari kita untuk cari guru belajar tafsir Al-Qur’an, belajar hadis dan sebagainya.

 

ثُمَّ إِلَيَّ مَرجِعُكُم

kemudian hanya kepada-Kulah kembalimu,

Ingatlah yang kita semua akan kembali bertemu Allah dan kita akan ditanya tentang apa yang kita lakukan. Kita akan ditanya: kamu ikut ibubapa kamu atau kamu ikut ajaran yang benar?

 

فَأُنَبِّئُكُم بِما كُنتُم تَعمَلونَ

maka Kuberitakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.

Apabila kembali kepada Allah, bukan kosong sahaja perjumpaan itu. Allah akan ceritakan balik apa yang kita semua telah lakukan dan akan dipertanggungjawabkan.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 23 Jun 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi