Tafsir Surah Luqman Ayat 8 – 11 (Langit ada tiang)

Ayat 8: Ayat tabshir ukhrawi.

إِنَّ الَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ لَهُم جَنّٰتُ النَّعيمِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, those who believe and do righteous deeds – for them are the Gardens of Pleasure,

(MELAYU)

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal saleh, bagi mereka syurga-syurga yang penuh kenikmatan,

 

إِنَّ الَّذينَ ءآمَنوا

Sesungguhnya orang-orang yang beriman

Iaitu mereka yang beriman sempurna – percaya kepada apa yang perlu dipercayai dan tidak melakukan syirik. Tapi untuk tahu apakah syirik itu, kenalah belajar terutama sekali kena habiskan belajar tafsir Al-Qur’an 30 juzuk. Ini kerana dalam Al-Qur’an telah diajar dengan panjang lebar tentang tauhid dan syirik.

 

وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ

dan mengerjakan amal-amal saleh, 

Mereka bukan sahaja beriman, tapi mereka juga menunjukkan tanda iman mereka itu dengan mengerjakan amal ibadah dan amal kebaikan. Dan ibadah itu mestilah amal ibadah yang soleh. Maksud amal soleh adalah amal yang sunnah, ada contoh dari amalan dan ajaran Nabi Muhammad dan para sahabat.

Dan ini menolak amalan bidaah yang banyak diamalkan oleh manusia sekarang. Kekeliruan manusia tentang amal bidaah ini amatlah banyak sekali. Ini kerana tidak belajar sahaja atau mungkin juga mereka belajar, tapi belajar cara yang salah.

 

لَهُم جَنّٰتُ النَّعيمِ

bagi mereka syurga-syurga yang penuh kenikmatan,

Balasan kepada mereka yang beriman sempurna dan mengerjakan amalan yang sunnah, mereka akan dimasukkan ke dalam syurga. Ianya adalah tempat untuk menikmati segala macam jenis nikmat yang tidak terhingga.

Mereka hidup bersenang-senang di dalamnya, merasakan berbagai macam kenikmatan dan kegembiraan yang berupa makanan, minuman, pakaian, rumah, kenderaan, wanita, pemandangan yang indah-indah, serta mendengarkan nyanyian yang merdu-merdu. Semuanya itu merupakan kenikmatan yang belum pernah terdetik di dalam hati seorang manusia pun.

Mereka hidup kekal di dalamnya, tidak akan berpindah darinya, dan sama sekali tidak mahu pindah darinya. Allah tidak sebut mereka dapat syurga, tapi ‘syurga-syurga’. Ini memberi isyarat yang mereka ada dapat lebih dari satu taman-taman.

Lihat bagaimana ayat ini digunakan. Allah sebut: “bagi mereka syurga-syurga yang penuh nikmat”. Allah tidak sebut: “bagi mereka nikmat dalam syurga”. Nampak tak bezanya? Kalau Allah kata mereka dapat ‘nikmat’ dalam syurga, itu bermaksud mereka hanya dapat nikmat sahaja, tapi tidak dapat syurga itu. Ini macam kita boleh pakai kemudahan dalam hotel, tapi hotel itu bukan kita yang punya.

Tapi bila Allah kata: “bagi mereka syurga yang penuh nikmat”, itu bermaksud syurga-syurga itu diberikan kepada mereka dan mereka boleh buat apa sahaja yang mereka hendak. Kerana syurga itu mereka yang punya!


 

Ayat 9:

خٰلِدينَ فيها ۖ وَعدَ اللهِ حَقًّا ۚ وَهُوَ العَزيزُ الحَكيمُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Wherein they abide eternally; [it is] the promise of Allāh [which is] truth. And He is the Exalted in Might, the Wise.

(MELAYU)

Kekal mereka di dalamnya; sebagai janji Allah yang benar. Dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

 

خٰلِدينَ فيها

Kekal mereka di dalamnya;

Dan mereka akan kekal di dalam syurga itu. Sesiapa yang masuk syurga, tidak akan keluar sampai bila-bila. Ini adalah satu nikmat yang amat besar. Kerana kalau kita dapat duduk hotel yang paling mahal dan mewah pun, kita tahu yang kita tidak lama di dalamnya. Kita tahu yang lambat laun, kita kena keluar juga dan balik ke rumah kita yang sebenar.

Itu sedikit sebanyak mengurangkan kenikmatan semasa duduk di hotel yang mewah itu. Tapi kalau kita dapat tahu yang kita akan kekal di dalam syurga dan segala nikmat itu tidak berkesudahan, maka itu juga adalah nikmat tambahan.

 

وَعدَ اللهِ حَقًّا

sebagai janji Allah yang benar.

Apa yang Allah janjikan adalah benar dan akan berlaku di akhirat. Kalau manusia yang berjanji, belum tentu dapat lagi. Tapi kalau Allah yang berjanji, pasti ia akan berlaku.

 

وَهُوَ العَزيزُ الحَكيمُ

Dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Allah Maha Perkasa untuk sempurnakan janjiNya. Kalau Allah nak beri, Allah boleh beri. Allah mampu beri maka tidak ada keraguan yang ada manusia yang akan dapat nikmat itu nanti.

Maksud al-Aziz adalah Maha Berkuasa, tidak boleh dikalahkan. Maksudnya, tidak ada sesiapa yang boleh halang Allah untuk beri apa yang Dia telah janjikan. Maka ini memastikan kepada kita yang Allah pasti akan berikan segala kenikmatan yang dijanjikan itu.

Allah bijaksana untuk beri nikmat itu kepada siapa. Allah akan buat keputusan dengan tepat. Allah tahu bagaimana nak menilai manusia itu. Walaupun dia hidup sekejap sahaja, tapi Allah akan balas dengan nikmat yang lagi hebat dan berterusan. Ini kerana Allah tahu siapa yang layak dan bagaimana nak balas orang itu.

Maknanya, tidaklah Allah terberi nikmat syurga kepada orang yang tidak layak; dan tidaklah Allah terlupa untuk beri nikmat syurga kepada siapa yang layak. Dua kemungkinan ini tidak akan ada.


 

Ayat 10: Ayat 10 – 13 adalah Perenggan Makro Kedua. Ia memberitahu yang syirik adalah kezaliman terbesar. Dimulai dengan ayat 10 ini sebagai Dalil Aqli kerana syirik itu bahaya.

خَلَقَ السَّمٰوٰتِ بِغَيرِ عَمَدٍ تَرَونَها ۖ وَأَلقىٰ فِي الأَرضِ رَوٰسِيَ أَن تَميدَ بِكُم وَبَثَّ فيها مِن كُلِّ دابَّةٍ ۚ وَأَنزَلنا مِنَ السَّماءِ ماءً فَأَنبَتنا فيها مِن كُلِّ زَوجٍ كَريمٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He created the heavens without pillars that you see and has cast into the earth firmly set mountains, lest it should shift with you, and dispersed therein from every creature. And We sent down rain from the sky and made grow therein [plants] of every noble kind.

(MELAYU)

Dia menciptakan langit tanpa tiang yang kamu melihatnya dan Dia meletakkan gunung-gunung (di permukaan) bumi supaya bumi itu tidak menggoyangkan kamu; dan memperkembang biakkan padanya segala macam jenis binatang. Dan Kami turunkan air hujan dari langit, lalu Kami tumbuhkan padanya segala macam tumbuh-tumbuhan yang baik.

 

خَلَقَ السَّمٰوٰتِ بِغَيرِ عَمَدٍ تَرَونَها

Dia menciptakan langit tanpa tiang yang kamu melihatnya

Allah menceritakan tentang keindahan alam ini yang Dia telah jadikan. Akan tetapi kita tahu bagaimana manusia yang mengisi masa lapang mereka dengan hiburan itu tentu tidak ada masa untuk melihat keindahan alam ini lagi.

Kalau tidak lagha dengan hiburan, maka manusia akan ada masa untuk lihat langit yang amat indah itu. Langit itu amat luas, tapi Allah boleh bina tanpa ada tiang pun.

Allah suruh manusia lihat langit dan memang orang Arab dulu suka lihat langit. Ini kerana mereka tidak ada hiburan sangat, maka masa mereka diisi dengan melihat langit. Sampai mereka tidur di bumbung rumah mereka untuk melihat langit. Kita selalu tengok tv dan dengar lagu di radio sahaja. Ini sebab senang sangat nak dapatkan hiburan zaman sekarang. Sampaikan jarang sangat kita tengok alam ini.

Maksud ayat ini boleh diterjemahkan dalam dua bentuk:

  1. Allah jadikan langit tanpa tiang, atau
  2. Allah jadikan langit itu dengan tiang, tapi kita sahaja yang tidak nampak.

Kedua-dua pendapat ini dipegang oleh para mufassir. Ada yang pakai pendapat pertama dan ada yang pakai pendapat kedua. Al-Hasan dan Qatadah mengatakan bahawa langit tidak mempunyai tiang, baik yang tidak terlihat mahupun yang terlihat.

Ibnu Abbas, Ikrimah, dan Mujahid mengatakan bahawa langit memang mempunyai tiang, tetapi manusia tidak dapat melihatnya.

 

وَأَلقىٰ فِي الأَرضِ رَوٰسِيَ أَن تَميدَ بِكُم

dan Dia meletakkan gunung-gunung (di permukaan) bumi supaya bumi itu tidak menggoyangkan kamu;

Selepas suruh tengok langit, Allah suruh tengok bumi pula. Tengoklah sedikit kepada gunung ganang yang gagah itu. Allah jadikan gunung itu kukuh supaya tak goyang ditiup angin walau laju mana pun angin itu.

Dan gunung itu juga sebagai pasak bumi sebenarnya. Ia mengukuhkan kedudukan plat bumi ini supaya tidak bergerak. Kerana kalau bergerak, susah juga kita untuk hidup di bumi ini.

Orang Arab juga suka lihat kepada gunung dan mereka memang terpesona dengan gunung itu. Kerana itulah banyak ayat dalam Al-Qur’an menceritakan tentang gunung kerana ia memang rapat dengan mereka. Allah memang gunakan perumpamaan dan contoh dari perkara yang manusia senang lihat.

 

وَبَثَّ فيها مِن كُلِّ دابَّةٍ

dan memperkembang biakkan padanya segala macam jenis binatang.

Di atas bumi yang luas ini, Allah jadikan berbagai jenis kehidupan. Ada berbagai jenis binatang yang kita boleh lihat setiap hari. Kalau zaman sekarang, banyak boleh dilihat di zoo sahaja, tapi masih ada tempat seperti di Afrika yang memang ada banyak lagi hidupan liar.

Semua itu juga mempesonakan. Manusia kaji tentang berbagai jenis binatang itu kerana manusia memang terpesona. Kita sekarang pun suka tengok rancangan National Geographic Special.

 

وَأَنزَلنا مِنَ السَّماءِ ماءً

Dan Kami turunkan air hujan dari langit, 

Untuk keperluan kita dan juga binatang-binatang itu, Allah turunkan hujan untuk melangsungkan kehidupan kita. Kerana benda hidup memerlukan air. Kerana itu kalau di planet-planet yang diteroka, para pengkaji akan cari sumber air. Kerana kalau ada sumber air, maka itu menandakan ada kehidupan di planet itu. Atau pernah ada kehidupan di planet itu.

Allah selalu menggunakan contoh air hujan kerana memang manusia memerlukan air hujan ini. Kalau Malaysia ini tidak turun hujan beberapa minggu pun sudah jadi kemarau dan kita semua gelisah kerana tidak ada air untuk minum dan mandi. Bila kena catu sahaja air, semua orang akan rasa susahnya, bukan?

 

فَأَنبَتنا فيها مِن كُلِّ زَوجٍ كَريمٍ

lalu Kami tumbuhkan padanya segala macam tumbuh-tumbuhan yang baik.

Dengan air hujan itu, maka dapatlah tumbuh tanam-tanaman. Dan kita makan tumbuhan itu dan juga dimakan oleh binatang-binatang. Dan binatang-binatang itu pun dimakan oleh kita. Ini kerana memang segala yang ada di atas muka bumi ini adalah untuk kita. Ini kerana kitalah khalifah bumi ini, maka semuanya berkhidmat untuk kira sebenarnya.

Maka lihatlah segala yang Allah telah berikan kepada kita ini. Semuanya dari Allah. Apabila kita lihat langit, bumi, gunung, air hujan, binatang dan segala yang ada pada alam ini, ia sepatutnya mengingatkan kita kepada Allah – Allah yang jadikan semua ini untuk kita. Dan hendaklah kita berterima kasih dengan Allah atas segala nikmatNya itu.


 

Ayat 11: 

هٰذا خَلقُ اللهِ فَأَروني ماذا خَلَقَ الَّذينَ مِن دونِهِ ۚ بَلِ الظّٰلِمونَ في ضَلٰلٍ مُّبينٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

This is the creation of Allāh. So show Me what those other than Him have created. Rather, the wrongdoers are in clear error.

(MELAYU)

Inilah ciptaan Allah, maka perlihatkanlah olehmu kepadaKu apa yang telah diciptakan oleh sembahan-sembahan(mu) selain Allah. Sebenarnya orang-orang yang zalim itu berada di dalam kesesatan yang nyata.

 

هٰذا خَلقُ اللهِ

Inilah ciptaan Allah,

Semua yang kita lihat pada alam ini, Allah yang cipta. Begitulah berkuasanya Allah untuk buat apa sahaja. Begitu hebatnya alam ini, maka tahulah kita yang menjadikannya tentu lebih hebat lagi. Tidak terbayang oleh kita tentang kehebatanNya. Kita tidak dapat melihat Khaaliq (Pencipta) tapi kita tetap dapat lihat makhluk (yang dicipta). Maka kita belajar tentang Khaaliq dengan melihat makhluk.

Maka kerana Allah yang menjadikan semua ini dan Maha Berkuasa, maka kalau ada apa-apa keperluan, minta kepada Allahlah sahaja. Tidak perlu nak minta kepada selain Allah, bukan?

Allah ingatkan yang semua ini adalah makhluk ciptaan Allah. Maka Allah suruh kita tengok alam. Jangan sibuk duduk dalam rumah sahaja. Sekali sekala kenalah keluar dan tengok alam ini. Bawa anak isteri jalan-jalan dan nikmati keindahan alam ini.

 

فَأَروني ماذا خَلَقَ الَّذينَ مِن دونِهِ

maka perlihatkanlah olehmu kepadaKu apa yang telah diciptakan oleh sembahan-sembahan(mu) selain Allah.

Maka kita pun tahu yang alam ini semuanya dicipta oleh Allah. Patutnya sembah dan puja Allahlah sahaja, bukan?

Tapi ada juga manusia yang memuja dan menjadikan selain dari Allah sebagai ilah. Maka Allah tanya balik kepada mereka itu: Yang selain Allah boleh buatkah alam ini? Kalau ada, mari tunjuk mana satu yang mereka cipta dan bina. Tunjuk yang ini Allah yang buat dan ini ada ilah lain yang buat.

 

بَلِ الظّٰلِمونَ في ضَلٰلٍ مُّبينٍ

Sebenarnya orang-orang yang zalim itu berada di dalam kesesatan yang nyata.

Tentu tidak ada ciptaan selain dari ciptaan Allah. Ilah-ilah yang disembah selain Allah itu tidak mampu untuk buat apa-apa pun. Nak buat nyamuk seekor pun tidak boleh, apatah lagi nak buat alam.

Maka orang yang melakukan syirik itu telah melakukan zalim yang paling besar iaitu syirik. Maksud ‘zalim’ adalah tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya. Makhluk sepatutnya hanya menyembah dan menyeru Allah sahaja, tapi ada manusia yang menyembah dan menyeru kepada selain Allah.

Mereka itu benar-benar telah sesat yang nyata, tapi mereka sahaja yang tidak perasan. Kerana kalau mereka gunakan akal mereka yang waras, mereka pun tahu yang ilah-ilah yang mereka sembah itu tidak boleh buat apa-apa pun. Jadi kenapa nak sembah dan berdoa kepada ilah-ilah selain Allah itu?

Kalau mereka boleh dengar pun doa kita, apa yang mereka boleh buat? Jadi mereka yang sembah dan seru selain Allah itu adalah orang yang gila sebenarnya. Mereka sudah tak guna akal mereka.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 23 Jun 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Luqman Ayat 1 – 7 (Lagu dan muzik itu haram)

Pengenalan: 

Ini adalah surah ketiga dalam rentetan kumpulan 4 surah dari Surah Ankaboot sampai Surah Sajdah. Keempat-empat surah ini mengandungi mesej yang hampir sama. Tapi terlebih lagi ada banyak persamaan antara Surah Ankaboot dengan Surah Luqman ini.

Dakwa surah ini adalah berkat itu hanya milik Allah. Ini seperti juga surah-surah dari Surah Ankaboot sampai Surah Sajdah itu.


Ayat 1: Surah ini mengandungi 4 perenggan makro. Ayat 1 – 9 adalah Perenggan Makro Pertama dan ia mengandungi kalam Tuhan yang Maha Bijaksana.

الم

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Luqmān: Luqmān, the Wise, whose learning and wisdom was known among pre-Islāmic Arabs. He was said to have been an Abyssinian or Nubian slave who lived in the area of Madyan and thus knew Arabic.

Alif, Lām, Meem.

(MELAYU)

Alif Laam Miim

 

Ini adalah ayat Muqatta’ah. Seperti yang kita telah banyak kali beritahu sebelum ini, kita tidak tahu apakah tafsir bagi ayat-ayat muqatta’ah ini. Boleh baca penerangan dalam awal Surah Ghafir.


 

Ayat 2: Allah menceritakan tentang Al-Qur’an. Memang dalam banyak surah, selepas sahaja Allah sebut ayat Muqatta’ah, selalu Allah sambung dengan penerangan tentang Al-Qur’an.

تِلكَ ءآيٰتُ الكِتٰبِ الحَكيمِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

These are verses of the wise¹ Book,

  • See footnote to 10:1.

(MELAYU)

Inilah ayat-ayat Al Qur’an yang mengandung hikmat,

 

Permulaan Surah Luqman ini sama macam permulaan Surah Baqarah. Jadi boleh dibaca penerangan tentang bagaimana Al-Qur’an ini mengandungi banyak hikmah. Kepada mereka yang memahaminya, mereka akan mendapat hikmah yang banyak. Maka kerana itu diwajibkan kita mempelajari tafsir Al-Qur’an.


 

Ayat 3:

هُدًى وَرَحمَةً لِّلمُحسِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

As guidance and mercy for the doers of good

(MELAYU)

menjadi petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang berbuat kebaikan,

 

هُدًى

menjadi petunjuk

Mereka yang mahu beriman, boleh menjadikan Al-Qur’an ini sebagai petunjuk hidup yang boleh membawa kebaikan sampai ke akhirat. Asalkan mahu belajar sahaja. Malangnya ramai yang tidak mahu mengambil pengajaran daripada Al-Qur’an ini. Ramai yang baca (dan ramai juga yang hafal) tapi ramai yang tidak mahu mempelajarinya. Oleh kerana itu ramai yang melanggar ajaran dalam Al-Qur’an.

 

وَرَحمَةً

dan rahmat

Dengan mempelajari dan mengamalkan ajaran dalam Al-Qur’an ini akan memberi rahmat kepada kita. Maka takkan kita tidak mahu memperolehi rahmat yang Allah janjikan ini?

Setakat ini ada persamaan dengan Surah Baqarah Lebih kurang tapi ada beza selepas ini.

 

لِّلمُحسِنينَ

bagi orang-orang yang berbuat kebaikan,

Al-Qur’an ini boleh memberi petunjuk dan rahmat kepada semua orang tetapi yang boleh mengambil manfaat darinya adalah  mereka yang memiliki hati yang baik (muhsin). Iaitu mereka mahu mencari kebenaran dan apabila kebenaran datang kepada mereka, mereka boleh menerimanya.

Hati mereka sendiri sudah baik dan mereka berusaha untuk menjadikan orang lain juga baik. Mereka tidak hanya hendak melepaskan diri mereka sahaja tetapi mereka juga memikirkan tentang orang lain juga. Inilah salah satu dari sifat muhsin.


 

Ayat 4: Kemudian Allah memberitahu sifat Muhsin itu. Masih ada persamaan dengan Surah Baqarah.

الَّذينَ يُقيمونَ الصَّلَوٰةَ وَيُؤتونَ الزَّكَوٰةَ وَهُم بِالآخِرَةِ هُم يوقِنونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Who establish prayer and give zakāh, and they, of the Hereafter, are certain [in faith].

(MELAYU)

(iaitu) orang-orang yang mendirikan solat, menunaikan zakat dan mereka yakin akan adanya negeri akhirat.

 

الَّذينَ يُقيمونَ الصَّلَوٰةَ

orang-orang yang mendirikan solat,

Mereka yang muhsin itu amat menjaga solat mereka dengan baik. Ini adalah contoh ibadat yang melibatkan hubungan dengan Allah. Habluminallah (tali dengan Allah). Ibadah yang paling utama adalah solat.

 

وَيُؤتونَ الزَّكَوٰةَ

menunaikan zakat 

Ini pula melibatkan hubungan dengan masyarakat. Iaitu kita keluarkan zakat untuk beri bantuan kepada orang yang memerlukan. Ia bukan sahaja taat kepada suruhan Allah tetapi ia juga dapat menyambungkan perhubungan baik dengan masyarakat.

Ini kerana apabila kita keluarkan zakat, maka ia membantu orang yang memerlukan. Maka orang yang menerima zakat itu akan rasa berterima kasih kepada mereka yang memberi. Maka ada hubungan baik, timbal balik.

Dua ibadat ini adalah sebagai contoh. Bukanlah cukup dengan buat dua ibadat ini sahaja. Tapi ia sudah mewakili segala ibadat yang Allah suruh. Maka kena belajar tentang ibadah-ibadah yang lain pula.

 

وَهُم بِالآخِرَةِ هُم يوقِنونَ

dan mereka yakin akan adanya negeri akhirat.

Allah kata kita dengan akhirat kena yakin kerana ia hanya boleh didapati dengan dalil. Memang kita tidak boleh nampak negeri akhirat itu lagi, tapi dalilnya sudah jelas.

Apabila selalu baca dan dengar dalil maka lama kelamaan seseorang itu akan mendapat keyakinan. Kerana akhirat ini kita bukan boleh tengok dan nampak maka kita kena percaya berdasarkan dalil. Kerana kalau guna akal sahaja maka tidak mungkin manusia akan capai pemahaman dan keyakinan kepada akhirat.

Apabila yakin adanya akhirat, maka cara hidup mereka pun akan jadi baik. Tidaklah mereka buat sesuka hati mereka sahaja. Mereka perhatikan apa sahaja perbuatan mereka kerana takut nak menjawab di akhirat kelak.

Dan memang maksud ‘ihsan’ adalah kita beribadat seolah-olah kita melihat Allah dan kerana kita memang tidak dapat melihat Allah, maka hendaklah kita sedar yang Allah sedang melihat kita. Maka kalau sedang solat, latihlah diri supaya sedar yang Allah sedang memerhatikan kita.


 

Ayat 5: Inilah natijah kepada mereka yang ada tiga sifat di atas.

أُولٰئِكَ عَلىٰ هُدًى مِّن رَّبِّهِم ۖ وَأُولٰئِكَ هُمُ المُفلِحونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Those are on [right] guidance from their Lord, and it is those who are the successful.

(MELAYU)

Mereka itulah orang-orang yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhannya dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.

 

أُولٰئِكَ عَلىٰ هُدًى مِّن رَّبِّهِم

Mereka itulah orang-orang yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhannya

Apabila taat kepada Allah, maka Allah akan terus beri petunjuk kepada mereka. Petunjuk inilah yang kita perlukan dalam kehidupan kita. Kerana kita hendak selamat di dunia dan di akhirat. Maka untuk selamat, memerlukan petunjuk.

 

وَأُولٰئِكَ هُمُ المُفلِحونَ

dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.

Dan mereka akan berjaya di dunia dan lebih penting lagi, akan berjaya di akhirat. Inilah kejayaan kepada mereka yang berusaha semasa di dunia.


 

Ayat 6: Ini adalah ayat zajrun dan takhwif ukhrawi. Sebelum ini sebut tentang manusia yang berjaya, sekarang nak sebut mereka yang tidak berjaya pula.

Sepatutnya manusia itu meluangkan masa untuk memahami ayat-ayat Allah. Tapi kebanyakan manusia tidak begitu. Ramai yang sibuk dengan benda lain sampai tak sempat nak beramal ibadat.

وَمِنَ النّاسِ مَن يَشتَري لَهوَ الحَديثِ لِيُضِلَّ عَن سَبيلِ اللهِ بِغَيرِ عِلمٍ وَيَتَّخِذَها هُزُوًا ۚ أُولٰئِكَ لَهُم عَذابٌ مُّهينٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And of the people is he who buys the amusement of speech¹ to mislead [others] from the way of Allāh without knowledge and who takes it [i.e., His way] in ridicule. Those will have a humiliating punishment.

  • i.e., that which has no benefit. Described by different ṣaḥābah as shirk (association with Allāh), misleading stories, frivolous songs, or music but includes all which distracts or diverts one from the Qur’ān and remembrance of Allāh.

(MELAYU)

Dan di antara manusia (ada) orang yang mempergunakan perkataan yang tidak berguna untuk menyesatkan (manusia) dari jalan Allah tanpa pengetahuan dan menjadikan jalan Allah itu olok-olokan. Mereka itu akan memperoleh azab yang menghinakan.

 

وَمِنَ النّاسِ مَن يَشتَري لَهوَ الحَديثِ

Dan di antara manusia (ada) orang yang mempergunakan perkataan yang tidak berguna

Mereka يَشتَري iaitu tukar wahyu dan ambil لَهوَ الحَدي iaitu ‘percakapan sia-sia’. Abdullah Ibnu Mas’ud mengatakan yang dimaksudkan adalah nyanyian. Ini seperti yang disebut:

Ibnu Jarir mengatakan, telah menceritakan kepadaku Yunus ibnu Abdul A’la, telah menceritakan kepada kami Ibnu Wahb, telah menceritakan kepadaku Yazid ibnu Yunus, dari AbuSakhr, dari Ibnu Mu’awiyah Al-Bajali, dari Sa’id ibnu Jubair, dari Abus Sahba Al-Bakri, bahawa dia pernah mendengar Abdullah ibnu Mas’ud ketika ditanya mengenai makna firman Allah Swt.: Dan di antara manusia (ada) orang yang mempergunakan perkataan yang tidak berguna untuk menyesatkan (manusia) dari jalan Allah. (Luqman: 6) Maka Ibnu Mas’ud menjawab bahawa yang dimaksudkan adalah nyanyian.

Hal yang sama dikatakan oleh Ibnu Abbas, Jabir, Ikrimah, Sa’id ibnu Jubair, Mujahid, Mak-hul, Amr ibnu Syu’aib, dan Ali ibnu Bazimah.

Al-Hasan Al-Basri mengatakan bahawa firman-Nya: Dan di antara manusia (ada) orang yang mempergunakan perkataan yang tidak berguna untuk menyesatkan (manusia) dari jalan Allah tanpa pengetahuan. (Luqman: 6) Maksudnya, nyanyian dan seruling (musik).

Qatadah telah mengatakan sehubungan dengan makna firman-Nya: Dan di antara manusia (ada) orang yang mempergunakan perkataan yang tidak berguna untuk menyesatkan (manusia) dari jalan Allah tanpa pengetahuan. (Luqman: 6) Demi Allah, barangkali dia tidak mengeluarkan perbelanjaan untuk itu, tetapi yang dimaksudkan dengan istilah syira’ itu ialah ‘menyukainya’. Sebab cukuplah kesesatan bagi seseorang bila dia memilih perkataan yang batil daripada perkataan yang hak, dan memilih hal yang mudarat daripada hal yang bermanfaat.

Di dalam nyanyian pada zaman jahiliah itu, mereka memuji sesuatu itu sampai ke tahap mendewakan dan sampai ke tahap syirik. Jadi bukan sahaja nyanyian itu mereka akan menjauhkan mereka daripada wahyu Allah tetapi ia juga menjerumuskan mereka ke dalam syirik.

Hasan al Basri kata ianya bermaksud syirik kerana apabila tidak mengendahkan Al-Qur’an maka lawannya adalah syirik. Apabila tidak ada semangat untuk belajar wahyu, maka Allah akan ganti dengan pemahaman syirik kepada mereka. Inilah bahayanya dan malangnya apabila ramai yang tidak tahu ajaran wahyu.

Ada juga ulama’ yang mengatakan yang ianya merujuk kepada apa-apa sahaja perkara keduniaan yang menyebabkan manusia leka sampai terlupa untuk mengamalkan agama dan membuat persediaan kepada akhirat.

Ad-Dahhak telah mengatakan sehubungan dengan makna firman-Nya: Dan di antara manusia (ada) orang yang mempergunakan perkataan yang tidak berguna. (Luqman: 6) bahawa yang dimaksud adalah kemusyrikan.

Hal yang sama dikatakan oleh Abdur Rahman ibnu Zaid ibnu Aslam, lalu dipilih oleh Ibnu Jarir, yang kesimpulannya mengatakan bahawa setiap perkataan yang menghalang-halangi ayat-ayat Allah dan mencegah untuk mengikuti jalan­Nya, itulah yang dinamakan lahwul hadis.

Ada pendapat yang mengatakan kisah ini berkenaan cubaan musyrikin Mekah untuk menghalang manusia dari mendengar bacaan Al-Qur’an dari Nabi Muhammad. Mereka perasan bagaimana bacaan Al-Qur’an itu amat indah sampaikan ramai yang tertarik dengan bacaan baginda. Dan orang Mekah ataupun orang Arab memang suka kepada bacaan yang indah kerana itulah hiburan bagi mereka.

Jadi kepada penentang wahyu, mereka merasakan yang mereka perlu melakukan sesuatu untuk mengalihkan perhatian manusia dari mendengar bacaan Al-Qur’an dari Nabi Muhammad. Maka ada yang sampai pergi carikan bawa balik seorang wanita yang suaranya merdu untuk buat konsert setiap kali Nabi Muhammad membacakan Al-Qur’an kepada manusia.

Akan tetapi ayat ini berbentuk umum, maka jangan terhadkan kepada kisah itu sahaja. Kalau zaman sekarang pun, ayat ini masih terpakai.

Jadi ada banyak industri dalam dunia ini yang hendak mengisi masa lapang manusia untuk mendapatkan keuntungan seperti hiburan, sukan, politik dan sebagainya. Jadi kita kena berhati-hati dengan penggunaan masa kita. Jangan layan sangat perkara yang lagha sampai menyebabkan kita terleka dengan perkara-perkara itu yang melalaikan kita dari agama dan dari Allah.

 

لِيُضِلَّ عَن سَبيلِ اللهِ

untuk menyesatkan (manusia) dari jalan Allah

Perkara-perkara itu lagha itu akan dapat melalaikan manusia. Dan manusia-manusia yang terlibat dengan industri hiburan itu merosakkan masyarakat kerana menjauhkan manusia daripada agama. Manusia memang banyak buang masa dengan hidupan di media massa sahaja. Padahal tidak ada langsung perkara yang untung dengan hiburan itu.

Bagaimana mereka rosakkan masyarakat? Mereka bercakap tentang perkara-perkara yang tidak sepatutnya dikatakan di khalayak ramai dan mereka berpakaian dengan pakaian yang menjolok mata dan mereka menjadi ikutan akhlak yang buruk kepada mereka yang lemah akal.

 

بِغَيرِ عِلمٍ

tanpa pengetahuan 

Jadi manusia sudah terikut-ikut mengisi masa mereka dengan hiburan dan perkara-perkara yang tidak penting yang sepatutnya mereka isikan masa itu untuk belajar agama dan zikir kepada Allah.

Mereka lakukan perkara itu dalam keadaan ‘tanpa ilmu’ – iaitu dalam keadaan jahil.

Dan memang hiburan-hiburan dan juga pengisian masa lapang itu tidak menambah langsung kepada ilmu manusia. Ia hanya membuang masa sahaja, sedangkan sepatutnya kita cari jalan nak tambah ilmu kita.

Nak dapatkan hiburan itu memerlukan wang dan belanja, bukan? Tapi ilmu pengetahuan ini percuma sahaja (kalau belajar dengan ustaz Sunnah). Jadi mereka membeli benda yang sia-sia dan buang masa dan meninggalkan perkara yang lebih mulia.

Ia sampai boleh menyesatkan manusia. Kerana apabila tidak tumpu perhatian kepada agama, maka syaitan akan isi dengan perkara yang salah. Maka akhirnya manusia boleh jadi sesat. Kerana sibuk dengan perkara lagha, maka orang itu tidak ada ilmu dan kerana tidak ada ilmu, maka senang sahaja syaitan nak tipu dan sesatkan dia.

 

وَيَتَّخِذَها هُزُوًا

dan menjadikan jalan Allah itu olok-olokan. 

Asbabun Nuzul ayat ini tentang Musyrikin Mekah yang memanggil dan mengupah penyanyi dan tukang cerita untuk melalaikan manusia dari mendengar bacaan Al-Qur’an Nabi Muhammad.

Dan bukan itu sahaja tetapi mereka menjadikan agama Allah sebagai ejekan dan mainan. Mereka nak sampaikan kepada orang yang lain yang agama bawaan Nabi Muhammad itu adalah sesuatu yang tidak penting mana. Macam budak-budak kalau main, mereka pun tahu yang permainan itu olok-olok sahaja. Sampai masa mereka akan tinggalkan apabila nak makan atau nak tidur. Mereka tinggalkan begitu sahaja kerana mereka tahu ia tidak penting.

 

أُولٰئِكَ لَهُم عَذابٌ مُّهينٌ

Mereka itu akan memperoleh azab yang menghinakan.

Kalau mereka tak bertaubat dan ubah cara hidup mereka, mereka akan kena azab. Mereka akan dapat pembalasan di akhirat yang akan menghina mereka.


 

Ayat 7:

وَإِذا تُتلىٰ عَلَيهِ ءآيٰتُنا وَلّىٰ مُستَكبِرًا كَأَن لَّم يَسمَعها كَأَنَّ في أُذُنَيهِ وَقرًا ۖ فَبَشِّرهُ بِعَذابٍ أَليمٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when Our verses are recited to him, he turns away arrogantly as if he had not heard them, as if there was in his ears deafness. So give him tidings of a painful punishment.

(MELAYU)

Dan apabila dibacakan kepadanya ayat-ayat Kami dia berpaling dengan menyombongkan diri seolah-olah dia belum mendengarnya, seakan-akan ada sumbatan di kedua telinganya; maka beri khabar gembiralah dia dengan azab yang pedih.

 

وَإِذا تُتلىٰ عَلَيهِ ءآيٰتُنا وَلّىٰ مُستَكبِرًا

Dan apabila dibacakan kepadanya ayat-ayat Kami dia berpaling dengan menyombongkan diri

Dia sendiri memang tidak baca Al-Qur’an, maka kalau dia dengar pun, hanya apabila ‘dibacakan’ kepadanya.

Tapi bila dibacakan dan ditafsirkan maksud ayat-ayat itu, dia berpaling. Maksudnya dia tidak mahu terima. Dia tidak mahu nak amalkan. Dia malas nak dengar. Sebab itu ada orang yang apabila kita menceritakan tentang ayat-ayat Al-Qur’an, mereka ada yang kata: “sikit-sikit Qur’an, sikit Qur’an, tidak ada benda lain lagi kah?”. Ini adalah kerana mereka rasa rimas apabila kita membacakan ayat-ayat Al-Qur’an kepada mereka. Kerana ia akan berlainan dari fahaman dan akidah mereka.

Dia menolak dalam keadaan sombong. Sombong itu bermaksud tidak mahu terima kebenaran. Dia rasa dia lebih hebat dari wahyu, lebih tinggi dari wahyu. Dia rasa dia tidak perlu ikut ajaran dari wahyu.

 

كَأَن لَّم يَسمَعها

seolah-olah dia belum mendengarnya, 

Apabila dibacakan ayat-ayat wahyu kepada mereka yang suka berhibur itu, maka mereka berpusing tidak mahu mendengar seolah-olah mereka tidak mendengar ayat-ayat wahyu itu dibacakan kepada mereka.

Mereka buat tidak tahu sahaja. Hanya masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri sahaja, tak singgah pada akal.

 

كَأَنَّ في أُذُنَيهِ وَقرًا

seakan-akan ada sumbat di kedua telinganya; 

Allah kata mereka itu seolah-olah ada sumbatan para telinga mereka. Ini bukan sumbatan tahi telinga tapi sumbatan maknawi (dari segi makna sahaja, bukan dari segi fizikal). Kalau nak korek, memang tidak berjumpa.

 

فَبَشِّرهُ بِعَذابٍ أَليمٍ

maka beri khabar gembiralah dia dengan azab yang pedih.

Allah ejek mereka dengan suruh beri ‘berita gembira’. Padahal ia bukan berita gembira kerana kena azab bukanlah berita baik.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 23 Jun 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Rum Ayat 56 – 60 (Jangan lemah semangat)

Ayat 56: Ini keadaan orang yang baik pula.

وَقالَ الَّذينَ أوتُوا العِلمَ وَالإيمٰنَ لَقَد لَبِثتُم في كِتٰبِ اللهِ إِلىٰ يَومِ البَعثِ ۖ فَهٰذا يَومُ البَعثِ وَلٰكِنَّكُم كُنتُم لا تَعلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But those who were given knowledge and faith will say, “You remained the extent of Allāh’s decree until the Day of Resurrection, and this is the Day of Resurrection, but you did not used to know.”¹

  • i.e., acknowledge the truth.

(MELAYU)

Dan berkata orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan dan keimanan (kepada orang-orang yang kafir): “Sesungguhnya kamu telah berdiam menurut ketetapan Allah, sampai hari berbangkit; maka inilah hari berbangkit itu akan tetapi kamu selalu tidak menyakini(nya)”.

 

وَقالَ الَّذينَ أوتُوا العِلمَ وَالإيمٰنَ

Dan berkata orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan dan keimanan

Lihat dalam ayat ini Allah sebutkan ‘ilmu’ dan ‘iman’. Allah hendak beritahu bahawa iman dan ilmu itu berbeza. Ilmu kena ada supaya manusia boleh faham tentang agama. Tentunya ilmu yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah ilmu wahyu.

Dari ilmu, barulah boleh beramal. Dan tentulah amal yang dimaksudkan adalah amal soleh. Iaitu amal yang ada contoh dari Nabi dan sahabat. Dan untuk tahu manakah amal yang soleh itu memerlukan ilmu. Malangnya ramai yang tidak ada ilmu ini dan kerana itu ramai sahaja yang ikut amal yang telah diamalkan oleh orang lain.

Begitu mulianya orang yang mempunyai ilmu, sehingga dalam hadith yang diriwayatkan daripada Abu Umamah r.a, orang berilmu dianggap lebih utama daripada ahli ibadah sekalipun. Abu Umamah bercerita bahawa pada suatu masa, Rasulullah s.a.w pernah ditanya seseorang sahabat mengenai perbezaan di antara orang ahli ibadah serta orang yang berilmu (alim). Maka Rasulullah s.a.w menjawab,

“Kelebihan orang yang berilmu atas ahli ibadah sama dengan kelebihanku atas orang yang paling hina di antara kamu.” Apatah lagi, jika orang alim tersebut juga seorang yang tekun dalam beribadah. Maka, semakin lengkaplah statusnya sebagai orang yang istimewa di sisi Allah s.w.t. Sebaliknya, orang yang bodoh, sebab dia lalai dan tidak berminat menuntut ilmu, nescaya dia diserupakan dengan manusia yang tidak mampu melihat (buta) – (maksud surah ar-Ra’du:19).

Jadi, kena mulakan dengan ilmu dan teruskan dengan amal soleh. Apabila kita mulakan dengan ilmu dan amal maka barulah akan datang iman. Kerana iman itu adalah pemberian Allah. Allah akan beri qudrat rohani kepada mereka yang ada inabah.

Apakah kata mereka yang sudah ada ilmu dan iman itu?

 

لَقَد لَبِثتُم في كِتٰبِ اللهِ إِلىٰ يَومِ البَعثِ

“Sesungguhnya kamu telah berdiam menurut ketetapan Allah, sampai hari berbangkit; 

Orang yang ada ilmu dan iman itu beritahu kepada orang yang tidak taat, mereka lama juga duduk di dunia, bukannya satu saat. Maka tidak ada alasan kata tak sempat nak dapatkan ilmu dan beramal. Kerana semua manusia diberi masa.

 

فَهٰذا يَومُ البَعثِ

maka inilah hari berbangkit itu 

Dan sekarang sudah sampai kepada Hari Kebangkitan yang disebut-sebut dalam Al-Qur’an. Segala yang dijanjikan sudah di depan mata. Maka sudah terlambat untuk berbuat apa-apa. Memang kena hadapi apa sahaja.

 

وَلٰكِنَّكُم كُنتُم لا تَعلَمونَ

maka inilah hari berbangkit itu akan tetapi kamu selalu tidak menyakini(nya)”.

Dulu di dunia kamu tidak yakin kepada hari akhirat ini walau ia ada dalam wahyu. Maka yang kamu tak percayai itu sudah di depan mata, apa nak kata lagi?


 

Ayat 57:

فَيَومَئِذٍ لّا يَنفَعُ الَّذينَ ظَلَموا مَعذِرَتُهُم وَلا هُم يُستَعتَبونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So that Day, their excuse will not benefit those who wronged, nor will they be asked to appease [Allāh].

(MELAYU)

Maka pada hari itu tidak bermanfaat (lagi) bagi orang-orang yang zalim dalihan mereka, dan tidak pula mereka diberi kesempatan bertaubat lagi.

 

فَيَومَئِذٍ لّا يَنفَعُ الَّذينَ ظَلَموا مَعذِرَتُهُم

Maka pada hari itu tidak bermanfaat (lagi) bagi orang-orang yang zalim dalihan mereka,

Memang tidak dapat buat apa-apa lagi untuk menyelamatkan diri di akhirat kelak. Kalau nak melepaskan diri dengan bagi dalihan apa sahaja tidak akan diterima. Sudah tidak dilayan langsung. Kalau semasa di dunia, manusia berhujah macam-macam dan berbagai alasan akan diberi. Tapi ianya tidak laku di akhirat kelak.

 

وَلا هُم يُستَعتَبونَ

dan tidak pula mereka diberi kesempatan bertaubat lagi.

Mereka tidak ada peluang untuk bertaubat. Tidak ada ruang untuk mereka memberi penjelasan kenapa mereka beramal seperti apa yang mereka amalkan semasa di dunia. Tidak ada peluang. Tiada siapa yang akan beri telinga nak dengar alasan mereka lagi.

Mereka tunggu untuk dimasukkan ke dalam neraka sahaja. Iaitu apabila keputusan telah dibuat oleh Allah untuk memasukkan mereka ke dalam neraka.


 

Ayat 58: Ayat syikayah.

وَلَقَد ضَرَبنا لِلنّاسِ في هٰذَا القُرءآنِ مِن كُلِّ مَثَلٍ ۚ وَلَئِن جِئتَهُم بِئآيَةٍ لَّيَقولَنَّ الَّذينَ كَفَروا إِن أَنتُم إِلّا مُبطِلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We have certainly presented to the people in this Qur’ān from every [kind of] example. But, [O Muḥammad], if you should bring them a sign, the disbelievers will surely say, “You [believers] are but falsifiers.”

(MELAYU)

Dan sesungguhnya telah Kami buat dalam Al Qur’an ini segala macam perumpamaan untuk manusia. Dan Sesungguhnya jika kamu membawa kepada mereka suatu tanda, pastilah orang-orang yang kafir itu akan berkata: “Kamu tidak lain hanyalah orang-orang yang membuat kepalsuan belaka”.

 

وَلَقَد ضَرَبنا لِلنّاسِ في هٰذَا القُرءآنِ مِن كُلِّ مَثَلٍ

Dan Sesungguhnya telah Kami buat dalam Al Qur’an ini segala macam perumpamaan untuk manusia.

Di dalam Al-Qur’an ini telah diberikan penerangan panjang lebar tentang agama terutama sekali tentang tauhid. Telah diberikan bermacam-macam contoh supaya manusia boleh faham.

Banyak kali Allah mengajar dalam bentuk beri perbandingan atau analogi. Ini kerana manusia senang nak faham kalau digunakan cara analogi. Dan Allah bagi berbagai-bagai cara, bukan satu sahaja. Kerana ada manusia faham dengan cara begini dan ada manusia yang faham dengan cara lain pula.

Setelah diberikan dengan berbagai cara itu maka tidak ada alasan sebenarnya untuk manusia kata mereka tak faham lagi. Memang kalau tak faham itu kerana degil sahaja.

 

وَلَئِن جِئتَهُم بِئآيَةٍ

Dan sesungguhnya jika kamu membawa kepada mereka suatu tanda, 

‘Tanda’ yang dimaksudkan adalah mukjizat. Allah hendak beritahu, kalau sudah jenis degil, kalau bawa mukjizat tunjuk depan mata mereka pun, mereka tidak akan beriman. Allah Swt. telah berfirman, menceritakan sikap mereka:

{إِنَّ الَّذِينَ حَقَّتْ عَلَيْهِمْ كَلِمَةُ رَبِّكَ لَا يُؤْمِنُونَ. وَلَوْ جَاءَتْهُمْ كُلُّ آيَةٍ حَتَّى يَرَوُا الْعَذَابَ الألِيمَ}

Sesungguhnya orang-orang yang telah pasti terhadap mereka kalimat Tuhanmu tidaklah akan beriman, meskipun datang kepada mereka segala macam keterangan, hingga mereka menyaksikan azab yang pedih. (Yunus: 96-97)

 

لَّيَقولَنَّ الَّذينَ كَفَروا إِن أَنتُم إِلّا مُبطِلونَ

pastilah orang-orang yang kafir itu akan berkata: “Kamu tidak lain hanyalah orang-orang yang membuat kepalsuan belaka”.

Kalimah مُبطِلونَ bermaksud membatalkan amalan. Mereka akan kata kepada pendakwah: “kamu memang nak kata semua amalan kami salah sahaja. Kamu sahajalah yang benar, semua orang salah pada kamu.” Maksudnya mereka kutuk pendakwah kerana asyik nak menyalahkan amalan dan fahaman orang lain sahaja.

Begitulah tuduhan dan tohmahan pengamal bidaah sekarang. Mereka marah benar kalau kita tegur amalan mereka. Mereka nak kita senyap sahaja. Mereka larang kita kata amalan mereka ‘bidaah’. Mereka kata ada pendapat yang membolehkan amalan itu.

Ini adalah teguran yang tidak patut. Kerana kalau sudah salah, memanglah kita kena tegur. Takkan kita nak diamkan diri? Kita tegur sahaja. Kalau pada mereka, amalan mereka itu benar dan ada dalilnya, maka teruskanlah beramal dengannya. Jangan pula marah kalau ada orang tegur kerana amar makruf dan nahi mungkar adalah tuntutan kepada setiap Muslim. Tegur tetap kena tegur.

Atau, kalimah مُبطِلونَ bermaksud orang yang buat amalan yang salah. Maksudnya mereka pula yang kata fahaman tauhid dan sunnah itu pula golongan tak betul. Sedangkan mereka yang tidak betul tapi mereka salahkan orang lain pula.


 

Ayat 59: Kenapa mereka jadi begitu?

كَذٰلِكَ يَطبَعُ اللهُ عَلىٰ قُلوبِ الَّذينَ لا يَعلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Thus does Allāh seal the hearts of those who do not know.¹

  • i.e., those who do not wish to know the truth and refuse it.

(MELAYU)

Demikianlah Allah mengunci mati hati orang-orang yang tidak (mau) memahami.

Begitulah yang terjadi apabila Allah kunci hati manusia. Ini dinamakan Khatmul Qalbi. Mereka dikunci hati mereka oleh Allah dari menerima kebenaran kerana mereka degil dan menentang kebenaran.

Mereka tidak mahu nak buka hati mereka untuk mengetahui manakah kebenaran. Mereka terus menerus menentang ajaran tauhid apabila disampaikan kepada mereka dan kemudian tolak kebenaran banyak kali. Kerana banyak kali sangat menentang kebenaran, maka Allah buat keputusan untuk tutup habis pintu hati mereka.


 

Ayat 60: Ayat tasliah.

فَاصبِر إِنَّ وَعدَ اللهِ حَقٌّ ۖ وَلا يَستَخِفَّنَّكَ الَّذينَ لا يوقِنونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So be patient. Indeed, the promise of Allāh is truth. And let them not disquiet you who are not certain [in faith].

(MELAYU)

Dan bersabarlah kamu, sesungguhnya janji Allah adalah benar dan sekali-kali janganlah orang-orang yang tidak menyakini (kebenaran ayat-ayat Allah) itu menggelisahkan kamu.

 

فَاصبِر إِنَّ وَعدَ اللهِ حَقٌّ

Dan bersabarlah kamu, sesungguhnya janji Allah adalah benar

Allah memujuk hati Nabi dan para pendakwah untuk bersabar. Memang akan ada orang yang menentang tapi bersabarlah dengan penolakan dan penentangan dari mereka. Ingatlah janji Allah untuk beri kemenangan kepada orang yang benar dan menegakkan agamaNya.

 

وَلا يَستَخِفَّنَّكَ الَّذينَ لا يوقِنونَ

dan sekali-kali janganlah orang-orang yang tidak menyakini (kebenaran ayat-ayat Allah) itu menggelisahkan kamu.

Jangan biarkan mereka melemahkan kita. Jangan termakan dengan ejekan mereka setelah berdakwah kepada mereka. Memang mereka akan menggunakan cara-cara yang jahat untuk melemahkan ajaran yang benar. Ini adalah taktik mereka.

Kalimah يَستَخِفَّنَّكَ dari kalimah خ ف ف yang bermaksud ‘ringan’. Jadi mereka hendak meringankan ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad. Ini sama macam yang dilakukan oleh Firaun. Ia bermaksud ‘melemahkan akal’. Ini disebut dalam Zukhruf:54

فَاستَخَفَّ قَومَهُ فَأَطاعوهُ

Maka Fir’aun mempengaruhi kaumnya (dengan perkataan itu) lalu mereka patuh kepadanya.

Maksudnya Firaun hendak menjadikan rakyatnya ‘ringan akal’ mereka supaya mereka tidak menentang. Dan apabila penentang tauhid berhujah, mereka meringankan kepentingan tauhid yang dibawa.

Mereka akan kata yang ajaran yang dibawa adalah ajaran baru, ajaran puak sesat, puak Wahabi, kita memecah belahkan masyarakat dan lain-lain lagi. Kadangkala mereka menggunakan kuasa mereka dalam negara kerana mereka yang menguasai pemerintahan, mereka kuasai media, penyokong mereka lebih ramai. Ada juga yang menggunakan kuasa mereka untuk mengeluarkan tauliah untuk tidak memberikan tauliah kepada mereka yang layak. Semua ini adalah antara taktik yang digunakan.

Maka Allah mengingatkan kita supaya jangan hilang keyakinan kita. Teruskan berdakwah. Terus ajak orang untuk mengamalkan agama yang benar. Kalau kita terikut dengan mereka, maka kita nanti yang lemah semangat.

Selalunya orang muda yang hendak mengamalkan agama yang benar, rasa malu kerana mereka kena serang oleh orang yang jahil. Orang jahil pula yang mengejek-ngejek mereka kerana hendak mengamalkan agama dengan menggunakan kata-kata untuk melecehkan amalan baik itu. Sebagai contoh: “elehhh, konon baiklah tu pergi surau hari-hari. Konon dia seorang sahajalah ahli syurga….” dan lain-lain lagi.

Maka kita kena kuatkan semangat kita. Jangan layan kata-kata mereka. Mereka itu mendapat bisikan syaitan untuk kata begitu. Maka jangan beri mereka peluang. Jangan layan kata-kata jahil mereka itu.

Allahu a’lam. Sekian tafsir Surah Rum ini. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 22 Jun 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Rum Ayat 51 – 55 (Bolehkan orang mati mendengar?)

Rum Ayat 51: Masih lagi tentang angin, iaitu sambungan dari ayat-ayat sebelum ini. Tadi disebut manusia suka kalau dapat angin yang membawa hujan.

وَلَئِن أَرسَلنا ريحًا فَرَأَوهُ مُصفَرًّا لَّظَلّوا مِن بَعدِهِ يَكفُرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But if We should send a [bad] wind and they saw [their crops] turned yellow, they would remain thereafter disbelievers.¹

  • Denying and ungrateful for the previous favors of Allāh.

(MELAYU)

Dan sungguh, jika Kami mengirimkan angin lalu mereka melihat (tumbuh-tumbuhan itu) menjadi kuning (kering), benar-benar tetaplah mereka sesudah itu menjadi orang yang engkar.

 

وَلَئِن أَرسَلنا ريحًا فَرَأَوهُ مُصفَرًّا

Dan sungguh, jika Kami mengirimkan angin lalu mereka melihat (tumbuh-tumbuhan itu) menjadi kuning،

Ini pula jikalau angin yang diberikan itu adalah angin yang tidak baik, di mana angin itu terlalu kuat dan bukannya jenis angin yang bawa hujan. Mungkin angin yang sejuk seperti angin ada ais atau angin panas yang membahang. Ini jenis angin yang boleh menyebabkan tanaman jadi rosak. Apabila ia rosak, maka ia akan menyebabkan tanaman jadi menguning, menandakan ia akan mati.

Ibnu Abu Hatim mengatakan bahawa angin itu ada lapan macam. Empat di antaranya mengandung rahmat, dan empat lainnya mengandung azab.
1. an-nasyirat
2. mubasysyirat
3. mursalat
4. az-zariyat
5. al-‘aqim
6. sar-sar
7. taufan
8. badai

Angin yang membawa rahmat ialah an-nasyirat (angin yang menyebarkan hujan), mubasysyirat (angin pembawa berita gembira akan turunnya hujan), mursalat (angin yang membawa awan yang mengandung hujan), dan az-zariyat (angin yang menerbangkan debu dan awan yang mengandung hujan).

Angin yang mengandung azab atau bencana ialah al-‘aqim (angin yang kering) dan angin sar-sar (angin yang menumbangkan pepohonan); kedua jenis angin ini terjadi di daratan. Adapun angin taufan dan angin badai, kedua jenis angin ini terjadi di laut.

Apabila Allah Swt. menghendaki untuk menjadikan angin itu sebagai angin pembawa rahmat, maka Dia menjadikan angin itu pembawa kesuburan, rahmat, dan berita gembira sebelum turunnya hujan. Lalu angin itu membuahi awan sehingga awan menjadi padat mengandung air, sebagaimana jantan membuahi betinanya hingga hamil.

Jika Dia menghendaki untuk menjadikannya sebagai azab, maka Dia menjadikannya angin yang kering dan azab yang memedihkan, serta pembalasan dari-Nya terhadap orang-orang yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya. Angin itu akan berupa angin taufan dan badai yang memporak-porandakan segala sesuatu yang dilandanya.

Kalau angin itu lembut lagi basah, manfaatnya ialah menyuburkan tumbuhan dan tubuh haiwan. Sedangkan jenis lainnya menguruskannya, jenis lainnya lagi membinasakan dan menyebabkan penyakit, yang lainnya lagi membuatnya tumbuh dan menguatkan, dan yang lainnya lagi merapuhkan serta melemahkannya.

 

لَّظَلّوا مِن بَعدِهِ يَكفُرونَ

benar-benar tetaplah mereka sesudah itu menjadi orang yang engkar.

Maka mereka waktu itu marah kepada Allah. Bila mereka dapat benda yang mereka suka, mereka tidak bersyukur dengan Allah. Dan bila dapat benda yang buruk, mereka menyalahkan Allah pula. Memang mereka yang sebegitu sentiasa sahaja tidak puas hati dengan Allah. Maka janganlah kita terikut dengan cara itu. Hendaklah kita redha dengan apa yang Allah berikan kepada kita dan takdirkan kepada kita.

Juga maksudnya, mereka mengingkari nikmat-nikmat Allah yang telah dilimpahkan kepada mereka sebelum itu. Banyak sudah nikmat yang mereka dapat, tapi bila mereka dapat bala bencana, mereka cakap seolah-olah mereka tidak pernah dapat rahmat daripada Allah. Mereka mengingkari nikmat-nikmat yang sebelum itu. Makna ayat ini sama dengan apa yang disebutkan oleh firman-Nya di dalam Waqi’ah:63-67

أَفَرَءَيۡتُم مَّا تَحۡرُثُونَ (٦٣) ءَأَنتُمۡ تَزۡرَعُونَهُ ۥۤ أَمۡ نَحۡنُ ٱلزَّٲرِعُونَ (٦٤) لَوۡ نَشَآءُ لَجَعَلۡنَـٰهُ حُطَـٰمً۬ا فَظَلۡتُمۡ تَفَكَّهُونَ (٦٥) إِنَّا لَمُغۡرَمُونَ (٦٦) بَلۡ نَحۡنُ مَحۡرُومُونَ (٦٧) 
Maka (mengapa kamu masih berdegil?) Tidakkah kamu melihat apa yang kamu tanam? (63) Kamukah yang menumbuhkannya atau Kami yang menumbuhkannya? (64) Kalau Kami kehendaki, sudah tentu Kami akan jadikan tanaman itu kering hancur (sebelum ia berbuah), maka dengan itu tinggallah kamu dalam keadaan hairan dan menyesal, (65) (Sambil berkata): Sesungguhnya kami menanggung kerugian. (66) Bahkan kami hampa (dari mendapat sebarang hasil) (67) 


 

Rum Ayat 52: Bolehkah kita memberi hidayah kepada orang lain?

فَإِنَّكَ لا تُسمِعُ المَوتىٰ وَلا تُسمِعُ الصُّمَّ الدُّعاءَ إِذا وَلَّوا مُدبِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So indeed, you will not make the dead hear, nor will you make the deaf hear the call when they turn their backs, retreating.

(MELAYU)

Maka sesungguhnya kamu tidak akan sanggup menjadikan orang-orang yang mati itu dapat mendengar, dan menjadikan orang-orang yang tuli dapat mendengar seruan, apabila mereka itu berpaling membelakang.

 

فَإِنَّكَ لا تُسمِعُ المَوتىٰ

Maka sesungguhnya kamu tidak akan sanggup menjadikan orang-orang yang mati itu dapat mendengar,

Seperti yang kita tahu, orang mati tidak dapat dengar. Kalau kita jerit atau bom meletup pun sebelah telinga mereka, mereka tidak akan bangun dari mati mereka itu. Jadi kita tidak boleh nak pergi ke kuburan sesiapa pun dan bercakap dengan mereka seolah-olah mereka dapat mendengar apa yang kita cakapkan.

Ada banyak pendapat tentang perkara ini dan ada yang mengatakan orang dalam kubur boleh dengar salam kita kepada mereka, boleh tahu kita melawat mereka dan sebagainya. Tapi kita memilih pendapat yang apabila seseorang telah mati, maka mereka mereka tidak ada hubungan dengan orang yang hidup dan mereka tidak dengar apa yang kita katakan terhadap mereka.

Allah memberi isyarat dalam ayat ini yang tidak mahu ikut dakwah Rasulullah itu, hati mereka telah mati. Mereka tidak boleh melihat kebenaran lagi. Begitulah mereka yang tidak redha dengan Allah. Hati mereka seolah sudah mati. Hati mereka tidak mahu menerima hakikat yang mereka itu adalah hamba Allah dan Allah boleh buat apa sahaja yang Allah kehendaki terhadap mereka.

 

وَلا تُسمِعُ الصُّمَّ الدُّعاءَ

dan menjadikan orang-orang yang tuli dapat mendengar seruan, 

Dan kalau orang yang pekak, kita pun tidak dapat beri mereka dengar, bukan? Ini adalah isyarat kepada mereka yang telah ditutup telinga mereka dari mendengar kebenaran wahyu yang disampaikan kepada mereka.

Apabila manusia sudah menolak kebenaran berkali-kali dan menentang kebenaran itu, maka Allah akan tutup pendengaran mereka. Mereka itu sudah tidak dapat mendengar kebenaran lagi. Apa pun ajaran wahyu yang sampai kepada mereka, hanya akan masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri sahaja – tidak singgah ke dalam otak.

 

إِذا وَلَّوا مُدبِرينَ

apabila mereka itu berpaling membelakang.

Kalau orang pekak itu mengadap kita, bolehlah kita nak bercakap dengan beri baca isyarat, bukan? Tapi kalau mereka sudah berpaling dan tidak mahu lihat kita, apa lagi yang kita boleh buat? Ini adalah isyarat kepada mereka yang berpaling dari kebenaran wahyu tauhid yang disampaikan kepada mereka.

Allah hendak menekankan yang Nabi Muhammad atau sesiapa sahaja tidak akan mampu untuk memberi hidayah kepada manusia lain kalau mereka menolak. Hanya Allah sahaja yang boleh buka hati manusia kepada kebenaran. Maka kita hanya boleh sampaikan sahaja.


 

Rum Ayat 53:

وَما أَنتَ بِهٰدِ العُميِ عَن ضَلٰلَتِهِم ۖ إِن تُسمِعُ إِلّا مَن يُؤمِنُ بِئآيٰتِنا فَهُم مُّسلِمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And you cannot guide the blind away from their error. You will only make hear those who believe in Our verses so they are Muslims [in submission to Allāh].

(MELAYU)

Dan kamu sekali-kali tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang-orang yang buta (mata hatinya) dari kesesatannya. Dan kamu tidak dapat memperdengarkan (petunjuk Tuhan) melainkan kepada orang-orang yang beriman dengan ayat-ayat Kami, mereka itulah orang-orang yang berserah diri (kepada Kami).

 

وَما أَنتَ بِهٰدِ العُميِ عَن ضَلٰلَتِهِم

Dan kamu sekali-kali tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang-orang yang buta (mata hatinya) dari kesesatannya.

Sekarang Allah bercakap tentang orang yang buta, pula. Kalau orang buta depan kita, kita tunjuk apa pun mereka tidak akan dapat lihat. Ini adalah isyarat kepada manusia yang buta mata hati mereka. Kalau sudah beri dan tunjuk banyak hujah tapi masih buta hati, maka kita tidak boleh bagi hidayah lagi kepada mereka.

Allah hendak memberitahu Nabi Muhammad dan juga para pendakwah, kita hanya boleh sampaikan ajaran sahaja kepada manusia. Tapi kita tidak dapat memastikan mereka akan dapat dengar dan terima pengajaran dari kita. Kita serahkan kepada Allah sahaja sama ada mereka beriman atau tidak. Itu tidak menjadi penghalang untuk kita sampaikan dakwah.

Walaupun ada yang tidak dengar dakwah, tapi tentu ada juga yang dengar. Jadi siapa yang akan dengar?

 

إِن تُسمِعُ إِلّا مَن يُؤمِنُ بِئآيٰتِنا

hanya dapat memperdengarkan kepada orang-orang yang beriman dengan ayat-ayat Kami,

Mereka yang ada keimanan dalam hati mereka itulah yang boleh mendengar wahyu yang disampaikan kepada mereka. Mereka yang membuka hati mereka untuk menerima kebenaran. Mereka itu ada inabah (condong) kepada Allah.

Dalam ramai-ramai yang kita dakwahkan itu, tentu ada dari kalangan mereka yang sebegini. Maka kita kenalah cari mereka. Kerana itu kita kena sampaikan sahaja, kerana kita tidak tahu siapakah yang ada iman dalam hati mereka. Mana tahu ada yang sangkut.

 

فَهُم مُّسلِمونَ

mereka itulah orang-orang yang berserah diri 

Mereka yang ada iman dalam hati mereka, maka mereka akan senang untuk menerima ajaran dari wahyu. Kerana apa yang disampaikan dalam wahyu itu bersamaan dengan hati mereka. Maka setelah itu mereka yakin dengan wahyu itu. Hasilnya, mereka akan serahkan diri mereka kepada Allah. Itulah maksud ‘Muslim’ – menyerah diri sepenuhnya kepada Allah.


 

Rum Ayat 54: Ayat 54 – 60 adalah Perenggan Makro Kelapan. Ia mengandungi berita gembira dan ancaman akhirat. Allah juga memberitahu yang Dia akan kunci mati hati orang yang menolak kebenaran.

Ayat 54 ini adalah dalil aqli anfusi. Allah suruh kita lihat kepada diri kita sebagai dalil.

۞ اللهُ الَّذي خَلَقَكُم مِّن ضَعفٍ ثُمَّ جَعَلَ مِن بَعدِ ضَعفٍ قُوَّةً ثُمَّ جَعَلَ مِن بَعدِ قُوَّةٍ ضَعفًا وَشَيبَةً ۚ يَخلُقُ ما يَشاءُ ۖ وَهُوَ العَليمُ القَديرُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Allāh is the one who created you from weakness, then made after weakness strength, then made after strength weakness and white hair. He creates what He wills, and He is the Knowing, the Competent.

(MELAYU)

Allah, Dialah yang menciptakan kamu dari keadaan lemah, kemudian Dia menjadikan (kamu) sesudah keadaan lemah itu menjadi kuat, kemudian Dia menjadikan (kamu) sesudah kuat itu lemah (kembali) dan beruban. Dia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya dan Dialah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa.

 

اللهُ الَّذي خَلَقَكُم مِّن ضَعفٍ

Allah, Dialah yang menciptakan kamu dari keadaan lemah,

Kenanglah bagaimana asal kejadian kita semasa keluar dari perut ibu kita. Kita tidak ada kekuatan apa-apa waktu itu. Tahu menangis sahaja. Lemah segala-galanya. Tubuh kita pun lembik sahaja. Tulang pun lemah sampaikan ibu bapa kita nak pegang kita dulu pun takut. Sesiapa yang pegang bayi, mereka akan tampung kepala bayi itu kerana kalau pegang tak berhati-hati, boleh patah tengkuk bayi itu.

 

ثُمَّ جَعَلَ مِن بَعدِ ضَعفٍ قُوَّةً

kemudian Dia menjadikan (kamu) sesudah keadaan lemah itu menjadi kuat,

Setelah kita membesar, lama kelamaan kita menjadi semakin kuat. Mula boleh berdiri sambil pegang dinding, kemudian berjalan terketek-ketek dan kemudian boleh berlari-lari anak dan seterusnya semakin kuat dan kuat tubuh kita. Allah nak ingatkan yang menjadikan kita kuat itu adalah Allah.

 

ثُمَّ جَعَلَ مِن بَعدِ قُوَّةٍ ضَعفًا

kemudian Dia menjadikan (kamu) sesudah kuat itu lemah (kembali) 

Tapi apabila sudah semakin tua, akhirnya kita jadi lemah balik. Ianya jadi terbalik. Kita nak jalan nanti pun sudah payah. Nak makan pun kadang-kadang kena orang yang suapkan kerana kita jadi macam budak-budak balik.

 

وَشَيبَةً

dan beruban.

Dari asalnya kita tidak ada rambut, kemudian rambut kita lebat menghitam, akhirnya rambut dan kepala kita dipenuhi oleh uban. Rambut yang lebat pun sudah jadi jarang. Sebelum ini telah disebut tumbuhan yang bertukar warna dari hijau jadi kuning. Maka penukaran warna rambut kita pun sudah macam tumbuhan tukar warna.

Kalau tanaman jadi kuning, maka itu adalah tanda ianya akan reput dan musnah. Maka kalau rambut kita jadi putih beruban, maka tahulah kita yang itu adalah tanda kita nak mati tidak lama lagi. Maka kenalah beringat.

 

يَخلُقُ ما يَشاءُ

Dia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya 

Allah boleh jadikan apa sahaja. Sudahlah Dia yang asalnya menjadikan kita dan segala kehidupan, kemudian Allah boleh ubah segala kejadian itu.

 

وَهُوَ العَليمُ القَديرُ

dan Dialah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa.

Allah tahu apa yang berlaku kepada kita semua dan Allah berkuasa untuk buat apa-apa sahaja.

Dalam ayat ini Allah hendak mengingatkan manusia betapa lemahnya mereka. Semuanya bergantung kepada kehendak Allah. Kena terima sahaja apa yang Allah telah tetapkan. Kerana kalau lawan pun, bukan boleh jadi apa pun. Maka kalau sudah terima ketentuan dari Allah dalam hal taqdir, maka kenalah terima ketentuan Allah dalam hukum hakam juga, bukan?


 

Rum Ayat 55: Ayat takhwif ukhrawi. Selepas kita sudah tua, kemudian mati, apakah yang kita akan hadapi nanti? Tentulah kiamat, bukan? Allah beritahu apa yang akan terjadi nanti di akhirat.

وَيَومَ تَقومُ السّاعَةُ يُقسِمُ المُجرِمونَ ما لَبِثوا غَيرَ ساعَةٍ ۚ كَذٰلِكَ كانوا يُؤفَكونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the Day the Hour appears the criminals will swear they had remained but an hour. Thus they were deluded.

(MELAYU)

Dan pada hari terjadinya kiamat, bersumpahlah orang-orang yang berdosa; “mereka tidak berdiam (dalam kubur) melainkan sesaat (saja)”. Seperti demikianlah mereka selalu dipalingkan (dari kebenaran).

 

وَيَومَ تَقومُ السّاعَةُ يُقسِمُ المُجرِمونَ ما لَبِثوا غَيرَ ساعَةٍ

Dan pada hari terjadinya kiamat, bersumpahlah orang-orang yang berdosa; “mereka tidak berdiam (dalam kubur) melainkan sesaat (saja)”. 

Apabila hari akhirat sudah bermula, maka penyesalan kepada orang-orang yang berdosa terutama yang mengamalkan ajaran syirik itu akan berterusan. Mereka akan mengadu yang mereka rasa mereka tinggal sekejap sahaja semasa di dunia. Atau, mereka rasa mereka tinggal sekejap sangat di kubur. Tiba-tiba sudah jadi Kiamat.

Allah Swt. menceritakan perihal kebodohan orang-orang kafir di dunia dan akhirat. Di dunia mereka melakukan perbuatan yang biasa mereka kerjakan, iaitu menyembah berhala-berhala dan menyeru kepada selain Allah. Sedangkan di akhirat mereka melakukan kebodohan yang besar pula, antara lain ialah sumpah mereka dengan menyebut nama Allah, bahawa tidaklah mereka tinggal di dunia melainkan hanya sebentar saja.

Tujuan utama mereka kata begitu adalah sebagai alasan agar hujah tidak dapat ditegakkan terhadap mereka, dan bahawa mereka tidak diberi kesempatan untuk beralasan. Mereka nak kata, tidak diberi peluang untuk kenal agama, sebab itu mereka lakukan kesalahan.

Terdapat penggunaan Balaghah di dalam ayat ini iaitu Ilmu Badi’. Ia adalah jenis Al-Jinas (الجناس) iaitu penggunaan dua kata yang bunyinya sama atau hampir sama, tetapi maknanya berbeza. Perhatikan kalimah السَّاعَةُ dan سَاعَةٍ di dalam ayat ini yang sama, bukan? Tapi maknanya berbeza.

Kata pertama: السَّاعَةُ (As-Sa’ah) bermaksud Hari Kiamat.

Kata kedua: سَاعَةٍ (Sa’ah) bermaksud saat/waktu yang sekejap (unit masa).

Keindahan: Walaupun sebutannya hampir sama, ia menggambarkan betapa singkatnya dunia berbanding dahsyatnya kiamat.

 

كَذٰلِكَ كانوا يُؤفَكونَ

Seperti demikianlah mereka selalu dipalingkan (dari kebenaran).

Sebab itulah mereka senang dipesongkan. Mereka dipesongkan kerana mereka rasa kehidupan mereka itu tidak lama. Mereka selalu salah anggapan kerana mereka pakai kepala mereka sendiri sahaja. Mereka tidak menggunakan ilmu yang Allah sampaikan dalam Al-Qur’an.

Mereka rasa yang kehidupan dunia itulah kehidupan yang sebenarnya, padahal tidak sama sekali. Oleh kerana mereka terpesona dan tertipu dengan dunia, maka mereka senang ditipu.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 9 Mei 2026


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Rum Ayat 47 – 50 (Persamaan Rasul dan Hujan)

Ayat 47:  Ayat tabshir dan takhwif.

وَلَقَد أَرسَلنا مِن قَبلِكَ رُسُلًا إِلىٰ قَومِهِم فَجاءوهُم بِالبَيِّنٰتِ فَانتَقَمنا مِنَ الَّذينَ أَجرَموا ۖ وَكانَ حَقًّا عَلَينا نَصرُ المُؤمِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We have already sent messengers before you to their peoples, and they came to them with clear evidences; then We took retribution from those who committed crimes, and incumbent upon Us was support¹ of the believers.

  • i.e., aid or the bestowal of victory.

(MELAYU)

Dan sesungguhnya Kami telah mengutus sebelum kamu beberapa orang rasul kepada kaumnya, mereka datang kepadanya dengan membawa keterangan-keterangan (yang cukup), lalu Kami melakukan pembalasan terhadap orang-orang yang berdosa. Dan Kami berkewajipan menolong orang-orang yang beriman.

 

وَلَقَد أَرسَلنا مِن قَبلِكَ رُسُلًا إِلىٰ قَومِهِم

Dan sesungguhnya Kami telah mengutus sebelum kamu beberapa orang rasul kepada kaumnya,

Sebelum Nabi Muhammad diutus kepada Quraisy Mekah, Allah telah banyak menghantar para Rasul kepada kaum-kaum mereka. Jadi bukan Nabi Muhammad sahaja yang menjadi Rasul tapi ada banyak lagi Rasul-rasul sebelum baginda.

 

فَجاءوهُم بِالبَيِّنٰتِ

mereka datang kepada mereka dengan membawa keterangan-keterangan yang jelas

Dan para Rasul itu pun telah membawa ajaran dan hujah yang benar dan jelas kepada kaum mereka. Mereka bukanlah ajar perkara yang samar-samar, tapi benda yang senang untuk difahami. Kerana perkara tauhid adalah perkara yang jelas dan senang untuk difahami.

 

فَانتَقَمنا مِنَ الَّذينَ أَجرَموا

lalu Kami melakukan pembalasan terhadap orang-orang yang berdosa.

Tapi ramai daripada kalangan kaum itu yang menolak ajaran tauhid daripada Rasul mereka. Maka Allah telah membalas dengan memberi azab kepada mereka. Bukan Rasul itu yang memberi balasan itu tetapi Allah sendiri.

Maka Allah hendak mengingatkan Musyrikin Mekah dan para penentang tauhid, supaya jangan rasa selamat sangat. Kalau mereka menentang, maka mereka pun boleh dikenakan dengan azab seperti yang dikenakan kepada kaum-kaum sebelum itu. Allah pun sudah suruh mereka untuk pergi tengok apakah kesan peninggalan mereka.

Jangan mereka lihat Nabi Muhammad itu lemah sahaja, mereka rasa mereka tidak akan kena apa-apa balasan. Jangan mereka sangka mereka selamat kerana para sahabat itu tidak kuat. Kerana bukan Nabi Muhammad dan para sahabat yang akan kenakan pembalasan itu tetapi Allah SWT.

 

وَكانَ حَقًّا عَلَينا نَصرُ المُؤمِنينَ

Dan Kami berkewajipan menolong orang-orang yang beriman.

Ini pula adalah ayat tabshir. Allah memberitahu yang Dia pasti akan memberi bantuan kepada orang-orang yang beriman. Ini adalah di atas kemurahan Allah bukan kerana terpaksa. Jadi walaupun digunakan kalimah ‘wajib’ tapi tidaklah Allah wajib buat kerana tidak ada yang boleh paksa Allah. Tapi Allah sendiri yang mewajibkan ke atas diriNya.

Ini memberi berita gembira tentang keselamatan kepada orang yang beriman. Mereka tetap akan selamat. Kalau mereka menerima dugaan semasa mereka di dunia, maka mereka akan tetap dapat balasan baik yang kekal abadi di akhirat kelak.


 

Ayat 48: Dalil Aqli.

اللهُ الَّذي يُرسِلُ الرِّيٰحَ فَتُثيرُ سَحابًا فَيَبسُطُهُ فِي السَّماءِ كَيفَ يَشاءُ وَيَجعَلُهُ كِسَفًا فَتَرَى الوَدقَ يَخرُجُ مِن خِلٰلِهِ ۖ فَإِذا أَصابَ بِهِ مَن يَشاءُ مِن عِبادِهِ إِذا هُم يَستَبشِرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

It is Allāh who sends the winds, and they stir the clouds and spread them in the sky however He wills, and He makes them fragments so you see the rain emerge from within them. And when He causes it to fall upon whom He wills of His servants, immediately they rejoice

(MELAYU)

Allah, Dialah yang mengirim angin, lalu angin itu menggerakkan awan dan Allah membentangkannya di langit menurut yang dikehendaki-Nya, dan menjadikannya bergumpal-gumpal; lalu kamu lihat hujan keluar dari celah-celahnya, maka apabila hujan itu turun mengenai hamba-hamba-Nya yang dikehendaki-Nya, tiba-tiba mereka menjadi gembira.

 

اللهُ الَّذي يُرسِلُ الرِّيٰحَ

Allah, Dialah yang mengirim angin,

Sebagaimana Allah mengutus Rasul dan menyebarkan mereka di seluruh alam, maka Allah juga mengirim angin. Allah telah sebut dalam ayat sebelum ini yang angin itu menjadi berita gembira kepada manusia.

Allah menekankan sekali lagi yang angin itu adalah dalam arahan dan urusan Allah. Allahlah yang menghantar angin itu. Jadi bila angin bertiup, maka teringatlah kita kepada ayat ini. Teringatlah kita yang Allah yang telah menghantar angin itu.

 

فَتُثيرُ سَحابًا

lalu angin itu menggerakkan awan

Allah yang menggerakkan angin dan angin itu mengangkat awan. Angin itu meniup dan membawa awan yang kecil-kecil bergabung menjadi awan yang besar.

 

فَيَبسُطُهُ فِي السَّماءِ كَيفَ يَشاءُ

dan Allah membentangkannya di langit menurut yang dikehendaki-Nya,

Kemudian Allah membentangkan awan itu di langit. Ada berjenis-jenis awan dan kita pun suka melihat bentuk-bentuk awan itu. Kita terpegun melihat keindahan awan-awan itu yang amat besar dan terletak di langit. Kita terasa seperti hendak ke langit itu dan meninjau-ninjau keadaannya. Kita rasa macam aman sahaja kalau dapat naik ke awan dan berterbangan di sana, bukan? Allah nak beritahu yang awan yang indah itu, Dialah yang meletakkannya di langit.

 

وَيَجعَلُهُ كِسَفًا فَتَرَى الوَدقَ يَخرُجُ مِن خِلٰلِهِ

dan menjadikannya bergumpal-gumpal; lalu kamu lihat hujan keluar dari celah-celahnya, 

Kemudian Allah menjadikan awan itu bergumpal-gumpal. Ada bentuk-bentuk gugusan yang kadangkala kita tengok macam bentuk binatang, bentuk tangan, bentuk itu dan ini.

Ia juga boleh bermaksud ianya berlapis-lapis. Kalau zaman dulu orang tidak tahu, tapi kalau sekarang kita naik kapalterbang, baru kita tahu rupanya awan itu ada lapisan atas dan ada lapisan bawah. Kapalterbang itu sebenarnya lalu di antara dua lapisan awan itu.

Kalimah كِسَفًا juga dari ك س ف yang bermaksud gelap. Jadi apabila awan yang mengandungi hujan, ia akan berubah jadi gelap.

Kalimah الوَدقَ bermaksud hujan. Ia boleh jadi mana-mana hujan sahaja, sama ada hujan lebat atau hujan renyai. Maknanya kita dapat lihat yang hujan itu turun dari awan-awan yang gelap itu.

Begitulah ada banyak pendapat tentang kalimah كِسَفًا ini. Mujahid, Abu Amr ibnul Ala, Matar Al-Warraq, dan Qatadah mengatakan bahawa makna كِسَفًا ialah bergumpal-gumpal, sedangkan yang lain mengertikannya bertindihan, sebagaimana yang dikatakan oleh Qatadah. Yang lainnya lagi mengatakan berwarna hitam kerana banyaknya kandungan air sehingga terlihat gelap, berat, lagi dekat dengan bumi.

 

فَإِذا أَصابَ بِهِ مَن يَشاءُ مِن عِبادِهِ إِذا هُم يَستَبشِرونَ

maka apabila hujan itu turun mengenai hamba-hamba-Nya yang dikehendaki-Nya, tiba-tiba mereka menjadi gembira.

Dan Allah tetapkan air hujan itu turun mengenai mana-mana hamba yang dikehendakiNya. Jadi ada tempat yang dapat air hujan dan ada tempat yang tidak dapat. Keputusan ini ditentukan oleh Allah sendiri.

Hujan adalah sesuatu yang menggembirakan manusia, sampai ada yang akan menari-nari dalam hujan. Terutama sekali kalau sudah lama hujan tidak turun. Kerana tanaman, binatang dan tanah memerlukan hujan untuk kelangsungan hidup.

Nabi Muhammad juga suka hujan, sampaikan baginda akan mengenakan bahagian tubuh baginda dengan hujan apabila ia turun. Dalil haditsnya adalah sebagai berikut,

عن أنسٍ -رضي الله عنه-، قال: أصابنا ونحن مع رسول الله -صلى اللهُ عليه وسلم- مطرٌ، قال: فحسَر رسول الله -صلى اللهُ عليهِ وسلم- ثوبَه حتى أصابَه مِن المطر، فقلنا: يا رسول الله! لمَ صنعتَ هذا؟ قال: “لأنَّه حديثُ عهدٍ بِربِّه تعالى”

Dari Anas bin Malik radhiallahu ‘anhu berkata, “hujan turun membasahi kami (para Sahabat) dan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa alihi wasallam,  maka Rasululullah shallallahu ‘alaihi wa alihi wasallam membuka bajunya, sehingga hujan mengguyur baginda, maka kami bertanya, ‘Wahai Rasulullah untuk apa engkau berbuat seperti ini?’ Baginda menjawab,

لِأَنَّهُ حَدِيثُ عَهْدٍ بِرَبِّهِ تَعَالَى

“Kerana sesungguhnya hujan ini baru saja Allah ta’āla ciptakan.” (HR. Muslim no. 898).

Jadi, sunnah untuk kita kenakan sikit air ke kulit tubuh kita apabila hujan mula turun. Bukan semua tubuh kita sampai lencun pula, takut nanti demam.


 

Ayat 49:

وَإِن كانوا مِن قَبلِ أَن يُنَزَّلَ عَلَيهِم مِّن قَبلِهِ لَمُبلِسينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Although they were, before it was sent down upon them – before that, in despair.

(MELAYU)

Dan Sesungguhnya sebelum hujan diturunkan kepada mereka, mereka benar-benar telah berputus asa.

 

Mereka amat gembira walaupun sebelum itu mereka telah berputus asa kerana hujan lama tidak turun. Sebab mereka tak boleh nak buat hujan. Mereka tahu yang hujan ini dalam kuasa Allah taala sahaja. Mereka memang berharap kepada Allah pada waktu itu.

Kita mungkin tidak berapa terkesan dengan ayat ini kerana negara kita ada banyak hujan. Tetapi kepada negara yang mengalami masalah air dan di tempat mereka selalu ada kemarau, maka air hujan ini amat-amat bermakna bagi mereka.

Tetapi kadangkala Allah beri kita rasa kemarau juga apabila hujan sudah lama tidak turun. Waktu itu barulah terasa keringnya bumi ini dan sampai kadangkala air pun kena catu dan nak mandi pun sudah ada masalah. Waktu itu kalau kita teringat ayat ini, maka tahulah kita kepentingan air hujan itu.


 

Ayat 50:

فَانظُر إِلىٰ ءآثٰرِ رَحمَتِ اللهِ كَيفَ يُحيِي الأَرضَ بَعدَ مَوتِها ۚ إِنَّ ذٰلِكَ لَمُحيِي المَوتىٰ ۖ وَهُوَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So observe the effects of the mercy of Allāh – how He gives life to the earth after its lifelessness. Indeed, that [same one] will give life to the dead, and He is over all things competent.

(MELAYU)

Maka perhatikanlah bekas-bekas rahmat Allah, bagaimana Allah menghidupkan bumi yang sudah mati. Sesungguhnya (Tuhan yang berkuasa seperti) demikian benar-benar (berkuasa) menghidupkan orang-orang yang telah mati. Dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu.

 

فَانظُر إِلىٰ ءآثٰرِ رَحمَتِ اللهِ

Maka perhatikanlah bekas-bekas rahmat Allah, 

Lihatlah kepada tanda-tanda rahmat yang Allah telah berikan kepada kita. Antaranya dengan air hujan ini. Hujan itu memang rahmat kerana kalau tanpa hujan itu memang manusia akan kesusahan. Ada banyak lagi rahmat Allah tapi yang senang kita lihat adalah hujan itu.

Kadangkala kita tidak perasan mana lagi rahmat Allah kerana kita tidak gunakan akal kita. Sebagai contoh, kadangkala ada tempat-tempat yang jadi banjir. Kita rasa macam bencana sungguh kalau banjir. Tapi itu pun rahmat juga. Ini adalah kerana dengan banjir itu menyebabkan tanah-tanah itu dibersihkan dan dapat menyuburkan tanah-tanah itu.

Satu lagi rahmat Allah adalah pengutusan para Rasul kepada manusia. Kerana Rasul itu menghidupkan hati-hati manusia yang telah mati. Iaitu mati dari ajaran tauhid. Apabila manusia telah tidak kenal lagi tauhid, maka Allah utuskan Rasul untuk menghidupkan ajaran tauhid kembali.

Jadi ada isyarat menghidupkan tanah yang mati dengan menghidupkan hati yang mati dalam rentetan ayat-ayat ini. Allah berikan isyarat kepada kita untuk kita memikirkan.

 

كَيفَ يُحيِي الأَرضَ بَعدَ مَوتِها

bagaimana Allah menghidupkan bumi yang sudah mati.

Dengan cara menurunkan air hujan, ia akan dapat menghidupkan tanah yang telah lama mati. Tanah yang mati maksudnya tanah yang gersang dan sudah lama tidak dapat air hujan. Apabila tidak ada air hujan, maka tanaman tidak dapat tumbuh. Dan bila tidak ada tanaman, maka binatang pun tidak duduk di situ. Maka ia seolah-olah ‘mati’.

 

إِنَّ ذٰلِكَ لَمُحيِي المَوتىٰ

Sesungguhnya (Tuhan yang berkuasa seperti) demikian benar-benar (berkuasa) menghidupkan orang-orang yang telah mati.

Allah yang menghidupkan tanah yang mati itu dengan memberikan air hujan. Mudah sahaja bagi Allah untuk menghidupkan tanah itu kembali. Dan begitu jugalah mudah bagi Allah untuk menghidupkan manusia yang mati nanti di akhirat kelak. Sebagaimana mudahkan Allah hidupkan tanah yang mati, maka begitulah juga mudahnya Allah akan menghidupkan makhluk yang telah lama meninggal.

 

وَهُوَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

Dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu.

Allah boleh buat apa sahaja kerana Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Tidak ada apa-apa yang Allah tidak boleh lakukan. Allah boleh matikan dan Allah boleh hidupkan. Maka jangan dikhuatiri boleh atau tidak Allah menghidupkan makhluk kembali dan menjadikan dunia yang baru bagi makhluk di hari akhirat nanti.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 22 Jun 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi