Tafsir Surah Hud Ayat 24 – 28 (Kisah Nabi Nuh a.s.)

Ayat 24: Sekarang, Allah membuat perbandingan antara dua golongan – yang beriman dan tidak beriman. Juga antara mereka yang bersabar dan mereka yang putus asa dengan Allah. Juga antara mereka yang beriman dan mereka yang mengada-ngadakan dusta terhadap Allah. Apakah bandingan antara mereka?

۞ مَثَلُ الفَريقَينِ كَالأَعمىٰ وَالأَصَمِّ وَالبَصيرِ وَالسَّميعِ ۚ هَل يَستَوِيانِ مَثَلًا ۚ أَفَلا تَذَكَّرونَ

Sahih International

The example of the two parties is like the blind and deaf, and the seeing and hearing. Are they equal in comparison? Then, will you not remember?

Malay

Bandingan dua golongan (yang kafir dan yang beriman) itu samalah seperti orang yang buta serta pekak, dengan orang yang celik serta mendengar; kedua-dua golongan itu tidaklah sama keadaannya. (Setelah kamu mengetahui yang demikian) maka tidakkah kamu mahu mengambil peringatan dan insaf?

 

مَثَلُ الْفَرِيقَيْنِ

Contoh bandingan dua golongan itu

Allah sudah beri kriteria golongan yang kafir, iaitu mereka yang melakukan bidaah dalam agama dan Allah telah menceritakan tentang sifat-sifat golongan yang beriman. Sekarang Allah nak bandingkan antara dua golongan itu. Allah selalu berikan analogi seperti ini untuk memberikan kefahaman kepada kita.

 

كَالْأَعْمَىٰ وَالْأَصَمِّ

samalah seperti orang yang paling buta serta paling pekak,

Ini adalah sifat orang yang kafir dan yang melakukan amalan bidaah. Mereka tidaklah buta dalam bentuk fizikal, tapi mereka tidak dapat melihat kebenaran yang ada di depan mata mereka. Dan bukan sahaja mereka tidak melihat kebenaran, mereka seumpama pekak, iaitu mereka tidak mendengar kebenaran itu.

 

وَالْبَصِيرِ وَالسَّمِيعِ

dengan orang yang celik serta mendengar;

Ini adalah sifat orang yang beriman, beramal yang soleh dan merendahkan diri kepada Allah. Mereka dapat melihat kebenaran itu dan dapat mendengar kebenaran itu. Mereka sanggup mendengar dakwah dan ajakan tauhid yang diberikan kepada mereka. Mereka tidak tutup telinga mereka. Mereka sanggup luangkan masa untuk dengar.

Mereka tidak terus membantah, tapi mereka cuba dengar dan mereka fikirkan. Jadi, untuk mendapat pengajaran, hendaklah kita membuka mata dan telinga kita. Kita mendapat ilmu dengan melihat kepada kebenaran dan mendengar kebenaran.

 

هَلْ يَسْتَوِيَانِ مَثَلًا

adakah sama kedua-dua golongan itu?

Tidak ada sesiapa yang akan kata mereka itu tidak berbeza. Perbezaan antara mereka adalah amat jelas. Begitulah beza antara iman dan kesesatan. Maka, mana satu yang kita hendak pilih?

 

أَفَلَا تَذَكَّرُونَ

kenapa kamu tidak mahu mengambil peringatan?

Wahai orang Islam, perumpamaan ini diberikan sendiri oleh Allah. Tidakkah kita mahu mengambil peringatan darinya dan meninggalkan kesalahan yang kita lakukan selama hari ini? Masih tak mahu insafkah lagi? Masihkah mahu mempertahankan amalan-amalan bidaah yang telah lama diamalkan itu?

Balaghah: Hazfu wa zikru. Jenis الإختزال (al-ikhtizal)

Apabila ada hazaf huruf dalam lafaz ayat Qur’an. Ini seumpama penggunaan shorthand. Ada hazaf dari fi’il. Dibuang huruf untuk menunjukkan peristiwa itu lebih kecil atau kurang dari segi kuantiti; atau masa kejadian itu lebih pendek.

Sebagai contoh, kalaulah penggunaan al-ikhtizal ini ada dalam bahasa Melayu, kalau digunakan kalimah ‘makan’, itu bermaksud makan yang biasa. Tetapi, kalau buang huruf n dan perkataan makan itu jadi ‘maka’, maksudnya makan yang sekejap sahaja tidak seperti biasa, atau makan sikit sangat tidak seperti biasa. Tapi tidaklah penggunaan ikhtizal ini ada dalam bahasa Melayu.

Lihat pada lafaz تَذَكَّرُونَ. Ada ikhtizal di sini dimana satu huruf ت telah dihazafkan. Sepatutnya kalimah yang dipakai adalah تَتَذَكَّرُونَ kerana itulah dalam wazan yang penuh. Sekarang bandingkan dengan ayat Ghafir: 58

وَمَا يَسْتَوِي الْأَعْمَىٰ وَالْبَصِيرُ وَالَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَلَا الْمُسِيءُ قَلِيلًا مَّا تَتَذَكَّرُونَ

Dan sememangnya tidaklah sama orang yang buta dan orang yang melihat, dan juga tidaklah sama orang-orang yang beriman serta beramal soleh dengan orang yang melakukan kejahatan. Sedikit sangat kamu beringat.

Sini lafaz تَتَذَكَّرُونَ dalam Wazan yang penuh, tidak ada ikhtizal. Kenapa berbeza?

Seperti yang kita telah sebut, kalau ada ikhtizal, itu bermaksud pengurangan. Dalam ayat Hud:24, kuasa pemikiran yang diperlukan tidak besar kerana tidak perlu memikir lama untuk mengetahui perbezaan antara buta dan celik.

Tapi bila disuruh bezakan antara amal soleh dan musi’ seperti yang disebut dalam Ghafir:58, ianya memerlukan pemikiran yang lama sikit. Ini adalah kerana kadangkala perbezaan itu tidak berapa jelas. Macam sekarang, kita boleh lihat bagaimana ada banyak amalan yang mungkin sunnah dan mungkin termasuk ke dalam bidaah. Kalau mereka yang tidak mahir, mereka tidak dapat melihat perbezaan itu dan kena buat kajian dulu.


 

Ayat 25: Sekarang kita masuk ke dalam kisah yang pertama dalam surah ini iaitu kisah Nabi Nuh a.s. dan merupakan Perenggan Makro ke 2 surah ini sehinggalah ke ayat 48. Ianya menyentuh tentang tauhid dalam berdoa. 

وَلَقَد أَرسَلنا نوحًا إِلىٰ قَومِهِ إِنّي لَكُم نَذيرٌ مُبينٌ

Sahih International

And We had certainly sent Noah to his people, [saying], ” Indeed, I am to you a clear warner

Malay

Dan demi sesungguhnya! Kami telah utuskan Nabi Nuh lalu ia memberitahu kaumnya dengan berkata: “Sesungguhnya aku ini seorang Rasul pemberi amaran yang nyata kepada kamu.

 

وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا نُوحًا

Dan demi sesungguhnya! Kami telah utuskan Nabi Nuh

Nabi Nuh adalah Rasul pertama yang Allah utuskan. Nabi Adam bukan seorang Rasul tapi hanya seorang Nabi sahaja. Lagi pun, dari zaman Nabi Adam a.s., manusia masih dalam tauhid lagi. Hanya apabila manusia mula melakukan perkara syirik, barulah Nabi Nuh a.s. diangkat.

Nabi Nuh a.s. juga digelar sebagai ‘Adam yang kedua’ kerana dari keturunan bagindalah lahirnya segala umat manusia sekarang. Kerana semasa Banjir Besar, semua manusia telah mati, kecuali Nabi Nuh dan pengikut-pengikut baginda sahaja. Dan keturunan yang lahir hanyalah dari keturunan baginda sahaja. Kerana pengikut-pengikut baginda yang lain, tidak mempunyai zuriat.

 

إِلَىٰ قَوْمِهِ

kepada kaumnya

Kaumnya adalah musyrik, penyembah berhala. Baginda telah berdakwah kepada kaumnya selama 950 tahun. Mereka menyembah patung-patung lima orang wali mereka. Iaitu orang-orang yang baik pada masa silam dan telah lama mati.

Mulanya mereka hendak mengenangkan kebaikan wali-wali itu, tapi lama kelamaan mereka telah menyembah mereka. Ini adalah kerana syaitan telah menyesatkan mereka. Memang kalau ada amalan bidaah dan rekaan manusia dalam ibadat, maka syaitan akan ambil kesempatan untuk menyesatkan manusia.

 

إِنِّي لَكُمْ نَذِيرٌ مُّبِينٌ

dengan berkata: “Sesungguhnya aku ini seorang terhadap kamu semua adalah seorang Rasul pemberi amaran yang nyata.

Mesej yang Nabi Nuh dan semua Rasul sampaikan adalah مُّبِينٌ – jelas nyata. Yang tak jelas adalah hanya mereka yang sombong tidak mahu terima.

Dalam ayat ini, yang hendak ditekankan adalah نَذِيرٌ iaitu peringatan dalam bentuk ancaman. Selalunya, ayat Qur’an akan menyebut ancaman dan berita gembira bersama-sama, tapi kali ini lain sedikit, iaitu ianya hanya menyebut ‘ancaman’ sahaja. Ini adalah kerana mereka banyak membuat kesalahan.

Amaran itu adalah jelas. Ini mengajar kita supaya apabila kita beri dakwah dan ajaran kepada manusia, hendaklah kita beri dengan jelas. Jangan beri samar-samar. Masalah yang terjadi adalah apabila ada guru-guru yang hanya beri ajaran yang samar-samar sahaja, hanya beri isyarat sahaja.

Masalahnya, kalau kita tidak beritahu dengan jelas, masyarakat tidak faham. Kerana bukan semua orang faham kalau kita beri isyarat sahaja. Kalau perkara yang penting, kenalah kita beritahu dengan jelas. Kalau amalan yang dilakukan oleh masyarakat itu salah, beritahu sahaja yang ianya salah dan bidaah. Jangan selindung-selindung lagi. Tapi ramai ustaz yang mengajar, takut nak beritahu. Mereka tak sampai hati nak beritahu.

Begitu juga kepada pendakwah-pendakwah. Hendaklah menyampaikan dakwah dengan jelas. Jangan ada berkata dengan bahaya yang pusing-pusing. Mereka kena gunakan Qur’an dan hadis yang sahih dalam berdakwah. Qur’an dan hadis yang sahih itu telah terang dan jelas sekali.

Orang yang tak mahu terima adalah mereka yang sombong sahaja. Iaitu mereka yang degil, yang tidak mahu kepada kebenaran. Mereka hendak meneruskan amalan dan kefahaman yang mereka telah lama mereka pegang selama hari ini, walaupun ianya tidak berasas.

Mungkin kerana mereka rasa mereka telah mengisi ‘saham’ dalam amalan mereka itu telah lama. Mereka rasa rugi kalau tinggalkan begitu sahaja. Sebagai contoh, mereka rasa mereka telah lama mengamalkan zikir-zikir mereka. Mereka sangka tentulah sudah banyak pahala mereka. Padahal mereka tidak tahu yang amalan zikir mereka itu banyak yang bukan daripada ajaran sunnah.

Mereka tidak tahu bahawa ‘saham’ yang mereka masukkan itu adalah saham pelaburan dalam neraka sebenarnya, bukan syurga. Semakin lama mereka isi dalam tabung saham mereka itu, semakin dalam mereka akan duduk dalam neraka.


 

Ayat 26: Ini adalah Dakwa Surah ini: Jangan sembah selain Allah.

أَن لا تَعبُدوا إِلَّا اللَّهَ ۖ إِنّي أَخافُ عَلَيكُم عَذابَ يَومٍ أَليمٍ

Sahih International

That you not worship except Allah. Indeed, I fear for you the punishment of a painful day.”

Malay

“Iaitu janganlah kamu menyembah melainkan Allah; sesungguhnya aku bimbang (jika kamu menyembah yang lainnya), kamu akan ditimpa azab yang tidak terperi sakitnya pada hari pembalasan”.

 

أَن لَّا تَعْبُدُوا إِلَّا اللَّهَ

“Iaitu janganlah kamu menyembah melainkan Allah;

Mana-mana Nabi akan berkata macam ini. Iaitu hendaklah manusia menyembah Allah sahaja. Jangan sembah yang lain dari Allah. Maka, setiap guru yang mengajar agama pun kena cakap macam ini juga. Kita kenalah ajar akidah kepada manusia kerana itu adalah perkara dan ilmu yang paling penting sekali. Itulah ilmu yang mula-mula kena dipelajari.

Oleh itu, hendaklah kita hanya beribadat kepada Allah sahaja. Jangan campur aduk ibadat kepada makhluk lain. Contohnya, dalam berdoa, jangan berdoa kepada selain Allah dan jangan guna tawasul (perantaraan).

Jangan zikir kepada selain Allah. Tak perlu puja Nabi Muhammad macam golongan Habib buat sekarang. Kita juga kena faham makna ibadat itu luas. Memang kita tidak sujud dan rukuk kepada berhala, tidak sujud dan rukuk kepada tuhan lain. Tapi dengan perbuatan kita yang sedekah Fatihah, beri salam, baca selawat yang bukan diajar oleh Nabi, itu semua adalah ‘ibadat’ yang diserahkan kepada selain dari Allah.

Itu pun termasuk ‘sembah’ juga. Kalau kita tidak faham maksud ‘sembah’ dan sempitkan pemahaman itu, kita tidak akan faham dan kita akan keliru kenapa ada amal ibadat yang dilarang dilakukan.

 

إِنِّي أَخَافُ عَلَيْكُمْ

sesungguhnya aku bimbang atas kamu,

Nabi Nuh a.s. beri peringatan kepada kaumnya kerana baginda risaukan mereka. Begitu juga dengan kita, kita beri peringatan ini kepada keluarga dan masyarakat kita kerana kita sayang kepada mereka. Kita bimbangkan nasib mereka nanti di akhirat. Bukan kita nak kedudukan tinggi dengan memberi dakwah kepada mereka.

Bukannya kita nak orang pandang kita tinggi, pandai, bijak, alim dan sebagainya. Bukan kita nak orang panggil kita ‘ustaz’. Bukan kita nak orang bayar kepada kita upah dalam mengajar. Bukan dan bukan.

Kita berikan dakwah dan peringatan adalah kerana belas kasihan kepada masyarakat kita yang telah dimomokkan dengan ajaran salah sekian lama. Mereka langsung tak nampak kesalahan yang dilakukan selama hari ini. Kalau tidak ada orang yang ingatkan dan betulkan mereka, siapa lagi kalau bukan kita?

Masyarakat kita adalah masyarakat yang beradab, yang hormat kepada orang yang beragama. Apabila ada guru agama dan ustaz cakap sekian, sekian, mereka tidak berani dan rasa tidak layak mempersoalkan golongan itu. Mereka terus terima apa yang golongan agama sampaikan itu sebagai benar sahaja. Seolah-olah kalau kita mempersoalkan mereka itu sebagai sesuatu yang amat tidak beradab sekali, berdosa besar sangat.

Padahal, itulah yang sepatutnya kita lakukan. Kita kena berani tanya: “Ustaz, amalan ini adakah dalil dari Allah?”. Kalau dia seorang ustaz yang benar, dia akan beritahu. Kalau dia marah kita, tak mahu beritahu apakah dalilnya, maka sepatutnya kita tinggalkan mereka. Tidaklah kita hina mereka kalau kita tidak belajar dengan mereka. Kita pun tidak kutuk mereka pun.

Cuma kita tidak mahu lagi ambil ilmu dari mereka kerana kalau begitulah jenis orang agama yang kita kenal, tidak sepatutnya kita terus belajar dengan mereka. Bukan itu yang sepatutnya mereka lakukan. Banyak lagi ustaz-ustaz sunnah yang lebih baik dari mereka.

Ustaz-ustaz yang mengajar amalan karut dan bidaah itu rasa selesa melakukan amalan-amalan salah itu kerana mereka ramai penyokong. Kerana kita beri sokongan itulah yang menyebabkan mereka masih lagi melakukan kesalahan itu. Dan kerana ramai orang jahil dari orang awam kita yang tak berani nak tanya mereka. Orang pun tak berani nak persoal apa yang mereka ajar kerana kita orang Melayu memang jarang tanya kepada guru agama.

Tapi kalau kita ramai-ramai tinggalkan mereka, tentu mereka sudah tak berani nak buat macam itu lagi. Tentu mereka pun akan sedar diri dan cuba memperbetulkan apa yang salah dalam pengajaran mereka. Tentu mereka pun kena belajar lagi dan bersedia dengan dalil untuk mengajar benda yang benar sahaja. Marilah sahabat-sahabat kembali ke pangkal jalan. Marilah kita kembali kepada ajaran Qur’an dan sunnah yang tulen. Jangan takut tinggalkan guru agama yang tidak mampu beri dalil.

 

عَذَابَ يَوْمٍ أَلِيمٍ

kamu akan ditimpa azab yang tidak terperi sakitnya pada hari pembalasan”.

Apa yang kita takutkan ke atas mereka – kita takut mereka akan ditimpa azab yang amat pedih. Kenapakah maksud azab itu ‘amat pedih’? Iaitu azab itu teruk sangat sampaikan apabila kita dikenakan dengan azab itu, kita tidak ingat perkara lain lagi.

Ayat ini akan hanya memberi kesan kepada kita kalau kita sudah belajar tentang keadaan di Hari Akhirat nanti. Iaitu apabila kita sudah tahu bagaimana peritnya kehidupan dalam neraka. Kita tentu tidak dapat membayangkan dengan tepat keadaan dalam neraka, kerana ianya tidak dapat dibayangi oleh akal fikiran kita yang lemah, tapi sekurang-kurangnya kita mendapat gambaran serba sedikit.

Apabila kita tidak tahu bagaimana neraka itu, kita tidak rasa takut dengan neraka. Kita baca ayat sebegini sambil lalu sahaja. Kita tak rasa apa-apa dengan ayat-ayat ancaman sebegini.


 

Ayat 27:

فَقالَ المَلَأُ الَّذينَ كَفَروا مِن قَومِهِ ما نَراكَ إِلّا بَشَرًا مِثلَنا وَما نَراكَ اتَّبَعَكَ إِلَّا الَّذينَ هُم أَراذِلُنا بادِيَ الرَّأيِ وَما نَرىٰ لَكُم عَلَينا مِن فَضلٍ بَل نَظُنُّكُم كاذِبينَ

Sahih International

So the eminent among those who disbelieved from his people said, ” We do not see you but as a man like ourselves, and we do not see you followed except by those who are the lowest of us [and] at first suggestion. And we do not see in you over us any merit; rather, we think you are liars.”

Malay

Maka berkatalah ketua-ketua yang kafir dari kaumnya: “Kami tidak memandangmu (wahai Nuh) melainkan sebagai seorang manusia seperti kami; dan kami tidak nampak golongan yang mengikutmu melainkan orang-orang kami yang miskin hina, lagi berfikiran singkat; dan kami juga tidak memandang kamu (semua) mempunyai sebarang kelebihan yang mengatasi kami, bahkan kami menganggap kamu orang-orang pendusta”.

 

فَقَالَ الْمَلَأُ الَّذِينَ كَفَرُوا

Maka berkatalah pembesar-pembesar yang kafir;

Dalam ayat ini disebut ‘pembesar-pembesar’. Mereka inilah yang ada masalah selalunya. Mereka adalah orang-orang yang berkuasa pada zaman mereka. Mereka inilah golongan yang ada kuasa, ada harta dan ada pengaruh dalam masyarakat. Mereka tidak suka kalau agama yang benar ditegakkan kerana mereka akan kerugian dalam bentuk keduniaan.

Mereka inilah yang selalunya menjadi penentang jalan sunnah yang kuat di Malaysia ini. Kalau di masjid, mereka itu adalah imam-imam, pengerusi masjid, ahli jawatankuasa surau. Kalau di kampung, mereka itulah ahli JKKK dan sebagainya. Iaitu mereka yang ada pangkat. Yang disebut ini sebagai contoh sahaja, bukanlah mereka itu semestinya menentang agama. Cuma hendak menjelaskan siapakah ketua masyarakat itu.

Perkataan الْمَلَأُ diambil dari katadasar yang bermaksud ‘memenuhkan’. Merekalah yang memenuhkan posisi-posisi ketinggian dalam masyarakat. Ia juga mengisyaratkan mereka yang memenuhkan kantung-kantung mereka dengan kemewahan. Ia juga bermaksud mereka ‘memenuhkan’ jiwa orang yang lain yang memandang mereka dengan ketakutan, takjub dan sebagainya.

Sifat mereka yang disebut dalam ayat ini adalah كَفَرُوا – yang selalunya diertikan sebagai kufur, kafir. Tapi jangan kita sempitkan maksud perkataan itu. Kerana maksudnya yang lebih luas adalah – engkar. Mereka yang engkar dengan ajakan dakwah, dengan agama. Kalau orang itu mengaku Muslim, tapi dalam masa yang sama, dia engkar dengan sunnah, dengan ajaran dari Allah, bukankah dia juga dikira sebagai كَفَرُ?

Begitulah juga masalah yang dialami oleh Nabi Nuh dalam dakwahnya. Yang menentangnya adalah pembesar-pembesar, pemimpin masyarakat waktu itu. Mereka tidak suka dengan dakwah baginda. Sebagaimana kalau kita lihat zaman sekarang, orang yang berkuasa tidak suka kalau ajaran sunnah diamalkan dengan benar.

 

مِن قَوْمِهِ

dari kaumnya:

Yang kaya dan berpengaruh dari kaum Nabi Nuh tidak mahu ikut dakwah baginda. Tapi yang miskin dan hina sahaja yang mahu mengikut baginda.

 

مَا نَرَاكَ إِلَّا بَشَرًا مِّثْلَنَا

“Kami tidak memandangmu (wahai Nuh) melainkan sebagai seorang manusia seperti kami juga;

Perkataan بَشَرًا asalnya bermaksud ‘kulit’. Mereka kata: kulit kamu dan kulit kami, sama sahaja. Pada mereka, kalau Nabi Nuh sama sahaja seperti mereka, mengapa mereka perlu ikut baginda? Mereka nak kata, kalau Allah nak beri petunjuk, sepatutnya yang diturunkan adalah malaikat kepada mereka, bukannya manusia biasa. Kalau malaikat yang turun, barulah mereka kononnya akan ikut.

Atau mereka nak kata, sama sahaja kedudukan Nabi Nuh a.s. dengan mereka. Iaitu manusia biasa sahaja. Lainlah kalau kamu ada darah raja, barulah ada kedudukan lebih sikit. Seperti kita tahu di negara kita, dan mungkin di mana-mana sahaja, manusia akan memandang kedudukan orang yang berkata itu. Kalau yang berkata itu adalah rakyat marhaen sahaja, masyarakat tidak ambil peduli.

Dan kalau yang bercakap itu rakyat marhaen sahaja, maka pembesar-pembesar, ketua masyarakat tidak akan ambil peduli. Mereka akan rasa bahawa orang itu sedang melakukan satu kesalahan. Mereka rasa orang itu hendak mengambil kedudukan mereka pula.

 

وَمَا نَرَاكَ اتَّبَعَكَ إِلَّا الَّذِينَ هُمْ أَرَاذِلُنَا

dan kami tidak nampak golongan yang mengikutmu melainkan orang-orang yang miskin hina dari kalangan kami,

Perkataan أَرَاذِلُ bermaksud sesuatu yang huduh, tidak cantik. Iaitu orang yang rendah dalam semua perkara, kalau dibandingkan dengan semua orang. Dari segi status, fizikal, pekerjaan dan sebagainya. Orang lain biasa sahaja, tapi mereka itu dalam kedudukan yang hina.

Itulah jenis manusia, yang orang-orang kebanyakan akan menjauhkan diri dari mereka. Kadang-kadang kita nampak orang-orang yang rendah, yang miskin, kita tak mahu campur dengan mereka. Merekalah orang yang paling rendah dalam tingkatan masyarakat.

Mereka hendak mengatakan yang ikut Nabi Nuh hanyalah mereka-mereka yang hina dina sahaja.

 

بَادِيَ الرَّأْيِ

berfikiran singkat;

Perkataan بَادِيَ dari katadasar yang bermaksud ‘yang kelihatan’. Yang senang dilihat. Maksud pertama adalah: mereka itu golongan yang sekali pandang sahaja, kita sudah tahu yang mereka itu hina.

Maksud keduanya, mereka kata golongan-golongan yang ikut Nabi Nuh itu jenis manusia yang berfikiran singkat. Senang sahaja terima dakwa Nabi Nuh tanpa usul periksa yang mendalam. Sekali nampak sahaja, terus terima. Dengan mereka sebegitu, kononnya senanglah Nabi Nuh nak tipu, kata pembesar-pembesar itu.

Tapi tidak dengan mereka yang kononnya lebih pandai, takkan senang mereka nak terima kata-kata Nabi Nuh itu. Itulah lebih kurang kata mereka. Jadi, mereka hendak memberitahu kepada Nabi Nuh a.s. bahawa janganlah baginda suka dan bangga kerana baginda diikuti oleh mereka yang lemah dan hina itu, kerana mereka itu ikut baginda kerana fikiran mereka yang lemah dan miskin itu singkat sahaja, memang senang percaya kepada orang lain.

Adakah salah untuk terus mempercayai sesuatu yang benar? Sebenarnya, kalau percaya dengan cepat pun bukanlah sesuatu yang hina. Kerana apabila dakwah yang dibawa itu adalah kebenaran dengan dalil-dalil yang sahih, ianya tidak memerlukan pemikiran yang panjang lagi.

Apa yang perlu dibuat adalah hanya taat dan ikut sahaja. Dan itulah yang akan diikuti oleh orang yang mempunyai kebersihan jiwa. Mereka akan senang terima kebenaran. Apa lagi yang hendak difikirkan? Tambahan pula para Rasul datang dengan membawa perintah yang jelas nyata.

Begitu juga dengan pendakwah sunnah. Mereka datang dengan membawa dalil dari Qur’an dan hadis yang sahih. Kalau telah dihujahkan dengan dua sumber itu, apa lagi yang boleh kita lakukan selain dari menerimanya? Tapi yang menyedihkan apabila ada ustaz-ustaz yang mengajar sebegini, masih ada lagi yang menentang mereka dengan membawa hujah-hujah batil.

Satu lagi maksud ayat ini: Pembesar-pembesar itu kata, mereka yang hina itu hanya mengikut Nabi Nuh pada ‘luaran’ sahaja. Memang nampak dari segi luaran ikut baginda, tapi hati mereka sebenarnya tidak percaya. Ini bermaksud, mereka memandai sahaja mengatakan yang mereka tahu hati manusia. Mana mereka tahu bagaimana dalam hati mereka yang beriman itu?

Ada satu lagi pendapat tentang maksud ayat ini. Pendapat itu mengatakan ini adalah kata-kata Allah. بَادِيَ bermaksud sesuatu yang nampak pada zahir. Contohnya, air muka, cara pakaian mereka dan sebagainya. Orang-orang yang berkedudukan itu buat keputusan bahawa orang-orang yang beriman itu sebagai orang-orang hina dalam masa yang singkat sahaja.

Macam juga kita, kadang-kadang kita lihat orang lain dan kita dalam masa sesaat sahaja kita sudah buat keputusan bahawa mereka itu tidak layak duduk dengan kita. Sebagai contoh, sekali pandang seseorang itu, dalam sesaat sahaja kita sudah rasa dia tidak layak masuk restoran yang mahal-mahal. Perbuatan seperti itu dipanggil dalam ayat ini sebagai بَادِيَ الرَّأْيِ.

 

وَمَا نَرَىٰ لَكُمْ عَلَيْنَا مِن فَضْلٍ

dan kami juga tidak memandang kamu (semua) mempunyai sebarang kelebihan yang mengatasi kami,

Mereka kata orang-orang beriman itu tidak ada apa-apa kelebihan dari mereka. Baik sebelum beriman, mahupun selepas beriman. Sama sahaja macam dulu. Tidaklah mereka berubah dari segi fizikal, kedudukan mahupun harta setelah mereka beriman. Mereka kata, kalau tidak ada kelebihan selepas beriman, kenapa nak ikut seperti mereka pula?

Mereka tidak nampak kelebihan yang ada pada orang-orang beriman itu kerana mata hati mereka telah buta. Mereka hanya menilai luaran sahaja. Padahal, mereka yang beriman itu lebih tinggi kedudukan mereka di sisi Allah kalau dibandingkan dengan mereka yang hanya ada kekuatan dan kelebihan dunia sahaja.

 

بَلْ نَظُنُّكُمْ كَاذِبِينَ

bahkan kami menganggap kamu orang-orang pendusta”.

Akhirnya, mereka kata Nabi Nuh a.s. dan mereka yang mengikut baginda hanya berdusta sahaja.

Secara ringkasnya, ayat ini memberitahu bahawa selalunya yang mengikut para Nabi dan Rasul adalah mereka yang selalunya tidak ada kedudukan dalam masyarakat. Sebenarnya, tidaklah ada apa-apa kekurangan dalam Islam jikalau yang mengikuti dakwah itu adalah dari golongan miskin dan lemah. Bahkan merekalah yang lebih mulia di sisi Allah. Allah tidak memandang dari segi kedudukan dalam masyarakat dan Allah tidak memandang kekayaan harta benda.

Begitu jugalah yang terjadi di zaman Nabi Muhammad. Yang beriman dengan Nabi kebanyakannya adalah golongan lemah. Memang ada yang berkedudukan seperti Abu Bakr, Umar dan sebagainya, tapi tidak ramai yang seperti itu. Yang lebih ramai adalah mereka yang lemah dan tidak ada kedudukan.

Ketika Raja Rom, Heraclius bertanya kepada Abu Sufyan tentang sifat-sifat Nabi Muhammad, dia bertanya: “Apakah yang mengikutinya itu dari kalangan orang-orang terhormat atau dari kalangan orang-orang yang lemah?” Abu Sufyan menjawab: “Mereka adalah dari kalangan orang-orang yang lemah.” Maka Heraclius pun berkata: “Orang-orang yang lemah itu memang pengikut para Rasul.”

 


Ayat 28:

قالَ يا قَومِ أَرَأَيتُم إِن كُنتُ عَلىٰ بَيِّنَةٍ مِن رَبّي وَآتاني رَحمَةً مِن عِندِهِ فَعُمِّيَت عَلَيكُم أَنُلزِمُكُموها وَأَنتُم لَها كارِهونَ

Sahih International

He said, “O my people have you considered: if I should be upon clear evidence from my Lord while He has given me mercy from Himself but it has been made unapparent to you, should we force it upon you while you are averse to it?

Malay

Nabi Nuh berkata: “Wahai kaumku! Jika keadaanku berdasarkan bukti yang nyata dari Tuhanku, serta Dia mengurniakan pangkat Nabi kepadaku dari sisiNya, kemudian bukti yang nyata itu menjadi kabur pada pandangan kamu (disebabkan keingkaran kamu yang telah sebati), maka adakah kamu nampak ada gunanya Kami memaksa kamu menerima bukti itu sedang kamu tidak suka kepadanya?

 

قَالَ يَا قَوْمِ

Nabi Nuh berkata: “Wahai kaumku!

Ini adalah kata-kata Nabi Nuh a.s. kepada kaumnya yang menentang dan tidak mahu menerima dakwah baginda. Baginda panggil mereka dengan panggilan yang mesra.

 

أَرَأَيْتُمْ إِن كُنتُ عَلَىٰ بَيِّنَةٍ مِّن رَّبِّي

Apa pandangan kamu, jika aku atas bukti yang nyata dari Tuhanku,

Apakah bukti nyata yang dimaksudkan? Ianya adalah dari fitrah keimanan yang Allah telah berikan kepada semua insan. Fitrah ini telah disebut dalam ayat-ayat sebelum ini.

 

وَآتَانِي رَحْمَةً مِّنْ عِندِهِ

serta Dia telah mengurniakan rahmat kepadaku dari sisiNya,

Rahmat yang dimaksudkan adalah wahyu dan pangkat kenabian yang telah diberikan kepada baginda. Selain daripada fitrah, Allah telah memberikan wahyu kepada baginda. Wahyu itu adalah bukti yang nyata dari Allah. Dan Nabi Nuh telah sampaikan, cuma mereka sahaja yang tidak mahu terima.

 

فَعُمِّيَتْ عَلَيْكُمْ

kemudian bukti yang nyata itu menjadi kabur pada pandangan kamu

Bukti dan dalil telah nyata ada di depan mata, tapi mereka sahaja yang tidak nampak kerana mata hati mereka telah buta. Mereka hanya melihat luaran sahaja. Sepertimana mereka melihat sifat luaran orang-orang yang mengikut Nabi Nuh. Golongan yang menentang itu tidak melihat dengan lebih dalam lagi. Mereka tidak mahu memikirkan mesej yang dibawa oleh Nabi Nuh itu.

Kaum Nabi Nuh menyembah lima orang wali seperti yang disebut dalam surah Nuh. Mereka pun mengamalkan tawasul juga seperti kebanyakan orang-orang syirik. Itulah asalnya manusia jadi sesat. Dari sebab apa yang mereka buat itu, seluruh dunia ditenggelamkan oleh banjir.

أَنُلْزِمُكُمُوهَا

apakah kami akan memaksa kamu menerima bukti itu?

Memang kita tidak boleh memaksa orang lain untuk menerima dakwah kita. Kita hanya boleh sampaikan sahaja. Iman itu tidaklah boleh dipaksa-paksa kepada orang lain. Kalau anak kita sendiri pun kita tidak boleh paksa untuk beriman, apatah lagi kalau orang lain, bukan?

Nabi Nuh menggunakan kata ganti ‘kami’ kerana baginda sedang mewakili pengikut-pengikut baginda. Kerana orang-orang kufur itu mengutuk mereka semua.

 

وَأَنتُمْ لَهَا كَارِهُونَ

sedang kamu tidak suka kepadanya?

Kamu sendiri benci kepada ajakan tauhid. Adakah kami terdesak sangat kepada kamu? Kalau kamu tidak mahu terima, tidak mengapa. Kami akan sampaikan kepada orang lain pula. Tidaklah kami mengharap sangat kepada kamu sampai kami hendak sangat kamu beriman dengan apa yang kami bawa ini.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 15 Mac 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Ibn Kathir

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s