Tafsir Surah Ankabut Ayat 49 – 52 (Kelebihan Hafiz Qur’an)

Ayat 49: Ini adalah sambungan hujah menolak tohmahan yang mengatakan Al-Qur’an ini adalah cedokan dari kitab-kitab lain. Allah menekankan apakah hakikat Al-Quran ini.

بَل هُوَ ءآيٰتٌ بَيِّناتٌ في صُدورِ الَّذينَ أوتُوا العِلمَ ۚ وَما يَجحَدُ بِئآيٰتِنا إِلَّا الظّٰلِمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Rather, it [i.e., the Qur’ān] is distinct verses [preserved] within the breasts of those who have been given knowledge. And none reject Our verses except the wrongdoers.

(MELAYU)

Sebenarnya, Al Qur’an itu adalah ayat-ayat yang nyata di dalam dada orang-orang yang diberi ilmu. Dan tidak ada yang mengingkari ayat-ayat Kami kecuali orang-orang yang zalim.

 

بَل هُوَ ءآيٰتٌ بَيِّناتٌ في صُدورِ الَّذينَ أوتُوا العِلمَ

Sebenarnya, Al Qur’an itu adalah ayat-ayat yang jelas di dalam dada orang-orang yang diberi ilmu.

Jadi Al-Qur’an itu bukannya disalin dari kitab-kitab lain tetapi ianya adalah pembacaan yang mulia. Ia adalah ءآيٰتٌ بَيِّناتٌ (ayat-ayat yang jelas lagi terang). Jelas dan terang kepada mereka yang mahu belajar dan membuka harinya.

Allah memberitahu yang Al-Qur’an itu berada di dalam hati orang-orang yang beriman dan Allah tidak kata yang ianya ‘tertulis’. Allah berfirman yang ianya ‘dalam dada orang berilmu’. Al-Qur’an yang bertulis itu adalah di Lauh Mahfuz dan di dunia ini ia berada di dalam dada orang-orang yang beriman.

Ini adalah pujian Allah kepada orang-orang yang menghafaz Al-Qur’an kerana mereka cintakan Allah dan cintakan Al-Qur’an maka mereka berusaha untuk menghafalnya. Maka cubalah untuk hafal Al-Qur’an ini sebanyak yang boleh.

Allah panggil mereka itu adalah orang yang ‘diberi ilmu’. Ia juga menjadi hujah yang orang yang memahami tafsir Al-Qur’an ini adalah orang yang berilmu di sisi Allah. Ia adalah ilmu yang paling penting sekali. Dan kalau ada orang yang kata tidak perlu atau tidak boleh belajar tafsir, itu adalah datangnya dari bisikan syaitan untuk terus menjahilkan manusia supaya senang ditipu.

Amat ramai yang menghafal Al-Qur’an dalam dunia ini. Maka kalau ada orang yang membuat upacara untuk membakar Al-Qur’an, biarlah mereka kerana mereka tidak akan dapat membakar semua Al-Qur’an kerana Al-Qur’an itu di dalam dada orang-orang beriman. Kalau mereka nak musnahkan Al-Qur’an, mereka kena bunuh semua orang Islam. Tentu tidak boleh sampai begitu, bukan?

Kenapa kita simpan Al-Qur’an dalam dada kita? Kalau kita ada sesuatu yang berharga tentu kita akan simpan di dalam tempat yang selamat, bukan? Dan Al-Qur’an ini tentunya amat berharga dan Allah pilih ianya berada di dalam hati orang-orang mukmin. Maka begitu tingginya hati orang-orang mukmin itu mereka Allah pilih mereka sebagai ‘penjaga’ Al-Qur’an.

 

وَما يَجحَدُ بِئآيٰتِنا إِلَّا الظّٰلِمونَ

Dan tidak ada yang mengingkari ayat-ayat Kami kecuali orang-orang yang zalim.

Begitu punya hebat pun Al-Qur’an ini, tetap ada juga yang menentangnya. Yang berdebat dan berhujah tentang Al-Qur’an itu adalah orang-orang yang zalim sahaja. Zalim iaitu tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya. Al-Qur’an yang hebat ini mereka tidak muliakan, maka zalimlah mereka.

Apabila mereka zalim, maka Allah akan balas kezaliman mereka itu nanti. Maka tidak perlu nak kisah sangat hal mereka. Mereka akan dapat balasan mereka nanti. Kita kena sampaikan sahaja Al-Qur’an ini kepada manusia. Sampaikan dengan cara yang terbaik sekali.


 

Ayat 50: Ayat syikayah. Allah merungut lagi tentang hujah puak penentang Nabi Muhammad.

وَقالوا لَولا أُنزِلَ عَلَيهِ ءآيٰتٌ مِّن رَّبِّهِ ۖ قُل إِنَّمَا الأيٰتُ عِندَ اللهِ وَإِنَّما أَناْ نَذيرٌ مُّبينٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But they say, “Why are not signs sent down to him from his Lord?” Say, “The signs are only with Allāh, and I am only a clear warner.”

(MELAYU)

Dan orang-orang kafir Mekah berkata: “Mengapa tidak diturunkan kepadanya mukjizat-mukjizat dari Tuhannya?” Katakanlah: “Sesungguhnya mukjizat-mukjizat itu terserah kepada Allah. Dan sesungguhnya aku hanya seorang pemberi peringatan yang nyata”.

 

وَقالوا لَولا أُنزِلَ عَلَيهِ ءآيٰتٌ مِّن رَّبِّهِ

Dan (orang-orang kafir) berkata: “Mengapa tidak diturunkan kepadanya mukjizat-mukjizat dari Tuhannya?”

Musyrikin Mekah mempersoalkan kenapa Nabi Muhammad tidak diberikan dengan mukjizat dan perkara yang sama juga ditanya oleh Ahli Kitab. Mereka kata kenapa baginda tidak mendapat mukjizat seperti diberikan kepada rasul-rasul yang terdahulu? Antaranya mereka tahu Nabi Musa ada tongkat boleh jadi ular dan belah laut dan tangan baginda boleh bercahaya. Maka mana mukjizat Nabi Muhammad?

Bukannya Nabi Muhammad tidak menunjukkan mukjizat tetapi yang mereka persoalkan adalah mukjizat tertentu yang mereka minta. Dan permintaan mereka itu memang pelik-pelik belaka. Ini ada disebut dalam surah-surah yang lain. Antaranya mereka minta Nabi jadikan tanah Mekah itu subur dan berubah jadi padang rumput dari padang pasir. Kononnya kalau baginda boleh buat, barulah mereka nak beriman.

 

قُل إِنَّمَا الأيٰتُ عِندَ اللهِ

Katakanlah: “Sesungguhnya mukjizat-mukjizat itu terserah kepada Allah. 

Allah memberitahu dengan mengajar Nabi Muhammad bagaimana nak jawap mereka. Allah suruh beritahu yang mukjizat itu adalah di dalam kuasa dan kehendak Allah Taala dan baginda tidak ada kuasa untuk mengeluarkannya.

Maka ini mengajar kita yang para Nabi tidak ada kuasa. Mukjizat bukan hak mereka. Kalau Allah tak beri, memang ia tidak akan terjadi. Semuanya terjadi kalau Allah nak jadikan. Sebagai contoh, kalau Nabi Musa suka-suka nak jadikan ular dari tongkat baginda, ia tidak akan terjadi. Bukan kehendak Nabi Musa yang menjadikannya ular, tapi kehendak Allah. Sebab itu kita baca dalam Al-Qur’an, ia hanya menjadi ular apabila Allah suruh lemparkan.

Begitu jugalah dengan karomah yang diberikan kepada para wali. Tidak boleh dikeluarkan ikut suka. Maka kalau mana-mana guru yang boleh keluarkan perkara ajaib ikut kehendak mereka, maka itu bukanlah karomah, tapi ‘sihir’. Maka kena tahu untuk bezakan antara keduanya.

Ini penting kerana ada ajaran sesat yang ramai pengikut mereka kerana guru boleh buat magik. Mereka sangka tentu itu karomah, padahal itu adalah sihir sahaja.

 

وَإِنَّما أَناْ نَذيرٌ مُّبينٌ

Dan sesungguhnya aku hanya seorang pemberi peringatan yang nyata”.

Allah suruh Nabi Muhammad beritahu yang tugas baginda hanya untuk menyampaikan sahaja wahyu Al-Qur’an ini. Bukannya tugas baginda untuk keluarkan mukjizat. Nabi bukan ahli silap mata.

Allah mudah sahaja hendak jadikan apa sahaja yang mereka minta itu, tapi Allah tahu yang mereka tidak mahu beriman pun. Permintaan mereka itu sebagai helah sahaja.  Oleh kerana itu Allah tidak mengabulkan permintaan mereka, sebagaimana yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

{وَمَا مَنَعَنَا أَنْ نُرْسِلَ بِالآيَاتِ إِلا أَنْ كَذَّبَ بِهَا الأوَّلُونَ وَآتَيْنَا ثَمُودَ النَّاقَةَ مُبْصِرَةً فَظَلَمُوا بِهَا}

Dan sekali-kali tidak ada yang menghalangi Kami untuk mengirimkan (kepadamu) tanda-tanda (kekuasaan Kami), melainkan kerana tanda-tanda itu telah didustakan oleh orang-orang dahulu. Dan telah Kami berikan kepada Tsamud unta betina itu (sebagai mukjizat) yang dapat dilihat, tetapi mereka menganiaya unta betina itu. (Al-Isra: 59)


 

Ayat 51: Mereka sibuk nak tengok mukjizat, padahal mukjizat yang mereka minta itu tidak penting dan kecil sahaja kalau dibandingkan dengan Al-Qur’an yang berada di depan mata mereka.

Mereka sudah ada mukjizat paling hebat, tapi masih lagi nak minta mukjizat lain pula. Maka Allah tegur mereka.

أَوَلَم يَكفِهِم أَنّا أَنزَلنا عَلَيكَ الكِتٰبَ يُتلىٰ عَلَيهِم ۚ إِنَّ في ذٰلِكَ لَرَحمَةً وَذِكرىٰ لِقَومٍ يُؤمِنونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And is it not sufficient for them that We revealed to you the Book [i.e., the Qur’ān] which is recited to them? Indeed in that is a mercy and reminder for a people who believe.

(MELAYU)

Dan apakah tidak cukup bagi mereka bahawasanya Kami telah menurunkan kepadamu Al Kitab (Al Qur’an) sedang dia dibacakan kepada mereka? Sesungguhnya dalam (Al Qur’an) itu terdapat rahmat yang besar dan pelajaran bagi orang-orang yang beriman.

 

أَوَلَم يَكفِهِم أَنّا أَنزَلنا عَلَيكَ الكِتٰبَ يُتلىٰ عَلَيهِم

Dan apakah tidak cukup bagi mereka bahawasanya Kami telah menurunkan kepadamu Al Kitab (Al Quran) sedang dibacakan kepada mereka?

Tidakkah menjadi hujah yang cukup kepada musyrikin Mekah itu apabila Rasulullah membacakan ayat-ayat Al-Qur’an kepada mereka sedangkan sebelum ini telah diberitahu yang baginda itu bukan seorang yang boleh membaca dan menulis?

Maka Al-Qur’an itu sendiri adalah mukjizat yang mereka boleh dengar. Dan ia mengandungi maklumat yang hebat yang tidak mungkin baginda boleh reka sendiri. Tidak cukup lagi kah? Al-Qur’an ini hebat sekali dan pernah Nabi bersabda:

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا حَجَّاجٌ، حَدَّثَنَا لَيْثٌ، حَدَّثَنِي سَعِيدُ بن أبي سعيد، عَنْ أَبِيهِ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وسلم: “ما من الْأَنْبِيَاءِ مِنْ نَبِيٍّ إِلَّا قَدْ أُعْطِيَ مِنَ الْآيَاتِ مَا مِثْلُهُ آمَنَ عَلَيْهِ الْبَشَرُ، وَإِنَّمَا كَانَ الَّذِي أُوتِيتُهُ وَحْيًا أَوْحَاهُ اللَّهُ إِلَيَّ، فَأَرْجُو أَنْ أَكُونَ أَكْثَرَهُمْ تَابِعًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ”.

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Hajjaj, telah menceritakan kepada kami Lais, telah menceritakan kepadaku Sa’id ibnu Abu Sa’id, dari ayahnya, dari Abu Hurairah r.a. yang mengatakan bahawa Rasulullah Saw. pernah bersabda: Tiada seorang nabi pun dari kalangan para nabi melainkan dianugerahi mukjizat yang mirip dengan apa yang dipercayai oleh manusia (di masanya). Dan sesungguhnya mukjizat yang diberikan kepadaku adalah berupa wahyu yang diturunkan Allah kepadaku, maka aku berharap semoga akulah yang paling banyak pengikutnya di antara mereka kelak pada hari kiamat.

Imam Bukhari dan Imam Muslim mengetengahkan hadis ini melalui jalur Al-Lais.

Dengan mukjizat Al-Qur’an itu dapat membuka hati manusia dan buka kebuntuan yang dialami oleh manusia. Maka kena ajak manusia belajar tafsir Al-Qur’an. Banyak benda akan dapat belajar dan hati akan jadi lebih tenang dalam ibadat dan amal lain.

Dan mereka pun tahu yang cara bercakap baginda tidak sama dengan bahasa Al-Qur’an. Maka bukanlah Nabi reka Al-Qur’an itu.  Ini kerana dalam ilmu bahasa dan percakapan, kajian menunjukkan yang setiap manusia itu ada cara percakapannya masing-masing dan mereka tidak boleh elak daripadanya. Dan bahasa percakapan Nabi berlainan sekali dengan bahasa Al-Qur’an.

Kerana itu jikalau kita membaca buku-buku cerita kepada anak-anak kita, maka anak-anak kita akan tahu bahawa itu bukan bahasa kita kerana dia sudah biasa dengan cara percakapan kita dan dia tahu yang apa yang kita sebut itu walaupun ia keluar daripada mulut kita tetapi mereka tahu ianya datang dari buku. Kerana bahasa kita dan bahasa buku berlainan.

Begitu juga Musyrikin Mekah itu sepatutnya sudah kenal Nabi Muhammad itu daripada baginda kecil lagi dan apa yang baginda sampaikan di dalam Al-Qur’an itu mereka pun tahu ianya bukanlah cara pertuturan baginda pun.

Maka kenapa lagi mereka boleh kata yang Al-Qur’an itu adalah dari baginda sendiri sedangkan mereka pun tahu ianya bukan kerana ia bukan bahasa yang selalu digunakan oleh baginda? Melainkan degil sahaja.

Nota tambahan: Kassim Ahmad telah menggunakan ayat 50 dan 51 ini sebagai dalil bahawa mukjizat yang diberikan kepada Nabi Muhammad hanyalah Al-Qur’an sahaja. Maka beliau menolak hadith sebagai sumber dalam agama.

Ini adalah hujah dangkal kerana bukanlah ayat ini menolak hadith pula. Dan ia juga tidak menolak mukjizat-mukjizat yang diberikan kepada baginda. Ayat ini cuma menyebut mukjizat Al-Qur’an itu sepatutnya sudah cukup untuk mereka beriman. Bukanlah menidakkan hadith atau mukjizat yang lain.

 

إِنَّ في ذٰلِكَ لَرَحمَةً وَذِكرىٰ لِقَومٍ يُؤمِنونَ

Sesungguhnya dalam (Al Qur’an) itu terdapat rahmat yang besar dan pelajaran bagi orang-orang yang beriman.

Dan ayat ini juga sebagai hujah dari Allah kepada kita. Tidakkah Al-Qur’an ini cukup sebagai panduan hidup? Kenapa nak cari sumber lain lagi?

Kadang-kadang ada manusia yang rasa lemah semangat atau kurang iman maka mereka hendak menegakkan iman dengan nasyid, pakai zikir rekaan tarekat dan sebagainya. Padahal sebenarnya kita patut mendekatkan diri kita dengan Al-Qur’an. Bacalah selalu Al-Qur’an itu dan tadabbur maknanya. Tentu ia akan meningkatkan iman dan ilmu agama.

Dekatkanlah diri dengan Al-Qur’an kerana ia ada rahmat. Allah akan berikan rahmat yang banyak kalau kita menjadi ahli Al-Qur’an. Iaitu mereka yang memahami Al-Qur’an dan mengamalkannya.

Dan kerana ia mengandungi peringatan yang kuat. Kadang-kadang apabila kita baca sesuatu ayat itu, ianya memberi kesan mendalam kerana seolah-olah seperti kita baru membacanya kali pertama. Ianya amat menyentuh hati. Itulah sebabnya kita katakan yang Al-Qur’an ini adalah mukjizat. Dan kerana itulah kena selalu dibaca. Bukan khatam sekali sahaja dan terus tutup tak buka-buka lagi (seperti yang banyak dilakukan oleh masyarakat Melayu).


 

Ayat 52:

قُل كَفىٰ بِاللهِ بَيني وَبَينَكُم شَهيدًا ۖ يَعلَمُ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ ۗ وَالَّذينَ ءآمَنوا بِالبٰطِلِ وَكَفَروا بِاللهِ أُولٰئِكَ هُمُ الخٰسِرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, “Sufficient is Allāh between me and you as Witness. He knows what is in the heavens and earth. And they who have believed in falsehood and disbelieved in Allāh – it is those who are the losers.”

(MELAYU)

Katakanlah: “Cukuplah Allah menjadi saksi antaraku dan antaramu. Dia mengetahui apa yang di langit dan di bumi. Dan orang-orang yang percaya kepada yang batil dan engkar kepada Allah, mereka itulah orang-orang yang merugi.

 

قُل كَفىٰ بِاللهِ بَيني وَبَينَكُم شَهيدًا

Katakanlah: “Cukuplah Allah menjadi saksi antaraku dan antaramu.

Kadangkala setelah lama dakwah, manusia masih tidak mahu terima. Maka nak cakap apa lagi kepada mereka? Allah ajar dalam ayat ini: Katakanlah, cukuplah Allah menjadi saksi antara kami dan kamu.

Kerana jikalau yang lain-lain pun tidak percaya, sudah cukuplah Allah sahaja yang menjadi saksi. Kamu tak mahu percaya, ikut kamulah. Allah tahu yang Nabi Muhammad tidak reka Al-Qur’an itu sebagaimana yang disebutkan oleh firman-Nya:

{وَلَوْ تَقَوَّلَ عَلَيْنَا بَعْضَ الأقَاوِيلِ. لأخَذْنَا مِنْهُ بِالْيَمِينِ. ثُمَّ لَقَطَعْنَا مِنْهُ الْوَتِينَ. فَمَا مِنْكُمْ مِنْ أَحَدٍ عَنْهُ حَاجِزِينَ}

Seandainya dia (Muhammad) mengada-adakan sebahagian perkataan atas (nama) Kami, nescaya benar-benar Kami pegang dia pada tangan kanannya. Kemudian benar-benar Kami potong urat tali jantungnya. Maka sekali-kali tidak ada seorang pun dari kamu yang dapat menghalangi (Kami) dari pemotongan urat nadi itu. (Al-Haqqah: 44-47)

Maknanya, kalau Nabi reka Al-Qur’an itu dan mengaku ianya dari Allah, nyawa baginda sudah lama pendek. Tapi apabila baginda masih lagi hidup setelah sekian lama, maka itu adalah bukti bahawa baginda tidak menipu. Arab Mekah pun tahu perkara ini. Mereka tahu bahawa tidak ada sesiapa yang boleh menipu atas nama Allah dan hidup lama.

 

يَعلَمُ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ

Dia mengetahui apa yang di langit dan di bumi.

Allah cukup jadi saksi kerana Allah tahu apa yang terjadi di lapisan langit dan bumi. Ini kerana Dia sendiri yang menentukan apakah yang terjadi di dalam alam ini. Allahlah Tuhan kita dan kalau Allah yang jadi saksi kepada iman kita, ini sudah cukup. Yang kita perlukan memang penerimaan Allah sahaja, bukan penerimaan manusia yang kita cari.

 

وَالَّذينَ ءآمَنوا بِالبٰطِلِ وَكَفَروا بِاللهِ أُولٰئِكَ هُمُ الخٰسِرونَ

Dan orang-orang yang percaya kepada yang batil dan engkar kepada Allah, mereka itulah orang-orang yang merugi.

Kedegilan manusia yang percaya kepada perkara yang batil itu tidak ada ubatnya. Ada antara mereka bukannya tolak adanya Tuhan dan adanya Allah, tetapi mereka menolak tauhid kepada Allah. Ini kerana mereka tidak faham wahyu kerana tidak belajar.

Maka kerana itu ramai dari kalangan masyarakat Islam kita sendiri amat jauh dari tauhid kerana mereka tidak belajar tafsir Al-Qur’an. Padahal mereka beriman dengan Allah. Maknanya iman dengan Allah sahaja tidak cukup. Kena tolak syirik juga. Mereka sangka kalau belajar Sifat 20 sudah cukup, tapi tidak sebenarnya. Kerana ilmu tauhid dan syirik kena diambil dari Al-Qur’an.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 16 Jun 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Ankabut Ayat 46 – 48 (Rasulullah tidak boleh menulis membaca)

Ankabut Ayat 46: Dan sekarang masuk tentang ayat-ayat berkenaan dengan ahli kitab kerana Nabi Muhammad dan para sahabat tidak lama lagi akan berhijrah dari Mekah dan mereka akan bertemu dengan ahli-ahli kitab di Madinah.

Juga Allah menyebut tentang perdebatan dalam ayat ini. Perdebatan itu boleh tetapi dengan orang yang mampu berdebat, bukannya antara orang yang alim dengan orang jahil. Kerana debat itu memerlukan pengeluaran bukti dan dalil untuk mengeluarkan keputusan yang tepat. Jadi kalau berdebat dengan orang yang jahil, bagaimana pula?

Ianya hanya buang masa sahaja kerana orang jahil bukan boleh keluarkan hujah dan dalil pun. Maka mereka akan berhujah dengan akal dan emosi mereka sahaja.

۞ وَلا تُجٰدِلوا أَهلَ الكِتٰبِ إِلّا بِالَّتي هِيَ أَحسَنُ إِلَّا الَّذينَ ظَلَموا مِنهُم ۖ وَقولوا آمَنّا بِالَّذي أُنزِلَ إِلَينا وَأُنزِلَ إِلَيكُم وَإِلٰهُنا وَإِلٰهُكُم واحِدٌ وَنَحنُ لَهُ مُسلِمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And do not argue with the People of the Scripture except in a way that is best, except for those who commit injustice among them, and say, “We believe in that which has been revealed to us and revealed to you. And our God and your God is one; and we are Muslims [in submission] to Him.”

(MELAYU)

Dan janganlah kamu berdebat dengan Ahli Kitab, melainkan dengan cara yang paling baik, kecuali dengan orang-orang zalim di antara mereka, dan katakanlah: “Kami telah beriman kepada (kitab-kitab) yang diturunkan kepada kami dan yang diturunkan kepadamu; Tuhan kami dan Tuhanmu adalah satu; dan kami hanya kepada-Nya berserah diri”.

 

وَلا تُجٰدِلوا أَهلَ الكِتٰبِ إِلّا بِالَّتي هِيَ أَحسَنُ

Dan janganlah kamu berdebat dengan Ahli Kitab, melainkan dengan cara yang lebih baik,

Oleh kerana Nabi dan sahabat akan bertemu dengan ahli kitab nanti, maka Allah beri pesanan kepada mereka dahulu. Jangan berdebat dengan ahli-ahli kitab itu melainkan dengan cara yang lebih baik.

Waktu itu pun memang sudah ada para sahabat yang berhijrah ke Habashah. Dan Habashah waktu itu adalah di bawah jajahan rakyat yang beragama Kristian. Maka kepada mereka juga, Allah telah berikan cara untuk bergaul dengan golongan Kristian itu dan cara berdakwah kepada mereka.

Allah sebut cara yang ‘lebih baik’, dan bukan cara ‘yang terbaik’ kerana kita tidak mampu untuk melakukan yang terbaik. Hanya Allah sahaja yang mampu beri hujah terbaik seperti yang Dia gunakan dalam Al-Qur’an ini. Kita hanya boleh buat setakat yang kita mampu sahaja. Apakah maksud yang ‘lebih baik’?

Maknanya kita gunakan cara hujah yang mulia dengan tidak menghina mereka ataupun menggunakan kata-kata yang kasar. Kalau mereka kutuk kita pun, kita janganlah kutuk kitab mereka. Kena banyak bawa bersabar apabila berdebat dengan mereka.

Kita kena gunakan bahasa yang lembut dan bahasa yang jelas dan dengan bahasa yang baik. Kerana kita hendak mengeluarkan kebenaran, bukannya hendak menang sahaja. Jangan berlawan dengan mereka, seperti ahli gusti yang hendak mengalahkan lawan dengan cara kekuatan sahaja. Tapi kenalah dengan cara lembut dan berhemah.

Walaupun dalam ayat ini disebut tentang Ahli Kitab, tapi secara umumnya, dengan orang lain pun begitu juga. Kena juga gunakan cara yang lembut dalam dakwah dan terutama sekali dalam debat. Allah telah berfirman dalam Fussilat:34

وَلا تَستَوِي الحَسَنَةُ وَلَا السَّيِّئَةُ ۚ ادفَع بِالَّتي هِيَ أَحسَنُ فَإِذَا الَّذي بَينَكَ وَبَينَهُ عَداوَةٌ كَأَنَّهُ وَلِيٌّ حَميمٌ

Dan tidaklah sama kebaikan dan kejahatan. Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik, maka tiba-tiba orang yang antaramu dan antara dia ada permusuhan seolah-olah telah menjadi teman yang sangat setia.

Kerana tidak faham tentang adab debat inilah yang menyebabkan ramai sakit hati. Kerana ada yang berdebat bukan hendak cari kebenaran tapi nak menang sahaja. Maka ada yang gunakan hujah yang tidak benar dan ada yang menggunakan bahasa kesat apabila mereka tiada hujah. Mereka kadangkala ada gunakan sindiran dan perli untuk sakitkan hati lawan debatnya. Ini buruk sekali.

Qatadah dan lain-lainnya yang bukan hanya seorang mengatakan, bahawa ayat ini dimansukh oleh ayatus saif (ayat pedang), maka tiada lagi perdebatan dengan mereka. Sesungguhnya jalan keluarnya hanyalah masuk Islam, atau membayar jizyah atau pedang (perang).

Ulama yang lain mengatakan, ayat ini tetap muhkam bagi orang yang hendak menyedarkan mereka agar mahu masuk Islam, maka seseorang dituntut agar menggunakan cara yang lebih baik agar beroleh keberhasilan, sebagaimana yang disebutkan dalam firman-Nya:

{ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ}

Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik. (An-Nahl: 125), hingga akhir ayat

Dan firman Allah Swt. ketika mengutus Musa dan Harun kepada Fir’aun:

{فَقُولا لَهُ قَوْلا لَيِّنًا لَعَلَّهُ يَتَذَكَّرُ أَوْ يَخْشَى}

Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan dia ingat atau takut. (Taha: 44)

Pendapat ini dipilih oleh Ibnu Jarir, dia meriwayatkannya dari Ibnu Zaid.

Dan ulama’ dahulukala memang ada sejarahnya mereka berdebat sama ada dengan orang kafir atau pun sesama Muslim. Akan tetapi ia mestilah dilakukan dalam adab yang baik. Tujuan berdebat adalah untuk mencari kebenaran, bukannya kerana hendak menegakkan benang yang basah. Ada debat yang perlu dilakukan dan ada yang perlu ditinggalkan. Kerana itulah Nabi ada nasihat,

عَنْ أَبِي أُمَامَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَا زَعِيمٌ بِبَيْتٍ فِي رَبَضِ الْجَنَّةِ لِمَنْ تَرَكَ الْمِرَاءَ وَإِنْ كَانَ مُحِقًّا وَبِبَيْتٍ فِي وَسَطِ الْجَنَّةِ لِمَنْ تَرَكَ الْكَذِبَ وَإِنْ كَانَ مَازِحًا وَبِبَيْتٍ فِي أَعْلَى الْجَنَّةِ لِمَنْ حَسَّنَ خُلُقَهُ

Dari [Abu Umamah] dia berkata, “Rasulullah صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ bersabda: “Aku akan menjamin rumah di tepi syurga bagi seseorang yang meninggalkan perdebatan meskipun benar. Aku juga menjamin rumah di tengah syurga bagi seseorang yang meninggalkan kedustaan meskipun bersifat gurau, dan aku juga menjamin rumah di syurga yang paling tinggi bagi seseorang yang berakhlak baik.”

Sunan Abi Dawud (4167) disahihkan oleh Albani.

Jadi hadis ini menggalakkan meninggalkan debat. Bagaimana sekarang kita lihat ada banyak perdebatan/jidal yang dilakukan? Sebagai contoh ada debat antara golongan Sunnah dan golongan ASWAJA di khalayak ramai. Tidakkah mereka ini melanggar nasihat baginda Rasulullah? Untuk menjawabnya, ada baik kita sentuh bab debat secara ringkas. Ini penting kerana ada orang kuat berdebat di media sosial. Jadi ada syarat berdebat:

1. Niat

Mestilah kena niat kerana Allah. Contohnya untuk mengajak dan mengajar orang ke arah kebaikan. Kadangkala apabila kita berdakwah, ia boleh jadi debat jika ada yang menolak atau mempersoalkan.

Kalau niat yang buruk, maka tinggalkanlah. Ada yang hanya mahu membantah sahaja, tanpa membawakan hujah yang sah malah membawa hujah yang bathil seperti yang Allah sebut di dalam Ghafir:5 tentang kaum Nabi Nuh

كَذَّبَت قَبلَهُم قَومُ نوحٍ وَالأَحزابُ مِن بَعدِهِم ۖ وَهَمَّت كُلُّ أُمَّةٍ بِرَسولِهِم لِيَأخُذوهُ ۖ وَجٰدَلوا بِالباطِلِ لِيُدحِضوا بِهِ الحَقَّ فَأَخَذتُهُم ۖ فَكَيفَ كانَ عِقابِ

Sebelum mereka, kaum Nabi Nuh dan puak-puak yang bergabung – sesudah kaum Nabi Nuh itu – telah mendustakan (Rasul-rasulnya), dan tiap-tiap umat di antaranya telah merancangkan rancangan jahat terhadap Rasul mereka untuk menawannya (dan membinasakannya); dan mereka pula telah membantah dengan perkara yang salah untuk menghapuskan kebenaran dengan perkara yang salah itu; sebab itu Aku binasakan mereka. Maka (lihatlah) bagaimana kesan azabKu!

Jadi kalau niat hanya untuk menegakkan fahaman sendiri sahaja, maka tidak boleh berdebat. Kerana itu mereka dicela oleh Allah di dalam ayat ini. Begitu juga jikalau niat hanya untuk menunjukkan pandai berdebat kerana sombong, tunjuk pandai dan sebagainya (bukan untuk mencari kebenaran). Ada juga orang yang hobi dia memang berdebat, sengaja cari tempat debat. Ini pun tidak boleh. Rasulullah telah bersabda tentang hal ini, di dalam hadis riwayat Abi Umamah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَا ضَلَّ قَوْمٌ بَعْدَ هُدًى كَانُوا عَلَيْهِ إِلَّا أُوتُوا الجَدَلَ

“Tidaklah suatu kaum itu tersesat setelah mereka berada di atas hidayah melainkan orang yang suka berdebat”.

Riwayat al-Tirmizi (3176) Status: Hasan (Darussalam)

Juga tidak perlu berdebat jikalau niatnya hanyalah untuk mencari kemenangan. Lihat contoh Imam Syafie yang amat kita hormati. Beliau adalah seorang ulama besar yang banyak melakukan dialog dan pandai dalam berdebat dalam permasalahan agama. Sampi pernah Harun bin Sa’id berkata: “Seandainya Syafi’i berdebat untuk mempertahankan pendapat bahawa tiang yang pada aslinya terbuat dari besi adalah terbuat dari kayu nescaya dia akan menang, kerana kepandaiannya dalam berdebat”. (Manaqib Aimmah Arbaah hlm. 109 oleh Ibnu Abdil Hadi).

Walaupun begitu, Imam Syafi’i pernah berkata :

مَا نَاظَرْتُ أَحَدًا قَطُّ عَلَى الْغَلَبَةِ

“Aku tidak pernah berdebat untuk mencari kemenangan”.

(Tawali Ta’sis hlm.113 oleh Ibnu Hajar).

2. Topik yang sesuai untuk diperdebatkan.

Kalau sesuatu perkara itu diperlukan seperti hukum-hukum baru dalam hal agama seperti apakah hukum dropship, hukum beli emas secara online dan perkara-perkara lain zaman moden ini yang tidak jelas hukumnya dari nas Al-Qur’an dan hadis. Maka kenalah orang berilmu memperdebatkan perkara ini supaya dapat dipastikan manakah hukum yang lebih hampir kepada kehendak Allah.

Tapi kalau debat itu tentang keberadaan Allah (di langit atau tidak di mana-mana), tentang kerasulan Nabi, tentang benarkah ada syurga dan neraka, maka ini adalah contoh perkara yang tidak perlu diperdebatkan kerana buang masa. Ini macam debat ayam dulu atau telur dulu? Buang masa sahaja!

Juga debat dengan keluarga tentang hal-hal dunia. Juga tidak perlu dipanjangkan sampai bermasam muka. Tambahan pula kalau dengan isteri kita pun hendak didebat juga. Memang cari penyakit lah jawabnya. Dengan isteri ini, kalau kita salah pun salah, kalau kita benar pun salah juga! Maka inilah termasuk di dalam nasihat Nabi untuk meninggalkan perdebatan walaupun benar. Kerana ia tidak membawa ke mana melainkan keburukan yang lebih teruk lagi.

Dan yang lebih teruk lagi kalau berdebat tentang mana satu pemimpin politik yang bagus, atau parti mana yang paling baik. Ini memang tidak membawa ke mana dan akan menyebabkan permusuhan sahaja. Kalau menang debat pun, bukannya dapat pemimpin pun.

3. Kena ada ilmu untuk berdebat

Sebelum berdebat, pastikan anda ada ilmu. Kalau tidak ada ilmu, cukuplah bertanya sahaja, tak perlu nak tunjuk hero, tak perlu nak tunjuk pandai kerana ia akan memalukan sahaja. Jadi kena perhatikan diri kita dahulu, dan bukan itu sahaja, kena perhatikan juga orang yang hendak didebat itu. Kalau kita sahaja berilmu tapi orang yang dilawan debat itu pun tidak berilmu, pun tidak membawa ke mana juga.

Kalau kita hendak berdebat untuk menghilangkan kesyirikan dan amalan bid’ah tapi kita tidak ada ilmu, apa yang kita hendak cakap? Pepatah Arab adalah mengatakan فَاقِدُ الشَّئِ لَا يُعْطِيْهِ (Orang yang tiada apa-apa tidak mampu memberi). Ini kerana kita apabila bercakap adalah untuk memberi orang yang mendengarnya faham.

Maka jangan berdebat jikalau diri sendiri jahil. Dan jangan berdebat dengan orang yang jahil. Imam Syafi’i berkata :

يُخَاطِبُنِي السَّفِيْهُ بِكُلِّ قُبْحٍ

Orang jahil berbicara kepadaku dengan segenap kejelekan

فَأَكْرَهُ أَنْ أَكُوْنَ لَهُ مُجِيْبًا

Aku pun enggan untuk menjawabnya

يَزِيْدُ سَفَاهَةً فَأَزِيْدُ حُلْمًا

Dia semakin bertambah kejahilan dan aku semakin bertambah kesabaran

كَعُوْدٍ زَادَهُ الْإِحْرَاقُ طِيْبًا

Seperti gaharu dibakar, akan semakin menebar kewangian.

(Diwân Imam Asy-Syâfi’iy).

– Imam Syafi’i rahimahullah berkata: “Orang pandir mencercaku dengan kata-kata jelek. Maka aku tidak ingin untuk menjawabnya. Dia bertambah pandir dan aku bertambah lembut, seperti kayu wangi yang dibakar malah menambah wangi”. (Diwan Asy-Syafi’i, hal. 156).

– Imam Syafi’i juga berkata: ”Berkatalah sekehendakmu untuk menghina kehormatanku, diamku dari orang hina adalah suatu jawaban. Bukanlah ertinya aku tidak mempunyai jawaban, tetapi tidak layak bagi singa meladeni anjing”.

Kerana itulah walaupun Imam Syafi’i dikenal sebagai ahli debat, tapi Imam Syafi’i tidak mahu berdebat dengan orang-orang bodoh. Imam Syafi’i berkata :

ﺍﺫَﺍ ﻧﻄَﻖَ ﺍﻟﺴَّﻔِﻴْﻪُ ﻭَﺗُﺠِﻴْﺒُﻬُﻔَﺦٌﺮْﻳَ ﻣِﻦْ ﺍِﺟَﺎﺑَﺘِﻪِ ﺍﻟﺴُّﻜُﻮْﺕُ

Apabila orang bodoh mengajak berdebat denganmu, maka sikap yang terbaik adalah diam, tidak menanggapi

ﻓﺎِﻥْ ﻛَﻠِﻤَﺘَﻪُ ﻓَﺮَّﺟْﺖَ ﻋَﻨْﻬُﻮَﺍِﻥْ ﺧَﻠَّﻴْﺘُﻪُ ﻛَﻤَﺪًﺍ ﻳﻤُﻮْﺕُ

Apabila kamu melayani, maka kamu akan susah sendiri. Dan bila kamu berteman dengannya, maka dia akan selalu menyakiti hati

ﻗﺎﻟُﻮْﺍ ﺳﻜَﺖَّ ﻭَﻗَﺪْ ﺧُﻮْﺻِﻤَﺖْ ﻗُﻠْﺖُ ﻟَﻬُﻤْﺎِﻥَّ ﺍﻟْﺠَﻮَﺍﺏَ ﻟِﺒَﺎﺏِ ﺍﻟﺸَّﺮِ ﻣِﻔْﺘَﺎﺡُ

Apabila ada orang bertanya kepadaku, jika ditentang oleh musuh, apakah engkau diam??

Jawabku kepadanya : Sesungguhnya untuk menangkal pintu-pintu kejahatan itu ada kuncinya

ﻭﺍﻟﺼﻤْﺖُ ﻋَﻦْ ﺟَﺎﻫِﻞٍ ﺃَﻭْ ﺃَﺣْﻤَﻖٍ ﺷَﺮَﻓٌﻮَﻓِﻴْﻪِ ﺃَﻳْﻀًﺎ ﻟﺼﻮْﻥِ ﺍﻟْﻌِﺮْﺽِ ﺍِﺻْﻠَﺎﺡُ

Sikap diam terhadap orang bodoh adalah suatu kemuliaan. Begitu pula diam untuk menjaga kehormatan adalah suatu kebaikan.

Imam Syafi’i berkata :

ﻭﺍﻟﻜﻠﺐُ ﻳُﺨْﺴَﻰ ﻟﻌﻤْﺮِﻯْ ﻭَﻫُﻮَ ﻧَﺒَّﺎﺡُ

Apakah kamu tidak melihat bahawa seekor singa itu ditakuti lantaran ia pendiam? Sedangkan seekor anjing dibuat permainan kerana ia suka menggonggong?

(Diwan As-Syafi’i, karya Yusuf Asy-Syekh Muhammad Al-Baqa’i).

Imam Syafi’i juga berkata :

“Aku mampu berhujah dengan 10 orang yang berilmu, tapi aku pasti kalah dengan seorang yang jahil, kerana orang yang jahil itu tidak pernah faham landasan ilmu”.

Jadi kena pilih juga orang yang kita hendak berdebat dengannya. Lagi satu, jikalau kita nampak orang yang didebat itu jenis keras hati, keras kepala, hati macam batu, maka buang  masa berdebat dengannya maka perlulah ditinggalkan sahaja.

 

 

إِلَّا الَّذينَ ظَلَموا مِنهُم

kecuali dengan orang-orang zalim di antara mereka,

Maka boleh berdebat dengan ahli kitab tapi kena pandai pilih. Jangan debat kalau bertemu dengan orang-orang yang zalim di antara mereka, di mana kita tidak perlu berdebat dengan mereka pun.

Mereka yang zalim itu tinggalkan sahaja. Mereka buta hati, tidak dapat melihat bukti yang jelas dan ingkar serta sombong. Maka bilamana sudah sampai pada tingkatan tersebut, cara berdebat tidak dapat dipakai lagi, melainkan melalui jalan keras, dan mereka harus diperangi agar menjadi sedar.

Ini perlu dilakukan supaya jangan orang luar lihat orang Islam ini lembut sangat dan lemah pula. Kita memang lembut tidak ganggu orang, tapi kalau orang zalim, kita boleh bertindak keras terhadap mereka. Jangan bagi orang pijak-pijak pula orang Islam.

Jabir telah mengatakan bahawa kita diperintahkan oleh Allah agar memukul orang yang menentang Kitabullah dengan pedang. Mujahid mengatakan sehubungan dengan makna firman-Nya: kecuali dengan orang-orang zalim di antara mereka. (Al-‘Ankabut: 46) Yakni Ahlul Harb dan orang-orang dari kalangan Ahli Kitab yang tidak mahu membayar jizyah.

Buang masa untuk berhujah dengan mereka yang sifatnya zalim. Tetapi jikalau yang datang dengan kita itu orang yang boleh untuk kita bercakap dengan cara baik dengan mereka, maka bolehlah kita berhujah dengan mereka menggunakan kebijaksanaan.

 

وَقولوا آمَنّا بِالَّذي أُنزِلَ إِلَينا وَأُنزِلَ إِلَيكُم

dan katakanlah: “Kami telah beriman kepada (kitab-kitab) yang diturunkan kepada kami dan yang diturunkan kepadamu; 

Dan Allah ajar apakah perkara pertama yang kita perlu cakap kepada mereka. Allah ajar bagaimanakah yang dikatakan cara ‘yang baik’ itu. Pertamanya, beritahu kepada mereka yang kita beriman dengan wahyu yang diturunkan kepada kita dan juga dengan wahyu yang diturunkan kepada mereka.

Maknanya tunjukkan yang kita terima juga wahyu yang mereka ada iaitu Taurat dan Injil itu. Bukannya kita tidak terima langsung. Manakan kita tidak terima sedangkan ia juga wahyu dari Allah jua.

Dan bila berhujah dengan orang Islam, maka kena mulakan dengan awal menegaskan yang kita berpegang dengan wahyu Al-Qur’an dan hadith. Maka katanya dalam perdebatan itu, kena rujuk kepada Al-Qur’an dan hadith. Kalau ada perbezaan pendapat, kena tengok Al-Qur’an dan hadith sebut.

 

وَإِلٰهُنا وَإِلٰهُكُم واحِدٌ

Tuhan kami dan Tuhanmu adalah satu;

Dan beritahu juga kepada mereka yang Tuhan yang kita sembah dan Tuhan yang mereka sembah itu sebenarnya satu sahaja. Tuhan yang sama juga yang kita sembah. Bukannya ada Tuhan yang lain pula.

Ini mengajar kita supaya apabila kita dakwah kepada mereka atau kepada orang lain pun, hendaklah kita bermula dari perkara yang kita sama dengan mereka. Jangan mulakan terus sebut apa yang kita beza dengan mereka. Itu akan menyebabkan mereka terus rasa jauh dari kita. Tapi kalau kita mulakan dengan persamaan, maka ini akan menyebabkan mereka lebih terbuka dengan apa yang kita nak cakap selepas itu.

 

وَنَحنُ لَهُ مُسلِمونَ

dan kami hanya kepada-Nya berserah diri”.

Dan kita telah memilih untuk menyerahkan diri kita bulat-bulat kepada Allah iaitu Tuhan yang satu itu.

Di dalam surah yang sebelum ini telah disebut bagaimana ada yang takut untuk masuk Islam kerana mereka takut mereka ditinggalkan oleh kaum-kaum mereka atau kena halau oleh kaum mereka, tetapi kita kena ingatkan kepada mereka bahawa kita bukan menyerahkan diri kita kepada manusia tetapi kita menyerahkan diri kita kepada Allah SWT.

Kita bukan beragama Islam kerana bangsa kita atau kerana keluarga kita, tetapi kerana Allah dan ini penting kerana ada manusia yang hanya nama sahaja Islam tetapi mereka tidak mengamalkan Islam dengan sebenarnya. Mereka hanya duduk dalam Islam kerana keluarga mereka sahaja. Atau kerana kebanyakan orang beragama Islam seperti di Malaysia ini. Ini bukanlah menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah.


 

Ankabut Ayat 47: Targhib (ajakan) kepada berpegang dengan kitab wahyu.

وَكَذٰلِكَ أَنزَلنا إِلَيكَ الكِتٰبَ ۚ فَالَّذينَ ءآتَيناهُمُ الكِتٰبَ يُؤمِنونَ بِهِ ۖ وَمِن هٰؤُلاءِ مَن يُؤمِنُ بِهِ ۚ وَما يَجحَدُ بِئآيٰتِنا إِلَّا الكٰفِرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And thus We have sent down to you the Book [i.e., the Qur’ān]. And those to whom We [previously] gave the Scripture believe in it. And among these [people of Makkah] are those who believe in it. And none reject Our verses except the disbelievers.

(MELAYU)

Dan demikian (pulalah) Kami turunkan kepadamu Al Kitab (Al Qur’an). Maka orang-orang yang telah Kami berikan kepada mereka Al Kitab (Taurat) mereka beriman kepadanya (Al Qur’an); dan di antara mereka (orang-orang kafir Mekah) ada yang beriman kepadanya. Dan tiadalah yang mengingkari ayat-ayat kami selain orang-orang kafir.

 

وَكَذٰلِكَ أَنزَلنا إِلَيكَ الكِتٰبَ

Dan demikian (pulalah) Kami turunkan kepadamu Al Kitab (Al Qur’an).

Kalimah كَذٰلِكَ di dalam ayat ini diterjemahkan begini: bagi kesempurnaan ini. Bagi kesempurnaan agama, Allah turunkan kitab wahyu yang sempurna. Untuk menyempurnakan agama, maka Allah turunkan kitab wahyu.

Atau, ia boleh bermaksud: sebagaimana kitab-kitab wahyu telah diturunkan kepada para Rasul sebelum Nabi Muhammad, maka kitab wahyu (Al-Qur’an) juga diturunkan kepada baginda.

Jadi Al-Qur’an mengiktiraf kitab-kitab wahyu sebelum Al-Qur’an. Bukanlah kena tolak kitab-kitab dahulu untuk kita beriman dengan Al-Qur’an. Al-Qur’an boleh diimani sambil mengimani kitab-kitab yang lain.

Cuma bukanlah kita kena ikut syariat di dalam kitab-kitab itu lagi. Ini kerana syariat dalam kitab sebelum Al-Qur’an telah dimansukhkan apabila telah turun Al-Qur’an. Dan lagi satu, memang tidak diamalkan kerana kitab-kitab dulu tidak dapat diterima kitab asalnya.

Jadi makna mengimani kitab-kitab sebelum Al-Qur’an bermaksud, kita percaya yang ia memang telah pernah diturunkan; dan ia mengandungi ajaran tauhid yang sama sahaja dengan Al-Qur’an.

 

فَالَّذينَ ءآتَيناهُمُ الكِتٰبَ يُؤمِنونَ بِهِ

Maka orang-orang yang telah Kami berikan kepada mereka Al Kitab (Taurat) mereka beriman kepadanya (Al Qur’an);

Ini adalah Dalil Naqli. Allah memberitahu (menaqalkan) bahawa ada ahli-ahli kitab yang apabila mereka membaca Al-Qur’an, maka mereka kenal kebenaran yang ada di dalamnya dan mereka telah beriman dengan Al-Qur’an. Yakni orang-orang yang mengambilnya, lalu membacanya dengan bacaan yang sebenarnya. Oleh itu, bukanlah semua ahli kitab terima Al-Qur’an itu, tapi mereka yang buka hati mereka kepada kebenaran sahaja.

Mereka terdiri dari para cendekiawan dan ulama Ahli Kitab, seperti Abdullah ibnu Salam dan Salman Al-Farisi serta lain-lainnya yang semisal mereka. Ini kerana mereka nampak kebenaran yang ada di dalamnya sama dengan apa yang ada dalam kitab wahyu mereka sendiri.

 

وَمِن هٰؤُلاءِ مَن يُؤمِنُ بِهِ

dan di antara mereka, ada yang beriman kepadanya. 

Dan ini pula merujuk kepada golongan semasa Al-Qur’an ini diturunkan. Kerana memang ada dari golongan orang Mekah itu walaupun mereka tidak ada kitab wahyu, tetapi mereka tetap beriman dengan Al-Qur’an. Begitulah yang terjadi kepada para sahabat. Jadi untuk terima wahyu Al-Qur’an ini bukan semestinya kena ada kitab wahyu sebelum itu, asalkan ada keinginan kepada kebenaran.

 

وَما يَجحَدُ بِئآيٰتِنا إِلَّا الكٰفِرونَ

Dan tiadalah yang mengingkari ayat-ayat kami selain orang-orang kafir.

Ini adalah Ayat Zajrun. Allah memberitahu kita yang ada dari manusia yang beriman dan ada juga yang menentang wahyu. Ini perkara biasa zaman berzaman.

Kalimah jahada bermaksud berdebat dengan sesuatu yang orang itu sendiri tahu yang apa yang mereka lawan itu adalah benar tetapi kerana degil dan perangai buruk, tetap juga mahu berdebat dan menolak.

Allah kata yang mereka jenis seperti ini adalah orang yang ‘kufur’. Jadi kita boleh lihat dalam ayat ini dan juga banyak ayat-ayat yang lain, yang ‘orang kafir’ itu adalah orang yang menentang Islam dan bukannya mereka itu semua orang ‘bukan Islam’. Ini adalah kerana ada orang bukan Islam yang tidak menentang pun. Jadi, ada beza antara non-Muslim dan anti-Muslim.

Dan dalam masa yang sama, kalau seseorang itu beragama Islam, tapi dalam masa yang sama dia menentang dakwah, menentang ayat-ayat Al-Qur’an dan juga menentang sunnah, maka mereka pun sebenarnya adalah ‘kufur’ walaupun nama mereka orang Islam. Maka kita kena berhati-hati kerana takut nama kita muslim di mata manusia tapi kafir di mata Allah.


 

Ankabut Ayat 48: Ayat 48 – 55 adalah Perenggan Makro 5b. Ia mengandungi dalil tauhid dan jawapan balas kepada orang kafir. Berbagai tohmahan dikeluarkan oleh para penentang wahyu. Antaranya, Musyrikin Mekah kata wahyu Al-Qur’an itu bukan dari Allah. Maka ini adalah jawapan kepada tuduhan-tuduhan yang mengatakan Nabi Muhammad reka sendiri Al-Qur’an itu.

وَما كُنتَ تَتلو مِن قَبلِهِ مِن كِتٰبٍ وَلا تَخُطُّهُ بِيَمينِكَ ۖ إِذًا لَّارتابَ المُبطِلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And you did not recite before it any scripture, nor did you inscribe one with your right hand. Then [i.e., otherwise] the falsifiers would have had [cause for] doubt.

(MELAYU)

Dan kamu tidak pernah membacakan sebelumnya (Al Qur’an) sesuatu Kitab pun dan kamu tidak (pernah) menulis suatu Kitab dengan tangan kananmu; andaikata (kamu pernah membaca dan menulis), benar-benar ragulah orang yang mengingkari(mu).

 

وَما كُنتَ تَتلو مِن قَبلِهِ مِن كِتٰبٍ

Dan kamu tidak pernah membacakan sebelumnya (Al Qur’an) sesuatu Kitab pun

Allah memberitahu yang Nabi Muhammad tidak pernah membacakan mana-mana kitab sebelum baginda bacakan Al-Qur’an itu kepada manusia, kerana baginda sendiri tidak boleh membaca. Maka mana mungkin baginda cedok dari mana-mana sumber lain dan jadikan sebagai Al-Qur’an pula? Memang hujah itu tidak masuk akal.

Ini juga adalah satu ayat yang dijadikan hujah bagi mengatakan yang memang Nabi Muhammad seorang ummiy (tidak tahu membaca dan menulis). Kalau baginda boleh membaca dan menulis, jadi mengapa baginda kelam kabut untuk menghafal ayat-ayat Al-Qur’an semasa ianya dibacakan oleh Jibril seperti disebut dalam Qiyamah:16

لَا تُحَرِّكْ بِهِ لِسَانَكَ لِتَعْجَلَ بِهِ

Janganlah engkau (wahai Muhammad) – Kerana hendakkan cepat menghafaz Al-Qur’an yang diturunkan kepadamu – menggerakkan lidahmu membacanya (sebelum selesai dibacakan kepadamu).

 

وَلا تَخُطُّهُ بِيَمينِكَ

dan kamu tidak (pernah) menulis suatu Kitab dengan tangan kananmu; 

Dan Allah memberitahu yang Nabi Muhammad tidaklah pernah menyalin kitab-kitab lain dengan tangan kanannya kerana baginda tidak mampu nak menulis pun. Maknanya Nabi sebelum jadi Rasulullah, tidak tahu membaca dan menulis. Digunakan ‘tangan kanan’ dalam ayat ini kerana selalunya manusia menulis dengan tangan kanan.

Sebagai tambahan, ada juga pendapat yang mengatakan, selepas baginda jadi Rasul, baginda boleh membaca dan menulis. Ini adalah atas mukjizat. Iaitu selepas baginda dapat wahyu di Gua Hira’ selepas itu baginda terus boleh membaca dan menulis. Ini memerlukan perbincangan yang khusus lagi. Kerana ada khilaf yang besar tentang perkara ini.

Ada yang menggunakan ayat ini sebagai dalil yang Nabi Muhammad tidak tahu membaca dan menulis sampai bila-bila. Tapi bagi mereka yang mengatakan Nabi Muhammad boleh membaca dan menulis selepas itu, mereka mengatakan yang ayat ini menyatakan yang Nabi Muhammad tidak boleh membaca dan menulis ‘sebelum’ itu, bukannya sampai bila-bila.

Jadi secara umumnya, ada dua pendapat tentang perkara ini. Maka tidak perlu berbalah dan bertegang urat tentang perkara ini. Boleh buat kajian dan pilih mana satu yang menjadi pilihan yang dirasakan lebih kuat. Lain orang, lain pilihan mereka. Kita kenalah raikan pegangan orang lain. Tidak semestinya pandangan kita sahaja yang benar.

 

إِذًا لَّارتابَ المُبطِلونَ

andaikata begitu, benar-benar ragulah orang yang mengingkari(mu).

Oleh kerana Nabi Muhammad itu seorang yang tidak boleh membaca dan menulis, maka tidaklah boleh golongan yang menolak baginda mengatakan yang baginda menulis sendiri Al-Qur’an itu kerana mereka sendiri tahu yang Nabi Muhammad tidak boleh membaca dan menulis.

Jadi kalau baginda boleh membaca dan menulis, maka mereka boleh ada ragu-ragu (eh, entah-entah Muhammad tulis sendiri….?) Tapi kerana baginda memang tidak boleh membaca dan menulis, maka apa yang nak diragukan lagi? Sepatutnya tutup kes terus bab Nabi Muhammad tulis sendiri Al-Qur’an itu.

Nabi Muhammad tinggal bersama mereka dari baginda kecil lagi. Segala perbuatan dan sifat baginda mereka kenal, bukan? Mereka pun tahu baginda sama seperti kebanyakan bangsa Arab yang lain, tidak tahu menulis dan membaca.

Oleh kerana itu hujah itu telah ditolak oleh Allah dengan menjadikan Nabi Muhammad tidak boleh membaca dan menulis dari kecil sampai dewasa. Maka tidak mungkin sama sekali segala maklumat yang begitu punya hebat dalam Al-Qur’an itu baginda dapati dari sumber lain, melainkan ianya pasti dari Allah SWT sahaja.

Kerana jikalau baginda tahu menulis dari dulu lagi, maka tentulah lebih ragu-ragu lagi orang yang menolak Al-Qur’an. Mereka akan gunakan alasan: “mesti Muhammad yang tulis sendiri Al-Qur’an itu.”

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 10 September 2023

Ringkasan Surah Qiyamah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Ankabut Ayat 42 – 45 (Apakah zikir terbaik?)

Ayat 42: Ayat Tauhid. Allah tekankan kembali tentang tauhid kerana perkara ini amat penting.

إِنَّ اللهَ يَعلَمُ ما يَدعونَ مِن دونِهِ مِن شَيءٍ ۚ وَهُوَ العَزيزُ الحَكيمُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, Allāh knows whatever thing they call upon other than Him. And He is the Exalted in Might, the Wise.

(MELAYU)

Sesungguhnya Allah mengetahui apa saja yang mereka seru selain Allah. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

 

إِنَّ اللهَ يَعلَمُ ما يَدعونَ مِن دونِهِ مِن شَيءٍ

Sesungguhnya Allah mengetahui apa saja yang mereka seru selain Allah.

Mereka bukan sahaja menyeru berhala-berhala mereka, tetapi mereka seru roh Nabi, wali dan malaikat dan lain-lain lagi. Kerana berhala dan ilah itu ada berjenis-jenis dan bukan sahaja dalam bentuk berhala.

Maka masyarakat kita kena faham apakah maksud ‘seru’ dan maksud ‘ilah’. Kerana ramai yang sangka Musyrikin Mekah sahaja yang buat syirik kerana sembah berhala. Sedangkan ramai dari kalangan masyarakat kita yang seru selain Allah dan tidak sedar yang itu adalah syirik.

Allah nak beritahu yang Dia tahu kesyirikan apa yang mereka lakukan. Allah akan balas nanti kesalahan mereka itu.

Juga bermaksud, ilah-ilah yang mereka seru selain dariNya itu Allah kenal – kerana Allah kenal segala makhlukNya. Segala yang diseru itu tidak ada kuasa apa-apa pun sebenarnya. Sia-sia sahaja mereka seru.

 

وَهُوَ العَزيزُ الحَكيمُ

Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Allah maha berkuasa untuk terus beri azab kepada manusia atas kesalahan syirik mereka dan kezaliman mereka. Tidak ada sesiapa yang boleh halang Allah.

Tapi Allah maha bijaksana dengan menangguh azab. Ini memberi peluang kepada manusia untuk bertaubat dan baiki kesilapan. Kalaulah kita diazab setiap kali kita buat syirik atau buat salah, tentu tidak ada manusia yang hidup lagi di atas muka bumi. Maka ambillah peluang yang Allah berikan ini untuk baiki diri kita. Belajarlah tentang tauhid dan syirik supaya kita tidak melakukannya.


 

Ayat 43:

وَتِلكَ الأَمثٰلُ نَضرِبُها لِلنّاسِ ۖ وَما يَعقِلُها إِلَّا العٰلِمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And these examples We present to the people, but none will understand them except those of knowledge.

(MELAYU)

Dan perumpamaan-perumpamaan ini Kami buat untuk manusia; dan tiada yang memahaminya kecuali orang-orang yang berilmu.

 

وَتِلكَ الأَمثٰلُ نَضرِبُها لِلنّاسِ

Dan perumpamaan-perumpamaan ini Kami buat untuk manusia;

Allah telah memberi banyak perumpamaan di dalam Al-Qur’an tentang lemahnya pergantungan kepada selain dari Allah. Banyak analogi yang Allah telah berikan. Cuma tinggal nak pelajari dan fahami sahaja.

 

وَما يَعقِلُها إِلَّا العٰلِمونَ

dan tiada yang memahaminya kecuali orang-orang yang berilmu.

Tafsir Al-Qur’an memang kena dipelajari untuk memahami perumpamaan yang Allah berikan. Perumpamaan-perumpamaan itu diberikan kepada semua orang, tetapi yang memahaminya adalah orang-orang yang menggunakan akal sahaja. Iaitu mereka yang tahu dan memahami tentang tauhid. Mereka belajar wahyu dan mereka gunakan akal mereka yang waras.

Maka Allah memberi cabaran kepada kita yang baca Al-Qur’an ini untuk melihat kepada contoh-contoh itu dan mengambil pelajaran darinya dengan menggunakan akal kita yang waras. Tapi kena mulakan dengan belajar tafsir. Kalau tak belajar, macam mana? Bukannya mudah untuk faham sendiri perumpamaan dalam Al-Qur’an.


 

Ayat 44: Ayat 44 – 47 adalah Perenggan Makro 5a. Ia mengajar kita cara dialog dengan Ahli Kitab. Ini adalah berkenaan Peristiwa sebelum hijrah ke Habsyah.

خَلَقَ اللهُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ بِالحَقِّ ۚ إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيَةً لِّلمُؤمِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Allāh created the heavens and the earth in truth. Indeed in that is a sign for the believers.

(MELAYU)

Allah menciptakan langit dan bumi dengan hak. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah bagi orang-orang mukmin.

 

خَلَقَ اللهُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ بِالحَقِّ

Allah menciptakan langit dan bumi dengan hak.

Allah mencipta alam ini kerana bersebab dan begitu juga kita dicipta ada sebab-sebab dan tugasan yang kita perlu lakukan; dan apabila ia tidak dipenuhi, maka kerana itu ada kaum-kaum yang dimusnahkan.

Allah jadikan alam ini sebagai dalil bahawa ada Tuhan yang menjadikannya. Kerana tidak mungkin alam yang begini punya indah tidak ada penciptanya. Takkan ia boleh terjadi sendiri.

Dan ia juga sebagai dalil bahawa hanya ada Satu Tuhan sahaja. Kerana kalau ada ramai tuhan, ramai ilah, maka tentulah alam ini berselerakan kerana masing-masing ilah ada kehendak masing-masing.

Maka, kalau ada Satu Tuhan sahaja, maka hendaklah sembah dan puja kepada Satu Tuhan sahaja iaitu Allah. Kenapa nak puja kepada selain Allah? Kenapa nak berharap kepada selain Allah? Kenapa nak doa kepada selain Allah lagi?

 

إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيَةً لِّلمُؤمِنينَ

Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah bagi orang-orang mukmin.

Orang yang beriman akan sedar yang kejadian dalam alam ini semuanya ada tugas mereka, maka tentulah kita yang lebih mulia kejadian dari alam itu ada tugas juga. Takkan kita lahir dan mati begitu sahaja. Tentu kita ada tanggungjawab dan kewajipan yang kita kena penuhi.

AKHIR JUZ 20


 

Ayat 45: Ayat dalil wahyi. Arahan dari Allah kepada kita.

اتلُ ما أوحِيَ إِلَيكَ مِنَ الكِتٰبِ وَأَقِمِ الصَّلَوٰةَ ۖ إِنَّ الصَّلَوٰةَ تَنهىٰ عَنِ الفَحشاءِ وَالمُنكَرِ ۗ وَلَذِكرُ اللهِ أَكبَرُ ۗ وَاللهُ يَعلَمُ ما تَصنَعونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Recite, [O Muḥammad], what has been revealed to you of the Book and establish prayer. Indeed, prayer prohibits immorality and wrongdoing, and the remembrance of Allāh is greater. And Allāh knows that which you do.

(MELAYU)

Bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu dari Al Kitab (Al Qur’an) dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingat Allah adalah lebih besar (keutamaannya dari ibadat-ibadat yang lain). Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.

 

اتلُ ما أوحِيَ إِلَيكَ مِنَ الكِتٰبِ

Bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu dari Al Kitab (Al Quran)

Waktu surah ini diturunkan para sahabat sedang diseksa dan ditindas, maka apakah yang mereka perlu lakukan? Mereka kena ikut apa yang disampaikan di dalam Al-Qur’an itu. Kena baca dan fahami, kemudian amalkan. Dan kemudian kena sampaikan kepada orang lain. Maka Nabi Muhammad dan sahabat kena sampaikan ajaran Al-Qur’an itu kepada manusia.

Ini adalah arahan amar ibqa’ie (terus melakukan perkara yang telah dan sedang dilakukan) – iaitu bukan baru suruh Nabi Muhammad bacakan Al-Qur’an itu kepada mereka kerana memang baginda telah bacakan kepada para sahabat sebelum ini pun. Dan ‘bacakan’ ini bermaksud sentiasalah dan selalulah bacakan ayat Al-Qur’an kepada mereka. Dengan cara itu manusia boleh memahami. Kerana manusia kena diingatkan dengan Al-Qur’an ini.

Maka, walaupun ayat ini nampak dari segi literalnya diarahkan kepada Nabi Muhammad, tapi ia juga adalah arahan untuk kita juga. Kerana kita juga hendaklah menyambung kerja Nabi untuk menyampaikan ajaran Al-Qur’an ini kepada manusia.

Makna ‘baca’ itu bukanlah baca sendiri tetapi kena ‘bacakan’ kepada orang lain. Kerana apabila kita bacakan kepada orang lain, maka tuntutan wahyu itu akan lebih meresap lagi ke dalam hati orang yang membaca Al-Qur’an itu kepada orang lain. Dakwah sebenarnya meningkatkan iman kita.

Kepada yang dengar itu mungkin mereka terima ataupun tidak. Tetapi yang membacakan Al-Qur’an itu tentunya sudah terima sendiri Al-Qur’an sebelum itu. Maknanya Al-Qur’an kena dibaca, difahami dan terima dahulu sebelum kita sampaikan kepada orang lain. Maka tentulah sebelum kita sampaikan kepada orang lain, kita sudah mantap pemahaman tentang Al-Qur’an, bukan? Takkan nak sampaikan benda yang kita sendiri tak tentu terima atau tidak pula?

Satu perkara lagi yang kita perlu ingat, ‘baca’ itu bukan hanya ‘mengeja’ dan menyebut ayat-ayat dalam Al-Qur’an itu. Tapi yang lebih penting adalah pemahaman dari ayat-ayat itu. Salah faham tentang perkara ini menyebabkan masyarakat kita hanya mementingkan belajar baca dan belajar tajwid sahaja. Ramai yang tidak mementingkan langsung pemahaman dari Al-Qur’an itu.

Mereka ajar anak mereka baca Al-Qur’an dan mereka hantar anak mereka ke sekolah tahfiz, tapi tidak mementingkan pemahaman dari Al-Qur’an. Apa gunanya kalau pandai baca tapi tidak faham apa yang dibaca? Ini amat bahaya sekali kerana ramai yang baca, tapi dalam masa yang sama, mereka langgar arahan dalam Al-Qur’an itu sendiri.

Maka kerana itu kita amat pentingkan pelajaran tafsir Al-Qur’an ini. Biarlah tak tahu baca pun, biarlah tak pandai tajwid pun, baca pun merangkak, tapi belajarlah apa yang Allah hendak sampaikan pada kita. Dalam masa yang sama, belajarlah baca sikit-sikit. Itu boleh datang kemudian.

 

وَأَقِمِ الصَّلَوٰةَ

dan dirikanlah solat. 

Dan mereka hendaklah mendirikan solat. Maka ‘dirikan solat’ itu adalah untuk menyampaikan wahyu kepada manusia kerana solat itu boleh memberi kekuatan. Dalam kita sampaikan wahyu kepada manusia, kita memerlukan kekuatan dan kekuatan itu boleh didapati dengan solat.

Ini adalah amalan peribadi ataupun dilakukan sendiri dan ianya akan menjadi sempurna apabila kita telah membacakan Al-Qur’an kepada orang lain.

Dan seperti juga baca Al-Qur’an itu bukanlah baca sahaja, tapi kena difahami sepenuhnya, maka begitu juga dengan solat. Jangan buat pergerakan dan sebut apa yang perlu disebut sahaja, tapi perlulah dihayati apa yang disebut itu. Barulah memberi kesan kepada diri kita.

 

إِنَّ الصَّلَوٰةَ تَنهىٰ عَنِ الفَحشاءِ وَالمُنكَرِ

Sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar. 

Solat itu dapat menghalang manusia dari melakukan perkara yang memalukan dan perkara-perkara yang buruk. Kerana solat itu mempunyai roh yang dapat menghalang orang yang melakukannya dari membuat dosa.

Jadi jikalau kita ini solat tetapi masih lagi melakukan perkara-perkara yang memalukan seperti melihat kepada perkara lucah, berzina, memandang kepada perempuan dengan syahwat, maka mungkin solat yang kita lakukan itu tidak dilakukan dengan betul dan tidak bermakna buat kita. Itu jenis solat yang tiada roh di dalamnya.

Maka kita kena faham apakah yang kita sebut dalam solat itu, apa yang kita lakukan dalam solat itu, kepentingan solat, falsafah solat dan macam-macam lagi. Solat yang berkualiti tinggilah yang boleh menghalang manusia dari melakukan maksiat dan dosa.

Di dalam sebuah hadis melalui riwayat Imran dan Ibnu Abbas secara marfu’ telah disebutkan:

“مَنْ لَمْ تَنْهَهُ صَلَاتُهُ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ، لَمْ تَزِدْهُ مِنَ اللهِ إِلَّا بُعْدًا”

Barang siapa yang solatnya masih belum dapat mencegah dirinya dari mengerjakan perbuatan keji dan mungkar, maka tiada lain dia makin bertambah jauh dari Allah.

Kerana itu Allah tidak kata ‘buat solat’ tetapi ‘dirikan solat’. Ianya seperti satu binaan yang kalau kita bayangkan binaan yang kukuh dengan dasar yang kuat, maka ia akan menjadi satu perkara penting yang dapat menjaga kita daripada anasir-anasir luar.

Jadi kalau kita masih solat tetapi masih melakukan perkara mungkar, maka itu kerana solat kita tidak didirikan dengan betul. Maka kena belajar cara solat yang betul dan kena tingkatkan kualiti solat kita. Ini memerlukan pembelajaran berterusan. Jangan solat kita di takuk yang lama sahaja.

Kita takut kita termasuk dalam golongan yang disebut dalam hadis ini:

Rasulullah s.a.w. menegaskan, “Kelak akan muncul di antara umatku, suatu kaum (kelompok) yang membaca al-Qur’an. Bacaan kalian tidak dianggap oleh mereka dan solat kalian tidak diakui oleh mereka. Puasa kalian tidak memiliki erti di mata mereka. Mereka merasa paling berhak membaca al-Qur’an sehingga kalian akan menyangka bahawasanya al-Qur’an itu hanya milik (diturunkan kepada) mereka saja. Padahal, sebenarnya kelak di akhirat al-Qur’an akan melaknat mereka. Mereka terlihat rajin mengerjakan solat tetapi apa yang mereka baca ketika solat hanya sampai di kerongkong mereka (tidak menyentuh hati dan mendirikan amalan mereka) dan mereka akan keluar daripada agama Islam sebagaimana keluarnya anak panah daripada busurnya.” (Sahih Bukhari (6933))

 

وَلَذِكرُ اللهِ أَكبَرُ

Dan sesungguhnya mengingat Allah adalah lebih besar

Ingat kepada Allah di luar solat itu lebih besar dari perkara lain. Allah sebut mengingatNya selepas sebut tentang solat kerana Allah hendak memberitahu kelebihan Solat di mana ia bukan sahaja menjaga kita daripada perbuatan mungkar tetapi ia memberi kelebihan kepada kita untuk mengingati Allah.

Atau, ia bermaksud hendak memberitahu bahawa ingatan kita kepada Allah adalah sesuatu yang amat besar. Ia lebih besar dari dunia dan segala isinya. Ia menghalang manusia dari melakukan keburukan di atas muka bumi ini dan ia akan menyebabkan manusia mudah untuk melakukan kebaikan. Orang yang sanggup melakukan maksiat itu adalah kerana mereka tidak ingat kepada Allah.

Atau ia bermaksud, ingat kepada Allah melalui solat ini lebih besar daripada zikir dengan cara-cara lain. Orang kita ramai yang suka berzikir dengan berbagai-bagai cara termasuklah dengan cara yang bidaah. Mereka lupa bahawa cara mengingat Allah yang paling utama adalah dengan solat. Maka lakukanlah solat sunat banyak-banyak. Itu lebih baik dari zikir beribu-ribu.

Ibnu Abbas mengatakan bahawa makna ayat ini mengandungi dua takwil, iaitu:

  1. ingat kepada Allah di saat menghadapi apa-apa yang diharamkan-Nya.
  2. ingatan Allah kepada kalian jauh lebih besar dari ingatan kalian kepada-Nya. Ketika kita ingat kepada Allah, waktu itu Allah lebih ingat kepada kita. Ini dikuatkan lagi dengan ayat Baqarah:152

فَاذكُروني أَذكُركُم

Oleh kerana itu, ingatlah kamu kepada-Ku nescaya Aku ingat (pula) kepadamu,

 

وَاللهُ يَعلَمُ ما تَصنَعونَ

Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.

Dan Allah tahu apa yang kita kerjakan setiap hari dan setiap masa. Maka hendaklah kita berjaga-jaga dengan apa yang kita lakukan. Pastikan apa yang kita lakukan adalah amalan yang baik. Kena jaga diri kita dari melakukan perkara buruk dan maksiat. Ini memerlukan kekuatan diri dan kekuatan iman.

Dan seperti yang telah disebut tadi, ia dapat dicapai dengan melakukan solat dengan baik. Kerana solat yang khusyuk mendidik kita sedar Allah sedang memerhatikan kita. Dan kemudian bawa perasaan itu ke luar solat. Kalau sepanjang masa kita sedar Allah sedang memerhatikan kita, maka kita akan takut untuk buat dosa.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 16 Jun 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Ankabut Ayat 39 – 41 (Rumah labah-labah)

Ankabut Ayat 39: Sambung tentang kisah azab yang Allah kenakan kepada manusia semasa di dunia lagi.

وَقٰرونَ وَفِرعَونَ وَهٰمٰنَ ۖ وَلَقَد جاءَهُم مّوسىٰ بِالبَيِّنٰتِ فَاستَكبَروا فِي الأَرضِ وَما كانوا سٰبِقينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [We destroyed] Qārūn and Pharaoh and Hāmān. And Moses had already come to them with clear evidences, and they were arrogant in the land, but they were not outrunners [of Our punishment].

(MELAYU)

dan (juga) Qarun, Fir’aun dan Haman. Dan sesungguhnya telah datang kepada mereka Musa dengan (membawa bukti-bukti) keterangan-keterangan yang nyata. Akan tetapi mereka berlaku sombong di (muka) bumi, dan tiadalah mereka orang-orang yang luput (dari kehancuran itu).

 

وَقٰرونَ وَفِرعَونَ وَهٰمٰنَ

dan (juga) Qarun, Fir’aun dan Haman.

Disebut nama kepala penjahat sahaja. Bukan mereka sahaja yang didakwah oleh Nabi Musa, tapi cukup sebut ketua sebagai isyarat kepada orang bawahan. Bukan mereka sahaja yang dimusnahkan tetapi pengikut-pengikut mereka juga.

Qarun – dia adalah daripada Bani Israil tapi jadi tali barut Firaun.
Firaun – Raja Mesir yang menindas Bani Israil dan menghambakan mereka.
Haman – Menteri Mesir yang menjadi orang kuat Firaun.

Kenapa susunan nama-nama mereka ini lain daripada yang lain kerana didahulukan nama Qarun? Ini mungkin kerana mengikut susunan siapa yang dimusnahkan dahulu. Allahu ‘alam.

 

وَلَقَد جاءَهُم مّوسىٰ بِالبَيِّنٰتِ

Dan sesungguhnya telah datang kepada mereka Musa dengan (membawa bukti-bukti) keterangan-keterangan yang nyata.

Nabi Musa dan Harun bukan datang dengan tangan kosong. Mereka datang dengan bawa dalil dan mukjizat. Tapi itu pun ditolak juga. Jadi kalau kita bawa dalil apabila kita dakwah kepada manusia dan mereka tolak, ini biasa sahaja. Kerana golongan degil dari dulu sampai sekarang pun akan tolak kebenaran.

Ini mengajar kita bahawa apabila kita berdakwah, kita kena sampaikan dengan sahih. Dan kena sampaikan dengan jelas. Jangan cakap berbelit-belit dan berpusing-pusing macam ahli politik.

 

فَاستَكبَروا فِي الأَرضِ

Akan tetapi mereka berlaku sombong di (muka) bumi, 

Tetapi mereka sombong untuk terima kebenaran. Ini adalah sifat orang yang degil. Mereka sangka mereka besar dan tidak perlu kepada kebenaran. Mereka rasa mereka lagi pandai orang yang dakwah kepada mereka.

 

وَما كانوا سٰبِقينَ

dan tiadalah mereka orang-orang yang luput 

Mereka tetap tidak dapat mendahului atau lepas daripada azab yang Allah kenakan kepada mereka walaupun mereka hebat macam mana pun. Mereka sangka mereka sudah kuat tapi kuat macam mana pun tidak akan dapat nak lawan kehendak Allah untuk mengenakan mereka dengan azab.


 

Ankabut Ayat 40: Allah ringkaskan tentang azab yang dikenakan kepada para penentang.

فَكُلًّا أَخَذنا بِذَنبِهِ ۖ فَمِنهُم مَّن أَرسَلنا عَلَيهِ حاصِبًا وَمِنهُم مَّن أَخَذَتهُ الصَّيحَةُ وَمِنهُم مَّن خَسَفنا بِهِ الأَرضَ وَمِنهُم مَّن أَغرَقنا ۚ وَما كانَ اللهُ لِيَظلِمَهُم وَلٰكِن كانوا أَنفُسَهُم يَظلِمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So each We seized for his sin; and among them were those upon whom We sent a storm of stones, and among them were those who were seized by the blast [from the sky], and among them were those whom We caused the earth to swallow, and among them were those whom We drowned. And Allāh would not have wronged them, but it was they who were wronging themselves.

(MELAYU)

Maka masing-masing (mereka itu) Kami seksa disebabkan dosanya, maka di antara mereka ada yang Kami timpakan kepadanya hujan batu kerikil dan di antara mereka ada yang ditimpa suara keras yang mengguntur, dan di antara mereka ada yang Kami benamkan ke dalam bumi, dan di antara mereka ada yang Kami tenggelamkan, dan Allah sekali-kali tidak hendak menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri.

 

فَكُلًّا أَخَذنا بِذَنبِهِ

Maka masing-masing (mereka itu) Kami seksa disebabkan dosanya,

Dan setiap dari mereka yang menentang Rasul itu dikenakan azab kerana dosa-dosa yang mereka lakukan. Ada berbagai jenis azab yang Allah kenakan.

 

فَمِنهُم مَّن أَرسَلنا عَلَيهِ حاصِبًا

maka di antara mereka ada yang Kami timpakan kepadanya hujan batu

Ada yang dihujani dengan batu. Seperti yang dikenakan kepada kaum Nabi Luth (Sodom). Juga Kaum Aad, kerana mereka mengatakan, “Siapakah yang lebih kuat daripada kami?”

Maka datanglah angin puyuh yang sangat dingin lagi sangat kuat tiupannya; angin tersebut menerbang­kan semua batu kerikil dan menerbangkan mereka tinggi-tinggi ke udara, lalu mereka dijatuhkan dengan kepala di bawah sehingga hancurlah kepala mereka, yang tertinggal adalah badan mereka saja tanpa kepala, seakan-akan keadaan mereka bagaikan pokok-pokok kurma yang tumbang.

 

وَمِنهُم مَّن أَخَذَتهُ الصَّيحَةُ

dan di antara mereka ada yang ditimpa suara keras yang mengguntur,

Ada yang kena tempik sampai mati. Seperti yang dikenakan kepada penduduk Antokiah dalam Surah Yaasin dan banyak lagi kaum lain.

Mereka juga adalah kaum Tsamud. Hujah Allah telah ditegakkan terhadap mereka dan bukti kebenaran telah ditampakkan kepada mereka melalui unta betina yang muncul dari sebuah batu besar, sesuai dengan apa yang dimintakan oleh mereka kepada Nabi Saleh. Tetapi sekali pun demikian mereka tetap tidak beriman, bahkan mereka tetap tenggelam di dalam kekafiran dan perbuatan mereka yang melampaui batas.

Mereka juga mengancam Nabi Saleh bersama orang-orang yang beriman kepadanya, bahawa Saleh dan para pengikutnya akan diusir oleh mereka dari negeri dan akan direjam dengan batu. Maka datanglah pekikan keras yang mengguntur mereka sehingga mereka tiada bersuara lagi dan binasalah mereka semuanya.

 

وَمِنهُم مَّن خَسَفنا بِهِ الأَرضَ

dan di antara mereka ada yang Kami benamkan ke dalam bumi, 

Ada yang dibenamkan dalam tanah seperti Qarun. Dia berjalan di muka bumi dengan langkah-langkah yang sombong dan angkuh serta bertindak sesuka hatinya, dan dia menduga bahawa lebih utama daripada orang lain serta berjalan dengan penuh kebanggaan dan keangkuhan.

Maka Allah membenamkan dirinya termasuk rumahnya sekali ke dalam tanah. Dia terus terbenam ke dalam bumi sampai hari kiamat. Setiap hari semakin dalam dimasukkan ke dalam bumi. Maknanya, sekarang Qarun sedang dibenam di dalam tanah semakin dalam dan semakin dalam.

 

وَمِنهُم مَّن أَغرَقنا

dan di antara mereka ada yang Kami tenggelamkan, 

Ada yang ditenggelamkan ke dalam laut seperti Firaun dan tenteranya, Nabi Nuh dan mungkin ada banyak lagi.

 

وَما كانَ اللهُ لِيَظلِمَهُم

dan Allah sekali-kali tidak hendak menganiaya mereka, 

Walaupun teruk sekali azab yang dikenakan kepada mereka, tapi tidaklah Allah zalim. Allah tidak pernah zalim. Allah tambah beritahu perkara ini kerana kalau tidak faham tentang tauhid dan kenal Allah, maka mungkin ada yang kata: “kenapa ganas sangat Tuhan kamu ini?”. Begitulah yang dikatakan oleh atheis (tidak percaya kewujudan tuhan).

 

وَلٰكِن كانوا أَنفُسَهُم يَظلِمونَ

akan tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri.

Mereka dikenakan dengan azab itu adalah kerana mereka sendiri yang telah melakukan kesalahan. Segala hujah dan dalil telah diberikan tapi masih juga tidak mahu dengar dan taat. Dan mereka telah berlaku zalim dan berbuat kerosakan di atas muka bumi. Maka memang layaklah mereka dikenakan dengan azab itu.

Jadi ayat ini ditujukan kepada orang beriman dan juga para penentang:

    1. Kepada orang beriman, Allah nak beri pujukan kepada mereka, iaitu orang yang menganiayai mereka, akan diberi balasan setimpal.
    2. Kepada orang yang menentang dan menzalimi orang beriman, Allah beri amaran keras: mereka juga boleh dikenakan dengan azab yang keras seperti yang pernah dikenakan kepada umat terdahulu. Jadi jangan mereka senang hati sangat.

 

Ankabut Ayat 41: Ayat 41 – 43 adalah Perenggan Makro Keempat. Ia memberitahu kita yang akidah syirik itu lebih rapuh dari sarang labah-labah. Kerana penting perkara inilah yang nama surah ini dinamakan Surah Labah-labah.

Ia mengandungi teguran tentang fahaman syirik manusia. Umat yang dikenakan azab itu semuanya mengamalkan syirik. Maka Allah beri penekanan dan penjelasan tentang syirik selepas menyebut tentang penghancuran mereka itu. Allah terangkan dengan apakah syirik itu dengan menggunakan perumpamaan dan dalam ayat ini, dibandingkan dengan sarang labah-labah.

مَثَلُ الَّذينَ اتَّخَذوا مِن دونِ اللهِ أَولِياءَ كَمَثَلِ العَنكَبوتِ اتَّخَذَت بَيتًا ۖ وَإِنَّ أَوهَنَ البُيوتِ لَبَيتُ العَنكَبوتِ ۖ لَو كانوا يَعلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

The example of those who take allies other than Allāh is like that of the spider who takes [i.e., constructs] a home. And indeed, the weakest of homes is the home of the spider, if they only knew.

(MELAYU)

Perumpamaan orang-orang yang mengambil pelindung-pelindung selain Allah adalah seperti labah-labah yang membuat rumah. Dan sesungguhnya rumah yang paling lemah adalah rumah labah-labah kalau mereka mengetahui.

 

مَثَلُ الَّذينَ اتَّخَذوا مِن دونِ اللهِ أَولِياءَ

Perumpamaan orang-orang yang mengambil pelindung-pelindung selain Allah

Allah sekarang sedang memberi perumpamaan dan selepas ini akan ada banyak perumpamaan lagi. Allah banyak mengajar menggunakan perumpamaan atau analogi kerana ini adalah cara yang bagus untuk mengajar manusia. Manusia senang faham apabila menggunakan analogi (perbandingan).

 

كَمَثَلِ العَنكَبوتِ اتَّخَذَت بَيتًا

adalah seperti labah-labah yang membuat rumah. 

Sekarang Allah sudah sebut ankabut yang dijadikan nama surah ini. Allah beri perumpamaan dengan benda-benda yang senang dilihat. Dan labah-labah memang selalu sahaja ada di dalam rumah. Semua boleh lihat dan kenang-kenangkan. Kita tidak mahu sarang labah-labah pun ia tetap ada di ceruk rumah kita, bukan?

Ada maklumat menarik di dalam ayat ini. Kalimah yang digunakan di dalam potongan ayat ini adalah اتَّخَذَت sedangkan di dalam potongan ayat sebelum ini digunakan kalimah اتَّخَذوا. Apakah bezanya? Bezanya adalah kalau اتَّخَذَت yang digunakan, ia menunjukkan pelakunya adalah betina. Jadi di sini kita dapat tahu yang buat sarang labah-labah adalah labah-labah betina.

Kajian zoologi mendapati memang begitulah. Labah-labah jantan tak buat sarang, mereka simpan sutera mereka untuk mengawan. (Tak guna punya jantan! )Tapi maklumat ini hanya diketahui zaman moden ini bila kajian dibuat. Tapi Allah sudah cakap di dalam Al-Qur’an 1,400 tahun dahulu lagi. Begitulah tepatnya maklumat yang ada di dalam Al-Qur’an kerana ia adalah Kalamullah dan ia adalah salah satu dari mukjizat Al-Qur’an.

 

وَإِنَّ أَوهَنَ البُيوتِ لَبَيتُ العَنكَبوتِ

Dan sesungguhnya rumah yang paling lemah adalah rumah labah-labah

Rumah ataupun sarang labah-labah itu adalah rumah yang paling lemah dan paling rapuh. Labah-labah menggunakan sarangnya itu untuk menangkap makanannya dan setiap kali ia akan rosak. Ia juga boleh rosak kalau ditiup angin.

Jadi, ia adalah rumah yang paling lemah. Tapi bagaimana pula Nabi Muhammad yang tinggal di tanah Arab tahu perkara ini? Tidak lain dan tidak bukan kerana Allah yang berikan wahyu ini. Boleh dibaca di sini: http://www.miracles-of-quran.com/spider_web.htm

Allah hendak memberitahu bahawa kekayaan, kekuasaan, segala rumah-rumah dan segala harta-harta itu boleh dinisbahkan kepada sarang labah-labah sahaja. Memang kita pun tahu rapuhnya sarang labah-labah itu dan tentu tidak boleh dijadikan sebagai tempat bergantung.

Kalau kita lihat labah-labah itu berusaha bersungguh-sungguh untuk buat rumahnya tetapi akhirnya akan rosak juga. Kalau sarang labah-labah itu dijumpai di rumah, maka tentu tuan rumah itu akan membuangnya dengan mudah sahaja. Kerana ianya tidak ada harga.

Dalam ayat sebelum ini telah disebut bagaimana ada kaum-kaum yang mengamalkan syirik telah dihancurkan. Mereka itu semasa hidup mereka telah menyembah dan menyeru kepada selain Allah. Mereka sangka yang ilah-ilah yang mereka seru itu dapat menyelamatkan mereka dan memberi bantuan kepada mereka. Tapi Allah beritahu yang pengharapan mereka itu seperti mereka berharap kepada sarang labah-labah yang amat lemah sahaja.

 

لَو كانوا يَعلَمونَ

kalaulah mereka mengetahui.

Kalaulah manusia boleh berfikir dan ambil pengajaran, maka tentulah mereka tidak akan melakukan syirik.

Surah ini tentang para sahabat yang sedang diseksa oleh Musyrikin Mekah yang kuat waktu itu, maka Allah hendak memberitahu bahawa kehebatan mereka itu tidak hebat mana pun. Jangankan mereka berlagak sangat.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat seterusnya.

Kemaskini: 18 Jun 2023


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Ankabut Ayat 34 – 38 (Orang pandai tapi bodoh)

Ayat 34: Sekarang disebut apakah azab yang dikenakan kepada penduduk Sodom pada zaman Nabi Luth as. itu.

إِنّا مُنزِلونَ عَلىٰ أَهلِ هٰذِهِ القَريَةِ رِجزًا مِّنَ السَّماءِ بِما كانوا يَفسُقونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, we will bring down on the people of this city punishment from the sky because they have been defiantly disobedient.”

(MELAYU)

Sesungguhnya Kami akan menurunkan azab dari langit atas penduduk kota ini kerana mereka berbuat fasik.

 

إِنّا مُنزِلونَ عَلىٰ أَهلِ هٰذِهِ القَريَةِ رِجزًا مِّنَ السَّماءِ

Sesungguhnya Kami akan menurunkan azab dari langit atas penduduk kota ini

Para malaikat itu kata yang mereka akan menghujani kaum itu dengan azab dari langit. Mereka dihujankan dengan batu-batu Sijjil. Malaikat Jibril telah mengangkat kota mereka dari bawah tanah, lalu mengangkatnya ke udara, setelah itu dijungkirkan dan ditangkubkan ke bumi, sedangkan mereka berada di bawahnya.

Lalu Allah mengirimkan hujan batu dari sijjil (tanah liat yang dibakar), masing-masing batu telah diberi tanda (setiap batu sudah ada nama siapa yang akan kena).

 

بِما كانوا يَفسُقونَ

kerana mereka berbuat fasik.

Mereka layak dikenakan dengan azab itu kerana mereka itu fasik – sentiasa melakukan dosa. Maka bukanlah Allah zalim. Allah kenakan azab kepada mereka yang memang layak kena.


 

Ayat 35:

وَلَقَد تَّرَكنا مِنها ءآيَةً بَيِّنَةً لِّقَومٍ يَعقِلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We have certainly left of it a sign as clear evidence for a people who use reason.

(MELAYU)

Dan sesungguhnya Kami tinggalkan daripadanya satu tanda yang nyata bagi orang-orang yang berakal.

 

Negara Sodom itu telah dimusnahkan tetapi ianya telah ditemui di dalam laut dan menjadi peringatan kepada manusia. Iaitu tempat berdekatan dengan Laut Mati. Allah menjadikan bekas tempat tinggal mereka sebuah danau yang kotor lagi busuk airnya. Sepatutnya manusia yang pergi ke sana, terkesan dengan apa yang berlaku itu dan tidak berani untuk melakukan kesalahan Kaum Nabi Luth itu.

Jadi semua kisah yang disebut ini adalah sebagai hujah kepada Dakwa Kedua surah ini: iaitu mereka yang menentang para Nabi dan Rasul akan dimusnahkan. Zaman sekarang tidak ada Rasul lagi, tapi ada penyebar dakwah. Maka kalaulah ada yang menentang penyebar tauhid pun, mereka akan mengalami nasib yang sama.


 

Ayat 36: Kisah keempat iaitu kisah Nabi Syu’aib a.s. Ayat 36 dan 37 adalah Perenggan Makro 3d iaitu tentang ujian yang dikenakan kepada Nabi Syuaib a.s. pula.

وَإِلىٰ مَديَنَ أَخاهُم شُعَيبًا فَقالَ يٰقومِ اعبُدُوا اللهَ وَارجُوا اليَومَ الآخِرَ وَلا تَعثَوا فِي الأَرضِ مُفسِدينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And to Madyan [We sent] their brother Shu‘ayb, and he said, “O my people, worship Allāh and expect the Last Day and do not commit abuse on the earth, spreading corruption.”

(MELAYU)

Dan (Kami telah mengutus) kepada penduduk Mad-yan, saudara mereka Syu’aib, maka dia berkata: “Hai kaumku, sembahlah olehmu Allah, harapkanlah (pahala) hari akhir, dan jangan kamu berkeliaran di muka bumi berbuat kerosakan”.

 

وَإِلىٰ مَديَنَ أَخاهُم شُعَيبًا

Dan (Kami telah mengutus) kepada penduduk Mad-yan, saudara mereka Syu’aib,

Sekarang kita masuk ke kisah yang baru, terjadi di Madyan. Madyan ini adalah tempat hijrah Nabi Musa a.s. selepas baginda membunuh (tidak sengaja) Lelaki Qibti seperti yang disebut dalam Surah Qasas. Ada pendapat yang mengatakan, Nabi Syu’aib itu adalah bapa mertua baginda, tapi ada pula pendapat yang mengatakan tidak. Ini adalah kerana zaman antara keduanya tidak sama. Allahu a’lam.

 

فَقالَ يٰقومِ اعبُدُوا اللهَ

maka dia berkata: “Hai kaumku, sembahlah olehmu Allah, 

Seperti juga para Rasul yang lain, Nabi Syu’aib mengajak kaumnya itu menyembah Allah taala sahaja. Jangan seru selain Allah, jadi minta doa kepada selain Allah.

 

وَارجُوا اليَومَ الآخِرَ

harapkanlah (pahala) hari akhir,

Dan baginda mengajar mereka untuk berbuatlah sesuatu yang dapat memberi harapan kepada mereka di akhirat kelak. Buatlah amal ibadat yang dengan amal itu, mereka boleh berharap mendapat kebaikan di akhirat.

Begitu juga dengan kita, kenalah bersedia untuk akhirat. Belajarlah amal-amal yang soleh supaya dapat mengisi bekal kita semasa kita hidup di dunia ini. Jangan berharap kosong sahaja; kerana ada yang sangka, dengan mengucap syahadah sahaja, sudah tentu selamat.

Ini belum tentu lagi kerana ada banyak perkara yang kita tidak amalkan. Ingatlah yang Nabi Muhammad berdakwah dan mengajar selama 23 tahun, maka banyaklah perkara yang baginda sampaikan, bukan? Maka kena terus belajar agama.

 

وَلا تَعثَوا فِي الأَرضِ مُفسِدينَ

dan jangan kamu berkeliaran di muka bumi berbuat kerosakan”.

Dan baginda memberi nasihat kepada mereka supaya jangan berbuat kerosakan di atas muka bumi. Sama ada kerosakan dari segi fizikal ataupun agama. Demikian itu kerana mereka biasa mengurangi takaran dan timbangan serta gemar menyamun. Yang lebih berat, mereka telah melakukan kerosakan dari segi agama.


 

Ayat 37: Apakah jawapan penduduk Madyan itu?

فَكَذَّبوهُ فَأَخَذَتهُمُ الرَّجفَةُ فَأَصبَحوا في دارِهِم جٰثِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But they denied him, so the earthquake seized them, and they became within their home [corpses] fallen prone.

(MELAYU)

Maka mereka mendustakan Syu’aib, lalu mereka ditimpa gempa yang dahsyat, dan jadilah mereka mayat-mayat yang bergelimpangan di tempat-tempat tinggal mereka.

 

فَكَذَّبوهُ

Maka mereka mendustakan Syu’aib,

Tapi kaumnya itu mendustakan baginda. Maksudnya mereka kata Nabi Syu’aib berdusta sahaja. Mereka tidak mahu terima dakwah tauhid dan mereka berterusan hendak melakukan dosa dan melanggar ketaatan kepada Allah.

Tidak disebut apakah kesalahan mereka kerana telah disebut dalam surah-surah yang lain. Ayat ini pendek sahaja kerana hendak menekankan azab yang mereka terima sahaja.

 

فَأَخَذَتهُمُ الرَّجفَةُ

lalu mereka ditimpa gempa yang dahsyat,

Azab yang dikenakan kepada mereka adalah gempa bumi yang kuat. Dengan gempa bumi itu, mereka dihancurkan. Kisah mengenai mereka telah disebutkan panjang lebar di dalam tafsir Surah Al-A’raf, Hud dan Asy-Syu’ara.

 

فَأَصبَحوا في دارِهِم جٰثِمينَ

dan jadilah mereka mayat-mayat yang bergelimpangan di tempat-tempat tinggal mereka.

Maka mereka mati di dalam keadaan bergelimpangan, tidak ada nilai. Mayat mereka ditimpakan satu atas yang lainnya. Mereka sangka mereka hebat sangat, boleh buat apa sahaja. Tapi bila azab Allah dikenakan kepada mereka, mereka mati begitu sahaja.

Waktu surah ini diturunkan para sahabat sedang diseksa maka Allah hendak memberitahu kepada para sahabat bahawa orang-orang yang melakukan kekejaman itu tidak akan selamat. Dan Allah nak beri ancaman kepada Musyrikin Mekah yang menindas para sahabat itu, jangan mereka rasa mereka selamat.


 

Ayat 38: Ini adalah kisah ke-lima dalam surah ini. Dari ayat 38 – 40 adalah Perenggan Makro 3e dan ia tentang kaum yang telah dimusnahkan.

وَعادًا وَثَمودَ وَقَد تَّبَيَّنَ لَكُم مِّن مَّسٰكِنِهِم ۖ وَزَيَّنَ لَهُمُ الشَّيطٰنُ أَعمٰلَهُم فَصَدَّهُم عَنِ السَّبيلِ وَكانوا مُستَبصِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [We destroyed] ‘Aad and Thamūd, and it has become clear to you from their [ruined] dwellings. And Satan had made pleasing to them their deeds and averted them from the path, and they were endowed with perception.

(MELAYU)

Dan (juga) kaum ‘Aad dan Tsamud, dan sungguh telah nyata bagi kamu (kehancuran mereka) dari tempat tinggal mereka. Dan syaitan menjadikan mereka memandang baik perbuatan-perbuatan mereka, lalu dia menghalangi mereka dari jalan (Allah), sedangkan mereka adalah orang-orang berpandangan tajam,

 

وَعادًا وَثَمودَ

Dan (juga) kaum ‘Aad dan Tsamud,

Mereka itu tempat tinggalnya di Tanah Arab juga dan Musyrikin Mekah kenal kisah mereka dan kawasan itu kerana mereka ada melalui kawasan-kawasan itu di dalam perjalanan musafir perdagangan mereka.

Dan mereka juga tahu bahawa Allah telah memberi azab kepada dua kaum itu kerana menentang Nabi dan Rasul mereka. Maka, Allah ingatkan mereka sahaja.

 

وَقَد تَّبَيَّنَ لَكُم مِّن مَّسٰكِنِهِم

dan sungguh telah nyata bagi kamu (kehancuran mereka) dari tempat tinggal mereka. 

Musyrikin Mekah sendiri sudah lihat kawasan peninggalan kaum Aad dan Tsamud itu. Memang sudah jelas nyata tentang hal mereka itu. ‘Aad adalah kaum Nabi Hud a.s. dan mereka tinggal di daerah Ahqaf (bukit-bukit pasir) yang letaknya dekat dengan Hadramaut di negeri Yaman. Tsamud pula adalah kaum Nabi Saleh, mereka tinggal di kota Al-Hijr yang letaknya dekat dengan Wadil Qura.

 

وَزَيَّنَ لَهُمُ الشَّيطٰنُ أَعمٰلَهُم

Dan syaitan menjadikan mereka memandang baik perbuatan-perbuatan mereka, 

Syaitan telah mencantikkan segala perbuatan mereka, segala kekayaan mereka, segala kejayaan dan kerana itu mereka nampak mereka itu hebat dan benar.

Amalan mereka adalah amalan yang salah, tapi syaitan telah mengelabui mata mereka sampai mereka nampak amalan mereka itu benar. Macam kebanyakan daripada orang Islam sekarang, banyak yang mengamalkan amalan syirik dan bidaah. Tapi mereka tidak sedar yang amalan mereka itu salah kerana syaitan sudah mengelabui mata mereka.

Ini adalah talbis iblis. Jadi apabila kita tegur mereka, mereka pula yang marah kepada kita kerana mereka sangka sungguh yang amalan mereka itu Allah suka. Padahal, amalan mereka itu tidak ada dalil pun.

 

فَصَدَّهُم عَنِ السَّبيلِ

lalu dia menghalangi mereka dari jalan (Allah), 

Dan dengan cara itu, syaitan dapat menghalang mereka daripada jalan yang benar. Syaitan bagi mereka nampak amalan mereka itu benar, sampai mereka tak rasa nak tukar.

Macam zaman sekarang, ramai yang sibuk mengamalkan amalan yang syirik dan bidaah, sampai tidak sempat nak belajar. Sampai tidak sempat nak amal amalan yang benar. Mereka sangka: ‘amal baik, apa salahnya….’. Mereka tidak tahu yang syaitan sibukkan mereka dengan amalan yang tidak benar, seperti suruh berzikir beribu kali dalam sehari.

Apabila sudah sibuk berzikir, bilakah masanya mereka sempat belajar? Maka mereka tidak belajar dan terus dalam kejahilan. Inilah yang banyak terjadi kepada orang-orang tarekat sufi sekarang. Mereka rasa amalan mereka dan fahaman mereka sudah molek, tapi mereka tidak tahu yang mereka buat amalan syirik dan bidaah. Kalau mereka belajar sunnah, mereka akan nampak.

 

وَكانوا مُستَبصِرينَ

sedangkan mereka adalah orang-orang berpandangan tajam,

Allah telah beri kecerdasan akal kepada Kaum Aad dan Tsamud itu, tetapi walaupun mereka itu cerdas akal, tetapi berjaya juga ditipu oleh syaitan.

Ini mengajar kita bahawa orang-orang yang pandai pun boleh juga tertipu kerana kadang-kadang ada benda yang mereka bodoh juga. Kerana itu kadang-kadang kita lihat ada orang yang IQ tinggi tetapi mereka terlibat dengan dadah dan sebagainya.

Kita juga boleh lihat agama lain: bagaimana orang-orang terpelajar dalam dunia dan bekerja sebagai peguam, doktor, dan sebagainya tapi amalkan agama Hindu yang sembah patung, mandi dan minum air sungai yang kotor dan sebagainya.

Begitu juga, ada orang yang terpelajar dalam keduniaan, tapi masuk ajaran tarekat dan jadi bodoh sangat, percaya sahaja apa yang disampaikan oleh guru mereka. Inilah yang dimaksudkan dengan pepatah Arab أغنياء لكن أغبياء (mereka pandai, tapi bodoh juga). Maka, tahulah kita yang orang pandai pun boleh kena tipu juga.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 15 Jun 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi