Tafsir Surah al-An’am Ayat 119 – 121 (Amalan berpantang yang salah)

An’am Ayat 119:

وَمَا لَكُم أَلَّا تَأڪُلُواْ مِمَّا ذُكِرَ ٱسمُ ٱللَّهِ عَلَيهِ وَقَد فَصَّلَ لَكُم مَّا حَرَّمَ عَلَيكُم إِلَّا مَا ٱضطُرِرتُم إِلَيهِ‌ۗ وَإِنَّ كَثِيرًا لَّيُضِلُّونَ بِأَهوٰٮِٕهِم بِغَيرِ عِلمٍ‌ۗ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعلَمُ بِٱلمُعتَدِينَ

Sahih International

And why should you not eat of that upon which the name of Allah has been mentioned while He has explained in detail to you what He has forbidden you, excepting that to which you are compelled. And indeed do many lead [others] astray through their [own] inclinations without knowledge. Indeed, your Lord – He is most knowing of the transgressors.

Malay

Dan tidak ada sebab bagi kamu, (yang menjadikan) kamu tidak mahu makan dari (sembelihan binatang-binatang halal) yang disebut nama Allah ketika menyembelihnya, padahal Allah telah menerangkan satu persatu kepada kamu apa yang diharamkanNya atas kamu, kecuali apa yang kamu terpaksa memakannya? Dan sesungguhnya kebanyakan manusia hendak menyesatkan dengan hawa nafsu mereka dengan tidak berdasarkan pengetahuan. Sesungguhnya Tuhanmu, Dia lah yang lebih mengetahui akan orang-orang yang melampaui batas.

 

وَمَا لَكُمْ

Mengapa kamu

Ini adalah rungutan Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ bagaikan berkata: “Kenapa dengan kamu ni?”

Apakah yang Allah ‎ﷻ rungutkan itu?

 

أَلَّا تَأْكُلُوا مِمَّا ذُكِرَ اسْمُ اللَّهِ عَلَيْهِ

tidak mahu memakan (binatang-binatang yang halal) yang disebut nama Allah ketika menyembelihnya,

Allah ‎ﷻ marah kenapa manusia tidak mahu memakan makanan yang halal iaitu binatang ternak yang disembelih dengan disebut nama Allah ‎ﷻ padanya. Kenapa masih lagi mahu memakan makanan yang tidak disebutkan nama Allah ‎ﷻ ketika menyembelihnya?

Keduanya, Allah ‎ﷻ menegur kenapa mereka masih lagi mahu berpantang? Apakah alasan mereka untuk tidak mahu memakan makanan yang halal? Sekiranya Allah ‎ﷻ telah menghalalkan makanan, maka, kita kenalah makan. Makanlah sahaja makanan yang halal, cuma bila dimakan, janganlah diambil secara berlebih-lebihan sehingga mungkin boleh mendatangkan mudarat pula.

Pantang yang kita biasa dengar adalah pantang wanita selepas bersalin yang selalu diamalkan turun temurun dalam masyarakat kita. Namun begitu, sebenarnya orang lelaki tidak kurang juga yang ramai mengamalkan ‘pantang’. Itulah mereka yang mengamalkan ‘Wirid-wirid Keramat’. Wirid itu sendiri sudah sesat, kemudian bertambah sesat lagi dengan amalan berpantang makanan di mana mereka mesti mengikut larangan tok guru mereka ‘mengharamkan’ jenis-jenis  binatang bernyawa (ataupun berdarah) sebagai syarat bagi membolehkan mereka mengamalkan amalan sesat tersebut.

Maka, dapat dilihat di sini yang mereka sebenarnya telah mengharamkan makanan ke atas diri mereka. Berbagai-bagai hujah diberikan kepada anak-anak murid mereka dan anak-anak murid mereka terima sahaja. Mereka hanya terima dan mengikut sahaja disebabkan oleh kejahilan serta jauh daripada ilmu wahyu. Pantang itu sebenarnya telah diajar dan dibisikkan oleh syaitan tetapi mereka tidak sedar.

Sebagai contohnya lagi, ada yang mengamalkan pertapaan dan semasa bertapa itu, mereka hanya dibenarkan memakan bertih sahaja. Ataupun mereka dilarang daripada memakan makanan binatang berdarah, seperti ayam dan sebagainya. Oleh itu, untuk mendapat ilmu yang mereka mahukan itu, mereka tanpa sedar telah sanggup menjadi kafir terlebih dahulu! Sudahlah amalan bertapa itu tidak ada dalam Islam, mereka tambah lagi dengan mengharamkan yang halal.

 

وَقَدْ فَصَّلَ لَكُم

padahal sesungguhnya Allah telah menjelaskan kepada kamu

Allah ‎ﷻ telah memperjelaskan kepada kita apakah yang tidak boleh dimakan. Surah Al-An’am ini adalah surah Makkiah. Bermaksud, tentu Allah ‎ﷻ sudah menjelaskan sebelum ini yang ada makanan yang diharamkan kepada orang Islam. Oleh itu, haruslah ada surah Makkiah juga yang memperkatakan tentang pengharaman makanan itu. Yang kita biasa dengar, pengharaman tentang makanan yang ada dalam surah Al-Maidah. Namun itu tiada kaitan dengan ayat ini, kerana sekiranya menggunakan dalil surah Al-Maidah, ia adalah surah Madaniah.

Sememangnya ada surah Makkiah yang menyebut tentang pengharaman makanan. Pengharaman tentang makanan telah disebut dalam Nahl:115 yang juga adalah ayat Makkiah.

إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةَ وَالدَّمَ وَلَحْمَ الْخِنزِيرِ وَمَا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ فَإِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan atasmu (memakan) bangkai, darah, daging babi dan apa yang disembelih dengan menyebut nama selain Allah; tetapi barangsiapa yang terpaksa memakannya dengan tidak menganiaya dan tidak pula melampaui batas, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

 

مَّا حَرَّمَ عَلَيْكُمْ

apa yang diharamkan-Nya atasmu,

Makanan yang haram untuk dimakan oleh kita telah dijelaskan dalam ayat yang lain. Bukanlah banyak pun makanan yang tidak boleh dimakan. Ia telah disebut dengan jelas dalam Al-Qur’an. Selain daripada itu, semuanya boleh makan.

Namun begitu, ia bergantung juga dengan apa yang ulama’ fiqh telah sebutkan tentang apakah makanan yang haram dimakan. Kita tidak mahu memperpanjangkan tulisan berkenaan dengan perkara ini kerana ini adalah satu perbincangan yang amat panjang. Dalam mazhab yang empat pun, terdapat khilaf tentang hal makanan.

 

إِلَّا مَا اضْطُرِرْتُمْ إِلَيْهِ

kecuali apa yang terpaksa kamu memakannya.

Walaupun ada makanan-makanan yang tidak boleh dimakan, tetapi di dalam keadaan terdesak (darurat), kita masih boleh memakannya. Keadaan darurat yang dimaksudkan di sini adalah keadaan mendesak dan amat diperlukan. Ertinya, apabila seseorang tidak melakukan hal tersebut maka akan membahayakan keselamatan dan nyawanya. Contohnya, seseorang merasa sangat haus namun yang boleh diminum hanyalah khamr. Tujuan dia minum khamr adalah untuk menghilangkan rasa haus, maka hal ini diperbolehkan.

Para ulama’ juga memberikan contoh lain misalnya seorang Muslim diperbolehkan memakan bangkai atau daging babi jika tidak menemukan makanan lain sedangkan keadaannya sangat kelaparan, seperti di tengah peperangan atau di tengah hutan. Tentu sahaja ini diperbolehkan ketika sudah berusaha mencari makanan lain namun tidak ditemui.

Ataupun seorang pendaki yang terkandas di puncak gunung terpaksa memakan bangkai haiwan di mana sekiranya dia tidak memakannya boleh mengakibatkan nyawanya terancam. Bangkai yang haram ketika itu untuk dimakan telah bertukar menjadi ‘halal’ baginya. Malah, bukan halal lagi, tetapi telah menjadi ‘wajib’ untuknya dimakan.

Keadaan darurat ini juga bukanlah berlandaskan sangkaan belaka namun benar-benar terjadi. Makanan haram yang diambil ini juga harus secukupnya dan tidak melampaui batas.

 

وَإِنَّ كَثِيرًا لَّيُضِلُّونَ بِأَهْوٰئِهِم

Dan sesungguhnya kebanyakan (daripada manusia) benar-benar menyesatkan (orang lain) dengan hawa nafsu mereka

Mereka yang mengamalkan pantang itu adalah kerana mereka berkehendakkan sesuatu. Mereka mengamalkan wirid-wirid keramat itu adalah kerana mereka hendakkan ilmu dan kelebihan-kelebihan tertentu. Contohnya mereka hendakkan ilmu kebal.

Sekiranya mereka tidak sedar bahawa hawa nafsu yang mendorong mereka, maka mereka akan kalah. Mereka akan terima sahaja bahawa ada makanan yang ‘haram’ untuk mereka makan, padahal ia halal untuk dimakan di sisi Allah ‎ﷻ.

Atau, mereka makan juga makanan yang haram. Mereka akan berusaha mencari dalil bathil yang membolehkan mereka makan juga makanan yang haram itu. Sebagai contoh, mereka akan kata: “Qur’an haramkan makan daging babi sahaja, tapi yang kita makan ini adalah sup tulang babi sahaja”. Ini kerana nafsu itu berkehendak macam-macam. Salah satunya adalah nafsu makan yang tidak terkawal.

Mereka yang mengamalkan cara pemakanan salah ini adalah kerana telah diajar oleh manusia juga. Yang mengajar itulah yang menyesatkan orang lain. Ini termasuk guru, bidan dan sesiapa sahaja yang memberikan ajaran yang salah. Oleh kerana ramainya golongan seperti ini, maka kita sebagai penganut agama Islam kenalah lebih berhati-hati.

 

بِغَيْرِ عِلْمٍ

tanpa pengetahuan.

Amalan pantang mereka itu bukan berdasarkan kepada dalil daripada Al-Qur’an atau Sunnah, tetapi daripada ajaran karut guru-guru mereka. Kebanyakan mereka membuat ajaran hanya berdasarkan andaian mereka sahaja tanpa menggunakan ilmu yang benar, tetapi daripada ajaran yang salah.

Namun, malang sekali ramai antara masyarakat kita yang tidak ada ilmu. Mereka mengagak-agak sahaja tentang hukum. Mereka ikut sahaja kata orang lain yang mereka hormati tanpa usul periksa.

Inilah bahayanya kalau ikut sahaja kata-kata dan pendapat orang lain. Kita biasa sahaja mendengar pendapat bagaimana seorang pemimpin jahil yang mengatakan bahawa tidak ada disebut hukum hudud dalam Islam. Senang-senang sahaja dia kata tidak ada disebut hukum hudud sedangkan telah disebut dengan terang dan jelas dalam Al-Qur’an.

Begitu juga ada orang yang dengan yakin berkata Al-Qur’an tidak pernah suruh kita menutup aurat. Yang lagi menghairankan, orang yang jahil begini yakin sangat dengan pendapat mereka. Ini kerana mereka sangka mereka pandai, mereka pemimpin tinggi, mereka terpelajar dalam hal dunia dan lain-lain lagi. Dan masyarakat yang jahil, terima sahaja kata-kata pemimpin mereka yang telah berkata dengan yakin! Memang bahaya kalau orang jahil yakin dengan diri sendiri.

 

إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِالْمُعْتَدِينَ

Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang melampaui batas.

Allah ‎ﷻ tahu siapakah yang  melampau dalam hal agama mereka. Maknanya, Allah ﷻ beritahu yang Dia akan hukum mereka itu. Jangan mereka sangka yang mereka selamat. Allah ‎ﷻ tahu siapakah mereka dan Allah ‎ﷻ tidak akan melepaskan mereka begitu sahaja.

Maka kita kena belajar mana yang halal dan mana yang haram.


 

An’am Ayat 120:

وَذَرُواْ ظَـٰهِرَ ٱلإِثمِ وَبَاطِنَهُ ۥۤ‌ۚ إِنَّ ٱلَّذِينَ يَكسِبُونَ ٱلإِثمَ سَيُجزَونَ بِمَا كَانُواْ يَقتَرِفُونَ

Dan tinggalkanlah kamu dosa yang nyata dan yang tersembunyi. Kerana sesungguhnya orang-orang yang berusaha melakukan dosa, mereka akan dibalas dengan apa yang mereka telah lakukan.

 

وَذَرُوا ظٰهِرَ الْإِثْمِ

Dan tinggalkanlah dosa yang zahir

Kalimah الْإِثْمِ bermaksud ‘dosa’. Ia adalah sesuatu perbuatan yang salah yang dalam hati kita pun kita sudah tahu ia salah dan kita tidak mahu orang lain mengetahui tentangnya (sebab malu). Hati kita sendiri sudah tahu yang ia adalah satu perbuatan yang salah kerana ia telah ada dalam fitrah kita. Fitrah kita sendiri sudah tahu yang ia salah.

Allah ‎ﷻ suruh kita tinggalkan dosa yang jelas termasuk memakan sembelihan yang tidak disebut nama Allah ‎ﷻ dan disebut nama lain. Secara umumnya ini adalah jenis dosa yang dibuat terbuka di hadapan manusia tanpa ada rasa segan atau takut. Misalnya ada orang Melayu yang minum arak di khalayak ramai. Atau ada pasangan yang selamba tinggal serumah dengan bukan mahramnya. Atau tidak menutup aurat dan selamba sahaja keluar menayangkan auratnya di khalayak ramai.

Atau orang yang secara terang-terangan mengambil rasuah. Atau orang yang tidak salat dan buat tidak tahu sahaja. Atau orang yang mendengar muzik dan nyanyian secara terbuka. Mereka ini tidak kisah dengan apa pandangan orang. Allah ‎ﷻ melarang kita melakukan dosa-dosa itu di tempat terbuka.

Juga ia bermaksud ‘dosa yang jelas’ iaitu dosa-dosa yang dibuat dengan fizikal kita. Dengan tangan, dengan kaki dan sebagainya. Ia berbeza dengan dosa yang dibuat dengan hati. Dosa dalam hati seperti akidah yang salah, benci kepada orang lain, iaitu dosa yang kita tidak nampak.

Juga maksud ‘dosa yang jelas’ dikatakan bermaksud dosa yang orang tidak kisah pun kalau kita buat. Mereka yang melihatnya seperti tidak ada apa-apa kalau kita buat. Ini adalah kerana ia sudah biasa sangat dalam masyarakat sampaikan orang sudah lali. Sebagai contoh, kalau ada yang dengar muzik, kita buat tidak kisah sahaja, padahal muzik itu haram. Ataupun orang tidak memakai tudung di hadapan kita, kita tidak kisah pun, sebab sudah biasa sangat dan ramai sangat yang buat.

Ayat-ayat yang kita sedang baca ini adalah tentang pemakanan. Maka, elok sekiranya kita juruskan kepada hal makanan juga. Contoh dosa yang zahir tentang makanan adalah apabila seseorang itu memantangkan diri daripada memakan makanan yang halal. Atau yang lebih berat lagi jika mengharamkan yang sudah halal. Atau, memakan makanan yang disebut nama selain Allah ‎ﷻ semasa menyembelihnya.

Ini adalah dosa yang zahir kerana kita nampak bagaimana mereka tidak makan makanan yang sepatutnya boleh dimakan. Bila kita tanya kenapa dia tidak memakan aya contohnya, dia jawab: “Aku tak boleh makan, sebab guru aku suruh pantang makan ayam.”

Maka, untuk meninggalkan dosa yang zahir ini, mestilah mempelajari apa yang dimaksudkan dengan dosa-dosa itu. Oleh sebab itu, kenalah tahu hukum halal dan haram. Kenalah berusaha untuk mencari dan memahami ilmu yang benar.

 

وَبَاطِنَهُ

dan yang tersembunyi.

Yang dilarang kita melakukan bukan dosa yang jelas sahaja tetapi termasuk juga dosa yang tidak nampak, iaitu dosa-dosa batin.

Dosa batin adalah dosa yang dilakukan secara tersembunyi. Ia dilakukan juga tetapi bukan di hadapan orang. Sebagai contoh, ramai yang melihat filem lucah dalam rumah mereka secara senyap-senyap dan bersembunyi. Atau mengamalkan riba dan rasuah secara rahsia.

Atau ia bermaksud dosa-dosa hati seperti riak, munafik, cemburu dan sebagainya.

Bagaimana pula tentang makanan? Contoh dosa batin dalam makanan adalah kepercayaan dalam diri mereka bahawa dengan mengamalkan pantang itu, mereka akan mendapat sesuatu. Itu adalah kepercayaan dalam diri mereka yang kita pun tidak tahu secara zahir. Sebagai contoh, perempuan bersalin yang berpantang itu percaya bahawa dengan berpantang, mereka akan jadi ‘dara’ balik.

Atau ada golongan tarekat dan pengamal ilmu sesat seperti persilatan yang mengamalkan wirid keramat dan mereka percaya yang dengan berpantang itu, badan mereka akan menjadi ringan dan ilmu yang mereka hendak itu akan cepat masuk.

Dosa-dosa batin ini juga adalah kepercayaan-kepercayaan syirik yang ada di dalam hati mereka.

Disebut tentang dosa batin ini kerana terdapat segolongan mereka yang tidaklah mengamalkan amalan berpantang untuk tujuan hawa nafsu, tetapi sebaliknya mereka mempunyai kepercayaan khurafat yang menebal dalam diri mereka. Misalnya ada golongan Nik dan Wan dari Kelantan yang melarang keturunan mereka daripada memakan ikan kekacang dan rebung buluh betung kerana percaya jika melanggar pantang tersebut akan memudaratkan kesihatan mereka. Itu pun tidak boleh juga. Mereka mestilah menghentikan perbuatan tersebut dan hendaklah dibuang akidah sedemikian daripada diri mereka.

 

إِنَّ الَّذِينَ يَكْسِبُونَ الْإِثْمَ

Sesungguhnya orang-orang yang mengerjakan dosa,

Ini kalau masih berdegil. Kalaulah ada yang masih lagi melakukan dosa berpantang dan dosa-dosa yang lain, sama ada zahir atau pun batin. Ini termasuk mereka yang sengaja memakan benda yang haram. Kalau tidak sengaja, tidak berdosa.

 

سَيُجْزَوْنَ بِمَا كَانُوا يَقْتَرِفُونَ

kelak akan diberi pembalasan (pada hari kiamat), disebabkan apa yang mereka telah kerjakan.

Inilah ancaman Allah ‎ﷻ kepada mereka yang melakukan dosa sama ada yang zahir ataupun yang batin. Allah ‎ﷻ mencatit apa sahaja dosa yang kita buat dan ia akan dibalas di akhirat nanti. Mereka tidak akan dibiarkan begitu sahaja.

Seperti kita selalu sebut, surah ini adalah Surah Makkiah. Pada waktu itu tidak banyak lagi suruhan dan larangan berbentuk hukum. Yang banyak disentuh ketika itu adalah kesalahan-kesalahan akhlak.


 

An’am Ayat 121:

وَلَا تَأڪُلُواْ مِمَّا لَم يُذكَرِ ٱسمُ ٱللَّهِ عَلَيهِ وَإِنَّهُ ۥ لَفِسقٌ وَإِنَّ ٱلشَّيَـٰطِينَ لَيُوحُونَ إِلَىٰٓ أَولِيَآٮِٕهِم لِيُجَـٰدِلُوكُم وَإِن أَطَعتُمُوهُم إِنَّكُم لَمُشرِكُونَ

Malay

Dan janganlah kamu makan daripada (sembelihan binatang-binatang halal) yang tidak disebut nama Allah ketika menyembelihnya, kerana sesungguhnya yang sedemikian itu adalah perbuatan fasik (berdosa); dan sesungguhnya Syaitan-syaitan itu membisikkan kepada pengikut-pengikutnya, supaya mereka membantah (menghasut) kamu; dan jika kamu menurut hasutan mereka (untuk menghalalkan yang haram itu), sesungguhnya kamu tetap menjadi orang-orang musyrik.

 

وَلَا تَأْكُلُوا مِمَّا لَمْ يُذْكَرِ اسْمُ اللَّهِ عَلَيْهِ

Dan janganlah kamu memakan binatang-binatang yang tidak disebut nama Allah ke atasnya.

Ini merujuk kepada binatang yang mati sendiri kerana ia adalah bangkai dan kita dilarang daripada memakan bangkai. Apabila ia mati sendiri, ia tidak disembelih dengan disebut nama Allah ‎ﷻ. Ia adalah kotor kerana mungkin sudah busuk. Dan ia tidak baik untuk kesihatan kerana darah yang kotor tidak dibuang daripada tubuhnya.

Juga bermaksud binatang yang semasa disembelih, disebut nama tuhan selain dari Allah ‎ﷻ. Sebagai contoh, semasa zaman jahiliah, puak Musyrikin Mekah semasa menyembelih binatang, akan menyebut nama tuhan dan berhala mereka seperti Latta dan Uzza. Pada zaman sekarang pula, agama-agama lain semasa menyembelih, mungkin mereka menyebut nama tuhan-tuhan mereka.

Syarat untuk kita boleh makan sembelihan itu ada dua:

1. Semasa sembelih itu, nama Allah ‎ﷻ disebut. Tidak disebut nama selain Allah ‎ﷻ ketika penyembelihan, seperti nama al-Masih dan seumpamanya.

2. Penyembelihan dilakukan seperti sembelihan Muslim, diputuskan urat halqum dan mari’ sehingga menumpahkan darah. Jika binatang tersebut mati kerana dijerut atau dikenakan kejutan elektrik, dibenam ke dalam air atau seumpamanya, maka binatang tersebut tidak halal dimakan.

Apabila disembelih dengan cara yang betul, maka darah binatang itu akan dikeluarkan. Dan bersama darah itu akan keluar sekali bahan yang kotor yang boleh membahayakan kesihatan. Ini telah dibuktikan secara saintifik. Maka binatang yang disembelih cara halal adalah binatang yang bersih untuk dimakan.

Kita selalu dengar binatang sembelihan ahli kitab itu boleh dimakan. Ini kerana terdapat dalil dalam Maidah: 5

الْيَوْمَ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبَاتُ ۖ وَطَعَامُ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ حِلٌّ لَكُمْ وَطَعَامُكُمْ حِلٌّ لَهُمْ

Pada hari ini dihalalkan bagimu yang baik-baik. Makanan (sembelihan) orang-orang yang diberi Al Kitab itu halal bagimu, dan makanan kamu halal (pula) bagi mereka.

Namun begitu, walaupun kita boleh memakan sembelihan ahli Kitab, kita kena juga mengikuti dua syarat itu, iaitu hendaklah disebut nama Allah ‎ﷻ semasa menyembelih. Walaupun orang itu adalah Ahli Kitab.

Namun, persoalan yang banyak ditimbulkan adalah: “Tapi sekarang, orang Kristian dan Yahudi bukan boleh dikira sebagai Ahli Kitab lagi, sebab Kitab mereka telah banyak diubah”.

Jawapan kepada persoalan ini adalah: Semasa zaman Nabi Muhammad ﷺ lagi Kitab-kitab mereka telah diubah. Bukan hanya sekarang baru Kitab mereka diubah. Namun walaupun kitab mereka telah diubah semasa zaman Nabi ﷺ, Allah ‎ﷻ dan Nabi Muhammad ﷺ masih lagi memanggil mereka ‘Ahli Kitab’.

Persoalan yang kedua yang ditimbulkan: “Macam mana kita nak tahu yang mereka ada menyebut nama Allah semasa mereka menyembelih itu?”

Jawapan kepada persoalan ini adalah: Kita tidak perlu selidiki secara mendalam bagaimana cara mereka sembelih dan sama ada mereka baca bismillah ataupun tidak. Nabi ﷺ hanya suruh membaca bismillah semasa kita memakan sembelihan itu. Ini terdapat dalam sebuah hadith dalam Sahih Bukhari:

‘Aisyah رضي الله عنها berkata: “Pernah sekumpulan orang berkata kepada Nabi ﷺ:

يَا رَسُولَ اللَّهِ ، إِنَّ قَوْمًا يَأْتُونَنَا بِاللَّحْمِ ، لَا نَدْرِي أَذَكَرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَيْهِ أَمْ لَا فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: سَمُّوا اللَّهَ عَلَيْهِ وَكُلُوهُ

Wahai Rasulullah, sesungguhnya satu kaum memberi daging kepada kami. Tetapi kami tidak tahu, apakah mereka membaca bismillah ketika menyembelih atau tidak. Sabda Nabi ﷺ: Bacalah bismillah dan makanlah.” (HR al-Bukhari)

Daripada hadith ini, kita tidak perlu selidiki apa yang mereka buat, dan kalau kita bertanya, itu sudah termasuk perkara melampau dalam agama. Sedangkan Nabi ﷺ pernah memakan sembelihan Yahudi dan baginda tidak bertanya apa-apa kepada mereka.

Berdasarkan penjelasan di atas, maka sesiapa yang berada di negara bukan Islam, kebanyakan yang melakukan penyembelihan pula adalah orang Kristian atau Yahudi, maka halal memakan sembelihan mereka. Melainkan jika diketahui mereka melakukan perkara yang menjadikan sembelihan itu haram seperti menyebut nama selain Allah ‎ﷻ ketika melakukan sembelihan seperti yang telah dijelaskan di atas.

Sekiranya yang menyembelih itu kita tahu sebagai penyembah berhala, maka HARAM memakan sembelihan mereka. Atau kalau kita nampak sendiri Ahli Kitab itu menyembelih bukan dengan cara yang betul, pun kita tidak boleh memakan makanan sembelihan itu. Tetapi, kalau kita tidak nampak, tidak mengapa. Allahu a’lam.

Kita memang telah tahu bahawa kita boleh memakan binatang yang telah disembelih dengan menyebut nama Allah ‎ﷻ tetapi ada satu keadaan di mana walaupun binatang itu telah disembelih dengan nama Allah ‎ﷻ, kita masih tidak boleh memakannya.

Sebagai contoh, orang-orang kita selalu memanggil bomoh untuk menghalau hantu, atau untuk mengubat orang kerasukan atau jenis-jenis sakit seperti itu. Bomoh itu awal-awal lagi sudah memberitahu kepada kita bahawa perlu disembelih binatang-binatang tertentu seperti ayam golek, kambing dan sebagainya. Sebenarnya yang meminta sembelihan binatang itu adalah jin yang bomoh itu panggil.

Maka, sewaktu sembelih ayam itu ataupun kambing itu, tukang sembelih akan menyebut nama Allah ‎ﷻ tetapi oleh kerana penyembelihan itu disebabkan oleh kerana pemujaan, dengan tujuan ingin menjamu jin, maka kita tidak boleh memakan sembelihan tersebut.

 

وَإِنَّهُ لَفِسْقٌ

Sesungguhnya perbuatan yang semacam itu adalah suatu kefasikan.

Fasiq itu terkeluar daripada mentaati Allah ‎ﷻ, melanggar perintah-Nya. Ia adalah fasiq kerana memakan makanan yang haram. Allah ‎ﷻ sudah larang, tetapi hendak makan juga. Binatang itu adalah makhluk Allah ‎ﷻ dan kerana itu kenalah ikut arahan Allah ‎ﷻ: hendak makan dan sembelih, kena sebut nama Dia.

 

وَإِنَّ الشَّيٰطِينَ لَيُوحُونَ إِلَىٰ أَوْلِيَائِهِمْ

Sesungguhnya syaitan itu membisikkan kepada kawan-kawannya

Kenapa ada yang sembelih sebut nama selain Allah ‎ﷻ? Syaitanlah yang membisikkan kepada manusia untuk berbuat fasiq dengan memakan makanan yang haram. Maka jangan kita terikut-ikut dengan perkara itu. Aulia’ adalah teman rapat, geng kepada syaitan itu. Kalau syaitan manusia pula, ini adalah sesama kumpulan yang ada fahaman sesat yang sama.

Satu lagi kesalahan adalah mengharamkan memakan makanan yang halal. Perbuatan inilah yang diamalkan oleh mereka yang mengamalkan pantang, yang mengamalkan wirid-wirid keramat dan ilmu persilatan yang salah. Syaitanlah yang membisikkan kepada tok guru itu. Dan kemudian tok guru itu pula mengajar kepada anak muridnya. Anak muridnya pula bisikkan kepada orang lain. Mereka semuanya ada akidah syirik, sebab itulah mereka boleh menerima ajaran itu. Kerana itulah mereka senang ditipu oleh syaitan.

 

لِيُجٰدِلُوكُمْ

agar mereka membantah kamu;

Bila kita kata tidak boleh makan makanan yang haram, mereka akan tolak dan mereka akan bantah. Mereka akan kata kita pula yang pelik. Mereka kata kita yang pandai-pandai kata perbuatan mereka itu haram dan syirik. Mereka bantah kita, sedangkan kita ada dalil daripada wahyu, mereka pula tidak ada.

Bila kita kata tidak boleh berpantang, mereka pun akan tolak. Mereka tolak dengan menggunakan hujah akal sahaja. Mereka akan kata tidak salah amalan berpantang itu. Mereka akan kata, apa salahnya kalau tidak makan. Mereka tidak sedar bahawa mereka telah ambil kerja Tuhan, iaitu mengharamkan yang halal.

 

وَإِنْ أَطَعْتُمُوهُمْ

dan jika kamu menuruti mereka,

Kalau kita terikut-ikut dengan hujah akal mereka, kita akan binasa. Kadang-kadang hujah mereka kuat juga, lebih-lebih lagi kalau kita tidak berilmu. Sebagai contoh, Musyrikin Mekah berhujah: ‘Kenapa tak boleh makan bangkai binatang pula, sedangkan binatang itu mati sebab Allah yang menyebabkan dia mati. Takkan kita lebih baik daripada Allah pula?’

Namun itu adalah hujah akal sahaja. Kita telah beri jawapannya sebelum ini iaitu hujah akal bukanlah dalil dalam agama.

 

إِنَّكُمْ لَمُشْرِكُونَ

sesungguhnya kamu tentulah menjadi orang-orang yang musyrik.

Berat sekali status mereka yang ikut hujah orang-orang musyrik yang jahil itu. Allah ‎ﷻ kata kalau kita ikut mereka, maka kita pula yang jadi musyrik. Iaitu syirik dalam perkara menghalal dan mengharamkan.

Sebagaimana orang Islam, yang mengaku diri mereka Muslim, tetapi mereka melakukan perbuatan syirik, maka, mereka juga dipanggil ‘musyrik’. Mereka kekal dalam neraka bersama dengan orang yang sembah berhala. Oleh itu, ingatlah bahawa amalan berpantang adalah salah satu amalan syirik.

Kenapa kita dikatakan syirik kalau mengamalkan ‘pantang’? Kita dikatakan buat syirik kerana kita mengambil kerja Allah ‎ﷻ mengharamkan dan menghalalkan. Hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang layak untuk menentukan halal dan haramnya sesuatu makanan itu.

Habis Ruku’ 14 dari 20 ruku’ dalam surah ini.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 8 Mac 2022


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Maariful Qur’an

Tafsir Surah al-An’am Ayat 115 – 118 (Kalau ikut majoriti, kamu akan sesat)

An’am Ayat 115: Adakah kamu takut ada perubahan dalam wahyu?

وَتَمَّت كَلِمَتُ رَبِّكَ صِدقًا وَعَدلاً لَّا مُبَدِّلَ لِكَلِمَـٰتِهِۦ‌ۚ وَهُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلعَلِيمُ

Sahih International

And the word of your Lord has been fulfilled in truth and in justice. None can alter His words, and He is the Hearing, the Knowing.

Malay

Dan telah sempurnalah Kalimah Tuhanmu (Al-Qur’an, meliputi hukum-hukum dan janji-janjiNya) dengan benar dan adil; tiada sesiapa yang dapat mengubah sesuatu pun dari kalimah-kalimahNya; dan Dia lah yang sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Mengetahui.

وَتَمَّتْ كَلِمَتُ رَبِّكَ

Dan telah sempurnalah kalimat Tuhanmu

Perkataan تَمَّتْ berasal daripada katadasar ت م م yang bermaksud ‘sesuatu yang telah lengkap dan tidak memerlukan apa-apa lagi’. Kalimah daripada Allah ‎ﷻ telah sempurna dan lengkap. Kalimat كلمت ربك merujuk kepada Al-Qur’an ini. Tidak ada keraguan padanya dan betapa jujur dan adilnya wahyu Allah ‎ﷻ itu.

Agama ini telah sempurna dan sepatutnya dijadikan sebagai ikutan kita. Kenapa kita mahu mencari selain daripada yang telah lengkap ini? Kenapa perlu ditambah amalan agama ini dengan amalan-amalan bid’ah yang belum tentu benarnya itu?

صِدْقًا وَعَدْلًا

sebagai kalimat yang benar dan adil.

Kandungan Al-Qur’an boleh dibahagikan kepada dua bahagian:

1. Kisah-kisah yang menjadi peringatan kepada pembacanya
2. Hukum-hukum daripada Allah ‎ﷻ.

Apabila dikatakan صدقا (benar), ia merujuk kepada kisah-kisah yang disampaikan di dalam Al-Qur’an. Kisah-kisah itu semuanya benar belaka dan tidak ada kesilapan dalam penyampaiannya.

Dan apabila dikatakan عدلا (adil), ia merujuk kepada hukum-hukum Allah .‎ﷻ Ia berdasarkan keadilan. Keadilan itu pula bermaksud ia tidak memudaratkan sesiapa dan ia mampu diamalkan oleh setiap manusia untuk setiap zaman.

Surah al-An’am ini diturunkan di Mekah. Ketika itu, hukum-hukum dan undang-undang belum lagi lengkap. Sebagai contoh, hukum tutup aurat hanya turun di Madinah. Begitu juga dengan hukum zakat dan puasa dan lain-lain lagi. Walaupun begitu, konsep kebenaran dan keadilan telah lengkap seperti yang disebut dalam potongan ayat ini.

Setiap kalimah daripada Allah ‎ﷻ adalah benar. Antaranya, ia membenarkan peristiwa-peristiwa yang telah berlaku dalam sejarah. Ia juga membenarkan akidah yang haq serta membenarkan amalan-amalan yang betul.

Kalimah-kalimah daripada Allah ‎ﷻ itu adalah berdasarkan kepada konsep keadilan di mana ia adalah adil kepada diri, kepada masyarakat dan kepada seluruh dunia. Sekiranya hukum dalam wahyu ini ditegakkan, maka ia dikira sebagai sesuatu yang benar dan adil.

لَّا مُبَدِّلَ لِكَلِمٰتِهِ

Tidak ada yang dapat merubah kalimat-kalimat-Nya

Tidak akan ada yang berupaya untuk mengubah kalimat-kalimat Allah ‎ﷻ. Semenjak dahulu lagi telah ada usaha-usaha untuk mengubah ayat-ayat Allah ‎ﷻ, tapi ia tidak akan berlaku. Allah ‎ﷻ telah sebut tentang penjagaan Al-Qur’an di dalam Al-Hijr:9

إِنّا نَحنُ نَزَّلنَا الذِّكرَ وَإِنّا لَهُ لَحافِظونَ

Sesungguhnya Kami-lah yang menurunkan Al Qur’an, dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya.

Allah ‎ﷻ juga tidak akan mengubah kandungan dan hukum-hukum yang ada dalam Al-Qur’an. Ramai manusia yang menggunakan kata-kata yang salah untuk merosakkan agama. Namun begitu apa sahaja yang mereka lakukan, mereka tidak akan dapat merubah kalimah-kalimah Allah ‎ﷻ.

Hukum Allah ‎ﷻ telah tetap. Ia tidak sama dengan hukum rekaan manusia yang setelah sekian lama akan berubah. Hukum itu berubah-ubah kerana ia bukan perkara yang adil. Manusia yang kemudian akan ubah kerana mereka nampak ia tidak adil untuk zaman mereka. Sedangkan hukum yang Allah ‎ﷻ buat adalah adil sepanjang masa dan zaman.

Oleh itu, kalau ada perkara agama yang kita tidak suka, kita tidak boleh menukar agama ikut kehendak kita. Sebaliknya kita yang kena ubah diri kita mengikut ketetapan agama ini. Jangan dipusing-pusing ajaran agama ini ikut kehendak nafsu kita sampai agama pula yang kena ikut kehendak kita. Bukan agama yang kena ikut kita, tetapi kita yang kena ikut kehendak agama.

وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

dan Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Allah ‎ﷻ Maha Mendengar isi hati kita. Allah ‎ﷻ tahu sama ada ibadat dan doa kita ikhlas atau tidak. Allah ‎ﷻ juga Maha Mendengar isi hati manusia sama ada mereka terima atau tidak akidah tauhid ini ataupun mereka menentang dalam hati mereka.

Allah ‎ﷻ Maha Mengetahui bagaimana hendak balas permintaan kita. Allah ‎ﷻ juga Maha mengetahui bagaimana untuk mentadbir seluruh makhluk-Nya. Allah ‎ﷻ Maha Mengetahui keperluan hidup kita. Maka, kepada Allah ‎ﷻ sahajalah sepatutnya kita berdoa dan bertawakal.


An’am Ayat 116: Ini adalah ayat ancaman (zajrun). Allah ‎ﷻ hendak beritahu yang kebenaran itu sudah ada di dalam wahyu, bukannya dengan melihat kepada bilangan mereka yang mengamalkannya. Kadangkala terdapat sesetengah Nabi yang tidak mempunyai pengikut langsung, ataupun mempunyai hanya sekadar seorang dua sahaja. Ini kerana bilangan pengikut bukanlah ukuran kebenaran, tetapi wahyu. Malangnya ada orang yang jahil hanya melihat kepada ramainya bilangan pengikut. Tidakkah mereka tahu ayat ini?

وَإِن تُطِع أَڪثَرَ مَن فِى ٱلأَرضِ يُضِلُّوكَ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ‌ۚ إِن يَتَّبِعُونَ إِلَّا ٱلظَّنَّ وَإِن هُم إِلَّا يَخرُصُونَ

Sahih International

And if you obey most of those upon the earth, they will mislead you from the way of Allah. They follow not except assumption, and they are not but falsifying.

Malay

Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah; tiadalah yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta.

وَإِن تُطِعْ أَكْثَرَ مَن فِي الْأَرْضِ

Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang yang di muka bumi ini,

Ramai orang kita yang apabila melihat ramai orang buat sesuatu amalan, mereka akan yakin bahawa tentulah amalan itu benar. Mereka kata: “Ramai yang buat, takkan salah?” Namun hakikatnya, yang majoriti dalam dunia ini adalah orang-orang kafir, bilangan orang Islam hanya sedikit sahaja.

Malah dalam golongan orang Islam sendiri, mereka yang menerima ajaran tauhid adalah minoriti sahaja. Dan daripada golongan minoriti itu, yang mahu belajar tafsir Al-Qur’an adalah sedikit saja. Yang selain daripada golongan yang sedikit ini, berbagai-bagai akidah mereka. Oleh kerana tidak ramai yang berada dalam kebenaran, tidak mungkin kita mahu mengikut golongan yang salah hanya kerana mereka ramai?

Ramainya orang yang mengamalkan sesuatu bukanlah dalil untuk mengatakan yang amalan itu benar. Agama ini bukan suatu sistem demokrasi di mana pihak yang ramai akan menang dan mesti diikuti. Dengan hanya melihat betapa ramainya manusia sehingga memenuhi sebuah stadium dengan berjoget, menari dan menyanyi yang dianggap sebagai “hiburan Islamik” mendendangkan Qasidah Ya Hanana, bukanlah bermaksud mereka itu benar. Sekiranya setiap keluarga seluruh Malaysia mengadakan Majlis Tahlil, ia bukanlah dalil yang mengatakan amalan itu benar. Jika satu Putrajaya mengadakan majlis Salat Hajat berjama’ah, maka ia juga bukanlah dalil yang menunjukkan perbuatan tersebut akan diterima Allah ‎ﷻ.

Allah ‎ﷻ memerintahkan kita agar mengikuti Al-Qur’an dan sunnah dan bukanlah mengikut ramainya orang. Janganlah kita terpedaya dengan pendapat yang ramai kerana agama ini bukanlah agama demokrasi di mana pihak yang ramai yang akan menang. Agama Islam ini bukan begitu. Yang benar tetap benar walaupun sedikit yang menerimanya. Begitu juga, yang salah tetap salah walau seluruh dunia melakukannya.

يُضِلُّوكَ عَن سَبِيلِ اللَّهِ

nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah.

Sekiranya kita ikut-ikut sahaja orang lain tanpa diperiksa dengan Al-Qur’an dan Sunnah, maka kita pasti akan sesat. Bukanlah kita kata jangan berguru pula. Memang kita belajar dengan ustaz atau guru kita. Tetapi bila kita sampaikan kepada orang lain, maka jangan kita kata “Ini guru aku yang cakap”.

Sebaliknya, kita hendaklah terus menyebut apakah ayat Al-Qur’an dan hadith yang dijadikan sebagai dalil. Ini kerana ustaz kita tidak semestinya benar, tetapi Al-Qur’an dan hadith yang sahih tetap benar. Janganlah pula taksub kepada guru sehingga keluar kata-kata sesat: “Kalau Nabi ikut kanan, guru ikut kiri, kami tetap akan ikut kiri juga”.

Ingatlah yang kebanyakan manusia akan masuk neraka. Berdasarkan kepada sebuah hadith Qudsi di mana Allah ‎ﷻ berkata kepada Nabi Adam عليه السلام untuk memasukkan satu sahaja daripada 1,000 anak cucunya ke dalam syurga. Maknanya, hanya 0.1% sahaja daripada penduduk dunia yang masuk syurga. Maka, adakah kita mahu mengikut yang masuk neraka atau kita mahu mengikut yang masuk syurga?

Namun malangnya, ramai daripada kita yang bila berhujah akan mengatakan: “Tok guru aku kata begini dan guru aku kata begitu. Ramai anak murid dia tu weh…”. Akibatnya nanti, mereka tidak akan percaya kepada guru-guru dan pendapat-pendapat yang lain. Mereka akan hanya bergantung kepada guru mereka sahaja dan mereka tidak percaya dengan kata-kata orang lain.

Ini juga adalah syirik, iaitu ‘syirik tok guru’. Kita memang sayang dengan guru dan ustaz kita yang mengajar, tetapi jikalau mereka ada yang membuat salah dan silap di mana-mana, kita tidak boleh terima dan kita hendaklah menegur mereka. Ini kerana sudah tentunya mereka itu bukan Nabi yang maksum. Maka, janganlah kita taqdis (membersihkan) guru dan ustaz kita pula.

Jangan kita menjadi seperti orang-orang yang lain yang dalam apa-apa hal agama, keputusan hanya dibuat oleh guru mereka sahaja. Sebagai contoh, anak-anak murid Pondok akan hanya mendengar keputusan daripada guru Pondok mereka sahaja. Kita sebenarnya harus mengikut apa yang benar sahaja daripada guru kita. Yang tidak benar, kita tidak boleh ikut. Kita tidak anti kepada institusi Pondok, tetapi kita lebih taksub kepada kebenaran. Sekiranya Pondok mengajar ajaran salah, kita tetap akan kata ia tidak benar.

Ini kerana kita semuanya manusia sudah tentunya ada salah dan silap di dalam pendapat kita. Yang benar hanyalah Al-Qur’an dan Sunnah. Setiap pendapat guru kita boleh dirujuk dengan Al-Qur’an dan Hadith yang sahih. Kadang-kadang apa yang mereka katakan itu hanyalah pendapat mereka sahaja. Jika sekadar pendapat sahaja, maka kita boleh mengikutnya dan boleh sahaja tidak dikuti. Tidak semestinya kesemua pendapat itu kita kena ikut.

Tidak ada sesiapa yang 100% kita boleh ikut dalam dunia ini lagi kerana Rasulullah ﷺ sudah tiada. Tidak ada sesiapa pun yang boleh gerenti yang Syeikh Abdul Qadir Jailani atau Imam Syafi’iy sekalipun boleh masuk syurga, malah sesiapa sahaja. Sebaliknya hanyalah Nabi Muhammad ﷺ dan sebahagian para sahabat رضي الله عنهم yang telah diberi gerenti yang mereka akan memasuki syurga. Oleh itu, seeloknya kita mengikut mereka yang telah mendapat gerenti sahaja. Selain daripada mereka, kita gunakan sebagai panduan sahaja namun bukanlah sebagai kata putus dan wajib diikut. Pendapat mereka tetap hendaklah dinilai kembali sama ada selari dengan wahyu ataupun tidak.

Malangnya orang kita ramai yang menjadikan manusia-manusia lain sebagai idola mereka tetapi mereka tidak pula mengenali para sahabat رضي الله عنهم yang telah berjuang bersama dengan Nabi ﷺ. Namun, sekiranya kisah wali itu dan wali ini, mereka tahu sangat pula, tetapi kisah sahabat رضي الله عنهم mereka tidak ambil peduli pun. Padahal kisah-kisah itu tidak boleh dipertanggungjawabkan. Terlalu banyak kisah mengarut tentang wali itu malah ada kisah yang sampai ke tahap yang boleh memalukan agama sahaja.

Kita bukanlah tidak percaya adanya wali dalam dunia ini. Akan tetapi kita kena sedar yang lantikan wali itu adalah daripada Allah ‎ﷻ, bukannya daripada manusia. Siapa kita yang hendak kata orang itu dan orang ini adalah wali? Ada majlis perlantikankah yang dibuat tetapi kita tidak tahu? Untuk golongan tarekat, mereka menggunakan hujah mimpi sahaja untuk mengatakan wali ini dan itu. Tetapi mimpi tidak boleh dijadikan sebagai pegangan langsung. Semua orang boleh bermimpi namun apakah yang boleh membuktikan bahawa mimpi itu benar?

إِن يَتَّبِعُونَ إِلَّا الظَّنَّ

Mereka tidak lain hanyalah mengikuti persangkaan belaka,

Mungkin timbul persoalan: “Dalam ramai-ramai yang amalkan sesuatu amalan itu, tidak adakah yang benar? Kalau ia salah, sesat, takkan ramai-ramai orang ikut?” Jangan tertipu dengan hujah ini. Banyak amalan-amalan bida’h itu direka daripada sangkaan sahaja.

Sebagai contoh, yang kata pahala boleh dihadiahkan kepada si mati itu hanya agak-agak sahaja. Mereka tidak dapat memastikan sama ada pahala itu sampai ataupun tidak. Mengikut dalil yang terdapat dalam Al-Qur’an, pahala itu tidak sampai.

Ataupun mereka agak-agak sahaja yang orang dalam mati dalam kubur itu akan mendengar bacaan talqin. Mengikut dalil dalam Al-Qur’an, jelas mengatakan yang orang yang mati tidak dapat mendengar. Mereka agak-agak sahaja: Mereka kata: “Takkan orang mati tak boleh dengar?” Atau mereka kata: “Kalau Allah nak bagi dengar, tentu mereka dengar”. Itu semua adalah sangkaan-sangkaan sahaja tanpa berdasarkan dalil yang sah. Padahal itu semua adalah perkara-perkara yang ghaib, yang memerlukan dalil daripada Allah ‎ﷻ dan Nabi. Kalaulah boleh main agak-agak dan menggunakan hujah ia ‘tidak mustahil’, maka rosaklah agama ini kerana sesiapa sahaja boleh berkata apa-apa sahaja.

وَإِنْ هُمْ إِلَّا يَخْرُصُونَ

dan mereka tidak lain hanyalah agak-agak sahaja (terhadap Allah).

Perkataan يَخْرُصُونَ berasal daripada katadasar خ ر ص yang bermaksud ‘agak-agak’. Asalnya, ia bermakna perbuatan menganggar bilangan buah di pokok. Ini kerana kebiasaan dahulu, apabila orang Arab hendak menjual buahan, mereka akan anggar berapa banyak buah pokok itu akan keluarkan. Maka, ada pakar yang akan buat خرص untuk menganggar berapa banyak buah yang akan dikeluarkan oleh kebun itu. Namun begitu ia tetap merupakan andaian sahaja.

Oleh sebab itu, walaupun dia pakar, tentulah dia tidak boleh menganggar secara tepat sebab dia bukannya membuat perkiraan satu persatu bilangan buah itu. Ini merupakan hal dunia, maka boleh sahaja untuk membuat anggaran. Akan tetapi di dalam hal agama dan hal ghaib tidak dibenarkan untuk menganggar dan mengagak-agak. Mesti memerlukan dalil yang menjadi dasar. Namun malangnya itulah yang kebanyakan yang terjadi sekarang ini. Kebanyakan manusia mengagak-agak sahaja dalam hal agama tanpa merujuk kepada dalil. Apabila anggar-anggar sahaja dan mengatakan bahawa ia adalah tepat, maka itu sudah menjadi satu pendustaan.


An’am Ayat 117:

إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعلَمُ مَن يَضِلُّ عَن سَبِيلِهِۦ‌ۖ وَهُوَ أَعلَمُ بِٱلمُهتَدِينَ

Sahih International

Indeed, your Lord is most knowing of who strays from His way, and He is most knowing of the [rightly] guided.

Malay

Sesungguhnya Tuhanmu, Dia lah yang lebih mengetahui akan sesiapa yang sesat dari jalannya, dan Dia lah yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat petunjuk.

إِنَّ رَبَّكَ

Sesungguhnya Tuhanmu,

Kita hendaklah mengenali Allah ‎ﷻ daripada ayat-ayat-Nya. Sekarang Allah ‎ﷻ beritahu lagi maklumat tentang Diri-Nya.

هُوَ أَعْلَمُ مَن يَضِلُّ عَن سَبِيلِهِ

Dialah yang lebih mengetahui tentang orang yang tersesat dari jalan-Nya

Jangan kita kata sesiapa yang sesat atau dapat hidayah kerana Allah ‎ﷻ lebih mengetahui daripada kita. Perkara dalam hati kita tidak tahu. Maka kita serahkan kepada Allah ‎ﷻ sahaja.

وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ

dan Dia lebih mengetahui tentang orang orang yang mendapat petunjuk.

Kadang-kadang kita kata: “Orang itu nampak macam warak dan beriman”. Ini belum tentu lagi sebab anggapan sebeginilah yang membuatkan orang kita boleh tersesat kerana mereka hanya melihat luaran sahaja. Kita sangka mereka yang memakai serban dan kuat berzikir itu sudah wali, padahal belum tentu lagi. Tidaklah kita tahu akidah mereka. Tidaklah kita tahu apa yang mereka buat apabila mereka bersendirian.

Maka, tidak perlu kita hendak menghitung dan banci sesiapa yang beriman ataupun tidak. Itu semua kita tidak akan tahu, ia hanya maklumat di tangan Allah ‎ﷻ sahaja. Yang penting kita hendaklah menilai diri kita sahaja.


An’am Ayat 118: Sekarang kita masuk ke dalam bahagian kedua surah al-An’am ini. Sebelum ini telah disebut tentang akidah-akidah syirik pegangan manusia. Bahagian kedua ini adalah contoh amalan-amalan syirik yang dibuat oleh manusia. Di antaranya adalah syirik tentang makanan, iaitu tentang ‘berpantang’ dalam hal makanan. Ia adalah amalan-amalan yang dianggap betul, tetapi sebenarnya salah. Ini kerana salah mengikut fatwa yang terpesong.

فَكُلُواْ مِمَّا ذُكِرَ ٱسمُ ٱللَّهِ عَلَيهِ إِن كُنتُم بِـَٔايَـٰتِهِۦ مُؤمِنِينَ

Sahih International

So eat of that [meat] upon which the name of Allah has been mentioned, if you are believers in His verses.

Malay

Maka makanlah daripada (sembelihan binatang-binatang halal) yang disebut nama Allah ketika menyembelihnya, jika betul kamu beriman kepada ayat-ayatNya.

فَكُلُوا مِمَّا ذُكِرَ اسْمُ اللَّهِ عَلَيْهِ

Maka makanlah binatang-binatang (yang halal) yang disebut nama Allah ketika menyembelihnya,

Walaupun ayat-ayat hukum banyak dikeluarkan dalam surah-surah Madaniah, tetapi telah ada pengharaman untuk memakan binatang yang disembelih dengan menyebut nama berhala-berhala. Orang-orang Musyrikin Mekah memang menyembelih binatang dan dikhususkan menyebut nama berhala mereka. Binatang sebegitu tidak boleh dimakan.

Sebelum pengharaman itu, orang-orang Islam dan orang-orang musyrikin tinggal serumah dan mereka makan makanan yang sama. Dan apabila telah diharamkan untuk memakan binatang yang disembelih atas nama berhala, mereka sudah tidak boleh berkongsi makanan dengan ahli keluarga mereka yang musyrik lagi.

Ini sebenarnya adalah satu hukum yang berat kepada orang-orang Islam pada waktu itu. Kita mungkin tidak terasa keberatan itu kerana kita hidup sekarang ini di dalam keadaan di mana tidak ada masalah untuk kita mencari makanan yang halal. Kita juga tinggal bersama dengan ahli keluarga kita yang semuanya beragama Islam. Tetapi bayangkan para sahabat yang pada waktu itu tidak ramai dan mereka masih tinggal bersama-sama dengan ahli keluarga mereka yang musyrik.

Dan ia juga tentulah satu amalan yang berat bagi umat Islam yang masuk Islam sedangkan keluarga mereka masih tidak masuk Islam. Atau, mereka yang duduk di negara yang majoriti non-Muslim.

Makanlah apa yang Allah ‎ﷻ telah halalkan untuk kita makan. Jangan dicari yang haram dimakan. Dan jangan haramkan makanan yang Allah ‎ﷻ telah halalkan untuk dimakan. Kalau kita haramkan makanan yang halal, itu bermaksud kita telah mengambil alih kerja Tuhan, dan ini adalah satu perkara syirik.

Ini kerana yang menghalalkan dan mengharamkan hanyalah hak Allah ‎ﷻ sahaja. Maka, kalau sembelihan itu disembelih dan disebut nama Allah ‎ﷻ semasa menyembelihnya, maka binatang sembelihan itu boleh dimakan.

Musyrikin Mekah apabila melihat orang Islam begitu, mereka ada satu hujah yang diberikan kepada orang Islam. Mereka kata kepada kaum Islam, “Kamu hanya makan binatang yang kamu bunuh, tapi kamu tak mahu makan makanan yang Allah matikan? Adakah kamu lebih baik daripada Allah?” Mereka merujuk kepada bangkai binatang yang telah mati. Mungkin mati di tengah jalan dan sebagainya.

Mereka kata binatang-binatang itu dimatikan oleh Allah ‎ﷻ. Kenapa pula tidak boleh dimakan? Mereka mengejek kaum Muslim dengan berkata begitu. Mereka kata Muslim berlagak dengan Allah ‎ﷻ. Itu adalah buah fikiran mereka sahaja yang berasakan yang mereka bijak pandai.

Sekali pandang, seolah-olah mereka ada hujah di situ. Akan tetapi, kita hendaklah membezakan di antara ‘izin’ daripada Allah ‎ﷻ dan syariat. Terdapat izin kawni, di mana Allah ‎ﷻ mengizinkan sesuatu perkara itu berlaku. Namun tidak semestinya Allah ‎ﷻ suka. Satu lagi, ialah izin syar’i, yang mana Allah ‎ﷻ sendiri yang mengarahkan kita berbuat sesuatu. Oleh sebab itu, apabila kita tidak memakan bangkai binatang kerana itu adalah larangan daripada Allah ‎ﷻ, maka itulah yang Allah ‎ﷻ mahu.

Yang berhak untuk menghalalkan dan mengharamkan adalah Allah ‎ﷻ sahaja. Ketika Nabi Adam عليه السلام tinggal di syurga, baginda boleh memakan apa sahaja makanan yang ada di syurga kecuali dengan satu syarat: tidak boleh hampiri dan makan daripada satu pokok. Begitulah Allah ‎ﷻ uji kita sebagai manusia. Apabila ada halal dimakan, Allah ‎ﷻ menjadikan yang haram sebagai ujian untuk kita kerana Allah ‎ﷻ mahu melihat sama ada kita tinggalkan apa yang Dia larang.

Namun begitu ada manusia yang mengharamkan sesuatu yang halal dimakan. Bilakah ia terjadi? Itulah yang terjadi selepas perempuan bersalin; itulah yang terjadi dalam ilmu persilatan; itulah yang terjadi dalam ajaran tarekat; itu juga terjadi dalam sesuatu puak – ada keturunan yang diajar oleh tok nenek mereka tidak boleh makan sekian-sekian ikan, kerana ada sumpahan dan sebagainya. Itu semua adalah syirik kerana mengambil kerja Allah ‎ﷻ mengharamkan makanan yang halal.

إِن كُنتُم بِـَٔايَـٰتِهِۦ مُؤمِنِينَ

jika kamu beriman kepada ayat-ayat-Nya.

Jika kamu betul-betul beriman, maka tunjukkan iman kamu dengan hanya memakan sembelihan yang disebut nama Allah ‎ﷻ. Ini adalah satu ujian. Lebih-lebih lagi dalam masyarakat yang mengamalkan syirik pada zaman Nabi dahulu.

Pada waktu itu bilangan umat Islam sedikit. Makanan pun tidak banyak. Namun sudah ada larangan sebegitu. Maka, makanan untuk mereka sudah berkurang dan amat menguji keimanan. Hanya mereka yang beriman sahaja yang boleh taat.

Pada zaman sekarang pun ada ujian juga. Makanan sekarang bermacam-macam jenis. Yang sedap-sedap terjual di merata tempat. Tetapi, sebelum makan, kita kena pastikan yang makanan itu adalah makanan yang halal. Maka, makanan kita sudah menjadi terhad sebenarnya kerana bukan semua makan di pasaran kita boleh makan. Ada makanan yang kita tahu sedap dan ramai orang makan, tetapi kerana iman, kita tahan diri kita daripada memakannya. Kita sanggup bersusah payah mencari makanan yang halal. Itulah tanda iman dalam hati.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 8 Mac 2022


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Maariful Qur’an

Tafsir Surah al-An’am Ayat 112 – 114 (Gerakan Sunnah dihalang)

An’am Ayat 112:

وَكَذٰلِكَ جَعَلنَا لِكُلِّ نَبِىٍّ عَدُوًّا شَيَـٰطِينَ ٱلإِنسِ وَٱلجِنِّ يُوحِى بَعضُهُم إِلَىٰ بَعضٍ زُخرُفَ ٱلقَولِ غُرُورًا‌ۚ وَلَو شَآءَ رَبُّكَ مَا فَعَلُوهُ‌ۖ فَذَرهُم وَمَا يَفتَرُونَ

Sahih International

And thus We have made for every prophet an enemy – devils from mankind and jinn, inspiring to one another decorative speech in delusion. But if your Lord had willed, they would not have done it, so leave them and that which they invent.

Malay

Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari Syaitan-syaitan manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada setengahnya yang lain kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya. Dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah mereka tidak melakukannya. Oleh itu, biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan (dari perbuatan yang kufur dan dusta) itu.

 

وَكَذَٰلِكَ جَعَلْنَا لِكُلِّ نَبِيٍّ عَدُوًّا

Dan demikianlah Kami jadikan musuh bagi tiap-tiap nabi itu,

Perkataan كَذَٰلِكَ bermaksud: begitulah keadaannya: bagaimana setelah ditunjukkan segala bukti yang nyata, mereka masih lagi menentang dan bermusuh dengan Nabi.

Sebagai contoh, musuh Nabi Musa عليه السلام adalah Firaun. Ini bermakna, bukan Nabi Muhammad ﷺ sahaja yang terpaksa berhadapan dengan musuh sebegini, tetapi setiap Nabi juga terpaksa menghadapinya. Maka, ia menjadi tasliah (pujukan) kepada Nabi Muhammad ﷺ dalam hal ini. Jangan hairan kalau ada yang menentang baginda dan memusuhi baginda.

Ayat ini mengingatkan kita bahawa Allah ‎ﷻlah yang meletakkan musuh-musuh itu kepada setiap Nabi. Dan memang Allah ‎ﷻ berikan musuh-musuh yang paling teruk kepada para Nabi, supaya kalau kita bandingkan musuh kita dengan musuh para Nabi, tidaklah nampak teruk sangat musuh kita.

Begitulah juga, sesiapa yang mengambil jalan tauhid ini telah siap-siap diberikan oleh Allah ‎ﷻ musuh-musuh masing-masing. Itulah sebabnya ramai kita yang dimarahi dan dibenci oleh orang lain. Apabila mereka lihat kita, mereka menjuihkan mulut mereka. Mereka sudah tidak mahu bercakap-cakap dengan kita. Mereka akan nasihat orang lain supaya jangan dengar kata-kata kita kerana mereka kata kita sudah sesat.

Inilah dugaan orang-orang yang sebar tauhid. Oleh itu, perkara ini menjadi biasa sahaja bagi orang yang hendak mengamalkan tauhid dengan benar dan hendak berdakwah. Allah ‎ﷻ beri musuh-musuh ini sebagai dugaan dan ujian kepada kita. Maka, kenalah bersabar sahaja.

Oleh itu, sesiapa yang telah diberikan dengan dalil-dalil yang sahih, namun masih lagi menentang ajakan tauhid ini, mereka sebenarnya adalah ‘musuh’. Musuh kepada siapa? Musuh kepada Nabi dan Allah ‎ﷻ! Mereka bukan sahaja bermusuh dengan kita tetapi dengan Nabi dan Allah ‎ﷻ. Ini adalah satu dosa yang amat besar.

Namun malangnya entah berapa ramai yang tidak suka dengan jalan dakwah ini dan mereka menjadikan misi hidup mereka untuk mematikan dakwah sunnah ini. Mereka tentang kita sebagaimana mereka menentang ajaran Syiah. Mereka samakan kita dengan Syiah pula. Malah ada yang kata gerakan kita ini lebih sesat daripada Syiah!

Sebagai contoh, mereka akan gunakan slogan: “Katakan tidak kepada Syiah dan Wahabi!” Oleh kerana mereka kata begitu, maka masyarakat menjadi jauh dari jalan sunnah kerana mereka telah ditanamkan dalam fikiran manusia yang ajaran sunnah ini adalah ‘ajaran Wahabi’, ajaran salah. Mereka tidak tahu pun apa yang mereka kata, cuma mereka tahu sebut ‘Wahabi’ sahaja. Bagi masyarakat awam  yang tidak mengkaji, maka mereka terus sangka bahaya ‘gerakan Wahabi’ ini.

Sekiranya tidak beriman pun sudah salah, maka bagaimana pula kalau menentang? Ketika zaman Nabi ﷺ dahulu, ramai yang tidak beriman dengan dakwah baginda. Namun begitu, dalam masa yang sama, mereka tidak menentang Nabi ﷺ pun. Mereka buat tidak kisah sahaja.

Dan ketika Pembukaan Mekah, mereka beramai-ramai masuk Islam kerana mereka sudah nampak kekuatan Islam. Mereka sebelum itu tidaklah menentang Nabi ﷺ.  Bagaimana pula dengan yang menentang Nabi ﷺ seperti Abu Lahab dan Abu Jahal? Mereka itulah musuh Islam, musuh Nabi ﷺ dan juga musuh Allah ‎ﷻ.

Beginilah juga mereka yang menentang ajaran Sunnah di negara ini. Merekalah yang menghalang dakwah Sunnah dijalankan. Mereka sakit hati melihat dakwah Sunnah semakin diterima. Sampaikan bermacam-macam tohmahan mereka berikan kepada puak Sunnah.

Mereka tidak benarkan orang-orang Sunnah mengajar di masjid-masjid dan surau-surau. Mereka kata ‘jangan beri peluang puak-puak ini berceramah di sini’. Ini kerana gerakan Sunnah ini telah membuka kesalahan dan kesilapan dalam ajaran mereka! Mereka marah dan takut kalau-kalau apa yang mereka ajar itu tidak diterima oleh masyarakat lagi.

Mereka ini adalah syaitan, lebih teruk daripada orang kafir dan orang musyrikin. Ini kerana terdapat orang kafir dan orang musyrik yang tidak menentang orang Islam pun. Kita kena ingat yang ‘syaitan’ adalah sifat, bukannya makhluk. Ia adalah sifat menjauhkan manusia daripada kebenaran. Maka, kalau jin yang menghalang manusia, maka ia menjadi syaitan; dan jika manusia melakukan perkara yang sama, maka, dia juga menjadi syaitan sebenarnya.

Ini dijelaskan lagi selepas ini:

 

شَيَاطِينَ الْإِنسِ وَالْجِنِّ

iaitu syaitan-syaitan (daripada jenis) manusia dan (dan jenis) jin,

Allah ‎ﷻ hendak memberitahu Rasulullah ﷺ bahawa baginda mempunyai musuh dalam kalangan manusia dan juga daripada jin. Memang Rasulullah ﷺ asalnya tidak menyangka yang kaum baginda sendiri akan memusuhi baginda. Dahulunya mereka menggelar baginda al-Amin (yang dipercayai) oleh kerana hormatnya mereka kepada baginda. Namun itu semua berubah apabila baginda membawakan mesej tauhid kepada mereka. Mereka menuduh baginda dengan tuduhan-tuduhan yang tidak munasabah  yang disebut di dalam banyak ayat-ayat Al-Qur’an.

Ini adalah dalil kepada kita bahawa syaitan itu terdapat dalam bentuk jin dan ada yang dalam bentuk manusia. Tetapi orang kita ramai yang tidak tahu. Mereka sangka syaitan itu daripada golongan jin sahaja. Oleh itu, apabila kita kata, orang itu ‘syaitan’, mereka hairan. Mereka hairan kerana mereka tidak belajar tafsir Al-Qur’an.

Perkataan ‘syaitan’ itu adalah satu ‘sifat’ sebenarnya., iaitu sifat menentang dan tidak taat kepada Allah ‎ﷻ. Maka, sekiranya mereka yang menentang jalan Sunnah itu adalah jenis manusia, mereka juga adalah dipanggil ‘syaitan’.

Perkataan شَيَاطِينَ adalah daripada kata dasar ش ط ن yang bermaksud ‘jauh’. Apabila seseorang itu menentang dan tidak taat kepada Allah ‎ﷻ, dia telah menjauhkan dirinya daripada Allah ‎ﷻ. Setiap kali kita tidak taat kepada Allah ‎ﷻ, kita sebenarnya menjauhkan diri daripada Allah ‎ﷻ. Oleh itu, kalau kita rasa jauh sahaja daripada Allah ‎ﷻ, maka hendaklah kita melakukan amal ibadat dengan banyak.

Kalimah الْإِنسِ merujuk kepada manusia secara keseluruhan. Akan tetapi kalau perasan, bukan الْإِنسِ sahaja yang digunakan untuk merujuk kepada manusia. Kalau kalimah الْإِنسِ yang digunakan, Al-Qur’an hendak merujuk kepada perbincangan aspek sosial manusia. Kalau kalimah بَني ءآدَمَ yang digunakan, seperti di dalam A’raf:172, perbincangan adalah berkenaan aspek sejarah.

وَإِذ أَخَذَ رَبُّكَ مِن بَني ءآدَمَ مِن ظُهورِهِم ذُرِّيَّتَهُم

Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka,

Dan jikalau kalimah yang digunakan adalah بَشَرٌ seperti di dalam Ali Imran:47, kandungan perbincangan adalah mengenai aspek semulajadi dan fizikal manusia.

قالَت رَبِّ أَنّىٰ يَكونُ لي وَلَدٌ وَلَم يَمسَسني بَشَرٌ

Maryam berkata:” Wahai Tuhanku! Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak, padahal aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun?”

 

يُوحِي بَعْضُهُمْ إِلَىٰ بَعْضٍ

sebahagian mereka membisikkan kepada sebahagian yang lain

Syaitan-syaitan daripada jin dan manusialah yang membisikkan kepada manusia lain bahawa apa yang kita bawa ini adalah salah. Mereka kata, ajaran Sunnah ini bukan daripada Nabi ﷺ, tetapi daripada Imam Abdul Wahab.

Mereka akan memberikan amaran kepada masyarakat supaya jangan dengar dakwah Sunnah. Mereka akan lawan ajaran Sunnah daripada diajar di masjid. Oleh kerana mereka ada pengaruh di masjid dan surau, maka ajaran Sunnah sepi daripada masyarakat umum. Sebab itulah, banyak ajaran Sunnah sekarang ini diajar di rumah-rumah dan tempat tertentu sahaja. Kebanyakannya terpaksa diajar di alam maya sahaja kerana tidak diberi tauliah untuk mengajar di alam nyata. Ini adalah kerana ada ‘musuh-musuh’ Allah ‎ﷻ yang menghalang.

Ramai yang kata, kalau sunnah ini benar, kenapa tidak disebut di media-media utama, di suratkhabar dan TV contohnya. Maka kita jawab: kerana kita disekat daripada menyebarkan dakwah tauhid dan sunnah ini.

Syaitan yang jenis jin inilah juga akan membisikkan kepada manusia ajaran-ajaran yang syirik dan sesat. Syaitan sememangnya sentiasa berusaha untuk menyesatkan manusia dari dulu sampai kiamat. Kalau tidak dapat sesat terus sampai mengaku kafir pun tidak mengapa, asalkan sesat sedikit dengan mengamalkan ajaran yang salah.

Mereka akan membisikkan amalan-amalan bid’ah yang nampak seperti ajaran Islam, tetapi sebenarnya tidak iaitu melalui bisikan dalam hati dan juga melalui mimpi. Bagaimana kita tahu yang ia daripada jin syaitan? Apabila ajaran itu bertentangan dengan wahyu.

Ini berbeza dengan ilham, iaitu mimpi yang baik. Sekiranya ia adalah mimpi yang baik, maka ia pasti menepati wahyu. Memang ada dalam Islam bab mimpi yang baik ini seperti yang disebut oleh Nabi ﷺ. Tetapi bukanlah mimpi dengan ajaran mengarut seperti yang banyak terjadi sekarang dan didakwa oleh golongan tertentu.

Syaitan akan membisikkan kepada seorang manusia dan manusia itu pula akan membisikkan ajarannya kepada orang-orang yang lain. Apabila dia mengajar manusia lain, maka dia sudah menjadi syaitan kerana dia mengajar sesuatu yang salah dan akan menyesatkan manusia lain.

Dia akan berkata bahawa apa yang diajar itu adalah ‘ajaran yang rahsia’. Sebab itu dia kena bisikkan ajaran itu. Lihatlah bagaimana ajaran-ajaran sesat itu akan dibuat secara senyap-senyap sahaja. Mereka sangka mereka mendapat ilham daripada Allah‎ ﷻ ataupun daripada malaikat tetapi sebenarnya bisikan yang mereka dapat itu adalah daripada syaitan.

Inilah yang banyak terjadi kepada puak-puak tarekat dan puak-puak Habib yang membawa amalan-amalan yang bukan daripada ajaran Islam. Ajaran-ajaran dan amalan mereka itu adalah pelik-pelik belaka. Tetapi mereka lapik kepelikan amalan mereka itu dengan mengatakan bahawa itu adalah ‘ajaran rahsia daripada Allah’. Yang boleh menerima ajaran itu adalah orang-orang jahil dalam masyarakat sahaja.

Apabila kita tegur ajaran sesat itu, ada pula yang mempertahankan. Sebagai contoh, mereka kata ajaran yang mereka bawa itu ‘ajaran tinggi’, oleh itu bukan semua boleh dapat. Entah tinggi macam manalah ajaran mereka, sampai akal kita yang normal ini pun tidak dapat terima. Apakah kena menjadi gila dahulukah baru boleh faham ajaran mereka?

Namun begitulah yang terjadi dalam masyarakat sekarang yang jahil daripada wahyu. Mereka yang jahil dengan agama akan suka dan akan percaya dan akan amalkan amalan-amalan itu. Mereka sangka mereka beruntung kerana dapat amalan yang rahsia, tetapi mereka tidak tahu bahawa amalan itu adalah amalan syirik.

Ayat ini juga memberitahu kepada kita bahawa perhubungan dengan jin adalah tidak baik. Ia boleh membawa manusia kepada syirik dan kufur kepada Allah ‎ﷻ. Tidak ada satu riwayat yang menceritakan golongan sahabat ada berurusan dengan mereka. Jin yang baik atau jin Islam pun tidak ada berhubungan dengan mereka. Jin yang baik berhubungan sesama mereka sahaja, tidak ada urusan dengan manusia.

 

زُخْرُفَ الْقَوْلِ غُرُورًا

perkataan-perkataan yang indah-indah untuk menipu (manusia).

Mereka akan membisikkan dengan kata-kata yang indah-indah. Ia sebenarnya adalah perkataan kotor tetapi disaluti dengan indah sekali supaya nampak bersih. Sebab itu banyak yang keliru tentang perkara ini kerana mereka sangka ia adalah sebahagian daripada agama. Ia sebenarnya racun tetapi disaluti sehingga nampak seperti penawar. Tujuannya adalah untuk memperdayakan manusia.

Macam-macam helah yang digunakan oleh Musyrikin Mekah supaya manusia lain tidak datang dengar dakwah yang disampaikan oleh Nabi ﷺ. Mereka antaranya beritahu kepada orang lain bahawa kalau mereka dengar sahaja kata-kata Nabi Muhammad ﷺ, mereka akan terpukau kerana Nabi Muhammad ﷺ menggunakan sihir. Mereka kata ayat-ayat Al-Qur’an itu adalah sihir!

Begitulah yang terjadi kepada seorang sahabat Nabi ﷺ yang bernama Tufail رضي الله عنه. Tufail رضي الله عنه ditakutkan begitu sampaikan beliau telah menutup telinganya dengan kapas supaya tidak mendengar ayat-ayat Al-Qur’an yang dibaca oleh Nabi ﷺ. Akhirnya beliau dengar juga apa yang disampaikan oleh Nabi ﷺ dan akhirnya telah beriman.

Begitu juga dengan masyarakat kita yang dimomokkan dengan ajaran Sunnah ini. Sampai mereka takut untuk dengar ajaran daripada asatizah Sunnah. Walau bagaimanapun sebaliknya pula telah terjadi, di mana ada yang cuba untuk dengar dan akhirnya mereka nampak bahawa tidak ada masalah dengan ajaran mereka, malah itulah yang benar.

Perkataan زُخْرُفَ bermaksud ‘perhiasan’. Digunakan untuk mencantikkan sesuatu seperti kita menghiasi rumah kita. Pada asalnya, rumah kita mungkin tidak cantik, nampak biasa sahaja, tetapi ada orang yang pandai menghias sampaikan menjadi cantik pula.

Begitu juga, maksud زُخْرُفَ الْقَوْلِ adalah perkataan yang tidak elok tetapi yang berkata-kata itu akan menggunakan ‘perhiasan’ untuk mencantikkan kata-kata mereka.

Namun begitu perhiasan itu hanyalah غُرُورًا – penipuan sahaja. Antaranya mereka akan kata, tujuan mereka halang dakwah tauhid adalah kerana hendak menjaga ‘perpaduan masyarakat’. Mereka kata ajaran Sunnah ini adalah untuk memecahkan umat Islam negara ini, sebab itu mereka halang. Mereka akan kata, amalan mereka itu sudah lama diamalkan oleh ulama’-ulama’ dulu, maka ia adalah perkara baik.

Kata-kata indah itu digunakan untuk menyebar amalan salah dan bid’ah. Pada zaman sekarang, amalan-amalan bid’ah dan syirik yang dilakukan oleh masyarakat kita nampak cantik sahaja. Perkataan-perkataan yang disebut adalah indah tetapi di dalamnya ada jerangkap samar. Manusia yang ada fahaman syirik pula sebarkan pula kepada manusia yang lain.

Lihatlah lagu Ya Hanana yang popular di negara kita sekarang. Lagunya dan bunyinya amat mengasyikkan. Memang sedap di telinga kita tetapi apa yang dinyanyikan adalah lafaz syirik. Bagaimana tidak syirik jika keterlaluan memuja-muja Nabi Muhammad ﷺ? Sepatutnya yang dipuja adalah Allah ‎ﷻ, tetapi mereka puja adalah Nabi ﷺ. Sepatutnya syafaat itu daripada Allah, tetapi mereka minta kepada Nabi ﷺ.

Oleh itu, sebagai seorang yang beriman, kenalah berhati-hati dengan apa yang kita dengar. Jangan kita tertipu dengan kata-kata yang indah sahaja. Kita kena tapis dengan hujah dan dalil yang sahih.

 

وَلَوْ شَاءَ رَبُّكَ مَا فَعَلُوهُ

Jikalau Tuhanmu menghendaki, nescaya mereka tidak mampu mengerjakannya,

Allah ‎ﷻ boleh sahaja halang mereka. Namun Allah ‎ﷻ biarkan sebagai ujian bagi kita. Maka, kita mesti berusaha dalam kehidupan kita. Ada yang usaha untuk kebaikan dengan amalan yang benar, dan ada yang mengerjakan amalan yang syirik dan bid’ah. Allah ‎ﷻ biarkan sahaja. Allah ‎ﷻ tidak menahannya kerana Allah ‎ﷻ beri hak memilih kepada kita. Itu semua adalah ujian yang Allah ‎ﷻ berikan.

Kalau Allah ‎ﷻ hendak halang, boleh sahaja. Allah ‎ﷻ boleh sahaja menghalang musuh-musuh itu daripada berkata-kata. Allah ‎ﷻ boleh sahaja beri tanda yang amalan mereka itu salah. Bayangkan sekiranya setiap kali penganut Hindu hendak sembah berhala itu dikenakan dengan petir, atau terasa tangannya sakit, tentulah mereka akan meninggalkan sembahan mereka itu. Mereka sanggup hancurkan patung-patung itu; atau kalau setiap kali seorang yang beri salam kepada malaikat dan wali, dikenakan sakit, sama ada mereka pening atau pengsan terus, tentulah mereka tidak buat lagi.

Namun Allah ‎ﷻ tidak buat begitu. Allah ‎ﷻ membiarkan sahaja mereka dalam kesesatan amalan mereka. Allah ‎ﷻ cuma catit sahaja apa yang mereka kata dan amalkan, dan mereka akan dibalas nanti hasil daripada perbuatan mereka itu.

 

فَذَرْهُمْ وَمَا يَفْتَرُونَ

maka tinggalkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan.

Allah ‎ﷻ suruh tinggalkan mereka yang buat penipuan itu, buang masa sahaja. Kita teruskan dengan kerja dakwah kita. Jangan kita layan sangat musuh-musuh itu. Ada ramai lagi yang akan dengar dakwah kita.

Jangan takut dengan apa yang mereka kata. Ingatlah bahawa musuh itu diberikan kepada kita sebagai ujian kepada kita. Dan bagi kita yang belajar wahyu ini kena sedar yang perkara syirik sebegini berlegar di luar sana. Jangan kita tertipu pula. Jangan hiraukan mereka kerana lebih ramai yang tidak belajar wahyu daripada mereka yang belajar. Yang belajar wahyu ini sedikit sahaja.

Jangan hiraukan mereka. Sebab itu kita lihat ulama’-ulama’ tidak kisah pun dengan sindiran-sindiran yang dikenakan kepada mereka. Mereka tidak jawab pun tohmahan yang dikenakan kepada mereka. Jika dijawab, buang masa di situ sahaja, sedangkan masih banyak lagi kerja dakwah yang perlu dijalankan. Sebaliknya, kadang-kadang akan ada orang lain yang akan menjawab bagi pihak mereka.


 

An’am Ayat 113: Siapakah yang akan terpengaruh dengan bisikan jahat itu?

وَلِتَصغَىٰٓ إِلَيهِ أَفـِٔدَةُ ٱلَّذِينَ لَا يُؤمِنُونَ بِٱلأَخِرَةِ وَلِيَرضَوهُ وَلِيَقتَرِفُواْ مَا هُم مُّقتَرِفُونَ

Sahih International

And [it is] so the hearts of those who disbelieve in the Hereafter will incline toward it and that they will be satisfied with it and that they will commit that which they are committing.

Malay

Dan juga supaya hati orang-orang yang tidak beriman kepada hari akhirat cenderung kepada bisikan itu, dan supaya disetujui oleh mereka, dan juga supaya mereka (terus) melakukan apa yang mereka lakukan itu.

 

وَلِتَصْغَىٰ إِلَيْهِ أَفْئِدَةُ

Dan (juga) agar hati kecil cenderung kepada bisikan itu,

Kalimah تَصْغَىٰ bermaksud mereka mendengar dengan tekun. Ini bermaksud mereka cenderung kepada fahaman salah itu. Ramai sahaja yang terikut-ikut dengan fahaman yang salah dan sesat. Seperti zaman sekarang, mereka akan tulis dalam blog mereka, mereka post dalam Facebook, dalam whatsapp dan sebagainya.

Siapa yang akan terkesan dengan fahaman salah itu?

 

الَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِالْآخِرَةِ

orang-orang yang tidak beriman kepada kehidupan akhirat

Bukan semua orang akan terpedaya dengan penipuan-penipuan syaitan dalam kalangan jin dan manusia itu. Hanya mereka yang tidak percaya kepada kehidupan akhirat sahaja yang akan percaya.

Apakah maksud ‘tidak percaya’ itu? Tidak mungkin pula orang yang mengaku Islam tidak percaya kepada hari Akhirat? Maksud tidak percaya itu adalah mereka tidak kisah tentang apa yang akan terjadi di hari akhirat nanti. Mereka tidak takut dengan balasan Allah ‎ﷻ kepada mereka. Mereka tidak tahu bahawa di akhirat nanti mereka kena jawab tentang kata-kata mereka dan amalan-amalan mereka semasa di dunia dulu. Mereka tidak terfikir bahawa nanti mereka tidak akan ada hujah untuk membenarkan amalan-amalan mereka lakukan itu.

Mereka lupa bahawa amalan mereka itu tidak ada dalil daripada Al-Qur’an dan juga daripada hadith Nabi ﷺ. Semasa di dunia, mereka boleh berhujah dengan hujah-hujah akal dan hujah-hujah yang bathil, tetapi bagaimana mungkin mereka akan berhujah begitu di hadapan Allah ‎ﷻ nanti?

Dalam dunia ini akan sentiasa ada sahaja mereka yang akan mengajar ajaran-ajaran yang salah dan sesat. Oleh itu kita kenalah pandai untuk menapis manakah ajaran yang benar dan manakah ajaran yang salah. Orang-orang yang memikirkan tentang nasib mereka di akhirat nanti akan sentiasa berhati-hati dengan amalan yang mereka lakukan.

Mereka tidak berani untuk melakukan amalan yang tidak ada dalil yang sah kerana mereka tahu bahawa mereka akan ditanya tentang amalan-amalan itu nanti di hari akhirat. Semoga kita tergolong dalam golongan mereka yang beriman dengan hari akhirat.

Begitu juga, ada banyak hujah-hujah yang diberikan dalam media sekarang. Ada yang menyokong dan ada yang menentang dakwah Sunnah ini. Maka hendaklah kita pandai membezakan manakah yang benar dan tidak. Bagi mereka yang berkata itu tanpa diberikan dalil sah, maka kita pun tahu bahawa mereka itu adalah musuh agama kerana mereka jauh daripada wahyu.

Maka, untuk selamat daripada kesesatan adalah dengan yakin kepada akhirat. Bagaimanakah caranya? Tidak lain dan tidak bukan adalah dengan merapatkan diri dengan wahyu kerana ia banyak disebut dalam wahyu Ilahi. Ini kerana hal akhirat tidak dapat dicapai oleh akal melainkan apa sahaja maklumat kita dapat daripada wahyu.

 

وَلِيَرْضَوْهُ

dan supaya mereka merasa senang kepadanya

Mula-mula, mereka akan cenderung sahaja. Dalam hati mereka berkata: “Macam elok sahaja amalan ini”. Kemudian, mereka naik kepada peringkat atas lagi di mana mereka akan suka pula kepada ajaran dan amalan salah itu. Mereka itu suka dengan amalan-amalan salah itu kerana hati mereka memang cenderung kepada kesesatan. Dan mereka tidak dapat tolak fahaman dan ajaran sesat itu kerana mereka tidak ada petunjuk wahyu sebagai penapis bagi ajaran salah itu.

Oleh sebab itu, sekiranya ada orang yang membisikkan amalan-amalan salah, maka mereka akan cenderung dan kemudian mereka suka dengan amalan-amalan itu. Mereka pun menerima dan puas hati dengan bisikan-bisikan itu.

 

وَلِيَقْتَرِفُوا مَا هُم مُّقْتَرِفُونَ

dan supaya mereka mengerjakan apa yang mereka (syaitan) kerjakan.

Pada peringkat seterusnya, mereka akan mengamalkan amalan yang salah itu. إقترف asalnya bermaksud melakukan sesuatu yang salah untuk mendapatkan wang. Bermaksud mereka melakukan sesuatu yang tidak elok. Sebagai contoh, mencuri, menipu, skim cepat kaya dan sebagainya.

Ayat ini bermaksud mereka melakukan sesuatu yang jahat dan buruk. Mula-mula mereka cenderung – kemudian mereka menjadi suka pula – kemudian barulah mereka akan mengamalkan. Begitulah dengan amalan salah. Ramai yang mula cenderung, kemudian suka dan kemudian mereka akan amalkan.


 

An’am Ayat 114: Apabila sudah ada wahyu tetapi cari benda lain lagi, maka ini adalah kesalahan yang nyata.

أَفَغَيرَ ٱللَّهِ أَبتَغِى حَكَمًا وَهُوَ ٱلَّذِىٓ أَنزَلَ إِلَيڪُمُ ٱلكِتَـٰبَ مُفَصَّلاً وَٱلَّذِينَ ءَاتَينَـٰهُمُ ٱلكِتَـٰبَ يَعلَمُونَ أَنَّهُ ۥ مُنَزَّلٌ مِّن رَّبِّكَ بِٱلحَقِّ‌ۖ فَلَا تَكُونَنَّ مِنَ ٱلمُمتَرِينَ

Sahih International

[Say], “Then is it other than Allah I should seek as judge while it is He who has revealed to you the Book explained in detail?” And those to whom We [previously] gave the Scripture know that it is sent down from your Lord in truth, so never be among the doubters.

Malay

(Katakanlah wahai Muhammad): “Patutkah aku (terpedaya dengan kata-kata dusta Syaitan-syaitan itu sehingga aku) hendak mencari hakim selain dari Allah, padahal Dia lah yang menurunkan kepada kamu kitab Al-Qur’an yang jelas nyata kandungannya satu persatu (tentang yang benar dan yang salah)?” Dan orang-orang yang Kami berikan kitab, mengetahui bahawa Al-Qur’an itu adalah diturunkan dari Tuhanmu dengan sebenar-benarnya. Oleh itu, jangan sekali-kali engkau menjadi (salah seorang) daripada golongan yang ragu-ragu.

 

أَفَغَيْرَ اللَّهِ أَبْتَغِي حَكَمًا

Maka patutkah aku mencari hakim selain daripada Allah,

Adakah patut kita mencari hukum selain Al-Qur’an yang Allah ‎ﷻ telah turunkan? Tentulah tidak sama sekali. Oleh itu, tidaklah patut kita mengambil hukum selain yang diberikan oleh Allah ‎ﷻ. Tidaklah boleh kita tanya pendapat guru, ustaz atau sesiapa sahaja yang bertentangan dengan Al-Qur’an dan sunnah. Hukum hendaklah didapati daripada Allah ‎ﷻ kerana agama ini adalah agama-Nya.

Adakah kita hendak mencari lagi hakim lain selain Allah ‎ﷻ yang Maha Bijaksana? Ia diturunkan dalam kitab Al-Qur’an yang lengkap 30 juzuk.

Malangnya, ada yang rasa kitab-kitab karangan manusia itu sudah cukup dan lebih penting daripada Al-Qur’an dan hadith. Mereka merasakan tidak penting belajar Al-Qur’an dan hadith. Ada juga yang dengan selamba memberikan pendapat mereka dalam agama, tanpa merujuk kepada dalil yang sahih. Dengan orang-orang sebegini pun kita tidak boleh dapatkan hukum agama daripada mereka.

 

وَهُوَ الَّذِي أَنزَلَ إِلَيْكُمُ الْكِتٰبَ مُفَصَّلًا

padahal Dialah yang telah menurunkan kitab (Al Qur’an) kepadamu yang menjelaskan dengan terperinci?

Allah ‎ﷻ telah memberikan kepada kita Al-Qur’an yang telah menjelaskan semua perkara tentang agama. Oleh itu, kenapa lagi kita masih mahu dapatkan keputusan agama selain daripadanya?

Sedangkan Al-Qur’an itu sudah jelas bagi kita. Al-Qur’an itu akan lebih jelas dan tepat kalau kita belajar sahaja tafsirnya. Malangnya ramai yang baca Al-Qur’an, tapi kalau baca sendiri tak akan dapat nak faham maksud sepenuhnya dan mungkin keliru jadinya.

Ini mengajar kita, dalam perbezaan pendapat dalam agama, maka hendaklah kita merujuk kepada apa yang Al-Qur’an kata. Janganlah kita menjadi orang yang melihat kepada individu-individu yang mereka sanjung dalam membuat keputusan. Orang yang mereka sanjung itu mungkin terkenal, mungkin ramai pengikut. Menjadi terkenal dan mempunyai ramai pengikut itu tidaklah semestinya bermaksud yang semua apa yang dia cakap itu benar belaka. Kita perlulah memeriksa sama ada apa yang dia cakap itu bertepatan dengan Al-Qur’an atau tidak. Kita sudah ada tempat rujukan, maka rujuklah di tempat yang benar.

 

وَالَّذِينَ ءآتَيْنٰهُمُ الْكِتٰبَ

Dan orang-orang yang telah Kami datangkan kitab kepada mereka,

Ini merujuk kepada ahli Kitab yang jujur (seperti Ibnu Salam seorang bekas pendita Yahudi). Surah ini diturunkan di Mekah, namun penglibatan ahli Kitab sudah nampak walaupun Nabi ﷺ belum berhijrah ke Madinah. Ini adalah kerana Quraish Mekah sudah pergi ke Madinah (waktu itu bernama Yathrib) untuk mendapatkan hujah-hujah baru daripada Yahudi di sana.

Bangsa Quraish sudah tidak tahu bagaimana lagi hendak berhujah dengan Nabi Muhammad ﷺ, maka mereka bertanyakan kepada Yahudi yang mempunyai kedudukan tinggi di Madinah kerana mereka ada kitab.

 

يَعْلَمُونَ أَنَّهُ مُنَزَّلٌ مِّن رَّبِّكَ بِالْحَقِّ

mereka mengetahui bahawa Al Qur’an itu diturunkan daripada Tuhanmu dengan sebenarnya.

Mereka yang memberi maklumat kepada Musyrikin Mekah sendiri tahu bahawa apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad ﷺ adalah benar. Allah ‎ﷻ buka apa yang ada dalam hati mereka dalam ayat ini. Allah ‎ﷻ beritahu kita yang walaupun mereka itu menentang Nabi ﷺ, namun sebenarnya dalam hati mereka tahu kebenaran yang ada dalam Al-Qur’an itu.

Al-Qur’an itu diturunkan untuk menzahirkan ‘kebenaran’, tetapi apakah sebenarnya kebenaran yang dimaksudkan itu? Ia bermaksud kebenaran bahawa Allah ‎ﷻ adalah Tuhan sekalian alam dan Allah ‎ﷻlah yang menjadikan alam ini. Oleh sebab itu kepada Allah ‎ﷻlah sahaja yang kita sembah, kepada Allah ‎ﷻlah sahaja kita lakukan ibadat dan kepada Allah ‎ﷻ sahaja yang kita berdoa.

 

فَلَا تَكُونَنَّ مِنَ الْمُمْتَرِينَ

Maka janganlah kamu sekali-kali termasuk orang yang ragu-ragu.

Jangan kita ragu-ragu dengan kitab Al-Qur’an yang Allah ‎ﷻ telah turunkan sebagai rujukan untuk kita ini. Ini kita semua sudah tahu, tetapi adakah orang kita ragu-ragu dengan Al-Qur’an?

Ayat ini bunyinya seolah-olah ditujukan kepada Nabi Muhammad ‎ﷺ sahaja, namun tentunya baginda tidak meragui ayat-ayat Al-Qur’an. Maka ia sebenarnya menjadi pengajaran bagi umat Islam. Ia disampaikan kepada kita sebenarnya. Ia ditujukan kepada baginda untuk menguatkan lagi hujah ini: [Kalau Nabi ‎ﷺ pun tidak boleh ragu, apatah lagi umatnya?]

Malangnya ramai yang ragu-ragu. Salah satu yang manusia ada keraguan adalah tentang akidah orang kafir. Bila kita tidak faham bagaimanakah akidah mereka, maka kita tidak tahu bahawa ramai antara kita yang mempunyai akidah yang sama sahaja dengan orang-orang kafir. Orang kafir menjadi kafir kerana mereka menggunakan Tawassul (perantaraan) untuk berdoa kepada Allah ‎ﷻ.

Bukankah orang-orang Islam kita juga ramai yang berpegangan bahawa kita memerlukan Tawassul untuk berdoa kepada Allah ‎ﷻ? Itulah persamaan antara orang kita dan orang-orang kafir iaitu mereka bertawasul dengan Nabi (yang sudah wafat), wali, malaikat dan jin.

Sebagai contoh, pernahkah anda bertanya kepada penganut Hindu sama ada berhala yang mereka sembah itu adalah Tuhan atau tidak? Kalau anda tanya mereka, maka anda akan dapati bahawa patung berhala yang mereka sembah itu bukanlah tuhan mereka, tetapi adalah jelmaan dewa dewi mereka. Mereka menggunakan dewa dan dewi itu untuk membodek tuhan bagi pihak mereka.

Itulah tawasul. Dan siapakah tuhan mereka? Sekiranya ditanya siapakah tuhan mereka, mereka akan memberitahu bahawa ia adalah tuhan yang satu yang jika kita tanya lagi sifatnya, tuhan itu mempunyai sifat yang sama sahaja dengan Allah ‎ﷻ. Maknanya, mereka pun menerima akidah bahawa ada satu tuhan yang menjadikan alam ini.

Dan mengapakah mereka menggunakan sami mereka itu untuk menyampaikan doa kepada dewa, dan kemudian dewa itu akan menyampaikan permintaan mereka kepada tuhan yang satu? Mereka akan kata bahawa doa mereka sendiri tidak didengari tuhan kerana mereka banyak dosa dan tidak pandai dalam agama. Namun sami itu tahu agama semenjak kecil, tidak membuat dosa, pandai membaca kitab, dan sebagainya.

Itu adalah ‘buruk sangka’ mereka dengan Tuhan. Bukankah sama sahaja fahaman mereka dengan fahaman kebanyakan daripada orang Islam yang tidak tahu akidah yang benar? Jika ditanya kenapa mereka meminta ustaz doakan untuk mereka, mereka akan kata: sebab mereka rasa Allah ‎ﷻ tidak mendengar doa mereka kerana mereka banyak dosa, tidak pandai agama dan tidak pandai bahasa Arab untuk berdoa. Kita pun rupanya ada buruk sangka dengan Allah ‎ﷻ. Kita kata Allah ‎ﷻ tidak mahu mendengar doa kita, padahal Allah ‎ﷻ tidak pernah kata begitu.

Maka, permulaan mereka kufur adalah kerana ‘buruk sangka’ dengan Tuhan iaitu mereka sangka yang Tuhan tidak akan mendengar doa mereka jikalau mereka doa sendiri. Mereka malu hendak doa sendiri. Mereka ragu-ragu untuk berdoa sendiri dengan Tuhan.

Oleh itu, mereka akan melakukan tindakan seterusnya, iaitu menggunakan tawasul di dalam doa mereka. Lama kelamaan, mereka akan beribadah terus kepada ‘perantara’ mereka itu. Sebagai contoh, asalnya, Buddha bukanlah tuhan, tetapi perantara dengan tuhan, namun lama kelamaan mereka menyembah terus Buddha itu. Sebagaimana ini telah terjadi di dalam agama lain, ia juga sudah terjadi dalam agama Islam. Sampaikan ada yang terus berdoa kepada Nabi Muhammad ﷺ, malah sehinggakan ada yang keterlaluan mengatakan Nabi Muhammad ﷺ itulah Allah ‎ﷻ!

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 18 September 2023

Ringkasan Surah An’am


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Maariful Qur’an

Tafsir Surah al-An’am Ayat 109 – 111 (Beri syarat untuk beriman)

An’am Ayat 109: Ayat ini dalam bentuk Zajrun (teguran) dan Syikayah (rungutan) tentang golongan yang degil.

وَأَقسَمُواْ بِٱللَّهِ جَهدَ أَيمَـٰنِہِم لَٮِٕن جَآءَتہُم ءَايَةٌ لَّيُؤمِنُنَّ بِہَا‌ۚ قُل إِنَّمَا ٱلأَيَـٰتُ عِندَ ٱللَّهِ‌ۖ وَمَا يُشعِرُكُم أَنَّهَآ إِذَا جَآءَت لَا يُؤمِنُونَ

Sahih International

And they swear by Allah their strongest oaths that if a sign came to them, they would surely believe in it. Say, “The signs are only with Allah .” And what will make you perceive that even if a sign came, they would not believe.

Malay

Dan mereka pula bersumpah dengan nama Allah, dengan menegaskan sumpah mereka bersungguh-sungguh, bahawa sesungguhnya jika datang kepada mereka sesuatu mukjizat (sebagaimana yang mereka minta itu), tentulah mereka akan beriman kepadanya. Katakanlah (wahai Muhammad): “Bahawa soal mendatangkan mukjizat-mukjizat itu hanyalah Allah yang menentukannya, dan kamu tidak menyedari (wahai orang-orang Islam), bahawa apabila mukjizat-mukjizat (yang mereka minta) itu datang, mereka juga tidak akan beriman.

 

وَأَقسَمُواْ بِٱللَّهِ جَهدَ أَيمَـٰنِہِم

Mereka bersumpah dengan nama Allah dengan segala kesungguhan,

Yang dimaksudkan bersumpah dalam ayat ini adalah Musyrikin Mekah dan mereka yang berperangai seperti mereka. Apabila mereka bersumpah, mereka akan bersumpah bersungguh-sungguh sehinggakan mereka sanggup bersumpah atas nama Allah ‎ﷻ kerana mereka memang kenal Allah ‎ﷻ sebagai Tuhan.

Kalimah جَهْدَ bermaksud bersungguh-sungguh dan menggunakan tenaga maksima untuk melakukan sesuatu perkara. Maknanya orang musyrikin itu bersungguh-sungguh bersumpah.

 

لَئِن جَاءَتْهُمْ ءآيَةٌ

bahawa sungguh jika datang kepada mereka sesuatu mukjizat,

Inilah lafaz sumpah mereka. Musyrikin Mekah telah meminta beberapa mukjizat daripada Nabi ﷺ. Bermacam-macam permintaan mukjizat mereka kepada Nabi ﷺ. Sebagai contoh, lihat Isra: 90-93:

وَقَالُوا لَن نُّؤْمِنَ لَكَ حَتَّىٰ تَفْجُرَ لَنَا مِنَ الْأَرْضِ يَنبُوعًا

Dan mereka berkata: “Kami sekali-kali tidak percaya kepadamu hingga engkau memancarkan mata air dan bumi untuk kami,

أَوْ تَكُونَ لَكَ جَنَّةٌ مِّن نَّخِيلٍ وَعِنَبٍ فَتُفَجِّرَ الْأَنْهَارَ خِلَالَهَا تَفْجِيرًا

atau engkau mempunyai sebuah kebun kurma dan anggur, lalu engkau alirkan sungai-sungai di celah kebun yang deras alirannya,

أَوْ تُسْقِطَ السَّمَاءَ كَمَا زَعَمْتَ عَلَيْنَا كِسَفًا أَوْ تَأْتِيَ بِاللَّهِ وَالْمَلَائِكَةِ قَبِيلًا

atau engkau jatuhkan langit berkeping-keping atas kami, sebagaimana engkau katakan atau engkau datangkan Allah dan malaikat-malaikat berhadapan muka dengan kami.

أَوْ يَكُونَ لَكَ بَيْتٌ مِّن زُخْرُفٍ أَوْ تَرْقَىٰ فِي السَّمَاءِ وَلَن نُّؤْمِنَ لِرُقِيِّكَ حَتَّىٰ تُنَزِّلَ عَلَيْنَا كِتَابًا نَّقْرَؤُهُ قُلْ سُبْحَانَ رَبِّي هَلْ كُنتُ إِلَّا بَشَرًا رَّسُولًا

Atau engkau mempunyai sebuah rumah daripada emas, atau engkau naik ke langit. Dan kami sekali-kali tidak akan mempercayai kenaikanmu itu hingga engkau turunkan atas kami sebuah kitab yang kami baca”. Katakanlah: “Maha Suci Tuhanku, bukankah aku ini hanya seorang manusia yang menjadi rasul?”

Kaum-kaum terdahulu ada juga yang minta mukjizat daripada Nabi ﷺ mereka. Seperti kaum Nabi Saleh عليه السلام yang meminta diberikan kepada mereka unta yang keluar daripada batu, barulah mereka hendak beriman. Akan tetapi setelah diberi dengan permintaan mereka itu, mereka tetap berdegil juga.

Kalau zaman sekarang, ramai yang meminta bukti dahulu barulah hendak beriman. Sebagai contoh, mereka kata, kalau mereka dapat sesuatu, dapat projek, barulah hendak datang belajar tafsir Al-Qur’an.

 

لَّيُؤْمِنُنَّ بِهَا

pastilah mereka beriman kepada-Nya.

Mereka bersumpah jikalau mereka ditunjukkan dengan mukjizat-mukjizat itu barulah mereka akan beriman. Namun, mereka tidak akan beriman walaupun mereka diberikan dengan mukjizat-mukjizat itu. Allah ‎ﷻ tahu apa yang dalam hati mereka.

Kerana itu, kalau ada yang meletakkan syarat baru mahu belajar agama, baru mahu beriman, mereka itu jenis yang tidak akan beriman. Syarat-syarat yang mereka nyatakan itu sebagai alasan sahaja.

 

قُل إِنَّمَا ٱلأَيَـٰتُ عِندَ ٱللَّهِ‌ۖ

Katakanlah: “Sesungguhnya mukjizat-mukjizat itu hanya berada di sisi Allah”.

Allah ‎ﷻ suruh jawab sumpah mereka itu: Mukjizat itu berada di dalam kekuasaan Allah ‎ﷻ. Segalanya bergantung kepada Allah ‎ﷻ sama ada Allah ‎ﷻ hendak memberikan mukjizat itu ataupun tidak. Nabi ﷺ diberitahu di dalam ayat ini bahawa baginda sendiri tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan mukjizat itu dengan kehendak baginda. Kalau baginda hendak buat pun, tidak boleh.

Kita kena faham bahawa mukjizat yang diberikan kepada semua Nabi itu adalah anugerah. Bukanlah mereka boleh suka-suka hendak buat. Sebagai contoh, bukanlah Nabi Musa عليه السلام boleh menggunakan tongkat baginda sesuka hati untuk membelah laut. Hanya apabila Allah ‎ﷻ suruh ketuk, barulah terjadi. Kalau baginda ketuk sendiri, tidak akan ada apa-apa terjadi.

Begitu juga dengan karaomah pada para wali. Mereka juga tidak boleh hendak buat sesuka hati mereka. Maka kalau ada ‘guru’ yang boleh membuat karomah sesuka hati apabila mereka hendak, itu bukan karomah, tetapi itu adalah ‘sihir’. Dan sihir merupakan dosa besar.

Kena tahu juga tentang perkara-perkara ini kerana jahil tentang perkara inilah yang menyebabkan menularnya ajaran-ajaran sesat di dunia dan negara kita. Apabila ada yang boleh tunjuk kelebihan sikit, mereka yang jahil itu mudah percaya dan mereka ikut orang itu. Mereka sangka itu adalah Karomah atau Maunah, tetapi sebenarnya itu adalah sihir.

Sebagai contoh, kalau ada guru yang boleh terbang, ramai pengikut yang sudah sangka yang orang itu adalah wali. Padahal, itu adalah sihir hasil daripada amalan karut mereka. Dan hasil darpada amalan karut mereka, mereka telah dibantu oleh jin syaitan untuk membolehkan mereka terbang.

 

وَمَا يُشعِرُكُم أَنَّهَآ إِذَا جَآءَت لَا يُؤمِنُونَ

Dan apakah yang boleh memberitahukan kepadamu bahawa apabila mukjizat datang, mereka tidak akan beriman.

Potongan ayat ini ditujukan kepada orang Islam. Ia untuk menyedarkan mereka tentang perangai orang-orang musyrik. Bahasa ayat ini berbunyi seperti begini: “Kenapa kamu tak faham-faham lagi? Apa benda lagi yang boleh membuatkan kamu faham?”

Allah ‎ﷻ hendak beritahu kepada orang Islam bahawa walaupun mukjizat-mukjizat itu ditunjukkan kepada orang-orang musyrik itu, mereka masih tidak akan beriman. Mungkin ada orang-orang Islam yang sangka jikalau ditunjukkan segala mukjizat yang mereka minta itu, mungkin yang musyrik itu akan beriman. Tetapi Allah ‎ﷻ beritahu kepada golongan mukmin bahawa mereka tidak akan beriman. Mereka itu hanya hendak melemahkan Nabi ﷺ. Nanti apabila Nabi ﷺ tidak boleh beri mukjizat yang mereka minta itu, mereka akan kata yang mereka telah menang.

Allah ‎ﷻ boleh cakap begini kerana Dia tahu isi hati golongan musyrik itu. Permintaan dan sumpah mereka itu bukanlah bermakna yang mereka hendak beriman. Hati mereka sebenarnya tidak mahu beriman akan tetapi mereka gunakan alasan mukjizat itu kerana hendak mempermain-mainkan Nabi Muhammad ﷺ sahaja.

Orang yang meletakkan syarat untuk beriman, mereka tidak akan beriman. Mukjizat-mukjizat dan tanda-tanda kebesaran Allah ‎ﷻ yang mereka minta itu sebenarnya sudah banyak kelihatan di alam ini. Mereka sahaja yang tidak mahu membuka hati mereka untuk melihatnya. Itu adalah kerana hati dan mata mereka telah dipalingkan daripada nampak tanda-tanda itu. Ini kerana mereka telah buat keputusan tidak mahu beriman. Oleh kerana itu, datanglah apa sahaja dalil dan hujah kepada mereka, mereka tidak akan beriman.


 

An’am Ayat 110: Ayat ini menerangkan kepada kita kenapa mereka tidak boleh lagi nampak kebesaran dan tanda-tanda kewujudan Allah ‎ﷻ dalam dunia ini.

وَنُقَلِّبُ أَفـِٔدَتَہُم وَأَبصَـٰرَهُم كَمَا لَم يُؤمِنُواْ بِهِۦۤ أَوَّلَ مَرَّةٍ وَنَذَرُهُم فِى طُغيَـٰنِهِم يَعمَهُونَ

Sahih International

And We will turn away their hearts and their eyes just as they refused to believe in it the first time. And We will leave them in their transgression, wandering blindly.

Malay

Dan kami palingkan hati mereka dan pemandangan mereka sebagaimana mereka telah tidak (mahu) beriman kepada (ayat-ayat Kami ketika datang kepada mereka) pada awal mulanya, dan Kami biarkan mereka meraba-raba di dalam kesesatannya dengan bingung.

 

وَنُقَلِّبُ أَفْئِدَتَهُمْ

Dan Kami membolak-balikkan hati mereka

Allah ‎ﷻ memalingkan hati mereka daripada memahami kebenaran. Hati mereka langsung tidak tersentuh dengan kebenaran yang ada di depan mata mereka. Ia sentiasa berbolak balik tidak keruan. Allah ‎ﷻ buat begini kerana mereka telah membuat keputusan untuk tidak mahukan kebenaran. Ia dinamakan khatmul qalbi (penutupan hati).

Perkataan أَفْئِدَتَهُمْ adalah daripada katadasar ف أ د yang bermaksud ‘hati yang merasa’. Bukan bermaksud ‘hati’ sahaja, kerana kalau hati, perkataan قَلبٌ yang digunakan. Kalau hati yang sedang merasa, sedang terkesan dengan emosi, ia dipanggil أفئدة. Sebagai contoh, hati yang tersentuh dengan keindahan alam, tersentuh dengan ayat-ayat Al-Qur’an.

Malang sekali kerana ramai yang membaca ayat Al-Qur’an tetapi tidak berasa apa-apa. Mereka membaca ayat Al-Qur’an bagaikan membaca novel sahaja. Hati mereka tidak tersentuh langsung.

 

وَأَبْصٰرَهُمْ

dan penglihatan mereka

Allah‎ ﷻ juga boleh memalingkan dan membolak balikkan penglihatan mereka. Seperti yang telah dibincangkan sebelum ini, أبصار itu berasal daripada perkataan بصيرة yang bermaksud ‘penglihatan dengan pemahaman’. Bukan hanya bermaksud melihat sahaja.

Apabila hati dan penglihatan mereka dipalingkan, ia bermaksud mereka akan dihalang untuk beriman. Walaupun mereka melihat tanda-tanda Allah ‎ﷻ pada alam, tetapi mereka tidak dapat melihatnya dan tidak dapat merasanya di dalam hati mereka. Lihatlah bagaimana kadang-kadang ada orang yang hatinya mudah tersentuh tetapi ada orang yang keras hatinya.

Allah ‎ﷻ juga memalingkan sesetengah hati manusia daripada memahami Al-Qur’an. Kita berikan ayat Al-Qur’an sebagai hujah kepada mereka tetapi mereka tidak memahaminya. Atau mereka sudah pergi pun ke kelas tafsir, tetapi mereka tidak faham. Ini kerana Allah ‎ﷻ tidak beri faham kepada mereka.

Tetapi kenapakah Allah ‎ﷻ buat begitu kepada mereka?

 

كَمَا لَمْ يُؤْمِنُوا بِهِ أَوَّلَ مَرَّةٍ

Kerana mereka tidak beriman kepadanya pada permulaannya,

Hati dan penglihatan mereka telah ditutup daripada beriman kerana mereka tidak beriman apabila mukjizat telah ditunjukkan kepada mereka pada kali pertama.

Ini bermaksud Musyrikin Mekah pernah ditunjukkan dengan mukjizat sebelum itu. Mereka selalu meminta diberikan mukjizat kononnya supaya mereka beriman. Tetapi, mereka sebenarnya telah pernah ditunjuk dengan mukjizat sebenarnya pun. Apakah mukjizat itu? Ia merujuk kepada peristiwa pembelahan bulan. Ini disebut dalam surah Al-Qamar.

Apabila pembelahan bulan ditunjukkan kepada mereka, mereka kata itu adalah sihir Nabi Muhammad ﷺ. Mereka tidak mahu beriman juga rupanya. Mereka tetap hendak tolak juga apabila kebenaran telah ditunjukkan di hadapan mata mereka.

Ini bermakna, apabila seseorang itu tidak mengambil peluang yang Allah ‎ﷻ telah berikan, mereka tidak akan diberi dengan peluang itu lagi. Orang yang degil tidak akan mendapat peluang. Ini terjadi apabila mereka berkali-kali menolak kebenaran.

Ia juga bermaksud hati dan penglihatan mereka telah menjadi lemah kerana mereka asyik tidak menghiraukan hati dan penglihatan mereka itu .Hati dan penglihatan adalah seperti otot kita juga. Kalau sudah lama tidak digunakan ia menjadi lemah. Bayangkan seorang lelaki yang terpaksa berbaring di katil hospital selama enam bulan. Selepas enam bulan tentu dia menghadapi masalah untuk berjalan kerana otot-ototnya telah lemah.

Begitu juga dengan hati dan penglihatan manusia. Apabila berkali-kali ditunjukkan dengan ayat-ayat dan tanda-tanda Allah ‎ﷻ, tetapi mereka tidak menghiraukan bisikan hati dan pandangan mereka, maka Allah ‎ﷻ akan palingkan mereka daripada merasa dan melihat kebenaran lagi kerana mereka tidak menggunakan ‘otot’ hati dan penglihatan mereka. Alangkah takutnya kita kalau kita pun terjadi sebegini juga.

Atau, hati mereka memang awal-awal lagi tidak mahu percaya. Sebagai contoh, mereka datang ke kelas tafsir, tetapi mereka sekadar mahu ‘tengok-tengok’ sahaja, bukan mahukan kebenaran. Sepatutnya kita pergi ke kelas tafsir atau kelas agama untuk mendapat ilmu dan untuk mencari kebenaran. Oleh itu, kenalah datang dengan hati dan minda yang terbuka.

Tetapi kalau mereka memang datang bukan untuk belajar, maka Allah ‎ﷻ tidak buka hati dan pandangan mereka untuk melihat kebenaran. Sebab itu kita ada berjumpa dengan mereka yang hanya datang ke kelas tafsir sekali, dua kali atau tiga kali sahaja sebab mereka tidak nampak kepentingan memahami ayat Al-Qur’an.

 

وَنَذَرُهُمْ فِي طُغْيٰنِهِمْ يَعْمَهُونَ

dan Kami biarkan mereka bergelumang dalam kesesatannya teraba-raba.

Perkataan يَعْمَهُونَ berasal daripada perkataan ع م ه yang bermaksud berjalan tetapi tidak nampak. Seperti teraba-raba dalam kegelapan. Mereka tidak dapat keluar daripada kesesatan mereka. Sebelum ini telah disebut dalam surah ini tentang mereka yang ‘buta’ mata hatinya. Maknanya mereka kebingungan, tidak tahu hendak beriman atau tidak.

Habis Ruku’ 13 dari 20 ruku’ dalam surah ini.

SEKIAN JUZUK 7


 

An’am Ayat 111: Ayat sebelum ini telah diceritakan bagaimana mereka minta ditunjukkan mukjizat, baru mereka hendak beriman. Kali ini disebut bagaimana mereka memminta malaikat diturunkan dan orang mati dihidupkan semula supaya malaikat itu membenarkan apa yang Nabi ﷺ katakan dan supaya orang mati yang hidup balik itu boleh cakap apakah yang terjadi selepas mereka mati.

وَلَو أَنَّنَا نَزَّلنَآ إِلَيہِمُ ٱلمَلَـٰٓٮِٕڪَةَ وَكَلَّمَهُمُ ٱلمَوتَىٰ وَحَشَرنَا عَلَيہِم كُلَّ شَىءٍ قُبُلاً مَّا كَانُواْ لِيُؤمِنُوٓاْ إِلَّآ أَن يَشَآءَ ٱللَّهُ وَلَـٰكِنَّ أَڪثَرَهُمۡ يَجهَلُونَ

Sahih International

And even if We had sent down to them the angels [with the message] and the dead spoke to them [of it] and We gathered together every [created] thing in front of them, they would not believe unless Allah should will. But most of them, [of that], are ignorant.

Malay

Dan jika Kami turunkan malaikat pun kepada mereka, dan orang-orang yang mati (hidup semula lalu) berkata-kata dengan mereka, dan kami himpunkan pula tiap-tiap sesuatu di hadapan mereka (untuk menjadi saksi tentang kebenaran Nabi Muhammad), nescaya mereka tidak juga akan beriman, kecuali jika dikehendaki Allah; tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat yang sebenar).

 

وَلَو أَنَّنَا نَزَّلنَآ إِلَيہِمُ ٱلمَلَـٰٓٮِٕڪَةَ

Kalau sekiranya Kami turunkan malaikat kepada mereka,

Musyrikin Mekah kata, kenapalah Allah ‎ﷻ turunkan manusia untuk memberi peringatan kepada mereka? Mereka kata sepatutnya malaikatlah yang diturunkan. Maka, Allah‎ﷻ  hendak beritahu dalam ayat ini, kalau Allah ‎ﷻ turunkan malaikat kepada mereka pun, mereka tidak beriman juga.

Mereka hendak malaikat diturunkan supaya malaikat itu memberitahu kepada mereka bahawa apa yang Nabi Muhammad ﷺ‎ katakan itu adalah benar belaka. Kononnya, baru mereka hendak percaya.

Ayat ini adalah ayat rungutan Allah ‎ﷻ tetapi bukan rungutan Allah ‎ﷻ kepada mereka sahaja. Musyirikin Mekah itu adalah sebagai contoh kerana mereka adalah penerima wahyu yang awal sekali. Tetapi, seperti kita tahu, ayat Al-Qur’an ini adalah untuk setiap zaman.

Maka ia juga ditujukan kepada semua manusia yang tidak mahu menerima kebenaran. Jangan kita sangka kita sudah selamat daripada rungutan Allah ‎ﷻ ini. Ini kerana masalah yang dihadapi oleh manusia sama sahaja dari dulu sampai sekarang. Ada manusia-manusia zaman sekarang yang seperti Musyrikin Mekah juga.

Kepada mereka itu, walaupun Allah ‎ﷻ turunkan malaikat untuk memberitahu kebenaran mereka pun tidak akan diterima kerana mereka memang degil. Hati mereka telah tertutup daripada kebenaran.

 

وَكَلَّمَهُمُ الْمَوْتَىٰ

dan orang-orang yang telah mati berbicara dengan mereka

Musyrikin Mekah juga kata, kalau apa yang dikatakan oleh Nabi ﷺ itu benar, maka hidupkanlah kembali orang yang mati dalam kalangan datuk nenek mereka, supaya orang yang sudah mati itu boleh bercakap-cakap dengan mereka. Supaya orang mati beritahu sendiri, memang ada kehidupan selepas mati.

Itu adalah permintaan yang tidak patut. Lihatlah macam-macam benda yang mereka minta. Ada puak yang sesat pula berhujah, kalaulah amalan yang mereka lakukan itu salah, maka tentunya Allah ‎ﷻ telah memberitahu mereka dengan menghantar malaikat untuk beritahu ataupun menghidupkan kembali orang yang mati untuk beritahu kepada mereka.

Bukan begitu cara Allah ‎ﷻ memberi peringatan kepada manusia. Allah ‎ﷻ berikan hujah-hujah kebenaran dengan cara yang lain. Allah ‎ﷻ suruh kita gunakan akal dan rujuk kepada ayat-ayat-Nya.

 

وَحَشَرْنَا عَلَيْهِمْ كُلَّ شَيْءٍ قُبُلًا

dan Kami kumpulkan (pula) segala sesuatu ke hadapan mereka,

Dan kalaulah Allah ‎ﷻ menghidupkan kembali semua orang yang telah mati, semua malaikat yang ada dan letakkan di hadapan mereka, adakah mereka akan beriman? Tidak juga.

Atau, ‘segala sesuatu’ itu bermaksud segala rahsia alam langit dan bumi diletakkan di hadapan mereka. Segala apa yang telah dicipta diletakkan di hadapan mereka. Perkataan قُبُلًا bermaksud ‘berhadapan’ dengan mereka. Adakah mereka akan beriman?

 

مَّا كَانُوا لِيُؤْمِنُوا

nescaya mereka tidak (juga) akan beriman,

Mereka tidak akan beriman juga walaupun diberikan tiga perkara yang disebut di atas tadi. Ini adalah kerana mereka itu jenis orang yang degil. Allah ‎ﷻ boleh sahaja meletakkan semua orang yang telah mati di hadapan mereka dan segala malaikat, dan segala rahsia langit dan bumi, tetapi Allah hendak beritahu kepada kita bahawa semua itu tidak akan menyebabkan mereka beriman. Ini adalah kerana hati mereka tidak mahu beriman.

 

إِلَّا أَن يَشَاءَ اللَّهُ

kecuali jika Allah menghendaki,

Allah ‎ﷻ boleh menjadikan semua makhluk-Nya beriman dan percaya. Allah ‎ﷻ boleh memaksa sesiapa sahaja untuk beriman. Memang Allah ‎ﷻ boleh buat. Itu adalah dalam kuasa Allah ‎ﷻ. Namun bukan begitu cara Allah ‎ﷻ.

Ada juga mereka yang asalnya tidak beriman tetapi akhirnya diberikan hidayah keimanan. Berapa ramai daripada Musyrikin Mekah yang asalnya menentang Nabi, namun kemudian mereka telah beriman? Lihatlah kepada Abu Sufyan, Khalid al Walid dan sebagainya. Mereka menerima Islam akhirnya dan menjadi Muslim yang hebat.

Berapa ramai juga yang asalnya menentang jalan Sunnah, kata orang-orang sunnah itu sesat, wahabi dan sebagainya, tetapi setelah mereka membuka hati mereka kepada kebenaran, mereka akhirnya dapat terima.

 

وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَهُمْ يَجْهَلُونَ

tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.

Kebanyakan manusia adalah jahil. Mereka jahil tentang kuasa Allah ‎ﷻ untuk memaksa sesiapa sahaja untuk beriman. Mereka menidakkan kuasa Allah ‎ﷻ untuk memberi hidayah kepada manusia. Mereka juga jahil tentang cara beriman di mana sebenarnya telah cukup bukti-bukti nyata yang Allah ‎ﷻ telah berikan kepada mereka, tetapi mereka tidak tahu hendak gunakan segala bukti itu.

Maka, mereka yang degil memang tidak akan beriman sampai bila-bila. Tetapi jangan salah sangka pula dengan ayat ini. Disebabkan salah faham tentang ayat ini, kadang-kadang ada yang berkata: “Dia itu memang sudah sesat, tentu takkan beriman.” Tetapi siapa kita yang boleh tentukan sama ada seseorang itu akan beriman atau tidak? Maka jangan silap faham pula tentang hal ini. Kita tetap kena berdakwah kepada semua orang, kerana kita tidak tahu siapa yang Allah ‎ﷻ telah tutup pintu hati.

Sebenarnya untuk dapat hidayah, kena ada iradah (keinginan) dalam hati untuk mahukan kebenaran. Ini adalah inabah (condong) kepada kebenaran. Kalau tidak mahu, Allah ‎ﷻ tidak bawa orang itu kepada kebenaran.

Ayat ini juga bermaksud orang-orang yang ingkar itu jahil tentang kebenaran dan tentang tauhid kepada Allah ‎ﷻ. Mereka menjadi jahil kerana mereka sombong untuk menerima kebenaran. Setelah diberikan dengan segala tanda dan ditunjukkan segala bukti, mereka masih lagi tidak mahu beriman. Oleh kerana itu, Allah‎ ﷻ tutup hati mereka.

Begitulah juga dengan kebanyakan masyarakat Islam di negara ini. Mereka memang sudah jahil dengan agama kerana malangnya ibubapa kita tidak mementingkan pelajaran agama.

Ataupun mereka telah belajar agama, tetapi mereka belajar daripada guru-guru yang mengajar ajaran bid’ah dan ajaran salah. Dan apabila kita berikan bukti dan dalil kepada mereka, mereka sombong untuk menerimanya. Mereka balas dengan hujah-hujah bathil dan lemah. Mereka tidak mahu mengaku yang mereka kurang ajaran agama.

Atau mereka akan mempertahankan ajaran yang mereka telah belajar. Antaranya, mereka akan beri ayat Al-Qur’an, beri hadith, beri hujah akal dan sebagainya yang memang menunjukkan mereka tidak mahir tentang dalil-dalil itu. Contohnya, memang mereka beri ayat Al-Qur’an, tetapi mereka tidak faham apakah maksud ayat itu. Mereka hanya ikut apa yang orang lain buat dan kata.

Tidak mengapa kalau mereka jahil, tetapi hendaklah mereka menerima yang mereka tidak tahu dan menerima hujah sah yang diberikan. Namun malangnya ramai yang degil dan sombong. Sudahlah jahil, sombong pula hendak belajar.

Kenapa boleh jadi sampai begini? Kerana mereka menolak kebenaran yang sampai kepada mereka pada mulanya. Oleh sebab itu hati mereka sudah menjadi keras tidak nampak lagi. Mereka tolak mentah-mentah.

Sepatutnya kalau mereka tidak terima pun, sekurang-kurangnya mereka kena fikirkan. Jangan terus tolak. Jangan terus kata apa yang kita katakan ini sebagai salah terus. Kena dengar terlebih dahulu apakah hujah yang kita ada.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 20 Februari 2022


Rujukan:

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Surah al-An’am Ayat 106 – 108 (Jangan kutuk agama lain)

An’am Ayat 106: Sekarang disebut lagi tugas kenabian. Di dalam ayat 104 telah disebut tugas kenabian untuk menyampaikan. Sekarang disebut lagi tugas kenabian yang lain: untuk ikut ajaran wahyu.

اتَّبِع ما أوحِيَ إِلَيكَ مِن رَّبِّكَ ۖ لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ ۖ وَأَعرِض عَنِ المُشرِكينَ

Sahih International

Follow, [O Muhammad], what has been revealed to you from your Lord – there is no deity except Him – and turn away from those who associate others with Allah.

Malay

Ikutlah apa yang telah diwahyukan kepadamu dari Tuhanmu, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, dan berpalinglah dari orang-orang musyrik.

 

اتَّبِعْ مَا أُوحِيَ إِلَيْكَ مِن رَّبِّكَ

Ikutilah apa yang telah diwahyukan kepadamu daripada Tuhanmu;

Nabi Muhammad ﷺ disuruh dalam ayat ini untuk mengikut sahaja apa yang telah diwahyukan kepada baginda. Dan jangan ambil kisah dengan pandangan Musyrikin Mekah itu, yang pasti baginda kena ikut sahaja Al-Qur’an itu.

Begitu jugalah arahan itu pun diberikan kepada kita. Ikut sahaja ajaran dan arahan dalam Al-Qur’an dan jangan tambah ajaran agama, melainkan apa yang telah diberitahu di dalam Al-Qur’an dan Sunnah. Ini adalah wajib kerana inilah suruhan Allah ‎ﷻ dalam ayat ini. Malangnya, ramai yang bukan mengikut Al-Qur’an, tetapi mengikut kitab karangan manusia, dan ikut kata guru dan ustaz.

Kita bukanlah pula suruh terus mengambil hukum daripada Al-Qur’an dan Hadith kerana kita memang tidak mampu. Kita memerlukan juga ulama’ dan agamawan untuk menjelaskan hukum dan pembelajaran daripada wahyu. Ini penting kerana ada golongan masyarakat sangka apabila kita suruh ambil daripada Al-Qur’an dan Hadith, mereka sangka kita terus ambil daripada Al-Qur’an dan Hadith pula.

Yang paling utama adalah jangan abaikan wahyu. Termasuk yang kita kena ikut adalah apa yang telah diwahyukan kepada Nabi ﷺ dan disampaikan melalui kata-kata baginda yang berupa hadith. Hadith juga adalah wahyu sebenarnya yang disampaikan kepada manusia melalui mulut Nabi ﷺ.

Malangnya paa zaman sekarang, ada golongan sesat yang mengatakan hanya Al-Qur’an sahaja yang boleh digunakan dan hadith tidak boleh diterima. Mereka kata hadith tidak dapat diterima kerana ia ditulis lama selepas Nabi ﷺ wafat. Padahal mereka sebenarnya tidak mengetahui bahawa hadith Nabi ﷺ telah pun ditulis semasa hayat Nabi ﷺ lagi.

Ada berbagai-bagai lagi alasan yang mereka gunakan untuk menolak hadith. Semoga kita tidak termasuk dalam golongan ini dan tidak terjebak dengan kejahilan dan kesesatan mereka. Sepertimana Al-Qur’an perlu dipelajari dengan tafsir, begitu juga Hadith perlu dipelajari dengan cara berguru yang akan memberikan syarah maksud satu-satu hadith itu. Kalau kita baca sendiri, kita mungkin tidak faham.

Itulah masalahnya bila kita hendak beritahu kepada mereka yang tidak mahu belajar. Itulah mereka golongan yang sesat seperti ‘Golongan Anti-Hadith’. Mereka senang ditipu oleh syaitan kerana mereka tidak belajar agama dengan betul.

 

لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ

tidak ada Tuhan selain Dia;

Dalam banyak-banyak ajaran wahyu daripada Allah ‎ﷻ, yang paling penting adalah ajaran Tauhid. Kena puja Allah ‎ﷻ sahaja kerana Dia sahaja yang ada sifat-sifat sempurna sebagai Tuhan.

Tidak ada tuhan yang layak disembah, melainkan Allah ‎ﷻ sahaja. Jangan buat perkara syirik yang akan merugikan kita. Belajarlah apa maksud Syahadah yang kita sebut setiap hari itu. Masyarakat kita senang sahaja sebut dua kalimah Syahadah itu tetapi berkemungkinan mereka tidak faham apa yang mereka sebut.

Sebab itulah walaupun mereka sebut Syahadah, tetapi dalam masa yang sama, mereka buat juga perkara syirik. Ini adalah kerana kejahilan wahyu yang menyebabkan manusia membuat kesalahan dalam agama.

 

وَأَعْرِضْ عَنِ الْمُشْرِكِينَ

dan berpalinglah daripada orang-orang musyrik.

Ayat ini bermaksud: Maafkan mereka, lupakan apa yang mereka lakukan dan katakan. Jangan peduli dan jangan fikirkan tentang mereka yang tidak mahu menerima ajaran tauhid itu. Tidak perlu ikut mereka walaupun mereka itu ramai kerana hujah mereka bukan hujah daripada wahyu.

Surah ini diturunkan di hujung-hujung waktu baginda di Mekah. Waktu itu Musyrikin Mekah sedang kuat menentang baginda. Abu Talib sudah tiada untuk membela baginda. Baginda telah cuba berdakwah di Taif dan di situ juga baginda tidak mendapat sokongan. Maka, ada banyak tentangan yang diberikan terhadap baginda. Tentunya ia amat menyusahkan Nabi ﷺ dan sahabat. Allah ‎ﷻ beri pujukan dan nasihat kepada mereka untuk melupakan tentangan mereka itu.

Ini mengajar kita untuk fokus dengan amalan kita dan mendalami agama kita. Jangan hiraukan sangat dengan mereka yang tidak mahu menerima Al-Qur’an dan Sunnah. Jangan fokus untuk melawan mereka dan terlalu memikirkan hal mereka kerana perkara itu mungkin perkara yang membuang masa sahaja.

Jangan juga terasa hati sangat dengan apa yang mereka katakan. Kalau kita simpan dalam hati, ia akan menyakitkan hati kita sahaja dan mengganggu emosi kita. Biarkan mereka, buat apa yang sepatutnya kita lakukan. Fokus atas kerja dakwah dan amal ibadah yang kita kena lakukan.

Keduanya, ia bermaksud, biarkan mereka sehinggalah Allah ‎ﷻ akan memberikan pertolongan. Allah ‎ﷻ tidak membiarkan Nabi ﷺ dan sahabat begitu sahaja. Pertolongan akan tiba tidak lama lagi.

Ayat ini juga bermaksud tinggalkan mereka dan jangan campur dengan perbuatan mereka. Jangan ikut mereka buat syirik. Jangan ikut memakan makanan haram mereka. Jangan kita pergi majlis sanding mereka kalau ada persandingan seperti yang orang Hindu buat itu kerana itu adalah syirik. Jangan pergi Majlis Tahlil mereka, jangan berada dalam Majlis Doa Selamat mereka.

Jangan campur dengan mereka ketika mereka buat amalan bid’ah dan syirik. Ini adalah masalah kepada mereka yang mula mengenal Sunnah. Ramai yang sudah tahu apa yang salah dan apa yang bid’ah. Sebagai contoh, mereka tahu Majlis Tahlil itu adalah bid’ah dan haram. Tetapi kerana takutkan pandangan masyarakat jika tidak menyertai majlis mereka, maka ada antara kita yang pergi juga ke majlis mereka.

Ingatlah, jangan takut kepada orang yang jahil. Jangan jadi pengecut dalam menegakkan agama ini. Beranikan diri anda atas nama Allah ‎ﷻ. Berani kerana benar. Biarkan apa yang mereka akan kata. Kita akan dibalas daripada usaha kita meninggalkan mereka (ini dinamakan Sunnah Tarkiyah). Meninggalkan majlis mereka itu sudah dikira sebagai satu ibadah dan kita akan mendapat balasan di atas perbuatan kita itu.

Akhir sekali, kerana sebelum ini ayat-ayat menyebut tentang permintaan mereka meminta tanda-tanda mukjizat, ayat ini menjelaskan kepada Nabi ﷺ untuk tidak mempedulikan permintaan mereka itu. Tugas Nabi ﷺ bukanlah untuk memuaskan kehendak mereka.


 

An’am Ayat 107:

وَلَو شَآءَ ٱللَّهُ مَآ أَشرَكُواْ‌ۗ وَمَا جَعَلنَـٰكَ عَلَيهِم حَفِيظًا‌ۖ وَمَآ أَنتَ عَلَيهِم بِوَكِيلٍ

Sahih International

But if Allah had willed, they would not have associated. And We have not appointed you over them as a guardian, nor are you a manager over them.

Malay

Dan kalau Allah menghendaki, nescaya mereka tidak mempersekutukanNya; dan Kami tidak menjadikan engkau (wahai Muhammad) penjaga dan pengawal mereka, dan engkau pula bukanlah wakil yang menguruskan hal-hal mereka (kerana semuanya itu terserah kepada Allah semata-mata).

 

وَلَوْ شَاءَ اللَّهُ

Dan kalau Allah menghendaki,

Allah ‎ﷻ boleh sahaja melakukan apa yang Dia kehendaki. Bukannya Allah ‎ﷻ tidak mampu, tetapi kadangkala Allah ‎ﷻ tidak melakukannya kerana sebab yang Dia sendiri yang tahu.

Memang sepanjang zaman, yang berpegang kemas dengan tauhid tidak ramai. Yang ramainya di dalam dunia adalah mereka yang berpegang dengan fahaman syirik. Adakah ini menunjukkan Allah ‎ﷻ lemah kerana ramai yang tidak mentauhidkan-Nya? Tentu tidak!

 

مَا أَشْرَكُوا

nescaya mereka tidak memperkutukan(Nya).

Allah ‎ﷻ boleh sahaja menjadikan semua mahkluk-Nya beriman dan tidak melakukan syirik. Allah ‎ﷻ boleh menjadikan semua makhluk taat sahaja kepada-Nya. Tetapi Allah ‎ﷻ tidak mahu berbuat begitu. Bukan begitu cara yang Allah ‎ﷻ kehendaki. Allah ‎ﷻ memberikan kebebasan kepada makhluk-Nya memilih jalan mana yang mereka hendak. Tujuannya kenapa? Di dalam ayat lain diberitahu yang Allah ‎ﷻ hendak uji hamba Dia.

Orang Islam pada waktu zaman Nabiﷺ  berfikir bahawa mungkin kerana orang-orang Musyrik itu tidak ditunjukkan dengan mukjizat yang mereka pinta, sebab itu mereka tidak beriman. Dan para sahabat rasa kalaulah ditunjukkan dengan mukjizat yang mereka pinta itu, mungkin mereka akan beriman. Allah ‎ﷻ hendak kata, bukan begitu caranya. Jika Allah ‎ﷻ mahukan mereka semuanya beriman, Allah ‎ﷻ boleh sahaja melakukannya. Allah ‎ﷻ boleh tunjukkan dengan segala mukjizat sampaikan mereka tidak berani untuk lawan lagi dan sampai mereka pun tidak ada pilihan lagi tetapi terpaksa beriman. Namun, Allah ‎ﷻ tidak mahu begitu.

Allah ‎ﷻ mahu mereka beriman dengan dalil-dalil yang sudah ada. Dan kalau mereka tetap mahu berbuat syirik, Allah ‎ﷻ biarkan sahaja. Ini bukanlah bermaksud Allah ‎ﷻ redha atau terima perbuatan syirik itu. Tetapi Allah ‎ﷻ telah memberikan manusia dengan kebebasan untuk memilih jalan mana yang mereka kehendaki.

Allah‎ ﷻ tidak memaksa manusia untuk beriman kepada-Nya. Jika mereka memilih jalan untuk melakukan syirik, mereka boleh buat, tetapi mereka akan dibalas dengan keburukan atas kesyirikan yang mereka lakukan. Mereka tidak akan dibiarkan begitu sahaja.

Perumpamaan: Bayangkan ibu bapa yang memberikan duit belanja kepada anaknya. Duit itu sepatutnya digunakan untuk tambang bas ke sekolah, beli makanan, beli buku dan sebagainya. Ayahnya tidaklah paksa berapa banyak digunakan untuk tambang, untuk makan dan sebagainya. Anak itu kena pandai sendiri menggunakan duit yang diberi itu. Arahan sudah diberi, iaitu gunakan duit itu untuk sekolah.

Maknanya, ada kebebasan yang diberikan kepada anak itu. Tetapi, kalau anak itu gunakan duit itu untuk beli kasut, agak-agak apa ayah itu akan kata apabila anak itu balik nanti? Tidakkah ayah itu berhak untuk memarahi dan menghukum anaknya itu? Anaknya itu sepatutnya menggunakan duit itu untuk hal sekolah, tetapi dia telah menyalahgunakannya.

Begitulah juga dengan kita. Allah ‎ﷻ telah memberikan segala keperluan hidup kita, oksigen, makanan, pakaian, masa dan sebagainya. Tetapi Allah ‎ﷻ suruh kita gunakan segala nikmat itu untuk kebaikan. Allah ‎ﷻ suruh kita ikut suruhan-Nya dan tinggalkan larangan-Nya. Allah ‎ﷻ memberikan kebebasan untuk kita gunakan segala nikmat itu. Dan kalau kita salah gunakan segala nikmat itu, adakah salah kalau Allah ‎ﷻ hukum kita nanti?

 

وَمَا جَعَلْنَٰكَ عَلَيْهِمْ حَفِيظًا

Dan Kami tidak menjadikan engkau pemelihara bagi mereka;

Kalimah حَفِيظًا bermaksud seseorang yang menjaga dan mengawasi. Bukanlah tugas Nabi Muhammad ﷺ dan bukanlah juga tugas kita untuk mengawasi apa yang orang-orang lain kata dan berbuat. Bukan tugas kita memastikan semua manusia berada di atas tauhid. Tugas Nabi Muhammad ﷺ dan tugas kita adalah hanya untuk menyampaikan dakwah sahaja kepada mereka. Bukan untuk awasi mereka.

Kalau kita mahu awasi pun, kita tidak akan mampu untuk menjaga dan memelihara manusia daripada melakukan perbuatan yang salah. Jika kita cuba buat begitu maka kita akan sentiasa gagal. Seperti juga anak kita, jika membuat kesalahan di hadapan kita, maka bolehlah kita marah mereka. Tetapi bagaimana jika mereka buat kesalahan di belakang kita?

Kita sebagai manusia tidak mampu untuk mengawasi perbuatan orang lain dan percakapan mereka. Tetapi Allah ‎ﷻ mampu untuk mengawasi dan ingatlah bahawa Allah ‎ﷻ akan membalas daripada setiap perbuatan kita dan percakapan kita.

 

وَمَا أَنتَ عَلَيْهِم بِوَكِيلٍ

dan engkau sekali-kali bukanlah wakil bagi mereka.

Kenapa baginda tidak boleh menjadi wakil kepada mereka? Ini kita boleh faham dengan adanya huruf ب pada kalimah بِوَكِيلٍ di dalam ayat ini. Huruf ب di dalam بِسَبَبٍ adalah jenis Ba’ Al-Ilsāq (باء الإلصاق). Secara ringkas, Bā’ Al-Ilsāq bermaksud “Ba’ yang menunjukkan perlekatan atau persambungan.” Ilsāq (الإلصاق) secara bahasa bermaksud melekat, melekatkan, menyambungkan, atau menyentuh. Allah menidakkan yang Nabi ada kuasa menjadi wakil yang melekat pada Nabi. Ia bukanlah kepunyaan baginda untuk menguruskan sesiapa sahaja. Hanya Allah sahaja yang boleh beri menentukan.

Ini bermaksud kita tidak bertanggungjawab untuk memaksa orang lain beriman. Kita hanyalah sebagai pemberi ingatan sahaja. Tidak ada paksaan dalam Islam. Kita tidak boleh memaksa sesiapa pun untuk beriman, walaupun anak-anak kita sendiri pun kerana iman itu kena datang dari hati mereka sendiri.


 

An’am Ayat 108:

وَلَا تَسُبُّواْ ٱلَّذِينَ يَدعُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ فَيَسُبُّواْ ٱللَّهَ عَدوَۢا بِغَيرِ عِلمٍ كَذَٲلِكَ زَيَّنَّا لِكُلِّ أُمَّةٍ عَمَلَهُم ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّہِم مَّرجِعُهُم فَيُنَبِّئُهُم بِمَا كَانُواْ يَعمَلُونَ

Sahih International

And do not insult those they invoke other than Allah, lest they insult Allah in enmity without knowledge. Thus We have made pleasing to every community their deeds. Then to their Lord is their return, and He will inform them about what they used to do.

Malay

Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.

 

وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِن دُونِ اللَّهِ

Dan janganlah kamu mencela sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah,

Kalimah تَسُبُّوا berasal daripada perkataan س ب ب yang bermaksud mengata-ngata dan mengejek-ngejek atau memberi nama yang buruk kepada seseorang atau sesuatu. Ia tidak sama dengan memberitahu kebenaran. Beritahu tidak sama dengan mencela. Cela itu apabila menggunakan perkataan kotor dan kesat.

Sebagai contoh, Rasulullah ﷺ tidak pernah menghina dan mencela sembahan berhala-berhala Musyrikin Mekah itu. Baginda hanya beritahu bahawa itu adalah satu kesalahan. Namun tidaklah baginda menggunakan bahasa yang kesat. Akan tetapi puak Musyrikin Mekah sahaja yang terasa.

Ayat ini ditujukan kepada orang-orang Islam. Ini kita boleh lihat dalam penggunaan fi’il di dalam ayat ini (ayat-ayat sebelum ini ditujukan kepada Rasulullah ﷺ). Oleh itu mungkin adalah dalam kalangan para sahabat yang menggunakan kata-kata kesat terhadap sembahan Musyrikin Mekah itu dan mereka dilarang dalam ayat ini.

Mereka dahulunya juga orang-orang musyrik tetapi mereka telah beriman. Ini kerana mereka telah nampak kebenaran Islam. Mereka tentunya sakit hati melihat kawan-kawan dan ahli keluarga mereka yang masih lagi melakukan perbuatan syirik. Mereka tahu kesalahan yang dilakukan oleh orang-orang musyrik itu kerana mereka sendiri sebelum itu pun berbuat benda yang sama juga.

Seperti kitalah juga. Kita dahulu walaupun memegang ajaran agama Islam tetapi kita pernah bergelumang dalam melakukan perkara syirik. Pernah masuk tarekat, pernah pergi Majlis Tahlil dan sebagainya. Namun sekarang kita sudah tahu yang semua itu adalah salah. Maka, kadang-kadang kita sakit hati dengan mereka yang masih lagi tidak faham bahawa apa yang mereka lakukan adalah perkara yang syirik dan bid’ah. Kita sudah faham manakah salah dan silapnya dalam perbuatan itu kerana kita juga pernah mengamalkannya.

Oleh itu kadang-kadang kita rasa kita tidak dapat mengawal perasaan dan mulut kita daripada mengatakan kata-kata yang kesat kepada mereka. Kita rasa selah-olah kita ada hak untuk berkata begitu. Tambahan pula kalau mereka-mereka itu juga pernah berkata kesat kepada kita.

Sebagai contoh, kadang-kadang mereka kata kita ‘Wahabi’ dan kadang-kadang mereka kata kita pula yang sesat. Mereka sakit hati dengan kita, dan kita pun sakit hati dengan mereka. Maka tentunya kita hendak membalas kata-kata mereka dengan balasan yang sama. Tetapi bolehkah kita berbuat begitu? Ayat ini kata tidak boleh.

Dalam ayat ini orang Islam dilarang untuk mengejek dan mengutuk sembahan-sembahan puak musyrik. Ia mungkin dalam bentuk berhala mereka, matahari, bulan, bintang, Nabi, malaikat, wali-wali dan sebagainya. Kita dilarang daripada berbuat begitu walaupun sembahan-sembahan mereka itu bukanlah tuhan yang sebenarnya.

Ini kerana yang disembah itu tidak bersalah. Sebagai contoh, tidaklah pernah Nabi Isa عليه السلام menyuruh orang sembah baginda. Begitu juga dengan mereka yang dikatakan Imam-imam Syiah itu, mereka itu orang-orang yang baik. Cuma orang Syiah sahaja yang memandai-mandai mencipta agama baru dan melantik Imam-imam itu sebagai sembahan mereka.

Ayat ini membawa dua larangan: Larangan pertama adalah jangan mengeji dan mengutuk ‘sembahan-sembahan’ orang musyrik; Larangan yang kedua adalah jangan mengutuk dan mengeji ‘orang-orang yang menyembah’ itu.

Dunia ini tidak pernah sunyi daripada pertentangan antara hak dan batil. Ada sahaja pertentangan antara pihak yang benar dengan pihak yang salah. Kedua-dua pihak ini ada ‘senjata’nya masing-masing. Puak yang di atas jalan haq akan menggunakan kebenaran dan hujah-hujah yang sahih untuk menyokong dakwaan mereka. Manakala pihak yang batil akan menggunakan hujah yang kosong dan juga kata-kata yang kasar.

Oleh itu kedua-dua pihak akan menggunakan senjata masing-masing. Selagi kita di pihak yang benar, kita hendaklah menggunakan dalil-dalil yang sah sebagai hujah kita. Yang menggunakan kata-kata kesat hanyalah mereka yang tidak mempunyai dalil. Apabila mereka kehabisan hujah, mereka akan mula menggunakan kata-kata keji kepada lawan mereka. Oleh itu, jikalau kita pun menggunakan kata-kata yang kesat, bermakna kita pun tidak ada dalil.

Kenapakah kita dilarang daripada berbuat begitu?

 

فَيَسُبُّوا اللَّهَ

kerana mereka nanti akan memaki Allah

Kita dilarang daripada mengeji sembahan mereka kerana kalau kita berbuat begitu, mereka akan balas dengan mengejek dan memaki-maki Allah ‎ﷻ. Lihatlah, disebabkan kita, Allah ‎ﷻ yang dikeji dan dimaki pula. Itulah yang terjadi kalau kita melakukan sesuatu tanpa memikirkan kesannya.

Itulah balasan yang akan terjadi jika kita mengeji sembahan agama lain. Ini sama dengan kesan kalau kita keji bapa orang lain. Hasil daripada kejian itu, bapa kita pula yang dikeji.

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ مِنْ أَكْبَرِ الْكَبَائِرِ أَنْ يَلْعَنَ الرَّجُلُ وَالِدَيْهِ قِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَكَيْفَ يَلْعَنُ الرَّجُلُ وَالِدَيْهِ قَالَ يَسُبُّ الرَّجُلُ أَبَا الرَّجُلِ فَيَسُبُّ أَبَاهُ وَيَسُبُّ أُمَّهُ

Daripada Abdullah bin ‘Amru رضي الله عنهما beliau berkata; Rasulullah ﷺ bersabda, “Sesungguhnya termasuk daripaa dosa besar adalah seseorang melaknat kedua orang tuanya sendiri, ” Baginda ditanya, “Kenapa hal itu boleh terjadi wahai Rasulullah?” Baginda menjawab, “Seseorang mencela (melaknat) ayah orang lain, kemudian orang tersebut membalas mencela ayah dan ibu orang yang pertama.” (Sahih Bukhari (No. 5516))

 

عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ

dengan perasaan permusuhan tanpa pengetahuan.

Mereka akan keji Tuhan kita kerana mereka rasa kita bermusuh dengan mereka. Mereka akan maki Allah ‎ﷻ kerana mereka marah kepada kita. Yang mereka marah adalah kita, tetapi yang mereka akan keji adalah Allah ‎ﷻ.

Mereka buat begitu tanpa mereka kenal siapa Allah ‎ﷻ dan tanpa mereka mengetahui apakah balasan daripada perbuatan mereka itu. Mengeji Allah ‎ﷻ adalah satu dosa yang amat besar tetapi mereka tidak tahu kerana mereka tidak kenal Allah ‎ﷻ.

Mereka berkata begitu kerana mereka tidak ada ilmu pengetahuan. Apa yang mereka lakukan adalah akibat daripada emosi mereka sahaja. Bila kita kutuk mereka atau sembahan-sembahan mereka, selalunya mereka akan cuba mempertahankan sembahan-sembahan mereka itu.

Sebagai contoh lihatlah apa yang terjadi di dalam perlawanan sukan antara negara. Orang-orang yang dulunya tidak berapa sayang kepada negara tiba-tiba akan mengebarkan bendera negara mereka dan rasa amat sayang kepada negara. Itu adalah kerana mereka sedang berlawan dengan pasukan dari negara lain. Tiba-tiba sahaja naik semangat kenegaraan mereka.

Begitulah juga jikalau kita kutuk sembahan mereka. Tiba-tiba mereka akan rasa hendak mempertahankan sembahan mereka dan semakin sayang kepada sembahan mereka. Padahal, asalnya mereka bukan sayang sangat pun sembahan mereka itu.

Ini mengajar kita untuk mengelak daripada melakukan sesuatu yang akan mengakibatkan keburukan yang lebih besar. Memang apa yang musyrikin itu lakukan adalah satu kesalahan tetapi jikalau kita kutuk tuhan mereka, ia hanya akan menyebabkan keburukan yang lebih besar, iaitu mereka akan kutuk Allah ‎ﷻ. Seperti juga kalau kita kutuk ayah orang lain, maka akan menyebabkan mereka mencaci ayah kita.

Ini mengajar kita, kalau perbuatan kita itu akan lebih membawa kepada keburukan, maka jangan kita lakukan. Sebagai contoh, semasa puak Muslim ditindas di Mekah, mereka meminta supaya mereka dibenarkan untuk menentang balik segala kezaliman yang dikenakan ke atas mereka oleh puak Musyrikin Mekah. Tetapi mereka tidak dibenarkan berbuat begitu kerana kalau dibenarkan, itu akan hanya membawa kepada keburukan sahaja. Ini kerana jumlah mereka pada waktu itu adalah amat sedikit dan mereka pula lemah. Jika mereka menentang balas, maka Musyrikin Mekah akan mengambil peluang itu untuk menghapuskan terus umat Islam. Akhirnya ia boleh mengakibatkan kemusnahan umat Islam.

Sebagai contoh lagi, Rasulullah ﷺ  ada bercita-cita untuk menjadikan bentuk Kaabah seperti keadaan zaman Nabi Ibrahim عليه السلام kerana ia telah diubah oleh Musyrikin Mekah pada zaman jahiliyyah. Apabila baginda sudah menakluk Mekah, tentulah baginda ada kuasa untuk mengubahnya. Akan tetapi baginda tidak melakukannya kerana khuatir umat waktu itu akan memberontak dan menolak Islam hanya kerana perkara itu.

Ayat ini juga mengajar kita supaya tidak menyakitkan hati orang lain. Mungkin apa yang mereka lakukan adalah satu kesalahan yang besar, tetapi janganlah kita berkata-kata kepada mereka dengan cara yang boleh menyakitkan hati mereka. Kita hendaklah menggunakan cara yang berhemah. Kita boleh sahaja menegur mereka untuk memperbaiki mereka, tetapi hendaklah dengan kata-kata yang lembut dan berhemah.

Namun begitu, ini bukanlah hujah untuk menghalang kita daripada berdakwah dan menyatakan kebenaran. Memang dalam kita berdakwah, akan menyebabkan orang marah, terasa hati dan sebagainya. Tetapi dakwah tetap dijalankan. Contohnya ada pada perbuatan Rasulullah ﷺ sendiri. Baginda tetap berdakwah walaupun baginda tahu yang masyarakat sekeliling baginda tidak suka dengan apa yang baginda sampaikan.

Sebagaimana keadaan sekarang, sudah banyak kumpulan yang benci dengan dakwah sunnah. Ini kerana kita banyak menegur kesalahan-kesalahan agama yang mereka lakukan. Tentulah mereka terasa hati dan bertindak menolak dakwah sunnah ini. Mereka ada yang berhujah: “kalau tidak bersetuju pun, janganlah hina ajaran-ajaran kami ini!”

Ini kita tidak boleh berhenti kerana menjalankan amar makruf adalah sebahagian daripada agama. Jika kita tidak tegur, maka kita telah meninggalkan salah satu elemen penting agama ini. Oleh itu, teruskan menegur dan membetulkan masyarakat, walaupun mungkin mereka akan terasa dan membenci kita.

 

كَذَٰلِكَ زَيَّنَّا لِكُلِّ أُمَّةٍ عَمَلَهُمْ

Demikianlah Kami jadikan setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka.

Setiap umat akan melakukan ibadah kepada tuhan-tuhan mereka kerana mereka sayang kepada tuhan mereka dan mereka sangka perbuatan mereka itu adalah perbuatan yang baik. Mereka nampak cantik dan rasa benar sahaja perbuatan mereka itu. Dalam ayat ini ia bermaksud Allah ‎ﷻ yang takdirkan mereka nampak cantik amalan salah mereka itu.

Begitulah yang terjadi kepada puak-puak tarekat yang nampak amalan zikir bid’ah dan syirik mereka seperti elok dan molek sahaja. Mereka rasa tenang sahaja apabila mengamalkan zikir-zikir mereka itu. Mereka sayang untuk tinggalkan amalan yang telah lama mereka amalkan itu. Mereka rasa iman mereka semakin naik apabila mengamalkan amalan mereka. Padahal, ia memudaratkan mereka sahaja. Mereka sahaja yang tidak sedar kerana kejahilan mereka.

Begitulah juga dengan penganut agama lain. Oleh kerana mereka nampak baik perbuatan mereka itu, maka mereka tidak dapat menerima kalau kita mengutuk tuhan-tuhan mereka. Sebab itu kalau kita kutuk, mereka akan membalas dengan mengutuk Tuhan kita iaitu Allah ‎ﷻ.

 

ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّهِم مَّرْجِعُهُمْ

Kemudian kepada Tuhan merekalah kembalian mereka,

Sama ada kita mahu atau tidak mahu, kita semua akan dikembalikan kepada Allah ‎ﷻ. Semasa di dunia, orang musyrik itu nampak apa yang mereka lakukan itu adalah benar. Tetapi di akhirat nanti, mereka akan nampak apakah kebenaran itu dan bagaimana kesalahan yang mereka telah lakukan. Apabila di sana, barulah mereka akan menyesal atas amalan syirik mereka semasa di dunia. Namun malangnya, penyesalan waktu itu tidak berguna lagi.

 

فَيُنَبِّئُهُم بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

lalu Dia memberitakan kepada mereka apa yang dahulu mereka kerjakan.

Mereka mengadap Allah ‎ﷻ bukan atas tujuan suka-suka tetapi mereka semua akan ditunjukkan dengan kesalahan-kesalahan syirik yang mereka telah lakukan itu. Semua yang mereka kerjakan semasa di dunia akan dibentangkan dan mereka akan dibalas dengan kesalahan mereka itu.

 

Allahu a’lam. Lompat ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 16 Februari 2022


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Maariful Qur’an