Tafsir Surah al-Aadiyat Ayat 6 – 11 (Manusia tidak menghargai)

Ayah 6: Sekarang baru Allah hendak memberitahu pengajaran yang amat penting selepas ayat-ayat qosam yang panjang sebelum ini. Allah memulakan surah ini dengan qosam tentang kuda kerana Allah hendak memberi isyarat, lihatlah bagaimana kuda itu taat kepada tuan dia, sanggup buat apa sahaja termasuk membahayakan nyawa mereka, tapi manusia tidak taat kepada Tuhannya.

Ini amat menyedihkan kerana kalau kita fikirkan kembali, apa sangatlah yang tuan kuda itu bagi pada kuda dia sampai kuda ia taat itu? Tapi bandingkan dengan apa Allah beri kepada kita, macam-macam bukan? Walaupun telah mendapat segala nikmat yang hebat-hebat, kebanyakan manusia tetap derhaka.

إِنَّ ٱلإِنسَـٰنَ لِرَبِّهِۦ لَكَنُودٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed mankind, to his Lord, is ungrateful.

(MALAY)

sesungguhnya manusia itu sangat engkar, tidak berterima kasih kepada Tuhannya,

 

Kalimah إِنَّ الإِنسانَ – Sesungguhnya manusia itu. Selepas sahaja ayat-ayat qosam yang panjang, Allah sekarang hendak sebut tentang insan (manusia). Apakah yang Allah hendak sampaikan tentang manusia itu?

Panjang Allah menceritakan tentang kuda-kuda perang itu. Kuda-kuda itu amat taat kepada tuan mereka, sampai sanggup mereka membahayakan nyawa mereka untuk berperang dan masuk ke dalam kawasan musuh. Sedangkan kuda juga ada naluri untuk menjaga diri mereka – mereka tidak akan membahayakan diri mereka begitu sahaja.

Akan tetapi kerana arahan tuannya, mereka pergi juga. Kerana itu kisah kuda ini amat menarik perhatian masyarakat Arab. Kerana ianya adalah kebanggaan dan kesukaan mereka. Macam zaman sekarang, ada orang yang suka sangat kepada kereta – bikin sana dan bikin sini. Kalau tak dapat beli kereta mewah pun, ada sahaja yang simpan gambar kereta sports sebab hendak berangan.

Dalam mereka sedang membayangkan kuda-kuda itu, tiba-tiba Allah memberi kata-kata yang menusuk kalbu – إِنَّ الإِنسانَ لِرَبِّهِ لَكَنودٌ. Allah ingatkan manusia degil yang mereka itu adalah hamba, mereka juga ada Tuan juga, tapi malangnya manusia itu tak taat langsung – jauh berbeza dengan kuda-kuda kebanggaan mereka itu. Kata-kata ini datang secara tiba-tiba yang amat menusuk kalbu dan tidak sangka datangnya, menyebabkan kita bungkam tidak dapat berkata-kata lagi.

Huruf ل dalam لَكَنودٌ adalah sebagai penekanan.

Kalimah كَنودٌ adalah dari katadasar ك ن د – ia ada persamaan dengan kalimah كفور iaitu tidak menghargai segala nikmat yang telah diterima. Kufur kepada nikmat yang Allah telah banyak berikan. Sedarlah kita yang Allah telah berikan kita segala macam kelebihan dan nikmat yang tidak terhingga, dunia ini Allah jadikan untuk kegunaan kita, termasuklah kuda-kuda yang taat itu. Tapi dengan segala kelebihan dan nikmat-nikmat itu, manusia masih lagi tidak bersyukur dan taat kepada Tuhan.

Sebaliknya mereka menggunakan kelebihan yang Allah berikan kepada mereka itu untuk berbuat kerosakan dan dosa. Lihatlah dalam lima ayat pertama surah ini – menceritakan tentang pasukan berkuda yang menyerang satu puak dengan rakus sekali. Mereka kufur dalam kemungkaran. Tapi lihatlah bagaimana perasaan asal manusia terhadap ayat-ayat itu? Mereka rasa teruja dengan kisah kuda-kuda perang itu yang menyerang dengan gagah.

Begitulah manusia – kadang-kadang rasa suka dengan perbuatan manusia lain tanpa menilai sama ada ianya baik atau tidak. Kerana itulah kita lihat banyak dalam filem-filem bagaimana penjahat dilihat sebagai baik sahaja. Sebagai contoh, kisah tentang lanun yang kononnya baik. Kita pula sokong lanun itu, tapi lupakah kita yang mereka itu perompak?.

Kenangkan juga kalau kita lihat kisah perompak bank yang gigih menyusun strategi (tapi manusia lupa yang mereka sebenarnya mencuri, bukan?). Manusia sudah tidak kisah dengan apa yang benar dan apa yang tidak – asalkan ia menarik perhatian mereka. Kita pun risau kalau-kalau pencuri-pencuri itu kena tangkap dengan polis.

Begitulah kita dengan filem-filem kita, sudah tidak kisah pun sama ada apa yang disampaikan itu benar atau tidak, asalkan ianya menarik untuk ditonton. Kita sudah tertipu dengan diayah pereka filem.

Ada juga pendapat lain yang mengatakan kalimah كَنودٌ itu bermaksud ‘memisahkan diri dari Tuhan’. Begitulah manusia, tidak hiraukan Tuhan. Jauh berbeza dengan kuda-kuda perang yang disebut di awal surah ini – kuda perang itu taat dan prihatin tentang kehendak tuannya – menunggu sahaja apakah yang hendak diarahkan oleh tuan mereka; suka apabila tuannya datang kepadanya, sanggup ikut arahan tuannya.

Kalimah كَنودٌ memang ada persamaan dengan كفور tapi tidak sama dengan tepat. Ini adalah kerana kalimah كَنودٌ hanya disebut sekali sahaja dalam Al-Qur’an (dalam ayat ini) sedangkan kalimah كفور amat banyak sekali disebut dalam Al-Qur’an. Kalau kalimah كفور dan كَنودٌ itu sama sahaja, tentu kalimah كفور sahaja yang digunakan dalam surah ini, tapi tidak.

Oleh itu, mesti ada kelainan antara keduanya. Tapi kita telah sebut yang ada persamaan antara keduanya dan yang sama antara keduanya adalah perasaan tidak bersyukur itu – tidak menghargai nikmat yang telah diberikan. Jadi apakah beza antara keduanya?

Kalimah كَنودٌ bermaksud SANGAT-SANGAT tidak menghargai kerana ianya adalah dalam bentuk sighah mubalaghah (bersangatan) kerana ada و dalam kalimah ini. Jadi ini bukan tidak menghargai dalam kadar biasa, tapi jenis yang teruk sangat.

Mereka yang ada sifat كَنودٌ ini adalah jenis yang ada sahaja benda yang dia tidak puas hati dalam hidup dia, padahal sudah banyak nikmat yang dia sudah dapat tapi dia nak merungut sahaja kerjanya. Sebagai contoh, ada 10 jenis makanan dalam rumah dia tapi dia bising tentang makanan yang dia mahu tidak ada. Malangnya, kita pun mengajar anak-anak kita dengan perangai ini. Kita tidak ajar mereka untuk bersyukur dengan nikmat yang ada.

Adakah manusia layak untuk mempunyai sifat كَنودٌ ini? Tentulah tidak. Allah jadikan kita dan beri nikmat kepada kita supaya kita taat kepadaNya dan buat amal ibadat dan menghambakan diri kepadaNya. Kalau kita tidak jalankan kewajipan kita ini, apakah layak kita duduk di dunia ini?

Kembali kita kepada kisah kuda-kuda di awal surah ini. Katakanlah kuda-kuda itu tidak taat kepada tuannya, tidak ikut arahan, agaknya tuannya nak simpan ia lagikah? Tentu tidak, tuannya sudah lama akan matikan ia kerana kalau tidak taat, takkan nak bagi makan percuma sahaja, bukan? Maka tuannya akan bunuh dia.

Allah juga boleh buat begitu kepada insan yang degil. Akan tetapi lihatlah bagaimana penyabarnya Allah itu, walaupun kita tidak taat kepada Dia, Allah tidak terus hukum kita, bukan? Padahal Allah boleh sahaja nak kenakan kita dengan apa sahaja yang Dia hendak kenakan.


 

Ayat 7: Manusia itu sendiri tahu yang dia sedang derhaka kepada Tuhan.

وَإِنَّهُ عَلىٰ ذٰلِكَ لَشَهيدٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And indeed, he is to that a witness.¹

  • Through his speech and his actions.

(MALAY)

dan sesungguhnya manusia itu menyaksikan (sendiri) keingkarannya,

 

Sebenarnya, manusia memang tahu yang mereka sedang melawan kehendak Allah. Bukannya dia tidak tahu. Sekurang-kurangnya dalam hati mereka, mereka sudah tahu.

Kalau kita lihat kalimah شَهيدٌ yang digunakan, tapi kenapa tidak digunakan kalimah شاهِد (isim fa’il)? Ini adalah kerana:

Kalau kalimah شاهِد  (ism faa’il) ia bermaksud ia hanya berlaku sekali sahaja. Sedangkan kalau guna kalimah شَهيدٌ, ia bermaksud dia sentiasa melihat apa yang dia sedang lakukan. Ini adalah kerana ianya adalah dalam sighah mubalaghah. Dia sendiri menjadi saksi atas segala perbuatannya. Ini seperti yang Allah telah sebut dalam Qiyamah:14

بَلِ الإِنسانُ عَلىٰ نَفسِهِ بَصيرَةٌ

Bahkan manusia itu menjadi saksi atas dirinya sendiri

Banyak ayat dalam Al-Qur’an menyebut bagaimana tubuh badan kita sendiri akan menjadi saksi atas diri kita nanti di akhirat. Diri kita memang tahu segala-galanya yang kita lakukan. Setiap apa yang kita lakukan, tubuh kita tahu dan mereka sentiasa menjadi saksi.

Tubuh dan hati kita juga tahu bahawa kita sedang melakukan dosa dan tidak taat kepada Allah. Diri dan nafs kita tahu kerana telah ada dalam diri kita ilham tentang mana perkara buruk dan mana yang salah. Inilah yang dinamakan ‘fitrah’. Kalau tidak terasa itu hanyalah kerana tidak layan perasaan itu sahaja. Iaitu mereka yang menidakkan fitrah asal dalam diri.


 

Ayat 8: Allah beritahu mereka jadi begitu kerana mereka kasih kepada harta bersangatan sampai lupa nak kasih kepada Tuhan.

وَإِنَّهُ لِحُبِّ الخَيرِ لَشَديدٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And indeed he is, in love of wealth, intense.

(MALAY)

dan sesungguhnya dia sangat hebat cintanya kepada kesenangan.

 

Dalam ayat ini, selalunya kalimah الخَيرِ diterjemahkan kepada ‘harta’, ‘kekayaan’, ‘kesenangan’. Tapi dari segi bahasa asal, ia bermaksud ‘kebaikan’, bukan? Dan bukankan ‘kebaikan’ itu baik dan bagus untuk kita? Kenapa pula Allah tegur sifat manusia itu? Nanti kita akan bincangkan selepas ini.

Sekarang lihat kalimah لِحُبِّ dalam ayat ini. Huruf ل digunakan dalam kalimah ini untuk bawa maksud ‘kerana’. Oleh itu, kalimah لِحُبِّ bermaksud ‘kerana cinta’. Allah tidak gunakan kalimah للخير, tapi Allah beritahu masalah itu terjadi kerana cinta yang keterlaluan itu. Oleh itu, masalah manusia sebenarnya adalah kerana cintanya yang bersangatan kepada harta, kepada dunia.

Apakah pula maksud حُبِّ? Ianya apabila kita lihat sesuatu itu baik untuk kita, maka kita akan berusaha untuk mendapatkannya. Kadang-kadang ada yang kita cuba dapatkan tapi tidaklah bersungguh sangat, bukan? Kalau ianya bersungguh sangat, barulah dipanggil  حُبِّ. Oleh itu, ada dua perkara yang terlibat dalam حُبِّ:

1 – sangkaan yang sesuatu itu baik.
2 – sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkannya. Atau berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya.

Seperti kita telah sebutkan sebelum ini, kalimah الخَيرِ bermaksud ‘kebaikan’, jadi kenapa Allah tegur kalau suka dan cinta kepada kebaikan pula? Dan kenapa pula para mufassir dan terjemahan kepada kalimah ini sentiasa sahaja bermaksud ‘harta’, ‘kemewahan’ dan yang berkenaan dengannya? Bukankah kekayaan juga boleh digunakan untuk kebaikan juga? Bukankah harta itu diperlukan juga oleh manusia dan boleh digunakan untuk kebaikan?

Untuk menjawabnya, kita kena faham bahawa Allah sebenarnya ‘menterjemahkan’ kepercayaan kaum yang engkar itu. Mereka yang merasakan harta dan kekayaan itu adalah ‘kebaikan’ dan tidak ada yang lebih baik darinya. Allah sebenarnya mengejek mereka dan fahaman mereka. Alangkah salah sekali fahaman mereka itu.

Mereka hanya melihat kebaikan dalam kesenangan dan kekayaan sahaja. Dan kerana hendak mendapatkan kemewahan dan harta itu, mereka sanggup buat apa-apa sahaja – sampai sanggup merampok daripada hak orang lain, sanggup menipu, sanggup mencuri dan sebagainya.

Kalimah شَديدٌ daripada maksud ‘mengikat tali’. Iaitu bermaksud mengikat dengan kuat terhadap sesuatu. Oleh itu, dalam ayat ini, ia bermaksud manusia terikat dengan kuat dalam usaha mereka untuk mendapatkan harta.

Memang manusia ramai yang mahukan dunia. Dan semua yang manusia mahu, datang dari bumi bukan? Antaranya makanan, minuman, emas, perak dan sebagainya. Tapi ingatlah dalam surah sebelum ini dalam Surah Zalzalah, Allah telah memberitahu bagaimana manusia itu mengejar harta dalam bumi, tapi akhirnya manusia akan mati dan masuk dalam bumi itu sendiri.

Allah ingatkan kita: Kamu cari harta dan kesenangan daripada bumi, tapi nanti kamu pun akan masuk dalam bumi juga. Dan nanti kamu dan segala dalam bumi itu akan dikeluarkan, waktu itu baru kamu akan rasa menyesal kerana kamu akan lihat benda yang kamu kejar itu tidak ada harga pun.


 

Ayat 9: Allah tanya: tidakkah manusia tahu yang mereka akan dibangkitkan dari kubur? Ayat 9 – 11 ini adalah Perenggan Makro Kedua. Allah yang memberitahu yang manusia yang beriman kepada Hari Pembalasan sahaja yang akan ada rasa takut dan ada kemahuan untuk bersyukur kepada Allah.

أَفَلا يَعلَمُ إِذا بُعثِرَ ما فِي القُبورِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But does he not know that when the contents of the graves are scattered

(MALAY)

Maka apakah dia tidak mengetahui apabila dibangkitkan apa yang ada di dalam kubur,

 

Kalimah بُعثِرَ bermaksud perbuatan mengeluarkan sesuatu dari bekas, seperti kita mengeluarkan barang dari dalam beg, kadang-kadang kita akan keluarkan segala barang yang lain, walaupun nak dicari adalah satu barang sahaja. Tapi kita punggah habis semua barang yang ada dalam beg itu.

Jadi Allah tanya mereka: tidakkah mereka sedar yang mereka akan dikeluarkan dari bumi itu setelah mereka mati dan mereka akan dibawa ke pengadilan Allah taala? Tidakkah manusia tahu bahawa semua yang di dalam kubur itu akan dikeluarkan semua sekali?

Bukan sahaja yang membunuh itu akan dikeluarkan dari kubur mereka, tapi yang dibunuh juga akan dikeluarkan juga. Di awal surah ini, disebut tentang satu puak berkuda yang menyerang dan merampok satu puak yang lain. Dan selepas itu mereka akan menguburkan orang yang telah dicuri itu di dalam bumi.

Mungkin orang lain tidak tahu apa yang mereka telah lakukan, tapi nanti apabila Kiamat nanti, semua yang di dalam kubur itu akan dikeluarkan. Semua akan dihadapkan di hadapan Allah taala dan Allah akan adili segala apa yang mereka lakukan.

Begitulah, kadang-kadang zaman berzaman ada manusia jahat yang kuat telah memusnahkan orang lain, satu kampung, satu negeri dan sebagainya. Mereka telah musnahkan satu kampung, ambil barang mereka, ambil anak-anak mereka dan kemudian menanam mereka yang dibunuh itu. Ini memang biasa terjadi dan sampai sekarang pun terjadi juga.

Mungkin Human Rights Watch tidak tahu apa yang mereka buat itu kerana jauh dari media, tapi sedarlah yang Allah tahu. Dan nanti mereka yang dibunuh itu akan dikeluarkan dan mereka akan mendakwa mereka yang membunuh mereka. Dan Allah akan memberi pengadilan yang seadil-adilnya. Tidak ada yang akan terlepas. Maka kena berhati-hati dengan apa sahaja yang kita lakukan.


 

Ayat 10: Waktu itu, semua akan dikeluarkan.

وَحُصِّلَ ما فِي الصُّدورِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And that within the breasts is obtained,¹

  • i.e., when all secrets are made known.

(MALAY)

dan dilahirkan apa yang ada di dalam dada,

 

Kalimah حُصِّلَ bermaksud mengupas dan membuang kulit luaran untuk menunjukkan apa yang ada di dalamnya – contohnya kita mengupas kulit pisang untuk mengeluarkan pisang itu.

Sebelum ini dalam Surah Zalzalah Allah telah memberitahu perbuatan sekecil-kecil manusia walaupun sebesar zarrah akan ditunjukkan kepadanya. Tapi dalam Surah al-Aadiyat ini, Allah memberitahu maklumat lebih mendalam lagi. Iaitu apa yang di dalam hati juga akan dikeluarkan. Ini adalah kerana perbuatan yang telah dilakukan itu bukan perbuatan luaran sahaja, bukan? Kerana ada juga perbuatan dalam hati seperti niat kita.

Kerana kita melakukan sesuatu kerana disuruh oleh hati kita. Allah beritahu yang itu pun akan dikeluarkan – maknanya, akan dikeluarkan apa yang dalam dada. Itu termasuk perasaan tidak taat kepada Allah dan kecintaan bersangatan kepada dunia. Itu pun akan dikeluarkan dan diberitahu kembali kepada mereka.

Oleh itu, dalam Surah Zalzalah telah disebut tentang amal luaran dan sekarang disebut tentang niat hati pula. Akan dikupas dan akan ditunjukkan apakah perasaan dalam hati mereka. Di dunia, manusia lain tidak tahu niat kita, bukan? Tapi di akhirat nanti ia akan dibuka dan ditunjuk.


 

Ayat 11: Allah sangat tahu apa yang mereka lakukan dan apa yang dalam hati mereka. Maka semua itu akan dibentangkan untuk dihukum.

إِنَّ رَبَّہُم بِہِم يَومَٮِٕذٍ لَّخَبِيرُۢ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, their Lord with them, that Day, is [fully] Acquainted.

(MALAY)

sesungguhnya Tuhan mereka pada hari itu Maha Mengetahui keadaan mereka.

 

Orang kafir dan orang yang engkar itu mungkin berkata dalam hati mereka: [siapa yang akan tahu apa yang aku buat ini, apa yang aku fikirkan dan niat aku?] Mungkin mereka telah bunuh orang lain dan telah sorok kesalahan mereka itu dan mereka tidak sangka yang perbuatan mereka itu akan terbongkar, bukan? Oleh itu, mereka sangka mereka akan terlepas dari hukuman kerana mereka sangka tidak ada orang yang akan tahu. Tapi Allah beritahu dalam ayat ini, Allah Maha Tahu apa yang mereka telah lakukan.

Kalimah خَبيرٌ digunakan dalam ayat ini, sedangkan kalimah عليم juga boleh digunakan, bukan? Tapi Allah tidak guna kalimah عليم kerana kalimah خَبيرٌ lebih kuat lagi dari kalimah عليم. Ini adalah kerana maksud خَبيرٌ adalah mengetahui luar dan dalam dari perbuatan mereka itu. Allah bukan hanya tahu amalan fizikal sahaja tapi apa yang ada dalam hati.

Dalam Surah Zalzalah Allah telah memberitahu bahawa segala perbuatan manusia sebesar zarrah pun akan ditunjukkan kepada mereka. Dalam ayat ini sekarang, Allah memberitahu yang Allah tahu apa yang mereka telah lakukan. Mereka tidak akan dapat sorok langsung apa yang mereka telah lakukan. Allah bukan nak beritahu sahaja, tapi Allah akan hukum mereka atas perbuatan tangan mereka dan hati mereka itu.

 

Penutup:

Di awal surah ini, Allah memberitahu perbuatan orang jahat yang tidak sangka perbuatan mereka itu akan diketahui. Dan di akhir surah ini, Allah memberitahu bahawa fahaman mereka itu amat salah sama sekali kerana Allah tahu apa yang mereka telah lakukan. Dan mereka tidak akan terlepas dari kezaliman yang mereka telah lakukan. Allah akan keluarkan semua sekali perbuatan mereka, kecil atau besar.

Allahu a’lam. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah al-Qaari’ah.

Kemaskini: 8 Oktober 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah Zalzalah Ayat 6 – 8 (Amalan kita akan ditunjukkan)

Ayat 6:

يَومَئِذٍ يَصدُرُ النّاسُ أَشتاتًا لِيُرَوا أَعمالَهُم

(SAHEEH INTERNATIONAL)

That Day, the people will depart¹separated [into categories] to be shown [the result of] their deeds.

  • From the place of Judgement to their final abode. Another interpretation is “emerge separately” (from the graves).

(MALAY)

Pada hari itu manusia keluar dari kuburnya dalam keadaan bermacam-macam, supaya diperlihatkan kepada mereka (balasan) pekerjaan mereka,

 

Kalimah يَومَئِذٍ – Hari itu yang bermaksud Hari Akhirat. Apa yang terjadi pada hari itu?

Kalimat يَصدُرُ النّاسُ selalunya diterjemahkan sebagai ‘manusia keluar dari kuburnya’ tapi kita cuba lihat dari perspektif lain pula. Kalimah يَصدُرُ dari kalimah ص د ر yang bermaksud ‘dada’. Dalam peribahasa Arab, صادر adalah seorang yang pergi – sebagai contoh, keluar dari rumah untuk mendapatkan air dan kembali terus ke rumah. Ini ada kaitan dengan dada kerana dada akan bergerak ke hadapan apabila kita bergerak.

Maknanya ia berkenaan satu orang yang pergi untuk satu perkara sahaja – dia pergi dan kemudian dia balik. Penggunaan seperti ini dalam Al-Qur’an iaitu dalam ayat Qasas:23 iaitu kisah Nabi Musa a.s. bertemu dua orang wanita yang sedang menunggu untuk mengambil air. Apabila ditanya kepada mereka, kenapa mereka tidak terus mengambil air di telaga, mereka jawab:

قالَتا لا نَسقي حَتّىٰ يُصدِرَ الرِّعاءُ

Kedua wanita itu menjawab: “Kami tidak dapat meminumkan (ternak kami), sebelum pengembala-pengembala itu bergerak memulangkan (ternaknya),

Maksudnya, dua wanita itu menunggu penggembala lain untuk memulangkan ternakan mereka ke kandang (mereka telah keluar dari rumah untuk beri minum ternakan mereka dan mereka akan pulang). Oleh itu, mereka akan pulang, seperti juga yang digunakan dalam ayat ini.

Maka ini memberi isyarat hendak menceritakan bagaimana manusia itu juga adalah seorang صادر – mereka akan keluar dari bumi setelah Kiamat dan mereka akan dikembalikan ke bumi untuk menerima timbangan amal mereka. Manusia dihidupkan di dunia, menjalani kehidupan sehingga sampai ajal mereka, kemudian mereka akan mati dan dikebumikan di bumi ini juga.

Apabila bumi dihancurkan, mereka akan dikeluarkan dan kemudian akan dikembalikan ke bumi juga untuk menerima timbangan amal kerana mereka kena menghadapi mahkamah pengadilan Allah. Akan tetapi dunia sudah jadi tempat yang lain waktu itu, tidak sama dengan waktu kita hidup dulu. Kerana bumi yang asal telah dihancurkan dan Allah akan buat bumi yang baru.

Oleh itu, waktu kita semua dibangkitkan nanti, kita tidak boleh buat apa yang kita mahu kerana keadaan sudah lain. Dalam ayat-ayat lain telah diberikan penerangan sedikit tentang hari itu – bayangkan nak bergerak dan bercakap pun takut.

Semasa kita hidup di dunia, kita duduk dengan keluarga dan kawan-kawan kita, tapi tidak di akhirat nanti. Ini kerana kita akan dipecahkan kepada beberapa kumpulan. Kalimah أَشتاتًا dari katadasar ش ت ت  yang bermaksud sesuatu yang pecah kepada beberapa bahagian.

Dalam Surah Bayyinah telah disebut tentang manusia itu terbahagi kepada dua kumpulan Sharr ul bariyyah [makhluk yang paling teruk], and Khayrul bariyyah َ[makhluk yang paling baik]). Dalam surah Zalzalah ini pula, Allah memberitahu kita yang pada hari akhirat nanti, manusia akan dipecahkan (أَشتاتًا) kepada beberapa kumpulan.

Ini adalah kerana semasa hidup di dunia pun, manusia sudah terbahagi kepada beberapa jenis, bergantung kepada kepercayaan dan amalan mereka. Allah telah sebut bagaimana manusia itu usaha mereka tidak sama seperti yang telah disebut dalam al-Layl:4

إِنَّ سَعيَكُم لَشَتّىٰ

sesungguhnya usaha kamu memang berbeza-beza.

Asalnya manusia bermula dengan satu fahaman akidah dan agama seperti yang disebut dalam Baqarah:213

كانَ النّاسُ أُمَّةً واحِدَةً

Manusia itu asalnya adalah umat yang satu.

Kemudian manusia lama kelamaan bertukar fahaman, menjauh dari agama yang benar, dan berpecah kepada beberapa jenis golongan. Mereka mungkin duduk dalam keluarga yang sama, tapi mereka berfahaman berlainan. Oleh itu dalam satu keluarga yang besar, ada yang beriman, ada yang mengamalkan tauhid, ada yang mengamalkan bidaah dan ada yang mengamalkan sunnah.

Ini adalah kerana manusia tidak boleh pilih dengan keluarga mana mereka akan dihidupkan, dalam negara dan masyarakat mana mereka akan akan hidup. Jadi walaupun seorang yang beriman, kadang-kadang kena duduk dengan golongan yang tidak beriman. Tapi apabila masuk ke hari akhirat, Allah akan gabungkan manusia dan jin kepada golongan mereka dari segi fahaman agama dan amalan. Orang beriman akan duduk dengan orang beriman dan orang kafir akan duduk dalam kalangan orang kafir.

Dan setiap kumpulan akan dibahagikan lagi mengikut tingkatan mereka. Kerana ada orang beriman yang duduk di tingkatan tinggi dan ada yang beriman tapi duduk di tingkatan rendah dan sebagainya. Semua manusia akan dimasukkan dan dikumpulkan dalam kumpulan masing-masing.

Yang paling tinggi adalah Al Sabiqoon [yang paling hampir dengan Allah], kemudian As-hab al Yameen [Golongan Kanan – yang mendapat buku amalan dari tangan kanan], dan akhir sekali adalah as-hab al Shimal [Golongan Kiri – yang mendapat buku amalan dari tangan kiri]. Tiga golongan utama ini telah disebut dalam Surah al Waqi’ah.

Pendapat di atas mengatakan yang manusia akan bertemu dengan orang lain yang sama taraf dengan mereka. Tapi ada juga yang kata, setiap manusia akan duduk bersendirian. Pendapat ini pula mengatakan apabila manusia dibangkitkan dari kubur, mereka akan duduk di tempat mereka, tempat berhenti dan tidak boleh bergerak, di mana mereka tidak akan dapat bergerak sampailah penghakiman habis. Ini amat menakutkan sekali. Waktu itu mereka sudah tahu dah apa nasib mereka. Ini disebut dalam Abasa: 38-41

وُجوهٌ يَومَئِذٍ مُسفِرَةٌ. ضاحِكَةٌ مُستَبشِرَةٌ. وَوُجوهٌ يَومَئِذٍ عَلَيها غَبَرَةٌ. تَرهَقُها قَتَرَةٌ.

Banyak muka pada hari itu berseri-seri, tertawa dan bergembira ria, dan banyak (pula) muka pada hari itu tertutup debu,dan ditutup lagi oleh kegelapan.

Jadi, waktu menunggu dalam keseorangan itu pun mereka sudah tahu sebenarnya ke mana mereka akan pergi. Sebab itu ada yang sudah suka dan ada yang sudah ketakutan dan kesedihan yang sangat. Kerana mereka sudah nampak jalan ke neraka dan ada yang sudah nampak jalan ke syurga.

Kita telah sebut tentang 3 kekeliruan manusia dan telah dijawab 2 dari kekeliruan itu. Sekarang kita akan  menyentuh kekeliruan ke 3. Kekeliruan itu mengatakan: kalau pun ada Hari Keadilan, Hari Penghakiman, mereka rasa mereka tetap selamat kerana mereka ada pemberi syafaat yang akan menyelamatkan mereka. Itu boleh jadi dalam bentuk Nabi, wali atau malaikat. Benarkah begitu? Mari kita lihat sambungan ayat 6 Surah Zalzalah ini:

Kalimah لِيُرَوا أَعمالَهُم bermaksud:  Supaya mereka melihat amal-amal mereka. Harf ل dalam ayat ini memberitahu tentang ‘tujuan’, iaitu tujuan apa yang mereka dibahagikan kepada kumpulan masing-masing. Tujuannya adalah supaya mereka dipertunjukkan dengan amalan-amalan mereka semasa di dunia dulu.

Ada dua kalimah yang digunakan dalam Al-Qur’an untuk ‘perbuatan’. Sama ada digunakan kalimah فعل atau عمل. Apakah beza antara keduanya?

Kalimah فعل = perbuatan yang dilakukan tanpa berfikir pun, ia terjadi sendiri. Sebagai contoh bernafas, melihat, mendengar, kelip mata dan sebagainya. Semua itu kita tidak fikirkan pun, ia akan terjadi.

Kalimah عمل = perbuatan yang dilakukan dengan sengaja, dengan niat. Sebagai contoh makan, melihat dengan sengaja, mendengar dengan segaja, membaca dan sebagainya.

Dalam ayat ini, kalimah yang digunakan adalah عمل – kalimah yang digunakan adalah أَعمالَهُم (amal-amal mereka). Iaitu mereka akan ditunjukkan dengan perbuatan mereka yang mereka ‘sengaja’ buat. Yang mereka buat dengan niat memang untuk melakukannya. Bukanlah perbuatan yang mereka tidak sengaja.

Semua sekali perbuatan mereka itu akan disenaraikan dan akan ditunjukkan. Mana amal yang baik akan ditunjuk dan mana amalan yang salah pun akan ditunjuk juga. Sebab itulah kita kena berhati-hati dengan amalan kita. Jangan terus buat sahaja amalan yang dikatakan islamik, padahal tidak pun kerana ianya adalah bidaah sahaja.


 

Ayat 7:

فَمَن يَعمَل مِثقالَ ذَرَّةٍ خَيرًا يَرَهُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So whoever does an atom’s weight¹ of good will see it,

  • Or “the weight of a small ant.”

(MALAY)

Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat dzarrah pun, nescaya dia akan melihatnya.

 

Ini adalah pengajaran yang penting yang hendak disampaikan. Kita boleh tahu yang ini adalah konklusi dari pengajaran kerana ada hurf ف dalam فَمَن itu. Kena beri perhatian dalam perkara yang hendak disampaikan ini. Segala apa yang telah disampaikan sebelum ini membawa kepada apa yang hendak disampaikan dalam ayat ini. Allah hendak memberitahu apakah tujuan segala yang telah disebut sebelum ini.

Kalimah يَعمَل bermaksud: sesiapa yang melakukan amalan. Dari segi nahu Arab, sepatutnya ُيَعمَل Ya’malu (dalam format marfoo’) digunakan dalam keadaan biasa. Akan tetapi kerana kalimah يَعمَل dalam bentuk مجزوم majzoom, maka ianya adalah dalam bentuk ‘kondisi’. (Kalau buat begini, akan jadi begitu…. ) Oleh itu, ayat ini maksudnya, siapa yang buat amal baik, dia akan lihat amalnya itu nanti di akhirat.

Kalimah مِثقالَ dari katadasar ث ق ل yang sama dengan kalimah dalam ayat 2. Kalimah ثِقِل bermaksud ‘beban’, tapi apakah pula maksud مِثقالَ? Ianya adalah sesuatu yang digunakan untuk membandingkan berat antara dua perkara. Sebagai contoh, kalau zaman dulu timbangan jenis ini yang banyak digunakan:

Pemberat yang digunakan dinamakan مِثقالَ.
Pemberat yang digunakan dinamakan مِثقالَ.

Oleh itu, kalimah مِثقالَ bermaksud alat yang digunakan untuk membandingkan berat. Dalam bahasa Arab, apabila wazan yang digunakan bermula dengan م dan ada ada huruf ا, selalunya ianya adalah alat yang digunakan. Sebagai contoh, مفتاح adalah kunci dan الميزان adalah penimbang.

Kenapa digunakan kalimah مِثقالَ yang bermaksud alat yang digunakan sebagai pemberat dalam ayat ini? Kerana hendak membandingkan berat seringan ذَرَّةٍ dharra – yang bermaksud benda paling kecil yang dapat dibayangkan. Kepada orang Arab dulu, perkara paling kecil yang mereka tahu adalah telur semut, dan kerana itu mereka panggil telur semut itu sebagai ذَرَّةٍ.

Tapi kita dalam zaman moden sekarang, kita boleh tahu bahawa ada lagi benda paling kecil – sebagai contoh, kita tahu atom adalah perkara paling kecil (yang kita tahu setakat ini). ذَرَّةٍ juga boleh juga digunakan untuk debu-debu yang kita lihat berterbangan di ruang bilik kita.

Debu-debu yang beterbangan yang juga boleh dipanggil ذَرَّةٍ.
Debu-debu yang beterbangan yang juga boleh dipanggil ذَرَّةٍ.

Setiap satu dari debu itu boleh dipanggil ذَرَّةٍ. Oleh itu, ia bermaksud sesuatu yang kecil sangat dan kalau kita nak nilai pun, tidak boleh nak nilaikan harganya. Allah nak beritahu, amalan kebaikan yang sekecil ذَرَّةٍ itu pun Allah akan beri nilai kepadanya, dan mereka yang melakukan amal kebaikan sebanyak itu pun akan dinampakkan kembali dengan perbuatannya itu.

Memang pada kita, kita rasa ianya kecil sahaja, tapi pada Allah, ia ada nilai. Maka ini memberi semangat untuk kita melakukan apa sahaja kebaikan yang kita boleh lakukan – jangan kita tahan diri kita dari tidak melakukannya kerana kita sangka ianya tidak bernilai langsung.

Kalimah خَيرًا bermaksud – baik. Ini adalah kalimah dalam bentuk تمييز tamyeez (kalimah perbandingan. Nak bandingkan amal dalam bentuk apa? – bentuk kebaikan). خَيرًا adalah perkara baik yang semua orang tahu, tak perlu dijelaskan pun kenapa ianya baik. Contohnya, kita sendiri tahu menyelamatkan nyawa orang lain adalah perkara yang baik dilakukan. Tak payah nak jelaskan kepada orang kenapa menyelamatkan nyawa itu satu perkara yang dianggap baik. Memang semua orang anggap ianya perkara baik.

Mereka yang telah melakukan amal kebaikan semasa di dunia, tidak kira sekecil mana pun, dia akan يَرَهُ – melihatnya (melihat amal kebaikan itu). Apabila digunakan kalimah يَرَهُ dari katadasar ر أ ي, ia bermaksud benar-benar melihat dengan mata sendiri.

Digunakan kalimah ini kerana hendak menekankan bagaimana mereka yang telah buat amal itu akan benar-benar melihat amalnya kembali. Dia akan dapat melihat bagaimana kesan amal baiknya nanti yang telah bertukar menjadi pahala. Baru dia faham kenapa amalnya itu walaupun kecil atau besar, ada nilai sebenarnya.

Dan dia akan faham dengan mudah. Bandingkan kalau kita ikuti perbicaraan di mahkamah, kadang-kadang tidak tahu pun apa yang berlaku di mahkamah itu. Allah gunakan kalimah يَرَهُ sebagai isyarat yang mereka akan faham sangat kesan perbuatan mereka.

Manusia akan lihat segala amalnya nanti. Pada peringkat ini, dia akan lihat amalnya itu dari bentuk asal. Kerana amal kebaikan itu nanti Allah akan gandakan sebanyak yang Allah kehendaki. Ada amal yang digandakan sepuluh kali ganda, 700 kali ganda atau lebih lagi, bergantung kepada kehendak Allah.

Apabila jadi begitu, kita akan lebih menghargai apa yang Allah lakukan. Kerana kita akan lihat bagaimana amal kita itu pada asalnya tidaklah sebesar mana, tapi bila Allah sudah gandakan, jadi banyak. Maka kita lebih menghargai apa yang Allah telah lakukan. Kita tentu akan lebih bersyukur kepada Allah. Kerana kita sendiri pun kena sedar, amal kebaikan yang kita telah lakukan itu, bukannya baik sangat pun – kalau kita solat pun, tidaklah kita khusyuk pun.


 

Ayat 8: Bagaimana pula kalau dia buat amal keburukan?

وَمَن يَعمَل مِثقالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And whoever does an atom’s weight of evil will see it.

(MALAY)

Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan sebesar dzarrahpun, niscaya dia akan melihat (balasan)nya pula.

 

Kalimah شَرًّا bermaksud – kejahatan. Kalimah شَرًّا berasal dari katadasar ش ر ر yang bermaksud percikan api. Jenis kejahatan yang manusia tahu ianya buruk, tidak kira dia orang Islam atau tidak, asalkan dia berakal normal. Tak perlu jelaskan pun kenapa ianya buruk. Kalau penjenayah pun, dia tahu yang apa yang dia sedang lakukan itu adalah salah, tak payah jelaskan pun dia sudah tahu.

Dalam ayat sebelum ini, telah diberitahu bagaimana kalau seseorang yang buat amal kebaikan sebesar ذَرَّةٍ pun, dia akan ditunjukkan dengan amalnya itu. Dan sekarang kita dapat tahu pula, kalau buat amal yang buruk pun, walau sebesar ذَرَّةٍ pun, akan dinampakkan juga kepada orang itu.

Jadi, kita akan ditunjukkan dengan amal kita, sama ada baik atau tidak, semuanya sekali. Seperti kita telah sebut, kebaikan yang kita lakukan akan digandakan dan kita akan lebih menghargai kemurahan Allah. Dan bagaimana pula dengan amal keburukan kita? Ianya akan ditunjukkan semuanya juga – walaupun ada yang Allah telah ampunkan.

Kenapa pula? Allah akan tunjukkan dulu supaya kita tahu apa yang kita telah lakukan dan bagaimana Allah dengan Sifat Maha PengampunNya akan mengampunkan kesalahan itu dan menghilangkan terus mana-mana kesalahan yang Dia mahu ampunkan – bergantung kepada Allah sama ada hendak ampunkan atau tidak. Bila kita lihat bagaimana kesalahan yang kita lakukan telah diampunkan, tentulah kita akan lebih menghargai Sifat Ghafoor dan Raheem Allah.

Sesungguhnya, kita tidak tahu apakah amalan kita yang akan dapat pahala dan akan dapat dosa. Ini adalah kerana banyak perkara yang terjadi dalam segenap kehidupan kita. Semuanya bergantung kepada niat. Seperti sabda Rasulullah:

قَالَ الْبُخَارِيُّ: حَدَّثَنَا إِسْمَاعِيلُ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ، حَدَّثَنِي مَالِكٌ عَنْ زَيْدِ بْنِ أَسْلَمَ، عَنْ أَبِي صَالِحٍ السَّمان عَنْ أَبِي هُرَيرة: أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: “الْخَيْلُ لِثَلَاثَةٍ: لِرَجُلٍ أَجْرٌ، وَلِرَجُلٍ سِتْرٌ، وَعَلَى رَجُلٍ وِزْرٌ؛ فَأَمَّا الَّذِي لَهُ أَجْرٌ، فَرَجُلٌ رَبَطَهَا فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَأَطَالَ طَيلها فِي مَرْجٍ أَوْ رَوْضَةٍ، فَمَا أَصَابَتْ فِي طِيَلِهَا ذَلِكَ فِي الْمَرْجِ وَالرَّوْضَةِ كَانَ لَهُ حَسَنَاتٌ، وَلَوْ أَنَّهَا قَطَعَتْ طِيَلَهَا فاستنَّت شَرَفا أو شَرَفَيْنِ، كَانَتْ آثَارُهَا وَأَرْوَاثُهَا حَسَنَاتٍ لَهُ، وَلَوْ أَنَّهَا مَرَّتْ بِنَهَرٍ فَشَرِبَتْ مِنْهُ وَلَمْ يُرِدْ أَنْ يَسقَى بِهِ كَانَ ذَلِكَ حَسَنَاتٍ لَهُ، وَهِيَ لِذَلِكَ الرَّجُلِ أَجْرٌ. وَرَجُلٌ رَبَطَهَا تَغَنيا وَتَعَفُّفًا، وَلَمْ يَنْسَ حَقَّ اللَّهِ فِي رِقَابِهَا وَلَا ظُهُورِهَا، فَهِيَ لَهُ سِتْرٌ. وَرَجُلٌ رَبَطَهَا فَخْرًا وَرِئَاءً وَنِوَاءً، فَهِيَ عَلَى ذَلِكَ وِزْرٌ”. فسُئل رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ الحُمُر، فَقَالَ: “مَا أَنْزَلَ اللَّهُ فِيهَا شَيْئًا إِلَّا هَذِهِ الْآيَةَ الْفَاذَّةَ الْجَامِعَةَ: {فَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ وَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُ}

Imam Bukhari mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ismail ibnu Abdullah, telah menceritakan kepadaku Malik, dari Zaid ibnu Aslam, dari Abu Saleh As-Samman, dari Abu Hurairah, bahwa Rasulullah Saw. pernah bersabda: Kuda itu bagi tiga macam orang lelaki; iaitu bagi seseorang menghasilkan pahala, dan bagi seseorang yang lain menjadi penutup; dan bagi seorang yang lainnya lagi menghasilkan dosa. Adapun orang yang mendapatkan pahala dari kudanya ialah seorang lelaki yang menambatkan kudanya di jalan Allah, lalu kuda itu diikat di padang rumput atau di taman. Maka apa yang dimakannya sepanjang tali penambatnya di padang rumput atau taman itu akan menjadi pahala kebaikan bagi pemiliknya. Dan sekiranya kudanya itu memutuskan tali penambatnya, lalu berlari sejauh satu syaraf atau dua syaraf, maka semua jejaknya dan tahi kotoran yang dikeluarkannya menjadi pahala kebaikan bagi pemiliknya. Dan sekiranya kudanya itu melalui sebuah sungai (mata air), lalu minum air darinya, padahal pemiliknya tidak menginginkan kudanya itu minum, maka hal itu akan menjadi pahala baginya. Dan semuanya itu akan membawa pahala bagi lelaki yang memilikinya. Dan seorang lelaki yang menambatkannya dengan niat untuk mencukupi kebutuhannya sendiri dan menjaga kehormatannya (agar tidak minta tumpangan dari orang lain), sedangkan dia tidak melupakan hak Allah yang ada pada leher kudanya dan tidak pula pada punggungnya, maka kudanya itu menjadi penutup baginya. Dan seorang lelaki yang menambatnya kerana berbangga diri, menunjuk, dan ingin terkenal, maka kudanya itu akan membawa dosa baginya. Lalu Rasulullah Saw. ditanya tentang keldai, maka beliau Saw. menjawab bahawa Allah Swt. tidak menurunkan sesuatu pun mengenainya kecuali hanya ayat yang tegas lagi mencakup ini, iaitu firman-Nya: Barang siapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarrah pun, niscaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarrah pun, niscaya dia akan melihat (balasan)nya pula. (Az-Zalzalah: 7-8)

Di dalam kitab Sahih Bukhari disebutkan bahawa telah diriwayatkan dari Adiy secara marfu’:

“اتَّقُوا النَّارَ وَلَوْ بِشِقِّ تَمْرَةٍ، وَلَوْ بِكَلِمَةٍ طَيِّبَةٍ”

Hindarilah neraka, sekalipun dengan (menyedekahkan) separuh buah kurma, dan sekali pun dengan kalimat yang baik.

Juga dari Adiy disebutkan di dalam kitab sahih:

«لَا تَحْقِرَنَّ مِنَ الْمَعْرُوفِ شَيْئًا وَلَوْ أَنْ تُفْرِغَ مِنْ دَلْوِكَ فِي إِنَاءِ الْمُسْتَسْقِي وَلَوْ أَنْ تَلْقَى أَخَاكَ وَوَجْهُكَ إِلَيْهِ مُنْبَسِطٌ»

Jangan sekali-kali kamu meremehkan sesuatu pun dari kebajikan, sekalipun dalam bentuk engkau menuangkan sebahagian air dari timbamu ke bekas orang yang meminta minum, dan sekali pun dalam rupa engkau sambut saudaramu dengan wajah yang berseri-seri.

قَالَ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا أَبُو عَامِرٍ، حَدَّثَنَا سَعِيدُ بْنُ مُسْلِمٍ، سَمِعْتُ عَامِرَ بْنَ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ الزُّبَيْرِ: حَدَّثَنِي عَوْفُ بْنُ الْحَارِثِ بْنِ الطُّفَيْلِ: أَنَّ عَائِشَةَ أَخْبَرَتْهُ: أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقُولُ: “يَا عَائِشَةُ، إِيَّاكِ وَمُحَقِّرَاتِ الذُّنُوبِ، فَإِنَّ لَهَا مِنَ اللَّهِ طَالِبًا”.

Dan Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abu Amir, telah menceritakan kepada kami Sa’id ibnu Muslim, bahawa dia pernah mendengar Amir ibnu Abdullah ibnuz Zubair mengatakan bahawa telah menceritakan kepadaku Auf ibnul Haris ibnut Tufail, bahawa Aisyah pernah menceritakan kepadanya bahwa “Nabi Saw. telah bersabda kepadanya: Hai Aisyah, jauhilah dosa-dosa kecil yang remeh, kerana sesungguhnya kelak Allah akan menuntutnya.

Oleh itu, ini semua adalah sebagai motivasi kepada kita untuk memperbanyakkan amal kebaikan dan meninggalkan amal keburukan. Kena berhati-hati dengan apa sahaja yang kita lakukan. Kena lebih prihatin dengan perbuatan kita dari saat ini.

 

Penutup:

Allah mulakan surah ini dengan sesuatu yang amat besar – kejadian gempa dan goncangan bumi yang amat mengejutkan sekali. Tapi di hujung surah, Allah menyebut tentang perkara yang kecil – amal kebaikan yang sekecil ذَرَّةٍ atau amal keburukan yang sekecil ذَرَّةٍ pun – semuanya akan ditunjukkan.

Allahu a’lam. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah al-Aadiyat.

Kemaskini: 13 September 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibnu Kathir

Tafsir Surah at-Takathur Ayat 1 – 4 (Banyak perkara melekakan)

Pengenalan:

Dalam Surah al-Qari’ah, Allah ‎ﷻ menyebut tentang segolongan manusia yang akan memasuki neraka. Surah ini adalah tentang mereka. Allah ‎ﷻ menyebut apakah sebab mereka dimasukkan ke dalam neraka. Marilah kita lihat takut-takut kita pun termasuk dalam kategori ini. Takut kita pun ada sifat-sifat mereka. Dalam surah ini Allah ‎ﷻ bercakap terus kepada mereka, seolah-olah Allah‎ ﷻ memberi nasihat yang terakhir terus kepada pihak itu.

Kita telah sebutkan bagaimana Surah at-Takathur ini adalah surah ke 4 daripada kumpulan 4 surah yang berterusan: Zilzal, ‘Aadiyat (perangai mereka semasa di dunia sekarang), al Qari’ah, dan sekarang Surah Takathur (perangai mereka di dunia sekarang).

Jadi susunan topik surah  berselang  seli: Akhirah, dunia, Akhirah, dunia. Oleh kerana itu, surah ini ada kaitan rapat dengan Surah al-Aadiyaat kerana ia berkenaan dengan perbuatan manusia (yang akan jadi ahli neraka) itu semasa mereka hidup di dunia. Maka kita kena periksa diri kita sendiri kalau-kalau kita ada sifat-sifat yang akan disebut sebentar lagi.

Zalzalah – kisah tentang Hari Akhirat
Aadiyat – kisah tentang kehidupan di dunia
Qaari’ah – kisah tentang Hari Akhirat
Takathur – kisah tentang kehidupan di dunia

Surah ini diturunkan di Peringkat Kedua Kenabian iaitu apabila dakwah sudah mula diberikan secara terbuka.


Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 2 perenggan makro. Ayat 1 – 5 adalah Perenggan Makro Pertama. Ia memberi ‘soalan maut’ kepada orang yang degil: Sampai bilakah mahu lalai dengan kemegahan dunia ? Adakah sehingga ke kubur?

أَلهَٮٰكُمُ ٱلتَّكَاثُرُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

At-Takāthur: Competition in Increase.

Competition in [worldly] increase diverts you

(MALAY)

Banyak telah melalaikan kamu,

Kalimah أَلْهَا daripada kalimah ل ه و yang bermaksud hiburan. Ia adalah sesuatu yang menyebabkan kita leka dan terlupa kepada benda lain. Dan benda yang kita lupa itu adalah benda yang patut kita lakukan tetapi kita leka dengan أَلْهَا, maka kita tinggalkan daripada melakukannya. 

Dan yang perkara yang melekakan kita itu tidak penting, lebih kepada membuang masa sahaja dan tidak bermanfaat. Ataupun ia memang ada guna, tetapi ianya kurang penting daripada benda yang patut kita lakukan itu. Contohnya: kita lupa Allah ‎ﷻ kerana leka dengan harta. Allah ‎ﷻ sebut dalam ayat yang lain:

يا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنوا لا تُلهِكُم أَموالُكُم وَلا أَولادُكُم عَن ذِكرِ اللَّهِ ۚ وَمَن يَفعَل ذٰلِكَ فَأُولٰئِكَ هُمُ الخاسِرونَ

Hai orang-orang beriman, janganlah hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu daripada mengingati Allah. Barangsiapa yang berbuat demikian maka mereka itulah orang-orang yang merugi. [al Munafiqun:9]

Kekayaan dan anak-anak kita tidak sepatutnya melupakan kita kepada Allah ‎ﷻ, sebaliknya ia sepatutnya mengingatkan lagi kita kepada Allah‎ ﷻ – kita akan belajar konsep ini nanti dalam surah ini. Kita akan belajar bagaimana benda yang menyebabkan kita lupa Allah ‎ﷻ itulah benda yang sepatutnya menyebabkan kita ingat kepada Allah‎ ﷻ. Kita akan belajar bagaimana mengubah fahaman kita nanti dan yang inilah kita kena lakukan.

Apakah yang melekakan kita itu? التّكَاثُرُ. Ia dari katadasar ك ث ر yang bermaksud ‘banyak’. Tetapi apakah maksudnya? Ada beberapa pendapat yang diberikan oleh ahli tafsir:

1 – keinginan untuk dapat banyak benda – sibuk sangat memikirkan apa yang hendak. Sepanjang masa sibuk fikir mana yang kurang, mana hendak tambah. Itulah keinginan mahu dapat lebih. Mahu lebih banyak duit, harta, kereta besar, rumah besar dan macam-macam lagi.

2 – bersaing dengan orang lain untuk mendapatkan keduniaan. Ini jenis orang yang tidak puas hati tengok orang lain dapat lebih daripada mereka. Mereka seringkali hendak bandingkan apa yang dia ada dengan apa yang orang lain ada. Dan kalau mereka rasa apa yang mereka ada itu kurang daripada orang lain, mereka tidak puas hati dan hendak dapatkan lebih banyak lagi.

Sebagai contoh, mereka akan bersaing dengan orang lain untuk mendapat kerja yang lebih baik, rumah yang lebih baik, malah benda-benda kecil pun mereka mahu bersaing dengan orang lain – kalau tengok kawan pejabat dapat kerusi yang lebih baik daripada dia, dia pun tidak puas hati.

Benda macam inilah yang menyebabkan kerugian dan pembaziran – sebagai contoh, kalau anak hendak kahwin, dia nak pastikan yang majlis perkahwinan dia lebih hebat daripada majlis perkahwinan orang lain – maka dia akan belanjakan wang yang banyak untuk dihabiskan dalam sehari sahaja. Ini bukan sahaja membazir, tetapi kerja yang bodoh sama sekali!

3 – Bangga kalau mereka ada lebih lagi daripada orang lain: mereka bangga sangat sehinggakan mereka akan sibuk hendak beritahu orang lain apa yang mereka ada. Sampaikan kadang-kadang orang tidak tanya pun, tetapi mereka sibuk hendak bagitahu. Mereka mahu orang lain tahu mereka ada benda lebih.

Kadang-kadang itu mereka cakap secara lembut, tidaklah beritahu terus tetapi mereka beri isyarat sahaja. Lihatlah contoh yang Allah ‎ﷻ berikan dalam [Kahf:34] وَكانَ لَهُ ثَمَرٌ فَقالَ لِصاحِبِهِ وَهُوَ يُحاوِرُهُ أَنا أَكثَرُ مِنكَ مالًا وَأَعَزُّ نَفَرًا (dan dia mempunyai kekayaan besar, maka dia berkata kepada kawannya (yang mukmin) ketika bercakap-cakap dengan dia: “Hartaku lebih banyak daripada hartamu dan pengikut-pengikutku lebih kuat”)

Dalam ayat ini, seolah-olah lelaki itu terus kata dia lebih hebat daripada kawannya. Tetapi dalam tafsir, kita belajar bagaimana dia bagi isyarat sahaja. Contohnya cakap dengan orang lain: “eh baju ni kau beli kat mana?” Dia bukan mahu tanya kita beli baju kita di mana, tetapi dia mahu kita tanya dia balik tentang baju dia (supaya dia boleh beritahu yang dia beli di London).

Ini semua adalah bermegah-megahan dan ia bahaya. Begitulah yang Rasulullah ﷺ ajar kita:

قَالَ ابْنُ أَبِي حَاتِمٍ: حَدَّثَنَا أَبِي، حَدَّثَنَا زَكَرِيَّا بْنُ يَحْيَى الوَقار الْمِصْرِيُّ، حَدَّثَنَا خَالِدُ بْنُ عَبْدِ الدَّايِمِ، عَنِ ابْنِ زَيْدِ بْنِ أَسْلَمَ، عَنْ أَبِيهِ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ” {أَلْهَاكُمُ التَّكَاثُرُ} عَنِ الطَّاعَةِ، {حَتَّى زُرْتُمُ الْمَقَابِرَ} حَتَّى يَأْتِيَكُمُ الْمَوْتُ”

Ibnu Abu Hatim mengatakan, telah menceritakan kepada kami ayahku, telah menceritakan kepada kami Zakaria ibnu Yahya Al-Waqqad Al-Masri, telah menceritakan kepadaku Khalid ibnu Abdud Da-im, dari Ibnu Zaid ibnu Aslam, dari ayahnya yang mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda: Bermegah-megahan telah melalaikan kalian dari ketaatan, sampai kalian masuk ke dalam liang kubur (sampai maut datang menjemput kalian).

4 – Mahu lebih dan lebih lagi: Sudah ada, mahu ada lebih banyak lagi. Tidak pernah puas. Malangnya, ramai orang yang mempunyai sifat begini. Tidak pernah puas dengan apa yang ada.

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا يَحْيَى، عَنْ شُعْبَةَ، حَدَّثَنَا قَتَادَةُ، عَنْ أَنَسٍ: أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: “يَهْرَمُ ابْنُ آدَمَ وَتَبْقَى مِنْهُ اثْنَتَانِ: الْحِرْصُ وَالْأَمَلُ”.

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Yahya, dari Syu’bah, telah menceritakan kepada kami Qatadah, dari Anas, bahwa Nabi Saw. pernah bersabda: Anak Adam akan menua, dan akan tetap menemaninya dua perkara, iaitu keinginan dan cita-cita. Imam Bukhari dan Imam Muslim telah mengetengahkannya di dalam kitab sahih masing-masing.

Sikap itu semua telah melekakan manusia daripada Allah ‎ﷻ dan daripada agama. Tetapi tidak disebut melekakan dari dalam ayat ini. Selalunya ada pemberitahuan tentang apakah benda yang dilekakan itu? Seperti yang digunakan dalam ayat yang telah disebut sebelum ini:

يا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنوا لا تُلهِكُم أَموالُكُم وَلا أَولادُكُم عَن ذِكرِ اللَّهِ ۚ وَمَن يَفعَل ذٰلِكَ فَأُولٰئِكَ هُمُ الخاسِرونَ

Hai orang-orang beriman, janganlah hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingat Allah. Barangsiapa yang berbuat demikian maka mereka itulah orang-orang yang merugi. [al Munafiqun:9]

Daripada ayat Surah Munafiqun di atas, diberitahu yang harta dan anak pinak melekakan manusia ‘daripada mengingati Allah‎ ﷻ’. Tetapi tidak disebut pula dalam ayat daripada Surah Takathur ini. Dengan membiarkan ianya tidak disebut, seolah-olah Allah ‎ﷻ hendak kita memikirkannya sendiri. Tetapi ada juga ulama’ yang mengatakan, manusia dilekakan daripada ‘kebenaran’. Apakah maksudnya?

Melekakan manusia daripada Yang Membawa Kebenaran, iaitu Allah ‎ﷻ. Oleh itu, ia membawa maksud, mengejar keduniaan telah melekakan kita daripada mengingati Allah‎ ﷻ. Kerana sentiasa ingat benda lain sahaja.

Melekakan manusia daripada melihat ke dalam dirinya dan mencari kebenaran: Kita sepatutnya selalu bertanya dan mencari jawapan: “apakah tujuan hidup ini?”, “apakah tujuan aku dilahirkan?,”, “apakah yang patut aku lakukan supaya Allah  ‎ﷻsuka?”.

Tetapi kalau disibukkan dengan mengejar dunia, maka soalan-soalan ini tidak akan ditanya dan dicari jawapannya. Mereka habiskan masa mengejar dunia, mana sempat hendak fikirkan benda-benda ini? Manusia sudah tidak fikirkan benda-benda yang penting. Bila sudah dapat satu, mahu dapat benda yang lain lagi, tidak habis-habis kerana manusia akan cepat rasa bosan.

Mereka sangka kalau dapat benda yang dikejar itu, mereka sangka yang mereka akan gembira dan puas hati, tetapi selepas dapat apa yang dikejar, mereka rasa tidak puas juga, sudahlah kena cari benda lain. Ini akan berulang-ulang sampai tidak akan habis. Dan kerana sibuk kejar apa yang mereka mahu, sampai tidak fikirkan apa tujuan mereka hidup di dunia ini.

Melekakan manusia daripada memberi perhatian kepada wahyu, iaitu Al-Qur’an. Di dalam Al-Qur’an itu ada kebenaran dan sepatutnya memberi petunjuk kepada manusia, tetapi kerana sibuk mengejar dunia, hari-hari, siang dan malam menyebabkan tidak sempat hendak belajar tafsir Al-Qur’an kerana sibuk dengan dunia. Jangan kata belajar maksud Al-Qur’an, mahu baca Al-Qur’an pun tidak sempat.

Melekakan manusia daripada mengingati kematian dan Hari Kiamat: Kerana leka mengejar dunia, mereka tidak teringat pun yang mereka akan mati juga akhirnya; mereka lupa yang Hari Kiamat pasti akan datang dan mereka tidak bersedia pun untuk menghadapinya. Mereka tahu mereka akan mati juga, tetapi kerana hidup senang lenang, mereka tidak teringat tentang kematian.

Kita telah sebutkan bahawa surah ini ada kaitan rapat dengan Surah Aadiyat. Dalam Surah Aadiyat, Allah‎ ﷻ beritahu:

وَإِنَّهُ لِحُبِّ الخَيرِ لَشَديدٌ

dan sesungguhnya dia sangat cinta kepada kesenangan.

Allah ‎ﷻ telah beritahu dalam Surah Aadiyat bahawa manusia itu kebanyakannya sangat cinta kepada kesenangan di dunia. Dan sekarang Allah ‎ﷻ beritahu, kecintaan mereka itu telah menyebabkan mereka leka daripada agama, daripada Allah‎ ﷻ, daripada Al-Qur’an dan daripada mengingati mati dan Hari Kiamat.

Dalam banyak-banyak benda yang menyebabkan manusia leka, dua perkara yang selalu diulang-ulang adalah adalah harta dan anak pinak (seperti yang telah disebut dalam [Munafiqun:9]). Kenapa sebut harta dan anak? Ia juga disebut dalam [Hadid:20]

اعلَموا أَنَّمَا الحَياةُ الدُّنيا لَعِبٌ وَلَهوٌ وَزينَةٌ وَتَفاخُرٌ بَينَكُم وَتَكاثُرٌ فِي الأَموالِ وَالأَولادِ

Ketahuilah, bahawa sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga-banggaan tentang banyaknya harta dan anak,

Maka itulah dua perkara yang amat-amat meleka dan melalaikan manusia. Itu yang selalu dikejar-kejar dan dibangga-banggakan.

Akan tetapi, تَكاثُرٌ فِي  وَالأَولادِ (banyak anak pinak) tidak semestinya bermaksud ‘anak-anak’ sahaja. Tambahan pula zaman sekarang, manusia tidak mahu anak ramai kerana ekonomi susah. Ramai yang tidak mahu anak banyak, sampaikan di negara China, mereka tahan keluarga supaya ada satu anak sahaja. Kalau mereka tidak ada anak ramai, apakah yang melekakan mereka?

Mereka akan leka dengan pencapaian anak-anak mereka. Manusia ramai yang bersaing sesama sendiri dalam pencapaian anak mereka – anak aku boleh buat ini, anak aku kerja di sana, anak aku dapat masuk universiti itu dan sebagainya. Kadang-kadang kecantikan anak-anak pun dibanding-bandingkan.

Ada harta dan anak pinak bukanlah semestinya sesuatu yang buruk. Tetapi ianya boleh menjadi buruk kalau ianya melekakan kita daripada perkara yang penting. Dan ianya adalah buruk kalau kita sangka yang kekayaan dan anak yang ramai itu sebagai tanda kejayaan.

Jadi, itulah dua perkara yang selalunya melekakan manusia. Tetapi seperti yang kita telah sebut sebelum ini, ada ulama’ yang mengatakan Allah ‎ﷻ tidak menghadkan apakah perkara yang melekakan dan melalaikan manusia. Maknanya, macam-macam benda lain lagi yang boleh melalaikan kita daripada agama dan daripada Allah‎ ﷻ.

Kadang-kadang kerja, kadang-kadang wanita (atau lelaki), kadang-kadang politik, kadang-kadang keluarga, apa-apa sahaja. Memang tidak cukup kertas kalau kita hendak senaraikan semua perkara yang boleh melekakan manusia.


Ayat 2: Sampai bilakah manusia akan terleka dengan dunia?

حَتّىٰ زُرتُمُ المَقابِرَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Until you visit the graveyards.¹

  • i.e., remain in them temporarily, meaning until the Day of Resurrection.

(MALAY)

sampai kamu masuk ke dalam kubur.

Mereka leka itu sampai mereka mati. Bukan sekejap, tetapi sampai bila-bila. Apabila diajak untuk belajar, mereka kata tunggu mereka senang, tunggu anak mereka sudah habis belajar, tunggu mereka pencen, tunggu mereka melancong ke sana dan ke sini dahulu.

Mereka sentiasa sahaja sibuk dengan urusan lain untuk pergi ke kelas pengajian, untuk tadabbur Al-Qur’an dan mendalami agama. Sampai bila mereka akan sibuk? Sampai mereka masuk ke dalam kubur! Sedar-sedar sudah ada dalam kubur dan waktu itu sudah terlambat.

Kalimah زُر daripada kalimah زُرْ yang bermaksud pergi berjumpa seseorang (melawat). Ini macam yang biasa kita pakai dalam bahasa kita: ziarah. Tetapi dalam adat bangsa Arab, ia juga bermaksud memeluk seseorang apabila berjumpa.

Oleh itu, kalimat زُرتُمُ المَقابِرَ bermaksud sehingga kamu melawat kubur. Kenapa digunakan ‘melawat’? Kerana kalau kita ziarah seseorang, ianya hanya sementara waktu sahaja, bukan? Bukannya kita tinggal terus di situ. Dan memang sesuai digunakan kalimah ‘melawat’ untuk kubur kerana kita bukannya terus tinggal di dalam kubur itu. Kita tinggal sementara sahaja di dalam kubur, sehinggalah waktu Kiamat. Apabila kiamat, semua ahli kubur akan keluar dari kubur, bukan?  Kita pun telah belajar dalam [Aadiyat:9]

أَفَلا يَعلَمُ إِذا بُعثِرَ ما فِي القُبورِ

Maka apakah dia tidak mengetahui apabila dibangkitkan apa yang ada di dalam kubur,

Dalam Surah Aadiyat, digunakan kalimah القُبورِ sedangkan dalam Surah Takathur ini, digunakan kalimah المَقابِرَ. Dan المَقابِرَ sesuai digunakan dalam ayat ini kerana ia adalah dalam bentuk isim makaan [tempat] = kerana kubur itu memang satu tempat yang dilawati seperti yang diisyaratkan dalam ayat ini.

Memang kubur itu satu tempat untuk dilawati untuk orang yang masih hidup pun, kerana ia boleh mengingatkan kita kepada kematian. Ini kerana, apabila kita lawat kubur kita akan ingat kembali yang kita juga akan mati dan akan dikuburkan juga seperti kubur yang kita lawati itu.

Tetapi kita tidak amalkan melawat kubur, bukan? Yang selalu kita lawat adalah pusat beli belah yang tidak mengingatkan langsung yang kita akan menghadapi kematian. Dan kalau ada yang pergi ke kubur pun pada hari pengebumian orang yang kita kenal atau semasa hari raya untuk lawat kubur saudara mara kita. (Melawat kubur hari raya bukanlah ibadat yang sunnah dan tidak patut dilakukan).


Ayat 3:

كَلّا سَوفَ تَعلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

No! You are going to know.

(MALAY)

Janganlah begitu, kelak kamu akan mengetahui (akibat perbuatanmu itu),

Kalimah كَلّا bermaksud: janganlah kamu buat begitu, janganlah sampai kamu dilekakan dengan dunia. Jangan lalai leka lagi.

Kalimah سَوفَ bermaksud: tidak lama lagi. Masa yang tidak lama. Kalau guna huruf س sahaja, ianya tidak secepat سَوفَ. Maknanya, kematian kita dekat sekali, bukan dekat sahaja, tetapi dekat sekali.

Kalimah تَعلَمونَ bermaksud: kamu akan mengetahui apa yang kamu telah lakukan. Tidak lama lagi mereka akan mati dan mereka akan tahu tentang kebenaran setelah mereka dikebumikan dan waktu itu sudah terlambat untuk buat apa-apa lagi. Waktu itu baru jelas nampak apakah akhirat itu kerana kematian adalah permulaan kepada akhirat.


Ayat 4: Ayat yang lebih kurang sama seperti ayat ke 3 cuma ada tambahan kalimah ثُمّ.

ثُمَّ كَلّا سَوفَ تَعلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then, no! You are going to know.

(MALAY)

dan janganlah begitu, kelak kamu akan mengetahui.

Oleh kerana ayat 3 dan ayat 4 ini lebih kurang sama sahaja, maka ahli tafsir memberi penjelasan:

Ayat 3 adalah apabila manusia itu mati dan mereka dimasukkan ke dalam kubur. Semasa di dalam kubur, mereka sudah mula menemui perkara-perkara ghaib yang telah banyak diberitahu kepada mereka tentang alam barzakh. Mungkin dahulu mereka tidak percaya atau tidak endahkan, tetapi apabila sudah masuk kubur, barulah mereka tahu.

Dan Ayat 4 ini pula berlaku apabila mereka keluar dari kubur untuk menghadapi Penghakiman Allah ‎ﷻ di Mahsyar. Waktu itu mereka akan melihat pula perkara-perkara kejadian di Mahsyar dan selepasnya yang memang telah diberitahu kepada mereka semasa mereka hidup di dunia. Waktu itu baru mereka tahu.

Kalimah ثُمّ pula untuk memberatkan (takhfeem) ayat sebelumnya. Maksudnya selepas keluar dari kubur, keadaan lebih berat lagi kerana semasa masuk dalam kubur, memang ada soalan yang akan ditanya dalam kubur, tetapi soalan tidak banyak lagi kalau dibandingkan di Mahsyar. Ini adalah kerana di Mahsyar dan seterusnya, soalan lebih banyak lagi dan lebih teruk dan kerana itu ada kalimah ثم itu ditambah untuk menguatkan lagi ayat yang ke 4.

Ayat 3 dan 4 ini adalah ‘hadiah’ daripada Allah ‎ﷻ untuk mengejutkan manusia daripada tidur dan leka mereka. Dan peringatan itu sampai dua kali kerana pengulangan ayat itu menunjukkan ianya lebih kuat dan memberatkan lagi peringatan itu. Kalau kita hendak seseorang mendengar apa yang kita katakan, kita akan ulang, bukan? Sebagai contoh kalau kita suruh seseorang untuk berhenti kerana dia hampir masuk dalam longkang, kita akan kata: “Berhenti! Berhenti!”. Kalau sekali cakap sahaja tidak cukup.

Begitulah kesannya apabila kita dengar ayat ini dibacakan kepada kita, atau kita baca sendiri. Memang terasa penekanan yang diletakkan. Ianya lebih terasa kalau kita mendengar ayat itu dibacakan (kalau dibandingkan dengan membaca sahaja) kerana Al-Qur’an ini memang mulanya dalam bentuk bacaan semasa sampai kepada Rasulullah ﷺ.

Ianya lebih memberi kesan kalau didengar di telinga. Lebih melekat ke dalam hati. Itulah sebabnya para sahabat kata ‘mereka dengar dan mereka taat’ seperti dalam [an-Nur:51]

إِنَّما كانَ قَولَ المُؤمِنينَ إِذا دُعوا إِلَى اللَّهِ وَرَسولِهِ لِيَحكُمَ بَينَهُم أَن يَقولوا سَمِعنا وَأَطَعنا ۚ وَأُولٰئِكَ هُمُ المُفلِحونَ

Sesungguhnya jawapan orang-orang mukmin, bila mereka dipanggil kepada Allah dan rasul-Nya agar Rasul menghukum (mengadili) di antara mereka ialah ucapan. “Kami mendengar, dan kami patuh“. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.

Para sahabat tidak kata: “kami baca dan kami taat”, bukan? Dan kerana inilah ada kelebihan kalau pengajian Al-Qur’an itu secara talaqqi (berdepan dan didengar daripada guru), bukan setakat baca sahaja. Al-Qur’an asalnya diajar dalam bentuk bacaan. Maka kenalah cari kelas pengajian tafsir (yang berasaskan sunnah) supaya kita dapat faham Al-Qur’an ini. Bacaan seperti penulisan ini hanyalah sebagai tambahan daripada ilmu asas yang dipelajari di kelas pengajian.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 17 Februari 2022


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah al-Qaari’ah Ayat 1 – 5 (Peringkat Pertama)

Pengenalan:

Surah ini adalah takhwif (penakutan) kepada golongan zalim. Ia diturunkan di awal Peringkat Kenabian. Iaitu semasa dakwah secara sulit lagi (tiga tahun pertama Kenabian).

Surah al-Qari’ah ini adalah salah satu dari kumpulan empat surah yang sekawan: Zilzal, ‘Aadiyat, al Qari’ah, dan Takathur. Surah-surah ini ada persamaan susunan dan topik: Akhirah, kehidupan dunia, Akhirah dan kembali mengisahkan kehidupan dunia:

Zalzalah – kisah tentang Hari Akhirat
Aadiyat – kisah tentang kehidupan di dunia
Qaari’ah – kisah tentang Hari Akhirat
Takathur – kisah tentang kehidupan di dunia

Allah menukarkan dan selang selikan antara topik surah-surah itu. Sekejap tentang Akhirat dan kembali kepada kisah amalan di dunia dan kembali pula kepada kisah Akhirat.

Oleh itu, Surah Qaari’ah ini adalah tentang Hari Akhirat. Kalau tidak ambil pengajaran dari Surah Aadiyat sebelum ini, maka akan mendapat nasib malang di akhirat dan Allah menceritakan tentang kesusahan yang akan dialami di akhirat nanti kepada mereka yang zalim dan berdosa.

Dalam Surah Aadiyat sebelum ini, telah disebut tentang perangai manusia yang tidak  menghargai segala nikmat yang Allah telah berikan, dan mereka telah engkar dengan arahan Allah. Maka kalau mereka bijak dan pandai, sepatutnya mereka sudah tukar perangai mereka; tapi kalau tidak, mereka akan bertemu dengan al-Qaari’ah yang akan dijelaskan sebentar sahaja lagi. Allah banyak beri amaran dalam surah ini.

Dan selepas Surah Qaari’ah ini, nanti dalam Surah at Takathur sekali lagi Allah menyebut tentang kehidupan dunia dan bagaimana manusia berkejaran untuk mendapatkan harta dan kemewahan sampai lupa untuk bersedia untuk akhirat.

Dalam Surah Aadiyat sebelum ini, Allah telah beritahu yang apa yang ada dalam hati mereka akan dikeluarkan – ini akan diterangkan dengan panjang lagi dalam surah ini. Di dalam Surah Aadiyat sebelum ini tidak diterangkan.

Surah Zalzalah and Qaari’ah kedua-duanya ada menyebut tentang ثقل dan ini adalah sebagai satu petunjuk kepada kaitan antara kedua surah ini.

Dalam Surah Zalzalah ada disebut: يَوْمَئِذٍ يَصْدُرُ النّاسُ أَشْتَاتًا لّيُ َروْا أَعْمَالَهُمْ. Ianya tentang bagaimana manusia akan berpecah kepada golongan-golongan. Nanti akan disebut dalam Surah Qaari’ah nanti bagaimana mereka akan bertempiaran macam serangga berterbangan.

Secara ringkasnya, ada 4 peringkat bagaimana amalan kita akan dinilai di akhirat nanti:

1 – Kita akan diberikan dengan buku amalan kita
2 – Akan ditunjukkan apakah amalan kita
3 – Amalan-amalan itu akan ditimbang dan dinilai
4 – Penghakiman Allah akan dijalankan.

Surah Zalzalah telah menyebut tentang senarai amalan kita semasa di dunia, iaitu peringkat 2 (peringkat 1 telah disebut dalam surah-surah sebelum ini). Tapi peringkat penilaian amalan itu tidak disebut lagi dan akan disebut dalam surah ini.

Penilaian ini penting kerana kita mungkin lihat ada banyak sekali amalan ibadah kita semasa di dunia, tapi kadang-kadang ia tidak bernilai pun. Ia tidak bernilai kalau kita tidak melakukannya kerana Allah – maksudnya amalan itu tidak ikhlas. Jadi penilaian di akhirat itu akan menilai sama ada amalan itu bernilai atau tidak – sama ada jadi pahala atau jadi debu yang tidak berharga.

Dan Allah memang akan menilainya dan Allah layak untuk menilainya kerana Allah tahu apa yang dalam hati kita – Allah tahu apa niat kita semasa melakukan amalan itu – seperti yang telah disebut dalam Surah Zalzalah – وَحُصِّلَ ما فِي الصُّدورِ. إِنَّ رَبَّهُم بِهِم يَومَئِذٍ لَخَبيرٌ.

Jadi, surah ini akan menggabungkan perbincangan antara niat dan amalan.


 

Persamaan pada Ayat 1, Ayat 2, Ayat 3: Oleh kerana kalimah القارِعَةُ yang digunakan ada persamaan, jadi kita gabungkan sekali penerangan tentangnya. Lihatlah persamaannya:

الْقَارِعَةُ
مَا الْقَارِعَةُ
وَمَا أدْرَاكَ مَا الْقَارِعَةُ

Kalimah القارِعَةُ diulang sebanyak tiga kali berturut-turut dalam surah ini. Ianya adalah dalam bentuk ism Fa’il/katanama yang membawa maksud pembuat, iaitu kata nama pembuat yang melakukan sesuatu. Dari segi bahasa, ianya bermaksud sesuatu yang menggoncang, memukul, merosakkan.

Kalimah القارِعَةُ dari katadasar ق ر ع yang bermaksud apabila dua benda berlanggaran sesama sendiri dengan kuat dan menyebabkan bunyi yang kuat dan mengejutkan. Kalau bunyi itu tidak kuat dan tidak mengejut, ianya bukanlah القارِعَةُ. 

Oleh itu, kalau dua kereta berlanggar dalam kemalangan, ia juga boleh dipanggil القارِعَةُ kerana ia mengeluarkan bunyi yang kuat dan mengejutkan mereka yang mendengar dan melihatnya. Begitu juga, ayat قرع على الباب bermaksud mengetuk pintu di malam hari, kerana kalau ada orang ketuk pintu rumah kita pada malam hari, tentu akan menyebabkan kita terkejut, bukan?

Oleh itu, kalimah القارِعَةُ digunakan untuk menyebut beberapa sifat Hari Kiamat kerana pada hari itu, hati manusia akan digoncang dengan teruk sekali kerana ketakutan. Al-Qariah adalah salah satu dari nama Hari Kiamat. Dan Allah menyebutnya sebanyak 3 kali untuk memberi lebih penekaran (takhfeem), lebih besar (ta’dheem) dan lebih menakutkan lagi.

Al-Qari’ah adalah nama lain dari hari kiamat, seperti Al-Haqqah, At-Tammah, As-Sakhkhah, Al-Ghasyiyah, dan lain-lainnya.

Banyak sekali perkara besar-besar yang akan terjadi pada Hari Kiamat nanti dan Allah menggunakan kalimah القارِعَةُ sebagai satu penerangan tentang kejadian Hari Kiamat itu. Ini adalah kerana Allah hendak memberi kita sedikit penjelasan apakah yang akan terjadi nanti. Kenapa Allah gunakan kalimah القارِعَةُ ini?

Kelebihan menggunakan kalimah القارِعَةُ ini, seperti juga kalau kita dikejutkan dengan ketukan pintu rumah kita di malam hari, yang mengejutkan kita dari tidur nyenyak kita, begitulah juga dengan hari kiamat nanti, akan mengejutkan dan menakutkan kita. Kejadian yang terjadi pada Hari Kiamat akan menyebabkan kita terkejut sangat-sangat.

Begitulah seperti yang telah disentuh dalam Surah Zilzal – apabila manusia melihat bumi tergoncang dengan kuat, mereka akan berkata:

 مَا لَهَا [apakah ia?] (Zalzalah:3)

Mari kita lihat tafsiran satu persatu ayat dari surah القارِعَةُ ini.


 

Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 2 perenggan makro. Ayat 1 – 5 adalah Perenggan Makro Pertama di mana gambaran Peringkat 1 Kiamat akan diceritakan. Peringkat 1 ini adalah tentang kehancuran dunia.

القارِعَةُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Al-Qāri‘ah: That Which Strikes or The Sudden Calamity, another name for the Resurrection.

The Striking Calamity –

(MALAY)

Hari Kiamat,

 

Dalam ayat ini ada satu kalimah sahaja – Al Qaari’ah. Ini bukan penggunaan biasa dalam bahasa Arab. Jadi apabila tidak disebut selain darinya, bermaksud ada kalimah yang dihazafkan (ditiadakan). Ini adalah konsep yang biasa digunakan dalam Al-Qur’an. Apakah kalimah itu?

Pendapat 1:
Ada yang mengatakan yang dihazafkan adalah pemberitahuan bahawa القارِعَةُ sedang mendekat, sedang datang, ianya pasti datang.

Pendapat 2:
Sebagai penekanan kepada kehebatan dan kesusahan pada hari itu. Ianya pendek sahaja kerana situasi yang mengejutkan sekali sampai tidak sempat nak sebut dengan penuh.

Sebagai contoh, kalau kita di dalam bangunan yang sedang terbakar, kalau kita nak beritahu orang lain untuk lari, kita tidak sempat nak sebut: “ada api dalam bangunan ini… mari kita keluar ramai-ramai…”, bukan? Tentu kita cuma menjerit: “Api!!, api!!” sahaja, bukan?

Kita cakap begitu kerana keadaan menakutkan dan kita hanya sampaikan yang perlu sahaja. Begitulah pendapat yang digunakan untuk menafsirkan ayat ini. Cuma sebut perkara yang mengejutkan itu sahaja, tapi memberikan maklumat panjang.


 

Ayat 2:

مَا القارِعَةُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

What is the Striking Calamity?

(MALAY)

apakah hari Kiamat itu?

 

Ayat 1 itu telah membangkitkan satu persoalan kerana ianya satu ayat sahaja. Kalau dalam bahasa Arab, ini dipanggil mubtada’ dan selalunya mubtada’ akan diikuti dengan khabar yang akan menjelaskan apakah yang telah disebut.

Tapi Allah tidak terus sebut apakah القارِعَةُ itu. Allah biarkan tergantung sahaja menyebabkan kita yang mendengarnya akan tertanya-tanya. Dan Allah menyebut apakah yang ada dalam fikiran manusia tentangnya: مَا القارِعَةُ (apakah القارِعَةُ ini?)

Apabila sudah ada pertanyaan, tentunya memerlukan jawapan, bukan? Sekarang sudah ada keinginan tahu tahap tinggi. Akan tetapi Allah tidak terus beritahu, sebaliknya Allah beritahu yang kita tidak akan dapat tahu, tanpa Allah yang beritahu.


 

Ayat 3: 

وَمَآ أَدرَٮٰكَ مَا ٱلقَارِعَةُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And what can make you know what is the Striking Calamity?

(MALAY)

Apakah yang boleh menyebabkan kamu tahu apakah hari Kiamat itu?

 

Allah memberikan soalan retorik dalam ayat ini: apa yang boleh menyebabkan kamu tahu apa itu القارِعَةُ? Ada carakah kamu boleh tahu sendiri? Tentu tidak ada. Perkara-perkara ghaib memerlukan pemberitahuan dari Allah dengan cara wahyu. Kalau Allah tidak beritahu, kita pun tidak akan tahu. Kalau kita fikirkan macam mana pun, kita tidak akan tahu kerana ianya adalah perkara ghaib.

Allah menggunakan kalimah القارِعَةُ dalam ayat ini untuk menerangkan kejadian Hari Kiamat – perkataan ini adalah perkataan yang biasa dalam bahasa Arab dan mempunyai makna yang mereka faham dan gunakan dalam bahasa harian mereka. Tapi kenapa Allah menyentuh ayat ini dan memberi isyarat yang mereka tidak tahu?

Lihat bagaimana Allah gunakan ayat وَما أَدراكَ مَا القارِعَةُ – padahal orang Arab boleh sahaja kata – “eh, kami tahu maksud القارِعَةُ ini”. Tapi Allah tetap kata yang mereka tidak akan tahu tanpa Allah yang beritahu. Tentu ini bukanlah القارِعَةُ yang mereka faham.

Jadi maknanya, Allah mengambil kalimah yang biasa digunakan dalam masyarakat Arab dan menjadikan ianya sebagai membawa maksud yang baru. Dalam erti kata lain, Allah menjadikan satu terma baru bagi orang Arab. Allah boleh buat perkara ini kerana Allah menguasai bahasa mana-mana pun.

Oleh itu, Allah boleh ambil satu kalimah yang membawa satu maksud, dan kemudian Allah boleh berikan maksud yang lebih mendalam kepada kalimah itu melalui Al-Qur’an. Oleh itu, boleh jadi sebelum Al-Qur’an, satu kalimah membawa maksud lain, tapi selepas digunakan oleh Al-Qur’an, ia ada maksud lain. Allah telah mengambil alih perkataan itu.

Sebagai contoh, kalimah ‘solah’ biasa digunakan dalam masyarakat Arab untuk membawa maksud ‘doa’, ‘ibadat’ dalam bentuk yang umum. Tapi melalui Al-Qur’an, Allah telah memberikan satu makna yang spesifik kepada kalimah ‘solah’ itu, yang mengandungi cara ibadat tertentu (qiyam, rukuk, sujud dan seterusnya).

Begitu juga dengan ibadat Haji – asalnya dalam bahasa Arab adalah untuk ziarah kepada tempat yang penting, tidak semestinya untuk Ka’bah sahaja. Tapi melalui Al-Qur’an, Allah telah menjadikan kalimah ‘Hajj’ untuk membawa maksud melakukan lawatan khusus ke Mekah untuk melakukan manasik haji.

Oleh itu, Allah boleh mengambil mana-mana kalimah dalam bahasa dan mengubah makna asalnya untuk selama-lamanya. Dan perkara ini biasa sahaja dalam dunia sekarang pun. Melalui penggunaan masyarakat, ada perkataan yang dahulu bermaksud lain, tapi kerana digunakan dalam maksud yang lain pada zaman sekarang, ianya sudah tidak sama lagi dengan maknanya yang asal dahulu.

Sebagai contoh, kalimah ‘khalwat’ dalam bahasa dulu bermaksud mendekatkan diri dengan Allah secara sendirian, tapi sekarang, apabila disebut ‘khalwat’, orang kita memahaminya sebagai berdua-duaan lelaki dan wanita di tempat yang sunyi jauh dari orang ramai. Jadi ia sudah membawa maksud yang negatif.

Oleh itu, kita dapat faham bagaimana kalimah القارِعَةُ yang asalnya bermaksud sesuatu yang menyebabkan bunyi yang kuat dan mengejutkan – menjadi satu kalimah yang merujuk kepada Hari Kiamat (kerana begitulah sifat Hari Kiamat nanti). Allah telah mengambil alih kalimah ini dan ianya tidak akan menjadi kalimah seperti yang difahami oleh masyarakat Arab sebelum disebut dalam Al-Qur’an ini.

Dan kalimah القارِعَةُ memang sesuai digunakan dalam Al-Qur’an untuk merujuk kepada Hari Kiamat kerana memang pada Hari Kiamat itu nanti, banyak benda akan berlanggaran sesama sendiri – bulan akan berlanggar dengan matahari, ia juga akan berlanggar dengan bumi, dan akan mengeluarkan bunyi amat kuat. Dan kita telah belajar dalam Surah Zalzalah bagaimana bumi ini akan bergegar dengan kuat sekali. Semua kejadian ini juga tentunya mengejutkan.

Oleh itu, susunan tiga ayat pertama surah ini:

Ayat 1: Ketukan yang kuat yang mengejutkan hati manusia.
Ayat 2: Manusia akan tertanya-tanya apakah yang terjadi?
Ayat 3: Apakah yang boleh memberitahu kita apakah kejadian itu?

Tiga ayat pertama ini telah menyebabkan orang tertanya-tanya apakah القارِعَةُ itu. Barulah Allah akan menjawabnya dalam ayat seterusnya nanti. Kalau kita lihat penggunaan kalimah dalam Al-Qur’an, kalau Allah gunakan kalimat وَما أَدراكَ, (dalam bentuk past tense) Allah akan beri maklumat selepasnya.

Tapi kalau Allah gunakan kalimat وَما يُدريكَ (dalam bentuk present tense) seperti dalam Surah Abasa, Allah tidak akan memberikan maklumat selepas itu dan membiarkan sahaja ianya tergantung. Allahu a’lam kenapa Allah lakukan begitu.


 

Ayat 4: Sekarang Allah beri penerangan tentang apakah al-Qariah itu.

يَومَ يَكونُ النّاسُ كَالفَراشِ المَبثوثِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

It is the Day when people will be like moths, dispersed,¹

  • The people will be as such after having been expelled from their graves.

(MALAY)

Pada hari itu manusia adalah seperti anai-anai yang bertebaran,

 

Allah menggunakan kalimah النّاسُ dalam ayat ini kerana ia merujuk kepada seluruh manusia. Dalam ayat-ayat yang lain, ada kalanya Allah menggunakan kalimah الإِنسانَ seperti di dalam Surah al-Aadiyat sebelum ini. Ini adalah kerana kalau digunakan الإِنسانَ, ianya hendak merujuk kepada individu manusia secara mufrad – berseorangan.

Kali ini, Surah Al-Qaari’ah ini lebih sesuai digunakan kalimah النّاسُ kerana Allah hendak merujuk kepada manusia secara keseluruhan. Kadang-kadang Allah guna الإِنسانَ dan kadang guna النّاسُ, bergantung kepada keadaan.

Kalimah الفَراشِ boleh bermaksud anai-anai, pepijat atau kelkatu yang akan melanggar lampu kalau kita pasang lampu. Allah hendak memberitahu yang manusia akan menjadi seperti kelkatu-kelkatu itu yang akan bertempiaran bergerak ke sana dan ke sini, dalam semua arah. Iaitu mereka akan مَبْثُوث – berpecah, ke sana dan ke sini, tidak ada arah tujuan.

Ini tidak sama macam burung yang berterbangan kerana kalau burung terbang, selalunya terarah penerbangan burung-burung itu. Kalau kita lihat serangga-serangga itu, ada banyak sekali dan semua bergerak bertempiaran, berlanggar sesama sendiri. Beginilah yang manusia akan alami, jadi kelam kabut dan ke sana ke sini apabila mendengar bumi kuat yang menakutkan pada Hari Kiamat nanti.

Oleh kerana manusia terlalu ramai, manusia akan berlanggar sesama sendiri pada waktu itu. Imaginasi perlanggaran itu sesuai dengan surah القارِعَةُ ini kerana salah satu maknanya adalah ‘perlanggaran’ seperti yang kita sudah sebut di pengenalan tadi. Keadaan amat kecoh sekali pada hari itu.

Keadaan ini terjadi apabila semuanya nanti keluar dari kubur masing-masing. Mereka akan bergerak ke sana dan ke sini, tapi akhirnya semua akan berhenti di salah satu tujuan – sama ada akan mendapat kebahagiaan sejati atau kesusahan yang berterusan dan kemusnahan.

Kalimah مَبْثُوث juga membayangkan kepada kita, bagaimana manusia waktu itu walaupun berada di satu tempat, tapi semua akan sibuk dengan hal sendiri sendiri sahaja. Ini seperti yang Allah sebut dalam ayat dalam surah yang lain tentang keadaan manusia pada hari itu:

يَوَدُّ المُجرِمُ لَو يَفتَدي مِن عَذابِ يَومِئِذٍ بِبَنيهِ
َوَصاحِبَتِهِ وَأَخيهِ
وَفَصيلَتِهِ الَّتي تُؤويهِ
وَمَن فِي الأَرضِ جَميعًا ثُمَّ يُنجيهِ

Orang berdosa ingin kalau sekiranya dia dapat menebus (dirinya) dari azab hari itu dengan anak-anaknya,
dan isterinya dan saudaranya,
dan kaum familinya yang melindunginya (di dunia).
Dan orang-orang di atas bumi seluruhnya kemudian (mengharapkan) tebusan itu dapat menyelamatkannya. Ma’arij:11-14

Waktu itu manusia sudah tidak menghiraukan siapa pun lagi. Mereka hanya memikirkan bagaimana agaknya untuk menyelamatkan diri mereka. Mereka sampai sanggup untuk menebus diri mereka dengan keluarga mereka sendiri! Semoga kita terselamat dari termasuk ke dalam golongan mereka.


 

Ayat 5: Dan gunung ganang akan menjadi seperti bulu benang biri-biri yang diputar untuk dibuat kain. Kerana kalau lihat pada mesin itu yang memintal bulu-bulu kapas itu, kita akan nampak bagaimana bulu-bulu akan berterbangan.

وَتَكونُ الجِبالُ كَالعِهنِ المَنفوشِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the mountains will be like wool, fluffed up.¹

  • i.e., beginning to disintegrate.

(MALAY)

dan gunung-gunung adalah seperti bulu yang dihambur-hamburkan.

 

Kalimah العِهنِ – benang bulu kambing biri-biri yang berbagai warna. Dalam masyarakat Arab, benang bulu kambing biri-biri yang banyak digunakan kerana kapas susah untuk diperolehi.

Kalimah المَنفوشِ merujuk kepada perbuatan memproses bulu biri-biri itu untuk menjadikan ianya sebagai kain. Ianya akan dipukul-pukul dalam proses persediaan. Apabila ini dilakukan, tentulah akan berterbangan bulu-bulu halus.

المَنفوشِ
المَنفوشِ

Bayangkan Allah sekarang menyebut tentang gunung ganang yang kukuh dan teguh sekarang ini akan menjadi seperti bulu biri-biri yang akan berterbangan. Ini adalah kerana gunung ganang dari segala tempat yang berbagai warna itu akan berlanggaran sesama sendiri dan akan menjadi seperti debu yang berwarna warni seperti العِهنِ itu. Ayat yang hampir sama ada disebut dalam Ma’arij:9

وَتَكونُ الجِبالُ كَالعِهنِ

dan gunung-gunung menjadi seperti bulu

Ayat dari Surah Ma’arij ini hampir sama tapi tidak ada kalimah المَنفوشِ dalam ayat ini. Dalam Surah Qaari’ah ini ada kalimah المَنفوشِ kerana ianya sesuai dengan tema surah ini – tentang sesuatu yang berlanggaran sesama sendiri. Allah gunakan kalimah yang sesuai dengan surah.

Lagi satu kalimah المَنفوشِ ini sesuai dalam tema surah ini kerana untuk bulu biri-biri, manusia akan pukul bulu-bulu itu untuk memprosesnya dijadikan kain. Dan bukankah surah ini ada berkenaan dengan pukulan (sebahagian dari makna القارِعَةُ) bukan? Begitu indah dan tepat sekali penggunaan kalimah-kalimah dalam Al-Qur’an.

 

Allahu a’lam, sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 24 Disember 2021


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah al-Aadiyat Ayat 1 – 5 (Serangan kuda berani mati)

Pengenalan:

Dalam Surah Zalzalah sebelum ini, telah disebut bagaimana bumi akan bergoncang dengan kuat (gempa) dan ia akan mengeluarkan segala kisah yang ia telah simpan selama hari ini, iaitu ia akan mengadu tentang perbuatan manusia selama manusia hidup di atasnya zaman berzaman.

Sekarang Surah Al-Adiyaat berpatah balik ke belakang sebelum kejadian gempa bumi itu dan menjelaskan kenapakah bumi marah sangat? Apakah yang telah manusia lakukan selama ini?

Kerakusan manusia, kesan perlakuan mereka, sikap tidak bertanggungjawab dan lain-lain lagi perbuatan buruk manusia telah menyebabkan bumi marah. Akhirnya bumi bergegar dengan kuat dan akhirnya akan hancur, melemparkan apa yang di dalam perutnya selama hari ini.

Apabila bumi bergegar dengan kuat, manusia akan tanya: ما لَها (kenapa jadi begini?) – Zalzalah:3 – maka bumi akan menceritakan satu persatu apa yang manusia dan jin telah lakukan di atasnya. Iaitu segala dosa-dosa dan perkara buruk yang manusia lakukan. Surah ini akan menerangkan apakah kesalahan yang manusia telah lakukan.

Surah ini juga akan menerangkan bagaimana manusia itu amat teruk sekali – Allah telah berikan segala-galanya, tapi mereka tidak mensyukuri nikmat itu, asyik tidak puas hati sahaja dengan apa yang mereka ada.

Surah al-Aadiyat ini adalah salah satu dari kumpulan empat surah yang sekawan: Zilzal, ‘Aadiyat, al Qari’ah, dan Takathur. Surah-surah ini ada persamaan susunan dan topik: Akhirah, kehidupan dunia, Akhirah dan kembali mengisahkan kehidupan dunia:

Zalzalah – kisah tentang Hari Akhirat
Aadiyat – kisah tentang kehidupan di dunia
Qaari’ah – kisah tentang Hari Akhirat
Takathur – kisah tentang kehidupan di dunia

بسم ا الرحمن الرحيم


 

Aadiyaat Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 2 perenggan makro. Ayat 1 – 8 adalah Perenggan Makro Pertama. Dalam perenggan ini, Allah memberitahu yang Dia telah tundukkan makhluk lain untuk kegunaan manusia. Namun ada manusia yang enggan tunduk kepada Allah.

Allah mula menceritakan tentang kuda dan bagaimana kuda itu sanggup buat kerja untuk tuan dia. Kuda itu sanggup berlari laju mengikut arahan tuannya, sampai keluar suara letih yang boleh kedengaran.

وَٱلعَـٰدِيَـٰتِ ضَبحًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Al-‘Aadiyāt: The Racers.
By the racers, panting,¹
i.e., the horses of those fighting for Allāh’s cause as they race to attack the enemy.

(MALAY)

Demi kuda perang yang berlari kencang dengan termengah-mengah,

 

Allah memulakan surah ini dengan Sumpah [kita tahu dari hurf waaw (“waَو sebagai isyarat yang ini adalah satu sumpah) Jadi ini adalah salah satu dari surah-surah yang dimulakan dengan sumpah. Kita telah banyak menyebut tentang konsep sumpah dalam Al-Qur’an dan kita cuma ulangkan secara ringkas sahaja di sini:

Objek yang dijadikan sebagai sumpah itu dipanggil muqsam bihi – dalam ayat ini, objek/muqsam bihi itu adalah kuda perang itu.

Apabila ada muqsam bihi, kena ada muqsam alaihi – subjek kepada sumpah itu. Dalam Al-Qur’an, muqsam bihi itu ada kena mengena dengan muqsam alaihi itu – kedua-duanya berkait. Kerana Allah tentu memilih muqsam bihi yang sesuai dan bersebab kenapa Allah gunakan objek itu sebagai sumpah. Tujuannya adalah untuk menyediakan pembaca Al-Qur’an kepada subjek yang akan disebut.

Ini adalah pendapat yang kuat walaupun ada yang kata muqsam bihi dan muqsam alaihi itu tidak berkaitan. Nanti kita akan jelaskan apakah kaitan antara muqsam bihi dan muqsam alaihi dalam surah ini. Ianya sesuatu yang menarik untuk diperhatikan.

Secara asasnya, memang banyak digunakan kalimah sumpah dalam Al-Qur’an. Dua sebab utama digunakan sumpah adalah:

1.   apabila yang berkata itu serius; menekankan apa yang akan disampaikan.

2. untuk menarik perhatian pendengar, terutama kepada pendengar yang dirasakan tidak percaya atau tidak mahu dengar. Jadi kena tarik perhatian mereka. Oleh itu, dimulakan kata-kata dengan berkata sesuatu yang pendengar itu suka.

Dalam kes ini, Musyrikin Mekah tidak mahu dakwah dari Nabi, maka Allah gunakan qosam/sumpah untuk menarik perhatian mereka.

Oleh itu, 5 ayat pertama dari surah ini adalah untuk menarik perhatian masyarakat Arab untuk mendengar apa yang hendak dikatakan – oleh itu digunakan kisah yang boleh menarik perhatian mereka. Antaranya, tentang kenderaan kegemaran mereka, tentang perang, pertarungan dan sebagainya. Allah gunakan perkara yang mereka suka dan penting bagi mereka.

Ini dilakukan untuk mendapatkan perhatian mereka. Kita kena ingat yang mereka tinggal di padang pasir, mereka pula jenis orang yang gasar, senang berperang, mereka suka berkelahi dan senang nak bergaduh, bukan? Seperti juga kita, mereka juga ada alat hiburan mereka, tapi tentulah lain daripada kita. Kerana mereka tidak ada filem dan game untuk mengisi masa lapang mereka.

Antara yang mereka gunakan sebagai penghibur mereka adalah puisi-puisi. Begitu jugalah kalau kita zaman sekarang, ada artis yang menyanyi mendendangkan puisi-puisi dalam bentuk nyanyian. Pada zaman dulu, mereka ada penyair-penyair yang membacakan dan melantunkan bacaan puisi dan syair mereka. Mereka akan bacakan dan dalam usaha untuk menarik perhatian pendengar mereka, mereka kena bercerita tentang perkara yang orang nak dengar, bukan?

Dan salah satu perkara yang mereka amat suka adalah peperangan – ini umpama action movies dalam filem zaman sekarang. Dan mereka memang suka dengar kisah berkenaan perkara ini. Selain dari itu, mereka juga suka kenderaan macam kita zaman sekarang suka kereta. Tapi pada zaman dulu kudalah yang mereka suka. Dan kisah kuda dan peperanganlah yang Allah gunakan untuk Allah menarik perhatian mereka.

Jadi, kalau kita lihat ayat pertama ini, Allah sedang mula menceritakan tentang situasi peperangan di mana kuda digunakan dalam kisah itu. Kisah ini akan menjadi semakin menarik dari ayat ke ayat. Ianya bermula dengan sebut tentang kuda sahaja.  

Kalimat َواْلَعاِديَاِت َضْبًحا ini adalah sumpah pertama. Kalimah اْلَعاِديَاِت diambil dari katadasar ع د و yang antara lain bermaksud permusuhan. Ianya memberi isyarat bagaimana seseorang sedang menyerang seseorang di dalam pertempuran kerana permusuhan antara mereka. Mereka fokus dalam serangan mereka, tidak lihat kiri dan kanan lagi tapi memandang ke hadapan kerana mereka sedang menyerang.

Kepada orang Arab yang mendengar kalimat ini, ianya seperti mendengar pembukaan kepada kisah perang dan ianya sudah menarik perhatian. Kerana ianya adalah permulaan kepada serangan dalam perang.

Kalimah اْلَعاِديَاِت yang digunakan dalam ayat ini bermaksud kuda perang betina. Kuda perang betina lebih disukai oleh orang Arab waktu itu kerana kuda betina lebih laju dan lebih tangkas. Jadi, ianya macam kereta sport yang amat suka digunakan oleh orang-orang kaya sekarang; dan ianya adalah dalam bentuk jam’u qilla; maksudnya bilangan yang ramai tapi kurang dari sepuluh. Jadi ini adalah satu pasukan penyerang yang kecil yang dapat bergerak laju dan dapat menyerang dengan cepat. Macam pasukan gerila sekarang.

Mufassir juga mengatakan, kalimah اْلَعاِديَاِت juga memberi isyarat dari segi bahasa yang ianya memang dimaksudkan untuk melakukan apa yang sepatutnya ia lakukan – maknanya memang kuda-kuda itu dilatih untuk digunakan dalam peperangan. Ini adalah kerana ianya dalam bentuk isim fa’il.

Ini macam kereta sport yang memang telah dicipta untuk dibawa dengan laju di lebuhraya, bukan untuk disimpan di dalam garaj sahaja. Jadi اْلَعاِديَاِت itu akan digunakan untuk memenuhi potensinya (perang).

Kalimah ضَبحًا bermaksud helaan bunyi nafas. Ianya digunakan dalam ayat ini dalam bentuk adjektif untuk menerangkan bagaimana kuda-kuda itu berbunyi semasa melepaskan nafas mereka dengan laju kerana mereka sedang berlari dengan laju. Kalau kita biasa tengok filem, kalau tayang kuda-kuda sedang berlari dengan laju, kita dapat bayangkan bagaimana bunyi kuda-kuda itu, bukan?

Jadi, orang Arab yang sedang membaca dan mendengar ayat ini, mereka sedang membayangkan kuda-kuda itu sedang berlari dengan laju, fokus dengan bunyi nafas kuda-dua itu yang sedang bernafas dengan laju dan mengeluarkan bunyi kuda yang kita dapat bayangkan itu.

Kalimah ضَبحًا ini juga memberi isyarat bahawa kuda-kuda itu sedang bergerak dan mereka sedang fokus dan tidak berehat pun. Kerana tujuan mereka di depan dan mereka tidak akan berhenti selagi mereka belum menyelesaikan tugas mereka.

Yang menariknya lagi, pakar bahasa Arab mengatakan, kalimah ضَبحًا ini asalnya tidak digunakan untuk kuda, tapi untuk serigala. Ia digunakan untuk kuda sebagai tambahan sahaja. Ini adalah kerana sifat serigala dalam menyerang itu amat ganas dan laju. Jadi, apabila digunakan juga kalimah ضَبحًا kepada kuda, maka kita kena bayangkan bagaimana kuda-kuda itu menyerang musuh mereka sama seperti serigala menyerang mangsa mereka.

Rasanya kita mungkin boleh bayangkan bagaimana serigala menyerang kerana kita sudah biasa tengok dalam TV, bukan? Satu sifat serigala adalah, mereka akan serang mangsa mereka yang bilangan kurang dari mereka, lebih lemah dari mereka. Mereka akan serang dengan ganas dan kalahkan terus mangsa mereka dengan segera dan kerana itu mereka akan memilih mangsa yang lebih lemah dari mereka.

Jadi sekarang bayangkan pasukan berkuda yang disebut dalam ayat ini pun begitu juga. Bayangkan bagaimana satu pasukan berkuda yang bergerak dengan laju yang lebih kuat dari mangsa mereka dan mereka akan memusnahkan pasukan lawan mereka dengan mudah.


 

Aadiyaat Ayat 2: Dalam ayat 1, pasukan berkuda itu dalam perjalanan ke tempat serangan. Sekarang disebut mereka itu memecut dengan laju sehingga terbit percikan api dari kaki kuda-kuda itu.

فَٱلمُورِيَـٰتِ قَدحًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the producers of sparks [when] striking¹

  • Their hoofs while galloping over rocky terrain.

(MALAY)

dan kuda yang mencetuskan api dengan pukulan (kuku kakinya),

 

Hurf ف yang digunakan dalam ayat ini memberi isyarat yang ianya adalah sambungan terus dari ayat sumpah sebelumnya. Kalau hurf و yang digunakan, ianya tidak sama kerana ianya mungkin membawa sumpah yang baru yang tidak berkaitan dengan ayat sebelumnya.

Kalau kita bandingkan dengan qosam dalam Surah Mursalaat – kita akan dapat lihat bagaimana ada qosam yang bersambung dan ada yang baru. Tapi dalam semua qosam surah ini dari ayat 1 – 5, semua qosamnya bersambung, menunjukkan ianya adalah satu kisah sahaja.

Lagi satu contoh, kita boleh lihat qosam dalam Surah at-Teen dimulakan dengan huruf و menunjukkan bahawa setiap ayat tidak bersambung terus, memberi isyarat yang ianya tidak berterusan tapi kisah atau perkara yang berlainan. Jadi, dalam Surah at-Teen itu, ada tiga sumpah yang berbeza, tapi dalam Surah Aadiyat ini, ianya satu sumpah yang panjang.

Kalimah المورِياتِ juga adalah dalam bentuk ism fa’il (pelaku). Ia juga adalah dalam bentuk jamak muannas (feminine), kerana ianya adalah kuda yang telah disebut dalam ayat pertama. Sekarang disebut bagaimana kuda-kuda itu berlari sampai menyebabkan api keluar dari percikan kaki kuda-kuda itu.

Kalimah المورِياتِ dari katadasar و ر ي yang bermaksud perbuatan yang menyebabkan api keluar. Ada banyak jenis kalimah yang digunakan dalam bahasa Arab dan juga Al-Qur’an untuk mengeluarkan api. Sampaikan ada lebih kurang 10 kalimah digunakan dalam Al-Qur’an. Sebagai contoh, dalam Yaasin:80 disebut satu cara.

الَّذي جَعَلَ لَكُم مِنَ الشَّجَرِ الأَخضَرِ نارًا فَإِذا أَنتُم مِنهُ توقِدونَ

Tuhan yang menjadikan untukmu api dari kayu yang hijau, maka tiba-tiba kamu nyalakan (api) dari kayu itu

Tapi dalam ayat Yaasin:80, kalimah yang digunakan adalah lain dari kalimah yang digunakan dalam Surah Aadiyat ini. Katadasar و ر ي juga digunakan dalam kalimah تورونَ dalam ayat Waqi’ah:71

أَفَرَأَيتُمُ النّارَ الَّتي تورونَ

Maka terangkanlah kepadaku tentang api yang kamu nyalakan (dengan menggosok-gosokkan kayu).

Oleh itu, kita boleh tahu dari ayat yang digunakan di atas, و ر ي bermaksud mengeluarkan api dengan menggosok dua benda antara satu sama lain (sama ada batu, kayu, benda kering dan sebagainya) sampai boleh memercikkan api dari perbuatan itu.

Oleh itu, dalam ayat Aadiyat ini, Allah hendak menceritakan lagi tentang kuda-kuda itu. Pergerakan kuda itu telah menyebabkan percikan api. Ini adalah kerana pada kaki kuda-kuda itu ada ladam dari besi dan apabila ladam itu memijak batu di bumi dengan kuat, maka ia akan menyebabkan percikan api. Jadi macam kaki mereka mengeluarkan api di belakang mereka – ianya satu pemandangan yang amat hebat sekali! Ia menambahkan kehebatan ayat ini.

Kalimah قَدحًا bermaksud pukulan yang amat kuat. Kaki-kaki kuda itu menghentak bumi dengan kuat kerana ia sedang bergerak dengan laju. Bunyinya juga adalah kuat dan kita telah sebut sebelum ini bagaimana hentakan itu akan menyebabkan percikan api.

Allah sudah sebut dua perkara, jadi mari kita bayangkan sebentar suasana yang telah disebut itu: ada pasukan berkuda yang kurang dari 10, sedang bergerak dengan laju di padang pasir yang luas, bunyi nafas kuda boleh kedengaran.

Mereka tidak berhenti pun untuk berehat, mereka sedang fokus dalam pergerakan mereka, mereka sedang memecut dengan laju sampaikan hentakan kaki kuda-kuda itu sangat kuat sampaikan menyebabkan percikan api pada bumi. Mereka tidak takut kerana mereka tahu yang mereka akan menyerang mangsa yang lebih lemah dari mereka, maka mereka amat yakin.


 

Aadiyaat Ayat 3: Kuda-kuda itu sanggup menyerang pada waktu subuh atas arahan tuannya,  padahal itu adalah waktu tidur.

فَٱلمُغِيرَٲتِ صُبحًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the chargers at dawn,¹

  • While the enemy is unaware.

(MALAY)

dan kuda yang menyerang dengan tiba-tiba di waktu pagi,

 

Seperti yang kita telah sebut tadi, hurf ف yang digunakan dalam ayat ini memberi isyarat yang ianya adalah sambungan terus dari ayat sebelumnya. Jadi ini adalah sebahagian dari sumpah/qosam yang panjang.

Kalimah المُغيراتِ dari katadasar غ ي ر yang bermaksud ‘serangan’. Kalau dalam dua ayat sebelum ini, ianya tentang perjalanan mereka ke tempat tujuan mereka. Dan sekarang mereka telah sampai. Ianya bermaksud serangan yang kuat, dan jenis serangan dari atas. Sekarang mereka yang menyerang itu berada tinggi di atas kuda, di atas dari mangsa mereka.

Kalimah المُغير adalah dalam bentuk ism faa’il, pembuat yang melakukan sesuatu. Apabila menggunakan format ism faa’il, ia memberi isyarat yang mereka itu telah dikenali dengan sifat itu. Maknanya, mereka sudah biasa buat.

Kalimah صُبحًا (waktu subuh) ini pula adalah dalam bentuk maf’ul fiihi. Maknanya, mereka menyerang waktu subuh, tapi kenapa serang masa subuh? Ini menghairankan kerana kalau nak serang hendap, selalunya dilakukan pada malam hari, atau pada waktu gelap. Tapi mereka serang waktu subuh pula, iaitu pada waktu orang sudah mula bangun dan sudah bersedia kalau untuk mempertahankan diri.

Mereka serang masa subuh kerana mereka hendak mangsa serangan mereka itu tahu yang mereka datang. Waktu mereka dalam perjalanan itu mereka boleh dilihat dari jauh kerana debu-debu yang berterbangan sebagai tanda mereka datang.

Walaupun kedatangan mereka dapat diketahui awal, tapi mereka tidak kisah kerana mereka tidak takut. Kerana mereka tahu mereka lebih kuat dan mereka yakin akan dapat mengalahkan musuh. Sedangkan kalau serang hendap selalunya serang waktu gelap. Ini kerana memang mereka tidak kisah, seperti pepatah: ‘Just like the wolf doesn’t fear to hunt his prey in the open.’

Kita kena faham kisah dalam ayat-ayat ini. Kisah ini adalah tentang kumpulan bandit yang menyerang puak yang lemah. Memang ada mufasir yang kata ini adalah tentang para sahabat yang menyerang musuh mereka dalam jihad. Akan tetapi kita pegang kepada pendapat yang kata pendapat ini tidak kuat.

Pertama, kerana ini adalah Surah Makkiyah dan para sahabat waktu itu tidak dibenarkan berperang lagi.

Keduanya, kita boleh lihat setakat yang kita sudah baca, subjek surah ini bukan tentang orang Muslim, tapi tentang orang bukan Muslim. Kerana orang Muslim tidak menyerang orang yang lemah sebegitu. Mereka yang berpendapat kata ayat ini adalah tentang orang Muslim adalah kerana pada fahaman mereka, kalau Allah gunakan sesuatu sebagai sumpah, tentu ianya tentang yang baik.

Jadi, pada mereka, tentunya yang diceritakan ini tentang orang Muslim, kalau tidak, tentulah Allah tidak akan menggunakan kisah mereka sebagai sumpah. Akan tetapi hujah yang menolak mengatakan, tidak semestinya perkara yang baik sahaja yang dijadikan sebagai sumpah.


 

Aadiyaat Ayat 4:  Kuat sangat menyerang, sampai kuda-kuda itu menyebabkan debu berterbangan.

فَأَثَرنَ بِهِۦ نَقعًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Stirring up thereby [clouds of] dust,

(MALAY)

maka ia menerbangkan debu,

 

Sebelum ini, kalimat yang digunakan adalah dalam bentuk fa’il (kata nama) dan sekarang kalimat yang digunakan dalam bentuk fi’il (kata kerja) pula, menunjukkan bahawa apa yang mereka sedang lakukan telah meningkat.

Kalimah فَأَثَرنَ (Huruf ن dalam ayat ini dinamakan nun an-niswa – هنّ jamak untuk muannas) – merujuk kepada kuda-kuda betina sebelum ini. Ia dari kata أثار yang bermaksud ‘menaikkan’. Tapi menaikkan apa?

Kalimah نَقعًا bermaksud – debu tanah. Tapi ada 3 kalimah yang digunakan dalam Al-Qur’an untuk debu:

– Naq’a
– Ghabara
– Habaa
[al manthoorah]

Tapi نَقعًا khusus digunakan dalam bahasa Arab apabila sesuatu bergerak dengan laju sampai menyebabkan tinggal kesan debu yang naik ke udara. Macam kereta, kuda dan sebagainya yang bergerak di padang pasir. Apabila sudah bergerak dan sudah lepas, masih nampak habuk-habuk itu di udara.

Kalimah بِهِ (dengannya). Apakah ‘nya’ yang dimaksudkan dalam ayat ini? Ia mungkin merujuk kepada:

– merujuk kepada tempat. Oleh itu, serangan itu kuat sekali sampaikan tempat itu naik debu-debunya. Sampaikan pandangan pun jadi samar kerana dihalang oleh debu-debu itu.

– merujuk kepada debu itu sendiri. Ini menakjubkan kerana waktu subuh, tanah masih basah lagi dan selalunya bila tanah lembab, habuk susah nak naik, bukan? Tapi ayat ini hendak memberitahu, walaupun tanah masih lembab, tapi debu masih naik juga lagi kerana hebat sekali serangan itu.

– boleh juga merujuk kepada hentakan kaki kuda-kuda itu yang menyebabkan debu-debu naik ke udara.

– Ini adalah pendapat yang lain sikit dari yang lain. Abu Ubaydah berpendapat kalimah نَقعًا bermaksud menaikkan suara. Ini pun tidaklah lari jauh, kerana apabila debu-debu berterbangan, maka mereka semua kena jerit supaya suara mereka didengar.


 

Aadiyaat Ayat 5: Ini adalah ayat sumpah terakhir dalam surah ini. Akan berakhir kisah tentang kuda-kuda itu. Bayangkan, sanggup kuda itu masuk ke tengah musuh menghadapi senjata lawan. Padahal waktu itu kalau masuk, boleh menyebabkan kematian tapi kuda itu buat juga kerana kuda itu taat kepada tuannya.

فَوَسَطنَ بِهِۦ جَمعًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Arriving thereby in the center¹ collectively,

  • i.e., penetrating into the enemy ranks during a surprise attack.

(MALAY)

dan menyerbu ke tengah-tengah kumpulan musuh,

 

Kalimah وَسَطنَ dari kalimah و س ط (tengah), jadi kalimah فَوَسَطنَ bermaksud pasukan yang menyerang itu menyerbu masuk ke tengah-tengah pihak lawan atau pihak yang diserang. Dalam kisah ini, pasukan berkuda yang telah disebut dari ayat pertama lagi itu, telah masuk menyerbu ke tengah-tengah pihak yang diserang.

Kalimah بِهِ seperti yang telah disebut dalam ayat sebelum ini, mungkin merujuk kepada debu yang berterbangan. Oleh itu, mereka ambil peluang dari pandangan samar kerana debu itu untuk masuk terus ke dalam tengah pihak lawan. Mereka bukan serang dari tepi lagi seperti biasa, tapi terus masuk ke dalam. Ini adalah tindakan yang bahaya dan berani. Kenapa?

1 – Secara logik, tentu yang diserang sudah nampak kedatangan pihak berkuda itu kerana mereka datang dengan debu yang berterbangan (boleh dikesan dari jauh). Jadi ini telah memberi peluang kepada pihak yang diserang itu untuk bersedia dengan pedang, lembing dan sebagainya. Oleh itu, bahaya kalau serang dengan terus masuk ke tengah.

Selalunya dalam perang macam ini, tidaklah masuk terus ke tengah – kerana kena hati-hati. Kalau serang dari tepi, mereka jaga bahagian depan sahaja, tapi apabila sudah masuk ke tengah, mereka kena kepung pula dan kena kawal depan, tepi dan belakang sekali. Walaupun tindakan mereka itu bahaya, tapi ayat ini kata mereka masuk semua sekali ke tengah-tengah.

2 – Dari ayat ini, kita dapat ambil maklumat bahawa mereka semua masuk sekali, tidak ada yang tinggal di belakang. Kalau peperangan biasa, selalunya satu pihak akan serang sikit-sikit dan ada yang menunggu di belakang sebagai pasukan bantuan. Akan tetapi seperti yang disebut di permulaan awal surah ini, bilangan mereka pun sikit, jadi tidak sesuai juga kalau mereka berpecah kepada dua kumpulan pula.

Dan ini dikuatkan dengan kalimah جَمعًا yang bermaksud ‘semua sekali’. Tidak ada pasukan yang tinggal di belakang untuk mengawal atau sebagai pasukan bantuan. ‘Semua sekali’ itu boleh juga bermaksud pasukan yang menyerang dan diserang dua-dua berperang sesama sendiri.

3 – Tindakan mereka itu bahaya kerana debu akan berterbangan dan keadaan akan jadi samar, tidak nampak sangat. Tapi mereka masuk juga.

Sudah habis lima ayat ini untuk ambil perhatian mereka yang membaca dan mendengar. Kita katakan ini adalah ayat-ayat sebagai menarik perhatian sahaja, kerana tidak ada ajaran agama lagi pun, hanya menceritakan sahaja. Oleh itu, apa yang hendak disampaikan?

Yang hendak disampaikan adalah ayat-ayat selepas ini. Memang perkara penting disampaikan selepas ayat-ayat sumpah/qosam. Selepas minat pembaca/pendengar telah ditarik, mereka hendak mendengar apa yang hendak diceritakan, barulah Allah sambung ayat-ayat pengajaran di dalam ayat-ayat seterusnya.

Bagaimana dengan anda, anda sudah berminat untuk mendengar apa yang Allah akan sampaikan seterusnya?

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 19 November 2021


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir