Tafsir Surah Zumar Ayat 37 – 40 (Musyrikin Mekah ada Tauhid Rububiyyah)

Zumar Ayat 37:

وَمَن يَهدِ اللَهُ فَما لَهُ مِن مُّضِلٍّ ۗ أَلَيسَ اللَهُ بِعَزيزٍ ذِي انتِقامٍ

Sahih International

And whoever Allah guides – for him there is no misleader. Is not Allah Exalted in Might and Owner of Retribution?

Malay

Dan sesiapa yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah (dengan sebab pilihannya yang benar), maka tidak ada sesiapapun yang dapat menyesatkannya. Bukankah Allah Maha Kuasa, lagi berhak membalas dengan azab seksa (kepada golongan yang bersalah)?

وَمَنْ يَهْدِ اللَهُ فَمَا لَهُ مِنْ مُّضِلٍّ

Siapa-siapa yang diberi hidayah oleh Allah, tidak ada baginya sebarang penyesat untuknya.

Bila menerima tauhid ini, orang lain tidak boleh berbuat apa-apa untuk mengganggu gugat agamanya. Tidak akan ada sesiapa yang boleh menyesatkannya lagi. Dia akan tetap di dalam tauhidnya. Tidak akan berubah lagi kepada kesesatan.

Kerana hatinya telah teguh atas iman – peringkat ini dipanggil Robtul Qalbi (Penetapan Hati) iaitu selepas mereka melepasi ujian-ujian dalam perjalanan imannya. Mereka itu seperti Pemuda Kahfi yang telah mendapat tahap keimanan yang tinggi, sampai mereka sanggup berdepan dengan Raja mereka yang zalim untuk menyatakan kebenaran.

 

أَلَيْسَ اللَهُ بِعَزِيزٍ

Tidakkah Allah Dzat yang Maha Gagah Perkasa.

Allah ﷻ tanya soalan retorik. Allah ‎ﷻ maha berkuasa untuk melakukan apa sahaja. Oleh itu, kita kenalah melakukan ibadah hanya kepada-Nya sahaja dan berdoa pun hanya kepada Dia sahaja. Kerana tiada selain dari Dia yang mempunyai sifat ini.

 

ذِي انْتِقَامٍ

mempunyai kuasa membalas.

Allah ‎ﷻ mampu untuk memberikan balasan kepada hamba-Nya. Dan pujaan-pujaan selain Allah ‎ﷻ yang mereka sembah itu, tidak ada kuasa untuk membalas, tidak boleh melakukan apa-apa sahaja tanpa izin Allah ‎ﷻ.

Allah ‎ﷻ mengingatkan kita kalau kita tidak berpegang dengan tauhid dan melakukan syirik, Allah ‎ﷻ boleh membalas perbuatan salah itu dengan azab sengsara di dunia dan juga di akhirat.

Terdapat rahmat dalam surah ini. Allah ‎ﷻ menggelarkan Diri-Nya ‘yang mempunyai kuasa membalas’, bukan ‘Yang Membalas’ – muntaqim. Muntaqim bukanlah salah satu nama Allah ‎ﷻ. Maknanya, walaupun Allah ‎ﷻ mempunyai kuasa untuk membalas, namun tidak semestinya Dia akan terus membalas hamba-hamba-Nya yang telah engkar kepada-Nya.

Ada kemungkinan Allah ‎ﷻ akan mengampunkan dosa hamba-hamba-Nya kerana Allah ‎ﷻ juga adalah Maha Pemaaf. Ini adalah satu sifat rahmat Allah ‎ﷻ.

Dan Allah ‎ﷻ tidak terus mengazab hambaNya-hamba-Nya yang telah berbuat syirik kepada-Nya selagi mereka masih hidup lagi. Allah ‎ﷻ memberikan peluang kepada mereka untuk bertaubat dan memperbetulkan diri mereka. Itu adalah salah satu dari rahmat Allah ‎ﷻ kepada makhluk-Nya.


 

Zumar Ayat 38: Ini adalah Dalil Aqli I’tirafi. Ada sebahagian perkara tentang Allah ‎ﷻ yang Arab Mekah sudah terima, sudah iktiraf sebagai benar. Walaupun banyak salah mereka dalam syirik, namun ada juga yang benar.

Antaranya, mereka menerima Allah ‎ﷻ sebagai Tuhan yang Maha Mencipta. Kerana mereka memang kenal Allah ‎ﷻ sebagai Tuhan. Allah ‎ﷻ hendak beritahu mereka, kalau ada perkara tentang Allah ‎ﷻ yang mereka sudah terima, sepatutnya tentang tauhid pun mereka kenalah juga terima.

وَلَئِن سَأَلتَهُم مَّن خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ لَيَقولُنَّ اللَهُ ۚ قُل أَفَرَءيتُم مّا تَدعونَ مِن دونِ اللهِ إِن أَرادَنِيَ اللَهُ بِضُرٍّ هَل هُنَّ كٰشِفٰتُ ضُرِّهِ أَو أَرادَني بِرَحمَةٍ هَل هُنَّ مُمسِكٰتُ رَحمَتِهِ ۚ قُل حَسبِيَ اللَهُ ۖ عَلَيهِ يَتَوَكَّلُ المُتَوَكِّلونَ

Sahih International

And if you asked them, “Who created the heavens and the earth?” they would surely say, ” Allah .” Say, “Then have you considered what you invoke besides Allah ? If Allah intended me harm, are they removers of His harm; or if He intended me mercy, are they withholders of His mercy?” Say, “Sufficient for me is Allah ; upon Him [alone] rely the [wise] reliers.”

Malay

Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah yang mencipta langit dan bumi?” Sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Katakanlah (kepada mereka): “Kalau demikian, bagaimana fikiran kamu tentang yang kamu sembah yang lain dari Allah itu? Jika Allah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, dapatkah mereka mengelakkan atau menghapuskan bahayaNya itu; atau jika Allah hendak memberi rahmat kepadaku, dapatkah mereka menahan rahmatNya itu?” Katakanlah lagi: “Cukuplah bagiku: Allah (yang menolong dan memeliharaku); kepadaNyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri”.

 

وَلَئِنْ سَأَلْتَهُمْ مَّنْ خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضَ

Sekiranya ditanyakan kepada mereka, siapakah yang menciptakan langit dan bumi?

Allah ‎ﷻ hendak memberitahu fahaman dan akidah orang kafir Mekah. Mereka juga ada fahaman tentang agama kerana mereka itu orang yang bertamadun juga. Mereka tahu siapakah yang menjadikan alam ini.

Begitu juga, ayat ini secara umum, boleh ditanya kepada sesiapa sahaja pada mana-mana zaman pun. Boleh ditanyakan kepada mereka, siapakah yang menjadikan alam ini?

 

لَيَقُولُنَّ اللهُ

mereka akan menjawab: Allah.

Pasti Musyrikin Mekah itu akan berkata: Allah ‎ﷻ. Tidak ragu-ragu lagi mereka akan menjawab begitu. Semua sekali akan menjawab begitu, sama ada orang kafir ataupun orang musyrik.

Mereka bukan tidak kenal Allah ‎ﷻ. Mereka cuma tidak mahu menyembah Allah ‎ﷻ sahaja. Mereka memang sembah Allah ‎ﷻ, namun dalam masa yang sama, mereka hendak juga menyembah tuhan-tuhan yang lain. Ia seumpama tuhan-tuhan yang lain itu adalah tuhan-tuhan ‘mini’.

Ini yang susah difahami oleh ramai orang. Mereka tidak dapat menerima bahawa Musyrikin Mekah kenal Allah ‎ﷻ dan sembah Allah ﷻ. Mereka berkata tidak mungkin Musyrikin Mekah itu menyembah Allah ‎ﷻ dan menerima Allah ‎ﷻ sebagai Tuhan… ini kerana mereka tidak tahu kerana tidak belajar.

Padahal perkara ini jelas dalam Al-Qur’an dan dalam sejarah mereka. Mereka tahu bahawa Allah ‎ﷻ itu adalah Tuhan dan hanya Dia sahaja yang Maha Mencipta. Sebab itu, dalam pengajaran Tauhid Tiga Serangkai, ada disebut bagaimana Musyrikin Mekah itu adalah fahaman Tauhid Rububiyyah.

Begitu juga, ada orang kafir zaman sekarang pun yang menerima adanya Allah ‎ﷻ. Kadang-kadang mereka tidaklah menggunakan nama ‘Allah ‎ﷻ’. Tetapi mereka akan menggunakan nama seperti ‘Tuhan yang satu’, ‘God the Father’, ‘Tuhan yang berada di langit’ dan sebagainya.

Yang pasti, mereka tentunya mengaku dalam diri mereka bahawa ada satu entiti yang menjadikan alam ini. Masalah mereka adalah mereka mensyirikkan Allah ‎ﷻ sahaja. Dan inilah yang kita hendak betulkan.

 

قُلْ أَفَرَأَيْتُمْ مَّا تَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللهِ

Tanya kepada mereka: apakah pandangan kamu tentang apa yang kamu sembah/seru selain dari Allah itu?

Allah ‎ﷻ mengajar Nabi ﷺ dan kita semua bagaimana berdakwah kepada mereka yang kufur. Sama ada yang mereka sembah dan puja itu adalah Nabi, wali, malaikat, tokong, tuhan-tuhan Hindu itu atau apa-apa sahaja, tanya kepada mereka satu soalan: Apakah pandangan kamu tentang ilah yang kamu sembah selain Allah ‎ﷻ itu?

Tidakkah kamu melihat betul-betul sembahan kamu itu? Apakah yang kamu sembah dan puja itu ada kuasa?

 

إِنْ أَرَادَنِيَ اللَهُ بِضُرٍّ هَلْ هُنَّ كٰشِفٰتُ ضُرِّهِ

Sekiranya Allah ingin memberi bahaya kepada aku, adakah mereka boleh melepaskan diri aku daripada bala itu?

Tanya kepada mereka: bolehkah? Tentu tidak boleh. Walaupun Nabi Muhammad ﷺ sendiri, tidak boleh menyekat bala yang Allah ‎ﷻ hendak timpakan kepadanya. Apatah lagi kalau pujaan-pujaan mereka yang lain. Begitu juga baginda tidak dapat menolong kita sekarang. Nabi Muhammad ﷺ adalah Nabi yang dimuliakan Allah ‎ﷻ. Tetapi baginda telah wafat dan tugas baginda telah tamat. Baginda tentunya tidak boleh menolong kita.

Fahaman yang mengatakan Nabi ﷺ ada datang dan memberikan bantuan itu adalah satu fahaman yang sesat. Seperti juga puak tarekat ada yang berkata Nabi Khidr عليه السلام lah yang membantu mereka-mereka yang sesat dalam hutan, dalam padang pasir dan sebagainya. Itu semua adalah fahaman khurafat.

Jadi, ini adalah akidah kita yang kita kena pegang. Selain dari Allah ‎ﷻ, tidak ada yang boleh menghalang bahaya kepada kita atau menghalang rahmat untuk sampai kepada kita.

Nabi ﷺ disuruh mengingatkan mereka bahawa akidah mereka pun terima yang apabila Allah ‎ﷻ membuat keputusan, tidak ada siapa yang boleh menghalang. Perbincangan ini telah diadakan tentang akidah Musyrikin Mekah – bukan semua akidah mereka salah. Ada juga yang benar dan bertepatan dengan Al-Qur’an.

Lihatlah bahasa yang digunakan oleh Nabi Muhammad ﷺ. Dia menggunakan perkataan ‘kepada aku’, bukan ‘kepada kamu’, atau ‘kepada kita’. Maknanya, dia menisbahkan perkara itu kepada dirinya. Begitu juga yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim عليه السلام. Ini menunjukkan yang mereka merendahkan diri mereka.

 

أَوْ أَرَادَنِي بِرَحْمَةٍ هَلْ هُنَّ مُمْسِكٰتُ رَحْمَتِهِ

Atau sekiranya Tuhanku ingin memberikan rahmat kepada aku, bolehkah mereka menyekat rahmat itu?

Tanya kepada mereka mereka, bolehkah roh-roh seruan mereka itu sekat rahmat itu? Juga tidak boleh. Sembahan-sembahan mereka itu tidak boleh menyekat rahmat dari Allah ‎ﷻ. Kalau Allah ‎ﷻ hendak memberikan rahmat-Nya kepada kita, kita tentu dan pasti akan mendapat rahmat itu, tidak kira apa.

Tidak ada kuasa apa-apa yang dapat menyekat kehendak Allah ‎ﷻ. Walaupun makhluk satu bumi ini bersatu untuk menghalang rahmat itu dari sampai, mereka pasti tidak dapat menghalangnya.

 

قُلْ حَسْبِيَ اللَهُ ۖ عَلَيْهِ يَتَوَكَّلُ الْمُتَوَكِّلُونَ

Katakanlah: cukuplah Allah bagiku. KepadaNyalah orang yang nak bertawakal, akan bertawakal.

Orang yang benar beriman, hatinya kena ada zikir حَسْبِيَ الله. Dia kena berasa cukup dengan Allah ‎ﷻ. Kalau hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang berkuasa penuh, maka natijahnya hendaklah kita semua bertawakal kepada Allah ‎ﷻ sahaja.

Lihat struktur susunan ayat yang digunakan. Sebelum ini, dalam ayat ke 36, digunakan perkataan أَلَيْسَ اللَّهُ بِكَافٍ عَبْدَهُ (Tidakkah Allah mencukupi bagi hambaNya?), dan kali ini disebutkan ‘cukuplah Allah ‎ﷻ sebagai pembantu kita’. Maka ini adalah jawapan kepada soalan dalam ayat 36 itu. Kita disuruh cakap begitu.

Perkataan حَسْبِيَ itu bermaksud ‘kita rasa cukup dan tidak memerlukan apa-apa lagi’. Kita harus berasa cukup dengan Allah ‎ﷻ dan tidak memerlukan sesiapa lagi.

Oleh itu, perkataan حَسْبِيَ اللَّهُ bermaksud ‘cukuplah Allah ‎ﷻ untuk kita’. Kita tidak memerlukan sesiapa lagi. Hanya kepada Allah ‎ﷻ sahaja kita letakkan kepercayaan dan pengharapan kita. Kalau kita letakkan kepada selain Allah ‎ﷻ, kita akan kecewa. Kalau kita meletakkan harapan kita kepada yang lain dari Allah ‎ﷻ, kita akan rugi.

Memang kita dibenarkan dalam Islam untuk meminta pertolongan dari manusia dalam perkara yang mereka boleh tolong (perkara dalam asbab), tetapi tidaklah kita disuruh untuk berharap kepada mereka, kerana mereka kalau hendak tolong kita, mereka hanya usaha sahaja, namun belum tentu mereka berjaya.

Dalam konteks ibadah dan doa kepada Allah ‎ﷻ kita kenalah berasa cukup dengan Allah ‎ﷻ sahaja tempat doa kita. Tidak perlu untuk bertawassul kepada selain Allah ‎ﷻ. Kena ada iktikad bahawa Allah ‎ﷻ tidak memerlukan wakil dalam doa.

Dan bukan sahaja dia kena berzikir, tetapi dia kena mengiklankan dirinya. Dia kena beritahu orang lain yang dia bertawakal hanya kepada Allah ‎ﷻ. Kita beritahu yang kita berdoa dan ibadah hanya kepada Allah ‎ﷻ sahaja.


 

Zumar Ayat 39: Ayat Takhwif Ukhrawi. Ini adalah jawapan terakhir kepada orang yang masih degil untuk menerima akidah tauhid dan menolak syirik.

Benda yang senang pun mereka tidak boleh terima, maka cakap beginilah sahaja kepada mereka. Sekiranya mereka masih berdegil, masih tidak mahu hendak mengikut petunjuk dari Allah ‎ﷻ, maka katakan kepada mereka:

قُل يٰقَومِ اعمَلوا عَلىٰ مَكانَتِكُم إِنّي عٰمِلٌ ۖ فَسَوفَ تَعلَمونَ

Sahih International

Say, “O my people, work according to your position, [for] indeed, I am working; and you are going to know

Malay

Katakanlah: “Wahai kaumku (yang masih berdegil dalam kekufurannya)! Buatlah sedaya upaya kamu, sesungguhnya aku juga tetap berusaha dengan bersungguh-sungguh; kemudian kamu akan mengetahui kelak –

 

قُلْ يٰقَوْمِ اعْمَلُوا عَلَىٰ مَكَانَتِكُمْ

Katakanlah kepada mereka: wahai kaumku, buatlah apa sahaja kamu nak buat atas keadaan kamu. 

Buatlah apa sahaja yang kamu hendak buat dari fahaman syirik kamu yang salah itu. “Buatlah apa sahaja di atas fahaman kamu itu.” Cakap begitu dengan mereka kerana kita sudah tidak mahu campur dengan hal mereka.

Kalau hendak buat juga, biarlah mereka buat apa yang mereka hendak buat. “Kau buat apa yang kau hendak buat, tetapi aku tetap atas fahaman dan amalan tauhid aku. Aku tidak akan mengikut kamu semua yang sesat itu.”

Ini adalah ayat ugutan – bukan ayat suruhan. Bukan hendak menyuruh manusia sembah tuhan lain pula. Allah ‎ﷻ mengugut mereka: Kalau hendak sembah berhala, sembah malaikat, jin, Nabi atau wali kamu, atau hendak buat apa sahaja, ikut suka hati kamulah. Kalau kamu hendak memuja mana-mana Nabi, mana-mana wali, atau mana-mana malaikat, buat apa sahaja yang kamu mahu buat.

Tetapi ingat, kamu tidak akan dibiarkan begitu sahaja nanti di akhirat kelak. Segala amaran telah diberikan, namun kalau kamu hendak buat juga, ikut kamulah. Allah ‎ﷻ telah memberikan kebebasan untuk kamu berbuat apa yang kamu mahu buat. Tetapi ingatlah, kalau salah pilih perbuatan, kamu akan dikenakan azab.

Buatlah apa-apa yang kamu hendak buat dari kedudukan kamu: kamu mungkin seorang pemimpin, kamu mungkin kaya, kamu mungkin guru yang ada ramai anak murid yang akan menyokong kamu – kamu mungkin ada kedudukan yang tinggi dalam dunia. Kamu mungkin boleh mengubah undang-undang dunia.

Kamu boleh halang penceramah dari datang ke negeri kamu, kamu boleh halang ustaz Sunnah mengajar di surau dan masjid kamu, kalau kamu tidak takutkan neraka, kamu buatlah. Buatlah apa yang kamu mahu buat mengikut kedudukan kamu itu.

 

إِنِّي عٰمِلٌ

Sesungguhnya aku pun akan berbuat amalan

Aku pun akan berbuat amalan juga. Aku pun akan bekerja juga. Tetapi pekerjaan yang aku akan buat itu akan mengikut sunnah yang diajar oleh Nabi ﷺ. Aku tidak akan berbuat amalan-amalan syirik yang macam kamu buat itu.

Aku tidak akan berbuat amalan bidaah yang kamu suka buat itu. Apa yang kamu buat, aku tidak terkesan dengannya. Aku sudah berikan nasihat kepada kamu, tetapi kamu sahaja yang tidak mahu dengar.

 

فَسَوْفَ تَعْلَمُونَ

Pasti kamu akan mengetahui kelak.

Tetapi berikan juga ancaman kepada mereka: “Kamu akan ketahui juga nanti”. Apakah yang mereka akan ketahui nanti?

Mereka akan tahu bahawa apa yang mereka telah lakukan itu akan menyebabkan kesusahan dan azab sengsara kepada mereka nanti. Waktu itu baru menyesal, namun sudah terlambat.

Ini kena ingat selalu kerana segala perbuatan kita dalam dunia ini ada kesannya kepada kita. Allah ‎ﷻ tidak akan membiarkan sahaja di akhirat kelak. Mungkin di dunia ini Allah ‎ﷻ biarkan sahaja dulu.

Ayat ini disambung dalam ayat seterusnya.


 

Zumar Ayat 40: Apa yang mereka akan terima?

مَن يَأتيهِ عَذابٌ يُخزيهِ وَيَحِلُّ عَلَيهِ عَذابٌ مُّقيمٌ

Sahih International

To whom will come a torment disgracing him and on whom will descend an enduring punishment.”

“Siapakah yang akan didatangi azab yang menghinakannya, serta akan ditimpakan kepadanya azab seksa yang berkekalan”.

 

مَنْ يَأْتِيهِ عَذَابٌ يُخْزِيهِ

Siapakah yang akan didatangkan azab yang menghinakannya.

Iaitu azab di dunia. Di dunia lagi mereka akan mendapat azab. Mereka akan tahu apakah kesan yang mereka akan dapat kerana masih juga mahu mengamalkan amalan yang salah.

Contohnya, ada yang mati dalam keadaan hina. Ada yang dapat penyakit yang teruk. Ada yang tidak tenang sahaja kehidupan mereka dan sebagainya. Maknanya, Allah boleh beri azab semasa di dunia lagi.

 

وَيَحِلُّ عَلَيْهِ عَذَابٌ مُّقِيمٌ

dan akan menimpakannya azab yang berkekalan.

Di akhirat kelak, lagi teruk apa yang mereka akan terima. Waktu itu tidak ada lagi jalan keluar untuk mereka. Mereka akan kekal selama-lamanya di dalam neraka. Kalau azab di dunia, mereka akan terima hanya setakat mati sahaja, namun azab di neraka, ia akan berkekalan.

Azab itu dari Allah yang berada di atas, maka kalimah يَحِلَّ bermaksud menurunkan. Kalimah يَحِلُّ dari katadasar ح ل ل yang bermaksud untuk membuka ikatan (simpul); memaafkan (dosa); menyelesaikan (kesukaran); buka ikatan; membebaskan; menjadi wajib; menjadi sah; dibunuh atau dilakukan sebarang bahaya; tempat korban; menubuhkan; menyelesaikan; mengubah tempat; membuat dibenarkan; membenarkan. Kita selalu gunakan katadasar ini untuk kalimah ‘halal’. Jadi sekarang kita tahu yang ia ada banyak makna lain. Di sini ia digunakan di dalam bentuk ‘penurunan’ dari satu tempat. Asalnya adalah kalimah حَلَّ.

Janganlah kita menjadi seperti mereka. مُقِيمٌ bermaksud ia akan kekal, tidak akan pergi. Azab itu akan di’halal’kan ke atas mereka. Allah ‎ﷻ menahan dari mengazab mereka semasa di dunia, tetapi di akhirat kelak, azab itu akan menjadi ‘halal’ atas mereka.

 

Allahu a’lam. Lompat ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 1 September 2023

Ringkasan Surah Zumar


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah Zumar Ayat 32 – 36 (Menakutkan orang lain dengan sembahan mereka)

Zumar Ayat 32: Zajrun.

۞ فَمَن أَظلَمُ مِمَّن كَذَبَ عَلَى اللهِ وَكَذَّبَ بِالصِّدقِ إِذ جاءَهُ ۚ أَلَيسَ في جَهَنَّمَ مَثوًى لِّلكٰفِرينَ

Sahih International

So who is more unjust than one who lies about Allah and denies the truth when it has come to him? Is there not in Hell a residence for the disbelievers?

Malay

Siapakah yang lebih zalim daripada orang yang mereka-reka perkara-perkara yang dusta terhadap Allah, dan mendustakan kebenaran sebaik-baik sahaja kebenaran itu disampaikan kepadanya. Bukankah (telah diketahui bahawa) dalam neraka Jahannam disediakan tempat tinggal bagi orang-orang yang kafir?

 

فَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنْ كَذَبَ عَلَى اللهِ

Siapakah yang lebih zalim dari seorang yang yang mengada-ngadakan bohongan terhadap Allah?

Apakah yang dimaksudkan dengan makna أَظْلَمُ?: Maksudnya, paling zalim. Tidak ada yang lagi zalim dari orang itu. Jadi ini bukan perkara yang ringan kerana Allah ‎ﷻ berkata mereka itu ‘zalim’. Siapakah jenis orang yang dimaksudkan?

Ia adalah tentang orang yang berdusta atas nama Allah ‎ﷻ. Ada yang mengajar tentang tawassul dalam berdoa, iaitu menyeru roh-roh Nabi, wali dan malaikat dalam doa mereka, kemudian mereka kata ia ada dalam agama. Padahal tawassul sebegitu tidak ada dalam agama.

Orang yang tidak belajar dengan mereka, kebanyakan mereka mengikut sahaja kata-kata guru yang mengatakan tawassul sebegitu ada dalam agama. Sebab itu mereka tidak tinggalkan. Kerana mereka sangka ia sebahagian dari agama. Sedangkan ia adalah bohongan atas nama Allah ‎ﷻ.

Allah ‎ﷻ berkata tidak ada yang lebih zalim daripada mereka yang sebegitu. Ini sama seperti Musyrikin Mekah berkata malaikat-malaikat itu adalah anak perempuan Allah ‎ﷻ; mereka kata ada lagi ilah-ilah lain selain Allah ‎ﷻ, bukan Allah ‎ﷻ seorang sahaja. Maka kerana itu mereka bertawassul dengan para malaikat itu.

Begitu juga dengan mereka yang reka dan mengajar amalan bidaah. Sebab mereka kata Allah ‎ﷻ hendak berikan pahala atas sesuatu ibadat, tetapi tidak pun pernah diberitahu oleh Allah ‎ﷻ atau Nabi ﷺ. Mereka sahaja yang pandai-pandai cakap. Contohnya, masyarakat Islam di nusantara ini amat suka mengadakan Majlis Tahlil. Mereka kata ia adalah baik dari segi agama.

Mereka kata itu adalah amalan dalam agama Islam padahal ia tidak pernah dilakukan oleh Nabi ﷺ dan sahabat. Namun mereka melakukannya juga tanpa dibawakan dalil yang sah. Sepatutnya perbuatan itu adalah haram dilakukan kerana tidak pernah dibuat oleh Nabi ﷺ dan para sahabat رضي الله عنهم, tetapi mereka mengatakannya adalah sunat pula.

Satu lagi perkara dusta yang mereka selalu katakan adalah tentang ‘berkat’. Mereka kata boleh mengambil berkat dari Nabi ﷺ. Mereka juga kata boleh ambil berkat dengan tok guru, dengan orang yang baru balik dari Mekah dan macam-macam lagi. Semua itu adalah kerana mereka keliru dengan hal ‘berkat’. Hal berkat ini ada disebutkan dalam Surah al-Mulk.

Kalau berdusta sesama kita pun, kita sudah marah. Contohnya kita kata si A cakap begini, begitu, tetapi A tidak pernah cakap begitu pun. Kalau A dapat tahu kita mengatakan sesuatu yang dia tidak pernah cakap pun dia akan marah. Orang kafir sendiri pun tidak suka kalau mereka berdusta sesama sendiri. Inikan pula berdusta kepada Tuhan sendiri.

Maksud berdusta di sini adalah ‘berdusta atas nama Allah ‎ﷻ’. Antaranya mereka berkata sesuatu itu dari Al-Qur’an padahal bukan dari Al-Qur’an. Atau mereka berkata perkara sunat sebagai wajib. Atau mereka berkata satu-satu amalan itu boleh dapat pahala tetapi Allah ‎ﷻ atau Nabi ﷺ tidak pernah cakap pun.

Atau mereka mencipta selawat yang tidak pernah diajar dalam Sunnah. Atau mereka mengamalkan amalan yang tidak ada dalil. Apabila kita tegur dan kata tidak boleh membuat perkara itu, mereka kata tidak pernah pula Nabi ﷺ larang. Padahal sepatutnya, kalau mahu membuat sebarang amalan, mestilah ada dalil dari Al-Qur’an atau hadis.

Itu bermakna, mereka yang bercakap begitu tidak faham tentang hukum sesuatu amalan itu. Mereka juga kata tentulah Allah ‎ﷻ akan berikan pahala kerana mereka buat amalan itu ‘ikhlas’. Ini bermakna, mereka tidak faham apakah maksud ‘ikhlas itu.

Banyak amalan yang selalu diamalkan oleh masyarakat kita sebenarnya bukan dari agama. Sebagai contoh, selepas iqamah tidak ada doa. Yang ada hanyalah doa selepas azan. Tetapi tidak ada dalil yang sahih mengatakan ada doa selepas iqamah. Kalau ada yang kata ada doa selepas iqamah, maka mereka telah ‘berdusta’. Kalau ada imam yang membaca doa selepas iqamah, maka kita boleh tahu bahawa mereka jahil tentang hadis.

Amat malang sekali apabila sesuatu amalan yang bukan dari agama itu dibuat atau dipelopori oleh mereka yang dianggap oleh masyarakat sebagai ‘ahli agama’. Mereka itulah imam, ustaz, tok bilal dan tok siak masjid. Maka, apabila mereka membuat amalan tersebut, masyarakat yang jahil sangka itulah agama. Padahal, ia bukan dari agama.

Selepas iqamah juga tidak ada bacaan apa-apapun sampailah takbir imam. Tetapi ada yang membaca doa-doa tertentu, baca surah an-Nas dan sebagainya. Itu semua tidak ada ajaran dari Nabi ﷺ ‎dan para sahabat. Berhentilah dari buat sebegitu lagi. Janganlah kita buat amalan yang tidak pernah diajar oleh Nabi ﷺ. Jangan kita sangka yang baca doa itu baik, maka baik untuk baca doa atau ayat Al-Qur’an di situ. Sesuatu amalan itu perlu dilakukan sesuatu dengan keadaan dan tempat, bukan pakai buat sahaja.

Selain itu, ada juga wirid-wirid atau zikir yang tidak pernah diajar oleh Nabi ﷺ yang diamalkan oleh ramai orang dalam masyarakat kita. Mereka mengatakan kalau mengamalkan zikir-zikir itu dapat pahala, padahal zikir-zikir itu tidak pernah diajar oleh Nabi ﷺ. Ini adalah amat bahaya kerana ada wirid-wirid itu yang salah dan menyebabkan boleh terjadi syirik kalau diamalkan.

Antara zikir yang biasa kita dengar dibaca adalah: “La ilaha illallah, Muhammadur Rasululllah”. Itu selalu sangat kita dengar. Tetapi ia adalah salah kerana tidak boleh kita berzikir kepada Nabi ﷺ *bersama* dengan Allah ‎ﷻ. Amalan zikir hanya boleh dilakukan kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Tetapi dalam zikir yang kita sebut ini, ia adalah zikir kepada Allah ‎ﷻ *dan* kepada Nabi Muhammad ﷺ juga. Itu adalah satu kesalahan kerana tidak boleh berzikir kepada Nabi ﷺ.

وَكَذَّبَ بِالصِّدْقِ إِذْ جَاءَهُ

dan berdusta tentang kebenaran, tatkala didatangkan kepada mereka.

Mungkin mereka yang mengamalkan amalan yang salah seperti tawassul itu adalah kerana mereka jahil dalam agama. Mereka pun tidak belajar tafsir Al-Qur’an, tidak berguru dengan guru dan ustaz yang sunnah. Maka kerana itu mereka senang ditipu oleh syaitan. Namun apabila ada yang menegur mereka, mereka tidak mahu menerima kebenaran apabila disampaikan kepada mereka, sebab tidak sama dengan amalan-amalan mereka yang selama ini mereka lakukan.

Kebenaran yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah: Al-Qur’an. Apabila maksud ayat-ayat Al-Qur’an dibacakan kepada mereka, mereka tidak terima ia sebagai kebenaran. Mereka berkata ajaran Al-Qur’an yang kita bawa ini bukan ajaran sebenar. Mereka berkata kita salah tafsir pula. Padahal mereka yang tidak belajar tafsir Al-Qur’an secara benar. Tetapi oleh sebab tidak sama dengan pemahaman mereka, maka mereka kata kita yang salah tafsir pula.

Walaupun kita sudah membawakan ayat-ayat Al-Qur’an sebagai dalil dan mereka pun tahu Al-Qur’an itu adalah kebenaran dari Allah ‎ﷻ, mereka masih tidak mahu terima. Ini adalah satu kesalahan yang amat-amat berat. Tidak sama kalau kita menidakkan kata manusia dengan kita menidakkan kata Allah ‎ﷻ. Dengan kita menidakkan Al-Qur’an, kita telah menidakkan Allah ‎ﷻ. Dan mereka yang buat begini selalunya adalah orang kafir sahaja.

 

أَلَيْسَ فِي جَهَنَّمَ مَثْوًى لِّلْكٰفِرِينَ

Tidakkah neraka jahanam itu tempat tinggal yang sesuai kepada orang kafir seperti ini?

Dalam ayat ini, kita boleh lihat bahawa Allah ‎ﷻ mengatakan orang-orang sebegini adalah orang-orang ‘kafir’. Bukan kita yang cakap, tetapi Allah ‎ﷻ sendiri yang berkata sedemikian.

Perkataan مَثْوًى adalah bermaksud ‘generasi demi generasi’ yang akan duduk dalam neraka jahannam itu. Mereka akan tinggal beramai-ramai di dalamnya. Maknanya, tinggal lama sungguh dalam neraka itu.

Perkara yang tidak ada dalam ajaran Islam tetapi diada-adakan, dinamakan bidaah. Membuat amalan yang baru itu sudah seperti menggantikan kerja Nabi ﷺ. Sebab Nabi ﷺlah yang memberitahu kita apakah ibadah yang boleh dilakukan. Bila kita kata sesuatu ibadah itu adalah syariah, maknanya kita sudah mengambil alih kerja Allah ‎ﷻ dan kerja Nabi ﷺ.

Itu adalah satu kesalahan yang amat berat. Dan tempat untuk mereka yang sebegini adalah di neraka jahannam. Maka, berhati-hatilah dengan amalan yang kita buat.

Begitu juga, kalau kita tidak reka, kita janganlah pula amalkan amalan-amalan itu. Jangan kita panjangkan lagi amalan itu. Cukuplah sudah orang dahulu sebelum kita amalkan, jangan kita pula mengamalkannya.


 

Zumar Ayat 33: Ayat ini pula tentang orang yang berlawanan dengan orang yang disebut dalam ayat sebelum ini. Ayat ini ditujukan kepada orang yang sebar agama, sebagai pujukan dan syabas kepada mereka, di mana mereka dijanjikan akan mendapat pahala yang berterusan.

وَالَّذي جاءَ بِالصِّدقِ وَصَدَّقَ بِهِ ۙ أُولٰئِكَ هُمُ المُتَّقونَ

Sahih International

And the one who has brought the truth and [they who] believed in it – those are the righteous.

Malay

Dan (nyatalah bahawa) yang membawa kebenaran (tauhid dan hukum agama) serta ia (dan pengikut-pengikutnya) mengakui kebenarannya (dengan mematuhi hukum itu), mereka itulah orang-orang yang bertaqwa.

 

وَالَّذِي جَاءَ بِالصِّدْقِ

Dan yang datang dengan kebenaran

Iaitu mereka datang dengan bawa ajaran wahyu, Kalimah la ilaaha illallah, mereka menyampaikan ajaran apakah yang hendak disampaikan oleh wahyu itu. Yang pertama sekali adalah para Nabi عليهم السلام kerana mereka membawa wahyu yang disampaikan oleh Allah ‎ﷻ kepada umat mereka.

Begitu juga dengan mereka yang apabila mereka berdakwah kepada manusia, mereka dakwah menggunakan ayat-ayat Al-Qur’an. Apabila mereka mengajar, mereka ajar ayat-ayat Al-Qur’an. Apabila mereka bercakap tentang agama sahaja, mereka akan berikan dalil dari Al-Qur’an. Kalau tidak ada dalam Al-Qur’an, barulah mereka akan berikan hujah dari hadis yang sahih.

وَصَدَّقَ بِهِ

dan dia membenarkan kandungan dalam Al-Qur’an itu.

Apabila kebenaran telah datang kepadanya, dia menerima kebenaran itu. Ini adalah dua sifat Nabi Muhammad ﷺ: Dia bukan sahaja membawa kebenaran itu, tetapi baginda juga telah membenarkan kebenaran itu apabila datang kepadanya. Dan kemudian sahabat Nabi ﷺ pula menerima kebenaran Al-Qur’an itu. Kemudian berterusan sampailah kepada kita.

Orang Islam pun ada yang sebegini. Apabila ada pendakwah yang datang kepada mereka dengan membawa dalil dan hujah dari Al-Qur’an, mereka tidak melawan dan mereka terima. Walaupun mungkin mereka tidak pernah dengar hujah dan dalil itu sebelum ini. Tetapi, kerana dalil yang datang itu adalah dalil Al-Qur’an, maka mereka terima. Takkan mereka hendak melawan Al-Qur’an pula, bukan?

Ini adalah satu kualiti yang sepatutnya ada dalam seorang Muslim. Namun begitu, amat malang sekali. Ada juga orang yang menggelarkan diri mereka Muslim, tetapi apabila dibawakan dalil dari Al-Qur’an, mereka tidak terima. Mereka boleh menolaknya mentah-mentah. Mereka boleh berkata: “Itu pendapat awak, saya nak pegang pendapat guru saya juga”. Ma sha Allah!

أُولَٰئِكَ هُمُ الْمُتَّقُونَ

Orang – orang itu adalah orang-orang yang betul-betul bertakwa.

Orang yang mempunyai kualiti sebeginilah yang dinamakan orang yang bertaqwa. Orang-orang yang bertakwa adalah orang-orang yang menjaga hukum. Dalam setiap perbuatan dan amalan mereka, mereka akan lihat apakah hukum Allah ‎ﷻ dalam perkara itu.

Mereka akan sentiasa sedar dan rasa yang Allah ‎ﷻ sedang memandang mereka. Kerana mereka takut dengan Allah ‎ﷻ dan mereka sedar yang Allah ‎ﷻ sedang memerhatikan mereka setiap saat dan setiap masa. Jadi, mereka tidak akan suka-suka buat sesuatu perkara itu kerana mereka tahu yang Allah ‎ﷻ sedang melihat apa sahaja yang dia sedang lakukan.


 

Zumar Ayat 34: Natijah kepada taqwa; balasan yang akan didapati kalau bertaqwa.

لَهُم مّا يَشاءونَ عِندَ رَبِّهِم ۚ ذٰلِكَ جَزاءُ المُحسِنينَ

Sahih International

They will have whatever they desire with their Lord. That is the reward of the doers of good –

Malay

Untuk mereka apa sahaja yang mereka mahu, di sisi Tuhan mereka; demikianlah balasan orang-orang yang berusaha memperbaiki amal perbuatannya.

لَهُمْ مَّا يَشَاءُونَ عِنْدَ رَبِّهِمْ

Bagi mereka apa sahaja yang mereka mahu dari sisi Tuhan mereka.

Mereka akan dapat apa sahaja yang mereka mahu di akhirat kelak. Tidak kisah apa sahaja yang mereka inginkan di syurga nanti, mereka akan dapat. Ada benda yang manusia tidak mampu untuk mendapatkannya ketika di dunia ini. Pelbagai hajat yang manusia mahukan, tetapi mereka tidak boleh mendapatkannya mungkin kerana tidak mempunyai wang, benda itu memang tidak ada atau sebagainya.

Namun di akhirat kelak, mereka akan dapat apa sahaja yang mereka inginkan. Jadi, apabila ada perkara yang kita tidak dapat di dunia ini, maka kenalah bersabar, kerana memang dunia ini tempat ujian, dan bukanlah tempat untuk menikmati segala nikmat. Di syurga nantilah tempat untuk menikmati nikmat. Maka kenalah berusaha untuk mendapatkan syurga.

ذَٰلِكَ جَزَاءُ الْمُحْسِنِينَ

Demikianlah balasan bagi orang yang telah melakukan yang terbaik.

Ini adalah satu pemberian yang amat besar sekali. Allah ‎ﷻ tahu apa yang kita inginkan. Allah ‎ﷻ berikan semua sekali kehendak dan kemahuan kita.

Perkataan الْمُحْسِنِينَ bermaksud mereka telah memperbaiki amalan mereka sebaik mungkin. Mereka juga buat amalan-amalan yang soleh sahaja. Iaitu amalan ibadat yang telah disampaikan dari nas yang sahih. Bukan amalan-amalan bidaah yang dimulakan selepas kewafatan Nabi Muhammad ﷺ.

Amalan bidaah bukanlah amalan untuk masuk ke dalam syurga. Ia adalah amalan yang sia-sia sahaja, maka tinggalkanlah segala amalan itu. Mereka yang ada ihsan dalam diri mereka, akan melakukan amalan terbaik mengikut kehendak Allah ‎ﷻ.


 

Zumar Ayat 35: Apa lagi yang mereka akan dapat.

لِيُكَفِّرَ اللَهُ عَنهُم أَسوَأَ الَّذي عَمِلوا وَيَجزِيَهُم أَجرَهُم بِأَحسَنِ الَّذي كانوا يَعمَلونَ

Sahih International

That Allah may remove from them the worst of what they did and reward them their due for the best of what they used to do.

Malay

(Limpah kurnia yang demikian, diberikan kepada orang-orang yang bertaqwa) kerana Allah hendak menghapuskan dari mereka (kalaulah ada) seburuk-buruk amal perbuatan yang mereka telah lakukan, serta membalas mereka, akan pahala mereka, dengan balasan yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan.

لِيُكَفِّرَ اللَهُ عَنْهُمْ أَسْوَأَ الَّذِي عَمِلُوا

Supaya ditutup oleh Allah segala kejahatan-kejahatan dosa yang paling teruk yang pernah mereka buat.

Apabila Allah ‎ﷻ kata akan menutup dosa mereka, bermaksud Allah ‎ﷻ akan mengampuni dosa mereka seluruhnya. Allah ‎ﷻ akan menutup dosa-dosa mereka sampai tidak akan ada sesiapa pun yang tahu mereka telah melakukan dosa itu. Kerana kalau dosa itu dibentangkan di Mahsyar, tentunya ia akan memalukan kita. Tetapi apabila Allah ‎ﷻ sudah menutupinya, tidak akan ada sesiapa pun yang akan tahu.

Kita adalah makhluk yang banyak dosa. Tidak kira sama ada kita orang mukmin ataupun tidak. Kerana orang yang mukmin pun ada berbuat dosa juga. Kita amat memerlukan Allah ‎ﷻ untuk mengampunkan dosa kita. Maka, hendaklah kita meminta ampun di atas segala dosa kita – semuanya sekali, tidak kira dosa yang terdahulu, yang kita tahu dan yang kita tidak tahu.

Allah ‎ﷻ Maha Mengetahui apakah yang kita telah lakukan. Kita minta supaya hilang semua dosa itu, dan kita tidak ingin untuk melihatnya lagi. Sebagai satu peringatan, semasa kita hendak tidur malam hari, mintalah keampunan dari Allah ‎ﷻ di atas segala dosa kita.

وَيَجْزِيَهُمْ أَجْرَهُمْ بِأَحْسَنِ الَّذِي كَانُوا يَعْمَلُونَ

Dan Allah akan balas dengan balasan yang lebih baik dari amal yang mereka perbuat dahulu.

Untuk satu amalan yang baik, Allah ‎ﷻ akan membalasnya sepuluh, seratus atau berkali-kali ganda dari amalan yang mereka berbuat dahulu. Asalkan amalan mereka itu adalah amalan yang soleh dan berdasarkan dari sumber dalil yang sahih. Dan akan diberikan kepada mereka tempat tinggal dalam Syurga.

Oleh itu, bila kita berdoa dan minta dimasukkan ke dalam syurga, mintalah Syurga Firdaus, jangan minta yang kurang – jangan rasa yang kita tidak layak. Terus minta syurga Firdaus, iaitu syurga yang paling tinggi sekali. Ini berdasarkan kepada hadis Nabi ﷺ yang menyuruh sahabat meminta sebegitu.

Malangnya, dalam kalangan masyarakat kita, ada yang segan untuk meminta syurga Firdaus, kerana mereka berasa mereka tidak layak untuk memasuki syurga Firdaus. Itu sudah berlawanan dengan hadis Nabi ﷺ. Jangan malu untuk minta. Kalau kita tidak layak, maka bila kita minta Syurga Firdaus, sebenarnya kita minta Allah ‎ﷻ jadikan kita orang yang layak, bentuk dan didik diri kita sampai kita layak. Maka memang tidak salah kalau minta begitu.

Bagaimanakah Allah ‎ﷻ akan membalas perbuatan baik kita? Allah ‎ﷻ akan berikan yang lebih baik lagi dari amalan yang kita buat itu. Kerana kita beramal sedikit sahaja sebenarnya; tetapi Allah ‎ﷻ akan membalas dengan syurga yang penuh dengan kenikmatan dan kekal di dalam syurga selama-lamanya.

Tafsir kedua: Allah ‎ﷻ akan balas mengikut amalan kita yang ‘paling baik’. Sebagai contoh, katakanlah kita ada buat sepuluh kebaikan. Solat contohnya. Dalam banyak-banyak kali kita solat itu, ada yang baik dan ada yang kurang baik – kurang khusyuk contohnya. Ada markah tinggi dan ada markah yang kurang. Allah ‎ﷻ akan balas semua solat kita mengikut markah yang paling tinggi dalam sepuluh solat itu.

Jadi, walaupun dalam sepuluh solat itu ada yang markah kurang dan lebih, tetapi Allah ‎ﷻ akan membalas semuanya mengikut markah solat kita yang paling baik. Ma shaa Allah, alangkah pemurahnya Allah ‎ﷻ!


 

Zumar Ayat 36: Peringatan kepada kuffar.

أَلَيسَ اللَهُ بِكافٍ عَبدَهُ ۖ وَيُخَوِّفونَكَ بِالَّذينَ مِن دونِهِ ۚ وَمَن يُضلِلِ اللَهُ فَما لَهُ مِن هادٍ

Sahih International

Is not Allah sufficient for His Servant [Prophet Muhammad]? And [yet], they threaten you with those [they worship] other than Him. And whoever Allah leaves astray – for him there is no guide.

Malay

Bukankah Allah cukup untuk mengawal dan melindungi hambaNya (yang bertaqwa)? Dan mereka menakutkanmu (wahai Muhammad) dengan yang mereka sembah yang lain dari Allah. Dan (ingatlah) sesiapa yang disesatkan oleh Allah (dengan pilihannya yang salah), maka tidak ada sesiapapun yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya.

 

أَلَيْسَ اللَهُ بِكَافٍ عَبْدَهُ

Tidakkah Allah mencukupi bagi hambaNya?

Tidakkah cukup Allah ‎ﷻ sebagai tempat kita bertawakal? Tidakkah Allah ‎ﷻ cukup sebagai wali tempat bergantung dan berlindung? Ataukah kamu hendak bertawakkal pada yang lain? Tidak cukupkah kalau hanya berharap dengan Allah ‎ﷻ sahaja? Kenapa perlu untuk mencari ilah-ilah yang lain? Kenapa kita ingin berharap kepada selain dari Allah ‎ﷻ? Kenapa ada yang meminta kepada Nabi, kepada tok wali dan kepada malaikat dalam doa-doa mereka?

Atau apabila ada yang diganggu dan dirasuk oleh jin,  ditarik kakinya pada malam-malam hari oleh jin yang nakal, kenapa mereka hendak pergi berjumpa bomoh, jumpa ustaz, jumpa pawang, jumpa Darul Syifa’ dan sebagainya? Kenapa mereka tidak memohon sahaja kepada Allah ‎ﷻ dan bertawakal kepada Allah ‎ﷻ?

Mungkin ada yang rasa Allah tidak bantu mereka, Allah jauh, Allah tidak bersama kita. Maka perhatikan penekanan Allah dalam kalimah بِكَافٍ ini. Kalau kalimah كَافٍ sahaja, ia bermaksud sudah cukup Allah sebagai pembantu, penolong dan penyelamat kita. Akan tetapi ada huruf ب pada kalimah بِكَافٍ itu. Apakah fungsinya? Hendak senang kerja, kita katakan ia Bā’ Zā’idah (باء زائدة) sahaja (merujuk kepada fungsi huruf Bā’ (ب) dalam Bahasa Arab di mana ia diletakkan di dalam sesebuah ayat atau frasa, tetapi tidak memberikan makna nahu yang baru dan boleh digugurkan tanpa mengubah makna asas ayat tersebut). Akan tetapi kalau kita faham ayat-ayat Al-Qur’an, takkan sesuatu itu diletakkan oleh Allah tanpa makna?

Penjelasan: Huruf ب di dalam بِنُورِهِمْ adalah Ba’ Al-Ilsāq (باء الإلصاق). Secara ringkas, Bā’ Al-Ilsāq bermaksud “Ba’ yang menunjukkan perlekatan atau persambungan.” Ilsāq (الإلصاق) secara bahasa bermaksud melekat, melekatkan, menyambungkan, atau menyentuh. Jadi apabila Allah tambah huruf ب pada kalimah بِكَافٍ ini, makna tersiratnya adalah Allah benar-benar ‘melekat’ dan sentiasa bersama kita. Kalau kita faham, maka kita akan rasa selamat kerana tahu yang Allah sentiasa bersama kita. Maka tidak perlu gundah gulana lagi.

 

وَيُخَوِّفُونَكَ بِالَّذِينَ مِنْ دُونِهِ

Dan mereka menakut-nakutkan kamu dengan selain dari Allah.

Musyrikin Mekah hendak menakutkan Nabi ﷺ dengan berhala dan pujaan mereka. Mereka berkata yang Nabi ﷺ dan para sahabat akan dikenakan bala kalau cakap perbuatan mereka salah.

Ini seperti orang kita yang takut untuk lalu berdekatan kuil, takut terkena bala dan sebagainya. Nabi ﷺ pun mereka hendak takutkan. Mereka berkata kalau Nabi ﷺ menentang berhala-berhala itu, Nabi ﷺ akan dikenakan sumpahan. Nabi Ibrahim عليه السلام pun pernah dikenakan ancaman sebegitu juga.

Maka Allah ‎ﷻ jawab: tidakkah cukup dengan Allah ‎ﷻ sahaja kamu jadikan tempat berlindung? Segala sembahan dan pujaan mereka itu tidak dapat melakukan apa-apa pun.

Kalau di zaman sekarang, mereka berkata kalau kita mengatakan perkara yang tidak baik tentang tuhan mereka, tuhan mereka itu akan menurunkan bala ke atas kita. Sebagai contoh, kita boleh baca tentang kisah Nabi Ibrahim عليه السلام dan bagaimana baginda telah ditakutkan dengan bala yang akan diberikan oleh tuhan-tuhan berhala kaumnya. Zaman sekarang pun ada lagi seperti itu.

Ayat ini tidak hanya menyatakan ‘berhala’ sahaja. Tetapi apa sahaja yang dipuja oleh mereka itu. Termasuklah roh yang sudah mati. Ada yang berkata kalau kita mengatakan tidak baik tentang ‘wali-wali’ yang sudah mati itu, kita akan mendapat bala. Itu adalah fahaman yang khurafat.

Begitulah, kadang-kadang ada yang ugut orang yang hendak menghancurkan kubur wali sembahan, mereka berkata kalau buat juga, nanti akan terkena bala. Dan kadang-kadang memang terjadi sesuatu seperti sakit perut dan sebagainya. Itu adalah ujian dari Allah ‎ﷻ sahaja. Bukanlah itu tanda yang sembahan dan pujaan selain Allah ‎ﷻ itu benar.

Dan ayat ini boleh juga ditafsirkan dalam bentuk umum. Ia boleh terpakai dalam segenap kehidupan kita. Kadangkala kita hendak taat kepada hukum Allah ‎ﷻ tetapi ada yang mahukan kita melanggar hukum Allah  ‎ﷻ itu. Dan mereka menakutkan kita dengan pelbagai ancaman.

Sebagai contoh, mungkin kita disuruh untuk melakukan rasuah oleh ketua kita dalam pejabat. Dia kata kalau tidak ikut, maka kita akan dibuang kerja. Ini adalah ancaman menggunakan sesuatu yang selain dari Allah ‎ﷻ. Maka kenalah ingat ayat ini sentiasa. Kita haruslah takut dengan Allah ‎ﷻ dan tidak takut dengan ancaman dunia. Biarlah mereka hendak kata dan ancam kita dengan apa pun, hendaklah kita ingat yang Allah ‎ﷻ sentiasa akan memelihara kita.

وَمَنْ يُضْلِلِ اللَهُ فَمَا لَهُ مِنْ هَادٍ

Dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah, tidak ada lagi baginya, satu kuasa yang boleh beri hidayat kepadanya .

Yang disesatkan oleh Allah ‎ﷻ itu maksudnya mereka yang telah sampai peringkat keempat kesesatan mereka – Khatmul Qalbi (Penutupan Hati). Orang-orang sebegini, kerana terlalu banyak sangat menentang wahyu, maka Allah ‎ﷻ mengunci mati hati mereka dari menerima hidayah. Walaupun mereka tinggal di Mekah, atau mereka duduk dengan guru yang paling pandai sekalipun, mereka tidak akan mendapat hidayah.

Ingatlah bagaimana Musyrikin Mekah itu didakwah oleh Nabi ﷺ ‎sendiri dan mereka tinggal di Mekah berdekatan Kaabah. Namun mereka langsung tidak dapat menerima kebenaran kerana hati mereka tidak mahukan kebenaran. Bayangkan, Abu Jahal tentu lebih faham bahasa Arab dari kita, tetapi dia tidak mendapat hidayah juga dan tidak menerima Al-Qur’an yang dibacakan oleh Nabi ﷺ.

Begitu juga dengan orang-orang Munafik di Madinah. Mereka duduk dan berinteraksi dengan Nabi ﷺ tetapi mereka masih tidak beriman. Kita berharap semoga kita tidak termasuk dalam golongan mereka itu. Ini kerana setiap zaman akan ada sahaja mereka yang sebegini.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 26 November 2025


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah Zumar Ayat 25 – 31 (Allah banyak beri perumpamaan)

Ayat 25: Takhwif Ukhrawi

كَذَّبَ الَّذينَ مِن قَبلِهِم فَأَتٰهُمُ العَذابُ مِن حَيثُ لا يَشعُرونَ

Sahih International

Those before them denied, and punishment came upon them from where they did not perceive.

Malay

(Ingatlah! Bahawa) orang-orang yang terdahulu dari mereka telah mendustakan (Rasul-rasul yang diutuskan kepada mereka), lalu orang-orang itu didatangi azab dari arah yang mereka tidak menyedarinya.

كَذَّبَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ

Telah mendustakan (kebenaran) oleh orang-orang sebelum mereka.

Ada muqaddar dalam ayat ini: apakah yang mereka dustakan? Itulah kebenaran yang ada dalam wahyu. Seperti kaum Aad, Tsamud dan banyak lagi.

Allah ‎ﷻ ingin beritahu kepada Nabi ﷺ, sahabat dan pendakwah-pendakwah bahawa bukan sekarang sahaja orang kafir menentang ajakan tauhid yang hendak disampaikan.

Dari dahulu lagi sudah zaman berzaman manusia mendustakan tauhid dan Rasul-rasul mereka. Jadi jangan hairan kalau ada yang menentang dan tidak mahu terima. Itu adalah sunnah alam, akan ada sahaja yang menentang.

فَأَتٰهُمُ الْعَذَابُ مِنْ حَيْثُ لَا يَشْعُرُونَ

Maka didatangkan azab itu dari arah yang mereka tak sedar.

Kerana mereka telah menentang tauhid, maka mereka telah dibalas dengan azab semasa mereka di dunia lagi. Bila azab itu datang, mereka tidak sedar. Tahu-tahu sudah mati dan sedang menerima azab. Seperti kalau kita kemalangan sampai tidak sedarkan diri, celik-celik mata, tengok kipas berpusing di hospital. Padahal sudah tiga bulan koma.

Datang azab kepada mereka tanpa persiapan dari mereka. Bila kita dalam kubur, tahu-tahu malaikat Munkar Nakir sudah muncul untuk bertanyakan soalan kepada kita. Waktu itu, sudah terlambat untuk kita buat apa-apa. Tidak ada pengampunan lagi apabila kita sudah mati.

Hendaklah kita sentiasa ingat kepada mati kerana sama ‎ada kita mahu ataupun tidak, kita akan menemui mati. Dan orang-orang yang tidak mengamalkan tauhid, mereka akan didatangi oleh kematian yang mengejut. Kerana Allah ‎ﷻ telah membuat keputusan yang mereka akan masuk neraka, maka mereka tidak ada peluang untuk bertaubat.

Orang yang amalkan tauhid, tidak begitu, mereka akan diberikan peluang untuk bertaubat dan untuk bersedia kepada kematian. Kerana mereka sentiasa ingat mati, maka mereka buat persediaan tidaklah mereka mati mengejut.


 

Ayat 26: Ayat Takhwif

فَأَذاقَهُمُ اللَهُ الخِزيَ فِي الحَيَوٰةِ الدُّنيا ۖ وَلَعَذابُ الآخِرَةِ أَكبَرُ ۚ لَو كانوا يَعلَمونَ

Sahih International

So Allah made them taste disgrace in worldly life. But the punishment of the Hereafter is greater, if they only knew.

Malay

Maka Allah merasakan mereka kehinaan dalam kehidupan dunia (dengan berbagai bala bencana), dan sesungguhnya azab seksa hari akhirat (yang disediakan untuk mereka) lebih besar lagi. Kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini, tentulah mereka tidak mendustakan Rasul).

فَأَذَاقَهُمُ اللهُ الْخِزْيَ فِي الْحَيَوٰةِ الدُّنْيَا

Maka diazab mereka oleh Allah dengan azab yang menghinakan dalam kehidupan di dunia.

Dalam dunia lagi mereka telah hidup dalam kehinaan. Mereka hidup dalam kesusahan, walau kaya macam mana sekali pun. Iaitu mereka ditimpa pelbagai jenis kesusahan. Mereka kaya, tetapi diazab dalam diri mereka.

Kadang-kadang kita hairan lihat orang yang kaya, kita sangkakan kalau mereka sudah kaya, tentulah tidak ada masalah. Tetapi rupanya mereka ada masalah yang kadangkala lagi besar dari kita.

Orang-orang mukmin akan diberikan juga azab oleh Allah ‎ﷻ untuk membersihkan mereka dari dosa-dosa mereka. Oleh itu, jangan kita kata orang-orang yang dikenakan azab itu jadi begitu kerana mereka menentang agama.

Ayat yang di atas bukan berkenaan orang mukmin tetapi orang-orang yang melakukan syirik kepada Allah ‎ﷻ.

وَلَعَذَابُ الْآخِرَةِ أَكْبَرُ ۚ

akan tetapi azab di akhirat lebih besar lagi,

Tidak sama azab yang Allah ‎ﷻ kenakan di dunia ini kalau dibandingkan dengan azab yang akan diterima di akhirat kelak. Azab di akhirat akan berganda-ganda lagi teruk.

Dan tidak akan ada penghujungnya. Teruknya azab itu sampaikan kita tidak dapat hendak membayangkannya.

لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ

kalaulah dulu mereka nak ambil tahu;

Kalaulah manusia tahu apakah azab yang mereka akan hadapi di akhirat kelak, mereka tentunya akan menjadi orang baik, akan belajar agama, akan beriman dengan setulus-tulus iman. Tetapi malangnya, kita tidak tahu melainkan apabila kita sudah berada di sana.

Kalau mereka itu hendak ambil tahu, mereka akan belajar tentang agama dan belajar tafsir Al-Qur’an. Kerana tidak akan dapat mengetahui makna ayat-ayat Al-Qur’an ini melainkan kepada mereka yang belajar sahaja.

Orang-orang yang beriman pun tidak dapat tengok balasan neraka lagi, tetapi mereka telah belajar ayat-ayat Al-Qur’an dan mereka mempercayainya kerana mereka telah membuka hati mereka kepada kebenaran.


 

Ayat 27: Ayat targhib (galakan) kepada belajar Al-Qur’an.

وَلَقَد ضَرَبنا لِلنّاسِ في هٰذَا القُرءآنِ مِن كُلِّ مَثَلٍ لَّعَلَّهُم يَتَذَكَّرونَ

Sahih International

And We have certainly presented for the people in this Qur’an from every [kind of] example – that they might remember.

Malay

Dan demi sesungguhnya Kami telah huraikan daripada Qur’an ini kepada manusia semua sekali, dari berbagai contoh bandingan mudah-mudahan mereka mengambil peringatan.

 

Allah ‎ﷻ telah menghuraikan perkara agama terutama sekali perkara tauhid berulang-ulang kali supaya manusia dapat faham. Allah ‎ﷻ akan ulang dengan berbagai-bagai cara supaya manusia semuanya dapat faham – kerana pemahaman manusia tidak sama.

Jadi ada yang dijelaskan dengan cara begini dan dalam ayat lain dijelaskan dengan cara lain pula. Kerana cara pemahaman manusia berlainan, maka Allah ﷻ beri berbagai-bagai cara.

 

وَلَقَدْ ضَرَبْنَا لِلنَّاسِ فِي هَٰذَا الْقُرْءآنِ

Sesungguhnya telah Kami huraikan kepada kepada semua manusia dalam Al-Qur’an ini

Penjelasan agama telah dijelaskan dengan sepenuhnya dalam Al-Qur’an ini. Iaitu tentang tauhid. Tentang feqah, disebut dengan umum dan dijelaskan lagi dalam sunnah dari Nabi ﷺ.

Tetapi kalau tentang tauhid, memang telah lengkap penjelasannya dalam Al-Qur’an, sampaikan tidak perlu baca kitab lain pun sudah boleh faham tauhid ini. Namun, kenalah belajar tafsir kerana kalau baca sendiri, berkemungkinan besar, tidak akan nampak penjelasan itu.

 

مِنْ كُلِّ مَثَلٍ

dengan berbagai-bagai jenis contoh bandingan

Dan Allah ‎ﷻ tidak menjelaskan dengan satu cara sahaja, tetapi dengan berbagai-bagai cara supaya manusia dapat faham. Kerana kefahaman manusia berlainan. Ada yang faham dengan cara begini, dan ada yang faham dengan cara lain pula.

Dan Allah ‎ﷻ telah banyak memberikan contoh bandingan (analogi) kerana pembelajaran berasaskan perbandingan memang akan mudah memberi kefahaman kepada manusia terutama jika mereka dapat kaitkan perbandingan itu dengan diri mereka sendiri.

 

لَّعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ

mudah-mudahan mereka itu akan dapat peringatan;

Tujuan Allah ‎ﷻ buat begitu adalah supaya manusia dapat faham agama tauhid ini. Allah ‎ﷻ hendak kita faham dengan sebenarnya. Allah ‎ﷻ tidak jadikan ilmu tauhid ini sebagai ilmu rahsia yang hanya boleh difahami oleh mereka yang tertentu sahaja. Tidaklah macam ilmu mengarut dan khayalan yang diajar dalam pergerakan Tarekat itu.

Mereka berkata ilmu mereka adalah ilmu rahsia, sampaikan orang tertentu sahaja dapat faham – sampaikan tidak semua sahabat Nabi ﷺ dapat ilmu itu. Subhanallah, adakah mereka sangka mereka lebih hebat dari sahabat Nabi ﷺ? Ramai sahabat tak boleh faham, tapi sampai kepada mereka, mereka boleh pula faham; maknanya, mereka lebih hebat dari sahabatlah kalau begitu.

Sesiapa yang belajar tafsir Al-Qur’an, dan mereka berusaha untuk memahaminya, akan tahu manakah perbuatan yang betul dan manakah perbuatan yang salah. Dan seseorang itu tidak akan tahu tentang Al-Qur’an itu melainkan orang-orang yang belajar.

Sesiapa yang tidak mahu belajar tafsir Al-Qur’an, akan disediakan syaitan kepada mereka sebagai teman rapat berdasarkan mafhum dari ayat Zukhruf:36. 


 

Ayat 28:

قُرءآنًا عَرَبِيًّا غَيرَ ذي عِوَجٍ لَّعَلَّهُم يَتَّقونَ

Sahih International

[It is] an Arabic Qur’an, without any deviance that they might become righteous.

Malay

Iaitu Al-Qur’an yang berbahasa Arab, yang tidak mengandungi sebarang keterangan yang terpesong; supaya mereka bertaqwa.

 

قُرْءآنًا عَرَبِيًّا

Iaitu Al-Qur’an yang berbahasa arab.

Maksud ‘Qur’an’ dari segi bahasa adalah sesuatu yang dibaca berkali-kali dengan banyak sekali. Inilah salah satu mukjizat Al-Qur’an ini. Tidak ada kitab lain selain Qur’an yang dikaji dan dipelajari manusia seperti kitab Al-Qur’an ini, termasuklah kitab-kitab wahyu dahulu, termasuklah hadis sekarang pun.

Dan bukan sahaja dikaji, malah dihafal oleh banyak orang di seluruh dunia. Kerana itu banyak sekali Sekolah Tahfiz di merata dunia. Dihafal oleh kanak-kanak dan juga orang dewasa, tiada had pada peringkat umur pun. Yang tidak faham bahasa Arab pun boleh hafal Al-Qur’an. Begitulah hebatnya Al-Qur’an ini.

Dan sifat Al-Qur’an ini adalah ia dalam bahasa Arab. Bahasa Arab adalah bahasa yang tepat dan kaya. Dengan lafaz yang pendek, ia boleh membawa dan menjelaskan banyak makna.

Sebab itulah, kalau Al-Qur’an itu dalam bahasa Melayu, agaknya kena gunakan lori untuk bawa satu Al-Qur’an, sebab banyak sangat untuk dihuraikan. Allah ‎ﷻ telah pilih bahasa Arab ini sebagai bahasa untuk kitab-Nya yang terakhir. Ia adalah satu bahasa yang indah yang dapat menghuraikan apakah yang dimaksudkan oleh Allah ‎ﷻ.

Apabila kita tahu bahawa bahasa Arab adalah bahasa Al-Qur’an, maka ini sepatutnya memberi kita satu motivasi untuk belajar bahasa Arab supaya kita lebih memahami Al-Qur’an dengan lebih mendalam. Kerana tidak sama kalau kita baca Al-Qur’an dalam kita faham bahasa Arab dan kalau kita hanya baca terjemahan sahaja.

Maka, hendaklah kita cuba belajar setakat yang boleh. Jadi, ayat ini adalah targhib kepada belajar bahasa Arab juga. Cuma, janganlah dijadikan alasan tidak tahu bahasa Arab untuk tidak belajar tafsir Al-Qur’an pula. Belajar tafsir kita haruslah dilakukan segera, tidak perlu tunggu lagi. Kita masih lagi boleh faham tentang pengajaran dalam Al-Qur’an kalau diterangkan oleh guru yang sudah tahu.

Banyak orang yang kononnya hendak belajar bahasa Arab dahulu baru boleh belajar tafsir Al-Qur’an. Tetapi sampai bila baru mereka boleh faham Al-Qur’an? Mungkin bertahun-tahun masa yang diambil untuk belajar bahasa Arab. Bagaimana pula kalau mereka tidak pandai-pandai bahasa Arab? Jadi, mereka telah menunda mempelajari ajaran dalam Al-Qur’an.

Dan kerana mereka tidak belajar, dalam waktu itu, mereka akan melakukan kesalahan yang mereka tidak sedar oleh kerana kejahilan mereka sendiri. Itulah senjata Iblis yang amat hebat – taswif. Iblis akan suruh manusia tangguh untuk belajar agama supaya senang syaitan nak tipu dia.

غَيْرَ ذِي عِوَجٍ

yang tidak ada mengandungi kesilapan.

Tidak ada silap dalam mana-mana lafaz Al-Qur’an. Tidak ada ayat yang bertentangan dengan ayat-ayat yang lain. Tidak ada juga pertentangan dengan sains dan sebagainya. Kalau ada yang jumpa pertentangan itu, ia boleh dijelaskan. Yang nampak macam ada pertentangan itu kerana salah faham sahaja.

Sebagai contoh, ada yang berkata Al-Qur’an mengandungi kesalahan nahu bahasa Arab, namun apabila diperjelaskan, memang tidak ada kesalahan di mana-mana pun.

Al-Qur’an adalah ayat-ayat yang mudah difahami. Tidak kompleks sebenarnya. Senang sahaja untuk kita faham kalau kita mahu belajar. Sekarang bandingkan kalau kita baca buku-buku falsafah. Berpusing-pusing idea yang disampaikan dalam ilmu falsafah itu sampaikan kita menjadi semakin pening dan keliru selepas belajar kerana tidak tahu apa yang kita belajar.

Padahal, Al-Qur’an itu adalah mudah difahami. Ia adalah lurus, tidak pusing-pusing. Ia tepat kepada maksud yang hendak disampaikan. Oleh kerana Al-Qur’an itu mudah, apabila para filosof Greek membaca Al-Qur’an, mereka tidak suka. Kerana mereka berkata ia lurus sangat. Tidak macam ilmu falsafah mereka yang berbelit-belit. Mereka ingin berkata yang ilmu mereka lebih tinggi dan berkualiti.

Namun, yang lurus dan mudah difahami itulah yang bagus. Kalau bahasanya sudah pusing-pusing, sampai orang yang baca pun tidak tahu, apakah gunanya kalau begitu, bukan? Kadang-kadang manusia pun bercakap berbelit-belit – macam ahli politik yang apabila bercakap putar belit sampai tidak nampak apakah yang mereka maksudkan. Kita pun tidak suka, bukan kalau begitu?

 

لَّعَلَّهُمْ يَتَّقُونَ

Mudah-mudahan mereka mendapat taqwa; 

Dengan belajar dan memahami maksud Al-Qur’an, ia boleh menjadikan kita mendapat taqwa supaya kita jadi orang muttaqeen. Maksud ‘taqwa’ itu adalah jaga diri daripada menderhaka kepada Allah ‎ﷻ. Taqwa juga bermaksud menjaga hukum yang Allah ﷻ telah berikan kepada kita.

Taqwa itu adalah menjaga hukum yang Allah ‎ﷻ telah berikan kerana sedar yang Allah ﷻ sentiasa memerhatikan kita. Hendaklah kita mengikut suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya dalam segenap perkara.


 

Ayat 29: Sebelum ini Allah ‎ﷻ telah sebut bahawa Al-Qur’an mengandungi banyak perbandingan supaya kita mudah faham apa yang hendak disampaikan. Sekarang dibawakan satu lagi contoh perbandingan – atau dipanggil analogi.

ضَرَبَ اللَهُ مَثَلًا رَّجُلًا فيهِ شُرَكاءُ مُتَشٰكِسونَ وَرَجُلًا سَلَمًا لِّرَجُلٍ هَل يَستَوِيانِ مَثَلًا ۚ الحَمدُ ِللهِ ۚ بَل أَكثَرُهُم لا يَعلَمونَ

Sahih International

Allah presents an example: a slave owned by quarreling partners and another belonging exclusively to one man – are they equal in comparison? Praise be to Allah! But most of them do not know.

Malay

Allah memberikan satu misal perbandingan: Seorang hamba lelaki yang dimiliki oleh beberapa orang yang berkongsi dirinya yang bertentangan tabiat dan kemahuannya; dan seorang hamba lelaki yang lain hanya dimiliki oleh seorang tuan sahaja; adakah kedua-dua hamba itu sama keadaannya (Tentulah tidak sama). Ucaplah: “Alhamdulillah” (sebagai bersyukur terhadap penjelasan soal tauhid itu) bahkan kebanyakan mereka (yang musyrik) tidak mengetahui (hakikat tauhid).

 

ضَرَبَ اللَهُ مَثَلًا

Allah membuat suatu bandingan,

Allah ‎ﷻ hendak membandingkan antara orang yang mengamalkan tauhid dan orang yang mengamalkan syirik. Sekarang Allah ‎ﷻ akan berikan bandingan yang boleh dilihat dan difahami. Orang biasa pun boleh faham analogi yang diberikan ini.

 

رَّجُلًا فِيهِ شُرَكَاءُ

satu orang lelaki yang dimiliki oleh banyak tuan.

Allah ‎ﷻ menggunakan analogi yang semua manusia boleh faham. Bayangkan seorang kuli, tetapi bos dia ada tiga orang atau lebih. Tetapi bos-bos ini pula tidak sefahaman.

 

مُتَشٰكِسُونَ

yang bertentangan kemahuan mereka.

Sudahlah ada banyak bos, dan bos-bos itu pula tidak sama kepala mereka. Kalau boleh bertolak ansur sesama majikan itu, boleh kiralah juga. Tetapi bagaimana kalau majikan itu tidak sefahaman? Macam-macam arahan diberi kepada hamba itu, satu arahan berlawanan dengan arahan yang sebelumnya.

Maka orang itu akan celaru kerjanya, tidak tahu yang mana satu yang dia perlu ikut. Dia akan sentiasa ada masalah sahaja. Satu bos mahu pekerja buat A dan satu lagi bos mahu dia buat B pula. Tentulah tidak tenang sahaja perasaan pekerja itu.

Bandingkan keadaan ini dengan agama-agama lain yang ada banyak tuhan. Tuhan mana satu yang mereka kena ikut? Sebagai contoh, lihatlah agama Hindu yang ada banyak tuhan/dewa mereka yang berjenis-jenis perangainya. Seorang Dewa Perang, seorang lagi Dewa Keamanan dan macam-macam lagi. Sampaikan dikatakan sendiri oleh mereka yang tuhan mereka ada tiga ratus juta!

Kalau seorang anak ada ibu bapa yang memberi arahan berbeza pun sudah susah. Dia tidak tahu manakah yang dia patut ikut. Dia akan rasa serba salah sahaja. Ingin puaskan hati emak atau hati ayah? Itu tidak bagus. Kita sendiri pun boleh faham perkara ini, bukan? Tetapi kenapa ada juga yang buat syirik kepada Allah ‎ﷻ?

 

وَرَجُلًا سَلَمًا لِّرَجُلٍ

dan bandingkan dengan sorang lelaki yang bergantung kepada seorang tuan sahaja.

Oleh kerana dia ada satu tuan sahaja, senang dia bekerja. Dia hanya perlu ikut satu arahan sahaja. Dia akan sentiasa rasa aman. Begitulah juga dengan Islam. Hanya ada satu Tuhan sahaja. Hanya ada satu arahan sahaja. Kita hanya perlu ikut satu arahan sahaja. Hanya belajar satu arahan sahaja.

Itulah bandingan ajaran sunnah. Inilah ajaran tauhid – hanya sembah dan seru kepada satu ilah sahaja – Allah ‎ﷻ.

 

هَلْ يَسْتَوِيَانِ مَثَلًا

Adakah sama dua contoh ini?

Satu lagi soalan ditanya kepada kita. Tentulah tidak sama antara dua orang hamba itu. Maknanya patutkah kita ambil ramai ilah-ilah berbanding dengan Allah ‎ﷻ yang satu?

Maka apabila sudah faham perbandingan ini, maka ambillah Allah ‎ﷻ sahaja sebagai ilah kita. Itulah maksudnya ayat ini. Terimalah dalil agama dari sumber yang dari Allah ﷻ sahaja.

الْحَمْدُ ِلِلهِ ۚ

Segala puji milik Allah,

Allah ‎ﷻ sahaja yang memiliki sifat terpuji yang layak diberikan kepada ilah. Orang Arab sudah lama menggunakan lafaz ‘hamd’ ini untuk ilah-ilah mereka, termasuk untuk Allah ‎ﷻ sekali.

Tapi itu adalah syirik. Maka Al-Qur’an memperbetulkan mereka dengan memberitahu yang lafaz ‘alhamd’ ini hanya layak untuk Allah ‎ﷻ sahaja. Ini dijelaskan dalam tafsir Surah Fatihah.

Segala puji dan syukur kepada Allah ‎ﷻ kerana menjadikan kita hanya tunduk dan taat kepada Dia sahaja, tidak kepada yang lain. Tidak perlu untuk seru selain Dia. Maka inilah yang senang. Dan segala puji kepada Allah ﷻ kerana telah memberitahu tentang ilmu tauhid ini.

بَلْ أَكْثَرُهُمْ لَا يَعْلَمُونَ

tapi kebanyakan mereka itu tidak faham.

Contoh yang diberikan amat mudah sebenarnya untuk difahami, namun ramai yang tidak mahu membuka hati mereka untuk faham. Sepatutnya pujian yang khusus itu untuk Allah ‎ﷻ sahaja, tetapi mereka ingin berikan juga sembahan dan seruan kepada selain Allah ‎ﷻ.

Itulah yang menyebabkan ramai yang kalau berdoa, mereka akan puji/puja Nabi ﷺ, para sahabat, atau wali-wali Allah ‎ﷻ seperti Sheikh Abdul Qadir Jailani dan berbagai-bagai wali lagi. Kononnya mereka kata perbuatan itu sebagai tertib dalam berdoa.

Mereka menggunakan segala wali, Nabi dan malaikat itu sebagai ‘perantaraan’ dalam berdoa mereka. Istilah yang digunakan adalah tawasul. Dan tawasul yang sebegitu adalah haram dalam Islam.

Umat Islam kena faham manakah tawasul yang dibenarkan dan manakah yang tidak. Malangnya ramai yang tidak faham kerana jauh dari ajaran wahyu. Mereka tidak faham bahawa Allah ‎ﷻlah yang mengatur semua sekali. Namun kebanyakan manusia tidak faham. Mereka sangka perantara-perantara itu pun ada kuasa untuk menolong mereka. Mereka jauh tersilap. Ini dijelaskan dalam surah-surah yang seterusnya nanti.


 

Ayat 30: Musyrikin Mekah berkata, apabila mereka tidak boleh halang Nabi Muhammad ﷺ dari berdakwah, mereka sangka mereka cuma perlu tunggu Nabi Muhammad ﷺ mati sahaja, tentu ajaran baginda akan habis begitu sahaja.

Mereka ingin katakan apa yang Nabi ﷺ ‎bawakan itu adalah ajaran manusia sahaja bukan Allah ‎ﷻ. Kerana kefahaman mereka sebegitulah yang menyebabkan mereka terus sesat. Orang Musyrikin Mekah berkata mengenai Nabi: biarlah Muhammad ﷺ hendak cakap apa pun, satu hari nanti dia akan mati. Nanti bila dia sudah tiada, kita akan buat sesuatu kepada pengikutnya.

Maka ini adalah jawapan dari Allah ‎ﷻ:

إِنَّكَ مَيِّتٌ وَإِنَّهُم مَّيِّتونَ

Sahih International

Indeed, you are to die, and indeed, they are to die.

Malay

Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan mati, dan sesungguhnya mereka juga akan mati.

إِنَّكَ مَيِّتٌ

Sesungguhnya kamu (Muhammad), pasti akan mati.

Bukan mereka sahaja kata Nabi ﷺ akan mati, tetapi Allah ‎ﷻ pun kata Nabi Muhammad ﷺ akan mati. Dalam kalimah مَيِّتٌ, apabila ada syaddah pada huruf ي itu, bermaksud kematian di masa hadapan.

Allah ‎ﷻ beritahu dengan jelas, yang Nabi Muhammad ﷺ pasti akan mati sebab baginda bukan tuhan, manusia biasa yang tetap akan mati. Tidak kira betapa tingginya kedudukan seseorang itu dalam agama, pasti akan mati juga, termasuklah Nabi Muhammad ﷺ.

Ini adalah satu lagi dalil dari banyak dalil untuk mengatakan yang Nabi Muhammad ﷺ itu manusia, bukan makhluk jenis lain termasuk bukan ‘Nur’. Malangnya, ada ajaran sesat yang kata Nabi ‎ﷺ hidup lagi.

Memang pening dengan sesetengah manusia yang ada fahaman ‘hayati’ iaitu Nabi Muhammad ﷺ masih hidup lagi. Mereka memberikan pelbagai hujah dan dalil. Kita katakan: memang nanti baginda akan tetap hidup tetapi hidup baginda nanti di alam barzakh. Seperti hidupnya mereka yang mati syahid, yang telah mati namun terus menikmati nikmat di alam Barzakh. Bukannya bermaksud baginda terus hidup di dunia.

Oleh itu, ayat ini tolak pegangan sesat mereka yang mengatakan baginda masih hidup lagi dan boleh mendengar permintaan manusia kepada baginda. Mereka berkata yang baginda itu hidup lagi dan dapat mendengar permintaan kerana mereka ingin meminta dari baginda dan menjadikan baginda sebagai perantaraan dalam doa mereka.

Ini adalah fahaman sesat, malangnya dianuti oleh ramai umat Islam yang jahil.

Dan ini juga menjawab kekeliruan puak jahil di negara ini dan negara-negara lain yang kata Nabi Khidr عليه السلام masih hidup lagi. Banyaklah hujah-hujah bathil yang mereka berikan kerana mereka itu jahil agama. Semua hujah mereka adalah hujah-hujah khayalan sahaja.

Memang Nabi Muhammad ﷺ akan mati, tetapi walaupun baginda telah tiada, agama Islam tetap akan berkembang. Allah ‎ﷻ ingin memberitahu yang walaupun Nabi Muhammad ﷺ mati, agama Islam tidak akan mati. Allah ‎ﷻ tetap akan sebar dengan Qudrat-Nya. Kerana agama Islam bukannya bergantung kepada Nabi Muhammad ﷺ, tetapi Allah ‎ﷻ yang menentukan.

Maka para sahabat yang sedang baca ayat ini, kenalah mengambil peluang untuk belajar dengan baginda sebanyak mungkin selagi ada peluang. Dan kita di zaman sekarang mempunyai tanggungjawab untuk meneruskan dakwah kepada agama Islam yang benar.

 

وَإِنَّهُمْ مَّيِّتُونَ

dan mereka pun akan mati juga.

Allah ‎ﷻ juga hendak mengingatkan Musyrikin Mekah yang mereka pun akan mati juga, bukan Nabi Muhammad ﷺ sahaja yang mati. Dan apabila mati, tidaklah mati percuma dan habis begitu sahaja, tetapi nanti ada kesudahan.

Allah ‎ﷻ ingin mengisyaratkan satu soalan kepada mereka: Bila kamu sudah mati, apakah nasib kamu nanti? Nabi ﷺ tentu selamat, tetapi bagaimana dengan kamu nanti?

Dan ayat ini juga mengingatkan kita yang kita pasti mati. Maka kenalah bersiap dengan persiapan untuk menghadapi akhirat itu. Kena fikirkan sama ada kita nak selamat di akhirat atau tidak. Kalau salah buat keputusan dan amal di dunia ini, kita akan ada masalah di akhirat kelak.


 

Ayat 31: Kemudian Allah ‎ﷻ beritahu apakah keadaan mereka di akhirat nanti.

ثُمَّ إِنَّكُم يَومَ القِيٰمَةِ عِندَ رَبِّكُم تَختَصِمونَ

Sahih International

Then indeed you, on the Day of Resurrection, before your Lord, will dispute.

Malay

Dan sesungguhnya kamu pada hari kiamat esok di sisi Tuhan akan saling bertengkar.

ثُمَّ إِنَّكُمْ يَوْمَ الْقِيٰمَةِ

Kemudian sesungguhnya kamu pada hari Kiamat nanti

Allah ‎ﷻ hendak beritahu nasib dan keadaan mereka di akhirat kelak. Nasib mereka tidaklah sama dengan nasib orang-orang yang beriman.

عِنْدَ رَبِّكُمْ تَخْتَصِمُونَ

akan berada di sisi Tuhan kamu berbalah bantah

Apakah perbantahan yang dimaksudkan itu? Pertengkaran yang akan terjadi itu adalah antara seorang tok guru yang memberi ajaran salah dengan anak muridnya.

Pengikutnya akan berkata: “Kami anak murid kamu dahulu. Tetapi kita sama-sama masuk neraka, macam mana boleh jadi macam ni? Tak bolehkah kau cari jalan keluar untuk kita semua?”

Guru mereka akan berkata: ”Kita dua sama-sama sahaja, tak boleh nak buat apa dah”. Jadi mereka akan cuba meminta tolong kepada malaikat penjaga neraka. Guru itu akan berkata kepada malaikat penjaga neraka: “Tidak adakah jalan keluar bagi kami? Boleh tak kau ringankan satu hari sahaja azab ini? Kalau hari-hari lain nak azab pun tidak mengapalah, cuma hari ni sahaja kau kurangkan. Tolonglah kami”.

Kata malaikat: “Kami tidak disuruh untuk kurangkan azab. Kerja kami adalah untuk azab kamu sahaja”.

Bayangkan, untuk berjumpa / bercakap dengan malaikat itu saja mengambil masa selama seribu tahun lamanya meminta baru malaikat itu menoleh. Baru ditanya apakah yang mereka hendak.

Jadi mereka akan berbalah bantah akan menyalahkan sesama sendiri. Keadaan ini banyak disebut dalam ayat-ayat yang lain. Tetapi mereka sudah terlambat, tidak ada lagi apa yang dapat mereka lakukan. Jadi, mereka akan terus bertengkar sesama mereka. Barulah mereka menyesal kerana mengikut arahan guru-guru mereka yang mengajar bukan dari Al-Qur’an dan sunnah.

Juga bermaksud perbantahan sesama manusia yang berterusan dari dunia sampai ke akhirat. Sehingga yang dizalimi akan mendapat haknya.

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ أَيْضًا: حَدَّثَنَا ابْنُ نُمَيْرٍ حَدَّثَنَا مُحَمَّدٌ -يَعْنِي ابْنَ عَمْرٍو-عَنْ يَحْيَى بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ حَاطِبٍ، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ الزُّبَيْرِ، عَنِ الزُّبَيْرِ بْنِ الْعَوَّامِ قَالَ: لَمَّا نَزَلَتْ هَذِهِ السُّورَةُ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: {إِنَّكَ مَيِّتٌ وَإِنَّهُمْ مَيِّتُونَ ثُمَّ إِنَّكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ عِنْدَ رَبِّكُمْ تَخْتَصِمُونَ} قَالَ الزُّبَيْرُ: أَيْ رَسُولَ اللَّهِ، أَيُكَرَّرُ عَلَيْنَا مَا كَانَ بَيْنَنَا فِي الدُّنْيَا مَعَ خَوَاصِّ الذُّنُوبِ؟ قَالَ: “نَعَمْ لَيُكَرَّرَنَ عَلَيْكُمْ، حَتَّى يُؤدَّى إِلَى كُلِّ ذِي حَقِّ حَقُّهُ”. قَالَ الزُّبَيْرُ: وَاللَّهِ إِنَّ الْأَمْرَ لَشَدِيدٌ

Imam Ahmad mengatakan pula, telah menceritakan kepada kami Ibnu Namir, telah menceritakan kepada kami Muhammad ibnu Amr, dari Yahya ibnu Abdur Rahman ibnu Akhtab, dari Abdullah ibnuz Zubair, dari Az Zubair ibnul Awwam yang telah mengatakan bahawa ketika diturunkan kepada Rasulullah ﷺ ayat berikut iaitu firman-Nya: Sesungguhnya kamu akan mati dan sesungguhnya mereka akan mati (pula). Kemudian sesungguhnya kamu pada hari kiamat akan berbantah-bantahan di hadapan Tuhanmu. (Az-Zumar: 30-31) Az-Zubair bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah akan diulang terhadap kita apa yang terjadi di antara sesama kita ketika di dunia disertai dengan dosa-dosa yang khususnya?” Baginda menjawab: Benar, sungguh akan diulang terhadap kalian (persengketaan itu) hingga Allah ‎ menunaikan kepada orang yang berhak akan haknya. Az-Zubair berkata, “Demi Allah , sesungguhnya urusannya benar-benar sangat keras.”
Imam Turmuzi meriwayatkan hadis ini melalui hadis Muhammad ibnu Amr dengan sanad yang sama. Dan beliau mengatakan bahawa hadis ini sahih.

Oleh kerana itu, janganlah kita berlaku zalim kepada manusia dengan tidak memberikan hak mereka. Jangan kita berbuat salah dengan orang lain, jangan kita berhutang dan tidak membayarnya. Kerana manusia nanti boleh meminta hak mereka di hadapan Allah ‎ﷻ nanti dan akan diadili nanti dengan adil. Maka akan ada orang yang akan jadi ‘muflis’.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ  أتَدْرُونَ مِن الْمُفْلِسُ قَالُوا الْمُفْلِسُ فِينَا يَا رَسُولَ اللَّهِ مَنْ لَا لَهُ دِرْهَمَ وَلَا دِينَارَ وَلَا مَتَاعَ قَالَ الْمُفْلِسُ مِنْ أُمَّتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ مَنْ يَأْتِي بِصَلَاةٍ وَصِيَامٍ وَزَكَاةٍ وَيَأْتِي قَدْ شَتَمَ عِرْضَ هَذَا وَقَذَفَ هَذَا وَأَكَلَ مَالَ هَذَا وَضَرَبَ هَذَا فَيُقْعَدُ فَيَقْتَصُّ هَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ وَهَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ فَإِنْ فَنِيَتْ حَسَنَاتُهُ قَبْلَ أَنْ يُقْضَى مَا عَلَيْهِ أُخِذَ مِنْ خَطَايَاهُمْ فَطُرِحَ عَلَيْهِ ثُمَّ طُرِحَ فِي النَّارِ

Dari Abu Hurairah  dari Nabi ﷺ, baginda bersabda: “Tahukah kalian siapakah yang disebut dengan orang yang muflis?” Para sahabat menjawab; “Orang yang muflis menurut kami wahai Rasulullah, adalah orang yang tidak punya dirham dan dinar serta harta benda.” Baginda bersabda: “Seorang muflis daripada kalangan umatku ialah seorang yang datang pada hari Kiamat dengan pahala solat, puasa dan zakat, namun (pada masa yang sama) dia juga membawa dosa mencela orang ini, menuduh orang itu, memakan harta orang ini, menumpahkan darah orang itu dan memukul orang ini (dan seumpamanya), lalu diberikan kepada orang ini sebahagian daripada pahala-pahala kebaikannya dan diberikan kepada orang itu pula sebahagian pahalanya, hinggalah akhirnya habis pahalanya namun belum lagi terbayar dosa-dosa yang tertanggung atasnya, lalu diambil dosa-dosa mereka tadi dan ditumpukkan ke atasnya hingga akhirnya dia dihumban ke dalam neraka (kerana banyak dosa)” (HR Ahmad No: 8062) Status: Hasan Sahih

TAMAT JUZ 23 dan Habis Ruku’ ke 3 dari 8 ruku’ dalam surah ini.

Allahu a’lam. Lompat ke ayat-ayat yang seterusnya

Kemaskini: 1 Julai 2018


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah Zumar Ayat 22 – 24 (Kulit bergetar)

Ayat 22: Kita masuk ke Ruku’ ke 3 dalam surah ini. Ini adalah perbandingan yang ketiga.

Ini pula adalah tentang orang yang mudah faham agama. Kemudian ada pula yang tidak boleh menerima langsung dakwah tauhid walaupun telah diberikan pelbagai dakwah dan dalil kepada mereka. Sememangnya manusia tidak sama.

Allah ‎ﷻ hendak memberitahu dalam ayat ini yang ahli syurga senang untuk menerima wahyu yang disampaikan kepada mereka. Namun ada yang telah dengar pun, tetapi masih tidak faham-faham atau berpura-pura tidak faham. Mereka tidak ada minat untuk mendekati dan memahami wahyu ilahi dan kerana itu mereka tidak dapat hendak faham. Ini kerana mereka menutup hati mereka dari mencari kebenaran.

أَفَمَن شَرَحَ اللَهُ صَدرَهُ لِلإِسلٰمِ فَهُوَ عَلىٰ نورٍ مِّن رَّبِّهِ ۚ فَوَيلٌ لِّلقٰسِيَةِ قُلوبُهُم مِّن ذِكرِ اللهِ ۚ أُولٰئِكَ في ضَلٰلٍ مُّبينٍ

Sahih International

So is one whose breast Allah has expanded to [accept] Islam and he is upon a light from his Lord [like one whose heart rejects it]? Then woe to those whose hearts are hardened against the remembrance of Allah . Those are in manifest error.

Malay

Adakah orang yang telah dilapangkan Allah dadanya untuk menerima Islam, lalu dia tetap berada dalam cahaya (hidayah petunjuk) dari Tuhannya, (sama seperti orang yang tertutup mata hatinya dengan selaput kederhakaan)? Maka kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah. Mereka yang demikian keadaannya, adalah dalam kesesatan yang nyata.

 

أَفَمَنْ شَرَحَ اللَّهُ صَدْرَهُ لِلْإِسْلٰمِ

Apakah sama satu orang yang dilapangkan dadanya oleh Allah untuk memahami Islam?

Ada muqaddar dalam ayat ini: Apakah sama orang itu berbanding dengan orang yang tidak dilapangkan dadanya? Tentulah tidak sama.

Orang yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah orang yang apabila diajar tentang agama, dia boleh faham. Dan bukan sahaja dia boleh faham, tetapi dia boleh ‘terima’ apakah yang disampaikan. Allah ‎ﷻ telah melapangkan dadanya untuk ‘selesa’ dengan apa yang disampaikan.

Apa-apa sahaja suruhan Allah ‎ﷻ dalam wahyu itu, dia boleh amalkan dan tidak ada masalah untuk dirinya. Kerana ada orang yang apabila telah disampaikan ajaran dari Al-Qur’an, tetapi mereka berasa tidak selesa. Mereka tidak dapat untuk menerima arahan yang Allah ‎ﷻ berikan. Mereka ingin menggunakan akal juga sampai mereka mempersoalkan wahyu pula, sedangkan wahyu itu dari Allah ‎ﷻ.

Apakah maksud إِسْلَامِ? Islam adalah penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah ‎ﷻ. Ia bukannya pada nama sahaja, tetapi lebih kepada sifat. Kalau nama sahaja orang Islam, tetapi tidak serah diri, bukanlah dia Muslim sejati. Maknanya terima bulat-bulat apa yang disampaikan tanpa meninggalkan satu pun.

Adakah kita serahkan hati kita kepada Allah ‎ﷻ segala-galanya? Ada yang tidak terima semua. Sebagai contoh, Allah ‎ﷻ telah berikan pembahagian harta pusaka dalam Al-Qur’an. Tetapi ada yang tidak terima, mereka kata lebih molek kalau dibahagikan sama rata antara lelaki dan perempuan. Ini jenis mereka yang Allah ‎ﷻ tidak lapangkan dada mereka. Ada sahaja alasan untuk menolak ayat-ayat Allah ‎ﷻ.

Memang ada tempat yang menyebabkan kita tidak selesa. Dan ada tempat yang menyebabkan kita rasa selesa sangat, seperti rumah kita. Apabila kita berada di rumah kita, kita rasa lega dan kita rasa aman, bukan? Kalau duduk dalam rumah orang lain, walaupun tuan rumah itu kata: “Buatlah macam rumah sendiri”, tetapi kita tidak dapat rasa ia seperti rumah kita. Inilah perbandingan yang boleh kita gunakan.

Orang-orang yang rasa selesa dengan Islam akan mudah untuk beramal seperti yang Allah ‎ﷻ suruh, seperti solat. Mereka suka untuk solat, dan ringan badan untuk solat, tidak solat dengan malas atau dengan perasaan terpaksa. Dan kalau mereka tertinggal solat, mereka akan gelabah. Itu adalah penilaian yang kita boleh lihat dan bandingkan dengan diri kita, kita jenis yang mana? Begitu juga dalam ibadat-ibadat lain.

Ayat ini memberi penjelasan kepada kita, kenapa apabila belajar tafsir Al-Qur’an, ada orang yang boleh faham dan terima, tetapi ada orang yang tidak faham dan tidak selesa untuk terima. Yang tidak dapat terima itu adalah kerana hati mereka tidak terbuka. Cara untuk faham dan terima Al-Qur’an adalah kena ada niat hendak mencari kebenaran, baru boleh senang untuk faham.

Kalau hanya masuk ke kelas pengajian hanya untuk dengar-dengar sahaja, ingin tengok-tengok sahaja, seseorang itu tidak akan faham. Oleh itu, kenalah datang belajar dengan niat untuk tahu wahyu Allah ‎ﷻ dan hendak tahu kebenaran.

Kalimah شَرَحَ bermaksud ‘buka’, ‘kembangkan’, ‘besarkan’. Ini bermaksud Allah ‎ﷻ boleh besarkan hati manusia untuk menerima ajaran dari wahyu. Bukannya susah untuk terima dan faham. Dengan melihat tanda-tanda pada alam dan pada ayat-ayat Al-Qur’an dan kemudian memikirkan tentang tanda-tanda itu, manusia mampu untuk memahaminya.

فَهُوَ عَلَىٰ نُورٍ مِّنْ رَّبِّهِ

maka dia berada di atas cahaya iman daripada Tuhannya.

Orang yang dibukakan hatinya akan mendapat ‘nur’ dari Allah ‎ﷻ. ‘Nur’ di dalam ayat ini bermaksud: Al-Qur’an. Iaitu dia berada di atas landasan Al-Qur’an yang datangnya daripada Allah ‎ﷻ. Iaitu dia belajar dan mendapat hidayah daripada Al-Qur’an.

Perumpamaan ayat ini adalah: cahaya Islam masuk ke dalam dada seseorang itu. Sudahlah dadanya dikembangkan, dimasukkan cahaya pula. Cahaya itu adalah cahaya hidayah.

Sepertimana kita memerlukan cahaya dalam alam ini untuk melihat, kita juga memerlukan cahaya hidayah untuk melihat kebenaran. Tetapi kalau hati telah keras, cahaya itu tidak dapat masuk. Ini disebut selepas ini jenis orang yang keras hatinya.

فَوَيْلٌ لِّلْقٰسِيَةِ قُلُوبُهُمْ مِّنْ ذِكْرِ اللهِ

Maka celakalah barangsiapa yang keras hati dia dari memahami peringatan Allah.

Ada dua terjemahan kepada kalimat ذِكْرِ اللهِ. Terjemah biasa: zikir kepada Allah ‎ﷻ. Namun sebenarnya, apabila ingat kepada Allah ‎ﷻ adalah ingat kepada pengajaran dalam Al-Qur’an. Iaitu zikir dalam tauhid. Kalau zikir biasa sahaja, tetapi dalam masa yang sama dia masih buat perkara syirik, itu adalah zikir yang sia-sia.

Dan terjemahan kedua bagi ذِكْرِ اللهِ atau ‘Kitab Allah’ iaitu Al-Qur’an. Celakalah orang yang tidak memahami Al-Qur’an. Iaitu celaka di akhirat kelak. Iaitu orang yang apabila diajak belajar tafsir Al-Qur’an, dia tidak mahu.

Atau, bila dia belajar isi kandung Al-Qur’an, dia tidak faham. Dia tidak faham itu kerana hatinya keras untuk memahami Al-Qur’an. Itu terjadi kerana hati dia tidak mahu mendengar isi kandung Al-Qur’an.

Ataupun dia malas untuk berzikir kepada Allah ‎ﷻ. Dan ingatlah, zikir yang paling bagus adalah dengan baca Al-Qur’an. Memang ada zikir yang diajar oleh Nabi ﷺ, tetapi baginda sendiri paling banyak berzikir dengan membaca ayat Al-Qur’an. Mungkin ramai yang tidak tahu perkara ini. Baca Al-Qur’an itu lebih banyak pahala dari berzikir menggunakan lafaz-lafaz lain.

Maka, membaca ayat Al-Qur’an itu jauhlah lebih baik dari mengamalkan zikir-zikir yang diajar oleh guru-guru tarekat dan para Habib. Sudahlah amalan zikir mereka itu direka, ditambah pula dengan khaifiat dan khasiat yang entah datang dari mana. Itu bukannya akan dapat pahala, malah mendapat dosa pula.

Kita kena faham bahawa Al-Qur’an itu adalah mukjizat. Ia boleh membuka hati manusia yang gelap kepada cahaya terang. Ia bukan seperti kitab yang lain. Kalau kitab sehebat Al-Qur’an pun tidak boleh diterima, maka itu menunjukkan yang hatinya telah keras dan tidak ada harapan lagi. Kerana mukjizat yang ada dalam dunia sekarang hanya Al-Qur’an sahaja. Hendak cari mukjizat mana lagi?

Maka celakalah dia yang tidak dapat menerima wahyu Al-Qur’an. Sedangkan Sayidina Umar رضي الله عنه yang keras kepala pun boleh terima Al-Qur’an apabila dibacakan kepadanya. Bayangkan betapa kerasnya dia, dia seorang sahaja yang berani untuk bunuh Nabi Muhammad ﷺ secara terus. Musyrikin Mekah yang lain bising-bising tidak suka kepada baginda, Umar رضي الله عنه sahaja yang berkata: “Elok bunuh sahaja Muhammad itu, selesai masalah.” Dan beliau telah pergi pun untuk membunuh baginda! Kisah ini terdapat dalam sirah.

أُولَٰئِكَ فِي ضَلٰلٍ مُّبِينٍ

Orang-orang itu duduk dalam sesat yang nyata.

Kerana bila dia tidak mahu belajar, dia tidak akan tahu yang mana yang dituntut untuk diikuti dan yang mana yang dilarang, maka dia jadi sesat. Lebih-lebih lagi yang dilarang itu adalah tentang perkara syirik kepada Allah ‎ﷻ. Contohnya, kerana tidak tahu, maka dia mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah ‎ﷻ dan menghalalkan mana yang diharamkan.

Contohnya, dalam perkara pantang memantang. Selalunya, dalam masyarakat Melayu, apabila seseorang ibu sudah bersalin, mereka akan diberikan pantang larang dalam makanan. Makanan itu ini tidak boleh dimakan. Itu sebenarnya adalah ‘mengharamkan yang telah dihalalkan oleh Allah ‎ﷻ’.

Dia tidak tahu yang perbuatan itu adalah kufur kepada Allah ‎ﷻ. Dan ada banyak lagi perkara tentang tauhid yang mereka tidak tahu. Mereka merasakan mereka dalam keadaan beriman, tetapi sebenarnya mereka di dalam kesesatan. Mereka sangka apabila mereka telah mengucap, mereka solat, puasa, tidak berzina dan lain-lain ibadat yang mereka lakukan, mereka telah selamat. Belum tentu lagi.

Kita hendaklah belajar tafsir Al-Qur’an ini supaya kita boleh faham apakah kehendak Allah ‎ﷻ kepada kita dan kita boleh menurut kehendak Allah ‎ﷻ itu.


 

Ayat 23: Ini adalah i’adah (pengulangan) kepada dalil wahyu. Allah ‎ﷻ mengingatkan kita yang Dialah yang turunkan Al-Qur’an.

اللَهُ نَزَّلَ أَحسَنَ الحَديثِ كِتٰبًا مُّتَشٰبِهًا مَّثانِيَ تَقشَعِرُّ مِنهُ جُلودُ الَّذينَ يَخشَونَ رَبَّهُم ثُمَّ تَلينُ جُلودُهُم وَقُلوبُهُم إِلىٰ ذِكرِ اللهِ ۚ ذٰلِكَ هُدَى اللهِ يَهدي بِهِ مَن يَشاءُ ۚ وَمَن يُضلِلِ اللَهُ فَما لَهُ مِن هادٍ

Sahih International

Allah has sent down the best statement: a consistent Book wherein is reiteration. The skins shiver therefrom of those who fear their Lord; then their skins and their hearts relax at the remembrance of Allah . That is the guidance of Allah by which He guides whom He wills. And one whom Allah leaves astray – for him there is no guide.

Malay

Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu Kitab Suci Al-Qur’an yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), yang berulang-ulang (keterangannya, dengan berbagai cara); yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah. Kitab Suci itulah hidayah petunjuk Allah; Allah memberi hidayah petunjuk dengan Al-Qur’an itu kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan (ingatlah) sesiapa yang disesatkan Allah (disebabkan pilihannya yang salah), maka tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya.

 

اللَهُ نَزَّلَ أَحْسَنَ الْحَدِيثِ

Allahlah Dzat yang menurunkan kepada kita sebaik-baik perkataan;

Lafaz ‘sebaik-baik perkataan’ itu adalah Al-Qur’an. Iaitu firman Allah ‎ﷻ. Ini dibandingkan dengan hadis, lebih-lebih lagi kalau dibandingkan dengan kata-kata makhluk yang lain.

Sebelum ini dalam ayat 18 telah diberitahu bahawa berita gembira diberikan kepada mereka mendengar kata-kata dan memilih yang terbaik darinya. Maka dalam ayat ini Allah ‎ﷻ memberitahu bahawa kata-kata terbaik itu adalah Al-Qur’an.

Kalimah حديث bermaksud kata-kata atau kejadian yang disebut. Allah ‎ﷻ hendak memberitahu dalam banyak-banyak perkataan dan kejadian yang disebut-sebut, Al-Qur’anlah yang terbaik sekali. Selepas ini Allah ‎ﷻ sambung dengan menyebut beberapa sifat Al-Qur’an.

كِتٰبًا مُّتَشٰبِهًا

Sebuah kitab yang serupa kalimah-kalimatNya;

Iaitu perkataan jenis ‘kitab’ – Al-Qur’an. Jadi yang dimaksudkan ‘kitab’ dalam ayat ini adalah Al-Qur’an.

Kalimah متشبه bermaksud sama satu sama lain. Maksudnya: sama sahaja risalah yang disampaikan di dalam Al-Qur’an ini. Sama sahaja perkara yang dibawa oleh Al-Qur’an itu.

Perkara utama yang disentuh adalah tentang tauhid, risalah kenabian dan akhirat selain dari perkara-perkara lain-lain. Sentiasa sahaja ada tiga perkara ini dari awal sampai akhir. Kerana inilah tiga perkara utama dalam Al-Qur’an. Jadi ada persamaan antara topik-topik yang disentuh dalam Al-Qur’an dan saling menguatkan di antara satu sama lain.

Dan maklumat yang disampaikan dalam Al-Qur’an sama sahaja dari mula sampai akhir. Tidaklah satu bahagian kata kena amalkan tauhid, tetapi di tengah atau di hujungnya kata boleh berbuat syirik pula. Itulah maksud ‘serupa’. Tidak berlawanan antara ayat-ayat itu.

Sama sahaja perkara yang dibincangkan tetapi dengan cara-cara yang berbeza. Ada dalam bentuk soalan, ada dalam bentuk pemberitahuan dan ada dalam bentuk cerita dan lain-lain lagi. Allah ‎ﷻ berikan berbagai-bagai cara supaya tiada alasan manusia tidak faham lagi kerana sudah bermacam cara telah Allah ‎ﷻ sampaikan.

Begitulah banyak surah yang ada ayat yang hampir serupa dalam surah-surah lain. Satu ayat memperkuatkan ayat yang lain. Ada ayat Al-Qur’an yang memperjelaskan maksud ayat-ayat yang lain.

مَّثَانِيَ

yang berulang-ulang;

Sudahlah perkara yang sama ada di tempat lain, dan ia berulang-ulang pula. Juga berulang-ulang pengajaran yang dibawa. Diulang-ulang pengajaran yang sama kerana ia penting.

Perkara yang sama tetapi disebutkan dalam cara yang berbeza-beza. Supaya meneguhkan hati-hati manusia. Supaya kemas pemahaman kita dan tidak ada alasan lagi untuk kata kita tidak faham. Dan supaya lekat di hati. Bila selalu dibaca maka akan terpahat di minda.

تَقْشَعِرُّ مِنْهُ جُلُودُ الَّذِينَ يَخْشَوْنَ رَبَّهُمْ

Akan gementar kulit-kulit orang-orang yang takut dengan Tuhan mereka.

Ini adalah kesan kepada pembaca Al-Qur’an. Mereka merasa gementar apabila ayat-ayat itu dibacakan kepada mereka atau apabila mereka membacanya sendiri. Mereka jadi gementar kerana mereka takut kepada Allah ‎ﷻ kerana mereka sudah kenal Allah ‎ﷻ. Mereka sudah faham siapakah Allah ‎ﷻ.

Mereka dapat merasai bahawa bacaan Al-Qur’an itu adalah Allah ‎ﷻ berkata-kata terus dengan mereka. Kalau hendak bayangkan, ingatkah kalau kita berjumpa orang yang kita takut? Kita akan berasa lain macam apabila berhadapan dengan orang itu. Kadang-kadang muka kita sampai pucat. Itu baru dengan manusia, bagaimana pula dengan Allah ‎ﷻ?

Apabila mereka takut, maka mereka tentulah akan baiki amalan dan perbuatan mereka. Inilah yang kita hendak. Bukan kita hendak takut gementar sahaja, tetapi kita mahu ada perubahan dalam diri.

Namun, perasaan itu hanya akan dapat apabila kita faham apa yang kita baca selepas kita belajar tafsir. Kalau tidak belajar tafsir, maka akan baca ‘kosong’ sahaja.

Orang yang tidak faham apa yang mereka baca, mereka akan sibuk dengan menjaga tajwid dan lagu sahaja, tetapi pengajaran yang disampaikan dalam Al-Qur’an itu tidak diambil peduli.

Oleh sebab itulah, sama sahaja intonasi mereka yang sebegitu semasa mereka membaca Al-Qur’an. Ada orang yang mungkin tidak pandai tajwid, tidak pandai lagu bacaan Al-Qur’an, tetapi kerana mereka faham apa yang mereka baca, maka kita yang mendengar bacaannya pun, akan terkesan.

Kita sepatutnya sedar yang apabila kita baca Al-Qur’an, sebenarnya Allah ‎ﷻ sedang mendengar apa yang kita baca itu. Jadi, kalau kita dapat sematkan dalam hati kita yang kita sedang membaca *kepada* Allah ‎ﷻ, pembacaan itu akan jadi lebih mengesankan.

Untuk kenal Allah ‎ﷻ adalah dengan belajar kitab Allah ‎ﷻ iaitu Al-Qur’an. 80% daripada ayat-ayat dalam Al-Qur’an adalah untuk mengenali / mentauhidkan Allah ‎ﷻ dan 20% lagi adalah untuk kenal hukum-hakam.

Untuk kenal Tuhan, kitab Allah ‎ﷻlah yang paling mudah sekali untuk kita mengenali-Nya. Akal kita tidak akan dapat sampai ke tahap mengenali Allah ‎ﷻ tanpa bantuan dari Allah ‎ﷻ. Kalau Allah ‎ﷻ tidak beritahu dalam Al-Qur’an, kita tidak akan tahu.

ثُمَّ تَلِينُ جُلُودُهُمْ وَقُلُوبُهُمْ إِلَىٰ ذِكْرِ اللهِ

Kemudian akan jadi tenang kulit-kulit mereka dan hati mereka kepada mengingati Allah.

Apabila dibacakan ayat-ayat Al-Qur’an yang berbentuk nikmat dan rahmah Allah ‎ﷻ kepada mereka, mereka akan menjadi tenang pula. Masa ayat-ayat takhwif mereka jadi takut, dan semasa baca ayat-ayat tabshir, mereka jadi tenang pula.

Orang yang belajar tafsir sahaja yang boleh dapat menghayati ayat-ayat Allah ‎ﷻ. Mereka itulah orang-orang yang mendapat hidayah Allah ‎ﷻ.

Ayat-ayat ‘tabshir’ (berita gembira) adalah ayat-ayat tentang syurga, ayat-ayat yang memberi harapan kepada kita, tentang sifat Allah ‎ﷻ yang pemurah, pemaaf dan sebagainya. Iaitu ayat-ayat yang menggembirakan kita dan memberi ketenangan kepada kita.

ذَٰلِكَ هُدَى اللهِ

itulah hidayah dari Allah.

Kalau ada perasaan mahu taat kepada Allah ‎ﷻ, itulah hidayah dari Allah ‎ﷻ. Dan untuk tahu apakah yang perlu ditaati, kenalah belajar wahyu terutama sekali Al-Qur’an itu.

Al-Qur’an itulah hidayah dari Allah ‎ﷻ untuk memandu kita. Kita setiap hari akan meminta hidayah dari Allah ‎ﷻ dalam bacaan Fatihah dalam solat. Dan Allah ‎ﷻ telah beritahu yang hidayah yang kamu minta itu ada dalam Al-Qur’an, maka kenalah belajar tafsir Al-Qur’an.

Kita selalu ingatkan belajar tafsir Al-Qur’an dalam penulisan ini kerana belajar tafsir tidak sama dengan belajar baca Al-Qur’an. Baca Al-Qur’an semua orang boleh buat dari kanak-kanak lagi. Tetapi itu belum bermaksud kita telah melakukan kewajipan untuk belajar Al-Qur’an. Kita kena belajar sampai kita faham apakah yang disampaikan dalam Al-Qur’an itu.

 

يَهْدِي بِهِ مَنْ يَشَاءُ

Allah akan memimpin dengan Al-Qur’an itu sesiapa yang Dia kehendaki.

Allah ‎ﷻ akan memimpin manusia kepada kebenaran dan kepada syurga dengan Al-Qur’an itu. Dengan belajar tafsir Qur’an 30 juzuk ini akan mendorong mereka untuk belajar 6 kitab besar hadis (kutubus sittah).

Dengan belajar Al-Qur’an dan kitab-kitab hadis ini, mereka sudah belajar kebanyakan daripada agama Islam. Mereka akan faham 99% daripada agama Islam.

Adapun orang-orang yang tidak belajar tafsir Al-Qur’an dan hanya belajar hadis sikit-sikit, maka mereka ini apabila menjadi ustaz, hanyalah tazkirah dan motivasi sahaja yang mereka boleh beri. Dan akan banyak pula buat silap dalam memberi tazkirah dan penyampaian ilmu.

Dan kesilapan yang dilakukan oleh anak murid mereka, mereka sendiri pun tidak tahu. Sepatutnya, merekalah yang memberitahu kesilapan yang telah dilakukan oleh anak-anak murid, tetapi kerana mereka tidak tahu, maka mereka tidak dapat memberitahu kepada jemaahnya.

Jadi bagaimana seorang ustaz itu hendak mengajar kalau dia sendiri pun tidak habis belajar tafsir Al-Qur’an? Tidak belajar tafsir 30 juzuk dan Sunnah? Kebanyakan mereka hanya belajar Al-Qur’an sikit-sikit dari pembacaan sahaja dan sikit-sikit hadis Nabi ﷺ yang kebanyakannya mereka tafsir sendiri sahaja.

Mereka tidak bersungguh dalam belajar agama, iaitu belajar yang mana yang mereka berkenan sahaja. Jadi mereka hanya boleh memberi tazkirah ataupun motivasi sahaja.

 

وَمَنْ يُضْلِلِ اللَهُ فَمَا لَهُ مِنْ هَادٍ

Dan sesiapa yang disesatkan Allah, maka tidak ada lagi kuasa lain lagi yang boleh beri hidayah kepada orang itu.

Ini adalah peringkat ‘Khatmul Qalbi’ – penutupan hati. Iaitu apabila sudah sampai kepada peringkat Allah ‎ﷻ mengunci mati hati mereka dari menerima hidayah.

Apabila sudah sampai ke peringkat keempat ini, maka tidak ada sesiapa pun yang boleh mengembalikannya kepada kebenaran. Tidak kira sama ada orang itu adalah tok guru atau tok wali atau sesiapa pun mahupun apa-apa kuasa lain yang boleh memberi hidayah kepada mereka, melainkan Allah ‎ﷻ sahaja.


 

Ayat 24: Ini adalah bandingan ketiga yang Allah ‎ﷻ sampaikan dalam surah ini. Ia juga adalah ayat Takhwif Ukhrawi.

أَفَمَن يَتَّقي بِوَجهِهِ سوءَ العَذابِ يَومَ القِيٰمَةِ ۚ وَقيلَ لِلظّٰلِمينَ ذوقوا ما كُنتُم تَكسِبونَ

Sahih International

Then is he who will shield with his face the worst of the punishment on the Day of Resurrection [like one secure from it]? And it will be said to the wrongdoers, “Taste what you used to earn.”

Malay

Maka adakah orang yang menahan dengan mukanya akan (selaran) azab yang buruk pada hari kiamat (sama seperti orang yang terselamat)? Dan (pada saat itu) dikatakan kepada orang-orang yang zalim itu: “Rasalah (balasan) apa yang kamu usahakan dahulu”.

أَفَمَنْ يَتَّقِي بِوَجْهِهِ سُوءَ الْعَذَابِ يَوْمَ الْقِيٰمَةِ

Apakah sama, satu orang yang menyanggah azab yang amat buruk dengan mukanya sendiri pada Hari Kiamat?

Ada muqaddar dalam ayat ini: ‘Adakah orang itu sama dengan orang yang terselamat dan masuk syurga?’ Tentulah tidak. Orang mukmin akan diselamatkan dari neraka dan dari azab. Tentulah tidak sama, dari segi fahaman dan dari segi amalan.

Apakah yang dimaksudkan dengan ‘menyanggah azab dengan mukanya sendiri?’ Kita kena faham keadaan mereka yang diazab. Bila mereka dimasukkan ke neraka, rantai sepanjang 40 hasta akan diikat di tangan dan leher mereka. Kemudian ditarik kepala dan kaki mereka ke belakang.

Dan mereka akan dipanggang dengan api neraka. Selalunya, kalau ada orang hendak pukul kita, kita akan tahan dengan tangan, bukan? Tetapi ahli neraka telah diikat tangan mereka. Jadi pada masa itu, bagaimana untuk sanggah kepanasan itu? Dengan muka sahaja yang mampu mereka lakukan. Padahal, muka itulah yang selalunya kita akan pelihara dengan tangan kita.

Tetapi kali ini mereka hanya tahan dengan muka sahaja kepanasan api neraka itu kerana tangan mereka telah diikat. Alangkah menakutkan sekali bayangan neraka ini. Nauzubillah, selamatkanlah kami darinya! Ameen.

وَقِيلَ لِلظّٰلِمِينَ

Dan dikatakan kepada orang yang zalim itu,

Ini adalah dalam bentuk azab emosi, iaitu mereka diberi dengan penghinaan. Orang-orang yang zalim itu adalah orang-orang berbuat syirik ketika di bumi. Dan yang berkata kepada mereka adalah berkemungkinan adalah malaikat penjaga neraka.

Mereka waktu itu sedang diazab tubuh mereka, tetapi diazab lagi perasaan mereka dengan kata-kata yang menyakitkan jiwa. Ini dinamakan ‘takzib rohani’ – azab jiwa. Kadang-kadang azab jiwa itu lebih menyakitkan dari azab fizikal. Allah ‎ﷻ sengaja menambah azab kepada mereka. Neraka bukanlah tempat untuk belas kasihan, tetapi tempat azab. Maka Allah ‎ﷻ akan azab dengan berbagai-bagai cara.

ذُوقُوا مَا كُنْتُمْ تَكْسِبُونَ

“rasalah balasan dari apa yang kamu lakukan”.

Rasailah balasan kesyirikan yang kamu lakukan di dunia dahulu. Dulu semasa di dunia, kamu degil untuk terima dakwah tauhid, kamu enggan untuk pergi belajar – ada orang ajak pergi kelas tafsir, kamu tidak mahu ikut.

Ada orang yang nasihat kamu tentang amalan kamu yang salah, kamu tidak mahu dengar. Dan kerana itu, kamu terus melakukan amalan yang salah, amalan yang syirik, amalan yang bidaah. Maka, sekarang rasakanlah.

Kalau cikgu sekolah merotan anak muridnya, anak murid itu akan berasa sakit. Namun kesakitan itu akan hilang selepas sehari dua. Tetapi kalau semasa merotan itu, guru itu menghina budak itu, mengatakan dia ‘bodoh’, ‘anak tak guna’ dan sebagainya, tentulah ia memberi kesan yang mendalam dan kekal kepada anak murid itu. Sampai pencen budak itu akan ingat kata-kata guru disiplin itu.

Memang kata-kata akan menyebabkan sakit yang berpanjangan. Begitulah kesan kepada orang yang diazab di neraka nanti.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 14 Julai 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Noumana Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah Zumar Ayat 18 – 21 (Memilih guru)

Zumar Ayat 18: Siapakah yang akan mendapat berita gembira itu? Sifat mereka disebut dalam ayat ini:

الَّذينَ يَستَمِعونَ القَولَ فَيَتَّبِعونَ أَحسَنَهُ ۚ أُولٰئِكَ الَّذينَ هَدٰهُمُ اللَهُ ۖ وَأُولٰئِكَ هُم أُولُو الأَلبٰبِ

Sahih International

Who listen to speech and follow the best of it. Those are the ones Allah has guided, and those are people of understanding.

Malay

Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya; mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna.

 

الَّذِينَ يَسْتَمِعُونَ الْقَوْلَ

Yang mendengar perkataan  

Pendapat yang kuat mengatakan ‘perkataan’ yang dimaksudkan adalah Al-Qur’an. Jadi berita gembira diberikan kepada mereka yang mampu menumpukan perhatian kepada Al-Qur’an yang dibacakan kepadanya. Kerana kalimah الْقَوْلَ  ditafsirkan sebagai Al-Qur’an. Mereka tawajjuh apabila Al-Qur’an dibacakan. Mereka fokus dalam mendengar dan memahami Al-Qur’an.

Dan untuk memahami Al-Qur’an, kenalah belajar tafsir Al-Qur’an dahulu. Ini kerana kalau setakat dengar bacaan sahaja tetapi tidak faham langsung apa yang dibaca, maka ini tidaklah menepati kehendak Allah ‎ﷻ. Kalau baca terjemahan pun, tentu tidak faham.

Marilah belajar tafsir kerana bukan  susah pun untuk memahami Al-Qur’an ini. Ini kerana Allah ‎ﷻ hendak kita faham apa yang kita dengar. Maka Allah ‎ﷻ akan permudahkan urusan kita untuk memahami Al-Qur’an ini kalau kita ada usaha untuk memahaminya.

Kalimah الْقَوْلَ juga boleh ditafsirkan untuk perkataan lain juga. Contohnya, ia boleh bermaksud dakwah dari pendakwah-pendakwah. Mereka yang beriman akan mendengar dengan teliti dakwah yang disampaikan dengan fikiran yang waras dan iman yang sedia. Maka amat penting kita mendengar ajaran dari manusia dengan fikiran yang kritis. Tidaklah kita hanya ikut sahaja apa-apa yang disampaikan tanpa usul periksa.

Maka orang yang mendapat berita gembira itu tidak taqlid buta sahaja seperti kebanyakan dari masyarakat Islam kita: apa sahaja kata dari ustaz, mereka terus terima sahaja tanpa usul periksa. Kerana mereka sangka, ustaz itu tentulah betul sedangkan tidaklah semestinya begitu.

 

فَيَتَّبِعُونَ أَحْسَنَهُ

lalu mereka menurut yang terbaik;

Maka selepas dia mendengar الْقَوْلَ itu, dia mengikuti apa yang terbaik dari kata-kata itu.

Tetapi apakah yang terbaik itu? Ini kerana kalimah أحسن digunakan dalam ayat ini. Satu pendapat mengatakan semua di dalam Al-Qur’an itu adalah baik, maka semua ayat Al-Qur’an. Ini kerana ayat-ayat Al-Qur’an disebut sebagai أحسن الحديث di dalam ayat yang lain.

Namun begitu ada juga pendapat yang lain, iaitu dia mendengar ayat-ayat Al-Qur’an dibacakan, dia ikut pula yang ‘terbaik’ daripada ayat-ayat itu. Ada ulama’ mengatakan ia bermaksud ayat-ayat tentang tauhid, kerana itulah yang terbaik sekali yang ada di dalam Al-Qur’an.

Selain tentang tauhid, terdapat lagi ayat-ayat lain tentang perkara-perkara sunat dan tentang amalan-amalan fardhu dan sebagainya. Dan mereka memilih yang ‘terbaik’. Kerana anjuran di dalam Al-Qur’an ada yang berbentuk memberi pilihan kepada umat Islam. Sebagai contoh, lihat Nisa:25

وَمَن لَّمْ يَسْتَطِعْ مِنكُمْ طَوْلًا أَن يَنكِحَ الْمُحْصَنَاتِ الْمُؤْمِنَاتِ فَمِن مَّا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُم مِّن فَتَيَاتِكُمُ الْمُؤْمِنَاتِ وَاللَّهُ أَعْلَمُ بِإِيمَانِكُم بَعْضُكُم مِّن بَعْضٍ فَانكِحُوهُنَّ بِإِذْنِ أَهْلِهِنَّ وَآتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ مُحْصَنَاتٍ غَيْرَ مُسَافِحَاتٍ وَلَا مُتَّخِذَاتِ أَخْدَانٍ فَإِذَا أُحْصِنَّ فَإِنْ أَتَيْنَ بِفَاحِشَةٍ فَعَلَيْهِنَّ نِصْفُ مَا عَلَى الْمُحْصَنَاتِ مِنَ الْعَذَابِ ذَٰلِكَ لِمَنْ خَشِيَ الْعَنَتَ مِنكُمْ وَأَن تَصْبِرُوا خَيْرٌ لَّكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Dan sesiapa di antara kamu yang tidak mempunyai kemampuan yang cukup untuk berkahwin dengan perempuan-perempuan yang baik-baik (yang merdeka, yang terpelihara kehormatannya) lagi beriman, maka bolehlah kamu berkahwin dengan hamba-hamba perempuan yang beriman yang kamu miliki. Dan Allah lebih mengetahui akan iman kamu; kamu masing-masing (suami yang merdeka dan isteri dari hamba – abdi itu) adalah berasal sama (dari Adam, dan seugama pula). Oleh itu berkahwinlah dengan mereka dengan izin walinya serta berikanlah maskahwinnya menurut yang patut. Mereka (hamba-hamba perempuan yang akan dijadikan isteri, hendaklah) yang sopan bukan perempuan-perempuan lacur, dan bukan pula yang mengambil lelaki sebagai teman simpanan. Kemudian setelah mereka (hamba-hamba perempuan itu) berkahwin, lalu mereka melakukan perbuatan keji (zina), maka mereka dikenakan separuh dari (hukuman) seksa yang ditetapkan ke atas perempuan-perempuan yang merdeka. (Hukum perkahwinan) yang demikian (yang membolehkan seseorang berkahwin dengan hamba-hamba perempuan) itu ialah bagi orang-orang yang bimbang melakukan zina di antara kamu; dan sabarnya kamu (tidak berkahwin dengan hamba-hamba perempuan) itu adalah lebih baik bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Allah ‎ﷻ memberi pilihan dalam ayat ini di mana disebut di hujungnya وَأَن تَصْبِرُوا خَيْرٌ لَّكُمْ (dan sabarnya kamu (tidak berkahwin dengan hamba-hamba perempuan) itu adalah lebih baik bagi kamu). Maka ada pilihan di situ.

Termasuk juga dalam hal ini adalah tentang halal dan haram – dan banyak lagi perkara lain yang terdapat dalam Al-Qur’an itu – Untuk mengetahuinya, kenalah kita membacanya dan memahaminya dengan belajar tafsir.

Apabila kita sudah memahaminya, bukanlah kita setakat faham sahaja, tetapi hendaklah kita mengamalkannya dalam kehidupan kita. Kita hendaklah mencuba sedaya upaya kita untuk mengamalkan perkara yang kita sudah tahu. Allah ‎ﷻ mengira mengikut usaha kita.

Makna kedua dari ayat ini, kita hendaklah memilih kata-kata yang baik dari segala kata-kata yang kita dengar. Kita akan banyak mendengar dari guru-guru tentang pelajaran agama. Ada yang masuk dalam suratkhabar, ada yang masuk dalam TV, ada yang ustaz mengajar di surau-surau dan masjid kawasan kita.

Berbagai-bagai jenis ustaz dan guru yang ada dan kadang kala apa yang mereka ajar itu berlawanan antara satu sama lain. Ada yang benar dan mungkin ada yang tidak benar. Jadi, mana satu yang hendak kita ikut?

Kita faham bahawa masyarakat kita yang kurang ilmu agama akan mudah keliru. Kerana percanggahan pengajaran yang ada dalam kuliah ustaz-ustaz itu. Kita hendaklah pandai memilih yang ‘terbaik’ dari semua ajaran-ajaran itu. Kalau benar kita terima, kalau tidak benar, maka wajib kita tolak. Untuk kita tahu manakah yang benar dan manakah yang salah, maka kita hendaklah menambah ilmu kita.

Dan ilmu yang terbaik sekali adalah ilmu Al-Qur’an dan Hadis sahih. Secara asasnya, kalau guru yang mengajar itu membaca dalil dari Al-Qur’an dan Hadis sahih, maka itu boleh diterima. Tetapi kalau mereka mengajar dengan mengambil dalil dari bukan Al-Qur’an dan Hadis, maka kita kenalah berhati-hati.

Maka, inilah salah satu maksud ayat ini, iaitu kita hendaklah pandai memilih manakah kebenaran. Yang kita takut adalah: masyarakat awam yang sampai menolak kesemua sekali. Mereka mungkin melihat ada percanggahan antara ‘orang-orang agama’ itu dan mereka membuat konklusi bahawa di kalangan ahli agama pun tidak sekata, maka mereka tolak semua. Ini adalah sesuatu yang amat bahaya sekali. Janganlah kita jadi begitu.

 

أُولَٰئِكَ الَّذِينَ هَدٰهُمُ اللَهُ

mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah

Kalau mereka boleh berbuat seperti yang telah disebut di atas, maka ini menunjukkan yang mereka telah mendapat hidayah. Inilah yang kita amat harapkan.

Kita selalu meminta hidayah dalam solat kita apabila kita membaca Al-Qur’an – maka Allah ‎ﷻ menjawab di dalam ayat ini bahawa hidayah itu adalah dalam Al-Qur’an. Maka, kenalah kita belajar Tafsir Al-Qur’an dengan sebaik-baiknya.

 

وَأُولَٰئِكَ هُمْ أُولُو الْأَلْبٰبِ

dan mereka itulah orang-orang yang berakal waras.

Sekali lagi disebut tentang ulul albab. Mereka adalah orang-orang yang berfikiran waras, pandai, bijaksana. Yang pandai memilih manakah yang benar dan manakah yang salah. Mereka menapis perkataan orang lain dengan Al-Qur’an dan Hadis yang sahih.

Tidaklah mereka mengikut sahaja apa kata orang lain, tidaklah juga mengikut sahaja amalan tok nenek mereka sahaja, tetapi mereka menggunakan akal mereka untuk membezakan manakah yang benar dan mana yang salah.

Mereka ini bukan jenis ikut sahaja tetapi ikut dengan akal. Mereka menggunakan akal mereka untuk membuat keputusan.


 

Zumar Ayat 19: Bandingan kedua dan takhwif ukhrawi.

أَفَمَن حَقَّ عَلَيهِ كَلِمَةُ العَذابِ أَفَأَنتَ تُنقِذُ مَن فِي النّارِ

Sahih International

Then, is one who has deserved the decree of punishment [to be guided]? Then, can you save one who is in the Fire?

Malay

Maka adakah orang yang telah ditetapkan atasnya hukuman azab (disebabkan kekufurannya, sama seperti orang yang dijanjikan bergembira dengan balasan imannya? Sudah tentu tidak) ! Oleh itu adakah engkau berkuasa menyelamatkan orang yang (ditetapkan kekal) dalam neraka?

 

أَفَمَنْ حَقَّ عَلَيْهِ كَلِمَةُ الْعَذَابِ

Apakah sama satu orang yang telah ditetapkan oleh Allah akan diberi azab,

Ini adalah soalan perbandingan lagi yang ditanya oleh Allah ‎ﷻ. Ini adalah stail surah ini. Ada soalan tetapi tidak diberikan jawapannya kerana Allah ‎ﷻ hendak kita memikirkan jawapannya sendiri.

Ada muqaddar dalam ayat ini: Adakah sama orang itu dengan orang yang dijanjikan kegembiraan dengan balasan amal mereka?

Tentulah tidak sama. Maka ayat ini adalah ayat Tasliah untuk Nabi ﷺ dan penyebar agama. Iaitu ayat untuk memujuk hati Nabi ﷺ dan penyeru tauhid. Nabi Muhammad ﷺ berasa sedih kerana ada yang tidak menerima dakwah baginda. Maka Allah ‎ﷻ memberitahu bahawa ada manusia yang telah ditaqdirkan memang akan memasuki neraka. Tetapi mereka itulah yang rugi.

Dan Nabi ﷺ tidak dapat mengubah mereka walau bagaimana pun baginda dakwah kepada mereka. Nabi ﷺ sedih kerana setelah berbagai cara baginda lakukan untuk dakwah kepada kaumnya, namun masih ramai lagi yang tidak mahu beriman. Allah ‎ﷻ hendak memberitahu Nabi ﷺ bahawa baginda tidak mempunyai kuasa untuk memberi hidayah kepada mereka.

Hidayah itu hanya datang dari Allah ‎ﷻ. Begitu juga kita yang menjalankan kerja dakwah. Kita pun tidak dapat memberi hidayah kepada orang lain – termasuk mereka yang kita sayang. Kita hanya boleh menyampaikan dakwah sahaja. Namun begitu, hendaklah kita ingat, kita tidak tahu siapakah yang akan diberi hidayah oleh Allah ‎ﷻ. Jangan kita lihat seseorang itu teruk sangat, sampai kita buat keputusan orang itu tidak akan mendapat hidayah.

Oleh kerana kita tidak tahu sama ada dia akan mendapat hidayah ataupun tidak, kenalah kita terus memberi dakwah kepadanya. Kemungkinan awalnya, orang yang didakwah itu tidak mahu mendengar dan menerima dakwah kita, tetapi mana tahu, lama kelamaan Allah ‎ﷻ akan buka hatinya. Hendaklah kita ingat kisah Abu Sufyan. Lihatlah bagaimana bertahun-tahun dia menentang Nabi ﷺ, tetapi akhirnya dia telah masuk Islam.

 

أَفَأَنتَ تُنقِذُ مَن فِي النَّارِ

apakah kamu boleh menyelamatkan orang yang ditakdirkan masuk api neraka?

Bolehkah kita menyelamatkan orang itu yang telah ditaqdirkan akan masuk neraka? Tentu tidak boleh, walau Nabi ﷺ sekalipun tidak ada qudrat untuk mengubahnya. Apatah lagi kita, lagilah langsung tidak ada kekuatan dan usaha.

Kita bukannya menjaga syurga dan neraka. Bukan kita yang membuat keputusan sama ada orang itu masuk syurga ataupun neraka. Kita cuma boleh menasihati sahaja kepadanya semasa kita hidup di dunia.

Kita tidak berupaya untuk beri hidayah. Nabi ﷺ sendiri pun tidak boleh memberi hidayah. Yang hanya boleh Nabi ﷺ dan kita buat adalah menyampaikan ajaran agama sebenar-benarnya dan sejelas-jelasnya.

Tetapi ayat ini bukanlah untuk menghalang kita dari berdakwah kepada seseorang. Jangan pula kita membuat keputusan yang orang itu sudah ditaqdirkan masuk neraka jadi buang masa sahaja kalau kita dakwah kepadanya.

Kita kena faham yang kita tetap kena dakwah kepada semua orang. Jangan pilih-pilih. Kerana kita tidak tahu siapa yang Allah ‎ﷻ telah tetapkan masuk neraka. Ini adalah perkara ghaib yang Allah ‎ﷻ sahaja yang tahu.

Dan kalaupun orang itu sudah ditaqdirkan masuk neraka dan tidak akan beriman walau kita dakwah bagaimana cara sekalipun, kita tetap mendapat pahala apabila kita berdakwah kepadanya. Sama ada dia terima ataupun tidak, kita tetap dapat pahala apabila kita berdakwah kepada mereka. Maka kita tidak akan rugi langsung dalam berdakwah.

Dan bukan sahaja kita akan mendapat pahala, ia akan memberi kekuatan tambahan kepada kita. Kerana setiap kali kita berdakwah, kita akan diberikan dengan pemahaman tambahan, kekuatan tambahan. Memang tidak rugi kalau berdakwah kalau begitu.


 

Zumar Ayat 20: Ayat Tabshir

لٰكِنِ الَّذينَ اتَّقَوا رَبَّهُم لَهُم غُرَفٌ مِّن فَوقِها غُرَفٌ مَّبنِيَّةٌ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ ۖ وَعدَ اللهِ ۖ لا يُخلِفُ اللَهُ الميعادَ

Sahih International

But those who have feared their Lord – for them are chambers, above them chambers built high, beneath which rivers flow. [This is] the promise of Allah . Allah does not fail in [His] promise.

Malay

Tetapi (sebaliknya) orang-orang yang bertaqwa kepada Tuhan mereka (dengan mengerjakan suruhanNya dan menjauhi laranganNya), dibina untuk mereka (di dalam Syurga) mahligai-mahligai yang tinggi bertingkat-tingkat, yang mengalir di bawahnya beberapa sungai. Demikianlah janji yang ditetapkan Allah; Allah tidak sekali-kali akan mengubah janji-janjiNya.

 

لَٰكِنِ الَّذِينَ اتَّقَوْا رَبَّهُمْ

Akan tetapi, bagi orang-orang yang bertaqwa kepada Tuhan mereka,

Taqwa adalah menjaga hukum yang telah ditetapkan oleh Allah ‎ﷻ. Untuk mengetahui hukum, kenalah belajar dahulu. Kena tahu apa yang Allah ‎ﷻ kehendaki dari kita.

Maka kena belajar tafsir Al-Qur’an dan kemudian belajar sunnah. Barulah kita ada kayu ukur untuk bandingkan mana benar dan mana yang tidak. Ramai yang kata mereka bertaqwa, tetapi adakah mereka tahu apa yang mereka perlu lakukan? Jadi jangan jahil dalam beragama. Kena tahu dulu apakah agama itu sebenarnya.

 

لَهُمْ غُرَفٌ مِّنْ فَوْقِهَا

bagi mereka tingkatan-tingkatan di atasnya 

Allah ‎ﷻ menjanjikan mahligai untuk mereka yang bertaqwa. Mereka akan diberikan mahligai istana yang hebat dan tinggi bertingkat-tingkat. (Dalam riwayat ada disebut ia setinggi 70 batu tingginya dan bertingkat-tingkat bilik-bilik itu).

Semua bilik itu untuk ahli syurga. Perkara ini kita boleh bayangkan sekarang kerana sudah banyak bangunan yang bertingkat-tingkat tinggi, bukan? Bagi orang Mekah waktu itu, mungkin susah untuk membayangkannya, jadi ini adalah kelebihan pada kita.

غُرَفٌ مَّبْنِيَّةٌ

tingkat-tingkat yang dibina kukuh

Tentulah kualiti mahligai pemberian Allah ‎ﷻ itu begitu hebat sekali, tidak dapat dibayangkan. Tidaklah seperti istana di dunia ini. Betapa hebat pun, tentu ada kelemahan dan kekurangan. Allah ﷻ sebut kukuh dalam ayat ini sebagai motivasi kepada penduduk Mekah. Mereka duduk di dalam rumah yang dibuat dari tanah liat sahaja. Tentu rumah itu tidak kukuh dan ada banyak kekurangan. Maka Allah ﷻ janjikan rumah yang terbaik untuk mereka.

 

تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهٰرُ

yang mengalir di bawahnya sungai-sungai

Bukan sahaja rumah yang kukuh, ada sungai pula di bawahnya. Ini pun satu motivasi kepada penduduk Mekah juga. Kerana mereka susah dapat air. Jadi apabila disebut rumah ada sungai, ini memang sesuatu yang amat-amat menarik bagi mereka.

Sungai-sungai yang mengalir mengikut perintah penghuni syurga itu, dia boleh susun aliran air sungai itu mengikut kemahuannya. Sama ada dia hendakkan air sungai itu mengalir mengikut dari atas turun ke bawah, keluar ke bawah dan sebagainya.

Sungai itu pula berjenis-jenis. Dalam ayat lain ada disebut sungai itu ada empat jenis: sungai dari madu, dari arak, dari susu dan dari air. Teringin minum sahaja, sudah ada di bawah kaki kita, pakai ambil sahaja.

 

وَعْدَ اللهِ

Inilah janji Allah.

Allah ﷻ t‎elah menjanjikan berbagai-bagai janji yang baik kepada mereka yang bertaqwa untuk memberi semangat kepada manusia. Janji Allah ‎ﷻ bukan seperti janji manusia. Kalau manusia berjanji, belum tentu lagi dia akan tunaikan.

Ini kerana ada yang tidak tertunai janjinya. Sama ada dia memang tidak mahu menunaikan janjinya itu, atau kalau dia mahu tunaikan, dia tidak mampu untuk melakukannya kerana qudrat bukan di tangannya.

 

لَا يُخْلِفُ اللَهُ الْمِيعَادَ

Allah sekali-kali tidak akan memungkiri janji

Tetapi Allah ‎ﷻ tidak akan memungkiri janji-Nya, asalkan kita berpegang kepada janji kita untuk taat dan bertaqwa kepada-Nya, Allah ﷻ pasti akan berikan.


 

Zumar Ayat 21: Dalil Aqli. Allah ‎ﷻ suruh kita lihat alam ini sebagai tanda kepada Qudrat-Nya. Ayat 21 – 41 ini adalah Perenggan Makro Ketiga dan ia mengandungi ayat-ayat bandingan antara seruan tauhid orang dan Mukmin dan orang Kafir.

أَلَم تَرَ أَنَّ اللَهَ أَنزَلَ مِنَ السَّماءِ ماءً فَسَلَكَهُ يَنٰبيعَ فِي الأَرضِ ثُمَّ يُخرِجُ بِهِ زَرعًا مُّختَلِفًا أَلوٰنُهُ ثُمَّ يَهيجُ فَتَرٰهُ مُصفَرًّا ثُمَّ يَجعَلُهُ حُطٰمًا ۚ إِنَّ في ذٰلِكَ لَذِكرىٰ لِأُولِي الأَلبٰبِ

Sahih International

Do you not see that Allah sends down rain from the sky and makes it flow as springs [and rivers] in the earth; then He produces thereby crops of varying colors; then they dry and you see them turned yellow; then He makes them [scattered] debris. Indeed in that is a reminder for those of understanding.

Malay

Tidakkah engkau memerhatikan, bahawa Allah menurunkan hujan dari langit, lalu dialirkanNya menjadi matair-matair di bumi; kemudian Dia menumbuhkan dengan air itu tanaman-tanaman yang berbagai jenis dan warnanya; kemudian tanaman-tanaman itu bergerak segar (hingga ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatmu menjadi kuning; kemudian Dia menjadikannya hancur bersepai. Sesungguhnya segala yang tersebut itu mengandungi peringatan yang menyedarkan bagi orang-orang yang berakal sempurna.

 

أَلَمْ تَرَ أَنَّ اللَهَ أَنْزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً

Tidakkah kamu perhati bahawa Allahlah yang menurunkan kepada kamu air hujan dari langit,

Allah ‎ﷻ suruh kita perhatikan alam ini. Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ suruh kita lihat dan memikirkan kepada air hujan yang turun dari langit.

Dalam Al-Qur’an selalu disebut tentang air hujan dari langit yang memberi isyarat kepada rezeki dari Allah ‎ﷻ. Negara kita Malaysia ini banyak hujan, jadi selalunya kita tidak mengharapkan sangat kepada hujan, sampaikan kadang-kadang ada yang marah pula kalau hujan turun sebab mengganggu program yang dirancangkan.

Tetapi ingatlah yang Al-Qur’an ini pertama kali dibacakan kepada Arab Mekah yang tidak banyak turunnya hujan di kawasan mereka. Jadi, ia adalah satu rahmat yang mereka pandang tinggi, bukan seperti kita. Kita pun perlukan hujah rahmat ini juga, tetapi ramai yang tidak menghargainya kerana banyak turun sepanjang tahun.

 

فَسَلَكَهُ يَنٰبِيعَ فِي الْأَرْضِ

Dia memperjalankan air itu sehingga menjadi mata-mata air di bumi 

Lihatlah bagaimana air hujan itu turun dan Allah ‎ﷻ takdirkan yang air itu merebak ke tempat lain dan berkumpul menjadi mata air. Dari mata air itulah nanti yang akan menjadi sumber kehidupan kepada tumbuh-tumbuhan di dunia ini.

Ini nikmat tambahan dari air hujan tadi. Allah ‎ﷻ bukan sahaja menurunkan hujan tetapi Allah ‎ﷻ membina sistem simpanan dan distribusi air itu. Kerana bukanlah kita boleh tadah sahaja hujan itu untuk kegunaan kita. Tidak sempat untuk kita tadah sentiasa.

Maka Allah ‎ﷻ menjalankan air itu ke dalam tanah dan tempat menyimpan air hujan dalam tanah dan dikeluarkan dalam bentuk sungai dan mata air yang manusia boleh gunakan bila perlu. Ada juga yang Allah ‎ﷻ simpan dalam bentuk salji di pergunungan dan turunkan dalam bentuk sungai kepada manusia.

Dan air ada disimpan dalam tanah dan manusia boleh berusaha gali untuk mendapatkannya dalam bentuk telaga. Maka kalau kita fikirkan dan renungkan, maka hebat sekali rahmat Allah ‎ﷻ kepada kita. Ini baru kita tengok air sahaja.

 

ثُمَّ يُخْرِجُ بِهِ زَرْعًا مُّخْتَلِفًا أَلْوٰنُهُ

kemudian Dia keluarkan dengan air yang satu jenis itu, berbagai jenis tanaman yang berbagai warna;

Lihatlah betapa hebatnya Allah ‎ﷻ: Dari air yang satu sahaja, boleh mengeluarkan berbagai-bagai jenis tanaman.

Kalau makhluk yang buat, mestilah untuk satu pokok, sejenis air sahaja. Seperti kita buat minyak untuk kereta: satu minyak untuk enjin, satu minyak untuk brek, satu minyak untuk jalankan kereta dan sebagainya. Tetapi Allah ‎ﷻ hanya menggunakan satu jenis air sahaja untuk semua tumbuhan.

Dan dari air yang sama mengeluarkan tumbuhan yang berbagai warna pula. Pelbagai warna tumbuhan dalam alam ini. Kita pun terhibur dengan melihat berbagai-bagai warna yang ada kerana manusia memang sukakan keindahan alam.

Dan bukan itu sahaja, satu jenis pokok pun kadangkala berubah-ubah warna dari satu keadaan ke satu keadaan. Jadi mereka yang duduk di kawasan banyak musim dapat melihat perubahan warna pada tumbuh tumbuhan itu.

 

ثُمَّ يَهِيجُ

kemudian pokok itu bergerak;

Kalimah ه ي ج bermaksud bergerak. Iaitu bergerak dari batangnya dan putus. Pada asalnya tanah-tanah itu kering, pokok pun layu, tetapi apabila mendapat air sahaja, pokok itu boleh bergerak segar.

Dan kemudian, lama-lama ia akan menjadi layu balik setelah sampai masanya. Inilah perjalanan kehidupan tumbuh tumbuhan. Walaupun kita tidak nampak ia bergerak seperti kita dan binatang, tetapi ia bergerak juga, tapi sedikit demi sedikit.

 

فَتَرٰهُ مُصْفَرًّا

kemudian kamu lihat ia bertukar jadi kuning;

Iaitu pokok yang asalnya segar, lama-lama akan menjadi kering dan berwarna kuning sebab sudah reput. 1,400 tahun manusia tidak tahu yang air yang terlalu banyak atau terlalu sedikit boleh memberi kesan kepada daun pokok, antaranya menjadi kuning seperti disebut di dalam ayat ini. Daun tumbuhan menjadi kuning apabila stress. Inilah kehebatan Al-Qur’an yang membuktikan yang ianya adalah kalamullah dan mukjizat.

 

ثُمَّ يَجْعَلُهُ حُطٰمًا

kemudian Dia menjadikannya hancur berkecai;

Kemudian, lama kelamaan tanaman itu akan hancur. Inilah perjalanan hidup tanaman di muka bumi. Perkara ini memang sentiasa terjadi dan kita pun melihatnya. Semua ini adalah dalam taqdir Allah ‎ﷻ juga. Allah ﷻ yang menentukan ia akan jadi begitu.

 

إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَذِكْرَىٰ لِأُولِي الْأَلْبٰبِ

Sesungguhnya pada kejadian itu adalah sebagai peringatan kepada orang yang berakal waras.

Semua kejadian dalam alam ini sebagai peringatan kepada kita yang perkara ini tidaklah terjadi dengan sendirinya tetapi Allah ‎ﷻ yang menjadikannya begitu. Orang yang mempunyai akal waras akan nampak perkara ini.

Dan Allah ‎ﷻ suruh kita lihat supaya kita tahu yang kehidupan kita pun begitu juga. Mula-mula kecil, kemudian membesar dan kemudian akan jadi tua dan akhirnya mati.

Peringatan itu diberikan kepada semua, tetapi yang boleh terima hanyalah orang yang berakal waras sahaja. Iaitu mereka yang menggunakan akal dan memikirkan untung nasib mereka. Mereka dapat memikirkan masa hadapan dan tidak hanya lihat masa sekarang sahaja.

Peringatan yang boleh diambil lagi dari ayat ini adalah Allah ‎ﷻlah yang menghidupkan tanaman-tanaman itu dan Allah ‎ﷻlah juga yang boleh menghidupkan dan mematikan manusia.

Allah ‎ﷻ sahaja yang ada Qudrat itu dan kerana itu sembahlah Dia sahaja, jangan sembah dan buat ibadat kepada selain dari-Nya. Kerana selain dari-Nya tidak mungkin ada yang mampu membuat segala perkara itu.

Apakah hubungan ayat ini dengan ayat sebelumnya? Ayat sebelumnya menceritakan tentang tumbuh-tumbuhan di syurga. Di dunia ini juga ada tumbuh-tumbuhan. Tetapi tumbuhan di dunia ini tidak kekal. Setelah sampai waktunya, ia akan mati.

Allah ‎ﷻ hendak beritahu kita, kalau kita hendakkan sesuatu yang kekal, hendaklah dicari di syurga. Di syurga, semuanya kekal abadi. Maka, jangan berikan sangat tumpuan kepada dunia, tetapi kenalah beramal dan bersedia untuk menyediakan tempat kita di syurga.

Habis Ruku’ ke 2 dari 8 ruku’ dalam surah ini.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 2 Ogos 2023


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani