Tafsir Surah Tawbah Ayat 112 – 114 (Larangan istighfar untuk kafir)

Ayat 112: Bagaimana kita tahu yang kita termasuk mereka yang berjaya mendapat perjanjian Allah itu? Sekarang disebutkan lagi kriteria-kriteria yang diperlukan. Ini juga adalah ayat Tabshir.

التّائِبونَ العابِدونَ الحامِدونَ السّائِحونَ الرّاكِعونَ السّاجِدونَ الآمِرونَ بِالمَعروفِ وَالنّاهونَ عَنِ المُنكَرِ وَالحافِظونَ لِحُدودِ اللَّهِ ۗ وَبَشِّرِ المُؤمِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Such believers are] the repentant, the worshippers, the praisers [of Allāh], the travelers [for His cause], those who bow and prostrate [in prayer], those who enjoin what is right and forbid what is wrong, and those who observe the limits [set by] Allāh. And give good tidings to the believers.

(MALAY)

Mereka itu adalah orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji, yang mengembara, yang ruku’, yang sujud, yang menyuruh berbuat ma’ruf dan mencegah berbuat mungkar dan yang memelihara hukum-hukum Allah. Dan gembirakanlah orang-orang mukmin itu.

 

التّائِبونَ

Mereka itu adalah orang-orang yang bertaubat,

Golongan mukmin yang disebut dalam ayat sebelum ini, mereka selalu bertaubat. Maka ini adalah salah satu dari sifat orang Mukmin. Kerana mereka sedar yang mereka banyak melakukan dosa, maka mereka sentiasa meminta ampun kepada Allah. Jadi, pertama sekali kena sedar yang kita ini sebagai manusia tidak sunyi dari melakukan dosa.

Dan taubat ini tidak perlu sampai melakukan Solat Taubat. Kerana ada yang sangka kena buat Solat Taubat pula. Taubat boleh dilakukan bila-bila masa sahaja, tidak perlu tunggu solat. Tapi memanglah lebih baik kalau dilakukan solat sunat dahulu.

Salah satu syarat taubat adalah meninggalkan kesalahan yang kita telah buatkan sebelum itu. Kenalah menyesal dengan perbuatan kita dahulu yang salah itu dan tinggalkan terus. Dan kita kena tahu, kita kena tinggalkan terus perkara yang salah, bukan sedikit demi sedikit; kalau perbuatan baik, kita boleh buat sedikit demi sedikit, tapi kalau perbuatan yang salah, apabila kita tahu yang ianya salah, kita kena tinggalkan terus.

 

العابِدونَ

yang beribadat,

Orang Mukmin juga rajin beribadat. Mereka tidaklah hanya kata mereka beriman sahaja tetapi mereka tunjukkan dengan amalan mereka. Mereka juga beribadat hanya kepada Allah. Bukanlah mereka mengaku beriman tapi tidak memperbanyakkan ibadat kepada Allah.

Ibadat kena dilakukan berterusan. Maka mulakan dengan amalan yang mudah tapi istiqamah dalam melakukannya. Kemudian tambah dengan ibadah-ibadah lain. Yang penting adalah istiqamah. Jangan kita rajin buat amalan yang banyak, tapi tidak lama.

Ibadah ada banyak jenis ibadah – ada ibadah yang khusus dan ada yang ibadah dalam kehidupan kita. Ibadah khusus adalah seperti solat, zakat, haji dan puasa. Ada juga ibadah umum seperti menolong orang, berbuat baik kepada orang lain, dan macam-macam lagi.

Ada ibadah yang dilakukan dengan tangan kita, ada yang dengan mulut kita dan ada juga dengan hati kita. Segala jenis ibadah kita kena buat. Kita buat sebaik yang mungkin.

 

الحامِدونَ

yang memuji, 

Salah satu ibadat adalah berzikir dengan mulut dan juga dengan hati. Mereka sentiasa memuji Allah dan hanya memuja Allah. Mereka tidak memuji dan memuja ilah-ilah yang lain. Mereka sedar yang mereka dapat melakukan taubat dan ibadah hanya kerana taufik dari Allah. Kalau Allah tak gerakkan, mereka pun tidak dapat buat. Maka mereka dengan ikhlas memuji Allah.

Dan mereka tidaklah beri pujian yang khas ini kepada sesiapa selain Allah. Tidaklah kita disuruh memuji Rasulullah dengan berlebihan. Dengan Rasulullah kita disuruh selawat sahaja. Maka tidaklah perlu buat majlis puji Rasul pula dan Qasidah pula seperti yang dianjurkan oleh golongan Habib yang sesat itu.

Malangnya ramai dari kalangan orang Melayu yang memuja Nabi dengan berlebihan, terutama sekali selepas datangnya puak-puak Habib yang membawa ajaran yang sesat. Ramai yang tertipu dengan perawakan Habib-habis yang kemas berpakaian seperti orang alim dan ‘dikatakan’ keturunan Rasulullah.

 

السّائِحونَ

yang mengembara,

Mereka juga tidak duduk sahaja tetapi mereka juga keluar untuk berjihad dan berdakwah. Ini memerlukan pengorbanan yang tinggi kerana keluar berjihad bukannya senang. Dan ia bukan sahaja keluar berjihad, tapi berhijrah kerana hendak menjaga agama.

Kalimah ini juga bermaksud mereka sentiasa menunaikan puasa kerana Allah. Di antara amal yang paling utama ialah berpuasa, iaitu meninggalkan kelazatan makan dan minum serta bersetubuh. Mereka sanggup tinggalkan nikmat nafsu yang biasa mereka lakukan semata-mata kerana Allah.

Jadi, ada dua makna yang boleh diambil dari lafaz siyahah ini dan kedua-duanya ada dalam riwayat:

قَالَ أَيْضًا: حَدَّثَنِي يُونُسُ، عَنِ ابْنِ وَهْبٍ، عَنْ عُمَرَ بْنِ الْحَارِثِ، عَنْ عَمْرِو بْنِ دِينَارٍ، عَنْ عُبَيد بْنِ عُمَير قَالَ: سُئِلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ السَّائِحِينَ فَقَالَ: “هُمُ الصَّائِمُونَ”

Ibnu Jarir mengatakan pula bahawa telah menceritakan kepadaku Yunus, dari Ibnu Wahb, dari Umar ibnul Hari s, dari Amr ibnu Dinar, dari Ubaid ibnu Umair yang mengatakan bahawa Nabi Saw. pernah ditanya mengenai makna as-saihun. Maka beliau menjawab: Mereka adalah orang-orang yang berpuasa.

Hadis ini berpredikat mursal lagi jayyid. Pendapat ini adalah pendapat yang paling sahih dan paling terkenal.

Itu adalah pendapat yang mengatakan lafaz siyahah bermaksud ‘puasa’. Dan ada riwayat lain, seperti apa yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud di dalam kitab Sunan-nya melalui hadis Abu Umamah, bahwa ada seorang lelaki bertanya, “Wahai Rasulullah, izinkanlah saya untuk ber-siyahah.” Maka Nabi Saw. menjawab melalui sabdanya:

“سِيَاحَةُ أُمَّتَيِ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ”

Siyahah umatku adalah berjihad di jalan Allah.

 

الرّاكِعونَ السّاجِدونَ

yang ruku’, yang sujud,

Mereka sentiasa rukuk dan sujud kerana Allah. Rukuk dan sujud ini adalah bahagian terpenting di dalam solat, jadi apa yang hendak dimaksudkan dengan potongan ayat ini adalah ‘solat’. Maksudnya, orang-orang mukmin menjaga solat mereka.

Mereka jaga waktu solat, tidak tinggal solat dan mereka jaga solat mereka supaya jadi baik. Mereka perbaiki solat mereka ikut sunnah dan mereka cuba untuk khusyuk dalam solat mereka. Maka kita kenalah belajar cara solat yang sunnah dan menjaga amalan solat kita supaya dapat khusyuk dan jadi terbaik yang kita mampu lakukan.

 

الآمِرونَ بِالمَعروفِ وَالنّاهونَ عَنِ المُنكَرِ

yang menyuruh berbuat ma’ruf dan mencegah berbuat mungkar

Mereka sentiasa menjalankan amar makruf nahi mungkar. Iaitu mereka akan mengajak manusia melakukan kebaikan dalam agama dan melarang mereka yang melakukan keburukan. Mereka akan ajak orang dan tegur orang. Tidaklah mereka tengok sahaja. Tidaklah mereka mendiamkan diri sahaja.

Mereka ini sekarang menjalankan kerja dakwah mengajak orang kepada sunnah. Dan kalau mereka lihat ada orang yang buat kesalahan, buat perkara syirik, perkara bidaah dan perkara yang zalim, mereka akan tegur. Sama ada orang ikut atau tidak, itu terpulang kepada mereka yang diajak dan ditegur. Tapi yang penting kita telah menjalankan usaha kita untuk menegur.

Ini penting disebut di sini kerana ada orang yang rasa takut nak tegur kalau ada orang tak ikut, atau dia rasa buang masa sahaja tegur kerana orang tak ikut pun. Ingatlah, yang kita boleh buat adalah ajak dan tegur sahaja. Sama ada mereka ikut atau tidak adalah di tangan Allah. Dan kalau mereka tidak ikut pun, kita sudah pasti dapat pahala dakwah.

 

وَالحافِظونَ لِحُدودِ اللَّهِ ۗ

dan yang memelihara hukum-hukum Allah.

Mereka juga sentiasa menjaga sempadan syariat Allah. Mereka tidak buat lebih dari yang dibenarkan. Mereka jaga hukum yang Allah telah tetapkan.

Dari segi balaghah, kita boleh lihat ada perbezaan dalam potongan ayat ini. Kalau kita perhatikan, potongan ayat ini dimulakan dengan huruf و iaitu dalam وَالحافِظونَ, sedangkan dalam potongan yang lain-lain tidak, cuma ada ال sahaja iaitu dalam التّائِبونَ, العابِدونَ dan seterusnya. Kenapa begitu? Tentu ada sebabnya, bukan?

Ini adalah kerana, segala yang disebut sebelum ini, iaitu bertaubat, beribadat, memuji Allah, mengembara, ruku’ dan sujud, amar makruf nahi mungkar, semua itu berjalan sepanjang masa, sepanjang zaman, kena digerakkan. Tapi untuk menegakkan hukum hudud, bukan tetap boleh dijalankan setiap masa. Ini memerlukan kuasa kerajaan.

Ini sepertimana Rasulullah hanya dapat menjalankan hukum hudud hanya apabila mendapat kuasa kerajaan di Madinah. Macam kita zaman sekarang, sedang tidak dapat mengamalkan hukum Hudud lagi kerana pemerintahan bukan di tangan orang Islam sepenuhnya. Oleh itu, lafaz وَالحافِظونَ ada mengandungi huruf و kerana hendak membezakan antara perbuatan menjaga hukum hudud dengan perkara-perkara yang lain.

Jadi, itulah antara sifat-sifat orang-orang Mukmin yang disebut dalam ayat ini yang kita patut hayati dan amalkan. Allah beritahu sifat mereka satu persatu supaya jelas kepada semua orang. Ini penting, kerana kalau orang munafik, mereka pun kata mereka mukmin. Tapi kata-kata seseorang itu boleh dinilai dengan perbuatan mereka. Kalau setakat cakap sahaja di mulut tapi tidak ditunjukkan dengan perbuatan, tidaklah dikira.

 

وَبَشِّرِ المُؤمِنينَ

Dan gembirakanlah orang-orang mukmin itu.

Allah sendiri beri berita gembira ini kepada orang mukmin. Alangkah beruntungnya! Alangkah sukanya! Maka tidakkah kita mahu menjadi orang Mukmin?


 

Ayat 113: Walaupun Surah Tawbah ini adalah Surah Madaniyah, tapi ayat ini dikatakan diturunkan di Mekah dan dimasukkan ke dalam surah ini. Ini adalah kerana topik ayat ini sesuai tentang kejadian yang berlaku di Mekah iaitu selepas kematian Abu Talib.

ما كانَ لِلنَّبِيِّ وَالَّذينَ آمَنوا أَن يَستَغفِروا لِلمُشرِكينَ وَلَو كانوا أُولي قُربىٰ مِن بَعدِ ما تَبَيَّنَ لَهُم أَنَّهُم أَصحابُ الجَحيمِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

It is not for the Prophet and those who have believed to ask forgiveness for the polytheists, even if they were relatives, after it has become clear to them that they are companions of Hellfire.

(MALAY)

Tiadalah sepatutnya bagi Nabi dan orang-orang yang beriman memintakan ampun (kepada Allah) bagi orang-orang musyrik, walaupun orang-orang musyrik itu adalah kaum kerabat(nya), sesudah jelas bagi mereka, bahawasanya orang-orang musyrik itu adalah penghuni neraka jahanam.

ما كانَ لِلنَّبِيِّ وَالَّذينَ آمَنوا أَن يَستَغفِروا لِلمُشرِكينَ

Tiadalah sepatutnya bagi Nabi dan orang-orang yang beriman memintakan ampun (kepada Allah) bagi orang-orang musyrik,

Tidak boleh bagi Nabi dan orang mukmin untuk istighfar (minta ampun) bagi pihak orang yang mati syirik. Iaitu kalau jelas mereka itu telah mati syirik. Kalau Nabi, baginda dapat wahyu siapa yang mati kafir, tetapi pada zaman kita, tidak tahu.

Tapi kalau jelas dari perbuatan dia yang seorang yang kafir, telah melakukan syirik, maka kita tidak boleh doa kepada Allah untuk ampunkan dia. Kerana tiada keampunan untuk dosa syirik.

Selagi mana dia masih hidup, kita boleh doa supaya Allah beri hidayat kepada orang yang kufur atau mengamalkan syirik itu. Tetapi apabila sudah mati dan pada zahirnya mereka mati kufur, kita tidak boleh minta keampunan untuk mereka. Oleh itu, hukumnya diharamkan untuk kita minta ampun bagi pihak mereka.

 

وَلَو كانوا أُولي قُربىٰ

walaupun orang-orang musyrik itu adalah kaum kerabat(nya), 

Tidak boleh sama sekali minta ampun bagi pihak mereka, atas dosa syirik mereka itu, sekali pun yang mati syirik itu kaum kerabat kita sendiri. Sudah tidak boleh buat apa lagi untuk mereka.

Dan ini memang payah untuk kita menerimanya, kerana tentunya kita sayang kepada ahli keluarga kita. Kita mahu mereka selamat di akhirat nanti. Tapi tetap tidak boleh lakukan apa-apa dan kita kena terima perkara ini dengan dada yang lapang. Serahkan kepada Allah sahaja.

Kerana susahnya perkara ini, kita ada contoh pada para Nabi kita. Kita akan lihat bagaimana Nabi Ibrahim pun mengalami masalah yang sama dan juga Nabi Muhammad sendiri, apabila bapa saudaranya, Abu Talib meninggal dunia. Allah ceritakan hal mereka, supaya kita dapat tahu, yang para Nabi kita pun mengalami masalah yang sama juga.

 

مِن بَعدِ ما تَبَيَّنَ لَهُم أَنَّهُم أَصحابُ الجَحيمِ

sesudah jelas bagi mereka, bahwasanya orang-orang musyrik itu adalah penghuni neraka jahanam.

Kita tidak boleh minta ampun untuk mereka, apabila telah jelas yang mereka mati dalam keadaan kafir. Kita kena ingat yang kita tidak tahu hati manusia, sama ada mereka kufur atau tidak, sama ada mereka musyrik atau tidak. Kecuali kalau mereka jelas melakukan perkara syirik dan kita tahu sendiri. Dan kita telah berikan segala dalil dan nasihat kepada mereka, tapi mereka tetap menolak.


 

Ayat 114: Allah bawakan kisah Nabi Ibrahim a.s. kepada kita sebagai pedoman kita.

وَما كانَ استِغفارُ إِبراهيمَ لِأَبيهِ إِلّا عَن مَوعِدَةٍ وَعَدَها إِيّاهُ فَلَمّا تَبَيَّنَ لَهُ أَنَّهُ عَدُوٌّ لِلَّهِ تَبَرَّأَ مِنهُ ۚ إِنَّ إِبراهيمَ لَأَوّاهٌ حَليمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the request of forgiveness of Abraham for his father was only because of a promise he had made to him. But when it became apparent to him [i.e., Abraham] that he [i.e., the father] was an enemy to Allāh, he disassociated himself from him. Indeed was Abraham compassionate and patient.

(MALAY)

Dan permintaan ampun dari Ibrahim (kepada Allah) untuk bapanya tidak lain hanyalah kerana janji yang telah diikrarkannya kepada bapanya itu. Maka, tatkala jelas bagi Ibrahim bahawa bapanya itu adalah musuh Allah, maka Ibrahim berlepas diri dari padanya. Sesungguhnya Ibrahim adalah seorang yang sangat lembut hatinya lagi penyantun.

 

وَما كانَ استِغفارُ إِبراهيمَ لِأَبيهِ إِلّا عَن مَوعِدَةٍ وَعَدَها إِيّاهُ

Dan permintaan ampun dari Ibrahim (kepada Allah) untuk bapanya tidak lain hanyalah kerana janji yang telah diikrarkannya kepada bapanya itu.

Mungkin ada yang berhujah, Nabi Ibrahim pernah meminta ampun kepada Allah bagi pihak ayahnya, Azar. Dan memang Nabi Ibrahim pernah doa untuk ayah dia, kerana masa itu baginda tidak tahu yang itu adalah salah. Dan apabila baginda tahu salah, baginda berhenti. Jadi sekarang tidak boleh jadikan perbuatan Nabi ibrahim itu sebagai dalil.

Dan tidaklah istighfar Nabi Ibrahim untuk ayah dia itu, melainkan kerana janji baginda. Kerana baginda pernah berjanji kepada ayahnya untuk berdoa kepada Allah supaya Allah ampunkan dosa ayahnya itu. Ini ada terdapat dalam Maryam:47. Ini adalah ketika ayahnya menghalaunya dari sisinya.

 

فَلَمّا تَبَيَّنَ لَهُ أَنَّهُ عَدُوٌّ لِلَّهِ تَبَرَّأَ مِنهُ

Maka, tatkala jelas bagi Ibrahim bahawa bapanya itu adalah musuh Allah, maka Ibrahim berlepas diri dari padanya. 

Dan apabila telah jelas kepada baginda melalui wahyu bahawanya ayah dia musuh ketat Allah, maka baginda berlepas diri dari terus melakukan istighfar bagi pihak ayahnya. Allah beritahu baginda yang ayahnya itu mati kafir.

Salah satu nama surah ini adalah Surah Bara’ah (berlepas diri). Musyrikin Mekah menuduh Rasulullah meninggalkan amalan tok nenek mereka, tidak hiraukan perasaan kaum baginda dan macam-macam lagi. Tapi lihatlah bagaimana Nabi pertama yang memisahkan diri baginda dari kaumnya yang melakukan syirik adalah Nabi Ibrahim a.s. Dan puak Musyrikin Mekah mengatakan yang mereka dari keturunan Nabi Ibrahim sendiri.

Maka, janganlah salahkan Nabi Muhammad kerana berlepas diri dengan amalan kaumnya yang syirik. Kerana bukan baginda yang mula-mula melakukan perkara itu pun. Memang mereka patut disisihkan kerana kesalahan yang mereka lakukan itu adalah kesalahan yang amat besar.

Oleh itu, meninggalkan mereka yang melakukan syirik adalah termasuk dalam perkara yang sunnah. Jangan rasa bersalah kalau kita tidak bersama dengan akidah ahli keluarga kita yang syirik. Tidak perlu kita sertai majlis mereka kalau mereka mengamalkan amalan yang syirik dalam majlis itu (termasuk juga kalau bidaah). Ini adalah kerana kita lebih pentingkan redha Allah dari redha manusia, termasuk ahli keluarga kita pun.

 

إِنَّ إِبراهيمَ لَأَوّاهٌ حَليمٌ

Sesungguhnya Ibrahim adalah seorang yang sangat lembut hatinya lagi penyantun.

Kemudian Allah memuji Nabi Ibrahim: sesungguhnya Nabi Ibrahim itu seorang Nabi yang sangat lembut hati, sangat tabah dalam menempuh segala ujian. Walaupun baginda dikenakan dengan berbagai ujian, baginda tetap tabah dan masih berharap kepada Allah lagi. Baginda sentiasa menghadapkan wajah baginda kepada Allah. Baginda sentiasa kembali dan rujuk kepada Allah dalam setiap perkara.

Dan baginda seorang yang amat penyantun dan sensitif dengan keadaan orang lain. Baginda sangat sayang kepada keluarganya. Sebab itulah baginda susah untuk tinggalkan ayahnya itu. Baginda telah memberikan berbagai nasihat kepada ayahnya, tapi ayahnya tidak mahu mendengar nasihatnya itu. Sehinggalah ayahnya sendiri menghalau baginda, barulah baginda tinggalkan ayahnya itu.

Baginda dapat menerima keadaan itu kerana baginda amat taat kepada Allah. Ketaatan baginda kepada Allah lebih tinggi lagi dari ketaatan dan sayang baginda kepada bapanya. Maka kita pun kenalah taat kepada Allah juga dalam hal ini. Walaupun kita amat kasih kepada ahli keluarga kita, mungkin ibubapa kita sendiri, tapi kita tetap lebih sayangkan Allah daripada mereka. Mereka jatuh nombor dua dalam hati kita.

Kalau Allah kata tidak boleh minta ampun untuk mereka (kalau mereka musyrik), maka janganlah kita melawan. Kerana kita tidak boleh buat apa pun – Allah sahaja yang boleh ampunkan mereka, dan Allah sudah kata yang Dia tidak akan ampunkan mereka yang melakukan syirik (dan mati dalam syirik).

Mereka kena bertaubat semasa mereka hidup untuk ada harapan diampunkan Allah. Kalau sudah mati, tidak ada harapan lagi. Maka kenalah kita beri nasihat kepada ahli keluarga kita sementara mereka masih hidup lagi.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 2 Mac 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah Tawbah Ayat 110 – 111 (Perniagaan dengan Allah)

Ayat 110: Ini berkenaan Masjid Dirar yang dibina puak munafik.

لا يَزالُ بُنيانُهُمُ الَّذي بَنَوا ريبَةً في قُلوبِهِم إِلّا أَن تَقَطَّعَ قُلوبُهُم ۗ وَاللَّهُ عَليمٌ حَكيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Their building which they built will not cease to be a [cause of] skepticism in their hearts until their hearts are cut [i.e., stopped]. And Allāh is Knowing and Wise.

(MALAY)

Bangunan yang mereka dirikan itu senantiasa menjadi pangkal keraguan dalam hati mereka, sehingga bila hati mereka itu telah hancur. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

 

لا يَزالُ بُنيانُهُمُ الَّذي بَنَوا ريبَةً في قُلوبِهِم

Binaan yang mereka dirikan itu tidak berhenti menjadi punca keraguan dalam hati mereka,

Sentiasalah binaan itu mendatangkan keraguan dalam hati mereka terhadap kebenanaran Islam. Sebagaimana para penyembah anak lembu di masa Nabi Musa, hati mereka dijadikan senang dengan penyembahan mereka terhadap anak lembu itu. Begitulah mereka dengan Masjid Dirar itu, ia semakin menjauhkan mereka dari kebenaran agama.

Apabila bina masjid, sepatutnya masjid itu dapat mendekatkan manusia kepada Tuhan, tapi masjid mereka menyebabkan mereka jauh lagi dari agama. Ini adalah kerana mereka berbincang di dalamnya bagaimana untuk meruntuhkan agama. Bukannya mereka gunakan untuk mengaji agama dalam masjid pun.

 

إِلّا أَن تَقَطَّعَ قُلوبُهُم

sehingga hati mereka itu telah hancur. 

Ianya akan menjadi punca keraguan kepada mereka sehinggalah hancur luluh hati mereka, iaitu apabila dicabut iman dari hati mereka terus. Iaitu apabila hati kena kunci (khatmul qalbi). Ini apabila nifaq tidak dapat dikeluarkan terus dari hati mereka. Seolah-olah kalau satu bahagian badan kita telah dijangkiti penyakit sehingga memerlukan anggota badan itu dipotong.

Begitulah perumpamaan kepada sifat nifak mereka itu. Maka ia menjadi punca keraguan kepada mereka dan seksaan mental kepada mereka sampailah masa mereka mati nanti.

 

وَاللَّهُ عَليمٌ حَكيمٌ

Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

Allah maha mengetahui keadaan dan hati mereka; dan Allah maha tahu dan bijaksana bagaimana menguruskan hal mereka.


 

Ayat 111:

۞ إِنَّ اللَّهَ اشتَرىٰ مِنَ المُؤمِنينَ أَنفُسَهُم وَأَموالَهُم بِأَنَّ لَهُمُ الجَنَّةَ ۚ يُقاتِلونَ في سَبيلِ اللَّهِ فَيَقتُلونَ وَيُقتَلونَ ۖ وَعدًا عَلَيهِ حَقًّا فِي التَّوراةِ وَالإِنجيلِ وَالقُرآنِ ۚ وَمَن أَوفىٰ بِعَهدِهِ مِنَ اللَّهِ ۚ فَاستَبشِروا بِبَيعِكُمُ الَّذي بايَعتُم بِهِ ۚ وَذٰلِكَ هُوَ الفَوزُ العَظيمُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, Allāh has purchased from the believers their lives and their properties [in exchange] for that they will have Paradise. They fight in the cause of Allāh, so they kill and are killed. [It is] a true promise [binding] upon Him in the Torah and the Gospel and the Qur’ān. And who is truer to his covenant than Allāh? So rejoice in your transaction which you have contracted. And it is that which is the great attainment.

(MALAY)

Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar.

 

إِنَّ اللَّهَ اشتَرىٰ مِنَ المُؤمِنينَ أَنفُسَهُم وَأَموالَهُم

Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka

Allah memberitahu yang orang yang berjihad telah diberi kefahaman bahawa usaha mereka akan dikira sebagai pahala. Mereka sanggup berjihad kerana mereka sudah dapat faham tentang agama. Mereka sanggup mengorbankan diri mereka dan wang ringgit mereka untuk agama Allah. Mereka sanggup untuk berjihad menegakkan agama Allah.

 

بِأَنَّ لَهُمُ الجَنَّةَ

dengan memberikan syurga untuk mereka.

Modal para mukmin itu adalah diri dan harta mereka. Dan Allah bayar dengan syurga untuk mereka. Allah memberi perumpamaan dalam ayat ini: orang mukmin sebagai penjual dan Allah sebagai pembeli. Allah beri perumpamaan guna transaksi jual beli, kerana manusia faham sangat dengan perumpamaan ini. Kalau mukmin sebenar, mesti dia akan beri diri dia untuk agama, dan harta dia untuk agama.

Balaghah: Selalunya, dalam kebanyakan ayat-ayat yang lain tentang jihad, disebut ‘harta’ dahulu baru disebut ‘diri’. Tetapi dalam ayat ini, disebut diri dahulu, barulah harta. Kenapa susunan yang berlainan kali ini?

Didahulukan disebut ‘diri’ kerana bukan semua orang ada harta untuk diberikan untuk berjihad. Akan tetapi, semua orang ada diri mereka. Kerana untuk memperbaiki diri sendiri, kena mulakan dengan diri sendiri dahulu. Sedangkan dalam ayat-ayat jihad yang lain, dimulakan dengan harta, kerana perang memerlukan harta.

Janji Allah itu pasti. Tapi ramai yang tidak percaya kepada janji ini. Ini adalah kerana jual beli dengan Allah ini bukanlah tunai tapi dalam bentuk hutang. Kerana kita kena beri dulu diri dan harta kita, tapi Allah akan bayar dalam bentuk hutang. Di akhirat nanti baru dibayar dengan syurga. Sedangkan manusia kebanyakannya suka untuk dapat tunai terus, bukan?

Bayangkan, kalau kita nak beli rumah, tentu kita nak tengok rumah itu dulu, bukan? Kerana kita pun keluarkan duit yang banyak. Tapi rumah yang Allah janjikan di syurga ini tidak dapat dilihat dahulu. Inilah nilai iman. Kena beriman, baru boleh terima perjanjian transaksi ini.

Tapi begitulah ujian dari Allah. Allah nak uji iman kita sama ada kita boleh percaya atau tidak dengan janji-janjiNya. Dan pulangan apabila percaya dengan janji itu adalah syurga – nikmat yang berkekalan sampai bila-bila.

 

يُقاتِلونَ في سَبيلِ اللَّهِ

Mereka berperang pada jalan Allah; 

Mereka yang percaya sungguh-sungguh itu sanggup berperang di jalan Allah.

 

فَيَقتُلونَ وَيُقتَلونَ

lalu mereka membunuh atau terbunuh.

Dan kalau terlibat dalam peperangan, kadang-kadang mereka membunuh musuh Allah dan kadang-kadang terbunuh oleh musuh Allah. Itu adalah ujian yang perlu dilalui. Kalau mereka membunuh dan menang, mereka dapat pahala dan dapat harta ghanimah; dan kalau mereka terbunuh, mereka akan terus dapat masuk ke dalam syurga. Dalam hadis Sahihain disebutkan:

وَتَكَفَّلَ اللَّهُ لِمَنْ خَرَجَ فِي سَبِيلِهِ، لَا يُخْرِجُهُ إِلَّا جِهَادٌ فِي سَبِيلِي، وَتَصْدِيقٌ بِرُسُلِي، بِأَنْ تَوَفَّاهُ أَنْ يُدْخِلَهُ الْجَنَّةَ، أَوْ يُرْجِعَهُ إِلَى مَسْكَنِهِ الَّذِي خَرَجَ مِنْهُ، نَائِلًا مَا نَالَ مِنْ أَجْرٍ أَوْ غَنِيمَةٍ”

Allah menjamin bagi orang yang berangkat berjihad di jalan-Nya, yang tidak sekali-kali dia berangkat melainkan untuk berjihad di jalan-Ku dan membenarkan rasul-rasul-Ku; bahawa jika Allah mewafatkannya, maka Dia akan memasukkannya ke dalam syurga atau mengembalikannya pulang ke tempat tinggalnya yang dia berangkat darinya seraya memperoleh pahala yang digondolnya atau ghanimah.

 

وَعدًا عَلَيهِ حَقًّا فِي التَّوراةِ وَالإِنجيلِ وَالقُرآنِ

janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Qur’an. 

Dan janji Allah ini bukan baru sahaja diberikan, tapi telah ada dalam Taurat, dalam Injil dan sekarang dalam Qur’an. Dan juga telah disebut tentang sifat sanggup berjihad ini dalam kitab-kitab dulu pun – iaitu mereka yang beriman akan mengorbankan diri mereka dan harta mereka.

Maknanya sama sahaja yang disampaikan dalam ketiga-tiga agama ini kerana ketiga-tiga agama ini dari langit, agama yang ada kitab. Tidak sama kalau dibandingkan dengan agama lain seperti Buddha, Hindu dan sebagainya yang tidak ada apa. Oleh itulah mereka yang menganut agama-agama itu telah ketinggalan.

Akhirnya nanti, mereka sendiri akan rasa malu dengan agama mereka yang tidak ada asas langsung. Itulah sebabnya, lama-lama mereka akan masuk agama yang ada kitab: sama ada Islam atau Kristian kerana Yahudi tidak benarkan orang luar masuk agamanya. Sebab itu dalam riwayat telah diberitahu yang akhir zaman nanti, kita akan perang dua golongan ini sahaja.

 

وَمَن أَوفىٰ بِعَهدِهِ مِنَ اللَّهِ ۚ

Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah?

Dan kalau Allah telah berjanji, yakinlah kita yang Allah pasti akan penuhi janji itu. Tidak ada janji yang lebih kuat dari janji Allah. Kerana kalau manusia yang berjanji, belum tentu dia dapat penuhi.

 

فَاستَبشِروا بِبَيعِكُمُ الَّذي بايَعتُم بِهِ

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu,

Dan sesiapa yang menepati janji kepada Allah – tukar sungguh diri dan harta mereka dengan syurga Allah, bergembiralah kamu dengan penjualan kamu. Allah bercakap terus dengan mereka (kataganti nama kedua) sebagai taqrib – mendekatkan diri dengan mereka.

 

وَذٰلِكَ هُوَ الفَوزُ العَظيمُ

dan itulah kemenangan yang besar.

Kalau kita berjaya mendapat apa yang dijanjikan oleh Allah itu, itulah kejayaan yang amat besar sekali.

Allahu a’lam. Sambung dengan ayat seterusnya

Kemaskini: 2 Mac 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah Tawbah Ayat 107 – 109 (Masjid Dirar)

Ayat 107:

وَالَّذينَ اتَّخَذوا مَسجِدًا ضِرارًا وَكُفرًا وَتَفريقًا بَينَ المُؤمِنينَ وَإِرصادًا لِمَن حارَبَ اللَّهَ وَرَسولَهُ مِن قَبلُ ۚ وَلَيَحلِفُنَّ إِن أَرَدنا إِلَّا الحُسنىٰ ۖ وَاللَّهُ يَشهَدُ إِنَّهُم لَكاذِبونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [there are] those [hypocrites] who took for themselves a mosque for causing harm and disbelief and division among the believers and as a station for whoever had warred against Allāh and His Messenger before. And they will surely swear, “We intended only the best.” And Allāh testifies that indeed they are liars.

(MALAY)

Dan (di antara orang-orang munafik itu) ada orang-orang yang mendirikan masjid untuk menimbulkan kemudharatan (pada orang-orang mukmin), untuk kekafiran dan untuk memecah belah antara orang-orang mukmin serta tempat kumpul orang-orang yang telah memerangi Allah dan Rasul-Nya sejak dahulu. Mereka sesungguhnya bersumpah: “Kami tidak menghendaki selain kebaikan”. Dan Allah menjadi saksi bahawa sesungguhnya mereka itu adalah pendusta (dalam sumpahnya).

 

وَالَّذينَ اتَّخَذوا مَسجِدًا ضِرارًا وَكُفرًا

Dan ada orang-orang yang mendirikan masjid untuk menimbulkan kemudharatan dan kekafiran

Allah memberitahu dalam ayat ini, bahawa dalam golongan munafik itu ada yang tinggal dan duduk tidak sertai jihad dan dalam masa yang sama, buat perancangan untuk menghancurkan Islam. Sudahlah mereka tidak sertai jihad sokong Islam, mereka duduk di Madinah buat rancangan jahat nak jatuhkan Islam pula dari dalam. Amat teruk sekali perangai mereka ini.

Mereka itu dulu adalah ketua-ketua puak di Madinah, dan bila Nabi Muhammad datang, mereka telah dipinggirkan dan mereka terasa hati dan sakit hati. Padahal orang bukan sokong Nabi kerana baginda itu baru, tapi kerana baginda memang Nabi dan selayaknya baginda diangkat menjadi pemimpin. Yang mereka pula hendakkan adalah pangkat dan kemasyhuran sahaja.

Mereka bukannya beriman, akan tetapi kerana semua golongan masyarakat mereka telah masuk Islam, jadi mereka pun kena berlakon masuk Islam juga, tapi dalam masa yang sama, mereka mengekalkan hubungan rapat dengan puak Nasara.

Puak Nasara itulah yang ajar mereka bagaimana nak jatuhkan Islam dari dalam. Mereka ajar supaya golongan munafikin itu buat tempat berkumpul dulu, tempat untuk puak Nasara boleh hantar mata-mata gelap untuk intip pergerakan puak Muslim. Bila sudah ada pos itu, mereka boleh buatlah buat mesyuarat di situ, senang nak buat perancangan nak jatuhkan Islam. Kerana kalau buat tempat lain yang bukan masjid, nanti kena tanya pula. Sebab zaman itu tempat kumpul adalah masjid.

Oleh itu puak munafik telah mendirikan masjid dan ajak Nabi rasmikan. Waktu itu Nabi sibuk sebab sedang buat persediaan untuk Perang Tabuk dan baginda kata, nanti balik barulah dirasmikan. Akan tetapi, semasa dalam perjalanan balik itulah Allah beri wahyu kepada baginda, jangan pergi ke masjid itu untuk rasmikan. Baginda juga diberitahu supaya jangan solat di masjid itu. Kerana masjid itu dibina untuk merosakkan Islam.

Oleh kerana itu, kena runtuhkan masjid itu. Dan kerana itu Nabi arahkan sahabat untuk hancurkan masjid itu. Munafik yang terlibat dalam pembinaan masjid itu, terus lari tinggalkan Madinah kerana rahsia mereka telah pecah. Masjid itu dinamakan sebagai ‘Masjid Dirar’ kerana ada orang hendak gunakan masjid untuk musnahkan Islam.

Ketua Nasara yang dimaksudkan adalah seorang lelaki bernama Abu Amir, seorang alim dalam Bible. Dia seorang yang amat sakit hati terhadap Islam. Apabila Nabi Muhammad sampai ke Madinah, dia telah berpindah ke Mekah. Ada kalangan para sahabat yang dulu sebelum masuk Islam telah memeluk agama Nasara dan dia telah kempen kepada mereka untuk kembali kepada Nasara.

Apabila Islam semakin berkembang, dia telah pergi Syria. Tapi dia masih menjalinkan hubungan dengan sesetengah puak munafik yang berada di Madinah. Dialah yang buat perancangan dengan puak munafik untuk bina masjid itu. Dan dialah juga yang menjadikan puak munafik itu sebagai mata-mata gelap dia yang melaporkan apa yang terjadi di Madinah dan dalam Islam.

Oleh itu, mereka bina masjid tapi untuk membahayakan Islam dan menguatkan kekufuran. Masjid itu tidak jauh pun dari Masjid Quba’.

 

وَتَفريقًا بَينَ المُؤمِنينَ

dan untuk memecah belah antara orang-orang mukmin

Dan tujuan mereka membina Masjid Dirar itu adalah untuk memecahbelahkan umat Islam. Ini kerana apabila ada dua masjid, maka umat akan berpecah, ada pergi solat di sini dan di sana. Ini tidak patut terjadi kerana sepatutnya solat Jumaat di satu tempat sahaja. Yang mereka hendak saingi adalah Masjid Quba’ yang berdekatan dengannya.

 

وَإِرصادًا لِمَن حارَبَ اللَّهَ وَرَسولَهُ مِن قَبلُ

serta tempat kumpul orang-orang yang telah memerangi Allah dan Rasul-Nya sejak dahulu. 

Dan masjid itu dibina untuk dijadikan tempat pengintipan, sebagai pos, sebagai markas bagi orang kafir Nasara yang memerangi Allah dan Rasul sebelum ini pun lagi. Ia hendak dijadikan sebagai tempat mengintip dan sebagai tempat serang hendap. Nanti apabila mereka datang dari luar, sudah ada tempat mereka hendak mendarat dan tempat mereka buat serangan hendap nanti.

 

وَلَيَحلِفُنَّ إِن أَرَدنا إِلَّا الحُسنىٰ

Mereka sesungguhnya bersumpah: “Kami tidak menghendaki selain kebaikan”.

Mereka bersumpah dengan nama Allah, tidak ada tujuan lain mereka bina masjid itu tapi untuk kebaikan Islam. Memang kalau bahagian sumpah memang mereka pandai, sikit-sikit sumpah dengan nama Allah. Mereka bersumpah itu supaya orang percaya tipuan mereka itu.

 

وَاللَّهُ يَشهَدُ إِنَّهُم لَكاذِبونَ

Dan Allah menjadi saksi bahawa sesungguhnya mereka itu adalah pendusta

Nabi dan para mukmin lain tidak tahu apakah dalam hati mereka. Tambahan pula mereka telah bersumpah dengan nama Allah. Tapi Allah sendiri beritahu yang mereka itu menipu sahaja. Sekarang Allah telah pecahkan tembelang mereka. Allah cukup jadi saksi bahawa mereka itu bohong belaka. Kalau Allah sudah beritahu, nak cakap apa lagi?


 

Ayat 108:

لا تَقُم فيهِ أَبَدًا ۚ لَمَسجِدٌ أُسِّسَ عَلَى التَّقوىٰ مِن أَوَّلِ يَومٍ أَحَقُّ أَن تَقومَ فيهِ ۚ فيهِ رِجالٌ يُحِبّونَ أَن يَتَطَهَّروا ۚ وَاللَّهُ يُحِبُّ المُطَّهِّرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Do not stand [for prayer] within it – ever. A mosque founded on righteousness from the first day¹ is more worthy for you to stand in. Within it are men who love to purify themselves; and Allāh loves those who purify themselves.

  • This description is of the Qubā’ mosque.

(MALAY)

Janganlah kamu bersembahyang dalam masjid itu selama-lamanya. Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar takwa (masjid Quba), sejak hari pertama adalah lebih patut kamu solat di dalamnya. Di dalamnya ada orang-orang yang suka membersihkan diri. Dan sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bersih.

 

لا تَقُم فيهِ أَبَدًا

Janganlah kamu bersembahyang dalam masjid itu selama-lamanya.

Semasa dalam perjalanan balik dari Tabuk, Allah telah beri wahyu kepada Nabi tentang Masjid Dirar itu. Allah telah memberi larangan kepada Nabi dan para sahabat, jangan pergi ke masjid itu sampai bila-bila. Sebab itulah masjid itu kena dihancurkan. Kerana kalau Nabi pergi solat di masjid itu, nanti orang akan sangka yang masjid itu adalah masjid yang benar pula. Maka Nabi tidak boleh solat di situ.

 

لَمَسجِدٌ أُسِّسَ عَلَى التَّقوىٰ مِن أَوَّلِ يَومٍ أَحَقُّ أَن تَقومَ فيهِ

Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar takwa (masjid Quba), sejak hari pertama adalah lebih patut kamu solat di dalamnya. 

Dan kemudian Allah beritahu kelebihan Masjid Quba’. Allah tidak sebut nama masjid itu tapi ciri-cirinya ada pada masjid itu. Ianya adalah masjid yang mula sekali dibina semasa Nabi sampai ke Madinah. Ia adalah masjid hebat yang dibina atas dasar taqwa. Pada masa mula bina lagi ia sudah dibina atas dasar taqwa. Bukan macam Masjid Dirar, masa asasnya lagi sudah bertujuan untuk melawan Islam.

Masjid Quba’ itu yang lebih layak untuk baginda dan orang Mukmin tunaikan solat di dalamnya. Sampai sekarang, sudah menjadi sunnah kalau kita solat di masjid Quba’. Kalau kita mengerjakan umrah dan singgah ke Madinah, jangan lupa untuk pergi solat ke sana. Ada kelebihan tertentu yang ada kalau solat di sana. Kalau siap berwuduk dan pergi solat ke sana, sekali solat sudah dikira sekali Umrah. Rasûlullâh Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

مَنْ تَطَهَّرَ فِي بَيْتِهِ ثُمَّ أَتَى مَسْجِدَ قُبَاءَ، فَصَلَّى فِيهِ صَلَاةً، كَانَ لَهُ كَأَجْرِ عُمْرَةٍ

Barangsiapa bersuci di rumahnya kemudian datang ke Masjid Quba’, kemudian dia mendirikan salat di sana, maka dia mendapatkan pahala umrah [HR. Ibnu Majah dan lainnya]

 

فيهِ رِجالٌ يُحِبّونَ أَن يَتَطَهَّروا

Di dalamnya ada orang-orang yang suka membersihkan diri.

Allah beritahu di dalamnya ada golongan lelaki Islam yang hebat, yang suka kepada kebersihan. Iaitu mereka yang tinggal di kawasan itu. Dalam riwayat hadis, apabila turun ayat ini, Nabi tanya kenapa Allah memuji mereka begitu? Mereka rupanya istinjak dengan batu dan air. Kebanyakan orang lain waktu itu hanya dengan batu sahaja. Tetapi mereka himpunkan yang terbaik – guna batu kemudian guna air.

Maka itu adalah cara paling afdhal dalam kitab feqah pun, mula pakai batu dulu untuk nipiskan najis itu dan kemudian pakai air untuk benar-benar bersih. Ini adalah kerana telah berkawan dengan puak Yahudi dan puak Yahudi kata istinjak kena pakai air dan mereka amalkan.

Imam Ahmad ibnu Hambal mengatakan:

حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ آدَمَ، حَدَّثَنَا مَالِكٌ -يَعْنِي: ابْنَ مغْوَل -سَمِعْتُ سَيَّارًا أَبَا الْحَكَمِ، عَنْ شَهْرِ بْنِ حَوْشَبٍ، عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ سَلَامٍ قَالَ: لَمَّا قَدِمَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، يَعْنِي: قُبَاءَ، فَقَالَ: “إِنَّ اللَّهَ، عَزَّ وَجَلَّ، قَدْ أَثْنَى عَلَيْكُمْ فِي الطَّهُورِ خَيْرًا، أَفَلَا تُخْبِرُونِي؟ “. يَعْنِي: قَوْلَهُ تَعَالَى: {فِيهِ رِجَالٌ يُحِبُّونَ أَنْ يَتَطَهَّرُوا وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُطَّهِّرِينَ} فَقَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنَّا نَجِدُهُ مَكْتُوبًا عَلَيْنَا فِي التَّوْرَاةِ: الاستنجاءُ بِالْمَاءِ.

bahawa telah menceritakan kepada kami Yahya ibnu Adam, telah menceritakan kepada kami Malik (yakni Ibnu Migwal), bahawa dia pernah mendengar Sayyar (yakni Abul Hakam) meriwayatkan dari Syahr ibnu Hausyab, dari Muhammad ibnu Abdullah ibnu Salam yang menceritakan bahawa Rasulullah Saw. tiba di Quba, lalu bersabda: Sesungguhnya Allah Swt. telah memuji kalian dalam hal bersuci dengan pujian yang baik, maka ceritakanlah kepadaku. Yang dimaksud Nabi Saw. adalah firman Allah Swt.: Di dalamnya ada orang-orang yang suka membersihkan diri. (At-Taubah: 108) Maka mereka menjawab, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami menjumpainya telah tercatat di dalam kitab Taurat sebagai suatu kewajiban, bahawa bersuci sehabis buang air adalah memakai air.”

وَاللَّهُ يُحِبُّ المُطَّهِّرينَ

Dan sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bersih.

Allah suka golongan seperti itu, iaitu mereka yang membersihkan diri mereka. Oleh itu kita dapat yakini bahawa Islam adalah agama yang praktikal, yang mengajar umatnya menjaga kebersihan. Tidak ada dalam agama lain yang mengajar perkara ini. Kalau sekarang orang Barat jaga kebersihan, ini adalah kerana mereka telah maju, bukannya kerana agama mereka mengajar untuk jaga kebersihan.

Al-Hafiz Abu Bakar Al-Bazzar mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abdullah ibnu Syabib, telah menceritakan kepada kami Ahmad ibnu Muhammad ibnu Abdul Aziz yang mengatakan bahawa dia telah menemukan hadis ini dalam kitab ayahnya, dari Az-Zuhri. dari Ubaidillah ibnu Abdullah, dari Ibnu Abbas yang mengatakan bahawa ayat berikut diturunkan berkenaan dengan ahli Quba, yaitu firman-Nya: Di dalamnya ada orang-orang yang ingin membersihkan diri. Dan Allah menyukai orang-orang yang bersih. (At-Taubah: 108) Maka Rasulullah Saw. bertanya kepada mereka, dan mereka menjawab, “Sesungguhnya kami mengiringi batu dengan siraman air (dalam bersuci sehabis buang air).” (Hadis riwayat Al-Bazzar).


 

Ayat 109: Allah buat perbandingan ada dua masjid itu:

أَفَمَن أَسَّسَ بُنيانَهُ عَلىٰ تَقوىٰ مِنَ اللَّهِ وَرِضوانٍ خَيرٌ أَم مَن أَسَّسَ بُنيانَهُ عَلىٰ شَفا جُرُفٍ هارٍ فَانهارَ بِهِ في نارِ جَهَنَّمَ ۗ وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الظّالِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then is one who laid the foundation of his building on righteousness [with fear] from Allāh and [seeking] His approval better or one who laid the foundation of his building on the edge of a bank about to collapse, so it collapsed with him into the fire of Hell? And Allāh does not guide the wrongdoing people.

(MALAY)

Maka apakah orang-orang yang mendirikan masjidnya di atas dasar takwa kepada Allah dan keredhaan-(Nya) itu yang baik, ataukah orang-orang yang mendirikan bangunannya di tepi jurang yang runtuh, lalu bangunannya itu jatuh bersama-sama dengan dia ke dalam neraka Jahannam? Dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada orang-orang yang zalim.

 

أَفَمَن أَسَّسَ بُنيانَهُ عَلىٰ تَقوىٰ مِنَ اللَّهِ وَرِضوانٍ خَيرٌ

Maka apakah orang-orang yang mendirikan masjidnya di atas dasar takwa kepada Allah dan keredhaan-(Nya) itu yang baik, 

Masjid yang dimaksudkan adalah Masjid Quba’. Iaitu yang dibina atas dasar taqwa dan menegakkan agama Allah. Ianya dibina ikhlas kerana Allah, untuk mencari keredhaanNya.

 

أَم مَن أَسَّسَ بُنيانَهُ عَلىٰ شَفا جُرُفٍ هارٍ

ataukah orang-orang yang mendirikan bangunannya di tepi jurang yang hampir runtuh,

Atau masjid yang dibina kerana hendak menjatuhkan Islam dan menegakkan kekufuran seperti Masjid Dirar itu? Apabila dibina sahaja masjid itu, memang tunggu masa sahaja untuk runtuh dan masuk neraka. جُرُفٍ هارٍ bermaksud jurang yang tidak stabil, tunggu masa sahaja nak jatuh.

Ada muqaddar dalam ayat ini (tidak dilafazkan dalam ayat). Maksud penuh ayat ini, Allah nak beritahu, apakah binaan orang yang asaskan binaannya atas sifat taqwa dan redha Allah, adakah itu lebih baik atau orang yang mengasaskan binaan masjidnya atas tepi jurang yang condong, yang akan jatuh dan rebah bila-bila masa. Kalau nak bina rumah di tempat macam itu pun kita tidak berani, bukan?

 

فَانهارَ بِهِ في نارِ جَهَنَّمَ

lalu bangunannya itu jatuh bersama-sama dengan dia ke dalam neraka Jahannam?

Lalu binaan itu akan menjatuhkan dia, apabila dia mati sahaja, akan terus masuk ke dalam neraka jahannam.

Ibnu Juraij mengatakan, telah diceritakan kepada kami bahawa pernah ada sejumlah kaum laki-laki membuat galian, dan mereka menjumpai sumber asap yang keluar darinya.

Hal yang sama telah dikatakan oleh Qatadah. Khalaf ibnu Yasin Al-Kufi mengatakan bahawa dia melihat masjid orang-orang munafik yang disebutkan oleh Allah di dalam Al-Qur’an, di dalamnya terdapat sebuah liang yang mengeluarkan asap. Di zaman sekarang tempat itu menjadi tempat pembuangan sampah. Demikianlah menurut apa yang telah diriwayatkan oleh Ibnu Jarir rahimahullah.

 

وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الظّالِمينَ

Dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada orang-orang yang zalim.

Puak munafik itu tidak akan mendapat hidayah dari Allah kerana mereka itu zalim. Mereka tidak mahu menerima Islam dan kerana itu mereka tidak diberi hidayah oleh Allah.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 2 Mac 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah Tawbah Ayat 102 – 106 (Golongan Mukmin yang kena pulau)

Ayat 102: Setelah Allah menjelaskan keadaan orang-orang munafik yang tidak ikut berperang kerana tidak suka berjihad, dan mendustakan serta meragu­kannya, maka Allah menerangkan tentang keadaan orang-orang yang berdosa, iaitu mereka yang tidak ikut berjihad kerana malas dan cenderung kepada keadaan yang santai, padahal mereka beriman dan membenarkan perkara yang hak.

وَآخَرونَ اعتَرَفوا بِذُنوبِهِم خَلَطوا عَمَلًا صالِحًا وَآخَرَ سَيِّئًا عَسَى اللَّهُ أَن يَتوبَ عَلَيهِم ۚ إِنَّ اللَّهَ غَفورٌ رَحيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [there are] others who have acknowledged their sins. They had mixed [i.e., polluted] a righteous deed with another that was bad.¹ Perhaps Allāh will turn to them in forgiveness. Indeed, Allāh is Forgiving and Merciful.

  • This refers to their having previously taken part in jihād but having abstained on the occasion of Tabūk.

(MALAY)

Dan (ada pula) orang-orang lain yang mengakui dosa-dosa mereka, mereka mencampurbaurkan amalan yang baik dengan amalan lain yang buruk. Mudah-mudahan Allah menerima taubat mereka. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi maha Penyayang.

 

وَآخَرونَ اعتَرَفوا بِذُنوبِهِم

Dan (ada pula) orang-orang lain yang mengakui dosa-dosa mereka,

Golongan mukmin juga ada dua golongan: ada orang mukmin yang pernah buat silap. Ini adalah perkara biasa kerana semua manusia ada buat kesalahan, walaupun orang mukmin pun. Ini adalah kerana kita bukan maksum. Tetapi, orang buat silap yang terbaik adalah sahabat Nabi kerana apabila mereka melakukan kesalahan, mereka terus minta maaf.

Mereka mengaku yang mereka ada buat salah dan terus minta ampun. Ada sahabat yang bernama Abu Lubabah yang tidak pergi berjihad di Tabuk, tapi apabila para sahabat pulang dari Tabuk, dia terus masuk masjid dan terus tambat diri dia ke tiang. Dia kata kalau Allah tak ampunkan dia, dia akan tetap di situ sampai dia mati kering di situ. Dia telah berdoa kepada Allah dengan mengaku yang dia telah buat salah. Akhirnya Allah telah maafkan.

Akan tetapi ada golongan kedua yang tidak buat apa. Mereka tetap jumpa Nabi dan mengaku salah kerana telah menangguh untuk pergi jihad sampaikan tidak sempat nak bersedia dan akhirnya tidak dapat pergi jihad. Nabi kata, tunggulah apa keputusan Allah.

Selepas itu, Allah turunkan wahyu memberitahu umat Islam kena pulau mereka itu, jangan tegur mereka langsung. Perkara itu berlangsung selama 40 hari dan kemudian ditambah 10 hari lagi. Mereka kena dipisahkan dari masyarakat lain termasuk dengan isteri pun kena pisah dari tempat tidur.

Selepas seksaan batin itu, barulah Allah zahirkan kemaafan kepada mereka. Mereka juga tidak sorok kesalahan diri mereka, mereka terus terang mengaku dan akhirnya berjaya juga mendapat keampunan.

 

خَلَطوا عَمَلًا صالِحًا وَآخَرَ سَيِّئًا

mereka mencampurbaurkan amalan yang baik dengan amalan lain yang buruk.

Mereka ini walaupun mereka telah buat kesalahan kerana tidak pergi berjihad ke Tabuk, tapi mereka itu bukanlah munafik. Mereka cuma lalai dan leka sahaja. Mereka telah campur amalan baik dan ada yang tidak baik. Yang dimaksudkan amalan tidak baik dalam ayat ini adalah tidak pergi Perang Tabuk.

Ibnu Abbas telah mengatakan sehubungan dengan firman-Nya: dan (ada pula) orang-orang lain. (At-Taubah: 102) Menurutnya ayat ini diturunkan berkenaan dengan Abu Lubabah dan sejumlah orang dari kalangan teman-temannya yang tidak ikut perang dengan Rasulullah Saw. dalam Perang Tabuk.

Menurut sebahagian ulama, mereka terdiri atas Abu Lubabah dan lima orang temannya. Sedangkan pendapat yang lainnya lagi mengatakan tujuh orang bersama Abu Lubabah, dan menurut yang lainnya lagi adalah sembilan orang bersama Abu Lubabah.

Ketika Rasulullah Saw. kembali dari perangnya, mereka meng­ikat diri ke tiang-tiang masjid dan bersumpah bahawa tidak boleh ada orang yang melepaskan mereka kecuali Rasulullah Saw. sendiri. Ketika Allah Swt. menurunkan ayat ini, iaitu firman-Nya: Dan (ada pula) orang-orang lain yang mengakui dosa-dosa mereka. (At-Taubah: 102) Maka Rasulullah Saw. melepaskan ikatan mereka dan memaafkan mereka.

Maksudnya, mereka mengakui dosa-dosa yang mereka lakukan terhadap Tuhan, tetapi mereka mempunyai amal perbuatan lain yang saleh. Mereka mencampurbaurkan amal yang baik dan yang buruk. Mereka adalah orang-orang yang masih berada di bawah pemaafan dan pengam­punan Allah Swt.

Ayat ini sekalipun diturunkan berkenaan dengan orang-orang ter­tentu, tetapi pengertiannya umum mencakup seluruh orang yang berbuat dosa lagi bergelumang dalam kesalahannya, serta mencampurbaurkan amal baik dan amal buruknya, hingga diri mereka tercemari oleh dosa-dosa.

 

عَسَى اللَّهُ أَن يَتوبَ عَلَيهِم

Mudah-mudahan Allah menerima taubat mereka. 

Allah berfirman, mudah-mudahan Allah akan terima taubat mereka. Maknanya, ada harapan untuk mereka diampunkan. Dan memang mereka akhirnya telah diampunkan kerana keikhlasan mereka.

 

إِنَّ اللَّهَ غَفورٌ رَحيمٌ

Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi maha Penyayang.

Allah sanggup menerima permintaan ampun mereka kerana Dia memang bersifat Maha Pengampun dan amat sayang kepada hambaNya. Allah sayang terutama kepada mereka yang mengaku kesalahan yang telah dilakukan.


 

Ayat 103: Sebelum ini telah ada disebut tentang hukum zakat. Sekarang disebut hikmah zakat pula.

خُذ مِن أَموالِهِم صَدَقَةً تُطَهِّرُهُم وَتُزَكّيهِم بِها وَصَلِّ عَلَيهِم ۖ إِنَّ صَلاتَكَ سَكَنٌ لَهُم ۗ وَاللَّهُ سَميعٌ عَليمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Take, [O Muḥammad], from their wealth a charity by which you purify them and cause them increase, and invoke [Allāh’s blessings] upon them. Indeed, your invocations are reassurance for them. And Allāh is Hearing and Knowing.

(MALAY)

Ambillah zakat dari sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan menyucikan mereka dan doalah untuk mereka. Sesungguhnya doa kamu itu (menjadi) ketenteraman jiwa bagi mereka. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

 

خُذ مِن أَموالِهِم صَدَقَةً

Ambillah zakat dari sebahagian harta mereka,

Nabi Muhammad disuruh mengambil harta zakat dari mereka yang layak untuk mengeluarkan zakat. Dalam hal ini, jangan susahkan sesiapa. Maksudnya, orang yang keluarkan zakat tidak perlu pergi untuk beri zakat dan orang yang sepatutnya menerima zakat, tidak perlu pergi minta zakat.

Oleh itu, kena dilantik orang yang tahu siapa yang kaya dan siapa yang miskin. Dengan cara begini, orang itu tahu dengan siapa yang dia patut ambil zakat dan siapa yang dia patut bahagikan zakat itu. Inilah cara zaman Nabi dan sahabat.

Dan tugas ini perlu diteruskan oleh khalifah atau pemerintah Islam. Pemerintah kena lantik amil untuk periksa dan ambil zakat dari orang kaya dan beri kepada orang miskin. Oleh itu, orang kaya dan miskin tidak perlu susah nak pergi bayar dan kena ambil zakat. Semua dilakukan oleh amil yang dilantik untuk ambil dan beri.

Zaman sekarang sahaja tidak ada amalan ini kerana ilmu dalaman yang lemah. Orang kita termasuk yang menguruskan zakat tidak belajar pun dan kerana itu tidak tahu perkara ini. Mereka nak belajar pun lemah, sedangkan bukan susah pun.

Allah Swt. memerintahkan Rasul-Nya untuk mengambil zakat dari harta mereka untuk membersihkan dan menyucikan mereka melalui zakat itu. Pengertian ayat ini umum, sekalipun sebahagian ulama mengembalikan dhomir yang terdapat pada lafaz amwalihim kepada orang-orang yang mengakui dosa-dosa mereka dan yang mencampurbaurkan amal soleh dengan amal buruknya.

Maka literal ayat ini Nabi yang mengambil bahagian zakat itu dari orang kaya. Kerana itulah ada sebahagian orang yang enggan membayar zakat dari kalangan orang-orang Arab Badwi (selepas kewafatan baginda) kerana mereka kata, pembayaran zakat bukanlah kepada imam, dan hanya khusus bagi Rasulullah Saw. Mereka berhujah dengan firman Allah Swt. yang mengatakan:

خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً

Ambillah zakat dari sebahagian harta mereka. (At-Taubah: 103), hingga akhir ayat

Mereka kata kalimah خُذْ itu hanya dikhususkan kepada Rasulullah sahaja, jadi apabila Rasulullah sudah tiada, mereka kata tidak perlu bayar zakat lagi kepada khalifah. Pemahaman dan takwil yang salah ini dijawab dengan tegas oleh Khalifah Abu Bakar As-Siddiq dan sahabat lainnya dengan memerangi mereka, hingga mereka mahu membayar zakat kepada khalifah.

 

تُطَهِّرُهُم

dengan zakat itu kamu membersihkan

Ini adalah hikmah yang pertama untuk mengeluarkan zakat. Zakat itu untuk membersihkan mereka dalam kehidupan harta. Iaitu membersihkan harta dari perkara-perkara gharar. Kerana kalau tak ambil zakat itu, harta jadi cemar dan akan menyebabkan susah di akhirat.

Sebagai contoh, katakanlah kita berniaga makanan. Kadang-kadang kita buat silap, buat air minuman tapi lupa letak gula. Maka pelanggan itu tidak jadi minum. Tapi dia bayar juga harga minuman itu. Jadi itu sudah termasuk dalam harta yang gharar; atau kita kerja, tapi ada masa kita tidak bekerja mungkin bersembang atau sibuk dengan perkara lain yang bukan perkara kerja, tapi kita tetap dibayar gaji penuh. Maka harta sebegini perlulah dibersihkan.

 

وَتُزَكّيهِم بِها

dan menyucikan mereka

Ini adalah hikmah zakat yang kedua. Dengan pemberian zakat itu, dapat menyucikan hati mereka dari sifat-sifat yang tidak baik – tidak kasihan belas kepada orang; zalim (kerana simpan harta yang hak orang miskin) dan sebagainya;

Jadi kena beritahu kepada manusia kepentingan zakat itu. Kerana ia dapat membersihkan harta kita dan membersihkan hati kita juga. Maka ini menjadi hikmah untuk memberi motivasi kepada mereka yang layak mengeluarkan zakat.

 

وَصَلِّ عَلَيهِم

dan doalah untuk mereka. 

Ini adalah hikmah yang ketiga. Orang yang mengeluarkan zakat akan m endapat doa dari Rasulullah. Oleh itu apabila ambil zakat dari pengeluar zakat, doakanlah untuk mereka.

Imam Muslim di dalam kitab Sahih-nya telah meriwayatkan melalui Abdullah ibnu Abu Aufa yang mengatakan bahawa Nabi Saw. apabila menerima zakat dari suatu kaum, maka baginda berdoa untuk mereka. Lalu datanglah ayahku (perawi) dengan membawa zakatnya, maka Rasulullah Saw. berdoa:

“اللَّهُمَّ صَل عَلَى آلِ أَبِي أَوْفَى”

Ya Allah, limpahkanlah rahmat kepada keluarga Abu Aufa.

 

إِنَّ صَلاتَكَ سَكَنٌ لَهُم

Sesungguhnya doa kamu itu (menjadi) ketenteraman jiwa bagi mereka.

Doa itu penting kerana doa baginda itu menteramkan hati mereka. Ini adalah kerana mereka tahu yang doa Nabi memang makbul.

Kalau zaman sekarang, Nabi tidak doakan untuk pemberi zakat lagi. Tapi masih lagi pemberi zakat menerima doa mereka yang menerima zakat itu. Orang yang terima zakat pun kena buat begitu juga: doa kelebihan kepada orang yang beri zakat. Janganlah pakai terima sahaja dan makan sahaja harta itu. Ingatlah kepada orang yang memberikan.

 

وَاللَّهُ سَميعٌ عَليمٌ

Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Allah maha mendengar rintihan hati manusia yang memerlukan; Allah maha mendengar doa hambaNya; dan Allah maha mengetahui apa yang diperlukan oleh hambaNya.


 

Ayat 104:

أَلَم يَعلَموا أَنَّ اللَّهَ هُوَ يَقبَلُ التَّوبَةَ عَن عِبادِهِ وَيَأخُذُ الصَّدَقاتِ وَأَنَّ اللَّهَ هُوَ التَّوّابُ الرَّحيمُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Do they not know that it is Allāh who accepts repentance from His servants and receives charities and that it is Allāh who is the Accepting of repentance, the Merciful?

(MALAY)

Tidaklah mereka mengetahui, bahawasanya Allah menerima taubat dari hamba-hamba-Nya dan menerima zakat dan bahawasanya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang?

 

أَلَم يَعلَموا أَنَّ اللَّهَ هُوَ يَقبَلُ التَّوبَةَ عَن عِبادِهِ

Tidaklah mereka mengetahui, bahawasanya Allah menerima taubat dari hamba-hamba-Nya

Kita kena tahu yang Allah sanggup untuk terima taubat kita asalkan kita minta ampun kepada Allah dengan ikhlas. Kita yang kena bertaubat sendiri dan bukan suruh orang lain yang doakan. Jangan jadi macam puak Kristian yang mengadu kepada paderi mereka untuk ampunkan dosa mereka. Kalau umat Islam pun jadi begitu tentu telah sesat sungguh. Kita yang ada Qur’an ini janganlah jadi bodoh macam mereka. Dalam ayat ini Allah beritahu yang taubat itu untuk orang yang bersalah dan Allah sahaja yang boleh ampun dosa hamba.

Dalam ayat sebelum ini, telah disebut tentang doa dari Rasulullah dan kemudian sekarang disebut tentang doa untuk meminta ampun. Allah beritahu yang Dia menerima taubat dari hambaNya. Maknanya, hamba itu yang kena doa sendiri. Jangan berharap kepada doa dan syafaat dari Rasulullah, tapi kenalah doa sendiri untuk minta ampun.

Jangan tunggu di akhirat nanti untuk dapat syafaat Nabi, tapi mohonlah ampun kepada Allah semasa di dunia lagi supaya di dunia lagi sudah bersih kita dari dosa. Kenapa nak harapkan syafaat kerana syafaat Nabi itu diberi kepada mereka yang telah masuk ke dalam neraka. Takkan kita nak masuk ke dalam neraka dahulu?

Allah beri soalan retorik: tidakkah mereka tahu bahawasanya Allah sahaja yang boleh terima taubat dari sekalian hamba? Ini hendak menekankan yang selain Allah tidak boleh terima taubat. Tidak kira sama ada Nabi Isa, tok guru, sesiapa sahaja pun, tidak boleh mengampunkan dosa orang. Yang buat salah itulah yang kena bertaubat sendiri.

Dan kita pun tahu yang kita ini selalu buat dosa, tidak sunyi dari buat dosa, maka kenalah selalu minta ampun, istighfar.

 

وَيَأخُذُ الصَّدَقاتِ

dan menerima sedekah 

Dan Allah akan terima sedekah dan memberi balasan dengan pahala yang amat banyak. Kalau kita infak harta kita kepada jalan Allah, Allah akan terima dan Allah akan balas dengan beri balasan pahala yang banyak.

As-Sauri dan Al-A’masy telah meriwayatkan dari Abdullah ibnus Saib, dari Abdullah ibnu Abu Qatadah yang mengatakan bahawa Abdullah ibnu Mas’ud r.a. pernah berkata, “Sesungguhnya sedekah itu diterima di tangan Allah Swt. sebelum sedekah itu diterima oleh tangan peminta.” Kemudian Ibnu Mas’ud membacakan firman-Nya: Tidakkah mereka mengetahui bahawasanya Allah menerima taubat dari hamba-hamba-Nya dan menerima zakat. (At-Taubah: 104)

 

وَأَنَّ اللَّهَ هُوَ التَّوّابُ الرَّحيمُ

dan bahawasanya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang?

Allah suka terima taubat dari mereka yang bertaubat. Kita kena sedar tentang perkara ini dan semoga kita selalu bertaubat kepada Allah. Berharaplah yang Allah akan terima taubat kita kerana mereka yang diterima taubat tidak diazab lagi di akhirat.


 

Ayat 105:

وَقُلِ اعمَلوا فَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُم وَرَسولُهُ وَالمُؤمِنونَ ۖ وَسَتُرَدّونَ إِلىٰ عالِمِ الغَيبِ وَالشَّهادَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِما كُنتُم تَعمَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And say, “Do [as you will], for Allāh will see your deeds, and [so will] His Messenger and the believers. And you will be returned to the Knower of the unseen and the witnessed, and He will inform you of what you used to do.”

(MALAY)

Dan katakanlah: “Bekerjalah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang mukmin akan melihat pekerjaanmu itu, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan.

 

وَقُلِ اعمَلوا

Dan katakanlah: “Bekerjalah kamu,

Dan kamu semua buatlah amalan atas dunia ini. ‘Kerja’ itu maksudnya amal-amal yang baik. Maka buatlah amalan kebaikan mulai sekarang. Terutama mereka yang tidak pergi ke Tabuk itu hari. Buatlah amal dengan bersungguh-sungguh.

 

فَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُم

maka Allah akan melihat pekerjaanmu itu,

Allah akan tengok amalan kamu untuk dihukum nanti sama ada diterima atau tidak, bagus atau tidak.

 

وَرَسولُهُ وَالمُؤمِنونَ

Rasul-Nya serta orang-orang mukmin

Rasul juga akan tengok amalan kamu. Baginda akan tengok untuk menilai sama ada itu amalan mukmin atau tidak.

Para mukmin lain pun akan tengok. Mereka akan tengok untuk tahu adakah ada alamat mukmin pada kamu atau tidak.

 

وَسَتُرَدّونَ إِلىٰ عالِمِ الغَيبِ وَالشَّهادَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِما كُنتُم تَعمَلونَ

dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan.

Dan akhirnya kamu akan dihadapkan kepada Allah yang tahu perkara ghaib dan yang nyata. Dan akan diceritakan balik segala amalan kita, kecil dan besar untuk diberi markah dan dibalas sama ada dengan syurga atau neraka.


 

Ayat 106:

وَآخَرونَ مُرجَونَ لِأَمرِ اللَّهِ إِمّا يُعَذِّبُهُم وَإِمّا يَتوبُ عَلَيهِم ۗ وَاللَّهُ عَليمٌ حَكيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [there are] others deferred until the command of Allāh – whether He will punish them or whether He will forgive them. And Allāh is Knowing and Wise.

(MALAY)

Dan ada (pula) orang-orang lain yang ditangguhkan sampai ada keputusan Allah; sama ada Allah akan mengazab mereka dan sama ada Allah akan menerima taubat mereka. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

 

وَآخَرونَ مُرجَونَ لِأَمرِ اللَّهِ

Dan ada (pula) orang-orang lain yang ditangguhkan sampai ada keputusan Allah; 

Ada pula golongan mukmin yang ketiga yang dilambatkan sedikit pengampunan kepada mereka. Ini lain dengan kumpulan Abu Lubabah yang cepat diterima taubat mereka. Abu Lubabah yang terus mengikat dirinya di tiang masjid itu, Rasulullah terus buka tali beliau. Ini adalah kerana dia spontan beritahu kesalahan dia.

Ada tiga lagi sahabat yang tidak pergi jihad – salah seorangnya adalah Kaab bin Malik. Pengampunan kepada beliau ditangguhkan sehingga keputusan Allah diterima. 50 hari pengampunannya ditangguh. Sepanjang waktu itu, beliau kena pulau oleh umat Islam yang lain. Kalau dia beri salam pun mereka tidak boleh dijawab. Sampaikan mereka rasa macam duduk negeri lain.

Waktu itu memang mereka sedih sangat. Sehinggakan kalau mereka tegur Nabi dan beri salam, Nabi tak layan, tak jawab pun salam mereka. Dia cuma boleh jeling sahaja kepada Nabi dan nampak Nabi juga jeling kepadanya. Mereka dipulaukan kerana tidak seperjuangan dengan umat Mukmin yang lain.

Dan pemulauan itu kerana Allah hendak mengajar orang lain, jihad dan infak ini bukan perkara biasa, kalau tidak pergi apabila diwajibkan, ianya akan ada kesan. Mereka terus dipulau sampaikan ada orang Kristian ajak mereka masuk agama Kristian dan ikut mereka (kerana mereka kata umat Islam sudah tinggalkan mereka). Memang Allah tangguhkan taubat mereka tapi Allah terima juga kerana mereka jujur. Tentunya mereka tidak meninggalkan agama Islam.

Ibnu Abbas, Mujahid, Ikrimah, Ad-Dahhak, dan lain-lainnya yang bukan hanya seorang mengatakan bahawa mereka adalah tiga orang yang tidak ikut berperang. Dengan kata lain, mereka ditangguhkan dari diterima taubat. Mereka adalah Mararah ibnur Rabi’, Ka’b ibnu Malik, dan Hilal ibnu Umayyah. Mereka duduk —tidak ikut berperang dalam Perang Tabuk— bersama orang-orang lainnya yang duduk kerana malas dan cenderung kepada kehidupan yang tenang, santai, dan bermalas-malasan di bawah naungan pohon-pohon kurma yang berbuah.

 

إِمّا يُعَذِّبُهُم وَإِمّا يَتوبُ عَلَيهِم

sama ada Allah akan mengazab mereka dan samada Allah akan menerima taubat mereka.

Sama ada Allah akan seksa mereka kerana tidak sertai jihad atau tidak. Mereka dikenakan dengan balasan itu kerana tidak sertai Perang Tabuk sahaja, sedangkan perang-perang sebelum ini, mereka telah sertai. Maknanya bukanlah mereka itu jenis tidak pergi berjihad.

Dan boleh jadi Allah terima taubat mereka kerana mereka ikhlas. Memang mereka telah bersalah tapi mungkin Allah terima taubat mereka kerana mereka telah mengaku sunguh-sungguh. Akan tetapi, rahmat Allah mengalahkan murka-Nya.

 

وَاللَّهُ عَليمٌ حَكيمٌ

Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

Ilmu Allah luas dan Allah maha bijaksana, tahu mengurus hambaNya. Allah tahu hati-hati hambaNya. Keputusan yang Allah lakukan amat bijak.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 2 Mac 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

 

Tafsir Surah Tawbah Ayat 100 – 101 (Balasan kepada munafik)

Ayat 100:

وَالسّابِقونَ الأَوَّلونَ مِنَ المُهاجِرينَ وَالأَنصارِ وَالَّذينَ اتَّبَعوهُم بِإِحسانٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنهُم وَرَضوا عَنهُ وَأَعَدَّ لَهُم جَنّاتٍ تَجري تَحتَهَا الأَنهارُ خالِدينَ فيها أَبَدًا ۚ ذٰلِكَ الفَوزُ العَظيمُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the first forerunners [in the faith] among the Muhājireen¹ and the Anṣār² and those who followed them with good conduct – Allāh is pleased with them and they are pleased with Him, and He has prepared for them gardens beneath which rivers flow, wherein they will abide forever. That is the great attainment.

  • Those who emigrated from Makkah and settled in Madīnah for the cause of Islām.
  • The inhabitants of Madīnah who had accepted Islām and assisted the Prophet () and other emigrants upon their arrival there. that was bad.

(MALAY)

Orang-orang yang terdahulu lagi yang pertama-tama (masuk Islam) dari golongan Muhajirin dan Ansar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah redha kepada mereka dan mereka pun redha kepada Allah dan Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya selama-lamanya. Mereka kekal di dalamnya. Itulah kemenangan yang besar.

 

وَالسّابِقونَ الأَوَّلونَ مِنَ المُهاجِرينَ وَالأَنصارِ

Orang-orang yang terdahulu lagi yang pertama-tama (masuk Islam) dari golongan Muhajirin dan Ansar

Sekarang Allah memperkatakan tentang orang Mukmin pula. Mereka ada tiga golongan.

Ada yang paling hebat yang tidak dipertikaikan lagi, iaitu golongan yang mula-mula menjadi anak murid Nabi (السّابِقونَ). Golongan pertama adalah dari Mekah dan golongan kedua adalah dari Madinah. Merekalah yang mula-mula masuk Islam dari kalangan Muhajirin dan mula-mula masuk Islam dari Ansar. Waktu itu orang lain tidak masuk Islam lagi, merekalah yang mula-mula masuk. Mereka itu betul-betul hendak mendekatkan diri mereka kepada Allah. Mereka itu yang mula belajar Qur’an, tauhid, beriman dengan Nabi, sebelum orang lain lagi.

Allah tidak sebut ‘orang Mekah’ dan ‘orang Madinah’ sebaliknya menggunakan gelaran Muhajirin dan Ansar. Ini adalah kerana kelebihan mereka itu bukan terletak pada tempat asal mereka. Memang bukan tempat yang penting, tapi hebatnya mereka adalah kerana sifat mereka. Kerana sifat mereka itulah yang meninggikan kedudukan mereka di sisi Allah.

Satu pihak (iaitu Muhajirin) mereka sanggup berhijrah ke Madinah kerana menjaga agama mereka dan satu pihak pula (Ansar) sanggup menerima dan membantu golongan yang berhijrah itu. Mereka tegakkan tauhid supaya orang lain pun kenal Allah juga. Mereka adalah orang yang terawal dalam kalangan masyarakat mereka. Mereka mengambil langkah untuk beriman dan tidak takut dengan kesan dari tindakan mereka itu.

Kita juga kadang-kadang boleh berada dalam pihak ini juga. Kerana kadang-kadang dalam kampung kita, dalam keluarga kita, kitalah yang mula-mula sekali mengambil jalan Sunnah. Orang lain pandang serong sahaja tapi kita yang buka hati kita untuk menerima jalan sunnah ini.

Ada yang kata kita sesat, ada yang kata kita Wahabi. Tapi kita tidak kisah sangat, walaupun sakit hati juga. Tapi kita tetap dengan pendirian kita berpegang kepada tauhid dan Sunnah, tidak kira apa orang kata.

 

وَالَّذينَ اتَّبَعوهُم بِإِحسانٍ

dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik,

Golongan yang ketiga adalah golongan yang mengikuti dua golongan yang telah disebut tadi. Macam kita, tidak ada peluang lagi untuk berhijrah dari Mekah ke Madinah dan tidak berpeluang menjadi mereka yang membantu golongan Muhajirin itu. Itu adalah kelebihan mereka yang tidak akan ada lagi.

Akan tetapi, kita masih lagi boleh termasuk dalam golongan yang ketiga ini. Kita boleh menjadi golongan yang ikut mereka kerana masa telah berlalu. Para sahabat yang awal sudah menjadi tokoh yang kita patut ikuti. Mereka telah menyempurnakan janji Allah. Dan zaman kita ini ada yang mengikut dan ada yang tidak.

Syarat untuk menjadi golongan ini adalah boleh ikut kehendak iman dan ikut cara sahabat dengan tepat dan ikhlas (بِإِحسانٍ). Iaitu kita belajar bagaimana mereka mengamalkan agama dan kita ikuti, janganlah tambah-tambah pula.

Malangnya, masyarakat kita banyak yang tambah-tambah. Macam tidak cukup pula amalan para sahabat itu, sampai rajin sangat nak buat yang baru. Itulah amalan-amalan bidaah yang masih bertambah dari masa ke semasa, sebab masyarakat kita ‘terlebih pandai’ dalam buat rekaan hal agama. Kalau mereka yang mengamalkan bidaah ini tidak termasuk dalam golongan ketiga ini.

 

رَضِيَ اللَّهُ عَنهُم وَرَضوا عَنهُ

Allah redha kepada mereka dan mereka pun redha kepada Allah

Allah beritahu yang Dia redha kepada ketiga-tiga golongan ini. Tapi kalau nak jadi golongan ketiga, kenalah ikut cara golongan yang dua itu, barulah Allah redha. Jadi kena ikut mereka dengan tepat dan ikhlas sebagai syarat.

Kita ikut cara mereka kerana mereka sendiri ikut Nabi. Ini adalah kerana mereka yang tahu bagaimana nak ikut Nabi, kerana mereka duduk dengan Nabi dan belajar terus dengan baginda. Oleh itu, kalau sahabat Nabi tidak buat sesuatu amalan ibadat, kita jangan buat.

Mengikuti cara sahabat yang terawal adalah cara paling mudah untuk tahu bagaimana nak amal agama. Ingatlah sabda Nabi yang kata golongan umat Islam akan terpecah kepada 73 kumpulan. Kita kena berhati-hati supaya kita termasuk dalam golongan ‘firqah najiah’ (golongan yang selamat). Bila sahabat dengar sabda Nabi itu, sahabat tanya siapakah ‘firqah najiah’ itu.

Lihatlah sahabat waktu itu tak tanya siapa yang tak selamat, siapa golongan yang 72 lagi itu. Mereka tanya yang siapa yang selamat sahaja, sebab tak perlu tahu pun golongan sesat pun, buang masa. Golongan sesat itu jangan buat sahaja. Lihatlah bagaimana sahabat itu bijak, tak tanya benda tak patut. Tapi orang kita, nak tahu sangat siapakah golongan 72 itu, siap kira dan buat kajian pula.

Nabi jawab: mereka yang selamat itu adalah yang ikut baginda dan ikut sahabat baginda. Itulah yang digelar: ahli sunnah wal jamaah. Kalimah ‘jamaah’ itu maksudnya ‘sahabat Nabi’. Akan tetapi, ramai yang silap faham tentang gelaran ini. Mereka sangka mereka Ahli Sunnah wal Jamaah tapi mereka tak amal pun amalan para sahabat, malah mereka banyak tambah.

Mereka pun buatlah nama golongan baru – ASWAJA. Dan ramai pula kata mereka aswaja tapi amalan mereka punah. Yang kata mereka aswaja itu adalah dengan lidah mereka sahaja. Sesiapa pun boleh mengaku sedangkan mereka itu ahli bidaah. Amalan mereka bukan amalan sunnah dan bukan ikut amalan para sahabat.

Kita ikut Nabi atas dasar syariat dan sahabat itu kita ikut atas dasar mencari cara yang benar untuk ikut syariat. Kita cuba pakai yang setepat mungkin. Kerana itu kalau sahabat ada perselisihan antara mereka, kita tidak ikut kerana itu tanda yang itu adalah amalan yang tidak dipersetujui. Kita cuba tidak ikut kecuali kalau menepati dalil.

Akan tetapi dalam mazhab, mereka ikut sesetengah pendapat sahaja. Ini kerana sahabat pun ada khilaf antara mereka. Tapi ini masih lagi dipanggil ikhtilaf mahmud (perselisihan terpuji) dan masih boleh diikuti lagi. Bandingkan dengan ‘ikhtilaf mazmum’ (selisih yang keji) adalah khilaf yang datang bukan dari sahabat Nabi.

Contoh ikhtilaf mahmud: isu sentuh perempuan, sama ada batal wuduk atau tidak. Yang kata batal wuduk adalah pendapat Abdullah Mas’ud. Sedangkan Mazhab Hanafi berpendapat tidak batal kerana mereka pegang pendapat Abdullah ibn Abbas. Kalau perbezaan sebegini dikira tidak ada masalah kerana sahabat yang berselisih. Maka boleh pilih salah satu dari pendapat itu.

Tapi kalau langsung sahabat tidak ada beri pendapat, itu ikhtilaf mazmum. Banyak amalan bidaah sekarang tidak ada punca dari para sahabat. Ini adalah masalah yang besar dalam kalangan masyarakat kita. Dan puncanya adalah kerana tidak mengaji agama dengan benar.

Bila tidak belajar, mereka akan buat kesalahan besar, sampaikan ada yang kata Imam Syafie sebut begini dan begitu, tapi sebenarnya beliau tidak sebut pun. Kalau buat begini, ini adalah satu kezaliman. Ramai sangat yang jahil sampaikan benda yang bukan dari agama tapi mereka kata ianya adalah dari agama. Mereka telah berbohong atas agama dan anda rasa orang bohong macam ini akan selamat?

Nabi pernah berkata yang akan di ada akhir zaman nanti, ada orang Islam yang cela sahabat. Tapi adakah yang cela sahabat? Memang ada, iaitu golongan Syiah. Mereka itu memang sudah jelas sesat, tapi bukan mereka yang dimaksudkan. Memang ada orang Islam yang bukan Syiah tapi masih ada lagi yang tolak apa yang sahabat lakukan dan fahami. Apabila mereka tidak ikut amalan para sahabat, itu seolah-olah mereka nak kata amalan sahabat tidak benar dan secara tidak langsung, mereka cela sahabat.

Ini terjadi apabila mereka amalkan amalan yang lain dari amalan sahabat dan bila kita tegur, kita kata mereka cela sahabat, mereka kata mereka tidak cela sahabat pun. Akan tetapi apabila mereka cela golongan yang nak ikut sahabat, iaitu golongan yang mahu ikut sunnah, mereka sebenarnya sudah cela sahabat. Kita yang nak ikut sunnah ini dikatakan macam-macam, puak sesat lah, puak Wahabi lah dan macam-macam lagi.

Oleh itu, jangan lagi buat perkara yang Nabi dan sahabat tak ajar – ini dinamakan Sunnah Tarku – iaitu tinggalkan apa yang tidak dilakukan oleh golongan sahabat. Jangan jadi golongan ahli bidaah: mereka tidak tinggalkan, tapi mereka buat benda yang tidak ada dalam Sunnah.

Jadi ayat ini tentang saranan kepada kita untuk ikut sahabat. Kita akan mendapat redha Allah kalau kita boleh ikut.

Tapi bagaimana dengan banyaknya pendapat sekarang ini? Ada yang kata ini haram tapi ada juga yang kata ini halal. Imam Syaukani kata taklid (ikut sahaja) tidak boleh dalam agama. Maknanya, kena tahu dalil dalam apa perkara agama pun. Taklid adalah haram pada pendapat beliau. Akan tetapi, kita tak boleh buat hukum sendiri, kerana kalau nak buat hukum sendiri, kena tahu usul feqah.

Dan sudah pasti kita tidak tahu usul feqah kerana ianya adalah ilmu paling rumit dalam dunia. Jadi jangan memandai kata sesuatu perkara itu dapat pahala kalau buat, kalau tidak ada imam yang kata memang ianya ada dalam agama. Jangan kita ikut hawa nafsu. Lalu kita seolah-olah taklid juga kepada pendapat orang lain, bukan?

Maknanya, kita kena tahu apakah dalil yang mereka ambil sebagai hujah mereka. Jangan taklid buta sahaja, tapi kena tahu apakah dalil yang mereka gunakan untuk sampai kepada satu-satu keputusan. Itulah jalan dan cara yang selamat. Tapi untuk jadi begini, kena belajar sampai boleh jadi ustaz. Tapi bukanlah belajar untuk jadi ustaz, tapi belajar sampai boleh jadi ustaz. Maksudnya, belajar sampai boleh faham agama.

Jangan terus terima pendapat orang lain sahaja tanpa periksa apakah hujah yang digunakan. Maknanya, kena luangkan masa untuk belajar. Kita kena ingat bahawa orang jahil tidak akan masuk syurga. Sebab itu kena belajar sampai kita jelas tentang agama. Kalau kita tidak belajar, tentu syaitan akan ambil peluang untuk menipu kita dalam hal agama.

Sedarlah, kalau hadis Nabi itu tidak ada campur tangan sahabat yang mengamalkan atau tidak mengamalkan, kita tidak akan tahu. Allah kekalkan cara amalan mereka dalam kitab-kitab yang kita boleh jadikan sebagai ikutan kita dan sebagai neraca kehidupan kita. Sama ada boleh buat atau tidak sahaja setelah kita tahu. Kerana setelah kita belajar, banyaklah yang sudah tahu, tapi masih ada lagi yang tak boleh nak buat lagi, kerana mungkin tak mampu, atau keadaan tidak mengizinkan.

Maka kita kena doa kepada Allah untuk beri taufik kepada kita supaya beri kekuatan kepada kita untuk buat amal yang baik. Dan minta ampun siap-siap kalau tidak mampu buat lagi. Inilah sahaja harapan kita. Kalau sudah buat macam ini, barulah boleh ada harapan, tidaklah berharap masuk syurga dengan harapan kosong sahaja.

Jangan kita termasuk jenis orang yang hendak masuk syurga, tapi tak buat apa-apa pun lagi. Syurga Allah itu mahal dan kerana itu kena ada usaha. Kalau sudah berusaha, barulah bagus, daripada setakat kata ‘tidak tahu’ dan tidak buat apa-apa pun. Jangan baru nak minta maaf semasa di akhirat nanti, kerana Allah sudah siap-siap beritahu yang tidak akan dimaafkan dan tidak akan dikembalikan ke dunia untuk buat sekali lagi.

Dan satu lagi syarat adalah mereka redha dengan Allah. Pertamanya mereka redha Allah sebagai Tuhan mereka. Kemudian mereka redha apa yang Allah nak buat dengan mereka. Mereka tidak mengeluh kerana mereka tahu Allah itu Tuhan dan kita ini hambaNya sahaja. Kalau hamba, kena redha sahaja dengan apa yang tuan nak buat kepada hambanya.

 

وَأَعَدَّ لَهُم جَنّاتٍ تَجري تَحتَهَا الأَنهارُ خالِدينَ فيها أَبَدًا

dan Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya selama-lamanya. Mereka kekal di dalamnya.

Natijahnya, bagi mereka yang boleh ada fahaman begitu, Allah akan sediakan syurga untuk mereka. Syurga sudah siap menunggu mereka. Dalam syurga itu ada sungai-sungai memberi isyarat betapa hebatnya syurga itu. Dan sesiapa yang masuk syurga, akan kekal di dalamnya selama-lamanya, kerana itulah nikmat yang sebenar. Kalau masuk sekejap sahaja, tidaklah dikira sebagai nikmat sebenar.

Balaghah: Kenapa di dalam ayat ini Allah tidak letakkan harf من berbanding dengan ayat-ayat lain yang serupa dengannya?

Ayat ini satu-satunya ayat di dalam Qur’an yang tiada من (daripada) di dalam frasa جنات تجري تحتها الأنهار.  Dengan ketiadaan harf من boleh dikatakan sungai-sungai yang mengalir di bawah jannah tersebut TIDAK BERASAL mengalir dari jannah tersebut. Ini bermaksud peringkat jannah tersebut adalah satu lapisan bawah daripada ayat-yang yang menyebut,

جنات تجري من تحتها الأنهار

Bandingkan dengan ayat-ayat yang lain seperti dalam Yunus:9

(إِنَّ ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ یَهۡدِیهِمۡ رَبُّهُم بِإِیمَـٰنِهِمۡۖ تَجۡرِی مِن تَحۡتِهِمُ ٱلۡأَنۡهَـٰرُ فِی جَنَّـٰتِ ٱلنَّعِیمِ)

Ayat dari Surah Taubah ini menyebut golongan sabiqun (golongan yang awal dalam Islam) seperti Muhajirin dan Ansar dan ia tidak termasuk golongan para anbiya dan rasul.

Manakala ayat-ayat yang lain seperti Surah Yunus di atas, golongan ahli jannah tersebut termasuk juga para Nabi dan Rasul. Kedudukan mereka lebih tinggi, maka adalah sesuai ayat tersebut ada huruf من kerana maqam jannah para nabi dan rasul adalah lebih tinggi.

Qur’an sangat tepat penggunaan walaupun satu perkataan, ini membuktikan ia bukan Kalam manusia tapi Kalamullah yang agung.

 

ذٰلِكَ الفَوزُ العَظيمُ

Itulah kemenangan yang besar.

Barulah dikira sebagai kemenangan kalau dapat masuk syurga. Kerana mereka yang dapat masuk syurga adalah mereka yang terlepas dari masuk neraka. Dan terlepas dari neraka adalah nikmat dan kejayaan yang amat-amat besar.


 

Ayat 101:

وَمِمَّن حَولَكُم مِنَ الأَعرابِ مُنافِقونَ ۖ وَمِن أَهلِ المَدينَةِ ۖ مَرَدوا عَلَى النِّفاقِ لا تَعلَمُهُم ۖ نَحنُ نَعلَمُهُم ۚ سَنُعَذِّبُهُم مَرَّتَينِ ثُمَّ يُرَدّونَ إِلىٰ عَذابٍ عَظيمٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And among those around you of the bedouins are hypocrites, and [also] from the people of Madīnah. They have become accustomed to hypocrisy. You, [O Muḥammad], do not know them, [but] We know them. We will punish them twice [in this world]; then they will be returned to a great punishment.

(MALAY)

Di antara orang-orang Arab Badwi yang di sekelilingmu itu, ada orang-orang munafik; dan (juga) di antara penduduk Madinah. Mereka keterlaluan dalam kemunafikannya. Kamu (Muhammad) tidak mengetahui mereka, (tetapi) Kamilah yang mengetahui mereka. Nanti mereka akan Kami seksa dua kali kemudian mereka akan dikembalikan kepada azab yang besar.

 

وَمِمَّن حَولَكُم مِنَ الأَعرابِ مُنافِقونَ

Di antara orang-orang Arab Badwi yang di sekelilingmu itu, ada orang-orang munafik; 

Sebelum ini telah disebut tiga golongan yang baik: Muhajirin, Ansar dan mereka yang mengikuti mereka. Dalam ayat ini pula, Allah memberitahu yang ada pula yang berlawanan dengan golongan sebelum ini. Nabi Muhammad tidak dapat baca hati manusia, maka Allah beritahu baginda tentang perkara ini. Ini golongan yang mulut mereka sahaja yang kata mereka beriman, tapi dalam mereka, mereka tidak beriman sebenarnya. Inilah golongan munafik.

Mereka itu ada dari kalangan orang Arab Badwi itu. Mereka mengaku dengan lidah yang mereka beriman, tapi mereka sebenarnya munafik. Ini adalah mereka yang duduk luar kota Madinah di padang pasir dan mereka duduk di dalam khemah sahaja. Mereka mengaku masuk Islam kerana mereka takut mereka diserang oleh puak Muslim. Maknanya mereka terpaksa masuk Islam.

 

وَمِن أَهلِ المَدينَةِ

dan (juga) di antara penduduk Madinah.

Bukan sahaja ada munafik dari kalangan Arab Badwi, tapi ada juga golongan munafik yang tinggal dalam Kota Madinah. Mereka pun ada yang keras dengan kemunafikan. Mereka itu duduk sekitar dan berdekatan dengan Nabi, solat berjemaah bersama baginda, tapi mereka pun boleh keras dalam kemunafikan juga. Ini lebih teruk lagi kerana kalau duduk luar itu lain, duduk dengan Nabi lain pula.

 

مَرَدوا عَلَى النِّفاقِ

Mereka keterlaluan dalam kemunafikannya. 

Mereka itu bersungguh-sungguh dalam sifat nifaq mereka. Walaupun mereka duduk bersama Nabi, duduk dalam majlis Nabi, dengar ajaran dari Nabi, malah solat berjemaah bersama baginda, tapi mereka tetap tidak lembut hati mereka, tetap keras dalam sifat nifaq.

 

ا تَعلَمُهُم ۖ نَحنُ نَعلَمُهُم

Kamu (Muhammad) tidak mengetahui mereka, (tetapi) Kamilah yang mengetahui mereka. 

Nabi Muhammad tak kenal mereka, tapi Allah kenal mereka. Sebab itu Allah kena beritahu baginda. Bayangkan zaman Nabi pun ada yang kafir duduk dalam majlis Nabi. Jadi kalau zaman kita, tentulah lagi ramai. Kita kena baca dan bandingkan dengan zaman sekarang, kerana Qur’an bukan sebut keadaan dulu sahaja tapi hendaklah kita aplikasikan dalam zaman sekarang. Jadi, kalau ada munafiq zaman Nabi, tentu ada munafik pada zaman ini.

Ini juga menunjukkan yang Nabi Muhammad tidak dapat baca hati manusia, kerana itu baginda tidak tahu siapakah yang munafik. Jadi amat malang kalau ada orang yang menuduh orang lain sebagai munafik. Kerana sifat munafik ini adalah dalam hati, maka kita sebagai manusia tidak tahu. Sedangkan nabi Muhammad sendiri pun tidak tahu, takkanlah kita orang biasa ini pula boleh tahu. Maka berhentilah dari senang sahaja menuduh orang lain munafik.

 

سَنُعَذِّبُهُم مَرَّتَينِ

Nanti mereka akan Kami seksa dua kali

Allah akan azab mereka berkali-kali, sekurang-kurangnya dua kali. Kes pertama kerana mereka kafir dan kes kedua kerana mereka berbohong mengaku orang Islam.

Ini adalah tentang azab di dunia lagi. Maksudnya azab dalam bentuk psikologi dan emosi. Kerana itu mereka tidak tenang duduk dalam dunia. Kelam kabut sahaja dan takut sahaja kalau-kalau rahsia mereka terbongkar. Mereka takut kalau orang tahu apa yang ada dalam hati mereka maka kerana itu mereka cemas sahaja sepanjang masa.

Menurut Ibnu Juraij, yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah azab dunia dan azab kubur, kemudian mereka dikembalikan kepada azab yang lebih besar, iaitu neraka. Menurut Al-Hasan Al-Basri juga yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah azab di dunia dan azab kubur.

Muhammad ibnu Ishaq mengatakan sehubungan dengan makna firman-Nya: Nanti mereka akan Kami seksa dua kali. (At-Taubah: 101) Menurut berita yang sampai kepadanya, makna yang dimaksudkan ialah mereka melihat kemajuan Islam yang sangat pesat yang di luar dugaan mereka, sehingga mengakibatkan mereka mendongkol dan terbakar oleh dendamnya. Kemudian azab yang akan mereka alami di dalam kubur bila mereka telah memasukinya, lalu azab yang besar di dalam neraka yang menjadi tempat tinggal mereka kelak di hari kemudian, mereka kekal di dalamnya.

Sa’id telah meriwayatkan dari Qatadah sehubungan dengan makna firman-Nya: Nanti mereka akan Kami seksa dua kali. (At-Taubah: 101) Yaitu azab di dunia dan azab di alam kubur. kemudian mereka akan dikembalikan kepada azab yang besar. (At-Taubah: 101); Telah diriwayatkan kepada kami bahawa Nabi Saw. telah membisikkan kepada Huzaifah perihal dua belas orang lelaki dari kalangan orang-orang munafik. Lalu Nabi Saw. mengatakan bahawa enam orang di antara mereka telah cukup diseksa oleh Dabilah, iaitu pelita dari api neraka Jahanam yang menyambar belikat salah seorang dari mereka hingga tembus sampai ke dadanya, sedangkan yang enam lainnya telah mendapat sebahagian seksa dalam kematiannya.

 

ثُمَّ يُرَدّونَ إِلىٰ عَذابٍ عَظيمٍ

kemudian mereka akan dikembalikan kepada azab yang besar.

Dan kemudian mereka akan dikembalikan ke akhirat dan akan kena humban ke dalam neraka. Dan dalam neraka, seksaan tidak akan berhenti dan berkurangan. Seksaan di akhirat lebih hebat lagi dan memang layak dikenakan kepada mereka.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 11 Mei 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir