Tafsir Surah al-An’am Ayat 88 – 90 (Allah ‎ﷻ boleh ganti kaum)

An’am Ayat 88:

ذٰلِكَ هُدَى اللَّهِ يَهدي بِهِ مَن يَشاءُ مِن عِبادِهِ ۚ وَلَو أَشرَكوا لَحَبِطَ عَنهُم مّا كانوا يَعمَلونَ

Sahih International

That is the guidance of Allah by which He guides whomever He wills of His servants. But if they had associated others with Allah, then worthless for them would be whatever they were doing.

Malay

Yang demikian itu ialah petunjuk Allah, yang dengannya Dia memimpin sesiapa yang dihendakiNya dari hamba-hambaNya; dan kalau mereka sekutukan (Allah dengan sesuatu yang lain) nescaya gugurlah dari mereka, apa yang mereka telah lakukan (dari amal-amal yang baik).

 

ذَٰلِكَ هُدَى اللَّهِ

Itulah petunjuk Allah,

Beruntunglah mereka yang mendapat petunjuk daripada Allah ‎ﷻ. Petunjuk itu telah diberikan kepada para Nabi dan Rasul yang telah disebut sebelum ini.

 

يَهْدِي بِهِ مَن يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ

yang dengannya Dia memberi petunjuk kepada siapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya.

Bukan para Nabi dan Rasul itu sahaja yang diberikan dengan hidayah, tetapi ada lagi hamba-hamba-Nya yang diberikan hidayah. Allah ‎ﷻ yang memilih siapakah yang layak mendapat hidayah itu.

Dan pemilihan itu berdasarkan kepada mereka yang mahukan kebenaran. Iaitu mereka yang ada inabah (condong kepada kebenaran) dalam diri mereka. Semoga kita pun termasuk mereka yang diberikan hidayah itu.

 

وَلَوْ أَشْرَكُوا

Seandainya mereka mempersekutukan Allah,

Ini adalah sekiranya para Nabi dan Rasul itu berbuat syirik. Tetapi tidaklah mereka itu berbuat syirik. Tentulah tidak dapat dibayangkan bagaimana Nabi dan Rasul yang telah diberikan dengan hidayah oleh Allah ‎ﷻ itu akan melakukan syirik. Sedangkan mereka sebelum menjadi Nabi pun sudah  terselamat daripada melakukan syirik. Tetapi kenapa disebut dalam ayat ini ini?

Kerana hendak menunjukkan betapa beratnya kesalahan syirik itu. Tidak kira siapa yang melakukannya, walaupun seorang Nabi,  akan dilenyapkan segala amalan-amalan mereka. Segala pahala amal ibadat yang mereka telah lakukan akan dilenyapkan, sampai tinggal kosong. Tidak ada yang boleh dibuat timbangan lagi di dalam timbangan amal.

Jika seorang Nabi melakukan syirik pun akan dilenyapkan segala pahala amalan mereka, apatah lagi seorang manusia biasa? Ayat ini dibacakan pertama kalinya kepada Musyrikin Mekah yang telah diberikan dakwah oleh Nabi ﷺ untuk meninggalkan syirik. Tetapi mereka masih lagi tidak mahu meninggalkan syirik.

Begitu juga dengan masyarakat kita yang tanpa mereka ketahui telah melakukan syirik. Mereka ambil mudah sahaja tentang hal syirik ni. Di kebanyakan kelas-kelas pengajian agama, tidak pun diajar tentang syirik. Maka, ramai dalam kalangan masyarakat kita tidak tahu apakah maksud syirik itu. Kebanyakan mereka hanya tahu tentang syirik secara umum sahaja. Maka, ramai yang melakukan syirik tanpa mereka sedari.

 

لَحَبِطَ عَنهُم مّا كانوا يَعمَلونَ

nescaya lenyaplah daripada mereka amalan yang telah mereka kerjakan.

Pahala amalan-amalan kebaikan yang telah mereka lakukan akan dikosongkan. Tidak berharga langsung dan tidak boleh diharap.

Ini menjawab soalan mereka yang kata: “Takkanlah orang kafir yang baik akan dimasukkan ke dalam neraka?” Ayat ini memberitahu kita bahawa segala amalan kebaikan yang dilakukan oleh orang kafir itu, sedikit pun tidak diambil kira disebabkan perbuatan syirik mereka itu.

Maka, bagaimana pula dengan amalan-amalan baik kita? Bagaimana dengan puasa, sedekah, umrah, haji dan sebagainya? Ingatlah bahawa kalau kita pun ada melakukan syirik, segala amal kebaikan yang kita buat itu tidak akan diambikira. Semuanya akan jadi kosong kembali.

Oleh itu, amatlah rugi segala perbuatan baik kita itu. Setelah bersusah payah kita buat amal kebaikan, namun disebabkan satu perbuatan syirik sahaja, semua pahala itu akan dilenyapkan.

Begitulah teruknya kesalahan syirik yang sampai boleh melenyapkan segala amalan-amalan kebaikan yang telah dilakukan oleh manusia. Ayat yang sama juga ada dibacakan pada ayat Zumar:65. Maknanya, Allah ‎ﷻ mengulang-ulang perkara ini sebagai peringatan kepada kita kerana ia adalah perkara yang amat penting.


 

An’am Ayat 89:

أُولٰئِكَ الَّذينَ ءآتَينٰهُمُ الكِتٰبَ وَالحُكمَ وَالنُّبُوَّةَ ۚ فَإِن يَكفُر بِها هٰؤُلاءِ فَقَد وَكَّلنا بِها قَومًا لَّيسوا بِها بِكٰفِرينَ

Sahih International

Those are the ones to whom We gave the Scripture and authority and prophethood. But if the disbelievers deny it, then We have entrusted it to a people who are not therein disbelievers.

Malay

Mereka itulah orang-orang yang telah Kami berikan kepadanya Kitab Suci, dan Hikmah (ilmu pengetahuan), serta pangkat kenabian. Oleh itu, jika orang-orang (kafir) itu mengingkarinya, maka sesungguhnya Kami akan menyerahkannya kepada kaum (lain) yang tidak akan mengingkarinya.

 

أُولَٰئِكَ الَّذِينَ ءآتَيْنٰهُمُ الْكِتٰبَ

Mereka itulah orang-orang yang telah Kami berikan kitab,

Nabi-nabi yang telah disebut itu semuanya telah diberikan Kitab Wahyu yang bermaksud hukum syariat. Walau bagaimanapun seperti yang kita tahu, bukan semua Nabi-nabi diberikan dengan kitab. Maka, yang dimaksudkan adalah hukum-hukum di dalam kitab itu. Walaupun seorang Nabi itu tidak diberikan kitab wahyu, namun beliau tetap kena ikut hukum  yang ada di dalam kitab sebelumnya.

Sebagai contoh, Nabi Harun عليه السلام tidak diberikan Kitab, tetapi baginda kena ikut Kitab Taurat yang diberikan kepada Nabi Musa عليه السلام. Dan selepas itu begitu ramai para Nabi dalam kalangan Bani Israel yang berhukum dengan syariat yang ada di dalam kitab Taurat itu.

 

وَالْحُكْمَ

dan hikmat

Hikmah itu dari segi bahasanya, bermaksud ‘meletakkan sesuatu pada tempatnya’. Dalam konteks ayat ini, ia bermaksud bukan sahaja mereka telah diberikan dengan kitab, tetapi mereka telah diberikan dengan ilmu bagaimana untuk mematuhi ajaran dalam kitab itu. Ini kerana kalau tidak diberikan dengan ilmu, kita tidak akan faham.

Seperti juga kita dengan Al-Qur’an ini, jika kita tidak diajar pemahaman Al-Qur’an daripada Nabi ﷺ, kita tidak faham apakah yang dimaksudkan dengan sesuatu ayat itu. Oleh kerana itu, selalunya ‘hikmah’ yang dimaksudkan di dalam Al-Qur’an adalah hadith-hadith Nabi Muhammad ﷺ kerana kita tidak akan faham bagaimana hendak mengamalkan suruhan di dalam Al-Qur’an kalau tidak diberi contohnya oleh Rasulullah ﷺ.

Hikmah juga boleh bermaksud memiliki ilmu selain daripada ilmu yang ada di dalam kitab yang telah diberikan kerana seorang Nabi dan Rasul bukan hanya memerlukan ilmu yang ada di dalam kitab, tetapi juga memerlukan ilmu-ilmu lain. Maka, hikmah juga bermaksud mempunyai ilmu pengetahuan selain ilmu agama yang bermanfaat.

Sebagai contoh, dalam berdakwah kena tahu ilmu alam, bagaimana berinteraksi dengan manusia dan berbagai lagi ilmu keduniaan. Oleh kerana seorang pendakwah itu kena pandai, maka dia memerlukan ilmu pengetahuan yang tinggi. Oleh kerana itu, para Nabi yang dilantik oleh Allah ‎ﷻ adalah juga seorang yang bijaksana.

Hikmah juga bermaksud tahu hukum agama. Sebagaimana Nabi Muhammad ﷺ, selain daripada diberikan Al-Qur’an baginda juga telah diberikan dengan ilmu Sunnah. Maka kita sebagai manusia biasa hendaklah pandai mengamalkan syariat yang Allah ‎ﷻ telah berikan kepada kita. Kadangkala ilmu agama itu bukanlah boleh diikut secara literal, tetapi hendaklah disesuaikan dengan keadaan semasa. Inilah hikmah.

 

وَالنُّبُوَّةَ

dan kenabian

Pangkat kenabian adalah satu kelebihan yang diberikan kepada insan-insan terpilih sahaja. Sekarang tidak ada sesiapa yang boleh menjadi Nabi atau Rasul. Walaupun ramai yang mengaku mereka dilantik menjadi Nabi, itu semua adalah orang sesat yang gila. Lebih lagi gila adalah jika ada yang mengikuti orang gila sebegitu. Tetapi begitulah, kebodohan memang tiada hadnya.

Maka, telah disebut tiga perkara yang telah diberikan kepada para Nabi-nabi itu:

1. Kitab

2. Hikmah

3. Pangkat kenabian

 

فَإِن يَكْفُرْ بِهَا هَٰؤُلَاءِ

Jika orang-orang (Quraisy) ini mengingkarinya,

Mereka yang dimaksudkan di dalam ayat ini adalah penduduk-penduduk Mekah kerana perkataan هَٰؤُلَاءِ bermaksud mereka yang ada berdekatan. Oleh itu, mereka yang dekat dengan Nabi ﷺ adalah penduduk Mekah pada masa ayat ini diturunkan.

Dan ‘nya’ yang dimaksudkan adalah tiga perkara yang telah disebutkan tadi.

Ayat ini menceritakan apakah kesannya kalau orang-orang Quraish itu tidak mahu menerima Al-Qur’an dan dakwah yang dibawakan oleh Nabi Muhammad ﷺ. Mereka wajib beriman dengan Nabi Muhammad ﷺ, tetapi apa yang akan terjadi jika mereka tidak mahu beriman?

 

فَقَدْ وَكَّلْنَا بِهَا قَوْمًا

maka sesungguhnya Kami telah menyerahkannya kepada kaum

Kalau mereka tidak mahu menerima dakwah tauhid itu, Allah ‎ﷻ boleh sahaja berikan kepada kaum yang lain. Tidak ada masalah untuk Allah ‎ﷻ menggantikan dengan kaum yang lain. Jika tidak mahu agama, Allah ‎ﷻ boleh berikan kepada orang lain. Dan ini banyak disebut di dalam ayat-ayat Al-Qur’an.

Yang dimaksudkan ‘kaum yang lain’ itu adalah penduduk Madinah dalam kalangan Ansar. Allah ‎ﷻ sudah menyediakan mereka yang akan mengambil dan menerima dakwah tauhid itu. Apabila kebanyakan penduduk Mekah tidak mahu menerima Al-Qur’an dan juga dakwah yang diberikan oleh Nabi Muhammad ﷺ, maka ia telah diberikan kepada penduduk Madinah.

Ingatlah bahawa surah al-An’am ini diturunkan di Mekah di penghujung masa baginda di Mekah. Oleh itu, sudah ada isyarat dalam ayat ini yang Nabi Muhammad ﷺ akan berhijrah ke Madinah sedikit masa lagi.

Memang kalau sesuatu kaum tidak menerima hidayah, maka Allah ‎ﷻ boleh berikan kepada orang lain. Lihatlah sendiri bagaimana imam-imam hadith yang enam itu semuanya orang Khurasan iaitu orang Parsi. Bermakna mereka bukan asalnya orang Arab. Tetapi mereka menjadi pemegang sanad hadith-hadith Nabi kerana mereka yang peduli dan berusaha mendapatkan maklumat tentang hadith. Oleh sebab itu jika ingin mendapatkan sanad hadith, hendaklah pergi ke India dan Pakistan untuk mendapatkannya, bukan ke Mekah atau Madinah, tempat asal hadith-hadith tersebut.

Seperti juga, kalau kita masyarakat Melayu dan golongan Muslim asal ini pun sudah tidak menghiraukan agama, maka bangsa lain yang akan mengambil alih. Jika dilihat di negara Barat, sudah semakin ramai yang masuk Islam dan mereka sedangkan menyebarkan Islam ke serata dunia.

 

لَّيْسُوا بِهَا بِكٰفِرِينَ

yang mereka sekali-kali tidak akan mengingkarinya.

Golongan baru tidak akan mengingkari arahan daripada Allah ‎ﷻ. Mereka tidak akan menolaknya walaupun sedikit.

Jika sesiapa yang diberikan perintah tetapi tidak mahu mengikutnya, Allah ‎ﷻ boleh saja memberikan perintah itu kepada umat yang lain. Oleh kerana itu kalau kita tidak ikut perintah Allah ‎ﷻ, tiada kesan langsung bagi Allah ‎ﷻ.  Allah ‎ﷻ tidak rugi, hanya kita sahaja yang rugi. Tetapi kalau kita mengikut perintah Allah ‎ﷻ, kebaikan itu hanyalah untuk diri kita sebenarnya.

Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ telah memuji kaum Ansar. Mereka boleh beriman kepada ketiga-tiga perkara itu. Mereka beriman dengan Al-Qur’an sepenuhnya walaupun mungkin ada ayat-ayat Al-Qur’an yang mereka masih tidak faham pada ketika ia diberikan kepada mereka. Mereka juga percaya kepada hadith daripada Nabi ﷺ kerana mereka beriman sepenuhnya dengan baginda.

Bukan seperti sesetengah golongan masyarakat kita yang hanya beriman dengan Al-Qur’an tetapi menolak Sunnah. Mereka sangka cukup sahaja dengan Al-Qur’an tanpa mengambil pedoman daripada Hadith. Mereka sangka mereka sudah pandai tetapi mereka sebenarnya amat bodoh dan jahil sekali.


 

An’am Ayat 90:

أُولٰئِكَ الَّذينَ هَدَى اللَّهُ ۖ فَبِهُدىٰهُمُ اقتَدِه ۗ قُل لّا أَسئلُكُم عَلَيهِ أَجرًا ۖ إِن هُوَ إِلّا ذِكرىٰ لِلعٰلَمينَ

Sahih International

Those are the ones whom Allah has guided, so from their guidance take an example. Say, “I ask of you for this message no payment. It is not but a reminder for the worlds.”

Malay

Mereka (Nabi-nabi) itulah, orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah, maka turutlah olehmu (wahai Muhammad) akan petunjuk mereka; Katakanlah: “Aku tidak meminta upah kepada kamu mengenai petunjuk (Al-Qur’an yang aku sampaikan) itu. Al-Qur’an itu tidak lain hanyalah peringatan bagi penduduk alam seluruhnya.

 

أُولَٰئِكَ الَّذِينَ هَدَى اللَّهُ

Mereka itulah orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah,

Merujuk kepada Nabi-Nabi dan Rasul-rasul yang telah disebut sebelum ini. Juga merujuk kepada golongan Muhajirin dan Ansar yang telah beriman sepenuhnya.

 

فَبِهُدىٰهُمُ اقْتَدِهْ

maka dengan petunjuk yang mereka dapat itu, ikutilah petunjuk itu.

Perkataan اقْتَدِهْ bermaksud ‘ikutilah petunjuk itu’. Perkataan إقتد bermaksud ‘ikutlah’ dan huruf ه itu adalah dhomir kepada ‘petunjuk itu’. Ataupun ه dalam perkataan ini adalah sebagai satu penekanan untuk kita suruh ikut dengan kuat (seperti ‘lah’ dalam bahasa Melayu).

Perkataan إقتد itu berasal daripada perkataan ق د و yang asalnya bermaksud ‘sedap’. Iaitu sesuatu yang kita suka makan. Makanan selalunya sedap apabila semua ramuannya telah sebati dengan molek dan baunya juga sedap.

Daripada perkataan itu, إقتد menjadi maksud ‘mengikuti seseorang sama dengan apa yang dilakukannya’. Dan kita kena mengikut para Nabi dan Rasul yang telah disebut sebelum ini. Apa sahaja yang telah dibuat mereka, kita kena ikut dan tiru. Yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah mengikut seseorang dalam hal agama dan akhlak sahaja, bukanlah dalam semua hal. Iaitu kita melakukan sesuatu yang tidak berlawanan dengan apa yang mereka lakukan. Sebagaimana seorang makmum kena ikut apa sahaja yang dilakukan oleh imam dalam salat.

Oleh kerana mereka telah mendapat petunjuk, maka kita kena ikut mereka. Dan apa yang mereka telah lakukan? Mereka berpegang dengan akidah tauhid dan bersabar atas akidah tauhid itu. Ini mengajar kita yang kita kena ikut orang yang dapat petunjuk. Oleh kerana itu kita kena belajar dengan orang yang telah belajar tafsir Al-Qur’an dan hadith. Kita disuruh mengikut semua mereka yang telah disebut itu. Dalam ayat sebelum ini, telah disebut 18 nama Rasul. Tentulah kita tidak boleh mengikut semua sekali kerana syariat tidak sama antara satu nabi dan yang lain. Antaranya, kita salat lima waktu manakala Nabi-nabi lain tidak disyariatkan untuk salat lima waktu.

Oleh itu, yang kita ikut adalah akhlak mereka dan juga akidah mereka kerana sama sahaja akhlak dan akidah Nabi yang pertama sehingga Nabi yang terakhir. Daripada Nabi Adam عليه السلام sehingga Nabi Muhammad ﷺ. Begitu juga, ada elemen yang sama dari dulu sampai sekarang. Iaitu antaranya, tentang syurga dan neraka. Sama sahaja perkara itu dari dulu sampai sekarang dan sampai bila-bila.

Ayat ini mengajar kita untuk ikut apa yang dilakukan oleh Nabi ﷺ. Oleh itu kena tahu sunnah jika mahu mengikut Nabi ﷺ kerana disebabkan tidak tahu sunnahlah yang menyebabkan banyak sekali perbezaan pendapat dalam masyarakat kita. Ramai yang tidak tahu apakah maksud dan kepentingan ‘sunnah’, maka mereka ikut sahaja apa yang orang lain buat.

Mereka hanya ikut apa yang guru mereka ajar sahaja. Guru mereka telah ajar dan mereka ikut tanpa soal. Mereka sangka apa yang guru mereka buat itu adalah benar belaka. Tetapi itu tidak semestinya. Kadang-kadang ustaz yang mengajar kita itu pun tidak tahu sunnah dengan betul. Kita sahaja sangka mereka benar tetapi tidak sebenarnya. Oleh itu, kena berhati-hati dalam memilih guru.

Ayat ini pertama kalinya diberikan Rasulullah. Adakah baginda kena ikut mereka yang menunjukkan para Nabi itu lebih tinggi dari baginda dan kerana itu baginda kena jadikan sebagai contoh? Bukankah Nabi Muhammad insan yang paling hebat? Tafsiran Imam Fakhruddin al-Razi dalam kitab agungnya, Mafatih al-Ghaib (Tafsir al-Kabir), mengenai ayat 90 Surah al-An’am ini sangat menarik. Beliau menggunakan hujah logik dan tekstual untuk membuktikan bahawa walaupun Nabi Muhammad SAW diperintahkan untuk “ikut” (iqtadih), itu sebenarnya menunjukkan baginda lebih mulia daripada semua nabi terdahulu. Berikut adalah ringkasan hujah al-Razi:

1. Himpunan Sifat-sifat Mulia (Majmu’ al-Kamalat)

Al-Razi menjelaskan bahawa setiap nabi terdahulu mempunyai kelebihan atau “maqam” yang khusus. Contohnya: Nabi Nuh AS terkenal dengan kesabaran dan kesyukuran, Nabi Ibrahim AS terkenal dengan ketauhidan dan pengorbanan, Nabi Daud dan Sulaiman AS terkenal dengan kesyukuran atas nikmat, Nabi Ayub AS terkenal dengan kesabaran atas ujian, Nabi Isa dan Yahya AS terkenal dengan zuhud.

Apabila Allah berfirman “maka dengan petunjuk mereka (semuanya), hendaklah engkau ikut”, ia bermaksud Nabi Muhammad SAW diperintahkan untuk mengumpul semua sifat mulia yang bertebaran pada Nabi-nabi sebelum ini ke dalam diri baginda seorang. Logik al-Razi: Sesiapa yang mengumpulkan semua kelebihan yang ada pada setiap individu yang berbeza, maka individu itu secara automatik menjadi yang paling sempurna dan mulia di antara mereka semua.

2. Nabi Muhammad sebagai “Lautan” yang Menghimpun

Al-Razi menegaskan bahawa perintah Iqtida’ (mengikut) di sini bukanlah bermaksud Nabi Muhammad lebih rendah kedudukannya, tetapi baginda adalah kemuncak kepada binaan kenabian. Jika nabi terdahulu adalah ibarat “sungai-sungai” yang membawa air hidayah, Nabi Muhammad SAW adalah “lautan” tempat bertemunya semua sungai tersebut. Baginda membenarkan syariat asal mereka dan menyempurnakannya.

3. Penjelasan Mengenai Istilah “Hidayah”

Al-Razi membahaskan bahawa yang disuruh ikut dalam ayat ini adalah Huda (Petunjuk/Teras Agama), bukannya Furu’ (hukum-hakam kecil yang berbeza mengikut zaman). Teras agama adalah satu: Tauhid dan Akhlak Mulia. Nabi Muhammad SAW mencapai darjah tertinggi dalam teras ini sehingga baginda digelar Sayyidul Mursalin (Penghulu para Rasul).

4. Dalil Keutamaan (Afdhaliah)

Dalam tafsirannya, al-Razi menyebutkan bahawa ayat ini adalah antara dalil terkuat bahawa Nabi Muhammad SAW adalah makhluk paling afdhal (mulia). Hujahnya: Allah memerintahkan Nabi Muhammad mengikut semua nabi (jam’an). Tiada seorang pun Nabi sebelum ini yang diperintahkan untuk mengikut semua Nabi sebelum mereka secara sekaligus seperti Nabi Muhammad. Ini bermakna darjat kesempurnaan Nabi Muhammad adalah himpunan daripada kesempurnaan seluruh Nabi, menjadikan baginda manusia paling sempurna di sisi Allah.

Kesimpulan Tafsir al-Razi, ayat ini bukan menunjukkan Nabi Muhammad “mengekor” para Nabi yang dahulu, tetapi ia adalah proklamasi (pengisytiharan) bahawa baginda adalah pewaris tunggal bagi seluruh warisan kenabian sejak zaman Adam AS. Inilah yang dimaksudkan dengan hadis,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: «إِنَّ مَثَلِي وَمَثَلَ الأَنْبِيَاءِ مِنْ قَبْلِي، كَمَثَلِ رَجُلٍ بَنَى بَيْتًا فَأَحْسَنَهُ وَأَجْمَلَهُ، إِلَّا مَوْضِعَ لَبِنَةٍ مِنْ زَاوِيَةٍ، فَجَعَلَ النَّاسُ يَطُوفُونَ بِهِ، وَيَعْجَبُونَ لَهُ، وَيَقُولُونَ: هَلَّا وُضِعَتْ هَذِهِ اللَّبِنَةُ؟ قَالَ: فَأَنَا اللَّبِنَةُ وَأَنَا خَاتِمُ النَّبِيِّينَ»
“Perumpamaan aku dan Nabi-nabi sebelumku adalah seperti seorang lelaki yang membina sebuah bangunan, lalu dia mempercantik dan memperindahnya, kecuali satu tempat batu bata di salah satu sudutnya. Orang-orang pun mengelilingi bangunan tersebut dan merasa kagum, lalu mereka berkata: ‘Alangkah baiknya jika batu bata ini diletakkan?’ Baginda bersabda: ‘Akulah batu bata tersebut, dan akulah penutup para nabi.'”

Sahih al-Bukhari: (Hadis No. 3535); Sahih Muslim: (Hadis No. 2286).

 

قُل لَّا أَسْئلُكُمْ عَلَيْهِ أَجْرًا

Katakanlah: “Aku tidak meminta upah kepadamu dalam menyampaikan (Al-Qur’an)”.

Nabi ﷺ diajar untuk tidak mengharap balasan daripada umatnya dalam dakwah dan mengajar Al-Qur’an kepada mereka. Ini kerana balasan yang perlu diharapkan adalah hanya daripada Allah ‎ﷻ. Oleh kerana itu kita kena tahu yang dalam mengajar tidak boleh meminta upah. Malangnya sekarang, banyak guru jika tidak mendapat upah, maka mereka tidak mahu mengajar. Ini adalah kerana mereka menjadikan agama ini sebagai punca pendapatan. Inilah sunnah para Nabi yang patut kita ikut.

Perkataan أَجْرًا itu ada tanwin yang membawa maksud nakirah iaitu bermaksud umum. Maka, ia bermaksud apa-apa sahaja bentuk upah, bukan sahaja upah wang. Jangan mengharap apa-apa kelebihan daripada murid yang diajar. Sebagai contoh, ada yang mengharap mereka mendapat sanjungan daripada apa kedudukan mereka mengajar. Itu pun tidak boleh. Ini mengajar kita kena ikhlas dalam mengajar. Kalau ada ikhlas, barulah ada berkat dalam mengajar.

 

إِنْ هُوَ إِلَّا ذِكْرَىٰ لِلْعٰلَمِينَ

Al-Qur’an itu tidak lain hanyalah peringatan untuk seluruh umat.

Ayat ini mengingatkan kita bahawa Al-Qur’an ini hendaklah disampaikan kepada seluruh umat manusia. Ia bukanlah eksklusif kepada umat Islam sahaja kerana mesej yang dibawa oleh Al-Qur’an ini adalah mesej sejagat. Tetapi bagaimana kita hendak bawa Al-Qur’an ini kepada mereka jika kita sendiri tidak tahu?

Habis Ruku’ 10 daripada 20 ruku’ dalam surah ini.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 29 Januari 2026


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Maariful Qur’an

Tafsir Surah al-An’am Ayat 83 – 87 (Kita telah terpilih)

An’am Ayat 83: 

وَتِلكَ حُجَّتُنا ءآتَينٰها إِبرٰهيمَ عَلىٰ قَومِهِ ۚ نَرفَعُ دَرَجٰتٍ مَّن نَّشاءُ ۗ إِنَّ رَبَّكَ حَكيمٌ عَليمٌ

Sahih International

And that was Our [conclusive] argument which We gave Abraham against his people. We raise by degrees whom We will. Indeed, your Lord is Wise and Knowing.

Malay

Dan itulah hujah (bukti) Kami, yang Kami berikan kepada Nabi Ibrahim untuk mengalahkan kaumnya. Kami tinggikan pangkat-pangkat kedudukan sesiapa yang Kami kehendaki. Sesungguhnya Tuhanmu Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui.

وَتِلْكَ حُجَّتُنَا

Dan itulah hujah Kami

Hujah yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah hujah-hujah yang dibawa oleh Nabi Ibrahim عليه السلام, antaranya hujah yang baginda bawa tentang bintang, bulan dan matahari dan juga kehilangan mereka. Hujah yang dimaksudkan adalah hujah tentang ‘tauhid’. Allah ‎ﷻ ajar baginda untuk menyampaikan hujah kepada kaumnya.

Selain daripada hujah itu, ada lagi hujah-hujah lain yang disampaikan oleh baginda dalam dakwah baginda kepada kaumnya. Itu semua adalah wahyu daripada Allah ‎ﷻ kepada Nabi Ibrahim عليه السلام. Itu semua adalah hujah yang Allah ‎ﷻ sendiri ajar kepada baginda, kerana itu Allah‎ ﷻ kata ‘hujah Kami’.

ءآتَيْنٰهَا إِبْرٰهِيمَ عَلَىٰ قَوْمِهِ

yang Kami berikan kepada Ibrahim ke atas kaumnya.

Ayat ini memberitahu kepada kita bawa hujah-hujah yang dibawa oleh Nabi Ibrahim عليه السلام kepada kaum itu adalah wahyu daripada Allah kepada baginda. Dengan hujah-hujah itu Nabi Ibrahim عليه السلام membawa dalil kepada kaumnya tentang tauhid kepada Allah ‎ﷻ. Bukanlah Nabi Ibrahim عليه السلام dapat memikirkan sendiri hujah-hujah itu.

Kita memang memerlukan ‘ilham’ daripada Allah ‎ﷻ semasa kita berdakwah. Ayat ini mengajar kita bahawa apabila kita berhujah dan berdakwah, sebenarnya cara-cara berhujah dan berdakwah itu diberikan oleh Allah ‎ﷻ. Dan apabila kita diberikan satu persoalan atau hujah daripada pihak lawan kita, kadang-kadang kita tidak tahu bagaimana hendak menjawabnya.

Bukankah kita pernah melalui situasi begitu? Namun begitu, dalam kita kebingungan tidak tahu bercakap itu, tiba-tiba kita teringat sama ada ayat Al-Qur’an, hadith Nabi ataupun logik akal yang boleh kita gunakan ke atas lawan kita. Itu semua datangnya daripada Allah ‎ﷻ.

Jangan sangka kita yang fikirkan sendiri. Jangan sangka kita dapat jawab dan beri dakwah itu kerana akal kita pandai, atau kita selalu hafal Al-Qur’an dan hadith. Jangan kita lupa pertolongan Allah ‎ﷻ dalam keadaan sebegitu. Maka, kenalah sentiasa berdoa minta kepada Allah ‎ﷻ untuk memberikan ilham kepada kita semasa berdakwah.

نَرْفَعُ دَرَجٰتٍ مَّن نَّشَاءُ

Kami tinggikan darjat sesiapa yang Kami kehendaki

Bagaimanakah cara Allah ‎ﷻ meninggikan darjat sesiapa yang dikehendaki-Nya? Allah ‎ﷻ meninggikan darjat mereka itu dengan memberikan ilmu dan hikmah kepada mereka. Sebagaimana Nabi Ibrahim عليه السلام dalam ayat-ayat ini telah diberikan dengan ilmu dan hikmah daripada Allah ‎ﷻ. Maka, ini menunjukkan kepentingan adanya ilmu agama terutama ilmu wahyu. Malangnya masyarakat kita kebanyakannya tidak suka belajar bab agama sehingga benar-benar faham dan keluar daripada kejahilan.

Khususnya yang disebut di dalam ayat ini tentunya adalah Nabi Ibrahim عليه السلام. Baginda telah ditinggikan darjatnya oleh Allah ‎ﷻ, di dunia dan di akhirat. Sampai sekarang kita menyebut-nyebut nama baginda; baginda adalah ‘bapa Tauhid’; baginda adalah bapa kepada para Nabi yang hebat-hebat; kita mengingatinya setiap hari sampaikan disebut di dalam Tahiyyat Akhir kita.

Allah ‎ﷻlah yang menentukan siapakah yang akan mendapat darjat. Bukan kita yang boleh menetapkannya. Kita pun tidak tahu siapakah yang dinaikkan darjatnya oleh Allah ‎ﷻ. Namun begitu, kita hanya boleh berharap dan berdoa supaya kita dinaikkan darjat oleh Allah ‎ﷻ.

إِنَّ رَبَّكَ حَكِيمٌ عَلِيمٌ

Sesungguhnya Tuhanmu Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui.

Allah ‎ﷻ Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui siapakah yang layak untuk diberikan dengan darjat yang tinggi.

Allah ‎ﷻ Maha Tahu apakah hujah yang kita perlukan kerana itulah kita kena minta kepada Allah ‎ﷻ.

Allah ‎ﷻ Maha Bijaksana. Sepandai mana pun orang kafir atau ahli bid’ah berhujah, jika Allah ‎ﷻ yang berikan kita ilham hujah melawan mereka, maka mereka tidak akan dapat melawan kita. In sha Allah.


An’am Ayat 84: Ayat ini menceritakan tentang pemberian-pemberian yang diberikan kepada Nabi Ibrahim عليه السلام setelah baginda berkorban dalam usaha dakwah baginda. Dalam ayat yang lalu, telah diceritakan bagaimana baginda terpaksa meninggalkan kaumnya yang tidak menerima tauhid itu.

Terutama selepas baginda memecahkan berhala mereka (diceritakan dalam ayat yang lain). Baginda terpaksa meninggalkan negeri itu dan keluarga baginda. Itu adalah satu pengorbanan yang amat besar. Maka, atas pengorbanan baginda itu, Allah ‎ﷻ menggantikan pengorbanan baginda itu dengan sesuatu yang lebih baik.

Dari ayat 84 – 89 ini akan disebut 17 nama Rasul.

وَوَهَبنا لَهُ إِسحٰقَ وَيَعقوبَ ۚ كُلًّا هَدَينا ۚ وَنوحًا هَدَينا مِن قَبلُ ۖ وَمِن ذُرِّيَّتِهِ داوودَ وَسُلَيمٰنَ وَأَيّوبَ وَيوسُفَ وَموسىٰ وَهٰرونَ ۚ وَكَذٰلِكَ نَجزِي المُحسِنينَ

Sahih International

And We gave to Abraham, Isaac and Jacob – all [of them] We guided. And Noah, We guided before; and among his descendants, David and Solomon and Job and Joseph and Moses and Aaron. Thus do We reward the doers of good.

Malay

Dan Kami telah kurniakan kepada Nabi Ibrahim: (anaknya) Ishak (dari isterinya Sarah), dan (cucunya) Yaakub. Tiap-tiap seorang (dari mereka) Kami telah berikan petunjuk, dan Nabi Nuh juga Kami telah berikan petunjuk dahulu sebelum itu; dan dari keturunan Nabi Ibrahim itu (ialah Nabi-nabi): Daud, dan Sulaiman, dan Ayub, dan Yusuf, dan Musa, dan Harun. Dan demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amal perbuatannya.

وَوَهَبْنَا لَهُ إِسْحٰقَ وَيَعْقُوبَ

Dan Kami telah menganugerahkan Ishak dan Ya’qub kepadanya.

Perkataan وَوَهَبْنَا berasal daripada katadasar و ه ب yang bermaksud ‘memberikan sesuatu kepada seseorang tanpa mengharapkan balasan balik’. Seperti juga perkataan ‘Hibah’ yang bermaksud memberi derma/hadiah kepada seseorang.

Ini mengajar kita dalam kita menderma, kita tidak boleh mengharapkan balasan ataupun pujian daripada orang yang menerima derma itu. Kita kena ikhlas dalam derma kita.

Perkataan وهب selalu digunakan dalam Al-Qur’an untuk bermaksud ‘pemberian anak’. Ini adalah kerana anak adalah satu anugerah yang amat besar. Mereka yang mempunyai anak akan faham perkara ini. Bila mereka lihat anak-anak mereka, mereka rasa tenang, gembira dan bangga.

Pemberian Nabi Ishak عليه السلام kepada Nabi Ibrahim عليه السلام adalah amat besar lagi kerana baginda dianugerahkan Ishak عليه السلام pada usia baginda yang lanjut. Baginda pada waktu itu memang berharap dapat anak (bagi mereka yang sudah berkahwin tetapi belum mendapat anak memang akan rasa kekurangan sesuatu).

Ini juga menunjukkan bahawa Ishak عليه السلام adalah adik kepada Nabi Ismail عليه السلام kerana dalam ayat lain, apabila Nabi Ibrahim عليه السلام diperintahkan menyembelih Nabi Ismail, baginda disebut ‘anak tunggal’. Sekarang, apabila disebut Nabi Ibrahim عليه السلام diberikan dengan Ishak عليه السلام, tentulah tidak boleh dikatakan Nabi Ishak عليه السلام sebagai anak yang tunggal kerana Nabi Ismail عليه السلام telah dikatakan sebagai anak tunggal.

Dan bukan sahaja baginda dapat melihat anaknya, malah baginda diberikan peluang untuk melihat cucunya juga. Ini juga adalah pemberian yang amat besar. Kerana itu disebut Nabi Ya’kub عليه السلام dalam ayat ini kerana Nabi Ya’kub عليه السلام adalah anak kepada Nabi Ishak عليه السلام. Ini kerana seorang ayah belum tentu dapat melihat cucunya sendiri. Ini bermakna, Nabi Ibrahim عليه السلام telah dilanjutkan usia sampai baginda dapat menimang cucunya Ya’qub.

Dua anugerah besar ini diberikan kepada baginda atas pengorbanan baginda.

كُلًّا هَدَيْنَا

Kepada semuanya, masing-masing telah Kami beri petunjuk;

Bukan sahaja Nabi Ibrahim عليه السلام mendapat anak dan cucu, tetapi mereka diberikan dengan pangkat kenabian yang tinggi dan mulia. Mereka semua orang-orang yang soleh.

Ini adalah satu penghormatan yang amat tinggi kepada Nabi Ibrahim عليه السلام. Jika anak kita menjadi anak yang baik, anak yang alim pun, kita sudah gembira sangat. Bayangkan kalau anak kita seorang Nabi, tentulah lebih lagi perasaan kegembiraan itu.

وَنُوحًا هَدَيْنَا مِن قَبْلُ

dan kepada Nuh sebelum itu (juga) telah Kami beri petunjuk,

Bukan sahaja Nabi Ibrahim عليه السلام menentang kesyirikan dalam kaumnya, sebelum baginda juga telah ada rasul-rasul yang melakukan demikian. Dalam ayat ini disebut Nabi Nuh عليه السلام. Mereka berdua melakukan dakwah dalam masyarakat yang kuat melakukan syirik. Dan mereka juga telah mendapat rahmat dan pemberian daripada Allah ‎ﷻ. Disebut Nabi Nuh عليه السلام awal di sini, kerana selepas ini disebut semuanya keturunan daripada Nabi Ibrahim عليه السلام.

Ini mengingatkan dan memberi semangat kepada Nabi Muhammad ﷺ dan para sahabat bagaimana mereka menentang kesyirikan yang berleluasa dalam masyarakat mereka.

Bagaimana pula dengan kita? Bukankah kesyirikan juga sedang banyak diamalkan di negara ini? Syirik diamalkan bukan sahaja oleh orang-orang kafir, tetapi oleh masyarakat Islam juga. Kita hendaklah menentang kesyirikan itu sepertimana yang dilakukan oleh Nabi-nabi yang terdahulu. Kita kena ambil semangat daripada mereka.

وَمِن ذُرِّيَّتِهِ دَاوُودَ وَسُلَيْمٰنَ وَأَيُّوبَ وَيُوسُفَ وَمُوسَىٰ وَهٰرُونَ

dan kepada sebahagian daripada keturunannya, iaitu Daud, Sulaiman, Ayyub, Yusuf, Musa dan Harun.

Perkataan ‘keturunannya’ boleh bermaksud keturunan Nabi Ibrahim عليه السلام ataupun keturunan Nabi Nuh عليه السلام. Kedua-dua pendapat ini boleh digunakan. Nabi Ibrahim عليه السلام juga berketurunan Nabi Nuh عليه السلام. Nabi Sulaiman عليه السلام pula adalah anak Nabi Daud عليه السلام. Kedua-dua mereka itu telah dilantik menjadi raja. Nabi Ayyub, Nabi Yusuf dan Nabi Musa عليه السلام pula dikenali sebagai penyabar.

Namun begitu, yang disebut di sini adalah para Nabi yang diberikan kebaikan. Bagaimana pula kalau orang mukmin yang bukan Nabi atau Rasul? Mereka juga akan mendapat kebaikan kerana Allah ‎ﷻ tetap membalas kebaikan yang telah dilakukan oleh manusia. Ini disebut seterusnya dalam ayat ini.

وَكَذَٰلِكَ نَجْزِي الْمُحْسِنِينَ

Demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik.

Mereka yang melakukan kebaikan tetap diberikan dengan balasan yang baik. Nabi Ibrahim عليه السلام telah diberikan dengan berita gembira yang baginda akan mendapat anak. Baginda dikhabarkan terlebih dahulu sebelum mendapat anak dan cucu sebagai berita gembira bagi baginda.

Dan kemudian diberitahu terus yang anak dan cucunya akan dijadikan Nabi dan rasul. Ini adalah satu berita yang amat menggembirakan kerana waktu itu, Sarah (ibu Nabi Ishak عليه السلام) dan baginda sudah tua pada waktu mereka menerima berita gembira itu. Sebab itulah, apabila malaikat datang memberitahu kepada mereka yang mereka akan mendapat anak, mereka berasa amat hairan. Kisah ini ada disebut dalam ayat yang lain.

Dan di sini bermaksud, bukan sahaja mereka para nabi yang akan mendapat kebaikan. Bagi orang mukmin sejati, mereka juga akan mendapat kebaikan juga. Maka, lafaz وَكَذَٰلِكَ merangkumi semua orang yang baik.

Ini mengajar kita, jika kita terpaksa berkorban kerana Allah ‎ﷻ demi menyebar dan menjaga agama-Nya, maka kita akan mendapat balasan yang baik. Sebagai contoh, kadang-kadang kita ditinggalkan atau disisihkan oleh kawan kita semata-mata kerana kita mahu menjaga agama, atau kerana kita mahu memakai tudung, atau kita berazam untuk meninggalkan perkara dosa dan sebagainya. Maka, hendaklah kita yakin yang kita akan dibalas dengan kebaikan di atas pengorbanan kita itu.

Kena percaya dengan Allah ‎ﷻ tentang perkara ini. Percaya yang Allah ‎ﷻ akan balas dengan kebaikan. Mungkin kita hilang kawan sekarang, tetapi in sha Allah kita akan mendapat kawan yang lebih baik. Allah‎ ﷻ akan membalas dengan baik sesiapa yang melakukan ihsan. Ihsan itu adalah mereka yang memperbaiki agama mereka.


An’am Ayat 85:

وَزَكَرِيّا وَيَحيىٰ وَعيسىٰ وَإِلياسَ ۖ كُلٌّ مِنَ الصّٰلِحينَ

Sahih International

And Zechariah and John and Jesus and Elias – and all were of the righteous.

Malay

Dan (dari keturunannya juga ialah Nabi-nabi): Zakaria, dan Yahya, dan Isa, dan Ilyas; semuanya dari orang-orang yang soleh.

وَزَكَرِيَّا وَيَحْيَىٰ وَعِيسَىٰ وَإِلْيَاسَ

dan Zakaria, Yahya, Isa dan Ilyas.

Nabi Zakaria عليه السلام adalah pakcik kepada Maryam. Nabi Yahya عليه السلام pula adalah anak Nabi Zakaria عليه السلام. Nabi Isa عليه السلام pula adalah anak Maryam dan sepupu kepada Nabi Yahya عليه السلام. Ilyas عليه السلام pula adalah anak saudara Nabi Harun عليه السلام. Oleh sebab itu, boleh dilihat di sini bahawa para Nabi semuanya mempunyai tali kekeluargaan.

كُلٌّ مِّنَ الصّٰلِحِينَ

Semuanya termasuk orang-orang yang soleh.

Mereka semua adalah para Nabi yang mulia yang telah diberikan kelebihan oleh Allah ‎ﷻ. Ini menunjukkan bagaimana Nabi Ibrahim عليه السلام telah diberikan keturunan yang baik dan mulia.


An’am Ayat 86: Sambungan nama-nama Nabi daripada ayat sebelum ini.

وَإِسمٰعيلَ وَاليَسَعَ وَيونُسَ وَلوطًا ۚ وَكُلًّا فَضَّلنا عَلَى العٰلَمينَ

Sahih International

And Ishmael and Elisha and Jonah and Lot – and all [of them] We preferred over the worlds.

Malay

Dan (dari keturunannya juga ialah Nabi-nabi): Ismail, dan Alyasak dan Yunus, dan Lut; dan mereka itu semuanya, Kami lebihkan darjat mereka atas umat-umat (yang ada pada zamannya).

وَإِسْمٰعِيلَ وَالْيَسَعَ وَيُونُسَ وَلُوطًا

dan Ismail, Ilyasa’, Yunus dan Luth.

Sekarang nama anak Nabi Ibrahim عليه السلام yang seorang lagi pula disebut, iaitu Nabi Ismail عليه السلام. Nabi Luth عليه السلام adalah anak saudara Nabi Ibrahim عليه السلام. Sepatutnya bukanlah ‘keturunan’ kalau hendak dikirakan, tetapi dimasukkan juga dalam senarai ini kerana anak saudara kebiasaannya dimasukkan sebagai keturunan juga.

Tidaklah semestinya kalau dimasukkan dalam senarai, bermaksud termasuk dalam keturunannya. Seperti juga Iblis bukanlah malaikat, tetapi dalam kisah penyembahan kepada Nabi Adam عليه السلام, Iblis dimasukkan dalam senarai malaikat. Tetapi bukanlah dia termasuk dalam golongan malaikat pula kerana dia adalah daripada golongan jin.

وَكُلًّا فَضَّلْنَا عَلَى الْعٰلَمِينَ

Semuanya Kami lebihkan derajatnya di atas umat (di masanya),

Ditinggikan darjat mereka dengan diberikan pangkat kenabian kepada setiap mereka. Tidak ada darjat yang lebih tinggi bagi manusia daripada pangkat Nabi.

Apabila nama-nama Nabi ini disebut, puak Musyrikin Mekah mungkin tidak tahu pun nama-nama Nabi itu tetapi yang mengenali mereka adalah puak Yahudi. Tentulah mereka kehairanan bagaimana Nabi Muhammad ﷺ boleh tahu kerana mereka tahu yang Nabi Muhammad ﷺ itu berbangsa Arab dan bangsa Arab tidak ada pengetahuan tentang Nabi-nabi terdahulu.

Maka, ayat-ayat yang menyebut tentang senarai Nabi-nabi ini ditujukan kepada bangsa Yahudi yang hidup di zaman Nabi Muhammad ﷺ kerana mereka yang mengenali Nabi-nabi ini. Ini bermakna, puak Yahudi telah disentuh semasa Nabi ﷺ masih lagi di Mekah.

Ini adalah kerana sudah ada perhubungan antara puak Arab Mekah dan puak Yahudi di Madinah. Apabila puak Musyrikin Mekah telah kehabisan idea untuk menentang Nabi ﷺ, mereka telah pergi bertanya kepada kaum Yahudi yang pada waktu itu sudah bermastautin di Madinah (dikenali dengan nama Yathrib waktu itu).

Maka, Allah ‎ﷻ sudah mula sentuh tentang mereka. Sudah ada ayat-ayat yang menyebabkan mereka tertanya-tanya.


An’am Ayat 87:

وَمِن ءآبائِهِم وَذُرِّيّٰتِهِم وَإِخوٰنِهِم ۖ وَاجتَبَينٰهُم وَهَدَينٰهُم إِلىٰ صِرٰطٍ مُّستَقيمٍ

Sahih International

And [some] among their fathers and their descendants and their brothers – and We chose them and We guided them to a straight path.

Malay

Dan (Kami juga lebihkan darjat) sebahagian daripada datuk nenek mereka, dan keturunan mereka, dan mereka, dan keturunan mereka, dan saudara-saudara mereka; dan Kami telah pilih mereka, serta Kami tunjukkan mereka ke jalan yang lurus.

وَمِنْ ءآبَائِهِمْ

Dan Kami lebihkan (pula) darjat sebahagian daripada bapa-bapa mereka,

Merujuk kepada datuk-datuk Nabi-nabi yang telah disebut sebelum ini iaitu keturunan ‘atas’ mereka. Mereka telah diberikan dengan pangkat kenabian dan dinaikkan darjat mereka.

وَذُرِّيّٰتِهِمْ

dan keturunan mereka

Iaitu keturunan selepas mereka juga diberikan dengan darjat yang tinggi dengan dinaikkan menjadi Nabi. Ada terlalu ramai sampaikan tidak cukup tempat untuk disebut dalam Al-Qur’an.

وَإِخْوٰنِهِمْ

dan saudara-saudara mereka.

Ada ramai lagi para Nabi yang tidak disebut kerana mereka terlalu ramai. Ada pertalian persaudaraan antara mereka. Malah, para Nabi itu memang dikira bersaudara.

Ayat ini merujuk kepada ayat sebelum ini yang bermaksud semua mereka itu ditinggikan darjat dengan diberikan pangkat kenabian.

وَاجْتَبَيْنٰهُمْ

Dan Kami telah memilih mereka (untuk menjadi nabi-nabi dan rasul-rasul)

Allah ‎ﷻ memilih mereka kerana Allah ‎ﷻ tahu kelebihan yang ada pada mereka. Pemilihan mereka menjadi Nabi dan Rasul adalah ‘pemilihan khas’. Kalau kita ini menjadi umat Islam, ia hanyalah ‘pilihan am’ sahaja. Memang kita terpilih juga, tetapi setakat menjadi Muslim, tidaklah sampai jadi Nabi pula.

Perkataan ijtaba ini adalah satu perkataan yang unik. Kadang-kadang kita sendiri tidak tahu kelebihan diri kita. Tetapi Allah ‎ﷻ tahu kelebihan diri kita lebih daripada diri kita sendiri.

Untuk memahami maksud perkataan ijtaba ini, kita ambil satu perumpamaan. Katakanlah kita ini seorang yang mempunyai ijazah dalam bidang media. Tetapi oleh kerana tidak ada pekerjaan, kita sudah sanggup untuk bekerja apa sahaja yang mungkin di luar bidang kemahiran atau kelayakan kita. Suatu hari, kita ternampak sebuah iklan menawarkan pekerjaan sebagai “Graphic Designer” (Pereka Grafik). Kita memang tidak ada kelayakan, tetapi kita tidak ada peluang lain lagi. Maka, kita pun pergilah ke proses temuduga itu. Dalam temuduga itu, penemuduga telah menceritakan keperluan kerja sebagai seorang “Graphic Designer”. Dalam dia bercerita tugas-tugas yang perlu dilakukan, kita sudah mula rasa kita tidak sesuai kerana memang kita tidak layak disebabkan tiada kemahiran yang diperkukan. Kita mula merasakan yang kita tidak mampu melakukan tugas-tugas yang disebut itu. Di hujung temuramah itu, akhir sekali penemuduga telah menawarkan kerja “Graphic Designer” itu kepada kita. Tentulah kita kehairanan, kerana kita tahu kita tidak layak, bukan? Kita pun cakap kita tidak layak kepada penemuduga itu sendiri.

Tetapi penemuduga itu berkata: “Saya sudah lama menemuduga bakal pekerja. Walaupun anda rasa anda tidak sesuai, tetapi daripada pengalaman saya, saya tahu yang anda boleh buat kerja ini dan anda akan buat kerja ini dengan baik. Jangan takut, anda memang sesuai.”

Begitulah juga diri kita yang telah terpilih untuk membawa jalan sunnah ini. Kita pun tidak tahu bagaimana kita dipilih oleh Allah ‎ﷻ untuk menyebarkan dakwah ini. Tetapi Allah ‎ﷻ telah memilih kita. Kalau kita fikirkan kekurangan diri kita, memang kita rasa tidak layak.

Namun Allah ‎ﷻ Maha Mengetahui hamba-Nya. Jika Allah ‎ﷻ telah memilih kita, maka tentunya kita sesuai untuk menjalankan tugas yang telah dipertanggungjawabkan oleh Allah ‎ﷻ ini. Oleh itu, kita kena teruskan tugas ini, jangan rasa kita tidak layak.

Maka, berbalik semula kepada kisah para Nabi itu. Mereka telah ditinggikan darjat menjadi Nabi. Allah ‎ﷻ sendiri yang buat pemilihan itu dan itu adalah hak Allah ‎ﷻ untuk memilih sesiapa sahaja yang Dia kehendaki. Bukan mereka sahaja, tetapi ahli keluarga mereka juga telah mendapat nikmat itu. Ini adalah satu penghormatan yang amat tinggi. Alangkah besarnya hati apabila keturunan dan waris mereka ramai yang dilantik menjadi Nabi dan sama-sama bekerja untuk agama.

Namun begitu, ingatlah mereka asalnya mula berdakwah berseorangan. Seperti kita juga kadang-kadang bersendirian sahaja atas jalan sunnah. Dan kadang-kadang kita mulakan daripada kosong kerana kita tidak ada latar belakang pendidikan sekolah agama. Kena ingatlah yang bukan semua orang terus ada ilmu agama.

Mula-mula kita seorang sahaja yang belajar dalam keluarga kita. Mungkin kitalah seorang dalam keluarga kita yang mula belajar tafsir Al-Qur’an dan mula menjalani kehidupan berdasarkan sunnah. Kemudian kita mula ajak orang lain. Lama kelamaan, semakin ramai yang kenal sunnah dan mula untuk mendalami agama seperti kita juga. Walau bagaimanapun, ia dimulakan dengan diri kita terlebih dahulu.

وَهَدَيْنٰهُمْ إِلَىٰ صِرٰطٍ مُّسْتَقِيمٍ

dan Kami menunjuki mereka ke jalan yang lurus.

Apakah jalan yang lurus? Jalan yang lurus adalah jalan yang menuju kepada syurga. Menuju ke syurga adalah harapan setiap orang Muslim kerana di situlah tempatnya untuk kita bertemu dengan Allah‎ ﷻ.

Kita sebagai seorang Muslim hendaklah menyimpan niat untuk bertemu dengan Allah ‎ﷻ. Tetapi Allah ‎ﷻ hanya mahu bertemu dengan hamba-Nya di dalam syurga. Oleh sebab itu, untuk bertemu dengan Allah ‎ﷻ, maka kita hendaklah masuk ke dalam syurga terlebih dahulu. Untuk masuk ke dalam syurga, maka kita kena lalui jalan yang lurus.

Apakah yang boleh dimaksudkan dengan ‘jalan yang lurus’? Seperti telah disebut di dalam ayat Yaasin:61:

وَأَنِ اعْبُدُونِي ۚ هَٰذَا صِرَاطٌ مُسْتَقِيمٌ
dan hendaklah kamu menyembah-Ku. Inilah jalan yang lurus.

Daripada ayat ini, jelaslah kepada kita yang jalan yang lurus adalah dengan menyembah Allah ‎ﷻ sahaja. Dan hendaklah kita hanya beribadat dan hanya puja kepada Allah ‎ﷻbsahaja. Kalau kita sembah Allah ‎ﷻ, tetapi dalam masa yang sama kita sembah kepada entiti yang lain, itu bermaksud kita telah melakukan syirik kepada Allah ‎ﷻ.

Oleh itu, mereka yang sembah kepada sultan; pesilat yang sembah guru mereka, golongan Habib yang sembah kubur, bagaimana pula?

Maksud ‘sembah’ juga perlu diperluaskan. Kita memang tidak ‘sembah’ kepada entiti-entiti lain sepertimana orang Hindu sembah berhala mereka. Tetapi ‘sembah’ itu bermaksud beribadat, sayang, cinta, puja, taat kepada sesuatu perkara atau benda.

Maka, kalau kita beribadat dengan sedekah Fatihah kepada Nabi Muhammad ﷺ, itu juga dikira sebagai satu perbuatan yang syirik kerana baca Al-Qur’an adalah satu ibadah dan apabila kita lakukan ibadah kepada sesuatu yang selain Allah ‎ﷻ, itu adalah salah.

Pemahaman ini penting, kerana kalau kita sempitkan pemahaman ‘sembah’ itu kepada ‘sujud’ sahaja, maka itu adalah salah faham. Kerana salah faham inilah yang menyebabkan banyak masyarakat kita tidak rasa mereka telah membuat salah.

Apabila kita tegur mereka supaya jangan berdoa berdekatan dengan kubur untuk ambil ‘berkat’, mereka akan jawab: “Tapi kami tidak sembah kubur ini.” Memanglah mereka tidak sujud kepada kubur itu, tetapi apabila mereka merasakan di kubur seseorang itu akan menyebabkan doa mereka termakbul, itu adalah salah sama sekali.

Pemujaan hanya boleh dilakukan kepada Allah ‎ﷻ sahaaja. Maka, kalau ada pemujaan selain kepada Allah ‎ﷻ, itu adalah syirik. Sebagai contoh, ada dalam kalangan masyarakat kita yang memuja keris. Mereka mengadakan amalan-amalan tertentu untuk perasap keris itu dan juga membersihkannya dengan bahan-bahan tertentu pada hari-hari tertentu. Apa yang mereka lakukan adalah satu bentuk pemujaan yang mereka sendiri mungkin tidak sedar.

Ibadah juga hanya kepada Allah ‎ﷻ. Tidak boleh untuk beribadah kepada selain daripada Allah ‎ﷻ. Maka, jangan beri salam kepada makhluk yang ghaib daripada pandangan kita, seperti jin, wali, Nabi dan malaikat.

Seru kepada selain daripada Allah ‎ﷻ juga adalah kufur. Kita boleh seru mereka yang ada di hadapan kita, atau kita tahu mereka boleh dengar seruan kita. Tetapi kita tidak boleh seru yang ghaib selain Allah‎ﷻ . Sebagai contoh, kita tidak boleh seru Nabi, wali dan malaikat.

Kerana Nabi dan wali telah lama mati dan malaikat itu ghaib dengan kita. Malaikat tidak ada interaksi dengan kita. Malaikat hanya menurut perintah Allah ‎ﷻ. Berilah salam banyak mana pun, mereka tidak akan jawab salam dan tidak akan turut permintaan kita.

Begitu juga kalau kita lalu di kawasan hutan, jangan kita seru: “Datuk, minta izin, anak cucu nak lalu…” Malangnya, perbuatan syirik seperti ini masih lagi dilakukan sekarang kerana kejahilan yang masih tebal dalam kalangan orang kita.

Perkataan seru itu ialah apabila sebutan itu menggunakan perkataan ‘ya’ atau ‘wahai’ kepada yang ghaib selain Allah ‎ﷻ. Kalau kita kata “ya Allah” itu memang benar. Tetapi jika kita kata “ya Rasulullah”, itu adalah salah sama sekali.

Oleh itu seru kepada orang yang mati adalah satu perbuatan kufur. Termasuk juga sebagaimana yang terjadi pada hari ini apabila Tok-tok imam yang jahil membacakan talqin kepada si mati di kubur. Ini kerana semasa baca talqin itu, mereka menyeru orang dalam kubur sebenarnya. Perbuatan itu memang tidak pernah dibuat oleh Nabi dan para sahabat.

Ada orang yang marah bila kita kata sesuatu perbuatan itu adalah ‘kufur’. Mereka kata senang sangat kita tak mengafirkan orang. Tidakkah mereka tahu bahawa bukannya susah untuk menjadi kufur? Sebagaimana bukannya susah untuk menjadi seorang Islam, iaitu dengan kita sebut dua kalimah syahadah sahaja?

Dan juga bukannya susah untuk  seorang lelaki menjadi suami iaitu dengan kata ‘ya’ sahaja setelah diijab kabulkankan oleh wali wanita itu. Bukan perlu jawab penuh seperti apa yang dilakukan oleh pengantin-pengantin baru sekarang. Orang kita saja yang tidak berpuas hati apabila dijawab dengan jawapan pendek, maka mereka telah tambah dengan lafaz-lafaz yang tidak perlu. Bukanlah kita kata salah apa yang dilakukan sekarang ini. Cuma kalau dia jawab ‘ya’ sahaja pun sudah sah nikah itu.

Maka, kalau mudah untuk masuk Islam, mudah sahaja menjadi suami orang, maka ketahuilah, tidak susah untuk jatuh kufur. Salah fikir, salah cakap dan salah perbuatan sahaja, terus boleh menjadi kufur!

Doa pun hanya kepada Allah‎ ﷻ sahaja, tidak boleh doa kepada makhluk yang lain. Sebab itulah apabila masyarakat kita menggunakan perantaraan dalam doa mereka, bermakna mereka telah melakukan satu perkara yang amat salah. Sama sahaja dengan penganut Hindu yang menggunakan sami mereka sebagai perantaraan kepada tuhan mereka. Perantaraan ini dinamakan tawasul.

Inilah masalah-masalah yang dihadapi oleh masyarakat kita. Kefahaman mereka yang salah tentang makna ‘sembah’ dalam Islam itu telah menyebabkan mereka melakukan perkara-perkara yang syirik kerana mereka sangka mereka tidak buat salah pun.

Kerana mereka sangka, ‘sembah’ itu adalahh perbuatan rukuk atau sujud sahaja kepada berhala. Maka, apabila mereka tidak membuat perkara-perkara itu, mereka sangka mereka telah terselamat daripada melakukan syirik.

Ramai yang tidak faham apakah maksud la ilaaha illallah. Mereka hanya sangka maksudnya adalah “aku tidak sembah melainkan Allah”. Namun, sebenarnya maksud itu lebih banyak lagi. Ia boleh membawa maksud:

“Aku tidak akan puja selain Allah.”
“Aku tidak akan seru selain Allah.”
“Aku tidak akan buat ibadat kepada selain Allah.”
“Aku tidak akan berdo’a kepada selain Allah.”

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 10 Januari 2022


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Maariful Qur’an

Tafsir Surah al-An’am Ayat 79 – 82 (Jangan takut sembahan musyrikin)

An’am Ayat 79: Ada muqaddar (maklumat tambahan) di sini: Nabi Ibrahim عليه السلام ditanya jikalau baginda tidak menyembah bintang, bulan, matahari dan sebagainya, jadi apakah yang baginda sembah? Maka Nabi Ibrahim عليه السلام menjawab sebagaimana di dalam ayat ini.

إِنّي وَجَّهتُ وَجهِيَ لِلَّذي فَطَرَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ حَنيفًا ۖ وَما أَنا مِنَ المُشرِكينَ

Sahih International

Indeed, I have turned my face toward He who created the heavens and the earth, inclining toward truth, and I am not of those who associate others with Allah .”

Malay

“Sesungguhnya aku hadapkan muka dan diriku kepada Allah yang menciptakan langit dan bumi, sedang aku tetap di atas dasar tauhid dan bukanlah aku dari orang-orang yang menyekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain)”.

إِنِّي وَجَّهْتُ وَجْهِيَ

Sesungguhnya aku menghadapkan wajahku

Kenapa digunakan perkataan ‘wajah’ dalam ayat ini? Kerana pada wajah itu merangkumi semua pancaindera seperti penglihatan, pendengaran, percakapan, minda dan juga hati. Oleh itu ia bermaksud untuk memberikan sepenuh perhatian kepada apa yang kita hadapkan itu, iaitu zahir dan batin sekali sebagai hamba.

Kepada siapa Nabi Ibrahim عليه السلام hadapkan wajahnya dan dirinya?

لِلَّذِي فَطَرَ السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضَ

kepada yang menciptakan langit dan bumi,

Kalimah فَطَرَ bermaksud yang ‘mula-mula membuat’. Yang sebelum itu tidak dikenali lagi apa yang dibuat itu. Tidak ada benda yang sama yang ada sebelum itu, tidak ada contohnya.

Sebelum Allah ‎ﷻ mencipta langit dan bumi, tidak ada lagi makhluk seperti itu. Jadi Allah ‎ﷻ mencipta alam ini tanpa contoh. Jika dibandingkan dengan penciptaan kita, kita mungkin ada mencipta kereta jenis baru, tidaklah boleh dikatakan sebagai فَطَرَ kerana telah ada kereta yang dicipta sebelum itu. Jadi, kita cuma tiru sahaja apa yang telah ada.

Ayat ini bermaksud Nabi Ibrahim عليه السلام memberikan sepenuh perhatian kepada Allah ‎ﷻ yang telah mencipta dan menjadikan alam ini. Baginda mengingatkan semula yang Allah ‎ﷻlah yang mencipta alam ini, kerana umat baginda itu pun kenal Allah ‎ﷻ (sebagaimana Musyrikin Mekah pun kenal Allah ‎ﷻ).

حَنِيفًا

dengan keadaan lurus,

Kalimah ‘hanif’ itu bermaksud agama yang mengamalkan tauhid sahaja. Ini adalah maksud hanif yang pertama. Sememangnya Nabi Ibrahim عليه السلام adalah ikon tauhid.

Ia juga bermaksud seseorang yang fokus pada tujuannya dan tidak dialihkan oleh benda-benda lain. Maknanya Nabi Ibrahim عليه السلام fokus kepada menyembah Allah ‎ﷻ sahaja. Tentu sekali baginda tidak sembah selain dari Allah ‎ﷻ.

Ini mengajar kita bahawa dalam kita melakukan sesuatu benda yang penting, maka hendaklah kita fokus kepada apa yang kita lakukan. Jangan kita biarkan diri kita diganggu dengan perkara-perkara yang tidak penting.

Seperti juga kita kena fokus kalau kita buat kerja. Kalau kita tidak fokus, maka kita akan banyak membuang masa dengan melakukan perkara-perkara yang tidak penting. Sama juga apabila kita memandu kereta. Amat bahaya jika kita tidak memberikan perhatian yang sepenuhnya semasa kita memandu.

Masalah yang kita hadapi dalam zaman moden ini adalah kita senang diganggu oleh banyak perkara yang boleh menghilangkan fokus kita. Bahan hiburan terlalu banyak pada zaman sekarang jika dibandingkan dengan zaman dahulu. Dengan adanya TV, radio, Internet, YouTube dan banyak lagi.

Ia pula amat senang untuk dicari. Tidak perlu dicari pun sudah ada depan mata kita. Tidak sama dengan masyarakat zaman dahulu yang tidak dicemari dengan bahan-bahan seperti itu. Oleh kerana terlalu banyak sangat bahan hiburan, banyak masa kita terbuang dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Kita kena pandai untuk menghilangkan gangguan-gangguan itu. Kita tidak akan mencapai kejayaan jika kita tidak fokus di dalam tugas dan kerja.

Kadang-kadang pula, kita mahu melakukan berbagai-bagai perkara sampaikan kita tidak fokus kepada satu perkara manakala perkara yang penting itu tidak dapat pula dilakukan dengan sempurna. Apabila kita hendak melakukan banyak sangat perkara, maka satu perkara pun tidak dapat diselesaikan dengan baik.

Dan dalam beragama dan menjalani kehidupan, kita kena sentiasa fokus kepada Allah ‎ﷻ. Sebab itulah kita disuruh untuk berlatih khusyuk di dalam salat. Ia mengajar kita setiap hari untuk fokus kepada satu perkara. Kita disuruh untuk tidak memikirkan kepada benda lain melainkan kepada Allah ‎ﷻ sahaja semasa kita dalam salat. Sampaikan kita disuruh untuk melihat kepada tempat sujud sahaja – supaya bukan sahaja hati kita, tetapi mata kita pun fokus kepada satu tempat sahaja. Ini kerana kalau mata kita ke sana sini, ia akan hilang fokus.

Kita diberitahu di dalam ayat ini bahawa salah satu sebab kejayaan Nabi Ibrahim عليه السلام ialah kerana baginda fokus dalam ibadahnya dan di dalam dakwahnya. Fokus kepada Allah ‎ﷻ bermaksud kita ikhlas beribadat kepada-Nya; iaitu tidak ada perkara yang akan melencongkan kita daripada Allah ‎ﷻ.

وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ

dan aku bukanlah termasuk orang-orang yang mensyirikkan Tuhan.

Ayat ini menjelaskan kepada kita bahawa Nabi Ibrahim عليه السلام tidak pernah melakukan syirik. Ini adalah kerana penggunaan kata ما (bukan) dalam ayat ini. Apabila ما digunakan, ia bukan sahaja bermaksud ‘tidak’ tetapi ia juga menidakkan kata-kata orang lain tentang sesuatu.

Ini penting kerana ada agama-agama yang mengatakan Nabi Ibrahim عليه السلام pernah melakukan syirik. Sebagai contoh dalam Bible ada dikatakan yang Nabi Ibrahim عليه السلام telah melakukan syirik di hujung hayatnya. Maka, Allah ‎ﷻ hendak membersihkan nama Nabi Ibrahim عليه السلام dalam ayat ini.

Ia juga adalah tempelak kepada Musyrikin Mekah yang mengaku mereka mengikut ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام tetapi mereka mengamalkan syirik pula. Oleh sebab itu, ia tidak patut sekali kerana Nabi Ibrahim عليه السلام sendiri tidak mengamalkan syirik. Maka, mereka sahaja perasan bahawa mereka mengikut ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام.

Ayat ini mengajar kepada kita bahawa kita perlu menjauhkan diri daripada mereka yang melakukan syirik dan amalan-amalan syirik. Tidak kisah sama ada yang melakukan syirik itu adalah kawan baik kita atau ahli keluarga kita pun. Kita jangan ikut amalan syirik mereka walaupun kita duduk satu rumah dengan mereka. Jangan kita bekerjasama dengan mereka dalam melakukan syirik itu.

Memang sekarang dalam masyarakat kita amat ramai yang melakukan syirik. Kadang-kadang kita sampai rasa hanya kita sahaja yang mengamalkan tauhid kepada Allah ‎ﷻ. Namun begitu, janganlah kita patah semangat. Teruskan mengamalkan ajaran tauhid.

Oleh itu bayangkan bagaimana Nabi Ibrahim عليه السلام yang berseorangan di dalam menentang kaumnya yang melakukan syirik itu. Walaupun seluruh kaumnya melakukan syirik, tetapi baginda tidak bersama dengan mereka. Maka, jangan kita menggunakan alasan terlalu ramai yang mengamalkan syirik dan bid’ah sampai kita susah untuk mengamalkan agama.


An’am Ayat 80: Kaum baginda tidak beraqidah tauhid. Maka ada pertentangan antara dua golongan itu.

وَحاجَّهُ قَومُهُ ۚ قالَ أَتُحٰجّونّي فِي اللَّهِ وَقَد هَدانِ ۚ وَلا أَخافُ ما تُشرِكونَ بِهِ إِلّا أَن يَشاءَ رَبّي شَيئًا ۗ وَسِعَ رَبّي كُلَّ شَيءٍ عِلمًا ۗ أَفَلا تَتَذَكَّرونَ

Sahih International

And his people argued with him. He said, “Do you argue with me concerning Allah while He has guided me? And I fear not what you associate with Him [and I will not be harmed] unless my Lord should will something. My Lord encompasses all things in knowledge; then will you not remember?

Malay

Dan dia dibantah oleh kaumnya, dia pun berkata: “Patutkah kamu membantahku mengenai Allah, padahal sesungguhnya Dia telah memberi hidayah petunjuk kepadaku? Dan aku pula tidak takut (akan sebarang bahaya dari) apa yang kamu sekutukan dengan Allah, kecuali Tuhanku menghendaki sesuatu dari bahaya itu. (Sesungguhnya) pengetahuan Tuhanku meliputi tiap-tiap sesuatu, tidakkah kamu mahu (insaf) mengambil pelajaran?

وَحَاجَّهُ قَوْمُهُ

Dan dia dibantah oleh kaumnya.

Kaumnya membantah dan berhujah dengan baginda tentang tauhid. Setelah diberikan hujah yang amat kuat, kaumnya masih lagi membantah dan berhujah dengan baginda. Begitu degil mereka untuk menerima kebenaran. Ini adalah jenis manusia yang tidak mahu mendengar cakap orang. Jenis yang tidak mahu menggunakan akal yang Allah ‎ﷻ telah kurniakan.

Mereka tidak boleh terima yang Nabi Ibrahim عليه السلام tidak boleh menerima agama mereka. Sama juga seperti kita menegur masyarakat Islam di negara ini yang melakukan kesalahan dalam agama. Jika kita kata amalan-amalan mereka seperti nyanyian Qasidah, salat hajat berjemaah, majlis Tahlil, sambutan Maulid Nabi dan lain-lain amalan bid’ah itu semuanya salah, mereka akan bantah kita. Mereka tidak akan berpuas hati dengan kita.

Mereka hendak juga berhujah bahawa apa yang mereka amalkan itu adalah betul dan disukai oleh Allah ‎ﷻ. Pelbagai hujah mereka akan beri. Tetapi hujah mereka bukanlah daripada dalil yang sahih. Malahan berlawanan dengan Al-Qur’an dan Sunnah. Namun begitu oleh kerana mereka tidak belajar, mereka tidak tahu pun bahawa apa yang mereka buat itu berlawanan dengan apa yang diajar oleh Allah ‎ﷻ dan Nabi ﷺ.

Kaum Nabi Ibrahim عليه السلام juga menyatakan kepada baginda, jikalau baginda tidak beragama seperti mereka dan sembah sembahan mereka itu, baginda akan dikenakan dengan bala. Mereka kata: tuhan-tuhan itu akan buat sesuatu yang tidak elok kepada baginda. Maknanya, mereka hendak menakutkan Nabi Ibrahim عليه السلام. Mereka hendak kata bahawa berhala dan sembahan mereka itu ada kuasa untuk memberi mudarat.

Masyarakat kita yang sesat juga ada juga hendak menakut-nakutkan kita dengan perkara-perkara karut seperti itu. Katakanlah kita hendak merobohkan tempat sembahan mereka seperti kubur yang ada di Pulau Besar sekarang; mereka akan menakutkan kita dengan mengatakan bahawa kita akan dikenakan dengan bala. Padahal sememangnya kubur tempat sembahan masyarakat kita itu mestilah dirobohkan kerana selagi tidak dirobohkan, selagi itu masyarakat Islam di negara ini dan negara-negara lain akan datang untuk membuat syirik tidak habis-habis. Dulu dijadikan tempat sembahan puak tarekat, sekarang hendak dijadikan tempat sembahan puak-puak Habib pula. Puak-puak Habib pula mengajar masyarakat kita sembah kubur. Pernah terdapat golongan yang telah membuat pakej ‘pelancongan islamik’ iaitu pergi melawat kubur-kubur ke Pulau Besar itu.

IMG_20220110_105829_593

Walau bagaimanapun, alhamdulillah, akhir-akhir ini, masalah ini telah dapat dibendung. Sekarang sudah tiada lagi pemujaan kubur secara terang-terangan dilakukan di tempat-tempat tersebut. Pujian harus diberikan kepada usaha dan kempen pencegahan aktiviti khurafat berterusan yang telah dilakukan kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

IMG_20220110_111219_509

قَالَ أَتُحٰجُّونِّي فِي اللَّهِ

Dia berkata: “Apakah kamu hendak membantah dengan aku tentang Allah,

Nabi Ibrahim عليه السلام berhujah kepada kaumnya: Adakah kamu sanggup berbantah dengan aku tentang tauhid kepada Allah ‎ﷻ?

Lihatlah bagaimana Nabi Ibrahim عليه السلام telah menyebut nama Allah ‎ﷻ, bukan digunakan perkataan ربّ dalam bentuk umum lagi. Ini menunjukkan bahawa memang baginda telah kenal Allah ‎ﷻ. Dan sememangnya kaum baginda pun kenal Allah ‎ﷻ sebenarnya.

Baginda telah lama kenal nama Allah ‎ﷻ. Maka, tidak benarlah jika ada yang mengatakan bahawa Nabi Ibrahim عليه السلام lihat bintang, bulan dan matahari itu sebab ingin mencari Tuhan. Sebaliknya Nabi Ibrahim عليه السلام sememangnya sudah kenal Tuhan dan nama-Nya adalah Allah ‎ﷻ.

وَقَدْ هَدَانِ

sedangkan sesungguhnya Dia telah memberi petunjuk kepadaku”.

Sambung Nabi Ibrahim عليه السلام: “Takkan hendak sembah lain pula sedangkan Allah ‎ﷻ sendiri telah memimpin hatiku mengenali-Nya atas akidah tauhid?”

Ayat ini memberi isyarat kepada kita bahawa Allah ‎ﷻ telah memberi wahyu kepada baginda. Ini kerana Nabi Ibrahim عليه السلام menggunakan perkataan هَدَانِ (memberi hidayah kepadaku). Maknanya, Allah ‎ﷻlah yang telah mengajar baginda cara-cara berdakwah seperti yang telah dilakukannya dalam beberapa ayat sebelum ini. Allah ‎ﷻlah yang mengajar baginda bagaimana untuk bercakap dengan kaumnya itu.

Nabi Ibrahim عليه السلام berkata: Bagaimana kamu boleh lagi membantah aku tentang Allah ‎ﷻ sedangkan aku telah memberi hujah-hujah yang kukuh untuk membuktikan kebenaran-Nya?

Begitulah kaum Nabi Ibrahim عليه السلام. Dan begitu juga dengan puak-puak ahli bid’ah di negara ini. Setelah diberi hujah yang kukuh, masih lagi hendak bantah. Ini kerana hati mereka telah lama condong kepada kesyirikan.

وَلَا أَخَافُ مَا تُشْرِكُونَ بِهِ

Dan aku tidak takut kepada (malapetaka daripada) sembahan-sembahan yang kamu persekutukan dengan Allah,

Kaum Nabi Ibrahim عليه السلام telah mengancam baginda seperti yang telah disebut tadi. Mereka kata kalau baginda kutuk sembahan mereka, baginda akan ditimpa bala daripada tuhan-tuhan mereka itu. Sebagaimana golongan musyrik negara kita yang kata tok wali mereka akan sumpah kita.

Nabi Ibrahim عليه السلام kata baginda tidak takut kepada ancaman mereka kerana tuhan-tuhan sembahan mereka itu tidak boleh mengenakan apa-apa langsung kepada diri baginda.

Begitu juga kita kena ada akidah sebegitu. Jika ada tempat sembahan syirik di negara kita, kita sepatutnya mesti musnahkan tanpa rasa takut. Ini perlu dilakukan kerana penting untuk menjaga akidah umat Islam. Maka, kalau kita musnahkan, maka jangan takut kalau-kalau kita kena penyakit, menjadi gila, busung perut dan sebagainya.

Mereka yang ada perasaan takut seperti itu adalah mereka yang ada kepercayaan khurafat dalam diri mereka. Kita kena yakin yang tidak ada apa-apa entiti yang ada kuasa untuk beri mudarat kepada kita jika Allah ‎ﷻ tidak mengizinkan.

Memang orang beriman selalu ditakut-takutkan oleh mereka yang tidak beriman. Antaranya mereka kata, kalau kita hantar anak kita belajar sekolah agama, belajar Al-Qur’an dan hadith nanti apa mereka hendak kerja nanti, mereka akan susah dapat kerja; kalau pakai tudung tutup aurat, susah dapat suami; kalau tidak amalkan riba, susah kita hendak beli rumah dan macam-macam lagi; jangan kita hiraukan dengan kata-kata mereka.

إِلَّا أَن يَشَاءَ رَبِّي شَيْئًا

kecuali Tuhanku menghendaki sesuatu (dari malapetaka) itu.

Kecuali kalau Allah ‎ﷻ sendiri yang mahu mengenakan bala ke atas kita, maka kita akan dikenakan bala itu kerana tidak ada kuasa apa-apa pun selain daripada Allah ‎ﷻ yang boleh mengenakan bala kepada kita. Maka jangan kita percaya kalau kita menyatakan kesyirikan sembahan tuhan orang kafir itu, kita boleh terkena bala. Kita kena hanya takut kepada Allah ‎ﷻ sahaja.

Kalau kita buat benda yang baik, tetapi masih dikenakan dugaan, dikenakan bala, maka hendaklah kita terima itu sebagai ujian daripada Allah ‎ﷻ kerana Allah ‎ﷻ memang sudah beritahu kita yang Dia akan memberikan ujian kepada kita selagimana kita hidup di dunia ini.

Dan sesuatu perkara itu tidak akan terjadi tanpa kehendak Allah ‎ﷻ dan izin Allah ‎ﷻ. Maka Allah ‎ﷻ memang sudah tetapkan bahawa kita akan diuji. Memang itulah yang akan kita dapat dari masa ke semasa.

وَسِعَ رَبِّي كُلَّ شَيْءٍ عِلْمًا

Ilmu Tuhanku meliputi segala sesuatu.

Ilmu pengetahuan Allah ‎ﷻ meliputi segala sesuatu. Apa-apa sahaja yang terjadi kepada kita, Allah ‎ﷻ tahu kerana Allah ‎ﷻlah yang melakukannya.

Jangan pula kita percaya daripada ayat ini yang Dzat Allah ‎ﷻ ‘meliputi alam’ ini. Kerana yang dimaksudkan ‘meliputi’ itu adalah ilmu Allah. Oleh kerana salah faham, ada yang kata Allah ‎ﷻ ada di mana-mana. Itu sebenarnya sudah menghina Allah ‎ﷻ – kerana kalau Allah ‎ﷻ ada di mana-mana, tentu Allah ‎ﷻ ada dalam poket kita, dalam rumah kita, dalam tandas kita dan sebagainya. Maka tolaklah fahaman itu.

Apabila seseorang itu ada tauhid, beriman benar dengan Allah ‎ﷻ, maka dia akan menjadi yakin. Dia tahu bahawa tidak ada apa-apa pun yang boleh memudaratkan dirinya tanpa izin Allah ‎ﷻ. Maka dia tidak takut kepada hantu, kepada jin, kepada ancaman manusia dan sebagainya.

Yang kita perlu takut hanyalah kepada Allah ‎ﷻ. Jin dan syaitan memang suka kalau kita takut kepada mereka, kepada hantu dan sebagainya. Apabila kita disuruh takut hanya kepada Allah ‎ﷻ, tetapi jika kita lebih takut hantu daripada Allah ‎ﷻ, maka ada masalah dalam akidah kita.

أَفَلَا تَتَذَكَّرُونَ

Maka kenapakah kamu tidak dapat mengingati?”

Untuk kita ‘ingat’ sesuatu, mulanya hendaklah kita ada benda yang perlu diingati, bukan? Iaitu kita telah tahu sesuatu perkara itu, cuma perlu diingatkan sahaja, bukan? Maka, kenapa perkataan تَتَذَكَّرُونَ digunakan dalam ayat ini?

Ini adalah kerana manusia telah kenal Allah ‎ﷻ semasa dalam alam roh lagi. Fitrah kita sebagai manusia adalah kenal Allah ‎ﷻ. Cuma kita sahaja lupa setelah dilahirkan dalam dunia ini. Maka, ajaran semua Nabi dan Rasul adalah untuk mengingatkan kembali kita kepada fitrah kita itu.


An’am Ayat 81:

وَكَيفَ أَخافُ ما أَشرَكتُم وَلا تَخافونَ أَنَّكُم أَشرَكتُم بِاللَّهِ ما لَم يُنَزِّل بِهِ عَلَيكُم سُلطٰنًا ۚ فَأَيُّ الفَريقَينِ أَحَقُّ بِالأَمنِ ۖ إِن كُنتُم تَعلَمونَ

Sahih International

And how should I fear what you associate while you do not fear that you have associated with Allah that for which He has not sent down to you any authority? So which of the two parties has more right to security, if you should know?

Malay

“Dan bagaimanakah aku hendak takutkan apa yang kamu sekutukan dengan Allah itu (yang tidak dapat mendatangkan sesuatu bahaya), padahal kamu tidak takut bahawa kamu telah sekutukan Allah dengan sesuatu yang Allah tidak menurunkan sebarang keterangan kepada kamu mengenainya? Maka yang manakah di antara dua puak itu yang lebih berhak mendapat keamanan (dari bahaya), jika betul kamu mengetahui?”

وَكَيْفَ أَخَافُ مَا أَشْرَكْتُمْ

Bagaimana aku takut kepada sembahan-sembahan yang kamu persekutukan (dengan Allah),

Kenapa pula kita hendak takut kepada ilah-ilah sembahan mereka? Kita tidak boleh takut kepada selain daripada Allah ‎ﷻ. Jika kita takut kepada selain daripada Allah ‎ﷻ, maka itu adalah syirik kerana kita percaya bahawa ada benda lain selain daripada Allah‎ ﷻ yang boleh memberi mudarat kepada kita.

وَلَا تَخَافُونَ

padahal kamu tidak takut

Takkan kita hendak takut kepada sembahan syirik mereka tetapi mereka tidak takut pula dengan Allah ‎ﷻ yang Maha Kuasa? Ilah mereka tidak boleh membuat apa-apa, tetapi Allah ‎ﷻ memang mampu untuk buat segala-galanya.

أَنَّكُمْ أَشْرَكْتُم بِاللَّهِ

Sesungguhnya kamu mempersekutukan Allah

Sungguh menghairankan bagaimana mereka hendak menakutkan Nabi Ibrahim عليه السلام dengan sembahan mereka tetapi mereka tidak takut pun dengan perbuatan mereka mensyirikkan Allah‎ﷻ .

Dalam ayat ini, Nabi Ibrahim عليه السلام dengan jelas memberitahu kepada kaumnya yang mereka itu telah melakukan syirik. Maka, kenapa kita takut untuk menegur masyarakat kita tentang amalan syirik mereka? Kita kena berani cakap kepada mereka. Jia kita tidak cakap, mereka tidak tahu dan terus dalam kesesatan. Apabila mereka tidak tahu, mereka akan terus melakukan perbuatan syirik itu.

مَا لَمْ يُنَزِّلْ بِهِ عَلَيْكُمْ سُلْطٰنًا

yang Allah sendiri tidak menurunkan hujah kepadamu

Perkataan سُلْطَانًا bermaksud ‘dalil’. Apabila kita buat sesuatu amalan atau kefahaman, kenalah ada dalil yang sah. Tidak boleh kita memandai-mandai reka hal agama. Namun amat malang sekali, banyak masyarakat kita buat amalan tanpa dalil. Sama ada dalil aqli atau dalil naqli.

فَأَيُّ الْفَرِيقَيْنِ أَحَقُّ بِالْأَمْنِ

Maka manakah di antara dua golongan itu yang lebih berhak memperoleh keamanan

Dua golongan yang dimaksudkan itu adalah Nabi Ibrahim عليه السلام dan pihak Musyrikin daripada kaumnya. Antara puak syirik dan puak tauhid.

‘Aman’ bermaksud apabila kita rasa tenang daripada sesuatu yang kita tidak nampak dan perkara-perkara ghaib. Bukankah kita selalu takut dengan perkara-perkara yang kita tidak nampak?

Di antara dua golongan ini manakah yang lebih layak mendapat keamanan daripada murka Allah ‎ﷻ, daripada azab Allah ‎ﷻ? Bagaimana pihak musyrikin akan dapat berasa aman jika mereka sentiasa takut dengan perkara yang tidak benar?

Orang yang membuat syirik tidak berasa tenang, tidak aman. Aman hanya datang daripada iman. Mereka mungkin duduk senang dan selamat dalam rumah mereka, tetapi hati mereka tidak aman.

إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

jika kamu mengetahui?

Tentulah yang berada di atas jalan tauhid itu lebih aman. Mereka akan tenang sahaja walau apa yang terjadi kepada mereka. Untuk mengetahui, kenalah belajar. Kenalah belajar agama sampai faham.


An’am Ayat 82: Ayat ini adalah jawapan kepada ayat sebelum ini tentang siapakah yang lebih layak mendapat aman daripada dua golongan? Allah ‎ﷻ jawab soalan itu dalam ayat ini. Jadi ini adalah ayat jenis idkhal ilahi (Allah ‎ﷻ selit maklumat baru).

الَّذينَ ءآمَنوا وَلَم يَلبِسوا إيمٰنَهُم بِظُلمٍ أُولٰئِكَ لَهُمُ الأَمنُ وَهُم مُّهتَدونَ

Sahih International

They who believe and do not mix their belief with injustice – those will have security, and they are [rightly] guided.

Malay

Orang-orang yang beriman dan tidak mencampur adukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan merekalah orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.

الَّذِينَ ءآمَنُوا

Orang-orang yang beriman

Orang yang mendapat keamanan adalah orang yang beriman, iaitu yang ‘beriman sempurna’. Mereka yang ‘beriman sempurna’ itu adalah mereka yang tidak melakukan syirik.

Ini penting kerana ada masyarakat yang memang beriman, di mana mereka memang percaya kepada Allah ‎ﷻ, kepada Nabi dan sebagainya, tetapi dalam masa yang sama, mereka percaya kepada perkara khurafat, tahyul dan sebagainya. Maka, iman yang sebegini bukanlah jenis yang ‘beriman sempurna’. Sia-sia sahaja iman mereka kerana hakikatnya mereka sedang melakukan syirik kepada Allah ‎ﷻ. Mereka yang sebegini tidak akan selamat di akhirat.

Dan yang masyarakat kita paling kurang tahu adalah tentang doa hanya kepada Allah ‎ﷻ. Oleh kerana tidak tahu tentang perkara ini, maka ramai yang berdoa melalui Nabi, wali dan malaikat untuk menyampaikan doa kepada Allah ‎ﷻ. Ini dinamakan tawasul.

وَلَمْ يَلْبِسُوا إِيمٰنَهُم بِظُلْمٍ

dan tidak mencampur adukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik),

Makna perkataan ظ ل م adalah ‘tidak memberi hak kepada yang berhak’. Sebagai contoh, jika kita sebagai suami tidak memberikan hak kepada isteri kita, maka kita akan dianggap sebagai zalim. Atau seorang pemimpin tidak memberikan hak kepada rakyatnya, dia pun akan dikira sebagai zalim juga. Namun, apakah maksud yang hendak dibawa dalam ayat ini?

Di sini ia bermaksud orang yang selamat adalah mereka yang tidak mencampur adukkan iman dengan syirik. Ini kerana ada orang Islam yang beriman dengan perkara yang perlu diimani, tetapi dalam masa yang sama, mereka ada membuat syirik juga.

Kita tahu bahawa Allah ‎ﷻlah sahaja yang berhak disembah. Tidak boleh kita sembah dan menghambakan diri kepada selain Allah ‎ﷻ. Namun begitu masih ramai lagi yang menyembah selain Allah ‎ﷻ. Itu bermakna, mereka tidak memberikan hak Allah ‎ﷻ sepenuhnya. Oleh kerana apabila manusia tidak memberikan hak Allah ‎ﷻ, maka mereka sebenarnya telah melakukan ‘kezaliman’.

Oleh itu, kezaliman yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah ‘kesyirikan’. Itulah yang kita katakan sebelum ini, ramai yang beriman, tetapi mereka tidak beriman dengan sempurna kerana mereka mencampur adukkan iman mereka kepada Allah ‎ﷻ dengan iman mereka kepada selain Allah ‎ﷻ.

Perkataan يَلْبِسُوا berasal daripada katadasar ل ب س yang bermaksud ‘mencampur-adukkan’. Orang yang mencampur-adukkan itu percaya kepada Allah ‎ﷻ dan dalam masa yang sama percaya kepada selain Allah ‎ﷻ, maka mereka telah melakukan kezaliman dan kesyirikan. Mereka mencampur adukkan iman kepada Allah ‎ﷻ dan iman kepada selain Allah ‎ﷻ. Banyak contoh telah kita berikan dalam tulisan-tulisan kita sebelum ini.

Sebagai contoh, ada yang percaya yang Nabi Muhammad ﷺ yang telah wafat itu boleh lagi mendengar seruan kita, maka ada dalam kalangan masyarakat kita yang tidak segan silu telah meminta syafaat baginda dan bermacam permintaan lagi. Mereka sangka dan beriktikad yang Nabi Muhammad ﷺ masih hidup lagi (fahaman hayati [Nabi masih ada hayat]). Ini adalah fahaman yang salah dan tidak diterima oleh kita.

Itu adalah satu bentuk ‘mencampur-adukkan’ iman mereka kerana sepatutnya mereka tahu bahawa hanya Allah ‎ﷻ sahaja entiti ghaib yang dapat mendengar kita. Oleh itu, jika kita seru kepada selain Allah ‎ﷻ, maka kita telah menyamakan satu sifat Allah ‎ﷻ kepada makhluk (Maha Hidup dan Maha Mendengar). Itu juga adalah syirik. Lainlah kalau kita seru seseorang yang ada di hadapan kita, itu adalah normal. Oleh sebab itu, ingatlah bahawa Nabi Muhammad ﷺ tidak mendengar seruan kita.

Orang yang zalim dalam dunia ini tidak akan merasa aman di dunia dan juga di akhirat. Jika dalam dunia ini mereka dikenakan dengan masalah-masalah kecil yang mereka tidak suka, dan mereka akan berrasa resah gelisah. Mereka akan berasa tidak tenang sahaja semasa di dunia. Allah ‎ﷻ tidak memberikan ketenangan kepada mereka. Tetapi jika masalah yang sama dikenakan kepada orang beriman, mereka akan berasa tenang sahaja. Mereka akan berasa aman sahaja.

Sebagai contoh, selalu sahaja kita mengalami krisis harga barang naik dan subsidi petrol telah dikurangkan. Untuk orang tidak beriman, mereka akan melalak keliling kampung menceritakan tentang ketidakpuasan hati mereka. Tetapi kepada mereka yang beriman, mereka sabar sahaja dan tenang sahaja kerana mereka tahu yang semua ini adalah ujian daripada Allah ‎ﷻ.

Apabila kita ada iman dan aman dalam hati kita, maka ia akan menyebabkan aman di luar. Kita akan jadi ‘duta keamanan’ kepada orang lain juga di mana kita akan bermuamalat (berhubungan) dengan baik dengan orang lain; kita tidak mengganggu kehidupan orang lain, kita tidak sakitkan hati orang lain dan sebagainya. Maka, keamanan dunia akan dapat dicapai kalau semua orang beriman. Malangnya, tidak ramai yang mahu beriman.

Kezaliman yang paling besar adalah melakukan syirik kepada Allah‎ ﷻ tetapi mereka yang melakukan kezaliman kepada makhluk lain pun akan berasa resah gelisah juga. Contohnya, mereka akan berasa takut sahaja jika mereka akan dibalas dengan kezaliman yang telah mereka lakukan kepada orang lain itu. Allah ‎ﷻ tidak akan memasukkan rasa aman ke dalam hati mereka.

Apabila ayat ini diturunkan kepada Nabi ﷺ dan para sahabat, para sahabat yang mendengarnya merasa amat risau sekali, kerana mereka tahu yang serba sedikit mereka pun ada juga melakukan kezaliman. Jika tidak kezaliman kepada orang lain, tentu mereka ada melakukan kezaliman kepada diri sendiri. Mereka pun sudah menjadi resah gelisah.

Maka Nabi ﷺ memberitahu mereka bahawa kezaliman yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah kezaliman kepada Allah iaitu melakukan syirik kepada Allah ‎ﷻ lalu, Nabi ﷺ membacakan sepotong ayat daripada Luqman:13

إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ
sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar“.

Konteks ayat ini adalah mengenai kesyirikan yang dilakukan oleh kaum Nabi Ibrahim عليه السلام. Oleh itu, ‘zalim’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah zalim kepada Allah ‎ﷻ, iaitu syirik.

Ramai yang tidak tahu bahawa zalim juga membawa maksud syirik. Ini termasuk juga para sahabat pada mulanya seperti yang disebut dalam sebuah hadith:

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: لَمَّا نَزَلَتْ: {الَّذِينَ آمَنُوا وَلَمْ يَلْبِسُوا إِيمَانَهُمْ بِظُلْمٍ} [الْأَنْعَامِ: 82] ، شَقَّ ذَلِكَ عَلَى أَصْحَابِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وسلم، وَقَالُوا: أَيُّنَا لَمْ يَلْبس إِيمَانَهُ بِظُلْمٍ؟ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “أنه لَيْسَ بِذَاكَ، أَلَا تَسْمَعَ إِلَى قَوْلِ لُقْمَانَ: {يَا بُنَيَّ لَا تُشْرِكْ بِاللَّهِ إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ}
Daripada Abdullah yang menceritakan bahawa ketika diturunkan firman-Nya: Orang-orang yang beriman dan tidak mencampuradukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik). (Al-An’am: 82) Hal itu terasa berat bagi para sahabat Nabi ﷺ kerana mereka berkata, “Siapakah di antara kita yang tidak mencampuri imannya dengan perbuatan zalim (dosa).” Maka Rasulullah ﷺ bersabda, “Bukan demikian yang dimaksud dengan zalim. Tidakkah kamu mendengar ucapan Luqman: ‘Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar.’ (Luqman: 13)
(HR. Bukhari No. 4776, 6918)

Satu lagi tafsir kepada ‘zalim’ dalam ayat ini adalah zalim dalam bentuk umum iaitu perbuatan zalim kepada orang lain serta perbuatan melanggar hukum Allah ‎ﷻ. Maka, perbuatan itu juga adalah zalim, sama ada zalim kepada orang lain atau kepada diri sendiri. Maka, boleh sahaja kalau kita terjemah ‘zalim’ itu dalam bentuk umum.

Yang paling utama, jangan zalim kepada Allah ‎ﷻ dan kemudian secara umumnya jangan zalim kepada makhluk.

Ayat ini juga mengajar kita yang orang yang beriman pun boleh berbuat syirik juga. Dia sangka dia sudah beriman dan sudah selamat, tetapi sebenarnya imannya tidak sempurna! Dia beriman, namun dalam masa yang sama, dia membuat syirik. Maka, ini adalah masalah besar dalam kalangan masyarakat kita kerana mereka belajar apa yang perlu diimani, tetapi tidak belajar apa yang perlu ditinggalkan, iaitu syirik. Ini menunjukkan betapa tidak kemas pembelajaran agama tentang bab Tauhid di negara kerana telah menyebabkan banyak pemahaman mengenai ajaran Tauhid menjadi tidak sempurna dan bercampur aduk. Sedangkan Tauhid adalah perkara yang paling penting dan asas dalam kesempurnaan iman seseorang agar tidak terjerumus ke dalam neraka yang berkekalan.

أُولَٰئِكَ لَهُمُ الْأَمْنُ

mereka itulah yang mendapat keamanan

Mereka yang tidak mencampurkan iman dengan syirik akan merasa aman. Apa sahaja yang berlaku pada mereka yang beriman, mereka akan berasa aman. Walau apa sahaja yang terjadi kepada mereka dalam kehidupan dunia ini. Sama ada kesusahan atau kesenangan, sakit atau sihat, kemiskinan atau kekayaan, atau diduga kehilangan hartabenda atau orang yang tersayang. Hanya nikmat ketenangan dan keamanan Allah ‎ﷻ titipkan ke dalam hati mereka yang beriman sempurna.

Bukankah kita mahukan keamanan dan ketenangan ini? Betapa ramai kita lihat mereka yang diberikan segala kekayaan, kesenangan dan kemewahan hidup namun tidak mendapat ketenangan dan keamanan dalam hati mereka?

وَهُم مُّهْتَدُونَ

dan mereka itu adalah orang-orang yang mendapat petunjuk.

Mereka akan diberikan dengan taufiq dan hidayah. Dengan taufiq dan hidayah itu, mereka akan menjalani kehidupan yang terpimpin.

Mereka yang zalim tidak akan mendapat taufiq dan ini adalah sebesar-besar bala kepada mereka. Amalan dan fahaman mereka akan lebih menjerumuskan mereka ke dalam neraka. Mereka sangka mereka telah tahu tentang hal agama, tetapi sebenarnya tidak. Mereka sangka mereka selamat, tetapi malangnya tidak.

Habis Ruku’ 9 daripada 20 ruku’ dalam surah ini.

Allahu a’lam. Lompat ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 10 Januari 2022


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Maariful Qur’an

Tafsir Surah al-An’am Ayat 75 – 78 (Dakwah guna logik)

An’am Ayat 75:

وَكَذٰلِكَ نُري إِبرٰهيمَ مَلَكوتَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ وَلِيَكونَ مِنَ الموقِنينَ

Sahih International

And thus did We show Abraham the realm of the heavens and the earth that he would be among the certain [in faith]

Malay

Dan demikianlah Kami perlihatkan kepada Nabi Ibrahim kebesaran dan kekuasaan (Kami) di langit dan di bumi, dan supaya menjadilah ia dari orang-orang yang percaya dengan sepenuh-penuh yakin.

 

وَكَذَٰلِكَ نُرِي إِبْرٰهِيمَ

Dan demikianlah Kami perlihatkan kepada Ibrahim

Apabila perkataan كَذَٰلِكَ digunakan dalam ayat ini, ia menunjukkan ada kaitan ayat ini dengan ayat sebelumnya. Ini hendak menunjukkan bahawa Nabi Ibrahim عليه السلام telah ditunjukkan dengan kesalahan yang dilakukan oleh kaumnya. Dan selain daripada itu, Nabi Ibrahim عليه السلام juga telah ditunjukkan dengan kehebatan Allah ‎ﷻ.

Perkataan نُرِي bermaksud Nabi Ibrahim عليه السلام telah ‘diperlihatkan’. Ru’yah (penglihatan) ada dua jenis: Satu dengan mata dan satu lagi dengan ilmu. Sebagai contoh, ada barang yang kita boleh tunjukkan kepada orang lain. Dan kadang-kadang kita boleh berikan penerangan tentang sesuatu perkara sahaja dan orang lain boleh faham walaupun dia tidak melihat pun benda itu. Sebagai contoh, kita boleh tunjukkan kawan kita atau kita boleh ceritakan bagaimana rupa kawan kita kepada orang lain. Maknanya, kita diberikan pemahaman sahaja.

Apabila perkataan نُرِي digunakan, ia bermaksud kedua-dua jenis ru’yah itu telah diberikan kepada Nabi Ibrahim عليه السلام. Ini bermakna, bukan sahaja Nabi Ibrahim عليه السلام telah ditunjukkan dengan kehebatan yang ada pada alam ini, tetapi ia juga ‘diterangkan’ kepada baginda apakah maksud yang ada pada alam ini sehingga baginda faham dengan amat jelas.

Sebagai contoh, kita mempunyai sebuah mesin. Kepada satu orang, kita tunjukkan sahaja rupabentuk mesin itu dan kepada seorang yang lain pula, bukan sahaja kita tunjukkan mesin itu kepadanya, tetapi kita tunjuk sekali apakah mesin itu boleh buat dan bagaimanakah cara untuk mengendalikannya. Tentulah orang yang ditunjukkan cara menggunakan mesin itu lebih faham daripada orang yang melihatnya sahaja.

Begitu juga dengan alam ini. Semua orang boleh nampak alam ini, bukan? Namun bukan semua orang boleh faham apakah maksud alam ini. Ini adalah kerana mereka hanya melihat, tetapi mereka tidak memikirkan tentang alam ini. Nabi Ibrahim عليه السلام telah ditunjukkan dengan kehebatan alam ini yang bermakna baginda telah diangkat (mi’raj) oleh Allah ‎ﷻ. Baginda telah menerima kedudukan sebagai Nabi dan baginda telah kenal Allah ‎ﷻ.

 

مَلَكُوتَ السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضِ

tanda-tanda keagungan (Kami yang terdapat) di langit dan bumi

Perkataan مَلَكُوتَ diambil daripada katadasar ملك yang bermaksud ‘kekuasaan’ dan ‘kerajaan’. Tetapi apabila ditambah huruf و dan ت dalam perkataan itu, ia menunjukkan kepada isim mubalagah, iaitu ia bukanlah kerajaan yang biasa, iaitu ditunjukkan keseluruhan kerajaan Allah ‎ﷻ kepada Nabi Ibrahim عليه السلام. Apa sahaja yang Allah ‎ﷻ ciptakan.

Dan perkataan مَلَكُوتَ ini hanya digunakan untuk Allah ‎ﷻ sahaja kerana kerajaan segalanya adalah hanya hak milik Allah ‎ﷻ. Tidak ada lain yang memilikinya. Allah ‎ﷻ telah menjadikan alam ini supaya kita melihatnya dan dapat pemahaman bahawa alam ini menunjukkan kepada kewujudan Allah ‎ﷻ.

Namun malangnya, apabila sampai istilah ini kepada puak tarekat, maka banyaklah tafsir mereka sebut ‘Alam Malakut’, ‘Alam Jabbarut’ dan macam-macam lagi. Maka terngangalah anak-anak murid yang berguru dengan guru tarekat itu. Mereka tidak tahu pun apakah Alam Malakut itu. Mereka pandai sebut sahaja. Rupanya ia adalah kekuasaan dan kerajaan Allah ‎ﷻ.

Ada masalah pentafsiran kebanyakan orang tentang ayat ini. Ada yang kata bahawa ayat ini hendak menceritakan ‘Perjalanan Rohani’ Nabi Ibrahim عليه السلام. Mereka kata yang inilah ayat yang menceritakan bagaimana Nabi Ibrahim عليه السلام dipertunjukkan dengan bintang, bulan dan kemudian matahari.

Apabila baginda melalui proses itu, mereka kata akhirnya Nabi Ibrahim عليه السلام berjaya menemui Tuhan. Itu adalah pentafsiran yang salah. Jangan kita terpedaya dengan pentafsiran yang sebegini. Nanti akan dibincangkan di dalam ayat-ayat yang seterusnya.

 

وَلِيَكُونَ مِنَ الْمُوقِنِينَ

agar dia termasuk daripada golongan orang-orang yang yakin.

Ditunjukkan semua kehebatan Allah ‎ﷻ kepada baginda, supaya baginda yakin bahawa entiti-entiti lain yang disembah oleh kaumnya itu adalah salah belaka.

Ini menunjukkan bahawa Nabi Ibrahim عليه السلام telah ada iman, tetapi ditunjukkan segala kerajaan itu supaya baginda menjadi ‘yakin’. Itu adalah tingkatan yang lebih tinggi daripada ‘iman’. Sebagai contoh, ramai yang tahu bahawa Al-Qur’an itu daripada Allah ‎ﷻ. Namun apabila seseorang itu belajar Al-Qur’an, belajar tafsir, barulah dia mendapat ‘keyakinan’ yang tinggi pada kehebatan Al-Qur’an itu.

Ini kerana kebenaran yang ditulis dalam Al-Qur’an itu semakin jelas dan semakin jelas apabila kita mempelajarinya. Kita boleh lihat bagaimana apa yang disebut dalam Al-Qur’an itu terjadi di hadapan mata kita. Ini adalah proses yang berpanjangan.

Apabila kita belajar tafsir Al-Qur’an dan kita melihat bagaimana segala apa yang Allah ‎ﷻ beritahu kepada kita dalam Al-Qur’an itu benar-benar terjadi di hadapan mata kita maka kita akan mendapat ‘yakin’ yang bertambah dari masa ke semasa.

Yakin itu datang selepas iman. Oleh itu, kena ada iman sebelum datangnya ‘yakin’. Apabila kita melihat alam ini, maka kita akan sampai kepada satu pemahaman tauhid yang yakin iaitu melihat kebenaran dengan betul.

Jka seorang Nabi pun melalui proses melihat dan memikirkan tentang alam, maka kita pun kena buat juga begitu supaya kita pun sampai kepada tahap yakin itu. Ayat ini juga mengajar kita yang kita dapat yakin dengan cara melihat dan mengkaji dalil kerana kita tentunya tidak diberikan dengan isra’ dan mi’raj.

Bila dapat tahu dalil, barulah datang keyakinan itu. Maka kita lihat apa yang berlaku di alam luar dan rujuk semula ayat-ayat Al-Qur’an. Kita akan lihat ada kesamaan dan kebenarannya, maka akan datang keyakinan kepada kita. Segala yang disebut dalam Al-Qur’an ada pada alam; dan apa yang ada pada alam disebut dalam Al-Qur’an.


 

An’am Ayat 76:

فَلَمّا جَنَّ عَلَيهِ اللَّيلُ رَءا كَوكَبًا ۖ قالَ هٰذا رَبّي ۖ فَلَمّا أَفَلَ قالَ لا أُحِبُّ الآفِلينَ

Sahih International

So when the night covered him [with darkness], he saw a star. He said, “This is my lord.” But when it set, he said, “I like not those that disappear.”

Malay

Maka ketika dia berada pada waktu malam yang gelap, dia melihat sebuah bintang (bersinar-sinar), lalu dia berkata: “Inikah Tuhanku?” Kemudian apabila bintang itu terbenam, dia berkata pula: “Aku tidak suka kepada yang terbenam hilang”.

 

فَلَمَّا جَنَّ عَلَيْهِ اللَّيْلُ

Ketika malam menutupi ke atasnya,

Iaitu apabila malam menutupi siang. Selepas Allah ‎ﷻ menunjukkan alam ini dan pemahaman tentang alam itu kepada baginda, Nabi Ibrahim عليه السلام telah memanggil kaumnya ramai-ramai. Baginda hendak menggunakan cara yang sama untuk berdakwah kepada kaumnya. Iaitu  dengan melihat kepada alam ini dan suruh mereka memikirkan apakah maksudnya.

Baginda hendak menunjukkan kepada mereka bahawa apa yang mereka sembah itu salah. Bolehlah dibuat anggaran yang pada waktu itu mereka ramai-ramai duduk melihat langit bersama dengan Nabi Ibrahim عليه السلام.

Perkataan جَنَّ digunakan apabila sesuatu perkara itu ditutup daripada segala pancaindera manusia. Iaitu tidak boleh dilihat, didengari, dihidu dan sebagainya. Nama jin juga diambil daripada kata ini kerana jin itu tidak dapat dikesan dengan pancaindera kita. Janin yang di dalam perut ibu mengandung pun diambil daripada perkataan ini kerana janin itu berada dalam perut ibu. Tidak boleh dilihat dan tidak dapat dirasa oleh pancaindera.

Apabila malam datang, segalanya tidak kelihatan lagi kepada Nabi Ibrahim عليه السلام dan kaumnya. Melainkan bintang dan bulan sahaja.

 

رَءا كَوْكَبًا

dia melihat sebuah planet

Langit itu gelap, tetapi dengan jelas bintang kelihatan. Perkataan كَوْكَبًا digunakan untuk bintang yang besar dan bersinar terang. Banyak perkataan digunakan untuk menyebut tentang bintang. Tetapi terdapat berjenis-jenis bintang. Dalam bahasa kita biasa panggil ‘bintang’ sahaja untuk apa jenis bintang, tetapi orang Arab ada banyak nama untuk bintang.

Ini adalah kerana orang Arab memang suka melihat bintang. Memang banyak bintang di langit tetapi ada satu jenis bintang yang berbeza dengan yang lain. Itulah yang dinamakan bintang jenis كَوْكَبًا. Ia lain kerana ia jelas kelihatan lebih besar daripada bintang-bintang yang lain dan bersinar terang.

Lebih tepat lagi, kalimah كَوْكَبًا merujuk kepada planet. Dan yang dimaksudkan adalah Planet Venus, salah satu planet yang ada di dalam Galaksi Bima Sakti kita. Al-Qur’an menggunakan kalimah yang tepat kerana ini adalah salah satu dari mukjizat sejarah Al-Qur’an. Ini kerana arkeologis moden mendapati yang kaum Nabi Ibrahim ini bukannya menyembah matahari, bulan dan bintang (seperti disebut di dalam Bible), akan tetapi mereka menyembah matahari, bulan dan Planet Venus. Bukannya semua bintang. Ini adalah kerana bintang Ishtar adalah tuhan sembahan kaum Sumeria kuno dan ia adalah Planet Venus.

 

قَالَ هَٰذَا رَبِّي

(lalu) dia telah berkata: “Inilah Tuhanku”,

Nabi Ibrahim عليه السلام berkata kepada kaumnya bahawa ‘bintang itulah tuhannya’. Ini kena difahami dengan belajar tafsir dan jangan terus baca terjemahan sahaja. Kerana kalau tidak, kita akan salah faham.

Kita kena ingat yang ini adalah kata-kata helah daripada Nabi Ibrahim عليه السلام. Bukanlah baginda menerima yang bintang itu sebagai tuhan pula. Jangan kita fikir sebegitu (ramai juga yang mempunyai sangkaan begini). Nabi Ibrahim عليه السلام hendak memberikan hujah kepada kaumnya bahawa apa yang mereka sembah itu adalah perbuatan yang bodoh. Baginda berpura-pura sahaja.

Tambahan pula, perkataan yang digunakan dalam ayat ini adalah قَالَ yang bermaksud ‘telah berkata’. Tidak digunakan perkataan ‘fikir’ kerana Nabi Ibrahim عليه السلام tidak pernah menerima yang bintang itu sebagai tuhan. Baginda cuma cakap di mulut sahaja dan tidak sampai ke hati baginda pun.

Jadi, baginda sebenarnya bukan berkata: “inilah tuhanku”, tetapi baginda sebenarnya berkata secara tersirat: “adakah ini tuhanku?”

Jadi, ini adalah satu cara Nabi Ibrahim عليه السلام hendak mempersembahkan cara memahami sifat Tuhan kepada masyarakatnya. Maka, baginda hendak menolak satu-persatu tuhan sembahan mereka kerana semuanya tidak memiliki sifat Tuhan. Sekarang baginda sedang mulakan dengan bintang.

Banyak juga yang salah faham dengan ayat ini. Ini adalah kerana mereka tidak belajar tafsir Al-Qur’an. Mereka baca sendiri ayat Al-Qur’an sehingga timbul  pemahaman yang amat salah. Itulah bahayanya apabila membaca dan cuba memahami sendiri ayat Al-Qur’an daripada terjemahan sahaja. Mereka kata, ayat ini hendak menceritakan bagaimana proses pencarian Nabi Ibrahim عليه السلام untuk mencari Tuhan!

Itu adalah salah dan pemahaman yang sesat! Dalam ayat sebelum ini, bukankah telah disebut bagaimana Nabi Ibrahim عليه السلام telah ada iman kepada Allah ‎ﷻ dan telah sampai ke tahap yakin? Tidak mungkin baginda tersalah pula?

Ada pula yang kata ayat-ayat ini menceritakan tentang Nabi Ibrahim عليه السلام semasa muda yang sedang mencari tuhan. Ini pun pandangan yang salah juga. Kerana dalam akidah kita, kita berpegang bahawa para Nabi sebelum menjadi Nabi pun tidak pernah melakukan syirik. Semua Nabi terpelihara daripada melakukan perkara syirik walaupun mereka belum menjadi Nabi dan belum kenal Islam pun lagi.

Sebagai contoh, walaupun Nabi Muhammad ﷺ belum lagi diperkenalkan dengan agama Islam tetapi baginda tidak pernah menyembah berhala. Baginda memang tidak suka dengan berhala kerana telah ditanam dalam diri baginda oleh Allah untuk membenci syirik. Baginda diselamatkan oleh Allah ‎ﷻdaripada melakukan syirik. Oleh itu, walaupun baginda suka dan selalu tawaf keliling Kaabah, tetapi baginda tidak pernah menyentuh berhala-berhala yang ada di sekeliling Kaabah.

 

فَلَمَّا أَفَلَ

tetapi tatkala bintang itu tenggelam

Perkataan أَفَلَ digunakan untuk menerangkan apabila planet, bulan, bintang dan matahari telah hilang daripada pandangan.

Nabi Ibrahim عليه السلام adalah seorang yang dikatakan amat bijak (memang semua Nabi bersifat fatanah [bijaksana]). Cuba fikirkan: adakah perlu baginda tunggu sampai bintang itu hilang baru baginda sedar yang bintang itu akan hilang? Tentulah tidak. Kita yang tidak berapa bijak ini pun tahu yang bintang itu akan hilang juga malam itu.

Jadi kita kena faham apakah maksud Nabi Ibrahim عليه السلام menjalankan proses melihat bintang dalam ayat ini. Dan kemudian nanti dalam ayat seterusnya baginda melihat bulan dan matahari pula. Itu semua adalah helah dan lakonan baginda sahaja untuk ditunjukkan kepada kaumnya.

 

قَالَ لَا أُحِبُّ الْآفِلِينَ

dia berkata: “Saya tidak suka kepada yang tenggelam”.

Nabi Ibrahim عليه السلام menolak bintang sebagai tuhan dengan menyuruh kaumnya berfikir: Takkan sifat Tuhan itu timbul dan tenggelam? Datang sekejap-sekejap sahaja? Nabi Ibrahim عليه السلام berhujah bahawa baginda tidak suka tuhan yang timbul sekejap-sekejap sahaja. Tuhan itu hendaklah sentiasa ada untuk mendengar doa kita.

Kalau sekejap ada dan sekejap hilang, itu bukanlah satu sifat yang bagus. Jika kita ada kawan, kawan yang bagaimanakah yang kita suka? Yang selalu ada dengan kita atau selalu hilang? Bila sahaja kita hendak meminta tolong, dia hilang. Datang bila kita belanja makan sahaja. Adakah kita boleh berharap dengan kawan yang sebegitu?

Oleh kerana bintang itu boleh hilang, maka Nabi Ibrahim عليه السلام kata yang baginda tidak akan sembah bintang sebagai tuhan. Oleh itu, baginda sudah menolak satu contoh sembahan kaumnya, iaitu bintang.


 

An’am Ayat 77:

فَلَمّا رَءا القَمَرَ بازِغًا قالَ هٰذا رَبّي ۖ فَلَمّا أَفَلَ قالَ لَئِن لَّم يَهدِني رَبّي لَأَكونَنَّ مِنَ القَومِ الضّالّينَ

Sahih International

And when he saw the moon rising, he said, “This is my lord.” But when it set, he said, “Unless my Lord guides me, I will surely be among the people gone astray.”

Malay

Kemudian apabila dilihatnya bulan terbit (menyinarkan cahayanya), dia berkata: “Inikah Tuhanku?” Maka setelah bulan itu terbenam, berkatalah dia: “Demi sesungguhnya, jika aku tidak diberikan petunjuk oleh Tuhanku, nescaya menjadilah aku dari kaum yang sesat”.

 

فَلَمَّا رَءا الْقَمَرَ بَازِغًا

Kemudian tatkala dia melihat bulan terbit

Kalimah بَازِغًا digunakan untuk menerangkan apabila bulan dan matahari sedang mula keluar. Waktu itu adalah waktu bulan dan matahari amat jelas sekali. Iaitu ketika matahari terbit di siang hari dan bulan di malam hari.

 

قَالَ هَٰذَا رَبِّي

dia berkata: “Inilah Tuhanku”.

Baginda berkata pula kepada kaumnya begini. Kata-kata Nabi Ibrahim عليه السلام ini adalah sebagai lakonan sahaja, seperti yang kita telah sebutkan sebelum ini. Bukanlah benar-benar baginda mengatakan yang bulan itu adalah Tuhannya.

Boleh dikatakan bahawa kata baginda itu adalah satu cemuhan sahaja – أهَٰذَا رَبِّي – “Adakah ini tuhanku?”

 

فَلَمَّا أَفَلَ

Tetapi setelah bulan itu terbenam,

Tentulah setelah sekian lama, bulan itu akan hilang sinarnya dan akan tenggelam, atau hilang daripada pandangan mata apabila siang datang.

 

قَالَ لَئِن لَّمْ يَهْدِنِي رَبِّي

dia berkata: “Sesungguhnya jika Tuhanku tidak memberi petunjuk kepadaku,

Baginda membawa kembali kepada perbincangan tentang Allah ‎ﷻ. Baginda hendak mengingatkan yang Allah ‎ﷻlah Tuhan yang sebenar. Kaum baginda itu bukannya tidak kenal Allah ‎ﷻ, maka baginda hendak mengingatkan mereka kepada Allah ‎ﷻ sahaja.

 

لَأَكُونَنَّ مِنَ الْقَوْمِ الضَّالِّينَ

pastilah aku termasuk orang yang sesat”.

Nabi Ibrahim عليه السلام mengajar kaumnya bagaimana menggunakan akal dalam memilih Tuhan. Jika Allah ‎ﷻ tidak memberikan petunjuk-Nya, kita semua akan sesat. Maka, baginda juga menunjukkan kepada mereka bagaimana berdoa kepada Allah ‎ﷻ untuk mendapatkan hidayah. Sebab itulah baginda telah membacakan doa itu di hadapan mereka. Oleh itu, hendaklah kita sentiasa berdoa kepada Allah ‎ﷻ untuk memberikan hidayah kepada kita.

Doa itu bukan sahaja kepada orang yang Islam, tetapi orang yang kafir pun boleh baca. Jika tidak, bagaimanakah ramai orang yang asalnya lahir dalam kekafiran namun telah mendapat jalan hidayah Islam? Itu adalah kerana mereka pernah memohon petunjuk kepada Tuhan (mereka tidak sebut pun nama Tuhan itu) untuk memberikan hidayah kepada mereka.

Mereka tidak tahu manakah Tuhan yang sebenar, maka mereka telah membaca doa mereka dengan harapan untuk mendapatkan kebenaran. Mereka boleh baca dalam bahasa mereka, dalam cara yang mereka senang. Allah Maha Mendengar apakah permintaan mereka. Tidak semestinya mereka bukan orang Islam, Allah ‎ﷻ tidak mendengar doa mereka.


 

An’am Ayat 78: Namun begitu, kaumnya masih lagi tidak mahu menerima dan buat tidak faham dengan dakwah dan hujah baginda, maka baginda teruskan dengan cara yang lain. Kali ini baginda berhujah dengan menggunakan contoh matahari pula.

Ayat ini mengajar kita cara berdakwah. Jika satu cara tidak berjaya, kita sepatutnya mencuba cara yang lain. Gunakan teknik yang berbeza pula. Maka, kenalah menjadi lebih kreatif dalam hal ini. Hendaklah kita berdoa kepada Allah ‎ﷻ agar diberikan ilham kepada kita.

Ayat-ayat ini juga mengajar kita dalam berhujah supaya menggunakan peningkatan dari segi contoh-contoh yang digunakan. Lihatlah bagaimana Nabi Ibrahim عليه السلام pada permulaannya menggunakan contoh bintang, kemudian bulan dan kemudian barulah digunakan contoh matahari. Ini penting kerana kita mahu orang yang didakwah itu faham dengan apa yang kita hendak sampaikan.

فَلَمّا رَأَى الشَّمسَ بازِغَةً قالَ هٰذا رَبّي هٰذا أَكبَرُ ۖ فَلَمّا أَفَلَت قالَ يٰقَومِ إِنّي بَريءٌ مِّمّا تُشرِكونَ

Sahih International

And when he saw the sun rising, he said, “This is my lord; this is greater.” But when it set, he said, “O my people, indeed I am free from what you associate with Allah .

Malay

Kemudian apabila dia melihat matahari sedang terbit (menyinarkan cahayanya), berkatalah dia: “Inikah Tuhanku? Ini lebih besar”. Setelah matahari terbenam, dia berkata pula: ` Wahai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu sekutukan (Allah dengannya).

 

فَلَمَّا رَأَى الشَّمْسَ بَازِغَةً

Kemudian tatkala dia melihat matahari terbit,

Sekarang Nabi Ibrahim عليه السلام menarik perhatian kaum baginda kepada matahari pula. Dan kejadian ini adalah pada waktu awal pagi, apabila matahari sudah keluar. Tentulah kelihatan matahari itu hebat sekali.

 

قَالَ هَٰذَا رَبِّي

dia berkata: “Inilah Tuhanku,

Ini adalah helah Nabi Ibrahim عليه السلام sahaja. Tidaklah benar-benar baginda berkata matahari itu Tuhan pula. Baginda ingin berhujah dengan kaum baginda sahaja dan baginda hanya berlakon seperti yang telah disebutkan sebelum ini.

 

هَٰذَا أَكْبَرُ

ini yang lebih besar”.

Tentulah matahari lebih besar daripada bintang dan bulan dan lebih cerah pula.

Lihatlah penggunaan bahasa di dalam ayat ini. Digunakan kata هَٰذَا (ini untuk lelaki) walaupun sepatutnya digunakan perkataan هذه kerana matahari bersifat feminin dalam bahasa Arab. Maknanya, ini pun sudah ada penolakan daripada Nabi Ibrahim عليه السلام tentang matahari sebagai tuhan. Baginda bukan maksudkan matahari itu sebagai tuhan.

Oleh itu boleh juga kita katakan bahawa yang dimaksudkan ‘Tuhan’ oleh Nabi Ibrahim عليه السلام dalam ayat ini bukanlah matahari itu tetapi Allah ‎ﷻ sendiri. Ini bermakna bahawa Nabi Ibrahim عليه السلام menggunakan helah dalam penggunaan perkataannya. Baginda sebenarnya merujuk kepada Allah ‎ﷻ, bukan kepada matahari itu.

 

فَلَمَّا أَفَلَتْ

Maka tatkala matahari itu terbenam,

Tentulah setelah petang, matahari akan tenggelam juga, bukan? Selepas itu barulah baginda berhujah lagi.

 

قَالَ يٰقَوْمِ

dia telah berkata: “Hai kaumku,

Ayat ini menunjukkan bahawa memang Nabi Ibrahim عليه السلام sedang bercakap-cakap dengan kaumnya; iaitu mereka bermula dengan melihat bintang, kemudian bulan dan kemudian matahari.

Tidaklah Nabi Ibrahim عليه السلام meneruskan hujahnya dengan mencari pula makhluk-makhluk yang lain. Ini menunjukkan bahawa baginda hanya hendak tunjukkan beberapa contoh sahaja. Tujuan baginda adalah untuk menggerakkan otak kaumnya berfikir. Hendak menggalakkan kaumnya menggunakan sedikit akal.

Oleh itu, di sini bukanlah tujuan baginda hendak ‘mencari Tuhan’ seperti yang dikatakan oleh sesetengah kumpulan yang tidak belajar tafsir. Ini kerana jika baginda benar-benar ingin mencari Tuhan tentulah baginda akan teruskan dengan mencari bukit, pokok dan lain-lain.

 

إِنِّي بَرِيءٌ مِّمَّا تُشْرِكُونَ

sesungguhnya aku berlepas diri daripada apa yang kamu syirikkan.

Nabi Ibrahim عليه السلام beritahu kepada kaumnya bahawa apa yang mereka sembah selama itu adalah amat salah sekali. Salah satu kesyirikan yang dilakukan oleh kaum Nabi Ibrahim عليه السلام itu adalah memuja bulan, bintang dan matahari. Sebab itulah sebarang objek yang luarbiasa dan yang boleh menimbulkan ketakjuban dalam diri mereka akan dijadikan sebagai sesuatu yang istimewa pula.

Oleh itu, baginda tidak mahu ada kena mengena dengan amalan sesat mereka. Baginda kata baginda hanya sembah Allah ‎ﷻ sahaja. Hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang kekal sentiasa ada. Walaupun terdapat makhluk yang hebat, tetapi semua makhluk tetap ada kelemahan dan kerana itu mereka bukanlah tuhan.

Ayat ini juga memberi isyarat kepada kita bahawa Nabi Ibrahim عليه السلام kemudiannya akan meninggalkan kaumnya, sepertimana juga Nabi Muhammad ﷺ meninggalkan Mekah. Ini kita boleh faham daripada ayat ‘berlepas diri’ itu. Maknanya ada sudah ada isyarat penghijrahan Nabi Muhammad ﷺ keluar Mekah.

Ayat ini juga mengajar kita untuk melihat alam ini dan memikirkan siapakah Penciptanya. Kadang-kadang kita hanya melihat benda-benda yang besar sahaja dan kita lupa benda-benda yang kita biasa lihat seperti bulan, bintang dan juga matahari itu semua ada penciptanya.

Sebagai contoh, kejadian pertukaran siang dan malam pun adalah tanda kekuasaan Allah ‎ﷻ. Begitu juga dengan segala perkara yang seharian kita lihat dan kejadian seperti burung yang berterbangan, daun yang berguguran, angin yang bertiup malah nasi yang kita suap setiap hari ke dalam mulut kita pasti ada penciptanya. Kalau kita fikirkan tentang alam ini, ia akan memberikan kita satu pemahaman bahawa semuanya telah diberikan kepada kita dengan segala keindahannya sebagai nikmat daripada yang Allah ‎ﷻ Yang Maha Pemurah.

Ayat ini juga mengajar kita bahawa kita perlu meluangkan masa untuk memikirkan tentang alam ini. Lihatlah bagaimana Nabi Ibrahim عليه السلام menunggu sehingga bintang tenggelam. Kemudian baginda menunggu sehingga bulan muncul dan kemudian menunggu pula sehingga matahari muncul dan terbenam.

Bukanlah kita hanya meluangkan masa yang sekejap sahaja dan kita sangka kita boleh terus faham tentang alam ini. Dalam surah al-Mulk, telah disebut bagaimana Allah ‎ﷻ mengajar kita untuk sentiasa melihat alam. Dan perkara ini hendaklah dilakukan berulangkali.

Ayat ini juga mengajar kita bahawa semua makhluk sama ada kecil atau besar, semuanya tidak kekal. Mereka boleh muncul dan hilang berulangkali dan di pengakhirannya nanti semuanya akan terus lenyap termasuk seluruh alam ini apabila tiba tempohnya dan yang tinggal kekal hanyalah Allah ‎ﷻ yang maha kuasa. Maka, siapakah yang paling layak untuk disembah?

 

Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 17 Jun 2023


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyah Zubair

Maariful Qur’an

Tafsir Surah al-An’am Ayat 71 – 74 (Dakwah Nabi Ibrahim kepada bapanya Azar)

An’am Ayat 71: Setelah dalil-dalil disebut dalam ayat-ayat sebelum ini, ini adalah natijahnya. Inilah yang kita kena lakukan setelah kita faham bab tauhid.

قُل أَنَدعو مِن دونِ اللَّهِ ما لا يَنفَعُنا وَلا يَضُرُّنا وَنُرَدُّ عَلىٰ أَعقابِنا بَعدَ إِذ هَدٰنَا اللَّهُ كَالَّذِي استَهوَتهُ الشَّيیٰطينُ فِي الأَرضِ حَيرانَ لَهُ أَصحٰبٌ يَدعونَهُ إِلَى الهُدَى ائتِنا ۗ قُل إِنَّ هُدَى اللَّهِ هُوَ الهُدىٰ ۖ وَأُمِرنا لِنُسلِمَ لِرَبِّ العٰلَمينَ

Sahih International

Say, “Shall we invoke instead of Allah that which neither benefits us nor harms us and be turned back on our heels after Allah has guided us? [We would then be] like one whom the devils enticed [to wander] upon the earth confused, [while] he has companions inviting him to guidance, [calling], ‘Come to us.’ ” Say, “Indeed, the guidance of Allah is the [only] guidance; and we have been commanded to submit to the Lord of the worlds.

Malay

Katakanlah: “Patutkah kita menyeru serta menyembah yang lain dari Allah, sesuatu yang tidak dapat memberi manfaat kepada kita dan tidak dapat mendatangkan mudarat kepada kita; dan (patutkah) kita dikembalikan undur ke belakang (menjadi kafir musyrik) setelah kita diberi hidayah petunjuk oleh Allah (dengan ugama Islam), seperti orang yang telah disesatkan oleh Syaitan-syaitan di bumi (di tempat yang lengang) dalam keadaan bingung, sedang dia pula mempunyai sahabat-sahabat yang mengajaknya ke jalan yang lurus (dengan berkata kepadanya): “Marilah bersama-sama kami. “Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah sebenar-benar petunjuk, dan kita diperintahkan supaya berserah diri kepada Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam”.

قُ أَنَدْعُو مِن دُونِ اللَّهِ

Katakanlah: “Apakah kita akan menyeru selain daripada Allah,

Ramai manusia yang jahil wahyu dan sesat yang menyeru selain daripada Allah ‎ﷻ. Mereka seru kepada wali, kepada malaikat dan kepada Nabi-nabi. Sebagai contoh, puak-puak Habib buat majlis ‘menyeru’ Nabi Muhammad ﷺ. Ramai yang tertipu sampaikan penuh satu stadium ‘memuja’ Nabi Muhammad ﷺ yang sudah wafat.

Jika ditanya mengapa mereka membuat begitu; mereka akan jawab tujuan mereka membuat amalan tersebut adalah untuk ‘mendekatkan diri dengan Allah’. Namun malang sekali, mereka telah membuatnya dengan cara yang tidak benar dan tidak mengikut panduan yang Islam telah gariskan. Agama bukan perkara main-main, boleh sesuka hati sahaja membuat sebarang amalan dengan niat mahu ‘mendekatkan diri dengan Allah’. Tidak boleh mengada-adakan perkara ibadah yang tidak ada dan tidak diajar oleh baginda Rasulullah ﷺ.

Sama ada secara sedar atau tidak, mereka telah menggunakan ‘perantaraan’ sama ada dengan Nabi, wali atau malaikat. Perbuatan inilah yang dinamakan ‘tawasul‘. Amat ramai yang salah faham dengan tawasul ini. Telah banyak dibincangkan dalam penulisan tafsir ini. Harap boleh dibaca bahagian-bahagian tersebut dan dibuat pemahaman yang lebih jitu.

مَا لَا يَنفَعُنَا

sesuatu yang tidak dapat mendatangkan apa-apa kemanfaatan kepada kita

Adakah dengan kita menyeru Nabi, wali atau malaikat itu akan memberi manfaat kepada kita? Tidak sama sekali kerana yang diseru itu tidak tahu pun mereka diseru. Mereka sudah lama wafat dan mereka tidak dapat mendengar apa yang diserukan kepada mereka.

Dan malaikat yang diseru itu walaupun mereka mungkin dapat mendengar, mereka tidak dapat melayan kehendak kita pun. Mereka hanya menurut arahan daripada Allah‎ ﷻ sahaja. Maka itu pun perbuatan yang sia-sia juga. Maka kita ingatkan di sini bahawa perbuatan menyeru selain daripada Allah ‎ﷻ itu adalah perbuatan yang mungkar.

وَلَا يَضُرُّنَا

dan tidak (pula) mendatangkan kemudaratan kepada kita

Kalau buat tidak dapat apa, kalau tidak buat pun tidak menjadi apa-apa. Adakah membahayakan kita jika kita tidak menggunakan Nabi, wali dan malaikat sebagai perantara kita? Tentu tidak ada apa-apa mudarat pun, bukan?

Maka jangan kita menjadi seperti puak musyrik yang sembah berhala. Mereka diajar kalau tidak disembah berhala-berhala itu, mudarat akan datang kepada mereka.

وَنُرَدُّ عَلَىٰ أَعْقَابِنَا

dan (apakah) kita akan kembali ke belakang,

Adakah patut kita kembali ke belakang? Kembali ke belakang itu maksudnya menjadi kafir semula, apabila kita telah beriman. Setelah masyarakat Melayu kita ini menerima Islam beratus-ratus dahulu, adakah patut kita mengambil semula fahaman agama Hindu tok nenek kita dahulu? Tentu tidak patut sama sekali.

بَعْدَ إِذْ هَدٰنَا اللَّهُ

sesudah Allah memberi petunjuk kepada kita,

Adakah kita mahu menjadi murtad selepas kita telah mendapat iman? Hidayah telah lama Allah ‎ﷻ berikan namun kita tidak ambil peduli. Kita tidak mahu belajar wahyu Allah ‎ﷻ yang ada dalam Al-Qur’an ini? Maka alangkah rugi sekali.

كَالَّذِي اسْتَهْوَتْهُ الشَّيٰطِينُ فِي الْأَرْضِ

seperti orang yang telah disesatkan oleh syaitan di dunia;

Kalimah اسْتَهْوَتْهُ berasal daripada katadasar ه و ي (hawa) yang bermaksud ‘keinginan’. Atau kita selalu gunakan dengan perkataan ‘hawa nafsu’. Apabila kita berfikir tidak menggunakan akal lagi tetapi menggunakan emosi kita, nafsu kita.

Ia juga bermaksud ‘jatuh dari atas’. Apabila kita terjatuh dari atas, kita tidak tahu ke mana kita akan jatuh lebih-lebih lagi jika kita jatuh dari kedudukan yang tinggi.

Maka, اسْتَهْوَتْهُ bermaksud perbuatan yang menyebabkan seseorang hilang arah setelah akalnya tidak berfungsi lagi. Akal tidak berfungsi setelah hawa nafsunya mengambil alih keputusan yang sepatutnya dilakukan oleh akal.

Perkataan ini juga digunakan untuk menerangkan ‘orang gila’ kerana bangsa Arab percaya yang orang yang gila itu adalah mereka yang telah dirasuk oleh jin. Dan sememangnya dalam zaman moden ini pun ada mangsa yang hilang akal sampai jadi gila kerana dirasuk oleh jin.

Maka dalam ayat ini, orang yang melakukan syirik diibaratkan oleh Allah ‎ﷻ sebagai orang yang telah hilang akal sepenuhnya. Mereka telah dikawal oleh syaitan sehingga syaitan boleh mengarahkan mereka membuat apa-apa sahaja. Sampai begitu sekali mereka itu diibaratkan oleh Allah ‎ﷻ. Kalau akal ada, tetapi tidak digunakan, orang jenis apakah itu?

حَيْرَانَ

dalam keadaan bingung,

Perkataan ini berasal daripada katadasar ح ي ر yang bermaksud ‘bingung tidak tahu ke mana hendak pergi’. Tidak ada arah tujuan dan kerana itu mereka akan bergerak berpusing-pusing. Bayangkan kalau kita berjumpa dengan orang gila yang berseorangan di pekan, bagaimanakah keadaannya? Tentulah dia dalam keadaan kebingungan dan kalau kita tanya dia apa-apa pun dia tidak tahu.

Begitu jugalah dengan orang yang tidak belajar tafsir Al-Qur’an. Kalau kita beritahu kepada mereka bahawa tawasul itu tidak boleh, mereka kehairanan dan kebingungan. Mereka telah diajar dari dulu lagi untuk buat sebegitu dalam berdoa. Mereka telah diajar oleh guru-guru yang sesat bahawa tawasul itu bagus dan amat digalakkan.

Apabila kita kata kepada mereka, bahawa kebanyakan amalan mereka selama hari ini adalah amalan bid’ah, lagilah mereka terkejut. Kita boleh lihat mereka kehairanan dan kebingungan.

لَهُ أَصْحٰبٌ يَدْعُونَهُ إِلَى الْهُدَى

dia mempunyai kawan-kawan yang memanggilnya kepada jalan yang lurus

Dalam masa yang sama, mereka itu masih ada lagi kawan-kawan seperti kita yang mengajak mereka untuk menyelamatkan mereka daripada syirik. Maka, kitalah yang mesti menasihatkan mereka untuk berhenti daripada buat amalan-amalan syirik dan bid’ah itu.

Ayat ini mengingatkan kita supaya jangan tinggalkan kawan-kawan kita walaupun mereka sudah lama tinggalkan agama. Walaupun sudah lama tidak kisah tentang agama dan wahyu. Kita kena cari mereka dan ingatkan mereka.

ائْتِنَا

(dengan mengatakan): “Marilah ikuti kami”.

Untuk kita yang telah jumpa jalan yang benar, maka kita hendaklah mengajak mereka untuk mengikut kita. Ajaklah mereka dengan cara yang paling baik. Cari peluang bagaimana hendak mengajak mereka. Fikirkan bagaimana cara terbaik untuk kita ajak mereka. Oleh itu, ilmu-ilmu untuk berdakwah pun kena ada juga.

Allah ‎ﷻ telah ajar apakah yang perlu diberitahu kepada mereka.

قُلْ إِنَّ هُدَى اللَّهِ هُوَ الْهُدَىٰ

Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah (yang sebenarnya) petunjuk;

Hidayah itu mestilah dalam bentuk wahyu daripada Allah‎ ﷻ dan daripada Rasulullah ﷺ. Kena ajak mereka ke jalan menerima wahyu dalam kehidupan ini. Allah ‎ﷻ boleh beri petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Semoga kita termasuk dalam golongan yang diberikan petunjuk oleh Allah ‎ﷻ.

Hidayah adalah hak Allah ‎ﷻ. Kita boleh berdakwah, tetapi sama ada dia terima atau tidak, bukanlah kuasa kita untuk menentukannya. Kita hanya boleh berdakwah dan doakan untuk mereka.

وَأُمِرْنَا لِنُسْلِمَ لِرَبِّ الْعٰلَمِينَ

dan kita disuruh agar menyerahkan diri kepada Tuhan semesta alam,

Ajak mereka untuk menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah ‎ﷻ, iaitu beritahu mereka yang kita telah disuruh untuk serah diri 100% kepada Allah ‎ﷻ kerana Dialah Tuhan sekalian alam.

‘Serah diri’ itu bermakna mengikut segala arahan dan meninggalkan segala larangan-Nya. Yang paling penting kita mulakan adalah dengan belajar tafsir Al-Qur’an kerana Al-Qur’an ini mengandungi ajaran tentang akidah dan tauhid. Itulah sepenting-penting ilmu.

Dengan belajar tafsir Al-Qur’an, maka kita akan faham apakah kehendak Allah ‎ﷻ kerana Allah ‎ﷻ telah terangkan dalam Al-Qur’an bagaimana menjadi seorang Muslim.


An’am Ayat 72: Apa lagi yang kita perlu dakwahkan?

وَأَن أَقيمُوا الصَّلَوٰةَ وَاتَّقوهُ ۚ وَهُوَ الَّذي إِلَيهِ تُحشَرونَ

Sahih International

And to establish prayer and fear Him.” And it is He to whom you will be gathered.

Malay

Dan (diperintahkan): Hendaklah kamu mengerjakan sembahyang dan bertaqwa kepadaNya, dan Dia lah Tuhan yang kepadaNya kamu akan dihimpunkan (pada hari akhirat kelak).

وَأَنْ أَقِيمُوا الصَّلَوٰةَ

dan agar mendirikan sembahyang

Telah dititahkan kepada kita: Kenalah buat amalan ibadah selain daripada mengakui telah beriman. Iman mestilah dibuktikan dengan amalan. Dan amalan yang paling penting adalah ‘mendirikan’ salat. Maksud ‘mendirikan’ sembahyang bermaksud, salat itu bukan hanya perbuatan takbiratul ihram sehingga kepada salam sahaja.

Ia mempunyai perbuatan yang lebih lagi daripada itu; iaitu hendaklah dimulakan daripada mandi junub dengan betul dan mengambil wudhu’ dengan betul. Kemudian memakai pula pakaian yang bersih. Salat sepertimana yang Nabi ﷺ ajar. Bukan setakat amalan salat itu sahaja. Bermakna, kita kena jaga ‘institusi’ salat itu. Ada benda-benda lain lagi yang perlu dipenuhi.

‘Mendirikan’ juga bermaksud kita hendaklah mementingkan salat itu daripada segala perbuatan lain. Bayangkan jika salat itu ‘tiang rumah’ kita. Kita pun selalu dengar yang salat itu adalah seumpama ‘tiang agama’.

Untuk membina sebah rumah, tiang rumah adalah perkara pertama dan asas yang perlu dibina sebelum memasukkan peralatan lain selepas itu seperti perabot contohnya. Jika kita beli perabot, kita kena susun perabot itu dengan mengambil kira kedudukan tiang rumah itu. Ini kerana kita tidak boleh mengubah kedudukan tiang. Kedudukan perabot haruslah disusun mengikut ketetapan tiang tersebut.

Maka, begitu juga dengan salat. Salat itu telah ditetapkan waktunya. Perkara lain dalam kehidupan kita yang kena ubah dan beralah dengan salat. Tidak boleh salat pula yang diubah-ubah semata-mata mahu menjalankan keperluan hidup kita. Segala kegiatan kita seharian seperti pekerjaan, temu-janji kita, makan minum, bersukan dan sebagainya mestilah berlandaskan dengan waktu salat itu.

Semua itu boleh dibuat, namun salat yang perlu diberikan keutamaan. Islam telah memberikan kelapangan dalam banyak hal berkenaan dengan waktu salat itu, maka hendaklah kita menggunakan kemudahan yang telah diberikan dalam agama itu.

وَاتَّقُوهُ

serta bertaqwa kepada-Nya”.

Bertaqwa bermaksud menjaga hukum Allah ‎ﷻ‎ﷻ. Benar-benar menjaganya daripada membuat syirik dan dosa-dosa yang lain. Dalam setiap pekerjaan kita, kita kena tahu, apakah hukum Allah ‎ﷻ dalam perkara itu supaya kita berhati-hati dan tidaklah kita menjalani kehidupan kita mengikut kehendak nafsu kita sahaja. Kena fikirkan hukum agama dalam setiap hal.

وَهُوَ الَّذِي إِلَيْهِ تُحْشَرُونَ

Dan Dialah Tuhan yang kepada-Nya-lah kamu akan dihimpunkan.

Sentiasa kita diingatkan dalam ayat-ayat Al-Qur’an yang kita akan dihimpunkan dan akan dibicarakan di hadapan Allah ‎ﷻ agar kita sentiasa beringat yang kita akan mati dan kita akan melalui perbicaraan Mahsyar yang amat menggerunkan.

Kalau kita dapat yakin dengan perkara ini, maka tentulah kita tidak berani untuk membuat perkara-perkara yang salah. Maka tentu kita akan sentiasa berhati-hati dalam apa sahaja yang kita lakukan. Tidakkah kita takut untuk ditanya di hadapan Allah ‎ﷻ nanti?  Apakah alasan kita ketika melakukan dosa-dosa tersebut?


An’am Ayat 73: Dalil Aqli tentang kewujudan Allah ‎ﷻ.

وَهُوَ الَّذي خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ بِالحَقِّ ۖ وَيَومَ يَقولُ كُن فَيَكونُ ۚ قَولُهُ الحَقُّ ۚ وَلَهُ المُلكُ يَومَ يُنفَخُ فِي الصّورِ ۚ عٰلِمُ الغَيبِ وَالشَّهٰدَةِ ۚ وَهُوَ الحَكيمُ الخَبيرُ

Sahih International

And it is He who created the heavens and earth in truth. And the day He says, “Be,” and it is, His word is the truth. And His is the dominion [on] the Day the Horn is blown. [He is] Knower of the unseen and the witnessed; and He is the Wise, the Acquainted.

Malay

Dan Dia lah yang menciptakan langit dan bumi dengan (tujuan) yang benar, dan (Dia lah juga) pada masa (hendak menjadikan sesuatu) berfirman: “Jadilah”, lalu terjadilah ia. FirmanNya itu adalah benar. Dan bagiNyalah kuasa pemerintahan pada hari ditiupkan sangkakala. Ia yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, dan Dia lah Yang Maha Bijaksana, lagi Maha mendalam pengetahuanNya.

وَهُوَ الَّذِي خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضَ بِالْحَقِّ

Dan Dialah yang menciptakan langit dan bumi dengan benar.

Allah ‎ﷻ menciptakan alam ini untuk menzahirkan ‘kebenaran’. Inilah tujuan alam dijadikan. ‘Kebenaran’ itu bermaksud bahawa Allah ‎ﷻlah yang mencipta semua sekali. Mana mungkin alam yang sebegini indah, tidak ada Penciptanya? Maka kenalah cari siapakah Sang Pencipta itu.

Sesiapa yang mencari kebenaran akan jumpa Allah ‎ﷻlah Tuhan yang mencipta alam semesta ini. Oleh itu, kenalah puja Dia sahaja, lakukan ibadah kepada Dia sahaja. Dan pastikan kita berdoa kepada Dia sahaja.

Namun begitu, alam ini tidak kekal abadi.

وَيَوْمَ يَقُولُ كُن فَيَكُونُ

di hari Dia mengatakan: “Jadilah, lalu terjadilah”,

Kalimah يَوْمَ bermaksud ‘hari’ dan yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah ‘hari kebangkitan’. Pada hari itu alam ini akan dihancurkan. Kemudian Allah ‎ﷻ akan buat alam baru dan Allah ‎ﷻ akan memerintahkan semua makhluk untuk bangun dan semuanya akan bangun. Dan dari waktu itu bermulalah hari kebangkitan.

قَوْلُهُ الْحَقُّ

benarlah perkataan-Nya

Bermaksud apabila Allah ‎ﷻ memberikan arahan untuk memulakan hari Kiamat, ia akan pasti berlaku kerana perkataan Allah ‎ﷻ adalah perkataan yang haq. Kalimah Allah ‎ﷻ pasti akan memberi kesan. Ia pasti akan terjadi. Tidak ada ragu-ragu lagi bahawa ia pasti akan berlaku. Tidak ada sesiapa pun yang boleh menolak arahan Allah‎ ﷻ itu. Kalau kita yang beri arahan, belum tentu akan jadi lagi.

وَلَهُ الْمُلْكُ

dan di tangan-Nya-lah segala kekuasaan

Segala kehendak Allah ‎ﷻ akan dipenuhi kerana Dialah yang memiliki segala kerajaan dan segala kekuasaan. Kalimah al-Mulk bermaksud kerajaan. Dalam dunia, ada manusia yang menguasai kerajaan, sesebuah negara, negeri dan sebagainya. Namun, kekuasaan mereka itu tidaklah mutlak.

Kekuasaan Allah ‎ﷻlah yang mutlak. Dan ia akan terzahir di akhirat kelak. Waktu itu, semua makhluk akan mengakui kekuasaan Allah‎ ﷻ tanpa ragu-ragu lagi.

يَوْمَ يُنفَخُ فِي الصُّورِ

di waktu sangkakala ditiup.

Bila hari kiamat telah berlaku, maka akan jelaslah bahawa kekuasaan hanya berada di tangan Allah ‎ﷻ sahaja. Jika dalam dunia sekarang, ada manusia yang rasa mereka ada kuasa sedikit.

Contohnya seorang raja atau pemimpin sangka mereka ada kuasa namun pada hari Kiamat kelak mereka akan tahu bahawa mereka langsung tidak ada kuasa pada waktu itu. Hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang berkuasa pada hari itu.

Dari segi bahasa, potongan ayat يُنفَخُ فِي الصُّورِ ini bukanlah bermaksud ‘sangkakala ditiup’. Lebih tepat lagi, ia bermaksud ‘ditiup ke dalam sangkakala’. Kita tidak tahu apakah yang akan ditiup itu. Tidak ada dalil yang sampai kepada kita untuk menceritakannya. Maka, kita terima dengan seadanya.

عٰلِمُ الْغَيْبِ وَالشَّهٰدَةِ

Dia mengetahui yang ghaib dan yang boleh dinampak.

Kita tidak tahu bagaimanakah Sangkakala itu kerana ia adalah perkara ghaib. Perkara ghaib hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang tahu. Kalimah الشَّهَادَةِ bermaksud sesuatu yang boleh digarap dengan pancaindera. Makhluk hanya boleh melihat yang zahir sahaja. Makhluk tidak boleh mengetahui yang ghaib melainkan diizinkan oleh Allah‎ ‎ﷻ.

Maka, kalau ada yang kata mereka boleh tahu perkara yang ghaib dengan kehendak mereka, maka itu adalah salah sama sekali. Percaya makhluk tahu perkara ghaib adalah syirik.

وَهُوَ الْحَكِيمُ الْخَبِيرُ

Dan Dialah Yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui.

Kalimah الْحَكِيمُ bermaksud terdapat hikmah dalam setiap perbuatan dan keputusan Allah ‎ﷻ termasuk di dalam keputusan Allah ‎ﷻ untuk menjadikan hari kebangkitan. Antara hikmahnya adalah setiap makhluk akan dibalas di atas perbuatan mereka selama mereka berada di dunia. Segala keadilan akan dijalankan pada hari itu.

Kalimah الْخَبِيرُ bermaksud Allah Maha Tahu tentang segala-galanya dan tentang setiap makhluk-Nya. Maka apabila Allah ‎ﷻ memberi keputusan kepada semua makhluk pada hari kiamat nanti, ia adalah keputusan yang adil. Tidaklah Allah ‎ﷻ akan menghukum makhluk di atas perkara yang mereka tidak lakukan.

Kalimah الْخَبِيرُ juga bermaksud Allah ‎ﷻ bukan hanya tahu tentang perkara yang dizahirkan oleh makhluk-Nya malah segala perkara batin yang dalam hati pun Allah‎ ﷻ tahu juga. Maka, Allah ‎ﷻ siapa yang ikut kebenaran dan siapakah yang tidak mahu ikut.


An’am Ayat 74: Sekarang masuk kepada Dalil Naqli Tafsili (Allah ‎ﷻ memberitahu secara terperinci). Ayat-ayat sebelum ini telah disebut tentang syirik.

Sekarang kita masuk kisah Nabi Ibrahim عليه السلام yang mengajak kaumnya kepada tauhid dan menentang syirik. Dalam ayat seterusnya ini, baginda telah berhujah kepada kaumnya bagaimana syirik itu adalah sesuatu yang tidak masuk akal.

Maka ayat ini hendak memberitahu manusia yang bukanlah Nabi Muhammad ﷺ membawa ajaran baru tetapi ajaran baginda sama sahaja dengan ajaran para Nabi yang terdahulu. Dan disebut banyak sekali tentang Nabi Ibrahim عليه السلام kerana baginda dikenali oleh masyarakat Mekah. Mereka pun mengaku yang mereka mengikut ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام. Namun benarkah begitu?

وَإِذ قالَ إِبرٰهيمُ لِأَبيهِ آزَرَ أَتَتَّخِذُ أَصنامًا ءآلِهَةً ۖ إِنّي أَرٰىكَ وَقَومَكَ في ضَلٰلٍ مُّبينٍ

Sahih International

And [mention, O Muhammad], when Abraham said to his father Azar, “Do you take idols as deities? Indeed, I see you and your people to be in manifest error.”

Malay

Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berkata kepada bapanya Aazar: “Patutkah ayah menjadikan berhala-berhala sebagai tuhan-tuhan? Sesungguhnya aku melihatmu dan kaummu dalam kesesatan yang nyata”.

وَإِذْ قَالَ إِبْرٰهِيمُ لِأَبِيهِ آزَرَ

Dan (ingatlah) di waktu Ibrahim berkata kepada bapanya, Aazar,

Terdapat khilaf dalam kalangan ulama’ tafsir sama ada ‘Aazar’ adalah nama sebenar bapa Nabi Ibrahim عليه السلام atau hanya laqab (gelaran) sahaja. Jika nama ‘Aazar’ adalah laqab sahaja, maka ada nama bapa Ibrahim عليه السلام yang lain. Tetapi kita tidak tahu dengan pasti kerana tidak disebut lagi dalam ayat lain dalam Al-Qur’an.

Terdapat juga khilaf sama ada Aazar itu adalah bapa Nabi Ibrahim عليه السلام, atau pakciknya atau datuknya. Ini kerana ada pendapat yang tidak mahu menerima bahawa bapa seorang Nabi adalah seorang yang jahat. Maka, memang terdapat kitab tafsir yang mengatakan nama bapa Nabi Ibrahim عليه السلام sebenarnya adalah Tarakh dan Auazar ini adalah pakciknya.

Oleh kerana itulah ada pendapat yang mengatakan Aazar itu bukanlah bapa sebenar Nabi Ibrahim عليه السلام. Namun begitu, kita terima apa yang Allah ‎ﷻ sebutkan dalam Al-Qur’an sendiri, iaitu Aazar adalah nama ‘bapa’ Nabi Ibrahim عليه السلام. Kita tidak mempersoalkan apa yang disampaikan. Oleh itu, jangan kita ubah-ubah melainkan terdapat dalil yang sahih.

Selalunya Al-Qur’an tidak menyebut nama seseorang melainkan ia adalah satu maklumat yang penting. Dalam sejarah Bani Israel, mereka ada nama lain bagi bapa Nabi Ibrahim عليه السلام. Maka, apabila Allah ‎ﷻ menyebut namanya dengan spesifik, ia seperti Allah ‎ﷻ hendak memperbetulkan maklumat salah yang disampaikan oleh bangsa Yahudi yang memang terkenal suka mengubah Kitab Taurat. Perangai mereka amat teruk sekali sampaikan sejarah Nabi mereka pun mereka selamba sahaja mengubahnya.

Dalam ayat ini, Nabi Ibrahim عليه السلام telah berdakwah kepada bapanya. Ini mengajar kita bahawa dakwah dimulakan di rumah. Itulah yang mula-mula sekali yang kita kena lakukan. Ini adalah kerana kita amat sayangkan ahli keluarga kita dan kita tidak mahu mereka terjerumus ke lembah kehinaan.

Alangkah sedihnya, kalau kita berdakwah kepada orang lain, dapat memperbetulkan mereka, tetapi ahli keluarga kita sendiri ada masalah. Begitu juga, kalau kita dapat sokongan keluarga, maka akan mudah buat kerja dakwah kepada masyarakat.

Oleh itu, mulakan dakwah dengan keluarga kita. Walaupun kita terpaksa berbeza pendapat dengan bapa kita. Walaupun mereka itu bapa kita, tetapi tidak semestinya mereka itu betul. Kalau mereka salah, kita sebagai anak mereka hendaklah berusaha untuk memperbetulkan mereka.

Mengajar kepada bapa kita sendiri bukanlah mudah sepertimana yang kita boleh lihat dalam kisah Nabi Ibrahim عليه السلام dan bapanya ini. Begitu juga, Nabi Muhammad ﷺ pun mempunyai masalah dengan keluarga baginda juga. Lihatlah bagaimana salah seorang penentang kuat baginda ada bapa saudara baginda sendiri, iaitu Abu Lahab.

أَتَتَّخِذُ أَصْنَامًا ءآلِهَةً

“Patutkah bapa menjadikan berhala-berhala sebagai tuhan-tuhan?

Hanya ayat ini sahaja dalam sepanjang Al-Qur’an ini yang menyebut kalimah ‘berhala’. Dalam ayat-ayat lain, digunakan perkataan lain untuk patung-patung yang disembah oleh masyarakat. Perkataan أَصْنَامًا  bermaksud ‘berhala’ iaitu patung yang dijadikan sebagai tempat pemujaan.

Oleh itu, perkataan ini bukanlah digunakan untuk semua jenis patung. أَصْنَامًا adalah berhala yang pemujanya sangka ia mempunyai kuasa. Penyembahnya merasakan bahawa ia mampu untuk memberi kelebihan dan kemudharatan kepada mereka. Sebab itu mereka sembah kerana mereka hendakkan sesuatu dan mereka takut kalau mereka tidak sembah, mereka akan mendapat sial atau bala.

Pertanyaan Nabi Ibrahim عليه السلام kepada bapanya itu adalah dalam bentuk kehairanan. Sebagaimana kita hairan kalau seseorang sedang buat sesuatu yang bodoh. Nabi Ibrahim عليه السلام hairan kenapa mereka bersungguh-sungguh menyembah berhala-berhala itu sedangkan berhala itu mereka sendiri yang buat?

Mereka buat sendiri, kemudian mereka sembah. Ini tidak masuk akal langsung. Ini mengajar kita bahawa salah satu cara dakwah adalah dengan menggunakan soalan yang menyebabkan mereka berfikir. Nabi Ibrahim عليه السلام banyak menggunakan pertanyaan dalam dakwahnya.

Jika kita ingin memulakan dakwah dan kalau kita tidak tahu bagaimana untuk memulakannya, maka, salah satu teknik yang boleh digunakan adalah dengan memulakan dengan pertanyaan. Tanya apa pegangan agama mereka. Tanya kenapakah mereka buat Salat Hajat berjama’ah, tanya kenapa mereka buat Majlis Tahlil dan pelbagai lagi perkara amal ibadah yang bid’ah. Tanya datang dari mana amalan itu?

Tanya supaya mereka fikir sendiri. Selalunya mereka pun tidak tahu kenapa mereka buat begitu. Melainkan mereka akan kata bahawa mereka cuma ikut perbuatan orang ramai yang buat begitu.

Ayat ini juga mengajar kita untuk menggunakan logik dalam dakwah. Bukanlah agama Islam ini lari daripada logik akal. Agama Islam ini amat sesuai dengan akal manusia yang waras. Yang tidak waras sahaja yang tidak boleh terima agama Islam ini.

Dalam kes umat Nabi Ibrahim عليه السلام ini, mereka menyembah berhala itu sebagai ‘tuhan’, bukan sebagai perantaraan lagi. Tidak sama dengan sembahan Hindu kepada patung mereka. Ini kerana jika kita tanya penganut Hindu itu, apakah patung itu tuhan mereka, mereka akan jawab tidak.

Mereka akan kata yang mereka sembah itu adalah patung dewa mereka, yang akan membawakan doa mereka kepada ‘tuhan yang satu’. Oleh itu, penganut Hindu hanya menjadikan patung mereka sebagai ‘perantaraan’ sahaja. Jadi lain dengan umat Nabi Ibrahim عليه السلام dalam ayat ini. Umat Nabi Ibrahim عليه السلام ini lagi teruk kerana mereka sudah lama menjadikan berhala mereka sebagai perantara, lama kelamaan mereka sembah sebagai tuhan.

Jika dibandingkan, umat Nabi Ibrahim عليه السلام itu adalah seperti penganut Kristian sekarang di mana mereka menyembah berhala sebagai tuhan sebagaimana umat Kristian juga menyembah Nabi Isa sebagai tuhan. Asalnya, Nabi Isa عليه السلام itu adalah perantaraan sahaja kepada Tuhan.

Mereka mengatakan yang baginda adalah ‘anak tuhan’. Namun lama kelamaan, sampai ke zaman sekarang ini, mereka sudah menganggap Nabi Isa عليه السلام itu sendiri sebagai ‘tuhan’. Begitu juga dengan penganut Buddha yang mengatakan Buddha itu sendiri sebagai tuhan.

Inilah bahayanya jika kita membiarkan manusia menggunakan ‘perantaraan’ atau tawasul dalam ibadat mereka kerana lama kelamaan, mereka akan menjadikan ‘wasilah’ itu sebagai tuhan. Adakah anda tahu bahawa ada dalam kalangan masyarakat Islam kita ini amat bodoh sampaikan mengatakan bahawa Nabi Muhammad ﷺ itu adalah jelmaan Allah ‎ﷻ di bumi?

Dan golongan Syiah pun sudah ada yang berdoa terus kepada Husain. Asalnya mereka jadikan sebagai perantara sahaja. Tetapi lama kelamaan golongan yang telah diperbodohkan itu terus berdoa kepada Husain untuk minta apa-apa hajat mereka.

إِنِّي أَرىٰكَ وَقَوْمَكَ

Sesungguhnya aku melihat bapa dan kaum bapa ini

Bukan bapa Nabi Ibrahim عليه السلام sahaja yang menyembah berhala, tapi kaumnya juga. Maknanya Nabi Ibrahim عليه السلام hidup di dalam masyarakat yang mengamalkan syirik terang-terangan. Maka, ini pun biasa sahaja, kalau kita hidup dalam masyarakat yang mengamalkan syirik.

فِي ضَلٰلٍ مُّبِينٍ

dalam kesesatan yang nyata”.

Mereka dalam kesesatan yang nyata kerana mereka seru selain Allah.

Ayat ini dibacakan kepada penduduk Mekah yang juga memuja dan menyembah berhala. Sudah 13 tahun mereka diberikan dakwah oleh Nabi ﷺ. Sekarang kisah Nabi Ibrahim عليه السلام dibawakan kepada mereka sebagai satu contoh kebodohan yang dilakukan oleh masyarakat yang terdahulu dengan harapan semoga mereka boleh mendapat pengajaran daripada kaum itu.

Berikut adalah serba sedikit tentang Nabi Ibrahim عليه السلام:

Nabi Ibrahim عليه السلام hidup 2 ribu tahun Sebelum Masihi di satu bandar yang dikenali sebagai Urr. Ia berada di dalam kawasan Iraq sekarang. Ada banyak kasta yang ada pada waktu Nabi Ibrahim عليه السلام. Ada golongan yang elit dan golongan bawahan. Dan Nabi Ibrahim عليه السلام termasuk dalam kumpulan yang elit.

Dan seperti biasa, ada yang miskin dan lemah. Kaumnya waktu itu memuja banyak tuhan. Setiap pekan ada tuhannya sendiri. Di Urr pun ada berhalanya sendiri. Namanya Mannar. Berhala Mannar diletakkan di tempat utama bandar itu. Selain daripada berhala, mereka juga memuja bulan, bintang dan lain-lain lagi.

Dalam ayat ini, Nabi Ibrahim عليه السلام dengan jelas menyatakan bahawa bapanya dan kaumnya itu dalam kesesatan yang nyata. Satu persoalan timbul dalam membaca ayat ini: Bolehkah kita kata sesetengah golongan sebagai sesat? Ada yang tidak dapat terima kalau kita kata ada golongan yang sesat. Kerana mereka kata, kita tidak tahu apa yang dalam hati manusia. Padahal maksud sesat itu adalah tidak jumpa jalan, tersilap. Kalau orang tersilap jalan, adakah kita tidak boleh bantu membetulkannya?

Memang kita tidak tahu apa yang dalam hati manusia. Tetapi, kalau apa yang mereka lakukan di hadapan mata kita memang satu perbuatan yang sesat, apakah salah kalau kita kata mereka sesat? Kerana kita hanya boleh kata berdasarkan apa yang mereka lakukan dan apa yang mereka kata.

Sebagai contoh, kalau orang Hindu sembah berhala, maka tidakkah boleh kita kata mereka sesat? Takkan kita tidak boleh kata mereka sesat dan buat syirik sedangkan apa yang mereka buat itu dengan jelas adalah sesuatu yang sesat?

Bagaimana pula dengan mereka yang dengan terang-terangan menolak ayat Al-Qur’an? Memang kita tidak tahu apa dalam hati mereka. Tetapi kita boleh kata sesuatu berdasarkan daripada perbuatan dan kata-kata mereka kerana yang mereka lakukan dan kata-kata mereka itu kita boleh lihat dan kita boleh dengar. Maka, bolehlah kita menilainya.

Nabi Ibrahim عليه السلام beritahu kepada kaumnya bahawa mereka itu berada di dalam kesesatan yang nyata. Kita juga kena ikut seperti apa yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim عليه السلام. Apabila kita melihat kesyirikan yang dilakukan oleh manusia, hendaklah kita menegur dan memberitahu kepada mereka bahawa apa yang mereka lakukan itu adalah perkara yang sesat. Jangan takut untuk menyatakan kebenaran.

Tetapi bukan setakat kita kata mereka sesat sahaja. Kita juga kenalah mengikut cara Nabi Ibrahim عليه السلام yang menjelaskan kepada kaumnya ‘bagaimanakah’ mereka sesat itu kerana kalau kita kata manusia melakukan sesuatu yang sesat tanpa kita berikan hujah dan dalil, tentulah mereka akan marah kepada kita. Lihatlah bagaimana dalam ayat-ayat seterusnya, Nabi Ibrahim عليه السلام telah memberikan hujah-hujah baginda.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 1 Januari 2022


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Maariful Qur’an