Tafsir Surah Baqarah Ayat 40 (Pengenalan kepada Yahudi)

Pengenalan kepada topik yang baru:

Bermula ayat 40 Surah Baqarah hingga ke hujung Juzuk Pertama, adalah berkenaan orang Yahudi. Maka ayat ini dan seterusnya adalah khitab (ditujukan) kepada Bani Israil. Kalimah ‘Israil’ bermaksud ‘hamba Allah’. Israil juga adalah nama gelaran bagi Nabi Yaakob عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, maka mereka ini adalah keturunan baginda. Mereka ini bukanlah berasal dari tanah Arab tetapi mereka yang berpindah ke Madinah (Yathrib nama lamanya). Mereka ini juga adalah umat Nabi Muhammad ﷺ maka Rasulullah ﷺ disuruh untuk berdakwah kepada mereka juga. Sebelum ini khitab secara umum kepada manusia. Ayat 40 – 141 adalah Perenggan Makro Kedua surah ini. Ia menceritakan kedegilan dan kesombongan Yahudi. Memang panjang kisah tentang mereka.

Mereka ini mendapat khitab yang khusus kerana mereka adalah golongan yang dikurniakan kitab wahyu. Mereka ini tidak sama dengan Musyrikin Mekah yang tidak mempunyai kitab wahyu langsung. Memang terdapat lagi bangsa lain yang mendapat kitab wahyu tetapi yang paling masyhur adalah Bani Israil. Mereka mendapat Kitab Taurat, Zabur dan Injil. Memang mereka mendapat banyak kitab berbanding dengan golongan lain. Yang bangsa lain ada juga mendapat kitab tetapi tidak masyhur. Akan tetapi, walaupun mereka mendapat kitab wahyu, masalahnya mereka sendiri tidak mengikut kitab itu. Majoriti daripada golongan mereka yang tidak mengikut ajaran di dalam kitab.

Maka Allah ‎ﷻ ingin mengingatkan kita supaya jangan jadi seperti mereka. Ini kerana kita pun ada kitab Al-Qur’an tetapi tidak mengikut ajaran di dalamnya juga, bukan? Oleh itu, jangan buat malu – masyhur sahaja umat Islam ada Al-Qur’an tetapi tidak digunakan pun. Tahu baca sahaja tetapi tidak tahu apa yang Allah ‎ ﷻ sampaikan dalam Al-Qur’an itu. Maka kita ini sama sahaja dengan orang-orang Yahudi itu.

Teguran ini adalah untuk orang Yahudi dan para pendeta mereka. Ia berkenaan soalan yang mereka tanya kepada Nabi ﷺ dan jawapan kepada mereka. Ayat-ayat ini hendak memperkenalkan kita kepada sifat-sifat orang Yahudi. Ini kerana ditakuti kita juga ada memiliki sifat-sifat mereka itu.

Allah ﷻ menceritakan tentang mereka supaya kita boleh mengambil pengajaran melalui kisah mereka. Bukan hanya suka-suka sahaja Allah ﷻ menceritakan perihal tentang mereka. Bukanlah tujuan kita belajar tentang mereka itu hanya untuk menunjukkan kepada kita betapa teruknya perangai mereka sahaja. Akan tetapi kerana Allah ﷻ ingin memberitahu kita yang kadang-kadang kita pun ada sifat Yahudi.

Kenalah berlapang dada jikalau diberitahu kita ada sifat-sifat Yahudi. Jangan kita salahkan ayat-ayat Al-Qur’an ini dan tafsir ini pula. Ini kerana mungkin dalam kita belajar tafsir ini, ada antara sifat-sifat itu yang sama dengan kita. Atau mungkin ada antara guru kita yang memiliki sifat para pendeta Yahudi juga. Maka, kalau begitu, kenalah kita berhati-hati dengan guru-guru seperti itu dan meninggalkan mereka kerana kalau kita terus mengikuti mereka, nanti kita sendiri yang akan rugi.

Oleh yang demikian, ayat-ayat ini mulanya diberikan kepada golongan Ahli Kitab. Lebih-lebih kepada mereka yang tinggal di sekitar kota Madinah bersama dengan Nabi Muhammad ﷺ. Mereka sebenarnya adalah penghalang besar kepada dakwah Islam. Oleh itu, harus dijelaskan dengan sejelas-jelasnya tentang mereka.

Untuk memahami ayat-ayat ini, kita kena faham sejarah pada waktu itu. Orang Arab Madinah sebenarnya sebelum memeluk Islam, mereka sudah mempunyai guru yang menjadi tempat rujukan mereka, iaitu golongan Yahudi. Puak-puak Yahudi itu bukan sahaja guru mereka dalam hal-hal agama, malah puak-puak Yahudi itu juga adalah majikan mereka. Dari segi ekonomi, masyarakat Arab banyak bergantung kepada golongan Yahudi itu. Malah mereka banyak berhutang dengan puak-puak Yahudi itu. Puak-puak Yahudi itu bukan sahaja kaya tetapi mereka juga mempunyai ilmu agama. Mereka adalah golongan yang ada kitab wahyu daripada Allah ﷻ. Orang Arab selalu bertanya kepada golongan Yahudi tentang ilmu-ilmu agama.

Kesimpulannya, orang Arab kebanyakannya jahil dan miskin walaupun mereka adalah majoriti penduduk Yathrib (nama Madinah sebelum ditukar oleh Nabi Muhammad ﷺ). Oleh sebab itu, Yahudi sangat berpengaruh di Madinah dan amat dipandang tinggi oleh golongan Arab Madinah.

Orang Arab Madinah terdiri daripada banyak puak dan selalu berperang sesama mereka. Puak yang utama adalah Aus dan Khazraj. Kedua-dua puak ini mempunyai hubungan dengan Puak Yahudi yang berlainan. Puak Aus berkawan dengan Yahudi Bani Quraizah, sementara Puak Khazraj pula berhubungan dengan puak Bani Nadhir.

Puak-puak Yahudi itu menjadi penaung kepada puak Arab masing-masing. Maka apabila puak Arab itu berbalah dan berperang, maka puak Yahudi Quraizah dan Nadhir pun ikut bermusuhan sesama mereka sampai kepada tahap berbunuhan sesama Yahudi. Ini semua berlaku sebelum kedatangan Nabi ﷺ lagi.

Apabila puak-puak Arab itu sudah ada penaung dan majikan (golongan Yahudi), maka apabila datang orang luar, mereka susah untuk menerima orang luar. Mereka lebih mempercayai puak Yahudi yang telah lama menjadi tempat rujukan mereka. Jika didengar sesuatu yang tidak biasa mereka dengar, mereka akan rujuk tok guru mereka dalam kalangan Yahudi.

Yahudi itu pun bukannya mengikut amalan agama mereka pun. Kalau amalan yang susah dan payah pada fikiran mereka, mereka akan mengubahsuai agar menjadi mudah untuk mereka. Sekiranya kitab mereka sendiri pun mereka susah untuk amalkan, apatah lagi kitab lain yang diturunkan kepada Nabi selain daripada bani Israil. Apatah lagi jika kitab itu pula memperkatakan perkara yang melawan hawa nafsu mereka, maka sudah tentulah mereka akan tolak, kerana mereka tidak suka.

Maka apabila ditanyakan kepada puak Yahudi itu tentang ayat-ayat Al-Qur’an, mereka akan tafsir mengikut hawa nafsu mereka. Sebab itulah orang Arab itu akan ragu-ragu untuk menerima ajaran Nabi Muhammad ﷺ setelah mendengar apa yang disampaikan oleh orang-orang Yahudi itu. Jikalau tidak diceritakan dan dijelaskan perangai Yahudi sebenar, susahlah untuk orang Arab hendak menerima ajaran agama Islam semua sekali.

Ayat-ayat tentang perangai Yahudi ini diturunkan awal-awal lagi semasa Nabi ﷺ baru tiba di Madinah. Ini adalah supaya masyarakat Arab Madinah boleh mengenali sifat mereka seperti suka menipu, tamak, suka menukar teks agama, dan lain-lain kesalahan dan keburukan orang Yahudi yang selama ini mereka jadikan sebagai tempat rujuk mereka. Mereka juga adalah golongan yang paling kuat makan riba kerana mereka yang paling kuat mengamalkan sistem riba. Ini semua akan diterangkan di dalam Surah Baqarah ini nanti. Tujuan Allah ﷻ memberitahu kita tentang mereka adalah supaya orang Islam tidak bergantung dan percaya kepada golongan Yahudi lagi. Ia juga bertujuan agar mereka menerima Islam sepenuhnya 100%. Diterangkan segala kesalahan mereka supaya mereka sedar.

Al-Qur’an bukan hendak menceritakan tentang Yahudi itu sahaja. Mungkin ada bangsa lain yang berperangai Yahudi. Dalam kalangan kita pun ada yang berperangai begitu. Kita jangan lupa yang ada dalam kalangan orang-orang Yahudi itu yang baik seperti Abdullah bin Salam dan lain-lain lagi. Ada segelintir golongan Yahudi yang jujur dan mereka telah memeluk Islam. Namun majoriti daripada mereka yang tidak. Yang Allah ﷻ hendak tekankan dan kutuk adalah perangai buruk mereka supaya kita boleh jadikan sebagai sempadan (jangan diikuti).

Oleh sebab itu, mereka yang baru hendak belajar agama dan mengenal Sunnah, kenalah belajar Surah Baqarah ini agar boleh mengenali golongan Muslim dan agamawan Muslim yang berperangai seperti golongan Yahudi juga. Ini kerana merekalah yang menjadi rujukan orang kita sebelum ini, bukan? Maka apabila ada gerakan Sunnah, mereka tidak suka kerana ini dapat menggugat kedudukan mereka.

Allah ﷻ juga menyebut tentang golongan munafikin dalam Surah Baqarah ini kerana ada golongan munafikin dalam bangsa Yahudi juga. Pecahan pembahagian sifat-sifat golongan Yahudi yang akan disampaikan dalam ayat-ayat seterusnya ini:

1. Golongan pertama disebut dalam ayat 40 — 62. Iaitu golongan Yahudi yang hidup pada zaman Rasulullah ﷺ di Madinah.
2. Golongan kedua disebut dalam ayat 63 — 74. Iaitu golongan Yahudi yang terdahulu.
3. Golongan ketiga disebut dalam ayat 75 — 85.
4. Golongan keempat dalam ayat 86.
5. Golongan kelima disebut dalam 87 — 88.
6. Golongan keenam disebut dalam 89 — 91.
7. Golongan ketujuh disebut dalam 92 — 93.

Dalam ayat 94 — 123 disebut tentang kesamaran-kesamaran dan teguran Allah ﷻ tentang Yahudi.

Manakala dalam ayat 124, Allah ﷻ menceritakan tentang asas umat Nabi Muhammad ﷺ. Asasnya adalah millah Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan bukannya Islam itu asasnya daripada agama Yahudi. Umat Nabi Muhammad ﷺ ini lahir daripada doa Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Dalam keturunan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, ada anaknya yang bernama Nabi Ishak عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Daripada Nabi Ishak عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ lah datangnya keturunan Bani Israil. Akan tetapi susur galur umat Islam pada akhir zaman ini adalah daripada doa Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Maka, tahulah bangsa Arab bahawa mereka pun berketurunan Nabi juga. Jika sebelumnya itu mereka memang sangka mereka golongan kerdil, maka tidaklah lagi mereka berasa rendah diri. Allah ‎ﷻ ingin memberitahu bangsa Arab yang mereka jangan berasa yang bangsa Yahudi itu sahaja yang hebat.

Sekiranya bangsa Arab pun menjalankan tugas agama, menjaga agama, mengisikan diri dengan wahyu, mereka boleh menjadi lebih hebat lagi daripada bangsa Yahudi. Ini kerana mereka bangsa Arab telah dipilih untuk menjadi pengikut Nabi akhir zaman. Allah ﷻ ‎hendak memberikan kesedaran kepada mereka tentang perkara itu. Allah ﷻ telah memilih mereka sebagai sahabat yang mulia kerana mereka majoriti dalam kalangan sahabat Nabi ﷺ.

Sampaikan kepada sesiapa sahaja agama ini termasuklah golongan Yahudi (dan yang berperangai seperti Yahudi), dan mereka hendaklah mengikut Nabi ﷺ yang berketurunan bangsa Arab. Begitu juga para sahabat yang berbangsa Arab itu hendaklah dijadikan ikutan.


 

NASIHAT KEPADA BANI ISRAIL

Baqarah Ayat 40: Sekarang kita belajar jenis golongan Yahudi yang pertama. Ayat 40 – 46 adalah Seruan Tauhid dan syariat Nabi terakhir kepada Bani Israil, yang juga dipanggil: golongan Ahli Kitab. Mereka dijemput untuk beriman dengan Nabi Muhammad ﷺ dan masuk ke dalam agama Islam yang murni.

يٰبنيٓ إِسرٰءيلَ اذكُروا نِعمَتِيَ الَّتي أَنعَمتُ عَلَيكُم وَأَوفوا بِعَهديٓ أوفِ بِعَهدِكُم وَإِيّٰيَ فَارهَبونِ

Sahih International

O Children of Israel, remember My favor which I have bestowed upon you and fulfill My covenant [upon you] that I will fulfill your covenant [from Me], and be afraid of [only] Me.

Malay

Wahai Bani Israil! Kenangkanlah kamu akan segala nikmat yang telah Kuberikan kepada kamu, dan sempurnakanlah perjanjian (kamu) denganKu, supaya Aku sempurnakan perjanjianKu dengan kamu; dan kepada Akulah sahaja hendaklah kamu merasa gerun takut, (bukan kepada sesuatu yang lain).

 

يٰبَنِي إِسْرٰءيلَ

Wahai Bani Israil;

Sekarang Allah ﷻ hendak memberi contoh kepada kita tentang golongan yang tidak mengikut hidayah agama iaitu Bani Israil. Mereka ini telah mendapat agama sebelum kita. Akan tetapi mereka telah meninggalkan agama mereka yang sebenar dan reka agama yang baru dan berlainan dengan kehendak Allah ﷻ. Maka kita kena jadikan mereka sebagai pengajaran buat kita.

Dalam ayat ini, Allah ﷻ sedang bercakap dengan Bani Israil yang sedang bersama dengan Nabi Muhammad ﷺ. Allah ﷻ gunakan gelaran yang baik untuk mereka iaitu ‘anak-anak Israil’. Ayat ini berbentuk pujukan kepada Ahli Kitab untuk kembali kepada syariat. Dalam bahasa Yahudi, ‘isra’ bermaksud hamba dan ‘il’ bermaksud Allah ﷻ. Maka, perkataan ‘Israil’, maksudnya ‘Hamba Allah’. Ini seperti yang diberitahu oleh Ibn Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا. Israil ini juga adalah gelaran (laqab) bagi Nabi Yaakob عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Daripada anaknya yang 12 orang itulah yang menjadi Bani Israil (Anak-anak Israil) kepada 12 puak. Allah ﷻ tidak panggil mereka ‘anak-anak Yaakob’ kerana Allah ﷻ hendak mengingatkan tentang maksud Israil iaitu ‘hamba Allah’. Allah ﷻ hendak mengingatkan mereka dan memberi peluang kepada mereka untuk bertaubat di atas kesalahan-kesalahan mereka yang banyak.

Pertamanya, Allah ﷻ mengingatkan mereka tentang nikmat yang mereka telah perolehi. Allah ﷻ menyeru mereka dengan bahasa manja, sebab ingin memujuk mereka kembali ke pangkal jalan. Allah ﷻ kaitkan mereka dengan keturunan mereka dalam nisbah agama (kaitkan dengan agama mereka). Ini adalah bertujuan untuk melembutkan hati mereka. Sepertimana kalau kita hendak memujuk anak cucu Tok Kenali yang mengamalkan ajaran jauh daripada agama, maka kita panggil mereka: “wahai anak cucu Tok Kenali…”

Ini adalah Yahudi jenis yang pertama. Ayat ini adalah titah yang khusus kepada Bani Israil. Terdapat dua jenis Bani Israil: yang awam dan yang ada ilmu (pendeta). Kalau disebut dalam Al-Qur’an ‘Ahlul Kitab’, ia merangkumi semua orang, sama ada yang berilmu atau yang jahil. Akan tetapi, kalau dalam ayat itu menyebut ‘mereka yang diberikan kitab’, ini khusus merujuk kepada ulama’ dalam kalangan Yahudi.

 

اذكُروا نِعمَتِيَ الَّتي أَنعَمتُ عَلَيكُم

Ingatlah nikmat-nikmat-Ku yang Aku telah berikan kepada kamu;

Allah ﷻ hendak mengingatkan mereka semula dengan segala nikmat rohani dan nikmat jasmani yang Allah ﷻ telah berikan kepada mereka. Ada ramai dalam kalangan mereka yang Allah ﷻ jadikan Nabi (nikmat rohani) dan ramai juga yang telah menjadi pemimpin yang kaya raya (nikmat jasmani). Maka Allah ﷻ hendak kenangkan nikmat-nikmat itu kepada mereka.

Allah ﷻ mengingatkan Bani Israil di zaman Nabi Muhammad ﷺ tentang nikmat-nikmat yang pernah diberikan kepada mereka. Tidak disebut apakah nikmat itu kerana kalimah نِعمَتِيَ di dalam bentuk nakirah (umum) maka ia boleh mencakupi banyak sekali nikmat. Ia boleh jadi apa sahaja yang positif yang mereka dapat. Banyak juga yang disebut dalam Al-Qur’an sebagai contoh: mereka diselamatkan daripada cengkaman Firaun; mereka diberi makan manna dan salwa; dan macam-macam lagi. Ini nanti akan disebut dalam ayat-ayat selepas ini.

Tentunya nikmat yang terbesar adalah nikmat agama. Allah ﷻ mengingatkan yang mereka telah diberikan dengan agama Tauhid sebelum ini. Dalil nikmat terbesar adalah nikmat agama seperti yang disebut di dalam Ali Imran: 103

وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِ إِخْوٰنًا وَكُنتُمْ عَلَىٰ شَفَا حُفْرَةٍ مِّنَ النَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنْهَا
dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga).

Begitulah cara berdakwah yang diajar Allah ﷻ dalam ayat-ayat ini. Mulakan dengan mengingatkan manusia tentang nikmat-nikmat yang mereka telah dapat. Kena ingatkan mereka untuk kenang jasa – maka kenanglah jasa Allah ﷻ dalam beri nikmat kepada mereka, maka kenalah taat kepada Allah ﷻ. Penekanan tentang nikmat itu daripada Allah ﷻ adalah di dalam kalimah نِعمَتِيَ (nikmat-Ku). Allah ﷻ yang beri nikmat itu, bukan kerana hasil usaha mereka.

Dalam Surah Al-Fatihah, kita telah meminta supaya diberikan ‘nikmat’. Maka Allah ﷻ hendak berkata dalam ayat ini bahawa Bani Israil ini sudah mendapat nikmat itu dahulu. Namun apakah mereka telah buat dengan nikmat yang mereka ada itu? Adakah mereka mengikut perintah Allah ﷻ selepas itu?

Kita pun sekarang sedang mendapat nikmat daripada Allah ﷻ. Sebagaimana Bani Israil telah mendapat agama dan Kitab Taurat, kita umat Nabi Muhammad ﷺ juga telah mendapat agama dan kitab Al-Qur’an. Akan tetapi seandainya kita bertindak terhadap Al-Qur’an itu sama sahaja seperti mereka itu bertindak terhadap Taurat, maka kita pun boleh jadi seperti mereka juga nanti. Maka, kenalah kita beringat dan berjaga-jaga dengan nikmat (dunia dan akhirat) yang Allah ‎ ﷻ telah berikan kepada kita ini.

 

وَأَوْفُوا بِعَهْدِي

dan penuhilah janji kamu dengan-Ku,

Setelah banyak nikmat yang mereka dapat, maka wajarlah mereka memenuhi janji-janji mereka dengan Allah ﷻ. Digunakan kalimah ahdu dalam ayat ini kerana memang ada dalam Kitab Taurat maka digunakan lafaz yang sama. Yang tahu hal ini hanyalah golongan pemuka agama mereka yang mereka sorok maklumat itu daripada orang awam. Allah ﷻ menggunakan bahasa yang mereka sepatutnya sudah biasa. Kalau pemuka agama sahaja yang tahu, maka ini adalah mukjizat Al-Qur’an kerana tidak mungkin Nabi Muhammad ﷺ boleh tahu perkara itu kalau bukan Allah ﷻ yang beritahu sedangkan Nabi Muhammad ﷺ tidak tahu membaca dan tidak pernah membaca kitab-kitab mereka.

Mengikut Mujahid رَحِمَهُ اللَّهُ dan Qatadah رَحِمَهُ اللَّهُ, perjanjian itu diulang semula di dalam Maidah: 12

وَلَقَدْ أَخَذَ اللهُ مِيثٰقَ بَنِي إِسْرَائِيلَ وَبَعَثْنَا مِنْهُمُ اثْنَيْ عَشَرَ نَقِيبًا وَقَالَ اللهُ إِنِّي مَعَكُمْ لَئِنْ أَقَمْتُمُ الصَّلَوٰةَ وَآتَيْتُمُ الزَّكَوٰةَ وَءآمَنتُم بِرُسُلِي وَعَزَّرْتُمُوهُمْ وَأَقْرَضْتُمُ اللهَ قَرْضًا حَسَنًا لَّأُكَفِّرَنَّ عَنكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَلَأُدْخِلَنَّكُمْ جَنّٰتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهٰرُ
Dan sesungguhnya Allah telah mengambil perjanjian (daripada) Bani Israil dan telah Kami angkat di antara mereka 12 orang pemimpin dan Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku berserta kamu, sesungguhnya jika kamu mendirikan solat dan menunaikan zakat serta beriman kepada rasul-rasul-Ku dan kamu bantu mereka dan kamu pinjamkan kepada Allah pinjaman yang baik sesungguhnya Aku akan menutupi dosa-dosamu. Dan sesungguhnya kamu akan Ku-masukkan ke dalam syurga yang mengalir air di dalamnya sungai-sungai.

Di dalam ayat ini, mesej utama tentang perjanjian itu adalah beriman dan mengikut Rasulullah ﷺ. Selain itu, mereka hendaklah menunaikan janji untuk taat kepada hukum Allah ﷻ; lebih-lebih lagi, janji untuk mentauhidkan Allah ﷻ. Mereka sebenarnya mesti menggunakan semula hukum daripada kitab Taurat yang asli. Sekiranya dirujuk kembali kitab itu, memang ajaran yang ada adalah ajaran Tauhid. Meskipun kitab Taurat sudah tidak tulen lagi, namun janji itu masih bertemu, iaitu bahawa mereka tidak akan mempersekutukan yang lain dengan Allah ﷻ.

Antara lagi janji yang mereka mesti penuhi adalah janji untuk mengikut Nabi Akhir Zaman. Mereka sudah lama tahu tentang kedatangan Nabi Akhir Zaman itu. Mereka memang menunggu-nunggu kedatangan Nabi itu. Kerana itulah keturunan mereka dahulu berhijrah ke Yathrib kerana hendak menunggu Nabi Akhir Zaman itu. Mereka tahu melalui kitab mereka yang baginda akan datang ke situ. Maka bila Nabi sudah datang, hendaklah mereka taat dan mengikut baginda.

 

أُوفِ بِعَهْدِكُمْ

nescaya Aku akan memenuhi perjanjian-Ku dengan kamu;

Allah ﷻ ‎akan memenuhi perjanjian-Nya jikalau kita memenuhi janji kita dengan-Nya, antaranya Allah ﷻ akan mengampunkan mereka dan memasukkan mereka yang taat ke dalam Syurga. Ini seperti disebut di dalam Maidah: 12. Jikalau Bani Israil memenuhi janji mereka, maka Allah ﷻ akan memenuhi janji-Nya untuk mengekalkan nikmat kepada mereka.

 

وَإِيَّٰيَ فَارْهَبُونِ

Dan kepada Akulah sahaja hendaknya kamu merasa takut.

Allah ﷻ mengingatkan mereka bahawa hanya kepada Allah ﷻ sahaja mereka mesti takut. Kalimah فَارْهَبُونِ daripada katadasar ر ه ب yang bermaksud ‘takut’. Akan tetapi takut ada banyak jenis. Sila lihat Naaziat: 8 untuk penjelasan tentang jenis-jenis takut yang lain. Kalimah ر ه ب bermaksud ‘takut untuk mengecewakan seseorang’. Sebagai contoh, apabila ada orang yang kita hormati, maka kita takut untuk berbuat sesuatu yang boleh mengecewakan orang itu kerana kita menghormati dirinya. Sekiranya dengan manusia pun begitu, maka tentulah kena lebih-lebih lagi dengan Allah ﷻ.

Daripada kalimah ر ه ب inilah pendeta atau golongan agama mereka digelar sebagai ‘rahib’. Mereka diingatkan supaya takut kepada Allah ﷻ supaya mereka ikut mana yang benar. Telah berleluasa dan telah diketahui yang ajaran agama mereka adalah agama yang telah diubahsuai. Apabila ajaran yang telah digunakan oleh orang ramai bukan agama yang asal, maka orang yang hendak mengamalkan yang asal pula menjadi takut.

Sebagaimana yang berlaku sekarang juga, berleluasa ajaran dan amalan bid’ah, sampai yang hendak mengamalkan sunnah pula dituduh golongan Wahabi. Amalan bid’ah itu diamalkan oleh golongan yang dipanggil ustaz pula. Maka orang ramai pun menjadi keliru.

Oleh sebab itulah Allah ﷻ menyebut sebenarnya mereka mestilah takut dengan Allah ﷻ, bukan dengan orang lain. Biarlah orang kata apa pun, yang penting kena ikut ajaran yang asli. Jangan takut dengan manusia, tetapi takutlah dengan Allah ﷻ. Bagi golongan Bani Israil itu, mereka mestilah beriman sepenuhnya dengan Allah ﷻ dan Nabi Muhammad ﷺ, jangan takut apa kata ketua-ketua mereka, rabbi-rabbi mereka dan ahbar-ahbar mereka atau penganut agama Yahudi. Jangan disebabkan takut kepada manusia menyebabkan mereka tidak beriman.

Samalah juga dengan keadaan kita sekarang. Kena sedar bahawa banyak amalan masyarakat kita banyak yang bid’ah, bukan daripada ajaran asal Islam. Akan tetapi ia amat berleluasa sekali, sampaikan mereka yang hendak mengamalkan sunnah, kembali kepada ajaran Al-Qur’an dan sunnah pula yang susah untuk mengamalkannya. Orang-orang yang mengamalkan bid’ah itu pula yang memandang serong terhadap mereka yang hendak mengamalkan sunnah, manakala amalan sunnah pula yang kelihatan pelik sebab jarang diamalkan dalam masyarakat. Ramai dalam kalangan orang yang sudah mula berjinak dengan sunnah terpaksa mengamalkan sunnah dalam keadaan bersembunyi.

Namun begitu, Allah ﷻ mengingatkan jangan takut kepada mereka yang mengamalkan amalan salah. Malangnya ramai daripada golongan yang sudah belajar Sunnah pula takut untuk menegur orang-orang yang mengamalkan bid’ah, kerana risau dipandang serong dan dikutuk dan bermacam-macam lagi. Mereka takut disisih daripada keluarga dan masyarakat mereka. Mereka takut hendak tegur dan sebut kesalahan amalan-amalan bid’ah itu kerana bimbangkan tindakan buruk orang terhadap mereka.

Kepada mereka, kita ingatkan seperti dalam ayat ini, supaya jangan takut dengan apa yang orang lain kata, tetapi takut kepada Allah ﷻ. Apa yang hendak ditakutkan? Amalan Sunnah ada dalam Al-Qur’an dan Hadith. Amalan bid’ah pula datang dari mana? Itu semua amalan rekaan belaka. Maka kita yang lebih hebat daripada mereka. Mereka yang patutnya malu untuk mengamalkan bid’ah kerana dalil tidak ada, tetapi ambil daripada kata-kata rekaan manusia sahaja.

Mereka yang sepatutnya membuat amalan mereka sembunyi-sembunyi. Macam kebanyakan amalan tarekat sekarang. Memang amalan mereka rahsia belaka. Mereka amalkan secara pun sembunyi-sembunyi. Mereka memang kena buat begitu sebab memang amalan mereka karut dan kalau orang tengok pun pelik. Mereka pun malu sebenarnya dan kerana itu mereka kena amalkan secara rahsia sahaja. Mereka pun tahu yang mereka susah untuk pertahankan amalan mereka itu jika ditanya.

Mereka bukan terus dapat amalan itu. Hanya apabila sudah lama belajar baru diberi amalan-amalan karut yang tidak masuk akal. Kalau mula-mula masuk, mereka diberikan amalan biasa-biasa sahaja tetapi kalau sudah lama, guru pun nampak pelajarnya cukup bodoh (semua cerita dia percaya sahaja…) maka barulah diberi amalan yang kononnya rahsia itu.

Maka ingat, jangan takut dengan manusia tetapi takutlah dengan Allah ﷻ. Jangan takut untuk menyatakan kebenaran kerana kebenaran itu lebih penting daripada kata-kata manusia. Lalu, bagaimanakah caranya untuk takut dengan Allah ﷻ? Kena hilangkan rasa takut dengan selain Allah ﷻ seperti manusia lain, takut dengan kawan dan keluarga. Kena kenal Allah ﷻ supaya kita lebih takut kepada Allah ﷻ kerana Dia Tuhan kita. Kena sedar bahawa manusia ramai-ramai ini tidak boleh berbuat apa-apa pun. Maka, hendaklah kita mempelajari agama ini dengan lebih mendalam lagi agar iman lebih mantap dan apabila iman mantap, kata-kata manusia tidak memberi kesan lagi kepada kita.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 31 Julai 2024

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Nouman Ali Khan

Mualana Hadi

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Baqarah Ayat 38 – 39 (Ikut petunjuk wahyu untuk selamat)

Baqarah Ayat 38: Jikalau diikut susunan ayat sebelum ini, permohonan taubat Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah diterima. Akan tetapi baginda dan Hawwa’ tetap diturunkan ke bumi. Ini adalah kerana memang telah ditentukan yang mereka akan hidup dan berkembang biak di bumi.

قُلنَا اهبِطوا مِنها جَميعًا ۖ فَإِمّا يَأتِيَنَّكُم مِّنّي هُدًى فَمَن تَبِعَ هُدايَ فَلا خَوفٌ عَلَيهِم وَلا هُم يَحزَنونَ

Sahih International

We said, “Go down from it, all of you. And when guidance comes to you from Me, whoever follows My guidance – there will be no fear concerning them, nor will they grieve.

Malay

Kami berfirman lagi: “Turunlah kamu semuanya dari syurga itu! Kemudian jika datang kepada kamu petunjuk dariKu (melalui Rasul-rasul dan Kitab-kitab yang diturunkan kepada mereka), maka sesiapa yang mengikuti petunjukKu itu nescaya tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita”.

 

قُلْنَا اهْبِطُوا مِنْهَا

Kami berfirman: Turunlah kamu semua darinya (syurga);

Sebelum ini adalah titah secara ringkas. Ini adalah titah dengan lebih lengkap. Arahan turun kali kedua ini dalam bentuk yang lembut. Kali pertama adalah kerana Tuhan murka dengan Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Hawwa’ dan kali kedua ini dengan rahmah kerana disertakan pemberitahuan tentang hidayah supaya manusia mendapat pengajaran.

Dalam tafsir juga ada disebut antara tempat-tempat yang dikatakan tempat turunnya Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Hawwa’ itu seperti telah dibincangkan dalam ayat sebelum ini. Tiada riwayat yang sahih mengenainya maka fahamlah kita di manakah tempatnya itu tidaklah begitu penting untuk kita ketahui. Yang penting adalah pengajaran yang kita dapat melaluinya.

 

جَمِيعًا

semua sekali;

Maknanya, kamu dan isteri kamu dan zuriat-zuriat kamu sekali. Bukan iblis yang menggoda sahaja yang kena turun tetapi semua sekali dengan Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Hawwa’ dan seluruh keturunan mereka. Maka ini adalah salah satu bentuk arahan. Ada arahan yang diberikan oleh seorang kepada orang lain, yang orang itu belum buat lagi. Ini dinamakan amrun ijaadi.

Namun begitu ada arahan yang diberikan kepada orang yang memang dia sudah buat. Ini dinamakan amrun ibqa’ie. Maksudnya, kalau arahan jenis ini diberikan, maka ia adalah arahan untuk terus melakukan apa yang sedang dilakukan. Sebagaimana arahan dalam ayat ini, juga ditujukan kepada kita, di mana kita memang sudah duduk di dunia ini pun. Maksudnya, ‘teruslah duduk di dunia’.

Di sini Allah ‎ﷻ hendak memberitahu kita apakah ilat (sebab) yang menyebabkan manusia kena duduk di dunia juga. Segala kejadian yang menyebabkan Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Hawwa’ dikeluarkan dari syurga itu adalah sebagai alasan sahaja untuk menetapkan kita hidup di dunia.

Ini adalah kerana memang Allah ﷻ mahukan manusia tinggal di dunia. Manusia memang kena duduk di dunia dahulu. Semua anak Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kena duduk di dunia dulu kerana dunia adalah tempat ujian. Setelah melepasi ujian, barulah ditentukan masuk ke dalam syurga atau neraka.

 

فَإِمَّا يَأْتِيَنَّكُمْ مِّنِّي هُدًى

Maka sekiranya datang kepada kamu dari Aku, petunjuk;

Manusia nanti akan bermusuhan sesama manusia seperti telah disebutkan sebelum ini. Oleh kerana itu Allah ﷻ akan menghantar para Nabi dan Rasul untuk membawa petunjuk kepada manusia. Ini kerana Allah ﷻ tidak membiarkan manusia hidup tanpa panduan sebaliknya diberikan panduan wahyu dan dinaikkan para Rasul untuk mengajar manusia.

Allah ﷻ kata dalam ayat ini bahawa petunjuk itu daripada ‘Aku’. Ini bermakna, kena pastikan bahawa petunjuk itu daripada Allah ﷻ – daripada Al-Qur’an dan daripada Sunnah Nabi. Untuk zaman terdahulu wahyu itu dalam bentuk kitab yang lain dan disampaikan oleh Nabi bagi umat itu. Kena pastikan yang petunjuk itu bukan daripada yang lain. Ini menunjukkan bahawa akan ada petunjuk yang daripada dua sumber itu.

Begitulah Allah ﷻ pasti memberikan hidayah kepada manusia. Tinggal sahaja sama ada manusia mahu mengikutinya ataupun tidak. Hidayah itu hendaklah dicari. Hidayah itu mesti dicari bukannya ditunggu dengan duduk berdiam diri menantikan ia datang sendiri. Hidup kita ini tidak akan berubah menjadi baik dengan sendirinya melainkan kitalah yang berusaha mengubahnya. Janganlah kita hanya berdoa memohon hidayah tetapi tidak berusaha untuk belajar, bertanya dan memikirkannya. Bandingkan dengan rezeki. Rezeki itu juga daripada Allah ﷻ dan kita mengharapkannya juga. Akan tetapi adakah kita berdoa sahaja meminta rezeki tetapi tidak berusaha untuk mencari rezeki itu? Tentu tidak, bukan?

Malah ada juga petunjuk sesat daripada selain Allah ﷻ. Memang telah terlalu ramai orang Islam yang mengambil petunjuk daripada sumber lain seperti tradisi turun temurun yang dibawa oleh tok nenek mereka. Itu bukanlah petunjuk daripada Allah ﷻ. Maka kita mestilah membiasakan diri kita dengan petunjuk yang sahih. Jangan hanya ambil sahaja apa yang disampaikan oleh pemuka agama (seperti ustaz).

Kita kena sentiasa peka dan bertanya dari manakah sesuatu fahaman dan amalan itu datang. Adakah daripada Allah ﷻ atau daripada sumber yang lain? Kita mestilah memastikan yang ia adalah sahih. Maka jangan takut bertanya kepada para ustaz akan dalil daripada ajaran mereka. Kalau ada yang marahkan kita semula (kerana tanya dalil), maka tinggalkan guru sedemikian. Dek kerana mereka itu mengajar tanpa dalillah menyebabkan mereka itu tidak mampu memberikan dalil seperti yang kita minta.

 

فَمَنْ تَبِعَ هُدَايَ

Sesiapa yang mengikuti petunjuk itu;

Perkataan yang digunakan adalah dalam bentuk ‘mufrad’ – seorang. Ini kerana kadang-kadang kita sahaja yang menerima hidayah dalam lingkungan keluarga kita. Kadang-kadang kita rasa kita keseorangan. Akan tetapi selepas itu dalam ayat ini juga, Allah ﷻ tukar menggunakan perkataan ‘عَلَيْهِمْ’ – dalam bentuk jamak.

Ini bermakna, walaupun kita pada mulanya keseorangan, kemudian Allah ﷻ akan beri teman-teman di dalam perjuangan menjalankan kehidupan yang berlandaskan iman yang benar. Kalau kita tidak dapat teman dalam dunia ini, Allah ﷻ akan berikan teman itu semasa di akhirat nanti.

Kadangkala kita bermula dengan berseorangan dahulu. Maka, janganlah takut kalau kita merasakan kita seorang sahaja yang menerima jalan sunnah ini. Bagaikan tidak ramai yang sanggup mengambil jalan yang sealiran dengan Al-Qur’an dan sunnah.

Allah ﷻ kata فَمَنْ تَبِعَ (siapa yang mengikuti). Maka hidayah itu mestilah diikuti. Bukan setakat dibaca atau didengar sahaja. Memang mulanya kena dengar, kena baca, kemudian kena faham. Apabila sudah faham, hendak buat apa? Hendaklah diikuti. Maka sama juga dengan hidayah yang ada di dalam Al-Qur’an ini, bukannya setakat dibaca sahaja seperti yang dilakukan oleh kebanyakan orang kita. Sepatutnya difahami dan kemudian diikuti saranan, arahan dan larangan itu. Barulah akan mendapat janji yang Allah ﷻ akan sebutkan selepas ini.

 

فَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ

maka tidak ada ketakutan atas mereka;

Bagi mereka yang mengikut petunjuk daripada Allah ﷻ, tidak ada ketakutan untuk mereka itu, sama ada di dunia atau di akhirat. Allah ﷻ sebut ‘takut’ terlebih dahulu (sebelum sedih), kerana itulah yang paling banyak bermain di fikiran manusia berbanding dengan kesedihan.

Takut adalah berkenaan perkara yang ‘akan datang’ dan kesedihan adalah tentang perkara yang ‘telah lalu’. Kita selalunya takut tentang apakah yang akan terjadi di masa hadapan. Padahal, perkara itu belum terjadi lagi. Sedih pula berlaku apabila telah kehilangan perkara yang kita sayangi.

Apabila dikatakan لَا خَوْفٌ (tiada ketakutan), itu tidak bermakna semua ketakutan akan dihilangkan. Kalau semua perasaan takut dihilangkan, perkataan ‘لَا خَوْفَ’ yang sepatutnya digunakan. Sebagai manusia, perasaan takut kadang kala berguna. Kerana takut sakitlah, kita makan ubat. Kerana takutlah, kita berhati-hati semasa kita memandu di jalanraya kerana kita takut kemalangan. Dan bermacam-macam lagi ketakutan yang penting dalam kehidupan kita. Para Nabi pun memiliki rasa takut, kerana ia adalah perasaan biasa sahaja bagi manusia seperti disebut di dalam Taha: 67

فَأَوجَسَ في نَفسِهِ خيفَةً موسىٰ
Maka yang demikian menjadikan Nabi Musa merasa takut sedikit dalam hatinya.

Di hari akhirat nanti, kita juga akan ada perasaan takut apabila berhadapan dengan Allah ﷻ di Mahsyar kerana kita tidak pasti apakah nasib kita: selamatkah atau tidak. Kita pasti berasa takut untuk masuk ke dalam neraka. Akan tetapi takut kita tidak sama dengan takut orang yang tidak beriman kerana kita tahu bahawa Allah ﷻ akan melindungi kita.

Ada beza kalau kita kata: ‘takut kepada sesuatu’ dan ‘tidak ada ketakutan padanya’ – seperti yang digunakan dalam ayat ini. Untuk lebih memahami maknanya, bayangkan anak kita yang masih bayi, bermain dengan seekor ular. Bayi itu tidak takut dengan ular itu kerana dia tidak faham apa yang ular itu boleh buat kepadanya.

Sebaliknya kita ‘takut’ apa yang akan terjadi kepada bayi itu. Kita takut untuknya kerana kita sayangkannya. Dalam ayat ini, apabila Allah ﷻ berkata ‘Tidak ada ketakutan atas mereka’, ia bermakna tidak ada apa yang perlu ditakutkan tentang orang itu. Ini kerana dia telah memegang hidayah yang Allah ﷻ telah berikan kepadanya, maka dia adalah antara orang-orang yang selamat. Kita tidak perlu risau tentang mereka.

 

وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

dan mereka tidak berdukacita lagi;

Ini bermaksud, seorang yang beriman tidak akan berasa sedih. Ramai orang fikir bahawa kalau mengamalkan Islam dengan baik, mereka tidak akan dapat bergembira di dunia ini. Macam-macam mereka tidak boleh buat kerana Islam melarangnya. Dia rasa kekangan banyak sangat. Akan tetapi ayat ini hendak mengatakan orang-orang Islam yang beriman tidak akan bersedih. Sebaliknya mereka akan berasa tenang dan gembira sahaja dengan apa yang Allah ﷻ berikan kepada mereka dan mereka redha melakukan apa sahaja yang Allah ﷻ perintahkan.

Sebenarnya, mereka yang mencari kegembiraan kehidupan di dunia ini tidak gembira sebenarnya. Ini kerana mereka telah melawan kehendak naluri fitrah mereka yang mahukan kehidupan Islam. Hakikat sebenarnya, dalam diri mereka mahukan kebaikan yang ada dalam ajaran Islam, namun mereka telah mematikan perasaan fitrah itu. Contohnya, mereka yang berparti sampai tidak ingatkan diri itu, apabila mereka sedar daripada mabuk, mereka akan berasa sedih. Mereka akan rasa bersalah dengan apa yang mereka lakukan. Cuma mereka buat tidak tahu sahaja.

Tidak ada apa yang hendak disedihkan oleh orang beriman kalau mereka mengamalkan agama Islam dengan sempurna. Sekiranya kita diberikan ujian, kita tahu ujian itu adalah daripada Allah ﷻ. Ia adalah baik untuk kita kerana ia akan menaikkan darjat kita. Begitu juga jika kita sakit, itu sebenarnya akan menghapuskan dosa-dosa kita yang telah lalu. Kalau kita berperang dan kita kalah, atau kita mati, kita akan mati syahid. Dalam keadaan mana pun, kita akan mendapat kebaikan.

Ujian dunia ada dua jenis: ada yang jenis dugaan atau musibah ataupun bala – kita ditimpa kemalangan, kemiskinan, kesakitan dan sebagainya. Satu lagi ujian yang mungkin lebih bahaya adalah ujian ‘kesenangan hidup’. Kebiasaannya apabila kita senang, kita lebih senang untuk melupakan Allah ﷻ. Berbeza jika berada dalam keadaan susah, kita selalu ingat Allah ﷻ. Ketika senang, kadang-kadang susah untuk bersyukur kepada Allah ﷻ. Syukur pun mungkin hanya sekadar melafazkan ucapan ‘Alhamdulillah’. Sedangkan erti bersyukur adalah lebih daripada ucapan itu.

Apabila Allah ﷻ mengatakan bahawa orang-orang beriman ‘tidak akan sedih’, ia juga bermaksud akan ada orang lain yang akan bersedih. Mereka akan bersedih dan menyesal apabila hari Kiamat kelak. Mereka akan bersedih kerana mengenangkan kesilapan yang mereka telah lakukan semasa di dunia dulu. Mereka akan bersedih kerana mereka tidak menurut hidayah yang Allah ﷻ telah sampaikan.

Sekiranya anak cucu Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ingin kembali ke syurga, maka mestilah mengikuti nasihat dan panduan yang disampaikan dalam wahyu. Jika hadirnya wahyu hidayat, manusia akan berpecah menjadi dua golongan. Sesiapa yang sanggup ikut nasihat, tidak akan terjadi ketakutan ke atas mereka tentang akhirat kerana mereka akan dimasukkan ke dalam syurga. Malah mereka juga tidak akan bersedih seperti disebut di dalam Fatir: 34

وَقالُوا الحَمدُ ِللهِ الَّذي أَذهَبَ عَنَّا الحَزَنَ
Dan mereka berkata: “Segala puji bagi Allah yang telah menghilangkan duka cita daripada kami.

Mereka juga tidak akan berdukacita untuk meninggalkan dunia kerana dunia itu memang tempat sementara sahaja. Dunia adalah tempat singgahan sahaja sebelum menuju destinasi sebenar iaitu akhirat yang abadi. Mereka memang tinggalkan keluarga, hartabenda dan lain-lain lagi di dunia; akan tetapi mereka tidak akan bersedih kerana apa yang mereka akan dapat di akhirat nanti adalah jauh lebih baik lagi. Maka ingat: خَوفٌ untuk benda yang akan berlaku di masa hadapan, manakala حزَن untuk perkara yang sudah lepas.

Terdapat 2 perkara yang Allah ﷻ akan hilangkan: ketakutan dan kesedihan. Itulah janji Allah ﷻ. Oleh sebab itu, jika kita tidak mahu ketakutan dan kesedihan dalam kehidupan kita ini, maka apakah yang harus kita lakukan? Sudah tentu kita mesti mengikut petunjuk daripada Allah ﷻ. Dalam kes kita ini, kita mesti merujuk kepada Al-Qur’an. Al-Qur’an merupakan penawar daripada Allah ﷻ untuk ketakutan dan kesedihan. Harus diingatkan bahawa janji ini telah Allah ﷻ berikan kepada Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Allah ﷻ telah mengabulkan janji-Nya itu di melalui penurunan Al-Qur’an.

Bagaimanakah bentuk keindahan Jannah itu? Keindahannya melebihi segala-galanya, di mana ia dapat menghilangkan ketakutan dan kesedihan. Kesedihan adalah sesuatu yang telah berlaku manakala ketakutan pula sesuatu yang belum lagi berlaku tetapi mungkin berlaku di masa hadapan. Kedua-dua perasaan ini akan dihilangkan di Jannah. Keindahan ini yang boleh didapati di Jannah boleh sahaja Allah ﷻ turunkan di bumi ini. Namun begitu, ia hanya sahaja boleh dicapai sekiranya kita mengikut petunjuk daripada Allah ﷻ. Ini bermaksud kita boleh mencapainya di dalam perjalanan kita menuju Jannah. Inilah janji Allah ﷻ kepada kita, dan alangkah indahnya janji ini.


 

Baqarah Ayat 39: Ini pula adalah mengenai manusia yang degil. Mereka ini ingkar dengan hidayah. Apabila telah disampaikan dengan perkara yang benar, mereka kata ia adalah dusta. Mereka yang degil ini akan menjadi pemegang geran neraka dan tidak akan masuk ke syurga. Malah bukan tinggal sekejap namun kekal di neraka buat selama-lamanya. Maka ini adalah ayat takhwif ukhrawi (penakutan dengan azab di akhirat).

وَالَّذينَ كَفَروا وَكَذَّبوا بِئآيٰتِنآ أُولٰئِكَ أَصحٰبُ النّارِ ۖ هُم فيها خٰلِدونَ

Sahih International

And those who disbelieve and deny Our signs – those will be companions of the Fire; they will abide therein eternally.”

Malay

Dan orang-orang kafir yang mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, mereka itu ialah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.

 

وَالَّذِينَ كَفَرُوا

Dan orang-orang yang kafir:

Iaitu mereka ingkar dengan Al-Qur’an dan membuat syirik kepada Allah ﷻ. Mereka enggan taat kepada arahan Allah ﷻ dalam wahyu. Kata ‘mendustakan’ memberi erti bahawa mereka tahu dan mengerti, tetapi menolak dan mengingkari.

 

وَكَذَّبُوا بِئآيٰتِنَا

dan mendustakan ayat-ayat Kami

Apabila sampai wahyu Allah ﷻ kepada mereka, mereka kata itu adalah dusta, mereka tidak mahu terima.

 

أُولٰئِكَ أَصحٰبُ النّارِ

mereka-mereka yang bersifat seperti itu adalah pemilik-pemilik neraka sebenar;

Iaitu mereka yang kufur dan menolak wahyu Allah ﷻ. Mereka akan menjadi pemegang geran neraka. Pemilik sebenar tidaklah sama dengan orang mukmin yang memasuki neraka. Ini kerana ada orang mukmin yang akan masuk neraka untuk sementara kerana mereka telah melakukan dosa. Namun mereka akhirnya akan keluar dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga.

Orang mukmin itu adalah orang Islam yang tidak melakukan syirik kepada Allah ﷻ. Ada orang yang namanya Muslim tetapi dia juga melakukan syirik kepada Allah ﷻ. Mereka itu akan kekal dalam neraka walaupun semasa mereka di dunia, mereka itu namanya Muslim.

 

هُمْ فِيهَا خٰلِدُونَ

mereka kekal di dalamnya;

Mereka tidak akan dapat keluar dari neraka walaupun mereka dulu semasa di dunia mengaku Muslim. Apatah lagi kalau orang itu adalah orang kafir, memang akan terus tinggal di neraka.

Sekian kisah tentang Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang mengandungi banyak pengajaran. Sekarang mari kita bincangkan Komposisi Cincin yang kelima bagi ayat 34 – 39 ini. Sila rujuk Ayat 5 pengenalan kepada Komposisi Cincin ini.

Kaitan antara Bahagian:

[A5.1]/[A5.1’] – Keengganan iblis untuk taat dan kemudian termasuk dari kalangan ٱلۡكَـٰفِرِينَ digandingkan dengan golongan كَفَرُواْ dari kalangan manusia. Mereka akhirnya akan dimasukkan ke dalam neraka dan kekal di dalamnya.

[A5.2]/[A5.2’] – Allah ﷻ beri arahan syariat kepada Nabi Adam dan Hawwa’ semasa mereka di dalam Syurga. Kemudian Allah menggandingkan dengan arahan syariat kepada anak cucu Nabi Adam pula ketika di dunia. Jikalau mereka taat dan ikut syariat itu, maka mereka akan dimasukkan ke dalam syurga dengan nikmat-nikmat yang telah diberikan kepada Nabi Adam dan Hawwa’.

[A5.3]/[A5.3’] – Kedua-dua bahagian mengandungi arahan kepada manusia dan syaitan ٱهۡبِطُواْ turun ke bumi kerana mereka telah melanggar syariat Allah.

[A5.4] – Di antara ayat-ayat tentang kemurkaan Allah, disebut tentang kemaafanNya. Ini mengajar kita yang ada ketika kita engkar akan arahan Allah akan tetapi jikalau kita meminta ampun, Allah akan terima selagi kita kembali kepadaNya.

 

Yang menariknya, jikalau kita lihat kepada subjek-subjek yang dibincangkan, kita akan melihat satu lagi struktur yang lebih ringkas.

Kaitan antara bahagian

[A1]/[A2] – Kalau kita melihat secara horizontal, dua bahagian pertama itu mengandungi dua perkara yang berlawanan yang menjadi cermin antara satu sama lain (Orang Beriman dan Orang yang Kufur). Di dalam setiap bahagian kita akan melihat sifat-sifat Orang Beriman dan kemudian kita telah melihat sifat-sifat yang kufur.

[A4]/[A5] – Di sini kita melihat interaksi antara Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pertamanya dengan para malaikat dan kemudian kita melihat interaksi baginda dengan iblis pula.

[A1]/[A4] – Apabila kita melihat secara vertikal pula, kita akan melihat golongan beriman pula. [A1] tentang orang beriman dan [A4] tentang para malaikat.

[A2]/[A5] – Melihat secara vertikal lagi, kita melihat sifat-sifat orang kufur dengan iblis/syaitan. Istighfar Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ juga ada di dalam bahagian ini dan ia membezakan antara orang kufur dan orang beriman.

[A3] – Bahagian tengah ini mengandungi pengajaran penting tentang agama, iaitu tentang Tauhid, tentang Al-Qur’an, beriman dengan wahyu, dan Akhirat. Di sini kita belajar kesan beriman dan kesan kufur bagi makhluk. Di tengahnya ia mengandungi balasan bagi mereka yang beriman dan beramal soleh.

 

Jadi kita telah selesai membahaskan Makro Pertama dari Surah Baqarah ini. Di dalam Bahagian ini kita belajar perbezaan antara Mukmin dan Musyrikin, bagaimana Allah ‎ﷻ telah mencipta semua makhluk dan akan membangkitkan kita semua, dan juga kita telah belajar Kisah Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan iblis.

Sekian Ruku’ 4 daripada 40 ruku’ surah ini

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 5 Julai 2025

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Nouman Ali Khan

Mualana Hadi

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Heavenly Order

Tafsir Surah Baqarah Ayat 37 (Doa pengampunan Allah ﷻ ajar)

Baqarah Ayat 37: Allah ﷻ mahu mengingatkan dalam ayat sebelum ini yang manusia akan mengikut sifat tok nenek kita iaitu penyakit lupa. Kerana lupa itulah yang menyebabkan tok nenek kita terkeluar dari syurga. Manakala lupa itu pula disebabkan oleh syaitan. Kebiasaannya kalau bukan kerana syaitan, manusia tidak lupa terutama tentang hal-hal berkaitan syariat.

Kesilapan lupa tidak sama dengan perbuatan yang sengaja dilakukan. Berbeza hukumannya untuk lupa dan untuk perbuatan yang sengaja. Seperti kita tahu, iblis tidak sujud bukan kerana lupa, tetapi sengaja tidak mahu sujud kerana degil. Akan tetapi Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah memakan pokok itu kerana lupa (dan tertipu dengan bisikan helah syaitan). Oleh kerana kesilapannya adalah kerana lupa, harapan untuk kembali ke syurga masih ada lagi.

Oleh itu, apabila Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sedar yang baginda telah melakukan kesilapan, maka baginda telah beristighfar memohon ampun kepada Allah ﷻ. Baginda adalah bapa kepada sekalian manusia dan akalnya amat hebat dan waras. Dengan akalnya itu, baginda telah memohon keampunan kepada Allah ﷻ dengan lafaz yang berbagai-bagai bentuk ucapan, doa dan istighfar. Baginda ucapkan dengan harapan yang tinggi merayu kepada Allah ﷻ agar Allah ﷻ menyayanginya kembali dan mengampunkan segala dosanya. Namun Allah ﷻ tidak pandang sedikit pun doa-doa Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu. Maknanya, perkataan yang terbit daripada akal manusia tidak diterima. Akhirnya Allah ﷻ sendiri mengajar Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ lafaz bagaimana untuk meminta ampun kepada-Nya.

فَتَلَقّىٰ ءآدَمُ مِن رَّبِّهِ كَلِمٰتٍ فَتابَ عَلَيهِ ۚ إِنَّهُ هُوَ التَّوّابُ الرَّحيمُ

Sahih International

Then Adam received from his Lord [some] words, and He accepted his repentance. Indeed, it is He who is the Accepting of repentance, the Merciful.

Malay

Kemudian Nabi Adam menerima dari Tuhannya beberapa kalimah (kata-kata pengakuan taubat yang diamalkannya), lalu Allah menerima taubatnya; sesungguhnya Allah, Dia lah yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani.

 

فَتَلَقَّىٰ ءآدَمُ مِنْ رَّبِّهِ كَلِمٰتٍ

Maka Nabi Adam telah menerima beberapa kalimah taubat daripada Tuhannya,

Lihatlah bagaimana cara Allah ﷻ menggunakan kalimah-Nya di sini. Allah ﷻ boleh sahaja menggunakan kalimah ‘mewahyukan’ kalimat-Nya tetapi sebaliknya Allah ﷻ menggunakan kalimah: تَلَقّٰٓى. Ia daripada kata dasar ل ق ي yang bermaksud berjumpa, bertemu, melihat, bertembung, mengalami, melalui, menerima, bertemu bersemuka, menuju ke arah sesuatu. Kalimah تَلَقّٰٓى ini bermaksud ‘tersadung’, ‘terserempak’, atau erti kata lain membawa maksud mendapat nikmat tanpa sengaja; kebiasaannya digunakan dalam bahasa Arab apabila seseorang terserempak dengan sesuatu yang amat bernilai.

Oleh itu kalimah تَلَقّٰٓى bermaksud menerima berasal daripada kata لَقِيَ yang bererti bertemu atau menerima. Penambahan huruf ت memberi erti kebahagiaan dan kesenangan bagi penerimaan itu. Penambahan itu menunjukkan bahawa penerimaan atau pertemuaan itu didahului dengan usaha dan kesungguhan, dan tentu sahaja yang diusahakan secara sungguh-sungguh merupakan sesuatu yang diharapkan dan mengundang kesenangan dan kegembiraan bila tercapai. Dari sini disimpulkan bahawa kata تَلَقّٰٓى yang digunakan di dalam ayat di atas mengisyaratkan bahawa penerimaan tersebut amat menggembirakan Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Allah ﷻ telah mengajarkan sendiri cara untuk melafazkan doa keampunan kepada-Nya. Allah ﷻ mahu mengingatkan kita bahawa syariat adalah tetap syariat. Akal tidak boleh menandingi syariat. Sebab itu mereka yang belajar ilmu logik dan ilmu akal, ilmu kalam, jangan cuba melawan wahyu. Akal mesti tunduk kepada wahyu kerana akal kita lemah dan tidak akan dapat mencapai ke tahap kenal Allah ﷻ seperti yang sepatutnya. Apakah kalimat-kalimat tersebut yang dimaksudkan?

Hanya apabila Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ belajar doa daripada wahyu ilahi, barulah Allah ﷻ menerima doa keampunan Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu. Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah menerima beberapa kalimat istighfar. Selepas baginda menggunakan kalimat-kalimat tersebut, barulah Allah ﷻ menerima taubatnya. Sebab itulah dalam kita berdoa kepada Allah ﷻ dalam hal apa pun, adabnya adalah kita mencari doa yang Allah ﷻ ajar terlebih dahulu. Kalau tidak ada, kita cari doa yang Nabi ﷺ pula ajar.

Carilah doa yang sesuai dengan keadaan kita. Sekiranya ada, maka gunakanlah doa itu. In sha Allah, ia adalah lebih baik daripada doa yang kita reka sendiri. Boleh sahaja berdoa dengan doa yang kita reka, namun yang sebaik-baiknya, kita cari dahulu yang ada dalam wahyu. Banyak doa yang telah Nabi ﷺ ajarkan kepada umatnya. Pelbagai doa yang sesuai boleh digunakan. Sekiranya tidak ditemui yang sesuai dengan kehendak kita, barulah kita reka lafaz doa kita sendiri.

Terdapat pelbagai riwayat yang menceritakan kisah peristiwa Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ turun ke dunia namun tiada riwayat yang benar-benar sahih ditemui. (Tafsir Al-Quran Al-`Azim 1/237, Fatwa Soaljawab Islam No. 141280)

Sepertimana hadith yang agak masyhur:

نزل آدم الهند واستوحش
Adam turun di India dan beliau merasa asing.
(HR. Ibnu Asakir dalam Tarikh Dimasyq 7/437, daripada Abu Huraira رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ
Hadith ini dhaif menurut Syeikh al-Albani رَحِمَهُ اللَّهُ dalam Silsilah Hadith Dhaif No. 403

Ibnu Katsir رَحِمَهُ اللَّهُ menyebutkan sekitar 4 pendapat mengenai hal ini,

(1) Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diturunkan di India, sedangkan Hawa diturunkan di Jedah. Ini pendapat Hasan al-Basri رَحِمَهُ اللَّهُ
(2) Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Hawa keduanya diturunkan di India.
(3) Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diturunkan di satu daerah namanya Dahna, antara Mekah dan Thaif. Ini keterangan dari Ibnu Abbas sebagaimana yang diriwayatkan Ibnu Abi Hatim. Sementara diriwayatkan Imran bin Uyainah, Dahna adalah satu tempat di India.
(4) Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diturunkan di Safa dan Hawa diturunkan di Marwah. Ini merupakan keterangan Ibnu Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا menurut riwayat Ibnu Abi Hatim.

(Tafsir Ibnu Katsir, 1/237).

Begitu juga banyak riwayat lain yang mahsyur seperti kisah yang tersebar di tengah para jemaah haji bahawasanya di Jabal Ramah itulah tempat pertemuan Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan Hawwa, di mana mereka berdua diturunkan ke bumi di tempat yang terpisah, lalu mereka berdua saling mencari dan akhirnya bertemu di Jabal Rahmah.

Tidak dinafikan bahawa sebahagian ahli tafsir tatkala menyebutkan sebab penamaan padang Arafah, mereka ada menyebutkan beberapa pendapat:-

– Ada yang mengatakan dinamakan Arafah kerana para jemaah haji berkumpul disana maka يَتَعَارَفُوْنَ فِيْهَا “saling mengenal di antara mereka di padang tersebut”

– Ada yang mengatakan لأنها وصفت لإبراهيم عليه السلام فلما أبصرها عَرَفَهَا “Padang Arafah dinisbahkan sifatnya kepada Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, maka ketika Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ melihat padang tersebut iapun mengenalinya”

– Ada yang mengatakan ketika Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ membawa Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengelilingi lokasi-lokasi manasik maka Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun memperlihatkan pada Arafah kepada Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, maka Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berkata: عَرَفْتُ عَرَفْتُ “Aku tahu, aku tahu”

– Ada yang mengatakan التَقَى فِيْهَا آدَمُ وحوَّاء فَتَعَارَفَا “Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Hawwa’ bertemu di padang tersebut maka mereka berdua saling mengenali”

Inilah sebahagian pendapat yang disebutkan oleh para ahli tafsir, seperti Al-Qurthubi, ar-Razi 5/190, Az-Zamakhsari dalam al-Kasyaf 1/410, Ibnu Katsir, al-Munawi dalam Faidhul Qadir 2/354-355, dan Asy-Syaukani رَحِمَهُ اللَّهُ.

Namun Az-Zamakhsari dan Ibu ‘Athiyyah mengisayaratkan pendapat yang menyatakan bahawa nama Arafah adalah termasuk Al-Asma’ Al-Murtajalah, iaitu nama-nama yang tidak berasal daripada makna kata yang lainnya, sebagaimana banyak nama-nama tempat yang lainnya.

Yang menjadi perhatian kita adalah pendapat yang menyatakan bahawa Arafah dinamakan dengan nama tersebut kerana Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ setelah terpisah lama dengan Hawwa’ akhirnya bertemu di padang Arafah.

Pendapat ini tidak ada dalilnya, serta tidak ada riwayat yang sahih yang boleh dijadikan sandaran. Kemungkinan hanyalah diambil daripada cerita israiliyat. (Salih al-Maghamsi dalam A’lam al-Quran 2/15)

Kerana itulah seluruh mufassir membawakan pendapat ini dengan menggunakan bentuk وَقِيْلَ “dan dikatakan…” sebagai isyarat bahawasanya tidak ada landasan yang boleh dijadikan dalil atas kisah tersebut.

Selain itu, dalam masa yang sama, Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah memohon ampun di atas kesalahan yang telah dilakukannya. Lama tempohnya barulah diterima taubat Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu.

Begitulah, walaupun Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ seorang yang cerdik, sudah biasa hidup di syurga dan tinggal bersama para malaikat, namun apabila baginda telah bertaubat menggunakan lafaz bahasa yang baginda tahu, Allah ‎ﷻ tidak terima taubatnya itu. Sentiasa baginda bertaubat, namun tidak juga diterima. Dalam waktu itu, keadaan baginda terasa payah sekali.

Bayangkan baginda telah pernah tinggal di syurga, namun sekarang terpaksa hidup mencari makan sendiri. Itu adalah dua dunia yang amat berbeza sekali. Baginda bagaikan seperti duduk dalam penjara jika dibandingkan dengan kehidupannya dahulu. Sehinggalah Allah ﷻ mengajar kalimah taubat untuk digunakan Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ barulah diterima taubatnya. Doanya adalah seperti apa yang termaktub dalam A’raf: 23

قالا رَبَّنا ظَلَمنا أَنفُسَنا وَإِن لَم تَغفِر لَنا وَتَرحَمنا لَنَكونَنَّ مِنَ الخاسِرينَ
Mereka berdua merayu: “Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami daripada orang-orang yang rugi”.

Lihatlah teks doa yang diamalkan oleh Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini. Di dalamnya tidak ada pun lafaz minta ampun sebenarnya. Yang ada adalah pengakuan kesalahan. Ini bermakna Allah ﷻ telah mengilhamkannya dengan penyesalan di dalam lubuk hatinya yang tulus. Inilah yang paling penting. Ini kerana rukun taubat itu antaranya mestilah mengaku salah, mesti ada rasa bersalah dan menyesal. Beginilah cara doa yang diamalkan oleh Nabi Yunus عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ketika baginda di dalam perut ikan seperti disebut di dalam Anbiya’: 87

وَذَا النّونِ إِذ ذَّهَبَ مُغٰضِبًا فَظَنَّ أَن لَّن نَّقدِرَ عَلَيهِ فَنادىٰ فِي الظُّلُمٰتِ أَن لّا إِلٰهَ إِلّا أَنتَ سُبحٰنَكَ إِنّي كُنتُ مِنَ الظّٰلِمينَ
Dan (ingatlah kisah) Dzun Nun (Yunus), ketika dia pergi dalam keadaan marah, lalu dia menyangka bahawa Kami tidak akan menyempitkannya (menyulitkannya), maka dia menyeru dalam keadaan yang sangat gelap: “Bahawa tidak ada Tuhan selain Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim”.

Beginilah juga cara doa yang Nabi Muhammad ﷺ ajar kepada Saidina Abu Bakr رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ:

عَنْ أَبِي بَكْرٍ الصِّدِّيقِ أَنَّهُ قَالَ لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلِّمْنِي دُعَاءً أَدْعُو بِهِ فِي صَلَاتِي قَالَ قُلْ اللَّهُمَّ إِنِّي ظَلَمْتُ نَفْسِي ظُلْمًا كَثِيرًا وَلَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ فَاغْفِرْ لِي مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ وَارْحَمْنِي إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ و قَالَ يُونُسُ كَبِيرًا
Daripada [Abu Bakar As-Siddiq رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] bahawasanya beliau berkata kepada Rasulullah ﷺ: “Ajarilah aku doa yang dengannya aku berdoa di dalam solatku, ” Baginda menjawab: “bacalah, “اللَّهُمَّ إِنِّي ظَلَمْتُ نَفْسِي ظُلْمًا كَثِيرًا وَلَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ فَاغْفِرْ لِي مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ وَارْحَمْنِي إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ” (Ya Allah aku telah banyak menzalimi diriku sendiri, dan tidak ada yang dapat mengampuni dosa kecuali Engkau; maka ampunilah dosaku dengan ampunan dari sisimu dan rahmatilah aku, sesungguhnya engkau maha pengampun lagi maha penyayang).”
(Sahih Bukhari (8))

Lihatlah di dalam ketiga-tiga doa pengampunan ini, yang disebut adalah pengakuan dosa itu sendiri. Untuk tahu hal ini, kita kena tahu apakah kesalahan yang kita telah lakukan. Kalau kita tidak rasa kita berbuat dosa, tentu kita tidak meminta ampun, bukan? Kerana itulah golongan pengamal bid’ah mempunyai satu masalah yang besar: mereka tidak akan meminta ampun daripada kesalahan mengamalkan bid’ah kerana mereka tidak sedar yang mereka sedang melakukan kesilapan. Mereka sangka apa yang mereka amalkan itu adalah benar, jadi sampai ke sudah mereka tidak akan meminta ampun. Kerana itulah Rasulullah ﷺ telah bersabda di dalam hadith riwayat daripada Anas bin Malik رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Rasulullah ﷺ bersabda,

إنّ اللّٰه حجب التوبة عن كل صاحب بدعة حتّى يدع بدعته
“Sungguh, Allah menutup taubat daripada seluruh pelaku bid’ah hingga ia meninggalkan kebid’ahannya.”
(HR. At-Thabarani)
Disahihkan oleh Al-Allamah Al-Albani dalam Sahih Targhib No. 54

Doa yang diamalkan oleh Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah diterima oleh Allah ﷻ. Maka, sesiapa yang ditimpa bala, maka ajarkanlah doa Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini kepada dia. Kerana selalunya mereka yang ditimpa musibah itu adalah kerana dia ada membuat salah dengan Tuhan. Maka hendaklah diselesaikan perkara itu terlebih dahulu.

Ada pendapat salah tentang kalimat yang dibaca oleh Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sampai diampunkan oleh Allah ﷻ. Mereka menggunakan kisah itu sebagai dalil boleh bertawasul dengan menggunakan nama Nabi Muhammad ﷺ. Kisah itu agak terkenal juga.

عن عمر بن الخطاب رضي الله عنه قال : قال رسول الله صلى الله عليه و سلم : لما اقترف آدم الخطيئة قال يا رب أسألك بحق محمد لما غفرت لي فقال الله : يا آدم و كيف عرفت محمدا و لم أخلقه ؟ قال : يا رب لأنك لما خلقتني بيدك و نفخت في من روحك و رفعت رأسي فرأيت على قوائم العرش مكتوبا لا إله إلا الله محمد رسول الله فعلمت أنك لم تضف إلى اسمك إلى أحب الخلق فقال الله : صدقت يا آدم إنه لأحب الخلق إلي ادعني بحقه فقد غفرت لك و لولا محمد ما خلقتك
هذا حديث صحيح الإسناد و هو أول حديث ذكرته لعبد الرحمن بن زيد بن أسلم في هذا الكتاب
Daripada Umar bin al-Khathab رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, beliau berkata: Bersabda Rasulullah ﷺ, “Tatkala Adam melakukan kesalahan, dia berkata: “Yaa Rabb, aku memohon kepada-Mu DENGAN HAQ MUHAMMAD agar Engkau mengampuniku.”
Lalu berfirman Allah – dan Allah Maha mengetahui dan Yang mengajarkan kita: “Wahai Adam, bagaimana kamu mengenal Muhammad sedang Aku belum menciptakannya?”
Adam menjawab: “Yaa Rabb, tatkala Engkau menciptakanku dengan Tangan-Mu dan meniupkan roh-Mu ke dalam diriku, maka Engkau Mengangkat kepalaku, lalu aku melihat di atas KAKI-KAKI ARSY TERTULIS ‘Laa Ilaaha illallaah MUHAMMADUR RASULULLAH’ sehingga aku tahu bahawa Engkau tidak menambahkan ke dalam Nama-Mu kecuali MAKHLUK YANG PALING ENGKAU CINTAI.”
Lalu Allah Berfirman: “Benar engkau wahai Adam, sesungguhnya Muhammad adalah MAKHLUK YANG PALING AKU CINTAI, BERDOALAH KEPADAKU DENGAN HAQ DIA, maka sungguh Aku Mengampunimu. SEKIRANYA TIDAK ADA MUHAMMAD, MAKA AKU TIDAK MENCIPTAKANMU.”
(HR. Al-Hakim dalam Al-Mustadrak no.4228, dan beliau mengatakan sahih. Juga Al-Baihaqi رَحِمَهُ اللَّهُ dalam Dalailun Nubuwwah V:488-489)

Status hadith: Imam Adz-Dzahabi yang menyemak Al-Mustadrak membantah dan menyatakan bahawa hadith ini adalah maudhu’/palsu.

Kata Imam Al-Baihaqi: Abdul Rahman bin Zaid bin Aslam bersendirian dalam meriwayatkan hadith ini. Beliau adalah dhaif.

Yahya bin Ma’in berkata: Laisa Hadisuhu bi syai’, dhaif.

Abu Hatim berkata: Hadithnya tidak kuat. Dirinya orang yang soleh akan tetapi hadithnya lemah.

Ali al-Madini sangat mendhaifkannya.

Abu Zur’ah: Dhaif al-Hadith.

Ibnu Hibban: Dia menunggang terbalikkan riwayat dalam keadaan dia tidak tahu sehingga menjadi banyak riwayat yang mursal, mauquf yang dia marfu’kan. Dia berhak ditinggalkan.

Kesimpulan: Hadith ini PALSU sebagaimana yang disebutkan oleh ulama hadith dalam hal ini.

Dakwaan bahawa Ibnu Taimiyyah رَحِمَهُ اللَّهُ menggunakan hadith ini sebagai penjelasan kepada hadith sahih adalah merupakan sebuah penipuan dan pembohongan yang nyata. Ibnu Taimiyyah رَحِمَهُ اللَّهُ menggunakan hadith ini untuk menunjukkan contoh hadith yang palsu. Kata Ibnu Taimiyyah رَحِمَهُ اللَّهُ:

قُلْت : وَرِوَايَةُ الْحَاكِمِ لِهَذَا الْحَدِيثِ مِمَّا أُنْكِرَ عَلَيْهِ فَإِنَّهُ نَفْسَهُ قَدْ قَالَ فِي ( كِتَابِ الْمَدْخَلِ إلَى مَعْرِفَةِ الصَّحِيحِ مِنْ السَّقِيمِ : عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ زَيْدِ بْنِ أَسْلَمَ رَوَى عَنْ أَبِيهِ أَحَادِيثَ مَوْضُوعَةً لَا تَخْفَى عَلَى مَنْ تَأَمَّلَهَا مَنْ أَهْلِ الصَّنْعَةِ أَنَّ الْحَمْلَ فِيهَا عَلَيْهِ .
Aku (iaitu Ibnu Taimiyyah رَحِمَهُ اللَّهُ berkata): Periwayatan Al-Hakim kepada hadith ini merupakan antara yang diingkari. Sesungguhnya beliau sendiri menyatakan dalam kitabnya Al-Madkhal Ila Ma’rifah al-Sahih Min al-Saqim: Abdullah Rahman bi Zaid bin Aslam meriwayatkan daripada ayahnya hadith-hadith yang palsu. Tidaklah tersembunyi daripada sesiapa yang mengkajinya daripada ahli ilmu bahawa beliau adalah yang bertanggungjawab atas pemalsuan hadith ini.

فَتَابَ عَلَيْهِ

maka diterima taubat Nabi Adam;

Setelah menggunakan kalimat doa ampun yang Allah ﷻ ajar, maka taubat Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah diterima. Allah ﷻ nyatakan di sini yang jika kita mengakui kesilapan dan menerimanya sebagai tanggungjawab kita, dan seterusnya bertaubat, maka Allah ‎ﷻ akan menghampiri kita.

Kelebihan doa Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Hawwa’ ini adalah doa itu diajar sendiri oleh Allah ﷻ. Ini mengajar kita yang dalam kita berdoa pun mesti ada ilmu. Jangan kita memandai reka cara doa. Sebaiknya kita menggunakan doa yang ada di dalam Al-Qur’an, kalau tidak ada gunakan doa yang Nabi ﷺ ajar di dalam hadith-hadith. Sekiranya tidak ada, barulah kita boleh susun ayat kita sendiri. Akan tetapi dalam menyusun ayat doa sendiri pun, kenalah ada ilmu. Jangan kita tersilap cara doa. Perkara ini mestilah belajar di dalam bab doa secara khusus.

Maknanya, kalau kita berdoa, sebaik-baiknya ikut apa yang Tuhan perintahkan. Tidak boleh mereka-reka. Yang paling tidak boleh kita lakukan adalah dengan menggunakan tawasul yang salah. Ramai dalam kalangan orang yang menggunakan kaedah tawasul yang salah iaitu dengan menggunakan wasilah Nabi, wali atau malaikat. Mereka sangka cara tawasul ini adalah cara doa terbaik, tetapi ia adalah cara doa terburuk!

Apabila kita merenungkan ayat-ayat ini dapatlah kita melihat perbezaan dan persimpangan jalan di antara kepercayaan kita kaum Muslimin dengan pemeluk agama Nasrani. Keduanya sama-sama mengaku bahawa Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah berdosa melanggar larangan. Namun begitu kita kaum Muslimin percaya bahawa dosa itu telah diampunkan Allah ﷻ. Baginda tidak perlu takut dan berdukacita lagi. Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bukanlah diusir dari syurga, tetapi diberi tugas menegakkan kebenaran di bumi dan diberi tuntunan.

Sebaliknya kepercayaan orang Nasrani pula mengatakan bahawa dosa Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu telah menjadi dosa turun temurun kepada segala anak-cucunya, dan naiknya Isa Al-Masih عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ke atas kayu saliblah yang dapat menebus dosa warisan Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu.

Kita mengakui bahawa kejadian manusia adalah gabungan akal dan nafsu, pertentangan cita-cita mulia dengan kehendak-kehendak kebinatangan yang sentiasa berperang dalam diri kita. Sekiranya kita berbuat dosa, bukanlah itu kerana dosa yang kita warisi daripada datuk kita Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ; dan kita sendiri boleh meminta ampun dengan bersungguh-sungguh kepada Tuhan, nescaya akan diampuni, kerana Tuhan itu Maha Pengasih dan Penyayang. Tidak masuk akal murni kita bahawa Allah ﷻ menurunkan dosa waris Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kepada anak- cucunya kemudian mengutuskan Isa Al-Masih عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula ke dunia untuk naik ke atas kayu palang, untuk mati di sana bagi menebus dosa waris manusia tadi. Lebih dahsyat, dikatakan pula bahawa Isa Al-Masih عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu adalah Allah ﷻ sendiri menjelma ke dalam tubuh Gadis suci Maryam, kemudian menjelma menjadi putera. Inilah yang dijadikan dasar kepercayaan, iaitu Allah ﷻ sendiri menjelma menjadi anak-Nya, iaitu Kristus. Ia memang fahaman rekaan yang terlampau karut dan tidak masuk akal. Sedangkan Allah ﷻ telah berfirman di dalam An’am: 164

وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزرَ أُخرَىٰ‌ۚ
dan seseorang yang memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain

Tentulah Tuhan tidak adil sekiranya kesalahan orang lain, ditanggung pula oleh orang lain. Jika menggunakan logik akal pun sudah boleh fikir. Semoga Allah ﷻ buka minda dan hati golongan Kristian untuk mudah menerima Islam.

 

إِنَّهُ هُوَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ

Allah taala itu sifat-Nya Maha Menerima taubat lagi Maha Belas Kasihan

Terdapat dua sifat Allah ﷻ yang disebut dalam ayat ini: Menerima Taubat dan Maha Belas Kasihan. Maksudnya, Allah ﷻ suka menerima taubat hamba-Nya. Apabila Allah ﷻ telah terima taubat hamba-Nya itu, Dia tidak akan menyusahkan hamba-Nya itu selama-lamanya di akhirat. Itulah sifat Rahim Allah ﷻ. Dengan sifat التَّوَّابُ itu akan mengelakkan manusia masuk ke dalam neraka; namun tidak pergi ke mana, bukan? Oleh itu, kita perlukan sifat الرَّحِيمُ Allah ﷻ untuk memasukkan kita ke dalam syurga kerana hanya dengan rahmat Allah ﷻ sahaja kita dapat masuk ke dalam syurga.

Kalimah التَّوَّابُ daripada kata ت و ب yang bermaksud kembali, taubat, berpaling dengan belas kasihan, menyesuaikan diri. Kata ini mengandungi makna bahawa yang kembali pernah berada pada satu posisi — baik tempat mahupun kedudukan — kemudian meninggalkan posisi itu, selanjutnya dengan “kembali” ia menuju kepada posisi itu semula. Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berada pada kedudukan yang rapat dengan Allah ﷻ, tetapi apabila baginda melakukan kesalahan, baginda telah menjauhkan diri baginda daripada Allah ﷻ. Maka dengan melakukan taubat, ia adalah perbuatan ‘kembali’ pada kedudukan yang sebelum itu, iaitu rapat dengan Allah ﷻ.

Sifat Allah ﷻ adalah التَّوَّابُ yang bermaksud Dia (Allah ﷻ) yang kembali berkali-kali menunjukkan cara yang memudahkan taubat untuk hamba-hamba-Nya, dengan jalan menampakkan tanda-tanda kebesaran-Nya, menyampaikan kepada mereka peringatan-peringatan-Nya, serta mengingat¬kan ancaman-ancaman-Nya, sehingga bila mereka telah sedar akan akibat buruk daripada dosa-dosa, dan merasa takut daripada ancaman-ancaman-Nya, mereka kembali (bertaubat) dan Allah ﷻ pun kembali kepada mereka dengan anugerah pengabulan. Maknanya, untuk seorang manusia bertaubat kepada Allah ﷻ, memerlukan juga rahmat daripada Allah ﷻ. Bukankah Allah ﷻ juga yang menggerakkan manusia itu untuk bertaubat?

Maknanya taubat manusia terletak di antara dua taubat daripada Allah ﷻ. Mulanya Allah ﷻ yang menggerakkan manusia itu untuk bertaubat (taubat pertama), kemudian manusia itu bertaubat (taubat kedua) dan Allah ﷻ menerima taubat manusia itu (taubat ketiga).

Allah التَّوَّابُ bermaksud Dia berulang-ulang kembali kepada hamba-hamba-Nya, memberi mereka dorongan untuk bertaubat, dan berulang-ulang pula kembali untuk menerima taubat mereka, dalam erti melimpahkan rahmat-Nya. Allah ﷻ senang menerima taubat hamba-hamba-Nya. Ini seperti disebut di dalam sebuah hadith,

الَلَّهُ أَشَدُّ فَرَحًا بِتَوْبَةِ عَبْدِهِ حِينَ يَتُوبُ إِلَيْهِ مِنْ أَحَدِكُمْ كَانَ عَلَى رَاحِلَتِهِ بِأَرْضِ فَلاَةٍ فَانْفَلَتَتْ مِنْهُ وَعَلَيْهَا طَعَامُهُ وَشَرَابُهُ فَأَيِسَ مِنْهَا فَأَتَى شَجَرَةً فَاضْطَجَعَ فِى ظِلِّهَا قَدْ أَيِسَ مِنْ رَاحِلَتِهِ فَبَيْنَا هُوَ كَذَلِكَ إِذَا هُوَ بِهَا قَائِمَةً عِنْدَهُ فَأَخَذَ بِخِطَامِهَا ثُمَّ قَالَ مِنْ شِدَّةِ الْفَرَحِ اللَّهُمَّ أَنْتَ عَبْدِى وَأَنَا رَبُّكَ.أَخْطَأَ مِنْ شِدَّةِ الْفَرَحِ
“Sesungguhnya Allah sangat gembira dengan taubat hamba-Nya ketika dia bertaubat pada-Nya melebihi kegembiraan seseorang di antara kalian yang berada di atas kenderaannya dan berada di suatu tanah yang luas (padang pasir), kemudian haiwan yang ditungganginya lari meninggalkannya. Padahal pada haiwan tunggangannya itu ada bekalan makan dan minumnya. Sehingga dia pun menjadi putus asa. Kemudian dia mendatangi sebuah pohon dan tidur berbaring di bawah naungannya dalam keadaan hati yang telah berputus asa. Tiba-tiba ketika dia dalam keadaan seperti itu, kenderaannya tampak berdiri di sisinya, lalu dia mengambil ikatnya. Kerana sangat gembiranya, maka dia berkata, ‘Ya Allah, Engkau adalah hambaku dan aku adalah Rabb-Mu.’ Dia telah salah mengucapkan kerana terlalu gembiranya.”
(Sahih Muslim No. 2747)

Perlu ditambah di sini bahawa di dalam Al-Qur’an tidak ditemukan bentuk jamak, yang menunjukkan kepada Allah ﷻ sebagai penerima atau pemberi taubat. Seperti di dalam ayat ini digunakan kalimah إِنَّهُ هُوَ yang kedua-duanya di dalam bentuk mufrad (tunggal). Bahkan secara tegas, kata kerja yang menunjuk kepada penerimaan-Nya, dikemukakan dalam bentuk tunggal dan menunjuk kepada diri-Nya sendiri. Contoh lain di dalam firman-Nya di dalam Baqarah: 160 setelah mengutuk mereka yang menyembunyikan kebenaran:

إِلَّا الَّذينَ تابوا وَأَصلَحوا وَبَيَّنوا فَأُولٰئِكَ أَتوبُ عَلَيهِم ۚ وَأَنَا التَّوّابُ الرَّحيمُ
Kecuali orang-orang yang bertaubat, dan memperbaiki, serta menerangkan (apa yang mereka sembunyikan); maka orang-orang itu, Aku terima taubat mereka, dan Akulah Yang Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.

Mengapa Allah ﷻ dalam hal taubat ini, menggunakan bentuk tunggal, sedang sekian banyak hal lainnya yang juga Pelakunya Allah ﷻ, Al-Qur’an menggunakan bentuk jamak (Kami)? Misalnya ketika menceritakan penurunan dan pemeliharaan Al-Qur’an di dalam Hijr: 9:

إِنّا نَحنُ نَزَّلنَا الذِّكرَ وَإِنّا لَهُ لَحٰفِظونَ
Sesungguhnya Kami-lah yang menurunkan Al Qur’an, dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya.

Penggunaan di dalam bentuk tunggal dalam hal taubat, adalah kerana tidak ada satu makhluk pun yang mempunyai kemampuan atau terlibat dalam menerima atau menolak taubat. Ini hanya haq penuh Allah ﷻ sendiri sahaja. Kerana itulah juga ada penambah هُوَ selepas إِنَّهُ yang memberi isyarat eksklusif; hanya Dia sahaja yang boleh menerima taubat hamba-hamba-Nya. Hanya Dia sahaja yang boleh mengampunkan. Maka ini menolak fahaman sesat agama Yahudi dan Nasrani di mana mereka percaya yang rahib dan paderi mereka boleh menerima taubat penganut mereka. Kononnya jikalau paderi sudah terima taubat penganut, Tuhan pun akan ampunkan juga. Setakat ini kita tidak dengar lagi tok sheikh ampunkan orang lagi, maka diharap tidaklah berlaku pula di dalam agama kita ini.

Allah ﷻ juga bersifat الرَّحِيمُ dan dinyatakan di sini untuk memberitahu bahawa walaupun Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah melakukan kesilapan besar sehingga menyebabkan baginda diusir dari Jannah, bukanlah bermaksud Allah ﷻ tidak menyayangi dirinya lagi. Tidak ada manusia yang Allah ﷻ hilangkan rahmah-Nya. Selagi kita masih hidup di dunia ini, Allah ﷻ masih menerima taubat kita.

Perangkaian kata التَّوَّابُ dengan الرَّحِيمُ memberi gambaran yang lebih sempurna kerana pengampunan yang dianugerahkan Allah ﷻ itu, tidak terlepas daripada rahmat kasih sayang-Nya. Tanpa kasih sayang itu, boleh sahaja Dia menghukum manusia atas kesalahan yang telah dilakukannya atau sekadar meringankan hukumnya. Akan tetapi Allah ﷻ boleh ampunkan terus dosa kesalahan itu.

Ada satu lagi kelebihan pada rangkaian ini. Selepas Allah ﷻ sebut sifatnya yang menerima taubat (التَّوَّابُ) Allah ﷻ selalu sebut sifat الرَّحِيمُ Nya. Ini sebenarnya memberi motivasi kepada kita untuk segera bertaubat. Apabila kita bertaubat, Allah ﷻ akan memasukkan kita ke dalam rahmah-Nya. Oleh itu untuk segera dapat rahmah, maka bersegeralah bertaubat. Perumpamaannya begini, katakanlah kita ada berbuat salah dengan seorang yang kaya. Kemudian dia kata kalau kita meminta maaf kepadanya, bukan sahaja dia akan memaafkan kita, malah dia juga akan hadiahkan kita sebuah kereta BMW baru! Apa kita akan buat kalau begitu? Tentulah kita akan segera meminta maaf, bukan?

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 28 Julai 2024

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Nouman Ali Khan

Mualana Hadi

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Baqarah Ayat 36 (Iblis menggelincirkan Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ)

Baqarah Ayat 36: Allah ﷻ memperkenalkan ‘pihak keempat’ di dalam kisah ini. Ada satu sahaja larangan yang diberikan oleh Allah ﷻ dan itulah yang digunakan oleh iblis untuk merosakkan Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

فَأَزَلَّهُمَا الشَّيطٰنُ عَنها فَأَخرَجَهُما مِمّا كانا فيهِ ۖ وَقُلنَا اهبِطوا بَعضُكُم لِبَعضٍ عَدُوٌّ ۖ وَلَكُم فِي الأَرضِ مُستَقَرٌّ وَمَتٰعٌ إِلىٰ حينٍ

Sahih International

But Satan caused them to slip out of it and removed them from that [condition] in which they had been. And We said, “Go down, [all of you], as enemies to one another, and you will have upon the earth a place of settlement and provision for a time.”

Malay

Setelah itu maka Syaitan menggelincirkan mereka berdua dari syurga itu dan menyebabkan mereka dikeluarkan dari nikmat yang mereka telah berada di dalamnya dan Kami berfirman: “Turunlah kamu! Sebahagian dari kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)”.

 

فَأَزَلَّهُمَا الشَّيْطٰنُ عَنْهَا

Telah menggelincirkan mereka berdua oleh syaitan daripada syurga;

Kalimah اَزَلَّ daripada kata dasar: ز ل ل yang bermaksud bergerak dari tepi ke tepi, gelincir, melakukan kesalahan, kurang baik, pemindahan. Perhatikan juga harf ف di dalam kalimah فَاَزَلَّهُمَا yang memberi isyarat berlaku dengan segera. Ini memberitahu kita yang syaitan tidak membuang masa berlengah-lengah untuk menghasut Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ setelah baginda tinggal di syurga. Dari segi sikap ini (tidak berlengah-lengah), ternyata syaitan lebih baik daripada kita.

Perhatikan yang Allah ﷻ telah mempertanggungjawabkan ke atas kedua-duanya sekali. Dari segi ketaatan kepada Allah ﷻ, kedua-duanya mempunyai tanggungjawab yang sama. Kisah ini berbeza dengan kisah dalam penceritaan Kristian, kerana mereka berpegang bahawa Hawwa’ lah yang telah menggoda Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk makan daripada pohon tersebut. Maka ibu kita Hawwa’ dipersalahkan. Amat melampau sekali sehingga mereka membuat tuduhan yang punca segala kejahatan berpunca daripada Hawa (kalimah ‘evil’ diambil daripada ‘Eve’). Namun bukan begitu pegangan kita di dalam Islam. Kita percaya kedua-dua mereka sama-sama dipertanggungjawabkan di atas kesalahan tersebut.

Siapa pula الشَّيْطٰنُ ini? Adakah pelakon keempat selepas Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Hawwa’ dan iblis? Tidak, kerana الشَّيْطٰنُ ini merujuk kepada iblis lah juga. Nama khas dalam IC dia adalah iblis, dan الشَّيْطٰنُ adalah gelaran baginya kerana ada sifat شَيْطٰنُ. Ia daripada kata dasar sama dengan ش ط ن yang bermaksud jauh daripada sesuatu, berpaling dalam melawan, syaitan, seseorang yang terlalu bangga diri, tidak percaya, terbakar, ular. Maka شَيْطٰنُ adalah sifat, bukannya nama satu entiti. Cuma apabila kalimah الشَّيْطٰنُ yang digunakan seperti di dalam ayat ini, ia merujuk kepada iblis kerana ada ال makrifah di situ. Sekiranya kalimah شَيْطٰنُ sahaja yang digunakan, ia merujuk kepada jenis makhluk yang mempunyai sifat syaitan.

Aspek terjemahan kalimah syaitan ini amat meluas. Antara lain syaitan membawa maksud “terbakar“, “kesulitan“, “hancur terbakar” dan pelbagai lagi erti syaitan menurut bahasa.

Dari segi istilah pula, syaitan bermaksud “segala yang buruk dan jahat “. Sebenarnya kalimah Syaitan bukanlah mutlak berasal daripada kalimah bahasa Arab kerana di dalam bahasa Ibrani, syaitan disebut sebagai Satan [satanot – jamak] yang turut merujuk kepada “kejahatan” dan terma satan banyak digunakan di dalam kitab-kitab agama Yahudi sejak beribu tahun dahulu.

Oleh itu, kalimah ‘Syaitan’ sebenarnya adalah kata sifat yang dinaqalkan kepada sesuatu yang buruk sifatnya tidak kira sama ada manusia, jin, haiwan, penyakit atau sesuatu yang berkaitan dengannya. Namun terma syaitan lebih utama digunakan terhadap jin dan manusia.

Ramai yang tidak tahu dan pelik apabila kita beritahu hal ini kerana mereka sangka syaitan ini satu jenis bangsa makhluk pula. Mereka sangka ada manusia, malaikat, jin dan juga syaitan. Tidak sebenarnya, kerana makhluk yang ada akal hanya tiga sahaja iaitu jin, manusia, malaikat. Maka ‘syaitan’ ini boleh jadi dalam kalangan jin dan juga kalangan manusia. Benar, jangan pelik manusia pun ada yang mempunyai sifat syaitan itu. Dalilnya daripada ayat yang kita selalu baca, iaitu Nas: 6

مِنَ الجِنَّةِ وَالنّاسِ
“(Iaitu pembisik dan penghasut) dalam kalangan jin dan manusia”.

Setelah iblis enggan sujud kepada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, maka Allah ﷻ telah menghalau iblis dari syurga. Apabila dihalau, iblis memandang perkara itu terjadi berpunca daripada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Sebab itulah iblis menyimpan dendam kesumat terhadap Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, lalu dia telah membuat keputusan akan menyesatkan Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ malah bukan baginda sahaja tetapi seluruh anak cucu Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sekali. Supaya nanti akhirnya manusia akan masuk ke dalam neraka bersama dengannya. Kerana itulah dia minta dipanjangkan umurnya dan dibenarkan oleh Allah ﷻ untuk iblis menggoda anak cucu Adam. Ini adalah sebagai dugaan dan ujian bagi manusia. Allah ﷻ berfirman tentang azam iblis ini di dalam Hijr: 39

قالَ رَبِّ بِما أَغوَيتَني لَأُزَيِّنَنَّ لَهُم فِي الأَرضِ وَلَأُغوِيَنَّهُم أَجمَعينَ
Iblis berkata: “Ya Tuhanku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan maksiat) di muka bumi, dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya,

Menjadi persoalan juga, bagaimanakah Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ boleh terjerumus ditipu oleh iblis sedangkan iblis sudah dihalau dari syurga? Ada banyak pendapat tentang bagaimana ini boleh terjadi:

1. Allah ﷻ membenarkan iblis untuk memasukkan hasutan ke dalam fikiran Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Maka, walaupun dia tidak berjumpa dengan Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, tetapi dia masih lagi boleh menghasut dari jauh.

2. Mungkin iblis sebagai sejenis jin mempunyai kebolehan untuk bertukar rupanya kepada makhluk lain seperti ular atau lainnya dan berjaya masuk ke dalam syurga. Mungkin kerana penyamaran inilah yang menyebabkan Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak mengenali iblis.

Atau mungkin Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tetap kenal iblis, tetapi mungkin telah terlupa yang iblis adalah musuhnya dan dia pandai menipu dengan licik sekali, lalu Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah termakan hasutan iblis. Ini kerana cara penipuan iblis ini seolah-olah mereka berdialog seperti disebut di dalam A’raf: 20-21

فَوَسوَسَ لَهُمَا الشَّيطٰنُ لِيُبدِيَ لَهُما ما وورِيَ عَنهُما مِن سَوءٰتِهِما وَقالَ ما نَهٰكُما رَبُّكُما عَن هٰذِهِ الشَّجَرَةِ إِلّا أَن تَكونا مَلَكَينِ أَو تَكونا مِنَ الخٰلِدينَ
Maka syaitan membisikkan fikiran jahat kepada keduanya untuk menampakkan kepada keduanya apa yang tertutup daripada mereka iaitu auratnya dan syaitan berkata: “Tuhan kamu tidak melarangmu dan mendekati pohon ini, melainkan supaya kamu berdua tidak menjadi malaikat atau tidak menjadi orang-orang yang kekal (dalam syurga)”.

وَقاسَمَهُما إِنّي لَكُما لَمِنَ النّاصِحينَ
Dan dia (syaitan) bersumpah kepada keduanya. “Sesungguhnya aku adalah termasuk orang yang memberi nasihat kepada kamu berdua”,

Syaitan telah berkomunikasi dengan Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menceritakan serta menipu dengan berkata yang dia telah dihalau dari syurga. Dia menasihati Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ supaya jangan jadi sepertinya. Kononnya dia mahu menasihati Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ cara untuk kekal dalam syurga. Maka, dia telah menyuruh Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memakan pokok yang terlarang itu. Ini disebut di dalam Taha: 120

فَوَسوَسَ إِلَيهِ الشَّيطانُ قالَ يا آدَمُ هَل أَدُلُّكَ عَلىٰ شَجَرَةِ الخُلدِ وَمُلكٍ لا يَبلىٰ
Kemudian setan membisikkan (fikiran jahat) kepadanya, dengan berkata, “Wahai Adam! Mahukah aku tunjukkan kepadamu pohon keabadian (khuldi) dan kerajaan yang tidak akan binasa?”

Namun Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kata yang baginda tidak boleh makan pokok itu sebab baginda masih ingat lagi bahawa Allah ﷻ telah melarangnya menghampiri pokok itu. Iblis kata, Allah ﷻ juga telah menyekat dia dan kerana dia tidak makan pokok itulah yang menyebabkan dia dihalau dari Syurga. Lihatlah bagaimana liciknya helah daripada iblis.

Oleh kerana rayuan dan bisikan iblis itu datang bertalu-talu, lalu akhirnya Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah termakan pujukan iblis. Tambahan pula iblis mengaku dia sebagai penasihat, bersumpah pula dengan nama Allah ﷻ. Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak menyangka orang yang bersumpah dengan nama Allah ﷻ sanggup menipu, maka baginda telah terperdaya dan termakan pujukan iblis itu. Sebagai ‘punahsihat’, iblis kata, sekiranya Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memakan pokok itu, baginda akan menjadi seperti malaikat dan akan hidup kekal dalam syurga. Malah dia menambahkan lagi hujahnya dengan berkata, yang Tuhan kata, ‘jangan hampiri’, bukanlah Dia kata ‘jangan makan’.

Begitulah, Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akhirnya telah memakan pokok larangan itu. Bila baginda makan, baginda pun mengajak Hawwa’ memakannya juga. Bimbang pula nanti sekiranya Hawwa’ tidak makan, mereka akan berpisah. Akan tetapi dalam tafsir lain dikatakan bahawa iblis menggoda Hawwa’ dan Hawwa’lah yang menyebabkan Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ makan.

Itu adalah fitnah kepada Hawwa’ kerana ia memburukkan kaum wanita. Itu semua adalah karut sahaja. Padahal dalam Al-Qur’an, dikatakan Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُlah yang makan dulu pokok itu. Orang Kristian sampai menamakan Hawwa’ dengan nama ‘Eve’, dan mereka kata daripada kata nama Eve itulah datangnya kata nama ‘evil’ – kejahatan. Kepada mereka, Eve lah punca segala kejahatan!

Setelah dimakan pokok itu, lalu terlucutlah pakaian mereka dengan sendiri. Telanjanglah mereka berdua. Maka, tahulah Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bahawa mereka telah derhaka dengan Tuhan dan Allah ﷻ telah murka kepada mereka sehingga dilucutkan pakaian kebesaran dan kemewahan mereka. Mereka telah mengambil daun daripada pokok-pokok dalam Syurga untuk menutupi tubuh mereka kerana memang sudah dijadikan dalam fitrah manusia, malu dan menjaga aurat.

 

فَأَخْرَجَهُمَا مِمَّا كَانَا فِيهِ

Maka dikeluarkan mereka berdua daripada syurga, tempat yang pernah mereka tinggal padanya; 

Allah ﷻ kata ‘jangan’, tetapi iblis tipu dengan kata ‘boleh’. Maknanya dalam kehidupan seharian kita, syaitan akan mencari helah mana yang tidak boleh, dia akan suruh kita buat. Inilah caranya. Dia terbalikkan yang boleh dan tidak boleh.

Syaitanlah penyebab turunnya Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dari syurga. Allah ﷻ yang keluarkan Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Hawwa’ akan tetapi disebut di sini iblis yang keluarkan kerana dialah penyebab. Dia bukannya suruh Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ membuat salah tetapi dia pandai memujuk. Dia telah memutarbelitkan larangan Allah ﷻ. Dia kata larangan daripada Allah ﷻ itu adalah kerana sekiranya Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ makan, Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akan kekal di syurga. Syaitan kata Allah ﷻ tidak benarkan memakan pokok itu sebab Allah ﷻ mahu keluarkan Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dari syurga.

Begitulah licik iblis itu sehingga dia memandai-mandai menamakan pokok itu Pokok Khuldi – Pokok Kekal. Panjang dan lama dia memujuk Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sampai Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ termakan pujukannya. Akhirnya iblis berjaya menghalalkan yang haram.

Syaitan akan sentiasa hendak menggelongsorkan manusia daripada mengikut syariat. Lalu bagaimana kita mahu melawan syaitan kerana kita tidak nampak mereka? Allah ﷻ ajar dalam ayat ini yang jikalau ada keinginan untuk menolak syariat, itu adalah bisikan syaitan. Memang iblis tidak suka wahyu ditegakkan. Allah ﷻ beri peringatan jangan kita menjadi seperti tok nenek dulu.

 

وَقُلْنَا اهْبِطُوا

Dan Kami (Allah) berfirman: Keluarlah kamu dari syurga ini;

Kalimah اهْبِطُوا daripada kata dasar: ه ب ط yang bermaksud maju ke hadapan, menuruni dari tempat yang tinggi ke bawah, bergerak dari satu tempat ke satu tempat lain, memasuki, bertukar keadaan, menjadi rendah, diturunkan kedudukan.

Melalui bahasa yang digunakan, bukan bermaksud ‘kamu berdua’. Akan tetapi arahan itu diberikan kepada ramai kerana ia dalam bentuk jamak (plural). Maka, ada mufassir yang berpendapat, yang disuruh keluar dalam ayat ini termasuk sekali dengan iblis kerana mungkin iblis masih lagi ada di langit pada waktu itu (walaupun bukan dalam syurga).

 

بَعْضُكُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ

Sebahagian daripada kamu akan menjadi musuh kepada sebahagian yang lain;

Permusuhan Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan iblis akan berterusan sehingga ke dunia. Apabila Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Hawwa’ sudah tiada, permusuhan diteruskan dengan anak cucu dan generasi demi generasi yang seterusnya pula. Ia bermakna bahawa syaitan menjadi musuh manusia, dan manusia pun mesti menjadikannya sebagai musuh. Jangan sesekali berbaik-baik dengannya, jangan memberinya maaf, kerana kalaupun syaitan dimaafkan, ia akan kembali memusuhi. Jangan sekali-kali menduga bahawa ia pada suatu saat dapat bersikap lembut terhadap kita, apatah lagi menjadi teman manusia. Memang, manusia yang bermusuhan dengan manusia lain boleh bertukar menjadi teman pada suatu ketika, namun syaitan tidak akan sesekali menjadi teman. Ia adalah musuh abadi hingga akhir zaman.

Keturunan Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Hawwa’ juga bermusuhan apabila mereka mempunyai zuriat. Menjadi musuh sebahagian yang lain sudah tentunya menyedihkan ibu bapa (Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Hawwa’), iaitu kita akan balik kepada kejadian asal manusia. Ini kerana setiap manusia ada nafsu yang berlainan. Keinginan juga berlainan. Ia membawa kepada perbezaan pendapat dan akan terjadilah permusuhan. Tidak perlu menunggu lama, anak Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Hawwa’ iaitu Habil dan Qabil juga telah bermusuhan sehingga terjadilah kes pembunuhan pertama di dunia.

Orang yang berada di atas al-haq akan sentiasa dimusuhi oleh orang yang berfahaman batil dan berbagai-bagai lagi jenis permusuhan yang ada. Dalam hal yang remeh seperti bermain bola pun manusia boleh bermusuhan. Begitulah tidak sunyi manusia daripada permusuhan yang tidak habis-habis.

Tidak dapat disangkal lagi, pencetus utama penindasan ini adalah syaitan. Terdapat segolongan manusia yang menggunakan nama Islam tetapi telah mengeluarkan kata-kata paling kesat berbaur syaitan. Sesetengah daripada mereka menindas wanita atas nama Islam. Sudah pasti mereka telah menyalahgunakan nama agama untuk mencapai tujuan mereka ini. Mereka telah memutarbelitkan hukum hakam agama sehingga menjadi bertentangan dengan sunnah Rasulullah ﷺ. Ini adalah merupakan sebuah tragedi ummah. Propaganda terburuk terhadap Islam sebenarnya telah dilakukan oleh tangan-tangan Muslim sendiri secara sedar atau tidak. Kenyataan ini amat memeritkan sekali. Lihatlah sekarang bagaimana kita saling bercakaran di antara satu sama lain walaupun dalam hal-hal yang remeh sahaja.

Siapakah yang memberikan kita lesen untuk menghakimi hati dalaman seseorang? Lebih memburukkan keadaan apabila ia dilakukan oleh mereka yang alim dan kononnya berpengetahuan tinggi dalam bidang agama dalam masyarakat.

Oleh itu, apabila Allah ﷻ berfirman yang kita akan saling bermusuhan di antara satu sama lain, jangan sangka yang permusuhan ini adalah hanya di antara golongan mukmin dan kafir sahaja. Ia lebih daripada itu kerana kita hidup dalam keadaan di mana manusia ada yang menggunakan nama Islam untuk menyatakan segala kata-kata yang amat buruk sekali. Akibatnya, ini menyebabkan manusia semakin jauh daripada Islam. Mereka telah mengaitkan Allah ﷻ dan Rasulullah ﷺ dengan perkara yang amat terpesong sekali.

Oleh hal yang demikian, ini adalah perjuangan kita: untuk menuntut semula Kitab Allah ini dan mencari keadilan yang sebenarnya di atas segala Sunnah Rasulullah ﷺ. Perjuangan untuk merampas semula daripada mereka yang telah menzalimi dan menindas di atas nama Allah ﷻ dan Rasulullah ﷺ. Lihatlah betapa beraninya mereka. Inilah hakikat yang sedang berlaku di sekeliling kita.

 

وَلَكُمْ فِي الْأَرْضِ مُسْتَقَرٌّ

Bagi kamu di bumi itu tempat tinggal yang sementara; 

Kalimah مُسْتَقَرٌّ daripada kata dasar: ق ر ر yang bermaksud senyap, tetap, tegap, segar, kukuh, bersetuju, tempat tetap, nyaman. Allah ﷻ mengingatkan yang keturunan anak cucu Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akan menetap dalam dunia namun tidaklah lama, hanya duduk sekejap sahaja. Manusia akan mati akhirnya dan akan pergi ke tempat yang kekal selama-lamanya di akhirat. Kalimah istiqrar bermaksud untuk tinggal dan tinggal di dalam ketenteraman. Ia juga bermaksud kedinginan. Dalam bahasa mudah, sebagai manusia yang telah diturunkan ke bumi, kita akan mendapati bumi ini adalah tempat untuk berseronok. Kita akan akan menemui segala kesenangan dan kemudahan. Semuanya diberikan sehingga waktu tertentu.

Akan tetapi tentunya kehidupan di dunia bagi Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ amat susah kerana baginda telah pernah hidup di syurga yang penuh kenikmatan. Allah ﷻ telah mengingatkan perkara ini dari awal lagi seperti disebut di dalam Taha: 117-119

فَقُلنا يا آدَمُ إِنَّ هٰذا عَدُوٌّ لَكَ وَلِزَوجِكَ فَلا يُخرِجَنَّكُما مِنَ الجَنَّةِ فَتَشقىٰ
Maka, Kami berfirman: “Wahai Adam sesungguhnya Iblis ini musuh bagimu dan bagi isterimu; oleh itu, janganlah ia menyebabkan kamu berdua keluar dari Syurga, kerana dengan yang demikian engkau (dan isterimu) akan menderita.

إِنَّ لَكَ أَلّا تَجوعَ فيها وَلا تَعرىٰ
“Sesungguhnya telah dikurniakan berbagai nikmat bagimu, bahawa engkau tidak akan lapar dalam Syurga itu dan tidak akan bertelanjang.

وَأَنَّكَ لا تَظمَأُ فيها وَلا تَضحىٰ
“Dan sesungguhnya engkau juga tidak akan dahaga dalam Syurga itu, dan tidak akan merasa panas matahari”.

 

وَمَتٰعٌ إِلَىٰ حِينٍ

dan suatu kesenangan sehingga tempoh kamu mati;

Perkataan مَتَاعٌ yang digunakan dalam ayat ini bermaksud ‘barang keperluan yang digunakan’. Namun barang itu tidaklah penting sepertimana sehelai kain buruk kita buat lap meja sahaja. Ia memang digunakan, tetapi tidaklah ia menjadi satu barang yang penting dan berharga.

Maka inilah hakikat dunia. Ia hanya untuk keperluan hidup kita semasa di dunia sahaja. Oleh itu, jangan kita bersikap materialistik sehingga dunia itu masuk ke dalam hati kita. Kena ingat yang dunia ini hanyalah untuk keperluan sahaja.

Kita adalah anak cucu Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang tidak bersalah makan pokok itu. Namun sekarang kita duduk di dunia kerana dalam ayat ini, ia adalah perintah daripada Allah ﷻ untuk kita tinggal di dunia. Sememangnya Allah ﷻ telah takdirkan dari dulu lagi yang kita akan menetap dalam dunia. Kita akan diuji di dunia ini untuk melayakkan kita masuk ke dalam syurga yang kekal abadi.

Oleh itum yang penting pengajaran yang kita boleh ambil daripada kisah ini. Pengusiran dari syurga yang penuh kenikmatan, seharusnya mendorong manusia untuk berusaha kembali ke sana seperti cara yang akan ditunjukkan Allah ﷻ. Huraian ayat di atas juga bertujuan untuk menanamkan rasa penyesalan ke dalam jiwa manusia sekaligus menunjukkan betapa syaitan merupakan musuh dan sumber malapetaka yang kita mesti berhati-hati. Ini diharapkan dapat menghasilkan dorongan untuk terus menerus memusuhi syaitan dan menjauh daripada segala rayuan dan ajakannya.

Namun begitu terdapat sesetengah Muslim yang telah menyalah anggap dengan berfikir yang kita tidak boleh menikmati dunia pula. Apa yang Allah ﷻ tekankan adalah jangan keterlaluan dalam menikmati dunia sehingga lupa akan akhirat, itu sahaja. Jangan lupa yang dunia ini adalah sementara. Cuba kaji sejarah hidup Nabi ﷺ kita. Baginda hidup di Madinah ketika zaman perang. Walaupun begitu, Baginda tidak menegur atau menghina sahabat-sahabatnya yang menikmati dunia ini. Baginda berjuang namun dalam masa yang sama baginda menikmati dunia ini juga. Siapalah kita yang mahu berlebihan pula melebihi para sahabat itu? Kita harus ingat yang Allah ﷻ telah menganugerahkan kehidupan dunia ini untuk kita nikmati dan mensyukuri kepada-Nya. Bagaimana mungkin kita mampu bersyukur jika kita tidak menikmati segala pemberian-Nya?

Ingatkah peristiwa ketika ada tetamu yang mengunjungi Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ? Bukankah baginda telah menjamu mereka dengan hidangan mewah berupa lemak daging? Bukankah itu merupakan nikmat dunia? Oleh sebab itu, kita tidak sepatutnya mengutuk dan mencerca dunia ini, cuma kita harus hidup secara sederhana, seimbang dunia dan akhirat. Itu sahaja.

Allah ﷻ mahukan kebahagiaan untuk hamba-hamba-Nya yang beriman dunia dan akhirat. Maka, hargailah kurniaan Allah ﷻ ini kepada kita. Kita harus ingat, yang keindahan dunia yang Allah ﷻ ciptakan ini merupakan kebanggaan buat Allah ﷻ.

Sebab itulah Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah diperintahkan untuk menggunakan مَتَاعٌ di dunia ini. Baginda bukanlah dihukum. Walau bagaimanapun kita harus ingat yang baginda telah melihat Jannah malah sempat merasai nikmat di dalamnya. Kesenangan dunia ini tiada apa-apa jika dibandingkan dengan Jannah. Tidak dapat kita bayangkan kesedihan yang baginda alami.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 26 Julai 2024

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Nouman Ali Khan

Mualana Hadi

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Baqarah Ayat 35 (Pokok Khuldi nama rekaan iblis)

GODAAN DAN KEGAGALAN

Baqarah Ayat 35: Sekarang masuk ke episod yang baru kisah Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini.

وَقُلنا يٰئآدَمُ اسكُن أَنتَ وَزَوجُكَ الجَنَّةَ وَكُلا مِنها رَغَدًا حَيثُ شِئتُما وَلا تَقرَبا هٰذِهِ الشَّجَرَةَ فَتَكونا مِنَ الظّٰلِمينَ

Sahih International

And We said, “O Adam, dwell, you and your wife, in Paradise and eat therefrom in [ease and] abundance from wherever you will. But do not approach this tree, lest you be among the wrongdoers.”

Malay

Dan Kami berfirman: “Wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu dalam syurga, dan makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai, dan janganlah kamu hampiri pokok ini; (jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu dari golongan orang-orang yang zalim”.

 

وَقُلْنَا يٰئآدَمُ اسْكُنْ أَنْتَ وَزَوْجُكَ الْجَنَّةَ

Dan Kami berfirman kepada Nabi Adam: Tinggallah kamu dan pasangan kamu dalam syurga;

Allah ﷻ mengizinkan Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk tinggal dalam syurga. Tidak dinyatakan في الْجَنَّةَ (dalam syurga) tetapi hanya الْجَنَّةَ tanpa harf في di sini. Kebiasaannya apabila kita katakan kita tinggal di sesuatu tempat, kita akan katakan ‘di’ Dallas, Johor dan sebagainya. Akan tetapi di sini tiada ‘di’. Kenapa?

Ini kerana kalimah في (di dalam) akan menghilangkan sifat luas terbentangnya Jannah itu. Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak diberitahu untuk tinggal di dalam Jannah kerana baginda boleh tinggal di mana-mana sahaja di Jannah itu. Baginda boleh tinggal di mana-mana sahaja di seluruh Jannah yang tidak berpenghujung itu.

Dalam ayat-ayat sebelum ini (diajar nama, malaikat disuruh sujud), kejadian itu semua berlaku di mana? Tidak disebut di dalam nas Al-Qur’an atau hadith. Oleh kerana itu ada ahli tafsir berpendapat ia berlaku di luar syurga, kerana selepas itu barulah Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diperintahkan untuk masuk tinggal di dalam syurga seperti disebut di dalam ayat ini. Akan tetapi ada juga yang berpendapat, semua yang terjadi sebelum ini pun tempatnya di dalam syurga, cuma Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak tahu yang baginda akan tinggal terus di dalamnya. Sehingga sekarang barulah keluar arahan inilah tempat tinggal baginda. Allahu a’alm.

Bukanlah baginda tinggal seorang sahaja kerana kalau tinggal seorang diri, tentulah baginda bosan. Maka telah dijadikan pasangan buat baginda yang namanya Hawwa’. Asalnya baginda seorang sahaja tetapi kemudian telah diciptakan Hawwa’. Ada juga kisah penciptaan beliau iaitu dikatakan dijadikan daripada tulang Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Di dalam kisah Israiliyyat, dikatakan beliau dijadikan daripada tulang rusuk, dan tulang itu diambil ketika baginda sedang tidur. Umumnya begini jugalah pandangan kebanyakan orang Islam dan ia dikuatkan dengan hadith yang masyhur,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اسْتَوْصُوا بِالنِّسَاءِ فَإِنَّ الْمَرْأَةَ خُلِقَتْ مِنْ ضِلَعٍ وَإِنَّ أَعْوَجَ شَيْءٍ فِي الضِّلَعِ أَعْلَاهُ فَإِنْ ذَهَبْتَ تُقِيمُهُ كَسَرْتَهُ وَإِنْ تَرَكْتَهُ لَمْ يَزَلْ أَعْوَجَ فَاسْتَوْصُوا بِالنِّسَاءِ
Daripada [Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] berkata, Rasulullah ﷺ bersabda: “Nasihatilah para wanita kerana wanita diciptakan daripada tulang rusuk yang bengkok dan yang paling bengkok daripada tulang rusuk adalah pangkalnya, jika kamu cuba untuk meluruskannya maka dia akan patah namun bila kamu biarkan maka dia akan tetap bengkok. Untuk itu nasihatilah para wanita”.
(Sahih Bukhari (3084))

Apabila kita perhatikan bunyi hadith ini dengan saksama, tidaklah ia dapat dijadikan dalil untuk mengatakan bahawa perempuan, atau terutama Hawwa’, terjadi daripada tulang rusuk Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Tidak ada disebut sama sekali dalam hadith ini daripada hal tulang rusuk Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Yang terang maksud hadith ini ialah membuat perumpamaan tentang hal bengkok atau bengkoknya jiwa orang perempuan, sehingga payah membentuknya, sama keadaannya dengan tulang rusuk; tulang rusuk tidaklah dapat diluruskan dengan paksa. Kalau dipaksa-paksa meluruskannya, ia akan patah. Seandainya dibiarkan sahaja, tidak dihadapi dengan sabar, ia berterusan dalam keadaan bengkok.

Yang menjadi isunya adalah penggunaan kalimah مِنْ pada kalimat خُلِقَتْ مِنْ ضِلَعٍ. Ramai yang menterjemahkan ‘wanita diciptakan daripada tulang rusuk yang bengkok’. Sedangkan kalimah مِنْ boleh juga membawa maksud ‘seperti’. Ini dikuatkan lagi dengan hadith yang lain,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ الْمَرْأَةَ كَالضِّلَعِ إِنْ ذَهَبْتَ تُقِيمُهَا كَسَرْتَهَا وَإِنْ تَرَكْتَهَا اسْتَمْتَعْتَ بِهَا عَلَى عِوَجٍ
Daripada [Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] beliau berkata; Rasulullah ﷺ bersabda: “Sesungguhnya wanita itu seperti tulang rusuk; Jika kamu ingin meluruskannya maka kamu akan mematahkannya dan jika kamu membiarkannya maka kamu boleh bersenang-senang dengannya, namun ia masih dalam keadaan bengkok.”
(Sahih Bukhari (1109))

Kali ini digunakan kalimah yang lebih jelas iaitu كَالضِّلَعِ (seperti tulang rusuk). Maka di sini kita dapat tahu bahawa tulang rusuk itu hanyalah perumpamaan sahaja. Ini kerana seorang lelaki hendaklah berhati-hati di dalam menasihati dan membentuk wanita kerana mereka itu seumpama tulang rusuk yang sifatnya bengkok. Kalau dibiarkan, terus bengkok dan ini tidak patut dibiarkan; namun kalau keras nasihat kita kepadanya, maka ia akan mematahkannya kerana sifatnya seperti tulang yang kalau dibentuk dengan keras, ia boleh patah. Ini adalah kerana wanita mengikut hawanya iaitu sentimen mereka, emosi mereka.

Hadith-hadith ini telah memberi petunjuk bagi seorang lelaki terutama bagi seorang suami, bagaimana caranya menggauli isterinya dan mendidik anak-anaknya yang perempuan. Ini amat penting sekali agar dapat membina rumahtangga yang bahagia. Seorang lelaki itu hendaklah mengenali akan kelemahan jiwa perempuan ini, iaitu laksana tulang rusuk yang bengkok. Seorang suami yang berpengalaman dapat mengerti dan memahami apa maksud hadith-hadith ini. Sekiranya bijak berkomunikasi, maka tenanglah jiwa dan tidaklah terbang pinggan mangkuk; sebaliknya jika berkeras, maka cerailah jawabnya.

Daripada pasangan Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini mengajar kita yang sunnah dalam agama adalah menikah. Kita adalah makhluk yang sememangnya memerlukan pasangan hidup yang halal. Maka jangan kita terpengaruh dengan sesetengah orang yang berasa lebih senang hidup sendirian sahaja. Jangan begitu. Kita tidaklah sampai mengatakan yang menikah itu wajib, kerana lain orang lain masalahnya. Bukan senang juga untuk mencari pasangan yang sesuai. Akan tetapi yang penting hendaklah disimpan niat untuk menikah kerana itulah yang dilakukan oleh ibubapa kita yang dimulai oleh Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Hawwa’.

Perkataan ‘سكن’ yang digunakan itu pun sudah bermaksud bahawa Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Hawwa’ tidak akan tinggal lama di Syurga itu. Ini kerana makna perkataan itu dalam bahasa Arab adalah untuk tinggal sekejap sahaja dan kemudian nanti akan meneruskan perjalanan ke tempat lain. Dalam dalam ayat 30 sebelum ini pun Allah ﷻ telah berfirman kepada malaikat bahawa Dia hendak menjadikan khalifah di bumi. Maka, memang tempat Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah di bumi, bukan terus duduk di Syurga. Allah ﷻ tahu yang mereka tidak akan tinggal tetap di situ dan kerana itulah Allah ﷻ menggunakan kalimah اسْكُنْ di sini. Tambahan pula, syarat untuk tinggal di syurga adalah dengan iman dan amal setelah berjaya melepasi ujian, sedangkan Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Hawwa’ belum lagi diuji.

Arahan untuk tinggal ini adalah kepada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Hawwa’ sahaja kerana memang Allah ﷻ tahu yang mereka tidak akan sempat beranak pinak di situ.

Selain itu, terdapat juga makna lain untuk اسْكُنْ. Di dalam ayat Rum: 21, Allah ﷻ berfirman:

وَمِنْ اٰيٰتِهٖٓ اَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِّنْ اَنْفُسِكُمْ اَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوْٓا اِلَيْهَا
Dan di antara tanda-tanda (kebesaran)-Nya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu daripada jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram terhadapnya.

Agar kamu mendapat ketenteraman terhadapnya. Maka, daripada اسْكُنْ Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Hawwa’ telah diciptakan. Di sini mengajar juga kepada kita, bahawa kunci ketenangan dan ketenteraman sesebuah rumahtangga terletak di tangan suami. Kadangkala, si isteri mungkin terlalu marah sehingga mengeluarkan kata-kata yang sangat buruk, namun ketika inilah si suami harus mewujudkan ketenangan itu. Suami haruslah bertenang, dengar sahaja apa yang isteri ingin katakan dan jangan terus mengambil hati dengan kata-katanya. Suami harus sahaja berkata: “Ya”. Jangan sesekali berpaling dan menjawab. Jangan. Biarkan sahaja. Lepaskan sahaja. Biarkan si isteri meluahkan perasaannya sehingga lega. Ini kerana menjaga ketenteraman adalah tanggungjawab si suami. Jangan harapkan perkara ini daripada isteri kerana dia tidak mampu sebenarnya. Tidak dinafikan, kadangkala ia adalah amat sukar sekali. Namun ia merupakan sebahagian daripada tanggungjawab kita sebagai suami. Oleh itu, kalimat لِّتَسْكُنُوْٓا اِلَيْهَا bermaksud: agar kamu merasa tenteram terhadapnya. Ini bermakna ketenangan anda ditujukan langsung kepada isteri anda.

Akan tetapi kenapakah Allah ﷻ memasukkan Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ke dalam syurga walaupun Dia tahu yang Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak akan kekal di situ? Kerana Allah ﷻ hendak tunjukkan tempat asal baginda dan tempat baginda akan kekal abadi nanti setelah baginda menjalani ujian dahulu di dunia.

Di dalam ayat ini Allah ﷻ bercakap terus kepada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana baginda adalah ketua keluarga. Ketua keluarga dalam sesuatu keluarga itu adalah lelaki. Maka arahan diberikan kepadanya dan dialah yang kena sampaikan kepada Hawwa’. Ini juga menjadi sumber hukum yang seorang suami wajib menyediakan tempat tinggal bagi isteri; dan isteri mesti tinggal di rumah suaminya tinggal. Oleh itu untuk hubungan PJJ (Perhubungan Jarak Jauh) memang tidak baik sebenarnya.

Allah ﷻ memerintahkan Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Hawwa’ tinggal di syurga. Namun syurga yang mana? Tentang syurga ini ulama’ khilaf, adakah ia syurga yang akan dimasuki oleh orang beriman nanti setelah bermula hari akhirat atau syurga yang lain? Yang mengatakan ia syurga yang lain adalah kerana sifat syurga ini tidak seperti syurga yang kita dijanjikan nanti. Ini kerana syurga tempat Nabi Adam  ini ada larangan, boleh berlaku maksiat serta iblis pun boleh memasukinya. Akan tetapi yang mengatakan ia adalah syurga yang sama pula berhujah, Allah ﷻ boleh sahaja jadikan syurga itu dengan sifat yang lain, kemudian nanti akan diubah sifatnya (tiada larangan lagi dan tiada maksiat akan berlaku di situ). Allahu a’lam. Yang pasti ia adalah tempat nikmat kerana الْجَنَّةَ dari segi bahasa bermaksud kebun dan kebun itu adalah tempat yang selesa dan memiliki nikmat.

 

وَكُلَا مِنْهَا رَغَدًا

dan kedua-dua kamu makanlah dengan penuh selera;

Kali ini arahan diberikan kepada mereka berdua (Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Hawwa’) kerana kalimah yang digunakan adalah كُلَا iaitu dalam fi’il amar (arahan) kepada dua orang. Untuk arahan tinggal di syurga, Allah ﷻ menggunakan kalimah اسْكُنْ (yang ditujukan kepada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُsahaja) kerana Hawwa’ kena tinggal dengan Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di kediaman yang sama. Akan tetapi kali ini digunakan kalimah كُلَا di mana arahan diberikan kepada kedua-duanya sekali. Ini kerana isteri tidak semestinya kena makan apa yang suami makan kerana selera lain orang berbeza.

Kalimah رَغَدًا daripada kata dasar: ر غ د yang bermaksud banyaknya perkara baik, makan dengan senang hati dan sepuas-puasnya, hidup dalam kesenangan. Maka kalimah رَغَدًا bermaksud rezeki yang diterima tanpa perlu bekerja, tanpa usaha, tidak akan habis atau berkurang. Demikianlah nikmat besar yang telah diberikan kepada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Hendak makan apa, makanlah, seberapa banyak pun, makanlah. Mahu guna apa, gunalah kerana tidak ada sekatan.

Di syurga nanti memang tempat makan yang رَغَدًا. Boleh makan sepuas-puasnya, yang lazat sahaja tanpa halangan dan larangan dan tanpa berkurang. Memang tempat makan sahaja di syurga nanti. Makan pula bukannya kerana lapar tetapi kerana hendak menikmati makanan itu sahaja. Selepas makan pun tidak ada masalah perlu mengeluarkan makanan pula dengan pergi ke tandas dan sebagainya sebagaimana diceritakan oleh Nabi ﷺ di dalam hadith berikut:

Daripada Jabir bin Abdillah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda,
إنَّ أهْلَ الجَنَّةِ يَأْكُلُونَ فيها ويَشْرَبُونَ، ولا يَتْفُلُونَ ولا يَبُولونَ ولا يَتَغَوَّطُونَ ولا يَمْتَخِطُونَ قالوا: فَما بالُ الطَّعامِ؟ قالَ: جُشاءٌ ورَشْحٌ كَرَشْحِ المِسْكِ، يُلْهَمُونَ التَّسْبِيحَ والتَّحْمِيدَ، كما تُلْهَمُونَ النَّفَس
“Sesungguhnya penduduk syurga, mereka makan dan minum di dalam syurga, namun mereka tidak meludah, tidak kencing, tidak buang air besar, dan tidak mengeluarkan kahak.” Para sahabat bertanya: ‘Lalu bagaimana nasib makanan di perut mereka?’ Jawab Nabi ﷺ, “Menjadi sendawa, dan keringat yang berbau misk. Mereka diilhamkan untuk selalu bertasbih dan bertahmid, sebagaimana kalian selalu bernafas.”
(HR. Muslim No. 2835)

Allah ﷻ berfirman tentang makanan di dalam syurga di dalam Waqiah: 32-33

وَفٰكِهَةٍ كَثيرَةٍ
Serta buah-buahan yang banyak,

لّا مَقطوعَةٍ وَلا مَمنوعَةٍ
Yang tidak putus-putus dan tidak pula terlarang mendapatnya,

 

حَيْثُ شِئْتُمَا

di mana sahaja kamu berdua ingini;

Maknanya, buatlah apa yang kamu berdua mahu buat, jadikan syurga itu sebagai rumah sendiri. Mereka boleh menikmati apa sahaja yang ada di dalam syurga itu. Mereka hendak ke mana-mana pun boleh. Ini mengajar kita yang manusia boleh sahaja bergerak dan berpindah randah mengikut kehendaknya sendiri.

Akan tetapi ada larangan satu tempat jangan mereka dekati dan makan:

 

وَلَا تَقْرَبَا هَٰذِهِ الشَّجَرَةَ

dan jangan kamu hampiri pokok ini;

Dalam banyak-banyak tempat yang Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Hawwa’ boleh pergi, terdapat sepohon pokok sahaja yang mereka dilarang untuk pergi dan mendekatinya. Maknanya, mereka tahu pokok itu berada di mana dan mereka ditegah daripada pergi menghampirinya.

Allah ﷻ titahkan perkara kedua kepada mereka berdua: Jangan hampiri pokok. Sekali lagi, Allah ﷻ tujukan kepada kedua-dua mereka (لَا تَقْرَبَا). Larangan ini adalah di antara mereka dengan Allah ﷻ dan si suami tidak boleh menghalang, begitu juga si isteri. Ini kerana perbuatan ini dilakukan kerana Allah ﷻ. Malangnya terdapat segolongan suami yang menghalang isteri daripada taat kepada Allah ﷻ seperti melarang isterinya memakai hijab; sementara terdapat pula segolongan isteri yang melarang suaminya solat di masjid. Semua ini adalah salah. Jika hal yang melibatkan antara kita dan Allah ﷻ, tiada sesiapa mempunyai hak untuk menghalangnya, tidak kira apa sahaja. Keseimbangan ini, adakalanya sukar untuk dicapai. Adakalanya kita mahu taat perintah Allah ﷻ, tetapi terpaksa pula melawan kehendak suami. Namun di antara Allah ﷻ dan suami, redha Allah ﷻ yang mesti didahulukan.

Ini bermaksud terdapat dua arahan di sini iaitu satu adalah titah suruhan dan satu lagi adalah titah larangan. Titah suruhan itu luas (makanlah apa sahaja, buatlah apa sahaja, pergilah ke mana sahaja); tetapi titah larangan itu satu sahaja, iaitu jangan dekati sebatang pokok. Pokok apa kita tidak tahu. Nabi ﷺ tidak beritahu dan sahabat pun tidak bertanya. Maka kita pun tidak perlu tahu. Ingat, nama pokok itu bukanlah ‘Pokok Khuldi’, tetapi ia adalah sejenis pokok. Tidak ada dalam nas yang sahih yang menyebut nama pokok itu. Yang memandai-mandai menamakan pokok itu adalah pokok keabadian (Khuldi), adalah iblis seperti disebut di dalam Taha: 120

فَوَسوَسَ إِلَيهِ الشَّيطانُ قالَ يا آدَمُ هَل أَدُلُّكَ عَلىٰ شَجَرَةِ الخُلدِ وَمُلكٍ لا يَبلىٰ
Kemudian syaitan membisikkan (fikiran jahat) kepadanya, dengan berkata, “Wahai Adam! Mahukah aku tunjukkan kepadamu pohon keabadian (khuldi) dan kerajaan yang tidak akan binasa?”

Oleh itu, kita tidak boleh menggunapakai nama itu kerana adakah kita mahu tertipu dengan tipuan iblis itu? Ada mufassirin yang mengatakan ia adalah pokok gandum dan lain-lain, namun tidak dapat dipastikan dengan jelas. Maka tidak perlu untuk kita tentukan pokok apa. Jika dilihat dalam fahaman Kristian, mereka akan meletakkan buah epal, bukan? Ini adalah kerana salah faham dengan perkataan Latin ‘malum‘ yang bermaksud dosa, keburukan dan juga digunakan untuk epal juga. Inilah punca kekeliruan berlaku.

Terdapat masalah sekiranya sibuk sangat hendak tahu apakah jenis pokok itu. Masyarakat kita pun ada begitu yang sibuk sekali untuk mengetahui perkara yang tidak perlu. Sibuk hendak tahu jenis pokok apa, apa rahsia dia, apa hikmat dia dan lain-lain lagi. Maka maklumat yang mereka dapat tentunya daripada maklumat yang karut-marut sahaja.

Demikianlah terdapat satu larangan sahaja. Sudah mudah sangat sepatutnya, jika mahu dikirakan. Yang lain buatlah apa sahaja yang diinginkan. Maka Allah ﷻ berikan arahan yang iumum dan hanya ada satu larangan sahaja. Namun begitulah memang sudah menjadi tabiat manusia, yang dilarang itulah yang mereka mahu buat. Kadang-kadang bukan mereka hendak buat sangatpun, tetapi dek kerana bisikan syaitan yang dengki kepada manusia.

Allah ﷻ mahu beri isyarat dalam ayat ini yang syariat Allah ﷻ itu mudah sahaja. Yang menjadi berat itu adalah apabila manusia reka sendiri perkara yang tidak disuruh dalam syarak. Ini termasuk golongan yang menambah-nambah perkara yang bid’ah yang kemudiannya menyusahkan manusia sahaja. Kerana itulah kena belajar tafsir Al-Qur’an dan syarah hadith. Semoga dengan adanya sedikit ilmu dapatlah kita menjadi lebih bijak sedikit untuk bertanya dari mana asal sesuatu amalan dan fahaman itu.

Di dalam ayat ini Allah ﷻ berfirman dengan menggunakan kalimah تَقْرَبَا (jangan dekati). Allah ﷻ tidaklah secara langsung melarang untuk memakan pokok itu, tetapi kenapakah hanya melarang untuk mendekatinya? Ini adalah satu konsep yang penting di dalam agama yang dinamakan Sadd al-Zara’ie. Sadd maksudnya ‘tutup’ dan zari’ah (ذريعة) atau kata jamaknya zara’ie (ذرائع) dari sudut bahasa bermaksud suatu wasilah yang boleh menyampaikan kepada sesuatu. Oleh itu jikalau sesuatu itu adalah haram, maka jalan untuk membawa kepadanya juga dilarang. Berikut merupakan antara contoh sadd al-zara’ie:

•  Pengharaman berkhalwat dengan ajnabi untuk mengelakkan berzina.
•  Pengharaman melihat kepada wanita bukan mahram tanpa keperluan.
• Larangan untuk seorang lelaki meminang pinangan orang lain untuk mengelakkan permusuhan dan kebencian.
•  Larangan untuk melakukan ihtikar (monopoli), kerana ia merupakan satu jalan untuk menyempitkan urusan manusia dalam makanan asasi mereka.

Oleh itu kita pun hendaklah menjaga diri kita. Jangan pergi ke tempat-tempat maksiat kerana kalau kita pergi, takut kita pun akan terikut pula nanti. Jangan pergi ke kelas pengajian asatizah yang mengamalkan bid’ah kerana takut kita termakan dengan fahaman mereka. Malah banyak lagi perkara yang kita boleh aplikasikan konsep ini.

Larangan ini menunjukkan kasih sayang Allah ﷻ terhadap Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan pasangannya serta anak cucu mereka. Allah ﷻ Maha Mengetahui bahawa wujudnya kecenderungan manusia untuk ingin mendekati, lalu mengetahui, dan merasakan sesuatu yang indah dan menarik. Di sini, langkah awal segera dilarang oleh-Nya, agar tidak mengundang langkah berikutnya.

Jika diamati larangan-larangan Al-Qur’an, ditemukan ada yang tertuju secara langsung kepada objek yang dilarang, dan ada juga yang lebih ketat lagi iaitu larangan mendekatinya. Biasanya larangan mendekati tertuju kepada hal-hal yang mengandungi rangsangan kuat, seperti hubungan seks baik terhadap lawan seks yang haram (perzinaan) mahupun yang halal (isteri) tetapi ada kondisi yang melarangnya seperti dalam keadaan beri‘tikaf.

 

فَتَكُونَا مِنَ الظّٰلِمِينَ

maka kamu berdua akan menjadi orang yang zalim;

Selepas Allah ﷻ beritahu larangan, Allah ﷻ beritahu juga akibat apa yang akan terjadi kalau mereka langgar juga larangan itu. Sekiranya mereka tetap juga pergi kepada pokok itu, mereka akan dikira sebagai orang yang zalim. Ini adalah ancaman daripada Allah ﷻ. Mereka akan dikira sebagai zalim kerana melanggar perintah Allah ﷻ dan akhirnya mereka akan masuk neraka.

Namun begitu, bukankah para-Nabi terpelihara daripada melakukan dosa? Istilah ini dinamakan ma’sum. Majoriti ulama’ berpendapat para Nabi terpelihara daripada dosa kecil dan besar sedangkan sebahagian kecil berpendapat mereka terpelihara daripada dosa-dosa besar sahaja. Tujuan mereka ini adalah ma’sum kerana mereka ini menjadi contoh kepada umat mereka. Jikalau ada dosa yang mereka lakukan, lalu bagaimanakah umat hendak menjadikan mereka sebagai contoh?

Akan tetapi kita lihat juga di dalam Al-Qur’an seperti menyebut para Nabi ada juga melakukan kesalahan seperti yang dilakukan oleh Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di sini. Oleh itu kita kena jelaskan perkara ini. Iaitu memang para Nabi melakukan juga kesilapan akan tetapi ia kerana salahfaham atau kelupaan sahaja. Bukannya mereka sengaja hendak melakukan kesalahan itu. Maka secara teknikal, ia bukanlah ‘dosa’ sangat. Cuma di dalam Al-Qur’an digunakan kalimah yang memberi maksud dosa, atau zalim, kerana kedudukan mereka tersangatlah tinggi dan kayu ukur yang dikenakan kepada mereka adalah ketat. Untuk kesalahan kecil yang tidak disengajakan pun, sudah disebut sebagai ‘dosa’ bagi mereka sedangkan kesalahan itu tidaklah besar bagi orang lain.

Kesilapan dan kesalahan tidak semestinya terus menjadi dosa kerana itulah seorang mujtahid walaupun melakukan kesilapan di dalam kajiannya dan membuat keputusan, tetaplah dia diberi satu pahala. Ini kerana mereka bukannya sengaja membuat kesalahan itu. Kalaulah ia dosa, takkanlah Allah ﷻ berikan satu pahala pula, bukan?

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا حَكَمَ الْحَاكِمُ فَاجْتَهَدَ فَأَصَابَ فَلَهُ أَجْرَانِ وَإِذَا حَكَمَ فَأَخْطَأَ فَلَهُ أَجْرٌ وَاحِدٌ
Daripada [Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] beliau berkata; Rasulullah ﷺ bersabda: “Jika seorang hakim menetapkan hukum dalam suatu perkara, lalu berijtihad dan ijtihadnya itu benar, maka dia memperolehi dua pahala, namun jika dia menetapkan hukum suatu perkara dan dalam ijtihadnya dia salah, maka dia mendapatkan satu pahala.”
(Sahih Bukhari (1248))

Ulama’ ada juga memberikan penjelasan tentang kesilapan yang telah dilakukan oleh Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini,

a. Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah salah faham kerana telah ditunjukkan pokok yang dilarang untuk dekati. Baginda sangka pokok itu sahaja akan tetapi sebenarnya yang dilarang adalah semua pokok daripada jenis yang sama. Ini seperti disebutkan di dalam sebuah hadith daripada Saidina Ali bin Abi Talib رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ:

إِنَّ نَبِيَّ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَخَذَ حَرِيرًا فَجَعَلَهُ فِي يَمِينِهِ، وَأَخَذَ ذَهَبًا فَجَعَلَهُ فِي شِمَالِهِ، ثُمَّ قَالَ: إِنَّ هَذَيْنِ حَرَامٌ عَلَى ذُكُورِ أُمَّتِي
Sesungguhnya Nabi ﷺ mengambil sutera dan memegangnya dengan tangan kanannya, dan emas di tangan kirinya, kemudian bersabda: Sesungguhnya dua benda ini haram ke atas umatku yang lelaki.
(Hadith Riwayat Imam Ahmad (935))

Nah, mungkin ada terkeliru dengan kata-kata Nabi ﷺ ini. Adakah yang diharamkan itu sutera dan emas di tangan baginda atau semua sutera dan emas dalam dunia? Kemungkinan kekeliruan ini telah dieksploitasi oleh iblis.

b. Iblis mungkin menipu Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan mengatakan larangan itu pada peringkat awal sahaja.

c. Iblis telah menipu Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan mengatakan jikalau makan pokok itu akan menyebabkan dia kekal di dalam syurga.

d. Kesilapan yang Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ lakukan ini adalah sebelum baginda dilantik menjadi Nabi. Maka kerana itulah baginda belum lagi ma’sum.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 26 Julai 2024

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah