Tafsir Surah an-Nisa Ayat 128 – 130 (Kalau suami nusyuz)

Ayat 128: Ayat ini adalah penjelasan tentang hukum yang telah disebut dalam ayat 35. Ia adalah berkenaan tindakan yang boleh diambil jikalau suami isteri tidak boleh berdamai. Apabila tidak boleh berdamai, anjuran agama adalah untuk melantik hakam dari pihak suami dan pihak isteri.

Dan kemudian telah disebut sebelum ini tentang apa yang perlu dilakukan oleh suami jika isterinya nusyuz. Dalam ayat ini pula membincangkan apa yang perlu isteri lakukan jika suami pula yang nusyuz.

Islam amat menjaga institusi perkahwinan. Ini kerana jika terdapat masalah di antara suami dan isteri, kesannya buruk dan selalunya bukan membabitkan mereka sahaja malah orang-orang di sekeliling mereka juga. Kesannya mungkin sehingga menyebabkan perkelahian dengan ahli keluarga yang lain atau boleh sampai ke tahap membunuh orang lain.

Jika asas institusi kekeluargaan sendiri tidak harmoni, bagaimanakah agama hendak ditegakkan? Bagaimana agama hendak diamalkan dengan baik kalau masalah suami isteri menghantui fikiran? Bagaimana untuk berdakwah kalau ada masalah di rumah?

Maka Islam telah mengajar umatnya bagaimana cara untuk melayari bahtera perkahwinan. Kalau dijalani dengan saksama, maka perkahwinan akan menjadi syurga dunia. Tetapi ada waktunya perbezaan pendapat dan pertelingkahan mungkin terjadi, maka Islam juga memberikan jalan penyelesaian. Kalau diikuti dengan betul, in sha Allah segala permasalahan akan selesai.

وَإِنِ امْرَأَةٌ خَافَتْ مِن بَعْلِهَا نُشُوزًا أَوْ إِعْرَاضًا فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا أَن يُصْلِحَا بَيْنَهُمَا صُلْحًا وَالصُّلْحُ خَيْرٌ وَأُحْضِرَتِ الْأَنفُسُ الشُّحَّ وَإِن تُحْسِنُوا وَتَتَّقُوا فَإِنَّ اللَّهَ كَانَ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And if a woman fears from her husband contempt or evasion, there is no sin upon them if they make terms of settlement between them – and settlement is best. And present in [human] souls is stinginess.¹ But if you do good and fear Allāh – then indeed Allāh is ever, with what you do, Acquainted.

  • i.e., holding on to self-interests.

MALAY

Dan jika seorang perempuan bimbang akan timbul dari suaminya “nusyuz”, atau tidak melayaninya, maka tiadalah salah bagi mereka (suami isteri) membuat perdamaian di antara mereka berdua (secara yang sebaik-baiknya), kerana perdamaian itu lebih baik (bagi mereka daripada bercerai-berai); sedang sifat bakhil kedekut (tidak suka memberi atau bertolak ansur) itu memang tabiat semula jadi yang ada pada manusia. Dan jika kamu berlaku baik (dalam pergaulan), dan mencegah diri (daripada melakukan kezaliman), maka sesungguhnya Allah Maha Mendalam PengetahuanNya akan apa yang kamu lakukan.

 

وَإِنِ امْرَأَةٌ خَافَتْ مِن بَعْلِهَا نُشُوزًا

Dan jika seorang perempuan bimbang akan timbul dari suaminya “nusyuz”

Apakah maksud suami yang ‘nusyuz’? Maksudnya kalau suaminya itu kasar, menghina dengan kata-kata yang kasar dan juga bersikap kasar di dalam pergaulan dengan isterinya. Ini tidak patut terjadi kerana suruhan Allah kepada suami adalah untuk bergaul dengan baik dan mesti memberi nafkah yang sepatutnya. Tapi ada suami yang kurang memberi sedangkan dia mampu.

Selalu sahaja kita dengar ‘nusyuz’ ini pada isteri sahaja, padahal suami pun boleh juga berlaku ‘nusyuz’. Kalimah ‘nusyuz’ dari segi bahasa, maksudnya ‘dataran tinggi’. Apabila isteri nusyuz, seolah-olah membayangkan dirinya berada di dataran tinggi yakni ego dan engkar dan melawan suaminya.

Apabila si suami pula nusyuz, itu bermaksud dia berada di dataran tinggi yakni ego dan kasar dengan memukul, maki hamun, tidak menunaikan kewajipan sebagai suami. Ini pun tidak patut. Tidak ada sesiapa patut nusyuz kepada sesiapa pun.

 

أَوْ إِعْرَاضًا

atau tidak melayaninya, 

Atau jikalau suami itu tidak mempedulikan langsung isterinya. Mungkin si suami itu mempunyai isteri yang ramai. Atau pada zaman sekarang, terdapat suami yang mempunyai ramai “girlfriends”. Atau sibuk sangat dengan kerja sampai buat tidak kisah dengan isterinya.

Ada pula suami yang berakal pendek, atau akal belum cukup berkembang (umur dewasa tetapi perangai masih kebudak-budakan), membuang masa dengan bermain “game” atau melayari internet dan media sosial sahaja. Tidak dilayani isterinya dan apabila pulang ke rumah terus sahaja memegang “console game” nya.

Seorang suami janganlah menyeksa batin seorang isteri. Kalau memang dia tidak sukakannya lagi atau tidak berselera lagi dengan isterinya, maka hendaklah dia menceraikan isterinya itu. Jangan dilayaninya seperti orang yang tidak penting di dalam rumahnya. Islam membenarkan perceraian dalam Baqarah:229. Daripada tidak melayani isterinya langsung, baik sahaja melepaskannya.

Kadangkala, seorang isteri tentu bimbang dengan keadaan sebegini dan mereka tertanya-tanya diri mereka sendiri: “Sampai bila nak jadi macam ni?” Kalau ini terjadi, ada jalan penyelesaian yang telah digariskan oleh Islam.

 

فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا أَن يُصْلِحَا بَيْنَهُمَا صُلْحًا

maka tiadalah salah bagi mereka (suami isteri) membuat perdamaian di antara mereka berdua

Kalau suami sudah menjadi seperti yang disebut di atas, maka bolehlah membuat perdamaian dengan cara yang baik. Seorang suami mesti memberikan apa yang baik kepada isterinya. Kalau dia tidak tahu, maka dia mesti berusaha untuk belajar. Tidaklah si isteri disuruh bersabar sahaja sehingga bertahun-tahun. Maka boleh bawakan perkara itu ke mahkamah atau pejabat agama supaya suami itu boleh dinasihati.

Malangnya, di negara kita tidak diajar perkara sebegini. Si isteri selalunya disuruh untuk bersabar bertahun-tahun lamanya, kadangkala seperti digantung tidak bertali. Ini adalah kerana mereka jahil dengan saranan yang terdapat di dalam Qur’an. Qur’an hanya diletakkan di rak buku dan dijadikan perhiasan ataupun mereka hanya membaca Qur’an tanpa memahaminya langsung.

Begitu juga yang berlaku di beberapa pejabat agama. Mereka sepatutnya memberikan nasihat dan menyelesaikan masalah wanita yang datang kepada mereka. Namun, malang sekali, terdapat banyak juga yang kita dengar, wanita itu hanya disuruh pulang ke rumah dan bersabar sahaja. Ini bukanlah nasihat yang  disarankan oleh Islam. Sia-sia sahaja kalau bekerja di pejabat agama tetapi tidak dapat menegakkan agama.

Ayat ini juga memberi satu ruang perbincangan dan perdamaian di antara suami dan isteri. Kadangkala, perkahwinan tidaklah selalunya indah seperti yang diharapkan. Antaranya, mungkin terdapat kekurangan pada pihak isteri.

Mungkin dia sudah sakit dan tidak dapat menjalankan tugasnya sebagai isteri dengan sempurna. Lelaki itu pula mengetahui akan tanggungjawabnya sebagai manusia dan tidaklah melepaskan isterinya itu (dengan menceraikannya). Maka kalimah صُلْحًا boleh bermaksud ‘kompromi’. Bawalah berbincang dengan baik.

Maka setelah berbincang, maka si suami pun boleh berkahwin lain. Dalam hal ini, timbul satu persoalan, adakah suami itu patut menceraikan isterinya, atau terus mengekalkan isterinya, tapi tidak memberikan hak isteri itu seperti yang diberikan kepada isteri yang biasa? Maka waktu ini bolehlah suami isteri berbincang tentang apakah perkara yang mereka boleh lakukan. Mungkin isteri membenarkan suaminya berkahwin lain dan diberikan hak giliran bermalamnya kepada isteri  yang baru.

Dalam hal ini, terdapat sunnah dari Nabi Muhammad ﷺ. Di dalam kitab Sahihain disebut melalui hadis Hisyam ibnu Urwah رضي الله عنه, dari ayahnya, dari Aisyah رضي الله عنها yang menceritakan,

“Ketika usia Saudah binti Zam’ah sudah lanjut, dia menghadiahkan hari gilirannya kepada Aisyah رضي الله عنها. Sejak saat itu Nabi  menggilir Siti Aisyah  رضي الله عنها selama dua hari; satu hari milik Siti Aisyah رضي الله عنها, sedangkan hari yang lain hadiah dari Saudah.”

Nabi Muhammad ﷺ telah melakukan perkara ini sebagai satu langkah yang boleh diambil contoh oleh umatnya. Ini menunjukkan yang perjanjian boleh dilakukan di antara isteri dan suami. Suami tidak akan melepaskan isterinya itu dan si isteri itu pula menawarkan sesuatu kepada suaminya yang berupa hadiah, atau dalam kes Nabi ﷺ ini, Saudah telah memberikan gilirannya kepada Aisyah رضي الله عنها.

Nota: kisah Saudah memberikan haknya kepada Aisyah رضي الله عنها itu menjadi punca kepada penikahan Misyar. Kita tidak mahu panjangkan di sini kerana nikah cara begini ada masalahnya. Tapi bolehlah dibuat kajian kalau berminat.

 

وَالصُّلْحُ خَيْرٌ

kerana perdamaian itu lebih baik

Ini kerana berdamai itu tentunya lebih baik dari bercerai. Sudah bersusah payah untuk berkahwin, sudah mempunyai anak, maka eloklah kalau boleh menyelamatkan perkahwinan itu. Manusia kalau diberi kan nasihat yang sesuai, masih ada yang boleh menerimanya. Kalau tidak boleh terima, dan rasa perlu bercerai juga, maka bercerailah, tetapi seelok-eloknya ambillah jalan penyelesaian dengan cuba berdamai terlebih dahulu.

Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud dan Ibnu Majah, keduanya dari Kasir ibnu Ubaid, dari Muhammad ibnu Khalid, dari Ma’ruf ibnu Wasil, dari Muharib ibnu Disar, dari Abdullah ibnu Umar رضي الله عنهم yang mengatakan bahawa Rasulullah  ﷺ pernah bersabda:

“أَبْغَضُ الْحَلَالِ إِلَى اللهِ الطَّلَاقُ”

Perkara halal yang paling dimurkai oleh Allah ialah talak.

Kalau sampai perlu bercerai, ini juga terdapat di dalam agama Islam yang telah meletakkan syarat-syaratnya. Ia bukanlah perkara yang perlu dimalukan sangat. Kalau memang tidak boleh bersama lagi, lebih baik bercerai dari asyik makan hati dalam perkahwinan yang tidak disukai dan membahagiakan.

Cuma haruslah bertaqwa dan janganlah bersikap busuk hati terhadap orang lain. Peraturan untuk bercerai telah digariskan agar tidak ada yang dizalimi supaya walaupun pasangan tersebut terpaksa berpisah, tapi mereka berpisah dengan cara baik.

 

وَأُحْضِرَتِ الْأَنفُسُ الشُّحَّ

sedang sifat bakhil kedekut itu memang tabiat semula jadi yang ada pada manusia.

Puncanya adalah kerana tamakkan dunia, sehinggakan kepada isteri pun tidak mahu diberikan apa yang sepatutnya sama ada dalam bentuk wang ataupun masa. Ini menunjukkan sikap suami itu yang kedekut.

Atau mereka lebih gemar meluangkan masa untuk mencari harta dunia sehinggakan tidak ada masa untuk bersama isteri dan anak-ana. Itu sememangnya kerja yang bodoh, sebab dia mencari duit yang banyak pun untuk isteri dan anak-anaknya, bukan? Keluarga sebenarnya memerlukan masa dari si suami, bukan hanya untuk menanggung kehidupan sahaja. Namun, kebiasaannya manusia sememangnya mempunyai sifat sebegitu. Maka, dari perasaan tamak boleh membawa kepada sikap kedekut.

‘Tamak’ yang disebut dalam ayat ini juga boleh membawa maksud tamak oleh si isteri itu. Walaupun dia mengetahui yang dialah punca suaminya tidak melayaninya lagi (kerana sakit atau sebagainya) tetapi dia tetap mahu bersama dengan suaminya. Mungkin sebagai pemberi rezeki kepadanya. Ini tidaklah salah. Janganlah  kita hanya melihat tamak itu sebagai perkara yang negatif sahaja.

 

وَإِن تُحْسِنُوا وَتَتَّقُوا

Dan jika kamu berlaku baik (dalam pergaulan), dan mencegah diri 

Perkara ini hanya boleh diselesaikan jika suami sanggup berubah sikap. Haruslah berubah sikap perangai dari  yang buruk kepada perangai yang lebih baik. Mesti menghilangkan sikap tamak itu daripada dirinya. Mesti juga mempunyai rasa taqwa di dalam dirinya, baru senang untuk berbuat baik sesama manusia.

Memang Allah ‎ﷻ telah menjadikan manusia dengan sikap tamak dan kedekut. Kita boleh melihat sikap azali  kanak-kanak yang susah untuk berkongsi barang permainannya dengan orang lain. Maka ada orang yang lebih tamak dan lebih kedekut dari yang lain. Kalau Allah ‎ﷻ jadikan sesuatu sifat buruk dalam diri manusia itu, bukanlah dia harus berterusan dengan sifat itu.

Segala sifat buruk yang Allah ‎ﷻ telah jadikan semulajadi dalam diri manusia adalah sebagai ujian untuk manusia itu untuk memperbaiki dirinya. Kalau sari lahir sudah menjadi baik sahaja semua manusia, maka tiadalah ujian lagi. Oleh itu, kalau belajar dan faham ayat ini, akan senang untuk membuat kebaikan dan mudah untuk memperbaiki diri sendiri.

 

فَإِنَّ اللَّهَ كَانَ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرًا

sesungguhnya Allah Maha Mendalam PengetahuanNya akan apa yang kamu lakukan.

Haruslah diingatkan yang Allah ‎ﷻ sentiasa sahaja memerhatikan segala tingkah laku kita. Allah ‎ﷻ melihat sahaja sama ada seorang suami itu berbuat baik ataupun tidak. Semua itu akan dikira di akhirat kelak. Jadi, berbuat baik dengan isteri adalah suruhan agama. Orang mukmin sepatutnya menjaga akan perkara ini.

Malangnya, terdapat mereka yang tidak meninggalkan solat, malah menjadi imam di masjid dan surau, tapi pada masa yang sama melayani isteri dan anak-anak dengan teruk sekali.  Mereka sebenarnya tidak memahami agama. Mereka sangkakan agama ini hanya perlu menjalankan ibadat khusus seperti solat sahaja agaknya.

Ini kerana pengajaran Qur’an sudah tidak diajar di negara ini dengan menyeluruh, maka ramai yang jahil Qur’an dan jahil agama. Mereka yang mengajar di masjid dan surau pun tidak mengetahui tafsir Qur’an kerana tidak pernah belajar, apatah lagi orang awam yang menjadi pengikut sahaja.

Penghujung ayat ini memberi isyarat yang kalau seorang suami itu terus memberikan hak seorang isteri, walaupun mungkin ada kekurangan pada isteri itu, maka itu lebih baik baginya. Kenangilah jasa si isteri itu yang telah bersamanya setelah sekian lama.

Maka janganlah dibiarkan sahaja isterinya itu. Mungkin isterinya sudah sakit sekarang atau sudah tidak dapat melayaninya di katil, tapi dulu dia telah melakukan segalanya untuk kamu, bukan? Kenangilah segala pengorbanannya terdahulu.


 

Ayat 129: Hak manusia yang kita boleh tunaikan adalah dari segi zahir sahaja. Kalau perkara dalam hati seperti kasih sayang, ia amatlah payah untuk diberikan sama rata. Ini adalah kenyataan yang harus kita terima.

Ayat ini adalah kepada mereka yang berkahwin lebih daripada seorang isteri. Lihat balik perbincangan dalam ayat 3 surah ini. Allah ‎ﷻ telah mengajar lelaki yang hendak berpoligami, mereka mestilah berlaku adil terhadap semua isterinya.

Namun begitu, memanglah susah untuk berlaku samarata di dalam semua hal kepada para isteri. Oleh itu, agama tidak mewajibkan sama rata dari segi perasaan, tetapi dari segi masa dan harta, haruslah adil. Suami haruslah bersikap adil di antara isteri-isterinya di dalam perkara yang boleh dikira.

وَلَن تَسْتَطِيعُوا أَن تَعْدِلُوا بَيْنَ النِّسَاءِ وَلَوْ حَرَصْتُمْ فَلَا تَمِيلُوا كُلَّ الْمَيْلِ فَتَذَرُوهَا كَالْمُعَلَّقَةِ وَإِن تُصْلِحُوا وَتَتَّقُوا فَإِنَّ اللَهَ كَانَ غَفُورًا رَّحِيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And you will never be able to be equal [in feeling] between wives, even if you should strive [to do so]. So do not incline completely [toward one] and leave another hanging.¹ And if you amend [your affairs] and fear Allāh – then indeed, Allāh is ever Forgiving and Merciful.

  • Neither divorced nor enjoying the rights of marriage.

MALAY

Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya); oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awan-awan); dan jika kamu memperbaiki (keadaan yang pincang itu), dan memelihara diri (daripada perbuatan yang zalim), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

 

وَلَن تَسْتَطِيعُوا أَن تَعْدِلُوا بَيْنَ النِّسَاءِ وَلَوْ حَرَصْتُمْ

Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh

Seorang suami tidak akan mampu untuk kasih kepada isteri-isterinya secara sama rata, walaupun dia teringin sangat untuk berbuat begitu. Perasaan adalah perkara di dalam hati dan ini adalah kehendak Allah ‎ﷻ. Hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang dapat mengawal hati kita.

Oleh itu, sememangnya terdapat seorang isteri yang kita sayang lebih dari yang lain. Nabi Muhammad ﷺ pun tidak terkecuali. Kasih sayang baginda terhadap isteri-isterinya adalah tidak sama. Umum mengetahui bahawa baginda lebih menyayangi Aisyah رضي الله عنها berbanding dengan yang lain.

Seperti yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan para pemilik kitab sunan melalui hadis Hammad ibnu Salamah, dari Ayyub, dari Abu Qilabah, dari Abdullah ibnu Yazid رضي الله عنهم, dari Aisyah رضي الله عنها yang menceritakan bahawa Rasulullah ﷺ membahagikan gilirannya di antara isteri-isterinya dengan cara yang adil. Kemudian Nabi ﷺ bersabda:

«اللَّهُمَّ هَذَا قَسْمِي فِيمَا أَمْلِكُ، فَلَا تَلُمْنِي فِيمَا تَمْلِكُ وَلَا أملك»

Ya Allah, inilah pembahagianku terhadap apa yang aku miliki, tetapi janganlah Engkau mencelaku terhadap apa yang Engkau miliki, sedangkan aku tidak memilikinya.

Yang baginda maksudkan ialah kecenderungan hati. Baginda ﷺ tidak dapat mengawal hatinya sendiri kerana Allah ‎ﷻ yang memiliki hati kita. Ini kerana perasaan kita bukanlah di dalam kawalan kita kerana Allah ‎ﷻ yang membolak-balikkan hati. Demikianlah menurut lafaz hadis yang diketengahkan oleh Imam Abu Daud رضي الله عنه, dan hadis ini sanadnya sahih.

 

فَلَا تَمِيلُوا كُلَّ الْمَيْلِ فَتَذَرُوهَا كَالْمُعَلَّقَةِ

oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung

Tapi jangan tumpukan sangat kepada isteri yang disayangi lebih itu, sehingga mengabaikan isteri-isteri yang lain pula. Kita harus berlaku adil di dalam perkara yang zahir. Jangan sampai mereka itu seumpama ‘tergantung’.

Peribahasa Melayu berkata “gantung tidak bertali” — mereka ini tidak dicerai dan tidak juga didatangi (tidak disentuh). Mereka tidak mendapat kasih sayang suami dan mereka tidak diceraikan pula. Kalau diceraikan, adalah kemungkinan untuk isteri itu boleh berkahwin dengan lelaki lain.

Nota: Terdapat golongan yang tidak mahir dengan tafsir mengatakan Qur’an sendiri telah memansukhkan kebenaran berpoligami dalam ayat 3 surah ini. Mereka berkata: Lihatlah Allah ‎ﷻ berkata yang memang lelaki tidak dapat berlaku adil, sedangkan dalam ayat 3 disuruh adil kalau berpoligami dan sekarang Allah ‎ﷻ berkata tidak mungkin boleh berlaku adil.

Itu adalah tafsiran yang salah kerana Allah ‎ﷻ tidak berhenti berfirman lelaki tidak mungkin boleh berlaku adil, tapi Allah‎ ﷻ menambah dengan berkata jangan ‘cenderung melampau’ kepada salah satu isteri. Maknanya, Allah ‎ﷻ memberitahu yang lelaki memang tidak boleh berlaku adil, tapi janganlah melampau sangat  dengan hanya menunjukkan kasih sayang terhadap seorang isteri sahaja.

Ini bermakna, Allah ‎ﷻ membenarkan poligami tetapi hendaklah berhati-hati dalam melayani para isteri itu. Janganlah melampau sangat kepada salah seorang sahaja.

 

وَإِن تُصْلِحُوا وَتَتَّقُوا فَإِنَّ اللَهَ كَانَ غَفُورًا رَّحِيمًا

dan jika kamu memperbaiki, dan bertaqwa, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Allah ‎ﷻ menyuruh suami yang sebegitu untuk memperbaiki balik mana yang salah. Dan bertaqwa itu maksudnya harus dijaga hukum untuk masa hadapan. Yang sudah lepas tidak boleh diubah lagi, tetapi ingat-ingatlah bagaimana untuk bergaul dengan mereka di masa hadapan nanti.

Allah ‎ﷻ Maha Pengampun terhadap kesalahan kita yang melebihkan perasaan terhadap isteri yang kita sayangi melebihi daripada isteri-isteri yang lain, asalkan kita berlaku adil terhadap perkara-perkara yang zahir.

Khulasahnya, haruslah berhati-hati dalam perkara poligami ini kerana boleh mengundang banyak masalah. Ingatlah bagaimana kisah Saidina Ali رضي الله عنه hendak berkahwin lain dan memadukan isterinya Fatimah رضي الله عنها. Fatimah رضي الله عنها telah mengadu kepada Nabi Muhammad ﷺ dan Nabi ﷺ telah berjumpa dengan Ali رضي الله عنه dan menasihatinya, kalau Ali رضي الله عنه menyakiti hati Fatimah رضي الله عنها, itu tentunya akan menyakiti hati baginda ﷺ. Dan menyakiti hati baginda  ﷺ tidak sama dengan menyakiti hati orang lain.


Hadis palsu tentang cerai perceraian
Jika perceraian adalah satu jalan keluar maka ia perlu dilakukan sebagai pelan damai. Tiada kaitan langsung dengan Arasy Allah akan goncang bergegar.

 

Ayat 130: Ini pula kalau tidak boleh berdamai juga dan keputusan telah diambil untuk bercerai. Allah ‎ﷻ mengajar supaya suami atau isteri janganlah bermulut celupar apabila bercerai. Janganlah sampai perceraian mereka itu membawa mereka ke neraka.

وَإِن يَتَفَرَّقَا يُغْنِ اللَّهُ كُلًّا مِّن سَعَتِهِ وَكَانَ اللَّهُ وٰسِعًا حَكِيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But if they separate [by divorce], Allāh will enrich each [of them] from His abundance. And ever is Allāh Encompassing and Wise.

MALAY

Dan jika keduanya bercerai, maka Allah akan cukupkan (keperluan) masing-masing dari limpah kurniaNya. Dan (ingatlah) Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Maha Bijaksana.

 

وَإِن يَتَفَرَّقَا

Dan jika keduanya bercerai,

Kalau telah dijalankan perbincangan dan nasihat telah diberikan, tapi pasangan itu berasakan yang tidak ada jalan keluar melainkan bercerai sahaja. Kita mestilah menerima bahawa perkara ini selalu berlaku dan sememangnya ia adalah salah satu dari jalan penyelesaian. Islam bukanlah agama yang mengharamkan perceraian.

Ada agama seperti Kristian Catholic yang mengharamkan perceraian sampaikan pasangan terpaksa duduk di dalam perkahwinan yang mereka sama-sama tidak mahukan.

Selalunya pasangan terus berputus asa kalau mereka bercerai. Memanglah, tidak ada yang ingin memasuki alam gerbang perkahwinan dengan perceraian sebagai pengakhiran. Tentunya ia akan mengejutkan ramai pihak. Oleh sebab itu, kadangkala ramai yang tidak dapat menerima hakikat ini.

Mulalah ada yang tidak lalu makan, dan ada pula yang kesedihan yang  berpanjangan. Apakah nasihat dari Allah ‎ﷻ?

 

يُغْنِ اللهُ كُلًّا مِّن سَعَتِهِ

maka Allah akan cukupkan (keperluan) masing-masing dari limpah kurniaNya.

Allah ‎ﷻ memberitahu yang Dia akan cukupkan keperluan masing-masing dari kurniaNya yang maha luas. Kita tidak tahu bagaimana caranya Allah ‎ﷻ melakukan perluasan ini tapi kita harus yakin dengan Allah ‎ﷻ. Janganlah sangsi dengan janji Allah ‎ﷻ.

Mungkin kita tidak nampak bagaimana Allah  ‎ﷻ me’luas’kan untuk mereka. Mungkin masing-masing akan dapat pasangan yang lebih sesuai untuk mereka selepas bercerai. Berapa ramai yang sudah melalui perkara ini: mereka bercerai dan mendapat pasangan yang lebih baik dari pasangan sebelumnya. Ada ramai yang selepas berkahwin lain, mereka berasa lebih tenang dan beruntung.

 

وَكَانَ اللَّهُ وٰسِعًا حَكِيمًا

Dan (ingatlah) Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Maha Bijaksana.

Kurniaan dari Allah ‎ﷻ adalah tidak terhitung banyaknya. Mungkin kita tidak mendapat satu bahagian, tapi akan diberikan oleh Allah ‎ﷻ bahagian yang lain pula.

Yang penting, kita tahu yang semua yang terjadi adalah dalam perancangan Allah ‎ﷻ. Sudah tentu ada hikmah dalam apa yang dilalui dalam perceraian itu. Sama ada kita nampak atau tidak sahaja. Ingatlah yang Allah ‎ﷻ tidak pernah zalim terhadap makhlukNya.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 24 Julai 2018


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah an-Nisa Ayat 34 – 35 (Isteri yang nusyuz)

Ayat 34: Allah lebihkan satu golongan terhadap golongan lain kerana sifat-sifat tertentu. Itu atas kejadian yang Allah jadikan tidak sama antara lelaki dan wanita. Allah dah jadikan lelaki dan wanita tidak sama maka kita tidak boleh persoalkan perbezaan itu.

Macam sudu dan garpu; kita tidak boleh gunakan garpu untuk buat kerja sudu, bukan?

‎الرِّجَالُ قَوّٰمُونَ عَلَى النِّسَاءِ بِمَا فَضَّلَ اللهُ بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ وَبِمَا أَنفَقُوا مِنْ أَمْوٰلِهِمْ فَالصّٰلِحٰتُ قٰنِتٰتٌ حٰفِظٰتٌ لِّلْغَيْبِ بِمَا حَفِظَ اللهُ وَاللّٰتِي تَخَافُونَ نُشُوزَهُنَّ فَعِظُوهُنَّ وَاهْجُرُوهُنَّ فِي الْمَضَاجِعِ وَاضْرِبُوهُنَّ فَإِنْ أَطَعْنَكُمْ فَلَا تَبْغُوا عَلَيْهِنَّ سَبِيلًا إِنَّ اللهَ كَانَ عَلِيًّا كَبِيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Men are in charge of women¹ by [right of] what Allāh has given one over the other and what they spend [for maintenance] from their wealth. So righteous women are devoutly obedient, guarding in [the husband’s] absence what Allāh would have them guard.² But those [wives] from whom you fear arrogance – [first] advise them; [then if they persist], forsake them in bed; and [finally], strike them.³ But if they obey you [once more], seek no means against them. Indeed, Allāh is ever Exalted and Grand.

  • This applies primarily to the husband-wife relationship.
  • i.e., their husbands’ property and their own chastity.
  • As a last resort. It is unlawful to strike the face or to cause bodily injury.

MALAY

Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolonganNya. Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukulah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar.

 

الرِّجَالُ قَوّٰمُونَ عَلَى النِّسَاءِ

Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, 

Lelaki adalah ketua yang bertanggungjawab dalam keluarga. Mereka sebagai pelindung dan pemimpin.

Maksud lafaz قَوَّامُونَ adalah mereka yang bertanggungjawab dalam sesuatu perkara samada individu atau kumpulan. Merekalah yang kena jaga, kena buat keputusan dan memastikan semuanya berjalan dengan lancar. Merekalah juga yang memberi keperluan kepada individu atau kumpulan itu.

Setiap organisasi memerlukan ketua kerana kalau tidak, tentu akan kacau bilau organisasi atau negara itu. Dan begitu juga dalam keluarga, ianya adalah ‘organisasi kecil’ dalam masyarakat. Dan Allah telah lantik lelaki yang menjadi ketua.

Dan bukan sahaja dalam keluarga, dalam mana-mana organisasi pun secara umum, ketua yang dilantik mestilah dari lelaki. Sampai kepada ketua negara pun kenalah lelaki. Kerana ini memang tugas dan di dalam keupayaan lelaki. Allah telah berfirman dalam Baqarah:228

وَلِلرِّجالِ عَلَيهِنَّ دَرَجَةٌ

lelaki mempunyai satu tingkat kelebihan

Jadi ketua keluarga adalah suami. Tapi, ini bukanlah dalil untuk suami mengambil kesempatan atas isteri. Kenalah ada perbincangan antara mereka dan pergaulan yang mesra. Allah telah sebut dah dalam Nisa:19

وَعاشِروهُنَّ بِالمَعروفِ

Dan bergaullah dengan mereka secara patut.

Dan Allah telah sebut dalam Baqarah:233

عَن تَراضٍ مِنهُما وَتَشاوُرٍ

dengan kerelaan keduanya dan selepas bermesyuarat

Maknanya, bukanlah suami kena buat keputusan sendiri sahaja, sebagai suami yang bijak, suami itu kenalah rujuk juga kepada pendapat isteri. Walaupun tidak semestinya cadangan isteri itu diterima, tetapi sekurangnya dengar dan timbangkan.

Mungkin ada wanita tidak puas hati dengan kedudukan yang Allah telah berikan ini. Maka Allah dengan segala rahmahNya memberikan dua sebab sebagai penjelasan kenapa lelaki layak menjadi pemimpin dalam rumahtangga.

 

بِمَا فَضَّلَ اللهُ بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ

oleh kerana Allah telah melebihkan (orang-orang lelaki) (dengan beberapa keistimewaan) atas (orang-orang perempuan),

Allah jadikan setiap manusia tidak sama. Kita sendiri pun boleh lihat ada beza antara lelaki dan wanita. Lelaki telah dilebihkan dalam beberapa perkara yang melebihi dari wanita. Oleh kerana kelebihan itu, mereka yang layak menjadi pemimpin. Kerana itu pangkat kenabian hanya diberikan kepada lelaki sahaja.

Ini adalah kedudukan yang Allah sendiri pilih dan Allah telah buat keputusan untuk melebihkan lelaki ke atas wanita. Sebagaimana juga Allah telah pilih Mekah untuk menjadi Tanah Haram dan tempat yang mulia di atas mukabumi.

Tapi lihatlah bagaimana Allah menggunakan bahasa yang lembut dalam ayat ini. Allah tidak kata: lelaki lebih dari wanita. Tapi Allah kata: Allah melebihkan satu golongan ke atas golongan yang lain. Ini kerana Allah hendak mengingatkan lelaki dan wanita yang mereka itu datang dari Nabi Adam a.s. juga. Satu golongan dari golongan yang lain juga. Asalnya sama-sama manusia, tapi Allah yang lebihkan lelaki atas wanita.

Maka, dalam Allah menaikkan kedudukan lelaki, tidaklah Allah merendahkan kedudukan wanita. Sebagaimana kepala duduknya di atas, tapi tidaklah kepentingan kaki menjadi kurang kerana ia juga ada kerja penting. Cuma kebolehan dan kegunaan tidak sama. Begitu juga lelaki dan wanita tidak sama dari segi fizikal dan biologi.

Oleh kerana Allah ciptakan wanita sedemikian rupa, mereka tidak sesuai menjadi pemimpin. Sebagai contoh, mereka tidak boleh keluar ke khalayak ramai tanpa ditemani oleh mahram atau wali mereka. Oleh kerana itu, tentu susah kalau mereka yang jadi pemimpin. Nabi telah bersabda:

«لَنْ يُفْلِحَ قَوْمٌ وَلَّوْا أَمْرَهُمُ امْرَأَةً»

Tidak akan beruntung suatu kaum yang urusan mereka dipegang oleh seorang wanita.

Dan Allah telah jadikan fizikal mereka lemah, jadi mereka tidak boleh bekerja berat. Allah juga telah jadikan hati wanita ini lembut dan kerana itu mereka susah untuk buat keputusan tanpa emosi. Oleh itu, tugas para wanita itu memang sesuai sangat di rumah sahaja.

Ulama ada lagi membincangkan kalimat yang Allah gunakan: satu golongan lebih dari golongan yang lain. Ini meletakkan kedudukan tinggi itu ke atas golongan lelaki secara keseluruhan. Bukanlah setiap lelaki lebih dari setiap orang perempuan. Kerana ada kemungkinan seorang wanita lebih pandai, lebih kuat dari seseorang lelaki. Ini mungkin sahaja terjadi, tapi dari segi golongan secara keseluruhan, golongan lelaki tetap lebih dari golongan perempuan.

Dengan sebab Allah telah lebihkan lelaki atas wanita, maka sebab itulah lelaki yang layak menjadi pemimpin. Kita kena ingat yang kedudukan ini Allah yang pilih. Allah dah lantik sebegitu. Maka, kita kenalah terima. Kita kena ingat yang taat kepada suami itu kerana taat kepada Allah.

Tetapi pada zaman sekarang, dengan kerja bukan lagi berat (duduk di ofis sahaja) dan kerana itu wanita pun sudah ramai yang bekerja dan mendapat pendapatan dari kerja mereka, mungkin ada yang berkata ayat sebegini tidak layak lagi.

Tapi, walaupun mereka boleh bekerja dan menyara hidup, mereka masih lagi tertakluk dengan kekurangan-kekurangan yang lain. Antaranya mereka tidak sesuai keluar rumah bersendirian, hati mereka tetap lembut, fizikal mereka tetap tidak boleh buat kerja keras dan berat.

 

وَبِمَا أَنفَقُوا مِنْ أَمْوٰلِهِمْ

dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. 

Lelaki wajib beri nafkah kepada mereka yang di bawah tanggungannya. Ayat ini menceritakan tanggung jawab lelaki, bukan hendak menceritakan sangat tentang kelebihan lelaki atas wanita sampai boleh suruh suruh isteri buat macam-macam. Kalau tidak belajarlah akan nampak satu perkara sahaja, tapi tak nampak perkara yang lain.

Jangan lupa yang suami itu kena beri nafkah kepada isteri. Ramai suami yang lupa perkara ini. Tambahan pula isteri sudah bekerja, maka mereka sudah lupa tanggungjawab sebagai suami dan bapa. Ramai yang menggunakan isteri sebagai pencari rezeki dan dia goyang kaki di rumah atau berpeleseran di luar. Ini sudah terbalik dan amat jauh dari adab manusia normal, lebih-lebih lagi berlawanan dengan Qur’an.

Ramai yang salahguna ayat ini sebagai dalil untuk menindas wanita. Manusia kena ingat, kuasa yang diberikan kepada lelaki dalam keluarga atau dalam pemerintahan negara bukanlah kuasa yang penuh, bukan kuasa yang mutlak. Kenalah ada musyawarah untuk membuat sebarang keputusan. Samada musyawarah dalam keluarga atau dalam organisasi mana-mana pun.

Dalam organisasi memang kena ada ketua tapi tidaklah ketua itu ada kuasa mutlak. Kalau dia salahguna kuasa, tentulah dia akan dijatuhkan atau orang akan tinggalkan organisasi itu. Kalau tidak ada ketua yang jelas, sudah pasti akan ada kepincangan dalam keluarga atau organisasi itu. Dan ketua itu kenalah dilantik dari lelaki.

Dan dengan sebab harta yang lelaki gunakan untuk memberi nafkah dan itulah juga sebab yang membolehkan mereka menjadi pemimpin kepada wanita dalam keluarga mereka. Ini kerana merekalah yang memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak. Oleh kerana nafkah datangnya dari mereka, mereka yang kena kerja lebih, maka layaklah mereka yang menjadi pemimpin.

Memang itulah yang sepatutnya dilakukan oleh lelaki. Dari nak kahwin pun dah kena beri mahr. Selepas kahwin, kena tanggung nafkah isteri. Begitu juga selepas dapat anak. Merekalah yang kena beri nafkah, baiki rumah, beri pakaian dan sebagainya. Maka mereka diberi dengan bahagian yang lebih besar dalam pembahagian harta faraid kerana kedudukan mereka sebagai penjaga keluarga.

Kita telah belajar pembahagian Faraid sebelum ini. Sekarang kita nampak kenapa mereka dapat bahagian yang lebih. Kerana mereka kena gunakan bahagian itu untuk memberi nafkah kepada orang lain. Sedangkan bahagian wanita itu untuk mereka sendiri sahaja. Ini adalah kerana mereka tidak ada tanggungjawab untuk beri nafkah kepada sesiapa pun. Maka bahagian Faraid yang mereka dapat itu adalah untuk mereka semata-mata.

Kita kena tahu yang kalau wanita belum berkahwin, mereka di bawah tanggungan ayah mereka dan apabila mereka berkahwin, tanggungjawab itu jatuh ke bahu suaminya pula. Dan kalau mereka kehilangan suami atau memang tidak berkahwin, wali mereka jatuh kepada lelaki dalam keluarga seperti abang, pakcik dan sebagainya. Islam memang menjaga kedudukan wanita sampaikan wanita tidak perlu bekerja pun sebenarnya. Maka siapa kata wanita ditindas dalam Islam?

Sudah mendapat kelebihan ini, maka wanita kenalah jaga diri mereka:

 

فَالصّٰلِحٰتُ قٰنِتٰتٌ حٰفِظٰتٌ لِّلْغَيْبِ بِمَا حَفِظَ اللهُ

Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat, dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemeliharaan Allah dan pertolonganNya. 

Maka jadilah wanita yang soleh. Wanita-wanita soleh (الصَّالِحَاتُ), pertamanya mereka akan taat (قَانِتَاتٌ) kepada perintah Allah. Dan antara yang mereka kena taat kepada perintah Allah ada topik yang telah disebut sebelum ini: kedudukan lelaki atas wanita. Wanita yang soleh akan redha dengan penetapan ini dan tidak ada penolakan dari dirinya.

Rentetan dari taat kepada Allah, kena taat kepada suami pula. Apabila sudah taat kepada Allah, maka seorang wanita yang soleh akan tahu bahawa Allah suruh wanita taat kepada suami.

Bila pula wanita setuju dengan kedudukan yang Allah tetapkan ini? Ia termaktub apabila seorang wanita bersetuju untuk dinikahi oleh seorang lelaki. Apabila dia sudah bersetuju untuk menikah, maka dia juga telah bersetuju untuk taat kepada suaminya itu dan menerima kedudukan suami di atas dirinya. Jangan pula kata dia tidak pernah ‘setuju’ kerana apabila dia menikah sahaja, dia sudah setuju sebenarnya.

Seterusnya mereka akan jaga maruah suami dan harta suami semasa suami tidak ada di rumah. Memang kalau suami ada di rumah pun mereka kena jaga juga, tapi yang menjadi dugaan adalah kalau suami tiada di rumah. Maka kerana itu Allah sebut secara khusus: apabila suami tiada di rumah.

Maka jangan cerita tentang keburukan suami kepada sesiapa pun. Ini penting kerana memang isteri tahu rahsia suami, luar dan dalam kerana mereka tinggal bersama dan suami akan menunjukkan dirinya yang sebenar dengan isteri. Malangnya, wanita sekarang kebanyakannya tidak begitu. Selalu kalau ada peluang jumpa jiran sebelah rumah atau kawan sekolah dulu, mulalah mereka bergebang tentang suami masing-masing.

Kalau dapat duduk bersama dengan isteri-isteri yang lain, antara yang mereka akan cakap adalah tentang keburukan suami mereka dan ketidakpuasan hati mereka. Masing-masing akan bertukar-tukar cerita.

Ayat ini juga bermaksud isteri jangan tayang diri depan orang. Kecantikan dan keindahan isteri itu untuk suami dia sahaja. Malangnya, sekarang, kalau isteri keluar rumah, pakai cantik dan pakai mekap. Tapi di rumah selalunya berkemban sahaja dan pakai baju lusuh sahaja.

Wanita yang solehah hendaklah menjaga hukum yang Allah telah tetapkan untuk mereka jaga. Dalam ayat ini disentuh tentang menjaga maruah suami, harta suami dan diri mereka dari pandangan umum. Dengan taufik yang Allah beri kepada mereka, mereka akan dapat jaga. Maka isteri kenalah belajar apakah yang perlu dijaga dan berdoa supaya Allah beri taufik kepada mereka. Janganlah ikut emosi sangat tapi kenalah ikut iman yang Allah telah berikan.

Apabila suami jaga isteri, maka isteri itu pula kenalah jaga maruah dan harta suami. Jadi, kalau hendak menjadi isteri yang solehah, kenalah tahu apakah ciri-ciri mereka. Antara sabda Nabi tentang isteri yang baik adalah:

خَيْرُ النِّسَاءِ امْرَأَةٌ إِذَا نَظَرْتَ إِلَيْهَا سَرَّتْكَ، وَإِذَا أَمَرْتَهَا أَطَاعَتْكَ، وَإِذَا غِبْتَ عَنْهَا حَفِظَتْكَ فِي نَفْسِهَا وَمَالِك

“Isteri yang terbaik ialah isteri yang menyenangkanmu apabila engkau melihatnya, mematuhimu apabila engkau menyuruhnya dan menjaga dirinya dan hartamu apabila engkau tidak ada di sampingnya.” (Hadis Riwayat an-Nasa’i:3179)

Tapi kadangkala ramai isteri tidak mampu melakukan perkara ini. Mereka rasa susah sangat nak serahkan ketaatan kepada suami mereka. Mungkin suami mereka pun ada masalah, tapi suami mana yang tidak ada masalah, bukan? Tapi ingatlah bahawa ketaatan kepada suami itu adalah tiket untuk ke syurga.

Kena ingat yang Allah yang beri kurnia kelebihan ini (فَضَّلَ اللهُ) kepada lelaki. Maka ketaatan yang pertama adalah kepada Allah. Kalau suami suruh buat perkara yang haram, maka isteri tidak boleh ikut. Tapi kalau suami larang buat perkara sunat, maka boleh lagi isteri nak taat. Kerana itulah apabila isteri hendak puasa sunat, dia kena minta izin suaminya.

Oleh kerana susah untuk menjaga kehormatan diri, taat kepada suami dan menjaga maruah dan harta ketika suami tiada, maka Allah beri bantuan kepada mereka yang mahu menjaganya dengan disebutkan بِمَا حَفِظَ اللهُ (dengan pemeliharaan Allah dan pertolonganNya). Maknanya Allah memberi taufiq kepada mereka supaya mudah untuk melakukan perkara ini.

Sebenarnya senang sahaja untuk isteri masuk syurga.

إِذَا صَلَّتِ الْمَرْأَةُ خَمْسَهَا، وَصَامَتْ شَهْرَهَا، وَحَفِظَتْ فَرْجَهَا، وَأَطَاعَتْ زَوْجَهَا، قِيلَ لَهَا: ادْخُلِي الْجَنَّةَ مِنْ أَيِّ الْأَبْوَابِ شِئْت
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : “Apabila seorang wanita (isteri) itu telah melakukan sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadhan, menjaga maruahnya dan mentaati perintah suaminya, maka dia dijemput di akhirat supaya masuk Syurga mengikut pintunya mana yang dia suka (mengikut pilihannya).” (Hadis Riwayat Ahmad, Ibnu Hibban dan Thabrani)

Bayangkan, isteri itu boleh pilih mana-mana pintu yang dia suka! Sedangkan seorang lelaki ada banyak lagi tugas dan tanggungjawab yang dia kena penuhi. Dan lelaki itu akan ditanya satu persatu dari tanggungjawab itu. Sedangkan lihatlah betapa senangnya wanita nak masuk syurga!

Kelebihan pilih pintu syurga untuk dimasuki ini setahu kita diberikan kepada Abu Bakr sahaja, tapi semua wanita ada peluang sebegitu. Tak payah buat kerja macam Abu Bakr pun dapat kelebihan seperti Abu Bakr!

 

وَاللّٰتِي تَخَافُونَ نُشُوزَهُنَّ فَعِظُوهُنَّ

Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, 

Kadang-kadang, biasalah berlaku perselisihan dalam perkahwinan. Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri yang hidup setiap hari bersama-sama.

‘Nusyuz’ adalah bila isteri sudah buat perbuatan melampau. An-Nusyuz ertinya tinggi diri; wanita yang nusyuz ialah wanita yang bersikap sombong terhadap suaminya, tidak mahu melakukan perintah suaminya, berpaling darinya, dan membenci suaminya. Kalau marah-marah biasa sahaja, itu biasa dan suami biarkanlah sahaja. Tapi kalau dah sampai tahap baling-baling pinggan mangkuk, pukul suami dengan penyapu, itu sudah nusyuz dah.

Imam Nawawi ada memberikan contoh-contoh perkara nusyuz dalam Kitab al-Majmu’:

1. Menolak ajakan suami untuk bersetubuh
2. Isteri benci kepada suami
3. Tidak melakukan apa yang disuruh suami yang tidak bertentangan dengan syara’, walaupun menolak untuk membuat air kopi atau teh
4. Isteri menengking suami dengan nada suara tinggi
5. Isteri keluar rumah tanpa izin
6. Isteri melawan kata-kata suami
7. Menjauhkan diri dari suaminya / tak mahu layan suaminya
8. Meminta cerai kerana suami telah / ingin berkahwin lain
9. Isteri berkata kesat pada suami
10. Menceritakan keaiban suami kepada orang lain
11. Tidak membenarkan suami menyentuh dirinya ketika suami mahu
12. Isteri enggan berpindah ikut suami ke rumah lain di tempat lain
13. Isteri bermasam muka dengan suami
14. Membenarkan seseorang yang suami tidak suka masuk ke dalam rumah
15. Tidak mengendahkan panggilan suami
16. Mempunyai hubungan rahsia dengan lelaki lain

nota: isteri yang nusyuz tidak layak mendapat nafkah.

Jika suami bimbang wujud sifat nusyuz di kalangan isteri, iaitu boleh dilihat dari kata mereka atau tingkah laku mereka, maka diajar dalam ayat ini untuk فَعِظُوهُنَّ: kena beri nasihat mereka. Ingatkan kembali kepada isteri tanggungjawab isteri untuk taat kepada suami. Kalau taat kepada Allah, maka kenalah taat juga kepada suami.

Ada masalah besar kepada isteri itu kalau dia tidak taat kepada suaminya. Kena ingatkan kepada isteri itu kewajipannya sebagai isteri. Banyak sekali dalil suruhan supaya taat kepada suami. Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam, beliau bersabda:

لَوْ كُنْتُ آمِرًا لِأَحَدٍ أَنْ يَسْجُدَ لِأَحَدٍ لَأَمَرْتُ الْمَرْأَةَ أَنْ تَسْجُدَ لِزَوْجِهَا

Seandainya aku boleh memerintahkan seseorang untuk sujud kepada orang lain niscaya aku akan memerintahkan isteri untuk sujud kepada suaminya.” Hadits ini diriwayatkan oleh At-Tirmidzi dan dia berkata, “Hadits ini hasan.

 

Dari Thalaq bin Ali, dia berkata, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

أَيُّمَا رَجُلٍ دَعَا زَوْجَتَهُ لِحَاجَتِهِ فَلْتَأْتِهِ وَلَوْ كَانَتْ عَلَى التَّنُّوْرِ

Suami mana saja yang memanggil isterinya untuk memenuhi hajatnya, maka si isteri harus/wajib mendatanginya (memenuhi panggilannya) walaupun ia sedang memanggang roti di atas tungku api.”

 

Dalam kitab Shahih (Al-Bukhari) dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, ia berkata, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

إِذَا دَعَا الرَّجُلُ امْرَأَتَهُ إِلَى فِرَاشِهِ فَأَبَتْ أَنْ تَجِيْئَ، فَبَاتَ غَضْبَانَ عَلَيْهَا، لَعَنَتْهَا الْمَلاَئِكَةُ حَتَّى تُصْبِحَ

Apabila seorang suami memanggil isterinya ke tempat tidurnya, namun si isteri menolak untuk datang, lalu si suami bermalam (tidur) dalam keadaan marah kepada isterinya tersebut, nescaya para malaikat melaknat si isteri sampai dia berada di pagi hari.” Diriwayatkan oleh Abu Hatim dalam Shahih-nya dan At-Tirmidzi, dia berkata, “Hadits ini hasan

Jadi itu adalah cara pertama yang perlu dilakukan dahulu (فَعِظُوهُنَّ). Mungkin kena nasihat banyak kali. Jangan dah nasihat sekali, tapi isteri tak dengar, terus nak pergi ke peringkat kedua pula. Dan untuk nasihat, seorang suami itu kenalah pandai juga kerana kalau cara nasihat pun tak kena, tak sampai kepada isteri.

Wanita tidak sama dengan lelaki, maka cara nasihat pun kenalah lain sedikit. Malangnya, lelaki banyak yang tak berapa pandai, nak nasihat orang pun tak pandai. Jadi, kenalah banyak membaca, perhati perangai orang dan isteri kita, tahu apa yang mereka suka dan sebagainya. Kenalah pergi ke kelas kerana kadangkala akan diajar cara bagaimana menangani para isteri. Ini adalah ilmu-ilmu yang penting sebagai seorang suami dan seorang bapa.

Janganlah hanya tahu nak kahwin sahaja, tapi tak tahu nak menjaga perkahwinan. Kahwin itu susah, tapi menjaga perkahwinan lagi susah. Sebagaimana membeli kereta itu susah, tapi menjaga kereta lagi susah. Nak kena jaga tayar, jaga enjin, isi minyak itu dan ini. Maka begitulah juga isteri, ada perkara yang suami perlu lakukan untuk ‘beli’ jiwa isteri.

 

وَاهْجُرُوهُنَّ فِي الْمَضَاجِعِ

dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur,

Jika si isteri masih tidak mahu dengar nasihat, walaupun sudah diberi banyak kali nasihat dengan berbagai-bagai cara, tapi masih tidak berhenti juga dari derhaka, maka langkah seterusnya adalah dengan mengasingkan tempat tidur dari mereka.

Maknanya tidak tidur sekatil dengan dia. Tapi pastikan masih dalam rumah yang sama. Jangan pergi duduk di hotel atau lari rumah kawan pula. Jangan juga hantar isteri balik kampung rumah amak ayah dia. Sebab itu kalimah yang digunakan dalam ayat ini adalah الْمَضَاجِعِ (katil) sahaja. Kena tetap duduk dalam rumah yang sama.

Kerana kalau isteri kita terkesan dengan cara ini, nak pujuk kita balik, macam mana dia nak cari kita kalau kita tiada? Selalunya bila berjauhan, lagilah bertambah kemarahan si isteri itu. Atau dia berjumpa dengan orang yang menambahkan lagi idea untuk marah kepada kita.

Ada juga pendapat yang mengatakan maksud ayat ini:

  • tidak mengadakan hubungan kelamin dengan mereka,
  • berbaring dengan mereka di atas katil yang sama, tapi membelakangi mereka
  • tidak bercakap langsung dengan mereka.

Ini sebenarnya adalah langkah yang sudah semakin keras dari beri nasihat sahaja dan dilakukan untuk tunjuk yang suami itu sudah marah. Sepatutnya isteri dah boleh fikirkan kelakuan dia. Kalau selalunya suaminya akan tetap tidur di sebelahnya sudah bertahun-tahun, tentulah kalau sekali tidak tidur sekali bersama, sepatutnya dia sudah terasa rindu dan rasa lain macam. Maka, carilah suami itu dan mintalah maaf kepadanya.

 

وَاضْرِبُوهُنَّ

dan pukullah mereka 

Kalau masih juga tidak berubah, maka bolehlah pukul mereka. Dan apabila kita nak pukul, kena ikut syariat – tidak boleh lebih dari tiga kali dan pada tempat tertentu sahaja. Kita kena ingat yang pukulan itu untuk mendidik sahaja, bukan untuk menyakiti mereka. Dan pukulan itu adalah pukulan yang ringan. Bukan untuk menyakitkan wanita itu.

Ramai yang salah guna ayat ini. Mereka yang bodoh menggunakan ayat ini untuk mengatakan mereka boleh tampar isteri mereka, tendang dan sebagainya. Itulah bahaya kalau orang bodoh yang baca Qur’an kerana mereka tidak faham.

Sebenarnya, kalau kita tidak pernah angkat tangan kepada isteri kita, sekali kita tampar lengan dia dengan dua jari sahaja, itu pun sepatutnya sudah memberi kesan kepada isteri itu. Sepatutnya dia sudah terasa yang suaminya itu bukan main-main, ini sudah sampai peringkat ketiga dah ni. Kalau peringkat seterusnya adalah cerai, jadi jangan nak mengada-ngada lagi.

Memang memukul wanita tidak digalakkan dalam mana-mana masyarakat pun. Dan kebenaran ini diberikan sebagai langkah terakhir sahaja. Dan mestilah digunakan dengan mengikut syariat. Kerana itu ulama meletakkan syarat dalam memukul itu pula:

1. Tidak menyebabkan luka dan patah (atau kerosakan organ dalaman)
2. Tidak berterusan dan bertalu-talu
3. Tidak pukul pada satu tempat sahaja berulang-ulang
4. Tidak pukul bahagian mukanya dan kemaluannya
5. Tidak menggunakan benda keras, seperti rotan atau kayu atau besi atau kuali.

Dilarang memukul isteri jika tidak menepati syarat-syarat ini, sebagaimana hadis:

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Adakah patut seseorang kamu memukul isterinya seperti memukul seorang hamba, kemudian dia meniduri isterinya di waktu malamnya?” [Riwayat Bukhari dan Muslim]

Ini adalah cara yang terakhir untuk menasihati mereka dan perlulah diikuti selepas diberi nasihat dan ditinggalkan tempat tidur dari mereka. Janganlah tiba-tiba sahaja terus pukul isteri itu. Semua proses ini mengambil masa yang lama, bukan buat dalam sehari sahaja.

 

فَإِنْ أَطَعْنَكُمْ فَلَا تَبْغُوا عَلَيْهِنَّ سَبِيلًا

Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. 

Sekiranya selepas itu mereka berubah dan telah taat, jangan sengaja cari alasan untuk menyusahkan isteri itu pula. Kena layan dan gauli mereka dengan baik. Yang sudah lepas itu biarlah sahaja.

Begitu juga, kalau mereka itu seorang isteri yang taat kepada suami, suami tidak ada hak untuk melayan mereka dengan buruk, untuk pukul mereka atau tidak melayan mereka langsung.

 

إِنَّ اللهَ كَانَ عَلِيًّا كَبِيرًا

Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar.

Jangan salahguna kuasa yang Allah telah berikan kepada lelaki. Dan ingatlah bahawa kuasa yang paling tinggi adalah Allah. Jangan rasa kuasa lelaki sebagai suami itu tinggi sangat sampai boleh langgar syarak.

Kena tahu apa yang boleh buat dan apa yang tak boleh buat. Segala perbuatan kita kena ikut syariat. Tapi kalau tidak belajar, bagaimana nak tahu mana yang boleh?


 

Ayat 35: Ini adalah Hukum ke 15: Kita akan belajar bahawa dalam mendamaikan suami isteri perlu ikut tertib mahkamah.

Dalam ayat sebelumnya, telah diberitahu langkah-langkah yang boleh diambil sekiranya ada masalah dengan isteri. Sepatutnya masalah itu diselesaikan di rumah sahaja, jangan sampai keluar dari rumah dan jangan sampai orang luar tahu.

Tapi, kadang-kadang masalah tidak dapat diselesaikan antara suami isteri sahaja. Kadang-kadang masalah bukan pada isteri, tapi pada suami. Kadang-kadang suami sahaja yang buat-buat tidak nampak apa salahnya. Mentang-mentang dia lelaki, dia nak menang sahaja. Jangan sangka dia sebagai ketua keluarga, dia tidak ada masalah. Kadang-kadang si isteri marah itu kerana perangai suami atau perbuatan suami yang salah dan dia tidak setuju.

Oleh itu, sekiranya pertengkaran itu berlanjutan, walaupun suami tak lepaskan (cerai) tapi kita boleh agak yang sudah lama keluarga itu tidak harmoni. Tambahan pula kalau ada anak-anak, tentunya mereka yang akan merasa kesan dari pertengkaran ibu dan bapa mereka. Mereka pun sudah tidak tahu nak duduk sebelah siapa.

Maka, dalam syariat ada diajar untuk lantik pendamai. Ini boleh dilakukan kerana mereka sesama sendiri tidak dapat nak selesai. Suami kena lantik wakil yang sesuai dan isteri pun kena lantik wakil yang sesuai. Luahkan perasaan tentang apa yang tak kena. Kadang-kadang nak cakap terus kepada suami atau kepada isteri tak sampai, tapi kalau dengan orang lain, boleh diberitahu.

Kadang-kadang, apabila pertelingkahan berlanjutan, keluarga kedua-dua belah pihak pun sudah tahu. Selalunya, mereka yang masuk campur dengan berlebihan. Mulalah hendak menyalahkan ahli keluarga yang sebelah sana. Ini banyak sangat terjadi sampaikan tidaklah perlu kita jelaskan di sini. Kadang-kadang kerana keluargalah yang menyebabkan pasangan itu porak peranda dari asalnya. Jadi, Islam mengajar cara bagaimana menyelesaikan masalah ini.

‎وَإِنْ خِفْتُمْ شِقَاقَ بَيْنِهِمَا فَابْعَثُوا حَكَمًا مِّنْ أَهْلِهِ وَحَكَمًا مِّنْ أَهْلِهَا إِن يُرِيدَا إِصْلٰحًا يُوَفِّقِ اللهُ بَيْنَهُمَا إِنَّ اللهَ كَانَ عَلِيمًا خَبِيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And if you fear dissension between the two, send an arbitrator from his people and an arbitrator from her people. If they both desire reconciliation, Allāh will cause it between them. Indeed, Allāh is ever Knowing and Acquainted [with all things].

MALAY

Dan jika kamu bimbangkan perpecahan di antara mereka berdua (suami isteri) maka lantiklah “orang tengah” (untuk mendamaikan mereka, iaitu), seorang dari keluarga lelaki dan seorang dari keluarga perempuan. Jika kedua-dua “orang tengah” itu (dengan ikhlas) bertujuan hendak mendamaikan, nescaya Allah akan menjadikan kedua (suami isteri itu) berpakat baik. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui, lagi Amat mendalam pengetahuanNya.

 

وَإِنْ خِفْتُمْ شِقَاقَ بَيْنِهِمَا

Dan jika kamu bimbangkan perpecahan di antara mereka berdua

Orang luar yang rapat dengan pasangan itu kadangkala dah tahu kalau ada perkelahian antara suami isteri itu. Mereka mungkin bimbang ianya akan berlanjutan. Terutama kalau mereka yang menjadi wali bagi pasangan itu. Mereka pun boleh agak samada pertelingkahan itu akan berpanjangan atau tidak.

Mungkin pada permulaannya, pertelingkahan hanya antara suami dan isteri. Tapi kalau tidak diselesaikan, maka lama kelamaan ia akan keluar dan melibatkan ahli keluarga yang lain. Lambat laun, pihak keluarga pun akan terlibat sama. Nanti ada yang berpihak kepada suami dan ada yang berpihak kepada isteri. Maka baiklah perkara ini ditangani secara waras daripada ikut emosi. Maka tidak salah kalau ahli keluarga masuk campur.

Kalau mereka yang prihatin, mereka tidak akan berdiam diri. Mereka akan cari jalan untuk mendamaikan mereka. Beginilah yang sepatutnya dilakukan oleh orang luar. Kita memang tidak masuk campur dalam kehidupan orang lain, tapi kita kena bantu mana yang boleh.

 

فَابْعَثُوا حَكَمًا مِّنْ أَهْلِهِ وَحَكَمًا مِّنْ أَهْلِهَا

maka lantiklah pendamai dari keluarga lelaki dan seorang pendamai dari keluarga perempuan. 

Maka kalau masalah pasangan itu tidak selesai juga, boleh lantik pendamai untuk mewakili mereka. Wakil itu dilantik untuk bercakap bagi pihak mereka. Suami dan isteri akan beritahu apakah yang tersemat di hati mereka kepada pendamai masing-masing. Kadang-kadang perkara ini kena sampai bawa ke mahkamah. Dan mahkamah yang lantik siapakah pendamai itu. Atau pun boleh dilakukan dalam keluarga sahaja.

Selalunya, suami isteri sayang sama sendiri tapi kadangkala mereka tak pandai nak berurusan atau bercakap. Ini termasuk dalam masalah komunikasi. Jadi pendamai kena pandai. Lantiklah pendamai yang berwibawa dan boleh faham apakah tugas-tugas mereka.

Ulama mengatakan, pendamai itu mestilah dipilih dari kalangan orang yang soleh dari keluarga suami dan keluarga isteri. Lafaz yang digunakan dalam ayat ini juga adalah حَكَمًا – bermaksud seseorang yang ada ‘kebijaksaan’. Oleh itu, kenalah pandai pilih wakil. Janganlah pilih yang kaki tuduh atau kaki marah sahaja. Pilihlah yang ada pengetahuan agama sikit.

 

إِن يُرِيدَا إِصْلٰحًا يُوَفِّقِ اللهُ بَيْنَهُمَا

Jika kedua-dua pendamai bertujuan hendak mendamaikan, nescaya Allah akan menjadikan keduanya berpakat baik.

Jika kedua pendamai itu mahu mendamaikan dua pasangan itu, Allah akan bantu menjadikan pasangan itu berbaik semua. Juga boleh bermaksud ‘kedua-dua pasangan’ itu. Kalau mereka mahu mencari perdamaian, Allah akan buka jalan antara mereka berdua dengan memberi taufik. Dengan syarat suami isteri itu mahu dengar nasihat dari pendamai yang telah dilantik itu.

Allah tahu maksud hati pendamai. Maka pendamai kena ada niat yang betul. Ini penting kerana kadang-kadang orang luar yang bersangkutan kekeluargaan dengan mereka atau yang baik dengan mereka, mungkin tidak mahu mereka berbaik balik. Mungkin ada yang rasa, lebih baik mereka berpisah sahaja.

Sebagai contoh, mungkin ada ibubapa lelaki yang rasa anak lelaki mereka lebih sesuai kalau kahwin dengan orang lain. Kadang-kadang memang ahli keluarga pandang sesuatu perkara itu lain dari apa yang dilihat oleh pasangan itu. Tapi walaupun ibubapa nampak perkahwinan itu tidak akan berjaya, hati pasangan itu kita tidak tahu. Mungkin mereka asyik berkelahi sahaja, tapi entah ada rasa sayang lagi antara mereka.

Jadi, tujuan asal kedua pendamai itu adalah untuk menyelamatkan rumahtangga itu. Tapi dari riwayat yang sampai dari Saidina Ali, beliau pernah melantik pendamai yang menyuruh pasangan suami isteri itu untuk memberi kuasa kepada kedua pendamai itu untuk membuat keputusan samada perkahwinan itu patut diteruskan atau tidak.

Kerana ada kemungkinan apabila pendamai itu mengetahui kedudukan sebenar masalah yang dihadapi oleh kedua pasangan itu, mungkin mereka nampak tidak ada jalan keluar melainkan perpisahan sahaja. Kedua-kedua pendamai itu kenalah setuju atas satu keputusan.

Hakam dari kedua-kedua pasangan itu diberikan kuasa untuk menjatuhkan talaq kalau perlu. Inilah yang terjadi apabila pertelingkahan suami isteri dibawa ke hadapan Uthman dan juga Ali. Mereka lantik hakam dari keluarga dan mereka diberitahu yang hakam boleh buat keputusan samada untuk teruskan perkahwinan itu adalah pisahkan pasangan itu dengan talaq.

Abdur Razzaq mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ma’mar, dari Ibnu Tawus, dari Ikrimah ibnu Khalid, dari Ibnu Abbas yang mengatakan, “Aku dan Mu’awiyah pernah diutus sebagai hakam.” Ma’mar melanjutkan kisahnya, bahawa yang mengutus keduanya adalah Khalifah Usman. Khalifah Usman berkata kepada keduanya, “Jika kamu berdua berpendapat sebaiknya pasangan suami isteri itu dikumpulkan kembali, kamu berdua boleh menghimpunnya kembali. Jika kamu berdua berpendapat sebaiknya keduanya dipisahkan, maka kamu berdua boleh memisahkan keduanya.”

 

إِنَّ اللهَ كَانَ عَلِيمًا خَبِيرًا

Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui, lagi Amat mendalam pengetahuanNya.

Allah Maha Tahu niat masing-masing. Allah tahu samada pendamai yang dilantik itu mahu untuk mendamaikan mereka ataupun hendak memisahkan mereka. Maka mereka hendaklah jaga hati mereka dan niat untuk mendamaikan kena ada. Kerana nanti mereka akan mengadap Allah SWT yang tahu yang di dalam hati mereka.

nota: ulama ada juga yang berpendapat bahawa penggunaan pendamai ini bukan sahaja untuk menyelesaikan masalah antara suami dan isteri tetapi boleh digunakan dalam pertelingkahan lain juga. Lebih-lebih lagi kalau pertelingkahan antara ahli keluarga. Seeloknya, pertelingkahan itu diselesaikan dalam ahli keluarga juga, tanpa dibawa ke mahkamah. Allahu a’lam.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 28 Julai 2018


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Mutiara al-Qur’an.

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani