Tafsir Surah al-An’am Ayat 71 – 74 (Dakwah Nabi Ibrahim kepada bapanya Azar)

An’am Ayat 71: Setelah dalil-dalil disebut dalam ayat-ayat sebelum ini, ini adalah natijahnya. Inilah yang kita kena lakukan setelah kita faham bab tauhid.

قُل أَنَدعو مِن دونِ اللَّهِ ما لا يَنفَعُنا وَلا يَضُرُّنا وَنُرَدُّ عَلىٰ أَعقابِنا بَعدَ إِذ هَدٰنَا اللَّهُ كَالَّذِي استَهوَتهُ الشَّيیٰطينُ فِي الأَرضِ حَيرانَ لَهُ أَصحٰبٌ يَدعونَهُ إِلَى الهُدَى ائتِنا ۗ قُل إِنَّ هُدَى اللَّهِ هُوَ الهُدىٰ ۖ وَأُمِرنا لِنُسلِمَ لِرَبِّ العٰلَمينَ

Sahih International

Say, “Shall we invoke instead of Allah that which neither benefits us nor harms us and be turned back on our heels after Allah has guided us? [We would then be] like one whom the devils enticed [to wander] upon the earth confused, [while] he has companions inviting him to guidance, [calling], ‘Come to us.’ ” Say, “Indeed, the guidance of Allah is the [only] guidance; and we have been commanded to submit to the Lord of the worlds.

Malay

Katakanlah: “Patutkah kita menyeru serta menyembah yang lain dari Allah, sesuatu yang tidak dapat memberi manfaat kepada kita dan tidak dapat mendatangkan mudarat kepada kita; dan (patutkah) kita dikembalikan undur ke belakang (menjadi kafir musyrik) setelah kita diberi hidayah petunjuk oleh Allah (dengan ugama Islam), seperti orang yang telah disesatkan oleh Syaitan-syaitan di bumi (di tempat yang lengang) dalam keadaan bingung, sedang dia pula mempunyai sahabat-sahabat yang mengajaknya ke jalan yang lurus (dengan berkata kepadanya): “Marilah bersama-sama kami. “Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah sebenar-benar petunjuk, dan kita diperintahkan supaya berserah diri kepada Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam”.

قُ أَنَدْعُو مِن دُونِ اللَّهِ

Katakanlah: “Apakah kita akan menyeru selain daripada Allah,

Ramai manusia yang jahil wahyu dan sesat yang menyeru selain daripada Allah ‎ﷻ. Mereka seru kepada wali, kepada malaikat dan kepada Nabi-nabi. Sebagai contoh, puak-puak Habib buat majlis ‘menyeru’ Nabi Muhammad ﷺ. Ramai yang tertipu sampaikan penuh satu stadium ‘memuja’ Nabi Muhammad ﷺ yang sudah wafat.

Jika ditanya mengapa mereka membuat begitu; mereka akan jawab tujuan mereka membuat amalan tersebut adalah untuk ‘mendekatkan diri dengan Allah’. Namun malang sekali, mereka telah membuatnya dengan cara yang tidak benar dan tidak mengikut panduan yang Islam telah gariskan. Agama bukan perkara main-main, boleh sesuka hati sahaja membuat sebarang amalan dengan niat mahu ‘mendekatkan diri dengan Allah’. Tidak boleh mengada-adakan perkara ibadah yang tidak ada dan tidak diajar oleh baginda Rasulullah ﷺ.

Sama ada secara sedar atau tidak, mereka telah menggunakan ‘perantaraan’ sama ada dengan Nabi, wali atau malaikat. Perbuatan inilah yang dinamakan ‘tawasul‘. Amat ramai yang salah faham dengan tawasul ini. Telah banyak dibincangkan dalam penulisan tafsir ini. Harap boleh dibaca bahagian-bahagian tersebut dan dibuat pemahaman yang lebih jitu.

مَا لَا يَنفَعُنَا

sesuatu yang tidak dapat mendatangkan apa-apa kemanfaatan kepada kita

Adakah dengan kita menyeru Nabi, wali atau malaikat itu akan memberi manfaat kepada kita? Tidak sama sekali kerana yang diseru itu tidak tahu pun mereka diseru. Mereka sudah lama wafat dan mereka tidak dapat mendengar apa yang diserukan kepada mereka.

Dan malaikat yang diseru itu walaupun mereka mungkin dapat mendengar, mereka tidak dapat melayan kehendak kita pun. Mereka hanya menurut arahan daripada Allah‎ ﷻ sahaja. Maka itu pun perbuatan yang sia-sia juga. Maka kita ingatkan di sini bahawa perbuatan menyeru selain daripada Allah ‎ﷻ itu adalah perbuatan yang mungkar.

وَلَا يَضُرُّنَا

dan tidak (pula) mendatangkan kemudaratan kepada kita

Kalau buat tidak dapat apa, kalau tidak buat pun tidak menjadi apa-apa. Adakah membahayakan kita jika kita tidak menggunakan Nabi, wali dan malaikat sebagai perantara kita? Tentu tidak ada apa-apa mudarat pun, bukan?

Maka jangan kita menjadi seperti puak musyrik yang sembah berhala. Mereka diajar kalau tidak disembah berhala-berhala itu, mudarat akan datang kepada mereka.

وَنُرَدُّ عَلَىٰ أَعْقَابِنَا

dan (apakah) kita akan kembali ke belakang,

Adakah patut kita kembali ke belakang? Kembali ke belakang itu maksudnya menjadi kafir semula, apabila kita telah beriman. Setelah masyarakat Melayu kita ini menerima Islam beratus-ratus dahulu, adakah patut kita mengambil semula fahaman agama Hindu tok nenek kita dahulu? Tentu tidak patut sama sekali.

بَعْدَ إِذْ هَدٰنَا اللَّهُ

sesudah Allah memberi petunjuk kepada kita,

Adakah kita mahu menjadi murtad selepas kita telah mendapat iman? Hidayah telah lama Allah ‎ﷻ berikan namun kita tidak ambil peduli. Kita tidak mahu belajar wahyu Allah ‎ﷻ yang ada dalam Al-Qur’an ini? Maka alangkah rugi sekali.

كَالَّذِي اسْتَهْوَتْهُ الشَّيٰطِينُ فِي الْأَرْضِ

seperti orang yang telah disesatkan oleh syaitan di dunia;

Kalimah اسْتَهْوَتْهُ berasal daripada katadasar ه و ي (hawa) yang bermaksud ‘keinginan’. Atau kita selalu gunakan dengan perkataan ‘hawa nafsu’. Apabila kita berfikir tidak menggunakan akal lagi tetapi menggunakan emosi kita, nafsu kita.

Ia juga bermaksud ‘jatuh dari atas’. Apabila kita terjatuh dari atas, kita tidak tahu ke mana kita akan jatuh lebih-lebih lagi jika kita jatuh dari kedudukan yang tinggi.

Maka, اسْتَهْوَتْهُ bermaksud perbuatan yang menyebabkan seseorang hilang arah setelah akalnya tidak berfungsi lagi. Akal tidak berfungsi setelah hawa nafsunya mengambil alih keputusan yang sepatutnya dilakukan oleh akal.

Perkataan ini juga digunakan untuk menerangkan ‘orang gila’ kerana bangsa Arab percaya yang orang yang gila itu adalah mereka yang telah dirasuk oleh jin. Dan sememangnya dalam zaman moden ini pun ada mangsa yang hilang akal sampai jadi gila kerana dirasuk oleh jin.

Maka dalam ayat ini, orang yang melakukan syirik diibaratkan oleh Allah ‎ﷻ sebagai orang yang telah hilang akal sepenuhnya. Mereka telah dikawal oleh syaitan sehingga syaitan boleh mengarahkan mereka membuat apa-apa sahaja. Sampai begitu sekali mereka itu diibaratkan oleh Allah ‎ﷻ. Kalau akal ada, tetapi tidak digunakan, orang jenis apakah itu?

حَيْرَانَ

dalam keadaan bingung,

Perkataan ini berasal daripada katadasar ح ي ر yang bermaksud ‘bingung tidak tahu ke mana hendak pergi’. Tidak ada arah tujuan dan kerana itu mereka akan bergerak berpusing-pusing. Bayangkan kalau kita berjumpa dengan orang gila yang berseorangan di pekan, bagaimanakah keadaannya? Tentulah dia dalam keadaan kebingungan dan kalau kita tanya dia apa-apa pun dia tidak tahu.

Begitu jugalah dengan orang yang tidak belajar tafsir Al-Qur’an. Kalau kita beritahu kepada mereka bahawa tawasul itu tidak boleh, mereka kehairanan dan kebingungan. Mereka telah diajar dari dulu lagi untuk buat sebegitu dalam berdoa. Mereka telah diajar oleh guru-guru yang sesat bahawa tawasul itu bagus dan amat digalakkan.

Apabila kita kata kepada mereka, bahawa kebanyakan amalan mereka selama hari ini adalah amalan bid’ah, lagilah mereka terkejut. Kita boleh lihat mereka kehairanan dan kebingungan.

لَهُ أَصْحٰبٌ يَدْعُونَهُ إِلَى الْهُدَى

dia mempunyai kawan-kawan yang memanggilnya kepada jalan yang lurus

Dalam masa yang sama, mereka itu masih ada lagi kawan-kawan seperti kita yang mengajak mereka untuk menyelamatkan mereka daripada syirik. Maka, kitalah yang mesti menasihatkan mereka untuk berhenti daripada buat amalan-amalan syirik dan bid’ah itu.

Ayat ini mengingatkan kita supaya jangan tinggalkan kawan-kawan kita walaupun mereka sudah lama tinggalkan agama. Walaupun sudah lama tidak kisah tentang agama dan wahyu. Kita kena cari mereka dan ingatkan mereka.

ائْتِنَا

(dengan mengatakan): “Marilah ikuti kami”.

Untuk kita yang telah jumpa jalan yang benar, maka kita hendaklah mengajak mereka untuk mengikut kita. Ajaklah mereka dengan cara yang paling baik. Cari peluang bagaimana hendak mengajak mereka. Fikirkan bagaimana cara terbaik untuk kita ajak mereka. Oleh itu, ilmu-ilmu untuk berdakwah pun kena ada juga.

Allah ‎ﷻ telah ajar apakah yang perlu diberitahu kepada mereka.

قُلْ إِنَّ هُدَى اللَّهِ هُوَ الْهُدَىٰ

Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah (yang sebenarnya) petunjuk;

Hidayah itu mestilah dalam bentuk wahyu daripada Allah‎ ﷻ dan daripada Rasulullah ﷺ. Kena ajak mereka ke jalan menerima wahyu dalam kehidupan ini. Allah ‎ﷻ boleh beri petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Semoga kita termasuk dalam golongan yang diberikan petunjuk oleh Allah ‎ﷻ.

Hidayah adalah hak Allah ‎ﷻ. Kita boleh berdakwah, tetapi sama ada dia terima atau tidak, bukanlah kuasa kita untuk menentukannya. Kita hanya boleh berdakwah dan doakan untuk mereka.

وَأُمِرْنَا لِنُسْلِمَ لِرَبِّ الْعٰلَمِينَ

dan kita disuruh agar menyerahkan diri kepada Tuhan semesta alam,

Ajak mereka untuk menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah ‎ﷻ, iaitu beritahu mereka yang kita telah disuruh untuk serah diri 100% kepada Allah ‎ﷻ kerana Dialah Tuhan sekalian alam.

‘Serah diri’ itu bermakna mengikut segala arahan dan meninggalkan segala larangan-Nya. Yang paling penting kita mulakan adalah dengan belajar tafsir Al-Qur’an kerana Al-Qur’an ini mengandungi ajaran tentang akidah dan tauhid. Itulah sepenting-penting ilmu.

Dengan belajar tafsir Al-Qur’an, maka kita akan faham apakah kehendak Allah ‎ﷻ kerana Allah ‎ﷻ telah terangkan dalam Al-Qur’an bagaimana menjadi seorang Muslim.


An’am Ayat 72: Apa lagi yang kita perlu dakwahkan?

وَأَن أَقيمُوا الصَّلَوٰةَ وَاتَّقوهُ ۚ وَهُوَ الَّذي إِلَيهِ تُحشَرونَ

Sahih International

And to establish prayer and fear Him.” And it is He to whom you will be gathered.

Malay

Dan (diperintahkan): Hendaklah kamu mengerjakan sembahyang dan bertaqwa kepadaNya, dan Dia lah Tuhan yang kepadaNya kamu akan dihimpunkan (pada hari akhirat kelak).

وَأَنْ أَقِيمُوا الصَّلَوٰةَ

dan agar mendirikan sembahyang

Telah dititahkan kepada kita: Kenalah buat amalan ibadah selain daripada mengakui telah beriman. Iman mestilah dibuktikan dengan amalan. Dan amalan yang paling penting adalah ‘mendirikan’ salat. Maksud ‘mendirikan’ sembahyang bermaksud, salat itu bukan hanya perbuatan takbiratul ihram sehingga kepada salam sahaja.

Ia mempunyai perbuatan yang lebih lagi daripada itu; iaitu hendaklah dimulakan daripada mandi junub dengan betul dan mengambil wudhu’ dengan betul. Kemudian memakai pula pakaian yang bersih. Salat sepertimana yang Nabi ﷺ ajar. Bukan setakat amalan salat itu sahaja. Bermakna, kita kena jaga ‘institusi’ salat itu. Ada benda-benda lain lagi yang perlu dipenuhi.

‘Mendirikan’ juga bermaksud kita hendaklah mementingkan salat itu daripada segala perbuatan lain. Bayangkan jika salat itu ‘tiang rumah’ kita. Kita pun selalu dengar yang salat itu adalah seumpama ‘tiang agama’.

Untuk membina sebah rumah, tiang rumah adalah perkara pertama dan asas yang perlu dibina sebelum memasukkan peralatan lain selepas itu seperti perabot contohnya. Jika kita beli perabot, kita kena susun perabot itu dengan mengambil kira kedudukan tiang rumah itu. Ini kerana kita tidak boleh mengubah kedudukan tiang. Kedudukan perabot haruslah disusun mengikut ketetapan tiang tersebut.

Maka, begitu juga dengan salat. Salat itu telah ditetapkan waktunya. Perkara lain dalam kehidupan kita yang kena ubah dan beralah dengan salat. Tidak boleh salat pula yang diubah-ubah semata-mata mahu menjalankan keperluan hidup kita. Segala kegiatan kita seharian seperti pekerjaan, temu-janji kita, makan minum, bersukan dan sebagainya mestilah berlandaskan dengan waktu salat itu.

Semua itu boleh dibuat, namun salat yang perlu diberikan keutamaan. Islam telah memberikan kelapangan dalam banyak hal berkenaan dengan waktu salat itu, maka hendaklah kita menggunakan kemudahan yang telah diberikan dalam agama itu.

وَاتَّقُوهُ

serta bertaqwa kepada-Nya”.

Bertaqwa bermaksud menjaga hukum Allah ‎ﷻ‎ﷻ. Benar-benar menjaganya daripada membuat syirik dan dosa-dosa yang lain. Dalam setiap pekerjaan kita, kita kena tahu, apakah hukum Allah ‎ﷻ dalam perkara itu supaya kita berhati-hati dan tidaklah kita menjalani kehidupan kita mengikut kehendak nafsu kita sahaja. Kena fikirkan hukum agama dalam setiap hal.

وَهُوَ الَّذِي إِلَيْهِ تُحْشَرُونَ

Dan Dialah Tuhan yang kepada-Nya-lah kamu akan dihimpunkan.

Sentiasa kita diingatkan dalam ayat-ayat Al-Qur’an yang kita akan dihimpunkan dan akan dibicarakan di hadapan Allah ‎ﷻ agar kita sentiasa beringat yang kita akan mati dan kita akan melalui perbicaraan Mahsyar yang amat menggerunkan.

Kalau kita dapat yakin dengan perkara ini, maka tentulah kita tidak berani untuk membuat perkara-perkara yang salah. Maka tentu kita akan sentiasa berhati-hati dalam apa sahaja yang kita lakukan. Tidakkah kita takut untuk ditanya di hadapan Allah ‎ﷻ nanti?  Apakah alasan kita ketika melakukan dosa-dosa tersebut?


An’am Ayat 73: Dalil Aqli tentang kewujudan Allah ‎ﷻ.

وَهُوَ الَّذي خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ بِالحَقِّ ۖ وَيَومَ يَقولُ كُن فَيَكونُ ۚ قَولُهُ الحَقُّ ۚ وَلَهُ المُلكُ يَومَ يُنفَخُ فِي الصّورِ ۚ عٰلِمُ الغَيبِ وَالشَّهٰدَةِ ۚ وَهُوَ الحَكيمُ الخَبيرُ

Sahih International

And it is He who created the heavens and earth in truth. And the day He says, “Be,” and it is, His word is the truth. And His is the dominion [on] the Day the Horn is blown. [He is] Knower of the unseen and the witnessed; and He is the Wise, the Acquainted.

Malay

Dan Dia lah yang menciptakan langit dan bumi dengan (tujuan) yang benar, dan (Dia lah juga) pada masa (hendak menjadikan sesuatu) berfirman: “Jadilah”, lalu terjadilah ia. FirmanNya itu adalah benar. Dan bagiNyalah kuasa pemerintahan pada hari ditiupkan sangkakala. Ia yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, dan Dia lah Yang Maha Bijaksana, lagi Maha mendalam pengetahuanNya.

وَهُوَ الَّذِي خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضَ بِالْحَقِّ

Dan Dialah yang menciptakan langit dan bumi dengan benar.

Allah ‎ﷻ menciptakan alam ini untuk menzahirkan ‘kebenaran’. Inilah tujuan alam dijadikan. ‘Kebenaran’ itu bermaksud bahawa Allah ‎ﷻlah yang mencipta semua sekali. Mana mungkin alam yang sebegini indah, tidak ada Penciptanya? Maka kenalah cari siapakah Sang Pencipta itu.

Sesiapa yang mencari kebenaran akan jumpa Allah ‎ﷻlah Tuhan yang mencipta alam semesta ini. Oleh itu, kenalah puja Dia sahaja, lakukan ibadah kepada Dia sahaja. Dan pastikan kita berdoa kepada Dia sahaja.

Namun begitu, alam ini tidak kekal abadi.

وَيَوْمَ يَقُولُ كُن فَيَكُونُ

di hari Dia mengatakan: “Jadilah, lalu terjadilah”,

Kalimah يَوْمَ bermaksud ‘hari’ dan yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah ‘hari kebangkitan’. Pada hari itu alam ini akan dihancurkan. Kemudian Allah ‎ﷻ akan buat alam baru dan Allah ‎ﷻ akan memerintahkan semua makhluk untuk bangun dan semuanya akan bangun. Dan dari waktu itu bermulalah hari kebangkitan.

قَوْلُهُ الْحَقُّ

benarlah perkataan-Nya

Bermaksud apabila Allah ‎ﷻ memberikan arahan untuk memulakan hari Kiamat, ia akan pasti berlaku kerana perkataan Allah ‎ﷻ adalah perkataan yang haq. Kalimah Allah ‎ﷻ pasti akan memberi kesan. Ia pasti akan terjadi. Tidak ada ragu-ragu lagi bahawa ia pasti akan berlaku. Tidak ada sesiapa pun yang boleh menolak arahan Allah‎ ﷻ itu. Kalau kita yang beri arahan, belum tentu akan jadi lagi.

وَلَهُ الْمُلْكُ

dan di tangan-Nya-lah segala kekuasaan

Segala kehendak Allah ‎ﷻ akan dipenuhi kerana Dialah yang memiliki segala kerajaan dan segala kekuasaan. Kalimah al-Mulk bermaksud kerajaan. Dalam dunia, ada manusia yang menguasai kerajaan, sesebuah negara, negeri dan sebagainya. Namun, kekuasaan mereka itu tidaklah mutlak.

Kekuasaan Allah ‎ﷻlah yang mutlak. Dan ia akan terzahir di akhirat kelak. Waktu itu, semua makhluk akan mengakui kekuasaan Allah‎ ﷻ tanpa ragu-ragu lagi.

يَوْمَ يُنفَخُ فِي الصُّورِ

di waktu sangkakala ditiup.

Bila hari kiamat telah berlaku, maka akan jelaslah bahawa kekuasaan hanya berada di tangan Allah ‎ﷻ sahaja. Jika dalam dunia sekarang, ada manusia yang rasa mereka ada kuasa sedikit.

Contohnya seorang raja atau pemimpin sangka mereka ada kuasa namun pada hari Kiamat kelak mereka akan tahu bahawa mereka langsung tidak ada kuasa pada waktu itu. Hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang berkuasa pada hari itu.

Dari segi bahasa, potongan ayat يُنفَخُ فِي الصُّورِ ini bukanlah bermaksud ‘sangkakala ditiup’. Lebih tepat lagi, ia bermaksud ‘ditiup ke dalam sangkakala’. Kita tidak tahu apakah yang akan ditiup itu. Tidak ada dalil yang sampai kepada kita untuk menceritakannya. Maka, kita terima dengan seadanya.

عٰلِمُ الْغَيْبِ وَالشَّهٰدَةِ

Dia mengetahui yang ghaib dan yang boleh dinampak.

Kita tidak tahu bagaimanakah Sangkakala itu kerana ia adalah perkara ghaib. Perkara ghaib hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang tahu. Kalimah الشَّهَادَةِ bermaksud sesuatu yang boleh digarap dengan pancaindera. Makhluk hanya boleh melihat yang zahir sahaja. Makhluk tidak boleh mengetahui yang ghaib melainkan diizinkan oleh Allah‎ ‎ﷻ.

Maka, kalau ada yang kata mereka boleh tahu perkara yang ghaib dengan kehendak mereka, maka itu adalah salah sama sekali. Percaya makhluk tahu perkara ghaib adalah syirik.

وَهُوَ الْحَكِيمُ الْخَبِيرُ

Dan Dialah Yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui.

Kalimah الْحَكِيمُ bermaksud terdapat hikmah dalam setiap perbuatan dan keputusan Allah ‎ﷻ termasuk di dalam keputusan Allah ‎ﷻ untuk menjadikan hari kebangkitan. Antara hikmahnya adalah setiap makhluk akan dibalas di atas perbuatan mereka selama mereka berada di dunia. Segala keadilan akan dijalankan pada hari itu.

Kalimah الْخَبِيرُ bermaksud Allah Maha Tahu tentang segala-galanya dan tentang setiap makhluk-Nya. Maka apabila Allah ‎ﷻ memberi keputusan kepada semua makhluk pada hari kiamat nanti, ia adalah keputusan yang adil. Tidaklah Allah ‎ﷻ akan menghukum makhluk di atas perkara yang mereka tidak lakukan.

Kalimah الْخَبِيرُ juga bermaksud Allah ‎ﷻ bukan hanya tahu tentang perkara yang dizahirkan oleh makhluk-Nya malah segala perkara batin yang dalam hati pun Allah‎ ﷻ tahu juga. Maka, Allah ‎ﷻ siapa yang ikut kebenaran dan siapakah yang tidak mahu ikut.


An’am Ayat 74: Sekarang masuk kepada Dalil Naqli Tafsili (Allah ‎ﷻ memberitahu secara terperinci). Ayat-ayat sebelum ini telah disebut tentang syirik.

Sekarang kita masuk kisah Nabi Ibrahim عليه السلام yang mengajak kaumnya kepada tauhid dan menentang syirik. Dalam ayat seterusnya ini, baginda telah berhujah kepada kaumnya bagaimana syirik itu adalah sesuatu yang tidak masuk akal.

Maka ayat ini hendak memberitahu manusia yang bukanlah Nabi Muhammad ﷺ membawa ajaran baru tetapi ajaran baginda sama sahaja dengan ajaran para Nabi yang terdahulu. Dan disebut banyak sekali tentang Nabi Ibrahim عليه السلام kerana baginda dikenali oleh masyarakat Mekah. Mereka pun mengaku yang mereka mengikut ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام. Namun benarkah begitu?

وَإِذ قالَ إِبرٰهيمُ لِأَبيهِ آزَرَ أَتَتَّخِذُ أَصنامًا ءآلِهَةً ۖ إِنّي أَرٰىكَ وَقَومَكَ في ضَلٰلٍ مُّبينٍ

Sahih International

And [mention, O Muhammad], when Abraham said to his father Azar, “Do you take idols as deities? Indeed, I see you and your people to be in manifest error.”

Malay

Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berkata kepada bapanya Aazar: “Patutkah ayah menjadikan berhala-berhala sebagai tuhan-tuhan? Sesungguhnya aku melihatmu dan kaummu dalam kesesatan yang nyata”.

وَإِذْ قَالَ إِبْرٰهِيمُ لِأَبِيهِ آزَرَ

Dan (ingatlah) di waktu Ibrahim berkata kepada bapanya, Aazar,

Terdapat khilaf dalam kalangan ulama’ tafsir sama ada ‘Aazar’ adalah nama sebenar bapa Nabi Ibrahim عليه السلام atau hanya laqab (gelaran) sahaja. Jika nama ‘Aazar’ adalah laqab sahaja, maka ada nama bapa Ibrahim عليه السلام yang lain. Tetapi kita tidak tahu dengan pasti kerana tidak disebut lagi dalam ayat lain dalam Al-Qur’an.

Terdapat juga khilaf sama ada Aazar itu adalah bapa Nabi Ibrahim عليه السلام, atau pakciknya atau datuknya. Ini kerana ada pendapat yang tidak mahu menerima bahawa bapa seorang Nabi adalah seorang yang jahat. Maka, memang terdapat kitab tafsir yang mengatakan nama bapa Nabi Ibrahim عليه السلام sebenarnya adalah Tarakh dan Auazar ini adalah pakciknya.

Oleh kerana itulah ada pendapat yang mengatakan Aazar itu bukanlah bapa sebenar Nabi Ibrahim عليه السلام. Namun begitu, kita terima apa yang Allah ‎ﷻ sebutkan dalam Al-Qur’an sendiri, iaitu Aazar adalah nama ‘bapa’ Nabi Ibrahim عليه السلام. Kita tidak mempersoalkan apa yang disampaikan. Oleh itu, jangan kita ubah-ubah melainkan terdapat dalil yang sahih.

Selalunya Al-Qur’an tidak menyebut nama seseorang melainkan ia adalah satu maklumat yang penting. Dalam sejarah Bani Israel, mereka ada nama lain bagi bapa Nabi Ibrahim عليه السلام. Maka, apabila Allah ‎ﷻ menyebut namanya dengan spesifik, ia seperti Allah ‎ﷻ hendak memperbetulkan maklumat salah yang disampaikan oleh bangsa Yahudi yang memang terkenal suka mengubah Kitab Taurat. Perangai mereka amat teruk sekali sampaikan sejarah Nabi mereka pun mereka selamba sahaja mengubahnya.

Dalam ayat ini, Nabi Ibrahim عليه السلام telah berdakwah kepada bapanya. Ini mengajar kita bahawa dakwah dimulakan di rumah. Itulah yang mula-mula sekali yang kita kena lakukan. Ini adalah kerana kita amat sayangkan ahli keluarga kita dan kita tidak mahu mereka terjerumus ke lembah kehinaan.

Alangkah sedihnya, kalau kita berdakwah kepada orang lain, dapat memperbetulkan mereka, tetapi ahli keluarga kita sendiri ada masalah. Begitu juga, kalau kita dapat sokongan keluarga, maka akan mudah buat kerja dakwah kepada masyarakat.

Oleh itu, mulakan dakwah dengan keluarga kita. Walaupun kita terpaksa berbeza pendapat dengan bapa kita. Walaupun mereka itu bapa kita, tetapi tidak semestinya mereka itu betul. Kalau mereka salah, kita sebagai anak mereka hendaklah berusaha untuk memperbetulkan mereka.

Mengajar kepada bapa kita sendiri bukanlah mudah sepertimana yang kita boleh lihat dalam kisah Nabi Ibrahim عليه السلام dan bapanya ini. Begitu juga, Nabi Muhammad ﷺ pun mempunyai masalah dengan keluarga baginda juga. Lihatlah bagaimana salah seorang penentang kuat baginda ada bapa saudara baginda sendiri, iaitu Abu Lahab.

أَتَتَّخِذُ أَصْنَامًا ءآلِهَةً

“Patutkah bapa menjadikan berhala-berhala sebagai tuhan-tuhan?

Hanya ayat ini sahaja dalam sepanjang Al-Qur’an ini yang menyebut kalimah ‘berhala’. Dalam ayat-ayat lain, digunakan perkataan lain untuk patung-patung yang disembah oleh masyarakat. Perkataan أَصْنَامًا  bermaksud ‘berhala’ iaitu patung yang dijadikan sebagai tempat pemujaan.

Oleh itu, perkataan ini bukanlah digunakan untuk semua jenis patung. أَصْنَامًا adalah berhala yang pemujanya sangka ia mempunyai kuasa. Penyembahnya merasakan bahawa ia mampu untuk memberi kelebihan dan kemudharatan kepada mereka. Sebab itu mereka sembah kerana mereka hendakkan sesuatu dan mereka takut kalau mereka tidak sembah, mereka akan mendapat sial atau bala.

Pertanyaan Nabi Ibrahim عليه السلام kepada bapanya itu adalah dalam bentuk kehairanan. Sebagaimana kita hairan kalau seseorang sedang buat sesuatu yang bodoh. Nabi Ibrahim عليه السلام hairan kenapa mereka bersungguh-sungguh menyembah berhala-berhala itu sedangkan berhala itu mereka sendiri yang buat?

Mereka buat sendiri, kemudian mereka sembah. Ini tidak masuk akal langsung. Ini mengajar kita bahawa salah satu cara dakwah adalah dengan menggunakan soalan yang menyebabkan mereka berfikir. Nabi Ibrahim عليه السلام banyak menggunakan pertanyaan dalam dakwahnya.

Jika kita ingin memulakan dakwah dan kalau kita tidak tahu bagaimana untuk memulakannya, maka, salah satu teknik yang boleh digunakan adalah dengan memulakan dengan pertanyaan. Tanya apa pegangan agama mereka. Tanya kenapakah mereka buat Salat Hajat berjama’ah, tanya kenapa mereka buat Majlis Tahlil dan pelbagai lagi perkara amal ibadah yang bid’ah. Tanya datang dari mana amalan itu?

Tanya supaya mereka fikir sendiri. Selalunya mereka pun tidak tahu kenapa mereka buat begitu. Melainkan mereka akan kata bahawa mereka cuma ikut perbuatan orang ramai yang buat begitu.

Ayat ini juga mengajar kita untuk menggunakan logik dalam dakwah. Bukanlah agama Islam ini lari daripada logik akal. Agama Islam ini amat sesuai dengan akal manusia yang waras. Yang tidak waras sahaja yang tidak boleh terima agama Islam ini.

Dalam kes umat Nabi Ibrahim عليه السلام ini, mereka menyembah berhala itu sebagai ‘tuhan’, bukan sebagai perantaraan lagi. Tidak sama dengan sembahan Hindu kepada patung mereka. Ini kerana jika kita tanya penganut Hindu itu, apakah patung itu tuhan mereka, mereka akan jawab tidak.

Mereka akan kata yang mereka sembah itu adalah patung dewa mereka, yang akan membawakan doa mereka kepada ‘tuhan yang satu’. Oleh itu, penganut Hindu hanya menjadikan patung mereka sebagai ‘perantaraan’ sahaja. Jadi lain dengan umat Nabi Ibrahim عليه السلام dalam ayat ini. Umat Nabi Ibrahim عليه السلام ini lagi teruk kerana mereka sudah lama menjadikan berhala mereka sebagai perantara, lama kelamaan mereka sembah sebagai tuhan.

Jika dibandingkan, umat Nabi Ibrahim عليه السلام itu adalah seperti penganut Kristian sekarang di mana mereka menyembah berhala sebagai tuhan sebagaimana umat Kristian juga menyembah Nabi Isa sebagai tuhan. Asalnya, Nabi Isa عليه السلام itu adalah perantaraan sahaja kepada Tuhan.

Mereka mengatakan yang baginda adalah ‘anak tuhan’. Namun lama kelamaan, sampai ke zaman sekarang ini, mereka sudah menganggap Nabi Isa عليه السلام itu sendiri sebagai ‘tuhan’. Begitu juga dengan penganut Buddha yang mengatakan Buddha itu sendiri sebagai tuhan.

Inilah bahayanya jika kita membiarkan manusia menggunakan ‘perantaraan’ atau tawasul dalam ibadat mereka kerana lama kelamaan, mereka akan menjadikan ‘wasilah’ itu sebagai tuhan. Adakah anda tahu bahawa ada dalam kalangan masyarakat Islam kita ini amat bodoh sampaikan mengatakan bahawa Nabi Muhammad ﷺ itu adalah jelmaan Allah ‎ﷻ di bumi?

Dan golongan Syiah pun sudah ada yang berdoa terus kepada Husain. Asalnya mereka jadikan sebagai perantara sahaja. Tetapi lama kelamaan golongan yang telah diperbodohkan itu terus berdoa kepada Husain untuk minta apa-apa hajat mereka.

إِنِّي أَرىٰكَ وَقَوْمَكَ

Sesungguhnya aku melihat bapa dan kaum bapa ini

Bukan bapa Nabi Ibrahim عليه السلام sahaja yang menyembah berhala, tapi kaumnya juga. Maknanya Nabi Ibrahim عليه السلام hidup di dalam masyarakat yang mengamalkan syirik terang-terangan. Maka, ini pun biasa sahaja, kalau kita hidup dalam masyarakat yang mengamalkan syirik.

فِي ضَلٰلٍ مُّبِينٍ

dalam kesesatan yang nyata”.

Mereka dalam kesesatan yang nyata kerana mereka seru selain Allah.

Ayat ini dibacakan kepada penduduk Mekah yang juga memuja dan menyembah berhala. Sudah 13 tahun mereka diberikan dakwah oleh Nabi ﷺ. Sekarang kisah Nabi Ibrahim عليه السلام dibawakan kepada mereka sebagai satu contoh kebodohan yang dilakukan oleh masyarakat yang terdahulu dengan harapan semoga mereka boleh mendapat pengajaran daripada kaum itu.

Berikut adalah serba sedikit tentang Nabi Ibrahim عليه السلام:

Nabi Ibrahim عليه السلام hidup 2 ribu tahun Sebelum Masihi di satu bandar yang dikenali sebagai Urr. Ia berada di dalam kawasan Iraq sekarang. Ada banyak kasta yang ada pada waktu Nabi Ibrahim عليه السلام. Ada golongan yang elit dan golongan bawahan. Dan Nabi Ibrahim عليه السلام termasuk dalam kumpulan yang elit.

Dan seperti biasa, ada yang miskin dan lemah. Kaumnya waktu itu memuja banyak tuhan. Setiap pekan ada tuhannya sendiri. Di Urr pun ada berhalanya sendiri. Namanya Mannar. Berhala Mannar diletakkan di tempat utama bandar itu. Selain daripada berhala, mereka juga memuja bulan, bintang dan lain-lain lagi.

Dalam ayat ini, Nabi Ibrahim عليه السلام dengan jelas menyatakan bahawa bapanya dan kaumnya itu dalam kesesatan yang nyata. Satu persoalan timbul dalam membaca ayat ini: Bolehkah kita kata sesetengah golongan sebagai sesat? Ada yang tidak dapat terima kalau kita kata ada golongan yang sesat. Kerana mereka kata, kita tidak tahu apa yang dalam hati manusia. Padahal maksud sesat itu adalah tidak jumpa jalan, tersilap. Kalau orang tersilap jalan, adakah kita tidak boleh bantu membetulkannya?

Memang kita tidak tahu apa yang dalam hati manusia. Tetapi, kalau apa yang mereka lakukan di hadapan mata kita memang satu perbuatan yang sesat, apakah salah kalau kita kata mereka sesat? Kerana kita hanya boleh kata berdasarkan apa yang mereka lakukan dan apa yang mereka kata.

Sebagai contoh, kalau orang Hindu sembah berhala, maka tidakkah boleh kita kata mereka sesat? Takkan kita tidak boleh kata mereka sesat dan buat syirik sedangkan apa yang mereka buat itu dengan jelas adalah sesuatu yang sesat?

Bagaimana pula dengan mereka yang dengan terang-terangan menolak ayat Al-Qur’an? Memang kita tidak tahu apa dalam hati mereka. Tetapi kita boleh kata sesuatu berdasarkan daripada perbuatan dan kata-kata mereka kerana yang mereka lakukan dan kata-kata mereka itu kita boleh lihat dan kita boleh dengar. Maka, bolehlah kita menilainya.

Nabi Ibrahim عليه السلام beritahu kepada kaumnya bahawa mereka itu berada di dalam kesesatan yang nyata. Kita juga kena ikut seperti apa yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim عليه السلام. Apabila kita melihat kesyirikan yang dilakukan oleh manusia, hendaklah kita menegur dan memberitahu kepada mereka bahawa apa yang mereka lakukan itu adalah perkara yang sesat. Jangan takut untuk menyatakan kebenaran.

Tetapi bukan setakat kita kata mereka sesat sahaja. Kita juga kenalah mengikut cara Nabi Ibrahim عليه السلام yang menjelaskan kepada kaumnya ‘bagaimanakah’ mereka sesat itu kerana kalau kita kata manusia melakukan sesuatu yang sesat tanpa kita berikan hujah dan dalil, tentulah mereka akan marah kepada kita. Lihatlah bagaimana dalam ayat-ayat seterusnya, Nabi Ibrahim عليه السلام telah memberikan hujah-hujah baginda.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 1 Januari 2022


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Maariful Qur’an

Tafsir Surah al-An’am Ayat 68 – 70 (Tidak duduk dengan ahli bid’ah)

An’am Ayat 68: Ayat ini ada persamaan dengan ayat Nisa:140. Ia adalah tentang subahat. Jika kita tahu seseorang itu melanggar undang-undang, tetapi kita terus bersama dengan dia tanpa melakukan apa-apa, itu bermaksud kita telah bersubahat dan boleh dimasukkan bersama dengan dia dalam penjara jika ditangkap polis.

Kita tidak boleh menggunakan alasan yang kita tidak terlibat walaupun kita berada di situ kerana kita tahu apa yang dia buat itu salah, dan kita tidak melaporkan kepada pihak berkuasa.

Begitulah juga jika ada kawan kita yang melakukan dosa kepada Allah ‎ﷻ. Tidak boleh kita duduk-duduk bersamanya semasa dia melakukan maksiat itu. Kena tinggalkan dia kalau kita tidak dapat halang dia atau tidak nasihat dia pada waktu itu.

وَإِذا رَأَيتَ الَّذينَ يَخوضونَ في ءآيٰتِنا فَأَعرِض عَنهُم حَتّىٰ يَخوضوا في حَديثٍ غَيرِهِ ۚ وَإِمّا يُنسِيَنَّكَ الشَّيطٰنُ فَلا تَقعُد بَعدَ الذِّكرىٰ مَعَ القَومِ الظّٰلِمينَ

Sahih International

And when you see those who engage in [offensive] discourse concerning Our verses, then turn away from them until they enter into another conversation. And if Satan should cause you to forget, then do not remain after the reminder with the wrongdoing people.

Malay

Dan apabila engkau melihat orang-orang yang memperkatakan dengan cara mencaci atau mengejek-ejek ayat-ayat Kami, maka tinggalkanlah mereka sehingga mereka memperkatakan soal yang lain; dan jika engkau dilupakan oleh Syaitan (lalu engkau duduk bersama mereka), maka janganlah engkau duduk lagi bersama-sama kaum yang zalim itu, sesudah engkau mengingati (akan larangan itu).

 

وَإِذَا رَأَيْتَ

Dan apabila kamu melihat

Iaitu melihat apa yang dilakukan oleh manusia pada zaman sekarang. Kita kena peka dengan apa yang terjadi. Allah ‎ﷻ suruh kita perhati apa yang dilakukan oleh manusia, sama ada baik atau tidak.

 

الَّذِينَ يَخُوضُونَ فِي ءآيٰتِنَا

orang-orang memperolok-olokkan ayat-ayat Kami,

Kalimah يَخُوضُونَ berasal daripada kata dasar خ و ض menjadi خوض yang asalnya bermaksud ‘terjun ke dalam air’. Apabila seseorang telah masuk ke dalam air, sedang mandi manda, tentunya mereka tidak mahu keluar dari air itu kerana mereka sudah selesa dan suka berada di dalam air itu.

Dan apabila seseorang berada di dalam air kolam contohnya, mereka boleh bergerak ke sana dan ke sini. Jadi kalimah يَخُوضُونَ juga bermaksud mereka yang sedang leka di dalam sesuatu perkara. Mereka melompat daripada satu perkara kepada satu perkara.

Jadi يَخُوضُونَ ialah seseorang yang leka dengan sesuatu dan dalam ayat ini bermaksud mereka leka dengan ayat-ayat Allah ‎ﷻ. Bukankah itu sesuatu yang baik? Akan tetapi dalam ayat ini ianya bermaksud sesuatu yang tidak baik, kerana mereka bukanlah memikirkan ayat-ayat Allah ‎ﷻ (untuk mencari kebenaran) akan tetapi sebenarnya mereka sedang leka memperolok-olokkan ayat-ayat Allah ‎ﷻ dalam majlis mereka.

Mereka waktu itu sedang mempersendakan ayat-ayat Allah ‎ﷻ. Mereka berbincang tentang ayat-ayat Allah ‎ﷻ sambil mencari-cari kesalahan-kesalahan yang ada di dalam Al-Qur’an. Mereka buat begitu untuk suka-suka sahaja.

Sebagai contoh, mereka kata: “Qur’an cakap manusia akan dapat bidadari dalam syurga? Berapa bidadari?” dalam nada cara bertanya hendak memperolok-olok sahaja. Allah ‎ﷻ suruh jangan layan mereka kerana kalau dilayan, mereka lagi suka kerana kita sudah masuk perangkap mereka (bercakap perkara sia-sia). Yang mereka hendak adalah kawan lawan bercakap sahaja.

Kita mungkin sangka dengan kita melayan mereka itu kita dapat memperbetulkan mereka, tetapi mereka bukannya hendak mencari kebenaran, mereka hendak suka-suka sahaja. Mereka jenis orang yang tidak kisah hal agama. Ini boleh terjadi sama ada dalam kalangan orang kafir atau mereka yang mengaku Muslim pun.

Perbuatan memperolok-olokkan ayat-ayat Allah ‎ﷻ itu boleh dilakukan sama ada dalam bentuk perbuatan ataupun perkataan. Sebagai contoh, kita telah tahu bahawa Allah ‎ﷻ telah melarang kita minum arak. Katakanlah seorang manusia lain sedang minum arak. Waktu itu dia sebenarnya sedang mempersendakan ayat Allah ‎ﷻ yang melarang meminum arak.

Kalau kita duduk bersamanya tanpa melarangnya maka itu bermakna kita telah bersubahat dengannya dan kita juga akan mendapat dosa minum arak itu walaupun kita sendiri tidak minum arak. Berapa banyak orang yang tidak faham perkara ini dan mereka mendapat dosa dengan percuma sahaja? Kononnya mereka itu berfikiran terbuka sampai tidak kisah dengan perkara itu.

Kadang-kadang kita memang tidak buat dosa itu, tetapi kita tolong orang lain membuatnya. Sebagai contoh, kita tolong bawa mereka ke tempat maksiat itu. Itu pun sudah dikira kita bersubahat dan kita pun dapat dosa juga perbuatan maksiat itu juga. Bukan itu sahaja, kalau kita tolong tunjuk pun kita sudah dapat saham daripada dosa itu.

Sebagai contoh, ada orang yang datang kepada kita dan bertanya di manakah dia boleh beli nombor ekor 4D? Kita memang tidak main nombor ekor, tetapi kita tahu di mana kedai itu. Kalau kita tunjuk sahaja, kita sudah mendapat dosa seperti juga orang itu yang berjudi.

 

فَأَعْرِضْ عَنْهُمْ

maka tinggalkanlah mereka

Sepatutnya apa yang kita lakukan ialah meninggalkan mereka semasa mereka berbuat dosa itu (bukan tinggalkan terus kerana mereka keluarga kita). Tidak kira sama ada mereka itu keluarga kita, kawan kita, ketua kita dan apa-apa sahaja, kita kena tinggalkan mereka. Kerana ini adalah arahan daripada Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ tidak suka kita berada bersama-sama dengan mereka pada waktu itu.

Kita dikira berdosa juga kalau duduk di situ kerana dosa itu boleh jadi kerana kita melakukan sendiri, atau kita lihat orang lain melakukannya.

Ini kerana jika duduk dalam majlis yang sama, Allah ‎ﷻ akan menghubungkan hati mereka yang duduk dalam majlis yang sama. Allah ‎ﷻ akan hubungkan antara yang bercakap dan yang mendengar. Kerana itulah yang mengumpat itu berdosa, dan yang mendengar pun berdosa juga.

Jika tidak mampu meninggalkan kerana ada sebab-sebab lain, maka hendaklah menyibukkan diri dengan hal lain daripada menyertai mereka dan memberi tumpuan kepada mereka. Akan tetapi bagi orang yang menjadi contoh dalam hal agama seperti ustaz dan sebagainya, mereka tidak ada pilihan. Mereka tetap kena tinggalkan kerana ditakuti adalah menjadi ‘dalil bagi orang yang jahil’. Orang awam mungkin nampak ustaz itu di majlis bid’ah dan nanti mereka akan kata: “eh tu ustaz duduk sekali dengan mereka.. maknanya tak salahlah amalan itu….kan?”

 

حَتَّىٰ يَخُوضُوا فِي حَدِيثٍ غَيْرِهِ

sehingga mereka membicarakan pembicaraan yang lain.

Tinggalkan mereka sehinggalah apabila mereka tidak lagi melakukan dosa itu. Kalau mereka sudah tidak bercakap tentang perkara yang merendahkan Al-Qur’an, memperolokkan Al-Qur’an, kita sudah boleh campur dengan mereka. Apabila mereka sudah selesai majlis bid’ah mereka seperti Majlis Maulud, kita masih boleh makan dan minum dengan mereka lagi. Asalkan mereka sedang tidak buat majlis bid’ah itu.

Kita hendaklah berlepas diri daripada apa sahaja perbuatan mungkar yang mereka lakukan. Maksudnya, kalau majlis Thaipusam orang Hindu itu, kita tidak boleh duduk tengok-tengok bersama mereka. Itu adalah majlis syirik kepada Allah ‎ﷻ dan kalau kita ada bersama dengan mereka, kita pun dikira terlibat sama melakukan syirik.

Sama juga kalau orang Islam buat majlis Maulud Nabi. Ini kerana perbuatan bid’ah adalah menentang ayat-ayat Allah‎ ﷻ. Allah ‎ﷻ sudah melarang buat perkara bid’ah di dalam Al-Qur’an. Jika kita ada bersama mereka atau kita pergi ke majlis mereka, maka kita pun sudah dikira melakukan bid’ah mungkar itu. Sepatutnya kita larang, tetapi kalau kita tidak mampu larang maka kita kena tinggalkan majlis itu.

Sama juga sekarang ini kita boleh lihat selepas salat berjama’ah ramai yang akan ‘salam keliling’. Ini ada bid’ah terbaru yang sebenarnya diperkenalkan oleh Arqam. Kita tidak boleh campur bersama mereka, oleh itu kita kena terus lari keluar daripada bersama dengan mereka.

Apabila mereka hendak buat salam keliling sambil baca selawat Nabi itu, kita kena potong barisan mereka dan tinggalkan mereka. Bid’ah-bid’ah baru yang seperti ini jangan langsung diberi peluang untuk terus bercambah kerana apabila telah lama dilakukan maka ia akan menjadi susah untuk dimatikan nanti.

Kenapakah kita disuruh meninggalkan mereka dan tidak berada di dalam majlis yang memperolok-olokkan ayat-ayat? Bayangkan kalau kita menghormati seseorang dan ada orang yang mengutuk beliau, tentunya kita tidak selesa dan tidak mahu bersama-sama duduk dengan mereka kerana kita hormat orang yang dikutuk itu. Begitu juga kalau orang tidak taat kepada Allah ‎ﷻ, malah lebih lagi sepatutnya kita marah.

Kita amat sayangkan Allah ‎ﷻ. Maka kerana itu kalau ada yang tidak menghiraukan arahan daripada Allah ‎ﷻ, memperolokkan apa yang Allah ‎ﷻ telah arahkan kita untuk tinggalkan, maka sepatutnya kita tidak suka dengan apa yang mereka lakukan itu. Ini kerana mereka sedang memperolokkan ayat-ayat Allah ‎ﷻ.

 

وَإِمَّا يُنسِيَنَّكَ الشَّيْطٰنُ

Dan jika syaitan menjadikan kamu lupa (akan larangan ini),

Kadang-kadang kita terikut-ikut dengan kawan-kawan ataupun ahli keluarga kita yang menyertai majlis syirik dan bid’ah. Sebagai contoh, ada kawan atau ahli keluarga yang menghadiri Majlis Maulid Nabi ataupun Majlis Tahlil. Kita sebenarnya tahu bahawa majlis itu adalah majlis yang salah tetapi syaitan telah berjaya melupakan kita tentang perkara itu.

Syaitan memang suka menyebabkan kita lupa tentang agama dan tentang arahan daripada Allah ‎ﷻ. Kalau kita terlupa sedikit pun mereka sudah dikira berjaya.

 

فَلَا تَقْعُدْ بَعْدَ الذِّكْرَىٰ

maka janganlah kamu duduk sesudah teringat (akan larangan itu)

Maka apabila kita terlupa dan tiba-tiba kita teringat tentang kesalahan majlis itu, maka hendaklah kita terus meninggalkan majlis itu. Jangan kita terus duduk bersama dengan mereka. Jangan kita takut dan malu untuk meninggalkan mereka.

Terlupa itu biasa sahaja, seperti orang yang termakan di siang hari dalam Ramadhan. Tapi apabila sudah termakan, janganlah teruskan makan, kenalah berhenti. Janganlah pula fikir: [alang-alang dah makan ni, aku habiskanlah satu pinggan!]

Kita kena terus tinggalkan majlis itu walaupun mungkin kita malu apabila kita telah lama duduk. Kita mungkin bercakap dalam hati kita: “Alang-alang sudah duduk sekali ni, eloklah kita teruskan sahaja“. Allah ‎ﷻ tidak membenarkan kita berbuat begitu. Apabila kita teringat sahaja, kita kena tinggalkan majlis itu. Syaitan sudah menjadikan kita lupa, tetapi kemudian Allah ‎ﷻ telah mengingatkan kita balik, maka kenalah ikut peringatan daripada Allah ‎ﷻ‎ itu.

Perkataan بَعْدَ الذِّكْرَىٰ juga boleh bermaksud ‘selepas memperingatkan mereka’. Iaitu selepas kita beritahu kepada mereka bahawa apa yang mereka lakukan itu adalah salah, maka tinggalkan mereka selepas itu. Ini kerana kita telah menjalankan tugas kita memperingatkan mereka.

Ini bermaksud kalau kita boleh memperingatkan mereka dengan kesalahan mereka itu, maka hendaklah kita melakukan. Kadang-kadang kita rasa kita tidak mampu. Ini bergantung kepada keadaan. Kita kena lihat adakah kita berada pada kedudukan yang mampu memberi peringatan tanpa membahayakan diri kita. Kena berhemah dalam hal ini.

Ayat ini juga menyatakan kepada kita kalau kita terlupa sesuatu perkara dalam agama dan kemudian baru kita teringat, hendaklah kita melakukan perkara yang betul selepas itu. Sebagaimana kalau kita sedang makan tetapi terlupa membaca basmallah. Setelah lama makan, baru teringat kita tidak membaca basmallah, maka kita hendaklah terus membaca basmallah.

Mungkin kita terlupa kerana syaitan telah menyebabkan kita terlupa dan Allah‎ ‎ﷻ telah mengingatkan kita kembali, maka hendaklah kita memperbetulkan perbuatan kita itu. Apabila kita teringat, bermakna Allah ‎ﷻ sayangkan kita dan mengingatkan kita tentang perkara itu.

 

مَعَ الْقَوْمِ الظّٰلِمِينَ

bersama orang-orang yang zalim itu.

Ini bermakna, mereka yang memperolok-olokkan ayat-ayat Allah ‎ﷻ adalah orang yang zalim. Jangan kita duduk bersama dengan mereka ketika mereka melakukan perbuatan syirik dan bidaah itu.

Hendaklah kita mencari peluang untuk memberitahu kepada mereka tentang kesalahan yang mereka lakukan itu. Mereka mungkin melakukan perkara itu kerana mereka tidak tahu yang ia adalah salah. Maka kita kena cari peluang untuk mengingatkan mereka.


 

An’am Ayat 69: Kesinambungan dari majlis bid’ah dan syirik yang dibuat oleh mereka yang tidak berilmu. Dalam ayat sebelum ini, kita dilarang daripada duduk bersama-sama dengan mereka.

Setelah ayat 68 tadi diberikan kepada para sahabat, mereka pun kerisauan kerana kalau tidak boleh duduk berdekatan orang yang sedang melakukan penghinaan kepada ayat-ayat Allah ‎ﷻ, bagaimana mereka boleh salat di Ka’bah pada waktu itu? Kerana waktu itu puak syirik yang menguasai Masjidil Haram dan ada banyak berhala di situ?

Maka Allah‎ ﷻ jawab kerisauan mereka dalam ayat 69 ini.

وَما عَلَى الَّذينَ يَتَّقونَ مِن حِسابِهِم مِّن شَيءٍ وَلٰكِن ذِكرىٰ لَعَلَّهُم يَتَّقونَ

Sahih International

And those who fear Allah are not held accountable for the disbelievers at all, but [only for] a reminder – that perhaps they will fear Him.

Malay

Dan tidaklah ada tanggungjawab sedikit pun atas orang-orang yang bertaqwa mengenai dosa orang-orang (kafir yang mengejek-ejek) itu, akan tetapi (kewajipan orang-orang Islam) ialah mengingati (larangan Allah itu) supaya mereka bertaqwa.

 

وَمَا عَلَى الَّذِينَ يَتَّقُونَ

Dan tidak atas orang-orang yang bertaqwa

Orang yang bertaqwa adalah orang yang menjaga hukum Allah ‎ﷻ. Mereka tidak melakukan perkara-perkara yang dimurkai oleh Allah ‎ﷻ. Mereka akan berhati-hati dalam menjalani kehidupan di dunia ini. Mereka tidak campur dengan majlis-majlis yang syirik, bid’ah dan yang memperolok-olokkan hukum Allah ‎ﷻ. Mereka akan meninggalkan majlis-majlis yang sebegitu. Itulah maksud taqwa, iaitu berhati-hati dengan segala perbuatan kita.

 

مِنْ حِسَابِهِم مِّن شَيْءٍ

ada pertanggungjawaban sedikit pun terhadap dosa mereka;

Orang yang bertaqwa tidak bertanggungjawab di atas dosa mereka yang memperolokkan ayat-ayat Allah‎ ﷻ itu. Namun begitu, mereka kena keluar dari majlis itu dan tidak boleh duduk bersama dengan mereka.

Sebelum ini disebut Nabi ﷺ tidak bertanggungjawab di atas amalan manusia, dan manusia juga tidak bertanggungjawab di atas amalan Nabi ﷺ. Sekarang diberitahu dalam ayat ini yang manusia juga tidak bertanggungjawab di atas amalan manusia yang lain. Sedikit pun tidak. Masing-masing akan dihisab atas amalan sendiri.

Jadi kalau para sahabat pergi ke Masjidil Haram atas sebab yang benar, maka mereka tidak bertanggungjawab atas kesalahan mereka yang buat salah kerana mereka pergi atas tujuan yang benar. Mereka tidak sertai pun perbuatan syirik golongan itu.

Maka ini menjawab persoalan golongan Sunnah yang risau untuk pergi ke masjid-masjid yang ada membuat amalan syirik dan bid’ah. Kita boleh sahaja pergi ke sana untuk salat jama’ah dan amalan-amalan soleh yang lain. Kerana kita pergi atas tujuan yang benar. Cuma jangan sertai sahaja amalan salah mereka itu.

 

وَلَٰكِن ذِكْرَىٰ

akan tetapi (kewajipan mereka ialah) mengingatkan

Cuma, mereka yang bertaqwa itu hendaklah memberikan peringatan kepada mereka yang telah berbuat salah dalam agama. Mudah-mudahan mereka yang mendengar nasihat itu akan menjadi takut.

Jadi, ada dua perkara yang perlu dilakukan oleh orang yang bertaqwa:

1. Tinggalkan majlis yang memperolokkan ayat Allah ‎ﷻ.

2. Beri peringatan dan tazkirah kepada mereka yang telah membuat salah itu.

Inilah yang berat, kerana manusia memang tidak suka jika ditegur. Mereka tetap mahu kekal dalam angan-angan yang amalan mereka itu benar belaka. Jadi kalau ada yang menegur, mereka tidak boleh terima dan mungkin akan marahkan kita pula.

Jadi kena pandai untuk memberi peringatan. Bukan dalam suasana mereka sedang bercakap-cakap sambil menentang ayat Allah ‎ﷻ itu. Sebagai contoh, katakanlah mereka sedang mempertikaikan ayat Al-Qur’an dan hadith Nabi dalam satu majlis. Kita jangan terus beri peringatan kepada mereka di situ.

Waktu itu mungkin tidak sesuai. Dia mungkin ada kawan yang akan menyokongnya, orang pun ramai waktu itu dan kita pun tidak bersedia untuk memberikan hujah yang kemas pada waktu itu. Oleh itu, kena cari masa yang lain. Persiapkanlah apa yang kita hendak cakap dan kita cari dia untuk sampaikan peringatan.

Begitu juga kalau dengan majlis syirik dan majlis bid’ah. Jika kita tegur mereka waktu mereka sedang melakukan majlis itu, mungkin mereka tidak dapat terima. Maka, carilah masa yang sesuai dan tabligh kepada mereka kenapa kita tinggalkan majlis itu dan kenapa kita tidak boleh bersama dengan mereka pada waktu itu.

Ayat ini memberitahu kepada kita, kita hanya tinggalkan mereka sekejap sahaja. Semasa mereka sedang melakukan kesalahan itu. Selepas itu ada kewajipan kepada kita untuk memberi peringatan kepada mereka. Maknanya, bukan kita boikot terus mereka.

 

لَعَلَّهُمْ يَتَّقُونَ

agar mereka bertaqwa.

Semoga mereka mendengar apa yang kita nasihatkan kepada mereka dan sedar tentang kesalahan yang mereka telah lakukan itu dan menjadi orang yang bertaqwa. Kita hanya boleh sampaikan sahaja peringatan, tetapi selebihnya kita serahkan kepada Allah ‎ﷻ sahaja.


 

An’am Ayat 70:

وَذَرِ الَّذينَ اتَّخَذوا دينَهُم لَعِبًا وَلَهوًا وَغَرَّتهُمُ الحَيَو‌‌ٰةُ الدُّنيا ۚ وَذَكِّر بِهِ أَن تُبسَلَ نَفسٌ بِما كَسَبَت لَيسَ لَها مِن دونِ اللَّهِ وَلِيٌّ وَلا شَفيعٌ وَإِن تَعدِل كُلَّ عَدلٍ لّا يُؤخَذ مِنها ۗ أُولٰئِكَ الَّذينَ أُبسِلوا بِما كَسَبوا ۖ لَهُم شَرابٌ مِّن حَميمٍ وَعَذابٌ أَليمٌ بِما كانوا يَكفُرونَ

Sahih International

And leave those who take their religion as amusement and diversion and whom the worldly life has deluded them. But remind with the Qur’an, lest a soul be given up to destruction for what it earned; it will have other than Allah no protector and no intercessor. And if it should offer every compensation, it would not be taken from it. Those are the ones who are given to destruction for what they have earned. For them will be a drink of scalding water and a painful punishment because they used to disbelieve.

Malay

Dan jauhkanlah diri daripada orang-orang yang menjadikan ugama mereka sebagai permainan dan hiburan, dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia dan peringatkanlah (mereka) dengan Al-Qur’an itu supaya tiap-tiap diri (di akhirat kelak) tidak terjerumus (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang dia telah usahakan (dari perbuatan yang buruk dan keji). Tidak ada baginya pelindung dan tidak juga pemberi syafaat yang lain dari Allah. Dan jika dia hendak menebus (dirinya) dengan segala jenis tebusan, (nescaya tebusan itu) tidak akan diterima daripadanya. Mereka itulah orang-orang yang dijerumuskan (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang telah mereka usahakan. Bagi mereka disediakan minuman dari air panas yang menggelegak, dan azab seksa yang tidak terperi sakitnya, disebabkan mereka kufur ingkar (semasa hidupnya).

 

وَذَرِ الَّذِينَ

Dan tinggalkanlah mereka

Ada masanya kita kena menjauhkan diri kita daripada orang lain. Ini kerana jika kita tidak tinggalkan mereka, kita mungkin akan terpengaruh dan jadi seperti mereka pula. Memang ada kemungkinan kita akan terpengaruh dengan perangai dan cara fikir mereka. Takut kita pula akan ambil mudah tentang agama seperti mereka. Takut kita rasa tidak kisah kalau main-main dengan agama, buat lawak tentang agama.

Takut kita akan jadi seperti penceramah yang bercakap tentang agama, tetapi buat cerita lawak dan jenaka sepanjang ceramah. Padahal perkara agama ini adalah hal yang serius, kerana kita sedang memperkatakan tentang syurga neraka, tentang syirik, dan semua itu bukan barang permainan dan senda gurau.

Daripada siapakah yang kita kena jauhkan diri kita? Siapakah yang kita harus tinggalkan?

 

اتَّخَذُوا دِينَهُمْ لَعِبًا وَلَهْوًا

yang mengambil agama mereka sebagai main-main dan senda gurau,

Iaitu menjauhkan diri daripada mereka yang mempermainkan hal agama. Ramai yang buat begini kerana mereka tidak mementingkan agama. Namun, yang menyedihkan, ramai sangat ustaz-ustaz yang mengajar sekarang buat lawak sahaja tentang hal agama ini. Kalau berceramah, mereka akan selitkan kisah-kisah lawak. Alasannya adalah untuk menarik minat manusia.

Itu belum masuk mereka yang menyanyi sambil berceramah. Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ suruh kita biarkanlah sahaja mereka. Kalau sikit-sikit kita boleh faham, tetapi kalau banyak sangat kita pun risau adakah mereka hendak mengajar agama atau mereka ingin menyertai program ‘Maharaja Lawak’ pula?

Perkataan دِينَهُمْ bermaksud ‘agama mereka’. Kalau mereka agama kafir, seperti Kristian, Yahudi, Hindu, bermaksud mereka memang menjadikan agama mereka sebagai bahan jenaka. Lihatlah apa orang Kristian buat dengan agama mereka. Mereka boleh kutuk-kutuk paderi mereka, mereka boleh buat kartun pasal syurga, pasal neraka dan sebagainya.

Kalau دِينَهُمْ itu bermaksud agama mereka yang beragama Islam, itu pun ramai juga. Seperti kita telah sebut sebelum ini ramai yang tidak kisah buat lawak dalam hal agama. Betapa sedihnya kita lihat sekarang asalkan berceramah sahaja, mesti mereka akan selitkan lawak jenaka. Mereka rasa mereka kena buat lelucon barulah orang ramai akan dengar apa yang mereka sampaikan.

Sekarang sudah menjadi ‘trend’ pula di mana ada pihak tertentu berlumba-lumba mengadakan pertandingan penceramah dakwah berformatkan program hiburan Akademi Fantasia. Dalam rancangan itu, penceramah agama mesti pandai membuat lawak, pandai bersajak, pandai menyanyi. Penceramah yang mendapat markah terendah akan disingkirkan daripada rancangan tersebut. Maka berlakulah drama tangisan air mata yang menyentuh hati penonton. Sedih sungguh kita menyaksikan fenomena sebegini bagaimana agama Islam ini telah dimain-mainkan sampai sebegitu rupa. Dakwah telah dijadikan sebagai rancangan hiburan sekadar untuk menghiburkan masyarakat di mana terdapat pihak tertentu sanggup berlumba-lumba untuk menaikkan ‘rating’ demi mengaut keuntungan wang ringgit.

Kalimah لَعِبًا merujuk kepada ‘permainan’ yang berbentuk fizikal. Mereka melakukan perkara yang mereka suka yang melibatkan perbuatan fizikal. Ada yang pergi ke masjid hanya kalau ada majlis yang mereka suka: iaitu apabila ada makanan, nyanyian, permainan dan sebagainya.

Kalimah وَلَهْوًا pula merujuk kepada permainan yang di dalam hati. Iaitu perkara-perkara yang melibatkan emosi. Sebagai contoh, mereka buat lawak apabila memperkatakan tentang agama.

Selain daripada itu, kita boleh lihat bagaimana ramai sangat sekarang yang tidak mengambil serius tentang agama mereka. Mereka tidak merasa ralat pun kalau tidak tahu tentang agama. Bila ajak pergi kelas tafsir pun mereka tidak mahu ikut. Kalau menonton wayang tiga jam pula tidak mengapa. Tetapi kalau kelas tafsir setengah jam pun sudah panas punggung.

Allah ‎ﷻ beritahu kita supaya jangan campur sangat dengan orang yang sebegini. Takut-takut kita pula yang terpengaruh dengan mereka. Mereka hanya memikirkan hal dan kesenangan dunia sahaja. Mereka hanya memikirkan kejayaan di dunia sahaja, langsung tidak memikirkan tentang kejayaan di akhirat. Atau, kalau mereka fikirkan pun hanya sekejap sahaja. Takut kalau kita berkawan rapat dengan mereka, kita akan terpengaruh dengan sikap mereka ini.

 

وَغَرَّتْهُمُ الْحَيَوٰةُ الدُّنْيَا

dan mereka telah ditipu oleh kehidupan dunia.

Mereka menjadi begitu kerana tertipu dengan kehidupan dan kesenangan dunia yang sementara. Mereka rasa akhirat itu jauh sahaja. Inilah masalah besar bagi orang yang ingkar, sejak zaman berzaman. Mereka telah ditipu oleh kehidupan dunia yang melalaikan mereka.

Ada ramai yang kata mereka suka dengar ceramah agama yang ada jenaka di dalamnya. Masalahnya, yang hadir ke majlis ceramah bukan hendak belajar tetapi sekadar hanya mahu mendengar lawak jenaka sahaja. Dua jam mengajar, namun lima minit sahaja ilmu yang disampaikan. Allah ‎ﷻ melarang kita ambil peduli dengan mereka. Perkara agama ini adalah hal serius, bukan boleh dibuat lawak jenaka.

Mereka ‘tertipu’ kerana mereka sangka dengan buat lawak itu akan menarik budak-budak muda datang belajar. Begitu juga mereka buat konsert nyanyian untuk menarik minat anak-anak muda, sampai kadang kala mereka buat sekali nasyid dengan kumpulan rock. Itu dilakukan dengan tujuan amal dan kerana itu mereka sangka mereka buat perkara baik. Mereka tertipu sebenarnya. Mereka sangka anak-anak muda itu hendak belajar agama, tetapi sebenarnya mereka hendak bergembira sahaja.

Mereka juga tertipu dengan dunia kerana dunia ini begitu indah dan menarik kepada mereka yang lupa tentang agama dan tentang Hari Akhirat. Mereka sangka dunia ini tempat bergembira sahaja. Sampai dalam agama pun mereka buat mudah sahaja. Mereka sangka  apa yang mereka belajar semasa di sekolah rendah itu berguna  sampai bila-bila.

Mereka langsung tidak terfikir untuk belajar agama dengan lebih mendalam. Yang mereka sibuk adalah tentang hal-hal dunia. Hal bergembira, hal bekerja, hal keluarga dan sebagainya yang sentiasa bermain di fikiran mereka. Mereka suka banyak perkara, asalkan bukan hal agama kerana hal agama amat membosankan kepada mereka.

 

وَذَكِّرْ بِهِ

Peringatkanlah (mereka) dengannya (Al-Qur’an) itu

Ayat ini memerlukan penerangan kerana dalam satu bahagian ayat, Allah ‎ﷻ suruh tinggalkan mereka. Tetapi dalam bahagian ini, Allah ‎ﷻ suruh kita mengingatkan mereka pula. Kalau hendak mengingatkan mereka, tentulah kena duduk bersama dengan mereka, bukan? Bagaimana pula ada suruhan yang berbeza begini?

Ini bermakna, walaupun kita disuruh tinggalkan mereka, tetapi tidaklah sampai boikot mereka terus. Kalau kita tinggalkan mereka, mereka akan terus hanyut dengan dunia.

Maknanya, jangan sentiasa sahaja bersama mereka pagi dan petang. Sekali sekala boleh duduk dengan mereka kerana kita hendak mencari peluang untuk berdakwah kepada mereka.  Jika kita tidak ingatkan mereka, mereka akan diheretkan ke neraka.

Dan kita kena gunakan Al-Qur’an untuk memberi peringatan kepada mereka. Itulah yang dimaksudkan dengan perkataan بِهِ (dengannya) dalam ayat ini. ‘Nya’ yang dimaksudkan adalah Al-Qur’an. Usaha dakwah perlu dijalankan dengan menyampaikan ajaran daripada Al-Qur’an. Banyak sekali ayat-ayat Al-Qur’an yang mengingatkan kita untuk memperingatkan manusia dengan Al-Qur’an. Bukannya dengan nyanyian, sajak, lawak jenaka dan sebagainya.

 

أَن تُبْسَلَ نَفْسٌ

agar masing-masing diri tidak dijerumuskan ke dalam neraka,

Kalimah تُبْسَلَ berasal daripada kata dasar ب س ل yang antara lain bermaksud ‘menangkap seseorang dengan paksa’. Sebagai contoh, apabila seseorang ditangkap untuk dimasukkan ke dalam penjara. Tentunya orang yang dimasukkan itu tidak rela dimasukkan ke dalam penjara.

Ia juga bermaksud meletakkan seseorang sebagai tebusan. Sebagai contoh, meletakkan anak kita dengan seseorang apabila meminjam wang. Selagi kita tidak membayar hutang kita, kita tidak boleh ambil anak itu. Anak itu dijadikan seperti hamba sepanjang tempoh itu. Ini masih lagi diamalkan di sesetengah tempat di dunia yang mundur lagi. Ada yang terpaksa menjadi hamba sampai mereka telah dewasa baru ibubapa mereka boleh kumpul wang untuk membayar tebusan itu.

Dalam ayat ini, kita diingatkan untuk memberi peringatan kepada manusia agar mereka tidak dimasukkan secara paksa ke dalam neraka. Tidak ada yang akan menebus mereka nanti kalau mereka dimasukkan ke dalam neraka.

 

بِمَا كَسَبَتْ

kerana perbuatannya sendiri.

Mereka dimasukkan ke dalam neraka kerana kesalahan mereka sendiri dan bukan sebab lain. Mereka akan kekal di dalamnya selagi mana dosa mereka tidak dibersihkan. Seperti juga duduk dalam penjara, kena tunggu sudah habis tempoh hukuman barulah boleh keluar.

Maka kita beri peringatan kepada manusia supaya mudah-mudahan mereka tidak diseret ke dalam neraka kerana kesalahan dosa yang mereka lakukan semasa di dunia.

Selepas ini akan disebut tiga perkara yang selalunya manusia gunakan untuk menyelamatkan diri mereka semasa di dunia: Pertama, mereka akan menggunakan penolong-penolong mereka; kalau itu tidak menjadi, mereka akan menggunakan rekomendasi daripada orang lain; kalau itu juga tidak berjaya, mereka akan menggunakan rasuah. Semua ini Allah ‎ﷻ jelaskan tidak akan berjaya di akhirat.

 

لَيْسَ لَهَا مِن دُونِ اللَّهِ وَلِيٌّ

Tidak akan ada baginya selain daripada Allah, sebarang pelindung

Apabila sudah dimasukkan ke dalam neraka, tidak ada sesiapa yang dapat menolong. ‘Wali’ adalah sesiapa yang mahu menghilangkan kesusahan. Kalau dalam dunia, kita ada wali-wali yang boleh membantu kita. Wali itu adalah orang yang rapat dengan kita.

Sebagaimana juga seorang wali untuk wanita adalah bapanya, pakciknya, abangnya atau datuknya – iaitu orang yang rapat dengannya. Mereka itu kerana rapatnya dengan seseorang, akan menolong apabila ada masalah. Namun Allah ‎ﷻ mengingatkan di sini yang di akhirat kelak, tidak ada wali yang dapat menolong selain daripada Dia.

 

وَلَا شَفِيعٌ

dan tidak pula pemberi syafa’at .

Pemberi syafaat adalah mereka yang menolong kita dengan meminta supaya dibuangkan kesusahan. Kalau wali, dia boleh buangkan kesusahan itu dengan tangannya sendiri. Tetapi pemberi syafaat itu kena meminta tolong orang lain.

Sebagai contoh, kalau ada anak saudara kita yang dimasukkan lokap, maka kita akan meminta tolong daripada ketua balai polis untuk memberikan kelonggaran untuk mengeluarkannya.

Sedangkan orang yang sudah masuk neraka, tidak ada wali dan tidak ada pemberi syafaat. Bab Syafaat ini memang ada banyak kekeliruan dalam kalangan masyarakat kita. Mereka terlalu berharap kepada syafaat anak-anak, orang alim, wali, Nabi dan lain-lain lagi. Sebenarnya pemberi syafaat yang sebenar adalah Allah ‎ﷻ dan disebut dalam banyak ayat-ayat Al-Qur’an.

 

وَإِن تَعْدِلْ كُلَّ عَدْلٍ

Dan jika dia ingin menebus dengan segala macam tebusan pun,

Jikalau dia cuba hendak memberi tebusan pun tidak diterima. Walau dengan apa sahaja yang dia ada. Waktu di akhirat kelak, seseorang yang sudah hendak dimasukkan ke dalam neraka, mereka sudah tidak kisah lagi berapa banyak mereka akan belanjakan untuk menebus diri mereka.

Kalau mereka di dunia, mereka amat sayangkan harta mereka, sampaikan hendak beri sedekah pun liat, namun di akhirat kelak, mereka sanggup berhabis kalau mereka ada, untuk menyelamatkan diri mereka.

Tetapi tentunya di akhirat kelak tidak ada apa yang mereka boleh gunakan sebagai tebusan. Jadi di sini Allah ‎ﷻ hendak beri perumpamaan sahaja, kalaulah mereka ada apa-apa pun yang boleh diberi, ia tidak akan diterima.

Namun begitu, golongan yang malang itu tetap akan cuba merasuah Allah ‎ﷻ juga. Mereka sanggup menebus diri mereka dengan beri anak, isteri atau sesiapa sahaja asalkan mereka selamat. Mereka akan kata: “Jangan hukum aku! Tapi hukum isteri aku… dia ada buat kesalahan begini dan begitu!” Tetapi itu pun tidak akan diterima.

 

لَّا يُؤْخَذْ مِنْهَا

tidak akan diterima itu daripadanya.

Biarlah apa sahaja yang mereka hendak jadikan tebusan, tidak akan diterima. Oleh kerana mereka tidak ada harta di akhirat kelak, mereka akan jadikan orang-orang yang rapat dengan mereka sebagai tebusan.

Seorang suami akan menyerahkan isterinya sebagai tebusan, seorang bapa akan memberikan anaknya sebagai tebusan. Begitulah mereka sanggup beri apa sahaja sebagai tebusan, namun tidak akan diterima. Maka kita sebenarnya kena bergantung kepada iman dan amal kita. Maka kena jaga iman dan amal semasa kita masih di dunia ini.

 

أُولَٰئِكَ الَّذِينَ أُبْسِلُوا بِمَا كَسَبُوا

Mereka itulah orang-orang yang dijerumuskan dengan sebab perbuatan mereka

Mereka dijerumuskan ke dalam neraka itu adalah disebabkan kesalahan yang mereka buat. Antaranya buat lawak jenaka dalam hal agama, memperolokkan hal-hal agama, tidak belajar agama sampaikan mereka buat dosa amalan bid’ah dan amalan syirik dan macam-macam lagi.

Maknanya, bukanlah Allah ‎ﷻ zalim untuk memasukkan mereka ke dalam neraka tanpa salah apa-apa. Semuanya bersebab dan mereka memang layak masuk dalam neraka.

 

لَهُمْ شَرَابٌ مِّنْ حَمِيمٍ

Bagi mereka (disediakan) minuman daripada air yang sedang mendidih

Mereka akan berasa amat dahaga di dalam neraka. Penghuni neraka akan berasa dahaga yang amat sangat dari saat mereka masuk ke dalam neraka sampailah bila-bila, selagi mana mereka berada dalam neraka. Dan apabila mereka meminta untuk minum, mereka akan diberikan dengan air yang mendidih.

Air itu amat panas sampaikan akan merosakkan muka mereka. Apabila diberikan air itu kepada mereka, tentulah mereka tidak mahu minum air itu (yang mereka mahu adalah air untuk menghilangkan dahaga), tetapi air panas itu akan dimasukkan secara paksa ke dalam mulut mereka. Apabila air itu turun ke perut mereka, perut mereka akan pecah kerana kepanasan air itu.

 

وَعَذَابٌ أَلِيمٌ

dan azab yang pedih

Dan bermacam-macam lagi azab yang mereka akan terima. Azab itu semuanya amat pedih. Apabila digunakan perkataan أَلِيمٌ, ia bermaksud azab itu amat pedih sampai bila-bila, tidak berkurangan. Kalau selalu kena pukul, lama kelamaan, sakit tidak dirasakan lagi sama seperti pertama kali dipukul – sebab sudah menjadi lali.

Tetapi ia berbeza di dalam neraka, kesakitan itu sama sahaja dirasai semenjak kali pertama dikenakan azab itu. Kesakitan itu tidak pernah berkurang sedikit pun malah ia akan bertambah. Mereka tidak akan rasa lali dengan azab neraka itu.

 

بِمَا كَانُوا يَكْفُرُونَ

disebabkan kekafiran mereka dahulu.

Mereka dikenakan dengan azab yang bermacam-macam itu adalah kerana mereka kufur.

Jangan kita sangka kufur ini hanya dikenakan kepada orang yang kafir sahaja. Ini kerana kalau kita pun kufur dengan perintah Allah ‎ﷻ, walaupun kita mengaku Muslim, kita pun dikira sebagai kafir juga di mata Allah ‎ﷻ. Kita pun boleh dikenakan azab yang sama dikenakan kepada orang kafir yang tidak pernah mengaku Allah ‎ﷻ sebagai Tuhan mereka.

Alangkah malangnya, kita mengaku Allah ‎ﷻ sebagai Tuhan, tetapi kita tidak mengikut peringatan-Nya, kita ingkar perintah-Nya. Maka, kita pun sama seperti orang-orang kafir juga.

 

Habis Ruku’ 8 daripada 20 ruku’ dalam surah ini.

Allahu a’lam. Sambung kepada ayat yang seterusnya. 

Kemaskini: 25 Disember 2021


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyah Zubair

Maariful Qur’an

Tafsir Surah al-An’am Ayat 65 – 67 (Jenis-jenis azab boleh dikenakan ke atas kita)

An’am Ayat 65: Ayat jenis Takhwif Duniawi (penakutan azab dunia). Apabila kita telah selesai daripada masalah yang kita hadapi, kadang-kadang kita akan rasa bahawa tidak akan ada masalah lagi yang akan timbul. Namun Allah ‎ﷻ mengingatkan kita dalam ayat ini bahawa Allah ‎ﷻ boleh saja memberikan masalah lain kepada kita. Allah‎ ﷻ maha berkuasa untuk buat apa sahaja. Maka jangan kita rasa selamat sangat.

قُل هُوَ القادِرُ عَلىٰ أَن يَبعَثَ عَلَيكُم عَذابًا مِّن فَوقِكُم أَو مِن تَحتِ أَرجُلِكُم أَو يَلبِسَكُم شِيَعًا وَيُذيقَ بَعضَكُم بَأسَ بَعضٍ ۗ انظُر كَيفَ نُصَرِّفُ الآيٰتِ لَعَلَّهُم يَفقَهونَ

Sahih International

Say, “He is the [one] able to send upon you affliction from above you or from beneath your feet or to confuse you [so you become] sects and make you taste the violence of one another.” Look how We diversify the signs that they might understand.

Malay

Katakanlah: “Dia lah yang berkuasa menghantar kepada kamu azab seksa (bala bencana), dari sebelah atas kamu, atau dari bawah kaki kamu, atau Dia menjadikan kamu bertentangan dan berpecah-belah – berpuak-puak, dan Dia merasakan sebahagian daripada kamu akan perbuatan ganas dan kejam sebahagian yang lain”. Perhatikanlah bagaimana Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan (yang menunjukkan kebesaran Kami) dengan berbagai cara, supaya mereka memahaminya.

قُلْ هُوَ الْقَادِرُ

Katakanlah: “Dialah yang berkuasa

Allah ‎ﷻ amat berkuasa dan amat mampu untuk memberikan bencana lain kepada kita. Oleh itu kenapa kamu rasa kamu selamat sangat? Maka apabila kita selamat daripada sesuatu bencana, jangan kita sangka bahawa kita akan sentiasa selamat. Jangan bila sudah selamat, kita terus lupa Allah ‎ﷻ.

عَلَىٰ أَن يَبْعَثَ عَلَيْكُمْ عَذَابًا

untuk mengirimkan azab ke atas kamu,

Allah ‎ﷻ boleh mengenakan azab kepada kita semua. Semasa di dunia lagi Allah ‎ﷻ boleh turunkan azab. Azab itu boleh datang dari mana-mana sahaja. Dalam ayat ini disebutkan tiga jenis azab.

Apabila Allah ‎ﷻ memberikan telah senarai, maka ia merupakan sesuatu yang berperingkat dan meningkat naik; iaitu daripada yang susah kepada yang semakin susah., yang  teruk kepada yang paling teruk.

مِّن فَوْقِكُمْ

dari atas kamu

Azab yang pertama adalah dari ‘atas’ kita. Ia bermaksud sama ada bencana dari langit seperti hujan batu, taufan, ribut gempita dan sebagainya. Contohnya hujan yang turun kepada kaum Nabi Nuh عليه السلام, taufan kepada Kaum Aad, hujan batu kepada Kaum Nabi Luth عليه السلام, hujan darah dan katak kepada Bani Israel dan hujaman batu kepada tentera Abrahah.

Atau ia boleh juga bermaksud yang Allah ‎ﷻ boleh meletakkan pemimpin-pemimpin di atas kita yang akan menindas kita. Ada antara mereka yang tidak adil dan akan berlaku zalim kepada kita. Mungkin mereka itu terdiri daripada ketua-ketua kita di pejabat, ataupun pemimpin-pemimpin masyarakat, ahli-ahli politik, JKKK kampung, ibu bapa kita, suami kita dan sebagainya.

Para pemimpin zalim diberikan kepada kaum yang zalim juga. Kalau kita tidak endahkan agama, maka salah satu musibah yang Allah ‎ﷻ kenakan kepada kita adalah para pemimpin yang zalim. Seperti pepatah Arab: أعمَالُكم، عُمَّالُكم (amalan kamu, pemimpin kamu).

أَوْ مِن تَحْتِ أَرْجُلِكُمْ

atau dari bawah kakimu

Yang lebih teruk daripada azab yang di atas kita adalah azab dan bala dari ‘bawah’ kita. Sebagai contoh, gempa bumi sampai runtuh bangunan, bumi yang boleh saja menelan manusia. Contoh yang Allah ‎ﷻ telah kenakan adalah naiknya air kepada kaum Nabi Nuh عليه السلام (selain air hujan dari atas), Firaun dan pengikutnya yang ditenggelamkan air laut juga Qarun yang ditelan bumi.

Atau tanah yang rapuh sehingga tanah itu boleh runtuh dan meranapkan rumah dan bangunan kita. Banjir juga boleh dikira sebagai bencana dari bawah kita kerana air yang naik dan semakin naik yang akhirnya akan melemaskan kita.

Boleh juga bermaksud masalah-masalah yang ditimbulkan daripada orang-orang bawahan kita. Sebagai contoh, ada pekerja-pekerja yang menipu kita. Atau anak-anak yang degil, tidak mahu mendengar cakap kita dan memalukan kita. Atau isteri kita yang menyusahkan kita.

Jikalau itu semuanya berlaku kepada kita, maka hendaklah kita bertaubat kepada Allah ‎ﷻ kerana semua ini mungkin terjadi disebabkan oleh kesalahan yang kita telah lakukan. Mungkin kerana kita telah melakukan syirik kepada Allah ‎ﷻ tanpa kita sedari. Jangan kita hanya mencari salah orang sahaja tetapi lupa tentang kesalahan yang kita telah lakukan. Kitan haru kaji balik apakah perbuatan kita selama ini adakah bertepatan dengan Islam atau tidak.

أَوْ يَلْبِسَكُمْ شِيَعًا

atau Dia mencampurkan kamu dalam golongan-golongan (yang saling bertentangan)

Ini adalah yang paling teruk. Jika sebelum ini menceritakan tentang azab dari atas dan dari bawah, sekarang dari dalam pula.

Kalimah يَلْبِسَكُمْ berasal daripada perkataan لبس yang bermaksud ‘bercampur aduk sampai tidak dikenali antara satu sama lain’. Ini akan menyebabkan kita menjadi keliru.

Kalimah شِيَعًا pula berasal daripada perkataan ش ي ع yang bermaksud kumpulan atau pengikut. Ia adalah jamak bagi kalimah شِيعَةٌ. Ia bermaksud kumpulan manusia yang bersama atas satu sebab dan tujuan.

Ayat ini bermaksud, Allah ‎ﷻ boleh memecahbelahkan kita kepada kumpulan-kumpulan yang bertentangan. Kadang-kadang dalam keluarga kita pun boleh berpecah belah kerana perselisihan pendapat. Sampaikan hendak makan sama-sama pun susah, di masjid hendak salat jama’ah sekali pun susah kerana berlainan pendapat dari segi pegangan mazhab mana yang mahu digunakan. Ada yang sampai tidak balik berhari raya kerana marah sangat kepada ahli keluarga yang lain.

Ini juga adalah satu bentuk hukuman daripada Allah ‎ﷻ. Dari sini tahulah kita bahawa perpecahan adalah satu hukuman atas kesalahan kita. Sebenarnya perpecahan pendapat bukanlah suatu rahmat. Ini kita sebutkan kerana ramai yang kata: ‘Khilaf itu adalah satu rahmat’.

Tidak, khilaf itu bukanlah satu rahmat. Jika mempunyai pendapat yang sama itu adalah lebih baik, maka itulah rahmat kerana kalau kita kata ‘khilaf’ itu rahmat, apa pula harus kita katakan kepada penyatuan pendapat? Adakah kita panggil ia sebagai satu bala pula?

Mungkin ada yang menukilkan sebuah hadith (اختلاف أمتي رحمة) perbezaan ummatku adalah rahmah. Malangnya hadith ini adalah palsu dan ia tidak boleh dijadikan sebagai hujah.

Dan memang kita ditakdirkan akan mengalami banyak perbezaan pendapat dalam kalangan kita. Terdapat sebuah hadith yang diriwayatkan dalam Sahih Muslim bagaimana Nabi ﷺ telah berdoa kepada Allah ‎ﷻ untuk mendapatkan tiga perkara:

أنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وَسَلَّمَ أَقْبَلَ ذَاتَ يَومٍ مِنَ العَالِيَةِ، حتَّى إذَا مَرَّ بمَسْجِدِ بَنِي مُعَاوِيَةَ دَخَلَ فَرَكَعَ فيه رَكْعَتَيْنِ، وَصَلَّيْنَا معهُ، وَدَعَا رَبَّهُ طَوِيلًا، ثُمَّ انْصَرَفَ إلَيْنَا، فَقالَ صَلَّى اللَّهُ عليه وَسَلَّمَ: سَأَلْتُ رَبِّي ثَلَاثًا، فأعْطَانِي ثِنْتَيْنِ وَمَنَعَنِي وَاحِدَةً، سَأَلْتُ رَبِّي: أَنْ لا يُهْلِكَ أُمَّتي بالسَّنَةِ فأعْطَانِيهَا، وَسَأَلْتُهُ أَنْ لا يُهْلِكَ أُمَّتي بالغَرَقِ فأعْطَانِيهَا، وَسَأَلْتُهُ أَنْ لا يَجْعَلَ بَأْسَهُمْ بيْنَهُمْ فَمَنَعَنِيهَا

“Suatu hari Rasulullah S.A.W telah datang dari daerah berbukit. Apabila Rasulullah S.A.W sampai di masjid Bani Mu’awiyah lalu Baginda masuk ke dalam masjid dan menunaikan solat dua rakaat. Maka kami pun turut solat bersama dengan Rasulullah S.A.W. Kemudian Rasulullah S.A.W berdoa dengan doa yang agak panjang kepada Allah S.W.T. Setelah selesai beliau berdoa maka Rasulullah S.A.W pun berpaling kepada kami lalu bersabda yang bermaksud :

“Aku telah bermohon kepada Allah S.W.T tiga perkara, dalam tiga perkara itu Allah S.W.T hanya memperkenankan dua perkara sahaja dan satu lagi ditolak.

1. Aku telah bermohon kepada Allah S.W.T supaya Dia tidak membinasakan umatku dengan musim susah yang berpanjangan.

2. Aku telah bermohon kepada Allah S.W.T supaya umatku ini jangan dibinasakan dengan bencana tenggelam (seperti banjir besar yang telah melanda umat Nabi Nuh a.s).

3. Aku telah bermohon kepada Allah S.W.T supaya umatku tidak dibinasakan kerana pergaduhan sesama mereka (peperangan, pergaduhan antara sesama Islam).

(HR. Muslim no. 2890, daripada Sa’ad bin Abi Waqqas رضي الله عنه)

Allah ‎ﷻ tidak memakbulkannya kerana perpecahan itu terjadi disebabkan oleh kesalahan kita. Apabila berbeza pendapat, maka manusia menjadi keliru manakah pendapat yang benar dan manakah yang salah. Jika itu terjadi, maka hendaklah kita berdoa kepada Allah ‎ﷻ untuk menunjukkan yang manakah kebenaran.

Akan tetapi khilaf pendapat itu biasa sahaja. Cuma jangan dijadikan sebagai punca kepada perpecahan pula. Kena pandai menangani perpecahan. Jika tidak dapat menangani perbezaan pendapatlah yang menyebabkan perkelahian yang akan disebut nanti.

Atau, ayat ini boleh juga bermaksud, Allah ‎ﷻ boleh mencampurkan kita dalam golongan yang jahat. Mereka itu semuanya zalim tetapi kita terperangkap dalam kumpulan itu. Sebagai contoh, kita berada dalam negara yang kafir yang menentang Islam. Kita tidak boleh berbuat apa-apa kerana kita seorang sahaja. Allahu a’lam.

وَيُذِيقَ بَعْضَكُم بَأْسَ بَعْضٍ

dan merasakan kepada sebahagian kamu keganasan sebahagian yang lain.

Apabila manusia berbeza pendapat dan berpecah belah, mereka akan berlaku ganas kepada pihak yang lain. Kadang-kadang keganasan itu di dalam bentuk kata-kata yang kasar. Dan kadang-kadang ia boleh sampai kepada bentuk keganasan fizikal sehingga boleh mengakibatkan peperangan, pertumpahan darah dan sebagainya. Inilah sebenarnya yang memusnahkan umat Islam. Bilangan kita sebenarnya ramai dan kuat, namun oleh kerana asyik berperang sesama sendiri yang akhirnya memusnahkan Muslim itu sendiri dari dalam.

Kadang-kadang berlaku juga perselisihan pendapat dalam agama sampai menyebabkan berbunuhan sesama manusia. Ini selalu juga kita lihat dalam sejarah. Manusia yang jahat akan menggunakan nama agama untuk membunuh dan menindas manusia yang lain. Ini amat malang sekali sampaikan pemimpin negara yang Islam pun begitu juga.

Lihatlah apa yang terjadi kepada ulama-ulama salaf kita seperti Ibn Taimiyyah, Imam Ahmad, Imam Bukhari رحمهم الله dan banyak lagi. Mereka cuba menegakkan Islam yang sebenar, tetapi khalifah itu pula mempunyai penasihat-penasihat agama yang sesat. Mereka menggunakan kedudukan mereka untuk menindas pendapat yang benar.

Sekarang pun kita semakin hari dapat dengar bagaimana ada usaha-usaha daripada pihak yang tidak bertanggungjawab untuk membendung ajaran Sunnah. Mereka mengatakan yang ajaran Sunnah adalah ajaran Wahabi dan ia adalah bahaya dan boleh memecahbelahkan masyarakat. Maka ada yang sudah ditangkap dan dipenjarakan. Subhanallah! Kita tidak tahu lagi apa yang mereka akan buat.

Yang mampu kita buat adalah berdoa kepada Allah ‎ﷻ supaya dipermudahkan perkembangan ajaran Sunnah ini. Semoga puak Bid’ah tidak menggunakan kedudukan mereka dalam kepemimpinan agama untuk menindas ajaran agama yang benar. Inilah yang dimaksudkan perpecahan yang boleh terjadi.

Mereka cuba memburukkan ajaran sunnah dengan memberikan gelaran-gelaran jelek kepada kita. Apabila itu tidak berjaya, dan ajaran sunnah semakin berkembang, tidak mustahil mereka akan menggunakan kedudukan mereka dalam negara untuk menindas kita.

Jika sesebuah negara itu membiarkan perbuatan syirik tanpa sekatan, tanpa teguran, maka tunggulah perpecahan yang bakal tiba. Sebagai contoh, lihatlah apa yang terjadi kepada negara Iraq. Mereka sampai sudah buat ‘berhala’ untuk Saddam Hussein dan gambar Saddam Hussein ada merata-rata tempat dan tidak ada yang menegur.

Maka, oleh kerana mereka telah membuat syirik secara terang-terangan, Allah ‎ﷻ telah menurunkan bala kepada mereka. Lihatlah bagaimana Amerika telah memusnahkan negara mereka.

Apabila ini terjadi, maka hendaklah kita ingat kembali kepada Allah ‎ﷻ dan berterima kasih kepada Allah ‎ﷻ di atas segala nikmat yang telah diberikan oleh-Nya kepada kita. Semoga kita tidak jadi seperti mereka.

Ayat ini juga memberitahu kepada kita bahawa Allah ‎ﷻ boleh memberi bala kepada kita melalui alam ini ataupun Allah ‎ﷻ menggunakan manusia yang lain untuk menjatuhkan kita. Semua itu dalam genggaman Allah ‎ﷻ, dalam kuasa Allah ‎ﷻ.

انظُرْ كَيْفَ نُصَرِّفُ الْآيٰتِ

Perhatikanlah, betapa Kami mendatangkan tanda-tanda kebesaran Kami silih berganti

Allah ‎ﷻ sentiasa mengulang-ulang topik yang sama dalam Al-Qur’an. Ini adalah kerana ia adalah amat penting sekali. Pengulangan ayat yang lebih kurang sama sahaja bunyinya, dengan menyentuh topik yang sama, tetapi dengan berbagai-bagai cara. Ini kerana kalau ayat yang sama sahaja, tentu manusia yang membacanya akan bosan. Oleh itu, Allah ‎ﷻ akan mengulang topik yang sama tetapi dalam berbagai-bagai bentuk.

Sebagai contoh, lihatlah bagaimana Allah ‎ﷻ mengulang-ulang larangan bertawasul dalam banyak ayat. Begitu juga Allah ‎ﷻ menerangkan tentang syafaat dalam berbagai-bagai ayat dan berbagai-bagai cara. Begitu juga tentang doa kepada-Nya. Begitu juga tentang bid’ah. Berulang kali peringatan diberikan kepada manusia yang mahu membaca dan memahami Al-Qur’an.

Pengulangan itu diberikan kerana topik tersebut adalah perkara-perkara yang penting dan manusia selalu keliru. Maka, Allah ‎ﷻ ulang berkali-kali kerana kalau sudah banyak kali dengar, maka patutnya bolehlah faham.

لَعَلَّهُمْ يَفْقَهُونَ

agar mereka memahami(nya)”.

Supaya manusia memahami bahawa perbuatan syirik itu adalah perbuatan yang ditolak dan dimurkai oleh Allah ‎ﷻ.

Malangnya kebanyakan daripada masyarakat kita tidak tahu bahawa kesusahan yang kita alami itu dan perpecahan yang kita hadapi sekarang adalah kerana kita tidak bersyukur kepada Allah ‎ﷻ dan kerana kita telah mengamalkan amalan syirik dalam masyarakat.


An’am Ayat 66: Ini adalah nasihat kepada Nabi ﷺ dan kepada penyeru-penyeru tauhid.

وَكَذَّبَ بِهِ قَومُكَ وَهُوَ الحَقُّ ۚ قُل لَّستُ عَلَيكُم بِوَكيلٍ

Sahih International

But your people have denied it while it is the truth. Say, “I am not over you a manager.”

Malay

Dan kaum engkau (wahai Muhammad) mendustakannya (Al-Qur’an), padahal ia adalah benar. Katakanlah: “Aku bukanlah orang yang ditugaskan menjaga urusan kamu, (aku hanya seorang Rasul yang menyampaikan perintah-perintah Allah kepada kamu)”.

وَكَذَّبَ بِهِ قَوْمُكَ

Dan kaummu mendustakannya

Mendustakan apa? Maksud dusta di sini adalah mendustakan Al-Qur’an. Apabila dibacakan ayat-ayat Al-Qur’an, Musyrikin Mekah tidak mahu terima. Mereka kata itu hanyalah dusta daripada Nabi Muhammad ﷺ sahaja. Iaitu mereka antara lain mengatakan bahawa Nabi Muhammad ﷺ reka sahaja perkara itu.

Begitu juga yang terjadi kepada masyarakat kita. Apabila diberikan dalil-dalil Al-Qur’an, ramai yang tidak mahu terima. Mereka bagaikan tidak pernah membaca Al-Qur’an. Mereka tolak ayat-ayat Al-Qur’an itu seolah-olah mereka itu bukan orang Islam. Mereka mahu juga menggunakan pendapat yang ada dalam kitab, pendapat guru mereka dan pendapat akal mereka.

Benarlah apa yang Allah ‎ﷻ firmankan ini. Memang benar akan ada dalam kalangan kaum kita yang akan menolak ayat-ayat Al-Qur’an itu. Kalau tidak tolak ayat Al-Qur’an pun, mereka tolak tafsiran ayat-ayat itu. Mereka memang baca Al-Qur’an, tetapi mereka tidak mahu belajar tafsir.

وَهُوَ الْحَقُّ

padahal ia (Al-Qur’an) itu benar.

Mereka berani menolak Al-Qur’an sedangkan ayat-ayat daripada Allah ‎ﷻ adalah benar. Allah ‎ﷻ, Al-Qur’an dan tauhid adalah benar. Sesiapa yang ingkar, azab Allah ‎ﷻ ke atas mereka itu juga benar.

Mereka pun dengan mulut mereka sendiri kata bahawa Al-Qur’an itu daripada Allah ‎ﷻ dan mereka sendiri selalu berkata: “Marilah kita kembali kepada ajaran Al-Qur’an dan hadith.” Mereka siap tulis pada kain rentang dan letak merata-rata. Mereka juga suka dengan Al-Qur’an. Sebab itu mereka akan baca Al-Qur’an hari-hari, malah sedap juga bacaan mereka. Tajwid yang mereka lagukan mendayu-dayu sekali.

Namun begitu, kalau kita tanya apakah makna ayat yang mereka baca itu, mereka pun tidak tahu. Mereka kata mereka hanya baca sahaja. Atau kalau mereka pandai sedikit, mereka akan bacakan ‘terjemahan’ ayat yang mereka baca itu. Tetapi apa yang hendak disampaikan oleh Allah ‎ﷻ, mereka tidak tahu pun apa yang mereka baca itu. Itu adalah kerana mereka tidak belajar tafsir Al-Qur’an. Atau mereka hanya tahu sikit-sikit sahaja (tidak belajar secara menyeluruh).

Dan apabila kita beritahu mereka makna ayat-ayat yang mereka telah baca itu, mereka pula kata kita salah tafsir. Padahal, mereka sendiri tidak belajar tafsir Al-Qur’an. Tetapi, kerana apa yang kita sampaikan itu berlainan dengan apa yang mereka faham, lain dengan apa yang tok nenek dan guru mereka ajar, mereka tolak kita mentah-mentah. Itulah yang disebut dalam ayat ini – mereka menolak Al-Qur’an.

Mereka bukan tolak kita, tetapi tolak ayat Al-Qur’an itu sendiri. Dan apabila tolak ayat Al-Qur’an, mereka tolak Allah ‎ﷻ sebenarnya.

قُل لَّسْتُ عَلَيْكُم بِوَكِيلٍ

Katakanlah: “Aku ini bukanlah orang yang diserahi mengurus urusanmu”.

Perkataan وكل bermaksud ‘penjaga’. Orang yang kita serahkan urusan kita kepada mereka untuk diselesaikan. Sebagaimana perkataan ‘tawakal’ yang bermaksud kita ‘menyerahkan urusan kita kepada Allah ‎ﷻ’  untuk Allah‎ ﷻ selesaikan. Iaitu orang yang bertanggungjawab dalam hal orang lain.

Ayat ini bermaksud bahawa Nabi Muhammad ﷺ tidak boleh memaksa umatnya untuk beriman kepada Allah ‎ﷻ. Baginda hanya boleh menyampaikan ajakan tauhid sahaja kepada mereka.

Juga bermaksud bahawa Nabi Muhammad ﷺ tidak ada kuasa untuk memberi hidayat atau berkat. Tidak ada kuasa untuk menjadi perantaraan antara mereka kepada Allah ‎ﷻ.

Ayat ini mengajar kita bahawa pendakwah hanya mampu menyampaikan sahaja. Mereka hanya boleh menjalankan tanggungjawab mereka untuk menyampaikan dan selepas itu menyerahkan kepada Allah ‎ﷻ untuk beri hidayah kepada manusia. Kita tidak akan bertanggungjawab jikalau mereka tidak menerima hidayah.


An’am Ayat 67:

لِّكُلِّ نَبَإٍ مُّستَقَرٌّ ۚ وَسَوفَ تَعلَمونَ

Sahih International

For every happening is a finality; and you are going to know.

Malay

Tiap-tiap khabar berita mempunyai masa yang menentukannya (yang membuktikan benarnya atau dustanya); dan kamu akan mengetahuinya.

لِّكُلِّ نَبَإٍ

Untuk setiap berita (yang dibawa oleh rasul-rasul)

Kalimah نَبَإٍ adalah berita-berita penting yang disampaikan di dalam Al-Qur’an. ataupun melalui Nabi kita. Ia adalah tentang perkara-perkara agama, perkara yang kita tidak nampak, atau perkara yang hanya akan berlaku di masa hadapan.

Sebagai contoh, tentang syurga, tentang neraka, tentang azab kubur, tentang Mahsyar, Titian Sirat dan sebagainya. Semua perkara-perkara itu tidak akan dapat diketahui melainkan melalui berita-berita yang disampaikan oleh Nabi ﷺ sahaja.

مُّسْتَقَرٌّ

ada (waktu) terjadinya

Kalimah مُّسْتَقَرٌّ daripada kata dasar ق ر ر yang bermaksud ‘stabil’. Kalimah مُّسْتَقَرٌّ bermaksud tempat dan masa yang tetap. Iaitu ia adalah sesuatu yang telah ditetapkan.

Ayat ini bermaksud segala berita yang telah disampaikan oleh Nabi ﷺ itu pasti akan berlaku pada tempat dan waktu yang telah ditetapkan oleh Allah ‎ﷻ. Contohnya, berita-berita seperti berita Mahsyar, berita masuk syurga, berita masuk neraka dan sebagainya. Apabila sampai waktunya, iaitu apabila manusia telah mati, maka semua perkara-perkara yang dijanjikan itu akan berlaku.

Ada Musyrikin Makkah yang kata, kalau betul berita itu benar, maka bawalah ia dengan segera. Mereka mengejek Nabi Muhammad ﷺ kerana mereka tidak percaya. Maka, Allah‎ ﷻ beritahu dalam ayat ini bahawa ia pasti akan berlaku, tetapi pada tempat dan waktu yang telah ditetapkan oleh-Nya. Bukanlah Nabi Muhammad ﷺ boleh menentukan bilakah terjadinya kejadian-kejadian itu.

Maknanya Allah ‎ﷻ bukan memberi amaran yang kosong. Allah ‎ﷻ tekankan yang semua yang telah disampaikan itu pasti akan berlaku. Janganlah mereka sangka apabila mereka mencabar Nabi ﷺ untuk mempercepatkan kejadian berita-berita itu, dan Nabi ﷺ tidak bawakan, bukanlah itu bermakna ia tidak akan terjadi.

وَسَوْفَ تَعْلَمُونَ

dan kelak kamu akan mengetahui.

Bilakah semua yang dijanjikan itu akan berlaku? Sebaik sahaja seseorang manusia itu mati. Waktu itu semua manusia akan nampak dan akan mengetahui dengan pasti.

Pertama sekali mereka akan bertemu dengan alam kubur. Waktu itu awal-awal lagi mereka akan dikejutkan dengan kedatangan Munkar dan Nakir yang akan bertanya beberapa soalan kepada mereka.

Bukan berita-berita besar itu sahaja yang telah ditetapkan oleh Allah ‎ﷻ tetapi semua perkara telah ditetapkan masanya oleh Allah ‎ﷻ. Sama ada lahirnya manusia, atau pun bila matinya, ataupun bila dia akan mendapat rezeki. Jika kita kelam kabut untuk mendapatkan sesuatu, tidaklah ia akan dapat mempercepatkan rezeki itu.

Selalunya kita mahukan sesuatu itu berlaku dengan segera tetapi ia tidak akan berlaku kerana masanya telah ditetapkan oleh Allah ‎ﷻ. Ia hanya akan menyebabkan kita berasa kelam kabut saja. Akan menyebabkan kita jadi gundah gulana sahaja.

Dan akan menyebabkan kita rasa tidak bersyukur kerana benda yang kita tunggu itu tidak jadi-jadi lagi. Selagi apa yang kita harapkan berlaku, tidak terjadi, maka kita seharusnya bersabar dan menumpukan perhatian kepada perkara yang kita boleh lakukan.

Sebagai contoh, ada perempuan yang hamil yang tidak sabar-sabar untuk mengeluarkan anaknya sampaikan mereka jadi resah gelisah. Tetapi tentulah dia tidak dapat mempercepatkan kelahiran bayinya itu kerana ia telah ditetapkan oleh Allah ‎ﷻ.

Dalam ayat ini Musyrikin Mekah meminta-minta supaya dipercepatkan azab ke atas mereka, Itu adalah kerana mereka tidak tahu apa yang mereka minta itu. Mereka mengejek-ngejek Nabi ﷺ sebenarnya dalam permintaan mereka itu. Mereka tidak percaya yang apa yang diberitahu oleh Nabi ﷺ itu perkara yang benar. Mereka sangka Nabi Muhammad ﷺ menipu sahaja.

Selepas ia terjadi nanti kepada mereka, barulah mereka akan akan tahu dan akan rasa menyesal yang amat sangat. Segala apa yang mereka ejek itu akan terjadi.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 24 Disember 2021


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Maariful Qur’an

Tafsir Surah al-An’am Ayat 62 – 64 (Perpecahan sebagai azab)

An’am Ayat 62: Selepas mereka dimatikan, nasib manusia itu tidak selesai lagi. Apa yang akan berlaku kepada mereka?

ثُمَّ رُدّوا إِلَى اللهِ مَولٰهُمُ الحَقِّ ۚ أَلا لَهُ الحُكمُ وَهُوَ أَسرَعُ الحٰسِبينَ

Sahih International

Then they His servants are returned to Allah, their true Lord. Unquestionably, His is the judgement, and He is the swiftest of accountants.

Malay

Kemudian mereka (yang diambil nyawanya itu) dikembalikan kepada Allah Pengawas mereka yang sebenar (yang akan membalas dengan adil). Ketahuilah, bagi Allah jua lah kuasa menetapkan hukum (pada hari kiamat itu), dan Dia lah secepat-cepat Pengira – Penghitung.

 

ثُمَّ رُدُّوا إِلَى اللهِ

Kemudian mereka (hamba Allah) dikembalikan kepada Allah,

Ayat ini memberi peringatan kepada kita bahawa semua makhluk akan dikembalikan kepada Allah ‎ﷻ satu demi satu. Tidak ada sesiapa pun yang akan tinggal di dunia ini selama-lamanya. Moyang kita mati, datuk kita mati, kemudian ayah kita mati dan kita pula akan mati – satu persatu kita semua akan mati.

Oleh, apabila kita lihat orang yang kita kenal mati, sama ada sahabat kita atau kawan-kawan kita, maka ketahuilah bahawa masa kita mungkin tidak lama lagi.

Apabila kita telah mati, kita akan dibawa ke hadapan Allah ‎ﷻ untuk dipertimbangkan hisab amalan kita. Bukanlah kita akan berjalan-jalan keliling dunia ataupun dikembalikan ke dalam tubuh badan yang lain, bukan. Itu adalah fahaman sesat agama agama lain seperti agama Buddha yang ada fahaman reinkarnasi. Kita akan dikembalikan kepada Allah ‎ﷻ sebenarnya. Dan akan ditanya apakah yang kita telah lakukan semasa di dunia dahulu.

 

مَوْلٰهُمُ الْحَقِّ

Pemelihara, penjamin, penjaga mereka yang sebenarnya.

Allah ‎ﷻlah pelindung kita sebenarnya. Wali yang selain Allah ‎ﷻ bukanlah pelindung yang sebenarnya. Sebelum ini telah disebut tentang malaikat yang menjaga keselamatan kita. Dalam ayat ini Allah ‎ﷻ menekankan bahawa sebenarnya Allah ‎ﷻlah yang menjaga kita, bukannya para malaikat itu. Allah ‎ﷻ cuma mewakilkan sahaja kepada malaikat-malaikat itu.

‘Maula’ juga bermaksud ‘tuan punya’. Allah‎ﷻ lah tuan punya kita yang sebenarnya. Malangnya, di dunia ini ramai antara kita menjadi hamba kepada harta benda, perempuan, pangkat dan sebagainya. Sepatutnya Allah ‎ﷻlah maula kita yang sebenarnya yang perlu kita penuhi tuntutan-Nya.

Maula juga bermaksud Allah ‎ﷻ akan membantu hamba-Nya yang meminta pertolongan kepada-Nya pada hari itu. Sesiapa yang layak, akan diberi bantuan dan syafa’ah.

 

أَلَا لَهُ الْحُكْمُ

Ketahuilah! bahwa segala hukum kepunyaan-Nya.

Allah ‎ﷻ beritahu kepada kita bahawa pada hari akhirat nanti hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang akan menjadi hakim dan menjatuhkan hukuman kepada kita. Tidak ada yang lain kerana keputusan sepenuhnya di dalam tangan Allah ‎ﷻ.

Sesiapa yang taat kepada Allah ‎ﷻ, mereka akan berjaya. Sesiapa yang tidak taat kepada Allah ‎ﷻ, maka mereka akan mendapat nasib buruk.

 

وَهُوَ أَسْرَعُ الْحٰسِبِينَ

Dan Dialah Pembuat Perhitungan yang paling cepat.

Apabila Allah ‎ﷻ mula melakukan penghisaban amal manusia, Allah ‎ﷻ akan mengambil masa separuh hari sahaja untuk menyelesaikan perhitungan hisab amal manusia. Ini disebut dalam hadith walaupun begitu ramai makhluk pada waktu itu, iaitu setelah Allah ‎ﷻ memulakan hisab amal. Ini kerana sebelum perhitungan hisab amal itu dijalankan, semua makhluk akan menunggu lama di Mahsyar nanti. Tetapi apabila sudah dimulakan, masa yang diambil sekejap sahaja iaitu separuh hari sahaja atau sekadar waktu tidur qailullah di siang hari.

Imam Al-Muzani رحمه الله berkata,

وَبَعْدَ البِلَى مَنْشُوْرُوْنَ وَيَوْمَ القِيَامَةِ إِلَى رَبِّهِمْ مَحْشُوْرُوْنَ وَلَدَى العَرْضِ عَلَيْهِ مُحَاسَبُوْنَ بِحَضْرَةِ الموَازِيْنِ وَنَشْرِ صُحُفِ الدَّوَاوِيْنَ وَنَسُوْهُ فِي يَوْمٍ كَانَ مِقْدَارُهُ خَمْسِيْنَ أَلْفَ سَنَةٍ لَوْ كَانَ غَيْرُ اللهِ الحَاكِمَ بَيْنَ خَلْقِهِ لَكِنَّهُ اللهُ يَلِي الحُكْمَ بَيْنَهُمْ بِعَدْلِهِ بِمِقْدَارِ القَائِلَةِ فِي الدُّنْيَا “وَهُوَ أَسْرَعُ الْحَاسِبِينَ”[الأنعام:٦٢] كَمَا بَدَأَهُ لَهُمْ مِنْ شَقَاوَةٍ وَسَعَادَةٍ يَوْمَئِذٍ يَعُوْدُوْنَ “فَرِيْقٌ فِي الجَنَّةِ وَفَرِيْقٌ فِي السَّعِيْرِ” [الشورى:٧]

“Setelah hancur, manusia dibangkitkan. Dan pada hari kiamat, manusia dikumpulkan di hadapan Rabb-Nya. Di masa penampakan amal manusia dihisab. Dengan dihadirkannya timbangan-timbangan dan ditebarkannya lembaran-lembaran (catatan amal). Allah ‎ﷻ menghitung dengan teliti, sedangkan manusia melupakannya. Hal itu terjadi pada hari yang kadarnya di dunia adalah 50 ribu tahun. Kalaulah seandainya bukan Allah ‎ﷻ sebagai hakimnya nescaya tidak akan boleh terjadi, akan tetapi Allah ‎ﷻlah yang menetapkan hukum di antara mereka secara adil. Sehingga lama waktunya (bagi orang beriman) adalah sekadar masa istirahat siang di dunia, dan Allah ‎ﷻ Yang Paling Cepat Perhitungan Hisabnya. Sebagaimana Allah ‎ﷻ memulakan menciptakan mereka, sama ada yang sengsara atau bahagia, pada hari itu mereka dikembalikan. Sebahagian masuk syurga, sebahagian masuk neraka.”

Itu bermakna Allah ‎ﷻ cepat sekali menjalankan hisab amal itu. Kalau dalam dunia ini kita mengambil masa yang lama untuk audit sesuatu syarikat sampaikan berhari-hari. Dalam dunia ini banyak orang tugasnya menghitung kira-kira seperti akauntan contohnya. Juga ada banyak perisian yang membuat kira-kira dalam syarikat.

Tetapi apabila Allah ‎ﷻ telah mula mengambil ‘akaun’ kita, ia tidak mengambil masa yang lama. Cuba bayangkan semua makhluk dari yang mula kejadian sehingga ke hari Kiamat, akan bangun serentak. Tidak dapat dibayangkan betapa ramainya makhluk waktu itu. Tetapi Allah akan selesaikan perhitungan hisab amal semua sekali dalam masa segera.

Kalau di dunia, mahkamah kadangkala ambil masa bertahun-tahun untuk membuat keputusan ke atas satu-satu kes. Tetapi Allah ‎ﷻ apabila membuat penghakiman-Nya akan mengambil masa sekejap sahaja.

Perhitungan itu juga bermula dengan cepat. Ada dua jenis perhitungan: satu semasa di Mahsyar dan satu lagi apabila kita masuk sahaja ke dalam kubur. Bila kita masuk dalam kubur sahaja, kita telah disoal jawab oleh malaikat. Malaikat yang dua itu akan datang dengan tiba-tiba dan akan terus tanya kepada kita. Mereka tidak beri peluang untuk tinggal lama dalam kubur.

Soalan-soalan yang akan ditanya pun kita sudah tahu sebenarnya. Kalau kita beriman, maka kita akan senang untuk menjawab soalan-soalan daripada malaikat-malaikat itu. Tetapi kalau kita bukan Muslim sejati, iaitu kalau kita seorang munafik, kita akan ada masalah untuk menjawab soalan-soalan itu.

Begitu juga kepada orang-orang kafir dan musyrik, langsung tidak boleh menjawab. Kalau hafal soalan dan jawapan pun tidak ada guna, kerana bukan otak kita yang jawabnya, tetapi amalan kita; begitu juga kalau selepas mati baru hendak diajar jawapan itu (dalam Talqin yang selalu dilakukan) pun tidak ada gunanya kerana sudah terlambat untuk ahli kubur itu belajar.


 

An’am Ayat 63: Dalil Aqli Iktirafi. Allah ‎ﷻ mengiktiraf fahaman Musyrikin Mekah kerana Orang Mekah pun menerima akidah yang akan disebut ini. Mereka juga percaya yang hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang dapat menyelamatkan mereka.

قُل مَن يُنَجّيكُم مِّن ظُلُمٰتِ البَرِّ وَالبَحرِ تَدعونَهُ تَضَرُّعًا وَخُفيَةً لَّئِن أَنجٰنا مِن هٰذِهِ لَنَكونَنَّ مِنَ الشّٰكِرينَ

Sahih International

Say, “Who rescues you from the darknesses of the land and sea [when] you call upon Him imploring [aloud] and privately, ‘If He should save us from this [crisis], we will surely be among the thankful.’ “

Malay

Katakanlah: “Siapakah yang menyelamatkan kamu dari bencana-bencana di darat dan di laut? (Ketika) kamu berdoa merayu kepadaNya dengan merendah diri (secara terbuka) dan secara bersembunyi, (dengan berkata): “Demi sesungguhnya jika Allah selamatkan kami dari bencana ini nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang bersyukur”.

 

قُلْ مَن يُنَجِّيكُم

Katakanlah: “Siapakah yang dapat menyelamatkan kamu

Allah ‎ﷻ tanya siapa lagi yang boleh selamatkan kita? Ini adalah soalan dalam bentuk retorik. Tidak ada sesiapa lagi yang boleh menyelamatkan kita melainkan Allah ‎ﷻ.

 

مِّن ظُلُمٰتِ الْبَرِّ وَالْبَحْرِ

daripada kegelapan di darat dan di laut,

Kadang kala kita berada di dalam keadaan gelap, siapakah yang dapat menyelamatkan kita apabila tiada cahaya untuk membantu kita? Contohnya dalam kegelapan malam yang kita tidak nampak apa-apa jalan di hadapan kita. Atau kalau tiba-tiba ada orang yang serang kita. Siapakah lagi yang dapat membantu kita pada waktu itu?

Atau kita berada dalam kegelapan gua. Tiba-tiba gua itu bergegar dan runtuh. Siapakah yang dapat menyelamatkan kita pada waktu itu? Begitu juga dalam kegelapan di lautan dan kita waktu itu berada dalam kapal di laut lepas. Laut bergelombang, suasana gelap, tidak nampak daratan atau kapal-kapal yang lain – siapa yang dapat selamatkan kita waktu itu?

Ada yang mengatakan bahawa makna ‘kegelapan’ dalam ayat ini adalah sebagai isyarat. Iaitu kesusahan yang dialami oleh manusia semasa di darat dan lautan. Kalau begitu, ia boleh bermaksud apa-apa sahaja kesusahan. Sebagai contoh, dalam keadaan bumi sedang bergegar, hujan turun yang tidak berhenti-henti, diserang belalang yang memakan tanaman kita dan sebagainya.

Dan kalau di lautan, berbagai-bagai kesusahan yang lebih teruk lagi – seperti ombak yang memukul kapal kita, “iceberg” yang besar, taufan, tsunami dan lain-lain lagi.

 

تَدْعُونَهُ تَضَرُّعًا وَخُفْيَةً

kamu berdoa kepada-Nya sahaja dengan rendah diri dengan suara yang lembut

Waktu kita sedang dalam kesusahan itu, kebanyakan daripada kita hanya sebut Allah ‎ﷻ sahaja. Sama ada kafir atau Islam, sama-sama akan memohon pertolongan kepada ‘Tuhan yang satu’. Malah Musyrikin Mekah pun akan berdoa kepada Allah ‎ﷻ. Mereka akan berdoa pula dengan suara yang perlahan dan berharap sangat. Kerana mereka sedar waktu itu, Tuhan yang sebenar sahaja yang dapat menolong.

Kepada yang kafir, mereka akan terus kata ‘Oh My God’. Tidak sempat lagi sebut tuhan lain – tidak sempat nak sebut Jesus, Siva, Guru Nanak, Buddha dan sebagainya.

Kepada puak Islam yang membuat tawasul, mereka tentu sudah tidak sempat seru wali, malaikat, Nabi mana-mana lagi. Waktu itu mereka tidak sempat membuat tawasul lagi. Mereka tidak sempat sebut ‘ila hadratin’ lagi. Waktu itu baru mereka terus berdoa kepada Allah ‎ﷻ secara terus sahaja.

Kalimah تَضَرُّعًا bermaksud mereka akan merendahkan diri mereka di hadapan Allah. Mereka waktu itu amat sedar tentang kerdilnya diri mereka. Mereka sudah sedar yang mereka tidak ada kuasa lagi. Dan waktu itu mereka mengharap sangat kepada Allah ‎ﷻ. Waktu berdoa itu, mereka sungguh-sungguh berdoa. Mereka amat khusyuk dalam doa mereka.

Kalimah تَضَرُّعًا juga bermaksud mereka menyebut nama Allah ‎ﷻ dalam doa itu dengan suara yang jelas. Kerana dibandingkan dengan perkataan خُفْيَةً yang bermaksud mereka berdoa dalam hati mereka. Maksudnya mereka berdoa dengan suara yang jahr (ada suara) dan dalam hati dan minda mereka juga.

Ini mengajar kita bahawa kalau kita berdoa kepada Allah ‎ﷻ dengan merendahkan diri kepada-Nya, maka Allah ‎ﷻ akan bantu kita. Inilah cara doa yang sebenarnya dan bukanlah dikuatkan suara kita dengan lantang.

Walaupun yang berdoa itu seorang kafir tetapi kalau dia merendahkan diri, Allah ‎ﷻ akan membantunya juga. Ini kerana mungkin pengharapan mereka kepada Tuhan pada waktu itu amat tinggi.

Kalimah خُفْيَةً bermaksud mereka berdoa dengan amat ikhlas sekali – kerana mereka berdoa tanpa keluar suara atau suara yang amat lembut sekali sampai orang di sebelah pun tidak dengar. Itu adalah tanda doa yang ikhlas. Ini kerana kalau kita berdoa dengan suara yang orang boleh dengar, ada kemungkinan kita hendak menunjuk, riak sahaja (supaya orang nampak kita pandai doa panjang-panjang). Tetapi apabila خُفْيَةً digunakan, bermaksud mereka memang doa dengan tulus ikhlas.

Ada orang yang malu hendak berdoa kepada Allah ‎ﷻ kerana mereka tidak biasa baca doa. Jadi mereka malu hendak berdoa dengan suara yang orang lain boleh dengar. Maka, mereka akan berdoa dalam keadaan خُفْيَةً, dengan lemah lembut, tanpa suara.

Ayat ini mengajar kepada kita bahawa kita dibolehkan untuk berdoa kepada Allah ‎ﷻ sama ada dengan suara yang kuat dan juga suara yang lembut. Kita memang tidak perlu berdoa dengan suara yang kuat kerana Allah ‎ﷻ memang mampu mendengar suara kita.

Tetapi kita dibenarkan juga untuk berdoa dengan suara yang boleh didengari. Namun begitu, bukanlah dengan suara yang menjerit-jerit. Sebagai contoh, ada masanya kita doa beramai-ramai. Waktu itu, kita kena jelaskan suara kita supaya orang lain boleh dengar apa yang kita sedang sebut. Sebab kalau tidak didengari, tidak tahu apakah doa yang dibaca. Ini penting kerana seseorang yang berdoa mewakili orang lain perlulah menguatkan suaranya supaya didengari oleh orang lain.

Kita yang meng’amin’kan doa itu pun kena dengar juga apa yang dibaca supaya kita dapat pastikan yang doa itu tidak dalam bentuk doa yang syirik atau yang melibatkan perbuatan tawasul.

Kadang-kadang kita dengar doa yang dibaca oleh imam pun memusykilkan. Mereka baca dalam bahasa Arab, jadi ramai yang tidak faham. Maka, ada yang baca doa dimulakan dengan tawasul. Itu sudah salah. Dan ada yang memulakan doa mereka dengan Selawat Syifa’ dan Selawat Tafrijiyyah – itu adalah dua jenis selawat yang syirik kepada Allah ‎ﷻ. Maka, kalau ada orang yang berdoa seperti itu, maka jangan kita aminkan sekali.

Kalau doa ruqyah, memang kena dengar apa yang disebut dalam doa itu oleh peruqyah. Takut mereka berdoa dengan cara yang salah (mungkin tawasul, mungkin minta kepada jin). Maka peruqyah kena lafazkan doa mereka dengan jelas.

 

لَّئِنْ أَنجٰنَا مِنْ هَٰذِهِ

(dengan mengatakan: “Sesungguhnya jika Dia menyelamatkan kami daripada (bencana) ini,

Mereka amat berhadap semoga Allah ‎ﷻ menyelamatkan mereka. Mereka membuat perjanjian dengan Allah ‎ﷻ pada waktu itu.

 

لَنَكُونَنَّ مِنَ الشّٰكِرِينَ

tentulah kami menjadi orang-orang yang bersyukur””.

Mereka berjanji: kalau mereka diselamatkan, barulah mereka hendak menjadi orang yang baik, mulalah hendak sembahyang, barulah rasa hendak buat baik, rasa hendak belajar agama dan macam-macam lagi perkara yang baik-baik.  Itulah maksudnya mereka hendak menjadi ‘orang yang bersyukur’. Kalau yang buat syirik, waktu itu mereka berjanji tidak mahu berbuat syirik lagi.

Mereka akan bersyukur kepada Allah ‎ﷻ atas segala nikmat yang telah diberikan. Mereka hendak menghargai apa yang Allah ‎ﷻ telah berikan. Kalau sebelum ini, mereka buat tidak kisah sahaja. Mereka tidak jaga salat, mereka tidak pergi haji walaupun mereka mampu dan sebagainya. Mereka dulu lalai dalam menjalankan perintah agama.

Kalau Musyrikin Mekah yang sebut, maksud ‘syukur’ dalam ayat ini adalah bermaksud ‘tauhid’. Jika mereka diselamatkan, mereka berjanji yang mereka akan mengamalkan tauhid sahaja tidak sembah selain Allah ‎ﷻ. Mereka akan seru Allah ‎ﷻ sahaja.


 

An’am Ayat 64:

قُلِ اللهُ يُنَجّيكُم مِّنها وَمِن كُلِّ كَربٍ ثُمَّ أَنتُم تُشرِكونَ

Sahih International

Say, “It is Allah who saves you from it and from every distress; then you [still] associate others with Him.”

Malay

Katakanlah: “Allah jualah yang menyelamatkan kamu dari bencana itu dan dari segala jenis kesusahan; dalam pada itu, kamu (masih) mempersekutukan (Allah dengan sesuatu yang lain)”.

 

قُلِ اللهُ يُنَجِّيكُم مِّنْهَا

Katakanlah: “Allah yang menyelamatkan kamu daripada bencana itu

Allah ‎ﷻ suruh Nabi ﷺ beritahu untuk mengingatkan manusia. Ingatlah bahawa Allah ‎ﷻ sahaja yang dapat menyelamatkan kita. Tidak ada entiti lain yang dapat menyelamatkan kita. Apabila kita berdoa kepada Allah ‎ﷻ supaya menyelamatkan kita daripada kegelapan darat dan lautan, daripada kesusahan darat dan lautan, maka, Allah ‎ﷻlah sahaja yang dapat menyelamatkan.

 

وَمِن كُلِّ كَرْبٍ

dan dari segala macam kesusahan,

Kalimah كَرْبٍ bermaksud kesusahan yang amat sangat yang dihadapi oleh manusia. Kesusahan yang amat sangat sampai mereka rasa hendak bernafas pun susah. Maka ini jenis kesusahan sampai rasa sesak nafas. Sampaikan kita kena duduk sekejap dan cuba bernafas dengan baik semula. Sampai kena tenangkan diri semula.

Allah ‎ﷻ hendak mengingatkan kita yang Dia boleh bebaskan kita dari mana-mana kesukaran pun. Sama ada kesusahan yang kita alami itu kecil ataupun besar, hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang mampu menyelamatkan kita.

Beberapa ayat tentang masalah kehidupan dan penyelesaiannya daripada Allah ‎ﷻ mengandungi pengajaran yang amat penting bagi kita. Kita mungkin tidak minta kepada berhala, wali atau sesiapa sahaja ilah rekaan manusia. Akan tetapi bagaimana cara kita menangani masalah kita? Ya, kita memang melakukan usaha untuk keluar daripada kesusahan kita dengan cara akal, dengan memminta pertolongan daripada manusia lain, usaha keras dan sebagainya. Akan tetapi, adakah kita juga bergantung kepada Allah ‎ﷻ, atau kita lupa terus kepada-Nya? Adakah  selain daripada usaha itu, kita duduk sejenak dan mengadu masalah kita kepada Allah ‎ﷻ? Atau kita hanya bergantung kepada usaha kita?

Manusia semakin maju dan kadang-kadang rasa tidak memerlukan Tuhan lagi. Akan tetapi apalah sangat kemajuan kita dapat selesaikan masalah kita? Contohnya, kalau Allah‎ﷻ  berikan penyakit dan wabak, ya kita boleh mencipta ubat dan vaksin. Tetapi adakah ia dapat menyelesaikan masalah kita 100%? Tentu tidak. Ada vaksin pun wabak masih ada lagi. Jadi mahu tidak mahu, kita masih lagi berharap kepada Allah ‎ﷻ juga. Maka, jalankan usaha, tetapi dalam masa yang sama, tawakal dan berharap kepada Allah ‎ﷻ jangan dilupakan.

 

ثُمَّ أَنتُمْ تُشْرِكُونَ

kemudian kamu kembali mensyirikkan-Nya”.

Allah ‎ﷻ menempelak Musyrikin Mekah yang apabila selamat ke daratan, mereka lupa Tauhid kepada Allah ‎ﷻ dan kembali melakukan syirik. Begitulah juga dengan kebanyakan manusia, walaupun sebelum itu mereka berdoa kepada Allah ‎ﷻ untuk menyelamatkan mereka, tetapi selepas mereka diselamatkan daripada kesusahan itu, mereka membuat syirik pula. Ini seperti yang disebut juga dalam ayat Az-Zumar:8.

۞ وَإِذَا مَسَّ الْإِنْسَانَ ضُرٌّ دَعَا رَبَّهُ مُنِيبًا إِلَيْهِ ثُمَّ إِذَا خَوَّلَهُ نِعْمَةً مِنْهُ نَسِيَ مَا كَانَ يَدْعُو إِلَيْهِ مِنْ قَبْلُ وَجَعَلَ لِلَّهِ أَنْدَادًا لِيُضِلَّ عَنْ سَبِيلِهِ ۚ قُلْ تَمَتَّعْ بِكُفْرِكَ قَلِيلًا ۖ إِنَّكَ مِنْ أَصْحَابِ النَّارِ
Dan apabila manusia itu ditimpa kemudaratan, dia memohon (pertolongan) kepada Tuhannya dengan kembali kepada-Nya; kemudian apabila Tuhan memberikan nikmat-Nya kepadanya lupalah dia akan kemudharatan yang pernah dia berdoa (kepada Allah) untuk (menghilangkannya) sebelum itu, dan dia mengada-adakan sekutu-sekutu bagi Allah untuk menyesatkan (manusia) dari jalan-Nya. Katakanlah: “Bersenang-senanglah dengan kekafiranmu itu sementara waktu; sesungguhnya kamu termasuk penghuni neraka”.

Apakah yang dimaksudkan mereka menjadi syirik selepas itu? Selepas mereka selamat daripada kesusahan yang mereka minta doa kepada Allah ‎ﷻ itu, dan mereka diselamatkan, mereka kata mereka selamat sebab pertolongan daripada orang lain (atau alam dan sebagainya). Itulah syiriknya.

Allah ‎ﷻ kata dalam ayat ini bahawa Allah‎ﷻ lah yang menyelamatkan mereka dan menyelesaikan masalah mereka tetapi mereka kata sebab itu dan ini pula yang selamatkan mereka.

Sebagai contoh, semasa Tsunami dahulu, apabila ditemuramah mereka yang selamat, ada yang berkata: “sebab pelampung inilah saya selamat”. Apa yang mereka cakap itu nampak mudah sahaja, tetapi perkataan mereka itu ada masalah akidah.

Syirik bukan sahaja menyembah selain Allah ‎ﷻ. Syirik juga menyamakan kedudukan makhluk lain dengan Allah ‎ﷻ. Apabila kita kata ada entiti lain yang menyelamatkan kita, bermakna kita telah menyamakan kedudukan entiti itu dengan Allah ‎ﷻ. Seperti kita mengatakan entiti itu pula yang menyelamatkan kita. Padahal, hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang dapat menyelamatkan kita.

Sebagai contoh, katakan kita sudah kesusahan. Mungkin pernah perniagaan kita jatuh sampai kita muflis. Waktu itu kita dalam kepayahan sangat. Tidak tahu hendak buat apa lagi kerana kemampuan kita sebagai manusia memang terhad. Kita pun berdoa dan mengharap kepada Allah ‎ﷻ. Mengharap sangat-sangat pada waktu itu dan berdoa dengan sehabis baik. Waktu itulah kita boleh lihat orang yang tiba-tiba jadi baik, sudah mula pergi ke surau dan masjid untuk berjama’ah.

Kemudian, ada yang berjumpa dengan seseorang yang mendengar masalah kita. Dia pun beri cadangan jumpa ‘ustaz’ untuk mendoakan kita. ‘Ustaz’ itu pun buatlah air mandi buang sial kepada kita. Selepas tujuh hari, semangat kita pun pulih. Perniagaan kita kembali bangkit. (Kita kata orang itu jumpa ‘ustaz’, tetapi sebenarnya dia jumpa bomoh. Sebab sekarang bomoh menggunakan nama ustaz).

Semasa dia mula-mula jatuh muflis, dia telah berdoa terus kepada Allah ‎ﷻ. Maka Allah ‎ﷻ telah mengubah nasibnya. Tetapi oleh kerana dia ada mandi buang sial dengan seorang ‘ustaz/bomoh’ itu, dia pun kata kepada orang lain: “Nasib baik aku jumpa ustaz tu. Dialah yang telah mandikan buang sial aku. Kalau bukan dia, tak tahu lah apa jadi kepada aku sekarang.” Di sinilah maksudnya dia telah melakukan syirik kepada Allah ‎ﷻ.

Kenapa semasa kita susah, kita minta tolong kepada Allah ‎ﷻ tetapi apabila kita selamat daripada kesusahan itu kita kata entiti lain yang tolong kita? Kita memang boleh berterima kasih kepada mereka yang telah menolong kita tetapi janganlah kita lupa bahawa Allah ‎ﷻlah yang sebenarnya yang telah menyelamatkan kita.

Allah ‎ﷻlah yang telah menghantar mereka untuk menyelamatkan kita. Allah ‎ﷻlah yang telah menggerakkan mereka untuk membantu kita. Hakikatnya Allah ‎ﷻlah yang membantu kita. Maka, jangan lupa kepada Allah ‎ﷻ. Jangan lupa mengucapkan syukur kepada Allah ‎ﷻ.

Ayat ini mengajar kepada kita bahawa apabila kita telah selamat daripada kesusahan, maka hendaklah kita berterima kasih dan bersyukur kepada Allah ‎ﷻ. Tetapi selalunya bila masalah kita telah selesai dan kita telah gembira kerana masalah kita selesai, kita terlupa langsung untuk mengucapkan Alhamdulillah. Janganlah begitu, jangan cepat lupa.

Ayat ini juga mengajar kepada kita, apabila kita telah selesai daripada masalah kita, maka hendaklah kita menunaikan apa saja nazar yang kita telah lakukan semasa kita berdoa kepada Allah‎ﷻ  sebelum itu. Kerana, dalam ayat sebelum ini, orang yang berdoa itu telah berjanji untuk menjadi ‘orang yang bersyukur’.

Bermakna, dia ada bernazar/berjanji dengan Allah ‎ﷻ. Sebagai contoh, ada berdoa kalau selesai daripada masalah, mereka akan beri sedekah kepada anak yatim dan sebagainya. Jangan kita lupa akan nazar kita itu kerana Allah ‎ﷻ tahu apa yang kita telah nazarkan.

Cuma sebagai penambahan, kenalah tahu yang nazar bukanlah sesuatu yang molek untuk dilakukan. Ini ada perbincangan yang lain pula.

 

Allahu a’lam. Lompat ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 18 Disember 2021


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Maariful Qur’an

Tafsir Surah al-An’am Ayat 59 – 61 (Allah yang menghidup dan mematikan)

An’am Ayat 59: Ini adalah ayat jenis Dalil Aqli. Ia menyebut tentang ilmu Allah ‎ﷻ yang maha luas.

۞ وَعِندَهُ مَفاتِحُ الغَيبِ لا يَعلَمُها إِلّا هُوَ ۚ وَيَعلَمُ ما فِي البَرِّ وَالبَحرِ ۚ وَما تَسقُطُ مِن وَرَقَةٍ إِلّا يَعلَمُها وَلا حَبَّةٍ في ظُلُمٰتِ الأَرضِ وَلا رَطبٍ وَلا يابِسٍ إِلّا في كِتٰبٍ مُّبينٍ

Sahih International

And with Him are the keys of the unseen; none knows them except Him. And He knows what is on the land and in the sea. Not a leaf falls but that He knows it. And no grain is there within the darknesses of the earth and no moist or dry [thing] but that it is [written] in a clear record.

Malay

Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dia lah sahaja; dan Dia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut; dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Dia mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir biji pun dalam kegelapan bumi dan tidak gugur yang basah dan yang kering, melainkan (semuanya) ada tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuz) yang terang nyata.

وَعِندَهُ مَفَاتِحُ الْغَيْبِ

Dan hanya pada sisi Allah-lah kunci-kunci khazanah ghaib;

Tidak ada sesiapa selain Allah ‎ﷻ yang ada kunci khazanah perkara ghaib. Dalam ayat sebelum ini telah diberitahu yang Nabi Muhammad ﷺ tidak tahu perkara ghaib. Hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang tahu perkara ghaib (Para Rasul hanya tahu setelah diberitahu oleh Allah ‎ﷻ). Jadi kalau ingin mengetahui perkara ghaib, mesti dapatkan maklumat itu daripada Allah ‎ﷻ. Bukanlah kena dapatkan daripada guru sesat yang kononnya boleh tahu pula perkara ghaib. Itu karut sahaja.

Antaranya mereka kata guru mereka boleh “scan” jin. Ada pula yang kata guru mereka boleh tahu apa yang akan terjadi. Ada pula yang kata guru mereka boleh tahu bilakah hari Kiamat akan berlaku – pelbagai kesesatan yang disampaikan oleh mereka yang kadang-kadang digelar ‘guru’.

لَا يَعْلَمُهَا إِلَّا هُوَ

tidak ada yang mengetahuinya kecuali Dia (Allah),

Hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang tahu perkara ghaib. Maka perkara ini perlu difahami benar-benar supaya tidak mudah ditipu oleh golongan sesat.

Antara masalah yang manusia hadapi adalah tentang jin. Maka ramailah manusia yang sangka ada orang yang boleh “scan” jin, nampak jin, kawal jin, kawan dengan jin, bunuh jin dan sebagainya. Padahal kalau kita baca dalam Surah Jin, Nabi ﷺ sendiri pun tidak dapat tahu kehadiran jin yang mendengar bacaan Al-Qur’an yang dibaca oleh baginda.

Salah satu perkara ghaib adalah kejadian masa hadapan. Hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang tahu. Malangnya banyak dalam kalangan manusia yang percaya masa hadapan boleh diramal. Jadi ada yang menggunakan ilmu Feng Shui, bomoh, ahli nujum, astrologi, Kad Tarot dan berbagai lagi cara syirik yang manusia lakukan.

Kalau dalam kalangan orang Islam pula, ada yang percaya terdapat wali-wali yang kononnya ada ilmu kasyaf iaitu tabir yang menghalang daripada melihat sesuatu perkara ghaib itu telah diangkat. Jadi orang itu kononnya boleh nampak perkara ghaib, boleh tahu masa hadapan, boleh ramal itu dan ini. Ini adalah satu penipuan. Ada melibatkan campurtangan jin dalam perkara ini.

وَيَعْلَمُ مَا فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ

dan hanya Dia yang mengetahui apa yang di daratan dan di lautan,

Allah ‎ﷻ sahaja yang tahu segala-galanya yang terjadi dalam bumi ini, sama ada di daratan atau lautan. Maknanya, Allah ‎ﷻ tahu apa yang sedang berlaku di seluruh dunia. Dan itu hanya di dunia sahaja. Allah ‎ﷻ bukan hanya tahu hal di dunia ini, tetapi seluruh alam ini. Cuma ditekankan dalam ayat ini darat dan laut kerana kita tinggal di dunia ini dan kita boleh nampak daratan dan lautan setiap hari.

Ini pun termasuk dalam bab Tauhid juga. Perbincangan Tauhid bukanlah menceritakan tentang Allah ‎ﷻ sahaja satu-satunya Tuhan. Akan tetapi ada banyak lagi. Antaranya adalah beriktikad yang sifat-sifat Allah ‎ﷻ tidak dimiliki oleh mana-mana makhluk. Satu sifat pun tidak boleh diberikan kepada makhluk. Kalau itu berlaku, bermaksud kita telah melakukan syirik.

Antara syirik yang dilakukan oleh manusia adalah bab ilmu. Ada fahaman sesat yang mengatakan ada makhluk yang tahu ilmu ghaib. Sedangkan mengetahui ilmu ghaib, mengetahui segala-galanya adalah Allah ‎ﷻ sahaja.

Salah satu contoh adalah fahaman Sufi Bathiniah yang mengatakan ada wali-wali yang menjadi Ahli Naubah boleh tahu segala apa yang berlaku, yang akan berlaku dan mereka boleh menentukan apa yang akan berlaku.

وَمَا تَسْقُطُ مِن وَرَقَةٍ إِلَّا يَعْلَمُهَا

dan tiada sehelai daun (dan kelopak) pun yang gugur melainkan Dia mengetahuinya,

Kalau sebelum ini mengenai benda besar (alam) maka sekarang Allah ‎ﷻ sebut benda kecil-kecil pun Allah ‎ﷻ tahu. Allah ‎ﷻ berikan contoh daun yang di seluruh alam ini. Allah ‎ﷻ tahu apa sahaja daun yang gugur, bilakah ia gugur, berapa lama masa yang diambil untuk ia gugur, di mana ia gugur dan selepas itu apa akan jadi kepada dedaunan dan kelopak bunga yang gugur itu dan segala-galanya tentangnya.

Kalau benda yang sekecil itu pun Allah ‎ﷻ tahu, apatah lagi kalau benda lain. Maknanya, Allah ‎ﷻ tahu segala perkara. Termasuk yang Dia tahu adalah segala perbuatan kita, segala detik hati kita. Maka kalau kita dapat faham perkara ini maka kita tidak akan berani hendak melakukan dosa kerana kita tahu yang Allah ‎ﷻ mengetahui segala perbuatan kita.

وَلَا حَبَّةٍ فِي ظُلُمٰتِ الْأَرْضِ

dan tidak sebutir biji pun dalam kegelapan bumi,

Allah ‎ﷻ tahu tentang biji-bijian dalam kegelapan malam pun. Ini termasuklah biji benih yang ditanam dalam tanah. Sudahlah bijian itu kecil, dalam kegelapan bumi pula lagi. Termasuk juga semua biji-bijian yang walaupun tidak tertanam dalam tanah. Tidak kiralah sama ada terdedah, tersembunyi atau tidak. Semuanya Allah ‎ﷻ tahu dan tidak ada yang tersembunyi bagi Allah ‎ﷻ.

Lihatlah bagaimana Allah ‎ﷻ tidak malu menggunakan contoh-contoh benda yang kecil pun untuk mengingatkan kita kepada-Nya. Sepatutnya kita dalam melihat kepada benda yang kecil pun boleh memikirkan tentang Allah ‎ﷻ.

وَلَا رَطْبٍ

dan tidak sesuatu yang basah

Perkataan رطب asalnya merujuk kepada buah tamar yang masih ranum, masih segar lagi. Semasa masak, ia berada dalam keadaan basah. Maka sebab itulah digunakan perkataan رَطْبٍ untuk merujuk kepada ‘sesuatu yang basah’.

Contoh tamar digunakan kerana masyarakat Arab amat biasa dengan buah tamar dan mereka adalah penerima wahyu yang awal. Maka, contoh-contoh dalam Al-Qur’an kebanyakannya akan menggunakan perkara-perkara yang mereka biasa dengannya.

وَلَا يَابِسٍ

atau yang kering,

Perkataan يبس adalah lawan kepada رطب. Jadi ia bermaksud sesuatu yang kering, kecut, sudah layu.

Ada juga yang mengatakan bahawa perkataan رطب merujuk kepada benda yang hidup seperti manusia dan binatang kerana semua yang bernyawa ada air di dalamnya.

Dan perkataan يبس merujuk kepada benda yang tidak bernyawa seperti batu, plastik dan sebagainya.

Kalimah رطب juga dikatakan bermaksud lidah yang ingat kepada Allah ‎ﷻ. Seperti sabda Nabi ﷺ yang menyuruh kita membasahkan lidah dengan zikir kepada Allah. Oleh itu, يَابِسٍ bermaksud lidah yang tidak zikir kepada Allah ‎ﷻ. Ini menunjukkan yang Allah ‎ﷻ tahu apa yang kita lakukan. Termasuk sama ada kita zikir ataupun tidak.

إِلَّا فِي كِتٰبٍ مُّبِينٍ

melainkan tertulis dalam kitab yang nyata (Lauh Mahfudz)”

Semuanya Allah ‎ﷻ tahu (Ilmu Ilahi) dengan segala terperinci. Apa sahaja yang wujud dan berlaku, ada pengetahuannya pada Allah ‎ﷻ. Ia sudah tertulis di dalam Kitab Lauh Mahfuz yang telah menulis semua perkara yang akan terjadi sampailah Kiamat nanti. Ia digelar kitab yang nyata kerana apa yang tertulis di dalamnya pasti akan berlaku dan tidak akan berubah.


An’am Ayat 60: Ini satu lagi sifat Allah ‎ﷻ yang tidak ada pada sesiapa. Oleh kerana itu tidak boleh ingkar adanya Kiamat kerana Allah ‎ﷻ boleh buat apa sahaja. Sekarang Allah ‎ﷻ beri dalil dalam ayat ini. Allah ‎ﷻ menggunakan contoh tidur yang setiap hari terjadi kepada kita.

Kiamat nanti kita akan mati, dan akan dihidupkan kembali. Sekarang belum Kiamat lagi tetapi Allah ‎ﷻ sudah beri perumpamaannya kepada kita dalam bentuk tidur dan bangun daripada tidur.

وَهُوَ الَّذي يَتَوَفّٰكُم بِاللَّيلِ وَيَعلَمُ ما جَرَحتُم بِالنَّهارِ ثُمَّ يَبعَثُكُم فيهِ لِيُقضىٰ أَجَلٌ مُّسَمًّى ۖ ثُمَّ إِلَيهِ مَرجِعُكُم ثُمَّ يُنَبِّئُكُم بِما كُنتُم تَعمَلونَ

Sahih International

And it is He who takes your souls by night and knows what you have committed by day. Then He revives you therein that a specified term may be fulfilled. Then to Him will be your return; then He will inform you about what you used to do.

Malay

Dan Dia lah yang menidurkan kamu pada waktu malam, dan mengetahui apa yang kamu kerjakan pada siang hari; kemudian Dia bangunkan kamu (dari tidur) padanya, untuk disempurnakan ajal (masa umur kamu) yang telah ditetapkan. Kemudian kepadaNyalah tempat kamu kembali, kemudian Dia menyatakan kepada kamu apa yang kamu lakukan.

وَهُوَ الَّذِي يَتَوَفّٰكُم بِاللَّيْلِ

Dan Dialah yang mengambil roh kamu di malam hari

Perkataan يَتَوَفَّاكُم daripada katadasar و ف ي yang bermaksud ‘mengambil sesuatu dengan lengkap’. Ambil sepenuhnya sehingga tiada apa-apa lagi yang tinggal. Selalunya digunakan untuk bermaksud ‘mematikan’ kerana keseluruhan Roh akan diambil oleh Allah ‎ﷻ apabila telah habis ajal seseorang.

Digunakan dalam ayat ini untuk bermaksud ‘tidur’ kerana waktu kita tidur, roh kita akan dipisahkan daripada badan. Manusia ada dua jenis roh. Satu dinamakan ‘roh hayat’ dan satu lagi ‘roh kesedaran’. Apabila kita tidur, hanya roh kesedaran kita sahaja yang diambil.

Tetapi kita tidak mati lagi kerana roh hayat masih ada lagi. Oleh kerana bukan semua roh diambil, maka perkataan يَتَوَفَّاكُم digunakan. Iaitu ia dalam bentuk isim fa’il. Allah ‎ﷻ menyebut bahawa Allah ‎ﷻ menidurkan kita seperti juga difirmankan dalam ayat Zumar:42.

Kalimah اللَّيْلِ ‘Malam hari’ disebut dalam ayat ini kerana kebiasaannya manusia akan tidur waktu malam. Fitrah manusia memang memerlukan tidur di malam hari. Kalau kita tidak tidur di malam hari, maka kita telah melawan fitrah yang Allah ‎ﷻ telah jadikan untuk manusia. Maka akan ada masalah di siang hari nanti, jika kita melawan fitrah ini.

Malangnya, ramai yang tidur lambat di malam hari sampaikan mereka tidak dapat berfungsi dengan sepenuhnya pada siang hari. Ada yang buang masa dengan bermain game, ada yang clubbing dan sebagainya. Lainlah kalau dia beribadat, barulah ada faedah untuknya. Namun begitu, untuk qiyamullail juga, sunnah mengajar kita bagaimana Nabi ﷺ pun tidur sebelum baginda bangun mengerjakan salat malam.

Ayat ini memberitahu kepada kita bahawa tidur itu diberi oleh Allah ‎ﷻ. Tidur itu pun suatu nikmat juga. Kalau Allah ‎ﷻ tidak berikan kita nikmat tidur walaupun di malam hari, maka kita pun tidak dapat tidur. Pusinglah macam mana pun, tetapi kita tidak dapat tidur.

Kita tidak dapat kawal sepenuhnya tidur kita. Kadang-kadang kita hendak sangat tidur tetapi tidak boleh tidur juga. Kadang-kadang kita tidak mahu tidur, tetapi Allah ‎ﷻ tidurkan juga kita. Sebagai contoh, kita sedang memandu tetapi keadaan mengantuk sangat dan mata (otak sebenarnya) buat keputusan untuk tidur sendiri (dipanggil micro sleep). Entah berapa ramai yang tertidur semasa sedang memandu itu dan kerana itu banyak kejadian kemalangan yang berlaku.

Jadi, kalau kita ada masalah dengan tidur kita, maka hendaklah kita berdoa kepada Allah ‎ﷻ untuk memperbetulkannya kerana tidur itu dikawal oleh Allah ‎ﷻ. Kita mintalah kepada Allah ‎ﷻ untuk memberi nikmat tidur kepada kita. Tidur ini pun memang satu masalah besar kepada manusia. Memang kita memerlukan kualiti tidur yang bagus. Bukan sahaja dapat tidur, tetapi ‘kualiti’ tidur itu pun penting juga. Ini dinamakan “deep sleep”.

Kalau kita tidak dapat tidur di malam hari, mungkin itu bermakna Allah ‎ﷻ hendak kita salat dan berdoa kepada-Nya. Mungkin waktu itulah kalau kita berdoa, doa itu akan dimakbulkan. Daripada berpusing-pusing atas katil tidak boleh tidur, baik kita bangun untuk salat, baca Al-Qur’an dan berdoa kepada-Nya.

Maka Allah ‎ﷻhendak memberitahu yang Dia boleh ‘matikan’ kita di malam hari, Allah ‎ﷻ boleh ambil roh kita bagaimana Dia kehendaki. Maka Allah ‎ﷻ tentu sahaja boleh mematikan kita terus dan jadikan Kiamat sebagaimana kehendak Dia.

وَيَعْلَمُ مَا جَرَحْتُم بِالنَّهَارِ

dan Dia mengetahui apa yang kamu kerjakan di siang hari,

Tadi Allah ‎ﷻ menceritakan tentang malam. Sekarang Allah ‎ﷻ sebut tentang siang pula. Apa sahaja yang kita lakukan pada siang hari, Allah ‎ﷻ mengetahui mengenainya. Kalimah جَرَحْتُم daripada katadasar ج ر ح yang asalnya bermaksud ‘memberi luka kepada seseorang’.

Dalam ayat ini boleh bermaksud ‘perbuatan yang dilakukan oleh seseorang’. Macam-macam perbuatan yang kita lakukan sepanjang hari. Perbuatan itu boleh jadi perbuatan yang baik dan boleh jadi perbuatan yang jahat.

Jadi, Allah ‎ﷻ tahu segala-galanya yang kita lakukan sepanjang hari kita. Oleh itu hendaklah kita memikirkan apakah yang kita lakukan sepanjang hari dari pagi sampai ke malam. Adakah ia sesuatu yang buang masa sahaja atau adakah ia sesuatu yang akan beri manfaat kepada kita di hari akhirat nanti? Tidakkah kita malu yang Allah ‎ﷻ sedang memerhatikan perbuatan kita itu kalau perbuatan kita itu mengundang dosa?

ثُمَّ يَبْعَثُكُمْ فِيهِ

kemudian Dia membangunkan kamu padanya (siang hari)

Setelah kita telah tidur di malam hari kemudiannya apabila menjelangnya siang, maka Allah ‎ﷻ akan bangunkan kita. Bangun di siang hari juga adalah satu nikmat. Kerana ada yang Allah ‎ﷻ tidak bangunkan terus. Sebab itu kita diajar untuk mengucapkan syukur apabila kita bangun daripada tidur. Lihat doa yang diajar oleh Rasulullah ﷺ:

الحَمْد لِلّهِ الّذِي أَحْيَانَا بَعْدَمَا أَمَاتَنَا وَإِلَيْهِ النُّشُوْر

Segala puji bagi Allah yang menghidupkan kami selepas mematikan kami dan kepada-Nya kami akan kembali.

Waktu siang memang waktu untuk berjaga. Sebab itu adalah amat susah untuk kita tidur pada siang hari. Sudahlah cahaya terang, bunyi pula bising ketika itu kerana memang manusia lain sedang bekerja dan bergerak. Memang waktu siang bukan keadaan yang sesuai untuk tidur. Kecuali kalau kita penat sangat atau kita tidak sihat pada waktu itu.

Tujuan apa Allah ‎ﷻ hidupkan kita semula di pagi hari?

لِيُقْضَىٰ أَجَلٌ مُّسَمًّى

untuk disempurnakan umur(mu) yang telah ditentukan,

Masa kita daripada kita mula lahir sampai kita mati telah ditetapkan oleh Allah ‎ﷻ. Itulah yang dinamakan ‘ajal’. Ajal itu bermaksud masa yang telah ditetapkan dari saat kita lahir sampailah kita menghembuskan nafas kita yang terakhir. Kita akan memenuhkan masa itu. Selagi belum sempurna masa itu, Allah ‎ﷻ akan beri kita bangun daripada tidur lagi.

Kalimah لِيُقْضَىٰ bermaksud ‘untuk disempurnakan’. Bermakna kehidupan kita di dunia ini bukan untuk disia-siakan. Ada tujuan kita hidup ini dan ia hendaklah disempurnakan.

Satu persoalan: memang kita tahu tujuan dan tugas kita di dunia ini iaitu untuk menjadi hamba Allah ‎ﷻ dan beribadat kepada-Nya. Tetapi BAGAIMANA kita memenuhi tanggungjawab itu? Sepanjang kita hidup dari pagi sampai ke malam hari, adakah kita buat sesuatu untuk mencapai tujuan hidup kita itu?

ثُمَّ إِلَيْهِ مَرْجِعُكُمْ

kemudian kepada Allah-lah kamu kembali,

Sama ada kamu mahu atau tidak, kamu akan dimatikan dan akan dikembalikan kepada Allah ‎ﷻ. Sama ada kamu bersedia atau tidak. Sama ada kamu muda atau tua. Kematian datang tidak mengenal usia. Bila-bila masa sahaja boleh mati kerana tidak diketahui bilakah saat kita akan mati.

Maka, hendaklah kita bersedia setiap masa. Entah-entah sekejap lagi kita akan mati. Maka sampai satu masa, Allah ‎ﷻ akan mematikan semua makhluk dan semuanya akan kembali mengadap Allah ‎ﷻ. Maka jangan kita tangguh untuk bertaubat, untuk memperbaiki keadaan kita, untuk buat persediaan kepada akhirat.

ثُمَّ يُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ

lalu Dia memberitahukan kepadamu apa yang dahulu kamu kerjakan.

Kalimah يُنَبِّئُكُم daripada perkataan naba’ yang bermaksud ‘maklumat-maklumat yang penting’. Allah ‎ﷻ tahu segala-galanya yang kita telah lakukan dalam hidup kita  semenjak kita lahir sampai kita mati. Kita sendiri lupa semua yang kita lakukan tetapi Allah‎ ﷻ tidak lupa.

Kalau setakat semalam dan pagi tadi, mungkin kita masih ingat lagi, tetapi apakah yang terjadi semasa kita berumur 20 tahun? Allah ‎ﷻ tahu segala apa yang kita telah lakukan dan hari akhirat nanti Allah ‎ﷻ akan memberitahu semula kepada kita apakah nilai segala perbuatan tersebut. Dan Allah ‎ﷻ akan balas, sama ada dengan kebaikan atau dengan keburukan, bergantung kepada apakah amalan itu.

Ini bermakna, bukan sia-sia sahaja kita dibangkitkan kelak. Bukan untuk suka-suka, tetapi akan dibentangkan apakah yang kita telah lakukan.

Yang dahulu kamu kerjakan‘: ini bermakna, tiada ‘pahala pos’ atau ‘pahala sedekah’ daripada majlis tahlil, daripada bacaan Al-Qur’an orang lain. Tidak ada. Hanya apa yang kita lakukan sahaja yang akan menjadi pahala. Beratus kali ayat seperti ini diulang di dalam Al-Qur’an. Sebab Allah ‎ﷻ hendak beritahu kepada kita bahawa memang tidak ada sedekah pahala. Maka, amalan tahlil untuk sedekah pahala itu adalah sia-sia, kerana tidak sampai.

Dan amatlah sia-sia apabila kita dengar sahaja orang mati, ramai yang terus automatik sebut: ‘Al-fatihah’. Mereka yang buat seperti itu berniat hendak menghadiahkan pahala bacaan fatihah itu kepada si mati. Namun itu bukan daripada ajaran Islam yang sunnah dan ia adalah amalan yang sia-sia sahaja.

Allah ‎ﷻ menceritakan semula apa yang kita telah lakukan itu bukan sengaja suka-suka untuk bercerita, tetapi Allah ‎ﷻ hendak mengadili dan akan menghukum segala perbuatan kita itu.

Habis Ruku’ 7 daripada 20 ruku’ dalam surah ini.


An’am Ayat 61: Takhwif Ukhrawi.

وَهُوَ القاهِرُ فَوقَ عِبادِهِ ۖ وَيُرسِلُ عَلَيكُم حَفَظَةً حَتّىٰ إِذا جاءَ أَحَدَكُمُ المَوتُ تَوَفَّتهُ رُسُلُنا وَهُم لا يُفَرِّطونَ

Sahih International

And He is the subjugator over His servants, and He sends over you guardian-angels until, when death comes to one of you, Our messengers take him, and they do not fail [in their duties].

Malay

Dan Dia lah yang berkuasa atas sekalian hamba-Nya; dan Dia mengutuskan kepada kamu pengawal-pengawal (malaikat yang menjaga dan menulis segala yang kamu lakukan), sehingga apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara kamu, lalu diambil (nyawanya) oleh utusan-utusan Kami (malaikat); sedang mereka pula (malaikat itu) tidak cuai (dalam menjalankan tugasnya).

وَهُوَ الْقَاهِرُ فَوْقَ عِبَادِهِ

Dan Dialah yang mempunyai kekuasaan mutlak di atas semua hamba-Nya,

Ini kali kedua perkataan الْقَاهِرُ digunakan dalam surah ini. Mungkin pada kali pertama ia disebut dalam ayat ke 18, kita tidak nampak kekuasaan Allah ‎ﷻ itu. Maka dalam ayat-ayat selepas ayat ke 18 itu, Allah ‎ﷻ telah memberikan berbagai-bagai dalil tentang kekuasaan-Nya berkali-kali dan dengan berbagai jenis contoh. Dan sekarang Allah ‎ﷻ mengulang lagi perkataan الْقَاهِرُ  dan kali ini kita sepatutnya semakin faham dan semakin yakin.

Allah ‎ﷻ boleh buat apa sahaja dengan makhluk-Nya kerana Allah ‎ﷻ ada hak ke atas kita. Kekuasaan Allah ‎ﷻ ke atas kita adalah mutlak tidak ada pengecualian. Apa yang Allah ‎ﷻ kehendaki tidak boleh dikalahkan tidak boleh dihalang. Kita pun ada kuasa ke atas sesuatu, tetapi kekuasaan kita tidak mutlak.

Contohnya, kita ada hak kuasa ke atas anak-anak kita, tetapi kita tidak boleh suruh mereka buat apa yang mereka tidak mahu buat. Atau kita tidak ada kuasa untuk suruh mereka lakukan perkara yang maksiat.

Dan kita tidak boleh kawal perasaan mereka. Sebagai contoh, kalau kita suruh jadi sedih, jadi gembira, mereka tidak boleh terus dapatkan perasaan itu. Tetapi, kekuasaan Allah ‎ﷻ ke atas kita adalah mutlak. Allah ‎ﷻ boleh buat apa sahaja kepada kita.

وَيُرْسِلُ عَلَيْكُمْ حَفَظَةً

dan diutus-Nya kepadamu malaikat-malaikat penjaga,

Allah ‎ﷻ menugaskan kepada kita malaikat-malaikat untuk menjaga kita. Ada beberapa makna yang kita boleh ambil daripada maksud ‘malaikat penjaga’ itu.

Pertamanya, ia bermaksud kita sentiasa diawasi. Seperti yang disebut dalam Ayat Infithar:10-11.

وَإِنَّ عَلَيْكُمْ لَحَافِظِينَ
Padahal sesungguhnya bagi kamu ada (malaikat-malaikat) yang mengawasi (pekerjaanmu),
كِرَامًا كَاتِبِينَ
yang mulia (di sisi Allah) dan mencatat (pekerjaan-pekerjaanmu itu),

Ini bermakna, ada malaikat Hafazah yang ditugaskan untuk menulis setiap perbuatan kita. Lihat pula ayat Qaf: 17-18.

إِذْ يَتَلَقَّى الْمُتَلَقِّيَانِ عَنِ الْيَمِينِ وَعَنِ الشِّمَالِ قَعِيدٌ
(iaitu) ketika dua orang malaikat mencatat amal perbuatannya, seorang duduk di sebelah kanan dan yang lain duduk di sebelah kiri.
مَا يَلْفِظُ مِنْ قَوْلٍ إِلَّا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ
Tiada suatu ucapan pun yang diucapkannya melainkan ada di dekatnya malaikat pengawas yang selalu hadir.

Ayat daripada Surah Qaf itu memberitahu kepada kita bahawa malaikat-malaikat itu bukan hanya menulis apa yang kita buat tetapi apa yang kita cakapkan juga. Mereka duduk di kiri dan kanan kita.

Ini mengingatkan kita untuk berhati-hati dalam perbuatan dan percakapan kita. Kadang-kadang kita membuang masa dengan bercakap dan melakukan perkara yang lalai sahaja. Masa yang telah diberikan kepada kita hilang begitu sahaja. Alangkah malunya nanti apabila setiap percakapan kita dan tulisan kita di Facebook dan di Twitter dibentangkan kepada semua manusia untuk dilihat. Apa yang ada hanyalah perkara sia-sia sahaja.

Ada hadith dalam Sahih Bukhari yang menceritakan bagaimana ada malaikat yang berada bersama kita bergilir-gilir. Mereka berkumpul pada waktu Fajar dan Asar. Mereka kemudian akan naik bertemu Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ bertanya kepada mereka bagaimana mereka meninggalkan kita.

عن أبي هريرة، أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال ‏”‏ يتعاقبون فيكم ملائكة بالليل وملائكة بالنهار، ويجتمعون في صلاة الفجر وصلاة العصر، ثم يَعرج الذين باتوا فيكم، فيسألهم وهو أعلم بهم كيف تركتم عبادي فيقولون تركناهم وهم يُصلون، وأتيناهم وهم يُصلون ‏”‏‏.‏

Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, bahawa Rasulullah ﷺ  bersabda: “Para Malaikat malam dan Malaikat siang silih berganti mendatangi kalian. Dan mereka berkumpul pada waktu salat Fajar (Subuh) dan ‘Asar. Kemudian Malaikat yang bermalam dalam kalangan kamu naik. Lalu Allah ‎ﷻ bertanya kepada mereka, dan Allah ‎ﷻ lebih mengetahui keadaan mereka itu. ‘Dalam keadaan bagaimana kalian tinggalkan hamba-hambaKu?‘ Para Malaikat menjawab, ‘Kami tinggalkan mereka dalam keadaan mereka sedang mendirikan salat. Begitu juga saat kami mendatangi mereka, mereka sedang mendirikan salat’.”

Bayangkan kalau waktu Asar itu kita hanya sibuk dengan kerja-kerja kita tanpa melakukan salat Asar? Bayangkan kalau waktu Subuh itu kita sedang tidur? Tidak malukah kita kalau malaikat-malaikat itu melaporkan kepada Allah ‎ﷻ tentang keadaan diri kita yang leka dalam beribadah kepadanya?

Selain daripada mengawasi apa yang kita lakukan, malaikat Hafazah itu ditugaskan juga untuk menjaga kita. Antaranya, mereka menjaga orang beriman daripada dirasuk jin. Jin tidak boleh mengganggu kita kerana ada malaikat yang mengawal kita. Jin tidak boleh masuk ke dalam badan kita dan mengawal minda kita. Kalau tidak ada malaikat yang jaga kita, sudah lama jin akan mengganggu kita.

Namun begitu, jika sering melakukan perbuatan syirik sahaja, maka, tiada lagi penjagaan daripada para malaikat. Mereka akan tinggalkan kita. Apabila kembali kepada tauhid, jin dan syaitan tidak boleh ganggu kita. Sebab itu, banyak kisah bagaimana orang yang selalu diganggu hantu, boleh nampak hantu dan sebagainya, tidak lagi akan diganggu apabila mereka kembali belajar tauhid. Itu adalah kerana hantu sudah tidak boleh mengganggu mereka lagi.

Dalil penjagaan ini boleh dilihat dalam ayat Rad:11.

لَهُ مُعَقِّبَاتٌ مِنْ بَيْنِ يَدَيْهِ وَمِنْ خَلْفِهِ يَحْفَظُونَهُ مِنْ أَمْرِ اللَّهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ ۗ وَإِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِقَوْمٍ سُوءًا فَلَا مَرَدَّ لَهُ ۚ وَمَا لَهُمْ مِنْ دُونِهِ مِنْ وَالٍ
Bagi manusia ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya bergiliran, di muka dan di belakangnya, mereka menjaganya atas perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tak ada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tak ada pelindung bagi mereka selain Dia.

Dalam ayat ini diberitahu yang para malaikat akan sentiasa menjaga kita, tetapi apabila kita mengubah akidah kita, maka malaikat akan tinggalkan kita.

Selain menjaga kita daripada gangguan jin dan syaitan, malaikat-malaikat itu juga menjaga kita daripada perkara-perkara lain seperti kemalangan. Kadang-kadang kita boleh dengar bagaimana orang yang mengalami kemalangan yang besar tetapi dia selamat sahaja. Kereta remuk, dan kita terfikir macam manalah orang yang di dalamnya boleh terselamat.

Begitulah caranya Allah ‎ﷻ melindungi kita dengan menugaskan malaikat untuk menjaga kita. Selagi belum tiba ajal kita, maka selagi itu kita akan diselamatkan daripada kematian.

Lihat juga ayat at-Tariq: 4.

إِنْ كُلُّ نَفْسٍ لَمَّا عَلَيْهَا حَافِظٌ
tidak ada suatu jiwa pun (diri) melainkan ada penjaganya.

Jadi malaikat itu ada dua tugas: untuk mengawasi apa yang kita lakukan dan untuk menjaga kita.

Sebenarnya Allah ‎ﷻ yang menjaga kita tetapi Allah ‎ﷻ telah memberikan tugas itu kepada para malaikat. Ini menunjukkan betapa sayangnya Allah ‎ﷻ kepada kita sampai Allah ‎ﷻ menghantarkan para malaikat untuk menjaga kita. Bukan seorang malaikat saja diberikan kepada seorang manusia tetapi banyak malaikat diberikan kepada manusia itu.

حَتَّىٰ إِذَا جَاءَ أَحَدَكُمُ الْمَوْتُ

sehingga apabila datang kematian kepada salah seorang di antara kamu,

Malaikat itu bukan berterusan menjaga kita. Mereka ada masa yang terhad. Mereka akan menjaga kita selama hayat kita masih ada lagi. Apabila telah habis hayat kita, tugas malaikat itu pun selesai. Waktu itulah kalau kemalangan berlaku, maka itulah sebab kematian kita.

تَوَفَّتْهُ رُسُلُنَا

dia diwafatkan oleh Rasul-rasul (malaikat-malaikat) Kami,

Kemudian, ada pula Malaikat yang diwakilkan untuk mengambil nyawa kita. Lihat Ayat Sajdah:11.

۞ قُلْ يَتَوَفَّاكُمْ مَلَكُ الْمَوْتِ الَّذِي وُكِّلَ بِكُمْ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّكُمْ تُرْجَعُونَ
Katakanlah: “Malaikat maut yang diserahi untuk (mencabut nyawa)mu akan mematikanmu, kemudian hanya kepada Tuhanmulah kamu akan dikembalikan”.

Malaikat-malaikat itu hanya mengikut arahan Allah ‎ﷻ sahaja. Dan daripada Hadith kita dapat tahu bahawa bukan satu malaikat saja yang terlibat dalam proses kematian kita tetapi ramai malaikat. Ada ramai malaikat yang akan menyambut kita jika kita adalah roh yang baik. Begitu juga, akan ramai malaikat yang menarik kita dengan ganas kalau kita roh yang jahat.

Ada juga pendapat yang mengatakan malaikat yang sama menjaga kita, malaikat itulah juga yang mengambil nyawa kita nanti.

Daripada ayat ini juga, kita tahu bahawa para malaikat itu juga Rasul utusan Allah ‎ﷻ. Maka Rasul ‎ﷻ ada dalam kalangan manusia dan ada dalam kalangan malaikat.

وَهُمْ لَا يُفَرِّطُونَ

dan malaikat-malaikat Kami itu tidak melalaikan kewajipannya.

Malaikat yang telah ditugaskan itu tidak boleh mempercepat atau melewatkan apa-apa arahan kepada mereka. Mereka hanya menurut perintah Allah ‎ﷻ sahaja. Mereka tidak akan gagal dalam menjalankan tanggungjawab mereka. Mereka taat dan tidak akan terima rasuah daripada manusia.

Malaikat-malaikat itu tidak akan memberi belas kasihan sedikit pun kepada mereka yang tidak layak. Walau bagaimana kuat dan bagaimana cara pun kita merayu kepada malaikat-malaikat itu untuk memberi belas kasihan kepada kita. Malaikat-malaikat itu langsung tidak akan menangguhkan tugas mereka yang telah diberikan oleh Allah‎ﷻ .

Ayat ini mengingatkan kepada kita supaya tidak leka dan lalai dalam menjalankan tugas dan ibadat kita. Jangan kita tunggu-tunggu untuk membuat benda-benda yang baik. Jadilah kita seperti malaikat itu yang tidak lalai dalam menjalankan perintah Allah ‎ﷻ. Jangan kita kata hendak buat esok, nak buat minggu depan, hendak buat bulan depan, hendak buat tahun depan dan sebagainya, kerana kita tidak tahu bila ajal kita akan habis.

Kalau benda itu baik, hendaklah kita lakukan segera. Kalau salat, hendaklah kita dirikan salat itu dalam waktunya kerana kita pun sebenarnya tidak tahu sama ada kita akan masih hidup menjelang petang ataupun malam nanti. Lalu bagaimana kita akan yakin yang kita ada masa untuk membuat perkara-perkara yang kita sepatutnya lakukan itu? Oleh itu, jangan tangguh.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 17 Disember 2021


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Maariful Qur’an