Tafsir Surah Ghafir Ayat 29 – 33 (Hujah Lelaki Mukmin)

Ayat 29: Sambungan tentang lelaki beriman yang mempertahankan Nabi Musa a.s.

يٰقَومِ لَكُمُ المُلكُ اليَومَ ظٰهِرينَ فِي الأَرضِ فَمَن يَنصُرُنا مِن بَأسِ اللهِ إِن جاءَنا ۚ قالَ فِرعَونُ ما أُريكُم إِلّا ما أَرىٰ وَما أَهديكُم إِلّا سَبيلَ الرَّشادِ

Sahih International

O my people, sovereignty is yours today, [your being] dominant in the land. But who would protect us from the punishment of Allah if it came to us?” Pharaoh said, “I do not show you except what I see, and I do not guide you except to the way of right conduct.”

Malay

“Wahai kaumku! Pada hari ini kepunyaan kamulah kuasa memerintah dengan bermaharajalela di muka bumi (Mesir dan sekitarnya; tetapi kiranya keadaan bertukar) maka siapakah yang akan membela kita dari azab Allah kalau azab itu datang menimpa kita?” Firaun berkata: “Aku tidak mengesyorkan kepada kamu melainkan dengan apa yang aku pandang (elok dijalankan), dan aku tidak menunjukkan kepada kamu melainkan jalan yang benar”. 

 

يٰقَوْمِ لَكُمُ الْمُلْكُ الْيَوْمَ

Wahai kaumku, pada hari ini, milik kamu kerajaan ini”.

Memang kamu semua ada kekuasaan dalam dunia sekarang, banyak harta kamu sekarang di dunia ini. Beliau kata begitu kerana kerajaan Mesir memang besar waktu itu. Tidaklah sampai satu dunia dimiliki oleh Firaun. Tapi kalau dibandingkan dengan kerajaan lain waktu itu, memang Mesir jauh lebih besar.

 

ظٰهِرِينَ فِي الْأَرْضِ

“Jelas kamu berkuasa penuh atas bumi”

Mereka memang nyata amat berkuasa dan bertamadun di zaman mereka. Kita sekarang pun boleh lihat peninggalan mereka yang hebat-hebat. Antaranya, lihatlah piramid yang mereka bina itu – kita nak bina pun belum tentu kita mampu lagi. Lihatlah juga tinggalan bahasa mereka (bahasa hieroglif) yang manusia zaman sekarang nak terjemah pun susah.

 

فَمَن يَنصُرُنَا مِن بَأْسِ اللهِ

Maka siapa lagi yang boleh tolong kita daripada azab Allah”

“Tapi, yang kamu berkuasa dan hebat itu di dunia sahaja – bagaimana pula dengan keadaan kamu di akhirat nanti. Siapa yang boleh selamatkan kamu?

Bukan sahaja azab di akhirat, tapi azab di dunia juga kita takut. Kerana Allah boleh sahaja kenakan azab yang menghancurkan. Kalaulah Firaun ada segala bala tentera, tapi tentu mereka itu tidak dapat nak menyelamatkan Firaun.”

Sengaja Lelaki Mukmin itu gunakan kalimah ‘kita’ kerana mengingatkan yang kalau Allah turunkan azab ke negara mereka itu, dia pun kena sekali kerana azab itu akan kena kepada semua orang.

 

إِن جَاءَنَا

“jika azab itu datang

“Siapa yang akan menyelamatkan kita apabila kita diazab nanti kerana kita tak ikut Nabi Musa? Kalau azab sudah datang, sudah terlambat lagi untuk buat apa-apa. Tapi kalau sekarang, masih ada masa lagi untuk bertaubat. Maka, marilah bertaubat ramai-ramai dan terima ajaran Nabi Musa ini.”

Lihatlah bagaimana lelaki ini memberi ancaman dan peringatan kepada kaumnya. Inilah yang kita kena lakukan kepada masyarakat kita – ingatkan mereka tentang hari akhirat. Jangan nak ingat kehebatan dan kekayaan di dunia sahaja.

 

قَالَ فِرْعَوْنُ

Berkatalah Firaun:

Seperti ada pertukaran dialog antara Lelaki Beriman itu dan Firaun. Setelah lelaki itu memberikan hujahnya, Firaun membantah hujah lelaki itu. Dia mencelah macam peguam mencelah dalam perdebatan di mahkamah. Dia kena mencelah kerana bahaya apa yang dikatakan oleh Lelaki Mukmin ini, boleh menyebabkan ramai yang ikut cakap dia kerana kata-katanya itu masuk akal.

Kata-kata Firaun ini adalah seperti kata-kata pemimpin-pemimpin yang engkar. Namrud pun lawan Tuhan, tapi kita jarang dengar cerita Namrud, dan kata-katanya sikit sahaja. Tapi kata-kata Firaun hampir setiap juzuk dalam Al-Qur’an ada kita jumpa. Bila ada Nabi Musa, tentu ada cerita Firaun.

Ini kerana salah satu sifat Firaun, dia petah bercakap dan pandai berhujah. Kerana dia telah perintah Mesir selama 76 tahun. Maka memang dia seorang yang pandai dan berpengalaman. Maka Allah masukkan kata-katanya supaya kita dapat studi.

 

مَا أُرِيكُمْ إِلَّا مَا أَرَىٰ

“Aku tidak mengesyorkan kepada kamu melainkan apa yang aku nampak elok,

Firaun kata, dia cuma nasihat berdasarkan pendapatnya dan pandangannya yang dia nampak molek. Dalam ertikata lain, dia nak kata dia sebenarnya ikhlas dalam menasihati mereka. Dia kononnya hendakkan kebaikan untuk umatnya itu. Kerana pada pandangan dia, dakwah Nabi Musa itu tidak baik bagi neraka Mesir.

Dalam erti kata lain juga, dia tetap juga nak bunuh Nabi Musa, kerana dia tidak nampak cara lain lagi untuk menyelamatkan Mesir. Tidak ada pandangan lain dan dia tidak akan ubah pendirian dia.

وَمَا أَهْدِيكُمْ إِلَّا سَبِيلَ الرَّشَادِ

dan tidak aku menunjukkan kamu melainkan kepada jalan yang betul”.

Dan dia kata dia cuma hendak membawa mereka ke arah jalan yang betul sahaja. Niatnya baik, dia kata. Padahal, dia suruh mereka sembah dia sebab dia mengaku sebagai tuhan.

Bayangkan bagaimana teruk sekali pemikiran Firaun ini – adakah tindakannya memerintah dengan cara kuku besi, sampai sanggup membunuh bayi-bayi lelaki yang baru lahir itu boleh dikira sebagai jalan yang betul?

Dia kononnya hendakkan perpaduan rakyat negeri dia, tidak mahu pecah belah. Beginilah juga yang dilakukan oleh puak-puak agama yang menentang jalan Sunnah. Mereka kata puak-puak ‘Wahabi’ ini, memecah belahkan masyarakat. Amalan sudah lama diamalkan dikatakan salah pula, sampai sekarang masyarakat terpecah dua. Maka kata-kata mereka itu tidak jauh beza dengan kata-kata Firaun sahaja.

Sampaikan pernah satu negeri menghalang pengajian tafsir Al-Qur’an di masjid dan surau kerana takut rakyat akan pecah belah… ini adalah mengarut sekali. Mereka mahukan perpaduan, tidak kira sama ada dalam sesat atau tidak? Kenapa begitu dangkal fikiran mereka? Adakah mereka nak masyarakat bersatu masuk neraka? Biarlah masuk neraka pun, asalkan bersatu.

Walaupun Firaun itulah yang bersalah dan kejam, dalam ayat lain, ada disebut bagaimana kaum-kaumnya itu mengikut juga Firaun itu ke dalam lembah kesesatan. Seperti yang Allah firmankan dalam Taha:79

وَأَضَلَّ فِرعَونُ قَومَهُ وَما هَدىٰ

Dan dengan itu Firaun telah menjerumuskan kaumnya ke tempat kebinasaan, dan tidaklah dia membawa mereka ke jalan yang benar.

Begitulah umat yang jahil dan tidak memikirkan manakah yang benar. Mereka ikut sahaja kata pemimpin mereka. Mereka nampak macam baik sahaja kejahatan-kejahatan yang dilakukan oleh pemimpin mereka. Maka ramailah asatizah Sunnah dikutuk, dicela dan diwahabikan, tanpa dengar pun apa hujah-hujah para asatizah itu. Maka mereka itu sama macam rakyat Firaun sahaja sebenarnya.

Sesungguhnya cara Firaun membohongi rakyatnya dengan menghasut mereka untuk mendustai seorang Rasul, hendaknya menjadi pelajaran bagi para pemimpin. Pemimpin seperti ini selalu berusaha menjauhkan masyarakat dari ajaran agama.

Dengan kata lain mereka ingin menjadikan masyarakat yang mengetepikan nilai-nilai ajaran agama dalam kehidupan duniawi. Mereka pasti akan mengalami nasib seperti yang telah dialami Firaun sebagai pemimpin besar di zaman yang silam. Rasulullah saw memperingatkan setiap pemimpin dengan sabda baginda:

ما من إمام يموت وهو غاش لرعيته إلا لم يرح رائحة الجنة وإن ريحها ليوجد من مسيرة خمسمائة عام. 

Tiadalah mati imam (seorang pemimpin), di mana pada hari kematiannya itu dia telah menipu rakyatnya, melainkan dia tidak akan mencium bau syurga. Sebab keharuman syurga itu amat jauh dari dia (sejauh) lima ratus tahun perjalanan dari padanya).

Ini boleh terjadi kerana mereka sudah jauh dari ilmu yang benar. Mereka sudah lama duduk dalam perbuatan yang salah. Mereka takut perubahan yang baru. Mereka nak senang lenang dalam perkara yang mereka biasa buat, tidak kiralah benar atau tidak. Malas nak guna otak untuk menilai mana yang benar. Mereka tahu makan dan minum sahaja.


Ayat 30: Walaupun dibantah oleh Firaun, Lelaki Beriman itu meneruskan hujah dan dakwah beliau. Ini adalah syarahan Peringkat Kedua atau peringkat pertengahan. Ianya lebih kuat dari yang sebelumnya kerana kali ini ada ditambah dengan ugutan.

وَقالَ الَّذي ءآمَنَ يٰقَومِ إِنّي أَخافُ عَلَيكُم مِّثلَ يَومِ الأَحزابِ

Sahih International

And he who believed said, “O my people, indeed I fear for you [a fate] like the day of the companies –

Malay

Dan berkatalah pula orang yang beriman itu: “Wahai kaumku! Sesungguhnya aku bimbang kamu akan ditimpa (kebinasaan) sebagaimana yang telah menimpa kaum-kaum yang bergabung (menentang Rasul-rasulnya)! 

 

وَقَالَ الَّذِي ءآمَنَ يَا قَوْمِ

Berkata orang yang beriman itu: “wahai kaumku”.

Kita tidak tahu siapakah orang beriman ini, tidak disebut namanya. Makanya tak penting untuk tahu siapakah namanya. Al-Qur’an hanya menyebut beliau sebagai ‘Lelaki Beriman’ sahaja. Tapi dia amat terkenal sekarang kerana namanya ada dalam dalam Al-Qur’an. Isu yang dibangkitkan itulah yang penting, bukan namanya.

 

إِنِّي أَخَافُ عَلَيْكُم مِّثْلَ يَوْمِ الْأَحْزَابِ

“Sesungguhnya aku takut akan berlaku ke atas kamu seperti peristiwa kehancuran golongan yang bersekutu”.

Lelaki Beriman itu merujuk kepada kaum-kaum terdahulu sebelum mereka yang telah dikenakan dengan azab. Golongan yang bersekutu itu adalah golongan yang bergabung menentang Rasul mereka dahulu.

Beliau takut mereka akan dikenakan dengan azab yang sama. Kalau mereka terus menentang Nabi Musa, mereka boleh dikenakan dengan azab dari Allah – lihatlah apa yang terjadi kepada kaum-kaum terdahulu. Sekarang lelaki ini menggunakan sejarah pula sebagai hujah beliau. Sebelum ini beliau telah menggunakan logik, dan sekarang apabila melihat kaumnya masih tidak mahu mengikut, beliau telah mengingatkan mereka kepada masa lampau.

Ini memberitahu kita bahawa penduduk Mesir itu tahu dengan apa yang terjadi kepada kaum-kaum dahulu. Begitu juga, Musyrikin Mekah juga tahu dengan azab-azab yang telah dikenakan kepada kaum terdahulu seperti Kaum Aad dan Tsamud. Maka Allah ingatkan sahaja perkara yang mereka memang tahu.


 

Ayat 31: Ini adalah penjelasan dari Lelaki Beriman itu tentang يَوْمِ الْأَحْزَابِ

مِثلَ دَأبِ قَومِ نوحٍ وَعادٍ وَثَمودَ وَالَّذينَ مِن بَعدِهِم ۚ وَمَا اللهُ يُريدُ ظُلمًا لِّلعِبادِ

Sahih International

Like the custom of the people of Noah and of ‘Aad and Thamud and those after them. And Allah wants no injustice for [His] servants.

Malay

“(Iaitu) seperti keadaan kaum Nabi Nuh, dan Aad (kaum Nabi Hud), dan Thamud (kaum Nabi Soleh), serta orang-orang yang datang kemudian daripada mereka (seperti kaum Nabi Lut). Dan (ingatlah) Allah tidak menghendaki berbuat kezaliman kepada hamba-hambaNya. 

 

مِثْلَ دَأْبِ قَوْمِ نُوحٍ وَعَادٍ وَثَمُودَ

“Seperti keadaan kaum Nabi Nuh dan Aad dan Kaum Tsamud”

Perkataan دَأْبِ bermaksud berterusan melakukan sesuatu dengan bersungguh-sungguh. Ianya adalah perbuatan yang selalu dilakukan oleh seseorang. Dalam ayat ini, ianya tentang perbuatan salah yang selalu dilakukan oleh Kaum Nuh, Aad dan Tsamud.

Apakah yang biasa mereka lakukan? – Menidakkan kebenaran. Disebabkan perangai mereka itu, mereka telah dikenakan dengan azab dari Allah. Jadi, Lelaki Beriman ini takut perkara yang sama juga terjadi kepada kaumnya itu seperti yang terjadi kepada kaum Nuh, Aad dan Tsamud. Beliau menakutkan kaumnya itu dengan peristiwa yang telah lalu. Belajarlah dari sejarah.

Dalam ayat ini juga mengingatkan bahawa Nabi Nuh, Nabi Hud dan Nabi Saleh membawa perkara yang sama sahaja. Iaitu sama sahaja ajaran mereka – Ajaran Tauhid.

 

وَالَّذِينَ مِن بَعْدِهِمْ

dan orang-orang yang selepas mereka“.

Bukan sahaja kaum Nuh, Aad dan Tsamud tapi mereka yang datang selepas mereka seperti kaum Nabi Luth dan lain-lain lagi. Ada banyak lagi kaum yang menentang Rasul dan ajaran Tauhid. Maka mereka itu ada yang dimusnahkan.

 

وَمَا اللهُ يُرِيدُ ظُلْمًا لِّلْعِبَادِ

“Tidaklah Allah itu ingin memberi kezaliman kepada hamba-hambaNya”

Ini adalah Idkhal Ilahi (Pencelahan Tuhan). Apabila disebut bagaimana kaum Nabi Nuh, Aad dan Tsamud yang dimusnahkan, mungkin ada yang terfikir yang Allah itu zalim. Asyik nak musnahkan makhluk sahaja nampaknya.

Maka Allah mencelah dalam ayat ini dengan memberitahu yang Allah tidak zalim dan tidak akan azab hamba yang tidak bersalah. Semua yang telah diazab itu adalah kerana mereka sendiri yang zalim. Allah tidak ada keinginan untuk menzalimi pun.

Oleh itu, ingatlah yang orang-orang dahulu itu telah dikenakan dengan azab bukanlah kerana kezaliman Allah. Mereka itu memang layak dikenakan dengan azab itu kerana mereka yang telah melakukan kezaliman. Dan kezaliman yang paling besar adalah kezaliman akidah, iaitu melakukan syirik kepada Allah.

Jadi, ayat ini adalah tentang Takhwif Duniawi. Iaitu menakutkan mereka tentang bala yang Allah boleh kenakan kepada mereka semasa di dunia lagi.


 

Ayat 32: Kalau dalam ayat sebelum ini tentang azab dunia, sekarang adalah ayat Takhwif Ukhrawi. Sebelum ini Lelaki Mukmin itu memberikan tahdid (ugutan) duniawi. 

وَيٰقَومِ إِنّي أَخافُ عَلَيكُم يَومَ التَّنادِ

Sahih International

And O my people, indeed I fear for you the Day of Calling –

Malay

“Dan, wahai kaumku! Sesungguhnya aku bimbang kamu akan ditimpa azab seksa hari (kiamat) yang padanya masing-masing menjerit-jerit memanggil (memohon pertolongan), 

 

وَيٰقَوْمِ

“Wahai kaumku”,

Lihatlah bagaimana Lelaki Beriman ini ambil berat tentang kaumnya. Dia memberi nasihat kepada kaumnya. Kerana dia sayang kepada kaumnya. Seorang mukmin kena ada sikap begitu. Kita kena kesian kepada orang lain yang tidak mengamalkan agama Islam yang sebenar.

Sebab itu kita nasihatkan masyarakat kerana kita hendak mereka selamat, bukannya kita nak meninggikan diri kita. Dan jangan kita nak selamatkan diri kita sahaja. Apabila kita bersama-sama beriman dengan orang lain, maka kita akan semakin kuat dan banyak perkara kita boleh lakukan dalam bentuk ibadat dan dakwah. Jadi, kena ajak orang lain juga.

Lihatlah bagaimana Lelaki Mukmin ini berkata dengan lembut kepada kaumnya. Kadang-kadang kita rasa, kalau kita benar, kita boleh bercakap dengan kasar dengan orang yang kita dakwah. Janganlah begitu. Kerana kalau kita bercakap kasar dengan orang lain, walaupun apa yang kita dakwahkan itu adalah benar, orang pun tak mahu nak dengar.

Ada kemungkinan mereka akan terus tolak sebab tidak suka dengan cara kita. Berkata-katalah dengan lembut dan baik dengan orang yang kita dakwahkan itu. Tak rugi pun kalau berlembut dalam dakwah. Termasuk juga dalam berhujah dengan orang lain – bercakaplah dengan lemah dan lembut.

Selalu kita lihat bagaimana pendakwah agama itu sikap kasar dan gasar, rasa diri benar sahaja dan pandang hina kepada orang lain. Kadang-kadang yang berkata sebegitu adalah ustaz pula – ini sangat memalukan. Kalau ustaz pun cakap macam itu, bagaimana pula dengan anak murid?

Ingatlah yang bukan kita yang beri hidayah, tapi Allah. Alhamdulillah kita sudah dapat hidayah, orang lain belum lagi. Dulu kita pun macam mereka juga, buat syirik, buat bidaah, tapi Alhamdulillah, Allah buka hati kita kepada Jalan Sunnah ini. Maka berilah peluang kepada orang lain juga yang belum sampai hidayah kepada mereka. Kita sahaja yang dapat hidayah dahulu dari mereka, itu sahaja lebihnya kita dari mereka.

 

إِنِّي أَخَافُ عَلَيْكُمْ يَوْمَ التَّنَادِ

“Sesungguhnya aku takut kepada kamu kepada ‘hari panggil memanggil'”.

Lafaz يَوْمَ التَّنَادِ (Hari Panggil Memanggil) adalah salah satu nama dari Hari Kiamat. Ada banyak nama yang digunakan oleh Allah untuk menceritakan keadaan pada hari itu.

Kalau mereka tidak dikenakan dengan azab semasa di dunia, mereka boleh dikenakan dengan azab di Akhirat kelak yang disebut dalam ayat ini sebagai يَوْمَ التَّنَادِ (Hari Panggil Memanggil). Iaitu suami akan panggil isteri, isteri akan panggil suami; anak akan panggil ayah; saling panggil memanggil sesama sendiri.

Kenapa mereka memanggil-manggil itu? Mereka memanggil itu kerana minta tolong. Sebab sudah tak tahu nak buat apa, nak selamatkan diri sendiri sudah tidak boleh, maka menjerit minta tolong kepada orang lain lah, entah-entah orang lain boleh tolong…. tapi bolehkah?

Tetapi tidak ada sesiapa yang akan mampu menolong sesiapa. Mereka yang dipanggil akan lari jauh-jauh. Anak akan lari dari ibubapanya, suami akan lari dari isterinya, kawan baik akan lari dari kawannya yang paling rapat di dunia pun.

Apabila nampak sahaja orang yang mereka kenal, mereka akan lari. Maka yang mengejar itu akan memanggil-manggil dengan kuat. Inilah keadaan di Mahsyar sebelum mereka duduk berlutut menunggu keputusan Allah. Masa itu tak cakap apa lagi cuma berani berbisik-bisik.

Oleh itu, buatlah sesuatu di dunia ini supaya kita tidak susah semasa di Mahsyar kelak.


 

Ayat 33: Apakah akan terjadi pada hari itu? Ada dua pendapat ayat ini: sama ada dikatakan oleh Lelaki Mukmin itu ataupun pencelahan dari kata-kata Allah. 

يَومَ تُوَلّونَ مُدبِرينَ ما لَكُم مِّنَ اللهِ مِن عاصِمٍ ۗ وَمَن يُضلِلِ اللهُ فَما لَهُ مِن هادٍ

Sahih International

The Day you will turn your backs fleeing; there is not for you from Allah any protector. And whoever Allah leaves astray – there is not for him any guide.

Malay

“(Iaitu) hari kamu berpaling undur melarikan diri; padahal semasa itu tidak ada sesiapapun yang dapat menyelamatkan kamu dari azab Allah. Dan (ingatlah) sesiapa yang disesatkan Allah (disebabkan pilihannya yang salah), maka tiada sesiapapun yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya. 

 

يَوْمَ تُوَلُّونَ مُدْبِرِينَ

“Pada hari kamu berpaling lari ke belakang”.

Pada Hari Panggil Memanggil itu, setiap orang akan lari dari orang lain. Seperti yang Allah sebut dalam Mutaffifin:34 –

يَومَ يَفِرُّ المَرءُ مِن أَخيهِ
Pada hari seseorang itu lari dari saudaranya,
وَأُمِّهِ وَأَبيهِ
Dan ibunya serta bapanya,
وَصاحِبَتِهِ وَبَنيهِ
Dan isterinya serta anak-anaknya; –
لِكُلِّ امرِئٍ مِنهُم يَومَئِذٍ شَأنٌ يُغنيهِ
Kerana tiap-tiap seorang dari mereka pada hari itu, ada perkara-perkara yang cukup untuk menjadikannya sibuk dengan hal dirinya sahaja.

 

Mereka juga akan cuba lari dari Padang Hisab. Kerana mereka takut mereka akan dihisab. Tapi mereka tidak akan ada peluang untuk melarikan diri. Mereka akan diheret semula ke Mahsyar. Orang yang kafir tak masuk perbicaraan langsung. Mereka akan terus kena bakar. Mereka juga akan menjadi bahan bakar kerana neraka itu bahan bakarnya adalah manusia dan batu.

Atau, ia mungkin bermaksud, berpaling dari Mahsyar menuju ke Neraka selepas Pengadilan. Waktu inilah terjadinya panggil memanggil itu untuk minta tolong.

 

مَا لَكُم مِّنَ اللهِ مِنْ عَاصِمٍ

“Dan tidak ada untuk kamu dari (azab) Allah seorang penyelamat pun”.

Riuh rendah memanggil orang lain untuk memberi bantuan tapi semua boleh dengar sahaja kerana tidak ada sesiapa yang boleh tolong sesiapa lagi.

Ini menolak harapan sesetengah manusia yang sangka mereka akan dapat bantuan di akhirat nanti. Kerana mereka rasa, semasa di dunia, mereka puja wali, Nabi dan malaikat, takkan mereka tidak tolong pula nanti? Tapi Allah menolak sangkaan mereka itu. Tidak ada sesiapa yang dapat tolong.

 

وَمَن يُضْلِلِ اللهُ فَمَا لَهُ مِنْ هَادٍ

“Sesiapa yang disesatkan Allah, tidak ada sesiapa pun yang boleh memberi hidayah kepadanya”.

Ini adalah Idkhal Ilahi. Selepas ucapan panjang itu, masih tidak nampak mereka ingin menerima. Apabila mula kecewa dengan kedegilan mereka, Allah turunkan ayat, kalau Allah sudah sesatkan, tiada sesiapa yang boleh beri pimpinan hidayat.

Bila Allah buat keputusan bahawa seseorang itu sesat, tak boleh buat apa lagi untuk menyelamatkan orang itu. Tidak ada sesiapa pun yang dapat tolong lagi. Tidak ada guru, wali, kawan atau sesiapa sahaja yang boleh pandu dia kembali kepada agama”.

Ini adalah satu amaran: kalau kita tidak mengambil peluang menerima dakwah dan hidayah apabila datang kepada kita, ditakuti hati kita akan ditutup oleh Allah untuk menerima hidayah lagi. Allah akan tutup hati manusia untuk menerima hidayah lagi apabila sudah sampai kufur ‘Peringkat Keempat’. Ini adalah Khatmul Qalbi. Kalau Allah sudah tutup hati-hati manusia dari terima kebenaran, tidak ada sesiapa lagi yang boleh tolong beri hidayah.

Oleh itu, apabila datang satu-satu nasihat kepada kita, hendaklah kita dengar dahulu. Jangan terus bantah, tapi berilah telinga kita untuk dengar apakah yang hendak disampaikan.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 21 September 2020


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Surah Ghafir Ayat 26 – 28 (Kisah Lelaki Mukmin)

Ayat 26: Firaun adalah seorang individu yang licik dan pandai berhujah dalam menolak kebenaran. Dia dapat jadi raja pun sebab dia pandai. Allah memasukkan kisah Firaun dalam ayat ini, supaya kita tahu, kalau ada manusia yang pandai menolak pun, itu sebenarnya dia ikut cara Firaun.

Allah sebut kisah Firaun kepada mereka yang belajar tafsir Al-Qur’an sebab akan sentiasa ada orang yang jenis Firaun dalam dunia dari dulu sampai sekarang. Mereka pandai berhujah sampai ramai yang ikut dia macam rakyat Firaun ikut Firaun.

Ayat sebelum ini telah diceritakan bagaimana dia hendak merosakkan kehidupan mereka yang beriman. Sekarang disebut cara kedua Firaun. Dia gunakan cara politik.

وَقالَ فِرعَونُ ذَروني أَقتُل موسىٰ وَليَدعُ رَبَّهُ ۖ إِنّي أَخافُ أَن يُبَدِّلَ دينَكُم أَو أَن يُظهِرَ فِي الأَرضِ الفَسادَ

Sahih International

And Pharaoh said, “Let me kill Moses and let him call upon his Lord. Indeed, I fear that he will change your religion or that he will cause corruption in the land.”

Malay

Dan berkatalah Firaun (kepada orang-orangnya): “Biarkanlah aku membunuh Musa, dan biarlah dia memohon kepada Tuhannya (meminta pertolongan)! Sesungguhnya aku bimbang dia akan menukar ugama kamu, atau dia menimbulkan kerosakan di muka bumi”. 

 

وَقَالَ فِرْعَوْنُ ذَرُونِي أَقْتُلْ مُوسَى

Dan Firaun berkata: “Biarkan aku bunuh Musa.”

Firaun kata biar dia bunuh Nabi Musa. Ini adalah kali kedua dia hendak bunuh Nabi Musa – kali pertama semasa Nabi Musa dilahirkan. Masa dia kata hendak bunuh Nabi Musa itu, dia sebenarnya kenal yang Nabi Musa itu adalah Rasul. Cuma tak nak percaya sahaja.

Sekarang dia kata dia hendak membunuh Nabi Musa. Kerana keadaan sudah jadi teruk, ramai sudah mahu percaya kepada Nabi Musa. Dia nak tunjukkan kekuasaannya. Tapi dia kata begitu, dalam nada hendak ke arah kebaikan, dia nak bunuh itu untuk kebaikan penduduk Mesir sahaja. Bukanlah dia nak bunuh sangat, tapi sebab dia nampak ada kononnya ada keburukan yang ada pada Nabi Musa itu.

Dan mungkin itu kata-kata dia sahaja, bukan nak bunuh kerana seperti telah disebut sebelum ini, dia sendiri takut hendak bunuh Nabi Musa kerana dia sendiri tahu yang Nabi Musa adalah seorang Nabi. Kerana fikirkanlah, kalau benar-benar dia nak bunuh Nabi Musa, senang sahaja dia nak bunuh, bukan?

Dia kata dia nak bunuh Nabi Musa kerana dia kata dia nampak Musa adalah penyebab masalah. Nabi Musa pandai berdakwah dan Firaun sudah rasa takut kerana orang sudah mula percaya. Dia rasa masalah akan selesai kalau Nabi Musa mati. Dalam ayat sebelum ini, dia nak ganggu pengikut, sekarang dia nak serang kepala yang diikuti. Boleh nampak strategi dia? Hebat strategi dia.

Kenapakah dia gunakan perkataan ذَرُونِي (biarkan aku) untuk bunuh Nabi Musa? Padahal, bukankah dia sendiri kata yang dia adalah ‘tuhan Mesir’? Bila dia kata macam itu, nampak macam dia minta kebenaran untuk bunuh Nabi Musa pula, padahal selalunya dia buat keputusan sendiri sahaja, tak perlu nak minta kebenaran. Kenapa begitu agaknya?

Dia cakap macam itu supaya nampak macam penduduk Mesirlah yang menghalang dia membunuh Musa. Macam kalau orang Mesir tak halang dia, dia sudah bunuh Nabi Musa lagi lama dulu. Jadi, dia nak kata, jangan halang dan kacau dia dari membunuh Nabi Musa. Dia memang pandai main politik.

Maknanya, ada rasa takut juga dalam dirinya. Dia sebenarnya pengecut juga. Di luar, dia tunjukkan keberanian, tapi dalam hati, dia takut juga. Ada riwayat yang mengatakan bagaimana semasa dia cakap begini, dia terkencing kerana takut sangat. Tapi, kenapakah dia takut nak bunuh Nabi Musa? Sepatutnya senang sahaja untuk dia bunuh Nabi Musa, bukan?

Dia ada rasa takut kerana dia tidak pernah berjaya bunuh Musa. Setiap kali dia nak bunuh, ada sahaja halangan. Perkara ini dari masa Nabi Musa kecil lagi. Itu adalah kerana baginda telah dijaga oleh Allah. Begitu jugalah Nabi Muhammad telah dijaga oleh Allah.

Walaupun Nabi Muhammad dibenci oleh Musyrikin Mekah, mereka rasa dia penyebab segala masalah, mereka juga sudah buat rancangan nak bunuh baginda, tapi tidak berjaya. Begitu jugalah dengan Nabi Isa a.s. tidak berjaya dibunuh oleh kaumnya.

Dikatakan juga, setiap kali Firaun hendak membunuh Nabi Musa, pembesar-pembesarnya akan menghalang. Mereka kata Firaun kena kalahkan Nabi Musa dalam hujah. Kerana selama hari ini asyik kalah dalam hujah sahaja. Berbagai-bagai tuduhan dan tohmahan yang telah diberikan oleh Firaun, tapi dapat dijawab oleh Nabi Musa.

Memang nampak macam Firaun dalam kedudukan yang lemah. Kalau Firaun bunuh terus, nanti akan nampak kelemahan dia. Nanti orang akan kata Firaun bunuh Nabi Musa itu hanya kerana tidak dapat mematahkan hujah baginda.

Ataupun ada pemimpin dalam kalangan pembesar yang rasa Nabi Musa adalah benar. Tapi mereka tidak mahu beriman kerana mereka mementingkan kedudukan mereka. Dan mereka tidak mahu Firaun bunuh Nabi Musa kerana mereka tahu yang kalau Nabi Musa dibunuh, akan menyebabkan bencana akan jatuh kepada mereka kerana membunuh seorang Rasulullah.

 

وَلْيَدْعُ رَبَّهُ

“dan biar dia menyeru kepada Tuhan dia”

Firaun berlagak, dia kata biar Nabi Musa berdoa kepada Tuhannya agar diselamatkan darinya, dia tidak peduli dengan Tuhan Nabi Musa itu.

Firaun kata begini kerana kononnya nak tengok macam mana Nabi Musa nak buat bila dia nak bunuh baginda. Begitulah kurang ajarnya Firaun.

 

إِنِّي أَخَافُ أَن يُبَدِّلَ دِينَكُمْ

Sesungguhnya aku ini bimbang dia akan mengubah ugama kamu ini

Ini adalah alasan yang digunakan oleh Firaun untuk membunuh Musa. Dia kononnya risau Nabi Musa akan mengubah agama mereka yang telah lama diamalkan mereka kepada ugama lain. Firaun kononnya hendak menjaga amalan agama mereka yang telah lama mereka amalkan turun temurun. Dia nak kata, Musa ini bawa agama baru yang entah datang dari mana.

Semua manusia takut kalau agama mereka diubah. Sama ada orang Islam atau tidak. Ianya menjadi benda yang besar kepada manusia kalau fahaman mereka sudah rosak. Bila Firaun sebut macam itu, gelabah habis rakyatnya. Macam sekarang, beza fahaman khalaf dan salaf. Yang amal khalaf pun marah betul kalau puak sunnah masuk. Sampai tak bagi masuk masjid mengajar agama. Kerana mereka nampak golongan salaf nak ubah agama yang telah lama diamalkan turun temurun. Mereka nak pakai agama tok nenek juga.

Begitulah pengamal bidaah di negara ini, apabila kita bawa ajaran Sunnah, ada yang menentang kita dengan mengatakan kita bawa ajaran baru, dan mereka hanya hendak menjaga amalan lama yang diajar oleh ulama-ulama dulu sahaja. Mereka kata amalan bidaah itu telah lama diamalkan, maka tentulah tidak salah.

Sama sahaja hujah yang digunakan oleh Firaun dan pelampau bidaah negara ini. Sedangkan kita bukan nak kena jaga amalan yang sudah lama, yang penting kita kena pastikan yang amalan itu benar. Kalau ianya salah, dan walaupun sudah lama diamalkan oleh masyarakat, kena ditinggalkan. Kadang-kadang kita pun tidak faham dengan fahaman mereka ini. Mereka sanggup nak pertahan amalan yang sudah lama walaupun amalan itu salah.

 

أَوْ أَن يُظْهِرَ فِي الْأَرْضِ الْفَسَادَ

Atau dia akan melahirkan keganasan di atas muka bumi ini.

Firaun tuduh Nabi Musa hendak menjadi terrorist di bumi Mesir. Dia tuduh Nabi Musa hendak melakukan kerosakan di muka bumi Mesir yang aman damai. Firaun tuduh Nabi Musa hendak memecahkan penduduk Mesir kepada dua puak, supaya pecah belah dan senanglah Nabi Musa hendak mengambilalih kerajaan Mesir.

Ini idea kedua dia. Kalau agama tidak rosak pun, kesan dari dakwah Nabi Musa itu, rakyat akan pecah belah. Ini dia sebut dari segi politik. Sebab nanti akan ada yang ikut Nabi Musa dan ada yang tidak. Kesannya nanti ada dua puak di negara.

Inilah hujah yang digunakan pemimpin dunia. Mereka gunakan tuduhan pengganas kepada penentang mereka. Kalau yang mereka tolak adalah kebathilan, memanglah elok. Macam kerajaan kita tolak ajaran Syiah dan cara hidup Barat, itu memang elok. Yang tidak elok adalah kalau kebenaran yang ditolak.

Alasan ini juga banyak digunakan sekarang. Inilah juga kata-kata orang kafir kepada orang Islam. Mereka label orang Islam sebagai pengganas di mata dunia. Malangnya, pemimpin negara Islam pun kata begitu kepada rakyat yang nak bela agama. Iaitu apabila ajaran sunnah ini semakin kuat, mereka kata inilah golongan pelampau agama yang membunuh orang.

Mereka tuduh, inilah gerakan yang mengebom negara itu dan ini, menangkap orang itu dan ini dan sebagainya. Baru-baru ini, kita pun tahu bagaimana ada tuduhan: ajaran Tauhid Rububiyah, Uluhiyah dan Asma’ wa Sifat akan menyebabkan mereka yang mempelajarinya akan jadi terrorist. Ini memang tidak  masuk akal sama sekali. Berapa ramai yang sudah belajar Tauhid 3T ini, tapi tidak jadi terrorist pun?

Lihatlah alasan Firaun ini – dia kata Musa nak buat kerosakan di bumi Mesir. Tapi, selama hari ini, siapakah yang buat kerosakan dan kejahatan di Mesir, bukankah dia? Bukankah dia yang memerintah dengan cara kuku besi? Bukankah dia yang telah mengarahkan dibunuh anak-anak lelaki tanpa belas kasihan lagi?

Tidakkah dia telah membunuh ahli-ahli sihir yang telah beriman dengan Nabi Musa? Tidakkah dia telah mengeluarkan perintah untuk membunuh sesiapa yang beriman dengan Nabi Musa dan anak-anak lelaki mereka sekali? Dan entah berapa kali kerosakan yang dilakukan oleh Firaun ini. Lihatlah bagaimana dia yang buat kerosakan, tapi dia salahkan Nabi Musa pula.


 

Ayat 27: Setelah Firaun berkata begitu, apa yang Nabi Musa lakukan? Allah ajar bagaimana cara menghadapi dugaan. Tidak payah gelabah, hanya mengadu sahaja kepada Allah. Tidak perlu buat apa-apa yang susah. Firaun yang besar itu pun, serah kepada Allah sahaja.

Allah sudah cukup bagi kita, kita kena yakin sahaja. Inilah jalan para Nabi dalam melakukan doa. Mereka mengadu terus kepada Allah.

Jangan lawan dengan cara mereka. Jangan lawan kekerasan dengan kekerasan. Kita pun kena pakai cara yang ditunjukkan oleh baginda ini. Macam kita sekarang diserang bertubi-tubi oleh puak yang memusuhi sunnah. Mereka gunakan cara yang tidak elok contohnya cacian dan makian. Jangan kita pula guna cara mereka.

وَقالَ موسىٰ إِنّي عُذتُ بِرَبّي وَرَبِّكُم مِّن كُلِّ مُتَكَبِّرٍ لّا يُؤمِنُ بِيَومِ الحِسابِ

Sahih International

But Moses said, “Indeed, I have sought refuge in my Lord and your Lord from every arrogant one who does not believe in the Day of Account.”

Malay

Dan (setelah mendengar ancaman itu) Nabi Musa berkata: “Sesungguhnya aku berlindung kepada Allah Tuhanku dan Tuhan kamu – dari (angkara) tiap-tiap orang yang sombong takbur, yang tidak beriman kepada hari hitungan amal!” 

 

وَقَالَ مُوسَىٰ

Dan telah berkata Musa:

Ini adalah kata-kata jawapan balas dari Nabi Musa. Lihatlah bagaimana Nabi Musa menjawab dengan tenang sahaja ancaman Firaun itu. Ini adalah juga doa kepada sesiapa yang sebar agama dan kalau dapat ancaman orang nak bunuh atau nak penjara.

Apabila kita bergantung sepenuhnya kepada Allah, Allah akan berikan jalan keluar dari masalah. Lihatlah nanti bagaimana Allah membantu Nabi Musa dengan diberikan bantuan dari seorang Lelaki Mukmin dari kalangan keluarga Firaun sendiri.

Nabi Musa berkata ini kepada pengikut-pengikut baginda.

 

 

إِنِّي عُذْتُ بِرَبِّي وَرَبِّكُم

Sesungguhnya aku berlindung dengan Tuhanku dan Tuhanmu juga

Dalam ayat sebelum ini, Firaun cabar dan hendak melihat Nabi Musa meminta tolong kepada Tuhannya. Dan memang Nabi Musa berdoa dan berharap kepada Allah sahaja. Tidak ada tempat lain yang hendak diharapnya.

Begitu jugalah kita, kena mengharap kepada Allah. Gunakan pendekatan doa – minta Allah zahirkan qudratNya dengan beri pertolongan kepada kita. Kalau ada orang nak serang kita, nak kacau kita, minta tolong kepada Allah sahaja.

Allah bukan sahaja Tuhan kepada Nabi Musa, tapi Tuhan kepada Firaun dan semua orang. Walaupun mereka tidak percaya kepada Allah, Allah tetap Tuhan mereka juga. Tidak ada Tuhan yang lain.

Begitulah juga kita dengan orang kafir sekarang – walaupun mereka tidak mengaku Allah itu Tuhan mereka, tapi tetap Allah itu Tuhan mereka. Allahlah yang memberi kehidupan dan rezeki kepada mereka. Walaupun mereka berdoa kepada tuhan sembahan mereka, tapi Allahlah yang memakbulkan doa-doa mereka itu. Tidak ada Tuhan yang lain. Sembahan-sembahan mereka itu bukan boleh beri apa-apa pun.

Lihatlah bagaimana Nabi Musa berharap dan menyerahkan urusannya kepada Allah. Beginilah pendakwah ajaran Tauhid kena serahkan diri kepada Allah. Kalau ada yang menentang kita, doa kepada Allah. Kena tawakal kepada Allah.

Kerana itulah disebutkan di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Musa r.a., bahwa Rasulullah Saw. apabila merasa takut terhadap kejahatan suatu kaum mengucapkan doa berikut:

“اللَّهُمَّ، إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ شُرُورِهِمْ، وَنَدْرَأُ بِكَ فِي نُحُورِهِمْ”

Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari kejahatan mereka dan menjadikan Engkau berada pada leher mereka.

 

مِّن كُلِّ مُتَكَبِّرٍ

dari setiap orang yang sombong

Nabi Musa memohon perlindungan kepada Allah dari mereka yang sombong. Mereka itu dikatakan ‘sombong’ kerana tidak mahu menerima kebenaran, mereka hanya memandang diri mereka sahaja yang penting. Begitulah Firaun. Dan begitulah juga orang-orang yang tidak mahu menerima kebenaran.

 

لَّا يُؤْمِنُ بِيَوْمِ الْحِسَابِ

yang tidak beriman kepada Hari Perkiraan

Orang yang sombong dan rasa diri besar tidak hiraukan pun dengan Hari Perkiraan (Hari Kiamat). Mereka hanya nampak dunia sahaja dan tidak memikirkan apa yang akan terjadi di Hari Kiamat nanti. Kerana itu mereka sanggup buat apa sahaja.

Hari Kiamat itu juga dipanggil dengan ‘Hari Perkiraan’ kerana waktu itu akan dikira apakah amalan manusia semasa di dunia dan mereka akan dibalas dengan apa yang mereka telah lakukan. Ini adalah antara nama-nama yang Allah gunakan untuk merujuk kepada Hari Kiamat.

Habis Ruku’ ke 3 dari 6 ruku’ surah ini.


 

Ayat 28: Lihatlah bagaimana Allah membalas doa Nabi Musa itu. Allah telah memberikan sokongan dari kalangan Firaun sendiri. Ayat 28 – 54 adalah Perenggan Makro Ketiga. Ia menceritakan hujah seorang mukmin daripada kerabat Firaun sendiri.

Ini adalah jawapan hasil dari makbul doa Nabi Musa. Allah zahirkan kebenaran dengan cara yang luar biasa. Allah terima doa Nabi Musa dan beri satu jalan untuk menyelamatkan baginda dan kaumnya.

Kisah ini bermula dari ayat ini sampai ke ayat 44 adalah ucapan satu orang lelaki. Tidak ada lagi ucapan seorang manusia yang dimasukkan dalam Al-Qur’an panjang begini. Sebab memang indah ucapannya tentang penjelasan agama. Kalau nak ikut teks pidato dia pun boleh.

Ada tiga peringkat dalam kata-kata lelaki Mu’min ini: permulaan, pertengahan dan penutup. Sekarang dibawakan Bahagian Pertama/Permulaan.

 

وَقالَ رَجُلٌ مُّؤمِنٌ مِّن ءآلِ فِرعَونَ يَكتُمُ إيمٰنَهُ أَتَقتُلونَ رَجُلًا أَن يَقولَ رَبِّيَ اللهُ وَقَد جاءَكُم بِالبَيِّنٰتِ مِن رَّبِّكُم ۖ وَإِن يَكُ كٰذِبًا فَعَلَيهِ كَذِبُهُ ۖ وَإِن يَكُ صادِقًا يُصِبكُم بَعضُ الَّذي يَعِدُكُم ۖ إِنَّ اللهَ لا يَهدي مَن هُوَ مُسرِفٌ كَذّابٌ

Sahih International

And a believing man from the family of Pharaoh who concealed his faith said, “Do you kill a man [merely] because he says, ‘My Lord is Allah ‘ while he has brought you clear proofs from your Lord? And if he should be lying, then upon him is [the consequence of] his lie; but if he should be truthful, there will strike you some of what he promises you. Indeed, Allah does not guide one who is a transgressor and a liar.

Malay

Dan (pada saat itu) berkatalah pula seorang lelaki yang beriman dari orang-orang Firaun yang menyembunyikan imannya: “Patutkah kamu membunuh seorang lelaki kerana dia menegaskan: `Tuhanku ialah Allah? ‘ – sedang dia telah datang kepada kamu membawa keterangan-keterangan dari Tuhan kamu? Kalau dia seorang yang berdusta maka dialah yang akan menanggung dosa dustanya itu, dan kalau dia seorang yang benar nescaya kamu akan ditimpa oleh sebahagian dari (azab) yang dijanjikannya kepada kamu. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang yang melampaui batas, lagi pendusta. 

 

وَقَالَ رَجُلٌ مُّؤْمِنٌ مِّنْ ءآلِ فِرْعَوْنَ

Dan berkata seorang lelaki beriman dari keluarga Firaun

Mengikut riwayat dia adalah Tengku Mahkota Firaun. Ada yang kata dia adalah sepupu Firaun (anak pakcik kepada Firaun). Kerana Firaun tidak ada anak lelaki, maka kalau Firaun mati, dialah yang akan mengambil tahta Raja Mesir. Setengah pula kata dia adalah salah seorang menteri. Allahu a’lam, kita tidak perlu tekankan siapa dia kerana ia tidak ditekankan oleh Allah.

Apabila dia dengar yang Firaun hendak membunuh Nabi Musa, dia tampil ke hadapan mempertahankan Nabi Musa. Tidaklah dia buat senyap sahaja. Dan jihad yang paling utama itu ialah mengutarakan kalimat keadilan di hadapan penguasa yang zalim, seperti yang telah disebutkan di dalam hadis.

Dikatakan yang hanya ada tiga orang sahaja yang beriman dengan Nabi Musa dari kalangan keluarga Firaun:

1. Asiah, isteri Firaun

2. Lelaki yang disebut dalam ayat ini

3. Seorang lagi lelaki yang telah memberitahu Nabi Musa yang Firaun hendak membunuhnya. Selepas Nabi Musa terbunuh seorang lelaki Qibti di pasar, Firaun telah mengeluarkan arahan untuk menangkap Nabi Musa kerana hendak membunuhnya.

Maka, ada seorang lelaki dari keluarga Firaun yang telah menyampaikan beritahu itu kepada Musa yang menyebabkan Nabi Musa telah melarikan diri dari Mesir. Ini adalah disebut dalam ayat Qasas:20

Ada juga pendapat yang mengatakan orang yang memberitahu Nabi Musa itu adalah Lelaki Mukmin yang sama. Jadi kalau begitu, ada dua orang sahaja dari bangsa Qibti yang beriman.

 

يَكْتُمُ إِيمٰنَهُ

yang menyembunyikan imannya

Padahal dia dudah lama beriman, tapi dia tidak memberitahu keimanannya itu. Kerana bahaya kalau menyatakan keimanan waktu itu. Kerana Firaun telah mengeluarkan undang-undang bahawa sesiapa yang beriman, akan dibunuh.

Keadaan waktu itu tidak membenarkan pernyataan iman di khalayak ramai. Macam juga semasa awal Islam di Mekah, sesiapa yang beriman, merahsiakan keislaman mereka. Dalam keadaan ini, kena tengok keadaan. Kalau menyatakan iman membahayakan nyawa kita, bolehlah kita sembunyikan.

Jadi, lelaki ini tidaklah pengecut. Kalau dia pengecut, tentulah dia tidak cakap apa-apa sampai bila-bila.

Tambahan lagi, apabila dia tidak menyatakan keislamannya, kata-katanya didengar oleh orang ramai. Macam dia tidak ada kena mengena dengan Nabi Musa. Kalau dia sudah memberitahu yang dia telah beriman dari dulu lagi, tentulah orang akan kata yang dia hanya menyokong pemimpinnya sahaja. Tapi, apabila dia tidak menyatakan imannya, nampak macam dia bercakap sebagai pihak ketiga sahaja. Jadi, lebih didengari oleh orang ramai.

Jadi, ada tiga sifat lelaki Mukmin ini yang disebut dalam ayat ini:

  1. Dia seorang Mukmin.
  2. Dia dari keluarga Firaun, itu sebab dia boleh duduk majlis Firaun.
  3. Dia waktu itu masih sembunyikan iman dia dari diketahui oleh orang lain. Tiada siapa yang tahu, malah mungkin Nabi Musa sendiri tidak tahu.

Bila dia sudah habis cakap nanti di hujung kisah ini barulah dia akhirnya sebut tentang dia sebenarnya telah beriman.

Allah hendak mengajar kita, mungkin dalam kalangan musuh, ada kawan kita. Kadangkala Allah zahirkan pembantu agama dari kalangan musuh. Dalam kisah ini, lelaki Mukmin itu telah membantu dengan beri pesanan dan nasihat.

 

أَتَقْتُلُونَ رَجُلًا

Patutkah kamu membunuh satu lelaki”

Lelaki Mukmin ini mempersoalkan tindakan Firaun untuk membunuh Nabi Musa. Oleh kerana kata-kata Lelaki Mukmin inilah yang menyebabkan Firaun membatalkan rancangannya untuk membunuh Nabi Musa.

Ringkasnya dia memperingatkan kepada Firaun dan pembantu-pembantunya bahawa pembunuhan terhadap diri Musa tiada beralasan sama sekali, hanya oleh kerana baginda menyampaikan keyakinannya yaitu “Tiada Tuhan melainkan Allah”.

Kenapa lafaz ayat ini digunakan dalam lafaz jamak أَتَقْتُلُونَ sedangkan yang mahu membunuh Nabi Musa hanyalah Firaun sahaja? Ini adalah kerana kalau mereka bersetuju dengan tindakan Firaun membunuh Nabi Musa, ianya seperti mereka juga membunuh baginda.

 

أَن يَقُولَ رَبِّيَ اللهُ

“yang hanya berkata, Tuhannya Allah“.

Dia persoalkan: Hanya kerana itu sahaja Firaun hendak membunuh Musa? Bukan dia buat pengganas pun. Maka langsung tidak patut bunuh Nabi Musa. Kalau benar Nabi Musa itu buat kesalahan, patutlah kalau nak bunuh dia, tapi apa salah Nabi Musa?

Kalau kamu tidak setuju pun dengan kata-kata Nabi Musa, maka biarkanlah Nabi Musa itu untuk berdakwah kepada kaumnya, jangan kacau dia. Dan memang Nabi Musa minta lepaskan beliau dan kaumnya Bani Israil untuk meninggalkan Mesir pun. Ini seperti yang telah disebut dalam ayat lain:

وَإِنْ لَمْ تُؤْمِنُوا لِي فَاعْتَزِلُونِ

dan jika kamu tidak beriman kepadaku, maka biarkanlah aku.” (Dukhan: 21)

Hal yang sama telah dikatakan oleh Rasulullah terhadap orang-orang Quraisy, beliau meminta agar mereka membiarkannya menyeru hamba-hamba Allah untuk menyembah-Nya, dan janganlah mereka mengganggunya dan hendaklah mereka tetap menghubungkan tali persaudaraan yang telah ada antara dia dan mereka, tiada yang saling menyakiti. Allah Swt. berfirman menceritakan hal ini:

{قُلْ لَا أَسْأَلُكُمْ عَلَيْهِ أَجْرًا إِلا الْمَوَدَّةَ فِي الْقُرْبَى}

Katakanlah, “Aku tidak meminta kepadamu sesuatu upah pun atas seruanku kecuali kasih sayang dalam kekeluargaan.” (Syura: 23)

Ayat ini juga mengandungi sindiran kepada pengikut Firaun yang mengaku Firaun sebagai tuhan, sedangkan apa yang mereka katakan itu adalah salah. Kerana ajaran tauhid Nabi Musa bukanlah kata-kata kosong sahaja, tapi baginda bawa dalil dan bukti.

Dan beginilah juga yang dilakukan oleh Saidina Abu Bakr malah beliau lebih baik dari Lelaki Mukmin itu. Ini kita boleh baca dari kisah yang disampaikan oleh Saidina Ali.

Diriwayatkan bahawa pada suatu hari Ah bin Abu Talib terlibat dalam percakapan dengan para sahabat. Beliau bertanya: “Tahukah anda siapa di antara kita yang paling berani?”. Mereka menjawab: “Engkau hai Ali. “Tidak, aku sekadar mengambil hakku dari orang yang aku tandingi”, jawab Ali. “Siapa orang yang paling berani? tanya Ali lagi. Kami tidak tahu, jawab para sahabat.

Kemudian Ali menceritakan bahawa orang yang paling berani itu ialah Abu Bakar. “Aku lihat, Rasulullah tengah dikeroyok oleh segerombolan orang Quraisy. “Apakah engkau yang menjadikan tuhan-tuhan itu menjadi Tuhan Yang Maha Esa?” bentak mereka.

Maka beliau melanjutkan, demi Allah tiada seorang pun di antara kami yang berani menolong Rasul, kecuali Aba Bakar. Dia segera memisahkan orang banyak itu dari Rasul. Ada yang ditabrak, dan ada yang didorong oleh Abu Bakar sampai Rasul bebas sama sekali. Celaka kalian semua, apakah kalian hendak membunuh seorang yang mengatakan “Tuhanku Allah?”, herdik Aba Bakar kepada gerombolan itu.

Kemudian Ali membuka shal yang dipakainya seraya menangis sampai basah janggutnya. Lalu Ali bertanya kepada para sahabat tersebut: “Manakah yang lebih baik imannya laki-laki mukmin dari keluarga Firaun atau Abu Bakar?”. Para sahabat diam tak menjawab. Kenapa kamu tidak menjawab? Tanya Ali lagi.

Demi Allah, sesaat saja dari kehidupan Abu Bakar lebih berharga dari laki-laki mukmin dari keluarga Firaun itu. Laki-laki mukmin itu menyembunyikan keimanannya (kepada Nabi Musa), sehingga Allah memujinya dalam Alquran, sedang laki-laki ini (sambil menunjuk Abu Bakar) mengiklankan imannya dan berjuang dengan harta dan darahnya”.

 

وَقَدْ جَاءَكُم بِالْبَيِّنٰتِ مِن رَّبِّكُمْ

dan dia datang kepada kamu dengan bawa dalil bukti dari Tuhan kamu”.

Lelaki Mukmin itu sambung lagi hujahnya: Bukan Nabi Musa datang dengan kata-kata kosong, tapi Nabi Musa telah datang dengan membawa berbagai-bagai bukti dan hujah.

Pernah dalam satu peristiwa di Mekah, seorang lelaki yang bernama Uqbah hendak mencekik Nabi Muhammad. Abu Bakr telah melihat apa yang terjadi dan beliau telah menolak Uqbah dan beliau telah berkata sama dengan kata-kata lelaki yang beriman dalam ayat ini. Begitulah tingginya iman Abu Bakr. Kerana bahaya juga apa yang dilakukannya kerana Islam waktu itu amat lemah dan Abu Bakr telah membahayakan nyawanya.

Begitulah kita kena berani mempertahankan Islam. Jangan kita buat senyap sahaja kalau agama sedang dipersendakan. Tambahan pula dalam keadaan sekarang dimana ada pertentangan antara jalan Sunnah dan jalan Bidaah. Adakah kita berani untuk mempertahankan jalan Sunnah? Adakah iman kita kuat atau lemah? Atau kita tengok sahaja tanpa menyatakan pendirian kita?

Ini penting kerana pemimpin negara akan melihat pihak mana yang lebih ramai pengikut. Kalau mereka lihat pengikut Sunnah pun ramai juga, maka tentu mereka akan lebih berhati-hati dari mengambil tindakan yang tidak patut terhadap pejuang Sunnah. Tapi kalau mereka lihat kumpulan Sunnah ini tidak ramai, itulah yang menyebabkan mereka ambil mudah sahaja tentang kita.

 

وَإِن يَكُ كٰذِبًا فَعَلَيْهِ كَذِبُهُ

dan kalau dia berdusta, maka dustanya untuk dirinya sendiri”.

Lelaki Mukmin itu berhujah lagi: Kalau Nabi Musa menipu, biar Tuhan sahaja balas kesalahannya. Dia akan menerima kesannya kalau dia menipu. Kerana Tuhan tidak akan biarkan agamaNya dimain-mainkan.

Orang yang berbohong atas nama Tuhan, kita sebenarnya tidak perlu susah nak fikir hal dia. Sebab kalau dia menipu, dia yang kena tanggung dosa itu. Kita tidak perlu buat apa-apa kerana Allah yang akan hukum dia sendiri.

Dalam ayat ini, Lelaki Mukmin itu menggunakan lafaz ‘kalau dia berdusta’… sedangkan lelaki ini adalah lelaki yang beriman, dan tentu dia tahu yang Nabi Musa tidak berdusta. Tapi beliau berkata begitu sebagai cara berdakwah. Supaya nampak macam dia adalah orang pihak ketiga. Tidaklah nampak dia sokong baginda kerana dia orang Islam.

 

وَإِن يَكُ صَادِقًا

Tetapi kalau dia itu benar, 

Tapi, kalau apa yang Nabi Musa kata itu benar, macam mana? Cubalah kamu fikir sikit.

 

يُصِبْكُم بَعْضُ  الَّذِي يَعِدُكُمْ

akan menimpa kamu setengah azab yang dijanjikan ke atasmu.

Lelaki ini sedang berdakwah kepada kaumnya. Kalau Nabi Musa itu benar, macam mana? Banyak ancaman yang telah diberikan oleh Nabi Musa dan kalau dia benar, masalah kita nanti.

Lelaki itu sedang menggunakan logik untuk berdakwah kepada kaumnya termasuk dengan Firaun sendiri. Bayangkan yang dia sedang bercakap dengan Firaun dan pembesar-pembesar Mesir di istana Firaun.

Ini mengajar kita, kadang-kadang kita dakwah kepada seorang, mungkin yang didakwah tidak terima tapi yang dengar pula yang terima. Mungkin orang yang dengar itu duduk di belakang kita semasa duduk-duduk bersembang sambil berdakwah di kedai makan, tapi dari kata-kata kita itu, dia boleh menerima. Jadi, walaupun Firaun tidak terima, mungkin ada di kalangan mereka itu yang terima.

Lihatlah bagaimana hebat kata-kata lelaki yang beriman ini. Beliau telah berkata dengan berani mempertahankan Nabi Musa di hadapan raja yang zalim. Kata-kata beliau ini lahir dari imannya kepada Allah. Inilah tingginya kedudukan iman. Iman boleh memberikan keberanian kepada manusia.

Walaupun bahaya untuk memberitahu yang dia seorang Muslim, tapi dia berani juga untuk berkata. Walaupun dia boleh kehilangan kedudukan dalam istana Firaun, malah boleh kehilangan nyawanya, tapi beliau berkata juga untuk mempertahankan seorang Rasul. Semakin tinggi iman seseorang, semakin kuat dia mempertahankan kebenaran.

 

إِنَّ اللهَ لَا يَهْدِي مَنْ هُوَ مُسْرِفٌ كَذَّابٌ

Sesungguhnya Allah tidak akan memberi pimpinan kepada orang yang melampaui batas, dusta dalam percakapannya.

Mungkin timbul soalan: adakah ucapan lelaki mukmin ini memberi kesan kepada pendengarnya? Allah jawap dalam ayat ini yang mereka tetap tidak mahu beriman. Sebab mereka masih kufur dalam hati mereka. Allah tak buka hati mereka kerana mereka degil, melampau dan dusta dalam percakapan mereka.

Maka mereka itu tidak beriman adalah kerana mereka ada dua sifat buruk:

  1. musrif – melampau dalam agama. Mereka melakukan syirik. Selagi ada syirik dalam fahaman, selagi itu tidak dapat menerima kebenaran agama. Sebab itu kena bersihkan fahaman syirik dari diri manusia.
  2. pembohong – kerana mereka pembohong besar. Nabi Musa yang Nabi pun mereka tidak mahu mengaku baginda Nabi.

Ayat ini sampai ayat 29 adalah peringkat pertama. Ada tiga bentuk ucapan dalam peringkat awal ini:

1. Apa yang mereka nak buat itu adalah jauh dari kewarasan akal – kesilapan yang kecil tapi hukuman besar. Tak musahabah langsung. Macam hukum bunuh penyapu sampah kerana tidak sapu sampah.

2. Kesalahan yang dikatakan itu adalah hanya mengatakan yang Tuhan adalah Allah. Jadi tidak patut dibunuh atau dihukum kerana dia tidak buat salah.

3. Dakwaan Nabi Musa bukan kosong sahaja tapi baginda bawa dalil. Kena tengoklah bukti itu.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 17 Julai 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah an-Nisa Ayat 163 – 165 (Tugas para Rasul)

Ayat 163: Ini adalah jawapan dari Allah ‎ﷻ tentang hujah puak Yahudi yang kononnya mahukan kitab Qur’an turun sekaligus.

Allah ‎ﷻ jawab bahawa kebanyakan kitab kalamullah diturunkan sedikit demi sedikit sampailah kepada Kitab Zabur. Nabi Musa عليه السلام pun mendapat wahyu lain selain dari Taurat kerana baginda telah mendapat dua jenis wahyu. Ada wahyu yang tertulis seperti Taurat dan ada wahyu lain yang diterima baginda sebelum Taurat diturunkan.

Kemudian Allah ‎ﷻ menyenaraikan semua Nabi di bawah ini mendapat wahyu sedikit demi sedikit, beransur-ansur.

۞ إِنّا أَوحَينا إِلَيكَ كَما أَوحَينا إِلىٰ نوحٍ وَالنَّبِيّينَ مِن بَعدِهِ ۚ وَأَوحَينا إِلىٰ إِبرٰهيمَ وَإِسمٰعيلَ وَإِسحٰقَ وَيَعقوبَ وَالأَسباطِ وَعيسىٰ وَأَيّوبَ وَيونُسَ وَهٰرونَ وَسُلَيمٰنَ ۚ وَءآتَينا داوودَ زَبورًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, We have revealed to you, [O Muḥammad], as We revealed to Noah and the prophets after him. And We revealed to Abraham, Ishmael, Isaac, Jacob, the Descendants,¹ Jesus, Job, Jonah, Aaron, and Solomon, and to David We gave the book [of Psalms].

  • Al-Asbāṭ. See footnote to 2:136.

MALAY

Sesungguhnya Kami telah memberikan wahyu kepadamu (wahai Muhammad), sebagaimana Kami telah memberikan wahyu kepada Nabi Nuh, dan Nabi-nabi yang diutus kemudian daripadanya; dan Kami juga telah memberikan wahyu kepada Nabi Ibrahim, dan Nabi Ismail, dan Nabi Ishak, dan Nabi Yaakub, serta Nabi-nabi keturunannya, dan Nabi Isa, dan Nabi Ayyub, dan Nabi Yunus, dan Nabi Harun, dan Nabi Sulaiman; dan juga Kami telah memberikan kepada Nabi Daud, kitab Zabur.

 

إِنّا أَوحَينا إِلَيكَ كَما أَوحَينا إِلىٰ نوحٍ وَالنَّبِيّينَ مِن بَعدِهِ

Sesungguhnya Kami telah memberikan wahyu kepadamu (wahai Muhammad), sebagaimana Kami telah memberikan wahyu kepada Nabi Nuh, dan Nabi-nabi yang diutus kemudian daripadanya; 

Cara Allah ‎ﷻ memberikan wahyu kepada Nabi Muhammad ﷺ sama sahaja sebagaimana cara yang diberikan kepada Nabi Nuh عليه السلام dan Nabi-nabi lain sebelum baginda. Bukanlah baginda manusia pertama yang menerima wahyu, tetapi sudah ramai para Nabi dahulu yang menerima wahyu. Jadi tidak ada apa yang hendak dihairankan. Mereka pun percaya dengan para Nabi yang disebutkan ini.

Disebutkan nama Nabi Nuh عليه السلام kerana bagindalah Nabi yang menjadi Rasul yang pertama. Nabi Adam عليه السلام tidak dikira sebagai Rasul tetapi sebagai Nabi sahaja. Zaman Nabi Adam عليه السلام wahyu juga diturunkan, tetapi tidaklah seperti yang diberikan kepada Nabi Nuh عليه السلام kerana waktu itu manusia sudah membuat banyak kesalahan dan dosa. Maka wahyu yang diberikan sudah mengandungi ancaman di dalamnya.

 

وَأَوحَينا إِلىٰ إِبرٰهيمَ وَإِسمٰعيلَ وَإِسحٰقَ وَيَعقوبَ وَالأَسباطِ وَعيسىٰ وَأَيّوبَ وَيونُسَ وَهٰرونَ وَسُلَيمٰنَ

dan Kami juga telah memberikan wahyu kepada Nabi Ibrahim, dan Nabi Ismail, dan Nabi Ishak, dan Nabi Yaakub, serta Nabi-nabi keturunannya, dan Nabi Isa, dan Nabi Ayyub, dan Nabi Yunus, dan Nabi Harun, dan Nabi Sulaiman;

Sebelum ini telah disebut ‘semua Nabi-nabi’ tetapi Allah  ‎ﷻ telah menyebut satu persatu Nabi yang terkenal. Secara umumnya, Kitab Qur’an tidak banyak menyebut nama para Nabi. Tidak seperti Kitab Injil yang ada sekarang, kalau disebutkan nama Nabi, berjela-jela panjangnya.

Para Nabi ini disebut kerana Allah ‎ﷻ hendak mengingatkan manusia, bukanlah Nabi Muhammad ﷺ Nabi dan Rasul yang pertama, tetapi baginda adalah sambungan dari Nabi-nabi yang terdahulu. Ajaran tauhid yang baginda sampaikan adalah sama sahaja dengan para Nabi-nabi itu.

 

وَءآتَينا داوودَ زَبورًا

dan Kami telah memberikan kepada Nabi Daud, Kitab Zabur.

Zabur adalah nama kitab yang diturunkan oleh Allah ‎ﷻ. kepada Na­bi Daud عليه السلام. Ia adalah kitab yang tidak mengandungi ayat-ayat hukum tetapi mengandungi kata-kata pujian kepada Allah ‎ﷻ dan nasihat-nasihat kepada manusia.

Di dalam ayat Qur’an yang lain, ada disebut bagaimana apabila Nabi Daud عليه السلام membaca Kitab Zabur, burung dan gunung akan turut membaca bersama baginda.


 

Ayat 164:

وَرُسُلًا قَد قَصَصنٰهُم عَلَيكَ مِن قَبلُ وَرُسُلًا لَّم نَقصُصهُم عَلَيكَ ۚ وَكَلَّمَ اللهُ موسىٰ تَكليمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [We sent] messengers about whom We have related [their stories] to you before and messengers about whom We have not related to you. And Allāh spoke to Moses with [direct] speech.

MALAY

Dan (Kami telah mengutuskan) beberapa orang Rasul yang telah Kami ceritakan kepadamu dahulu sebelum ini, dan Rasul-rasul yang tidak Kami ceritakan hal mereka kepadamu. Dan Allah telah berkata-kata kepada Nabi Musa dengan kata-kata (secara langsung, tidak ada perantaraan).

 

وَرُسُلًا قَد قَصَصنٰهُم عَلَيكَ مِن قَبلُ

Dan beberapa orang Rasul yang telah Kami ceritakan kepadamu dahulu sebelum ini,

Ada dari Rasul-rasul itu yang sudah diceritakan oleh Allah ‎ﷻ kepada Nabi Muhammad ﷺ dalam Surah-surah Makiyyah.

 

وَرُسُلًا لَّم نَقصُصهُم عَلَيكَ

dan Rasul-rasul yang tidak Kami ceritakan hal mereka kepadamu. 

Ada Rasul-rasul yang belum diceritakan lagi kepada Nabi Muhammad ﷺ. Semua mereka itu telah mendapat wahyu sedikit demi sedikit juga. Jadi kenapakah Yahudi ingin mempersoalkan penurunan Qur’an yang sedikit demi sedikit itu?

Nama-nama Rasul dan Nabi tidak banyak disebut di dalam Qur’an. Tetapi sebenarnya bilangan mereka amat banyak sehingga beribu-ribu, cuma tidak disebut di dalam Qur’an sahaja.

 

وَكَلَّمَ اللهُ موسىٰ تَكليمًا

Dan Allah telah berkata-kata kepada Nabi Musa dengan kata-kata yang sebenar

Dan Allah ‎ﷻ juga telah bercakap dengan Nabi Musa عليه السلام dan ini bukanlah wahyu di dalam bentuk Taurat. Maknanya Nabi Musa عليه السلام pun ada menerima wahyu sedikit demi sedikit juga. Jadi, kenapakah Yahudi mahu membuat kecoh mengenainya? Mereka pun mengetahui tentang perkara ini kerana Nabi Musa عليه السلام adalah Nabi mereka yang utama. Maka hujah mereka mahu Qur’an diturunkan terus sekaligus itu adalah hujah dan helah mereka sahaja.

Dalam ayat ini, ditambah dengan lafaz تَكليمًا untuk menekankan yang Allah ‎ﷻ memang berkata-kata dengan Nabi Musa عليه السلام secara terus. Tidak ada ‘orang tengah’ antara Allah ‎ﷻ dan baginda. Ini adalah kelebihan yang diberikan kepada Nabi Musa عليه السلام sampaikan baginda diberi dengan gelaran Kalimullah. Kisah ini terdapat antara lain bermula dari ayat Taha:11.

Ia juga ada disebut di dalam Exodus 33:11

Dan TUHAN berbicara kepada Musa dengan berhadapan muka seperti seorang berbicara kepada temannya; kemudian kembalilah dia ke perkhemahan. Tetapi abdinya, Yosua bin Nun, seorang yang masih muda, tidaklah meninggalkan khemah itu.

Malangnya, ada juga orang Islam yang tidak mempercayai Allah ‎ﷻ berkata-kata terus dengan Nabi Musa عليه السلام. Mereka telah mengubah bacaan ayat ini sampai ia berbunyi: “Musa yang berkata terus dengan Allah ‎ﷻ”. Ini adalah bacaan yang salah dan bacaan yang kufur.

Ini adalah kerana dalam akidah sesat mereka, Allah ‎ﷻ tidak berkata-kata. Ini adalah fahaman yang amat salah sekali. Allah ‎ﷻ mampu berbuat apa sahaja. Kalau Dia boleh memberikan kita kemampuan untuk berkata-kata, sudah pasti Dia sendiri boleh berkata-kata lebih dari itu?


 

Ayat 165:

رُّسُلًا مُّبَشِّرينَ وَمُنذِرينَ لِئَلّا يَكونَ لِلنّاسِ عَلَى اللهِ حُجَّةٌ بَعدَ الرُّسُلِ ۚ وَكانَ اللهُ عَزيزًا حَكيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[We sent] messengers as bringers of good tidings and warners so that mankind will have no argument against Allāh after the messengers. And ever is Allāh Exalted in Might and Wise.

MALAY

Rasul-rasul (yang Kami telah utuskan itu semuanya) pembawa khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman), dan pembawa amaran (kepada orang-orang yang kafir dan yang berbuat maksiat), supaya tidak ada bagi manusia sesuatu hujah (atau sebarang alasan untuk berdalih pada hari kiamat kelak) terhadap Allah sesudah mengutuskan Rasul-rasul itu. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

 

رُّسُلًا مُّبَشِّرينَ وَمُنذِرينَ

Rasul-rasul itu sebagai pembawa khabar gembira dan pembawa amaran

Semua para rasul itu memberikan berita gembira dan ancaman kepada manusia. Semua mereka membawa tugas yang sama. Kepada yang mengikut wahyu, akan mendapat berita gembira dan kepada mereka yang kufur, akan diberikan dengan berita ancaman.

Ini mengajar kita, dalam kita berdakwah kita haruslah menyampaikan kedua-dua perkara ini. Jangan hanya menceritakan yang sedap dan manis sahaja, tetapi meninggalkan ancaman dari Allah ‎ﷻ. Begitu juga  sebaliknya.

لِئَلّا يَكونَ لِلنّاسِ عَلَى اللهِ حُجَّةٌ بَعدَ الرُّسُلِ

supaya tidak ada bagi manusia sesuatu hujah terhadap Allah sesudah mengutuskan Rasul-rasul itu. 

Tujuan wahyu diturunkan kepada manusia adalah supaya tiada alasan hujah untuk menghalang Allah ‎ﷻ menyeksa mereka di akhirat kelak kerana Allah ‎ﷻ sudah memberikan wahyu semasa manusia hidup di dunia. Jangan ada di kalangan manusia yang berhujah: mereka ingin mengikut wahyu tetapi mereka tidak mendapat wahyu. Mereka tidak boleh berkata yang mereka menjadi sesat kerana mereka tidak tahu manakah yang benar dan manakah yang salah.

Sebenarnya Allah ‎ﷻ sudah memberikan kita dengan pancaindera, otak, roh dan tanda-tanda pada alam. Itu sebenarnya sudah cukup kepada mereka yang mahu berfikir. Tetapi dengan rahmatNya Dia berikan pula Nabi dan wahyu kepada kita. Allah ‎ﷻ menurunkan wahyu dan para Nabi itu sebagai rahmat kerana tidak wajib bagi Allah ‎ﷻ untuk menurunkan Nabi dan wahyu pun.

Maka memang tidak ada alasan lagi bagi manusia yang degil. Kalau tidak ikut juga, itu adalah kerana kedegilan atau kejahilan sahaja. Dan tiada maaf lagi kalau mereka hanya menggunakan alasan itu sahaja. Alasan itu tidak  akan laku di akhirat kelak.

Pada zaman sekarang, boleh dikatakan semua manusia telah mendengar tentang Allah ‎ﷻ dan juga Qur’an. Tidak dapat difikirkan adakah lagi terdapat manusia yang tidak mengetahui tentang Allah ‎ﷻ sedangkan di zaman sekarang, maklumat boleh sampai ke mana-mana sahaja di dalam masa yang singkat. Kecualilah mereka yang tinggal di dalam hutan belantara dan langsung tidak bergaul dengan manusia luar. Itu pun mungkin hanya sedikit sahaja bilangannya.

Fikirkan bagaimana ramai di kalangan kita yang mampu untuk menuntut pelbagai cabang ilmu sehingga ke peringkat ijazah dan PhD, tetapi apabila terdapat saudara atau kawan yang mengajak untuk mempelajari tafsir Qur’an di hujung minggu, pelbagai alasan yang akan diberikan. Cuba renungkan di manakah manusia meletakkan prioriti untuk mempelajari firman Allah ‎ﷻ berbanding dengan ilmu keduniaan yang lain?

 

وَكانَ اللهُ عَزيزًا حَكيمًا

Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Allah ‎ﷻ Maha Perkasa, Dia boleh menyuruh manusia taat kepadaNya dengan cara apa sekali pun.

Tetapi Allah ‎ﷻ Maha Bijaksana telah memilih dengan cara diberikan Rasul kepada kita. Itulah cara yang telah Allah ‎ﷻ pilih di atas kebijaksanaanNya yang pasti tiada bandingannya.

Pasti ada kehebatannya apabila Allah ‎ﷻ menggabungkan kedua-dua namaNya. Kalau satu nama pun sudah hebat, apatah lagi kalau digabungkan dua nama. Ia menambah keindahan nama-nama itu. Allah ‎ﷻ hendak memberitahu kita yang walaupun Allah ‎ﷻ berkuasa untuk berbuat apa-apa sahaja, tetapi Allah ‎ﷻ tidaklah menyalahgunakan kuasaNya itu. Allah ‎ﷻ mentadbir dan menghukum manusia dengan penuh kebijaksanaan.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 18 September 2018

Ringkasan Surah Nisa’


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah Ghafir Ayat 22 – 25 (Musa dan Firaun)

Ayat 22: Dalam ayat sebelum ini telah disebut tentang mereka yang telah dikenakan dengan azab kerana mereka berbuat dosa. Dosa apakah yang mereka lakukan? Ianya dijelaskan dalam ayat ini. Dosa mereka adalah dosa tolak wahyu. Itulah dosa paling berat sekali.

ذٰلِكَ بِأَنَّهُم كانَت تَّأتيهِم رُسُلُهُم بِالبَيِّنٰتِ فَكَفَروا فَأَخَذَهُمُ اللهُ ۚ إِنَّهُ قَوِيٌّ شَديدُ العِقابِ

Sahih International

That was because their messengers were coming to them with clear proofs, but they disbelieved, so Allah seized them. Indeed, He is Powerful and severe in punishment.

Malay

(Kebinasaan mereka) yang demikian ialah kerana mereka sentiasa didatangi Rasul-rasul yang diutuskan kepada mereka dengan membawa keterangan-keterangan (hukum-hukum dan mukjizat) yang jelas nyata, maka mereka kufur ingkar, lalu Allah menyeksa mereka, sesungguhnya Allah adalah Maha Kuat lagi Maha berat azab seksaNya. 

 

ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ كَانَت تَّأْتِيهِمْ رُسُلُهُم

Demikianlah mereka dulu telah datang kepada mereka rasul-rasul mereka

Allah ingatkan kepada Musyrikin Mekah dan mereka yang seperti mereka, kaum-kaum itu dihancurkan kerana mereka buat perangai mereka yang salah, yang sama seperti yang sedang dilakukan oleh Musyrikin Mekah dan musyrik mana-mana dalam dunia.

Mereka yang telah diazab di dunia seperti Tsamud, Aad, Firaun dan kaumnya itu, mereka juga telah didatangi oleh para Rasul. Bukannya mereka tidak diingatkan dengan ajaran tauhid.

Kalau orang-orang dahulu telah didatangi oleh Rasul mereka, bagaimana dengan kita? Kita tidak ada rasul dan Nabi lagi, tapi akan ada penyebar tauhid yang akan menceritakan hal tauhid kepada kita. Maka kita pun telah didatangi dengan penyampai risalah tauhid. Jangan guna alasan tidak ada Rasul pula untuk kita. Kerana Rasul kita adalah Nabi Muhammad dan ajaran baginda telah sampai kepada kita.

 

بِالْبَيِّنٰتِ

dengan bawa bukti-bukti jelas

Rasul-rasul itu telah datang membawa bukti-bukti yang jelas dari Allah. Mereka bawa wahyu, bawa hujah, bawa mukjizat. Segala itu dibawa untuk membuktikan kepada kaum mereka bahawa apa yang mereka bawa adalah kebenaran dari Allah.

 

فَكَفَرُوا

tapi mereka engkar.

Mereka engkar untuk terima dakwah dan ajakan tauhid itu. Kerana engkar, mereka jadi ‘kafir degil’.

Ini bermakna, bila Al-Qur’an dibacakan kepada orang dan orang itu tak nak terima, mereka akan menjadi kafir terus. Tak perlu pijak Al-Qur’an pun boleh dikira kufur. Iaitu apabila mereka faham maksud ayat Al-Qur’an, tapi masih tak mahu terima. Mereka menutup kebenaran dengan enggan terima.

 

فَأَخَذَهُمُ اللهُ

Maka Allah azab mereka

Allah beri azab kepada mereka kerana mereka engkar, bukan kerana Allah suka nak beri azab.

 

إِنَّهُ قَوِيٌّ

Sesungguhnya Allah itu Dzat yang Maha Gagah Perkasa

Oleh kerana Allah Maha Gagah Perkasa, Allah boleh sahaja menurunkan apa sahaja azab yang dikehendakiNya kepada makhluk.

 

شَدِيدُ الْعِقَابِ

amat keras balasanNya.

Apabila Allah mengenakan azabNya kepada makhluk, azab itu amat keras. Memang tidak akan tertanggung.


 

Ayat 23: Sebelum ini telah disebut ayat-ayat Takhwif Ukhrawi. Sekarang Allah membawakan kisah Nabi Musa a.s. sebagai contoh takhwif duniawi. Sebelum ini telah disebut bagaimana kaum-kaum dahulu telah didatangi dengan para Rasul mereka, tapi mereka menolak dakwah para Rasul itu.

Ayat 23 – 27 adalah Perenggan Makro Kedua. Ia adalah peringatan kepada pembesar Quraish supaya jangan jadi seperti Firaun. Firaun pernah merancang membunuh Nabi Musa tetapi siapa yang kecundang?

Sekarang disebut Kisah Nabi Musa sebagai bandingan supaya manusia boleh melihat bagaimana Nabi Musa telah mendatangi Firaun dan telah ditolak oleh Firaun. Ini adalah Allah menggunakan pendekatan bercerita kepada manusia.

Kerana Allah tahu sifat manusia yang suka kepada cerita. Manusia boleh duduk lama kalau dengar cerita, sampaikan kalau cerita hantu pun mereka suka dengar dan percaya. Maka, Allah nak beritahu kisah yang benar kepada mereka supaya menjadi pengajaran yang berguna. 

وَلَقَد أَرسَلنا موسىٰ بِئآيٰتِنا وَسُلطٰنٍ مُّبينٍ

Sahih International

And We did certainly send Moses with Our signs and a clear authority

Malay

Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengutuskan Nabi Musa membawa ayat-ayat Kami dan bukti (mukjizat) yang jelas nyata 

 

وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا مُوسَى

Sesungguhnya Kami telah utus Musa

Nabi Musa adalah salah satu Nabi yang Ulul Azmi. Banyak kisah baginda dalam Al-Qur’an. Baginda telah diutus kepada Firaun dan bangsa Qibti, dan juga Bani Israil.

 

بِئآيٰتِنَا

dengan bawa tanda-tanda Kami,

Iaitu wahyu Allah. Ini adalah jenis wahyu sebelum Kitab Taurat kerana Nabi Musa hanya terima Kitab Taurat selepas baginda seberang laut. Wahyu Allah dalam ayat ini adalah wahyu-wahyu yang baginda terima di Bukit Tursina. Atau pun mungkin boleh bermaksud wahyu-wahyu lain yang diterimanya sebelum mendapat Kitab Taurat.

Tanda-tanda selain daripada wahyu, ia juga boleh bermaksud mukjizat yang ditunjukkan oleh Nabi Musa. Antaranya tongkat yang menjadi ular, tangannya yang bercahaya, tongkatnya yang membelah laut, tongkatnya yang mengeluarkan air dan berbagai-bagai lagi mukjizat yang ditunjukkan oleh baginda kepada kaumnya dan kepada Firaun.

Mukjizat adalah suatu kejadian yang luar biasa sebagai tanda kenabian. Ianya diberikan kepada para Nabi, kerana apabila hendak menyuruh manusia ikut mereka, mereka kena tunjuk bukti. Zaman Nabi Musa, masyarakat waktu itu kagum kepada sihir, jadi baginda diberikan dengan mukjizat yang nampak macam sihir, tapi bukan sihir.

 

وَسُلْطٰنٍ مُّبِينٍ

dan bukti-bukti yang jelas nyata

Yang dimaksudkan adalah mukjizat yang diberikan kepada Nabi Musa. Mukjizat pertama yang ditunjukkan adalah tongkat yang boleh menjadi ular dan tangan baginda yang bercahaya.

Nabi Musa juga telah diberikan dengan kebolehan untuk berhujah dengan baik. Bayangkan, baginda telah diberikan kekuatan untuk pergi berdakwah dan berhujah dengan Firaun di istana Firaun! Itu adalah sesuatu yang berat.

Berhujah dengan Firaun bukanlah senang kerana Firaun amat bijak dan pandai berdalih. Tapi Nabi Musa dapat memberikan hujah baginda dengan jelas dan kemas. Soal jawab hujah antara Firaun dan Nabi Musa itu banyak terdapat dalam surah-surah yang lain. Dan memang patut kita belajar hujah-hujah Firaun dan bagaimana Nabi Musa menjawabnya kerana penentang wahyu ada juga menggunakan hujah Firaun sampai sekarang.


 

Ayat 24: Kepada siapakah Nabi Musa diutus?

إِلىٰ فِرعَونَ وَهٰمٰنَ وَقٰرونَ فَقالوا سٰحِرٌ كَذّابٌ

Sahih International

To Pharaoh, Haman and Qarun; but they said, “[He is] a magician and a liar.”

Malay

Kepada Firaun dan Haman serta Qarun; maka mereka (menuduhnya dengan) berkata: “Dia seorang ahli sihir, lagi pendusta!” 

 

إِلَىٰ فِرْعَوْنَ وَهٰمٰنَ وَقٰرُونَ

Kepada Firaun dan Haman dan Qarun.

Firaun adalah Raja Mesir waktu itu. Dia memerintah bangsa Qibti dan juga Bani Israil. Dia memerintah dengan cara menyeluruh. Maknanya, dia bukan sahaja memerintah dari segi politik tapi dari segi agama juga, kerana dia mengaku sebagai tuhan – maka semua kena ikut dia.

Haman pula adalah penasihat Firaun. Yang menariknya, Yahudi kata nama ini tidak ada dalam sejarah mereka, sedangkan Nabi Musa adalah Nabi utama mereka. Jadi mereka kata Al-Qur’an salah dan menipu sahaja. Tapi apabila dikaji tulisan-tulisan peninggalan Mesir Purba, memang ada nama Haman ini. Maka dengan cara begitulah Allah menunjukkan kebenaran Al-Qur’an ini.

Qarun pula dikatakan sebagai penjaga khazanah kerajaan. Qarun sebenarnya bukan orang Qibti tetapi dari Bani Israil. Tapi kerana dia tidak mahu bayar zakat, dia sanggup duduk bersama dengan Firaun kerana Firaun kata tidak perlu bayar zakat. Dia sebenarnya adalah sepupu Nabi Musa, maka dia sebenarnya adalah dari Bani Israil. Dalam ayat Qasas:76 ada disebut bagaimana dia adalah dari bani Israil.

۞ إِنَّ قارونَ كانَ مِن قَومِ موسىٰ فَبَغىٰ عَلَيهِم ۖ وَآتَيناهُ مِنَ الكُنوزِ ما إِنَّ مَفاتِحَهُ لَتَنوءُ بِالعُصبَةِ أُولِي القُوَّةِ إِذ قالَ لَهُ قَومُهُ لا تَفرَح ۖ إِنَّ اللهَ لا يُحِبُّ الفَرِحينَ

Sesungguhnya Qarun adalah dia dari kaum Nabi Musa, kemudian dia berlaku sombong dan zalim terhadap mereka; dan Kami telah mengurniakannya dari berbagai jenis kekayaan yang anak-anak kuncinya menjadi beban yang sungguh berat untuk dipikul oleh sebilangan orang yang kuat sasa. (dia berlaku sombong) ketika kaumnya berkata kepadanya: “Janganlah engkau bermegah-megah (dengan kekayaanmu), sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang bermegah-megah. (seperti lagakmu itu).

Dan kerana dia amat kaya, dia dapat kedudukan dalam kerajaan Firaun. Atau dia jadi kaya kerana memang dia bersetuju jadi talibarut Firaun dalam masyarakat Bani Israil. Dia dilantik oleh Firaun untuk menjadi wakil Bani Israil. Dan sifat dia seperti Firaun juga. Maka sebab itu Tuhan simpulkan tiga-tiga sekali dalam ayat ini. Mereka itu adalah kepala-kepala penjahat. Tentunya di bawah mereka ada ramai lagi kuncu-kuncu mereka.

Qibti itu adalah nama satu bangsa. Keturunan mereka ramai yang beragama Kristian dan sekarang mereka dipanggil Coptic Christian. Firaun dan Haman telah mati menyeberangi laut Merah semasa mengejar Nabi Musa. Qarun tu mati selepas seberang, sebab dia dapat seberang bersama Nabi Musa. Kerana semua bangsa Yahudi diperintah pergi seberang.

Tapi kemudian dia telah mati tenggelam dalam bumi. Dia telah bawa harta yang banyak semasa menyeberangi laut Merah itu. Bayangkan tiga perempuan diperlukan untuk pegang baju dia semasa dia berjalan. Tapi bila Nabi Musa minta zakat dia tak mahu beri. Sebab itu dia dimatikan dengan cara ditenggelamkan di bawah Bukit Tursina.

Dalam ayat ini, dikatakan bahawa Nabi Musa dihantar kepada mereka bertiga. Tentulah bukan kepada mereka bertiga sahaja, kerana baginda juga adalah Rasul kepada Bani Israil dan juga kepada bangsa Qibti. Tapi mereka bertiga disebut secara khusus kerana mereka adalah pemuka masyarakat Mesir waktu itu. Kalau mesej diberikan kepada ketua kerajaan, itu bermaksud mesej dakwah itu juga kepada orang bawahan mereka juga.

Nabi Musa jumpa mereka dan dakwah kepada mereka tentang tiga perkara penting – tauhid, risalah dan akhirat. Inilah ringkasan agama. Kalau kita nak dakwah kepada manusia pun, kena sebut tentang tiga perkara ini. Mula ajar mereka tentang Allah sikit, kemudian tentang Sunnah Nabi sikit dan kemudian ingatkan tentang syurga neraka.

 

فَقَالُوا سٰحِرٌ كَذَّابٌ

Maka mereka berkata: Musa ini tukang sihir, amat pendusta.

Jawapan mereka bertiga sama sahaja. Mereka bukan kata dia pendusta sikit-sikit. Mereka kata dia ‘amat pendusta’. Mereka mengatakan apa yang ditunjukkan oleh Nabi Musa itu adalah sihir sahaja; dan ajakan dakwah Nabi Musa itu hanyalah tipuan sahaja. Itulah tohmahan mereka.

Sebelum ini telah disebut bahawa Nabi Musa menyampaikan mukjizat dan hujah, bukan? Jadi mereka menolak dengan memberi bantahan kepada dua perkara itu:

1. Untuk tolak Mukjizat – mereka katakan itu adalah sihir belaka. Apabila Nabi Musa dan Nabi Harun datang berdakwah kepada mereka, Firaun minta Nabi Musa tunjukkan dalil. Maka Nabi Musa telah tunjukkan mukjizat tongkat menjadi ular dan tangan baginda yang bercahaya.

Tapi Firaun kata apa yang Nabi Musa tunjuk itu adalah sihir belaka. Mereka kata begitu supaya rakyat yang tengok mukjizat yang Nabi Musa tunjukkan itu, tidaklah mereka percaya. Rakyat memang terpegun dengan mukjizat yang ditunjukkan, tapi apabila dituduh ianya sihir, maka rakyat tidaklah rasa takjub lagi.

2. Untuk tolak Hujah yang Nabi Musa sampaikan – mereka katakan hujah-hujah Nabi Musa a.s. itu adalah tipuan sahaja. Mereka tuduh Nabi Musa dan Nabi Harun sebagai penipu supaya rakyat tidak percaya kepada kata-kata mereka berdua.

Rakyat yang mula hendak percaya kepada dua Rasul itu pun telah tertutup untuk menerima dakwah dengan label dan tuduhan yang diberikan. Tambahan pula yang kata itu adalah Firaun, Haman dan Qarun. Iaitu orang-orang yang berkuasa dan kaya dalam masyarakat dan kerana itu mereka dipercayai.

Inilah kelemahan manusia – apabila yang berkata-kata itu adalah mereka yang berkuasa lagi kaya, mereka mudah percaya dan ikut. Padahal, tidaklah mereka yang berkedudukan itu semestinya benar. Segala kata-kata manusia perlu diteliti dahulu barulah diterima. Tidaklah terus terima sahaja.

Begitulah yang terjadi dalam masyarakat Islam kita sekarang. Kalau yang berkata tentang agama itu orang-orang besar, orang-orang yang masuk suratkhabar dan media massa seperti TV, senang masyarakat nak terima apa yang mereka katakan.

Walaupun mereka tidak memberikan dalil pun dalam hujah mereka. Tapi kebanyakan manusia memang akan terkesan dengan mereka yang ada kuasa dan terkenal. Ada juga yang terkesan dengan perawakan dan pakaian. Itu adalah perkara luaran sahaja. Yang penting kenalah tengok dan teliti apakah hujah dan dalil yang mereka bawa.


 

Ayat 25: Nabi Musa tidak berhenti dakwah walaupun ditolak oleh Firaun dan pengikutnya. Maknanya kita pun kalau menjalankan dakwah, tidak boleh berhenti walaupun ditentang. Nabi Musa tidak terikat dan terkesan dengan kata-kata manusia. Ini dinamakan sifat istiqlal. Jangan kita kena tuduh sebagai wahabi, sudah takut hendak berdakwah.

Kenapa Allah suruh Nabi Musa berdakwah kepada Firaun sedangkan Allah tahu yang Firaun tidak akan beriman? Kerana walaupun Firaun tidak akan beriman, dakwah yang dilakukan oleh Nabi Musa itu akan memberi kesan kepada baginda. Macam mengasah pisau – batu tidak jadi apa-apa, tapi pisau itu akan jadi semakin tajam.

Dan walaupun Firaun tidak akan beriman, tapi ada orang lain yang mendengar dakwah itu yang terkesan. Begitulah kadangkala kita dakwah kepada orang lain tapi dia tidak terima, sedangkan orang lain yang mendengar pula yang terima.

Apabila Nabi Musa datang lagi untuk berdakwah, Firaun telah buat satu rancangan untuk memporak perandakan Bani Israil yang mula ikut Nabi Musa dengan mengeluarkan arahan bunuh kepada Bani Israil yang beriman dengan Nabi Musa. Itulah cara Firaun yang menggunakan kekerasan.

Ini adalah arahan bunuh kali kedua. Kali pertama dulu adalah semasa Nabi Musa dilahirkan. Firaun memang seorang pemimpin yang ganas dan perangai ganas ini ada zaman berzaman. Tapi mungkin pemimpin ganas sekarang tidaklah seganas Firaun sahaja. Kerana Firaun ini bapak ganas.

فَلَمّا جاءَهُم بِالحَقِّ مِن عِندِنا قالُوا اقتُلوا أَبناءَ الَّذينَ ءآمَنوا مَعَهُ وَاستَحيوا نِساءَهُم ۚ وَما كَيدُ الكٰفِرينَ إِلّا في ضَلٰلٍ

Sahih International

And when he brought them the truth from Us, they said, “Kill the sons of those who have believed with him and keep their women alive.” But the plan of the disbelievers is not except in error.

Malay

Setelah Nabi Musa datang kepada mereka dengan membawa kebenaran dari sisi Kami, mereka berkata (dengan marahnya): “Bunuhlah anak-anak lelaki orang-orang yang beriman yang mengikutnya, dan biarkan hidup anak-anak perempuan mereka”. (Tetapi usaha) dan tipu daya orang-orang kafir itu hanya menyebabkan mereka tenggelam dalam kesesatan dan kebinasaan sahaja. 

 

فَلَمَّا جَاءَهُم بِالْحَقِّ

Dan apabila sudah datang kepada mereka kebenaran,

Apabila Nabi Musa datang berdakwah berkali-kali kepada Firaun. Maknanya, Nabi Musa dan Nabi Harun tidak terkesan dengan penolakan Firaun dan pengikutnya sebelum itu. Nabi Musa tetap datang berdakwah lagi.

Nabi Musa dan Nabi Harun datang bukannya dengan tangan kosong. Tapi mereka datang dengan bawa wahyu dan bawa mukjizat. Jadi yang menolak baginda itu hanya kerana degil sahaja.

 

مِنْ عِندِنَا

daripada Kami.

Dalil-dalil itu semua adalah dari Allah sendiri. Nabi Musa telah bawa dalil yang jelas nyata dari Allah, bukannya dari hujah mereka. Setelah berdakwah dan memberitahu kebenaran, Nabi Musa telah meminta Firaun untuk membebaskan Bani Israil. Firaun tidak mahu menurut.

Ini adalah cerita sebelum mereka semua ditenggelamkan dalam laut. Sebelum itu ada cerita panjang lagi. Firaun pernah merancang untuk membunuh Nabi Musa. Nabi Musa telah angkat doa bila baginda nak bunuh. Dan baginda telah diselamatkan.

Dari kerana keengganan mereka untuk menerima kebenaran, Allah telah beri mereka azab dalam bentuk belalang. Berjuta belalang telah menjelma. Tanaman semuanya habis dimakan oleh belalang-belalang itu. Kerana tidak ada cara lain lagi, maka Firaun telah menghantar utusan untuk Nabi Musa doa kepada Allah.

Firaun telah berjanji untuk beriman kalau bala itu diangkat. Akan tetapi apabila bala itu diangkat, dia masih nak bunuh Nabi Musa juga lagi. Maka Allah turunkan bala dengan katak pula. Berjuta katak puru berada di mana-mana. Sekali lagi dia minta Musa doakan kepada Allah. Sekali lagi dia berjanji untuk beriman jikalau bala itu diangkat.

Sembilan bala besar semuanya sekali. Ada hama yang menyebabkan gatal, sampai tak boleh tidur; Ribut petir; Air semuanya jadi darah, sampai air untuk diminum pun jadi darah; Ini adalah cerita yang akhir sebelum menyeberangi laut. Sebelum itu, cerita Nabi Musa bertanding dengan ahli-ahli sihir. Akan disebutkan apabila kita sampai kepada ayat itu nanti.

 

قَالُوا اقْتُلُوا أَبْنَاءَ الَّذِينَ ءآمَنُوا مَعَهُ

Mereka berkata: bunuhlah anak-anak lelaki yang beriman bersamanya.

Mereka (Firaun dan pemimpin Qibti yang lain) telah memberi arahan untuk membunuh anak lelaki Bani Israil yang telah beriman dengan Nabi Musa. Supaya tidak ada lagi keturunan Bani Israil lagi. Mereka sanggup keluarkan arahan itu kerana marah sangat dia atas dakwah tauhid Nabi Musa itu.

Ini menunjukkan bahawa Firaun dan mereka yang bersekongkol dengannya telah menggunakan keganasan untuk mengawal rakyat mereka. Mereka menggunakan kekerasan dan pembunuhan untuk mematikan kebenaran. Mereka telah menjadikan perbuatan beriman dengan Nabi Musa sebagai satu jenayah yang boleh menyebabkan mereka dibunuh.

Mereka sanggup lakukan ini untuk menghalang rakyat dari menerima dakwah Islam. Ini tentunya telah menyebabkan ramai yang takut masuk Islam.

Ini adalah kenyataan kedua yang Firaun buat untuk bunuh anak lelaki. Pertama, semasa Nabi Musa dilahirkan. Yang kali ini arahan Firaun ini tidak sempat dijalankan. Tak sempat bunuh sesiapa pun kerana mereka akan dilemaskan dalam laut nanti.

Kenapa Firaun nak bunuh pengikut pula? Kerana dia hendak halang Nabi Musa dari datang berdakwah sahaja. Dan supaya pengikut baginda tinggalkan baginda. Tapi kenapa tidak disuruh bunuh sahaja Nabi Musa sahaja? Bukankah lagi senang begitu? Kerana sebenarnya, dia takut juga kepada Nabi Musa.

Dia sedar yang kalau dia ganggu Nabi Musa, akan ada masalah kepada dirinya. Dia bukan tidak tahu yang Nabi Musa itu adalah Nabi kerana dia seorang yang cerdik. Tapi dia tidak boleh terima dakwah Nabi Musa sahaja.

 

وَاسْتَحْيُوا نِسَاءَهُمْ

dan biarkan perempuan-perempuan mereka hidup

Dan anak anak perempuan pula dibiarkan hidup. Tapi bukan biarkan sahaja, kerana mereka akan dijadikan sebagai kuli, hamba, malah sebagai hamba seks sekali. Jadi ianya lebih menyakitkan hati lagi dari kena bunuh.

Kerana apabila anak lelaki dibunuh, terus tanam dan lama-lama mungkin boleh lupa dan hilang kesedihan. Tapi apabila melihat anak-anak perempuan mereka dijadikan hamba dan terseksa sepanjang hidup mereka, itu lebih menyakitkan.

Mereka dibiarkan hidup supaya boleh jadi gundik-gundik orang lelaki bangsa Qibti. Supaya keturunan Bani Israil itu hilang, kerana tiada lelaki lagi dari kalangan mereka. Kerana semua wanita mereka ada baka Qibti sahaja nanti. Ini adalah seksaan secara mental dengan memalukan dan merendahkan kedudukan bangsa Israil itu. Supaya anak yang keluar bukan lagi bangsa Israil sepenuhnya.

 

وَمَا كَيْدُ الْكٰفِرِينَ إِلَّا فِي ضَلٰلٍ

Dan tidaklah rancangan orang kafir itu melainkan sia-sia sahaja.

Ini sebenarnya adalah ayat jawapan dari Allah. Allah jawab dalam ayat ini kerana tentu ada timbul persoalan: Adakah segala rancangan dan usaha Firaun itu berjaya? Maka ada idkhal ilahi (pencelahan Tuhan) di sini. Idkhal ilahi adalah jawapan dari Allah kepada persoalan yang mungkin timbul dalam fikiran manusia. Allah jawab terus supaya tidak ada anggapan yang salah.

Kerana mungkin ada yang tertanya adakah berjaya rancangan Firaun itu? Allah terus memberitahu dalam ayat ini bahawa rancangan Firaun itu tidak berjaya. Tujuan mereka melakukan arahan itu adalah supaya Nabi Musa menghentikan dakwah baginda. Tapi tujuan mereka itu tidak berjaya. Apa yang mereka rancangkan itu telah gagal. Masih ada juga yang beriman dan masuk Islam.

Dalam bentuk pemahaman yang umum, apa-apa rancangan untuk menjatuhkan agama Islam akan dimusnahkan oleh Allah. Allah akan memberi pertolongan dan bantuan kepada agamaNya. Walaupun begitu ramai yang ingin menjatuhkan Islam, ianya tetap subur.

Kalau seseorang itu telah ditakdirkan akan beriman, Islam akan sampai kepadanya juga. Sebagai contoh, lihatlah bagaimana orang kafir mahu menyalahkan agama Islam dengan mengatakan orang Islamlah yang menyebabkan runtuhnya World Trade Center pada 9/11.

Tetapi rancangan itu telah memakan diri mereka – ramai yang hendak mengetahui tentang Islam kerana kejadian itu dikaitkan dengan agama Islam – maka mereka telah mencari maklumat tentang agama Islam dan akhirnya apabila mereka mengetahui betapa indahnya Islam, sampaikan ramai yang telah menganut agama Islam!

Maka rancangan jahat mereka adalah untuk menjatuhkan Islam, tapi Allah telah menggagalkan rancangan itu, sebaliknya ramai pula yang masuk Islam kerana rancangan jahat mereka itu.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 17 Julai 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Surah an-Nisa Ayat 159 – 162 (Kehinaan kepada Yahudi)

Ayat 159: Ayat ini mengandungi dua pendapat. Kita akan sebutkan kedua-duanya. Ayat ini kita kenalah fahami sepenuhnya kerana terdapat di kalangan orang Kristian yang telah menggunakan ayat ini sebagai dalil untuk membutikan yang Qur’an sendiri mengatakan mereka benar. Maka, janganlah kita sendiri tidak memahami kitab kita sendiri pula.

وَإِن مِّن أَهلِ الكِتٰبِ إِلّا لَيُؤمِنَنَّ بِهِ قَبلَ مَوتِهِ ۖ وَيَومَ القِيٰمَةِ يَكونُ عَلَيهِم شَهيدًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And there is none from the People of the Scripture but that he will surely believe in him before his death.¹ And on the Day of Resurrection he will be against them a witness.

  • One interpretation is that “his death” refers to that of Jesus after his return to earth. Or it can mean “the death of every individual from among the People of the Scripture.”

MALAY

Dan tidak ada seorang pun dari kalangan ahli Kitab melainkan dia akan beriman kepadanya sebelum matinya dan pada hari kiamat kelak dia akan menjadi saksi terhadap mereka.

 

وَإِن مِّن أَهلِ الكِتٰبِ إِلّا لَيُؤمِنَنَّ بِهِ قَبلَ مَوتِهِ

Dan tidak ada seorang pun dari kalangan ahli Kitab melainkan dia akan beriman kepadanya sebelum matinya

Orang Kristian menggunakan ayat ini sebagai hujah, kononnya Qur’an mengatakan mereka telah beriman. Itu adalah hujah yang amat cetek sekali. Ini kerana mereka telah sesat dan jangan kita pula terpengaruh dengan mereka.

Ramai juga yang keliru dengan ayat ini kerana tidak belajar. Kalau Kristian tidak memahami Qur’an bolehlah kita faham apakah sebabnya,  tetapi kalau orang Islam sendiri tidak faham, itu adalah satu masalah besar.

Ayat ini ada dua cara untuk ditafsirkan, dan kedua-duanya boleh dipakai. Beza di antara kedua-dua tafsir itu adalah pada dhomir ‘nya’ dalam perkataan ‘beriman dengannya’ dan ‘sebelum matinya’. Siapakah yang dimaksudkan dengan ‘nya’ itu? Ia boleh jadi Nabi Muhammad ﷺ atau Nabi Isa عليه السلام. Jadi, mari kita lihat dua tafsir ini:

1. Sebelum ahli kitab mati, mereka akan beriman dengan Nabi Muhammad ﷺ. Ketika mereka hampir mati, iaitu semasa mereka di dalam keadaan nazak sebelum nyawa mereka ditarik sepenuhnya, mereka akan ditunjukkan kebenaran. Barulah mereka tahu manakah agama yang benar. Barulah mereka tahu yang Nabi Muhammad ﷺ itu adalah Nabi dan Rasul sebenar. Tapi iman ketika itu tidak laku lagi.

Dan yang dimaksudkan menjadi saksi kepada mereka adalah Nabi Muhammad ﷺ.

2. Ahli Kitab akan beriman dengan Nabi Isa عليه السلام sebelum baginda mati. Kejadian ini akan berlaku hampir kiamat nanti. Kerana baginda akan turun semula dan kebenaran akan terserlah waktu itu. Dikatakan ini adalah pendapat yang lebih kuat.

Ini juga adalah menggunakan fahaman bahawa Nabi Isa  عليه السلام belum wafat lagi dan baginda akan turun kembali ke dunia berdekatan dengan Hari Kiamat nanti. Kita sebut begini kerana ada juga yang tidak mempercayai perkara ini. Sedangkan ia adalah pendapat yang rajih dan dikuatkan dengan ayat Zukhruf:61

وَإِنَّهُ لَعِلمٌ لِّلسّاعَةِ

Dan sesungguhnya Nabi Isa menjadi tanda kedatangan hari kiamat

Apakah iman mereka nanti yang akan diperbetulkan?:
a. Yahudi tidak mempercayai akan kenabian Nabi Isa  عليه السلام. Nanti barulah mereka akan percaya.
b. Nasara mempercayai akan Nabi Isa عليه السلام tetapi mereka telah melebihkan kedudukan baginda sehingga ke tahap ghuluw. Nanti mereka akan tahu bahawa baginda hanya seorang seorang Rasul, bukan Tuhan dan bukan Anak Tuhan.

Yang dimaksudkan mereka ini adalah Ahli Kitab. Ini adalah kerana lafaz أَهلِ الكِتابِ bermaksud mereka yang ada ilmu kitab iaitu Kitab Taurat dan Injil. Mereka akan tahu apakah yang benar dan apabila Nabi Isa عليه السلام turun semula ke dunia, Nasara akan beriman dengan baginda. Ketika itu nanti Nabi Isa عليه السلام akan mengisytiharkan kebenaran dan baginda akan menggunakan syariat Nabi Muhammad ﷺ. Ini telah diberitahu dalam hadis:

Dari Abu Hurairah, dia berkata, Nabi ﷺ telah bersabda:

لَيْسَ بَيْنِى وَبَيْنَهُ نَبِىٌّ – يَعْنِى عِيسَى – وَإِنَّهُ نَازِلٌ فَإِذَا رَأَيْتُمُوهُ فَاعْرِفُوهُ رَجُلٌ مَرْبُوعٌ إِلَى الْحُمْرَةِ وَالْبَيَاضِ بَيْنَ مُمَصَّرَتَيْنِ كَأَنَّ رَأْسَهُ يَقْطُرُ وَإِنْ لَمْ يُصِبْهُ بَلَلٌ فَيُقَاتِلُ النَّاسَ عَلَى الإِسْلاَمِ فَيَدُقُّ الصَّلِيبَ وَيَقْتُلُ الْخِنْزِيرَ وَيَضَعُ الْجِزْيَةَ وَيُهْلِكُ اللَّهُ فِى زَمَانِهِ الْمِلَلَ كُلَّهَا إِلاَّ الإِسْلاَمَ وَيُهْلِكُ الْمَسِيحَ الدَّجَّالَ فَيَمْكُثُ فِى الأَرْضِ أَرْبَعِينَ سَنَةً ثُمَّ يُتَوَفَّى فَيُصَلِّى عَلَيْهِ الْمُسْلِمُونَ

Tidak ada nabi (yang hidup) antara masaku dan ‘Isa. Sungguh, kelak dia akan turun, jika kalian melihatnya maka kenalilah. Dia adalah seorang laki-laki yang sedang (tidak tinggi dan tidak terlalu pendek), berkulit merah keputih-putihan, beliau memakai di antara dua kain berwarna sedikit kuning. Seakan rambut kepala beliau menitis meski tidak basah. Beliau akan memerangi manusia hingga mereka masuk ke dalam Islam, beliau akan menghancurkan salib, membunuh babi dan menghapus jizyah. Pada masa beliau, Allah ‎ﷻ akan membinasakan semua agama selain Islam, Isa akan membunuh Dajjal, dan beliau akan tinggal di muka bumi selama empat puluh tahun. Setelah itu dia meninggal dan kaum muslimin mensolatinya.”

(HR. Abu Daud no. 4324 dan Ahmad 2/437. Syaikh Al Albani mengatakan bahawa hadis ini sahih)

 

وَيَومَ القِيٰمَةِ يَكونُ عَلَيهِم شَهيدًا

dan pada hari kiamat kelak dia akan menjadi saksi terhadap mereka.

Dan di akhirat nanti, Nabi Isa عليه السلام akan menjadi saksi ke atas perkara ini kerana Allah ‎ﷻ akan menyoal baginda: adakah baginda mengajar umatnya untuk menyembah baginda?

Nabi Isa عليه السلام akan menjawab yang baginda hanya boleh menjadi saksi semasa baginda tinggal bersama mereka sahaja, dan selepas baginda diangkat ke langit, hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang tahu. Begitu jugalah yang akan dijawab oleh para Nabi yang lain dan ini disebut dalam Maidah:109

۞ يَومَ يَجمَعُ اللَّهُ الرُّسُلَ فَيَقولُ ماذا أُجِبتُم ۖ قالوا لا عِلمَ لَنا ۖ إِنَّكَ أَنتَ عَلّٰمُ الغُيوبِ

(Ingatlah), hari di waktu Allah ‎ﷻ mengumpulkan para rasul lalu Allah ‎ﷻ bertanya (kepada mereka): “Apa jawapan kaummu terhadap (seruan)mu?”. Para rasul menjawab: “Tidak ada pengetahuan kami (tentang itu); sesungguhnya Engkau-lah yang mengetahui perkara yang ghaib”.


 

Ayat 160: Kita diberitahu lagi apakah kesalahan mereka. Dan apakah azab yang  akan dikenakan kepada mereka kerana kesalahan mereka.

فَبِظُلمٍ مِّنَ الَّذينَ هادوا حَرَّمنا عَلَيهِم طَيِّبٰتٍ أُحِلَّت لَهُم وَبِصَدِّهِم عَن سَبيلِ اللهِ كَثيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

For wrongdoing on the part of the Jews, We made unlawful for them [certain] good foods which had been lawful to them, and for their averting from the way of Allāh many [people],

MALAY

Maka disebabkan kezaliman yang amat besar dari perbuatan orang-orang Yahudi, Kami haramkan atas mereka makanan yang baik-baik yang pernah dihalalkan bagi mereka, dan disebabkan mereka banyak menghalang manusia dari jalan Allah.

 

فَبِظُلمٍ مِّنَ الَّذينَ هادوا

Maka disebabkan kezaliman yang amat besar dari perbuatan orang-orang Yahudi,

Kerana kesalahan banyak yang telah mereka lakukan. Mereka sendiri telah banyak melanggar peraturan Allah ‎ﷻ dan bukan itu sahaja, mereka telah menyebabkan ramai orang sesat.

 

حَرَّمنا عَلَيهِم طَيِّبٰتٍ أُحِلَّت لَهُم

Kami haramkan atas mereka makanan yang baik-baik yang pernah dihalalkan bagi mereka,

Kerana kesalahan mereka, mereka telah diharamkan untuk memakan banyak makanan yang halal sebelum itu kepada mereka, seperti unta. Di akhirat kelak mereka akan dikenakan dengan hukuman di akhirat, tetapi di dunia ini lagi mereka telah dikenakan dengan hukuman.

Perkara ini disebut dalam An’am:146

وَعَلَى الَّذينَ هادوا حَرَّمنا كُلَّ ذي ظُفُرٍ ۖ وَمِنَ البَقَرِ وَالغَنَمِ حَرَّمنا عَلَيهِم شُحومَهُما إِلّا ما حَمَلَت ظُهورُهُما أَوِ الحَوايا أَو مَا اختَلَطَ بِعَظمٍ ۚ ذٰلِكَ جَزَيناهُم بِبَغيِهِم ۖ وَإِنّا لَصادِقونَ

Dan kepada orang-orang Yahudi, Kami haramkan segala binatang yang berkuku dan dari sapi dan domba, Kami haramkan atas mereka lemak dari kedua binatang itu, selain lemak yang melekat di punggung keduanya atau yang di perut besar dan usus atau yang bercampur dengan tulang. Demikianlah Kami hukum mereka disebabkan kedurhakaan mereka; dan sesungguhnya Kami adalah Maha Benar.

 

وَبِصَدِّهِم عَن سَبيلِ اللهِ كَثيرًا

dan disebabkan mereka banyak menghalang manusia dari jalan Allah.

Ini satu lagi kesalahan mereka kerana mereka sentiasa menyembunyikan maklumat sebenar tentang agama. Mereka tidak menyampaikan kebenaran kepada manusia, dan kerana itu, ramai manusia yang tidak beriman. Bagaimanakah ini terjadi?

Mereka adalah orang yang dikenali sebagai orang yang tahu tentang agama, tetapi apabila Islam datang dan mereka sendiri tidak beriman, maka untuk orang yang tidak tahu agama itu menjadi takut untuk menerima Islam kerana mereka melihat orang yang sepatutnya tahu agama seperti bangsa Yahudi itu pun tidak beriman. Maka mereka pun merasakan Islam itu tidak benar.

Maka kerana itu mereka sebenarnya telah menghalang orang lain daripada memeluk Islam. Mereka telah menipu tentang agama kepada orang awam. Apabila mereka ditanya tentang Islam, mereka akan berkata yang Islam itu tidak benar. Sudahlah mereka tidak mahu beriman, malah mereka menghalang pula orang lain yang berminat tentang Islam. Sampai ramai yang tidak masuk agama Islam disebabkan oleh mereka.

Fikiran mereka memang mengandungi pemikiran yang amat jahat sehingga memikirkan perkara-perkara yang  boleh merosakkan manusia. Kita tahu bahawa fahaman Nasrani tentang konsep Triniti datangnya dari Yahudi (Paul); lahirnya Syiah juga kerana Yahudi juga (Abdullah bin Saba’); dan kalau zaman moden ini, fahaman Komunisme itu pun dari mereka juga (Karl Marx).


 

Ayat 161: Allah ‎ﷻ sambung lagi dengan memberitahu kesalahan mereka.

وَأَخذِهِمُ الرِّبَوٰاْ وَقَد نُهوا عَنهُ وَأَكلِهِم أَموٰلَ النّاسِ بِالبٰطِلِ ۚ وَأَعتَدنا لِلكٰفِرينَ مِنهُم عَذابًا أَليمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [for] their taking of usury while they had been forbidden from it, and their consuming of the people’s wealth unjustly. And We have prepared for the disbelievers among them a painful punishment.

MALAY

Dan juga (disebabkan) mereka mengambil riba padahal mereka telah dilarang melakukannya, dan (disebabkan) mereka memakan harta orang dengan jalan yang salah. Dan (ingatlah) Kami telah menyediakan bagi orang-orang yang kafir di antara mereka, azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

 

وَأَخذِهِمُ الرِّبوَاْ وَقَد نُهوا عَنهُ

Dan juga (disebabkan) mereka mengambil riba padahal mereka telah dilarang melakukannya, 

Dan kerana mereka mengambil riba, sedangkan dalam mazhab mereka pun haram bagi mereka untuk mengambil riba, sama sahaja seperti agama Islam. Ini terdapat dalam Exodus 22: 25

Jika engkau meminjamkan wang kepada salah seorang dari umat-Ku, orang yang miskin di antaramu, maka janganlah engkau berlaku sebagai seorang penagih hutang terhadap dia: janganlah kamu bebankan bunga wang kepadanya.

Walaupun agama mereka mengharamkan riba, tetapi Yahudilah yang memulakan sistem perbankan di dunia yang mengamalkan riba dan merekalah pemegang kekayaan perbankan dunia.

 

وَأَكلِهِم أَموٰلَ النّاسِ بِالبٰطِلِ

dan (disebabkan) mereka memakan harta orang dengan jalan yang salah

Mereka telah mengambil harta manusia mengikut sistem yang bukan mengikut syariat. Ini memang berkaitan dengan riba sebab amalan riba juga mengambil harta orang lain dengan cara yang salah.

Maknanya mereka telah melanggar syariat agama mereka sendiri. Inilah perangai Yahudi yang tidak kisah untuk melanggar agama mereka. Kalau agama mereka tidak menguntungkan, mereka akan tolak begitu sahaja. Mereka merasakan akal mereka lebih baik dari apa yang disampaikan oleh Allah ‎ﷻ.

 

وَأَعتَدنا لِلكٰفِرينَ مِنهُم عَذابًا أَليمًا

Dan Kami telah menyediakan bagi orang-orang yang kafir di antara mereka, azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

Kerana perlanggaran agama dan syariat itu, mereka akan dimasukkan ke dalam neraka yang tidak terperi sakitnya. Mereka mungkin mendapat kejayaan dan keuntungan di dunia, tetapi mereka akan merana di akhirat kelak.

Tetapi di dunia ini lagi mereka telah mendapat kehinaan. Mereka adalah bangsa yang tidak dipercayai oleh manusia. Mereka adalah bangsa yang berselerakan di merata dunia. Sentiasa sahaja bangsa mereka ini menerima kehinaan dari masa ke semasa. Cuma bangsa mereka ini walaupun telah dibunuh beramai-ramai (seperti oleh Hitler) tetapi Allah ‎ﷻ tidak takdirkan mereka terus pupus dari dunia ini untuk memberikan pengajaran bagi kita.


 

Ayat 162: Ayat tabshir. Bukan semua dari kalangan mereka itu yang kufur. Ada juga dari kalangan mereka yang baik-baik dan beriman.

لّٰكِنِ الرّٰسِخونَ فِي العِلمِ مِنهُم وَالمُؤمِنونَ يُؤمِنونَ بِما أُنزِلَ إِلَيكَ وَما أُنزِلَ مِن قَبلِكَ ۚ وَالمُقيمينَ الصَّلوٰةَ ۚ وَالمُؤتونَ الزَّكوٰةَ وَالمُؤمِنونَ بِاللهِ وَاليَومِ الآخِرِ أُولٰئِكَ سَنُؤتيهِم أَجرًا عَظيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But those firm in knowledge among them and the believers believe in what has been revealed to you, [O Muḥammad], and what was revealed before you. And the establishers of prayer [especially] and the givers of zakāh and the believers in Allāh and the Last Day – those We will give a great reward.

MALAY

Tetapi orang-orang yang teguh serta mendalam ilmu pengetahuannya di antara mereka dan orang-orang yang beriman, sekaliannya beriman dengan apa yang telah diturunkan kepadamu (Al-Qur’an), dan kepada apa yang telah diturunkan dahulu daripadamu, – khasnya orang-orang yang mendirikan sembahyang, dan orang-orang yang menunaikan zakat, serta yang beriman kepada Allah dan hari akhirat; mereka itulah yang Kami akan berikan kepadanya pahala (balasan) yang amat besar.

 

لٰكِنِ الرّٰسِخونَ فِي العِلمِ مِنهُم وَالمُؤمِنونَ

Tetapi orang-orang yang teguh serta mendalam ilmu pengetahuannya di antara mereka dan orang-orang yang beriman,

Ada terdapat dari kalangan Ahli Kitab itu yang berilmu dan mereka hendak mencari kebenaran. Maka mereka telah beriman dengan Nabi Muhammad ﷺ dan juga Qur’an. Maka yang selamat adalah orang yang berilmu dari kalangan mereka.

Begitu juga dengan kita sekarang. Yang selamat hanyalah dari kalangan kita yang berilmu sahaja. Iaitu mereka yang tahu ilmu wahyu kerana mereka telah belajar tafsir Qur’an. Nabi Muhammad ﷺ dulu pun tidak tahu wahyu sebelum baginda dinaikkan menjadi Nabi dan kerana itu baginda tidak dapat menyelesaikan masalah kaum baginda.

Oleh itu wahyu Ilahi amatlah bernilai dan kerana itu kita menekankan ilmu tafsir Qur’an ini kepada manusia yang perlu diketahui sebelum belajar perkara lain. Dan ini juga mengajar kita untuk belajar dengan bersungguh-sungguh menuntut ilmu sampai kita mendapat ilmu yang mendalam tentang agama. Janganlah belajar agama sambil lewa sahaja.

 

يُؤمِنونَ بِما أُنزِلَ إِلَيكَ

sekaliannya beriman dengan apa yang telah diturunkan kepadamu,

Mereka beriman dengan Qur’an yang diturunkan kepada Nabi Muhammad ﷺ.

 

وَما أُنزِلَ مِن قَبلِكَ

dan kepada apa yang telah diturunkan dahulu daripadamu,

Mereka beriman dengan kitab-kitab mereka juga iaitu mereka beriman dengan ilmu tauhid yang terdapat di dalam kitab-kitab mereka. Ini kerana ilmu tauhid adalah sama sahaja dari dahulu sampai sekarang. Cuma yang berbeza adalah syariat dari satu Nabi ke satu Nabi yang lain.

 

وَالمُقيمينَ الصَّلوٰةَ

orang-orang yang mendirikan sembahyang, 

Dan yang selamat juga adalah orang-orang yang mendirikan solat. Solat adalah contoh amal ibadat yang berkait dengan hubungan antara Allah ‎ﷻ dan hambaNya.

 

وَالمُؤتونَ الزَّكوٰةَ

dan orang-orang yang menunaikan zakat, 

Zakat adalah contoh amal ibadat yang berkait dengan hubungan sesama makhluk.

Maka telah disebut amal solat dan zakat sebagai mewakili amal-amal ibadat yang lain. Maknanya bukanlah dua amal ini sahaja yang perlu dijaga tetapi semua amal syariat perlu dijaga. Tetapi tidaklah Allah ‎ﷻ menyebut satu persatu kerana banyak pula nanti. Maka ‎ﷻ Allah hanya menyebut contoh yang besar sahaja.

 

وَالمُؤمِنونَ بِاللهِ وَاليَومِ الآخِرِ

serta yang beriman kepada Allah dan hari akhirat;

Dan mereka beriman dengan iman yang sempurna. Disebut dua perkara iman ini (Allah ‎ﷻ dan akhirat) sebagai isyarat kepada perkara-perkara iman yang lain. Ini kerana bukan dua perkara ini sahaja yang perlu diimani, tetapi banyak lagi. Tetapi tidaklah disebutkan dengan lengkap di dalam ayat ini. Maka kita kenalah rujuk kepada sumber yang lain.

 

أُولٰئِكَ سَنُؤتيهِم أَجرًا عَظيمًا

mereka itulah yang Kami akan berikan kepadanya pahala (balasan) yang amat besar.

Mereka itulah orang-orang yang selamat yang akan mendapat balasan baik dari Allah ‎ﷻ, dengan dimasukkan ke dalam syurga dan mereka akan kekal di dalamnya.

Oleh itu, ringkasnya, yang selamat hanyalah yang betul-betul teguh dalam ilmu dan mengamalkan apa yang mereka tahu. Maka ‘tahu’ dan ‘amal’ adalah dua perkara yang amat penting dalam agama ini.

Habis Ruku’ ke 22 dari 24 ruku’ dalam surah ini.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 18 September 2018

Ringkasan Surah Nisa’


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Mutiara al-Qur’an

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani