An’am Ayat 75:
وَكَذٰلِكَ نُري إِبرٰهيمَ مَلَكوتَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ وَلِيَكونَ مِنَ الموقِنينَ
And thus did We show Abraham the realm of the heavens and the earth that he would be among the certain [in faith]
Dan demikianlah Kami perlihatkan kepada Nabi Ibrahim kebesaran dan kekuasaan (Kami) di langit dan di bumi, dan supaya menjadilah ia dari orang-orang yang percaya dengan sepenuh-penuh yakin.
وَكَذَٰلِكَ نُرِي إِبْرٰهِيمَ
Dan demikianlah Kami perlihatkan kepada Ibrahim
Apabila perkataan كَذَٰلِكَ digunakan dalam ayat ini, ia menunjukkan ada kaitan ayat ini dengan ayat sebelumnya. Ini hendak menunjukkan bahawa Nabi Ibrahim عليه السلام telah ditunjukkan dengan kesalahan yang dilakukan oleh kaumnya. Dan selain daripada itu, Nabi Ibrahim عليه السلام juga telah ditunjukkan dengan kehebatan Allah ﷻ.
Perkataan نُرِي bermaksud Nabi Ibrahim عليه السلام telah ‘diperlihatkan’. Ru’yah (penglihatan) ada dua jenis: Satu dengan mata dan satu lagi dengan ilmu. Sebagai contoh, ada barang yang kita boleh tunjukkan kepada orang lain. Dan kadang-kadang kita boleh berikan penerangan tentang sesuatu perkara sahaja dan orang lain boleh faham walaupun dia tidak melihat pun benda itu. Sebagai contoh, kita boleh tunjukkan kawan kita atau kita boleh ceritakan bagaimana rupa kawan kita kepada orang lain. Maknanya, kita diberikan pemahaman sahaja.
Apabila perkataan نُرِي digunakan, ia bermaksud kedua-dua jenis ru’yah itu telah diberikan kepada Nabi Ibrahim عليه السلام. Ini bermakna, bukan sahaja Nabi Ibrahim عليه السلام telah ditunjukkan dengan kehebatan yang ada pada alam ini, tetapi ia juga ‘diterangkan’ kepada baginda apakah maksud yang ada pada alam ini sehingga baginda faham dengan amat jelas.
Sebagai contoh, kita mempunyai sebuah mesin. Kepada satu orang, kita tunjukkan sahaja rupabentuk mesin itu dan kepada seorang yang lain pula, bukan sahaja kita tunjukkan mesin itu kepadanya, tetapi kita tunjuk sekali apakah mesin itu boleh buat dan bagaimanakah cara untuk mengendalikannya. Tentulah orang yang ditunjukkan cara menggunakan mesin itu lebih faham daripada orang yang melihatnya sahaja.
Begitu juga dengan alam ini. Semua orang boleh nampak alam ini, bukan? Namun bukan semua orang boleh faham apakah maksud alam ini. Ini adalah kerana mereka hanya melihat, tetapi mereka tidak memikirkan tentang alam ini. Nabi Ibrahim عليه السلام telah ditunjukkan dengan kehebatan alam ini yang bermakna baginda telah diangkat (mi’raj) oleh Allah ﷻ. Baginda telah menerima kedudukan sebagai Nabi dan baginda telah kenal Allah ﷻ.
مَلَكُوتَ السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضِ
tanda-tanda keagungan (Kami yang terdapat) di langit dan bumi
Perkataan مَلَكُوتَ diambil daripada katadasar ملك yang bermaksud ‘kekuasaan’ dan ‘kerajaan’. Tetapi apabila ditambah huruf و dan ت dalam perkataan itu, ia menunjukkan kepada isim mubalagah, iaitu ia bukanlah kerajaan yang biasa, iaitu ditunjukkan keseluruhan kerajaan Allah ﷻ kepada Nabi Ibrahim عليه السلام. Apa sahaja yang Allah ﷻ ciptakan.
Dan perkataan مَلَكُوتَ ini hanya digunakan untuk Allah ﷻ sahaja kerana kerajaan segalanya adalah hanya hak milik Allah ﷻ. Tidak ada lain yang memilikinya. Allah ﷻ telah menjadikan alam ini supaya kita melihatnya dan dapat pemahaman bahawa alam ini menunjukkan kepada kewujudan Allah ﷻ.
Namun malangnya, apabila sampai istilah ini kepada puak tarekat, maka banyaklah tafsir mereka sebut ‘Alam Malakut’, ‘Alam Jabbarut’ dan macam-macam lagi. Maka terngangalah anak-anak murid yang berguru dengan guru tarekat itu. Mereka tidak tahu pun apakah Alam Malakut itu. Mereka pandai sebut sahaja. Rupanya ia adalah kekuasaan dan kerajaan Allah ﷻ.
Ada masalah pentafsiran kebanyakan orang tentang ayat ini. Ada yang kata bahawa ayat ini hendak menceritakan ‘Perjalanan Rohani’ Nabi Ibrahim عليه السلام. Mereka kata yang inilah ayat yang menceritakan bagaimana Nabi Ibrahim عليه السلام dipertunjukkan dengan bintang, bulan dan kemudian matahari.
Apabila baginda melalui proses itu, mereka kata akhirnya Nabi Ibrahim عليه السلام berjaya menemui Tuhan. Itu adalah pentafsiran yang salah. Jangan kita terpedaya dengan pentafsiran yang sebegini. Nanti akan dibincangkan di dalam ayat-ayat yang seterusnya.
وَلِيَكُونَ مِنَ الْمُوقِنِينَ
agar dia termasuk daripada golongan orang-orang yang yakin.
Ditunjukkan semua kehebatan Allah ﷻ kepada baginda, supaya baginda yakin bahawa entiti-entiti lain yang disembah oleh kaumnya itu adalah salah belaka.
Ini menunjukkan bahawa Nabi Ibrahim عليه السلام telah ada iman, tetapi ditunjukkan segala kerajaan itu supaya baginda menjadi ‘yakin’. Itu adalah tingkatan yang lebih tinggi daripada ‘iman’. Sebagai contoh, ramai yang tahu bahawa Al-Qur’an itu daripada Allah ﷻ. Namun apabila seseorang itu belajar Al-Qur’an, belajar tafsir, barulah dia mendapat ‘keyakinan’ yang tinggi pada kehebatan Al-Qur’an itu.
Ini kerana kebenaran yang ditulis dalam Al-Qur’an itu semakin jelas dan semakin jelas apabila kita mempelajarinya. Kita boleh lihat bagaimana apa yang disebut dalam Al-Qur’an itu terjadi di hadapan mata kita. Ini adalah proses yang berpanjangan.
Apabila kita belajar tafsir Al-Qur’an dan kita melihat bagaimana segala apa yang Allah ﷻ beritahu kepada kita dalam Al-Qur’an itu benar-benar terjadi di hadapan mata kita maka kita akan mendapat ‘yakin’ yang bertambah dari masa ke semasa.
Yakin itu datang selepas iman. Oleh itu, kena ada iman sebelum datangnya ‘yakin’. Apabila kita melihat alam ini, maka kita akan sampai kepada satu pemahaman tauhid yang yakin iaitu melihat kebenaran dengan betul.
Jka seorang Nabi pun melalui proses melihat dan memikirkan tentang alam, maka kita pun kena buat juga begitu supaya kita pun sampai kepada tahap yakin itu. Ayat ini juga mengajar kita yang kita dapat yakin dengan cara melihat dan mengkaji dalil kerana kita tentunya tidak diberikan dengan isra’ dan mi’raj.
Bila dapat tahu dalil, barulah datang keyakinan itu. Maka kita lihat apa yang berlaku di alam luar dan rujuk semula ayat-ayat Al-Qur’an. Kita akan lihat ada kesamaan dan kebenarannya, maka akan datang keyakinan kepada kita. Segala yang disebut dalam Al-Qur’an ada pada alam; dan apa yang ada pada alam disebut dalam Al-Qur’an.
An’am Ayat 76:
فَلَمّا جَنَّ عَلَيهِ اللَّيلُ رَءا كَوكَبًا ۖ قالَ هٰذا رَبّي ۖ فَلَمّا أَفَلَ قالَ لا أُحِبُّ الآفِلينَ
So when the night covered him [with darkness], he saw a star. He said, “This is my lord.” But when it set, he said, “I like not those that disappear.”
Maka ketika dia berada pada waktu malam yang gelap, dia melihat sebuah bintang (bersinar-sinar), lalu dia berkata: “Inikah Tuhanku?” Kemudian apabila bintang itu terbenam, dia berkata pula: “Aku tidak suka kepada yang terbenam hilang”.
فَلَمَّا جَنَّ عَلَيْهِ اللَّيْلُ
Ketika malam menutupi ke atasnya,
Iaitu apabila malam menutupi siang. Selepas Allah ﷻ menunjukkan alam ini dan pemahaman tentang alam itu kepada baginda, Nabi Ibrahim عليه السلام telah memanggil kaumnya ramai-ramai. Baginda hendak menggunakan cara yang sama untuk berdakwah kepada kaumnya. Iaitu dengan melihat kepada alam ini dan suruh mereka memikirkan apakah maksudnya.
Baginda hendak menunjukkan kepada mereka bahawa apa yang mereka sembah itu salah. Bolehlah dibuat anggaran yang pada waktu itu mereka ramai-ramai duduk melihat langit bersama dengan Nabi Ibrahim عليه السلام.
Perkataan جَنَّ digunakan apabila sesuatu perkara itu ditutup daripada segala pancaindera manusia. Iaitu tidak boleh dilihat, didengari, dihidu dan sebagainya. Nama jin juga diambil daripada kata ini kerana jin itu tidak dapat dikesan dengan pancaindera kita. Janin yang di dalam perut ibu mengandung pun diambil daripada perkataan ini kerana janin itu berada dalam perut ibu. Tidak boleh dilihat dan tidak dapat dirasa oleh pancaindera.
Apabila malam datang, segalanya tidak kelihatan lagi kepada Nabi Ibrahim عليه السلام dan kaumnya. Melainkan bintang dan bulan sahaja.
رَءا كَوْكَبًا
dia melihat sebuah bintang
Langit itu gelap, tetapi dengan jelas bintang kelihatan. Perkataan كَوْكَبًا digunakan untuk bintang yang besar dan bersinar terang. Banyak perkataan digunakan untuk menyebut tentang bintang. Tetapi terdapat berjenis-jenis bintang. Dalama bahasa kita biasa panggil ‘bintang’ sahaja untuk apa jenis bintang, tetapi orang Arab ada banyak nama untuk bintang.
Ini adalah kerana orang Arab memang suka melihat bintang. Memang banyak bintang di langit tetapi ada satu jenis bintang yang berbeza dengan yang lain. Itulah yang dinamakan bintang jenis كَوْكَبًا. Ia lain kerana ia jelas kelihatan lebih besar daripada bintang-bintang yang lain dan bersinar terang.
قَالَ هَٰذَا رَبِّي
(lalu) dia telah berkata: “Inilah Tuhanku”,
Nabi Ibrahim عليه السلام berkata kepada kaumnya bahawa ‘bintang itulah tuhannya’. Ini kena difahami dengan belajar tafsir dan jangan terus baca terjemahan sahaja. Kerana kalau tidak, kita akan salah faham.
Kita kena ingat yang ini adalah kata-kata helah daripada Nabi Ibrahim عليه السلام. Bukanlah baginda menerima yang bintang itu sebagai tuhan pula. Jangan kita fikir sebegitu (ramai juga yang mempunyai sangkaan begini). Nabi Ibrahim عليه السلام hendak memberikan hujah kepada kaumnya bahawa apa yang mereka sembah itu adalah perbuatan yang bodoh. Baginda berpura-pura sahaja.
Tambahan pula, perkataan yang digunakan dalam ayat ini adalah قَالَ yang bermaksud ‘telah berkata’. Tidak digunakan perkataan ‘fikir’ kerana Nabi Ibrahim عليه السلام tidak pernah menerima yang bintang itu sebagai tuhan. Baginda cuma cakap di mulut sahaja dan tidak sampai ke hati baginda pun.
Jadi, baginda sebenarnya bukan berkata: “inilah tuhanku”, tetapi baginda sebenarnya berkata secara tersirat: “adakah ini tuhanku?”
Jadi, ini adalah satu cara Nabi Ibrahim عليه السلام hendak mempersembahkan cara memahami sifat Tuhan kepada masyarakatnya. Maka, baginda hendak menolak satu-persatu tuhan sembahan mereka kerana semuanya tidak memiliki sifat Tuhan. Sekarang baginda sedang mulakan dengan bintang.
Banyak juga yang salah faham dengan ayat ini. Ini adalah kerana mereka tidak belajar tafsir Al-Qur’an. Mereka baca sendiri ayat Al-Qur’an sehingga timbul pemahaman yang amat salah. Itulah bahayanya apabila membaca dan cuba memahami sendiri ayat Al-Qur’an daripada terjemahan sahaja. Mereka kata, ayat ini hendak menceritakan bagaimana proses pencarian Nabi Ibrahim عليه السلام untuk mencari Tuhan!
Itu adalah salah dan pemahaman yang sesat! Dalam ayat sebelum ini, bukankah telah disebut bagaimana Nabi Ibrahim عليه السلام telah ada iman kepada Allah ﷻ dan telah sampai ke tahap yakin? Tidak mungkin baginda tersalah pula?
Ada pula yang kata ayat-ayat ini menceritakan tentang Nabi Ibrahim عليه السلام semasa muda yang sedang mencari tuhan. Ini pun pandangan yang salah juga. Kerana dalam akidah kita, kita berpegang bahawa para Nabi sebelum menjadi Nabi pun tidak pernah melakukan syirik. Semua Nabi terpelihara daripada melakukan perkara syirik walaupun mereka belum menjadi Nabi dan belum kenal Islam pun lagi.
Sebagai contoh, walaupun Nabi Muhammad ﷺ belum lagi diperkenalkan dengan agama Islam tetapi baginda tidak pernah menyembah berhala. Baginda memang tidak suka dengan berhala kerana telah ditanam dalam diri baginda oleh Allah untuk membenci syirik. Baginda diselamatkan oleh Allah ﷻdaripada melakukan syirik. Oleh itu, walaupun baginda suka dan selalu tawaf keliling Kaabah, tetapi baginda tidak pernah menyentuh berhala-berhala yang ada di sekeliling Kaabah.
فَلَمَّا أَفَلَ
tetapi tatkala bintang itu tenggelam
Perkataan أَفَلَ digunakan untuk menerangkan apabila planet, bulan, bintang dan matahari telah hilang daripada pandangan.
Nabi Ibrahim عليه السلام adalah seorang yang dikatakan amat bijak (memang semua Nabi bersifat fatanah [bijaksana]). Cuba fikirkan: adakah perlu baginda tunggu sampai bintang itu hilang baru baginda sedar yang bintang itu akan hilang? Tentulah tidak. Kita yang tidak berapa bijak ini pun tahu yang bintang itu akan hilang juga malam itu.
Jadi kita kena faham apakah maksud Nabi Ibrahim عليه السلام menjalankan proses melihat bintang dalam ayat ini. Dan kemudian nanti dalam ayat seterusnya baginda melihat bulan dan matahari pula. Itu semua adalah helah dan lakonan baginda sahaja untuk ditunjukkan kepada kaumnya.
قَالَ لَا أُحِبُّ الْآفِلِينَ
dia berkata: “Saya tidak suka kepada yang tenggelam”.
Nabi Ibrahim عليه السلام menolak bintang sebagai tuhan dengan menyuruh kaumnya berfikir: Takkan sifat Tuhan itu timbul dan tenggelam? Datang sekejap-sekejap sahaja? Nabi Ibrahim عليه السلام berhujah bahawa baginda tidak suka tuhan yang timbul sekejap-sekejap sahaja. Tuhan itu hendaklah sentiasa ada untuk mendengar doa kita.
Kalau sekejap ada dan sekejap hilang, itu bukanlah satu sifat yang bagus. Jika kita ada kawan, kawan yang bagaimanakah yang kita suka? Yang selalu ada dengan kita atau selalu hilang? Bila sahaja kita hendak meminta tolong, dia hilang. Datang bila kita belanja makan sahaja. Adakah kita boleh berharap dengan kawan yang sebegitu?
Oleh kerana bintang itu boleh hilang, maka Nabi Ibrahim عليه السلام kata yang baginda tidak akan sembah bintang sebagai tuhan. Oleh itu, baginda sudah menolak satu contoh sembahan kaumnya, iaitu bintang.
An’am Ayat 77:
فَلَمّا رَءا القَمَرَ بازِغًا قالَ هٰذا رَبّي ۖ فَلَمّا أَفَلَ قالَ لَئِن لَّم يَهدِني رَبّي لَأَكونَنَّ مِنَ القَومِ الضّالّينَ
And when he saw the moon rising, he said, “This is my lord.” But when it set, he said, “Unless my Lord guides me, I will surely be among the people gone astray.”
Kemudian apabila dilihatnya bulan terbit (menyinarkan cahayanya), dia berkata: “Inikah Tuhanku?” Maka setelah bulan itu terbenam, berkatalah dia: “Demi sesungguhnya, jika aku tidak diberikan petunjuk oleh Tuhanku, nescaya menjadilah aku dari kaum yang sesat”.
فَلَمَّا رَءا الْقَمَرَ بَازِغًا
Kemudian tatkala dia melihat bulan terbit
Kalimah بَازِغًا digunakan untuk menerangkan apabila bulan dan matahari sedang mula keluar. Waktu itu adalah waktu bulan dan matahari amat jelas sekali. Iaitu ketika matahari terbit di siang hari dan bulan di malam hari.
قَالَ هَٰذَا رَبِّي
dia berkata: “Inilah Tuhanku”.
Baginda berkata pula kepada kaumnya begini. Kata-kata Nabi Ibrahim عليه السلام ini adalah sebagai lakonan sahaja, seperti yang kita telah sebutkan sebelum ini. Bukanlah benar-benar baginda mengatakan yang bulan itu adalah Tuhannya.
Boleh dikatakan bahawa kata baginda itu adalah satu cemuhan sahaja – أهَٰذَا رَبِّي – “Adakah ini tuhanku?”
فَلَمَّا أَفَلَ
Tetapi setelah bulan itu terbenam,
Tentulah setelah sekian lama, bulan itu akan hilang sinarnya dan akan tenggelam, atau hilang daripada pandangan mata apabila siang datang.
قَالَ لَئِن لَّمْ يَهْدِنِي رَبِّي
dia berkata: “Sesungguhnya jika Tuhanku tidak memberi petunjuk kepadaku,
Baginda membawa kembali kepada perbincangan tentang Allah ﷻ. Baginda hendak mengingatkan yang Allah ﷻlah Tuhan yang sebenar. Kaum baginda itu bukannya tidak kenal Allah ﷻ, maka baginda hendak mengingatkan mereka kepada Allah ﷻ sahaja.
لَأَكُونَنَّ مِنَ الْقَوْمِ الضَّالِّينَ
pastilah aku termasuk orang yang sesat”.
Nabi Ibrahim عليه السلام mengajar kaumnya bagaimana menggunakan akal dalam memilih Tuhan. Jika Allah ﷻ tidak memberikan petunjuk-Nya, kita semua akan sesat. Maka, baginda juga menunjukkan kepada mereka bagaimana berdoa kepada Allah ﷻ untuk mendapatkan hidayah. Sebab itulah baginda telah membacakan doa itu di hadapan mereka. Oleh itu, hendaklah kita sentiasa berdoa kepada Allah ﷻ untuk memberikan hidayah kepada kita.
Doa itu bukan sahaja kepada orang yang Islam, tetapi orang yang kafir pun boleh baca. Jika tidak, bagaimanakah ramai orang yang asalnya lahir dalam kekafiran namun telah mendapat jalan hidayah Islam? Itu adalah kerana mereka pernah memohon petunjuk kepada Tuhan (mereka tidak sebut pun nama Tuhan itu) untuk memberikan hidayah kepada mereka.
Mereka tidak tahu manakah Tuhan yang sebenar, maka mereka telah membaca doa mereka dengan harapan untuk mendapatkan kebenaran. Mereka boleh baca dalam bahasa mereka, dalam cara yang mereka senang. Allah Maha Mendengar apakah permintaan mereka. Tidak semestinya mereka bukan orang Islam, Allah ﷻ tidak mendengar doa mereka.
An’am Ayat 78: Namun begitu, kaumnya masih lagi tidak mahu menerima dan buat tidak faham dengan dakwah dan hujah baginda, maka baginda teruskan dengan cara yang lain. Kali ini baginda berhujah dengan menggunakan contoh matahari pula.
Ayat ini mengajar kita cara berdakwah. Jika satu cara tidak berjaya, kita sepatutnya mencuba cara yang lain. Gunakan teknik yang berbeza pula. Maka, kenalah menjadi lebih kreatif dalam hal ini. Hendaklah kita berdoa kepada Allah ﷻ agar diberikan ilham kepada kita.
Ayat-ayat ini juga mengajar kita dalam berhujah supaya menggunakan peningkatan dari segi contoh-contoh yang digunakan. Lihatlah bagaimana Nabi Ibrahim عليه السلام pada permulaannya menggunakan contoh bintang, kemudian bulan dan kemudian barulah digunakan contoh matahari. Ini penting kerana kita mahu orang yang didakwah itu faham dengan apa yang kita hendak sampaikan.
فَلَمّا رَأَى الشَّمسَ بازِغَةً قالَ هٰذا رَبّي هٰذا أَكبَرُ ۖ فَلَمّا أَفَلَت قالَ يٰقَومِ إِنّي بَريءٌ مِّمّا تُشرِكونَ
And when he saw the sun rising, he said, “This is my lord; this is greater.” But when it set, he said, “O my people, indeed I am free from what you associate with Allah .
Kemudian apabila dia melihat matahari sedang terbit (menyinarkan cahayanya), berkatalah dia: “Inikah Tuhanku? Ini lebih besar”. Setelah matahari terbenam, dia berkata pula: ` Wahai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu sekutukan (Allah dengannya).
فَلَمَّا رَأَى الشَّمْسَ بَازِغَةً
Kemudian tatkala dia melihat matahari terbit,
Sekarang Nabi Ibrahim عليه السلام menarik perhatian kaum baginda kepada matahari pula. Dan kejadian ini adalah pada waktu awal pagi, apabila matahari sudah keluar. Tentulah kelihatan matahari itu hebat sekali.
قَالَ هَٰذَا رَبِّي
dia berkata: “Inilah Tuhanku,
Ini adalah helah Nabi Ibrahim عليه السلام sahaja. Tidaklah benar-benar baginda berkata matahari itu Tuhan pula. Baginda ingin berhujah dengan kaum baginda sahaja dan baginda hanya berlakon seperti yang telah disebutkan sebelum ini.
هَٰذَا أَكْبَرُ
ini yang lebih besar”.
Tentulah matahari lebih besar daripada bintang dan bulan dan lebih cerah pula.
Lihatlah penggunaan bahasa di dalam ayat ini. Digunakan kata هَٰذَا (ini untuk lelaki) walaupun sepatutnya digunakan perkataan هذه kerana matahari bersifat feminin dalam bahasa Arab. Maknanya, ini pun sudah ada penolakan daripada Nabi Ibrahim عليه السلام tentang matahari sebagai tuhan. Baginda bukan maksudkan matahari itu sebagai tuhan.
Oleh itu boleh juga kita katakan bahawa yang dimaksudkan ‘Tuhan’ oleh Nabi Ibrahim عليه السلام dalam ayat ini bukanlah matahari itu tetapi Allah ﷻ sendiri. Ini bermakna bahawa Nabi Ibrahim عليه السلام menggunakan helah dalam penggunaan perkataannya. Baginda sebenarnya merujuk kepada Allah ﷻ, bukan kepada matahari itu.
فَلَمَّا أَفَلَتْ
Maka tatkala matahari itu terbenam,
Tentulah setelah petang, matahari akan tenggelam juga, bukan? Selepas itu barulah baginda berhujah lagi.
قَالَ يٰقَوْمِ
dia telah berkata: “Hai kaumku,
Ayat ini menunjukkan bahawa memang Nabi Ibrahim عليه السلام sedang bercakap-cakap dengan kaumnya; iaitu mereka bermula dengan melihat bintang, kemudian bulan dan kemudian matahari.
Tidaklah Nabi Ibrahim عليه السلام meneruskan hujahnya dengan mencari pula makhluk-makhluk yang lain. Ini menunjukkan bahawa baginda hanya hendak tunjukkan beberapa contoh sahaja. Tujuan baginda adalah untuk menggerakkan otak kaumnya berfikir. Hendak menggalakkan kaumnya menggunakan sedikit akal.
Oleh itu, di sini bukanlah tujuan baginda hendak ‘mencari Tuhan’ seperti yang dikatakan oleh sesetengah kumpulan yang tidak belajar tafsir. Ini kerana jika baginda benar-benar ingin mencari Tuhan tentulah baginda akan teruskan dengan mencari bukit, pokok dan lain-lain.
إِنِّي بَرِيءٌ مِّمَّا تُشْرِكُونَ
sesungguhnya aku berlepas diri daripada apa yang kamu syirikkan.
Nabi Ibrahim عليه السلام beritahu kepada kaumnya bahawa apa yang mereka sembah selama itu adalah amat salah sekali. Salah satu kesyirikan yang dilakukan oleh kaum Nabi Ibrahim عليه السلام itu adalah memuja bulan, bintang dan matahari. Sebab itulah sebarang objek yang luarbiasa dan yang boleh menimbulkan ketakjuban dalam diri mereka akan dijadikan sebagai sesuatu yang istimewa pula.
Oleh itu, baginda tidak mahu ada kena mengena dengan amalan sesat mereka. Baginda kata baginda hanya sembah Allah ﷻ sahaja. Hanya Allah ﷻ sahaja yang kekal sentiasa ada. Walaupun terdapat makhluk yang hebat, tetapi semua makhluk tetap ada kelemahan dan kerana itu mereka bukanlah tuhan.
Ayat ini juga memberi isyarat kepada kita bahawa Nabi Ibrahim عليه السلام kemudiannya akan meninggalkan kaumnya, sepertimana juga Nabi Muhammad ﷺ meninggalkan Mekah. Ini kita boleh faham daripada ayat ‘berlepas diri’ itu. Maknanya ada sudah ada isyarat penghijrahan Nabi Muhammad ﷺ keluar Mekah.
Ayat ini juga mengajar kita untuk melihat alam ini dan memikirkan siapakah Penciptanya. Kadang-kadang kita hanya melihat benda-benda yang besar sahaja dan kita lupa benda-benda yang kita biasa lihat seperti bulan, bintang dan juga matahari itu semua ada penciptanya.
Sebagai contoh, kejadian pertukaran siang dan malam pun adalah tanda kekuasaan Allah ﷻ. Begitu juga dengan segala perkara yang seharian kita lihat dan kejadian seperti burung yang berterbangan, daun yang berguguran, angin yang bertiup malah nasi yang kita suap setiap hari ke dalam mulut kita pasti ada penciptanya. Kalau kita fikirkan tentang alam ini, ia akan memberikan kita satu pemahaman bahawa semuanya telah diberikan kepada kita dengan segala keindahannya sebagai nikmat daripada yang Allah ﷻ Yang Maha Pemurah.
Ayat ini juga mengajar kita bahawa kita perlu meluangkan masa untuk memikirkan tentang alam ini. Lihatlah bagaimana Nabi Ibrahim عليه السلام menunggu sehingga bintang tenggelam. Kemudian baginda menunggu sehingga bulan muncul dan kemudian menunggu pula sehingga matahari muncul dan terbenam.
Bukanlah kita hanya meluangkan masa yang sekejap sahaja dan kita sangka kita boleh terus faham tentang alam ini. Dalam surah al-Mulk, telah disebut bagaimana Allah ﷻ mengajar kita untuk sentiasa melihat alam. Dan perkara ini hendaklah dilakukan berulangkali.
Ayat ini juga mengajar kita bahawa semua makhluk sama ada kecil atau besar, semuanya tidak kekal. Mereka boleh muncul dan hilang berulangkali dan di pengakhirannya nanti semuanya akan terus lenyap termasuk seluruh alam ini apabila tiba tempohnya dan yang tinggal kekal hanyalah Allah ﷻ yang maha kuasa. Maka, siapakah yang paling layak untuk disembah?
Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 2 Januari 2022
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Taimiyah Zubair
Maariful Qur’an