Tafsir Surah al-An’am Ayat 102 – 105 (Jangan taksub)

An’am Ayat 102: Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ memperkenalkan Diri-Nya kepada kita. Allah ‎ﷻ banyak memperkenalkan Diri-Nya dalam Al-Qur’an supaya kita dapat mengenali-Nya. Maka, gunakanlah maklumat tentang-Nya yang telah diberitahu dalam Al-Qur’an. Inilah ilmu Tauhid yang sebenarnya.

ذٰلِكُمُ اللَّهُ رَبُّكُم ۖ لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ ۖ خٰلِقُ كُلِّ شَيءٍ فَاعبُدوهُ ۚ وَهُوَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ وَكيلٌ

Sahih International

That is Allah, your Lord; there is no deity except Him, the Creator of all things, so worship Him. And He is Disposer of all things.

Malay

Yang demikian (sifat-sifatNya dan kekuasaanNya) ialah Allah Tuhan kamu, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, yang menciptakan tiap-tiap sesuatu, maka beribadatlah kamu kepadaNya. Dan (ingatlah) Dia lah yang mentadbirkan segala-galanya.

 

ذَٰلِكُمُ اللَّهُ رَبُّكُمْ

(Yang memiliki sifat-sifat yang) demikian itu ialah Allah Tuhan kamu;

Dalam ayat-ayat sebelum ini, Allah ‎ﷻ telah menerangkan tentang Diri-Nya. Itulah Allah ‎ﷻ dengan sifat-sifat-Nya yang perlu diketahui. Hanya Dia sahaja yang mempunyai kekuasaan seperti itu.

Allah ‎ﷻlah yang memberi segala keperluan hidup kepada kita. Itulah maksud ‘Rabb’. Perkataan ‘Rabb’ bukan sahaja bermaksud ‘Tuhan’, tetapi bermaksud Tuhan yang mencipta, memelihara, menjaga dan tuan kepada seluruh makhluk.

 

لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ

tidak ada Tuhan selain Dia;

Ini adalah penolakan syirik yang dilakukan oleh Musyrikin Mekah dan sesiapa sahaja. Dalam ayat sebelum ini, disebut bagaimana puak musyrik mengatakan Allah ‎ﷻ mempunyai anak. Anak itu pula disembah, dipuja dan diibadati. Maknanya mereka dijadikan sebagai ilah.

Oleh itu, dalam ayat ini, ditegaskan bahawa tidak ada tuhan yang disembah, dipuja dan diibadati melainkan Allah ‎ﷻ. Maknanya tidak ada ilah selain Allah ‎ﷻ. Ini adalah satu penekanan akidah untuk menolak kesyirikan yang dilakukan oleh manusia.

Tidak ada tempat pergantungan dan pengharapan bagi kita melainkan Allah ‎ﷻ semata-mata. Maka hendaklah kita berdoa kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Ibadah doa hanya boleh ditujukan kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Kerana jahil perkara inilah yang menyebabkan ramai yang bertawasul kepada Nabi, wali, malaikat dan juga jin.

 

خٰلِقُ كُلِّ شَيْءٍ

Pencipta segala sesuatu,

Allah ‎ﷻlah sahaja yang boleh mencipta segala sesuatu. Jin dan makhluk lain adalah makhluk sahaja, tidak boleh menjadikan apa-apa. Allah ‎ﷻ sahaja Maha Pencipta, tidak ada yang lain.

 

فَاعْبُدُوهُ

maka sembahlah Dia;

Apabila Tuhan itu hanya Allah ‎ﷻ, maka Allah ‎ﷻ sahaja yang berkuasa penuh mencipta sesuatu, maka sembah dan doa hanya kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Taat kepada Dialah sahaja. Kenapa mahu sembah kepada selain Allah ‎ﷻ? Sedangkan tiada sesiapapun selain  Allah ‎ﷻ yang mampu untuk mencipta apa-apa walaupun seekor nyamuk.

Berhentilah daripada menggunakan tawasul dalam doa kita. Gunakanlah tawasul yang diajar oleh Nabi ﷺ. Oleh itu, berhentilah daripada membuat Salat Hajat berjama’ah kerana itu adalah salah satu cara tawasul yang salah. Gunakanlah sahaja tawasul sepertimana yang telah diajar oleh Nabi ﷺ kita.

Yang sepatutnya kita lakukan adalah salat sunat sendiri sahaja (salat sunat mutlak) kalau kita ada hajat apa-apa. Tidak perlu susah-susah: kalau ada hajat apa-apa, ada keperluan untuk bercakap dengan Allah ‎ﷻ, salat sunat sahaja dua rakaat dan selepas itu berdoa sendiri-sendiri. Itulah cara yang dibuat oleh Nabi ﷺ.

 

وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ وَكِيلٌ

dan Dia adalah Pemelihara segala sesuatu.

Allah ‎ﷻlah yang menjaga seluruh makhluk kerana Allah ‎ﷻ Tuhan sekalian alam termasuklah tuhan kepada orang orang kafir sekalipun.

Kalimah وَكِيلٌ adalah seperti pengurus yang mengurus orang bawahannya. Allah ‎ﷻ sahaja yang mempunyai kuasa dan kebolehan untuk menjaga, sebab itu Dia sahaja layak menjadi pengurus. Allah ‎ﷻ pula adalah وَكِيلٌ kepada seluruh alam dan setiap perkara. Adakah entiti lain yang seperti Allah ‎ﷻ yang mampu buat begitu?

Oleh itu, kenapa mahu sembah kepada yang lain kalau Allah ‎ﷻ sahaja yang menguruskan segalanya? Lihatlah bagaimana kebanyakan manusia telah salah faham dan disesatkan oleh syaitan. Malangnya ada manusia yang sembah pokok kerana mereka kata pokok memberi makanan kepada mereka. Ada yang sembah matahari kerana mereka takut kalau matahari kuat sangat, maka rosak tanaman mereka, jadi mereka sembah matahari kononnya supaya matahari tidak merosakkan tanaman itu.

Ada yang sembah bulan kerana bulan yang menyebabkan air pasang surut dan mereka bergantung kepada air pasang untuk menangkap ikan. Ada yang sembah bintang kerana mereka kata bintanglah yang menyebabkan nasib mereka baik. Tidakkah mereka sedar yang itu semua adalah makhluk yang tidak mempunyai kuasa apa-apa?

Kenapa mahu sembah makhluk, sedangkan Allah ‎ﷻ satu-satunya yang menguruskan semua makhluk? Kalau kita kata makhluk itu ada kuasa untuk melakukan sesuatu, maka itu sudah syirik namanya.


 

An’am Ayat 103:

لّا تُدرِكُهُ الأَبصٰرُ وَهُوَ يُدرِكُ الأَبصٰرَ ۖ وَهُوَ اللَّطيفُ الخَبيرُ

Sahih International

Vision perceives Him not, but He perceives [all] vision; and He is the Subtle, the Acquainted.

Malay

Dia tidak dapat dilihat dan diliputi oleh penglihatan mata, sedang Dia dapat melihat (dan mengetahui hakikat) segala penglihatan (mata), dan Dia lah Yang Maha Halus (melayan hamba-hambaNya dengan belas kasihan), lagi Maha Mendalam pengetahuanNya.

 

لَّا تُدْرِكُهُ الْأَبْصٰرُ

Dia tidak dapat dicapai oleh penglihatan mata,

Allah ‎ﷻ tidak boleh dilihat dengan pandangan mata kita. Nabi Muhammad ﷺ semasa mi’raj pun tidak nampak Allah ‎ﷻ kerana Allah ‎ﷻ dihijab oleh cahaya. Bagaimana mungkin kita boleh melihat Allah ‎ﷻ sedangkan pandangan kita terbatas untuk melihat Allah ﷺ? Mata kita dalam dunia ini amat terhad. Bandingkan mata kita dengan kucing pun sudah lain kerana kucing boleh melihat dalam gelap, tetapi mata kita tidak boleh melihat dalam gelap.

Maka, semua manusia, termasuk Nabi Muhammad ﷺ tidak pernah melihat Allah ‎ﷻ dalam dunia. Begitu juga kita boleh lihat kisah Nabi Musa عليه السلام dalam A’raf: 143 bilamana Nabi Musa عليه السلام meminta untuk melihat Allah ‎ﷻ. Baginda sudah dapat bercakap-cakap dengan Allah ‎ﷻ, maka baginda teringin juga melihat Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ jawab yang baginda tidak mampu untuk melihat-Nya.

Daripada ayat ini, dapatlah kita tahu bahawa di dunia, kita tidak dapat melihat Allah ‎ﷻ. Maka, kalau ada golongan tarekat yang kata, ada manusia yang boleh melihat Allah ‎ﷻ, boleh berjumpa Allah ‎ﷻ semasa hidup di dunia ini, itu adalah pandangan yang sesat. Dan mereka sememangnya golongan yang sesat dan senang ditipu oleh syaitan kerana kejahilan mereka.

وَلَمَّا جَاءَ مُوسَىٰ لِمِيقَاتِنَا وَكَلَّمَهُ رَبُّهُ قَالَ رَبِّ أَرِنِي أَنظُرْ إِلَيْكَ قَالَ لَن تَرَانِي وَلَٰكِنِ انظُرْ إِلَى الْجَبَلِ فَإِنِ اسْتَقَرَّ مَكَانَهُ فَسَوْفَ تَرَانِي فَلَمَّا تَجَلَّىٰ رَبُّهُ لِلْجَبَلِ جَعَلَهُ دَكًّا وَخَرَّ مُوسَىٰ صَعِقًا فَلَمَّا أَفَاقَ قَالَ سُبْحَانَكَ تُبْتُ إِلَيْكَ وَأَنَا أَوَّلُ الْمُؤْمِنِينَ

Dan tatkala Musa datang untuk (munajat dengan Kami) pada waktu yang telah Kami tentukan dan Tuhan telah berfirman (langsung) kepadanya, berkatalah Musa: “Ya Tuhanku, nampakkanlah (diri Engkau) kepadaku agar aku dapat melihat kepada Engkau”. Tuhan berfirman: “Engkau sekali-kali tidak sanggup melihat-Ku, tetapi lihatlah ke bukit itu, maka jika ia tetap di tempatnya (sebagai sediakala) nescaya engkau dapat melihat-Ku”. Tatkala Tuhannya menampakkan diri kepada gunung itu, dijadikannya gunung itu hancur luluh dan Musa pun jatuh pengsan. Maka setelah Musa sedar kembali, dia berkata: “Maha Suci Engkau, aku bertaubat kepada Engkau dan aku orang yang pertama-tama beriman”.

Kalimah تُدْرِكُهُ berasal daripada perkataan د ر ك yang bermaksud ‘mengetahui sesuatu dengan mendalam’; iaitu tahu segala-galanya. Selain itu, ia juga membawa satu lagi maksud: walaupun kita boleh nampak Allah ‎ﷻ di syurga nanti, (kalau kita masuk syurga), kita masih tidak akan dapat mengetahui segala-galanya tentang Allah ‎ﷻ.

Ini bermaksud, Allah ‎ﷻ tidak boleh digarap oleh kita, makhluk-Nya. Kita setakat boleh lihat sahaja nanti. Sama juga seperti kalau kita lihat sesuatu benda, sebagai contoh kita lihat kereta. Memang kita boleh lihat, tetapi kita tidak tahu segala-galanya tentang kereta itu hanya daripada melihatnya sahaja, bukan? Walau bagaimanapun, dapat melihat Allah ‎ﷻ itu pun merupakan suatu nikmat yang amat amat besar. Tidakkah kita mahu melihat Tuhan yang telah mencipta kita?

Oleh itu, kita tidak mungkin akan dapat mengenal Allah ‎ﷻ sepenuhnya. Akal kita tidak akan dapat menggarap-Nya. Maka tidak perlulah kita fikirkan jauh-jauh dan dalam-dalam tentang hakikat Allah ‎ﷻ, kerana memang akal kita tidak akan dapat mencapainya. Maka, buang masa dan gagallah mereka yang mencubanya.

Kenallah Allah ‎ﷻ melalui maklumat yang Allah ‎ﷻ telah sampaikan kepada kita melalui Al-Qur’an dan hadith Nabi, dan jangan lebih daripada itu. Kita tahu, ada dalam kalangan manusia yang tidak henti-henti cuba memikirkan tentang Allah ‎ﷻ. Mereka akan tanya: “apa Allah buat, bagaimana kedudukan Allah sekarang, kenapa Allah suka marah-marah, kenapa Allah buat neraka, kenapa Allah buat begini, begitu dan sebagainya”.

Itu adalah pemikiran yang sia-sia. Soalan sebegitu Allah ‎ﷻ tidak akan jawab. Kalau soalan manusia itu sepatutnya dijawab, Allah ‎ﷻ sudah jawab sejak dahulu lagi. Maka, jangan cari perkara yang tidak perlu dicari. Kalaulah Allah ‎ﷻ menyingkap hijab-Nya kepada makhluk, maka seluruh alam ini akan hancur berkecai.

Walau bagaimanapun ahli syurga nanti boleh melihat Allah ‎ﷻ di syurga dan ahli neraka akan ditutup daripada berjumpa dan memandang Allah ‎ﷻ seperti yang diberitahu kepada kita di dalam ayat Mutaffifin:15:

كَلَّا إِنَّهُمْ عَن رَّبِّهِمْ يَوْمَئِذٍ لَّمَحْجُوبُونَ

Sekali-kali tidak, sesungguhnya mereka pada hari itu benar-benar tertutup daripada melihat Tuhan mereka.

Ini adalah kerana pada waktu itu Allah ‎ﷻ telah menaiktaraf pandangan mata kita. Mata kita bukan seperti mata kita di dunia ini. Rujuk juga ayat Qiyamah:22-23:

وُجُوهٌ يَوْمَئِذٍ نَّاضِرَةٌ

Wajah-wajah (orang-orang mukmin) pada hari itu berseri-seri.

إِلَىٰ رَبِّهَا نَاظِرَةٌ

Kepada Tuhannyalah mereka melihat.

Perbincangan lanjut tentang melihat Allah ‎ﷻ ini boleh dibaca di sini dan di sini

Terdapat banyak hadith yang menyebut bagaimana manusia akan dapat melihat Allah ‎ﷻ. Sebagai contoh, ada hadith dalam Sahih Bukhari yang menyebut tentangnya:

عَنْ جَرِيرٍ، قَالَ كُنَّا عِنْدَ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَنَظَرَ إِلَى الْقَمَرِ لَيْلَةً ـ يَعْنِي الْبَدْرَ ـ فَقَالَ ‏”‏ إِنَّكُمْ سَتَرَوْنَ رَبَّكُمْ كَمَا تَرَوْنَ هَذَا الْقَمَرَ لاَ تُضَامُّونَ فِي رُؤْيَتِهِ، فَإِنِ اسْتَطَعْتُمْ أَنْ لاَ تُغْلَبُوا عَلَى صَلاَةٍ قَبْلَ طُلُوعِ الشَّمْسِ وَقَبْلَ غُرُوبِهَا فَافْعَلُوا ‏”‏‏.‏ ثُمَّ قَرَأَ ‏{‏وَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ قَبْلَ طُلُوعِ الشَّمْسِ وَقَبْلَ الْغُرُوبِ‏}‏‏.‏ قَالَ إِسْمَاعِيلُ افْعَلُوا لاَ تَفُوتَنَّكُمْ‏.‏

Daripada Jarir bin ‘Abdullah berkata, “Pada suatu malam kami pernah bersama Nabi ﷺ, baginda melihat ke arah bulan purnama. Kemudian baginda bersabda: “Sesungguhnya kalian akan melihat Rabb kalian sebagaimana kalian melihat bulan purnama ini. Dan kalian tidak akan mengalami kesulitan dalam melihat-Nya. Maka jika kalian mampu untuk menjaga salat sebelum terbit matahari (salat Subuh) dan sebelum terbenamnya (Salat Asar), maka jagalah.” Baginda kemudian membaca ayat: ‘(Dan bertasbihlah sambil memuji Rabbmu sebelum terbit matahari dan sebelum terbenamnya) ‘ (Qaaf: 39). Isma’il menyebutkan, “Oleh itu jangan sekali-kali dua salat itu terlepas daripadamu. Jagalah keduanya dengan baik.”

Maka, ayat ini menyebut kita tidak boleh melihat Allah ‎ﷻ hanya ketika dalam dunia sahaja. Nanti di akhirat kelak ada harapan untuk melihat Allah ‎ﷻ.

Ayat ini menjawab hujah Musyrikin Mekah yang hendak melihat Allah ‎ﷻ. Mereka konon tidak mahu percaya sehinggalah mereka dapat melihat Allah ‎ﷻ dengan mata kepala mereka sendiri. Itulah juga permintaan kaum Nabi Musa عليه السلام dahulu. Dan kita pun sudah tahu apakah kesudahan mereka selepas mereka meminta untuk melihat Allah ‎ﷻ. Sila rujuk ayat Baqarah:55

وَإِذْ قُلْتُمْ يَا مُوسَىٰ لَن نُّؤْمِنَ لَكَ حَتَّىٰ نَرَى اللَّهَ جَهْرَةً فَأَخَذَتْكُمُ الصَّاعِقَةُ وَأَنتُمْ تَنظُرُونَ

Dan (ingatlah), ketika kamu berkata: “Hai Musa, kami tidak akan beriman kepadamu sebelum kami melihat Allah dengan terang, kerana itu kamu disambar halilintar, sedang kamu menyaksikannya”.

 

وَهُوَ يُدْرِكُ الْأَبْصٰرَ

sedang Dia dapat melihat segala penglihatan;

Allah ‎ﷻ boleh melihat segalanya. Dia bukan sahaja boleh melihat semua yang boleh dilihat oleh makhluk, tetapi Dia juga ‘melihat segala penglihatan’. Dia melihat siapa yang melihat. Dia juga tahu apa yang kita lihat, berapa lama kita lihat sesuatu itu, apa yang kita fikirkan semasa melihatnya dan sebagainya.

Bukankah ada benda yang kita tidak patut lihat, tetapi kita melihatnya juga? Ada benda yang kita lihat dengan niat yang tidak baik, dengan khianat. Ada perkara yang kita lihat dengan nafsu yang tidak sepatutnya. Ternampak wanita cantik, tetapi lama pula kita tenung, bukan? Malah macam-macam lagi. Itu semua Allah ‎ﷻ boleh nampak.

Ini mengingatkan kita bahawa Allah ‎ﷻ nampak segala pergerakan dan penglihatan mata kita. Tidak takutkah kita dengan-Nya? Tidak malukah kita dengan-Nya? Ini mengingatkan kita untuk menjaga pandangan kita.

 

وَهُوَ اللَّطِيفُ الْخَبِيرُ

dan Dialah Yang Maha Halus lagi Maha Mengetahui.

Asma’ اللَّطِيفُ bukanlah bermaksud Allah ‎ﷻ yang halus, tetapi bermaksud Allah ‎ﷻ tahu segala-galanya termasuk perkara-perkara yang halus sekalipun. Ia berasal daripada perkataan ل ط ف yang asalnya bermaksud ‘baik dan mesra’, ‘lembut, peramah dengan orang yang di sekeliling’.

Kita sebagai manusia yang terbatas pancaindera kita mungkin hanya boleh melihat yang kasar dan jelas sahaja. Tetapi Allah ‎ﷻ mengetahui segala-galanya termasuk yang halus.

Allah ‎ﷻ juga Maha Lembut. Dalam masa yang sama, Allah ‎ﷻ juga Maha Gagah. Kenapa ada dua sifat yang amat berlainan? Kerana Allah ‎ﷻ ada dua-dua sifat itu. Bayangkan kalau seorang lelaki yang kuat dan gagah, otot berketul-ketul, mungkin dia akan susah hendak memegang bayi yang kecil kerana tenaganya kuat sangat sampaikan boleh menyakitkan bayi itu.

Maknanya, dia hanya gagah, tetapi tidak lembut. Allah ‎ﷻ bukan begitu. Allah ‎ﷻ telah tunjukkan bagaimana Dia mencipta makhluk yang besar tetapi dalam masa yang sama, Allah ‎ﷻ boleh membelah biji benih, menumbuhkan tanaman yang halus dan sebagainya.

Kalimah الْخَبِيرُ pula bermaksud Allah ‎ﷻ tahu segala perkara dengan amat mendalam. Iaitu bukan sahaja Allah ‎ﷻ tahu yang zahir, tetapi yang batin pun Allah ‎ﷻ tahu juga.


 

An’am Ayat 104: Tugas kenabian yang pertama adalah menyampaikan.

قَد جاءَكُم بَصائِرُ مِن رَّبِّكُم ۖ فَمَن أَبصَرَ فَلِنَفسِهِ ۖ وَمَن عَمِيَ فَعَلَيها ۚ وَما أَناْ عَلَيكُم بِحَفيظٍ

Sahih International

There has come to you enlightenment from your Lord. So whoever will see does so for [the benefit of] his soul, and whoever is blind [does harm] against it. And [say], “I am not a guardian over you.”

Malay

(Katakanlah wahai Muhammad): “Sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan-keterangan (dalil-dalil dan bukti) dari Tuhan kamu; oleh itu sesiapa melihat (kebenaran itu serta menerimanya) maka faedahnya terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa buta (dan enggan menerimanya) maka bahayanya tertimpalah ke atas dirinya sendiri. Dan tiadalah aku berkewajipan menjaga dan mengawasi kamu”.

قَدْ جَاءَكُم بَصَائِرُ مِن رَّبِّكُمْ

Sesungguhnya telah datang bukti-bukti yang terang daripada Tuhanmu;

Kalimah بَصَائِرُ adalah jamak daripada perkataan بَصِيرَة yang bermaksud ‘melihat dengan penuh faham’. Bukan melihat biasa sahaja, tetapi dengan kefahaman. Dalam ayat ini ia bermaksud bukti-bukti yang boleh dilihat, iaitu bukti-bukti yang sepatutnya sudah jelas kepada kita. Ia tidak sama dengan perkataan بَصَرَ yang hanya bermaksud ‘melihat’.

Untuk lebih memahami, perkataan بَصَرَ digunakan apabila seseorang melihat pokok, tetapi بَصِيرَة digunakan apabila orang itu melihat pokok itu dan memikirkan ‘dari manakah pokok itu datang’? Apabila dia mula memikirkan, dia akan sampai kepada hakikat bahawa pokok itu dijadikan oleh Allah ‎ﷻ.

Sebab itulah Allah ‎ﷻ suruh kita lihat alam ini kerana dengan melihat alam ini, ia akan mendekatkan diri kita dengan Allah ‎ﷻ.

Perkataan ini mengingatkan kepada kita untuk menggunakan pemikiran kita dalam melihat. Janganlah kita melihat ayat-ayat Al-Qur’an dan tanda-tanda pada alam ini dengan mata yang kosong sahaja. Tetapi hendaklah kita memikirkan bagaimana tanda-tanda itu semuanya menunjuk kepada kewujudan dan kebesaran Allah ‎ﷻ. Hendaklah kita mentadabbur ayat-ayat Allah ‎ﷻ.

Bukti-bukti yang benar itu telah Allah ‎ﷻ bawakan di dalam Al-Qur’an ini. Dan bukan hanya Al-Qur’an sahaja kerana kalimah بَصَائِرُ itu di dalam bentuk jamak. Jadi ada banyak punca untuk kita kenal agama ini dan memang salah satunya adalah dengan Al-Qur’an. Kebenaran tentang tauhid dan agama semuanya telah diberitahu di dalam Al-Qur’an. Cuma tinggal kita hendak belajar tafsir dan memahaminya sahaja.

 

فَمَنْ أَبْصَرَ فَلِنَفْسِهِ

maka barangsiapa melihat (kebenaran itu), maka (manfaatnya) bagi dirinya sendiri;

Beruntunglah mereka yang dapat memahami kebenaran yang telah Allah ‎ﷻ tunjukkan di dalam Al-Qur’an ini. Ia akan diberikan kepada mereka yang mahu mencari kebenaran. Beruntunglah mereka yang telah menggunakan segala kemudahan yang Allah ‎ﷻ telah berikan untuk memahami agama-Nya.

Perkataan فَلِنَفْسِهِ bermaksud bahawa mereka yang dapat melihat kebenaran di dalam Al-Qur’an itu akan mendapat balasan yang baik untuk diri mereka. Allah ‎ﷻ akan membalas kebaikan dengan kebaikan. Orang yang memahami hakikat itu akan mendapat manfaat di dunia dan akhirat.

Untuk mendapat kebenaran, maka hendaklah kita memahami ayat-ayat Al-Qur’an. Untuk memahami ayat-ayat Al-Qur’an ini maka kita hendaklah belajar tafsir Al-Qur’an. Kerana kalau kita baca sendiri, kemungkinan besar kita tidak akan dapat faham. Kerana untuk memahaminya, memerlukan ilmu-ilmu ‘alat’ untuk memahami ayat-ayat Al-Qur’an: seperti ilmu bahasa Arab, ilmu balaghah, nahu, saraf, ilmu hadith, asbabun nuzul ayat-ayat itu dan sebagainya.

Segala ilmu di atas itu adalah kalau kita hendak memahami sendiri ayat-ayat Al-Qur’an. Tetapi apa yang kita lakukan sekarang adalah kita hanya belajar tafsir yang telah disampaikan oleh ulama’-ulama’ yang telah mengupas tafsir ayat Al-Qur’an untuk kita. Ini amat memudahkan kita walaupun kita tidak ada ‘ilmu-ilmu alat’ itu, namun kita masih boleh faham isi kandungan Al-Qur’an itu.

Namun malangnya, ramai yang tidak faham dengan konsep ini. Mereka sangka, untuk belajar tafsir, kena tahu ilmu-ilmu alat itu terlebih dahulu. Maka, syaitan telah menyesatkan mereka dengan membisikkan kepada mereka bahawa susah sangat untuk belajar tafsir Al-Qur’an ini. Oleh itu mereka tidak belajar sampai bila-bila.

Apabila mereka tidak belajar, mereka akan menjadi jahil tentang agama. Disebabkan kejahilan itu, mereka melakukan kesalahan dalam agama, termasuklah melakukan syirik. Maka, syaitan telah berjaya menyesatkan manusia. Senanglah syaitan menipu manusia yang jahil. Kerana itulah syaitan tidak suka kita belajar tafsir.

Al-Qur’an itu penuh dengan kebenaran. Namun malangnya, ramai manusia di dalam dunia ini yang tidak menemui kebenaran. Termasuklah mereka yang telah belajar Al-Qur’an. Jangan sangka kalau kita sudah tahu Al-Qur’an, kita terus mendapat hidayah. Belum tentu lagi.

Ini kerana Allah ‎ﷻlah yang memberikan hidayah kepada kita. Sebagai contoh, lihatlah bagaimana yang terjadi kepada puak Brehlawi di Pakistan. Mereka itu belajar juga tafsir Al-Qur’an dan juga belajar hadith Nabi, tetapi mereka masih juga menyembah kubur. Itu adalah kerana mereka menerima ajaran yang sesat. Semoga masyarakat kita selamat daripada diresapi ajaran sesat ini.

 

وَمَنْ عَمِيَ فَعَلَيْهَا

dan barangsiapa buta (tidak melihat kebenaran itu), maka kemudaratannya kembali kepadanya.

Ramai dalam kalangan manusia yang buta daripada melihat kebenaran. Mereka itu melihat Al-Qur’an dan mungkin juga selalu membaca Al-Qur’an. Tetapi mata hati mereka buta daripada melihat kebenaran yang ada di dalam Al-Qur’an itu. Mereka tidak mendapat manfaat daripada  Al-Qur’an. Ini kerana mereka tidak mahu belajar tafsir Al-Qur’an. Apabila tidak belajar, mereka tidak faham apa yang mereka baca.

Perkataan فَعَلَيْهَا (ke atas mereka) bermaksud mereka akan mendapat balasan yang buruk ke atas diri mereka, jikalau mereka tidak beriman dan beramal dengan Al-Qur’an. Ini kerana bila manusia tidak mahu menerima ajaran daripada Al-Qur’an, maka mereka akan melakukan perkara-perkara yang syirik kerana mereka tidak tahu bahawa itu adalah amalan syirik. Oleh kerana itu mereka akan dimasukkan ke dalam neraka.

 

وَمَا أَنَاْ عَلَيْكُم بِحَفِيظٍ

Dan aku (Muhammad) sekali-kali bukanlah pemelihara(mu).

Nabi Muhammad ﷺ dan juga kita bukanlah penjaga dan pemelihara kepada manusia. Oleh itu, kita tidak boleh memaksa manusia untuk menerima hidayah. Kita hanya boleh menyampaikan sahaja. Bayangkan, Nabi Muhammad ﷺ sendiri pun tidak dapat meyakinkan bapa saudaranya yang amat disayanginya, iaitu Abu Talib, untuk beriman.

Kadang-kadang sebagai pendakwah kita rasa berat hati jikalau dakwah yang kita sampaikan tidak diterima oleh orang. Kita ada rasa bagaikan membuang masa sahaja untuk bercerita kepada orang lain tetapi akhirnya mereka menolak. Ayat ini mengingatkan kita bahawa kita tidak boleh memberi hidayah kepada manusia dan tidak boleh memaksa mereka untuk menerima dakwah kita.

Ingatlah bahawa Allah ‎ﷻ hanya hendak melihat usaha kita untuk menyampaikan sahaja, bukan melihat kejayaan kita. Hanya dengan menyampaikan sahaja, kita sudah mendapat pahala. Maka jangan mengeluh kesah kalau manusia tidak menerima dakwah kita.


 

An’am Ayat 105: Sekarang diberitahu sebab yang ketiga kenapa orang musyrik tidak menerima ajaran tauhid. Ini kerana mereka taksub.

Maksud ‘taksub’ adalah bela fahaman, bela puak dan bela peraturan sampai sanggup mengenepikan kebenaran. Bila kebenaran datang, kumpulan ‘taksuber’ tetap mahu memegang kepada fahaman, puak dan peraturan yang telah lama dipegang oleh kumpulan mereka. Bahaya taksub adalah ia boleh menyebabkan manusia jauh daripada Allah ‎ﷻ.

وَكَذٰلِكَ نُصَرِّفُ الآيٰتِ وَلِيَقولوا دَرَستَ وَلِنُبَيِّنَهُ لِقَومٍ يَعلَمونَ

Sahih International

And thus do We diversify the verses so the disbelievers will say, “You have studied,” and so We may make the Qur’an clear for a people who know.

Malay

Dan demikianlah Kami menerangkan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu (dengan berbagai cara, untuk menimbulkan keingkaran mereka) dan supaya mereka (yang ingkar itu menuduhmu dengan) berkata: “Engkau telah mempelajarinya (dari orang-orang lain) “, dan supaya Kami menerangkan (Al-Qur’an) itu kepada orang-orang yang (mahu) mengetahui.

وَكَذَٰلِكَ نُصَرِّفُ الْآيٰتِ

Demikianlah Kami mengulang-ulangi ayat-ayat Kami

Kalimah كَذَٰلِكَ dalam ayat ini bermaksud: dengan kesempurnaan ini. Iaitu bagi kesempurnaan tuntutan tauhid itu, Allah ‎ﷻ telah menghuraikan berbagai-bagai dalil dan bukti supaya manusia faham apakah tauhid itu.

Kalimah نُصَرِّفُ berasal daripada kata dasar ص ر ف yang bermaksud memberitahu tentang sesuatu perkara dengan berbagai-bagai cara. Bukan tunjuk sekali lalu sahaja.

Sebagai contoh, kalau kita hendak memperkenalkan buah epal kepada seseorang, kita akan tunjuk buah itu dari berbagai sudut. Kita beri dia pegang buah itu supaya dia dapat rasa tekstur buah epal itu. Kemudian kita akan kupas buah itu. Kemudian kita akan belah buah itu dan beri orang itu rasa buah itu. Inilah yang dinamakan dengan تَصرِف. Supaya orang itu kenal benar dengan buah epal.

Begitulah juga Allah ‎ﷻ lakukan dengan ayat-ayat Al-Qur’an. Untuk memberitahu tentang sesuatu perkara yang penting, Allah ‎ﷻ akan memberikan berbagai-bagai ayat. Lihatlah bagaimana Allah ‎ﷻ memperkenalkan Diri-Nya. Berbagai-bagai cara dan berbagai-bagai ayat telah diberikan supaya kita dapat mengenali Allah ‎ﷻ.

Sebab itulah apabila kita mengkaji Al-Qur’an, kita akan melihat bagaimana ada ayat-ayat yang hampir serupa. Ada ayat-ayat yang memperkatakan perkara yang sama yang diulang-ulang penerangannya. Ayat-ayat itu hampir serupa, tetapi tidak sama kerana penekanan yang berbeza pada ayat-ayat itu. Allah ‎ﷻ menerangkan sesuatu perkara itu dari berbagai sudut berbeza.

 

وَلِيَقُولُوا دَرَسْتَ

dan supaya mereka (orang-orang musyrik) mengatakan: “Kamu telah mempelajari ayat-ayat itu (daripada Ahli Kitab)”,

Ada muqaddar (tambahan maklumat) dalam ayat itu: Dengan pemberian dalil dari wahyu, maka akan beruntunglah mereka yang menerimanya dan akan celakalah mereka yang menolaknya.

Musyrikin Mekah mendakwa yang Nabi mendapat maklumat dari kitab-kitab agama Yahudi dan Nasrani. Iaitu mereka kata baginda belajar ilmu-ilmu itu dari ahli kitab dan mempersembahkannya kepada penduduk Mekah sebagai Al-Qur’an (padahal cedok dari agama lain). Maknanya, mereka tidak mahu menerima yang Nabi mendapat wahyu.

Sekarang disebut apakah hujah Musyrikin Mekah untuk menolak ajakan tauhid Nabi Muhammad ﷺ. Mereka kata begitu kerana apa yang Nabi ﷺ bawa itu berlainan dengan pemahaman syirik mereka yang mereka telah pegang selama ini. Mereka taksub dengan pegangan yang mereka ada dan gunakan.

Sebelum ini, Allah ‎ﷻ telah memberitahu kita bahawa Allah ‎ﷻ telah تَصرِف ayat-ayat Al-Qur’an. Iaitu ayat-ayat Al-Qur’an ada yang berulang-ulang dalam berbagai-bagai cara. Tujuannya adalah untuk memberi penjelasan kepada manusia. Tetapi salah satu kesannya adalah: Musyrikin Mekah mendakwa yang Nabi ﷺ telah belajar daripada ahli Kitab.

Antaranya, mereka kata baginda belajar daripada hamba-hamba berbangsa Rom yang ada di Mekah. Mereka kata oleh kerana baginda belajar daripada ramai orang, maka sebab itulah ayat Al-Qur’an itu sekejap begini, sekejap begitu. Itulah salah faham mereka.

Daripada potongan ayat ini, tahulah kita bahawa Musyrikin Mekah tidak dapat menerima wahyu yang dibawa oleh Nabi ﷺ. Hati mereka memang tidak mahu terima dan kerana itu, mereka akan memberi berbagai-bagai alasan.

Begitulah juga yang dikatakan oleh puak-puak bid’ah di negara kita kini. Apabila ajaran-ajaran daripada Al-Qur’an ini dibawakan pada mereka, mereka akan mengatakan yang ajaran ini salah. Ini adalah kerana ajaran Al-Qur’an ini berlainan daripada apa yang diajar oleh guru-guru dan datuk moyang mereka. Maka, isunya di sini adalah taksub dengan kumpulan masing-masing.

Sebagai contoh, ada di antara mereka yang mengatakan tafsir Al-Qur’an yang kita bawa ini adalah daripada fikiran kita sendiri sahaja. Mereka kata kita sendiri sahaja yang mengatakan ayat itu bermaksud sekian, sekian. Mereka kata kita tafsir salah. Padahal, mereka pun belum pernah belajar tafsir Al-Qur’an pun.

Sebab itu, kalau kita minta kepada mereka untuk beri tafsir yang benar kalau kita salah, mereka pun tidak boleh berikan. Mereka pun tidak tahu kerana mereka tidak belajar. Sebenarnya, mereka tidak dapat terima kerana hati mereka memang condong kepada kesyirikan dan amalan bid’ah. Mereka tidak membuka hati mereka kepada kebenaran. Mereka itu golongan ‘taksuber’. Inilah bahayanya.

 

وَلِنُبَيِّنَهُ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ

dan supaya Kami menjelaskan Al Qur’an itu kepada orang-orang yang mahu mengetahui.

Tadi kita sudah tahu apakah kesan kepada Musyrikin Mekah apabila Allah ‎ﷻ ‘tasrif’ ayat-ayat Al-Qur’an kepada mereka. Mereka tidak dapat faham dan mereka tuduh Nabi ﷺ mengambil ajaran itu daripada orang lain. Namun begitu, lain pula kesan ‘tasrif’ kepada orang yang beriman.

Kepada orang-orang beriman itu, تَصرِف Allah ‎ﷻ akan menjelaskan lagi makna Al-Qur’an kepada mereka. Apabila ayat-ayat Al-Qur’an itu diulang-ulang dengan berbagai cara, mereka lebih faham ayat Al-Qur’an.

Itulah kesan yang kita hendak. Oleh itu, kalau kesan itu tidak kelihatan kepada kita, ia amat merisaukan. Kerana sepatutnya ia akan menjelaskan ayat Al-Qur’an itu kepada kita, bukannya mengelirukan. Kalau kita tidak faham dan keliru, maka, ada masalah dengan kita.

Semoga kita tidak jadi begitu. Semoga kita semakin faham dan faham ayat Al-Qur’an ini. Mulakan dengan belajar tafsir sedikit demi sedikit. Kalau ia susah pada awalnya, ia akan menjadi semakin mudah. Asalkan kita buka hati dan minda kita dan terus berusaha untuk belajar. Perkara yang penting, tentulah tidak senang. Ia memerlukan usaha yang banyak dan berterusan.

Maka, tujuan تَصرِف adalah untuk memberikan pemahaman yang lebih mantap kepada manusia. Kerana tujuan Allah ‎ﷻ adalah untuk memperjelaskan agama kepada manusia. Begitulah juga kita kena memperjelaskan ayat-ayat Al-Qur’an ini kepada manusia. Kita kena berikan pengetahuan tentang syirik kepada manusia.

Antaranya, kita kena beritahu kepada manusia bahawa amalan tawasul adalah salah. Inilah tujuan tulisan ini. Banyak kita menyentuh hal tawasul di sini kerana ia adalah satu perkara yang amat penting difahami (tetapi ramai yang tidak faham). Dan memang sangat banyak ayat-ayat Al-Qur’an yang memperkatakan tentang tawasul kerana ia adalah perkara yang penting dan bahaya kalau kita tidak faham. Semoga anda mendapat sedikit sebanyak kefahaman tentang ayat Al-Qur’an berkenaan tawasul ini dan bahayanya.

Oleh kerana ramai manusia tidak belajar tafsir Al-Qur’an, dan tidak faham maksud syirik, maka ramailah dalam kalangan masyarakat kita yang melakukan perkara-perkara syirik tanpa mereka menyedarinya. Tentunya mereka tidak berniat melakukan syirik. Niat mereka selalunya baik. Cuma mereka kurang pengetahuan tentang syirik kerana mereka tidak belajar.

Oleh itu, saya nasihatkan anda yang sedang membaca tulisan ini, supaya mendalami dan mempelajari tafsir Al-Qur’an. Berhentilah dahulu daripada mengadap kitab-kitab karangan manusia dan carilah guru yang boleh mengajar tafsir Al-Qur’an. Ia adalah satu ilmu yang memerlukan kepada pengajian bertalaqqi (duduk bersama guru yang mengajar). Bukan boleh hanya dibaca sahaja.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 15 Februari 2022


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Maariful Qur’an

Tafsir Surah al-An’am Ayat 99 – 101 (Manusia minta tolong dengan jin)

An’am Ayat 99:

وَهُوَ الَّذي أَنزَلَ مِنَ السَّماءِ ماءً فَأَخرَجنا بِهِ نَباتَ كُلِّ شَيءٍ فَأَخرَجنا مِنهُ خَضِرًا نُّخرِجُ مِنهُ حَبًّا مُّتَراكِبًا وَمِنَ النَّخلِ مِن طَلعِها قِنوانٌ دانِيَةٌ وَجَنّٰتٍ مِّن أَعنابٍ وَالزَّيتونَ وَالرُّمّانَ مُشتَبِهًا وَغَيرَ مُتَشٰبِهٍ ۗ انظُروا إِلىٰ ثَمَرِهِ إِذا أَثمَرَ وَيَنعِهِ ۚ إِنَّ في ذٰلِكُم لَآيٰتٍ لِّقَومٍ يُؤمِنونَ

Sahih International

And it is He who sends down rain from the sky, and We produce thereby the growth of all things. We produce from it greenery from which We produce grains arranged in layers. And from the palm trees – of its emerging fruit are clusters hanging low. And [We produce] gardens of grapevines and olives and pomegranates, similar yet varied. Look at [each of] its fruit when it yields and [at] its ripening. Indeed in that are signs for a people who believe.

Malay

Dan Dia lah yang menurunkan hujan dari langit lalu Kami tumbuhkan dengan air hujan itu segala jenis tumbuh-tumbuhan, kemudian Kami keluarkan daripadanya tanaman yang menghijau, Kami keluarkan pula dari tanaman itu butir-butir (buah) yang bergugus-gugus; dan dari pohon-pohon tamar (kurma), dari mayang-mayangnya (Kami keluarkan) tandan-tandan buah yang mudah dicapai dan dipetik; dan (Kami jadikan) kebun-kebun dari anggur dan zaitun serta buah delima, yang bersamaan (bentuk, rupa dan rasanya) dan yang tidak bersamaan. Perhatikanlah kepada buahnya apabila ia berbuah, dan ketika masaknya. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda (yang menunjukkan kekuasaan Kami) bagi orang-orang yang beriman.

 

وَهُوَ الَّذِي أَنزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً

Dan Dialah yang menurunkan air hujan dari langit,

Air turunkan air dari langit dalam berbagai-bagai cara. Ada yang diturunkan dalam bentuk hujan dan ada yang turun dalam bentuk salji. Namun yang pasti, Allah ‎ﷻ yang menurunkannya. Ini adalah nikmat Allah ‎ﷻ yang sentiasa disebut di dalam Al-Qur’an kerana ia merupakan jenis nikmat yang kita selalu nampak dan dapat rasa.

 

فَأَخْرَجْنَا بِهِ نَبَاتَ كُلِّ شَيْءٍ

lalu Kami tumbuhkan dengan air itu segala macam tumbuh-tumbuhan

Kalimah نَبَاتَ bermaksud semua hidupan yang tumbuh daripada tanah. Lalang, pokok, bunga dan sebagainya. Daripada air yang sama, tetapi menjadi berbagai-bagai jenis tanaman. Begitu hebatnya Allah ‎ﷻ jadikan alam ini, semuanya dapat hidup daripada air yang satu jenis sahaja dan daripadanya pelbagai jenis tumbuhan boleh hidup.

Bandingkan dengan kita: untuk menciptakan minyak untuk kereta, pelbagai jenis minyak pula perlu dibuat. Ada minyak untuk menggerakkan kereta, ada minyak untuk brek, minyak untuk enjin dan sebagainya.

 

فَأَخْرَجْنَا مِنْهُ خَضِرًا

maka Kami keluarkan dari tumbuh-tumbuhan itu tanaman yang menghijau.

Dengan tumbuhan itu, maka menghijaulah alam ini. Kehijauan alam ini adalah sesuatu yang amat indah. Manusia suka kepada tumbuh-tumbuhan yang hijau. Ada ramai yang rajin berkhemah dalam hutan, “hiking” (mendaki) dalam kawasan hutan, malah ada yang tinggal dalam hutan kerana mereka berasa tenang.

Manusia memang suka kepada tumbuh-tumbuhan yang hijau. Maka apabila kita lihat kehidupan yang menghijau itu, ingatlah yang Allah ‎ﷻlah yang menjadikannya.

 

نُّخْرِجُ مِنْهُ حَبًّا مُّتَرَاكِبًا

Kami keluarkan daripada tanaman yang hijau itu butir yang tersusun;

Tanaman itu ada jenis berbentuk butiran yang bersusun di tangkai seperti yang terdapat pada beras dan juga gandum. Bijian itu berkumpul dan bersusun di atas satu sama lain. Juga ada yang bergugus-gugus seperti biji-biji jagung dan sebagainya. Allah ‎ﷻ yang melakukan perkara ini.

 

وَمِنَ النَّخْلِ مِن طَلْعِهَا قِنْوَانٌ دَانِيَةٌ

dan daripada mayang kurma mengurai tangkai-tangkai yang menjulai,

Kalimah طَلْعِهَا bermaksud yang mula tumbuh daripada dahan, iaitu dahan itu belum tumbuh tanaman lagi tetapi sudah mulai tumbuh. Mulanya kelihatan bunga dahulu sebelum tumbuhnya buah.

Kalimah قِنْوَانٌ bermaksud gugusan.

Kalimah دَانِيَةٌ bermaksud ‘menjulai rendah’. Semakin masak, ia akan menjadi semakin rendah kerana buahan itu apabila semakin banyak ia akan menjadi semakin berat. Maka, buah buahan itu semakin rendah dan dekat dengan tanah dan ia menjadi mudah untuk dipetik. Ia berdekatan di antara satu sama lain. Bayangkan kalau kita lihat pokok rambutan: duduk berdekatan, sekali kita potong satu gugus, berbiji-biji buah rambutan kita boleh dapat.

 

وَجَنّٰتٍ مِّنْ أَعْنَابٍ

dan dari kebun-kebun anggur,

Buah anggur adalah jenis makanan yang istimewa di Tanah Arab. Selalu disebut dalam Al-Qur’an bagi mengingatkan manusia tentang kelebihannya kepada mereka. Ini kerana mereka yang mula menerima Al-Qur’an maka disebut contoh tanaman dan makanan yang berkenaan dengan mereka. Takkan disebut contoh buah durian pula.

 

وَالزَّيْتُونَ

dan zaitun

Buah dan minyak zaitun ada banyak kegunaan dan kerana itu disebut banyak kali dalam Al-Qur’an. Kita pun selalu menggunakan zaitun dan minyak zaitun dalam kehidupan kita. Ia juga mengandungi elemen ubat seperti Extra Virgin Oil  (EVO) yang molek diminum pagi-pagi ketika perut kosong.

 

وَالرُّمَّانَ

dan delima

Buah delima adalah sesuatu yang menjadi kesukaan masyarakat Arab. Ia juga mengandungi elemen ubat di dalamnya. Terutama sekali bagi ibu-ibu yang mengandung.

 

مُشْتَبِهًا

yang serupa

Ada persamaan antara buah buah-buah itu. Sebagaimana buah zaitun ada berjenis-jenis yang nampak sama tetapi lain rasanya. Kualiti buah zaitun dari satu tempat ke tempat yang lain pun tidak sama. Allah ‎ﷻ menjadikan banyak pilihan. Ada yang rasa manis, ada yang pahit dan sebagainya. Tetapi ada persamaan dari segi rupanya.

 

وَغَيْرَ مُتَشٰبِهٍ

dan yang tidak serupa.

Buah yang sama pun ada jenisnya yang berlainan. Seperti buah anggur, ada berbagai-bagai jenis.

Atau ia bermaksud, tiga jenis buah yang disebut di atas, nampak rupanya seperti sama, tetapi rasanya tidak sama.

 

انظُرُوا إِلَىٰ ثَمَرِهِ إِذَا أَثْمَرَ وَيَنْعِهِ

Perhatikanlah buahnya di waktu pohonnya berbuah dan (perhatikan pulalah) ketika ia masak.

Allah ‎ﷻ mengajar kita supaya jangan makan sahaja segala tanaman-tanaman itu, tetapi lihatlah buahan itu. Lihatlah masa ia berbuah. Fikirkan tentang yang menjadikannya, iaitu Allah‎ﷻ .

Mula ia berbuah, berwarna hijau, rasa tidak sedap dan kelat kalau dimakan tetapi bila sudah masak, ia menjadi manis untuk dimakan. Maka Allah ‎ﷻ suruh lihat nikmat kejadian yang Dia telah lakukan untuk kita. Melihat kejadian yang dijadikan Allah ‎ﷻ juga adalah ibadah kerana ia adalah arahan daripada-Nya.

Apakah kaitan buah-buahan dengan diri kita? Kenapa Allah ‎ﷻ suruh kita lihat? Kerana kita pun melalui proses yang hampir sama. Apabila buahan sudah masak, ia akan dipetik dan akan dibuang kulitnya. Begitu juga kita, apabila kita kita sudah sampai ajal, kita akan dimatikan dan jasad kita akan dibuang daripada roh kita.

 

إِنَّ فِي ذَٰلِكُمْ لَآيٰتٍ لِّقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ

Sesungguhnya pada yang demikian itu ada tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman.

Kita boleh fikirkan tentang kuasa Allah ‎ﷻ yang boleh buat belaka. Orang yang memerhatikan dengan teliti, akan mendapat kebaikan dan mengenang kehebatan Allah ‎ﷻ dan nikmat-Nya kepada kita. Mereka akan semakin kenal Allah ‎ﷻ. Iman mereka semakin bertambah. Mereka akan lebih menghargai Allah ‎ﷻ kerana semua ini Allah ‎ﷻ beri percuma sahaja kepada kita untuk dinikmati.


 

An’am Ayat 100: Dalam ayat-ayat sebelum ini Allah ‎ﷻ telah memperkenalkan Diri-Nya dan sedarlah kita sekarang betapa tinggi-Nya Dia. Namun begitu, manusia masih lagi berbuat syirik. Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ menyentuh tentang mereka yang bersifat begitu.

Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ menyebut tentang jin kerana manusia memang ada masalah dengan jin. Masyarakat kita ramai yang menggunakan jin untuk berbomoh, mencari barang, sebagai khadam dan sebagainya. Yang semakin pelik, yang hendak berkahwin dengan jin pun ada!

Nanti akan disebut dengan panjang lebar dalam Surah Jin, tetapi dalam surah ini sudah disebut sedikit.

وَجَعَلوا لِلَّهِ شُرَكاءَ الجِنَّ وَخَلَقَهُم ۖ وَخَرَقوا لَهُ بَنينَ وَبَنٰتٍ بِغَيرِ عِلمٍ ۚ سُبحٰنَهُ وَتَعالىٰ عَمّا يَصِفونَ

Sahih International

But they have attributed to Allah partners – the jinn, while He has created them – and they have fabricated for Him sons and daughters without knowledge. Exalted is He and high above what they describe.

Malay

Dan mereka menjadikan jin sekutu bagi Allah, padahal Allah jualah yang mencipta jin-jin itu; dan mereka berdusta terhadap Allah dengan mengada-adakan bagiNya anak-anak lelaki dan anak-anak perempuan, dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan. Maha Suci Allah dan Maha Tinggilah Dia dari apa yang mereka sifatkan!

 

وَجَعَلُوا لِلَّهِ شُرَكَاءَ الْجِنَّ

Dan mereka (orang-orang musyrik) menjadikan jin itu sekutu bagi Allah,

Kalimah شُرَكَاءَ itu yang menyamakan sesuatu dengan Allah .‎ﷻ Salah satu yang manusia samakan kedudukan dengan Allah ‎ﷻ adalah jin. Allah ‎ﷻ itu tinggi daripada segala makhluk, lalu bagaimana mereka boleh kata yang Allah ‎ﷻ memerlukan jin? Atau jin ada kuasa seperti Allah ‎ﷻ pula? Ini memang terlalu mengarut!

Ada yang memuja jin dan meminta pertolongan dengan jin untuk menyelesaikan masalah mereka. Sedangkan kita kena minta tolong terus kepada Allah ‎ﷻ untuk menyelesaikan masalah kita, tetapi ada yang minta tolong dengan jin kerana jahil.

Ingatlah bahawa jin itu makhluk yang lebih hina daripada manusia. Namun semenjak dahulu sehingga kini, ramai yang memandang tinggi kepada mereka dan meminta tolong kepada mereka. Ini adalah kerana tidak kenal siapakah jin itu.

Selain daripada itu, ada juga yang takut dengan jin. Seolah-olah jin itu ada kuasa pula. Ini kerana mereka tidak belajar tentang jin melalui cara sunnah, tetapi ramai pula yang terkesan dengan filem-filem yang memberi maklumat yang tidak benar tentang jin. Ditambah pula dengan golongan ustaz kita (yang bukan sunnah) yang memberitahu hal yang pelik-pelik tentang jin.

Pada zaman Nabi Sulaiman عليه السلام, jin-jin itu dibahagi kepada tiga jenis. Ada yang ditugaskan menjadi buruh kasar, ada tinggal di lautan dan juga hutan, dan ada dirantai jika tidak mendengar cakap. Nabi Sulaiman عليه السلام sahaja mempunyai kuasa yang diberi Allah ‎ﷻ untuk mengawal jin-jin.

Mereka juga tidak tahu yang Nabi Sulaiman ‎ﷻ sudah wafat ketika mereka diarahkan untuk membina BaitulMaqdis. Selama setahun Nabi Sulaiman ‎ﷻ telah wafat dalam keadaan duduk tetapi jin-jin itu tidak tahu. Hanya apabila tongkat baginda dimakan anai-anai, barulah mereka tahu. Mereka kata kalau mereka tahu, tidaklah mereka buat kerja yang hina itu. Maknanya, jin itu tidaklah ada kuasa mengetahui perkara ghaib.

Jin itu ada yang baik dan ada yang tidak, seperti manusia juga. Yang jahat itulah yang dinamakan ‘syaitan’. Yang gila pula menjadi hantu mengacau manusia yang memang sudah takut dengan jin. Hantu tidak ada, tetapi jin yang berupa sebagai hantu itu ada. Mereka cuma kacau orang yang memang sudah asalnya takut dengan mereka sahaja.

Bagaimana manusia yang melakukan syirik itu sembah jin? Mereka melakukannya dengan tawasul. Setiap kali melakukan tawasul, mereka sembah jin. Dan setiap kali mereka buat begitu, ada jin yang akan mendampingi dengan mereka. Sebagai contoh, setiap kali menghadiahkan Fatihah kepada Nabi dan sesiapa sahaja, mereka akan mendapat satu jin. Dalilnya ada dalam ayat Saba’:40.

وَيَوْمَ يَحْشُرُهُمْ جَمِيعًا ثُمَّ يَقُولُ لِلْمَلَائِكَةِ أَهَٰؤُلَاءِ إِيَّاكُمْ كَانُوا يَعْبُدُونَ
Dan (ingatlah) hari (yang di waktu itu) Allah mengumpulkan mereka semuanya kemudian Allah berfirman kepada malaikat: “Apakah mereka ini dahulu menyembah kamu?”.
قَالُوا سُبْحَانَكَ أَنْتَ وَلِيُّنَا مِنْ دُونِهِمْ ۖ بَلْ كَانُوا يَعْبُدُونَ الْجِنَّ ۖ أَكْثَرُهُمْ بِهِمْ مُؤْمِنُونَ
Malaikat-malaikat itu menjawab: “Maha Suci Engkau. Engkaulah pelindung kami, bukan mereka; bahkan mereka telah menyembah jin; kebanyakan mereka beriman kepada jin itu”.

 

Malaikat disebut sebagai contoh dalam ayat ini kerana mereka adalah antara yang diberi salam pada malam hari. Mereka juga telah dipuja oleh ramai manusia. Maka, oleh kerana itu, mereka telah disoal oleh Allah ‎ﷻ. Malaikat jawab bukan mereka yang disembah, bahkan yang disembah oleh manusia itu adalah jin.

Tawasul yang salah memang diamalkan oleh masyarakat kita. Selalu kita dengar apabila dimulakan majlis bid’ah seperti maulid, majlis tahlil dan sebagainya, kita dengar tekong akan kata: “Al-Fatihah!” Begitulah amalan mereka – mereka pun tidak tahu dari mana amalan itu datang.

Soalan kita sekarang kepada mereka yang buat begitu, apakah Fatihah yang dihantar itu sampai atau tidak? Untuk tahu sama ada sampai atau tidak, sila rujuk Yunus: 28:

وَيَوْمَ نَحْشُرُهُمْ جَمِيعًا ثُمَّ نَقُولُ لِلَّذِينَ أَشْرَكُوا مَكَانَكُمْ أَنْتُمْ وَشُرَكَاؤُكُمْ ۚ فَزَيَّلْنَا بَيْنَهُمْ ۖ وَقَالَ شُرَكَاؤُهُمْ مَا كُنْتُمْ إِيَّانَا تَعْبُدُونَ
(Ingatlah) suatu hari (ketika itu). Kami mengumpulkan mereka semuanya, kemudian Kami berkata kepada orang-orang yang mempersekutukan (Tuhan): “Tetaplah kamu dan sekutu-sekutumu di tempatmu itu”. Lalu Kami pisahkan mereka dan berkatalah sekutu-sekutu mereka: “Kamu sekali-kali tidak pernah menyembah kami.
فَكَفَىٰ بِاللَّهِ شَهِيدًا بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ إِنْ كُنَّا عَنْ عِبَادَتِكُمْ لَغَافِلِينَ
Dan cukuplah Allah menjadi saksi antara kami dengan kamu, bahawa kami tidak tahu-menahu tentang penyembahan kamu (kepada kami).

 

Dalam ayat itu sendiri dikatakan bagaimana mereka yang diberi Fatihah, diseru, diberi salam itu, tidak tahu pun sedekah Fatihah dan salam itu telah diberikan kepada mereka itu. Ibadat seperti salam dan sedekah Fatihah itu mereka tidak tahu pun dihantar kepada mereka kerana mereka telah mati dan tidak ada sesiapa pun yang menyampaikan salam dan sedekah Fatihah itu kepada mereka.

Bayangkan, kalau kepada Nabi pun tidak sampai, lalu bagaimana pula kalau diberikan kepada ibubapa kita, kepada orang lain? Oleh itu, amalan sedekah-sedekah Fatihah itu adalah perbuatan yang sia-sia, yang bid’ah dan syirik sahaja.

Oleh kerana perkataan الْجِنَّ itu adalah bermaksud ‘makhluk yang tidak dapat dilihat’, maka ia boleh digunakan untuk malaikat selain daripada jin. Ini adalah kerana, selain daripada menyembah Allah ‎ﷻ, Musyrikin Mekah juga menyembah malaikat. Mereka kata berhala yang mereka sembah itu adalah malaikat, yang mereka anggap anak Allah ‎ﷻ.

Terlalu banyak kesyirikan yang dilakukan manusia yang melibatkan jin. Sebagai contoh, apabila Musyrikin Mekah pergi ke sesuatu tempat, mereka akan meminta keselamatan daripada jin yang menjaga tempat itu. Perkara sedemikian tidak jauh bezanya dengan masyarakat Melayu kita yang biasa sahaja yang meminta kebenaran lalu daripada penunggu sesuatu kawasan jika melalui suatu kawasan yang menakutkan. Ia merupakan satu kesalahan khurafat dan sesat.

Balaghah: dari segi bahasa, lafaz yang digunakan dalam potongan ayat ini bukanlah susunan bahasa Arab yang normal. Tentu ada maksud yang hendak disampaikan. Susunan ayat dalam ayat ini adalah: Mereka jadikan – Allah – jin-jin – sebagai sekutu. Susunan yang sepatutnya adalah: Mereka jadi – jin-jin – sebagai sekutu – bagi Allah.

Susunan ayat ini adalah satu contoh fi’il muta’addi – fi’il yang ada lebih daripada satu maf’ul bihi (berbeza dengan jumlah fi’il lazim seperti dalam Baqarah:22). Tetapi sususan maf’ul bihi itu tidak ikut susunan yang biasa. Ini adalah takdim dan ta’khir dalam ilmu Balaghah Al-Qur’an.

Dari segi balaghah, Allah‎ ﷻ hendak menyampaikan satu konsep yang dipanggil tabkid wa ta’jub. Iaitu penghinaan dan kehairanan. Hina sekali perbuatan mereka itu dan begitu menghairankan sekali perbuatan mereka itu. Konsep itu disampaikan dalam susunan yang berbeza daripada susunan bahasa Arab yang biasa, dan perkara ini hanya dapat difahami kalau belajar balaghah. Allahu a’lam.

 

وَخَلَقَهُمْ

padahal Allah-lah yang menciptakan jin-jin itu,

Bagaimana mereka boleh mensyirikkan makhluk dengan Allah ‎ﷻ, padahal Allah ‎ﷻ yang menjadikan mereka? Tidak sama kedudukan Allah ‎ﷻ yang khaliq dan jin yang makhluk.

 

وَخَرَقُوا لَهُ بَنِينَ وَبَنٰتٍ

dan mereka membohong untuk-Nya (dengan mengatakan): “Bahawasanya Allah mempunyai anak laki-laki dan perempuan”,

Perkataan خَرَقُوا berasal daripada perkataan خ ر ق yang maksudnya berlawanan dengan makna perkataan خلق yang bermaksud ‘menjadikan’. خرق bermaksud ‘mengoyak’ atau merosakkan sesuatu. خلق pula bermaksud mencipta sesuatu dengan keadaan baik yang kita boleh lihat pada segala makhluk yang Allah ‎ﷻ lakukan. Segala penciptaan Allah ‎ﷻ itu baik untuk kita.

Sebagai contoh, lihatlah bagaimana binatang yang telah dijadikan sebagai makanan untuk kita itu, senang ditangkap. Bayangkan kalau makanan kita adalah binatang sebesar gajah? Tentu susah kita hendak menangkap dan memakannya, bukan?

Kalimah خرق  juga digunakan untuk bermaksud ‘mereka-reka sesuatu’. Dan rekaan itu dilakukan tanpa memikirkan logik. Sebagai contoh manusia yang berbohong tetapi bohong yang tidak ada logik.

Mereka خرق dengan kata yang “Allah ada anak”. Kalimah بَنِينَ untuk ‘anak lelaki’ iaitu nisbah kepada ‘jin’ dan kalimah وَبَنٰتٍ adalah ‘anak perempuan’ dan nisbah kepada ‘malaikat’. Ini adalah kerana Musyrikin Mekah kata malaikat adalah anak perempuan Allah ‎ﷻ. Dan Kristian kata Allah ‎ﷻ ada anak lelaki. Dan Yahudi pula kata Nabi Uzair itu anak Allah ‎ﷻ.

Semua itu adalah kerana ingin bertawasul kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Mereka meletakkan pangkat, kemudian mereka meminta pertolongan kepada mereka kononnya sebagai anak Tuhan, kerana mereka kata anak minta mesti ayah akan bagi, bukan? Ini hujah yang mengarut.

 

بِغَيْرِ عِلْمٍ

tanpa (berdasar) ilmu pengetahuan.

Mereka reka-reka sahaja daripada akal mereka yang syirik tanpa berdasarkan dalil dari mana-mana nas yang sahih.

Sebagaimana juga sebahagian masyarakat kita yang mengamalkan perbuatan bid’ah dan sesat. Mereka bukan ada dalil yang sah. Melainkan dalil yang bathil sahaja. Atau, dalil yang tiada kena mengena. Ataupun mereka jenis yang mengikut sahaja apa yang dilakukan oleh orang lain dan orang sebelum mereka, tanpa usul periksa. Malangnya, apabila kita minta dalil daripada mereka, mereka akan marah. Ini adalah kerana mereka jahil wahyu dan jahil agama.

 

سُبْحٰنَهُ وَتَعَالَىٰ عَمَّا يَصِفُونَ

Maha Suci Allah dan Maha Tinggi dari sifat-sifat yang mereka berikan.

Allah ‎ﷻ Maha Suci dan Maha Tinggi daripada apa yang mereka katakan itu. Allah ‎ﷻ tidak ada anak lelaki mahu pun anak perempuan kerana Allah ‎ﷻ tidak memerlukan anak seperti makhluk.

Manusia yang musyrik telah memberikan sifat-sifat kepada tuhan-tuhan sembahan mereka itu. Apabila perkataan يَصِفُونَ digunakan, ia bermaksud mereka menyifatkan tuhan mereka itu dengan berbagai-bagai sifat. Tuhan-tuhan itu ada diberi nama, ada keluarga, ada perangai, ada tugas dan sebagainya.

Lihatlah bagaimana dewa-dewa Greek kuno yang ada berbagai jenis perangai. Dan dewa-dewa Hindu yang ada pelbagai kisah mereka. Begitulah juga dengan berhala-berhala dan tuhan-tuhan Musyrikin Mekah.

Maknanya, mereka bukan main-main sahaja dengan tuhan-tuhan mereka. Pelbagai maklumat direka sampaikan susah untuk faham tuhan mereka itu.

Habis Ruku’ 12 daripada 20 ruku’ dalam surah ini.


 

An’am Ayat 101: Dalil Aqli ke 13.

بَديعُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ ۖ أَنّىٰ يَكونُ لَهُ وَلَدٌ وَلَم تَكُن لَّهُ صٰحِبَةٌ ۖ وَخَلَقَ كُلَّ شَيءٍ ۖ وَهُوَ بِكُلِّ شَيءٍ عَليمٌ

Sahih International

[He is] Originator of the heavens and the earth. How could He have a son when He does not have a companion and He created all things? And He is, of all things, Knowing.

Malay

(Dia lah) yang menciptakan langit dan bumi. Bagaimanakah Dia mempunyai anak sedang Dia tidak mempunyai isteri? Dia pula yang menciptakan tiap-tiap sesuatu, dan Dia lah Yang Maha Mengetahui akan segala-galanya.

 

بَدِيعُ السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضِ

Dia Pencipta langit dan bumi.

Kalimah بَدِيعُ diambil daripada katadasar  ب د ع yang bermaksud ‘mula-mula buat’. Daripada kata dasar yang sama itulah kalimah ‘bid’ah’. Bid’ah itu bermaksud perkara yang dibuat tidak ada dasarnya yang dilakukan oleh Nabi. Tetapi, ia hanya berkenaan agama sahaja. Maka, jika dibuat bid’ah dalam hal kehidupan seperti kenderaan dan makanan, itu bukanlah bid’ah yang dilarang.

Allah ‎ﷻlah yang mula-mula menjadikan langit dan bumi. Ia bermaksud, sebelum Allah ‎ﷻ menjadikan langit dan bumi, tidak ada langit dan bumi sepertinya. Allah ‎ﷻ tidak mencipta langit dan bumi ini daripada contoh mana-mana pun.

 

أَنَّىٰ يَكُونُ لَهُ وَلَدٌ وَلَمْ تَكُن لَّهُ صٰحِبَةٌ

Bagaimana Dia mempunyai anak padahal Dia tidak mempunyai isteri.

Untuk mempunyai anak, kenalah ada isteri, bukan? Bagaimana Allah ‎ﷻ boleh ada isteri, kerana selain daripada-Nya, semuanya adalah makhluk. Tidak ada yang sama dan setaraf dengan Allah ‎ﷻ kerana kalau kita kahwin, tentulah kita kahwin dengan spesis yang sama dengan kita. Lalu, bagaimana Allah ‎ﷻ mempunyai pasangan sedangkan Dia hanya satu sahaja.

Musyrikin Mekah sampai mengatakan yang pasangan Allah ‎ﷻ adalah jin dan malaikat adalah anak perempuan mereka. Subhanallah! Teruk sekali dakwaan mereka. Tidak mungkin Allah ‎ﷻ akan berpasangan dengan Jin! Itulah sebabnya dalam ayat sebelum ini Allah ‎ﷻ tekankan yang Dia yang menciptakan jin itu.

Maka konsep ‘anak Tuhan’ itu tidak masuk akal. Ini adalah satu dakwaan yang sangat berat sampaikan langit hampir terpecah, bumi terbelah dan gunung ganang hancur. Inilah yang tersebut dalam ayat Maryam:88-90:

وَقَالُوا اتَّخَذَ الرَّحْمَٰنُ وَلَدًا
Dan mereka berkata: “Tuhan Yang Maha Pemurah mengambil (mempunyai) anak”.
لَقَدْ جِئْتُمْ شَيْئًا إِدًّا
Sesungguhnya kamu telah mendatangkan sesuatu perkara yang sangat mungkar,
تَكَادُ السَّمَاوَاتُ يَتَفَطَّرْنَ مِنْهُ وَتَنْشَقُّ الْأَرْضُ وَتَخِرُّ الْجِبَالُ هَدًّا
hampir-hampir langit pecah kerana ucapan itu, dan bumi terbelah, dan gunung-gunung runtuh,

 

Puak Musyrikin Mekah mengatakan yang anak-anak perempuan Allah ‎ﷻ adalah malaikat-malaikat; Orang Kristian kata Nabi Isa adalah anak Allah ‎ﷻ; Orang Yahudi pula mengatakan yang Uzair adalah anak Allah ‎ﷻ.

Itu semua adalah kata-kata mungkar yang amat dibenci oleh Allah ‎ﷻ dan alam. Sebab itulah langit hampir pecah, bumi hampir terbelah dan gunung ganang hampir runtuh disebabkan oleh kata-kata mungkar itu.

Mereka mengatakan Allah ‎ﷻ ada anak kerana mereka hendak bertawasul dengan anak itu. Mereka berhujah logik sebagaimana dalam dunia ini, anak seseorang tentunya rapat dengan ayahnya. Jika kita ingin membodek ayahnya, kita mulakan dengan bodek anaknya, bukan? Begitulah yang mereka anggap sifat Allah ‎ﷻ. Oleh kerana Allah ‎ﷻ tidak pernah kata Dia ada anak, mereka reka sendiri siapakah anak Allah ‎ﷻ.

 

وَخَلَقَ كُلَّ شَيْءٍ

dan Dia menciptakan segala sesuatu;

Allah ‎ﷻ menciptakan segala-galanya. Lalu bagaimana Allah ‎ﷻ boleh mempunyai pasangan sedangkan Dia yang mencipta dan menjadikan segala-galanya? Jin dan malaikat Allah ‎ﷻ juga yang cipta, lalu bagaimana mereka boleh dikaitkan berhubungan kekeluargaan pula dengan Allah ‎ﷻ?

 

وَهُوَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ

dan Dia maha mengetahui segala sesuatu.

Apabila Allah ‎ﷻ telah mencipta semua perkara, maka tentulah Allah ‎ﷻ tahu semua perkara. Ia tidak sama seperti kilang yang mencipta kereta. Setelah kereta itu keluar dari kilang, pembuat kereta itu tidak tahu pun apa yang terjadi dengan kereta itu. Namun ini berbeza dengan penciptaan Allah ‎ﷻ dengan makhluk-Nya. Setelah Allah ‎ﷻ menjadikan makhluk, Allah ‎ﷻ tahu setiap perkara yang terjadi dengan makhluk itu.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 6 Februari 2022


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Maariful Qur’an

Tafsir Surah al-An’am Ayat 95 – 98 (Bintang sebagai pedoman)

An’am Ayat 95: Dalam ayat ini dan seterusnya untuk beberapa ayat, Allah ‎ﷻ memperkenalkan Diri-Nya kepada kita. Allah ‎ﷻ menceritakan tentang kekuasaan-Nya.

Dalam ayat sebelum ini telah disebut bagaimana manusia ada yang tidak menghargai Allah ‎ﷻ sebagaimana Allah ‎ﷻ sepatutnya dihargai. Manusia tidak menghargai Allah ‎ﷻ itu kerana mereka tidak mengenal Allah ‎ﷻ dan sifat-sifat-Nya. Maka, di dalam ayat ini Allah ‎ﷻ memberitahu apakah perbuatan-Nya supaya manusia lebih mengenali Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ menceritakan apakah yang dilakukan-Nya.

 إِنَّ اللَّهَ فالِقُ الحَبِّ وَالنَّوىٰ ۖ يُخرِجُ الحَيَّ مِنَ المَيِّتِ وَمُخرِجُ المَيِّتِ مِنَ الحَيِّ ۚ ذٰلِكُمُ اللَّهُ ۖ فَأَنّىٰ تُؤفَكونَ

Sahih International

Indeed, Allah is the cleaver of grain and date seeds. He brings the living out of the dead and brings the dead out of the living. That is Allah ; so how are you deluded?

Malay

Sesungguhnya Allah jualah yang membelah (menumbuhkan) butir (tumbuh-tumbuhan) dan biji (buah-buahan). Dia mengeluarkan yang hidup dari yang mati, dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup. Yang sedemikian itu kekuasaannya ialah Allah. Maka bagaimanakah kamu dipalingkan dari menyembahNya (oleh benda-benda yang kamu jadikan sekutuNya)?

 

إِنَّ اللَّهَ فَالِقُ الْحَبِّ

Sesungguhnya Allah menumbuhkan butir tumbuh-tumbuhan

Kalimah فَالِقُ berasal daripada katadasar ف ل ك yang bermaksud ‘membelah’. Ia digunakan untuk menerangkan perbuatan ‘membelah sesuatu yang tidak bernyawa’ sebagai contohnya batu. Perkataan itu bermaksud membelah dan memisahkan menjadi dua bahagian dan bukanlah bermaksud ‘memecahkan’. Surah al-Falaq itu, dinamakan begitu kerana Allah ‎ﷻ ‘membelah’ kegelapan malam, bukannya memecahkan malam.

Kalimah الْحَبِّ pula bermaksud biji-bijian yang boleh dimakan. Ini adalah jenis tumbuhan yang berbentuk bijian. Seperti contohnya, makanan kita iaitu gandum dan beras. Allah ‎ﷻlah yang membelah bijian itu dalam tanah dan menumbuhkannya. Tidak ada yang selain Allah ‎ﷻ yang melakukannya. Kita sebagai manusia hanya mampu menanamnya sahaja.

Allah ‎ﷻ jugalah yang mengajar manusia bagaimana menanam dan memasaknya di mana ilmu ini telah diajarkan kepada Nabi Adam عليه السلام semasa baginda di syurga lagi. Ilmu ini tidak dapat kita tahu kalau kita belajar sendiri. Maknanya, semua ilmu sebenarnya daripada Allah ‎ﷻ.

 

وَالنَّوَىٰ

dan biji buah-buahan.

Ini pula adalah jenis bijian yang tidak dimakan. Seperti biji pada limau, biji pada epal dan sebagainya. Ia sejenis biji juga, tetapi kita tidak makan bijinya. Kita hanya makan isi luar yang menyaluti biji itu, sebagai contoh buah durian dan buah rambutan.

Allah ‎ﷻ menceritakan bagaimana Allah ‎ﷻ membelah biji-biji itu yang daripadanya menjadi benih dan bertambah anak pokok yang tumbuh. Maka kita tidak makan biji itu, tetapi ia boleh menumbuhkan buah yang lain. Kejadian ini semua menceritakan nikmat-nikmat yang Allah ‎ﷻ berikan kepada kita.

 

يُخْرِجُ الْحَيَّ مِنَ الْمَيِّتِ

Dia mengeluarkan yang hidup daripada yang mati

Sebagai contoh, daripada biji yang nampak mati itu, boleh mengeluarkan buah-buahan dan biji-bijian yang hidup di mana biji-bijian itu menjadi benih kepada tumbuhan yang baru.

Atau bermaksud benda yang mati adalah telur. Yang keluar dan hidup daripada telur itu adalah ayam, burung, ular, biawak dan sebagainya.

 

وَمُخْرِجُ الْمَيِّتِ مِنَ الْحَيِّ

dan mengeluarkan yang mati daripada yang hidup.

Sebagai contoh, Allah ‎ﷻ mengeluarkan benih yang mati daripada pokok yang hidup. Sebagai contoh lagi, daripada ayam yang hidup, keluarlah telur.

Pengkritik Al-Qur’an mengatakan maklumat ini tidak masuk akal kerana takkan yang mati boleh mengeluarkan sesuatu yang hidup? Sebenarnya sains biologi moden mendapati ada proses kitar semula di dalam alam ini. Hidupan yang mati dan reput dan digunakan oleh kehidupan yang lain. Ini adalah ilmu baru dalam sains biologi tapi ianya telah disebut oleh Al-Qur’an 1,400 tahun dahulu yang membuktikan ia adalah kalamullah.

 

ذَٰلِكُمُ اللَّهُ

(Yang memiliki sifat-sifat) demikian ialah Allah,

Allah ‎ﷻ yang buat semua itu. Tidak ada sesiapa yang boleh buat seperti apa yang Allah ‎ﷻ lakukan itu. Kalau kita buat sendiri, tidak akan tumbuh pokok itu.

 

فَأَنَّىٰ تُؤْفَكُونَ

maka mengapa kamu masih berpaling?

Perkataan تُؤْفَكُونَ berasal daripada perkataan ء ف ك yang bermaksud ‘menipu’. Atau juga bermaksud ‘mengubah arah dari arah yang sepatutnya’ – melencong. Kalau Allah ‎ﷻ yang buat semua sekali, bagaimana kamu boleh terpesong dan tertipu dengan sembah dan doa kepada selain Allah ‎ﷻ?

Lihatlah bagaimana agama lain sembah selain Allah ‎ﷻ. Untuk penganut Hindu, mereka sembah dewa mereka seperti Siva, Ganesh, Murugan dan macam-macam lagi dewa sembahan mereka. Untuk penganut Kristian pula, mereka sembah Nabi Isa عليه السلام.

Walau bagaimanapun, yang asalnya mereka sembah berhala dan sembah Nabi Isa عليه السلام itu sebagai ‘perantaraan’, bukanlah sebagai ‘tuhan’. Maka, tidak betul kalau kita katakan yang agama Hindu menganggap Murugan itu tuhan, atau Kristian menganggap yang Nabi Isa itu sebagai tuhan. Tidak sama sekali. Asalnya tidak begitu. Kalau tidak percaya, cubalah tanya penganut agama Hindu dan Kristian itu sendiri (yang ada ilmu tinggi sikit, bukan penganut biasa). Mereka akan kata bahawa yang mereka sembah itu adalah ‘perantaraan kepada tuhan’.

Mereka tidaklah menerima berhala dan Nabi Isa عليه السلام itu sebagai tuhan. Tetapi apabila mereka telah menyembah perantaraan-perantaraan itu, mereka tidak lagi menyembah Tuhan. Mereka rasa sudah cukup dengan mereka menyembah perantara (wasilah) sahaja untuk menyampaikan doa kepada Tuhan. Maka dari sini, kita dapat faham bahawa orang kafir itu menjadi kafir kerana mereka menyembah perantara atau wasilah.

Bagaimana pula dengan kita? Ramai dalam masyarakat Islam kita sangka dengan tidak sembah berhala maka kita tidak melakukan perkara syirik. Padahal mereka tidak sedar bahawa mereka ada juga melakukan ibadat kepada perantara iaitu yang dinamakan tawasul kerana masalah tawasul inilah yang menjadikan orang kafir itu kafir.

Oleh sebab itu, jika perbuatan yang sama kita lakukan, maka, tidak banyak bezanya antara kita dengan orang-orang kafir itu. Mereka beribadat kepada tawasul dan orang kita juga ramai yang beribadat kepada tawasul kita pula. Ini tidak sepatutnya berlaku. Sepatutnya kita hanya sembah Allah ‎ﷻ sahaja tetapi malangnya ramai antara kita juga ada sembah kepada perantara. Perantara yang masyarakat Islam kita gunakan adalah Nabi, malaikat dan wali. Banyak contoh-contoh yang kita telah berikan dalam penulisan kita ini.

Alangkah sedihnya apabila kita lihat masyarakat kita tidak jauh sahaja bezanya daripada agama lain, kerana kejahilan dengan wahyu al-Qur’an. Mari kita bandingkan masyarakat kita dengan agama lain. Sebagai contoh, apabila orang Hindu hendak berdoa, mereka akan meminta sami mereka yang doakan untuk mereka. Kemudian, mereka akan beri upah kepada sami mereka.

Bagaimana pula dengan kita? Kita pula apabila hendak berdoa, ada yang akan minta ustaz-ustaz kita untuk doa bagi pihak kita. Selepas itu, kita akan beri upah kepada ustaz itu tadi. Maka, sama sahaja kita dengan penganut Hindu tadi. Maknanya akidah mereka yang mengamalkan tawasul itu sama sahaja dengan akidah orang Hindu. Ini semua terjadi kerana salah faham dengan Allah ‎ﷻ.


 

An’am Ayat 96: Dalam ayat sebelum, ini Allah ‎ﷻ menceritakan dalil kenapa Dia sahaja yang perlu disembah. Allah ‎ﷻ memberikan dalil-dalil daripada penumbuhan tanam-tanaman. Sekarang Allah ‎ﷻ hendak memberikan dalil penukaran siang dan malam pula iaitu Allah ‎ﷻ suruh kita lihat alam ini.

فالِقُ الإِصباحِ وَجَعَلَ اللَّيلَ سَكَنًا وَالشَّمسَ وَالقَمَرَ حُسبانًا ۚ ذٰلِكَ تَقديرُ العَزيزِ العَليمِ

Sahih International

[He is] the cleaver of daybreak and has made the night for rest and the sun and moon for calculation. That is the determination of the Exalted in Might, the Knowing.

Malay

Allah jualah Yang membelah cahaya subuh (yang menyingsingkan fajar), dan yang menjadikan malam untuk tinggal berehat, dan menjadikan matahari dan bulan untuk mengira waktu (menurut peredarannya). Yang demikian itu adalah kuasa penentuan Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui.

 

فَالِقُ الْإِصْبَاحِ

Dia menyingsingkan pagi

Allah ‎ﷻlah yang mengeluarkan siang dengan membelah malam. Allah ‎ﷻ membelah malam dan kemudian mengeluarkan siang. Ketika masuk waktu pagi dan kita lihat ke arah ufuk timur, kita akan nampak belahan itu. Jika Allah ‎ﷻ tidak mentakdirkan siang itu terjadi, maka siang tidak akan terjadi.

Oleh itu, bersyukurlah apabila siang datang lagi, memberi peluang kepada kita untuk bertaubat, untuk menambah amal di dunia ini lagi. Ia juga memberi cahaya untuk kita mudah melakukan pekerjaan kita di siang hari.

 

وَجَعَلَ اللَّيْلَ سَكَنًا

dan dia telah menjadikan malam untuk beristirehat,

Allah ‎ﷻ menjadikan malam itu untuk istirehat kepada diri kita, tetapi dalam masa yang sama, untuk beribadat juga kepada Allah ‎ﷻ. Kalimah سكن bermaksud ‘berhenti’ yang bermaksud kita berhenti kerja (kalau dalam tajwid kita belajar tanda sukun). Ia juga bermaksud ketenangan (sakinah). Malam adalah salah satu elemen untuk mendapatkan sakinah. Kita akan berasa sakinah ketika waktu malam dan berada di rumah bersama dengan keluarga kita.

Banyak juga nikmat malam ini bagi kita. Bayangkan kalau matahari bersinar sepanjang siang dan malam, tentu susah manusia untuk berehat dan tidur. Maka lihatlah bagaimana Allah ‎ﷻ menggelapkan malam untuk memudahkan kita berehat di malam hari.

Oleh itu apabila Allah ‎ﷻ telah menjadikan malam sebagai masa untuk berehat, maka hendaklah kita berehat di malam hari. Kalau kita lawan ketetapan itu dengan tidak tidur, buat kerja, main game dan sebagainya, akan ada masalah dengan kesihatan kita nanti. Jangan lawan apa yang telah Allah ‎ﷻ tetapkan untuk diri kita.

Nasihat kesihatan: badan kita dan otak kita memerlukan kualiti tidur yang baik. Maka kena jaga waktu tidur kita supaya kita dapat berfungsi dengan baik. Gunakan malam dengan sebaiknya. Antaranya adalah dengan tidur dalam gelap, jangan dipasangkan lampu kerana tujuan Allah ‎ﷻ menjadikan kegelapan supaya kita dapat tidur.

 

وَالشَّمْسَ وَالْقَمَرَ حُسْبَانًا

dan (menjadikan) matahari dan bulan untuk perhitungan.

Perkataan حُسْبَانًا berasal daripada ح س ب yang bermaksud ‘kira’. Dalam bahasa kita dulu pun matematik dipanggil ‘Ilmu Hisab’ bukan?

Allah ‎ﷻ menjadikan matahari dan bulan itu untuk memudahkan kita mengira waktu. Untuk kira bila masuknya waktu salat dan juga untuk mengira bilakah bermulanya bulan baru dan bilakah berakhirnya bulan itu.

Allah ‎ﷻ sebut ‘bulan dan matahari’. Bulan dijadikan sebagai tanda untuk mengira waktu dalam ibadah dalam Islam. Sebagai contoh, kita memerhatikan anak bulan untuk memastikan bilakah bermulanya bulan Ramadhan dan Syawal. Bulan jenis ini dinamakan kalendar Qamariah.

Selain itu, Allah ‎ﷻ juga sebut matahari digunakan untuk pengiraan. Ini adalah bulan Syamsiah atau “Lunar Calendar”. Selalunya, orang Melayu akan panggil bulan Qamariah sebagai ‘Bulan Islam’, seolah-olah hendak mengatakan yang Bulan Syamsiah bukan Islam pula. Tetapi lihatlah bagaimana Allah ‎ﷻ mengatakan bahawa kedua-dua bulan dan matahari itu dijadikan oleh Allah ‎ﷻ sebagai pengira waktu. Maknanya, dua-dua adalah ‘Bulan Islam’.

Maknanya kedua-duanya boleh digunakan, tidak ada masalah. Kerajaan Islam telah menggunakan kalender Qamariah sebagai kalendar rasmi. Tetapi kalau sekarang kita menggunakan kalender Syamsiah pun tidak mengapa kerana majoriti dunia sekarang pun menggunapakai kalender itu. Cuma kenalah tahu kalendar Qamariah juga kerana ibadah utama kita terkait dengannya seperti Ramadhan dan Zulhijjah.

Tidakkah kita lihat bagaimana kita memerlukan matahari juga untuk menentukan waktu salat? Keluar matahari, masuk waktu subuh; matahari tergelincir dari tegak menandakan masuk waktu zuhur dan sebagainya. Memang zaman sekarang kita banyak bergantung dengan jam untuk menentukan waktu salat. Tetapi bagaimana kalau tidak ada jam?

Oleh sebab itu, bulan dan matahari ada gunanya kepada kita dalam ibadah kita. Ia menurut perintah Allah ‎ﷻ dan adalah makhluk Allah ‎ﷻ yang taat dalam menjalankan tugasnya. Bukanlah bulan dan matahari itu Allah ‎ﷻ jadikan untuk dipuja oleh mereka yang melakukan syirik. Itu dilakukan oleh agama sesat yang menyembah bintang, matahari dan sebagainya. Tetapi ada juga masyarakat kita yang bersumpah dengan ‘matahari yang tengah naik’. Itu adalah perbuatan yang salah.

Perkataan حسب juga bermaksud ‘berenang’. Maka, dalam konteks matahari dan bulan, ia bermaksud kedua-duanya mempunyai orbit yang telah ditetapkan untuk bergerak (seolah-olah berenang dalam orbitnya). Allah ‎ﷻ yang telah menetapkan pergerakan bulan dan matahari. Matahari dan bulan bergerak mengikut arahan Allah ‎ﷻ dan tidak pernah tidak mengikut arahan. Jika bulan dan matahari yang besar itu pun mengikut perintah Allah ‎ﷻ, kenapa tidak kita?

Jika kita dapat lihat hebatnya matahari dan bulan itu, tentu Allah ‎ﷻ lagi hebat! Bayangkan perjalanan matahari dan bulan itu teratur dan tidak perlu dibaiki lagi. Ia sentiasa ikut aturannya seperti disebut dalam Yaasin:40 bagaimana matahari tidak mendahulu bulan dan bulan tidak akan mendahului matahari.

 

ذَٰلِكَ تَقْدِيرُ الْعَزِيزِ الْعَلِيمِ

Itulah ketentuan Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui.

Kalimah ذَٰلِكَ merujuk kepada semua perkara di atas tadi. Allah ‎ﷻ mengatakan yang Dialah yang menentukan semua pergerakan alam yang hebat itu. Bukannya matahari dan bulan bergerak sendiri dan terjadi sendiri.

Oleh itu, jangan kita merungut tentang siang dan malam kerana Allah ‎ﷻ sudah tetapkan ia terjadi pada waktunya. Sebagai contoh, mungkin kita selalu kata, “kenapalah siang ni cepat sangat, tak habis nak siapkan kerja lagi.” Kita lupa bahawa Allah ‎ﷻ yang menetapkan bila siang dan malam terjadi.

Kalimah تَقْدِيرُ berasal daripada katadasar ق د ر yang bermaksud ‘ketetapan’. Tetapi ia juga bermaksud ‘penilaian’, pengiraan nilai di mana Allah ‎ﷻ memberikan cara pengiraan kepada kita. Dengannya kita dapat menentukan masa seperti bulan dan tahun. Jika kita manusia menggantung kalendar di dinding rumah, Allah ‎ﷻ menggantungnya di langit!


 

An’am Ayat 97: Ini adalah dalil ketiga yang Allah ‎ﷻ berikan kepada kita untuk menunjukkan bahawa hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang boleh disembah.

وَهُوَ الَّذي جَعَلَ لَكُمُ النُّجومَ لِتَهتَدوا بِها في ظُلُمٰتِ البَرِّ وَالبَحرِ ۗ قَد فَصَّلنَا الآيٰتِ لِقَومٍ يَعلَمونَ

Sahih International

And it is He who placed for you the stars that you may be guided by them through the darknesses of the land and sea. We have detailed the signs for a people who know.

Malay

Dan Dia lah yang menjadikan bintang-bintang bagi kamu supaya kamu berpedoman kepadanya dalam kegelapan (malam) di darat dan di laut. Sesungguhnya kami telah jelaskan tanda-tanda kebesaran (Kami) satu persatu bagi orang-orang yang mengetahui.

 

وَهُوَ الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ النُّجُومَ

Dan Dialah yang menjadikan bintang-bintang bagimu,

Lihatlah bagaimana malam yang gelap itu dicantumkan dengan keindahan bintang-bintang bergemerlapan. Apabila ada bintang, nampaklah sedikit keindahan langit itu. Kalau tidak, malam itu akan menjadi gelap-gelita sahaja.

Lihatlah bagaimana perkataan لَكُمُ digunakan. Ia bermaksud Allah ‎ﷻ menjadikan bintang itu untuk kegunaan kita. Tetapi bagaimanakah untuk kita menggunakannya? Berbeza dengan contoh pokok di mana mudah saja untuk kita nampak kebaikannya.

 

لِتَهْتَدُوا بِهَا

agar kamu menjadikannya sebagai petunjuk

Iaitu manusia menggunakan bintang di langit itu sebagai petunjuk dalam perjalanan. Bilakah kita gunakan bintang sebagai penunjuk?

 

فِي ظُلُمٰتِ الْبَرِّ وَالْبَحْرِ

dalam kegelapan di darat dan di laut.

Jangan kita katakan yang bintang itu dijadikan ‘petunjuk’ seperti Pak Nujum sekarang selalu buat. Ataupun seperti orang yang buat tilikan dengan menggunakan bintang kelahiran kita sebagaimana ada dalam kalangan mereka yang gemar menggunakan zodiac mereka melihat apa akan jadi esok, dan sebagainya. Bukan petunjuk itu yang dimaksudkan.

Lihatlah Allah ‎ﷻ menambah dengan mengatakan petunjuk yang dimaksudkan adalah ‘di dalam kegelapan darat dan lautan’ – iaitu sebagai penunjuk arah dalam perjalanan. Bintang-bintang itu Allah ‎ﷻ jadikan kepada manusia untuk mereka jadikan sebagai panduan arah semasa mengembara di malam hari. Tidak kira sama ada mereka berada di daratan atau pun di lautan.

Sebagai contoh, manusia menggunakan Bintang Utara (North Star) sebagai pedoman mereka kerana Bintang Utara itu tetap di langit tidak bergerak. Apabila ia tetap duduk di tempatnya, maka ia boleh dijadikan sebagai tanda arah pada bila-bila masa.

Mungkin ada yang kata zaman sekarang tidak menggunakan bintang lagi kerana sudah ada kompas, sudah ada GPS, peta dan sebagainya. Tetapi ingatlah yang semua benda itu boleh hilang atau rosak. Dan adakalanya ia tidak boleh digunakan kerana tidak tepat. Waktu itu hendak bergantung dengan apa pula? Yang takkan hilang adalah bintang di langit itu. Malah, orang Melayu dikatakan pengembara laut yang hebat di zaman dahulu kerana mereka pandai membaca bintang sebagai penunjuk arah.

Allah ‎ﷻ memberi isyarat kepada Al-Qur’an dalam ayat ini. Sebagaimana bintang boleh memberi pedoman kepada manusia dalam kegelapan malam, begitu juga Al-Qur’an memberi pedoman kepada manusia untuk keluar daripada kegelapan syirik.

Daripada ayat ini, jelaslah bagaimana penunjuk yang dimaksudkan adalah bentuk pedoman dalam perjalanan. Maka, bukanlah bintang itu digunakan sebagai penunjuk tentang sifat seseorang, tentang apa akan berlaku tahun ini, esok hari, sama ada tahun ini beruntung atau tidak. Itu adalah faham yang khurafat. Malangnya, berapa banyak anak-anak kita yang masih percaya lagi?

Mereka letakkan bintang kelahiran mereka dengan bangganya. Dan kadang-kadang mereka akan post ramalan bintang mereka dalam Facebook. Ramalan bintang itu pula masih banyak lagi dalam suratkhabar dan majalah-majalah bacaan mereka ini. Amat malang apabila ibubapa tidak dapat menceritakan bahawa apa yang mereka lakukan itu adalah salah dalam Islam.

Menggunakan bintang sebagai penentu nasib kita adalah haram dan ini tidak boleh sama sekali dilakukan. Maka, kalau ada yang menganjurkannya, maka dia sudah sesat sangat. Ini adalah perkara yang asas di dalam Islam dan menghairankan sekali kalau ada orang Islam tidak tahu. Apatah lagi kalau orang itu ustaz yang mengajar masyarakat pula!

 

قَدْ فَصَّلْنَا الْآيٰتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ

Sesungguhnya Kami telah menjelaskan tanda-tanda kebesaran (Kami) kepada orang-orang yang mahu mengetahui.

Perkataan فَصَّلْنَا berasal daripada katadasar ف ص ل yang bermaksud ‘memisahkan’. Bermaksud Al-Qur’an itu memisahkan satu topik daripada topik yang lain supaya boleh diperjelaskan satu persatu supaya kita senang faham. Seperti kita belajar di sekolah dan universiti dulu, kita akan belajar mengikut topik supaya kita senang faham.

Seperti dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ memberikan contoh satu persatu bagaimana Dia telah melakukan perkara-perkara itu. Apabila digunakan perkataan يَعْلَمُونَ, ia membawa maksud ‘mahu mengetahui’ kerana ia dalam present tense. Bukanlah ia bermaksud ‘sudah mengetahui’. Ini kerana kalau ia bermaksud sudah mengetahui, perkataan علمين yang digunakan.

Tanda-tanda kebesaran Allah ‎ﷻ ini diberikan kepada semua makhluk, tetapi yang dapat mengambil pengajaran daripadanya hanyalah mereka yang ‘mahu mengetahui’ sahaja. iaitu mereka yang mahu mengetahui kebenaran.

Apakah kebenaran yang perlu diketahui itu? Iaitu mengetahui bahawa makhluk hanya boleh puja dan sembah kepada Allah ‎ﷻ sahaja; tidak boleh dipuja, disembah dan diibadati kepada entiti yang lain. Juga bermaksud mereka yang mengetahui bahawa itulah tuntutan tauhid yang perlu dipenuhi oleh semua makhluk.

Juga yang dimaksudkan dengan mengetahui itu adalah ‘mengetahui tentang Al-Qur’an’. Maknanya, untuk tahu ilmu tauhid, kena belajar tafsir Al-Qur’an. Malangnya, masyarakat Islam kita hanya suka belajar kitab itu dan kitab ini, iaitu kitab-kitab karangan manusia. Seeloknya, sebelum belajar kitab lain, sepatutnya kenalah belajar tafsir Al-Qur’an dulu. Memang boleh belajar kitab lain, tetapi bila pula hendak belajar tafsir Al-Qur’an?

Ayat ini juga memberitahu kepada kita bahawa semua benda yang Allah ‎ﷻ jadikan ada gunanya. Tidaklah apa yang Allah ‎ﷻ jadikan dalam dunia ini sia-sia. Tidak ada perkara yang sia-sia, semuanya ada hikmah. Kalau kita lihat bintang itu, ia amat jauh sekali daripada kita, namun ada juga gunanya kepada kita. Kita sahaja yang tidak nampak kegunaannya mengapa Allah ‎ﷻ menjadikan sesuatu itu kerana akal kita yang lemah.


 

An’am Ayat 98: Tadi makhluk atas langit, sekarang Allah ‎ﷻ sentuh makhluk yang di bawah pula, iaitu kita.

وَهُوَ الَّذي أَنشَأَكُم مِّن نَّفسٍ وٰحِدَةٍ فَمُستَقَرٌّ وَمُستَودَعٌ ۗ قَد فَصَّلنَا الآيٰتِ لِقَومٍ يَفقَهونَ

Sahih International

And it is He who produced you from one soul and [gave you] a place of dwelling and of storage. We have detailed the signs for a people who understand.

Malay

Dan Dia lah yang mencipta kamu dari diri yang satu (Adam), maka (bagi kamu) disediakan tempat tetap (dalam tulang sulbi bapa kamu atau di bumi), dan tempat simpanan (dalam rahim ibu atau dalam kubur). Sesungguhnya Kami telah jelaskan tanda-tanda kebesaran (Kami) satu persatu bagi orang-orang yang mengerti (secara mendalam).

 

وَهُوَ الَّذِي أَنشَأَكُم مِّن نَّفْسٍ وٰحِدَةٍ

Dan Dialah yang menjadikan kamu daripada satu jiwa,

Satu jiwa yang dimaksudkan adalah Nabi Adam عليه السلام. Daripada jiwa yang satu itu, dijadikan umat manusia yang lain. Ini adalah salah satu daripada iman, iaitu percaya bahawa seluruh manusia ini berasal daripada Nabi Adam عليه السلام. Maka, kalau ada yang kata kita berasal daripada monyet, itu adalah satu pendapat yang menghinakan diri kita sendiri.

Nabi Adam عليه السلام dijadikan daripada tanah. Kemudian daripada Nabi Adam عليه السلام, dijadikan isterinya Hawa. Kenapa Allah ‎ﷻ tidak jadikan Hawa daripadaa tanah juga? Allah ‎ﷻ boleh sahaja menjadikan Hawa daripada tanah juga tetapi Allah ‎ﷻ tidak buat begitu. Kenapa?

Supaya umat manusia ini berasal daripada satu punca. Supaya tidaklah ada perbezaan di antara satu sama lain. Kalaulah Allah ‎ﷻ menjadikan Hawa daripada tanah juga, atau daripada bahan lain, maka kaum wanita dan lelaki akan ada perbezaan yang ketara. Mereka akan kata mereka lain daripada kaum lelaki. Oleh itu, apabila dijadikan daripada jiwa yang satu, maka tidak ada masalah itu. Memang lelaki dan wanita ada bezanya, tetapi bezanya tidaklah jauh sangat.

Oleh itu, kita hendaklah terima bahawa kita ini adalah umat yang satu, berasal daripada asal yang satu. Maka janganlah kita berkelahi dan membezakan antara satu sama lain. Kita hendaklah menghormati bangsa lain kerana kehebatan seseorang bukannya daripada bangsa mana dia berasal, tetapi daripada iman dan taqwanya.

 

فَمُسْتَقَرٌّ

maka (bagimu) ada tempat tetap

Semua kita ada tempat tinggal di dunia ini dan merujuk kepada masa seseorang itu tinggal. Ia adalah tempat tinggal yang pada kadar yang lama.

 

وَمُسْتَوْدَعٌ

dan tempat simpanan.

Asal maksud perkataan ini adalah ‘tempat simpanan amanah’. Seperti seseorang meninggalkan barangnya kepada seseorang sekejap. Sebagai contoh, seorang kawan hendak ke tandas dan minta kawannya menyimpan sekejap barangnya. Bukan untuk dipegang lama, tetapi sekejap sahaja. Apabila diminta balik, hendaklah dipulangkan semula. Maka, ia adalah tempat simpanan sementara sahaja.

Maka, kita semua ada tempat tinggal yang tetap dan tempat tinggal sementara. Ada banyak pendapat ulama’ tafsir tentang beza antara dua makna ayat ini. Kita berikan beberapa sahaja:

    1. Tempat yang tetap adalah dunia ini. Dan tempat sementara adalah dalam perut ibu kita kerana kita sekejap sahaja dalam perut ibu kita. Selepas sembilan bulan, kita akan dikeluarkan.
    2. Tempat yang tetap adalah akhirat dan tempat sementara adalah kubur kita. Apabila kita mati, kita dikuburkan dalam tanah dan bila kiamat, semua akan bangun dan berada di Mahsyar dan Akhirat akan bermula bagi semua orang. Akhirat itulah tempat akhir kita. Kubur itu sementara sahaja, menunggu Kiamat.
    3. Tempat yang tetap itu adalah akhirat dan tempat yang sementara adalah dunia ini. Kita pun tahu kita sekejap sahaja tinggal di dunia ini. Kalau dibandingkan masa di dunia ini dengan masa di akhirat yang kekal, masa di dunia seperti tidak ada apa-apa.

Ini mengajar kita bahawa manusia itu ada mula dan ada akhirnya. Kita hidup ada peringkat-peringkat yang kita perlu lalui seperti yang disebut di dalam Insyiqaq:19. Kita tidak kekal dalam dunia ini. Maka, hendaklah kita bersedia dengan persediaan untuk ke akhirat.

Kalau kita hendak mengembara ke Jepun, tentu kita sudah bersedia dengan maklumat-maklumat tentang negara Jepun, bukan? Kalau kita tidak hendak ke sana, kita pun tahu hanya sikit-sikit sahaja. Tetapi bayangkan kalau kita memang akan pergi tidak lama lagi, tentu pelbagai maklumat kita akan cari tentang Jepun, bukan? Seperti nama tempat, apa yang ada di sana, bahasa apa yang digunakan, berapa ramai orang di sana, cuacanya bagaimana, mereka jenis orang yang bagaimana dan sebagainya. Bukankah itu yang kita akan buat?

Baik, kita mungkin tidak berkesempatan untuk pergi ke Jepun, maka tidak perlu tahu sangat pasal Jepun pun tidak mengapa. Tetapi adakah kita akan pergi ke syurga atau neraka? Itu sudah tentu. Kita pasti akan pergi sama ada ke syurga atau ke neraka. Dan tentunya kita hendak pergi ke syurga, bukan? Oleh itu, tidakkah kita perlu tahu tempat tujuan kita? Kalau kita memang hendak ke syurga, tentu kita kena tahu tentang syurga bukan?

Maka, soalan: adakah kita tahu cuaca di syurga? Siapa yang tinggal di sana? Keadaan di sana? Bagaimana hendak sampai ke sana? Kalau kita tidak tahu, bermakna kita tidaklah beriya-iya hendak ke syurga. Ini adalah sesuatu yang kita kena fikir-fikirkan.

 

قَدْ فَصَّلْنَا الْآيٰتِ لِقَوْمٍ يَفْقَهُونَ

Sesungguhnya telah Kami jelaskan tanda-tanda kebesaran Kami kepada orang-orang yang mahu memahami.

Seperti juga perkataan يَعْلَمُونَ bermaksud ‘mahu mengetahui’, maka perkataan يَفْقَهُونَ bermaksud ‘mahu memahami’.

Apakah bezanya علم dan علم ? فقه adalah ‘ilmu pengetahuan’ dan فقه pula bermaksud ‘pemahaman’. Sebagai contoh, ada orang yang tahu membaca Al-Qur’an dengan baik. Mereka boleh membaca tetapi mereka tidak tahu ilmu tajwid. Tetapi ada orang yang tahu baca dan dalam masa yang sama dia tahu juga kenapa dia kena baca begitu dan dia tahu apakah hukum tajwid itu.

Maknanya, فقه itu bukan sahaja tahu, tetapi dia tahu ‘bagaimana’ dan ‘kenapa’ sekali. Orang yang ada فقه lebih tinggi ilmunya.

 

Allahu a’lam. Semoga kita mendapat kefahaman Qur’an ini. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 20 Julai 2023

Ringkasan Surah An’am


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Maariful Qur’an

Tafsir Surah al-An’am Ayat 93 – 94 (Mana pemberi syafaat kamu?)

An’am Ayat 93: Ayat Zajrun (Ayat Teguran). Ada tiga jenis kezaliman yang disebut dalam ayat ini.

وَمَن أَظلَمُ مِمَّنِ افتَرىٰ عَلَى اللَّهِ كَذِبًا أَو قالَ أوحِيَ إِلَيَّ وَلَم يوحَ إِلَيهِ شَيءٌ وَمَن قالَ سَأُنزِلُ مِثلَ ما أَنزَلَ اللَّهُ ۗ وَلَو تَرىٰ إِذِ الظّٰلِمونَ في غَمَرٰتِ المَوتِ وَالمَلٰئِكَةُ باسِطو أَيديهِم أَخرِجوا أَنفُسَكُمُ ۖ اليَومَ تُجزَونَ عَذابَ الهونِ بِما كُنتُم تَقولونَ عَلَى اللَّهِ غَيرَ الحَقِّ وَكُنتُم عَن ءآيٰتِهِ تَستَكبِرونَ

Sahih International

And who is more unjust than one who invents a lie about Allah or says, “It has been inspired to me,” while nothing has been inspired to him, and one who says, “I will reveal [something] like what Allah revealed.” And if you could but see when the wrongdoers are in the overwhelming pangs of death while the angels extend their hands, [saying], “Discharge your souls! Today you will be awarded the punishment of [extreme] humiliation for what you used to say against Allah other than the truth and [that] you were, toward His verses, being arrogant.”

Malay

Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang mereka-reka perkara yang dusta terhadap Allah, atau orang yang berkata: “Telah diberi wahyu kepadaku”, padahal tidak diberikan sesuatu wahyu pun kepadanya; dan orang yang berkata: “Aku akan menurunkan seperti apa yang diturunkan Allah”. Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang zalim itu dalam penderitaan “sakratul-maut” (ketika hendak putus nyawa), sedang malaikat-malaikat pula menghulurkan tangan mereka (memukul dan menyeksa orang-orang itu) sambil berkata (dengan menengking dan mengejek): “Keluarkanlah nyawa kamu (dari tubuh kamu sendiri); pada hari ini kamu dibalas dengan azab seksa yang menghina (kamu) sehina-hinanya, disebabkan apa yang telah kamu katakan terhadap Allah dengan tidak benar, dan kamu pula (menolak dengan) sombong takbur akan ayat-ayat keteranganNya”.

 

وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنِ افْتَرَىٰ عَلَى اللَّهِ كَذِبًا

Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang membuat kedustaan terhadap Allah

Maksud ayat ‘siapakah yang lebih zalim’ adalah: tidak ada orang lain lagi yang lebih zalim daripada mereka yang mencipta dusta terhadap Allah ‎ﷻ. Merekalah yang paling zalim.

Ada tiga jenis kezaliman yang disebut dalam ayat ini. Yang pertama adalah: membuat kedustaan terhadap Allah ‎ﷻ. Kalau kita berdusta tentang seseorang, itu adalah tohmah. Kalau tohmah dengan manusia pun sudah dosa yang besar, apatah lagi kalau kita tohmah tentang Allah ‎ﷻ? Itulah sebab dikatakan mereka yang berdusta terhadap Allah ‎ﷻ adalah yang paling zalim.

Apakah dimaksudkan dengan pendustaan itu? Pendustaan terhadap Allah ‎ﷻ yang paling besar adalah mengatakan yang ada ilah lain selain Allah ‎ﷻ. Ataupun dengan mengatakan bahawa Allah ‎ﷻ ada anak. Itu adalah suatu pernyataan yang syirik. Ini banyak dilakukan oleh agama-agama yang lain.

Ataupun ia bermaksud, mencipta sesuatu hal baru dalam hal agama, kemudian mengatakan yang ia daripada Allah ‎ﷻ. Atau mengatakan yang Allah ‎ﷻ suka kalau dilakukan perbuatan itu. Padahal Allah ‎ﷻ sendiri tidak pernah berkata begitu. Oleh itu, mereka berdusta atas nama Allah ‎ﷻ.

Ini adalah termasuk juga amalan-amalan bid’ah yang direka oleh manusia; iaitu amalan yang tidak pernah diajar oleh Nabi ﷺ, tidak pernah diamalkan oleh sahabat, tetapi mereka kata ia adalah baik dan molek. Amat banyak sekarang dalam masyarakat kita yang mengamalkan amalan bid’ah yang tidak ada daripada nas yang sahih. Antaranya, amalan talqin, Majlis Tahlil, Salat Hajat berjama’ah dan macam-macam lagi.

Itu semua adalah rekaan daripada manusia tetapi mereka yang mengamalkannya mengatakan ia adalah baik. Bagaimana mereka boleh kata ia adalah baik, sedangkan Allah ‎ﷻ dan Nabi ﷺ tidak pernah ajar untuk melakukannya? Sepatutnya yang tahu ia adalah baik ataupun tidak hanyalah Nabi Muhammad ﷺ.

Kita mestilah melihat dan merujuk amalan para sahabat sebab mereka dididik sendiri secara langsung oleh Nabi Muhammad ﷺ. Adakah mereka membuat amalan yang seperti masyarakat kita sedang amalkan? Para sahabat itu tentu lebih tahu tentang apakah amalan yang baik kerana mereka belajar sendiri dengan Rasulullah ﷺ. Sebagai contoh, adakah amalan Majlis Tahlil itu pernah dibuat oleh Nabi ﷺ dan para sahabat? Jawapannya sudah tentu tidak, kerana kalau ada, tentu ada hadith yang menyebut tentangnya.

Termasuk juga dalam berdusta ini adalah menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal. Sebagai contoh, kalau ada yang kata, jika minum arak tetapi tidak memabukkan, maka tidak berdosa. Mereka kata itu tidak salah sebab yang Allah ‎ﷻ larang adalah kalau kita jadi mabuk. Itu adalah pemusingan hukum Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ kata A, mereka pula kata B.

Sekarang masih tidak terjadi lagi di negara ini, tetapi hendaklah kita mengambil pengajaran bagaimana ia telah terjadi di negara Islam yang lain. Ada di sesetengah negara Islam, kita dapat tahu bagaimana imam salat jama’ah pun boleh meminum arak sebab mereka kata selagi tidak mabuk, tidak mengapa.

Atau, mengharamkan manusia makan makanan yang halal dalam keadaan ‘tertentu’. Sebagai contoh, apabila bidan-bidan kita mengajar ibu-ibu yang baru bersalin untuk ‘pantang’ daripada memakan sesuatu. Makanan itu boleh dimakan, tetapi apabila bidan kampung sudah suruh mereka pantang, maka mereka telah ‘mengharamkan’ makanan itu kepada diri mereka.

Yang kata tak boleh makan itu adalah bidan sahaja, bukan ulama’ pun, tetapi orang kita sudah beriya-iya pegang. Ingatlah bahawa sesuatu makanan itu halal dimakan kecuali kalau ada dalil yang mengatakan ia haram dimakan. Atau, kalau doktor mengatakan seseorang itu tidak boleh makan sesuatu makanan kerana ia akan memudaratkan kesihatan ibu yang baru bersalin itu. Atau, kalau memang sudah terbukti sesuatu jenis makanan itu tidak sesuai bagi ibu mengandung dan selepas bersalin, maka bolehlah dipegang.

Ada juga pengharaman makanan bagi golongan tertentu yang nanti akan disebut dalam ayat-ayat selepas ini nanti. Ia dilakukan oleh Arab Jahiliyah dan Allah ‎ﷻ tegur perbuatan mereka itu. Maka, janganlah kita ikut perbuatan salah mereka itu.

Oleh itu, kalau tiada dalil dan tiada sebab yang kukuh untuk menidakkan sesuatu makanan kepada manusia, maka kita tidak boleh menghalang sesiapa pun daripada memakan makanan itu. Maka, amalan berpantang dalam pemakanan adalah syirik.

 

أَوْ قَالَ أُوحِيَ إِلَيَّ وَلَمْ يُوحَ إِلَيْهِ شَيْءٌ

atau yang berkata: “Telah diwahyukan kepada saya”, padahal tidak ada diwahyukan sesuatu pun kepadanya,

Ini adalah sifat kedua mereka yang paling zalim. Bila mengaku terima wahyu, maka orang itu sebenarnya mengaku sebagai Nabi.

Satu pendustaan yang besar adalah apabila seseorang mengaku sebagai Nabi. Itulah yang dimaksudkan dengan mereka ‘mendapat wahyu’. Dari zaman Nabi sampai zaman sekarang, masih ada lagi manusia sesat yang mengaku mereka itu Nabi yang dilantik oleh Allah ‎ﷻ. Pada zaman Nabi, ada seorang yang bernama Musailamah al Kazzab yang mengaku Nabi dan menerima wahyu juga.

Pada zaman sekarang, sudah tidak ramai yang mengaku menjadi Nabi walaupun masih ada lagi. Tetapi yang ramai adalah mereka yang ‘bersifat’ seperti Nabi, iaitu mereka yang mereka-reka perkara baru dalam agama. Padahal hal agama sepatutnya hanya disampaikan oleh Nabi ﷺ.

Tetapi ramai ustaz-ustaz dan guru agama di Malaysia ini yang mengatakan sesuatu perkara itu baik dalam agama padahal Allah ‎ﷻ dan Nabi Muhammad ﷺ tidak pernah mengatakan sedemikian. Maka, mereka telah ‘mengambil’ tugas Nabi walaupun mereka tidak mengaku jadi Nabi.

Maka kalau kata amalan bid’ah boleh mendapat pahala, itu adalah satu kezaliman kerana mendakwa pahala pada benda yang tidak ada pahala.

 

وَمَن قَالَ سَأُنزِلُ مِثْلَ مَا أَنزَلَ اللَّهُ

dan orang yang berkata: “Saya akan menurunkan seperti apa yang diturunkan Allah”.

Ini pula adalah sifat ketiga mereka yang paling zalim.

Ini adalah mereka yang berkata sebagaimana Allah ‎ﷻ menurunkan ayat Al-Qur’an itu, mereka juga boleh membuat ayat-ayat seperti itu juga. Mereka ini menghina ayat-ayat Allah ‎ﷻ! Dengan mengatakan yang mereka boleh membuat ayat Al-Qur’an juga, mereka sebenarnya hendak mengatakan bahawa tidak ada apa apa kelebihan dengan Al-Qur’an itu, sampai mereka sendiri pun boleh buat.

Sifat mereka ini ada juga disebut dalam Anfal:31

وَإِذَا تُتْلَىٰ عَلَيْهِمْ آيَاتُنَا قَالُوا قَدْ سَمِعْنَا لَوْ نَشَاءُ لَقُلْنَا مِثْلَ هَٰذَا إِنْ هَٰذَا إِلَّا أَسَاطِيرُ الْأَوَّلِينَ

Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Kami, mereka berkata: “Sesungguhnya kami telah mendengar (ayat-ayat yang seperti ini), kalau kami menghendaki nescaya kami dapat membacakan yang seperti ini, (Al Quran) ini tidak lain hanyalah dongeng-dongengan orang-orang purbakala”.

Beginilah yang terjadi kepada Musailamah Kazzab. Kerana hendakkan pengaruh, dia sanggup mengaku jadi Nabi dan berangan-angan buat ayat seperti Al-Qur’an. Dia sangka Nabi Muhammad ﷺ menjadi Nabi sebab berkeinginan meluaskan pengaruhnya sahaja. Maka dia pun buat begitu juga.

Musailamah cuba membuat ayat yang menandingi ayat Al-Qur’an. Salah satu ayat yang digubah oleh Musailamah adalah kalimat yang menceritakan tentang haiwan katak. Katanya: “Allah menjadikan katak itu ayat bagi kalian. Tuhan berfirman katanya, (Musailamah), Hai katak betina anak dari dua katak. Bersihkanlah air seberapa banyak kamu membersihkannya, bahagian atas mu ada di air bahagian bawah mu ada di tanah. Bukan orang minum yang kau larang dan bukan air yang kau kotori”.

Musailamah reka cipta ayat seperti aroma Al-Quran. Tetapi semuanya adalah palsu dan tidak benar. Karut marut semuanya. Tidak setanding ayat-ayatnya dengan “KALAAMULLAH” yang sangat agung dan luarbiasa.

Ayat Al-Qur’an bukanlah ayat-ayat yang biasa kerana ia adalah kalam daripada Allah ‎ﷻ, bukan daripda manusia. Bahasa yang digunakan adalah amat hebat sekali. Tidak mungkin manusia boleh melakukan sedemikian. Ini diakui oleh penentang-penentang Islam pun.

Pada zaman Nabi ﷺ, walaupun mereka tidak suka Islam, tetapi mereka tidak dapat mengutuk ayat Al-Qur’an kerana mereka sendiri sedar tentang kehebatan ayat-ayat Al-Qur’an itu. Walaupun mereka tidak suka, tetapi mereka suka mendengar Al-Qur’an dibacakan. Abu Sufyan, Abu Jahal dan Akhnaz yang kuat menentang Islam selalu mendengar Al-Qur’an dibacakan oleh Nabi Muhammad ﷺ secara rahsia pada malam hari.

Sebab itulah Allah ‎ﷻ telah mencabar sesiapa sahaja yang rasa boleh membawakan surah atau ayat lain yang seperti Al-Qur’an itu. Cabaran itu Allah ‎ﷻ telah berikan semenjak zaman Nabi ﷺ lagi.

Memang ada manusia yang telah cuba menghasilkan ayat seperti ayat Al-Qur’an itu, tetapi tidak sama langsung ayat-ayat itu dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah ‎ﷻ. Manusia boleh cuba buat seperti ayat Al-Qur’an, tetapi tidak akan mencapai tahap kehebatan Al-Qur’an.

 

وَلَوْ تَرَىٰ إِذِ الظّٰلِمُونَ فِي غَمَرٰتِ الْمَوْتِ

Alangkah dahsyatnya sekiranya kamu melihat di waktu orang-orang yang zalim berada dalam tekanan sakratul maut,

Takhwif Ukhrawi: Saat-saat kematian mereka itu amat-amat menakutkan. Perkataan غَمَرَاتِ itu berasal daripada perkataan غمر yang bermaksud ‘banjir’. Ia merujuk kepada kesakitan yang amat sangat kerana mereka pada waktu itu seperti dalam kelemasan di dalam banjir.

Ia juga merujuk kepada maksud ditutupi oleh sesuatu – seperti air banjir yang banyak sehingga menutupi segalanya; iaitu apabila kita berada di dalam air yang amat dalam yang kita tidak tahu betapa dalamnya air itu. Seperti mana yang terjadi ketika banjir kerana waktu itu kita tidak tahu berapa besar banjir itu.

Maka, kalimat غَمَرَاتِ الْمَوْتِ merujuk kepada kesakitan yang amat sangat yang dialami oleh mereka yang hampir mati ketika roh mula dicabut daripada badan. Ia amat menyakitkan sebagaimana yang dialami oleh Nabi Muhammad ﷺ ketika baginda hampir wafat. Kesakitan itu dirasai oleh seluruh badan seperti mana juga banjir itu menyelimuti seluruh badan kita.

 

وَالْمَلٰئِكَةُ بَاسِطُو أَيْدِيهِمْ

sedang para malaikat memanjangkan tangannya,

‘Panjangkan tangan’ bermaksud para malaikat itu memanjangkan tangan mereka untuk mencapai orang-orang zalim itu untuk mencabut roh mereka.

Dalam ayat Muhammad:27 pula ada menceritakan bagaimana-malaikat waktu itu memukul-mukul roh orang-orang zalim itu. Sedangkan kepada orang-orang yang soleh akan dikatakan kepada mereka perkataan yang baik-baik.

 

أَخْرِجُوا أَنفُسَكُمُ

(sambil berkata): “Keluarkanlah nyawamu”

Ini bermakna malaikat yang mencabut nyawa orang-orang zalim itu, dalam mencabut nyawa mereka, tidaklah mencabut dengan lembut tetapi dengan amat kasar sekali. Sebab itulah orang-orang yang zalim itu amat merasa kesakitan maut itu. Inilah gambaran yang Allah ‎ﷻ berikan kepada kita. Tidak tercapai oleh akal kita untuk membayangkannya.

 

الْيَوْمَ تُجْزَوْنَ عَذَابَ الْهُونِ

Di hari ini kamu dibalas dengan seksa yang sangat menghinakan,

Semasa mereka hidup, mereka sombong untuk menerima ayat-ayat Allah ‎ﷻ, maka sebagai balasannya mereka akan dihina di akhirat kelak. Ketika nyawa mereka dicabut, mereka diberitahu apakah nasib mereka. Ini bermakna, kepada orang-orang zalim itu telah diberitahu kepada mereka tentang azab yang mereka akan dapat.

Kalimah الْيَوْمَ selalunya bermaksud ‘Hari Kiamat’. Bila mati sahaja seorang manusia, maka hari kiamat mereka telah bermula dan mereka akan dikenakan dengan azab-azab yang mereka akan dapat. Maknanya, bukan di neraka sahaja dikenakan azab. Semasa nyawa mereka dicabut pun, sudah dikenakan dengan azab kepada mereka.

Ayat ini memberitahu kepada kita bahawa apabila kita hampir mati, kita akan diberitahu dengan apa yang kita akan dibalas. Apabila mati sahaja, sudah tahu  ke mana kita akan pergi. Kalau kita orang soleh, kita akan diberitahu dengan kebaikan-kebaikan yang kita akan dapat. Dan kalau kita orang zalim, kita juga akan diberitahu dengan apa yang kita akan dapat.

Waktu itu sudah terlambat untuk memperbaiki diri. Maka hendaklah kita memperbaiki diri kita semasa hayat kita masih ada lagi.

 

بِمَا كُنتُمْ تَقُولُونَ عَلَى اللَّهِ غَيْرَ الْحَقِّ

kerana kamu selalu mengatakan terhadap Allah (perkataan) yang tidak benar

Mereka semua akan dikenakan dengan azab yang menghinakan itu kerana mereka selalu memperkatakan tentang Allah ‎ﷻ dengan perkara yang tidak benar. Begitulah juga mereka yang memperkatakan tentang Allah ‎ﷻ tanpa ada dalil.

Ingatlah bahawa agama ini kena ada dalil. Kalau tidak ada dalil, maka sesiapa pun boleh kata apa-apa sahaja dan akan rosaklah agama. Begitulah yang banyak terjadi dalam negara kita ini. Ada sahaja guru agama yang memperkatakan tentang agama tanpa membawakan dalil yang sahih. Mereka tidak menggunakan Al-Qur’an dan hadith yang sahih sebagai dalil.

 

وَكُنتُمْ عَنْ ءآيٰتِهِ تَسْتَكْبِرُونَ

dan (kerana) kamu selalu menyombongkan diri terhadap ayat-ayat-Nya.

Mereka sombong kerana mereka kata bahawa mereka juga boleh membawa ayat-ayat seperti itu. Mereka sombong untuk menerima kebenaran.

‘Sombong’ juga bermaksud tidak menghiraukan ayat-ayat Allah ‎ﷻ. Ini banyak berlaku dalam masyarakat Islam kita. Mereka tidak baca ayat Allah ‎ﷻ untuk mendapatkan pedoman dan pengajaran. Dan bagaimana mereka boleh mendapat pengajaran kalau mereka tidak faham dengan apa yang mereka baca?

Kalau setakat baca sahaja tetapi tidak faham, maka kita tidak mendapat manfaat yang sepatutnya. Lihatlah bagaimana masyarakat kita hanya tahu membaca Al-Qur’an tetapi tidak faham apa yang mereka baca. Mereka ajar anak mereka membaca Al-Qur’an, tetapi setakat itu sahaja. Mereka tidak belajar apa makna ayat-ayat yang mereka baca itu.

Orang Islam kita memang sayang dan hormat kepada Al-Qur’an. Mereka memang sekali sekala baca Al-Qur’an. Mungkin ada yang hari-hari akan baca Al-Qur’an. Sekurang-kurangnya, dalam salat mereka. Tetapi mereka sombong dengan Al-Qur’an, kerana apabila kita ajak mereka belajar tafsir Al-Qur’an, mereka tidak mahu.

Mereka sombong kerana mereka sangka mereka telah selamat. Padahal apa yang mereka buat banyak yang salah. Mereka buat banyak yang salah kerana apa yang diajar dalam Al-Qur’an itu mereka tidak tahu.


 

An’am Ayat 94: Sekarang disebut keadaan di akhirat.

وَلَقَد جِئتُمونا فُرٰدىٰ كَما خَلَقنٰكُم أَوَّلَ مَرَّةٍ وَتَرَكتُم مّا خَوَّلنٰكُم وَراءَ ظُهورِكُم ۖ وَما نَرىٰ مَعَكُم شُفَعاءَكُمُ الَّذينَ زَعَمتُم أَنَّهُم فيكُم شُرَكٰؤا ۚ لَقَد تَّقَطَّعَ بَينَكُم وَضَلَّ عَنكُم مّا كُنتُم تَزعُمونَ

Sahih International

[It will be said to them], “And you have certainly come to Us alone as We created you the first time, and you have left whatever We bestowed upon you behind you. And We do not see with you your ‘intercessors’ which you claimed that they were among you associates [of Allah ]. It has [all] been severed between you, and lost from you is what you used to claim.”

Malay

Dan demi sesungguhnya, kamu tetap datang kepada Kami (pada hari kiamat) dengan bersendirian, sebagaimana Kami jadikan kamu pada mulanya; dan kamu tinggalkan di belakang kamu apa yang telah kami kurniakan kepada kamu; dan Kami tidak melihat berserta kamu penolong-penolong yang kamu anggap dan sifatkan bahawa mereka ialah sekutu-sekutu Allah dalam kalangan kamu. Demi sesungguhnya, telah putuslah perhubungan antara kamu (dengan mereka), dan hilang lenyaplah daripada kamu apa yang dahulu kamu anggap dan sifatkan (memberi faedah dan manfaat).

 

وَلَقَدْ جِئْتُمُونَا فُرٰدَىٰ

Dan sesungguhnya kamu datang kepada Kami sendiri-sendiri

Ini adalah sesuatu yang menakutkan di mana kita akan datang mengadap Tuhan bersendirian tanpa ditemani oleh sesiapa pun lagi. Bayangkan kalau kita kena jumpa orang besar berseorangan pun sudah naik risau dan takut, ini apatah lagi kalau mengadap Tuhan kita.

Perkataan فُرَادَىٰ bermaksud ‘datang berseorangan tanpa membawa apa-apa pun’. Kalau kita bayangkan seorang budak yang menaiki kapal terbang berseorangan diri juga, memang menakutkan. Akan tetapi dalam masa yang sama, dia ada pasport, dia ada barang-barang lain-lain. Dia juga mungkin ada duit ataupun ada kredit kad bersamanya. Tetapi فُرَادَىٰ bermaksud langsung tidak ada apa-apa bersamanya.

Maka, tidak ada harta lagi pada masa itu, kecualilah apa yang kita telah sedekahkan. Apa sahaja yang kita ada di dunia dulu sudah ditinggalkan. Yang ada hanyalah harta kita yang kita sedekahkan kerana ia akan menjadi pahala kepada kita. Itulah sebabnya harta yang sebenar adalah harta yang kita telah sedekahkan.

Ayat ini sepatutnya mengingatkan kita: kalau kita tidak bawa harta kita, kenapa kita meluangkan masa sangat dengan segala harta itu? Sepatutnya tidak perlulah kita berhempas pulas menghabiskan masa dan tenaga untuk fokus mengumpul serta bermewahan dengan hartabenda secara berlebihan kerana di penghujung hidup kita akan sedar bahawa perbuatan tersebut bukanlah penting untuk bekalan akhirat kita. Maka, janganlah kita berlebih-lebihan sangat dengan cinta dan sayang kepada harta itu.

Kalau dalam dunia ini walaupun kita berseorangan, tetapi sekurang-kurangnya mungkin ada orang yang boleh membantu dan menyokong kita apabila kita memerlukan. Mungkin ayah kita, keluarga kita atau kawan-kawan kita. Tetapi apabila di akhirat nanti tidak ada sesiapa yang boleh tolong dan sokong kita.

Tidak ada pertalian lagi pada hari itu. Seperti yang disebut dalam Mukminoon:101.

فَإِذَا نُفِخَ فِي الصُّورِ فَلَا أَنسَابَ بَيْنَهُمْ يَوْمَئِذٍ وَلَا يَتَسَاءَلُونَ

Apabila sangkakala ditiup maka tidaklah ada lagi pertalian nasab di antara mereka pada hari itu, dan tidak ada pula mereka saling bertanya.

Ingatlah bahawa jikalau hubungan kita dengan Allah ‎ﷻ tidak baik, maka tidak ada sesiapa pun lagi yang boleh membantu kita pada waktu kita bertemu dengan Allah ‎ﷻ. Oleh sebab itu, tidaklah berguna kepada kita jikalau kita bersungguh-sungguh menggembirakan hati orang lain jikalau di dalam masa yang sama kita menentang arahan Allah ‎ﷻ.

Oleh hal yang demikian, untuk mendapatkan hubungan yang baik dengan Allah ‎ﷻ, kenalah kita ikut segala arahan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Hendaklah mulakan dengan belajar tafsir Qur’an. Ini supaya kita dapat memahami kehendak Allah ‎ﷻ terhadap kita.

 

كَمَا خَلَقْنٰكُمْ أَوَّلَ مَرَّةٍ

sebagaimana kamu Kami ciptakan pada mulanya,

Semasa kita lahir ke dunia ini kita dilahirkan seorang diri tanpa ada apa-apa pada diri kita, iaitu, tidak ada harta pada kita dan tidak ada nilai langsung diri kita ini.

Sepertimana kita dilahirkan ke dunia ini tidak berkasut dan tidak berbaju, begitulah juga bila kita bertemu dengan Tuhan nanti. Semuanya akan berbogel nanti, duduk dalam saf-saf, bercampur lelaki dan perempuan.

Apabila mengetahui perkara ini, maka Sayyidatina Aisyah رضي الله عنها kerisauan dan bertanya Nabi ﷺ: Tidakkah lelaki dan perempuan akan melihat sesama sendiri? Nabi Muhammad ﷺ menjawab bahawa keadaan pada waktu itu terlalu berat sampaikan mereka tidak akan melihat sesama sendiri. Semuanya nanti dalam keadaan risau. Ini berdasarkan hadith berikut:

عن عائشةَ، رضي اللَّه عنها، قَالَتْ: سمعتُ رَسُول اللَّه ﷺ، يقول: يُحْشَرُ النَّاسُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ حُفَاةً عُراةً غُرْلًا قُلْتُ: يَا رَسُول اللَّه الرِّجَالُ وَالنِّسَاءُ جَمِيعًا يَنْظُرُ بَعْضُهُمْ إِلى بَعْضٍ،؟ قَالَ: يَا عَائِشَةُ الأَمرُ أَشَدُّ مِنْ أَنْ يُهِمَّهُم ذلكَ.

Aisyah berkata, ‘Aku mendengar Rasulullah SAWﷺ bersabda, ‘Manusia akan dikumpulkan pada Hari Kiamat dalam keadaan tanpa alas kaki, telanjang tanpa pakaian, dan tanpa disunat.’
Lantas, aku bertanya, ‘Wahai Rasulullah, apakah laki-laki dan perempuan memandang satu sama lain?’ Rasulullah ﷺ menjawab, ‘Wahai Aisyah, masalah yang akan dihadapi lebih penting daripada sekadar melihat satu dengan yang lain’

(Muttafaq ‘alaih). 

 

وَتَرَكْتُم مَّا خَوَّلْنٰكُمْ وَرَاءَ ظُهُورِكُمْ

dan kamu tinggalkan di belakangmu (di dunia) apa yang telah Kami kurniakan kepadamu;

Perkataan خَوَّلْنَاكُمْ berasal daripada perkataan خول yang bermaksud ‘menjaga sesuatu.’ Maka, perkataan ini bermaksud kita telah diberikan dengan sesuatu untuk kita menjaganya. Ini bermakna apa-apa sahaja yang Allah ‎ﷻ berikan kepada kita semasa kita di dunia ini hendaklah kita menjaganya. Setakat jaga sahaja.

Apabila kita ada harta, maka kita akan menjaganya dengan dengan baik dan kita berbangga dengan harta yang banyak dan segala pemberian-pemberian kita ada itu. Tetapi apabila kita mati nanti, semuanya kita kena tinggalkan kerana harta tersebut bukanlah hak kita pun, kita setakat menjaganya sahaja.

Kalau kita ada harta yang banyak, sebenarnya kita lah yang kena jaga harta itu. Ia akan menyusahkan kita sebenarnya. Tetapi kalau kita ada ilmu, ilmu itulah nanti yang akan menjaga kita. Itulah bezanya harta dan ilmu. Selain daripada itu, harta yang ada lama-kelamaan akan berkurangan dan mereput dan berkurang nilainya akan tetapi ilmu tidak akan hilang, malahan akan bertambah dari masa ke semasa. Maka carilah ilmu sebanyak mungkin. Juga lebih untung mengumpul ilmu daripada mengumpul harta.

Maka janganlah hati kita tertarik sangat dengan dunia. Jangan pautkan sangat hati kita ini dengan harta. Semuanya tidak ada makna nanti. Malangnya, kalau kita hilang harta kita, sangatlah kita terasa sangat sampaikan hilang semangat. Ingatlah bahawa harta itu pun pemberian daripada Allah ‎ﷻ, dan apa yang Allah ‎ﷻ beri, dengan sekelip mata sahaja Allah ‎ﷻ boleh menariknya semula.

Perkataan خول juga bermaksud ‘selimut’, iaitu segala kenikmatan yang kita ada di dunia ini adalah seperti selimut yang menyeliputi kita. Kita pun tidak perasan nikmat itu sebagaimana kita tidak perasan sangat selimut yang menyeliputi kita.

‘Selimut’ itu juga boleh merujuk kepada lapisan-lapisan yang menyeliputi roh kita. Pertamanya, roh kita diselimuti oleh tubuh badan kita, badan kita diselimuti oleh rumah kita, rumah kita diselimuti dengan dunia ini dan seterusnya. Apabila kita bertemu dengan Allah ‎ﷻ, segala selimut itu akan ditanggalkan dan ditinggalkan, dan roh kita yang akan bertemu dengan Allah ‎ﷻ.

 

وَمَا نَرَىٰ مَعَكُمْ شُفَعَاءَكُمُ

dan Kami tiada melihat bersertamu pemberi syafa’at

Ini adalah ejekan dan perli Allah ‎ﷻ kepada manusia yang menyembah sembahan-sembahan mereka yang mereka sangka boleh memberi pertolongan kepada mereka. Tetapi pada hari itu tidak ada langsung yang disembah itu yang datang untuk menolong mereka.

Ada juga ulama’ tafsir yang mengatakan bahawa kata ini disebut oleh malaikat-malaikat penjaga langit, iaitu ketika orang-orang zalim itu melalui langit-langit, para malaikat itu kata mereka tidak nampak pun pemberi-pemberi syafaat mereka itu.

 

الَّذِينَ زَعَمْتُمْ أَنَّهُمْ فِيكُمْ شُرَكَاءُ

yang kamu anggap bahwa mereka itu sekutu-sekutu Tuhan di antara kamu.

Kalimah فِيكُمْ bermaksud, dulu semasa di dunia mereka kata sembahan itu layak disembah bersama dengan Allah ‎ﷻ.

Keduanya, dulu semasa mereka di dunia, mereka katakan sembahan itu juga mengurus hidup mereka sebagaimana Allah ‎ﷻ juga. Sebagai contoh, ada yang kata wali-wali tarekat mereka ada yang menurunkan hujan, menjaga masa dan sebagainya. Itulah kebodohan yang mereka tunjukkan. Semua itu tidak ada dalil melainkan khayalan mereka sahaja.

 

لَقَد تَّقَطَّعَ بَيْنَكُمْ

Sungguh telah terputuslah (pertalian) antara kamu

Apa-apa sahaja hubungan antara mereka dan sembahan-sembahan syirik mereka itu akan terputus pada hari kiamat nanti. Tidak ada yang akan datang menolong mereka. Kalau dulu beriya-iya mereka jaga hubungan, namun ia tidak akan ada di akhirat kelak.

 

وَضَلَّ عَنكُم مَّا كُنتُمْ تَزْعُمُونَ

dan telah lenyap daripada kamu apa yang dahulu kamu anggap (sebagai sekutu Allah).

Apa-apa sahaja fahaman mereka tentang hari kiamat dan tentang pemberian syafa’at pada hari itu akan hilang belaka. Dulu semasa di dunia, mereka yakin sangat yang mereka akan ditolong oleh wali-wali mereka, tetapi apabila di akhirat kelak, barulah mereka nampak dan tahu yang itu semua tidak akan berlaku.

Habis Ruku’ 11 daripada 20 ruku’ dalam surah ini.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 26 Januari 2022


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Maariful Qur’an

Tafsir Surah al An’am Ayat 91 – 92 (Kitab wahyu yang dicerai-cerai)

An’am Ayat 91: Ini adalah jenis Ayat Syikayah (rungutan daripada Allah ‎ﷻ) menceritakan betapa degilnya orang yang tidak beriman. Mereka tidak beriman kerana mereka tidak kenal Allah ‎ﷻ.

وَما قَدَرُوا اللَّهَ حَقَّ قَدرِهِ إِذ قالوا ما أَنزَلَ اللَّهُ عَلىٰ بَشَرٍ مِّن شَيءٍ ۗ قُل مَن أَنزَلَ الكِتٰبَ الَّذي جاءَ بِهِ موسىٰ نورًا وَهُدًى لِّلنّاسِ ۖ تَجعَلونَهُ قَراطيسَ تُبدونَها وَتُخفونَ كَثيرًا ۖ وَعُلِّمتُم مّا لَم تَعلَموا أَنتُم وَلا ءآباؤُكُم ۖ قُلِ اللَّهُ ۖ ثُمَّ ذَرهُم في خَوضِهِم يَلعَبونَ

Sahih International

And they did not appraise Allah with true appraisal when they said, ” Allah did not reveal to a human being anything.” Say, “Who revealed the Scripture that Moses brought as light and guidance to the people? You [Jews] make it into pages, disclosing [some of] it and concealing much. And you were taught that which you knew not – neither you nor your fathers.” Say, ” Allah [revealed it].” Then leave them in their [empty] discourse, amusing themselves.

Malay

Dan tiadalah mereka (kaum Yahudi) menghormati Allah sesuai dengan penghormatan yang sebenarnya ketika mereka berkata: “Allah tidak menurunkan sesuatu pun kepada manusia”. Bertanyalah (kepada kaum Yahudi yang ingkar itu): “Siapakah yang menurunkan Kitab (Taurat) yang dibawa oleh Nabi Musa sebagai cahaya dan petunjuk bagi manusia, yang kamu jadikan dia lembaran-lembaran kertas, sambil kamu perlihatkan (kepada orang ramai sebahagian kecil daripadanya) dan kamu sembunyikan kebanyakannya; sedang kamu pula diajarkan (dengan pengajaran-pengajaran yang terkandung di dalamnya), yang tidak diketahui oleh kamu (sebelum itu) dan tidak juga oleh datuk nenek kamu?” Katakanlah (kepada mereka): “Allah jualah (yang menurunkannya)”, kemudian, biarkanlah mereka leka bermain-main dalam kesesatannya.

وَمَا قَدَرُوا اللَّهَ حَقَّ قَدْرِهِ

Dan mereka tidak menghargai Allah dengan penghargaan yang sepatutnya,

Perkataan قَدَرُوا berasal daripada katadasar ق د ر yang bermaksud ‘menilai sesuatu benda’. Dalam bahasa kita pun kita guna perkataan ‘kadar’ kan? Jadi kita boleh agak-agak maknanya.

Iaitu kita mencari kadar nilai sesuatu perkara. Dan kita hanya boleh menilai sesuatu perkara itu selepas kita mengkaji tentangnya. Selepas kita buat kajian dan kita telah mengenali sesuatu perkara itu barulah kita boleh menilai dan meletakkan kadarnya.

Dan kita kena nilai sesuatu perkara itu dari berbagai-bagai sudut. Seperti tukang emas yang melihat kepada emas, dia akan melihat pada sudut kualiti emas itu. Dia akan menilai berapa berat emas itu, ukiran pada emas itu, kualiti warna emas itu dan sebagainya. Tetapi kita orang biasa ini mungkin tidak tahu menilai. Kita hanya sekali pandang sahaja dan kita lihat cantik atau tidak sahaja pada mata kita yang tidak tahu emas ini.

Maka, mereka yang mengetahui sesuatu perkara itu akan tahu kadar nilainya. Seperti pepatah Melayu yang mengatakan: “Hanya Jauhari yang mengenal Maknikam”. Begitu juga lagi satu pepatah: “Tak kenal, maka tak cinta”.

Siapakah ‘mereka’ yang dimaksudkan dalam ayat ini? Ada yang kata ia merujuk kepada puak Musyrikin dan ada juga yang kata ia merujuk kepada golongan Yahudi. Tetapi maksud ayat ini dalam bentuk umum, jadi ‘mereka’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah ‘kebanyakan manusia’ dan boleh jadi sesiapa sahaja, termasuklah kita juga, bukan?

Oleh itu ia merangkumi puak musyrikin dan juga puak Yahudi dan keseluruhan manusia. Jangan kita hadkan maksudnya kepada manusia pada zaman itu sahaja, tetapi kita luaskan maknanya kepada setiap zaman. Memang semasa ia diturunkan, ia adalah mengenai puak Musyrikin Mekah dan Yahudi, tetapi mereka itu sebagai contoh sahaja. Kita kena bandingkan kepada diri kita, adakah kita pun sama seperti mereka juga?

Ayat ini memberitahu kita bahawa manusia tidak mengenal Allah ‎ﷻ seperti mana yang sepatutnya Dia dikenali. Oleh kerana tidak kenal Allah ‎ﷻ, maka kita tidak menghargai-Nya. Oleh itu juga, Allah ‎ﷻ tidak dihormati sebagaimana Dia patut dihormati. Manusia kebanyakannya tidak mengenali kehebatan dan kemuliaan Allah ‎ﷻ dan dengan sebab ituah, mereka tidak menghargai Allah ‎ﷻ.

Apabila tidak kenal Allah ‎ﷻ, maka, tentulah tidak mentauhidkan-Nya. Disebabkan itulah ada dalam kalangan manusia termasuk yang mengaku Muslim pun yang menyeru selain Allah ‎ﷻ. Itu kerana kes tidak kenal Allah ‎ﷻ melalui wahyu (kerana tidak belajar tafsir). Mereka tidak kenal dan sedar yang Allah ‎ﷻ sahaja yang berhak diseru dan dipuja.

Seperti yang telah disebut, ada yang mengatakan bahawa ‘mereka’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah orang Yahudi. Orang Yahudi memang tidak menghargai Allah ‎ﷻ, iaitu apabila Al-Qur’an diturunkan kepada Nabi Muhammad ﷺ, mereka tidak mahu menerimanya. Ini kerana mereka sombong tidak dapat terima yang wahyu diturunkan kepada bangsa lain selain bangsa mereka.

Ini sama juga dengan orang kita yang tidak mahu belajar tafsir Al-Qur’an kerana yang mengajar tafsir itu bukan daripada ‘puak’ mereka. Mereka buat tidak kisah saja kepada pengajian tafsir Al-Qur’an ini. Mereka bangga dengan apa yang mereka sudah ada, seperti juga bangsa Yahudi yang bangga dengan apa yang mereka ada dari ilmu agama.

Ayat ini mengajar kita bahawa kita perlu mengenali, kita kena belajar tentang Allah ‎ﷻ dan kena kenal Allah ‎ﷻ. Dan untuk mengenal Allah‎ ﷻ ini kenalah kita belajar tafsir Al-Qur’an kerana Allah ‎ﷻlah yang boleh menceritakan tentang Diri-Nya sendiri.

Ini penting kerana ramai yang tahu Allah‎ ﷻ itu Tuhan dan Allah ‎ﷻ telah menjadikan kita semua. Tetapi setakat itu sahaja. Untuk tahu dengan lebih mendalam, kena dipelajari tafsir Al-Qur’an ini.

Namun begitu, kita bukan hanya setakat kena tahu dan kenal Allah ‎ﷻ sahaja, tetapi hendaklah kita juga beramal di mana kita mestilah mengikut perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Setelah kita mengetahui kebesaran-Nya dan kemuliaan-Nya, kemudian, kita hendaklah mengambil berat segala perintah dan larangan-Nya. Itulah maksudnya menghargai Allah ‎ﷻ dengan sebenar-benar penghargaan. Dengan itu tidaklah kita ambil ringan dengan perintah dan larangan-Nya. Jangan kata kita kenal Allah ‎ﷻ, tetapi suruhanya kita buat tidak tahu sahaja.

Dan apabila kita tahu sifat-Nya, maka kita tidak memberikan sifat yang sama kepada makhluk mana pun. Kerana memberikan sifat Allah ‎ﷻ kepada makhluk juga adalah syirik. Ini ramai yang tidak tahu. Mereka hanya sangka syirik itu kalau ‘menyembah’ selain dari Allah ‎ﷻ sahaja. Itulah kekeliruan masyarakat kita yang jahil dengan wahyu.

Syirik ini adalah satu kesalahan yang teramat-amat besar, maka oleh itu kita janganlah melakukan syirik kepada Allah ‎ﷻ. Sebagai contoh, apabila kita kata Allah ‎ﷻ Maha Mendengar, kita tidak boleh kata yang ada makhluk yang boleh mendengar isi hati kita kalau kita tidak cakap. Ini kerana sifat mendengar yang sebegitu hanya ada pada Allah ‎ﷻ sahaja.

Namun malangnya, ada orang yang takut bercakap dan bersalam dengan ‘orang-orang alim’, kerana takut ‘orang-orang alim’ itu boleh baca isi hati mereka. Itu adalah fahaman yang syirik kerana hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang boleh tahu apa yang dalam hati kita. Orang jahil sahaja yang lakukan perkara ini dan ada fahaman syirik ini.

Dengan mengenal Allah ‎ﷻlah baru akan mencapai ma’rifah (kenal) Allah ‎ﷻ. Inilah ma’rifah yang sebenarnya, bukanlah seperti yang disebut-sebut oleh kumpulan tarekat sufi itu. Mereka kononnya hendak mencapai tahap ma’rifat dengan hanya berzikir siang dan malam tetapi tidak pula belajar wahyu Allah ‎ﷻ. Amalan-amalan mereka memang pelik dan tidak ada dalam agama Islam sebenarnya. Ini kerana ia diajar oleh syaitan (kerana kalau selain ajaran daripada Allah ‎ﷻ dan Rasulullah, tentunya ajaran itu berasal daripada syaitan).

إِذْ قَالُوا مَا أَنزَلَ اللَّهُ عَلَىٰ بَشَرٍ مِّن شَيْءٍ

di kala mereka berkata: “Allah tidak menurunkan sesuatu pun kepada manusia”.

Mereka sanggup kata bahawa Allah ‎ﷻ tidak menurunkan apa-apa wahyu kepada manusia. Daripada bahasa yang digunakan dalam ayat ini menunjukkan bahawa mereka menolak terus bahawa Allah ‎ﷻ ada menurunkan wahyu dan pedoman kepada manusia.

Mereka hendak berkata begini: “Kalau Allah tidak turunkan apa-apa wahyu, maka kita bebaslah nak buat apa sahaja”. Maka, jika mereka memegang fahaman ini, bermakna mereka berkata bahawa tidak perlulah mengikut syariat yang direka-reka oleh manusia ini. Inilah yang dikatakan mereka tidak menghargai Allah ‎ﷻ dengan sebenar-benarnya.  Ini kerana kalau mereka tahu dan kenal Allah ‎ﷻ dengan cara yang sepatutnya, tentulah mereka tahu bahawa Allah ‎ﷻlah yang memberi hidayah yang mendidik manusia. Kalau mereka kenal Allah ‎ﷻ, maka tentu mereka akan pegang kemas syariat daripada Allah ‎ﷻ.

Mesti kenal dan faham syariat kerana Allah ‎ﷻ yang menurunkan kebaikan kepada kita juga kerana tidak mungkin Allah ‎ﷻ membiarkan manusia begitu sahaja selepas Dia menciptakan mereka. Allah ‎ﷻ bersifat ar-Rahman yang bermaksud Allah ‎ﷻ sangat sayang kepada hamba-Nya. Apabila Allah ‎ﷻ sayangkan makhluk-Nya, Allah‎ ﷻ memberikan pedoman bagaimana menjalani hidup yang boleh membawa ke syurga.

Sebenarnya, mereka tidak mahu terima yang Allah ‎ﷻ telah menurunkan wahyu kepada Nabi Muhammad ﷺ. Oleh kerana mereka ingin menolak wahyu kepada Nabi Muhammad ﷺ, sehinggakan mereka sanggup berkata yang Allah ‎ﷻ tidak pernah menurunkan wahyu kepada sesiapapun.

Amat menyedihkan apabila terdapat di antara golongan  kita yan beranggapan sedemikian rupa. Mereka memang terima bahawa Al-Qur’an telah diturunkan kepada Nabi Muhammad ﷺ. Tetapi yang mereka tidak boleh terima adalah tafsir kepada ayat-ayat itu. Oleh itu, bila kita beritahu mereka apakah maksud sesuatu ayat itu, mereka tidak dapat menerimanya terutama apabila tafsir yang kita beritahu mereka itu berlawanan dengan pemahaman mereka.

Tambahan pula pemahaman ini telah lama mereka pegang setelah diajar oleh guru atau tok nenek mereka. Mereka akan tolak tafsiran yang kita berikan dengan berkata: “bukan begitu maksud ayat itu”. Padahal mereka pun belum pernah belajar tafsir lagi. Bila ditanya apakah fahaman dan tafsiran sebenar, mereka tidak boleh beritahu kerana mereka memang tidak belajar. Memang pelik orang yang tidak belajar pula kata orang yang belajar itu salah.

Sebagai contoh, apabila kita katakan bahawa amalan membaca Talqin kepada si mati tidak sesuai dengan ayat Fathir: 22 yang mengatakan bahawa orang yang mati tidak dapat mendengar, mereka tidak dapat terima. Jika mereka hendak minta pertolongan daripada orang mati, maka kenalah ada akidah orang mati boleh mendengar, bukan?

Atau, apabila kita beritahu yang Allah ‎ﷻ telah sebut di dalam tujuh tempat dalam Al-Qur’an bahawa Allah ‎ﷻ istiwa‘ di Arasy, mereka akan kata maksud ayat itu adalah istawla, iaitu memerintah; mereka kata kita sahaja yang pandai-pandai tafsir ayat itu sebegitu. Sedangkan tidak pernah Rasulullah ﷺ menafsirkan istiwa’ kepada istawla.

قُلْ مَنْ أَنزَلَ الْكِتٰبَ الَّذِي جَاءَ بِهِ مُوسَىٰ

Katakanlah: “Siapakah yang menurunkan kitab (Taurat) yang dibawa oleh Musa

Allah ‎ﷻ ajar Nabi ﷺ untuk menghadapi dan menjawab hujah-hujah dan kata-kata bodoh mereka itu. Allah ‎ﷻ suruh Nabi ﷺ tanya mereka semula seperti yang diberikan dalam ayat ini.

Ingatlah bahawa Surah al-An’am ini adalah Surah Makkiyah. Pada waktu itu, penerima dakwah yang pertama adalah bangsa Arab. Mereka tidak kenal sangat Nabi Musa عليه السلام. Maka, kenapa disebut tentang Nabi Musa عليه السلام? Yang kenal sangat dengan Nabi Musa عليه السلام adalah kaum Yahudi yang waktu itu berada di Madinah.

Walau bagaimanapun kisah Nabi Musa عليه السلام disebut di sini kerana Allah ‎ﷻ hendak sentuh puak Yahudi. Seperti kita telah sebutkan sebelum ini, puak Musyrikin Mekah sudah ada interaksi dengan Kaum Yahudi di Madinah. Merekalah yang memberikan soalan-soalan kepada Musyrikin Mekah untuk ditanya kepada Nabi Muhammad ﷺ  untuk menjatuhkan baginda.

Baik, sekarang apakah hujah balas kepada golongan itu? Jika mereka kata Allah ‎ﷻ tidak pernah menurunkan wahyu dan pedoman kepada manusia, lalu bagaimana mereka boleh terima bahawa Nabi Musa عليه السلام telah menerima Kitab Taurat dari Allah ‎ﷻ? Siapakah pula yang menurunkan wahyu itu kalau bukan Allah ‎ﷻ? Kenapa mereka ada double standard? Jika Nabi Musa عليه السلام terima wahyu dan kitab taurat itu mereka boleh terima, tetapi kenapakah apabila Nabi Muhammad ﷺ diberikan wahyu Al-Qur’an, mereka tidak boleh terima pula?

نُورًا وَهُدًى لِّلنَّاسِ

sebagai cahaya dan petunjuk bagi manusia,

Ini merujuk kepada kitab Taurat yang telah diberikan kepada Nabi Musa عليه السلام dan kaumnya. Memang kitab Taurat itu menjadi petunjuk dan pedoman kepada umat Nabi Musa عليه السلام dan bangsa Yahudi sebagaimana Al-Qur’an adalah cahaya dan petunjuk kepada kita juga.

Kitab Taurat mempunyai persamaan dengan Al-Qur’an iaitu mengandungi ajaran tentang tauhid. Cuma berbeza dari segi syariat yang disampaikan kerana syariat Nabi Musa عليه السلام dan Nabi Muhammad ﷺ tidak sama.

تَجْعَلُونَهُ قَرَاطِيسَ

kamu jadikan kitab itu lembaran-lembaran kertas yang bercerai-berai,

Kitab Taurat itu asalnya diturunkan siap tertulis dalam bentuk kitab dan diberikan kepada umat Nabi Musa عليه السلام. Ia berbeza dengan Al-Qur’an yang diturunkan sedikit demi sedikit kepada Nabi Muhammad ﷺ yang mengambil masa hampir 23 tahun.

Nabi Musa عليه السلام sebenarnya telah mendapat kitab Taurat itu dalam satu buku yang lengkap tetapi pendeta–pendeta itu kemudiannya telah memecah-mecahkannya. Mereka pecah-pecahkan menjadi lembaran-lembaran yang bercerai. Kalimah قراطيس adalah jamak bagi قِرْطَاسٌ yang kita juga gunakan menjadi ‘kertas’.

Kita kena faham bahawa penganut Yahudi yang biasa tidak dapat memegang pun kitab Taurat sepenuhnya. Ia hanya ada pada pendeta-pendeta Yahudi. Mereka simpan dalam arkib mereka seperti yang kita boleh bayangkan kerana kita selalu melihat filem-filem yang melibatkan rahib mereka.

Mereka amat menjaganya supaya tidak jatuh ke tangan penganut umum.  Ia bukan seperti Al-Qur’an kita ini, di mana sesiapa sahaja dengan mudah boleh dapat melihatnya dan memegangnya. Apabila kitab Taurat itu tidak ada pada tangan penganut Yahudi yang biasa, maka senanglah para pendeta untuk mengawal maklumat yang sampai kepada mereka.

Apabila kitab Taurat itu telah dipecah-pecahkan, maka, ramai yang tidak dapat membaca keseluruhan kitab Taurat. Oleh kerana itulah mereka tidak mendapat cerita serta gambaran yang sepenuhnya tentang agama. Maka senanglah pendeta-pendeta Yahudi itu mereka-reka hal agama. Senanglah masyarakat ditipu.

Itulah bahayanya apabila kitab Taurat itu dipecah-pecahkan. Adakah ini terjadi kepada orang Islam? Tidakkah kita lihat bagaimana Al-Qur’an itu juga telah dipecahkan, di mana ada pula buku kecil seperti buku kecil Surah Yasin? Dan ada pula Muqaddam yang hanya mengandungi ayat Al-Qur’an daripada juz 30 sahaja? Dan juga ada kitab kecil yang hanya mengandungi surah-surah Lazim sahaja?

Apabila dipecah-pecahkan sebegitu, maka masyarakat kita yang jahil hanya tahu tentang Surah Yaasin sahaja ataupun surah-surah lazim sahaja. Oleh itu, mereka jahil berkenaan ayat-ayat lain. Mereka tidak tahu keseluruhan agama. Banyak sangat yang tidak diketahui oleh masyarakat kita.

Oleh itu, marilah kita mengajar anak-anak kita dan ahli keluarga kita keseluruhan 30 juzuk Al-Qur’an ini. Jangan pecah-pecahkan Al-Qur’an itu. Jangan tumpukan kepada surah-surah tertentu sahaja. Bukan setakat baca sahaja, tetapi marilah belajar tafsir ini supaya kita boleh faham kehendak Allah ‎ﷻ kepada kita.

Jangan kita pilih-pilih ayat mana yang kita suka untuk dibaca tetapi bacalah keseluruhan Al-Qur’an itu. Jika kita memasak, tentu kita ingin memasukkan keseluruhan ramuan, dan bukan hanya memilih-milih ramuan mana yang kita suka daripada resipi itu bukan? Tentu kita akan masukkan semua sekali ramuan yang ada kerana kita mahu makanan itu menjadi sedap dan lengkap secukup rasa seperti yang sepatutnya.

Namun, malangnya ramai yang tidak kenal sepenuhnya Al-Qur’an ini. Masyarakat kita sudah semakin jauh daripada Al-Qur’an. Sebab itulah sekarang ini kita boleh lihat bagaimana ustaz-ustaz dan guru agama yang mengajar di sekolah, di madrasah, di surau dan juga di masjid di mana mereka sendiri pun tidak mahir dengan Al-Qur’an. Mereka pun tidak belajar tafsir Al-Qur’an. Memang mereka tahu sedikit tentang Al-Qur’an tetapi hanyalah surah-surah yang lazim dibaca dan dihafal.  Itu adalah kesan apabila kalam Allah ‎ﷻ dipecah-pecahkan. Janganlah kita menjadi seperti kaum Yahudi itu.

Maka, pendeta-pendeta Yahudi telah mencerai-beraikan Kitab Taurat itu. Kenapa mereka mahu pecah-pecahkan kitab Taurat itu? Tujuannya agar memudahkan untuk mereka menyembunyikan ajaran lengkap dan sepenuhnya yang terdapat di dalam kitab Taurat daripada pengikut mereka.

تُبْدُونَهَا

kamu perlihatkan (sebahagiannya)

Ada bahagian-bahagian daripada kitab Taurat itu yang pendeta-pendeta Yahudi rasa mereka boleh tunjukkan kepada pengikut-pengikut mereka. Maka itulah sahaja yang mereka berikan kepada pengikut mereka.

Guru-guru agama kita pun ada berperangai pendeta Yahudi ini. Mereka pun hanya menceritakan sebahagian ayat-ayat Al-Qur’an sahaja. Seperti dalam masyarakat kita sekarang, yang mereka sentiasa tunjukkan dan ajarkan adalah ayat-ayat tentang feqah, tentang sejarah dahulu dan sebagainya. Biasanya mereka hanya membincangkan kandungan ayat-ayat yang ‘selamat’.

Tentang tauhid, tentang Jihad, tentang tawasul dan lain-lain lagi, mereka tidak bincangkan pula. Mereka pun tidak tahu untuk tunjuk dan membincangkannya kerana mereka juga tidak belajar.

وَتُخْفُونَ كَثِيرًا

dan kamu sembunyikan sebahagian besarnya,

Tetapi ada banyak bahagian lagi yang mereka sembunyikan daripada penganut Yahudi. Mereka simpan dalam arkib-arkib mereka. Orang tertentu sahaja yang dibenarkan melihatnya. Kristian pun sampai sekarang masih membuat begitu. Entah apa yang ada di Vatican itu. Mereka menyembunyikan banyak maklumat daripada penganut mereka. Antara yang mereka sembunyikan pada waktu itu adalah tentang kedatangan Nabi Muhammad ﷺ dan tentang sifat-sifat dan tanda kedatangan baginda.

Begitulah juga yang dilakukan oleh kebanyakan ustaz-ustaz kita. Mereka banyak menceritakan tentang ibadat-ibadat dan hukum hakam yang perlu dilakukan oleh manusia. Tetapi tentang perkara penting seperti tauhid, mereka tidak sampaikan kepada masyarakat. Mereka cuma ajar perkara yang ‘perlu dibuat’, tetapi mereka tidak mengajar perkara ‘yang perlu ditinggalkan’. Oleh sebab itulah masyarakat Islam di Malaysia ini amat jahil tentang perkara tauhid dan syirik.

Mereka tidak berani untuk menceritakannya sebab mereka takut anak-anak murid mereka tidak dapat menerimanya. Dan apabila anak-anak murid tidak dapat terima, anak murid itu tidak akan panggil lagi mereka lagi untuk datang mengajar. Apabila mereka tidak dijemput lagi untuk mengajar, maka hilanglah punca pendapatan mereka daripada kelas pengajian mereka itu. Maknanya, dakwah mereka semua adalah bermotifkan wang ringgit juga.

Ataupun ada kemungkinan mereka sendiri tidak tahu yang perbuatan itu adalah kufur dan syirik. Mereka sendiri pun mungkin tidak tahu kerana mereka sendiri tidak belajar.

Oleh sebab itulah walaupun kekufuran dan kesyirikan dilakukan secara berleluasa oleh masyarakat Islam di negara kita ini, tidak ada sesiapa pun yang tegur. Sampaikan apabila ada yang sembah kubur, sembah Sultan, sembah guru silat dan sebagainya, tidak ada sesiapa yang melarang. Mereka yang melihat perbuatan itu pula berasakan perbuatan tersebut adalah perkara biasa sahaja. Padahal ia adalah perbuatan kufur dan syirik.

Dan apabila ada yang menegur, seperti kita yang hendak mengembalikan manusia kepada tauhid, kita pula yang dianggap pelik. Seolah-olah kita sahaja yang beriya-iya bercakap perkara ini tetapi orang lain, ustaz lain, guru lain buat senyap sahaja. Padahal, apa yang kita perkatakan ini adalah daripada Al-Qur’an, yang kita sentuh berkali-kali dalam tulisan ini.

وَعُلِّمْتُم مَّا لَمْ تَعْلَمُوا أَنتُمْ

telah diajarkan kepadamu apa yang kamu sendiri tidak tahu

Allah ‎ﷻ mengingatkan kepada mereka bahawa apa yang Taurat itu sampaikan adalah perkara-perkara yang mereka sendiri tidak tahu sebelum itu. Mereka telah diajar dengan ilmu yang ada dalam Taurat itu. Yang dahdwulu mereka tiada pengetahuan tentangnya. Allah ‎ﷻlah yang beritahu kepada mereka. Ia bukannya datang daripada peninggalan maklumat manusia turun temurun, tetapi daripada Allah ‎ﷻ sendiri.

Ayat ini juga adalah tentang Al-Qur’an dan ayat ini ditujukan kepada umat Nabi Muhammad ﷺ. Ia mengingatkan kepada kita bahawa Allah ‎ﷻ telah mengajar kita dengan Al-Qur’an. Mengajar kita tentang perkara-perkara yang jika Allah‎ ﷻ tidak ajar, kita tidak akan dapat untuk mencapainya.

Ayat ini hendak mengingatkan kepada manusia bahawa di dalam Al-Qur’an itu mengandungi banyak pengetahuan-pengetahuan yang berguna dan diperlukan oleh manusia yang dulunya kita tidak ada pun pengetahuan itu.

وَلَا ءآبَاؤُكُمْ

dan bapa-bapa kamu pun tidak mengetahui(nya)?”

Bukan mereka sahaja yang tidak tahu tetapi bapa-bapa mereka dan nenek moyang mereka pun tidak tahu tentang ilmu agama sebelum diturunkan Al-Qur’an atau Taurat itu kepada mereka.

Orang Yahudi memandang rendah bangsa Arab sebab mereka kata orang-orang Arab tidak pernah mendapat kitab dan tidak ada agama. Tetapi bagaimana pula dengan mereka? Bukankah mereka dahulu sebelum mendapat kitab Taurat pun mereka tidak tahu apa-apa? Keturunan mereka dahulu pun tidak tahu apa-apa. Maknanya, semua manusia ini bermula daripada tidak tahu sehinggalah Allah ‎ﷻ telah memberikan sedikit dari ilmu-Nya kepada kita.

Oleh itu janganlah memandang rendah kepada mereka yang tidak tahu agama lagi, kerana dulu pun kita bermula daripada tidak tahu. Kita yang baru belajar tafsir ini pun dulunya berasal dengan buat benda-benda syirik juga. Alhamdulillah, Allah ‎ﷻ telah memberi kita hidayat dan ditunjukkan kita dengan ilmu pengetahuan.

Allah ‎ﷻ menyebut sebelum ini tentang Musyrikin Mekah dan bangsa Yahudi yang sesat. Bagaimana pula dengan kita sekarang? Adakah kita telah faham Al-Qur’an? Adakah kita telah selamat? Belum tentu lagi. Kalau kita tidak belajar tafsir Al-Qur’an, samalah juga kita dengan mereka yang tidak pernah mengenal Al-Qur’an.

قُلِ اللَّهُ

Katakanlah: “Allah-lah (yang menurunkannya)”,

Ayat ini adalah untuk menjawab soalan yang telah diberikan sebelum ini iaitu siapakah yang telah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa عليه السلام.

Mungkin orang Yahudi yang dibacakan ayat Al-Qur’an itu tidak mahu menjawab soalan itu, maka Allah ‎ﷻ telah menjawabnya.

ثُمَّ ذَرْهُمْ فِي خَوْضِهِمْ يَلْعَبُونَ

kemudian biarkanlah mereka bermain-main dalam kesesatannya.

Dalam ayat ini perkataan ذَرْ digunakan untuk membawa maksud ‘tinggalkan’. Ada satu lagi perkataan ‘tinggalkan’ yang digunakan dalam Al-Qur’an iaitu ترك. Apakah bezanya? ذَرْ digunakan apabila yang ditinggalkan itu adalah sesuatu yang hina. Yang tidak bernilai langsung.

Tinggalkan mereka dalam perbuatan mereka mencari-cari kesalahan Al-Qur’an dan mencari-cari kelemahan Al-Qur’an. Biarkan mereka kebingungan menjawab soalan yang Allah ‎ﷻ berikan dalam ayat ini (jika Allah ‎ﷻ tidak turunkan wahyu, maka, Taurat itu datang dari mana pula?).

Ayat ini adalah pengulangan kepada suruhan untuk meninggalkan mereka yang memperolok-olokkan Al-Qur’an seperti dalam ayat yang telah disebut sebelum ini. Sila rujuk ayat 68-70 surah ini iaitu jangan buang masa dengan mereka dan melayan mereka dalam pengingkaran mereka. Dan jangan layan hujah-hujah bodoh mereka itu.


An’am Ayat 92:

وَهٰذا كِتٰبٌ أَنزَلنٰهُ مُبارَكٌ مُّصَدِّقُ الَّذي بَينَ يَدَيهِ وَلِتُنذِرَ أُمَّ القُرىٰ وَمَن حَولَها ۚ وَالَّذينَ يُؤمِنونَ بِالآخِرَةِ يُؤمِنونَ بِهِ ۖ وَهُم عَلىٰ صَلاتِهِم يُحافِظونَ

Sahih International

And this is a Book which We have sent down, blessed and confirming what was before it, that you may warn the Mother of Cities and those around it. Those who believe in the Hereafter believe in it, and they are maintaining their prayers.

Malay

Dan ini ialah Kitab (Al-Quran) yang Kami turunkan, yang mengandungi berkat (banyak faedah-faedah dan manfaatnya), lagi mengesahkan kebenaran (Kitab-kitab Suci) yang diturunkan sebelumnya, dan supaya engkau memberi peringatan kepada penduduk “Ummul-Qura” (Makkah) serta orang-orang yang tinggal di kelilingnya; dan orang-orang yang beriman kepada hari akhirat, mereka beriman kepada Al-Quran, dan mereka tetap mengerjakan dan memelihara sembahyangnya.

وَهَٰذَا كِتٰبٌ أَنزَلْنٰهُ مُبَارَكٌ

Dan ini (Al Qur’an) adalah kitab yang telah Kami turunkan yang diberkahi;

Jarang Allah ‎ﷻ menggunakan perkataan هذا (ini) untuk merujuk kepada Al-Qur’an. Selalunya kata tunjuk yang digunakan adalah perkataan  ذلك (itu) yang bermaksud ‘itulah’. Apabila perkataan هذا digunakan seperti dalam ayat ini, ia menunjukkan ‘dekat’. Ia hendak memberitahu yang Al-Qur’an ini sudah ada di tangan kita.

Di dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ hendak menekankan bahawa Al-Qur’an diturunkan daripada-Nya di mana Al-Qur’an itu bukanlah daripada sesiapa, tetapi daripada Allah ‎ﷻ, Tuhan sekalian alam. Maka, jangan kita pandang ringan Al-Qur’an ini. Ia adalah daripada ALLAH ‎ﷻ! Jangan kita buat tidak tahu sahaja. Jangan kita letak sahaja di almari tanpa dibaca dan difahami!

Kalimah مُبَارَكٌ bermaksud sesuatu yang penuh barakah di dalamnya. ‘Barakah’ pula bermaksud sesuatu kebaikan yang semakin bertambah dan berkembang. Walaupun kuantitinya mungkin sedikit tetapi kebaikan yang dikeluarkan daripadanya begitu banyak sekali.

Sebagai contoh, kadang-kadang segelas air tidak dapat menghilangkan haus kita. Tetapi kadang-kadang dengan seteguk dua sahaja telah dapat menghilangkan haus kita. Itulah bezanya jika ada barakah ataupun tidak; atau tidakkah kita melihat bagaimana satu keluarga yang berpendapatan sedikit tetapi cukup sahaja. Tetapi ada keluarga pul yang gajinya tinggi namun sentiasa sahaja tidak cukup. Itulah bezanya pendapatan yang ada barakah dan tidak.

Oleh sebab itulah Al-Qur’an ini penuh dengan kebaikan. Al-Qur’an mengandungi ajaran-ajaran yang tidak pun terdapat dalam kitab-kitab kalam Allah ‎ﷻ seperti Taurat dan Injil. Itu adalah kelebihan yang diberikan kepada umat Nabi Muhammad ﷺ sebagai umat Islam terakhir dunia ini.

Kalimah مُبَارَكٌ juga bermaksud sesuatu yang menjadi ‘sumber kebaikan’. Dengan mempelajarinya, kita akan mendapat banyak kebaikan. Kebaikan itu pula akan bertambah dan bertambah. Oleh itu, belajarlah tafsir Al-Qur’an untuk mendapat keberkatan. Bukanlah keberkatan didapati daripada kubur wali, daripada ustaz itu dan ini, daripada orang yang baru balik Haji dan sebagainya. Itu semua adalah salah faham yang amat tentang ‘berkat’.

Oleh itu Al-Qur’an bukan sahaja mengandungi kebaikan tetapi ia juga menjadi sumber kebaikan untuk kita semua, asalkan kita membuka minda kita untuk mempelajarinya. Bila kita belajar Al-Qur’an dan memahami tafsir Al-Qur’an dengan baik, maka kita akan mendapat banyak kebaikan di dalamnya. Ia akan mengajar kita bagaimana menjalani kehidupan di dunia ini supaya kita selamat di dunia dan di akhirat.

مُّصَدِّقُ الَّذِي بَيْنَ يَدَيْهِ

membenarkan kitab-kitab yang (diturunkan) sebelumnya

Sekali lagi puak Yahudi disentuh dalam ayat ini. Merekalah yang telah mendapat Kitab daripada Allah ‎ﷻ sebelum ini. Allah ‎ﷻ memberitahu kepada kita bahawa kitab-kitab sebelumnya seperti Taurat, Injil dan Zabur dan lain-lain lagi. Allah ‎ﷻ memberitahu kepada kita bahawa kitab-kitab itu adalah benar belaka (sebelum diubah-ubah oleh pemuka agama mereka).

Allah ‎ﷻ hendak memberitahu kepada orang Yahudi bahawa agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad ﷺ ini dan Al-Qur’an yang diajarkan bukanlah membawa perkara yang baru tetapi meneruskan apa yang ada di dalam kitab-kitab yang terdahulu. Maka, janganlah lawan Al-Qur’an itu kerana ia membenarkan apa yang mereka ada, bukanlah memperkenalkan agama yang lain pula.

Begitulah juga apabila kita membawakan jalan Sunnah ini kepada masyarakat kita. Kita bukanlah membawa perkara baru dalam agama ini. Sebaliknya kita memegang ajaran yang dibawa oleh para Nabi. Tetapi ada masyarakat yang mengatakan bahawa kita ini membawa agama yang baru. Yang tidak pernah diperkatakan oleh tok nenek mereka.

Mereka kata kita  ini pula yang sesat. Ini terjadi kerana masyarakat Islam di negara ini sudah lama jauh daripada ajaran Al-Qur’an dan Sunnah. Maka, apabila kita mengajar mereka ajaran Sunnah yang asal, apa yang kita bawa ini pula menjadi pelik kepada mereka. Pepatah Arab ada mengatakan: “Manusia memusuhi apa yang mereka tidak ketahui”.

وَلِتُنذِرَ أُمَّ الْقُرَىٰ

dan agar kamu memberi peringatan kepada (penduduk) Ummul Qura (Mekah)

Kalimah أُمَّ dari segi bahasa bermaksud ‘ibu’. Ia juga bermaksud ‘asal’ kepada sesuatu. Kalimah الْقُرَىٰ pula bermaksud ‘pekan’ ataupun ‘bandar’. Maka perkataan أُمَّ الْقُرَىٰ bermaksud ‘ibu kepada bandar’. Ia juga boleh bermaksud ‘asal’ kepada semua pekan dan bandar.

Yang dimaksudkan أُمَّ الْقُرَىٰ dalam ayat ini adalah Mekah. Kenapakah Mekah digelar Ummul Qura? Pertamanya, Mekah itu adalah kiblat kepada semua pekan dan bandar. Walau di mana pun kita berada, kita akan mengadap Mekah dalam salat kita.

Keduanya, kerana Mekah itu ialah tempat datangnya mereka yang hendak melakukan Tawaf dan Haji. Manusia datang dari merata tempat untuk melawat Kaabah. Sebagaimana kita kalau merantau ke mana-mana pun, akan tetap kembali melawat ibu kita.

Mekah adalah tempat yang mula-mula sekali mempunyai penduduk yang ramai dalam Semenanjung Arab kerana di situlah terletaknya Kaabah semenjak dari dulu lagi. Dan Allah ‎ﷻ telah memberitahu kita bahawa memang Kaabah adalah rumah ibadat yang pertama dalam dunia.

Dari sudut geografi juga, memang Mekah berada di tengah-tengah. Kalau kita lihat dalam peta dunia pun, kita akan nampak bagaimana memang Mekah berada di tengah-tengah dunia.

Ia juga dikatakan sebagai Ummul Qura kerana ia merupakan tempat yang disayangi oleh semua orang seperti ibu dalam keluarga kita. Kalau dengan ahli keluarga kita pun, yang paling penting adalah ibu kita. Kalau adik beradik lain mungkin kita tidak lawat selalu, tetapi kalau ibu kita, memang kita sentiasa melawatnya.

Mekah juga memang seperti ibu negara tanah Arab waktu itu. Ia adalah tempat berkumpulnya semua berhala-berhala yang besar. Dari sini, Allah ‎ﷻ mengajar kita bagaimana cara mengembangkan Islam di mana hendaklah kita ‘serang’ pusat kesyirikan. Kalau satu-satu tempat itu adalah tempat pengembangan syirik, maka di situlah dakwah perlu dijalankan. Kalau di Malaysia ini, di mana agaknya? Adakah Pulau Besar?

Banyak tempat berlakunya syirik pada zaman Nabi tetapi lihatlah bagaimana Allah ‎ﷻ telah menghantar Nabi Muhammad ﷺ ke pusat kesyirikan paling besar pada zaman itu. Dan walaupun baginda telah berhijrah ke Madinah, baginda masih lagi selalu diingatkan dengan Mekah, sekurang-kurangnya apabila baginda mengadap kiblat dalam salat. Hanya apabila Fath Makkah (Pembukaan Mekah) barulah Pusat Syirik itu dihapuskan dan digantikan menjadi Pusat Islam.

Dalam ayat ini, baginda disuruh untuk berdakwah kepada orang yang dekat dengan baginda iaitu di Mekah kerana baginda tinggal di Mekah kerana pada waktu itu baginda tinggal di Mekah. Kemudian sebarkan ke tempat yang lain pula.

وَمَنْ حَوْلَهَا

dan orang-orang yang di luar lingkungannya.

Nabi Muhammad ﷺ diingatkan untuk memberi peringatan bukan hanya kepada penduduk Mekah sahaja tetapi kawasan sekitarnya juga. Perkataan ‘sekitar’ ini bukan hanya bermaksud sekitar Semenanjung Arab sahaja tetapi bermaksud seluruh dunia. Dan memang Nabi ﷺ buat begitu dan kemudian usaha baginda disambung oleh para sahabat. Seperti sekarang, lihatlah bagaimana mesej Al-Qur’an ini telah sampai ke seluruh dunia.

Oleh itu hendaklah kita tahu bahawa ada tugas dakwah yang perlu dijalankan untuk seluruh manusia dalam dunia ini. Mesej Al-Qur’an mestilah disampaikan kepada semua orang. Sama ada mereka itu Muslim ataupun belum masuk Islam lagi.

Tetapi persoalannya, adakah kita sedang menyampaikan mesej Al-Qur’an ini kepada semua orang yang kita jumpa? Bagaimana hendak kita sampaikan kalau kita sendiri belum mahir dengan tafsir Al-Qur’an? Maka marilah belajar tafsir Al-Qur’an ini. Belajarlah dengan bersungguh-sungguh. Jangan belajar ayat-ayat yang lazim sahaja tetapi keseluruhan Al-Qur’an itu.

وَالَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِالْآخِرَةِ يُؤْمِنُونَ بِهِ

Dan orang-orang yang beriman kepada adanya kehidupan akhirat, tentu beriman kepadanya (Al Qur’an)

Kalau kita percaya kepada hari akhirat, maka sudah semestinya kita kena percaya dan beriman kepada Al-Qur’an ini kerana Al-Qur’an banyak memberitahu tentang hari akhirat, bukan?

Dan maksud ‘beriman dengan Al-Qur’an’ bukan hanya percaya bahawa Al-Qur’an itu diturunkan oleh Allah ‎ﷻ. Itu semua orang Islam sudah percaya. Tetapi selain itu, hendaklah kita menerima isi kandungannya dan mengamalkannya dalam kehidupan kita seharian. Namun kalau kita tidak belajar tafsir, bagaimana kita boleh tahu isi kandung Al-Qur’an ini?

وَهُمْ عَلَىٰ صَلَاتِهِمْ يُحَافِظُونَ

dan mereka selalu memelihara sembahyangnya.

Dan mereka yang beriman dengan hari akhirat juga, selain daripada beriman dengan Al-Qur’an, mereka akan menjaga juga salat mereka. Disebut salat dalam ayat ini kerana mewakili amalan-amalan ibadah yang lain. Maknanya, bukanlah kena salat sahaja tapi kenalah jaga ibadah yang lain juga.

Oleh kerana Surah al-An’am ini diturunkan di hujung tempoh di Mekah, maka kewajipan salat telah ada. Tetapi pada waktu itu, kiblat salat adalah Masjidil Aqsa.

Apakah yang dimaksudkan dengan ‘menjaga salat’? Ia merangkumi banyak perkara. Bukan hanya setakat salat yang bermula dengan takbir dan berakhir dengan salam.

Pertamanya, ia bermaksud menjaga syarat-syarat keperluan untuk salat seperti kebersihan tempat salat, mandi junub, wudhu’, kebersihan pakaian kita dan sebagainya. Ini kerana kalau semua itu tidak dijaga, maka akan sia-sia sahaja salat itu kerana tidak diterima. Semua itu dapat diketahui apabila kita mempelajari hadith.

Keduanya, ia bermaksud menjaga cara-cara salat, iaitu mengerjakan salat dengan cara yang betul. Oleh itu seorang Muslim hendaklah belajar cara-cara salat sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi ﷺ. Namun malangnya, masyarakat kita jarang belajar dengan betul cara-cara melakukan salat. Mereka hanya belajar salat sewaktu di sekolah rendah dulu dan ilmu itulah yang mereka gunakan sampai ke tua.

Pada hal, ada banyak kesalahan dengan cara salat yang diajar di sekolah dulu. Hasilnya, apabila kita berada di masjid, pelbagai jenis salat kita akan nampak. Dan apabila ada yang menggerak-gerakkan jarinya dalam tahiyat, ada yang pandang serong dengan orang itu. Amat menyedihkan sekali.

Kepada para sahabat, mereka mempunyai satu tanggungjawab yang lebih besar lagi. Mereka disuruh ‘menjaga salat’ mereka. Tetapi di dalam masa yang sama, semasa mereka di Madinah apabila kiblat sudah ditukar ke Mekah, mereka semua sedar bahawa mereka sedang mengadap kepada Ka’bah yang dipenuhi dengan berhala-berhala syirik.

Oleh itu, setiap kali mereka sedang salat, mereka sedar bahawa mereka juga dalam masa yang sama sedang mengadap kepada berhala-berhala itu. Maka, kalau mereka hendak ‘menjaga salat’, mereka hendaklah membersihkan Kaabah daripada berhala-berhala itu.

Oleh hal yang demikian, di dalam ayat ini sudah ada isyarat bahawa mereka perlu mengambil alih Mekah dan Kaabah. Mereka mestilah membebaskan Kaabah daripada elemen syirik.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 23 Januari 2022


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Maariful Qur’an