Tafsir Surah al-An’am Ayat 10 – 12 (Kalau Rasul itu malaikat)

An’am Ayat 10: Ayat ini adalah ayat tasliah (pujukan) kepada Nabi Muhammad ﷺ.

وَلَقَدِ استُهزِئَ بِرُسُلٍ مِّن قَبلِكَ فَحاقَ بِالَّذينَ سَخِروا مِنهُم مّا كانوا بِهِ يَستَهزِئونَ

Sahih International

And already were messengers ridiculed before you, but those who mocked them were enveloped by that which they used to ridicule.

Malay

Dan demi sesungguhnya! Telah diperolok-olok beberapa Rasul sebelummu, lalu orang-orang yang mengejek-ejek di antara mereka ditimpakan (balasan azab) bagi apa yang mereka telah perolok-olokkan itu.

 

وَلَقَدِ اسْتُهْزِئَ بِرُسُلٍ مِّن قَبْلِكَ

Dan demi sesungguhnya! Telah diperolok-olok beberapa Rasul sebelummu,

Kalimah اسْتُهْزِئَ adalah perbuatan mengejek-ngejek dengan mengatakan sesuatu itu adalah satu kebodohan; iaitu mereka mengatakan perbuatan orang lain adalah perbuatan yang bodoh. Tujuannya adalah untuk memalukan orang itu.

Nabi Muhammad ﷺ telah diejek-ejek oleh Musyrikin Mekah yang menolak baginda. Sekarang Allah ‎ﷻ beritahu baginda bahawa Nabi-nabi dan Rasul-rasul terdahulu juga sudah melalui seperti apa yang dilalui oleh Nabi Muhammad ﷺ. Mereka mengatakan apa yang Nabi mereka bawa itu adalah sesuatu yang tidak masuk akal.

Tentunya ia amat menyakitkan hati Rasulullah ﷺ. Kita kena ingat yang Nabi Muhammad ﷺ juga adalah seorang manusia. Baginda terkesan juga dengan apa yang dicaci kepada baginda. Bukannya baginda tidak ada perasaan sampaikan tidak kisah langsung dengan kata-kata manusia.

Jadi, Nabi Muhammad ﷺ diajar supaya jangan hiraukan sangat dengan kata-kata mereka itu. Nabi ﷺ diberitahu dalam ayat ini bahawa bukan baginda sahaja yang melaluinya, tetapi Rasul-rasul lain sebelum baginda pun pernah kena begitu. Dan para Rasul itu semuanya tidak patah semangat dalam menyampaikan dakwah, maka baginda pun janganlah patah semangat. Teruskan berdakwah.

Apakah kesan pemberitahuan ini kepada baginda? Ini melibatkan psikologi dan perasaan manusia. Katakanlah kita mendapat satu musibah, tentu kita rasa tidak selesa, bukan? Namun apabila kita diberitahu yang orang lain pun sudah melalui seperti apa yang kita kena, maka sedikit sebanyak akan mengurangkan sedikit keresahan kita itu. Kita pun rasa: “Owh.. ada juga orang lain kena macam aku kena ni…”. Sebenarnya terdapat kelegaan sedikit dalam hati itu. Tidaklah kita rasa terasing sangat.

Ini mengajar kita bahawa orang yang membawa mesej tauhid memang akan diejek. Nabi-Nabi dulu diejek termasuklah Nabi Muhammad ﷺ. Para pendakwah dulu juga diejek. Maka bersedialah untuk diejek kerana itu adalah sunnatullah dari dahulu sampai sekarang. ‘Sunnatullah’ maksudnya sesuatu yang berulang-ulang zaman berzaman.

Maka jangan hairan sangat kalau dikeji. Kalau kita kena keji dan kena ejek, itu adalah perkara biasa sahaja. Kalau kita dapat terima hakikat ini, maka kuranglah sedikit luka pada hati kita. Dan kita juga diingatkan dalam ayat ini, yang bukan kita sahaja kena ejek, para Rasul yang lebih mulia daripada kita pun kena ejek. Maka legalah sedikit hati kita, bukan?

Dalam ayat ini (dan banyak ayat-ayat lain seumpamanya) Nabi Muhammad ﷺ diingatkan supaya jangan layan permintaan mengarut mereka itu seperti yang telah disebut dalam ayat-ayat sebelum ini. Contohnya mereka minta diturunkan Al-Qur’an siap bertulis dan mereka minta diturunkan malaikat kepada mereka.

Allah ‎ﷻ ajar baginda supaya jangan layan permintaan sebegini kerana mungkin Nabi ﷺ ada terfikir, kalaulah diberikan apa yang mereka minta itu, mungkin mereka akan beriman. Allah ‎ﷻ larang baginda berfikir begitu. Buang masa sahaja layan mereka.

Nabi Muhammad ﷺ memang hendak sangat-sangat supaya mereka beriman kerana baginda berasa amat bertanggungjawab terhadap mereka. Kalau boleh, baginda mahukan semua bangsa Arab beriman dengan baginda. Namun, Allah ‎ﷻ hendak beritahu kepada baginda yang mereka tidak akan beriman walaupun diberikan apa yang mereka minta itu. Maka jangan layan permintaan mereka itu kerana mereka hendak mengejek dan memperolok-olokkan sahaja.

 

فَحَاقَ بِالَّذِينَ سَخِرُوا مِنْهُم

lalu diselubungi dalam kalangan mereka yang mengejek-ejek itu,

Perkataan حَاقَ bermaksud sesuatu yang ‘turun dan menyelubungi.’ Mereka akan diberikan azab yang akan menyelubungi mereka. Mereka tidak akan dibiarkan sahaja nanti. Mereka akan diazab atas perbuatan mengejek mereka itu.

Apabila azab itu dari ‘atas’, kita tidak boleh lari ke atas. Apabila ‘diselubungi’, bermakna, tidak boleh lari ke tepi. Jadi, maksud yang hendak dibawa di dalam ayat ini, mereka tidak ada tempat untuk lari. Azab yang dikenakan kepada mereka amat teruk nanti.

Maka tugas Nabi ﷺ‎ adalah menyampaikan sahaja. Begitu juga dengan kita. Apabila sudah disampaikan dan mereka tolak kebenaran, maka ada balasan bagi mereka. Kita tidak perlu risau.

 

مَّا كَانُوا بِهِ يَسْتَهْزِئُونَ

apa yang mereka telah perolok-olokkan itu.

Apa yang akan menyelubungi mereka? – apa yang mereka ejek dulu. Dulu mereka ejek hukuman-hukuman yang dikatakan mereka akan dapat. Mereka kata: “kalau betul, bawalah turun apa azab yang nak dikenakan kepada mereka itu!”

Sekarang dikatakan, mereka pasti akan dapat apa yang mereka ejek dulu. Di dunia lagi mereka ada yang akan dikenakan dengan balasan azab. Ini isyarat kepada para malaikat yang akan menghancurkan mereka di Perang Badr nanti di mana mereka akan mengalami kekalahan yang tidak disangka-sangka.

Mereka juga akan terima azab di Hari Akhirat nanti. Mereka akan terima azab ini kerana dahulu mereka tidak mahu terima dakwah tauhid. Bukan tidak mahu terima sahaja, mereka ejek-ejek lagi. Apabila dikatakan kepada mereka, kalau mereka sembah berhala dan buat syirik, Allah ‎ﷻ akan beri azab kepada mereka, mereka akan kata: “Bawa turunlah azab itu kalau kau benar!”

Maka dapatlah kita tahu daripada ayat ini bahawa mereka yang mengejek-ejek itu akan diazab nanti. Maka berilah ‘khabar gembira’ ini kepada mereka. ‘Khabar gembira’ itu sebagai ejekan sahaja, kerana balasan kepada ejekan mereka. Mereka mengejek, maka Allah‎ ﷻ ejek mereka balik.

Ayat ini juga sebenarnya pujukan buat kita. Kalau kita sebagai pendakwah diejek dan kita rasa lemah, rasa sesak, ingatlah bahawa ada lagi orang lain yang lebih teruk daripada kita. Dan orang lain itu lebih baik daripada kita pun. Maka jangan patah semangat. Janganlah kena kutuk ‘wahabi’ terus hendak sorok muka dalam bantal dan menangis teresak-esak pula!

Ayat ini juga memberitahu kepada kita hukum mengejek Rasulullah ﷺ. Ia merupakan dosa besar. Maka kalau ada yang buat kartun yang menghina Nabi ﷺ, maka tahulah kita bahawa mereka itu telah melakukan dosa yang amat besar sekali. Maka tidak perlulah kita sibuk hendak menyerang mereka, bunuh mereka, kerana nanti Allah‎ ﷻ sendiri yang akan menghukum mereka.

Kita sangka orang kafir sahaja yang mengejek Nabi ﷺ. Namun amat menyedihkan apabila terdapat juga orang Islam yang tanpa sedar telah mengejek Nabi ﷺ, iaitu apabila mereka merendah-rendahkan Sunnah Nabi.

Sebagai contoh, mereka ejek orang yang makan dengan tangan kanan. Atau minum dengan pegang gelas dengan tangan kanan yang telah pegang makanan – mereka kata kita pengotor.

Atau mengejek mereka yang simpan janggut – mereka kata: “Itu geng tabligh manalah tu…” dan sebagainya. Itu semua adalah Sunnah Nabi dan kalau kita ejek, maka ingatlah bahawa kita sebenarnya telah mengejek Nabi ﷺ dan mengejek Nabi ﷺ adalah dosa besar.

Habis Ruku’ 1 dari 20 ruku’ dalam surah ini.


 

An’am Ayat 11: Ayat jenis Takhwif Duniawi (penakutan dengan azab di dunia).

قُل سِيرُوا فِي الأَرضِ ثُمَّ انظُرُوا كَيفَ كانَ عٰقِبَةُ المُكَذِّبينَ

Sahih International

Say, “Travel through the land; then observe how was the end of the deniers.”

Malay

Katakanlah (wahai Muhammad): “Mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibat buruk (yang menimpa) orang-orang yang mendustakan (Rasul-rasul) itu.”

 

قُلْ

Katakanlah (wahai Muhammad):

Banyak ayat dalam surah ini dimulakan dengan قُلْ. Kita akan lihat selepas ini berkali-kali lagi akan diulang. Allah‎ ﷻ ajar Nabi Muhammad ﷺ bagaimana berdakwah dan menyampaikan kepada manusia.

 

سِيرُوا فِي الْأَرْضِ

“Mengembaralah kamu di muka bumi,

Perkataan سِيرُ bermaksud ‘mengembara’. Tetapi mengembara itu ada dua jenis: sama ada dengan fizikal kita atau mengembara dengan minda kita.

Sebagai contoh, kita belajar tentang Mesir dan tentang Firaun dengan hanya membaca mengenainya. Seperti zaman sekarang, teknologi semakin canggih sampaikan kita dapat tahu banyak perkara tanpa kita perlu pergi ke sesuatu tempat pun.

 

ثُمَّ انظُرُوا

kemudian perhatikanlah

Ambillah pelajaran daripada apa yang terjadi kepada orang-orang terdahulu. Tujuan kita mengembara adalah untuk mengambil pengajaran.

Sebab itulah apabila Nabi ﷺ dan para sahabat melalui kawasan tempat telah dimusnahkan kaum terdahulu, Nabi ﷺ tidak benarkan mereka masuk kecuali dengan menangis untuk mengambil pengajaran daripada apa yang terjadi kepada kaum terdahulu. Ini kerana dengan cara itu, barulah kita dapat mengambil kesan pengajaran. Bukannya kita hendak jalan-jalan makan angin tetapi kerana hendak mengambil pelajaran.

 

كَيْفَ كَانَ عٰقِبَةُ الْمُكَذِّبِينَ

bagaimana akibat buruk (yang menimpa) orang-orang yang mendustakan.”

Lihatlah bagaimana keseluruhan tamadun boleh dihancurkan oleh Allah ‎ﷻ kerana mereka mendustakan wahyu. Ada pembelajaran yang kita boleh dapat. Ini bertujuan supaya kita berasa takut dan berhati-hati dengan perbuatan kita.

Kerana kalau kita seperti mereka, boleh sahaja Allah ‎ﷻ hendak hancurkan kita dan gantikan dengan umat yang lain.


 

An’am Ayat 12: Ini adalah ayat jenis Dalil iktirafi (iktiraf akidah yang benar dalam diri Musyrikin Mekah). Ini adalah arahan Allah‎ ﷻ kepada Nabi Muhammad ﷺ untuk menyampaikan soalan kepada Musyrikin Mekah.

قُل لِّمَن مّا فِي السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ ۖ قُل ِلّلهِ ۚ كَتَبَ عَلىٰ نَفسِهِ الرَّحمَةَ ۚ لَيَجمَعَنَّكُم إِلىٰ يَومِ القِيٰمَةِ لا رَيبَ فيهِ ۚ الَّذينَ خَسِروا أَنفُسَهُم فَهُم لا يُؤمِنونَ

Sahih International

Say, “To whom belongs whatever is in the heavens and earth?” Say, “To Allah .” He has decreed upon Himself mercy. He will surely assemble you for the Day of Resurrection, about which there is no doubt. Those who will lose themselves [that Day] do not believe.

Malay

Bertanyalah (wahai Muhammad): “Hak milik siapakah segala yang ada di langit dan di bumi?” Katakanlah: “(Semuanya itu) adalah milik Allah. Dia telah menetapkan atas diriNya memberi rahmat. Demi sesungguhnya Dia akan menghimpunkan kamu pada hari kiamat yang tidak ada sebarang syak padanya”. Orang-orang yang merugikan diri sendiri (dengan mensia-siakan pengurniaan Allah), maka mereka (dengan sebab yang tersebut) tidak beriman.

 

قُل

Bertanyalah (wahai Muhammad):

Ini adalah suruhan Allah ‎ﷻ kepada Nabi ﷺ untuk bertanya kepada Musyrikin Mekah. Allah‎ ﷻ beri hujah kepada baginda bagaimana berdakwah kepada mereka.

 

لِّمَن مَّا فِي السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضِ

“Hak milik siapakah segala yang ada di langit dan di bumi?

Kepunyaan siapakah alam ini? Alam yang begini luas, begitu indah, milik siapa? Soalan ini sebenarnya Musyrikin Mekah pun tahu. Mereka bukannya tidak kenal Allah ‎ﷻ. Mereka kenal Allah ‎ﷻ sebagai Tuhan utama, sebagai pencipta alam ini. Maka Allah‎ ﷻ iktiraf akidah mereka yang benar itu. Tetapi janganlah setakat itu sahaja; kalau benarlah Allah ‎ﷻ yang memiliki alam ini, maka sembahlah Dia sahaja. Kenapa hendak sembah selainnya lagi?

 

قُل ِلّلهِ

“Katakanlah:” (Semuanya itu) adalah milik Allah.

Daripada ayat ini kita boleh andaikan yang mereka tidak menjawab soalan itu, jadi Allah ‎ﷻ suruh Nabi ﷺ sendiri yang jawab. Dalam ayat-ayat yang lain, telah ditanyakan kepada mereka, siapakah yang ‘mencipta’ langit dan bumi. Ada yang mereka jawab: Allah. Tetapi, apabila ditanya ‘milik’ siapakah langit dan bumi ini, mereka tidak mahu jawab.

Ini kerana tidaklah sama jika mereka terima Allah ‎ﷻ yang ‘jadikan’ langit dan bumi dan lain kalau ia ‘milik’ Allah ‎ﷻ. Mereka tidak ada masalah untuk menerima hakikat yang Allah ‎ﷻlah yang menjadikan alam ini. Itu adalah sebahagian daripada Tauhid Rububiyyah. Tetapi mereka ada masalah untuk mengaku yang alam ini ‘milik’ Allah ‎ﷻ.

Sebagaimana kereta kita, memang bukan kita yang buat kereta itu, tetapi kita tidak kisah kerana walaupun bukan kita yang buat kereta itu, namun ia sekarang menjadi milik kita. Jadi, jika kita mengaku langit dan bumi ini milik Allah ‎ﷻ, maka kita kena terima bahawa kita bergantung kepada-Nya, kita kena ikut arahan dan perintah Allah ‎ﷻ. Golongan Musyrikin Mekah tidak boleh terima kenyataan itu.

Maka ayat ini mengingatkan kita bahawa segala yang ada dalam alam ini adalah hak milik Allah ‎ﷻ belaka. Dialah Khaliq (Pencipta) dan Dialah juga Maalik (yang memiliki). Jadi, kenalah kita taat kepada arahan-Nya, kenalah kita hanya menyembah-Nya sahaja, kenalah kita hanya meminta doa kepada-Nya sahaja.

 

كَتَبَ عَلَىٰ نَفْسِهِ الرَّحْمَةَ

Dia (Allah) telah menetapkan atas diri-Nya rahmat.

Iaitu Allah ‎ﷻ telah menetapkan bahawa rahmat-Nya melebihi azab-Nya. Rahmat-Nya mendahului azab-Nya. Rahmat Allah ‎ﷻ akan sentiasa lebih daripada azab-Nya. Sifat lembut-Nya akan mengatasi sifat keras-Nya.

Lihatlah bagaimana Allah ‎ﷻ tidak menghancurkan terus Musyrikin Mekah semasa mereka melakukan kesyirikan, kerana mungkin mereka akan berpatah balik dan bertaubat. Jika Allah ‎ﷻ terus hancurkan mereka, tentu mereka tidak ada peluang lagi untuk masuk Islam. Maka ini adalah salah satu rahmat daripada Allah ‎ﷻ (iaitu Allah ‎ﷻ beri peluang kepada mereka).

Allah‎ ﷻ telah menulis Rahmah untuk Diri-Nya sepertimana yang terdapat dalam Sahih Bukhari:

أَبَا هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ يَقُولُ سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ اللهَ كَتَبَ كِتَابًا قَبْلَ أَنْ يَخْلُقَ الْخَلْقَ إِنَّ رَحْمَتِي سَبَقَتْ غَضَبِي فَهُوَ مَكْتُوبٌ عِنْدَهُ فَوْقَ الْعَرْشِ

Abu Hurairah رضي الله عنه berkata, “Aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda: “Allah menetapkan satu ketetapan sebelum mencipta makhluk ini ‘rahmat-Ku mendahului kemurkaan-Ku, dan itu tercatat di sisi- Nya di atas ‘arsy.”

(HR. Bukhari No. 7554 daripada Abu Hurairah رضي الله عنه)

Allah ‎ﷻ boleh mewajibkan apa sahaja untuk Diri-Nya. Ikut Dia apa yang Dia hendak buat. Itulah sifat Rahmaan Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ meletakkan sifat Rahman-Nya lebih besar dalam setiap keputusan-Nya.

Dalam hadith yang lain, Nabi memberitahu kita yang Allah ‎ﷻ ada seratus rahmah. Satu rahmah diturunkan ke dunia dan satu rahmah itulah dikongsi oleh semua makhluk. Maka dari situlah seorang emak sayang kepada anaknya, kawan menyayangi kawan yang lain, ibu binatang pun sayangkan anaknya.

Bayangkan satu rahmah sahaja dibahagikan kepada SEMUA makhluk di bumi, dan Allah ‎ﷻ simpan lagi 99 itu. Tidak terbayang kita sifat rahmah Allah ‎ﷻ itu. Ini terdapat dalam hadith:

إِنَّ اللهَ خَلَقَ الرَّحْمَةَ يَوْمَ خَلَقَهَا مِائَةَ رَحْمَةٍ فَأَمْسَكَ عِنْدَهُ تِسْعًا وَتِسْعِينَ رَحْمَةً وَأَرْسَلَ فِي خَلْقِهِ كُلِّهِمْ رَحْمَةً وَاحِدَةً فَلَوْ يَعْلَمُ الْكَافِرُ بِكُلِّ الَّذِي عِنْدَ اللهِ مِنْ الرَّحْمَةِ لَمْ يَيْأَسْ مِنْ الْجَنَّةِ وَلَوْ يَعْلَمُ الْمُؤْمِنُ بِالَّذِي عِنْدَ اللهِ مِنْ الْعَذَابِ لَمْ يَيأَسْ مِنْ النَّارِ.

Sesungguhnya Allah ‎ﷻ menciptakan rahmat. Pada hari penciptaannya, Allah ‎ﷻ menciptakan 100 rahmat, kemudian Dia menahan di sisi-Nya 99 rahmat, dan melepaskan untuk seluruh ciptaan-Nya satu rahmat. Jadi, jika orang kafir mengetahui seluruh rahmat yang ada pada sisi Allah ‎ﷻ, maka dia tidak akan putus asa daripada (mendapatkan) syurga, dan jika seorang yang beriman mengetahui seluruh bentuk azab yang ada pada sisi Allah ‎ﷻ, maka dia tidak akan merasa aman dari neraka.

(HR. Bukhari No. 6469 daripada Abu Hurairah رضي الله عنه)

Mungkin ada yang terfikir dan bertanya: jika Allah ‎ﷻ bersifat ar-Rahman, kenapa ada kesusahan dan ketidakadilan dalam dunia? Kenapa ada seksaan di neraka nanti? Kenapa Allah ‎ﷻ hendak balas manusia dengan keburukan jika mereka ada membuat salah? Ini adalah satu persoalan yang sentiasa bermain dalam fikiran manusia.

Jawapan: kepada orang yang beriman, apa-apa sahaja kesusahan yang dialaminya, baik kesusahan pada tubuh badannya, batinnya, kekurangan makan dan minum dan apa-apa sahaja kesusahan, ketahuilah bahawa itu adalah rahmat untuknya. Bagaimana pula begini? Nabi ﷺ bersabda di dalam Sahih Bukhari:

من يُرد الله به خيرًا، يُصب منه

Sesiapa yang Allah ‎ﷻ mahukan kebaikan untuknya, Allah ‎ﷻ akan memberikan musibah kepadanya.

(HR. Bukhari No. 5645 daripada Abu Hurairah رضي الله عنه)

Kenapa pula begini? Kerana apabila seorang yang beriman ditimpa musibah dan dia sabar, dia akan mendapat pahala. Kebaikan juga akan diberikan kepadanya dan musibah itu akan meninggikan darjatnya. Seseorang itu akan mendapat semua itu, asalkan dia bersabar.

Ia juga akan menjadikan dirinya dalam keadaan tawadduk (rendah diri). Dia akan sentiasa sedar yang dia masih memerlukan Allah ‎ﷻ dalam segenap hal dan perkara. Jadi, pertaliannya dengan Allah ‎ﷻ tidak akan putus. Selalunya kalau seseorang itu sentiasa mendapat kebaikan, ada kemungkinan dia akan lupa untuk berharap kepada Allah ‎ﷻ.

Maka, orang beriman yang ditimpa musibah akan berpaling kepada Allah ‎ﷻ dan memohon kepada Allah ‎ﷻ. Dia akan semakin rapat dengan Allah ‎ﷻ. Jadi, dengan kita tahu begini, kita akan mengubah pandangan kita dalam melihat musibah dan kesusahan yang kita alami. Barulah kita nampak, dalam musibah itu, ada rahmat Allah ‎ﷻ rupanya.

Bagaimana pula dengan orang yang tidak beriman? Apabila seorang yang tidak beriman ditimpa musibah, ini memberi peluang kepadanya untuk bertaubat dan kembali kepada Allah ‎ﷻ. Ini kerana kadangkala manusia ini kalau sudah jatuh terduduk, baru egonya rendah sedikit untuk terima kebenaran. Jika dia mahu membuka hatinya kepada iman, dia akan memikirkan kepada siapakah lagi yang dia boleh meminta pertolongan jika bukan dengan Allah ‎ﷻ? Maka, jika dia faham begitu, dia akan beriman. Maka, ternampaklah rahmat dalam kesusahan yang dialaminya itu.

Kalau pun seseorang itu tidak ditimpa musibah, sememangnya telah terlalu banyak rahmat Allah ‎ﷻ diberikan kepadanya. Dia sahaja yang tidak sedar selalunya. Seperti makan minum dan segala keperluannya telah diberikan secara berterusan. Semuanya ini Allah ‎ﷻ berikan kepada manusia walaupun kadang-kadang orang itu tidak beriman pun dengan Allah ‎ﷻ dan tidak pernah bersyukur kepada Allah ‎ﷻ. Lihatlah, bagaimana dengan orang yang kafir pun Allah ‎ﷻ bersifat Rahman kepada mereka.

Jika mereka dibalas dengan azab di akhirat nanti, itu adalah kerana kesalahan yang mereka telah lakukan kerana mereka tidak mahu beriman dan itu adalah salah mereka. Setelah mereka diberikan dengan segala dalil dan hujah, mereka masih lagi tidak mahu beriman dan meninggalkan kesyirikan yang mereka lakukan.

Hari Kiamat juga adalah satu rahmat daripada Allah ‎ﷻ; iaitu Allah ‎ﷻ membalas segala amal kebaikan yang manusia lakukan semasa di dunia. Bayangkan kalau kita buat kerja tetapi tidak mendapat upah, tentu kita tidak suka, bukan? Allah ‎ﷻ Maha Pemurah sampaikan kalau kita hanya berniat untuk membuat kebaikan pun Allah ‎ﷻ sudah tuliskan pahala perbuatan itu untuk kita.

Dengan rahmat Allah‎ ﷻ jugalah Dia telah mengingatkan kita dengan hari kiamat supaya kita beringat. Sebab itu banyak sekali ayat Al-Qur’an yang menyebut tentang Neraka. Itu adalah rahmat yang besar sebenarnya. Bayangkan kalau seorang anak tidak tahu api itu bahaya. Maka dia hendak pegang api itu tetapi ibunya akan melarang dan menjerit kepadanya kerana ibunya sayangkan dia. Bukanlah ibu itu jerit sebab marah tetapi sebab dia sayang. Maka Allah ‎ﷻ selalu sebut tentang neraka kepada kita supaya kita beringat tentang bahayanya neraka itu.

 

لَيَجْمَعَنَّكُمْ إِلَىٰ يَوْمِ الْقِيٰمَةِ

Demi sesungguhnya Dia akan menghimpunkan kamu pada hari kiamat

Lihatlah bagaimana sebaik sahaja Allah ‎ﷻ sebut tentang rahmat-Nya, Allah ‎ﷻ terus sebut tentang Hari Kiamat. Kenapa Allah ‎ﷻ hendak mengingatkan kita dengan satu hari yang dikaitkan dengan pembalasan yang buruk? Bukankah ini berlawanan dengan sifat ar-Rahman? Tidak sama sekali. Seperti yang kita telah sebut di atas, peringatan Allah ‎ﷻ ini juga adalah satu rahmat. Kalau Dia tidak ingatkan, lagilah bahaya, bukan?

Hari itu dinamakan Hari الْقِيَامَةِ yang diambil daripada kata dasar ق و م yang bermaksud ‘berdiri’ kerana pada hari itu, keseluruhan makhluk Allah ‎ﷻ akan bangkit berdiri menunggu perbicaraan.

Keduanya, pada hari itu, keadilan akan ‘ditegakkan’. Keadilan yang sebenar tidak ada dalam dunia sekarang. Ada orang yang buat salah, boleh terlepas begitu sahaja (kerana dia pandai mengelak atau menggunakan rasuah dan sebagainya). Ada juga orang yang bunuh ramai orang, tetapi kalau pun dia ditangkap, dia hanya boleh dibunuh sekali sahaja.

Banyak lagi jika disebut tentang ketidakadilan dalam dunia sekarang. Begitu ramai yang ditindas dan dizalimi dan mereka tidak mendapat pembalasan atas kezaliman yang telah dikenakan kepada mereka. Namun tidak begitu di akhirat nanti. Allah ‎ﷻ akan memberi keadilan dengan sepenuhnya. Maka ini memberi peringatan kepada kita: jika kita dizalimi di dunia pun, ingatlah yang akhirat itu ada… maka kita akan mendapat keadilan kelak. Ya, kita dinafikan keadilan di dunia, namun ia akan ditegakkan di akhirat kelak.

Ketiganya, saksi-saksi akan ‘dibangkitkan’ pada hari itu dan memberi pernyataan mereka. Tidak dapat lagi kita hendak lari, hendak tipu. Jika dalam mahkamah dunia, boleh lagi tipu kalau mereka pandai atau menggunakan khidmat peguam yang pandai. Entah berapa ramai manusia yang dapat lari hukuman di mahkamah dunia, namun tidak di mahkamah Allah ‎ﷻ nanti.

Dengan sifat Rahmanlah Allah ‎ﷻ menjadikan Hari Kiamat. Ini kerana mereka yang telah melakukan kebaikan akan dibalas dengan kebaikan dan mereka yang telah melakukan kezaliman akan dibalas. Sebagaimana kita juga, kalau ada orang yang zalim, sifat semulajadi kita mesti hendak melihat mereka diadili dengan seadilnya. Ini memang sifat semulajadi manusia, dan yakinlah yang ia akan diberi di akhirat kelak.

 

لَا رَيْبَ فِيهِ

yang tidak ada sebarang syak padanya”.

Hari Kiamat itu tidak syak lagi, pasti berlaku. Kita tahu dengan pasti tentang kedatangan hari Kiamat ini dari segi syarak dan akal. Dari segi syarak, terlalu banyak ayat Al-Qur’an dan hadith Nabi yang menyebut tentangnya.

Dari segi akal, kita tahu yang semua yang ada dalam alam ini akan musnah akhirnya. Kita semua akan mati, tidak ada yang dapat hidup selama-lamanya. Begitu juga dengan dunia ini.

Oleh itu, mereka yang tidak beriman pun tahu bahawa alam ni akan hancur. Para saintis pun selalu memberikan senario di mana dunia akan hancur akhirnya seperti juga bintang-bintang yang mereka kaji itu. Tidak ada yang akan kekal.

Dan secara logik, tidak akan ada orang yang baik dalam dunia dan orang yang jahat mendapat nasib yang sama. Dalam hati kita, kita tahu bahawa ada keadilan akhirnya. Mereka yang jahat tentu akan dibalas dan mereka yang baik tentu mendapat kebaikan. Tidak akan sama kedua-duanya. Dan kita pun tahu keadilan itu tidak ada dalam dunia. Kena tunggu akhirat nanti baru akan ada keadilan.

 

الَّذِينَ خَسِرُوا أَنفُسَهُمْ

Orang-orang yang merugikan diri sendiri,

Bagaimanakah mereka telah merugikan diri mereka sendiri? Allah ‎ﷻ telah memberikan kita fitrah, iaitu roh yang sempurna, tetapi mereka telah tidak menggunakannya untuk kebaikan.

Oleh itu, mereka telah merugikan diri mereka sendiri. Sebagaimana jika kita berniaga – ada modal yang banyak tetapi rugi dalam perniagaan sampai habis modal itu.

 

فَهُمْ لَا يُؤْمِنُونَ

maka mereka tidak beriman.

Mereka yang tidak beriman adalah mereka yang sebenar-benar rugi. Mereka akan menyesal yang amat sangat pada hari Kiamat nanti. Tetapi penyesalan mereka tidak berguna. Menangislah air mata darah sekali pun, tidak akan mereka diberi peluang untuk memperbaiki diri mereka. Ini semua adalah kerana mereka tidak beriman semasa mereka hidup di dunia. Mereka tidak mengambil peluang memikirkan manakah jalan yang benar dan manakah jalan yang patut ditinggalkan.

Mereka tidak beriman seperti yang sepatutnya. Setelah mereka menerima yang Allah ‎ﷻ sebagai pencipta alam ini, mereka tidak terima yang Dia juga yang memiliki alam ini. Dan kerana itu, mereka tidak ikut apa ajaran wahyu daripada-Nya.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 15 Oktober 2021


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Maariful Qur’an

Tafsir Surah Fatihah Ayat 6 [Bahagian 3] (Maksud Jalan Yang Lurus)

DmxO7oFUYAAi44X.jpg_large

Jalan Yang Lurus

Seperti yang telah dibincangkan sebelum ini, permintaan hidayah itu bukanlah sesuatu yang biasa sahaja tetapi merangkumi pemahaman yang menyeluruh. Bahagian ayat seterusnya memberi penekanan yang lebih spesifik: iaitu yang kita pinta hidayah itu adalah kepada ‘jalan yang lurus’.

Ini menunjukkan bahawa hidayah bukan terbuka, tetapi ada satu tujuan yang pasti. Begitu ramai manusia yang menyangka dan mengaku yang mereka mendapat hidayah. Contohnya orang Kristian pun rasa yang mereka mendapat hidayah. Tetapi adakah hidayah mereka itu membawa mereka kepada ‘jalan yang lurus’?

Hanya satu jalan sahaja yang Allah ﷻ redha iaitu jalan yang lurus. Lalu apakah jalan ‘yang lurus itu’? Apabila digunakan ال dalam sesuatu perkataan, ia memberi maksud sesuatu yang spesifik atau sesuatu yang memang diketahui orang – sudah maklum. Maknanya, ‘jalan yang lurus’ itu bukan sesuatu yang umum tetapi sesuatu yang pasti.

Tidaklah boleh seseorang mengaku jalan yang lurus itu adalah itu dan ini mengikut fahamannya sahaja. Kerana ia adalah satu perkara yang diketahui umum dan bukan mengikut takrifan individu. Tambahan pula, dalam ayat seterusnya dijelaskan lagi apakah ‘jalan yang lurus’ itu.

Kalimah الصِّراطَ dalam bahasa bermaksud ‘jalan’. Asalnya merujuk kepada laluan air dalam tenggorok apabila kita minum. Laluan itu hanya ada satu sahaja dan air itu tidak akan pergi ke mana-mana lagi – hanya mengikut satu laluan itu sahaja. Laluan itu telah pasti dan dan ia adalah semulajadi kerana air itu akan turun ke bawah. Itu adalah dari segi bahasa.

Dari segi syarak, ada lima kriteria untuk sesuatu jalan atau laluan itu boleh dipanggil ‘الصِّراطَ ‘. الصِّراطَ adalah jalan yang spesifik kerana ada perkataan lain lagi yang boleh digunakan untuk jalan, seperti طريق dan سبيل. Tetapi, perkataan-perkataan itu tidak digunakan, sebaliknya, digunakan perkataan yang khusus – الصِّراطَ. Kriteria-kriteria yang perlu ada untuk sesuatu jalan itu dipanggil الصِّراطَ adalah:

1. Ia mestilah jalan yang lurus. Ada jalan yang bengkang bengkok yang masih lagi boleh digunakan oleh manusia, tetapi ia bukanlah الصِّراطَ kalau ia tidak lurus.

2. Jalan itu membawa mereka yang sampai kepada tujuan yang dikehendaki.

3. Jalan itu adalah jalan yang paling dekat. Dan memang kalau jalan yang lurus, ia adalah jalan yang paling dekat kerana tidak membelok ke mana-mana.

4. Jalan yang luas sampai boleh dilalui oleh mereka yang hendak melaluinya. Jalan yang selesa untuk dilalui.

5. Jalan itu khusus untuk destinasi yang dimaksudkan. Kalau bukan spesifik jalan yang membawa kepada jalan yang lurus, Allah ﷻ menggunakan طريق atau سبيل sahaja. Dan memang perkataan سبيل ada digunakan dalam Al-Qur’an seperti yang dalam An’am: 153

وَأَنَّ هَٰذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَن سَبِيلِهِ
Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain daripada Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah,

Lihatlah bagaimana jalan selain jalan yang lurus digunakan perkataan السُّبُلَ (jamak kepada سبيل) sedangkan Jalan Allah ﷻ digunakan perkataan صِرَاطِ. Dan jalan yang lurus itu selalu sahaja dalam bentuk mufrad (singular) tetapi jalan yang lain boleh jadi banyak. Sebab jalan yang salah banyak tetapi jalan yang lurus hanya satu sahaja.

Tidaklah perkataan سبيل itu memberi isyarat buruk sahaja. Ada juga Allah ﷻ gunakan perkataan سبيل dalam bentuk yang baik. Seperti dalam Maidah: 16

يَهْدِي بِهِ اللَّهُ مَنِ اتَّبَعَ رِضْوَانَهُ سُبُلَ السَّلَامِ وَيُخْرِجُهُم مِّنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ بِإِذْنِهِ وَيَهْدِيهِمْ إِلَىٰ صِرَاطٍ مُّسْتَقِيمٍ
Dengan (Al-Qur’an) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredhaan-Nya, dan (dengannya) Tuhan keluarkan mereka daripada gelap-gelita (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang-benderang, dengan izin-Nya; dan (dengannya juga) Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus.

Akan tetapi سُبُلَ bukanlah bermaksud jalan yang lurus. Ia adalah jalan yang membawa kepada keselamatan. Dan digunakan dalam ayat ini dengan perkataan سُبُلَ kerana ada banyak juga jalan yang membawa ke arah kebaikan. Dari jalan yang selamat itu, boleh membawa kepada jalan yang lurus.

Sebagai contoh, untuk beribadat, ada macam-macam aktiviti yang boleh dilakukan – membantu manusia, memberi sedekah, berzikir, solat dan macam-macam lagi.

Ada beberapa ciri lagi ‘Jalan yang Lurus’ itu untuk pengetahuan kita:

1. ‘Jalan yang lurus’ itu sama sahaja kepada semua Nabi dan Rasul. Kerana syariat mungkin berlainan, tetapi jalan yang sama sahaja dalam bentuk tauhid. Tidak pernah bertukar ilmu Tauhid itu semenjak daripada Nabi Adam عليه السلام sampailah ke Hari Kiamat nanti.

2. Jalan ini bukan sahaja lurus, tetapi tidak berlopak dan berbukit. Ia mudah untuk dilalui. Ia juga jalan yang selamat.

3. Apabila jalan itu lurus, ia adalah mengambil jarak yang paling dekat, bukan? Oleh itu, untuk menggunakan jalan itu, hanya menggunakan usaha yang sedikit sahaja. Ini memberi isyarat bahawa kalau orang yang kurang amalan pun boleh berada atas jalan ini. Kerana ia mudah untuk diikuti.

Oleh itu, dalam kita berdoa kepada Allah ﷻ untuk meletakkan kita di atas jalan yang lurus, kita sebenarnya meminta jalan yang paling mudah untuk kita. Kita rupanya meminta kemudahan kepada Allah ﷻ. Itulah rahmat Allah ﷻ kepada makhluk-Nya. Kalau sudah ada jalan yang senang, buat apa mahu guna jalan yang susah pula?

Kerana tidak faham dengan konsep inilah, ramai umat Islam yang memilih jalan yang susah. Sebagai contoh, golongan tarekat yang menyusahkan diri mereka dengan ibadat-ibadat yang berat yang tidak pun disuruh dalam agama.

4. Kalau jalan ini lurus, molek, maka ia adalah jalan yang jelas. Bukan jalan yang susah kita cari. Allah ﷻ telah memudahkan untuk kita supaya kita tidak ada alasan untuk kata jalan itu susah sangat sampai kita tidak jumpa. Nabi ﷺ bersabda:

لَقَدْ تَرَكْتُكُمْ عَلَى الْبَيْضَاءِ لَيْلُهَا كَنَهَارِهَا لَا يَزِيغُ عَنْهَا بَعْدِي إِلَّا هَالِكٌ
Sesungguhnya, aku telah meninggalkan kalian di atas jalan, seperti jalan yang sangat putih, malamnya sama dengan siangnya. Tiada yang menyimpang sesudahku dari jalan itu, kecuali orang (itu) akan binasa.
(Riwayat Ahmad 4/126; Ibnu Majah, No. 5 dan 43)

Lihatlah bagaimana Al-Qur’an dan sunnah adalah mudah dan senang untuk difahami dan diikuti. Di mana-mana sahaja kita boleh cari Mushaf Al-Qur’an dan Kitab Hadith. Bukanlah seperti kitab-kitab karangan manusia yang kadang-kadang kita hanya dengar sahaja, tetapi tidak pernah jumpa dan kalau hendak cari, sama ada susah atau tidak jumpa langsung.

Dan kita telah diberikan akal untuk memahami Al-Qur’an dan Sunnah itu. Namun begitu, kenalah ada usaha untuk belajar Tafsir Al-Qur’an dan belajar Syarah Hadith-hadiths itu. Janganlah baca sendiri sahaja kerana akan susah untuk faham.

Kalau ia adalah mudah dan jelas, maka apakah lagi alasan untuk kita tidak mengikutinya? Mereka yang tidak jumpa hanyalah mereka yang memang tidak mahu benda yang senang. Kalau tidak jumpa, itu adalah salah kita. Tidak boleh salahkan orang lain.

5. Jalan yang lurus ini kena (bertepatan) dengan jiwa manusia. Tidak bertentangan dengan fitrah manusia yang dijadikan oleh Allah ﷻ. Sebagai contoh, tidak perlu sampai tidak berkahwin ataupun berzikir berhari-hari lamanya untuk mencapai ketinggian dalam agama. Itu adalah ciri-ciri agama yang kufur dan sesat sahaja.

Nabi ﷺ pernah bersabda memberi perumpamaan ‘jalan yang lurus’. Ia adalah seperti satu jalan dan di kiri kanan ada pintu. Di hadapannya pula ada penyeru. Apabila kita mahu membuka pintu yang tertutup itu, akan ada yang mengingatkan supaya jangan buka pintu itu.

Maka, Allah ﷻ bukan sahaja beri peringatan dengan Al-Qur’an dan hadith sahaja, tetapi ada pemberi ingat lagi. Mungkin yang memberi peringatan itu adalah para malaikat. Allah ﷻ sudah mudahkan kepada kita sebenarnya untuk berada atas jalan yang lurus ini.

Daripada Abdullah bin Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, beliau berkata:
خَطَّ لَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَطًّا ثُمَّ قَالَ هَذَا سَبِيلُ اللَّهِ ثُمَّ خَطَّ خُطُوطًا عَنْ يَمِينِهِ وَعَنْ شِمَالِهِ ثُمَّ قَالَ هَذِهِ سُبُلٌ قَالَ يَزِيدُ مُتَفَرِّقَةٌ عَلَى كُلِّ سَبِيلٍ مِنْهَا شَيْطَانٌ يَدْعُو إِلَيْهِ ثُمَّ قَرَأَ إِنَّ هَذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيلِهِ
Rasulullah ﷺ membuat sebuah garis lurus bagi kami, lalu bersabda, “Ini adalah jalan Allah,” kemudian baginda membuat garis lain pada sisi kiri dan kanan garis tersebut, lalu bersabda, “Ini adalah jalan-jalan (yang banyak). Pada setiap jalan ada syaitan yang mengajak kepada jalan itu,” kemudian baginda membaca.
إِنَّ هَذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيلِهِ
Dan bahawa (yang Kami perintahkan) ini adalah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah ia; dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya. [Al An’am: 153].
(Hadith sahih diriwayatkan oleh Ahmad I/435, dan yang lainnya)

62495023_2228813107187152_5364485453456080896_n

Kita kena tahu apakah jalan-jalan yang selain dari jalan yang lurus, supaya kita tahu manakah jalan yang kita kena elak. Nak tahu terang, kenalah tahu apa yang gelap juga, bukan? Kita kena tahu, yang selain dari jalan yang lurus, selain daripada itu adalah jalan-jalan yang salah. Ada banyak jalan yang salah dalam dunia ini. Jalan yang benar ada satu sahaja, sedangkan yang salahnya ada banyak.

Jangan tertipu dengan mereka yang memberi hujah yang kata semua jalan membawa kepada Allah ﷻ. Kalau itu benar, tidaklah perlu Nabi ﷺ diturunkan kepada Musyrikin Mekah kerana mereka memang hendak menuju kepada Allah ﷻ pun.

Mereka sudah kenal pun Allah ﷻ dan mereka sebenarnya menyembah berhala-berhala itu untuk mendekatkan diri dengan Allah ﷻ. Ini tertulis dalam ayat Zumar: 3.

أَلا لِلَّهِ الدّينُ الخالِصُ ۚ وَالَّذينَ اتَّخَذوا مِن دونِهِ أَولِياءَ ما نَعبُدُهُم إِلّا لِيُقَرِّبونا إِلَى اللَّهِ زُلفىٰ
Ingatlah! (Hak yang wajib dipersembahkan) kepada Allah ialah segala ibadat dan bawaan yang suci bersih (daripada segala rupa syirik). Dan orang-orang musyrik yang mengambil selain daripada Allah untuk menjadi pelindung dan penolong (sambil berkata): “Kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya”,

Ayat ini menunjukkan walaupun niat mereka baik dan menuju kepada Allah ﷻ, tetapi kalau cara yang mereka gunakan itu salah, ia tertolak juga dan membawa kepada neraka juga.

Maka, berhati-hatilah dengan fikrah-fikrah yang bukan sunnah dalam dunia ini. Terlalu banyak kalau kita hendak senaraikan di sini. Tambahlah ilmu pengetahuan dengan Tafsir Al-Qur’an dan Sunnah dan in sha Allah, anda akan selamat.

Akhir sekali, tiga perkara yang penting yang perlu kita sentiasa fikirkan:

1. Tujuan kita: Sembah Allah ﷻ

2. Cara: Melalui cara yang diajar oleh Allah ﷻ

3. Jalan: Hanya Jalan yang lurus sahaja.

Allahu a’lam. Lompat ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 12 Oktober 2019


Rujukan:

Nouman Ali Khan

Jamal Zarabozo

Tafsir Surah al-An’am Ayat 6 – 9 (Lihatlah kaum kurun yang lepas)

An’am Ayat 6: Takhwif Duniawi.

أَلَم يَرَوا كَم أَهلَكنا مِن قَبلِهِم مِّن قَرنٍ مَّكَّنّٰهُم فِي الأَرضِ ما لَم نُمَكِّن لَّكُم وَأَرسَلنَا السَّماءَ عَلَيهِم مِدرارًا وَجَعَلنَا الأَنهٰرَ تَجري مِن تَحتِهِم فَأَهلَكنٰهُم بِذُنوبِهِم وَأَنشَأنا مِن بَعدِهِم قَرنًا ءآخَرينَ

Sahih International

Have they not seen how many generations We destroyed before them which We had established upon the earth as We have not established you? And We sent [rain from] the sky upon them in showers and made rivers flow beneath them; then We destroyed them for their sins and brought forth after them a generation of others.

Malay

Tidakkah mereka memerhati dan memikirkan berapa banyak umat-umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka, padahal (umat-umat itu) telah Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi (dengan kekuasaan dan kemewahan) yang tidak Kami berikan kepada kamu, dan Kami turunkan hujan atas mereka dengan lebatnya, dan Kami jadikan sungai-sungai mengalir di bawah mereka, kemudian Kami binasakan mereka dengan sebab dosa mereka, dan Kami ciptakan sesudah mereka, umat yang lain?

 

أَلَمْ يَرَوْا

Tidakkah mereka memerhati dan memikirkan

‘Mereka’ yang dimaksudkan itu adalah Musyrikin Mekah. Kepada merekalah ayat-ayat ditujukan buat pertama kali. Mereka mendengar sendiri ayat itu daripada mulut Nabi ﷺ. Kemudian ayat ini ditujukan pula kepada mereka yang masih juga mahu melakukan syirik, tidak kira di zaman mana.

Kalimah يروا bermaksud ‘melihat’ akan tetapi yang dimaksudkan adalah ‘memikirkan’. Allah ‎ﷻ menegur golongan Musyrikin Mekah dan para penentang di dalam ayat ini. Tidakkah mereka mahu memikirkan? Mereka tidak terfikirkah? Tidakkah mereka tahu? Tidakkah mereka mahu ambil tahu?

 

كَمْ أَهْلَكْنَا

berapa banyak umat-umat yang telah Kami binasakan

Umat zaman dahulu yang buat syirik telah Allah ‎ﷻ binasakan. Musyrikin Mekah itu pun tahu kisah-kisah tentang kesalahan dan kemusnahan yang telah dikenakan kepada umat-umat sebelum itu. Mereka sendiri ada yang melalui kawasan peninggalan terdahulu seperti Kaum Aad dan Tsamud. Dan mereka sendiri tahu tentang banjir besar yang melanda semasa zaman Nabi Nuh عليه السلام dulu. Kenapa mereka tidak mahu mengambil pengajaran?

Kita pun kena ambil pengajaran daripada apa yang terjadi kepada kaum-kaum terdahulu itu. Kena tahu apakah kesalahan yang mereka telah lakukan supaya kita tidak menjadi seperti mereka.

 

مِن قَبْلِهِم مِّن قَرْنٍ

sebelum mereka dari kurun-kurun dahulu,

Perkataan قَرْنٍ berasal daripada kata dasar ق ر ن dan boleh menjadi banyak maksud. Salah satunya ‘menghubungkan’. Perkataan Al-Qur’an juga berasal daripada kata dasar ini juga kerana Kitab Qur’an menghubungkan ayat-ayat Allah ‎ﷻ. Begitu juga Haji ‘Qiran’ adalah salah satu daripada jenis Haji yang boleh dilakukan oleh jama’ah Haji. Ia adalah apabila melakukan haji dan umrah digabungkan sekali buat pada satu masa.

Katadasar  ق ر ن boleh juga digunakan untuk merujuk kepada tanduk dan kerana itulah antara maksud Dzul Qarnain adalah ‘seorang yang mempunyai dua tanduk’. Dan ق ر ن juga bermaksud ‘masa’ – yang selalu kita gunakan dalam bahasa kita sebagai ‘kurun’. Boleh juga digunakan sebagai maksud ‘generasi’. Iaitu golongan yang hidup pada jangka masa yang lama, iaitu di antara 10 hingga 100 tahun.

Dalam ayat ini, قَرْنٍ bermaksud ‘generasi’. Iaitu Allah ‎ﷻ mengatakan berapa banyak generasi-generasi terdahulu yang telah dihancurkan oleh-Nya. Sudah sangat banyak yang telah dimusnahkan.

 

مَّكَّنّٰهُمْ فِي الْأَرْضِ

Yang telah Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi

Allah ‎ﷻ pernah beri kedudukan mereka kuat di dunia. Ada tamadun mereka yang kita kenal sampai sekarang. Masih ada lagi peninggalan mereka yang kita boleh lihat dan buat kajian. Mereka ada kekuasaan dan kemewahan. Kekuatan tentera mereka juga hebat. Tempat tinggal mereka mewah dan hebat-hebat.

Dan mereka telah membina peninggalan yang masih ada sehingga sekarang. Contohnya Piramid. Juga lihatlah Peninggalan Petra yang bangsanya memahat bukit menjadi rumah. Dan banyak lagi umat lain yang hebat-hebat. Jika hendak disenaraikan memang banyak.

Peninggalan Petra Purba

مَا لَمْ نُمَكِّن لَّكُمْ

yang tidak Kami berikan kepada kamu,

Orang Mekah tidak ada apa-apa jika dibandingkan dengan mereka yang lebih hebat itu. Orang Arab cuma duduk dalam khemah atau dalam rumah yang dibuat daripada tanah liat sahaja. Rumah pun kecil-kecil sahaja. Kehidupan mereka pun biasa sahaja kerana mereka pun duduk di padang pasir sahaja.

Bukan orang Mekah sahaja yang kurang daripada orang-orang terdahulu. Kita pun ada kekurangan daripada mereka. Jangan kita hendak berbangga sangat dengan apa yang kita ada zaman sekarang pun. Bayangkan ‘7 benda keajaiban Dunia’ yang kita selalu baca itu. Kalau kita hendak buat sekarang pun tidak boleh. Kita pun tidak pasti apakah teknologi yang mereka gunakan. Sebagai contoh, setelah beribu tahun, piramid itu masih utuh dan tegak berdiri.

Allah ‎ﷻ perli Musyrikin Mekah yang sombong itu. Kenapa hendak sombong sangat? Bukan mereka ada apa pun. Selalunya yang sombong itu adalah mereka yang hebat dan mewah. Tetapi mereka bukanlah sebegitu pun.

 

وَأَرْسَلْنَا السَّمَاءَ عَلَيْهِم مِّدْرَارًا

dan Kami turunkan hujan atas mereka dengan lebatnya,

Bangsa-bangsa sebelum orang Mekah tanahnya subur kerana diturunkan hujan dengan banyak. Kalimah مِّدْرَارًا bermaksud ‘tidak berhenti’. Iaitu ‘banyak’ yang baik. Kerana kadang-kadang air hujan jika terlalu banyak sangat tidak sesuai untuk kita. Boleh menjadi banjir pula dan menyusahkan sampai hendak buat kerja pun tidak boleh. Maka, مِّدْرَارًا bermaksud setiap kali mereka memerlukan air, ia akan diberikan kepada mereka.

Apabila hujan turun dengan banyak, tanah mereka subur dan tanaman mereka banyak. Suasana kehidupan pun bagus, tidaklah kering kontang. Suasana pun menghijau yang indah pada pandangan mata.

Namun bandingkan dengan orang Arab yang duduk di padang pasir sahaja. Keadaan panas sahaja sepanjang tahun dan hujan jarang sekali turun. Oleh kerana itu makanan pun terhad. Maka tidak boleh dibandingkan langsung dengan orang-orang dahulu yang tamadun mereka lebih hebat daripada mereka.

 

وَجَعَلْنَا الْأَنْهٰرَ تَجْرِي مِن تَحْتِهِمْ

dan Kami telah jadikan sungai-sungai mengalir di bawah mereka,

Air amat penting untuk sesuatu tamadun. Lihatlah tamadun-tamadun dahulu yang selalunya mereka bermula berdekatan dengan tempat yang ada air. Ini kerana air adalah sumber kehidupan. Ia memudahkan untuk mencari sumber minuman dan menjadi metode perjalanan dari satu tempat ke satu tempat. Sampai sekarang pun begitu juga.

Bandingkan pula dengan orang Arab yang langsung tidak ada sungai. Maknanya, mereka ini dhaif sangat jika hendak dibandingkan dengan orang-orang dahulu.

 

فَأَهْلَكْنٰهُم بِذُنُوبِهِمْ

kemudian Kami binasakan mereka dengan sebab dosa mereka

Walaupun mereka dahulu itu kuat tamadun mereka, tetapi Allah boleh musnahkan begitu sahaja. Dan senang sahaja Allah ‎ﷻ musnahkan dan tidak menjadi masalah kepada Allah ‎ﷻ.

Mereka dibinasakan bukan kerana kemewahan dan kemajuan yang mereka nikmati, tetapi kerana dosa syirik yang mereka lakukan dan kerana dosa menolak dakwah Nabi mereka.

Ia juga kerana dosa atas kesalahan berat mereka seperti Kaum Nabi Luth yang mengamalkan homoseksual. Namun begitu Nauzubillah, ada kalangan masyarakat dunia kita termasuklah orang Islam kononnya yang mengamalkan homoseksual. Allah ‎ﷻ boleh sahaja menjatuhkan azab kepada kita. Semoga Allah ‎ﷻ selamatkan kita. Maka golongan yang tidak normal seperti LGBTQ ini tidak boleh dibenarkan berleluasa. Ia adalah satu jenis penyakit yang perlu diubati, bukannya perlu ditoleransi dan diberikan tempat dalam masyarakat. Yang perlu dilakukan adalah mencari jalan bagaimana untuk sembuhkan mereka.

Daripada ayat ini kita tahu yang Allah ‎ﷻ boleh beri azab disebabkan oleh dosa besar. Maka kenalah kita ingat-ingat selalu. Kenalah kita ajak orang lain jangan membuat dosa, jangan buat syirik. Sebab kalau Allah‎ ﷻ turunkan azab, dengan kita-kita sekali kena.

Bayangkan kaum-kaum yang diberi azab itu, tentu ada antara mereka yang tidak ikut buat kesalahan itu, seperti kanak-kanak contohnya. Akan tetapi semua sekali diberikan azab itu.

Kemusnahan itu bukan sahaja dengan benda-benda yang kita boleh nampak. Kemusnahan juga boleh dalam bentuk perkara yang tidak nampak – sebagai contoh, Allah ‎ﷻ boleh tarik balik nikmat yang Allah ‎ﷻ berikan kepada kita. Allah ‎ﷻ boleh jadikan kehidupan kita tidak tenang, bercelaru sentiasa. Hidup menjadi susah dan sebagainya.

 

وَأَنشَأْنَا مِن بَعْدِهِمْ

dan Kami bangkitkan sesudah mereka,

Perkataan أَنشَأْ diambil daripada kata dasar ن ش أ yang bermaksud ‘membangkitkan dan kemudian kuatkan’. Maknanya, selepas dibangkitkan, mereka diberikan dengan segala keperluan supaya mereka kekal berdiri.

Allah‎ ﷻ boleh sahaja musnahkan seluruh kaum itu dan bangkitkan kaum yang lain. Tidak ada masalah bagi Allah ‎ﷻ untuk melakukan perkara ini. Kalau Allah ‎ﷻ hendak musnahkan kita semua pada zaman sekarang pun boleh. Terpulang kepada Allah ‎ﷻ, kita tidak mampu membuat apa-apa. Tetapi kuasa Allah ‎ﷻ bukan setakat musnahkan sahaja, akan tetapi kuasa dan qudrat Allah ‎ﷻ boleh sahaja membangkitkan kaum lain di tempat kaum yang lama.

Kerana itulah kita takut kalau-kalau Allah ‎ﷻ memberikan azab kepada kita disebabkan oleh banyaknya perkara syirik yang dilakukan dalam kalangan kita. Kalau dilihatkan kepada kesyirikan yang dilakukan oleh masyarakat manusia sekarang, memang rasanya tunggu masa sahaja untuk azab diturunkan. Atau, memang azab telah turun kita sahaja tidak perasan?

 

قَرْنًا ءآخَرِينَ

umat yang lain

Umat yang mengganti masyarakat asal itu tinggal dan duduk di tempat peninggalan umat-umat dahulu. Seperti peninggalan Firaun dan kaumnya selepas mereka tenggelam dalam laut, telah diambil oleh kaum lain.

Seperti kita juga, entah-entah kita duduk di atas peninggalan kaum yang telah dihancurkan. Kita sendiri tidak tahu siapa yang tinggal di sini beribu tahun dahulu. Semasa mereka di puncak zaman kegemilangan, semua orang tahu dan kenal mereka, tetapi apabila telah dihancurkan, tidak ada pun yang sebut mereka lagi.


 

An’am Ayat 7: Ini adalah satu ayat yang penting. Ini adalah kesamaran manusia yang pertama yang disentuh dalam surah ini. Soalan mereka itu ada dalam Isra:23.

Apakah kekeliruan mereka? Ia adalah tentang ‘risalah’ yang disampaikan kepada manusia. Antara hujah utama Musyrikin Mekah adalah mereka kata jika mereka nampak dengan mata kepala mereka baru mereka akan percaya. Mereka kata mereka hendak lihat sendiri Al-Qur’an diturunkan barulah mereka hendak beriman.

Mereka kata mereka selalu dengar tentang kitab yang boleh dibaca tetapi sekarang Nabi Muhammad ﷺ hanya sebut di mulut sahaja (waktu itu Al-Quran belum dibukukan lagi). Jadi mereka hendak lihat kitab itu depan mata mereka.

Mereka juga hendak melihat Allah ‎ﷻ, hendak melihat malaikat dan macam-macam lagi. Akan tetapi ayat ini adalah tentang permintaan mereka hendak melihat Al-Qur’an diturunkan. Tetapi kalau mereka nampak pun dengan mata mereka dan boleh pegang Al-Qur’an itu, adakah mereka akan beriman?

وَلَو نَزَّلنا عَلَيكَ كِتٰبًا في قِرطاسٍ فَلَمَسوهُ بِأَيديهِم لَقالَ الَّذينَ كَفَروا إِن هٰذا إِلّا سِحرٌ مُّبينٌ

Sahih International

And even if We had sent down to you, [O Muhammad], a written scripture on a page and they touched it with their hands, the disbelievers would say, “This is not but obvious magic.”

Malay

Dan kalau Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) sebuah kitab (yang bertulis) pada kertas, lalu mereka memegangnya dengan tangan mereka, nescaya orang-orang yang kafir itu berkata: “Ini tidak lain, hanyalah sihir yang terang nyata”.

 

وَلَوْ نَزَّلْنَا عَلَيْكَ كِتٰبًا

Dan kalau Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) sebuah kitab

Perkataan كِتَابًا bermaksud sesuatu yang ‘bertulis’. Seperti yang kita tahu, Al-Qur’an tidak diturunkan siap bertulis. Ia disampaikan kepada Nabi Muhammad ﷺ terus melalui perantaraan Jibril عليه السلام. Nabi ﷺ kemudiannya akan menyampaikannya kepada sahabat dengan lafaz mulut. Ada kalangan sahabat yang dilantik sebagai penulis wahyu, maka mereka akan menulis ayat-ayat yang baru turun itu. Namun pada waktu itu, ia tidaklah dikumpulkan lagi.

Jadi, golongan Musyrikin Mekah yang tidak mahu menerima Al-Qur’an sebagai ayat-ayat daripada Allah ‎ﷻ telah datang dengan satu lagi permintaan mengarut mereka – mereka hendak lihat Al-Qur’an itu diturunkan siap bertulis. Kononnya kalau begitu, baru mereka akan percaya.

 

فِي قِرْطَاسٍ

dalam bentuk kertas,

Seperti yang kita tahu, Kitab Taurat diturunkan kepada Nabi Musa عليه السلام siap bertulis. Tidak dapat dipastikan bagaimana rupa tulisan asal Kitab Taurat itu dan di atas apakah ia ditulis, entah kertas, entah batu, Allahu a’lam.

Maka Musyrikin Mekah minta kitab Al-Qur’an yang siap tertulis di atas kertas. Kalimah قِرْطَاسٍ bermaksud kertas yang seperti kertas yang telah ada di Mesir pada waktu itu. Kita pun pernah lihat kertas papyrus itu. Ada juga kertas sebegitu sampai ke Tanah Arab. Tetapi ia dianggap satu benda yang amat asing kepada mereka kerana rata-rata mereka bukanlah kaum yang pandai membaca.

Kertas Papyrus dari Mesir

فَلَمَسُوهُ بِأَيْدِيهِمْ

lalu mereka dapat memegangnya dengan tangan mereka,

Kalimah لمس bermaksud boleh dipegang, dirasa dengan tangan dan kalimah بِأَيْدِيهِمْ bermaksud mereka bukan setakat hendak sentuh sahaja tetapi mereka hendak membelek-belek dengan tangan mereka.

Kita pun sudah tahu yang masyarakat Arab kebanyakannya tidak boleh membaca. Tetapi masih lagi mereka meminta kitab yang siap bertulis. Bukan mereka boleh memmanfaatkan pun jika Al-Qur’an diturunkan siap bertulis sebab mereka memang bangsa yang tidak boleh membaca. Itulah kebodohan mereka – minta sesuatu yang tidak berguna untuk mereka.

Namun begitu, mereka hendak puaskan hati mereka kerana mereka menuduh yang Nabi Muhammad ﷺ reka sendiri Al-Qur’an itu. Maka itulah sebabnya mereka hendak pegang dan membelek kitab itu dengan tangan mereka sendiri.

Tidaklah salah jika kita hendak pastikan kebenaran sesuatu perkara itu. Memang jika kita dapat memegang dan melihat sendiri sesuatu benda itu, kita akan percaya sepenuhnya. Sebagaimana jika kita sudah pergi ke Mekah dan lihat sendiri Kaabah, boleh sentuh Kaabah, kita akan bertambah percaya.

Namun puak-puak Musyrikin Mekah ini memang hati mereka telah tertolak, maka walaupun jika mereka dapat pegang sendiri Kitab Al-Qur’an yang diturunkan dari langit, mereka tidak akan percaya.

Allah ‎ﷻ sudah tahu apa yang bermain dalam hati-hati mereka. Oleh itu Allah ‎ﷻ bongkar apa yang ada dalam hati mereka dalam bahagian yang seterusnya.

 

لَقَالَ الَّذِينَ كَفَرُوا

nescaya orang-orang yang kafir itu berkata:

Allah ‎ﷻ hendak beritahu, walaupun jika diberikan mereka dengan kitab yang siap bertulis diturunkan dari langit dan mereka boleh pegang dan mereka boleh belek, mereka masih lagi tidak mahu beriman. Mereka akan beri alasan lain pula.

Kemudian apa yang mereka akan kata?

 

إِنْ هَٰذَا إِلَّا سِحْرٌ مُّبِينٌ

“Ini tidak lain, hanyalah sihir yang terang nyata”.

Mereka akan kata Nabi ﷺ adalah ahli sihir pula dan Al-Qur’an yang siap bertulis itu adalah hasil daripada perbuatan sihir sahaja.

Perkataan سِحْرٌ asalnya bermaksud ‘sesuatu yang tidak boleh dilihat dengan mata’. Iaitu sesuatu yang disorok daripada pandangan mata. Begitu jugalah kita guna perkataan ‘sahur’ yang bermaksud waktu gelap malam yang paling gelap sampai tidak nampak apa-apa dengan mata kasar.

Secara teknikalnya, سِحْرٌ adalah apabila ahli sihir menggunakan pelbagai cara untuk menipu penontonnya – mengelabui mata penonton, sampai mereka nampak benda yang lain iaitu benda yang tidak ada pun boleh nampak.

Sihir memang boleh memberi kesan kepada manusia. Ada manusia yang disihir sampai mereka akan rasa sakit. Kalau periksa dengan doktor, doktor pun tidak tahu kenapa dia boleh jatuh sakit begitu. Orang itu memang sakit, tetapi penyebabnya ‘tidak nampak’ – disorok daripada mata. Jika dilihat bawah mikroskop pun tidak nampak.

Begitu juga, boleh jadi satu pasangan suami isteri yang tiba-tiba tidak suka satu sama lain. Lihat wajah pun sudah menyampah. Ini adalah salah satu sihir yang diamalkan oleh manusia – untuk memisahkan antara suami dan isteri.

Sihir diajar oleh jin untuk menjadikannya dan membantu sihir itu. Dan jin pula bukankah ‘tidak boleh dilihat’?

Jadi kenapa mereka akan kata kitab itu satu sihir? Kerana hati mereka memang tidak mahu percaya. Bila mereka tidak dapat jelaskan, maka mereka akan kata ia adalah sihir.

Maka, Allah ﷺ hendak kata buang masa sahaja untuk melayan permintaan mereka itu. Mereka tidak akan percaya walaupun diturunkan Al-Qur’an dalam bentuk fizikal. Allah ﷺ telah beritahu Nabi ﷺ awal-awal lagi. Mereka minta kitab bertulis itu bukannya mereka hendak ikut trtapi hendak bagi alasan sahaja.


 

An’am Ayat 8: Ini pula adalah permintaan mereka yang lain. Jadi ini adalah tentang kesamaran kedua Musyrikin Mekah.

وَقالوا لَولا أُنزِلَ عَلَيهِ مَلَكٌ ۖ وَلَو أَنزَلنا مَلَكًا لَّقُضِيَ الأَمرُ ثُمَّ لا يُنظَرونَ

Sahih International

And they say, “Why was there not sent down to him an angel?” But if We had sent down an angel, the matter would have been decided; then they would not be reprieved.

Malay

Dan mereka berkata: “Mengapa tidak diturunkan malaikat kepadanya? ” padahal kalau Kami turunkan malaikat nescaya selesailah perkara, kemudian mereka tidak diberi tempoh (lalu dibinasakan dengan bala bencana secara mengejut).

 

وَقَالُوا

Dan mereka berkata:

‘Mereka’ dalam ayat ini adalah Musyrikin Mekah. Ada sahaja permintaan dan hujah mereka kepada Nabi Muhammad ﷺ dan orang Islam. Apa pula hujah mereka kali ini?

 

لَوْلَا أُنزِلَ عَلَيْهِ مَلَكٌ

“Mengapa tidak diturunkan malaikat kepadanya? “

Mereka kata: Jika betul Nabi Muhammad ﷺ itu seorang Rasul, Allah ‎ﷻ sudah melantik baginda sebagai Rasul, kenapa tidak ada malaikat mengiringi baginda? Kalau ada malaikat, adalah yang bantu Nabi Muhammad ﷺ. Tentulah malaikat itu akan memberitahu apa yang Nabi Muhammad ﷺ cakap itu benar. Dan malaikat itu boleh beritahu yang Al-Qur’an yang diturunkan kepada baginda itu memang benar daripada Allah‎ ﷻ.

Dan malaikat itu juga akan beri amaran kepada orang yang tidak mahu beriman itu. Senanglah mereka hendak beriman kalau begitu kerana memang nampak malaikat depan mata.

Itulah antara hujah mereka. Mereka mahu malaikat pula diturunkan dan mereka boleh nampak malaikat itu dengan jelas dengan mata mereka sendiri. Jika sebelum ini tentang Al-Qur’an yang mereka hendak lihat, sekarang mereka hendak lihat malaikat pula.

 

وَلَوْ أَنزَلْنَا مَلَكًا

padahal, kalau Kami turunkan malaikat,

Allah ‎ﷻ boleh sahaja turunkan sekali malaikat untuk bersama Nabi, tetapi Allah ‎ﷻ tidak buat begitu. Tetapi katakanlah Allah ‎ﷻ buat begitu, apa yang akan jadi?

 

لَّقُضِيَ الْأَمْرُ

nescaya mereka akan diberikan keputusan.

Ada beberapa fahaman untuk ayat ini:

1. Jika Allah ‎ﷻ turunkan sekali malaikat, maka tentulah mereka akan percaya. Sebab sudah ada malaikat depan mata tetapi, jika begitu, maka tidaklah ada ujian lagi kerana ujian adalah untuk percaya kepada benda yang ghaib. Iaitu mempercayai perkara yang kita tidak nampak; itulah iman.

Jika mereka sudah nampak dengan mata kepala sendiri, maka tidaklah ada ujian lagi. Ini adalah pendapat pertama bagi potongan ayat ini.

2. Pendapat kedua adalah mereka akan diberikan azab jika malaikat turun sekali, iaitu mereka akan dimatikan dengan azab sebagaimana kaum Aad dan Tsamud. Ini kerana malaikat datang untuk memusnahkan, bukan untuk suka-suka sahaja melawat dan untuk dipamerkan. Malaikat ada tujuan mereka diturunkan, bukan senang-senang sahaja hendak turun.

Itulah sebabnya sesat golongan silat dan mereka yang ikut-ikut mereka yang berdoa: “Jibril di hadapan ku, Mikail di belakang ku…..” dengan kepercayaan bodoh mereka yang malaikat-malaikat itu akan beri keselamatan kepada mereka.

Subanallah! Siapalah agaknya yang mula membawa masuk ajaran sesat ini ke dalam negara kita? Kenapalah jahil sangat masyarakat kita sampai boleh percaya dengan ajaran sesat sebegini?

3. Jika malaikat turun sekalipun, mereka tidak akan percaya kerana keras sangat hati mereka. Mungkin mereka akan beri alasan lain pula. Dan apabila mereka tidak percaya, mereka akan diberikan azab, iaitu mereka akan dimusnahkan terus. Ini adalah kerana jika mereka minta ditunjukkan mukjizat dan Allah‎ ﷻ beri apa yang mereka minta tetapi mereka menolaknya selepas itu, maka azab akan diberikan kepada mereka terus. Maka, ‘selesailah’ hidup mereka, iaitu mereka akan dimusnahkan.

4. Jika mereka nampak malaikat, mereka akan mati terus hanya kerana melihat  malaikat itu. Kerana rupa malaikat itu bukanlah seperti rupa manusia. Memang mereka akan terkejut dan terkejut jenis sampai boleh mati.

 

ثُمَّ لَا يُنظَرُونَ

kemudian mereka tidak diberi tangguh

Mereka akan dibinasakan dengan bala bencana secara mengejut. Tidak ada masa lagi untuk bertaubat, untuk meminta maaf, atau hendak membuat amal, tidak sempat buat apa-apa langsung.

Ini kerana apabila malaikat turun, tentunya mereka akan mati terus kerana malaikat telah diberi arahan untuk azab golongan degil. Waktu itu tidak sempat untuk membuat apa-apa.


 

An’am Ayat 9: Ini pula adalah kesamaran ketiga Musyrikin Mekah. Mereka kata, kenapa Nabi Muhammad ﷺ itu bukan seorang malaikat? Kenapa tidak diturunkan sahaja para malaikat sebagai Rasul?

وَلَو جَعَلنٰهُ مَلَكًا لَّجَعَلنٰهُ رَجُلًا وَلَلَبَسنا عَلَيهِم مّا يَلبِسونَ

Sahih International

And if We had made him an angel, We would have made him [appear as] a man, and We would have covered them with that in which they cover themselves.

Malay

Dan kalau (Rasul) itu Kami jadikan malaikat, tentulah Kami jadikan dia berupa seorang lelaki (supaya mereka dapat melihatnya), dan tentulah Kami (dengan yang demikian) menyebabkan mereka kesamaran sebagaimana mereka sengaja membuat-buat kesamaran (tentang kebenaran Nabi Muhammad s.a.w).

 

وَلَوْ جَعَلْنٰهُ مَلَكًا

Dan kalau Kami jadikan (Rasul) itu malaikat,

Nabi ﷺ tidak pernah kata baginda adalah malaikat tetapi mereka mengejek Nabi ﷺ dengan mengatakan: “Adakah kamu nak kata kamu malaikat?” Itu mereka sudah pusing cerita. Mereka sebut perkara yang Nabi ﷺ tidak pernah dakwa pun.

Tetapi, Allah ‎ﷻ katakan dalam ayat ini, kalaulah Allah ‎ﷻ hendak turunkan malaikat sebagai Rasul, Allah ‎ﷻ tidak akan turunkan malaikat itu dalam bentuk malaikat.

 

لَّجَعَلْنٰهُ رَجُلًا

tentulah Kami jadikan dia berupa seorang lelaki,

Jika Allah ‎ﷻ hendak turunkan malaikat kepada manusia sebagai Rasul, Allah ‎ﷻ tentu akan menjadikan malaikat itu dalam bentuk lelaki manusia juga. Manusia akan nampak malaikat itu seeperti manusia biasa juga.

Ini kerana jika diturunkan dalam bentuk rupa asal malaikat, tentu manusia tidak boleh nampak, sedangkan malaikat di kiri kanannya setiap hari pun manusia tidak nampak. Maka Allah ‎ﷻ kena jadikan malaikat itu sebagai dalam bentuk manusia lelaki.

Dalam ayat sebelum ini, mereka tanya kenapa tidak diturunkan malaikat, maka Allah ‎ﷻ jawab dalam ayat ini. Allah‎ ﷻ tentu akan turunkan malaikat itu dalam bentuk manusia kerana manusia tidak boleh melihat malaikat dalam bentuk asalnya. Itulah sebabnya, selalunya Jibril عليه السلام akan menemui Nabi ﷺ dalam rupa manusia. Hanya dua kali sahaja Jibril عليه السلام menunjukkan rupanya yang asal kepada baginda.

Dan pernah Jibril عليه السلام menghadiri majlis Nabi ﷺ bersama sahabat untuk mengajar mereka tentang Iman, Islam dan Ihsan dan hadith itu adalah hadith terkenal yang dikenali sebagai ‘Hadith Jibril”. Dalam Surah Maryam juga, ada disebut bagaimana Jibril عليه السلام juga datang menemui Maryam رضي الله عنها dalam rupabentuk seorang lelaki.

Apabila malaikat datang kepada Nabi Ibrahim عليه السلام dan Nabi Luth عليه السلام, mereka pun datang dalam rupa manusia sehingga kaum Nabi Luth عليه السلام tergoda dengan kekacakan malaikat-malaikat itu.

Jika malaikat itu datang dalam rupa asalnya, tentulah manusia akan bertempiaran lari. Maka, itulah kebiasaan malaikat mempamerkan diri mereka kepada manusia.

 

وَلَلَبَسْنَا عَلَيْهِم

dan tentulah Kami menyebabkan mereka keliru

Perkataan لَلَبَسْنَا (Kami mengelirukan) diambil daripada kata dasar ل ب س yang bermaksud ‘mengelirukan’. Juga bermaksud ‘bercampur baur’ dan bila sesuatu itu bercampur baur, ia akan menyebabkan kekeliruan. Juga digunakan untuk maksud ‘menutupi’ seperti ‘pakaian’.

Ini bermaksud, kalaulah malaikat itu dihantar dalam rupa manusia, masalah mereka yang tidak mahu beriman itu tidak selesai pun. Mereka akan terus keliru sama ada itu adalah Rasul atau tidak.

Nabi ﷺ yang mereka kenal dari kecil dulu pun mereka tidak terima, tambahan pula kalau yang datang kepada mereka itu adalah orang yang mereka tidak kenal, lagilah mereka tidak mahu terima. Entah datang dari mana pula, mereka kata.

Kalau Rasul itu datang dalam bentuk malaikat, tentu mereka kata kenapa pula dijadikan malaikat sebagai Rasul, sebab mereka itu jenis manusia. Malaikat tidak makan, tidak minum, tidak ada nafsu, jadi mereka akan kata mana sama mereka dan malaikat itu. Mereka akan kata mereka tidak boleh buat sama seperti malaikat itu. Oleh itu, malaikat tidak boleh dijadikan contoh kerana tidak sama kehidupan mereka dan kehidupan manusia.

Allah ‎ﷻ hantar Nabi ﷺ dalam bentuk manusia pun ada manusia boleh keliru lagi. Lihatlah apa puak tarekat kata tentang Nabi ﷺ: Mereka kata baginda bukan manusia, tetapi ‘Nur’ – cahaya (kepercayaan sesat tentang Nur Muhammad). Kalaulah kita terima Nabi ﷺ sebagai bukan manusia seperti kita, maka tentulah apa yang Nabi ﷺ buat itu tidak sama dengan kita, kita tidak boleh ikut Nabi ﷺ sebab Nabi itu manusia jenis lain.

Orang yang tidak mahu buat kebaikan akan kata: “Bolehlah Nabi buat apa yang dia buat itu, sebab dia bukan manusia macam kita – dia manusia jenis lain…”. Lihatlah betapa fahaman sesat mereka itu boleh mengelirukan manusia. Yang cakap sebegitu memang sudah keliru maka mereka akan mengelirukan manusia lain jadinya nanti.

 

مَّا يَلْبِسُونَ

sebagaimana mereka di dalam kekeliruan.

Daripada ayat ini kita tahu betapa mereka itu memang tidak mahu beriman. Ada sahaja alasan yang mereka berikan. Jika orang itu mahu melakukan sesuatu, sekali cakap sahaja dia akan ikut. Tetapi kalau memang hati tidak mahu, pelbagai alasan mereka akan beri untuk tidak melakukannya.

Keduanya, kita dapat tahu bahawa musyrikin Mekah itu meminta pelbagai perkara daripada Nabi ﷺ, kononnya jika diberikan apa yang mereka minta itu, mereka akan  beriman. Jika kita pun buat seperti itu, samalah kita seperti mereka juga.

Contohnya, jika ada bukti bahawa kalau dengan ajaran sunnah ini, kehidupan mereka berubah kepada kebaikan baru mereka hendak beriman, maka orang yang berfikir seperti itu adalah sama sahaja dengan Musyrikin Mekah.

Ingatlah bahawa kita belajar sifat-sifat Musyrikin Mekah itu supaya kita boleh menolak sifat-sifat itu. Kita kena perhatikan sama ada wujud atau tidak sifat mereka itu dengan kita. Jika ada, maka kita adalah musyrikin juga, bezanya mereka Musyrikin Mekah, kita Musyrikin Malaysia!

Ketiga, lihatlah bagaimana Allah ‎ﷻ menjawab hujah-hujah mereka dengan jawapan yang logik. Maka, ini mengajar kita apabila berhujah dengan manusia yang degil, kita gunakan hujah yang logik juga. Ini tidak salah kerana jika diberi mereka hujah ayat-ayat Al-Qur’an dan Hadith Nabi, mereka masih tidak akan terima Al-Qur’an dan Hadith itu.

Sebagai contoh, jika ada yang kata Nabi Muhammad ﷺ hidup lagi, boleh mendengar permintaan kita, maka kita boleh juga gunakan logik untuk mematahkan pandangan sesat mereka.

Pertama, kenapa manusia dimasukkan dalam kubur? Tentulah kerana seseorang itu sudah mati. Maka bukankah Nabi Muhammad ﷺ sudah dimasukkan dalam kubur? Dan jika Nabi Muhammad ﷺ itu tugasnya tidak habis lagi, kenapa baginda tidak bersama dengan kita sekarang? Itu adalah hujah-hujah yang logik.

Keempat, kita dapat tahu daripada ayat ini bahawa setiap rasul yang diutuskan kepada manusia adalah jenis manusia juga. Ini adalah satu rahmah yang besar daripada Allah ‎ﷻ. Ini kerana apa sahaja yang Nabi buat, kita boleh ikut. Tidaklah kita kata kita tidak boleh buat seperti mereka sebab Nabi lain dengan kita. Oleh itu, ia merupakan satu rahmah daripada Allah‎ ﷻ. Allah ‎ﷻ memberi pengajaran kepada kita dengan diberikan-Nya contoh dalam kalangan kita sendiri.

Kelima, kalau kita fikirkan, kalaulah Allah ‎ﷻ memenuhi permintaan musyrikin Mekah itu, tidakkah ia lebih mudah? Tidakkah mereka semua akan beriman?

Jawapan pertama: jika orang tidak mahu beriman, tunjuk apa pun mereka tidak akan beriman. Sebagaimana juga Bani Israel telah ditunjukkan dengan berbagai-bagai keajaiban dan mukjizat, namun mereka masih lagi tidak mahu beriman. Mereka kata itu semua adalah sihir yang dilakukan oleh Nabi Musa عليه السلام.

Jawapan kedua kenapa Allah ‎ﷻ tidak turut permintaan mereka: tidaklah layak dengan kedudukan Allah‎ ﷻ untuk melayan permintaan makhluk yang sebegitu. Takkan Allah ‎ﷻ harus memberikan apa sahaja yang mereka minta pula, bukan?

Ingatlah bahawa bukan Allah ‎ﷻ tidak mampu hendak beri. Boleh sahaja Allah‎ ﷻ beri dengan senang. Tetapi kalau diberikan kepada mereka yang memang degil, tidaklah patut dengan kedudukan Allah‎ ﷻ yang Maha Tinggi.

Ketiga, bukankah Al-Qur’an itu sudah merupakan satu mukjizat? Mukjizat Al-Qur’an itu lebih hebat lagi daripada mukjizat-mukjizat yang boleh dilihat dengan mata. Ini kerana mukjizat yang boleh dilihat dengan mata itu hanya boleh dilihat semasa itu sahaja. Tetaapi Al-Qur’an ini boleh dibaca zaman berzaman, tidak lapuk dek hujan. Sesiapa sahaja ada akses kepada Al-Qur’an. Di mana-mana sahaja boleh lihat.

Keempat, jika ditunjukkan mukjizat seperti yang mereka minta itu, tetapi selepas itu mereka masih berdegil tidak beriman, Allah ‎ﷻ akan berikan azab yang berat kepada mereka. Antaranya, mereka boleh dihapuskan terus dari mukabumi ini. Dan umat Islam ini adalah umat yang terakhir. Kalau diturunkan azab kepada kita sekarang sampai hancur semuanya, maka akan kiamatlah jadinya.

Kelima, Allah ‎ﷻ sudah tahu yang mereka minta itu bukan kerana hendak menguatkan iman mereka, atau untuk memberi ketenangan kepada mereka dalam agama. Bukan begitu. Tetapi mereka minta itu adalah untuk memperolok-olokkan Nabi Muhammad ﷺ sahaja. Maka, sebab itulah Allah ‎ﷻ tidak melayan kehendak.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat-ayat yang seterusnya

Kemaskini: 9 Oktober 2021


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Maariful Qur’an

Tafsir Surah Fatihah Ayat 6 [Bahagian 2] (Jenis-jenis Hidayah)

 

Kita juga memerlukan petunjuk daripada Allah ﷻ untuk masa depan. Semoga Allah ﷻ terus memberi petunjuk kepada kita untuk melakukan yang terbaik di masa-masa hadapan. Dan semoga Allah ﷻ menetapkan kita dalam iman dan mematikan kita dalam iman. Ini amat penting untuk kita harapkan.

Jangan sangka kita tidak perlukan kerana sangka kita sudah Muslim dan sudah beriman. Jangan kita rasa selesa dengan apa yang kita ada sekarang. Kerana iman itu boleh bertambah dan boleh berkurang. Ada orang yang mula beriman, tetapi akhirnya mati dalam kekufuran – nauzubillahi min zaalik.

Kita kena rendahkan diri kita dengan mengharap betul-betul hidayah daripada Allah ﷻ. Kita kena sedar yang banyak lagi yang kita perlukan. Kita perlukan hidayah bukan setakat dunia sahaja tetapi sampai membawa ke syurga. Kerana amalan di pengakhiran hidup kitalah yang akan dikira.

Kita takut sepanjang hidup kita, kita beramal dengan amalan yang baik namun di penghujung hayat kita (hampir saat kematian), kita buat amalan ahli neraka pula. Maka kita kena berhati-hati kerana Allah ﷻ boleh sahaja mengubah hati kita. Maka kita kena berharap dan berdoa yang Allah ﷻ menetapkan kita atas iman.

Hidayah yang kita harapkan adalah hidayah daripada Allah ﷻ, kerana itulah hidayah dan petunjuk yang sebenarnya. Kerana itu kita kena selalu minta kepada-Nya.

Kalau kita lihat kepada terjemahan biasa, kita boleh nampak bagaimana terjemahan itu tidak berapa tepat. Ada berbagai-bagai terjemahan yang digunakan. Ini adalah kerana ada memang agak susah untuk menterjemahkan Al-Qur’an. Disebabkan itulah ada banyak terjemahan dalam dunia ini. Dan dalam terjemahan itu, yang ditulis: kita hanya meminta Allah ﷻ menunjukkan kita jalan yang lurus sahaja. Kita tidak mahu hanya setakat itu sahaja.

Kita hendak mahu banyak lagi sebagaimana yang telah kita sebutkan sebelum ini. Kita bukan sahaja mahu Allah ﷻ ‘tunjukkan’ sahaja hidayah itu, malah lebih lagi yang kita harapkan. Oleh itu, kalau kita hanya baca terjemahan sahaja tanpa belajar tafsir yang lebih lagi memberi pemahaman, kita tidak faham lebih lagi maksud Al-Qur’an itu. Atau, pemahaman kita terhad sahaja kepada satu terjemahan. Oleh itu, kita kena belajar lebih lagi.

Sebab itulah kita selalu memperkatakan tentang kepentingan belajar tafsir. Kerana maksud sesuatu ayat itu tidak dapat dijelaskan hanya dengan membaca terjemahan sahaja. Kalau kita mementingkan agama kita, maka kita akan meluangkan masa untuk belajar lagi dan lagi kerana kita hendak sangat memahami agama kita yang indah ini. Memang tidak akan habis kita belajar tafsir ini. Semakin kita belajar, semakin banyak Allah ﷻ buka lagi ilmu-Nya kepada kita.

Oleh hal yang demikian, jelaslah ayat ini merupakan satu doa. Apabila kita berdoa, kita kena tahu apa yang kita bacakan. Itulah cara berdoa yang betul. Jangan kita baca sahaja, tanpa kita mengetahui apa yang kita minta. Kalau kita baca sahaja tanpa mengetahui apa yang kita bacakan, ada kemungkinan Allah ﷻ tidak makbulkan doa kita.

Dalam masa yang sama, kita baca doa itu dengan mengharap sangat kepada Allah ﷻ. Jangan kita baca sambil lewa sahaja. Seolah-olah kita kata: – ‘Kalau nak bagi, bagilah; kalau tidak mahu bagi, tidak mengapa’.

Jangan begitu. Itu kalau kita minta dengan manusia, bolehlah kalau ada perasaan begitu. Akan  tetapi apabila kita kita berdoa kepada Allah ﷻ, kita kena betul-betul tanam dalam hati kita keinginan kepada hidayah dan taufik itu. Kerana kita sekarang meminta kepada Allah ﷻ yang ‘mampu‘ beri apa yang kita hendak, dan ‘mahu‘ beri apa yang kita minta.

Kalau kita lihat, bahasa yang digunakan dalam ayat ini adalah dalam bentuk jamak – اهدِنَا  – pimpinlah ‘kami’ – padahal, kita baca berseorangan sahaja, bukan? Kenapa begitu pula?

Kita baca doa ini dalam bentuk jamak, kerana mengharapkan kalau doa kita tidak dimakbulkan, harapnya ada sesiapa yang dimakbulkan doanya dan kita pun termasuk sekali dengan mereka. Sebab itu, seeloknya kita solat berjemaah. Kerana dalam ramai-ramai yang berjemaah itu, mungkin ada orang yang doanya dimakbulkan waktu itu.

Dalam doa juga, kita jangan mengharap Allah ﷻ makbulkan doa kita tanpa kita melakukan usaha. Salah satu cara memakbulkan doa adalah dengan melakukan perkara yang patut dilakukan untuk mendapatkan sesuatu. Inilah yang dinamakan ‘asbab’. Kalau kita mahukan sesuatu, tentulah kita tidak hanya doa sahaja tanpa melakukan apa-apa. Sebagai contoh, kita minta Allah ﷻ memberi kerja untuk kita.

Tentulah kita kena berusaha untuk mencari kerja, bukan hanya duduk duduk di rumah sahaja dan tunggu panggilan kerja datang. Itu adalah cara yang salah, malah amat bodoh sekali. Kalau hendak lulus peperiksaan, kenalah belajar, bukan hanya berdoa sahaja. Sama juga apabila kita bertaubat kepada Allah ﷻ, ada cara yang perlu dilakukan. Kalau kita benar-benar ikhlas, kita kena lakukan asbab (penyebab) untuk mendapatkan sesuatu.

Maka, apakah asbab yang boleh kita lakukan? Apabila kita minta ditunjukkan jalan yang lurus, dari manakah kita boleh dapatkan? Tentulah daripada Al-Qur’an dan Sunnah. Allah ﷻ sudah berikan pun Al-Qur’an itu kepada dan kita semua tahu yang itu adalah sumber hidayah. Adakah kita hanya tahu sahaja tetapi kita tidak belajar memahami maksud Al-Qur’an itu untuk dapatkan hidayah itu? Kalau kita tidak merujuk Al-Qur’an, adakah itu menunjukkan ikhlas kita dalam mendapatkan hidayah itu?

Kita sudah beritahu sebelum ini bahawa kita kena buat asbab kalau hendak mendapatkan sesuatu, bukan? Maka, hendaklah kita belajar apakah wahyu yang Allah ﷻ telah sampaikan kepada kita ini. Dan inilah sebabnya kita selalu tekankan pembelajaran tafsir Al-Qur’an ini. Dan ini memerlukan usaha yang tinggi kerana ia mengambil masa yang lama dan penelitian yang tinggi. Bukan senang-senang sahaja boleh dapat.

Selepas Surah Al-Fatihah, terus masuk Surah Al-Baqarah dan ayat-ayat awal dari Surah Al-Baqarah itu memberitahu kita yang Al-Qur’an itu adalah hidayah kepada orang mukmin. Dalam Surah Al-Fatihah, kita minta hidayah, dan tidak lama selepas itu, Allah ﷻ terus beritahu kita jawapannya – hidayah itu ada dalam Al-Qur’an.

Apakah kita orang yang tidak faham sampaikan setelah diberitahu perkara itu, kita buat tidak tahu sahaja? Malangnya begitulah ramai yang buat tidak tahu sahaja dengan wahyu Allah ﷻ dan tidak mahu meluangkan masa untuk memahami wahyu-Nya itu. Allah ﷻ sudah beri, tetapi kita tidak belajar pula. Padahal kita sudah minta hidayah setiap hari pun. Maka, mahu tidak mahu kita kena belajar tafsir Al-Qur’an. Bukan setakat baca sahaja, tetapi kena faham apakah yang disampaikan dalam Al-Qur’an itu.

Yang kedua, kita minta Allah ﷻ memasukkan hidayah ke dalam hati kita. Dalam Al-Qur’an, Allah ﷻ telah beritahu tentang mereka yang diberi hidayah. Maka, kita kena ikut apakah yang perlu dilakukan untuk menjadi orang-orang yang mendapat hidayah itu. Kalau kita tidak buat, itu menandakan kita sombong sahaja – mahu hidayah, tetapi tidak mahu menjadi seperti mereka yang mendapat hidayah. Apakah yang dilakukan oleh mereka yang mendapat hidayah itu?

Yang pertama, taubat kepada Allah ﷻ. Iaitu kembali rujuk kepada Allah ﷻ. Taubat itu ada banyak makna. Salah satunya adalah berubah dari jalan yang salah dan kembali rujuk kepada Allah ﷻ. Tinggalkan kehidupan yang salah.

Keduanya, apabila kita mahu hidayah, kita kena terima apakah hidayah itu. Janganlah apabila sudah tahu, tetapi tidak mahu ikut pula. Kita mahu ikut cara mereka yang diberi hidayah. Sepertimana kalau kita tawakal kepada Allah ﷻ, kita kena terima apa yang Allah ﷻ telah tetapkan keputusan-Nya untuk kita. Sama juga, kalau kita minta hidayah kepada Allah ﷻ, dan kalau Allah ﷻ telah beri hidayah itu, kenalah kita terima. Tidak bolehlah hendak pilih-pilih.

Tidak bolehlah mahukan hidayah, tetapi apabila Allah ﷻ suruh tinggalkan arak, kita tidak mahu ikut pula. Amatlah kurang ajar kalau kita minta sesuatu, dan apabila diberitahu kepada kita apa yang perlu dilakukan, kita tidak mahu terima dan tidak mahu buat pula. Bukankah kita minta hidayah yang penuh, bukan? Takkan apabila diberi hidayah dan apa yang perlu diikuti, kita mahu pilih-pilih pula.

Begitulah masalah yang banyak dihadapi oleh mereka yang belajar. Mereka sudah tahu kebenaran, apa yang perlu buat dan sebagainya, tetapi mereka rasa ia amat berat untuk mereka melakukannya, maka mereka tidak buat. Ada juga yang takut disisih oleh masyarakat, takut dipulau, atau dipandang serong.

Ketiga, kepentingan ilmu. Untuk mendapat hidayah, kita kena tahu apakah yang perlu dilakukan dan apa yang perlu ditinggalkan. Ilmu yang benar akan memberi kesan kepada mereka yang mendapatinya. Hati mereka akan berubah. Mereka yang sebenar-benar tahu (yang sudah ada ilmu) akan takut kepada Allah ﷻ.

Mereka juga akan mengamalkan ilmu itu kalau mereka ikhlas. Bukan setakat tahu sahaja. Mungkin ilmu mereka belum mantap lagi, tetapi ilmu yang mereka ada itu sudah cukup untuk mereka amalkan. Amalkan setakat yang sudah tahu. Mereka yang ada ilmu sudah mula tahu mana yang salah dan benar. Yang penting, ilmu itu menyentuh hatinya.

Untuk mendapatkan ilmu, tentu memerlukan usaha. Kalau benar-benar mahukan ilmu, kena ada usaha yang banyak. Bukan goyang kaki sahaja. Bukan dengan cari ‘ilmu ladunni’ sebagaimana orang tarekat itu cari. Seperti juga kita hendak mendapatkan maklumat, kita kena luangkan masa dan buat kerja sikit, walaupun cari maklumat dalam internet. Termasuk kita akan bertanya orang lain dan sebagainya untuk mendapatkan maklumat, bukan?

Begitulah juga kalau hendak mendapatkan ilmu agama. Malangnya, kebanyakan manusia dalam hal lain, sanggup meluangkan masa dalam hal lain, tetapi dalam ilmu agama, tidak mahu pula. Mereka berasa ilmu agama ini memadai sahaja dengan apa yang mereka belajar di sekolah rendah dan sekolah menengah sahaja dan tidak ada usaha untuk menambah ilmu agama mereka selepas habis belajar. Sedangkan, dalam hal keduniaan, mereka sanggup belajar sehingga ke peringkat tertinggi di universiti, bergulung-gulun ijazah sehingga peringkat PHD, kemudian ditambah buat kajian lagi. Padahal, itu hanya untuk kepentingan dan kesenangan di dunia sahaja.

Seterusnya, untuk mendapat hidayah, kena tingkatkan iman kita. Semua orang ada iman dan semakin banyak iman kita, semakin kita mendapat hidayah. Semakin kita percaya dengan apa yang disampaikan oleh Allah ﷻ, semakin kita akan mendapat hidayah. Kalau tidak mahu percaya, walaupun hidayah itu ada di depan kita, kita tidak mahu terima. Oleh itu, kena cari jalan untuk meningkatkan iman. Salah satunya adalah dengan meningkatkan pemahaman kita tentang Allah ﷻ.

Semakin kita kenal Allah ﷻ, semakin kita takut dengan Allah ﷻ, semakin kita berharap dengan Allah ﷻ dan hasilnya akan meningkatnya iman kita. Apabila iman kita meningkat, kita akan lebih mendapat hidayah. Seperti yang Allah ﷻ firman dalam Taghabun: 11

وَمَن يُؤمِن بِاللَّهِ يَهدِ قَلبَهُ
dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya

Doa juga adalah salah satu daripada asbab untuk mendapatkan hidayah. Salah satunya termasuklah doa dalam Surah Al-Fatihah ini. Akan tetapi janganlah hanya setakat doa daripda Al-Fatihah ini sahaja. Kita kena buat lebih lagi. Bukankah ia sangat penting? Kalau ia penting, tentu kita akan berusaha untuk mendapatkannya dan melakukan segala-galanya.

Sebagai contoh, kita boleh berdoa untuk mendapat hidayah dengan berdoa dalam doa witir. Tambahan pula itu adalah waktu yang sesuai untuk berdoa – sepertiga malam.

Lagi satu asbab adalah dengan mengikuti ajaran Al-Qur’an dan Sunnah. Kita kena betulkan pandangan kita terhadap ajaran agama Islam. Sekarang kita kena nilai semula bagaimanakah adab kita dengan Al-Qur’an dan Sunnah? Boleh dikatakan majoriti kita tahu yang Al-Qur’an dan hadith itu sumber hidayah, namun berapa ramai yang buat tidak tahu sahaja dengan keduanya?

Termasuklah mereka yang dalam kalangan ‘ ahli agama’ pun, termasuk ustaz-ustaz yang mengajar masyarakat. Mereka tidak belajar pun apa yang Al-Qur’an dan Hadith Nabi sebut tentang sesuatu perkara. Yang mereka gunakan adalah kata-kata manusia (ustaz dan guru mereka).

Dan ada juga golongan yang menerima Al-Qur’an tetapi tidak menerima Hadith. Kerana mereka kata ada masalah dengan hadith. Ada yang kata hadith tidak boleh dipercayai kerana perawi-perawi hadith itu takkan tidak melakukan kesalahan dalam menyampaikan hadith kerana mereka hanya mendengar daripada orang lain.

Oleh itu, ada golongan seperti golongan Anti-Hadith yang menolak hadith, padahal Allah ﷻ telah perintah kita untuk menerima Rasul juga. Itulah jalan kepada hidayah. Mereka menolak kerana salah faham dan salah belajar.

Bagaimana lagi kita boleh menerima agama kalau bukan melalui Nabi Muhammad ﷺ yang menyampaikannya kepada kita? Bukankah tugas Rasul itu adalah untuk menyampaikan kebenaran? Adakah kita ada pilihan selain daripada mengikutinya? Kalau kita tidak ikut, bermakna kita telah derhaka kepada Allah ﷻ juga!

Satu lagi perkara yang kita perlu lakukan adalah mujahadah. Iaitu berusaha lebih untuk mendapat hidayah dan kerana Allah ﷻ. Apabila kita buat begitu, Allah ﷻ akan balas dengan beri lebih hidayah lagi. Manusia memang ada kelebihan untuk melakukan usaha yang lebih.

Untuk perkara dunia, manusia sanggup untuk melakukan macam-macam perkara. Lihatlah kepada ahli sukan yang sanggup berlatih sehingga 12 jam sehari. Begitu juga dengan mereka yang hendak melepasi peperiksaan, mereka akan mengulangkaji bersungguh-sungguh sanggup bersengkang mata. Kita sebagai Muslim kena lakukan lebih lagi daripada mereka untuk mendapat hidayah.

Agama Islam tidaklah ekstrim, maka tidaklah sampai mujahadah itu membahayakan diri kita. Cuma kena usaha lebih sikit. Kena ada usaha kerana ia tidak datang dengan mudah. Kena lawan sifat malas yang ada dengan kita. Kerana hidayah yang kita kehendaki itu amatlah berharga. Usaha inilah yang dinamakan ‘jihad’ melawan nafsu. Kita kena isytihar jihad dengan nafsu kita. Ramai yang gagal kerana kalah dengan nafsu mereka.

Seterusnya, kita kena jihad melawan syaitan. Syaitan akan berusaha untuk membisikkan kepada kita untuk melakukan perkara yang salah. Kita kena lawan mereka kerana Allah ﷻ. Allah ﷻ menilai kita dengan usaha yang kita lakukan. Dengan berusaha sahaja, sudah mendapat pahala.

Selepas kita mendapat hidayah dan ilmu itu, hendaklah kita menyampaikannya pula kepada orang lain. Jangan simpan sendiri sahaja. Dan untuk melakukan perkara ini bukanlah mudah, kerana ramai akan menentang. Akan sampai kepada satu tahap, orang akan melawan dan menuduh kita macam-macam, tetapi kita kena terus menyampaikan walau seteruk manapun mereka menentang kita.

Inilah yang telah dihadapi oleh Nabi ﷺ, para sahabat dan golongan-golongan salaf. Mereka tidak berhenti daripada menyampaikan dakwah sehingga akhir hayat mereka. Kita kena ingat daripada merekalah kita menerima agama yang murni ini. Kalau mereka tidak sampaikan, entah apalah jadi kepada kita, bukan? Maka tidakkah kita mahu berikan perkara yang sama kepada orang lain?

Bukan sahaja kita mujahadah dengan nafsu dan syaitan sahaja, tetapi kita kena melawan mereka yang mengajak kepada kederhakaan. Ramai manusia yang tidak mendapat hidayah yang mengajak kita juga ke arah kesesatan. Kita jangan terpengaruh dengan mereka, sebaliknya kita kena tetap dalam pendirian kita. Dalam perkara yang berkaitan juga, kita kenalah berkawan dengan orang yang baik dan meninggalkan mereka yang tidak baik.

Kawan-kawan yang rapat dengan kita akan memberi kesan kepada kita. Perumpamaan yang Nabi ﷺ berikan adalah perbezaan berkawan dengan penjual minyak wangi dan tukang besi. Orang yang berkawan dengan penjual minyak wangi akan berbau wangi dan orang yang berkawan dengan tukang besi akan berbau busuk.

Orang yang mendapat hidayah akan membantu kita dalam proses untuk mendapat hidayah. Maka, berhati-hati dengan siapa yang kita luangkan masa. Ramai yang gagal dalam kehidupan mereka dunia dan akhirat kerana mereka salah memilih kawan.

Maka, secara ringkasnya, bukan kita minta sahaja hidayah itu, tetapi kita kena ada usaha. Hidayah adalah satu perkara yang amat bernilai, maka kenalah ada usaha.

Allahu a’lam. Sambung ke bahagian yang seterusnya.

Kemaskini: 12 Oktober 2019


Rujukan:

Nouman Ali Khan

Jamal Zarabozo

Tafsir Surah al-An’am Ayat 2 – 5 (Allah tahu segalanya)

An’am Ayat 2: Ayat Dalil lagi. Kalau ayat sebelum ini adalah mengenai alam semesta, sekarang Allah ‎ﷻ sentuh tentang alam diri kita pula.

هُوَ الَّذي خَلَقَكُم مِّن طينٍ ثُمَّ قَضىٰ أَجَلًا ۖ وَأَجَلٌ مُّسَمًّى عِندَهُ ۖ ثُمَّ أَنتُم تَمتَرونَ

Sahih International

It is He who created you from clay and then decreed a term and a specified time [known] to Him; then [still] you are in dispute.

Malay

Dia lah yang menciptakan kamu daripada tanah, kemudian Dia tentukan ajal (kematian kamu) dan satu ajal lagi yang tertentu di sisiNya (iaitu masa yang telah ditetapkan untuk dibangkitkan kamu semula pada hari kiamat); dalam pada itu, kamu masih ragu-ragu (tentang hari pembalasan).

 

هُوَ الَّذِي خَلَقَكُم مِّن طِينٍ

Dia lah yang menciptakan kamu daripada tanah liat,

Allah ‎ﷻ bukan sahaja menjadikan langit dan bumi, tetapi Allah ‎ﷻ jugalah yang telah menjadikan kita manusia. Selepas Allah ‎ﷻ menceritakan tentang penciptaan langit dan bumi, Allah ‎ﷻ menekankan dalam ayat ini, bahawa Dia lah yang telah menjadikan kita.

Dia telah menjadikan kita daripada tanah liat iaitu lumpur yang bercampur air. Yang dimaksudkan di sini adalah penciptaan Nabi Adam عليه السلام dahulu. Kita dikatakan diciptakan juga daripada tanah kerana kita anak cucu Nabi Adam عليه السلام. Cuma bezanya, kita dijadikan daripada air mani.

Walaupun begitu, kita pun sebenarnya ada elemen tanah juga, bukan? Makanan kita daripada sumber tanah juga sebenarnya seperti tumbuhan (dan kalau binatang pun, mereka makan tumbuhan yang ditanam di tanah juga). Dan daripada makanan diproses dalam badan menjadi air mani dan air mani itulah yang kita dijadikan dengan izin dan kuasa Allah ‎ﷻ.

Tanah liat adalah sesuatu yang tiada nyawa dan tidak boleh membuat apa-apa. Jika kita ambil tanah liat dan kita bentukkan menjadi sesuatu, ia juga tidak akan bernyawa dan bergerak. Jadi ini menunjukkan kuasa Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻlah memberi nyawa itu. Bukanlah kehebatan itu pada tanah liat itu tetapi pada Allah ‎ﷻ.

Ayat ini juga mengingatkan kita kepada asal kejadian kita – daripada tanah yang hina. Kadang-kadang kita sangka kita sudah berjaya, kita orang besar, maka kita jadi sombong. Padahal asal kita semuanya sama sahaja, daripada sesuatu yang kotor dan lemah yang tidak ada nilai apa-apa. Kejayaan yang kita dapat itu sebenarnya daripada Allah ‎ﷻ.

 

ثُمَّ قَضَىٰ أَجَلًا

kemudian Dia tentukan ajal (kematian kamu)

Kalimah قَضَىٰ bermaksud ‘penentuan yang terakhir’. Yang selepas itu akan dijalankan apa yang telah ditetapkan. Sebab itu hakim dalam bahasa Arab dipanggil qadhi kerana keputusan yang diberikannya adalah keputusan yang terakhir dan akan dijalankan berdasarkan apa yang dia telah tetapkan. Tiada yang boleh menolak keputusannya.

Kalimah أَجَلًا adalah satu tempoh masa dari sekarang sampai kepada masa yang telah ditetapkan. Jadi أَجَلًا adalah umur seseorang dari lahir sehingga matinya. Setiap orang telah ditentukan ajalnya, setiap orang telah ditentukan had umurnya. Apabila sampai masa, apabila sudah habis ajalnya, dia akan diambil nyawanya.

Ayat ini dimulakan dengan menceritakan kejadian kita daripada tanah. Kemudian disebut kita akan dimatikan apabila sudah habis ajal kita. Dia jadikan kita daripada tanah dan akan mengembalikan kita kepada tanah juga. Ini semua orang tahu yang mereka akan mati akhirnya.

Allah ‎ﷻ yang menentukan bila kita akan mati. Pelbagai jenis cara kita mati. Tidak sama umur seseorang dengan orang yang lain. Ada yang pendek umurnya dan ada yang panjang umurnya. Itu semua adalah dalam قَضَىٰ Nya. Tidak akan terjadi lebih awal atau terlambat. Maka kalau kita hendak mengambil nyawa kita sendiri, atau hendak ambil nyawa orang lain, namun jika Allah‎ ﷻ belum قَضَىٰ lagi masa untuk dia mati, maka tidak habis ajal orang itu.

Kadang-kadang kita dengar seseorang yang mengalami kemalangan yang amat teruk sekali tetapi dia tidak mati lagi. Ini kerana Allah ‎ﷻ belum قَضَىٰ matinya lagi. Ada orang pula melawat orang yang sakit tenat di hospital, tetapi dia pula yang mati dahulu.

Maka, kalau seseorang itu mati, tetapi ada yang kita kata dia ‘mati awal’, dia patut tidak mati lagi, atau kita kata doktor yang buat silap dalam pembedahan dan sebagainya, itu adalah salah faham. Kerana Allah ‎ﷻlah yang menetapkan yang seseorang itu akan mati waktu itu, jam itu dan saat itu.

 

وَأَجَلٌ مُّسَمًّى عِندَهُ

dan satu ajal lagi yang tertentu di sisi-Nya;

Ini pula adalah ‘ajal’ yang kedua. Sebagaimana diri kita ini akan mati akhirnya, maka alam semesta juga akan sampai masanya, mati juga. Allah‎ ﷻ telah tentukan bilakah alam ini akan dihancurkan.

Kalimah مُّسَمًّى bermaksud sesuatu ‘yang telah diberi banyak nama’. Yang ‘dikenali dengan banyak nama’. Yang dimaksudkan adalah hari kiamat. Kita pun tahu yang Kiamat itu ada banyak nama.

Telah ‘diketahui yang ia akan tiba’ tetapi tidak diketahui ‘bilakah’ ia akan terjadi. Tidak ada sesiapa pun yang tahu bilakah akan terjadinya Hari Kiamat itu, melainkan Allah ‎ﷻ sahaja. Tidak akan ada yang tahu sampai bila-bila. Oleh itu, buang masa sahaja mengagak bilakah hari Kiamat itu.

Para saintis ada yang suka sangat mengkaji bilakah alam ini akan hancur. Ada juga ahli-ahli agama yang buat andaian bilakah ia akan terjadi. Yang menyedihkan, ada juga orang Islam yang kononnya ustaz yang cuba beri agakan bilakah ia akan terjadi, alangkah bodohnya mereka.

Yang sepatutnya kita lakukan adalah taat kepada Allah ‎ﷻ dan melakukan ibadat untuk menyediakan diri kita untuk hari itu. Bukannya sibuk mencari bilakah ia akan terjadi.

Dikatakan ayat ini merujuk kepada ‘hari kiamat’ kerana ada perkataan عِندَهُ (di sisi-Nya) itu. Kerana pengetahuan tentang bila terjadinya kiamat itu hanya ada pada Allah ‎ﷻ. Seperti yang Allah‎ ﷻ firman dalam Mulk: 26

قُلْ إِنَّمَا الْعِلْمُ عِندَ اللهِ وَإِنَّمَا أَنَا نَذِيرٌ مُّبِينٌ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya ilmu pengetahuan (tentang masa kedatangannya) hanya ada pada sisi Allah, dan sesungguhnya aku hanyalah seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran yang terang nyata”.

 

Hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang tahu bilakah terjadinya kiamat itu. Dalam Sahih Bukhari, ada dimasukkan satu hadith yang menyentuh perkara ini. Iaitu dalam satu hadith yang terkenal sebagai ‘Hadith Jibril’:

حَدَّثَنَا مُسَدَّدٌ قَالَ حَدَّثَنَا إِسْمَاعِيلُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ أَخْبَرَنَا أَبُو حَيَّانَ التَّيْمِيُّ عَنْ أَبِي زُرْعَةَ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ {كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَارِزًا يَوْمًا لِلنَّاسِ فَأَتَاهُ جِبْرِيلُ فَقَالَ مَا الإِيمَانُ ؟ قَالَ الإِيمَانُ أَنْ تُؤْمِنَ بِاللَّهِ وَمَلائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَبِلِقَائِهِ وَرُسُلِهِ وَتُؤْمِنَ بِالْبَعْثِ . قَالَ مَا الإِسْلامُ ؟ قَالَ الإِسْلامُ أَنْ تَعْبُدَ اللَّهَ وَلا تُشْرِكَ بِهِ شَيْئًا وَتُقِيمَ الصَّلاةَ وَتُؤَدِّيَ الزَّكَاةَ الْمَفْرُوضَةَ وَتَصُومَ رَمَضَانَ. قَالَ مَا الإِحْسَانُ؟ قَالَ أَنْ تَعْبُدَ اللَّهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ. قَالَ مَتَى السَّاعَةُ؟ قَالَ مَا الْمَسْئُولُ عَنْهَا بِأَعْلَمَ مِنَ السَّائِلِ. وَسَأُخْبِرُكَ عَنْ أَشْرَاطِهَا إِذَا وَلَدَتِ الأَمَةُ رَبَّهَا , وَإِذَا تَطَاوَلَ رُعَاةُ الإِبِلِ الْبُهْمُ فِي الْبُنْيَانِ , فِي خَمْسٍ لا يَعْلَمُهُنَّ إِلاَّ اللَّهُ ثُمَّ تَلا النَّبِيُّ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ( إِنَّ اللَّهَ عِنْدَهُ عِلْمُ السَّاعَةِ ) الآيَةَ ثُمَّ أَدْبَرَ. فَقَالَ رُدُّوهُ فَلَمْ يَرَوْا شَيْئًا فَقَالَ هَذَا جِبْرِيلُ جَاءَ يُعَلِّمُ النَّاسَ دِينَهُمْ} قَالَ أَبو عَبْد اللَّهِ جَعَلَ ذَلِك كُلَّهُ مِنَ الإِيمَانِ

Telah menceritakan kepada kami Musaddad berkata, Telah menceritakan kepada kami Isma’il bin Ibrahim telah mengabarkan kepada kami Abu Hayyan At Taimi daripada Abu Zur’ah daripada Abu Hurairah berkata; bahawa Nabi  ﷺ pada suatu hari muncul kepada para sahabat, lalu datang Malaikat Jibril عليه السلام yang kemudian bertanya: “Apakah iman itu?” Nabi ﷺ menjawab: “Iman adalah kamu beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, pertemuan dengan-Nya, Rasul-Rasul-Nya, dan kamu beriman kepada hari berbangkit”. (Jibril عليه السلام) berkata: “Apakah Islam itu?” Jawab Nabi ﷺ: “Islam adalah kamu menyembah Allah dan tidak menyekutukan-Nya dengan suatu apapun, kamu dirikan salat, kamu tunaikan zakat yang diwajibkan, dan berpuasa di bulan Ramadhan”. (Jibril عليه السلام) berkata: “Apakah ihsan itu?” Nabi ﷺ menjawab: “Kamu menyembah Allah seolah-olah melihat-Nya dan bila kamu tidak melihat-Nya sesungguhnya Dia melihatmu”. (Jibril عليه السلام) berkata lagi: “Bilakah terjadinya hari kiamat?” Nabi  ﷺ menjawab: “Yang ditanya tentang itu tidak lebih tahu daripada yang bertanya. Tetapi aku akan terangkan tanda-tandanya; (iaitu); jika seorang budak telah melahirkan tuannya, jika para penggembala unta yang berkulit hitam berlumba-lumba membangun gedung-gedung selama lima masa, yang tidak diketahui lamanya kecuali oleh Allah”. Kemudian Nabi ﷺ membaca: “Sesungguhnya hanya pada Allah pengetahuan tentang hari kiamat” (Luqman: 34). Setelah itu Jibril عليه السلام pergi, kemudian Nabi ﷺ berkata; “Hadapkan dia ke sini.” Tetapi para sahabat tidak melihat sesuatu pun, maka Nabi ﷺ bersabda; “Dia adalah Malaikat Jibril عليه السلام datang kepada manusia untuk mengajarkan agama mereka.” Abu Abdullah berkata: “Semua hal yang diterangkan Beliau ﷺ dijadikan sebagai iman.

Hadith ini diriwayatkan daripada sahabat Umar bin Al-Khathab رضي الله عنه. Hadith ini boleh didapati di kedua-dua kitab Shahihain, Sahih Bukhari dan Sahih Muslim

Daripada hadith ini, kita dapat tahu, Nabi Muhammad ﷺ sendiri tidak tahu bilakah terjadinya Kiamat, malah Malaikat Jibrail عليه السلام sendiri tidak tahu. Kalau Jibrail عليه السلام sendiri tidak tahu, apatah lagi malaikat-malaikat yang lain. Hanya Allah sahaja yang tahu.

 

ثُمَّ أَنتُمْ تَمْتَرُونَ

dalam pada itu, kamu masih ragu-ragu

Ada banyak perkataan yang digunakan untuk membawa ‘ragu-ragu’ dalam Al-Qur’an. Dalam ayat ini, digunakan perkataan تَمْتَرُونَ.

Perkataan تَمْتَرُونَ ini adalah dari katadasar م ر ي yang bermaksud: ‘ragu-ragu tentang perkara yang jelas’. Seperti hari siang tetapi ada juga orang yang kata malam lagi. Kalau begitu, maknanya dia ragu-ragu sangat dan ia adalah keraguan yang tidak patut.

Hari kiamat adalah pasti. Banyak nama telah diberikan untuknya. Telah disebut terlalu banyak dalam Al-Qur’an. Secara logik pun, banyak hujah yang kuat boleh digunakan untuk menyatakan kepastian tentang hari kiamat itu.

Kita sendiri adalah dalil tentang adanya hari akhirat itu kerana dalam diri kita ada roh dan roh itu hanya akan keluar pada hari akhirat nanti.

Ragu dalam ayat ini juga bermaksud mereka ragu-ragu bahawa Allah‎ ﷻlah yang menciptakan semua sekali dalam alam ini. Orang yang buat syirik itu mereka sebenarnya ragu-ragu bahawa Allah ‎ﷻ berkuasa penuh menghidupkan dan mematikan. Mereka merasakan bahawa ada lagi entiti lain yang ada kuasa selain Allah‎ ﷻ.

Yang paling penting adalah mereka ragu-ragu tentang Hari Kebangkitan. Mereka tidak dapat terima yang apabila mereka mati dan menjadi debu, mereka akan dihidupkan kembali. Itulah sebabnya Allah ‎ﷻ telah katakan bahawa Dia telah menjadikan kita daripada tanah dalam ayat sebelum ini. Kalau Dia telah jadikan kita asalnya daripada tanah, takkan Dia tidak boleh menghidupkan kita kembali apabila kita sudah menjadi tanah?

Dalam surah Taha telah disebut tentang perkara ini, iaitu dalam Taha:55

مِنْهَا خَلَقْنَاكُمْ وَفِيهَا نُعِيدُكُمْ وَمِنْهَا نُخْرِجُكُمْ تَارَةً أُخْرَىٰ

Dari bumilah Kami ciptakan kamu, dan ke dalamnya Kami akan mengembalikan kamu, dan daripadanya pula Kami akan mengeluarkan kamu sekali lagi.

Inilah yang menghairankan sekali kerana Musyrikin Mekah tahu dan terima bahawa Allah ‎ﷻlah yang menjadikan mereka. Tetapi apabila disebut tentang Kebangkitan Semula, mereka tidak boleh terima pula. Ini kerana mereka takut jika mereka terima Hari Kebangkitan, bermakna mereka kena jawab segala kesalahan yang telah mereka lakukan.

Perkataan م ري juga bermaksud ‘berbalah’. Mereka Musyrikin Mekah itu berbalah sesama mereka tentang kejadian Hari Kebangkitan. Ada yang kata ada Hari Kebangkitan dan ramai yang kata tidak ada Hari Kebangkitan.


 

An’am Ayat 3:

وَهُوَ اللهُ فِي السَّمٰوٰتِ وَفِي الأَرضِ ۖ يَعلَمُ سِرَّكُم وَجَهرَكُم وَيَعلَمُ ما تَكسِبونَ

Sahih International

And He is Allah , [the only deity] in the heavens and the earth. He knows your secret and what you make public, and He knows that which you earn.

Malay

Dan Dia lah Allah (yang disembah dan diakui kekuasaanNya) di langit dan di bumi; Dia mengetahui apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu lahirkan, dan Dia juga mengetahui apa yang kamu usahakan.

 

وَهُوَ اللهُ فِي السَّمٰوٰتِ

Dan Dia lah Allah di langit

Allah ‎ﷻlah Tuhan yang disembah di langit. Iaitu disembah oleh para malaikat. Maknanya Allah‎ ﷻ yang mengurus langit.

Dan Allah‎ ﷻ juga yang mengurus bumi. Allah‎ ﷻ tidak memberikan pengurusan alam ini kepada makhluk. Tidaklah Allah‎ ﷻ memberikan tugas mengurus alam kepada Nabi yang sudah wafat, wali yang sudah wafat atau sesiapa sahaja. Allah ‎ﷻ sendiri yang menguruskan alam ini dengan sendirinya.

 

وَفِي الْأَرْضِ

dan di bumi;

Dan Allah ‎ﷻ juga Tuhan yang disembah di bumi. Disembah oleh manusia, jin, binatang malah semua makhluk termasuk alam yang kita sangka tidak bernyawa ini. Dalam ayat lain ada disebut bahawa alam ini semuanya bertasbih kepada Allah ‎ﷻ. Kita sahaja yang tidak nampak.

Kenapa Allah ‎ﷻ sebut yang Dia adalah Tuhan di langit dan di bumi? Ini disebut kerana ada yang kata Tuhan itu duduknya di langit dan tidak hiraukan keadaan kita di dunia ini. Kita kena ingat bahawa Musyrikin Mekah percaya bahawa Allah‎ ﷻ itu memang yang menjadikan alam ini.

Tetapi mereka kata selepas Allah ‎ﷻ menjadikan alam ini, Allah ‎ﷻ telah menyerahkan urusan seharian alam ini kepada ‘tuhan-tuhan mini’ yang lain. Ada ilah yang menjaga waktu, ada yang menjaga air, ada yang menjaga angin dan sebagainya.

Begitu juga dalam dunia sekarang, ada agama yang percaya kepada ‘Tuhan yang satu’ yang menjadikan segala-galanya. Tetapi selepas dijadikan alam ini, Dia berehat di langit.

Begitu juga, ada fahaman sesat dalam Islam yang dinamakan ‘Qadariah’ yang mengatakan selepas Allah ‎ﷻ menjadikan alam ini, Allah ‎ﷻ menyerahkan segala urusan dunia kepada manusia untuk uruskan. Mereka kata kita sendiri yang menentukan untung nasib diri kita 100% tanpa campur tangan Allah ‎ﷻ.

Mereka kata Allah ‎ﷻ sudah tidak peduli dengan apa yang terjadi. Semuanya adalah atas usaha manusia sendiri. Ini juga adalah satu akidah sesat. Jadi Allah ‎ﷻ kata dalam ayat ini yang Dia ambil tahu keadaan makhluk-Nya di dunia ini. Allah ‎ﷻ sentiasa mengurus makhluk-Nya di langit dan di bumi. Kerana itulah kita sentiasa kena berdoa kepada Allah ‎ﷻ supaya memberi kebaikan kepada kita dalam urusan hidup kita.

Ada orang yang bodoh dan jahil mengatakan Allah ‎ﷻ berada di langit dan di bumi. Dan mereka kata Allah ‎ﷻ berada di mana-mana. Mereka menggunakan ayat ini sebagai dalil mereka.

Itu adalah kata-kata yang amat merbahaya dan salah sama sekali. Kalau kita terima Allah ‎ﷻ berada di mana-mana, maka kita bolehlah kata Allah‎ ﷻ ada dalam rumah kita, dalam almari kita, dalam poket kita, dalam tandas dan pelbagai tempat lagi. Itu adalah kata-kata yang amat merendahkan kedudukan Allah ‎ﷻ. Tidak mungkin Allah ‎ﷻ begitu.

Yang sebenarnya, ‘ilmu’ Allah ‎ﷻ meliputi langit dan bumi. Allah ‎ﷻ tahu apa yang berlaku di langit dan di bumi malah di mana-mana sahaja. Maka di mana Allah ‎ﷻ? Allah berada di Arasy-Nya. Namun begitu ilmu-Nya meliputi semua tempat. Allah‎ ﷻ tidak perlu berada di bumi untuk mengetahui apa yang terjadi di bumi.

 

يَعْلَمُ سِرَّكُمْ

Dia mengetahui apa yang kamu rahsiakan

Ada rahsia yang manusia simpan dalam dirinya. Dia tidak berkongsi dengan sesiapa pun dan disimpan dalam dirinya sahaja. Yang tahu hanya dia dan Allah ‎ﷻ sahaja. Ada pula jenis rahsia yang seseorang itu menceritakan kepada orang tertentu sahaja. Allah‎ ﷻ hendak mengingatkan kita yang Dia tahu semua rahsia, tidak kira jenis rahsia. Sama ada yang tidak dikongsi dengan sesiapa dan rahsia yang dikongsi dengan orang tertentu sahaja.

Ini adalah salah satu daripada sifat-sifat Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ Maha Mendengar walaupun perkara yang kita rahsiakan daripada orang lain. Mungkin ada perkara yang kita boleh sembunyikan daripada makhluk. Ada perbualan yang kita bisik-bisik dengan kawan kita yang orang lain tidak tahu. Tetapi ingatlah bahawa Allah ‎ﷻ mendengar segalanya, walaupun perbualan yang kita bisikkan, sembunyikan. Malah Allah ‎ﷻ tahu apa yang kita bisikkan dalam hati kita.

Hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang ada kuasa ini. Namun, amat menyedihkan terdapat kesyirikan yang manusia lakukan tentang perkara ini. Seperti yang kita telah sebut, Allah ‎ﷻ maha tahu. Tetapi ada dalam kalangan kita yang takut hendak bercakap yang tidak elok tentang seseorang kerana mereka rasa kalau jika kutuk orang itu, dia boleh dengar apa yang kita cakapkan itu.

Ini sebenarnya telah mengambil salah satu sifat Allah; iaitu hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang maha mendengar. Akan tetapi ada manusia yang berfahaman syirik yang meletakkan sifat itu ada pada makhluk juga. Ini adalah satu kesyirikan kerana telah menyamakan Allah ‎ﷻ dengan makhluk.

 

وَجَهْرَكُمْ

dan apa yang kamu lahirkan,

Allah‎ ﷻ tahu apa yang kita cakap dengan kuat dan jelas. Yang kita cakap kepada orang lain, termasuklah SMS yang kita hantar, Whatsapp dan apa yang kita post dalam Facebook, dalam Twitter dan dalam blog malah semuanya. Semuanya Allah ‎ﷻ tahu dan Allah ‎ﷻ ambil kira.

Oleh itu kita kena sedar bahawa Allah ‎ﷻ sedang memerhati kita. Jika kita dapat sedar hal ini, tentu kita takut untuk membuat perkara yang salah. Jika ayah kita depan kita pun kita sudah jaga perbuatan kita, bukan? Apatah lagi kalau kita boleh sedar bahawa Allah ‎ﷻ sendiri sedang memerhatikan kita.

 

وَيَعْلَمُ مَا تَكْسِبُونَ

dan Dia juga mengetahui apa yang kamu usahakan.

Allah ‎ﷻ tahu apa usaha kita dan apa hasil yang kita dapat daripada usaha itu. Sebagai contoh, Allah ‎ﷻ tahu berapa gaji kita yang kadang-kadang kita rahsiakan daripada orang lain.

Allah ‎ﷻ tahu apakah perbuatan kita sama ada kita buat sendiri-sendiri atau buat beramai-ramai.

Allah ‎ﷻ juga tahu perkara ghaib iaitu apakah amal ibadat kita dan pahala yang kita dapat daripada amal kita itu.

Jadi Allah ‎ﷻ tahu apakah usaha kita dalam dunia atau untuk akhirat. Sama ada perkara yang baik atau perkara yang buruk.

Allah ‎ﷻ juga tahu perasaan kita, apa yang kita rasa. Begitu juga Allah ‎ﷻ tahu apakah ilmu dan pengetahuan kita. Semua itu termasuk dalam apa yang dapat daripada hasil perbuatan kita.

Daripada ayat ini, kita tahu yang Allah ‎ﷻ bukan sahaja telah menjadikan kita dan alam ini, tetapi selepas itu Dia memerhati apa yang kita lakukan. Dalam segenap perbuatan dan percakapan kita dan apa yang terjadi kepada kita, Allah ‎ﷻ tahu niat kita. Allah‎ ﷻ tahu sama ada apa yang kita buat itu ikhlas atau tidak.


 

An’am Ayat 4: Ayat Zajrun (teguran).

وَما تَأتيهِم مِّن ءآيَةٍ مِّن ءآيٰتِ رَبِّهِم إِلّا كانوا عَنها مُعرِضينَ

Sahih International

And no sign comes to them from the signs of their Lord except that they turn away therefrom.

Malay

Dan tidak ada sesuatu keterangan yang sampai kepada mereka (yang kafir) dari keterangan-keterangan Tuhan mereka, melainkan mereka selalu berpaling daripadanya (enggan menerimanya).

 

وَمَا تَأْتِيهِم

Dan tidak ada yang sampai kepada mereka

‘Mereka’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Musyrikin Mekah. Bukan mereka sahaja, tetapi mereka yang sefahaman dengan mereka. Jangan sangka mereka sahaja, kerana entah-entah kita pun ada akidah seperti mereka juga.

 

مِّنْ ءآيَةٍ

daripada sesuatu tanda pun

Salah satu tanda yang ditunjukkan kepada mereka adalah ‘mukjizat’. Mereka telah ditunjukkan dengan berbagai-bagai mukjizat daripada Nabi. Sampaikan pernah dibelah bulan di hadapan mata mereka. Al-Qur’an itu sendiri merupakan sebuah mukjizat kerana sifat mukjizat itu bermaksud ‘mengalahkan’, dan kehebatan bahasa Al-Qur’an telah mengalahkan kemahiran bahasa Arab mereka.

Oleh itu kalimah ‘ayat’ bermaksud ‘tanda’. Jadi banyak tanda-tanda dalam alam ini yang Allah ‎ﷻ telah berikan. Dalam ayat ke 2, Allah‎ ﷻ telah sebutkan tentang ‘langit’ dan ‘bumi’. Itu adalah dua daripada tanda-tanda yang besar. Ia menjadi tanda kepada kewujudan Allah ‎ﷻ, juga menjadi tanda bagi kehebatan Allah ‎ﷻ.

Kalau kita buka mata hati kita, kita pun akan nampak banyak tanda-tanda untuk meningkatkan keimanan kita. Antaranya, ada kalanya kita minta doa kepada Allah ‎ﷻ dengan sepenuh hati kita dan Allah ‎ﷻ makbulkan doa itu. Alangkah sukanya hati kita pada waktu itu. Maka sedarlah kita pada waktu itu yang memang ada Allah ‎ﷻ yang mendengar doa kita.

‘Ayat’ dalam ayat ini juga merujuk kepada ayat-ayat syar’i iaitu ayat-ayat Al-Qur’an. Dan ini yang selalu kita faham, bukan? Cuma jangan terhadkan kepada ayat-ayat Al-Qur’an sahaja, kerana ayat itu ada banyak lagi.

 

مِّنْ ءآيٰتِ رَبِّهِمْ

daripada pelbagai keterangan-keterangan Tuhan mereka,

Semua itu adalah tanda-tanda daripada Allah ‎ﷻ kepada kita semua untuk untuk menunjukkan kepada kita tentang kewujudan-Nya. Maka ia sepatutnya menambahkan keimanan kita. Akan tetapi ini bagi mereka yang membuka mata hatinya sahaja; itu mereka melihat alam ini dan berfikir dengan mendalam. Tidaklah dia lihat dengan kosong sahaja.

 

إِلَّا كَانُوا عَنْهَا مُعْرِضِينَ

melainkan mereka berkenaannya selalu buat tidak endah

Bermaksud mereka enggan menerimanya. Mereka nampak alam ini, tetapi mereka tidak nampak ‘tangan’ Allah‎ ﷻ di belakangnya.

Oleh kerana itu, mereka tidak menghiraukan tanda-tanda itu. Perkataan مُعْرِضِينَ itu diambil daripada kata dasar ع ر ض yang  asalnya bermaksud ‘mempersembahkan’. Perkataan مُعْرِضِينَ  itu seperti mereka dalam proses hendak mempersembahkan sesuatu, tetapi kemudian mereka buat tidak tahu. Maknanya, mereka tahu kebenaran itu tetapi mereka buat tidak tahu dengan sengaja.

Mereka berpaling daripada ayat-ayat itu dengan hati dan perbuatan mereka. Mereka nampak yang ia adalah kebenaran tetapi mereka pilih untuk tidak menerima dan mengikutinya.

Musyrikin Mekah telah banyak minta ditunjukkan mukjizat dan ada yang telah ditunjukkan kepada mereka. Namun mereka masih menolak juga kebenaran selepas itu kerana hati mereka memang tidak mahu beriman. Ada sahaja alasan mereka untuk menolak kebenaran yang telah disampaikan kepada mereka. Ini adalah kerana mereka sayang sangat kepada dunia.

Seperti orang kita juga. Kalau menonton wayang dua jam tidak apa tetapi kalau hendak belajar tafsir, ajaklah bagaimana sekalipun tetap tidak mahu datang. Walaupun mereka tahu yang Al-Qur’an itu adalah pegangan hidup kita sebagai orang Islam. Dan mereka tahu yang mereka tidak faham Al-Qur’an.

Mereka juga tahu yang ia adalah penting untuk mengetahui apa yang Allah ‎ﷻ hendak sampaikan. Tetapi mereka masih tidak mahu belajar apabila diajak. Mereka tidak ada usaha pun untuk memahami ayat Al-Qur’an. Mereka lebih pentingkan hal lain daripada hal keduniaan. Hal-hal agama mereka buat lebih kurang sahaja.

Ayat ini memberitahu juga kepada kita kewajipan untuk melihat tanda-tanda Allah ‎ﷻ dalam alam ini dan juga ayat-ayat Al-Qur’an. Kena tadabbur (melihat yang tersirat) dalam ayat-ayat Al-Qur’an baru dapat faham. Yang itu kena belajar kerana kalau baca-baca sendiri tidak akan faham.


 

An’am Ayat 5:

فَقَد كَذَّبوا بِالحَقِّ لَمّا جاءَهُم ۖ فَسَوفَ يَأتيهِم أَنباءُ ما كانوا بِهِ يَستَهزِءونَ

Sahih International

For they had denied the truth when it came to them, but there is going to reach them the news of what they used to ridicule.

Malay

Sesungguhnya mereka telah mendustakan kebenaran (Al-Qur’an) ketika ia sampai kepada mereka. Oleh itu, akan datanglah kepada mereka berita (yang membuktikan kebenaran) apa yang mereka selalu ejek-ejek itu (iaitu mereka akan ditimpa bala bencana).

 

فَقَدْ كَذَّبُوا بِالْحَقِّ

Sesungguhnya mereka telah mendustakan kebenaran

Kalimah الْحَقِّ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah apa-apa sahaja kebenaran yang dibawa oleh Nabi ﷺ, sama ada ia adalah Al-Qur’an, kata-katanya (hadith) dan ajarannya.

Kebenaran yang paling utama adalah: Allah ‎ﷻ sahaja Tuhan kita yang boleh disembah dan diminta doa. Tetapi orang-orang yang tidak mahu beriman, tidak mahu menerima kebenaran ini. Termasuklah golongan Musyrikin Mekah (dan mereka yang seakidah dengan mereka).

 

لَمَّا جَاءَهُمْ

ketika ia sampai kepada mereka.

Telah disampaikan ajaran tauhid kepada mereka, tetapi mereka masih tidak beriman. Ini mengajar kita bahawa amat teruk kalau seseorang sudah tahu kebenaran, tetapi masih menolaknya. Itu lebih teruk daripada mereka yang tidak tahu dari awal atau tidak diberitahu kepada mereka. Kalau tidak tahu pun salah juga tetapi tidak seteruk berbanding dengan yang sudah tahu.

Ini memberi ancaman kepada kita yang telah belajar atau yang telah diberitahu tentang tauhid tetapi masih lagi tidak berubah, maka bersedialah untuk menerima azab Allah ‎ﷻ yang amat berat.

Amat menyedihkan masih ramai yang tidak menerima tauhid ini apabila disampaikan kepada mereka. Antaranya masih ada manusia yang sembah raja, pesilat sembah guru silat mereka, pengamal keris cium keris dan pelbagai lagi perkara syirik yang mereka lakukan.

Ada yang campur zikir kepada Allah ‎ﷻ dengan makhluk lain. Contohnya, selepas mereka baca ‘la ilaaha illah’, mereka sambung dengan ‘Muhammadur Rasulullah’ dan mereka mengulang-ulang kata-kata itu sebagai zikir. Antara yang ramai buat sebegini ini adalah ibu-ibu yang mendodoi anak-anak mereka. Sepatutnya cukuplah mereka zikir ‘la ilaaha illah’ sahaja. Ini lebih selamat. Bukan tidak boleh sebut ‘Muhammadur Rasulullah’ tetapi janganlah dijadikan sebagai zikir.

 

فَسَوْفَ يَأْتِيهِمْ

Oleh itu, akan datanglah kepada mereka

Mereka akan didatangi dengan hukuman untuk mereka. Inilah balasan untuk mereka nanti.

 

أَنبَاءُ

berita-berita besar

Iaitu berita-berita azab yang dikenakan dulu kepada kaum-kaum yang dahulu. Termasuk juga azab yang akan mereka terima di akhirat kelak. Ini semua diberikan kepada manusia sebagai peringatan dan ancaman. Kita kenalah ambil perhatian dengan perkara ini.

 

مَا كَانُوا بِهِ يَسْتَهْزِءونَ

apa yang mereka selalu ejek-ejek itu

Mereka yang menentang kebenaran telah memperolok-olok hari Kiamat kerana mereka tidak percaya. Mereka tidak percaya kepada azab yang dijanjikan kepada mereka. Mereka kata: “Kalau betul ada azab, berilah kepada kami sekarang”.

Sebagai contoh lagi, apabila dikatakan mereka akan diberi makan Buah Zaqqum di akhirat kelak, ada golongan Musyrikin Mekah yang mengejek dengan kata mereka hendak makan buah Zaqqum untuk makanan tengahari. Begitulah mereka mengejek-ejek ajaran Nabi ﷺ.

Ayat ini memberi ingatan dan pujukan kepada penyebar tauhid bahawa mereka akan diejek. Memang dari dulu sampai sekarang, inilah dugaan bagi pendakwah. Jadi, kena bersedia untuk diejek. Antara yang mereka ejek adalah mereka akan kata kita ini ‘Wahabi’. Jadi ini adalah perkara biasa sahaja. Kalau kita tahu ia memang akan berlaku, maka tidaklah kita terkesan sangat kalau orang tuduh kita begitu, bukan?

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat-ayat yang seterusnya

Kemaskini: 3 Oktober 2021


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Maariful Qur’an