Tafsir Surah Fatir Ayat 35 – 38 (Allah dah bagi cukup umur dah)

Ayat 35: Sambungan dari kegembiraan ahli syurga apabila mereka dimasukkan ke dalam syurga.

الَّذي أَحَلَّنا دارَ المُقامَةِ مِن فَضلِهِ لا يَمَسُّنا فيها نَصَبٌ وَلا يَمَسُّنا فيها لُغوبٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He who has settled us in the home of duration [i.e., Paradise] out of His bounty. There touches us not in it any fatigue, and there touches us not in it weariness [of mind].”

(MELAYU)

Yang menempatkan kami dalam tempat yang kekal (syurga) dari kurnia-Nya; di dalamnya kami tiada merasa lelah dan tiada pula merasa lesu”.

 

الَّذي أَحَلَّنا دارَ المُقامَةِ مِن فَضلِهِ

Yang menempatkan kami dalam tempat yang kekal (syurga) dari kurnia-Nya; 

Ahli syurga itu memuji Allah yang telah memasukkan mereka ke dalam syurga. Allah akan menghalalkan syurga kepada orang-orang mukmin dan syurga itu menjadi tempat yang kekal abadi bagi mereka.

Syurga itu adalah balasan baik yang berlipat kali ganda dari amalan manusia, yang Allah berikan kepada orang mukmin walaupun kalau dikirakan amalan manusia tidak layak untuk masuk ke dalam syurga. Jadi ini adalah kurnia Allah yang amat-amat besar. Kita tidak layak sebenarnya untuk masuk syurga tapi kerana rahmat Allahlah yang menyebabkan kita dapat masuk ke dalam syurga.

 

لا يَمَسُّنا فيها نَصَبٌ

di dalamnya kami tiada merasa lelah

Kalimah نَصَبٌ bermaksud penat sangat sampai tidak mampu berdiri lagi. Di syurga tidak ada penat-penat lagi seperti di dunia ini. Segala keletihan tidak akan ada. Ia memberi isyarat yang ahli syurga itu beribadat kepada Allah semasa hidup sampai mereka letih dan tidak mampu berdiri lagi semasa mereka hidup di dunia.

Ataupun ia bermaksud mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk menegakkan agama Allah sampai mereka kepenatan dan tidak mampu untuk berdiri lagi. Kerana memang kerja dakwah dan usaha untuk menegakkan agama Allah bukanlah kerja senang tapi memerlukan usaha yang lebih.

Dan kerana usaha mereka yang hebat itu semasa di dunia itu, maka Allah memberi balasan dengan syurga kepada mereka di mana di dalam syurga itu tidak ada keletihan lagi. Cukuplah mereka rasa letih di dunia sahaja. Allah tidak sanggup nak bagi mereka letih di akhirat juga.

 

وَلا يَمَسُّنا فيها لُغوبٌ

dan tiada pula merasa lesu”.

Kalimah لُغوبٌ bermaksud buat kerja terlebih. Maknanya buat kerja banyak sangat lebih dari yang sepatutnya.

Maka ini mengajar kita yang kita tidak boleh berhenti untuk bekerja menegakkan agama Allah ini. Kadangkala kita memang rasa kita buat sudah banyak tapi tidak nampak hasilnya. Maka kita rasa nak berhenti. Atau kita rasa cukup-cukuplah kita buat setakat ini sahaja. Tapi Allah nak beritahu yang usaha di dunia untuk menegakkan agama Allah kena buat terlebih. Ia memerlukan pengorbanan yang tinggi. Kena usaha dan usaha lagi.

Tapi balasannya nanti, tidak ada kesusahan dan tidak ada kerja apa pun di syurga nanti. Di syurga nanti tidak ada kerja dan tidak ada ibadah yang kena buat. Ahli syurga sibuk menikmati nikmat sahaja di sana.

Bayangkan yang mereka ini berkata setelah melalui kesusahan di dunia, di Mahsyar dan juga di Sirat. Maka mereka telah lega selega-leganya.


 

Ayat 36: Takhwif ukhrawi pula setelah disebut tentang syurga. Sekarang Allah sebut tentang neraka pula sebagai imbalan kepada syurga sebelum ini.

وَالَّذينَ كَفَروا لَهُم نارُ جَهَنَّمَ لا يُقضىٰ عَلَيهِم فَيَموتوا وَلا يُخَفَّفُ عَنهُم مِّن عَذابِها ۚ كَذٰلِكَ نَجزي كُلَّ كَفورٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And for those who disbelieve will be the fire of Hell. [Death] is not decreed for them¹ so they may die, nor will its torment be lightened for them. Thus do We recompense every ungrateful one.

  • Or “They are not killed.”

(MELAYU)

Dan orang-orang kafir bagi mereka neraka Jahannam. Mereka tidak dibinasakan sehingga mereka mati dan tidak (pula) diringankan dari mereka azabnya. Demikianlah Kami membalas setiap orang yang sangat kafir.

 

وَالَّذينَ كَفَروا لَهُم نارُ جَهَنَّمَ

Dan orang-orang kafir bagi mereka neraka Jahannam.

Dan bagi orang kafir yang engkar dengan wahyu akan dimasukkan ke dalam neraka. Tidak kira sama ada yang engkar itu orang bukan Islam ataupun orang Islam sendiri.

Bagaimana keadaan mereka di dalamnya?

 

لا يُقضىٰ عَلَيهِم فَيَموتوا

Mereka tidak dibinasakan sehingga mereka mati 

Ahli neraka akan dikenakan dengan azab yang hebat-hebat tetapi azab-azab itu tidaklah sampai mematikan mereka. Ini semakna dengan apa yang disebutkan oleh firman-Nya dalam ayat yang lain, iaitu:

{لَا يَمُوتُ فِيهَا وَلا يَحْيَى}

dia tidak mati di dalamnya dan tidak (pula) hidup. (Al-A’la: 13, Taha: 74)

Ini adalah kerana tubuh mereka telah dinaiktaraf sampai mereka boleh rasa azab itu tetapi azab itu tidak mematikan mereka. Allah tidak akan mematikan mereka kerana jikalau mereka mati, maka mereka tidak boleh diazab lagi. Maka walaupun azab yang dikenakan kepada mereka itu sebenarnya jenis azab yang boleh mematikan tetapi Allah boleh buat mereka tidak mati-mati.

Ini amat teruk sekali. Waktu itu mereka akan meminta-minta supaya mereka dimatikan sahaja kerana mereka tidak tahan dengan azab itu tapi mereka tidak akan dimatikan. Allah Swt. berfirman menceritakan keadaan mereka:

{وَنَادَوْا يَامَالِكُ لِيَقْضِ عَلَيْنَا رَبُّكَ قَالَ إِنَّكُمْ مَاكِثُونَ}

Mereka berseru, “Hai Malik, biarlah Tuhanmu membunuh kami saja.” Dia menjawab, “Kamu akan tetap tinggal (di neraka ini).” (Az-Zukhruf: 77)

 

وَلا يُخَفَّفُ عَنهُم مِّن عَذابِها

dan tidak (pula) diringankan dari mereka azabnya.

Tapi jangan pula kita sangka yang azab itu diringankan sampai mereka tidak mati-mati. Azab itu memang keras dan kalau tidaklah Allah buat keputusan mereka tidak mati, maka tentulah mereka telah mati berkali-kali. Kalau mereka minta dikurangkan azab itu pun ia tidak akan dikurangkan. Azab itu tidak akan berkurangan seperti disebut dalam ayat yang lain:

{كُلَّمَا خَبَتْ زِدْنَاهُمْ سَعِيرًا}

Tiap-tiap kali nyala api Jahanam itu akan padam, Kami tambah lagi bagi mereka nyalanya. (Al-Isra: 97)

 

كَذٰلِكَ نَجزي كُلَّ كَفورٍ

Demikianlah Kami membalas setiap orang yang sangat kafir.

Begitulah cara Allah balas kekufuran yang dilakukan oleh orang kafir engkar. Mereka rasa ringan sahaja kesalahan yang mereka buat selama di dunia, tapi Allah amat murka dan Allah beri azab yang amat teruk sekali. Maka tidak berbaloi kalau engkar dengan arahan dan suruhan Allah.

Maka kenalah kita baca ayat-ayat ini selalu supaya timbul rasa takut dalam diri kita untuk buat dosa.


 

Ayat 37: Bagaimana lagi keadaan mereka? Mari kita baca lagi:

وَهُم يَصطَرِخونَ فيها رَبَّنا أَخرِجنا نَعمَل صٰلِحًا غَيرَ الَّذي كُنّا نَعمَلُ ۚ أَوَلَم نُعَمِّركُم مّا يَتَذَكَّرُ فيهِ مَن تَذَكَّرَ وَجاءَكُمُ النَّذيرُ ۖ فَذوقوا فَما لِلظّٰلِمينَ مِن نَّصيرٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they will cry out therein, “Our Lord, remove us;¹ we will do righteousness – other than what we were doing!” But did We not grant you life enough for whoever would remember therein to remember, and the warner had come to you? So taste [the punishment], for there is not for the wrongdoers any helper.

  • The implication is “Return us to the previous world.”

(MELAYU)

Dan mereka berteriak di dalam neraka itu: “Ya Tuhan kami, keluarkanlah kami nescaya kami akan mengerjakan amal yang saleh berlainan dengan yang telah kami kerjakan”. Dan apakah Kami tidak memanjangkan umurmu dalam masa yang cukup untuk berfikir bagi orang yang mahu berfikir, dan (apakah tidak) datang kepada kamu pemberi peringatan? maka rasakanlah (azab Kami) dan tidak ada bagi orang-orang yang zalim seorang penolong pun.

 

وَهُم يَصطَرِخونَ فيها

Dan mereka berteriak di dalam neraka itu:

Kalimah يَصطَرِخونَ dari katadasar ص ر خ yang bermaksud menjerit dengan kuat, menangis dengan kuat meminta pertolongan. Mereka yang diseksa itu akan menjerit sekuat-kuat yang mereka mampu untuk berdoa dan meminta kepada Allah.

Kali ini mereka doa terus kepada Allah pula kerana mereka sudah tahu yang doa kena terus kepada Allah. Tapi semasa di dunia, mereka selalu menggunakan perantaraan. Apa yang mereka minta?

 

رَبَّنا أَخرِجنا

“Ya Tuhan kami, keluarkanlah kami

Mereka tentu tidak tahan dengan azab yang amat teruk dalam neraka itu. Maka mereka berharap sangat yang mereka akan dikeluarkan dari neraka dan dikembalikan ke dunia semula.

Kenapa mereka nak kembali ke dunia?

 

نَعمَل صٰلِحًا غَيرَ الَّذي كُنّا نَعمَلُ

nescaya kami akan mengerjakan amal yang saleh berlainan dengan yang telah kami kerjakan”.

Mereka minta supaya mereka dikeluarkan dan dikembalikan ke dunia supaya mereka nak tukar amalan mereka. Mereka berjanji yang mereka tidak akan beramal dengan amalan yang mereka telah lakukan dunia dahulu. Mereka nak tinggalkan amalan syirik dan amalan bidaah dulu dan mereka nak buat amalan tauhid dan yang sunnah-sunnah sahaja.

 

أَوَلَم نُعَمِّركُم مّا يَتَذَكَّرُ فيهِ مَن تَذَكَّرَ

Dan apakah Kami tidak memanjangkan umurmu dalam masa yang cukup untuk berfikir bagi orang yang mahu berfikir, 

Tidak ada harapan bagi mereka maka Allah beri jawapan penolakan. Allah beritahu yang mereka dulu semasa di dunia telah diberikan masa yang cukup semasa mereka hidup di dunia. Masa itu sudah cukup dan sepatutnya digunakan oleh mereka yang mahu mengambil peringatan.

Jadi jangan kata yang mereka tidak cukup masa untuk melakukan perbuatan yang benar. Kerana orang yang telah berbuat baik telah mengambil masa yang cukup untuk melakukan perbuatan yang baik. Ahli syurga cukup pula masa mereka untuk buat kebaikan, kenapa ahli neraka rasa tak cukup pula? Apa mereka buat semasa di dunia?

Ada mereka belajar agama? Ada mereka belajar tafsir Al-Qur’an? Sunnah Nabi? Kalau tak belajar, apa yang mereka sibukkan? Kena tanya balik diri mereka. Maka kita di dunia ini kena fikir-fikirkanlah. Semua orang ada kerja, semua orang ada keluarga. Tapi kena pandai bahagikan masa. Jangan nak sibuk dengan kerja dan keluarga dan perkara lain sampai agama diabaikan. Jangan terus jadi jahil dan terus nak jadi ‘orang awam’ sampai bila-bila.

Maka kita kenalah kenang balik umur kita yang sudah lama hidup ini, apakah yang kita lakukan? Hasyim telah meriwayatkan pula dari Mujalid, dari Asy-Sya’bi, dari Masruq, bahawa dia pernah mengatakan, “Apabila usia seseorang di antara kalian mencapai empat puluh tahun, maka hendaklah dia bersikap lebih hati-hati terhadap Allah Swt.”

Kerana inilah orang selalu meletakkan umur penentu manusia pada 40 tahun. Ibnu Jarir mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ibnu Abdul A’la, telah menceritakan kepada kami Bisyr ibnul Mufaddal, telah menceritakan kepada kami Abdullah ibnu Usman ibnu Khais’am, dari Mujahid yang mengatakan bahawa dia pernah mendengar Ibnu Abbas r.a. mengatakan bahawa usia yang dijadikan alasan oleh Allah Swt. terhadap anak Adam, seperti yang disebutkan di dalam firman-Nya: Dan apakah Kami tidak memanjangkan umurmu dalam masa yang cukup untuk berpikir bagi orang yang mahu berpikir? (Fathir: 37) adalah empat puluh tahun.

Ada juga yang mengatakan had umur itu adalah 60 tahun sebagaimana disebut dalam hadis yang lain:

حَدَّثَنَا أَبُو صَالِحٍ الفَزَاريّ، حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ سَوَّار، أَخْبَرَنَا يَعْقُوبُ بْنُ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ عَبْدٍ الْقَارِيُّ الْإِسْكَنْدَرِيُّ، حَدَّثَنَا أَبُو حَازِمٍ، عَنْ سَعِيدٍ المَقْبُرِيّ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ” [مَنْ عَمَّرَه] اللَّهُ سِتِّينَ سَنَةً، فَقَدْ أَعْذَرَ إِلَيْهِ فِي الْعُمْرِ”.

telah menceritakan kepada kami Abu Saleh Al-Fazzari, telah menceritakan kepada kami Muhammad ibnu Siwar, telah menceritakan kepada kami Ya’qub ibnu Abdur Rahman ibnu Abdul Qadir Al-Iskandari, telah menceritakan kepada kami Abu Hazim, dari Sa’id Al-Maqbari, dari Abu Hurairah r.a. yang mengatakan bahawa Rasulullah Saw. pernah bersabda: Barang siapa yang diberi usia enam puluh tahun oleh Allah, maka sesungguhnya Allah telah beralasan terhadapnya kerana telah memberinya masa tangguh.

Imam Ahmad telah meriwayatkannya —juga Imam Nasai— di dalam Kitabur Raqaiq-nya, dari Qutaibah, dari Ya’qub ibnu Abdur Rahman dengan sanad yang sama.

 

وَجاءَكُمُ النَّذيرُ

dan (apakah tidak) datang kepada kamu pemberi peringatan? 

Dan jangan kata tidak ada pemberi peringatan sampai kepada mereka kerana memang telah ada pemberi peringatan datang berdakwah. Sudah ada orang yang datang beritahu mana tauhid dan mana syirik dan beritahu mereka mana sunnah dan mana bidaah.

Maka Allah tidak akan mengazab seseorang melainkan telah diberikan dengan pemberi peringatan kepada mereka. Dalam firman Allah Swt. lainnya yang menyebutkan:

{وَمَا كُنَّا مُعَذِّبِينَ حَتَّى نَبْعَثَ رَسُولا}

Dan Kami tidak akan mengazab sebelum Kami mengutus seorang rasul. (Al-Isra: 15)

Tapi apa yang mereka buat? Adakah mereka terima dakwah dan ajaran kepada agama? Atau adakah mereka tuduh yang bawa ajaran tauhid dan syirik sebagai wahabi? Maka sekarang mereka yang menuduh berbagai-bagai tuduhan itu kenalah fikirkan balik.

Yang datang bawa ajaran tauhid dan sunnah itu bawa dalil apa? Bukankah mereka bawa dalil dari Al-Qur’an dan sunnah? Takkan bawa dalil Al-Qur’an dan sunnah salah pula? Maka nanti mereka akan ditanya dan beginilah jawapan mereka:

{كُلَّمَا أُلْقِيَ فِيهَا فَوْجٌ سَأَلَهُمْ خَزَنَتُهَا أَلَمْ يَأْتِكُمْ نَذِيرٌ قَالُوا بَلَى قَدْ جَاءَنَا نَذِيرٌ فَكَذَّبْنَا وَقُلْنَا مَا نزلَ اللَّهُ مِنْ شَيْءٍ إِنْ أَنْتُمْ إِلا فِي ضَلالٍ كَبِيرٍ}

Setiap kali dilemparkan ke dalamnya sekumpulan (orang-orang kafir), penjaga-penjaga (neraka itu) bertanya kepada mereka, “Apakah belum pernah datang kepada kamu (di dunia) seorang pemberi peringatan?” Mereka menjawab, “Benar ada, “sesungguh­nya telah datang kepada kami seorang pemberi peringatan, namun kami mendustakannya dan kami katakan, “Allah tidak menurunkan sesuatu pun; kamu tidak lain hanyalah di dalam kesesatan yang besar.” (Al-Mulk: 8-9)

 

فَذوقوا فَما لِلظّٰلِمينَ مِن نَّصيرٍ

maka rasakanlah (azab Kami) dan tidak ada bagi orang-orang yang zalim seorang penolong pun.

Tapi tetap ada juga yang menolak untuk menerima kebenaran. Maka kepada mereka akan dikatakan: Rasailah azab di neraka itu kerana mereka memang layak untuk menerimanya. Peluang sudah diberikan tapi mereka tidak mengambilnya.

Ahli neraka itu tidak akan ada para pembantu langsung yang dapat membantu mereka dan menyelamatkan mereka daripada neraka. Semasa mereka di dunia, mereka ada banyak kawan, pembantu dan penolong mereka. Tapi jangan harap di neraka nanti akan ada penolong mereka.

Habis Ruku’ ke 4 dari 5 ruku’ dalam surah ini.


 

Ayat 38: Dalil aqli.

إِنَّ اللهَ عٰلِمُ غَيبِ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ ۚ إِنَّهُ عَليمٌ بِذاتِ الصُّدورِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, Allāh is Knower of the unseen [aspects] of the heavens and earth. Indeed, He is Knowing of that within the breasts.

(MELAYU)

Sesungguhnya Allah mengetahui yang tersembunyi di langit dan di bumi. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui segala isi hati.

 

إِنَّ اللهَ عٰلِمُ غَيبِ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ

Sesungguhnya Allah mengetahui yang tersembunyi di langit dan di bumi.

Allah sahaja yang tahu segala perkara ghaib di langit dan juga di bumi. Tidak ada selain Allah yang ada ilmu ini.

 

إِنَّهُ عَليمٌ بِذاتِ الصُّدورِ

Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui segala isi hati.

Allah juga bukan sahaja tahu perkara ghaib di langit dan juga di bumi, tetapi Allah juga tahu apa yang di dalam dada manusia itu. Apa sahaja yang kita fikirkan diketahui oleh Allah. Sebelum kita fikir lagi pun Allah sudah tahu. Maka kena jaga hati kita.

Ayat ini selepas Allah menceritakan permintaan ahli neraka yang mahu kembali ke dunia kerana mereka hendak mengubah amalan mereka. Allah hendak memberitahu bahawa Dia tahu apa yang mereka akan lakukan kerana Allah tahu di dalam hati mereka.

Allah tahu yang jikalau mereka itu dikembalikan ke dunia maka mereka tetap akan melakukan amalan yang sama yang mereka telah pernah lakukan dulu. Maka mereka memang patut kekal di dalam neraka itu kerana mereka layak untuk memasukinya. Kalau diberi peluang untuk balik pun mereka tidak akan berubah.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 5 Julai 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Fatir Ayat 31 – 34 (Tiga golongan umat Islam)

Fatir Ayat 31: Dalil Wahyi.

وَالَّذي أَوحَينا إِلَيكَ مِنَ الكِتٰبِ هُوَ الحَقُّ مُصَدِّقًا لِّما بَينَ يَدَيهِ ۗ إِنَّ اللهَ بِعِبادِهِ لَخَبيرٌ بَصيرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And that which We have revealed to you, [O Muḥammad], of the Book is the truth, confirming what was before it. Indeed Allāh, of His servants, is Acquainted and Seeing.

(MELAYU)

Dan apa yang telah Kami wahyukan kepadamu yaitu Al Kitab (Al Qur’an) itulah yang benar, dengan membenarkan kitab-kitab yang sebelumnya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Mengetahui lagi Maha Melihat (keadaan) hamba-hamba-Nya.

 

وَالَّذي أَوحَينا إِلَيكَ مِنَ الكِتٰبِ هُوَ الحَقُّ

Dan apa yang telah Kami wahyukan kepadamu yaitu Al Kitab (Al Qur’an) itulah yang benar,

Ini adalah Targhib (ajakan) kepada Al-Qur’an. Al-Qur’an ini membawa kebenaran dan untuk mengetahuinya, kenalah kita belajar tafsir Al-Qur’an dan tadabbur ayat-ayatnya.

 

هُوَ الحَقُّ مُصَدِّقًا لِّما بَينَ يَدَيهِ

dengan membenarkan kitab-kitab yang sebelumnya. 

Al-Qur’an membenarkan ajaran tauhid yang ada dalam kitab-kitab wahyu sebelumnya iaitu Taurat dan juga Injil. Maknanya, apa yang Al-Qur’an dan Nabi Muhammad sampaikan ini bukanlah benda baru tapi sama sahaja seperti yang telah disampaikan oleh para Rasul yang sebelum ini dari Nabi Adam lagi.

Tapi bukanlah kita boleh rujuk kitab-kitab itu sekarang kerana kitab-kitab itu telah diubah. Cukuplah kita beriman yang kitab-kitab itu pernah diturunkan kepada para Rasul dan ia mengandungi ajaran yang benar pada mulanya.

 

إِنَّ اللهَ بِعِبادِهِ لَخَبيرٌ بَصيرٌ

Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Mengetahui lagi Maha Melihat (keadaan) hamba-hamba-Nya.

Allah Maha Melihat apa sahaja yang kita lakukan. Kita kena sentiasa ingat perkara ini supaya kita sedar yang segala amal perbuatan kita sedang diperhatikan. Kita akan dipertanggungjawabkan dengan apa sahaja yang kita lakukan, sama ada yang baik atau yang buruk.

Allah yang menjadikan kita dan kerana itu Allah tahu segala-galanya tentang kita. Jadi apa sahaja yang Allah sampaikan dalam wahyu itu amat sesuai dengan keperluan kita. Maka hendaklah kita ikut kerana ia datang dari Tuhan yang menjadikan kita.


 

Fatir Ayat 32:

ثُمَّ أَورَثنَا الكِتٰبَ الَّذينَ اصطَفَينا مِن عِبادِنا ۖ فَمِنهُم ظالِمٌ لِّنَفسِهِ وَمِنهُم مُّقتَصِدٌ وَمِنهُم سابِقٌ بِالخَيرٰتِ بِإِذنِ اللهِ ۚ ذٰلِكَ هُوَ الفَضلُ الكَبيرُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then We caused to inherit the Book those We have chosen of Our servants;¹ and among them is he who wrongs himself [i.e., sins], and among them is he who is moderate, and among them is he who is foremost in good deeds by permission of Allāh. That [inheritance] is what is the great bounty.

  • The followers of Prophet Muḥammad (ṣ).

(MELAYU)

Kemudian Kitab itu Kami wariskan kepada orang-orang yang Kami pilih di antara hamba-hamba Kami, lalu di antara mereka ada yang menganiaya diri mereka sendiri dan di antara mereka ada yang pertengahan dan diantara mereka ada (pula) yang lebih dahulu berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu adalah kurnia yang amat besar.

 

ثُمَّ أَورَثنَا الكِتٰبَ الَّذينَ اصطَفَينا مِن عِبادِنا

Kemudian Kitab itu Kami wariskan kepada orang-orang yang Kami pilih di antara hamba-hamba Kami,

Allah memberitahu yang Dia yang memilih siapa yang akan mewarisi Al-Qur’an ini. Selalunya Allah gunakan kalimah ‘pilihan’ ini apabila Allah bercakap tentang para nabi. Tetapi dalam ayat ini memberitahu bahawa orang Islam juga dipilih oleh Allah.

Jadi dari ayat ini kita tahu yang menjadi orang Islam ini juga adalah satu kemuliaan. Maknanya Allah telah pilih kita. Dalam banyak-banyak manusia, kita yang Allah pilih sebagai Muslim. Apakah kita tidak berbangga dan bersyukur dengan pemilihan ini?

Jadi kerana itulah ada orang yang walaupun dia lahir dalam keluarga yang beragama Islam tetapi dia akhirnya tidak terima ajaran dari Al-Qur’an ini tetapi ada orang yang lahirnya dalam keluarga bukan beragama bukan Islam tetapi Allah pilih dia untuk menerima ajaran tauhid di dalam Al-Qur’an ini.

Pemilihan Allah itu berdasarkan kepada kebijaksanaan Allah taala. Kepada mereka yang mahukan kebenaran, maka Allah akan tarik mereka kepada kebenaran.

 

فَمِنهُم ظالِمٌ لِّنَفسِهِ

lalu di antara mereka ada yang menganiaya diri mereka sendiri

Orang yang zalim itu tidak menerima ajaran di dalam Al-Qur’an ini. Mereka itu mungkin sahaja sudah beragama Islam dan lahir dalam keluarga yang beragama Islam tetapi mereka tidak menerima ajaran dalam Al-Qur’an kerana mereka tidak belajar pun tafsir Al-Qur’an. Mereka terima Al-Qur’an sebagai wahyu dari Allah tapi tidak teringin pun untuk mengetahui apa yang disampaikan dalam Al-Qur’an ini.

Maka mereka itu menzalimi diri mereka sendiri. Mereka akan menyebabkan diri mereka dimasukkan ke dalam neraka. Kerana apabila tidak mengendahkan ajaran dalam Al-Qur’an, maka mereka akan ditipu oleh syaitan untuk melakukan kezaliman. Dan kezaliman yang paling besar adalah syirik.

Ajaran tauhid hendaklah diambil dari Al-Qur’an kerana ajaran tauhid ini lengkap berkenaan tauhid dan lawannya, syirik. Untuk mengetahuinya tidak lain dan tidak bukan kena belajar tafsir Al-Qur’an. Apabila tidak ada ilmu Al-Qur’an, maka syaitan akan membisikkan ajaran yang salah dan mereka yang jauh dari wahyu tidak dapat menolak kebathilan yang dibisikkan oleh syaitan itu.

Jadi ini adalah golongan Muslim yang pertama dan mereka ini disebut dahulu kerana mereka inilah yang ramai dari kalangan orang Islam. Jangan sangka kalau terus beragama Islam sahaja, mereka terus terima ajaran dalam Al-Qur’an ini. Tidak sama sekali. Tengoklah berapa ramai yang kisah tentang agama dan belajar wahyu Al-Qur’an ini?

Ibnu Abu Najih telah meriwayatkan dari Mujahid, sehubungan dengan firman-Nya: lalu di antara mereka ada yang menganiaya diri mereka sendiri. (Fathir: 32) Bahawa mereka adalah orang-orang yang menerima catatan amal perbuatannya dari arah kirinya.

Malik telah meriwayatkan dari Zaid ibnu Aslam dan Al-Hasan serta Qatadah, bahawa yang dimaksudkan dengan orang yang menganiaya dirinya sendiri adalah orang munafik.

 

وَمِنهُم مُّقتَصِدٌ

dan di antara mereka ada yang pertengahan 

Dan ada juga manusia yang ‘suam-suam kuku’ sahaja. Iaitu dia terima Al-Qur’an ini tetapi tidaklah dia beriya-iya sangat untuk mempelajarinya. Tapi kiranya dia sudah dapat ‘markah lulus’. Bila ada masa, dia belajar. Terutama sekali mereka ini akan berusaha untuk belajar ‘baca’ Al-Qur’an. Dan tahulah sikit-sikit ajaran dari Al-Qur’an ini.

Mereka cuba untuk menjaga amal mereka, jaga solat dan puasa mereka. Tapi sekali sekala mereka tergelincir juga. Mereka ini adalah kedudukan kurang dari golongan pertama dan lebih dari golongan ketiga dan kerana itu disebut selepas golongan pertama.

Tafsir kedua: mereka itu adalah orang yang adil dan boleh ikut apa yang disampaikan dalam Al-Qur’an itu. Jadi ini adalah kalau mahu lihat mereka dari sudut yang baik. Tapi kebanyakan dari penafsir mengambil maksud yang pertama di atas.

 

وَمِنهُم سابِقٌ بِالخَيرٰتِ بِإِذنِ اللهِ

dan diantara mereka ada (pula) yang lebih dahulu berbuat kebaikan dengan izin Allah. 

Tetapi ada orang yang cemerlang selepas mereka sanggup menerima ajaran di dalam Al-Qur’an. Mereka tahu apa yang disampaikan di dalam Al-Qur’an ini memberi peluang untuk mereka mendapatkan pahala maka mereka berlumba-lumba untuk mendapatkan pahala dan kedudukan yang tinggi di akhirat.

Maka mereka akan belajar bersungguh-sungguh, mereka akan tadabbur ayat-ayat dalam Al-Qur’an ini dan kemudian akan sampaikan kepada manusia yang lain supaya mereka juga boleh dapat kelebihan yang ada dalam Al-Qur’an ini. Inilah yang kita sepatutnya lakukan.

Mereka pun ada juga buat dosa sekali sekala kerana tidak ada manusia yang terlepas dari dosa. Tapi mereka bukan sengaja nak buat dosa dan kalau mereka melakukannya mereka akan rasa bersalah dan cepat-cepat minta ampun.

Mereka inilah golongan yang paling sikit dalam golongan Muslim dan kerana itulah mereka disebut terakhir sekali. Tapi walaupun disebut akhir sekali, mereka inilah golongan yang selamat. Semoga kita termasuk dalam golongan ini.

Begitulah tafsir bagi ayat ini. Atau ada yang juga berpendapat yang ayat ini maksudnya lain. Iaitu ia memecahkan manusia kepada tiga. Jadi ini adalah termasuk di dalam Ilmu Balaghah iaitu Taqdim wa Ta’khir. Susunan tiga golongan ini sangat unik. Allah mendahulukan golongan yang paling lemah imannya, diikuti golongan pertengahan, dan diakhiri dengan golongan yang paling cemerlang.

1. Mereka yang berpegang kepada fahaman Tauhid tapi mereka ada juga buat dosa dan kerana itu dimasukkan ke dalam neraka dahulu. Hanya selepas dosa mereka dicuci barulah mereka dimasukkan ke dalam syurga. Mereka ini orang Islam yang beriman dengan al-Quran, tetapi amalan perbuatannya masih compang-camping. Mereka melakukan ibadah wajib, namun pada masa yang sama masih kerap tewas dengan dosa-dosa kecil atau besar serta mengabaikan perkara sunat. (Kebaikan < Kejahatan).

2. Yang kedua adalah Golongan Pertengahan iaitu mereka hanya buat amal wajib sahaja. Mereka ini orang Islam yang berada di zon selamat. Mereka menjaga semua perkara wajib dan meninggalkan perkara haram, tetapi mereka jarang melakukan perkara-perkara sunat dan adakalanya masih melakukan perkara yang makruh. (Kebaikan = Kejahatan).

3. Ini adalah Golongan  yang terbaik kerana mereka beramal dengan buat lebih lagi dari yang wajib. Mereka juga banyak melakukan amal yang sunat untuk menambah pahala mereka. Mereka ini golongan elit iman. Mereka bukan sahaja melunaskan yang wajib, malah berebut-rebut mengejar amalan sunat, menjauhi perkara makruh, dan sentiasa menggunakan baki usia mereka untuk memberi manfaat kepada agama dan manusia. (Kebaikan >> Kejahatan).

Inilah yang kita kena lakukan. Kerana kita kena ada harapan untuk dapat buat lebih lagi dari yang wajib sahaja. Kita kena berharap lebih tinggi lagi. Kerana itu Nabi ajar kita yang bila kita minta syurga, terus minta Syurga Peringkat Firdaus terus. Nabi ajar kita untuk letak pengharapan yang tinggi terus.


 

Fatir Ayat 33: 

جَنّٰتُ عَدنٍ يَدخُلونَها يُحَلَّونَ فيها مِن أَساوِرَ مِن ذَهَبٍ وَلُؤلُؤًا ۖ وَلِباسُهُم فيها حَريرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[For them are] gardens of perpetual residence which they will enter. They will be adorned therein with bracelets of gold and pearls, and their garments therein will be silk.

(MELAYU)

(Bagi mereka) Syurga ‘Adn mereka masuk ke dalamnya, di dalamnya mereka diberi perhiasan dengan gelang-gelang dari emas, dan dengan mutiara, dan pakaian mereka di dalamnya adalah sutera.

 

جَنّٰتُ عَدنٍ يَدخُلونَها

(Bagi mereka) Syurga ‘Adn mereka masuk ke dalamnya,

Allah memberi berita baik kepada mereka yang beramal baik, bahawa mereka akan masuk ke dalam Syurga Adn iaitu syurga yang nikmatnya kekal abadi di dalamnya. Dari nama Adn inilah jadi ‘Eden’ dalam bahasa orang Barat itu.

Ada ulama tafsir seperti Zamakhshari dan Imam Razi mengatakan mereka yang dimaksudkan adalah golongan yang ketiga dalam ayat sebelum ini. Iaitu mereka yang melakukan banyak kebaikan.

Tapi majoriti dari ulama mengatakan mereka ini adalah orang Islam yang tidak melakukan syirik. Kerana asalkan mereka tidak melakukan syirik, maka mereka akan dapat masuk syurga. Mungkin ada yang lambat kerana mereka kena cuci dosa dulu dalam neraka.

Ibnu Abbas mengatakan bahawa orang yang lebih cepat berbuat kebaikan akan masuk syurga tanpa hisab, dan orang yang pertengahan masuk syurga berkat rahmat Allah, sedangkan orang yang aniaya terhadap dirinya sendiri serta orang-orang yang berada di perbatasan antara syurga dan neraka dimasukkan ke dalam syurga berkat syafaat Nabi Muhammad Saw.

Hal yang sama telah diriwayatkan dari bukan hanya seorang dari kalangan ulama Salaf, bahawa orang yang aniaya terhadap dirinya sendiri dari kalangan umat ini termasuk orang-orang yang dipilih oleh Allah, sekalipun dalam dirinya terdapat penyimpangan dan kealpaan.

 

يُحَلَّونَ فيها مِن أَساوِرَ مِن ذَهَبٍ وَلُؤلُؤًا

di dalamnya mereka diberi perhiasan dengan gelang-gelang dari emas, dan dengan mutiara, 

Untuk menarik minta pembaca Al-Qur’an, maka Allah membayangkan kenikmatan yang ada di dalam Syurga Adn itu. Mereka akan diberikan dengan nikmat yang hebat, antaranya Allah beri contoh dia akan pakai gelang emas dan gelang mutiara. Ini adalah isyarat kepada kemewahan di dalam syurga itu.

 

وَلِباسُهُم فيها حَريرٌ

dan pakaian mereka di dalamnya adalah sutera.

Dan pakaian mereka juga adalah pakaian mewah di mana akan dipakaikan baju dari sutera. Ini maknanya mereka akan duduk menikmati kesenangan sahaja kerana orang yang pakai baju sutera bukanlah untuk bekerja tapi untuk berehat dan bersenang sahaja.

Kerana itulah kain sutera diharamkan bagi manusia (kaum laki-laki) di dunia sedangkan di akhirat nanti Allah Swt. menghalalkannya bagi mereka. Di dalam sebuah hadis sahih disebutkan, bahawa Rasulullah Saw. pernah bersabda:

“مَنْ لَبِسَ الْحَرِيرَ فِي الدُّنْيَا لَمْ يَلْبَسْهُ فِي الْآخِرَةِ”

Barang siapa yang mengenakan kain sutera di dunia, maka dia tidak akan memakainya di akhirat nanti.

Dan sabda Rasulullah Saw.:

هِيَ لَهُمْ فِي الدُّنْيَا وَلَكُمْ  فِي الْآخِرَةِ”

Kain sutera itu bagi mereka (orang-orang kafir) di dunia, dan bagi kalian (orang-orang mukmin) kelak di akhirat (di syurga).


 

Fatir Ayat 34: 

وَقالُوا الحَمدُ ِللهِ الَّذي أَذهَبَ عَنَّا الحَزَنَ ۖ إِنَّ رَبَّنا لَغَفورٌ شَكورٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they will say, “Praise to Allāh, who has removed from us [all] sorrow. Indeed, our Lord is Forgiving and Appreciative –

(MELAYU)

Dan mereka berkata: “Segala puji bagi Allah yang telah menghilangkan duka cita dari kami. Sesungguhnya Tuhan kami benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Mensyukuri.

 

وَقالُوا الحَمدُ ِللهِ

Dan mereka berkata: “Segala puji bagi Allah

Mereka akan bersyukur kepada Allah dan sebutan mereka adalah alhamdulillah. Ini adalah lafaz syukur yang kita berikan kepada Allah. Tapi tentulah lafaz ini lebih bermakna lagi kerana waktu itu mereka sudah masuk ke dalam syurga. Tak sama dengan lafaz alhamdulillah kita kerana kita tidak nampak lagi dengan mata kita kenikmatan di syurga itu.

Jadi ada dua kalimah alhamdulillah dalam surah ini di mana di awal surah pun sudah disebut lafaz Alhamdulillah.

 

الَّذي أَذهَبَ عَنَّا الحَزَنَ

yang telah menghilangkan duka cita dari kami. 

Di syurga nanti tidak akan ada kesedihan dan dukacita. Ini seolah-olah Allah memberitahu kepada orang yang bersedia untuk menghadapi kesusahan dan dukacita semasa hidup di dunia ini untuk menegakkan agama Allah. Kerana untuk menegakkan agama Allah ini memerlukan pengorbanan dan ianya bukanlah kerja senang. Kita kena sentiasa berusaha dan selalunya kita akan ditentang oleh para penentang. Kita akan keletihan dan sedih dengan kata-kata para penentang itu.

Akan tetapi ketahuilah yang segala dukacita itu akan dihilangkan apabila mereka masuk ke dalam syurga. Waktu itu tidak teringat pun lagi segala dukacita itu. Ianya sebagai ingatan yang telah lampau sahaja, ingat tak ingat sahaja. Kerana itulah ahli syurga itu sedar yang mereka dulu hidup susah semasa di dunia untuk menegakkan agama Allah.

Maka jangan sedih dan lemah semangat dengan kesusahan yang kita alami sekarang dalam beragama. Ini biasa sahaja dan memang Allah berikan kesusahan kepada kita supaya kita dapat pahala tambahan dengan kesabaran kita itu.

 

إِنَّ رَبَّنا لَغَفورٌ شَكورٌ

Sesungguhnya Tuhan kami benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Mensyukuri.

Dalam ayat sebelum ini ada disebut Allah itu Maha Pengampun dan juga Maha membalas perbuatan baik manusia. Dan sekarang ahli syurga juga mengatakan begitu semasa mereka di syurga kerana mereka memang nampak bahawa ianya benar-benar terjadi.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 27 Mei 2026


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Fatir Ayat 27 – 30 (Ulama yang takut kepada Allah)

Ayat 27: Ayat 27 & 28 adalah Perenggan Makro Keempat. Ia mengandungi Dalil Tauhid Rububiyyah. Ayat 27 ini adalah Dalil Aqli Afaqi. Allah suruh kita tengok alam.

أَلَم تَرَ أَنَّ اللهَ أَنزَلَ مِنَ السَّماءِ ماءً فَأَخرَجنا بِهِ ثَمَرٰتٍ مُّختَلِفًا أَلوٰنُها ۚ وَمِنَ الجِبالِ جُدَدٌ بيضٌ وَحُمرٌ مُّختَلِفٌ أَلوٰنُها وَغَرابيبُ سودٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Do you not see that Allāh sends down rain from the sky, and We produce thereby fruits of varying colors? And in the mountains are tracts, white and red of varying shades and [some] extremely black.

(MELAYU)

Tidakkah kamu melihat bahawasanya Allah menurunkan hujan dari langit lalu Kami hasilkan dengan hujan itu buah-buahan yang beraneka macam jenisnya. Dan diantara gunung-gunung itu ada garis-garis putih dan merah yang beraneka macam warnanya dan ada (pula) yang hitam pekat.

 

أَلَم تَرَ أَنَّ اللهَ أَنزَلَ مِنَ السَّماءِ ماءً

Tidakkah kamu melihat bahawasanya Allah menurunkan hujan dari langit

Allah banyak sekali beri perumpamaan menggunakan air hujan. Ini adalah kerana ianya penting kepada kehidupan dan selalu dapat dilihat. Semua manusia melaluinya dan dapat lihat air hujan ini.

Pertamanya Allah ingatkan yang Dialah yang menurunkan air hujan itu. Ia tidak turun sendiri. Maka setiap kali hujan turun, kita sebenarnya diingatkan dengan ayat-ayat Al-Qur’an yang menyebut tentangnya dan juga mengingatkan kepada Allah. Kita lihat hujan dan terdetik: “Allah SWT yang sedang menurunkan hujan ini.”

 

فَأَخرَجنا بِهِ ثَمَرٰتٍ مُّختَلِفًا أَلوٰنُها

lalu Kami hasilkan dengan hujan itu buah-buahan yang beraneka macam warnanya.

Allah gunakan air hujan itu sebagai asbab untuk menumbuhkan berbagai jenis buah-buahan. Walaupun air itu satu jenis sahaja, tapi Allah boleh menjadikan buah-buahan yang berbagai warna dan rasanya. Dua buah dari pokok yang sama pun tidak sama rasanya.

Masyarakat Arab dan juga mana-mana kaum pun memang suka makan buah-buahan. Kerana itu Allah gunakan contoh buah-buahan. Maka setiap kali makan buah, ingatlah yang Allah yang jadikan buah itu.

 

وَمِنَ الجِبالِ جُدَدٌ بيضٌ وَحُمرٌ

Dan diantara gunung-gunung itu ada garis-garis putih dan merah

Kadangkala gunung yang besar itu berubah rupanya kerana mungkin perubahan musim yang memberikan warna hijau kepadanya ataupun ia ditutupi dengan salji yang menjadikan ia berwarna putih. Jadi Allah menggunakan kalimah جُدَدٌ dari kalimah ج د د yang bermaksud ‘baru’ sebagai perumpamaan seolah-olah ia menjadi baru.

Dan ada gunung ganang yang berwarna merah kerana batu-batunya jenis lain.

 

مُّختَلِفٌ أَلوٰنُها وَغَرابيبُ سودٌ

yang beraneka macam warnanya dan ada (pula) yang hitam pekat.

Dan ada gunung-gunung yang bermacam macam lagi warnanya.

Rainbow Mountains

Dan Allah kata ada gunung yang berwarna sangat hitam sampaikan warna kelabu pun tidak ada.


 

Ayat 28: Bukan alam sahaja yang berjenis-jenis warnya.

وَمِنَ النّاسِ وَالدَّوابِّ وَالأَنعٰمِ مُختَلِفٌ أَلوٰنُهُ كَذٰلِكَ ۗ إِنَّما يَخشَى اللهَ مِن عِبادِهِ العُلَماءُ ۗ إِنَّ اللهَ عَزيزٌ غَفورٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And among people and moving creatures and grazing livestock are various colors similarly. Only those fear Allāh, from among His servants, who have knowledge. Indeed, Allāh is Exalted in Might and Forgiving.

(MELAYU)

Dan demikian (pula) di antara manusia, binatang-binatang melata dan binatang-binatang ternak ada yang bermacam-macam warnanya (dan jenisnya). Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah ulama. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.

 

وَمِنَ النّاسِ وَالدَّوابِّ وَالأَنعٰمِ مُختَلِفٌ أَلوٰنُهُ كَذٰلِكَ

Dan demikian (pula) di antara manusia, binatang-binatang melata dan binatang-binatang ternak ada yang bermacam-macam warnanya

Dan manusia pun ada berbagai warna kulitnya, ada yang cerah, ada yang gelap, ada yang kuning, dan ada yang berwarna kemerah-merahan. Semua warna-warna ini Allah yang jadikan maka janganlah kita membeza-bezakan kedudukan mana-mana manusia berdasarkan dari warna kulit. Maka ayat ini menolak fahaman karut manusia yang membezakan manusia kerana ras dan keturunan.

Begitu juga binatang ternak ada bermacam-macam warna yang Allah jadikan. Kalau tengok lembu pun sudah ada berbagai-bagai warna walaupun semuanya jenis lembu.

Jadi apabila kita tengok alam ini dan segala kemewahan warna dan rupa, maka terkesanlah kepada kita bagaimana hebatnya Allah menjadikan semuanya ini.

 

إِنَّما يَخشَى اللهَ مِن عِبادِهِ العُلَما

Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah ulama. 

Yang benar-benar takut kepada Allah adalah orang-orang berilmu (ulama’) iaitu yang kenal Allah. Mereka benar-benar takut tetapi tidak sama takut kepada makhluk dengan takut kepada Allah. Kalau takut kepada makhluk, kita akan melarikan diri dari makhluk itu. Tapi apabila takut kepada Allah, kita akan lebih mendekatkan diri kepada Allah.

‘Ulama’ maksudnya orang yang alim tentang Allah taala. Apabila mereka kenal Allah dan mereka melihat kehebatan yang ada pada alam ini maka mereka yakin dengan sebagai-benar yakin betapa hebatnya Allah yang boleh melakukan apa sahaja.

Jadi, ini bukanlah bermaksud ulama’ seperti yang kita faham itu. Nanti ada orang sangka: aku ini orang awam sahaja, tentu tidak termasuk. Jangan pula fikir begitu kerana ia boleh jadi sesiapa sahaja, iaitu mereka yang punya ilmu. Dan sesiapa sahaja boleh belajar. Jangan kita sangka ilmu agama ini bukan untuk orang awam. Ini adalah fahaman yang salah.

Diriwayatkan dari Ibnu Mas’ud r.a. yang mengatakan bahawa orang yang alim itu bukanlah orang yang banyak hafal hadis, melainkan orang yang banyak takutnya kepada Allah.

Al-Hasan Al-Basri mengatakan bahawa orang yang alim ialah orang yang takut kepada Tuhan Yang Maha Pemurah sekalipun dia tidak melihat-Nya, menyukai apa yang disukai-Nya, dan menjauhi apa yang dimurkai-Nya.

Dan untuk kenal Allah, kenalah kenal Allah dengan cara belajar Tafsir kerana Allah memperkenalkan DiriNya dalam Al-Qur’an. Tidak ada cara lain. Boleh tambah juga dengan maklumat lain, tapi kenalah dihabiskan tafsir 30 juzuk ini. Maka kalau ajaran Tarekat kata nak kenal Allah adalah dengan belajar Tasauf, itu adalah salah faham. Tidak boleh kenal Allah dengan zikir sahaja, terutama kalau zikir itu menggunakan lafaz-lafaz bukan sunnah tapi rekaan dari manusia.

Sebelum ini telah disebut tentang kehebatan Allah memberikan bermacam-macam warna kepada alam ini dan sepatutnya perasaan yang ada pada diri kita adalah takjub kepada Allah. Tetapi Allah gunakan perasaan ‘takut’ kepadaNya di dalam ayat ini. Kenapa pula begitu?

Ini kerana kita kena rujuk kepada ayat Ali Imran:191.

الَّذينَ يَذكُرونَ اللَّهَ قِيامًا وَقُعودًا وَعَلىٰ جُنوبِهِم وَيَتَفَكَّرونَ في خَلقِ السَّماواتِ وَالأَرضِ رَبَّنا ما خَلَقتَ هٰذا باطِلًا سُبحانَكَ فَقِنا عَذابَ النّارِ

(iaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): “Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari seksa neraka.

Ini kerana apabila kita melihat alam ini dan segala ciptaanNya, maka kita tahu bahawa semua yang Allah jadikan ini ada sebab. Bukannya Allah jadikan alam ini sia-sia sahaja. Tentu ada sebab Allah menjadikan alam ini. Iaitu untuk memperkenalkan kita kepadaNya.

Maka orang ada ada ilmu (ulama) akan berfikir: kalau alam ini Allah jadikan bersebab dan ada gunanya, maka tentulah kita ini yang lebih hebat dari alam itu juga tentu ada sebab kenapa kita dijadikan. Maka kalau kita yang sudah lama hidup di atas muka bumi ini pun masih tidak tahu apakah tujuan kita dijadikan, maka sepatutnya itu memberi perasaan takut kepada diri kita. Kerana jikalau kita tidak tahu tugas kita di atas muka bumi, tentulah kita tidak menjalankan tugas kita, bukan?

Dan kalau kita tidak menjalankan tugas itu maka tentulah kita akan dipertanggungjawabkan dan dibalas dengan azab di akhirat kelak kerana kita tidak menjalankan tugas itu.

Maka dengan melihat alam ini sepatutnya memberikan rasa takut dalam diri kita jikalau kita tidak menjalankan tugas seperti yang dikehendaki oleh Allah. Dan yang takut itu hanyalah mereka yang kenal Allah dan tahu tanggungjawab semasa hidup di dunia. Kalau tak tahu, itulah sebabnya ramai yang tenang-tenang sahaja mereka hidup dunia. Macam tidak ada tanggungjawab langsung. Mereka hidup untuk bergembira sahaja.

 

إِنَّ اللهَ عَزيزٌ غَفورٌ

Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.

Maka ingatlah kepada Allah yang bersifat al-Aziz yang boleh mengenakan apa-apa sahaja azab kepada makhlukNya dan tidak ada sesiapa pun yang dapat menahan azab itu dari Allah.

Sifat al-Aziz itu amat menakutkan tetapi dalam masa yang sama Allah juga memberitahu yang Dia juga bersifat Maha Pengampun. Maka ini memberi harapan kepada kita yang jikalau kita meminta ampun kepada Allah di atas dosa-dosa kita yang dahulu kerana kita jahil, maka ada kemungkinan kita boleh diselamatkan. Maka banyakkanlah doa taubat kepada Allah.


 

Ayat 29: Ayat 29 – 39 adalah Perenggan Makro Kelima. Ia mengandungi beri balasan di akhirat.

[Ayat 29 – 35] BALASAN BAIK
[Ayat 36 – 39] BALASAN BURUK

Kalau dalam ayat sebelum ini telah disebut tentang ulama’. Sekarang diberitahu siapakah mereka dan apakah sifat mereka. Maka kita kena ikut sifat-sifat ini.

إِنَّ الَّذينَ يَتلونَ كِتٰبَ اللهِ وَأَقامُوا الصَّلَوٰةَ وَأَنفَقوا مِمّا رَزَقنٰهُم سِرًّا وَعَلانِيَةً يَرجونَ تِجٰرَةً لَّن تَبورَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, those who recite the Book of Allāh and establish prayer and spend [in His cause] out of what We have provided them, secretly and publicly, [can] expect a transaction [i.e., profit] that will never perish –

(MELAYU)

Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca kitab Allah dan mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian dari rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka dengan diam-diam dan terang-terangan, mereka itu mengharapkan perniagaan yang tidak akan merugi,

 

إِنَّ الَّذينَ يَتلونَ كِتٰبَ اللهِ

Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca kitab Allah

Maka mereka yang telah ada kesedaran tentang tauhid kepada Allah maka Allah beritahu tiga perkara yang mereka perlu lakukan.

Pertamanya membaca ayat-ayat Allah iaitu mendalami apa yang Allah sampaikan di dalam Al-Qur’an ini. Maka kena fahamlah yang bukanlah Al-Qur’an ini dibaca begitu sahaja tapi dibaca dengan pemahaman.

 

وَأَقامُوا الصَّلَوٰةَ

dan mendirikan solat

Kemudian diteruskan dengan mendirikan solat dengan sebaik-baik cara. Maka kenalah belajar cara solat yang sunnah. Dan kemudian tingkatkan kualiti solat kita sampai boleh dapat khusyuk dalam solat.

Disebut solat sebagai wakil bagi amalan-amalan ibadat yang lain. Maksudnya bukanlah solat sahaja yang perlu kita lakukan tetapi ibadat-ibadat yang lain juga. Tapi yang utama adalah solat.

 

وَأَنفَقوا مِمّا رَزَقنٰهُم سِرًّا وَعَلانِيَةً

dan menafkahkan sebahagian dari rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka dengan diam-diam dan terang-terangan, 

Kemudian mereka itu mengeluarkan infak sama ada dengan cara bersembunyi ataupun terang-terangan.

Allah sebut infak dengan cara tersembunyi dahulu kerana cara ini lebih utama dan lebih dapat menjaga hati kita daripada ada rasa riak. Maka mulakan dengan cara ini dahulu.

Kemudian Allah sebut dengan cara terang-terangan kerana cara ini juga boleh. Kerana apabila kita infak dengan cara terang-terangan maka ia dapat memberi contoh kepada orang lain untuk melakukan infak juga. Tetapi cara ini hendaklah datang kemudian. Cara ini kita boleh lakukan jikalau iman dan pemahaman kita telah kuat dan kita dapat menjaga hati kita daripada rasa riak apabila kita  sedekah dan derma.

Tidak salah jika kita mengeluarkan dengan cara terang-terangan dan tunjuk kepada orang lain kerana jikalau kita melakukannya dan apabila ada orang lain ikut, maka kita akan dapat pahala tambahan kerana kita telah memberi contoh yang baik untuk diikuti oleh orang lain. Kita akan dapat juga pahala seperti yang dilakukan oleh orang lain itu.

Lihat bagaimana dua perbuatan yang pertama iaitu baca Al-Qur’an dan juga mendirikan solat adalah kata-kata yang baik. Dan mengeluarkan infak kepada yang memerlukan itu adalah perbuatan.

Di awal surah ini ada disebut bagaimana kata-kata yang baik cuba untuk memanjat kepada Allah tetapi yang dapat mempercepatkan ia naik itu adalah dengan perbuatan. Maka inilah perbuatan yang dimaksudkan.

Kenapa mereka melakukan semua itu?

 

يَرجونَ تِجٰرَةً لَّن تَبورَ

mereka itu mengharapkan perniagaan yang tidak akan merugi,

Mereka lakukan semua itu adalah kerana ikhlas kepada Allah. Mereka mengharap kepada balasan Allah.

Jadi ini adalah perniagaan yang tidak akan rugi-rugi. Jikalau kita berniaga belum tentu kita akan dapat untung tetapi jikalau kita mengeluarkan infak kepada orang dengan ikhlas, maka ianya tidak akan rugi sama sekali. Allah akan balas di dunia lagi malah di akhirat juga.

Kalau perniagaan di dunia ini, peniaga kena laburkan modal dan juga usaha mereka untuk mendapat keuntungan. Begitu juga dengan ‘perniagaan’ akhirat – insan juga kena melabur usaha dan masa mereka untuk mendapat balasan di akhirat kelak. Jadi bukanlah murah syurga itu, ia memerlukan usaha dan modal. Cuma seperti kita sebut, perniagaan di dunia belum tentu untung tapi kalau kita melabur untuk akhirat, ia pasti akan menguntungkan.


 

Ayat 30:

لِيُوَفِّيَهُم أُجورَهُم وَيَزيدَهُم مِّن فَضلِهِ ۚ إِنَّهُ غَفورٌ شَكورٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

That He may give them in full their rewards and increase for them of His bounty. Indeed, He is Forgiving and Appreciative.

(MELAYU)

agar Allah menyempurnakan kepada mereka pahala mereka dan menambah kepada mereka dari kurnia-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mensyukuri.

 

لِيُوَفِّيَهُم أُجورَهُم

agar Allah menyempurnakan kepada mereka pahala mereka

Perniagaan mereka itu tidak akan rugi kerana Allah balas dengan sempurna malah berlebihan lagi. Tidak ada yang tertinggal dari dibalas. Kerana semuanya Allah rekod.

 

وَيَزيدَهُم مِّن فَضلِهِ

dan menambah kepada mereka dari kurnia-Nya. 

Allah bukan balas sama sahaja dengan perbuatan amal kebaikan itu, tapi Allah akan balas berlebih-lebihan lagi. Bayangkan, amal bukan banyak pun tapi Allah balas dengan nikmat syurga yang hebat sangat dan selama-lamanya.

 

إِنَّهُ غَفورٌ شَكورٌ

Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mensyukuri.

Sekarang kita dapat tahu bahawa perbuatan baca Al-Qur’an, solat dan juga infak itu dapat menyebabkan Allah mengampuni dosa-dosa kita. Dan kita amat berharap kepada pengampunan dosa ini.

Allah juga akan menghargai segala amal kebaikan kita. Kalimah syakur juga digunakan untuk perbuatan manusia. Iaitu apabila kita bersyukur atas nikmat Allah. Tapi apabila dinisbahkan kepada Allah, ia bermakna yang Dia akan hargai apa yang manusia lakukan. Dan pembalasan dari Allah itu tentu lebih baik dari apa yang kita lakukan. Allah akan balas berlebih-lebihan seperti yang kita telah sebutkan.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 5 Julai 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Fatir Ayat 19 – 26 (Orang mati tidak dengar talqin)

Ayat 19: Allah membuat satu perbandingan. Ayat 19 – 23 adalah Perenggan Makro Kedua. Ia memberitahu perbezaan mukmin dan kafir. Kita kena nilaikan kriteria-kriteria dengan diri kita.

وَما يَستَوِي الأَعمىٰ وَالبَصيرُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Not equal are the blind and the seeing,

(MELAYU)

Dan tidaklah sama orang yang buta dengan orang yang melihat.

 

Allah mulakan perbandingan ini dengan beritahu perkara yang kita sendiri sudah tahu. Iaitu tentu orang buta dan orang yang celik tidak sama.

Ada orang yang celik mata hatinya dan ada orang yang buta mata hatinya. Yang buta itu tidak mahu melihat kepada kebenaran. Maka kita hendaklah buka hati kita kepada kebenaran. Tidak kira siapa yang sampaikan, asalkan ianya adalah dari wahyu.

Lihat juga firman Allah Swt.:

{مَثَلُ الْفَرِيقَيْنِ كَالأعْمَى وَالأصَمِّ وَالْبَصِيرِ وَالسَّمِيعِ هَلْ يَسْتَوِيَانِ مَثَلا}

Perbandingan kedua golongan itu, seperti orang buta dan tuli dengan orang yang dapat melihat dan dapat mendengar. Adakah kedua golongan itu sama keadaan dan sifatnya. (Hud: 24)


 

Ayat 20: Perbandingan kedua.

وَلَا الظُّلُمٰتُ وَلَا النّورُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Nor are the darknesses and the light,

(MELAYU)

dan tidak (pula) sama gelap gelita dengan cahaya.

 

Sebagaimana buta dan celik tidak sama, maka keadaan ada cahaya dan gelap pun tidak sama. Kita pun tahu keadaan ini.

Kita memerlukan cahaya untuk melihat di alam ini. Kalau tidak ada cahaya dan keadaan gelap, tentu susah untuk berjalan kerana meraba-raba dan tentu ada terlanggar barang sekeliling.

Begitu jugalah hal agama ini memerlukan cahaya juga. Dan cahaya yang dimaksudkan adalah cahaya wahyu. Sepertimana mata fizikal kita memerlukan cahaya untuk melihat, maka mata hati kita juga memerlukan ‘cahaya wahyu’ untuk melihat.

Ini sebagaimana yang disebutkan pula dalam ayat lain melalui firman Allah Swt. yang mengatakan:

{أَوَمَنْ كَانَ مَيْتًا فَأَحْيَيْنَاهُ وَجَعَلْنَا لَهُ نُورًا يَمْشِي بِهِ فِي النَّاسِ كَمَنْ مَثَلُهُ فِي الظُّلُمَاتِ لَيْسَ بِخَارِجٍ مِنْهَا}

Dan apakah orang yang sudah mati, kemudian dia Kami hidupkan dan Kami berikan kepadanya cahaya yang terang, yang dengan cahaya itu dia dapat berjalan di tengah-tengah masyarakat manusia, serupa dengan orang yang keadaannya berada dalam gelap gelita yang sekali-kali tidak dapat keluar darinya? (Al-An’am: 122)


 

Ayat 21: 

وَلَا الظِّلُّ وَلَا الحَرورُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Nor are the shade and the heat,¹

  • Of the sun or of a scorching wind.

(MELAYU)

dan tidak (pula) sama yang teduh dengan yang panas,

Tidak sama orang yang berada di dalam teduhan dan orang yang sedang dipanaskan dengan cahaya matahari.

Ayat ini adalah isyarat. Tidak sama mereka yang duduk dalam naungan syurga dan mereka yang duduk dalam neraka yang panas. Maka pilihlah kita nak duduk di mana.


 

Ayat 22: 

وَما يَستَوِي الأَحياءُ وَلَا الأَموٰتُ ۚ إِنَّ اللهَ يُسمِعُ مَن يَشاءُ ۖ وَما أَنتَ بِمُسمِعٍ مَّن فِي القُبورِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And not equal are the living and the dead. Indeed, Allāh causes to hear whom He wills, but you cannot make hear those in the graves.¹

  • The four comparisons given by Allāh (subḥānahu wa ta‘ālā) in verses 1922 are those of the believer and unbeliever, various kinds of misbelief and (true) belief, Paradise and Hellfire, and those receptive to guidance and those unreceptive.

(MELAYU)

dan tidak (pula) sama orang-orang yang hidup dan orang-orang yang mati. Sesungguhnya Allah memberi pendengaran kepada siapa yang dikehendaki-Nya dan kamu sekali-kali tiada sanggup menjadikan orang yang di dalam kubur dapat mendengar.

 

وَما يَستَوِي الأَحياءُ وَلَا الأَموٰتُ

dan tidak (pula) sama orang-orang yang hidup dan orang-orang yang mati.

Allah beritahu memang orang hidup dan mati tidak sama. Allah hendak memberi isyarat yang orang-orang yang tidak mahu menerima ajaran wahyu mereka itu seperti orang yang telah mati. Hati mereka yang telah mati walaupun tubuh mereka hidup lagi.

Sepertimana juga orang-orang yang di dalam kubur itu tidak dapat mendengar apa yang kita katakan kepada mereka. Orang yang hatinya gelap dari cahaya iman, mereka tidak dapat terima apakah hujah dari wahyu yang disampaikan.

Kerana itu tidak hairanlah kalau ada orang yang apabila kita sampaikan hujah-hujah dari Al-Qur’an, maka mereka tidak dapat terima. Apakah yang kita sampaikan kepada mereka seperti masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri. Ini adalah hati mereka telah tertutup. Sama ada mereka tidak kisah dengan agama (tidak kisah sama ada masuk syurga atau tidak), atau mereka tetap mahu berpegang dengan ajaran yang mereka telah pegang selama ini.

Mungkin mereka telah belajar di mana-mana dan mereka tidak mahu nak mengubah pegangan mereka. Inilah bahaya kalau taksub dengan pelajaran yang lama. Padahal apa yang mereka belajar itu adalah ajaran tok nenek (orang lama) yang belum tentu benar kerana kadangkala pelajaran itu tidak berpegang kepada ajaran wahyu.

 

إِنَّ اللهَ يُسمِعُ مَن يَشاءُ

Sesungguhnya Allah memperdengarkan kepada siapa yang dikehendaki-Nya 

Allah Maha Berkuasa dan Allah boleh buat apa sahaja. Termasuk boleh memberikan orang yang mati pun boleh mendengar. Allah boleh menjadikan batu yang tidak ada nyawa itu pun boleh mendengar. Kerana itu mayat di dalam kubur boleh mendengar persoalan yang diberikan oleh Malaikat Mungkar Nakir walaupun mereka telah mati kerana telah diizinkan oleh Allah.

 

وَما أَنتَ بِمُسمِعٍ مَّن فِي القُبورِ

dan kamu sekali-kali tiada sanggup menjadikan orang yang di dalam kubur dapat mendengar.

Tapi Nabi Muhammad sebagai penyebar tauhid, tidak boleh memaksa manusia mendengar ajaran tauhid baginda. Baginda hanya boleh sampaikan sahaja. Sama ada hati manusia terbuka atau tidak, itu bukan di dalam kuasa baginda.

Begitu jugalah dengan kita apabila menyampaikan dakwah kepada manusia. Kita boleh berikan dakwah cara terbaik sahaja, tapi sama ada mereka terima atau tidak, kita tidak dapat nak paksa.

Ayat ini juga dijadikan dalil sebagai hujah untuk mengatakan orang yang telah mati di dalam kubur tidak dapat dengar kata dan seruan orang yang hidup. Memang Allah boleh beri mayat dalam kubur mendengar seperti soalan para malaikat, akan tetapi kita sebagai manusia, tidak boleh bagi mayat dalam kubur dengar apa yang kita cakap.

Kerana itulah kita berhujah yang amalan talqin yang diamalkan oleh masyarakat kita tidak bertepatan dengan ayat ini. Kerana bagaimana kita hendak memperdengarkan ajaran talqin kepada mereka? Bagaimana lagi kita nak mengajar akidah kepada mereka yang sudah mati itu? Mereka bukan boleh dengar pun; dan kalau mereka dengar, bolehkah mereka ubah pendirian mereka lagi? Kerana waktu itu sudah mati pun dah dan tidak boleh nak buat apa-apa lagi.

Tapi kita sedar yang ada pendapat ulama mazhab yang mengatakan baik kalau dilakukan amalan talqin ini sebagai peringatan kepada orang yang hidup. Cuma setakat yang kita tahu, dalil dari sunnah Nabi dan sahabat tentang perkara ini tidak sahih. Maka kita berpendapat ianya ditinggalkan lebih baik.

Kerana apabila ada fahaman orang mati boleh dengar seruan dan kata-kata orang yang hidup, maka pendapat ini telah banyak disalahgunakan oleh mereka yang jauh dari wahyu. Ramai yang gunakan hujah orang mati boleh dengar, maka mereka buat amalan seru orang dalam kubur.

Ada yang minta kepada ahli kubur dan ada yang minta ahli kubur itu sampaikan doa mereka kepada Allah. Ada juga yang minta berkat dengan ahli kubur. Bila ditegur kenapa bercakap dengan orang mati, mereka jawab: walaupun mati tapi dia masih boleh dengar lagi.

Maka kita kena berikan mereka ayat ini di mana ia menjadi dalil bahawa orang di dalam kubur tidak dapat mendengar. Kita tidak boleh nak paksa mereka dengar seruan dan permintaan kita. Walaupun kita pakai pembesar suara yang kuat, mereka tetap tidak dapat dengar. Oleh kerana itu juga, maka amalan menyeru kepada Nabi dan wali adalah amalan yang sia-sia kerana mereka memang tidak dapat mendengar panggilan dan seruan kita. Ini adalah amalan yang syirik dan jauh dari ajaran agama.

Ini adalah kerana mereka duduk di alam yang lain. Alam itu amat berbeza dengan alam dunia. Memang mereka hidup, tapi mereka hidup dengan cara mereka di alam yang lain. Mereka sudah tidak ada kaitan dengan dunia lagi.


 

Ayat 23: 

إِن أَنتَ إِلّا نَذيرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

You, [O Muḥammad], are not but a warner.

(MELAYU)

Kamu tidak lain hanyalah seorang pemberi peringatan.

 

Oleh kerana itu, kita hanya boleh ajar dan dakwah manusia semasa mereka hidup lagi. Kita hanya boleh beri peringatan sahaja. Sama ada mereka terima atau tidak, kita tidak boleh paksa. Tapi hendaklah kita sampaikan juga. Kerana kita tidak tahu siapa yang akan menerima dakwah kita.

Maka, Nabi Muhammad tidak dipersalahkan jika ada umat baginda yang tidak ikut ajaran baginda. Kerana kita tidak bertanggungjawab menjadikan orang buta melihat, bukan? Begitu juga kita tidak dipersalahkan kalau orang tidak terima dakwah kita. Asalkan kita sampaikan. Tapi kenalah pastikan kita sudah sampaikan. Kerana kita tidak tahu siapa yang dengar dan siapa yang tidak.


 

Ayat 24: Ayat 23 – 26 adalah Perenggan Makro Ketiga. Ia mengandungi dalil sejarah kaum-kaum yang telah dibinasakan.

إِنّا أَرسَلنٰكَ بِالحَقِّ بَشيرًا وَنَذيرًا ۚ وَإِن مِّن أُمَّةٍ إِلّا خَلا فيها نَذيرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, We have sent you with the truth as a bringer of good tidings and a warner. And there was no nation but that there had passed within it a warner.

(MELAYU)

Sesungguhnya Kami mengutus kamu dengan membawa kebenaran sebagai pembawa berita gembira dan sebagai pemberi peringatan. Dan tidak ada suatu umat pun melainkan telah ada padanya seorang pemberi peringatan.

 

إِنّا أَرسَلنٰكَ بِالحَقِّ

Sesungguhnya Kami mengutus kamu dengan membawa kebenaran

Allah mengutus Nabi Muhammad untuk bawa kebenaran agama dan ajaran yang benar. Asal orang Mekah itu hati mereka telah mati dari tauhid, tapi dengan ajaran dari Nabi Muhammad, maka ada antara mereka yang hidup balik hati mereka.

 

بَشيرًا وَنَذيرًا

sebagai pembawa berita gembira dan sebagai pemberi peringatan. 

Kepada mereka yang mahu ikut ajaran wahyu, maka mereka diberikan dengan berita gembira akan dimasukkan ke dalam syurga.

Kepada mereka yang degil, maka diberitahu awal-awal lagi kepada mereka yang kalau mereka tidak ubah pendirian dan amalan mereka, tempat akhir mereka adalah ke neraka.

 

وَإِن مِّن أُمَّةٍ إِلّا خَلا فيها نَذيرٌ

Dan tidak ada suatu umat pun melainkan telah berlalu padanya pemberi peringatan.

Dari ayat ini, kita boleh tahu bahawa tidak ada mana-mana kaum di dunia ini yang tidak pernah pemberi peringatan datang kepada mereka. Ini seperti firman Allah Swt.:

{وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَسُولا أَنِ اُعْبُدُوا اللهَ وَاجْتَنِبُوا الطَّاغُوتَ فَمِنْهُمْ مَنْ هَدَى اللهُ وَمِنْهُمْ مَنْ حَقَّتْ عَلَيْهِ الضَّلالَةُ}

Dan sesungguhnya Kami telah mengutus rasul pada tiap-tiap umat (untuk menyerukan), “Sembahlah Allah (sahaja), dan jauhilah taghut itu, ” maka di antara umat itu ada orang-orang yang diberi petunjuk oleh Allah dan ada pula di antaranya orang-orang yang telah pasti kesesatan baginya. (An-Nahl: 36), hingga akhir ayat.

Maka kalau sekarang kita lihat ada puak-puak golongan asli sebenarnya mereka itu juga ada yang memberi peringatan kepada mereka dahulu.

Dalam ayat surah yang lain ada disebut yang Allah menghantar para rasul ke ibu negara mereka. Oleh itu, dua perkara kita kena faham:

  1. Tidaklah Allah kena hantar Rasul atau Nabi ke setiap ceruk kampung. Allah hanya perlu hantar ke ibu kota sahaja. Dari kota itulah ajaran tauhid akan tersebar ke tempat-tempat lain. Kerana orang di luar bandar akan ikut apa yang dilakukan oleh orang bandar.
  2. Tidaklah Allah kena hantar satu Rasul pada setiap zaman. Kalau ajaran agama itu masih lagi diamalkan, maka tidak perlu Rasul lagi. Kerana ajaran baginda masih lagi terjaga. Kerana itulah selepas Nabi Muhammad, tidak ada Rasul lagi kerana ajaran baginda masih ada diamalkan.

Jadi, tidak boleh dijadikan alasan tidak ada Rasul di negara atau kampung kita; dan tidak menjadi alasan sudah lama Rasul tidak diturunkan.


 

Ayat 25: Ayat tasliah dan takhwif duniawi.

وَإِن يُكَذِّبوكَ فَقَد كَذَّبَ الَّذينَ مِن قَبلِهِم جاءَتهُم رُسُلُهُم بِالبَيِّنٰتِ وَبِالزُّبُرِ وَبِالكِتٰبِ المُنيرِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And if they deny you – then already have those before them denied. Their messengers came to them with clear proofs and written ordinances and with the enlightening Scripture.

(MELAYU)

Dan jika mereka mendustakan kamu, maka sesungguhnya orang-orang yang sebelum mereka telah mendustakan (rasul-rasulnya); kepada mereka telah datang rasul-rasulnya dengan membawa mukjizat yang nyata, zubur, dan kitab yang memberi penjelasan yang sempurna.

 

وَإِن يُكَذِّبوكَ فَقَد كَذَّبَ الَّذينَ مِن قَبلِهِم

Dan jika mereka mendustakan kamu, maka sesungguhnya orang-orang yang sebelum mereka telah mendustakan (rasul-rasulnya)

Ini adalah tasliah dari Allah. Nabi Muhammad sedih kerana umat baginda ramai yang tidak mahu menerima dakwah baginda. Maka Allah pujuk baginda dengan beritahu yang ini perkara biasa sahaja. Kerana umat-umat yang dahulu juga ada yang menolak Rasul mereka.

Memang begitulah manusia zaman berzaman. Tidak ramai yang mahu menerima kebenaran. Maka janganlah baginda sangka baginda sahaja yang ditolak. Apabila kita tahu yang ada orang yang menerima nasib yang sama, maka tidaklah kita resah sangat. Kita pun terubat sikitlah hati kita.

 

جاءَتهُم رُسُلُهُم بِالبَيِّنٰتِ

kepada mereka telah datang rasul-rasulnya dengan membawa mukjizat yang nyata,

Para Rasul setiap umat itu juga datang kepada kaum mereka dengan membawa kebenaran. Mereka bukan datang dengan tangan kosong. Mereka diberikan mukjizat sebagai tanda yang mereka itu seorang Rasul. Ini adalah kerana mereka bawa perkara yang besar, maka mereka perlu diberikan dengan sesuatu yang hebat sebagai menarik perhatian manusia.

Dan bukan sahaja mereka bawa mukjizat, mereka juga bawa dalil dan hujah. Maka walaupun kita tidak ada mukjizat, kita ada dalil dan hujah.

 

وَبِالزُّبُرِ وَبِالكِتٰبِ المُنيرِ

dan zubur, dan kitab yang memberi penjelasan yang sempurna.

Mereka juga datang dengan bawa wahyu. Kitab Zabur adalah kitab yang diberikan kepada Nabi Daud dan kisah baginda baru sahaja kita belajar di dalam surah sebelum ini jadi ianya masih segar dalam ingatan.

Atau ada satu lagi pendapat yang mengatakan Zubur itu adalah kitab wahyu yang kecil. Yang dimaksudkan dengan zubur ialah sahifah-sahifah atau lembaran-lembaran yang di dalamnya tercantum hukum-hukum Allah. Al-munir pula adalah kitab yang jelas lagi lengkap.

Dan para Rasul itu membawa kitab-kitab yang lain yang sifat kitab-kitab itu memberi cahaya keimanan kepada mereka yang mahu menerimanya. Sama ada kitab itu diturunkan kepada mereka, atau telah diturunkan sebelum itu dan mereka teruskan mengajar. Macam kita ada Al-Qur’an yang telah lama diturunkan kepada Nabi Muhammad.


 

Ayat 26: 

ثُمَّ أَخَذتُ الَّذينَ كَفَروا ۖ فَكَيفَ كانَ نَكيرِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then I seized the ones who disbelieved, and how [terrible] was My reproach.

(MELAYU)

Kemudian Aku azab orang-orang yang kafir; maka (lihatlah) bagaimana (hebatnya) akibat kemurkaan-Ku.

 

ثُمَّ أَخَذتُ الَّذينَ كَفَروا

Kemudian Aku azab orang-orang yang kafir;

Kepada mereka yang degil tidak mahu menerima kebenaran wahyu yang dibawa oleh Rasul-rasul mereka, maka mereka akan diazab oleh Allah.

 

فَكَيفَ كانَ نَكيرِ

maka (lihatlah) bagaimana (hebatnya) akibat kemurkaan-Ku.

Allah mengancam semua manusia dengan memberitahu bahawa kalau Allah murka di atas penolakan mereka, maka murka Allah itu amat hebat dan keras. Maka janganlah kita cuba-cuba hendak menolak. Jangan sangka kita akan sanggup untuk menghadapi kemurkaan Allah itu kerana kemurkaanNya tidak sama dengan murka manusia. Allah boleh beri azab yang amat besar dan kehendak Allah tidak akan dihalang.

Habis Ruku’ ke 3 dari 5 ruku’ dalam surah ini.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 5 Julai 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Fatir Ayat 14 – 18 (Ahli keluarga tidak dapat membantu)

Ayat 14: Dalam ayat sebelum ini Allah telah menyebut yang diseru selain dari Allah itu tidak memiliki apa-apa. Dan sekarang Allah tambah hujah untuk menunjukkan betapa sia-sianya perbuatan manusia yang menyeru selain dari Allah itu.

إِن تَدعوهُم لا يَسمَعوا دُعاءَكُم وَلَو سَمِعوا مَا استَجابوا لَكُم ۖ وَيَومَ القِيٰمَةِ يَكفُرونَ بِشِركِكُم ۚ وَلا يُنَبِّئُكَ مِثلُ خَبيرٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

If you invoke them, they do not hear your supplication; and if they heard, they would not respond to you. And on the Day of Resurrection they will deny your association.¹ And none can inform you like [one] Acquainted [with all matters].

  • Of them with Allāh or your worship of them.

(MELAYU)

Jika kamu menyeru mereka, mereka tiada mendengar seruanmu; dan kalau mereka mendengar, mereka tidak dapat memperkenankan permintaanmu. Dan di hari kiamat mereka akan mengingkari kemusyirikanmu dan tidak ada yang dapat memberi keterangan kepadamu sebagai yang diberikan oleh Yang Maha Mengetahui.

 

إِن تَدعوهُم لا يَسمَعوا دُعاءَكُم

Jika kamu menyeru mereka, mereka tiada mendengar seruanmu;

Allah memberitahu dengan jelas dalam ayat ini, roh-roh selain dari Allah itu tidak dapat mendengar seruan manusia kepada mereka. Ramai manusia yang menyeru kepada roh-roh Nabi, wali dan malaikat.

Ada yang seru kepada Nabi Muhammad, Nabi Khidr, Nabi Sulaiman, Nabi itu dan ini. Ada yang menyeru kepada Syaikh Abdul Qadir Jalani, Wali-wali Songo, Habib Noh dan wali-wali lain (yang tidak tahu pun status mereka sebagai wali itu pasti atau tidak). Ada juga yang seru para malaikat terutama malaikat yang besar-besar itu untuk beri bantuan kepada mereka.

Allah beritahu yang mereka itu tidak dengar pun seruan manusia kepada mereka kerana mereka di dalam alam yang lain. Bukan kerja mereka untuk mendengar seruan manusia. Mereka in sha Allah adalah orang yang baik-baik (kerana status wali kita tidak tahu) dan kerja mereka sudah habis setelah mereka meninggal dunia. Mereka sekarang tinggal (semoga mereka itu orang-orang yang baik-baik) di akhirat menikmati balasan dari Allah atas kerja dan amalan mereka semasa di dunia.

 

وَلَو سَمِعوا مَا استَجابوا لَكُم

dan kalau mereka mendengar, mereka tidak dapat memperkenankan permintaanmu.

Dan kalaulah mereka boleh mendengar, mereka bukan boleh menjawab pun. Ini kerana mereka di alam yang lain. Mereka tidak dapat buat apa – bukan sahaja hendak jawab, cuba hendak jawab pun tidak boleh. Kerana kalimah استَجابوا yang digunakan adalah wazan yang menunjukkan percubaan.

Itu pun kalau mereka dengar kerana telah disebut sebelum ini yang mereka tidak dapat dengar pun. Tapi kalaulah kita bayangkan mereka boleh dengar, mereka nak cuba jawab pun tidak boleh.

Maka amatlah sia-sia perbuatan manusia yang menyeru selain Allah. Termasuk yang melakukan perbuatan sia-sia ini adalah masyarakat Islam kita yang jauh dari wahyu. Mereka tidak periksa amalan seru menyeru yang diajar oleh guru-guru mereka yang sesat itu. Apabila diberi amalan seru menyeru Nabi, wali dan malaikat itu, para pengikut mereka sangka itu adalah amalan yang benar dan baik untuk dilakukan.

Kerana mereka ikut sahaja apa yang diajar oleh guru mereka. Ini adalah perbuatan yang jauh dari kebenaran. Apa-apa sahaja amalan yang diberikan, hendaklah dibandingkan dengan Al-Qur’an dan Sunnah dari Nabi. Jangan pakai terima sahaja.

 

وَيَومَ القِيٰمَةِ يَكفُرونَ بِشِركِكُم

Dan di hari kiamat mereka akan mengingkari kemusyirikanmu

Mereka yang menyeru itu tentu berharap roh-roh Nabi, wali dan malaikat itu akan ingat dulu mereka sudah selalu seru, selalu beri salam, selalu sedekah Fatihah dan amalan-amalan yang lain seperti tawaf kubur mereka, bersihkan kubur mereka, letak bunga dan sebagainya lagi amalan-amalan sesat yang sedang dilakukan oleh orang-orang kita.

Yang disembah itu akan berlepas diri dari apa yang dilakukan oleh golongan penyembah itu. Sebagaimana yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

{وَمَنْ أَضَلُّ مِمَّنْ يَدْعُو مِنْ دُونِ اللهِ مَنْ لَا يَسْتَجِيبُ لَهُ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَهُمْ عَنْ دُعَائِهِمْ غَافِلُونَ وَإِذَا حُشِرَ النَّاسُ كَانُوا لَهُمْ أَعْدَاءً وَكَانُوا بِعِبَادَتِهِمْ كَافِرِينَ}

Dan siapakah yang lebih sesat daripada orang yang menyembah sembahan-sembahan selain Allah yang tiada dapat memperkenankan (doa)nya sampai hari kiamat dan mereka lalai dari (memperhatikan) doa mereka. Dan apabila mereka dikumpulkan (pada hari kiamat), nescaya sembahan-sembahan itu menjadi musuh mereka dan mengingkari pemujaan-pemujaan mereka. (Al-Ahqaf: 5-6)

Kita tidak perlulah nak sebut tentang amalan orang kafir sebab itu memang sudah amalan sesat mereka yang jauh dari Islam. Yang kita nak sentuh sekarang adalah orang Islam yang tidak sepatutnya melakukan amalan-amalan sebegitu.

Tapi ramai yang melakukan amalan ini di serata dunia termasuklah di negara kita Malaysia ini. Ada yang seru roh-roh Nabi, wali dan malaikat di rumah sahaja dan ada yang sampai pergi ke kubur mereka untuk seru terus di kubur dan buat amalan-amalan syirik di sana. Ini adalah kerana mereka itu jauh dari wahyu.

Apabila usaha telah dilakukan, maka tentulah penyeru-penyeru itu berharap supaya yang diseru akan ingat mereka, akan beri balasan, akan bantu beri berkat dan syafaat di akhirat kelak, bukan? Kalau sudah buat kerja, takkan tidak mahu upahnya dan balasannya, bukan? Mereka sudah ada satu pengharapan dari roh-roh Nabi, wali dan malaikat itu. Allah akan temukan antara yang menyeru dan diseru di akhirat kelak. Allah akan tanya sama ada yang diseru itu pernah suruh atau redha mereka diseru?

Allah beritahu yang mereka yang diseru itu akan menolak amalan seruan kepada mereka. Mereka yang diseru tidak pernah suruh diseru pun dan tidak redha diri mereka diseru. Maka sia-sialah apa yang dilakukan oleh penyeru-penyeru itu.

 

وَلا يُنَبِّئُكَ مِثلُ خَبيرٍ

dan tidak ada yang dapat memberi keterangan kepadamu sebagai yang diberikan oleh Yang Maha Mengetahui.

Yang tahu itu maksudnya Allah dan hanya Allah sahaja yang boleh beritahu tentang semua perkara ini kerana Dia sahaja yang tahu apa yang akan berlaku nanti di akhirat.

Allah juga tahu bahawa Nabi, wali dan malaikat itu tidak ada kuasa untuk membantu orang-orang yang menyeru mereka. Kita sebagai manusia boleh bagi hujah sahaja, tapi yang tahu sebenar-benar tahu adalah Allah Taala. Maka Allah sekarang sedang beritahu kepada kita dan hendaklah kita mengambil pengajaran dari apa yang disampaikan ini.

Habis Ruku’ ke 2 dari 5 ruku’ dalam surah ini.


 

Ayat 15: Dalil aqli.

۞ يٰأَيُّهَا النّاسُ أَنتُمُ الفُقَراءُ إِلَى اللهِ ۖ وَاللهُ هُوَ الغَنِيُّ الحَميدُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O mankind, you are those in need of Allāh, while Allāh is the Free of need, the Praiseworthy.

(MELAYU)

Hai manusia, kamulah yang berkehendak kepada Allah; dan Allah Dialah Yang Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) lagi Maha Terpuji.

 

يٰأَيُّهَا النّاسُ

Hai manusia,

Khitab ayat ini kepada semua manusia. Tapi bukan semua manusia baca Al-Qur’an ini, bukan? Maka kitalah yang kena sampaikan kepada mereka. Kalau bukan kita yang sampaikan, maka siapa lagi? Tapi kalau hendak sampaikan, kenalah kita faham Al-Qur’an ini dan percaya kepadanya dahulu. Sudahkah kita lakukan?

 

أَنتُمُ الفُقَراءُ إِلَى اللهِ

kamulah yang berkehendak kepada Allah; 

Kalimah الفُقَراءُ boleh bermaksud ‘bankrap’ seperti kalimah ‘fakir’. Maksudnya kita tidak ada apa-apa dan sentiasa memerlukan Allah. Apa-apa sahaja yang kita ada telah diberi oleh Allah kerana kita tidak ada apa-apa langsung. Dan apa-apa sahaja yang kita akan dapat nanti pun dari Allah juga. Tiada siapa yang boleh beri rezeki melainkan Allah sahaja.

Allah langsung tidak memerlukan kita atau ibadat kita. Kalau semua makhluk tidak beribadat kepada Allah, tidaklah kemuliaan Allah berkurangan. Tidaklah Allah jadi lemah. Ada agama seperti agama Yunani yang beranggapan yang jikalau mereka tidak menyembah patung-patung berhala tuhan mereka, maka tuhan mereka menjadi lemah. Maka mereka sangka tuhan mereka memerlukan sembahan dari mereka untuk terus jadi kuat.

Allah tidak memerlukan sebegitu, termasuklah ibadat kita. Segala ibadat yang Allah suruh kita buat itu adalah untuk kebaikan diri kita, bukannya ia memberi kebaikan bagi Allah.

 

وَاللهُ هُوَ الغَنِيُّ الحَميدُ

dan Allah Dialah Yang Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) lagi Maha Terpuji.

Yang tidak memerlukan apa-apa dan sesiapa sahaja hanyalah Allah.

Dan Dia yang Maha Terpuji dan tidak perlu sesiapa pun untuk memujiNya. Kalau tiada sesiapa yang memujiNya pun, Allah tetap terpuji.


 

Ayat 16: Contoh kayanya Allah. Pertamanya kena ingat yang maksud ‘kaya’ adalah tidak memerlukan sesiapa.

إِن يَشَأ يُذهِبكُم وَيَأتِ بِخَلقٍ جَديدٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

If He wills, He can do away with you and bring forth a new creation.

(MELAYU)

Jika Dia menghendaki, Dia boleh memusnahkan kamu dan mendatangkan makhluk yang baru (untuk menggantikan kamu).

 

إِن يَشَأ يُذهِبكُم

Jika Dia menghendaki, Dia boleh memusnahkan kamu

Kita kena sedar diri yang kita tidak bernilai dan kerana itu Allah boleh sahaja musnahkan kita. Mudah sahaja bagi Allah untuk buat begitu. Allah tidak rugi apa-apa pun kalau kita tiada. Bukannya Allah perlukan kita pun.

 

وَيَأتِ بِخَلقٍ جَديدٍ

dan mendatangkan makhluk yang baru

Allah boleh sahaja jadikan makhluk yang lain ganti kita. Dalam surah lain disebut makhluk itu lebih baik dari kita. Ini menunjukkan kita tidak bernilai pun pada Allah kalau kita tidak taat kepadaNya. Allah boleh sahaja ganti dengan makhluk yang lain. Maka jangan kita sombong dan bongkak.


 

Ayat 17: 

وَما ذٰلِكَ عَلَى اللهِ بِعَزيزٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And that is for Allāh not difficult.

(MELAYU)

Dan yang demikian itu sekali-kali tidak sulit bagi Allah.

 

Kalimah عزيز dalam ayat ini bermaksud ‘sukar’. Mudah sahaja bagi Allah nak ganti kita. Maka kenalah sedar kedudukan kita sebagai hamba Allah. Kena sedar yang Allah itu adalah Tuhan dan kita kena taat sepenuhnya kepadaNya.


 

Ayat 18: Takhwif ukhrawi

وَلا تَزِرُ وازِرَةٌ وِزرَ أُخرىٰ ۚ وَإِن تَدعُ مُثقَلَةٌ إِلىٰ حِملِها لا يُحمَل مِنهُ شَيءٌ وَلَو كانَ ذا قُربىٰ ۗ إِنَّما تُنذِرُ الَّذينَ يَخشَونَ رَبَّهُم بِالغَيبِ وَأَقامُوا الصَّلَوٰةَ ۚ وَمَن تَزَكّىٰ فَإِنَّما يَتَزَكّىٰ لِنَفسِهِ ۚ وَإِلَى اللهِ المَصيرُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And no bearer of burdens will bear the burden of another. And if a heavily laden soul calls [another] to [carry some of] its load, nothing of it will be carried, even if he should be a close relative. You can only warn those who fear their Lord unseen and have established prayer. And whoever purifies himself only purifies himself for [the benefit of] his soul. And to Allāh is the [final] destination.

(MELAYU)

Dan orang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain. Dan jika seseorang yang berat dosanya memanggil (orang lain) untuk memikul dosanya itu tiadalah akan dipikulkan untuknya sedikit pun meskipun (yang dipanggilnya itu) kaum kerabatnya. Sesungguhnya yang dapat kamu beri peringatan hanya orang-orang yang takut kepada azab Tuhannya (sekalipun) mereka tidak melihat-Nya dan mereka mendirikan sembahyang. Dan barangsiapa yang mensucikan dirinya, sesungguhnya dia mensucikan diri untuk kebaikan dirinya sendiri. Dan kepada Allahlah kembali(mu).

 

وَلا تَزِرُ وازِرَةٌ وِزرَ أُخرىٰ

Dan orang yang menanggung tidak akan memikul dosa orang lain.

Kita tidak boleh nak sandarkan dosa kita kepada orang lain. Mereka pun ada dosa masing-masing. Memang tidak mampu nak ambil dan pikul dosa orang lain pula. Tidak ada sesiapa yang akan lakukan.

Ini penting diketahui kerana ada Musyrikin Mekah yang mengajak para sahabat yang telah beriman untuk kembali kepada agama syirik. Mereka kata jangan takut, kerana mereka akan tanggung dosa sahabat-sahabat itu kalau benar perbuatan mereka itu berdosa. Maka ini adalah fahaman yang sesat.

Begitu jugalah pada zaman sekarang ada manusia yang sangka guru-guru tarekat mereka akan tanggung dosa mereka. Ini tidak mungkin sama sekali.

 

وَإِن تَدعُ مُثقَلَةٌ إِلىٰ حِملِها

Dan jika seseorang yang berat dosanya memanggil (orang lain) untuk memikul dosanya itu

Kalau di dunia, bolehlah minta tolong orang selesaikan masalah kita, tolong kita itu dan ini. Kalau beban kita berat sangat, kita boleh minta orang lain tolong bawa sedikit. Tapi bolehkah begitu kalau di akhirat kelak? Mungkin ada yang sangka begitu.

 

لا يُحمَل مِنهُ شَيءٌ

tiadalah akan dipikulkan untuknya sedikit pun 

Allah beritahu dengan jelas yang memang tidak akan ada yang akan tanggung. Tak boleh nak bawa langsung sedikit pun. Sekarang kalau di dunia bolehlah nak tolong angkat barang. Tapi nanti di akhirat, manusia akan lari dari manusia yang lain. Seperti disebut dalam ayat yang lain:

{يَوْمَ يَفِرُّ الْمَرْءُ مِنْ أَخِيهِ وَأُمِّهِ وَأَبِيهِ وَصَاحِبَتِهِ وَبَنِيهِ لِكُلِّ امْرِئٍ مِنْهُمْ يَوْمَئِذٍ شَأْنٌ يُغْنِيهِ}

Pada hari ketika manusia lari dari saudaranya, dari ibu dan bapanya, dari isteri dan anak-anaknya. Setiap orang dari mereka pada hari itu mempunyai urusan yang cukup menyibukkannya. (‘Abasa: 34-37)

 

وَلَو كانَ ذا قُربىٰ

meskipun (yang dipanggilnya itu) kaum kerabatnya. 

Jangan kata orang lain, keluarga sendiri pun tak boleh nak tolong. Selalunya keluargalah yang sanggup tolong kita macam-macam. Mereka sanggup berkorban untuk tolong. Ibubapa tentu nak tolong anak. Anak pun tentu bersedia nak tolong ibubapa dia. Tapi ini tidak akan terjadi di akhirat. Ini seperti disebut dalam ayat yang lain:

{لَا يَجْزِي وَالِدٌ عَنْ وَلَدِهِ وَلا مَوْلُودٌ هُوَ جَازٍ عَنْ وَالِدِهِ شَيْئًا}

seorang bapa tidak dapat menolong anaknya dan seorang anak tidak dapat (pula) menolong bapanya sedikit pun. (Luqman: 33)

 

إِنَّما تُنذِرُ الَّذينَ يَخشَونَ رَبَّهُم بِالغَيبِ

engkau hanya mengingatkan orang-orang yang takut kepada azab Tuhannya (sekalipun) mereka tidak melihat-Nya 

Allah telah beri peringatan yang banyak melalui RasulNya. Ada yang terima dan ada yang tidak terima. Allah hendak memberitahu yang faedah peringatan yang diberikan itu hanya boleh diterima oleh mereka yang ada perasaan takut kepada Allah sahaja.

Mereka itu takut kepada Allah walaupun mereka tidak nampak Allah (ghaib). Tidak kira mereka di mana, sama ada di hadapan manusia atau tidak, mereka akan jaga perbuatan mereka kerana mereka yang Allah sentiasa melihat. Kalau kita dapat sematkan perasaan ini, maka agama tentulah akan terjaga.

 

وَأَقامُوا الصَّلَوٰةَ

dan mereka mendirikan solat.

Dan yang dapat menerima peringatan itu adalah mereka yang mengerjakan solat. Allah sebut solat kerana ini adalah ibadah yang paling utama. Ianya dapat mendekatkan diri kita kepada Allah. Kalau solat pun tidak, tentu susah nak terima peringatan agama.

Dan yang menariknya, solat adalah latihan kepada kita untuk sedar Allah sedar memerhatikan kita. Kerana dalam solat kita kena khusyuk dan kena sedar yang segala gerak geri kita sedang diperhatikan. Selalu dalam solat fikiran kita menerawang, bukan? Maka kita kena sedar yang kita sedang mengadap Allah dan kena bawa kembali fikiran kita kepada solat.

Ini dapat dilakukan kalau kita dapat faham apakah yang kita sedang sebut dalam solat itu. Maka kenalah belajar kalimah-kalimah dalam solat itu. Jangan sebut sahaja, tapi sebutlah dengan pemahaman.

Dan ini adalah latihan. Apabila kita sudah dapat sematkan perasaan Allah sedang memerhatikan kita dalam solat, maka lama kelamaan kita kena bawa perasaan itu di luar solat. Kerana Allah bukan hanya melihat kita di dalam solat sahaja, tapi di mana-mana sahaja. Maka latihan dalam solat, untuk dibawa ke luar solat juga.

 

وَمَن تَزَكّىٰ فَإِنَّما يَتَزَكّىٰ لِنَفسِهِ

Dan barangsiapa yang mensucikan dirinya, sesungguhnya dia mensucikan diri untuk kebaikan dirinya sendiri.

Yang dimaksudkan adalah membersihkan jiwa dari sifat syirik. Kerana kalau ada fahaman dan amalan syirik, maka segala ibadat, segala amalan kita di dunia ini sia-sia sahaja kerana tidak ada pahala yang akan melekat. Dan nanti akan dimasukkan ke dalam neraka kekal sampai bila-bila. Maka kena belajar apakah tauhid dan apakah syirik.

Mereka yang membersihkan jiwa mereka itu dari syirik akan mendapat kelebihan untuk diri mereka sendiri dan bukan untuk orang lain.

 

وَإِلَى اللهِ المَصيرُ

Dan kepada Allahlah kembali(mu).

Mereka yang dapat solat dan membersihkan jiwa itu adalah mereka yang sedar yang mereka nanti selepas mati akan mengadap Allah. Mereka takut nanti akan disoal tentang kesalahan dan akidah mereka.

Maka mereka prihatin dengan agama dan berterusan belajar agama dan memperbaiki amalan mereka. Kerana mereka tahu yang kehidupan mereka bukan di dunia sahaja dan akan mati nanti. Dan mati nanti kena mengadap Allah, bukan?

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 4 Julai 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi