Tafsir Surah Baqarah Ayat 4 – 5 (Balasan kepada Muttaqeen)

Baqarah Ayat 4: Sekarang disebutkan pula 3 lagi ciri-ciri golongan Muttaqeen. Ayat sebelum ini tentang mereka yang tidak tahu membaca dan menulis. Manakala ayat 4 ini merujuk kepada mereka yang pandai membaca dan menulis – iaitu mereka yang sudah ada pegangan agama sebelum Islam. Iaitu mereka yang sudah ada kitab wahyu.

وَالَّذينَ يُؤمِنونَ بِمآ أُنزِلَ إِلَيكَ وَمآ أُنزِلَ مِن قَبلِكَ وَبِالآخِرَةِ هُم يوقِنونَ

Sahih International

And who believe in what has been revealed to you, [O Muhammad], and what was revealed before you, and of the Hereafter they are certain [in faith].

Malay

Dan juga orang-orang yang beriman kepada Kitab “Al-Qur’an” yang diturunkan kepadamu (Wahai Muhammad), dan Kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka yakin akan (adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya).

 

وَالَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِمَآ أُنْزِلَ إِلَيْكَ

Dan orang-orang yang beriman dengan apa yang diturunkan kepada kamu (Muhammad)

Nescaya barulah sempurna iman itu kalau percaya kepada apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad ﷺ sebagai iman dan ikutan. Apakah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad ﷺ? Tentulah Al-Qur’an! Percaya kepada Allah ﷻ dengan sendirinya pastilah menimbulkan percaya kepada peraturan-peraturan yang diturunkan kepada Utusan Allah ﷻ, lantaran itu percaya kepada Muhammad ﷺ itu sendiri, percaya kepada wahyu dan percaya juga kepada contoh-contoh yang baginda bawakan dengan sunnahnya, baik kata-katanya, atau perbuatannya ataupun perbuatan orang lain yang tidak dicelanya. Dengan demikianlah baru iman yang telah tumbuh tadi terpimpin dengan baik.

Ayat ini tentang umat Nabi Muhammad ﷺ yang boleh menulis dan membaca. Merangkumi semua agama yang lama ataupun yang baru. Ayat ini menunjukkan kebenaran dan kehebatan Al-Qur’an, kerana bukan bangsa yang tidak ada ilmu agama dan tidak ada kitab yang terima Islam, akan tetapi mereka yang ada dan mahir dengan kitab pun terima juga. Sebagai contoh seorang sahabat Nabi ﷺ yang bernama Abdullah bin Salam رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ. Beliau adalah seorang pendeta Yahudi dan beliau telah menerima Islam dengan rela. Yang tidak terima itu adalah kerana mereka sombong sahaja.

Dalam kalangan Nasara juga ada yang menerima Islam ketika zaman Nabi. Contohnya seorang sahabat yang bernama Dihyah al-Kalbi رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ. Begitu juga Suhaib al-Rumi رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dan banyak lagi. Mereka juga beriman dengan dengan kitab-kitab mereka. Apabila mereka tahu tentang Al-Qur’an, mereka pun beriman dengan Al-Qur’an sepenuhnya, iaitu yang diturunkan kepada Nabi Muhammad ﷺ.

Akan tetapi Al-Qur’an itu bukan sahaja untuk dipercayai yang ia daripada Allah ﷻ sahaja, tetapi ia untuk difahami, ditadabburi (difahami secara mendalam) dan diamalkan. Inilah sikap kita dan perbuatan kita terhadap Al-Qur’an itu. Arahan untuk tadabbur Al-Qur’an disebut di dalam beberapa ayat antaranya Muhammad: 24

أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ أَمْ عَلَى قُلُوبٍ أَقْفَالُهَا
(Setelah diterangkan yang demikian) maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi Al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran Al-Quran)?

Bolehkah kita tadabbur Al-Qur’an tanpa memahaminya? Tentu sekali tidak. Kerana itu kenalah belajar tafsir Al-Qur’an ini dari awal lagi supaya boleh faham dan boleh mengambil pengajaran daripadanya. Ini seperti disebut di dalam Sad: 29

كِتٰبٌ أَنزَلنٰهُ إِلَيكَ مُبٰرَكٌ لِّيَدَّبَّروا ءآيٰتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُولُو الأَلبٰبِ
Ini adalah sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu penuh dengan berkah supaya mereka memperhatikan ayat-ayatnya dan supaya mendapat pelajaran orang-orang yang mempunyai fikiran.

Maka Allah ﷻ sebut orang yang pandai أُولُو الأَلبٰبِ itu adalah yang memahami dan mengambil pelajaran daripada Al-Qur’an. Sekiranya terus berada di dalam kebodohan, tidak tahu apa-apa tentang Al-Qur’an ini, bukanlah orang أُولُو الأَلبٰبِ namanya. Takkan kita mahu menjadi orang bodoh sampai ke sudah? Takkan umur sampai 60 tahun tidak ada masa langsung untuk belajar tafsir?

 

وَمَآ أُنْزِلَ مِنْ قَبْلِكَ

dan dengan kitab-kitab yang telah diturunkan sebelum ini;

Sekarang Allah ﷻ sebut kitab-kitab wahyu sebelum Al-Qur’an seperti Taurat, Injil, Zabur. Allah ﷻ sebut Al-Qur’an dahulu tadi walaupun dari segi kronologi, kitab-kitab itu yang datang terlebih dahulu. Ini adalah kerana Al-Qur’an lebih penting dan utama, lebih lengkap dan terpelihara.

Ayat ini tentang orang-orang Yahudi dan Kristian yang beriman dengan kitab-kitab lain sebelum ini. Sahabat Nabi ﷺ ada dua golongan: kaum Ansar dan Muhajirin; dan satu lagi daripada golongan yang telah beriman dengan kitab Taurat atau Injil. Ada juga daripada golongan Ansar yang telah beriman dengan kitab-kitab dari langit sebelum itu.

Ia juga sebagai satu dalil bahawa kita percaya bahawa memang ada kitab-kitab yang diturunkan Allah ﷻ sebelum Al-Qur’an seperti kitab Zabur, Taurat dan Injil. Memang kitab yang ada sekarang ini telah diubah oleh Yahudi dan Kristian. Akan tetapi masih ada lagi serba sedikit yang asal. Maka kita tidak boleh menolak kesemuanya kerana kitab-kitab itu masih lagi Kalam Allah ﷻ. Cuma kita tidak dapat pastikan manakah bahagian yang telah diubah dan manakah bahagian yang asal. Apabila dikatakan kita beriman dengan kitab-kitab itu, tidaklah bermakna kita kena rujuk kepada kandungannya. Ini kerana kita cukup dengan Al-Qur’an sahaja. Ini berdasarkan hadith Nabawi yang diriwayatkan oleh Jabir ibn Abdillah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا:

أَنَّ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِكِتَابٍ أَصَابَهُ مِنْ بَعْضِ أَهْلِ الْكُتُبِ ، فَقَرَأَهُ على النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَغَضِبَ وَقَالَ : أَمُتَهَوِّكُونَ فِيهَا يَا ابْنَ الْخَطَّابِ ، وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ ، لَقَدْ جِئْتُكُمْ بِهَا بَيْضَاءَ نَقِيَّةً ، لَا تَسْأَلُوهُمْ عَنْ شَيْءٍ فَيُخْبِرُوكُمْ بِحَقٍّ فَتُكَذِّبُوا بِهِ ، أَوْ بِبَاطِلٍ فَتُصَدِّقُوا بِهِ ، وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ ، لَوْ أَنَّ مُوسَى كَانَ حَيًّا ، مَا وَسِعَهُ إِلَّا أَنْ يَتْبَعَنِي‏
Suatu hari Umar al-Khattab رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ datang kepada Nabi ﷺ dengan satu tulisan yang diperoleh daripada ahli kitab, dan beliau membacanya kepada Baginda ﷺ, lalu Baginda murka dan bersabda: “Adakah kamu masih keliru tentangnya wahai anak al-Khattab? Demi jiwaku yang berada pada tangan-Nya, sesungguhnya aku telah datang kepada kalian dengan suatu agama yang suci lagi bersih. Usahlah kamu bertanya kepada ahli kitab tentang satu perkara yang jika diberitahu kepada kamu tentang suatu kebenaran, kamu mendustakannya, atau diberitahu kepadamu tentang suatu kebatilan, kamu membenarkannya. Demi jiwaku yang berada pada tangan-Nya, jika sesungguhnya Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ masih hidup, nescaya tidak dibenarkan baginya melainkan beliau perlu mengikutiku.”
(Musnad Ahmad (15156))
Syeikh Syu’aib al-Arna’uth menyatakan bahawa hadith ini bertaraf hasan.
(Rujuk Syarh al-Sunnah 1/270)

Oleh hal yang demikian, beriman dengan kitab ini ada dua jenis. Dengan Al-Qur’an kita kena percaya dan ikut sedangkan untuk kitab wahyu selain Al-Qur’an kita hanya perlu percaya sahaja, bukannya ikut.

Ada juga golongan salah faham yang mengatakan golongan Ahli Kitab boleh lagi menggunakan kitab wahyu mereka. Entah bagaimana mereka boleh salah faham, mungkin kerana tidak belajar bersungguh-sungguh melainkan ikut otak sendiri sahaja. Mana mungkin mereka boleh menggunakan lagi kitab mereka itu sedangkan ia telah diubah?

 

وَبِالآخِرَةِ هُم يوقِنونَ

Dan dengan hari akhirat mereka menyakini;

Mereka juga beriman dengan akhirat. Ada penegasan di sini apabila ditambah kalimah هُم di dalam ayat ini kerana kalau وَبِالآخِرَةِ يوقِنونَ pun memberi maksud yang sama sahaja. Sekiranya ayat penuh itu terjemahan harfiahnya menjadi: ‘dan dengan hari akhirat mereka mereka menyakini’; maknanya ada pengulangan kalimah ‘mereka’ pula di situ. Pengulangan itu adalah sebagai penegasan.

Akhirat bermaksud ‘hari akhir’ di mana tidak ada hari lain selepas itu. Untuk hari di dunia ini tidaklah berakhir kerana nanti ada hari-hari lain seperti Kiamat, Mahsyar dan sebagainya. Apabila dikatakan ‘akhirat’, ia hendak membezakan dengan hari dunia sekarang ini.

Walaupun percaya kepada Akhirat ini termasuk juga dengan percaya kepada perkara ghaib yang telah disebut, akan tetapi Allah ﷻ mengkhususkan menyebutnya secara berasingan di sini. Ini adalah kerana ia amat penting, malah terpenting selepas percaya kepada Allah ﷻ dan Rasulullah ﷺ. Ini kerana dengan percaya adanya Hari Akhirat lah yang akan menyebabkan manusia melakukan perkara kebaikan dan mengikut ajaran agama.

Bukanlah muttaqeen itu beriman dengan hari akhirat sahaja, tetapi mereka juga beriman dengan yang ghaib, mendirikan solat dan juga infaq. Malah lebih -lebih lagi, mereka yakin dengan hari akhirat. Mereka yakin terhadap hidup di akhirat nanti. Namun kenapakah tidak disebut Arab Mekah beriman dengan hari akhirat? Kerana untuk yakin dengan akhirat, memerlukan ilmu daripada Kitab. Orang Arab Mekah tidak ada fahaman akhirat sebelum itu kerana mereka tidak ada maklumat dan mereka tidak ada kitab. Untuk mengetahui akhirat, memerlukan wahyu. Mereka tidak sama dengan ahli Kitab yang sudah ada sedikit sebanyak maklumat.

Ada sahabat yang sebelum masuk Islam, mereka daripada agama lain. Akan tetapi mereka yakin dengan Islam setelah disampaikan dakwah kepada mereka. Seperti Abdullah bin Salam رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, sebelum itu beliau adalah ulama’ Yahudi. Tidak ramai pendeta Yahudi yang masuk Islam. Namun begitu sentiasa ada sahaja pendeta Yahudi atau Kristian yang masuk Islam. Dari dulu sampai sekarang. Setelah mereka mengkaji bandingan antara agama, membandingkan agama mereka dan agama Islam, mereka akan mendapati bahawa Islamlah agama yang benar.

Apabila mereka memeluk Islam, mereka akan mendapat dua pahala. Pertama, kerana beriman dengan agama asal mereka, dan kedua setelah mereka beriman dengan Islam. Ini adalah kelebihan yang ada pada mereka yang mungkin kita tidak berpeluang kepadanya (kerana kita lahir-lahir sahaja sudah Muslim).

Kepercayaan akan Hari Akhirat bermaksud:

1. Apa yang kita kerjakan di dunia ini adalah dengan tanggungjawab yang penuh. Bukan tanggungjawab kepada manusia, tetapi kepada Tuhan yang selalu melihat kita, walaupun kita berada sendirian. Semuanya akan kita dipertanggungiawabkan kelak di akhirat.

2. Kepercayaan kepada akhirat meyakinkan kita bahawa apa-apa pun peraturan atau susunan yang berlaku dalam alam dunia ini tidaklah akan kekal; semuanya bergantian, semuanya berputar, dan yang kekal hanyalah peraturan daripada Allah ﷻ, sampai dunia itu sendiri binasa hancur.

3. Setelah hancur alam yang ini; Tuhan akan menciptakan alam yang lain, langitnya lain, buminya lain, dan manusia dipanggil untuk hidup kembali di dalam alam yang baru dicipta itu dan akan ditentukan tempatnya sesudah penyaringan dan perhitungan amal di dunia.

4. Syurga untuk yang lebih berat amal baiknya. Neraka untuk yang lebih berat amal jahatnya. Semuanya dilakukan dengan adil.

5. Kepercayaan akan Hari Akhirat memberikan satu pandangan khas tentang menilai bahagia atau celaka manusia. Bukan bermakna mereka yang berjaya itu adalah mereka yang hidup mewah dengan harta benda, yang gagah berani dan tercapai apa yang dia inginkan. Bukan pula kerana seorang hidup susah, rumah buruk dan menderita menjadi ukuran untuk menyatakan bahawa seorang itu celaka. Namun kejayaan yang hakiki adalah pada nilai iman dan taqwa di sisi Allah ﷻ, di hari kiamat. Semulia-mulia kamu di sisi Allah ﷻ ialah yang setaqwa-taqwa kamu kepada Allah ﷻ.

Adakah anda perasan perkataan يوقِنونَ digunakan untuk Akhirat sedangkan sebelum ini digunakan kalimah يُؤْمِنُونَ untuk perkara ghaib lain? Ini adalah kerana yaqin adalah tingkatan yang lebih tinggi daripada iman. Yaqin ini selalunya kita dapati setelah kita melihat sendiri sesuatu perkara itu, tetapi bagaimana ini mungkin terjadi kerana kita tidak mungkin dapat melihat Hari Akhirat?

Kita boleh dapat keyakinan kepada Hari Akhirat dengan selalu merujuk dan membaca Al-Qur’an. Perkara yang kita selalu baca lama kelamaan akan tertanam di dalam benak minda kita. Memang setiap helaian Al-Qur’an pasti menyebut tentang Hari Akhirat. Ia tidak sama dengan perkara lain yang tidaklah disebut di setiap muka.


 

Baqarah Ayat 5: Apakah kesudahan mereka?

أُولٰٓئِكَ عَلىٰ هُدًى مِّن رَّبِّهِم ۖ وَأُولٰٓئِكَ هُمُ المُفلِحونَ

Sahih International

Those are upon [right] guidance from their Lord, and it is those who are the successful.

Malay

Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang berjaya.

 

أُولٰٓئِكَ عَلىٰ هُدًى مِّن رَّبِّهِم

Orang-orang yang bersifat seperti ini, mereka di atas petunjuk dari Tuhan mereka;

Iaitu dengan sifat-sifat yang telah disebutkan sebelum ini. Apabila sudah ada sifat-sifat yang disebutkan sebelum ini, seseorang itu sudah berada dalam hidayah dan tidak akan sesat semasa di dunia.

Kalimah عَلىٰ (di atas) yang digunakan ayat ini memberi kesan bahawa orang-orang bertaqwa selalu berada dalam posisi yang tinggi berkat konsistensinya menjalankan petunjuk Allah ﷻ. Kerana itulah kalimah yang digunakan adalah أُولٰٓئِكَ عَلىٰ هُدًى dan bukannya أُولٰٓئِكَ في هُدًى.

Ia juga memberi bayangan bagaimana orang yang ikut hidayah seperti berada di atas satu gerabak keretapi yang akan membawa mereka ke destinasi yang selamat, dalam kes ini adalah ke syurga. Mereka duduk dan ikut sahaja ke mana keretapi itu akan bawa.

Allah ﷻ tegaskan di sini bahaya hidayah itu مِن رَّبِّهِم (daripada Tuhan mereka). Pertamanya ia mengajar kita yang kita dapat keselamatan itu adalah berkat hidayah itu. Keduanya hidayah itu mesti daripada Allah ﷻ. Maka kita kena pastikan yang ajaran agama kita mestilah bersandarkan wahyu daripada Allah ﷻ. Oleh sebab itu kenalah belajar dan ikut Al-Qur’an dan juga Sunnah. Inilah jalan yang selamat. Malangnya masyarakat kita sudah jauh daripada ilmu wahyu sampaikan sekarang kita dengar terlalu banyak benda-benda pelik dan fahaman yang entah apa-apa. Apabila diminta dalil fahaman itu, kita pula yang dimarah mereka.

Sebenarnya baguslah kalau pelajar dalam kalangan orang awam meminta dalil kerana masyarakat sekarang sudah pandai, tidaklah bodoh seperti ustaz-ustaz dahulu. Memandangkan masyarakat sudah semakin pandai, maka para ustaz pun janganlah masih berada di takuk lama. Lebih-lebih lagi kalau mengajar di kawasan bandar, janganlah anggap anda mengajar orang kampung yang hanya tahu angguk terima sahaja. Kalau ada dalil, berilah sahaja. Atau sebab memang anda tidak ada dalil? Masa anda belajar atau baca kitab dulu pun anda hanya tahu angguk sahaja, ya? Maka ia adalah salah anda sendiri. Anda yang kenalah belajar semula, bukannya marah para pelajar.

Hakikatnya, kita sebagai guru yang memerlukan pelajar, kerana tukang ajar (ustaz) banyak sahaja di pasaran. Jangan sangka hebat sangat walaupun sudah bergelar ustaz selebriti. Kualiti kita kena tingkatkan. Bagi pelajar pula, kalau guru itu marah bila kita minta dalil, ‘Don folo’ lah dia lagi. Banyak lagi ilmuwan lain di dalam negara ini.

Kenapakah Allah ﷻ menggunakan kalimat مِن رَّبِّهِم dan bukan مِن اللهِ? Bukankah sama sahaja? Tidak, ia tidak sama kerana Allah ﷻ hendak menegaskan sifat Rabb itu. Rabb bermaksud yang menjadikan kita. Apabila Allah ﷻ yang jadikan kita, tentu Allah ﷻ sayang kepada kita. Bayangkan sesuatu yang kita jadikan dengan penuh teliti, takkan kita benci pula? Sudah semestinya kita mesti menjaga dengan elok, bukan? Oleh itu hidayah daripada Allah ﷻ itu tentunya baik kerana Allah ﷻ mahu yang baik-baik sahaja buat kita.e

Kita memang memerlukan hidayah dan kerana itu setiap hari kita akan minta hidayah daripada Allah ﷻ di dalam Surah Fatihah iaitu Ayat 6.

اهدِنَا الصِّرٰطَ المُستَقيمَ
Tunjukilah kami jalan yang lurus;

Kita telah bincangkan dengan panjang lebar tentang maksud hidayah itu. Ringkasnya hidayah itu ada dua jenis: Hidayah Ilmu dan Hidayah Amalan atau kita boleh gelar sebagai Taufiq. Bukankah kita selalu minta hidayah dan taufiq? Apakah bezanya?

Hidayah ilmu itu boleh sahaja sampai dan boleh sahaja diterima oleh sesiapa sahaja. Orang kafir pun boleh sampai hidayah kepada mereka kalau mereka belajar. Entah berapa ramai yang mengkaji Al-Qur’an mungkin sebagai tesis pengajian mereka. Namun setakat ilmu sahaja, tidak membawa kepada amalan. Sedangkan Hidayah Amalan itu adalah taufiq iaitu kekuatan yang untuk mengamalkan yang diberikan oleh Allah ﷻ. Kadangkala kita tahu sesuatu perkara atau amalan di dalam agama tetapi kita tidak amalkan, bukan? Maka kita hanya dapat hidayah ilmu sahaja. Ia tidak naik ke tingkatan amalan kerana ada kekangan, entah malas, entah kerana takut, boleh jadi apa-apa sahaja alasan. Maka di dalam ayat ini kita mahukan dua-dua jenis hidayah. Bukan sahaja setakat tahu, tetapi juga kekuatan untuk mengamalkannya. Apabila ada kedua-dua itu barulah boleh berjaya.

 

وَأُولٰئِكَ هُمُ المُفلِحونَ

Dan orang-orang yang bersifat seperti inilah  yang berjaya

Inilah kejayaan sebenar-benar kejayaan. Manusia mungkin melihat kejayaan dari segi harta, pangkat dan anak pinak yang ramai. Akan tetapi Allah ﷻ hendak mengubah mentaliti kita tentang kejayaan. Kejayaan di dunia itu tidak ada apa sebenarnya, kerana ia bukannya hebat mana dan ia tidak kekal. Kejayaan yang sebenarnya adalah apabila kita selamat di akhirat kelak. Orang miskin dan tidak ada pengaruh boleh sahaja lebih tinggi darjatnya daripada orang kaya jikalau dia berjaya di akhirat. Orang yang cintakan dunia tidak akan nampak perkara ini kerana mereka telah dikelabui oleh keindahan dunia yang sementara.

Maksud الفلاح mengandungi dua elemen: dapat apa yang dikehendaki dan selamat daripada apa yang keburukan. Golongan المُفلِحونَ adalah mereka yang selamat dari neraka dan dapat masuk ke dalam syurga. Maka kita hendaklah jadi seperti mereka. Kerana itu kita kena belajar tentang mereka. Apabila mati, mereka akan mendapat kejayaan. Mereka lulus dalam ujian di dunia. Begitulah penjelasan Allah ﷻ tentang sifat mereka yang diberikan nikmat oleh Allah ﷻ.

Bayangkan pengorbanan orang-orang yang terdahulu seperti orang Muhajirin yang sanggup meninggalkan semua rumah, tanah, ladang dan sebagainya untuk hijrah ke Madinah. Mereka hanya boleh bawa apa yang mereka boleh bawa dengan kenderaan unta atau berjalan kaki sahaja.

Orang Musyrik mengambil segala harta yang telah ditinggalkan itu. Selain daripada harta benda, mereka terpaksa tinggalkan ahli keluarga mereka juga. Sebab ramai ahli keluarga mereka yang tidak mahu masuk Islam. Mereka ini adalah orang-orang yang berjaya sungguh. Mereka telah menerima Islam dan mereka telah berkorban di jalan Allah ﷻ.

Orang Ansar pula terdiri daripada dua kumpulan: Aus dan Khazraj. Aus berkawan dengan Yahudi Bani Quraizah. Manakala Khazraj berkawan dengan puak Yahudi Bani Qainuqa’. Dua puak ini telah berperang selama 70 tahun.

Orang munafik pula terdiri daripada golongan kaum Ansar. Apabila Islam datang ke Madinah, semua kaum Ansar masuk Islam. Mereka yang tidak mahu masuk Islam pun terpaksa juga masuk. Maka ada antara mereka yang masuk Islam bukan dengan kehendak diri mereka sebenarnya.

Hati mereka tidak menerima Islam sebenarnya, taetpi mereka terpaksa kerana ramai orang sudah masuk Islam. Mereka inilah yang dinamakan golongan munafik. Kita tahu kerana Nabi ﷺ telah beritahu nama-nama orang Munafik itu kepada Abu Huzaifah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ. Pada setiap tahun Saidina Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ akan bertanya kepada Huzaifah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ adakah nama beliau termasuk dalam golongan munafik. Akan tetapi Abu Huzaifah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ tidak pernah langsung memberitahu kepada Saidina Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ.

Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ hanya akan menyembahyangkan jenazah yang juga dihadiri oleh Huzaifah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ. Huzaifah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ menyimpan rahsia senarai nama Munafik ini sampai beliau mati. Bayangkan seorang sahabat besar seperti Saidina Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ pun risau takut-takut beliau juga termasuk dalam golongan Munafik. Penerangan tentang orang Munafik ini akan diterangkan tidak lama lagi dalam surah ini nanti.

Penambahan kalimah هُم di dalam هُمُ المُفلِحونَ bermaksud eksklusif. Hanya mereka sahaja yang berjaya. Hanya mereka yang mempunyai sifat-sifat yang telah disebut sebelum ini. Maka jangan kita sangka kita agak-agak entah boleh berjaya sekiranya kita tidak ikut betul-betul sifat muttaqeen yang telah disebut sebelum ini.

Perkataan المُفلِحونَ itu diambil daripada perkataan ‘falah’ yang juga digunakan untuk petani. Mereka menuai hasil tanaman mereka selepas mereka berusaha berbudi kepada tanah. Begitu juga, kalau kita hendak dimasukkan ke dalam golongan yang berjaya seperti yang dimaksudkan dalam ayat ini, kita juga perlu berusaha. Bukan senang-senang cakap beriman namun tidak ada usaha yang kita lakukan.

 

Komposisi Cincin

Kita baru sahaja habis membincangkan 5 ayat daripada Surah Baqarah ini. Sekarang kita hendak memperkenalkan satu perkara yang amat hebat dan menarik tentang apa yang digelar Struktur Cincin. “Ring composition” (juga dikenali sebagai struktur cincin atau struktur kiastik dalam kajian sastera) adalah satu bentuk struktur naratif atau tekstual di mana bahagian awal sebuah teks dipadankan atau dicerminkan oleh bahagian akhirnya, dan elemen-elemen di antara permulaan dan akhir itu juga saling berpadanan secara terbalik, membentuk satu “cincin” atau bulatan. Dalam konteks Al-Quran, teori komposisi cincin ini dicadangkan oleh beberapa sarjana moden, terutamanya oleh Michel Cuypers dan Raymond Farrin, sebagai satu cara untuk memahami koherensi (kesinambungan) dan susunan surah-surah Al-Qur’an.

Ciri-ciri Utama Komposisi Cincin dalam Al-Quran:

1. Struktur Simetris (A-B-C-B’-A’):

    • Teks dimulakan dengan topik atau tema (A).
    • Kemudian berkembang kepada topik atau tema lain (B, C, dan seterusnya).
    • Di tengah-tengah teks, terdapat titik pusat (pivot point) yang merupakan inti atau mesej utama.
    • Selepas titik pusat, teks kembali kepada topik-topik sebelumnya tetapi dalam urutan terbalik (C’, B’, A’), di mana C’ mencerminkan C, B’ mencerminkan B, dan A’ mencerminkan A.
    • Padanan ini boleh berlaku dalam bentuk:
      • Pengulangan kata atau frasa yang sama.
      • Tema atau konsep yang serupa.
      • Idea atau hujah yang berlawanan atau melengkapi.

2. Titik Pusat (Central Point/Core Message):

    • Salah satu ciri penting komposisi cincin adalah adanya inti atau mesej utama yang terletak di tengah-tengah struktur. Bahagian inilah yang sering menjadi fokus dan ringkasan kepada keseluruhan surah atau bahagian teks. Ia membantu pembaca memahami mesej terpenting yang ingin disampaikan.

3. Koherensi dan Kesatuan:

    • Teori ini berhujah bahawa komposisi cincin menjelaskan bagaimana surah-surah Al-Qur’an, walaupun diturunkan secara berperingkat-peringkat mengikut peristiwa dan keperluan yang berbeza sepanjang 23 tahun, mempunyai kesatuan dan susunan yang sangat rapi dan disengajakan. Ia membuktikan bahawa Al-Qur’an bukanlah koleksi ayat-ayat yang tidak teratur, tetapi sebuah kitab yang tersusun dengan teliti.

4. Aplikasi pada Surah:

    • Konsep ini dikatakan berlaku pada banyak surah dalam Al-Qur’an, baik surah yang panjang mahupun yang pendek.
    • Contoh paling terkenal adalah analisis Surah Al-Baqarah Sarjana seperti Raymond Farrin telah menunjukkan bagaimana Surah Al-Baqarah boleh dipecahkan kepada beberapa segmen yang membentuk struktur cincin besar, dengan ayat-ayat di tengah-tengah surah menjadi pusat utama (contohnya, ayat mengenai Kiblat yang baru, 2:142-152).
    • Malah surah-surah pendek seperti Al-Fatihah dan Al-A’la juga dikatakan menunjukkan struktur cincin.

Manfaat Memahami Komposisi Cincin:

    • Pemahaman yang Lebih Mendalam: Membantu dalam menafsirkan ayat-ayat dan surah-surah dengan lebih tepat kerana ia menyerlahkan hubungan antara bahagian-bahagian yang berbeza dan menumpukan perhatian pada mesej teras.
    • Bukti Keilmuan Al-Qur’an: Bagi pendukung teori ini, kewujudan struktur cincin yang kompleks dan konsisten ini dalam Al-Qur’an adalah bukti tentang asal-usul ilahi Al-Qur’an. Mustahil bagi seorang manusia (Nabi Muhammad ﷺ) untuk menyusun sebuah teks sebesar Al-Qur’an dengan struktur yang begitu canggih, terutama memandangkan ia diturunkan secara berperingkat dalam jangka masa yang panjang.
    • Bantuan Hafalan: Susunan yang simetri dan berulang ini juga dapat membantu dalam proses hafalan Al-Qur’an.

Pandangan Mengenai Komposisi Cincin:

Walaupun ia mendapat perhatian yang meluas dalam kalangan sarjana moden dan penceramah, penting untuk diingat bahawa ini adalah salah satu pendekatan tafsiran dan analisis struktur Al-Qur’an. Tidak semua ulama tradisional atau moden bersetuju sepenuhnya dengan skop atau aplikasi teori ini, namun ia adalah bidang kajian yang menarik dalam keilmuan Al-Qur’an kontemporari.

Secara ringkas, komposisi cincin dalam Al-Qur’an adalah satu teori mengenai struktur tekstual yang mendapati bahawa surah-surah Al-Qur’an tersusun secara simetri, di mana bahagian awal dicerminkan oleh bahagian akhir dalam urutan terbalik, dengan mesej utama terletak di tengah-tengah. Ini disifatkan sebagai salah satu aspek kemukjizatan Al-Qur’an.

Sekarang mari lihat apakah komposisi cincin bagi 5 ayat pertama surah ini.

Penjelasan tentang kaitan antara topik:

[A1.1]/[A1.1’] – Struktur pertama surah ini bermula dan berakhir dengan هُدًى. Perhatikan kedua-dua topik ini mengandungi kalimah هُدًى (hidayah) yang menjadi tanda bahawa ia ada kaitan antara keduanya. Di dalam [A1.1] Al-Qur’an digelar sebagai هُدًى bagi golongan Muttaqin, dan di bahagian [A1.1’] mereka dikatakan berada di atas هُدًى apabila telah memenuhi kriteria-kriteria di tengah-tengah struktur ini.

[A1.2]/[A1.2’] – Kedua-dua bahagian ini menyebut tentang iman dan apakah yang diimani oleh golongan Muttaqeen. Bahagian [A1.2] menyebut beriman kepada yang ghaib dan bahagian [A1.2′] menyebut dua lagi perkara iaitu beriman dengan Kitab-kitab yang telah diberikan kepada para Rasul dan beriman dengan Hari Akhirat.

[A1.3]/[A1.3’] – Bahagian tengah pula fokus kepada amalan. Di sini disebut tentang Solat dan Infak.

Jadi keseluruhan Struktur ini memberi ringkasan apakah kriteria orang beriman. Pertama, kena kenal هُدًى (hidayah), beriman dengannya dan beramal dengannya.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 4 Julai 2024

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Baqarah Ayat 3 (Sifat-sifat Muttaqeen)

Baqarah Ayat 3: Siapakah orang bertaqwa itu? Ayat 3 – 5 menyebut apakah sebahagian daripada ciri-ciri golongan Muttaqeen itu yang kita patut contohi. Di dalam ayat ini disebut 3 ciri-cirinya.

الَّذينَ يُؤمِنونَ بِالغَيبِ وَيُقيمونَ الصَّلَوٰةَ وَمِمّا رَزَقنٰهُم يُنفِقونَ

Sahih International

Who believe in the unseen, establish prayer, and spend out of what We have provided for them,

Malay

Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.

 

الَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِالْغَيْبِ

Orang-orang yang beriman dengan yang ghaib.

Selepas disebut tentang orang yang bertaqwa, timbul satu persoalan: “Apakah maksud orang bertaqwa?” Mungkin ada orang yang kata dia pun bertaqwa juga. Maka, Allah ﷻ jelaskan sifat orang yang bertaqwa itu.

Pertamanya, kita kena tahu yang umat Nabi Muhammad ﷺ ada dua golongan. Ada yang tidak ada kitab iaitu golongan Arab Mekah dan ada yang sudah mempunyai kitab seperti golongan Yahudi dan Nasara. Begitu hebatnya Al-Qur’an, ia bukan sahaja memberikan hidayah kepada yang tidak ada kitab tetapi untuk yang mempunyai kitab juga. Semuanya sekali berhak menjadi umat Al-Qur’an.

Oleh itu, ayat الَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِالْغَيْبِ merujuk kepada mereka yang tidak mempunyai kitab. Mereka itu adalah Golongan Ummiyyin (yang tidak tahu membaca). Namun begitu mereka ini hebat dalam bahasa. Daya ingatan mereka pun kuat. Kerana itulah mereka mampu belajar Al-Qur’an dengan cara mendengar sahaja dan mereka boleh faham. Maka kalau ada dalam kalangan orang kita yang tidak tahu baca Al-Qur’an, boleh dimaafkan lagi asalkan faham tafsir Al-Qur’an itu. Tidak ada syarat yang kata kita kena boleh baca Al-Qur’an ini. Biar buta huruf asalkan celik hati.

Oleh itu, ciri pertama mereka yang bertaqwa adalah manusia yang beriman (percaya) kepada yang ghaib yang puncaknya adalah percaya kepada Allah ﷻ. Memang Allah ﷻ ghaib daripada penglihatan dan pendengaran. Walaupun orang beriman tidak nampak dan dengar Allah ﷻ, tetapi dia percaya. Apabila kalimah يُؤْمِنُونَ itu di dalam bentuk fi’il mudhari’ ia bermaksud berterusan.

Apakah pula maksud ‘iman’? Dari segi bahasa iman itu adalah percaya dengan penuh apa-apa yang disampaikan oleh seseorang kerana kepercayaan kita kepadanya. Ia bukanlah mengiyakan sesuatu yang memang sudah jelas benar. Sebagai contoh kalau seseorang membawakan kain hitam dan beritahu kita yang kain itu hitam dan kita boleh nampak dan kita mengiyakan, ini bukan iman. Ia hanya tasdiq (membenarkan) sahaja. Kita terima bukan kerana kita percaya kepada orang itu tetapi kerana memang kita sendiri boleh nampak kain itu hitam. Maka iman adalah percaya dengan kata-kata Rasul kerana kita percaya kepada batang tubuhnya tanpa kita melihat sendiri perkara-perkara yang baginda cakapkan itu. Ada orang kata begini untuk merangkumkan: “Anda harus percaya bukan kerana anda tahu, tetapi kerana anda tidak tahu.”

Ada manusia yang tidak mahu percaya melainkan mereka nampak perkara itu. Kononnya kalau tidak dapat dipantau oleh pancaindera, kira tidak ada lah benda itu. Kalau beginilah cara pemikirannya, orang itu tidak ubah seperti binatang sahaja kerana itu tingkatan pemikiran binatang sahaja. Sedangkan iman kepada yang ghaib adalah tangga yang dilalui untuk meningkatkan diri daripada tingkat binatang yang tidak mengetahui kecuali yang dijangkau oleh pancainderanya menuju ke tingkat kemanusiaan. Tingkatan kemanusiaan ini sedar bahawa wujud sesuatu yang jauh lebih besar dan lebih luas dari wilayah kecil dan terbatas yang dijangkau oleh pancaindera.

Apakah yang dimaksudkan dengan ‘ghaib’? Ia adalah perkara yang kita tidak nampak dan dirasa dengan pancaindera akan tetapi dapat dirasa adanya dengan akal. Akan tetapi mestilah ia ada dalil, bukannya sepertimana hantu yang sering dimomokkan itu. Ia mestilah dalil melalui maklumat tentangnya sama ada daripada Al-Qur’an ataupun daripada hadith yang sahih. Contohnya Allah ﷻ dan malaikat kita tidak nampak. Namun begitu akal yang waras sihat akan tahu bahawa Allah ﷻ dan malaikat itu ada tetapi bukan itu sahaja. Ada lagi yang kita tidak nampak, namun sebagai orang Islam, kita percaya akan kewujudannya.

Satu lagi adalah peristiwa yang akan datang. Tidak ada makhluk yang tahu apa yang akan berlaku. Diberitahu hanya sedikit kepada para Nabi. Bukan semua mereka tahu melainkan yang Allah ﷻ beritahu kepada mereka. Kalau tidak diberitahu, mereka pun tidak tahu. Maka, kita tidak boleh kata Nabi ﷺ tahu apa yang akan terjadi di masa hadapan.

Rasulullah ﷺ pun hanya tahu apa yang diberitahu kepadanya sahaja. Contohnya, ada sahabat bertanya kepada Nabi ﷺ keadaan bapanya yang telah mati. Nabi ﷺ mendapat wahyu mengatakan yang ayahnya dalam neraka. Sahabat Nabi ﷺ itu sedih dan beliau pun berlalu pergi. Kemudian Nabi ﷺ memanggilnya semula kerana Nabi ﷺ mendapat wahyu yang kedua. Iaitu ayah sahabat itu dan ayah Nabi ﷺ kedua-duanya berada dalam neraka.

Nabi ﷺ sendiri tidak tahu perkara ghaib, sebaliknya ada antara kita yang mengatakan tok guru mereka yang tahu perkara ghaib sampai tahu apa yang ada dalam hati kita. Sampai ada orang kita takut pula untuk berjabat salam dengan tok guru itu sebab kononnya takut tok guru itu tahu apa dalam hatinya. Takut guru itu tegur dia atas kesalahan yang dia telah lakukan. Sampaikan sebelum berjumpa tokguru itu mereka kena perbetulkan niat dahulu. Ini semua adalah pemahaman yang amat terpesong dalam masyarakat kita.

Padahal malaikat Raqib dan Atid yang sentiasa bersama kita semenjak lahir sampai mati pun tidak tahu apa yang ada dalam hati kita. Hanya di Mahsyar nanti, manusia akan dibentangkan buku amalan mereka. Tuhan akan arahkan supaya dicampakkan amal ibadat manusia itu. Malaikat Raqib dan Atid akan kata mereka sebagai saksi bahawa manusia itu memang buat amalan ibadat itu. Namun begitu Allah ﷻ kata malaikat tidak tahu yang mereka buat amalan itu bukan kerana Allah ﷻ.

Maka jelaslah, malaikat pun tidak tahu apa yang ada dalam hati kita. Oleh itu kalau kita kata yang ada manusia seperti tok guru tahu apa yang dalam hati manusia, maka itu dinamakan syirk fil ilmi – syirik dalam ilmu. Kita kena terima bahawa Allah ﷻ sahaja yang tahu apa yang dalam hati kita.

Kalau kita kata ada manusia yang tahu hal ghaib, maka kita sebenarnya telah menyamakan kedudukan orang itu dengan Allah ﷻ. Sekiranya ada yang tok guru itu tahu pun, itu adalah kerana mereka telah diberitahu oleh jin yang nampak apa yang kita telah lakukan dan mengabarkan maklumat itu kepada guru.

Ada beberapa perkara ghaib yang kita kena faham dan jaga sungguh-sungguh seperti Rukun Iman. Kalau kita perhatikan, di dalam rukun iman yang enam, lima daripadanya adalah ghaib bagi kita.

      • Allah ﷻ itu ghaib.
      • Akhirat juga ghaib.
      • Nabi ﷺ ghaib bagi kita sekarang kerana kita tidak nampak baginda di hadapan kita.
      • Malaikat juga ghaib.
      • Taqdir pun ghaib.

Ada satu lagi bukan, iaitu Al-Qur’an. Hanya Al-Qur’an sahaja yang tidak ghaib. Maka dengan Al-Qur’an inilah yang kita boleh terima maklumat tentang lima perkara ghaib di atas. Maka kita kena rapat dengan Al-Qur’an. Kita kena faham dan hayati bukan setakat tahu sahaja.

Kita sudah sama tahu bahawa manusia itu ada dua golongan secara umum; pertama orang yang hanya percaya kepada perkara yang nyata, dan tidak mengakui bahawa ada pula di balik kenyataan ini sesuatu yang lain. Mereka tidak percaya ada Tuhan, atau Malaikat, dan dengan sendirinya mereka tidak percaya akan ada lagi hidup di akhirat itu. Malahan terhadap adanya nyawa pun, atau roh, mereka tidak percaya. Orang yang seperti ini nescaya tidak akan dapat mengambil petunjuk daripada Al-Qur’an. Bagi mereka itu kertas pembungkus gula sama saja dengan Al-Qur’an.

Kedua ialah orang-orang yang percaya bahawa di sebalik perkara zahir yang nampak ini ada lagi hal-hal yang ghaib. Lebih-lebih lagi melalui pengalaman hidup, maka bertambah mendalamlah kepercayaan mereka kepada yang ghaib itu. Kita kaum Muslimin yang telah hidup empat belas abad sesudah wafatnya Rasulullah ﷺ dan keturunan-keturunan kita yang akan datang di belakang pun Insya Allah, bertambah lagi keimanan kepada yang ghaib itu, kerana kita mendapat maklumat daripada Al-Qur’an.

Ada juga yang memahami ayat di atas dalam erti percaya dalam keadaan dia ghaib, berseorangan, yakni tidak hadir di tengah orang ramai. Seandainya dalam ayat berikut akan dikemukakan bahawa ada orang yang beriman hanya dengan lidahnya, yakni ketika dia berada di tengah sekelompok manusia, maka orang yang bertaqwa adalah yang tetap percaya walaupun dia sendirian, tidak ada yang melihat atau mendengarnya.

 

وَيُقِيمُونَ الصَّلَوٰةَ

Dan mereka mendirikan sembahyang;

Maka keimanan kepada yang ghaib dengan sendirinya diikuti dengan mendirikan sembahyang. Apabila kalimah يُقِيمُونَ itu di dalam bentuk fi’il mudhari’, ia bermaksud berterusan solat sehingga habis nyawa kita. Bukannya tinggalkan solat jikalau malas, sakit atau sudah tua. Tidak ada amalan ibadah yang lebih tinggi daripada solat. Maka ia disebut di sini sebagai wakil ibadat. Walaupun ada banyak lagi ibadah yang lain, tetapi solat selalu disebut sebagai contoh orang beriman dan bertaqwa kerana ia mewakili hubungan kita dengan Allah ﷻ.

Mereka hendaklah membuktikan iman mereka itu dengan amalan ibadat yang diwajibkan oleh Allah‎ ﷻ. Dalam ayat ini, Allah ‎ ﷻ sebut dirikanlah solat. Bukanlah ini sahaja ibadat yang perlu dilakukan, tetapi solat mewakili ibadat antara Allah ﷻ dan hamba. Ada lagi ibadat-ibadat lain, tetapi yang paling penting adalah solat.

Yang dimaksudkan dengan mendirikan solat ialah menunaikannya pada waktu masing-masing, memelihara batasan-batasannya, rukuk, khusyuk, dan sujudnya. Maka kenalah belajar cara-cara solat yang sunnah.

Kerap sekali Allah ﷻ sebut tentang solat di dalam Al-Qur’an kerana ia amat penting. Manakala perincian tentang solat ini ada dalam hadith dan sunnah Nabi Muhammad ﷺ dan para sahabat. Kita kena belajar bab solat ini supaya kita dapat mengerjakan solat sepertimana yang diajar oleh baginda.

Kalau dilihat apabila Allah ﷻ menyebut arahan tentang solat, mesti ditambah dengan kalimah أَقِمِ dan sepertinya. Maksudnya adalah ‘mendirikan’ solat. Allah ﷻ tidak kata: lakukan solat. Ini adalah kerana solat itu merangkumi banyak perbuatan, bukan solat itu sahaja. Contohnya sebelum solat kita mestilah membersihkan diri (taharah) dan menjaga tempat solat, menjaga aurat dan banyak lagi. Untuk kita ‘mendirikan’ solat itu, banyak perkara yang kita kena lakukan dan jaga, yang memerlukan ilmu tentang solat. Maka mestilah dipelajari ilmu fiqh solat supaya menyerupai cara yang diajar oleh Rasulullah ﷺ.

Solat ini amat penting untuk menghalang kita daripada melakukan dosa seperti disebut dalam Ankabut: 45

إِنَّ الصَّلَوٰةَ تَنهىٰ عَنِ الفَحشاءِ وَالمُنكَرِ
Sesungguhnya solat itu mencegah daripada (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar.

Maka dari sini kita tahu bahawa solat yang baik dan khusyuk itu akan mendidik pelakunya untuk meninggalkan amalan-amalan yang salah terutama sekali syirik. Solat adalah pembeza antara iman dan kufur seperti disebut dalam hadith,

عَنْ أَبِي سُفْيَانَ قَالَ سَمِعْتُ جَابِرًا يَقُولُا سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ بَيْنَ الرَّجُلِ وَبَيْنَ الشِّرْكِ وَالْكُفْرِ تَرْكَ الصَّلَاة
Daripada Abu Sufyan dia berkata, aku mendengar Jabir رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا berkata, “Aku mendengar Nabi ﷺ bersabda: “Sungguh, yang memisahkan antara seorang laki-laki dengan kesyirikan dan kekufuran adalah meninggalkan solat’.”
(Sahih Muslim No. 116)

Sebab itulah benar pendapat yang mengatakan kalau tidak solat, tidak berguna puasa yang dilakukan di bulan Ramadan. Ramai orang kita yang walaupun tidak solat, namun apabila datang bulan puasa, mereka berpuasa. Akan tetapi mereka tidak sedar yang amalan ibadah puasa mereka itu sebenarnya tidak diterima kerana syarat diterima ibadah adalah seseorang itu mesti muslim. Jikalau tidak melakukan solat, maka keislaman seseorang tidak sah (salah satu pendapat). Akan tetapi perkara ini jangan diberitahu kepada orang-orang yang bodoh kerana jikalau mereka tahu hal ini, mereka bukannya hendak solat tetapi sebaliknya dengan ibadah puasa sekali mereka tinggalkan!

Solat adalah amalan pertama yang disoal di akhirat kelak. Mereka yang meninggalkan solat akan dimasukkan ke dalam neraka seperti disebut dalam Muddaththir: 42-43

ما سَلَكَكُم في سَقَرَ
“Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar?”

قالوا لَم نَكُ مِنَ المُصَلّينَ
Orang-orang yang bersalah itu menjawab: “Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang;

Kalau orang kata kenapa kita kena solat? Maka jawapannya ada di dalam Al-Qur’an iaitu untuk mengingati Allah ﷻ seperti disebut dalam Taha: 114

وَأَقِمِ الصَّلَاةَ لِذِكْرِي
dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku.

Maka bukanlah kita solat supaya rezeki kita terjaga seperti yang difahami oleh sesetengah orang. Mereka solat kerana takut kalau mereka tidak solat, Allah ‎ﷻ tidak beri rezeki pula kepada mereka. Ini adalah fahaman yang salah kerana solat hanya kerana mahukan rezekilah yang menyebabkan ramai orang kita menjaga Solat Dhuha disebabkan mereka percaya solat itu dapat menarik rezeki untuk mereka. Maka fikir-fikirkan lah, mereka ini solat kerana Allah ﷻ atau kerana rezeki?

Untuk mengerjakan solat ini juga memerlukan sabar, kerana bukan semua orang boleh buat. Kalau kita lihat zaman sekarang, ramai sangat orang Islam yang tidak solat. Mereka tidak sabar untuk melakukannya, untuk meluangkan hanya sekadar 5 minit, dan kemudian melakukannya lagi selepas itu. Maka dengan selambanya mereka tidak solat. Memang ia berat bagi orang yang tidak takut dengan Allah ﷻ seperti disebut dalam Baqarah: 45

وَاستَعينوا بِالصَّبرِ وَالصَّلَوٰةِ ۚ وَإِنَّها لَكَبيرَةٌ إِلّا عَلَى الخٰشِعينَ
Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk;

Maka kita boleh lihat Allah ﷻ selalu memberi peringatan tentang solat termasuk di dalam ayat ini kerana ia adalah amalan yang amat penting dan hendaklah kita mengambil pengajaran di sini dengan menjaganya. Bukan untuk kita sahaja, akan tetapi untuk kita peringatkan kepada orang lain juga, terutama sekali kepada keluarga kita, seperti disebut di dalam Taha: 132

وَأمُر أَهلَكَ بِالصَّلاةِ وَاصطَبِر عَلَيها ۖ لا نَسأَلُكَ رِزقًا ۖ نَحنُ نَرزُقُكَ ۗ وَالعاقِبَةُ لِلتَّقوىٰ
Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.

 

وَمِمَّا رَزَقْنٰهُمْ يُنْفِقُونَ

Dan daripada rezeki yang Kami anugerahkan kepadanya, mereka infaqkan

Infaq bermaksud mengeluarkan. Kalau kita belanja beli barang pun sebenarnya adalah infaq. Akan tetapi yang dimaksudkan adalah infaq di jalan Allah ﷻ atau ke arah kebaikan. Kalau dalam bahasa orang kita selalunya disebut sedekah. Terdapat tiga jenis infaq:

      • Fardhu iaitu merujuk kepada pengeluaran Zakat yang ada hukumnya tersendiri
      • Wajib iaitu yang mesti kita lakukan seperti memberi nafkah kepada ahli keluarga.
      • Sunat iaitu membantu orang susah.

Infaq wajib itu selain daripada memberi nafkah kepada ahli keluarga yang di bawah tanggungan kita, kita mesti membantu orang miskin. Ini seperti firman Allah ﷻ di dalam Muddaththir: 42-44

ما سَلَكَكُم في سَقَرَ. قالوا لَم نَكُ مِنَ المُصَلّينَ. وَلَم نَكُ نُطعِمُ المِسكينَ
(Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): “Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar?” Orang-orang yang bersalah itu menjawab: “Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang; “Dan kami tidak pernah memberi makan orang-orang miskin;

Ulama’ memberi tafsiran bahawa sebagaimana wajib mengerjakan solat, maka begitu juga wajib untuk membantu orang miskin. Sebagaimana berterusan solat, maka kalimah يُنْفِقُونَ di dalam bentuk fi’il mudhari’ itu bermaksud sentiasa melakukan infaq, bukan sekali sekala sahaja. Maka membantu orang miskin itu adalah wajib sebenarnya. Yang dikatakan sedekah sunat itu adalah untuk menyelamatkan diri kita dari neraka. Inilah infaq tambahan selain daripada yang fardhu dan yang wajib. Ini seperti disebut di dalam hadith,

عَنْ عَدِيِّ بْنِ حَاتِمٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ اتَّقُوا النَّارَ وَلَوْ بِشِقِّ تَمْرَةٍ فَإِنْ لَمْ تَجِدُوا فَبِكَلِمَةٍ طَيِّبَةٍ
Daripada [Adi bin Hatim] daripada Nabi ﷺ, baginda bersabda: “Takutlah kepada Neraka walaupun hanya dengan sebelah kurma. Jika tidak kalian dapatkan, maka dengan perkataan yang baik.”
(Sahih Bukhari (1598))

Infaq adalah wakil kepada perbuatan mengeratkan tali hubungan manusia dengan manusia lain (حَبْلٍ مِّنَ النَّاسِ). Kalau sebelum ini telah disebut tentang solat, itu adalah حَبْلٍ مِّنْ اللَّهِ. Setelah menjaga hubungan dengan Allah ﷻ, maka dijaga hubungan dengan manusia pula. Itulah yang dinamakan berbuat baik dengan orang lain. Paling kurang, jangan berbuat jahat dengan orang lain. Perbuatan yang paling baik adalah dengan infaq kepada orang lain. Kita bukan sahaja dapat pahala malah dapat mengeratkan hubungan sekali.

Infaq dapat menyelamatkan kita daripada api neraka seperti disebut di dalam banyak hadith, antaranya,

عَنْ عَدِيِّ ابْنِ حَاتِمٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا مِنْكُمْ مِنْ أَحَدٍ إِلَّا سَيُكَلِّمُهُ رَبُّهُ لَيْسَ بَيْنَهُ وَبَيْنَهُ تَرْجُمَانٌ فَيَنْظُرُ مِنْ عَنْ أَيْمَنَ مِنْهُ فَلَا يَرَى إِلَّا شَيْئًا قَدَّمَهُ ثُمَّ يَنْظُرُ مِنْ عَنْ أَيْسَرَ مِنْهُ فَلَا يَرَى إِلَّا شَيْئًا قَدَّمَهُ ثُمَّ يَنْظُرُ أَمَامَهُ فَتَسْتَقْبِلُهُ النَّارُ فَمَنْ اسْتَطَاعَ مِنْكُمْ أَنْ يَتَّقِيَ النَّارَ وَلَوْ بِشِقِّ تَمْرَةٍ فَلْيَفْعَلْ
Daripada [Adi bin Hatim] beliau berkata; Rasulullah ﷺ bersabda: “Tidak ada seorang pun di antara kalian kecuali akan diajak bicara oleh Rabbnya dan tidak ada penerjemah antara keduanya. Dia lalu menoleh ke samping kanannya, maka tidaklah dia melihat sesuatu di sana kecuali telah ditawarkan kepadanya. Kemudian dia menoleh ke samping kirinya, maka tidaklah dia melihat sesuatu di sana kecuali telah ditawarkan kepadanya. Kemudian dia melihat ke depannya, dan ternyata api neraka telah menghadangnya. Maka barangsiapa di antara kalian mampu menghindari api neraka meski dengan sebiji kurma, maka hendaklah dia lakukan.”
(Sahih Bukhari (181))

Pengertian infaq adalah luas sebenarnya. Bukan sahaja kita boleh infaq dalam bentuk harta tetapi dalam bentuk ilmu juga. Kadang-kadang kita tidak ada harta untuk diberikan kepada orang, akan tetapi kita ada sedikit ilmu yang kita boleh sampaikan. Itu dinamakan ‘infaq ilmu’. Iaitu ilmu yang Allah ﷻ berikan kepada kita, kita beri kepada orang lain. Jangan simpan sahaja ilmu yang kita ada, hendaklah kita sampaikan kepada orang lain. Orang lain memang memerlukan ilmu agama dan kalau kita simpan pada diri kita sahaja, ini amatlah merugikan.

Di dalam ayat ini Allah ﷻ sebut مِمَّا رَزَقْنٰهُمْ (daripada apa yang Kami rezekikan). Allah ﷻ hendak beritahu bahawa apa sahaja yang kita infaqkan, bukanlah daripada harta kita sendiri sebenarnya. Dia juga yang berikan kepada kita untuk kita sampaikan kepada orang lain. Maka janganlah kedekut kerana asalnya pun ia bukan daripada kita tetapi daripada Allah ﷻ. Semua yang kita ada, Allah ﷻ juga yang beri. Namun disebabkan sifat rahmah Allah ﷻ tidaklah suruh kita beri semua rezeki yang kita dapat, tetapi مِمَّا iaitu sebahagian sahaja. Tidak salah kalau kita gunakan untuk kegunaan kita. Cuma sebahagian lagi kenalah kita berikan kepada yang memerlukan.

Begitu juga dengan ilmu, ilmu itu semua daripada Allah. Bukannya kita fikirkan sendiri. Maka kena bayangkan diri kita adalah tempat salurkan rezeki dan tempat salurkan ilmu kepada orang lain. Lihat satu hadith ini,

عَنْ سَعْدِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ الرَّجُلُ يَكُونُ حَامِيَةَ الْقَوْمِ أَيَكُونُ سَهْمُهُ وَسَهْمُ غَيْرِهِ سَوَاءً قَالَ ثَكِلَتْكَ أُمُّكَ يَا ابْنَ أُمِّ سَعْدٍ وَهَلْ تُرْزَقُونَ وَتُنْصَرُونَ إِلَّا بِضُعَفَائِكُمْ
Daripada [Sa’d bin Malik رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] berkata; Aku bertanya; “Wahai Rasulullah, seorang laki-laki yang menjadi pelindung bagi suatu kaum, apakah bahagiannya sama dengan bahagian yang lainnya?” Nabi ﷺ menjawab; “Celaka kamu ini wahai Ibnu Ummi Sa’d, tidaklah kalian diberi rezeki dan dimenangkan kecuali kerana adanya orang-orang lemah daripada kalian.”
(Sahih Bukhari (1411))

Di awal ayat ini ada disebut percaya kepada yang ghaib. Antara perkara ghaib adalah balasan di Akhirat iaitu percaya bahawa perbuatan dan amalan kita di dunia akan dibalas. Antara yang dijanjikan adalah balasan baik daripada sedekah kita. Maka apakah maksud sedekah itu? Ia daripada kalimah صدق yang bermaksud ‘membenarkan’. Oleh itu apabila kita sedekah, sebenarnya kita membenarkan, mengiyakan dan percaya dengan janji Allah ﷻ itu dan kita lakukan dengan mengeluarkan infaq kepada orang lain.

Ayat ini mengisyaratkan bahawa yang bertaqwa hendaknya bekerja dan berusaha mencari rezeki sebaik mungkin sehingga memperoleh hasil yang melebihi keperluan jangka pendek dan jangka panjangnya serta dapat membantu orang lain. Tidaklah duduk tunggu rezeki sahaja kononnya bertawakal kepada rezeki daripada Allah ﷻ. Bagaimana kita hendak sedekah kepada orang lain kalau kita sendiri tidak ada duit, bukan? Sekiranya ada terdapat orang yang nampak warak tetapi tidak bekerja, maka ada masalah dengan orang ini. Lebih teruk lagi kalau dia tidak bekerja tetapi disuruhnya pula isterinya bekerja dan dia makan sahaja hasil usaha isteri.

Secara ringkasnya, kita dapat lihat susunan kriteria orang yang bertaqwa itu adalah begini:

1. Percaya kepada ghaib.
2. Mendirikan solat.
3. Infaq.

Daripada susunan itu, kita boleh tahu bahawa orang yang percaya kepada yang ghaib, akan berasa mudah untuk solat. Kemudian orang yang solat akan lebih mudah untuk menafkahkan hartanya. Akan tetapi untuk mengeluarkan harta dan diberikan kepada orang lain terutama yang tidak kena mengena dengan kita, tentu susah kerana kita sangka harta itu kita telah susah payah cari, kemudian setelah dapat diberikan kepada orang lain pula. Allah ﷻ tahu hati kita berkata begitu, tetapi ingatlah yang tidak berkurang sedikitpun harta kita itu seperti disebut di dalam sebuah hadith,

“مَا نَقَصَ مَالٌ مِنْ صَدَقَةٍ، وَمَا زَادَ اللهُ عَبْدًا بِعَفْوٍ إِلَّا عِزًّا وَمَنْ تَوَاضَعَ ِللهِ رَفَعَهُ اللهُ”
Tiada harta benda yang berkurang kerana bersedekah, dan tidak sekali-kali Allah menambahkan kepada orang yang berinfaq melainkan kemuliaannya. Dan barang siapa yang berendah diri kerana Allah, Allah pasti mengangkatnya (meninggikannya).
(Sahih Muslim (4689))

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 3 Julai 2024

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Baqarah Ayat 2 (Golongan Bertaqwa)

Baqarah Ayat 2: Kita baru saja selesai membaca Surah al-Fatihah. Di sana kita telah memohon kepada Tuhan agar ditunjuki jalan yang lurus, jalan orang yang diberi nikmat, jangan jalan orang yang dimurkai atau orang yang sesat. Baru saja menarik nafas selesai membaca surah itu, kita langsung kepada Surah Baqarah dan kita terus kepada ayat ini.

Permohonan kita di Surah al-Fatihah sekarang diperkenankan. Kamu boleh mendapat jalan yang lurus, yang diberi nikmat, bukan yang dimurkai dan tidak yang sesat, asal sahaja kamu sanggup mengambil pedoman kitab ini. Tidak syak lagi, ia adalah petunjuk bagi orang yang mahu bertaqwa.

Juzuk pertama Al-Baqarah adalah untuk menceritakan sifat orang Yahudi dan pendeta mereka. Maka jikalau mahu tahu sama ada guru kita sama seperti Yahudi, kita boleh lihat dalam Surah Al-Baqarah ini. Ayat 1–20 Al-Baqarah adalah untuk menghuraikan maksud ayat Surah Al-Fatihah صِراطَ الَّذينَ أَنعَمتَ عَلَيهِم غَيرِ المَغضوبِ عَلَيهِم وَلَا الضّالّينَ.

ذٰلِكَ الكِتٰبُ لا رَيبَ ۛ فيهِ ۛ هُدًى لِّلمُتَّقينَ

Sahih International

This is the Book about which there is no doubt, a guidance for those conscious of Allah –

Malay

Kitab Al-Qur’an ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa;

 

ذَٰلِكَ الْكِتٰبُ

Itulah kitab.

Allah ‎ﷻ menggunakan perkataan ذٰلِكَ untuk merujuk kepada Al-Qur’an dan perkataan ذٰلِكَ bermaksud ‘itu’. Sepatutnya kita rasa yang sesuai kenalah guna perkataan yang bermaksud ‘ini’ iaitu هذا kerana Al-Qur’an ada depan kita, bukan?

Akan tetapi, tidaklah kalimah itu yang digunakan oleh Allah ﷻ. Ini adalah kerana, apabila digunakan itu pada tempat yang sepatutnya digunakan ini, dari segi balaghah (maksud yang tersirat), menunjukkan ketinggian dan kehebatan. Maka ini mengajar kita untuk mengambil pengajaran daripada Al-Qur’an; belajarlah tafsirnya dan amalkannya ajarannya. Bukannya meninggikan Al-Qur’an semata-mata dengan meletakkannya pada rak buku yang tinggi (Qur’an is for yourself, not your shelf). Malang sekali ramai orang kita setakat meletakkan Al-Qur’an itu di tempat tinggi dan dicium-cium sahaja mushaf itu. Sekali sekala baca, itu pun bulan Ramadhan sahaja, tanpa difahami. Ini adalah kesilapan besar masyarakat kita yang hendaklah diperbetulkan dengan segera.

Kalimah ذٰلِكَ juga bermaksud jauh dan ini memberi maksud Al-Qur’an jauh meninggalkan ilmu-ilmu yang lain. Ia tidak boleh dibandingkan dengan mana-mana ilmu. Itulah sebabnya sedih kita mengenangkan, ramai umat Islam belajar berbagai jenis ilmu agama sampai peringkat PHD pun ada, akan tetapi tafsir Al-Qur’an mereka tidak mahir pun lagi. Maknanya mereka mendahulukan perkara yang kurang penting dan meninggalkan perkara yang lebih penting. Bukannya tidak boleh belajar ilmu lain itu, tetapi tafsir Al-Qur’an hendaklah diutamakan.

Perdapat kedua: Perkataan ini digunakan untuk mengejutkan orang. Perkataan yang digunakan adalah ذَٰلِكَ yang bermaksud ‘itu’. Ini adalah kerana tidak ada kitab dalam bentuk mushaf yang digunakan pada zaman Nabi. Pada waktu itu ia hanya ada dalam hafalan para sahabat sahaja. Yang ada Al-Qur’an yang lengkap adalah Al-Qur’an yang berada di langit dunia yang diturunkan sedikit demi sedikit oleh Malaikat Jibrail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Maka, perkataan ‘itu’ yang digunakan adalah merujuk kepada Al-Qur’an yang berada di langit itu.

Walaupun Al-Qur’an pada zaman Nabi belum lagi di dalam bentuk kitab mushaf seperti sekarang, akan tetapi Allah ﷻ telah beritahu dari awal lagi yang ia adalah ‘kitab’ dan maksud kitab adalah tertulis. Ini adalah kerana memang ia molek di dalam bentuk kitab supaya mudah dirujuk manusia. Memang kita sebagai manusia senang belajar dan mengambil ilmu daripada sesuatu yang tertulis. Kalau setakat dengar sahaja, susah untuk dirujuk kemudian, bukan?

Pendapat ketiga: ia hendak menjawab doa di dalam Fatihah yang dibaca meminta hidayah. Maka ayat ini memulakan jawapan, iaitu pertama sekali kerana rujuk kepada kitab Al-Qur’an ‘itu’ sebagai hidayah.

 

 

لَا رَيْبَ ۛ فِيهِ

Tidak ada keraguan di dalamnya.

Tidak ada syak pada Al-Qur’an itu. Mungkin ada berkata kenapa kalimah الشك tidak digunakan di sini. Ini adalah kerana kalimah ريب adalah permulaan kepada syak. Maknanya di dalam Al-Qur’an, permulaan syak pun tidak ada, jangankan syak. Syak kecil tidak ada, apatah lagi syak yang besar.

Sila perhatikan kalimah لَا رَيْبَ. Dari segi nahu bahasa Arab, apabila kalimah لا dan selepasnya kalimah dalam bentuk nakirah (umum) dan berharkat fatrah (baris atas) maka ia hendak menafikan keseluruhan jenis. Maknanya tidak ada langsung apa-apa keraguan pun pada Al-Qur’an. Maka ayatnya adalah لَا رَيْبَ dan bukannya لَا الرَيبَ. Jikalau لَا الرَيبَ yang digunakan, ia menidakkan kekeliruan yang spesifik sahaja. Bandingkan dua kalimah ini:

لا الرجول في الفصل
لا رجول في الفصل

Kalau لا الرجول في الفصل ia bermaksud seorang lelaki yang spesifik sahaja tidak ada. Mungkin namanya Ahmad, maka Ahmad sahaja yang tidak ada di dalam kelas, sedangkan orang lain ada. Namun untuk لا رجول في الفصل yang digunakan tanpa ال, maka pemahaman kita adalah tidak ada seorang lelaki pun di dalam kelas itu.

Maka kita sebagai umat Islam, janganlah ada sebarang keraguan dengan mana-mana ayat Al-Qur’an. Kita mesti menerima kesemua ayat Al-Qur’an dan jangan kita kritik mana-mana pun. Mungkin ada yang belum mampu diamalkan sekarang, tetapi janganlah kita sangsi kepadanya. Kerana itu ada juga yang membaca ayat ini dengan berhenti pada kalimah لَا رَيْبَ, sehingga memahami ayat ini sebagai larangan ragu; jangan ragu tentang kebenaran yang dikandungnya, jangan ragu mengamalkannya.

Allah ﷻ sendiri yang kata tidak ada syak pada Al-Qur’an. Namun kalau begitu, kenapa ramai lagi yang tidak percaya? Kalau kita perhatikan, lebih ramai yang tidak percaya kepada Al-Qur’an daripada mereka yang percaya. Maksudnya adakah salah ayat ini kerana ia jauh daripada realiti?

Kita kena faham apakah yang hendak disampaikan oleh Allah ﷻ. Makna dalam ayat ini adalah, Allah ﷻ mahu berkata tidak syak yang Al-Qur’an itu datang daripada Allah ﷻ. Maksudnya Al-Qur’an ini لا ريب من الله (tidak syak lagi ia adalah daripada Allah ﷻ). Di sini Allah ﷻ hendak beritahu sendiri kepada kita. Sama ada manusia hendak percaya atau tidak, terpulang kepada mereka dan mereka akan menanggung kesesalan jikalau mereka tidak mempercayainya nanti. Malah kepada mereka yang ragu kepada Al-Qur’an ini, Allah ﷻ cabar mereka di dalam Baqarah: 23 yang kita akan bertemu nanti,

وَإِن كُنتُم في رَيبٍ مِّمّا نَزَّلنا عَلىٰ عَبدِنا فَأتوا بِسورَةٍ مِّن مِّثلِهِ وَادعوا شُهَداءَكُم مِّن دونِ اللهِ إِن كُنتُم صٰدِقينَ
Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan (Al-Qur’an) kepada hamba Kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Qur’an itu, dan panggillah orang-orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar.

Maknanya keseluruhan Al-Qur’an adalah daripada Allah ﷻ, tidak ada selain-Nya (seperti rekaan Nabi Muhammad ﷺ atau cedok daripada mana-mana kitab tulisan manusia) dan tidak ada percampuran dengan teks lain. Sebagai contoh ada yang kata syaitan telah memasukkan penipuan di dalam Al-Qur’an. Maka Allah ﷻ menolak fahaman itu. Sebab itu ada yang kata dhomir (kataganti) ه di dalam فِيهِ merujuk kepada cara penurunan Al-Qur’an itu. Ini seperti disebut di dalam Waqiah: 79

لّا يَمَسُّهُ إِلَّا المُطَهَّرونَ
Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang suci;

Juga tidak ada keraguan dalam isi kandungnya. Tidak ada sebarang perselisihan di dalamnya. Tidak ada juga perbezaan antara apa yang diceritakan dalam Al-Qur’an dengan hadith Nabi ﷺ. Apa yang Nabi ﷺ kata tidak akan berlawanan dengan ayat Al-Qur’an. Maka, jikalau kita jumpa ada hadith yang tidak sealiran dengan Al-Qur’an, bermakna Hadith itu yang ada masalah. Atau mungkin salah faham maksud hadith itu.

Musuh-musuh Islam telah sekian lama mencari kesalahan di dalam Al-Qur’an namun sampai sekarang, mereka tidak berjumpa. Malah mereka tidak akan menjumpainya walaupun mereka terus mencarinya.

 

هُدًى لِّلْمُتَّقِينَ

Suatu petunjuk bagi mereka yang bertaqwa.

Walaupun Al-Qur’an ini diturunkan sebagai petunjuk kepada semua manusia dan jin, akan tetapi yang mengambil manfaat dan mahu mengikutnya hanyalah yang beriman dan bertaqwa sahaja.

Kalimah هُدًى adalah satu perkataan dalam isim masdar tetapi maksudnya haadin, isim fa’il (pelaku atau pembuat). Akan tetapi kalau ia bermaksud fa’il, kenapakah dibawa dalam bentuk masdar pula? Kerana hendak menguatkan makna haadin.

Ini ada perbahasan bahasa sedikit. Sebagai contoh, kita ambil perkataan زَيدٌ عادِلٌ (Zaid seorang yang adil). Ini lafaz biasa sahaja dalam bahasa Arab. Untuk kita beritahu kepada orang yang tidak kenal Zaid, yang Zaid itu seorang yang adil. Namun kadang-kadang tidaklah dia adil. Mungkin dia seorang yang adil 50%, 70% atau sebagainya. Akan tetapi kalau kita kata زيد عدل, ia bermaksud Zaid itu lambang keadilan, itu adalah satu kata yang hebat sungguh – Zaid sentiasa adil dan keadilannya itu hebat sungguh.

Begitulah juga penggunaan masdar dalam ayat ini. Al-Qur’an itu amat hebat, ia adalah lambang bagi hidayah, sentiasa menunjuk kepada hidayah, bukan sekali sekala sahaja, bukan separuh-separuh tetapi sepenuhnya. Dengan menggunakan balaghah seperti ini, ia memberi kesan yang amat hebat.

Allah ﷻ sambung dalam ayat ini yang Al-Qur’an itu هُدًى لِلمُتَّقينَ – hidayah kepada orang yang bertaqwa. Antara ciri-ciri mereka ini akan disebut di dalam ayat selepas ini. Secara umumnya المُتَّقينَ (orang yang bertaqwa) itu adalah mereka yang taat kepada hukum Allah ﷻ dan berhati-hati dalam segala perbuatannya. Dia sentiasa memikirkan apakah perbuatannya itu halal atau haram. Dia sentiasa sedar keberadaan Allah ﷻ yang sentiasa memerhatikan apa yang dilakukannya dan kerana itu dia amat berhati-hati. Maka dia takut sekali berbuat dosa kerana dia tahu dan sedar yang Allah ﷻ sedang memerhatikannya. Kalau ayah kita berada di depan kita, tentu kita tidak berani berbuat salah, bukan?

Maka apakah erti taqwa? Kalimat taqwa diambil daripada rumpun kata wiqayah ertinya ‘memelihara’. Memelihara hubungan yang baik dengan Tuhan. Memelihara diri jangan sampai terperosok kepada suatu perbuatan yang tidak diredhai oleh Tuhan. Memelihara segala perintah-Nya supaya dapat dijalankan. Memelihara kaki jangan terperosok ke tempat yang lumpur atau berduri.

Diriwayatkan bahawa Umar bin Khatab رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ bertanya kepada Ubay bin Ka’ab رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ tentang taqwa. Ubay رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ kembali bertanya kepada Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, “Apakah engkau pernah menempuh jalan berduri?”
Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ menjawab, “Pernah.” Ubay رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ kembali bertanya, “Apa yang engkau lakukan?” Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ menjawab, “Aku berusaha keras dan bersungguh-sungguh.” Ubay bin Ka’ab رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata. “Itulah taqwa.”
(HR. Al-Baihaqi)

Maka taqwa ertinya menghindar. Orang bertaqwa adalah orang yang menghindar. Yang dimaksudkan oleh ayat ini mencakupi tiga tingkat penghindaran. Pertama, menghindar daripada kekufuran dengan jalan beriman kepada Allah ﷻ. Kedua, berupaya melaksanakan perintah Allah ﷻ sepanjang kemampuan yang dimiliki dan menjauhi larangan-Nya. Ketiga, dan yang tertinggi, adalah menghindar daripada segala aktiviti yang menjauhkan fikiran daripada Allah ﷻ.

Ramai yang hanya menterjemahkan taqwa kepada ‘takut’ sahaja. Akan tetapi ini tidak tepat. Sebab takut hanyalah sebahagian kecil daripada taqwa. Dalam taqwa terkandung cinta, kasih, harap, cemas, tawakal, redha, sabar dan lain-lain sebagainya. Taqwa adalah pelaksanaan daripada iman dan amal soleh. Meskipun di satu-satu waktu ada juga diertikan dengan takut, tetapi terjadi yang demikian ialah pada susunan ayat yang cenderung kepada erti yang terbatas itu saja. Padahal erti taqwa lebih luas dan merangkumi banyak hal. Bahkan dalam taqwa terdapat juga berani! Memelihara hubungan dengan Tuhan, bukan sahaja kerana takut, tetapi lebih lagi kerana ada kesedaran diri, sebagai hamba.

Orang yang ada taqwa sanggup meninggalkan perkara yang merugikan akhiratnya kerana mereka yakin akan mendapat balasan baik di akhirat kelak. Ini seperti disebut di dalam sebuah hadith berikut:

عَنْ أَبِي قَتَادَةَ وَأَبِي الدَّهْمَاءِ قَالَا كَانَا يُكْثِرَانِ السَّفَرَ نَحْوَ هَذَا الْبَيْتِ قَالَا أَتَيْنَا عَلَى رَجُلٍ مِنْ أَهْلِ الْبَادِيَةِ فَقَالَ الْبَدَوِيُّ أَخَذَ بِيَدِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَجَعَلَ يُعَلِّمُنِي مِمَّا عَلَّمَهُ اللَّهُ تَبَارَكَ وَتَعَالَى وَقَالَ إِنَّكَ لَنْ تَدَعَ شَيْئًا اتِّقَاءَ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ إِلَّا أَعْطَاكَ اللَّهُ خَيْرًا مِنْهُ
Daripada Abu Qatadah dan Abu al-Dahma, mereka berdua sering bermusafir menuju ke rumah ini (Baitullah – Mekah). Mereka berdua berkata: Kami mendatangi seorang lelaki dalam kalangan Arab Badwi, lalu berkata orang Badwi itu: Rasulullah ﷺ memegang tangan aku lalu mengajar aku sesuatu yang Allah ajarkan kepada baginda, iaitu: Sesungguhnya, tidak sekali-kali kamu meninggalkan sesuatu (yang dilarang)
kerana (perasaan) taqwa kepada Allah melainkan Allah akan memberi kepada kamu sesuatu yang lebih baik berbandingnya.
(Musnad Ahmad, No. 19813/20739 dengan sanad yang dinilai sahih oleh Syu’aib alArna’uth dan rakan-rakan)

Mungkin timbul satu persoalan, “Kenapa nak beri hidayat lagi kepada orang yang sudah bertaqwa? Patutnya kena diberikan kepada yang jahil lah, bukan?” Adakah Al-Qur’an ini layak untuk orang-orang hebat sahaja (seperti sangkaan sesetengah orang)? Sampaikan ramai tidak belajar tafsir Al-Qur’an kerana mereka diajar oleh ustaz-ustaz yang jahil bahawa Al-Qur’an ini tinggi sangat, orang biasa tidak mampu faham.

Maka ulama’ kata lafaz مُتَّقينَ dalam ayat ini bukanlah bermaksud orang yang sudah sempurna taqwa mereka, tetapi orang yang ‘hendak menjadi orang yang bertaqwa’. Kalau seseorang itu ada keinginan untuk menjadi orang bertaqwa, Allah ﷻ akan buka hatinya untuk mencapai kedudukan itu. Kerana itu ada yang kata مُتَّقينَ di sini bermaksud المنيبين iaitu orang-orang yang ada inabah iaitu orang yang sudah ada kecenderungan kepada kebenaran. Mereka ini yang senang menerima kebenaran seperti disebut di dalam Shura: 13

شَرَعَ لَكُم مِّنَ الدّينِ ما وَصّىٰ بِهِ نوحًا وَالَّذي أَوحَينا إِلَيكَ وَما وَصَّينا بِهِ إِبرٰهيمَ وَموسىٰ وَعيسىٰ ۖ أَن أَقيمُوا الدّينَ وَلا تَتَفَرَّقوا فيهِ ۚ كَبُرَ عَلَى المُشرِكينَ ما تَدعوهُم إِلَيهِ ۚ اللهُ يَجتَبي إِلَيهِ مَن يَشاءُ وَيَهدي إِلَيهِ مَن يُنيبُ
Allah telah menerangkan kepada kamu – di antara perkara-perkara ugama yang Dia tetapkan hukumnya – apa yang telah diperintahkan-Nya kepada Nabi Nuh, dan yang telah Kami (Allah) wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), dan juga yang telah Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Musa serta Nabi Isa, iaitu: “Tegakkanlah pendirian ugama, dan janganlah kamu berpecah belah atau berselisihan pada dasarnya”. Berat bagi orang-orang musyrik (untuk menerima ugama tauhid) yang engkau seru mereka kepadanya. Allah memilih serta melorongkan sesiapa yang dikehendaki-Nya untuk menerima ugama tauhid itu, dan memberi hidayah petunjuk kepada ugama-Nya itu sesiapa yang rujuk kembali kepada-Nya (dengan taat).

Apabila dia telah percaya dengan Allah ﷻ, tentulah dia mahu belajar isi kandung Al-Qur’an sebagai petunjuk. Semua orang boleh belajar (malah patut belajar) tafsir Al-Qur’an. Petunjuk yang ada dalam Al-Qur’an ini adalah diberikan kepada orang yang sudah menerima tauhid iaitu selepas dia telah mengucap dua kalimah syahadah. Supaya dia kenal siapakah Tuhan dan supaya dia tidak melakukan syirik seperti agama-agama lain.

Apabila sudah ada petunjuk, maka seseorang itu akan berusaha untuk mendapat petunjuk yang lebih lagi. Begitulah iman dan ilmu kita kena bertambah dan kita kena berusaha untuk meningkatkannya. Ini seperti firman Allah ﷻ di dalam Maryam: 76

وَيَزيدُ اللَّهُ الَّذينَ اهتَدَوا هُدًى
Dan Allah akan menambahi hidayah petunjuk bagi orang-orang yang menurut jalan petunjuk;

Akan tetapi tidak mungkin seseorang dapat menambah hidayah tanpa ada hidayah permulaan itu. Maka jangan takut jikalau kita memandang kedudukan مُتَّقينَ nampak seperti terlalu tinggi kerana kita kenalah bermula dari bawah. Taqwa bukanlah satu tingkat daripada ketaatan kepada Allah ﷻ, tetapi ia adalah penamaan bagi setiap orang yang beriman dan mengamalkan amal soleh. Seorang yang mencapai puncak ketaatan adalah orang bertaqwa, tetapi yang belum mencapai puncaknya pun, bahkan yang belum berhenti sama sekali daripada melakukan dosa, juga dapat dinamakan orang bertaqwa, walaupun tingkat ketaqwaannya belum mencapai puncak. Taqwa adalah nama yang mencakupi semua amal-amal kebajikan. Siapa yang mengerjakan sebahagian daripadanya, maka dia telah menyandang ketaqwaan.

Dalam ayat ini, Allah ﷻ menggunakan perkataan ‘taqwa’. Perkataan ini selalunya diterjemahkan sebagai ‘takut’. Akan tetapi takut bukanlah terjemahan yang tepat kerana kalau kita maksudkan ‘takut’ sahaja, ada perkataan lain yang boleh digunakan: ‘khauf’. Taqwa ini boleh diertikan sebagai seorang yang berhati-hati dalam kehidupannya. Dia akan sentiasa memeriksa sama ada apa yang dia lakukan itu bertepatan dengan agama dan kehendak Allah ﷻ.

Memang amat panjang kalau disenaraikan ciri-ciri orang bertaqwa itu, maka kita hanya mampu untuk ringkaskan sahaja di sini. Untuk sempurna taqwa, ada dua perkara kena ada, dan dua perkara kena tiada.

1. Jangan ada sifat sombong. Kalau ada, taqwa tidak akan masuk. Jangan ada sifat sombong untuk terima kebenaran.
2. Jangan ikut orang lain membuta tuli. Jangan taqlid kepada orang tanpa usul periksa. Kena ada usaha cari kebenaran. Jangan serah sahaja kepada orang.
3. Kena takut kepada balasan daripada Allah ﷻ. Takut ancaman kalau buat salah.
4. Kena jaga diri. Kawal nafsu daripada derhaka kepada suruhan dan larangan Allah ﷻ.

Dalam Surah Al-Fatihah, kita telah diajar untuk meminta hidayah daripada Allah ﷻ. Maka, Allah ﷻ jawab dalam ayat ini bahawa Al-Qur’an inilah sebagai petunjuk dan hidayah bagi mereka. Oleh itu, jikalau kita hendak menjadi orang yang bertaqwa, maka kita hendaklah jadikan Al-Qur’an ini sebagai pedoman hidup kita. Kenalah kita belajar tafsir Al-Qur’an sampai habis. Kerana ada banyak lagi ayat-ayat yang akan memperjelaskan lagi apa yang akan membawa kita ke tingkat taqwa.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 3 Julai 2024

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Ustaz Solah

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Baqarah Ayat 1 (Pengenalan Surah Baqarah)

Pengenalan

Surah Baqarah merupakan surah ke 87 yang diturunkan. Ia merupakan surah terpanjang dalam Al-Qur’an yang mengandungi sebanyak 286 ayat. Ia adalah surah madaniyah dan diturunkan pada tahun 2 Hijrah.

Surah Baqarah mengandungi 4 Perenggan Makro utama serta pecahan tema untuk setiap ayat seperti berikut:

Perenggan Makro Pertama:
Mukadimah (Ayat 1 hingga Ayat 39)
Tiga Golongan Manusia iaitu:
Mukmin (Ayat 3 hingga Ayat 5)
Kafir (Ayat 6 hingga Ayat 7)
Munafik (Ayat 8 hingga Ayat 20

Perenggan Makro Kedua: Kedegilan dan kesombongan kaum yahudi.
Sebab-sebab Bani Israil hilang kuasa kepimpinan dan kemuliaan bangsa Nabi-nabi [Ayat 40 hingga Ayat 141)

Perenggan Makro Ketiga: Amalkan islam secara kaffah.
Manusia hendaklah menerima Islam keseluruhannya. Mengambil syariat Rasul terakhir untuk jadi umat terpilih dan contoh kepada manusia seluruh dunia. Cara berekonomi, politik dan bernegara. (Ayat 142 hingga Ayat 283)

Perenggan Makro Keempat: Penutup.
Janji kejayaan dan keselamatan jika ikut syariat Nabi terakhir. Umat Nabi akan menjadi bangsa yang memimpin dunia. (Ayat 284 hingga Ayat 286)

 

Mesej Utama Surah:
Perubahan kepimpinan akan berlaku bila amanah dikhianati. Tamadun dan kekuasaan akan beralih tangan bila berlaku kezaliman. Begitulah Kaum Bani Israil hilang kemuliaan mereka. Kiblat pun bertukar, bangsa para Nabi pun bertukar daripada kebanyakannya bani Israil kepada bani Ismail. Tempoh pertukaran ini berlangsung kira-kira 2500 tahun.

Surah yang kedua ini dinamakan Surat “al-Baqarah” yang bererti ‘lembu betina’, kerana ada kisah tentang Bani Israil disuruh oleh Nabi Musa  mencari seekor lembu betina untuk disembelih, yang tersebut pada ayat 67 sampai 74. Adapun nama surah-surah Al-Qur’an bukanlah sebagai judul daripada sebuah peristiwa atau nama daripada sebuah buku yang menerangkan suatu hal yang khas. Ia hanyalah sebagai tanda belaka daripada surah yang dinamakan itu, dan bukanlah juga kerana nama itu lebih penting daripada perkara lain yang dihuraikan di dalamnya, kerana semuanya penting. Yang menentukan nama-nama ini adalah Rasulullah ﷺ sendiri dengan petunjuk Jibril .

Bagi meresapkan perasaan membaca Surat al-Baqarah ini hendaklah kita ingat bahawa sebahagian besar daripada ayatnya diturunkan pada mula-mula Rasulullah ﷺ pindah (hijrah) ke Madinah. Mula-mula mendirikan masyarakat Islam setelah 13 tahun menegakkan akidah di Mekah, dan mendapat tentangan hebat daripada kaum Quraisy. Sekarang telah dapat menegakkan cita dengan bebas, kerana kesediaan kaum Ansar menyambut iman dan menyambut Rasul. Maka mulai dari hari pertama baginda datang ke Madinah, nama negeri itu ditukar daripada nama lama, Yatsrib atau Thibah menjadi Madinah atau lebih tepat lagi Madinatur-Rosul, Kota Utusan Tuhan.

Meskipun telah terlepas daripada tentangan kaum musyrikin Quraisy di Mekah, dan telah dapat menyusun kekuatan Islam dan melancarkan hukumnya, baginda terpaksa berhadapan mula dengan kaum yahudi di Madinah, yang telah duduk di negeri itu sejak beratus tahun lamanya, setelah terjadi berkali-kali pengusiran raja-raja Romawi ke atas mereka dari Palestina. Mereka merasa bahawa kelas mereka lebih tinggi daripada penduduk Arab asli yang tinggal di negeri itu, yang umumnya daripada persukuan Aus dan Khazraj, disebabkan mereka memeluk agama Tauhid, mempunyai Kitab Taurat dan kedatangan ramai Nabi di zaman dahulu. Kepada orang-orang Arab penduduk asli itu kerap mereka banggakan tentang kepercayaan mereka, dan di masa itu sudah mulai ada perasaan bagi mereka bahawa mereka adalah umat pilihan Tuhan. Pernah juga mereka menyebut kepada orang Arab itu bahawa Kitab Taurat mereka ada menyebut bahawa akan datang lagi seorang Rasul yang akan menyempurnakan hukum Taurat.

Oleh itu surah Al-Baqarah adalah surah yang terpanjang dan ia banyak menceritakan tentang sifat-sifat Yahudi. Kita pun kenalah tahu apakah masalah mereka supaya apa yang terjadi kepada mereka boleh menjadi pengajaran kepada kita. Kita kena faham yang Allah ‎ﷻ bukan marah ‘bangsa Yahudi’, tetapi ‘sifat Yahudi’ kerana ada sahaja yang baik dalam kalangan mereka dan isteri Nabi pun ada yang daripada bangsa Yahudi. Yang tidak boleh diikuti adalah perangai mereka. Orang Melayu pun boleh jadi ada perangai seperti mereka itu. Takut kita pun ada perangai sepertimana yang dikutuk dalam Al-Qur’an ini.

Dengan perancangan yang baik sekali, sebaik sahaja Rasulullah ﷺ berpindah ke Madinah, Rasulullah ﷺ telah membuat berbagai perjanjian dengan kaum Yahudi itu, agar bertetangga dengan baik, akan sama mempertahankan Madinah jika diserang dari luar; dan mereka disebut Ahlul-Kitab, tidak disamakan pandangan kepada mereka dengan pandangan kepada kaum musyrikin, melainkan diperlakukan dengan hormat. Akan tetapi kian lama kian nyata bahawa perjanjian-perjanjian bertetangga baik itu tidaklah mereka junjung tinggi. Mereka semakin lama semakin menunjukkan sikap angkuh, merasa diri lebih, menentang, menguji Nabi ﷺ malah menghina Islam.

Maka kita dapatilah dalam Surat al-Baqarah ini ayat-ayat yang telah mula menghadapi mereka, yang dalam bahasa sekarang disebut konfrontasi. Namun dasar daripada tentangan itu ialah menyedarkan mereka pokok ajaran Tauhid dan mengingatkan pertolongan-pertolongan yang telah diberikan Ilahi kepada mereka. Juga memperingatkan pula bahawa ajaran yang dibawa Muhammad ﷺ ini bukanlah memusuhi Yahudi, tetapi sambungan daripada usaha Rasul-rasul yang terdahulu, dan bahwasanya baik Yahudi atau Nasrani, atau ajaran yang dibawa Nabi Muhammad ﷺ sekarang, hanya satu sahaja rumpun asalnya, iaitu agama “Menyerah diri kepada Allah ﷻ”, yang telah dimulakan oleh nenek-moyang mereka Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُlah yang melahirkan keturunan Ishaq dan Ya’qub yang menurunkan Bani Israil. Manakala Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula yang melahirkan Nabi Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ lalu menurunkan Nabi Muhammad ﷺ dan Arab Musta’ribah. Kedatangan Nabi Muhammad ﷺ ialah mengajak semua supaya kembali kepada agama “Menyerah diri kepada Tuhan” ajaran Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu, yang dalam bahasa Arabnya disebut ISLAM.

Mungkin ada yang berpendapat, setelah Rasulullah ﷺ selamat membina negara di Madinah, mempunyai kerajaan dan sahabat yang membantu baginda, maka baginda sudah senang. Akan tetapi ini tidak benar. Kalau di Mekah, baginda menghadapi satu puak sahaja, iaitu Musyrikin Mekah. Namun di Madinah, baginda menghadapi lebih lagi tentangan.

Di samping soal menghadapi Yahudi ini timbul lagi soal lain, iaitu Arab penduduk Madinah sendiri yang merasa diri mereka ‘dilangkahi’ disebabkan kedatangan Rasulullah ﷺ ke Madinah. Selama ini pimpinan dipegang oleh mereka, tetapi sejak Rasulullah ﷺ datang, mereka merasa tersingkir. Akan dihadapi secara kasar, ternyata mereka telah kalah kerana ramai telah menerima Rasulullah ﷺ. Golongan inilah yang menjadi kaum munafik yang diketuai oleh Abdullah bin Ubai. Kaum munafik ini pun menjadi “penyakit” dalam tubuh masyarakat Islam. Di hadapan, mereka mengakui beriman, sebaliknya di belakang mereka mencemuh, dan berusaha dalam segala kesempatan untuk menghambat terbentuknya kekuatan Islam. Kalau perlu dan ada keuntungan, mereka pun sudi berkawan dengan kaum Yahudi itu. Malah kalau ada serangan daripada pihak Quraisy, mereka dengan sembunyi-sembunyi menyatakan persetujuan.

Maka agak tidak tepat untuk mengatakan yang baginda dan umat Islam terselamat terus daripada Musyrikin Mekah. Adapun orang Quraisy di Mekah sendiri, dengan berpindahnya Rasulullah ﷺ ke Madinah adalah sangat mencemaskan mereka. Sebab sudah terang bahawa Nabi Muhammad ﷺ di Madinah akan kuat dan teguh. Mereka pun lalu menyusun terus kekuatan untuk membunuh Islam yang mula tumbuh di Madinah itu. Sementara kabilah-kabilah Arab di luar Mekah dan Madinah, pula yang masih menganggap kaum Quraisy pimpinan mereka, maka mereka pun turut menentang Muhammad ﷺ dan membantu puak Quraisy itu.

Itulah tiga musuh yang dihadapi di Madinah pada masa itu. Tentu saja di antara ketiga puak-puak itu, puak Yahudilah yang lebih meminta perhatian, lebih daripada yang lain. Dalam kepercayaan Islam, mereka itu berpokok dalam satu ajaran Tuhan. Namun keagamaan mereka sudah membeku, sudah jumud, kerana diselubungi oleh adat dan pengaruh, dan sudah ternyata pula bahawa Kitab Taurat yang suci itu sudah banyak berubah, baik diubah dengan sengaja ataupun kerana telah hilang naskahnya yang asli. Memang sudah terlalu lama Taurat yang asli itu tidak ada lagi. Maka mereka ini diseru untuk diinsafkan dan kalau mereka menentang, dijawab tentangan itu dengan setimpal. Allah ‎ﷻ mendedahkan kecurangan dan ketidakjujuran Yahudi dalam Surah al-Baqarah ini lalu mengajak mereka kepada jalan yang benar. Begitu juga terdapat pula membuka kecurangan kaum munafik.

Sementara menghadapi yang di luar, dalam masa yang sama pembangunan agama dari dalam pun mestilah berjalan dengan lancar. Di Surat al-Baqarah bertemulah ayat-ayat berkenaan dengan rumahtangga, perkahwinan dan perceraian. Bertemu peraturan mengerjakan Haji, mengerjakan puasa dan mengeluarkan zakat dan mencela keras memakan riba. Membentuk budi pekerti dengan memperbanyak derma dan sedekah.

Satu peraturan yang terpenting di dalam Surat al-Baqarah ialah mengalihkan arah Kiblat dari Baitul-Maqdis ke Mekah; dengan ini Islam mendapat peribadinya. Peraturan ini didahului dengan kisah Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan puteranya Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, diperintahkan Tuhan mendirikan Baitullah. Dengan peralihan Kiblat orang dapat memahami bahawa Nabi Muhammad ﷺ bukan membawa peraturan baru asal yang ganjil, tetapi menghidupkan kembali Sunnah Nabi lbrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Dalam Surat al-Baqarah ini juga sudah mula diadakan perintah Jihad, kebolehan berperang di dalam mempertahankan akidah.

 

Hubungan dengan Surah Fatihah

Ada hubungan yang berkait rapat (robtus suwar) antara Surah Al-Fatihah dan Surah Al-Baqarah. Susunan Surah Baqarah itu terletak selepas Surah Fatihah dan susunan ini adalah tawqifi – maknanya susunan itu daripada Allah ﷻ dan bukan Nabi ﷺ susun sendiri. Bukan Nabi ﷺ buat sendiri tetapi dipandu oleh Allah ﷻ dan tentunya ada hikmah kenapa ia disusun sebegitu. Kalau diikutkan susunan dari masa diturunkan, tentulah bukan Surah Al-Baqarah yang mula sekali diturunkan kerana ia diturunkan di Madinah. Oleh kerana itu, ulama’ telah ramai yang mengkaji kaitan antara Surah Al-Fatihah dan Surah Al-Baqarah.

Antara yang memberi pendapat adalah seorang ulama’ yang bernama Al-Razi. Beliau mengaitkan antara ayat terakhir Surah Al-Fatihah dan awal Surah Al-Baqarah. Ayat Surah Al-Fatihah berakhir dengan صِراطَ الَّذينَ أَنعَمتَ عَلَيهِم غَيرِ المَغضوبِ عَلَيهِم وَلَا الضّالّينَ. Maka Allah ﷻ hendak menjelaskan tentang empat golongan itu.

Manakala di awal Surah Al-Baqarah memang menerangkan beberapa golongan yang dimaksudkan dalam Surah Al-Fatihah itu. 5 ayat pertama tentang mereka yang diberi nikmat. Mereka diberi nikmat itu kerana sifat mereka, bukannya kerana keturunan mereka dan sebagainya. Oleh itu, kalau kita mahu mendapatkan apa yang seperti mereka dapat, maka hendaklah mempunyai sifat seperti mereka.

Ayat 6 dan 7 adalah tentang golongan yang dimurkai, iaitu golongan Musyrikin dan Yahudi. Allah ﷻ kunci hati mereka kerana kedegilan mereka. Maka jangan kita degil seperti mereka.

Ayat 8 – 16 tentang golongan munafikin.

Ayat 17 dan 18 adalah bandingan antara Yahudi dan musyrikin. Supaya kita senang tahu siapakah Yahudi dan siapakah musyrikin.

Ayat 19 – 20 pula adalah bandingan kepada golongan munafikin.

Kesimpulannya, 20 ayat pertama dalam Surah Al-Baqarah ini adalah untuk menjelaskan siapakah golongan yang empat itu.

Satu lagi kaitan Surah Al-Baqarah dengan Surah Al-Fatihah adalah kita telah meminta hidayah dalam Surah Al-Fatihah – اهدِنَا الصِّراطَ المُستَقيمَ. Maka Allah ﷻ jawab yang hidayah itu ada dalam Al-Qur’an dalam ayat ذٰلِكَ الكِتابُ لا رَيبَ ۛ فيهِ ۛ هُدًى لِلمُتَّقينَ. Kita mahukan jalan yang lurus yang menepati kehendak Tuhan. Hendak tahu, kena belajar tafsir Al-Qur’an.

Kaitan yang ketiga adalah persamaan dalam Dakwa kedua-dua surah. Dakwa Surah Al-Fatihah adalah tauhid fi ibadah dan tauhid fi dua’. Dalam hadith telah disebut yang doa itu adalah otak kepada ibadah. Doa itu adalah ibadah sebenarnya. Maka seorang hamba hendaklah sentiasa, setiap waktu meminta pertolongan kepada Allah ﷻ. Di manakah Dakwa Surah Al-Baqarah? Ayat 21:

يا أَيُّهَا النّاسُ اعبُدوا رَبَّكُمُ الَّذي خَلَقَكُم وَالَّذينَ مِن قَبلِكُم لَعَلَّكُم تَتَّقونَ
Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertaqwa.

Inilah maksud terpenting yang Allah ﷻ hendak beritahu kepada semua pembaca Al-Qur’an iaitu untuk sembahlah Allah ﷻ. Bukan sembah dalam maksud biasa, tetapi dalam bentuk tauhid.

Iaitu sebenarnya, ia menyentuh tentang mentauhidkan Allah ﷻ. Ibn Abbas  pernah berkata yang setiap lafaz ‘ibadat’ dalam Al-Qur’an bukan bermaksud sembarangan. Sebab lafaz ‘ibadat’ boleh jadi bermacam-macam. Sebagai contoh, Musyrikin Mekah pun buat ibadat juga tetapi Allah ﷻ kata mereka itu Musyrikin. Ini kerana mereka buat ibadat tetapi dalam pada itu mereka membuat syirik juga.

Oleh itu, kata Ibn Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا, setiap lafaz ibadat dalam Al-Qur’an bermaksud ‘Tauhid dalam ibadat’. Bukan ibadat yang bercampur antara ibadat kepada Allah ﷻ dan kepada selain Allah ﷻ. Macam masyarakat kita, mereka solat juga tetapi masih jumpa bomoh dan seru selain Allah ﷻ.

Secara ringkasnya, ada tiga kaitan antara Surah Fatihah dan Baqarah:

1. Al-Baqarah menjelaskan 4 golongan yang disebut dalam ayat صِراطَ الَّذينَ أَنعَمتَ عَلَيهِم غَيرِ المَغضوبِ عَلَيهِم وَلَا الضّالّينَ

2. Al-Baqarah menjelaskan bagaimana hendak mendapatkan jalan yang lurus seperti yang kita minta dalam ayat اهدِنَا الصِّراطَ المُستَقيمَ

3. Dakwa Surah yang sama dalam Al-Fatihah dan Al-Baqarah.

 

Kelebihan Surah ini:

Hadith mengatakan bahawa jikalau Surah Al-Baqarah dibacakan di dalam rumah, jin syaitan akan keluar dari rumah itu. Ia adalah hadith riwayat daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa Nabi ﷺ bersabda:

لَا تَجْعَلُوا بُيُوتَكُمْ مَقَابِرَ، إِنَّ الشَّيْطَانَ يَنْفِرُ مِنَ الْبَيْتِ الَّذِي تُقْرَأُ فِيهِ سُورَةُ الْبَقَرَةِ
“Janganlah menjadikan rumah kamu seperti perkuburan, sesungguhnya syaitan lari dari rumah yang dibaca padanya surah al-Baqarah”.
(Riwayat Muslim (780))

Pengajaran kepada kita adalah untuk memperbanyakkan baca Surah Baqarah di dalam rumah. Inilah cara ‘memagar’ rumah yang sahih. Jangan panggil bomoh pagar rumah dengan amalan-amalan karut pula sedangkan Nabi ﷺ sendiri sudah ajar cara memagar rumah kepada kita.

Daripada Abu Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ bahawa Nabi ﷺ bersabda:
مَنْ قَرَأَ بِالْآيَتَيْنِ مِنْ آخِرِ سُورَةِ البَقَرَةِ فِي لَيْلَةٍ كَفَتَاهُ
“Barangsiapa yang membaca dua ayat terakhir daripada surah al-Baqarah pada waktu malam telah cukup baginya dengan keduanya.”
(Riwayat al-Bukhari (5009))

Syarah: Antara makna ‘telah cukup baginya’ di dalam hadith di atas sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani رَحِمَهُ اللَّهُ di dalam kitabnya ketika mensyarahkan hadith ini terbahagi kepada beberapa makna:

• Telah cukup baginya qiyamullail (bangun di tengah malam untuk beribadah)
• Telah cukup baginya untuk membaca Al-Qur’an sama ada di dalam atau di luar solat.
• Telah cukup baginya perkara-perkara yang melibatkan aqidah kerana ayat tersebut menceritakan tentang keimanan dan amalan secara umum.
• Telah cukup baginya (terselamat) daripada segala keburukan.
• Telah cukup baginya (terselamat) daripada keburukan syaitan
• Telah menolak keduanya (ayat tersebut) daripada keburukan manusia dan jin.
• Telah cukup baginya untuk mendapatkan kebaikan daripada keduanya.

Melihat kepada makna-makna di atas, Imam Ibn Hajar رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan boleh jadi yang dimaksudkan oleh hadith adalah semua yang telah disebutkan.

Surah Baqarah juga boleh memberi syafaat kepada ahlinya sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Umamah Al-Bahili bahawa Nabi ﷺ bersabda :

اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِى يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لأَصْحَابِهِ اقْرَءُوا الزَّهْرَاوَيْنِ الْبَقَرَةَ وَسُورَةَ آلِ عِمْرَانَ فَإِنَّهُمَا تَأْتِيَانِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَأَنَّهُمَا غَمَامَتَانِ أَوْ كَأَنَّهُمَا غَيَايَتَانِ أَوْ كَأَنَّهُمَا فِرْقَانِ مِنْ طَيْرٍ صَوَافَّ تُحَاجَّانِ عَنْ أَصْحَابِهِمَا اقْرَءُوا سُورَةَ الْبَقَرَةِ فَإِنَّ أَخْذَهَا بَرَكَةٌ وَتَرْكَهَا حَسْرَةٌ وَلاَ تَسْتَطِيعُهَا الْبَطَلَةُ
“Bacalah Al-Quran. Sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepada pembacanya. Bacalah Al-Zahrawan iaitu Al-Baqarah dan Ali Imran kerana keduanya nanti datang pada hari kiamat seakan-akan awan atau cahaya matahari ataupun seperti burung yang berbulu yang terbang mengelilingi pembacanya. Bacalah surah Al-Baqarah kerana sesungguhnya membacanya ada berkat dan meninggalkannya adalah penyesalan. Tukang sihir tidak akan mampu menandinginya.”
(Riwayat Muslim (1910))

Selain daripada memberi syafaat, kita boleh nampak di dalam hadith ini yang tukang sihir tidak dapat mengalahkan orang yang mengamalkan surah Baqarah. Daripada hadith ini juga surah ini dinamakan juga dengan الزهراء yang bermaksud ‘terang benderang’, kerana kandungan surah ini menerangi jalan dengan terang benderang menuju kebahagiaan dunia dan akhirat, serta menjadi penyebab bersinar terangnya wajah siapa yang yang mengikuti petunjuk-petunjuk surah ini kelak di kemudian hari.

Daripada Nawwas Ibn Sam’an رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:
يَأْتِي الْقُرْآنُ وَأَهْلُهُ الَّذِينَ يَعْمَلُونَ بِهِ فِي الدُّنْيَا، تَقْدُمُهُ سُورَةُ الْبَقَرَةِ وَآلُ عِمْرَانَ.
“Akan datang al-Qur’an bersama para ‘ahlinya’ yang mengamalkannya di dunia, dikepalai (didahului) oleh surah al-Baqarah dan surah Ali ‘Imran.”
(Riwayat Muslim (1338) dan al-Tirmidzi (2808))

Para sahabat memuliakan sesiapa yang menghafal al-Baqarah dan Ali Imran. Anas bin Malik رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata:

الرجلُ إذا قرَأَ البَقرة وآل عمران، جَدَّ فينا- يعني: عظُم- وفي رواية: يُعَدُّ فينا عَظيمًا، وفي أخرى: عُدَّ فينا ذا شأنٍ
“Seseorang yang menghafaz surah al-Baqarah dan Ali Imran, seorang yang agung di sisi kami – dalam sebahagian riwayat lain: “Kami mengira dia seorang yang agung – dalam riwayat lain: “Kami mengiranya seorang yang memiliki kedudukan.” (Ahmad dan Ibn Hibban. Ibn Taimiyyah menilai sanad riwayat ini sebagai Sahih di dalam al-Sarim al-Maslul. Ibn Kathir pula di dalam al-Bidayah wa al-Nihayah menyatakan: “Riwayat ini berdasarkan syarat dua orang syeikh (al-Bukhari dan Muslim).” Al-Albani juga menilai riwayat ini sebagai Sahih di dalam Sahih al-Mawarid.)

Riwayat Imam Tirmidzi رَحِمَهُ اللَّهُ yang berbunyi,

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏ “‏ لِكُلِّ شَيْءٍ سَنَامٌ وَإِنَّ سَنَامَ الْقُرْآنِ سُورَةُ الْبَقَرَةِ وَفِيهَا آيَةٌ هِيَ سَيِّدَةُ آىِ الْقُرْآنِ هِيَ آيَةُ الْكُرْسِيِّ ‏”
“Rasulullah ﷺ mengatakan segala sesuatu di dunia memiliki puncak. Dalam Al-Qur’an puncaknya adalah surat Al-Baqarah. Di dalam Al Baqarah ada ayat yang merupakan tuan daripada ayat yang lain iaitu Ayat Kursi.”
(HR. Tirmidzi no. 2878, al-Humaidi dalam Musnadnya no. 994, daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ)
Gharib menurut Imam Tirmidzi رَحِمَهُ اللَّهُ
Dhaif menurut Syeikh al-Albani رَحِمَهُ اللَّهُ dalam Dhaif Tirmidzi kerana dalam sanadnya terdapat perawi yang didhaifkan para nuqqad seperti Imam Ahmad, Ibnu Main, Abu Hatim, Ibnu Hajar dll, iaitu Hakim bin Jubair (Tuhfat al-Ahwadzi no. 7/298))

Oleh kerana itulah salah satu nama surah ini adalah السنام yang bermaksud puncak. Ini kerana tiada lagi puncak petunjuk setelah Kitab suci ini, dan tiada puncak setelah kepercayaan kepada Allah ‎ﷻ Yang Maha Esa dan kepastian hari Kiamat.


 

SIFAT ORANG MUKMIN

Baqarah Ayat 1: Bermula ayat 1 sehingga ayat 39 adalah Mukaddimah surah ini. Mukaddimah pula boleh dipecahkan lagi kepada beberapa bahagian.

الٓمٓ

Aliff, Lam, Miim

Kita tidak tahu makna huruf ini kerana ia adalah perkara ghaib.

Huruf-huruf sebegini dinamakan huruf muqatta’ah. Ia termasuk ayat-ayat Mutashabihaat (samar maknanya dan tidak jelas), bukan Muhkam. Dari segi bahasa bermaksud: huruf yang dipotong-potong atau terputus kerana huruf yang ada disebut satu persatu seperti dipotong-potong. Kita tidak tahu apakah maksudnya. Ia tidak diketahui kerana tidak diajar oleh Nabi ﷺ dan para sahabat pun tidak bertanyakan maksudnya. Rasulullah ﷺ pula tidak beritahu (kalau baginda tahu) kerana ia tidak perlu untuk diketahui kerana kalau ia perlu diketahui oleh umat Islam, pasti baginda sudah menyampaikannya.

Bukanlah ia tidak ada makna kerana Allah ﷻ tidak melakukan perkara yang sia-sia. Cuma kita sahaja yang tidak tahu kerana kemampuan akal kita yang terbatas. Akan tetapi ini juga adalah pendapat kerana Nabi Muhammad ﷺ pun tidak pernah beritahu kita: ia ada makna tetapi kita sahaja tidak tahu.

Walaupun kita tidak tahu maksudnya, namun kita masih boleh mengambil manfaat daripadanya. Ayat-ayat muqatta’ah ini mengingatkan kita bahawa kita mula belajar tafsir surah ini dengan tidak tahu apa-apa melainkan apa yang Allah ﷻ dan Nabi-Nya sampaikan kepada kita sahaja. Memang banyak yang cuba mentafsir maksud huruf-huruf muqatta’ah ini, namun ia bukanlah berdasarkan dalil yang sahih.

Pengajaran yang kita boleh ambil adalah: Kalau Tuhan tidak mahu ajar kepada kita, maka kita tidak dapat tahu walau satu benda pun. Maka kita sangat bergantung kepada Allah ﷻ untuk memberikan ilmu pengetahuan kepada kita. Allah ﷻ akan buka kefahaman sesuatu perkara itu kepada mereka yang Dia mahu berikan pengetahuan. Maka ayat ini juga menunjukkan kepada kita bahawa ada banyak lagi perkara yang Tuhan tidak beritahu kepada kita. Ia merendahkan diri kita supaya kita sedar bahawa kita tidak berilmu sebenarnya, melainkan apa yang Allah ﷻ berikan kepada kita sahaja.

Bangsa Arab ketika zaman Nabi ﷺ amat mementingkan bahasa. Bahasa Arab terbukti memang hebat (sebab itulah Al-Qur’an diturunkan dalam Bahasa Arab). Mereka banyak mengadakan pertandingan sajak dan syair kerana ia adalah kebanggaan bagi mereka. Sampaikan kalau ada sajak atau syair yang memenangi pertandingan akan digantungkan di Kaabah. Maka, apabila ada ayat-ayat yang dimulai dengan huruf-huruf muqatta’ah ini, ia amat menarik perhatian orang Arab.

Mereka tidak biasa dengan penggunaan bahasa Arab sebegini kerana kebiasaannya, kalau dieja huruf alif, lam dan mim, tentulah dibaca oleh mereka sebagai ‘alam’. Namun tidak pula dalam kes Surah Baqarah ini (dan banyak surah-surah lain) ia pelik kerana huruf itu disebut satu persatu. Maka perkara ini membuatkan mereka tertanya-tanya. Ia telah menarik perhatian mereka untuk dengar lebih lagi.

Oleh itu, ada mufassir yang mengatakan bahawa salah satu tujuan huruf-huruf muqatta’ah ini adalah untuk menarik perhatian manusia dan jin untuk mendengarnya. Oleh kerana kebanyakan ayat-ayat selepas huruf muqatta’ah adalah tentang Al-Qur’an, maka mereka berpendapat Allah ﷻ hendak menarik perhatian manusia kepada Al-Qur’an. Maka kita sebagai umat Islam ini sepatutnya tertarik untuk tahu apakah yang Allah ﷻ hendak sampaikan di dalam Al-Qur’an ini.

Maka ada hikmah lain yang diutarakan. Tujuannya adalah untuk menzahirkan kehebatan Al-aQur’an. Iaitu sebagai cabaran dan sindiran kepada golongan Arab Mekah yang kononnya pandai bahasa itu. Allah ﷻ menyebut huruf yang ada di dalam bahasa Arab mereka itu seolah-olah perli: ‘Inilah dia huruf daripada bahasa kamu juga. Kamu kata Muhammad yang reka Al-Qur’an ini, maka nah sekarang pakailah juga huruf-huruf yang sama untuk membuat satu Al-Qur’an lagi kalau kamu hebat sangat!’

Walaupun saya lebih condong kepada pendapat yang mengatakan huruf Muqatta’ah ini ada maknanya (Allah ﷻ sahaja yang tahu) akan tetapi memang ada yang berpendapat ia memang tidak ada makna. Ini kerana dalam mana-mana bahasa pun, kalau hanya dengan huruf sahaja, tidak ada makna, maka begitu jugalah dengan bahasa Arab.

Ringkasnya, ada 4 pendapat tentang Huruf-huruf Muqatta’ah ini:

1. Ada makna dan maknanya alif untuk Allah ﷻ, lam untuk Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan mim untuk Muhammad ﷺ. Akan tetapi pendapat ini tiada dalil dan tidak boleh dipertanggungjawabkan. Maka jangan bersandar kepada sesuatu yang rapuh.

2. Ada makna tetapi hanya Allah ﷻ yang tahu. Ini pun tiada dalil.

3. Tidak ada makna (tetapi ada hikmah – iaitu untuk Allah ﷻ zahirkan kehebatan Al-Qur’an). Antara yang mengatakan tidak ada makna adalah Mujahid, tabein menggunakan tafsir Al-Qur’an.

4. Tawaqquf, tidak menyebelahi mana-mana pendapat tetapi serahkan sahaja kepada Allah ﷻ.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 2 Julai 2024

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah

Tafsir Surah Yaasin Ayat 61 – 63 (Agama yang mesra akal)

Yaasin Ayat 61: Namun bagaimanakah cara kita mengelak daripada ikut syaitan, sedangkan kita tidak nampak syaitan? Jawapannya ada dalam ayat ini.

وَأَنِ اعبُدوني ۚ هٰذا صِرٰطٌ مُّستَقيمٌ

 Sahih International

And that you worship [only] Me; This is the straight path.

Malay

“Dan (Aku perintahkan): hendaklah kamu menyembah-Ku; inilah jalan yang lurus.

 

وَأَنِ اعْبُدُونِي

Sesungguhnya, sembahlah Aku sahaja;

Kita kena sembah, puja, ibadat dan doa hanya kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Akan tetapi bagaimana? Iaitu dengan cara yang Allah ‎ﷻ ajar. Jadi kena belajar tafsir Al-Qur’an untuk kita ketahui bagaimana caranya. Allah ‎ﷻ sebut satu persatu dan selebihnya diajar secara praktikal oleh Rasulullah ﷺ dalam Hadith.

Pemujaan selain kepada Allah ﷻ tidak boleh. Cara-cara penyembahan agama lain pun kita tidak boleh amalkan kerana kita sudah ada cara-cara kita, maka kenalah kita belajar cara-cara kita. Jadi, bahan-bahan pemujaan agama lain, seperti limau, epal dan sebagainya kita tidak boleh makan. Hukumnya lebih haram daripada memakan babi kalau kita makan. Itu cara agama lain, tetapi adakah kita ada buat perkara yang sama? Agama lain memang ada banyak meletak barang sembahan kepada tuhan mereka, tetapi orang kita pun ada juga letak makanan seperit itu, seperti kita letak pulut kuning, ayam golek dan sebagainya di hadapan pelamin. Itu pun dikira bahan pemujaan. Kita pun ada masukkan dalam mulut pengantin sepertimana juga orang kafir letakkan makanan pemujaan ke mulut berhala mereka. Kita renjis pengantin sama sahaja dengan orang Hindu yang merenjis berhala mereka. Kita tabur bunga rampai kepada pengantin sama seperti agama lain juga. Maka, ada banyak kesalahan dalam majlis perkahwinan yang ada persandingan, malah lebih teruk lagi kalau ada majlis renjis-merenjis sebegitu.

Kalau kita pernah buat begitu sebelum ini, maka bertaubatlah kepada Allah ﷻ atas kesalahan kita dulu yang kita tidak tahu salah. Allah ﷻ sanggup untuk mengampunkan segala dosa kita asalkan kita meminta ampun kepada-Nya. Kemudian janganlah dibuat lagi. Jangan pergi ke majlis seperti itu lagi kerana itu adalah majlis yang syirik kepada Allah ﷻ. Kembalilah kepada agama yang benar. Janganlah kerana kita hendak menjaga hati orang, sanggup kita menggadai akidah kita. Jangan juga beri alasan itu adat, hendak bergembira dan meraikan pengantin sahaja. Sepatutnya kita jangan raikan adat yang bertentangan dengan agama, maka tidak perlulah menyertai majlis mereka. Ini supaya mereka tahu bahawa apa yang mereka buat itu salah. Ia bukan senang sebab sudah merebak perbuatan itu dari dulu sampai sekarang. Kita hendaklah beri mesej kepada mereka yang buat perkara syirik seperti itu bahawa kita tidak akan bersekongkol bersama mereka.

Ini memang perkara yang susah kerana jarang sekali orang Melayu tidak bersanding dalam perkahwinan. Ia sudah menjadi perkara yang amat biasa sampaikan kalau kita yang tidak pergi ke majlis persandingan, kita pula yang dianggap pelik. Mulalah orang kata kita tolak masyarakat, memecahbelahkan masyarakat dan sebagainya. Namun kita tetap kena bersabar dan kuatkan semangat untuk menolak majlis-majlis sebegitu kerana Allah ﷻ mahu kita menghambakan diri kepada-Nya sahaja. Seorang hamba itu akan ikut perintah tuannya. Kalau tuan kata jangan buat, jangan pergi, kita tidak buat dan tidak pergi. Begitulah kita dengan Allah ﷻ. Hendaklah kita ikut segala suruhan Allah ﷻ dan meninggalkan larangan-Nya. Itulah yang dinamakan Jalan Yang Lurus.

Perhatikan di dalam ayat ini adalah ayah suruhan. Sebelum ini di dalam ayat 60 adalah ayat larangan. Sebelum Allah ﷻ suruh sembah Dia, Allah ﷻ larang sembah selain-Nya dahulu. Kena henti sembah selain Allah ﷻ, barulah boleh sembah Allah ﷻtanpa sembah selain-Nya. Kena nafi (tolak) dahulu barulah ithbat (tetapkan). Ini seperti ayat Baqarah: 150

فَلا تَخشَوهُم وَاخشَوني
Maka janganlah kamu takut kepada mereka, dan takutlah kamu kepada-Ku (semata-mata)

Perhatikan Allah ﷻ suruh kita hilangkan ketakutan kepada makhluk dahulu, barulah disuruh kita takut kepada-Nya. Ini adalah supaya kita hilangkan perkara yang negatif dahulu. Ini seperti kalimah syahadah: kita disuruh buang dahulu kepercayaan kepada ilah-ilah lain dahulu, barulah mengisbatkan Allah ﷻ sebagai satu-satu-Nya ilah. Perumpamaannya begini: untuk minum menggunakan gelas yang bersih, kita kena buang dahulu air lama di dalam gelas itu. Barulah kita masukkan air yang baru. Kalau kita mencampurkan air baru kepada air lama, maka air itu tentu berkeladak, bukan? Maka kita tidak boleh bercampur takut kepada makhluk dengan takut kepada Allah ﷻ. Sebagaimana kita tidak boleh kata Allah ﷻ itu ilah dan selain Allah ﷻ juga ada ilah. Tidak boleh. Kita kena hilangkan ketakutan kepada selain Allah ﷻ sebagaimana kita kena hilangkan takut kepada selain Allah ﷻ. Maka di dalam ayat Yaasin ini, Allah ﷻ ajar kita sebelum sembah Allah ﷻ, kena tolak kepada selain Allah ﷻ.

Maknanya, kena ada takhalli (تخلّي) dan tahalli (تحلّي). Secara bahasa, takhalli berasal daripada kata “خلى” yang bermaksud mengosongkan, meninggalkan, atau melepaskan. Secara bahasa, tahalli berasal daripada kata “حلّى” yang bermaksud menghiasi, mengisi, atau memakai perhiasan.

 

هَٰذَا صِرٰطٌ مُّسْتَقِيمٌ

Inilah jalan yang lurus;

Di dalam ayat 4, kita telah belajar yang para Rasul itu berada di atas jalan yang lurus.

عَلىٰ صِرٰطٍ مُّستَقيمٍ
Di atas jalan yang lurus.

Mungkin kita rasa bolehlah para Rasul itu hebat, kami macam mana hendak  ikut mereka dengan diri kita yang lemah ini? Maka sekarang Allah ﷻ telah beritahu kita, mudah sahaja untuk berada di atas jalan yang lurus, iaitu sembah Dia sahaja. Maka mudah sahaja sebenarnya dan memang agama ini mudah. Mudah untuk faham dan mudah untuk diamalkan kerana ia selari dengan fitrah kita. Allah ﷻ berfirman di dalam Hajj: 78

وَما جَعَلَ عَلَيكُم فِي الدّينِ مِن حَرَجٍ
dan Dia sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan

Malah dikuatkan lagi di dalam hadith seperti hadith di bawah,

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa Nabi ﷺ bersabda:

“إِنَّ الدِّينَ يُسْرٌ، وَلَنْ يُشَادَّ الدِّينَ أَحَدٌ إِلاَّ غَلَبَهُ، فَسَدِّدُوا وَقَارِبُوا وَأَبْشِرُوا، وَاسْتَعِينُوا بِالْغَدْوَةِ وَالرَّوْحَةِ وَشَىْءٍ مِنَ الدُّلْجَةِ.”
“Sesungguhnya agama itu mudah. Dan tidaklah seseorang itu mempersulitkan agama melainkan dia akan dikalahkan (semakin berat dan sulit baginya). Maka luruskanlah (beramal dengan betul), dekatkanlah (kepada kebenaran), dan berilah khabar gembira. Dan mohonlah pertolongan (kepada Allah) pada waktu pagi, petang, dan sebahagian malam (untuk ibadah).”

(Sahih Bukhari No. 39)

Maka Allah ‎ﷻ suruh kita menghambakan diri kita kepada-Nya dan sekarang Allah ‎ﷻ beritahu, inilah jalan yang lurus. Maknanya, jalan yang lurus adalah dengan menghambakan diri kepada Allah ‎ﷻ dan hanya sembah Allah ‎ﷻ sahaja. Maka inilah tafsir ayat daripada Surah al-Fatihah yang kita baca hari-hari:

اهدِنَا الصِّراطَ المُستَقيمَ
Tunjukilah kami jalan yang lurus,

Setiap kali solat kita mohon kepada Allah ‎ﷻ supaya “Tunjukilah kami jalan yang lurus”. Maka apakah ‘jalan yang lurus’ itu? Jawapannya ada dalam ayat Yaasin ini. Iaitu: Sembah, ibadat, puja, doa *hanya* kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Tidak boleh sembah dan puja kepada yang lain. Sembah sultan pun tidak boleh. Puja keris keramat pun tidak boleh.

Jangan kita sangka sembah berhala sahaja tidak boleh. Sebab ramai yang rasa itu sahaja penyembahan yang salah, mereka sangka mereka tidak buat penyembahan yang salah kerana mereka tidak sembah berhala seperti Hindu itu. Padahal banyak orang kita yang buat juga perkara yang salah kerana mereka tidak tahu. Ini adalah kerana mereka tidak faham lagi kerana tidak belajar ilmu wahyu. Jadi bila kita kata mereka melakukan perkara yang syirik, maka marahlah mereka kerana pada mereka, mereka tidak sembah berhala pun. Ini kerana salah faham bab sembah seperti yang kita telah sebut sebelum ini.

Jangan kita tiru cara pemujaan orang kafir. Kita pun biasa lihat orang Hindu merenjis patung dewa mereka. Kita juga biasa melihat orang Kristian merenjis air ‘holy water’ kepada penganut mereka. Jadi kenapa kita mahu renjis kapal apabila merasmikan kapal? Kenapa kita perlu berjumpa bomoh/ustaz untuk merenjis kereta kita yang baru beli? Kenapa ada renjis apabila orang bersanding? Itu semua adalah perbuatan kufur kepada Allah ‎ﷻ sebenarnya. Kita semua tahu bahawa itu semua adalah cara penyembahan orang kafir, namun kenapa ramai orang kita masih ikut juga lagi cara-cara itu? Hanya kerana dalam majlis itu ada ditambah dengan bacaan ayat-ayat Al-Qur’an dan didatangi oleh ustaz-ustaz juga?

Apabila berdoa, berdoalah terus kepada Allah ‎ﷻ. Jangan gunakan perantaraan untuk bacakan doa untuk pihak kita. Jangan kita jadi seperti sami Hindu dan paderi Kristian yang membacakan doa untuk pengikut mereka. Oleh itu, jangan kita pergi kepada guru atau ustaz untuk mendoakan kepada Allah ‎ﷻ bagi pihak kita. Itu adalah amalan dan perbuatan orang kafir kerana mereka anggap Allah ‎ﷻ tidak mendengar doa mereka kalau mereka berdoa sendiri. Oleh itu, mereka meminta bantuan daripada orang yang mereka sangka ‘rapat’ dengan Allah ‎ﷻ untuk mendoakan untuk mereka. Ketahuilah, itu adalah perbuatan ‘tawasul’ dan tawasul jenis itu adalah perbuatan yang dilarang.

Maksud menghambakan diri kepada Allah ‎ﷻ juga, hendaklah juga kita merendahkan diri kepada-Nya dan bersyukur kepada-Nya kerana apa sahaja yang kita ada, semuanya daripada Allah ‎ﷻ. Kita mesti merendahkan diri kita selagi kita hidup di bumi Allah ‎ﷻ ini.

Kalau kita sudah buat semua perkara yang salah itu semua, apa kita perlu buat? Berhenti buat dan bertaubatlah kepada Allah ‎ﷻ daripada kesalahan yang kita telah buat dahulu. Belajarlah cara-cara berdoa yang betul dan cara taubat yang betul. Tidak susah mana pun. Masalah dengan orang kita adalah, mereka tidak tahu cara berdoa. Sebab itu mereka ‘outsource’ perbuatan doa itu kepada orang lain. Padahal cara berdoa itu senang sahaja.

Allah ‎ﷻ menggunakan perkataan هَٰذَا (inilah) untuk menunjukkan bahawa jalan yang lurus adalah dekat. Ia senang untuk dilalui. Bukannya jauh dan susah. Ia adalah senang kerana ia telah ada dalam fitrah kita. Apabila kita dilahirkan, telah dimasukkan dalam diri kita ‘natural instinct’ untuk beribadat kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Inilah yang dinamakan fitrah. Apabila kita menentang kehendak Allah ‎ﷻlah yang berlawan kepada fitrah itu. Jadi agama ini mudah sahaja, asalkan kita mahu belajar. Islamlah agama yang mudah berbanding dengan agama lain.

Maka pilihlah jalan yang benar kerana ia adalah jalan yang paling mudah. Dari segi syarak, ada lima kriteria untuk sesuatu jalan atau laluan itu boleh dipanggil ‘الصِّراطَ‘. الصِّراطَ adalah jalan yang spesifik kerana ada perkataan lain lagi yang boleh digunakan untuk jalan, seperti طريق dan سبيل. Akan tetapi, perkataan-perkataan itu tidak digunakan, sebaliknya, digunakan perkataan yang khusus – الصِّراطَ. Kriteria-kriteria yang perlu ada untuk sesuatu jalan itu dipanggil الصِّراطَ adalah:

1. Ia mestilah jalan yang lurus. Ada jalan yang bengkang bengkok yang masih lagi boleh digunakan oleh manusia, tetapi ia bukanlah الصِّراطَ kalau ia tidak lurus.

2. Jalan itu membawa mereka yang sampai kepada tujuan yang dikehendaki.

3. Jalan itu adalah jalan yang paling dekat. Memang kalau jalan yang lurus, ia adalah jalan yang paling dekat kerana tidak membelok ke mana-mana.

4. Jalan yang luas sampai boleh dilalui oleh mereka yang hendak melaluinya. Jalan yang selesa untuk dilalui.

5. Jalan itu khusus untuk destinasi yang dimaksudkan. Kalau bukan spesifik jalan yang membawa kepada jalan yang lurus, Allah ﷻ menggunakan طريق atau سبيل sahaja. Memang perkataan سبيل ada digunakan dalam Al-Qur’an seperti yang dalam An’am: 153

وَأَنَّ هَٰذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَن سَبِيلِهِ
Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain daripada Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah,


 

Yaasin Ayat 62: Adakah syaitan berjaya?

وَلَقَد أَضَلَّ مِنكُم جِبِلًّا كَثيرًا ۖ أَفَلَم تَكونوا تَعقِلونَ

 Sahih International

And he had already led astray from among you much of creation, so did you not use reason?

Malay

“Dan sesungguhnya Syaitan itu telah menyesatkan golongan yang ramai di antara kamu; (setelah kamu mengetahui akibat mereka) maka tidakkah sepatutnya kamu berfikir dan insaf?

 

وَلَقَدْ أَضَلَّ مِنْكُمْ جِبِلًّا كَثِيرًا

Sesungguhnya syaitan telah menyesatkan kebanyakan dalam kalangan kamu;

Memang kerja syaitan itu menyesatkan manusia. Nabi ﷺ bersabda dalam sebuah hadith Qudsi: Allah ‎ﷻ berfirman: “Wahai Adam, keluarkanlah 999 daripada setiap seribu manusia dan humbankan ke dalam neraka!” Satu sahaja daripada 1,000 manusia yang akan dimasukkan ke dalam syurga. Berdoalah supaya kita sebahagian daripada yang masuk dalam syurga.

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : يَقُولُ اللَّهُ تَعَالَى : ” يَا آدَمُ ، فَيَقُولُ : لَبَّيْكَ وَسَعْدَيْكَ وَالْخَيْرُ فِي يَدَيْكَ ، فَيَقُولُ : أَخْرِجْ بَعْثَ النَّارِ ، قَالَ : وَمَا بَعْثُ النَّارِ ، قَالَ : مِنْ كُلِّ أَلْفٍ تِسْعَ مِائَةٍ وَتِسْعَةً وَتِسْعِينَ فَعِنْدَهُ يَشِيبُ الصَّغِيرُ وَتَضَعُ كُلُّ ذَاتِ حَمْلٍ حَمْلَهَا وَتَرَى النَّاسَ سُكَارَى وَمَا هُمْ بِسُكَارَى وَلَكِنَّ عَذَابَ اللَّهِ شَدِيدٌ ، قَالُوا : يَا رَسُولَ اللَّهِ وَأَيُّنَا ذَلِكَ الْوَاحِدُ ، قَالَ : ” أَبْشِرُوا فَإِنَّ مِنْكُمْ رَجُلًا وَمِنْ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ أَلْفًا
Abu Sa’id al-Khudri رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ meriwayatkan Nabi ﷺ bersabda: “Allah  تَعَالَى berfirman: Wahai Adam!’ Adam menjawab: Aku menjawab panggilan-Mu, segala kebaikan ada di kedua tangan-Mu. Lalu Allah berfirman: Keluarkanlah rombongan penghuni Neraka. Baginda bertanya: Berapakah jumlah rombongan penghuni Neraka? Allah menjawab: Untuk setiap seribu orang ada sembilan ratus sembilan puluh sembilan. Saat itu rambut anak kecil mendadak beruban, setiap orang yang hamil keguguran kandungannya, dan engkau lihat manusia mabuk padahal mereka tidak mabuk, melainkan azab Allah sangat pedih. Para Sahabat bertanya: Ya Allah, Siapakah di antara kami yang termasuk satu orang itu? Nabi ﷺ menjawab: Bergembiralah, sesungguhnya satu orang daripada kalian dan seribu orang itu daripada Ya’juj dan Ma’juj.
(Sahih Bukhari, Kitab Ahadith al-Anbiya’, Hadith No. 3121)

Perkataan جِبِلًّا diambil daripada kata dasar ‘jabal’ yang bermaksud: gunung. Gunung itu besar dan kuat, bukan? Bermakna, ramai sangat yang tidak beriman sampaikan diibaratkan mereka seperti menggunung. Itu pun sudah banyak, kemudian Allah ‎ﷻ tambah pula kalimah كَثِيرًا yang juga bermaksud ‘banyak’. Jadi ia maksud berganda-ganda lagi kerana kalimah كَثِيرًا menjadi maf’ul mutlaq bagi kalimah جِبِلًّا. Begitulah telah disebut dalam Surah Yaasin juga dalam ayat ke 7 bahawa memang kebanyakan umat manusia akan masuk neraka.

لَقَد حَقَّ القَولُ عَلىٰ أَكثَرِهِم فَهُم لا يُؤمِنونَ
Demi sesungguhnya, telah tetap hukuman seksa atas kebanyakan mereka, kerana mereka tidak mahu beriman.

 

أَفَلَمْ تَكُونُوا تَعْقِلُونَ

Kenapa kamu tidak berfikir?;

Kamu ada otak, bukan? Namun kamu sebenarnya tidak menggunakan otak kamu itu. Kalimah أَفَلَمْ تَكُونُوا itu dalam bentuk istifham (soalan) tetapi bukanlah dalam istifham haqiqi tetapi istifham majazi (kiasan, metafora) sahaja. Jadi ia sebenarnya adalah istifham taqriri sebagai penegasan. Iaitu memang kamu tidak menggunakan otak kamu kalau kamu ikut bisikan syaitan. Ini seumpama seorang profesor tetapi ikut cakap budak tidak habis SPM dalam hal agama.

Jadi kenapa kamu tidak berfikir bahawasanya syaitan itu adalah musuh kamu yang sebenarnya? Jikalau kita buat sesuatu ibadat yang bukan daripada dalil Al-Qur’an atau hadith, itu tandanya ia datang daripada bisikan syaitan. Jangan belajar dengan sesiapa yang memberikan dalil hanya daripada guru-guru yang lain. Atau mereka memberikan dalil daripada kitab-kitab. Sepatutnya dia kena kata amalan ibadah itu diambil daripada hadith Nabi ataupun Al-Qur’an.

Masalahnya, ramai yang tidak menggunakan akal fikiran mereka. Mereka tidak pernah memikirkan sama ada perbuatan yang mereka lakukan itu adalah benar atau salah. Mereka hanya mengikut-ikut sahaja. Mereka hanya bersangka-sangka sahaja. Padahal, kadang-kadang mereka itu adalah orang-orang yang terpelajar, yang bijak-bijak. Kerja sebagai peguam, guru, jurutera dan sebagainya. Pepatah Arab ada sebut: أذكياء لكن أغبياء (pandai, pandai juga tapi bodoh, bodoh juga). Maknanya, mereka memang pandai dalam hal dunia, sebaliknya hal akhirat mereka lalai. Mereka ambil mudah sahaja hal agama dan syurga neraka itu. Kenapa jadi begini?

Pertamanya, kerana hidayah itu milik Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ berikan kepada sesiapa sahaja yang Dia mahu. Keduanya, walaupun mereka orang yang bijak dan terpelajar, namun mereka tidak menggunakan kepandaian mereka dalam hal agama. Dalam hal dunia, mereka kaji sedalam-dalamnya, namun tidak dalam hal agama. Untuk hal dunia, mereka belajar tinggi-tinggi sampai peringkat universiti, malah sampai ke peringkat PHD. Padahal ilmu itu hanya digunakan dalam dunia sahaja. Padahal kita sekejap sahaja tinggal di dunia. Begitulah Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Rum: 7

يَعلَمونَ ظٰهِرًا مِّنَ الحَيَوٰةِ الدُّنيا وَهُم عَنِ الآخِرَةِ هُم غٰفِلونَ
Mereka hanya mengetahui yang lahir (saja) daripada kehidupan dunia; sedang mereka tentang (kehidupan) akhirat adalah lalai.

Dalam hal agama, ramai yang ambil enteng sahaja. Apabila sudah tua, barulah hendak berjinak-jinak dengan surau dan masjid. Waktu itu sudah terlambat kerana mereka tidak ada ilmu agama. Waktu itu pun otak sudah lemah untuk belajar banyak-banyak dan dengan mendalam. Amat malang kalau kita lalai hal agama, sedangkan kita hidup di dunia ini sementara sahaja. Kehidupan di akhiratlah yang kekal abadi. Sepatutnya hal agama inilah yang patut dilebihkan kerana kita akan kekal di akhirat kelak.

Ini adalah satu perkara yang penting: menggunakan akal. Orang jahil tidak dapat masuk ke dalam syurga. Ini adalah kerana mereka itu senang ditipu oleh syaitan akan menjerumuskan mereka ke dalam neraka. Begitulah Allah ‎ﷻ telah berfirman di dalam Mulk: 9-10

كُلَّمَآ أُلۡقِىَ فِيہَا فَوۡجٌ سَأَلَهُمۡ خَزَنَتُہَآ أَلَمۡ يَأۡتِكُمۡ نَذِيرٌ (٨) قَالُواْ بَلَىٰ قَدۡ جَآءَنَا نَذِيرٌ فَكَذَّبۡنَا وَقُلۡنَا مَا نَزَّلَ ٱللَّهُ مِن شَىۡءٍ إِنۡ أَنتُمۡ إِلَّا فِى ضَلَـٰلٍ۬ كَبِيرٍ (٩) وَقَالُواْ لَوۡ كُنَّا نَسۡمَعُ أَوۡ نَعۡقِلُ مَا كُنَّا فِىٓ أَصۡحَـٰبِ ٱلسَّعِيرِ (١٠)
Tiap-tiap kali dicampakkan ke dalamnya sekumpulan besar (daripada orang kafir), bertanyalah penjaga-penjaga Neraka itu kepada mereka: Tidakkah kamu pernah didatangi seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran (di dunia dahulu)? (8) Mereka menjawab: Ada! Sebenarnya telah datang kepada kami seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran, lalu kami dustakan serta kami katakan (kepadanya): Allah tidak menurunkan sesuatu pun, kamu (wahai orang yang mendakwa menjadi Rasul) hanyalah berada dalam kesesatan yang besar! (9) Dan mereka berkata: Kalaulah kami dahulu mendengar dan memikirkan (sebagai orang yang mencari kebenaran), tentulah kami tidak termasuk dalam kalangan ahli Neraka. (10)

Maka agama Islam adalah agama yang mementingkan akal, mementingkan ilmu dan pemikiran. Kita diajar untuk berfikir dan merenung. Agama Islam adalah agama yang mesra akal. Sebab itulah ramai golongan terpelajar masuk ke dalam agama Islam daripada agama asal mereka, kerana mereka nampak agama Islam inilah yang mementingkan intelek dan kerana itulah juga ramai golongan profesional yang memilih jalan Sunnah kerana jalan Sunnah lah yang mementingkan dalil dan hujah yang masuk akal.

Bagaimana kita kena mendidik masyarakat? Bermula daripada kecil lagi! Mungkin sudah terlambat untuk mendidik dan mengubah golongan yang lanjut usia yang sudah terbiasa dengan pemikiran lama dan adat resam masyarakat turun temurun. Mereka itu mungkin sukar sekali untuk berubah. Jadi kepada anak-anak kita lah yang kita kena didik bermula  mereka kecil lagi. Bagaimana? Dengan melayan soalan-soalan mereka. Kanak-kanak memang daripada kecil suka belajar dan suka bertanya. Maka layan soalan mereka itu. Memanglah mencabar kerana soalan-soalan mereka kadangkala sukar dijawab namun anggaplah ini sebagai ujian minda kepada kita. Kerana kalau kita tidak jawab, mereka nanti akhirnya akan menjadi anak-anak yang sudah malas berfikir dan bertanya. Sebab setiap kali mereka bertanya, mak ayah marah; jadi mereka buat keputusan lebih baik aku diam daripada kena marah. Apakah bahayanya? Mereka nanti apabila sudah boleh cari maklumat sendiri, mereka mudah sekali terdedah dengan fahaman-fahaman sesat yang ada di luar sana. Dengan zaman teknologi media massa, ini sangat mudah sahaja terjadi.


 

Yaasin Ayat 63: Inilah hukuman yang akan dikenakan kepada mereka yang ingkar kepada Allah ‎ﷻ.

هٰذِهِ جَهَنَّمُ الَّتي كُنتُم توعَدونَ

 Sahih International

This is the Hellfire which you were promised.

Malay

“Inilah neraka Jahannam, yang kamu selalu diancam memasukinya (kalau kamu tidak taatkan perintah Allah).

 

Iaitu telah dijanjikan akan dimasukkan ke dalam neraka, sekiranya kamu melakukan perbuatan syirik kepada Allah ‎ﷻ; sekiranya kamu banyak dosa kepada Allah ‎ﷻ. Namun kamu sekarang akan masuk ke dalamnya kerana kamu tidak mahu percaya dahulu. Ia seperti tempelak Allah ‎ﷻ kepada orang yang tidak percaya seperti disebut di dalam ayat 48 dahulu, nah, sekarang inilah ia! Dulu tanya sangat, kan?

وَيَقُولُونَ مَتَىٰ هَـٰذَا ٱلۡوَعۡدُ إِن كُنتُمۡ صَـٰدِقِينَ
Dan (apabila mereka diingatkan tentang huru-hara dan balasan akhirat) mereka bertanya (secara mempersenda): Bilakah datangnya (hari akhirat) yang dijanjikan itu? Jika betul kamu orang-orang yang benar (maka kami sedia menunggu).

Mungkin yang bercakap dengan ahli neraka ketika ini adalah para malaikat yang menyambut ahli neraka itu. Perkataan هَٰذِهِ digunakan, menunjukkan betapa dekatnya neraka waktu itu dengan mereka.

Perkataan جَهَنَّمُ adalah nama khas yang diberikan kepada neraka. Asal usul kalimah ini menjadi subjek perbahasan dalam kalangan ahli bahasa Arab dan ulama tafsir, dengan beberapa pandangan utama:

1. Asal daripada Bahasa Arab (Akar Kata J-H-M)

Ramai pakar bahasa Arab berpendapat bahawa “Jahannam” berasal daripada akar kata Arab ج ه م (J-H-M) yang membawa pelbagai makna berkaitan dengan gambaran Neraka:

    • Wajah yang murung/jahat (جَهِمَ – jahima): Ia merujuk kepada tempat yang membuat wajah menjadi masam, kerut, dan hodoh kerana azab yang pedih. Nama Jahannam diberikan kerana ia dianggap membuat setiap wajah, baik lelaki mahupun perempuan, menjadi masam dan membakar daging-daging mereka.
    • Tempat yang sangat gelap: Akar kata ini juga dikaitkan dengan kegelapan. Jahm (جهم) digunakan untuk merujuk kepada bahagian paling gelap dari malam. Ini menunjukkan Jahannam sebagai tempat yang menakutkan dan gelap gelita.
    • Awan yang tidak berair (جَهْمٌ – jahm): Ada juga yang mengaitkannya dengan awan yang tidak membawa hujan atau air, menunjukkan kekeringan dan ketiadaan rahmat.
    • Telaga yang sangat dalam (جَهْنَم – jahnam): Ada pandangan yang mengatakan Jahannam berasal daripada perkataan “jahnam” yang bermaksud telaga yang sangat dalam. Ini sesuai dengan gambaran Neraka sebagai jurang yang tidak berdasar.
    • Jauh (jahim/juhum): Sesetengah berpendapat ia berasal daripada kata yang menunjukkan sesuatu yang jauh dan dalam.

2. Pengaruh daripada Bahasa Asing (Ibrani/Arami – Gehenna)

Ada juga pandangan yang kuat bahawa perkataan “Jahannam” (جَهَنَّم) adalah serapan dari perkataan Ibrani atau Arami “Gehenna” (גֵיא בֶן הִנּוֹם – Gei Ben Hinnom).

    • Asal Gehenna: “Gehenna” secara harfiah bermaksud “Lembah Hinnom” (Valley of Hinnom) yang terletak di luar Yerusalem kuno. Lembah ini mempunyai sejarah yang gelap:
      • Pada zaman dahulu, ia adalah tempat di mana sesetengah orang melakukan persembahan korban manusia (khususnya kanak-kanak) kepada dewa Moloch.
      • Kemudian, lembah ini menjadi tempat pembuangan sampah kota di mana api sentiasa menyala untuk membakar sampah dan bangkai, menjadikannya simbol kekotoran, kehancuran, dan azab.
    • Perkaitan dengan Neraka: Dalam tradisi Yahudi dan Kristian, “Gehenna” kemudiannya menjadi sinonim untuk tempat hukuman dan kehancuran api di akhirat, atau neraka.

Memandangkan Al-Qur’an sering merujuk kepada kisah-kisah dan istilah-istilah yang dikenali oleh Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) pada masa itu, kemungkinan besar “Jahannam” adalah serapan atau adaptasi daripada konsep “Gehenna” ini, yang kemudian diberi makna dan gambaran yang lebih terperinci dalam Al-Qur’an.

Kesimpulan

Walaupun ada perbahasan, kedua-dua pandangan ini tidak saling bertentangan secara mutlak.

    • Pandangan yang mengatakan ia berasal daripada akar kata Arab J-H-M memberikan makna-makna linguistik yang sangat sesuai dengan sifat dan gambaran Neraka (kegelapan, rupa yang buruk, kedalaman).
    • Pandangan yang mengatakan ia serapan daripada Gehenna menunjukkan asal-usul sejarah dan budaya istilah tersebut yang sudah dikenali dalam tradisi agama sebelum Islam, di mana ia juga melambangkan tempat azab.

Apapun asal etimologinya, dalam Al-Quran, Jahannam secara konsisten merujuk kepada Neraka sebagai tempat azab yang pedih dan kekal bagi orang-orang kafir, munafik, dan pendosa yang tidak bertaubat. Ia disebutkan sebanyak 77 kali dalam Al-Quran, menjadikannya salah satu nama Neraka yang paling kerap disebut dan paling umum dikenali.

Jadi kalimah jahannam ini merujuk kepada sesuatu yang buruk. Maka jangan kita gunakan untuk memburukkan sesuatu. Kita selalu guna, bukan? Contohnya: “Jahannam dah budak tu!” Ini sebenarnya bagaikan mengatakan seseorang itu sudah menjadi ahli neraka pula.

Begitulah kalau taat kepada bisikan syaitan, akhirnya akan menyebabkan manusia masuk neraka. Kalau bisikan itu menyebabkan seseorang sampai melakukan syirik, orang yang melakukannya tidak akan keluar dari neraka sampai bila-bila. Ini amat bahaya kerana mengikut Mazhab Hanbali, kalau tidak solat sudah dikira keluar Islam. Mazhab Syafie pula kata, orang yang tidak sembahyang hendaklah dibunuh (selepas diberi nasihat 3 hari). Itu baru tinggal sembahyang, apatah lagi kalau perbuatan itu adalah syirik?

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 18 Jun 2025

Ringkasan Surah Yaasin


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah Pusat Pengajian Ahsanul Ulum Centre

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah