Tafsir Surah Ibrahim Ayat 13 – 17 (Azab minuman dalam neraka)

KESUDAHAN BAGI ORANG KAFIR

Ibrahim Ayat 13: Apakah ucapan balasan daripada umat mereka itu:

وَقالَ الَّذينَ كَفَروا لِرُسُلِهِم لَنُخرِجَنَّكُم مِّن أَرضِنا أَو لَتَعودُنَّ في مِلَّتِنا ۖ فَأَوحىٰ إِلَيهِم رَبُّهُم لَنُهلِكَنَّ الظّٰلِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And those who disbelieved said to their messengers, “We will surely drive you out of our land, or you must return to our religion.” So their Lord inspired to them, “We will surely destroy the wrongdoers.

(MELAYU)

Orang-orang kafir berkata kepada Rasul-rasul mereka: “Kami sungguh-sungguh akan mengusir kamu dari negeri kami atau kamu kembali kepada agama kami”. Maka Tuhan mewahyukan kepada mereka: “Kami pasti akan membinasakan orang-orang yang zalim itu,

 

وَقالَ الَّذينَ كَفَروا لِرُسُلِهِم

Orang-orang kafir berkata kepada Rasul-rasul mereka:

Puak penentang masih juga tidak berpuas hati dengan Rasul mereka. Dakwah yang lembut dibalas dengan penolakan yang kasar. Maka mereka telah berkata kepada Rasul mereka, kerana mereka hendak menakutkan para Rasul itu. Tujuan mereka adalah hendak menutup mulut para Rasul itu supaya jangan berdakwah lagi. Ini kerana manusia memang alergik dengan dakwah dan mereka akan gunakan berbagai cara untuk menghalangnya.

Ini mengajar kita yang jikalau kita bawa ajaran wahyu kepada masyarakat, pasti akan ada yang menentang. Ini adalah sunnatullah dan kerana itulah Allah ‎ﷻ banyak menceritakan cara-cara penentang kaum terhadap para Rasul mereka kerana kita juga akan menghadapinya. Maka jangan pelik kalau ditentang. Yang menjadi pelik sekiranya semua orang suka kita, sokong kita. Kerana kalau semua orang sayang, itu adalah tanda yang kita tidak menjalankan kerja dakwah sunnah yang betul sampaikan tidak ada yang terasa pun dengan apa yang kita sampaikan.

 

لَنُخرِجَنَّكُم مِّن أَرضِنا

“Kami sungguh-sungguh akan mengusir kamu dari negeri kami

Mereka hendak menghalau Rasul mereka itu dari ‘tanah mereka’. Mereka kata itu adalah tanah mereka, sedangkan Rasul itu pun berasal daripada kalangan mereka juga, membesar di tanah itu juga. Akan tetapi mereka tetap hendak halau juga kerana mereka kata kalau mahu tetap duduk di kawasan itu, kena ikut cara mereka sahaja. Seolah-olah mereka hendak kata, tempat mereka itu tidak boleh terima agama lain.

Sekarang mereka menggunakan kuasa yang mereka ada. Sama halnya dengan para pemimpin yang tidak suka kepada kebenaran, akan menggunakan kuasa untuk menghalau, menangkap atau mendakwa golongan yang hendak menyampaikan kebenaran. Hal tersebut seperti yang dikatakan oleh kaum Syu’aib terhadap Nabi Syu’aib عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan orang-orang yang beriman kepadanya, iaitu seperti disebut dalam A’raf: 88,

۞ قالَ المَلَأُ الَّذينَ استَكبَروا مِن قَومِهِ لَنُخرِجَنَّكَ يٰشُعَيبُ وَالَّذينَ ءآمَنوا مَعَكَ مِن قَريَتِنا أَو لَتَعودُنَّ في مِلَّتِنا ۚ قالَ أَوَلَو كُنّا كٰرِهينَ
Ketua-ketua yang sombong takbur daripada kaum Nabi Syuaib berkata: “Sesungguhnya kami akan mengusirmu wahai Syuaib dan orang-orang yang beriman yang menjadi pengikut-pengikutmu dari negeri kami ini, atau kamu kembali kepada ugama kami”. Nabi Syuaib menjawab: “Adakah (kamu hendak melakukan yang demikian) sekalipun kami tidak menyukainya?

Juga seperti yang dikatakan oleh kaum Lut seperti disebut di dalam Naml: 56, iaitu:

۞ فَما كانَ جَوابَ قَومِهِ إِلّا أَن قالوا أَخرِجوا ءآلَ لوطٍ مِّن قَريَتِكُم ۖ إِنَّهُم أُناسٌ يَتَطَهَّرونَ
Maka tidak lain jawapan kaumnya melainkan mengatakan: “Usirlah Luth berserta keluarganya dari negerimu; kerana sesungguhnya mereka itu orang-orang yang (mendakwakan dirinya) bersih”.

Allah ﷻ pernah berfirman menceritakan perihal orang-orang musyrik Quraisy:

وَإِنْ كَادُوا لَيَسْتَفِزُّونَكَ مِنَ الأرْضِ لِيُخْرِجُوكَ مِنْهَا وَإِذًا لَا يَلْبَثُونَ خِلافَكَ إِلا قَلِيلا
Dan sesungguhnya benar-benar mereka hampir membuatmu gelisah di negeri (Mekah) untuk mengusirmu darinya; dan kalau terjadi demikian, nescaya sepeninggalanmu mereka tidak tinggal, melainkan sebentar saja.
(Al-Isra: 76)

وَإِذْ يَمْكُرُ بِكَ الَّذِينَ كَفَرُوا لِيُثْبِتُوكَ أَوْ يَقْتُلُوكَ أَوْ يُخْرِجُوكَ وَيَمْكُرُونَ وَيَمْكُرُ اللَّهُ وَاللَّهُ خَيْرُ الْمَاكِرِينَ
Dan (ingatlah) ketika orang-orang kafir (Quraisy) memikirkan daya upaya terhadapmu untuk menangkap dan memenjarakanmu atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka memikirkan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya itu. Dan Allah sebaik-baik Pembalas tipu daya.
(Al-Anfal: 30)

 

أَو لَتَعودُنَّ في مِلَّتِنا

atau kamu kembali kepada agama kami”.

Atau, kalau hendak tinggal juga di tempat itu, kena pastikan para Rasul itu ‘dimasukkan semula’ ke dalam agama ‘asal’ mereka. Maknanya, mereka tidak iktiraf agama yang dibawa oleh para Rasul itu. Mereka hendak kata, ajaran ‘pelik’ para Rasul itu mesti ditinggalkan. Kalau tidak ikut, Rasul itu kena keluar.

Kalimah مِلَّة millah bermaksud amalan atau agama yang diamalkan oleh semua orang dalam sesuatu negeri. Ia dianggap sebagai amalan rasmi negeri itu. Yang semua orang terima sebagai amalan setempat.

Perlu diingatkan yang agama Islam tidaklah menolak adat sesuatu tempat itu. Kita kena ingat, asal Islam pun datang ke dalam adat Arab yang memang telah ada pun di Mekah dan Madinah itu. Islam tidak menghapuskan adat-adat itu. Asalkan kalau tidak ada masalah dengan agama, boleh sahaja untuk diamalkan.

Kita pun tahu yang semua umat ada adatnya masing-masing. Takkanlah tidak ada adat yang lain dengan orang lain sedangkan makanan dan pakaian pun sudah berlainan dari satu tempat ke satu tempat. Oleh kerana perbezaan itulah yang cara kita isi masa lapang pun berbeza dengan orang lain. Bahasa pun berlainan. Maka semua perbezaan dalam segi kebudayaan dan kebiasaan itu tidak menjadi masalah untuk terus diamalkan.

Cuma Islam membersihkan mana yang tidak baik daripada adat itu. Maka, kalau adat itu tidak ada masalah, maka boleh diteruskan. Namun kalau adat itu ada fahaman yang salah, maka kenalah ditinggalkan, walaupun telah lama diamalkan oleh masyarakat itu.

Apakah pula ‘adat’ itu? Adat ialah apa sahaja yang dianggap normal dalam masyarakat itu. Akan tetapi kadang-kadang memang ajaran Islam berlawanan dengan adat. Maka, dalam hal ini, Islamlah yang kena menang, dan adat itu kena ditinggalkan.

Sebagai contoh, kalau orang kita kata persandingan dalam perkahwinan itu adat, maka tidaklah boleh diteruskan kerana ia adalah amalan agama dalam agama Hindu. Ini adalah kerana persandingan itu adalah sebagai peringatan kepada perkahwinan antara Sri Rama dengan Sita Devi. Jika dilihat patung mereka berdua ini pun, memang kedudukan sedang bersanding. Maka persandingan adalah syiar agama Hindu dan kita tidak boleh amalkan seperti mereka.

Jangan pula paksa orang lain ikut amalan dan pegangan kita seperti yang dilakukan oleh golongan penentang kepada para Rasul mereka itu. Mereka memaksa para Rasul itu ‘kembali’ kepada agama asal mereka (millah) walaupun sebenarnya para Rasul itu tidak pernah ikut pun amalan sesat mereka itu. Seperti Nabi Muhammad ﷺ yang tidak pernah melakukan syirik walaupun baginda tinggal di Mekah yang penuh dengan elemen syirik. Ini kerana para Rasul dipelihara oleh Allah ﷻ daripada melakukannya walaupun mereka belum menjadi Nabi lagi.

Akan tetapi kenapa para penentang kebenaran itu suruh para Rasul kembali kepada millah mereka? Kerana sebelum menjadi Nabi dan mendapat wahyu, para Rasul itu tidak menentang lagi kesalahan yang dilakukan oleh umat mereka. Mereka memang tidak mengikut amalan syirik itu tetapi mereka mereka belum ada wahyu untuk menentang mereka. Maka para penentang daripada kaum mereka sangka, para Rasul itu sebahagian daripada mereka kerana tidak pernah menentang lagi.

Para penentang itu bagi dua pilihan sahaja: sama ada keluar dari sini atau masuk agama balik! Sekarang pun kita hadapi bagaimana pendakwah Sunnah dihalau. Ada yang dihalau dari kampung, ada yang terpaksa keluar dari kampung sendiri kerana dihalang untuk mengajar. Atau kalau tidak mahu, kena sertai mereka, jangan tegur kesalahan mereka tetapi kena ikut serta! Memang tidaklah. Orang yang sudah kenal Sunnah tidak akan ada selera hendak beramal dengan amalan salah dan bid’ah yang dilakukan oleh masyarakat. Kerja bodoh sahaja kalau sertai mereka itu.

 

فَأَوحىٰ إِلَيهِم رَبُّهُم لَنُهلِكَنَّ الظّٰلِمينَ

Maka Tuhan mewahyukan kepada mereka: “Kami pasti akan membinasakan orang-orang yang zalim itu,

Ini adalah ayat tasliah (pujukan) kepada para Rasul daripada Allah ﷻ. Allah ﷻ beritahu kepada para Rasul itu, mereka yang menentang para Rasul akan dimusnahkan oleh Allah ﷻ. Kalimah الظّٰلِمينَ di sini bermaksud orang kafir yang melakukan syirik itu. Maka para Rasul tidak perlu bimbang. Ancaman daripada penentang itu datang daripada mulut mereka sahaja dan rancangan mereka itu tidak akan berjaya dan Allah ﷻ akan musnahkan mereka.

Sama halnya dengan apa yang disebutkan oleh Allah ﷻ dalam ayat lain melalui firman-Nya:

وَلَقَدْ سَبَقَتْ كَلِمَتُنَا لِعِبَادِنَا الْمُرْسَلِينَ
Dan sesungguhnya telah tetap janji Kami kepada hamba-hamba Kami yang menjadi rasul,

إِنَّهُمْ لَهُمُ الْمَنْصُورُونَ
(iaitu) sesungguhnya mereka itulah yang pasti mendapat pertolongan.

وَإِنَّ جُنْدَنَا لَهُمُ الْغَالِبُونَ
Dan sesungguhnya tentera Kami itulah yang pasti menang.
(As-Saffat: 171-173)

Telah banyak kisah-kisah kita baca tentang umat-umat terdahulu yang menolak para Rasul mereka dan bagaimana mereka dimusnahkan. Itu semua adalah peringatan keras bagi para penentang kebenaran – kalau kamu terus menentang, maka kamu pun boleh mendapat nasib yang sama!


 

Ibrahim Ayat 14: Apa lagi janji Allah ﷻ?

وَلَنُسكِنَنَّكُمُ الأَرضَ مِن بَعدِهِم ۚ ذٰلِكَ لِمَن خافَ مَقامي وَخافَ وَعيدِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We will surely cause you to dwell in the land after them. That is for he who fears My position¹ and fears My threat.”

  • An alternative meaning is “the standing [for account] before Me.”

(MELAYU)

dan Kami pasti akan menempatkan kamu di negeri-negeri itu sesudah mereka. Yang demikian itu (adalah untuk) orang-orang yang takut (akan menghadap) ke hadrat-Ku dan yang takut kepada ancaman-Ku”.

 

وَلَنُسكِنَنَّكُمُ الأَرضَ مِن بَعدِهِم

dan Kami pasti akan menempatkan kamu di negeri-negeri itu sesudah mereka.

Para Rasul akan ditetapkan kedudukan mereka di bumi. Selepas penentang mereka dihancurkan, para Rasul itu yang akan duduk tetap di bumi. Malah mungkin mereka akan duduki kembali tempat yang telah ditinggalkan itu sekiranya ia sesuai. Mungkin dahulu para Rasul dan orang beriman tidak mendapat tempat sampai dihalau dari bumi tempat kelahiran mereka. Ini kerana mereka tidak ada kedudukan berbanding dengan para penentang itu. Akan tetapi para penentang itu akan dimusnahkan lalu kedudukan dan kekuasaan akan diberikan kepada orang beriman juga akhirnya. Kerana itulah para Rasul disuruh keluar dulu dari kawasan itu sebelum tempat itu dihancurkan kerana Allah ﷻ hendak memberi kuasa kepada orang Mukmin. Allah ﷻ berfirman dalam ayat lain:

قَالَ مُوسَى لِقَوْمِهِ اسْتَعِينُوا بِاللَّهِ وَاصْبِرُوا إِنَّ الأرْضَ لِلَّهِ يُورِثُهَا مَنْ يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ وَالْعَاقِبَةُ لِلْمُتَّقِينَ
Musa berkata kepada kaumnya.”Mohonlah pertolongan kepada Allah dan bersabarlah; sesungguhnya bumi (ini) kepunyaan Allah; dipusakakan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya untuk hamba-hamba-Nya. Dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.”
(Al-A’raf: 128)

Juga firman Allah ﷻ:

وَأَوْرَثْنَا الْقَوْمَ الَّذِينَ كَانُوا يُسْتَضْعَفُونَ مَشَارِقَ الأرْضِ وَمَغَارِبَهَا الَّتِي بَارَكْنَا فِيهَا وَتَمَّتْ كَلِمَةُ رَبِّكَ الْحُسْنَى عَلَى بَنِي إِسْرَائِيلَ بِمَا صَبَرُوا وَدَمَّرْنَا مَا كَانَ يَصْنَعُ فِرْعَوْنُ وَقَوْمُهُ وَمَا كَانُوا يَعْرِشُونَ
Dan Kami pusakakan kepada kaum yang ditindas itu, negeri-negeri bahagian timur dan bahagian barat yang telah Kami beri berkah kepadanya. Dan telah sempurnalah perkataan Tuhanmu yang baik (sebagai janji) untuk Bani Israil disebabkan kesabaran mereka. Dan Kami hancurkan apa yang telah dibuat Fir’aun dan kaumnya dan apa yang telah dibangun mereka.
(Al-A’raf: 137)

 

ذٰلِكَ لِمَن خافَ مَقامي

Yang demikian itu (adalah untuk) orang-orang yang takut (akan menghadap) ke hadrat-Ku

Itulah balasan baik bagi mereka yang takut untuk berdiri di hadapan Allah ﷻ nanti. Mereka takut disoal dengan amalan-amalan yang salah semasa mereka di dunia, kerana itu mereka berbuat baik semasa di dunia. Mereka tidak sanggup hendak mengadap Allah ﷻ dalam mereka telah banyak berbuat dosa. Allah ﷻ berfirman dalam ayat yang lain:

وَلِمَنْ خَافَ مَقَامَ رَبِّهِ جَنَّتَانِ
Dan bagi orang yang takut akan saat menghadap Tuhannya ada dua syurga.
(Ar-Rahman: 46)

 

وَخافَ وَعيدِ

dan yang takut kepada ancaman-Ku”.

Itulah balasan bagi mereka yang takut kepada ancaman Allah ﷻ yang menakutkan. Kalimah وَعيدِ digunakan untuk janji yang menakutkan, bukan semua janji. Kerana takut itulah yang menyebabkan orang beriman menjaga hukum.

Takut ini penting kerana kalau tidak ada takut kepada Allah ﷻ dan ancaman-Nya, maka manusia senang hati sahaja untuk buat apa-apa sahaja dosa dan apa sahaja amalan. Maka Allah ﷻ beri manusia takut dengan menceritakan apakah balasan di neraka itu. Namun kalau orang kita yang setakat baca sahaja Al-Qur’an ini tanpa faham apa yang mereka baca, bagaimana mungkin akan datang rasa takut itu?


 

Ibrahim Ayat 15: Tauhid di dalam doa.

وَاستَفتَحوا وَخابَ كُلُّ جَبّارٍ عَنيدٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they requested decision [i.e., victory from Allāh], and disappointed, [therefore], was every obstinate tyrant.

(MELAYU)

Dan mereka memohon kemenangan (atas musuh-musuh mereka) dan binasalah semua orang yang berlaku sewenang-wenang lagi keras kepala,

 

وَاستَفتَحوا

Dan mereka memohon kemenangan

Allah ﷻ akan bantu para Rasul apabila mereka angkat tangan berdoa kepada Allah ﷻ untuk menyelamatkan mereka, atau memberi bantuan kepada mereka. Ini adalah kerana ancaman daripada puak-puak mereka yang hendak mengusir mereka atau memasukkan mereka ke dalam millah mereka. Ini mengajar kita yang senjata orang mukmin adalah doa kepada Allah ﷻ. Kemenangan hanya datang daripada Allah ﷻ. Oleh kerana para Rasul dan Nabi itu sudah meminta kemenangan, maka Allah ﷻ akan berikan. Mereka hanya meminta doa kepada Allah ﷻ.

Atau ia juga boleh bermaksud orang kafir yang menentang itu juga meminta pertolongan. Kerana mereka juga sangka yang mereka itu berada di dalam kedudukan yang benar. Mereka juga berharap mendapat pertolongan dan kemenangan, akan tetapi apabila takdir Allah ﷻ telah tiba, tidak ada sesiapa pun yang akan mampu membantu mereka. Cuma mungkin ada yang pelik, kenapa mereka minta kepada Allah ﷻ pula? Ini tidak pelik kerana Musyrikin Mekah pun berdoa kepada Allah ﷻ seperti disebut dalam Anfal: 32

وَإِذ قالُوا اللَّهُمَّ إِن كانَ هٰذا هُوَ الحَقَّ مِن عِندِكَ فَأَمطِر عَلَينا حِجارَةً مِّنَ السَّماءِ أَوِ ائتِنا بِعَذابٍ أَليمٍ
Dan (ingatlah), ketika mereka (orang-orang musyrik) berkata: “Ya Allah, jika betul (Al Qur’an) ini benar dari sisi Engkau, maka hujanilah kami dengan batu dari langit, atau datangkanlah kepada kami azab yang pedih”.

Golongan Yahudi pun berdoa minta kemenangan daripada Allah ﷻ juga. Apabila mereka berperang dengan puak Arab, mereka mendabik dada yang Allah ﷻ akan beri mereka Nabi Akhir Zaman dan mereka akan diberikan kemenangan seperti disebut dalam Baqarah: 89

وَكانوا مِن قَبلُ يَستَفتِحونَ عَلَى الَّذينَ كَفَروا
sedang mereka sebelum itu sentiasa memohon (kepada Allah) kemenangan atas kaum kafir musyrik (dengan kedatangan seorang Nabi pembawa Kitab itu).

 

وَخابَ كُلُّ جَبّارٍ عَنيدٍ

dan binasalah semua orang yang berlaku sewenang-wenang lagi keras kepala,

Ini adalah dalil dimakbulkan doa. Maka kecewalah setiap mereka yang zalim dan degil. جَبّارٍ adalah setiap penzalim yang menekan orang lain dan melakukan kezaliman, sementara kalimah عَنيدٍ pula bermaksud keras kepala, degil untuk untuk terima perkara yang benar. Maka mereka itu semua akan kalah.


 

Ibrahim Ayat 16: Yang menentang para Rasul itu bukan sahaja kalah,

مِّن وَرائِهِ جَهَنَّمُ وَيُسقىٰ مِن مّاءٍ صَديدٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Before him¹ is Hell, and he will be given a drink of purulent water.¹

  • Literally, “after him [in time],” meaning ahead of him.
  • That which oozes from the skins of Hell’s inhabitants.

(MELAYU)

di hadapannya ada Jahannam dan dia akan diberi minuman dengan air nanah,

 

مِّن وَرائِهِ جَهَنَّمُ

di hadapannya ada Jahannam

Mereka akan masuk neraka jahannam yang ada di hadapan mereka. Bermula dari dalam kubur lagi mereka dikenakan azab kerana mereka akan dinampakkan Neraka Jahannam setiap pagi dan petang (di alam kubur) hingga hari kiamat. Maka mereka sudah tahu yang itulah tempat yang mereka akan tinggal. Di hadapan mereka tidak ada cahaya kemenangan tetapi kegelapan azab sahaja.

Kalimah وَرائِ dalam ayat ini bererti ‘di hadapan’ (bukan di belakang seperti biasa), sama dengan pengertian yang terdapat di dalam ayat lain melalui firman-Nya:

وَكَانَ وَرَاءَهُمْ مَلِكٌ يَأْخُذُ كُلَّ سَفِينَةٍ غَصْبًا
kerana di hadapan mereka ada seorang raja yang merampas tiap-tiap bahtera.
(Al-Kahfi: 79)

 

وَيُسقىٰ مِن مّاءٍ صَديدٍ

dan dia akan diberi minuman dengan air nanah,

Kalimah صَديدٍ bermaksud nanah. Ia daripada katadasar ص د د yang bermaksud untuk berpaling; mengalihkan; menghalang; mengelakkan; menaikkan; keriuhan; jerit; menangis dengan kuat; menjijikkan; panas atau mendidih. Ia bukan nanah tetapi apa sahaja yang keluar daripada tubuh penghuni neraka termasuklah nanah, darah, peluh dan sebagainya dan ia pula panas mendidih. HAMKA menggunakan istilah mala. Mala itu ialah air bercampur darah dengan nanah yang mengalir daripada badan mayat yang sudah beberapa hari belum juga dikuburkan.

Penghuni neraka akan sentiasa sahaja dahaga, tidak hilang-hilang dahaga mereka itu semenjak mereka mula masuk. Apabila mereka meminta minuman untuk menghilangkan dahaga, itulah ماءٍ صَديدٍ yang diberikan sebagai minuman yang akan diberikan kepada mereka. Itu bukan minuman pun, tetapi itulah yang diberi kepada mereka. Ia bukanlah air minuman sebenarnya kerana ia tidak layan pun dipanggil minuman tetapi itulah benda yang sesuai bagi ahli neraka. Allahu Akbar! Maklumat sebegini sepatutnya menakutkan kita supaya kita berjaga-jaga dengan amalan kita semasa di dunia.

Apabila kalimah يُسقىٰ digunakan di dalam ayat ini, ia bermaksud mereka diberi minum. Mereka tidaklah minum sendiri kerana mereka tidak sanggup meminumnya. Akan tetapi ia akan dipaksakan ke atas mereka sebagai sebahagian daripada azab kepada mereka. Lihat juga Kahf: 29

وَإِن يَستَغيثوا يُغاثوا بِماءٍ كَالمُهلِ يَشوِي الوُجوهَ ۚ بِئسَ الشَّرابُ وَساءَت مُرتَفَقًا
dan jika mereka meminta pertolongan kerana dahaga, mereka diberi pertolongan dengan air yang seperti tembaga cair yang membakar muka; amatlah buruknya minuman itu, dan amatlah buruknya neraka sebagai tempat bersenang-senang.

Di dalam neraka tiada minuman bagi ahli neraka, kecuali minuman air yang sangat panas dan air yang sangat dingin. Minuman yang pertama sangat panas, sedangkan minuman yang kedua sangat dingin lagi sangat busuk, seperti yang disebutkan oleh Allah ﷻ dalam firman-Nya:

هَذَا فَلْيَذُوقُوهُ حَمِيمٌ وَغَسَّاقٌ
Inilah (azab neraka), biarlah mereka merasakannya, (minuman mereka) air yang sangat panas dan air yang sangat dingin.

وَآخَرُ مِنْ شَكْلِهِ أَزْوَاجٌ
Dan azab yang lain yang serupa itu berbagai macam.
(Sad: 57-58)

Apabila mereka diberi minum dengan air yang sangat panas itu, sampaikan menyebabkan usus-usus mereka terputus seperti disebut dalam Muhammad: 15

كَمَن هُوَ خٰلِدٌ فِي النّارِ وَسُقوا ماءً حَميمًا فَقَطَّعَ أَمعاءَهُم
Adakah sama dengan orang yang kekal dalam jahannam dan diberi minuman dengan air yang mendidih sehingga memotong ususnya?

Maka kita boleh lihat banyak sekali azab berkenaan air yang dikenakan kepada ahli neraka. Kalau di dunia ini senang sahaja kita beli dan minum air mineral. Kalau tidak pun, ada bermacam jenis air untuk menghilangkan dahaga kita. Akan tetapi di neraka kelak, memang air itu tidak ada langsung bagi mereka. Sudahlah mereka berterusan dalam keadaan dahaga, air pula tidak ada! Sampaikan mereka ada yang meminta air daripada penduduk Syurga seperti disebut dalam A’raf: 50

وَنادىٰ أَصحٰبُ النّارِ أَصحٰبَ الجَنَّةِ أَن أَفيضوا عَلَينا مِنَ الماءِ أَو مِمّا رَزَقَكُمُ اللَّهُ ۚ قالوا إِنَّ اللَّهَ حَرَّمَهُما عَلَى الكٰفِرينَ
Dan (Tuhan menerangkan pula kehinaan ahli neraka dengan firman-Nya): ahli neraka menyeru ahli Syurga (dengan berkata): “Limpahkanlah kepada kami sedikit daripada air atau daripada rezeki (makanan) yang telah dikurniakan Allah kepada kamu”. Mereka (ahli Syurga) menjawab: “Sesungguhnya Allah telah haramkan kedua-duanya atas orang-orang kafir”.


 

Ibrahim Ayat 17: Apa lagi yang akan dikenakan kepada mereka?

يَتَجَرَّعُهُ وَلا يَكادُ يُسيغُهُ وَيَأتيهِ المَوتُ مِن كُلِّ مَكانٍ وَما هُوَ بِمَيِّتٍ ۖ وَمِن وَرائِهِ عَذابٌ غَليظٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He will gulp it but will hardly [be able to] swallow it. And death will come to him from everywhere, but he is not to die. And before him is a massive punishment.

(MELAYU)

diminumnya air nanah itu dan hampir dia tidak mampu menelannya dan datanglah maut kepadanya dari segenap penjuru, tetapi dia tidak juga mati, dan di hadapannya ada azab yang berat.

 

يَتَجَرَّعُهُ وَلا يَكادُ يُسيغُهُ

diminumnya air nanah itu dan hampir dia tidak mampu menelannya

Mereka teguklah juga air nanah itu dan tentulah meneguk dalam kepayahan kerana susah untuk meminumnya. Kalimah يَتَجَرَّعُهُ daripada katadasar ج ر ع yang bermaksud menelan; menelannya (air) sekaligus; minum atau teguk sedikit demi sedikit; menindas atau menahan kemarahan atau kemarahan. Maka kalimah يَتَجَرَّعُهُ bermaksud meminum tetapi meminum dengan susah. Sepertimana kita makan ubat yang pahit itupun sudah susah, bukan? Tambahanlah pula kalau minum air nanah, bukan senang untuk diminum.

Kalimah يُسيغُهُ pula daripada katadasar س و غ yang bermaksud mudah dan menyenangkan untuk ditelan. Maka ini adalah perbezaan cara minum antara يَتَجَرَّعُهُ dan يُسيغُهُ. Katakanlah seseorang itu dipaksa meminum susu yang sudah basi. Tentu dia tidak dapat يُسيغُهُ (minum dengan mudah). Dipaksa dirinyaa untuk menelan air itu kerana terlalu dahaga. Hampir tidak tertelan kerana teruk sangat.

Atau air nanah diminumkan kepada ahli neraka dengan paksa. Ini kerana ia juga termasuk di dalam salah satu azab bagi mereka. Bila dia tidak mahu meneguknya, maka malaikat memukulnya dengan besi, dipaksa minum juga.

 

وَيَأتيهِ المَوتُ مِن كُلِّ مَكانٍ وَما هُوَ بِمَيِّتٍ

dan datanglah maut kepadanya dari segenap penjuru, tetapi dia tidak juga mati,

Di dalam neraka itu mereka akan dikenakan azab yang sangat-sangat banyak sampai tidak dapat dibayangkan betapa teruknya. Azab yang datang itu adalah sepatutnya jenis yang boleh mematikan. Maknanya kalau azab itu dikenakan semasa di dunia, memang mereka telah lama mati. Lebih dahsyat lagi azab itu datang dari semua arah.

Kalau mereka dikenakan azab itu semasa di dunia dulu, mereka sudah lama mati kerana teruknya azab itu. Mereka memang mengharap pun kematian datang mengambil mereka kerana mereka tidak tahan lagi. Bayangkan mereka semasa di dunia tidak mahu mati-mati tetapi di akhirat nanti mereka berharap mereka mati sahaja. Namun mereka tidak akan mati sampai bila-bila kerana tidak ada lagi kematian di akhirat. Mereka hanya mendapat sakit sahaja tetapi mereka tidak mati-mati. Ini kerana kalau mati, maka tidak ada lagi azab, tetapi Allah ‎ﷻ hendak terus mengazab mereka. Maka mereka tidak akan dimatikan supaya mereka terus menerima azab!

Tidak ada lagi kematian kerana ‘maut’ akan dibunuh oleh Allah ‎ﷻ di akhirat kelak seperti disebut di dalam hadith riwayat Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ,

فَإِذَا أَدْخَلَ اللَّهُ أَهْلَ الْجَنَّةِ الْجَنَّةَ وَأَهْلَ النَّارِ النَّارَ قَالَ أُتِيَ بِالْمَوْتِ مُلَبَّبًا فَيُوقَفُ عَلَى السُّورِ بَيْنَ أَهْلِ الْجَنَّةِ وَأَهْلِ النَّارِ ثُمَّ يُقَالُ يَا أَهْلَ الْجَنَّةِ فَيَطَّلِعُونَ خَائِفِينَ ثُمَّ يُقَالُ يَا أَهْلَ النَّارِ فَيَطَّلِعُونَ مُسْتَبْشِرِينَ يَرْجُونَ الشَّفَاعَةَ فَيُقَالُ لِأَهْلِ الْجَنَّةِ وَأَهْلِ النَّارِ هَلْ تَعْرِفُونَ هَذَا فَيَقُولُونَ هَؤُلَاءِ وَهَؤُلَاءِ قَدْ عَرَفْنَاهُ هُوَ الْمَوْتُ الَّذِي وُكِّلَ بِنَا فَيُضْجَعُ فَيُذْبَحُ ذَبْحًا عَلَى السُّورِ الَّذِي بَيْنَ الْجَنَّةِ وَالنَّارِ ثُمَّ يُقَالُ يَا أَهْلَ الْجَنَّةِ خُلُودٌ لَا مَوْتَ وَيَا أَهْلَ النَّارِ خُلُودٌ لَا مَوْتَ
Setelah Allah ﷻ memasukkan penghuni syurga ke syurga dan penghuni neraka ke neraka, kematian didatangkan dengan diseret kemudian didirikan di atas benteng antara penghuni syurga dan penghuni neraka, setelah itu dikatakan kepada penghuni syurga: Hai penghuni syurga! Mereka melihat dalam keadaan takut. Dan dikatakan kepada penghuni neraka: Wahai penghuni neraka! Mereka melihat dalam keadaan senang, mereka berharap mendapatkan syafaat. Lalu dikatakan kepada penghuni syurga dan penghuni neraka: Apa kalian mengetahui apa ini? Mereka menjawab: Kami mengetahuinya, itu adalah kematian yang diserahi untuk (mencabut nyawa) kami. Ia dibaringkan lalu disembelih di atas benteng antara syurga dan neraka, setelah itu dikatakan: Wahai penghuni syurga, sekarang tiba saatnya kekekalan, tiada lagi kematian dan wahai penghuni neraka, kalian juga kekal tiada kematian.”
(Jami’ Tirmidzi (2480))
Status: Hasan Sahih

Maknanya, apabila ‘maut’ pun sudah dibunuh, maka tidak ada lagi sesiapa yang boleh mematikan ahli syurga dan ahli neraka. Maka ahli syurga akan kekal dalam syurga dan ahli neraka akan kekal dalam neraka (kecuali sesiapa yang mendapat syafaat) atau ada sekelumit iman dalam diri mereka.

 

وَمِن وَرائِهِ عَذابٌ غَليظٌ

dan di hadapannya ada azab yang berat.

Ayat ini memberi isyarat yang apa yang mereka diazabkan itu (minum nanah dan azab yang sepatutnya mematikan) tidak susah lagi. Yang paling teruk adalah عَذابٌ غَليظٌ. Ayat ini memberikan azab yang menaik – mulanya mereka dikalahkan – kemudian masuk jahannam – kena minum nanah – kena azab yang patut mematikan mereka tetapi mereka tidak mati-mati.

Itu semua belum lagi عَذابٌ غَليظٌ, maknanya ada yang lebih teruk. Namun tidak dapat dibayangkan apakah lagi yang lebih seksa daripada itu – semoga kita tidak tahu tentangnya. Semoga kita tidak dapat melihatnya.

Oleh itu, tidak ada pengurangan azab, yang ada adalah tambahan azab sahaja.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 26 November 2023

Ringkasan Surah Ibrahim


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Abdul Muien

Ustaz Solahuddin

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

2 thoughts on “Tafsir Surah Ibrahim Ayat 13 – 17 (Azab minuman dalam neraka)”

  1. Assalamualaikum Ustaz, mohon Ustaz semak perenggan ini pada ayat 16

    Maka kita boleh lihat banyak sekali azab berkenaan air yang dikenakan kepada ahli syurga. 

    Terima Kasih Ustaz, atas usaha Ustaz mengusahakan celik tafsir.net ini

    Like

Leave a comment