Tafsir Surah al-Infithar Ayat 10 – 19 (Malaikat penulis amalan)

Ayat 10: Segala perbuatan kita semasa di dunia ini akan membawa kesan di akhirat kelak. Kerana segala perbuatan kita akan ditulis dan direkod.

وَإِنَّ عَلَيكُم لَحافِظينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And indeed, [appointed] over you are keepers,¹

  • Angels who preserve the deeds of men in records.

(MALAY)

Padahal sesungguhnya bagi kamu ada (malaikat-malaikat) yang mengawasi,

 

Allah ﷻ memberitahu kita yang ada malaikat yang menjaga kitab amalan kita. Kalimah ‘hafiz’ selalunya digunakan untuk maksud ‘menjaga’. Tetapi ini bukanlah konsep ‘guardian angels’ itu yang jaga kita dari kemalangan, kesusahan dan sebagainya. Ini kerana ayat ini tentang malaikat yang menulis segala amalan yang kita lakukan – sama ada baik atau buruk.

Dari Surah an-Naba’ lagi telah disebut dengan berbagai jenis malaikat. Ada yang mencabut nyawa, ada yang menulis wahyu, ada yang menyampaikan wahyu, dan sekarang Allah ﷻ menyebut tentang malaikat yang menulis segala amal perbuatan kita.


 

Ayat 11: Bagaimanakah sifat para malaikat yang menulis amalan kita itu?

كِرامًا كاتِبينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Noble and recording;

(MALAY)

yang mulia (di sisi Allah) dan mencatat (pekerjaan-pekerjaanmu itu),

 

Mereka adalah makhluk yang mulia dan boleh dipercayai. Yang menjalankan tugas mereka dengan tepat. Mereka tetap jalankan tugas mereka sepanjang masa. Mereka jujur dalam menjalankan tugas mereka dan kalau mereka tulis perbuatan buruk kita, bukanlah kerana mereka tidak suka kita, hendak menyusahkan kita dan sebagainya, tidak sama sekali.

Mereka tulis kerana hanya menjalankan tugas mereka sahaja. Dan mereka tentunya amat jujur dalam tugas mereka. Mereka itu mulia dan jujur, sampai mereka tidak dapat dirasuah. Tak boleh nak suruh mereka padam apa apa yang mereka tulis.

Dan mereka akan tetap menulis apa sahaja yang kita lakukan. Mereka akan sentiasa mencatat baik atau buruk amalan kita. Kalimah كاتِبينَ digunakan dalam isim fa’il (pembuat) dalam ayat ini, bukan fi’il (katakerja) pun. Maknanya, itu sudah menjadi sifat mereka – tetap menulis.

Maknanya, mereka tidak berhenti menulis. Oleh kerana mereka itu malaikat, mereka tidak ambil cuti rehat, cuti sakit dan sebagainya. Dan kerana mereka pun tidak makan dan minum, mereka tidak ambil masa untuk rehat pun. Sepanjang masa mereka akan menulis.


 

Ayat 12:

يَعلَمونَ ما تَفعَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They know whatever you do.

(MALAY)

mereka mengetahui apa yang kamu kerjakan.

 

Mereka tahu apa sahaja yang kita lakukan. Tidak boleh mengelak langsung. Kalau manusia yang jaga, mungkin ada yang tertinggal. Dan kalau manusia yang jaga, kita boleh lari-lari lagi bagi orang yang tulis itu tidak nampak. Tetapi Allah ﷻ kata malaikat yang menulis itu tahu segala apa yang kita lakukan.

Kalimah تَفعَلونَ dari kalimah فعَل yang bermaksud semua perbuatan kita sama ada kita buat secara sedar ataupun tidak. Malaikat tulis semua sekali sebab dia tidak tahu niat kita semasa melakukannya, mungkin ikhlas dan mungkin tidak. Mereka tidak dapat membaca apa yang dalam hati kita, jadi malaikat tidak tahu niat kita semasa melakukan apa-apa sahaja.

Ada kisah bagaimana seorang manusia hendak melakukan sesuatu yang baik, tetapi dia tidak jadi buat. Dan Allah ﷻ suruh malaikat tulis perbuatan itu walaupun dia tidak buat kerana dia sudah ada niat.

Dan ada kisah bagaimana manusia telah melakukan perbuatan yang baik tetapi Allah ﷻ musnahkan perbuatan itu. Apabila malaikat tanya kenapa, Allah ﷻ jawab kerana orang itu buat bukan dengan niat yang ikhlas. Maknanya, para malaikat tidak tahu apa yang di dalam hati manusia.


 

Ayat 13: Ayat 13 – 16 adalah Perenggan Makro Keempat dan ia memberitahu balasan dan ganjaran bagi golongan fujjar dan abrar.  Ia dimulai dengan ayat tabshir ini. Ayat ini menyuruh kita memikirkan apakah kesan dari segala perbuatan kita semasa di dunia?

إِنَّ الأَبرارَ لَفي نَعيمٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, the righteous will be in pleasure,

(MALAY)

Sesungguhnya orang-orang yang banyak berbakti benar-benar berada dalam syurga yang penuh kenikmatan,

 

Abraar adalah orang-orang yang berbakti dan mereka itu adalah orang yang banyak perbuatan amal yang baik. Mereka  sesungguhnya akan berada dalam kenikmatan. Segala perbuatan baik mereka akan ditulis oleh para malaikat yang menjaga Kitab Amalan.

Setelah mereka mati, di dalam kubur lagi mereka akan dilihatkan dengan tempat tinggal mereka di syurga. Waktu itu lagi mereka sudah dapat nikmat kegembiraan. Di Mahsyar pula mereka akan berada di bawah lindungan Ilahi.

Akan tetapi itu di akhirat nanti. Bagaimana pula semasa di dunia? Dalam bahasa yang digunakan dalam ayat ini, kalimat لَفي نَعيمٍ (sesungguhnya dalam kenikmatan) adalah dalam bentuk present tense, bukan future tense. Ini adalah kerana ayat ini adalah jumlah ismiah (katanama الأَبرارَ) dan ia boleh digunakan dalam bentuk present tense dan future tense, tetapi selalunya dalam present tense.

Maknanya, mereka yang baik itu sudah berada dalam nikmat sebenarnya. Kerana tidak disebut pun ianya untuk syurga sahaja atau disebut ‘akan’ mendapat nikmat – tetapi terus disebut ‘berada dalam nikmat’. Dan kalau mereka dalam nikmat sekarang, apakah nikmat itu?

Nikmat yang terbesar adalah nikmat iman dan hidayah. Dan mereka yang الأَبرارَ sedang menikmati nikmat hidayah itu. Kerana mendapat hidayah ini adalah satu nikmat sebenarnya, cuma sama ada kita perasan atau tidak.

Dan kalimah نَعيمٍ adalah ‘nikmat yang berterusan’ – jadi mereka sedang menikmati nikmat hidayah itu, mereka akan berterusan mendapat nikmat di Mahsyar dan di syurga nanti. Inilah yang kita hendak, bukan?

Puak kafir dari dahulu sampai sekarang mengatakan puak Muslim itu gila kerana buat perkara yang tidak menguntungkan dunia mereka. Macam-macam perkara tidak boleh buat, tidak boleh enjoy sangat, tidak boleh menipu, kena solat sampai lima kali sehari dan macam-macam lagi; tetapi Allah ﷻ jawab yang mereka sekarang sedang menikmati nikmat.

Mereka mengecapi nikmat kemanisan iman itu. Walaupun mungkin kita lihat dalam kehidupan, mungkin mereka menderita kesusahan fizikal, tetapi hati mereka sudah mengecapi nikmat iman. Hati mereka tenang dan puas walaupun dari segi fizikal dan harta, kurang pada mata manusia.

Kalimah الأَبرارَ itu daripada kata برر yang bermaksud ‘tanah darat’ yang berbeza dengan laut (بحر). Lebih kurang sahaja bunyi dan ejaannya. Ini adalah isyarat yang mereka berada di atas landasan yang tetap. Kerana kalau keadaan di darat lebih tetap dan teguh kalau dibandingkan dengan keadaan di laut, yang belum tentu lagi tetap kerana keadaan sentiasa bergelombang dan bergelora.

Jadi, ini memberi isyarat yang hati الأَبرارَ itu adalah tetap atas iman, hati mereka tidak goyah, tidak kelam kabut dengan kesibukan dunia. Mereka yakin atas iman mereka dan kerana itu hati mereka tenang sentiasa. Apa-apa yang terjadi di dalam masyarakat, sama ada hal politik, hal harga barang naik, kecoh sana sini, mereka tenang sahaja dan tidaklah senang melatah. Tidaklah mereka rasa mereka kena baca komen manusia dalam FB dan kemudian komen balik.


 

Ayat 14: Bagaimana pula dengan mereka yang tidak beriman? Kepada mereka, lain pula. Ayat ini adalah takhwif ukhrawi. Ini tentang golongan fujjar pula.

وَإِنَّ الفُجّارَ لَفي جَحيمٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And indeed, the wicked will be in Hellfire.

(MALAY)

dan sesungguhnya orang-orang yang durhaka benar-benar berada dalam neraka.

 

Dan orang kafir yang menzahirkan kekafiran mereka akan dimasukkan ke dalam neraka. الفُجّارَ bermaksud mereka yang menzahirkan kekafiran mereka, tidak sorok-sorok pun.

Lafaz الفُجّارَ ini adalah dalam bentuk katanama juga, bukan katakerja. Maknanya mereka telah tetap dalam keadaan itu, sudah tidak berubah-ubah lagi. Ianya sudah menjadi sifat mereka. Mereka ini jenis yang sudah tidak kisah dengan dosa yang mereka lakukan itu. Mereka tidak kisah dan tidak malu pun kalau orang tengok mereka buat dosa.

Allah ﷻ tidak kata pun mereka ‘akan’ dimasukkan ke dalam neraka. Ini seolah-olah mereka sudah berada dalam neraka dunia. Nama mereka juga sudah ada dalam neraka. Kehidupan mereka pun telah menunjukkan yang mereka itu sudah jadi ahli neraka, cuma kita sahaja tidak nampak. Kehidupan mereka tidak tenang, hati mereka kelam kabut, penuh dengan sifat-sifat yang buruk. Itulah neraka dunia.

Dan Allah ﷻ tidak letak perkataan الذى sebab mereka ini telah tetap kekafiran mereka. Ini berbeza kalau kalimat yang digunakan adalah الذين كفروا. Kalimat الذين كفروا bermaksud mereka yang ‘sedang’ melakukan kufur, iaitu sedang melakukan perbuatan kufur. Mereka belum lagi jadi kufur terus sebenar dan masih ada harapan lagi untuk mereka berubah. Kerana mereka sedang melakukan kekufuran tetapi mereka mungkin boleh bertaubat dan mengubah sikap mereka. Sebagai analogi, bezakan orang ‘sedang memasak’ dengan ‘tukang masak’. Tentu tidak sama, bukan?

Akan tetapi, kalau kalimah yang digunakan adalah الكافروا tanpa الذى atau digunakan kalimah الفُجّارَ, itu adalah mereka yang memang tetap melakukan kekufuran, mereka yang telah tetap dalam kufur. Maknanya ia telah sebati dalam diri mereka.

Begitu juga, kalau الذين ءامنوا, masih rendah lagi kalau dibandingkan dengan kedudukan مؤمنون. Kerana itu dalam Al-Qur’an, kadang-kadang nampak Allah ﷻ keras dan menegur terhadap الذين ءامنوا. Sedangkan kalau lafaz yang digunakan adalah مؤمنون sahaja, Allah ﷻ puji sahaja dan tiada teguran, kerana mereka memang telah beriman benar dan mereka telah tetap di dalam beriman. Kalau tahap الذين ءامنوا (orang-orang yang beriman), iman mereka belum tentu telah tetap teguh.


 

Ayat 15: Apakah balasan bagi mereka yang fujjar itu? Ini adalah ayat Takhwif Ukhrawi.

يَصلَونَها يَومَ الدّينِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They will [enter to] burn therein on the Day of Recompense,

(MALAY)

Mereka masuk ke dalamnya pada hari pembalasan.

 

Yang dimaksudkan adalah ‘neraka’. Mereka yang الفُجّارَ itu akan terjerumus ke dalam neraka pada hari akhirat nanti. Mereka akan tergelincir sendiri. Kalimah صلَونَ digunakan apabila seseorang itu terjerumus. Dan dalam bahasa Arab, digunakan khusus untuk ‘masuk dalam api’, bukan tergelincir biasa.

Neraka Jahanam adalah balasan yang setimpal untuk mereka. Mereka akan kekal di dalamnya selama-lamanya. Mereka tidak akan ada peluang untuk keluar dari neraka itu.


 

Ayat 16: Ini adalah Dakwa Surah ini.

وَما هُم عَنها بِغائِبينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And never therefrom will they be absent.

(MALAY)

Dan mereka sekali-kali tidak dapat keluar dari neraka itu.

 

Dan mereka tidak dapat ‘ghaib’ (menghilangkan diri) daripada neraka itu. Neraka merenung tajam kepada mereka dan mereka tidak dapat hilang dari pandangan neraka. Kita telah sebut yang mereka tidak dapat lari dari neraka itu. Tetapi apabila ada ما dan بِ digunakan sekali dalam satu ayat dalam bahasa Arab, ini adalah penolakan yang paling kuat sekali.

Maksudnya, mereka bukan sahaja tidak dapat keluar dari neraka, tetapi mereka juga langsung tidak dapat hendak menyorok pun. Mereka tidak dapat ghaib/hilang dari renungan tajam neraka.

Bayangkan kalau seorang pelajar dalam kelas, ada kemungkinan dia boleh duduk di belakang tiang supaya guru tidak nampak. Jadi, walaupun dia ada di dalam kelas itu, tetapi seorang pelajar masih boleh lagi menyorok, mungkin dia hendak main game atau dia hendak tidur atau berangan dalam kelas, kalau kelas itu besar. Ini masih boleh kerana cikgu bukan ada mata keliling kepala dia.

Tetapi dalam neraka, itu pun tidak boleh. Mereka tidak dapat lari dari pandangan neraka pun. Jangan kata dalam neraka, dari saat mereka duduk dalam kubur pun mereka sudah dibuka lubang ke neraka dan ditunjukkan neraka kepada mereka. Ini dilakukan untuk menakutkan mereka sebelum mereka masuk dalam neraka pun lagi. Sebelum masuk lagi mereka telah dikenakan dengan azab emosi. Kerana terpaksa memandang neraka yang mereka akan masuk.


 

Ayat 17: Ayat 17 – 19 ini adalah Perenggan Makro Kelima dan terakhir surah ini. Allah ﷻ mengajar kita supaya jangan bergantung kepada syafaat orang. Beriman dan beramallah untuk diri sendiri.

وَما أَدراكَ ما يَومُ الدّينِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And what can make you know what is the Day of Recompense?

(MALAY)

Tahukah kamu apakah hari pembalasan itu?

 

Dan apakah yang membolehkan kamu mengetahui mengenai hari pembalasan itu? Dari mana lagi kamu nak dapat tahu? Adakah cara untuk kamu mengetahui Hari Pembalasan itu? Tidak ada cara lain melainkan dengan wahyu Allah ﷻ ini sahaja. Ini adalah kerana ianya adalah perkara ghaib dan tidak dapat dijangkau dengan akal.


 

Ayat 18: Allah ﷻ ulang sekali lagi kerana hendak beritahu betapa besarnya perkara itu. Apabila diulang lagi, ini untuk lebih menakutkan lagi para pembaca.

ثُمَّ ما أَدراكَ ما يَومُ الدّينِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then, what can make you know what is the Day of Recompense?

(MALAY)

Sekali lagi, tahukah kamu apakah hari pembalasan itu?

 

Pengulangan pertanyaan Allah ﷻ untuk menekankan kepentingan dan beratnya perkara itu. Sebagai contoh, kalau seorang ayah yang marah anaknya, kalau dia marah, dia akan cakap berulang-ulang juga, bukan?

Maka, janganlah main-main dengan peringatan Allah ﷻ ini. Sudah berkali-kali diberi peringatan, maka kenalah beri perhatian. Kalau masih degil lagi, memang ada masalah. Tidak boleh mengadu kata tidak tahu, kerana Allah ﷻ sudah beritahu banyak kali dengan berbagai-bagai cara.


 

Ayat 19: Allah ﷻ terangkan sedikit tentang hari itu.

يَومَ لا تَملِكُ نَفسٌ لِنَفسٍ شَيئًا ۖ وَالأَمرُ يَومَئِذٍ لِلَّهِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

It is the Day when a soul will not possess for another soul [power to do] a thing; and the command, that Day, is [entirely] with Allāh.

(MALAY)

(Iaitu) hari (ketika) seseorang tidak berdaya sedikit pun untuk menolong orang lain. Dan segala urusan pada hari itu dalam kekuasaan Allah.

 

Pada hari itu seseorang tidak dapat berkuasa atas seorang yang lain. Langsung tidak dapat menolong orang lain. Dalam Surah Abasa, telah disebut bagaimana setiap orang akan lari dari orang yang mereka kenal. Mereka akan lari kerana tidak mahu menolong orang lain; dan kalau hendak tolong pun, tidak boleh nak tolong. Kerana tidak berkuasa langsung untuk membantu. Langsung tidak mempunyai apa-apa kuasa dan tenaga. Dan dalam ayat terakhir Surah Takweer juga telah disebut bagaimana manusia tidak ada kuasa langsung.

Keputusan pada hari itu, semuanya akan terpulang kepada Allah ﷻ. Kita kena mengadap Allah ﷻ sahaja dan tunggu keputusan dariNya. Puak musyrikin sangka mereka ada orang yang akan jadi peguam mereka, seperti Nabi, wali atau malaikat yang mereka puja dan sembah. Mereka berharap kepada syafaat entiti-entiti yang mereka puja dan sembah semasa di dunia dulu.

Dan begitulah juga orang kita yang tidak faham tentang tawasul, doa dan syafaat, mereka juga berharap dengan wali, Nabi dan malaikat sahaja. Sebab itu amalan mereka ada pemujaan kepada Nabi dan wali. Mereka sangka akan ada orang lain yang akan menyelamatkan mereka asalkan mereka puja orang itu.

Padahal ini adalah fahaman yang syirik. Tetapi inilah mentaliti mereka yang ada fahaman syirik – mereka tidak mahu mengadap dan berharap terus kepada Allah ﷻ sendiri. Mereka hendak serahkan pengharapan mereka kepada orang lain. Tetapi Allah ﷻ berkali-kali beritahu dalam Al-Qur’an yang mereka kena mengadap juga. Tidak akan ada yang akan jadi ‘peguam’ untuk mereka.

Allahu a’lam. Sekian tafsir Surah Infithar ini. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah al-Mutaffifin.

Kemaskini: 27 September 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah Tawbah Ayat 116 – 117 (Ada sahabat yang goyang pada mulanya)

KEKUASAAN ALLAH ﷻ

Tawbah Ayat 116: Hujung ayat sebelum ini Allah ﷻ beritahu Dia tahu segala-galanya. Sekarang Allah ﷻ beritahu kenapa Dia tahu segala-galanya kerana semua yang ada di alam ini adalah milik-Nya.

إِنَّ اللَّهَ لَهُ مُلكُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ ۖ يُحيي وَيُميتُ ۚ وَما لَكُم مِّن دونِ اللَّهِ مِن وَلِيٍّ وَلا نَصيرٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, to Allāh belongs the dominion of the heavens and the earth; He gives life and causes death. And you have not besides Allāh any protector or any helper.

(MALAY)

Sesungguhnya kepunyaan Allah-lah kerajaan langit dan bumi. Dia menghidupkan dan mematikan. Dan sekali-kali tidak ada pelindung dan penolong bagimu selain Allah.

 

إِنَّ اللَّهَ لَهُ مُلكُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ

Sesungguhnya kepunyaan Allah-lah kerajaan langit dan bumi.

Allah ﷻ adalah pemilik langit dan bumi, iaitu segala alam ini. Manusia berlanggaran sesama sendiri untuk mengejar kuasa kerajaan di dunia tapi di sini Allah memberitahu yang segala kerajaan milikNya. Apabila segala apa yang wujud ini adalah hak-Nya, maka Dia boleh buat apa sahaja yang Dia mahu. Termasuk menetapkan hukum. Allah ﷻ sekarang memperkenalkan Diri-Nya kepada manusia dan jin supaya kita kenal Dia dan takut kepada-Nya.

 

يُحيي وَيُميتُ

Dia menghidupkan dan mematikan. 

Allah ﷻ boleh buat apa sahaja. Antaranya, Allah ﷻ boleh menghidupkan dan mematikan. Tidak ada selain Allah ﷻ yang dapat menghidupkan dan mematikan.

Ibnu Jarir رحمه الله mengatakan bahawa makna ayat ini mengandungi pengertian anjuran daripada Allah ﷻ kepada hamba-hamba-Nya yang beriman untuk memerangi orang-orang musyrik dan pemimpin kekufuran dan hendaklah mereka percaya akan pertolongan Allah ﷻ, Raja langit dan bumi; dan janganlah mereka merasa gentar dalam menghadapi musuh-musuh mereka, kerana sesungguhnya tidak ada pelindung bagi mereka dan tidak ada penolong bagi mereka selain Dia. Kalau mereka takut mati, maka ingatlah yang Allah ﷻ yang mematikan dan menghidupkan. Kalau tidak mati di medan jihad pun, memang akan mati pada waktu lain (maka eloklah mati di medan jihad). Sekiranya belum sampai masa kita mati, tentulah kita tidak mati walaupun kita berperang.

 

وَما لَكُم مِّن دونِ اللَّهِ مِن وَلِيٍّ وَلا نَصيرٍ

Dan sekali-kali tidak ada pelindung dan penolong bagimu selain Allah.

Pelindung dan pembantu sebenar adalah Allah ﷻ. Mungkin dalam dunia ini kita rasa kita bergantung harap kepada keluarga kita kerana mereka rapat dengan kita. Namun Allah ﷻ mengingatkan di sini, mereka itu tidak dapat berbuat apa-apa jika Allah ﷻ tidak izinkan. Allah ﷻ lah sahaja pelindung dan pembantu kita, maka kenalah kita bergantung harap kepada Allah ﷻ semata-mata.

Apakah pula beza antara وَلِيٍّ dan نَصيرٍ? Apabila diletakkan bersebelahan, maka tentu ada beza antara keduanya.

وَلِيٍّ bermaksud orang yang sayang dan menjaga kita.
نَصيرٍ bermaksud orang yang menyelamatkan kita daripada musibah yang menimpa kita.

Maka وَلِيٍّ itu sebelum sesuatu menimpa manakala نَصيرٍ selepas sesuatu menimpa kita. Ternyata jelas di sini bahawa وَلِيٍّ dan نَصيرٍ itu adalah Allah ﷻ sahaja sebenarnya. Oleh itu ini mengajar kita yang kalau kita bergantung kepada selain Allah ﷻ, maka kita tidak akan selamat. Ini adalah berita gembira kepada orang Mukmin kerana mereka bergantung sepenuhnya kepada Allah ﷻ.

Namun begitu jika kita perhatikan sekarang ini, orang Muslim tidak selamat pun. Ada sahaja musibah yang dikenakan kepada kita. Kita nampak lemah seperti seolah-olah Allah ﷻ tidak membantu pun kita. Kenapa begitu? Kerana kita bukanlah Mukmin sejati. Tidak cukup syarat untuk Allah ﷻ beri perlindungan dan bantuan kepada kita kerana sudah terlalu banyak kesalahan yang kita lakukan.

Persoalannya, bagaimanakah cara untuk kita boleh menjadi Mukmin sejati? Ada banyak kriteria-kriteria Mukmin disebut di dalam banyak ayat-ayat Al-Qur’an. Akan tetapi kita boleh rangkumkan secara umum seperti disebut di dalam Ahzab: 36,

وَما كانَ لِمُؤمِنٍ وَلا مُؤمِنَةٍ إِذا قَضَى اللهُ وَرَسولُهُ أَمرًا أَن يَكونَ لَهُمُ الخِيَرَةُ مِن أَمرِهِم
Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka.

Ini adalah ringkasan kepada sifat orang Mukmin; apa sahaja arahan daripada Allah ﷻ dan Rasul, kita ikut dan kita buat tanpa soal. Kalau hendak tanya pun, tanya ‘Macam mana hendak buat?’. Jangan pula tanya ‘Kenapa kita kena buat?’ kerana ini adalah soalan orang yang degil.

Allah ﷻ tidak akan memberikan bantuan-Nya, sekiranya kita telah membuat pilihan sendiri yang berbeza daripada arahan oleh Allah ﷻ dan Rasulullah ﷺ. Malah kepada para sahabat رضي الله عنهم yang kita tahu cukup tinggi sekali iman mereka sekalipun Allah ﷻ tidak bantu ketika mereka telah ingkar dan culas dalam mengikut arahan Nabi Muhammad ﷺ. Lihat Ali Imran:165. Ia berkenaan para sahabat yang meninggalkan kawasan tinggi tempat pemanah semasa Perang Uhud. Rasulullah sudah suruh mereka jaga tempat itu sama ada kalah atau menang. Tapi kesalahan mereka adalah buat andaian sendiri yang mereka sudah boleh bergerak dari situ. Kisahnya para sahabat رضي الله عنهم yang telah meninggalkan kawasan tinggi tempat pemanah semasa Perang Uhud. Rasulullah ﷺ telah mengarahkan mereka untuk menjaga tempat itu sama ada kalah atau menang. Namun kesalahan mereka adalah membuat andaian sendiri yang mereka sudah boleh bergerak dari situ. Para sahabat رضي الله عنهم kehairanan kenapa mereka kalah sedangkan mereka beriman, malah Rasulullah ﷺ masih dalam kalangan mereka. Allah ﷻ jawab dalam ayat ini:

أَوَلَمّا أَصَٰبَتْكُم مُّصيبَةٌ قَد أَصَبتُم مِّثلَيها قُلتُم أَنّىٰ هٰذا ۖ قُل هُوَ مِن عِندِ أَنفُسِكُم
(Patutkah kamu melanggar perintah Rasulullah)? dan (kemudiannya) apabila kamu ditimpa kemalangan (dalam peperangan Uhud), yang kamu telah pun memenangi seperti itu sebanyak dua kali ganda (dengan menimpakan kemalangan kepada musuh dalam peperangan Badar), kamu berkata: “Dari mana datangnya (kemalangan) ini? “Katakanlah (wahai Muhammad): “(Kemalangan) itu ialah daripada kesalahan diri kamu sendiri (melanggar perintah Rasulullah)”.

Oleh sebab itu, kalau kita mahukan pertolongan Allah ﷻ, maka kita kena bantu agama Allah ﷻ. Kena ada saham kita dalam menegakkan agama Allah ﷻ ini di atas muka bumi. Kena pertahankan agama ini dari golongan yang hendak merosakkan agama ini. Sekarang sudah terlalu banyak fahaman yang sesat yang penganutnya sudah berani untuk menyebarkannya di khalayak ramai. Kalau kita tidak pertahankan, siapa lagi? Allah ﷻ berfirman di dalam Muhammad: 7

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِن تَنصُرُواْ ٱللَّهَ يَنصُرۡكُمۡ وَيُثَبِّتۡ أَقۡدَامَكُمۡ ٧
Hai orang-orang mukmin, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kakimu.


 

RAHMAT ALLAH ﷻ

Tawbah Ayat 117: Ini adalah ayat tabshir (berita gembira). Iaitu pengampunan yang diberikan kepada golongan sahabat yang pada mulanya goyang untuk berjihad.

Di dalam ayat 102 telah diterangkan apabila seruan jihad menuju Tabuk telah dikeluarkan, umat Islam terbahagi kepada 5 jenis. Di dalam ayat 117 ini disebut 3 jenis daripada 5 jenis itu. 3 jenis ini adalah daripada golongan Mukmin.

لَقَد تّابَ اللَّهُ عَلَى النَّبِيِّ وَالمُهٰجِرينَ وَالأَنصارِ الَّذينَ اتَّبَعوهُ في ساعَةِ العُسرَةِ مِن بَعدِ ما كادَ يَزيغُ قُلوبُ فَريقٍ مِّنهُم ثُمَّ تابَ عَلَيهِم ۚ إِنَّهُ بِهِم رَءوفٌ رَّحيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Allāh has already forgiven the Prophet and the Muhājireen and the Anṣār who followed him in the hour of difficulty after the hearts of a party of them had almost inclined [to doubt], and then He forgave them. Indeed, He was to them Kind and Merciful.

(MALAY)

Sesungguhnya Allah telah menerima taubat Nabi, orang-orang muhajirin dan orang-orang anshar yang mengikuti Nabi dalam masa kesulitan, setelah hati segolongan dari mereka hampir berpaling, kemudian Allah menerima taubat mereka itu. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang kepada mereka,

 

لَقَد تّابَ اللَّهُ عَلَى النَّبِيِّ

Sesungguhnya Allah telah menerima taubat Nabi,

Kalimah تابَ dalam ayat ini sebenarnya bukanlah ‘menerima taubat’, tetapi maksudnya ‘sentiasa memberi taufik’ untuk menghampirkan diri kepada Allah ﷻ. Ini adalah kerana maksud asal ‘taubat’ itu adalah ‘kembali pada asalnya’. Oleh itu, dalam ayat ini digunakan maksud asalnya, bukan maksud taubat selepas buat dosa.

Atau, ia boleh juga bermaksud menerima taubat Rasulullah ﷺ. Bukanlah Rasulullah ﷺ berdosa (kerana baginda maksum), tetapi kesilapan yang dinamakan khilaful awla. Iaitu tidak melakukan yang terbaik. Rasulullah ﷺ seorang yang bijaksana namun ada keputusan baginda yang bukan yang terbaik. Ini kerana baginda tetap seorang manusia dan baginda tidak tahu apa yang akan terjadi di masa hadapan. Keputusan baginda itu tidaklah salah akan tetapi bukan yang terbaik, itu sahaja. Sebagai contoh, telah disebut baginda telah beri keizinan kepada golongan Munafik yang tidak pergi berperang. Baginda tidak selidik alasan yang mereka berikan tetapi baginda terus sahaja beri keizinan. Ini adalah khilaful awla.

Cuma ada juga pendapat yang mengatakan Nabi ﷺ juga ada melakukan dosa, ini seperti yang telah berlaku kepada Nabi Adam عليه السلام juga. Cuma bezanya dosa Nabi ﷺ itu telah diampunkan oleh Allah ﷻ sama ada yang telah dilakukan dan yang akan dilakukan, seperti disebut dalam Fath: 2

لِّيَغفِرَ لَكَ اللهُ ما تَقَدَّمَ مِن ذَنبِكَ وَما تَأَخَّرَ
supaya Allah memberi ampunan kepadamu terhadap kesilapanmu yang telah lalu dan yang akan datang

Jelas di sini bahawa Nabi ﷺ juga ada melakukan dosa tetapi disebabkan baginda adalah seorang Nabi, maka Allah ﷻ akan segera menegur baginda. Pelbagai bukti hadith dan ayat Al-Qur’an telah menjelaskan keadaan ini. Secara asasnya baginda tidak melakukan sebarang kesilapan dalam agama melainkan ia dikesan dengan teguran daripada oleh Allah ﷻ. Apa-apa yang tidak ditegur, bukanlah satu kesilapan.

Apakah maksud ‘maksum’ itu? Ia bermaksud terpelihara daripada kesalahan dalam menyampaikan syariat. Bukan berkenaan hal-hal keduniaan dan termasuk keputusan yang baginda lakukan dalam ijtihad.

 

وَالمُهٰجِرينَ وَالأَنصارِ الَّذينَ اتَّبَعوهُ في ساعَةِ العُسرَةِ

dan orang-orang muhajirin dan orang-orang anshar yang mengikuti Nabi dalam masa kesulitan,

Golongan pertama adalah yang terus menyahut seruan jihad tanpa soal. Mereka ini daripada golongan Muhajireen dan Ansar yang اتَّبَعوهُ في ساعَةِ العُسرَةِ. Perang Tabuk juga dikenali sebagai العُسرَةِ kerana ia adalah perang yang amat mencabar seperti yang pernah diterangkan sebelum ini dengan panjang lebar. Ini pernah diterangkan oleh Ibnu Umar رضي الله عنهما seperti di bawah:

وقال ابن جرير : حدثني يونس بن عبد الأعلى ، أخبرنا ابن وهب ، أخبرني عمرو بن الحارث ، عن سعيد بن أبي هلال ، عن عتبة بن أبي عتبة ، عن نافع بن جبير بن مطعم ، عن عبد الله بن عباس ؛ أنه قيل لعمر بن الخطاب في شأن العسرة ، فقال عمر بن الخطاب : خرجنا مع رسول الله صلى الله عليه وسلم إلى تبوك في قيظ شديد ، فنزلنا منزلا فأصابنا فيه عطش ، حتى ظننا أن رقابنا ستنقطع [ حتى إن كان الرجل ليذهب يلتمس الماء ، فلا يرجع حتى يظن أن رقبته ستنقطع ] حتى إن الرجل لينحر بعيره فيعصر فرثه فيشربه ، ويجعل ما بقي على كبده ، فقال أبو بكر الصديق : يا رسول الله ، إن الله عز وجل ، قد عودك في الدعاء خيرا ، فادع لنا . قال : ” تحب ذلك “ . قال : نعم ! فرفع يديه فلم يرجعهما حتى مالت السماء فأظلت ثم سكبت ، فملؤوا ما معهم ، ثم ذهبنا ننظر فلم نجدها جاوزت العسكر .
Ibnu Jarir رحمه الله mengatakan, telah menceritakan kepadaku Yunus ibnu Abdul A’la, telah menceritakan kepada kami Ibnu Wahb, telah menceritakan kepadaku Amr ibnul Haris, dari pada Sa’id ibnu Abu Hilal, daripada Atabah, daripada Nafi’ ibnu Jubair ibnu Mut’im, daripada Abdullah ibnu Abbas, bahawa pernah ditanyakan kepada Umar ibnul Khattab رضي الله عنه tentang kisah pasukan Usrah. Maka Umar ibnul Khattab رضي الله عنه menjawab, “Kami berangkat ke medan Perang Tabuk dengan Rasulullah ﷺ di tengah musim panas yang keras. Lalu kami turun istirehat di suatu tempat, kerana saat itu kami kehausan, sehingga kami merasa seakan-akan leher kami akan terputus (mati kehausan). Sesungguhnya seseorang di antara kami pergi untuk mencari air, tetapi dia tidak mendapatkannya sehingga dia menduga bahawa lehernya terputus. Dan ada seorang lelaki menyembelih untanya, lalu memeras bahagian perut unta yang mengandungi air, kemudian meminumnya, lalu sisanya dia siramkan ke dadanya. Maka Abu Bakar رضي الله عنه berkata, ‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya Allah telah menjanjikan kebaikan kepadamu dalam berdoa, maka doakanlah buat kami.’ Rasul ﷺ bertanya, ‘Apakah kamu suka hal itu?’ Abu Bakar رضي الله عنه menjawab, ‘Ya.’ Maka Rasulullah ﷺ mengangkat kedua tangannya untuk berdoa. Sebelum baginda menurunkan kedua tangannya, langit menurunkan hujan yang lebat, kemudian keadaan menjadi tenang. Maka mereka memenuhi semua wadah yang mereka bawa dengan air. Kemudian kami berangkat memeriksa, dan ternyata hujan itu tidak melampaui markas pasukan kaum muslim.”
(Dinukilkan oleh Ibnu Kathir di dalam kitabnya)

 

مِن بَعدِ مّا كادَ يَزيغُ قُلوبُ فَريقٍ مِّنهُم

setelah hati segolongan dari mereka hampir berpaling, 

Ini pula adalah golongan kedua daripada golongan Mukmin itu. Kita telah diceritakan sebelum ini tentang susahnya mereka untuk ke sana. Dalam waktu yang amat payah dan sangat mencabar itu, hampir-hampir sebahagian daripada hati orang Mukmin tergelincir. Kalimah يَزيغُ adalah daripada katadasar ز ي غ yang bermaksud condong ke bawah, bertukar arah, melencong, menolak, ragu-ragu, ketidakadilan, songsang. Dalam riwayat ada lapan nama sahabat yang disebut kerana susahnya keadaan mereka waktu itu, ada yang terasa lemah semangat dan meragui agama yang dibawa oleh Rasulullah ﷺ.

Akan tetapi Allah ﷻ menerima taubat daripada para sahabat رضي الله عنهم yang asalnya tidak mahu pergi menyertai Perang Tabuk. Ini adalah kerana ia adalah waktu yang amat susah (perjalanan jauh dan dalam musim panas). Walaupun susah, tetapi mereka tetap ikut juga Nabi ﷺ pada jihad terakhir baginda itu.

 

ثُمَّ تابَ عَلَيهِم

kemudian Allah menerima taubat mereka itu. 

Walaupun hati mereka ada yang hampir tergelincir, namun kerana mereka sedar kembali diri mereka, akhirnya Allah ﷻ terima taubat mereka. Begitulah kalau hati seseorang itu sudah mukmin, Allah ﷻ menarik mereka untuk kembali sedar walaupun sudah hampir goyah. Kadang-kadang memang mereka ada buat salah, tetapi mereka akan kembali kerana mereka cepat sedar.

 

إِنَّهُ بِهِم رَءوفٌ رَّحيمٌ

Sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang terhadap mereka,

Allah ﷻ memberi peluang kepada mereka untuk mengubah keadaan mereka, dan Allah ﷻ pimpin hati mereka untuk bertaubat, kerana Allah ﷻ pengasih dan penyayang kepada hamba-Nya. Allah ﷻ tahu mana hati yang ikhlas kepada agama.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 21 Julai 2023

Ringkasan Surah Tawbah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien

Maariful Qur’an

Tafsir Surah Tawbah Ayat 113 – 115 (Larangan berdoa bagi orang mati kafir)

MEMINTA AMPUN BAGI PIHAK MUSYRIK

Tawbah Ayat 113: Walaupun Surah Tawbah ini adalah Surah Madaniyah, tetapi ayat ini dikatakan diturunkan di Mekah dan dimasukkan ke dalam surah ini. Ini adalah kerana topik ayat ini sesuai tentang kejadian yang berlaku di Mekah iaitu selepas kematian Abu Talib.

ما كانَ لِلنَّبِيِّ وَالَّذينَ ءآمَنوا أَن يَستَغفِروا لِلمُشرِكينَ وَلَو كانوا أُوْلي قُربىٰ مِن بَعدِ ما تَبَيَّنَ لَهُم أَنَّهُم أَصحٰبُ الجَحيمِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

It is not for the Prophet and those who have believed to ask forgiveness for the polytheists, even if they were relatives, after it has become clear to them that they are companions of Hellfire.

(MALAY)

Tiadalah sepatutnya bagi Nabi dan orang-orang yang beriman memintakan ampun (kepada Allah) bagi orang-orang musyrik, walaupun orang-orang musyrik itu adalah kaum kerabat(nya), sesudah jelas bagi mereka, bahawasanya orang-orang musyrik itu adalah penghuni neraka jahanam.

 

ما كانَ لِلنَّبِيِّ وَالَّذينَ ءآمَنوا أَن يَستَغفِروا لِلمُشرِكينَ

Tiadalah patut bagi Nabi dan orang-orang yang beriman memintakan ampun bagi orang-orang musyrik,

Tidak boleh bagi Nabi ﷺ dan orang mukmin untuk istighfar (minta ampun) bagi pihak orang yang mati syirik. Iaitu kalau jelas mereka itu telah mati syirik. Untuk Nabi ﷺ, baginda dapat wahyu siapa yang mati kafir, tetapi pada zaman kita, tidak tahu.

Namun kalau jelas daripada perbuatannya yang seorang yang kafir, telah melakukan syirik, maka kita tidak boleh doa kepada Allah ‎ﷻ untuk ampunkan dia kerana tiada keampunan untuk dosa syirik. Beratnya dosa syirik itu sampaikan mereka tidak ada peluang langsung. Mereka kena berdoa meminta ampun sendiri kepada Allah ﷻ ketika mereka masih hidup. Oleh kerana beratnya dosa itu sampaikan Allah ﷻ suruh kita berpisah dengan mereka di dunia dan juga di Akhirat. Ini selari dengan mesej surah ini dari mula lagi iaitu berlepas diri daripada golongan Musyrik.

Selagi mana dia masih hidup, kita boleh berdoa supaya Allah ﷻ beri hidayat kepada orang yang kufur atau mengamalkan syirik itu. Akan tetapi apabila sudah mati dan pada zahirnya mereka mati kufur, kita tidak boleh meminta keampunan untuk mereka. Oleh itu, hukumnya diharamkan untuk kita meminta ampun bagi pihak mereka. Sebelum ini pun Allah ﷻ telah sebut dalam ayat 84 yang Rasulullah ﷺ tidak boleh solat untuk orang Munafik.

وَلا تُصَلِّ عَلىٰ أَحَدٍ مِّنهُم مّاتَ أَبَدًا
Dan janganlah kamu sekali-kali menyembahyangkan (jenazah) seorang yang mati di antara mereka

Namun ini tidaklah melarang untuk mendoakan orang kafir sebelum mereka mati. Antaranya mendoakan mereka supaya mendapat hidayah. Contohnya doa Rasulullah ﷺ setelah pulang dari Taif dan setelah penduduk Taif menolak baginda dan menyakiti baginda:

اللهُمَّ اهْدِ قَوْمِي فَإِنَّهُمْ لَا يَعْلَمُونَ
“Ya Allah! Berilah hidayah kepada kaumku. Sesungguhnya mereka tidak mengetahui.”
(Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (1375))

Juga kita boleh juga meminta ampun bagi pihak mereka sebelum mereka mati. Dalilnya adalah hadith berikut:

قَالَ عَبْدُ اللَّهِ كَأَنِّي أَنْظُرُ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَحْكِي نَبِيًّا مِنْ الْأَنْبِيَاءِ ضَرَبَهُ قَوْمُهُ فَأَدْمَوْهُ فَهُوَ يَمْسَحُ الدَّمَ عَنْ وَجْهِهِ وَيَقُولُ رَبِّ اغْفِرْ لِقَوْمِي فَإِنَّهُمْ لَا يَعْلَمُونَ
[Abdullah] mengatakan: Seakan-akan aku melihat Nabi mengisahkan seorang Nabi yang ditempeleng oleh kaumnya sambil dia menyeka darah dari wajahnya dan memanjatkan doa; ‘ya Rabbi, ampunilah kaumku, sebab mereka adalah orang yang tidak tahu.’
(Sahih Bukhari (6417))

Kenapa tidak patut kita minta ampun bagi pihak musyrikin itu? Kerana Allah ﷻ sudah beritahu yang Dia tidak akan ampunkan dosa syirik seperti yang disebut di dalam Nisa’: 48

إِنَّ اللهَ لا يَغفِرُ أَن يُشرَكَ بِهِ
Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukan-Nya

Jikalau kita minta juga, maka ia adalah satu kedegilan kerana tetap juga meminta ampun sedangkan Allah ﷻ sudah beritahu yang Dia tidak ampunkan.

 

وَلَو كانوا أُوْلي قُربىٰ

walaupun orang-orang musyrik itu adalah kaum kerabat(nya), 

Tidak boleh sama sekali meminta ampun bagi pihak mereka, atas dosa syirik mereka itu, sekali pun yang mati syirik itu kaum kerabat kita sendiri. Sudah tidak boleh buat apa lagi untuk mereka.

Asbabun Nuzul ayat ini adalah berkenaan Rasulullah ﷺ yang cuba hendak membantu bapa saudaranya Abu Thalib masuk Islam. Baginda telah datang untuk menemuinya semasa nazaknya untuk kali terakhir. Akan tetapi baginda telah dihalang oleh pemuka Quraisy. Maka Rasulullah ﷺ mengatakan yang baginda akan meminta ampun juga untuk Abu Thalib maka Allah ﷻ telah melarang baginda di dalam ayat ini. Hadithnya seperti berikut,

سَعِيدُ بْنُ الْمُسَيَّبِ عَنْ أَبِيهِ أَنَّهُ أَخْبَرَهُ أَنَّهُ لَمَّا حَضَرَتْ أَبَا طَالِبٍ الْوَفَاةُ جَاءَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَوَجَدَ عِنْدَهُ أَبَا جَهْلِ بْنَ هِشَامٍ وَعَبْدَ اللَّهِ بْنَ أَبِي أُمَيَّةَ بْنِ الْمُغِيرَةِ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِأَبِي طَالِبٍ يَا عَمِّ قُلْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ كَلِمَةً أَشْهَدُ لَكَ بِهَا عِنْدَ اللَّهِ فَقَالَ أَبُو جَهْلٍ وَعَبْدُ اللَّهِ بْنُ أَبِي أُمَيَّةَ يَا أَبَا طَالِبٍ أَتَرْغَبُ عَنْ مِلَّةِ عَبْدِ الْمُطَّلِبِ فَلَمْ يَزَلْ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَعْرِضُهَا عَلَيْهِ وَيَعُودَانِ بِتِلْكَ الْمَقَالَةِ حَتَّى قَالَ أَبُو طَالِبٍ آخِرَ مَا كَلَّمَهُمْ هُوَ عَلَى مِلَّةِ عَبْدِ الْمُطَّلِبِ وَأَبَى أَنْ يَقُولَ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَا وَاللَّهِ لَأَسْتَغْفِرَنَّ لَكَ مَا لَمْ أُنْهَ عَنْكَ فَأَنْزَلَ اللَّهُ تَعَالَى فِيهِ { مَا كَانَ لِلنَّبِيِّ } الْآيَةَ
[Sa’id bin Al Musayyab] daripada [bapanya] bahawasanya dia mengabarkan kepadanya: “Ketika menjelang wafatnya Abu Thalib, Rasulullah ﷺ mendatanginya dan ternyata sudah ada Abu Jahal bin Hisyam dan ‘Abdullah bin Abu Umayyah bin Al Mughirah. Maka Rasulullah ﷺ berkata, kepada Abu Thalib: “Wahai pakcikku katakanlah لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ, suatu kalimat yang dengannya aku akan menjadi saksi atasmu di sisi Allah”. Maka berkata Abu Jahal dan ‘Abdullah bin Abu Umayyah: “Wahai Abu Thalib, apakah kamu akan meninggalkan agama ‘Abdul Muthalib?”. Rasulullah ﷺ terus menawarkan kalimat syahadat kepada Abu Thalib dan bersamaan itu pula kedua orang itu mengulang pertanyaannya yang Abu Thalib pada akhir ucapannya tetap mengikuti agama ‘Abdul Muthalib dan enggan untuk mengucapkan لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ. Maka berkatalah Rasulullah ﷺ: “Adapun aku akan tetap memintakan ampun buatmu selama aku tidak dilarang”. Maka turunlah firman Allah subhanahu wata’ala tentang peristiwa ini: (“Tidak patut bagi Nabi …”) dalam At-Tawbah ayat 113).
(Sahih Bukhari (1272))

Untuk melakukan perkara ini memang payah untuk kita menerimanya, kerana tentunya kita sayang kepada ahli keluarga kita. Kita mahu mereka selamat di akhirat nanti. Namun tetap tidak boleh lakukan apa-apa dan kita kena terima perkara ini dengan dada yang lapang. Serahkan kepada Allah ﷻ sahaja.

Kerana susahnya perkara ini untuk diterima, maka kerana itu kita ada contoh pada para Nabi kita. Kita akan lihat bagaimana Nabi Ibrahim عليه السلام turut mengalami masalah yang sama dan juga Nabi Muhammad ﷺ sendiri, apabila bapa saudaranya, Abu Thalib meninggal dunia. Allah ﷻ menceritakan hal mereka, supaya kita dapat tahu, yang para Nabi kita pun mengalami masalah yang sama juga.

Malah Nabi Muhammad ﷺ pun pernah meminta ampun untuk ibunya seperti disebut di dalam hadith,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ زَارَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم قَبْرَ أُمِّهِ فَبَكَى وَأَبْكَى مَنْ حَوْلَهُ فَقَالَ ‏ “‏ اسْتَأْذَنْتُ رَبِّي فِي أَنْ أَسْتَغْفِرَ لَهَا فَلَمْ يُؤْذَنْ لِي وَاسْتَأْذَنْتُهُ فِي أَنْ أَزُورَ قَبْرَهَا فَأُذِنَ لِي فَزُورُوا الْقُبُورَ فَإِنَّهَا تُذَكِّرُ الْمَوْتَ ‏”‏ ‏
Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, Nabi ﷺ menziarahi kubur ibunya. Baginda menangis lalu membuatkan orang di sekeliling baginda menangis. Baginda bersabda: Aku meminta izin kepada Tuhanku untuk memohon keampunan untuk ibuku, tetapi Allah tidak mengizinkan. Aku meminta izin pula untuk menziarahi kuburnya, lalu Allah mengizinkan aku. Maka ziarahilah kubur, sesungguhnya ia mengingatkan kepada kematian.

(Sahih Muslim, Kitab al-Janaiz, Hadith No. 976)

Isu ini juga menjadi polemik dalam kalangan orang kita yang terlalu menjaga hati Nabi kononnya. Mereka kata kononnya ibubapa Nabi Muhammad ﷺ bukan musyrik, tidak masuk neraka, sebaliknya adalah ahli fatrah (sebelum sampai wahyu). Pandangan mereka itu walaupun berniat baik, akan tetapi tidak sesuai dengan dalil yang ada dan pandangan ulama’.

Imam an-Nawawi رحمه الله menyebutkan dalam Syarah Sahih Muslim:

وفيه : النهي عن الاستغفار للكفار .
Ia termasuk larangan meminta ampun bagi orang kafir,

Di dalam hadith yang lain:

عَنْ أَنَسٍ، أَنَّ رَجُلاً، قَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيْنَ أَبِي قَالَ ‏”‏ فِي النَّارِ ‏”‏ ‏.‏ فَلَمَّا قَفَّى دَعَاهُ فَقَالَ ‏”‏ إِنَّ أَبِي وَأَبَاكَ فِي النَّارِ
Daripada Anas رضي الله عنه, bahawa seorang lelaki bertanya: Ya Rasulullah, di manakah ayahku? Baginda menjawab: Di neraka. Apabila dia beredar, baginda memanggilnya lalu berkata: Sesungguhnya ayahku dan ayahmu di neraka.
(Sahih Muslim, Kitab al-Iman, Hadith No. 203)

Imam an-Nawawi رحمه الله menyatakan dalam Syarah Sahih Muslim:

فيه : أن من مات على الكفر فهو في النار ، ولا تنفعه قرابة المقربين ، وفيه أن من مات في الفترة عل ما كانت عليه العرب من عبادة الأوثان فهو من أهل النار ، وليس هذا مؤاخذة قبل بلوغ الدعوة ، فإن هؤلاء كانت قد بلغتهم دعوة إبراهيم وغيره من الأنبياء صلوات الله تعالى وسلامه عليهم . 

Hadith ini menunjukkan sesiapa yang mati dalam keadaan kafir, maka dia di neraka. Kaum kerabatnya tidak akan mampu memberi manfaat kepadanya. Pada hadith ini juga menunjukkan bahawa sesiapa yang mati dalam waktu fatrah di mana masyarakat Arab menyembah berhala, maka mereka ini di neraka. Ini bukanlah hukuman yang dijatuhkan sebelum sampainya dakwah kepada mereka. Sesungguhnya telah sampai kepada mereka dakwah Nabi Ibrahim عليه السلام dan nabi-nabi yang lain.

Imam al-Baihaqi رحمه الله menyatakan dalam Al-Sunan Al-Kubra (14458) sebelum membawakan hadith Anas dan Abu Hurairah di atas:

وَأَبُواهُ كَانَا مُشْرِكَيْنِ بِدَلِيلِ مَا أَخْبَرَنَا أَبُو عَبْدِ اللَّهِ الْحَافِظُ…..
Kedua ibu bapa baginda adalah musyrikin berdalilkan…. (kemudian beliau membawakan hadith Anas dan Abu Hurairah di atas).

Walaupun ada juga pendapat ulama’ lain yang tidak bersetuju, namun kita berpegang bahawa pendapat yang mereka tersilap dalam hal ini. Tidaklah mengurangkan kedudukan mereka kalau mereka tersilap. Mungkin mereka yang benar, namun kita berpegang dengan dalil-dalil yang ada buat masa ini.

Cuma kita fahamlah kenapa mereka melakukan perkara itu. Iaitu kerana hendak menjaga nama keturunan Rasulullah. Macam tidak kena pula apabila bapa kepada Rasul kita masuk neraka. Jadi mereka datangkan dengan pendapat-pendapat yang kita boleh katakan untuk menjaga hati Rasulullah kerana tentulah baginda sayang kepada ibu dan bapa baginda. Tapi ada satu pendapat yang saya suka, iaitu kita tidak perlu pun bincangkan hal ini. Kerana kalau ayah kawan kita masuk penjara, kita pun tidak besar-besarkan perkara itu dan bertanyakan hal itu kepada kawan kita kerana kita tahu ayahnya dalam penjara dan dia pun tahu juga. Jadi tak perlu bangkitkan hal itu kerana tentunya ia akan menyayat hati kawan kita itu. Maka begitulah juga dengan kedudukan ibu dan bapa Rasul kita. Tak perlulah kita bincangkan sangat.

 

مِن بَعدِ ما تَبَيَّنَ لَهُم أَنَّهُم أَصحٰبُ الجَحيمِ

sesudah jelas bagi mereka, bahwasanya orang-orang musyrik itu adalah penghuni neraka jahanam.

Kita tidak boleh meminta ampun untuk mereka, apabila telah jelas yang mereka mati dalam keadaan kafir musyrik. Kita kena ingat yang kita tidak tahu hati manusia, sama ada mereka kufur atau tidak, sama ada mereka musyrik atau tidak. Kecuali mereka jelas melakukan perkara syirik dan kita sendiri tahu. Walaupun kita telah berikan segala dalil dan nasihat kepada mereka, tetapi mereka tetap menolak. Maka mereka layak mendapat apa sahaja keputusan yang Allah ﷻ kenakan terhadap mereka.


 

Tawbah Ayat 114: Sekarang Allah ﷻ bawakan kisah Nabi Ibrahim عليه السلام kepada kita sebagai pedoman kita. Ia dibawakan selepas ayat di atas untuk menjawab syubhat (kekeliruan) yang timbul kerana Nabi Ibrahim عليه السلام pernah meminta ampun bagi bapanya. Malah Nabi Muhammad ﷺ pun pernah meminta ampun untuk ibunya.

وَما كانَ استِغفارُ إِبرٰهيمَ لِأَبيهِ إِلّا عَن مَّوعِدَةٍ وَعَدَها إِيّاهُ فَلَمّا تَبَيَّنَ لَهُ أَنَّهُ عَدُوٌّ لِّلَّهِ تَبَرَّأَ مِنهُ ۚ إِنَّ إِبرٰهيمَ لَأَوّٰهٌ حَليمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the request of forgiveness of Abraham for his father was only because of a promise he had made to him. But when it became apparent to him [i.e., Abraham] that he [i.e., the father] was an enemy to Allāh, he disassociated himself from him. Indeed was Abraham compassionate and patient.

(MALAY)

Dan permintaan ampun dari Ibrahim (kepada Allah) untuk bapanya tidak lain hanyalah kerana janji yang telah diikrarkannya kepada bapanya itu. Maka, tatkala jelas bagi Ibrahim bahawa bapanya itu adalah musuh Allah, maka Ibrahim berlepas diri dari padanya. Sesungguhnya Ibrahim adalah seorang yang sangat lembut hatinya lagi penyantun.

 

وَما كانَ استِغفارُ إِبرٰهيمَ لِأَبيهِ إِلّا عَن مَّوعِدَةٍ وَعَدَها إِيّاهُ

Dan permintaan ampun dari Ibrahim (kepada Allah) untuk bapanya tidak lain hanyalah kerana janji yang telah diikrarkannya kepada bapanya itu.

Mungkin ada yang berhujah, Nabi Ibrahim عليه السلام pernah meminta ampun kepada Allah ﷻ bagi pihak ayahnya, Azar. Sememangnya Nabi Ibrahim عليه السلام pernah berdoa untuk ayah baginda, kerana masa itu baginda tidak tahu yang itu adalah salah. Apabila baginda tahu salah, baginda berhenti. Maka sekarang tidak boleh jadikan perbuatan Nabi Ibrahim عليه السلام itu sebagai dalil.

Tidaklah istighfar Nabi Ibrahim عليه السلام untuk ayahnya itu, melainkan kerana janji baginda sahaja kepada ayahnya itu. Kerana baginda pernah berjanji kepada ayahnya untuk berdoa kepada Allah ﷻ supaya Allah ﷻ mengampunkan dosa ayahnya itu. Ini ada terdapat dalam Maryam: 47. Ini adalah ketika ayahnya menghalaunya dari sisinya.

قالَ سَلامٌ عَلَيكَ ۖ سَأَستَغفِرُ لَكَ رَبّي ۖ إِنَّهُ كانَ بي حَفِيًّا
Nabi Ibrahim berkata: “Selamat tinggallah ayah; aku akan memohon kepada Tuhanku mengampuni dosamu; sesungguhnya Dia sentiasa melimpahkan kemurahan ihsan-Nya kepadaku.

 

فَلَمّا تَبَيَّنَ لَهُ أَنَّهُ عَدُوٌّ لِّلَّهِ تَبَرَّأَ مِنهُ

Maka, tatkala jelas bagi Ibrahim bahawa bapanya itu adalah musuh Allah, maka Ibrahim berlepas diri dari padanya. 

Apabila telah jelas kepada baginda melalui wahyu bahawasanya ayahnya adalah musuh ketat Allah ﷻ, maka baginda berlepas diri daripada terus melakukan istighfar bagi pihak ayahnya. Allah ﷻ beritahu baginda yang ayahnya itu mati kafir.

Salah satu nama surah ini adalah Surah Bara’ah (berlepas diri). Musyrikin Mekah menuduh Rasulullah ﷺ meninggalkan amalan tok nenek mereka, tidak hiraukan perasaan kaum baginda dan macam-macam lagi. Namun lihatlah bagaimana Nabi pertama yang memisahkan diri baginda daripada kaumnya yang melakukan syirik adalah Nabi Ibrahim عليه السلام. Padahal puak Musyrikin Mekah mengatakan yang mereka adalah daripada keturunan Nabi Ibrahim عليه السلام sendiri.

Maka, janganlah salahkan Nabi Muhammad ﷺ kerana berlepas diri dengan amalan kaumnya yang syirik kerana bukan baginda yang mula-mula melakukan perkara itu pun. Memang mereka patut disisihkan kerana kesalahan yang mereka lakukan itu adalah kesalahan yang amat besar.

Oleh itu, meninggalkan mereka yang melakukan syirik adalah termasuk dalam perkara yang sunnah. Jangan rasa bersalah kalau kita tidak bersama dengan akidah ahli keluarga kita yang syirik. Tidak perlu kita sertai majlis mereka kalau mereka mengamalkan amalan yang syirik dalam majlis itu (termasuk juga majlis bid’ah). Ini adalah kerana kita lebih pentingkan redha Allah ﷻ daripada redha manusia, termasuk ahli keluarga kita pun. Ternyata ini Allah ﷻ puji Nabi Ibrahim عليه السلام dan suruh kita ikut baginda seperti disebut di dalam Mumtahanah: 4

قَد كانَت لَكُم أُسوَةٌ حَسَنَةٌ في إِبرٰهيمَ وَالَّذينَ مَعَهُ إِذ قالوا لِقَومِهِم إِنّا بُرَآءُ مِنكُم وَمِمّا تَعبُدونَ مِن دونِ اللهِ كَفَرنا بِكُم وَبَدا بَينَنا وَبَينَكُمُ العَدٰوَةُ وَالبَغضاءُ أَبَدًا حَتّىٰ تُؤمِنوا بِاللهِ وَحدَهُ
Sesungguhnya telah ada suri tauladan yang baik bagimu pada Ibrahim dan orang-orang yang bersama dengan dia; ketika mereka berkata kepada kaum mereka: “Sesungguhnya kami berlepas diri daripada kamu dari daripada apa yang kamu sembah selain Allah, kami ingkari (kekafiran)mu dan telah nyata antara kami dan kamu permusuhan dan kebencian buat selama-lamanya sampai kamu beriman kepada Allah saja.

Akan tetapi sambungan ayat Mumtahanah: 4 ini ada pengecualian. Yang baginda berlepas itu kena ikut, namun jangan ikut perbuatan baginda meminta ampun bagi pihak ayahnya,

إِلّا قَولَ إِبرٰهيمَ لِأَبيهِ لَأَستَغفِرَنَّ لَكَ
Kecuali perkataan Ibrahim kepada bapanya: “Sesungguhnya aku akan memohonkan ampunan bagi engkau

Oleh itu yang lain-lain semua boleh ikut, kecuali bahagian ini sahaja. Namun begitu jangan jadikan perbuatan Nabi Ibrahim عليه السلام itu sebagai hujah pula kerana ia telah dimansukhkan di dalam Al-Qur’an.

 

إِنَّ إِبرٰهيمَ لَأَوّٰهٌ حَليمٌ

Sesungguhnya Ibrahim adalah seorang yang sangat lembut hatinya lagi penyantun.

Kemudian Allah ﷻ memuji Nabi Ibrahim عليه السلام: sesungguhnya Nabi Ibrahim عليه السلام itu seorang Nabi yang sangat lembut hati, sangat tabah dalam menempuh segala ujian. Walaupun baginda dikenakan dengan berbagai ujian, baginda tetap tabah dan masih berharap kepada Allah ﷻ lagi. Baginda sentiasa menghadapkan wajah baginda kepada Allah ﷻ. Baginda sentiasa kembali dan rujuk kepada Allah ﷻ dalam setiap perkara.

Kalimah أَوّٰهٌ ada mempunyai banyak maksud. Ia berasal daripada katadasar ا و ه yang bermaksud seorang yang penyayang, seseorang yang selalu mengeluh kerana kesian, seseorang yang sentiasa memuji Allah ﷻ. Oleh itu maksud أَوّٰهٌ antaranya adalah senang kembali kepada Allah ﷻ, juga bermaksud merendahkan diri, seseorang yang lembut hati, selalu mengadu kepada Allah ﷻ, seorang yang berdoa dengan banyak, juga bermaksud yang mempunyai belas kasihan yang banyak kepada manusia lain, suka berzikir dan berdoa.

Kalimah حَليمٌ pula bermaksud seorang yang penyabar. Bukannya setakat penyabar ketika ditimpa musibah, tetapi sabar tidak membalas. Untuk Allah ﷻ sifat حَليمٌ ini adalah tidak terus beri azab kepada hamba-Nya yang melakukan dosa. Bagi Nabi Ibrahim عليه السلام maksudnya baginda sabar walaupun ayahnya mungkar dan telah memarahi baginda. Ini kita boleh lihat dalam Maryam: 46

قالَ أَراغِبٌ أَنتَ عَن آلِهَتي يٰۤاِبرٰهِيمُ‌ۚ ۖ لَئِن لَّم تَنتَهِ لَأَرجُمَنَّكَ ۖ وَاهجُرني مَلِيًّا
(Bapanya) menjawab: “Adakah engkau bencikan tuhan-tuhanku, wahai Ibrahim? Demi sesungguhnya jika engkau tidak berhenti (daripada menyeru dan menasihati daku) sudah tentu aku akan melontarmu dengan batu; dan (ingatlah lebih baik) engkau tinggalkan daku sepanjang masa”.

Sekiranya orang lain yang menentang dan melakukan kemusyrikan, tidak mengapa lagi; akan tetapi apabila ayah sendiri tentunya menekan jiwanya. Namun baginda sabar. Walau apapun yang dikatakan oleh keluarga baginda, tetap tidak ambil pusing. Sedangkan baginda boleh sahaja membalas cacian dan makian ayahnya itu tetapi tidak baginda lakukan.

Apa pengajaran bagi kita pula? Kita pun patutnya kena ada juga sifat حَليمٌ ini terutama sekali kepada para pendakwah dan asatizah. Memang kalau berhadapan dengan golongan penentang kebenaran, golongan pengamal syirik dan bid’ah ini mereka memang kasar dan busuk mulut mereka. Disebabkan mereka tidak ada hujah maka mereka hanya ada kata-kata kesat dan makian sahaja. Namun kita janganlah ikut mereka pula. Kena bawa banyak bersabar dan حَليمٌ ini.

Ikutlah sunnah Nabi Ibrahim عليه السلام yang amat penyantun dan sensitif dengan keadaan orang lain. Baginda juga sangat sayang kepada keluarganya. Sebab itulah baginda susah untuk tinggalkan ayahnya itu. Baginda telah memberikan berbagai nasihat kepada ayahnya, tetapi ayahnya tidak mahu mendengar nasihatnya itu. Sehinggalah ayahnya sendiri menghalau baginda, barulah baginda tinggalkan ayahnya itu.

Baginda dapat menerima keadaan itu kerana baginda amat taat kepada Allah ﷻ. Ketaatan baginda kepada Allah ﷻ lebih tinggi lagi daripada ketaatan dan sayang baginda kepada ayahnya. Maka kita pun kenalah taat kepada Allah ﷻ juga dalam hal ini. Walaupun kita amat kasih kepada ahli keluarga kita, mungkin ibubapa kita sendiri, tetapi kita tetap lebih sayangkan Allah ﷻ daripada mereka. Mereka jatuh nombor dua dalam hati kita.

Kalau Allah ﷻ kata tidak boleh minta ampun untuk mereka (kalau mereka musyrik), maka janganlah kita melawan. Kerana kita tidak boleh buat apa pun – Allah ﷻ sahaja yang boleh ampunkan mereka, dan Allah ﷻ sudah kata yang Dia tidak akan ampunkan mereka yang melakukan syirik (dan mati dalam syirik).

Mereka kena bertaubat semasa mereka hidup untuk ada harapan diampunkan Allah ﷻ. Kalau sudah mati, tidak ada harapan lagi. Maka kenalah kita beri nasihat kepada ahli keluarga kita sementara mereka masih hidup lagi.


 

Tawbah Ayat 115: Sekarang Allah jelaskan kenapa tidak patut minta ampun bagi pihak musyrikin

وَما كانَ اللَّهُ لِيُضِلَّ قَومًا بَعدَ إِذ هَدىٰهُم حَتّىٰ يُبَيِّنَ لَهُم مّا يَتَّقونَ ۚ إِنَّ اللَّهَ بِكُلِّ شَيءٍ عَليمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And Allāh would not let a people stray after He has guided them until He makes clear to them what they should avoid. Indeed, Allāh is Knowing of all things.

(MALAY)

Dan Allah sekali-kali tidak akan menyesatkan suatu kaum, sesudah Allah memberi petunjuk kepada mereka sehingga dijelaskan-Nya kepada mereka apa yang harus mereka jauhi. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.

 

وَما كانَ اللَّهُ لِيُضِلَّ قَومًا بَعدَ إِذ هَدىٰهُم

Dan Allah sekali-kali tidak akan menyesatkan suatu kaum, sesudah Allah memberi petunjuk kepada mereka

Allah ﷻ mahu beri hidayah kepada mereka. Maka diberikan hukum hakam kepada mereka untuk mereka gunakan semasa di dunia. Kalau mereka tidak terima lagi hukum itu, maka mereka tidak dipersalahkan. Di dalam ayat sebelum ini telah disebut tentang perbuatan Nabi Ibrahim عليه السلام yang berdoa untuk bapanya. Ini adalah satu kesalahan, akan tetapi baginda tidak tahu yang ia adalah salah. Maka baginda tidak berdosa.

Ayat ini sama seperti di dalam ayat Isra’:15

وَما كُنّا مُعَذِّبينَ حَتّىٰ نَبعَثَ رَسولًا
dan Kami tidak akan mengazab sebelum Kami mengutus seorang rasul.

Iaitu Allah ﷻ tidak menghukum seseorang berdosa sehinggalah mereka tahu mana yang salah dan mana yang benar. Mana halal dan mana haram. Sebagai contoh, setelah ditukarkan kiblat dari BaitulMaqdis ke Mekah, ada sahabat yang tidak tahu kerana mereka bermusafir dan mereka terus solat mengadap BaitulMaqdis. Maka mereka tidak salah. Begitu juga ada sahabat yang terus juga minum arak walaupun arak telah diharamkan kerana tidak sampai lagi maklumat pengharaman itu kepada mereka. Maka mereka tidak berdosa.

 

حَتّىٰ يُبَيِّنَ لَهُم مّا يَتَّقونَ

sehingga dijelaskan-Nya kepada mereka apa yang harus mereka jauhi.

Allah ﷻ akan beri panduan hidup kepada manusia dan apa perkara yang perlu mereka jauhi. Kalau setelah mereka diberitahu tentang hukum hakam dan mereka ingkar selepas itu, barulah mereka layak dikenakan dengan azab dan masuk ke lembah kesesatan.

Begitu juga, Allah ﷻ tidak akan menyesatkan mana-mana kaum dengan sebab salah fatwa, sehinggalah mereka diberi hidayah mana yang perlu mereka jauhi. Maksudnya, kalau buat kesalahan kerana tidak tahu yang ia adalah salah, maka tidaklah mereka dipersalahkan. Ini adalah kerana mereka belum diberikan dengan hukum itu.

Sebelum ayat ini dikeluarkan, ada kalangan para sahabat yang berdoa supaya Allah ﷻ mengampunkan dosa ibubapa mereka yang musyrik. Waktu itu Allah ‎ﷻ belum keluarkan hukum lagi memberitahu yang perkara itu tidak dibenarkan. Maka, kalau dulu perbuatan mereka itu dimaafkan, tetapi sekarang tidak lagi dibenarkan.

Akan tetapi, janganlah pula ayat ini dijadikan dalil kalau tidak tahu hukum akan selamat pula. Kalau sekarang kita tidak tahu hukum, itu adalah kerana kejahilan kita. Sedangkan hukum telah lama diberikan, kita sahaja yang tidak tahu kerana tidak belajar. Maka alasan ‘tidak tahu’ bukanlah hujah yang boleh diterima.

 

إِنَّ اللَّهَ بِكُلِّ شَيءٍ عَليمٌ

Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.

Allah ﷻ maha mengetahui apakah dalam hati manusia. Allah ﷻ tahu siapa yang masih melakukan kesalahan kerana tidak tahu hukumnya dan siapa yang sudah tahu hukum, tetapi buat-buat tidak tahu. Allah ﷻ tahu segala apa yang terjadi di atas dunia dan langit.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 22 Ogos 2024

Ringkasan Surah Tawbah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien

Tafsir Surah al-Infithar Ayat 1 – 9 (Fizikal dan bathin manusia)

Pengenalan:

Surah ini hendak memberitahu kita semua bahawa di akhirat nanti tidak boleh lepas lari dari pengadilan Allah ﷻ. Kalau ditakdirkan masuk neraka, pun tidak dapat melarikan diri langsung.

Dakwa Surah ini ada dalam ayat ke 16. Kebanyakan ayat-ayat dalam surah ini adalah ayat-ayat takhwif ukhrawi. Surah ini diturunkan di Mekah di awal peringkat kenabian.

Ia mengandungi banyak penerangan tentang Hari Kiamat. Di dalam sebuah hadis, Nabi s.a.w pernah bersabda,

“Barang siapa yang ingin melihat gambaran hari kiamat seolah-olah dia melihat dengan matanya sendiri, maka bacalah (surah-surah): (Apabila matahari digulung) dan (Apabila langit terbelah) dan (Apabila gunung hancur)”. (Riwayat Imam Ahmad dan al-Tarmizi).

Ketiga-tiga ayat yang dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w di atas ialah surah At-Takwir, Al-Infitar dan Al-Insyiqaq.


 

Ayat 1: Ini adalah keadaan yang terjadi selepas tiupan Sangkakala Pertama. Surah ini boleh dibahagikan kepada 5 perenggan makro dan ayat 1 – 5 adalah Perenggan Makro Pertama memberikan gambaran Hari Kiamat. Ini adalah peringkat kehancuran dunia dan peringkat kebangkitan semula.

إِذَا السَّماءُ انفَطَرَت

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Al-Infiṭār: The Breaking Apart.

When the sky breaks apart

(MALAY)

Apabila langit terbelah,

 

Apabila langit terbelah. Kalimah إِذَا adalah untuk menarik perhatian manusia kepada kejadian yang akan terjadi di masa hadapan; juga إِذَا digunakan untuk menceritakan kejadian yang akan berlaku tiba-tiba. Kerana Kiamat itu nanti akan datang tiba-tiba. Mereka yang ditakdirkan mengalaminya, akan terkejut dengan kedatangan Kiamat itu kerana tidak ada tanda pun ia akan tiba. Tiba-tiba sahaja Sangkakala berbunyi dan bermulalah Kiamat itu.

Di dalam Surah Takweer, temanya adalah ‘kegelapan’ – kita telah baca bagaimana matahari akan hilang cahaya, keadaan malam yang menggelap dan sebagainya. Dan di dalam surah ini pula banyak disebut tentang ‘pecah‘. Ini hendak menceritakan kedahsyatan Hari Kiamat itu.

Kalimah انفَطَرَت dari katadasar ف ط ر yang bermaksud membelah dari hujung ke hujung. Juga bermaksud ‘mengoyakkan’. Ini hendak membayangkan kepada kita bagaimana langit akan dibelah dan dirosakkan dengan teruk sekali. Sekarang kita lihat langit itu nampak indah dan kukuh tetapi tidak selamanya ia akan begitu. Akan tiba masanya ia akan dirosakkan. Allah ﷻ mulakan surah ini dengan kejadian yang amat mengejutkan supaya kita beri perhatian dengan ayat-ayat seterusnya.

Penerima Al-Qur’an yang pertama adalah orang-orang Arab Mekah. Jadi Allah ﷻ bercakap dalam bahasa mereka dan dunia mereka yang mudah mereka lihat. Allah ﷻ memberi bayangan bagaimana langit adalah seperti bumbung khemah. Ini adalah kerana khemah itu dibuat dari kain dan yang boleh dibelah, dikoyak dengan pisau. Dengan perbandingan ini Allah ﷻ hendak memudahkan bangsa Arab memahami apa yang ingin disampaikan.

Mereka disuruh bayangkan bagaimana terbelahnya langit itu adalah seperti bumbung khemah dibelah dengan pisau. Kerana Allah ﷻ hendak mudahkan kita faham, Allah ﷻ bagi analogi yang mudah kita faham. Terutama mereka yang selalu tinggal di dalam khemah. Begitulah kalau kita mengajar manusia pun, memang mereka mudah faham kalau kita gunakan perbandingan (analogi).


 

Ayat 2: Setelah sebut tentang langit, Allah ﷻ sebut tentang bintang pula kerana bintang-bintang itu ada di langit.

وَإِذَا الكَواكِبُ انتَثَرَت

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when the stars fall, scattering,

(MALAY)

dan apabila bintang-bintang jatuh berserakan,

 

Apabila bintang-bintang bertaburan. Apabila langit telah dikoyakkan, tentu bintang-bintang juga akan jatuh berselerakan. Sekarang bayangkan analogi khemah lagi. Bayangkan bagaimana keadaannya jikalau mutiara ada di atas khemah dan khemah itu direntap? Tentu jatuhlah dan berselerakanlah mutiara-mutiara itu bukan?

Begitulah nanti dengan bintang-bintang yang di langit. Inilah kaitan antara ayat 1 dan 2 dan Allah ﷻ hendak beri kita faham dengan cara begini. Kalimah انتَثَرَت digunakan untuk sesuatu yang jatuh kerana digoncang kuat. Sekarang bayangkan beberapa mutiara yang diletak di atas cadar katil, dan kita rentap cadar itu, apa akan jadi kepada mutiara-mutiara itu? Begitulah dahsyatnya keadaan bintang-bintang nanti yang akan berselerakan macam mutiara kecil sahaja.

Sekarang kita lihat kalimah الكَواكِبُ. Dalam Al-Qur’an, ada banyak jenis kalimat yang digunakan untuk merujuk kepada bintang. Dan dalam ayat ini digunakan kalimah كَواكِبُ pula. Allah ﷻ gunakan nama-nama yang berbeza bagi bintang kerana hendak menyampaikan sesuatu yang berbeza dalam setiap ayat itu.

Salah satu nama yang digunakan untuk bintang adalah an-najm. An-najm adalah bintang yang cerah dan kemudian malap dan kemudian cerah balik. الكَواكِبُ pula adalah jenis bintang yang gemerlapan, bintang yang besar. Bukan bintang yang sekejap nampak sekejap tidak (itu adalah an-najm). الكَواكِبُ adalah jenis bintang yang dijadikan pedoman kepada pengembara di waktu malam kerana ia tetap ada.

Perumpamaan ini hebat kerana orang Arab gunakan bintang ini sebagai penunjuk arah di padang pasir dan di lautan semasa mengembara. Ini macam sistem GPS zaman dahulu. Kalau bintang itu jenis sekejap ada, sekejap tiada, tentu susah untuk dijadikan sebagai pedoman. Maknanya, Allah ﷻ hendak memberitahu, walaupun bintang yang besar pun akan jatuh juga.

Allah ﷻ juga gunakan isyarat ‘pedoman’ itu sebagai isyarat bagaimana pada hari itu, manusia akan kelihatan seperti tiada panduan. Kerana keadaan jadi kelam kabut sangat. Perkara yang mereka biasa lihat, biasa pegang, akan jadi tidak menentu dan sudah tidak tetap lagi. Mereka akan jadi amat kelam kabut, sampaikan yang mengandung akan keguguran dan yang ada anak menyusu pun mereka akan baling begitu sahaja.


 

Ayat 3:

وَإِذَا البِحارُ فُجِّرَت

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when the seas are erupted

(MALAY)

dan apabila lautan menjadikan meluap,

 

Apabila lautan pecah. Bayangkan macam tsunami keadaannya (tapi terjadi di seluruh dunia). Waktu itu air laut itu akan mendidih dan akan melimpah ruah naik ke daratan. Kerana kalau air mendidih, ia akan melimpah ruah, bukan?

Bandingkan dengan ayat Takweer:6.

وَإِذَا البِحارُ سُجِّرَت

dan apabila lautan dijadikan meluap

Dalam Surah Takweer itu, digunakan kalimah سُجِّرَت. Maksud سُجِّرَت bermaksud mendidih kerana panas. Sedangkan lafaz فُجِّرَت dalam surah ini lebih kepada pergerakan air itu sendiri. Air itu akan membuak-buak sampai melimpah naik ke daratan. Bayangkan yang laut itu meletup dan airnya melimpah merata-rata. Dan kita pun tahu yang air laut lagi banyak dari tanah daratan.


 

Ayat 4:

وَإِذَا القُبورُ بُعثِرَت

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when the [contents of] graves are scattered [i.e., exposed],

(MALAY)

dan apabila kuburan-kuburan dibongkar,

 

Apabila kubur-kubur dipecahkan. Kalimah ‘qubur’ adalah tanah yang dikorek untuk simpan mayat. Pada masa itu, kubur akan dibongkar dan makhluk yang di dalamnya akan dikeluarkan dari kubur mereka. Kalau sekarang, kita rasa kubur itu akan berkeadaan macam itu sahaja.

Akan tetapi, kubur itu akan pecah juga dan segala apa yang ada di dalamnya akan dikeluarkan. Ini adalah kerana sekarang bumi sedang tenang. Tapi nanti Kiamat, bumi akan bergegar sampaikan kandungan bumi pun akan terhambur keluar.

Kalimah بُعثِرَت bermaksud sesuatu yang dibongkarkan untuk mengeluarkan apa yang di dalamnya. Ini macam kita geledah beg untuk cari barang. Sampai kadang-kadang kita kena keluarkan semua apa yang ada di dalamnya. Begitulah nanti yang akan dilakukan kepada kubur kita nanti dan yang keluar dari kubur adalah mayat manusia.


 

Ayat 5: Ayat 1 – 4 tadi adalah lafaz-lafaz sumpah dari Allah ﷻ. Sekarang Allah ﷻ jawab bagi sumpah (jowabul qosam). Apabila semua itu terjadi nanti, apakah maksudnya?

عَلِمَت نَفسٌ ما قَدَّمَت وَأَخَّرَت

(SAHEEH INTERNATIONAL)

A soul will [then] know what it has put forth and kept back.

(MALAY)

maka tiap-tiap jiwa akan mengetahui apa yang telah dihantarkan dahulu dan yang dilalaikannya.

 

Apabila semua dalam ayat 1 – 4 itu terjadi, manusia dan jin akan tahu apa yang telah dikerjakan dan apa yang telah ditinggalkan oleh mereka. Ini adalah penerangan tambahan dari ayat Takweer:14.

عَلِمَت نَفسٌ ما أَحضَرَت

maka tiap-tiap jiwa akan mengetahui apa yang telah dikerjakannya.

Manusia akan tahu apa yang dia telah dikerjakan dan apa yang telah ditinggalkan. Manusia akan menyesali apa perkara yang telah dibuatnya (yang dihantar ke depan), apa yang telah ditinggalkan. أَخَّرَت (yang ditinggalkan) adalah apa yang sepatutnya dia buat tetapi dia telah tinggalkan dari buat, iaitu dia tidak buat.

Kalimah قَدَّمَت bermaksud sesuatu yang dihantar dahulu. Maknanya, segala amalan kita di dunia ini kita hantarkan dahulu dan akan menunggu kita di akhirat kelak. Kalau kita sudah hantar surat, tidak boleh ambil balik, bukan? Begitu juga dengan amalan kita, kalau sudah buat amalan, tidak boleh tukar balik, sama ada baik atau jahat.

Kerana ianya telah dihantar ke hadapan, ia akan menunggu kita di akhirat. Siapa yang akan bawa? malaikat yang menulis. Oleh kerana kita tidak dapat tukar lagi, maka berhati-hatilah dengan amalan kita. Kena buat sehabis baik, semampu kita.

Tapi ramai yang tidak beramal dengan amal yang baik. Ini adalah kerugian yang amat besar: kita ada peluang untuk buat baik tetapi kita tidak ambil peluang. Ini seperti solat, derma dan sebagainya. Ini semua akan menjadi sebab penyesalan di akhirat nanti.

Tetapi ada juga manusia yang ada peluang untuk buat jahat namun tidak diambil. Itu pun akan ditunjukkan juga. Dan kalau begitu, tentu seseorang itu akan suka nanti. Kerana perkara macam itu pun ada pahalanya. Sebagai contoh, katakanlah kita ada peluang untuk berzina, tetapi kita tidak lakukan – meninggalkan perbuatan dosa itu juga akan dapat pahala. Begitulah pemurahNya Allah ﷻ. Bukan perkara yang kita buat baik sahaja dapat pahala, perkara jahat yang kita tinggalkan pun akan dapat pahala.

Kalimat قَدَّمَت وَأَخَّرَت juga boleh bermaksud ‘dari amal yang awal dan paling akhir’. Iaitu amalan yang kita lakukan dari kita baligh sampailah kita mati nanti. Kadang-kadang kita berubah dari masa kita muda – masa muda buat kebaikan tetapi hampir nak mati, buat benda jahat pula. Itu adalah orang yang rugi sekali. Kerana amal kita dikira dengan amal yang akhir sekali kita lakukan.

Kalimat قَدَّمَت وَأَخَّرَت juga boleh bermaksud amal kita yang berterusan. Ada amal kita yang kita sudah mati pun ada lagi bertambah-tambah, sama ada yang baik atau yang tidak. Sebagai contoh, kita sedekahkan wang untuk buat masjid – selagi masjid itu ada dan digunakan orang, selagi itulah kita akan mendapat pahala berterusan; atau kita ajar seseorang untuk solat contohnya, setiap kali dia melakukan solat, kita akan dapat pahala, walaupun kita sudah mati nanti.

Tetapi, sebaliknya pula, kalau kita ajar orang berjudi, dan dia berjudi selepas itu, setiap kali dia berjudi, kita pun akan dapat saham dosa judi itu dari dia. Maka, kena berhati-hati. Kena pastikan kita ajar orang buat perkara yang baik, jangan ajar buat perkara yang salah. Termasuk dalam perkara yang salah atau amalan yang bidaah. Kalau dulu kita pernah ajar orang buat amalan bidaah, maka beritahu dia balik yang amalan itu salah dan kena tinggalkan.

Oleh itu, bila semua yang terjadi dalam ayat-ayat sebelum ini, maka barulah manusia teringat. Allah ﷻ beritahu kita awal-awal supaya kita boleh bersedia. Jangan kita menyesal yang amat sangat.


 

Ayat 6: Ayat 6 – 8 adalah Perenggan Makro Kedua dan ia mengandungi Dalil Rububiyyah dan bukti adanya Akhirat. Ayat 6 ini adalah ayat zajrun.

يا أَيُّهَا الإِنسانُ ما غَرَّكَ بِرَبِّكَ الكَريمِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O mankind, what has deceived you concerning your Lord, the Generous,

(MALAY)

Hai manusia, apakah yang telah memperdayakan kamu (berbuat durhaka) terhadap Tuhanmu Yang Maha Pemurah.

 

Dalam surah sebelum ini, ada soalan dan dalam surah ini juga ada soalan. Dalam Surah at-Takweer, Allah ﷻ tanya: فَأَينَ تَذهَبونَ “ke mana kamu semua hendak pergi?”. Dalam ayat ini, soalan yang diberikan lagi berat: Allah ﷻ bertanya kepada mereka yang telah mengerjakan perbuatan mungkar dan dosa: apakah yang telah menipu mereka? Apakah yang telah menyebabkan mereka lupa kepada Allah ﷻ? Apa yang menipu mereka sampai mereka sanggup buat segala dosa itu?

Setelah apa yang Allah ﷻ telah berikan kepada mereka, telah ajar mereka, tetapi mereka masih lagi buat syirik, buat dosa, maka tentu ada sesuatu yang menyebabkan mereka terpesong, bukan? Allah ﷻ tanya dengan keras: “Siapa yang menipu kamu ni?” Kalimah غَرَّ bermaksud apabila seorang sedang lalai dan kita ambil sesuatu dari mereka macam duit mereka. Selalu pelancong kena macam ini apabila pergi ke tempat baru.

Begitulah, kalau kita lalai dalam kehidupan dunia ini, yang ambil peluang adalah syaitan. Syaitan akan tunggu sahaja bila masa kita lalai, lupa padaNya. Maka kerana itu kena belajar cara-cara Iblis dan syaitan menipu. Kena belajar syarah Talbis Iblis karangan Ibnul Jauzi. Di dalam kitab itu diceritakan bagaimana cara syaitan menipu supaya kita boleh ambil langkah berjaga-jaga.

Allah ﷻ gunakan lafaz Rabb dalam ayat ini kerana Allah ﷻ hendak ingatkan kita tentang sifatNya yang menjaga dan mengurus kita. Segala keperluan kita dalam hidup ini, Allah ﷻlah yang berikan. Allah ﷻ ingatkan kita yang kita adalah hambaNya. Allah ﷻ sudah berikan segalanya, tetapi manusia tetap lupa kepada Allah ﷻ.

Allah ﷻ mengingatkan kepada kita dengan SifatNya كَريمِ  . الكَريمِ bermaksud ‘mulia’ dan juga boleh bermaksud ‘pemurah’. Allah ﷻ sudah pemurah yang amat pemurah, sudah bagi macam-macam kepada kita. Tetapi ramai manusia yang ambil peluang dengan kemurahan Allah ﷻ itu. Begitulah kadang-kadang kalau guru kita baik dan lembut, pelajar ramai yang ambil peluang dengan kebaikan guru itu. Tidak sama kalau guru garang, sebab pelajar akan takut.

Tetapi, bayangkan waktu guru itu hendak beri keputusan kertas ujian, guru itu kata: “saya dulu baik dengan kamu, kenapa kamu buat macam ini?” Bagaimana perasaan pelajar itu nanti? Tentu perasaan dia akan remuk. Dan sekarang bayangkan Allah ﷻ telah beri macam-macam kepada kita. Tetapi kita masih lagi buat salah, tidak kisah dengan kehendak Allah ﷻ. Maka kena baca balik ayat ini, seolah-olah Allah ﷻ berkata: “kenapa kamu masih buat salah lagi? Kerana masih engkar lagi? Sedangkan Aku telah beri macam-macam kepada kamu?”

Kalimah الإِنسانُ bermaksud manusia yang ‘mudah lupa’. Begitulah, ramai manusia yang lupa mereka kena taat dengan Allah ﷻ. Sedangkan makhluk lain seperti binatang, tumbuhan dan alam lain tidak lupa dengan tanggungjawab sebagai hamba kepada Allah ﷻ.

Jadi apa yang melupakan kita kepada tanggungjawab kita? Ini adalah kerana kita terpesona dengan dunia sampai terlupa kepada tanggungjawab kita kepada Allah ﷻ. Sedangkan Allah ﷻ telah begitu pemurah dengan kita, dan Allah ﷻ telah muliakan kita. Maka kerana itu banyak ayat-ayat Al-Qur’an yang mengingatkan kita kepada bahayanya dunia yang memukau kita.


 

Ayat 7: Apakah maksud Allah ﷻ muliakan manusia? Allah ﷻ kenangkan balik apa yang Dia telah lakukan buat kita.

الَّذي خَلَقَكَ فَسَوّاكَ فَعَدَلَكَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Who created you, proportioned you, and balanced you?

(MALAY)

Yang telah menciptakan kamu lalu menyempurnakan kejadianmu dan menjadikan kamu seimbang,

 

Manusia ramai yang lupa kepada Allah ﷻ yang telah menjadikan mereka. Menjadikan manusia dari tidak ada kepada ada. Kemudian Allah  فَسَوّاكَ (menyempurnakan kamu). Iaitu Allah ﷻ perbaiki keadaan diri kita supaya jadi lebih baik. Ini macam syarikat kereta yang finetune kereta sebelum dijual. Kereta itu sudah ada, tetapi diperbaiki lagi.

Kalimah فَعَدَلَكَ (menyeimbangkan kamu) maksudnya kita diberi dengan kelebihan ada keseimbangan. Memang banyak keseimbangan yang disentuh dalam Al-Qur’an; bila ada syurga, ada neraka; ada kiri dan ada kanan; ada malam dan ada siang dan macam-macam lagi.

Dari sini, kita sebagai manusia diajar untuk jadi seimbang – antara individu dan masyarakat, ibadat peribadi dan ibadat berjemaah, contohnya. Ini adalah satu perbincangan yang luas. Tetapi secara dasarnya, dalam macam-macam hal kita diseimbangkan. Kerana kita pun suka perkara yang seimbang, ia telah ada dalam fitrah kita.

Allah ﷻ jadikan kita dalam bentuk yang terbaik sekali apabila kita seimbang. Sebagai contoh, kita ada fizikal yang bersifat batin sekali. Sebagai contoh, kita ada mata, dan mata itu boleh melihat – mata itu fizikal dan kebolehan melihat itu adalah sifat batin; kita ada lubang telinga (fizikal) dan ia boleh mendengar (batin). Tidak semua jadi begitu kerana kadang ada manusia yang ada benda yang fizikal tetapi sifat batin tidak ada – biji mata yang fizikal ada, tetapi tidak dapat melihat (buta), lubang telinga ada tetapi tidak dapat mendengar (pekak).

Sifat keseimbanganlah yang menjadi topik terpenting dalam surah ini. Allah ﷻ mengajar kita supaya jangan tengok fizikal luaran sahaja, tetapi lihatlah ke dalam diri kita. Jangan cantikkan luaran diri kita sahaja, tetapi kenalah cantikkan batin kita juga.

Untuk faham dan terima Al-Qur’an pun, kena ada nur keimanan dalam hati kita, baru boleh terima. Mungkin ada yang tanya, apakah hujah yang paling kuat untuk orang kafir menerima hujah dalam Al-Qur’an? Adakah ayat-ayat yang sekali kita baca kepadanya, boleh mengubah mereka dari kafir kepada beriman? Kita kata Al-Qur’an hebat sangat, kan? Tapi kenapa sudah dibacakan ayat-ayat Al-Qur’an kepada orang kafir, mereka tidak beriman pun?

Kita jawab, untuk menerima hujah dalam Al-Qur’an, kenalah ada sedikit nur iman dalam hati manusia. Kerana untuk terima Al-Qur’an, bukanlah dengan hujah intelek sahaja. Kena ada nur dalam hati manusia itu supaya terbuka untuk terima.

Dan nur iman ini semua manusia telah diberikan dalam fitrah manusia, sama ada mereka hendak matikan atau tidak fitrah itu. Macam Firaun, dia telah diberikan dengan segala hujah, ditunjukkan dengan segala mukjizat yang besar-besar, tetapi kerana nur iman langsung tidak ada dalam hati dia, dia tidak terima segala hujah itu.

Sedangkan ahli sihir pun teruk juga asalnya, tetapi mereka ada nur lagi dalam hati mereka, maka mereka dapat terima. Oleh itu, orang yang kafir, kalau mereka membuka hati mereka untuk menerima kebenaran, tentu mereka boleh terima hujah yang ada dalam Al-Qur’an. Tetapi kalau mereka telah matikan langsung nur itu, cakaplah apa sahaja, berilah apa ayat pun, mereka tidak akan terima.


 

Ayat 8:

في أَيِّ صورَةٍ ما شاءَ رَكَّبَكَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

In whatever form He willed has He assembled you.

(MALAY)

dalam bentuk apa saja yang Dia kehendaki, Dia menyusun tubuhmu.

 

Kalimah صورَةٍ adalah sesuatu yang berbentuk yang kita boleh tengok dan boleh dibandingkan, dibezakan dengan bentuk lain. Macam bentuk fizikal kita boleh dibandingkan dengan lembu, dengan monyet dan nampak perbezaannya.

Allah ﷻ menjadikan kita dalam apa saja bentuk yang Dia kehendaki. Kalimah ركب secara literal bermaksud ‘meletakkan sesuatu’. Allah  ﷻ boleh letakkan kita dalam bentuk apa pun. Bayangkan kanak-kanak yang bermain lego – dia letak dan letak pecahan lego itu sampai jadi satu bentuk. Allah ﷻ yang tentukan macam mana rupa kita, Allah ﷻ susun dalam bentuk DNA. Dan kita memang hanya boleh menerima sahaja. Kita tidak boleh hendak minta dijadikan dalam bentuk lain, rupa lain. Kalau tidak cantik pun, tidak cantiklah.

Imam Mujahid bin Jabar رحمه الله mengatakan bahawa makna yang dimaksudkan ialah kita ini mirip dengan ayah, atau ibu, atau paman dari pihak ibu ataukah paman dari pihak ayah, menurut apa yang dikehendaki-Nya. Di dalam kitab Sahihain telah disebutkan dari Abu Hurairah رضي الله عنه:

أَنَّ رَجُلا قَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنَّ امْرَأَتِي وَلَدت غُلامًا أسودَ؟. قَالَ: “هَلْ لَكَ مِنْ إِبِلٍ؟ “. قَالَ: نَعَمْ. قَالَ: “فَمَا أَلْوَانُهَا؟ ” قَالَ: حُمر. قَالَ: “فَهَلْ فِيهَا مَنْ أورَق؟ ” قَالَ: نَعَمْ. قَالَ: “فَأَنَّى أَتَاهَا ذَلِكَ؟ ” قَالَ: عَسَى أَنْ يَكُونَ نَزْعَةَ عِرْق. قَالَ: “وَهَذَا عَسَى أَنْ يَكُونَ نَزْعَةَ عِرْقٍ”

bahawa pernah seorang lelaki bertanya, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya isteriku telah melahirkan anak laki-laki yang berkulit hitam.” Baginda bertanya balik, “Apakah engkau mempunyai ternak unta?” Lelaki itu menjawab, “Ya.” Baginda bertanya, “Apakah warna bulunya?” Lelaki itu menjawab, “Merah:” Baginda bertanya, “Apakah di antaranya ada yang berbulu kelabu?” Lelaki itu menjawab, “Benar, ada.” Baginda bertanya, “Lalu dari manakah ia?” Lelaki itu menjawab, “Barangkali dari keturunannya yang dahulu.” Baginda bersabda, “Dan barangkali anakmu ini pun sama berasal dari moyangnya yang dahulu.”

Makna yang dimaksudkan dari berbagai pendapat para mufassir, dapat disimpulkan bahawa Allah ﷻ berkuasa untuk menciptakan nutfah (air mani) menjadi manusia yang buruk rupanya seperti haiwan yang rupanya menjijikkan. Tetapi berkat kekuasaan-Nya dan kasih sayang-Nya kepada makhluk-Nya, Dia menciptakan manusia dalam bentuk yang baik, tegak, sempurna, dan indah penampilan serta rupanya.

Apa-apa sahaja yang Allah ﷻ lakukan terhadap kita, itu adalah hak Allah ﷻ, Allah ﷻ boleh lakukan apa sahaja yang Dia kehendaki. Termasuk qada’ dan qadar kita. Kita kena terima sahaja dan redha dengan apa yang berlaku. Tetapi malangnya, ada orang yang mempersoalkan Allah ﷻ. Mereka tidak dapat terima apa yang Allah ﷻ tentukan pada dirinya.

Mereka kata mereka tidak buat salah pun, tetapi mereka kena juga segala macam musibah – mereka persoal pula: “kenapa Allah ﷻ buat kami jadi begini”? Kerana tidak dapat terima ketetapan inilah, ramai yang tanya: “kenapa ada kesusahan dalam dunia? Kenapa ada orang yang cacat?” Dan macam-macam lagi persoalan mereka.

Kerana salah faham sebeginilah, ada golongan yang atheis yang tidak percaya kewujudan Tuhan ﷻ- kerana pada mereka, macam mana mereka hendak terima Tuhan yang sebegini? Mereka kata, kalau ada Tuhan, takkan Tuhan itu kejam? Bagaimana kita hendak jawab persoalan yang sebegini?

Jawapannya ada dalam kalimah Rabb – Allah ﷻ itu Tuhan kita dan kita adalah hambaNya. Kita tidak ada kuasa apa-apa pun untuk persoal apa yang Dia hendak lakukan. Kita kena terima dengan lapang dada yang kita tidak ada hak hendak mempersoalkan apa yang Allah ﷻ lakukan terhadap kita. Macam seorang hamba di dunia yang tidak ada hak apa-apa pun untuk menolak suruhan dan arahan tuannya.

Zaman sekarang kita sudah tidak ada hamba abdi lagi. Tetapi dari pengetahuan kita semasa zaman ada hamba dulu, memang seorang hamba tidak ada hak untuk mempersoalkan arahan tuannya. Kerana mereka memang tidak ada hak. Begitulah juga kita dengan Allah ﷻ, kita adalah hak Dia. Samalah juga, kalau kita ada barang yang memang kita punya, kita boleh buat apa sahaja yang kita hendak dengannya – nak pakai, nak buang, nak musnahkan, apa sahaja.

Dalam ayat ini, Allah ﷻ ingatkan kita yang kita tidak boleh hendak persoalkan Allah ﷻ apa sahaja. Dia hendak buat apa sahaja dengan rupa kita – begitulah kalau tidak ada hak untuk mempersoalkan apa yang Allah ﷻ lakukan dengan rupa kita, begitu jugalah kita tidak ada hak untuk mempersoalkan apa yang Allah ﷻ hendak buat dengan nasib kita.

Kita kena ingat yang kita tidak bayar apa-apa pun kepada Allah ﷻ atas segala apa yang kita ada. Allah ﷻ beri secara percuma sahaja kerana Dia rabb. Dan kerana itu, kalau apa pun yang Allah ﷻ kenakan kepada kita, Dia tetap rabb kita.

Inilah yang penting sekali kita kena faham dari keseluruhan Al-Qur’an – Dia Tuhan dan kita hamba. Dan kerana itu kita kena terima sahaja. Dan kalau ada yang susah hendak terima, mereka akan ada masalah. Tidak kiralah sama ada orang kafir atau orang Islam sekali pun.


 

Ayat 9: Tetapi apa yang manusia buat? Ayat 9 – 12 adalah Perenggan Makro Ketiga. Allah ﷻ memberitahu kita, dengan mendustakan Akhirat menyebabkan manusia lalai.

كَلّا بَل تُكَذِّبونَ بِالدّينِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

No! But you deny the Recompense.

(MALAY)

Tidak!, bahkan kamu mendustakan hari pembalasan.

 

Kalimah كَلّا ini sebagai penekanan yang Allah ﷻ marah dengan manusia yang engkar. Selepas diberi segalanya oleh Allah ﷻ, masih ada lagi yang tidak mahu taat kepada Allah ﷻ. Ia adalah lafaz penekanan yang bermaksud Allah ﷻ murka dan marah dengan manusia yang engkar dan lalai.

Maksud ‘dusta’ adalah tidak percaya. Allah kata: Kamu sendiri yang tidak percaya kepada hari pembalasan. Perbuatan takzeeb (mendustakan) terjadi apabila kita kata seseorang itu menipu, menuduh orang itu sebagai penipu, tetapi tuduhan kita itu sendiri adalah penipuan. Apabila seseorang itu kata yang orang yang memberitahu itu menipu, maknanya dia tidak percaya dengan perkara yang disampaikan.

Siapa yang Allah ﷻ kata mereka menipu? Allah ﷻ beritahu bahawa mereka yang engkar itu melakukan takzeeb terhadap deen (agama) sendiri. Bayangkan, mereka kata agama ini yang menipu. Seolah-olah apabila deen/agama kata kena buat A, mereka kata itu adalah penipuan.

Mari kita berbincang sedikit tentang kalimah الدّينِ. Ini adalah satu kalimah yang biasa kita dengar dan baca. Jadi ada banyak sekali pemahaman dan perbincangan tentang perkara ini. Kita cuba bincangkan dengan ringkas sahaja di sini.

Kalimah الدّينِ diambil dari katadasar د ي ن – salah satu maksudnya adalah pinjaman. Ini terjadi apabila kita ambil sesuatu dan kita kena bayar balik. Inilah sebenarnya konsep agama Islam – segala apa yang kita dapat dalam dunia ini, kita kena bayar balik sebenarnya. Ia tidak percuma sebenarnya, tapi bagaimana kita nak bayar?

Kita bayar dengan kita melakukan taat kepada Allah  ﷻ – maksudnya apa yang Allah ﷻ suruh, kita kena lakukan. Itu sudah cukup sebagai bayaran kepada pemberian Allah ﷻ. Memang tidak sama nilai taat kita itu kalau dibandingkan dengan segala nikmat yang Allah ﷻ berikan kepada kita, tetapi Allah ﷻ kata itu sudah cukup, maka alhamdulillah hutang kita terlangsai kalau begitu.

Begitu juga, apa yang kita buat di dunia akan dibayar kepada kita. Setiap kita ada yang perlu kita bayar/berikan – kita kena bayar kepada ahli keluarga kita, anak-anak kita, suami isteri kita, kepada pemimpin dan sebagainya. Itu semua adalah dalam bentuk tanggungjawab. Dan kalau kita tidak penuhi, maka ada yang kita hutang, dan kalau hutang, nanti kena tuntut.

Masalahnya, dituntut itu nanti di akhirat dan itu akan menyusahkan kita. Kerana pada waktu itu, tidak boleh dibayar dengan wang, tapi dibayar dengan pahala. Sudahlah pahala tidak banyak, kena beri kepada orang pula. Dan kalau sudah habis pahala, nak bayar macam mana lagi? Kita ambil pula dosa dia ditampuk ke belakang kita!

Dan kalimah الدّينِ juga membawa maksud bahawa segala apa yang kita lakukan pun akan dibayar juga – maknanya akan dibalas di akhirat kelak – sama ada baik atau buruk. Kalau baik dibalas baik dan kalau jahat akan dibalas buruk pula.

Jadi Allah ﷻ marah sekali dengan mereka yang mendustakan الدّينِ, mendustakan agama. Macam-macam cara manusia boleh lakukan dalam mendustakan agama itu. Di dalam surah sebelum ini, mereka kata Nabi ﷺ majnun (gila). Itu adalah salah satu dari menipu deen. Kerana menolak pembawa wahyu iaitu Rasulullah ﷺ sendiri.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 27 September 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah Tawbah Ayat 111 – 112 (Kelebihan Mati Syahid)

PERNIAGAAN YANG TERBAIK

Tawbah Ayat 111: Sekarang Allah berikan perumpamaan orang yang baik-baik pula

۞ إِنَّ اللَّهَ اشتَرىٰ مِنَ المُؤمِنينَ أَنفُسَهُم وَأَموٰلَهُم بِأَنَّ لَهُمُ الجَنَّةَ ۚ يُقٰتِلونَ في سَبيلِ اللَّهِ فَيَقتُلونَ وَيُقتَلونَ ۖ وَعدًا عَلَيهِ حَقًّا فِي التَّورىٰةِ وَالإِنجيلِ وَالقُرءآنِ ۚ وَمَن أَوفىٰ بِعَهدِهِ مِنَ اللَّهِ ۚ فَاستَبشِروا بِبَيعِكُمُ الَّذي بايَعتُم بِهِ ۚ وَذٰلِكَ هُوَ الفَوزُ العَظيمُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, Allāh has purchased from the believers their lives and their properties [in exchange] for that they will have Paradise. They fight in the cause of Allāh, so they kill and are killed. [It is] a true promise [binding] upon Him in the Torah and the Gospel and the Qur’ān. And who is truer to his covenant than Allāh? So rejoice in your transaction which you have contracted. And it is that which is the great attainment.

(MALAY)

Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar.

 

إِنَّ اللَّهَ اشتَرىٰ مِنَ المُؤمِنينَ أَنفُسَهُم وَأَموٰلَهُم

Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka

Allah ﷻ memberitahu yang orang yang berjihad telah diberi kefahaman bahawa usaha mereka akan dikira sebagai pahala. Mereka sanggup berjihad kerana mereka sudah memahami tentang agama. Mereka sanggup mengorbankan diri mereka dan wang ringgit mereka untuk agama Allah ﷻ. Mereka sanggup untuk berjihad menegakkan agama Allah ﷻ.

Allah ﷻ gunakan perumpamaan jual beli kerana manusia suka berjual beli. Sekarang bayangkan jual beli ini jenis yang bagaimana?

Siapakah pembelinya? Allah ﷻ
Siapakah penjualnya? Orang Mukmin

Apakah matawang yang digunakan? Jiwa dan harta orang Mukmin itu.
Apa yang dibeli? Syurga dan segala nikmat di dalamnya.

Dalam kita berjual beli kita sudah tentu kita mahukan keuntungan, bukan? Maka adakah golongan Mukmin itu beruntung dalam jual beli ini, atau rugi? Tentu sekali untung! Ini adalah jual beli yang sangat-sangat menguntungkan. Bayangkan jiwa dan harta itu pun asalnya adalah milik Allah ﷻ, dan sekarang Allah ﷻ suruh beri barang yang milik-Nya untuk ditukarganti dengan syurga yang amat hebat, jauh lebih berharga daripada jiwa dan harta orang Mukmin itu.

 

بِأَنَّ لَهُمُ الجَنَّةَ

dengan memberikan syurga untuk mereka.

Modal para mukmin itu adalah diri dan harta mereka. Allah ﷻ bayar dengan syurga untuk mereka. Allah ﷻ memberi perumpamaan dalam ayat ini: Orang mukmin sebagai penjual dan Allah ﷻ sebagai pembeli. Allah ﷻ beri perumpamaan transaksi jual beli, kerana manusia faham sangat dengan perumpamaan ini. Kalau mukmin sebenar, mesti dia akan beri diri dia untuk agama, dan harta dia untuk agama.

Balaghah: Selalunya, dalam kebanyakan ayat-ayat yang lain tentang jihad, disebut ‘harta’ dahulu baru disebut ‘diri’ tetapi dalam ayat ini, disebut diri terlebih dahulu, barulah harta. Kenapa susunan yang berlainan kali ini?

Didahulukan disebut ‘diri’ kerana bukan semua orang ada harta untuk diberikan untuk berjihad. Akan tetapi, semua orang ada diri mereka. Untuk memperbaiki diri sendiri, kena mulakan dengan diri sendiri dahulu. Sedangkan dalam ayat-ayat jihad yang lain, dimulakan dengan harta, kerana perang memerlukan harta.

Janji Allah ﷻ itu pasti tetapi ramai yang tidak percaya kepada janji ini. Ini adalah kerana jual beli dengan Allah ﷻ ini bukanlah secara tunai namun dalam bentuk ‘hutang’. Kita kena beri dahulu diri dan harta kita, tetapi Allah ﷻ akan bayar dalam bentuk hutang. Di akhirat nanti baru dibayar dengan syurga. Sedangkan manusia kebanyakannya suka untuk mendapat tunai terus, bukan?

Bayangkan, kalau kita hendak membeli rumah, tentu kita mahu melihat rumah itu dulu, bukan? Kita pun sudah keluarkan duit yang banyak. Namun rumah yang Allah ﷻ janjikan di syurga ini tidak dapat dilihat dahulu. Inilah nilai iman. Mesti beriman, baru boleh terima perjanjian transaksi ini.

Akan tetapi begitulah ujian daripada Allah ﷻ. Allah ﷻ mahu menguji iman hamba-Nya sama ada boleh percaya atau tidak dengan janji-janji-Nya. Pulangan apabila percaya dengan janji itu adalah syurga – nikmat yang berkekalan sampai bila-bila.

 

يُقٰتِلونَ في سَبيلِ اللَّهِ

Mereka berperang pada jalan Allah; 

Mereka yang percaya sungguh-sungguh itu sanggup berperang di jalan Allah ﷻ. Allah ﷻ tekankan berperang itu mesti kerana jalan Allah ﷻ. Ini kerana ramai yang berperang bukannya kerana Allah ﷻ tetapi kerana hendak mendapatkan kuasa atau tanah jajahan. Itu tidak termasuk.

Allah ﷻ namakan jalan itu jalan Allah ﷻ kerana Allah ﷻ yang suruh dan tentukan dan jalan itu akan membawa kepada Allah ﷻ.

 

فَيَقتُلونَ وَيُقتَلونَ

lalu mereka membunuh atau terbunuh.

Apabila terlibat dalam peperangan, kadang-kadang mereka membunuh musuh Allah ﷻ dan kadang-kadang terbunuh oleh musuh Allah ﷻ. Itu adalah ujian yang perlu dilalui. Kalau mereka membunuh dan menang, mereka mendapat pahala dan harta ghanimah; dan kalau mereka terbunuh, mereka akan terus dapat masuk ke dalam syurga. Dalam hadith disebutkan:

أَبَا هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ انْتَدَبَ اللَّهُ لِمَنْ خَرَجَ فِي سَبِيلِهِ لَا يُخْرِجُهُ إِلَّا إِيمَانٌ بِي وَتَصْدِيقٌ بِرُسُلِي أَنْ أُرْجِعَهُ بِمَا نَالَ مِنْ أَجْرٍ أَوْ غَنِيمَةٍ أَوْ أُدْخِلَهُ الْجَنَّةَ وَلَوْلَا أَنْ أَشُقَّ عَلَى أُمَّتِي مَا قَعَدْتُ خَلْفَ سَرِيَّةٍ وَلَوَدِدْتُ أَنِّي أُقْتَلُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ثُمَّ أُحْيَا ثُمَّ أُقْتَلُ ثُمَّ أُحْيَا ثُمَّ أُقْتَلُ
Abu Hurairah  رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ daripada Nabi ﷺ, baginda bersabda: “Allah menjamin orang yang keluar (berperang) di jalan-Nya, tidak ada yang mendorongnya keluar kecuali kerana iman kepada-Ku dan membenarkan para rasul-Ku untuk mengembalikannya dengan memperoleh pahala atau ghanimah atau memasukkannya ke syurga. Kalau seandainya tidak memberatkan umatku tentu aku tidak akan duduk tinggal diam di belakang sariyyah (pasukan khusus) dan tentu aku ingin sekali bila aku terbunuh di jalan Allah lalu aku dihidupkan lagi kemudian terbunuh lagi lalu aku dihidupkan kembali kemudian terbunuh lagi”.
(Sahih Bukhari (35))

 

وَعدًا عَلَيهِ حَقًّا فِي التَّورىٰةِ وَالإِنجيلِ وَالقُرءآنِ

janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Qur’an. 

Janji Allah ﷻ ini bukan baru sahaja diberikan, tetapi telah ada dalam Taurat, dalam Injil dan sekarang dalam Al-Qur’an. Juga telah disebut tentang sifat sanggup berjihad ini dalam kitab-kitab dulu – iaitu mereka yang beriman akan mengorbankan diri mereka dan harta mereka.

Allah ﷻ hendak memberitahu yang syariat Jihad ini sudah ada diberikan kepada umat-umat terdahulu. Oleh itu bukanlah umat Nabi Muhammad ﷺ yang pertama sekali diarahkan menjalankan jihad. Kalau kita yang pertama, tentu rasa berat, bukan? Kerana itu dari segi psikologi kalau kita tahu kita bukan yang pertama, maka beban itu tidak terasa berat. Lihat bagaimana Allah ﷻ juga telah memberitahu yang syariat Puasa juga telah diamalkan oleh umat terdahulu dan ini disebut  dalam Baqarah: 183

كُتِبَ عَلَيكُمُ الصِّيامُ كَما كُتِبَ عَلَى الَّذينَ مِن قَبلِكُم
Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu,

Allah ﷻ beritahu umat-umat terdahulu pun kena berpuasa juga, maka jangan rasa berat sangat. Begitu jugalah dengan jihad ini. Maknanya sama sahaja yang disampaikan dalam ketiga-tiga agama ini kerana ketiga-tiga agama ini dari langit, agama yang ada kitab. Tidak sama kalau dibandingkan dengan agama lain seperti Buddha, Hindu dan sebagainya yang tidak ada apa. Oleh itulah mereka yang menganut agama-agama itu telah ketinggalan.

Akhirnya nanti, mereka sendiri akan terasa malu dengan agama mereka yang tidak ada asas langsung. Itulah sebabnya, lama-lama mereka akan masuk agama yang ada kitab: sama ada Islam atau Kristian kerana Yahudi tidak membenarkan orang luar masuk agamanya. Sebab itu dalam riwayat telah diberitahu yang akhir zaman nanti, kita akan perang dengan dua golongan ini sahaja.

 

وَمَن أَوفىٰ بِعَهدِهِ مِنَ اللَّهِ

Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah?

Jikalau Allah ﷻ telah berjanji, yakinlah kita yang Allah ﷻ pasti akan penuhi janji itu. Tidak ada janji yang lebih kuat daripada janji Allah ﷻ. Manusia yang berjanji, belum tentu dia dapat penuhi.

Allah ﷻ banyak memberitahu tentang kelebihan jihad juga banyak menjanjikan balasan yang akan diberikan kepada orang yang berjihad. Antaranya di dalam Ali Imran: 169

وَلا تَحسَبَنَّ الَّذينَ قُتِلوا في سَبيلِ اللَّهِ أَمْوَٰتًۢا ۚ بَل أَحياءٌ عِندَ رَبِّهِم يُرزَقونَ
Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki;

فَرِحينَ بِما ءَاتَىٰهُمُ اللَّهُ مِن فَضلِهِ وَيَستَبشِرونَ بِالَّذينَ لَم يَلحَقوا بِهِم مِّن خَلفِهِم أَلّا خَوفٌ عَلَيهِم وَلا هُم يَحزَنونَ
(Dan juga) mereka bersukacita dengan kurniaan Allah (balasan mati Syahid) yang telah dilimpahkan kepada mereka, dan mereka bergembira dengan berita baik mengenai (saudara-saudaranya) orang-orang (Islam yang sedang berjuang), yang masih tinggal di belakang, yang belum (mati dan belum) sampai kepada mereka, (iaitu) bahawa tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

۞ يَستَبشِرونَ بِنِعمَةٍ مِّنَ اللَّهِ وَفَضلٍ وَأَنَّ اللَّهَ لا يُضيعُ أَجرَ المُؤمِنينَ
Mereka bergembira dengan balasan nikmat daripada Allah dan limpah kurnia-Nya; dan (ingatlah), bahawa Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang beriman.

 

فَاستَبشِروا بِبَيعِكُمُ الَّذي بايَعتُم بِهِ

maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu,

Sesiapa yang menepati janji kepada Allah ﷻ – menukar diri dan harta mereka dengan syurga Allah ﷻ, bergembiralah kamu dengan penjualan kamu. Allah ﷻ bercakap terus dengan mereka (kataganti nama kedua) sebagai taqrib – mendekatkan diri dengan mereka.

 

وَذٰلِكَ هُوَ الفَوزُ العَظيمُ

dan itulah kemenangan yang besar.

Kalau kita berjaya mendapat apa yang dijanjikan oleh Allah ﷻ itu, itulah kejayaan yang amat besar sekali. Kalau kita mendapat kelebihan Mati Syahid alangkah hebatnya! Rasulullah telah menyebut kelebihan mati syahid antaranya,

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِلشَّهِيدِ عِنْدَ اللَّهِ سِتُّ خِصَالٍ يُغْفَرُ لَهُ فِي أَوَّلِ دَفْعَةٍ وَيَرَى مَقْعَدَهُ مِنْ الْجَنَّةِ وَيُجَارُ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَيَأْمَنُ مِنْ الْفَزَعِ الْأَكْبَرِ وَيُوضَعُ عَلَى رَأْسِهِ تَاجُ الْوَقَارِ الْيَاقُوتَةُ مِنْهَا خَيْرٌ مِنْ الدُّنْيَا وَمَا فِيهَا وَيُزَوَّجُ اثْنَتَيْنِ وَسَبْعِينَ زَوْجَةً مِنْ الْحُورِ الْعِينِ وَيُشَفَّعُ فِي سَبْعِينَ مِنْ أَقَارِبِهِ
Rasulullah ﷺ bersabda: Orang yang mati syahid di sisi Allah mempunyai enam keutamaan, dosanya akan diampuni sejak awal kematiannya, diperlihatkan tempat duduknya di syurga, dijaga daripada seksa kubur, diberi keamanan daripada ketakutan yang besar saat dibangkitkan dari kubur, diberi mahkota kemuliaan yang satu permata daripadanya lebih baik daripada dunia seisinya, dinikahkan dengan tujuh puluh dua bidadari dan diberi hak untuk memberi syafaat kepada tujuh puluh orang daripada keluarganya,”
(Jami’ At-Tirmidzi No. 1586)
Status: Hasan

Mungkin ramai di antara kita takut dengan kesakitan mati. Nah, telah thabit di dalam hadith menyatakan orang yang mati syahid tidak merasai kesakitan sakit dibunuh. Antara hadith tersebut ialah apa yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, al-Tirmidzi, al-Nasa’ie, Ibn Majah, Ibn Hibban dan al-Baihaqi daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, bahawa Nabi ﷺ bersabda:

مَا يَجِدُ الشَّهِيدُ مِنْ مَسِّ الْقَتْلِ، إِلَّا كَمَا يَجِدُ أَحَدُكُمْ مَسِّ الْقَرْصَةِ
“Seorang yang mati syahid tidak mendapati rasa sakit dibunuh melainkan sepertimana seseorang daripada kamu merasai rasa qarsah.”
(Hadith ini dinilai Sahih oleh al-Tirmidzi (1591), al-Suyuthi, Ahmad Syakir dan al-Albani)

Qarsah ialah rasa dicubit berdasarkan pengertian yang diberikan di dalam al-Qamus al-Muhith yang menyebut: أخْذُكَ لَحْمَ الإِنْسَانِ بإصْبعَيْكَ حتى تُؤْلِمَهُ yang bermaksud: ”Kamu mengambil daging seseorang dengan dua jari kamu sehingga menyakitkannya.” Ada juga ulama’ yang mengatakan ia seperti gigitan semut.

Ibn Hibban di dalam kitabnya menyenaraikan hadith ini di bawah tajuk: ذِكْرُ وَصْفِ مَا يَجِدُ الشَّهِيدُ مِنْ أَلَمِ الْقَتْلِ فِي سَبِيلِ اللَّهِ جَلَّ وَعَلَا “Sebutan sifat apa yang diperolehi oleh seseorang syahid daripada kesakitan terbunuh di jalan Allah Jalla wa ‘Ala”. Perletakan bab oleh Ibn Hibban ini menunjukkan keistimewaan ini diperolehi oleh mereka yang syahid terbunuh di dalam jihad fisabilillah sahaja, tidak merangkumi semua jenis mati syahid.

Begitu tingginya kelebihan mati syahid sehingga orang yang telah mati dan masuk syurga pun ingin kembali ke dunia dan mati sebagai orang yang mati syahid. Ini disebut di dalam hadith riwayat Muslim,

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا مِنْ نَفْسٍ تَمُوتُ لَهَا عِنْدَ اللَّهِ خَيْرٌ يَسُرُّهَا أَنَّهَا تَرْجِعُ إِلَى الدُّنْيَا وَلَا أَنَّ لَهَا الدُّنْيَا وَمَا فِيهَا إِلَّا الشَّهِيدُ فَإِنَّهُ يَتَمَنَّى أَنْ يَرْجِعَ فَيُقْتَلَ فِي الدُّنْيَا لِمَا يَرَى مِنْ فَضْلِ الشَّهَادَةِ
Daripada [Anas bin Malik] daripada Nabi ﷺ, baginda bersabda: “Tidak seorang pun yang meninggal dunia, dan di sisi Allah dia memiliki kebaikan yang membuatnya bahagia, lalu dia ingin kembali ke dunia selain orang yang mati syahid. Sesungguhnya dia berangan-anagn untuk kembali (ke dunia) kemudian terbunuh lagi di dunia kerana dia melihat keutamaan mati syahid.”
(Sahih Muslim (3488))

Manakan tidak, segala dosa-dosanya akan diampunkan (kecuali hutang). Ini bermakna mati syahid adalah jalan pintas ke syurga. Apabila tiada dosa, maka tidak lain tempat seseorang itu adalah di syurga. Ini berdasarkan sebuah hadith,

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ يَزِيدَ أَبِي عَبْدِ الرَّحْمَنِ الْحُبُلِيِّ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرِو بْنِ الْعَاصِ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ يُغْفَرُ لِلشَّهِيدِ كُلُّ ذَنْبٍ إِلَّا الدَّيْنَ
Daripada [Abdullah bin ‘Amru bin ‘Ash], bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Seorang yang mati syahid akan diampuni segala dosa-dosanya kecuali hutang.”
(Sahih Muslim (3498))

Aduh alangkah ruginya kita kalau tidak dapat mati syahid setelah kita tahu segala kelebihan-kelebihan ini. Namun bagaimana dengan kita yang tidak ada perang jihad sekarang? Tidakkah ada kemungkinan bagi kita? Kita kena berniat untuk melakukan jihad (jika ditakdirkan ada semasa hidup kita) dan hendaklah bersungguh-sungguh berniat dan berdoa untuk mati syahid. Rasulullah ﷺ telah menjanjikan pahala mati syahid bagi orang yang sebegini. Alangkah adilnya agama Islam ini! Dalilnya adalah hadith di bawah,

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ طَلَبَ الشَّهَادَةَ صَادِقًا أُعْطِيَهَا وَلَوْ لَمْ تُصِبْهُ
Daripada [Anas bin Malik] dia berkata, “Rasulullah ﷺ bersabda: “Barangsiapa memohon syahadah (mati dalam keadaan syahid) dengan sungguh-sungguh, maka sungguh dia akan diberi pahala seperti pahala mati syahid meskipun dia tidak mati syahid.”
(Sahih Muslim (3531))

Semoga kita dapat mati syahid walaupun kita mati di atas katil kita seperti disebut di dalam hadith di bawah, aameen.

أَنَّ سَهْلَ بْنَ أَبِي أُمَامَةَ بْنِ سَهْلِ بْنِ حُنَيْفٍ حَدَّثَهُ عَنْ أَبِيهِ عَنْ جَدِّهِ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ سَأَلَ اللَّهَ الشَّهَادَةَ بِصِدْقٍ بَلَّغَهُ اللَّهُ مَنَازِلَ الشُّهَدَاءِ وَإِنْ مَاتَ عَلَى فِرَاشِهِ
[Sahl bin Abu Umamah bin Sahl bin Hunaif] telah menceritakan daripada [ayahnya] dari [datuknya], bahawa Nabi ﷺ bersabda: “Barangsiapa mengharapkan mati syahid dengan sungguh-sungguh, maka Allah akan mengangkatnya sampai ke darjat para syuhada’ meski dia meninggal dunia di atas tempat tidur.”
(Sahih Muslim (3532))


 

Tawbah Ayat 112: Ini adalah jumlah musta’nifah iaitu topik yang lain. Sebelum ini telah disebut tentang golongan yang menjalankan jihad. Bagaimana pula dengan orang lain? Adakah mereka mempunyai peluang termasuk sebagai Mukmineen? Sekarang Allah ﷻ beritahu golongan yang selain daripada mereka yang boleh juga masuk syurga. Ini juga adalah ayat Tabshir.

التّىٰئِبونَ العٰبِدونَ الحٰمِدونَ السّىٰئِحونَ الرّٰكِعونَ السّٰجِدونَ الآمِرونَ بِالمَعروفِ وَالنّاهونَ عَنِ المُنكَرِ وَالحٰفِظونَ لِحُدودِ اللَّهِ ۗ وَبَشِّرِ المُؤمِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Such believers are] the repentant, the worshippers, the praisers [of Allāh], the travelers [for His cause], those who bow and prostrate [in prayer], those who enjoin what is right and forbid what is wrong, and those who observe the limits [set by] Allāh. And give good tidings to the believers.

(MALAY)

Mereka itu adalah orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji, yang mengembara, yang ruku’, yang sujud, yang menyuruh berbuat ma’ruf dan mencegah berbuat mungkar dan yang memelihara hukum-hukum Allah. Dan gembirakanlah orang-orang mukmin itu.

 

التّىٰئِبونَ

Mereka itu adalah orang-orang yang bertaubat,

Golongan mukmin yang disebut dalam ayat sebelum ini, mereka selalu bertaubat. Kalimah التّىٰئِبونَ di dalam bentuk isim fa’il (pelaku) maknanya mereka ini memang sentiasa bertaubat. Maka tukang masak tidak sama dengan orang yang sedang memasak. Kalau sedang memasak, mungkin sekali sekala sahaja dia memasak. Namun seorang tukang masak, tentulah sentiasa memasak, bukan?

Ini adalah salah satu daripada sifat orang Mukmin kerana mereka sedar yang mereka banyak melakukan dosa, maka mereka sentiasa meminta ampun kepada Allah ﷻ. Oleh itu, pertama sekali kena sedar yang kita ini sebagai manusia tidak sunyi daripada melakukan dosa.

Taubat ini tidak perlu sampai melakukan Solat Taubat kerana ada yang sangka kena buat Solat Taubat pula. Sampaikan ada pula yang ajar kena solat taubat setiap hari. Ini tidak benar dan hanya rekaan semata-mata. Sebenarnya taubat boleh dilakukan bila-bila masa sahaja, tidak perlu tunggu solat. Namun memanglah lebih baik kalau dilakukan dengan solat sunat dahulu. Maka kalau ada dosa besar, maka eloklah disertakan dengan solat sunat dahulu.

Salah satu syarat taubat adalah meninggalkan kesalahan yang kita telah buat sebelum itu. Kenalah menyesal dengan perbuatan kita yang salah itu dan tinggalkan terus. Kita kena tahu, kita kena tinggalkan terus perkara yang salah, bukan sedikit demi sedikit; kalau perbuatan baik, kita boleh buat sedikit demi sedikit, tetapi untuk perbuatan yang salah, apabila kita tahu yang ia adalah salah, kita mesti tinggalkan terus.

 

العٰبِدونَ

mereka yang beribadat,

Orang Mukmin juga rajin beribadat. Sekali lagi kalimah ini di dalam isim fa’il. Mereka tidaklah hanya kata mereka beriman sahaja tetapi mereka tunjukkan dengan amalan mereka. Mereka juga beribadat hanya kepada Allah ﷻ. Bukanlah mereka mengaku beriman tetapi tidak memperbanyakkan ibadat kepada Allah ﷻ.

Sebelum ini disebut tentang bertaubat kerana dosa adalah penghalang kepada ibadah. Kalau kita banyak dosa, maka badan malas sahaja untuk melakukan ibadah, bukan? Maka kena selalu banyakkan taubat untuk perbanyakkan ibadah.

Ibadat hendaklah dilakukan berterusan. Mulakan dengan amalan yang mudah tetapi istiqamah (berterusan) dalam melakukannya. Kemudian tambah dengan ibadah-ibadah lain. Yang penting adalah istiqamah. Jangan kita rajin buat amalan yang banyak, tetapi tidak tetap dan sementara sahaja.

Ibadah ada banyak jenis ibadah – ada ibadah yang khusus seperti solat, zakat, haji dan puasa. Ada juga ibadah umum seperti menolong orang, berbuat baik kepada orang lain, dan macam-macam lagi. Ada ibadah yang dilakukan dengan tangan kita, ada yang dengan mulut kita dan ada juga dengan hati kita. Segala jenis ibadah kita kena buat. Kita buat sebaik yang mungkin.

Di antara definisi terbaik dan terlengkap ibadah adalah yang disampaikan oleh Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah رحمه الله:

Beliau رحمه الله mengatakan, “Ibadah adalah suatu istilah yang mencakup segala sesuatu yang dicintai Allah dan diredhai-Nya, baik berupa perkataan mahupun perbuatan, yang tersembunyi (batin) mahupun yang nampak (lahir). Maka solat, zakat, puasa, haji, berbicara jujur, menunaikan amanah, berbakti kepada kedua orang tua, menyambung tali kekerabatan, menepati janji, memerintahkan yang ma’ruf, melarang daripada yang munkar, berjihad melawan orang-orang kafir dan munafik, berbuat baik kepada tetangga, anak yatim, orang miskin, ibnu sabil (orang yang kehabisan bekal di perjalanan), berbuat baik kepada orang atau haiwan yang dijadikan sebagai pekerja, memanjatkan doa, berzikir, membaca Al-Qur’an dan lain sebagainya adalah termasuk bahagian daripada ibadah.
Begitu pula rasa cinta kepada Allah dan Rasul-Nya, takut kepada Allah, inabah (kembali taat) kepada-Nya, memurnikan agama (amal ketaatan) hanya untuk-Nya, bersabar terhadap keputusan (takdir)-Nya, bersyukur atas nikmat-nikmat-Nya, merasa redha terhadap qadha/takdir-Nya, tawakal kepada-Nya, mengharapkan rahmat (kasih sayang)-Nya, merasa takut daripada seksa-Nya dan lain sebagainya itu semua juga termasuk bahagian daripaa ibadah kepada Allah.” (Kitab Al ‘Ubudiyah).

 

الحٰمِدونَ

mereka yang memuji, 

Salah satu ibadat adalah berzikir dengan mulut dan juga dengan hati. Mereka sentiasa memuji Allah ﷻ dan hanya memuja Allah ﷻ. Mereka tidak memuji dan memuja ilah-ilah yang lain. Mereka sedar yang mereka dapat melakukan taubat dan ibadah hanya kerana taufik daripada Allah ﷻ. Sekiranya Allah ﷻ tidak gerakkan, mereka pun tidak dapat buat. Maka mereka dengan ikhlas memuji Allah ﷻ.

Mereka tidaklah beri pujian yang khas ini kepada sesiapa selain Allah ﷻ. Tidaklah kita disuruh memuji Rasulullah ﷺ dengan berlebihan. Kepada Rasulullah ﷺ kita disuruh selawat sahaja. Maka tidaklah perlu buat majlis puji Rasul dan Qasidah pula seperti yang dianjurkan oleh golongan Habib yang sesat itu.

Malangnya ramai dalam kalangan orang Melayu yang memuja Nabi ﷺ dengan berlebihan, terutama sekali selepas datangnya puak-puak Habib yang membawa ajaran yang sesat. Ramai yang tertipu dengan perawakan Habib-habib yang sopan santun serta kemas berpakaian seperti orang alim dan ‘dikatakan’ keturunan Rasulullah ﷺ.

Kita senang mengucapkan tahmid jikalau kita dapat sesuatu yang kita suka atau kita dalam suasana senang. Akan tetapi bagaimana kalau kita dikenakan dengan sesuatu musibah? Sepatutnya kita masih mampu mengucapkan tahmid lagi kerana dalam Allah ﷻ memberi musibah kepada kita, Allah ﷻ masih lagi terpuji. Ada disebut di dalam sebuah hadith,

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا رَأَى مَا يُحِبُّ قَالَ الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي بِنِعْمَتِهِ تَتِمُّ الصَّالِحَاتُ وَإِذَا رَأَى مَا يَكْرَهُ قَالَ الْحَمْدُ لِلَّهِ عَلَى كُلِّ حَالٍ
Daripada [‘Aisyah] beliau berkata; “Apabila Rasulullah ﷺ melihat sesuatu yang baginda senangi, baginda mengucapkan: “Segala puji bagi Allah ﷻ yang dengan nikmat-Nya semua kebaikan menjadi sempurna,” dan apabila melihat sesuatu yang dibenci, baginda mengucapkan: “Segala puji bagi Allah ﷻ atas setiap keadaan.”
(Sunan Ibn Majah (3803))
Status: Sahih

 

السّىٰئِحونَ

mereka yang mengembara,

Mereka juga tidak duduk sahaja tetapi mereka juga keluar untuk berjihad, mencari ilmu dan berdakwah. Ini memerlukan pengorbanan yang tinggi kerana keluar berjihad bukannya senang. Ia bukan sahaja keluar berjihad, tetapi berhijrah kerana hendak menjaga agama.

Ada juga yang mengatakan kalimah السّىٰئِحونَ bermaksud mereka yang sentiasa menunaikan puasa kerana Allah ﷻ. Di antara amal yang paling utama ialah berpuasa, iaitu meninggalkan kelazatan makan dan minum serta bersetubuh. Mereka sanggup meninggalkan nikmat nafsu yang biasa mereka lakukan (dan halal) semata-mata kerana Allah ﷻ. Hujah ini berdasarkan hadith:

سُئِلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ السَّائِحِينَ فَقَالَ: “هُمُ الصَّائِمُونَ”
Nabi ﷺ pernah ditanya mengenai makna as-saihun. Maka baginda menjawab: Mereka adalah orang-orang yang berpuasa.

Akan tetapi hadith ini disebut oleh Syeikh Mashhur bin Ḥasan Al Salman رَحِمَهُ اللَّهُ dalam kitab himpunan hadith-hadith lemah dan palsu. Akan tetapi ada yang mengatakan hadith ini berpredikat mursal lagi jayyid. Pendapat ini adalah pendapat yang paling sahih dan paling terkenal.

Itu adalah pendapat yang mengatakan lafaz siyahah bermaksud ‘puasa’. Ada riwayat lain, seperti apa yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud رَحِمَهُ اللَّهُ di dalam kitab Sunan-nya melalui hadith Abu Umamah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa ada seorang lelaki bertanya, “Wahai Rasulullah, izinkanlah saya untuk ber-siyahah.” Maka Nabi ﷺ menjawab melalui sabdanya:

“سِيَاحَةُ أُمَّتَيِ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ”
Siyahah umatku adalah berjihad di jalan Allah.
(Sunan Abi Dawud No. 2486)
Status: Hasan

Kedua-dua perbuatan mengembara dan berpuasa itu menguji kesabaran. Kedua-duanya meninggalkan kesenangan hidup untuk sementara waktu. Terutama sekali mengembara untuk berjihad. Akan tetapi berjihad telah disebut di dalam ayat-ayat lain sebelum ini. Maka ini menyebut tentang mengembara untuk perkara-perkara lain untuk mendekatkan diri kepada Allah ﷻ.

 

الرّٰكِعونَ السّٰجِدونَ

mereka yang ruku’, mereka yang sujud,

Mereka sentiasa rukuk dan sujud kerana Allah ﷻ. Rukuk dan sujud ini adalah bahagian terpenting di dalam solat, maka apa yang dimaksudkan dengan potongan ayat ini adalah ‘solat’. Maksudnya, orang-orang mukmin menjaga solat mereka. Namun bukanlah Solat Fardhu yang dimaksudkan, kerana itu memang sudah menjadi fardhu/wajib. Maka yang dimaksudkan mereka banyak lakukan adalah solat-solat Sunat.

Di dalam masa yang sama pun mereka mestilah menjaga Solat Fardhu. Iaitu mereka jaga waktu solat, tidak tinggal solat dan mereka jaga solat mereka supaya menjadi baik. Mereka perbaiki solat mereka ikut Sunnah dan mereka cuba untuk khusyuk dalam solat mereka. Maka kita kenalah belajar cara solat yang Sunnah dan menjaga amalan solat kita supaya dapat khusyuk dan jadi terbaik yang kita mampu lakukan. Cubalah untuk baiki solat kita dari masa ke semasa.

 

الآمِرونَ بِالمَعروفِ وَالنّاهونَ عَنِ المُنكَرِ

yang menyuruh berbuat ma’ruf dan mencegah berbuat munkar

Mereka sentiasa menjalankan amar makruf nahi munkar. Iaitu mereka akan mengajak manusia melakukan kebaikan dalam agama dan melarang mereka yang melakukan keburukan. Ringkasnya mereka mengajak manusia ikut syariat. Mereka akan mengajak dan menegur orang. Tidaklah mereka melihat sahaja. Tidaklah mereka mendiamkan diri sahaja jika melihat kemungkaran berlaku.

Mereka ini sekarang menjalankan kerja dakwah mengajak manusia kepada sunnah. Sekiranya mereka lihat ada yang melakukan kesalahan, perkara syirik, perkara bid’ah dan perkara yang zalim, mereka akan tegur. Sama ada orang ikut atau tidak, itu terpulang kepada mereka yang diajak dan ditegur. Namun yang penting kita telah menjalankan usaha kita untuk menegur.

Ini penting disebut di sini kerana ada orang yang rasa takut untuk menegur kerana takut disindir atau dimarahi atau dia rasa buang masa sahaja tegur kerana merasakan orang tidak ikut pun. Ingatlah, yang kita mampu lakukan adalah mengajak dan menegur sahaja. Sama ada mereka ikut atau tidak adalah di tangan Allah ﷻ. Kita kena sedar yang jika mereka tidak ikut pun, kita sudah pasti dapat pahala dakwah.

Di sini hanya disebut mereka yang melakukan amar ma’ruf nahi munkar sahaja. Bagaimana pula dengan amalan mereka sendiri? Kalau mereka sudah mengajak orang, tentulah mereka sendiri sudah tahu mana yang ma’ruf dan mana yang mungkar, dan tentu sekali mereka telah amalkan apa yang mereka dakwahkan. Ini kerana mereka sedar mereka akan ada masalah kalau setakat mengajak sahaja tetapi diri sendiri tidak amalkan pula. Allah ﷻ telah berfirman di dalam Saff: 2-3

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لِمَ تَقولونَ ما لا تَفعَلونَ
Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan?

كَبُرَ مَقتًا عِندَ اللَّهِ أَن تَقولوا ما لا تَفعَلونَ
Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan.

 

وَالحٰفِظونَ لِحُدودِ اللَّهِ

dan yang memelihara hukum-hukum Allah.

Mereka juga sentiasa menjaga sempadan syariat Allah ﷻ. Mereka tidak melakukan lebih daripada yang dibenarkan. Mereka jaga hukum yang Allah ﷻ telah tetapkan. Hudud bukanlah Hukuman Hudud seperti yang kita biasa dengar itu tapi ia termasuk semua sekali had-had yang Allah telah tetapkan. Dan tentunya termasuk Hukum Hudud juga.

Dari segi balaghah, kita boleh lihat ada perbezaan dalam potongan ayat ini. Kalau kita perhatikan, potongan ayat ini dimulakan dengan huruf و iaitu dalam وَالحافِظونَ, sedangkan dalam potongan yang lain-lain tidak, cuma ada ال sahaja iaitu dalam التّائِبونَ العابِدونَ dan seterusnya. Kenapa begitu? Tentu ada sebabnya, bukan?

Ini adalah kerana segala yang disebut sebelum ini, iaitu bertaubat, beribadat, memuji Allah ﷻ, mengembara, ruku’ dan sujud, amar makruf nahi mungkar, semua itu berjalan sepanjang masa, sepanjang zaman, kena digerakkan. Namun untuk menegakkan hukum hudud, bukan tetap boleh dijalankan setiap masa. Ini memerlukan kuasa kerajaan.

Ini sepertimana Rasulullah ﷺ hanya dapat menjalankan hukum hudud hanya apabila mendapat kuasa kerajaan di Madinah. Seperti kita zaman sekarang, tidak dapat mengamalkan hukum Hudud lagi kerana pemerintahan bukan di tangan orang Islam sepenuhnya. Oleh itu, lafaz وَالحافِظونَ ada mengandungi huruf و kerana hendak membezakan antara perbuatan menjaga hukum hudud dengan perkara-perkara yang lain.

Kesimpulannya, itulah antara sifat-sifat orang-orang Mukmin yang disebut dalam ayat ini yang kita patut hayati dan amalkan. Allah ﷻ beritahu sifat mereka satu persatu supaya jelas kepada semua orang. Ini penting, kerana orang munafik pun mengaku mereka mukmin tetapi kata-kata seseorang itu boleh dinilai dengan perbuatan mereka. Kalau setakat cakap sahaja di mulut namun tidak ditunjukkan dengan perbuatan, tidaklah dikira.

 

وَبَشِّرِ المُؤمِنينَ

Dan gembirakanlah orang-orang mukmin itu.

Inilah tabshir. Allah ﷻ sendiri beri berita gembira ini kepada orang mukmin. Mereka juga boleh dapat syurga. Alangkah beruntungnya! Alangkah seronoknya! Maka tidakkah kita mahu menjadi orang Mukmin? Maka kenalah ia.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 19 Julai 2023

Ringkasan Surah Tawbah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Abdul Muien

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an