Tafsir Surah Ash-Sharh Ayat 4 – 8 (Doa selepas ibadah)

Ayat 4:

وَرَفَعنا لَكَ ذِكرَكَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And raised high for you your repute.

(MALAY)

Dan Kami tinggikan bagimu sebutan (nama)mu,

Kalimah رَفَع bermaksud ‘meninggikan’ sesuatu. Ini berlawanan dengan kalimah وَضَع yang disebut dalam ayat ke dua surah ini. Selalu Allah ‎ﷻ berikan kalimah-kalimah yang berlawanan dan ini menambahkan kecantikan dalam Al-Qur’an.

Apakah kaitan ayat ini dengan ayat sebelum ini? Apakah kelebihan kalau nama Nabi ﷺ diangkat? Kalau nama Nabi ﷺ diangkat, tentu itu bermakna yang dakwah baginda telah sampai kepada manusia, dan inilah yang baginda mahukan. Sebelum ini telah disebut bagaimana baginda rasa terbeban dengan berbagai-bagai keadaan masyarakat baginda dan baginda mahu sangat untuk menyelamatkan mereka. Maka Allah ‎ﷻ berikan berita gembira dalam ayat ini yang nama Nabi ﷺ akan diangkat yang bermakna dakwah baginda berjaya.

Kalimah ذِكرَ bermaksud diingati dan sesuatu itu diingati dengan dua cara – sama ada dalam hati atau disebut pada lisan. Allah ‎ﷻ memuliakan nama Nabi Muhammad ﷺ menunjukkan yang Allah ‎ﷻ amat sayang kepada baginda. Kelebihan ini hanya diberikan kepada Nabi Muhammad ﷺ sahaja.

Bagaimanakah cara Allah ‎ﷻ meninggikan sebutan nama Nabi ﷺ? Lihatlah bagaimana dalam banyak keadaan, apabila nama Allah ‎ﷻ disebut, akan disebut bersamanya nama Nabi Muhammad ﷺ. Sebagai contoh dalam sebutan Syahadah, azan, tasyahud dan sebagainya. Ini selalu sangat terjadi dan bukankah azan itu tidak berhenti setiap masa, kerana akan ada sahaja waktu solat di mana-mana sahaja?

Itu ditambah lagi dengan umat Islam memberikan selawat kepada baginda setiap masa. Allah ‎ﷻ telah mengarahkan malaikat dan manusia untuk berselawat kepada baginda. Maknanya, nama Nabi Muhammad ﷺ sentiasa disebut hampir setiap ketika, tidak pernah sunyi daripada bibir manusia.

Begitulah kita juga kena memuliakan nama baginda, tetapi janganlah sampai nama Nabi ‎ﷺ setanding dengan nama Allah ‎ﷻ pula. Jangan pula puja nama Nabi Muhammad ﷺ seperti memuja nama Allah‎ ﷻ.

قَالَ ابْنُ جَرِيرٍ: حَدَّثَنِي يُونُسُ، أَخْبَرَنَا ابْنُ وَهْبٍ، أَخْبَرَنَا عَمْرُو بْنُ الْحَارِثِ، عَنْ دَراج، عَنْ أَبِي الْهَيْثَمِ، عَنْ أَبِي سَعِيدٍ، عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ: “أَتَانِي جِبْرِيلُ فَقَالَ: إِنَّ رَبِّي وَرَبَّكَ يَقُولُ: كَيْفَ رَفَعْتُ ذِكْرَكَ؟ قَالَ: اللَّهُ أَعْلَمُ. قَالَ: إِذَا ذُكِرتُ ذُكِرتَ مَعِي”

Ibnu Jarir mengatakan, telah menceritakan kepadaku Yunus, telah menceritakan kepada kami Ibnu Wahb, telah menceritakan kepada kami Amr ibnul Haris, dari Darij, dari Abul Haisam, dari Abu Sa’id, dari Rasulullah Saw., bahawa beliau Saw. pernah bersabda: Jibril datang kepadaku dan berkata, “Sesungguhnya Tuhanku dan Tuhanmu pernah berfirman, ‘Tahukah kamu bagaimana Aku meninggikan sebutan (nama)mu?’ Jibril menjawab, ‘Allah lebih mengetahui.’ Allah berfirman, Apabila nama-Ku disebut, maka disebut pula namamu bersama-Ku’.”

Dalam Al-Qur’an, Allah ‎ﷻ sentiasa panggil Nabi ﷺ dengan gelaran (laqab) yang manja. Allah ‎ﷻ tidak memanggil baginda setakat panggil nama sahaja. Sebagai contoh Allah ‎ﷻ panggil baginda dengan gelaran: يا أَيُّهَا المُزَّمِّلُ [Hai orang yang berselimut], يا أَيُّهَا المُدَّثِّرُ [Hai orang yang menutupi dirinya], يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ [Hai Nabi], يَا أَيُّهَا الرَّسُولُ [Hai Rasul].

Ini adalah satu penghormatan yang tinggi kerana kepada Nabi-Nabi yang lain, Allah ‎ﷻ panggil mereka dengan nama mereka, يَا مُوسَى, يَا زَكَرِيَّا, dan sebagainya. Sedangkan kalimah يا محمد tidak ada dalam Al-Qur’an. Semuanya Allah ‎ﷻ gunakan laqab apabila bercakap kepada baginda.

Ini sebagai penghormatan kepada baginda. Bayangkan, kalau dalam tentera, yang ada pangkat tidak dipanggil dengan nama mereka, tetapi dengan pangkat mereka. Jadi Allah ‎ﷻ tinggikan kuantiti dan juga kualiti panggilan kepada Nabi ﷺ.

Allah ‎ﷻ juga telah mengingatkan Nabi-Nabi lain sebelum ini bahawa jika Nabi Muhammad ﷺ datang, mereka kena tolong baginda. Ini semua telah disebut dalam kitab-kitab yang dahulu dan telah disebut dalam [Ali Imran:81]. Jadi banyak betul nikmat dan peringatan yang telah diberikan kepada Nabi ﷺ.


Ayat 5: Ayat 5 – 6 adalah Perenggan Makro Kedua. Allah ‎ﷻ memberi janji yang penentangan hanya di peringkat awal. Akhirnya agama Islam akan diterima ramai.

فَإِنَّ مَعَ العُسرِ يُسرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

For indeed, with hardship [will be] ease [i.e., relief].

(MALAY)

Karena sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan,

Kalimah إِنَّ bermaksud ‘sesungguhnya, tidak syak lagi’. Ini adalah satu penekanan.

Kalimah مَعَ bermaksud ‘bersama’. Iaitu menyebut tentang dekatnya satu perkara dengan perkara yang lain.

Kalimah العُسرِ bermaksud kesusahan atau waktu yang susah.

Kalimah يُسرًا bermaksud sesuatu yang mudah, senang, suatu kerja yang boleh dibuat tanpa banyak usaha.

Ayat ini bermaksud, sesungguhnya pasti dengan kesusahan yang dialami, ada kesenangan yang datang bersamanya, duduk dekat dengannya. Dan kesenangan itu pula lebih banyak daripada kesusahan.

Ini kita dapat tahu daripada bahasa yang digunakan. Sebab العُسرِ bermaksud ‘satu’ kesukaran kerana ada ال pada kalimah itu, tetapi kalimah يُسرًا dalam format nakirah kerana tidak ada ‘ال’ maka maksudnya ada banyak kemudahan. Oleh itu, daripada bahasa, kita dapat tahu yang susah itu ada satu sahaja, tetapi kemudahan diberikan banyak. Setiap satu kesusahan ada banyak kemudahan padanya.

Dari segi bahasa juga, kita tahu yang ayat ini hendak menyebut tentang ‘kesenangan’, bukan kesusahan. Kerana apabila ada kalimah إِنَّ, ia merujuk kepada kalimah yang berbentuk nasb, iaitu kalimah يُسرًا. Ini adalah daripada pelajaran bahasa Arab kepada mereka yang memahami.


Ayat 6: Allah ulang sekali lagi.

إِنَّ مَعَ العُسرِ يُسرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, with hardship [will be] ease.

(MALAY)

sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.

Kenapa ada pengulangan? Pengulangan ayat keenam yang sama dengan ayat kelima ini adalah kerana Allah ‎ﷻ hendak menunjukkan Allah ‎ﷻ sayang akan kita. Bukankah kalau kita pujuk orang lain, kita akan cakap dua kali? Oleh itu, kita boleh lihat ayat ini bagaimana Allah ‎ﷻ memujuk dua kali kepada Rasulullah ﷺ.

Dari segi bahasa, apabila diulang sekali lagi ia membawa maksud: sekali susah, dua kesenangan. Ini kerana ال merujuk kepada kesusahan yang sama, tetapi يُسرًا dalam bentuk nakirah itu, adalah kesenangan yang berlainan – oleh itu, العُسرِ dalam ayat 5 dan 6 adalah kesusahan yang sama, tetapi kalimah يُسرًا dalam ayat 5 dan 6 itu bukan kesenangan yang sama.

Jadi apabila ada satu susah, ada bersamanya dua kesenangan. Begitulah dalam hal agama, kalau ada satu perbuatan atau hukum yang susah, ada dua kebaikan dan kesenangan. Maknanya, dalam hal agama ini, lebih banyak yang mudah daripada yang susah. Maka janganlah kita pula yang susahkan agama. Ramai dalam kalangan masyarakat kita yang senang-senang sahaja susahkan ajaran agama ini kepada manusia.

Mereka ada yang reka hukum-hukum yang susah dalam agama, sedangkan amalan agama ini senang sahaja. Sebagai contoh, ada guru yang ajar, kalau istinjak selepas buang air besar, sampai kena jolok lubang dubur – ini adalah tambahan dalam agama dan tidak patut dilakukan. Agama tidaklah menyusahkan sampai begitu sekali.

Ayat ini juga hendak mengatakan bahawa apabila kita mengalami kesukaran dalam hidup, maka bersabarlah. Kerana akan datang bersamanya dua kali senang. Ingatlah kisah Nabi Ayyub عليه السلام yang berada bersama kesusahan. Tetapi baginda bersabar dan baginda mendapat kesenangan selepas itu.

Ada satu pendapat yang mengatakan apabila ada pengulangan, itu bermaksud satu untuk masa lalu dan yang satu lagi untuk masa hadapan. Jadi masa yang lalu pun ada mudah yang banyak dan di masa hadapan pun nanti akan ada masa hadapan yang mudah. Tetapi mungkin kita sahaja tidak perasan.

Ia juga boleh bermaksud, satu kesenangan untuk dunia dan satu lagi untuk akhirat. Jadi di dunia senang dan di akhirat nanti pun ada kesenangan.


Ayat 7: Ayat 7 – 8 adalah Perenggan Makro Ketiga dan terakhir. Allah ‎ﷻ suruh kita lakukan amal soleh dan tuluskan pergantungan dengan Allah ‎ﷻ.

فَإِذا فَرَغتَ فَانصَب

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So when you have finished [your duties], then stand up [for worship].

(MALAY)

Maka apabila kamu telah selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain,

‘Urusan lain’ yang dimaksudkan adalah Solat Qiyamullaiil (solat di malam hari). Nabi Muhammad ﷺ memang menunggu-nunggu waktu untuk mendirikan ibadat qiyamullail kepada Allah‎ ﷻ. Inilah yang sepatutnya terjadi. Bayangkan, kalau kita dapat peluang untuk bermunajat kepada Allah‎ ﷻ, tentu kita akan ambil peluang untuk terus bercakap dengan Allah ‎ﷻ.

Belajar juga bagaimana Nabi Musa عليه السلام apabila dapat bercakap dengan Allah‎ ﷻ, baginda memanjangkan komunikasi itu. Lihatlah bagaimana apabila Allah ‎ﷻ tanya baginda pasal tongkat yang di tangan baginda dalam [Taha:17], Nabi Musa عليه السلام jawab panjang berjela (sedangkan kalau hendak jawab pendek pun boleh juga), kerana baginda mahu panjangkan masa bercakap itu. Baginda hendak mengambil peluang bercakap lama dengan Allah‎ ﷻ.

Begitulah juga dengan Nabi Muhammad ﷺ. Baginda teringin sangat untuk menghabiskan masa bermunajat kepada Allah ‎ﷻ. Akan tetapi, seorang Nabi itu kena berkomunikasi dengan Allah ‎ﷻ, dan dalam masa yang sama, kena juga berdakwah dan berkomunikasi dengan manusia. Tidak boleh untuk terus buat ibadat sahaja.

Begitulah selepas Nabi Musa عليه السلام bercakap dengan Allah ‎ﷻ seperti yang disebut dalam Surah Taha, Allah‎ ﷻ terus suruh baginda pergi berdakwah kepada Firaun. Agak-agaknya Nabi Musa عليه السلام sukakah nak jumpa Firaun? Tentu tidak, tetapi baginda kena lakukan kerana itulah tugas seorang Nabi.

Para Nabi itu kalau boleh, hendak bercakap terus sahaja dengan Allah ‎ﷻ, tetapi mereka ada tugas untuk sampaikan agama kepada manusia. Jadi mereka kena jalankan tugas dakwah. Dalam Al-Qur’an, bermunajat dengan Allah ‎ﷻ disentuh dalam Surah Muzzammil dan bercakap dengan manusia disentuh dalam Surah Muddaththir.

Bagaimana dengan Nabi Muhammad ﷺ? Sepanjang hari baginda kena berdakwah kepada umatnya. Tetapi hati baginda tertunggu-tunggu untuk dapat bermunajat dengan Allah‎ ﷻ. Allah‎ ﷻ beritahu baginda dalam ayat ini, apabila baginda sudah selesai menjalankan kerja dakwah baginda, bolehlah baginda bermunajat denganNya. Maknanya, baginda menunggu-nunggu untuk solat kepada Allah ‎ﷻ. Ini seolah-olah dakwah itu sebagai kerja dan qiyamulail itu adalah ‘percutian’ untuk baginda.

Begitulah Nabi ﷺ rasa, tetapi bagaimana pula dengan kita? Maka, ini mengingatkan kita bahawa apabila habis urusan dunia, bangunlah untuk beribadat kepada Allah‎ ﷻ. Kita kena faham bahawa bermunajat dan ibadat kepada Allah ‎ﷻ itu adalah perkara yang indah dan kita kena lakukan. Tambahan pula kalau seorang pendakwah – jangan sibuk berdakwah sahaja tetapi kenalah kuatkan hubungan dengan Allah ‎ﷻ. Seolah-olah ibadat dengan Allah ‎ﷻ itu adalah minyak kereta untuk kita terus berjalan berdakwah kepada manusia.

Apakah pengajaran kepada kita dalam ayat ini? Ayat ini mengajar kita untuk seimbangkan kehidupan kita dalam menghayati agama Islam. Jangan ada yang dakwah sahaja, tetapi tidak zikir bermunajat kepada Allah‎ ﷻ. Itu tidak seimbang. Dan ada pula banyak zikir sahaja, tetapi tidak berdakwah. Maka kita kena imbangkan keduanya. Sebagai seorang yang menjalankan kerja dakwah, jangan lupa untuk meluangkan masa dengan Allah‎ ﷻ.

Kalimah نصَب bermaksud mempasak diri, memenatkan diri. Dan beginilah yang dilakukan oleh baginda dalam solat malam baginda, sampaikan telah sampai kepada kita hadis bagaimana kaki baginda bengkak kerana melakukannya.

Kalimah فَرَغ bermaksud lega daripada sesuatu tugas, apabila telah selesai menjalankan tugas. Maksud dalam ayat ini kita boleh faham, apabila telah selesai menjalankan kerja dakwah, maka beribadatlah kepada Allah‎ ﷻ. Oleh itu, dalam hal kita, apabila kita telah buat kerja-kerja keduniaan kita, maka bersiaplah untuk beribadat kepada Allah ‎ﷻ.

Tetapi janganlah sibuk sangat dengan kerja-kerja dunia sampai tidak ada masa langsung untuk ibadat. Ramai yang tidak kisah habiskan masa dengan kerja dan ahli keluarga, tetapi tidak luangkan masa untuk bermunajat kepada Allah ‎ﷻ. Mereka tunggu waktu senang pula untuk beribadat kepada Allah‎ ﷻ. Kadangkala waktu senang yang ditunggu tidak ada kerana sibuk memanjang. Ini tidak boleh. Kita kena luangkan masa ibadat setiap hari. Jangan tunggu waktu senang sahaja untuk beribadat.

Jadilah seperti Nabi Muhammad ﷺ (Nabi Muhammad ﷺ itu memang sebagai contoh kita, bukan?) Selepas Nabi ﷺ selesai menjalankan kerja dakwah di siang hari, malamnya Nabi ﷺ akan mengadap Allah ‎ﷻ di malam hari. Itu sudah termasuk dalam tugas baginda seharian. Maknanya, ini mengajar kita kepada Allah ‎ﷻ kena beribadah.

Itu adalah dalam kehidupan seharian baginda. Begitu juga dalam kehidupan baginda secara keseluruhan, di hujung-hujung hayat baginda selepas baginda selesai kerja sebagai Nabi, Nabi ﷺ memilih untuk bersama dengan Allah‎ ﷻ. Dalam satu hadis, disebutkan bahawa Nabi ﷺ memilih untuk memilih bersama Allah ‎ﷻ. Dalam Sahih al-Bukhari:

إِنَّهُ لَمْ يُقْبَضْ نَبِىٌّ قَطُّ حَتَّى يَرَى مَقْعَدَهُ مِنَ الْجَنَّةِ ثُمَّ يُحَيَّا أَوْ يُخَيَّرَ » . فَلَمَّا اشْتَكَى وَحَضَرَهُ الْقَبْضُ وَرَأْسُهُ عَلَى فَخِذِ عَائِشَةَ غُشِىَ عَلَيْهِ ، فَلَمَّا أَفَاقَ شَخَصَ بَصَرُهُ نَحْوَ سَقْفِ الْبَيْتِ ثُمَّ قَالَ « اللَّهُمَّ فِى الرَّفِيقِ الأَعْلَى »

(Bahawa tidak seorang Nabi pun yang dicabut nyawanya melainkan diperlihatkan tempatnya dalam syurga. Apabila Rasulullah s.a.w dalam kesakitan dan menghampiri maut, kepala baginda atas paha ‘Aishah dalam keadaan pitam. Apabila baginda sedar, matanya memandang ke arah bumbung rumah lalu menyebut: “ALLAHUMMA FI AL-RAFIQ AL-A’LA (YA ALLAH! PADA TEMAN YANG MAHA TINGGI)

Oleh kerana tugas baginda sudah habis untuk menyampaikan ajaran agama kepada umat, maka keinginan baginda adalah hendak bersama dengan Allah‎ ﷻ. Maka itulah pilihan baginda apabila diberikan oleh Allah ‎ﷻ.

Satu lagi tafsir ayat ini, selepas selesai tabligh wahyu, atau selepas mengajar wahyu kepada manusia, maka ambil peluang untuk doa. Kerana doa selepas amal ibadah dan selepas melakukan kebaikan, amat makbul.


Ayat 8:

وَإِلىٰ رَبِّكَ فَارغَب

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And to your Lord direct [your] longing.

(MALAY)

dan hanya kepada Tuhanmulah hendaknya kamu berharap.

Kalimah رغَب bermaksud mengadap dan memberikan perhatian. Berharap kepada seseorang dengan perasaan kasih. Dalam ayat ini kita disuruh untuk berharap kepada Allah ‎ﷻ. Dan apabila kalimah إِلىٰ, itu bermaksud ada ikhtisas (pengkhususan).  Maka hendaklah hanya kepada Allah ‎ﷻ sahaja kita berharap, bukan kepada orang lain.

Oleh itu, ayat ini menyuruh kita sentiasa mengadap Allah‎ ﷻ. Begitulah yang dilakukan oleh Nabi Muhammad ﷺ – walaupun baginda sedang bercakap dengan manusia, hati baginda tetap terkait dengan Allah‎ ﷻ. Dan daripada hadis, kita dapat tahu yang walaupun baginda tidur, baginda tidak meninggalkan zikir kepada Allah‎ ﷻ. Maka kita kenalah cuba untuk sentiasa tawajjuh kepada Allah ‎ﷻ sentiasa.

Ayat ini menyambung ayat sebelum ini – selepas selesai tugas dakwah, maka hadapkan diri kepada Allah‎ ﷻ.

Penutup:

Surah ini meninggikan kedudukan Nabi Muhammad ﷺ. Dan ini adalah maklumat yang penting. Malangnya, pada zaman sekarang, ramai yang menghina Nabi ﷺ secara terbuka. Sampaikan ada yang buat kartun menghina Nabi Muhammad ﷺ, ada yang buat filem dan macam-macam lagi. Tetapi dalam ayat ini, kita dapat tahu bahawa Allah ‎ﷻ menaikkan nama Nabi ﷺ.

Ini mengajar kita, walaupun manusia hina baginda macam mana pun, penghormatan kepada Nabi ﷺ lagi tinggi kerana baginda ditinggikan dan dimuliakan oleh Allah‎ ﷻ. Oleh itu, perbuatan mereka menghina Nabi Muhammad ﷺ itu adalah macam meludah ke matahari sahaja, ludah itu akan kena balik kepada siapa yang meludah.

Allah ‎ﷻ hendak beritahu yang Allah ‎ﷻ tahu bahawa baginda rasa ketat kerana apa yang dikatakan tentang baginda, maka baginda beri tasliah (pujukan) kepada baginda.

Dalam Surah al-Kautsar nanti, kita akan belajar bagaimana orang kafir mengutuk Nabi ﷺ. Mereka kata keturunan Nabi ﷺ terputus kerana anak lelaki baginda mati. Tetapi yang sebenarnya, merekalah yang akan terputus. Sampai sekarang, nama Nabi ﷺ diingati dan disanjung, tetapi nama mereka dihina sampai hari Kiamat.

Allahu a’lam. Sambung ke surah seterusnya, Surah at-Teen.

Kemaskini: 5 Oktober 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah Ash-Sharh Ayat 1 – 3 (Apakah beban Rasulullah?)

Pengenalan:

Surah ini ada kaitan yang amat rapat dengan Surah Ad-Dhuha. Ianya adalah penyambungan daripada Surah Ad-Dhuha. Iaitu penyambungan daripada ayat-ayat yang dimulai dengan أَلَم يَجِدكَ يَتيمًا فَآوىٰ di mana Allah ‎ﷻ menyebut nikmat-nikmat yang telah pernah diberikan kepada baginda. Dan akan disambung dalam surah ini nanti. Kita boleh tengok bagaimana surah ini juga dimulai dengan kalimah أَلَم juga, bukan?

Kedua-dua surah ini khitab kepada Nabi Muhammad ﷺ. Sebab itu kita lihat selalu digunakan ك yang merujuk kepada Nabi Muhammad ﷺ.

Ianya adalah surah yang pendek tetapi amat penting sekali dan banyak pengajaran di dalamnya.

Di hujung Surah Ad-Dhuha ada nasihat untuk kita yang perlu diambil kira. Arahan-arahan itu dalam bentuk ayat yang dimulai dengan  ف (maka). Allah‎ ﷻ suruh Nabi ﷺ sampaikan dakwah dan ajar agama kepada manusia. Dalam surah ini tentang kelebihan agama itu sendiri kepada baginda.

Soalan yang digunakan dalam Surah Ad-Dhuha dan juga dalam ayat ini adalah dalam negative question iaitu dimulai dengan أَلَم (tidakkah?). Tujuannya Allah ‎ﷻ bertanya dalam bentuk itu adalah kerana hendak menekankan yang memang perkara itu telah dilakukan. Kalau kita kata kepada seseorang: “Bukankah aku sudah cakap kepada engkau untuk buat ?” Soalan itu maksudnya hendak beritahu yang memang sudah beritahu dahulu.

Dan telah disebut dalam Surah Ad-Dhuha, pasti yang kemudian akan lebih mudah. Dalam surah ini juga disebut tentang kesenangan yang akan diberikan kepada baginda. Allah ‎ﷻ berjanji dengan Nabi Muhammad ﷺ dalam surah ini.

Dalam Surah Ad-Dhuha disebut bagaimana Nabi ﷺ pernah mencari-cari kebenaran dan Allah ‎ﷻ beri petunjuk kepada baginda. Orang yang mencari-cari sesuatu sebenarnya tidak tenang dalam hati mereka. Dan apabila mereka sudah dapat, barulah hati mereka akan jadi tenang. Dan ini disebut dalam ayat pertama lagi dalam Surah Ash-Sharh ini. Akan disebut bagaimana baginda tenang kerana Allah ‎ﷻ telah beri petunjuk kepada baginda.

Dalam Surah Ad-Dhuha, Allah ‎ﷻ sebut bagaimana baginda akan diberi dengan nikmat sampaikan baginda akan redha dan puas hati dengan pemberian itu. Dalam surah ini, disebut bagaimana Allah‎ ﷻ menaikkan nama baginda. Itu adalah pemberian yang amat besar sekali.

Dalam surah ini juga akan disebut tentang dua amalan seorang mukmin: satu bersama dengan manusia lain iaitu dalam memberi dakwah, mengajar dan sebagainya (وَأَمّا بِنِعمَةِ رَبِّكَ فَحَدِّث). Dan satu lagi bahagian, di mana manusia hanya bersama dengan Allah ‎ﷻ dalam ibadat. Ini akan disebut di hujung surah ini nanti. Ia mengajar kita untuk kena ada keseimbangan antara dua perkara ini.

Surah ini diturunkan pada Peringkat Pertama Kenabian. Iaitu sekitar Tahun 1-3 di Makkah. Ini bermaksud yang ianya diturunkan semasa Nabi ﷺ baru mendapat wahyu dan dakwah dijalankan secara senyap pada waktu ini.


Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 3 perenggan makro. Ayat 1 – 4 adalah Perenggan Makro Pertama. Allah ‎ﷻ menjanjikan masa depan yang lebih gemilang kepada Nabi Muhammad ﷺ.

أَلَم نَشرَح لَكَ صَدرَكَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Ash-Sharḥ or al-Inshirāh: Expansion.

Did We not expand for you, [O Muḥammad], your breast?¹

  • i.e., enlighten, assure and gladden your heart with guidance.

(MALAY)

Bukankah Kami telah melapangkan untukmu dadamu?,

Allah ‎ﷻ mengingatkan Nabi Muhammad ﷺ bagaimana Dia telah lapangkan dada Nabi ﷺ dengan cahaya Islam. Apabila Allah ‎ﷻ lapangkan dada baginda, baginda boleh faham agama dan menerima wahyu.

Satu lagi, ia juga bermakna Allah ‎ﷻ melapangkan dada Nabi ﷺ, sampai baginda boleh sabar dalam menghadapi segala dugaan, tidak mudah merajuk, tidak putus asa.

Ramai juga mufassir yang memberikan pendapat, ayat ini merujuk kepada kisah bagaimana dada Nabi ﷺ pernah dibelah dan dibersihkan dua kali sepanjang hidupnya. Sekali semasa kecil dan sekali lagi sebelum isra mi’raj. Tetapi ada mufassir lain yang kata, ini bukan makna yang hendak disampaikan dalam ayat ini. Kerana pendapat itu adalah lemah kerana bukanlah ayat ini hendak menyatakan tentang pembedahan dada Nabi ﷺ. Ayat ini sebenarnya tidak ada kena mengena dengan kejadian itu. Kita katakan begitu kerana kalimah شرَح tidak kena mengena dengan ‘memotong’ seperti memotong dada Nabi ﷺ.

Kalimah شرَح bermaksud membuka sesuatu yang sebelum itu terangkum, terbelit. Sebelum dibuka, ianya adalah terikat ketat. Dalam bahasa kita pun kita guna kalimah ‘syarah’ apabila menyampaikan pelajaran agama. Iaitu dijelaskan sesuatu perkara yang sukar difahami kalau tidak diberitahu. Kerana itu ada syarahan agama, syarahan ilmu hadis dan macam-macam lagi.

Ada empat kali perkataan sharh ini disebut dalam Al-Qur’an.

Maksud dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ mengembangkan dada Nabi ﷺ dan menenangkan fikiran baginda. Mereka yang mendapat pengembangan ini akan merasa puas hati kerana sebelumnya fikiran dan hati mereka kusut. Selepas itu, baginda amat redha dengan apa yang baginda telah diberi oleh Allah ‎ﷻ dan tidak ada rasa kekurangan dan kekusutan lagi.

Ia juga bermaksud, apa-apa halangan yang menghalang Nabi ﷺ mendapatkan ilmu wahyu diangkat daripada baginda. Oleh itu, baginda mendapat pemahaman penuh tentang wahyu. Ini adalah kerana kalau kita telah faham sesuatu perkara, kita akan rasa lega. Kadang-kadang satu-satu ilmu disampaikan kepada kita, tetapi kalau kita tidak dapat memahaminya, kita akan rasa kusut, bukan? Kalau belajar agama pun begitu juga, bukan? Bila dapat faham, alangkah leganya.

Ini bermakna, Allah ‎ﷻ memberi kefahaman Al-Qur’an kepada Nabi ﷺ. Begitulah kadang-kadang pelajar disuruh tulis apa yang ada di papan hitam, tetapi mereka hanya tulis sahaja maklumat yang diberikan kerana mereka tidak faham. Tetapi apabila mereka faham apa yang mereka tulis, itu adalah satu perasaan lain. Mereka akan jadi lega dan senang hati dengan apa yang mereka fahami itu.

Dalam dunia ini, ada orang yang tahu hukum Allah ‎ﷻ, tetapi mereka tidak faham kenapa mereka kena lakukan perkara itu. Oleh kerana itu, walaupun mereka taat dan ikut juga hukum syariat yang disampaikan, tetapi kerana mereka tidak faham, dada mereka rasa ketat. Selalu manusia tertanya-tanya kenapa Allah ‎ﷻ suruh buat begini dan begitu?

Oleh itu, mereka melakukan tindakan yang berkenaan dengan hukum itu bukan dengan sepenuh hati. Tetapi kalau ada orang yang faham dan nampak hikmah hukum itu, mereka rasa amat senang hati dan ringan sahaja untuk mereka melakukannya.

Sebab itu berbeza orang yang tahu hikmat solat dengan mereka yang tidak tahu. Mereka yang tahu akan ringan dan mudah sahaja untuk mengerjakan solat, malah mereka tertunggu-tunggu bilakah waktu solat yang seterusnya.

Dan kalau dia tidak tahu pun hikmahnya (kerana hikmah itu kadang-kadang memang tidak dapat diketahui), tetapi hatinya dapat menerima dengan senang dan yakin yang kalau Allah ‎ﷻ suruh buat sesuatu perkara itu, tentu ada kelebihan dan hikmat di sebaliknya. Maknanya dia tidak persoalkan langsung segala hukum yang telah ditetapkan.

Macam kita makan ubat yang pahit, kita makan juga walaupun kita rasa pahit sangat kerana kita tahu yang ianya baik untuk kita. Dan kita suka dengan adanya ubat itu kerana kalau tidak ada ubat, tentu kita lagi susah.

Begitu juga dengan hukum daripada Allah ‎ﷻ – kita taat kerana kita tahu yang ianya baik untuk kita dan kita gembira kerana Allah ‎ﷻ telah berikan kita syariat itu kerana kalau Allah ‎ﷻ tidak beri, tentu kita dalam kesesatan dan kesusahan menghadapi kehidupan dalam dunia. Kerana segala hukum yang diberikan oleh Allah ‎ﷻ adalah untuk mengurus kehidupan dunia kita dengan cara yang terbaik.

Jadi ini adalah sifat yang baik yang disebut dalam ayat ini dan juga dalam [An’am:125]. Dalam ayat daripada Surah al-An’am, Allah ‎ﷻ sebut Allah ‎ﷻ bukakan hatinya kepada ‘Islam’, tidak kata ‘iman’, kerana Islam itu adalah ‘penyerahan diri dengan sepenuhnya’.

Sesiapa yang Allah ‎ﷻ mahu berikan petunjuk, Allah ‎ﷻ mudahkan dia untuk senang menerima syariat Islam. Satu lagi disebut dalam [Zumar:22]. Mereka yang bersifat seperti itu senang sahaja untuk mengamalkan arahan daripada Allah ‎ﷻ. Mereka yakin yang ianya baik untuk mereka. Mereka selesa dengan agama Islam dan tidak mempersoalkan hukum-hukum Allah‎ ﷻ. Ini pun bermaksud hati yang lapang. Semoga kita diberikan perasaan lapang ini.

Ada seorang lagi Nabi yang dibuka dadanya iaitu Nabi Musa عليه السلام dan ini disebut dalam [Taha:25]. Nabi Musa عليه السلام ada gagap dan seorang yang pemarah. Dan baginda telah diarahkan untuk pergi dakwah Firaun dan baginda tahu yang baginda akan berhadapan dengan seorang individu yang tentu akan beri macam-macam alasan dan ancaman.

Baginda tahu yang nanti baginda akan jadi marah dan tidak dapat kawal apa yang baginda buat pula nanti. Dan kalau baginda marah, baginda akan jadi gagap pula dan tidak dapat menyampaikan apa yang hendak disampaikan. Maka Nabi Musa عليه السلام berdoa dalam ayat itu meminta supaya Allah ‎ﷻ kembangkan dan lapangkan hati baginda. Jadi ini adalah permintaan baginda untuk memudahkan kerja dakwah baginda supaya senang sedikit urusan baginda dalam menyampaikan dakwah.

Nabi Muhammad ﷺ pun akan mengalami dugaan dalam menyampaikan dakwah kepada umat baginda. Memang akan ada sahaja kata-kata terhadap baginda – kutuk keji dan sebagainya. Dan tentu itu akan menyebabkan ketat dada Nabi ﷺ.

Oleh itu, sebagaimana Nabi Musa عليه السلام minta supaya dadanya dilapangkan, maka Allah‎ ﷻ melapangkan dada Nabi ﷺ sebelum baginda minta lagi. Ini salah satu tanda cinta Allah ‎ﷻ kepada Nabi Muhammad ﷺ: sebelum Nabi Muhammad ﷺ minta lagi, Allah sudah beri. Bayangkan semasa Nabi ﷺ menyampaikan dakwah, baginda telah ditolak, dicemuh, dicaci, sampaikan hendak dibunuh oleh orang kafir, maka Allah ‎ﷻ telah melegakan hati Nabi ﷺ.

Makna kedua adalah Al-Qur’an yang diturunkan kepada Nabi ﷺ adalah amat berat sekali. Sampaikan kalau diturunkan kepada gunung, gunung itu akan pecah (boleh baca [Hashr:21]). Maka perlu dilapangkan dada Nabi ﷺ untuk menerima Al-Qur’an itu. Ini penting kerana baginda akan menerima sesuatu yang berat. Dalam [Muzzammil:5] pun Allah ‎ﷻ telah memberitahu tentang perkara ini. إِنّا سَنُلقي عَلَيكَ قَولًا ثَقيلًا (Sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu perkataan yang berat).

Kembali kepada perbincangan Surah Ash-Sharh ini. Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ bercakap dalam bentuk membahasakan DiriNya sendiri (Allah ‎ﷻ gunakan kalimah ‘Kami’). Ini berbeza dengan soalan yang digunakan dalam Surah Ad-Dhuha sebelum ini. Dalam Surah Ad-Dhuha digunakan dalam bentuk kalimah ghaibah (pihak ketiga): أَلَم يَجِدكَ يَتيمًا فَآوىٰ (Bukankah ‘Dia’ mendapatimu sebagai seorang yatim, lalu ‘Dia’ melindungimu?). Penggunaan takallum (membahasakan diri sendiri) dalam ayat Ash-Sharh ini menunjukkan dekatnya Allah ‎ﷻ kepada Nabi Muhammad ﷺ.

Dalam Surah Ad-Dhuha, disebutkan tentang kelebihan yang telah diberikan kepada Nabi ﷺ, ‘sebelum’ baginda menjadi Nabi. Kali ini, Surah Ash-Sharh ini adalah sebagai persediaan Nabi ﷺ untuk menyampaikan dakwah kepada masyarakat. Iaitu diberikan apakah yang baginda perlukan untuk menjalankan tugas baginda. Iaitu dikembangkan dada baginda untuk faham dan dilegakan hati baginda untuk memulakan dakwah baginda. Nabi Musa عليه السلام kena minta dada baginda dibuka, tetapi Nabi Muhammad ﷺ tidak minta pun terus dibuka.

Ayat ini meletakkan perkataan ‘لَكَ’ (untuk kamu) di awal (takdim) ayat kerana kelebihan ini hanya diberikan kepada Nabi ﷺ sahaja. Oleh itu, ada makna ‘ikhtisas’ (pengkhususan) dalam ayat ini. Ini kita dapat tahu daripada segi nahu dan balaghah bahasa Arab.

Kelebihan ini tidak pernah diberi kepada orang lain sebelum ini dan tidak akan diberi kepada orang lain. Orang lain dapat juga dibuka hati mereka, tetapi tidak seperti yang diberikan kepada baginda. Apa yang Nabi ﷺ dapat itu adalah tingkat pembukaan yang amat tinggi.

Lihatlah cara pertanyaan Allah ‎ﷻ kepada Nabi ﷺ, ianya dalam bentuk soalan retorik: (Bukankah Kami telah melapangkan untukmu dadamu?) Soalan jenis ini bukanlah hendak tanya sangat sebenarnya, tetapi sebagai penekanan, kerana hendak ingatkan sahaja. Kerana memang Allah ‎ﷻ telah beri pun perkara itu.

Dan dalam masa yang sama, ia akan menyebabkan orang yang telah menerimanya rasa beruntung sungguh. Oleh itu, ayat  ini sebagai tasliah kepada baginda.


Ayat 2:

وَوَضَعنا عَنكَ وِزرَكَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We removed from you your burden¹

  • By forgiving any errors which you may have committed previously or might commit consequently. “Burden” can also refer to the anxiety experienced by the Prophet () at the beginning of his mission.

(MALAY)

dan Kami telah menghilangkan daripadamu bebanmu,

Nabi Muhammad ﷺ sebelum jadi Nabi ﷺ, baginda rasa serabut melihat keadaan perangai buruk penduduk Mekah, sampaikan baginda kena naik ke Gua Hira’ untuk bertapa, menyendiri daripada mereka. Baginda sampai tidak tahan melihat keburukan syirik dan kerosakan moral masyarakatnya. Baginda rasa terbeban sangat.

Maka Allah ‎ﷻ angkatkan ‘beban’ yang Nabi ﷺ rasa itu. Iaitu Allah‎ ﷻ berikan baginda wahyu untuk mengubah keadaan orang Arab sampai mereka boleh jadi baik.

Kalimah وَضَع maknanya mengangkat sesuatu dan meletakkannya ke bawah. Sebagai contoh: angkat beg dari atas meja dan letak ke bawah. Juga digunakan kalau ibu mengandung anaknya dalam kandungan, dan kemudian melahirkannya. Sebagaimana yang disebut dalam [Ali Imran:36].

Kalimah وِزرَ maknanya beban yang sangat berat sampai tidak boleh bawa. Ianya berat sangat sampai boleh mematahkan belakang seseorang yang menanggungnya. Kalau guna perkataan lain seperti حمل, ia bermakna beban yang berat, tetapi masih mampu dibawa lagi. Jadi وِزرَ itu lebih berat lagi. Dan beban ke atas baginda Nabi ﷺ memang berat sangat.

Allah ‎ﷻ beritahu yang beban itu diangkat daripada baginda. Dan kita telah beritahu apakah pendapat mufassir tentang ‘beban’ itu. Iaitu rasa ketat pada dada baginda.

Ada juga pendapat yang mengatakan Allah ‎ﷻ mengampunkan segala dosa-dosa Nabi ﷺ dahulu dan akan datang. Semakna dengan apa yang disebutkan oleh firman-Nya:

{لِيَغْفِرَ لَكَ اللَّهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِكَ وَمَا تَأَخَّرَ}

supaya Allah memberi ampunan kepadamu terhadap dosamu yang telah lalu dan yang akan datang. [Al-Fath: 2]


Ayat 3:

الَّذي أَنقَضَ ظَهرَكَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Which had weighed upon your back

(MALAY)

yang memberatkan belakangmu?

Kalimah نقَضَ bermaksud mematahkan, meleraikan, memutuskan perjanjian. Oleh itu, apabila digunakan kalimah أَنقَضَ, ia bermaksud meletakkan beban yang sangat berat sehinggakan tempat letak itu sudah hampir patah atau pecah – sudah mula dengar bunyi ‘krak krak’ hendak patah. Ini seperti kita letak barang atas meja dan semakin banyak kita letak, sudah dengar bunyi ia hampir pecah.

Kalimah ظَهرَ bermaksud belakang badan. Beban itu berat sangat sehinggakan hampir patah tulang belakang. Ini adalah ayat yang bersifat majaaz, iaitu sebagai imbalan sahaja – bukannya ada beg besar diletakkan belakang Nabi ﷺ.

Apakah ‘beban’ yang Nabi ﷺ berat sangat hendak tanggung itu? Ada beberapa pendapat seperti di bawah ini:

A. Perasaan berat baginda dalam mencari kebenaran. Nabi ﷺ mencari-cari kebenaran sebelum baginda menjadi Nabi dan diberikan dengan wahyu. Nabi ﷺ tidak seperti kita yang seringkali fikir tentang makan dan pakai sahaja.

Manusia ini ada berjenis-jenis dari segi pemikiran mereka. Memang ada orang yang memikirkan lebih lagi daripada makan dan pakai sahaja. Sebagai contoh, ada orang yang tidak hanya fikirkan diri dan keluarga mereka sahaja, tetapi mereka fikirkan juga tentang kawasan kejiranan mereka dan mereka mula buat kebaikan – tolong orang susah, buat kutipan derma dan sebagainya.

Ada pula yang lebih prihatin lagi dan mereka buat sumbangan kepada tahap negara – ada yang masuk politik dan macam-macam lagi. Tidak semestinya mereka orang Islam yang beriman pun. Kerana ada orang yang bukan Muslim pun, tetapi kesedaran mereka tentang manusia lain pun tinggi juga.

Tetapi itu semua adalah setakat hal dunia juga. Tidak dengan Nabi Muhammad ﷺ kerana baginda fikir lebih jauh lagi. Sebelum baginda menjadi Nabi lagi, baginda sudah memikirkan tentang kehidupan dunia dan apakah maksud kehidupan. Baginda mencari-cari erti kehidupan. Sampai baginda pergi ke Gua Hira’ untuk beribadat dan menyendiri daripada kaum baginda.

Baginda sampai kena pergi ke gua kerana keadaan masyarakat Mekah yang tidak menenangkan dan menyebabkan susah pada hati baginda. Oleh itu, pencarian ini adalah sangat berat kepada Nabi ﷺ, kerana baginda hendak sangat mencari kebenaran. Selagi baginda tidak mendapat jawapan itu, baginda tidak tenang hati, tidak sedap hati dan resah gelisah, sampai menyebabkan baginda tidak tenang.

Kita mungkin tidak dapat bayangkan kerana kita tidak ada perasaan begitu. Tetapi Nabi ﷺ memang seorang yang begitu dan kita pun tahu yang baginda bukanlah manusia biasa. Kalau kita baca sirah baginda sebelum Islam pun, kita akan dapat tahu bagaimana keadaan baginda yang lain daripada orang lain. Maka Allah ‎ﷻ berikan wahyu kepada baginda untuk mengangkat segala keresahan itu.

B. Pendapat kedua yang dikatakan sebagai beban itu adalah keadaan masyarakat baginda waktu itu. Baginda ingin sangat menolong masyarakat semua tetapi baginda rasa tertekan kerana banyak sangat kemungkaran yang mereka sedang lakukan. Ini sebelum baginda diangkat menjadi Nabi lagi.

Sudah banyak baginda buat untuk membantu, tetapi nampak seperti tidak ada kejayaan kerana manusia jahiliah teruk sangat. Sehinggakan Nabi ﷺ rasa hendak putus asa. Seperti usahanya tidak akan membuahkan hasil dan ini menyebabkan Nabi ﷺ rasa tertekan.

Maka Allah ‎ﷻ berikan jalan wahyu untuk mengubah masyarakat di sekeliling baginda. Kerana hanya dengan wahyu sahaja masyarakat baginda boleh diubah ke arah kebaikan.

C. Beban ketiga yang dikatakan oleh ulama adalah beratnya hati Nabi ﷺ apabila berhentinya wahyu buat seketika. Ini adalah satu jangkamasa yang dinamakan fatratil wahyi. Sehinggakan isteri Abu Jahal kata Allah ‎ﷻ sudah tinggalkan baginda. Ini kita boleh rujuk dalam Surah Ad-Dhuha.

Waktu itu Nabi ﷺ sudah dapat pangkat kenabian dan sudah mula menerima wahyu, tetapi apabila selepas beberapa ayat yang awal, tiba-tiba penurunan wahyu berhenti, menyebabkan Nabi ﷺ rasa tertekan. Sambil dalam masa yang sama, baginda kena cemuh kerana wahyu itu berhenti.

Maka itu adalah keadaan yang berat untuk baginda kerana baginda pun rasa sangsi pada diri baginda sendiri. Maka Allah ‎ﷻ angkat perasaan berat baginda itu dengan menyambung beri wahyu kepada baginda.

D. Beban mendapat tohmahan daripada penentang. Seperti yang kita tahu, baginda kena kutuk, kena tuduh bermacam-macam, kena hina dan macam-macam lagi. Keadaan ini adalah amat berat untuk Nabi ﷺ. Tambahan pula kerana Nabi ﷺ adalah seorang yang sensitif jiwanya.

Segala tohmahan itu telah menyendatkan jantungnya. Tetapi baginda tidak berhenti berdakwah walaupun masyarakat semakin teruk menentang baginda. Dan apabila baginda terus berdakwah, mereka terus meningkatkan sikap buruk kepada baginda.

Oleh itu dalam keadaan berat ini, Allah ‎ﷻ berikan baginda dengan Solat Tahajjud. Dengan menjalankan qiyamullail, bermunajat kepada Allah‎ ﷻ, maka hati Nabi ﷺ menjadi lega.

E. Beban tekanan kerana menjadi Rasul dan Nabi terakhir. Maka, Nabi ﷺ rasa tugasnya amat berat. Kerana baginda sedar, kalau baginda tidak jalankan tugas dengan baik, maka seluruh umat selepas itu akan sesat. Kerana selepas baginda, tidak ada lagi Nabi lain yang akan memperbetulkan agama atau meneruskan tugas baginda.

Baginda hanya ada satu peluang sahaja semasa hayat baginda untuk mengubah dunia. Oleh kerana memikirkan perkara ini dan kesan jangka panjang, Nabi ﷺ jadi risau memikirkan sampai menjadi beban kepada baginda.

Maka Allah ‎ﷻ ingatkan baginda yang baginda hanya sebagai pemberi peringatan sahaja. Bukanlah tugas Nabi hendak memberikan hidayah kepada setiap orang. Baginda hanya boleh sampaikan sahaja tetapi hidayah itu milik Allah ‎ﷻ dan Allah ‎ﷻ pilih siapa yang Allah ‎ﷻhendak beri.

Baginda cuma perlu teruskan usaha untuk menyampaikan dakwah sahaja dan jangan risau sangat kepada mereka yang tidak dapat menerima. Kerana akan ada sahaja yang tidak akan menerima ajaran tauhid dan itu bukanlah salah baginda.

Dan pasti akan ada yang menerima ajakan baginda itu. Ini disebut dalam banyak ayat dalam Al-Qur’an. Ayat-ayat itu dinamakan jenis ayat tasliah iaitu ayat-ayat yang memujuk hati baginda.

F. Baginda rasa terbeban kerana Allah ‎ﷻ ada menegur baginda. Contohnya, dalam Surah Abasa, ada kejadian di mana Nabi ﷺ tidak memberi perhatian kepada seorang lelaki buta. Sebenarnya tidaklah perkara itu menjadi kesalahan yang besar, tetapi Allah ‎ﷻ masih tetap tegur baginda kerana kedudukan baginda sebagai seorang Nabi.

Apabila sudah kena tegur tu, Nabi ﷺ rasa berat sangat kerana ditegur oleh Allah ‎ﷻ sendiri. Allah ‎ﷻ ingatkan yang Dia tegur itu adalah untuk meningkatkan lagi ketinggian baginda. Bukan hendak marah sangat. Selepas itu Allah ‎ﷻ turunkan ayat-ayat sebagai tasliah dan menghiburkan hati Nabi ﷺ. Allah ‎ﷻ beritahu yang segala kesilapan Nabi ﷺ dimaafkan. Maka tenanglah hati baginda selepas itu.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 27 Mac 2021


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Pengenalan Tafsir Surah al-Alaq

Pengenalan

Semasa Nabi Muhammad ﷺ berumur dalam lingkungan 40 tahun, baginda duduk menyendiri dalam Gua Hira’ sebab baginda hendak mencari jalan penyelesaian kepada masalah masyarakat baginda. Ini adalah kerana hatinya halus, jiwanya tinggi sampaikan baginda berfikir tentang masalah masyarakatnya yang teruk sekali melakukan syirik.

Walaupun baginda belum lagi mendapat wahyu, waktu itu baginda sudah nampak bahawa apa yang dilakukan oleh masyarakat baginda itu tidak benar. Dan baginda tidak boleh tengok begitu sahaja. Malangnya, baginda tidak ada jalan penyelesaian kerana baginda belum menjadi Nabi lagi dan belum mendapat wahyu lagi.

Memang lama baginda meluangkan masa di Gua Hira’ itu sebelum Allah ‎ﷻ hantar Jibril untuk sampaikan wahyu kepada baginda. Ini menunjukkan betapa dedikasinya baginda hendak mencari kebenaran. Ini adalah kisah ringkas berkenaan dengan bagaimana permulaan baginda mendapat wahyu itu. Perbincangan lanjut boleh dibaca di dalam Kitab Sahih Bukhari.

Dari hadis permulaan baginda mendapat wahyu itu, berkali-kali Jibril suruh Nabi Muhammad ﷺ baca pada permulaannya untuk baginda bersedia untuk membaca. Itulah sebabnya Jibril peluk Nabi Muhammad ﷺ supaya baginda bersedia. Kerana memang tidak ada apapun waktu itu untuk baginda baca, maka baginda baca dengan mulut sahaja.

Lalu apakah yang baginda kena baca? Baginda disuruh baca tentang sifat Allah ‎ﷻ. Maknanya, kena kenal Allah ‎ﷻ dahulu. Kerana itu kalau kita tidak kenal Allah ‎ﷻ, macam mana? Itulah maksud iqra’ – sebelum apa-apa, kena kenal Allah ‎ﷻ dulu. Oleh itu kena belajar maksud Al-Qur’an dan kena ajar anak-anak kita dengan agama, sampai mereka boleh kenal Allah ‎ﷻ. Dan untuk kenal Allah‎ ﷻ, kena kenali Allah ‎ﷻ sebagaimana yang diajar di dalam Al-Qur’an.

Maka kena belajar tafsir Al-Qur’an. Kerana penerangan tentang Allah‎ ﷻ disebut dalam Al-Qur’an. Kerana itulah ilmu tafsir Al-Qur’an ini hendaklah dipelajari dari mula lagi. Ia adalah ilmu asas, bukannya hanya terhad kepada orang tertentu sahaja.

Kaitan dengan surah sebelumnya:

Terdapat beberapa persamaan antara Surah Al-‘Alaq ini dengan surah sebelumnya, Surah at-Teen.

1. Dalam Surah at-Teen, Allah ‎ﷻ memberitahu kita bahawa Allah ‎ﷻ telah memuliakan manusia dengan menceritakan bagaimana kita ini dijadikan dalam penciptaan yang terbaik sekali; dalam Surah al-‘Alaq, Allah ‎ﷻ memberitahu ada manusia yang melampau dan melawan, walaupun mereka telah dijadikan dengan sempurna.

2. Dalam Surah at-Teen: Allah ‎ﷻ gunakan kalimat خَلَقنَا الإِنسانَ (Kami jadikan insan) – kalimat ini Allah ‎ﷻ membahasakan DiriNya sendiri sebagai Pencipta kepada insan – ini menunjukkan taqrib (dekatnya) Allah ‎ﷻ dengan kita. Ini adalah kerana dalam ayat itu, Allah ‎ﷻ hendak menceritakan bagaimana Dia telah menjadikan manusia dalam keadaan yang terbaik.

Akan tetapi, dalam Surah al-‘Alaq ini, Allah ‎ﷻ menggunakan kalimat خَلَقَ الإِنسانَ (Dia menciptakan insan) – Allah ‎ﷻ menggunakan kata-ganti pihak ketiga (gha’ibah) kerana hendak menjauhkan DiriNya. Ini adalah kerana surah ini hendak mengatakan keburukan manusia yang menjauhkan diri daripada Allah‎ ﷻ .

3. Dalam Surah al-‘Alaq, Allah ‎ﷻ menggunakan kalimah وَرَبُّكَ الأَكرَمُ (dan Tuhanmu Maha Pemurah). Iaitu Allah ‎ﷻ memuliakan DiriNya dalam ayat itu; sedangkan dalam Surah at-Teen, Allah‎ ﷻ menceritakan tentang kemuliaan para Nabi Ulul Azmi – Allah ‎ﷻ menyebut tentang tempat-tempat kelahiran mereka sebagai isyarat kepada mereka.

4. Dalam Surah at-Teen, Allah ‎ﷻ telah memberitahu bagaimana manusia itu dijadikan dalam bentuk yang baik – لَقَد خَلَقنَا الإِنسانَ في أَحسَنِ تَقويمٍ (sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya); dalam Surah al-‘Alaq ini, Allah ‎ﷻ memberitahu kenapa insan itu dalam bentuk terbaik – kerana mereka telah diberikan dengan aqal/intelek/ilmu. Inilah yang menyebabkan manusia itu lebih tinggi dan lebih mulia daripada makhluk yang lain.

Allah ‎ﷻ sebut dalam Surah al-‘Alaq ini bagaimana manusia belajar dan menyampaikan ilmu dengan pena; dengan itu juga manusia boleh faham apa yang Allah ‎ﷻ sampaikan – semua ini memerlukan penggunaan aqal yang Allah ‎ﷻ telah berikan kepada manusia. Oleh itu, kalau manusia tidak gunakan aqalnya, maka mereka itu tidaklah lebih baik daripada binatang.

5. Dalam Surah at-Teen, Allah ‎ﷻ memberitahu ada manusia yang direndahkan ثُمَّ رَدَدناهُ أَسفَلَ سافِلينَ (Kemudian Kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya); dalam Surah al-‘Alaq ini, Allah ‎ﷻ sambung dengan menceritakan apakah yang mereka lakukan, apakah yang dalam fikiran mereka, dan Allah ‎ﷻ beri contoh Abu Jahal.

6. Dalam Surah at-Teen, Allah ‎ﷻ sebut فَما يُكَذِّبُكَ (Maka apakah yang menyebabkan kamu mendustakan) – ia merujuk kepada mereka yang mendustai Nabi Muhammad ﷺ; dalam Surah al-‘Alaq ini, Allah ‎ﷻ beri contoh orang itu – Abu Jahal dan apakah yang Abu Jahal lakukan terhadap baginda.

7. Dalam Surah at-Teen, Allah ‎ﷻ memberitahu kita bahawa Allah‎ ﷻ ialah hakim yang paling bijaksana sekali أَلَيسَ اللَّهُ بِأَحكَمِ الحاكِمينَ (Bukankah Allah ‎ﷻ Hakim yang seadil-adilnya?); dalam Surah al-‘Alaq ini, Allah ‎ﷻ menjelaskan bagaimana Dia buat keputusan penghakiman terhadap mereka yang menghalang Nabi Muhammad ﷺ.

Sebagai hakim, Allah ‎ﷻ akan menjalankan penghakiman dengan bijaksana dan Allah ‎ﷻ akan buat keputusan dengan adil. Kita kena redha dengan penghakiman daripada Allah‎ ﷻ.

8. Dalam Surah at-Teen, Allah ‎ﷻ memberitahu kita bahawa Dialah yang Maha Bijaksana sekali أَلَيسَ اللَّهُ بِأَحكَمِ الحاكِمينَ (Bukankah Allah ‎ﷻ Hakim yang seadil-adilnya?); Dalam Surah al-‘Alaq, di awal lagi Allah ‎ﷻ sudah beritahu kita untuk membaca Al-Qur’an. Ini adalah kerana Al-Qur’an itu daripada Allah ‎ﷻ yang Maha Bijaksana, maka kalau kita juga hendak mendapatkan kebijaksanaan, maka hendaklah kita belajar tafsir Al-Qur’an (bukan belajar baca sahaja).

9. Dalam Surah at-Teen, mereka yang selamat adalah الَّذينَ آمَنوا وَعَمِلُوا الصّالِحاتِ – orang yang beriman dan beramal soleh. Apabila seseorang itu mula beriman, dia akan melakukan amal soleh – dan apabila melakukan amal soleh, iman akan bertambah (pusingan spiral yang baik); dalam Surah ‘Alaq, Allah ‎ﷻ suruh وَاسجُد وَاقتَرِب (sujud dan dekatkan [dengan Allah ‎ﷻ]). Melakukan sujud akan mendekatkan kita dengan Allah ‎ﷻ dan meningkatkan iman.

10. Surah al-‘Alaq ini lebih spesifik kalau dibandingkan dengan Surah at-Teen yang lebih berbentuk umum.

a. Dalam at-Teen, para Nabi disebut secara umum tetapi dalam Surah al-‘Alaq, ia lebih menjurus kepada Nabi Muhammad ﷺ.

b. Dalam at-Teen, Allah ‎ﷻ beritahu yang Dia menjadikan kita dalam bentuk yang baik, dalam Surah al-‘Alaq, Allah ‎ﷻ menjelaskan bahawa manusia asalnya adalah al-alaq.

c. Dalam at-Teen, Allah ‎ﷻ beritahu ada manusia yang direndahkan dan dalam Surah Alaq, Allah ‎ﷻ beri contoh lelaki yang sebegitu (Abu Jahal).

d. Dalam at-Teen, Allah ‎ﷻ mengutuk mereka yang menolak Nabi Muhammad ﷺ dan dalam Surah al-‘Alaq, Allah ‎ﷻ beri contoh Abu Jahal yang menolak Nabi Muhammad ﷺ.

Muqaddimah kepada Surah ini:

Sebelum Nabi Muhammad ﷺ dilantik menjadi Rasul, dunia berada dalam kegelapan syirik. Rasul terakhir sebelum Nabi Muhammad ﷺ adalah Nabi Isa a.s. iaitu lebih kurang 600 tahun sebelum bangkitnya Nabi Muhammad ﷺ. Jadi, selama 600 tahun itu, manusia tidak ada Rasul yang membimbing mereka. Itu adalah satu masa yang lama. Hinggalah Allah ‎ﷻ bangkitkan Rasul dan Nabi terakhir – Nabi Muhammad ﷺ.

Perkara ini penting untuk diberitahu kerana jumhur ulama mengatakan bahawa Surah al-‘Alaq ini adalah surah yang pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad ﷺ (5 ayat pertama dari surah ini). Cara penurunan ayat-ayat pertama ini boleh dibaca dalam hadis-hadis yang sahih berkenaannya. Kita tidak mahu memanjangkan perbincangan itu.

Seperti yang kita telah sebut, Nabi Muhammad ﷺ terkesan dengan masalah yang dihadapi oleh masyarakat baginda. Baginda berharap sangat agar baginda dapat memberi jalan penyelesaian kepada masalah-masalah itu. Oleh kerana jauh daripada agama, orang lemah daripada kalangan masyarakat baginda dizalimi oleh mereka yang berkuasa. Akan tetapi, banyak mana pun yang baginda cuba lakukan, masalah itu tidak nampak jalan penyelesaiannya.

Akhirnya, dipendekkan kisah, Allah ‎ﷻ telah menurunkan wahyuNya kepada baginda sebagai pedoman dan petunjuk kepada manusia dan sebagai pembaikan perhubungan antara manusia dan Pencipta. Memang selama itu baginda mencari jalan bagaimana hendak mengubah masyarakat baginda. Dan ini adalah sesuatu yang amat dikehendaki oleh baginda, kerana baginda bukan setakat mahu tolong orang susah sahaja, tetapi baginda hendak selesaikan punca kenapa boleh jadi susah dari awal lagi. Baginda ingin menghapuskan terus punca masalah itu.

Dan walau bagaimana baginda buat pun, jika hanya pakai akal sahaja, memang baginda tidak akan berjaya. Nabi ﷺ akhirnya hanya berjaya selesaikan masalah spiritual dan fizikal masyarakat itu dengan wahyu daripada Allah ‎ﷻ. Begitu jugalah kita, kalau kita cuba memperbaiki masalah masyarakat dengan akal, kita juga tidak akan berjaya – maka kita kena gunakan wahyu. Kerana Allah‎ ﷻ yang jadikan kita, maka Allah‎ ﷻ tahu jalan penyelesaian kepada masalah kita.

Jadi, kita dapat mengenal Rasul kita sedikit sebanyak daripada kisah ini. Kita boleh dapat gambaran bagaimanakah sifat baginda yang mulia itu. Kita kena tahu bahawa baginda adalah seorang Nabi, bukan setakat seorang yang bijak mengubah masyarakat baginda sahaja (seperti yang dikatakan oleh pemikir bukan Islam). Memang ada manusia yang hebat di dunia, tetapi mereka itu boleh dibahagikan kepada beberapa jenis:

1. Ahli Falsafah / pemikir: Mereka cuba menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh masyarakat mereka dengan mencuba beberapa sistem. Sebagai contoh, Karl Marx cuba mengubah masyarakat beliau dengan memperkenalkan Sistem Komunis.

2. Ahli Politik: Mereka cuba untuk mengubah masyarakat dengan akal juga, dan selalunya dengan kuasa yang ada pada mereka.

3. Kemudian kita ada para Nabi yang mendapat cara penyelesaian dan ilmu daripada Tuhan sendiri. Mereka juga mempunyai sifat yang mulia yang menjadi contoh kepada masyarakat. Mereka tidak pernah kata itu adalah cara mereka, tetapi mereka kata apa yang mereka bawa adalah ajaran yang mereka dapat daripada Tuhan. Dan ini adalah ilmu yang paling tinggi sekali. Kerana ilmu dan intelek itu boleh dibahagikan kepada beberapa jenis:

1- Yang didapati dari ilmu hasil dari pancaindera yang lima.

2- Ilmu yang didapati dari tanda-tanda luaran dan kajian – contohnya kalau kita melihat asap, dari pengalaman dan pengetahuan kita, tentu itu menandakan adanya api.

3 – Ilmu daripada ilham/hati. Ilmu ini Allah ‎ﷻ beri semasa kita dalam perut lagi. Ianya sudah siap ada dalam roh sebelum kita dilahirkan. Kalau orang bukan Islam pun, mereka pun dapat rasa yang ianya ada. Mereka mungkin gunakan nama lain – sebagai contoh, ada yang menggelarnya ‘intuisi’.

Ada juga yang Allah ‎ﷻ berikan setelah kita meminta petunjuk daripada Allah ‎ﷻ. Kalau orang Islam, kita diajar untuk melakukan Solat Istikharah. Kadangkala ada orang yang Allah ‎ﷻ berikan mimpi yang benar.

4. Dan yang paling tinggi adalah ilmu daripada Allah ‎ﷻ sendiri iaitu Wahyu. Inilah yang diberikan hanya kepada para Nabi sahaja dan mereka sampaikan ilmu itu kepada manusia. Ahli falsafah dan pemikir tidak akan dapat ilmu ini walau bagaimana dalam dan lama mereka memikirkan tentang sesuatu perkara.

Hebatnya, Al-Qur’an ada mengajar semua jenis ilmu ini. Maka kita tidak ketinggalan dan malah menjadi lebih hebat jika kita pakai ajaran dalam Al-Qur’an.

Sambung ke ayat yang pertama.

Kemaskini: 5 Oktober 2019


Rujukan:

Nouman Ali Khan

Tafsir Surah Dhuha Ayat 1 – 5 (Nikmat untuk Rasulullah ﷺ)

Pengenalan dan latarbelakang kepada surah ini

Ada beberapa tempoh lama yang Nabi ﷺ tidak mendapat wahyu (selepas baginda mula mendapat wahyu). Dalam berbelas hari juga (berapa lama, tidak ada kepastian). Reaksi musyrikin Mekah apabila mengetahui perkara ini, mereka mula mengejek Nabi ﷺ dengan mengatakan bahawa Tuhan Muhammad telah meninggalkannya dan tidak suka kepada baginda.

Lebih tepat lagi, yang mengatakan demikian adalah isteri Abu Jahal. Tentunya Nabi ﷺ amat sedih tentang perkara itu. Tambahan pula, baginda takut kalau-kalau ada kesalahan pada diri baginda sehinggakan baginda tidak diberikan wahyu lagi. Maka dengan penurunan Surah Ad-Dhuha ini, Allah ﷻ memberi berita gembira kepada baginda.

Mengapa Allah ﷻ berhentikan seketika penurunan wahyu kepada baginda? Kita tidak tahu secara pasti tetapi ada yang berpendapat, ianya untuk memberi rehat kepada baginda. Ini sudah tentu ada hikmah di sebalik apa yang Allah ﷻ telah lakukan. Hal ini kerana, penerimaan wahyu amat berat, maka Allah ﷻ berikan rehat kepada baginda.

Surah ini memberitahu bahawa tidaklah Allah ﷻ melupakan Nabi ﷺ dan membiarkan baginda begitu sahaja. Seperti juga malam itu tidak lama – akan datang juga siang, maka kelewatan wahyu diturunkan kepada Nabi ﷺ itu tidaklah lama. Isyarat kelewatan itu adalah pada malam dan isyarat datangnya wahyu kembali adalah dengan datangnya siang – waktu dhuha.

Nabi ﷺ risau kafir Quraish tidak menerima dakwah yang disampaikannya. Baginda takut kalau manusia tidak menerima dakwahnya, mereka akan binasa. Bukan umat Arab sahaja yang akan binasa malah, seluruh alam akan binasa kerana baginda adalah rasul dan Nabi terakhir. Baginda takut kalau-kalau ada kesalahan atau kekurangan dalam dakwah yang baginda sampaikan.

Maka dalam surah ini, Allah ﷻ hendak menenangkan perasaan Nabi ﷺ dengan mengatakan bahawa tidak ada salah pada dirinya dan dakwahnya. Nabi ﷺ tidak bersalah dan Allah ﷻ tidak marah kepada baginda.

Surah ini menceritakan nikmat-nikmat yang telah diberikan kepada Nabi ﷺ dan apakah cara untuk mensyukuri nikmat-nikmat itu. Dan apabila diberikan caranya kepada Nabi ﷺ , kita sebagai umat Islam perlu ikut juga.

 

Kaitan dengan Surah al-Layl dengan Surah Ad-Dhuha ini:

1. Surah Al-Layl menyebut malam dahulu (وَاللَّيلِ إِذا يَغشىٰ), sedangkan Surah Ad-Dhuha menyebut siang dahulu (وَالضُّحىٰ).

2. Surah Al-Layl khitab kepada Kafir Quraish, manakala Surah Ad-Dhuha khitab kepada Nabi ﷺ .

3. Di hujung Surah Al-Layl, Allah ﷻ menyebut: وَلَسَوفَ يَرضىٰ – mereka yang menerima nikmat itu akan berpuas hati kerana berjaya. Dalam surah ini, akan diberikan contoh tentang orang yang mencari keredaan Allah ﷻ , iaitu Nabi Muhammad ﷺ .

4. Dalam Surah al-Layl, Allah ﷻ menjanjikan kesenangan membawa ke syurga kepada mereka yang memberi infaq dan bertaqwa (فَسَنُيَسِّرُهُ لِليُسرىٰ). Tetapi dalam surah sebelum itu (Surah Al-Balad), dikatakan yang ianya adalah aqabah (sesuatu yang susah) pula (فَلَا اقتَحَمَ العَقَبَةَ), jadi bagaimana? Dalam surah ini, Allah ﷻ memberitahu, walaupun mulanya susah, tetapi nanti akan menjadi semakin senang (وَلَلآخِرَةُ خَيرٌ لَكَ مِنَ الأولىٰ).

5. Dalam Surah Al-Layl, Allah ﷻ memuji orang yang memberi sedekah (فَأَمّا مَن أَعطىٰ وَاتَّقىٰ). Dalam Surah Ad-Dhuha, Allah ﷻ pula memberi segala macam nikmat kepada Nabi ﷺ, kerana Nabi ﷺ telah ‘memberi’ sebelum itu. Nabi ﷺ telah menghabiskan hartanya dan harta Khadijah رضي الله عنها untuk mengubah masyarakat ke arah kebaikan (sebelum baginda dilantik menjadi Nabi ﷺ).

6. Dalam Surah Al-Layl, disebut tentang orang yang وَصَدَّقَ بِالحُسنىٰ (membenarkan dengan kebaikan), iaitu apabila datang kebenaran, mereka membenarkannya. Dalam surah ini, diceritakan bagaimana Nabi ﷺ sebelum mendapat kebenaran Islam, baginda memang mencari-cari apakah kebenaran dan akhirnya Allah ‎ﷻ memberikannya kepada baginda (وَوَجَدَكَ ضالًّا فَهَدىٰ). Dan apabila kebenaran itu sampai kepada baginda, baginda membenarkan (menerimanya).

7. Dalam Surah al-Layl, disebut tentang orang yang ghina’, rasa cukup dan tidak perlukan orang lain (وَأَمّا مَن بَخِلَ وَاستَغنىٰ). Mereka rasa mereka tidak memerlukan sesiapa kerana mereka sudah kaya. Tetapi kekayaan mereka sebenarnya tidak akan mencukupkan mereka dan tidak akan dapat melepaskan mereka apabila mereka jatuh ke dalam lembah kehinaan.

Dalam Surah Ad-Dhuha, Allah ﷻ sebut Dia yang menjadikan Nabi ﷺ cukup (وَوَجَدَكَ عائِلًا فَأَغنىٰ). Maknanya, bukan harta yang mencukupkan seseorang, tetapi Allah ﷻ sahaja yang boleh menjadikan seseorang itu cukup. Oleh itu, jika kita mencari pemberian daripada Allah ﷻ , Allah ﷻ akan mencukupkan kita.

8. Dalam Surah al-Layl, telah disebut tentang mereka yang infaq harta untuk membersihkan diri mereka (الَّذي يُؤتي مالَهُ يَتَزَكّىٰ); dalam Surah Ad-Dhuha, Allah ﷻ beritahu di mana tempat yang boleh kita berikan infaq – kepada anak yatim (فَأَمَّا اليَتيمَ فَلا تَقهَر), dan kepada orang yang meminta (وَأَمَّا السّائِلَ فَلا تَنهَر).

9. Disebut balasan paling baik dalam Surah al-Layl di mana mereka akan berpuas hati dengan apa yang mereka akan terima nanti (وَلَسَوفَ يَرضىٰ); dalam Surah Ad-Dhuha, disebut apabila mendapat kebaikan, kena ceritakan (وَأَمّا بِنِعمَةِ رَبِّكَ فَحَدِّث).

10. Kedua-dua surah ini tentang petunjuk, iaitu petunjuk yang kita harapkan hanya daripada Allah ﷻ. Oleh itu , hak memberi petunjuk daripada Allah (إِنَّ عَلَينا لَلهُدىٰ). Allah ﷻ boleh pilih siapa yang Dia hendak beri petunjuk itu – dalam Surah Ad-Dhuha diberitahu bagaimana Allah ﷻ telah memberi hidayah menuju kepadaNya (وَوَجَدَكَ ضالًّا فَهَدىٰ).

11. Dalam Surah al-Layl, kita mengharap kepada Allah ﷻ, maka kita menghadapkan diri kita kepada Allah ﷻ dalam permintaan kita; dalam surah ini, ada orang yang memerlukan infaq dan mereka juga telah menghadapkan wajah mereka kepada Allah ﷻ , maka jangan menolak mereka yang memerlukan pertolongan daripada kita (وَأَمَّا السّائِلَ فَلا تَنهَر). Ini kerana, mungkin kitalah asbab (penyebab) bagi Allah ﷻ memberi bantuan kepada mereka.


Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 3 perenggan makro. Ayat 1 – 5 adalah Perenggan Makro Pertama. Ia adalah tasliah (pujukan) kepada Nabi ﷺ yang dukacita kerana lama tidak didatangi wahyu.

Allah ﷻ mulakan surah ini dengan sumpah. Ini adalah sumpah yang pertama daripada Allah ﷻ.

وَالضُّحىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

AdhDhuḥā: The Morning Brightness, i.e., the brightness or heat of the sun.

By the morning brightness

(MALAY)

Demi waktu matahari sepenggalahan naik,

Allah ﷻ bersumpah dengan Waktu Dhuha. Waktu Dhuha ialah waktu pagi yang amat menenangkan di mana, manusia mula bergerak untuk memulakan kehidupan dan kerja mereka. Waktu subuh, orang baru bangun tidur dan belum keluar rumah ramai-ramai lagi. Tetapi waktu Dhuha memang manusia ramai-ramai akan keluar untuk memulakan kerja atau memulakan aktiviti mereka hari itu.

Pada waktu itu manusia dalam keadaan segar kerana belum mula bekerja lagi dan baru lepas berehat di malam hari. Waktu itu juga suasananya nyaman kerana tidak terlalu sejuk dan tidak terlalu panas.

Waktu Dhuha adalah isyarat kepada wahyu yang datang kepada Nabi Muhammad ﷺ; ia menyegarkan baginda sebagaimana juga waktu Dhuha itu. Ia wahyu yang penuh dengan cahaya, sebagaimana juga dengan cahaya Waktu Dhuha.

Allah ﷻ membezakan Waktu Dhuha dengan masa yang akan disebut selepas ini iaitu malam yang bening. Ada pasangan di antara siang dan malam. Sebagaimana setiap sesuatu ada pasangannya masing-masing – kiri dan kanan, atas bawah, lelaki perempuan dan sebagainya. Manusia memang memerlukan kedua-duanya.

Pasangan kepada siang (Waktu Dhuha) adalah malam. Dengan malam, manusia baru nampak kebaikan dan kesenangan yang ada dengan adanya siang. Kerana kalau kita sakit, barulah kita dapat menilai nikmat sihat, bukan? Oleh itu, kedua-dua waktu itu kita perlukan: siang untuk bekerja dan malam untuk berehat.

Begitu juga dengan kehidupan kita – ada waktu senang dan ada waktu susah. Ia adalah sebahagian daripada putaran hidup kita. Sebagai manusia, memang kita perlu lalui susah dan senang. Memang ada kebaikan juga apabila kita ada kesusahan. Eh, bagaimana pula? Kerana ada pengajaran yang Allah ﷻ hendak berikan kepada kita semasa kita melalui kesusahan itu.

Sebagai contoh, dengan hadirnya susah, baru ada perasaan sabar. Kerana sifat sabar itu datang setelah adanya kesusahan dalam hidup. Kalau tidak ada susah, bagaimana lagi kita hendak belajar sabar itu? Dan sabar hanya keluar semasa susah, bukan? Dan apabila kita sabar dengan dugaan hidup, kita akan memperoleh pahala. Maknanya kalau kita tidak dapat susah, kita tidak dapat peluang untuk mendapatkan pahala sabar.

Apa lagi kelebihan yang ada pada kesusahan? Lagi satu, perasaan menghargai sesuatu hanya akan hadir apabila sesuatu kepunyaan kita diambil, hilang, rosak dan sebagainya. Oleh itu,  kita akan lebih menghargai barang yang kita ada kerana kita pernah hilang sesuatu itu. Terdapat pelbagai lagi contoh yang boleh dibincangkan oleh manusia tentang kelebihan musibah dan dugaan hidup ini. Oleh itu, ingatlah walaupun dalam kesusahan ada kebaikan.

Allah ﷻ bersumpah dengan Waktu Dhuha, kita tidak boleh. Kita hanya dibenarkan bersumpah dengan nama Allah ﷻ sahaja. Apabila Allah ﷻ bersumpah dengan Waktu Dhuha, itu menunjukkan ada kelebihan pada waktu Dhuha.

Waktu Dhuha adalah waktu yang terang tetapi cahaya belum panas lagi. Oleh itu, kita dapat melihat bagaimana surah ini akan menggunakan bahasa-bahasa yang lembut dan menyenangkan juga. Ini kerana, Allah ﷻ sedang bercakap dengan RasulNya yang Dia amat sayangi, maka tentulah Dia bercakap dengan nada yang lembut dan menyenangkan. Ini menunjukkan cinta Allah ﷻ kepada baginda.


Ayat 2: Sumpah kedua.

وَاللَّيلِ إِذا سَجىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [by] the night when it covers with darkness,¹

  • And becomes still.

(MALAY)

dan demi malam apabila telah sunyi (gelap),

Malam apabila ianya senyap sunyi menandakan isyarat kepada satu waktu di mana Nabi ﷺ tidak mendapat wahyu. Ini adalah fatratil wahy di mana buat beberapa waktu, wahyu dihentikan daripada diberikan kepada baginda. Ianya seperti malam kerana sebagaimana malam itu gelap, begitu juga alam ini seumpama gelap tanpa cahaya wahyu.

Kenapa Allah ﷻ sebut waktu dhuha dahulu sebelum sebut waktu malam? Disebut siang dahulu menandakan wahyu sudah mula diturunkan dan malam apabila wahyu diberhentikan seketika. Ini mengikut susunan keadaan yang hendak disampaikan dalam surah ini iaitu tentang wahyu yang diturunkan semua selepas fatratil wahy.

Kalimah سَجىٰ bermaksud tenang, tidak bergerak, berhenti. Pada waktu malam yang bening, waktu itu daun pokok pun tidak bergerak. Walaupun malam itu gelap, tetapi tentunya ada guna malam seperti yang disebut dalam  [Ghafir:61].

اللهُ الَّذي جَعَلَ لَكُمُ اللَّيلَ لِتَسكُنوا فيهِ وَالنَّهارَ مُبصِرًا ۚ إِنَّ اللهَ لَذو فَضلٍ عَلَى النّاسِ وَلٰكِنَّ أَكثَرَ النّاسِ لا يَشكُرونَ

Allah yang menjadikan malam untuk kamu supaya kamu berehat padanya, dan menjadikan siang terang-benderang (supaya kamu berusaha). Sesungguhnya Allah sentiasa melimpah-limpah kurniaNya kepada manusia seluruhnya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur.


Ayat 3: Ini adalah jawabul qasm (jawapan kepada sumpah sebelum ini). Sekarang kisah tentang tuduhan orang kafir Quraish terhadap Rasulullah ﷺ . Allah ﷻ hendak menolak tuduhan mereka. Seperti yang kita telah sebut, mereka menuduh yang Tuhan Muhammad ﷺ telah meninggalkan baginda.

ما وَدَّعَكَ رَبُّكَ وَما قَلىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Your Lord has not taken leave of you, [O Muḥammad], nor has He detested [you].

(MALAY)

Tuhanmu tidak meninggalkan kamu dan tidak (pula) benci.

Dalam ayat ini, Allah ﷻ hendak menegaskan yang Allah ﷻ tidak meninggalkan Nabi Muhammad ﷺ dan tidak membenci baginda. Selepas wahyu berhenti turun seketika, puak kafir Quraish kata bahawa Allah ﷻ sudah meninggalkan Nabi Muhammad ﷺ  kerana benci kepada baginda. Allah ﷻ menafikan tuduhan mereka itu.

Atau mungkin baginda sendiri sudah rasa begitu apabila wahyu berhenti seketika. Kerana baginda sangat takut sekiranya ada kesalahan yang baginda telah lakukan. Tetapi Allah ﷻ hendak beritahu bahawa baginda tidak ada buat apa-apa kesalahan.

Lagi satu keindahan bahasa yang digunakan dalam surah ini, Allah ﷻ menggunakan Waktu Dhuha dan malam sebagai sumpahNya kerana kedua-dua perkara itu tidak kekal. Hendak menunjukkan, walaupun Allah ﷻ tidak menurunkan wahyu seketika, tetapi itu tidaklah kekal sebagaimana waktu dhuha dan waktu malam tidak kekal. Sekejap sahaja Allah ﷻ tidak turunkan wahyu itu, kerana kemudian disambung balik.

Kalimah وَدَّ, seperti yang digunakan dalam kalimah tawaf wida’ (tawaf selamat tinggal), bermakna mengucapkan selamat tinggal. Tidak benar apa yang dikatakan oleh orang kafir bahawa Allah ﷻ telah meninggalkan Nabi ﷺ dengan tidak menurunkan wahyu lagi kerana benci.

Mana mungkin Allah ﷻ membenci Nabi ﷺ . Allah ﷻ sayang akan Nabi ﷺ dan para sahabat baginda. Bahasa yang digunakan dalam surah ini adalah bahasa yang lembut menunjukkan betapa kasihnya Allah ﷻ terhadap Nabi Muhammad ﷺ .

Allah ﷻ menggunakan perkataan ‘ما’ dalam ayat ini dan bukan ‘لا’ kerana perkataan ‘ما’ itu menunjukkan past tense – iaitu Allah ﷻ ‘tidak pernah’ meninggalkan baginda. Kerana itu ada penekanan apabila digunakan kalimah ما. Ini tidak sama kalau guna لم sahaja kerana kalau guna ما , ia bermaksud ada sesuatu yang hendak ditolak (tuduhan orang kafir).

Dan ada sebab kenapa Allah ﷻ menggunakan perkataan ‘rabb’ dalam ayat ini – ‘Rabb’ bermaksud Tuhan yang mencipta, menjaga dan memelihara. Allah ﷻ mengatakan bahawa Tuhan yang menjaga dan memelihara kamu tidak pernah meninggalkan kamu. Bagaimana Tuhan yang menjaga dan memelihara baginda boleh meninggalkan baginda? Allah ﷻ tidak pernah tinggalkan baginda.

Kalimah قَلىٰ digunakan apabila marah kepada seseorang, sampaikan tidak mahu bercakap dengan orang itu lagi. Tidaklah Allah ﷻ berperasaan begitu dengan Nabi Muhammad ﷺ . Allah ﷻ hendak memberitahu baginda yang Allah ﷻ tidak membenci baginda langsung.

Dalam ayat ini, Allah ﷻ berfirman وَما قَلىٰ (dan tidaklah Dia benci). Allah ﷻ tidak kata: وَما قلّاك (dan tidaklah Dia membenciMU) kerana tidak ada huruf ك dalam ayat ini. Daripada segi bahasa, sepatutnya perlu sebut siapa yang tidak disukai itu kerana قَلىٰ adalah dalam bentuk muta’addi, bermaksud mesti ada yang ‘kena buat’ atau penerima perbuatan itu.

Akan tetapi Allah ﷻ tidak menggunakan huruf ك yang merujuk kepada Nabi ﷺ dalam ayat itu. Sedangkan dalam وَدَّعَكَ, ada pula ك. Ini adalah kerana kalimah وَدَّعَ, boleh juga digunakan kalau perpisahan antara seorang yang dalam perhubungan baik; jadi tidak salah sangat kalau dikenakan ganti nama Nabi ﷺ dalam perkataan itu. Ini seperti kita mengucapkan selamat tinggal kepada kawan kita dan perkara ini biasa.

Akan tetapi kalau قَلىٰ, ianya antara orang yang tidak berbaik dan ada perkelahian, ada elemen negatif di dalamnya. Maka, Allah ﷻ tidak gunakan untuk mengaitkan dengan Nabi ﷺ . Sampai begitu sekali Allah ﷻ jaga penggunaan bahasa.

Ada satu lagi kelebihan apabila huruf ‘ك’ tidak digunakan, maksudnya lebih luas. Bermakna bukan sahaja Allah ﷻ tidak membenci Nabi ﷺ, malah Allah ﷻ juga tidak membenci para sahabat dan pengikut baginda.


Ayat 4: Ayat tasliah (pujukan) kepada Nabi.

وَلَلأَخِرَةُ خَيرٌ لَّكَ مِنَ ٱلأُولَىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the Hereafter is better for you than the first [life].

(MALAY)

Dan sesungguhnya hari kemudian itu lebih baik bagimu daripada yang sekarang (permulaan).

Dan sesungguhnya kesudahan untukmu adalah lebih baik daripada permulaannya. Apabila ada ل tambahan dalam وَلَلآخِرَةُ , itu menunjukkan ada penekanan (taukid) – pasti sekali akhirat itu lebih baik. Allah ﷻ beri penekanan kerana ada yang mendengar dan tidak percaya (Musyrikin Mekah).

Ia mungkin bermaksud akhirat, ataupun kesudahan perjuangan Nabi ﷺ . Maka, terdapat dua pendapat tentang kalimah آخِرَةُ.

Namun begitu, bagaimana boleh dikatakan apa yang akan dilalui oleh baginda selepas itu dikatakan senang sedangkan kita pun tahu, nanti Nabi ﷺ akan menerima banyak lagi dugaan? Jawabnya, memang di permulaan dakwah Nabi ﷺ adalah amat berat. Salah satu sebabnya, pengikut Nabi ﷺ tidak ramai. Mereka mendapat cemuhan dan dugaan yang banyak. Tetapi nanti Allah ﷻ mengatakan bahawa ia akan menjadi lebih mudah. Sampaikan baginda akan dapat menakluki Mekah dan membersihkan Ka’bah daripada berhala-berhala yang ada di situ.

Dan bagaimana pula dikatakan yang keadaan awal itu lagi susah? Dari sejarah Islam, kita tahu nanti baginda akan kena halau, baginda akan bertempur di Perang Badr, Perang Uhud dan macam-macam lagi dugaan dan perjuangan yang kena dilalui oleh baginda. Bukankah itu semua susah?

Sebenarnya memang lagi susah kerana di Mekah, dugaan yang dihadapi adalah dugaan psikologi. Kerana itu adalah tahap awal lagi, dan mereka amat sedikit. Namun, lama kelamaan apabila baginda dan sahabat sudah semakin yakin dengan kebenaran Islam, walaupun ada tentangan dan dugaan selepas itu, hati baginda sudah tetap dan semakin mantap.

Terdapat satu pendapat lagi iaitu  آخِرَةُ  bermaksud ‘akhirat’. Dalam makna kedua ini, ianya bermaksud bahawa kehidupan Akhirat untuk Nabi ﷺ adalah juga lebih baik untuk Nabi ﷺ . Ia khusus untuk baginda kerana Allah ﷻ letak لَكَ (untuk kamu) dalam ayat ini. Ini adalah kerana, Nabi ﷺ akan mendapat kelebihan dan kedudukan tinggi yang tidak diberi kepada orang lain. Nabi ﷺ akan mendapat maqam mahmudah dan baginda akan diberikan Telaga Kauthar dan lain-lain lagi kelebihan eksklusif.

Namun begitu, bukanlah bermakna baginda susah selamanya di dunia ini. Ini adalah kerana, di dunia lagi Nabi ﷺ sudah diberi dengan kelebihan melebihi orang lain. Sebagai contoh, nama baginda disebut bersama dengan nama Allah ﷻ dalam azan, dalam tasyahud dan pelbagai lagi. Banyak lagi kelebihan yang baginda akan dapat.

Sebagai contoh, baginda mendapat kemenangan peperangan yang banyak, dapat menakluki Mekah,  dapat membersihkan Ka’bah dan lain-lain lagi. Dan sekarang walaupun akhirat belum bermula lagi, baginda sudah dapat banyak kelebihan. Bayangkan, segala amal ibadat yang kita lakukan, Nabi ﷺ akan mendapat pahala sedekah jariah.

Kita boleh gunakan makna ‘الأولىٰ’ itu untuk awal period dakwah Nabi ﷺ dan juga kehidupan dunia untuk Nabi ﷺ kerana Allah ﷻ menggunakan perkataan yang luas (الأولىٰ). Sebagai contoh, daripada sejarah kita tahu yang Nabi ﷺ itu adalah anak yatim, Nabi ﷺ mencari-cari kebenaran, Nabi ﷺ juga miskin kerana baginda tidak mempunyai ayah dan ibu.

Tetapi itu semua adalah kehidupan awal baginda (الأولىٰ) kerana selepas itu Allah ﷻ telah memberikan banyak nikmat kepada baginda. Dalam surah ini, Allah ﷻ mengingatkan yang Nabi ﷺ telah pun peroleh kebaikan yang lebih baik dari dahulu lagi. Dan Allah ﷻ hendak memberitahu, kebaikan itu akan bertambah-tambah.

Allah ﷻ tidak sebut ‘dunia’ dalam ayat ini. Jika Allah ﷻ menggunakan perkataan ‘dunia’, akhirat itu lebih baik dari ‘dunia’, itu bermakna kelebihan itu hanya untuk akhirat sahaja. Tetapi kita tahu bahawa dalam dunia juga Nabi ﷺ telah mendapat kebaikan. Iaitu Nabi ﷺ akan dapat kebaikan semasa di dunia lagi dan tentunya di akhirat kelak. Maka, Allah ﷻ gunakan kalimah الأولىٰ untuk merujuk kepada segala perkara yang awal.

Setelah Allah ﷻ menjanjikan kebaikan di masa hadapan yang amat banyak, maka Allah ﷻ hendak memujuk Nabi ﷺ – tidak mengapalah kalau susah sedikit kalau nanti akan mendapat kebaikan yang banyak sekali. Kalau kita tahu yang kita susah hanya sekejap sahaja dan akan senang kemudian, tentulah lega sedikit hati kita bukan?

Begitu jugalah pujukan Allah ﷻ kepada kita. Memang menegakkan agama ini susah, tetapi sabarlah kerana nanti di akhirat akan dapat kelebihan yang tinggi. Dan pembalasan di akhirat itu lebih baik.

Dan juga hendak mengingatkan kita, dakwah ini paling susahnya di peringkat awal. Kerana baru hendak mula. Tetapi lama kelamaan, ia akan senang kerana Allah ﷻ  akan bantu. Kita pun sudah semakin banyak pengamalan maka, kerja dakwah akan menjadi lebih mudah.


Ayat 5: Allah ﷻ janji yang nanti baginda akan diberi nikmat sehingga baginda puas hati.

وَلَسَوفَ يُعطيكَ رَبُّكَ فَتَرضىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And your Lord is going to give you, and you will be satisfied.

(MALAY)

Dan kelak Tuhanmu pasti memberikan kurnia-Nya kepadamu, lalu (hati) kamu menjadi puas.

Dan sesungguhnya Allah ﷻ akan memberikan kelebihan nikmat kepada Nabi Muhammad ﷺ sehingga baginda akan berpuas hati. Huruf ل dalam وَلَسَوفَ adalah sebagai taukid – penekanan, kepastian. Pasti Allah ﷻ akan lakukan, pasti Allah ﷻ akan beri.

Semasa ayat ini diturunkan, Nabi ﷺ dan para sahabat sedang menghadapi cubaan dan dugaan yang amat berat dan Allah ﷻ ingin memberitahu kepada Nabi ﷺ dan para sahabat bahawa mereka akan mendapat kebaikan yang banyak. Selalunya apabila Allah ﷻ menceritakan tentang masa hadapan, Dia akan memberikan penekanan.

Sebab selepas ayat ini diturunkan, memang baginda dan sahabat akan menerima kepayahan lagi maka, Allah ﷻ hendak menekankan bahawa baginda tentunya akan menerima kebaikan yang banyak. Ini supaya Nabi ﷺ dan para sahabat akan terus bersemangat – Allah ﷻ hendak beritahu: jangan takut, nanti kamu akan menang juga akhirnya.

Kalimah سَوفَ dari segi bahasa adalah masa hadapan yang agak jauh jika dibandingkan dengan huruf س. Oleh itu, Allah ﷻ akan beri, tetapi tidaklah cepat sangat – maka mereka perlu tunggu juga. Sebelum sampai masa mendapat apa yang dijanjikan, ada masa yang lama juga, maka perlu bersabar sepanjang waktu itu. Tetapi waktu senggang itu bukanlah duduk-duduk sahaja, tetapi ada kerja yang perlu dilakukan, dan itu akan diberitahu nanti.

Perkataan يُعطيكَ (memberikan kepadamu) bermaksud pemberian yang amat banyak sekali. Ini adalah kerana kalimah أعطى membawa maksud pemberian yang banyak, bukan pemberian biasa kerana kalimah itu dalam bentuk isim mubalaghah (bersangatan). Oleh itu, dalam penggunaan bahasa pun sudah memberi isyarat bahawa apa yang akan diberi itu adalah pemberian yang besar.

Lagi satu, apabila digunakan أعطى, penerima boleh buat apa sahaja dengan apa yang dia dapat. Kalau digunakan أتى sahaja, mungkin ada tanggungjawab terhadapnya. Sebagai contoh, apabila Allah ﷻ kata Dia beri al-kitab, ada kerja yang perlu dilakukan dengan kitab itu – iaitu kena ikut, kena sampaikan.

Tetapi apabila kalimah أعطى digunakan, penerima pemberian itu tidak bertanggungjawab untuk melakukan apa-apa sahaja, boleh menikmati nikmat itu. Maka, kalimah أعطى adalah satu pemberian yang hebat sekali kerana memang pemberian itu adalah pemberian tanpa tanggungjawab yang perlu dilakukan.

Apakah pemberian yang dimaksudkan itu? Persoalan ini mungkin timbul sebab tidak disebut apakah yang akan diberikan kepada baginda. Allah ﷻ hanya kata hendak beri sahaja, tetapi tidak disebut apakah yang akan diberikan. Mengapa Allah ﷻ tidak sebut?

Allah ﷻ tidak menjelaskan apa yang akan diberikan. Ini bermakna ia tidak ada hujungnya. Macam-macam akan diberikan sehingga baginda akan reda dengan pemberian itu. Allah ﷻ adalah Tuhan, jadi apa sahaja Dia hendak beri, Dia boleh beri. Jika kita fikirkan, pemberian itu mengikut siapa yang memberi,  bukan?

Sebagai contoh, orang kaya, tentu dia boleh beri lebih banyak lagi daripada orang yang sederhana, bukan? Bagaimana kalau raja yang kurnia? Tentu lebih banyak lagi. Lalu bagaimana pula kalau Allah ﷻ yang akan memberi? Sekiranya manusia, tentulah terhad apakah yang manusia boleh beri, tetapi yang janji hendak memberi dalam ayat ini adalah Allah ﷻ . Maka, pemberian itu amat banyak sehinggakan tidak dapat dibayang.

Apakah yang akan diberikan? Banyak sekali perkara yang dikatakan oleh para mufassir tentang apa yang baginda akan dapat. Justeru itu, kita tidak dapat sebut apakah yang akan diberikan kerana banyak sangat. Namun begitu, para mufassir cuba juga untuk menyenaraikan beberapa perkara yang mungkin termasuk dalam ‘pemberian’ ini.

Antaranya mereka katakan, Allah ﷻ akan memberikan kepada Nabi ﷺ kelebihan memberikan syafaat kepada umatnya nanti. Inilah satu kelebihan amat besar yang diberikan kepada baginda. Dan inilah juga yang diharapkan oleh kebanyakan umat Islam.

Cuma nanti akan ada dua syafaat. Yang pertamanya akan diberikan kepada mereka yang mengikuti jalan baginda. Diberikan kepada mereka untuk menyelamatkan mereka dari neraka.

Tetapi bukan hanya memberi pertolongan sahaja namun, ada juga yang baginda akan ‘dakwa’ umat Islam. Kerana di akhirat nanti, Nabi ﷺ akan mengadu kepada Allah ﷻ tentang mereka yang menentang dan tidak menerima ajarannya. Baginda juga akan menjadi saksi kepada mereka yang menerima dan mereka yang tidak menerima dakwah baginda.

Kerana tidak faham perkara ini, banyak Muslim yang ada salah faham dengan syafaat. Mereka sangka mereka boleh buat apa sahaja, dan nanti Nabi ﷺ akan memberi syafaat kepada mereka. Sebab itulah ada orang yang senang sahaja buat amalan bidaah dan dalam masa yang sama, tidak malu meminta syafaat daripada Nabi ﷺ .

Sebagai contoh, golongan Habib yang buat amalan bidaah seperti buat majlis terkinja-kinja, meminta syafaat terus daripada Nabi Muhammad ﷺ. Mereka sangka mereka akan memperoleh syafaat daripada Nabi ﷺ, tetapi nanti akan jadi sebaliknya, kerana Nabi ﷺ akan mendakwa mereka kerana tidak ikut sunnah. Ayat yang menakutkan ini ada dalam [Furqan:30].

وَقالَ الرَّسولُ يٰرَبِّ إِنَّ قَومِي اتَّخَذوا هٰذَا القُرآنَ مَهجورًا

Berkatalah Rasul: “Ya Tuhanku, sesungguhnya kaumku menjadikan Al Qur’an itu sesuatu yang tidak diacuhkan”.

Nabi ﷺ mengadu kepada Allah ﷻ bagaimana ramai daripada umatnya yang meninggalkan Al-Qur’an. Nabi ﷺ tidak kata ‘kafir’ yang tinggalkan Al-Qur’an, tetapi qawmi – kaumku (yang merujuk kepada kita umat Nabi Muhammad ﷺ).

Maksud ‘tinggalkan’ bukannya tidak baca, tetapi tidak faham dan tidak amalkan. Kerana ramai daripada kalangan orang kita yang suka dan rajin baca Al-Qur’an namun begitu, mereka fahamkah apa yang mereka baca itu? Sekiranya tidak faham, bagaimana hendak mengamalkan apa yang di dalam Al-Qur’an itu? Maka, kalau kamu tidak belajar tafsir Al-Qur’an, agaknya kamu duduk dalam kumpulan yang mana?

Kalimah فَتَرضىٰ bermaksud: kamu akan reda. Reda dengan siapa? Tentulah dengan Allah ﷻ. Sebenarnya, kalau Allah ﷻ tidak beri nikmat tambahan lagi pun, Nabi ﷺ telah reda dengan Allah ﷻ juga, bukan? Jadi kenapa sebut dalam ayat ini? Ini bermaksud, Allah ﷻ  akan membenarkan baginda meminta sehingga baginda puas hati.

Dan banyak lagi pemberian yang Allah ﷺ akan beri lagi kepada Nabi ﷺ. Antaranya adalah Maqam Mahmoodah; dan baginda juga akan diberikan dengan Telaga al Kauthar, di mana baginda boleh beri kepada umatnya yang mengikut jalan baginda untuk minum dari telaga itu; dan baginda akan diberikan dengan sahabat yang ramai yang akan mengikuti baginda.

Selain itu baginda juga akan diberikan dengan ‘ikhwan’ nanti. Iaitu mereka yang lahir di zaman hadapan yang walaupun tidak melihat baginda, tetapi mengikuti ajaran baginda. Semoga kita termasuk golongan ‘ikhwan’ ini.

Itulah antara perkara-perkara yang disenaraikan oleh ulama berkenaan apakah yang akan diberikan kepada baginda. Ada lagi pendapat-pendapat yang lain yang berbagai-bagai.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 16 Februari 2023


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah al-Layl Ayat 8 – 14 (Mencari redha Allah)

Layl Ayat 8: Ayat 8 – 11 adalah Perenggan Makro Ketiga. Allah ﷻ memberitahu yang orang yang terlaknat itu mempunyai hubungan yang buruk dengan Tuhan dan juga dengan manusia. Mereka itu mementingkan diri dan mendustakan kebenaran.

Dalam ayat sebelum ini, disebut mereka yang memberi infak, bertaqwa dan membenarkan kebenaran, mereka itu akan dimudahkan oleh Allah ﷻ untuk masuk ke dalam syurga. Tetapi bagaimana pula kalau sebaliknya?

وَأَمَّا مَنۢ بَخِلَ وَٱستَغنَىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But as for he who withholds and considers himself free of need

(MALAY)

Dan adapun orang-orang yang bakhil dan merasa dirinya cukup,

 

Ini adalah sesiapa sahaja yang bakhil (kedekut) dan merasa cukup tidak perlukan orang lain.

Kalimah بَخِلَ bermaksud seseorang yang kedekut dan menyimpan hartanya dan tidak mahu infak atau membelanjakannya kepada orang lain. Ini lawan kepada sifat ‘memberi’ dalam ayat sebelum ini. Apabila digunakan dalam bentuk kalimah بَخِلَ, ia bermaksud bukan sahaja dia seorang yang kedekut, tetapi dia ajak dan ajar orang lain pun jadi kedekut juga macam dia.

Kalau ada orang yang nak infak, nak derma dan sedekah, dia kata: “eh kenapa nak infak ni, ekonomi sekarang tengah teruk, tau? Kau kena simpan duit kau.” Dalam ayat yang lain telah diberitahu, perangai ini adalah kerana kalau orang lain sedekah dan dia tidak, maka malulah dia. Jadi dia akan ajak orang lain pun tidak sedekah dan infak juga, supaya tidaklah nampak dia seorang sahaja tidak infak. Kalau dia sendiri bakhil pun sudah buruk, tapi kalau ajak orang lain jadi bakhil juga, ini memang lagi teruk!

Kalimah استَغنىٰ adalah perasaan tidak memerlukan kepada sesiapa pun. Seolah-olah tidak perlukan pahala. Apakah yang menyebabkan seseorang itu boleh dapat sifat ini? Kerana asalnya dia bakhil.

Mereka yang macam ini amat teruk sekali kerana mereka ada banyak peluang untuk buat baik sebagai simpanan kepada akhirat. Akan tetapi bila dia tidak ambil peluang itu, maksudnya dia tidak kisah dan tidak yakin dengan balasan akhirat sebenarnya.

Kerana itulah mereka yang sanggup mengeluarkan infak ini adalah kerana mereka yang yakin bahawa infak mereka itu akan menyebabkan mereka dapat masuk ke dalam syurga – di mana infak mereka itu akan menunggu mereka di syurga kelak. Kerana itu kalimah sedekah dari صدق yang bermaksud ‘membenarkan’. Iaitu membenarkan janji Allah ﷻ tentang balasan baik kepada orang yang infak.

Oleh kerana dia bakhil, maka dia tidak memberi sedekah. Maka bila dia tidak memberi kepada orang lain, maka duit dia semakin terkumpul dan duit dia semakin jadi banyak. Apabila duit dia banyak maka dia rasa sombong dan dia rasa dia tak perlukan orang lain. Dia akan rasa begitu, tetapi itu perasaan dia sahaja.

Kalau mereka sudah jadi begitu, Allah ﷻ beritahu yang Allah ﷻ pun tidak perlukan mereka. Maknanya, kalau mereka rasa mereka cukup, maka mereka tidak perlukan kedudukan baik di akhiratlah kan? Maka mereka tidak akan mendapat peluang itu. Allah ﷻ akan pastikan mereka itu masuk dalam neraka. Nanti lihatlah sama ada mereka rasa cukup atau tidak nanti.


 

Layl Ayat 9: Apa lagi sifat buruk mereka?

وَكَذَّبَ بِالحُسنىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And denies the best [reward],

(MALAY)

serta mendustakan pahala terbaik,

 

Dan dia tidak membenarkan perkara kebaikan. Mereka tidak melihat bahawa amal yang baik akan membawa seseorang itu ke syurga. Sebab itu mereka tidak infak, kerana mereka tidak percaya bahawa infak itu akan membawa mereka ke syurga. Mereka juga tidak beramal dengan baik dan berperangai dengan baik. Mereka akan zalim dengan orang lain. Jadi hubungan mereka dengan Allah ﷻ buruk, dengan makhluk lain pun buruk juga.

Kadang-kadang orang Islam yang kaya pun akan membawa masalah juga. Ada di kalangan orang Islam yang menjadi kaya, tetapi mereka tidak menyokong agama, sebaliknya menyerang agama Islam pula. Sebelum itu mereka miskin, tapi apabila mereka kaya, mereka tidak menggunakan harta itu untuk infak.

Dan kerana tidak infak, harta mereka semakin bertambah banyak dan mereka jadi sombong dan bongkak. Kemudian mereka rasa agama Islam kena ikut kehendak dan fikiran mereka, bukannya mereka yang kena ikut kehendak agama. Maknanya sudah jadi terbalik pula. Mereka mulalah mengatakan yang kena ada ‘pembaharuan agama’ dan jenis-jenis kata sebegitu.

Mereka ini termasuk orang yang tidak membenarkan kebenaran yang telah tertegak. Kebenaran sudah ada, iaitu jalan yang lurus, tapi mereka tidak mahu membenarkan, malah mereka mahu menukarnya. Kita boleh lihat bagaimana orang yang miskin, yang tidak ada kuasa, tidak cakap perkara-perkara sebegini.


 

Layl Ayat 10: Mereka yang sebegitu, Allah ﷻ akan mudahkan jalannya untuk ke neraka. Maksudnya, senang sahaja mereka nak buat amalan ke neraka.

فَسَنُيَسِّرُهُ ۥ لِلعُسرَىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

We will ease him toward difficulty.

(MALAY)

maka kelak Kami akan menyiapkan baginya (jalan) yang sukar.

 

Kalimah عُسرىٰ bermaksud perkara yang paling susah. Ia juga bermaksud, Allah ﷻ akan menjadikan perbuatan dosa mudah bagi mereka. Susah nak buat amal kebaikan, tapi senang pula nak buat amal keburukan.

Mereka ini adalah orang yang tidak kisah tentang agama, mereka buat sesuka hati mereka. Inilah perkara yang kita takut sangat kalau terjadi kepada kita. Maknanya, Allah ﷻ mempermudahkan jalan orang yang sebegini untuk ke neraka. Senang sahaja mereka hendak buat dosa.

Kalau nak buat yang baik dan yang jahat, itu semua bergantung kepada Allah ﷻ. Allah ﷻ yang taqdirkan apa yang akan berlaku. Tidak berlaku sesuatu tanpa izin Allah ﷻ. Oleh itu, kalau seseorang itu mahu kepada kebaikan, Allah ﷻ akan bantu; dan kalau orang itu sendiri yang mahu keburukan, Allah ﷻ akan dorong orang itu ke arah keburukan juga. Tapi ia bertitik tolak dari kehendak hati kita juga.

Kerana mereka sudah bakhil dan tidak merasa mereka istighna’ – maka Allah ﷻ akan dorong mereka untuk membelanjakan harta mereka ke arah perkara yang akan menjatuhkan atau menyusahkan mereka.

Sebagai contohnya, mereka membelanjakan wang yang banyak untuk memenuhi kehendak anak-anak mereka. Dari kecil sampai besar, mereka beri apa sahaja yang anak mereka hendak. Pelajaran agama tidak diberi, adab-adab seorang Muslim yang baik tidak diajar, maka jadilah anak-anak mereka sebagai penyebab kesusahan jiwa mereka nanti di masa tua mereka.

Kalau dalam negara kita, ia macam kisah ‘Anakku Sazali’ lakonan P. Ramlee kiranya. Perangai anak-anak itu kemudian boleh menyebabkan mereka dapat darah tinggi, sakit jantung jadinya. Anak sepatutnya menjadi penyejuk mata, tapi anak mereka buat sakit mata mereka sahaja. Ini adalah balasan dari Allah ﷻ untuk mereka kerana perangai mereka yang tidak membenarkan al-husna.

Oleh itu, jangan kita terpesona dengan kesenangan yang mereka ada, kerana kesenangan mereka itu akan menyebabkan kesusahan untuk mereka sebenarnya. Allah ﷻ beri mereka banyak duit dan anak kerana Allah ﷻ hendak seksa mereka kerana harta itu dan anak-anak mereka.

Selain dari itu, mereka senang sahaja nak buat dosa. Ianya sudah jadi sesuatu yang semulajadi untuk mereka. Sampaikan kalau kita tanya mereka, kenapa mereka buat dosa, mereka pun tidak tahu. Mereka jawab: “aku tak tahu”, “ini biasalah”, “memang kena buat begini” dan sebagainya.

Ini kerana mereka seolah-olah ketagih buat dosa. Mereka tidak dapat berhenti dari melakukannya. Itulah tanda mereka sudah teruk sangat. Kalau jadi begini, memang susah kerana hati dan nafs mereka sudah rosak. Mereka sudah dikawal oleh nafsu dan juga syaitan.


 

Layl Ayat 11: Sekarang timbul lagi tentang harta dan kekayaan. Ia tidak dapat membantu mereka langsung.

وَمَا يُغنِى عَنهُ مَالُهُ ۥۤ إِذَا تَرَدَّىٰٓ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And what will his wealth avail him when he falls?¹

  • i.e., when he dies or is destroyed. It can also mean when he falls into the Hellfire.

(MALAY)

Dan hartanya tidak bermanfaat baginya apabila ia telah binasa.

 

Kalau harta banyak pun, tidak berguna lagi hartanya apabila dia dimasukkan ke dalam neraka. Hartanya itu tidak akan dapat melepaskan dirinya apabila dia sudah dimasukkan ke dalam neraka. Hartanya yang dia banggakan, dia simpan dan kira hari-hari, tidak bernilai langsung.

Kalimah رَدّىٰ bermaksud membenamkan seseorang ke dalam longkang, lubang. Oleh itu, تَرَدّىٰ bermaksud terjatuh sendiri ke dalam longkang atau lubang. Ini isyarat kepada masuk dalam perbuatan dosa, masuk dalam kubur, masuk dalam neraka. Apabila sudah bermula waktu itu, harta tidak berguna lagi.

Harta yang banyak tidak bernilai. Sepatutnya dia memberi infak harta semasa di dunia. Tetapi tidak, dia simpan dan bakhil kerana dia hendakkan kemuliaan di dunia, sebab itu dia tidak infak. Namun hasilnya Allah ﷻ menghinanya dengan memasukkan dia ke dalam neraka.

Hartanya sudah tidak berguna apabila dia telah dimasukkan ke dalam neraka. Dalam ayat lain, ada disebut bagaimana orang yang masuk neraka akan cuba hendak beri segala apa yang ada, tetapi tidak akan diterima kerana waktu itu bukan harta dunia yang akan dikira, tapi pahala.


 

Layl Ayat 12: Ayat 12 – 13 adalah Perenggan Makro Keempat. Allah ﷻ telah memberi petunjuk dan menyediakan pembalasan.

إِنَّ عَلَينا لَلهُدىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, [incumbent] upon Us is guidance.

(MALAY)

Sesungguhnya kewajipan Kamilah memberi petunjuk,

 

Sesungguhnya ke atas Allah ﷻ untuk memberi petunjuk. Maka kita kena sedar yang petunjuk yang sebenar adalah dari Allah ﷻ. Maka mahu, maka kena cari dan  minta dari Tuhan. Kerana hak Dia untuk meluluskan. Apabila digunakan kalimah عَلَينا dalam ayat ini, memberitahu bahawa hidayah itu hanya dari Allah ﷻ sahaja, tidak ada dari orang lain.

Allah ﷻ akan beri hidayah itu kepada mereka yang ada sifat inabah (condong dan mahu mencari kebenaran). Begitulah, kalau ada keinginan untuk jadi baik, Allah ﷻ akan beri jalan dan mudahkan untuk dia mendapat ilmu yang membawa ke syurga. Allah ﷻ akan tarik dia perlahan-lahan ke arah kebenaran dan jalan sunnah.

Hanya Allah ﷻ sahaja yang berkuasa memberi petunjuk kepada manusia. Tidak kira kaya macam mana pun, tidak boleh dapat hidayah selain dari mendapatnya dari Allah ﷻ. Kenanglah bagaimana Allah ﷻ yang telah memberi petunjuk kepada Nabi. Begitu juga dengan kita. Sebelum kita lahir pun, Allah ﷻ sudah beri hidayah kepada kita iaitu Allah ﷻ telah masukkan fitrah dalam diri kita.

Dan apabila kita lahir, macam-macam cara Allah ﷻ beri petunjuk kepada kita – Allah ﷻ beri wahyu dalam bentuk kitab Al-Qur’an; Allah ﷻ beri Rasul, pendakwah dan penyebar tauhid yang menyampaikan ajaran kepada kita. Allah ﷻ juga mungkin berikan kawan yang dapat menasihati kita. Maka kita kena mengharap kepada petunjuk dari Allah ﷻ.

Dan ayat ini juga bermaksud petunjuk sahajalah yang boleh membawa kita menuju kepada Allah ﷻ. Juga bermaksud, petunjuk yang sebenar adalah yang boleh membawa kita kepada Allah ﷻ, mengenal Allah ﷻ. Kalau petunjuk itu setakat pandai menyanyi dan pandai menari macam yang diajar oleh puak Habib sekarang, lupakanlah. Itu pun petunjuk tetapi membawa kepada kesesatan.


 

Layl Ayat 13: 

وَإِنَّ لَنا لَلآخِرَةَ وَالأولىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And indeed, to Us belongs the Hereafter and the first [life].

(MALAY)

dan sesungguhnya kepunyaan Kamilah akhirat dan dunia.

 

Sesungguhnya Allah ﷻ sahajalah yang menguasai hari akhirat dan kehidupan yang awal. Maka Allah ﷻ berkuasa penuh.

Huruf ل dalam لَلآخِرَةَ adalah sebagai penekanan. Makna yang ditekankan sangat-sangat adalah Allah ﷻ memiliki hari akhirat dan kehidupan yang awal. Kenapa perlu penekanan itu? Kerana surah ini tentang kepunyaan dan menolak salah faham manusia yang menyangka mereka ada memiliki kuasa dan harta dalam dunia, maka mereka jadi sombong dan bongkak dan rasa tidak memerlukan sesiapa pun lagi.

Mereka bangga dan sombong, padahal mereka tidaklah mempunyai harta itu dengan mutlak. Allah ﷻ hendak ingatkan bahawa Allah ﷻ sahaja yang mempunyai segala harta dalam dunia ini. Jangan perasan yang harta itu kamu punya.

Allah ﷻ tidak sebut perkataan ‘الدنيا’ pun sebab hinanya dunia ini. Sebaliknya Allah ﷻ gunakan kalimah الأولىٰ (yang awal) dalam ayat ini. Sedangkan dalam ayat-ayat yang lain, ada sahaja Allah ﷻ gunakan kalimah ‘الدنيا’ itu, tapi kenapa tidak disebut dalam ayat ini? Kerana hinanya dunia yang mereka kejar-kejar itu. Mereka kejar benda yang tidak kekal dan tidak banyak pun.

Lagi satu, ayat ini hendak memberitahu segala yang ada adalah kepunyaan Allah ﷻ. Kalimah ‘الدنيا’ datang dari kalimah دنو yang bermaksud ‘rendah’. Bila Allah ﷻ hendak memberitahu kepunyaanNya, Dia tidak gunakan kalimah ‘dunya’ kerana dunia itu rendah dan tidak layak bagi Allah ﷻ. Oleh itu, Allah ﷻ menggunakan kalimah الأولىٰ kerana apabila Allah ﷻ menggunakan kalimah الأولىٰ, ia merangkumi semua sekali, termasuk dunia.

Dalam ayat ini, Allah ﷻ sebut akhirat dulu, baru sebut الأولىٰ. Padahal, dari segi mana yang mula, tentulah الأولىٰ datang sebelum akhirat. Allah ﷻ mula cakap tentang akhirat dahulu sebab itu lagi penting dalam tema surah ini. Ini sama dengan stail surah ini yang mula sebut perkara yang kemudian dan tidak ikut susun kejadian.

Seperti yang kita telah sebut, surah ini tentang manusia yang leka mengejar dunia sampai lupakan persediaan untuk akhirat. Maka Allah ﷻ ingatkan tentang kepentingan akhirat dengan sebut tentang akhirat dulu. Walaupun dunia ini kamu sedang nampak depan mata, tetapi akhirat yang lebih penting.

Allah ﷻ hendak bagitahu bahawa Dialah yang sebenarnya kaya, hanya Dia yang ada dunia dan akhirat. Jadi kenapa nak bakhil tidak mahu infak? Bukan harta mereka pun tetapi Allah ﷻ yang punya dan Allah ﷻ yang telah berikan kepada mereka untuk mereka salurkan kepada orang lain.

Maknanya, kalau kita infak, sebenarnya kita infak dengan harta Allah ﷻ. Yang tidak infak itu adalah kerana mereka rasa mereka telah berusaha di dunia untuk mendapatkan harta itu, jadi itu mereka sangka harta itu adalah hak penuh mereka. Akan tetapi kalau dalam fikiran kita, kita sudah terima bahawa segala apa yang kita ada ini pun bukanlah hak kita, maka senanglah untuk infak.

Allah ﷻ juga hendak beritahu bahawa kerana Dia yang menguasai dunia dan akhirat, Dia boleh buat apa yang Dia hendak. apa-apa sahaja yang berlaku dalam dunia ini adalah atas kehendak Allah ﷻ. Malangnya, ada orang kata, apabila kalau ada perkara buruk berlaku, mereka kata: “mana Tuhan? macam mana Tuhan boleh benarkan ini berlaku?”

Allah ﷻ beritahu, Allah ﷻ tahu apa yang berlaku dan apa yang terjadi adalah dalam kehendak Allah ﷻ. Sama ada kita faham atau tidak kenapa ianya terjadi, ketahuilah bahawa Allah ﷻ pasti tahu apa yang telah terjadi itu. Maka kita kena redha dengan ketentuan Allah ﷻ. Kena sedar yang Allah ﷻ itu Tuhan dan Dia berhak untuk buat apa-apa sahaja. Kerja kita adalah redha sahaja dengan ketentuan Allah ﷻ.

Allah ﷻ juga hendak ingatkan bahawa kalau Dia punyai dua-dua akhirat dan dunia, maka mintalah kebaikan dua-dua sekali kepadaNya. Bukan minta dunia sahaja atau minta akhirat sahaja. Ada orang yang hanya minta kelebihan dunia sahaja. Ini kerana mereka tidak pandang akhirat itu penting.

Dan dalam masa yang sama, ada juga yang hanya minta kepada akhirat sahaja. Ini macam rahib Kristian yang menolak dunia (macam orang sufi juga). Itu pun tak sesuai juga kerana tidak ada keseimbangan antara kehendak fizikal dan kehendak nafs.

Oleh kerana itu, Allah ﷻ suruh kita minta dua-dua dan Allah ﷻ boleh beri kepada kita dua-dua sekali sekali. Kedua-duanya Dia yang miliki. Inilah yang Allah ﷻ ajar dalam ayat Al-Qur’an juga.


 

Layl Ayat 14: Ayat 14 – 21 adalah Perenggan Makro Kelima dan terakhir. Allah ﷻ beritahu yang hasil kerja manusia tidak sama. Penyucian jiwa boleh diusahakan dengan sifat pemurah dan baik hati.

Ayat 14 ini adalah ayat takhwif ukhrawi. Allah ﷻ nak suruh kita fikirkan, beringatlah apa yang akan jadi kalau sudah mati dan akhirat bermula nanti.

فَأَنذَرتُكُم نارًا تَلَظّىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So I have warned you of a Fire which is blazing.

(MALAY)

Maka, Aku memperingatkan kamu dengan neraka yang menyala-nyala.

 

Allah ﷻ sendiri yang beri peringatan dan ancaman. Maka jangan kamu pandang rendah dan buat tidak tahu sahaja tentang api neraka itu.

Kalimah تَلَظّىٰ adalah sifat api yang tetap membakar, berbunyi-bunyi dengan kuat. Kalau pada unggun api yang besar pun, kita boleh dengar bunyi api itu bukan? Maka ini hendak menakutkan kita.

Kalimah إنذَر bermaksud memberi amaran dengan saksama dan menakutkan. Iaitu apabila seseorang memberi nasihat dengan betul-betul. Kadang-kadang kita kena panggil seseorang yang hendak diberi nasihat duduk sekali dengan kita, dan kemudian kita terangkan kepadanya satu perkara apakah kesan dari perbuatannya yang salah itu. Iaitu beritahu dengan betul-betul dan berhemah. Supaya jangan mereka tidak cukup maklumat.

Allah ﷻ menggunakan fi’il madhi (past tense) dalam kalimah أَنذَر ini. Maknanya sudah diberitahu banyak kali sebelum ini. Ianya sesuatu yang pasti terjadi. Maka jangan menyesal. Kena beringat, kena jaga amalan kita, kena jaga akidah kita.

قَالَ مُسْلِمٌ: حَدَّثَنَا أَبُو بَكْرِ بْنُ أَبِي شَيْبَةَ، حَدَّثَنَا أَبُو أُسَامَةَ، عَنِ الْأَعْمَشُ، عَنْ أَبِي إِسْحَاقَ، عَنِ النُّعْمَانِ بْنِ بَشِيرٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “إِنَّ أَهْوَنَ أَهْلِ النَّارِ عَذَابًا مَنْ لَهُ نَعْلَانِ وَشِرَاكَانِ مِنْ نَارٍ يَغلي مِنْهُمَا دِمَاغُهُ كَمَا يَغْلي المِرْجَل، مَا يَرَى أَنَّ أَحَدًا أَشَدَّ مِنْهُ عَذَابًا، وَإِنَّهُ لَأَهْوَنُهُمْ عَذَابًا”

Imam Muslim mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abu Bakar ibnu Abu Syaibah, telah menceritakan kepada kami Abu Usamah, dari Al-A’masy, dari Abu Ishaq, dari An-Nu’man ibnu Basyir yang mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ. pernah bersabda: Sesungguhnya ahli neraka yang paling ringan seksanya ialah seseorang yang mengenakan dua terompah dan dua talinya dari api, yang kerananya dia mendidih sebagaimana panci berisi air mendidih. Seakan-akan bila dilihat tiada seorang pun yang lebih berat seksanya daripada dia, padahal sesungguhnya dia adalah ahli neraka yang paling ringan seksanya. [Sahih Muslim no. 314 dengan lafaz ini. Bukhari no. 6561 dan Ahmad no. 18413]

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 24 September 2023

Ringkasan Surah Layl


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir