Tafsir Surah Mulk Ayat 5 (Langit dihiasi)

Mulk Ayat 5: Setelah Allah ‎ﷻ menafikan kekurangan daripada ciptaan-Nya, Dia memperjelaskan kesempurnaan dan juga hiasan pada alam itu. Dalam ayat-ayat sebelum ini, Allah ‎ﷻ menyuruh kita melihat kepada alam. Salah satu alam kejadian yang hebat yang Allah ‎ﷻ telah jadikan adalah langit. Maka, dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ menceritakan tentang langit.

Ayat 5 – 11 adalah Perenggan Makro Kedua dan ia adalah bahagian yang terpanjang di dalam surah ini. Ia menceritakan akibat buruk bagi mereka yang mendustakan kerasulan Nabi. Pendusta Para Rasul jadi penghuni Jahannam. Sambil menderita azab fizikal, mereka akan didera dengan soalan-soalan para Malaikat penjaga neraka yang tidak bertolak ansur.

وَلَقَد زَيَّنَّا السَّماءَ الدُّنيا بِمَصٰبيحَ وَجَعَلنٰها رُجومًا لِّلشَّيٰطينِ ۖ وَأَعتَدنا لَهُم عَذابَ السَّعيرِ

Sahih International

And We have certainly beautified the nearest heaven with stars and have made [from] them what is thrown at the devils and have prepared for them the punishment of the Blaze.

Malay

Dan demi sesungguhnya! Kami telah menghiasi langit yang dekat (pada penglihatan penduduk bumi) dengan bintang-bintang, dan Kami jadikan bintang-bintang itu punca rejaman terhadap Syaitan-syaitan; dan Kami sediakan bagi mereka azab neraka yang menjulang-julang.

 

وَلَقَدْ زَيَّنَّا السَّمَاءَ الدُّنْيَا بِمَصٰبِيحَ

Dan sesungguhnya Kami telah menghiasi langit dunia dengan lampu-lampu;

Perkataan مَصَابِيحَ adalah jamak kepada perkataan misbah – lampu. Diambil daripada katadasar ص ب ح – yang juga digunakan untuk waktu subuh. Ini adalah kerana dalam waktu subuh ada cahaya kemerahan dan dalam lampu pun ada cahaya kemerahan. ‘Lampu-lampu’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah ‘bintang-bintang’. Ini bermakna, semua bintang yang boleh dilihat dengan mata atau dengan teleskop, masih berada dalam langit pertama lagi. Maka, silaplah jika ada yang kata bulan itu sahaja dalam langit pertama. Cakerawala Bima Sakti dan cakerawala-cakerawala lain yang berjumlah berbilion-bilion itu, masih lagi dalam lingkungan langit pertama lagi. Selagi masih ada bintang, selagi itulah ia adalah langit pertama.

Keindahan bintang-bintang di langit sebagai hiasan

 

Allah ‎ﷻ gunakan kalimah مَصَابِيحَ untuk merujuk kepada bintang walaupun bahasa Arab bagi bintang-bintang adalah نجوم. Ini kerana Allah ‎ﷻ hendak memberitahu sifat bintang itu seperti cahaya lampu yang menerangkan bilik atau rumah kita. Allah ‎ﷻ pasang lampu untuk alam ini di langit. Kalau lampu kita kena melekat pada dinding atau wayar, tetapi Allah ‎ﷻ hebat, letak lampu tergantung begitu sahaja. Sudahlah besar, tanpa sumber tenaga dan bukannya satu tapi berbilion.

Sebelum ini Allah ‎ﷻ menyebut tujuh lapis langit, bukan? Kita pun tidak mungkin boleh nampak semua langit-langit itu akan tetapi langit dunia ini bolehlah juga kita usaha untuk melihatnya. Zaman berzaman ia menarik perhatian manusia kepadanya. Tambahan pula dengan zaman sekarang kita adalah segala jenis teropong untuk melihat ke langit dan pencapaian ilmu astronomi sudah semakin maju. Jadi lihatlah kepada langit dunia/langit pertama ini dengan segala bintang-bintangnya.

Terdapat dua kali penekanan dalam penggunaan perkataan لَقَدْ dalam ayat ini. Maknanya, ini adalah ayat sumpah (qosam) dan apabila Allah ‎ﷻ bersumpah, maksudnya Allah ‎ﷻ hendak menegaskan sangat kerana ia adalah perkara yang amat penting.

Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ menggunakan perkataan زَيَّنَّا – Kami menghiasi. Allah ‎ﷻ hendak mengingatkan kita, tidaklah Allah ‎ﷻ jadikan alam ini dalam keadaan gelap dan suram sahaja. Akan tetapi Allah ‎ﷻ jadikan perhiasan dalam bentuk bintang yang memberi cahaya.

Namun sebelum Allah ‎ﷻ cantikkan langit, Allah ‎ﷻ cerita di dalam ayat sebelum ini yang tidak ada keretakan, ketidakseimbangan di langit. Ini mengajar kita sebelum mencantikkan, kenalah hilangkan kerosakan. Seumpama rumah retak sana sini kemudian letak lampu cantik pun, tidak jadi juga.

Dalam ayat-ayat sebelum ini, Allah ‎ﷻ memperkatakan tentang Diri- Nya dalam kataganti ketiga. Akan tetapi dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ mengubah dengan membahasakan Diri-Nya dalam kataganti kedua (Kami). Ini untuk menekankan yang Allah ‎ﷻlah yang mencipta alam ini dengan segala keindahannya. Orientalis menggunakan perubahan perkataan ini sebagai alasan mengejek Al-Qur’an. Mereka kata bahasa Al-Qur’an tidak tetap. Sekejap guna kataganti ketiga, sekejap kataganti kedua dan sebagainya. Namun begitu itu adalah salah satu daripada keindahan bahasa Al-Qur’an. Orang yang faham lenggok bahasa yang indah akan mengerti. Ia adalah sebagai satu cara untuk menekankan sesuatu percakapan. Kerana dulu, tidak ada cara untuk ‘bold‘ sesuatu perkataan. Zaman sekarang, kalau kita hendak memberi penekanan, kita akan bold atau kita akan gariskan pada perkataan itu. Akan tetapi dalam bahasa Arab dan juga bahasa Al-Qur’an, apabila perubahan digunakan, ia adalah untuk menarik perhatian pembaca. Ia sebagai cara untuk menekankan perkara yang hendak diperkatakan. Namun yang perasan adalah mereka yang tahu bahasa Arab terutama tentang dhomir.

Apakah yang Allah ‎ﷻ hendak tekankan dalam ayat ini? Bahawa Allah ‎ﷻlah yang menjadikan langit itu dan segalanya. Tidak ada yang selain Allah ‎ﷻ yang mampu lakukan.

 

وَجَعَلْنٰهَا رُجُومًا لِلشَّيٰطِينِ

Dan Kami jadikannya itu sebagai tempat rejaman kepada syaitan-syaitan;

Iaitu digunakan sesuatu untuk merejam syaitan-syaitan yang cuba untuk mencuri dengar percakapan para malaikat di langit. Ini seperti disebut di dalam Jin: 8-9

وَأَنّا لَمَسنَا السَّماءَ فَوَجَدنٰها مُلِئَت حَرَسًا شَديدًا وَشُهُبًا
Dan bahawa sesungguhnya kami telah berusaha mencari berita langit, lalu kami dapati langit itu penuh dengan pengawal-pengawal yang sangat kuat kawalannya, dan (dengan rejaman-rejaman) api yang menyala.

وَأَنّا كُنّا نَقعُدُ مِنها مَقٰعِدَ لِلسَّمعِ ۖ فَمَن يَستَمِعِ الآنَ يَجِد لَهُ شِهابًا رَّصَدًا
Dan sesungguhnya kami dahulu biasa menduduki tempat-tempat (perhentian) di langit untuk mendengar (percakapan penduduknya); maka sekarang sesiapa yang cuba mendengar, akan mendapati api yang menyala yang menunggu merejamnya.

Keadaan mereka itu ada juga disebut di dalam Saffat: 8

لّا يَسَّمَّعونَ إِلَى المَلَإِ الأَعلىٰ وَيُقذَفونَ مِن كُلِّ جانِبٍ
(Supaya) syaitan-syaitan itu tidak dapat mendengar-dengarkan (pembicaraan) para malaikat dan mereka dilempari dari segala penjuru.

Apakah sebabnya syaitan mencuri dengar perbicaraan para malaikat di langit? Kerana mereka hendak mencuri dengar berita tentang Al-Qur’an supaya mereka boleh ubah. Maknanya mereka hendak menyesatkan manusia dengan Al-Qur’an akan tetapi Allah ‎ﷻ halang mereka dengan memelihara Al-Qur’an.

Di manakah kejadian rejaman ini? Ia berlaku di langit. Ini bermakna bukan musuh di dunia (manusia) sahaja yang Allah ‎ﷻ boleh uruskan, tetapi di langit juga, malah di mana-mana. Tidak ada yang boleh lepas daripada Allah ‎ﷻ. Jadi manusia jangan rasa hebat dan boleh terselamat. Kalau musuh di langit pun diselesaikan oleh Allah ‎ﷻ, apalah sangat dengan kita ini? Allah ‎ﷻ tidak perlukan guru tarekat sesat Nazim Haqqani untuk menghantar Saidina Ali رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ untuk berlawan dengan makhluk asing. Allah ﷻ sudah memiliki para tentera-Nya dalam kalangan para malaikat. Cerita kartun apakah yang direka oleh golongan sufi tarekat itu? Tidak habis-habis mereka dengan kisah lucu yang menggelikan hati kita. Kita pun hairan, adakah para pengikut mereka percaya sahaja bulat-bulat kisah itu? Wujud pula makhluk asing itu? Saidina Ali رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ yang telah wafat itu boleh diarahkan olehnya? Apa hebat sangatkah dia sampai boleh hidupkan balik Saidina Ali رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dan kemudian suruh pula Saidina Ali رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ bertumbuk dengan makhluk asing? Ada-ada sahaja mereka ini.

Dhomir ها di dalam وَجَعَلْنٰهَا selalu dinisbahkan kepada bintang-bintang. Ada juga yang menisbahkannya kepada langit akan tetapi pandangan ini tidak popular. Namun begitu takkan bintang-bintang besar itu pula yang digunakan untuk dilemparkan kepada jin syaitan? Jadi bukanlah dilontar dengan bintang itu sendiri tetapi dengan bola-bola api yang ada di bawahnya. Mungkin juga lontaran itu berasal daripada pecahan bintang-bintang itu. Kita tidak tahu dengan pasti kerana maklumat sains kita masih terhad. Ada pendapat mengatakan meteor itu pun terjadi daripada bintang-bintang yang telah pecah hancur dan ditarik ke bumi dengan tarikan graviti. Tidaklah setiap meteor itu untuk setiap syaitan yang cuba mendengar. Ia mungkin bermaksud apabila ada ribuan meteor yang menghala jatuh ke bumi menjadikan bahaya bagi para syaitan untuk ke langit mencuri dengan maklumat langit.

Meteor dikatakan mengejar syaitan

Namun teori ini juga dikritik kerana meteor itu pun agak besar juga. Pendapat itu ditolak oleh ilmuwan Abdurrahman Syahab, dengan alasan bahawa meteor bukanlah berasal dari bintang, jadi tidak sesuai dengan bunyi ayat di atas. Meteor adalah kumpulan batu-batu yang terbang di kawasan antara planet Marikh dan Jupiter. Di samping itu, meteor terlalu besar dan terlalu lambat untuk digunakan untuk dilemparkan kepada syaitan dari jenis jin, sebab kecepatannya hanyalah antara 12 sampai 72 KM sesaat, berbeza dengan sinar kosmik yang kecepatan geraknya mencapai 300,000 KM sesaat. Oleh itu pakar ini cenderung memahami lontaran pada ayat di atas adalah sinar kosmik yang bersumber dari bintang-bintang yang terpancar di alam raya. Menurut Abdurrahman Syahab: “Sinar kosmik daripada jenis photon terdiri daripada sinar ultra violet yang bertenaga rendah sampai sinar X dahsyat yang bertenaga lebih daripada 50,000 elektron volt”.

Apakah yang para jin itu cuba dengar? Malaikat mendapat berita dari atas tentang sesuatu kebaikan yang akan diberikan kepada seseorang, maka malaikat akan bercakap-cakap antara satu sama lain. Apabila syaitan-syaitan dengar, mereka akan cuba menghasut orang itu, kerana mereka tidak mahu kebaikan untuk orang itu. Apabila syaitan cuba mencuri dengar, mereka akan dilempar dengan rejaman, ada yang tercedera, ada yang mati. Mungkin mana yang cedera itulah yang jadi hantu seperti hantu raya, pelesit, langsuir dan macam-macam jenis lagi. Itulah sebabnya kita tengok mereka bermuka huduh sebab sudah kena rejam dengan api. Maka, dengan itu kita tahu bahawa hantu-hantu itu semuanya adalah jenis syaitan.

Ataupun mereka menggunakan maklumat yang mereka dapati dari percakapan malaikat-malaikat itu sebagai renung nasib (dalam bahasa mereka yang merenung nasib digelar Kaahin). Penggunaan perkataan rajm seperti itu ada digunakan dalam ayat Kahfi: 22 – رَجْمًا بِالْغَيْبِ – (sebagai tekaan terhadap barang yang ghaib). Memang ada sedikit kebenaran dalam apa yang diberitahu oleh penilik nasib itu, kerana mereka memang dapat maklumat itu dari langit, tetapi mereka akan campurkan dengan penipuan. Manusia, apabila ada yang betul sedikit dalam kata-kata manusia, akan percaya keseluruhannya yang diberitahu kepada mereka. Maka, mereka akan tertipu. Rasulullah ﷺ menyebut tentang perkara ini di dalam satu hadith,

كان رسول الله صلى الله عليه وسلم جالسا في نفر من أصحابه قال عبد الرزاق من الأنصار فرمي بنجم فاستنار فقال صلى الله عليه وسلم ” ما كنتم تقولون إذا كان مثل هذا فى الجاهلية ؟ ” قالوا كنا نقول يولد عظيم أو يموت عظيم .قلت للزهري أكان يرمى بها في الجاهلية ؟ قال نعم ولقد غلظت حين بعث النبي صلى الله عليه وسلم قال: فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم ” فإنها لا يرمى بهـا لموت أحد ولا لحياته ولكن ربنا تبارك وتعالى إذا قضى أمرا سبح حملة العرش ثم سبح أهل السماء الذين يلونهم حتى يبلغ التسبيح السماء الدنيا ثم يستخبر أهل السماء الذين يلون حملة العرش فيقول الذين يلون حملة العرش لحملة العرش ماذا قال ربكم ؟ فيخبرونهم ويخبر أهل كل سماء سماء حتى ينتهي الخبر إلى هذه السماء وتخطف الجن السمع فيرمون فما جاءوا به على وجهه فهو حق ولكنهم يفرقون فيه ويزيدون “
Pada suatu hari, ketika duduk bersama Nabi Muhammad ﷺ dengan beberapa sahabat, berkata Ibn Razzak, daripada kaum Ansar, tiba-tiba mereka melihat tahi bintang jatuh, kemudian Rasulullah ﷺ bertanya: Apakah yang kalian katakan kalau jadi begini pada masa Jahiliyah? Mereka menjawab: Kami dahulu kata bahawa ianya merupakan tanda lahir orang yang besar atau matinya seorang besar. Perawi bertanya: adakah tahi bintang jatuh pada zaman jahiliyah? Zuhri kata: ya. Namun ia menjadi semakin banyak apabila diutuskan Nabi ﷺ. Mendengar jawapan itu, Rasulullah ﷺ bersabda maksudnya, Sesungguhnya tidaklah dilemparkan tahi bintang itu kerana kematian seseorang atau kehidupan seseorang, akan tetapi apabila Allah taala yang Maha Berkat dan Maha Tinggi memutuskan sesuatu, maka para pembawa Arasy (para malaikat) bertasbih, kemudian bertasbihlah penduduk langit yang di bawah pemikul Arasy itu, hingga sampai tasbih itu pada langit dunia kemudian penduduk langit bertanya kepada yang di bawah pemikul Arasy dan mereka pun bertanya kepada pemikul Arasy – Apa kata Tuhanmu? Pemikul Arash menceritakan kepada mereka dan penghuni langit beritahu kepada yang di bawahnya sehingga berhenti khabar itu kepada langit ini. Jin akan cuba mendengar dan mereka akan dilemparkan. Apa yang mereka sampaikan adalah kebenaran tetapi mereka memecah-mecahkan di dalamnya dan menambah-nambah”
(Riwayat Muslim 2229a)

Ini seperti juga disentuh di dalam ayat Saba’: 23

حَتّىٰ إِذا فُزِّعَ عَن قُلوبِهِم قالوا ماذا قالَ رَبُّكُم ۖ قالُوا الحَقَّ ۖ وَهُوَ العَلِيُّ الكَبيرُ
sehingga apabila telah dihilangkan ketakutan daripada hati mereka, mereka berkata “Apakah yang telah difirmankan oleh Tuhan-mu?” Mereka menjawab: (Perkataan) yang benar”, dan Dialah Yang Maha Tinggi lagi Maha Besar.

Bagaimanakah cara jin-jin itu mencuri dengar berita langit pun telah dibongkar oleh Rasulullah ﷺ di dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

إِذَا قَضَى اللَّهُ الأَمْرَ فِى السَّمَاءِ ضَرَبَتِ الْمَلاَئِكَةُ بِأَجْنِحَتِهَا خُضْعَانًا لِقَوْلِهِ كَأَنَّهُ سِلْسِلَةٌ عَلَى صَفْوَانٍ فَإِذَا فُزِّعَ عَنْ قُلُوبِهِمْ قَالُوا مَاذَا قَالَ رَبُّكُمْ ، قَالُوا لِلَّذِى قَالَ الْحَقَّ وَهُوَ الْعَلِىُّ الْكَبِيرُ فَيَسْمَعُهَا مُسْتَرِقُ السَّمْعِ ، وَمُسْتَرِقُ السَّمْعِ هَكَذَا بَعْضُهُ فَوْقَ بَعْضٍ – وَوَصَفَ سُفْيَانُ بِكَفِّهِ فَحَرَفَهَا وَبَدَّدَ بَيْنَ أَصَابِعِهِ – فَيَسْمَعُ الْكَلِمَةَ ، فَيُلْقِيهَا إِلَى مَنْ تَحْتَهُ ثُمَّ يُلْقِيهَا الآخَرُ إِلَى مَنْ تَحْتَهُ ، حَتَّى يُلْقِيَهَا عَلَى لِسَانِ السَّاحِرِ أَوِ الْكَاهِنِ ، فَرُبَّمَا أَدْرَكَ الشِّهَابُ قَبْلَ أَنْ يُلْقِيَهَا ، وَرُبَّمَا أَلْقَاهَا قَبْلَ أَنْ يُدْرِكَهُ ، فَيَكْذِبُ مَعَهَا مِائَةَ كَذْبَةٍ ، فَيُقَالُ أَلَيْسَ قَدْ قَالَ لَنَا يَوْمَ كَذَا وَكَذَا كَذَا وَكَذَا فَيُصَدَّقُ بِتِلْكَ الْكَلِمَةِ الَّتِى سَمِعَ مِنَ السَّمَاءِ
Ketika Allah menetapkan suatu urusan di langit, malaikat lantas meletakkan sayapnya dalam rangka tunduk pada perintah Allah yang seolah-olah seperti suara gemercingan rantai di atas batu. Apabila rasa takut telah dihilangkan daripada hati mereka, mereka mengucapkan, “Apa yang telah difirmankan oleh Rabb kalian?” Mereka menjawab, “Perkataan yang benar. Dia Maha Tinggi lagi Maha Besar.”
Maka syaitan-syaitan pengintip berita itu pun mendengarkan berita itu. Mereka berada dalam posisi yang saling bersesak-sesakan – Sufyan رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ menggambarkannya dengan mengiringkan telapak tangannya dan merenggangkan jari-jemarinya. Jika syaitan yang di atas mendengar berita itu, maka segera disampaikan kepada syaitan yang berada di bawahnya. Kemudian yang lain juga menyampaikan kepada syaitan yang berada di bawahnya hingga sampai kepada tukang sihir dan dukun.
Terkadang syaitan pengintip berita itu terkena api sebelum sempat menyampaikan berita itu. Terkadang pula syaitan itu sempat menyampaikan berita itu sebelum terkena api. Lalu dengan berita yang didengarnya itulah tukang sihir atau dukun membuat seratus kedustaan. Orang-orang yang mendatangi tukang sihir atau dukun pun mengatakan, “Bukankah pada hari ini dan itu, dia telah mengabarkan kepada kita bahawa akan terjadi demikian dan demikian?” Akibatnya, tukang sihir dan dukun itu pun dipercayai kerana satu kalimat yang telah didengarnya dari langit.
(Hadith Riwayat Bukhari No. 4800)

Qatadah رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan bahawa bintang-bintang itu dijadikan untuk tiga tujuan:

    1. Sebagai hiasan langit.
    2. Sebagai rejaman untuk syaitan.
    3. Sebagai petunjuk untuk mereka yang bermusafir.

Qatadah رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan kalau ada yang kata selain daripada tiga ini, mereka telah menipu. Semua tujuan kejadian bintang itu ada disebut dalam Al-Qur’an. Dua daripadanya telah disebut dalam ayat ini. Tujuan ketiga itu ada dalam ayat surah lain seperti di dalam Nahl: 16

وَعَلٰمٰتٍ ۚ وَبِالنَّجمِ هُم يَهتَدونَ
dan (Dia ciptakan) tanda-tanda (penunjuk jalan). Dan dengan bintang-bintang itulah mereka mendapat petunjuk.

Jadi, hanya tiga sebab ini sahaja bintang itu dijadikan. Maka, kalau ada yang kata ada sebab-sebab lain (sebagai menilik nasib contohnya), maka mereka telah berdusta. Oleh itu, kalau ada yang menggunakan bintang sebagai horoskop, itu adalah tindakan yang amat salah sekali. Dalam masyarakat sekarang, ramai yang suka sangat membaca kata-kata penipu dalam horoskop. Malah amat banyak media yang menyenaraikan apakah nasib manusia untuk hari atau minggu itu. Dalam suratkhabar, dalam majalah dan sebagainya. Anak-anak orang Islam yang tidak mendapat pendidikan agama daripada ibubapa mereka akan membaca dengan senang hati, tanpa ada rasa salah sedikit pun. Apabila ada kejadian yang terjadi betul-betul seperti yang tertulis dalam horoskop itu, mereka akan suka dan terus percaya bulat-bulat dengan apa yang mereka baca. Akibatnya, mereka mudah percaya dengan perkara-perkara syirik. Mereka sangka ia adalah perkara kecil sahaja, namun ia adalah perkara yang amat besar sekali dan boleh memberi kesan yang mendalam.

Lihatlah bagaimana penciptaan Allah‎ ﷻ. Allah ‎ﷻ menjadikan sesuatu yang cantik yang mempunyai kegunaannya. Tidaklah macam penciptaan kita. Kalau kita jadikan sesuatu, selalunya ia kelihatan indah dan berfungsi sebagai perhiasan sahaja, atau sebagai penggunaan dalam kehidupan seharian sahaja.

Perhatikan susunan di dalam ayat ini: Allah ‎ﷻ sebut tentang زَيَّنَّا السَّمَاءَ perhiasan/kecantikan dahulu sebelum disebut kegunaan رُجُومًا لِلشَّيٰطِينِ. Ini meletakkan kepentingan keindahan di dalam satu-satu perkara. Kita bukan hanya melihat kepada tugas, isi dan kandungan sahaja, akan tetapi ia mengajar kita untuk berusaha untuk mencantikkan sesuatu untuk dipersembahkan. Sesuatu itu tidak semestinya hanya berguna, tetapi kalau boleh hendaklah dicantikkan juga. Sebagai contoh, dalam berdakwah, jangan kita pandai bercakap sahaja, tapi penampilan kita pun hendaklah kemas. Jangan bercakap isi sahaja, tetapi hendaklah kita memperelokkan cara penyampaian kita itu supaya dapat menarik minat manusia. Kalau menulis, jangan tulis fakta-fakta sahaja tetapi hiaslah penulisan itu supaya jadi cantik dan menarik untuk dibaca. Sebab itu kalau seorang penceramah ada maklumat yang paling hebat pun akan tetapi cara penyampaiannya tidak menarik (macam khutbah hari Jumaat di negara kita ini), ia tidak memberi kesan kepada para pendengar.

Maka Allah ‎ﷻ tidak mengabaikan keindahan di dunia ini. Kerana itu hidup di dunia ini menjadi semakin menarik dengan melihat kepada segala keindahan ciptaan Allah ‎ﷻ. Kita akan lebih menghargai dunia ini. Dengan melihat kecantikan dunia, kita dapat membayangkan keindahan syurga yang tentunya lebih indah berkali-kali ganda. Kalaulah kita tidak didedahkan dengan keindahan dunia, tentu kita langsung tidak dapat membayangkan keindahan syurga dan kita tentu tidak mendambakannya. Maka Allah ‎ﷻ menarik minat kepada syurga dengan ditunjukkan keindahan pada alam.

Perhatikan kalau kita membaca sahaja Al-Qur’an tetapi tidak diperindahkan bacaannya, tidak jadi menarik juga. Kerana begitulah Allah ‎ﷻ jadikan Al-Qur’an ini bukan sahaja mengandungi mesej yang tiada taranya, tapi bacaannya juga amatlah indah. Kajian ulama’ zaman berzaman berterusan kagum dengan penggunaan bahasa Al-Qur’an dan kita telah belajar di banyak tempat yang ia adalah satu mukjizat. Sampaikan Musyrikin Mekah yang tidak mahu menerima mesej Tauhid Al-Qur’an pun tetap terpesona dengan keindahan bahasa Al-Qur’an. Maka jangan kita abaikan perkara ini.

 

وَأَعْتَدْنَا لَهُمْ عَذَابَ السَّعِيرِ

Dan Kami sediakan bagi mereka azab api yang menyala-nyala;

Bukan mereka kena rejam di dunia sahaja, akan tetapi di akhirat sudah tentu mereka akan dikenakan dengan azab. Allah ‎ﷻ sudah sediakan siap-siap neraka itu menunggu mereka. Perhatikan Allah ‎ﷻ gunakan kalimah أَعْتَدْنَا yang berasal daripada kata dasar ع ت د namun sebenarnya daripada kata dasar ع د د yang bermaksud kiraan. Allah ‎ﷻ sudah sediakan dengan teliti mengikut bilangan mereka dan apa yang mereka akan dapat. Sebagai contoh kalau ada 10 orang tetamu akan datang ke rumah kita, kita akan sediakan makanan dan pinggan yang cukup-cukup untuk 10 orang tetamu itu. Apakah pengajarannya di sini? Allah ‎ﷻ sediakan azab yang cukup-cukup kepada ahli neraka. Ia berbeza dengan ahli syurga yang diberi dengan balasan yang berlebih-lebih daripada yang sepatutnya mereka akan dapat.

Itulah azab yang disediakan kepada syaitan-syaitan. Begitulah kalau manusia yang berperangai ‘syaitan’, mereka pun akan kena azab neraka juga nanti kerana jangan kita sangka ‘syaitan’ itu daripada golongan jin sahaja.

Ini adalah kerana kalimah ‘syaitan’ sebenarnya adalah satu sifat, yang bermaksud mereka yang menjauhkan manusia dari kebenaran. Kalau jin yang buat kerja itu, dia dipanggil ‘syaitan’; dan kalau ada manusia yang buat begitu, dia juga dipanggil ‘syaitan’. Kebanyakan orang sangka syaitan itu adalah sejenis makhluk yang lain daripada manusia dan jin. Tidak sebenarnya – syaitan itu adalah satu ‘sifat’. Ia boleh merujuk kepada golongan jin dan juga golongan manusia.

Ayat ini menunjukkan bahawa yang pertama sekali masuk neraka adalah iblis dan syaitan. Kemudian diikuti dengan orang kafir.

Ada juga yang menyoal bagaimana jin dan syaitan akan terasa dengan azab api neraka, sedangkan mereka pun dijadikan daripada api juga?

Pertamanya, dengan tidak dimasukkan ke dalam syurga pun sudah menjadi satu azab.

Keduanya, Allah ‎ﷻ tentunya mampu untuk menyediakan azab yang sesuai untuk mereka. Bukanlah tugas kita untuk menyoal cara Allah ‎ﷻ memberi azab. Mereka juga pastinya akan dikenakan azab yang sesuai untuk mereka. Dan kalau kita lihat bahasa yang digunakan dalam ayat ini adalah السَّعِيرِ – api yang menyala-nyala. Bukan api yang biasa.

Ketiganya, kalau kita tampar seorang  manusia dengan tangan, sakit tak? Tentu sakit, bukan? Tetapi bukankah tangan kita dan pipi dia pun dijadikan dari tanah?

Maka, soalan di atas tidak patut ditanya sebenarnya. Kalau ada yang bertanya (ramai yang selalu tanya) maknanya mereka itu orang yang jahil. Boleh gunakan jawapan dalam ayat ini sebagai penjelasan kepada mereka.

Perhatikan kalimah السَّعِيرِ yang digunakan di dalam ayat ini dan banyak lagi ayat-ayat yang lain. Ia menceritakan sifat api di neraka yang bukan biasa-biasa punya. Ia daripada kata dasar س ع ر yang bermaksud untuk menyalakan api; mencetuskan kerosakan; kebakaran; api yang marak; haba; api yang menyala; Neraka; nyalaan api. Kalau api biasa, lama-lama ia akan padam, tetapi tidak api السَّعِيرِ ini. Kalau kita mencampakkan sesuatu ke dalam api, selalunya api itu akan mencairkan bahan itu. Akan tetapi kalau api jenis السَّعِيرِ, barang yang dibuang itu terbakar dengan amat kuat sekali seperti meletup dan nyalaan api itu akan menjadi semakin besar.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 22 Disember 2024

Ringkasan Surah Mulk


Rujukan:

Maulana Hadi

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Kuliah tafsir Surah al-Mulk oleh Sheikh (Dr) Haitham Al-Haddad

Kuliah tafsir Surah al-Mulk oleh Sheikh Abdul Nasir Jangda

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Nouman Ali Khan

Tafsir Surah Mulk Ayat 3 – 4 (Kesempurnaan ciptaan Allah)

KESEMPURNAAN PENCIPTAAN ALLAH ‎ﷻ

Mulk Ayat 3: Sekarang Allah ‎ﷻ berikan dalil yang kedua tentang hebatnya Dia:

الَّذي خَلَقَ سَبعَ سَمٰوٰتٍ طِباقًا ۖ مّا تَرىٰ في خَلقِ الرَّحمٰنِ مِن تَفٰوُتٍ ۖ فَارجِعِ البَصَرَ هَل تَرىٰ مِن فُطورٍ

Sahih International

[And] who created seven heavens in layers. You do not see in the creation of the Most Merciful any inconsistency. So return [your] vision [to the sky]; do you see any breaks?

Malay

Dialah yang telah mengaturkan kejadian tujuh petala langit yang berlapis-lapis; engkau tidak dapat melihat pada ciptaan Allah Yang Maha Pemurah itu sebarang keadaan yang tidak seimbang dan tidak munasabah; (jika engkau ragu-ragu) maka ulangilah pandangan – (mu) – dapatkah engkau melihat sebarang kecacatan?

 

الَّذِي خَلَقَ سَبْعَ سَمٰوٰتٍ طِبَاقًا

Yang mencipta tujuh lapis langit bertingkat-tingkat;

Kalimah طِبَاقًا daripada kata dasar ط ب ق yang bermaksud menutupi, menyelubungi; menjadikan sesuatu cocok, sesuai, setuju dengan hal lain; memukul, buat sesuatu dengan betul; menjadi terbiasa; suatu benda yang ukurannya sama dengan benda lain apa pun jenisnya, sehingga menutupi keseluruhan benda itu seperti penutupnya dengan sempurna; muat, menyesuaikan, susunan satu di atas yang lain, tahapan, lapisan, tingkat, bersiri, lantai, strata.

Jadi makna طِبَاقًا salah satunya adalah ia bertingkat-tingkat satu di atas sesuatu yang lain. Langit yang di atas menutupi langit di bawah, bertindan-tindan. Kita boleh bayangkan ia sebagai kubah di atas kubah. Maknanya dalam bentuk sfera. Bukan bertingkat-tingkat seperti bangunan. Memang kalimah طِبَاقًا adalah satu perkataan yang sukar untuk diterjemahkan. Salah satu maknanya adalah ia ‘seamless‘, kita tidak tahu di mana satu bahagian akhir dan satu bahagian lagi bermula.

Tingkatan langit itu banyak sampaikan tujuh tingkat dan kita tidak tahu betapa luasnya satu langit. Untuk kita faham sedikit bagaimana besarnya langit itu, mari kita bayangkan langit pertama. Selagi apa yang kita nampak dengan mata (atau dengan teleskop), atau segala bintang-bintang yang berbilion itu, semuanya terletak dalam langit yang pertama lagi di mana ia dinamakan ‘langit dunia’. Ia adalah langit yang paling dekat dengan kita. Bayangkan lagi seandainya langit pertama itu umpama sebesar duit syiling, langit kedua yang meliputinya adalah seluas padang pasir yang luas. Kemudian sekiranya langit kedua diumpamakan sebesar duit syiling pula, maka langit ketiga yang meliputinya adalah seluas padang pasir. Begitulah sampai ke langit yang ketujuh. Sementara Arasy Allah itu meliputi langit ke-tujuh. Jadi, memang tidak mungkin dapat dibayangkan dek akal kita yang terbatas ini dan kita tidak disuruh pun untuk mengetahui dengan mendalam. Ia memang ia di luar kemampuan kita, maka tidak perlu pun cuba. Kita lihat langit setakat yang kita boleh lihat sahaja. Apa yang terletak dalam langit-langit yang lain, kita tidak tahu. Yang kita tahu melalui hadith Nabi ﷺ semasa baginda mi’raj melalui langit-langit itu, baginda telah bertemu dengan para Nabi yang dahulu di setiap langit.

Apa pula kata-kata ulama’? Al-Alusi رَحِمَهُ اللَّهُ di dalam tafsirnya Ruh al-Ma‘ani ada berkata:

وفي الخبر أن الأرض بالنسبة إلى السماء الدنيا كحلقة في فلاة، وكذا السماء الدنيا بالنسبة إلى السماء التي فوقها وهكذا إلى السماء السابعة وهي بالنسبة إلى الكرسي كحلقة في فلاة، وهو بالنسبة إلى العرش كذلك
“Di dalam khabar ada dinyatakan bahawa bumi dengan dinisbahkan kepada langit dunia adalah seperti halqah (boleh diterjemahkan sebagai subang telinga atau seumpamanya) yang berada di padang pasir. Demikianlah langit dunia pada nisbah langit yang di atasnya, demikianlah sehingga ke langit yang ke tujuh. Dan ia pada nisbah Kursi adalah seperti halqah (subang telinga atau seumpamanya) yang berada di padang pasir, dan ia pada nisbah ‘Arasy seperti demikian itu pula.”
(Abu al-Fadhl, Syihabuddin al-Sayyid Mahmud al-Alusi al-Baghdadi (W1270H), Ruh al-Ma‘ani FI Tafsir al-Quran al-‘Azhim wa Sab‘ al-Mathani, ketika menafsirkan ayat فإن تولوا فقل حسبي الله… 11/53)

Demikian juga di dalam Mirqah al-Mafatih Syarh Misykah al-Masabih oleh ‘Ali bin Sultan Muhammad al-Qari رَحِمَهُ اللَّهُ (1014H) 10/268 berkata:

جاء في الحديث إن الأرض بجنب السماء كحلقة في فلاة، وكذا كل سماء بالنسبة إلى ما في فوقها والسموات السبع والأرضين عند الكرسي كحلقة في فلاة وكذا هو في جنب العرش
“Terdapat di dalam hadith bahawa bumi di sisi langit seperti halqah di padang pasir, demikian juga setiap langit pada nisbah langit di atasnya dan semua langit dan bumi di sisi Kursi adalah seperti halqah di padang pasir. Demikian juga ia (Kursi) berbanding Arasy.” 

Ibn Kathir رَحِمَهُ اللَّهُ di dalam al-Bidayah al-Nihayah 1/15 mendatangkan hadith daripada Abi Zar al-Ghifari رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dengan sanad yang mausul, menceritakan Nabi ﷺ pernah ditanya tentang Kursi dan baginda bersabda:

وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ مَا السَّمَاوَاتُ السَّبْعُ وَالْأَرَضُونَ السَّبْعُ عِنْدَ الْكُرْسِيِّ إِلَّا كَحَلْقَةٍ مُلْقَاةٍ بِأَرْضٍ فَلَاةٍ ، وَإِنَّ فَضْلَ الْعَرْشِ عَلَى الْكُرْسِيِّ كَفَضْلِ الْفَلَاةِ عَلَى تِلْكَ الْحَلْقَةِ
“Demi jiwaku yang berada dalam genggaman-Nya, tidaklah tujuh lapis langit itu dan semua lapisan bumi di sisi Kursi melainkan seperti halqah yang dibuang di tengah padang pasir. Dan sesungguhnya kelebihan Arasy berbanding Kursi seperti kelebihan luasnya padang pasir berbanding halqah tersebut.”
(Al-Bidayah wa al-Nihayah, Dar ‘Alam al-Kutub 1424H)

Ternyata, hebat sekali alam langit ini. Sekali lagi, di dalam ayat ini mengandungi saranan Allah ‎ﷻ untuk kita memikirkan tentang kejadian langit dan bumi secara berterusan. Kata سَمَاوَاتٍ adalah apa sahaja yang di atas kita. Ia adalah kata jamak daripada perkataan sama’ – langit.

Kita telah sebut bahawa kalimah طِبَاقًا bermaksud ‘yang berlapis-lapis’ dan ‘tersusun’ dengan indah dan sempurna. Kalau kita lihat kepada langit, kita boleh lihat bagaimana ia tersusun sahaja. Lebih-lebih lagi kalau kita lihat kepada planet dan apa sahaja yang ada di langit suria. Zaman sekarang dengan kajian astronomi kita semakin terdedah dengan alam luar atmosfera. Semuanya tersusun indah dan tidak berlanggar antara satu sama lain. Kepada pengkaji astronomi, mereka tahu bahawa kedudukan planet dalam Bima Sakti itu tersusun, yang kalau kedudukan semuanya berubah sedikit sahaja, maka akan hancurlah alam ini. Begitulah Allah telah meletakkan segala sesuatu pada tempatnya.

Foto pemandangan Bima Sakti dapat dilihat pada langit Gunung Fuji, Jepun

Banyaklah kita dapati di dalam Al-Qur’an tentang langit yang tujuh tingkat atau tujuh lapis. Bermacam-macam pula tafsir yang telah dikemukakan manusia. Ada yang mencuba menafsirkan dengan pengetahuan yang baru setengah berkembang. Ada yang menafsirkan bahawa langit yang tujuh lapis itu ialah bintang-bintang satelit matahari yang terkenal. Bermula dari Bumi, Musytari, Apollo, Neptun, Marikh, Utarid dan Uranus. Akan tetapi itu hanya semata-mata tafsir, menurut dangkal atau dalamnya ilmu pengetahuan si penafsir tentang keadaan alam cakrawala. Ada juga yang memasukkan berbagai dongeng, sehingga dihiasilah tafsir Al-Qur’an dengan dongeng yang tidak berketentuan dari mana sumbernya. Semuanya itu belumlah tepat mengenai alamat yang dituju. Oleh sebab itu sesuailah kita dengan penjelasan yang diberikan oleh Sayid Quthub رَحِمَهُ اللَّهُ di dalam “Zilal”nya bahawa “langit tujuh tingkat” itu jangan ditafsirkan dengan ilmu pengetahuan sains yang boleh berubah-ubah. Ini kerana penyelidikan manusia tidaklah akan lengkap dalam menghadapi alam cakerawala yang begitu maha luas. Cukupkan sajalah dengan beriman terhadap ertinya; “Langit adalah tujuh tingkat”. Kita percayakan itu dan bagaimana tujuh tingkatnya itu, Tuhanlah Yang Lebih Tahu.

Sebelum ini di dalam ayat 2 Allah ‎ﷻ menyebut tentang kejadian manusia. Kali ini tentang kejadian langit pula. Banyak kali Allah ‎ﷻ buat begini. Ini kerana Allah ‎ﷻ hendak menunjukkan ada perhubungan dan persamaan antara kejadian langit dan bumi dan bandingkan dengan kehidupan kita. Sebagai contoh, dalam Yaasin: 39, Allah ‎ﷻ menceritakan tentang perjalanan bulan yang akhirnya akan kembali menjadi seperti tandan yang tua. Begitulah juga manusia – lahir, membesar dan akhirnya menjadi tua. Maka, sekejap lihat pada alam kemudian kita lihat pada diri kita sendiri.

وَالقَمَرَ قَدَّرنٰهُ مَنازِلَ حَتّىٰ عادَ كَالعُرجونِ القَديمِ
Dan telah Kami tetapkan bagi bulan manzilah-manzilah, sehingga (setelah ia sampai ke manzilah yang terakhir) kembalilah dia sebagai bentuk tandan yang tua.

Maknanya ada kaitan antara kehidupan manusia dan langit. Sebab itu di beberapa tempat, selepas Allah ‎ﷻ sebut tentang kejadian kehidupan dan kematian, Allah ‎ﷻ sebut tentang langit seperti juga ayat 2 dan ayat 3 Surah Mulk ini. Perhatikan susunan ayat Baqarah: 28-29. Ia pun sama juga.

كَيفَ تَكفُرونَ بِاللهِ وَكُنتُم أَموٰتًا فَأَحيٰكُم ۖ ثُمَّ يُميتُكُم ثُمَّ يُحييكُم ثُمَّ إِلَيهِ تُرجَعونَ
Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Dia menghidupkan kamu; setelah itu Dia mematikan kamu, kemudian Dia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepada-Nya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan).

هُوَ ٱلَّذِى خَلَقَ لَكُم مَّا فِى ٱلأَرضِ جَمِيعًا ثُمَّ ٱستَوَىٰٓ إِلَى ٱلسَّمَآءِ فَسَوَّٮٰهُنَّ سَبعَ سَمَـٰوٰتٍ۬‌ۚ وَهُوَ بِكُلِّ شَىءٍ عَلِيمٌ
Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian Dia menuju dengan kehendak-Nya ke arah langit, lalu dijadikannya tujuh langit dengan sempurna; dan Dia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

Jadi apakah kaitannya? Sebelum ini kita telah sebut yang langit yang bersifat طِبَاقًا adalah kerana susunannya yang seamless. Dari satu langit ke langit yang lain itu kita tidak nampak tingkatnya kerana ia seamless. Kalau tingkat pada bangunan kita boleh bezakan, bukan? Namun tidak dengan langit. Begitu jugalah pertukaran antara satu tingkatan kehidupan yang berubah kepada kematian nanti. Kita daripada hidup tiba-tiba akan masuk ke alam yang lain dan ia mungkin sama dengan keadaan kita yang tidur dan tiba-tiba terjaga.

Kata dasar ط ب ق sekali lagi digunakan di dalam Insyiqaq ayat 19. Perhatikan sekali lagi sebelum menyebut tentang tingkatan kehidupan, Allah ‎ﷻ sebut tentang langit lagi yang mengandungi bulan.

وَالقَمَرِ إِذَا اتَّسَقَ
dan dengan bulan apabila menjadi purnama,

لَتَركَبُنَّ طَبَقًا عَن طَبَقٍ
sesungguhnya kamu pasti melalui tingkat demi tingkat (dalam kehidupan),

Maka ia mengajar kita tentang perjalanan kehidupan kita yang melalui fasa demi fasa, tingkatan demi tingkatan. Yang akhirnya akan berhenti di akhirat kelak. Yang penting adalah kita mengambil peluang ketika kita di dalam fasa kehidupan sekarang dan jangan kita abaikan untuk mencari pahala sebagai bekal kita di kehidupan abadi nanti.

 

مَا تَرَىٰ فِي خَلْقِ الرَّحْمَٰنِ مِنْ تَفٰوُتٍ

Dan kamu tidak dapat lihat pada penciptaan Tuhan yang Maha Pemurah itu sesuatu yang tidak seimbang;

Kalimah تَفَاوُتٍ daripada ف و ت yang bermaksud untuk berlalu pergi, tergelincir, melarikan diri, longgar, terlepas, kelalaian, kepincangan, ketidaksesuaian, kesalahan, tidak teratur, ketidaksamaan. Oleh itu kalimah تَفَاوُتٍ bermaksud ‘lari’ daripada keseimbangan. Ia adalah lawan kepada kalimah طِبَاقًا di awal ayat ini. Makna تَفَاوُتٍ merujuk kepada sesuatu yang ada kekurangan, tidak seimbang. Penciptaan Allah ‎ﷻ, semuanya elok sahaja. Saling bersesuaian dan seimbang. Tidak ada perselisihan antara satu sama lain.

Penciptaan ini boleh merujuk kepada dua makna: sama ada Allah ‎ﷻ memperkatakan tentang penciptaan langit sahaja, atau keseluruhan alam ini. Perkataan sebelumnya berkenaan dengan langit, maka besar kemungkinan ia adalah tentang langit yang seimbang. Namun begitu kalau kita lihat penggunaan perkataan yang digunakan – فِي خَلْقِ – pada kejadian – ia tidak terhad kepada langit sahaja. Ia boleh merujuk kepada segala apa yang dijadikan oleh Allah ‎ﷻ. Sememangnya segala apa yang dijadikan oleh Allah ‎ﷻ itu tidak ada yang tidak seimbang atau tidak sempurna. Tidak ada penciptaan Allah ‎ﷻ yang tidak sesuai.

Perhatikan di dalam ayat 1 – 2 Allah ‎ﷻ tidak sebut pun nama-Nya. Di ayat ke 4 ini barulah Allah ‎ﷻ sebut tetapi Dia tidak sebut nama ‘Allah’ sebaliknya menggunakan nama-Nya yang lain iaitu الرَّحْمَٰنِ. Yang menariknya ayat ini pertama kalinya dibacakan kepada Musyrikin Mekah yang menolak nama الرَّحْمَٰنِ ini. Ketika menulis perjanjian damai antara kaum muslimin dan kaum musyrikin di Hudaibiyyah, datanglah Suhail bin ‘Amr. Suhail yang berkata, “Marilah kita tulis perjanjian antara kami dan kalian.”

Ketika menulis perjanjian damai antara kaum muslimin dan kaum musyrikin di Hudaibiyyah, datanglah Suhail bin ‘Amr. Suhail yang berkata, “Marilah kita tulis perjanjian antara kami dan kalian.” Nabi ﷺ lalu memanggil juru tulis baginda. Nabi ﷺ bersabda,
اكْتُبْ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
“Tulislah bismillaahi ar-rahmaan ar-rahiim.”
Suhail berkata, “Adapun nama Allah Ar-Rahmaan, maka demi Allah, aku tidak mengenal siapa dia.” Mereka (orang-orang musyrik) berkata, “Kami tidaklah mengenal nama Ar-Rahman, kecuali Rahmaan Al-Yamaamah.”
(HR. Bukhari No. 2731, 2732)

Maka turunlah ayat Ra’d: 30

وَهُم يَكفُرونَ بِالرَّحمٰنِ ۚ قُل هُوَ رَبّي لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ عَلَيهِ تَوَكَّلتُ وَإِلَيهِ مَتابِ
padahal mereka kafir kepada Tuhan Yang Maha Pemurah. Katakanlah: “Dialah Tuhanku tidak ada Tuhan selain Dia; hanya kepada-Nya aku bertawakal dan hanya kepada-Nya aku pulang”.

Allah ‎ﷻ menyebut namanya ‘Ar-Rahman’ kerana hendak menunjukkan bahawa Allah ‎ﷻ menjadikan semua alam itu di atas sifat Rahman-Nya, iaitu sifat pemurah-Nya. Allah ‎ﷻ mengingatkan kita tentang segala rahmat yang Allah ‎ﷻ telah berikan kepada kita. Kalau Allah ‎ﷻ telah berikan kita bermacam-macam dan segalanya yang kita perlukan untuk hidup dengan senang, kenapa kita hendak menolak segala suruhan-Nya lagi? Kalau kita hendak minta tolong kepada anak kita pun, kadang-kadang kita ingatkan dia tentang segala kebaikan yang kita telah lakukan kepadanya. Lebih-lebih lagi kalau anak itu degil. Begitu jugalah Allah ‎ﷻ mengingatkan kita kepada segala kemurahan-Nya yang telah dilimpahkan kepada kita. Apa lagi yang kita tidak dapat? Jadi kalau Musyrikin Mekah itu tetap tidak mahu beriman dengan Tuhan yang bersifat Rahmaan ini, mereka sendiri yang rugi!

Apabila Allah ‎ﷻ menjadikan alam ini dengan kasih sayang, maka tentulah Dia akan buat yang terbaik. Kalau manusia pun jika melakukan sesuatu kerana sayang, lain macam jadinya. Sebagai contoh makanan isteri kita, kalau memasak ketika sayang kepada kita, kita akan dapat rasa walaupun makanan itu ringkas sahaja. Hanya kerana ketika melakukannya, ia dilakukan dengan teliti kerana kasih dan sayang. Tidak sama dengan makanan di kedai, bukan? Maka Allah ‎ﷻ hendak mengingatkan kepada kita yang alam ini dijadikan daripada sifat Ar-Rahman.

Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ mengatakan مَا تَرَىٰ ‘kamu tidak dapat melihat’. Lain dengan bahasa yang Allah ‎ﷻ gunakan untuk menceritakan Al-Qur’an di dalam ayat Baqarah: 2

ذٰلِكَ الكِتٰبُ لا رَيبَ ۛ فيهِ ۛ
Kitab Al-Qur’an ini, tidak ada sebarang syak padanya

Dalam ayat Baqarah ini, Allah ‎ﷻ menggunakan perkataan رَيْبَ yang bermaksud ‘syak’. Dalam ayat itu, Allah ‎ﷻ terus mengatakan bahawa tidak ada syak pada Al-Qur’an. Itu adalah kerana Al-Qur’an adalah ‘kalam’ Allah ‎ﷻ, maka tidak ada syak atau kekurangan padanya. Tapi dalam penciptaan makhluk Allah ‎ﷻ yang lain, ada kemungkinan memang ada kekurangan, tetapi kita sebagai manusia sahaja yang tidak akan nampak. Allah ‎ﷻ tahu di mana kekurangannya, tetapi kita yang tidak nampak. Pada kita, kejadian Allah ‎ﷻ tidak akan kekurangan sedikit pun kerana kita tidak mampu melihat kekurangan itu kalau ada. Itulah bezanya ayat Surah Mulk ini dan ayat Baqarah: 2.

Melalui ayat ini, kita boleh melihat bahawa Allah ‎ﷻ menyuruh kita untuk melihat kepada langit dan memikirkan kejadian langit itu dengan segala keindahan dan tidak ada kecacatan yang kita boleh lihat dengan pancaindera kita. Allah ‎ﷻ suruh kita gunakan pancaindera kita untuk kebaikan.

 

فَارْجِعِ الْبَصَرَ

Maka kembalilah kamu lihat sekali lagi langit itu;

Allah ‎ﷻ mencabar kita untuk mencari kelemahan lagi dalam penciptaan-Nya. Kita tidak akan menemuinya. Lihatlah lagi. Akan tetapi perkataan فَارْجِعِ ini agak pelik. Allah ‎ﷻ suruh ‘lihat kembali’ dan bukannya suruh ‘lihat’ (أبصر). Sedangkan ini adalah kali pertama arahan melihat langit (atau pada alam secara umum) terdapat di dalam surah ini. Allah ‎ﷻ suruh kita lihat semula kerana kita memang sudah lama lihat langit itu tetapi kali ini Allah ‎ﷻ suruh lihat semula dengan pandangan yang lain. Memang kalau kita melihat sesuatu dengan niat yang lain, dengan persepsi yang lain, perkara yang sama kita lihat sebelum itu akan menjadi lain. Sebagai contoh kita sudah selalu lihat pasangan hidup kita, bukan? Kali ini apa kata kita lihat pasangan kita itu dengan pandangan yang berbeza, dengan pandangan rahmah, cinta? Tentu lain kali ini, bukan? Kerana kita ada niat yang lain, persepsi yang berbeza. Kita melihat kerana kali ini kita mencari sesuatu. Begitu juga jikalau kita mencari yang buruk, akan nampak sahaja; tetapi kalau kita mencari kebaikan, pun akan nampak juga.

Perkataan الْبَصَرَ bermaksud ‘penglihatan’. Ia juga boleh bermaksud ‘pemikiran’. Allah ‎ﷻ menyuruh kita kembali melihat kepada kejadian alam ini dan kemudian memikirkan. Iaitu kembali melakukan proses melihat kejadian alam ini. Ini kerana apabila ditambah mengulangi melihatnya akan terdapat lagi keajaiban yang baru dan kagum dengan kebesaran Ilahi. Bila dilihat keadaan alam yang sekeliling kita ini akan terdapatlah sifat-sifat Allah ‎ﷻ yang mulia terlukis dengan jelas padanya. Kesempurnaan (Kamal), Keindahan (Jamal) dan Kemuliaan (Jalal). Di sana bertemu kasih, di sana bertemu sayang, di sana bertemu perlindungan, di sana bertemu peraturan dan ketentuan yang sangat membuat kita menjadi kagum. Maka berasa bahagialah diri kerana diberi akal untuk memikirkan semuanya itu, diberi perasaan halus untuk merasakannya.

Kalimah فَارْجِع ini adalah di dalam bentuk arahan. Jika arahan, maka ia adalah wajib sebagai ibadah daripada Allah ‎ﷻ. Mungkin anda tidak tahu, bukan? Anda sangka ibadah seperti solat dan puasa sahaja yang kita perlu buat. Namun semua arahan Allah ‎ﷻ kita kena ikut sebenarnya. Siapa lagi yang kita kena ikut arahan-Nya tanpa soal kalau bukan arahan Allah ‎ﷻ?

 

هَلْ تَرَىٰ مِنْ فُطُورٍ

Adakah kamu melihat sebarang kecacatan?;

Kalimah فُطُورٍ daripada ف ط ر yang mempunyai banyak makna. Ia boleh digunakan untuk merujuk kepada mencipta sesuatu daripada tiada; terbelah; pecah; retak; dipecah menjadi kepingan-kepingan; asal penciptaan; Pencipta; Pemula; Pemula; perlembagaan semula jadi; iman. Salah satunya adalah ‘retak’ seperti kita biasa lihat pada dinding rumah yang retak. Ia juga bermaksud ‘pecah’. Jikalau ada retak dan pecah, itu adalah tidak bagus, bukan? Jadi Allah ‎ﷻ hendak menekankan yang tidak ada langsung kecacatan pada penciptaan Allah ‎ﷻ itu. Jika manusia melakukan sesuatu, tentu ada kekurangan pada apa yang dia perbuat itu. Namun tidak dalam penciptaan Allah ‎ﷻ. Memang saya telah sebut, kalau kita cari sesuatu yang buruk pada sesuatu atau seseorang, kita akan jumpa. Akan tetapi kali ini Allah ‎ﷻ berani cabar kerana memang tidak akan ada apa-apa keburukan atau kekurangan pada langit yang Allah ‎ﷻ cipta itu.


 

Mulk Ayat 4:

ثُمَّ ارجِعِ البَصَرَ كَرَّتَينِ يَنقَلِب إِلَيكَ البَصَرُ خاسِئًا وَهُوَ حَسيرٌ

Sahih International

Then return [your] vision twice again. [Your] vision will return to you humbled while it is fatigued.

Malay

Kemudian ulangilah pandangan (mu) berkali-kali, nescaya pandanganmu itu akan balik kepadamu dengan hampa (daripada melihat sebarang kecacatan), sedang ia pula berkeadaan lemah lesu (kerana habis tenaga dengan sia-sia).

 

ثُمَّ ارْجِعِ الْبَصَرَ كَرَّتَيْنِ

Kemudian kamu kembalilah lihat semula berkali-kali;

Allah ‎ﷻ mencabar lagi menyuruh kita melihat lagi alam ini. Perkataan ثُمَّ bukan sahaja bermaksud ‘kemudian’. Ia adalah satu waktu yang telah berlalu agak lama. Bermaksud, Allah ‎ﷻ suruh kita melihat kejadian alam ini dari masa ke semasa. Sekali sekala lihatlah langit itu untuk meningkatkan iman kita. Kadangkala apabila kita melancong ke suatu tempat yang baru, kita pada mulanya nampak tempat itu cantik sahaja. Akan tetapi kalau kita pergi setelah sekian lama seperti sebulan selepas itu, kita mula nampak rupanya tidaklah secantik kali pertama kita lihat setahun yang lalu kerana kita sudah ada pengamalan. Ini sama seperti kita tonton filem yang sama kali kedua, ia tidak sama kerana kali ini mata kita akan nampak perkara-perkara yang kita tidak nampak kali pertama. Maka kerana itu Allah ‎ﷻ suruh lihat lagi setelah sekian lama, bukan sekali tengok sahaja.

Perkataan كَرَّتَيْنِ bermaksud melakukan sesuatu berkali-kali dalam kadar yang sama. Seperti serangan tentera yang dilakukan kepada satu kawasan berkali-kali untuk mencapai kemenangan. Perkataan كَرَّتَيْنِ bukan bermaksud ‘dua kali’ sahaja walaupun dalam bahasa yang literal, ia bermaksud dua kali (kerana ada tambahan ين). Sama juga kalau kita katakan bahawa atas meja kita ada ‘dua dozen limau’. Tidak semestinya memang tepat terdapat sebanyak 24 biji limau – ia sebagai satu penggunaan bahasa untuk menunjukkan ‘banyak’ sahaja. Oleh itu, Allah ‎ﷻ menyuruh kita melihat kepada langit dan juga alam ini berkali-kali dan tidaklah terhad kepada bilangan.

 

يَنقَلِب إِلَيكَ البَصَرُ خاسِئًا

nescaya pandanganmu akan kembali kepada kamu dalam keadaan hampa;

Perkataan يَنْقَلِبْ daripada ق ل ب yang bermaksud kembali, tetapi ‘kembali dari arah yang berlainan’. Kerana kalau kembali cara biasa, kalimah رجع yang digunakan. Ia bermakna, pemandangan kita tidak lagi sama seperti dahulu. Selepas kita menjalankan proses melihat alam ini, kita tidak akan melihatnya dengan cara yang sama. Kita telah mendapat pemahaman yang berbeza. Kita telah menjadi orang yang berbeza. Perspektif kita tentang alam dan tentang alam telah berubah. Kita telah mendapat pemahaman yang tinggi.

Kalimah خاسِئًا bermaksud hampa kerana tidak mampu untuk mencari kelemahan daripada penciptaan Tuhan. Tidak berjaya walaupun telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mencarinya. Allah ‎ﷻ suruh kita cari kecacatan alam ini tetapi kalau kita cari bersungguh-sungguh pun, memang tidak akan berjumpa. Penat sahaja yang kita dapat. Perkataan خَاسِئًا daripada خ س أ yang digunakan apabila kita menghalau anjing, kerana kita rasa anjing itu hina. Ini seperti firman Allah ‎ﷻ dalam Mukminoon: 108

قالَ اخسَئوا فيها وَلا تُكَلِّمونِ
Allah berfirman: “Tinggallah dengan hina di dalamnya, dan janganlah kamu berbicara dengan Aku.

Begitu juga apabila kita telah menjalani proses melihat kejadian Allah ‎ﷻ, kita akan rasa betapa hinanya kita. Kita akan sedar betapa kedudukan kita rendah sekali.

Setelah penat, kita akan mengeluh. Mengapa mengeluh? Mengeluh lantaran di waktu itu mendesaklah dari dalam jiwa kita sebagai manusia berbagai perasaan. Di antaranya ialah kagum melihat betapa besarnya kekuasaan Tuhan. Di samping itu terasalah betapa kecilnya diri di bawah kekuasaan Ilahi. Lalu timbul rasa syukur yang sedalam-dalamnya kerana kita dijadikan manusia yang dapat berfikir sehingga meresapkan rasa nikmat Allah ﷻ dan kekayaan- Nya yang terbentang di mana sahaja dan ke mana sahaja mata memandang.

 

وَهُوَ حَسِيرٌ

dan dalam keadaan lemah lesu

Dalam keadaan penat dan letih. Perkataan حَسِيرٌ digunakan khas apabila penat setelah melihat sesuatu pada kadar yang lama.

Tema surah ini menggunakan akal fikiran yang Allah ‎ﷻ telah berikan. Allah ‎ﷻ menyuruh kita menggunakan akal dengan melihat keindahan ciptaan-Nya. Maka selepas ini cubalah lihat alam ini dengan mata yang mahu memikirkan. Mungkin sebelum ini kita lihat biasa sahaja, tetapi selepas ini lihatlah dalam cara yang lain pula. Jangan lihat kosong sahaja, sebaliknya lihatlah sambil memikirkan.

Pengajaran di dalam dua ayat ini hendak memberitahu kita bahawa sudah ada banyak tanda-tanda Allah ‎ﷻ di alam ini untuk kita takjub dan taat kepada-Nya. Ia menegur permintaan Musyrikin Mekah ketika itu yang meminta berbagai-bagai mukjizat yang mereka boleh lihat dengan mata. Sebagai contoh di dalam Isra’: 90 mereka minta,

وَقَالُواْ لَن نُّؤمِنَ لَكَ حَتَّىٰ تَفجُرَ لَنَا مِنَ ٱلأَرضِ يَنۢبُوعًا
Dan mereka berkata: “Kami sekali-kali tidak percaya kepadamu hingga kamu memancarkan mata air dan bumi untuk kami,

Malah banyak lagi ayat-ayat yang sebegini. Allah ‎ﷻ hendak mengajar mereka kenapa tidak guna mata? Tidak nampakkah begitu banyak sekali yang Allah ‎ﷻ telah jadikan sebagai tanda kepada mereka? Apa lagi yang mereka mahu?

Ayat-ayat ini juga mengajar kita supaya kenal Allah ﷻ dan takjub dengan kehebatan Allah ﷻ. Kalau kita benar-benar sedar betapa besarnya Allah ﷻ dan betapa kerdilnya kita, barulah kita akan senang untuk taat kepada-Nya. Allah ﷻ berfirman di dalam Fatir: 28 bahawa orang yang kenal Allah ﷻ sahaja yang akan takut dengan Allah ﷻ,

إِنَّما يَخشَى اللهَ مِن عِبادِهِ العُلَماءُ
Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah ulama’.

Ulama’ di dalam ayat ini bukanlah ulama’ yang kita faham sekarang, tetapi orang-orang yang ada ilmu tentang Allah ﷻ, kenal tentang Allah ﷻ setelah menggunakan mata, akal dan hati mereka untuk mengenal-Nya.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 14 Disember 2024

Ringkasan Surah Mulk


Rujukan:

Maulana Hadi

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Kuliah tafsir Surah al-Mulk oleh Sheikh (Dr) Haitham Al-Haddad

Kuliah tafsir Surah al-Mulk oleh Sheikh Abdul Nasir Jangda

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Nouman Ali Khan

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah

Tafsir Surah Mulk Ayat 2 (Hidup adalah ujian)

Mulk Ayat 2: Apabila Allah ‎ﷻ beritahu Dia Maha Berkat dan mempunyai segala kekuasaan, Dia membawakan dalilnya di dalam ayat ini. Di dalam ayat sebelum ini diberitahu kuasa mutlak Allah ﷻ yang boleh buat apa sahaja; apakah kuasa yang lebih hebat daripada menghidupkan dan mematikan? Adakah selain Allah ﷻ yang ada kuasa ini?

الَّذي خَلَقَ المَوتَ وَالحَيَوٰةَ لِيَبلُوَكُم أَيُّكُم أَحسَنُ عَمَلًا ۚ وَهُوَ العَزيزُ الغَفورُ

Sahih International

[He] who created death and life to test you [as to] which of you is best in deed – and He is the Exalted in Might, the Forgiving –

Malay

Dialah yang telah menjadikan adanya mati dan hidup – untuk menguji kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun;

 

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ

Yang mencipta kematian;

Sekali lagi, Allah ‎ﷻ tidak meletakkan nama-Nya dalam ayat ini. Dia cuma mengatakan ‘yang’ menjadikan mati sahaja kerana tidak ada entiti lain yang boleh menjadikan kematian dan kehidupan melainkan Dia sahaja. Di sinilah letaknya keindahan bahasa Al-Qur’an. Tidak perlu disebut pun kita manusia seharusnya sudah tahu.

Kenapakah Allah ‎ﷻ meletakkan الْمَوْتَ sebelum disebut الْحَيَاةَ? Bukankah kita hidup dahulu dan kemudian baru mati? Jangan kita faham الْمَوْتَ itu sebagai maksud ‘mati selepas hidup’ sahaja. Ia mengandungi makna yang lebih luas lagi. Makna الْمَوْتَ adalah ‘tanpa kehidupan’. Oleh itu, sebelum kita dilahirkan, kita dalam keadaan الْمَوْتَ sebab kita tidak ada kehidupan pada waktu itu. Sebab itu Allah‎ ﷻ meletakkan perkataan الْمَوْتَ dahulu kerana ia yang datang terlebih dahulu. Akan tetapi pemahaman ini kenalah berdasarkan kepada konteks ayat. Dalam ayat-ayat lain, ada Allah ‎ﷻ gunakan perkataan الْمَوْتَ dalam makna yang lain. Sebagai contoh, Allah ‎ﷻ menggunakan perkataan الْمَوْتَ untuk menerangkan keadaan orang yang tidak mempunyai iman. Ini kerana mereka yang tidak ada iman, walaupun mereka nampaknya hidup, namun sebenarnya hati mereka mati.

Satu lagi sebab kenapa Allah ‎ﷻ letakkan perkataan الْمَوْتَ dahulu adalah kerana ayat ini ditujukan kepada makhluk yang sedang hidup sekarang. Kepada makhluk yang hidup, yang manakah mereka akan temui dahulu? Kematiankah atau kehidupan? Tentulah kita akan menemui kematian dahulu, kemudian barulah kita akan dihidupkan semula di alam barzakh nanti. Maka Allah ‎ﷻ sebut perkara pertama yang kita akan bertemu dahulu, iaitu ‘mati’. Allah ‎ﷻ memberi peringatan kepada kita tentang mati dahulu kerana kematian adalah satu motivasi yang paling kuat. Kalau kita ingat bahawa kita akan mati akhirnya, kita akan berjaga-jaga dengan amalan dan agama kita. Kita akan buat sebaik mungkin.

Ia juga menekankan yang kita ini sebenarnya sedang menuju kepada kematian. Setiap hari umur kita menjadi pendek sebenarnya. Bayangkan jam pasir yang sedikit demi sedikit pasirnya habis dan tidak boleh dimasukkan semula. Begitulah sepatutnya cara kita memandang kematian kita. Allah ﷻ telah berfirman di dalam Zumar: 30. Kalimah مَيِّتٌ dan مَّيِّتونَ itu boleh ditafsirkan sebagai menuju kematian, atau sedang mati sedikit demi sedikit. Hakikatnya, kita ini sedang melalui proses kematian sebenarnya.

Tempoh detik waktu kita menuju kematian seumpama pasir di dalam jam pasir

 

إِنَّكَ مَيِّتٌ وَإِنَّهُم مَّيِّتونَ
Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan mati, dan sesungguhnya mereka juga akan mati

Allah ﷻ jadikan tidur kita setiap hari untuk mengingatkan kita yang kita sebenarnya mati setiap malam. Begitulah firman Allah ﷻ di dalam Zumar: 42

اللَهُ يَتَوَفَّى الأَنفُسَ حينَ مَوتِها وَالَّتي لَم تَمُت في مَنامِها ۖ فَيُمسِكُ الَّتي قَضىٰ عَلَيهَا المَوتَ وَيُرسِلُ الأُخرىٰ إِلىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى ۚ إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيٰتٍ لِّقَومٍ يَتَفَكَّرونَ
Allah mengambil satu-satu jiwa daripada badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya, dan jiwa orang yang tidak mati: dalam masa tidurnya; kemudian Dia menahan jiwa orang yang Dia tetapkan matinya dan melepaskan jiwa yang lain (ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir (untuk memahaminya).

Sebab itu ada doa yang dibacakan apabila kita bangun daripada tidur adalah:

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَحْيَانَا بَعْدَ مَا أَمَاتَنَا وَإِلَيْهِ النُّشُورُ
Segala puji bagi Allah yang menghidupkan kami kembali setelah mematikan kami dan kepada-Nya (kami) akan dibangkitkan

Allah ﷻ juga telah berfirman di dalam Ali Imran:185 yang semua makhluk akan merasai mati,

كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ ٱلْقِيَٰمَةِ
Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu.

Maka ambillah peluang untuk berbuat kebaikan semasa hidup kerana kita tidak lama lagi akan mati. Namun begitu ramai sekali antara kita menjalani kehidupan mereka seolah-olah mereka akan hidup selamanya. Mereka tidak terfikir bahawa mereka akan mati dan menemui Tuhan dan dipertanggungjawabkan di atas segala perbuatan mereka di dunia ini. Begitulah tema surah ini: menyuruh kita memikirkan dan melihat dalam-dalam. Kita tidak banyak masa di dunia ini. Kita mesti mengaut sebanyak mungkin pahala yang boleh kita kaut, bukan mengumpul dosa yang memberatkan kita!

Di dalam ayat sebelum ini kita telah sentuh teguran Allah ﷻ kepada golongan yang ada kuasa dan melakukan kezaliman dan tidak taat kepada arahan Allah ﷻ. Kita pun telah sebut sebelum ini yang surah ini banyak mengandungi ancaman dan peringatan terhadap penentang kebenaran. Sekarang Allah ﷻ terus sebut kematian dahulu sebagai ancaman. Iaitu kalau engkau masih tidak taat dan tetap menentang, maka Allah ﷻ boleh matikan engkau dengan segera! Dengan segala kekuasaan yang engkau ada, tidak dapat untuk menghalang keputusan Allah ﷻ mematikan engkau.

Di dalam ayat ini, Allah ﷻ menyebut tentang kematian dengan cara yang lain daripada kebiasaan خَلَقَ الْمَوْتَ (menjadikan kematian). Sedangkan banyak ayat lain Allah ﷻ menyebut Dia mematikan di dalam format yang lain iaitu seperti di dalam Baqarah: 258 Allah ﷻ berfirman رَبِّيَ الَّذي يُحيي وَيُميتُ (Tuhanku yang mematikan dan menghidupkan). Sekarang kita memahami bahawa kematian itu sendiri dicipta oleh Allah ﷻ, bukannya terjadi dengan sendiri. Oleh kerana Allah ﷻ mencipta kematian, maka Allah ﷻ boleh sahaja mematikan kematian itu seperti disebut di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ,

فَإِذَا أَدْخَلَ اللَّهُ أَهْلَ الْجَنَّةِ الْجَنَّةَ وَأَهْلَ النَّارِ النَّارَ قَالَ أُتِيَ بِالْمَوْتِ مُلَبَّبًا فَيُوقَفُ عَلَى السُّورِ بَيْنَ أَهْلِ الْجَنَّةِ وَأَهْلِ النَّارِ ثُمَّ يُقَالُ يَا أَهْلَ الْجَنَّةِ فَيَطَّلِعُونَ خَائِفِينَ ثُمَّ يُقَالُ يَا أَهْلَ النَّارِ فَيَطَّلِعُونَ مُسْتَبْشِرِينَ يَرْجُونَ الشَّفَاعَةَ فَيُقَالُ لِأَهْلِ الْجَنَّةِ وَأَهْلِ النَّارِ هَلْ تَعْرِفُونَ هَذَا فَيَقُولُونَ هَؤُلَاءِ وَهَؤُلَاءِ قَدْ عَرَفْنَاهُ هُوَ الْمَوْتُ الَّذِي وُكِّلَ بِنَا فَيُضْجَعُ فَيُذْبَحُ ذَبْحًا عَلَى السُّورِ الَّذِي بَيْنَ الْجَنَّةِ وَالنَّارِ ثُمَّ يُقَالُ يَا أَهْلَ الْجَنَّةِ خُلُودٌ لَا مَوْتَ وَيَا أَهْلَ النَّارِ خُلُودٌ لَا مَوْتَ
Setelah Allah memasukkan penghuni syurga ke dalam syurga dan penghuni neraka ke dalam neraka, kematian didatangkan dengan diseret kemudian didirikan di atas benteng antara penghuni syurga dan penghuni neraka, setelah itu dikatakan kepada penghuni syurga: ‘Hai penghuni syurga!’ Mereka melihat dalam keadaan takut. Dan dikatakan kepada penghuni neraka: ‘Wahai penghuni neraka!’ Mereka melihat dalam keadaan senang, mereka berharap mendapatkan syafaat. Lalu dikatakan kepada penghuni syurga dan penghuni neraka: ‘Adakah kalian mengetahui apakah ini?’ Mereka menjawab: ‘Kami mengetahuinya, itu adalah kematian yang diserahkan untuk (mencabut nyawa) kami’. Ia dibaringkan lalu disembelih di atas benteng antara syurga dan neraka, setelah itu dikatakan: ‘Wahai penghuni syurga, sekarang tiba saatnya kekekalan, tiada lagi kematian dan wahai penghuni neraka, kalian juga kekal tiada kematian.’
(Jami’ Tirmidzi No. 2480)
Status: Hasan Sahih

Oleh itu, kematian dan juga kehidupan itu adalah satu ‘alam’ bagi kita. Kita yang berasal daripada tidak ada apa-apa (mati) dan kita masuk alam kehidupan (dunia sekarang), kemudian alam kematian, dan akhirnya alam kehidupan (di akhirat kelak). Ia adalah alam-alam yang Allah ‎ﷻ cipta untuk kita lalui. Ia bukanlah satu keadaan yang ada dan kemudian tiada seperti yang Musyrikin Mekah faham. Untuk memahami dengan lebih mendalam apakah yang Allah ‎ﷻ mahu  sampaikan di dalam ayat-ayat Al-Qur’an, kita kena juga lihat kepada pemahaman penerima pertama ayat-ayat itu, kerana Allah ‎ﷻ hendak membetulkan fahaman mereka. Sebagai contoh, kalau ayat-ayat kepada golongan Yahudi, kita kena selidiki apakah akidah dan fahaman mereka. Sekarang ayat-ayat yang kita sedang baca ini telah ditujukan kepada Musyrikin Mekah yang melihat kematian itu hanya sebagai ‘tidak hidup’ sahaja. Jadi mereka tidak takut dengan kematian kerana mereka tidak percaya kepada kehidupan selepas mati. Kerana pada mereka, mati sahaja terus selesai segala perkara dan mereka tidak dipertanggungjawabkan.

 

وَالْحَيَوةَ

dan (mencipta) kehidupan

Selepas kematian, maka datanglah kehidupan. Allah ‎ﷻ hanya sebut tentang mati dan hidup sahaja kerana kedua-duanya merangkumi keseluruhan hidup seorang insan itu. Jadi tidak perlu disebut satu persatu. Inilah kitaran hidup makhluk seperti firman Allah ‎ﷻ di dalam Baqarah: 28

كَيفَ تَكفُرونَ بِاللهِ وَكُنتُم أَموٰتًا فَأَحيٰكُم ۖ ثُمَّ يُميتُكُم ثُمَّ يُحييكُم ثُمَّ إِلَيهِ تُرجَعونَ
Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Dia menghidupkan kamu; setelah itu Dia mematikan kamu, kemudian Dia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepada-Nya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan).

Rasulullah ﷺ pernah bersabda:

إِنَّ اللَّهَ أَذَلَّ بَنِي آدَمَ بِالْمَوْتِ وَجَعَلَ الدُّنْيَا دَارَ حَيَاةٍ ثُمَّ دَارَ مَوْتٍ وَجَعَلَ الْآخِرَةَ دَارَ جَزَاءٍ ثُمَّ دَارَ بَقَاءٍ
“Sesungguhnya Allah menghinakan anak keturunan Adam dengan kematian, dan Allah menjadikan dunia sebagai tempat kehidupan lalu menjadi tempat kematian bagi manusia, dan akhirat sebagai tempat dibalasnya (apa yang dilakukan di dunia) dan menjadi tempat yang kekal.”
(HR. Ibnu Abi Hatim No. 18928)
Sepertimana disebutkan oleh Ibnu Katsir رَحِمَهُ اللَّهُ pula dalam tafsirnya 4/396, sanadnya dhaif.

Kita telah sebutkan yang Allah ‎ﷻ jadikan alam kehidupan selepas kematian kita di dunia nanti. Dan itulah alam terakhir kita dan ini bertepatan dengan firman Allah ﷻ di dalam Fatir: 39:

وَالَّذِينَ كَفَرُوا لَهُمْ نَارُ جَهَنَّمَ لَا يُقْضَىٰ عَلَيْهِمْ فَيَمُوتُوا وَلَا يُخَفَّفُ عَنْهُم مِّنْ عَذَابِهَا ۚ كَذَٰلِكَ نَجْزِي كُلَّ كَفُورٍ
Dan orang-orang yang kafir, bagi mereka neraka Jahannam; mereka tidak dijatuhkan hukuman bunuh supaya mereka mati (dan terlepas daripada seksa), dan tidak pula diringankan azab neraka itu daripada mereka; dan demikianlah Kami membalas tiap-tiap orang yang melampau kufurnya.

Atau ia boleh bermaksud Allah ‎ﷻ menjadikan ‘proses’ kehidupan dan kematian itu. Proses kehidupan adalah persenyawaan antara benih bapa dan ibu, kemudian mengandung, kemudian dilahirkan. Proses kematian bermula daripada seseorang itu sakit, kemudian nazak, kemudian tidak bernafas lagi. Proses kehidupan berbeza daripada jenis makhluk dan makhluk yang lain dan begitu juga proses kematian tidak sama. Ada yang mati dengan mudah, ada yang mati dalam seksa dan ada yang mengambil masa yang lama. Semua itu, Allah ‎ﷻ yang uruskan.

Allah ‎ﷻ sebut ‘kematian’ sebelum ‘kehidupan’ kerana kematianlah yang mencabar manusia. Kematian itu lebih memberi kesan kepada kita. Kita akan suka kalau ada yang baru lahir. Sebaliknya apabila ada kematian dalam keluarga kita, atau kawan-kawan kita, itulah yang lebih memberi kesan kepada kita. Kita akan jadi amat sedih, sentiasa teringatkan mereka yang telah tiada, terkenang kekesalan yang mungkin ada, kerinduan dan macam-macam lagi. Tidak kira betapa kuatnya kita menolak perasaan itu pergi, ia akan datang dari masa ke masa. Oleh kerana ia lebih penting, maka Allah ‎ﷻ sebut kematian dahulu sebelum disebut tentang kehidupan.

Tema surah ini adalah menyuruh kita berfikir. Allah ‎ﷻ suruh kita lihat sekeliling kita dan segala peristiwa yang terjadi supaya menjadi pengajaran kepada kita. Lihatlah bagaimana setiap hari, ada sahaja yang mati dan ada sahaja yang hidup. Semua itu memberi peringatan kepada kita. Apabila ada kehidupan baharu, kita tahu itu adalah urusan Allah‎ ﷻ. Apabila ada kematian, kita pun tahu itu juga urusan Allah‎ ﷻ . Kita pun diingatkan yang  akan sampai masanya nanti kita juga akan mati dan kemudian kita akan dihidupkan di alam akhirat. Ia adalah kitaran hidup yang akan sentiasa berlaku. Kita juga telah memulakan kehidupan kita semasa kita lahir dan kita juga akan menghadapi saat kematian kita. Persoalannya, apakah yang kita buat semasa kita hidup di dunia ini? Fikir dan fikirkan.

Di dalam Allah ‎ﷻ menyebut tentang kehebatan Diri-Nya, Allah ‎ﷻ memilih untuk menyebut tentang penciptaan kematian dan kehidupan. Kalau sebut penciptaan lain, mungkin ada makhluk yang boleh mencipta atau meniru ciptaan orang lain. Contohnya seseorang membina bangunan yang tinggi, kemudian ada orang lain binakan bangunan yang lebih tinggi lagi. Akan tetapi apabila Allah ‎ﷻ sebut tentang penciptaan kematian dan kehidupan, adakah yang boleh meniru perbuatan itu?

 

لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا

Supaya Dia menguji kamu semua, siapakah yang lebih baik amalannya;

Allah ‎ﷻ hendak lihat siapakah yang buat amalan yang ‘lebih baik‘, bukan Allah ‎ﷻ untuk lihat siapakah yang mempunyai amalan yang ‘terbanyak‘. Kita mungkin banyak buat ibadat, tetapi kadang-kadang tidak molek amalan itu. Mungkin kita buat sambil lewa sahaja – seperti melepaskan batuk di tangga sahaja, cukup syarat sahaja. Maka, di sini mengajar kita untuk memperbaiki amalan kita. Amalan kebaikan ini adalah sebagai tanda iman kita dan sebagai tanda kesyukuran kita kepada Allah ‎ﷻ. Jadi, kita hendaklah berusaha untuk mencantikkan amalan kita. Jangan beriya-iya menambah banyak amalan, tetapi kita tidak melihat kualiti amalan kita. Antaranya, dalam kita belajar tafsir ini, janganlah kita hanya hendak menambah berapa banyak ayat dan surah yang kita sudah belajar, tetapi pemahaman kita kurang. Jangan dikejar kuantiti sahaja tetapi hendaklah kita lebih mengejar kualiti. Kerana itulah amal kita di akhirat kelak akan ‘ditimbang’, bukan dikira. Ini adalah kerana ada amalan yang sedikit, tetapi berat timbangannya. Ini seperti firman Allah ‎ﷻ di dalam Mukminoon: 102

فَمَن ثَقُلَت مَوٰزينُهُ فَأُولٰئِكَ هُمُ المُفلِحونَ
Barangsiapa yang berat timbangan (kebaikan)nya, maka mereka itulah orang-orang yang dapat keberuntungan.

Sebagai contoh: Adalah lebih baik kalau hanya sedikit ayat yang kita belajar dahulu, tetapi kita tahu dengan mendalam apakah maksud ayat itu dan kita boleh mengamalkan kehendak ayat itu. Kalau kita tahu makna dua ayat dengan mendalam, dan kita amalkan, itu lebih baik daripada kita tahu seratus ayat tetapi kita tidak berapa faham dan kita tidak amalkan. Kemudian tambahlah lagi pembelajaran supaya habis 30 juzuk pula. Ini adalah teguran kepada ramai pelajar yang terkejar-kejar untuk menghabiskan silibus tafsir 30 juzuk akan tetapi tidak nampak perubahan dalam diri mereka.

Begitu juga dalam solat. Kita hendaklah memperbaiki amalan solat kita. Daripada yang biasa-biasa sahaja, sehingga ke tahap yang sebaik mungkin. Daripada tidak faham apa yang kita lafazkan dalam solat itu, kita belajar sampai kita faham. Daripada kita tidak khusyuk dalam solat, kita cari khusyuk itu. Begitu juga dengan amalan ibadat yang lain. Yang kita sasarkan adalah yang lebih baik daripada sebelumnya.

Maka ini mengajar kita untuk memilih amalan yang memberi paling banyak pahala kepada kita. Bayangkan kalau kita ada masa terhad untuk menjawab soalan peperiksaan dan setiap soalan itu markahnya tidak sama. Dalam masa yang terhad itu, kita kenalah pilih soalan yang jawapannya paling besar, bukan? Maka begitulah dengan ibadah. Kena tahu mana ibadah yang memberikan pahala yang lebih banyak supaya kita dapat memaksimakan masa kita di dunia ini. Kalau amalan tidak ada pahala seperti amalan bid’ah itu, tidak perlulah buat kerana buang masa sahaja tidak ada pahala langsung. Kena tahu yang أَحْسَنُ عَمَلًا itu bergantung kepada kehendak Allah ‎ﷻ, bukannya ikut kepala otak kita. Ramai yang mengatakan bid’ah boleh buat kerana ia adalah hasanah kata mereka; tetapi ikut siapa? Adakah ikut kehendak Allah ‎ﷻ? Tentu tidak!

Ayat ini menunjukkan bahawa tujuan kita dijadikan Allah ‎ﷻ di dunia adalah supaya diuji. Sebab itulah berbagai ujian akan dikenakan kepada kita. Ini adalah lumrah alam kerana Allah ‎ﷻ hendak melihat bagaimana kita akan menanganinya. Adakah kita menanganinya cara orang yang beriman atau tidak? Adakah kita redha dengan ujian itu atau kita putus asa dan marah dengan Allah ‎ﷻ kerana beri kita ujian itu? Kalau kita tahu tujuan hidup kita, maka senanglah kita berjaya. Ini seumpama pelajar yang tahu tujuan dia belajar, dia akan tekun belajar, bukan? Maka kalau kita tahu tujuan hidup kita, senanglah kita buat perancangan dan mengawal perbuatan kita supaya kena dengan tujuan hidup kita. Allah ‎ﷻ telah berfirman tentang dunia sebagai ujian di dalam Kahf: 7

إِنّا جَعَلنا ما عَلَى الأَرضِ زينَةً لَّها لِنَبلُوَهُم أَيُّهُم أَحسَنُ عَمَلًا
Sesungguhnya Kami telah jadikan apa yang ada di muka bumi sebagai perhiasan baginya, kerana Kami hendak menguji mereka, siapakah di antaranya yang lebih baik amalnya.

Daripada perkataan لِيَبْلُوَكُمْ yang digunakan, ini menunjukkan ujian yang diberikan adalah ujian yang kecil sahaja kerana kalau ujian yang besar, kalimah ibtila‘ yang akan digunakan. Ini bermaksud ‘ujian’ dalam ayat ini adalah ujian yang umum, yang semua orang kena. Semua orang akan dikenakan dengan ujian, tetapi hanya orang tertentu sahaja yang diberikan dengan ujian yang besar. Sebab itu, dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ menggunakan perkataan كُمْ, untuk merujuk kepada setiap makhluk yang akan diberikan ujian. Seperti juga kematian dan kehidupan dalam sebelumnya, semua makhluk akan melaluinya.

Perkataan أَيُّكُمْ أَحْسَنُ menunjukkan ayat ini ditujukan kepada semua orang, untuk melihat siapakah yang lebih baik amalan mereka. Ini adalah kerana perkataan أَحْسَنُ bermaksud ‘yang lebih baik’. Allah ‎ﷻ membandingkan antara kita semua. Ia seumpama sebuah ‘pertandingan’ untuk melihat siapakah yang lebih baik dan mereka yang lebih baik akan diberi hadiah. Jadi di sini kita terjemahkan kalimah أَحْسَنُ sebagai ‘lebih baik’ dan bukannya seperti yang selalu diterjemahkan sebagai ‘terbaik’. Kalau ‘terbaik’, kalimah yang digunakan adalah الأحسن. Kerana kalau ‘terbaik’, hanya ada seorang sahaja akan dapat, bukan? Akan tetapi kalau lebih baik daripada sebelumnya, ramai orang boleh buat. Di sini kita disuruh untuk menjadi lebih baik daripada diri kita sebelumnya, bukannya kita jadi terbaik kalau dibandingkan dengan orang lain. Begitulah mentaliti yang sihat. Kalau mentaliti hendak mengalahkan orang lain supaya jadi yang terbaik, maka itu akan menyesakkan fikiran kita sahaja. Kita lihatlah negara-negara seperti di Singapura dan Jepun yang pelajar sekolah mereka sampai sakit jiwa kerana menghadapi tekanan untuk jadi yang terbaik di dalam kelas. Mereka sampai rasa mereka tidak layak. Malah ada yang lebih teruk sehingga sanggup mengambil keputusan untuk membunuh diri kerana terlalu kecewa jika tidak dapat memperolehi keputusan cemerlang seperti diharapkan. Seharusnya kita mengambil konsep Jepun ‘Kaizen’ yang bermaksud continuous and never ending improvement. Kita tingkatkan kemampuan kita supaya menjadi lebih baik dari semalam.

Untuk menjadikan kita bersemangat untuk memperbaiki diri, ada ayat yang Allah ‎ﷻ suruh kita berlumba juga seperti di dalam Baqarah: 148

فَاستَبِقُوا الخَيرٰتِ
berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan

Kenapa pula Allah ‎ﷻ buat begini? Kerana Allah ‎ﷻ tahu kita suka bertanding. Kita suka membandingkan pencapaian kita dengan orang lain. Itu sudah menjadi naluri kita. Jadi, Allah ‎ﷻ tidak suruh kita hilangkan naluri itu, tetapi Allah ‎ﷻ suruh kita salurkan naluri pertandingan itu kepada pertandingan yang baik. Maka kalau kita hendak bertanding pun, bertandinglah dalam mengerjakan amal kebaikan. Bertandinglah dalam siapakah yang lebih banyak tolong orang. Berapa banyak yang kita infakkan kepada orang yang susah. Ingatlah bahawa Allah ‎ﷻ sedang melihat segala apa yang kita sedang lakukan. Allah ‎ﷻ catit apa kita buat dan Allah ‎ﷻ akan beri markah.

Apabila perkataan أَيُّكُمْ (antara kamu), Allah ‎ﷻ mengisyaratkan kepada kita untuk melihat sekeliling dan bandingkan diri kita dengan orang lain. Ini juga adalah satu lagi penggunaan tema dalam ayat ini: memikirkan. Melihat perbuatan orang lain dan memikirkan di manakah kedudukan kita kalau dibandingkan dengan orang. Seeloknya, kita bandingkan diri kita dengan orang yang lebih baik daripada kita, bukan dengan orang yang di bawah kita. Maka kerana itu kena banyak berkawan dengan orang yang lebih baik daripada kita.

Al Imam Fudhail bin Iyadh رحمه الله تعالى ketika menafsirkan ayat ini berkata:

Maksudnya, dia ikhlas dan benar dalam mengerjakan. Sebab amalan yang dilakukan dengan ikhlas tetapi tidak benar maka amalan itu tidak akan diterima dan jika dia benar tetapi amalannya tidak ikhlas maka amalannya juga tidak diterima. Adapun amal yang ikhlas adalah amalan yang dilakukan kerana Allah ‎ﷻ, sedangkan amal yang benar adalah yang dikerjakan sesuai dengan Sunnah Rasulullah ﷺ.
(Syarh Arba’in An-Nawawi Hal:25).

Berkata Al Imam Ibnu Qoyyim Al-jauziyah رحمه الله تعالى :

قال الشيخ ابن قيم الجوزية رحمه الله:
“العمل بغير إخلاصٍ ولا اقتداءٍ كالمسافِر يملأ جرابه رملا يثقله ولا ينفعه” انتهى.
Beramal tanpa (didasari) ikhlas dan iqtida’ (mengikuti Sunnah Rasulullah ﷺ) seperti seorang musafir yang memenuhi kantung airnya dengan pasir. Hal tersebut hanya memberatkan namun tidak memberikan manfaat.
(Al-fawaid, hal: 49)

Berkata Al Imam lbnu Katsir رحمه الله تعالى:

Sesungguhnya Amal yang diterima harus memenuhi 2 syarat:

1) Ikhlas kerana Allah‎ ﷻ.
2) Benar dan sesuai dengan Syariat.

Jika dilakukan dengan Ikhlas tetapi tidak benar maka tidak akan diterima (Amalannya).
{Tafsir Ibnu Katsir (I/389)}.

 

وَهُوَ الْعَزِيزُ

Dan Dia bersifat Maha Gagah Perkasa;

Kepada yang gagal dalam ujian mereka di dunia ini, Allah ‎ﷻ akan bersifat gagah perkasa, iaitu Allah ‎ﷻ akan hukum mereka atas kelalaian mereka dan kesalahan yang mereka lakukan. Apabila Allah ‎ﷻ hukum, tidak ada sesiapa pun yang dapat halang kerana Allah Maha Perkasa.

Sifat الْعَزِيزُ juga bermaksud Allah ‎ﷻ yang memberi العزة izzah (kemuliaan) kepada makhluk. Jadi ini mengajar kita jangan berharap kemuliaan daripada manusia tetapi berharaplah daripada Allah ‎ﷻ. Tidak perlu berharap redha manusia tetapi berharaplah redha Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Munafiqoon: 8

وَلِلَّهِ العِزَّةُ وَلِرَسولِهِ وَلِلمُؤمِنينَ وَلٰكِنَّ المُنٰفِقينَ لا يَعلَمونَ
Padahal kekuatan itu hanyalah bagi Allah, bagi Rasul-Nya dan bagi orang-orang mukmin, tetapi orang-orang munafik itu tiada mengetahui.

 

الْغَفُورُ

amat pengampun;

Kepada makhluk-Nya yang cuba untuk melakukan yang terbaik, akan tetapi mereka gagal, maka Allah ‎ﷻ bersikap pengampun kerana Allah ‎ﷻ tahu kelemahan kita. Juga bagi mereka yang berdosa dan hendak meminta ampun, Allah ‎ﷻ bersifat belas kasihan dan sanggup menerima taubat mereka. Lihatlah, walaupun Allah Maha Gagah Perkasa, tetapi Allah ‎ﷻ masih lagi mahu memberi keampunan kepada mereka yang meminta ampun. Ini adalah kerana sifat Rahman Allah. Walaupun Allah ‎ﷻ boleh buat apa yang Dia hendak, namun tidaklah Allah ‎ﷻ terus beri azab sahaja.

Sifat Pengampun Allah ‎ﷻ ini disebut di dalam bentuk الْغَفُورُ iaitu di dalam bentuk mubalaghah (hyperbole). Maknanya Allah ‎ﷻ sangat-sangat pengampun kerana kalau biasa sahaja, kalimah الغافر yang digunakan. Kalimah الْغَفُورُ juga bermaksud bukan sahaja Allah ‎ﷻ itu ada sifat الغافر tetapi Dia sedang melakukannya. Perumpamaannya seperti seorang tukang masak, kalau dia tidur tidaklah dia memasak, bukan? Walaupun dia ada sifat boleh memasak, tidaklah sentiasa dia memasak. Akan tetapi sifat الغافر bermaksud Allah ‎ﷻ sentiasa mengampunkan hamba-Nya.

Ini berbeza dengan sifat الْعَزِيزُ yang berbentuk isim biasa sahaja. Maknanya bukanlah Allah ‎ﷻ sentiasa menekan kita dengan sifat kuasa-Nya. Akan tetapi apabila digunakan istilah الْغَفُورُ, ia bermaksud Allah ‎ﷻ sentiasa mengampunkan.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 22 Disember 2024

Ringkasan Surah Mulk


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Kuliah tafsir Surah al-Mulk oleh Sheikh (Dr) Haitham Al-Haddad

Kuliah tafsir Surah al-Mulk oleh Sheikh Abdul Nasir Jangda

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Mulk Ayat 1 (Syirik dalam berkat)

Pengenalan:

Surah Al-Mulk ini telah diturunkan di Mekah. Daripada gaya lenggok bahasa yang digunakan, ulama’ mengatakan surah ini diturunkan di awal-awal Zaman Mekah (awal dakwah Rasulullah ﷺ). Ini kerana terdapat perbezaan bahasa yang digunakan semasa awal Mekah dan hujung Mekah. Sebagai contoh, Surah Yaasin diturunkan di hujung-hujung waktu baginda di Mekah. Dengan kita tahu bilakah masa ia telah diturunkan, maka kita boleh faham kenapa Allah ‎‎ﷻ menggunakan bahasa yang sebegitu. Bahasa dalam surah Al-Mulk ini dikatakan diturunkan di awal Kenabian Nabi ﷺ di Mekah kerana ia banyak mengandungi ayat peringatan kepada manusia.

Ayat-ayat itu sebagai satu ‘wake-up-call’ kepada manusia yang sedang tidur. Ia ditujukan kepada mereka yang berada dalam kesesatan, dalam kemusyrikan. Allah‎ ﷻ memberi peringatan tentang apakah yang akan terjadi kepada mereka yang tidak mengamalkan tauhid dalam kehidupan mereka. Oleh kerana itu ada juga pendapat yang mengatakan surah ini di hujung-hujung waktu Nabi Muhammad ﷺ di Mekah. Ini adalah kerana terdapat banyak ancaman di dalam surah ini. Ia juga banyak menceritakan tentang neraka lebih lagi tentang syurga. Begitulah sifatnya kerana waktu itu Musyrikin Mekah sudah semakin keras menentang Nabi Muhammad ﷺ maka ayat-ayat ancaman kepada mereka lebih keras dan lebih banyak. Allahu a’lam.

Surah ini banyak menceritakan tentang Allah‎ ﷻ. Dengan ayat ini, kita berdakwah kepada manusia dengan memperkenalkan Allah ﷻ kepada mereka. Ia menceritakan tentang kehebatan Allah‎ ﷻ.

Surah ini juga banyak menyebut tentang alam. Allah ﷻ suruh kita lihat alam ini supaya kita ingat kepada kekuasaan Allah ‎ﷻ.

Surah ini juga menceritakan bahawa yang mempunyai berkat hanya Allah ﷻ. Maka, kita harus faham bahawa hanya Allah‎ ﷻ sahaja yang boleh memberi berkat. Manusia tidak boleh beri berkat kepada manusia lain. Makhluk hanyalah *penerima berkat*. Nabi Muhammad ﷺ penerima berkat, begitu juga kita. Majlis ilmu seperti kelas tafsir adalah majlis yang ‘diberkati’. Sesiapa yang berada dalam majlis itu akan mendapat ‘berkat’. Maka surah ini dan lima surah selepasnya sampai ke Surah Jin, mempunyai satu maksud yang sama, iaitu hendak menafikan Syirik dalam Berkat. Hanya Allah ﷻ sahaja yang ada berkat, kecuali ada dalil yang Allah ﷻ berikan berkat itu seperti Allah ﷻ beri kepada para Nabi. Jadi kalau kita kata ada manusia yang ada berkat, maka itu adalah syirik. Kerana itu adalah semata-mata sifat Allah.

Apakah maksudnya ada berkat? Berkat bermaksud kebaikan yang banyak dan bertambah-tambah. Sebagai contoh, berkat dalam majlis ilmu itu maksudnya, kita akan mudah untuk mendapat ilmu dan doa akan mudah dimakbulkan. Belajar sedikit, tetapi mungkin faham banyak. Kenapa penting untuk tahu tentang ‘berkat’? Kerana ramai yang buat syirik dalam hal berkat ini. Syirik dalam hal berkat ini terjadi apabila ada yang meminta berkat daripada tok guru atau makhluk lain. Ini adalah syirik walaupun berkat itu diminta dengan Nabi Muhammad ﷺ sekali pun. Malangnya ramai yang tidak tahu tentang perkara ini dan buat syirik, selalunya dengan meminta berkat daripada kubur-kubur Nabi dan wali. Itu semua adalah contoh-contoh syirik.

Dikatakan Nabi ﷺ mengamalkan bacaan surah As-Sajadah dan Al-Mulk pada setiap malam. Baginda tidak akan tidur sehinggalah surah-surah ini dibaca. Ini adalah kerana ada kelebihan pada Surah Al-Mulk ini. Ini kerana sekiranya kita baca dan fahami, ia akan menjadi syafaat untuk kita. Cuma hadith tentang perkara ini tidak sahih daripada Nabi ﷺ, namun begitu ada yang sahih daripada kata-kata sahabat. Maka bolehlah untuk kita amalkan dan baca setiap hari (dengan faham apa yang disampaikan). Bukannya baca kosong dengan tidak faham apa kerana tidak dapat kesan itu.

Surah ini antara surah lazim yang sering dibaca oleh masyarakat Melayu di Malaysia. Rata-rata umat kita kenal surah ini (selain dari Surah Yaasin) dan ramai boleh membacanya. Akan tetapi baru-baru ini (tahun 2025) sudah ada amalan bid’ah baru yang dilakukan oleh masyarakat kita membacanya secara berjemaah selepas solat berjemaah di masjid. Ini bukan caranya. Nabi dan para sahabat tidak pernah membaca mana-mana surah secara berjemaah dengan satu suara. Pembacaan ayat-ayat Al-Qur’an hendaklah dilakukan secara sendirian sahaja kerana ia adalah ibadah individu, bukan berjemaah.

Ada pula pendapat yang mengatakan surah ini akan menjadi jurucakap untuk kita menjawab Munkar Nankir dalam kubur nanti. Namun pendapat ulama hadith menyatakan hadith-hadith tentang fadhilat tersebut sangat lemah dan dhaif. Darjat yang paling kuat pun hanya hasan, itu pun mauquf (berhenti) kepada Ibn Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ. Maknanya, tidak disebutkan pun Rasulullah ﷺ sendiri melakukannya. Hadith yang dimaksudkan:

عن عبد الله بن مسعود قال : من قرأ { تبارك الذي بيده الملك } كل ليلة منعه الله بها من عذاب القبر وكنا في عهد رسول الله صلى الله عليه و سلم نسميها المانعة وإنها في كتاب الله سورة من قرأ بها في كل ليلة فقد أكثر وأطاب
Daripada ‘Abdullah bin Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dia berkata, “Barangsiapa membaca ‘Tabarokalladzi bi yadihil mulk’ (Surat Al Mulk) setiap malam, maka Allah akan menghalanginya daripada seksa kubur. Kami di masa Rasulullah ﷺ menamakan surat tersebut “al Mani’ah” (penghalang daripada seksa kubur). Ia adalah salah satu surat di dalam Kitabullah. Barangsiapa membacanya setiap malam, maka dia telah memperbanyak dan telah berbuat kebaikan
(Riwayat An Nasai dalam Al Kabir 6/179 dan Al Hakim. Hakim mengatakan bahawa sanad hadith tersebut sahih)
Riwayat di atas mauquf, hanya perkataan ‘Abdullah bin Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ.

Penilaian hadith:

    1. Hakim رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan bahwa sanad hadith tersebut sahih. Sebagaimana dinukilkan oleh Al Mundziri dalam At Targhib wa At Tarhib (2/294).
    2. Syaikh Al Albani رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan bahawa hadith tersebut hasan sebagaimana dalam Shahih At-Targhib wa At Tarhib (1589).

Maka itu sahaja setakat ini yang kita tahu riwayat yang sahih. Sememangnya ada hadith dhaif dan palsu tentang perkara ini antaranya:

تَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ الْمُلْكُ هِيَ الْمُنَجِّيَةُ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ
Tabaarak Allazi Biyadihi Al-Mulk (Surah Al-Mulk) ialah penyelamat daripada azab kubur

Ibn Qayyim Al-Jawziyyah رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan hadith ini adalah palsu.

Malah ada banyak lagi hadith lain yang lemah. Maka kalau hendak amalkan pun, kenalah tahu apakah status hadith-hadith tersebut. Memang bagus kalau baca Surah al-Mulk setiap hari, tetapi ingatlah yang ada juga surah-surah yang lain. Jangan fokus kepada satu surah sahaja.

Selain daripada itu ada hadith yang khilaf kedudukannya di kalangan ulama’ hadith, akan tetapi lebih banyak mengatakan ia kuat.

عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ عَنِ النَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم- قَالَ إِنَّ سُورَةً مِنَ الْقُرْآنِ ثَلاَثُونَ آيَةً شَفَعَتْ لِرَجُلٍ حَتَّى غُفِرَ لَهُ وَهِىَ سُورَةُ تَبَارَكَ الَّذِى بِيَدِهِ الْمُلْكُ
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, daripada Nabi ﷺ, baginda bersabda, “Ada suatu surat daripada Al-Qur’an yang terdiri daripada tiga puluh ayat dan dapat memberi syafa’at bagi yang membacanya, sampai dia diampuni, iaitu: ‘Tabaarakalladzii biyadihil mulku… (Surah Al Mulk)’”
(HR. Tirmidzi no. 2891, Abu Daud no. 1400, Ibnu Majah no. 3786, dan Ahmad 2/299)

Asy Syaukani رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan, “`Abbas Al Jusyamiy tidak diketahui mendengar hadith daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ. Akan tetapi Ibnu Hibban رَحِمَهُ اللَّهُ menyebutkan perawi tersebut dalam Ats Tsiqqot. Hadith tersebut memiliki syahid (penguat) daripada hadith yang sahih daripada Anas, dikeluarkan oleh Ath Thabrani dalam Al Kabir dengan sanad yang sahih.” (Nailul Author 2/227)

Penilaian hadith:

      1. Abu ‘Isa Muhammad bin ‘Isa At-Tirmidzi dalam Al Jaami’ Ash Shohih Sunan At Tirmidzi mengatakan bahwa hadith tersebut hasan.
      2. Abul ‘Abbas Ibnu Taimiyah dalam Majmu’ Al Fatawa (22/277) mengatakan bahwa hadith tersebut sahih.
      3. Muhammad bin ‘Ali Asy Syaukani dalam Nailul Author (2/227) mengatakan bahwa hadits tersebut memiliki penguat dengan sanad yang sahih.
      4. Syaikh Al Albani dalam Shahih Al Jaami’ (2091) mengatakan bahawa hadith tersebut hasan.
      5. Syaikh Musthofa Al ‘Adawi mengatakan bahawa hadith tersebut tidak sahih. Kerana yang mentsiqohkan ‘Abbas Al Jusyamiy hanyalah Ibnu Hibban, tidak yang lainnya. Sedangkan Ibnu Hibban sudah terkenal sebagai orang yang mutasahil (bermudah-mudahan dalam mentsiqohkan). Namun ada beberapa atsar yang menguatkan hadith ini. (Lihat At Tashil li Ta’wilit Tanzil Juz-u Tabarok, hal. 64)

Ada pun dua hadith yang dhaif adalah seperti berikut,

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ ضَرَبَ بَعْضُ أَصْحَابِ النَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم- خِبَاءَهُ عَلَى قَبْرٍ وَهُوَ لاَ يَحْسِبُ أَنَّهُ قَبْرٌ فَإِذَا فِيهِ إِنْسَانٌ يَقْرَأُ سُورَةَ تَبَارَكَ الَّذِى بِيَدِهِ الْمُلْكُ حَتَّى خَتَمَهَا فَأَتَى النَّبِىَّ -صلى الله عليه وسلم- فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّى ضَرَبْتُ خِبَائِى عَلَى قَبْرٍ وَأَنَا لاَ أَحْسِبُ أَنَّهُ قَبْرٌ فَإِذَا فِيهِ إِنْسَانٌ يَقْرَأُ سُورَةَ تَبَارَكَ الْمُلْكُ حَتَّى خَتَمَهَا. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- « هِىَ الْمَانِعَةُ هِىَ الْمُنْجِيَةُ تُنْجِيهِ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ ». قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ غَرِيبٌ مِنْ هَذَا الْوَجْهِ. وَفِى الْبَابِ عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ.
Daripada Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا, dia berkata; “Sebahagian sahabat Nabi membuat khemah di atas kubur, ternyata dia tidak tahu yang itu adalah kubur, tiba-tiba ada seseorang membaca surat Tabaarokalladzi bi yadihil mulk (Maha Suci Allah yang di tangan-Nyalah segala kerajaan), sampai selesai. Kemudian dia datang kepada Nabi ﷺ dan berkata; “Wahai Rasulullah sesungguhnya, aku membuat khemahku di atas kuburan dan saya tidak sangka tempat tersebut adalah kuburan, kemudian ada seseorang membaca surat Tabarok (surat) Al Mulk sampai selesai”. Rasulullah ﷺ bersabda, “Dia adalah penghalang, dia adalah penyelamat yang menyelamatkannya daripada seksa kubur”.
Abu Isa (At Tirmidzi رَحِمَهُ اللَّهُ) berkata; Dari jalur ini, haditth ini hasan gharib. Dan dalam bab ini, ada hadith daripada Abu Hurairah.
(HR. Tirmidzi No. 2890)

Dalam hadith ini terdapat perawi dhaif iaitu Yahya bin Amru bin Malik. Yahya bin Ma’in, Abu Zur’ah, Abu Daud dan An-Nasai menilainya dhaif. (Tahdzibul Kamal, 20/182)

Penilaian hadith:

      1. Syaikh Al Albani رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan bahawa hadith ini dhaif sebagaimana dalam Dho’iful Jaami’ (6101).
      2. Syaikh Musthofa Al ‘Adawi رَحِمَهُ اللَّهُmengatakan bahawa sanad hadith ini dhaif. (Lihat At Tashil li Ta’wilit Tanzil Juz-u Tabarok, hal. 64)

Satu lagi hadith,

عَنْ جَابِرٍ أَنَّ النَّبِىَّ -صلى الله عليه وسلم- كَانَ لاَ يَنَامُ حَتَّى يَقْرَأَ (الم تَنْزِيلُ) وَ (تَبَارَكَ الَّذِى بِيَدِهِ الْمُلْكُ )
Daripada Jabir رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا bahawa, “Tidaklah Nabi ﷺ tidur hingga baginda membaca Alif laam miim tanzil (surat As Sajdah) dan Tabarokalladzi bi yadihil mulk (surat Al Mulk)”.

Abu Isa (At-Tirmidzi رَحِمَهُ اللَّهُ) berkata, “Hadith ini diriwayatkan oleh beberapa perawi daripada Laits bin Abu Sulaim seperti ini, dan diriwayatkan pula oleh Mughirah bin Muslim dari Abu Az Zubair daripada Jabir daripada Nabi ﷺ seperti ini. Zuhair meriwayatkan, katanya; “Aku bertanya kepada Abu Zubair, ‘Apakah kamu mendengar daripada Jabir?’ Ia pun menyebut hadith ini. Abu Az Zubair mengatakan; ‘Hanya Shafwan atau Ibnu Shafwan yang mengabarkannya kepadaku. Sepertinya Zuhair mengingkari hadith ini dari Abu Az Zubair daripada Jabir.’”

Penilaian hadith:

      1. Ibnu Hajar Al Asqolani رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan bahwa hadith ini gharib dan ada dua ‘illah (cacat), iaitu Abu Az Zubair, (seorang perowi mudallis) yang meriwayatkan dengan mu’an’an dan dhaifnya Al Laits. (Nataij Al Afkar, 3/265)
      2. Syaikh Musthofa Al ‘Adawi رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan bahawa hadith ini terdapat ‘illah (cacat). Laits bin Abu Sulaim adalah seorang perawi yang dhaif kerana seringnya dia keliru. Juga Abu Az Zubair dinilai sebagai seorang perawi mudallis. Sedangkan di sini dia tidak gunakan lafazh mendengar, namun menggunakan lafazh ‘an (daripada), maka sanad hadith tersebut dhaif. (Lihat At Tashil li Ta’wilit Tanzil Juz-u Tabarok, hal. 64)

Kesimpulannya, ada banyak hadith yang menyebut tentang kelebihan surah ini, maka ia menguatkan di antara satu sama lain, yang memberi ganjaran hebat kepada mereka yang membaca dan melazimi membacanya. Akan tetapi kenalah ingat bahawa kalau ‘baca’ itu bermaksud faham sekali. Kalau setakat melafazkan, mengeja dan mengalunkannya sahaja, itu bukan baca namanya. Orang Melayu sahaja di dalam dunia ini yang faham mengeja sebagai baca. Maka ramailah yang mengamalkan surah ini namun sepatah haram mereka tidak faham maksudnya dan pengajaran di dalamnya. Maka mereka ini tidaklah mendapat kelebihan yang dijanjikan di dalam hadith-hadith di atas. Hanya dapat pahala baca sahaja. Allahu a’lam.

Surah ini boleh dibahagikan kepada 7 perenggan makro. Ringkasan makro itu adalah seperti berikut:


 

HIDUP ADALAH UJIAN

Mulk Ayat 1: Ayat 1 – 4 adalah Perenggan Makro Pertama. Ia memberitahu seruan tauhid dan tujuan kejadian manusia. Ia mengajar kita tentang Tauhid dalam Berkat. Pemilik dan Pemberi keberkatan hanya ada pada Allah ‎ﷻ. Juga kita akan belajar bahawa manusia akan dinilai akidah dan amalan masing-masing untuk ditempatkan sama ada ke syurga atau ke neraka.

تَبٰرَكَ الَّذي بِيَدِهِ المُلكُ وَهُوَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

Sahih International

Blessed is He in whose hand is dominion, and He is over all things competent –

Malay

Maha Berkat (serta Maha Tinggilah kelebihan) Tuhan yang menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat); dan memanglah Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu;

 

تَبٰرَكَ

Maha berkat Allah taala; 

Kalimah تَبَارَكَ adalah bentuk mubalaghah (bersangatan) kepada kalimah برك. Kalimah تَبَارَكَ di dalam wazan تفاعل yang selalunya melibatkan dua pihak (sebagai contoh saling nasihat menasihati memerlukan dua pihak). Akan tetapi apabila tidak ada pihak yang kedua, maka ia adalah dalam bentuk mubalaghah. Maknanya, Allah ‎ﷻ sangat-sangat berkat. Ada sebahagian kitab terjemahan di nusantara menterjemahkan maksud تَبَارَكَ itu sebagai ‘Maha Suci’ Allah. Tetapi kalau ‘maha suci’, perkataan yang digunakan adalah ‘subhanallah’. Jadi terjemahan sebegitu tidak tepat. Yang lebih tepat adalah ayat ini hendak mengatakan bahawa Allah‎ ﷻ yang Maha Berkat. Jadi, kalau ada yang kata tok guru itu, tok guru ini ada berkat, maka mereka adalah salah sama sekali. Ini adalah syirik kerana Allah ‎ﷻ sendiri beritahu dalam ayat ini dan ayat-ayat yang lain, Dia sahaja yang Maha Berkat.

Terjemahan Tabarakallazi alMulk
Kebanyakan Al-Qur’an terjemahan di nusantara menterjemah dengan ungkapan “Maha Suci ” pada hal sepatutnya seperti imej di sebelah kanan.

Apakah perasaan kita apabila membaca ayat ini dan menyebut kalimah تَبَارَكَ ini? Adakah biasa-biasa sahaja? Tidak patut kalau begitu kerana kita hendaklah rasa kagum dan takjub dengan Allah ﷻ apabila kita menyebut kalimah تَبَارَكَ ini. Namun kenalah faham dahulu apakah maksudnya dari segi bahasa dan tafsir yang kita cuba lakukan sekarang.

Dek kerana kurang faham dengan makna ‘berkat’, maka banyak dalam kalangan masyarakat Muslim kita telah melakukan syirik dalam perkara ‘berkat’ ini. Sikit-sikit, mereka hendak mendapatkan berkat daripada sesuatu atau seseorang tidak tentu hala. Mereka kata sesuatu tempat itu ada berkat, padahal Allah ﷻ tidak pernah kata begitu. Mereka kata seseorang itu ada berkat, tetapi tidak pernah Allah ﷻ  memberitahu kita bahawa ada keberkatan pada orang itu. Sebagai contoh, mereka akan cium guru mereka, ustaz mereka dan orang-orang yang mereka anggap alim dan suci, kerana mereka hendak mendapatkan ‘berkat’ daripada orang itu. Itu adalah fahaman khurafat. Siapakah yang boleh kata guru atau ustaz atau seseorang itu ada berkat? Tentu tidak ada dalil, bukan? Jadi kenapa buat? Kerana kejahilan inilah sampai kumpulan GISB itu menggunakan air rendaman janggut, air liur, kaki dan apa-apa lagi kerana sangka mereka mendapat berkat daripada guru mereka.

Kalau kita kata orang ada ‘berkat’, maka kita telah kata orang itu ada sifat Allah ‎ dan ini adalah syirik. Kerana syirik itu bukannya kena ada semua sifat Allah; kalau kita kata seseorang itu ada satu sifat Allah sahaja sudah jadi satu fahaman syirik.

Bukan itu sahaja, ada yang menggunakan entiti itu dalam doa mereka. Mereka bertawasul dengan ‘keberkatan’ orang itu dengan fahaman bahawa Allah ﷻ akan memakbulkan doa mereka kerana mereka bertawasul dengan keberkatan orang itu (juga dikatakan: dengan jah orang itu). Antara lafaz itu: “Dengan berkat Nabi Muhammad …. aku memohon….” Namun ketahuilah yang tidak pernah Nabi ﷺ  mengajar begini sebagai satu cara untuk berdoa. Kalau mereka ada hujah yang sahih, mereka kena berikan. Tidak lain dan tidak bukan, hanya hujah-hujah batil sahaja yang mereka boleh berikan.

Bagaimana pula dengan keberkatan yang ada pada Nabi Muhammad ﷺ? Banyak dalam kalangan kita yang berdoa dengan menggunakan ‘keberkatan’ Nabi Muhammad ﷺ. Ini dinamakan tabarruk. Itu juga adalah salah satu fahaman yang salah. Batang tubuh Nabi Muhammad ﷺ memang ada keberkatan. Sebab itu para sahabat ada yang simpan rambut baginda, kuku baginda, baju baginda dan sebagainya. Namun itu hanyalah pada ‘batang tubuh’ baginda. Apabila baginda sudah wafat, tidak ada lagi keberkatan sebegitu. Memang Nabi Muhammad ﷺ ada keberkatan, tetapi baginda tidak boleh memberikan keberkatan baginda itu kepada orang lain. Sebagai contoh, katakanlah kita ada dua tiga gelaran ‘datuk’ dari beberapa buah negeri. Memang orang boleh panggil kita sebagai ‘datuk’ sekian dan sekian. Akan tetapi sebab kita dapat pangkat datuk itu dari dua tiga negeri, bolehkah kita berikan salah satu pangkat datuk dari satu negeri kepada anak kita? Tentulah tidak boleh. Maka begitu jugalah dengan ‘berkat’ – tidak boleh dipindahkan. Yang sangka boleh begitu adalah kerana tidak faham dengan konsep ‘berkat’ itu sendiri.

Kita juga biasa dengar bagaimana ramai antara kita akan pergi ke rumah orang yang baru balik dari haji atau umrah untuk mendapat ‘berkat’ daripada dia sebab dia baru balik dari Mekah. Itu pun tidak ada dalilnya. Siapakah pula yang beritahu orang yang baru balik dari Mekah ada ‘berkat’ padanya? Boleh pula dia berikan sedikit keberkatan itu kepada orang lain yang bersalam atau berpelukan dengannya? Tidak lain dan tidak bukan, ia adalah satu sangkaan yang tidak ada asas sahaja. Fahaman salah ini telah diajar oleh orang-orang dahulu yang mereka pun tidak ada dalil. Oleh kerana kita tidak gunakan akal kita, maka ramai antara kita terus terima bulat-bulat.

Apakah maksud ‘barakah’? itu. Ada dua elemen dalam makna perkataan بَرَكَ iaitu كثرة الخير ودوامها. Banyak kebaikan dan berkekalan.

Pertama: bertambah – barakah itu semakin bertambah;
Kedua: kekal – barakah itu kekal, bukan untuk sementara. Bermakna, keberkatan Allah‎ ‎ﷻ bukan sahaja bertambah tetapi ia juga kekal.

Allah ‎ﷻ boleh memberi berkat kepada kita di dalam berbagai-bagai bentuk. Sebagai contoh, seseorang mungkin gajinya sedikit tetapi kita lihat cukup sahaja sedangkan ada orang yang gajinya mengejutkan kita, tetapi kita lihat dia seolah-olah tidak cukup sahaja. Itu beza antara gaji yang berkat dan gaji yang tidak berkat. Ada orang yang kita lihat boleh buat macam-macam kerja seperti mengajar, menulis, melakukan ibadah sedangkan kita yang ada masa yang sama, apa pun tidak sempat buat. Maknanya beliau ada berkat masa. Ada orang yang beri nasihat sedikit sahaja tetapi orang yang mendengar itu terkesan dan terus berubah orang itu daripada buruk kepada menjadi orang yang baik. Maknanya ada berkat di dalam nasihatnya. Ini semua Allah ‎ﷻ boleh beri kepada sesuatu yang Dia mahu. Memang kita berharapkan berkat daripada Allah ‎ﷻ dalam segenap kehidupan kita – dalam harta kita, masa kita, makanan kita dan seluruhnya.

Satu lagi sifat berkat itu ia kekal. Ini penting kerana kalau barang bertambah, ia menjadi rapuh. Sebagai contoh kalau kerajaan semakin membesar, raja sudah susah untuk kawal, jadi sebahagian wilayah kerajaannya boleh diserang dan ditakluk; kalau sesuatu perniagaan dikembangkan, selalunya menjadi terlalu besar untuk ditampung oleh pemiliknya boleh jadi bankrap terus. Jadi sesuatu yang bertambah-tambah itu tidak semestinya baik kerana ia boleh menjadi lemah. Namun begitu bagi berkat yang diberikan oleh Allah ‎ﷻ, ia akan terus kekal dan tidak berkurang.

Apa kesan mendapat pemahaman ini kepada kita? Kita akan lebih berharap kepada Allah ‎ﷻ dan melegakan kita kerana kita tahu kita tidak hanya perlu bergantung kepada sebab musabbab sahaja (‘cause and effect’). Kerana kalau itu sahaja, maka satu campur satu hanya dua dan tidak lebih daripada itu. Namun kita tahu yang Allah ‎ﷻ boleh beri lebih lagi kepada kita kalau Dia mahu.

Oleh itu, perkara berkat ini kena ada dalil daripada Allah ‎ﷻ dan Nabi ﷺ. Sebagai contoh, Al-Qur’an itu ada berkat apabila dibaca dan diamalkan. Kena baca, bukannya digantung. Salah kalau gantung Al-Qur’an kerana itu adalah satu penghinaan kepada Al-Qur’an. Al-Qur’an itu sebagai petunjuk, bukannya sebagai perhiasan. Kecuali ulama’ ada mengatakan, boleh gantung kepada budak yang tidak boleh baca Al-Qur’an lagi. Akan tetapi bila dia sudah boleh baca, maka kena tanggalkan.

Semua amalan Sunnah ada keberkatan padanya. Zikir kepada Allah ﷻ ada keberkatan. Namun begitu tubuh kita tidak ada keberkatan. Akan tetapi banyak kekeliruan tentang berkat ini kerana manusia tidak belajar. Sampaikan mereka rasa ada orang yang ada ‘berkat’ dan kerana itu mereka dalam berdoa minta orang itu doakan kerana mereka rasa orang itu ada kelebihan. Padahal tidak ada. Sepatutnya dia kena berdoa sendiri, tetapi dia sudah minta orang lain yang doakan. Asalnya kerana salah faham tentang berkat dan kita lihat orang yang buat begini, kerana mereka jauh daripada ilmu wahyu.

Lagi satu keberkatan ada pada air wudhu’. Kerana itulah Nabi Muhammad ﷺ gunakan bekas air wudhu’ sebagai syifa’ untuk sembuhkan penyakit. Ini adalah kerana ia adalah amalan yang sunnah. Begitu juga Nabi ﷺ ajar apabila hendak tidur, baca Muawwizatain dan tiup pada tangan dan sapu pada badan. Maka bolehlah amalkan kerana ada dalil daripada Nabi ﷺ. Jadi kalau mahu berkat, maka kena minta kepada Allah ﷻ sahaja.

Siapakah yang ada berkat itu? Allah ﷻ sebut di dalam potongan seterusnya.

 

الَّذِي بِيَدِهِ الْمُلْكُ

Yang dalam tangan-Nya sahajalah semua kerajaan; 

Allah ﷻ memberitahu dalam ayat ini bahawa kekuasaan itu hanya berada dalam tangan-Nya sahaja. Dia berkuasa mengurus takbir ke atas seluruh makhluk-Nya. Kerajaan yang sebenar-benarnya adalah kerajaan Allah ﷻ. Kerajaan dunia ini tidak ada apa-apa pun. Allah ﷻ yang Maha Berkuasa dengan Kerajaan-Nya yang Maha Hebat. Kerana itulah Allah ﷻ tidak memerlukan anak kerana Allah ﷻ tidak mati-mati dan Allah ﷻ tidak memerlukan sesiapa.

‘Tangan’ dalam ayat ini bermaksud ‘kekuasaan’. Tidak perlu kita bayangkan bagaimana rupa tangan Allah ﷻ pula dan tidak salah kalau kita katakan ‘tangan’ itu bermaksud ‘kuasa’. Cuma jangan kita hadkan itu sahaja maksud ‘Tangan Allah’ kerana Allah ﷻ memang ada tangan.

Dan di sini Allah ﷻ sebut بِيَدِهِ الْمُلْكُ (di tangan-Nya segala kerajaan) sedangkan ada ayat lain yang Allah menggunakan kalimah وَلَهُ المُلكُ (dan kerajaan itu milik-Nya) contohnya boleh lihat dalam An’am: 73. Kedua-dua kalimat ini mungkin nampak sama akan tetapi kalimat بِيَدِهِ الْمُلْكُ ini lebih kuat lagi. Perumpamaannya seperti seseorang berkata: “Pisau itu milik saya” dengan “pisau di tangan saya”. Kerana kalau setakat miliknya sahaja, mungkin pisau itu jauh di atas meja sahaja. Namun kalau di tangan? Dia boleh terus gunakan pisau itu, bukan?

Apabila Allah ﷻ memberitahu بِيَدِهِ الْمُلْكُ ia bermakna Allah ﷻ sahaja yang menentukan kerajaan di dunia ini milik siapa. Allah ﷻ boleh beri dan Allah ﷻ boleh tarik kembali. Orang yang tidak disangka-sangka boleh menjadi raja dan kerajaan yang telah beribu tahun pun boleh musnah begitu sahaja. Allah ﷻ berfirman di dalam Ali Imran: 26

قُلِ اللَّهُمَّ مٰلِكَ المُلكِ تُؤتِي المُلكَ مَن تَشاءُ وَتَنزِعُ المُلكَ مِمَّن تَشاءُ وَتُعِزُّ مَن تَشاءُ وَتُذِلُّ مَن تَشاءُ
Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki.

Manusia telah melakukan segala-galanya untuk mendapatkan kekuasaan. Ada yang sanggup menipu, berbunuhan, menindas orang lain dan sebagainya untuk mendapatkan kekuasaan dan kerajaan dunia. Mereka lupa bahawa kekuasaan itu tidak kekal. Kerajaan yang sebenarnya adalah di dalam tangan Allah ﷻ. Mereka sangka mereka berkuasa, tetapi sebenarnya mereka tidak berkuasa mana pun. Hari ini mungkin mereka dapat naik menjadi Perdana Menteri, Presiden, Diktator dan sebagainya. Hari ini parti politik mereka mungkin berkuasa. Namun esok belum tentu lagi. Jadi raja tidak semestinya ada kuasa penuh. Lihatlah raja negara kita pun, mereka hanya raja berpelembagaan sahaja. Allah ﷻ dengan mudah sahaja boleh jatuhkan mereka. Sepertimana yang kita boleh lihat dalam kerajaan-kerajaan dunia hari ini.

Kalimah الْمُلْكُ itu bukan sahaja bermaksud kerajaan tetapi banyak makna terangkum di dalamnya seperti kekuasaan, kebesaran, keagungan, kehebatan. Ia hanya milik Allah ﷻ sahaja. Kerajaan yang sebenarnya adalah kerajaan Allah ﷻ. Mungkin pada zahir nampak orang itu dan ini ada kuasa, tetapi kuasanya tidak mutlak. Allah ﷻ yang sebenarnya berkuasa. Bayangkan antara Firaun dan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Nampak pada zahirnya Firaun berkuasa dan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ lemah. Akan tetapi kerajaan Firaun itu bukannya mutlak dan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu dibantu oleh Allah ﷻ. Jadi siapa sebenarnya yang berkuasa? Kalau Allah ﷻ yang bantu, maka dialah yang lebih berkuasa. Maka ini memberi ketenangan kepada orang yang taat; iaitu selagi mereka taat kepada Allah ﷻ, maka mereka boleh berharap dan bergantung kepada Allah ﷻ. Jangan dipandang kuasa itu pada zahirnya sahaja tetapi lihatlah yang di sebaliknya. Bayangkan ayat ini diturunkan kepada Rasulullah ﷺ dan para sahabat  yang zahirnya lemah dan dikira sebagai pemberontak. Yang berkuasa waktu itu nampaknya adalah pada para pemuka Quraish itu. Namun pada hakikatnya yang pemberontak adalah Musyrikin Mekah itu kerana mereka menentang Allah ﷻ. Allah ﷻ hendak beritahu mereka bahawa mereka kecil sahaja sebenarnya. Allah ﷻ hendak menterbalikkan pemahaman mereka. Allah ﷻ sebenarnya di sini sedang menghentam kuasa-kuasa besar di mana-mana sahaja dan di mana-mana zaman yang bongkak itu bahawa mereka itu sebenarnya kerdil sahaja. Jangan perasan sangat ada kuasa kerana hakikatnya mereka tidak ada kuasa pun.

Perhatikan Allah ﷻ tidak sebut pun lagi nama-Nya di dalam ayat ini? Allah ﷻ hanya letak perkataan الَّذِي yang bermaksud ‘yang’ sahaja di dalam ayat ini. Padahal, dalam ayat-ayat lain, Allah ﷻ ada letak nama-Nya bersama dengan perkataan ‘berkat’. Sebagai contoh, dalam ayat Mukminoon: 14, Allah ﷻ menggunakan perkataan فَتَبَارَكَ اللهُ (Maha Berkat Allah). Namun tidak diletakkan sebegitu dalam ayat ini.

فَتَبارَكَ اللهُ أَحسَنُ الخالِقينَ
Maka Maha Berkat Allah, Pencipta Yang Paling Baik.

Ini adalah kerana Allah ﷻ  hendak kita memikirkan siapakah yang dimaksudkan dalam ayat ini. Tidak lain dan tidak bukan hanyalah Allah‎ ﷻ sahaja. Tidak mungkin ada entiti lain yang dimaksudkan. Walaupun ayat ini pertama kali diperdengarkan kepada Musyrikin Mekah, mereka memang kenal Allah ﷻ sebagai Tuhan yang utama dan Maha Pencipta. Mereka tidak tahu ada lagi entiti lain yang boleh mencipta. Jadi mereka sepatutnya sudah faham isyarat kepada Allah ﷻ di dalam ayat ini. Oleh itu, surah ini banyak mengandungi ayat yang menyuruh kita banyak berfikir dengan mendalam. Ia menyuruh kita menggunakan akal kita yang waras dan sihat. Kerana kalau kita guna akal kita yang sihat, kita akan dapat mencapai pemahaman tentang Allah ﷻ dan tentang agama. Orang yang gagal itu hanyalah kerana mereka tidak memikirkan dan menggunakan akal mereka (dengan dipandu wahyu). Mereka itulah yang akan menyesal nanti kerana tidak menggunakan akal yang Allah ﷻ telah berikan kepada mereka. Ini akan disebut nanti dalam ayat ke-10 nanti.

Balaghah: Apabila diletakkan perkataan بِيَدِهِ sebelum perkataan الْمُلْكُ, ia bermaksud kerajaan yang sebenarnya *hanya* terletak dalam tangan-Nya. Ada elemen ‘eksklusif’ kalau disusun begitu. Kerana perkataan yang biasa sepatutnya الْمُلْكُ بِيَدِهِ. Apabila digunakan dalam bentuk seperti dalam ayat ini, menyebabkan orang Arab pada masa itu kehairanan dengan susunan ayat sebegitu.

Sememangnya mencapai maksud surah ini secara khusus dan Al-Qur’an secara amnya, untuk menarik perhatian manusia. Oleh itu, ia mencapai maksud untuk menarik perhatian, dan untuk menyampaikan maksud bahawa kerajaan yang sebenarnya adalah di tangan-Nya sahaja.

Jadi, sekali lagi persoalan ditimbulkan: siapakah yang mempunyai kerajaan yang sebenarnya? Tentulah tidak lain dan tidak bukan hanya Allah ﷻ sahaja. Maka, nama Allah ﷻ tidak perlu dimasukkan dalam ayat ini. Allah ﷻ hendak kita memikirkan siapakah yang mempunyai kekuasaan yang boleh mentadbir seluruh kerajaan alam ini. Jawapan hanya satu sahaja: Allah.

 

وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Dan Dia ke atas segala sesuatu, memang berkuasa sungguh;

Bukan kerajaan sahaja dimiliki-Nya, tetapi ke atas semua perkara Dia ada kuasa. Dialah pengendali segala-galanya terhadap semua makhluk sesuai dengan kehendak-Nya. Tidak ada yang boleh melawan hukum-Nya. Dia tidak akan ditanya setelah itu segala apa yang Dia lakukan. Dia mengawal segala perjalanan alam ini daripada sebesar-besarnya seperti planet-planet yang kita nampak besar itu sehingga sekecil-kecilnya seperti zarah dan atom. Seandainya kita faham perkara ini, maka kita akan senang untuk menyerahkan segala urusan kehidupan kepada-Nya.

Perkataan قَدِيرٌ bermaksud ‘seseorang yang mempunyai kuasa untuk melakukan sesuatu’. Jadi, Allah‎ ‎ﷻ berkuasa untuk melakukan kehendak-Nya ke atas كُلِّ شَيْءٍ ‘segala sesuatu’. Kalau kita lihat seorang raja bagaimana berkuasanya dia kalau dibandingkan dengan manusia lain, betapa besarnya wilayah penaklukannya, dia tetap tidak dapat menguasai keseluruhan kerajaannya itu. Tambahan pula kalau semakin luas, maka dia terpaksa bergantung kepada orang lain untuk membantunya mengurus kerajaannya itu. Namun tidak begitu bagi Allah ‎ﷻ, semuanya Dia boleh kawal.

Kalimah قَدِيرٌ juga bermaksud yang menentukan kadar. Memang Allah ‎ﷻ berkuasa buat apa sahaja, akan tetapi kita selalu lupa yang perbuatan Allah ‎ﷻ itu ada kadar, ada ketentuan yang Allah ‎ﷻ tentukan. Kalau tidak, maka berlanggaranlah segala planet di langit dan segala kehidupan di bumi ini. Allah juga yang menentukan kadar kehidupan kita, rezeki kita, nyawa dan umur kita. Allah ‎ﷻ yang menentukan siapa dapat apa dan banyak mana dan berapa lama. Allah ‎ﷻ lah sahaja yang menentukan semua yang berlaku di alam ini. Bagi Allah ‎ﷻ tidak ada kadar yang menghadkan kuasa-Nya akan tetapi bagi makhluk ada sahaja hadnya dan tidak lebih dari apa yang Allah ‎ﷻ telah tentukan. Kuasa kerajaan yang ada pada mana-mana makhluk pun Allah ‎ﷻ yang tentukan tetapi kuasanya tiada batas.

Balaghah: Sekali lagi, susunan perkataan yang digunakan adalah lain daripada susunan yang biasa. Penggunaan yang biasa adalah seperti ini: قَدِيرٌعَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ. Namun Allah ‎ﷻ letakkan perkataan قَدِيرٌ itu di hujung. Pertama, ia untuk menarik perhatian bangsa Arab waktu itu (kerana susunan berlainan daripada kebiasaan – ada keindahan daripada segi bahasa). Keduanya hendak menunjukkan bahawa kekuasaan itu *hanya* ada pada Allah ‎ﷻ sahaja (eksklusif).

Ternyata kekuasaan Allah ‎ﷻ adalah ‘berterusan’. Kekuasaan Allah ‎ﷻ bukan bersifat sementara. Kalau raja di dunia, mungkin hanya beberapa tahun sahaja dia berkuasa, bukan sampai bila-bila pun. Kekuasaan Allah ‎ﷻ dari dahulu tiada penghujungnya.

Sebelum ini telah disebutkan tentang الْمُلْكُ – kerajaan. Dalam dunia, kita boleh lihat bagaimana seseorang itu diangkat sebagai raja. Bermakna dia adalah raja kepada negeri itu. Dia ada kuasa yang besar di negeri itu. Namun adakah dia mempunyai kuasa ke atas setiap perkara dalam negerinya? Dia mungkin memiliki negara itu, tetapi adakah dia memiliki setiap keping tanah dalam negeri itu, setiap rumah dalam negeri itu, setiap apa yang ada dalam rumah setiap rakyat dalam negaranya? Tentu tidak. Dia hanya mempunyai kekuasaan yang umum sahaja kepada negeri itu. Sebaliknya bagi Allah ‎ﷻ, Dia menekankan bahawa kekuasaanNya عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ – atas segala sesuatu. Secara ringkasnya, kekuasaan Allah ‎ﷻ atas alam ini adalah secara makro dan mikro. Daripada yang sebesar-besarnya sehingga kepada sekecil-kecilnya.

Jadi, ayat pertama ini adalah untuk memperkenalkan kita kepada Allah ‎ﷻ supaya kita menggunakan akal fikiran kita yang waras untuk faham dengan siapakah kita berurusan sekarang. Iaitu dengan Allah ‎ﷻ yang mempunyai kekuasaan yang mutlak.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemas kini: 25 November 2025

Ringkasan Surah Mulk


Rujukan:

Maulana Hadi

Tafsir Ibn Kathir

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Maariful Qur’an

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Kuliah tafsir Surah al-Mulk oleh Sheikh (Dr) Haitham Al-Haddad

Kuliah tafsir Surah al-Mulk oleh Sheikh Abdul Nasir Jangda

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi