Tafsir Surah Zumar Ayat 11 – 17 (Maksud ikhlas dalam ibadat)

Ayat 11: Ini adalah Dalil Wahyi sekali lagi. Allah ﷻ ulang dakwa surah dan kali ini ada kalimah قل sebagai arahan khusus dari Allah ﷻ.

Maksudnya, Nabi Muhammad ﷺ sampaikan ajaran Islam dan ajaran tauhid ini kerana baginda diarah oleh Allah ﷻ. Memang baginda kena sampaikan. Begitu jugalah dengan kita yang meneruskan tugas para Rasul ini.

Ini penting kerana ada orang yang marah kalau kita dakwah kepada mereka. Mereka kata: “kenapa kamu nak sibuk-sibuk ni, kamu nak buat amal kamu, buatlah… jangan kacau amalan kami.”

Maka jawapan kita kepada mereka. Kita sampaikan kerana Allah ﷻ suruh kita sampaikan.

قُل إِنّي أُمِرتُ أَن أَعبُدَ اللَهَ مُخلِصًا لَّهُ الدّينَ

Sahih International

Say, [O Muhammad], “Indeed, I have been commanded to worship Allah , [being] sincere to Him in religion.

Malay

Katakanlah lagi (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku diperintahkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala ibadat kepadaNya;

 

Nabi Muhammad ﷺ, dan kita juga, disuruh untuk sampaikan ajaran tauhid ini kepada manusia. Selagi kita hidup, kita kena sampaikan. Kerana Allah ﷻ telah titahkan arahan secara khusus. Maka ini memberitahu kita yang menyampaikan dakwah adalah WAJIB. Iaitu kita beritahu kepada manusia, mesti beribadat ikut 100% sepertimana yang Nabi ﷺ ajar.

Maksud ‘tulus ikhlas’ dalam ayat ini adalah apa sahaja ibadat yang dibuat kenalah ikut sunnah Nabi ﷺ. Kalau ibadat yang bukan dari syari’at, walau bagaimana ikhlas pun tidak diterima. Maka tidaklah boleh kita buat ibadat yang kita rasa molek untuk dibuat, tetapi tiada dalil.

Ayat ini juga memberitahu kepada kita bahawa tujuan hidup kita adalah Allah ﷻ. Kita menjalani kehidupan di dunia untuk mengenal dan mencari redha Allah ﷻ. Bukannya mencari redha manusia. Ramai antara kita yang mencari-cari redha manusia sampaikan meninggalkan redha Allah ﷻ.

Sebagai contoh, Allah ﷻ tidak benarkan kita buat amalan bidaah, tetapi kerana takut orang lain marah kita, maka kita buat juga. Takut sangat kalau orang lain ajak kita pergi Majlis Tahlil, tetapi kita tidak pergi. Kita risau apa orang kata, tetapi kita tidak hiraukan apa yang Allah ﷻ akan kata kepada kita.

Maka Allah ﷻ ingatkan sekali lagi dalam ayat ini yang penyembahan kita mestilah hanya kepada Allah ﷻ sahaja. Jangan campur sembahan dan seruan kepada selain Allah ﷻ. Maka amalan doa bertawassul kepada Nabi ﷺ, wali dan malaikat adalah haram.

Apabila kita sudah faham Islam, kita akan mengamalkan cara hidup Islam. Iaitu menjalani kehidupan yang beretika. Kadang-kadang kita ikut undang-undang, tetapi kita tidak hidup beretika. Jadi kena faham apakah ‘etika’ itu.

Etika itu adalah perkara seperti kesamarataan, keadilan, jangan rendahkan martabat sesuatu kaum, cara melayan orang lain, cara melayan pekerja kita, dan perkara-perkara lain.

Perkara-perkara ini sebenarnya kita boleh faham sendiri, tidak perlu fatwa pun, tidak perlu diberitahu satu persatu pun dalam dalil hadis pun. Kadang-kadang manusia menyalahgunakan undang-undang untuk melanggar etika. Contohnya, seorang bapa yang mencari fatwa untuk tidak memberi harta kepada anaknya kerana dia marah kepada anaknya itu.

Kadang-kadang perkara kecil sahaja yang menunjukkan kita tidak beretika. Contohnya, beratur untuk mendapatkan sesuatu. Kadang-kadang kita memotong barisan yang telah ada. Memang tidak ada ayat Al-Quran dan hadis berkenaan jangan memotong barisan.

Tetapi perkara itu adalah perkara etika. Orang bukan Islam pun tahu perkara itu kerana benda itu tidak payah diajar pun. Jadi, amat malu sekali kalau orang Islam sendiri tidak menjaga perkara ini dan ini boleh memalukan agama kita sendiri.

Inilah yang dimaksudkan menjaga perkara dalam agama, bukan hanya tentang ibadat ritual sahaja. Jangan kita buat amalan-amalan ibadat sahaja, tetapi tidak menjaga perkara-perkara dalaman. Kita sebagai Muslim, hendaklah menunjukkan akhlak yang lebih baik dari bukan Muslim.


 

Ayat 12: Apa lagi yang kita disuruh?

وَأُمِرتُ لِأَن أَكونَ أَوَّلَ المُسلِمينَ

Sahih International

And I have been commanded to be the first [among you] of the Muslims.”

Malay

“Dan aku diperintahkan supaya menjadi orang yang awal pertama berserah diri bulat-bulat (kepada Allah)”.

 

 

Yang pertama diperintah dalam ayat ini adalah Nabi Muhammad ﷺ. Yang diperintahkan kepadanya adalah untuk mula-mula sekali menyerah diri bulat-bulat kepada Allah ﷻ. Kerana bagindalah yang pertama sekali menerima wahyu, jadi bagindalah yang kena menjadi Muslim dahulu.

Baginda ﷺ disuruh menyerahkan diri baginda sepenuhnya kepada Allah ﷻ. Taat kepada segala perintah Allah ﷻ tanpa menolak satu pun. Itulah makna menjadi ‘muslimin’. Itulah maknanya ‘menyerah diri’. Kalau Allah ﷻ suruh sampaikan, maka kita kena sampaikan.

Nabi Muhammad ﷺ bukan sahaja menyuruh umatnya menerima Islam tetapi baginda sendiri telah mula-mula sekali menerimanya. Baginda menjadi contoh kepada orang lain.

Kita pun sepatutnya awal-awal lagi telah terima hukum Allah ﷻ. Apabila telah sampai dalil yang sahih kepada kita, maka hendaklah kita awal-awal lagi terima. Jangan kita tangguh-tangguh lagi. Jadi mungkin kita jadi orang yang paling awal dalam masyarakat kita, keluarga kita. Maka ada peluang jadi orang terawal lagi, dalam masyarakat kita sahaja.

Jangan ada perasaan hendak tengok sama ada orang lain terima atau tidak. Kita terus sahaja terima kerana memang telah jelas manakah kebenaran apabila yang datang berdakwah kepada kita itu datang dengan membawa dalil yang sah. Jangan kita jenis mengikut orang sahaja. Kita kena mulakan supaya ada orang lain ikut kita.

Ayat ini memberitahu kita bahawa asal Islam ini adalah seorang diri sahaja. Jadi, kalau seorang pun masih boleh berjalan lagi agama Islam ini. Kalau kita sahaja yang mengamalkan tauhid, orang lain semuanya tidak mengamalkannya, maka kita kena tetap terus mengamalkan tauhid. Jangan kisah kalau kita seorang sahaja mengamalkan sunnah.

Kita kena kuatkan diri kita dan jangan terikut dengan perasan manusia yang hendak ikut orang lain. Ramai manusia tidak boleh buat keputusan sendiri kerana lemah, maka mereka itu jenis ikut orang sahaja sepanjang hidup mereka.


 

Ayat 13: Kenapa kita ikut arahan? Kerana kita takut.

قُل إِنّي أَخافُ إِن عَصَيتُ رَبّي عَذابَ يَومٍ عَظيمٍ

Sahih International

Say, “Indeed I fear, if I should disobey my Lord, the punishment of a tremendous Day.”

Malay

Katakanlah lagi: “Sesungguhnya aku takut – jika aku menderhaka kepada Tuhanku – akan azab hari yang besar (soal jawabnya)”.

 

Ini kerana kita takut sangat dengan azab Allah ﷻ kalau kita tidak sampaikan, kalau kita tidak amalkan seperti yang Allah ﷻ suruh. Mungkin ada takut kepada apa yang orang kata, tetapi kita lebih takut dengan apa yang Allah ﷻ kata.

Yang disuruh cakap begini adalah Nabi Muhammad ﷺ. Baginda membawa satu mesej yang perlu disampaikannya dan baginda sendiri takut jikalau baginda tidak menyampaikannya. Baginda tidak takut kepada orang lain, tetapi apa yang baginda takut adalah tidak berjaya menyampaikan agama Islam kepada manusia.

Ini kerana baginda tahu bahawa apa yang perlu disampaikannya itu adalah amat berat dan amat penting sekali. Berdosa besar kalau baginda tidak sampaikan dan amat bahaya kepada umatnya kerana mereka akan dimasukkan ke dalam neraka dan akan kekal di dalamnya selama-lamanya.

Nabi Muhammad ﷺ juga disuruh untuk memberitahu kepada manusia, kalau baginda sendiri derhaka, maka baginda juga akan menerima azab. Ini sebagai kata-kata sahaja, kerana takkan Nabi Muhammad ﷺ menderhaka kepada Allah ﷻ.

Maka kalau Nabi Muhammad ﷺ sendiri pun takut, maka kita kena lebih-lebih takut lagi. Jangan kita rasa tenang sahaja buat apa yang kita hendak. Jangan rasa tenang hidup dalam dunia dan rasa cukup sudah jadi ‘Orang Islam’. Kena amalkan, jangan hanya pada nama sahaja.


 

Ayat 14: Allah ﷻ ulang Dakwa Surah sekali lagi. Oleh kerana pentingnya perkara ini, sampai diulang sekali lagi.

قُلِ اللَهَ أَعبُدُ مُخلِصًا لَّهُ ديني

Sahih International

Say, ” Allah [alone] do I worship, sincere to Him in my religion,

Malay

Katakanlah lagi: “Hanya Allah jualah yang aku sembah dengan mengikhlaskan amalan agamaku kepadaNya.

Diulang-ulang ayat ini sebab ayat ini penting sangat. Jika sesuatu ayat di dalam Al-Qur’an itu disebut berulangkali, bermaksud ia sangat penting untuk difahami dan diamalkan dalam kehidupan kita.

Ini kerana kadang-kadang fikiran kita boleh terima, tetapi hati kita tidak dapat terima. Kadang-kadang kita perlu diingatkan berkali-kali tentang keikhlasan kepada Allah ﷻ. Segala perbuatan kita mestilah kita kena bandingkan: “apakah ia sesuai dengan agama? Bolehlah aku buat begini?”

Kepada Allah ﷻ sahajalah kita kena ibadat, kepada Allah ﷻ sahajalah seruan dalam doa. Tidak ada kepada yang lain.


 

Ayat 15: Kalau masih berdegil dengan segala ayat-ayat sebelum ini, maka sekarang diberikan dengan ayat Takhwif Ukhrawi sebagai ugutan. 

Ayat ini ditujukan kepada sesiapa yang masih engkar. Sekiranya masih engkar tidak mahu ikut syari’at, masih lagi hendak bertawassul dengan cara yang salah, maka Allah ﷻ  kata kepada mereka:

فَاعبُدوا ما شِئتُم مِّن دونِهِ ۗ قُل إِنَّ الخٰسِرينَ الَّذينَ خَسِروا أَنفُسَهُم وَأَهليهِم يَومَ القِيٰمَةِ ۗ أَلا ذٰلِكَ هُوَ الخُسرانُ المُبينُ

Sahih International

So worship what you will besides Him.” Say, “Indeed, the losers are the ones who will lose themselves and their families on the Day of Resurrection. Unquestionably, that is the manifest loss.”

Malay

“(Setelah kamu mengetahui pendirianku ini wahai kaum musyrik, dan kamu masih juga berdegil) maka sembahlah kamu apa yang kamu kehendaki, yang lain dari Allah, (kamu akan mengetahui akibatnya)”. Katakanlah lagi: “Sesungguhnya orang-orang yang rugi (dengan sebenar-benarnya) ialah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri dan pengikut-pengikutnya pada hari kiamat (dengan sebab perbuatan mereka memilih kekufuran atau kederhakaan). Ingatlah, yang demikian itulah kerugian yang jelas nyata.”

 

فَاعْبُدُوا مَا شِئْتُمْ مِّنْ دُونِهِ

Maka kamu sembahlah apa sahaja yang kamu nak puja, selain dari Allah.

Maknanya Allah ﷻ suruh dengan ancaman. Bukan benar-benar Allah ﷻ suruh manusia untuk sembah apa sahaja.

Ini seumpama kita suruh anak kita yang degil yang hendak main juga di sungai dalam hujan lebat. Kita pun kata: “ha, kalau hendak pergi sangat, pergilah!” Walaupun dari segi bahasa, nampak macam kita suruh, tetapi bukan kita hendak suruh sebenarnya. Kalau tidak faham bahasa, memang jenis orang bodoh sungguh, bahasa pun sudah tidak faham.

Ada dua jenis perkara yang disembah selain Allah ﷻ. Ada perkara yang kita boleh nampak seperti berhala, patung, manusia dan sebagainya. Namun, ada juga perkara yang kita sembah yang kita tidak nampak, seperti nafsu. Itu pun kita kena berhati-hati.

 

قُلْ إِنَّ الْخٰسِرِينَ الَّذِينَ خَسِرُوا أَنْفُسَهُمْ وَأَهْلِيهِمْ يَوْمَ الْقِيٰمَةِ

Katakanlah sesungguhnya mereka yang sebenar-benar rugi itu merugikan diri mereka sendiri dan keluarga mereka pada hari kiamat nanti.

Mereka akan sedar kerugian mereka di akhirat nanti. Memang mereka sedang rugi di dunia ini lagi tetapi mereka tidak nampak lagi.

Sudahlah mereka sendiri rugi, tetapi mereka juga merugikan keluarga mereka sendiri? Bagaimana pula dikatakan mereka akan merugikan keluarga mereka juga?

Mereka merugikan keluarga mereka sekali, sebab mereka akan ajar kepada anak isterinya kesyirikan yang mereka buat itu. Sama-sama akan masuk neraka belaka kalau berterusan begitu dan tidak sedar dan meminta ampun.

Sepatutnya dia gunakanlah ahli keluarga sebagai sumber pahala. Ini kerana kalau dia beri ajaran yang bagus, sampai mereka juga beramal tauhid seperti Allah ﷻ kehendaki, dia akan mendapat saham pahala dari orang itu tetapi malang sekali kalau tidak ambil peluang ini.

Mereka akan dimasukkan ke dalam neraka bersama-sama dan mereka akan merasa amat-amat rugi sekali nanti.

 

أَلَا ذَٰلِكَ هُوَ الْخُسْرَانُ الْمُبِينُ

Ingatlah! Sesiapa yang buat demikian betul-betul rugi yang jelas nyata.

Mereka akan kekal abadi dalam neraka. Itulah kerugian yang paling besar sekali.

Ketika di dunia tidak nampak lagi kerugian itu tetapi ia akan nyata di akhirat kelak. Dalam ayat seterusnya, akan diterangkan apakah yang mereka akan terima. Waktu itu sudah terlambat.


 

Ayat 16: Ayat Takhwif Ukhrawi kepada mereka yang tetap engkar. Allah ﷻ hendak memberitahu yang rugi di akhirat tidak sama dengan rugi di dunia. Allah ﷻ terangkan apakah yang menanti mereka di neraka kelak.

لَهُم مِّن فَوقِهِم ظُلَلٌ مِّنَ النّارِ وَمِن تَحتِهِم ظُلَلٌ ۚ ذٰلِكَ يُخَوِّفُ اللَهُ بِهِ عِبادَهُ ۚ يٰعِبادِ فَاتَّقونِ

Sahih International

They will have canopies of fire above them and below them, canopies. By that Allah threatens His servants. O My servants, then fear Me.

Malay

Bagi mereka (yang kafir disediakan lapisan-lapisan dari api menyerkup di atas mereka, dan lapisan-lapisan (dari api) di bawah mereka; dengan (azab) yang demikian, Allah menakutkan hamba-hambaNya: “Oleh itu, bertaqwalah kepadaKu wahai hamba-hambaKu!”

 

لَهُمْ مِّنْ فَوْقِهِمْ ظُلَلٌ مِّنَ النَّارِ

Bagi mereka, dari atas mereka lapisan-lapisan azab api neraka.

Di bahagian atas mereka adalah azab daripada api. Berlapis-lapis api itu yang akan menaungi mereka di neraka kelak. Maka mereka tidak boleh lari ke atas.

 

وَمِنْ تَحْتِهِمْ ظُلَلٌ

dan di bawah mereka lapisan api lagi.

Bukan sahaja api di atas tetapi api neraka juga akan ada di bawah. Di ayat lain dikatakan api itu akan berada di sekeliling mereka. Maka mereka tidak boleh lari ke mana-mana.  Apabila Allah ﷻ kata ‘atas dan bawah’, bermakna di setiap arah akan ada api neraka. Begitu juga, kalau Allah ﷻ kata timur dan barat, ia bermakna, di semua arah.

Dalam ayat lain pula, diceritakan lagi, sebelum dimasukkan dalam api neraka itu, mereka akan dicelur dulu di dalam air panas. Sebelum mereka dibakar, mereka akan ditambat dengan rantai besi, diikat kaki mereka, dan rantai itu akan ditarik ke belakang, kemudian baru dicelur dalam air panas. Kemudian dibakar.

Teruk sangat azab yang akan dikenakan tetapi ahli neraka tidak akan mati-mati. Dia tidak mati sebab tubuh badan dia sudah ditambahbaik. Jantung pun tidak pecah dan dia tetap masih bernyawa lagi. Selepas dibakar itu, dia akan dipulih kembali dan dicelur balik.

Untuk cuba bayangkan teruknya rantai yang merantai mereka itu, bayangkan kalau satu gelang rantai itu sahaja diletakkan di atas bukit Thursina, hancur bukit itu jadi debu. Sebab panasnya rantai itu.

Padahal besi itu bukannya sebagai pembakar, sebaliknya hanya untuk tambat sahaja. Kalau hendak tahu iklim neraka, adalah seperti yang disebut dalam Surah Waqiah:

Ayat 42 – Mereka berada dalam suhu yang amat panas, lagi panas daripada matahari. Angin di situ pun sudah lebih panas daripada matahari. Dan mereka berdiri dalam air panas yang suhunya beribu juta darjah

Ayat 43 – Mereka duduk dalam naungan asap hitam yang juga amat panas

Ayat 44 – Tidak sejuk tidak sedap duduk dalam suasana yang macam itu.

Ayat 45 – Sebab mereka dulu semasa di dunia, mereka sentiasa duduk dalam kemewahan.

Inilah balasan bagi mereka yang lalai dan terpedaya dengan keindahan dunia. Maka mereka akan kejar dunia tanpa henti. Ada orang yang tidak banyak gaji, tetapi kerana hendak juga pakai barang yang mewah, mereka akan berhutang. Apabila mereka tidak boleh bayar hutang, mereka akan cakap bohong pula untuk mengelak bayar hutang. Ini keadaan bagi yang miskin.

Bagi yang kerja kerajaan pula, mereka mula ponteng kerja sebab hendak buat kerja sambilan kerana hendak mendapatkan duit yang lebih. Malah yang lebih malang, ada yang jual maklumat kerajaan untuk melakukan rasuah.

Kemudian mereka akan diberi minum air panas yang suhunya  beribu juta darjah. Air itu adalah daripada air nanah dan air mayat yang bau busuk.

Jika hendak minum air itu pula, kena minta dengan malaikat penjaga neraka, seribu tahun minta baru malaikat bagi minum. Air itu sangatlah panas, apabila letak pada muka, terkiat bibir kita. Air itu adalah air yang menghuduhkan muka. Jatuh daging dari pipi, dan terbidas bibir. Sedangkan muka kita waktu di neraka nanti sudah dinaiktaraf jadi 40 hasta tebal.

 

ذَٰلِكَ يُخَوِّفُ اللَهُ بِهِ عِبَادَهُ ۚ

Demikianlah Allah menakutkan dengan ancaman neraka kepada hambaNya

Allah ﷻ memberi peringatan kepada manusia supaya manusia beringat untuk bertaubat. Tujuan Allah ﷻ menakutkan manusia adalah untuk kebaikan manusia sendiri. Inilah salah satu dari rahmat Allah ﷻ.

Allah ﷻ menakutkan manusia bukanlah seperti ibubapa yang menakutkan anak mereka dengan hantu supaya mereka ikut kata. Malah yang ibubapa itu buat adalah tipu sahaja tetapi apa yang Allah ﷻ takutkan kita itu pasti akan berlaku. Bukan kata yang main-main, olok-olok.

 

يٰعِبَادِ فَاتَّقُونِ

Wahai hambaKu, hendaklah kamu taqwa kepada Aku sahaja.

Hendaklah kita bertaqwa dengan menjaga hukum. Dalam ayat ini, ada disebut tentang ‘takut’ dan ‘taqwa’. Apabila dua perkataan itu diletakkan dalam satu ayat, itu bermaksud ia tidak sama.

Oleh itu, taqwa bukanlah hanya bermaksud ‘takut’ sahaja. Walaupun ramai yang menterjemahkan ‘taqwa’ dengan bermaksud ‘takut’. Sedangkan maksud ‘taqwa’ adalah lebih luas lagi. Ia adalah satu sifat dalam diri kita yang berhati-hati dalam segala perbuatan kita dalam hidup kita. Muttaqeen amat prihatin dengan hukum Allah ﷻ dan setiap kali hendak melakukan sesuatu, dia akan periksa apakah kehendak Allah ﷻ dalam hal itu.

Lihatlah cara Allah ﷻ memanggil kita dalam ayat ini: Allah ﷻ memanggil kita dengan panggilan manja: “HambaKu”. Allah ﷻ masih lagi memanggil kita sebagai hamba-Nya seperti seorang ibu yang menasihati anaknya: “Wahai anakku yang aku sayangi….”

Ada kalangan kita yang telah jauh dari agama tetapi Allah ﷻ masih lagi sayang dan Allah ﷻ masih lagi membuka pintu rahmah-Nya untuk dimasuki oleh hamba-hamba-Nya. Maka jangan kita putus asa dengan sesiapa pun kerana mungkin Allah ﷻ akan beri dia peluang untuk kembali ke jalan-Nya.

Balaghah: Lihat bagaimana kalimah عِبَادِ telah dihazafkan ya’ mutakallim, seperti yang kita telah sentuh dalam Zumar:10 sebelum ini.

Ia membawa maksud ‘berterusan’. Dalam ayat ini, Allah ﷻ hendak menimbulkan rasa takut kepada hamba-Nya: Wahai عِبَادِ, teruslah bertaqwa kalau kamu hendak selamat. Ini kerana hanya hamba yang tetap istiqamah dalam iman dan taqwa sahaja yang akan selamat. Kena berterusan dalam ibadat dan menghambakan diri kepada Allah ﷻ .

Kita boleh juga lihat bagaimana ada juga hazaf pada ya’ dalam kalimah فَاتَّقُونِ kerana ini adalah arahan untuk kena terus kekal dalam taqwa. Nun dalam ayat ini tidak ada makna. Ini dinamakan nun wiqawah. Maknanya yang hendak disampaikan adalah kena ibadah berterusan. Bukan buat amalan-amalan tertentu, sekali buat kononnya boleh selamat dari neraka.

Kalau macam itu, tidak perlulah Nabi Muhammad ﷺ bertahun-tahun dakwah. Kalau begitulah, tentu baginda jadi rasul tiga hari dan ajar amalan-amalan ‘hebat’ yang dapat selamatkan terus pengamalnya dari neraka.

Mana ada begitu kerana hendak masuk syurga dan selamat dari neraka bukannya mudah dan cukup dengan amalan-amalan tertentu sahaja. Semua bahagian agama kena diamalkan.  Maka semua bahagian agama kena dipelajari dan diamalkan dengan saksama.

Malangnya ada amalan-amalan ‘hebat’ dan kononnya ‘rahsia’ yang diamalkan oleh puak Tarekat yang sudah kena tipu – mereka sangka ada amalan-amalan mereka yang akan menyelamatkan mereka dari neraka. Ini adalah kerana mereka telah ditipu oleh syaitan yang mengajar amalan-amalan itu.

Mereka rahsiakan amalan itu dengan puak mereka sahaja. Sedangkan kalaulah ia benar dapat jauhkan dari neraka, kena beri kepada semua oranglah, kenapa kena rahsia pula? Pelik, bukan?

Mereka kena rahsiakan kerana amalan itu tiada dalil dan orang jahil sahaja boleh percaya. Jadi mereka akan ajar kepada mereka yang senang ditipu. Jadi kena periksa dulu jenis orang itu macam mana. Kalau sudah nampak dia jenis percaya sahaja apa yang disampaikan oleh tok guru, barulah mereka akan ajar amalan karut marut.


 

Ayat 17: Ayat Tabshir (berita gembira) pula diberikan setelah diberikan dengan ayat-ayat takhwif. Apabila sudah belajar dan amalkan amalan yang soleh, inilah yang akan diberikan kepada mereka yang mengamalkannya.

وَالَّذينَ اجتَنَبُوا الطّٰغوتَ أَن يَعبُدوها وَأَنابوا إِلَى اللهِ لَهُمُ البُشرىٰ ۚ فَبَشِّر عِبادِ

Sahih International

But those who have avoided Taghut, lest they worship it, and turned back to Allah – for them are good tidings. So give good tidings to My servants

Malay

Dan orang-orang yang menjauhi dirinya dari menyembah Taghut serta mereka rujuk kembali taat bulat-bulat kepada Allah, mereka akan beroleh berita yang mengembirakan; oleh itu gembirakanlah hamba-hambaKu –

 

وَالَّذِينَ اجْتَنَبُوا الطّٰغُوتَ

Dan orang orang yang menjauhi taghut

Bila sudah dengar ayat-ayat takhwif itu, patutnya takutlah dan jauhilah taghut itu.

‘Taghut’ itu adalah apa sahaja yang dipuja dan disembah selain Allah ﷻ. Perkataan الطَّاغُوتَ itu berasal dari kata tagha yang bermaksud ‘menentang’. Kalimah الطَّاغُوتَ itu merujuk kepada sesuatu yang hidup, bukanlah macam jenis patung berhala yang tidak bernyawa. Ia adalah sesuatu yang boleh berkomunikasi dengan manusia. Selain itu ia juga adalah sesuatu yang mengajak manusia untuk menentang hukum-hukum Allah ﷻ.

Ada jenis الطَّاغُوتَ yang boleh dilihat seperti Firaun, pemimpin-pemimpin masyarakat dan pemimpin-pemimpin agama – iaitu mereka yang ada kuasa atas kita atau mereka yang boleh menguasai pemikiran kita. Satu lagi kriteria taghut itu adalah mereka mempunyai kuasa ke atas makhluk.

Namun, ada juga jenis الطَّاغُوتَ yang tidak boleh dilihat seperti sifat tamak, nafsu, kemalasan dalam diri kita dan sebagainya yang juga mengajak kita untuk tidak turut kepada Allah ﷻ.

Maka, jauhilah taghut dan sebaliknya tuju kepada Allah ﷻ. Kena kenalpasti dulu manakah taghut dalam hidup kita. Kena tengok apakah yang menjauhkan kita dari Allah ﷻ ?

 

أَنْ يَعْبُدُوهَا

dari menyembah padanya.

Menjauhi dari menyembah, menyeru, percaya dan sebagainya – jauhkan sungguh-sungguh dari taghut. Janganlah kita sembah taghut. Malangnya, ada manusia yang menjadikan taghut-taghut itu sebagai perantara antara mereka dan Allahﷻ . Maka, untuk menjadikan mereka sebagai perantara, mereka akan menyembah taghut itu. Itu adalah perbuatan kufur.

Maka, jangan bertawasul dalam doa. Kalau kita pernah buat sebelum ni, maka berhentilah daripada terus melakukannya lagi. Doa kena terus kepada Allah sahaja. Hanya Allah ﷻ sahaja yang boleh mendengar doa kita dan boleh memakbulkan doa kita. Tidak perlu buat ibadat kepada selain Allah ﷻ  dengan harapan untuk mendekatkan diri kepada Allah ﷻ.

وَأَنَابُوا إِلَى اللهِ

dan mereka ingin kembali kepada Allah.

Kemudian mereka mencari dan mendekati Allah ﷻ. Inilah manusia yang ada inabah dalam diri mereka iaitu ada keinginan dalam diri mereka untuk kembali kepada Allah ﷻ.

Maknanya bukan sahaja kena tinggalkan taghut, tetapi kena diteruskan dengan kembali kepada Allah ﷻ. Kena ada nafi dan ithbat. Maksudnya kena tolak sesuatu dan tetapkan sesuatu. Seperti kita mengucap la ilaaha illa Allah. Tolak ilah-ilah selain Allah ﷻ dan tetapkan hanya Allah ﷻ sahaja ilah (inilah nafi dan ithbat). Jadi ayat ini mengajar kita mesti tinggalkan yang buruk dan buat yang baik pula.

Jangan tinggalkan sahaja taghut tetapi tidak buat apa-apa pula dalam menuju kepada Allah ﷻ . Maka kepada mereka yang dapat menolak taghut-taghut itu, dan kemudian menuju kepada taat kepada Allah ﷻ, maka Tuhan berfirman kepada mereka:

 

لَهُمُ الْبُشْرَىٰ

hanya bagi mereka berita gembira,

Iaitu apabila mereka dibangkitkan selepas mati, mereka dapat keampunan dan masuk syurga. Mereka berpeluang untuk bertemu dengan Allah ﷻ. Kalau ada terniat dalam hati kita hendak bertaubat, tidak lafazkan lagi pun Allah ﷻ sudah ampunkan. Kemudian Allah ﷻ memberi pahala lagi sebab bertaubat.

Balaghah: ada takdim (didahulukan) pada kalimah لَهُمُ. Dalam susunan kebiasaan bahasa Arab, sepatutnya kalimah الْبُشْرَىٰ لَهُمُ patutnya tetapi telah diubah susunan dalam ayat ini. Kenapa?

Apabila ada takdim, itu menunjukkan ada takhsis (pengkhususan) iaitu berita gembira itu khas untuk mereka sahaja. Ia bukan diberikan kepada yang lain iaitu diberikan kepada mereka yang menjauhi taghut.

 

فَبَشِّرْ عِبَادِ

Oleh itu, gembirakanlah hamba-hambaKu.

Allah ﷻ menyuruh Nabi Muhammad ﷺ untuk memberi berita gembira kepada hamba-hamba-Nya yang ada sifat baik itu.

Balaghah: Lihat bagaimana kalimah عِبَادِ telah dihazafkan ya’ mutakallim, seperti yang kita telah sentuh dalam Zumar:10 tadi. Dari segi bahasa bahasa, ia sepatutnya begini: عبادي (hambaKu). Ia dihazafkan dan dari segi balaghah ia membawa maksud ‘berterusan’.

Ini adalah kerana khabar gembira hanya diberikan kepada mereka yang ‘terus menerus’ melakukan ibadah iaitu mereka tetap dalam ibadah. Mereka tetap dalam ibadah itu kerana takut kepada azab. Dan juga kerana harapan mereka kepada akhirat amat tinggi.

Inilah konsep khauf dan raja’. Oleh itu, kita kena tingkatkan rasa takut kita dan tingkatkan rasa harap kita.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 14 Julai 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah Zumar Ayat 8 – 10 (Buat syirik selepas doa)

Ayat 8: Ayat Zajrun. Sekarang Allah ﷻ memberikan ayat ancaman pula sebagai peringatan kepada kita.

Ingatlah bahawa apabila manusia buat syirik, maka bala akan menyusul. Oleh itu, bala yang kita terima adalah kerana disebabkan dosa yang kita lakukan atau sebagai ujian dari Allah ﷻ untuk orang yang beriman.

Malangnya sekarang manusia banyak cuba menolak bala dengan doa sambil telungkup tangan seperti yang kadang-kadang dibuat oleh imam-imam di masjid-masjid. Mereka itu doa ‘tolak bala’.

Itu tidak pernah diajar oleh Nabi ﷺ dan tidak dibuat oleh sahabat. Bala yang Allah ﷻ beri itu adalah kerana dosa yang dibuat oleh manusia. Maka sepatutnya manusia kena minta ampun dari dosa dia. Bukannya tambah dosa lagi dengan buat amal bidaah.

Telah disebut dalam Al-Qur’an bahawa apa sahaja musibah yang kena pada kita, yang berbagai-bagai macam musibah, seperti perniagaan jatuh dan sebagainya, adalah kerana hasil kerja tangan manusia. Akan tetapi dosa-dosa kita banyak yang telah diampunkan apabila Allah ﷻ turunkan musibah kepada kita – apabila kita sabar dengan musibah itu, dosa-dosa kecil yang kita telah lakukan akan diampunkan.

Hanya dosa besar sahaja yang tidak diampunkan lagi. Untuk mendapatkan keampunan dari Allah ﷻ atas dosa besar itu, kita kena mohon doa kepada Allah ﷻ supaya mengampunkan dosa-dosa itu secara khusus. Tidak cukup dengan kata: ‘Ya Allah, ampunkanlah dosa aku.’

Antara dosa yang perlu kita minta ampun adalah dosa syirik kepada Allah ﷻ. Dosa syirik adalah amat berat sekali tetapi masih lagi boleh diampunkan, namun kita kena mohon doa supaya diampunkan dengan ikhlas hati kepada Allah ﷻ.

۞ وَإِذا مَسَّ الإِنسٰنَ ضُرٌّ دَعا رَبَّهُ مُنيبًا إِلَيهِ ثُمَّ إِذا خَوَّلَهُ نِعمَةً مِّنهُ نَسِيَ ما كانَ يَدعو إِلَيهِ مِن قَبلُ وَجَعَلَ ِللهِ أَندادًا لِّيُضِلَّ عَن سَبيلِهِ ۚ قُل تَمَتَّع بِكُفرِكَ قَليلًا ۖ إِنَّكَ مِن أَصحٰبِ النّارِ

Sahih International

And when adversity touches man, he calls upon his Lord, turning to Him [alone]; then when He bestows on him a favor from Himself, he forgets Him whom he called upon before, and he attributes to Allah equals to mislead [people] from His way. Say, “Enjoy your disbelief for a little; indeed, you are of the companions of the Fire.”

Malay

Dan apabila manusia disentuh oleh sesuatu musibah, dia segera berdoa kepada Tuhannya dengan keadaan rujuk kembali bertaubat kepadaNya; kemudian apabila Allah memberikannya sesuatu nikmat (sebagai kurnia) daripadaNya, lupalah dia akan segala musibah yang menyebabkannya merayu kepada Allah sebelum itu dan dia pula menjadikan sekutu-sekutu bagi Allah, untuk menyesatkan dirinya (dan orang lain) dari jalan Allah. Katakanlah (kepadanya): “Bersenang-senanglah engkau dengan kekufuranmu itu bagi sementara, sesungguhnya engkau dari penduduk neraka.

 

 وَإِذَا مَسَّ الْإِنْسٰنَ ضُرٌّ دَعَا رَبَّهُ مُنِيبًا إِلَيْهِ

Apabila dikenakan kepada insan kufur itu bala musibah, dia berdoa kepada Allah, sifatnya condong menghampiri kepada Allah.

Orang yang dimaksudkan dalam ayat ini asalnya merujuk kepada orang Mekah jahiliah. Mereka pun ada juga berdoa kepada Allah ﷻ. Ini adalah kerana memang mereka kenal Allah ﷻ pun, bukannya tidak kenal. Kalau mereka ada musibah, mereka akan berdoa hanya kepada Allah ﷻ sahaja. Mereka akan meninggalkan sembahan dan doa kepada selain Allah ﷻ.

Begitu jugalah orang kita pun ada juga berdoa kepada Allah ﷻ. Apabila seseorang itu telah ditimpa musibah kesusahan, mulalah dia jadi baik sekejap, berkopiah atau berserban. Dulu masa dia senang, sihat, dia tidak ingat Allah ﷻ. Dia hanya menghabiskan masa dengan bersuka-sukaan sahaja. Tidak ingat hendak belajar agama, tidak ingat hendak solat, tidak ingat hendak pergi masjid.

Tetapi apabila sudah kena musibah, baru dia tahu langit tinggi rendah. Mulalah dia hendak kenal solat. Mulalah dia hendak mendekatkan diri dengan surau dan masjid. Kalau bercakap dengan orang pun, baik-baik sahaja, lembut sahaja.

Selalu juga kita jumpa orang yang macam ini, bukan? Tiba-tiba dia jadi baik apabila ada masalah, jadi warak tiba-tiba. Solat pun khusyuk. Kalau berdoa pun lama. Iaitu berlainan dari dirinya yang dulu.

 

ثُمَّ إِذَا خَوَّلَهُ نِعْمَةً مِّنْهُ نَسِيَ مَا كَانَ يَدْعُو إِلَيْهِ مِنْ قَبْلُ

Kemudian apabila (Allah) berikan kepadanya nikmat yang baru, dia lupa terus apa yang dia pernah doa  kepadaNya sebelum ini,

Allah ﷻ beri kesusahan sekejap sahaja. Selepas beberapa lama, masalah dia akan selesai. Allah ﷻ yang selesaikan masalah dia. Apabila keadaannya sudah berubah kepada baik, dia sudah lupa kepada Allah ﷻ, lupa kepada musibah yang dia kena dulu.

Maksud ‘dia lupa’ itu adalah dia buat syirik kembali. Dia lupa yang dia dulu telah berdoa kepada Allah ﷻ dan masalah yang dia hadapi itu diselesaikan oleh Allah ﷻ. Patutnya dia teruslah ibadat dan doa kepada Allah ﷻ sahaja, bukan? Tetapi tidak begitu. Ini kerana dia lupa dia dulu telah doa terus kepada Allah ﷻ.

Begitulah juga dengan orang kita. Apabila sudah jadi baik balik, dia sudah buang kopiah dan serban yang dipakainya sebelum itu. Sudah balik kepada keadaannya yang asal sebelum kena musibah itu.

Padahal, sebelum itu kepada Allah ﷻlah dia berdoa dengan bersungguh-sungguh. Menitik-nitik air mata dia semasa berdoa waktu itu. Tetapi bila masalah dia sudah selesai, dia terus lupa yang dulu dia telah berdoa kepada Allah ﷻ meminta dan merayu supaya masalah yang sedang dihadapinya itu diselesaikan oleh Allah ﷻ. Dia lupa yang dari doanya itu, masalahnya telah diselesaikan oleh Allah ﷻ.

Perkataan خَوَّلَ bermaksud ‘diselimuti’. Ada banyak selimut yang meliputi kita. Roh kita diselimuti oleh tubuh kita. Tubuh kita diselimuti dengan baju. Kita diselimuti oleh rumah. Rumah kita dengan kawasan perumahan kita. Kemudian diselimuti oleh negara kita. Negara kita diselimuti oleh planet bumi. Planet diselimuti oleh langit pertama, langit kedua dan seterusnya. Berapa banyak nikmat telah Allah ﷻ selimutkan diri kita.

Kadang-kadang apabila kita dalam selimut, kita tidak perasan selimut itu. Pada hari Akhirat nanti, semua yang menyeliputi itu akan dicabut satu persatu dan roh kita akan berdiri di hadapan Allah ﷻ untuk menemuinya.

Begitulah, kita tidak perasan nikmat yang Allah ﷻ telah berikan kepada kita selama hari ini, kerana kita dari kecil dapat nikmat. Apabila ditarik sekejap nikmat itu, barulah perasan nikmat sudah tiada.

 

وَجَعَلَ ِللهِ أَنْدَادًا لِّيُضِلَّ عَنْ سَبِيلِهِ

Kemudian dia jadikan sekutu-sekutu bagi Allah yang memesongkannya  daripada jalan Allah.

Apabila musibah sudah diangkat, dia buat syirik pula kepada Allah ﷻ. Bagaimanakah ini boleh terjadi?

Contoh: Ketika perniagaannya jatuh dahulu, dia telah jumpa seseorang dan orang itu beritahu dia, kalau hendak pulihkan semula perniagaan, kena jumpa tok guru ini, tok guru itu. Dia pun pergilah bertemu tok-tok guru tersebut dan mungkin tok guru itu telah mandikan dia dengan ‘mandi tolak bala’, ‘mandi bunga’ dan sebagainya.

Kebetulan, semenjak dimandikan oleh tok guru tersebut, perniagaan dia kembali pulih, semangat dia pun kembali naik. Kalau dulu dia tidak sihat, sudah lega sekarang. Apabila terjadi begitu, dia tidak kata Allah ﷻ yang memulihkan dia, tetapi dia kata ‘tok guru’ itu yang pulihkan dia. Iaitu tempat yang dia mandi bunga, mandi tolak bala dulu. Inilah syirik kerana menduakan Allah ﷻ. Allah ﷻ yang selesaikan musibah dia tetapi dia kata orang lain pula seolah-olah orang itu adalah Allah ﷻ.

Ramai orang buat begini pada zaman dahulu. Zaman sekarang, mungkin tidak mandi tolak bala lagi, tetapi kesyirikan dilakukan dengan cara-cara lain pula. Mereka jumpa tok guru untuk ‘tolak bala’ dengan minta ustaz atau mana-mana orang untuk doakan mereka supaya diangkat bala musibah.

Yang mereka tidak cakap adalah berapa banyak upah yang mereka telah beri kepada guru itu. Kerana guru atau ‘ustaz’ yang sebegitu, mereka memang buat duit dengan cara mendoakan orang lain.

Dalam masyarakat kita, sampai ada yang beri kereta mereka yang baru dibeli untuk dimandikan oleh tok guru dan melakukan berbagai-bagai perkara yang mengarut-ngarut. Pada mereka, dengan dimandikan kereta itu dengan air jampi guru itu, atau guru itu memakai dahulu kereta itu, maka kereta itu akan terselamat dari musibah.

Inilah yang dinamakan ‘andada,’ iaitu sekutu-sekutu kepada Tuhan. Kerana Allah ﷻlah yang mengangkat musibah itu dari mereka, tetapi mereka kata guru/ustaz/bomoh yang telah menyelamatkan mereka. Allah ﷻ terpaksa ‘bertanding’ pula dengan makhluk untuk mendapat pujian dari manusia. Ini tidak patut sama sekali. Ini adalah fahaman syirik.

Malangnya banyak perkara sebegini diajar oleh tok guru dan ustaz. Tok guru itu sendiri pun sebenarnya tidak tahu dia telah buat syirik kepada Tuhan. Dia pula yang jadi penganjur kepada perbuatan itu, padahal sepatutnya dialah yang  sepatutnya mengajar perkara-perkara yang benar.

Sepatutnya dialah yang cakap yang perbuatan itu adalah salah. Sepatutnya dialah yang ajar kepada mereka yang datang minta doa itu supaya doa sendiri sahaja kepada Allah ﷻ, tidak payah minta orang lain doakan. Kerana kalau buat juga, samalah seperti apa yang dibuat oleh agama-agama lain yang melakukan sesuatu amalan untuk tolak bala, tolak sial dan sebagainya.

Sebagai contoh, penganut Hindu akan pergi jumpa sami mereka untuk minta sami itu doakan untuk mereka. Malangnya, kita pun begitu juga. Akhirnya, sama sahaja akidah kita dengan agama kufur yang lain. Mereka ada tolak bala, kita pun nak ada tolak bala juga. Tok guru dan ustaz pula yang ganti jadi tok sami.

Atau ada yang kata cincin atau tangkal yang dia pakailah yang telah menghilangkan musibah yang jatuh kepada mereka. Kalaulah kebetulan nasibnya berubah selepas dia pakai cincin atau tangkal itu, tidaklah ia membuktikan kebenaran atas apa yang telah dilakukannya itu. Macam mereka yang pakai Kavadi masa Thaipusam, cucuk sana sini, tetapi selamat, tidak luka sedikitpun. Atau penyembah berhala pada zaman jahiliah dulu yang tidak dikenakan bala kepada mereka.

Maka, jika perbuatan salah yang dilakukan oleh seseorang tidak dijatuhkan bala oleh Allah ﷻ sebaik sahaja mereka lakukan, malah ‘menjadi’ pula apa yang mereka kehendaki, tidaklah itu memberi tanda bahawa tidak salah perbuatan itu.

Allah ﷻ hanya membiarkan sahaja mereka di dalam kesesatan tanpa menurunkan bala terus. Allah ﷻ benarkan ia terjadi tetapi Allah ﷻ tidak redha. Allah ﷻ sanggup tunggu mereka mati dan kemudian baru mereka akan diazab di akhirat kelak.

Banyak lagi amalan syirik dan khurafat diamalkan oleh masyarakat Islam kita. Antaranya mereka ada barang-barang hikmat. Seperti cincin atau alat-alat keramat yang mereka simpan dalam kain kuning. Bukan dalam simpanan yang biasa. Kerana pada mereka, benda-benda keramat itu kena simpan dalam kain kuning.

Kadang-kadang mereka akan perasap pada malam-malam tertentu. Bermakna, mereka ada memuja benda-benda itu. Itu adalah amalan khurafat dan amalan syirik. Tetapi kenapakah guru-guru agama di negara kita tidak berani hendak tegur perkara ini secara berdepan? Ke mana perginya mufti-mufti di negara ini? Susah hendak tegur kerana kalau ditegur, masyarakat akan melenting kerana lebih ramai yang jahil dari yang pandai.

Dan kenapa ayat ini mengatakan mereka juga memesongkan orang lain? Kerana orang-orang sebegini bukan sahaja telah terpesong, tetapi mereka juga memesongkan orang lain yang melihat mereka. Kerana kalau mereka nampak berjaya, orang lain pun hendak jadi macam dia juga.

Orang lain akan bertanya, siapa yang kau jumpa sampai kau boleh dapat begini, begitu? Mereka pun cakaplah mereka berjaya pulih kerana orang ini, orang itu. Yang bertanya itu pun akan pergi kepada ustaz yang sama, bomoh yang sama dan sebagainya. Akhirnya, semakin ramai yang akan sesat.

Manusia memang suka hendak ikut orang lain tanpa usul periksa. Ini adalah kerana kejahilan yang berleluasa dalam masyarakat kita. Ramai yang pakai ikut sahaja amalan orang lain.

 

قُلْ تَمَتَّعْ بِكُفْرِكَ قَلِيلًا ۖ إِنَّكَ مِنْ أَصْحٰبِ النَّارِ

Kata kepada mereka: bersenang-senanglah dengan kekafiran kamu untuk sementara. Sesungguhnya kamu adalah penghuni tetap neraka.

Ini adalah ayat takhwif ukhrawi. Allah ﷻ beritahu dalam ayat ini bahawa perbuatan mereka itu adalah perbuatan kufur. Dan Allah ﷻ suruh Nabi Muhammad ﷺ sampaikan kepada mereka untuk bersenang-senang buat sementara waktu sementara masih hidup. Berseronoklah dalam kehidupan dunia ini selagi mereka boleh.

Sebab itu kalau kita tengok orang yang mengamalkan syirik, selalunya hidup mereka akan senang sahaja. Hidup mereka nampak macam senang lenang sahaja. Ini kerana memang Allah ﷻ beri kesenangan kepada mereka selama mereka di dunia.

Tetapi di akhirat nanti, mereka akan mendapat azab yang kekal. Maka jangan kita tertipu melihat kesenangan mereka. Jangan kita ikut mereka pula. Jangan pula sangka yang Allah ﷻ beri rahmat kepada mereka.

Biarlah dia seronok kerana dia tetap akan masuk neraka, maka dia dibiarkan Allah ﷻ dalam kesesatan. Biar dia terus mengumpul dosa selama dia hidup. Supaya apabila mereka masuk ke alam akhirat nanti, mereka tidak ada hujah lagi hendak menyatakan mereka tidak bersalah.

Allah ﷻ kata apa sahaja yang mereka lakukan dan dapat, itu hanya ‘sedikit’ sahaja. Mereka sahaja sangka mereka dapat banyak kelebihan, tetapi Allah ﷻ beritahu itu sedikit sahaja. Tidak berbaloi kalau dibandingkan dengan azab yang mereka akan terima. Kesenangan yang sedikit, tetapi azab yang berterusan selama-lamanya.

Mereka akan dimasukkan ke dalam neraka dan mereka akan kekal dalam neraka selama-lamanya. Adakah berbaloi? Tentu tidak, bukan?


 

Ayat 9: Ayat Tabshir. Allah ﷻ hendak bandingkan dua jenis kumpulan manusia. Orang syirik ada cara hidup dia dan orang tauhid ada cara hidup dia pula. Tidak sama antara kehidupan mereka.

Allah ﷻ beri berita baik kepada mereka yang berbuat baik. Allah ﷻ beri semangat itu kepada kita supaya kita amalkan cara hidup tauhid itu.

أَمَّن هُوَ قٰنِتٌ ءآناءَ اللَّيلِ ساجِدًا وَقائِمًا يَحذَرُ الآخِرَةَ وَيَرجو رَحمَةَ رَبِّهِ ۗ قُل هَل يَستَوِي الَّذينَ يَعلَمونَ وَالَّذينَ لا يَعلَمونَ ۗ إِنَّما يَتَذَكَّرُ أُولُو الأَلبٰبِ

Sahih International

Is one who is devoutly obedient during periods of the night, prostrating and standing [in prayer], fearing the Hereafter and hoping for the mercy of his Lord, [like one who does not]? Say, “Are those who know equal to those who do not know?” Only they will remember [who are] people of understanding.

Malay

“(Engkaukah yang lebih baik) atau orang yang taat mengerjakan ibadat pada waktu malam dengan sujud dan berdiri sambil takutkan (azab) hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya? “Katakanlah lagi (kepadanya): “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?” Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.

Soalan Tuhan kepada kita semua:

أَمَّنْ هُوَ قٰنِتٌ ءآنَاءَ اللَّيْلِ سَاجِدًا وَقَائِمًا يَحْذَرُ الْآخِرَةَ

Apakah satu orang yang bangun berdiri teguh waktu malam, kadang-kadang sujud, kadang-kadang berdiri, kerana takut dia akan akhirat

Stail surah ini adalah Allah ﷻ akan bertanya kepada kita, tetapi Allah ﷻ tidak memberikan jawapannya kepada kita supaya kita boleh mencari jawapan itu sendiri. Kita kena fikirkan dalam-dalam.

Dalam ayat ini, Allah ﷻ membandingkan seorang yang beribadat pada malam hari dengan orang yang sifatnya telah diterangkan sebelum ini – tidak ingat Allah ﷻ apabila dalam keadaan senang, tetapi apabila susah, barulah kelam kabut hendak buat ibadat.

Kalimah قانت dalam ayat ini kalau dibandingkan dengan ayat Baqarah:238 bermaksud seorang yang khusyuk di dalam solatnya. Dia pandang satu tempat sahaja dan tidak melihat ke kiri kanan. Fikirannya tertumpu kepada Allah ﷻ dan solatnya.

Kalimat ءاناء اليل bermaksud sebahagian dari malam sama ada awal, pertengahan atau hujungnya.

Allah ﷻ bandingkan dengan sifat seorang mukmin yang sentiasa ingat dan beribadat kepada Allah ﷻ, sama ada dalam keadaan senang atau susah. Dia bermunajat kepada Allah ﷻ.

Dalam ayat sebelum ini telah ejek golongan kuffar untuk bergembiralah selagi mereka boleh. Maka sekarang Allah ﷻ hendak tanya kepada mereka, kamu baikkah atau kamu orang-orang yang akan disebut nanti?

Kenapa Allah ﷻ sebut ‘sujud’ dahulu sebelum qiyamullail dalam ayat ini? Kerana hamba paling hampir dengan Allah ﷻ dalam solat adalah semasa sujud. Maka didahulukan yang utama dahulu.

Allah ﷻ juga tidak sebut apakah kesan dari amalan orang itu. Ini kena diisikan oleh pembaca Al-Qur’an. Ulama tafsir mengatakan maksud Allah ﷻ adalah: mereka yang berdiri mendirikan solat pada malam hari itu akan masuk syurga.

Cuma tidak disebutkan dalam ayat ini. Kita kena faham sendiri berdasarkan pemahaman dari ayat-ayat yang lain.

Dia beribadat itu kerana dia takut. Kenapakah orang yang mendirikan solat pada malam hari itu takut? Apakah yang dia takut?

Dia takut azab dari Allah ﷻ sekiranya dosa dia tidak diampunkan. Kerana kita sendiri tidak pasti sama ada dosa yang kita lakukan itu Allah ﷻ akan ampunkan atau tidak. Memang kita sudah minta ampun, tetapi adakah Allah ﷻ akan terima taubat kita itu?

Kita tidak pasti kerana itu adalah perkara ghaib dan kita tidak tahu perkara ghaib. Kerana kalau Allah ﷻ tidak terima, alangkah malangnya kita nanti kerana akan dimasukkan ke dalam neraka dahulu  – tidak tahu berapa lama.

Perumpamaannya kalau kita bawa kereta di kawasan yang kita tahu ada kamera yang akan ambil gambar kereta yang laju. Maka dalam keadaan begitu, tentulah kita akan memandu dengan berhati-hati dan tidak bawa dengan laju, bukan? Maka begitulah kalau kita sedar yang Allah ﷻ sedang memerhatikan kita – kita tentu tidak berani hendak buat dosa dan buat salah.

Oleh itu, ayat ini mengajar kita bahawa dalam kehidupan kita, hendaklah kita ada rasa takut kepada akhirat. Sentiasa kita ingat bahawa kita akan mati dan akan dibangkitkan kelak. Kalau kita rasa senang hati sahaja, tentu kita tidak bersungguh dalam beramal ibadat dan menjaga agama kita.

 

وَيَرْجُو رَحْمَةَ رَبِّهِ

dan dia mengharap rahmat Tuhan

Dalam masa yang sama, dia berharap semoga dia dapat masuk syurga. Kerana kita tidak dapat masuk syurga dengan amalan ibadat kita tetapi dengan rahmat Allah ﷻ sahaja. Alamat orang yang hampir dengan Allah ﷻ adalah dia akan berharap kepada Allah ﷻ.

Jadi ada dua sifat yang telah disebut: takut dan harap (khauf dan raja’). Dua sifat ini selalu disebut berulang-ulang dalam Al-Qur’an kerana ianya amat penting. Dua-dua perkara ini kena ada dalam jiwa kita. Jangan salah satu terlebih dan terkurang. Kena seimbang.

Dalam ayat ini ada soalan yang dihazafkan: adakah sama orang yang buat begitu dengan orang yang tidak buat begitu? Tentulah tidak sama.

 

قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَالَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ

Katakanlah: adakah sama seorang yang mengetahui dengan seorang yang tak tahu?

Ini adalah satu lagi soalan yang Allah ﷻ tanya tetapi Allah ﷻ tidak jawab, maka kita kena jawab sendiri. Adakah sama orang yang tahu dengan orang yang tidak tahu? Tahu apa?

Dalam tafsir, disebut ‘tahu’ yang dimaksudkan adalah ‘tahu tentang Allah ﷻ’. Kerana tahu tentang Allah ﷻlah yang menyebabkan manusia boleh buat amal dan dalam hati dia ada takut dan harap.

Dan tahu tentang wahyu. Mereka tahu kerana mereka belajar, bukannya buat-buat tidak tahu sahaja. Tentulah tidak sama orang yang belajar Al-Qur’an dan hadis dan orang yang tidak belajar.

Kerana orang yang tahu wahyu akan tahu tentang Hari Akhirat. Dan orang yang tahu tentang Hari Akhirat tidak sama dengan orang yang tidak tahu. Kerana apabila kita tahu sesuatu perkara itu benar dan besar, tentulah kita akan mengambil tindakan. Tentulah orang yang tahu dan yakin tentang akhirat akan buat persediaan kepada akhirat itu.

Sebagai contoh, kalau kita dapat tahu dari media bahawa kawasan tempat kita akan banjir, tentulah kita akan ambil tindakan – mungkin kita akan pindah. Begitu juga dengan mereka yang tahu tentang Hari Akhirat. Mereka akan mengambil tindakan untuk menjalani kehidupan di dunia ini mengikut lunas-lunas Islam.

Kepada mereka yang tidak tahu, atau hanya tahu sedikit sahaja, mereka tidak buat apa-apa, macam Hari Kiamat itu tidak akan terjadi sahaja. Atau mereka rasa mereka akan selamat sahaja, padahal belum tentu lagi.

Jadi, secara lebih khususnya, ayat ini adalah berkenaan mereka yang tahu tentang Hari Akhirat dan mengambil tindakan untuk menyelamatkan diri mereka. Tidak sama antara mereka yang tahu dan mereka yang tidak tahu.

 

إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُولُو الْأَلْبَابِ

Yang hanya akan menerima peringatan ini hanyalah orang yang otak waras sahaja.

Orang yang mempunyai akal yang waras dan cerdik sahaja yang boleh terima peringatan dari Allah ﷻ.

Ayat ini menunjukkan bahawa orang yang tidak pakai Al-Qur’an dan hadis dalam menjalani kehidupan mereka adalah orang yang tidak berakal waras. Kerana mereka tidak menggunakan akal mereka untuk mencapai satu keputusan yang benar dan akan menyelamatkan diri mereka.

Habis Ruku’ 1 dari 8 ruku’ dalam surah ini.


 

Ayat 10: Ayat Tabshir. Setelah tahu kelebihan beramal ibadat, maka buatlah sesuatu. Kena ikhtiar kerana kejayaan tidak datang dengan mudah, dengan begitu sahaja.

قُل يٰعِبادِ الَّذينَ ءآمَنُوا اتَّقوا رَبَّكُم ۚ لِلَّذينَ أَحسَنوا في هٰذِهِ الدُّنيا حَسَنَةٌ ۗ وَأَرضُ اللهِ وٰسِعَةٌ ۗ إِنَّما يُوَفَّى الصّٰبِرونَ أَجرَهُم بِغَيرِ حِسابٍ

Sahih International

Say, “O My servants who have believed, fear your Lord. For those who do good in this world is good, and the earth of Allah is spacious. Indeed, the patient will be given their reward without account.”

Malay

Katakanlah (wahai Muhammad, akan firmanKu ini, kepada orang-orang yang berakal sempurna itu): “Wahai hamba-hambaKu yang beriman! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu. (Ingatlah) orang-orang yang berbuat baik di dunia ini akan beroleh kebaikan (yang sebenar di akhirat). Dan (ingatlah) bumi Allah ini luas (untuk berhijrah sekiranya kamu ditindas). Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira”.

 

 

قُلْ يٰعِبَادِ الَّذِينَ ءآمَنُوا

Katakanlah wahai hamba-hambaKu yang beriman,

Ini adalah perintah Allah ﷻ kepada Nabi Muhammad ﷺ untuk disampaikan kepada orang-orang yang beriman. Dan kepada mereka yang telah beriman atas akidah tauhid.

Balaghah: Hazfu wa zikru. Kalau hazf, ia membawa maksud ‘berterusan’:

Dalam kalimat عِبَادِ itu sepatutnya ada ي menjadi عِبَادِي (hambaKu) tapi ي itu dihazafkan (dihilangkan). ي jenis ini dinamakan ya’ mutakallim (ya orang bercakap).

Dalam ilmu balaghah, ي ini dihazafkan adalah kerana hamba yang dimaksudkan adalah hamba yang imannya berkekalan dan dia teruskan meningkatkan ketaqwaannya. Mereka ini jenis hamba yang sudah istiqamah dalam iman dan ibadah mereka. Kemudian ini akan terus disebut ganjaran mereka.

Syaratnya kena istiqamah dalam jaga iman. Bukan sekejap-sekejap sahaja, sekejap beriman dan sekejap tidak. Sampaikan mereka disuruh berhijrah kalau mereka tidak dapat menjaga iman mereka di tempat mereka tinggal.

Lagi satu, dihazafkan ya mutakallim  kerana jumlah mereka lebih kurang. Tidak ramai yang beriman kalau dibandingkan dengan mereka yang tidak beriman. Boleh bandingkan dengan ayat 53 surah ini juga. Dalam ayat ke 53, kalimah yang digunakan adalah عِبَادِي dan bukan عِبَادِ seperti dalam ayat ini.

Ada empat tempat dalam Al-Qur’an dimana ada hazaf pada kalimah عِبَادِ:

  1. Zumar:10 ini
  2. Zumar:16
  3. Zumar:17
  4. Zukhruf:68

Lebih banyak kalimah yang digunakan adalah عِبَادِي, sebagai contoh, boleh lihat ayat ke 53, surah Zumar ini.

 

اتَّقُوا رَبَّكُمْ

bertaqwalah kamu semua kepada Tuhan kamu semua,

Orang-orang yang telah beriman disuruh pula untuk bertaqwa. Ini menunjukkan bahawa iman dan taqwa itu tidak sama. Kalau seseorang itu beriman, belum tentu dia juga seorang yang bertaqwa. Tetapi gunakanlah asas iman yang dia telah ada itu untuk naik lagi ke tahap taqwa.

Maksud bertaqwa itu adalah ‘jaga hukum Tuhan’. Ikut apakah suruhanNya dan meninggalkan laranganNya dalam setiap masa. Termasuk dalam taqwa ini adalah takut kepada Allah ﷻ. Tetapi bukanlah bertaqwa itu hanya ‘takut’ sahaja. Malah lebih lagi kerana kalau ‘takut’ sahaja, perkataan ‘khauf’ lebih tepat.

Oleh itu, bertaqwa itu adalah sedar bahawa Allah ﷻ sentiasa melihat kita. Maka kerana kita yakin Allah ﷻ sedang melihat kita, maka kita akan berhati-hati dalam tindakan kita setiap hari. Kita akan jaga hukum dengan baik kalau tahu yang Allah ﷻ sentiasa memerhatikan kita.

Hendak buat apa-apa pun, kita akan tanya kepada diri kita: apa hukum perbuatan ini? Maknanya, dia jaga sungguh syariat yang Allah ﷻ telah sampaikan. Sama ada berkenaan hubungan dengan Allah ﷻ dan juga hubungan dengan manusia lain.

 

لِلَّذِينَ أَحْسَنُوا

bagi orang-orang yang berbuat baik,

Tanda seseorang itu bertaqwa adalah mereka juga akan menjalankan amal kebaikan yang disuruh dilakukan oleh Allah ﷻ. Mereka akan mengisi hidup mereka dengan amal ibadat.

Mereka mengelokkan amal mereka supaya jadi betul balik. Mana-mana kesilapan yang mereka telah lakukan dahulu, mereka buang dan mereka mengaku bahawa apa yang mereka lakukan dulu adalah salah berdasarkan Al-Qur’an dan hadis. Dan apa yang kebaikan yang mereka buat, mereka akan tambahbaik lagi ke arah kesempurnaan.

Jangan kita degil dengan Tuhan. Kalau sudah tahu bahawa sesuatu amalan dan fahaman itu salah, maka tinggalkan sahaja. Malangnya, ada yang masih berdegil walaupun mereka sudah tahu kesilapan mereka akan mengundang malapetaka di akhirat.

Perkataan ‘ihsan’ juga ditafsirkan sebagai maksud ‘ikhlas’ dalam ertikata, kita melakukan sesuatu amal ibadat itu kerana Allah ﷻ sahaja – kerana mengharapkan balasan dan kerana suruhan dari Allah ﷻ sahaja, dan bukan sebab lain.

 

فِي هَٰذِهِ الدُّنْيَا حَسَنَةٌ

dalam kehidupan dunia ini, dia akan dapat kebaikan

Apabila seseorang Muslim itu berbuat kebaikan di dunia ini, dia akan mendapat kebaikan di akhirat nanti. Dan akan ada juga kebaikan untuknya di dunia. Di dunia lagi sudah mendapat kebaikan.

Allah ﷻ akan melapangkan dadanya dan memberikan ketenangan dalam dirinya. Dia akan tenang sahaja menjalani kehidupan dunia ini. Kebaikan di dunia ini bukanlah bermaksud kekayaan sahaja. Kerana kalau kaya harta tetapi tidak beriman, itu tidak baik sama sekali.

 

 

وَأَرْضُ اللهِ وٰسِعَةٌ

Dan bumi Allah itu luas,

Ayat ini merujuk kepada sahabat Nabi ﷺ yang tidak mahu berhijrah walaupun mereka telah ditindas di Mekah. Dan juga merujuk kepada Muslimin yang duduk dalam kawasan orang kafir, tetapi tidak mahu nak pindah.

Kenapa Allah ﷻ sebut bumiNya luas? Kalau kita rasa sudah tidak boleh hendak buat amal ibadat, maka eloklah kita pindah ke tempat lain yang lebih sesuai. Janganlah kita terpedaya dan terikat hati kita dengan harta sampai menyebabkan tidak mahu pindah.

Janganlah kita terkenang sangat kepada kampung halaman sampai tidak mahu tinggalkannya untuk mencari kebaikan. Kadangkala tempat tinggal kita tidak kondusif untuk mengamalkan Islam dengan sempurna. Maka kenalah berpindah.

Ini penting kerana ada orang yang kalah dengan suasana sekeliling sampai tidak boleh beramal ibadat. Jangan jadikan suasana sebagai alasan tidak dapat beramal. Kalau guna alasan itu, tidak akan diterima.

Ayat ini sudah memberi isyarat kepada para sahabaat di Mekah bahawa mereka akan berhijrah ke tempat lain. Ayat ini adalah isyarat kepada kebenaran untuk hijrah ke Habashah. Kerana kalau duduk di Mekah, tidak dapat mengamalkan agama dengan bebas.

Memang tidak ada ayat jelas suruhan dari Allah ﷻ untuk berhijrah, tetapi diberikan dengan isyarat sahaja. Oleh itu, beberapa sahabat telah berhijrah ke Habashah diketuai oleh Saidina Uthman رضي الله عنه.

Jadi, kalau kita duduk dalam kawasan yang tidak mengizinkan kita mengamalkan Islam dengan sempurna, maka kita kena tinggalkan tempat itu dan cari tempat lain.

Dan kalau sudah duduk dalam kawasan orang Islam, kena hidupkan suasana Islam. Kena mulakan pengajian tafsir Al-Qur’an di tempat itu kerana umat Islam kena faham apakah yang disampaikan dalam Al-Qur’an.

Dalam ayat lain, ada disebut bagaimana kalau kita tidak dapat mengamalkan agama kerana tempat kita tinggal itu tidak membenarkan, kita akan dipersalahkan dan tidak boleh menggunakan alasan itu untuk melepaskan diri. Begitulah firman-Nya:

Bukankah bumi Allah itu luas, sehingga kamu dapat berhijrah di bumi itu. (An-Nisa: 97)

Bagaimana pula dengan kita sekarang yang tinggal di Malaysia ini – nak hijrah ke mana pula? Hijrah ke masjid. Kerana keburukan yang banyak terjadi itu adalah di luar rumah dan luar masjid. Maknanya, tempat yang terkawal adalah di rumah kita dan di masjid. Kalau di luar ada banyak sangat masalah, maka duduk di rumah sahaja, jangan duduk lepak di luar sangat.

Kalau di rumah pun tidak selamat dan di masjid juga tidak selamat, maka kenalah cari tempat lain pula – sepertimana juga orang Mekah kena hijrah ke Habashah dan juga ke Madinah kerana hendak menjaga agama mereka. Carilah kawasan banyak orang-orang baik yang dapat beri semangat kepada kita untuk beramal dengan sempurna.

 

إِنَّمَا يُوَفَّى الصّٰبِرُونَ أَجْرَهُمْ بِغَيْرِ حِسَابٍ

Sesungguhnya akan dibalas orang-orang yang sabar dalam amal ibadat mereka tanpa hisab.

Kalau kita sabar, susah letih dalam amalkan agama itu, terutama dalam hijrah itu, akan dibalas dengan kebaikan oleh Allah ﷻ.

Dan memang kalau kita hendak mengamalkan Islam dengan sebenarnya, memang akan terima tentangan dari mereka yang tidak sedia menerimanya. Allah ﷻ memberitahu kita dalam ayat ini bahawa perjuangan dalam Islam adalah berat – memerlukan kesabaran yang tinggi dan ketabahan yang tidak kurang. Tetapi kesabaran mereka itu amat berbaloi.

Apakah maksud ‘tanpa hisab’? Dibalas banyak sangat, sampai tidak boleh hendak kira. Hisab itu bermaksud ‘kira’. Balasan yang Allah ﷻ beri itu terlalu banyak sampai tidak terkira.

Tafsir kedua: ada juga hadis yang menunjukkan bahawa orang-orang yang sabar dengan dugaan berat yang mereka terima, tidak akan dihisab. Mereka terus sahaja masuk syurga. Padahal orang lain akan ditimbang-timbang dan dikira-kira amal ibadat mereka. Kerana menunggu untuk dihisab di Mahsyar itu pun sudah satu kesengsaraan juga kerana kena tunggu dalam masa yang amat lama. Jadi kalau dapat masuk terus ke syurga tanpa hisab, itu adalah nikmat yang amat besar.

Kalau kita sabar dengan dugaan yang diberikan kepada kita, kita akan mendapat balasan dari Allah ﷻ yang amat banyak. Ini kerana amalan ibadat seperti solat dan puasa akan dibalas dengan kadar amal kebaikan itu.

Tetapi balasan kesabaran tidak ada kadar dan kerana itu dibalas dengan mengalir terus balasannya tanpa kiraan. Riwayat itu dari Anas bin Malik رضي الله عنه:

“Sehingga berkeinginanlah orang-orang yang sihat-sihat sahaja di dunia kalau kiranya dulu badannya digergaji dipotong-potong, setelah mereka lihat bagaimana kelebihan dan keistimewaan yang akan diterima oleh orang-orang yang sabar menderita itu.”

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 13 Julai 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah Zumar Ayat 5 – 7 (Tiga Kegelapan)

Ayat 5: Ayat kelima ini dan seterusnya adalah Ayat Dalil – Ayat ini adalah ayat Dalil Aqli Afaqi. Dalil kepada kita kenapa hanya Allah ﷻ sahaja yang boleh dipuja dan mengapa kita mesti berdoa kepada-Nya sahaja.

Ayat 5 – 20 adalah Perenggan Makro Kedua dan ia mengandungi dalil-dalil Tauhid dan penolakan kepada fahaman syirik.

Kalau ada sesiapa yang kata ada wali yang boleh memberi bantuan kepada mereka selain dari Allah ﷻ, ia dijawab oleh ayat kelima ini. Allah ﷻ beritahu kepada manusia, Dia sahaja yang mencipta langit dan bumi. Kalau sesiapa mengatakan boleh menggugat Allah ﷻ, boleh didesak Allah ﷻ itu dengan Nabi, wali atau malaikat, mereka telah melakukan syirik.

Kena faham, kalau ada yang boleh desak, mestilah hebat, sekurang-kurangnya sama kuasanya dengan Allah ﷻ. Boleh cipta langit sendiri, contohnya.

خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ بِالحَقِّ ۖ يُكَوِّرُ اللَّيلَ عَلَى النَّهارِ وَيُكَوِّرُ النَّهارَ عَلَى اللَّيلِ ۖ وَسَخَّرَ الشَّمسَ وَالقَمَرَ ۖ كُلٌّ يَجري لِأَجَلٍ مُّسَمًّى ۗ أَلا هُوَ العَزيزُ الغَفّٰرُ

Dialah yang menciptakan langit dan bumi dengan kebenaran; Ia pula menjadikan malam melingkari siang, dan menjadikan siang melingkari malam; dan Ia menjadikan matahari dan bulan beredar menurut perintahnya, – tiap-tiap satu dari keduanya, beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan. Ingatlah! Dia lah Yang Maha Kuasa, lagi Yang sentiasa Mengampuni.

 

خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضَ بِالْحَقِّ

Dia mencipta langit-langit dan bumi untuk menzahirkan kebenaran.

Kebenaran apakah yang perlu dizahirkan? Kebenaran itu adalah Dialah Maha Pencipta. Tidak ada yang lain yang boleh mencipta seperti-Nya. Penciptaan-Nya adalah sempurna. Tidak ada kacau bilau dalam makhluk-Nya. Oleh kerana itu, pujalah Dia sahaja dan seru kepada Dialah sahaja.

 

يُكَوِّرُ اللَّيْلَ عَلَى النَّهَارِ

Dialah menutup malam ke atas siang.

Iaitu siang ditutup dengan malam. Sedang kita bersuka ria dengan hari siang dengan adanya matahari yang menyinari, tiba-tiba malam datang menutup siang itu. Allah ﷻ  hendak mengingatkan kita bahawa kejadian siang dan malam itu bukan terjadi sendiri tetapi dengan Qudrat Dia. Siang dan malam adalah perbuatan Dia juga.

 

وَيُكَوِّرُ النَّهَارَ عَلَى اللَّيْلِ

dan Dia menutup siang ke atas malam.

Sedang kita diulit mimpi di malam hari, siang datang menyingsing.

Panjang malam dan siang berubah mengikut musim. Kita di Malaysia tidak mengalami keadaan ini. Sepanjang tahun sama sahaja siang dan malam. Namun, ada tempat-tempat lain di dunia yang tidak sama malam dan siang sepanjang tahun. Ada masa siang jadi panjang dan di musim yang lain, siang jadi pendek. Semua itu adalah dalam kekuasaan Allah ﷻ.

Ayat ini boleh juga ditafsir begini: apabila Allah ﷻ kata ‘menutup malam ke atas siang’, itu bermaksud malam jadi panjang dan siang jadi pendek. Apabila Allah ﷻ kata: ‘menutup siang ke atas malam’, itu bermaksud siang menjadi panjang.

Nota: Ayat ini juga menjadi bukti bahawa bumi ini berbentuk sfera. Ini kerana kalimah kawwara bermaksud ‘melilit’ dari segi bahasa – seperti serban dililit mengelilingi kepala yang bulat.

 

وَسَخَّرَ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ

dan Dialah yang menundukkan matahari dan bulan 

Perjalanan matahari dan bulan mengikut peraturan yang telah ditetapkan-Nya. Mengikut orbit yang telah ditetapkan. Sudah ribuan malah mungkin jutaan tahun, sama sahaja peredaran matahari dan bulan itu. Matahari akan mengambil masa 365 hari untuk dikelilingi oleh bumi dan bulan akan mengambil masa 354 hari untuk mengelilingi bumi setiap tahun.

Tidak berubah sampaikan manusia boleh menggunakan peredaran matahari dan bulan itu untuk mengira peredaran masa. Kalaulah tidak tetap, susah manusia hendak menentukan masa. Maka, bersyukurlah yang matahari dan bulan itu telah ditetapkan oleh Allah ﷻ.

Ahli astronomi mengkaji bulan, bintang dan planet-planet lain. Namun, adakah mereka mengaitkan perjalanan semua planetari itu kepada Allah ﷻ? Mungkin tidak. Namun, orang Islam sepatutnya melihat kepada alam yang amat luas ini dan kena sedar bahawa semuanya ditentukan oleh Allah ﷻ.

 

كُلٌّ يَجْرِي لِأَجَلٍ مُّسَمًّى

semua bergerak sehingga ke tempoh yang sudah ditetapkan.

Semua berjalan mengikut ketetapan Allah ﷻ sehingga sampai satu tempoh. Apabila sampai tempoh, akan dibinasakan semua sekali. Bilakah masa itu, kita tidak tahu sama sekali. Setelah semua makhluk diuji, maka langit dan bumi akan dihancurkan iaitu apabila datangnya hari Kiamat. Alam bumi akan dihancurkan kerana tugasnya telah selesai.

Contohnya, apabila kita buat bangunan, kita akan pakai tiang untuk membina rumah itu. Apabila bangunan sudah siap, tiang akan dibuang.

‘Kiamat kecil’ bagi kita adalah ‘mati’. Mati boleh datang bila-bila sahaja. Kiamat sebenar belum tentu lagi bila akan datang. Banyak lagi perkara akan berlaku sebelum berlakunya kiamat itu. Contohnya, Yakjuj Makjud dan Dajjal belum keluar lagi. Walaupun begitu kita kena sedar yang Allah ﷻ itu, Maha Berkuasa. Maknanya, Allah ﷻ boleh jadikan Kiamat bila-bila masa sahaja, tidak perlu tunggu ada segala tanda-tanda itu.

Ayat ini menjadi dalil bahawa bulan dan matahari bergerak. Oleh kerana itu jangan kita kata matahari tidak bergerak pula. Maka kita kenalah terima penemuan sains dan astronomi kerana Al-Qur’an tidak berlawanan dengan kajian sains.

Sekarang ramai yang kata bumi ini leper, tidak sfera. Ini berlawanan dengan kajian sains. Maka kalau ada dalil yang kuat, bolehlah kita kata bumi ini leper tetapi kalau dalil dan hujah tidak kuat, janganlah kita memandai-mandai pula. Jangan malukan agama Islam.

 

أَلَا هُوَ الْعَزِيزُ الْغَفّٰرُ

Ketahuilah! Dialah Dzat yang Maha Gagah Perkasa, yang Maha Memberi Keampunan

Allah ﷻ itu Maha Gagah Perkasa tidak boleh dikalahkan. Segala dalam alam ini mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh-Nya. Matahari, bulan, penggulungan angin, ombak pada laut, malah semua sekali. Sampai satu masa, semuanya akan hancur dengan arahan-Nya.

Dengan sifat ini, mengajar kita untuk beringat bahawa Hari Kiamat akan tiba tidak lama lagi. Allah ﷻ tidak perlu tunggu apa-apa untuk menghancurkan alam ini. Andai Dia hendak hancurkan sekarang, Dia boleh hancurkan dan kita tidak boleh katakan apa-apa.

Semua dalam alam ini mengikut perintah-Nya tetapi, manusia dan jin yang telah diberi nafsu dan kebolehan memilih jalan yang baik atau buruk. Namun, ramai yang telah terpesong kerana menyembah selain Allah ﷻ, berbuat syirik dan dosa serta macam-macam lagi. Untuk mereka seperti itu, Allah ﷻ akan bersifat Gagah Perkasa dengan mereka. Allah ﷻ akan menghukum mereka apabila sampai hari akhirat kelak.

Namun, Allah ﷻ juga bersifat Maha Pengampun atas dosa yang makhluk lakukan iaitu kepada sesiapa yang hendak meminta keampunanNya. Walaupun dosa itu adalah dosa syirik yang manusia perbuat, Allah ﷻ masih boleh ampunkan asalkan manusia itu sedar dan memohon keampunan dari Allah ﷻ.Oleh itu, kita hendaklah mengambil peluang untuk mendapatkan pengampunan dari Allah ﷻ .


 

Ayat 6: Dalil yang kedua kenapa kita kena sembah Allah ﷻ sahaja. Ini adalah jenis Dalil Aqli Anfusi – Allah ﷻ memberi lagi dalil kepada kita, takut-takut kita tidak berpuas hati: iaitu sekarang berkenaan penciptaan manusia pula.

Ayat sebelum ini adalah tentang penciptaan langit dan bumi. Ini pula adalah jenis Dalil Aqli Anfusi – selepas Allah ﷻ suruh lihat alam, Allah ﷻ suruh kita melihat diri kita pula.

خَلَقَكُم مِّن نَّفسٍ وٰحِدَةٍ ثُمَّ جَعَلَ مِنها زَوجَها وَأَنزَلَ لَكُم مِّنَ الأَنعٰمِ ثَمٰنِيَةَ أَزوٰجٍ ۚ يَخلُقُكُم في بُطونِ أُمَّهٰتِكُم خَلقًا مِّن بَعدِ خَلقٍ في ظُلُمٰتٍ ثَلٰثٍ ۚ ذٰلِكُمُ اللهُ رَبُّكُم لَهُ المُلكُ ۖ لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ ۖ فَأَنّىٰ تُصرَفونَ

Dia menciptakan kamu dari diri yang satu (Nabi Adam), kemudian Dia menjadikan daripadanya – isterinya (Hawa); dan Dia mengadakan untuk kamu binatang-binatang ternak lapan ekor: (empat) pasangan (jantan dan betina). Dia menciptakan kamu dalam kandungan ibu kamu (berperingkat-peringkat) dari satu kejadian ke satu kejadian. Dalam tiga kegelapan. Yang demikian ialah Allah Tuhan kamu; bagiNyalah kekuasaan yang mutlak; tiada Tuhan melainkan Dia; oleh itu bagaimana kamu dapat dipesongkan?

 

خَلَقَكُمْ مِّنْ نَفْسٍ وٰحِدَةٍ

Dialah yang menciptakan kamu daripada jiwa yang satu,

Jiwa yang satu itu adalah Nabi Adam عليه السلام yang dicipta dari tanah. Kita pula dicipta dari sperma yang ada dalam air mani.

Apabila kita renungkan yang diri kita ini, asal dari keturunan yang sama, maka kita sepatutnya melihat kepada persamaan antara kita. Jangan kita melihat kepada perbezaan. Maka, sepatutnya kita dapat merasa apakah kesusahan yang dialami oleh orang lain dan bangsa lain. Walaupun mereka dari negara lain, berlainan bangsa, bahasa, agama dan cara hidup, tetapi tentunya masih ada persamaan antara kita semua.

Janganlah kita menindas mereka tidak tentu pasal. Janganlah kita pandang serong kepada mereka. Ini kerana kita semua adalah bersaudara belaka, asal dari punca yang satu: Nabi Adam عليه السلام. Apabila kita faham konsep ini, maka akan timbul sifat perikemanusian yang tinggi dalam diri kita.

Orang Islam sepatutnya mempunyai perikemanusiaan yang tinggi. Kita sepatutnya menjadi contoh tauladan kepada agama lain kerana agama lain mungkin tidak ada diajar perkara begini. Lihatlah bangsa Israel yang tanpa rasa perikemanusian sanggup menindas dan membunuh penduduk Palestin. Mereka seperti berhati binatang.

Maka, jangan pula kita orang Islam pun begitu juga. Ini kerana ada juga orang Islam yang berfikiran begitu. Ada yang mempunyai orang gaji dan melayan orang gaji mereka seperti binatang juga – paksa buat itu dan ini, pukul dan merogol mereka – padahal mereka itu orang Islam. Sikap mereka seperti tidak ada agama pula.

 

ثُمَّ جَعَلَ مِنْهَا زَوْجَهَا

kemudian daripada jiwa yang satu itu, Kami jadikan pasangannya

Yang dimaksudkan adalah Hawa, ibu kita semua. Untuk kita, dijadikan pasangan untuk kita dari bangsa manusia juga. Itulah maksud مِنْهَا dalam ayat ini – dijadikan dari bangsa yang sama. Ini kerana ada fahaman yang kata, Hawa dijadikan dari tulang rusuk Nabi Adam  عليه السلام- ini kurang tepat. Sebenarnya wanita itu dijadikan ‘seperti’ tulang rusuk, bukannya dari tulang rusuk.

Apabila kita sedar yang kita semuanya dijadikan dari satu sumber, maka tidak ada perbezaan yang ketara antara lelaki dan perempuan. Sama sahaja hak untuk keduanya melainkan apa yang telah diperintahkan oleh Allah ﷻ dalam Al-Qur’an dan Hadis Nabi ﷺ. Selain dari itu, mereka juga mempunyai hak yang sama dengan orang lelaki.

Islamlah agama yang menitik beratkan kepentingan menjaga hak wanita kalau dibandingkan dengan agama-agama lain. Dalam agama lain menidakkan hak wanita, Islam telah membela hak mereka dari dulu lagi. Amat menyedihkan kerana sekarang ada yang mengatakan Islam telah menidakkan hak kaum wanita. Kalau agama selain Islam kata macam itu, kita faham tetapi kalau ia datang dari orang Islam sendiri, ini amat menyedihkan.

Lihatlah apa yang dikatakan oleh persatuan ‘Sisters in Islam’ yang dengan jelas telah menolak hukum-hukum yang Allah ﷻ sendiri telah tetapkan. Ini semua kerana mereka tidak belajar agama mengikut sumber yang benar. Mereka terus lihat fahaman barat yang memberi kepentingan kepada wanita sebagai terbaik, sedangkan Islam telah lama memberi kedudukan kepada wanita dari dulu lagi.

Ini kerana kedudukan itu dibahagikan oleh Allah ﷻ, dengan cara Allah ﷻ, maka tentu itu lebih baik dari fahaman yang direka dan dicipta dari orang kafir. Manakah yang lebih baik, dari Allah ﷻ atau dari manusia?

 

وَأَنْزَلَ لَكُمْ مِّنَ الْأَنْعٰمِ ثَمٰنِيَةَ أَزْوٰجٍ

Dan Dia turunkan untuk kamu daripada binatang-binatang ternak lapan jenis pasangan.

Kalimah أَنْزَلَ bermaksud ‘menurunkan’ dari segi bahasa dan ada ulama kata dalam ayat ini ia bermaksud ‘mempermudahkan’.

Allah ﷻ telah berikan binatang ternak kepada manusia iaitu lapan jenis binatang yang berpasangan (diterangkan dalam Surah al-An’am – iaitu unta jantan betina, lembu jantan betina, domba jantan betina dan kambing jantan betina) sebagai  makanan utama umum seluruh manusia. Memang ada makanan yang lain, tetapi binatang jenis ini di mana-mana seluruh dunia ada dijadikan sebagai makan.

Sepertimana manusia ada lelaki dan perempuan, begitu juga Allah ﷻ jadikan untuk binatang ternak itu, jantan dan betina. Pasangan itu kena ada, kerana dengan ada pasangan, baru boleh membiak ternakan itu. Semua kehidupan ada pasangan masing-masing. Cuma yang tidak ada pasangan hanyalah Allah ﷻ sahaja.

Perkataan أَنْزَلَ dari segi bahasa bermaksud ‘menurunkan’ – tetapi dalam ayat ini ia bermakna ‘menciptakan’. Digunakan lafaz ‘turun’ kerana ia adalah satu rahmat dari Allah ﷻ, seperti juga rahmat Allah ﷻ dalam penurunan hujan. Bukan dalam ayat ini sahaja penggunaan begini digunakan tetapi dalam ayat-ayat lain juga seperti:

A’raf:26 أَنزَلنا عَلَيكُم لِباسًا Kami telah menurunkan kepadamu pakaian

Hadid:25 وَأَنزَلنَا الحَديدَ dan Kami telah menurunkan besi

Allah ﷻ dengan sifat Rahman-Nya telah memberikan binatang-binatang ini sebagai binatang ternak supaya mudah kita mengendalikannya. Kita juga boleh mengambil manfaat dari empat pasangan binatang itu untuk mendapat daging dan susunya, jadikan sebagai kenderaan dan berbagai lagi kegunaan untuk kehidupan kita.

 

يَخْلُقُكُمْ فِي بُطُونِ أُمَّهٰتِكُمْ خَلْقًا مِّنْ بَعْدِ خَلْقٍ

Dialah yang menciptakan kamu dalam perut ibu-ibu kamu, satu ciptaan ke satu ciptaan lain.

Allah ﷻ boleh sahaja jadikan anak itu terus tanpa melalui proses 9 bulan dalam perut ibunya tetapi bukan begitu cara yang Allah ﷻ pilih. Allah ﷻ jadikan anak itu melalui banyak proses satu persatu daripada air mani, kemudian menjadi darah. Selepas itu, dari darah menjadi daging, dari daging menjadi tulang dan seterusnya menjadi bentuk yang lain. Kemudian baru ditiupkan roh.

Tidak dibuat sekaligus macam malaikat dan bidadari. Kita dijadikan melalui dua ibubapa, disimpan dalam rahim ibu selama 9 bulan. Salah satu hikmahnya supaya seorang ibu dapat melalui proses itu sedikit demi sedikit. Tidaklah terus sahaja anak besar dalam perut tetapi sedikit demi sedikit, dari halus tidak nampak sampailah boleh pegang bentuk bayi itu dari luar.

Dalam ayat lain, disebut bagaimana kejadian berperingkat itu. Kejadian manusia pada mulanya berbentuk nutfah, kemudian beralih bentuk menjadi ‘alaqah, lalu menjadi segumpal daging, kemudian membentuk rupa daging, tulang, dan otot-otot serta urat-urat, lalu ditiupkan roh ke dalam tubuhnya sehingga jadilah dia makhluk yang berbentuk lain.

Ini adalah salah satu mukjizat Al-Qur’an yang menjadi dalil benarnya Al-Qur’an ini dari Allah ﷻ. Ini kerana tidak mungkin seorang lelaki  yang tinggal di Tanah Arab lebih seribu tahun dahulu tahu tentang proses kejadian manusia itu, kalau tidak disampaikan oleh Allah ﷻ.

 

فِي ظُلُمٰتٍ ثَلٰثٍ

dalam tiga kegelapan:

Apakah yang dimaksudkan ‘dalam tiga kegelapan’? Bayi duduk dalam tembuni, tembuni duduk dalam rahim dan rahim pula duduk dalam perut. Tiga-tiga tempat simpan itu adalah gelap.

Allah ﷻ jadikan penciptaan manusia yang hebat dan mulia ini tersimpan dalam tempat yang tersembunyi. Tidaklah macam pembuatan kereta di kilang yang semua orang boleh tengok dan pegang. Ini kerana manusia mulia, maka kejadiannya juga mulia.

Kita sekarang memang tahu perkara ini kerana ilmu sains sudah maju dan kita tahu apa yang terjadi dalam perut ibu mengandung itu. Namun, bayangkan apabila ia pertama kali diberitahu kepada Arab Mekah itu. Ini adalah satu berita baru bagi mereka.

 

ذَٰلِكُمُ اللهُ رَبُّكُمْ لَهُ الْمُلْكُ

Yang berkuasa mencipta segala sesuatu, itulah Allah, Pencipta, pemelihara kamu semua, milikNya segala kerajaan.

Allah ﷻ sahaja yang ada sifat-sifat yang telah disebutkan itu. Oleh itu tidak ada yang patut dipuja, melainkan hanya Allah ﷻ sahaja. Allah ﷻ lah yang mencipta dan memelihara kita. Selepas Dia cipta kita, Dialah yang akan memberikan segala keperluan untuk kita hidup seperti juga kalau kita tangkap burung dan masukkan dalam sangkar, maka kitalah yang kena beri makan kepada burung itu.

 

لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ

Tiada ilah melainkan Dia

Tidak ada apa-apa entiti yang ada sifat tuhan yang boleh disembah sama ada Nabi, wali, malaikat, benda seperti cincin, keris keramat dan sebagainya. Oleh itu, perlukah kena sembah mereka, puja mereka dan buat ibadat kepada mereka? Adakah mereka boleh mencipta apa-apa? Tentu tidak  kerana hendak mencipta nyamuk seekor pun tidak boleh.

 

فَأَنَّىٰ تُصْرَفُونَ

Maka macam mana lagi kamu boleh terpaling?

Dengan begitu banyak dalil yang diberikan, macam mana lagi manusia tidak mahu puja Allah ﷻ betul-betul? Macam mana lagi boleh terpaling dari akidah yang benar? Macam mana mereka boleh minta tolong kepada selain dari Allah ﷻ? Kenapa ramai yang buat ibadat kepada selain Allah ﷻ? Padahal hanya Allah ﷻ sahaja yang ada sifat Tuhan. Kalau kita menggunakan akal kita yang sihat, tentunya kita akan sampai kepada satu pegangan – hanya Allah ﷻ yang patut disembah.

Tetapi amat malang sekali kerana kadang-kadang ada antara kita yang mengaku Muslim ini, lebih kurang sahaja akidah dengan agama-agama lain. Lebih-lebih lagi dalam hal berdoa – masih lagi meminta kepada selain dari Allah ﷻ. Kita tahu Allah ﷻ itu Tuhan, tetapi kita minta pertolongan kepada selain dari Allah ﷻ. Kita pakai perantaraan (wasilah) makhluk untuk berdoa kepada Allah ﷻ kerana salah faham kita tentang Allah ﷻ.

Maka setelah faham perkara ini, janganlah kita minta tolong kepada selain dari Allah ﷻ, walaupun kepada Nabi Muhammad ﷺ sekalipun. Dia hanyalah manusia seperti kita juga. Beza baginda dengan kita, Allah ﷻ beri wahyu kepada dia. Nabi ﷺ adalah perantaraan antara kita dan Al-Quran – melaluinya kita telah mendapat Al-Quran. Dan tugas baginda menyampaikan Al-Quran itu telah selesai.

Tidaklah sekarang Nabi Muhammad ﷺ menjadi perantaraan antara kita dan Allah ﷻ untuk menyampaikan hajat kita kepada Allah ﷻ pula – tugas baginda sudah selesai buat masa ini. Oleh itu, apa sahaja hajat keperluan kita, terus doa kepada Allah ﷻ sahaja.


 

Ayat 7: Takhwif Ukhrawi. Ramai manusia yang walaupun telah diberikan dengan berbagai dalil dan hujah, mereka masih menolak juga ajaran tauhid. Ayat 7 – 20 ini mengandungi ciri-ciri orang bersyukur, orang kufur, ikhlas, yang mendapat hidayah, berakal, berserah diri dan bertaqwa.

إِن تَكفُروا فَإِنَّ اللهَ غَنِيٌّ عَنكُم ۖ وَلا يَرضىٰ لِعِبادِهِ الكُفرَ ۖ وَإِن تَشكُروا يَرضَهُ لَكُم ۗ وَلا تَزِرُ وازِرَةٌ وِزرَ أُخرىٰ ۗ ثُمَّ إِلىٰ رَبِّكُم مَّرجِعُكُم فَيُنَبِّئُكُم بِما كُنتُم تَعمَلونَ ۚ إِنَّهُ عَليمٌ بِذاتِ الصُّدورِ

Kalaulah kamu kufur ingkar, maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah tidak berhajatkan (iman dan kesyukuran) kamu (untuk kesempurnaanNya); dan Dia tidak redhakan hamba-hambaNya berkeadaan kufur; dan jika kamu bersyukur, Dia meredhainya. Dan (ingatlah) seseorang yang memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja). Kemudian kepada Tuhan kamulah tempat kembalinya kamu, maka Dia akan memberitahu kepada kamu tentang apa yang kamu telah kerjakan. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada.

 

إِنْ تَكْفُرُوا فَإِنَّ اللهَ غَنِيٌّ عَنْكُمْ

Sekiranya kamu masih lagi kufur, sesungguhnya Allah itu Maha Kaya, serba cukup, tidak perlu kekufuran kamu

Kalau manusia kufur, tidaklah merugikan Allah ﷻ sedikit pun. Ibadat kita pun Allah ﷻ tidak perlukan. Kalau satu alam ini tidak menyembahNya, tidaklah berkurang kedudukan Allah ﷻ. Allah ﷻ masih lagi bersifat seperti sifat kemuliaanNya.

Maka, dalam ayat ini, Allah ﷻ telah cabar manusia, buatlah apa pun, Allah ﷻ tidak terjejas dengan kekufuran kita. Allah ﷻ tidak memerlukan kita, tidak memerlukan ibadat kita. Kita sahaja yang memerlukan Dia. Lebih-lebih lagi, Allah ﷻ tidak perlukan ibadat syirik manusia. Maknanya, Allah ﷻ tidak terima pun ibadat syirik manusia dan jin.

Di dalam kitab Sahih Muslim disebutkan melalui salah satu hadisnya yang mengatakan:

“يَا عِبَادِي، لَوْ أَنَّ أَوَّلَكُمْ وَآخِرَكُمْ وَإِنْسَكُمْ وَجِنَّكُمْ، كَانُوا عَلَى أَفْجَرِ قَلْبِ رَجُلٍ مِنْكُمْ، مَا نَقَصَ ذَلِكَ مِنْ مُلْكِي شَيْئًا”

Hai hamba-hamba-Ku, seandainya orang-orang yang pertama dan orang-orang yang terakhir dari kalian, dari jenis manusia dan jin, mereka semuanya durhaka sebagaimana seseorang yang paling durhaka di antara kalian, tidaklah hal tersebut mengurangi kerajaan­Ku barang sedikit pun.

 

وَلَا يَرْضَىٰ لِعِبَادِهِ الْكُفْرَ

akan tetapi Allah tidak redha hamba-hambaNya yang kufur,

Walaupun Allah ﷻ tidak memerlukan kita dan ibadat kita, tetapi kalau kita kufur engkar, Dia tidak redha. Jangan pula kita kata, kalau Allah ﷻ tidak perlu kepada ibadat kita, Dia tidak kisah sama ada kita buat ibadat atau tidak – ini fahaman yang sesat.

Memang ramai yang kufur, dan Allah ﷻ tidak redha dengan kekufuran mereka itu. Jangan ada salah faham antara ‘kehendak’ dan ‘redha’ Allah ﷻ. Kalau Allah ﷻ benarkan orang kufur, tidaklah bermaksud Allah ﷻ redha.

Tidak akan terjadi apa-apa tanpa qadr Allah ﷻ. Orang jadi kufur pun kerana Allah ﷻ izinkan. Tetapi Allah ﷻ tidak redha. Ini penting untuk difahami kerana ramai yang salah faham tentang perkara ini. Mereka sangka, kalau Allah ﷻ tidak suka, tentulah Allah ﷻ tidak benarkan ia terjadi.

Mereka yang buat kufur, akan tetap tinggal dalam neraka. Allah ﷻ tidak memerlukan ibadat dan iman kita, tetapi Allah ﷻ tidak suka kalau kita tidak beriman. Inilah maksudnya Allah ﷻ tidak redha dengan kekufuran manusia. Allah ﷻ akan balas kekufuran itu.

Oleh kerana itu, Allah ﷻ telah menurunkan kitab, mengutus Rasul-rasul dan Nabi-nabi عليهم السلام dan memberikan pendakwah-pendakwah kepada kita supaya kita menjadi orang yang beriman dan keluar dari kekufuran. Mereka  telah menyampaikan ancaman Allah ﷻ yang akan diberikan kepada mereka yang engkar.

Allah ﷻ beri peringatan kepada manusia dan jin kerana Allah ﷻ tidak suka menyeksa hamba-hambaNya dan Dia tidak suka mereka masuk ke dalam neraka. Allah ﷻ hendak melihat kita selamat, jadi Dia telah berikan amaran siap-siap. Allah ﷻ telah beri nasihat siap-siap. Maka yang derhaka itu adalah kerana degil sahaja.

 

وَإِنْ تَشْكُرُوا يَرْضَهُ لَكُمْ

Sekiranya kamu bersyukur kepada Allah, Allah redha kepada kamu,

Kalau kita bersyukur, Allah ﷻ akan tambah nikmat yang telah diberikan kepada kita kerana Dia redha dan suka dengan kita. Tetapi kena faham balik apakah maksud ‘syukur’ itu.

Maksud ‘bersyukur’ itu bukan sahaja bermaksud mengucapkan ‘alhamdulillah’ sahaja. Tetapi perlulah disertai dengan taat kepada Allah ﷻ. Kerana kalau setakat sebut di mulut sahaja dan tidak diteruskan dengan perbuatan, tidak bermakna. Munafik pun boleh sebut alhamdulillah berkali-kali.

Jadi, kalau tidak taat kepada Allah ﷻ, tidak memberi kesan kepada Allah ﷻ kerana Dia tidak memerlukan ibadat kita. Sebaliknya, kepada sesiapa yang taat kepada arahan Allah ﷻ, beramal seperti yang dikehendakiNya, Allah ﷻ akan redha kepada orang itu.

Apabila Allah ﷻ redha, itu bermaksud Dia akan balas dengan kebaikan: setiap ibadat Dia akan balas dengan pahala, dengan keampunan dan balasan syurga dan macam-macam lagi. Malahan Allah ﷻ akan balas berganda-ganda lebih baik dari amal ibadat itu.

Orang yang bersyukur dengan Allah ﷻ itu bermaksud dia menghargai segala nikmat-nikmat yang Allah ﷻ telah berikan kepada dirinya. Sedangkan kalau kita terima kebaikan dari manusia lain pun kita tahu berterima kasih kepada mereka, ikut cakap dia, buat perkara yang orang itu suka; apatah lagi dengan Allah ﷻ yang telah memberi segala-galanya kepada kita.

Maka kenalah kita ikut dan taat kepada Allah ﷻ kerana Allah ﷻ telah beri segala-galanya kepada kita. Tanda bersyukur dengan Allah ﷻ itu adalah dengan taat kepada perintahNya dan meninggalkan laranganNya. Yang paling penting adalah terima akidah tauhid seperti yang diajarNya dan disampaikan oleh NabiNya.

Maka Surah Zumar ini adalah berkenaan tauhid dan kerana itu kita tidak boleh lari dari tajuk itu. Maka surah ini adalah antara surah utama yang kena dipelajari oleh manusia.

 

وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَىٰ

dan seseorang yang menanggung dosa sendiri, tidak boleh pikul dosa orang lain,

Apabila ada orang yang ikut ajaran Nabi Muhammad ﷺ di Mekah, ada Musyrikin Mekah yang beritahu kepada orang yang beramal tauhid itu, janganlah takut kalau tidak ikut Nabi Muhammad ﷺ itu. Dia kata kalau orang yang kedua itu buat amal syirik dan ada dosa, dia (orang pertama) akan tanggung dosa orang kedua itu.

Zaman sekarang pun ada yang cakap begitu, sama seperti kata orang jahiliah itu. Ada ajaran sesat yang guru kata mereka akan tanggung dosa anak murid. Ini tidak mungkin seperti yang disebut dalam ayat ini.

Semua kita menanggung dosa kita sendiri, takkan kita boleh nak tanggung dosa orang lain pula? Ini adalah sebagai respons kepada orang musyrik yang konon dia kata dia akan tanggung dosa orang lain. Ini tidak mungkin kerana semua manusia sama-sama akan tanggung dosa masing-masing. Sudahlah nak tanggung dosa sendiri pun tidak sanggup, bagaimana pula nak tanggung dosa orang lain?

Walaupun begitu, mereka yang ajak atau mengajar kepada perkara yang salah, memang akan tanggung juga dosa orang lain. Kerana orang itu buat dosa kerana dia. Maknanya, yang mengajak dan mengajar itu pun akan dapat saham juga, tetapi tidaklah sampai habis licin dosa pelaku itu. Orang yang melakukannya tetap berdosa juga. Maka kenalah berhati-hati dalam kita mengajar agama ini, supaya jangan ajar perkara yang boleh bawa dosa pula.

Maka, tidaklah benar seperti yang dikatakan oleh paderi-paderi Kristian yang kata mereka akan pikul dosa orang lain, atau kata Nabi Isa عليه السلام akan pikul dosa mereka. Manusia tidak boleh pikul dosa sesiapa pun, sama ada emak atau ayah kita pun.

Begitu juga, kalau dosa pun tidak boleh dipikul, diberikan kepada orang lain, pahala pun tidak boleh diberikan kepada orang lain. Maka amalan sedekah pahala kepada simati pun tidak ada dalam Islam. Ini memang ajaran yang bidaah.

Ayat ini mengajar kita untuk bertanggungjawab atas perbuatan kita sendiri. Maka, kalau ada ajaran yang mengatakan tok guru boleh tanggung dosa anak murid, itu adalah ajaran sesat namanya. Ini penting kita faham kerana ada ajaran-ajaran seperti ajaran tarekat yang mengatakan guru boleh memikul dosa anak murid mereka.

Keturunan juga tidak boleh menyelamatkan kita. Walaupun kita keturunan Nabi Muhammad ﷺ sendiri pun. Nabi Muhammad ﷺ sendiri pun pernah mengingatkan seluruh keluarganya dari Bani Hasyim, Bani Abdul Muttalib dan lain-lain, agar jangan mereka mengharap kepada kedudukan pertalian persaudaraan dengan baginda. Malah kepada anaknya Fatimah dan isteri-isterinya pun diingatkan begitu.

Oleh itu, tidak ada sesiapa yang akan tanggung dosa kita. Ada pengecualian dalam hal ini seperti yang kita telah sebut di atas. Ada dosa orang lain yang kita akan kena pikul juga kalau kita buat salah. Iaitu dosa orang lain yang kita ajar dia perkara yang salah.

Contohnya ada orang yang mengajar anak-anak mereka main sabung ayam dan apabila anak dia berlaga ayam pula, dia juga akan dapat dosa anaknya itu. Lepas itu kalau anak dia ajar pula kepada orang lain, dia pun akan dapat dosa orang lain itu juga. Sampai seterusnya, bertimpa-timpa dosa dia akan dapat. Anak itu berdosa, ayahnya yang mengajarnya juga akan berdosa juga.

Dan sebaliknya, kalau seseorang mengajar kebaikan kepada orang lain, dia pun akan dapat pahala juga dari amalan anak murid yang dia ajar itu. Maka, kalau seorang guru itu mengajar ibadat yang benar, guru itu akan dapat pahala orang yang membuat ibadat itu juga. Maknanya, Nabi kita dapat pahala daripada segala apa ibadat yang kita buat sekarang ini.

Jadi, buat apa lagi nak kirim bacaan al-Fatihah kepada baginda? Nabi ﷺ sudah dapat pahala berkali-kali ganda setiap kali kita buat amal ibadat kerana bagindalah yang mula-mula ajar ibadat itu. Maknanya sesiapa yang kononnya nak ‘hantar pahala’ kepada Nabi ﷺ sebenarnya adalah kerana  ingin membodek dan mendapatkan berkat dari baginda sahaja. Itu adalah perbuatan yang salah.

Begitu juga, kalau seorang guru itu mengajar amalan yang salah, maka dia akan mendapat dosa dari perbuatan anak muridnya yang mengamalkan dosa yang salah itu juga. Sama banyak dengan dosa yang diperolehi oleh anak muridnya itu.

Maka, apabila kita mengajar manusia lain melakukan ibadah yang benar, itulah yang terbaik. Itulah yang dipanggil ‘ilmu berguna yang kita tinggalkan’. Jadi sampaikan kepada orang lain apa yang kita sedang belajar. Jangan simpan sendiri sahaja. Dengan orang lain belajar, kita akan melipat gandakan pahala kita.

Ini juga menolak pemahaman manusia yang kata, seorang ayah akan menanggung dosa anak dia kalau anak dia tidak pakai tudung tutup aurat atau anak dia tidak solat. Atau ada yang kata, seorang suami akan tanggung dosa isteri kalau isteri tidak tutup aurat atau tidak solat. Kalau tiada dalil yang sahih, pemahaman kita dari ayat ini adalah: masing-masing akan tanggung dosa sendiri.

Lainlah kalau ayah itu yang suruh anak dia buat dosa, atau seorang suami larang isteri pakai tudung tutup aurat, barulah dia akan tanggung dosa anak isteri itu. Tetapi kalau dia sudah ajar dan suruh mereka buat apa yang sepatutnya dilakukan, dia tidak tanggung dosa mereka.

 

ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّكُمْ مَّرْجِعُكُمْ

Kemudian kepada Tuhan kamulah kamu semua akan dikembalikan.

Sama ada kamu buat ibadat atau buat syirik, suka atau tidak, beriman atau tidak, semua sekali akan dikumpulkan di hadapan Allah ﷻ.

Sentiasa Allah ﷻ mengingatkan kita tentang mati dalam Al-Qur’an ini. Kerana ini adalah perkara yang amat penting. Ingatlah bahawa kita hanya tinggal sebentar sahaja di dunia ini. Setelah ajal kita habis, kita semua akan mati. Kehidupan di dunia ini amatlah sedikit dan pendek kalau dibandingkan dengan kehidupan yang kekal abadi di akhirat kelak.

Malangnya, manusia ramai yang leka dengan kehidupan dunia ini sampai mereka lupa bahawa mereka akan mati dan akhirnya akan bertemu mengadap Allah ﷻ juga. Oleh kerana itu, Allah ﷻ sentiasa mengingatkan manusia tentang mati dalam ayat-ayatNya.

Allah ﷻ akan membicarakan banyak perkara dalam Al-Qur’an ini, dan akan diselit tentang kematian kepada pembacanya. Baca beberapa ayat, akan jumpa tentang Kiamat, kemudian baca lagi ayat lain, akan jumpa lagi tentang Kiamat dan kematian – silih berganti berulang-ulang akan disentuh.

 

فَيُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ

Maka Dia akan memberitahu kepada kamu semua tentang apa yang kamu semua telah kerjakan.

Tujuan diceritakan balik itu sebab hendak balas balik perbuatan dia semasa di dunia dahulu. Bukan hendak cerita kosong sahaja. Ini seperti polis baca tuduhan kepada pesalah-pesalah yang dibawa ke hadapan mahkamah, bukan polis itu nak baca novel tetapi sebab nak buat pertuduhan kepada orang yang dituduh itu.

Maka Allah ﷻ akan ceritakan balik satu persatu apa yang dilakukan oleh setiap manusia. Semua perbuatan kita semasa di dunia kita akan dibalas. Amal soleh akan dibalas berkali-kali ganda dengan kebaikan. Dosa pula, untuk satu kesalahan, akan dibalas satu juga, atau kurang dari itu, atau diampunkan terus.

Oleh itu, ingatlah bahawa amalan perbuatan baik kita semasa di dunia ini tidaklah sia-sia. Semuanya akan dibalas dengan selayaknya. Dan perbuatan dosa tidak akan pergi begitu sahaja, tetapi akan ditunjukkan balik kepada kita di akhirat kelak dan akan dibalas.

Allah ﷻ juga akan memberitahu nilai amalan kita itu. Ada amalan baik yang kita lakukan, tetapi sebenarnya tidak ikhlas. Amalan yang seperti itu akan dibuang dan dilemparkan kepada pembuatnya.

Allah ﷻ akan cerita balik kenapa kita buat amal itu, mungkin sebab kita nak menunjuk kepada orang, sebab malu kepada orang, atau kerana nak pulangan duit dan sebagainya. Allah ﷻ sudah beritahu yang Dia tahu isi hati kita dan Dia akan ceritakan balik.

 

إِنَّهُ عَلِيمٌ بِذَاتِ الصُّدُورِ

Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui apa yang ada dalam lipatan hati manusia.

Maka Tuhan akan balas mengikut keikhlasan hati manusia. Kalau amalan itu dilakukan dengan ikhlas hati kepada Allah ﷻ, maka Allah ﷻ akan balas dengan kebaikan. Kalau dalam hati pun Allah ﷻ tahu, apatah lagi perbuatan fizikal yang kita telah lakukan.

Tapi ingatlah, walaupun niat pelaku amal ibadat itu ikhlas, tapi kalau amalan itu bukan yang ikut sunnah, pun tidak diterima walau bagaimana ikhlas pun perbuatannya itu. Ini menolak pendapat golongan ahli bidaah yang mengatakan ‘kalau kita ikhlas, Allah ﷻ akan terima amal ibadat kita itu’. Ini adalah pandangan yang salah. Jangan kita tertipu dengan kata-kata sebegini. Ini adalah kata-kata orang yang jahil.

Sia-sia sahaja amalan yang bukan datang dari ajaran Allah ﷻ dan Nabi ﷺ. Banyak ayat-ayat Al-Quran akan memperkatakan perkara ini nanti dan banyak hadis-hadis Nabi ﷺ yang memberitahu kita perkara yang sama.

Orang yang kata hanya ikhlas sahaja yang perlu, itu menunjukkan mereka tak belajar tafsir Al-Qur’an dan hadis-hadis Nabi ﷺ. Tetapi mereka sebenarnya ikut akal fikiran mereka sahaja.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat-ayat yang seterusnya

Kemaskini: 13 Julai 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah Zumar Ayat 3 – 4 (Tentang Tawasul)

Ayat 3: Ayat Zajrun. Ayat ini juga dinamakan ayat mufassal: memberi penerangan intisari surah ini. Penerangan ini adalah sampai akhir surah. Ayat ini dan seterusnya adalah untuk menjelaskan maksud ayat 2 tadi. Oleh itu, perlu diingat supaya jangan lari daripada intisari surah ini yang diterangkan tadi iaitu mentauhidkan Allah ﷻ dalam ibadah dan doa.

Ayat ini adalah Zajrun kepada mereka yang jahil. Mereka berhujah bahawa yang mereka seru selain Allah ﷻ itu adalah kerana atas tujuan baik – untuk mendekatkan diri kepada Allah ﷻ, bukannya mereka hendak membuat syirik kepada Allah ﷻ. Ini adalah salah faham tentang agama, dan Allah ﷻ menjelaskan perkara ini.

Ayat ini adalah penukilan semula kata-kata Musyrikin Mekah, tetapi ia tidak lari dari kata-kata masyarakat kita:

أَلا لِلَّهِ الدّينُ الخالِصُ ۚ وَالَّذينَ اتَّخَذوا مِن دونِهِ أَولِياءَ ما نَعبُدُهُم إِلّا لِيُقَرِّبونا إِلَى اللهِ زُلفىٰ إِنَّ اللهَ يَحكُمُ بَينَهُم في ما هُم فيهِ يَختَلِفونَ ۗ إِنَّ اللَّهَ لا يَهدي مَن هُوَ كٰذِبٌ كَفّارٌ

Ingatlah semua! Milik Allah mutlak agama yang tulus. Dan orang-orang yang mengambil selain dari Allah pelindung dan penolong (wali-wali): “Kami tidak menyembah (atau memujanya) melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya”, – sesungguhnya Allah akan menghukum di antara mereka tentang apa yang mereka berselisihan padanya. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang tetap berdusta lagi sentiasa kufur (dengan melakukan syirik).

 

أَلَا

Ingatlah!

Ambillah perhatian! Ini adalah satu panggilan kepada kita tentang pentingnya apa yang hendak disebutkan. Dalam ayat ini, Allah ﷻ hendak suruh kita ambil perhatian tentang apa yang Dia hendak sebut lepas ini.

Terutama mereka yang ahli ibadat, yang banyak buat amal ibadat dalam doa dan amalan, sesiapa sahaja yang hendak menghampirkan diri kepada Allah ﷻ. Tak kiralah orang biasa, ahli sufi atau ahli ilmu. Dengar baik-baik apa yang Allah ﷻ firmankan kepada kita.

 

أَلا لِلَّهِ الدّينُ الخالِصُ

Milik Allahlah agama yang tulus ikhlas – yang tulen.

Kepunyaan Allah ﷻ lah agama yang tulen. Agama yang tulen itu maksudnya agama yang Allah ﷻ ajar kita, bukan ditambah dengan amalan-amalan dan fahaman-fahaman yang lain. Juga bermaksud bersih dari syirik.

Kepada Allah ﷻ sahaja tempat tujuan ibadah dan tempat doa. Jangan buat ibadat kepada ilah-ilah yang lain, jangan doa kepada ilah yang lain.

Agama yang tidak tulen yang diamalkan kebanyakan manusia itu, bukan kepunyaan Allah ﷻ , ada ditambah sana dan sini, Allah ﷻ tidak mahu dan tidak suka. Ia seperti yang telah kita sebut dalam ayat di atas, ‘ikhlas’ itu bukanlah bermaksud ikhlas dalam bentuk ikhlas dalam hati sahaja seperti yang kita selalu faham, tetapi ikhlas dalam bentuk tidak dicampur amalan itu dengan amalan selain dari syariat.

Tidak layak kita beribadat mengikut cara selain daripada yang Allah ﷻ syariatkan, selain dari yang diajar oleh Nabi Muhammad ﷺ. Fahaman berkenaan agama hanya daripada Allah ﷻ sahaja, disampaikan oleh Nabi Muhammad ﷺ. Kita kena rujuk Al-Qur’an dan Sunnah sahaja.

Bukannya hanya merujuk ulama-ulama, ustaz-ustaz atau tok-tok guru yang tidak bersumberkan dalil sahih daripada Al-Qur’an dan Sunnah. Ibadat tidak boleh campur aduk dengan mana-mana selain daripada apa yang diajar oleh Allah ﷻ melalui Nabi ﷺ kerana agama Islam ini adalah milik mutlak Allah ﷻ.

 

وَالَّذِينَ اتَّخَذُوا مِنْ دُونِهِ أَوْلِيَاءَ

Dan orang-orang yang mengambil selain dari Allah, wali-wali (pelindung-pelindung penjamin-penjamin)

Allah ﷻ sekarang hendak memberitahu apakah alasan bagi mereka yang mengambil selain Allah ﷻ sebagai wali. Apabila digunakan kalimah مِنْ دُونِهِ (selain dari-Nya), ia boleh menjadi makna umum. Apa-apa sahaja boleh jadi seperti berhala, Nabi, wali, malaikat, jin, keris, cincin, busut, kubur dan macam-macam lagi.

Jangan sangka ayat ini tidak berkenaan dengan orang kita. Ramai yang langgar ayat ini kerana mereka jahil wahyu. Jadi ayat ini amat perlu difahami oleh orang Islam kita. Jangan sangka ayat ini tentang Musyrikin Mekah dan agama kafir sahaja.

Apakah pula maksud أَوْلِيَاءَ? Pelindung. Musyrikin Mekah beriktikad, aulia’ itu akan membantu mereka kalau ada perkara yang mereka hendak elakkan. Mereka juga rasa aulia’ itu dapat merapatkan diri mereka dengan Allah ﷻ. Hingga hati mereka rasa lega. Perasaan ini kalau dinisbahkan kepada selain Allah ﷻ, boleh membawa kepada kufur. Ini kerana menafikan Allah ﷻ sebagai pelindung. Terutama dalam perkara ‘luar asbab’.

Mereka yang buat begitu sebenarnya telah ada fahaman syirik. Lainlah kalau dia gunakan perkara-perkara ‘dalam asbab’ seperti dia ada bodyguard, CCTV, dan sebagainya, ini tidaklah sampai kepada syirik (tetapi ia tetap melemahkan hubungan dengan Allah ﷻ). Oleh kerana itu Nabi ﷺ mengajar kita untuk berdoa dan minta perlindungan kepada Allah ﷻ walaupun dalam perkara keduniaan.

Kalau kita tengok lafaz zikir itu, ia memang hendak meletakkan pergantungan kita kepada Allah ﷻ (walaupun kita telah lakukan perkara normal seperti tutup pintu, kunci pagar dan sebagainya). Ini kerana pelindung sebenar adalah Allah ﷻ.

Ajaran yang salah mengajar bahawa ada yang boleh menjadi penjamin untuk kita yang mereka jadikan sebagai wali. Untuk menjelaskan apakah yang dimaksudkan dengan ‘mengambil wali’ sebagai pelindung dan penjamin, bayangkan seorang anak ketua balai polis. Ketua balai polis itu boleh memberi naungan kepada anaknya.

Sebelum disaman, dia sudah dilindungi, sampaikan tidak ada yang berani saman dia. Ini sebagai perumpamaan sahaja. Belum tentu terjadi lagi. Jadi dalam agama, ada yang menyangka, ada makhluk yang Allah ﷻ berikan kuasa untuk memberi jaminan kepada mereka di akhirat nanti. Itu adalah tidak benar tetapi ramai yang beranggapan begitu.

Kemungkinan juga mereka merasa bahawa ada makhluk yang boleh memberi pertolongan kepada mereka – dalam Islam dipanggil ‘syafaat’. Mereka mengharapkan supaya makhluk-makhluk atau entiti-entiti itu boleh memberi pertolongan kepada mereka di akhirat semasa mereka disoal oleh Allah ﷻ. Apabila mereka rasa yang mereka akan diselamatkan oleh syafaat para Nabi dan wali, maka mereka rasa senang diri sahaja, rasa selamat sahaja, boleh buat apa sahaja.

Mereka yang mengamalkan ajaran yang salah itu akan mengambil Nabi, wali dan malaikat sebagai pelindung dengan memuja mereka. Dalam dunia masyarakat Melayu, kita panggil mereka yang dipuja ini sebagai tok wali, dewa-dewa, malaikat-malaikat dan nabi-nabi yang kita minta pertolongan kepada mereka bersama dengan Allah ﷻ.

Dewa-dewa yang dipuja itu sebenarnya adalah malaikat seperti yang disebut dalam Al-Qur’an iaitu malaikat yang disalah ertikan sebagai ‘dewa’. Kita sangka mereka yang membawakan doa dan permintaan kita kepada Allah ﷻ.

Bagi agama Buddha pula, aulianya ialah Buddha. Kristian pula kata Nabi Isa عليه السلام itulah wakil yang menghubungkan manusia dengan tuhan. Masyarakat kita pula, ketiga-tiganya kita puja. Ada yang puja malaikat, ada yang puja wali dan ramai pula yang puja Nabi. Pujaan yang dimaksudkan adalah dengan memanggil mereka, seperti kita kata: “Ya Rasulullah”, “Ya Hanana”, “Wahai Sheikh Abdul Qadir Jailani”, “Wahai Wali Songo”, “Wahai Jibril” dan sebagainya. Itu sebenarnya adalah pemujaan kerana Nabi dan wali sudah tiada dan malaikat tidak ditugaskan untuk mendengar seruan manusia.

Allah ﷻ lah yang sebenarnya wali kita, sepertimana yang telah disebut dalam Al-Qur’an. Namun, ramai yang ambil selain dari Allah ﷻ, roh-roh yang sudah mati sebagai wali mereka, dan merasakan bahawa wali-wali itu boleh bantu mereka, dan menjadikan mereka sebagai pendamping setia. Bukan kerana hendak berkawan biasa sahaja, tetapi hendak minta pertolongan khas.

Allah ﷻ mengguna perkataan ‘aulia’ walaupun boleh guna perkataan ‘kawan’. Allah ﷻ  gunakan perkataan itu sebab ‘aulia’ dari segi bahasa Arab, adalah orang yang paling hampir, orang yang paling dekat sekali dengan kita. Macam juga wali bagi perempuan yang hendak bernikah, mestilah seseorang yang rapat dengan perempuan itu.

Asal ayat ini adalah Allah ﷻ hendak mengeji golongan kufar Mekah. Namun, bersesuaian dengan sifat Al-Qur’an yang umum, maka ia sebenarnya adalah untuk kita juga dan masyarakat setiap zaman. Jangan kita sangka hanya dikenakan kepada orang-orang dahulu sahaja. Ayat ini sebenarnya hendak menceritakan kejadian yang berlaku di setiap zaman.

Banyak terjemahan ayat ini menggunakan perkataan ‘aulia’ itu sebagai ‘berhala’. Ini kurang tepat kerana kalau diterhadkan kepada ‘berhala’ sahaja, maka ramai dari kalangan masyarakat kita rasa selamat, kerana mereka tidak sembah patung, berhala, pokok dan sebagainya. Jadi, terjemahan yang sesuai adalah ‘Nabi, wali dan malaikat’. Ini kerana golongan itulah yang selalu dijadikan sebagai aulia kepada manusia yang jahil.

 

مَا نَعْبُدُهُمْ إِلَّا لِيُقَرِّبُونَا إِلَى اللهِ زُلْفَىٰ

Golongan itu berkata (dalam hati): tidaklah kami menyeru kepada mereka, melainkan supaya mereka-mereka itu dapat mendekatkan kami kepada Allah. Zulfa: dengan sehampir-hampirnya.

Ayat ini kita kena taqdirkan: iaitu ini adalah kata-kata alasan mereka semasa mereka melakukan pemujaan kepada selain Allah ﷻ itu. Mereka kata tidaklah mereka yang menyembah itu memuja sembahan-sembahan mereka, melainkan mereka hendak mendekatkan diri kepada Allah ﷻ.

Begitu juga orang Islam, mereka tidak memuja Nabi Muhammad ﷺ, Nabi-Nabi, wali-wali, ataupun malaikat-malaikat melainkan hendak mendekatkan diri kepada Allah ﷻ. Niat mereka memang baik, tapi salah. Perkataan زُلْفَىٰ itu bermaksud sehampir-hampirnya. Mereka sangka dengan perbuatan mereka itu, mereka dapat mendekatkan diri kepada Allah ﷻ.

Ini bermakna taqarrub iaitu perbuatan untuk mendekatkan diri kepada Allah ﷻ. Allah ﷻ memberitahu tentang syubhah atau kekeliruan masyarakat yang beranggapan walaupun mereka melakukan perkara-perkara tidak elok itu, mereka sebenarnya bukan berniat kerana hendak mensyirikkan Allah ﷻ, tetapi sebenarnya berniat baik iaitu hendak mendekatkan diri kepada Allah ﷻ .

Semasa zaman Nabi ﷺ, mereka syirikkan Allah ﷻ dengan memuja malaikat. Mereka mendakwa malaikat-malaikat itu adalah ‘anak-anak perempuan’ Allah ﷻ. Mereka sangka mereka boleh bodek Ayah melalui anak perempuannya. Mereka buat semua itu kononnya untuk lebih memakbulkan lagi doa mereka. Mereka bukan puja sebab hendak puja sangat, tetapi untuk menghampirkan diri kepada Allah ﷻ. Jadi, alasan mereka: “kami sebenarnya berniat baik, untuk mendekatkan diri kepada Allah ﷻ sahaja… takkan salah?”

Kita kena sedar yang Musyrikin Mekah itu pun ada buat ibadat juga. Mereka juga ada berdoa kepada Allah ﷻ, mereka juga tawaf, buat haji dan umrah dan sebagainya. Mereka bukan macam orang Buddha dan Hindu yang tidak kenal Allah ﷻ. Ini adalah kerana mereka dapat ajaran dari turun temurun datuk nenek mereka yang pernah belajar dengan Nabi Ibrahim عليه السلام.

Cuma setelah sekian lama, mereka tambah dengan kalimah-kalimah syirik. Ini kerana itu apabila Nabi Muhammad ﷺ dinaikkan menjadi Rasul, baginda ﷺ telah membersihkan mana amalan dan kalimah yang salah dan membenarkan manakah amalan yang benar.

Musyrikin Mekah itu mendakwa mereka berpegang dengan wali-wali. Contohnya berhala yang bernama Latta, Uzza dan Manaf. Ini semua adalah orang-orang alim zaman lampau. Ada juga yang mengatakan mereka itu nama-nama malaikat yang mereka kata anak perempuan Allah ﷻ.

Penerangan lebih lanjut lagi soal wali-wali ini adalah dalam surah Nuh. Mereka memuja lima wali. Ada dalam ayat 23 dan 24 surah Nuh. “Jangan kamu tolak pujaan kamu itu, khasnya wadda (hingga akhir ayat).“ Mereka ini adalah golongan yang didakwa sebagai wali dan disangka boleh minta kepada mereka atau boleh minta berkat kepada mereka.

Mereka kata wali-wali itu rapat dengan Allah ﷻ dan kerana itu mereka sangka, boleh meminta-minta kepada para wali itu. Tujuan sebenarnya adalah hendak meminta pada Allah ﷻ tetapi mereka rasa ada masalah pula untuk minta terus kepada Allah ﷻ. Maka untuk meminta kepada ‘wali-wali’ itu, mereka akhirnya telah beribadat kepada wali-wali itu. Lihatlah bagaimana daripada zaman Nuh lagi sampailah sekarang manusia telah melakukan syirik.

Pendamping di sini adalah pendamping dalam bentuk tawasul. Ia bermaksud hendak menghubungkan doa kepada Allah ﷻ dengan berkat mereka yang dipuja itu. Mudah-mudahan dengan hubungan itu, dengan darjat mereka, dapat memakbulkan lagi doa. Itulah maksud tawasul, iaitu menggunakan Nabi, wali dan malaikat sebagai perantaraan.

Ada juga tawasul yang betul. Jangan pula kata kita larang semua jenis tawasul seperti contoh, apabila kita berdoa: “Rabbana aamanna”. Makna: “Dengan berkatnya kami beriman ini Ya Tuhan, ampunlah kami”. Itu adalah tawasul dengan iman kita dan itu dibenarkan, malah digalakkan.

Atau menggunakan nama Allah ﷻ dalam doa kita – Ya Rahman, Ya Raheem dan sebagainya. Itu juga adalah tawasul yang dibenarkan. Bertawasul dengan nama Allah ﷻ  lagi hebat sebenarnya daripada menggunakan nama nabi-nabi, wali-wali atau malaikat-malaikat. Kita juga boleh ambil berkat dengan berkat kalimah tauhid. Macam doa Nabi Yunus عليه السلام semasa baginda di dalam perut ikan.

Contoh-contoh begini yang telah ada dalam Al-Qur’an adalah bagaimana Allah ﷻ  mengajarkan cara bertawasul yang betul. Kalau bertawasul dengan menggunakan nabi-nabi, wali-wali atau malaikat-malaikat itu baik, mestilah Allah ﷻ sudah memberi contoh kepada kita dengan meletakkannya dalam Al-Qur’an atau hadis yang sahih tetapi memang tidak ada.

Ada banyak cara-cara berdoa dalam Al-Qur’an. Semua ayat doa boleh digunakan dan diamalkan. Dalam hadis pun ada juga diajarkan cara-cara berdoa yang baik. Maka kenalah kita ikut cara berdoa dalam Al-Qur’an dan hadis Nabi yang sahih.

Apabila tidak faham perkara ini, maka manusia terus bergelumang dalam dosa syirik. Ini bukan perkara kecil, bukan hanya melibatkan soal dosa sahaja, tetapi sudah melibatkan soal kerosakan tauhid.

Satu lagi perkara yang kita nak tambah. Dalil dari Al-Qur’an mengatakan bahawa kita tidak boleh mereka-reka doa kepada Allah ﷻ. Sebab dikhuatiri akan menyebabkan syirik kalau kita salah doa. Kalau tidak syirik, mujurlah berkebetulan apa yang kita minta itu tidak mengandungi perkara syirik. Namun, ditakuti ada kemungkinan akan menyebabkan kita melakukan syirik. Jadi eloklah kalau kita tidak melakukannya. Ia diterangkan di dalam  Hud: 46-47:

قالَ يا نوحُ إِنَّهُ لَيسَ مِن أَهلِكَ ۖ إِنَّهُ عَمَلٌ غَيرُ صالِحٍ ۖ فَلا تَسأَلنِ ما لَيسَ لَكَ بِهِ عِلمٌ ۖ إِنّي أَعِظُكَ أَن تَكونَ مِنَ الجاهِلينَ

Allah berfirman: “Wahai Nuh! Sesungguhnya anakmu itu bukanlah dari keluargamu (kerana ia telah terputus hubungan denganmu disebabkan kekufurannya); sesungguhnya bawaannya bukanlah amal yang soleh, maka janganlah engkau memohon kepadaKu sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya. Sebenarnya Aku melarangmu dari menjadi orang yang jahil”.

قالَ رَبِّ إِنّي أَعوذُ بِكَ أَن أَسأَلَكَ ما لَيسَ لي بِهِ عِلمٌ ۖ وَإِلّا تَغفِر لي وَتَرحَمني أَكُن مِنَ الخاسِرينَ

Nabi Nuh berkata: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku berlindung kepadaMu daripada memohon sesuatu yang aku tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; dan jika Engkau tidak mengampunkan dosaku, dan memberi rahmat kepadaku, nescaya menjadilah aku dari orang-orang yang rugi”.

Ayat-ayat daripada Surah Hud ini memberitahu kita bahawa cara berdoa pun kita tidak boleh reka. Kita dikira seorang yang jahil kalau berdoa tanpa mengetahui maksud doa itu. Rugi dunia akhirat kalau tersilap. Bukan setakat rugi di dunia sahaja, tetapi di akhirat. Ini kerana kalau rugi di dunia sahaja, tidak mengapa lagi.

Oleh itu, jangan kita berdoa sebarangan. Kita boleh bayangkan kalau kalau raja bagi titah, tidak boleh kita hendak tukar-tukar titah dia. Tentu dipancungnya kita kalau dia dapat tahu kita sudah tukar-tukar perkataannya. Kalau kita buat kesalahan itu dengan Allah ﷻ, lagilah berat, kerana Dia boleh masukkan kita dalam neraka.

Janganlah kita berdegil, masih hendak bertawasul dengan nabi-nabi, wali-wali atau malaikat-malaikat. Sedangkan kita sepatutnya beribadat dan minta hanya kepada Allah ﷻ sahaja seperti dalam surah Fatihah:4, dimulakan dengan perkataan ‘iyyaka’. Maksudnya hanya semata-mata kepada Allah ﷻ. Oleh sebab orang Arab ada juga pakai perkataan na’budu iyyaka, tetapi kalau letak ‘iyyaka’ diawal ayat, maka ia bermakna *hanya* kepada Allah ﷻ sahaja.

Mari kita sambung kepada potongan ayat ini seterusnya. Kalau masih berdegil… maka, 

 

إِنَّ اللهَ يَحْكُمُ بَيْنَهُمْ

Pasti Allah akan buat keputusan di kalangan mereka

Ini adalah khabar dari Allah ﷻ. Allah ﷻ akan menjadi hakim di antara pendapat-pendapat yang berbeza itu. Ini kerana ada yang kata boleh untuk memuja kepada selain Allah ﷻ dan ada yang kata tidak. Jadi ada pertentangan fahaman dan akidah di situ. Orang yang mengamalkan tawasul itu mengatakan yang perbuatan mereka itu akan menghampirkan mereka dengan Allah ﷻ dan akan menyebabkan mereka kekal dalam syurga.

Namun, di satu pihak yang lain mengatakan amalan tawasul itu adalah amalan syirik dan sesiapa yang mengamalkannya dan tidak minta ampun sebelum mereka meninggal, mereka akan masuk neraka dan kekal di dalamnya.

Jadi, ada perselisihan yang amat besar di sini. Jadi siapakah yang benar sebenarnya? Allah ﷻ lah yang akan memberikan hukuman di akhirat nanti, siapakah yang benar.

 

فِي مَا هُمْ فِيهِ يَخْتَلِفُونَ

Tentang apa yang mereka berselisih padanya.

Pasti Allah ﷻ akan menghukum mereka yang masih berselisih dari kebenaran itu. Namun, keputusan Allah ﷻ ini adalah keputusan ‘amali’, iaitu akan diberikan keputusan dan terus dimasukkan ke dalam neraka.

Secara ‘teori’, sudah diberikan dalil-dalil yang jelas dari Al-Qur’an dan Sunnah, jadi penghakiman sebenarnya telah berlaku di dunia lagi. Cuma di akhirat, akan dilakukan penghukuman yang amali, beritahu yang mereka itu salah, dan terus dimasukkan ke dalam neraka.

Ramai juga yang hendak mempertahankan juga tawasul dengan orang-orang yang telah mati itu. Ada yang kata apa yang guru mereka buat mestilah betul. Kalau salah, tentulah malaikat akan tegur atau roh Nabi akan betulkan. Itu adalah dakwaan dari golongan-golongan yang sesat.

Siapa kita yang Allah ﷻ akan suruh malaikat tegur? Sedangkan Allah ﷻ telah berikan berapa banyak dalil untuk menjelaskan perkara itu dalam Al-Qur’an – tetapi mereka tidak belajar tafsir Al-Qur’an, jadi mereka tidak tahu. Mereka adalah pendusta sebab mendustakan Allah ﷻ dengan menggunakan pendapat sendiri. Allah ﷻ telah tegaskan dalam Al-Qur’an semuanya tetapi mereka tidak mahu belajar.

Perlembagaan akidah telah ada dalam Al-Qur’an. Allah ﷻ sentuh perkara akidah satu persatu sampai habis, diperjelaskan satu persatu sampai tidak tinggal satu pun. Semua ayat dalam Al-Qur’an sebenarnya adalah untuk mentauhidkan Allah ﷻ. Walaupun Allah ﷻ  cerita tentang pokok, langit dan bumi dan banyak lagi perkara lain. Semuanya menjurus kepada mentauhidkan Allah ﷻ juga.

Hadith tidak boleh memansuhkan Al-Qur’an. Ini disebabkan ada yang kata dalam hadith ada yang membenarkan tawasul. Walaupun hadith yang dikeluarkan itu adalah hadith sahih. Memang tiada hadith yang sahih yang mengatakan boleh pakai tawasul dalam peribadatan.

Cuma mereka sahaja yang salah faham kerana mereka baca hadis, tetapi mereka tidak belajar apakah maksud hadis itu. Mereka tidak belajar tetapi mereka tafsir hadis dengan pandangan mereka sendiri. Sepatutnya mereka kena tafsir hadis dan sunnah itu dengan apa yang difahami oleh golongan salafussoleh. Ini kerana golongan itulah yang lebih faham tentang agama kerana mereka lebih dekat dengan Nabi ﷺ.

Jadi, apabila tidak faham dengan tawasul, ramai yang menyeru selain Allah ﷻ. Apa yang dimaksudkan dengan seru? Apabila guna perkataan “ya!“ Seperti ‘Ya Muhammad’, itu sebenarnya adalah perbuatan seru kepada Nabi Muhammad ﷺ. Atau ada yang kata: “Ya Sheikh Abdul Qadir“, “Ya Jibril“ dan sebagainya.

Mereka seru makhluk-makhluk itu bersama Allah ﷻ (mereka sebut juga nama Allah ﷻ, tetapi dalam masa yang sama, sebut nama selain Allah ﷻ). Ini adalah satu perbuatan yang kufur. Seperti yang telah disebutkan dalam Al-Mu’menoon: 117:

وَمَن يَدعُ مَعَ اللهِ إِلٰهًا آخَرَ لا بُرهانَ لَهُ بِهِ فَإِنَّما حِسابُهُ عِندَ رَبِّهِ ۚ إِنَّهُ لا يُفلِحُ الكافِرونَ

Dan sesiapa yang menyeru ilah yang lain bersama-sama Allah, dengan tidak berdasarkan sebarang bukti mengenainya, maka sesungguhnya hitungannya disediakan di sisi Tuhannya. Sesungguhnya orang-orang yang kafir tidak akan berjaya.

Mereka buat perkara yang salah itu, tetapi dalam masa yang sama, mereka tidak boleh bawa dalil yang mengatakan amalan itu ada dalam Islam. Dan di hujung ayat itu, Allah ﷻ berfirman yang Dia tidak akan memberi kejayaan kepada ‘orang kafir’. Maknanya, buat perkara itu, sudah menjadi kafir. Itulah maksud ayat ini.

Bila kita ada buat, maka kita kena berkata seperti yang Allah ajar dalam Mukminoon:118:

وَقُل رَبِّ اغفِر وَارحَم وَأَنتَ خَيرُ الرّاحِمينَ

Dan berdoalah (wahai Muhammad dengan berkata): “Wahai Tuhanku, berikanlah ampun dan kurniakan rahmat, dan sememangnya Engkaulah sahaja sebaik-baik Pemberi rahmat!”

Kena minta ampun sebab kita tidak tahu yang apa yang kita buat sebelum ini, adalah salah. Sekarang ini baru tahu. Oleh itu semua perkara yang kita lakukan dulu, biarlah ia berlalu, kita tidak dapat mengubah masa. Cuma apa yang boleh kita lakukan, minta ampun, bertaubat kerana telah melakukannya, dan berazam untuk tidak melakukannya lagi.

 

إِنَّ اللهَ لَا يَهْدِي مَنْ هُوَ كٰذِبٌ

Sesungguhnya Allah tidak akan memberi petunjuk kepada seorang yang pendusta

Di dunia lagi, Allah ﷻ tidak akan memberi hidayah kepada orang yang berdusta dalam percakapannya. Setelah diberitahu dengan dalil dan hujah, masih tidak mahu terima juga.

Iaitu mereka yang kata Tuhan perlu perantaraan dalam ibadat doa, dalam ibadah. Kalau mereka ada kata begitu, bermaksud dia berdusta. Mereka inilah yang berkata, boleh minta berkat dengan Nabi Muhammad ﷺ dan Nabi-Nabi yang lain. Dan juga mereka kata boleh memohon melalui malaikat dan wali-wali. Macam Kristian, Hindu, Buddha dan kita sendiri, kalau kita buat juga perkara yang sama, maka kita juga adalah pendusta.

Mereka dikatakan dusta kerana mereka berkata boleh bertawasul, tetapi mereka tidak membawakan dalil yang sahih. Mereka tidak membawakan dalil dari Al-Qur’an dan hadis, tetapi hanya bawa dalil dari akal fikiran mereka sahaja.

 

كَفَّارٌ

Kufur dia,

Kalau dia buat ibadat seperti itu, dia sudah dikira kufur. Iaitu kufur dalaman. Mungkin nampak sebagai orang Islam tetapi sebenarnya dia sudah kafir di mata Allah ﷻ. Orang Islam hanya sembah dan ibadat kepada Allah ﷻ sahaja; kalau sudah sembah dan ibadat kepada selain dari Allah ﷻ, maka itu sudah kufur. Mungkin dia masih Islam pada mata manusia, tetapi belum tentu lagi dalam mata Allah ﷻ.

Kalau sebelum dia beribadat cara yang salah, dia baru cakap sahaja, dia hanya berdusta sahaja. Namun, apabila dia sudah buat, dia sudah buat satu perbuatan kufur.


 

Ayat 4: Ayat Zajrun lagi. Ayat ini adalah sebagai jawapan bagi kekeliruan manusia. Soalan mereka adalah: “apa salahnya aku pilih anak Allah ﷻ untuk menghubungkan aku dengan Allah ﷻ? Lagipun, mereka adalah amat dekat dengan Allah ﷻ…”

Jawapannya dalam ayat ini:

لَو أَرادَ اللَهُ أَن يَتَّخِذَ وَلَدًا لَّاصطَفىٰ مِمّا يَخلُقُ ما يَشاءُ ۚ سُبحٰنَهُ ۖ هُوَ اللهُ الوٰحِدُ القَهّارُ

Kalaulah Allah hendak mempunyai anak, tentulah Dia memilih mana-mana yang dikehendakiNya dari makhluk-makhluk yang diciptakanNya; Maha Suci Dia. Dia lah Allah, Yang Maha Esa, lagi Yang Maha Perkasa.

 

لَوْ أَرَادَ اللهُ أَنْ يَتَّخِذَ وَلَدًا لَّاصْطَفَىٰ

Kalaulah Allah inginkan anak, pastinya Allah akan pilih sendiri,

Tentulah Allah ﷻ yang pilih sendiri, bukan manusia yang pandai-pandai pilih untuk-Nya pula.

Lafaz وَلَدًا boleh digunakan untuk membawa makna ‘anak angkat’, bukan anak kandung. Tujuan anak angkat itu diangkat adalah sebagai wakil, dan sebagai pemberi bantuan kepada mereka yang menyembah dan menyeru mereka. Contoh seperti golongan Kristian, mereka buat sebegini sebagai perantaraan antara mereka dan Tuhan sebab mereka merasakan mereka banyak dosa.

Jadi mereka sangka yang Allah ﷻ tidak layan mereka dan tidak dengar doa dan seruan mereka. Oleh itu, mereka seperti guna ‘broker’ untuk sampaikan kehendak mereka kepada Tuhan. Oleh kerana itulah mereka akan ‘lantik’ anak untuk Tuhan. Orang Kristian kata Nabi Isa عليه السلام itu ‘anak Tuhan’ dan orang Yahudi pula kata Nabi Uzair عليه السلام  adalah anak Tuhan. Sementara Musyrikin Mekah pula buat cerita kata para malaikat itu adalah ‘anak-anak perempuan’ Allah ﷻ.

Semua orang tahu bahawa Tuhan tidak beranak, orang kafir sendiri pun tahu Tuhan tidak beranak. Kalau orang Islam, lagilah tidak rasa Allah ﷻ ada anak kerana dalam surah al-Ikhlas Allah telah sebut: Lam yalid walam yuulad. Tidak mungkin dulu kini dan selamanya, Allah ﷻ akan beranak. Itulah makna lam: ‘dulu, kini dan selamanya’. Maka ‘anak’ di sini adalah membawa maksud ‘anak angkat’ iaitu anak yang dilantik.

Mereka hendak memohon kepada ‘tugas’ anak angkat tuhan itu iaitu untuk tolong sampaikan permintaan-permintaan mereka kepada Tuhan. Dalam bahawa Arab, ini dipanggil ‘tawasul’. Masalahnya, mereka lantik sendiri pangkat ‘anak angkat’ itu, bukannya Allah ﷻ sendiri yang pilih. Adakah patut begitu?

 

مِمَّا يَخْلُقُ مَا يَشَاءُ

dari makhlukNya yang Dia cipta, sesiapa yang Dia kehendaki

Allah ﷻ menggunakan perkataan ‘ma’ sebab tidak kira sesiapa dan ‘apa-apa’ sahaja. Bukan Allah ﷻ gunakan perkataan ‘man’ – sesiapa. Kalau Allah ﷻ gunakan perkataan ‘man’ maka itu hanya bermaksud makhluk yang bernyawa sahaja. Maksudnya perantaraan itu termasuklah benda-benda yang tidak bernyawa juga. Allah ﷻ hendak mengeji perbuatan makhluk yang buat kerja salah itu, jadi Allah ﷻ  guna perkataan ma.

Kalau benarlah boleh menggunakan perantaraan, tentulah Allah ﷻ sendiri yang beritahu kepada kita dalam Al-Qur’an atau melalui Nabi-Nya. Bukan seperti yang manusia pandai-pandai sendiri pilih. Bukan manusia yang menjadi pemilih, tetapi Allah ﷻ sendiri. Allah ﷻ lah pencipta, sedangkan semua makhluk adalah yang dicipta dan yang memilih, bukan kamu tetapi Allah ﷻ.

Inilah yang dipanggil tauhid dalam ikhtiar. Segala pilihan mestilah bergantung kepada Allah ﷻ. Kalau Allah ﷻ hendakkan anak, mesti Dia sendiri pilih dan sebut dalam Al-Qur’an. Tambahan pula, semua makhluk dicipta oleh-Nya, oleh itu, tentu Dia tahu siapa yang layak kerana Dia kenal semua makhluk Dia.

Namun, tidak ada dalam Al-Qur’an tentang pelantikan sesiapa. Tidak ada satu ayat pun. Dalam Injil pun tiada juga dan begitu juga dalam Taurat. Jadi, siapa yang memandai melantik ‘anak angkat’ untuk tuhan ini?

Kenapa agaknya manusia melakukan tawasul yang dilarang itu? Ini kerana mereka bandingkan kerajaan Allah ﷻ dengan kerajaan manusia yang lemah. Dalam kerajaan dunia, seorang pemerintah memerlukan sokongan dan orang bawahan untuk membantu dia memerintah. Oleh kerana itu seorang Perdana Menteri ada menteri, ada setiausaha, ada ADUN dan sebagainya. Namun, Allah ﷻ tidak lemah macam manusia, Allah ﷻ tidak perlukan sesiapa pun. Allah ﷻ boleh memerintah dengan sendiri.

 

سُبْحٰنَهُ

Maha suci Allah

Maha Suci Allah daripada dakwaan yang mengatakan Dia ada anak, sama ada anak angkat atau tidak. Maha Suci Allah dari memerlukan anak. Maha Suci Allah dari memerlukan perantaraan untuk berdoa kepada-Nya. Kita sebenarnya mencela Allah ﷻ dengan mengatakan bahawa Allah ﷻ memerlukan perantaraan untuk minta sesuatu dengan Dia.

Subhanallah adalah satu kalimah yang menyucikan sifat Allah ﷻ dari pemahaman yang salah. Orang kafir dan sesat ada banyak persangkaan yang salah tentang Allah ﷻ dan dengan kita menyebut Subhanallah, sebenarnya kita menidakkan semua kesalahan mereka itu.

Perkataan subhanallah ini menyucikan sifat Allah ﷻ daripada pemahaman orang lain yang mensyirikkan Allah ﷻ. Namun, kalau kita yang buat syirik, kita persenda Allah ﷻ pula kalau kita sebut subhanallah. Begitulah ramai manusia yang hari-hari berzikir ‘subhanallah, subhanallah’, tetapi dalam masa yang sama mensyirikkan Allah ﷻ tanpa mereka sedari. Ini adalah kerana mereka sendiri tidak tahu apa yang mereka sebut. Oleh kerana mereka jahil, mereka buat perkara dan kata sesuatu tentang agama yang mereka tidak tahu.

Maha suci Allah dari memerlukan bantuan untuk mentadbir alam ini. Allah ﷻ tidak bersekutu dalam mentadbir alam ini. Tidak pernah Allah ﷻ kata di mana-mana bahawa Dia memerlukan sesiapa dalam pentadbiran alam ini.

 

هُوَ اللهُ الْوٰحِدُ

Dialah Allah, yang Maha Esa, 

Hanya Allah ﷻ sahaja yang mempunyai segala sifat-sifat kesempurnaan. Tidak ada yang sama dengan sifat Allah ﷻ . Dia berdiri sendiri dan tidak memerlukan sesiapa pun. Oleh kerana Dia itu lain dari makhluk, maka Dia sahaja yang layak disembah dan diseru. Itulah konsep Tauhid yang perlu difahami oleh makhluk yang mempunyai akal.

الْقَهَّارُ

Maha Perkasa,

Tidak ada sesiapapun boleh menggugat Allah ﷻ. Ini adalah lanjutan daripada maksud al-Aziz. Allah ﷻ sentiasa dapat mengalahkan selain dari-Nya. Allah ﷻ berkuasa untuk menghukum sesiapa sahaja yang buat syirik.

 

Nota:

Contoh doa yang direka adalah seperti ini: Allahumma inna nas’aluka biNabiyyuka …. (Aku bermohon kepada-Mu dengan berkat kedudukan Nabi Muhammad ﷺ). Cara ini adalah cara doa syirik kepada Allah ﷻ. Sebab kita guna perantaraan dalam doa ini. Mereka rasa kalau mereka menggunakan Nabi Muhammad ﷺ sebagai perantaraan dalam doa mereka, Allah ﷻ kena beri kepada mereka.

Kenapa manusia bertawasul dalam berdoa? Sebab mereka hendak mendekatkan diri dengan Allah ﷻ supaya doa lebih makbul. Lafaz doa imam-imam yang menggunakan perkataan sebegitu adalah salah. Ramai yang tidak faham, maka mereka aminkan sahaja doa imam-imam itu sedangkan imam itu sedang melakukan tawasul yang dilarang. Sebab itu syarat berdoa adalah kena faham makna doa yang dibaca.

Kalau doa-doa tok guru tarekat, kena tanya mereka dapat daripada mana doa itu atau suruh mereka terjemah. Ingatlah apa yang Allah ﷻ telah firmankan dalam surah Hud yang melarang kita berdoa dengan sesuatu yang kita tidak tahu. Minta hanya menggunakan doa yang kita tahu maknanya sahaja. Sebab kalau doa itu baik, pasti Nabi telah ajar.

Bukanlah semua jenis tawasul itu tidak boleh. Ada tawasul yang diajar dan digalakkan oleh Islam. Tawasul dengan amalan dan iman memang boleh. Macam cerita tiga pemuda yang buka batu yang terjatuh dan menutup pada pintu gua. Mereka telah berdoa kepada Allah ﷻ dengan menyebut amalan baik mereka. Ini menunjukkan bahawa bukan semua tawasul tidak boleh.

Daripada Abdullah Bin Umar r.a telah berkata, bahawa aku telah mendengar Rasulullah s.a.w telah bersabda: Dari kalangan umat sebelum kamu ada tiga orang yang telah keluar (bermusafir) bersama-sama. (Mereka berjalan sehingga waktu malam) dan memasuki sebuah gua untuk bermalam di situ. Maka pada waktu itu satu batu besar telah jatuh dari bukit dan telah menutupi pintu gua itu. (Melihatnya mereka telah berkata:) Kita hanya akan terselamat keluar dari batu ini hanya dengan berdoa kepada Allah taala dengan perantaraan amal soleh masing-masing. (Maka mereka telah berdoa dengan perantaraan amalan soleh masing-masing).

Seorang telah berkata dalam doanya: Ya Allah Engkau sememangnya mengetahui bahawa kedua ibu bapaku telah terlalu tua. Aku tidak akan memberi susu kepada ahli keluarga dan hamba-hambaku sebelum mereka. Pada suatu hari aku telah keluar jauh untuk mencari sesuatu. Bila aku pulang maka ibu dan ayah telah tidur. (Pun begitu) aku telah membawa susu mereka untuk petang itu. (Aku telah meletakkannya dalam mangkuk dan membawanya kepada mereka). Aku telah melihat mereka (pada waktu itu) masih lagi tidur. Aku tidak suka mengejutkan mereka dan aku juga tidak sanggup untuk memberi susu itu kepada ahli keluarga dan hamba-hamba ku untuk mereka minum. Lalu aku memegang mangkuk susu dan berdiri berhampiran kepala mereka dan menunggu mereka bangun sehinggalah pagi. Mereka pun bangun (lalu aku telah memberi susu itu). Pada waktu itu, baru lah mereka minum susu untuk malam itu. Ya Allah!, jika aku melakukan perkara ini, untuk keredhaanMu, maka selamatkan lah kami daripada musibah kerana batu ini.

Kerana doa ini, batu itu telah bergeser sedikit, akan tetapi masih tidak memadai untuk mereka keluar.

Rasulullah s.a.w bersabda lagi: Orang kedua telah berdoa; Aku mempunyai seorang saudara sepupu perempuan yang sangat aku sayangi. Aku (pada satu kali) telah ingin melepaskan syahwatku padanya. Akan tetapi dia tidak menyanggupinya, sehinggalah sampai satu masa musim kemarau yang telah mendesaknya datang (kepadaku). Aku telah memberinya 120 dinar dengan syarat dia datang kepadaku berseorangan diri. Dia setuju sehinggalah aku berkuasa penuh kepada dirinya (dan nyaris-nyaris sahaja aku melepaskan nafsu syahwatku) maka dia telah berkata: “aku rasa tidak halal bagi kamu untuk memecahkan mohor tanpa hak“. (Mendengarnya,) aku telah berhenti dari niat jahat ku itu dan aku telah menjauhkan diriku darinya walaupun aku sangat-sangat kasihkannya. Aku juga telah membiarkan 120 dinar yang telah kuberi kepadanya. Ya Allah jika aku mengerjakan ini untuk keredhaanMu maka selamatkan lah kami daripada musibah ini.

Maka batu besar itu bergeser sedikit lagi, tetapi masih tidak memungkinkan lagi untuk mereka keluar.

Orang ketiga telah berdoa: Ya Allah! aku telah mengupah beberapa orang pekerja. Semuanya telah ku berikan upahnya kecuali seorang yang telah pergi tanpa mengambil upahnya. Aku telah memperniagakan wang upahannya itu sehinggakan telah berlaku penambahan harta yang terlalu banyak. Selepas beberapa lama, pada suatu hari orang itu telah datang lalu berkata: Wahai hamba Allah! Berilah upah kepadaku. Aku telah berkata: Unta-unta, lembu-lembu, kambing-kambing dan hamba-hamba yang kamu nampak ini semuanya adalah upah kamu. Yakni wang upahanmu itu aku telah niagakan dan inilah hasilnya. Orang itu berkata:, Wahai hamba Allah!, jangan lah bergurau. Aku berkata: “Aku tidak bergurau, (“aku sedang menceritakan perkara yang sebenar”). Maka (selepas penjelasanku ini) orang itu membawa semua harta itu, sedikit pun tidak ditinggalnya. Ya Allah! jika perkara ini aku lakukan semata-mata untuk redhaMu maka jauhkan lah kami daripada musibah yang menimpa kami ini.

Maka, batu itu terus berganjak (dan pintu gua telah terbuka) dan semuanya telah keluar. (Hadith riwayat Bukhari).

Macam-macam cara amalan ibadat yang direka oleh golongan yang sesat dan tidak berilmu. Ingatlah bahawa matlamat tidak menghalalkan cara. Banyak mana yang niatnya baik, tetapi amalan tidak soleh. Semua agama lain, niat mereka adalah baik dan ikhlas, siap menangis lagi dalam doa dan penyembahan mereka kerana ikhlas dan sifat mengharap dalam diri mereka, tetapi Allah ﷻ tidak terima ibadat mereka itu.

Rugi sahaja amalan-amalan mereka dalam dunia ini. Mereka bersusah payah dalam beramal, tetapi akhirnya, mereka akan masuk ke dalam Neraka. Seperti yang telah disebut dalam surah al-Ghasyiah: 3-4

عامِلَةٌ ناصِبَةٌ

Mereka menjalankan kerja yang berat lagi berpenat lelah,

تَصلىٰ نارًا حامِيَةً

Mereka tetap menderita bakaran neraka yang amat panas (membakar)

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 25 Mac 2020


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah Zumar ayat 1 – 2 (Tauhid dalam ibadat)

PENGENALAN

Surah Zumar ini adalah tentang bagaimanakah cara untuk mempraktikkan tauhid. Apabila kita sudah faham tauhid, maka kita perlu menjalankan ibadah kepada Allah ﷻ dengan pemahaman tauhid. Janganlah kata faham tauhid, tetapi bila membuat amalan, hanya pakai ambil dari mana-mana sahaja. Kenalah amalan itu ikut sunnah dan kena ada dalil yang sahih.

Surah ini adalah penjelasan kepada ayat إِيّاكَ نَعبُدُ dalam Surah Fatihah. Dalam Fatihah, kita telah berjanji dengan Allah ﷻ yang kita hanya sembah Dia sahaja. Namun, adakah kita amalkan dengan cara begitu dalam kehidupan kita? Mari kita lihat dalam perbincangan surah ini.

Jadi, surah ini adalah amat penting sekali untuk kita memahaminya, kerana ia menjelaskan maksud ayat إِيّاكَ نَعبُدُ yang kita baca setiap hari dalam solat kita. Kalau setiap hari kita baca ayat itu, tetapi kita tidak faham apakah yang dimaksudkan, maka itu adalah salah sama sekali.

Surah ini diturunkan di Mekah dan seperti kebanyakan surah-surah Makkiah yang lain, ia banyak memperkatakan tentang tauhid. Kadang-kadang kita ada melakukan amalan-amalan ibadat, tetapi sebenarnya kita tidak mengamalkan ajaran tauhid dalam segenap kehidupan kita. Ayat ini mengajar kita bagaimana kita sepatutnya hidup dalam tauhid. 

Dalam surah ini, ada tiga bandingan yang diberikan untuk membezakan antara ahli tauhid dan tidak. Kita kena tengok sama ada kita termasuk dalam golongan tauhid atau tidak.

Dakwa Surah ini terdapat pada ayat ke 2: Ayat itu hendak memberitahu kita – hendaklah ibadat dan seru akan Allah ﷻ sahaja dalam tauhid. Tidak boleh campur aduk dengan sembah dan seru selain Allah ﷻ kerana itu adalah syirik dan amalan tawassul yang dilarang.


 

Ayat 1: Pembukaan surah dan galakan kepada Al-Qur’an. Surah ini boleh dibahagikan kepada 6 perenggan makro. Ayat 1 – 4 adalah Perenggan Makro Pertama dan ia mengandungi dalil bahawa Al-Qur’an ini adalah daripada Allah ﷻ.

تَنزيلُ الكِتٰبِ مِنَ اللهِ العَزيزِ الحَكيمِ

Turunnya Kitab Al-Qur’an ini dari Allah, Yang Maha Perkasa, lagi Maha Bijaksana.

 

تَنْزِيلُ الْكِتٰبِ

Turunnnya Kitab Al-Qur’an ini,

Permulaan Surah Zumar ini terus mengambil jalan cerita dari surah sebelumnya, Surah Shaad. Di akhir surah itu memperingatkan kepada manusia bahawa Al-Qur’an itu adalah peringatan bagi seluruh alam.

Sekarang dalam ayat ini, diteruskan dengan memperingatkan kita bahawa Al-Qur’an itu diturunkan oleh Allah ﷻ. Umumnya adalah bermaksud seluruh Al-Qur’an ini diturunkan dan khususnya, ia merujuk kepada surah ini – Surah az-Zumar;

Dari segi bahasa, perkataan تَنْزِيلُ  ini menunjukkan bahawa penurunan Al-Qur’an itu mengambil masa yang lama, bukan sekaligus. Al-Qur’an diturunkan kepada Nabi Muhammad ﷺ mengambil masa hampir 23 tahun lamanya.

Al-Qur’an ini tidak ada campur aduk dengan kalam yang lain. Dari manakah ia datang?

 

مِنَ اللهِ

adalah daripada Allah,

Bukan daripada Nabi ﷺ, malaikat atau wali-wali, atau dari entiti lain. Hanya daripada Allah ﷻ semata-mata. Rasul itu pesuruh Allah ﷻ dan tugasnya menyampaikan Al-Qur’an ini kepada kita, oleh itu Al-Qur’an itu bukanlah dari kata-katanya. Rasul itu bersifat sebagai hamba Allah ﷻ semata-mata – menurut arahan Allah ﷻ. Manusia pun bersifat hamba. Begitu juga Malaikat.

Dalam ayat ini, Allah ﷻ hendak memberi amaran dan peringatan kepada kita: dengar baik-baik, Al-Qur’an ini daripada Allah ﷻ, bukan daripada orang lain. Oleh itu, jangan kita mempermainkannya dan jangan kita buat tidak endah kepadanya. Kenalah kita belajar Al-Qur’an itu dan tafsirnya. Bukan setakat membaca sahaja, tetapi tidak faham apa yang hendak disampaikan dalam Al-Qur’an itu.

Sangat sedih, masyarakat kita kalau surat daripada orang lain, kawan-kawan, kerajaan, majikan, malah surat dalam bentuk iklan pun mereka akan baca. Ini kerana nilai surat ini mengikut kedudukan pengirimnya. Kalau pengirimnya orang besar, orang penting, lagi kita pentingkan, bukan?

Namun, dengan Al-Qur’an, mereka buat tidak endah sahaja. Padahal ‘surat’ Al-Qur’an itu bukan dari sesiapa melainkan Allah ﷻ. Tidakkah kita malu dengan Allah ﷻ? Sedangkan kalau surat dari kekasih kita, berkali-kali kita tenung dan baca, tetapi apabila ‘surat’ dari Allah ﷻ, kita buat biasa sahaja.

Ingatlah, Al-Qur’an itu dari Allah ﷻ. Kemudian Allah ﷻ terangkan sifat-Nya. Ini kerana untuk mengenal Allah ﷻ , Allah ﷻ telah terangkan dalam Al-Qur’an ini satu persatu tentang siapakah Diri-Nya.

Siapakah yang layak untuk memperkenalkan diri sendiri? Tentulah orang itu sendiri yang selayaknya memperkenalkan dirinya sendiri. Kalau orang tidak kenal saya, tentulah saya orang yang paling layak untuk kenalkan diri saya, bukan? Bagaimana pula dengan Allah ﷻ? Tentulah Allah ﷻ paling layak mengenalkan diri-Nya, sifat-Nya, kemahuan-Nya dan kebencian-Nya.

Dan Allah ﷻ memang telah terangkan siapa Diri-Nya dalam Al-Qur’an ini dan ditambah lagi dengan pemberitahuan dari Nabi-Nya Muhammad ﷺ yang paling kenal Allah ﷻ. Jadi, untuk kenal Allah ﷻ, kenalah kita dapatkan maklumat dari sumber yang sahih, bukannya kita agak-agak sendiri.

Maka, hendak kenal Allah ﷻ kenalah belajar Al-Qur’an. Bukannya belajar tarekat untuk mengenal Allah ﷻ dengan cara yang tidak sahih. Mereka itu mereka-reka sahaja cara untuk mengenal Allah ﷻ – kononnya mereka panggil ilmu Makrifat. Mereka banyak beramal dengan cara yang bidaah malah dengan cara yang syirik pun ada.

Cara amalan mereka itu tidak pernah diajar oleh Nabi ﷺ kerana yang mencipta cara yang mereka buat itu adalah mereka sendiri. Maka, berhati-hatilah dengan gerakan tarekat dan tasawuf yang banyak dalam negara ini dan serata dunia. Belajarlah Al-Qur’an dan hadis dahulu, supaya kita faham dua sumber agama yang utama, sebelum kita hendak mengambil dari sumber-sumber yang lain.

Kemudian, Allah ﷻ terangkan Sifat-sifat-Nya:

 

الْعَزِيزِ

Aziz: Maha Perkasa.

Kalau kamu hendak melawan Allah ﷻ, Dia boleh kalahkan kamu. Tidak lemah Dia oleh sebab penentangan kamu terhadap-Nya. Dia Maha Perkasa dari segala-galanya. Kebal daripada segala ancaman musuh dan tidak terkesan oleh semua kata-kata dan perbuatan kita.

Allah ﷻ tidak pun akan terkesan daripada apa perkara sekalipun. Kerajaan-Nya tetap seperti biasa. Tiada siapa boleh menentang-Nya. Sama ada kita hendak terima atau tidak, Dia tetap Maha Perkasa. Bukan dengan keingkaran kita boleh menyebabkan Allah ﷻ jadi kurang martabat-Nya.

Tidaklah Allah ﷻ seperti manusia di dunia. Kita ambil contoh seorang raja. Raja akan menjadi lemah jika rakyat menentangnya. Tanpa rakyat, seseorang raja itu tidak berkuasa. Termasuk juga mana-mana ketua atau pemimpin. Kalau ditentang, lemahlah dia. Jika tiada sokongan, rebahlah seseorang ketua atau pemimpin itu.

Akan tetapi, Allah ﷻ tidak begitu sifat-Nya. Walaupun seluruh makhluk menentang-Nya, kuasa Allah ﷻ tidak akan sedikit pun berkurangan. Jika  kita semua mengamalkan Islam mengikut apa yang Dia syariatkan pun, tidak akan menyebabkan Dia bertambah perkasa. Dia perkasa dengan sendiri, bukan disebabkan sokongan dan kepatuhan kita. Bukan dipengaruhi oleh apa-apa faktor.

Allah ﷻ Maha Sempurna, tidak terkesan dengan sebarang perbuatan kita. Maka wajiblah kita menerima Al-Qur’an kerana Allah ﷻ menegaskan bahawa turunnya Al-Qur’an adalah daripada Allah ﷻ yang bersifat Al-Aziz. Kalau kita mendapat arahan dari pihak berkuasa, kita akan patuh kerana mereka itu yang berkuasa. Sekarang, yang Maha Kuasa adalah Allah ﷻ, tidakkah layak untuk kita patuh kepada-Nya? Ada lagikah yang lagi perkasa dari Allah ﷻ?

Disebabkan sifat-Nya yang tiada tandingan, Allah ﷻ boleh membuat apa-apa sahaja, kepada siapa-siapa sahaja, mengikut kehendak-Nya. Untuk lebih faham apakah maksud Maha Perkasa, mari kita buat satu contoh. Katakanlah di satu negeri, ada samseng yang menakutkan semua orang. Polis, askar mahupun ulama, semuanya takut kepada dia.

Maka disebabkan semua orang takut kepadanya, si samseng ini bebas melakukan apa sahaja tindakan yang diingininya, pada bila-bila masa yang dia mahu. Perkara sebegini sebenarnya, tidak berlaku pada manusia. Sekuat mana pun seseorang samseng itu, mustahil baginya untuk mengalahkan semua orang. Tidak akan ada yang bersifat sebegitu dalam alam ini. Sifat Maha Berkuasa hanya ada pada Allah ﷻ .

Kuasa Allah ﷻ itu tanpa ada had batasan. Selalunya, kalau seseorang manusia ada kuasa, mereka akan menyalahgunakan kuasa mereka itu. Mereka akan tindas orang, buat sesuka hati mereka. Allah ﷻ memang Maha Perkasa, tetapi Allah ﷻ sertakan sifat kedua, iaitu:-

 

الْحَكِيمِ

Hakim: Allah Maha Bijaksana,

Allah ﷻ Maha Berkuasa dan tidak boleh dikalahkan tetapi sifat itu diimbangi dengan sifat-Nya yang Maha Bijaksana. Allah ﷻ tidak menyalahgunakan kekuasaan yang dimiliki-Nya itu.

Allah ﷻ Maha Bijaksana dalam menetapkan hukum. Apa sahaja hukum yang Allah ﷻ  tetapkan, pada kemudian hari nanti akan nampak hikmahnya. Apa sahaja yang Allah ﷻ tetapkan kepada manusia tidak akan bercelaru. Allah ﷻ yang tetapkan manusia ada yang kaya dan ada yang miskin. Namun, ia bukanlah sebagai penyebab orang itu menjadi tidak dapat menerima agama Allah ﷻ. Ada yang ibu bapanya musyrik, tetapi masuk Islam juga akhirnya.

Semua hukum Allah ﷻ sama ada sunat, wajib dan sebagainya yang telah ditetapkan-Nya tidak akan bercelaru dengan kaedah dunia. Bila dikaji, ia sebenarnya amat bersesuaian dengan dunia. Kalau tidak selari, bermakna kaedah yang kita gunakan yang tidak betul. Allah ﷻ mencipta manusia sebaik-baiknya untuk layak terima Al-Qur’an. Jangan kata seseorang itu bebal tidak boleh belajar maksud Al-Qur’an. Ini kerana Allah ﷻ telah jadikan manusia dalam sebaik-baik kejadian, dan dia pasti boleh terima pengajaran Al-Qur’an – kalau dia membuka pintu hatinya.

Ayat ini juga berbentuk ancaman, di mana keputusan di akhirat kelak, adalah mengikut keadilan-Nya. Mengikut hukum yang Dia telah tetapkan. Siapa kufur, masuk neraka. Siapa beramal soleh, masuk syurga. Semua hukum, Allah ﷻ telah tentukan. Hanya Allah ﷻ  sahaja yang boleh buat hukum. Manusia mengikut hukum, bukan membuat hukum. Hendak membuat hukum, mestilah satu entiti yang bersifat Al Hakim. Ini kerana Allah ﷻ Maha Bijaksana. Sebab itu dalam mahkamah kita panggil yang memberi kehakiman itu hakim – yang bijaksana.

Allah ﷻ sememangnya Maha Bijaksana, sebagai contoh, Allah ﷻ akan menangguh-nangguhkan azab kepada manusia untuk memberi peluang agar manusia bertaubat. Walaupun Allah ﷻ bersifat al-Aziz – Maha Gagah Perkasa, jadi Allah ﷻ boleh buat apa sahaja, sebenarnya. Namun, Allah ﷻ tidak terus beri hukuman azab kepada manusia. Tidaklah apabila kita tinggalkan solat, kita terus jatuh sakit, terus mati dan sebagainya.

Tidaklah orang yang sembah patung Hindu itu jadi apa-apa, sakit perut, kena sambar petir atau sebagainya. Allah ﷻ membiarkan sahaja. Supaya mereka ada peluang untuk bertaubat. Lihatlah bagaimana Musyrikin Mekah yang menentang Nabi ﷺ itu, mereka ramai yang selamat sahaja, tidak terus Allah ﷻ berikan azab kepada mereka walaupun mereka kata macam-macam perkara buruk tentang Nabi ﷺ. Cuma apabila mereka mati dan tidak bertaubat, maka siaplah tempat mereka di neraka.

Oleh itu, secara ringkasnya, maksud al-Hakim ada dua: [Yang Maha Bijaksana] dan [yang menetapkan hukum].

    1. Al-Qur’an itu diturunkan dari Allah ﷻ yang Maha Bijaksana. Maka, kandungan Al-Qur’an itu mengandungi tatacara bagaimana untuk menjalani kehidupan dengan bijaksana. Oleh itu, hendaklah kita mengikutinya. Kalau kita mengikuti ajaran dalam Al-Qur’an itu, kita adalah orang yang bijak.
    2. Dalam Al-Qur’an itu juga, mengandungi hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh Allah ﷻ. Maka hendaklah kita mengikutinya dengan sebaik mungkin.

 

Ayat 2: Ayat ini adalah Dalil Wahyi. Titah khusus kepada penerima, yang pertama sekali adalah Nabi Muhammad ﷺ. Tujuannya adalah mentauhidkan Allah ﷻ dalam ibadat.

إِنّا أَنزَلنا إِلَيكَ الكِتٰبَ بِالحَقِّ فَاعبُدِ اللهَ مُخلِصًا لَّهُ الدّينَ

Sesungguhnya Kami menurunkan Al-Qur’an ini kepadamu (wahai Muhammad) dengan membawa kebenaran; oleh itu hendaklah engkau menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala ibadat

 

إِنَّا أَنْزَلْنَا إِلَيْكَ الْكِتٰبَ بِالْحَقِّ

Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (Muhammad) Al-Qur’an yang mengandungi kebenaran.

Al-Qur’an mengandungi kebenaran. Oleh itu, jika kita hendak mencari kebenaran, ia ada di dalam Al-Qur’an. Al-Qur’an itu diturunkan dengan tujuan yang besar – membawa kebenaran. Kebenaran tentang Allah ﷻ, tentang tauhid dan cara kita mengamalkan kehidupan kita. Bukan perkara main-main yang disebut dalam Al-Qur’an ini.

Ia juga bermaksud semua yang ada dalam Al-Qur’an ini adalah benar. Tidak ada kesalahan dari awal hingga akhir.

Ayat ini juga menolak kata-kata orang kafir yang mengatakan bahawa Al-Qur’an itu adalah hasil karangan dari Nabi Muhammad ﷺ. Dari dahulu sampai sekarang ada sahaja yang mengatakan sedemikian. Kehebatan yang tertera dalam Al-Qur’an itu sendiri telah menolak kemungkinan yang ia adalah tulisan tangan manusia. Takkan manusia mampu untuk menulis satu kitab yang seperti Al-Qur’an ini – tidak masuk akal. Mereka yang berkata itu adalah kerana degil sahaja untuk menerima yang Al-Qur’an ini dari Allah ﷻ.

 

فَاعْبُدِ اللهَ مُخْلِصًا لَّهُ الدِّينَ

Maka oleh itu, hendaklah kamu puja, sembah Allah Dengan tulus ikhlasnya kepada Allah sahaja.

Maka, setelah kita pasti bahawa Al-Qur’an itu adalah Kalam Allah ﷻ, ia pula benar, maka hendaklah kita menyembah-Nya seperti yang telah disuruh oleh-Nya dalam Al-Qur’an itu. Hendaklah kita hanya beribadat kepada Allah ﷻ sahaja. Ibadat itu ada banyak jenis:

    • Dengan perasaan
    • Dengan anggota zahir
    • Dengan lafaz perkataan
    • Ada yang dilakukan dengan tetap duduk di satu-satu tempat (iktikaf)
    • Ada yang dilakukan dengan menahan (puasa)
    • Ada yang dilakukan dengan meninggalkan sesuatu (seperti Haji)

Apabila perkara-perkara di atas dilakukan untuk selain dari Allah ﷻ, itu adalah syirik dalam ibadah.

Perkara paling penting yang disebut dalam keseluruhan Al-Qur’an adalah tentang mentauhidkan Allah ﷻ dalam ibadah dan doa. Kena ingat, lafaz ‘deen’ dalam Al-Qur’an sekurang-kurangnya ada dua makna dan untuk mentafsirkan deen, kena sebut dua makna tersebut. Ia boleh membawa maksud [ibadah] dan juga [doa]. Maknanya adalah: mentauhidkan Allah ﷻ dalam segala perbuatan ibadah dan doa kita.

Oleh itu, bukan sahaja dalam ibadat, tetapi dalam berdoa pun, kita hendaklah mentauhidkan Allah ﷻ. Dalilnya seperti di dalam surah al-Fatihah, iaitu pada ayat iyyaka na’budu waiyaaka nastain; iaitu kepada Kamu kami beribadah dan kepada Kamu kami minta bantuan.

Di sini ibadah mempunyai dua tafsiran iaitu ibadah dan juga doa. Hendaklah kamu mentauhidkan ibadah kamu kepada Allah ﷻ semata-mata. Ibadah kita wajib bebas daripada syirik. Hendaklah kita sucikan ibadah dan doa kita daripada syirik. Dalam hadith, Nabi ﷺ pernah berkata bahawa ‘Doa adalah tunjang ibadah’.

Oleh itu, apa sahaja perkataan ‘ibadah’ dalam Al-Qur’an kena tafsirkan dua-dua maksud ibadah ini – doa dan ibadah dan ini adalah dakwa atau maksud surah ini. Maksud surah ini adalah hendaklah mentuluskan ibadah hanya kepada Allah ﷻ sahaja. Semua ayat dalam surah ini adalah untuk mentauhidkan Allah ﷻ. SEMATA-MATA HANYA KEPADA ALLAH ﷻ. Tentang ibadah doa akan diceritakan di dalam surah yang lain iaitu dalam Surah Ghafir.

Jadi apabila kita kata solat kena tulus ikhlas, makna sebenar tulus ikhlas itu adalah tidak melakukan syirik kepada Allah ﷻ. Selain dari tidak melakukan syirik, kita juga dilarang dari buat amalan bidaah dalam solat itu. Oleh itu, dalam amalan ibadat seharian kita, kena ikut apa yang diajar agama melalui Al-Qur’an dan Sunnah.

Kita disuruh untuk mengikhlaskan ibadat kita kepada Allah ﷻ. Apakah yang dimaksudkan dengan ‘ikhlas’?

Kita dikatakan ikhlas jikalau kita buat sesuatu ibadat itu atas kehendak sendiri tanpa perlu ada orang suruh. Kita buat ibadat itu kerana Allah ﷻ semata-mata, bukan kerana orang lain suruh. Bukan kerana kita mengharapkan bayaran dari orang lain atau bukan kerana kita buat ibadat itu kerana kita malu kepada orang lain yang tengok kita. Itulah makna ikhlas yang kita selalu faham.

Kalau buat juga, itu adalah syirik khafi (syirik tersembunyi). Ini bahaya kerana itu maksudnya buat ibadat, tetapi terkesan dengan orang. Contoh kalau dia solat sendiri, solat dia biasa sahaja, tetapi kalau ada orang yang tengok, solat dia lebih baik. Maknanya, dia terkesan dengan orang, dia hendak menunjuk solat dia bagus. Dia mengharap dipuji atau dia takut dia dikeji kalau dia buat sambil lewa sahaja. Kalau suka dipuji, ini digelar: sum’ah. Ini boleh menyebabkan amal ibadatnya tidak diterima oleh Allah ﷻ.

Namun, adakah itu sahaja maksud ‘ikhlas’? Adakah sama ikhlas kita dengan ikhlas agama lain? Mari kita bincangkan.

Ikhlas yang selalu difahami oleh masyarakat kita adalah ikhlas dalam hati tetapi bagaimana pula dengan ikhlas dalam perbuatan? Satu lagi konsep ikhlas adalah: melakukan sesuatu ibadat mengikut cara yang Allah ﷻ mahukan, iaitu melalui apa yang Dia ajar melalui Al-Qur’an dan Hadith.

Kita ambil contoh penyembelihan binatang. Ia adalah satu ibadat. Contohnya, kita sembelih binatang korban pada perayaan Hari Raya Haji. Namun, ada juga golongan masyarakat kita yang sembelih binatang atas suruhan tok bomoh sebab hendak memberi makan kepada jin. Ini kerana bomoh itu kata, kalau hendak sihat dari gangguan jin hantu, kena sembelih seekor kambing, contohnya.

Sembelihan itu, walaupun dibaca Bismillah semasa menyembelihnya, haram dimakan dagingnya. Ia lebih haram daripada makan daging babi kerana ia tidak ikhlas. Sembelihan itu bukan kerana Allah ﷻ tetapi kerana hendak memberi makan kepada jin, dan kerana atas suruhan bomoh.

Satu lagi contoh adalah puasa. Bukan agama Islam sahaja yang ada ibadat berpuasa, tetapi agama lain juga ada ibadat puasa. Cuma cara agama lain berpuasa berbeza daripada cara yang disyariatkan dalam Islam. Persoalannya, adakah ibadah puasa mereka diterima? Tentu tidak, kerana ikhlas mereka itu tidak mengikut syariat yang telah ditetapkan oleh agama.

Selain itu, iktikaf juga adalah satu bentuk ibadat. Agama lain pun ada iktikaf juga di rumah ibadat mereka – di gereja, sinagog, kuil dan sebagainya. Adakah semua iktikaf itu  diterima oleh Allah ﷻ? Tidak sekali-kali. Hanya iktikaf yang mengikut cara yang Allah  ﷻ  syariatkan sahaja akan diterima. Begitu juga dengan ibadat-ibadat di atas tadi. Walau bagaimana ikhlas pun mereka buat ibadat mereka, tetapi kalau mereka buat tanpa mengikut syariat Islam, maka ibadat itu tidak diterima.

Kita juga selalu sebut yang Nabi ﷺ itu adalah contoh tauladan yang patut diikuti. Amal ibadat yang kita buat mesti ikut sunnah Nabi ﷺ, baru boleh ia dipanggil ‘amal soleh’. Kalau ibadat selain dari itu, tidak diterima. Jangan buat sesuatu amal ibadat kalau tiada dalil. Perbuatan yang ikhlas bukanlah satu dalil yang boleh dipakai kerana ada juga yang beri hujah: “kalau kita buat ikhlas, tentu Allah ﷻ akan terima.” Ini tidak benar, kerana Allah ﷻ bukan sahaja menetapkan kita buat kerana kita ikhlas dalam hati, tetapi kita kena ikhlas dalam perbuatan juga.

Contoh: Katakanlah kita iktikaf di masjid. Orang Kristian turut iktikaf juga, tetapi di gereja. Orang Hindu pula iktikaf di kuil dia. Agaknya ikhlas tidak perbuatan mereka itu? Tentulah mereka ikhlas melakukan ibadat mereka itu. Kalau tidak ikhlas, tentu mereka tidak akan buat. Bukan ada sesiapa upah mereka untuk buat ibadat mereka itu. Tiada siapa yang bayar.

Macam kita juga, kalau iktikaf, tidak ada siapa yang bayar. Bayangkan paderi tu, rela mereka tidak kahwin sampai bila-bila, sampai tiada zuriat dan tiada rumah, hanya tinggal di gereja itu sahaja. Kalau kita bandingkan dengan imam kita yang tinggal berdekatan masjid, mereka boleh lagi kahwin. Boleh menjalani kehidupan seperti manusia biasa. Jadi kalau hendak dibandingkan tahap ikhlas, mungkin orang kafir itu lebih ikhlas daripada kita.

Sami Buddha itu pula, sanggup pakai kain dua lapis itu sahaja, jalan pula tidak pakai kasut pun. Duduk sampai mati di tempat ibadat mereka. Adakah iktikaf mereka diterima oleh Allah ﷻ ? Tentu sekali tidak diterima ibadat mereka itu sebab ibadat tersebut tidak mengikut sunnah yang dibawa Nabi ﷺ atau tidak ikut undang-undang Islam seperti apa yang Allah ﷻ hendak.

Jadi ‘ikhlas’ itu mesti mengikut sunnah. Mesti ikhlas sepertimana yang Allah ﷻ hendak. Kalau buat ibadat, tetapi tidak ikut seperti yang Nabi ﷺ suruh, maka tidak diterima. Saidina Umar رضي الله عنه pernah berkata yang mafhumnya: “kalau tidak tahu apa perbuatan Arab Jahiliyyah, belum tentu iman seseorang itu betul.” Agaknya agama apa sebenarnya Orang Arab Musyirikin itu?

Memang kita tahu mereka sembah berhala dan ilah-ilah yang lain tetapi mereka juga buat ibadat Haji kerana mereka duduk dekat dengan Kaabah. Sahabat pernah kata yang pada zaman Jahiliah, mereka wukuf juga di Muzdalifah pada musim Haji. Mereka lakukan itu pun pada 9 Zulhijah juga. Mereka juga melontar di tiga-tiga Jamrah. Tawaf pun sama sahaja dengan tawaf yang kita lakukan. Cuma mereka buat dalam keadaan bertelanjang. Mereka ada ubah dari ajaran Nabi Ibrahim  عليه السلام yang asal.

Sahabat juga kata mereka ambil wuduk dulu sebelum sembahyang. Maknanya, mereka pun wuduk dan sembahyang juga, cuma mereka sembahyang dua rakaat sahaja. Lain sikit cara sembahyang mereka. Nabi ﷺ pernah melakukan solat waktu pagi iaitu waktu Dhuha. Ini sebelum baginda menjadi Nabi. Sahabat kata mereka dulu sudah buat pun solat sunat Dhuha itu.

Mereka juga dibenarkan untuk tunaikan nazar yang mereka buat semasa zaman Jahiliyyah iaitu pernah Saidina Umar رضي الله عنه bernazar untuk melakukan iktikaf di Masjidil Haram. Maka, apabila dia sudah masuk Islam, dia bertanya kepada Nabi ﷺ adakah dia kena penuhi nazarnya itu? Nabi ﷺ katakan dia kena tunaikan. Maknanya, amalan bernazar itu sendiri sudah ada. Hukum kahwin cerai dulu pun ada juga. Cuma boleh rujuk walaupun selepas tiga kali cerai.

Jadi terdapat persamaan antara ibadat mereka dan kita. Jadi apa ugama mereka? Dalam Al-Qur’an, apabila ditanyakan kepada mereka, siapakah pencipta langit dan bumi? Mereka akan jawab: Allah ﷻ! Mereka juga tahu siapa yang beri rezeki iaitu Allah ﷻ yang berikan rezeki kepada mereka.

Dan rasul mereka adalah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail عليهما السلام  tetapi mereka dipanggil kaum Musyrik sebab mereka juga sembah berhala. Mereka mempunyai ilah selain dari Allah ﷻ. Untuk memahami perkara ini, kita kena faham apakah akidah mereka sampai mereka dipanggil ‘Musyrikin Mekah’.

Selain dari itu, lafaz فَاعْبُدِ juga menyuruh kita untuk ‘menghambakan’ diri hanya kepada Allah ﷻ. Selalunya disebut ‘ubudiyyah’. Kehidupan kita mestilah untuk menghambakan diri kepada Allah ﷻ sahaja. Jangan kita buat ibadat tidak tinggal kepada Allah ﷻ, tetapi dalam perkara lain kita tidak ikut – sebagai contoh, berbuat zalim kepada orang lain, bercakap baik kepada orang lain dan sebagainya.

Perkataan الدِّينَ itu juga bermaksud ‘cara hidup’. Allah ﷻ telah memberi banyak suruhan dalam Al-Qur’an dan melalui ajaran Nabi-Nya Muhammad ﷺ. Pengajaran itu bukan hanya dalam ibadat seperti Solat, Puasa dan Haji sahaja, tetapi dalam segenap kehidupan kita. Adakah kita hanya ikut suruhan Allah ﷻ dalam ibadat khusus sahaja namun, tidak mengikut Allah ﷻ dalam perkara lain?

Oleh kerana tidak faham perkara inilah yang menyebabkan ada orang yang tidak tinggal sembahyang, tetapi mereka tidak ada masalah untuk memakan harta riba.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 25 Mac 2020


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani