Tafsir Surah al-An’am Ayat 78 – 81 (Ugutan puak musyrik)

Ayat 78: Tapi kaumnya masih lagi tidak mahu terima, maka baginda teruskan dengan cara yang lain. Kali ini baginda berhujah dengan menggunakan contoh matahari pula.

Ayat ini mengajar kita cara berdakwah. Kalau satu cara tidak berjaya, kita sepatutnya mencuba cara yang lain. Gunakan teknik yang berbeza pula. Jadi kena kreatif dalam hal ini. Kena doa kepada Allah supaya beri idea kepada kita.

Ayat-ayat ini juga mengajar kita dalam berhujah kita menggunakan peningkatan dari segi contoh-contoh yang digunakan. Lihatlah bagaimana Nabi Ibrahim mula-mula menggunakan contoh bintang, kemudian bulan dan kemudian baru digunakan contoh matahari.

فَلَمّا رَأَى الشَّمسَ بازِغَةً قالَ هٰذا رَبّي هٰذا أَكبَرُ ۖ فَلَمّا أَفَلَت قالَ يٰقَومِ إِنّي بَريءٌ مِّمّا تُشرِكونَ

Sahih International

And when he saw the sun rising, he said, “This is my lord; this is greater.” But when it set, he said, “O my people, indeed I am free from what you associate with Allah .

Malay

Kemudian apabila dia melihat matahari sedang terbit (menyinarkan cahayanya), berkatalah dia: “Inikah Tuhanku? Ini lebih besar”. Setelah matahari terbenam, dia berkata pula: ` Wahai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu sekutukan (Allah dengannya).

فَلَمَّا رَأَى الشَّمْسَ بَازِغَةً

Kemudian tatkala dia melihat matahari terbit,

Ini adalah waktu awal pagi, apabila matahari dah keluar. Tentulah nampak matahari itu hebat sekali.

قَالَ هَٰذَا رَبِّي

dia berkata: “Inilah Tuhanku,

Ini adalah helah Nabi Ibrahim sahaja. Tidaklah benar-benar baginda kata itu Tuhan pula. Baginda nak berhujah dengan kaum baginda.

هَٰذَا أَكْبَرُ

ini yang lebih besar”.

Lagi besar dari bintang dan bulan. Lagi cerah nampaknya.

Lihatlah penggunaan bahasa di dalam ayat ini. Digunakan kata هَٰذَا (ini untuk lelaki) walaupun sepatutnya digunakan perkataan هذه kerana matahari bersifat Feminin dalam bahasa Arab.

Oleh itu boleh juga kita katakan bahawa yang dimaksudkan ‘Tuhan’ oleh Nabi Ibrahim dalam ayat ini bukanlah matahari itu tetapi Allah sendiri. Ini bermakna bahawa Nabi Ibrahim menggunakan helah dalam penggunaan perkataannya. Baginda sebenarnya merujuk kepada Allah, bukan kepada matahari itu.

فَلَمَّا أَفَلَتْ

Maka tatkala matahari itu terbenam,

Tentulah setelah petang, matahari akan tenggelam juga, bukan? Selepas itu barulah baginda berhujah lagi.

قَالَ يٰقَوْمِ

dia berkata: “Hai kaumku,

Ayat ini menunjukkan bahawa memang Nabi Ibrahim sedang bercakap-cakap dengan kaumnya. Iaitu mereka bermula dengan melihat bintang, kemudian bulan dan kemudian matahari.

Tidaklah Nabi Ibrahim meneruskan hujahnya dengan mencari pula makhluk-makhluk yang lain. Ini menunjukkan bahawa baginda hanya hendak tunjukkan beberapa contoh sahaja. Tujuan baginda adalah untuk menggerakkan kaumnya berfikir. Nak suruh kaumnya pakai otak sikit.

Jadi bukanlah tujuan baginda hendak ‘mencari Tuhan’ seperti yang dikatakan oleh sesetengah kumpulan. Kerana kalau baginda memang mencari Tuhan tentulah baginda akan teruskan dengan mencari bukit, pokok dan lain-lain.

إِنِّي بَرِيءٌ مِّمَّا تُشْرِكُونَ

sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu syirikkan.

Nabi Ibrahim beritahu kepada kaumnya bahawa apa yang mereka sembah selama itu adalah amat salah sekali. Salah satu kesyirikan yang dilakukan oleh kaum Nabi Ibrahim itu adalah memuja bulan, bintang dan matahari. Sebab itu semua benda pelik pada mereka.

Oleh itu, Baginda tidak mahu kena mengena dengan amalan sesat mereka. Baginda kata baginda nak sembah Allah sahaja. Hanya Allah sahaja yang kekal sentiasa ada. Walaupun ada makhluk ada yang hebat, tapi tetap ada kelemahan dan bukanlah tuhan.

Ayat ini juga memberi isyarat kepada kita bahawa Nabi Ibrahim kemudiannya akan meninggalkan kaumnya, sepertimana juga Nabi Muhammad meninggalkan Mekah. Ini kita boleh faham dari ayat ‘berlepas diri’ itu.

Ayat ini juga mengajar kita untuk melihat alam ini dan memikirkan siapakah penciptanya. Kadang-kadang kita hanya melihat benda-benda yang besar sahaja dan kita lupa benda-benda yang kita biasa lihat seperti bulan, bintang dan juga matahari.

Sebagai contoh, pertukaran siang dan malam pun ada tanda kekuasaan Allah. Begitu juga dengan semua benda-benda seperti semut yang kecil dan begitu juga dengan makanan yang kita makan setiap hari. Kalau kita fikirkan tentang alam, ianya akan memberikan kita satu pemahaman bahawa semuanya telah diberikan kepada kita dengan segala keindahan. Semuanya telah diberikan kepada kita sebagai nikmat dari Allah.

Ayat ini juga mengajar bahawa kita perlu meluangkan masa untuk memikirkan tentang alam ini. Lihatlah bagaimana Nabi Ibrahim menunggu sehingga bintang tenggelam. Kemudian baginda menunggu sehingga bulan muncul dan kemudian menunggu pula sehingga matahari muncul dan terbenam.

Bukanlah kita hanya luangkan masa yang sekejap sahaja dan kita ingat kita boleh terus faham tentang alam ini. Dalam surah al-Mulk, telah disebut bagaimana Allah mengajar kita untuk sentiasa melihat kepada alam. Dan kena buat berkali-kali.

Ayat ini juga mengajar kita bahawa semua makhluk samada kecil atau besar, mereka semuanya akan hancur dan yang tinggal hanyalah Allah yang maha kuasa.


Ayat 79: Nabi Ibrahim ditanya jikalau baginda tidak menyembah bintang, bulan, matahari dan sebagainya, jadi apakah yang baginda sembah? Maka Nabi Ibrahim menjawab sebagaimana di dalam ayat ini.

إِنّي وَجَّهتُ وَجهِيَ لِلَّذي فَطَرَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ حَنيفًا ۖ وَما أَنا مِنَ المُشرِكينَ

Sahih International

Indeed, I have turned my face toward He who created the heavens and the earth, inclining toward truth, and I am not of those who associate others with Allah .”

Malay

“Sesungguhnya aku hadapkan muka dan diriku kepada Allah yang menciptakan langit dan bumi, sedang aku tetap di atas dasar tauhid dan bukanlah aku dari orang-orang yang menyekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain)”.

إِنِّي وَجَّهْتُ وَجْهِيَ

Sesungguhnya aku menghadapkan wajahku

Kenapa digunakan perkataan ‘wajah’? Kerana pada wajah itu merangkumi semua pancaindera seperti penglihatan, pendengaran, percakapan, minda dan juga hati. Oleh itu ia bermaksud untuk memberikan sepenuh perhatian kepada apa yang kita hadapkan itu. Iaitu zahir dan batin sekali menjadi hamba.

Kepada siapa Nabi Ibrahim a.s. hadapkan?

لِلَّذِي فَطَرَ السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضَ

kepada yang menciptakan langit dan bumi,

Kalimah فَطَرَ bermaksud yang ‘mula-mula membuat’. Yang sebelum itu tidak dikenali lagi apa yang telah dibuat itu. Tidak ada benda yang sama yang ada sebelum itu.

Sebelum Allah cipta langit dan bumi, tidak ada lagi makhluk seperti itu. Kalau dibandingkan dengan kita cipta kereta jenis baru, tidak boleh dikatakan sebagai فَطَرَ kerana telah ada kereta yang dicipta sebelum itu. Jadi, kita cuma tiru sahaja.

Ayat ini bermaksud Nabi Ibrahim memberikan sepenuh perhatian kepada Allah yang telah mencipta dan menjadikan alam ini.

حَنِيفًا

dengan keadaan lurus,

Ia bermaksud agama tauhid sahaja. Ini maksud hanif yang pertama. Nabi Ibrahim adalah ikon tauhid.

Ia juga bermaksud seseorang yang fokus pada tujuannya dan tidak dialihkan oleh benda-benda lain. Maknanya Nabi Ibrahim fokus kepada menyembah Allah sahaja.

Ini mengajar kita bahawa dalam kita melakukan sesuatu benda yang penting, maka hendaklah kita fokus kepada apa yang kita lakukan. Jangan kita biar diri kita diganggu dengan perkara-perkara yang tidak penting.

Macam juga kita kena fokus kalau kita buat kerja. Kalau kita tidak fokus, maka kita akan banyak membuang masa dengan melakukan perkara-perkara yang tidak penting. Sama juga apabila kita memandu kereta. Amat bahaya kalau kita tidak memberikan perhatian yang sepenuhnya semasa kita memandu.

Masalah yang kita hadapi dalam zaman moden ini adalah kita senang diganggu oleh banyak perkara-perkara yang boleh menghilangkan fokus kita. Bahan hiburan terlalu banyak pada zaman sekarang kalau dibandingkan dengan zaman dahulu. Dengan TV, radio, YouTube dan macam macam lagi.

Ianya pula amat senang untuk dicari. Tak payah cari pun dah ada depan mata kita. Tidak sama dengan masyarakat zaman dulu yang tidak dicemari dengan bahan-bahan seperti itu. Oleh kerana dah banyak sangat bahan hiburan, banyak masa kita terbuang dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Kita kena pandai untuk menghilangkan gangguan-gangguan itu. Kita tidak akan mencapai kejayaan kalau kita tidak fokus di dalam tugas dan kerja.

Kadang-kadang pula, kita mahu melakukan berbagai-bagai perkara sampaikan kita tidak fokus kepada satu perkara dan sampaikan perkara yang penting itu tidak dapat dilakukan. Bila kita hendak melakukan banyak sangat perkara, maka satu perkara pun tidak dapat diselesaikan dengan baik.

Sebab itu kita disuruh untuk khusyuk di dalam solat. Ia mengajar kita setiap hari untuk fokus. Kita disuruh untuk tidak memikirkan kepada benda lain melainkan kepada Allah sahaja semasa kita dalam solat. Sampaikan kita disuruh untuk melihat kepada tempat sujud sahaja – supaya bukan sahaja hati kita, tapi mata kita pun fokus kepada satu tempat sahaja.

Kita diberitahu di dalam ayat ini bahawa salah satu sebab kejayaan Nabi Ibrahim ialah kerana baginda fokus dalam ibadahnya dan di dalam dakwahnya.

Fokus kepada Allah bermaksud kita ikhlas beribadat kepadaNya. Iaitu tidak ada perkara yang akan melencongkan kita daripada Allah.

وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ

dan aku bukanlah termasuk orang-orang yang mensyirikkan Tuhan.

Ayat ini menjelaskan kepada kita bahawa Nabi Ibrahim tidak pernah melakukan syirik. Ini adalah kerana penggunaan kata ما dalam ayat ini. Apabila ما digunakan, ia bukan sahaja bermaksud ‘tidak’ tetapi ia juga menidakkan kata-kata orang lain tentang sesuatu.

Ini penting kerana ada agama-agama yang mengatakan Nabi Ibrahim pernah melakukan syirik. Sebagai contoh, dalam Injil, ada dikatakan yang Nabi Ibrahim telah melakukan syirik di hujung hayatnya. Jadi, Allah hendak membersihkan nama Nabi Ibrahim dalam ayat ini.

Ia juga adalah tempelak kepada musyrikin Mekah yang mengaku mereka ikut ajaran Nabi Ibrahim. Tapi mereka amalkan syirik pula. Jadi ia tidak patut sekali kerana Nabi Ibrahim sendiri tidak amalkan syirik.

Ayat ini mengajar kepada kita bahawa kita perlu menjauhkan diri daripada mereka yang melakukan syirik dan amalan-amalan syirik. Tidak kisah sama ada yang melakukan syirik itu adalah kawan baik kita atau ahli keluarga kita pun. Kita jangan ikut amalan syirik mereka walaupun kita duduk satu rumah dengan mereka. Jangan kita bekerjasama dengan mereka dalam melakukan syirik itu.

Memang sekarang dalam masyarakat kita amat ramai yang melakukan syirik. Kadang-kadang kita sampai rasa hanya kita sahaja yang mengamalkan tauhid kepada Allah.

Oleh itu bayangkan bagaimana Nabi Ibrahim yang berseorangan di dalam menentang kaumnya yang melakukan syirik itu. Walaupun seluruh kaumnya melakukan syirik, tetapi baginda tidak bersama dengan mereka. Jadi jangan kita gunakan alasan terlalu ramai yang mengamalkan syirik dan bidaah sampai kita susah untuk mengamalkan agama.


Ayat 80: Kaum baginda tidak berakidah tauhid. Maka ada pertentangan antara dua golongan itu.

وَحاجَّهُ قَومُهُ ۚ قالَ أَتُحٰجّونّي فِي اللَّهِ وَقَد هَدانِ ۚ وَلا أَخافُ ما تُشرِكونَ بِهِ إِلّا أَن يَشاءَ رَبّي شَيئًا ۗ وَسِعَ رَبّي كُلَّ شَيءٍ عِلمًا ۗ أَفَلا تَتَذَكَّرونَ

Sahih International

And his people argued with him. He said, “Do you argue with me concerning Allah while He has guided me? And I fear not what you associate with Him [and I will not be harmed] unless my Lord should will something. My Lord encompasses all things in knowledge; then will you not remember?

Malay

Dan ia dibantah oleh kaumnya, ia pun berkata: “Patutkah kamu membantahku mengenai Allah, padahal sesungguhnya Ia telah memberi hidayah petunjuk kepadaku? Dan aku pula tidak takut (akan sebarang bahaya dari) apa yang kamu sekutukan dengan Allah, kecuali Tuhanku menghendaki sesuatu dari bahaya itu. (Sesungguhnya) pengetahuan Tuhanku meliputi tiap-tiap sesuatu, tidakkah kamu mahu (insaf) mengambil pelajaran?

وَحَاجَّهُ قَوْمُهُ

Dan dia dibantah oleh kaumnya.

Kaumnya membantah tentang tauhid. Setelah diberikan hujah yang amat kuat, kaumnya masih lagi membantah dan berhujah dengan baginda. Begitu degil mereka untuk menerima kebenaran. Ini adalah jenis manusia yang tak mahu dengar cakap orang. Jenis yang tidak mahu menggunakan akal yang Allah telah kurniakan.

Mereka tidak boleh terima yang Nabi Ibrahim tidak boleh menerima agama mereka. Sama juga kalau kita tegur masyarakat Islam di negara ini yang melakukan kesalahan dalam agama. Kalau kita kata amalan-amalan mereka seperti nyanyian Qasidah, solat hajat berjemaah, majlis Tahlil, sambutan Maulid Nabi dan lain-lain amalan bidaah itu semuanya salah, mereka akan bantah kita. Mereka tidak akan puashati dengan kita.

Mereka hendak juga berhujah bahawa apa yang mereka amalkan itu adalah betul dan disukai oleh Allah. Macam-macam hujah mereka akan beri. Tapi hujah mereka bukanlah dari dalil yang sahih. Malahan berlawanan dengan Qur’an dan Sunnah. Tapi kerana mereka tak belajar, mereka tak tahu pun bahawa apa yang mereka buat itu berlawanan dengan apa yang diajar oleh Allah dan Nabi.

Kaum Nabi Ibrahim juga menyatakan kepada baginda, jikalau baginda tidak beragama seperti mereka dan sembah sembahan mereka itu, baginda akan dikenakan dengan bala. Iaitu mereka kata: tuhan-tuhan itu akan buat sesuatu yang tak elok kepada baginda. Maknanya, mereka hendak menakutkan Nabi Ibrahim. Mereka nak kata bahawa berhala dan sembahan mereka itu ada kuasa untuk memberi mudharat.

Masyarakat kita yang sesat juga ada juga nak takutkan kita dengan perkara-perkara karut seperti itu. Katakanlah kita hendak robohkan tempat persembahan mereka seperti kubur yang ada di Pulau Besar sekarang; mereka akan mengatakan bahawa kita akan dikenakan dengan bala.

Padahal memang kubur tempat sembahan masyarakat kita itu kena dirobohkan kerana selagi tidak dirobohkan, selagi itu masyarakat Islam di negara ini dan negara-negara lain akan datang nak buat syirik tak habis-habis. Dulu dijadikan tempat sembahan puak tarekat, sekarang nak dijadikan tempat sembahan puak-puak Habib pula.

قَالَ أَتُحٰجُّونِّي فِي اللَّهِ

Dia berkata: “Apakah kamu hendak membantah dengan aku tentang Allah,

Adakah kamu sanggup berbantah dengan aku tentang tauhid kepada Allah?

Lihatlah bagaimana Nabi Ibrahim telah menyebut nama Allah, bukan digunakan perkataan ربّ dalam bentuk umum lagi. Ini menunjukkan bahawa memang baginda telah kenal Allah.

Baginda telah lama kenal nama Allah. Jadi, tidak betullah kalau ada yang kata bahawa Nabi Ibrahim lihat bintang, bulan dan matahari itu sebab nak cari Tuhan. Sebaliknya Nabi Ibrahim dah kenal dah Tuhan dan namaNya adalah Allah.

وَقَدْ هَدَانِ

sedangkan sesungguhnya Dia telah memberi petunjuk kepadaku”.

Sedangkan Allah sendiri telah memimpin hatiku mengenali Allah atas akidah tauhid.

Ayat ini memberi isyarat kepada kita bahawa Allah telah memberi wahyu kepada baginda. Kerana Nabi Ibrahim menggunakan perkataan هَدَانِ (memberi hidayah kepadaku). Maknanya, Allah lah yang telah mengajar baginda cara-cara berdakwah seperti yang telah dilakukannya dalam beberapa ayat sebelum ini. Allah lah yang mengajar baginda bagaimana nak cakap dengan kaumnya itu.

Nabi Ibrahim berkata: Bagaimana kamu boleh lagi membantah aku tentang Allah sedangkan aku telah memberi hujah-hujah yang kukuh untuk membuktikan kebenaranNya?

Begitulah kaum Nabi Ibrahim. Dan begitu juga dengan puak-puak ahli bidaah di negara ini. Setelah diberi hujah yang kukuh, masih lagi nak bantah. Kerana hati mereka telah lama condong kepada kesyirikan.

وَلَا أَخَافُ مَا تُشْرِكُونَ بِهِ

Dan aku tidak takut kepada (malapetaka dari) sembahan-sembahan yang kamu persekutukan dengan Allah,

Kaum Nabi Ibrahim telah ancam baginda seperti yang telah disebut tadi. Mereka kata kalau baginda kutuk sembahan mereka, baginda akan ditimpa bala dari tuhan-tuhan mereka itu. Ini macam golongan musyrik negara kita yang kata tok wali mereka akan sumpah kita.

Nabi Ibrahim kata baginda tidak takut kepada ancaman mereka kerana tuhan-tuhan sembahan mereka itu tidak boleh mengenakan apa-apa langsung kepada diri baginda.

Begitu juga kita kena ada akidah sebegitu. Kalau ada tempat sembahan syirik di negara kita, kita sepatutnya kena musnahkan tanpa rasa takut. Ini perlu dilakukan kerana penting untuk menjaga akidah umat Islam. Maka, kalau kita kena musnahkan, maka jangan takut kalau-kalau kita kena penyakit, jadi gila, busung perut dan sebagainya.

Mereka yang ada perasaan takut seperti itu adalah mereka yang ada kepercayaan khurafat dalam diri mereka. Kita kena yakin yang tidak ada apa-apa entiti yang ada kuasa untuk beri mudharat kepada kita kalau Allah tak izinkan.

Orang beriman selalu ditakut-takutkan oleh mereka yang tidak beriman. Antaranya mereka kata, kalau kita hantar anak kita belajar sekolah agama, belajar Qur’an dan hadis, nanti apa mereka nak kerja nanti, mereka akan susah nak dapat kerja; kalau pakai tudung tutup aurat, susah nak dapat suami; kalau tak amalkan riba, susah kita nak beli rumah dan macam-macam lagi; jangan kita hiraukan dengan kata-kata mereka.

إِلَّا أَن يَشَاءَ رَبِّي شَيْئًا

kecuali Tuhanku menghendaki sesuatu (dari malapetaka) itu.

Kecuali kalau Allah sendiri yang mahu mengenakan bala kepada kita, maka kita akan kena bala itu. Kerana tidak ada kuasa apa-apa pun selain daripada Allah Ta’ala yang boleh mengenakan bala kepada kita. Maka jangan kita percaya bahawa kalau kita menyatakan kesyirikan sembahan tuhan orang kafir itu, kita boleh kena bala. Hanya takut kepada Allah sahaja.

Kalau kita buat benda yang baik, tapi masih kena dugaan, kena bala, maka hendaklah kita terima itu sebagai ujian dari Allah. Kerana Allah memang dah beritahu kita yang Dia akan memberikan ujian kepada kita.

Dan sesuatu perkara itu tidak akan terjadi tanpa kehendak Allah dan izin Allah. Maka Allah memang sudah tetapkan bahawa kita akan diuji. Memang itulah yang akan kita dapat dari masa ke semasa.

وَسِعَ رَبِّي كُلَّ شَيْءٍ عِلْمًا

Ilmu Tuhanku meliputi segala sesuatu.

Ilmu pengetahuan Allah meliputi segala sesuatu. Apa-apa sahaja yang terjadi kepada kita, Allah tahu kerana Allah lah yang melakukannya.

Jangan pula kita percaya daripada ayat ini yang Dzat Allah ‘meliputi alam’ ini. Kerana yang dimaksudkan ‘meliputi’ itu adalah ilmu Allah. Kerana salah faham, ada yang kata Allah ada di mana-mana. Itu dah hina Allah – kerana kalau Allah ada di mana-mana, tentu Allah ada dalam poket kita, dalam rumah kita, dalam tandas kita dan sebagainya. Maka tolaklah fahaman itu.

Apabila seseorang itu ada tauhid, beriman benar dengan Allah, maka dia akan jadi yakin. Dia tahu bahawa tidak ada benda yang boleh memudharatkan dirinya tanpa izin Allah. Maka dia tidak takut kepada hantu, kepada jin, kepada ancaman manusia dan sebagainya.

Yang kita perlu takut hanyalah kepada Allah. Jin dan syaitan memang suka kalau kita takut kepada mereka, kepada hantu dan sebagainya. Apabila kita disuruh takut hanya kepada Allah, tapi kita lebih takut hantu dari Allah, maka ada masalah dalam akidah kita.

أَفَلَا تَتَذَكَّرُونَ

Maka kenapakah kamu tidak dapat mengingati?”

Untuk kita ‘ingat’ sesuatu, mulanya hendaklah kita ada benda yang perlu diingat. Iaitu kita telah tahu sesuatu perkara itu, cuma perlu diingatkan sahaja, bukan? Jadi kenapa perkataan تَتَذَكَّرُونَ digunakan dalam ayat ini?

Ini adalah kerana manusia telah kenal Allah semasa dalam alam roh lagi. Fitrah kita sebagai manusia adalah kenal Allah. Cuma kita sahaja lupa setelah dilahirkan dalam dunia ini. Jadi, ajaran semua Nabi dan Rasul adalah untuk mengingatkan kembali kita kepada fitrah kita itu.


Ayat 81:

وَكَيفَ أَخافُ ما أَشرَكتُم وَلا تَخافونَ أَنَّكُم أَشرَكتُم بِاللَّهِ ما لَم يُنَزِّل بِهِ عَلَيكُم سُلطٰنًا ۚ فَأَيُّ الفَريقَينِ أَحَقُّ بِالأَمنِ ۖ إِن كُنتُم تَعلَمونَ

Sahih International

And how should I fear what you associate while you do not fear that you have associated with Allah that for which He has not sent down to you any authority? So which of the two parties has more right to security, if you should know?

Malay

“Dan bagaimanakah aku hendak takutkan apa yang kamu sekutukan dengan Allah itu (yang tidak dapat mendatangkan sesuatu bahaya), padahal kamu tidak takut bahawa kamu telah sekutukan Allah dengan sesuatu yang Allah tidak menurunkan sebarang keterangan kepada kamu mengenainya? Maka yang manakah di antara dua puak itu yang lebih berhak mendapat keamanan (dari bahaya), jika betul kamu mengetahui?”

وَكَيْفَ أَخَافُ مَا أَشْرَكْتُمْ

Bagaimana aku takut kepada sembahan-sembahan yang kamu persekutukan (dengan Allah),

Kenapa pula kita hendak takut kepada tuhan-tuhan sembahan mereka? Kita tidak boleh takut kepada selain daripada Allah. Kalau kita takut kepada selain daripada Allah, maka itu adalah syirik kerana kita percaya bahawa ada benda lain selain daripada Allah yang boleh memberi mudarat kepada kita.

وَلَا تَخَافُونَ

padahal kamu tidak takut

Takkan kita nak takut kepada sembahan syirik mereka tapi mereka tak takut pula dengan Allah yang Maha Kuasa? Tuhan mereka tak boleh buat apa-apa, tapi Allah memang mampu untuk buat segala-galanya.

أَنَّكُمْ أَشْرَكْتُم بِاللَّهِ

Sesungguhnya kamu mempersekutukan Allah

Sungguh menghairankan bagaimana mereka hendak menakutkan Nabi Ibrahim dengan sembahan mereka tapi mereka tak takut pun dengan perbuatan mereka mensyirikkan Allah.

Dalam ayat ini, Nabi Ibrahim dengan jelas memberitahu kepada kaumnya yang mereka itu telah melakukan syirik. Jadi kenapa kita takut nak cakap kepada masyarakat kita tentang amalan syirik mereka? Kita kena berani cakap kepada mereka. Kerana kalau kita tak cakap, mereka tak tahu. Apabila mereka tak tahu, mereka akan terus melakukan perbuatan syirik itu.

مَا لَمْ يُنَزِّلْ بِهِ عَلَيْكُمْ سُلْطٰنًا

yang Allah sendiri tidak menurunkan hujjah kepadamu

Perkataan سُلْطَانًا bermaksud ‘dalil’. Apabila kita buat sesuatu amalan atau kefahaman, kenalah ada dalil yang sah. Tidak boleh kita memandai-mandai reka hal ugama.

Tapi amat malang sekali, banyak masyarakat kita buat amalan tanpa dalil. Samada dalil aqli atau dalil naqli.

فَأَيُّ الْفَرِيقَيْنِ أَحَقُّ بِالْأَمْنِ

Maka manakah di antara dua golongan itu yang lebih berhak memperoleh keamanan

Dua golongan yang dimaksudkan itu adalah Nabi Ibrahim dan pihak Musyrikin dari kaumnya. Antara puak syirik dan puak tauhid.

‘Aman’ bermaksud apabila kita rasa tenang dari sesuatu yang kita tidak nampak. Dari perkara-perkara ghaib. Bukankah kita selalu takut dengan perkara-perkara yang kita tidak nampak?

Dari dua golongan ini manakah yang lebih layak dapat keamanan dari murka Allah, dari azab Allah? Macam mana pihak musyrikin akan dapat rasa aman kalau mereka sentiasa takut dengan perkara yang tidak benar?

Orang yang buat syirik tidak rasa tenang, tidak aman. Aman hanya datang dari iman. Mereka mungkin duduk senang dan selamat dalam rumah mereka, tapi hati mereka tidak aman.

إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

jika kamu mengetahui?

Tentulah yang di atas tauhid itu lebih aman. Mereka akan tenang sahaja walau apa yang terjadi kepada mereka.

Untuk mengetahui, kenalah belajar. Kenalah belajar agama sampai faham.

Lompat ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 2 Mei 2018


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyah Zubair

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s