Tafsir Surah an-Nisa Ayat 137 – 140 (Golongan Murtad)

Ayat 137: Ini pula tentang kafir murtad. Selalunya yang menjadi murtad itu adalah kerana mereka bergaul rapat dengan orang kafir. Orang kafir memang kita boleh berurusan muamalah dengan mereka, tetapi tidaklah sampai berkawan rapat.

Maka jangan sampai kita berkawan rapat dengan mereka sampai berminat dengan cara hidup mereka. Kita kenalah berpada-pada apabila berkawan dengan mereka.

إِنَّ الَّذينَ ءآمَنوا ثُمَّ كَفَروا ثُمَّ ءآمَنوا ثُمَّ كَفَروا ثُمَّ ازدادوا كُفرًا لَّم يَكُنِ اللَهُ لِيَغفِرَ لَهُم وَلا لِيَهدِيَهُم سَبيلًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, those who have believed then disbelieved, then believed then disbelieved, and then increased in disbelief – never will Allāh forgive them, nor will He guide them to a way.

 

MALAY

Sesungguhnya orang-orang yang beriman, kemudian mereka kafir, kemudian mereka beriman semula, kemudian mereka kafir sekali lagi, kemudian mereka bertambah-tambah lagi dengan kekufuran, Allah tidak sekali-kali akan memberi ampun kepada mereka, dan tidak akan memberi petunjuk hidayah kepada mereka ke jalan yang benar.

 

إِنَّ الَّذينَ ءآمَنوا ثُمَّ كَفَروا ثُمَّ ءآمَنوا ثُمَّ كَفَروا

Sesungguhnya orang-orang yang beriman, kemudian mereka kufur, kemudian mereka beriman semula, kemudian mereka kafir sekali lagi,

Berkali-kali dikatakan orang itu kufur. Sekejap kufur dan sekejap beriman kembali. Mereka itu sebenarnya menjadi kufur sebab bergaul dengan orang kafir dan tertarik dengan cara hidup orang kafir dan fahaman mereka. Apabila duduk bergaul lama sangat dengan mereka, akan timbul minat di dalam hati terhadap cara hidup mereka.

Kalau tidak bergaul sangat dengan orang kafir, tidak akan jadi begitu. Orang yang yang berkawan rapat sangat dengan orang kafir akan merasakan baik sahaja cara dan perbuatan orang kafir itu. Dan ini adalah amat bahaya, kerana apabila redha sahaja dengan cara kufur, itu sudah kufur sebenarnya. Ketahuilah bahawa dengan mengiyakan kekufuran adalah perbuatan kufur.

Apabila dia mulai belajar agama sedikit, dia kembali mengetahui bahawa salah cara-cara dan amalan orang kufur itu, maka dia kembali memeluk Islam.

Kemudian dia kembali berminat dengan cara kufur apabila bergaul kembali dengan orang kafir. Itulah disebut berkali-kali Islam dan kufur dalam ayat ini, kerana ada perubahan di dalam diri manusia yang Allah  ‎ﷻ sedang sebut ini.

Tetapi yang bahayanya, kekufuran kali kedua ini lebih kuat lagi dari kekufuran kali pertama itu kerana kekufurannya akan melebihi dari kekufuran yang asal.

 

ثُمَّ ازدادوا كُفرًا

kemudian mereka bertambah-tambah lagi dengan kekufuran, 

Sampai pada satu tahap, dia lebih berminat cara kufur dibandingkan dengan cara Islam. Apabila sudah sampai ke tahap begitu, dia tidak akan kembali lagi kepada Islam. Dia ini adalah jenis yang sekejap hendak rapat kepada agama dan kemudian tidak pula. Dia membuat pilihan mengikut musim.

Ayat ini boleh juga dikatakan tentang ‘golongan munafik‘. Memang mereka banyak disebutkan dalam Surah an-Nisa’ ini. Golongan munafik itu hanya melihat kepada keuntungan sahaja. Kalau mereka nampak untung memasuki Islam, maka mereka akan masuk.

Sebagai contoh selepas Perang Badr, mereka nampak Islam kuat dan mereka pun masuk Islam. Tetapi apabila Muslim kalah dalam Perang Uhud, mereka kembali kufur semula. Jadi, mereka itu sekejap beriman, sekejap kufur. Itu maknanya mereka bermain-main dengan agama. Mereka hanya melihat keuntungan dalam dunia sahaja.

Ada juga pendapat yang mengatakan mereka itu adalah golongan Yahudi. Ini adalah kerana mereka dahulu beriman dengan Nabi Musa عليه السلام, kemudian menjadi kufur kerana menyembah patung anak sapi. Kemudian mereka telah bertaubat dan kembali beriman. Kemudian golongan itu tidak mahu mempercayai dengan kenabian Nabi Isa عليه السلام dan akhir sekali apabila mereka tidak mahu beriman dengan Nabi Muhammad ﷺ, mereka telah menambah kekufuran mereka.

 

لَّم يَكُنِ اللهُ لِيَغفِرَ لَهُم

Allah tidak sekali-kali akan memberi ampun kepada mereka,

Orang yang sebegini, Allah ‎ﷻ tidak akan mengampunkan lagi mereka. Ini adalah kerana mereka main-main dengan agama. Tidak ada pengampunan kepada mereka selepas mereka mati kerana mereka berterusan di dalam kekufuran sampai mereka mati. Bukanlah Allah ‎ﷻ tidak mahu menerima pengampunan mereka, tetapi kalau mereka sendiri yang tidak meminta keampunan di hujung hayat mereka, maka Allah ‎ﷻ tidak akan mengampuni mereka.

Ingatlah yang Allah ‎ﷻ hanya mengambil kira apakah iman kita semasa kita mati. Kalau sepanjang hidup kita mengamalkan Islam, tetapi di penghujung hayat kita pergi kepada kekufuran, maka itu bermakna kita mati kufur.

Ini adalah amat menakutkan sekali, kerana kita tidak tahu hujung hayat kita bagaimana nanti. Sekarang memang kita rasa kita beriman, tetapi bagaimana di hujung hayat kita nanti? Adakah kita tahu? Tentulah tidak.

Maka, moleknya kita sentiasa berdoa kepada Allah ‎ﷻ supaya menetapkan iman kita supaya kita mati dalam iman. Hendaklah juga kita menjaga iman kita supaya ia tetap teguh dan kuat. Dan caranya adalah dengan meningkatkan pengetahuan agama kita.

 

وَلا لِيَهدِيَهُم سَبيلًا

dan Dia tidak akan memberi petunjuk hidayah kepada mereka ke jalan yang benar.

Tiada jalan dibuka lagi kepada mereka yang telah murtad itu untuk ke syurga. Ini adalah kerana mereka tidak layak untuk memasuki syurga. Maka sekarang lihatlah bahayanya bercampur gaul rapat dengan orang kafir.


 

Ayat 138: Seperti yang telah kita ketahui, perangai yang disebut dalam ayat sebelum ini adalah tentang golongan munafik. Ini dikuatkan lagi di dalam ayat ini. Maknanya, pada luaran mereka kelihatan seperti orang Islam, bercakap tentang Islam, mengaku seorang Muslim dan nama pun nama Muslim, tetapi hakikatnya mereka adalah kafir.

Sekarang Allah menyebut apakah natijah (kesan) kepada orang munafik kalau mereka terus kekal di dalam munafik.

بَشِّرِ المُنٰفِقينَ بِأَنَّ لَهُم عَذابًا أَليمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Give tidings to the hypocrites that there is for them a painful punishment –

 

MALAY

Sampaikanlah khabar berita kepada orang-orang munafik: bahawa sesungguhnya disediakan untuk mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya;

 

بَشِّرِ المُنٰفِقينَ

Sampaikanlah khabar berita kepada orang-orang munafik:

Allah ‎ﷻ mengejek mereka dengan berkata berikan ‘berita gembira’ kepada mereka, tetapi ia bukanlah ‘berita gembira’, tetapi berita yang amat buruk sekali. Semua manusia akan tertunggu-tunggu berita baik diberikan kepada mereka. Tapi apakah berita yang akan diterima oleh orang munafik?

 

بِأَنَّ لَهُم عَذابًا أَليمًا

bahawa sesungguhnya disediakan untuk mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya;

Mereka hanya akan menerima berita yang mereka akan dimasukkan ke dalam neraka akhirnya. Itulah ‘berita gembira’ yang dimaksudkan. Tentulah ia bukan berita gembira, bukan? Itulah pengakhiran kepada golongan munafik itu. Semoga kita diselamatkan dari sifat ini dan pengakhiran ini. Aameen.

Tanda sifat munafik munafiqin
Di Madinah, ramai mengikuti agama Islam dalam masyarakat majmuk sehinggakan secara tidak sedar sifat-sifat munafik ada di kalangan mereka. Allah ‎ﷻ telah menyatakan sifat-sifat tersebut.

 

Ayat 139: Kenapa mereka sekejap kufur, sekejap beriman? Seperti yang telah disebutkan sebelum ini,  kerana mereka mengambil orang kafir sebagai teman rapat mereka. Jadi Allah ‎ﷻ menerangkan sifat-sifat munafik di dalam ayat ini.

Pertamanya, mereka menjadikan orang-orang kafir sebagai teman rapat atau pemimpin.

الَّذينَ يَتَّخِذونَ الكٰفِرينَ أَولِياءَ مِن دونِ المُؤمِنينَ ۚ أَيَبتَغونَ عِندَهُمُ العِزَّةَ فَإِنَّ العِزَّةَ ِللهِ جَميعًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Those who take disbelievers as allies instead of the believers. Do they seek with them honor [through power]? But indeed, honor belongs to Allāh entirely.¹

  • Being the source of all power and honor, Allāh grants them to whom He wills.

 

MALAY

(Iaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Tidaklah patut mereka (orang-orang munafik) mencari kekuatan dan kemuliaan di sisi orang-orang kafir itu, kerana sesungguhnya kekuatan dan kemuliaan itu semuanya ialah milik Allah, (diberikannya kepada sesiapa yang dikehendakiNya).

 

الَّذينَ يَتَّخِذونَ الكٰفِرينَ أَولِياءَ مِن دونِ المُؤمِنينَ

(Iaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman.

Mereka berminat untuk berkawan dengan orang kafir. Hati mereka telah cenderung kepada orang kafir itu dan lama kelamaan dengan cara kehidupan orang kafir. Mereka duduk pula dalam kawasan penempatan orang kafir sampai tidak mahu berhijrah ke kawasan orang Islam. Ini kerana mereka selesa di situ dan cara kehidupan di situ.

 

 أَيَبتَغونَ عِندَهُمُ العِزَّةَ

Adakah mereka (orang-orang munafik) mencari kemuliaan di sisi orang-orang kafir itu,

Kenapa jadi begitu? Mereka jadi begitu kerana mereka mencari kemuliaan dan kekuatan dengan berkawan dengan orang kafir kerana mungkin banyak perkara yang mereka boleh dapat dari orang kafir itu.

Seperti kita telah belajar dalam ayat-ayat yang lain, orang-orang kafir itu selalunya kaya raya dan berkuasa kerana mereka memang melebihkan kehidupan dunia sahaja, tanpa melihat kepada akhirat. Jadi kerana usaha mereka untuk dunia sahaja, maka tentulah mereka  mendapat banyak habuan keduniaan.

Oleh kerana mereka kaya, maka orang-orang munafik itu pun sangat rapat dan bertempeklah dengan orang-orang kafir itu kerana ada kebaikan yang boleh didapati daripada mereka. Ini kerana orang munafik pun memang mementingkan habuan keduniaan sahaja.

 

فَإِنَّ العِزَّةَ ِللهِ جَميعًا

sesungguhnya kekuatan dan kemuliaan itu semuanya ialah milik Allah. 

Allah ‎ﷻ menempelak mereka yang mencari kemulian dan kekuatan dari orang kafir itu. Adakah patut mereka hendak mendapatkan kemulian dari orang kafir yang sememangnya tidak mempunyai kemuliaan langsung? Sedangkan kemuliaan dan kehebatan itu milik Allah ‎ﷻ semuanya sekali. Orang munafik telah tersalah tempat untuk mencari kemuliaan.

Allah ‎ﷻ boleh sahaja memberikan kemuliaan dan kekuatan kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan menarik dari sesiapa yang dikehendakiNya. Jadi kalau ingin mendapatkan kemuliaan, kenalah hanya meminta dari Allah ‎ﷻ sahaja, mengharap dari Allah ‎ﷻ sahaja. Kemuliaan dari Allah ‎ﷻlah yang lebih baik dari apa yang kita dapat dari orang-orang kafir itu. Allah berfirman dalam Fathir:10

مَن كانَ يُريدُ العِزَّةَ فَلِلَّهِ العِزَّةُ جَميعًا ۚ
 
Sesiapa yang mahukan kemuliaan, bagi Allah jualah segala kemuliaan. 
 

Dan Allah ‎ﷻjuga berfirman dalam Munafiqun:8

وَلِلَّهِ الْعِزَّةُ وَلِرَسُولِهِ وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَلكِنَّ الْمُنافِقِينَ لَا يَعْلَمُونَ

Padahal kekuatan itu hanyalah bagi Allah, bagi Rasul-Nya dan bagi orang-orang mukmin, tetapi orang-orang munafik itu tidak mengetahui.


 

Ayat 140: Allah ‎ﷻ telah melarang kita bergaul rapat dengan orang kafir. Terutama kalau mereka berkata tidak baik tentang agama Islam.

وَقَد نَزَّلَ عَلَيكُم فِي الكِتٰبِ أَن إِذا سَمِعتُم ءآيٰتِ اللهِ يُكفَرُ بِها وَيُستَهزَأُ بِها فَلا تَقعُدوا مَعَهُم حَتّىٰ يَخوضوا في حَديثٍ غَيرِهِ ۚ إِنَّكُم إِذًا مِّثلُهُم ۗ إِنَّ اللَّهَ جامِعُ المُنٰفِقينَ وَالكٰفِرينَ في جَهَنَّمَ جَميعًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And it has already come down to you in the Book [i.e., the Qur’ān] that when you hear the verses of Allāh [recited], they are denied [by them] and ridiculed; so do not sit with them until they enter into another conversation. Indeed, you would then be like them.¹ Indeed, Allāh will gather the hypocrites and disbelievers in Hell all together –

  • In this world, by participation in their blasphemy, and in the next, where you will share their punishment.

 

MALAY

Dan sesungguhnya Allah telahpun menurunkan kepada kamu (perintahNya) di dalam Kitab (Al-Quran), iaitu: apabila kamu mendengar ayat-ayat keterangan Allah diingkari dan diejek-ejek (oleh kaum kafir dan munafik), maka janganlah kamu duduk (bergaul) dengan mereka sehingga mereka masuk kepada memperkatakan soal yang lain; kerana sesungguhnya (jika kamu melakukan yang demikian), tentulah kamu sama seperti mereka. Sesungguhnya Allah akan menghimpunkan sekalian orang munafik dan orang kafir di dalam neraka jahannam.

 

وَقَد نَزَّلَ عَلَيكُم فِي الكِتٰبِ أَن إِذا سَمِعتُم ءآيٰتِ اللَّهِ يُكفَرُ بِها وَيُستَهزَأُ بِها

Dan sesungguhnya telah diturunkan kepada kamu (perintahNya) di dalam Kitab (Al-Quran), iaitu: apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diejek-ejek

Yang dimaksudkan telah diturunkan dalam kitab adalah dalam surah An’am ayat 68. Surah An’am telah diturunkan di Mekah. Oleh itu, dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ berkata yang perkara ini telah diberitahu sebelum ini.

Termasuk dalam perkara ini adalah mendengar seseorang yang menafsir ayat Qur’an dengan akalnya sendiri. Ramai yang membaca ayat Qur’an tetapi memandai-mandai sahaja menafsir mengikut akal logiknya dan tidak melihat penilaian dan tafsiran dari ulama terdahulu. Maknanya mereka tidak mengikuti disiplin tafsir.

 

فَلا تَقعُدوا مَعَهُم

maka janganlah kamu duduk (bergaul) dengan mereka

Maka jangan duduk bersama mereka ketika mereka bercakap sambil mengutuk Qur’an atau agama Islam. Contohnya, mereka mungkin berkata Hukum Hudud tidak betul. Mereka berkata begitu kerana mereka tidak belajar dan mereka hanya menggunakan akal sahaja. Malangnya, kalau kita pun duduk bersama mereka dan berkata ‘ya’ juga. Ini kerana ada yang jahil dan tidak belajar, dan apabila orang kafir berkata begitu, mereka pun termakan juga dengan hujah orang kafir itu.

Bagaimana pula kalau kita bersama dalam majlis bidaah? Katakanlah ada majlis bersanding, majlis Mawlid Nabi, majlis kenduri Doa Selamat, dan sebagainya? Hukum yang sama juga terpakai dalam hal ini.

Ini adalah kerana semasa mereka melakukan amal-amal bidaah mereka itu, mereka sedang mengingkari dan memperlekehkan ayat-ayat Allah ‎ﷻ yang melarang melakukan perkara syirik dan bidaah. Kita pun tidak boleh duduk bersama mereka di dalam majlis tersebut.

Ini memang susah untuk dilakukan kerana kita  mementingkan pandangan masyarakat kepada kita. Kita akan berasa segan kalau kita dikatakan anti-sosial, tidak menghormati keluarga, ataupun dituduh memecah belahkan masyarakat dan sebagainya. Maka terdapat juga golongan Sunnah yang pergi ke majlis-majlis bidaah. Tapi kalau kita yang sudah mengetahui yang majlis itu salah, maka kenapa kita masih ingin duduk di dalamnya lagi?

Inilah masalahnya kalau takutkan orang yang jahil. Kenapa mesti takutkan mereka? Amat bahaya kalau ada perasaan takut ini. Ayat ini memberitahu kita bahawa kalau kita duduk dalam majlis yang sama, ia bermaksud kita pun sama seperti mereka juga.

Suruhan meninggalkan mereka juga termasuk menonton atau membaca sumber dari media massa. Pada zaman sekarang, banyak rancangan dan penulisan di buku dan Internet yang menghina Islam. Kita kenalah mempunyai sikap yang sama. Kalau terdapat rancangan atau penulisan yang menghina Islam, kita haruslah terus meninggalkannya.

Amatlah bahaya apa yang dilihat dan dibaca itu. Apa yang kita lihat dan baca sebenarnya akan berada lama di dalam otak kita. Kita sahaja menyangkakan ia tidak memberi kesan tetapi sebenarnya kesannya akan keluar lama-kelamaan nanti. Nanti ia akan mempengaruhi pemikiran kita kalau kita sudah melihat atau membaca pandangan-pandangan yang sebegitu.

 

حَتّىٰ يَخوضوا في حَديثٍ غَيرِهِ ۚ

sehingga mereka masuk kepada memperkatakan soal yang lain;

Maka, jangan lagi duduk dengan mereka kecuali mereka mengubah topik kepada perkara yang lain. Mungkin mereka menukar topik kepada pekerjaan, kehidupan keluarga mereka dan benda-benda yang lain. Tidak patut kalau kita terus duduk bersama mereka semasa mereka mengutuk Allah ‎ﷻ dan agama kita. Bayangkan kalau ramai-ramai bersembang tentang ibu kita dan mengutuk ibu kita, tidak mungkin kita akan terus duduk situ lagi. Apatah lagi  kalau mereka mengutuk agama kita, bukan?

Maka begitu juga dengan ahli bidaah di negara kita. Bila mereka tidak membuat amalan bidaah lagi, boleh sahaja duduk-duduk dengan mereka, berbincang minum kopi dan sebagainya kerana mereka masih lagi kawan, kenalan dan keluarga kita. Cuma kita tidak mahu bersekongkol dengan mereka semasa mereka melakukan perkara yang salah.

Kita kenalah menunjukkan kita tidak suka dengan apa yang mereka lakukan itu dengan tidak menyertainya. Tapi tidaklah kita terus memboikot mereka sampai bila-bila. Mana boleh kita memboikot mereka, sedangkan kita masih lagi bertanggungjawab untuk berdakwah kepada mereka?

Ada satu lagi pendapat yang mengatakan, tidak boleh langsung duduk dengan mereka walaupun mereka itu telah berhenti dari menghina Qur’an. Ini adalah kerana mereka itu akan memberi teladan yang buruk untuk kita. Hanya kalau ada keperluan barulah boleh duduk bersama mereka. Kalau tidak ada keperluan, maka jauhkan diri dari mereka. Selamatkan diri kita dari mereka kerana bimbang kita terikut-ikut dengan mereka pula nanti kalau duduk bersama mereka.

Contoh keperluan itu adalah seperti apabila kita datang ke masjid kerana hendak menunaikan solat berjemaah. Mungkin pada waktu itu mereka sedang melakukan perkara bidaah. Kita boleh duduk di situ kerana ada keperluan kerana ingin solat berjemaah. Tidaklah boleh meninggalkan mereka kerana ada kewajipan solat berjemaah untuk lelaki.

 

إِنَّكُم إِذًا مِّثلُهُم

kerana sesungguhnya (jika kamu melakukan yang demikian), tentulah kamu sama seperti mereka. 

Ini yang bahaya kalau kita terus duduk bersama mereka pada waktu mereka menghina agama. Kalau masih duduk juga, kita dikira sama sahaja dengan mereka.

Kalau sudah biasa mendengar mereka mengutuk tentang Islam, kemungkinan kita sudah berasa biasa dan kita pun menjadi lali dan tidak menghormati agama sendiri pula. Begitulah manusia, kalau benda yang pelik pun lama-lama kalau sudah biasa dilihat dan mendengarnya, akan menjadi kebiasaan pula. Kerana itulah kita lihat ramai yang sampai sudah mula berani untuk mempersoalkan agama.

Akhirnya kita mungkin akan menjadi seperti mereka juga. Bahayanya, kita mungkin akan dikenakan azab sekali dengan mereka nanti. Ini kerana Allah ‎ﷻ telah berkata kita ‘sama’ seperti mereka. Apabila mereka dikenakan azab, maka kita pun terpalit sekali dengan azab tersebut.

Ayat ini juga mengajar kita dalam mencari kawan sebenarnya. Sepatutnya kita mencari kawan yang boleh memberi perangsang untuk mengerjakan amalan yang soleh, bukannya yang boleh menjerumuskan kita ke lembah kehinaan. Sedikit sebanyak, kita terkesan juga dengan kawan-kawan kita. Mula-mula mungkin kita tidak mengikuti apa yang mereka lakukan, tetapi lama kelamaan kita akan terikut-ikut juga. Maka, dari awal lagi kenalah berhati-hati dalam memilih kawan.

 

إِنَّ اللَّهَ جامِعُ المُنٰفِقينَ وَالكٰفِرينَ في جَهَنَّمَ جَميعًا

Sesungguhnya Allah akan menghimpunkan sekalian orang munafik dan orang kafir di dalam neraka jahannam.

Allah ‎ﷻ akan menggabungkan sekali orang munafik dan kafir di neraka. Kalau kita pun duduk-duduk bersama mereka, maka kita pun akan masuk dengan mereka sekali.

Ayat ini mengajar kita, kalau ketika mereka sedang mengutuk agama Islam, itu bukanlah masa yang sesuai untuk berdakwah  atau memperbetulkan mereka. Sudah pasti mereka akan menolaknya kalau kita berdakwah kepada mereka pada ketika itu. Oleh sebab itu kenalah tinggalkan mereka dan cari masa yang sesuai untuk berdakwah kepada mereka kemudian nanti.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 20 Ogos 2018

Ringkasan Surah Nisa’


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah an-Nisa Ayat 135 – 136 (Adil walau kena hukum keluarga)

Ayat 135: Ini adalah penjelasan tambahan kepada hukum dalam ayat ke 105 (Hukum ke 11) iaitu cara mengadili. Dalam memberi pengadilan, pemimpin atau hakim tidak boleh menganiayai sesiapa. Tapi bagaimana kalau ada orang yang bersangkut paut dengan kita, atau dia miskin atau pun kaya? Kadang-kadang perkara sebegitu menyebabkan kita tidak menjalankan hukum dengan tepat dan adil.

Oleh itu, jangan hanya kerana dia kaya, kita menghukuminya secara berlebihan atau mengurangkan hukuman dari yang sepatutnya; atau kerana dia miskin, kita melepaskannya pula. Semua itu tidak boleh dilakukan. Hukum tetap harus dijalankan seperti yang sepatutnya.

۞ يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا كونوا قَوّٰمينَ بِالقِسطِ شُهَداءَ ِللهِ وَلَو عَلىٰ أَنفُسِكُم أَوِ الوٰلِدَينِ وَالأَقرَبينَ ۚ إِن يَكُن غَنِيًّا أَو فَقيرًا فَاللَهُ أَولىٰ بِهِما ۖ فَلا تَتَّبِعُوا الهَوىٰ أَن تَعدِلوا ۚ وَإِن تَلووا أَو تُعرِضوا فَإِنَّ اللَهَ كانَ بِما تَعمَلونَ خَبيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, be persistently standing firm in justice, witnesses for Allāh, even if it be against yourselves or parents and relatives. Whether one is rich or poor, Allāh is more worthy of both.1 So follow not [personal] inclination, lest you not be just. And if you distort [your testimony] or refuse [to give it], then indeed Allāh is ever, with what you do, Acquainted.

  • i.e., more knowledgeable of their best interests. Therefore, adhere to what He has enjoined upon you and testify honestly.

MALAY

Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa), kerana Allah lebih penting dari keduanya. Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. Dan jika kamu memutar-balikkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.

 

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا كونوا قَوّٰمينَ بِالقِسطِ

Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan,

Kita semua mestilah menjadi pendukung keadilan. Lafaz قَوّامينَ ini di dalam bentuk isim mubalaghah. Maknanya, kita hendaklah betul-betul menjaga perkara ini. Jangan sesekali kita tidak berlaku adil.

Maka, ini bermaksud bukan sahaja kita kena berlaku adil, tapi kita hendaklah berusaha untuk memastikan keadilan ditegakkan. Sebagai contoh, kita hendaklah memilih pemimpin yang boleh menegakkan keadilan. Kita mungkin bukanlah pihak yang dapat membuat keputusan di dalam perundangan negara tetapi kita hendaklah memainkan peranan di mana yang boleh bagi memastikan keadilan tertegak.

Oleh itu, tugas untuk menegakkan keadilan itu bukanlah tugas pihak kerajaan yang berkuasa sahaja, tetapi kita sebagai rakyat pun harus memainkan peranan kita di dalam bahagian yang boleh dilakukan. Tentulah kerajaan ada kelebihan mereka kerana kekuasaan berada di tangan mereka.

Tugas menegakkan keadilan ini amatlah penting sehinggakan para Nabi dan Rasul pun diutuskan untuk menegakkan keadilan. Mereka bukan hanya tekankan tentang amal ibadat sahaja tapi keadilan di dalam masyarakat juga diajar agar ditegakkan oleh manusia. Dalilnya dalam Hadid:25

 لَقَدْ أَرْسَلْنَا رُسُلَنَا بِالْبَيِّنَاتِ وَأَنزَلْنَا مَعَهُمُ الْكِتَابَ وَالْمِيزَانَ لِيَقُومَ النَّاسُ بِالْقِسْطِ ۖ وَأَنزَلْنَا الْحَدِيدَ فِيهِ بَأْسٌ شَدِيدٌ

Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat yang jelas nyata, dan Kami telah menurunkan bersama-sama mereka Kitab Suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat melaksanakan keadilan dan kami telah menciptakan besi dengan keadaannya mengandungi kekuatan yang handal…

 

Besi disebut kerana kadangkala ada yang menentang keadilan maka kekerasan perlu digunakan terhadap mereka. Ada jenis manusia yang tidak mahu mendengar nasihat dan bahasa yang mereka fahami hanyalah kekerasan dan peperangan.

Kalau kita dapat menegakkan keadilan di atas muka bumi ini, maka kita bukan sahaja senang di akhirat, tapi akan senang juga di dunia. Inilah salah satu tafsir kepada ayat dari Rahman:46

وَلِمَن خافَ مَقامَ رَبِّهِ جَنَّتانِ

Dan bagi orang yang takut akan saat menghadap Tuhannya ada dua syurga.

‘Dua syurga’ yang dimaksudkan adalah syurga dunia dan juga syurga akhirat. Maksudnya di dunia lagi kita sudah dapat merasai ‘syurga’. Ini tidak mustahil kerana Nabi Muhammad ﷺ telah pernah menjadikan Madinah sebagai satu contoh negara yang adil dan aman. Dan begitu juga diteruskan oleh para sahabat baginda yang menjadi khalifah.

 

شُهَداءَ لِلَّهِ

lagi menjadi saksi kerana Allah, 

Kita harus menjadi saksi dalam keputusan kerana Allah . Kita haruslah menjadi saksi yang benar. Jangan kita menipu dalam penyaksian kita kerana apa-apa sebab pun. Amat besar sekali dosa orang yang menjadi saksi palsu.

Keadilan hanya dapat ditegakkan jikalau manusia takut kepada Allah ‎. Kalau setakat takutkan kerajaan, pasti ada sahaja cara untuk mengelakkan diri daripada  ditangkap dan dipenjara.

Tetapi jika takutkan Allah ‎ yang disematkan di dalam hati, maka tentu kita sedar yang kita tidak boleh lari dari Allah . Jadi takut kepada Allah  yang perlu diajar kepada manusia.

 

وَلَو عَلىٰ أَنفُسِكُم أَوِ الوٰلِدَينِ وَالأَقرَبينَ

sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. 

Sekarang Allah ﷻ sebutkan perkara-perkara yang boleh menghalang keadilan dari ditegakkan. Ada yang kerana sayang dan ada pula kerana benci. Sekarang kita sebut penghalang kerana sayang dahulu. Dan penghalang dalam bentuk benci pula disebut dalam Maidah:2.

Kita kena berlaku adil, walaupun keputusan itu boleh membahayakan diri kita sendiri. Jangan takut kalau kehidupan kita boleh terganggu atau kerja kita terhalang dan sebagainya. Kadang-kadang kita tidak membuat keputusan yang adil kerana diri kita terperangkap juga. Maka janganlah kerana perkara itu menyebabkan kita menjadi saksi palsu pula.

Atau jangan kita menjadi saksi palsu kepada kaum kerabat yang dekat. Walaupun kepada ibubapa kita sekali pun. Kena adil dalam keadaan apa sahaja. Kadang-kadang apabila orang yang diadili itu ada kena mengena dengan kita, kita berlembut hati pula dan tidak menjalankan pengadilan dengan yang sepatutnya.

Tapi Allah berkata: Kita kena berlaku adil, dan terus menjadi saksi yang benar, walaupun penyaksian kita itu akan membahayakan diri kita — mungkin dikenakan hukuman yang berat ataupun dipenjarakan. Kita tegakkan keadilan bukan kerana mereka, tapi kerana Allah .

 

إِن يَكُن غَنِيًّا أَو فَقيرًا

walaupun orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin

Walaupun yang terlibat itu orang kaya, janganlah ada perbezaan dalam penghakiman. Ini kerana ada yang menyuruh orang kaya membayar lebih lagi sebab kita merasakan yang dia mampu.

Atau ada yang memutuskan yang orang kaya itu tidak perlu membayar langsung kerana kita mahukan sesuatu daripadanya. Kita tidak jalankan penghukuman kerana  merasakan yang dia boleh membalas dengan memberikan kita duit sebagai habuan. Kemungkinan juga akan menjadi rasuah. Janganlah berbuat begitu.

Atau, ada yang berlembut hati dengan orang miskin kerana tahu dia hidup susah. Islam tidak membenarkan kita kasihan kepada orang miskin sampai tidak dapat berlaku adil. Memang kita patut mengasihani  mereka, tetapi tidak di dalam menjalankan hukum.

 

فَاللَّهُ أَولىٰ بِهِما

kerana Allah lebih penting dari keduanya.

Kena berlaku adil di dalam penghakiman dan persaksian, kerana hukum Allah ﷻ perlu dijaga lebih dari menjaga orang kaya atau orang miskin. Hukum Allah ﷻ lebih utama daripada dua golongan itu.

Atau, perkataan ‘awla’ itu boleh bermaksud Allah lah yang akan menjaga mereka. Kita mungkin berlembut dengan mereka kerana kita kasihankan mereka dan hendak menjaga mereka. Tetapi Allah  memberitahu yang Dia yang akan menjaga mereka, maka tidak perlulah kita bersusah payah atau mengambil tanggungjawab itu. Kita jalankan sahaja keadilan dan kedudukan mereka akan dijaga oleh Allah . Hendaklah kita serahkan sahaja kepada Allah . Allah  lebih mengetahui.

 

فَلا تَتَّبِعُوا الهَوىٰ أَن تَعدِلوا

Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu sehingga kamu menyeleweng dari keadilan. 

Kalau tidak mengikuti syariat agama, sebenarnya hawa nafsu yang diikuti. Oleh kerana itu janganlah tidak berlaku adil. Jangan ikutkan hawa nafsu sampai berlaku zalim. Apabila tidak menegakkan keadilan, itu adalah satu kezaliman sebenarnya.

Jangan kerana kita tidak sukakan seseorang atau sesuatu kaum itu menyebabkan kita tidak dapat berlaku adil. Ini seperti yang Allah  sebut di dalam Maidah ayat 8. Ada satu hadis tentang seorang sahabat:

Abdullah ibnu Rawwahah رضي الله عنه telah diutus oleh Nabi ﷺ untuk melakukan penaksiran terhadap buah-buahan dan hasil tanaman milik orang-orang Yahudi Khaibar. Ketika itu mereka hendak memberi rasuah kepadanya dengan tujuan agar beliau bersikap lunak terhadap mereka, tetapi Abdullah ibnu Rawwahah رضي الله عنه berkata, “Demi Allah, sesungguhnya aku datang kepada kalian dari makhluk yang paling aku cintai, dan sesungguhnya kalian ini lebih aku benci daripada kera dan babi yang sama bilangan dengan kalian. Walaupun begitu, cintaku kepadanya, dan kebencianku terhadap kalian, tidak akan menyebabkan aku tidak berlaku adil terhadap kalian.” Mereka mengatakan, “Dengan keadilan inilah, langit dan bumi tetap tegak.”

 

وَإِن تَلووا أَو تُعرِضوا فَإِنَّ اللَّهَ كانَ بِما تَعمَلونَ خَبيرًا

Dan jika kamu memutar-balikkan keterangan ataupun enggan, maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.

Lafaz تَلووا bermaksud putar belit dalam membuat penghakiman. Jadi ini adalah larangan memutar belitkan hukum dan undang-undang sampai tidak berlaku adil.

Atau enggan untuk membuat keputusan sedangkan kita kena buat keputusan itu; atau enggan untuk menjadi saksi dalam penghakiman sedangkan kita sudah dipanggil dan kesaksian kita penting untuk hendak menegakkan keadilan. Kalau kita tidak tampil untuk menjadi saksi, keadilan tidak dapat dijalankan pula.

Ingatlah, Allah mengetahui apa sahaja yang kita lakukan. Manusia lain mungkin tidak tahu kerana pengetahuan mereka tidak menyeluruh, tetapi Allah Maha Mengetahui. Maka, janganlah kita takutkan manusia, tapi takutlah kepada Allah ﷻ yang Maha Mengetahui apa sahaja yang kita lakukan.


 

Ayat 136: Sekarang hingga ke hujung surah ini akan membincangkan tentang perkara-perkara iman pula. Kita telah mempelajari tentang hukum dan undang-undang yang telah Allah  senaraikan. Sekarang berkenaan akidah pula.

Ayat ini mengenai orang kafir. Kita tahu yang kafir terdiri daripada beberapa jenis. Jadi ini bukanlah kafir biasa, tapi tentang kafir munafik  kerana itu Allah mulakan ayat ini ditujukan kepada ‘orang-orang beriman’ iaitu merujuk kepada orang munafik yang mengaku beriman. Ia adalah ayat Zajrun kepada mereka.

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا آمِنوا بِاللهِ وَرَسولِهِ وَالكِتٰبِ الَّذي نَزَّلَ عَلىٰ رَسولِهِ وَالكِتٰبِ الَّذي أَنزَلَ مِن قَبلُ ۚ وَمَن يَكفُر بِاللهِ وَمَلٰئِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ وَاليَومِ الآخِرِ فَقَد ضَلَّ ضَلٰلًا بَعيدًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, believe¹ in Allāh and His Messenger and the Book that He sent down upon His Messenger and the Scripture which He sent down before. And whoever disbelieves in Allāh, His angels, His books, His messengers, and the Last Day has certainly gone far astray.

  • i.e., renew, confirm and adhere to your belief.

MALAY

Wahai orang-orang yang beriman! Tetapkanlah iman kamu kepada Allah dan RasulNya, dan kepada Kitab Al-Quran yang telah diturunkan kepada RasulNya (Muhammad, s.a.w), dan juga kepada Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan dahulu daripada itu. Dan sesiapa yang kufur ingkar kepada Allah, dan Malaikat-malaikatNya, dan Kitab-kitabNya, dan Rasul-rasulNya dan juga Hari Akhirat, maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh.

 

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا آمِنوا بِاللهِ وَرَسولِهِ وَالكِتٰبِ الَّذي نَزَّلَ عَلىٰ رَسولِهِ وَالكِتٰبِ الَّذي أَنزَلَ مِن قَبلُ

Wahai orang-orang yang beriman! Tetapkanlah iman kamu kepada Allah dan RasulNya, dan kepada Kitab Al-Qur’an yang telah diturunkan kepada RasulNya (Muhammad, s.a.w), dan juga kepada Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan dahulu daripada itu. 

Ayat ini adalah ringkasan kepada agama. Ada tiga tafsir kepada ayat ini. Kita telah sebutkan pendapat pertama iaitu ia ditujukan kepada golongan munafik. Selain dari mereka, ada lagi pendapat lain:

1. Ia ditujukan kepada mereka yang telah beriman kepada kitab dahulu, iaitu Ahli Kitab. Sekarang mereka kena beriman dengan Qur’an juga. Tidak cukup kalau beriman dengan kitab dahulu sahaja.

2. Bagi mereka yang telah mengaku beriman dengan lisan, maka kenalah beriman dengan hati juga. Iman itu bukan setakat dengan lidah sahaja, tetapi harus ditunjukkan dengan perbuatan. Maka haruslah belajar bagaimana iman yang perlu dianuti oleh orang Islam.

3. Kepada orang Islam yang telah beriman, tapi tidak lengkap iman mereka, kenalah beriman dengan sempurna. Jangan buat ala kadar sahaja tentang agama Islam ini. Kena beriman sampai dapat menjalankan segala hukum dan meninggalkan segala larangan dari Allah . Harus tunjukkan iman seiring dengan amalan. Kalau sememangnya telah beriman, maka ayat ini adalah suruhan untuk meneruskan iman itu.

Ketahuilah bahawa iman itu bertambah dan berkurang. Kita haruslah berusaha untuk meningkatkan iman kita. Jangan hanya selesa dengan iman di takuk yang lama sahaja. Mestilah berusaha lagi dan lagi untuk meningkatkan tahap keimanan kita. Tapi bagaimana cara untuk meningkatkan iman? Iman itu hanya dapat ditingkatkan dengan ilmu.

Beriman dengan Allah  bermaksud beriman dengan semua Rukun Iman dan perkara-perkara yang lain, iaitu bukan Rukun Iman yang lima itu sahaja. Kenalah belajar untuk mengetahui manakah yang perlu diimani.

Dalam ayat ini disebut tiga perkara yang perlu dipercayai:

Beriman dengan Rasulullah ﷺ, maksudnya percaya bahawa apa yang baginda ﷺ bawakan adalah benar dan kita mengikuti apa yang diajar oleh baginda ﷺ.

Percaya kepada Qur’an bermaksud percaya kepada segala apa yang disampaikan dalam Qur’an itu.

Percaya kepada kitab-kitab yang lain bermaksud percaya yang Allah ﷻ ada menurunkan kitab-kitab yang lain sebelum Qur’an.

Mereka yang beriman sebegini sahaja yang dapat melakukan keadilan. Sebelum ini kita telah mempelajari ayat suruhan untuk berlaku adil. Kalau tidak beriman,  tentu tidak akan dapat berlaku adil kerana kalau tidak kisah tentang agama, maka pasti mereka tidak kisah pun tentang keadilan.

Nota: Lihatlah dalam ayat ini ditukar lafaz نَزَّلَ untuk Qur’an (وَالكِتابِ الَّذي نَزَّلَ عَلىٰ رَسولِهِ) kepada lafaz أَنزَلَ untuk kitab-kitab sebelum itu (وَالكِتابِ الَّذي أَنزَلَ مِن قَبلُ) kerana jenis penurunannya tidak sama. Ini kerana Qur’an diturunkan secara beransur-ansur manakala kitab-kitab lain diturunkan secara sekaligus.

 

وَمَن يَكفُر بِاللهِ وَمَلٰئِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ وَاليَومِ الآخِرِ فَقَد ضَلَّ ضَلٰلًا بَعيدًا

Dan sesiapa yang kufur engkar kepada Allah, dan Malaikat-malaikatNya, dan Kitab-kitabNya, dan Rasul-rasulNya dan juga Hari Akhirat, maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh.

Kalau tidak dapat beriman sepenuhnya dengan semua yang telah disebut ini, maka orang itu telah dikira sebagai sesat. Walaupun dia menolak satu sahaja dari semua perkara itu.

Mungkin kita bertanya: Kenapa perlu diulang perkara ini sedangkan kita sudah beriman dengan Allah , malaikat, semua kitab, dengan semua Rasul dan Hari Akhirat? Allah mengulanginya lagi dan memberikan penekanan kerana ada orang yang menyebutnya dengan mulut sahaja tetapi tidak diyakini dengan sepenuhnya.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat seterusnya.

Kemaskini: 10 Ogos 2018

Ringkasan Surah Nisa’


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah an-Nisa Ayat 131 – 134 (Allah tidak memerlukan manusia)

Ayat 131: Takhwif ukhrawi.

وَِللهِ مَا فِي السَّمٰوٰتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ وَلَقَدْ وَصَّيْنَا الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتٰبَ مِن قَبْلِكُمْ وَإِيَّاكُمْ أَنِ اتَّقُوا اللَّهَ وَإِن تَكْفُرُوا فَإِنَّ ِللهِ مَا فِي السَّمٰوٰتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ وَكَانَ اللهُ غَنِيًّا حَمِيدًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And to Allāh belongs whatever is in the heavens and whatever is on the earth. And We have instructed those who were given the Scripture before you and yourselves to fear Allāh. But if you disbelieve – then to Allāh belongs whatever is in the heavens and whatever is on the earth. And ever is Allāh Free of need and Praiseworthy.

MALAY

Dan bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi; dan demi sesungguhnya, Kami telah perintahkan orang-orang yang diberi Kitab dahulu daripada kamu, dan juga (perintahkan) kamu, iaitu hendaklah bertaqwa kepada Allah; dan jika kamu kufur ingkar, maka (ketahuilah) sesungguhnya Allah jualah yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi; dan (ingatlah) adalah Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.

 

وَِللهِ مَا فِي السَّمٰوٰتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ

Dan bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi;

Allah ‎ﷻ yang mencipta segala apa yang ada di langit dan di bumi. Maka kerana itu, semua yang di langit dan di bumi adalah milikNya. Apabila Allah ‎ﷻ memiliki segalanya, maka hendaklah taat kepada Allah ‎ﷻ sahaja, ibadah kepada Dia sahaja dan doa kepada Dia sahaja.

Dengan segala hukuman dan nasihat yang telah diberikanNya dalam ayat-ayat sebelum ini, kalaulah kita tidak mahu mengikutiNya pun, maka tidak ada beza bagiNya. Ini kerana Dia tidak memerlukan ketaatan kita.

Dan kalaulah kita pula taat kepada suruhan dan nasihat yang telah diberikan, Allah ‎ﷻ boleh memberikan apa sahaja kepada kita kalau Dia mahu, kerana Dia memiliki segala-galanya.

Banyak sudah hukum-hukum dan undang-undang yang Allah ‎ﷻ telah sampaikan. Allah ‎ﷻ mengingatkan manusia untuk taat kepada segala perintahNya. Tapi kalau tidak taat, ia tidak memberi kesan kepada Allah ‎ﷻ kerana Allah ‎ﷻ tidak memerlukan kita. Allah ‎ﷻ sudah mempunyai segala-galanya. Maka kitalah yang memerlukan Allah ‎ﷻ dan kerana itulah kita yang mesti mentaatiNya.

Potongan ayat ini akan diulang dua kali lagi sebentar lagi. Semuanya memberikan isyarat kepada maksud yang berlainan. Dalam yang pertama ini, Allah ‎ﷻ hendak mengingatkan kepada KuasaNya yang mencipta segala-galanya.

 

وَلَقَدْ وَصَّيْنَا الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتٰبَ مِن قَبْلِكُمْ

dan demi sesungguhnya, Kami telah wasiatkan kepada orang-orang yang diberi Kitab dahulu daripada kamu, 

Wasiat adalah kata-kata perintah yang penting. Umat-umat terdahulu telah diberikan dengan wasiat yang akan disebut ini. Bukan kita sahaja dipertanggungjawabkan dengan syariat. Tidak pernah Allah membiarkan mana-mana umat tanpa panduan hidup.

 

وَإِيَّاكُمْ

dan juga kamu,

Umat Nabi Muhammad ﷺ juga mendapat perintah yang sama. Sama sahaja ajaran tentang tauhid dari dahulu sampai sekarang dan sampai ke Kiamat nanti. Apakah wasiatnya?

 

أَنِ اتَّقُوا اللَّهَ

iaitu hendaklah bertaqwa kepada Allah;

Hendaklah semua bertaqwa dan takut kepada Allah  ‎ﷻ dengan menjaga hukum. Inilah maksud taqwa yang diulang-ulang dalam Qur’an: hendaklah bertaqwa dan hendaklah bertaqwa. Kerana inilah yang diperlukan oleh manusia untuk masuk ke dalam syurga. Itulah sebabnya Allah ‎ﷻ mengingatkan berkali- kali kepada kita.

 

وَإِن تَكْفُرُوا فَإِنَّ ِللهِ مَا فِي السَّمٰوٰتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ

dan jika kamu kufur ingkar, maka (ketahuilah) sesungguhnya Allah jualah yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi;

Sekali lagi diulang potongan ayat ini. Kali ini Allah  ‎ﷻ hendak menekankan yang Dia tidak memerlukan kita. Kalau kamu kufur engkar, Allah ‎ﷻ tidak memerlukan kamu, kerana semuanya dalam alam ini adalah milikNya. Jangan langsung ada perasaan yang Allah ‎ﷻ memerlukan kita dalam apa bentuk sekali pun. Kita yang memerlukan Allah ‎ﷻ dan tidak sebaliknya.

Perbuatan kita tidak memberi kesan kepada Allah  ‎ﷻ langsung. Dalam ayat-ayat sebelum ini telah disebut tentang perceraian. Allah ‎ﷻ tidak terkesan dengan perceraian kita langsung. Oleh itu, janganlah kecoh sangat, atau bersedih sangat kalau ditakdirkan kamu bercerai dengan pasangan kamu. Jangan persoalkan kenapa jadi begitu. Arasy Allah juga tidak bergegar hanya disebabkan perceraian suami isteri. Itu hanya diayah palsu hadis rekaan. Tidak mungkin perceraian kamu itu akan menyebabkan ArasyNya yang hebat itu bergegar pula?

Allah ‎ﷻ boleh berbuat apa sahaja yang Dia kehendaki kerana semua yang ada di dalam alam ini adalah hakNya. Isteri kita bukan hak kita. Suami kita bukan hak kita. Semuanya hak Allah semata-mata.

 

وَكَانَ اللَّهُ غَنِيًّا حَمِيدًا

dan (ingatlah) adalah Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.

Maksudnya Allah Maha Kaya dari memerlukan kita. Allah ‎ﷻ tidak memerlukan ketaatan kita. Ketaatan kita kepadaNya itu adalah untuk kebaikan kita sebenarnya.


 

Ayat 132:

وَِللهِ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ ۚ وَكَفىٰ بِاللهِ وَكيلًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And to Allāh belongs whatever is in the heavens and whatever is on the earth. And sufficient is Allāh as Disposer of affairs.

MALAY

Dan bagi Allah jualah apa yang ada di langit dan yang ada di bumi; dan cukuplah Allah sebagai Pengawal (yang mentadbirkan dan menguasai segala-galanya).

 

وَِللهِ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ

Dan bagi Allah jualah apa yang ada di langit dan yang ada di bumi;

Potongan ayat ini telah disebut dua kali sebelum ini. Sekarang Allah ‎ﷻ mengulanginya lagi untuk memberi isyarat yang langit dan bumi dan segala di dalam alam ini adalah sepenuhnya milikNya. Allah ‎ﷻ boleh berbuat apa sahaja. Termasuklah mentakdirkan sesuatu untuk kita. Kalau kita taat kepada Allah ‎ﷻ dan meminta kepadaNya, Allah ‎ﷻ boleh sahaja memberikan apa yang kita kehendaki.

Ringkasan kepada potongan ayat ini yang disebut sebanyak tiga kali:
1. Kehebatan kuasa Allah ‎ﷻ dalam mencipta.
2. Allah ‎ﷻ memiliki alam ini, maka Allah ‎ﷻ tidak memerlukan ketaatan kita pun.
3. Dia boleh berikan apa yang kita inginkan kalau Dia kehendaki kerana Dia yang menguasai alam ini.

 

وَكَفىٰ بِاللهِ وَكيلًا

dan cukuplah Allah sebagai Pengawal

Cukuplah Allah ‎ﷻ yang menjaga kita. Kita hanya perlu bertawakal kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Kalau sesuatu terjadi, seperti perceraian, maka serahkan diri kita kepada Allah‎ ﷻ .

Harus difahami maksud tawakal iaitu berserah kepada Allah ‎ﷻ selepas kita sudah berusaha.


 

Ayat 133: Allah ‎ﷻ tidak berkehendak kepada ibadat dari kita. Arahan Allah ‎ﷻ untuk kita beribadat adalah untuk kebaikan kita sendiri.

إِن يَشَأ يُذهِبكُم أَيُّهَا النّاسُ وَيَأتِ بِئآخَرينَ ۚ وَكانَ اللَّهُ عَلىٰ ذٰلِكَ قَديرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

If He wills, He can do away with you, O people, and bring others [in your place]. And ever is Allāh competent to do that.

MALAY

Jika Allah menghendaki, nescaya Ia musnahkan kamu wahai umat manusia dan Dia datangkan gantinya dengan umat-umat yang lain. Dan adalah Allah Maha Kuasa melakukan yang demikian itu.

 

إِن يَشَأ يُذهِبكُم أَيُّهَا النّاسُ

Jika Allah menghendaki, nescaya Dia musnahkan kamu wahai umat manusia

Allah ‎ﷻ menyambung lagi dengan menceritakan betapa Dia tidak memerlukan kita. Kalau Allah ‎ﷻ mahu, Dia boleh sahaja memusnahkan kita semua. Habis semua pupus tidak akan tinggal seorang pun. Ini menguatkan lagi hujah yang Dia tidak memerlukan ketaatan kita.

 

وَيَأتِ بِئآخَرينَ

dan Dia datangkan gantinya dengan umat-umat yang lain.

Dan selepas memusnahkan kita semua, Dia boleh menggantikan dengan makhluk yang lain. Maka, jangan kita rasa kita hebat sangat ataupun penting sangat. Allah ‎ﷻ boleh sahaja menghilangkan kita begitu sahaja. Allah ‎ﷻ bagi kita hidup lagi sebab untuk memberi kan peluang kepada kita sahaja.

 

وَكانَ اللهُ عَلىٰ ذٰلِكَ قَديرًا

Dan adalah Allah Maha Kuasa melakukan yang demikian itu.

Jangan berkata Allah ‎ﷻ tidak mampu melakukan apa yang Dia cakap. Dia boleh berbuat apa sahaja.


 

Ayat 134: Kalau hendak tinggal di dunia maka haruslah taat dan mengikuti segala perintah Allah ‎ﷻ. Janganlah hanya hendakkan dunia sahaja, sampai melupakan akhirat. Seseorang yang hanya ingin balasan dunia sahaja menunjukkan ia mempunyai fikiran yang rosak. Maka pohonlah kebaikan dunia dan akhirat sekali.

مَن كانَ يُريدُ ثَوابَ الدُّنيا فَعِندَ اللهِ ثَوابُ الدُّنيا وَالآخِرَةِ ۚ وَكانَ اللَهُ سَميعًا بَصيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Whoever desires the reward of this world – then with Allāh is the reward of this world and the Hereafter. And ever is Allāh Hearing and Seeing.

MALAY

Sesiapa yang mahukan pahala (balasan) dunia sahaja (maka rugilah ia), kerana di sisi Allah disediakan pahala (balasan) dunia dan akhirat. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.

 

مَن كانَ يُريدُ ثَوابَ الدُّنيا

Sesiapa yang mahukan balasan dunia sahaja

Ada jumlah muqaddar (lafaz yang tidak disebut) di sini. Sesiapa yang hendakkan balasan dunia sahaja, maka dia adalah seorang yang bodoh. Itu menandakan otaknya yang sudah rosak.

Allah ‎ﷻ telah menyebut sebelum ini yang Dia memiliki dunia dan akhirat. Kedua-duanya Dia boleh bagi kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Tapi mestilah memohon kepadaNya. Amat malang kalau memohon keduniaan sahaja daripada Allah ‎ﷻ.

Kalau meminta keduniaan, Allah ‎ﷻ boleh sahaja memberikannya. Tapi tidaklah ada bahagian kepada orang itu dari bahagian akhirat. Alangkah ruginya.

 

فَعِندَ اللهِ ثَوابُ الدُّنيا وَالآخِرَةِ ۚ

kerana di sisi Allah disediakan balasan dunia dan akhirat.

Kenapa dikatakan kalau seseorang itu hanya mahukan dunia sahaja, dia dikatakan bodoh? Kerana Allah memiliki dunia dan akhirat yang disediakan untuk manusia, asalkan mereka mahu berusaha.

Maka mintalah kedua-duanya. Janganlah minta dunia sahaja. Boleh minta kebaikan untuk kedua-duanya, tapi  jika diminta satu sahaja, itu adalah amat rugi sekali. Lihatlah ayat Baqarah:200 yang kita telah belajar bagaimana Allah ‎ﷻ mengajar kita cara untuk berdoa meminta kebaikan dunia dan akhirat sekali. Dalam ayat yang lain Allah telah berfirman:

مَنْ كانَ يُرِيدُ حَرْثَ الْآخِرَةِ نَزِدْ لَهُ فِي حَرْثِهِ

Barang siapa yang menghendaki keuntungan di akhirat akan Kami tambahkan keuntungan itu baginya. (Asy-Syura: 20), hingga akhir ayat.

Maka mintalah akhirat kerana Allah ‎ﷻ akan memberikannya jikalau kita minta.

Janganlah berusaha untuk mendapatkan dunia sahaja tapi hendaklah berusaha untuk akhirat sekali. Malangnya ramai yang hanya nampak dunia sahaja kerana dunia di depan mata.

 

وَكانَ اللَهُ سَميعًا بَصيرًا

Dan Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.

Allah ‎ﷻ mendengar permintaan makhluk sama ada inginkan dunia sahaja ataupun inginkan dunia dan akhirat sekali. Maka berhati-hatilah ketika berdoa.

Allah ‎ﷻ bukan hanya mendengar, tapi dalam ayat ini Dia berkata yang Dia بَصيرًا (melihat) juga. Maksudnya, kalau inginkan dunia dan akhirat, harus ada usaha kerana Allah ‎ﷻ hendak melihat usaha kita. Jangan cakap inginkan akhirat tapi amalan tidak menunjukkan sebegitu.

Bukan setakat cakap sahaja, tapi mesti menjalankan apa yang kita mampu. Dunia adalah ujian dan seperti juga dalam peperiksaan dunia, kalau inginkan lulus di dalam peperiksaan, mestilah belajar sehingga faham. Dan pelajaran yang terpenting sekali adalah mempelajari maksud ayat-ayat Qur’an.

Oleh kerana Allah ‎ﷻ mendengar dan melihat perbuatan kita, maka pembalasan Allah ﷻ adalah sangat tepat. Tidaklah Allah ‎ﷻ seperti para pemimpin atau raja yang hanya memberikan kurniaan kepada rakyat yang pandai memuji sahaja tapi tidak membuat sebarang kerja pun.

Habis Ruku’ ke 19 dari 24 ruku’ dalam surah ini.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 26 Disember 2018

Ringkasan Surah Nisa’


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah an-Nisa Ayat 128 – 130 (Kalau suami nusyuz)

Ayat 128: Ayat ini adalah penjelasan tentang hukum yang telah disebut dalam ayat 35. Ia adalah berkenaan tindakan yang boleh diambil jikalau suami isteri tidak boleh berdamai. Apabila tidak boleh berdamai, anjuran agama adalah untuk melantik hakam dari pihak suami dan pihak isteri.

Dan kemudian telah disebut sebelum ini tentang apa yang perlu dilakukan oleh suami jika isterinya nusyuz. Dalam ayat ini pula membincangkan apa yang perlu isteri lakukan jika suami pula yang nusyuz.

Islam amat menjaga institusi perkahwinan. Ini kerana jika terdapat masalah di antara suami dan isteri, kesannya buruk dan selalunya bukan membabitkan mereka sahaja malah orang-orang di sekeliling mereka juga. Kesannya mungkin sehingga menyebabkan perkelahian dengan ahli keluarga yang lain atau boleh sampai ke tahap membunuh orang lain.

Jika asas institusi kekeluargaan sendiri tidak harmoni, bagaimanakah agama hendak ditegakkan? Bagaimana agama hendak diamalkan dengan baik kalau masalah suami isteri menghantui fikiran? Bagaimana untuk berdakwah kalau ada masalah di rumah?

Maka Islam telah mengajar umatnya bagaimana cara untuk melayari bahtera perkahwinan. Kalau dijalani dengan saksama, maka perkahwinan akan menjadi syurga dunia. Tetapi ada waktunya perbezaan pendapat dan pertelingkahan mungkin terjadi, maka Islam juga memberikan jalan penyelesaian. Kalau diikuti dengan betul, in sha Allah segala permasalahan akan selesai.

وَإِنِ امْرَأَةٌ خَافَتْ مِن بَعْلِهَا نُشُوزًا أَوْ إِعْرَاضًا فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا أَن يُصْلِحَا بَيْنَهُمَا صُلْحًا وَالصُّلْحُ خَيْرٌ وَأُحْضِرَتِ الْأَنفُسُ الشُّحَّ وَإِن تُحْسِنُوا وَتَتَّقُوا فَإِنَّ اللَّهَ كَانَ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And if a woman fears from her husband contempt or evasion, there is no sin upon them if they make terms of settlement between them – and settlement is best. And present in [human] souls is stinginess.¹ But if you do good and fear Allāh – then indeed Allāh is ever, with what you do, Acquainted.

  • i.e., holding on to self-interests.

MALAY

Dan jika seorang perempuan bimbang akan timbul dari suaminya “nusyuz”, atau tidak melayaninya, maka tiadalah salah bagi mereka (suami isteri) membuat perdamaian di antara mereka berdua (secara yang sebaik-baiknya), kerana perdamaian itu lebih baik (bagi mereka daripada bercerai-berai); sedang sifat bakhil kedekut (tidak suka memberi atau bertolak ansur) itu memang tabiat semula jadi yang ada pada manusia. Dan jika kamu berlaku baik (dalam pergaulan), dan mencegah diri (daripada melakukan kezaliman), maka sesungguhnya Allah Maha Mendalam PengetahuanNya akan apa yang kamu lakukan.

 

وَإِنِ امْرَأَةٌ خَافَتْ مِن بَعْلِهَا نُشُوزًا

Dan jika seorang perempuan bimbang akan timbul dari suaminya “nusyuz”

Apakah maksud suami yang ‘nusyuz’? Maksudnya kalau suaminya itu kasar, menghina dengan kata-kata yang kasar dan juga bersikap kasar di dalam pergaulan dengan isterinya. Ini tidak patut terjadi kerana suruhan Allah kepada suami adalah untuk bergaul dengan baik dan mesti memberi nafkah yang sepatutnya. Tapi ada suami yang kurang memberi sedangkan dia mampu.

Selalu sahaja kita dengar ‘nusyuz’ ini pada isteri sahaja, padahal suami pun boleh juga berlaku ‘nusyuz’. Kalimah ‘nusyuz’ dari segi bahasa, maksudnya ‘dataran tinggi’. Apabila isteri nusyuz, seolah-olah membayangkan dirinya berada di dataran tinggi yakni ego dan engkar dan melawan suaminya.

Apabila si suami pula nusyuz, itu bermaksud dia berada di dataran tinggi yakni ego dan kasar dengan memukul, maki hamun, tidak menunaikan kewajipan sebagai suami. Ini pun tidak patut. Tidak ada sesiapa patut nusyuz kepada sesiapa pun.

 

أَوْ إِعْرَاضًا

atau tidak melayaninya, 

Atau jikalau suami itu tidak mempedulikan langsung isterinya. Mungkin si suami itu mempunyai isteri yang ramai. Atau pada zaman sekarang, terdapat suami yang mempunyai ramai “girlfriends”. Atau sibuk sangat dengan kerja sampai buat tidak kisah dengan isterinya.

Ada pula suami yang berakal pendek, atau akal belum cukup berkembang (umur dewasa tetapi perangai masih kebudak-budakan), membuang masa dengan bermain “game” atau melayari internet dan media sosial sahaja. Tidak dilayani isterinya dan apabila pulang ke rumah terus sahaja memegang “console game” nya.

Seorang suami janganlah menyeksa batin seorang isteri. Kalau memang dia tidak sukakannya lagi atau tidak berselera lagi dengan isterinya, maka hendaklah dia menceraikan isterinya itu. Jangan dilayaninya seperti orang yang tidak penting di dalam rumahnya. Islam membenarkan perceraian dalam Baqarah:229. Daripada tidak melayani isterinya langsung, baik sahaja melepaskannya.

Kadangkala, seorang isteri tentu bimbang dengan keadaan sebegini dan mereka tertanya-tanya diri mereka sendiri: “Sampai bila nak jadi macam ni?” Kalau ini terjadi, ada jalan penyelesaian yang telah digariskan oleh Islam.

 

فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا أَن يُصْلِحَا بَيْنَهُمَا صُلْحًا

maka tiadalah salah bagi mereka (suami isteri) membuat perdamaian di antara mereka berdua

Kalau suami sudah menjadi seperti yang disebut di atas, maka bolehlah membuat perdamaian dengan cara yang baik. Seorang suami mesti memberikan apa yang baik kepada isterinya. Kalau dia tidak tahu, maka dia mesti berusaha untuk belajar. Tidaklah si isteri disuruh bersabar sahaja sehingga bertahun-tahun. Maka boleh bawakan perkara itu ke mahkamah atau pejabat agama supaya suami itu boleh dinasihati.

Malangnya, di negara kita tidak diajar perkara sebegini. Si isteri selalunya disuruh untuk bersabar bertahun-tahun lamanya, kadangkala seperti digantung tidak bertali. Ini adalah kerana mereka jahil dengan saranan yang terdapat di dalam Qur’an. Qur’an hanya diletakkan di rak buku dan dijadikan perhiasan ataupun mereka hanya membaca Qur’an tanpa memahaminya langsung.

Begitu juga yang berlaku di beberapa pejabat agama. Mereka sepatutnya memberikan nasihat dan menyelesaikan masalah wanita yang datang kepada mereka. Namun, malang sekali, terdapat banyak juga yang kita dengar, wanita itu hanya disuruh pulang ke rumah dan bersabar sahaja. Ini bukanlah nasihat yang  disarankan oleh Islam. Sia-sia sahaja kalau bekerja di pejabat agama tetapi tidak dapat menegakkan agama.

Ayat ini juga memberi satu ruang perbincangan dan perdamaian di antara suami dan isteri. Kadangkala, perkahwinan tidaklah selalunya indah seperti yang diharapkan. Antaranya, mungkin terdapat kekurangan pada pihak isteri.

Mungkin dia sudah sakit dan tidak dapat menjalankan tugasnya sebagai isteri dengan sempurna. Lelaki itu pula mengetahui akan tanggungjawabnya sebagai manusia dan tidaklah melepaskan isterinya itu (dengan menceraikannya). Maka kalimah صُلْحًا boleh bermaksud ‘kompromi’. Bawalah berbincang dengan baik.

Maka setelah berbincang, maka si suami pun boleh berkahwin lain. Dalam hal ini, timbul satu persoalan, adakah suami itu patut menceraikan isterinya, atau terus mengekalkan isterinya, tapi tidak memberikan hak isteri itu seperti yang diberikan kepada isteri yang biasa? Maka waktu ini bolehlah suami isteri berbincang tentang apakah perkara yang mereka boleh lakukan. Mungkin isteri membenarkan suaminya berkahwin lain dan diberikan hak giliran bermalamnya kepada isteri  yang baru.

Dalam hal ini, terdapat sunnah dari Nabi Muhammad ﷺ. Di dalam kitab Sahihain disebut melalui hadis Hisyam ibnu Urwah رضي الله عنه, dari ayahnya, dari Aisyah رضي الله عنها yang menceritakan,

“Ketika usia Saudah binti Zam’ah sudah lanjut, dia menghadiahkan hari gilirannya kepada Aisyah رضي الله عنها. Sejak saat itu Nabi  menggilir Siti Aisyah  رضي الله عنها selama dua hari; satu hari milik Siti Aisyah رضي الله عنها, sedangkan hari yang lain hadiah dari Saudah.”

Nabi Muhammad ﷺ telah melakukan perkara ini sebagai satu langkah yang boleh diambil contoh oleh umatnya. Ini menunjukkan yang perjanjian boleh dilakukan di antara isteri dan suami. Suami tidak akan melepaskan isterinya itu dan si isteri itu pula menawarkan sesuatu kepada suaminya yang berupa hadiah, atau dalam kes Nabi ﷺ ini, Saudah telah memberikan gilirannya kepada Aisyah رضي الله عنها.

Nota: kisah Saudah memberikan haknya kepada Aisyah رضي الله عنها itu menjadi punca kepada penikahan Misyar. Kita tidak mahu panjangkan di sini kerana nikah cara begini ada masalahnya. Tapi bolehlah dibuat kajian kalau berminat.

 

وَالصُّلْحُ خَيْرٌ

kerana perdamaian itu lebih baik

Ini kerana berdamai itu tentunya lebih baik dari bercerai. Sudah bersusah payah untuk berkahwin, sudah mempunyai anak, maka eloklah kalau boleh menyelamatkan perkahwinan itu. Manusia kalau diberi kan nasihat yang sesuai, masih ada yang boleh menerimanya. Kalau tidak boleh terima, dan rasa perlu bercerai juga, maka bercerailah, tetapi seelok-eloknya ambillah jalan penyelesaian dengan cuba berdamai terlebih dahulu.

Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud dan Ibnu Majah, keduanya dari Kasir ibnu Ubaid, dari Muhammad ibnu Khalid, dari Ma’ruf ibnu Wasil, dari Muharib ibnu Disar, dari Abdullah ibnu Umar رضي الله عنهم yang mengatakan bahawa Rasulullah  ﷺ pernah bersabda:

“أَبْغَضُ الْحَلَالِ إِلَى اللهِ الطَّلَاقُ”

Perkara halal yang paling dimurkai oleh Allah ialah talak.

Kalau sampai perlu bercerai, ini juga terdapat di dalam agama Islam yang telah meletakkan syarat-syaratnya. Ia bukanlah perkara yang perlu dimalukan sangat. Kalau memang tidak boleh bersama lagi, lebih baik bercerai dari asyik makan hati dalam perkahwinan yang tidak disukai dan membahagiakan.

Cuma haruslah bertaqwa dan janganlah bersikap busuk hati terhadap orang lain. Peraturan untuk bercerai telah digariskan agar tidak ada yang dizalimi supaya walaupun pasangan tersebut terpaksa berpisah, tapi mereka berpisah dengan cara baik.

 

وَأُحْضِرَتِ الْأَنفُسُ الشُّحَّ

sedang sifat bakhil kedekut itu memang tabiat semula jadi yang ada pada manusia.

Puncanya adalah kerana tamakkan dunia, sehinggakan kepada isteri pun tidak mahu diberikan apa yang sepatutnya sama ada dalam bentuk wang ataupun masa. Ini menunjukkan sikap suami itu yang kedekut.

Atau mereka lebih gemar meluangkan masa untuk mencari harta dunia sehinggakan tidak ada masa untuk bersama isteri dan anak-ana. Itu sememangnya kerja yang bodoh, sebab dia mencari duit yang banyak pun untuk isteri dan anak-anaknya, bukan? Keluarga sebenarnya memerlukan masa dari si suami, bukan hanya untuk menanggung kehidupan sahaja. Namun, kebiasaannya manusia sememangnya mempunyai sifat sebegitu. Maka, dari perasaan tamak boleh membawa kepada sikap kedekut.

‘Tamak’ yang disebut dalam ayat ini juga boleh membawa maksud tamak oleh si isteri itu. Walaupun dia mengetahui yang dialah punca suaminya tidak melayaninya lagi (kerana sakit atau sebagainya) tetapi dia tetap mahu bersama dengan suaminya. Mungkin sebagai pemberi rezeki kepadanya. Ini tidaklah salah. Janganlah  kita hanya melihat tamak itu sebagai perkara yang negatif sahaja.

 

وَإِن تُحْسِنُوا وَتَتَّقُوا

Dan jika kamu berlaku baik (dalam pergaulan), dan mencegah diri 

Perkara ini hanya boleh diselesaikan jika suami sanggup berubah sikap. Haruslah berubah sikap perangai dari  yang buruk kepada perangai yang lebih baik. Mesti menghilangkan sikap tamak itu daripada dirinya. Mesti juga mempunyai rasa taqwa di dalam dirinya, baru senang untuk berbuat baik sesama manusia.

Memang Allah ‎ﷻ telah menjadikan manusia dengan sikap tamak dan kedekut. Kita boleh melihat sikap azali  kanak-kanak yang susah untuk berkongsi barang permainannya dengan orang lain. Maka ada orang yang lebih tamak dan lebih kedekut dari yang lain. Kalau Allah ‎ﷻ jadikan sesuatu sifat buruk dalam diri manusia itu, bukanlah dia harus berterusan dengan sifat itu.

Segala sifat buruk yang Allah ‎ﷻ telah jadikan semulajadi dalam diri manusia adalah sebagai ujian untuk manusia itu untuk memperbaiki dirinya. Kalau sari lahir sudah menjadi baik sahaja semua manusia, maka tiadalah ujian lagi. Oleh itu, kalau belajar dan faham ayat ini, akan senang untuk membuat kebaikan dan mudah untuk memperbaiki diri sendiri.

 

فَإِنَّ اللَّهَ كَانَ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرًا

sesungguhnya Allah Maha Mendalam PengetahuanNya akan apa yang kamu lakukan.

Haruslah diingatkan yang Allah ‎ﷻ sentiasa sahaja memerhatikan segala tingkah laku kita. Allah ‎ﷻ melihat sahaja sama ada seorang suami itu berbuat baik ataupun tidak. Semua itu akan dikira di akhirat kelak. Jadi, berbuat baik dengan isteri adalah suruhan agama. Orang mukmin sepatutnya menjaga akan perkara ini.

Malangnya, terdapat mereka yang tidak meninggalkan solat, malah menjadi imam di masjid dan surau, tapi pada masa yang sama melayani isteri dan anak-anak dengan teruk sekali.  Mereka sebenarnya tidak memahami agama. Mereka sangkakan agama ini hanya perlu menjalankan ibadat khusus seperti solat sahaja agaknya.

Ini kerana pengajaran Qur’an sudah tidak diajar di negara ini dengan menyeluruh, maka ramai yang jahil Qur’an dan jahil agama. Mereka yang mengajar di masjid dan surau pun tidak mengetahui tafsir Qur’an kerana tidak pernah belajar, apatah lagi orang awam yang menjadi pengikut sahaja.

Penghujung ayat ini memberi isyarat yang kalau seorang suami itu terus memberikan hak seorang isteri, walaupun mungkin ada kekurangan pada isteri itu, maka itu lebih baik baginya. Kenangilah jasa si isteri itu yang telah bersamanya setelah sekian lama.

Maka janganlah dibiarkan sahaja isterinya itu. Mungkin isterinya sudah sakit sekarang atau sudah tidak dapat melayaninya di katil, tapi dulu dia telah melakukan segalanya untuk kamu, bukan? Kenangilah segala pengorbanannya terdahulu.


 

Ayat 129: Hak manusia yang kita boleh tunaikan adalah dari segi zahir sahaja. Kalau perkara dalam hati seperti kasih sayang, ia amatlah payah untuk diberikan sama rata. Ini adalah kenyataan yang harus kita terima.

Ayat ini adalah kepada mereka yang berkahwin lebih daripada seorang isteri. Lihat balik perbincangan dalam ayat 3 surah ini. Allah ‎ﷻ telah mengajar lelaki yang hendak berpoligami, mereka mestilah berlaku adil terhadap semua isterinya.

Namun begitu, memanglah susah untuk berlaku samarata di dalam semua hal kepada para isteri. Oleh itu, agama tidak mewajibkan sama rata dari segi perasaan, tetapi dari segi masa dan harta, haruslah adil. Suami haruslah bersikap adil di antara isteri-isterinya di dalam perkara yang boleh dikira.

وَلَن تَسْتَطِيعُوا أَن تَعْدِلُوا بَيْنَ النِّسَاءِ وَلَوْ حَرَصْتُمْ فَلَا تَمِيلُوا كُلَّ الْمَيْلِ فَتَذَرُوهَا كَالْمُعَلَّقَةِ وَإِن تُصْلِحُوا وَتَتَّقُوا فَإِنَّ اللَهَ كَانَ غَفُورًا رَّحِيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And you will never be able to be equal [in feeling] between wives, even if you should strive [to do so]. So do not incline completely [toward one] and leave another hanging.¹ And if you amend [your affairs] and fear Allāh – then indeed, Allāh is ever Forgiving and Merciful.

  • Neither divorced nor enjoying the rights of marriage.

MALAY

Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya); oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awan-awan); dan jika kamu memperbaiki (keadaan yang pincang itu), dan memelihara diri (daripada perbuatan yang zalim), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

 

وَلَن تَسْتَطِيعُوا أَن تَعْدِلُوا بَيْنَ النِّسَاءِ وَلَوْ حَرَصْتُمْ

Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh

Seorang suami tidak akan mampu untuk kasih kepada isteri-isterinya secara sama rata, walaupun dia teringin sangat untuk berbuat begitu. Perasaan adalah perkara di dalam hati dan ini adalah kehendak Allah ‎ﷻ. Hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang dapat mengawal hati kita.

Oleh itu, sememangnya terdapat seorang isteri yang kita sayang lebih dari yang lain. Nabi Muhammad ﷺ pun tidak terkecuali. Kasih sayang baginda terhadap isteri-isterinya adalah tidak sama. Umum mengetahui bahawa baginda lebih menyayangi Aisyah رضي الله عنها berbanding dengan yang lain.

Seperti yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan para pemilik kitab sunan melalui hadis Hammad ibnu Salamah, dari Ayyub, dari Abu Qilabah, dari Abdullah ibnu Yazid رضي الله عنهم, dari Aisyah رضي الله عنها yang menceritakan bahawa Rasulullah ﷺ membahagikan gilirannya di antara isteri-isterinya dengan cara yang adil. Kemudian Nabi ﷺ bersabda:

«اللَّهُمَّ هَذَا قَسْمِي فِيمَا أَمْلِكُ، فَلَا تَلُمْنِي فِيمَا تَمْلِكُ وَلَا أملك»

Ya Allah, inilah pembahagianku terhadap apa yang aku miliki, tetapi janganlah Engkau mencelaku terhadap apa yang Engkau miliki, sedangkan aku tidak memilikinya.

Yang baginda maksudkan ialah kecenderungan hati. Baginda ﷺ tidak dapat mengawal hatinya sendiri kerana Allah ‎ﷻ yang memiliki hati kita. Ini kerana perasaan kita bukanlah di dalam kawalan kita kerana Allah ‎ﷻ yang membolak-balikkan hati. Demikianlah menurut lafaz hadis yang diketengahkan oleh Imam Abu Daud رضي الله عنه, dan hadis ini sanadnya sahih.

 

فَلَا تَمِيلُوا كُلَّ الْمَيْلِ فَتَذَرُوهَا كَالْمُعَلَّقَةِ

oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung

Tapi jangan tumpukan sangat kepada isteri yang disayangi lebih itu, sehingga mengabaikan isteri-isteri yang lain pula. Kita harus berlaku adil di dalam perkara yang zahir. Jangan sampai mereka itu seumpama ‘tergantung’.

Peribahasa Melayu berkata “gantung tidak bertali” — mereka ini tidak dicerai dan tidak juga didatangi (tidak disentuh). Mereka tidak mendapat kasih sayang suami dan mereka tidak diceraikan pula. Kalau diceraikan, adalah kemungkinan untuk isteri itu boleh berkahwin dengan lelaki lain.

Nota: Terdapat golongan yang tidak mahir dengan tafsir mengatakan Qur’an sendiri telah memansukhkan kebenaran berpoligami dalam ayat 3 surah ini. Mereka berkata: Lihatlah Allah ‎ﷻ berkata yang memang lelaki tidak dapat berlaku adil, sedangkan dalam ayat 3 disuruh adil kalau berpoligami dan sekarang Allah ‎ﷻ berkata tidak mungkin boleh berlaku adil.

Itu adalah tafsiran yang salah kerana Allah ‎ﷻ tidak berhenti berfirman lelaki tidak mungkin boleh berlaku adil, tapi Allah‎ ﷻ menambah dengan berkata jangan ‘cenderung melampau’ kepada salah satu isteri. Maknanya, Allah ‎ﷻ memberitahu yang lelaki memang tidak boleh berlaku adil, tapi janganlah melampau sangat  dengan hanya menunjukkan kasih sayang terhadap seorang isteri sahaja.

Ini bermakna, Allah ‎ﷻ membenarkan poligami tetapi hendaklah berhati-hati dalam melayani para isteri itu. Janganlah melampau sangat kepada salah seorang sahaja.

 

وَإِن تُصْلِحُوا وَتَتَّقُوا فَإِنَّ اللَهَ كَانَ غَفُورًا رَّحِيمًا

dan jika kamu memperbaiki, dan bertaqwa, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Allah ‎ﷻ menyuruh suami yang sebegitu untuk memperbaiki balik mana yang salah. Dan bertaqwa itu maksudnya harus dijaga hukum untuk masa hadapan. Yang sudah lepas tidak boleh diubah lagi, tetapi ingat-ingatlah bagaimana untuk bergaul dengan mereka di masa hadapan nanti.

Allah ‎ﷻ Maha Pengampun terhadap kesalahan kita yang melebihkan perasaan terhadap isteri yang kita sayangi melebihi daripada isteri-isteri yang lain, asalkan kita berlaku adil terhadap perkara-perkara yang zahir.

Khulasahnya, haruslah berhati-hati dalam perkara poligami ini kerana boleh mengundang banyak masalah. Ingatlah bagaimana kisah Saidina Ali رضي الله عنه hendak berkahwin lain dan memadukan isterinya Fatimah رضي الله عنها. Fatimah رضي الله عنها telah mengadu kepada Nabi Muhammad ﷺ dan Nabi ﷺ telah berjumpa dengan Ali رضي الله عنه dan menasihatinya, kalau Ali رضي الله عنه menyakiti hati Fatimah رضي الله عنها, itu tentunya akan menyakiti hati baginda ﷺ. Dan menyakiti hati baginda  ﷺ tidak sama dengan menyakiti hati orang lain.


Hadis palsu tentang cerai perceraian
Jika perceraian adalah satu jalan keluar maka ia perlu dilakukan sebagai pelan damai. Tiada kaitan langsung dengan Arasy Allah akan goncang bergegar.

 

Ayat 130: Ini pula kalau tidak boleh berdamai juga dan keputusan telah diambil untuk bercerai. Allah ‎ﷻ mengajar supaya suami atau isteri janganlah bermulut celupar apabila bercerai. Janganlah sampai perceraian mereka itu membawa mereka ke neraka.

وَإِن يَتَفَرَّقَا يُغْنِ اللَّهُ كُلًّا مِّن سَعَتِهِ وَكَانَ اللَّهُ وٰسِعًا حَكِيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But if they separate [by divorce], Allāh will enrich each [of them] from His abundance. And ever is Allāh Encompassing and Wise.

MALAY

Dan jika keduanya bercerai, maka Allah akan cukupkan (keperluan) masing-masing dari limpah kurniaNya. Dan (ingatlah) Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Maha Bijaksana.

 

وَإِن يَتَفَرَّقَا

Dan jika keduanya bercerai,

Kalau telah dijalankan perbincangan dan nasihat telah diberikan, tapi pasangan itu berasakan yang tidak ada jalan keluar melainkan bercerai sahaja. Kita mestilah menerima bahawa perkara ini selalu berlaku dan sememangnya ia adalah salah satu dari jalan penyelesaian. Islam bukanlah agama yang mengharamkan perceraian.

Ada agama seperti Kristian Catholic yang mengharamkan perceraian sampaikan pasangan terpaksa duduk di dalam perkahwinan yang mereka sama-sama tidak mahukan.

Selalunya pasangan terus berputus asa kalau mereka bercerai. Memanglah, tidak ada yang ingin memasuki alam gerbang perkahwinan dengan perceraian sebagai pengakhiran. Tentunya ia akan mengejutkan ramai pihak. Oleh sebab itu, kadangkala ramai yang tidak dapat menerima hakikat ini.

Mulalah ada yang tidak lalu makan, dan ada pula yang kesedihan yang  berpanjangan. Apakah nasihat dari Allah ‎ﷻ?

 

يُغْنِ اللهُ كُلًّا مِّن سَعَتِهِ

maka Allah akan cukupkan (keperluan) masing-masing dari limpah kurniaNya.

Allah ‎ﷻ memberitahu yang Dia akan cukupkan keperluan masing-masing dari kurniaNya yang maha luas. Kita tidak tahu bagaimana caranya Allah ‎ﷻ melakukan perluasan ini tapi kita harus yakin dengan Allah ‎ﷻ. Janganlah sangsi dengan janji Allah ‎ﷻ.

Mungkin kita tidak nampak bagaimana Allah  ‎ﷻ me’luas’kan untuk mereka. Mungkin masing-masing akan dapat pasangan yang lebih sesuai untuk mereka selepas bercerai. Berapa ramai yang sudah melalui perkara ini: mereka bercerai dan mendapat pasangan yang lebih baik dari pasangan sebelumnya. Ada ramai yang selepas berkahwin lain, mereka berasa lebih tenang dan beruntung.

 

وَكَانَ اللَّهُ وٰسِعًا حَكِيمًا

Dan (ingatlah) Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Maha Bijaksana.

Kurniaan dari Allah ‎ﷻ adalah tidak terhitung banyaknya. Mungkin kita tidak mendapat satu bahagian, tapi akan diberikan oleh Allah ‎ﷻ bahagian yang lain pula.

Yang penting, kita tahu yang semua yang terjadi adalah dalam perancangan Allah ‎ﷻ. Sudah tentu ada hikmah dalam apa yang dilalui dalam perceraian itu. Sama ada kita nampak atau tidak sahaja. Ingatlah yang Allah ‎ﷻ tidak pernah zalim terhadap makhlukNya.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 24 Julai 2018

Ringkasan Surah Nisa’


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah an-Nisa Ayat 125 – 127 (Akidah Nabi Ibrahim)

Ayat 125: Allah ‎ﷻ memberitahu kita di dalam ayat ini yang akidah yang sebenar-benarnya adalah akidah Nabi Ibrahim عليه السلام.

وَمَنْ أَحْسَنُ دِينًا مِّمَّنْ أَسْلَمَ وَجْهَهُ ِللهِ وَهُوَ مُحْسِنٌ وَاتَّبَعَ مِلَّةَ إِبْرٰهِيمَ حَنِيفًا وَاتَّخَذَ اللَهُ إِبْرٰهِيمَ خَلِيلًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And who is better in religion than one who submits himself to Allāh while being a doer of good and follows the religion of Abraham, inclining toward truth? And Allāh took Abraham as an intimate friend.

MALAY

Dan tidak ada yang lebih baik agamanya daripada orang yang menyerahkan dirinya kepada Allah (dengan ikhlas), sedang ia berusaha mengerjakan kebaikan, dan ia pula mengikut agama Nabi Ibrahim yang lurus (yang tetap di atas dasar tauhid); dan (kerana itulah) Allah menjadikan Nabi Ibrahim kesayanganNya.

 

وَمَنْ أَحْسَنُ دِينًا مِّمَّنْ أَسْلَمَ وَجْهَهُ ِللهِ

Dan tidak ada yang lebih baik agamanya daripada orang yang menyerahkan dirinya kepada Allah

Siapakah yang lebih elok pegangan dan amalannya berbanding dengan mereka yang menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah? Dialah yang mengikut akidah dan amalan sepenuhnya seperti yang telah Allah ‎ﷻ tetapkan dan kehendaki.

 

وَهُوَ مُحْسِنٌ

sedang dia berusaha mengerjakan kebaikan,

Dan semasa dia melakukan amal kebaikan itu, dia benar-benar ikhlas serta tiada sikap menunjuk-nunjuk.  Sikap menunjuk-menunjuk adalah sikap golongan munafik.

Ihsan adalah kedudukan yang tertinggi. Iaitu mereka yang merasakan bahawa Allah ‎ﷻ sentiasa memerhatikan tindak tanduk mereka. Apabila sudah merasai Allah ‎ﷻ sentiasa memerhatikan, tentulah seseorang itu tidak berani lagi untuk berbuat kesalahan secara sengaja.

 

وَاتَّبَعَ مِلَّةَ إِبْرٰهِيمَ حَنِيفًا

dan ia pula mengikut agama Nabi Ibrahim yang lurus

Dan dia mengikuti agama yang pernah dibawa oleh Nabi Ibrahim عليه السلام yang tiada langsung mempunyai ciri-ciri syirik. Hanif bermaksud fokus kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Itulah tauhid yang sebenar-benarnya.

 

 

وَاتَّخَذَ اللهُ إِبْرٰهِيمَ خَلِيلًا

Allah menjadikan Nabi Ibrahim kesayanganNya.

Hebatnya Nabi Ibrahim عليه السلام, Allah ‎ﷻ telah menjadikan baginda sebagai kekasihNya. Ini adalah kerana baginda adalah seorang imam yang diikuti, kerana baginda telah mencapai puncak tingkatan taqarrub seorang hamba kepada Allah ‎ﷻ. Sesungguhnya baginda telah mencapai kedudukan tingkatan khullah (kekasih) yang merupakan kedudukan mahabbah yang tertinggi. Baginda telah mendapat kedudukan yang tinggi ini kerana ketaatannya kepada Allah ‎ﷻ .

Allah ‎ﷻ telah berfirman:

وَإِذِ ابْتَلى إِبْراهِيمَ رَبُّهُ بِكَلِماتٍ فَأَتَمَّهُنَّ

Dan (ingatlah) ketika Ibrahim diuji Tuhannya dengan beberapa kalimat (perintah dan larangan), lalu Ibrahim menunaikannya (secara sempurna). (Al-Baqarah: 124), hingga akhir ayat.

Maka kita mestilah mengikuti akidah Nabi Ibrahim. Akidah Nabi Ibrahim adalah akidah tauhid. Kita mesti belajar bagaimana cara baginda menjalankan agama. Terdapat banyak di dalam ayat-ayat Qur’an yang menceritakan tentang kisah Nabi Ibrahim عليه السلام.

Dan siapakah yang mengikut jalan Nabi Ibrahim عليه السلام itu? Allah ‎ﷻ telah berfirman dalam Ali Imran:68 bahawa Nabi Muhammad ﷺ adalah yang paling hampir dengan ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام. Maka kita hendaklah mengamalkan ajaran seperti Nabi Muhammad ﷺ juga.

Bukan Nabi Ibrahim عليه السلام sahaja yang dijadikan khaleel oleh Allah ‎ﷻ. Melalui jalur Jundub ibnu Abdullah Al-Bajali, Abdullah ibnu Amr ibnul As, dan Abdullah ibnu Mas’ud, dari Nabi ﷺ., disebutkan bahawa Nabi ﷺ telah bersabda:

«إِنَّ اللَّهَ اتَّخَذَنِي خَلِيلًا، كَمَا اتَّخَذَ إِبْرَاهِيمَ خَلِيلًا»

Sesungguhnya Allah menjadikan diriku sebagai kesayangan-(Nya), sebagaimana Dia menjadikan Ibrahim sebagai kesayangan(Nya).


 

Ayat 126: Ini adalah khulasah (ringkasan) bagi agama Nabi Ibrahim عليه السلام.

وَِللهِ مَا فِي السَّمٰوٰتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ وَكَانَ اللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ مُّحِيطًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And to Allāh belongs whatever is in the heavens and whatever is on the earth. And ever is Allāh, of all things, encompassing.

MALAY

Dan bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi; dan Allah sentiasa Meliputi (pengetahuanNya dan kekuasaanNya) akan tiap-tiap sesuatu.

 

وَِللهِ مَا فِي السَّمٰوٰتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ

Dan bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi;

Segala apa yang ada di langit dan di bumi ini adalah milik Allah belaka. Kalau semua milikNya, maka kita haruslah beribadat dan berdoa semata-mata kepadaNya. Janganlah lagi beribadat dan menyeru serta meminta dari para Nabi, Wali dan Malaikat.

Allah ‎ﷻ tidak memerlukan ibadat kita, kerana segala yang di langit dan di bumi adalah sepenuhnya hakmilikNya. Tetapi Dia menginginkan kita melakukan ibadat dan taat kepadaNya adalah untuk kebaikan diri kita sendiri sebenarnya.

 

وَكَانَ اللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ مُّحِيطًا

dan Allah sentiasa Meliputi akan tiap-tiap sesuatu.

Maksudnya, ilmu Allah ‎ﷻ meliputi segala sesuatu. Dia tahu apa yang berlaku. Dia tahu apa yang kita perlukan, maka kepadaNya sahajalah kita berdoa dan bergantung harap. Maka serulah dan beribadatlah hanya kepadaNya sahaja. Berharap dan berdoa kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Inilah maqam ihsan.

Selesai sudah Ruku’ ke 18 dari 24 ruku’ dalam surah ini.


 

Ayat 127: Ayat ini menjawab kesamaran yang mungkin terdapat di dalam ayat 3 surah ini. Ianya tentang mengahwini gadis dari kalangan anak yatim. Ini merujuk kepada adat resam jahiliyah di mana anak-anak yatim yang cantik dikahwini untuk mendapatkan harta mereka.

Manakala anak yatim yang tidak cantik dibiarkan tidak berkahwin, dengan harapan apabila dia meninggal dunia nanti hartanya dapat dikuasai. Kalau dibiarkan berkahwin, nanti harta itu diwariskan ke tempat lain pula, maka penjaganya tidak membenarkan anak yatim itu berkahwin.

Ayat itu telah memberitahu, jika bimbang tidak dapat berlaku adil kepada anak-anak yatim apabila mengahwini mereka, maka berkahwinlah dengan yang bukan anak yatim. Di sini menjelaskan kekeliruan di mana mungkin ada yang silap faham menyatakan anak yatim tidak boleh dikahwini langsung.

Oleh itu, dijawab dalam ayat ini bahawa boleh berkahwin dengan mereka, asalkan jangan berlaku zalim. Jadi ayat ini adalah jenis Umur Munazimah. Ianya adalah perintah berlaku adil terhadap anak yatim yang lemah, tidak kira lelaki atau perempuan.

وَيَسْتَفْتُونَكَ فِي النِّسَاءِ قُلِ اللَّهُ يُفْتِيكُمْ فِيهِنَّ وَمَا يُتْلَىٰ عَلَيْكُمْ فِي الْكِتٰبِ فِي يَتٰمَى النِّسَاءِ اللّٰتِي لَا تُؤْتُونَهُنَّ مَا كُتِبَ لَهُنَّ وَتَرْغَبُونَ أَن تَنكِحُوهُنَّ وَالْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الْوِلْدٰنِ وَأَن تَقُومُوا لِلْيَتٰمَىٰ بِالْقِسْطِ وَمَا تَفْعَلُوا مِنْ خَيْرٍ فَإِنَّ اللَّهَ كَانَ بِهِ عَلِيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they request from you, [O Muḥammad], a [legal] ruling concerning women. Say, “Allāh gives you a ruling about them and [about] what has been recited to you in the Book concerning the orphan girls to whom you do not give what is decreed for them¹ – and [yet] you desire to marry them – and concerning the oppressed among children and that you maintain for orphans [their rights] in justice.” And whatever you do of good – indeed, Allāh is ever Knowing of it.

  • i.e., their rights, in general, and their mahr, specifically.

MALAY

Dan mereka meminta fatwa kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hak dan kewajipan) kaum perempuan. Katakanlah olehmu: “Allah akan memberi keterangan (fatwa) kepada kamu mengenai mereka dan juga (ada difatwakan dalam) apa yang selalu dibacakan kepada kamu dalam Kitab (Al-Qur’an) ini mengenai perempuan-perempuan yatim yang kamu tidak memberi kepadanya apa yang telah ditetapkan menjadi hak mereka, dan yang kamu suka berkahwin dengan mereka; dan juga mengenai anak-anak yang lemah (yang masih kecil lagi). Dan (kamu juga diwajibkan) supaya menguruskan (hak dan keperluan) anak-anak yatim dengan adil. Dan (ingatlah) apa jua kebaikan yang kamu lakukan (kepada mereka), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahuinya.”

 

وَيَسْتَفْتُونَكَ فِي النِّسَاءِ

Dan mereka meminta fatwa kepadamu (wahai Muhammad), mengenai kaum perempuan.

Terdapat orang Islam yang keliru sama ada bolehkah berkahwin dengan perempuan anak yatim.

 

قُلِ اللَّهُ يُفْتِيكُمْ فِيهِنَّ

Katakanlah olehmu: “Allah akan memberi keterangan (fatwa) kepada kamu mengenai mereka

Allah ‎ﷻ akan  memberikan penjelasan.

 

وَمَا يُتْلَىٰ عَلَيْكُمْ فِي الْكِتٰبِ فِي يَتٰمَى

dan juga yang dibacakan kepada kamu dalam Kitab (Al-Qur’an) ini mengenai perempuan-perempuan yatim

Dan Allah ‎ﷻ akan menjelaskan apa yang telah diturunkan sebelum ini iaitu dalam ayat 3 surah ini.

Ibnu Abu Hatim mengatakan bahawa dia pernah belajar kepada Muhammad ibnu Abdullah ibnul Hakam yang mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ibnu Wahb, telah menceritakan kepadaku Yunus, dari Ibnu Syihab, telah menceritakan kepadaku Urwah ibnuz Zubair yang mengatakan bahwa Siti Aisyah mengatakan, “Orang-orang meminta fatwa kepada Rasulullah Saw. mengenai masalah yang menyangkut mereka. Maka Allah menurunkan firman-Nya: Dan mereka minta fatwa kepadamu tentang para wanita. Kata-kanlah, ‘Allah memberi fatwa kepada kalian tentang mereka, dan apa yang dibacakan kepada kalian dalam Al-Qur’an (juga memfatwakan)’ (An-Nisa: 127), hingga akhir ayat.” Siti Aisyah mengatakan, “Yang dimaksud dengan apa yang disebutkan oleh Allah di dalam Al-Qur’an ialah ayat yang ada pada permulaan surat, yaitu firman-Nya: ‘Dan jika kalian takut tidak akan dapat berbuat adil terhadap (hak-hak) perempuan yang yatim (bilamana kalian mengawini-nya), maka kawinilah wanita-wanita (lain) yang kalian senangi’ (An-Nisa: 3).”

 

اللّٰتِي لَا تُؤْتُونَهُنَّ مَا كُتِبَ لَهُنَّ

yang kamu tidak memberi kepadanya apa yang telah ditetapkan menjadi hak mereka, 

Selalunya mereka tidak mendapat hak mereka. Contohnya seperti hak mahr yang tidak diberikan kepada mereka. Pada zaman Jahiliah, terdapat anak yatim yang dikahwini tetapi mereka tidak diberikan dengan mahr seperti yang sepatutnya.

 

وَتَرْغَبُونَ أَن تَنكِحُوهُنَّ

dan yang kamu suka berkahwin dengan mereka; 

Sedangkan kamu berminat untuk mengahwini mereka hanya kerana menginginkan harta mereka.

Imam Bukhari mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ubaidillah ibnu Ismail, telah menceritakan kepada kami Abu Usamah yang mengatakan bahwa telah menceritakan kepada kami Hisyam ibnu Urwah, dari ayahnya, dari Siti Aisyah r.a. sehubungan dengan firman-Nya: Dan mereka minta fatwa kepadamu tentang para wanita. Katakanlah, “Allah memberi fatwa kepada kalian tentang mereka.” (An-Nisa: 127) sampai dengan firman-Nya: sedangkan kalian ingin mengawini mereka. (An-Nisa: 127); Maka Siti Aisyah mengatakan, “Hal ini berkenaan seorang lelaki yang memelihara anak yatim perempuan, sedangkan dia sebagai wali dan ahli warisnya sekaligus. Kerana itu, anak yatim berkongsi dengannya dalam harta benda sampai dalam pokoknya. Maka dia berminat untuk mengahwininya dan tidak suka bila anak yatim itu dikahwini oleh lelaki lain yang akibatnya lelaki lain itu akan ikut berkongsi dengannya dalam harta bendanya, lalu dia bersikap mempersulit anak yatim itu. Maka turunlah ayat ini.”

Allah ‎ﷻ melarang seorang penjaga anak yatim untuk mengahwini perempuan anak yatim hanya kerana harta mereka. Ini adalah amalan Jahiliah. Mereka akan mengahwini anak yatim itu dan mengambil harta mereka.

Dan terdapat juga di dalam amalan Jahiliah, di mana mereka tidak berminat untuk mengahwini anak yatim di bawah jagaan mereka tetapi pada masa yang sama, mereka juga tidak membenarkan anak yatim itu berkahwin dengan lelaki lain. Ini kerana mereka takut  akan kehilangan hak ke atas harta anak yatim tersebut.

Ibnu Abbas mengatakan bahawa terdapat tradisi di zaman Jahiliah, apabila seseorang lelaki memelihara anak yatim perempuan, lalu dia melemparkan kain kepadanya, bererti tidak ada seorang lelaki pun yang akan dibenarkan mengahwininya untuk selamanya. Jika anak yatim tersebut cantik, lalu dia mengahwininya serta memakan hartanya. Jika si anak yatim itu tidak cantik, maka dia melarangnya dari berkahwin dengan lelaki lain buat selama-lamanya. Apabila si anak yatim meninggal dunia, maka dia pula mewarisi hartanya. Tradisi seperti ini telah diharamkan oleh Allah ‎ﷻ.

 

وَالْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الْوِلْدٰنِ

dan juga mengenai anak-anak kecil yang lemah

Bukan sahaja ayat ini membicarakan tentang perempuan anak yatim sahaja tapi ada juga mengenai tentang golongan lemah dari kanak kanak dan lain. Allah ‎ﷻ  telah mengajar kita untuk menguruskan mereka dengan adil.

 

وَأَن تَقُومُوا لِلْيَتٰمَىٰ بِالْقِسْطِ

Dan (kamu juga diwajibkan) supaya menguruskan (hak dan keperluan) anak-anak yatim dengan adil.

Jangan berlaku zalim terhadap mereka. Pada zaman Jahiliah, mereka tidak memberikan harta kepada anak-anak yatim yang lemah. Malah mereka akan merampas harta anak-anak yatim itu pula. Bagi mereka anak-anak yatim tidak bermanfaat langsung kerana mereka golongan yang lemah yang tidak dapat bekerja atau menyertai peperangan.

Dan penjahat-penjahat itu tidak takut untuk mengambil harta anak  yatim itu kerana mereka itu lemah dan tidak mampu untuk mempertahankan hak mereka. Maka Islam melarang keras perbuatan itu. Allah ‎ﷻ memerintahkan semua manusia untuk memberikan hak-hak mereka.

 

وَمَا تَفْعَلُوا مِنْ خَيْرٍ فَإِنَّ اللَّهَ كَانَ بِهِ عَلِيمًا

Dan (ingatlah) apa jua kebaikan yang kamu lakukan (kepada mereka), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahuinya.”

Yang penting, haruslah diingatkan yang Allah ‎ﷻ sentiasa melihat apa yang kita lakukan. Jika kita melakukan kebaikan dengan menjaga hak-hak anak yatim, maka Allah ‎ﷻ mengetahuinya dan akan membalasnya dengan kebaikan. Begitulah juga jika kita melakukan keburukan terhadap mereka.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 16 Julai 2018

Ringkasan Surah Nisa’


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani