Tafsir Surah Rum Ayat 6 – 9 (Hanya pandai hal dunia)

Rum Ayat 6:

وَعدَ اللهِ ۖ لا يُخلِفُ اللهُ وَعدَهُ وَلٰكِنَّ أَكثَرَ النّاسِ لا يَعلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[It is] the promise of Allāh. Allāh does not fail in His promise, but most of the people do not know.

(MELAYU)

(Sebagai) janji yang sebenarnya dari Allah. Allah tidak akan menyalahi janji-Nya, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.

 

وَعدَ اللهِ

(Sebagai) janji yang sebenarnya dari Allah.

Janji Allah untuk beri kemenangan kepada umat Islam. Juga janji Allah untuk memberi kemenangan kepada Rum.

 

لا يُخلِفُ اللهُ وَعدَهُ

Allah tidak akan menyalahi janji-Nya,

Ingatlah yang Allah tidak pernah memungkiri janjiNya. Ia pasti akan berlaku. Janji Allah bukan macam janji manusia. Walaupun manusia berjanji untuk melakukan sesuatu, tapi dia bukan boleh tahu takdir, jadi ada kalanya seseorang itu tidak dapat memenuhi janjinya. Bukannya dia berniat untuk memungkiri, tapi kerana dia memang tidak mampu kerana dia hanya manusia.

 

وَلٰكِنَّ أَكثَرَ النّاسِ لا يَعلَمونَ

tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.

Kebanyakan manusia hanya nampak kejadian yang zahir sahaja dan mereka tidak nampak kesannya selepas itu. Ini adalah kerana ia termasuk di dalam perkara-perkara ghaib dan manusia tidak ada yang tahu perkara ghaib melainkan yang disampaikan oleh Allah.

Sudahlah mereka tidak tahu perkara ghaib, mereka jauh pula dari wahyu. Maka kerana itu mereka tidak mengetahui. Mereka terus jahil dan terus ditipu oleh dunia.


 

Rum Ayat 7: Ayat zajrun. Allah menegur sifat manusia yang terlalu mementingkan dunia sahaja.

يَعلَمونَ ظٰهِرًا مِّنَ الحَيَوٰةِ الدُّنيا وَهُم عَنِ الآخِرَةِ هُم غٰفِلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They know what is apparent of the worldly life, but they, of the Hereafter, are unaware.

(MELAYU)

Mereka hanya mengetahui yang lahir (saja) dari kehidupan dunia; sedang mereka tentang (kehidupan) akhirat adalah lalai.

 

يَعلَمونَ ظٰهِرًا مِّنَ الحَيَوٰةِ الدُّنيا

Mereka hanya mengetahui yang zahir (saja) dari kehidupan dunia;

Manusia hanya nampak perkara yang zahir sahaja dan mereka tidak tahu tentang akhirat. Melainkan hanya yang disampaikan kepada kita melalui wahyuNya. Malangnya kebanyakan manusia tidak mahu ambil tahu maklumat-maklumat akhirat yang ada dalam wahyu ilahi.

Beginilah sifat orang kafir yang hanya melihat pada zahir sahaja. Sebagai contoh, kalau kita gunakan contoh perang, mereka sangka senjata mereka cukup, maka mereka sangka tentu mereka akan menang dalam perang. Mereka tidak lihat pun bab pertolongan Allah. Ini kerana mereka memang tidak percaya dengan Allah dengan sebenarnya.

Begitu jugalah dengan hal dunia dan akhirat. Kebanyakan manusia hanya mementingkan perkara keduniaan sahaja.

 

وَهُم عَنِ الآخِرَةِ هُم غٰفِلونَ

sedang mereka tentang (kehidupan) akhirat adalah lalai.

Dan kerana kebanyakan manusia tidak nampak akhirat itu lagi maka mereka lalai tentang akhirat dan tidak membuat persediaan kepada akhirat kerana mereka hanya nampak dunia yang zahir ini sahaja. Dan kerana itu mereka mengejar-ngejar kelebihan yang mereka nampak pada dunia. Mereka tidak nampak bahawa perbuatan kita di dunia ini memberi kesan kepada nasib kita di akhirat kelak.

Kerana melebihkan dunialah manusia tidak mementingkan ilmu agama. Kalau bab ilmu dunia mereka akan belajar sampai ke universiti, tapi bab agama mereka belajar sambil lewa sahaja. Maka kerana itu ramai yang jahil bab agama. Inilah sifat kebanyakan orang Melayu kita dalam hal agama. Mereka semuanya serahkan sahaja kepada para ustaz. Mereka sendiri tidak ambil inisiatif untuk belajar agama.

Al-Hasan Al-Basri mengatakan, “Demi Allah, kecintaan seseorang dari mereka kepada dunianya benar-benar mencapai batas yang tak terperikan, sehingga ketika dia sedang membolak-balikkan mata wang dirham di atas kukunya, dia dapat menceritakan kepadamu tentang berat kandungan logamnya, padahal dia masih belum dapat melakukan solat dengan baik.”


 

Rum Ayat 8: Ayat 8 – 27 adalah Perenggan Makro Kedua dan ia mengandungi dalil-dalil tentang akhirat. Ayat 8 ini adalah Dalil Aqli.

أَوَلَم يَتَفَكَّروا في أَنفُسِهِم ۗ مّا خَلَقَ اللهُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ وَما بَينَهُما إِلّا بِالحَقِّ وَأَجَلٍ مُّسَمًّى ۗ وَإِنَّ كَثيرًا مِّنَ النّاسِ بِلِقاءِ رَبِّهِم لَكٰفِرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Do they not contemplate within themselves?¹ Allāh has not created the heavens and the earth and what is between them except in truth and for a specified term. And indeed, many of the people, in the meeting with their Lord, are disbelievers.

  • An additional meaning is “Do they not contemplate concerning themselves.”

(MELAYU)

Dan mengapa mereka tidak memikirkan tentang (kejadian) diri mereka? Allah tidak menjadikan langit dan bumi dan apa yang ada diantara keduanya melainkan dengan (tujuan) yang benar dan waktu yang ditentukan. Dan sesungguhnya kebanyakan di antara manusia benar-benar engkar akan pertemuan dengan Tuhannya.

 

أَوَلَم يَتَفَكَّروا في أَنفُسِهِم

Dan mengapa mereka tidak memikirkan tentang (kejadian) diri mereka?

Ini adalah dalil aqli anfusi. Allah bertanya dan suruh manusia memikirkan tentang kejadian diri mereka sendiri. Begitu hebat sekali kejadian biologi kita ini. Sangat hebat sampaikan banyak lagi yang tidak diketahui oleh para saintis. Ada sahaja penemuan baru tentang tubuh badan kita yang kita dapat baca setiap hari.

 

مّا خَلَقَ اللهُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ وَما بَينَهُما إِلّا بِالحَقِّ

Allah tidak menjadikan langit dan bumi dan apa yang ada diantara keduanya melainkan dengan (tujuan) yang benar

Ini adalah dalil aqli afaqi. Allah suruh kita lihat alam yang kita dapat selalu lihat sepanjang hari ini. Allah menjadikan alam ini dengan ada tujuannya dan bukanlah Allah jadikan alam ini sia-sia sahaja. Allah menjadikan alam ini untuk menzahirkan al-haq iaitu Dialah Tuhan, Dilah Maha Pencipta. Maka kenalah seru dan sembah kepadaNya sahaja.

Semua yang terjadi ada tujuannya. Dan kemenangan Parsi ke atas Rum dan kemenangan Rum ke atas Parsi pun bukanlah kejadian yang biasa tetapi ada sebab dan kesan yang Allah hendak jadikan di dalam dunia ini dengan kekalahan dan kemenangan itu.

Antara pendapat yang dikeluarkan oleh ulama tafsir adalah: Allah jadikan kemenangan dan kekalahan Rum dan Parsi itu semata-mata supaya Allah keluarkan ayat ini dan ayat ini lebih penting dari kemenangan dan kekalahan mereka itu dan ayat ini yang kekal sampai ke hari kiamat. Kerajaan Rum dan Parsi memang tidak kekal tapi ayat-ayat Al-Qur’an ini yang kekal, bukan?

 

وَأَجَلٍ مُّسَمًّى

dan waktu yang ditentukan.

Semuanya ada ajalnya masing-masing. Dan kita pun boleh lihat kerajaan Rum dan Parsi itu memang sudah tidak ada lagi. Maknanya telah sampai ajalnya.

Tidaklah Allah jadikan alam ini melainkan dengan ada sebab dan bukan itu sahaja, semua makhluk itu ada ajalnya sendiri. Manusia ada ajal dan kerajaan juga ada ajalnya. Dan semua nanti akan musnah pada ‘ajal terbesar’. Itulah hari kiamat.

Dan hari kiamat itu ada banyak nama dan kerana itu ia dipanggil مُّسَمًّى (yang telah diberi nama). Ianya dikenali dengan banyak nama.

 

وَإِنَّ كَثيرًا مِّنَ النّاسِ بِلِقاءِ رَبِّهِم لَكٰفِرونَ

Dan sesungguhnya kebanyakan di antara manusia benar-benar engkar akan pertemuan dengan Tuhannya.

Akan tetapi kebanyakan manusia tidak percaya kepada perjumpaan dengan Allah SWT. Oleh kerana itu mereka leka dengan kehidupan mereka di dunia. Mereka buat ikut suka mereka sahaja. Mereka tidak buat persediaan untuk akhirat. Akhirnya nanti mereka akan rugi serugi-ruginya.


 

Rum Ayat 9: Takhwif duniawi. Allah nak beri manusia takut supaya manusia beringat.

أَوَلَم يَسيروا فِي الأَرضِ فَيَنظُروا كَيفَ كانَ عٰقِبَةُ الَّذينَ مِن قَبلِهِم ۚ كانوا أَشَدَّ مِنهُم قُوَّةً وَأَثارُوا الأَرضَ وَعَمَروها أَكثَرَ مِمّا عَمَروها وَجاءَتهُم رُسُلُهُم بِالبَيِّنٰتِ ۖ فَما كانَ اللهُ لِيَظلِمَهُم وَلٰكِن كانوا أَنفُسَهُم يَظلِمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Have they not traveled through the earth and observed how was the end of those before them? They were greater than them in power, and they plowed [or excavated] the earth and built it up more than they [i.e., the Makkans] have built it up, and their messengers came to them with clear evidences. And Allāh would not ever have wronged them, but they were wronging themselves.

(MELAYU)

Dan apakah mereka tidak mengadakan perjalanan di muka bumi dan memperhatikan bagaimana akibat (yang diderita) oleh orang-orang sebelum mereka? Orang-orang itu adalah lebih kuat dari mereka (sendiri) dan telah mengolah bumi (tanah) serta memakmurkannya lebih banyak dari apa yang telah mereka makmurkan. Dan telah datang kepada mereka rasul-rasul mereka dengan membawa bukti-bukti yang nyata. Maka Allah sekali-kali tidak berlaku zalim kepada mereka, akan tetapi merekalah yang berlaku zalim kepada diri sendiri.

 

أَوَلَم يَسيروا فِي الأَرضِ

Dan apakah mereka tidak mengadakan perjalanan di muka bumi

Kalau masih berdegil juga, kenapa tidak berjalan tengok alam ini? Tengoklah kepada peninggalan kaum-kaum yang dahulu.

 

فَيَنظُروا كَيفَ كانَ عٰقِبَةُ الَّذينَ مِن قَبلِهِم

dan memperhatikan bagaimana akibat (yang diderita) oleh orang-orang sebelum mereka?

Tidakkah musyrikin Mekah itu berjalan di muka bumi dan melihat kesan-kesan peninggalan kaum-kaum yang terdahulu dari mereka yang telah dimusnahkan? Contohnya tempat kaum Aad dan Tsamud, Sodom, Mesir dan sebagainya? Mereka itu semua sudah tidak ada kerana dimusnahkan oleh Allah kerana kedegilan mereka menerima akidah tauhid.

 

كانوا أَشَدَّ مِنهُم قُوَّةً

Orang-orang itu lebih kuat dari mereka 

Kaum-kaum yang telah dimusnahkan itu lebih kuat daripada Arab Mekah. Mereka itu gagah tubuh badannya dan kuasa ketenteraan mereka lagi besar. Teknologi mereka pun lagi hebat. Arab Mekah sangka mereka kuat, tapi umat terdahulu lagi kuat.

 

وَأَثارُوا الأَرضَ

dan telah mengolah bumi

Kalimah athara bermaksud mengorek tanah dan menanam; dan ini bermaksud orang yang terdahulu itu lebih banyak bercucuk tanam daripada penduduk Mekah dan pada zaman itu kebanyakan daripada pendapatan adalah daripada hasil pertanian. Maka kaum-kaum dulu itu lebih kaya daripada penduduk Mekah.

Orang Mekah tidak kaya mana. Tanah mereka tidak subur dan kerana itu makanan pun harap dari tempat lain. Jadi jangan berlagak sangat.

 

وَعَمَروها أَكثَرَ مِمّا عَمَروها

serta memakmurkannya lebih banyak dari apa yang telah mereka makmurkan. 

Kalimah عَمَروا dari katadasar  ع م ر yang bermaksud untuk mendiami; tinggal; membaiki; pembaikan; membina; bercucuk tanam; menjadikan boleh dihuni; melakukan lawatan suci; populasi; kehidupan; umur; panjang umur; berusia; mendatangi satu-satu tempat. Kalimah عمر bermaksud mendiami sesuatu kawasan di bumi, membangun rumah dan mendudukinya untuk meningkatkan kualiti hidup. Inilah nikmat yang telah diberikan kepada mereka.

Mereka telah melakukan pembinaan yang diadakan di atas tanah dan ini bermaksud kaum-kaum terdahulu itu lebih banyak membuat binaan dan monumen kalau dibandingkan dengan penduduk Mekah yang boleh dikatakan tidak ada apa-apa. Mereka cuma ada Kaabah sahaja. Rumah-rumah mereka dari tanah liat sahaja dan tidak ada binaan-binaan lain pun. Lihatlah contoh peninggalan dari Kaum Aad di Petra dan Piramid Firaun di Mesir itu.

Jadi Allah nak perli kepada musyrikin Mekah itu – mereka tidak ada apa pun kalau dibandingkan dengan umat dahulu. Tapi umat dahulu walaupun lagi hebat dari Arab Mekah, tetapi mereka tetap dihancurkan. Jadi kalau Arab Mekah yang lebih rendah itu, apakah Allah nak tahan dari dimusnahkan? Tidak sama sekali. Kalau Allah nak musnahkan, senang sahaja.

Kenapa umat-umat yang terdahulu itu Allah musnahkan?

 

وَجاءَتهُم رُسُلُهُم بِالبَيِّنٰتِ

Dan telah datang kepada mereka rasul-rasul mereka dengan membawa bukti-bukti yang nyata. 

Kaum-kaum terdahulu itu juga telah didatangi oleh para rasul mereka dan mereka juga telah menolak para rasul itu sebagaimana yang dilakukan oleh musyrikin Mekah.

Maka kerana kedegilan mereka itu, Allah musnahkan mereka. Dan kesannya Arab Mekah boleh lihat di sekeliling mereka. Maka Allah nak tanya: mereka nak jadi macam kaum yang telah dimusnahkan itu kah?

 

فَما كانَ اللهُ لِيَظلِمَهُم

Maka Allah sekali-kali tidak berlaku zalim kepada mereka,

Walaupun Allah telah memusnahkan banyak golongan manusia dan tamadun, tetapi tidaklah Allah menzalimi mereka. Allah tidak pernah zalim dan dan tidak akan zalim. Jadi, kenapa mereka dimusnahkan?

 

وَلٰكِن كانوا أَنفُسَهُم يَظلِمونَ

akan tetapi merekalah yang berlaku zalim kepada diri sendiri.

Mereka dikenakan dengan azab dan kehancuran itu kerana mereka sendiri yang telah berbuat kezaliman. Mereka duduk di atas bumi Allah tetapi tidak menyembah Allah secara eksklusif. Ada yang sembah Allah tapi dalam masa yang sama, mereka sembah juga selain Allah.

Maka tidak salahlah Allah apabila menghancurkan mereka. Mereka memang layak dihancurkan. Dan begitu juga Arab Mekah dan juga sesiapa sahaja yang engkar kepada Allah, Allah boleh hancurkan dan kalau mereka dihancurkan, Allah tidak zalim langsung.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 4 September 2023

Ringkasan Surah Rum


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah Rum Ayat 1 – 5 (Kalah dan menang dalam tangan Allah)

Pengenalan:

Ada kaitan antara surah-surah dalam ayat Al-Qur’an ini. Ini dinamakan Robtus Suwaar. Kerana itu kalau kita lihat, dari Surah Ankabut hingga Surah Sajdah, kandungan ke-empat-empat surah ini lebih kurang sama. Ia adalah seperti satu kumpulan surah yang berkaitan. Tapi Surah Ankabut lebih rapat dengan Surah Luqman dan Surah Rum lebih rapat dengan Surat Sajdah. Jadi, ia seolah-olah berselang.

Surah ini diturunkan pada tahun kelima kenabian dan waktu itu Nabi Muhammad di Mekah. Ayat-ayat ini diturunkan ketika Sabur (Raja Persia) berhasil mengalahkan tentera Romawi dan berhasil merebut negeri-negeri Syam serta bahagian lainnya yang termasuk ke dalam wilayah kerajaan Romawi dari tanah Jazirah Arabia, juga sebahagian besar wilayah kerajaan Romawi, sehingga Kaisar Romawi Heraklius terpaksa mundur ke kota Konstantinopel.

Dia dikepung oleh Raja Sabur dan bala tenteranya di kota Konstantinopel dalam waktu yang cukup lama, tetapi pada akhirnya kawasan kerajaan Romawi berhasil direbut kembali oleh Heraklius dari tangan orang-orang Persia, sebagaimana yang akan dijelaskan berikutnya. Heraklius inilah yang bertanya kepada Abu Sufyan tentang agama Islam di dalam hadis yang masyhur.

Dakwa Surah ini adalah pada ayat yang ke-17. Kemenangan yang diberikan adalah atas akidah tauhid. Kerana umat Islam tetap tegar atas akidah tauhidlah yang menyebabkan Allah memberikan kemenangan itu.


 

Ayat 1: Surah ini mengandungi 8 Perenggan Makro. Ayat 1 – 7 adalah Perenggan Makro Pertama. Ia mengandungi berita kemenangan Rum selepas kalah dengan Parsi. Ia mengandungi berita masa hadapan yang hanya boleh dilakukan oleh Allah sahaja kerana Allah sahaja yang tahu apa yang akan terjadi di masa hadapan.

الم

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Ar-Rūm: The Byzantines (of the Eastern Roman Empire) or Romaeans.

Alif, Lām, Meem.

(MELAYU)

Alif Laam Miim

 

Ini adalah Ayat Muqatta’ah dan termasuk dalam perkara mutashabihat. Maka kita tidak tahu apakah maksudnya. Ini kerana Allah tidak jelaskan dan begitu juga Nabi Muhammad tidak memberitahu kita apakah maknanya. Maka kita tidak dapat nak terjemah dan tafsir huruf-huruf ini kerana ianya adalah rahsia Allah. Boleh baca penerangannya dalam surah lain.


 

Ayat 2: Allah memberitahu maklumat terkini pada waktu itu. Iaitu tentang kekalahan Rum.

غُلِبَتِ الرّومُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

The Byzantines have been defeated¹

  • By the Persians.

(MELAYU)

Telah dikalahkan Rumawi,

 

Bangsa Rum/Rom/Romawi berasal dari keturunan Al-Isa ibnu Ishaq ibnu Ibrahim a.s. Mereka asalnya beragama Yunani sembah bintang. Raja pertama yang memeluk agama Nasrani dari kalangan raja-raja Romawi adalah Konstantin ibnu Qastus. Ibunya bernama Maryam Al-Hailaniyah Al-Gandaqiyah dari tanah Haran.

Pada mulanya dialah yang lebih dahulu masuk agama Nasrani, lalu mengajak anaknya untuk memeluk agama Nasrani. Kesimpulannya ialah mereka tetap berpegang pada agama Nasrani. Setiap kali Kaisar meninggal dunia, kedudukannya diganti oleh penggantinya hingga kaisar yang terakhir bernama Heraklius.

Dia adalah seorang cendekiawan, raja yang berwibawa, paling luas wawasannya, serta paling jitu pendapatnya. Di bawah kepemimpinannya kekaisaran Romawi mencapai masa keemasannya sehingga sebanding dengan kerajaan Persia.

Kisra (Raja Persia) menguasai banyak negeri yang luas, seperti Irak, Khurasan, Ray, dan negeri-negeri lainnya yang bukan bangsa Arab penduduknya. Nama Raja Persia ketika itu adalah Sabur yang dijuluki dengan nama Zul Aktaf. Kerajaan Persia jauh lebih besar daripada kerajaan Romawi; tampuk kepemimpinan orang-orang ‘Ajam dan bangsa Persia berada di tangan kekuasaannya, dan mereka adalah penyembah api.

Maksud ayat ini, kerajaan Rum telah dikalahkan di dalam peperangan pada masa ayat ini diturunkan. Waktu itu kerajaan yang lagi satu adalah kerajaan Parsi. Rom waktu ini adalah kerajaan Kristian dan kerajaan Parsi golongan musyrik iaitu mereka adalah penyembah api. Jadi dua kerajaan ini adalah dua kerajaan besar pada zaman itu. Kalau zaman sekarang, seperti USA dan Russia.

Oleh kerana dua-duanya kuat dan hendak mengatasi satu sama lain, maka peperangan selalu berlaku di antara kerajaan Rom dan Parsi. Kadang-kadang peperangan dimenangi oleh kerajaan Rom dan kadang-kadang dimenangi oleh Parsi.

Orang-orang musyrik menjumpai sahabat Nabi Saw. dan mengata­kan, “Sesungguhnya kalian Ahli Kitab dan orang Nasrani pun Ahli Kitab, sedangkan kami adalah orang-orang ummi. Dan saudara-saudara kami bangsa Persia (yakni dalam hal akidah) beroleh kemenangan atas saudara-saudara kalian Ahli Kitab. Dan sesungguhnya jika kalian memerangi kami, pastilah kami pun akan beroleh kemenangan atas kalian.” Maka Allah Swt. menurunkan firman-Nya: Alif Lam Mim, Telah dikalahkan bangsa Romawi di negeri yang terdekat. (Ar-Rum: 1-3) sampai dengan firman-Nya: Dia menolong siapa yang dikehendaki-Nya. (Ar-Rum:5)

Kekalahan Rum yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah pada tahun 615 Masihi dan kerana kekalahan itu, Musyrikin Mekah telah berpesta. Kerana mereka menyokong kerajaan Parsi. Ini macam pasukan bolasepak pilihan telah menang liga. Mereka tidak ada dapat apa pun tapi mereka suka kerana pasukan yang mereka sokong telah menang.

Musyrikin Mekah suka apabila Parsi menang kerana mereka rasa lebih rapat dengan Parsi kerana Parsi itu agamanya menyembah api dan mereka pula menyembah berhala. Jadi ada persamaan antara mereka. Dan memang selepas mengalahkan Tentera Kristian Rum dan menakluk Palestin, ketua kerajaan Parsi waktu itu telah mengatakan yang kemenangan itu menunjukkan kebenaran agama sembahan api (agama Magian) mereka.

Sedangkan golongan Rum itu adalah beragama Kristian dan mereka ada kitab wahyu (Injil) seperti juga umat Islam (Al-Qur’an). Umat Islam pula rasa rapat dengan Rum kerana persamaan itu. Memang pada awal Islam, umat Islam merasa yang Kristian dan juga Yahudi akan masuk Islam akhirnya kerana terdapat persamaan yang banyak antara mereka.

Sangkaan umat Islam waktu itu, nanti apabila mereka dapat berjumpa dengan Yahudi dan Kristian, tentulah mereka akan rela masuk Islam beramai-ramai kerana memang sudah ada persamaan akidah. Walaupun agama mereka telah rosak tapi mereka masih lagi percaya kepada satu Tuhan, percaya kepada para Nabi dan juga percaya kepada Hari Akhirat.

Para sahabat menganggap agama berteraskan wahyu sebelum itu adalah Islam sehinggalah mereka tahu tentang Nabi dan Rasul yang baru (Nabi Muhammad SAW). Dan memang waktu itu baru tahun kelima dan Kristian memang belum tahu tentang kenabian Nabi Muhammad. (Tapi para sahabat mungkin tidak menganggap Yahudi sebagai Muslim lagi kerana mereka telah menolak kenabian Nabi Isa a.s.)

Jadi pada tahun kelima kenabian ini, umat Islam rasa mereka berada di pihak Rum yang waktu itu sedang kalah di dalam peperangan. Mereka juga bersedih kerana perkara ini.


 

Ayat 3: Ayat ini adalah ayat mukjizat yang menunjukkan kehebatan dan kebenaran Al-Qur’an. Allah menyebut maklumat yang Allah sahaja yang boleh sampaikan pada waktu itu.

في أَدنَى الأَرضِ وَهُم مِّن بَعدِ غَلَبِهِم سَيَغلِبونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

In the nearest land. But they, after their defeat, will overcome

(MELAYU)

di negeri yang terdekat dan mereka sesudah dikalahkan itu akan menang

 

في أَدنَى الأَرضِ

di negeri yang terdekat

Iaitu kejadian kekalahan perang itu dekat sahaja dengan kedudukan Mekah. Tempatnya di antara Azri’at dan Basra, kawasan negeri Syam.

Dalam surah sebelum ini ada diberitahu bagaimana ada Musyrikin Mekah yang takut mereka dihalau dari Mekah kalau beriman dengan Nabi Muhammad dan Allah beritahu di sekeliling mereka banyak berlaku peperangan tetapi mereka tetap selamat pun; dan sekarang Allah menceritakan bagaimana ada peperangan besar yang berlaku dekat sahaja dengan mereka tetapi mereka tetap selamat.

Kalimah أَدْنَى boleh bermaksud ‘terdekat’ atau ‘terendah’. Peperangan itu juga jadinya berdekatan dengan Laut Mati dan itu adalah tempat paling rendah dalam dunia (423 meter bawah paras laut). Tentu sekali maklumat ini tidak diketahui oleh Nabi Muhammad dan ini adalah isyarat lagi yang memang ianya diberikan oleh Allah. Ini boleh dibaca di sini: http://www.miracles-of-quran.com/dead_sea.htm

 

وَهُم مِّن بَعدِ غَلَبِهِم سَيَغلِبونَ

dan mereka sesudah dikalahkan itu akan menang

Allah memberitahu maklumat masa hadapan – Kerajaan Rum akan menang kembali. Walaupun waktu itu mereka kalah teruk pun tapi mereka akan menang kembali.

Dan apabila mendengar tentang ini, Musyrikin Mekah tidak percaya sama sekali ayat ini kerana mereka lihat yang kekalahan yang dialami oleh Rum itu amat teruk. Mereka tak nampak yang Rum akan kembali bangkit. Sampaikan ada yang bertaruh dengan Abu Bakr yang Rum pasti tidak akan menang kembali.

Dan Abu Bakar bersetuju untuk bertaruh sebanyak 10 ekor unta. Ini kerana Abu Bakr percaya sungguh dengan wahyu. Waktu itu pertaruhan belum diharamkan lagi. Dan Abu Bakr tak makan pun hasil kemenangan itu kerana Nabi suruh sedekahkan.


 

Ayat 4: Bilakah kemenangan itu? Allah siap sebut bila ia akan terjadi.

في بِضعِ سِنينَ ۗ ِلِلهِ الأَمرُ مِن قَبلُ وَمِن بَعدُ ۚ وَيَومَئِذٍ يَفرَحُ المُؤمِنونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Within three to nine years. To Allāh belongs the command [i.e., decree] before and after. And that day the believers will rejoice

(MELAYU)

dalam beberapa tahun lagi. Bagi Allah-lah urusan sebelum dan sesudah. Dan di hari itu bergembiralah orang-orang yang beriman,

 

في بِضعِ سِنينَ

dalam beberapa tahun lagi.

Dalam ‘beberapa tahun’ lagi Rum pasti akan menang. Dan kalimah yang digunakan adalah بِضعِ yang dalam bahasa Arab bermaksud antara tiga ke sembilan tahun.

Maka tentang pertaruhan Abu Bakr dengan seorang Musyrikin Mekah itu Nabi Muhammad suruh tukarkan tahunnya supaya menjadi sehingga sembilan tahun dan tambah bilangan unta pertaruhan itu. Jadikan sehingga 100 ekor unta. Kerana asalnya Abu Bakr kata Rum akan menang dalam masa tiga tahun sahaja. Sedangkan julat masa itu adalah antara 3-9 tahun.

Dan tepat sembilan tahun selepas ayat itu diturunkan, memang benar kerajaan Rum telah kembali naik dan telah memenangi peperangan yang besar mengalahkan Parsi.

 

ِلِلهِ الأَمرُ مِن قَبلُ وَمِن بَعدُ

Bagi Allah-lah urusan sebelum dan sesudah

Allahlah yang menentukan apa-apa yang akan terjadi. Allah yang menguruskan segala-galanya sebelum kemenangan itu dan selepas kemenangan itu dan Allah menguasai sepanjang waktu. Allah boleh beri kalah dan Allah boleh kemenangan.

Jangan sangka yang apabila Rum kalah, itu bermakna kerajaan Allah yang kalah. Kerana kekalahan Rum itu adalah kehendak Allah juga. Sebelum itu Allah tetap berkuasa dan selepas itu juga Allah tetap berkuasa. Allah tidak pernah hilang kekuasaanNya.

 

وَيَومَئِذٍ يَفرَحُ المُؤمِنونَ

Dan di hari itu bergembiralah orang-orang yang beriman,

Dan Allah memberitahu yang pada hari kemenangan tentera Rum itu, orang-orang mukmin akan bergembira.

Dan ini agak pelik kerana sembilan tahun selepas ayat ini diturunkan, umat Islam telah bertemu dengan orang-orang Yahudi dan juga Kristian (di Madinah) dan kita pun tahu yang harapan orang Islam terhadap mereka telah musnah kerana ahli kitab tidak mahu pun masuk Islam.

Waktu itu ahli kitab tidak mahu mengiktiraf kebenaran Nabi Muhammad dan Islam. Mereka telah menolak untuk bergabung dengan umat Islam. Maka kenapa mereka tetap bergembira apabila Rum menang?

Rupanya, pada masa yang sama iaitu sembilan tahun selepas ayat ini diturunkan, umat Islam berperang di Badr dan telah mengalami kemenangan mengalahkan tentera Musyrikin Mekah. Jadi yang Allah maksudkan di dalam ayat ini adalah kemenangan di Badr dan bukannya kemenangan Rum itu sahaja.

Allah memberitahunya awal-awal lagi iaitu sembilan tahun sebelum kejadian itu. Mungkin semasa ayat ini diturunkan, para sahabat pun tidak sangka kerana mereka menyangka yang kemenangan yang dimaksudkan adalah kemenangan Rum ke atas Parsi tetapi tidak begitu sebenarnya. Jadi ini adalah salah satu dari bukti kemukjizatan Al-Qur’an.


 

Ayat 5:

بِنَصرِ اللهِ ۚ يَنصُرُ مَن يَشاءُ ۖ وَهُوَ العَزيزُ الرَّحيمُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

In the victory of Allāh.¹ He gives victory to whom He wills, and He is the Exalted in Might, the Merciful.

  • i.e., the victory given by Allāh to a people of the Scripture (Christians) over the Magians of Persia.

(MELAYU)

Kerana pertolongan Allah. Dia menolong siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Dialah Maha Perkasa lagi Penyayang.

 

بِنَصرِ اللهِ

Kerana pertolongan Allah.

Allah membantu dan memberi kemenangan kepada umat Islam di Perang Badr. Kemenangan itu bukanlah kerana kekuatan umat Islam kerana mereka memang masih lemah lagi waktu itu. Dan kemenangan Rum ke atas Parsi itu juga adalah kerana pertolongan dari Allah juga. Semuanya dalam taqdir Allah.

Allah beri kemenangan kepada orang mukmin di Madinah kerana akidah tauhid mereka dan bukan sebab lain. Maknanya Allah tetap boleh beri kemenangan walaupun dari segi logik, susah nak menang. Bilangan tentera kafir Mekah lebih besar dari bilangan tentera Islam waktu itu. Tapi Allah boleh beri kemenangan juga kerana kalah dan menang adalah dalam Tangan Allah.

 

يَنصُرُ مَن يَشاءُ

Dia menolong siapa yang dikehendaki-Nya.

Memang Allah membantu sesiapa sahaja yang Dia kehendaki. Terutama kepada tentera Islam. Asalkan tentera Islam ikut syarat-syaratnya. Dan ini telah disebut dalam Surah Baqarah. Ringkasnya, tentera Islam kena jaga akidah dan taat kepada pemimpin. Apabila taat, kemenangan pasti dalam tangan umat Islam.

 

وَهُوَ العَزيزُ الرَّحيمُ

Dan Dialah Maha Perkasa lagi Penyayang.

Allah berkuasa untuk menentukan apa sahaja. Tidak ada yang dapat menghalang. Kalau Allah nak beri kemenangan kepada umat Islam, tiada siapa yang boleh kalahkan.

Dan Allah beri kemenangan itu kerana kasihNya kepada hambaNya yang taat.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 17 Jun 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah Ankabut Ayat 64 – 69 (Allah akan tunjuk jalan)

Ankabut Ayat 64: Kenapakah manusia tidak mahu memahami tentang tauhid?

Kerana asalnya mereka tidak nampak kebenaran. Mereka tidak nampak bagaimana Allahlah yang telah memberi rezeki kepada mereka selama ini dan mereka tidak nampak balasan di akhirat kelak atas segala kesalahan yang mereka lakukan.

Mereka tidak faham kerana mereka tumpukan perhatian kepada benda yang mereka nampak dengan mata fizikal mereka sahaja. Mereka hanya nampak dunia yang berada di hadapan mata mereka sahaja. Memang dunia selalu mengelabui mata manusia. Maka Allah jelaskan tentang dunia. Supaya manusia faham hakikat dunia dan tidak tertipu dengan dunia.

وَما هٰذِهِ الحَيوٰةُ الدُّنيا إِلّا لَهوٌ وَلَعِبٌ ۚ وَإِنَّ الدّارَ الآخِرَةَ لَهِيَ الحَيَوانُ ۚ لَو كانوا يَعلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And this worldly life is not but diversion and amusement. And indeed, the home of the Hereafter – that is the [eternal] life, if only they knew.

(MELAYU)

Dan tiadalah kehidupan dunia ini melainkan senda gurau dan main-main. Dan sesungguhnya akhirat itulah yang sebenarnya kehidupan, kalaulah mereka mengetahui.

 

وَما هٰذِهِ الحَيوٰةُ الدُّنيا إِلّا لَهوٌ وَلَعِبٌ

Dan tiadalah kehidupan dunia ini melainkan senda gurau dan main-main.

Allah bandingkan dunia ini dengan akhirat seolah-olah dunia ini adalah tempat permainan saja macam permainan wayang yang dilakukan oleh pemain-pemainnya. Dalam wayang itu ada Raja, ada Permaisuri dan sebagainya. Tapi sebenarnya mereka itu bukanlah sebenarnya Raja atau sebenarnya Permaisuri. Selepas habis wayang, maka mereka buang topeng dan jadi manusia biasa balik.

Maka begitulah dunia ini, bukan benar dan kekal pun. Kalau kita nak umpamakan lagi, ia macam barang contoh sahaja. Macam kita nak tahu bentuk telefon bimbit, ada sample yang diberikan. Sample itu plastik sahaja, bukan betul pun. Tak sama sample itu dan telefon sebenar, bukan? Begitulah dunia ini kalau dibandingkan dengan akhirat.

 

وَإِنَّ الدّارَ الآخِرَةَ لَهِيَ الحَيَوانُ

Dan sesungguhnya akhirat itulah yang sebenarnya kehidupan, 

Kalimah الحَيَوانُ adalah dalam bentuk mubalaghah kepada ‘hayat’. Ulama mengatakan ia digunakan dalam bentuk mubalaghah kerana hendak memberitahu bahawa kehidupan di akhirat nanti adalah sebenar-benar kehidupan. Sebab itu di akhirat nanti tidak ada tidur pun kerana nak bagi penghuninya benar-benar hidup (kerana tidur termasuk mati juga).

Memang asal kehidupan yang sebenarnya adalah di akhirat. Bukankah Nabi Adam asalnya di syurga? Maka kenalah lebihkan akhirat dari dunia. Dunia ini bukanlah tempat kehidupan yang kekal. Sekejap sahaja kita duduk di dunia ini maka jangan kita lebihkan dari akhirat pula.

 

لَو كانوا يَعلَمونَ

kalaulah mereka mengetahui.

Kalaulah manusia mengetahui perkara ini, nescaya mereka tidak akan lalai leka dengan kehidupan dunia. Kerana mereka akan sedar yang dunia ini hanya melalaikan sahaja.

Kalaulah mereka tahu kehidupan dunia ini sementara sahaja dan rendah kalau dibandingkan dengan akhirat, maka tentulah mereka tidak akan cinta dunia. Tentunya mereka akan gunakan dunia sebagai tempat untuk mencari pahala sahaja dan bukannya untuk kekal di dunia.

Kalau mereka sedar, tidaklah mereka jadikan dunia sebagai tujuan utama mereka. Tidaklah dunia melalaikan mereka dari buat persediaan kepada akhirat. Malangnya, ramai buat persediaan dunia lebih banyak dari persediaan akhirat.

Sebagai contoh, kalau bab ilmu keduniaan, ramai sanggup belajar sampai ke universiti, hanya supaya dapat kerja baik. Tapi berapa lama sangat mereka akan bekerja? Sedangkan ilmu agama yang mereka boleh bawa sampai ke akhirat, mereka tak belajar pun – pakai ilmu yang dipelajari di sekolah rendah dan menengah sahaja. Mana cukup ilmu itu.


 

Ankabut Ayat 65: Ayat zajrun. Oleh kerana tidak belajar ilmu wahyu, maka manusia condong kepada syirik. Maka Allah menceritakan bagaimana teruknya manusia yang ada fahaman syirik.

فَإِذا رَكِبوا فِي الفُلكِ دَعَوُا اللهَ مُخلِصينَ لَهُ الدّينَ فَلَمّا نَجّٰهُم إِلَى البَرِّ إِذا هُم يُشرِكونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when they board a ship, they supplicate Allāh, sincere to Him in religion [i.e., faith and hope]. But when He delivers them to the land, at once they associate others with Him

(MELAYU)

Maka apabila mereka naik kapal mereka berdoa kepada Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya; maka tatkala Allah menyelamatkan mereka sampai ke darat, tiba-tiba mereka (kembali) mempersekutukan (Allah)

 

فَإِذا رَكِبوا فِي الفُلكِ

Maka apabila mereka naik kapal

Allah beri contoh naik kapal kerana manusia selalu naik kapal kerana sebab ekonomi dan hendak berniaga. Ia sampai sekarang menjadi metode pengangkutan yang paling banyak digunakan untuk memindahkan barang dagangan dari satu tempat ke tempat yang lain kerana ia lebih murah kalau dibandingkan dengan cara udara.

Apabila naik kapal dan menempuh laut yang bergelora, manusia jadi lain macam. Waktu itu mereka amat takut dan mereka tahu yang mereka tidak ada kuasa untuk melawan lautan itu. Maka mereka akan berharap kepada Allah untuk beri keselamatan kepada mereka.

 

دَعَوُا اللهَ مُخلِصينَ لَهُ الدّينَ

Mereka berdoa kepada Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya; 

Waktu naik kapal tentulah mereka berdoa betul-betul kepada Allah kerana waktu itu mereka berharap terus dengan Allah. Kalau orang kafir pun mereka akan berdoa: “Oh God, help us….” Waktu itu mereka tidak melakukan syirik langsung. Sampaikan Musyrikin Mekah waktu itu pun akan berdoa terus kepada Allah.

Waktu itu mereka tidak kongsi doa kepada Nabi, wali dan sebagainya. Kerana mereka pun tahu yang selain Allah tak boleh tolong mereka. Jadi mereka letak pengharapan kepada Allah sebagaimana yang sepatutnya. Semakna dengan apa yang disebutkan oleh firman-Nya dalam ayat yang lain, yaitu:

{وَإِذَا مَسَّكُمُ الضُّرُّ فِي الْبَحْرِ ضَلَّ مَنْ تَدْعُونَ إِلا إِيَّاهُ فَلَمَّا نَجَّاكُمْ إِلَى الْبَرِّ أَعْرَضْتُمْ}

Dan apabila kamu ditimpa bahaya di lautan, nescaya hilanglah siapa yang kamu seru kecuali Dia. Maka tatkala Dia me­nyelamatkan kamu ke daratan, kamu berpaling. (Al-Isra: 67), hingga akhir ayat.

 

فَلَمّا نَجّٰهُم إِلَى البَرِّ إِذا هُم يُشرِكونَ

maka tatkala Allah menyelamatkan mereka sampai ke darat, tiba-tiba mereka (kembali) mempersekutukan (Allah)

Tapi apabila mereka telah selamat sampai di daratan, maka mereka kembali melakukan syirik dan berdoa kepada selain Allah. Mereka mula minta doa kepada Nabi, wali dan malaikat kembali.

Begitulah teruknya manusia yang sebegitu. Masih lagi nak menggunakan perantara dalam doa mereka. Padahal baru sekejap tadi, mereka berdoa terus kepada Allah. Dalam keadaan susah, mereka berserah kepada Allah, tetapi dalam keadaan senang, mereka kembali buat syirik. Tapi ada juga yang nampak perkara ini dan jadi beriman. Lihat kisah di bawah:

Muhammad ibnu Ishaq telah menuturkan dari Ikrimah ibnu Abu Jahal yang telah menceritakan bahawa ketika Rasulullah Saw. beroleh kemenangan atas kota Mekah, Ikrimah melarikan diri dari Mekah. Dan ketika dia menempuh jalan laut menaiki perahu untuk pergi ke negeri Habasyah, di tengah perjalanan perahunya goyah kerana ombak yang besar. Maka para penumpangnya berseru, “Hai kaum, murnikanlah doa kalian hanya kepada Tuhan kalian (Allah), kerana sesungguhnya tiada yang dapat menyelamatkan kita dari bencana ini selain Dia.” Ikrimah berkata, “Demi Allah, bilamana tiada yang dapat menyelamatkan dari bencana di laut selain Dia, maka sesungguhnya tiada pula yang dapat menyelamatkan dari bencana di daratan kecuali hanya Dia. Ya Allah, aku berjanji kepada­Mu seandainya aku selamat dari bencana ini, sungguh aku akan pergi dan benar-benar aku akan meletakkan tanganku pada tangan Muhammad (masuk Islam), dan aku pasti menjumpainya seorang yang pengasih lagi penyayang,” dan memang apa yang diharapkannya itu benar-benar dia jumpai pada diri Rasulullah Saw.


 

Ankabut Ayat 66: Ayat 66 – 68 adalah Perenggan Makro 7b. Ia memberitahu kita yang golongan Quraisy itu tetap tidak bersyukur. Kemudian kita diberitahu yang orang yang kufur akan dibiarkan leka dengan kesenangan dunia hingga tiba hari penentuan.

Dalam ayat 66 ini Allah menjelaskan: walaupun mereka itu telah berfahaman dan beramal dengan amalan syirik, kenapa Allah benarkan mereka selamat?

لِيَكفُروا بِما ءآتَينٰهُم وَلِيَتَمَتَّعوا ۖ فَسَوفَ يَعلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So that they will deny what We have granted them, and they will enjoy themselves. But they are going to know.¹

  • Grammatically, the verse may also be read as a threat, i.e., “So let them deny what We have granted them and let them enjoy themselves, for they are going to know.”

(MELAYU)

agar mereka mengingkari nikmat yang telah Kami berikan kepada mereka dan agar mereka (hidup) bersenang-senang (dalam kekafiran). Kelak mereka akan mengetahui (akibat perbuatannya).

 

لِيَكفُروا بِما ءآتَينٰهُم

agar mereka mengingkari nikmat yang telah Kami berikan kepada mereka

Allah benarkan mereka kembali ke daratan untuk membenarkan mereka melakukan syirik kembali. Untuk menunjukkan bahawa kata-kata yang mereka sebut dalam doa mereka yang terus kepada Allah itu hanyalah pada waktu itu sahaja. Hati mereka bukannya benar pun mengamalkan tauhid.

Allah selamatkan mereka kerana Allah nak azab mereka. Bila mereka buat kufur lagi, maka akan menambah dosa mereka dan Allah akan azab mereka dengan seteruk-teruknya nanti di neraka. Lagi banyak mereka buat dosa, lagi teruk mereka kena azab.

 

وَلِيَتَمَتَّعوا

dan agar mereka (hidup) bersenang-senang (dalam kekafiran).

Dan Allah nak biarkan mereka boleh hidup panjang sedikit. Supaya mereka boleh kembali kepada kehidupan permainan mereka dan yang melalaikan mereka. Supaya mereka kumpul lagi dosa mereka. Lagi banyak dosa, lagi teruk mereka akan kena azab.

 

فَسَوفَ يَعلَمونَ

Kelak mereka akan mengetahui 

Apabila mereka mati sahaja, mereka akan tahu keadaan sebenar mereka. Dalam kubur lagi mereka sudah kena azab. Waktu itu baru mereka akan menyesal dan baru mereka tahu yang selama ini amalan mereka adalah amalan yang salah. Tapi penyesalan mereka waktu itu sudah terlambat dan tidak ada guna.


 

Ankabut Ayat 67: Ayat Zajrun. Dulu mereka beritahu yang mereka takut untuk masuk Islam kerana mereka takut diculik. Mereka takut mereka tidak selamat kalau masuk Islam. Ini adalah antara contoh perkara-perkara yang menghalang manusia dari beriman. Ada sahaja alasan mereka yang degil dan sombong.

أَوَلَم يَرَوا أَنّا جَعَلنا حَرَمًا ءآمِنًا وَيُتَخَطَّفُ النّاسُ مِن حَولِهِم ۚ أَفَبِالبٰطِلِ يُؤمِنونَ وَبِنِعمَةِ اللهِ يَكفُرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Have they not seen that We made [Makkah] a safe sanctuary, while people are being taken away¹ all around them? Then in falsehood do they believe, and in the favor of Allāh they disbelieve?

  • i.e., killed and taken captive.

(MELAYU)

Dan apakah mereka tidak memperhatikan, bahawa sesungguhnya Kami telah menjadikan (negeri mereka) tanah suci yang aman, sedang manusia sekitarnya diculik. Maka mengapa (sesudah nyata kebenaran) mereka masih percaya kepada yang bathil dan engkar kepada nikmat Allah?

 

أَوَلَم يَرَوا أَنّا جَعَلنا حَرَمًا ءآمِنًا

Dan apakah mereka tidak memperhatikan, bahawa sesungguhnya Kami telah menjadikan (negeri mereka) tanah suci yang aman

Allah suruh mereka berfikir dan kenangkan bagaimana Mekah itu boleh selamat sahaja. Sedangkan di sekeliling mereka adalah puak-puak yang ganas dan ada kerajaan yang besar waktu itu seperti Rom dan Parsi, tapi mereka tidak mengganggu Mekah pun.

Dan banyak lagi puak-puak lain yang tidak ganggu Mekah pun. Sedangkan kalau mereka mahu, boleh sahaja mereka serang dan takluk Mekah.

 

وَيُتَخَطَّفُ النّاسُ مِن حَولِهِم

sedang manusia sekitarnya diculik. 

Zaman itu adalah zaman keganasan di mana ramai orang diculik dengan mudah begitu sahaja. Tetapi orang-orang Mekah itu selamat sahaja dan tidak ada orang yang berani kacau mereka.

Kalau penduduk Mekah bermusafir dalam perjalanan dagang mereka pun, puak-puak sekitar tak berani serang mereka. Kerana penduduk Mekah dihormati di mana-mana. Kalau orang lain, selalu sahaja diculik dan dijual sebagai hamba.

Satu lagi maksud Allah Swt. berfirman, adalah menceritakan tentang kebaikan yang telah dianugerahkan-Nya kepada orang-orang Quraisy pada tanah suci-Nya, yang telah Dia jadikan untuk semua manusia, baik yang bermukim di situ mahupun di padang pasir. Barang siapa yang memasukinya, maka amanlah dia, kerana itu mereka berada dalam keamanan yang besar. Sedangkan orang-orang Arab di sekitar mereka saling merampok satu sama lainnya dan saling membunuh, sebagaimana yang disebutkan oleh firman Allah Swt.:

لإيلافِ قُرَيْشٍ

Kerana kebiasaan orang-orang Quraisy. (Al-Quraisy: 1), hingga akhir surat.

 

أَفَبِالبٰطِلِ يُؤمِنونَ

Maka mengapa mereka masih percaya kepada yang bathil

Kenapakah mereka tidak memikirkan? Mereka tidak perasankah perkara itu? Kenapa dengan perkara-perkara yang batil yang mereka hendak percaya?

 

وَبِنِعمَةِ اللهِ يَكفُرونَ

dan engkar kepada nikmat Allah?

Tidakkah mereka mengenang nikmat yang Allah telah berikan kepada mereka itu? Kenapa mereka masih engkar? Mereka tidak tahukah yang menyelamatkan mereka itu adalah Allah?


 

Ankabut Ayat 68: Apakah balasan bagi mereka?

وَمَن أَظلَمُ مِمَّنِ افتَرىٰ عَلَى اللهِ كَذِبًا أَو كَذَّبَ بِالحَقِّ لَمّا جاءَهُ ۚ أَلَيسَ في جَهَنَّمَ مَثوًى لِلكٰفِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And who is more unjust than one who invents a lie about Allāh or denies the truth when it has come to him? Is there not in Hell a [sufficient] residence for the disbelievers?

(MELAYU)

Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang mengada-adakan kedustaan terhadap Allah atau mendustakan yang haq tatkala yang haq itu datang kepadanya? Bukankah dalam neraka Jahannam itu ada tempat bagi orang-orang yang kafir?

 

وَمَن أَظلَمُ مِمَّنِ افتَرىٰ عَلَى اللهِ كَذِبًا

Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang mengada-adakan kedustaan terhadap Allah

Bila Allah kata ‘siapakah yang lebih zalim’, itu bermaksud merekalah yang paling zalim kerana tidak ada lagi yang lebih zalim dari mereka. Tiada orang yang lebih teruk lagi daripada orang yang mereka-reka perkara tentang Allah. Iaitu mereka yang menipu atas nama Allah.

Iaitu mereka yang kata seru kepada selain dari Allah itu adalah juga sebahagian dalam agama dan disukai oleh Allah. Mereka kata tawasul kepada Nabi, wali dan malaikat ada dalam agama Allah pula. Sedangkan ini tidak ada dalil.

Kita tidak boleh menisbahkan perkara ghaib dan tentang Allah melainkan ada dalilnya. Kerana itu kita tegur banyak amalan manusia kerana amalan mereka itu tidak ada dalil. Bila tidak ada dalil, mereka reka sendiri dan nisbahkan kepada Allah.

Dan ini adalah dusta kepada Allah! Mereka sanggup kata Allah suka, Allah redha, Allah akan beri pahala, walaupun amalan mereka itu Allah tidak pernah ajar pun.

 

أَو كَذَّبَ بِالحَقِّ لَمّا جاءَهُ

atau mendustakan yang haq tatkala yang haq itu datang kepadanya? 

Dan tiada yang lebih teruk daripada orang yang menolak kebenaran apabila kebenaran itu telah sampai kepada mereka. Mereka faham apa yang disampaikan kepada mereka tapi mereka tetap tolak juga.

Atau ia bermaksud, mereka yang mendustakan Rasulullah adalah orang yang paling teruk. Rasulullah bawa kebenaran tapi mereka tolak. Nabi Muhammad telah datang menyatakan kerasulan baginda, tapi Musyrikin Mekah telah menolak. Begitu juga dengan manusia lain yang tidak menerima Nabi Muhammad sebagai Rasul akhir zaman.

 

أَلَيسَ في جَهَنَّمَ مَثوًى لِلكٰفِرينَ

Bukankah dalam neraka Jahannam itu ada tempat bagi orang-orang yang kafir?

Maka tidakkah layak neraka sebagai tempat tinggal yang kekal berterusan untuk mereka? Memang layak sangat. Dan memang mereka akan kekal di dalamnya. Maksudnya, mereka tidak ada peluang untuk keluar lagi sampai bila-bila.

Kalimah مَثوَى dari katadasar ث و ي yang bermaksud menetap di suatu tempat, berhenti, menetap di suatu tempat, menahan sesiapa sahaja (di suatu tempat), penginapan, tempat tinggal, resort, tempat berehat, penghuni. Kalimah مَثوَى bermaksud tempat tinggal generasi demi generasi. Ia adalah tempat tinggal yang diwarisi. Maknanya, tempat tinggal yang lama.


 

Ankabut Ayat 69: Ayat 69 ini adalah Perenggan Makro Kelapan. Ia mengandungi janji selepas hijrah. Mereka yang berjihad mencari redha Allah akan ditunjuki jalan-jalan kebenaran.

Ayat ini ada hubungan dengan permulaan surah ini. Iaitu hendak memberitahu bahawa sesiapa yang hendak beriman dengan ajaran tauhid, maka akan ada sahaja ujian dan dugaan dari Allah. Allah nak tutup surah ini dengan kembali menyebut perkara yang disebut di awal-awal lagi.

Ujian yang Allah berikan itu tujuannya adalah untuk meneguhkan iman seseorang. Apabila lepas ujian, maka iman akan bertambah. Maka orang itu kenalah berjihad dan bersabar dengan ujian yang Allah berikan. Jangan putus asa dan jangan lemah semangat. Kena teruskan usaha.

وَالَّذينَ جٰهَدوا فينا لَنَهدِيَنَّهُم سُبُلَنا ۚ وَإِنَّ اللهَ لَمَعَ المُحسِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And those who strive for Us – We will surely guide them to Our ways.¹ And indeed, Allāh is with the doers of good.

  • The various ways and means to attain the acceptance and pleasure of Allāh.

(MELAYU)

Dan orang-orang yang berjihad untuk Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar berserta orang-orang yang berbuat baik.

 

وَالَّذينَ جٰهَدوا فينا

Dan orang-orang yang berjihad untuk Kami,

Allah mengakhiri surah ini sama seperti memulakannya di mana Allah memberitahu bahawa untuk menegakkan agama ini memerlukan usaha. Nak tegakkan agama bukan goyang kaki.

Maksud ‘jihad’ di dalam ayat ini adalah: mengutamakan agama Allah daripada yang lain. Bukannya bermaksud ‘jihad perang’ sahaja. Iaitu kena bersungguh-sungguh untuk menegakkan agama tauhid dengan apa cara sekali pun (kadangkala termasuk berperang). Mengutamakan akhirat berbanding dunia, mengutamakan Sunnah dari bida’ah. Semua ini termasuk dalam kalimah ‘jihad’.

Kalimah فينا (dalam Kami) maksudnya tujuan utama mereka adalah untuk bertemu dengan Allah. Juga ia bermaksud ‘ikhlas’ kerana mereka lakukan segala itu semua adalah kerana Allah, bukan kerana lain. Mereka sedar yang mereka akan bertemu dengan Allah dan mereka sanggup susah di dunia kerana mereka tahu yang mereka kena mengadap kepada Allah.

 

لَنَهدِيَنَّهُم سُبُلَنا

benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. 

Kepada mereka yang ada keinginan untuk berjihad itu, maka Allah beritahu yang mereka memang akan bertemu denganNya. Ini pasti akan berlaku, tetapi jalan ke arah itu bukanlah jalan yang mudah. Kena berusaha dan berkorban untuk bertemu dengan Allah. Tapi Allah akan tunjukkan jalan kepada mereka untuk bertemu denganNya.

Allah akan tarik mereka kepada jalan yang benar melalui banyak jalan. Allah akan beri jalan kepada mereka untuk mencapai apa yang mereka hendak lakukan – menegakkan agama Allah. Iaitu orang-orang yang mengamalkan ilmunya, kelak Allah akan memberi mereka petunjuk terhadap apa yang tidak mereka ketahui sebelumnya.

 

وَإِنَّ اللهَ لَمَعَ المُحسِنينَ

Dan sesungguhnya Allah benar-benar berserta orang-orang yang berbuat baik.

Allah memberitahu yang kepada mereka yang sebegitu, Allah bersama-sama mereka. Ini adalah satu penghormatan yang amat besar sekali. Kalau ada orang kuat dengan kita, tentu kita berani, bukan? Maka adakah yang lebih besar dari Allah?

Allah akan bersama dengan المُحسِنينَ (orang-orang yang berhati baik). Orang yang ada hati yang baik akan mahu supaya orang lain juga jadi baik. Mereka bukan sahaja nak selamatkan diri mereka tapi mereka hendak menyelamatkan orang lain juga. Itulah maksud ‘muhsin’. Maka mereka akan sebar dan ajar tauhid ini kepada manusia.

 

Allahu a’lam. Sekian tafsir Surah Ankabut. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah Rum.

Kemaskini: 1 September 2023

Ringkasan Surah Ankabut


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Ankabut Ayat 59 – 63 (Musyrikin Mekah kenal Allah)

Ayat 59: Siapakah yang akan dimasukkan ke dalam syurga itu?

الَّذينَ صَبَروا وَعَلىٰ رَبِّهِم يَتَوَكَّلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Who have been patient and upon their Lord rely.

(MELAYU)

(yaitu) yang bersabar dan bertawakkal kepada Tuhannya.

 

الَّذينَ صَبَروا

(iaitu) mereka yang bersabar

Yang ada peluang untuk masuk ke dalam syurga adalah mereka yang bersabar. Apa-apa sahaja yang terjadi kepada mereka, mereka sabar dan berserah kepada Allah. Sabar itu maksudnya mereka redha dengan apa yang Allah telah tentukan kepada mereka.

Mereka terima ketentuan Allah kerana mereka sedar yang mereka hanya hamba sahaja dan Allah boleh buat apa-apa sahaja kepada mereka. Oleh itu mereka bersabar dalam mempertahankan agama, berhijrah kepada Allah serta memisahkan diri dari musuh-musuh Allah, rela berpisah dengan keluarga dan kaum kerabat demi kerana Allah dan mengharapkan pahala yang ada di sisi-Nya serta percaya kepada apa yang dijanjikan oleh-Nya.

Mereka yang sabar menerima dugaan dalam menegakkan agama Allah akan diberikan balasan yang amat besar. Ini adalah kerana sabar itu bukan senang. Ada yang menentang dakwah tauhid dan penentangan itu kadangkala amat pedih. Tapi orang yang kuat imannya, tetap terus berada dalam agama tauhid ini dan terus menyampaikannya kepada manusia lain kerana ada sabar dalam dirinya.

 

وَعَلىٰ رَبِّهِم يَتَوَكَّلونَ

dan bertawakkal kepada Tuhannya.

Mereka berserah kepada Allah setelah melakukan ketaatan kepada Allah. Inilah maksud tawakal. Maknanya kena taat kepada suruhan Allah dan tinggalkan yang Allah larang, kemudian apa yang terjadi, terima sahaja. Maka mereka kena berserah dan tawakal kepada Allah dalam hal agama dan juga hal keduniaan.

Mereka tidak meletakkan pengharapan mereka kepada keluarga mereka, harta mereka, kaum mereka, perniagaan mereka dan lain-lain lagi tapi tawakal mereka adalah kepada Allah sahaja. Kerana mereka tahu yang keluarga, harta, kaum dan perniagaan mereka tidak ada kuasa, tapi Allahlah yang berkuasa penuh.

Untuk tawakal, kenalah ada usaha dulu. Janganlah sampai tidak kerja, dan bila ditanya macam mana nak makan, ada yang jawab: “kami tawakal kepada Allah sahaja”. Ini adalah fahaman yang bodoh dan salah dan bukanlah fahaman yang benar. Kita kena usaha dan selepas usaha, barulah serah kepada Allah. Kerana hasil sesuatu perkara itu dalam kehendak Allah.

Kita hanya boleh usaha sahaja. Dan Allah nak tengok dulu usaha kita. Kerana itu Allah suruh Nabi dan para sahabat berperang menentang musuh, walaupun Allah boleh sahaja nak kalahkan musuh baginda terus. Tapi Allah nak lihat usaha manusia.


 

Ayat 60: Sebelum ini telah disebut tentang hijrah dan apabila hendak berhijrah maka tentulah yang hendak berhijrah itu akan memikirkan bagaimana hendak makan dan minum sedangkan tempat tinggal sekarang, semua itu sudah ada.

Maka Allah cerita tentang rezeki. Allah akan beri rezeki lebih-lebih lagi kepada mereka yang hijrah kerana agama.

وَكَأَيِّن مِّن دابَّةٍ لّا تَحمِلُ رِزقَهَا اللهُ يَرزُقُها وَإِيّاكُم ۚ وَهُوَ السَّميعُ العَليمُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And how many a creature carries not its [own] provision. Allāh provides for it and for you. And He is the Hearing, the Knowing.

(MELAYU)

Dan berapa banyak binatang yang tidak membawa rezekinya sendiri. Allah-lah yang memberi rezeki kepadanya dan kepadamu dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

 

وَكَأَيِّن مِّن دابَّةٍ لّا تَحمِلُ رِزقَهَا

Dan berapa banyak binatang yang tidak membawa rezekinya sendiri.

Binatang tidaklah membawa rezekinya di atas tubuhnya, bukan? Binatang pun kena keluar cari rezeki juga. Jadi tentu semasa berhijrah ke tempat yang lebih baik, seorang muhaajir (orang yang berhijrah) itu tidak dapat nak bawa segala harta dia, bukan?

Yakinlah kepada rezeki dari Allah sebagaimana binatang. Binatang itu keluar mencari makanan di pagi hari dan Allahlah yang akan memberikan rezeki itu kepadanya. Apabila binatang itu pulang, perutnya sudah penuh dan kenyang. Allah Swt. telah berfirman:

{وَمَا مِنْ دَابَّةٍ فِي الأرْضِ إِلا عَلَى اللَّهِ رِزْقُهَا وَيَعْلَمُ مُسْتَقَرَّهَا وَمُسْتَوْدَعَهَا كُلٌّ فِي كِتَابٍ مُبِينٍ}

Dan tidak ada suatu binatang melata pun di bumi melainkan Allah-lah yang memberi rezekinya, dan Dia mengetahui tempat berdiam binatang itu dan tempat penyimpanannya. Semuanya tertulis dalam Kitab yang nyata (Lauh Manfuz). (Hud: 6)

 

اللهُ يَرزُقُها وَإِيّاكُم

Allah-lah yang memberi rezeki kepadanya dan kepadamu 

Siapa yang beri makanan kepada binatang itu? Tentulah Allah. Semua rezeki ditentukan oleh Allah dan kita tidak tahu bila dan bagaimana rezeki itu akan masuk ke dalam perut kita.

Tiada selain Allah yang memberikan rezeki itu, hanya Allah sahaja. Maka hanya minta rezeki kepada Allah sahaja. Doa kepada Allahlah sahaja. Tak perlu minta kepada roh Nabi, wali dan malaikat kerana mereka tidak dapat beri rezeki kepada makhluk. Mereka pun mengharapkan rezeki dari Allah.

Ada para sahabat di Mekah yang kena boikot oleh orang kafir kerana mereka telah masuk Islam, maka Allah hendak mengingatkan mereka bahawa rezeki itu Allah yang bagi. Maka janganlah takut.

Memang ‘boikot ekonomi’ adalah salah satu daripada dugaan yang dikenakan kepada orang Islam kerana para penentang menggunakan berbagai-bagai cara untuk menzalimi para sahabat. Antaranya mereka akan gunakan bab harta dan pendapatan.

Sampai sekarang perkara ini masih juga dilakukan oleh mereka yang jahat terhadap orang-orang Islam. Maka ada yang takut masuk Islam kerana mereka takut perniagaan mereka akan terganggu, ibubapa sudah beri bantuan kewangan lagi dan sebagainya. Maka Allah nak beritahu, jangan takut masuk Islam.

Yakin dengan Allah kerana bukan manusia yang beri rezeki, tapi Allah. Kalau ada yang boikot, kacau perniagaan, buang kerja dan sebagainya untuk halang masuk Islam, jangan takut. Allah tetap akan beri rezeki kepada mereka. Pada peringkat awal kena bersabar.

 

وَهُوَ السَّميعُ العَليمُ

dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Allah maha mendengar rintihan hati manusia yang memerlukan pertolongan. Maka berdoalah kepadaNya.

Allah juga maha tahu bagaimana nak berikan pertolongan kepada mereka yang memerlukan. Allah akan beri perkara yang diperlukan. Maka jangan takut dan segan berdoa kepada Allah. Tak perlu ajar Allah apa nak buat dengan kita, kerana Allah tahu. Mengadu sahaja kepada Allah dan Allah akan berikan jalan penyelesaian yang terbaik.


 

Ayat 61: Ayat 61 – 65 adalah Perenggan Makro 7a. Ia mengingatkan kita yang Allah itu Pencipta, ilah dan hakim.

Ayat 61 ini adalah dalil aqli iktirafi. Ada fahaman Musyrikin Mekah itu yang benar dan diiktiraf oleh Allah dalam ayat ini. Musyrikin Mekah itu memang kuat menentang Nabi Muhammad dan para sahabat akan tetapi ada fahaman mereka yang sama dengan fahaman Islam.

وَلَئِن سَأَلتَهُم مَّن خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ وَسَخَّرَ الشَّمسَ وَالقَمَرَ لَيَقولُنَّ اللهُ ۖ فَأَنّىٰ يُؤفَكونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

If you asked them, “Who created the heavens and earth and subjected the sun and the moon?” they would surely say, “Allāh.” Then how are they deluded?

(MELAYU)

Dan sesungguhnya jika kamu tanyakan kepada mereka: “Siapakah yang menjadikan langit dan bumi dan menundukkan matahari dan bulan?” Tentu mereka akan menjawab: “Allah”, maka betapakah mereka (dapat) dipalingkan (dari jalan yang benar).

 

وَلَئِن سَأَلتَهُم مَّن خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ

Dan sesungguhnya jika kamu tanyakan kepada mereka: “Siapakah yang menjadikan langit dan bumi

Soalan itu boleh ditanya kepada Musyrikin Mekah dan juga orang kafir sekarang pun. Siapa yang maha berkuasa untuk mencipta langit dan bumi yang amat luas ini?

 

وَسَخَّرَ الشَّمسَ وَالقَمَرَ

dan menundukkan matahari dan bulan?” 

Tanya lagi kepada mereka: Bulan, matahari dan segala planet di Bima Sakti dan mana-mana galaksi, siapakah yang berkuasa untuk menundukkan dan menguruskan?

 

لَيَقولُنَّ اللهُ

Tentu mereka akan menjawab: “Allah”, 

Bila ditanya soalan di atas, maka Musyrikin Mekah akan jawab: “Allah”. Mereka akan jawab tanpa belah bahagi lagi. Kerana mereka memang kenal Allah itu.

Ramai dari kalangan masyarakat kita yang hairan dan terkejut dengan perkara ini. Kebanyakan dari masyarakat Islam kita sangka Musyrikin Mekah itu mestilah tak kenal Allah, lawan Allah, benci kepada Allah, bukan? Padahal sebenarnya mereka itu kenal Allah, bukan tak kenal. Malah, Musyrikin Mekah pun menyembah Allah juga. Tapi kerana jauh dari ilmu agama, maka jawapan sebegini memang mengejutkan mereka.

Pengalaman saya apabila beritahu kepada ramai orang yang Musyrikin Mekah itu kenal Allah, sembah Allah dan juga berdoa kepada Allah, ramai yang terkejut. Tidak hairan sangat kerana memang ramai yang jahil agama. Semasa mereka terpinga-pinga saya akan tanya mereka: “apa nama bapa Nabi Muhammad?”. Sudah tentu mereka akan jawab: ‘Abdullah’. Maka saya akan tanya balik: “bukan Abdullah itu maksudnya ‘hamba Allah’?” Barulah mereka mula terima.

Macam Musyrikin Mekah mereka memang terima yang Allahlah yang menjadikan alam ini dan menguasaiNya. Ini tidak pernah menjadi masalah bagi mereka. Mereka memang kenal Allah. Masalahnya mereka ‘tambah’ sembah dan doa kepada selain Allah juga. Mereka sembah Allah tapi dalam masa yang sama mereka sembah juga entiti selain Allah; mereka doa kepada Allah tapi dalam yang sama, mereka berdoa kepada selain Allah juga.

Sebenarnya sama sahaja akidah Musyrikin Mekah dan sesetengah orang Islam yang jahil wahyu. Orang kita pun ada yang sembah selain Allah; ada juga berdoa kepada selain Allah. Dan kalau Musyrikin Mekah buat begitu, kita panggil mereka ‘Musyrikin’ Mekah. Kalau orang Malaysia yang buat, kita nak panggil apa? ‘Musyrikin’ Malaysia?

Musyrikin Mekah tahu yang Allah lah satu-satunya Tuhan. Yang mereka sembah selain Allah itu adalah ‘ilah-ilah’ sahaja (atau tuhan-tuhan ‘mini’ sahaja bagi mereka). Mereka tidak samakan kedudukan ilah-ilah itu setaraf dengan Allah.

Dan kalau soalan ini ditanya kepada orang kafir yang lain, mereka ada yang jawab: “yang menjadikan alam ini adalah ‘Tuhan yang satu’.” Mereka mungkin tidak tahu nama ‘Allah’, tapi iktikad mereka, memang ada satu entiti yang menjadikan alam ini. Cuma namaNya mereka tidak tahu. Jadi mereka hanya kata: ‘Tuhan yang satu’.

Sekarang Allah berhujah dengan mereka, apabila sudah percaya kepada satu Tuhan, maka kesan yang kena ikut adalah menegakkan keadilan kerana agama bukan hendak manusia percaya kepada satu tuhan sahaja, tetapi kena ikut apakah arahanNya dan salah satu darinya adalah menegakkan keadilan.

Keadilan adalah kesan yang pertama yang kita sepatutnya dapat setelah kita belajar agama. Tapi malangnya, mereka seperti terima Allah itu Tuhan di alam ini dan mengurus alam ini tetapi anehnya mereka seperti rasa Allah tidak layak untuk mengurus kehidupan mereka. Mereka rasa Allah tak layak buat keputusan dan hukum yang mereka kena ikut.

Kerana itu mereka rasa yang mereka boleh buat sesuka hati mereka sahaja. Sepatutnya apabila sudah anggap Allah sebagai Tuhan yang Mencipta, kenalah terima Allah sebagai berkuasa penuh. Maka kenalah tahu apa yang Dia hendak kita lakukan dan kenalah kita taat.

 

فَأَنّىٰ يُؤفَكونَ

maka betapakah mereka (dapat) dipalingkan (dari jalan yang benar).

Allah ejek mereka dalam ayat ini: walaupun sudah kenal Allah, tapi masih boleh kena tipu? Walaupun segala hujah diberikan dengan hebat, tapi masih tidak mahu terima? Walaupun ada Rasulullah di kalangan mereka, masih lagi menolak baginda?

Bukan mereka sahaja kena perli. Kalau masyarakat kita macam Musyrikin Mekah itu pun, termasuk dalam ejekan Allah ini. Sudah banyak sekali dalil-dalil diberikan dari Al-Qur’an dan hadis, tapi macam mana lagi boleh terpesong? Tak guna akalkah?


 

Ayat 62: Ini adalah Dalil Aqli di mana Allah terus memperkenalkan DiriNya supaya kita semakin kenal Allah. Ini adalah tentang ujian rezeki. Manusia ramai yang terkesan dan gagal dengan ujian rezeki. Ramai yang takut nak amalkan agama dengan benar kerana takut tak makan, takut hidup susah. Maka Allah nak ingatkan kita tentang rezeki.

اللهُ يَبسُطُ الرِّزقَ لِمَن يَشاءُ مِن عِبادِهِ وَيَقدِرُ لَهُ ۚ إِنَّ اللهَ بِكُلِّ شَيءٍ عَليمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Allāh extends provision for whom He wills of His servants and restricts for him. Indeed Allāh is, of all things, Knowing.

(MELAYU)

Allah melapangkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya dan Dia (pula) yang menyempitkan baginya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.

 

اللهُ يَبسُطُ الرِّزقَ لِمَن يَشاءُ مِن عِبادِهِ

Allah melapangkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya

Rezeki di tangan Allah. Allah boleh beri rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Allah boleh beri dengan banyak sekali sampai tidak boleh nak kira berapa banyak duit dia. Kalau mahu rezeki yang banyak, maka kena minta dengan Allah.

Maka jangan risau tentang rezeki. Bukan manusia yang berikan rezeki, tapi Allah. Maka kena taat kepada Allah sahaja. Jangan takut dengan manusia. Jangan takut rezeki kita dihalang kalau kita tak ikut cakap manusia. Kerana bukan manusia berikan rezeki.

 

وَيَقدِرُ لَهُ

dan Dia (juga) yang menyempitkan baginya. 

Allahlah yang mengembangkan rezeki manusia dan Dia juga yang boleh sempitkan. Kedua-duanya dalam tangan Allah. Allah yang buat keputusan. Ada orang yang Allah berikan rezeki yang banyak dan kemudian Allah tarik balik sampai jadi muflis.

Penduduk Mekah itu ekonominya daripada penjagaan Kaabah dan berhala-berhala itu. Mereka tidak ada sumber pendapatan lain lagi yang besar. Apabila ramai penduduk Tanah Arab meletak berhala mereka di Kaabah dan mereka datang melawatnya maka ia membuka peluang perniagaan yang besar kepada mereka kerana sentiasa ada sahaja orang yang datang. Perniagaan mereka berkembang maju dengan adanya Kaabah itu.

Oleh itu apabila Nabi Muhammad mengatakan mereka kena memusnahkan berhala itu maka tentulah mereka tidak suka kerana mereka lihat yang ianya akan mengganggu pendapatan mereka. Siapa lagi nak datang ke Mekah kalau tidak ada berhala lagi di sana?

Apabila mereka risau tentang rezeki mereka, maka Allah memberitahu bahawa Allahlah yang memberikan rezeki itu dan bukannya berhala-berhala itu. Allah boleh ganti punca rezeki mereka dengan cara lain. Sekarang ini Tanah Arab itulah yang kaya raya kerana Allah berikan banyak minyak di sana.

Jadi ini adalah persoalan tentang ekonomi sebenarnya dan bukan sahaja tentang kepercayaan. Kerana kadangkala manusia menolak sesuatu perkara kerana mereka nampak perkara itu terkait dengan harta. Dan perkara ini akan disentuh lagi di dalam surah selepas ini.

 

إِنَّ اللهَ بِكُلِّ شَيءٍ عَليمٌ

Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.

Allah maha mengetahui segala perkara. Allah tahu apa yang ada dalam hati manusia. Allah tahu kerisauan manusia tentang harta.


 

Ayat 63: Dalil aqli iktirafi sekali lagi.

وَلَئِن سَأَلتَهُم مَّن نَّزَّلَ مِنَ السَّماءِ ماءً فَأَحيا بِهِ الأَرضَ مِن بَعدِ مَوتِها لَيَقولُنَّ اللهُ ۚ قُلِ الحَمدُ ِلِلهِ ۚ بَل أَكثَرُهُم لا يَعقِلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And if you asked them, “Who sends down rain from the sky and gives life thereby to the earth after its lifelessness?” they would surely say, “Allāh.” Say, “Praise to Allāh”; but most of them do not reason.

(MELAYU)

Dan sesungguhnya jika kamu menanyakan kepada mereka: “Siapakah yang menurunkan air dari langit lalu menghidupkan dengan air itu bumi sesudah matinya?” Tentu mereka akan menjawab: “Allah”, Katakanlah: “Segala puji bagi Allah”, tetapi kebanyakan mereka tidak memahami(nya).

 

وَلَئِن سَأَلتَهُم مَّن نَّزَّلَ مِنَ السَّماءِ ماءً

Dan sesungguhnya jika kamu menanyakan kepada mereka: “Siapakah yang menurunkan air dari langit

Air hujan amat penting untuk kehidupan. Kerana itu Allah selalu sahaja menyebut tentang air, terutama air hujan dalam Al-Qur’an. Maka Allah suruh tanya kepada Musyrikin Mekah itu, siapakah yang menurunkan hujan itu?

 

فَأَحيا بِهِ الأَرضَ مِن بَعدِ مَوتِها

lalu menghidupkan dengan air itu bumi sesudah matinya?”

Penting sekali air itu. Kerana dengan air itulah yang menghidupkan tanah ini. Ada tanah yang gersang kerana kering kontang, tapi apabila hujan diturunkan padanya, tanah itu itu hidup segar. Kerana dengan air dapat menumbuhkan tanaman.

Dan dengan tanaman itu dapat dimakan oleh binatang. Dan kita pula makan tanaman dan juga binatang itu. Maka amat penting sekali air hujan itu. (Tapi malangnya, orang kita tak suka kalau hujan sebab ganggu program mereka).

 

لَيَقولُنَّ اللهُ

Tentu mereka akan menjawab: “Allah”, 

Sekali lagi Musyrikin Mekah akan jawab: “Allah”. Mereka memang terima yang Allahlah yang menurunkan hujan dan segala rezeki tetapi mereka tidak tahu apa yang mereka patut lakukan. Sepatutnya kenalah mereka bersyukur kepada Allah dan taat kepadaNya.

Masalahnya mereka tidak faham maksud alhamdulillah itu. Kerana jikalau mereka benar-benar percaya dan yakin kepada kalimah itu maka mereka tidak akan bergantung kepada selain Allah. Sepatutnya kalau Allah yang berikan hujah itu, maka puji Allahlah sahaja.

 

قُلِ الحَمدُ ِلِلهِ

Katakanlah: “Segala puji bagi Allah”,

Maka Allah suruh sebut alhamdulillah. Maksudnya: segala pujian yang khas untuk Allah. Ini kita telah bincangkan panjang lebar dalam Surah Fatihah.

Musyrikin Mekah memang ada juga guna kalimah الحمد (pujian yang khas kerana ada ال di dalamnya) tapi mereka berikan juga pujian khas itu untuk sembahan mereka yang selain Allah juga.

Maka itu adalah salah dan kerana itu Allah mengingatkan yang ‘pujian yang khas’ hanya untuk Allah. Jadi lafaz alhamdulillah ini juga termasuk di dalam perkara tauhid. Tidak boleh kita samakan kedudukan makhluk sama dengan Allah. Tak boleh kita puji makhluk lain seperti kita puji Allah.

 

بَل أَكثَرُهُم لا يَعقِلونَ

tetapi kebanyakan mereka tidak memahami(nya).

Tapi ramai yang tidak pegang akidah tauhid ini. Mereka tidak faham tentang tauhid. Mereka tidak mahu terima yang ilah hanya Allah sahaja. Mereka terima Allah adalah Tuhan dan ilah. Tapi pada mereka, bukan Allah sahaja satu-satunya ilah.

Maksud ilah adalah tempat sandaran dan tempat harapan. Sepatutnya kita bergantung dan berharap sepenuhnya kepada Allah. Tapi ada manusia yang tidak meletak sandaran hati kepada Allah sahaja. Mereka masih banyak berharap kepada makhluk.

Maka pemahaman ilah ini selalu disebut dalam banyak sekali ayat dalam Al-Qur’an. Disebut berkali-kali supaya manusia boleh faham. Supaya manusia tidak ada alasan tidak faham kerana telah banyak diterangkan dalam Al-Qur’an.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat seterusnya.

Kemaskini: 17 Jun 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Ankabut Ayat 53 – 58 (Hijrah jika perlu)

Ayat 53: Ayat zajrun dan takhwif ukhrawi.

وَيَستَعجِلونَكَ بِالعَذابِ ۚ وَلَولا أَجَلٌ مُّسَمًّى لَّجاءَهُمُ العَذابُ وَلَيَأتِيَنَّهُم بَغتَةً وَهُم لا يَشعُرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they urge you to hasten the punishment. And if not for [the decree of] a specified term, punishment would have reached them. But it will surely come to them suddenly while they perceive not.

(MELAYU)

Dan mereka meminta kepadamu supaya segera diturunkan azab. Kalau tidaklah kerana waktu yang telah ditetapkan, benar-benar telah datang azab kepada mereka, dan azab itu benar-benar akan datang kepada mereka dengan tiba-tiba, sedang mereka tidak menyedarinya.

 

وَيَستَعجِلونَكَ بِالعَذابِ

Dan mereka meminta kepadamu supaya segera diturunkan azab.

Musyrikin Mekah telah meminta baginda tunjukkan mukjizat kepada mereka. Tetapi seperti yang telah banyak terjadi di dalam umat yang dahulu, apabila diberikan mukjizat kepada mereka dan kemudian mereka tidak beriman, maka azab yang dikenakan kepada mereka amat cepat. Kerana mereka sudah minta mukjizat dan mukjizat diberi, maka Allah amat murka.

Maka permintaan mukjizat mereka itu seolah-olah meminta disegerakan azab untuk mereka. Kerana Allah sudah tahu yang mereka tidak akan beriman walaupun mukjizat yang diminta diberikan kepada mereka. Maka, kalau Allah beri juga, maka tidak lama lagi akan dikenakan azab yang akan menghancurkan mereka.

Atau, ia juga bermaksud mereka tidak percaya dengan Nabi, dan mereka kata kalau baginda benar, maka turunkanlah azab itu. Kerana mereka tidak mahu terima yang Nabi Muhammad itu benar-benar seorang Rasul. Jadi mereka sangka yang Nabi tentu tidak dapat nak bawakan azab itu. Begitulah kurang ajarnya mereka. Ini sebagaimana yang disebutkan dalam ayat yang lain melalui firman-Nya:

{وَإِذْ قَالُوا اللَّهُمَّ إِنْ كَانَ هَذَا هُوَ الْحَقَّ مِنْ عِنْدِكَ فَأَمْطِرْ عَلَيْنَا حِجَارَةً مِنَ السَّمَاءِ أَوِ ائْتِنَا بِعَذَابٍ أَلِيمٍ}

Dan (ingatlah) ketika mereka (orang-orang musyrik) berkata, “Ya Allah, jika betul (Al-Qur’an) ini dialah yang benar dari sisi Engkau, maka hujanilah kami dengan batu dari langit, atau datangkanlah kepada kami azab yang pedih.” (Al-Anfal: 32)

 

وَلَولا أَجَلٌ مُّسَمًّى لَّجاءَهُمُ العَذابُ

Kalau tidaklah kerana waktu yang telah ditetapkan, benar-benar telah datang azab kepada mereka,

Kalaulah bukan kerana Allah telah tetapkan hari kiamat itu akan berlaku pada waktu yang telah ditentukan, maka tentulah mereka itu akan terus dikenakan dengan azab kerana kesyirikan mereka.

Akan tetapi Allah di atas rahmatNya, menangguh azab untuk beri peluang kepada manusia untuk bertaubat. Kerana ada sahaja yang asalnya menentang tauhid, tapi kemudian menerimanya. Lihatlah apa terjadi kepada Khalid al Walid dan Abu Sufyan. Asalnya mereka menentang Nabi Muhammad sampai berperang, tapi akhirnya mereka berdua telah beriman dan menjadi sahabat yang baik.

 

وَلَيَأتِيَنَّهُم بَغتَةً وَهُم لا يَشعُرونَ

dan azab itu benar-benar akan datang kepada mereka dengan tiba-tiba, sedang mereka tidak menyedarinya.

Dan apabila ia datang, ia akan datang secara mengejut dan tidak tahu datang dari mana. Tidak sempat nak buat persediaan, tidak sempat nak bertaubat, tidak sempat nak lari.


 

Ayat 54:

يَستَعجِلونَكَ بِالعَذابِ وَإِنَّ جَهَنَّمَ لَمُحيطَةٌ بِالكٰفِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They urge you to hasten the punishment. And indeed, Hell will be encompassing of the disbelievers

(MELAYU)

Mereka meminta kepadamu supaya segera diturunkan azab. Dan sesungguhnya Jahannam benar-benar meliputi orang-orang yang kafir,

 

يَستَعجِلونَكَ بِالعَذابِ

Mereka meminta kepadamu supaya segera diturunkan azab.

Kerana mereka degil sangat, maka mereka telah meminta supaya azab disegerakan kepada mereka. Kerana mereka tidak percaya, maka mereka mengejek: “kalau benar ada azab, ha bagilah sekarang!”

Ini memang permintaan yang amat bodoh. Patutnya mereka minta diampunkan dosa mereka tapi mereka minta azab.

 

وَإِنَّ جَهَنَّمَ لَمُحيطَةٌ بِالكٰفِرينَ

Dan sesungguhnya Jahannam benar-benar meliputi orang-orang yang kafir,

Mereka itu sudah ditakdirkan menjadi ahli neraka dan mereka tidak sedar yang neraka sedang mendekat kepada neraka dan neraka akan mengepungnya daripada segenap arah.

Bila sudah masuk neraka nanti mereka akan dikepung dari segenap arah dan mereka tidak akan ada peluang untuk keluar. Maka azab yang mereka minta itu pasti akan datang, tak payah risau. Tunggulah sahaja.


 

Ayat 55: Apakah hari mereka dimasukkan dalam neraka itu?

يَومَ يَغشٰهُمُ العَذابُ مِن فَوقِهِم وَمِن تَحتِ أَرجُلِهِم وَيَقولُ ذوقوا ما كُنتُم تَعمَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

On the Day the punishment will cover them from above them and from below their feet and it is said, “Taste [the result of] what you used to do.”

(MELAYU)

pada hari mereka ditutup oleh azab dari atas mereka dan dari bawah kaki mereka dan Allah berkata (kepada mereka): “Rasailah (pembalasan dari) apa yang telah kamu kerjakan”.

 

يَومَ يَغشٰهُمُ العَذابُ مِن فَوقِهِم

pada hari mereka ditutup oleh azab dari atas mereka

Kalimah يَغشٰهُمُ dari غ ش و dan digunakan apabila sesuatu itu diselubungi dengan sesuatu yang tebal sampai hampir kita tidak nampak benda itu. Maksudnya mereka akan diselubungi dengan api yang tebal sekali. Nampak api sahaja menyelubungi mereka.

 

وَمِن تَحتِ أَرجُلِهِم

dan dari bawah kaki mereka

Dan api itu bukan sekeliling mereka sahaja tapi dari bawah mereka. Maknanya mereka berdiri atas api! Maknanya mereka dikenakan dengan api dari atas dan juga dari bawah. Alangkah menakutkan!

 

وَيَقولُ ذوقوا ما كُنتُم تَعمَلونَ

dan Allah berkata (kepada mereka): “Rasailah (pembalasan dari) apa yang telah kamu kerjakan”.

Dan sudahlah mereka dikenakan dengan azab fizikal, azab mental pun akan dikenakan kepada mereka. Iaitu mereka akan dicerca waktu itu. Mereka diherdik dan disuruh rasakan azab itu. Memang mereka sedang merasainya pun. Tak payah cakap pun mereka sudah memang merasainya. Tapi ianya disebut untuk menyakitkan hati mereka lagi.

Dan mereka diingatkan bahawa azab yang mereka rasai itu adalah kerana perbuatan mereka juga. Bukan kerana lain. Itu pun mereka memang sudah tahu. Tapi Allah suruh sebut kerana Allah nak sakitkan lagi hati mereka. Nak bagi penyesalan mereka bertambah-tambah.


 

Ayat 56: Sekarang nasihat diberikan kepada orang beriman. Ayat 56 – 60 adalah Perenggan Makro Keenam. Ia mengandungi perintah berhijrah dan dijamin rezeki kepada mereka yang melakukannya.

يٰعبادِيَ الَّذينَ ءآمَنوا إِنَّ أَرضي وٰسِعَةٌ فَإِيّٰيَ فَاعبُدونِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O My servants who have believed, indeed My earth is spacious, so worship only Me.

(MELAYU)

Hai hamba-hamba-Ku yang beriman, sesungguhnya bumi-Ku luas, maka sembahlah Aku sahaja.

 

يٰعبادِيَ الَّذينَ ءآمَنوا

Hai hamba-hamba-Ku yang beriman,

Sekarang Allah bercakap kepada orang-orang beriman pula. Ini kepada orang yang mahu beriman. Maka kalau rasa nak jadi beriman, kena dengar baik-baik.

Balaghah: Digunakan kalimah عِبَادِيَ dengan ya’ mutakallim dalam ayat ini. Bandingkan dengan ayat-ayat yang dihazafkan ya’ mutakallim seperti dalam Zumar:10. Ini kerana apabila ada ya’ mutakallim, ia membawa makna putus, tidak kekal. Dan apabila dihazafkan ya’ mutakallim, ia bermaksud ‘berkekalan’ dan ‘berterusan’.

Allah kekalkan ya’ mutakallim dalam ayat Ankabut ini kerana ianya ditujukan kepada mereka yang wajib hijrah. Mereka belum sempurna lagi iman dan amalan mereka. Kerana kalau mereka tidak hijrah, tidak dapat meneruskan ibadah dan amalkan agama dengan sepatutnya.

Kalau mereka yang patut hijrah tapi masih juga tidak hijrah, ia akan menghalangi mereka dalam mengamalkan agama Islam dengan sempurna.

Makna balaghah kedua, ibadah hanya perlu dilakukan semasa hidup sahaja. Tidaklah kita kena berterusan melakukan ibadah walaupun dalam syurga. Apabila sudah mati, tidak ada ibadah, kerana telah terputus kewajipan melakukan ibadah. Ayat selepas ini tentang kematian. Maka ibadah berterusan hanya semasa ada hayat sahaja.

Allah sebut selepas ini tentang kematian kerana kalau tidak mahu hijrah pun kerana takut mati, akhirnya akan mati juga. Dan kepada mereka yang tidak mahu tinggalkan keluarga dan harta, Allah nak ingatkan mereka akhirnya akan tinggalkan juga segalanya itu, bukan?

 

إِنَّ أَرضي وٰسِعَةٌ

sesungguhnya bumi-Ku luas,

Allah memberitahu bahawa bumiNya ini luas. Jikalau kamu tinggal di tempat yang menindas agama dan susah untuk mengamalkan agama, maka kamu sepatutnya berhijrah. Tak perlu terus tinggal di situ kerana banyak lagi tempat lain. Memang bumi Allah ini luas jadi jangan sangka kena duduk di tempat yang kita lahir sahaja.

Lebih baik jaga agama dari jaga harta, kawan dan keluarga. Ramai yang tidak sanggup hijrah kerana sudah lama tinggal di situ, harta di situ, keluarga di situ dan macam-macam lagi alasan. Ini bukan alasan yang baik.

Ayat sebegini adalah isyarat dari Allah kepada sahabat di Mekah yang mereka kena berhijrah ke Madinah. Tapi ianya terpakai sampai bila-bila. Kalau tempat tinggal kita sekarang menghalang kita dari menyempurnakan agama dengan sempurna, maka pindah sahaja.

Kerana itulah ketika orang-orang yang lemah dari kalangan kaum Muslim di Mekah selalu tertindas dengan keberadaan mereka di Mekah, maka mereka keluar darinya berhijrah ke negeri Habasyah untuk menyelamatkan agama mereka. Ternyata mereka menjumpai negeri Habasyah adalah negeri yang baik bagi mereka, kerana rajanya yang bernama As-Hamah An-Najjasyi menerima mereka dengan baik dan penuh hormat. As-Hamah memberi tempat tinggal kepada mereka dan mendukung mereka melalui pertolongannya, dan menjadikan mereka orang-orang yang dilindungi di negerinya.

Kemudian Rasulullah Saw. berhijrah ke Madinah bersama semua sahabatnya yang ada, iaitu ke kota yang dahulunya dikenal dengan nama Yathrib.

Begitu pentingnya hal ini sampaikan Syaikh Albani pun mengajak orang berhijrah. Kalau orang dari negara luar telefon Syaikh Albani untuk bertanyakan soalan, beliau nasihat dulu kepada mereka untuk pindah ke negara Islam sebelum jawab soalan yang ditanya. Ini kerana lebih penting untuk duduk di negara Islam supaya agama dapat diamalkan dengan sempurna.

Sebagai contoh kalau zaman sekarang kawasan perumahan kita menindas mereka yang hendak mengamalkan ajaran Sunnah, maka boleh pindah ke tempat lain. Banyak lagi tempat tinggal. Dan kalau tempat kerja kita nak solat pun tak dibenarkan, maka kena tukar tempat kerja. Rezeki boleh dicari di tempat lain.

Ini juga mengajar kita, ketaatan kita yang pertama-tama adalah kepada Allah, bukannya kepada negara. Tidak salah untuk sayang kepada negara, tapi kalau ianya mengganggu ketaatan kita kepada Allah, kita kena tinggalkan negara itu.

 

فَإِيّٰيَ فَاعبُدونِ

maka sembahlah Aku sahaja.

Dan hanya jadi hamba kepada Allah sahaja. Ke mana sahaja kamu pergi, maka sembah dan seru hanya kepada Allah sahaja.

Dalam ayat ini Allah memberi isyarat kepada Rasulullah dan sahabat untuk berhijrah ke tempat lain kerana Musyrikin Mekah tidak akan memberi ruang kepada Islam di situ.

Walaupun Musyrikin Mekah itu tidak membenarkan mereka duduk berdekatan dengan Kaabah, tetapi Allah memberitahu kepada para sahabat itu dan juga Rasulullah, mereka tetap menjadi hamba kepada Allah walau di mana sahaja mereka berada. Tidak semestinya kena duduk dekat dengan Kaabah sahaja. Ibadat boleh dilakukan di mana-mana bahagian dunia ini.


 

Ayat 57: Apabila berhijrah tentu ada kesusahan dan terpaksa meninggalkan harta dan kaum kerabat. Allah hendak memberitahu bahawa kena tinggal mana-mana itu sementara sahaja sedihnya, kerana memang kita semua akan mati dan meninggalkan alam ini.

كُلُّ نَفسٍ ذائِقَةُ المَوتِ ۖ ثُمَّ إِلَينا تُرجَعونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Every soul will taste death. Then to Us will you be returned.

(MELAYU)

Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kemudian hanyalah kepada Kami kamu dikembalikan.

 

كُلُّ نَفسٍ ذائِقَةُ المَوتِ

Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati.

Semua manusia akan merasai mati dan kerana itu setiap pendakwah agama ini kena sedar yang mereka bukanlah menyertai satu tugas yang mudah tetapi ianya adalah tugas yang sukar. Tambahan pula apabila para sahabat itu dalam misi yang paling besar dalam dunia iaitu menyebarkan agama bersama Rasulullah, maka mereka hendaklah bersedia untuk mati walaupun untuk menyebarkan agama.

Kalimah ذائِقَةُ bermaksud ‘sudah merasai’. Setiap helaan dan hembusan nafas kita sudah membawa kita semakin dekat kepada kematian sebenarnya. Kita sahaja yang tidak perasan.

Kita pun sudah merasai mati sebenarnya. Sel tubuh badan kita sentiasa mati diganti oleh sel-sel yang baru, jadi itu juga bermaksud kita telah ‘merasa mati’.

Juga maksud umumnya, apabila sampai masa nanti, kita akan mati. Tidak ada makhluk yang tidak akan mati. Semua akan mati. Maka memang kena bersedialah. Jangan sangka yang kita pasti akan hidup esok hari kerana sekejap lagi pun belum tentu lagi. Maka kena terus beramal dan beramal. Kena sedar yang alam ini adalah alam sementara sahaja.

 

ثُمَّ إِلَينا تُرجَعونَ

Kemudian hanyalah kepada Kami kamu dikembalikan.

Dan apabila mati, setiap manusia akan mengadap Allah. Ini perkara penting yang Allah hendak ingatkan. Kamu tinggalkan tempat asal kamu itu kerana Allah dan nanti kamu akan bertemu kembali dengan Allah dan Allah akan balas di atas usaha dan kesusahan yang kamu terpaksa alami itu.

Maka jangan takut mati kerana Allah. Kerana kalau nak kira mati, semua manusia akan mati. Maka kalau kita mati kerana mempertahankan agama kita, maka ingatlah yang kita akan bertemu Allah dan Allah akan balas pengorbanan kita itu. Kalau kita korbankan agama kerana nak jaga nyawa, kita tetap mati juga, bukan? Dan bagaimana nanti kita nak jawab apabila kita bertemu Allah nanti?

Maka kerana kita kena bertemu dengan Allah, maka kita kena buat persediaan. Jangan mati kosong sahaja. Kena belajar agama dan amalkan agama sebagai persediaan untuk bertemu dengan Allah. Jangan datang tanpa pahala dan bawa dosa yang banyak pula.


 

Ayat 58: Ayat tabshir.

وَالَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ لَنُبَوِّئَنَّهُم مِّنَ الجَنَّةِ غُرَفًا تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ خٰلِدينَ فيها ۚ نِعمَ أَجرُ العٰمِلينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And those who have believed and done righteous deeds – We will surely assign to them of Paradise [elevated] chambers beneath which rivers flow, wherein they abide eternally. Excellent is the reward of the [righteous] workers

(MELAYU)

Dan orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal yang soleh, sesungguhnya akan Kami tempatkan mereka pada bilik-bilik yang tinggi di dalam syurga, yang mengalir sungai-sungai di bawahnya, mereka kekal di dalamnya. Itulah sebaik-baik pembalasan bagi orang-orang yang beramal,

 

وَالَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ

Dan orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal yang soleh,

Iaitu kepada mereka yang berakidah tauhid yang sempurna. Iaitu iman tanpa syirik. Tidak cukup beriman sahaja, kerana kena tolak syirik. Maka kena belajar apakah akidah tauhid dan apakah akidah syirik.

Dan ini memerlukan pembelajaran tafsir Al-Qur’an. Ramai sangat yang tidak faham tentang syirik dan bermudah-mudah tentang perkara ini. Padahal Allah sudah beritahu dengan jelas di dalam Al-Qur’an. Tapi kalau baca sahaja dan hanya baca terjemahan memang tidak nampak perkara ini.

 

لَنُبَوِّئَنَّهُم مِّنَ الجَنَّةِ غُرَفًا

sesungguhnya akan Kami tempatkan mereka pada bilik-bilik yang tinggi di dalam syurga,

Mereka akan dimasukkan ke dalam syurga. Dan dalam syurga itu mereka akan dapat bilik-bilik yang hebat. غرفة adalah bilik yang ada siling yang tinggi. Mereka boleh memilih di mana sahaja mereka hendak duduk.

Maksud لَنُبَوِّئَنَّهُم: mereka boleh pilih tempat mana mereka nak tinggal. Tak macam di dunia dahulu, terpaksa tinggal di satu-satu tempat dan tidak boleh memilih. Kadang kena duduk di flat, kadang kena duduk bawah jambatan, padang pasir, kawasan paya dan sebagainya. Bila bersabar, Allah ganti dengan bilik dalam syurga. Maka berbaloilah kesabaran kita itu, bukan?

Allah pujuk para sahabat yang terpaksa meninggalkan Mekah. Mereka terpaksa melarikan diri ke tempat lain dan tidak dapat duduk di tempat yang mereka hendak tinggal. Tapi nanti Allah beritahu yang mereka boleh pilih di mana-mana sahaja mereka nak duduk nanti di syurga.

Mungkin pada kita, ada bilik dan siling yang tinggi tidak ada apa. Tapi bayangkan maklumat ini diberikan kepada kaum yang hanya ada rumah yang dhaif sahaja, dari tanah dan kecil-kecil sahaja. Maka kepada mereka dijanjikan rumah yang hebat. Maka kena baca ayat ini dengan mata mereka.

Dan tentulah bukan ini sahaja yang ahli syurga akan dapat tapi banyak lagi. Syurga itu tempat nikmat yang tidak dapat dibayangkan dengan akal kita kerana amat hebat sangat.

 

تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ

yang mengalir sungai-sungai di bawahnya, 

Di syurga nanti di bawah rumah/istana akan ada laluan air dan ini mengingatkan kita kepada Istana Nabi Sulaiman yang ada air di bawahnya. Ingat lagi kisah bagaimana Ratu Balqis mengangkat kainnya kerana takut kainnya basah?

Kalau di dunia, rumah yang hebat seperti itu hanya diberikan kepada Nabi Sulaiman sahaja tetapi nanti di akhirat kelak, ia akan diberikan kepada semua penghuni syurga. Malah rumah di syurga nanti akan lebih hebat dari istana Nabi Sulaiman.

 

نِعمَ أَجرُ العٰمِلينَ

Itulah sebaik-baik pembalasan bagi orang-orang yang beramal,

Itulah sebaik-baik balasan kepada hamba yang taat dan ikut arahan Allah dan Rasul.

Allah beritahu yang nikmat itu sebagai balasan bagi amal manusia semasa di dunia. Tapi kita pernah diberitahu yang kita tidak masuk syurga kerana amal kita, tapi kerana rahmat Allah. Lalu bagaimana dengan ayat ini?

Kita kena faham yang kita tidak boleh kata kita layak masuk syurga kerana amal kita. Kerana amal kita tidak memang cukup sebenarnya untuk memasukkan kita ke dalam syurga yang amat hebat itu.

Tapi Allah boleh kata begitu kerana syurga itu milik Allah. Kalau Allah kata amal kita cukup untuk memasukkan kita ke dalam syurga, maka Allah berhak untuk kata begitu. Tapi kita sendiri diri tidak layak untuk kata begitu.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 18 Jun 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi