Tafsir Surah Ali Imran Ayat 86 – 96 (Ayatul Birr)

Ayat 86: Ayat ini tentang mereka yang murtad. Setelah tahu mana yang Haq, mereka masih lagi menolak kebenaran. Sebenarnya tidak perlu tolak semua ayat Al-Qur’an, tolak satu sahaja ayat sudah jatuh kafir.

Sebagai contoh, mereka tolak satu ayat Al-Qur’an sahaja, sudah dikira kufur kerana ayat Al-Qur’an itu mestilah diterima semuanya sekali. Jangan ada ragu-ragu pada satu pun ayat Al-Qur’an.

كَيْفَ يَهْدِي اللَّهُ قَوْمًا كَفَرُوا بَعْدَ إِيمٰنِهِمْ وَشَهِدُوا أَنَّ الرَّسُولَ حَقٌّ وَجَاءَهُمُ الْبَيِّنٰتُ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظّٰلِمِينَ

SAHIH INTERNATIONAL

How shall Allah guide a people who disbelieved after their belief and had witnessed that the Messenger is true and clear signs had come to them? And Allah does not guide the wrongdoing people.

MALAY

Bagaimana Allah akan memberi petunjuk hidayah kepada sesuatu kaum yang kufur ingkar sesudah mereka beriman, dan juga sesudah mereka menyaksikan bahawa Rasulullah (Nabi Muhammad) itu adalah benar, dan telah datang pula kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata. Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberikan petunjuk hidayahNya kepada kaum yang zalim.

 

كَيْفَ يَهْدِي اللَّهُ قَوْمًا كَفَرُوا بَعْدَ إِيمٰنِهِمْ

Bagaimana Allah akan memberi petunjuk hidayah kepada sesuatu kaum yang kufur ingkar sesudah mereka beriman, 

Bagaimanalah lagi Allah ‎ﷻ hendak beri hidayah kalau ada orang yang tolak selepas beriman. Mereka itu sudah kenal Islam dan sudah masuk Islam pun, tetapi kemudian berpaling meninggalkan agama kerana mereka sudah sepatutnya kenal Islam, maka penolakan mereka itu adalah amat berat. Ini berbeza dengan orang yang tidak kenal Islam.

 

وَشَهِدُوا أَنَّ الرَّسُولَ حَقٌّ

dan juga sesudah mereka bersaksi bahawa Rasulullah (Nabi Muhammad) itu adalah benar,

Mereka mengucapkan sendiri syahadah dengan lidah mereka yang Nabi Muhammad ﷺ itu benar dan seorang Rasul. Maknanya dia sudah masuk Islam. Syahadah itu bermaksud sudah tahu, sudah menyaksikan.

 

وَجَاءَهُمُ الْبَيِّنٰتُ

dan telah datang pula kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata.

Segala bukti dalam bentuk wahyu telah datang kepada mereka. Mereka sudah dapat semula maklumat yang diperlukan untuk beriman tetapi mereka masih buat tidak kisah dengan agama.

 

وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظّٰلِمِينَ

Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberikan petunjuk hidayah-Nya kepada kaum yang zalim.

Mereka dikira zalim dan Allah ‎ﷻ tidak akan memberi hidayah kepada mereka lagi. Mereka tidak akan mendapat hidayah lagi kerana mereka sudah tahu kebenaran tetapi mereka masih lagi menolak kebenaran itu walaupun telah tahu. Mereka telah murtad dan ini adalah dosa yang amat besar.

Asbabun Nuzul ayat ini adalah tentang orang Yahudi yang masuk Islam setelah nampak kebenaran Islam. Namun kemudiannya mereka telah keluar daripada Islam.


Ayat 87: Apakah balasan yang akan diberikan kepada orang yang murtad?

أُولَٰئِكَ جَزَاؤُهُمْ أَنَّ عَلَيْهِمْ لَعْنَةَ اللَّهِ وَٱلمَلَـٰٓٮِٕكَةِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ

SAHIH INTERNATIONAL

Those – their recompense will be that upon them is the curse of Allah and the angels and the people, all together,

MALAY

Mereka itu balasannya ialah bahawa mereka ditimpa laknat Allah dan malaikatNya sekalian orang-orang (yang beriman).

 

أُولَٰئِكَ جَزَاؤُهُمْ أَنَّ عَلَيْهِمْ لَعْنَةَ اللَّهِ

Mereka itu balasannya ialah bahawa mereka ditimpa laknat Allah

Mereka akan mendapat laknat Allah ‎ﷻ yang berkekalan. ‘Laknat’ itu maksudnya mereka tidak ada peluang untuk bertaubat dan tidak akan diterima taubat mereka.

 

وَٱلمَلَـٰٓٮِٕكَةِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ

dan malaikat dan sekalian manusia.

Bukan sahaja Allah ‎ﷻ tetapi mereka akan mendapat laknat daripada malaikat dan manusia seluruhnya. Ini kerana malaikat dan manusia yang beriman tidak suka kepada orang yang meninggalkan agama mereka.


Ayat 88:

خٰلِدِينَ فِيهَا لَا يُخَفَّفُ عَنْهُمُ الْعَذَابُ وَلَا هُمْ يُنظَرُونَ

SAHIH INTERNATIONAL

Abiding eternally therein. The punishment will not be lightened for them, nor will they be reprieved.

MALAY

Mereka kekal di dalamnya, tidak diringankan azab seksa daripada mereka dan mereka pula tidak diberi tempoh atau perhatian;

 

خٰلِدِينَ فِيهَا

Mereka kekal di dalamnya,

Mereka akan kekal dalam laknat itu kerana mereka ada peluang untuk mengamalkan agama Islam yang benar ini tetapi mereka telah mensia-siakan peluang itu.

 

لَا يُخَفَّفُ عَنْهُمُ الْعَذَابُ

tidak diringankan azab seksa daripada mereka

Mereka nanti akan diazab dan azab mereka tidak akan diringankan. Walau bagaimana kuat sekalipun mereka merayu kepada malaikat yang menyeksa mereka, azab itu tidak akan dikurangkan sedikit pun.

Azab itu akan sentiasa sakit. Kalau kita selalu kena pukul, lama-kelamaan sakit itu kita sudah rasa biasa. Kerana kita akan lali. Akan tetapi ini tidak akan terjadi di akhirat kelak. Azab itu tidak akan rasa biasa sampai bila-bila. Tidak akan lali dengan azab itu. Maka sentiasa sahaja akan rasa sakit.

 

وَلَا هُمْ يُنظَرُونَ

dan mereka pula tidak diberi tangguh

Tidak diberi peluang ditangguhkan walau sesaat. Kalau dalam dunia, boleh minta orang yang menyeksa kita berikan tangguh seminit dua, mungkin tukang seksa itu ada belas kasihan atau penat. Akan tetapi para malaikat tidak ada belas kasihan langsung. Ini kerana mereka amat taat kepada Allah ‎ﷻ.

Kalau seseorang diseksa di dunia, tukang seksa akan tahan sekejap kalau dia lihat orang yang diseksa itu akan mati kalau dia teruskan kerana kalau dia mati, sudah tidak dapat diseksa lagi orang itu. Namun begitu di neraka nanti, tidak perlu hendak takut orang yang diseksa itu akan mati kerana memang tidak akan mati. Kematian sudah tiada lagi.


 

Ayat 89: Jadi amat teruk sekali balasan bagi mereka yang murtad kecuali kalau orang murtad itu sempat bertaubat sebelum dia mati. Maknanya ada harapan lagi, selagi belum mati. Selagi belum mati, boleh bertaubat.

إِلَّا الَّذِينَ تَابُوا مِن بَعْدِ ذَٰلِكَ وَأَصْلَحُوا فَإِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

SAHIH INTERNATIONAL

Except for those who repent after that and correct themselves. For indeed, Allah is Forgiving and Merciful.

MALAY

Kecuali orang-orang yang bertaubat sesudah (ingkar) itu, serta memperbaiki keburukan mereka, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

 

إِلَّا الَّذِينَ تَابُوا مِن بَعْدِ ذَٰلِكَ

Kecuali orang-orang yang bertaubat sesudah itu, 

Kecuali kalau orang murtad itu yang sempat bertaubat setelah murtad. Caranya, yang mana dia tolak, mesti terima balik dan kena ingat, tolak satu sahaja daripada rukun-rukun Islam atau ayat-ayat Al-Qur’an, sudah dikira murtad.

Dalam ayat sebelum ini, disebut akan terus dilaknat orang yang murtad dan dalam ayat ini kata diterima pula. Kenapa ada perbezaan? Ini kerana orang yang murtad tidak semuanya sama. Ada yang memang hatinya jahat menolak kebenaran dan ada yang murtad kerana ikut – ikut orang sahaja. Maka ada yang masih ada harapan lagi.

 

وَأَصْلَحُوا

serta memperbaiki diri mereka,

Syarat taubat adalah hendaklah diperbaiki semula kesilapan yang dia pernah buat kerana telah menolak hukum dan ayat Allah ‎ﷻ. Maknanya dia kena terima semula mana-mana bahagian yang dia tolak dan dia kena baiki diri dia. Kalau dahulu tidak salat, maka dia kena salat semula.

 

فَإِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Allah ‎ﷻ sanggup mengampunkan semua dosa orang itu. Maka jangan ada sesiapa yang putus asa. Ini adalah kerana Allah‎ ﷻ amat sayang kepada manusia. Kerana sayang, Allah ‎ﷻ sanggup terima taubat hamba-Nya walaupun dosanya amat besar iaitu dosa murtad.


 

Ayat 90: Takhwif duniawi

إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا بَعْدَ إِيمٰنِهِمْ ثُمَّ ازْدَادُوا كُفْرًا لَّن تُقْبَلَ تَوْبَتُهُمْ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الضَّالُّونَ

SAHIH INTERNATIONAL

Indeed, those who reject the message after their belief and then increase in disbelief – never will their [claimed] repentance be accepted, and they are the ones astray.

MALAY

Sesungguhnya orang-orang yang kafir sesudah mereka beriman, kemudian mereka bertambah kufur lagi, tidak sekali-kali akan diterima taubat mereka, dan mereka itulah orang-orang yang sesat.

 

إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا بَعْدَ إِيمٰنِهِمْ

Sesungguhnya orang-orang yang kafir sesudah mereka beriman, 

Ini adalah jenis orang yang kafir degil. Sudah tahu kebenaran tetapi masih tolak juga lagi. Mereka sepatutnya tahu kebenaran kerana mereka sudah masuk Islam. Itulah maksudnya ‘sesudah mereka beriman’.

 

ثُمَّ ازْدَادُوا كُفْرًا

kemudian mereka bertambah kufur lagi,

Malangnya mereka ini amat teruk, makin diberitahu tentang agama, makin bertambah kufur mereka. Makin dinasihati, makin mereka melawan.

Malah mereka menentang Islam. Mungkin mereka jadi jurucakap yang menceritakan kononnya keburukan Islam sampaikan orang kafir semakin salah faham dengan Islam. Mereka mungkin semakin yakin tentang kesilapan Islam kerana yang sudah masuk pun boleh keluar.

Maka mereka yang sebegini tidak akan diterima taubat mereka. Kerana mereka menyatakan kekufuran mereka dan menentang Islam. Ini adalah orang yang amat teruk sekali dan dalam hukum Hudud, mereka ini boleh dibunuh.

 

 لَّن تُقْبَلَ تَوْبَتُهُمْ

tidak sekali-kali akan diterima taubat mereka,

Kalau mereka masih terus kufur. Lama-lama semakin bertambah kufur mereka. Mereka semakin tenggelam di dalam kekafiran mereka. Semakin ditarik ke arah kesesatan sampai tidak ada peluang lagi untuk kembali ke arah kebenaran.

Kita pernah beritahu yang kufur ini ada empat peringkat. Kalau sudah sampai tahap empat, sudah tidak diterima taubat kerana hati mereka telah dikunci mati daripada menerima hidayah lagi. Mereka akan bertaubat di akhirat akhirnya, tetapi tidak akan diterima.

 

وَأُولَٰئِكَ هُمُ الضَّالُّونَ

dan mereka itulah orang-orang yang sesat.

Mereka akan sesat selama-lamanya dan apabila mati, akan dimasukkan ke dalam neraka. Itulah balasan yang layak bagi mereka.


 

Ayat 91:

إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا وَمَاتُوا وَهُمْ كُفَّارٌ فَلَن يُقْبَلَ مِنْ أَحَدِهِم مِّلْءُ الْأَرْضِ ذَهَبًا وَلَوِ افْتَدَىٰ بِهِ أُولَٰئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ وَمَا لَهُم مِّن نّٰصِرِينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, those who disbelieve and die while they are disbelievers – never would the [whole] capacity of the earth in gold be accepted from one of them if he would [seek to] ransom himself with it. For those there will be a painful punishment, and they will have no helpers.

MALAY

Sesungguhnya orang-orang yang kafir, lalu mati sedang mereka tetap kafir, maka tidak sekali-kali akan diterima dari seseorang di antara mereka: emas sepenuh bumi, walaupun dia menebus dirinya dengan (emas yang sebanyak) itu. Mereka itu akan mendapat azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dan mereka pula tidak akan beroleh seorang penolong pun.

 

إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا وَمَاتُوا وَهُمْ كُفَّارٌ

Sesungguhnya orang-orang yang kafir, lalu mati sedang mereka tetap kafir,

Ini adalah orang yang mati dalam kafir. Mereka tidak sempat bertaubat semasa mereka hidup kerana taubat hanya diterima semasa hidup sahaja. Kalau nyawa sudah di kerongkong, tidak akan diterima lagi taubat seseorang itu.

 

فَلَن يُقْبَلَ مِنْ أَحَدِهِم مِّلْءُ الْأَرْضِ ذَهَبًا وَلَوِ افْتَدَىٰ بِهِ

maka tidak sekali-kali akan diterima daripada seseorang di antara mereka: emas sepenuh bumi, walaupun dia menebus dirinya dengannya

Tidak diterima tebusan walaupun mereka sanggup memberi emas sepenuh bumi pun. Kalau dalam dunia, emas sebanyak itu tentu ada nilai sedikit sebanyak, tetapi di akhirat nanti, ia tidak bernilai langsung. Kalau dalam dunia boleh pakai rasuah lagi, boleh suap orang sana dan sini, namun tidak di akhirat.

Memanglah tidak ada sesiapa pun yang ada emas seluas bumi. Cuma Allah hendak jadikan andaian: kalaulah ada pun tidak akan diterima.

 

أُولَٰئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Mereka itu akan mendapat azab seksa yang tidak terperi sakitnya,

Yang mereka dapat hanyalah seksa yang tidak akan berkurangan pedihnya. Azab semakin sakit dan sakit lagi, tidak pernah berkurang. Dan  mereka tidak akan alah dengan azab itu. Mereka tidak akan rasa sudah biasa (alah bisa tegal biasa).

 

وَمَا لَهُم مِّن نّٰصِرِينَ

dan mereka pula tidak akan beroleh seorang penolong pun.

Tidak ada sesiapa pun yang akan menolong mereka di akhirat kelak. Kalau dalam dunia, ada sahaja orang yang boleh bantu kita, sama ada mereka sukarela atau kita bayar mereka. Namun ia tidak akan berlaku di akhirat nanti.

Sekian Ruku’ 9 dari 20 ruku’ surah ini


 

Ayat 92: Kita sekarang masuk ke juz yang keempat. Ia berkenaan dengan ‘birr’. Ayat birr juga ada dalam Surah Baqarah dahulu – ayat 177. Ini disentuh lagi dalam surah Ali Imran ini.

لَن تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّىٰ تُنفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ وَمَا تُنفِقُوا مِن شَيْءٍ فَإِنَّ اللَّهَ بِهِ عَلِيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Never will you attain the good [reward]1 until you spend [in the way of Allāh] from that which you love. And whatever you spend – indeed, Allāh is Knowing of it.

  • Another meaning is “You will never attain righteousness.”

MALAY

Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.

 

لَن تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّىٰ تُنفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ

Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi.

Kita tidak akan dapat pahala yang sebenar dan kebaikan yang sebenar sehingga kita infaqkan apa yang kita kasihi iaitu kita mengorbankan benda yang kita kasihi. Tentunya makna umum adalah harta dan jiwa; tetapi ia boleh juga bermaksud perkara lain.

Oleh kerana surah ini tentang dakwah kepada penganut Kristian, maka antara perkara yang mereka kena korbankan adalah fahaman yang mereka kasihi.. Untuk masuk Islam kena ada pengorbanan. Mereka kena tinggalkan fahaman salah tentang Nabi Isa عليه السلام, tentang syirik, tentang Nabi Ibrahim عليه السلام dan macam-macam lagi. Tentunya mereka kasih dengan fahaman mereka itu kerana mereka telah belajar dan memegangnya semenjak kecil lagi. Namun ini adalah ujian yang mereka perlu lepasi.

Begitu juga kita dalam masyarakat sekarang, untuk terima jalan Sunnah, kena tinggalkan guru-guru dan fahaman yang salah tentang bid’ah. Jangan lagi terima guru-guru yang membenarkan amalan-amalan bid’ah yang meringankan sahaja amalan-amalan itu. Ramai dalam kalangan ustaz yang tidak berani menegur amalan bid’ah atau mereka setakat kata, hendak buat boleh, jika tidak mahu buat jangan bising.

Malah, ada ustaz di negara kita ini yang jadi pengamal bid’ah (antaranya merekalah yang jadi tekong Majlis Tahlil). Kita kena tinggalkan mereka dan jangan ambil ilmu lagi daripada mereka. Ini terpaksa kita lakukan. Banyak ustaz yang sunnah di negara kita sekarang. Walaupun pergerakan mereka terhad, kerana dihalang oleh mereka yang berkuasa, tetapi mereka masih banyak lagi, in sha Allah.

Memang susah hendak tinggalkan fahaman dan amalan lama. Golongan Nasara itu tentunya amat sayang dengan agama mereka. Mungkin ada yang sudah menjadi guru dan banyak pengikut dan mendapat banyak imbuhan keduniaan dengan kedudukan mereka itu. Ini kerana tentunya ada yang disanjung oleh masyarakat mereka. Kalau ikut Nabi Muhammad ﷺ, maka kenalah belajar semula dari mula; akan dicemuh dengan masyarakat mereka; mungkin dipulau oleh ahli keluarga mereka; macam-macam lagi.

Mafhum kedua daripada maksud ‘infaq’ adalah infaq harta yang biasa. Telah banyak disebut dalam Surah Baqarah sebelum ini, maka ini adalah pengulangan perkara itu. Kita kena beri harta yang kita kasih. Siapa yang tidak sayangkan harta, bukan?

Namun begitu hendaklah berpada-pada juga, bukannya kena beri semua pun sampai muflis licin habis harta kita tinggal sehelai sepinggang. Lafaz مِمَّا bermaksud ‘sebahagian’, bukanlah semua. Jadi, tidaklah perlu kita berikan semua sekali harta kita. Janganlah diikut sangat Saidina Abu Bakr رضي الله عنه yang telah memberikan semua harta beliau. Beliau sudah berada di suatu tahap yang berbeza. Ramai lagi sahabat lain yang kita boleh contohi.

Yang penting, kita kena infaq benda yang kita sayangi, bukannya barang yang kita tidak suka. Kena beri barang yang boleh dipakai lagi. Semua syarat-syarat ini telah diterangkan dalam perbincangan Surah Baqarah (bab infaq).

Infaq itu bukanlah mengeluarkan harta sahaja kerana ayat ini menggunakan lafaz وَمَا yang memberi isyarat yang ia boleh menjadi pelbagai. Satu perkara yang kita sayang juga adalah masa. Ia adalah ‘harta’ paling berharga semasa kita muda. Selalunya orang muda akan menggunakan masa muda mereka kepada perkara membuang masa.

Namun kita kena luangkan masa yang amat kita hargai ini untuk belajar, mengajar, berdakwah, buat kebajikan, buat amal ibadat dan lain-lain lagi perkara dalam agama. Kalau tidak diluangkan masa, memang tidak akan ke mana. Kalau hendak tunggu masa ‘lapang’, memang tidak akan ada. Kita sendiri yang kena cari dan tentukan masa itu.

 

وَمَا تُنفِقُوا مِن شَيْءٍ فَإِنَّ اللَّهَ بِهِ عَلِيمٌ

Dan sesuatu apa jua yang kamu infakkan, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.

Apa sahaja yang kita infaqkan itu, Allah ‎ﷻ amat mengetahui tentangnya dan Allah ‎ﷻ sudah tulis apa yang kita infaqkan. Tidak perlu kita hendak beritahu sesiapa yang kita infaqkan kerana Allah ‎ﷻ tahu. Tidak perlulah kita hendak canangkan kepada orang, tidak perlulah untuk dimasukkan dalam Instagram atau dalam FB. Boleh mendatangkan masalah sahaja kalau dimasukkan (takut hilang rasa ikhlas dalam hati kita).


 

Ayat 93:

Ayat ini adalah tentang kesamaran Ahli Kitab tentang halal dan haram daging unta. Mereka keliru tentang agama dan tentang penetapan hukum. Maka disentuh di dalam ayat ini.

كُلُّ الطَّعَامِ كَانَ حِلًّا لِّبَنِي إِسرٰءِيلَ إِلَّا مَا حَرَّمَ إِسْرٰءيلُ عَلَىٰ نَفْسِهِ مِن قَبْلِ أَن تُنَزَّلَ ٱلتَّورَٮٰةُ‌ۗ قُلْ فَأْتُوا بِٱلتَّورَٮٰةِ فَاتْلُوهَا إِن كُنتُمْ صٰدِقِينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

All food was lawful to the Children of Israel except what Israel [i.e., Jacob] had made unlawful to himself before the Torah was revealed. Say, [O Muḥammad], “So bring the Torah and recite it, if you should be truthful.”

MALAY

Segala jenis makanan dahulu adalah halal bagi Bani Israel, kecuali makanan yang diharamkan oleh Israel (Nabi Yaakub) kepada dirinya sendiri sebelum diturunkan Kitab Taurat. Katakanlah (wahai Muhammad): “(Jika ada makanan yang diharamkan kepada kamu – wahai Bani Israil – sebelum Kitab Taurat diturunkan) maka bawalah kamu Kitab Taurat itu kemudian bacalah akan dia, kalau betul kamu orang-orang yang benar.

 

كُلُّ الطَّعَامِ كَانَ حِلًّا لِّبَنِي إِسْرٰءيلَ

Segala jenis makanan dahulu adalah halal bagi Bani Israel,

Semuanya sebenarnya adalah halal termasuk unta. Perkataan كُلُّ itu, bukanlah bermaksud semua sekali. Perumpamaan seorang seorang suami yang kata kepada isterinya: “Aku dah beri semuanya kepada kamu, apa lagi yang kamu hendak?”

Tentulah suami itu tidak beri semua, bukan? Banyak lagi yang dia belum bagi, mungkin rumah, kereta, mahligai, tanah, bulan, bintang dan sebagainya. Oleh itu, maksud كُلُّ itu maknanya banyak makanan yang halal kepada mereka.

 

إِلَّا مَا حَرَّمَ إِسْرٰءيلُ عَلَىٰ نَفْسِهِ

kecuali makanan yang diharamkan oleh Israel (Nabi Yaakub) kepada dirinya sendiri 

Ini dikecualikan kepada Nabi Yaakub عليه السلام ke atas dirinya sendiri kerana sebab-sebab rawatan atau ada yang kata, baginda tidak suka makan daging unta. Bukannya baginda haramkan, cuma baginda sendiri tidak makan (baginda menahan untuk dirinya sahaja).

Namun malangnya, ada keturunan baginda yang mengharamkan kepada diri mereka apabila mereka tahu yang Nabi Yaakub عليه السلام tidak makan unta.

Kita kena tahu bahawa إِسْرَائِيلُ adalah nama gelaran kepada Nabi Yaakub عليه السلام.

 

مِن قَبْلِ أَن تُنَزَّلَ ٱلتَّورَٮٰةُ‌ۗ

sebelum diturunkan Kitab Taurat.

Kejadian pantang Nabi Yaakub عليه السلام itu terjadi sebelum turunnya Taurat. Sebelum dan selepas turunnya Taurat, memakan unta adalah halal. Bacalah Taurat, mana ada yang mengatakan haram unta.

Ini adalah satu perkara yang besar yang banyak bersangkutan dengan kita juga, bukan tentang unta sahaja. Puak Bani Israel telah mengharamkan makanan yang Allah ‎ﷻ tidak haramkan kepada mereka. Oleh itu, mereka telah melakukan satu kesalahan yang besar, kerana menghalal dan mengharamkan sesuatu adalah haq Allah ‎ﷻ sahaja.

Allah ‎ﷻ yang menentukan yang mana halal dan mana haram. Kalau mereka pandai-pandai haramkan, maka mereka telah mengambil haq Allah ‎ﷻ dan ini adalah perkara yang berat. Oleh itu, mengharamkan benda yang halal akan menyebabkan murtad.

Maka, bagaimana dengan kalangan masyarakat kita yang memandai-mandai mengharamkan/pantang beberapa jenis makanan kepada diri mereka? Contohnya, semasa bersalin, semasa mengamalkan ilmu-ilmu rahsia yang entah dari mana, mengharamkan jenis-jenis makanan kepada keturunan mereka, dan sebagainya. Perkara ini ada dibincangkan dengan panjang lebar dalam Surah al-An’am.

 

قُلْ فَأْتُوا بِٱلتَّورَٮٰةِ فَاتْلُوهَا إِن كُنتُمْ صٰدِقِينَ

Katakanlah (wahai Muhammad): “maka bawalah kamu Kitab Taurat itu kemudian bacalah akan dia, kalau betul kamu orang-orang yang benar.

Allah ‎ﷻ memerintahkan Nabi Muhammad ﷺ cabar mereka untuk keluarkan kitab Taurat dan tunjuk di manakah ada dikatakan yang unta itu haram dimakan?


 

Ayat 94:

فَمَنِ افْتَرَىٰ عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ مِن بَعْدِ ذَٰلِكَ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظّٰلِمُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And whoever invents about Allāh untruth after that – then those are [truly] the wrongdoers.

MALAY

(Jika tidak) maka sesiapa yang mereka-reka kata-kata dusta terhadap Allah sesudah yang demikian itu, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.

 

Sesiapa yang mengadakan benda baru dalam agama, mereka itu dikira sebagai zalim. Ini adalah kerana agama ini adalah hak Allah ‎ﷻ, disampaikan melalui Rasul-rasul baginda. Maka tidak patut kalau kita datangkan perkara baru dalam agama yang tidak ada asalnya dari Allah ‎ﷻ dan Nabi.

Adil itu adalah meletakkan sesuatu itu pada tempatnya dan zalim adalah meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya. Jadi kalau ambil tugas dan haq Allah ‎ﷻ, maka itu adalah zalim.

Begitulah kita menentang amalan-amalan bid’ah dalam masyarakat kita. Kebanyakan daripada pengamal bid’ah dengan mudah sahaja melakukan amalan bid’ah, seperti ia tidak ada apa, perkara biasa sahaja seolah-olah tidak salah bagi mereka, padahal itu adalah mereka-reka perkara baru dalam agama. Mereka tidak faham apakah maksud ‘bid’ah’ itu, sampaikan ada yang menggunakan tiket ‘Bid’ah Hasanah’ di dalam membolehkan amalan yang mereka lakukan. Ini adalah amat bahaya sekali.


 

Ayat 95:

قُلْ صَدَقَ اللَّهُ فَاتَّبِعُوا مِلَّةَ إِبْرٰهِيمَ حَنِيفًا وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, “Allāh has told the truth. So follow the religion of Abraham, inclining toward truth; and he was not of the polytheists.”

MALAY

Katakanlah (wahai Muhammad): “Benarlah (apa yang difirmankan oleh) Allah, maka ikutilah kamu akan ugama Nabi Ibrahim yang ikhlas (berdasarkan Tauhid), dan bukanlah ia dari orang-orang musyrik.

 

قُلْ صَدَقَ اللَّهُ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Benarlah (apa yang difirmankan oleh) Allah,

Allah ‎ﷻ adalah benar dalam wahyu yang diturunkan.

Apa yang Allah ‎ﷻ firman adalah benar. Maka kenalah ikut apa sahaja yang Allah ‎ﷻ sampaikan. Mulakan dengan belajar apa yang Allah ‎ﷻ sampaikan. Kalau tidak tahu, bagaimana hendak ikut?

 

فَاتَّبِعُوا مِلَّةَ إِبْرٰهِيمَ

maka ikutilah kamu akan agama Nabi Ibrahim

Ikutlah agama Nabi Ibrahim عليه السلام yang meninggalkan syirik. Maksud مِلَّةَ adalah satu penyatuan agama yang disebabkan oleh cinta iaitu cara hidup yang diamalkan oleh ramai orang.

 

حَنِيفًا وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ

yang berdasarkan Tauhid, dan bukanlah dia dari orang-orang musyrik.

Agama yang dibawa oleh Nabi Ibrahim عليه السلام adalah agama Islam yang hanif – yang lurus dan fokus kepada Allah ‎ﷻ.

Selalu apabila disebutkan agama Nabi Ibrahim عليه السلام yang ‘hanif’, ditambah bahawa baginda ‘tidak syirik’. Kenapa perlu ditambah pula sedangkan kalimah ‘hanif’ itu sendiri sudah ada konotasi tauhid?

Ini adalah kerana puak Musyrikin Mekah juga ada menggelarkan diri mereka beragama hanif, kerana mereka kata mereka ikut ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام tetapi Allah ‎ﷻ tekankan di sini kalau agama Nabi Ibrahim عليه السلام, ia adalah tauhid dan tidak ada syirik di dalamnya.

Seperti orang kita lah juga – mengaku beragama Islam dan mengikut ajaran Nabi Muhammad ﷺ, tetapi sebenarnya ada antara mereka yang mengamalkan juga fahaman dan amalan syirik yang mereka tidak sedari. Mereka tidak sedar kerana mereka tidak belajar wahyu. Jadi mereka sangka mereka beriman dan sudah mengamalkan tauhid, namin belum tentu lagi. Kena periksa dengan wahyu Allah ‎ﷻ baru tahu.


 

Ayat 96: Ini adalah jawapan kepada satu lagi kesamaran dalam fahaman Yahudi Nasara iaitu tentang Kiblat di Mekah. Ini apabila kiblat berpindah ke Kaabah semasa Nabi di Madinah.

Mereka tidak dapat terima Mekah sebagai kiblat. Mereka kata kiblat mereka (BaitulMaqdis) lebih lama dari kiblat umat Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad. Mereka berhujah: kalau sudah lama, kenapa nak pakai kiblat yang baru pula? Lalu Allah memberikan penjelasan dalam ayat ini sebagai bukti bahawa tidak salah Nabi Muhammad apabila beralih ke Mekah sebagai kiblat.

إِنَّ أَوَّلَ بَيْتٍ وُضِعَ لِلنَّاسِ لَلَّذِي بِبَكَّةَ مُبَارَكًا وَهُدًى لِّلْعٰلَمِينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, the first House [of worship] established for mankind was that at Bakkah [i.e., Makkah] – blessed and a guidance for the worlds.

MALAY

Sesungguhnya Rumah Ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah yang di Makkah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia.

 

إِنَّ أَوَّلَ بَيْتٍ وُضِعَ لِلنَّاسِ لَلَّذِي بِبَكَّةَ

Sesungguhnya Rumah Ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (ialah Baitullah) yang di Bakkah

Sekarang Allah beritahu kita yang Rumah Ibadat yang pertama dibina untuk manusia sebagai rumah ibadat adalah Kaabah di Makkah. Ianya untuk semua manusia, bukannya untuk bangsa tertentu sahaja. Ini kerana agama Islam ini adalah untuk semua manusia. Ianya adalah agama yang terbuka untuk semua memasukinya (dan memang kena masuk Islam pun). Jadi tidaklah agama Islam ini terhad seperti agama Yahudi yang hanya kepada bangsa mereka sahaja.

‘Bakkah’ adalah nama lama bagi Mekah. Allah sebutkan juga sejarah Mekah itu sebagai makluman. Ianya ada juga disebut dalam Kitab Suci Yahudi dan Nasara. Tapi mereka telah tukar kepada ‘Sakkah’ dan mereka kata ianya adalah tempat lama yang tidak diketahui lagi, tak boleh jumpa. Mereka tutup maklumat itu dari orangramai. Mereka telah pusing maklumat supaya umat mereka tidak tahu tentang Bakkah (Mekah).

 

مُبَارَكًا

yang berkat

Sekarang Allah beritahu sifat Mekah itu. Kelebihan Mekah itu ialah ia diberi Keberkatan oleh Allah. Maksudnya diganda pahala  apabila beribadat di dalamnya, dibandingkan dengan masjid lain sebanyak seratus ribu kali ganda. Tanah Haram juga ada keberkatan yang kita sendiri mungkin tidak tahu.

Ini mengingatkan kita bahawa keberkatan pada apa-apa atau sesiapa sahaja, ditentukan oleh Allah. Kena ada dalil yang sesuatu itu berkat. Bukan manusia yang pandai-pandai kata ianya berkat. Sebagai contoh, ada yang kata orang balik Mekah itu ada berkat; atau guru itu ada berkat; atau kubur itu ada berkat; dan sebagainya. Itu semua tidak ada dalil maka hendaklah ditolak. Jangan kita terlibat dalam perkara rekaan-rekaan seperti itu.

Inilah yang dinamakan ‘tabarruk’. Ia memang ada dalam Islam. Akan tetapi kenalah ada dalil. Malangnya ramai golongan yang mereka-reka berkat baru. Sampai sekarang yang paling teruk adalah mengambil berkat dengan logo capal. Ini tidak ada dalil sahih dan cara tabarruk yang amat salah.

 

وَهُدًى لِّلْعٰلَمِينَ

dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi sekelian alam.

Dan Mekah itu sebagai hidayat. Maknanya di tengah-tengah Mekah itu ada Kaabah dan setiap umat Islam kena hadap kepadanya dalam solat. Hidayat itu nisbah kepada kiblat tawajjuh, iaitu tempat untuk kita hadapkan wajah kita (fokuskan pandangan).

Kerana itu tidak diterima solat kalau mengadap ke tempat yang lain. Melainkan kalau kita berada di tempat yang kita tidak tahu mana kiblat, barulah boleh kalau kita solat mengadap mana-mana arah. Tetapi sebelum itu, kita kena usaha untuk cari manakah kiblat dahulu.

Dengar kata, Syiah sudah mula menukar kiblat mereka. Ada nampak di media bagaimana mereka solat mengadap arah selain dari Mekah. Ini adalah satu perbuatan yang amat salah sekali. Kalau dulu, persamaan kita dengan mereka adalah kiblat yang sama sahaja, sebab yang lain memang sudah tidak sama. Tapi kali ini, nampaknya kiblat kita dan mereka pun sudah berlainan.

Semoga masyarakat kita kenal siapakah Syiah ini dan tidaklah tertipu dengan diayah mereka. Kita kena sebarkan kesesatan mereka ini supaya masyarakat kita sedar.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 15 November 2020

Ringkasan Surah Ali Imran


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Surah Ali Imran Ayat 79 – 85 (Hukum Murtad)

Ayat 79: Ayat ini adalah jawapan bagi salah satu kesamaran yang ada pada Ahli Kitab. Banyak perkara yang menyebabkan mereka keliru tentang agama dan ini adalah salah satu darinya.

Mereka kata ada syarah dari ahli agama mereka yang kata boleh buat amalan yang syirik, boleh tawasul dan sebagainya. Kitab-kitab itu ditulis oleh ulama mereka. Dan tulisan dari kitab-kitab itu telah memerangkap manusia. Ianya berlainan dari apa yang ditulis dalam wahyu kerana kalau wahyu, akan suruh puja Allah sahaja. Mana boleh hujah pakai kitab untuk tolak wahyu.

Malangnya, masyarakat kita pun, sentiasa nak pakai alasan dan hujah guna kitab – mereka akan kata kitab sekian kata boleh, kitab lain kata begini, begitu. Mereka tidak lihat lagi kepada wahyu tetapi banyak rujuk kepada kata-kata manusia sahaja dan ini bahaya.

Oleh kerana itu, kita kena hati-hati dengan hujah yang diberikan dalam kitab. Kerana kebanyakan kitab adalah kata-kata manusia sahaja. Ada hujah yang diberikan dalam kitab itu yang berlawanan dengan ayat Al-Qur’an dan hadis Nabi. Kena sedar yang kitab tulisan manusia bukanlah rujukan utama. Kadang-kadang ada kitab, orang lain yang tulis tapi letak nama orang lain untuk mengelabui mata manusia. Ada juga masa cetak, telah dimasukkan tulisan bukan dari pengarang – selit masuk tulisan yang bukan dari pengarang. Ini boleh terjadi sebab tulisan kitab manusia tidak ada jaminan dari Allah.

Maka kerana itu kena ada proses tahkik kitab – kitab. Ada ulama-ulama yang menjalankan tugas yang penting ini sebagai menjaga iman manusia. Sebagai contoh, kalau kitab berkenaan Mazhab Syafie, akan ada ulama yang mahir dengan usul Mazhab Syafie yang akan kaji dan tahkik kitab itu sama ada ianya bertepatan dengan method Imam Syafie. Jadi kita yang suka membaca ini kenalah hati-hati. Kena pakai kitab yang telah ditahkik.

Dan yang penting kita kena belajar Al-Qur’an dan Sunnah dahulu. Kerana bila kita sudah tahu, kita sendiri boleh periksa sama ada apa yang disampaikan dalam kitab itu sesuai dengan nas atau tidak. Kalau tulisan manusia yang bercanggah dengan syariat, maka hendaklah ditolak. Buat apa nak pakai lagi?

Jadi, ayat ini tentang ulama Nasara yang berhujah dengan Nabi Muhammad, guna kitab ulama mereka. Mereka kata ada disebut oleh ulama-ulama mereka. Sebagai balasan kepada hujah itu, inilah jawapan dari Allah sendiri. Allah nak beritahu, takkan Nabi akan suruh manusia jadi kafir pula.

مَا كَانَ لِبَشَرٍ أَن يُؤْتِيَهُ اللَّهُ الْكِتٰبَ وَالْحُكْمَ وَالنُّبُوَّةَ ثُمَّ يَقُولَ لِلنَّاسِ كُونُوا عِبَادًا لِّي مِن دُونِ اللَّهِ وَلَٰكِن كُونُوا رَبّٰنِيِّينَ بِمَا كُنتُمْ تُعَلِّمُونَ الْكِتٰبَ وَبِمَا كُنتُمْ تَدْرُسُونَ

SAHIH INTERNATIONAL

It is not for a human [prophet] that Allah should give him the Scripture and authority and prophethood and then he would say to the people, “Be servants to me rather than Allah ,” but [instead, he would say], “Be pious scholars of the Lord because of what you have taught of the Scripture and because of what you have studied.”

MALAY

Tidaklah patut bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Kitab ugama dan hikmat serta pangkat Nabi, kemudian dia tergamak mengatakan kepada orang ramai: “Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang menyembahku dengan meninggalkan perbuatan menyembah Allah”. Tetapi (sepatutnya dia berkata): “Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyin (yang hanya menyembah Allah Taala – dengan ilmu dan amal yang sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu, dan kerana kamu selalu mempelajarinya.

 

مَا كَانَ لِبَشَرٍ أَن يُؤْتِيَهُ اللَّهُ الْكِتٰبَ وَالْحُكْمَ وَالنُّبُوَّةَ

Tidaklah patut bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Kitab dan hikmat serta pangkat Nabi,

Iaitu manusia yang dipilih untuk terima wahyu dan telah dilantik menjadi Nabi lagi Rasul. Dan mereka telah diberi dengan Kitab suci pula sebagai ‘dalil naqli’. Dan mereka telah diberikan hikmah juga iaitu ‘dalil aqli’. Mereka itu adalah para Nabi dan Rasul yang ada wahyu dan ada akal yang hebat.

Nubuwwah – maksudnya kefahaman yang sebenar tentang agama. Allah beri fathonah (kebijaksaan) kepada para Nabi kerana orang bodoh tak boleh jadi Nabi. Oleh kerana itu mereka faham dengan agama dengan mendalam sekali. Maka kita kena ikut ajaran mereka kerana mereka itu memang layak dan telah dipilih dan dilatih oleh Allah sendiri.

 

ثُمَّ يَقُولَ لِلنَّاسِ كُونُوا عِبَادًا لِّي مِن دُونِ اللَّهِ

kemudian dia tergamak mengatakan kepada orang ramai: “Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang menyembahku dengan meninggalkan perbuatan menyembah Allah”.

Sekarang Allah beri hujah. Setelah mereka dilantik menjadi Nabi untuk seru kepada Allah, takkan mereka suruh umat seru mereka untuk seru mereka pula. Takkan mereka suruh umat seru mereka untuk sampaikan seruan itu kepada Allah. Yang mereka suruh adalah seru terus kepada Allah. Para Nabi tidak mengajar umatnya untuk mengamalkan tawasul. Mereka tidak pernah mengatakan mereka itu adalah perantara dalam doa. Sebaliknya semua Nabi akan suruh seru terus kepada Allah.

Para Nabi akan ajar perkara yang benar sahaja. Sebelum ini ada disebut tentang memenuhi janji. Para Nabi itu tidak akan memungkiri janji mereka untuk menunaikan tugas mereka seperti yang telah disuruh oleh Allah. Mereka tidak akan ajar buat perkara yang salah.

 

وَلَٰكِن كُونُوا رَبّٰنِيِّينَ

Tetapi dia berkata: “Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyin

Sebaliknya mereka akan suruh umatnya jadi orang berilmu dan menghambakan diri kepada Allah sahaja. Mereka mengajak manusia menjadi ‘orang Ketuhanan’.

Ramai yang tak faham maksud rabbani walaupun selalu disebut-sebut. Rabbani adalah mereka yang hanya ada hubungan dengan Allah sahaja dan tidak dengan entiti lain. Iaitu mereka yang kenal rabb dan patuh kepada rabb.  Mereka terus kepada Allah supaya jadi ‘orang Tuhan’.

Maka hendaklah kita terus berhubung langsung dengan Allah dalam doa dan pengharapan tanpa menggunakan perantaraan makhluk. Nabi telah ajar cara-cara berdoa supaya selepas itu kita boleh buat sendiri. Yang Nabi ajar: zikir terus kepada Allah, ibadat terus kepada Allah, doa terus kepada Allah – jangan guna perantara pula. Tak perlu nak seru Nabi, wali dan malaikat dalam doa.

 

بِمَا كُنتُمْ تُعَلِّمُونَ الْكِتٰبَ

kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu, 

Allah jelaskan lagi maksud rabbani itu. Takkan kamu tak tahu sebab kamu sendiri mengajar kitab suci. Kalau yang mengajar tentu sudah mantap fahaman kamu. Adakah ajaran dalam kitab suci yang suruh seru atau sembah selain Tuhan?

Ini juga memberi isyarat bahawa orang yang Rabbani itu akan mengajarkan kepada orang lain ilmu yang benar. Bukannya dia simpan sendiri, sebaliknya dia akan menyampaikan ilmu wahyu kepada masyarakat.

 

وَبِمَا كُنتُمْ تَدْرُسُونَ

dan kerana kamu selalu mempelajarinya.

Dan kerana kamu pun selalu belajar, takkan kamu tak tahu? Macam orang kita yang belajar pondok, belajar agama di macam-macam institusi. Adakah dalam Al-Qur’an dan hadis Nabi yang suruh kita bertawasul kepada Nabi, wali atau malaikat? Tentu tidak ada disebut dalam wahyu (yang ada hanyalah kata-kata manusia sahaja).

Kamu belajar macam-macam bidang agama, bila lagi kamu nak mula belajar tafsir dan sunnah dengan cara yang betul? Iaitu cara faham salafussoleh – iaitu mereka yang lebih faham agama dari orang yang terkemudian. Mereka lebih faham kerana mereka lebih dekat masa mereka dengan Nabi. Kenapa nak guna hujah dari manusia tanpa dalil dari wahyu Al-Qur’an atau dari hadis Nabi?

Maka dari sini kita dapat tahu bahawa ada orang berilmu tapi mereka tidak rabbani. Mereka setakat ada ilmu sahaja. Macam-macam mereka belajar, berbagai kitab mereka baca, akan tetapi mereka tidak ajar untuk manusia terus berhubung kepada Allah.

Ayat ini juga memberi isyarat bahawa orang Rabbani itu akan sentiasa menambah ilmu mereka dengan terus belajar, mengkaji dan tadabbur ilmu yang dia ada. Sampai dia kenal betul dengan Rabb.

Oleh kerana itu, Ibn Abbas mengatakan bahawa Rabbani itu adalah ulama dan hukama’ yang hidupnya belajar dan mengajar.


 

Ayat 80:

وَلَا يَأْمُرَكُمْ أَن تَتَّخِذُوا ٱلمَلَـٰٓٮِٕكَةَ وَالنَّبِيِّينَ أَرْبَابًا أَيَأْمُرُكُم بِالْكُفْرِ بَعْدَ إِذْ أَنتُم مُّسْلِمُونَ

SAHIH INTERNATIONAL

Nor could he order you to take the angels and prophets as lords. Would he order you to disbelief after you had been Muslims?

MALAY

Dan dia tidak pula patut menyuruh kamu menjadikan malaikat dan Nabi-nabi sebagai tuhan-tuhan. Patutkah dia menyuruh kamu dengan kekufuran sesudah kamu menjadi orang Islam?

 

وَلَا يَأْمُرَكُمْ أَن تَتَّخِذُوا ٱلمَلَـٰٓٮِٕكَةَ وَالنَّبِيِّينَ أَرْبَابًا

Dan ia tidak pula patut menyuruh kamu menjadikan malaikat dan Nabi-nabi sebagai tuhan-tuhan. 

Mereka pun tidak pernah suruh jadikan malaikat dan Nabi-nabi sebagai pujaan untuk diseru untuk minta pertolongan, bukan? Lafaz أَرْبَابًا adalah jamak bagi rabb.

Hanya Allah sahaja Rabb yang ada. Hanya sembah Allah sahaja. Hanya seru kepada Allah sahaja.

 

أَيَأْمُرُكُم بِالْكُفْرِ بَعْدَ إِذْ أَنتُم مُّسْلِمُونَ

Patutkah dia menyuruh kamu dengan kekufuran sesudah kamu menjadi orang Islam?

Adakah Nabi suruh kamu jadi kufur? Takkan begitu. Takkan selepas kamu menjadi Muslim, dia nak suruh kamu jadi murtad pula?

nota: Ayat-ayat dari permulaan surah ini sampai ayat 80 ini banyak memperkatakan tentang tauhid. Selepas ini akan disentuh tentang Risalah Kenabian pula.

Sekian Ruku’ 8 dari 20 ruku’ surah ini


 

Ayat 81: Perbincangan ayat-ayat selepas ini adalah tentang Kerasulan. Ini juga adalah salah satu dari Kesamaran di pihak Ahli Kitab. Selain dari itu, mereka juga keliru tentang kiblat, tentang halalnya memakan unta dan tentera Islam yang kalah dalam Perang Uhud.

Dalam ayat ini, Allah hendak beritahu bahawa semua Nabi dulu ada perjanjian dengan Allah. Iaitu apabila datang Nabi Akhir Zaman (Nabi Muhammad SAW), mereka semua (para Nabi) kena ikut dan tolong Nabi itu. Yang boleh praktik perjanjian ini hanyalah Nabi Isa sahaja kerana baginda telah diangkat ke langit dan akan turun semula.

Maknanya, baginda nanti akan pakai syariat Nabi Muhammad apabila baginda menjadi Nabi semula di dunia. Baginda tidak akan pakai syariat baginda sendiri dari Taurat atau dari Injil tapi baginda akan pakai syariat Nabi Muhammad – iaitu Al-Qur’an dan Sunnah Nabi Muhammad.

Maka dari ayat ini kita dapat tahu bahawa perjanjian ini ada dalam semua kitab yang diturunkan Allah.

Ini adalah juga salah satu dalil yang kuat untuk menyatakan bahawa Nabi Khidr sudah mati sebab tak pernah ada riwayat baginda pernah bantu Nabi Muhammad. Jadi tersilaplah ajaran yang kata bahawasanya Nabi Khidr masih hidup lagi. Sudahlah mereka kata baginda hidup lagi, ada yang kata dapat berjumpa pula dengan baginda.

Dan lebih teruk lagi, mereka tohmah kata Nabi Khidr ada ajar syariat baru pula. Itu adalah kesilapan yang bertimpa-timpa. Kepercayaan ini boleh menyebabkan terpesong dari jalan agama yang benar. Maka ayat ini amat penting diketahui. Malangnya, kalau sudah masuk dalam arena tarekat dan tasawuf, selalunya salah satu keinginan mereka adalah untuk berjumpa dengan Nabi Khidr. Entah siapalah yang mereka jumpa itu, yang pastinya bukan Nabi Khidr.

Tapi ramai yang ada fahaman macam ini di dalam dunia dan tentunya di negara kita. Yang pasti, kebanyakan ahli tarekat ada fahaman sesat ini. Mereka itu selalu kena tipu sahaja. Belajar betul-betul tidak mahu tapi ambil ajaran dari guru yang salah. Guru itu bawa ajaran khayalan mana pun kita tidak tahu.

Kita sebut secara terus terang sahaja di sini supaya tidak ada kekeliruan bahawa ajaran tarekat itu salah. Tidak jumpa lagi ajaran tarekat yang benar (pada zaman ini kerana kita tidak tahu bagaimana pegangan orang zaman dahulu). Terlalu banyak kemungkaran yang ada dalam ajaran tarekat sekarang sampaikan tidak ada sebab untuk menyertainya. Tidak ada keperluan untuk menyertai mana-mana perkumpulan tarekat. Ia hanya membuang masa dan kena ‘tarik dan kena ikat’ sahaja.

Masalah kepada puak sesat begitu, mereka tak beritahu ilmu yang mereka dapat itu kepada orang lain. Sebab syarat ilmu itu, kena rahsiakan dari orang awam. Telah diletakkan syarat sebegitu kepada mereka awal-awal lagi. Guru akan pesan, kalau beritahu kepada orang, ilmu itu akan jadi tawar (tidak menjadi). Maka mereka akan terus sesat sendiri.

Kerana kalau beritahu kepada orang lain, mungkin ada yang boleh beri nasihat tentang salah dan sesat ilmu itu. Tapi kerana mereka rahsiakan fahaman dan amalan mereka, maka orang lain nampak mereka biasa dan normal sahaja. Mereka pun tidak dapat maklumat lain sebab mereka tak sempat nak belajar tafsir, sunnah atau dengan ceramah agama sebab mereka telah disibukkan dengan bacaan zikir dan ratib beribu-ribu sehari. Begitulah cara syaitan lalaikan mereka dengan amalan bidaah, sampaikan mereka tidak dapat nak belajar ilmu yang benar.

Mereka memang akan duduk bersendirian sahaja. Dan mereka sudah tak tanya pendapat orang lain lagi sebab memang mereka akan rasa mereka lebih lagi dari orang lain sebab mereka sudah dapat ilmu ‘rahsia’ yang lagi hebat dari orang awam (orang biasa bagi mereka).

Jadi apabila tidak bertaubat meninggalkan ajaran itu, mereka akan mati dalam sesat seorang diri. Maka tolaklah ilmu yang nak belajar, kena belajar secara rahsia. Itu adalah tanda ajaran sesat.

وَإِذْ أَخَذَ اللَّهُ مِيثٰقَ النَّبِيِّينَ لَمَا ءآتَيْتُكُم مِّن كِتٰبٍ وَحِكْمَةٍ ثُمَّ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مُّصَدِّقٌ لِّمَا مَعَكُمْ لَتُؤْمِنُنَّ بِهِ وَلَتَنصُرُنَّهُ قَالَ ءأَقْرَرْتُمْ وَأَخَذْتُمْ عَلَىٰ ذَٰلِكُمْ إِصْرِي قَالُوا أَقْرَرْنَا قَالَ فَاشْهَدُوا وَأَنَاْ مَعَكُم مِّنَ الشّٰهِدِينَ

SAHIH INTERNATIONAL

And [recall, O People of the Scripture], when Allah took the covenant of the prophets, [saying], “Whatever I give you of the Scripture and wisdom and then there comes to you a messenger confirming what is with you, you [must] believe in him and support him.” [ Allah ] said, “Have you acknowledged and taken upon that My commitment?” They said, “We have acknowledged it.” He said, “Then bear witness, and I am with you among the witnesses.”

MALAY

Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil perjanjian setia dari Nabi-nabi (dengan firmanNya): “Sesungguhnya apa jua Kitab dan Hikmat yang Aku berikan kepada kamu, kemudian datang pula kepada kamu seorang Rasul yang mengesahkan apa yang ada pada kamu, hendaklah kamu beriman sungguh-sungguh kepadanya, dan hendaklah kamu bersungguh-sungguh menolongnya”. Allah berfirman lagi (bertanya kepada mereka): “Sudahkah kamu mengakui dan sudahkah kamu menerima akan ikatan janjiku secara yang demikian itu?” Mereka menjawab: “Kami berikrar (mengakui dan menerimanya)”. Allah berfirman lagi: “Jika demikian, maka saksikanlah kamu, dan Aku juga menjadi saksi bersama-sama kamu.”

 

وَإِذْ أَخَذَ اللَّهُ مِيثٰقَ النَّبِيِّينَ

Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil perjanjian setia dari Nabi-nabi

Allah memberitahu kita semua tentang perjanjian yang telah dilakukanNya dengan semua Nabi. Ini adalah dalil naqli iaitu pemberitahuan dari Allah. Kalau Allah tidak beritahu memang kita tidak akan tahu kerana akal kita tidak akan dapat mencapai maklumat ini sendiri.

 

لَمَا ءآتَيْتُكُم مِّن كِتٰبٍ وَحِكْمَةٍ

“Sesungguhnya apa jua Kitab dan Hikmat yang Aku berikan kepada kamu,

Perjanjian itu akan berkuatkuasa ketika Allah beri wahyu dan hikmah kepada mereka. Apabile mereka ambil tugas menjadi Nabi, maka ada mereka akan perjanjian dengan Allah.

 

ثُمَّ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مُّصَدِّقٌ لِّمَا مَعَكُمْ

kemudian datang pula kepada Kamu seorang Rasul yang mengesahkan apa yang ada pada kamu, 

Yang dimaksudkan adalah Nabi Muhammad. Kena tafsir sebagai Nabi Muhammad. Kalau ikut pandangan yang lain, itu adalah salah. Sebagai contoh, kalau orang Kristian, mereka akan kata yang dimaksudkan adalah Nabi Isa.

Yang disahkan oleh Nabi Akhir Zaman itu adalah dia akan membenarkan akidah tauhid yang memang sudah ada dalam ajaran mereka yang mereka dapati dari wahyu. Kerana ajaran tauhid sama sahaja dari dulu sampai bila-bila. Nabi Muhammad bawa ajaran yang sama sahaja.

 

لَتُؤْمِنُنَّ بِهِ

hendaklah kamu beriman sungguh-sungguh kepadanya,

Perjanjian Allah dengan para Nabi: Kalau kamu hidup waktu naiknya Nabi Akhir Zaman itu (Nabi Muhammad), kamu kena beriman dengan baginda.

Lihatlah, kalau semua para Nabi pun kena beriman dengan Nabi Muhammad, apatah lagi kepada umat manusia. Maka umat Nabi-Nabi lain yang mana pun, kena ikut ajaran Nabi Muhammad lah.

Ini adalah dalil untuk mengatakan yang Yahudi dan Nasara tidak terlepas dari syariat Nabi Muhammad. Mereka tidak boleh kata yang mereka cuma pakai syariat Nabi mereka sahaja. Kerana syariat Nabi mereka telah terbatal apabila bangkitnya Nabi Muhammad sebagai rasul.

 

وَلَتَنصُرُنَّهُ

dan hendaklah kamu bersungguh-sungguh menolongnya”.

Semua para Nabi kena bantu baginda dengan anggota mereka. Kena pergi jumpa Nabi Muhammad dan kena ikut arahan baginda. Sebagai contoh, apabila Nabi berperang, mereka kena datang dan tolong Nabi semasa Nabi berperang.

Jadi adakah Nabi Khidr ada disebut bantu Nabi Muhammad? Tidak pernah tertulis pun baginda ada dalam senarai 313 sahabat yang membantu dalam perang Badr atau mana-mana perang pun. Tidak juga ada dalam hadis yang sahih yang mengatakan Nabi Khidr ada datang bertemu Nabi. Kalau hadis palsu itu, tak payah sebut lah, memang banyak pun.

Ada yang mengatakan perjanjian ini ada dua peringkat. Peringkat pertama adalah beriman dan membantu rasul yang hidup sezaman dengan mereka. Sebagai contoh Nabi Luth hidup sezaman dengan Nabi Ibrahim, Nabi Yahya sezaman dengan Nabi Isa dan Nabi Harun hidup sezaman dengan Nabi Musa. Mereka kenalah bantu  membantu.

Peringkat kedua adalah beriman dan membantu Nabi Muhammad. Walaupun mereka tidak dapat bertemu dengan  baginda, tetapi mereka harus sampaikan berita tentang Nabi akhir zaman itu kepada umat masing-masing.

 

قَالَ ءأَقْرَرْتُمْ وَأَخَذْتُمْ عَلَىٰ ذَٰلِكُمْ إِصْرِي

Allah berfirman lagi (bertanya kepada mereka): “Sudahkah kamu mengakui dan sudahkah kamu menerima akan ikatan janjiku itu?” 

Allah tanya kepada para Nabi, adakah mereka setuju? Kerana ini adalah perkara yang penting, maka Allah tanya balik kepada mereka.

 

قَالُوا أَقْرَرْنَا

Mereka menjawab: “Kami berikrar 

Semua Nabi sudah setuju untuk taat kepada perjanjian itu.

Kalau para Nabi pun berikrar menerima ajaran dan dakwah Nabi-nabi lain, termasuk Nabi Muhammad, maka kita pun patut  begitu. Jangan bezakan antara para Rasul itu kerana mereka semuanya membawa akidah tauhid yang sama. Mungkin syariat berbeza tetapi akidah tetap sama.

 

قَالَ فَاشْهَدُوا وَأَنَاْ مَعَكُم مِّنَ الشّٰهِدِينَ

Allah berfirman lagi: “maka saksikanlah kamu, dan Aku juga menjadi saksi bersama-sama kamu.”

Allah bersaksi bersama mereka. Lihatlah bagaimana Allah sendiri bersaksi bersama mereka sebab amat pentingnya perkara ini.


 

Ayat 82:

فَمَن تَوَلَّىٰ بَعْدَ ذَٰلِكَ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْفٰسِقُونَ

SAHIH INTERNATIONAL

And whoever turned away after that – they were the defiantly disobedient.

MALAY

Kemudian sesiapa yang berpaling ingkar sesudah mengakui perjanjian setia itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasik.

 

فَمَن تَوَلَّىٰ بَعْدَ ذَٰلِكَ

Kemudian sesiapa yang berpaling ingkar sesudah mengakui perjanjian setia itu, 

Kalaulah para Nabi itu engkar dengan perjanjian mereka itu. Perjanjian adalah perkara yang amat penting dalam agama. Engkar atau memutuskan perjanjian adalah perkara yang berat, apatah lagi kalau berjanji dengan Allah.

 

فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْفٰسِقُونَ

maka mereka itulah orang-orang yang fasik.

Allah kata mereka akan jadi orang fasik kalau mereka engkar. Takkan para Nabi itu fasik walau seorang pun.

Yang fasiknya adalah golongan yang memilih-milih Nabi yang mereka hendak ikut dan tolak mana yang mereka tak suka. Yahudi tolak Nabi Isa dan Nabi Muhammad dan Nasara pula terima Nabi Isa tapi tolak Nabi Muhammad.


 

Ayat 83:

أَفَغَيْرَ دِينِ اللَّهِ يَبْغُونَ وَلَهُ أَسْلَمَ مَن فِي السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضِ طَوْعًا وَكَرْهًا وَإِلَيْهِ يُرْجَعُونَ

SAHIH INTERNATIONAL

So is it other than the religion of Allah they desire, while to Him have submitted [all] those within the heavens and earth, willingly or by compulsion, and to Him they will be returned?

MALAY

Patutkah sesudah (mengakui dan menerima perjanjian) itu, mereka mencari lain dari ugama Allah? Padahal kepadaNyalah tunduk taat sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi, sama ada dengan sukarela ataupun terpaksa, dan kepadaNya lah mereka dikembalikan.

 

أَفَغَيْرَ دِينِ اللَّهِ يَبْغُونَ

Patutkah mereka mencari lain dari ugama Allah?

Jadi, setelah diberikan segala dalil ini, adakah mereka hendak cari selain agama Allah? Tidak patut kalau begitu, kerana ada satu sahaja agama pada sisi Allah. Agama yang lain, tidak diiktiraf.

Jadi, janganlah kita antara orang yang kata semua agama dalam dunia ini sama sahaja, kononnya semua hendak mengajak kepada kebaikan. Itu adalah kata-kata kufur. Memang ada persamaan sedikit sebanyak, tapi agama Islam dan agama lain, tidak sama langsung.

 

وَلَهُ أَسْلَمَ مَن فِي السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضِ طَوْعًا وَكَرْهًا

Padahal kepadaNyalah tunduk taat sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi, sama ada dengan sukarela ataupun terpaksa,

Kalau tak ikut, kamu sendiri yang rugi kerana semua makhluk lain sudah ikut. Alam semuanya mengikuti peraturan yang Allah telah aturkan. Matahari tidak akan bergerak dari tempatnya selagi tidak disuruh oleh Allah untuk bergerak. Begitu juga bulan, bintang dan segala yang ada di atas bumi dan di mana sahaja.

Alam akan ikut sama ada mereka mahu atau tidak. Memang orang kafir tidak taat kepada Allah, tapi jantung, paru-paru dan segala sel dalam fizikal mereka taat kepada Allah. Kalau tak taat, sudah lama mati manusia itu.

 

وَإِلَيْهِ يُرْجَعُونَ

dan kepadaNya lah mereka dikembalikan.

Dan mereka nak lari ke mana pun, kerana akhirnya mereka akan dikembalikan kepada Allah. Mereka tidak akan dikembalikan kepada tuhan-tuhan mereka yang lain dari Allah. Kerana tuhan-tuhan itu semua tidak ada.

Penganut agama lain sangka mereka akan pergi kepada tuhan sembahan mereka, tapi apabila dibangkitkan, alangkah terkejutnya mereka apabila mereka lihat mereka akan dibawa kepada Allah.

Kalau semua akan kembali kepada Allah termasuk kita, maka kenapa tidak taat kepada Allah dengan sepenuhnya? Tidak takutkah kita dengan apa yang kita akan bawa ke hadapan Allah nanti?


 

Ayat 84: Ini khulasah (ringkasan) agama Allah.

قُلْ ءآمَنَّا بِاللَّهِ وَمَا أُنزِلَ عَلَيْنَا وَمَا أُنزِلَ عَلَىٰ إِبْرٰهِيمَ وَإِسْمٰعِيلَ وَإِسْحٰقَ وَيَعْقُوبَ وَالْأَسْبَاطِ وَمَا أُوتِيَ مُوسَىٰ وَعِيسَىٰ وَالنَّبِيُّونَ مِن رَّبِّهِمْ لَا نُفَرِّقُ بَيْنَ أَحَدٍ مِّنْهُمْ وَنَحْنُ لَهُ مُسْلِمُونَ

SAHIH INTERNATIONAL

Say, “We have believed in Allah and in what was revealed to us and what was revealed to Abraham, Ishmael, Isaac, Jacob, and the Descendants, and in what was given to Moses and Jesus and to the prophets from their Lord. We make no distinction between any of them, and we are Muslims [submitting] to Him.”

MALAY

Katakanlah (wahai Muhammad): “Kami beriman kepada Allah, dan kepada apa yang telah diturunkan kepada kami, dan kepada apa yang telah diturunkan kepada Nabi-nabi: Ibrahim, dan Ismail, dan Ishak, dan Yaakub, dan keturunannya, dan kepada apa yang telah diberikan kepada Nabi-nabi: Musa dan Isa, dan sekalian Nabi-nabi dari Tuhan mereka. Kami tidak membeza-bezakan seseorang pun di antara mereka, dan kepada Allah jualah kami berserah diri (Islam)”.

 

قُلْ ءآمَنَّا بِاللَّهِ وَمَا أُنزِلَ عَلَيْنَا

Katakanlah: “Kami beriman kepada Allah, dan kepada apa yang telah diturunkan ke atas kami,

Beriman kepada Allah dan segala perkara yang perlu diimani. Perkataan عَلَيْنَا (ke atas kami) digunakan dalam ayat ini kerana yang dimaksudkan adalah hukum-hukum agama yang menjadi tanggungjawab kita untuk taat.

Ianya berbeza dengan kalau lafaz إلينا (kepada kami) yang digunakan. Kerana itu hendak menekankan bahawa apa yang diberi akan sebagai nikmat. Apabila digunakan kalimah على, ia memberi konotasi ‘tanggungjawab’ dalam agama.

 

وَمَا أُنزِلَ عَلَىٰ إِبْرٰهِيمَ وَإِسْمٰعِيلَ وَإِسْحٰقَ وَيَعْقُوبَ وَالْأَسْبَاطِ

dan kepada apa yang telah diturunkan kepada Nabi-nabi: Ibrahim, dan lsmail, dan Ishak, dan Yaakub, dan keturunannya, 

Dan hendaklah beriman dengan segala hukum syariat dalam Al-Qur’an. Syariat setiap Nabi tidak sama, tapi hukum akidah adalah sama sahaja yang diberikan kepada Nabi-nabi sebelum Nabi Muhammad. Jadi, beriman yang dimaksudkan di dalam ayat ini adalah iman kepada tauhid yang sama sahaja diberikan kepada semua para Nabi.

 

وَمَا أُوتِيَ مُوسَىٰ وَعِيسَىٰ وَالنَّبِيُّونَ مِن رَّبِّهِمْ

dan kepada apa yang telah diberikan kepada Nabi-nabi: Musa dan Isa, dan sekalian Nabi-nabi dari Tuhan mereka.

Semua Nabi-nabi itu diberikan dengan hukum akidah yang sama.

 

لَا نُفَرِّقُ بَيْنَ أَحَدٍ مِّنْهُمْ

Kami tidak membeza-bezakan seseorang pun di antara mereka,

Kita kena terima semua Nabi-nabi itu sebagai Nabi. Jangan tolak walau seorang pun. Kita tidak menolak mana-mana Nabi pun, tapi Ahli Kitab mereka tak terima semua Nabi. Puak Yahudi tidak terima Nabi Isa dan Puak Kristian tidak menerima Nabi Muhammad.

 

وَنَحْنُ لَهُ مُسْلِمُونَ

dan kepada Allah jualah kami berserah diri”.

Kita kena serahkan diri kita semua sekali kepada Allah. Taat kepada apa yang disampaikan oleh Allah kepada kita. Kita beriman kepadaNya dan berserah diri kepadaNya. Kita redha dengan apa sahaja yang ditetapkanNya kepada kita.


 

Ayat 85: Ini adalah ayat Zajrun dan Takhwif Ukhrawi.

وَمَن يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلٰمِ دِينًا فَلَن يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخٰسِرِينَ

SAHIH INTERNATIONAL

And whoever desires other than Islam as religion – never will it be accepted from him, and he, in the Hereafter, will be among the losers.

MALAY

Dan sesiapa yang mencari ugama selain ugama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan dia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.

 

وَمَن يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلٰمِ دِينًا

Dan sesiapa yang mencari ugama selain ugama Islam, 

Agama tidak sama antara Islam dan agama lain. Takkan sama walaupun ada sedikit-sedikit persamaan (seperti arahan berbuat baik, contohnya). Oleh itu kena dakwah kepada orang bukan Islam. Kesian mereka, kerana mereka sangka mereka dalam kebenaran, tapi mereka tertipu dengan agama mereka. Ini penting, kerana ada yang kata: “alah semua agama sama sahaja, semua ajak kepada kebaikan.” Ini tidak benar sama sekali.

 

فَلَن يُقْبَلَ مِنْهُ

maka tidak akan diterima daripadanya,

Tidak akan diterima amalan baik mereka, walau bagaimana baik pun sekali. Mungkin ada orang bukan Islam yang banyak membantu orang lain (malah mungkin lebih baik dari kita). Kalau dia bukan Islam, perbuatannya menolong orang lain itu tidak akan mendatangkan pahala kepadanya.

Ayat ini juga sebagai larangan untuk kita menerima agama lain. Telah ada dari dulu sampai sekarang satu gerakan yang hendak menyatukan semua agama. Mereka nak kata semua agama sama sahaja, jadi kenapa nak berpecah? Kalau zaman sekarang, ianya dipelopori oleh Gerakan Interfaith.

Umat Islam kena berhati-hati kerana gerakan dan idea seperti ini tidak akan pernah diterima oleh Allah. Agama yang lain itu, kalau pun ia asalnya adalah agama Islam, tapi ia telah berubah jauh dari ajaran Islam yang asal. Kena tolak dan tentang gerakan yang sebegini.

 

وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخٰسِرِينَ

dan dia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.

Tentulah mereka akan menjadi amat-amat rugi kerana semua amalan dia tidak akan dibalas dengan pahala di akhirat.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 31 Oktober 2020

Ringkasan Surah Ali Imran


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir al-Azhar – Hamka

Tafsir Surah Ali Imran Ayat 73 – 78 (Masuk Islam olok-olok)

Ayat 73: Dalam para ketua itu suruh pengikut mereka masuk Islam olok-olok, mereka pesan juga kepada puak dia supaya jangan percaya betul-betul dengan agama Islam. Mereka diingatkan supaya tunjuk beriman secara zahir sahaja.

Ini kerana mereka takut juga mereka kalau orang yang mereka hantar itu beriman betul-betul pula. Kerana ramai yang sudah tengok-tengok agama Islam dan telah masuk terus. Teringat bagaimana ada orang bukan Islam yang mahu tahu tentang agama Islam selepas kejadian pengeboman 9-11 Twin Tower di America. Mereka tergerak untuk mengetahui apakah agama Islam yang selalu diperkatakan itu.

Selepas mereka mengkaji, ramai yang masuk Islam kerana mereka nampak kebenaran dalam Islam itu. Oleh itu, rancangan jahat orang kafir untuk memburukkan Islam telah memakan diri mereka, kerana bukannya orang semakin takut kepada Islam, tapi orang semakin tahu kepada agama Islam dan mereka telah memeluk agama Islam.

وَلَا تُؤْمِنُوا إِلَّا لِمَن تَبِعَ دِينَكُمْ قُلْ إِنَّ الْهُدَىٰ هُدَى اللَّهِ أَن يُؤْتَىٰ أَحَدٌ مِّثْلَ مَا أُوتِيتُمْ أَوْ يُحَاجُّوكُمْ عِندَ رَبِّكُمْ قُلْ إِنَّ الْفَضْلَ بِيَدِ اللَّهِ يُؤْتِيهِ مَن يَشَاءُ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

SAHIH INTERNATIONAL

And do not trust except those who follow your religion.” Say, “Indeed, the [true] guidance is the guidance of Allah . [Do you fear] lest someone be given [knowledge] like you were given or that they would [thereby] argue with you before your Lord?” Say, “Indeed, [all] bounty is in the hand of Allah – He grants it to whom He wills. And Allah is all-Encompassing and Wise.”

MALAY

Dan (mereka berkata lagi): “Janganlah kamu percaya melainkan kepada orang-orang yang mengikut ugama kamu”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya petunjuk yang sebenar-benarnya ialah petunjuk Allah”. Bahawa diberi kepada sesiapa seperti apa yang telah diberikan kepada kamu, atau mereka akan dapat mengalahkan hujah kamu di sisi Tuhan kamu”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya limpah kurnia itu adalah di tangan Allah, diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi pengetahuanNya.

 

وَلَا تُؤْمِنُوا إِلَّا لِمَن تَبِعَ دِينَكُمْ

Dan (mereka berkata lagi): “Janganlah kamu percaya melainkan kepada orang-orang yang mengikut ugama kamu”.

Ini adalah kata-kata ketua agama mereka. Mereka pesan kepada pengikut mereka yang disuruh untuk masuk Islam olok-olok itu, untuk hanya ikut orang yang seperti agama mereka sahaja. Jangan tinggalkan agama asal pula. Takut benar mereka kalau orang-orang muda yang mereka hantar itu akan masuk benar-benar dalam agama Islam. Ini kerana mereka pun sudah goyang.

 

قُلْ إِنَّ الْهُدَىٰ هُدَى اللَّهِ

Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk yang sebenar benarnya ialah petunjuk Allah”.

Allah suruh Nabi beritahu hidayah yang ada pada orang Islam itu adalah diberi oleh Allah, bukan datang dari tempat lain. Itulah sahaja hidayah yang benar. Dan Allah sahaja yang boleh beri hidayah dan tarik hidayah. Manusia tak boleh nak paksa untuk orang hidayah.

Dan manusia pun tidak boleh menarik hidayah dari orang lain. Kalau mereka buat perancangan pun, tapi Allah tak benarkan, ianya tidak akan terjadi.

 

أَن يُؤْتَىٰ أَحَدٌ مِّثْلَ مَا أُوتِيتُمْ

bahawa diberi kepada sesiapa seperti apa yang telah diberikan kepada kamu,

Allah buka pekung golongan jahat itu: Rancangan mereka ini semua kerana mereka dengki ada orang lain dapat kitab suci dari Allah juga. Mereka tak puas hati. Kalau ada penyakit dengki dalam hati, memang akan ada masalah.

 

أَوْ يُحَاجُّوكُمْ عِندَ رَبِّكُمْ

atau mereka akan dapat mengalahkan hujah kamu di sisi Tuhan kamu”.

Atau kerana mereka bimbang umat Islam yang dapat kitab itu juga berhujah dengan mereka nanti di hadapan Allah dengan dalil dan bukti.

 

قُلْ إِنَّ الْفَضْلَ بِيَدِ اللَّهِ

Katakanlah: “Sesungguhnya limpah kurnia itu adalah di tangan Allah,

Allah boleh pilih sesiapa sahaja yang hendak diberikan hidayah atau kitab suci. Manusia tidak boleh pertikaikan apa yang Allah lakukan. Ahli kitab tidak boleh nak pertikaikan kenapa orang bangsa Arab pula yang dapat kitab wahyu.

Dulu memang mereka dapat kelebihan itu. Mereka dulunya pegang agama dan Allah beri banyak Nabi dari kalangan mereka. Tapi apabila mereka telah menyalahgunakan kelebihan mereka itu, mereka sudah rosakkan agama, maka Allah tarik balik kelebihan mereka itu. Jadi kesalahan itu pada diri mereka sendiri sebenarnya.

 

يُؤْتِيهِ مَن يَشَاءُ

diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya;

Allah boleh beri apa sahaja yang Allah mahu kepada sesiapa sahaja yang Dia mahu. Malangnya ada juga yang dengki seperti orang Yahudi tidak dapat terima ada Nabi dari kalangan Bani  Ismail. Maka Allah beritahu dalam ayat ini yang terpulang kepada Allah siapa yang hendak diberinya wahyu dan kenabian..

 

وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

dan Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi pengetahuanNya.

Allah ada banyak kelebihan yang Allah telah berikan dan yang Allah akan berikan. Ianya amat luas.

Dan Allah maha mengetahui siapa yang patut dapat wahyu. Sepatutnya puak Bani Israil kena periksa diri kenapa wilayah kenabian ditarik dari mereka, bukannya menolak pilihan Allah hendak memberikannya kepada bangsa lain. Mereka kena baiki diri mereka sendiri dulu dan jangan salahkan orang lain.


 

Ayat 74:

يَخْتَصُّ بِرَحْمَتِهِ مَن يَشَاءُ وَاللَّهُ ذُو الْفَضْلِ الْعَظِيمِ

SAHIH INTERNATIONAL

He selects for His mercy whom He wills. And Allah is the possessor of great bounty.

MALAY

Allah menentukan pemberian rahmatNya itu kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan (ingatlah), Allah mempunyai limpah kurnia yang besar.

 

يَخْتَصُّ بِرَحْمَتِهِ مَن يَشَاءُ

Allah menentukan pemberian rahmatNya itu kepada sesiapa yang dikehendakiNya; 

Allah beri rahmat secara khusus kepada orang yang tertentu. Pilihan siapa yang dapat itu adalah pilihan Allah sendiri. Allah yang tentukan dan kita tidak ada pilihan untuk mempertikaikan keputusan Allah itu.

Rahmat yang khusus iaitu rahmat yang sampai boleh membawa orang itu masuk syurga. Kita kena ingat yang kita hanya dapat masuk syurga Allah dengan rahmatNya sahaja. Bukannya dengan amalan kita.

 

وَاللَّهُ ذُو الْفَضْلِ الْعَظِيمِ

dan (ingatlah), Allah mempunyai limpah kurnia yang besar.

Allah ada banyak limpah kurnia yang boleh diberikan kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Ianya adalah haq Allah sahaja. Dia sahaja yang boleh tentukan siapa yang akan dapat.

Walaupun pangkat kenabian diberikan kepada Bani Ismail, tetapi Nabi Muhammad bukanlah untuk Bani Ismail sahaja, tapi kepada seluruh dunia. Maka, ianya adalah rahmat yang luas dari Allah. Kalau mereka mahu, mereka masih lagi boleh mendapatnya. Asalkan mahu terima ajaran dari Nabi Muhammad, iaitu ajaran Tauhid.


 

Ayat 75: Ini adalah ayat jenis Syikayah (rungutan Allah) yang keempat. Ahli Kitab itu kata mereka belajar kitab suci tapi dalam masa yang sama, mereka khianat dalam harta. Mereka tidak ikut syariat apabila berurusan dengan harta. Pada mereka, asal untung sahaja, mereka akan ambil peluang.

وَمِنْ أَهْلِ الْكِتٰبِ مَنْ إِن تَأْمَنْهُ بِقِنطَارٍ يُؤَدِّهِ إِلَيْكَ وَمِنْهُم مَّنْ إِن تَأْمَنْهُ بِدِينَارٍ لَّا يُؤَدِّهِ إِلَيْكَ إِلَّا مَا دُمْتَ عَلَيْهِ قَائِمًا ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ قَالُوا لَيْسَ عَلَيْنَا فِي الْأُمِّيِّينَ سَبِيلٌ وَيَقُولُونَ عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ وَهُمْ يَعْلَمُونَ

SAHIH INTERNATIONAL

And among the People of the Scripture is he who, if you entrust him with a great amount [of wealth], he will return it to you. And among them is he who, if you entrust him with a [single] silver coin, he will not return it to you unless you are constantly standing over him [demanding it]. That is because they say, “There is no blame upon us concerning the unlearned.” And they speak untruth about Allah while they know [it].

MALAY

Dan di antara Ahli Kitab, ada orang yang kalau engkau amanahkan dia menyimpan sejumlah besar harta sekalipun, dia akan mengembalikannya (dengan sempurna) kepadamu, dan ada pula di antara mereka yang kalau engkau amanahkan menyimpan sedinar pun, dia tidak akan mengembalikannya kepadamu kecuali kalau engkau selalu menuntutnya. Yang demikian itu ialah kerana mereka mengatakan: “Tidak ada jalannya kami menanggung dosa mengenai orang-orang yang Ummi dan, mereka pula selalu berkata dusta terhadap Allah sedang mereka mengetahui (bahawa mereka adalah berdusta).

 

وَمِنْ أَهْلِ الْكِتٰبِ مَنْ إِن تَأْمَنْهُ بِقِنطَارٍ يُؤَدِّهِ إِلَيْكَ

Dan di antara Ahli Kitab, ada orang yang kalau engkau amanahkan dia menyimpan sejumlah besar harta sekalipun, dia akan mengembalikannya kepadamu, 

Jangan kita pukul rata tentang keseluruhan golongan Ahli Kitab itu. Banyak juga dari kalangan mereka yang jujur. Maka kita kena ingat yang ada kalangan mereka yang baik. Sebagai contohnya dalam ayat ini, Allah beritahu kita yang kalau kita amanahkan banyak pun harta kepada mereka untuk mereka simpan, mereka akan amanah dan akan pulangkan kembali.

Ini penting untuk disebut kerana Bangsa Arab dan Yahudi banyak melakukan perniagaan dan urusan sesama mereka, maka adalah kadangkala ada benda yang diamanahkan kepada mereka. Ada yang amanah dan jujur yang akan mengembalikan kepada tuannya.

 

وَمِنْهُم مَّنْ إِن تَأْمَنْهُ بِدِينَارٍ لَّا يُؤَدِّهِ إِلَيْكَ إِلَّا مَا دُمْتَ عَلَيْهِ قَائِمًا

dan ada pula di antara mereka yang kalau engkau amanahkan menyimpan sedinar pun, dia tidak akan mengembalikannya kepadamu kecuali kalau engkau berdiri selalu menuntutnya.

Tapi ada dari kalangan mereka yang tidak jujur. Kalau beri sedikit wang kepada mereka untuk mereka simpan pun, mereka tidak mahu pulangkan apabila kita minta. Kalau nak dapatkan juga, kena diri depan mereka dan minta banyak kali kepada mereka.

Ini sama macam orang buruk yang diberi pinjam duit. Masa hendak pinjam duit, hebatlah mereka berjanji. Tapi apabila nak diminta balik, kena berkali-kali minta baru diberi kembali. Macam kita pula yang kena minta tolong dia.

 

ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ قَالُوا لَيْسَ عَلَيْنَا فِي الْأُمِّيِّينَ سَبِيلٌ

Yang demikian itu ialah kerana mereka mengatakan: “Tidak ada jalannya kami menanggung dosa mengenai orang-orang yang Ummi 

Kenapa mereka sanggup buat begitu? Kerana mereka kata tidak ada dosa atas mereka kalau tipu orang buta huruf dari bangsa Arab. Kalimah ‘ummi’ bermaksud golongan yang tidak ada kitab wahyu. Dan kalimah سَبِيلٌ itu bermaksud ‘dosa yang ditanggung’. Mereka sangka mereka takkan didakwa di hadapan Allah pada pandangan mereka. Mereka sangka tidak berdosa pun.

Kerana pada mereka, yang mereka tipu itu berada pada kedudukan yang rendah, kedudukan mereka yang tidak agama. Ini adalah kerana pada mereka, orang-orang Arab yang tidak ada agama ini pun akan masuk neraka pun nanti, jadi mereka tak boleh nak dakwa nanti di hadapan Allah.

Orang Islam pun malangnya, ada yang guna hujah ini sampai berani tipu dan curi dari orang kafir. Ini adalah salah faham kerana tidak faham agama. Takkan kita sama macam mereka?

 

وَيَقُولُونَ عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ

mereka pula selalu berkata dusta terhadap Allah

Mereka kata yang fahaman mereka itu ada perintah Allah dalam kitab. Mereka kata mereka tidak akan bersalah kerana kononnya mereka ada kelebihan sampai boleh tipu bangsa yang ummiy.

Lihatlah teruknya mereka sampai mereka sanggup menipu atas nama Allah. Mereka tuduh perkara itu ada dalam agama padahal tidak ada pun sebagaimana yang mereka katakan itu. Sanggup mereka kata Allah benarkan berlaku zalim kepada orang lain?

 

وَهُمْ يَعْلَمُونَ

sedang mereka mengetahui 

Sedangkan mereka tahu apa yang mereka kata itu adalah tipu belaka.

Lihatlah bagaimana ada orang Yahudi lain yang berhubungan baik dan jujur amanah kepada bangsa Arab seperti yang disebut di awal ayat ini. Maknanya yang mereka kata boleh tipu bangsa yang ummiy itu bukanlah benar kerana kalau ianya benar, tentulah semua Yahudi akan buat begitu.


 

Ayat 76: Ini yang sepatutnya dipegang. Sama sahaja layanan yang kena diberikan kepada semua orang.

بَلَىٰ مَنْ أَوْفَىٰ بِعَهْدِهِ وَاتَّقَىٰ فَإِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَّقِينَ

SAHIH INTERNATIONAL

But yes, whoever fulfills his commitment and fears Allah – then indeed, Allah loves those who fear Him.

MALAY

Bahkan, sesiapa yang menyempurnakan janjinya (mengenai hak orang lain) dan bertaqwa, maka sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertaqwa.

 

بَلَىٰ مَنْ أَوْفَىٰ بِعَهْدِهِ

Bahkan, sesiapa yang menyempurnakan janjinya

Kita kena menyempurnakan janji. Ini adalah ringkasan agama Islam. Konsep ini penting kerana dalam kehidupan kita, ada macam-macam janji. Oleh kerana Allah tak sebut janji apa dalam ayat ini, jadi ia boleh dipakai untuk semua jenis janji.

Bukankah kita selalu ada janji? Sebagai contoh kita ada janji dengan Allah, dengan Nabi, dengan kerajaan, syarikat, sesama manusia, sesiapa sahaja. Asalkan janji, kena dipenuhi. Walaupun kepada orang sesama Islam, atau dengan orang kafir.

Maka, kalau kita berjanji dengan orang kafir pun, kita kena tunaikan janji kita. Jangan pula beri alasan yang boleh menipu orang kafir kerana mereka itu kafir. Itu adalah fahaman yang salah.

Kita hidup dalam dunia ini dipegang pada janji kita, tidak kisah dengan siapa sahaja. Kalau janji tidak dijaga, akan kecoh kehidupan dunia ini. Kerana kalau kita memungkiri janji, orang yang dimungkiri akan marah dan boleh sampai menyebabkan permusuhan dan peperangan. Takkan kita mahu hidup di dunia yang sebegitu?

 

وَاتَّقَىٰ

dan bertaqwa,

Dan kena bertaqwa iaitu jaga hukum syariat. Termasuk dalam taqwa itu adalah takut kepada Allah. Iaitu kita penuhi janji kita kerana takut kepada Allah. Kita tahu yang Allah akan balas kesalahan tidak jaga amanah dan tidak penuhi janji ini di akhirat nanti. Mungkin orang yang kita berjanji itu lemah dan tidak dapat buat apa-apa kalau kita tidak tunaikan janji kita, tapi yang akan mempersoalkan kita nanti adalah Allah.

Dan memenuhi janji itu amat penting sampaikan Allah mengaitkan memenuhi janji dengan  taqwa dalam ayat ini. Maksudnya orang yang tidak memenuhi janjinya, bukan orang yang bertaqwa.

 

فَإِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَّقِينَ

sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertaqwa.

Ayat ini menunjukkan yang orang taqwa adalah yang penuhi janji. Allah kasih kepada orang yang bertaqwa. Oleh kerana itu kita hendaklah meningkatkan diri kita sampai menjadi orang yang bertaqwa. Maka kalau mahu kasih Allah, maka kenalah penuhi janji kita.


 

Ayat 77: Ini adalah ayat takhwif ukhrawi.

إِنَّ الَّذينَ يَشتَرونَ بِعَهدِ اللَّهِ وَأَيمٰنِهِم ثَمَنًا قَليلًا أُولٰئِكَ لا خَلٰقَ لَهُم فِي الآخِرَةِ وَلا يُكَلِّمُهُمُ اللَّهُ وَلا يَنظُرُ إِلَيهِم يَومَ القِيٰمَةِ وَلا يُزَكّيهِم وَلَهُم عَذابٌ أَليمٌ

SAHIH INTERNATIONAL

Indeed, those who exchange the covenant of Allah and their [own] oaths for a small price will have no share in the Hereafter, and Allah will not speak to them or look at them on the Day of Resurrection, nor will He purify them; and they will have a painful punishment.

MALAY

Sesungguhnya orang-orang yang mengutamakan keuntungan dunia yang sedikit dengan menolak janji Allah dan mencabuli sumpah mereka, mereka tidak akan mendapat bahagian yang baik pada hari akhirat, dan Allah tidak akan berkata-kata dengan mereka dan tidak akan memandang kepada mereka pada hari Kiamat, dan tidak akan membersihkan mereka (dari dosa), dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

 

إِنَّ الَّذينَ يَشتَرونَ بِعَهدِ اللَّهِ وَأَيمٰنِهِم ثَمَنًا قَليلًا

Sesungguhnya orang-orang yang menukar janji dengan Allah dan mencabuli sumpah mereka, untuk keuntungan dunia yang sedikit 

Ini adalah tentang mereka yang sanggup tukar fahaman tauhid dengan mengambil fahaman syirik. Mereka jual janji yang telah dibuat dengan Allah untuk mentauhidkanNya. Ini termasuk bomoh-bomoh atau guru yang mengajar ajaran yang berlandaskan syirik kepada manusia. Kerana mereka boleh mendapat upah dari manusia dari ajaran mereka itu.

Atau mereka sanggup jual sumpahan mereka dalam berurusan dengan manusia. Sanggup guna sumpah dalam menipu.

Golongan Yahudi ada yang sanggup menipu tentang isi Kitab Taurat dan mereka sanggup bersumpah untuk mengatakan yang mereka tidak menipu.

Ayat ini juga menempelak mereka yang ringan sahaja mulut mereka mengucapkan sumpah dengan nama Allah. Mereka bersumpah dengan nama Allah kerana nak orang senang percaya kepada mereka maka senanglah mereka menipu. Ini adalah amat buruk sekali kerana kesannya, manusia sudah tidak akan percaya kepada orang lain lagi, kerana sudah murah sumpah atas nama Allah.

Menggunakan nama Allah sebagai sumpah tapi menipu adalah amat buruk sekali kerana merendahkan nilai nama Allah.

Semua itu sanggup mereka lakukan untuk ambil harta yang sedikit. Walau banyak mana pun keuntungan yang diperoleh hasil dari sumpah palsu itu, ianya masih kecil dan sedikit sekali kalau dibandingkan dengan azab yang mereka akan perolehi di akhirat kelak.

 

أُولٰئِكَ لا خَلٰقَ لَهُم فِي الآخِرَةِ

mereka tidak akan mendapat bahagian yang baik pada hari akhirat,

Tidak dapat apa pun bahagian yang baik di akhirat. Mereka akan dapat dosa sahaja.

 

وَلا يُكَلِّمُهُمُ اللَّهُ

dan Allah tidak akan berkata-kata dengan mereka 

Allah tidak akan berkata-kata dengan cara baik kepada mereka. Allah hanya akan berkata-kata dalam nada yang amat murka kepada mereka.

 

وَلا يَنظُرُ إِلَيهِم يَومَ القِيٰمَةِ

dan tidak akan memandang kepada mereka pada hari Kiamat,

Allah tidak akan melihat mereka dengan pandangan rahmat. Dan mereka pun akan dibangkitkan dalam keadaan buta. Ini menunjukkan betapa hinanya mereka.

Ini adalah satu hukuman yang amat berat yang Allah sebut di sini. Kerana ada dosa-dosa besar yang lain seperti minum arak dan berzina. Tetapi Allah tidak kata pun yang Dia tidak akan bercakap atau memandang mereka.

 

وَلا يُزَكّيهِم

dan tidak akan membersihkan mereka 

Mereka tidak akan dibersihkan dari dosa mereka. Mereka akan dimasukkan ke dalam neraka dan akan diazab atas dosa-dosa mereka itu. Sedangkan orang mukmin, mereka pun mungkin juga ada dosa, tapi Allah ampunkan dosa mereka.

 

وَلَهُم عَذابٌ أَليمٌ

dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

Yang mereka dapat hanyalah azab yang amat pedih dari Allah. Azab itu tidak berkurangan sedikit pun dari mula mereka masuk sampai bila-bila.


 

Ayat 78: Ini adalah ayat syikayah kelima yang ditujukan kepada Ahli Kitab. Bukan harta benda sahaja yang mereka khianat, malah ilmu pun mereka khianat juga.

وَإِنَّ مِنْهُمْ لَفَرِيقًا يَلْوُونَ أَلْسِنَتَهُم بِالْكِتٰبِ لِتَحْسَبُوهُ مِنَ الْكِتٰبِ وَمَا هُوَ مِنَ الْكِتٰبِ وَيَقُولُونَ هُوَ مِنْ عِندِ اللَّهِ وَمَا هُوَ مِنْ عِندِ اللَّهِ وَيَقُولُونَ عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ وَهُمْ يَعْلَمُونَ

SAHIH INTERNATIONAL

And indeed, there is among them a party who alter the Scripture with their tongues so you may think it is from the Scripture, but it is not from the Scripture. And they say, “This is from Allah ,” but it is not from Allah . And they speak untruth about Allah while they know.

MALAY

Dan sesungguhnya, di antara mereka (Ahli Kitab itu) ada (Ketua-ketua ugamanya) yang memutar-mutar lidahnya semasa membaca Kitab Taurat (dengan mengubah maknanya), supaya kamu menyangkanya sebahagian dari Kitab Taurat padahal ia bukanlah dari Kitab itu. Dan mereka pula berkata: “(bahawa) ia adalah (datangnya) dari sisi Allah”, padahal ia bukanlah dari sisi Allah; dan mereka pula tergamak berkata dusta terhadap Allah sedang mereka mengetahui (bahawa mereka adalah berdusta).

 

وَإِنَّ مِنْهُمْ لَفَرِيقًا يَلْوُونَ أَلْسِنَتَهُم بِالْكِتٰبِ

Dan sesungguhnya, di antara mereka ada yang memutar-mutar lidahnya semasa membaca Kitab 

Mereka memutar belit lidah mereka semasa membacakan kitab. Mereka heret huraian kitab kepada maksud yang mereka hendak ikut nafsu mereka. Maknanya, mereka guna bahasa untuk memusingkan maksud kitab suci.

Mereka memang pandai guna bahasa. Lihatlah bagaimana mereka menggunakan perkataan راعِنا seperti yang disebut dalam ayat Baqarah:104. Begitu juga mereka telah ubah lafaz salam kepada Nabi dengan menggunakan lafa ‘sam’ yang bermaksud ‘mati’ dan macam-macam lagi.

 

لِتَحْسَبُوهُ مِنَ الْكِتٰبِ

supaya kamu menyangkanya sebahagian dari Kitab

Mereka pandai berhujah kepada pengikut mereka supaya yang dengar itu sangka itu memang benar dari kitab. Dan memang  kebanyakan pengikut tidak dapat menilai kerana ramai yang pakai ikut sahaja apa kata pemimpin mereka.

Tambahan pula mereka tidak dapat melihat keseluruhan kitab Taurat itu. Ini adalah kerana keseluruhan kitab dipegang oleh pemimpin agama sahaja. Masyarakat awam tidak ada naskah penuh (tidak macam kita yang setiap rumah boleh dikatakan ada naskah Al-Qur’an).

 

وَمَا هُوَ مِنَ الْكِتٰبِ

padahal ia bukanlah dari Kitab

Sedangkan ia bukan dari kitab. Atau makna yang sebenar bukanlah seperti yang tertulis dalam kitab wahyu mereka.

Kita telah tahu sebelum ini bagaimana golongan Ahli Kitab itu pandai menggunakan bahasa untuk memesongkan sesuatu maksud. Macam mereka ubah perkataan undzurna kepada raa’ina seperti dalam ayat Baqarah:104. Dan kita tahu dari sirah bagaimana mereka beri salam kepada Nabi Muhammad bukan assalamualaikum tapi assamu’alaikum yang bermaksud ‘matilah kamu’. Jadi mereka itu memang pandai pusing-pusing bahasa.

Maka, pengajaran yang kita boleh ambil dari ayat ini, janganlah kita pusing-pusing ayat-ayat Al-Qur’an dan hadis Nabi untuk membenarkan perbuatan kita. Malangnya begitulah yang terjadi. Banyak dalam negara ini yang menggunakan hadis untuk membenarkan amalan bidaah mereka dengan mereka memusingkan makna ayat Al-Qur’an atau lafaz hadis itu.

Sebagai contoh, sampai ada yang menggunakan hadis Nabi untuk suruh lafaz niat usolli, padahal tidak ada. Sebab tidak ada, mereka pakai sahaja mana yang ada. Mereka ambil hadis Nabi:

صَلُّوا كَمَا رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّي

(Solatlah kamu sekalian sebagaimana kamu melihat aku bersolat.)

Mereka sanggup gunakan perkataan أُصَلِّي dalam hadis ini sebagai dalil adanya lafaz niat yang dimulai dengan ‘usolli’ itu! Sedangkan kalau kita guna akal yang waras, ini bukan lafaz niat! Ini amatlah tidak bertanggung jawab langsung.

 

وَيَقُولُونَ هُوَ مِنْ عِندِ اللَّهِ وَمَا هُوَ مِنْ عِندِ اللَّهِ

Dan mereka pula berkata: “(bahawa) ia adalah (datangnya) dari sisi Allah”, padahal ia bukanlah dari sisi Allah;

Mereka kata maksud yang mereka sampaikan itu dari Allah padahal tidak pun. Kita tidak salah kalau beri pendapat kita tapi janganlah mengaku ia dari wahyu Allah. Macam ada orang yang beri pendapat sahaja dan beritahu itu pendapat mereka sahaja, supaya yang dengar tidak keliru dan tahu yang itu bukannya nas.

Malangnya ada yang beri dalil dari ayat Al-Qur’an tetapi diterjemahkan ikut kehendak mereka. Sebagai contoh, ada golongan yang zikir menari dan melompat-lompat. Bila kita minta dalil bagi amalan itu mereka kata ada dalam Al-Qur’an ayat Nisa’:103

فَاذكُرُوا اللَهَ قِيٰمًا وَقُعودًا وَعَلىٰ جُنوبِكُم

hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring.

Mereka kata, kejap duduk, kejap baring, kejap berdiri itu macam menarilah! Ini memang alasan amat karut sekali. Mereka pusing ayat Al-Qur’an ikut kehendak mereka. Sedangkan kalau kita baca ayat ini dan tafsirnya, tidaklah ia menyebut amalan zikir sambil menari.

 

وَيَقُولُونَ عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ

dan mereka pula tergamak berkata dusta terhadap Allah

Mereka bohong sedangkan mereka tahu itu bohong. Tujuan mereka adalah kerana hendak perangkap mereka yang jahil.

Kalau Allah sebut tentang perkara ini dalam Al-Qur’an, maknanya sekarang pun masih ada lagi perbuatan itu. Kerana perbuatan salah manusia berulang-ulang. Dalam kalangan masyarakat Islam pun ada. Ada yang buat perkara yang sama dengan Al-Qur’an. Mereka bacakan ayat Quran dan mereka tafsir ikut kemahuan mereka dan ikut kepada agenda mereka.

Maka yang mendengar telah keliru dan sangka itu sebahagian dari agama. Begitulah yang banyak terjadi sekarang, sampaikan pecah belah masyarakat – antara yang tahu kebenaran dan antara yang jahil. Yang jahil itu tetap mahu mempertahankan pendapat yang salah.

Maka mereka pun katalah yang ustaz itu kata boleh buat amalan ini, ulama’ itu kata begini dan begitu. Semua pakai kata-kata manusia sahaja, tapi tidak disertakan dengan dalil dari Al-Qur’an atau hadis. Mereka sendiri tidak tahu nak belajar sampai faham Al-Qur’an, tapi pakai pendapat manusia sahaja.

Itu tidak termasuk mereka yang dengan beraninya mengatakan sesuatu itu dalam Al-Qur’an. Kadang-kadang kita dapat forward message dari entah siapa yang kata: “ini Allah sudah sebut dalam Qur’an…” padahal kita tengok 30 juzuk Al-Qur’an, tidak ada pun disebut perkara yang mereka kata itu. Memang ini jenis orang pakai petik sahaja dan tidak tahu neraka.

Dan yang lebih sedih, ramai pula yang percaya! Sebab jahil sangat dengan Al-Qur’an. Apa yang ada dan tiada dalam Al-Qur’an pun mereka tidak tahu. Kalaulah golongan pendita itu dapat jumpa para penipu dari kalangan umat Islam, tentu mereka minta autograph. Sambil mereka puji: “Kami nak tipu masyarakat kami, kami kena sorok kitab wahyu dari mereka. Tapi kamu lagi hebat! Kamu tipu masyarakat kamu sedangkan Al-Qur’an depan mata mereka!”

 

وَهُمْ يَعْلَمُونَ

sedang mereka mengetahui

Ini adalah orang yang paling teruk. Mereka bohong sedangkan mereka tahu itu bohong. Kalau kita sampaikan perkara salah kerana kita jahil tidak tahu (kerana tidak periksa betul-betul), pun sudah salah, apatah lagi kalau terang-terang membohong dalam tahu itu adalah bohongan.

Memang golongan Ahli Kitab itu paling teruk. Kerana mereka bohong dalam mereka tahu itu kebohongan.

 

Allahu a’lam. Lompat ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 25 Oktober 2020

Ringkasan Surah Ali Imran


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir al-Azhar – Hamka

Tafsir Surah Ali Imran Ayat 64 – 72 (Persamaan akidah dengan Ahli Kitab)

Ayat 64:  Ajakan dakwah kepada Ahli Kitab.

Ayat ini menyuruh kita ajak Ahli Kitab kepada Kitab yang sebenarnya iaitu Al-Qur’an. Dan ajak mereka kepada perkara yang tidak ada perselisihan antara kita dan mereka. Oleh itu kena ajak kepada tauhid, kerana kalau lihat kepada syariat, Taurat lain, Injil lain dan Al-Qur’an pun lain. Tapi ketiga-tiga kitab ini mempunyai persamaan dari segi akidah.

Dan kena ajak mereka jangan pakai fatwa ulama’ mereka yang salah. Kerana salah mereka bukanlah pada kitab itu, kerana kitab itu benar. Tapi ulama’ mereka yang telah seleweng agama dengan beri syarah yang lain dari yang sepatutnya.

Oleh itu, jangan pakai fatwa yang lawan wahyu. Begitu juga dengan masyarakat kita, kena pakai fatwa yang selari dengan wahyu. Kena bandingkan kata-kata manusia dengan wahyu. Kalau selari dengan wahyu baru boleh boleh dipakai.

قُلْ يَـٰٓأَهلَ الْكِتٰبِ تَعَالَوْا إِلَىٰ كَلِمَةٍ سَوَاءٍ بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ أَلَّا نَعْبُدَ إِلَّا اللَّهَ وَلَا نُشْرِكَ بِهِ شَيْئًا وَلَا يَتَّخِذَ بَعْضُنَا بَعْضًا أَرْبَابًا مِّن دُونِ اللَّهِ فَإِن تَوَلَّوْا فَقُولُوا اشْهَدُوا بِأَنَّا مُسْلِمُونَ

SAHIH INTERNATIONAL

Say, “O People of the Scripture, come to a word that is equitable between us and you – that we will not worship except Allah and not associate anything with Him and not take one another as lords instead of Allah .” But if they turn away, then say, “Bear witness that we are Muslims [submitting to Him].”

MALAY

Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu Kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan denganNya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah”. Kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) berpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: “Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam”.

 

قُلْ يَـٰٓأَهلَ الْكِتٰبِ تَعَالَوْا إِلَىٰ كَلِمَةٍ سَوَاءٍ بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu Kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu,

Ajak mereka kepada kalimah akidah yang sama. Kerana sebenarnya akidah kita sepatutnya sama sahaja dengan mereka. Walaupun bangsa Arab dari keturunan Nabi Ismail dan mereka dari keturunan Nabi Ishak, tapi akidah Nabi-Nabi mereka dan Nabi Muhammad sama sahaja.

Kalau dilihat dalam ajaran Nabi mereka dan dalam kitab-kitab suci mereka, pun ada perkara yang sama dalam hal akidah. Nabi Muhammad tidaklah pernah tahu atau pernah baca apa yang ada dalam kitab-kitab mereka, tapi Allah telah beritahu baginda bahawa ada persamaan dalam hal akidah antara kita dan mereka. Dan alhamdulillah, ulama’-ulama’ kita yang mengkaji kitab-kitab suci mereka, walaupun yang ada sekarang, masih ada lagi lafaz-lafaz ajaran tauhid di dalamnya.

Kalaulah mereka boleh menerima ajakan ini, maka tidaklah ada permusuhan antara agama lagi.

Lafaz ‘Ahli Kitab’ juga boleh dikatakan mereka yang ada pengetahuan agama. Bukan sahaja Yahudi dan Kristian. Oleh itu, ia boleh merujuk kepada ustaz-ustaz dan ulama’ Islam di negara kita juga. Mereka pun kita kena ajak juga. Kadangkala kerana mereka sudah lama belajar ajaran pondok dan sudah jauh dari ajaran wahyu, mereka pun sudah lari dari akidah yang benar. Antaranya, ramai yang ajar bertawasul dengan para wali pula. Ini tidak boleh.

Apakah perkara-perkara yang sama dalam agama kita dan mereka?

 

أَلَّا نَعْبُدَ إِلَّا اللَّهَ

iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, 

Apa yang sama? Iaitu kita semuanya sepatutnya hanya sembah Allah sahaja. Kalau kepada Yahudi dan Nasara, ingatkan mereka supaya jangan puja Nabi Uzair dan Nabi Isa. Jangan seru dan minta pertolongan dengan mereka.

Ia juga boleh didakwah kepada Musyrikin Mekah juga kerana nama Allah ini sudah lama digunakan oleh orang Arab dahulu. Sampai sekarang, orang Arab Kristian menggunakan nama Allah untuk Tuhan mereka juga (God the Father).

Kalau kepada ahli agama negara ini, kita ajak mereka berdoa terus seru kepada Allah sahaja. Jangan seru para Nabi, wali dan malaikat dalam doa.

 

وَلَا نُشْرِكَ بِهِ شَيْئًا

dan kita tidak sekutukan denganNya sesuatu jua pun; 

Jangan campur pujaan kepada Allah dengan pujaan kepada yang lain. Maknanya, jangan syirik kepada Allah. Oleh itu, kita sendiri kena faham apa tauhid dan syirik, baru boleh dakwah kepada mereka.

Ramai orang Islam sendiri yang tak faham tauhid dan apakah syirik itu. Kerana itulah ramai yang melakukan perbuatan dan mempunyai fahaman syirik kerana mereka tidak faham. Ini semua kerana jauh dari pengajaran wahyu. Manusia sudah tidak kaji wahyu Al-Qur’an dan apa yang dimaksudkan dengan tauhid yang sebenarnya.

 

وَلَا يَتَّخِذَ بَعْضُنَا بَعْضًا أَرْبَابًا مِّن دُونِ اللَّهِ

dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain sebagai rabb-rabb selain dari Allah”.

Jangan sembah dan puja makhluk-makhluk Allah sebagai rabb. Juga jangan jadikan mereka sebagai ‘wakil Tuhan’. Mereka pun manusia macam kita juga. Itulah maksud ‘sebahagian dari kita’ – merujuk kepada makhluk-makhluk Allah.

Tapi mereka ada juga berdalih. Mereka kata mereka tak jadikan selain Allah itu, tuhan yang lain. Maka kena belajar tafsir baru faham ayat ini. Ini kerana maksud أَرْبَابًا dalam ayat ini adalah ulama’ dan ahli ibadat. Kalau tidak, memang akan keliru.

Kerana itu mereka berhujah yang mereka kata mereka tak sujud pun kepada ulama-ulama mereka itu. Mereka sangka kalau ‘sembah’ itu hanya dengan sujud sahaja. Inilah hujah yang diberikan oleh Adi bin Hatim, seorang sahabat yang asalnya adalah Kristian. Beliau kata, dalam agama Nasara, mereka tidak menjadikan rahib dan pendeta mereka sebagai tuhan. Tapi Nabi kata mereka ikut fatwa yang dikeluarkan oleh mereka, dan fatwa itu tidak sama dengan kitab suci mereka. Barulah Adi bin Hatim faham dan bersetuju masuk agama Islam.

Begitulah penganut agama mereka susah nak dibaiki sebab mereka pegang kata-kata dari ulama’ mereka dan tidak belajar sendiri kitab suci mereka sendiri. Sama jugalah dengan orang kita yang tak belajar tafsir Al-Qur’an dan Sunnah. Apa-apa sahaja yang dikatakan oleh ulama’ dan ustaz, mereka terima bulat-bulat dan tidak periksa dengan apa yang disampaikan oleh Al-Qur’an kerana mereka sendiri tidak faham kerana tidak belajar tafsir Al-Qur’an.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman tentang kaum nasrani dan yahudi,

اتَّخَذُوا أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَانَهُمْ أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللَّهِ

“Mereka menjadikan orang-orang alimnya dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain Allah” (At Taubah : 31)

Ayat ini ditafsirkan dengan hadits Adi bin Hatim Ath Thoo-i radhiyallahu ‘anhu dimana Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam membacakan ayat tersebut kepada beliau. Kemudian beliau berkata : “Wahai Rasulullah, kami tidaklah beribadah kepada mereka”. Lalu Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

أليس يحلون لكم ما حرم الله فتحلونه، ويحرمون ما أحل الله فتحرمونه؟

Bukankah mereka menghalalkan untuk kalian apa yang Allah haramkan sehingga kalian pun menghalalkannya, dan mereka mengharamkan apa yang Allah halalkan sehingga kalian mengharamkannya?”. Beliau (Adi bin Hatim) berkata : “Benar”. Maka Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

فتلك عبادتهم

Itulah (yang dimaksud) beribadah kepada mereka

Mereka sampai sekarang mengambil saints yang mereka kata boleh menyelamatkan mereka. Mereka ada saints untuk jaga keselamatan mereka, saints macam-macam. Mereka percaya yang saints-saints itu menjaga mereka kalau mereka puja kepada mereka.

Kalau dalam agama Islam pula, saints ini macam para wali. Ada golongan sesat kata ada wali jaga masa, jaga kutub utara, jaga kubut selatan, jaga Malaysia, jaga daerah ini dan sebagainya. Inilah ajaran karut yang telah masuk dalam kalangan umat Islam Malaysia kerana sudah lama jauh dari wahyu.

Kalau pada zaman dahulu, kekuatan institusi keagamaan puak Nasara amat kuat sampaikan Paus (Pope) boleh mengampunkan dosa orang lain. Dan mereka mempunyai tanah dan seperti ada kerajaan sendiri. Mereka sampai menindas orang-orang yang memberikan pandangan yang berbeza dengan pandangan gereja sampaikan menyebabkan terjadinya revolusi yang menyebabkan kuasa mereka telah dikurangkan.

Itu semua asalnya kerana mereka meletakkan kuasa ketua agama mereka terlalu tinggi sampaikan menyebabkan perubahan kepada agama. Kita juga kena berhati-hati dengan apa yang terjadi kepada mereka, supaya kita pun tidak terjadi seperti mereka. Kata-kata ulama’ tidak bernilai sama sekali kalau ianya bercanggah dengan nas dari Al-Qur’an dan Sunnah. Tapi entah berapa ramai yang bila berhujah, pakai nama manusia (Ulama’ dan ustaz itu dan ini).

 

فَإِن تَوَلَّوْا فَقُولُوا اشْهَدُوا بِأَنَّا مُسْلِمُونَ

Kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) barpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: “Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam”.

Kalau mereka tolak juga, suruh mereka bersaksi yang kita adalah muslimin. Iaitu kita muwahhidun – yang jaga tauhid. Kita tidak sama dengan mereka. Maknanya, kita tetapkan pendirian kita, kalau mereka tidak mahu ikut, itu terpulang kepada mereka. Mereka nak buat apa, buatlah, tapi kita tetap berserah diri bulat-bulat kepada Allah.

Ini adalah peringatan kepada kita, jangan terima langsung agama mereka. Kalau mereka tidak terima, janganlah kita pula yang cuba nak bersama dengan mereka. Kerana sekarang sudah ada gerakan yang hendak menyatukan agama Islam, Kristian dan Yahudi. Antaranya golongan Liberal yang kata: sama sahaja semua agama.

Bukan begitu cara yang Allah mahu. Kita ajak mereka, tapi kalau mereka tidak mahu, tidaklah kita kena cari persamaan dengan agama mereka dan duduk bersama dengan mereka. Selama-lamanya agama mereka tidak akan dapat diterima oleh kita. Hanya ada satu agama yang diterima oleh Allah, iaitu Islam.


 

Ayat 65: Ayat-ayat seterusnya akan menyebut lima kedegilan Ahli Kitab yang menghalang mereka untuk menerima tauhid setelah diajak kepada tauhid. Selepas diberitahu dengan dalil-dalil yang sah, mereka masih berdegil juga. Antara sebab mereka susah nak ikut itu adalah kerana lima kemusykilan ini.

Pertama, mereka kata agama Islam ini adalah agama rekaan Nabi Muhammad. Mereka susah untuk menerima Nabi Muhammad dan memperkecilkan baginda kerana mereka melihat bangsa Arab Mekah sebagai bangsa yang buta huruf, tidak tahu membaca, tidak ada Kitab suci dan tidak ada agama sebelum itu. Mereka rasa mereka sudah pandai dan tak pandang apa-apa sahaja yang datang dari orang Arab.

Sekarang Allah hendak beritahu yang agama Nabi Muhammad bawa inilah yang sama dengan agama Nabi Ibrahim. Mereka pun terima Nabi Ibrahim juga sebagai salah seorang Rasul yang besar dan utama. Maka mereka kena terimalah yang Bangsa Arab itu tidaklah hina kerana orang Arab pun keturunan Nabi Ibrahim juga dari jaluran Nabi Ismail.

Sekarang kita dengar rungutan Allah tentang sifat degil mereka. Mereka itu memang degil dari dulu lagi.

يَـٰٓأَهلَ الْكِتٰبِ لِمَ تُحَاجُّونَ فِي إِبْرٰهِيمَ وَمَا أُنزِلَتِ ٱلتَّورَٮٰةُ وَالْإِنجِيلُ إِلَّا مِن بَعْدِهِ أَفَلَا تَعْقِلُونَ

SAHIH INTERNATIONAL

O People of the Scripture, why do you argue about Abraham while the Torah and the Gospel were not revealed until after him? Then will you not reason?

MALAY

Wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu berani memperdebatkan tentang (ugama) Nabi Ibrahim, padahal Taurat dan Injil tidak diturunkan melainkan kemudian daripada (zaman) Ibrahim; patutkah (kamu berdegil sehingga) kamu tidak mahu menggunakan akal?

 

يَـٰٓأَهلَ الْكِتٰبِ لِمَ تُحَاجُّونَ فِي إِبْرٰهِيمَ

Wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu berani berhujah tentang Nabi Ibrahim, 

Teguran pertama kepada mereka adalah: kenapa berdalil dengan menggunakan Nabi Ibrahim? Ini adalah kerana masing-masing Yahudi dan Nasara kata yang Nabi Ibrahim itu agama Yahudi atau Nasara. Mereka berbantah sesama mereka. Mereka nak claim Nabi Ibrahim untuk mereka sahaja. Mereka nak kata amalan mereka ikut ajaran Nabi Ibrahim (padahal tidak pun).

Dikatakan bahawa ayat ini diturunkan ketika terjadi pertemuan antara tiga pihak – Islam, Nasrani dan Yahudi ketika kedatangan puak Nasrani dari Najran itu. Puak Yahudi kata Nabi Ibrahim itu Yahudi dan puak Nasrani Najran pula kata yang Nabi Ibrahim itu Nasrani. Masing-masing nak mengaku pula bagi pihak Nabi Ibrahim.

 

وَمَا أُنزِلَتِ ٱلتَّورَٮٰةُ وَالْإِنجِيلُ إِلَّا مِن بَعْدِهِ

padahal Taurat dan Injil tidak diturunkan melainkan selepasnya; 

Macam mana mereka nak berhujah yang Nabi Ibrahim itu Yahudi atau Nasara, sedangkan Taurat dan Injil turun selepas matinya Nabi Ibrahim. Macam mana nak kata baginda ikut Taurat atau Injil? Sedangkan Yahudi dan Nasara itu agama rekaan mereka dan Nabi Ibrahim tak tahu menahu pun. Baginda sudah lama mati sebelum itu. Jadi tidak ada kena mengena dengan baginda.

 

أَفَلَا تَعْقِلُونَ

kenapa kamu tidak mahu menggunakan akal?

Allah tegur mereka: Mereka itu tidak fikir dan menggunakan akalkah? Kenapa guna hujah yang amat bodoh? Maka dalam ayat ini, Allah minta mereka tolonglah guna akal. Cuba fikir balik hujah kamu itu.


 

Ayat 66:

هَـٰٓأَنتُم هَٰؤُلَاءِ حٰجَجْتُمْ فِيمَا لَكُم بِهِ عِلْمٌ فَلِمَ تُحَاجُّونَ فِيمَا لَيْسَ لَكُم بِهِ عِلْمٌ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

SAHIH INTERNATIONAL

Here you are – those who have argued about that of which you have [some] knowledge, but why do you argue about that of which you have no knowledge? And Allah knows, while you know not.

MALAY

Ingatlah! Kamu ini orang-orang (bodoh), kamu telah memajukan bantahan tentang perkara yang kamu ada pengetahuan mengenainya (yang diterangkan perihalnya dalam Kitab Taurat), maka mengapa kamu membuat bantahan tentang perkara yang tidak ada pada kamu sedikit pengetahuan pun bersabit dengannya? Dan (ingatlah), Allah mengetahui (hakikat yang sebenarnya) sedang kamu tidak mengetahuinya.

 

هَـٰٓأَنتُم هَٰؤُلَاءِ حٰجَجْتُمْ فِيمَا لَكُم بِهِ عِلْمٌ

Kamu semua telah memajukan bantahan tentang perkara yang kamu ada pengetahuan mengenainya

Tolong dengar wahai Ahli Kitab semua. Sepatutnya kamu semua berhujah pada perkara yang kamu tahu. Itu pun kamu sudah berbantah-bantah sesama kamu. Benda yang patut kamu tahu pun (sebab sudah ada dalam kitab kamu) kamu berbantah.

 

فَلِمَ تُحَاجُّونَ فِيمَا لَيْسَ لَكُم بِهِ عِلْمٌ

maka mengapa kamu membuat bantahan tentang perkara yang tidak ada pada kamu sedikit pengetahuan pun dengannya? 

Kenapa berhujah pada perkara yang kamu tidak ada ilmu? Antaranya mereka berbantah tentang Nabi Ibrahim seperti yang telah disebut dalam ayat sebelum ini.

Ini mengajar kita supaya apabila nak berhujah, kena ada dalil, kena pada perkara yang kita ada ilmu tentangnya. Tapi memang golongan Ahli Kitab itu suka berbantah. Yang mereka tahu pun mereka berbantah sesama sendiri, ditambah pula dengan perkara yang mereka tidak ada ilmu tentangnya.

Apakah hujah mereka? Mereka kata Nabi Isa boleh diseru dan ia adalah ajaran Nabi Ibrahim. Yahudi kata begitu juga tentang Nabi Uzair. Masing-masing pakai hujah Nabi Ibrahim untuk membolehkan amalan salah mereka. Mereka memandai sahaja reka dalil.

 

وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahuinya.

Allah nak beritahu yang mereka itu sebenarnya tak tahu mazhab Nabi Ibrahim macam mana. Mereka hanya memandai sahaja memperkatakan sesuatu yang mereka tidak ada ilmu tentangnya. Mereka reka amalan dan kemudian kata itu ajaran Nabi Ibrahim.

Maknanya mereka fitnah Nabi Ibrahim dengan mengatakan yang Nabi Ibrahim buat sama macam apa yang mereka lakukan. Ini sama dengan golongan agama masyarakat kita yang reka amalan baru dan kata ia sebahagian dari agama. Bila diminta dalil, maka dalil yang mereka sendiri reka mereka gunakan.


 

Ayat 67:

مَا كَانَ إِبْرٰهِيمُ يَهُودِيًّا وَلَا نَصْرَانِيًّا وَلَٰكِن كَانَ حَنِيفًا مُّسْلِمًا وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ

SAHIH INTERNATIONAL

Abraham was neither a Jew nor a Christian, but he was one inclining toward truth, a Muslim [submitting to Allah ]. And he was not of the polytheists.

MALAY

Bukanlah Nabi Ibrahim itu seorang pemeluk ugama Yahudi, dan bukanlah dia seorang pemeluk ugama Kristian, tetapi dia seorang yang tetap di atas dasar Tauhid sebagai seorang Muslim (yang taat dan berserah bulat-bulat kepada Allah), dan dia pula bukanlah dari orang-orang musyrik.

 

مَا كَانَ إِبْرٰهِيمُ يَهُودِيًّا وَلَا نَصْرَانِيًّا

Bukanlah Nabi Ibrahim itu seorang pemeluk ugama Yahudi, dan bukanlah dia seorang pemeluk ugama Kristian, 

Allah jawab salah faham mereka itu. Allah beritahu yang baginda bukan Yahudi (seperti dakwah Yahudi) dan bukan juga Nasara (seperti dakwaan Nasara). Takkanlah baginda itu Yahudi sedangkan nama Yahudi itu sendiri diambil dari keturunan Nabi Yaakob yang datang jauh selepas Nabi Ibrahim. Dan takkanlah Nabi Ibrahim itu Kristian sedangkan Nabi Isa datang lama selepas baginda.

 

وَلَٰكِن كَانَ حَنِيفًا مُّسْلِمًا

tetapi dia seorang yang tetap di atas dasar Tauhid sebagai seorang Muslim

Allah beritahu yang Dia lebih tahu tentang Nabi Ibrahim dan apakah pegangan baginda. Maka Allah beritahu dalam ayat ini. Allah beritahu yang Nabi Ibrahim itu mengamalkan tauhid.

Lafaz  حَنِيفًا maknanya lurus, meninggalkan syirik menuju kepada tauhid. Allah memberitahu bahawa Nabi Ibrahim itu fokus, tumpu kepada Allah. Walaupun masyarakat baginda waktu itu mengamalkan syirik, tapi baginda tetap dengan pendirian tauhid.

Lafaz مُّسْلِمًا pula diterjemah oleh ulama sebagai muwahhidan – yang mengamalkan tauhid. Baginda berserah diri sepenuhnya kepada Allah dan ikut apakah ajaran Allah iaitu bertauhid kepada Allah.

 

وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ

dan dia pula bukanlah dari orang-orang musyrik.

Allah menambah dengan mengatakan yang Nabi Ibrahim itu tidaklah syirik. Ini semua kita tahu, tapi ianya ditekankan dalam banyak ayat Al-Qur’an supaya jangan orang Arab sangka mereka itu ikut Nabi Ibrahim. Ini kerana mereka juga ada gelar diri mereka ‘hanif’ kerana kononnya mereka ikut Nabi Ibrahim.

Tapi Allah tekankan bahawa baginda seorang yang hanif yang tidak mengamalkan syirik. Sedangkan orang Arab yang perasan ikut baginda itu, mereka mengamalkan syirik dalam amalan mereka.


 

Ayat 68:

إِنَّ أَوْلَى النَّاسِ بِإِبْرٰهِيمَ لَلَّذِينَ اتَّبَعُوهُ وَهَٰذَا النَّبِيُّ وَالَّذِينَ ءآمَنُوا وَاللَّهُ وَلِيُّ الْمُؤْمِنِينَ

SAHIH INTERNATIONAL

Indeed, the most worthy of Abraham among the people are those who followed him [in submission to Allah ] and this prophet, and those who believe [in his message]. And Allah is the ally of the believers.

MALAY

Sesungguhnya orang-orang yang hampir sekali kepada Nabi Ibrahim (dan berhak mewarisi ugamanya) ialah orang-orang yang mengikutinya dan juga Nabi (Muhammad) ini serta orang-orang yang beriman (umatnya – umat Islam). Dan (ingatlah), Allah ialah Pelindung dan Penolong sekalian orang-orang yang beriman.

 

إِنَّ أَوْلَى النَّاسِ بِإِبْرٰهِيمَ لَلَّذِينَ اتَّبَعُوهُ

Sesungguhnya orang-orang yang hampir sekali kepada Nabi Ibrahim ialah orang-orang yang mengikutinya

Allah kata yang paling dekat dari segi fahaman dan cara hidup Nabi Ibrahim adalah mereka yang ikut cara baginda dulu (pada zamannya). Zaman baginda, itu adalah anak-anak baginda dan pengikut-pengikut baginda. Kita dapat tahu dari hadis bahawa tidak ramai yang mengikut ajaran tauhid Nabi Ibrahim.

 

وَهَٰذَا النَّبِيُّ

dan juga Nabi (Muhammad) ini 

Dan Allah menekankan yang Nabi yang sama dengan amalan dan fahaman Ibrahim adalah Nabi Muhammad. Kerana Nabi Muhammad juga menegakkan fahaman tauhid.

 

وَالَّذِينَ ءآمَنُوا

serta orang-orang yang beriman

Dan selain Nabi Muhammad, tentulah kita sebagai umat Nabi Muhammad (yang ikut ajaran tauhid baginda). Kerana orang beriman akan mengamalkan amalan dan fahaman tauhid. Jadi, yang rapat dengan Nabi Ibrahim adalah Nabi Muhammad dan pengikut-pengikut Nabi Muhammad, orang yang beriman sempurna, bukannya Ahli Kitab itu, seperti dakwaan mereka.

 

وَاللَّهُ وَلِيُّ الْمُؤْمِنِينَ

Dan Allah ialah Pelindung sekalian orang-orang yang beriman.

Allah memberitahu yang Allah hanya memberi perlindungan kepada mereka yang beriman yang sebenar, bukannya seperti iman Ahli Kitab itu. Mereka sangka mereka yang beriman, tapi mereka salah sebenarnya.

Allah memberi jaminan kepada mereka, kalau mereka ikut mahu beriman kepada dakwah yang dibawa oleh Nabi Muhammad itu, maka Allah akan menjadi pelindung mereka. Maka, hendaklah mereka meninggalkan agama mereka yang salah itu dan masuk Islam kerana Islamlah agama yang benar.

Ajakan dan janji Allah ini masih tertegak sampai ke hari ini. Siapakah yang akan memberitahu janji Allah ini kalau bukan kita? Tapi bagaimana kita nak sampaikan kepada mereka kalau kita sendiri tidak belajar Al-Qur’an?


 

Ayat 69: Ini pula adalah sifat degil kedua golongan ahli kitab. Ini adalah Ayat Syikayah Allah (ayat rungutan) kepada mereka. Mereka berhujah dengan umat Islam bukannya nak mencari kebenaran tetapi nak menyesatkan dan merosakkan agama. Kalau nak cari kebenaran, itu bagus. Tapi mereka bukannya begitu.

وَدَّت طَّائِفَةٌ مِّنْ أَهْلِ الْكِتٰبِ لَوْ يُضِلُّونَكُمْ وَمَا يُضِلُّونَ إِلَّا أَنفُسَهُمْ وَمَا يَشْعُرُونَ

SAHIH INTERNATIONAL

A faction of the people of the Scripture wish they could mislead you. But they do not mislead except themselves, and they perceive [it] not.

MALAY

Segolongan dari Ahli Kitab suka dan berangan-angan kiranya mereka dapat menyesatkan kamu; padahal mereka tidak akan menyesatkan melainkan dirinya sendiri, dan mereka pula tidak menyedari (akibat yang buruk itu).

 

وَدَّت طَّائِفَةٌ مِّنْ أَهْلِ الْكِتٰبِ لَوْ يُضِلُّونَكُمْ

Segolongan dari Ahli Kitab suka dan berangan-angan kiranya mereka dapat menyesatkan kamu;

Allah memberitahu kita yang satu puak dari mereka memang berkeinginan menyesatkan kita. Sebab itu mereka soal macam-macam tentang agama Islam kepada orang Islam. Tujuannya hendak mengelirukan dan hendak menyesatkan umat Islam.

Mereka timbulkan persoalan-persoalan untuk menyebabkan umat Islam ragu dengan agama sendiri. Maka kalau kita pun tidak kenal agama sendiri, maka senanglah ditipu oleh puak musuh.

 

وَمَا يُضِلُّونَ إِلَّا أَنفُسَهُمْ

padahal mereka tidak akan menyesatkan melainkan dirinya sendiri,

Sebenarnya mereka tidak menyesatkan sesiapa melainkan mereka menyesatkan diri mereka sendiri. Mereka menjerumuskan diri mereka semakin dalam ke arah kesesatan.

 

وَمَا يَشْعُرُونَ

dan mereka pula tidak menyedari

Tetapi mereka sendiri tak sedar. Mereka sangka mereka benar tetapi mereka tidak tahu mereka yang sesat.


 

Ayat 70:

يَـٰٓأَهلَ الْكِتٰبِ لِمَ تَكْفُرُونَ بِـَٔايَـٰتِ اللَّهِ وَأَنتُمْ تَشْهَدُونَ

SAHIH INTERNATIONAL

O People of the Scripture, why do you disbelieve in the verses of Allah while you witness [to their truth]?

MALAY

Wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu kufurkan (ingkarkan) ayat-ayat keterangan Allah padahal kamu menyaksikan kebenaranNya?

 

يَـٰٓأَهلَ الْكِتٰبِ لِمَ تَكْفُرُونَ بِـَٔايَـٰتِ اللَّهِ

Wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu kufurkan (ingkarkan) ayat-ayat keterangan Allah

ِAllah tegur mereka kenapa mereka engkar semua kitab dari Allah? Bukan Al-Qur’an sahaja yang mereka tolak. Taurat dan Injil pun mereka tolak begitu sahaja. Setengah hukum Taurat dan setengah hukum Injil mereka tolak walaupun mereka kata itu kitab mereka.

 

وَأَنتُمْ تَشْهَدُونَ

padahal kamu menyaksikan kebenaranNya?

Teruk sekali perbuatan mereka itu sedangkan mereka telah berikrar yang itu semua adalah ayat yang benar.

Dan mereka telah bersaksi bahawa itu kitab mereka sendiri.

Seolah-olah Allah bercakap kepada mereka: “Kamu tak bacakah kitab kamu sendiri? Bukankah di dalam Kitab Suci kamu sendiri kamu boleh saksikan bagaimana ia membenarkan ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad itu?”

Perkara yang sama boleh dikatakan kepada umat Islam yang tidak belajar tafsir Al-Qur’an dan kerana tidak belajar, mereka langgar arahan Allah. Padahal semua Umat Islam kata Al-Qur’an adalah Kitab Suci dan pegangan mereka. Tapi mereka baca sahaja tanpa faham. Oleh kerana tidak faham, maka mereka tidak dapat mengambil manfaat dari ajaran-ajaran dalam Al-Qur’an.


 

Ayat 71: Allah beritahu lagi bahawa mereka itu nak menyesatkan orang lain dengan mencampuradukkan kebenaran dan kebathilan dan menyembunyikan kebenaran.

يَـٰٓأَهلَ الْكِتٰبِ لِمَ تَلْبِسُونَ الْحَقَّ بِالْبٰطِلِ وَتَكْتُمُونَ الْحَقَّ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

SAHIH INTERNATIONAL

O People of the Scripture, why do you confuse the truth with falsehood and conceal the truth while you know [it]?

MALAY

Wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu campur adukkan yang benar dengan yang salah, dan kamu pula menyembunyikan kebenaran padahal kamu mengetahuinya?

 

يَـٰٓأَهلَ الْكِتٰبِ لِمَ تَلْبِسُونَ الْحَقَّ بِالْبٰطِلِ

Wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu campur adukkan yang benar dengan yang salah, 

Allah tegur mereka kerana mencampur adukkan yang haq (benar) dan batil (salah). Matan kitab suci itu tentunya haq tapi syarah mereka berkenaan ayat-ayat itu bathil. Sudah bercampur baur antara yang benar dan yang bathil, sampaikan sudah tidak tahu manakah yang benar dan manakah yang salah.

Macam juga ulama-ulama su’ (ulama-ulama jahat) di dunia sekarang – mereka tidak boleh nak ubah ayat-ayat Al-Qur’an, tapi mereka syarah sampai maksud lari dari maksud yang difahami oleh salafussoleh.

 

وَتَكْتُمُونَ الْحَقَّ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

dan kamu pula menyembunyikan kebenaran padahal kamu mengetahuinya?

Allah tegur mereka kerana sengaja menyembunyikan kebenaran walaupun mereka tahu. Bila tafsir ayat-ayat dari Kitab suci, mereka tafsir dengan cara yang salah. Dan selalunya, mereka tak keluarkan pun matan kitab yang asal. Ini adalah kerana pemuka-pemuka agama Yahudi dan Kristian, merekalah yang memegang kitab Taurat dan Injil yang asli dan mereka tidak berikan kepada masyarakat umum. Ini telah menyebabkan orang lain sesat.

Maksudnya mereka tahu bahawa mereka telah menipu kerana mereka ada kitab di tangan mereka.

Sekian Ruku’ 7 dari 20 ruku’ surah ini


 

Ayat 72: Ini adalah Ayat Syikayah (rungutan) yang ketiga. Allah menceritakan ikhtiar mereka yang sentiasa hendak menyesatkan manusia. Ada sahaja idea-idea jahat mereka.

Macam mubaligh Kristian sekarang, macam-macam cara mereka lakukan untuk menyesatkan umat Islam. Mereka buat komiklah, keluarkan tohmahan-tohmahan, buat-buat sengaja nak belajar Islam dengan orang Islam lah dan macam-macam lagi.

وَقَالَت طَّائِفَةٌ مِّنْ أَهْلِ الْكِتٰبِ ءآمِنُوا بِالَّذِي أُنزِلَ عَلَى الَّذِينَ ءآمَنُوا وَجْهَ النَّهَارِ وَاكْفُرُوا ءآخِرَهُ لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ

SAHIH INTERNATIONAL

And a faction of the People of the Scripture say [to each other], “Believe in that which was revealed to the believers at the beginning of the day and reject it at its end that perhaps they will abandon their religion,

MALAY

Dan berkatalah segolongan dari Ahli Kitab (sesama sendiri): “Berimanlah kamu kepada Al-Qur’an yang diturunkan kepada orang-orang yang beriman itu: pada sebelah pagi, dan kufurlah (ingkarlah) pada petangnya, supaya mereka (merasa ragu-ragu, lalu) kembali menjadi kafir semula”.

 

وَقَالَت طَّائِفَةٌ مِّنْ أَهْلِ الْكِتٰبِ

Dan berkatalah segolongan dari Ahli Kitab

Dikatakan ini adalah perkataan pendita-pendita Yahudi kepada anak murid mereka. Mereka risau kerana semakin ramai dari orang Yahudi yang masuk Islam. Jadi mereka buat perancangan jahat untuk melemahkan agama Islam.

 

ءآمِنُوا بِالَّذِي أُنزِلَ عَلَى الَّذِينَ ءآمَنُوا وَجْهَ النَّهَارِ

“Berimanlah kamu kepada Al-Qur’an yang diturunkan kepada orang-orang yang beriman itu: pada sebelah pagi,

Ini adalah salah satu dari rancangan jahat mereka. Mereka ajak puak-puak mereka masuk Islam ramai-ramai, tapi sekejap sahaja. Digunakan lafaz وَجْهَ النَّهَارِ, maksudnya buat perkara itu secara terang-terangan di waktu siang supaya semua nampak wajah mereka. Semua manusia nampak yang mereka telah masuk Islam beramai-ramai.

 

وَاكْفُرُوا ءآخِرَهُ

dan kufurlah (ingkarlah) pada petangnya, 

Dan selepas itu mereka merancang untuk keluar dari Islam ramai-ramai dan supaya orangramai nampak apa yang mereka lakukan.

 

لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ

supaya mereka kembali menjadi kafir semula”.

Tujuan mereka buat begitu adalah supaya orang Islam yang jahil pun akan keliru dan mereka pun keluar Islam juga. Mereka akan masuk sekejap dan selepas sehari dalam agama Islam, mereka akan kata mereka sudah rasa agama Islam, tapi mereka dapati ia tidak ada apa-apa.

Mereka mahu supaya yang jahil dari agama Islam akan kata, tengoklah puak yang tahu agama itu sudah masuk Islam pun, tapi sebab Islam tak benar, mereka pun keluar Islam.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 4 Oktober 2020

Ringkasan Surah Ali Imran


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir al-Azhar – Hamka

Tafsir Surah Ali Imran Ayat 55 – 63 (Nabi Isa diangkat)

Ali Imran Ayat 55:  Ini adalah Ayat Tasliah untuk memujuk hati Nabi Isa عليه السلام. Ini sebelum baginda diangkat ke langit.

إِذ قالَ اللَّهُ يٰعيسىٰ إِنّي مُتَوَفّيكَ وَرافِعُكَ إِلَيَّ وَمُطَهِّرُكَ مِنَ الَّذينَ كَفَروا وَجاعِلُ الَّذينَ اتَّبَعوكَ فَوقَ الَّذينَ كَفَروا إِلىٰ يَومِ القِيٰمَةِ ۖ ثُمَّ إِلَيَّ مَرجِعُكُم فَأَحكُمُ بَينَكُم فيما كُنتُم فيهِ تَختَلِفونَ

SAHIH INTERNATIONAL

[Mention] when Allah said, “O Jesus, indeed I will take you and raise you to Myself and purify you from those who disbelieve and make those who follow you [in submission to Allah alone] superior to those who disbelieve until the Day of Resurrection. Then to Me is your return, and I will judge between you concerning that in which you used to differ.

MALAY

(Ingatlah) ketika Allah berfirman: “Wahai Isa! Sesungguhnya Aku akan mengambilmu dengan sempurna, dan akan mengangkatmu ke sisiKu, dan akan membersihkanmu dari orang-orang kafir, dan juga akan menjadikan orang-orang yang mengikutimu mengatasi orang-orang kafir (yang tidak beriman kepadamu), hingga ke hari kiamat. Kemudian kepada Akulah tempat kembalinya kamu, lalu Aku menghukum (memberi keputusan) tentang apa yang kamu perselisihkan”.

 

إِذ قالَ اللَّهُ يٰعيسىٰ إِنّي مُتَوَفّيكَ

(Ingatlah) ketika Allah berfirman: “Wahai Isa! Sesungguhnya Aku akan mengambilmu dengan sempurna, 

Allah ‎ﷻ berfirman yang Dia akan ambil semua sekali roh dan jasad Nabi Isa عليه السلام. Itulah maksud lafaz مُتَوَفّيكَ dalam ayat ini. Ayat ini sebagai dalil yang Allah ‎ﷻ tidak mematikan Nabi Isa عليه السلام tetapi telah mengangkat baginda ke langit.

Malangnya ada pula yang menggunakan ayat ini sebagai dalil untuk hujah dangkal mereka untuk mengatakan Nabi Isa عليه السلام telah mati. Kalau yang kata itu orang kafir, tidaklah mengapa, kita tahu mereka bagaimana tetapi apabila orang Islam yang kata begitu, kita kena jelaskan.

Yang mereka salah faham adalah kerana penggunaan lafaz مُتَوَفِّيكَ yang datangnya dari katadasar وفي yang boleh membawa banyak maksud. Maksud yang selalu digunakan dalam Al-Qur’an adalah ‘beri dengan penuh’ atau ‘ambil dengan penuh’. Orang yang mengatakan Nabi Isa عليه السلام telah mati itu keliru kerana mereka kata perkataan وفي itu bermaksud ‘wafat’. Memang kalimah ‘wafat’ digunakan juga untuk mati, tapi ia adalah lafaz kiasan sahaja (untuk mati dan untuk tidur). Maknanya, tidur pun ada Allah ﷻ gunakan kalimah ‘wafat’ juga.

Ini tidak benar kerana kalau hendak memberikan makna mati, dalam Al-Qur’an digunakan perkataan mawt/maut. Apabila mawt, Allah ‎ﷻ tidak ambil semua sekali, kerana Allah ‎ﷻ akan tinggalkan jasad di bumi, bukan? Tapi dalam kes Nabi Isa عليه السلام, Allah ﷻ ambil roh dan jasad sekali.

 

وَرافِعُكَ إِلَيَّ

dan mengangkatmu ke sisi-Ku, 

Allah ‎ﷻ mengangkat Nabi Isa عليه السلام kepada-Nya. Ini juga dalil yang Allah ‎ﷻ mengangkat Nabi Isa عليه السلام ke langit (untuk satu tempoh). Yang kata Nabi Isa عليه السلام telah mati itu berhujah, ayat ini kononnya bermaksud ‘darjat’ Nabi Isa عليه السلام yang diangkat.

Ini tidak benar kerana kalau darjat yang dimaksudkan, perkataan ‘darjat’ akan diletakkan sekali seperti yang ada dalam banyak ayat-ayat tentang darjat. Namun begitu tidak ada kalimah ‘darjat’ digunakan dalam ayat ini, kerana Allah ‎ﷻ kata Dia angkat baginda ke Sisi-Nya sahaja.

Oleh itu, berhati-hatilah apabila membaca ajaran atau teori yang pelik-pelik walaupun datang daripada orang Islam sendiri kerana ada yang keliru kerana salah belajar. Tambahan pula sekarang banyak sangat maklumat yang dibaca di internet yang tidak dipantau oleh ilmuan yang layak.

Dalam akidah ahli sunnah, kita berakidah yang Nabi Isa عليه السلام telah diangkat ke langit dan akan diturunkan semula. Ini disokong oleh hadis-hadis yang amat banyak. Baginda bukan turun sahaja tapi diberitahu yang baginda akan membunuh Dajjal. Jadi walaupun ia adalah termasuk dalam furu’ aqidah (cabang akidah), tapi inilah akidah yang benar. Pandangan yang mengatakan Nabi Isa عليه السلام telah wafat adalah pandangan yang amat lemah.

 

وَمُطَهِّرُكَ مِنَ الَّذينَ كَفَروا

dan membersihkanmu daripada orang-orang kafir,

Allah ‎ﷻ mensucikan Nabi Isa عليه السلام daripada tohmahan orang kafir Yahudi yang kata baginda adalah anak zina. Golongan Yahudi kata baginda bukan Nabi, sebaliknya adalah anak zina kerana lahir tanpa bapa. Padahal itu adalah mukjizat Nabi. Maka, dalam Al-Qur’an, Allah ‎ﷻ telah membersihkan nama Nabi Isa عليه السلام.

Dan berbagai-bagai lagi tuduhan yang tidak benar tentang baginda yang dibersihkan oleh Allah ﷻ dalam Al-Qur’an. Antaranya, tuduhan Nasara yang mengatakan baginda itu tuhan atau anak tuhan. Itu pun disucikan oleh Allah ﷻ.

‘Sucikan’ juga bermaksud Allah ‎ﷻ menyucikan baginda dalam kalangan mereka yang menentang baginda. Allah ‎ﷻ mengangkat baginda dalam kalangan mereka yang jahat itu. Allah ﷻ selamatkan baginda dari golongan yang hendak membunuh baginda. Kemudian nanti baginda akan diberikan dengan kalangan yang lebih baik daripada mereka.

 

وَجاعِلُ الَّذينَ اتَّبَعوكَ فَوقَ الَّذينَ كَفَروا إِلىٰ يَومِ القِيٰمَةِ

dan juga akan menjadikan orang-orang yang mengikutmu mengatasi orang-orang kafir, hingga ke hari kiamat.

Allah ‎ﷻ akan meninggikan kedudukan mereka yang mengikuti baginda lebih daripada orang kafir. Mereka yang ikut Nabi Isa عليه السلام akan menjadi ahli syurga dan selamat di akhirat kelak. Apakah maksudnya? Ini penting ditafsirkan kerana kalau tidak, kalau dibaca literal sahaja, akan menyebabkan kekeliruan pula. Memang ayat ini disebut-sebut oleh golongan Kristian bila berhujah dengan umat Islam.

Kalau pada zamannya, mereka yang dimaksudkan adalah pengikut baginda seperti golongan Hawariyyun itu. Untuk zaman kita pula, yang dimaksudkan adalah pengikut syari’at Nabi Muhammad ﷺ kerana Nabi Isa عليه السلام pun akan mengikut syari’at Nabi Muhammad ﷺ juga nanti apabila baginda diturunkan kembali ke dunia.

Kalau Nabi Isa عليه السلام sendiri pun akan mengikut syari’at Nabi Muhammad ﷺ, maka mereka yang mengaku sebagai pengikut Nabi Isa عليه السلام pun kenalah begitu juga. Sedangkan dalam Kitab Injil sendiri pun ada tertulis, yang apabila Nabi Muhammad ﷺ diangkat sebagai Rasul, semua kena ikut Nabi Muhammad ﷺ. Kita dapat tahu tentang perkara ini sebab ada disebut di dalam Surah Saff. Kalau dalam Bible sekarang, mungkin tidak jelas kerana Bible sekarang bukanlah Kitab Injil yang sebenar.

Jadi jangan percaya dengan kaum Kristian yang mengatakan ini bukti merekalah yang benar. Mereka menggunakan ayat ini dan mereka kata mereka lebih tinggi daripada orang Yahudi kerana mereka pengikut Nabi Isa عليه السلام. Mereka juga berhujah, ‘Lihatlah dalam Qur’an pun kata kedudukan mereka tinggi sampai Hari Kiamat’.

Namun ini adalah sangkaan mengarut mereka sahaja kerana mereka langsung tidak mengikut ajaran Nabi Isa عليه السلام, malahan membuat syirik dengan memuja baginda pula. Lalu bagaimana pula boleh dikatakan mereka mengikut baginda? Memang mereka sayangkan baginda, tidak dinafikan, tetapi mereka tidak mengikut pun ajaran baginda. Ada beza antara ‘sayang’ dan ‘ikut’.

 

ثُمَّ إِلَيَّ مَرجِعُكُم

Kemudian kepada Aku-lah tempat kembalinya kamu,

Allah ‎ﷻ mengingatkan semua manusia dan jin bahawa akhirnya kita semua akan mati dan dikembalikan kepada Allah ‎ﷻ. Apa yang Allah ‎ﷻ akan lakukan terhadap kita waktu itu?

 

فَأَحكُمُ بَينَكُم فيما كُنتُم فيهِ تَختَلِفونَ

lalu Aku memberi keputusan tentang apa yang kamu perselisihkan”.

Allah ‎ﷻ akan membuat keputusan secara ‘amali’ (secara praktikal, bukan secara teori) dan memisahkan mana pihak yang benar dan mana yang salah. Jadi perselisihan ini adalah antara golongan engkar dan golongan yang di atas al-haq (kebenaran). Yang benar akan dimasukkan ke syurga dan yang salah akan dimasukkan ke neraka.

Itulah cara amali untuk tunjuk mana yang benar dan mana yang salah. Waktu itu, tidak boleh hendak berbuat apa-apa lagi, kerana kalau kita berada di pihak yang salah, kita tidak dapat kembali ke dunia untuk memperbetulkannya. Kerana itu sudah di akhirat dan tidak akan kembali lagi ke dunia.

Namun secara teori, Allah ‎ﷻ telah menunjukkan mana benar dan mana yang salah dalam Al-Qur’an. Ini penting, kerana takkan hendak kena tunggu di akhirat nanti baru tahu mana yang benar dan mana yang salah, bukan? Allah ‎ﷻ sudah beritahu di dunia lagi, dengan sejelas-jelasnya (kepada yang belajar) maka tidak perlu tunggu sampai akhirat untuk tahu mana yang benar.

Kalau ikut hujah yang disampaikan oleh Al-Qur’an semasa di dunia, maka akan masuk syurga. Maka hendaklah kita belajar tafsir Al-Qur’an dengan kemas, supaya ia menjadi hujah dan panduan bagi kita.


 

Ali Imran Ayat 56: Ini adalah ayat takhwif ukhrawi.

فَأَمَّا الَّذينَ كَفَروا فَأُعَذِّبُهُم عَذابًا شَديدًا فِي الدُّنيا وَالآخِرَةِ وَما لَهُم مِّن نّٰصِرينَ

SAHIH INTERNATIONAL

And as for those who disbelieved, I will punish them with a severe punishment in this world and the Hereafter, and they will have no helpers.”

MALAY

Adapun orang-orang kafir, maka Aku (Allah) akan menyeksa mereka dengan azab yang amat berat di dunia dan di akhirat, dan mereka pula tidak akan beroleh sesiapa pun yang dapat menolong.

 

فَأَمَّا الَّذينَ كَفَروا فَأُعَذِّبُهُم عَذابًا شَديدًا فِي الدُّنيا وَالآخِرَةِ

Adapun orang-orang kafir, maka Aku akan menyeksa mereka dengan azab yang amat berat di dunia dan di akhirat,

Ini pula adalah nasib mereka yang kafir kerana kedegilan mereka menolak kebenaran. Mereka juga tidak hiraukan ilmu wahyu maka mereka jadi sesat di dunia. Mereka akan diseksa di dunia dan di akhirat.

Di dunia lagi mereka akan mendapat seksaan jiwa secara individu dan secara kelompok, mereka akan dikalahkan dalam peperangan. Hati mereka juga tidak tenang kerana mereka menolak kebenaran yang sudah ada dalam diri mereka.

 

وَما لَهُم مِّن نّٰصِرينَ

dan mereka pula tidak akan beroleh sesiapa pun yang dapat menolong.

Tidak ada sesiapa pun yang akan membantu mereka apabila Allah ﷻ telah buat keputusan terhadap mereka. Ramai yang salah sangka termasuklah golongan Krisian/Nasara. Mereka sangka Nabi Isa عليه السلام tentu akan bantu mereka kerana mereka sentiasa memuja baginda, namun itu semua adalah sangkaan yang tersasar jauh.


 

Ali Imran Ayat 57: Ini pula adalah ayat tabshir.

وَأَمَّا الَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ فَيُوَفّيهِم أُجورَهُم ۗ وَاللَّهُ لا يُحِبُّ الظّٰلِمينَ

SAHIH INTERNATIONAL

But as for those who believed and did righteous deeds, He will give them in full their rewards, and Allah does not like the wrongdoers.

MALAY

Adapun orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal soleh, maka Allah akan menyempurnakan pahala mereka; dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.

 

وَأَمَّا الَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ فَيُوَفّيهِم أُجورَهُم

Adapun orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal soleh, maka Allah akan menyempurnakan pahala mereka; 

Sekali lagi digunakan kalimah ‘wafat’ dalam ayat ini. Maksudnya adalah pemberian yang sempurna. Balasan kebaikan akan diberi dengan sempurna – malah akan diberi lebih daripada amalan hamba itu. Bayangkan, kita hidup 60 tahun sahaja di dunia dan beramal pun bukan sepanjang kita hidup pun, tetapi kita dapat tinggal di syurga selama-lamanya. Memang lebih sangatlah apa yang ahli syurga dapat.

 

وَاللَّهُ لا يُحِبُّ الظّٰلِمينَ

dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.

Iaitu zalim yang tidak meletakkan perkara pada tempatnya. Zalim yang biasa kita faham adalah seperti menindas orang lain. Namun begitu, zalim yang paling besar adalah syirik kepada Allah ‎ﷻ. Mereka akan mendapat balasan yang buruk.


 

Ali Imran Ayat 58: Ayat ini adalah jenis yang dinamakan Jumlah Mu’taridah. Iaitu dimasukkan perkara yang seperti tidak ada kena mengena dengan rentetan ayat-ayat yang sebelumnya. Tiba-tiba sahaja semasa sebut kisah Nabi Isa, masuk kepada firman Allah ﷻ kepada Nabi Muhammad.

Allah hendak menegaskan bahawa Nabi Muhammad adalah benar seorang rasul kerana kalau baginda bukan Nabi, baginda tidak akan tahu kisah kisah ini semua. Orang biasa tidak akan dapat tahu kisah ini.

ذٰلِكَ نَتلوهُ عَلَيكَ مِنَ الآيٰتِ وَالذِّكرِ الحَكيمِ

SAHIH INTERNATIONAL

This is what We recite to you, [O Muhammad], of [Our] verses and the precise [and wise] message.

MALAY

Demikianlah (perihal Nabi Isa), yang Kami membacakannya kepadamu (wahai Muhammad, adalah ia) sebahagian dari hujah-hujah keterangan (yang membuktikan kebenarannya), dan dari Al-Quran yang penuh dengan hikmat-hikmat – (pengetahuan yang tepat, lagi sentiasa terpelihara).

 

ذٰلِكَ نَتلوهُ عَلَيكَ مِنَ الآيٰتِ

Demikianlah, Kami bacakan ke atas engkau dari ayat-ayat

Segala kisah yang telah disampaikan itu diberikan kepada Nabi Muhammad sebagai hujah baginda berhadapan dengan Kristian Najran. Allah telah beri hujah-hujah kepada baginda dari wahyuNya.

 

وَالذِّكرِ الحَكيمِ

dan dari Al-Qur’an yang penuh dengan hikmat-hikmat 

Ianya hujah yang datang dari Al-Qur’an yang mengandungi kebijaksanaan. Ianya mengandungi jawapan-jawapan yang bernas terhadap pertanyaan dan tohmahan dari Kristian Najran yang datang hendak berhujah dengan Nabi Muhammad.

Dengan mempelajari ayat-ayat itu, sepatutnya orang Kristian tahu bahawa apa yang mereka anuti itu adalah salah sama sekali. Maka kerana itu ramai orang Kristian yang masuk Islam setelah diberikan dengan hujah-hujah wahyu.

Ayat-ayat Al-Qur’an mengandungi nasihat-nasihat yang bijaksana tentang kebenaran dan bagaimana cara menjalani kehidupan di dunia ini dengan baik. Maka hendaklah kita mengambil pengajaran dari ayat-ayat Al-Qur’an ini.


 

Ali Imran Ayat 59: Ini sebagai jawapan bagi kemusykilan tentang kejadian Nabi Isa. Memanglah kejadian kelahiran Nabi Isa itu ajaib, dilahirkan tanpa bapa. Tapi tidaklah kerana kelahiran ajaib itu boleh dijadikan sebab untuk sembah dan seru kepada Nabi Isa pula.

Tambahan pula, bukanlah Nabi Isa sahaja yang pelik dan ajaib dari segi kelahiran. Kerana tidaklah kelahiran Nabi Isa itu lebih pelik dari kejadian Nabi Adam. Nabi Isa dilahirkan tanpa bapa, tapi Nabi Adam lahir tanpa ibu dan bapa sekali. Itu lebih pelik, bukan? Oleh itu, kenapa tak sembah Nabi Adam pula?

إِنَّ مَثَلَ عيسىٰ عِندَ اللَّهِ كَمَثَلِ ءآدَمَ ۖ خَلَقَهُ مِن تُرابٍ ثُمَّ قالَ لَهُ كُن فَيَكونُ

SAHIH INTERNATIONAL

Indeed, the example of Jesus to Allah is like that of Adam. He created Him from dust; then He said to him, “Be,” and he was.

MALAY

Sesungguhnya perbandingan (kejadian) Nabi Isa di sisi Allah adalah sama seperti (kejadian) Nabi Adam. Allah telah menciptakan Adam dari tanah lalu berfirman kepadanya: “Jadilah engkau!” maka menjadilah dia.

 

إِنَّ مَثَلَ عيسىٰ عِندَ اللَّهِ كَمَثَلِ ءآدَمَ

Sesungguhnya perbandingan (kejadian) Nabi Isa di sisi Allah adalah sama seperti (kejadian) Nabi Adam.

Pada Allah, sama sahaja kejadian Nabi Isa dan Nabi Adam. Kerana tidaklah lebih susah Allah buat Nabi Adam dari Nabi Isa dan dari kita. Kerana itu pada Allah, sama sahaja semua kejadian. Tapi dalam ayat ini, Allah bandingkan penciptaan Nabi Adam dengan Nabi Isa.

 

خَلَقَهُ مِن تُرابٍ

Allah telah menciptakan Adam dari tanah

Badan Nabi Adam itu yang dijadikan dari tanah. Kisahnya ada banyak disebut dalam ayat lain dan hadis-hadis. Memang diambil dari tanah di dunia ini. Di dalam hadis disebut baginda terus dijadikan dalam bentuk baginda setinggi 60 hasta (tidaklah dijadikan seperti bayi dahulu dan membesar kemudian).

 

ثُمَّ قالَ لَهُ كُن فَيَكونُ

lalu berfirman kepadanya: “Jadilah engkau!” maka menjadilah dia.

Dari tanah itu, Nabi Adam dijadikan manusia dengan lafaz kun fayakun dari Allah, terus baginda terjadi manusia. Nabi Isa pun terjadi dari lafaz kun fayakun juga, maka sama sahaja kejadian mereka berdua pada sisi Allah.


 

Ali Imran Ayat 60:

الحَقُّ مِن رَّبِّكَ فَلا تَكُن مِّنَ المُمتَرينَ

SAHIH INTERNATIONAL

The truth is from your Lord, so do not be among the doubters.

MALAY

Perkara yang benar ialah yang datang dari Tuhanmu. Maka jangan sekali-kali engkau menjadi dari orang-orang yang ragu-ragu.

 

الحَقُّ مِن رَّبِّكَ

Kebenaran ialah yang datang dari Tuhanmu. 

Kejadian Nabi Isa yang luar biasa itu memang benar dari Allah. Kita tidak dapat menyaksikannya dengan mata kita, tapi sekarang Allah beritahu dalam Al-Qur’an, maka hendaklah kita terima kebenarannya.

Dan benarlah baginda itu adalah makhluk, bukannya tuhan.

 

فَلا تَكُن مِّنَ المُمتَرينَ

Maka jangan sekali-kali engkau menjadi dari orang-orang yang ragu-ragu.

Kalau ianya benar dari Allah, maka jangan kamu ragu ragu. Kalau ragu, tidak selamat. Kalimah الْمُمْتَرِينَ adalah apabila sesuatu fakta yang jelas tapi apabila dengar kata-kata hujah yang panjang lebar untuk menolak sesuatu perkara, kita pula jadi ragu-ragu. Kadangkala kita pun kalau dengar hujah orang lain, mungkin boleh goyang, bukan?

Begitulah, kalau kita berhujah dengan orang Kristian, mereka akan menggunakan berbagai-bagai hujah yang mengarut sebenarnya. Tapi kalau iman tak kuat, ilmu pun ke laut, entah-entah boleh terkeliru pula. Allah sudah pesan siap-siap sekarang, jangan ragu-ragu dan terpedaya dengan dakyah mereka.


 

Ali Imran Ayat 61: Ini adalah ayat tentang Mubahalah. Nanti akan disebutkan konsepnya selepas ini. Mubahalah ini adalah doa yang disertai dengan sumpah laknat. Mubahalah ini dibenarkan kalau pihak kafir masih tak mahu dengar kata juga. Begitulah yang terjadi kepada Kristian Najran itu, masih lagi tidak mahu beriman dan tidak mahu mengaku kalah walaupun setelah dijelaskan dengan 60 ayat sebelum ini. Maka, Allah ajar Nabi untuk ajak mereka mubahalah.

فَمَن حاجَّكَ فيهِ مِن بَعدِ ما جاءَكَ مِنَ العِلمِ فَقُل تَعالَوا نَدعُ أَبناءَنا وَأَبناءَكُم وَنِساءَنا وَنِساءَكُم وَأَنفُسَنا وَأَنفُسَكُم ثُمَّ نَبتَهِل فَنَجعَل لَّعنَتَ اللَّهِ عَلَى الكٰذِبينَ

SAHIH INTERNATIONAL

Then whoever argues with you about it after [this] knowledge has come to you – say, “Come, let us call our sons and your sons, our women and your women, ourselves and yourselves, then supplicate earnestly [together] and invoke the curse of Allah upon the liars [among us].”

MALAY

Kemudian sesiapa yang membantahmu (wahai Muhammad) mengenainya, sesudah engkau beroleh pengetahuan yang benar, maka katakanlah kepada mereka: “Marilah kita menyeru anak-anak kami serta anak-anak kamu, dan perempuan-perempuan kami serta perempuan-perempuan kamu, dan diri kami serta diri kamu, kemudian kita memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh, serta kita meminta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang berdusta”.

 

فَمَن حاجَّكَ فيهِ مِن بَعدِ ما جاءَكَ مِنَ العِلمِ

Kemudian sesiapa yang membantahmu mengenainya, sesudah engkau beroleh pengetahuan yang benar,

Kalau mereka yang menentang masih bantah lagi tentang Nabi Isa setelah berhujah lama dan sesudah dibacakan ayat Al-Qur’an yang jelas kepada mereka. Maka sekarang Allah ajar macam mana nak buat dengan mereka. Sudah tidak perlu teruskan lagi hujah dan perdebatan dengan mereka.

Ayat ini diturunkan sempena dengan kedatangan wakil Nasara Najran ke Madinah yang berhujjah dengan Nabi S.A.W. tentang keyakinan batil mereka berkenaan Isa A.S. namun mereka tetap berkeras dengan keyakinan mereka yang batil itu setelah Nabi S.A.W. mendatangkan hujah yang jelas kepada mereka. Lalu Allah S.W.T. menurunkan ayat di atas supaya Nabi S.A.W. mencabar utusan Nasara itu untuk bermubahalah, namun cabaran itu telah ditolak oleh mereka disebabkan rasa takut atas perbuatan dusta mereka.

 

فَقُل تَعالَوا نَدعُ أَبناءَنا وَأَبناءَكُم

maka katakanlah kepada mereka: “Marilah kita menyeru anak-anak kami serta anak-anak kamu,

Ini kalimah terakhir bagi mereka. Ajak mereka berhimpun ramai-ramai di padang (tempat awam). Kerana Panggil anak-anak kamu dan kami akan panggil anak-anak kami.

 

وَنِساءَنا وَنِساءَكُم وَأَنفُسَنا وَأَنفُسَكُم

dan perempuan-perempuan kami serta perempuan-perempuan kamu, dan diri kami serta diri kamu, 

Bukan anak-anak sahaja, panggil sekali dengan isteri-isteri kamu dan kamu sendiri pun kenalah datang juga. Kenapa panggil anak beranak? Kerana manusia itu selalunya gelap hati kerana cinta dunia, antaranya dengan anak isteri. Maka kena bawa anak isteri yang mereka kasih itu.

Cara pelaksanaan mubahalah ialah dengan kedua-dua orang yang berselisih itu hadir membawa bersama anak, isteri dan keluarga masing-masing kemudian mereka berdua berdoa secara bersungguh-sungguh meminta Allah ﷻ melaknat siapa yang berbohong. Sekalipun mubahalah hanya melibatkan antara dua orang yang berselisih itu tetapi anak, isteri dan keluarga masing-masing turut dibawa hadir bersama bagi menunjukkan kekuatan keyakinan dan kepercayaan akan kebenaran apa yang didakwakan oleh kedua-dua belah pihak serta menzahirkan penolakan terhadap lawan.

Dalam riwayat ada disebut, sekiranya jadi, Nabi akan panggil semua sahabat dan isteri masing-masing ke padang. Ini pasti terjadi kerana mereka sanggup meletakkan nyawa mereka untuk mempertahankan Islam. Mereka yakin dengan kebenaran sedangkan puak Najran itu tidak yakin.

Ayat ini menunjukkan kepentingan kaum wanita dimana mereka pun terlibat dalam kegiatan agama. Tidaklah mereka hanya duduk di belakang sahaja. Malah, kita tahu dari hadis, bagaimana kaum wanita juga terlibat dalam medan perang semasa zaman Nabi. Maka jangan rendahkan kedudukan wanita jadi kelas kedua pula. Mereka pun ada kepentingan dalam masyarakat dan dalam beragama.

 

ثُمَّ نَبتَهِل

kemudian kita memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh,

Ibtihal maksudnya merayu dengan menangis. Minta kepada Allah dengan bersungguh-sungguh. Biarkan Allah yang tentukan mana pihak yang benar. Dari kalimah ibtihal inilah menjadi mubahalah, iaitu sama-sama berdoa sumpah laknat.

Tiada lafaz khusus bagi mubahalah. Maka dibolehkan mengucapkannya dengan apa jua lafaz dengan kedua-dua belah pihak mendoakan laknat Allah ﷻ atas lawannya kerana berbohong. Ia merupakan sebahagian daripada al-Sunah bagi menolak mereka yang terus degil dan angkuh mempertahankan kebatilan sesudah ditegakkan hujah dan dalil atas mereka.

Kata Ibnu al-Qayyim “Termasuk dalam al-Sunah apabila berhujah dengan ahli kebatilan sekiranya hujah-hujah Allah sudah ditegakkan lalu mereka tetap berkeras tidak mahu kembali ke pangkal jalan maka diajak supaya mereka bermubahalah.” [Zad al-Ma’ad, hlm. 3/643]

Di dalam sejarah Nabi Muhammad ia dilakukan dengan Nasrani dari Najran. Jadi persoalannya adakah ia boleh dilakukan sesama Muslim?

Mubahalah disyariatkan bagi seluruh umat Islam. Ia bukan khas bagi Nabi ﷺ sebagaimana ia juga bukan khusus antara orang-orang Islam dengan orang-orang Yahudi dan Nasrani sahaja. Sebaliknya mubahalah disyariatkan dengan sesiapa sahaja yang berkeras mempertahankan kesesatan serta enggan kembali ke pangkal jalan sekalipun hujah dan dalil sudah ditegakkan.

Kata Siddiq Hasan Khan “Mubahalah diharuskan sesudah Nabi ﷺ dalam perkara-perkara penting dari sudut syarak yang menimbulkan kekeliruan dan kedegilan sehingga tidak dapat dihadapi kecuali dengannya.” [Husun al-Uswah]

Telah sabit bahawa ramai daripada kalangan ulama dahulu dan yang terkemudian mengajak lawan mereka bermubahalah seperti al-Auzaie, Ibnu Taimiah, Ibnu al-Qayyim, Ibnu Hajar, Siddiq Hasan Khan dan yang lain.

Tidak ada bukti yang menunjukkan mubahalah adalah khusus untuk Nabi S.A.W. sahaja. Bahkan mubahalah adalah suatu perkara yang dibenarkan kepada umat Baginda S.A.W. sehinggalah berlakunya kiamat. Ia juga tidak dikhususkan bersama Ahli Kitab sahaja, sebaliknya terhadap setiap golongan yang berselisih. Majlis Fatwa Tetap Arab Saudi di dalam salah satu fatwanya menyebut:

ليست المباهلة خاصة بالرسول صلى الله عليه وسلم مع النصارى ، بل حكمها عام له ولأمته مع النصارى وغيرهم ، لأن الأصل في التشريع العموم ، وإن كان الذي وقع منها في زمنه صلى الله عليه وسلم في طلبه المباهلة من نصارى، فهذه جزئية تطبيقية لمعنى الآية لا تدل على حصر الحكـم فيها

“Mubahalah bukanlah dikhususkan kepada Rasulullah S.A.W. bersama Nasara sahaja, akan tetapi ianya umum kepada Baginda dan kepada umat Baginda sama ada bersama Nasara atau lainnya. Ini kerana asal dalam pensyariatan hukum, hukum itu umum (untuk semua, bukan khusus untuk Nabi), sekalipun mubahalah yang berlaku di zaman Nabi S.A.W. antara baginda dan Nasara Najran. Ini hanyalah sebahagian perlaksanaannya terhadap makna ayat (al-Quran), bukan menunjukkan terhad kepada hukum dalam keadaan itu sahaja.” (Bil. Fatwa: 6238)

Al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah menyebut antara pengajaran dari kisah cabaran Mubahalah antara Nabi S.A.W. dengan Nasara Najran ialah:

أن السُّنَّة في مجادلة أهل الباطل إذا قامت عليهم حجة الله، ولم يرجعوا بل أصروا على العناد أن يدعوهم إلى المباهلة، وقد أمر الله ـ سبحانه ـ بذلك رسوله، ولم يقل: إن ذلك ليس لأمتك من بعدك, ودعا إليه ابن عمه عبد الله بن عباس لمن أنكر عليه بعض مسائل الفروع، ولم ينكر عليه الصحابة، ودعا إليه الأوزاعي سفيان الثوري في مسألة رفع اليدين ولم ينكر ذلك عليه، وهذا من تمام الحجة

“Bahawa menjadi sunnah dalam berdebat dengan ahli kebatilan, apabila telah ditegakkan hujah namun mereka enggan kembali kepada kebenaran sebaliknya terus berdegil, maka diseru mereka agar bermubahalah. Allah telah memerintahkan rasul-Nya berbuat demikian. Tanpa Allah menyatakan ini bukan untuk umatmu selepas ini. Sepupu baginda Abd Allah bin ‘Abbas juga pernah mengajak mereka yang membantah dalam beberapa perkara furu’ bermubahalah dengannya. Tiada seorang sahabat Nabi SAW yang membantah tindakan itu. Juga al-Auza‘i pernah mengajak Sufyan al-Thauri bermubahalah dalam masalah ‘mengangkat tangan’ tanpa ada yang membantah tindakannya. Ini adalah hujah yang kuat”
(Ibn Qayyim, Zad al-Ma‘ad 3/562-563)

 

فَنَجعَل لَّعنَتَ اللَّهِ عَلَى الكٰذِبينَ

serta kita meminta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang berdusta”.

Akhir sekali, doa supaya Allah laknat siapa yang salah. Biar nampak mana pihak yang salah di hadapan mata kita terus. Biar Allah buat sesuatu supaya nampak manakah pihak yang benar. Antaranya, Allah akan matikan pihak yang salah itu.

Sila perhatikan doa ini, ia bukanlah melaknat pihak lawan, tapi doa laknat ke atas orang yang menipu (عَلَى الكٰذِبينَ). Jadi kalau tidak menipu, maka tidak perlu takut. Maka kalau tidak berani bermubahalah, ini bermakna orang itu memang ada niat menipu. Jadi ia boleh digunakan untuk menutup mulut orang yang berdebat dengan kita. Kalau teruk sangat penipuannya, maka kita boleh gunakan konsep mubahalah ini untuk mendiamkan mulutnya.

Mubahalah ini tidak terjadi pada zaman Nabi itu. Pihak Kristian dari Najran itu tidak berani kerana mereka pun takut juga. Ketua mereka kata, kalau Rasulullah itu benar Nabi, tentu apa sahaja doa baginda akan makbul. Ini disebut di dalam hadis,

عَنْ حُذَيْفَةَ قَالَ جَاءَ الْعَاقِبُ وَالسَّيِّدُ صَاحِبَا نَجْرَانَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُرِيدَانِ أَنْ يُلَاعِنَاهُ قَالَ فَقَالَ أَحَدُهُمَا لِصَاحِبِهِ لَا تَفْعَلْ فَوَاللَّهِ لَئِنْ كَانَ نَبِيًّا فَلَاعَنَّا لَا نُفْلِحُ نَحْنُ وَلَا عَقِبُنَا مِنْ بَعْدِنَا قَالَا إِنَّا نُعْطِيكَ مَا سَأَلْتَنَا وَابْعَثْ مَعَنَا رَجُلًا أَمِينًا وَلَا تَبْعَثْ مَعَنَا إِلَّا أَمِينًا فَقَالَ لَأَبْعَثَنَّ مَعَكُمْ رَجُلًا أَمِينًا حَقَّ أَمِينٍ فَاسْتَشْرَفَ لَهُ أَصْحَابُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ قُمْ يَا أَبَا عُبَيْدَةَ بْنَ الْجَرَّاحِ فَلَمَّا قَامَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ هَذَا أَمِينُ هَذِهِ الْأُمَّةِ
Dari [Hudzaifah] dia berkata; al-Aqib dan al-Sayid dari Najran mendatangi Nabi صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ untuk melaknat baginda, Hudzaifah berkata; salah satu dari mereka berkata kepada temannya; ‘Jangan kamu lakukan, Demi Allah, Seandainya dia benar seorang Nabi maka dia yang akan melaknat kita, hingga kita tidak akan pernah beruntung dan tidak punya keturunan lagi setelah kita. Kemudian keduanya berkata: wahai Rasulullah! Kami akan memberikan apa yang engkau minta kepada kami. Oleh kerana itu utuslah orang kepercayaan engkau kepada kami. Dan jangan sekali-kali engkau mengutus kecuali memang orang itu sangat terpercaya. Maka Nabi SAW bersabda: “Aku akan mengutus orang kepercayaan yang sebenar-benarnya.” Maka para sahabat merasa ingin tahu dan menunggu-nunggu orang yang dimaksudkan oleh Rasulullah itu. Lalu Rasulullah SAW bersabda: ‘Berdirilah wahai Abu Ubaidah bin Jarrah! ‘ setelah Abu Ubaidah bin Jarrah berdiri, Rasulullah SAW bersabda: ‘Dialah orang kepercayaan umat ini.
Sahih Bukhari (4029)

Al-Hafidz Ibnu Katsir menyebutkan keterangan dari Ibnu Ishaq dalam sirahnya, bahawa suatu ketika kota Madinah kedatangan tamu orang-orang Nasrani dari daerah Najran. Di antara mereka ada 14 orang yang merupakan pemuka dan tokoh agama di Najran. Dari 14 orang itu, ada 3 orang yang menjadi tokoh utama mereka: Aqib, gelarannya Abdul Masih. Dia pemuka kaum, yang memutuskan hasil musyawarah masyarakat. As-Sayid, dia pemimpin rombongan. Nama aslinya al-Aiham. Dan yang ketiga Abul Haritsah bin Alqamah. Dulunya orang Arab, kemudian pindah ke Najran dan menjadi uskup di sana.

Ketika mereka sampai di Madinah, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam sedang melaksanakan salat asar. Mereka kemudian masuk masjid dan shalat dengan menghadap ke timur. As-Sayid dan Aqib menjadi jurucakap mereka di hadapan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam.

“Kalian mahu masuk islam?” tanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam. “Kami telah masuk islam sebelum kamu.” Jawab mereka. “Dusta, kalian bukan orang islam disebabkan: kalian menganggap Allah punya anak, kalian menyembah salib, dan makan babi.” Jawab Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam.

“Jika Isa bukan anak Allah, lalu siapa ayahnya?” Serombongan orang-orang Nasrani itu pun serentak mendebat Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam dengan pertanyaan itu. Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam dengan tenang menjawab, “Bukankah kalian tahu yang namanya anak, pasti punya kemiripan dengan bapa?” “Ya, tentu.” Jawab mereka. “Bukankah kalian yakin, Allah yang mewujudkan segala sesuatu, menjaganya dan memberi rezeki mereka?” “Ya, kami yakin itu.” Jawab mereka.

“Apakah Isa punya salah satu dari kemampuan tuhan itu?” “Tidak.” Jawab mereka. Baginda melanjutkan sabdanya, “Allah menciptakan Isa di dalam rahim sesuai yang Dia kehendaki. Tuhan kita tidak memerlukan makan, minum, dan tidak berhadas.” “Ya, benar.” Jawab mereka. “Bukankah Isa tumbuh di rahim ibunya sebagaimana para wanita mengalami hamil, kemudian dia melahirkan sebagaimana para wanita melahirkan anaknya?” “Lalu bagaimana mungkin kalian menyakini dia anak tuhan?” Kemudian mereka terdiam dan Allah menurunkan ayat di atas. (Tafsir Ibnu Katsir, 2/50).

Sebahagian ulama menyebut bahawa kesan daripada mubahalah akan menimpa atas salah seorang daripada dua pihak yang bermubahalah itu dalam tempoh masa yang singkat, tidak sampai dua bulan. Ada yang mengatakan dalam tempoh setahun. Walau bagaimanapun, memandangkan tiada apa yang sabit daripada Nabi ﷺ dalam hal ini maka selayaknya tidak ditetapkan sebarang tempoh masa kerana kesannya barangkali akan tampak segera, selepas dua bulan, selepas setahun atau barangkali di akhirat, bukan di dunia.

Ibn Hajar al-‘Asqallani berkata: “Berdasarkan pengalaman, sesiapa yang bermubahalah sedangkan dia berbohong, dia tidak akan dibiarkan lebih dari satu tahun dari hari mubahalah. Telah berlaku mubahalah antara ku dengan seorang taasub kepada golongan Mulhid, dia tidak dibiarkan selepas mubahalah itu melainkan dua bulan.”

Seorang ulama India, al-Syeikh Abi al-Wafa’ Thana’ al-Amritsari (الشيخ أبوالوفا ثناء الأمرتسري) telah melakukan mubahalah dengan Mirza Ghulam Ahmad al-Qadyani yang mendakwa dirinya seorang Nabi. Lalu Allah S.W.T. membinasakan Mirza Ghulam Ahmad selepas setahun dari hari mubahalahnya. Manakala al-Syeikh Abi al-Wafa’ terus dipanjangkan umurnya hampir 40 tahun selepasnya. (Sila lihat al-Qadyaniyyah Dirasaat wa Tahlil oleh Ustaz Ihsan Ilahi Zahir)

Memandangkan kesan daripada mubahalah sangat serius maka selayaknya ia tidak dipandang ringan atau diambil mudah. Sebaiknya ia hanya digunakan sebagai jalan terakhir bagi merealisasikan maslahat atau menolak mudarat. Ini kerana tujuan utama mubahalah ialah untuk mengenal pasti antara pihak mana yang berkata benar dengan pihak yang berkata dusta di samping ditegakkan hujah atas lawan.

Jadi di dalam zaman sekarang adakah keperluan untuk bermubahalah? Ya tentu sekali. Di zaman manusia menggunakan segala media dan cara untuk menolak kebenaran, mereka boleh disenyapkan dengan cara mubahalah ini. Ia adalah sunnah, maka mana mungkin kita mengutuk orang yang mengajak kepada mubahalah? Cuma memanglah digunakan untuk perkara yang besar-besar sahaja. Akan tetapi kalau kita perhatikan sekarang, banyaknya penipuan yang dilakukan terhadap golongan Sunnah, maka mubahalah ini boleh digunakan.


 

Ali Imran Ayat 62:

إِنَّ هَٰذَا لَهُوَ الْقَصَصُ الْحَقُّ وَمَا مِنْ إِلَٰهٍ إِلَّا اللَّهُ وَإِنَّ اللَّهَ لَهُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ

SAHIH INTERNATIONAL

Indeed, this is the true narration. And there is no deity except Allah . And indeed, Allah is the Exalted in Might, the Wise.

MALAY

Sesungguhnya ini ialah kisah-kisah yang benar; dan tiadalah Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah; dan (ingatlah), sesungguhnya Allah, Dia lah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

 

إِنَّ هَٰذَا لَهُوَ الْقَصَصُ الْحَقُّ

Sesungguhnya ini ialah kisah-kisah yang benar;

Segala cerita yang telah disampaikan sebelum ini adalah kisah benar tentang Nabi Isa. Kesimpulan yang boleh diambil adalah: Mereka itu semua hamba Allah yang mulia. Tapi tidak layak untuk dipuja sebagai ilah.

 

وَمَا مِنْ إِلَٰهٍ إِلَّا اللَّهُ

dan tiadalah ilah melainkan Allah; 

Allah tekankan sekali lagi bahawa Ilah hanya Allah sahaja. Perbincangan tentang ilah boleh baca di sini. Kenalah faham tentang ilah dahulu barulah boleh kemas dalam beragama.

Maka Nabi Isa bukan ilah, ibunya bukan ilah, Nabi Uzair bukan ilah. Tidak ada selain Allah yang boleh menjadi ilah.

 

وَإِنَّ اللَّهَ لَهُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ

sesungguhnya Allah, Dia lah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Allah Maha Gagah. Allah boleh nak azab hambaNya pada bila-bila masa. Cuma Allah juga Maha Bijaksana, menangguhkan azab memberi peluang untuk hamba bertaubat. Kalau Allah tak tangguhkan azab, entah tidaklah ada manusia yang masih hidup di dunia ini kerana semuanya berdosa belaka.


 

Ali Imran Ayat 63:

فَإِن تَوَلَّوْا فَإِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ بِالْمُفْسِدِينَ

SAHIH INTERNATIONAL

But if they turn away, then indeed – Allah is Knowing of the corrupters.

MALAY

Maka kalau mereka berpaling (enggan menurut), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan orang-orang yang berbuat kerosakan.

 

فَإِن تَوَلَّوْا

Kemudian kalau mereka berpaling

Ini pula jikalau yang menolak kebenaran itu masih berpaling, masih tidak mahu menerima kebenaran walaupun telah diberikan dengan berbagai dalil. Kita telah lakukan usaha untuk menyampaikan kebenaran kepada mereka, tapi tentu akan ada sahaja yang tetap menentang. Lalu bagaimana kalau begitu?

 

فَإِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ بِالْمُفْسِدِينَ

maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan orang-orang yang berbuat kerosakan.

Kepada mereka yang berpaling, Allah akan bertindak kepada golongan yang buat kerosakan. Mereka sebabkan kerosakan kerana mereka yang sampaikan ajaran yang salah kepada manusia. Kita tidak boleh berbuat apa-apa kerana ia bukan di dalam bidang kuasa kita. Hidayah milik Allah dan diberikan kepada sesiapa yang dikehendakiNya.

Sekian Ruku’ 6 dari 20 ruku’ surah ini

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 5 Ogos 2024

Ringkasan Surah Ali Imran


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir al-Azhar – Hamka