Tafsir Surah Ali Imran Ayat 159 – 165 (Sifat seorang Pemimpin)

Ayat 159: Walaupun para sahabat ada yang melakukan kesalahan, tetapi Nabi ﷺ tidak menghukum mereka. Mereka masih boleh duduk-duduk bersama majlis Nabi ﷺ. Nabi ﷺ kata semua yang terjadi itu adalah takdir Allah ‎ﷻ. Cuma Nabi ﷺ berilah nasihat supaya perkara itu jangan bagi terjadi lagi.

Nabi ﷺ boleh bersabar dengan mereka kerana Nabi ﷺ telah diberikan dengan sifat tabah dan sabar. Itu menunjukkan betapa untungnya sahabat Nabi ﷺ, kerana mendapat seorang pemimpin seperti Nabi Muhammad ﷺ. Jadi ayat ini adalah tasliah kepada sahabat Nabi ﷺ.

فَبِما رَحمَةٍ مِّنَ اللَّهِ لِنتَ لَهُم ۖ وَلَو كُنتَ فَظًّا غَليظَ القَلبِ لَانفَضّوا مِن حَولِكَ ۖ فَاعفُ عَنهُم وَاستَغفِر لَهُم وَشاوِرهُم فِي الأَمرِ ۖ فَإِذا عَزَمتَ فَتَوَكَّل عَلَى اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ المُتَوَكِّلينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So by mercy from Allāh, [O Muḥammad], you were lenient with them. And if you had been rude [in speech] and harsh in heart, they would have disbanded from about you. So pardon them and ask forgiveness for them and consult them in the matter. And when you have decided, then rely upon Allāh. Indeed, Allāh loves those who rely [upon Him].

MALAY

Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.

 

فَبِما رَحمَةٍ مِّنَ اللَّهِ لِنتَ لَهُم

Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka

Dengan sebab rahmat yang Allah ‎ﷻ telah berikan kepada Nabi ﷺ, maka Nabi ﷺ masih dapat berlembut dengan mereka walaupun kesalahan besar yang mereka telah lakukan di Uhud. Allah ‎ﷻ mengingatkan bahawasanya sifat berlembut itu datangnya daripada Allah ‎ﷻ.

Allah ‎ﷻ mahu supaya Nabi ﷺ berlembut kepada umatnya kerana baginda mewakili rahmat Allah ‎ﷻ. Walaupun kesalahan mereka berat, sampai ramai yang mati, mereka masih boleh duduk-duduk dengan Nabi ﷺ kerana Nabi ﷺ tidak marah mereka.

Ini adalah sifat pemimpin yang baik dan Nabi ﷺ ada sifat ini. Kita juga kena ambil pengajaran daripada sifat ini. Jangan garang sahaja sepanjang masa. Jangan tunjuk sifat marah-marah tidak tentu hala.

 

وَلَو كُنتَ فَظًّا غَليظَ القَلبِ لَانفَضّوا مِن حَولِكَ

dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. 

Allah ‎ﷻ beritahu yang kalau Nabi ﷺ berlidah tajam فَظًّا (cakap yang menikam hati), atau غَليظَ القَلبِ – hati keras tidak mudah memaafkan orang, nescaya para sahabat yang berjuang bersama baginda itu akan lari daripada baginda. Namun oleh kerana sifat baginda yang lembut terhadap mereka, mereka tidak lari. Mereka tahu mereka salah tetapi mereka masih boleh duduk dengan baginda, kerana Nabi ﷺ masih melayan mereka dengan baik. Ini mengajar kita tentang kepemimpinan.

Kita kena berlembut dengan orang bawahan kita kerana kena jaga emosi mereka. Bayangkanlah para sahabat itu bukan calang-calang manusia. Mereka sanggup bermatian kerana Islam dan kerana Nabi Muhammad ﷺ itu Rasul utusan Allah ‎ﷻ.

Namun kalau mereka pun kena maki dengan Nabi ﷺ, mereka pun akan lari juga dari sisi baginda kerana tidak tahan telinga dan pecah jiwa mereka. Jadi kalau kita berada dalam kedudukan tinggi dalam keluarga, dalam kelas pengajian, dalam persatuan, dalam halaqah dan sebagainya, kena ambil tahu perkara ini. Walaupun sama-sama belajar, tetapi kalau pemimpin atau ustaz itu jenis kaki maki, tuduh anak murid tanpa usul periksa, anak murid pun boleh lari.

Bukannya anak murid itu tidak mahu belajar, tolak Islam atau munafik, tetapi perangai ustaz itu yang menjauhkan anak murid. Janganlah bila anak murid sudah tidak datang kelas pengajian, tuduh anak murid ‘sudah rasa pandai’… atau pelbagai tuduhan lagi dilemparkan pula. Kena tengok kepada diri sendiri dahulu, apa kesalahan yang diri sendiri sudah buat.

Sama jugalah dengan pemimpin dalam persatuan dan apa-apa perkumpulan pun. Walaupun perkumpulan itu menyokong kuat untuk menegakkan agama Islam. Bukannya mereka sudah tidak mahu tolong agama Islam, tetapi mereka sudah tidak sesuai dengan pemimpin yang memimpin persatuan itu.

Kita jangan pula kata: Nabi ﷺ bolehlah memaafkan mereka sebab baginda itu Nabi. Kita kena ingat yang akhlak Nabi itu adalah contoh ikutan kita kerana Nabi ﷺ bukan memainkan peranan sebagai Rasul sahaja, tetapi juga sebagai ayah, sebagai ketua, sebagai sahabat, dan pelbagai tugas lagi. Ini kerana Nabi ﷺ memakai banyak ‘topi’ dan kita kena peka kepada perlakuan Nabi ﷺ (supaya kita boleh belajar daripada baginda). Kalau bukan akhlak dan contoh Nabi ﷺ yang kita ikuti, contoh siapa lagi?

 

فَاعفُ عَنهُم

Oleh itu maafkanlah mereka

Maaf sahajalah kesilapan mereka. Semua manusia akan melakukan kesilapan. Para sahabat pun telah belajar daripada kesilapan mereka. Ada ayat-ayat Al-Qur’an yang sudah tegur mereka yang akan kekal sampai ke hari Kiamat dan Allah ‎ﷻ pun sudah maafkan mereka.

 

وَاستَغفِر لَهُم

dan pohonkanlah ampun bagi mereka, 

Nabi ﷺ disuruh minta ampun kepada Allah ‎ﷻ bagi pihak mereka. Mereka pun tentunya sudah berkali-kali meminta pengampunan dan Nabi ﷺ pun disuruh untuk ampunkan mereka.

 

وَشاوِرهُم فِي الأَمرِ

dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan

Dan sentiasa meminta cadangan mereka dalam urusan-urusan khas. Masih boleh lagi bermesyuarat dengan mereka. Tunjukkan yang pemdapat mereka diambilkira. Tentu perasaan mereka akan lebih lega kalau dilakukan sebegitu.

Maknanya, jangan sisihkan mereka. Kalau kita tidak marah kepada mereka, tetapi pendapat mereka tidak didengari lagi, tidak diajak mesyuarat lagi, tentulah mereka akan terasa juga, bukan?

Ayat ini juga mengajar pemimpin untuk mendengar pendapat orang bawahan. Betul-betul dengar. Bukan menunjuk macam dengar sahaja, tetapi kemudian idea mereka dimasukkan ke dalam tong sampah. Lagi teruk, semasa mereka beri cadangan pun tunjuk muka tidak percaya.

 

فَإِذا عَزَمتَ فَتَوَكَّل عَلَى اللَّهِ

Kemudian apabila engkau telah berazam, maka bertawakallah kepada Allah, 

Cuma dalam mesyuarat, kita tidak boleh tengok kepada kehendak majoriti atau minoriti. Kena tengok dan nilai segala keputusan dan pemimpin kena pilih mana yang terbaik dalam semua pendapat itu. Bukannya buat undian pula kerana bukan semua pendapat yang ramai itu yang terbaik.

Memang minta pendapat ahli bawahan, tetapi akhirnya keputusan di tangan ketua. Ketua kena tanya pendapat yang lain supaya dapat idea-idea lain yang dia mungkin tidak terfikir (kerana bukanlah semua ketua itu pandai-pandai belaka).

Dan kemudian kena ingat, kalau sudah nekad kepada satu keputusan, maka peganglah keputusan itu. Selepas itu, apa sahaja yang berlaku, bukanlah disebabkan oleh keputusan mesyuarat yang salah. Hendaklah serah kepada Allah ‎ﷻ dan bertawakal. Jangan salahkan pilihan semasa mesyuarat dulu.

Apa yang berlaku adalah keputusan Allah ‎ﷻ. Bermesyuarat adalah dasar ikhtiar. Kemudian kena serahkan kepada Allah ‎ﷻ. Kejayaan atau kegagalan di tangan Allah ‎ﷻ. Jangan selepas itu hendak kena hantuk kepala ke dinding dan cakap: “Ish, kalaulah aku pakai keputusan yang lain….!”. Itu buang masa kerana ia telah berlalu dan tidak dapat diulang kembali.

 

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ المُتَوَكِّلينَ

sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya.

Allah ‎ﷻ mahu kita bertawakal dan menyerah kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Tawakal itu kena ada dengan redha dengan segala keputusan Allah ‎ﷻ. Dimulakan dengan sedar yang Allah‎ ﷻ itu Tuhan dan kita ini hamba sahaja. Sebagai hamba, kena redha dengan apa yang ditetapkan oleh Allah ‎ﷻ. Kena sedar yang usaha kita sebagai manusia adalah terbatas. Kita memang kena usaha, tetapi selepas usaha, kena serah keputusan kepada Allah ‎ﷻ.


 

Ayat 160:

إِن يَنصُركُمُ اللَّهُ فَلا غالِبَ لَكُم ۖ وَإِن يَخذُلكُم فَمَن ذَا الَّذي يَنصُرُكُم مِّن بَعدِهِ ۗ وَعَلَى اللَّهِ فَليَتَوَكَّلِ المُؤمِنونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

If Allāh should aid you, no one can overcome you; but if He should forsake you, who is there that can aid you after Him? And upon Allāh let the believers rely.

MALAY

Jika Allah menolong kamu mencapai kemenangan maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu; dan jika Dia meninggalkan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan yang demikian)? Dan (ingatlah), kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu berserah diri.

 

إِن يَنصُركُمُ اللَّهُ فَلا غالِبَ لَكُم

Jika Allah menolong kamu mencapai kemenangan maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu;

Orang mukmin sedar yang pertolongan Allah ‎ﷻ akan diberi kepada mukminin yang menjaga syarat (antaranya kena bertaqwa dan taat kepada pemimpin perang).

Dan kita kena sedar yang kita amat memerlukan pertolongan Allah ‎ﷻ. Kalau Allah‎ ﷻ tolong, tidak akan ada kuasa lain yang dapat mengalahkan kita. Kalimah غالِبَ adalah apabila ada kuasa yang lebih kuat daripada kita yang paksa kita melakukan sesuatu. Tidak kira apa yang mereka ada. Bukankah sudah banyak contoh peperangan yang tentera Islam bilangannya sedikit, tetapi mereka tetap menang? Ini kerana Allah ‎ﷻ yang beri kemenangan itu.

 

وَإِن يَخذُلكُم فَمَن ذَا الَّذي يَنصُرُكُم مِّن بَعدِهِ

dan jika Dia meninggalkan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah?

Kalau Allah ‎ﷻ sudah tinggalkan kita, tidak ada sesiapa yang dapat menolong kita langsung, walaupun satu dunia hendak menolong kita.

Perkataan يَخذُلكُم berasal daripada خدل yang bermaksud kawan yang meninggalkan kawannya semasa kawannya itu amat memerlukan pertolongan. Kita memang amat memerlukan pertolongan Allah ‎ﷻ, bukan? Namun bagaimana kalau Allah ‎ﷻ tinggalkan kita? Tentulah amat malang sekali. Maka, hendaklah kita jaga syari’at supaya mendapat pertolongan Allah ‎ﷻ.

Jadi lafaz خدل bermaksud meninggalkan kawan semasa kawan itu memerlukan pertolongan. Inilah yang telah dilakukan oleh puak munafik apabila 300 daripada mereka meninggalkan Nabi ﷺ dan para sahabat di medan Uhud. Sekarang Allah ‎ﷻ kata, kalau Dia tinggalkan kita sewaktu kita memerlukan-Nya, bagaimana? Jika Allah ‎ﷻ biarkan kita kerana akidah kita salah atau kita tidak jaga hukum, tidak ada sesiapa yang akan dapat bantu kita.

 

وَعَلَى اللَّهِ فَليَتَوَكَّلِ المُؤمِنونَ

Dan (ingatlah), kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu berserah diri.

Maka orang yang beriman, kena tawakal kepada Allah ‎ﷻ. Kena jaga hukum Tuhan. Maka itulah sifat orang Mukmin. Maka kita kena sematkan perasaan ini dalam diri kita. Kena usaha untuk dapat tawakal, kena pujuk dan pupuk hati kita. Ia tidak senang kerana sebagai manusia, kita ada sedikit sebanyak rasa kita ada kuasa tetapi kita kena serahkan semua itu kepada Allah ‎ﷻ.


 

Ayat 161: Orang munafik hanya pandang kepentingan dunia sahaja. Mereka tidak fikir tentang akhirat. Pernah dalam satu peperangan, ada harta rampasan perang yang hilang. Puak munafik tuduh Nabi Muhammad ﷺ yang ambil. Oleh kerana kejadian itu Allah ‎ﷻ turunkan ayat ini.

وَما كانَ لِنَبِيٍّ أَن يَغُلَّ ۚ وَمَن يَغلُل يَأتِ بِما غَلَّ يَومَ ٱلْقِيَٰمَةِ ۚ ثُمَّ تُوَفّىٰ كُلُّ نَفسٍ مّا كَسَبَت وَهُم لا يُظلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

It is not [attributable] to any prophet that he would act unfaithfully [in regard to war booty]. And whoever betrays, [taking unlawfully], will come with what he took on the Day of Resurrection. Then will every soul be [fully] compensated for what it earned, and they will not be wronged.

MALAY

Dan tiadalah patut bagi seseorang Nabi itu (disangkakan) berkhianat (menggelapkan harta rampasan perang), dan sesiapa yang berkhianat (menggelapkan sesuatu), dia akan bawa bersama pada hari kiamat kelak apa yang dikhianatinya itu; kemudian tiap-tiap seorang akan disempurnakan (balasan bagi) apa yang telah diusahakannya, sedang mereka tidak akan dikurangkan sedikit pun (balasannya).

 

وَما كانَ لِنَبِيٍّ أَن يَغُلَّ

Dan tiadalah patut bagi seseorang Nabi itu berkhianat

Tidak layak seorang Nabi mencuri harta rampasan. Tujuan Nabi ﷺ berperang bukanlah kerana mahukan harta. Maka tuduhan golongan munafik itu memang tidak patut. Mereka tuduh begitu kerana mereka sendiri yang mementingkan harta benda. Jadi mereka ‘project’ (memprojeksi tanggapan) Nabi ﷺ pun sama seperti mereka pula. Ini terjadi bila kita rasa orang lain pun seperti kita juga dan ini adalah salah anggap sahaja.

 

وَمَن يَغلُل يَأتِ بِما غَلَّ يَومَ ٱلْقِيَٰمَةِ

dan sesiapa yang berkhianat, dia akan bawa bersama pada hari kiamat kelak apa yang dikhianatinya itu;

Dalam hukum peperangan, harta rampasan tidak boleh diambil sebelum dibahagikan oleh pemimpin perang. Memang ada bahagian yang akan diberikan kepada mereka yang menyertai perang itu, tetapi hanya boleh diambil selepas dibahagikan. Kalau ada yang ambil juga, di akhirat nanti dia akan bawa harta itu dan kena tunjuk untuk diadili oleh Allah ‎ﷻ.

 

ثُمَّ تُوَفّىٰ كُلُّ نَفسٍ مّا كَسَبَت

kemudian tiap-tiap seorang akan disempurnakan (balasan bagi) apa yang telah diusahakannya, 

Setiap orang akan dibalas mengikut apa yang mereka telah lakukan semasa di dunia. Maksudnya Allah ‎ﷻ hendak beritahu balasan buruk bagi mereka yang ambil harta rampasan perang dengan cara yang zalim.

 

وَهُم لا يُظلَمونَ

sedang mereka tidak akan dizalimi.

Dan mereka tidak akan dizalimi. Allah ‎ﷻ tidak akan melakukan kezaliman. Maksudnya, apa-apa sahaja yang telah dilakukan daripada kebaikan akan dibalas, tidak ada yang tertinggal. Malah akan dibalas dengan lebih lagi daripada apa kebaikan yang dilakukan; dan kalau ada melakukan kesalahan, akan dibalas dengan yang sama juga – tidak dibalas dengan lebih buruk daripada yang dilakukan. Dan tidak akan dikenakan azab kalau tidak melakukannya.

Sekarang bandingkan dengan dunia ini. Kalau di dunia, kadang-kadang ada orang yang dikenakan hukum walaupun dia tidak melakukan kesalahan, kerana mungkin hakim tidak adil, atau ada orang yang khianat dan bagi bukti yang salah. Namun ini semua tidak akan terjadi di akhirat nanti.

Maka keadilan yang sempurna adalah di akhirat kelak. Kita tidak dapat jumpa keadilan sempurna di dunia ini. Kerana itu kalau kita dizalimi di dunia, maka sabarlah sedikit kerana orang Mukmin sedar yang akhirat itu ada, dan dia akan dapat keadilan itu akhirnya.


 

Ayat 162:

أَفَمَنِ اتَّبَعَ رِضْوَٰنَ اللَّهِ كَمَن باءَ بِسَخَطٍ مِّنَ اللَّهِ وَمَأْوَىٰهُ جَهَنَّمُ ۚ وَبِئسَ المَصيرُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So is one who pursues the pleasure of Allāh like one who brings upon himself the anger of Allāh and whose refuge is Hell? And wretched is the destination.

MALAY

Adakah orang yang menurut keredaan Allah itu sama seperti orang yang kesudahannya mendapat kemurkaan dari Allah? Sedang tempat kembalinya ialah neraka Jahannam, dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.

 

أَفَمَنِ اتَّبَعَ رِضْوَٰنَ اللَّهِ

Adakah orang yang menurut keredhaan Allah itu sama

Adakah sama orang yang mencari redha Allah‎ ﷻ dengan yang tidak? Cari redha Allah ‎ﷻ itu adalah dengan taat kepada hukum Allah ‎ﷻ. Sebagaimana Nabi itu seorang yang taat kepada Allah ‎ﷻ, jadi, kita kena ikut cara Nabi ﷺ. Maka kerana itu kena tahu apakah Sunnah dan bagaimana cara Nabi ﷺ taat kepada Allah ‎ﷻ.

Perkataan رِضوانَ adalah redha dalam bentuk isim mubalaghah (bersangatan). Maksudnya, Nabi Muhammad ﷺ bukan sahaja mahu Allah ‎ﷻ redha, tetapi baginda mahu Allah ‎ﷻ sangat-sangat redha. Maka kita kena sentiasa berusaha seboleh mungkin untuk mendapatkan keredhaan Allah ‎ﷻ. Bukannya dengan cara lebih kurang sahaja, dengan melepaskan batuk di tangga sahaja. Maka kena tahu apa yang Allah ‎ﷻ hendak daripada kita. Antaranya kena kaji ayat-ayat Allah ‎ﷻ di dalam Al-Qur’an.

Sekarang bandingkan pula dengan sifat orang lain yang berlawanan:

 

كَمَن باءَ بِسَخَطٍ مِّنَ اللَّهِ

sama seperti orang yang kesudahannya mendapat kemurkaan daripada Allah?

Adakah sama dengan orang yang pulang ke akhirat dengan membawa سَخَطٍ (kemurkaan) daripada Allah ‎ﷻ? Lafaz سَخَطٍ bermaksud ‘marah’ tetapi digunakan khusus apabila yang orang yang berada di kedudukan yang atas marah kepada orang bawahannya. Contohnya guru marah kepada anak murid dipanggil سَخَطٍ. Kalau anak murid yang marah kepada guru, tidaklah boleh digunakan lafaz سَخَطٍ.

Inilah perbandingan yang Allah ‎ﷻ hendak jelaskan. Sebelum ini disebut tentang ada yang mengatakan Nabi ﷺ telah mengambil harta rampasan perang. Orang yang mengambil harta rampasan perang adalah yang mendapat murka atau kemarahan daripada Allah ‎ﷻ. Oleh itu, Allah ‎ﷻ hendak bandingkan sifat Nabi ﷺ dengan sifat seorang yang mendapat murka Allah ‎ﷻ. Adakah sama? Tentulah tidak.

 

وَمَأْوَىٰهُ جَهَنَّمُ ۚ وَبِئسَ المَصيرُ

tempat kembalinya ialah neraka Jahannam, dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.

Tempat mereka yang mendapat kemurkaan daripada Allah ‎ﷻ adalah neraka jahannam. Lafaz المَصيرُ bermaksud destinasi akhir. Ia adalah tempat yang terakhir yang akan pergi. Katakanlah kita akan pergi merata-rata tempat dalam dunia ini, namun akhirnya kita akan pergi ke tempat yang kita akan tinggal tetap juga akhirnya, bukan?

Allah ‎ﷻ beri perumpamaan bahawa Neraka itu adalah tempat tinggal yang tetap bagi mereka yang mendapat murka Allah ‎ﷻ. Yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah orang munafik. Banyak sifat-sifat mereka disebut dalam nas Al-Qur’an dan hadith, maka kita kena belajar sifat-sifat mereka dan mengelak daripada ada sifat-sifat itu.


 

Ayat 163:

هُم دَرَجَٰتٌ عِندَ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ بَصيرٌ بِما يَعمَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They are [varying] degrees in the sight of Allāh, and Allāh is Seeing of whatever they do.

MALAY

Mereka itu (yang menurut keredaan Allah, dan yang mendapat kemurkaanNya), mempunyai tingkatan-tingkatan (pahala atau dosa yang berlainan) di sisi Allah; dan Allah Maha Melihat akan segala yang mereka kerjakan.

 

هُم دَرَجَٰتٌ عِندَ اللَّهِ

Mereka itu, mempunyai tingkatan-tingkatan di sisi Allah

Sebelum ini telah disebut bagaimana mereka yang dimurkai oleh Allah ‎ﷻ akan tinggal di neraka. Mereka yang dimurkai Allah ‎ﷻ dan kemudian tinggal dalam neraka, ada beberapa tingkatan dalam neraka. Sebelum itu disebut mereka yang mencari keredhaan Allah ‎ﷻ.

Tidak sama kedudukan mereka. Bagi yang mendapat murka, ada yang lebih teruk daripada yang lain. Allah ‎ﷻ sahaja yang tahu apakah tingkatan mereka. Yang mendapat keredhaan Allah ‎ﷻ pun ada beberapa darjat di sisi Allah ‎ﷻ. Tingkatan darjat itu adalah bergantung kepada amalan mereka dan berapa banyaknya pahala di sisi Allah ‎ﷻ.

 

وَاللَّهُ بَصيرٌ بِما يَعمَلونَ

dan Allah Maha Melihat akan segala yang mereka kerjakan.

Allah ‎ﷻ tahu di manakah tingkatan mereka dan di manakah mereka patut berada kerana Allah ‎ﷻ yang melihat apa yang mereka lakukan. Kita sebagai manusia tidak tahu dan tentunya Allah ‎ﷻ tahu bagaimana hendak menilai kedudukan sesiapa. Jadi, jangan kita memandai kata orang itu akan duduk di tingkatan paling tinggi atau paling rendah.

Semuanya ini terpulang kepada penilaian daripada Allah ‎ﷻ, bukan daripada kita. Yang boleh kita lakukan adalah berusaha sebaik mungkin untuk mendapatkan keredhaan-Nya. Hidup ini adalah tempat untuk kita mencari pahala dengan beramal sebanyak mungkin.


 

Ayat 164: Kenapa golongan munafik itu sampai hati tuduh Nabi sedangkan mereka waktu itu mereka telah mendapat nikmat yang amat besar? Mereka telah mendapat nikmat yang amat besar, iaitu Allah pilih mereka duduk bersama Nabi.

لَقَد مَنَّ اللَّهُ عَلَى المُؤمِنينَ إِذ بَعَثَ فيهِم رَسولًا مِّن أَنفُسِهِم يَتلو عَلَيهِم ءَايَٰتِهِۦ وَيُزَكّيهِم وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلْكِتَٰبَ وَالحِكمَةَ وَإِن كانوا مِن قَبلُ لَفي ضَلَٰلٍ مُّبينٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Certainly did Allāh confer [great] favor upon the believers when He sent among them a Messenger from themselves, reciting to them His verses and purifying them and teaching them the Book [i.e., the Qur’ān] and wisdom,1 although they had been before in manifest error.

  • The Prophet’s sunnah.

MALAY

Sesungguhnya Allah telah mengurniakan (rahmatNya) kepada orang-orang yang beriman, setelah Dia mengutuskan dalam kalangan mereka seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (kandungan Al-Qur’an yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajar mereka Kitab Allah (Al-Qur’an) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum Syariat). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.

 

لَقَد مَنَّ اللَّهُ عَلَى المُؤمِنينَ إِذ بَعَثَ فيهِم رَسولًا مِّن أَنفُسِهِم

Sesungguhnya Allah telah mengurniakan (rahmat-Nya) kepada orang-orang yang beriman, setelah Dia mengutuskan dalam kalangan mereka seorang Rasul daripada bangsa mereka sendiri,

Lafaz مَنَّ digunakan apabila mengingatkan seseorang dengan pemberian yang telah diberikan. Maknanya bukan sahaja sudah berikan, tetapi kemudian diingatkan kembali pemberian itu atau pertolongan atau nikmat yang telah diberikan. Kadang-kadang kena ingatkan tentang pemberian yang telah diberi untuk mendapatkan ketaatan daripada seseorang.

Kalau digunakan lafaz مَنَّ, itu bermaksud jenis pemberian dan pertolongan yang besar. Allah ‎ﷻ mengingatkan mukmin tentang apa yang telah diberikan kepada mereka. Kenanglah kembali kelebihan yang mereka telah terima itu. Dalam banyak-banyak manusia, dari awal kejadian manusia sampai kiamat, mereka sahaja yang telah diberikan kelebihan duduk dan tinggal dan belajar dengan Nabi akhir zaman, Nabi Muhammad ﷺ.

 

يَتلو عَلَيهِم ءَايَٰتِهِۦ وَيُزَكّيهِم وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلْكِتَٰبَ وَالحِكمَةَ

yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah, dan membersihkan mereka (daripada iktikad yang sesat), serta mengajar mereka Kitab Allah (Al-Qur’an) dan Hikmah (Hadith Nabi)

Kemudian, disenaraikan tugas Rasulullah ﷺ. Ia adalah sama dengan doa Nabi Ibrahim عليه السلام semasa membina semula Kaabah, jadi boleh rujuk di ayat itu untuk tafsirnya (ayat Baqarah:129).

Kenapa lafaz yang sama diulang dalam ayat ini? Kerana semasa berperang, kita mungkin terlupa sebab asal kita berperang. Allah mengingatkan kembali kepada para pejuang mukmin supaya mereka tidak lupa dan kembali ingat kepada tujuan asal mereka.

Allah ‎ﷻ mengingatkan kepada mukminin apa yang Nabi ﷺ telah lakukan untuk mereka. Baginda telah menyampaikan ajaran daripada Al-Qur’an dan diberikan hikmah kepada mereka. Hikmah itu selalunya ditafsir sebagai pengajaran hadith iaitu bagaimana mengamalkan ajaran di dalam Al-Qur’an. Itu semua adalah nikmat yang Allah ‎ﷻ telah berikan kepada mereka.

 

وَإِن كانوا مِن قَبلُ لَفي ضَلَٰلٍ مُّبينٍ

Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.

Antara tugas Rasulullah adalah untuk membersihkan (tazkiyah) untuk membebaskan daripada amalan dan fahaman yang syirik. Itu dilakukan dengan mengajar mereka ayat-ayat Al-Qur’an dan sunnah.

Dahulu mereka jelas dalam kesesatan kerana mereka sebelum itu tidak ada ilmu wahyu dan tidak ada petunjuk langsung untuk mendapat kebenaran. Oleh kerana tidak ada petunjuk, mereka telah dirosakkan dengan fahaman syirik oleh syaitan sampai mereka telah menyembah patung berhala.

Itulah seburuk-buruk perbuatan. Maka, mereka telah diselamatkan daripada jurang api neraka. Ini kerana kalaulah mereka berterusan begitu, tentulah tempat akhir mereka adalah di neraka dan mereka akan kekal di dalamnya.

Maka kita pun kena kenang diri kita ini. Kalaulah kita dilahirkan dalam masyarakat yang menyembah selain Allah ‎ﷻ, bagaimanakah keadaan kita akhirnya? Entah sekarang kita sedang sembah patung agaknya.

Atau kita dahulu memang sudah Muslim, lahir dalam keluarga Muslim, tetapi tidak menahu langsung tentang agama. Hanya Muslim di dalam IC sahaja. Sekarang baru hendak mula belajar agama. Sekurang-kurangnya kita sudah mula belajar dan semoga Allah ‎ﷻ memberikan pemahaman kepada kita. Maka ini juga adalah nikmat yang kita patut kenang-kenangkan.


 

Ayat 165: Ini adalah teguran kepada golongan mukmin dengan memberitahu mereka,  kenapa mereka kalah perang. Ada dalam kalangan orang mukmin yang hairan, kenapa boleh kalah? Sedangkan mereka tidak buat salah apa-apa pun setahu mereka.

Maknanya, tidak semua para sahabat boleh faham kenapa mereka kalah. Yang telah membuat kesalahan itu tahu yang kekalahan itu adalah kerana kesalahan mereka tetapi mukminin lain yang tidak membuat salah, mereka hairan kenapa boleh kalah pula? Maknanya, walaupun sedikit sahaja yang bersalah tetapi kesannya terkena kepada semua sekali.

أَوَلَمّا أَصَٰبَتْكُم مُّصيبَةٌ قَد أَصَبتُم مِّثلَيها قُلتُم أَنّىٰ هٰذا ۖ قُل هُوَ مِن عِندِ أَنفُسِكُم ۗ إِنَّ اللَّهَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Why [is it that] when a [single] disaster struck you [on the day of Uḥud], although you had struck [the enemy in the battle of Badr] with one twice as great, you said, “From where is this?” Say, “It is from yourselves [i.e., due to your sin].” Indeed, Allāh is over all things competent.

MALAY

(Patutkah kamu melanggar perintah Rasulullah)? dan (kemudiannya) apabila kamu ditimpa kemalangan (dalam peperangan Uhud), yang kamu telah pun memenangi seperti itu sebanyak dua kali ganda (dengan menimpakan kemalangan kepada musuh dalam peperangan Badar), kamu berkata: “Dari mana datangnya (kemalangan) ini? “Katakanlah (wahai Muhammad): “Kemalangan) itu ialah dari kesalahan diri kamu sendiri (melanggar perintah Rasulullah)”. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

 

أَوَلَمّا أَصَٰبَتْكُم مُّصيبَةٌ قَد أَصَبتُم مِّثلَيها قُلتُم

Kenapa apabila kamu ditimpa musibah (dalam peperangan Uhud), yang kamu telah pun memenangi seperti itu sebanyak dua kali ganda

Kenapa kamu hairan dengan musibah kekalahan yang menimpa kamu dalam Perang Uhud ini? Sedangkan kamu telah mendapat kemenangan dua kali ganda dahulu semasa di Badr? Kamu kalah Uhud, terbunuh 70 orang tetapi semasa Perang Badr, kamu boleh bunuh 70 orang dan tawan 70 orang.

 

أَنّىٰ هٰذا

kamu berkata: “Dari mana datangnya?

Kamu hairan dari mana kekalahan ini? Kamu tertanya-tanya? Kenapa tidak ditanya diri sendiri? Kenapa tidak muhasabah diri sendiri?

 

قُل هُوَ مِن عِندِ أَنفُسِكُم

Katakanlah (wahai Muhammad): “(Kemalangan) itu ialah daripada kesalahan diri kamu sendiri”

Allah ‎ﷻ jawab yang kekalahan itu berpunca daripada diri mereka sendiri kerana segelintir daripada mereka tidak patuh kepada arahan ketua. Mangsanya semua sekali yang kena. Allah ‎ﷻ kata ‘daripada diri kamu sendiri’. Kenapa begini, sedangkan bukanlah mereka semua yang membuat kesalahan? Ini adalah kerana orang Islam itu bersaudara, satu bahagian daripada bahagian yang lain.

Ini mengajar kita yang peperangan adalah perkara serius. Para sahabat telah mengambil pengajaran daripada kisah ini. Sampai kepada kita kisah yang terjadi semasa Saad Abi Waqqas رضي الله عنه memimpin tentera Islam menentang Iraq. Pada waktu itu tentera Islam adalah seramai 30 ribu orang. Beliau telah memberi arahan, kalau beliau takbir kali pertama, bersedia, jangan serang lagi. Apabila takbir kali kedua, bersedia juga, masih jangan serang. Apabila takbir kali ketiga, baru mula serang.

Namun selepas beliau takbir kali pertama, pihak musuh sudah menyerang mereka dan ada tentera Islam yang membalas serangan tanpa menunggu takbir kali ketiga. Saad Abi Waqqas رضي الله عنه telah berdoa: “Ya Allah, aku izinkan mereka.” Dan kemudian ada pasukan Islam dari sebelah lain pula yang menyerang juga tanpa menunggu takbir ketiga. Sekali lagi Saad رضي الله عنه berdoa: “Ya Allah, aku izinkan mereka.”

Saad رضي الله عنه berkata yang beliau takut terjadi peristiwa Uhud kali kedua jikalau mereka tidak taat kepada beliau sebagai Ketua Perang dan beliau takut Allah ‎ﷻ menarik bantuan kepada mereka. Oleh itu beliau terus memaafkan mereka yang tidak taat kepada arahannya sebelum itu. Begitulah betapa para sahabat faham dengan peristiwa Uhud itu.

 

إِنَّ اللَّهَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Allah ‎ﷻ boleh berbuat apa sahaja yang Dia mahu. Kita tidak ada hak untuk mempersoalkan. Ini mengajar kita untuk redha dengan apa sahaja ketentuan daripada Allah ‎ﷻ. Apa sahaja yang Allah ‎ﷻ kenakan kepada kita, itu memang sudah layak bagi kita dan memang patut kena. Allah ‎ﷻ tidak pernah salah membuat perkiraan, keputusan, atau tindakan.

Allah ‎ﷻ tidak pernah zalim dan tidak akan zalim. Kita sendiri yang mesti muhasabah diri kita kenapa kita dikenakan dengan sebarang musibah.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 7 Februari 2021

Ringkasan Surah Ali Imran


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

 

Tafsir Surah Ali Imran Ayat 154 – 158 (Munafik di Medan Uhud)

Ayat 154:

ثُمَّ أَنزَلَ عَلَيكُم مِّن بَعدِ الغَمِّ أَمَنَةً نُّعاسًا يَغشىٰ طائِفَةً مِّنكُم ۖ وَطائِفَةٌ قَد أَهَمَّتهُم أَنفُسُهُم يَظُنّونَ بِاللَّهِ غَيرَ الحَقِّ ظَنَّ ٱلجَـٰهِلِيَّةِ‌ ۖ يَقولونَ هَل لَّنا مِنَ الأَمرِ مِن شَيءٍ ۗ قُل إِنَّ الأَمرَ كُلَّهُ لِلَّهِ ۗ يُخفونَ في أَنفُسِهِم مّا لا يُبدونَ لَكَ ۖ يَقولونَ لَو كانَ لَنا مِنَ الأَمرِ شَيءٌ مّا قُتِلنا هَـٰهُنَا‌ ۗ قُل لَّو كُنتُم في بُيوتِكُم لَبَرَزَ الَّذينَ كُتِبَ عَلَيهِمُ القَتلُ إِلىٰ مَضاجِعِهِم ۖ وَلِيَبتَلِيَ اللَّهُ ما في صُدورِكُم وَلِيُمَحِّصَ ما في قُلوبِكُم ۗ وَاللَّهُ عَليمٌ بِذاتِ الصُّدورِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then after distress, He sent down upon you security [in the form of] drowsiness, overcoming a faction of you, while another faction worried about themselves, thinking of Allāh other than the truth – the thought of ignorance, saying, “Is there anything for us [to have done] in this matter?” Say, “Indeed, the matter belongs completely to Allāh.” They conceal within themselves what they will not reveal to you. They say, “If there was anything we could have done in the matter, we [i.e., some of us] would not have been killed right here.” Say, “Even if you had been inside your houses, those decreed to be killed would have come out to their death beds.” [It was] so that Allāh might test what is in your breasts and purify what is in your hearts. And Allāh is Knowing of that within the breasts.

MALAY

Kemudian sesudah (kamu mengalami kejadian) yang mendukacitakan itu, Allah menurunkan kepada kamu perasaan aman tenteram, iaitu rasa mengantuk yang meliputi segolongan dari kamu (yang teguh imannya lagi ikhlas), sedang segolongan yang lain yang hanya mementingkan diri sendiri, menyangka terhadap Allah dengan sangkaan yang tidak benar, seperti sangkaan orang-orang jahiliyah. Mereka berkata: “Adakah bagi kita sesuatu bahagian dari pertolongan kemenangan yang dijanjikan itu?” Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya perkara (yang telah dijanjikan) itu semuanya tertentu bagi Allah, (Dia lah sahaja yang berkuasa melakukannya menurut peraturan yang ditetapkanNya)”. Mereka sembunyikan dalam hati mereka apa yang mereka tidak nyatakan kepadamu. Mereka berkata (sesama sendiri): “Kalaulah ada sedikit bahagian kita dari pertolongan yang dijanjikan itu, tentulah (orang-orang) kita tidak terbunuh di tempat ini” katakanlah (wahai Muhammad): “Kalau kamu berada di rumah kamu sekalipun nescaya keluarlah juga orang-orang yang telah ditakdirkan (oleh Allah) akan terbunuh itu ke tempat mati masing-masing”. Dan (apa yang berlaku di medan perang Uhud itu) dijadikan oleh Allah untuk menguji apa yang ada dalam dada kamu, dan untuk membersihkan apa yang ada dalam hati kamu. Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada.

 

ثُمَّ أَنزَلَ عَلَيكُم مِّن بَعدِ الغَمِّ أَمَنَةً نُّعاسًا يَغشىٰ طائِفَةً مِّنكُم

Kemudian sesudah (kamu mengalami kejadian) yang mendukacitakan itu, Dia menurunkan kepada kamu perasaan aman tenteram, iaitu rasa mengantuk yang meliputi segolongan dari kamu

Selepas kesedihan dan penyesalan mereka itu, Allah‎ ﷻ tukar perasaan mereka dengan أَمَنَةً – ketenangan. Ini adalah pemberian Allah ‎ﷻ kepada tentera mukmin dalam peperangan.

Perasaan ketenangan itu berbentuk نُعاسًا – rasa mengantuk. نُعاسًا adalah peringkat awal untuk tidur. Waktu itu mata mula hendak terkatup dan badan pun sudah mula lemah. Ini agak pelik kerana waktu itu mereka sedang menghadapi peperangan. Namun dengan cara itu, Allah ‎ﷻ menghilangkan perasaan sedih, perasaan takut daripada hati mereka yang dalam peperangan itu.

Bayangkan, dalam suasana perang yang selalunya kacau bilau, selepas diserang balas dengan teruk oleh tentera musuh, Allah ‎ﷻ bagi rasa tenang seketika, dalam bentuk mengantuk. Kesannya selepas itu, mereka akan rasa segar dan boleh berfikir dengan tajam. Ia boleh dikatakan sebagai “Power Nap”.

Bukan semua orang dapat. طائِفَةً مِنكُم – segolongan daripada kamu sahaja. Hanya orang mukmin sahaja yang dapat perasaan itu.

 

وَطائِفَةٌ قَد أَهَمَّتهُم أَنفُسُهُم يَظُنّونَ بِاللَّهِ غَيرَ الحَقِّ

sedang segolongan yang lain yang rasa cemas pada diri mereka, menyangka terhadap Allah dengan sangkaan yang tidak benar, 

Orang-orang munafik tidak mendapat ketenangan itu. Memang sudah ada golongan munafik yang sudah awal-awal lagi meninggalkan medan perang. Namun masih ada lagi dalam kalangan tentera Islam yang munafik. Mereka tidak pergi balik di awal-awal peperangan itu dan mereka seumpama terperangkap dalam kalangan tentera Mukminin itu.

Oleh kerana mereka ada sifat munafik, mereka tidak mendapat ketenangan yang disebut itu. Mereka sebaliknya dicemaskan dengan perasaan bimbang dan keluh kesah kerana mereka telah membuat kesilapan (dan mereka sedar tentang kesilapan mereka itu). Mereka masih dalam ketakutan kerana takut diserang musuh bertubi-tubi.

Mereka juga mempunyai perasaan yang tidak baik tentang Allah. Kerana itu mereka tidak mendapat kelebihan yang diberikan kepada orang Mukmin itu. Apakah sangkaan buruk mereka?

 

ظَنَّ ٱلجَـٰهِلِيَّةِ‌ۖ

seperti sangkaan orang-orang jahiliyah. 

Mereka ada sangkaan buruk yang tidak benar kepada Allah ‎ﷻ sebagaimana sangkaan orang jahiliyah. Padahal mereka sepatutnya sudah meninggalkan fahaman jahiliyah mereka kerana mereka sepatutnya sudah kenal Allah ‎ﷻ, ayat-ayat Al-Qur’an pun telah banyak dibacakan kepada mereka.

Hanya mereka yang tidak kenal Allah ‎ﷻ sepertimana yang diajar dari dalam Al-Qur’an sahaja yang akan berkata begitu. Apakah sangkaan jahiliyah mereka itu? Mereka sangka Allah ‎ﷻ tidak bantu orang Islam. Mereka tidak ada pengharapan kepada Allah ‎ﷻ. Ini adalah pemahaman yang amat salah. Kita kena letak pengharapan yang tinggi dengan Allah ‎ﷻ, yakin dengan Allah ‎ﷻ. Inilah yang ada pada golongan mukmin sejati. Yang sangsi dengan Allah ‎ﷻ adalah sifat munafik.

 

يَقولونَ هَل لَّنا مِنَ الأَمرِ مِن شَيءٍ

Mereka berkata: “Adakah bagi kita sesuatu bahagian daripada perkara ini?

Ini adalah kata-kata golongan munafik itu. Mereka bertanya: adakah hak bagi mereka untuk campur tangan dalam urusan peperangan itu sedikit sebanyak?

Ini merujuk kepada kejadian awal ketika proses cadangan untuk berperang dibentangkan kepada para sahabat. Puak munafik telah memberi cadangan untuk bertahan di Kota Madinah sahaja. Namun ada dalam kalangan golongan muda seperti mendesak Nabi ﷺ untuk berperang di luar. Mereka rasa bersemangat kerana mengenangkan kemenangan tentera Islam di Badr di mana mereka tidak berpeluang menyertainya. Mereka berhujah, jika mereka telah bertahan di kota, kalaulah mereka kalah, nanti akan membahayakan wanita dan kanak-kanak pula.

Sedangkan golongan yang tua seperti Saidina Abu Bakr رضي الله عنه termasuk juga puak munafik berpendapat supaya mereka bertahan di Kota Madinah sahaja (bukanlah bermakna Abu Bakr رضي الله عنه dalam kalangan munafik pula). Cara perang begitu pun tidak salah kerana akan senang untuk mempertahankan tempat kalau dekat dengan kubu sendiri.

Cuma orang munafik mahu mereka bertahan di kota sahaja sebab senanglah mereka hendak curi tulang tidak ikut berperang. Mereka boleh menyorok di rumah, dan kalau ditanya mereka berada di mana semasa peperangan, mereka boleh kata masa tu mereka sedang pertahan dekat tempat sana, tempat sini… Walaupun cadangan mereka dan golongan seperti Abu Bakr رضي الله عنه sama, tetapi niat mereka tidak sama.

Jadi, potongan ayat ini adalah tentang persoalan mereka kepada Nabi ﷺ kerana mereka rasa pendapat mereka tidak didengari. Mereka suarakan balik kepada Nabi ﷺ. Mereka hendak ungkit: “Kalaulah ikut pendapat mereka hari itu……”

 

قُل إِنَّ الأَمرَ كُلَّهُ لِلَّهِ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya perkara itu semuanya ditentukan oleh Allah,

Allah ‎ﷻ jawab bahawa segala urusan peperangan itu ditentukan oleh Allah ‎ﷻ. Semuanya dalam qada’ dan qadar Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ yang memberi penentuan dan penetapan tentang apa yang akan berlaku. Semua dalam perancangan Allah ‎ﷻ, jadi jangan rasa kalau ikut itu dan ini, akan selamat.

 

يُخفونَ في أَنفُسِهِم مّا لا يُبدونَ لَكَ

Mereka sembunyikan dalam hati mereka apa yang mereka tidak nyatakan kepadamu. 

Mereka menyembunyikan apa yang dalam hati mereka, iaitu mereka sebenarnya menentang Islam. Mereka bukannya hendak mempertahankan Islam pun. Yang mereka zahirkan, kononnya hendak beri cadangan, tapi sebenarnya mereka hendak menjatuhkan Islam dari dalam.

 

يَقولونَ لَو كانَ لَنا مِنَ الأَمرِ شَيءٌ مّا قُتِلنا هَـٰهُنَا‌ۗ

Mereka berkata: “Kalaulah ada sedikit bahagian kita daripada perkara itu, tentulah kita tidak terbunuh di tempat ini”

Golongan munafik kata, kalaulah cadangan mereka diambil kira dahulu, nescaya mereka tidak akan kalah di medan Uhud kerana mereka kata jika pertahan di Kota Madinah, mereka lebih tahu selok belok kawasan itu. Jadi mereka akan ada kelebihan ke atas pihak musuh.

Ini mengajar kita, kalau keputusan mesyuarat telah dijalankan, dan mesyuarat itu telah dijalankan dengan cara yang sepatutnya, hasil daripada mesyuarat itu tidak boleh diungkit. Selepas keputusan dibuat dan usaha telah dijalankan, yang perlu dilakukan adalah tawakal sahaja kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Kalau ungkit, itu adalah tanda munafik.

 

قُل لَّو كُنتُم في بُيوتِكُم لَبَرَزَ الَّذينَ كُتِبَ عَلَيهِمُ القَتلُ إِلىٰ مَضاجِعِهِم

katakanlah (wahai Muhammad): “Kalau kamu berada di rumah kamu sekalipun, nescaya keluarlah juga orang-orang yang telah ditakdirkan akan terbunuh itu ke tempat mati masing-masing”.

Allah ‎ﷻ kata kalau mereka duduk di rumah mereka pun, mereka akan keluar ke tempat mati mereka juga. Maknanya, kalau mereka bertahan di Madinah pun, tentu mereka akan bertemu dengan orang yang telah ditakdirkan untuk membunuh mereka.

Sama ada orang yang ditakdirkan akan bunuh mereka itu datang kepada mereka, atau mereka sendiri akan keluar bertemu dengan orang yang ditakdirkan akan membunuh mereka. Mati akan tetap mati juga mengikut ketetapan Allah ‎ﷻ. Jangan sangka kamu dapat elak kematian dengan usaha kamu sahaja.

 

وَلِيَبتَلِيَ اللَّهُ ما في صُدورِكُم

dan untuk Allah menguji apa yang ada dalam dada kamu,

Ada jumlah muqaddar di sini: Allah ‎ﷻ jadikan kejadian yang telah terjadi di Perang Uhud itu kerana banyak sebab untuk diambil pengajaran. Antaranya kerana Allah ‎ﷻ hendak uji apa yang ada dalam hati mereka. Selepas diuji, baru jelas siapa yang mukmin dan siapa yang munafik.

 

وَلِيُمَحِّصَ ما في قُلوبِكُم

dan untuk membersihkan apa yang ada dalam hati kamu. 

Dan supaya Allah ‎ﷻ menghilangkan was-was dalam hati mereka daripada bisikan syaitan. Allah ﷻ hendak membersihkan perasaan buruk yang mungkin ada di dalam hati mereka. Golongan yang mukmin akan belajar daripada apa yang berlaku dan ia akan membersihkan hati mereka.

 

وَاللَّهُ عَليمٌ بِذاتِ الصُّدورِ

Dan Allah mengetahui segala yang ada di dalam dada

Allah ‎ﷻ tahu apa yang dalam hati manusia. Sama ada mereka ada sifat nifak atau tidak. Janganlah rasa boleh sembunyikan isi hati kita daripada Allah ‎ﷻ. Ia tidak akan berlaku.

Nota: ayat ini menggunakan kesemua 28 huruf hijaiyah di dalamnya.


 

Ayat 155:

إِنَّ الَّذينَ تَوَلَّوا مِنكُم يَومَ التَقَى الجَمعانِ إِنَّمَا استَزَلَّهُمُ ٱلشَّيطَـٰنُ بِبَعضِ ما كَسَبوا ۖ وَلَقَد عَفَا اللَّهُ عَنهُم ۗ إِنَّ اللَّهَ غَفورٌ حَليمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, those of you who turned back on the day the two armies met [at Uḥud] – it was Satan who caused them to slip because of some [blame] they had earned. But Allāh has already forgiven them. Indeed, Allāh is Forgiving and Forbearing.

MALAY

Bahawasanya orang-orang yang telah berpaling (melarikan diri) di antara kamu pada hari bertemu dua angkatan tentera (Islam dan kafir dalam perang Uhud) itu, sesungguhnya mereka cuba untuk digelincirkan oleh Syaitan dengan sebab sebahagian dari perbuatan-perbuatan (yang salah) yang mereka telah lakukan (pada masa yang lalu); dan demi sesungguhnya Allah telah memaafkan mereka, kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar.

 

إِنَّ الَّذينَ تَوَلَّوا مِنكُم يَومَ التَقَى الجَمعانِ

Bahawasanya orang-orang yang telah berpaling (melarikan diri) di antara kamu pada hari bertemu dua angkatan tentera

Sebelum ini telah disebutkan tentang dua kumpulan yang hendak meninggalkan medan perang. Satu daripada puak Aus dan satu lagi daripada puak Khazraj. Sila rujuk ayat 122 kembali.

Dua kumpulan bertembung yang dimaksudkan adalah tentera Islam dan Musyrikin Mekah.

 

إِنَّمَا استَزَلَّهُمُ ٱلشَّيطَـٰنُ بِبَعضِ ما كَسَبوا

sesungguhnya mereka cuba untuk digelincirkan oleh Syaitan dengan sebab sebahagian daripada perbuatan-perbuatan (yang salah) yang mereka telah lakukan

Mereka ‘cuba’ digelincirkan oleh bisikan syaitan. Kerana itu mereka hendak balik semasa perang masih berlangsung. Lafaz استَزَلَّهُمُ yang digunakan memberi isyarat bahawa syaitan ‘cuba’ untuk gelincirkan mereka tetapi tidak berhasil. Boleh baca serba sedikit tentang kejadian itu di sumber yang lain.

Ini disebabkan kesalahan yang mereka lakukan dahulu, iaitu akidah tidak percaya kepada Nabi Muhammad ﷺ. Apabila ada masalah seperti itu, ia membuka jalan kepada syaitan untuk memasukkan was-was ke dalam hati kita. Begitulah yang biasa berlaku; dosa boleh menyebabkan syaitan menggelincirkan kita. Oleh itu, kalau kita hendak selamat, maka hendaklah kita kawal diri kita daripada melakukan dosa. Dan hendaklah jaga hati kita supaya jangan ada perasaan yang tidak baik.

 

وَلَقَد عَفَا اللَّهُ عَنهُم

sesungguhnya Allah telah memaafkan mereka, 

Allah ‎ﷻ telah memaafkan kesalahan mereka dengan menjadikan mereka mukmin yang sebenar selepas itu. Jika Allah ‎ﷻ sudah maafkan, siapa kita hendak kritik mereka? Maka kita mesti berhati-hati dalam menceritakan kisah ini.

Jangan lupa cakap bahawa mereka itu telah dimaafkan oleh Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ pilih mereka untuk melakukan kesilapan itu supaya kita dapat tahu apakah perkara yang kita tidak boleh buat, dan apakah kesan kalau kita buat kesilapan itu. Jika semua sahabat tidak berbuat salah, bagaimana kita hendak belajar?

 

إِنَّ اللَّهَ غَفورٌ حَليمٌ

kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar.

Allah‎ ﷻ itu Maha Pengampun lagi Maha Penyabar. حَليمٌ bermaksud Dia tahu apa yang kita lalui. Oleh itu, Dia tidak terus beri azab kepada kita atas kesalahan kita. Allah‎ ﷻ beri peluang kepada kita untuk bertaubat. Maka ambil peluang tersebut selagi ada.

Sekian Ruku’ 16 dari 20 ruku’ surah ini


 

Ayat 156: Ini adalah satu lagi perangai orang munafik.

يَـٰٓأَيُّہَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تَكونوا كَالَّذينَ كَفَروا وَقالوا لِإِخْوَٰنِهِمْ إِذا ضَرَبوا فِي الأَرضِ أَو كانوا غُزًّى لَّو كانوا عِندَنا ما ماتوا وَما قُتِلوا لِيَجعَلَ اللَّهُ ذٰلِكَ حَسرَةً في قُلوبِهِم ۗ وَاللَّهُ يُحيي وَيُميتُ ۗ وَاللَّهُ بِما تَعمَلونَ بَصيرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, do not be like those who disbelieved and said about their brothers when they traveled through the land or went out to fight, “If they had been with us, they would not have died or have been killed,” so Allāh makes that [misconception] a regret within their hearts. And it is Allāh who gives life and causes death, and Allāh is Seeing of what you do.

MALAY

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (munafik) yang telah kufur dan berkata kepada saudara-saudaranya apabila mereka pergi mengembara di muka bumi, atau keluar berperang (lalu mati atau terbunuh): “Kalau mereka tinggal bersama-sama kita, tentulah mereka tidak mati dan tidak terbunuh”. (Apa yang mereka katakan itu tidak ada faedahnya) bahkan akibatnya Allah menjadikan (kesan perkataan dan kepercayaan mereka) yang demikian itu: penyesalan dalam hati mereka. Dan (ingatlah), Allah yang menghidupkan dan yang mematikan, dan Allah sentiasa melihat akan segala yang kamu lakukan.

 

يَـٰٓأَيُّہَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تَكونوا كَالَّذينَ كَفَروا

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (munafik) yang telah kufur

Jangan jadi seperti orang munafik. Orang Kufur yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah orang-orang Munafik. Ya, mereka dipanggil sebagai orang kafir. Ini kerana walaupun zahir mereka nampak Muslim, tetapi batin mereka kufur.

Dalam ayat ini, Allah‎ ﷻ pesan jangan jadi seperti mereka. Oleh itu, kita kena tahu sifat-sifat mereka supaya kita boleh elak daripada melakukan sifat-sifat itu. Ini kerana sifat nifak ini amat-amat bahaya. Kita takut kita pun ada sifat-sifat mereka tanpa kita sedari.

 

وَقالوا لِإِخْوَٰنِهِمْ إِذا ضَرَبوا فِي الأَرضِ

dan mereka telah berkata kepada saudara-saudaranya apabila mereka pergi mengembara di muka bumi,

Apakah sifat golongan munafik waktu itu? Mereka berkata kepada saudara seagama mereka ketika mereka keluar untuk apa-apa urusan agama. Antara terpenting yang dilakukan dalam urusan agama adalah keluar berdakwah kerana dakwah perlu dijalankan.

Memang para sahabat amat kuat melakukan dakwah ke segenap dunia. Sebab itu ada banyak kubur para sahabat yang letaknya berjauhan dari Tanah Arab, sampaikan ada yang ada di China. Ini adalah kerana mereka tahu mereka kena sampaikan agama itu dan mereka sanggup menghabiskan masa, tenaga, wang dan nyawa mereka untuk menjalankan kerja dakwah. Kita bagaimana?

Namun golongan munafik tidak suka berdakwah, sama ada dengan dakwah lisan atau dakwah jihad. Nanti kita akan lihat apa kata mereka kepada orang yang keluar dakwah.

 

أَو كانوا غُزًّى

atau keluar berperang

Dan mereka juga berkata sesuatu kepada para sahabat yang mukmin yang keluar berjihad di jalan Allah ‎ﷻ.

Telah banyak kita belajar tentang ayat-ayat Jihad dalam surah Baqarah sebelum ini dan surah ini juga, maka kita sudah tahu kepentingan dijalankan jihad itu. Ia memerlukan banyak pengorbanan dan tentunya salah satu daripada pengorbanan itu adalah jiwa sendiri. Kalau keluar berjihad, tentunya ada yang cedera dan ada ramai yang mati.

Apa kata puak-puak Munafik itu?

 

لَّو كانوا عِندَنا ما ماتوا وَما قُتِلوا

“Kalau mereka tinggal bersama-sama kita, tentulah mereka tidak mati dan tidak terbunuh”.

Inilah kata-kata yang keluar daripada mulut mereka: “Kalaulah mereka itu (para sahabat yang keluar jihad) duduk-duduk di sisi kami sahaja”; iaitu tidak keluar berdakwah, tidak keluar berjihad, orang munafik kata tentu mereka tidak akan dibunuh.

Inilah kata-kata orang kafir sebenarnya. Bila mereka kata begitu, zahirlah sifat munafik mereka. Sifat munafik itu duduknya dalam diri manusia, kerana itu kita tidak tahu kalau lihat pada luaran sahaja tetapi kalau mereka sudah keluar daripada mulut mereka sendiri, kita sudah dapat pengenalan sifat kekufuran mereka.

Itulah cara untuk tahu siapa yang ada sifat munafik. Maka, kalau kita sudah tahu, maka kita kena berhati-hati dengan mereka kerana mereka itu tidak boleh dibuat kira untuk bersama dengan kita menjalankan kerja-kerja agama.

 

لِيَجعَلَ اللَّهُ ذٰلِكَ حَسرَةً في قُلوبِهِم

Allah jadikan yang demikian itu: penyesalan dalam hati mereka

Allah‎ ﷻ jadikan kata-kata mereka itu sebagai penyesalan dalam hati kepada mereka. Mereka akan menyesal kerana mereka telah berkata begitu. Penyesalan itu akan berlaku di akhirat kelak.

 

وَاللَّهُ يُحيي وَيُميتُ

Allah yang menghidupkan dan yang mematikan,

Hidup dan mati bukan kerana musafir atau jihad, tetapi ditentukan oleh Allah ‎ﷻ. Ada yang pergi berjihad tetapi tidak mati; ada yang tidak berjihad tetapi mati juga. Adakah kalau mereka duduk-duduk di rumah dengan anak bini, mereka boleh yakin dan pastikan yang mereka tidak akan mati? Tentu tidak, bukan?

 

وَاللَّهُ بِما تَعمَلونَ بَصيرٌ

dan Allah sentiasa melihat akan segala yang kamu lakukan.

Apa sahaja yang kita lakukan untuk kebaikan, Allah ‎ﷻ tahu dan Allah ‎ﷻ akan balas; begitu juga kalau kita lakukan keburukan, Allah ‎ﷻ tahu dan Allah‎ ﷻ akan balas. Termasuk juga kata-kata kita yang tidak sepatutnya, seperti kata-kata golongan munafik itu.


 

Ayat 157: Ini adalah jawapan kedua kenapa kadang-kadang Allah ‎ﷻberi kekalahan kepada orang Mukmin dalam peperangan dan ayat ini adalah ayat tabshir kepada mukminin.

وَلَئِن قُتِلتُم في سَبيلِ اللَّهِ أَو مُتُّم لَمَغفِرَةٌ مِّنَ اللَّهِ وَرَحمَةٌ خَيرٌ مِّمّا يَجمَعونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And if you are killed in the cause of Allāh or die – then forgiveness from Allāh and mercy are better than whatever they accumulate [in this world].

MALAY

Demi sesungguhnya! Jika kamu terbunuh pada jalan Allah (dalam perang Sabil), atau kamu mati (mati biasa – semasa mengerjakan kebajikan umum), sesungguhnya keampunan dari Allah dan rahmatNya adalah lebih baik (bagi kamu) dari apa yang mereka (orang-orang kafir dan munafik) itu himpunkan (meliputi segala jenis kesenangan hidup).

 

وَلَئِن قُتِلتُم في سَبيلِ اللَّهِ

Demi sesungguhnya! Jika kamu terbunuh pada jalan Allah

Sekiranya kamu dibunuh semasa berada pada jalan Allah ‎ﷻ, iaitu semasa menjalankan kerja-kerja dakwah atau berjihad fisabilillah.

 

أَو مُتُّم

atau kamu mati

atau kamu mati dengan cara biasa (bukan di medan jihad) tetapi mati dalam menyempurnakan hukum Allah ‎ﷻ.

 

لَمَغفِرَةٌ مِّنَ اللَّهِ

sesungguhnya keampunan dari Allah

Maka kamu akan mendapat pengampunan daripada Allah ‎ﷻ. Inilah yang amat-amat kita harapkan. Kita berharap sangat supaya segala dosa kita dihapuskan kerana kalau kita beriman, tetapi ada juga dosa-dosa kita, kita akan dimasukkan ke dalam neraka juga untuk membersihkan dosa kita.

Selepas dosa sudah bersih, barulah kita akan dimasukkan ke dalam syurga. Masalahnya, kita tidak tahu berapa lama kita akan berada di neraka itu. Maka, kita minta ampunlah sahaja kepada Allah‎ ﷻ supaya segala dosa kita diampunkan (sedikit, besar atau banyak mana pun).

Sekarang Allah ‎ﷻ berjanji akan memberi pengampunan kalau sedang berjihad. Kerana itu, hendaklah kita berjuang fisabilillah dan mati semasa menyempurnakan hukum Allah ‎ﷻ supaya kita tidaklah mati katak sahaja.

 

وَرَحمَةٌ

dan rahmat.

Allah‎ ﷻ juga berjanji akan memberikan rahmat kalau kita melakukan jihad. Kita memang mengharapkan rahmat daripada Allah ‎ﷻ kerana dengan rahmat-Nya sahaja kita boleh masuk syurga. Ini sebagaimana dinyatakan dalam hadith berikut:

Dalam hadith Jabir bin Abdillah رضي الله عنه disebutkan sabda Nabi ﷺ,

لَا يُدْخِلُ أَحَدًا مِنْكُمْ عَمَلُهُ الْجَنَّةَ، وَلَا يُجِيرُهُ مِنَ النَّارِ، وَلَا أَنَا إِلَّا بِرَحْمَةٍ مِنَ اللَّهِ

Tidak ada amalan seorangpun yang boleh memasukkannya ke dalam syurga, dan menyelamatkannya daripada neraka. Tidak juga denganku, kecuali dengan rahmat daripada Allah ‎ﷻ

(HR. Muslim No. 2817)

Nabi ﷺ telah beritahu kita bahawa tidak ada sesiapa, termasuk baginda sendiri yang masuk ke dalam syurga hasil daripada amal ibadat yang dilakukan semasa di dunia. Kita hanya dapat masuk dengan rahmat Allah ‎ﷻ sahaja. Ini kerana segala amal ibadat kita, tidak kira berapa banyak, tidak akan cukup untuk membalas segala nikmat yang Allah ‎ﷻ berikan kepada kita.

 

خَيرٌ مِّمّا يَجمَعونَ

adalah lebih baik daripada apa yang mereka itu himpunkan

Pengampunan daripada Allah ‎ﷻ dan rahmat-Nya itu lebih baik daripada apa yang dikumpulkan oleh orang-orang munafik itu. Mereka tidak mahu berjuang di jalan Allah ‎ﷻ, dan tentunya tidak mahu infaq atau berkorban apa-apa sahaja. Ini kerana mereka hendak mengumpul kekayaan dunia.

Namun apa yang mereka kumpulkan itu, tidak langsung dapat dibandingkan dengan apa yang akan diberikan oleh Allah ‎ﷻ kepada orang mukmin yang mati di jalan-Nya. Maka dari sini kita kena pandai nilai apa yang lebih menguntungkan diri kita.


 

Ayat 158: Dalam ayat sebelum ini, disebut bahawa kalau sesiapa yang mati semasa berjihad di jalan Allah ‎ﷻ, atau mati biasa semasa mengerjakan suruhan Allah ‎ﷻ, Allah ‎ﷻ akan membalas dengan keampunan dan rahmat daripada-Nya.

وَلَئِن مُّتُّم أَو قُتِلتُم لَإِلَى اللَّهِ تُحشَرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And whether you die or are killed, unto Allāh you will be gathered.

MALAY

Demi sesungguhnya! Jika kamu mati atau terbunuh, sudah tentu kepada Allah jualah kamu akan dihimpunkan (untuk menerima balasan).

 

وَلَئِن مُّتُّم أَو قُتِلتُم

Demi sesungguhnya! jika kamu mati atau terbunuh, 

Sama ada mati cara biasa atau mati berjihad.

 

لَإِلَى اللَّهِ تُحشَرونَ

sudah tentu kepada Allah jualah kamu akan dihimpunkan

Kepada Allah ‎ﷻ akan dikumpulkan semua sekali. Tidak pergi ke tempat lain lagi. Maka, apakah yang kita akan persembahkan kepada Allah ‎ﷻ? Apakah dengan dosa atau dengan pahala? Adakah kita beritahu kita sudah jalankan tanggungjawab yang Dia berikan, atau sebaliknya? Jika sebaliknya, apakah hendak dijawab nanti?

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 30 Januari 2021

Ringkasan Surah Ali Imran


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Surah Ali Imran Ayat 147 – 153 (Kekalahan di Medan Uhud)

Ali Imran Ayat 147: Apa pula doa mereka?

وَما كانَ قَولَهُم إِلّا أَن قالوا رَبَّنَا اغفِر لَنا ذُنوبَنا وَإِسرافَنا في أَمرِنا وَثَبِّت أَقدامَنا وَانصُرنا عَلَى القَومِ الكٰفِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And their words were not but that they said, “Our Lord, forgive us our sins and the excess [committed] in our affairs and plant firmly our feet and give us victory over the disbelieving people.”

MALAY

Dan tidaklah ada yang mereka ucapkan (semasa berjuang), selain daripada berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa-dosa kami dan perbuatan kami yang melampau dalam urusan kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami (dalam perjuangan); dan tolonglah kami mencapai kemenangan terhadap kaum yang kafir.

 

وَما كانَ قَولَهُم إِلّا أَن قالوا

Dan tidaklah ada yang mereka ucapkan (semasa berjuang), selain daripada berdoa dengan berkata:

Allah ‎ﷻ ajar kita apakah doa yang mereka lafazkan semasa mereka sedang berjihad. Banyak ayat-ayat dalam Al-Qur’an yang mengajar cara lafaz doa. Doa-doa itulah yang patut kita amalkan (dalam keadaan yang sesuai).

Namun janganlah pula pakai tangkap muat ayat Al-Qur’an dan dijadikan doa. Kena tengok sama ada ayat itu ayat doa ataupun tidak. Orang kita yang jahil dengan wahyu dan konsep doa, suka mengamalkan ayat-ayat tertentu sebagai doa tetapi ayat itu bukan doa pun dan tidak kena mengena dengan hajat mereka. Ini adalah penyalahgunaan ayat-ayat Al-Qur’an sebenarnya.

 

رَبَّنَا اغفِر لَنا ذُنوبَنا

“Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa-dosa kami 

Tutuplah dosa-dosa kami dan apa-apa kesalahan yang telah kami lakukan. Manusia memang tidak lari daripada melakukan dosa selagi mereka hidup.

Mereka minta diampunkan dosa walaupun mereka sedang melakukan jihad fisabilillah. Ini adalah kerana dosa adalah perkara yang akan menyebabkan kesusahan kepada kita. Antaranya, kerana dosalah yang akan memasukkan kita ke dalam neraka. Walaupun kita beriman, tetapi kalau kita ada dosa, maka kena dicuci terlebih dahulu dosa itu di neraka. Setelah sekian lama, barulah dimasukkan ke dalam syurga. Takkan kita tidak takut?

Ini juga adalah adab dalam berdoa. Hendaklah kita memohon ampun atas dosa kita dahulu (sebelum minta perkara yang lain) kerana kita pun tahu, kita ini banyak dosa. Janganlah terus minta pelbagai perkara namun dalam masa yang sama, kita sendiri tahu yang dosa kita banyak.

Dosa juga menyebabkan doa tidak diterima oleh Allah ‎ﷻ. Maka, sebelum meminta apa-apa, mintalah Allah ‎ﷻ mengampunkan dosa kita. Sebanyak mana pun dosa kita, Allah ‎ﷻ masih boleh ampunkan. Kalau kita kurang dosa, maka makin lancarlah doa kita itu.

 

وَإِسرافَنا في أَمرِنا

dan perbuatan kami yang melampau dalam urusan kami,

Tutuplah kesalahan kami yang mana kami telah melampaui batas. Mungkin kita sebagai manusia, ada buat terlebih daripada yang sepatutnya. Mungkin kita sudah buat benda yang baik, tetapi kadang-kadang tanpa kita sedari, kita buat benda yang tidak patut pula.

Dalam konteks peperangan, mungkin ada buat benda yang tidak patut dengan musuh; atau ada cakap benda yang tidak patut. Contohnya, cakap besar, sombong dan sebagainya. Kita minta Allah ‎ﷻ ampun dan tutupkan kes itu semua supaya kita tidak malu di akhirat kelak.

 

وَثَبِّت أَقدامَنا

dan teguhkanlah tapak pendirian kami 

Teguhkanlah kaki-kaki kami dalam peperangan ini. Jangan sampai kami takut sehingga kami lari. Memang peperangan amat menakutkan sesiapa sahaja. namun, kalau seorang itu telah yakin dengan agama dan dengan perjuangan, kaki mereka akan teguh.

Kaki yang lari itu adalah kerana hati mereka sendiri yang tidak teguh. Maka, kita kena kuatkan keyakinan dalam hati dulu dan ini pun memerlukan pertolongan daripada Allah ‎ﷻ untuk menetapkan pendirian kita. Kalau setakat kita hendak kuatkan diri kita, rasanya tidak cukup kuat lagi.

 

وَانصُرنا عَلَى القَومِ الكٰفِرينَ

dan tolonglah kami mencapai kemenangan terhadap kaum yang kafir.

Mereka meminta pertolongan daripada Allah ‎ﷻ untuk mengalahkan musuh (orang kafir). Ini kerana kalau tanpa bantuan Allah ‎ﷻ, tidaklah akan menang. Kalau bukan daripada bantuan Allah ‎ﷻ, siapa lagi yang boleh kita harapkan? Ini kerana kalau kita ramai, kelengkapan perang pun kuat dan banyak, tetapi kalau Allah ‎ﷻ tidak bantu, adakah akan menang dan berjaya? Tentu tidak! Maka jangan lupa minta pertolongan kepada Allah ‎ﷻ.

Para Mujahid dahulu pun cakap begitu juga. Kita telah dengar doa yang sama dalam Surah Baqarah apabila tentera Talut bertemu dengan tentera Jalut dahulu. Inilah doa yang kita kena ingat.


 

Ali Imran Ayat 148: Apakah balasan yang Allah ‎ﷻ berikan kepada mereka?

فَـَٔاتَٮٰهُمُ اللَّهُ ثَوابَ الدُّنيا وَحُسنَ ثَوابِ الآخِرَةِ ۗ وَاللَّهُ يُحِبُّ المُحسِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So Allāh gave them the reward of this world and the good reward of the Hereafter. And Allāh loves the doers of good.

MALAY

Oleh itu, Allah memberikan mereka pahala dunia (kemenangan dan nama yang harum), dan pahala akhirat yang sebaik-baiknya (nikmat Syurga yang tidak ada bandingannya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang berbuat kebaikan.

 

فَـَٔاتَٮٰهُمُ اللَّهُ ثَوابَ الدُّنيا

Oleh itu, Allah memberikan mereka balasan di dunia

Allah ‎ﷻ beri kelebihan kepada mereka kerana doa mereka itu. Begitulah, senjata yang paling hebat adalah doa. Allah ‎ﷻ beri balasan di dunia lagi dengan kepuasan iman. Mereka tidak kaya raya tetapi mereka rasa puas dengan apa yang Allah ‎ﷻ berikan kepada mereka dan itulah nikmat yang paling besar.

 

وَحُسنَ ثَوابِ الآخِرَةِ

dan pahala akhirat yang sebaik-baiknya

Mereka akan mendapat balasan di akhirat yang lebih baik. Tentulah balasan di akhirat itu jauh tersangat-sangat baik daripada apa yang kita boleh dapat di dunia. Sebab itu kita kena pentingkan akhirat. Dunia jangan dilupakan, cuma kena dilebihkan akhirat.

 

وَاللَّهُ يُحِبُّ المُحسِنينَ

Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang berbuat kebaikan.

Allah ‎ﷻ amat suka kepada hamba yang memiliki hati yang baik. Allah ‎ﷻ suka mereka yang hati ikhlas. Allah ‎ﷻ suka mereka yang memperbaiki diri mereka. Maka kita kena sematkan dalam diri kita untuk sentiasa melakukan kebaikan.

Sekian Ruku’ 15 dari 20 ruku’ surah ini


 

Ali Imran Ayat 149:

يَـٰٓأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا إِن تُطيعُوا الَّذينَ كَفَروا يَرُدّوكُم عَلىٰ أَعقٰبِكُم فَتَنقَلِبوا خٰسِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, if you obey those who disbelieve, they will turn you back on your heels, and you will [then] become losers.

MALAY

Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu taatkan orang-orang yang kafir nescaya mereka akan menolak kamu kembali kepada kekufuran, lalu menjadilah kamu orang-orang yang rugi.

 

يَـٰٓأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا

Wahai orang-orang yang beriman!

Allah ‎ﷻ berikan nasihat kepada orang-orang yang mengaku beriman. Dengarlah nasihat ini.

 

إِن تُطيعُوا الَّذينَ كَفَروا

Jika kamu taat kepada orang-orang yang kafir

Orang kafir yang dimaksudkan dalam ayat ini termasuk juga golongan munafikin. Luaran mereka nampak Islam, tetapi hati mereka kufur. Allah‎ ﷻ mengingatkan supaya jangan mengikut cadangan mereka yang bercanggah dengan akidah.

 

يَرُدّوكُم عَلىٰ أَعقٰبِكُم

nescaya mereka akan membalikkan kamu kembali kepada kekufuran,

Ia adalah amat bahaya sebab boleh menyebabkan murtad. Para sahabat yang mukmin telah beriman dengan sebenarnya, tetapi kalau mereka terikut-ikut dengan kata-kata dan cadangan orang-orang Munafik, boleh menyebabkan mereka kembali kufur.

 

فَتَنقَلِبوا خٰسِرينَ

lalu menjadilah kamu orang-orang yang rugi.

Rugi maksudnya segala usaha kita tidak mendapat bantuan daripada Allah ‎ﷻ. Mereka rugi kerana ada peluang untuk mendapat kebaikan di akhirat tetapi mereka tidak mengambil peluang itu. Mereka akan menyesal dengan penyesalan yang amat tinggi nanti. Waktu itu tidak boleh hendak berbuat apa-apa lagi.


 

Ali Imran Ayat 150:

بَلِ اللَّهُ مَولَٮٰڪُم ۖ وَهُوَ خَيرُ ٱلنَّـٰصِرِينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But Allāh is your protector, and He is the best of helpers.

MALAY

(Janganlah kamu taatkan mereka!) Bahkan (taatlah kepada) Allah Pelindung kamu, dan Dia lah sebaik-baik Penolong.

 

بَلِ اللَّهُ مَولَٮٰڪُم‌

Bahkan Allah Pelindung kamu,

Yang kita harapkan dan dambakan adalah perlindungan daripada Allah ‎ﷻ sahaja. Hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang dapat melindungi kita dengan sebenarnya dan kerana Allah ‎ﷻ sahaja pelindung kita, maka kenalah kita jaga syari’at. Janganlah taat dan ikut kepada golongan munafik itu tetapi ikutlah Allah ‎ﷻ. Jagalah syari’at kerana mereka tidak dapat menolong kamu sedikit pun, tetapi Allah ‎ﷻ sahaja yang menjadi penolong kamu nanti.

 

وَهُوَ خَيرُ ٱلنَّـٰصِرِينَ

dan Dia lah sebaik-baik Penolong.

Tidak ada sesiapa lagi pun yang boleh membantu sebagaimana Allah‎ ﷻ boleh bantu kita. Kalau ada orang hendak bantu, tetapi Allah ‎ﷻ tidak benarkan, tidak akan terjadi juga. Namun kalau Allah ‎ﷻ hendak bantu kita, walaupun semua makhluk menghalang daripada bantuan itu sampai, maka ia tidak akan terjadi.

Allah ‎ﷻ boleh membantu kita dengan cara yang paling baik. Allah‎ ﷻ tahu apa yang kita perlukan dan Dia akan beri yang terbaik untuk kita. Kadang-kadang kita sangka kita mahukan satu perkara terjadi, tetapi Allah ‎ﷻ lebih tahu, maka Dia boleh jadikan perkara lain yang terjadi, dan ia pasti lebih baik untuk kita.

Sebagai contoh, tentulah para sahabat mahukan kemenangan dalam Perang Uhud itu, tetapi Allah ‎ﷻ telah berikan kekalahan kepada mereka. Tentu ada kebaikan dan kelebihan daripada perbuatan Allah ‎ﷻ itu. Allah‎ ﷻ telah menjelaskan banyak sebab kenapa Dia lakukan perkara itu. Yang kita perlu buat adalah percaya dengan tindakan Allah ‎ﷻ. Belajar redha dengan apa yang Allah ‎ﷻ lakukan.


 

Ali Imran Ayat 151: Ini adalah contoh bantuan yang Allah ‎ﷻ beri.

سَنُلقي في قُلوبِ الَّذينَ كَفَرُوا الرُّعبَ بِما أَشرَكوا بِاللَّهِ ما لَم يُنَزِّل بِهِ سُلطَـٰنًا ۖ وَمَأوَٮٰهُمُ النّارُ ۚ وَبِئسَ مَثوَى ٱلظَّـٰلِمِينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

We will cast terror into the hearts of those who disbelieve for what they have associated with Allāh of which He had not sent down [any] authority. And their refuge will be the Fire, and wretched is the residence of the wrongdoers.

MALAY

Kami akan isikan hati orang-orang kafir itu dengan perasaan gerun, disebabkan mereka mempersekutukan Allah dengan benda-benda (yang mereka sembah) yang Allah tidak menurunkan sebarang keterangan yang membenarkannya. Dan (dengan yang demikian) tempat kembali mereka ialah neraka, dan itulah seburuk-buruk tempat tinggal bagi orang-orang zalim.

 

سَنُلقي في قُلوبِ الَّذينَ كَفَرُوا الرُّعبَ

Kami akan campakkan ke dalam hati orang-orang kafir itu dengan perasaan gerun,

Allah ‎ﷻ akan campakkan rasa takut yang amat sangat ke dalam hati orang-orang kafir, sampai mereka takut kepada umat Islam walaupun bilangan mereka ramai dan tentera Islam itu sedikit sahaja. Ini boleh terjadi kalau tentera Islam itu mengamalkan apa yang sepatutnya (taat Allah ‎ﷻ, taat pemimpin dan sebagainya). Memang ada kisah orang kafir (kemudian masuk Islam) menceritakan yang dahulu mereka takut sangat dengan tentera Muslim.

 

بِما أَشرَكوا بِاللَّهِ ما لَم يُنَزِّل بِهِ سُلطَـٰنًا‌ۖ

disebabkan mereka mempersekutukan Allah dengan benda-benda yang Allah tidak menurunkan sebarang keterangan yang membenarkannya.

Kenapa Allah ‎ﷻ beri mereka perasaan takut kepada orang Islam? Kerana mereka membuat syirik. Apa yang mereka buat itu tidak ada dalil daripada Allah ‎ﷻ. Bila syirik bertemu tauhid, pengamal syirik akan kalah dan mereka akan berasa takut.

Begitulah juga, puak-puak orang Islam yang mengamalkan syirik di negara ini – amalan mereka itu tidak ada dalil daripada Allah ‎ﷻ atau Nabi. Sebagai contoh, banyak amalan-amalan puak tarekat tidak ada dalil. Mereka reka dengan amalan yang mereka dapat daripada ilmu khayalan guru-guru mereka yang diturunkan dari satu generasi ke satu generasi. Kalau hendak tahu, tanya sahaja manakah dalil daripada amalan mereka itu.

Malangnya orang-orang kita yang jahil agama (terutama sekali jahil dengan wahyu), mudah terikut kerana nampak seperti mudah sahaja untuk mendapat kedudukan tinggi dalam agama, kononnya dapat maqam itu dan ini. Mereka mencari jalan pintas, tetapi itu semua adalah karut sahaja.

Satu lagi masalah besar adalah golongan silat di negara kita. Banyak sangat amalan-amalan untuk kuasa kuat, laju, dapat perlindungan dan sebagainya. Mereka ada mentera-mentera yang mereka baca, tetapi malangnya itu semua adalah untuk memanggil jin belaka.

 

وَمَأوَٮٰهُمُ النّارُ

tempat kembali mereka ialah neraka, 

Puak-puak yang mengamalkan syirik, akan dimasukkan ke dalam neraka. Sama ada puak syirik dalam kalangan orang kafir atau dalam kalangan orang yang mengaku Muslim pun. Amatlah menyedihkan sekali. Mereka bertungkus lumus mengamalkan amalan salah mereka, namun akhirnya masuk neraka. Mereka sangka masuk syurga dengan mudah, tetapi mereka akhirnya masuk neraka.

 

وَبِئسَ مَثوَى ٱلظَّـٰلِمِينَ

dan itulah seburuk-buruk tempat tinggal bagi orang-orang zalim.

Orang yang mengamalkan syirik dikatakan orang-orang zalim. Kalimah مَثوَى dari katadasar ث و ي yang bermaksud menetap di suatu tempat, berhenti, menetap di suatu tempat, menahan sesiapa sahaja (di suatu tempat), penginapan, tempat tinggal, resort, tempat berehat, penghuni. Kalimah مَثوَى bermaksud tempat tinggal generasi demi generasi. Ia adalah tempat tinggal yang diwarisi. Maknanya, tempat tinggal yang lama.

Kalimah zalim yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah menzalimi Allah ‎ﷻ iaitu tidak diberikan kedudukan yang sepatutnya kepada Allah ‎ﷻ: itulah dosa besar melakukan syirik.


 

Ali Imran Ayat 152: Allah‎ ﷻ telah beritahu yang Dia akan bantu orang Islam dengan berikan perasaan takut orang kafir kepada tentera Islam. Allah‎ ﷻ telah berjanji akan membantu orang Islam dalam peperangan tetapi Allah ‎ﷻ beritahu dalam ayat ini bahawa kekalahan orang Islam adalah kerana mereka sendiri yang tidak menjaga syari’at.

وَلَقَد صَدَقَكُمُ اللَّهُ وَعدَهُ إِذ تَحُسّونَهُم بِإِذنِهِ ۖ حَتّىٰ إِذا فَشِلتُم وَتَنَـٰزَعتُم فِي الأَمرِ وَعَصَيتُم مِّن بَعدِ ما أَرَٮٰكُم مّا تُحِبّونَ ۚ مِنكُم مَّن يُريدُ الدُّنيا وَمِنكُم مَّن يُريدُ الآخِرَةَ ۚ ثُمَّ صَرَفَكُم عَنهُم لِيَبتَلِيَكُم ۖ وَلَقَد عَفا عَنكُم ۗ وَاللَّهُ ذو فَضلٍ عَلَى المُؤمِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And Allāh had certainly fulfilled His promise to you when you were killing them [i.e., the enemy] by His permission until [the time] when you lost courage and fell to disputing about the order [given by the Prophet ()] and disobeyed after He had shown you that which you love.¹ Among you are some who desire this world, and among you are some who desire the Hereafter. Then He turned you back from them [defeated] that He might test you. And He has already forgiven you, and Allāh is the possessor of bounty for the believers.

  • i.e., the spoils of war.

MALAY

Dan demi sesungguhnya, Allah telah menepati janjiNya (memberikan pertolongan) kepada kamu ketika kamu (berjaya) membunuh mereka (beramai-ramai) dengan izinNya, sehingga ke masa kamu lemah (hilang semangat untuk meneruskan perjuangan) dan kamu berbalah dalam urusan (perang) itu, serta kamu pula menderhaka (melanggar perintah Rasulullah) sesudah Allah perlihatkan kepada kamu akan apa yang kamu sukai (kemenangan dan harta rampasan perang). Di antara kamu ada yang menghendaki keuntungan dunia semata-mata, dan di antara kamu ada yang menghendaki akhirat, kemudian Allah memalingkan kamu daripada menewaskan mereka untuk menguji (iman dan kesabaran) kamu; dan sesungguhnya Allah telah memaafkan kamu, (semata-mata dengan limpah kurniaNya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa melimpahkan kurniaNya kepada orang-orang yang beriman.

 

وَلَقَد صَدَقَكُمُ اللَّهُ وَعدَهُ إِذ تَحُسّونَهُم بِإِذنِهِ

Dan demi sesungguhnya, Allah telah menepati janji-Nya (memberikan pertolongan) kepada kamu ketika kamu (berjaya) membunuh mereka (beramai-ramai) dengan izin-Nya, 

Allah ‎ﷻ sekarang menceritakan keadaan semasa permulaan Perang Uhud. Allah ‎ﷻ beritahu yang Dia telah menunaikan janji yang umat Islam akan mengalahkan orang kafir. Pada peringakat awal, memang tentera Islam telah dapat membunuh tentera Musyrikin Mekah satu persatu. Umat Islam waktu itu sedang berada di atas. Mudah sahaja untuk mereka membunuh orang-orang kafir itu.

 

حَتّىٰ إِذا فَشِلتُم

sehingga ke masa kamu lemah

Allah ‎ﷻ telah membantu mereka sehingga ada antara orang Islam itu yang lemah dalam semangat untuk taat kepada Rasulullah ﷺ dan ketua mereka waktu itu, iaitu Abdullah bin Jabir رضي الله عنه. Abdullah رضي الله عنه adalah ketua yang ditugaskan untuk mengetuai pasukan pemanah yang sedang berjaga di atas satu bukit yang mengawal tempat strategik dalam peperangan itu.

Abdullah bin Jabir رضي الله عنه sudah pun melarang mereka daripada turun dari tempat memanah itu (seperti yang telah diarahkan oleh Rasulullah ﷺ sendiri). Namun mereka berdegil dan hendak turun juga. Nabi Muhammad ﷺ telah menyusun strategi dengan membahagikan tentera kepada tiga pasukan iaitu pasukan kanan dan kiri berhadapan melawan musuh. Manakala pasukan pemanah seramai 50 orang telah ditempatkan di atas bukit Uhud. Semua tentera pemanah tidak dibenarkan meninggalkan tempat masing-masing kecuali dengan arahan baginda sama ada kalah atau menang.

 

وَتَنَـٰزَعتُم فِي الأَمرِ

dan kamu berbalah dalam urusan

Dan kerana hendak turun juga dari tempat pemanah, mereka telah berselisih pendapat tentang arahan Rasulullah ﷺ. Ini terjadi antara Abdullah رضي الله عنه dan orang bawahan. Ada yang kata kena duduk tunggu di tempat memanah dan ada yang hendak turun.

Mereka yang hendak turun itu kata, kalau kalah sahaja Rasulullah ﷺ larang tinggalkan tempat itu, tetapi sekarang mereka sudah menang, maka bolehlah mereka turun. Ada yang kata, kalah atau menang, selagi Nabi ﷺ tidak benarkan dan beri arahan untuk turun, jangan turun.

 

وَعَصَيتُم

serta kamu telah menderhaka

Para sahabat ada yang telah menderhakai arahan. Begitulah mereka yang turun dari tempat memanah itu telah derhaka. Mereka melawan ketua yang dilantik oleh Nabi ﷺ. Mereka dikira telah menderhaka kerana sepatutnya kena taat kepada pemimpin yang dipilih oleh khalifah.

Maka kita kena ingat yang ini adalah ajaran penting dalam agama. Kena ikut arahan kepada pemimpin (selagi dalam perkara yang tidak melanggar syari’at). Ini kita telah diajar dan dilatih dalam ibadah seperti dalam salat, kena ikut imam. Kita telah dilatih dalam salat pun untuk taat kepada pemimpin (dan kalau hendak tegur pun, ada cara untuk tegur dan jangan keluar begitu sahaja). Jadi ini adalah salah satu daripada falsafah salat.

 

مِن بَعدِ ما أَرَٮٰكُم مّا تُحِبّونَ

sesudah Allah perlihatkan kepada kamu akan apa yang kamu sukai 

Mereka jadi goyang daripada taat kerana Allah‎ ﷻ telah menunjukkan kemenangan yang mereka suka. Mereka sangka mereka sudah menang, musuh sudah lari dan harta rampasan perang sudah ada di depan mata.

Apabila tentera musuh telah nampak mereka akan kalah, maka mereka telah bertempeliaran lari meninggalkan medan pertempuran (dan ditinggalkan barang-barang mereka kerana itu akan melambatkan pergerakan mereka). Pasukan pemanah itu pun telah nampak barang-barang yang telah ditinggalkan oleh tentera musuh itu.

Mereka turun itu pun sebab hendak menolong kumpul harta sahaja. Ini kerana bukan boleh ambil lagi pun, tetapi mereka hendak beri khidmat kepada sahabat yang lain. Harta rampasan perang (ghanimah) mesti dikumpulkan dan selepas itu baharu dibahagikan, tidak boleh terus diambil. Jadi kita kena bersangka baik yang mereka sebenarnya hendak tolong berkhidmat kepada orang lain.

Jadi ini bermaksud, mereka hendakkan dunia tetapi untuk tujuan akhirat. Mereka bukanlah berebut-rebut hendakkan  harta rampasan itu untuk diri mereka (jangan fikir begitu). Mereka pun nampak tentera Islam tengah menang, musuh pun sedang lari, jadi apa salahnya, (mereka fikir).

Maka, minda dan emosi mereka sedang berlawanan antara suasana dan arahan. Suasana waktu itu mereka sangka membolehkan mereka meninggalkan tempat mereka. Namun arahan daripada Nabi ﷺ sebelum itu, jangan turun. Malangnya, mereka telah kalah dengan suasana. Begitu jugalah kita yang tahu ada arahan dan larangan daripada Allah ‎ﷻ, tetapi kadangkala kalah dengan suasana.

 

مِنكُم مَّن يُريدُ الدُّنيا وَمِنكُم مَّن يُريدُ الآخِرَةَ

Di antara kamu ada yang menghendaki keuntungan dunia, dan di antara kamu ada yang menghendaki akhirat,

Ada daripada para sahabat yang mahukan dunia dan ada yang mahukan akhirat bersungguh-sungguh. Oleh itu ada yang tetap tunggu di atas bukit walaupun nampak musuh sudah kalah. Mereka taat kepada arahan Nabi ﷺ yang sudah pesan jangan turun. Akan tetapi kerana mereka sudah sedikit, mereka tidak dapat mempertahankan serangan kedua daripada tentera musuh.

 

ثُمَّ صَرَفَكُم عَنهُم لِيَبتَلِيَكُم

kemudian Allah memalingkan kamu daripada menewaskan mereka untuk menguji kamu;

Asalnya memang Allah ‎ﷻ telah beri kemenangan kepada tentang Muslim tetapi kemudian Allah ‎ﷻ telah mengalihkan kemenangan yang sedang berada pada pihak Muslimin kepada pihak musuh pula. Tujuannya adalah untuk menguji mereka dan juga ini memberi pengajaran kepada orang Islam supaya lain kali jangan buat begini lagi.

Kesilapan mereka itu memang kesilapan yang besar kerana apabila Khalid al Walid nampak ada pasukan pemanah atas bukit meninggalkan tempat mereka, itu adalah peluang untuk mengambil tempat itu. Ini kerana dia tahu yang tempat itu adalah tempat yang strategik. Dia dan pasukannya telah membunuh sahabat yang masih ada di atas bukit dan mereka pula menyerang tentera Islam dari atas bukit itu.

Sampaikan tentera Islam yang lain pula (yang berada di medan pertempuran) yang kena lari naik ke atas bukit lain untuk menyelamatkan diri. Ini adalah pengajaran yang amat besar. Kekalahan mereka waktu itu adalah kerana tidak taat kepada arahan pemimpin.

Rajah kejadian semasa Perang Uhud
Rajah kejadian semasa Perang Uhud

 

وَلَقَد عَفا عَنكُم

dan sesungguhnya Allah telah memaafkan kamu,

Dan Allah ‎ﷻ telah memaafkan kesalahan sahabat yang meninggalkan bukit itu. Ini adalah kelebihan sahabat di mana Allah ‎ﷻ telah memaafkan mereka. Dan mereka telah menanggung kesedihan yang amat sangat kerana kesilapan mereka itu. Ini kita kena ingat, yang Allah ‎ﷻ telah maafkan mereka.

Jangan kita kutuk mereka pula. Kesilapan mereka itu menjadi pengajaran bagi kita dan sedikit sebanyak, mereka telah berjasa. Kita kalau dalam kedudukan mereka pun entah apa yang kita buat. Jadi kita boleh sahaja belajar daripada ayat ini tanpa mengutuk para sahabat itu.

 

وَاللَّهُ ذو فَضلٍ عَلَى المُؤمِنينَ

Dan (ingatlah), Allah sentiasa melimpahkan kurnia-Nya kepada orang-orang yang beriman.

Allah ‎ﷻ memberi kelebihan khusus kepada mukminin kerana mereka masih tetap dalam akidah mereka. Selagi kita menjaga syari’at dan menjaga apa yang perlu dijaga, maka Allah ‎ﷻ akan beri bantuan kepada kita. Maka kita tidak akan takut kalau kita serahkan diri kita kepada Allah ‎ﷻ. Namun janganlah serahkan kosong sahaja, kenalah ikut tatacara dan syari’at. Kerana itu kena belajar sebanyak mungkin.


 

Ali Imran Ayat 153: Kesan apabila meninggalkan tanggungjawab ikut arahan ketua.

۞ إِذ تُصعِدونَ وَلا تَلوونَ عَلىٰ أَحَدٍ وَالرَّسولُ يَدعوكُم في أُخرَٮٰكُم فَأَثَـٰبَڪُم غَمًّا بِغَمٍّ لِّكَيلا تَحزَنوا عَلىٰ ما فاتَكُم وَلا ما أَصَـٰبَڪُم ۗ وَاللَّهُ خَبيرٌ بِما تَعمَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Remember] when you [fled and] climbed [the mountain] without looking aside at anyone while the Messenger was calling you from behind. So Allāh repaid you with distress upon distress so you would not grieve for that which had escaped you [of victory and spoils of war] or [for] that which had befallen you [of injury and death]. And Allāh is [fully] Acquainted with what you do.

MALAY

(Ingatlah) ketika kamu berundur lari dan tidak menoleh kepada sesiapa pun, sedang Rasulullah (yang masih berjuang dengan gagahnya) memanggil kamu dari kumpulan yang tinggal di belakang kamu (untuk berjuang terus tetapi kamu tidak mematuhinya). Oleh sebab itu Allah membalas kamu (dengan peristiwa) yang mendukacitakan (kekalahan), dengan sebab perbuatan (kamu menderhaka) yang mendukacitakan (Rasulullah) itu, supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput dari kamu, dan tidak (pula bersedih) akan apa yang menimpa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa jua yang kamu lakukan.

 

إِذ تُصعِدونَ وَلا تَلوونَ عَلىٰ أَحَدٍ

(Ingatlah) ketika kamu berundur lari dan tidak menoleh kepada sesiapa pun, 

Ayat ini merujuk ketika tentera Muslim pula diserang dengan ganas, keadaan telah menjadi kacau bilau sehunggakan tentera Muslim pula yang terpaksa lari ke atas bukit lain untuk menyelamatkan diri (Bukit Uhud telah ditawan).

Mereka tidak berpaling memandang ke arah lain pun kerana takut sangat. Sepeeti kita kalau takut sangat, sudah tidak nampak orang lain lagi, tahu hendak lari sahaja. Sampaikan Nabi ﷺ panggil mereka pun mereka tidak pandang. Sepatutnya ketakutan itu pada orang kafir, tetapi mereka pula yang menjadi takut.

 

وَالرَّسولُ يَدعوكُم في أُخرَٮٰكُم

sedang Rasulullah (yang masih berjuang dengan gagahnya) memanggil kamu dari kumpulan yang tinggal di belakang kamu

Sedangkan Nabi ﷺ memanggil mereka untuk kembali meneruskan perjuangan. Rasulullah ﷺ waktu itu masih lagi di medan pertempuran dan tidak melarikan diri tetapi mereka sudah tidak mendengar lagi kerana takut sangat. Jangan kata orang lain panggil, Nabi ﷺ sendiri panggil pun mereka sudah tidak dengar. Walaupun pada waktu itu Nabi ﷺ sedang dikepung oleh musuh. Namun mereka ketika itu hanya teringat untuk selamatkan diri mereka sahaja.

 

فَأَثَـٰبَڪُم غَمًّا بِغَمٍّ

Oleh sebab itu Allah membalas kamu kesedihan di atas kesedihan 

Allah ‎ﷻ telah menimpakan ke atas mereka, kesedihan penyesalan yang bertimpa-timpa. Kesedihan dan penyesalan pertama adalah kerana tidak taat kepada Rasulullah ﷺ dan yang kedua kerana kalah dalam peperangan.

 

لِّكَيلا تَحزَنوا عَلىٰ ما فاتَكُم وَلا ما أَصَـٰبَڪُم

supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu, dan tidak (pula bersedih) akan apa yang menimpa kamu. 

Ada jumlah muqaddar (tidak ditulis dalam teks) di sini; iaitu ia tidak tertera dalam ayat, jadi perlu diberitahu dalam tafsir supaya jelas. Perkara sebegini perlu dijelaskan dengan tafsir. Itulah sebabnya penting belajar tafsir, kerana kalau baca daripada terjemahan sahaja, tidak akan jelas.

Maksud potongan ayat ini, Allah ‎ﷻ telah menceritakan kisah tentang kesalahan mereka dan kemudian memberitahu bahawa Dia telah memaafkan mereka supaya mereka tidak berterusan dalam kesedihan atas kekalahan perang itu dan musibah yang menimpa mereka. Kalaulah tidak ada ayat tentang Allah ‎ﷻ memaafkan mereka, tentulah kesedihan akan terus berpanjangan dan mereka menjadi murung pula sampai tidak boleh buat kerja lain.

 

وَاللَّهُ خَبيرٌ بِما تَعمَلونَ

Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa jua yang kamu lakukan.

Allah mengetahui isi hati mereka. Maka kerana itu Allah berikan berita baik ini bagi mereka supaya mereka tidaklah berterusan dalam kesedihan.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 1 September 2023

Ringkasan Surah Ali Imran


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

 

Tafsir Surah Ali Imran Ayat 140 – 146 (Orang kafir takut kepada tentera Islam)

Ayat 140: Allah ‎ﷻ timpakan kekalahan kepada orang Islam sebagai pengajaran. Allah ‎ﷻ menggunakan para sahabat sebagai contoh, apa yang akan terjadi kalau orang Islam sendiri melakukan kesilapan. Memang ada antara para sahabat yang telah melakukan kesilapan semasa Perang Uhud itu.

Namun kita kena ingat, Allah ‎ﷻ sudah memaafkan mereka. Namun kalau orang seterusnya juga buat perkara yang sama, akan tetap berdosa. Kita kena ambil pengajaran daripada apa yang telah dilalui oleh para sahabat.

Begitulah istimewanya mereka, kerana Allah ‎ﷻ takdirkan mereka melakukan kesilapan, kemudian Allah ‎ﷻ maafkan mereka. Ini kerana kalau mereka tidak buat kesilapan, kita tidak tahu mana perbuatan yang salah supaya kita tidak buat.

إِن يَمسَسكُم قَرحٌ فَقَد مَسَّ القَومَ قَرحٌ مِّثلُهُ ۚ وَتِلكَ الأَيّامُ نُداوِلُها بَينَ النّاسِ وَلِيَعلَمَ اللَّهُ الَّذينَ ءآمَنوا وَيَتَّخِذَ مِنكُم شُهَداءَ ۗ وَاللَّهُ لا يُحِبُّ الظّٰلِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

If a wound should touch you – there has already touched the [opposing] people a wound similar to it. And these days [of varying conditions] We alternate among the people so that Allāh may make evident those who believe and [may] take to Himself from among you martyrs – and Allāh does not like the wrongdoers –

MALAY

Jika kamu (dalam peperangan Uhud) mendapat luka (tercedera), maka sesungguhnya kaum (musyrik yang mencerobohi kamu) itu telah (tercedera juga dan) mendapat luka yang sama (dalam peperangan Badar). Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), Kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati Syahid. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.

إِن يَمسَسكُم قَرحٌ

Jika kamu mendapat luka (tercedera),

Semua itu adalah salah satu perkara yang telah berlaku. Kalau berlaku kecederaan atau kekalahan dalam Uhud, ada hikmahnya yang tersirat, yang Allah ‎ﷻ gunakan para sahabat untuk ajar orang lain.

Memang para sahabat telah banyak mendapat kecederaan, malah ada 70 orang daripada mereka yang mati.

فَقَد مَسَّ القَومَ قَرحٌ مِّثلُهُ

sesungguhnya kaum (musyrik) itu telah mendapat luka yang sama

Allah ‎ﷻ mengingatkan para sahabat bahawa kekalahan seperti ini telah berlaku kepada orang Kafir Mekah pada tahun sebelumnya. Tahun ini orang Islam pula yang kena.

وَتِلكَ الأَيّامُ نُداوِلُها بَينَ النّاسِ

Dan demikian itulah keadaan hari-hari, Kami gilirkan antara sesama manusia

Hari-hari yang menang dan kalah itu Allah‎ ﷻ gilirkan antara manusia untuk menguji manusia. Tidaklah orang Islam sentiasa sahaja menang. Kadang-kadang orang Islam menang, kadang-kadang kalah. Ini perkara biasa. Seperti kata pepatah: hidup umpama roda, kadangkala duduk di atas, kadangkala duduk di bawah.

وَلِيَعلَمَ اللَّهُ الَّذينَ ءآمَنوا

dan supaya nyata bagi Allah, siapa yang sebenarnya beriman

Tujuannya, untuk Allah ‎ﷻ bezakan siapa yang betul-betul beriman dan teguh menjaga hukum. Allah ‎ﷻ memang sudah tahu siapa beriman dan tidak, tetapi Allah ‎ﷻ hendak tunjukkan kepada manusia.

Jangan kita salah faham dengan ayat ini, dengan mengatakan Allah ‎ﷻ buat begitu untuk Allah ‎ﷻ tahu siapa yang beriman. Ini kerana Allah ‎ﷻ sudah tahu siapa yang beriman dan tidak. Cuma Allah ‎ﷻ hendak zahirkan kepada manusia yang lain. Allah ‎ﷻ hendak zahirkan kepada orang mukmin, siapakah di antara orang yang mengaku Muslim itu yang benar-benar mukmin atau munafik.

وَيَتَّخِذَ مِنكُم شُهَداءَ

dan juga supaya Allah mengambil sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati Syahid. 

Dengan mati itulah baru Allah‎ ﷻ boleh jadikan ada Muslim yang mati syahid. Kalau tidak mati-mati, pergi perang asyik menang sahaja, nanti tidak ada yang mati syahid pula, bukan?

Mati syahid sepatutnya menjadi cita-cita setiap orang Islam kerana ia adalah pengakhiran kehidupan yang amat hebat. Orang yang mati syahid, boleh terus masuk ke syurga. Mereka tidak perlu tunggu di Mahsyar sebagaimana orang-orang yang biasa. Tunggu di Mahsyar itu pun sudah satu azab juga sebenarnya, kerana menunggu dalam keadaan yang tidak selesa dan entah berapa lama.

Sedangkan kalau mati syahid, terus masuk syurga dan menikmati nikmat dalam syurga itu. Orang lain sedang tunggu di Mahsyar, para syuhada’ sedang sedap-sedap di syurga. Apabila mahkamah pengadilan Allah ‎ﷻ ditegakkan setelah entah berapa puluh ribu tahu di Mahsyar, barulah dikeluarkan sekejap para syuhada’ itu untuk dibacakan amalan mereka. Kemudian akan dimasukkan semula ke dalam syurga. Bukankah  ini yang sepatutnya kita inginkan?

وَاللَّهُ لا يُحِبُّ الظّٰلِمينَ

Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.

Allah ‎ﷻ tidak suka golongan zalim. Orang kafir adalah orang yang melakukan kezaliman yang paling tinggi, iaitu mereka syirik kepada Allah ‎ﷻ. Maksud ‘zalim’ adalah tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya. Mana lagi berat daripada tidak meletakkan Allah ‎ﷻ di tempat yang tertinggi dalam kehidupan kita?

Allah ‎ﷻ memang tidak suka kepada orang yang zalim. Bukanlah Allah ‎ﷻ beri kemenangan kepada golongan kuffar itu kerana Allah ‎ﷻ suka kepada mereka, tidak langsung. Jadi Allah ‎ﷻ tidak mahu kita salah anggap. Allah ‎ﷻ tetap sayang dan kasih kepada orang mukmin dan orang Islam. Namun Allah ‎ﷻ jadikan Muslim kadangkala menang dan kadangkala kalah kerana sebab-sebab yang telah disebut di atas dan selepas ini.


Ayat 141:

وَلِيُمَحِّصَ اللَّهُ الَّذينَ ءآمَنوا وَيَمحَقَ الكٰفِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And that Allāh may purify the believers [through trials] and destroy the disbelievers.

MALAY

Dan juga supaya Allah membersihkan orang-orang yang beriman dan membinasakan orang-orang yang kafir.

وَلِيُمَحِّصَ اللَّهُ الَّذينَ ءآمَنوا

Dan juga supaya Allah membersihkan orang-orang yang beriman

Tujuan kekalahan dalam peperangan juga adalah untuk Allah ‎ﷻ bersihkan orang Mukmin daripada orang munafik. Bila ada ujian berat seperti ini, barulah nampak siapa beriman dan siapa yang munafik. Orang munafik yang sebelum ini menyembunyikan kekafiran mereka, sampaikan sahabat tidak tahu siapakah yang munafik.

Oleh kerana tidak tahu, maka sahabat yang mukmin bercampur gaul dengan golongan munafik itu kerana sangka orang-orang munafik itu beriman juga. Maka Allah ‎ﷻ jadikan apa yang terjadi dalam peperangan Uhud itu supaya umat Islam yang mukmin nampak siapakah yang munafik.

Makna ayat ini akan lebih jelas dalam Surah Ar-Ra’d. Konsep ini dipanggil tamhis – untuk membersihkan orang beriman.

وَيَمحَقَ الكٰفِرينَ

dan membinasakan orang-orang yang kafir.

Allah ‎ﷻ jadikan ujian ini untuk menghancurkan orang kafir dengan cara melemahkan mereka. Walaupun mereka nampak menang dari segi fizikal, tetapi mereka sebenarnya menuju kehancuran. Mungkin mereka tidak terus hancur, tapi lama kelamaan mereka akan dihancurkan oleh Allah ﷻ kerana mereka telah menentang umat Islam secara berdepan.


Ayat 142: Allah ﷻ ingatkan kita supaya jangan mudah mengalah dan berhenti daripada berjihad kalau sekali sekala kalah. Jihad ini adalah syari’at yang Allah ‎ﷻ berikan kepada kita.

Kita kena sedar pentingnya untuk jihad fisabillah dijalankan, untuk agama dikenali dan diikuti oleh manusia. Kalau tidak ada jihad, orang Islam tidak jadi kuat. Orang luar Islam juga mungkin tidak akan masuk agama Islam.

Jadi jihad adalah proses berterusan yang harus dijalankan. Kalau tidak dijalankan, orang Islam akan lemah dan orang kafir pula yang menjadi kuat. Jangan jadikan sebab kekalahan itu untuk berhenti berjihad. Oleh itu, Allah ‎ﷻ berikan teguran kepada mereka yang hendak berhenti berjihad.

أَم حَسِبتُم أَن تَدخُلُوا الجَنَّةَ وَلَمّا يَعلَمِ اللَّهُ الَّذينَ جٰهَدوا مِنكُم وَيَعلَمَ الصّٰبِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Or do you think that you will enter Paradise while Allāh has not yet made evident those of you who fight in His cause and made evident those who are steadfast?

MALAY

Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangan)?

أَم حَسِبتُم أَن تَدخُلُوا الجَنَّةَ

Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga

Adakah kamu sangka kamu boleh masuk syurga dengan mudah, tanpa jihad? Tanpa susah payah? Penghuni syurga sebenarnya adalah mereka yang bersusah payah dan berkorban dalam menegakkan dan mengamalkan agama. Syurga itu sebenarnya untuk pejuang. Kalau bukan pejuang, tidak akan masuk syurga kerana harga syurga itu mahal sebenarnya. Tidak ada yang masuk syurga dengan percuma. Ia dibayar dengan perjuangan yang bukan senang.

وَلَمّا يَعلَمِ اللَّهُ الَّذينَ جٰهَدوا مِنكُم

padahal belum lagi nyata kepada Allah orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu

Sedangkan belum nyata kepada Allah ‎ﷻ golongan pejuang dalam kalangan kamu. Allah ‎ﷻ hendak menyatakan siapakah golongan pejuang. Allah ‎ﷻ sudah tahu siapakah yang berjiwa pejuang. Jangan sangka Allah ‎ﷻ buat peperangan dan ujian sebab Allah ‎ﷻ hendak tahu, kerana Allah ‎ﷻ sudah sedia tahu tetapi Allah ‎ﷻ hendak berikan ujian kepada mereka.

وَيَعلَمَ الصّٰبِرينَ

dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar

Dan supaya Allah ‎ﷻ boleh nyatakan siapakah yang bersabar dalam berjihad sampai ke akhir hayat. Kerana dalam berjihad memerlukan kesabaran.

Cuma sekarang kita sedang belajar tentang jihad qital (jihad perang). Zaman sekarang sedang tidak ada jihad perang lagi, maka nanti ada ayat-ayat tentang jihad lisan (jihad dakwah menggunakan mulut). Maknanya, tetap juga ada jihad, cuma cara berbeza.


Ayat 143: Apabila para sahabat mendengar ayat-ayat jihad, mereka terdorong sangat untuk menjalankannya kerana diberitahu kalau mati syahid, masuk syurga terus.

Memang semua hendak berjihad, tetapi masa hendak mengamalkannya, ada yang menghadapi masalah. Sudah tentu ada keberatan kerana jiwa tidak suka kepada kesusahan. Sahabat pun begitu juga.

وَلَقَد كُنتُم تَمَنَّونَ المَوتَ مِن قَبلِ أَن تَلقَوهُ فَقَد رَأَيتُموهُ وَأَنتُم تَنظُرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And you had certainly wished for death [i.e., martyrdom] before you encountered it, and you have [now] seen it [before you] while you were looking on.

MALAY

Dan sesungguhnya kamu telah mengharap-harapkan mati Syahid (dalam perang Sabil) sebelum kamu menghadapinya. Maka sesungguhnya kamu (sekarang) telah pun menyaksikannya dan kamu sedang melihatnya (dengan mata kepala sendiri).

وَلَقَد كُنتُم تَمَنَّونَ المَوتَ

Dan sesungguhnya kamu telah mengharap-harapkan mati

Yang dimaksudkan mati dalam ayat ini adalah ‘Mati Syahid’. Para sahabat pernah bercita-cita untuk mati syahid, kerana mereka sudah tahu, dengan cara mati syahid boleh masuk syurga terus.

Kalimah تَمَنَّونَ daripada kata dasar منو yang bermaksud ‘mahukan sesuatu yang kita tidak pasti apakah ia’. Iaitu apabila kita tidak tahu apakah kesan daripada kemahuan itu. Bukan mereka sahaja teringin, kita yang telah membaca ayat-ayat jihad ini pun, rasa terbangkit untuk berjihad (dan mati syahid), namun adakah kita tahu apakah hakikat jihad itu?

مِن قَبلِ أَن تَلقَوهُ

sebelum kamu menghadapinya. 

Itu sebelum mereka menghadapi kematian, mereka amat teringin nak mati syahid dan terus melakukan jihad. Itu sebelum mereka tengok dengan mata mereka sendiri, kematian yang banyak di medan jihad. Bila mereka sudah lihat suasana sebenarnya, tentu mereka ada yang sudah takut mati.

فَقَد رَأَيتُموهُ وَأَنتُم تَنظُرونَ

Maka sesungguhnya kamu (sekarang) telah pun menyaksikannya dan kamu sedang merenungnya

Sekarang kamu sudah nampak sebab untuk mati syahid itu sudah ada di hadapan mata (nak mati syahid, kena sanggup berperang). Bukankah sebelum ini kamu sudah mahukannya? Allah ‎ﷻ berfirman dalam ayat ini, kerana para sahabat ada yang terkejut dan merenung lama suasana perang itu kerana terkejut.

Itulah maksud dibandingkan نظر dengan رأي. Kalau kalimah رأي sahaja yang digunakan, ia hanya merujuk kepada perbuatan melihat biasa sahaja. Perkataanنظر bermaksud ‘staring’ atau ‘merenung’ lama dan jauh.

Ini adalah tentang para sahabat yang masih muda dan tidak menyertai Perang Badr dahulu. Mereka telah mendengar kisah kemenangan semasa di Perang Badr itu. Apabila datang berita akan berlaku lagi peperangan dengan puak Musyrikin Mekah lagi, mereka sudah bersemangat untuk berperang. Mereka sangka tentu mereka akan menang besar lagi.

Semasa sampai berita yang tentera musyrikin Mekah akan menyerang Madinah, Nabi ﷺ telah bertanya kepada sahabat sama ada mereka akan keluar bertemu tentera musuh di luar kota atau mempertahankan di dalam kota sahaja. Abu Bakr رضي الله عنه adalah antara yang berpendapat mereka patut bertahan sahaja di kota. Nabi ﷺ pun rasa begitu juga. Termasuk yang mahu mereka bertahan di kota sahaja adalah puak munafik.

Namun begitu, mereka yang muda merasakan mereka kuat sebab tentera Islam baru sahaja menang besar di Badr, dan mereka bersemangat untuk mati syahid kononnya. Mereka kata kalau bertahan di kota, akan membahayakan wanita dan kanak-kanak pula. Nabi ﷺ telah mengikut pendapat mereka walaupun baginda lebih suka untuk bertahan di kota sahaja. Ini kerana mereka nampak bersemangat sekali.

Namun begitu, apabila mereka nampak peperangan di hadapan mata mereka yang sedang benar-benar terjadi, baru mereka terkejut melihatnya. Baru mereka sedar apa yang mereka ingin-inginkan dahulu bukannya semudah yang mereka sangkakan.

Selalunya kita kalau kata hendak jihad, atau buat sesuatu yang besar, kita mulanya semangat membara tetapi apabila sudah tahu apakah yang harus dibuat, mulalah kita fikir balik. Begitulah yang selalu terjadi kepada golongan muda itu. Kalau orang yang ada pengalaman, mereka lain sedikit, kerana mereka sudah tahu hakikat perang yang sebenar.

Sekian Ruku’ 14 dari 20 ruku’ surah ini


Ayat 144: Semasa dalam Perang Uhud itu, ada sampai berita kepada para sahabat yang sedang berperang itu bahawa Nabi Muhammad ﷺ telah terbunuh. Begitulah, dari dulu lagi sudah ada berita palsu yang disampaikan manusia. Jadi jangan terus gelabah kalau dengar berita dalam media sosial terutamanya. Kebanyakan berita adalah tidak benar.

Namun orang kita kebanyakannya kelam kabut, terus sahaja hendak forward mesej sehingga menyebabkan kecoh dalam masyarakat. Sedangkan itu adalah perkara dosa (menyampaikan perkara yang belum pasti). Apabila kita tanya dan tegur mereka yang bodoh akan jawab: “Aku forward jer.. kot-kot betul….”. Semua ingin menjadi ‘Raja Forward’.

Apabila mereka dengar yang Nabi ﷺ sudah wafat, maka peritlah rasa hati para sahabat. Ia lebih perit daripada kalah dalam peperangan sehinggakan ada dalam kalangan orang Islam yang munafik berkata: “Sudah habislah agama Islam”. Mereka sebenarnya suka kerana mereka hendak kembali keadaan asal sebelum kedatangan Islam. Sehinggalah Allah ‎ﷻ turunkan ayat ini.

Allah ‎ﷻ hendak mengingatkan manusia, kalau Nabi ﷺ wafat pun, ingatlah yang baginda itu pun manusia (yang tetap akan mati akhirnya). Allah ‎ﷻ mengingatkan yang agama Islam ini hak Allah ‎ﷻ, bukan hak Nabi. Tuan kepada agama ini tidak mati pun. Maka Allah ‎ﷻ menegur mereka. Takkan kalau Nabi ﷺ‎ wafat, kamu mahu menjadi murtad pula?

Walaupun berita Nabi ﷺ‎ wafat itu tidak benar, tetapi Allah ‎ﷻ turunkan juga ayat ini kerana berita itu telah menggugat hati para sahabat. Ingatlah yang dalam agama Islam ini, kita tidak bergantung kepada sesiapa, tetapi kita bergantung hanya kepada Allah ‎ﷻ.

وَما مُحَمَّدٌ إِلّا رَسولٌ قَد خَلَت مِن قَبلِهِ الرُّسُلُ ۚ أَفَإِن مّاتَ أَو قُتِلَ انقَلَبتُم عَلىٰ أَعقٰبِكُم ۚ وَمَن يَنقَلِب عَلىٰ عَقِبَيهِ فَلَن يَضُرَّ اللَّهَ شَيئًا ۗ وَسَيَجزِي اللَّهُ الشّٰكِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Muḥammad is not but a messenger. [Other] messengers have passed on before him. So if he was to die or be killed, would you turn back on your heels [to unbelief]? And he who turns back on his heels will never harm Allāh at all; but Allāh will reward the grateful.

MALAY

Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudah pun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau dia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? Dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikit pun; dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu).

وَما مُحَمَّدٌ إِلّا رَسولٌ

Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul

Allah ‎ﷻ mengingatkan yang Nabi Muhammad ﷺ itu hanyalah seorang Rasul, bukannya Tuhan. Memang baginda pasti akan mati sebab baginda merupakan seorang manusia.

Ini juga tempelak kepada golongan yang menjadikan Nabi Muhammad ﷺ sebagai tuhan. Jangan terkejut kerana memang ada golongan ini di dalam masyarakat Muslim di Malaysia dan negara-negara lain. Sebagaimana umat dahulu menjadikan Rasul dan Nabi mereka sebagai Tuhan, dalam kalangan umat Islam pun ada juga begitu, iaitu mereka yang jauh daripada wahyu.

قَد خَلَت مِن قَبلِهِ الرُّسُلُ

yang sudah pun didahului oleh beberapa orang Rasul 

Telah ada sebelum ini rasul-rasul lain. Mereka pun wafat juga. Kalau namanya manusia, memang akan tetap mati. Nabi Khidr عليه السلام pun wafat juga dan inilah pandangan yang rajih. Golongan yang termakan dengan diayah Syiah sahaja yang mengatakan Nabi Khidr عليه السلام masih hidup.

أَفَإِن مّاتَ أَو قُتِلَ انقَلَبتُم عَلىٰ أَعقٰبِكُم

kalau ia mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik atas tumit kamu?

Kalau Nabi wafat biasa (ماتَ) atau wafat dibunuh (قُتِلَ), adakah kamu akan murtad daripada agama Allah ‎ﷻ dan kembali kepada agama kamu dahulu? Kalau begitu, amat bodoh sekali kamu.

وَمَن يَنقَلِب عَلىٰ عَقِبَيهِ فَلَن يَضُرَّ اللَّهَ شَيئًا

Dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikit pun; 

Sesiapa yang murtad, tidak akan membahayakan Allah ‎ﷻ sedikit pun kerana Allah ‎ﷻ tidak memerlukan iman dan amal kita. Tidaklah Allah ‎ﷻ menjadi lemah kalau sedikit sahaja yang menyembah-Nya. Allah ‎ﷻ tidak memerlukan iman kita pun. Namun mereka kena tahu bahawa mereka telah membahayakan diri mereka sendiri.

وَسَيَجزِي اللَّهُ الشّٰكِرينَ

Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur

Allah ‎ﷻ akan membalas sesiapa yang bersyukur kepada Allah ‎ﷻ. Antaranya, bersyukur dengan nikmat dimasukkan ke dalam agama Islam – ini adalah nikmat yang tidak ada tandingannya.

Ada riwayat yang mengatakan bagaimana apabila tersebar berita yang Nabi Muhammad ﷺ telah wafat dalam Perang Uhud, Saidina Umar رضي الله عنه telah terduduk kerana beliau sangat terkesan dengan berita itu dan beliau tidak boleh meneruskan lagi untuk berperang.

Apabila Nabi Muhammad ﷺ benar-benar telah wafat, sekali lagi Saidina Umar رضي الله عنه tidak dapat menerima kenyataan itu dan menghunuskan pedang dan hendak memenggal sesiapa yang mengatakan Nabi Muhammad ﷺ telah wafat. Saidina Abu Bakr رضي الله عنه telah membacakan ayat ini kepada beliau dan barulah beliau redha. Beliau berkata apabila Saidina Abu Bakr رضي الله عنه membacakan ayat ini, ia seolah-olah seperti baru pertama kali mendengarnya. Ini adalah kerana Saidina Umar رضي الله عنه sangat cintakan baginda.


Ayat 145: Memang kematian itu akan ditempuh oleh semua orang. Kalau tidak mati semasa berjihad, boleh mati dengan cara yang lain. Yang kita kena fikirkan adalah bagaimana untuk menggunakan nyawa ini untuk menegakkan agama Allah ‎ﷻ kerana mati memang tetap akan mati, hanya menunggu masa sahaja.

Kalau kita gunakan masa hidup kita ini untuk menegakkan agama Allah ‎ﷻ, semoga kita akan dapat mati syahid. Sebab itulah para sahabat menghabiskan harta dan nyawa untuk agama kerana mereka diberi kefahaman yang mendalam tentang agama. Mereka takut mati mereka sia-sia sahaja.

Allah ‎ﷻ hendak memberitahu dalam ayat ini, kalau manusia mati semasa dalam jihad, itu adalah mati yang terbaik sekali. Jadi jangan takut mati dalam jihad. Hati kita kena ada harap kepada jihad.

وَما كانَ لِنَفسٍ أَن تَموتَ إِلّا بِإِذنِ اللَّهِ كِتٰبًا مُّؤَجَّلًا ۗ وَمَن يُرِد ثَوابَ الدُّنيا نُؤتِهِ مِنها وَمَن يُرِد ثَوابَ الآخِرَةِ نُؤتِهِ مِنها ۚ وَسَنَجزِي الشّٰكِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And it is not [possible] for one to die except by permission of Allāh at a decree determined. And whoever desires the reward of this world – We will give him thereof; and whoever desires the reward of the Hereafter – We will give him thereof. And We will reward the grateful.

MALAY

Dan (tiap-tiap) makhluk yang bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin Allah, iaitu ketetapan (ajal) yang tertentu masanya (yang telah ditetapkan oleh Allah). Dan (dengan yang demikian) sesiapa yang menghendaki balasan dunia, kami berikan bahagiannya dari balasan dunia itu, dan sesiapa yang menghendaki balasan akhirat, Kami berikan bahagiannya dari balasan akhirat itu; dan Kami pula akan beri balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur.

وَما كانَ لِنَفسٍ أَن تَموتَ إِلّا بِإِذنِ اللَّهِ

Dan (tiap-tiap) makhluk yang bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin Allah, 

Mati itu terjadi hanya dengan izin Allah ‎ﷻ sahaja. Hanya Allah ‎ﷻ yang menentukan bilakah seseorang itu mati. Kalau semua orang hendak membunuh satu-satu makhluk, tetapi tidak akan terjadi jika Allah ‎ﷻ tidak izinkan. Ramai yang hendak bunuh diri pun tidak mati-mati sebab bukan masa yang Allah ‎ﷻ tentukan.

كِتٰبًا مُّؤَجَّلًا

iaitu ketetapan (ajal) yang tertentu masanya

Bilakah terjadinya kematian itu adalah keputusan yang telah ditetapkan oleh Allah ‎ﷻ. Bila sampai masa, akan mati juga, tidak akan tertangguh lagi walau sesaat. Kita tidak boleh hendak tahu, jadi kena bersedia sahaja. Ada orang pergi melawat orang sedang nazak di hospital, tetapi bukan orang yang nazak itu yang mati, namun dia pula yang mati.

وَمَن يُرِد ثَوابَ الدُّنيا نُؤتِهِ مِنها

Dan sesiapa yang menghendaki balasan dunia, Kami berikan bahagiannya dari dunia itu

Sesiapa yang hendak pulangan dunia sahaja, Allah ‎ﷻ boleh sahaja beri. Kalau orang yang berusaha gigih hanya kepada dunia, Allah ‎ﷻ akan beri berdasarkan usahanya. Sebab itu kita lihat orang kafir banyak yang kaya raya, kerana mereka memang berusaha untuk dunia sahaja, mereka tidak memikirkan akhirat. Segala usaha dan fikiran mereka untuk dunia, mereka menggunakan segala jenis teknik, maka Allah ‎ﷻ berikan kekayaan kepada mereka.

وَمَن يُرِد ثَوابَ الآخِرَةِ نُؤتِهِ مِنها

dan sesiapa yang menghendaki balasan akhirat, Kami berikan bahagiannya dari balasan akhirat itu;

Namun bagi sesiapa yang hendakkan pulangan di akhirat, Allah ‎ﷻ akan beri juga iaitu yang berusaha dan beramal untuk mendapat pulangan di akhirat. Fikiran mereka sentiasa ingatkan akhirat. Inilah yang paling bagus untuk difikirkan kerana untuk menjadi kaya belum tentu, tetapi jumpa akhirat sudah tentu.

وَسَنَجزِي الشّٰكِرينَ

dan Kami pula akan beri balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur.

Allah ‎ﷻ akan beri balasan tambahan kepada mereka yang pandai bersyukur atas nikmat Allah ‎ﷻ. Maknanya, kita ada pilihan sama ada hanya hendakkan dunia sahaja atau hendakkan akhirat sekali. Allah ‎ﷻ suka kepada mereka yang mahu kepada akhirat. Janganlah kita hanya hendakkan kepada dunia sahaja.

Namun harus diingatkan, kita bukannya menolak terus dunia, tetapi kita sebagai mukmin, harus melebihkan akhirat daripada dunia. Dunia ini tempat kita hidup dan  mencari pahala, maka tentulah kita kena kisah juga. Namun apa sahaja yang buat di dunia ini, kena timbang dengan kesannya di akhirat kelak.


Ayat 146: Kalau tidak berjuang bersama Nabi Muhammad ﷺ, tidak ada Nabi lain lagi yang akan datang selepas itu. Maka, kenalah ambil peluang untuk berjuang bersama-sama dengan baginda kerana penyokong-penyokong Nabi terdahulu, mereka berjuang bersama dengan Nabi mereka.

Allah ‎ﷻ sebut sifat-sifat mereka dalam ayat ini. Maka kita pun kenalah ikut mereka juga dengan mempunyai sifat-sifat sebegini.

وَكَأَيِّن مِّن نَّبِيٍّ قٰتَلَ مَعَهُ رِبِّيّونَ كَثيرٌ فَما وَهَنوا لِما أَصابَهُم في سَبيلِ اللَّهِ وَما ضَعُفوا وَمَا استَكانوا ۗ وَاللَّهُ يُحِبُّ الصّٰبِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And how many a prophet [fought and] with him fought many religious scholars. But they never lost assurance due to what afflicted them in the cause of Allāh, nor did they weaken or submit. And Allāh loves the steadfast.

MALAY

Dan berapa banyak dari Nabi-nabi (dahulu) telah berperang dengan disertai oleh ramai orang-orang yang taat kepada Allah, maka mereka tidak merasa lemah semangat akan apa yang telah menimpa mereka pada jalan (ugama) Allah dan mereka juga tidak lemah tenaga dan tidak pula mahu tunduk (kepada musuh). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar.

وَكَأَيِّن مِّن نَّبِيٍّ قٰتَلَ مَعَهُ رِبِّيّونَ كَثيرٌ

Dan berapa banyak dari Nabi-nabi (dahulu) telah berperang dengan disertai oleh ramai orang-orang yang taat kepada Allah, 

Allah ‎ﷻ mengingatkan kepada orang-orang Mukmin, entah berapa banyak Nabi dahulu yang berjuang bersama mereka itu penyokong-penyokong mereka yang ramai yang berhubungan dengan Allah ‎ﷻ – mereka digelar Rabbaniyyun. Mereka itu semua berjuang untuk menegakkan agama Allah ‎ﷻ.

Nabi mereka telah ditugaskan untuk menegakkan agama Allah ‎ﷻ, dan mereka membantu nabi-nabi mereka. Mereka tidak melarikan diri, mereka tidak berpeluk tubuh. Mereka tidak seperti orang-orang Munafik yang meninggalkan medan peperangan seperti yang berlaku semasa Perang Uhud itu.

فَما وَهَنوا لِما أَصابَهُم في سَبيلِ اللَّهِ

mereka tidak merasa lemah semangat akan apa yang telah menimpa mereka pada jalan (ugama) Allah

Mereka tidak berasa lemah semangat atas musibah yang menimpa mereka ketika mereka berjuang di jalan Allah ‎ﷻ. Musibah dan kesusahan adalah perkara biasa, kerana perjuangan adalah ujian. Kalau sudah dinamakan ujian, tentunya perkara yang susah. Mereka terima segala kesusahan dan ujian yang Allah ‎ﷻ berikan kepada mereka.

Malangnya kita yang dituduh Wahabi pun sudah mula takut untuk buka mulut untuk menyampaikan dakwah. Bila dakwah orang tidak terima pun, patah semangat. Sedangkan bukannya ancaman nyawa pun diberikan kepada kita sekarang.

وَما ضَعُفوا

dan mereka juga tidak lemah tenaga

Dan tubuh badan mereka tidak berasa lemah semasa berjuang. Tidaklah mereka mengadu sakit badan, tidak jadi hendak pergi berperang. Tidaklah mengadu demam, asthma dan sebagainya. Tidaklah penat dan hendak berehat bersama anak bini sahaja.

وَمَا استَكانوا

dan tidak pula mahu tunduk

Dan tidak sekali-kali tunduk kepada orang kafir. Maksudnya mereka tidak biarkan sahaja orang kafir hendak berbuat apa yang mereka suka. Ini kerana kalau dibiarkan sahaja, tentulah orang kafir itu akan menjadi lebih zalim, sebab mereka sudah rasa kalau mereka buat apa-apa sahaja, mereka tidak akan dapat kesan apa-apa pun. Maka mereka itu tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.

Orang-orang Mukmin itu tidak takut dengan ancaman daripada orang kafir kerana mereka lebih takut dengan ancaman Allah ‎ﷻ. Tidaklah seperti kita sekarang, hendak tegur Amerika pun takut kalau Amerika tidak bagi bisnes kepada kita.

Dalam masyarakat pula, takut sangat hendak tegur kerana takut dipulau. Kalau ada majlis bid’ah seperti majlis tahlil, bila tidak pergi pun rasa berpeluh satu badan. Padahal tidak pergi sahaja pun, bukannya menegur. Sepatutnya kena tegur, tetapi tegur tidak, hendak tahan diri daripada pergi pun takut.

وَاللَّهُ يُحِبُّ الصّٰبِرينَ

Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar.

Allah ‎ﷻ amat suka kepada hamba-hamba yang ada sifat sabar seperti ini. Sifat sabar amat penting. Sabar itu hanya ada pada mereka yang redha sahaja dengan ketentuan Allah ‎ﷻ. Ini bagi mereka yang sedar, bahawa diri ini hanya hamba sahaja, dan Allah ‎ﷻ itu Rabb kita, tuan kita, Tuhan kita. Dia boleh buat apa-apa sahaja kepada kita. Kita tidak layak untuk mempersoalkan apa sahaja yang Allah ‎ﷻ hendak kita buat.

Sabar itu maksudnya sabar dalam taat. Ini kerana untuk terus taat, memerlukan kesabaran yang tinggi, kerana ia tentu tidak senang. Ia memerlukan pengorbanan yang tinggi dan perlu menempuh ranjau sepanjang jalan.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 16 Januari 2021

Ringkasan Surah Ali Imran


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

 

Tafsir Surah Ali Imran Ayat 134 – 139 (Ingat senang nak masuk syurga?)

Ayat 134: Dalam ayat sebelum ini, Allah ‎ﷻ sebut bahawa syurga itu untuk orang-orang bertaqwa. Sekarang Allah ‎ﷻ beritahu apakah sifat-sifat muttaqin itu.

الَّذينَ يُنفِقونَ فِي السَّرّاءِ وَالضَّرّاءِ وَالكٰظِمينَ الغَيظَ وَالعافينَ عَنِ النّاسِ ۗ وَاللَّهُ يُحِبُّ المُحسِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Who spend [in the cause of Allāh] during ease and hardship and who restrain anger and who pardon the people – and Allāh loves the doers of good;

MALAY

Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik;

 

الَّذينَ يُنفِقونَ فِي السَّرّاءِ وَالضَّرّاءِ

Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah,

Mereka yang sentiasa infaq dalam keadaan senang dan susah. Infaq adalah lawan kepada riba. Riba adalah perkara paling buruk yang boleh dilakukan dengan harta dan infaq adalah perkara yang paling baik yang boleh dilakukan dengan harta.

Mereka bukan sahaja infaq semasa mereka senang, tetapi semasa susah juga. Mungkin senang hendak infaq semasa senang, tetapi bagaimana kalau kita sendiri pun susah juga? Waktu itu memang menguji iman kita sungguh, bukan? Mereka yang dapat melakukannya tentulah seorang yang hebat sekali.

Maka inilah sifat ihsan: mencari redha Allah ‎ﷻ dalam waktu susah atau pun senang. Mereka tidak kisah keadaan diri mereka. Kesenangan atau kesusahan tidak mengubah iman mereka dan dekatnya mereka kepada Allah ‎ﷻ.

 

وَالكٰظِمينَ الغَيظَ

dan orang-orang yang menahan kemarahannya,

Mereka yang menelan kemarahan. Memang mereka marah yang amat sangat (الغَيظَ) tetapi mereka tahan kemarahan mereka itu. Kemarahan itu tidak ditunjukkan ke muka pun. Ini kerana ada jenis orang yang marah, tetapi dia merengus atau mukanya masam atau kelat sangat. Yang dimaksudkan dalam ayat ini, di wajahnya pun tidak nampak kemarahan itu, walaupun dia boleh menghukum orang yang menyebabkan kemarahannya itu. Sebagai contoh, ada budak yang cakap tidak elok kepada kita, tentu kita boleh tampar dia kerana dia budak sahaja, tetapi kita tahankan sahaja.

Ini tidak sama dengan kemarahan kepada seseorang yang kita tidak boleh balas kepada orang itu, sebab kita lemah kalau dibandingkan dengan dia. Contohnya, kita tidak boleh buat apa-apa kepada menteri kerana kita lemah jika dibandingkan dengan dia. Ini bukan maksud yang hendak disampaikan dalam ayat ini.

Ayat yang kita sedang baca ini adalah tentang mereka yang boleh buat sesuatu kepada orang yang menyebabkan kemarahannya itu, tetapi dia tahan, dia ‘telan’ kemarahannya. Sebagai contoh, pekerja kita buat kita marah. Tentu kita boleh buang dia daripada kerja, atau kita tengking dia, atau kita potong gaji dia, tetapi kita tidak lakukan. Itulah yang dimaksudkan.

 

وَالعافينَ عَنِ النّاسِ

dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. 

Satu lagi sifat mereka yang disebut dalam ayat ini adalah mereka yang boleh memaafkan kesilapan dan kecuaian orang lain sebab dia fikir kesudahan di akhirat nanti. Dia maafkan sahaja supaya tidak panjang cerita.

Ini kerana kalau hendak mendapatkan keadilan daripada orang itu juga, dia sudah pula hendak ditunggu orang itu di Mahsyar untuk perbicaraan dijalankan dan keadilan ditegakkan; dan kalau hendak ditunggu begitu, maka lambat pula dia boleh masuk syurga (kalau dia seorang yang layak masuk syurga dengan awal).

Jadi dia tahu, lebih baik kalau dia terus maafkan, supaya dia pun dapat pahala kerana memaafkan kesalahan orang lain, dan dia pun tidak perlu menunggu lama di Mahsyar nanti, supaya dia boleh terus masuk syurga.

 

وَاللَّهُ يُحِبُّ المُحسِنينَ

Allah suka kepada hamba yang memiliki hati yang baik.

Allah ‎ﷻ beritahu yang Dia suka orang yang memiliki sifat-sifat begini. Memang memaafkan kesalahan orang itu amat berat, tetapi kalau boleh melakukannya, ia tanda orang yang berhati baik dan itu juga tanda-tanda ahli syurga sebagaimana dalam hadith berikut:

حَدَّثَنَا عَبْدُ الرَّزَّاقِ حَدَّثَنَا مَعْمَرٌ عَنِ الزُّهْرِيِّ قَالَ أَخْبَرَنِي أَنَسُ بْنُ مَالِكٍ قَالَ كُنَّا جُلُوسًا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ يَطْلُعُ عَلَيْكُمْ الْآنَ رَجُلٌ مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ فَطَلَعَ رَجُلٌ مِنْ الْأَنْصَارِ تَنْطِفُ لِحْيَتُهُ مِنْ وُضُوئِهِ قَدْ تَعَلَّقَ نَعْلَيْهِ فِي يَدِهِ الشِّمَالِ فَلَمَّا كَانَ الْغَدُ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِثْلَ ذَلِكَ فَطَلَعَ ذَلِكَ الرَّجُلُ مِثْلَ الْمَرَّةِ الْأُولَى فَلَمَّا كَانَ الْيَوْمُ الثَّالِثُ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِثْلَ مَقَالَتِهِ أَيْضًا فَطَلَعَ ذَلِكَ الرَّجُلُ عَلَى مِثْلِ حَالِهِ الْأُولَى فَلَمَّا قَامَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَبِعَهُ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ عَمْرِو بْنِ الْعَاصِ فَقَالَ إِنِّي لَاحَيْتُ أَبِي فَأَقْسَمْتُ أَنْ لَا أَدْخُلَ عَلَيْهِ ثَلَاثًا فَإِنْ رَأَيْتَ أَنْ تُؤْوِيَنِي إِلَيْكَ حَتَّى تَمْضِيَ فَعَلْتَ قَالَ نَعَمْ قَالَ أَنَسٌ وَكَانَ عَبْدُ اللَّهِ يُحَدِّثُ أَنَّهُ بَاتَ مَعَهُ تِلْكَ اللَّيَالِي الثَّلَاثَ فَلَمْ يَرَهُ يَقُومُ مِنْ اللَّيْلِ شَيْئًا غَيْرَ أَنَّهُ إِذَا تَعَارَّ وَتَقَلَّبَ عَلَى فِرَاشِهِ ذَكَرَ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ وَكَبَّرَ حَتَّى يَقُومَ لِصَلَاةِ الْفَجْرِ قَالَ عَبْدُ اللَّهِ غَيْرَ أَنِّي لَمْ أَسْمَعْهُ يَقُولُ إِلَّا خَيْرًا فَلَمَّا مَضَتْ الثَّلَاثُ لَيَالٍ وَكِدْتُ أَنْ أَحْتَقِرَ عَمَلَهُ قُلْتُ يَا عَبْدَ اللَّهِ إِنِّي لَمْ يَكُنْ بَيْنِي وَبَيْنَ أَبِي غَضَبٌ وَلَا هَجْرٌ ثَمَّ وَلَكِنْ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَكَ ثَلَاثَ مِرَارٍ يَطْلُعُ عَلَيْكُمْ الْآنَ رَجُلٌ مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ فَطَلَعْتَ أَنْتَ الثَّلَاثَ مِرَارٍ فَأَرَدْتُ أَنْ آوِيَ إِلَيْكَ لِأَنْظُرَ مَا عَمَلُكَ فَأَقْتَدِيَ بِهِ فَلَمْ أَرَكَ تَعْمَلُ كَثِيرَ عَمَلٍ فَمَا الَّذِي بَلَغَ بِكَ مَا قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ مَا هُوَ إِلَّا مَا رَأَيْتَ قَالَ فَلَمَّا وَلَّيْتُ دَعَانِي فَقَالَ مَا هُوَ إِلَّا مَا رَأَيْتَ غَيْرَ أَنِّي لَا أَجِدُ فِي نَفْسِي لِأَحَدٍ مِنْ الْمُسْلِمِينَ غِشًّا وَلَا أَحْسُدُ أَحَدًا عَلَى خَيْرٍ أَعْطَاهُ اللَّهُ إِيَّاهُ فَقَالَ عَبْدُ اللَّهِ هَذِهِ الَّتِي بَلَغَتْ بِكَ وَهِيَ الَّتِي لَا نُطِيقُ

Telah menceritakan kepada kami Abdurrazaq telah menceritakan kepada kami Ma ‘mar daripada Az-Zuhri berkata, telah mengkhabarkan kepada kami Anas bin Malik رضي الله عنه berkata, ketika kami sedang duduk bersama Rasulullah ﷺ, baginda bersabda, “Akan muncul seorang laki-laki penghuni syurga”, lalu muncul seorang laki-laki Ansar yang janggutnya masih bertitisan air sisa wudhu, sambil menggantungkan kedua sandalnya pada tangan kirinya. Esok harinya Nabi ﷺ bersabda seperti itu juga, lalu muncul laki laki itu lagi seperti yang pertama, dan pada hari ketiga Nabi ﷺ bersabda seperti itu juga dan muncul laki laki itu kembali seperti keadaan dia yang pertama. Ketika Nabi ﷺ berdiri, Abdullah bin Amru bin Al-Ash  رضي الله عنه mengikuti laki-laki tersebut dengan berkata ” Kawan, saya ini sebenarnya sedang bertengkar dengan ayahku dan saya bersumpah untuk tidak menemuinya selama tiga hari, jika boleh, izinkan saya tinggal di tempatmu sehingga tiga malam”, “Tentu”, jawab laki-laki tersebut. Anas bin Malik رضي الله عنه berkata, Abdullah رضي الله عنه bercerita; aku tinggal bersama laki-laki tersebut selama tiga malam, anehnya tidak pernah aku mendapatinya mengerjakan salat malam sama sekali, hanya jika dia bangun daripada tidurnya dan beranjak dari ranjangnya, lalu berzikir kepada Allah ‘Azza wa Jalla dan bertakbir sampai dia mendirikan salat fajar, selain itu juga dia tidak pernah mendengar dia berkata kecuali yang baik-baik saja, maka ketika berlalu tiga malam dan hampir hampir saja saya menganggap remeh amalannya, saya berkata, ” Wahai kawan, sebenarnya antara saya dengan ayahku sama sekali tidak ada pertengkaran dan saling mendiamkan seperti yang telah saya katakan, akan tetapi saya mendengar Rasulullah ﷺ bersabda tentang dirimu sebanyak tiga kali, “Akan muncul pada kalian seorang laki-laki penghuni syurga, lalu kamulah yang muncul tiga kali tersebut, maka saya ingin tinggal bersamamu agar dapat melihat apa yang kamu kerjakan hingga saya dapat mengikutinya, namun saya tidak pernah melihatmu mengerjakan amalan yang banyak, lalu amalan apa yang membuat Rasulullah ﷺ sampai mengatakan engkau ahli syurga?”, laki-laki itu menjawab, “Tidak ada amalan yang saya kerjakan melainkan seperti apa yang telah kamu lihat”, maka tatkala aku berpaling laki laki tersebut memanggilku dan berkata, “Tidak ada amalan yang saya kerjakan melainkan seperti apa yang telah kamu lihat, hanya  saya tidak pernah mendapatkan pada diriku, rasa ingin menipu terhadap siapapun daripada kaum muslimin, dan saya juga tidak pernah merasa iri dengki kepada seorang (memaafkan) atas kebaikan yang telah dikurniakan oleh Allah kepada seseorang”, maka Abdullah رضي الله عنه berkata, “Inilah amalan yang menjadikanmu mencapai darjat yang tidak mampu kami lakukan.” (Riwayat Ahmad No. 12236)

Syarah hadith: Tidak pernah iri dan dengki kepada siapapun adalah buah daripada sikap memaafkan kepada orang lain, kerana realiti kehidupan sering membuat manusia emosi, marah dan benci, terlebih jika dia jauh hubungannya dengan Allah ‎ﷻ, jika dia hanya melihat kehidupan ini daripada kacamata material, kepentingan dan kemaslahatan peribadinya saja, jika selalu membandingkan dan melihat kepada yang dilapangkan dan diluaskan rezekinya oleh Allah ‎ﷻ serta tidak pernah melihat kepada yang diuji dengan kekurangan dan lain-lain lagi.


 

Ayat 135: Sambungan penerangan tentang sifat-sifat orang yang bertaqwa:

وَالَّذينَ إِذا فَعَلوا فٰحِشَةً أَو ظَلَموا أَنفُسَهُم ذَكَرُوا اللَّهَ فَاستَغفَروا لِذُنوبِهِم وَمَن يَغفِرُ الذُّنوبَ إِلَّا اللَّهُ وَلَم يُصِرّوا عَلىٰ ما فَعَلوا وَهُم يَعلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And those who, when they commit an immorality or wrong themselves [by transgression], remember Allāh and seek forgiveness for their sins – and who can forgive sins except Allāh? – and [who] do not persist in what they have done while they know.

MALAY

Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka – dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).

 

وَالَّذينَ إِذا فَعَلوا فٰحِشَةً

Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, 

Ini adalah sifat mereka kalau mereka tergelincir melakukan dosa yang kecil. Ini adalah jenis dosa-dosa yang melibatkan kekejian seperti zina atau dosa yang boleh membawa kepada zina.

Ian adalah sesuatu yang memalukan, yang kita malu kalau orang lain tahu. Termasuk kalau suami atau isteri kita tahu pun. Ini termasuklah kalau dosa melihat video lucah. Juga termasuk kalau bercakap perkara yang lucah kerana perbuatan-perbuatan itu boleh membawa kepada perbuatan zina.

 

أَو ظَلَموا أَنفُسَهُم

atau menganiaya diri sendiri,

Atau mereka menzalimi diri mereka dengan membuat dosa kecil, mungkin marah kepada orang lain kerana tidak dapat menahan emosi mereka, seperti yang dianjurkan dalam ayat sebelum ini.

Memang semua dosa-dosa itu akan terjadi kerana Allah ‎ﷻ menggunakan lafaz إِذا (apabila) bukan إذ (jika). Maknanya semua manusia akan tergelincir sekali sekala melakukan kesalahan dan dosa, tidak kira sama ada orang bertaqwa ataupun tidak. Bezanya, apa yang mereka buat setelah melakukan kesalahan. Ada yang bertaubat dan ada yang terus menerus melakukan dosa itu.

Kadang-kadang syaitan akan mengambil kesempatan atas kesalahan dan dosa yang kita lakukan itu. Mereka mahu kita terus melakukan dosa itu. Maka, jangan kita tertipu dengan bisikan syaitan. Syaitan menggunakan kesalahan yang kita lakukan itu untuk menjauhkan kita daripada Allah ‎ﷻ.

Contohnya, syaitan akan bisikkan: “Habislah kau, Tuhan takkan sayang kepada kau lagi… Buang masa sahaja kau solat… Itu kau cuma menunjuk sahaja…baik kau tak payah solat langsung.. kalau kau bertaubat pun, nanti kau akan buat lagi dosa itu .”

Itu semua adalah bisikan-bisikan syaitan supaya kita lemah semangat dalam agama dan lupa kepada sifat Rahmah Allah ‎ﷻ dan kesanggupan Allah ‎ﷻ menerima taubat manusia. Ini adalah kerana Syaitan mahu menjauhkan kita daripada Allah ‎ﷻ. Kalau kita rasa Allah ‎ﷻ tidak mengampunkan dosa kita, maka tentulah kita akan putus asa dengan Allah ‎ﷻ dan menjauhkan diri daripada Allah ‎ﷻ. Jadi, syaitan akan menang.

Kita kena ingat yang Allah ‎ﷻ itu Maha Menerima Taubat. Jika kita melakukan kesalahan dengan banyak pun, Allah ‎ﷻ mampu menerima taubat kita, asalkan kita mahu berhenti dan terus memperbaiki diri kita.

Namun begitu, bagaimana kalau kita melakukan kesalahan itu sekali lagi (kesalahan yang sama)? Ketahuilah yang Allah ‎ﷻ masih sanggup menerima taubat kita walaupun kita telah bertaubat atas dosa yang kita sudah buat, tetapi selepas bertaubat buat lagi. Asalkan semasa kita bertaubat dahulu, memang kita benar-benar bertaubat.

Cuma kadang-kadang, walaupun sudah benar-benar bertaubat, tergelincir juga lagi. Kalau jadi begitu, jangan putus harap dengan Allah ‎ﷻ, bertaubat sekali lagi. Tidak ada bilangan terhad yang Allah ‎ﷻ hadkan untuk kita bertaubat. Asalkan kita bersungguh-sungguh bertaubat dan kemudian kita bertaubat dengan ikhlas lagi.

Jadi memang manusia akan tergelincir dari jalan yang benar. Apakah yang dilakukan oleh orang yang bertaqwa?

 

ذَكَرُوا اللَّهَ فَاستَغفَروا لِذُنوبِهِم

mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka

Mereka tidak menunggu lama. Tidaklah mereka terus membuat dosa itu. Bila mereka terlanjur, mereka akan cepat ingat kebesaran Allah ‎ﷻ, maka mereka akan takut dan terus bertaubat. Ini kerana mereka ada ilmu dan mereka tahu apakah kesalahan yang mereka lakukan dan mereka tahu apakah kesan kepada dosa yang mereka lakukan itu. Melainkan orang yang tidak kenal Allah ‎ﷻ sahaja yang tidak akan bertaubat.

Mereka yang tidak kenal Allah ‎ﷻ akan leka dalam melakukan dosa sampai mereka mati. Sedangkan orang yang bertaqwa itu takut kepada Allah ‎ﷻ kerana mereka kenal Allah ‎ﷻ. Mereka tahu Allah ‎ﷻ boleh mengazab mereka bila-bila masa sahaja, termasuk mengambil nyawa mereka semasa mereka sedang melakukan dosa itu.

Jadi, mereka tidak akan berterusan dalam melakukan dosa itu. Mereka akan teringat: “Kalau Allah cabut nyawa aku semasa aku di tempat maksiat ini, bagaimana nasib aku nanti?.. Nauzubillah…”

 

وَمَن يَغفِرُ الذُّنوبَ إِلَّا اللَّهُ

dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah

Mereka yang bertaqwa akan terus meminta ampun kepada Allah ‎ﷻ kerana mereka tahu yang mereka tidak ada tempat lain untuk bergantung lagi selain daripada Allah ‎ﷻ. Ke mana lagi mereka hendak mengharap? Ada tuhan lain kah? Ada dunia lain kah yang mereka boleh pergi? Tentu tidak ada.

Ini seperti anak kita, kalau kita marah bagaimana sekalipun, sampai dia menangis meraung, nama kita juga dia sebut sebab dia tahu dia hendak pergi ke mana lagi, bukan? Dia tahu kitalah sahaja tempat dia bergantung, kitalah sahaja emak dan ayah dia, dan dia tidak ada tempat lain untuk lari.

Apabila hamba meminta ampun, ada kemungkinan Allah ‎ﷻ akan memaafkan kerana apabila hamba mendapat taufik untuk meminta ampun, maknanya Allah ‎ﷻ yang menggerakkan hati dia untuk minta ampun. Kalau Allah ‎ﷻ yang gerakkan, maknanya Allah ‎ﷻ sudah hendak ampunkan.

Namun jikalau Allah ‎ﷻ telah taqdirkan untuk tidak mengampunkan dosa orang itu, orang itu tidak ada tergerak hati pun untuk minta ampun. Tanyalah kepada mereka yang sedang melakukan dosa dan tanya mereka kenapa mereka tidak minta ampun? Kerana mereka tidak teringat pun untuk meminta ampun lagi.

 

وَلَم يُصِرّوا عَلىٰ ما فَعَلوا وَهُم يَعلَمونَ

dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui

Orang yang bertaqwa pun kadangkala akan tergelincir, cuma mereka tidak terus menerus dalam membuat dosa. Ini kerana mereka mengetahui itu adalah salah. Mereka tidak terikat dengan dosa itu. Ini bahaya kerana ada orang seperti itu. Mereka itu bagaikan sudah tidak boleh meninggalkan terus dosa itu walaupun akal dan hati mereka tahu yang perbuatan mereka itu berdosa.

Malangnya, mereka bagaikan seperti sudah kena ‘ikat’. Ini kerana mereka dahulunya selalu mengikut bisikan syaitan, sampaikan syaitan sudah ‘ikat’ mereka dan sudah boleh beri arahan kepada mereka.


 

Ayat 136: Ada orang yang baik dari asal lagi dan ada yang jadi baik kemudian. Pada Allah ‎ﷻ itu semua sama sahaja. Yang penting adalah penghujung hidup kita. Adakah kita mati dalam keadaan beriman atau tidak? Adakah kita sempat bertaubat atau tidak? Ini yang penting.

أُولٰئِكَ جَزاؤُهُم مَّغفِرَةٌ مِّن رَّبِّهِم وَجَنّٰتٌ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ خٰلِدينَ فيها ۚ وَنِعمَ أَجرُ العٰمِلينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Those – their reward is forgiveness from their Lord and gardens beneath which rivers flow [in Paradise], wherein they will abide eternally; and excellent is the reward of the [righteous] workers.

MALAY

Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka, dan Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orang-orang yang beramal.

 

أُولٰئِكَ جَزاؤُهُم مَّغفِرَةٌ مِّن رَّبِّهِم

Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka, 

Sebelum ini telah disebut antara sifat-sifat orang yang bertaqwa, dan bagi mereka akan mendapat keampunan daripada Allah ‎ﷻ. Ingatlah yang Allah ‎ﷻ amat suka memberi ampun. Dia cuma mahu kita berpaling kepadaNya sahaja. Walau berkali-kali kita meminta ampun kepada-Nya, Dia tidak kisah, malah Dia lebih suka.

 

وَجَنّٰتٌ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ خٰلِدينَ فيها

dan Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; 

Sesudah dosa mereka diampunkan, mereka akan dimasukkan ke dalam syurga dan sebaik-baik balasan adalah syurga. Kita tidak dapat hendak bayangkan bagaimana rupa syurga itu tetapi Allah ‎ﷻ beri bayangan sungai yang mengalir di bawah syurga itu, kerana manusia memang suka tinggal di kawasan yang ada air.

Kalau nikmat besar mana pun, tetapi kalau kita tahu yang kita tinggal sekejap sahaja, itu bukan nikmat yang besar. Maka Allah ‎ﷻ beritahu yang ahli syurga akan kekal di syurga itu selama-lamanya.

 

وَنِعمَ أَجرُ العٰمِلينَ

dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orang-orang yang beramal.

Lafaz وَنِعمَ membawa maksud ‘takjub’. Allah ‎ﷻ sendiri yang kata, maka ini memberi isyarat bahawa syurga itu adalah nikmat yang menakjubkan ahlinya, tidak terbayang hebatnya. Alangkah nikmatnya!

Kalimah العامِلينَ bermaksud orang yang buat kerja. Maknanya hendak mendapatkan syurga kena ada usaha, bukan dapat dengan percuma. Bukannya boleh masuk syurga dengan goyang kaki sahaja dan tunggu untuk masuk syurga. Memang kita akan masuk syurga dengan amal kita namun hanya dengan rahmat Allah ‎ﷻ. Akan tetapi bagaimana hendak dapat mendapatkan rahmat Allah ‎ﷻ? Tentulah dengan amal yang kita lakukan.

Maka kita kena buat ibadah, jaga diri daripada melakukan dosa dan kena sebarkan agama ini. Kena sebarkan kerana kita bukan hendak selamat seorang diri sahaja, tetapi kena ajak dan ajar kepada orang lain lagi. Terutama sekali kita hendak ahli keluarga kita pun selamat juga, kerana kita hendak duduk bersama mereka di dalam syurga, bukan?


 

Ayat 137: Ini adalah jenis ayat takhwif duniawi. Sebelum ini Allah ‎ﷻ telah mengajar kita untuk meminta ampun di atas dosa-dosa kita. Namun begitu kadang-kadang manusia tidak fikirkan dosa yang mereka sedang lakukan. Mereka lama duduk leka dalam melakukan dosa dan hidup dalam maksiat.

Namun apabila diuji dengan bencana, baru mereka nampak kesalahan yang mereka lakukan kerana apabila manusia diuji dengan bala, mereka akan kurang ego, dan mula memikirkan manakah kesalahan yang mereka lakukan. Itulah antara tujuan bala diberikan kepada manusia.

Allah ‎ﷻ tidak selalu buat begitu kerana Allah‎ ﷻ hendak manusia fikir sendiri. Mereka yang bijak akan dapat fikir sendiri mana yang baik dan mana yang tidak. Sebab itu Allah ‎ﷻ selalu menekankan untuk gunakan fikiran yang waras supaya kita tidak perlu tunggu bala dikenakan kepada kita baru hendak bertaubat, kerana bala itu berat kepada kita.

Maka, Allah ‎ﷻ suruh kita lihat bagaimana keadaan orang-orang terdahulu yang telah ditimpa bala supaya kita beringat dan supaya kita jangan jadi seperti mereka. “A smart person learns from his mistakes; a smarter person learns from other people’s mistake”. (Orang yang cerdik belajar daripada pengalamannya sendiri, orang yang lebih cerdik belajar daripada pengalaman orang lain)

قَد خَلَت مِن قَبلِكُم سُنَنٌ فَسيروا فِي الأَرضِ فَانظُروا كَيفَ كانَ عٰقِبَةُ المُكَذِّبينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Similar situations [as yours] have passed on before you, so proceed throughout the earth and observe how was the end of those who denied.

MALAY

Sesungguhnya telah berlaku sebelum kamu (contoh kejadian-kejadian berdasarkan) peraturan-peraturan Allah yang tetap; oleh itu mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang mendustakan (Rasul-rasul).

 

قَد خَلَت مِن قَبلِكُم سُنَنٌ

Sesungguhnya telah berlaku sebelum kamu peraturan-peraturan Allah yang tetap;

Sebelum ini telah berlaku azab-azab Allah ‎ﷻ yang diturunkan kepada manusia. Jika manusia zaman sekarang sedang menderhaka, bukan mereka sahaja mula menderhaka, dari dulu lagi, sudah banyak puak yang menderhaka.

 

فَسيروا فِي الأَرضِ فَانظُروا كَيفَ كانَ عٰقِبَةُ المُكَذِّبينَ

oleh itu mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang mendustakan

ِAllah ‎ﷻ suruh mereka yang berdosa itu untuk berjalan mengembara di dunia dan lihat sendiri bagaimana nasib orang-orang yang terdahulu yang hidup dalam dosa. Lihatlah bagaimana kisah kaum Nabi Luth عليه السلام di Laut Mati itu. Para sahabat juga menceritakan bagaimana mereka melalui kawasan Kaum Aad dan Tsamud dan kemusnahan di sana.

Mereka itu semua dikenakan dengan azab yang berat kerana mereka telah mendustakan para Nabi. Maksudnya mereka tidak terima ajaran Nabi malah mengatakan Nabi berdusta dengan membawa ajaran yang baru dan bukan daripada Allah ‎ﷻ.

Kita telah belajar dalam sejarah dan dalam ayat-ayat Al-Qur’an bagaimana mereka telah diazab. Maka janganlah hendak tunggu azab atau bala kena kepada kita baru hendak taat kepada Allah ‎ﷻ dan ajaran Rasulullah. Itu tidak bijak namanya. Kita belajarlah daripada kesalahan orang lain. Janganlah kita sangka yang itu semua adalah kisah-kisah dahulu sahaja dan tidak mungkin kena kepada kita. Itu adalah sangkaan yang amat bahaya.


 

Ayat 138:

هٰذا بَيانٌ لِّلنّاسِ وَهُدًى وَمَوعِظَةٌ لِّلمُتَّقينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

This [Qur’ān] is a clear statement to [all] the people and a guidance and instruction for those conscious of Allāh.

MALAY

(Al-Quran) ini ialah penerangan kepada seluruh umat manusia, dan petunjuk serta pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.

 

هٰذا بَيانٌ لِّلنّاسِ وَهُدًى

ini ialah penerangan kepada seluruh umat manusia, dan petunjuk

Al-Qur’an yang berada di hadapan kita ini adalah penjelasan yang sudah cukup sempurna kepada semua manusia. Sudah cukup lengkap disampaikan sebagai panduan hidup bagi kita. Yang tidak tahu adalah mereka yang tidak belajar sahaja.

Malangnya ramai yang tidak teringin pun hendak belajar tafsir Al-Qur’an ini. Mereka belum lagi mendapat kemanisan membaca Al-Qur’an sambil memahami apa yang disampaikan oleh Al-Qur’an ini. Begitu ramai dalam kalangan masyarakat kita yang suka membaca Al-Qur’an setiap hari, tetapi tidak teringin untuk mengetahui apa yang mereka baca itu.

Oleh kerana mereka tidak tahu, mereka tidak dapat mengambil hidayah daripada Al-Qur’an. Mereka mungkin ada ambil ilmu dari tempat lain. Antaranya daripada kitab-kitab karangan manusia, dan mungkin daripada ustaz-ustaz yang tidak belajar tafsir Al-Qur’an pun. Kalau tidak percaya, tanyalah ustaz-ustaz yang mengajar anda, sama ada mereka sudah belajar habis tafsir Al-Qur’an atau belum?

Kalau mereka sudah belajar, mereka belajar dengan siapa? Kalau mereka sudah belajar, kenapa mereka tidak ajar tafsir Al-Qur’an kepada anda, kerana ia adalah sumber utama agama. Tidak kira siapa anda, ustaz atau tidak, yang penting, kita kena pentingkan pembelajaran tafsir ini. Habiskan dahulu belajar tafsir Al-Qur’an 30 juzuk ini dan kemudian barulah ambil ilmu yang lain.

Satu lagi tafsir bagi maksud ini adalah merujuk kepada ayat sebelum ini. Ia tentang puak-puak penentang yang dikalahkan. Maka ia juga adalah sebagai penerangan dan juga peringatan kepada umat manusia.

 

وَمَوعِظَةٌ لِّلمُتَّقينَ

serta pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.

Al-Qur’an juga menjadi nasihat untuk diamalkan. مَوعِظَةٌ adalah jenis nasihat yang masuk ke dalam hati. Selalu kita dengar nasihat, bukan? Namun tidak semua nasihat dapat masuk ke dalam hati kita. Ada nasihat yang kita dengar tidak dengar sahaja. Masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Itu bukan dinamakan مَوعِظَةٌ.

Banyak sekali nasihat yang penuh hikmah ada dalam Al-Qur’an kerana nasihat ini datang sendiri daripada Allah ‎ﷻ, Tuhan yang mencipta kita. Oleh kerana Dia yang cipta kita, maka Dia tahu apa yang kita perlukan. Namun kalau tidak belajar tafsir Al-Qur’an, bagaimana hendak mengambil nasihat yang ada dalam Al-Qur’an ini?


 

Ayat 139: Ini adalah adat dalam peperangan dan dalam kehidupan kita. Tentu ada kalah dan menang.

وَلا تَهِنوا وَلا تَحزَنوا وَأَنتُمُ الأَعلَونَ إِن كُنتُم مُّؤمِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So do not weaken and do not grieve, and you will be superior if you are [true] believers.

MALAY

Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman.

 

وَلا تَهِنوا

Dan janganlah kamu merasa lemah

Lafaz تَهِنوا daripada وهن yang bermaksud sesuatu yang sepatutnya kuat dan keras, tetapi jadi lemah. Sebagai contoh, tulang itu sepatutnya keras, tetapi kalau sudah tua, tulang menjadi reput, bukan? Allah ‎ﷻ memberi isyarat dalam ayat ini bahawa orang Islam kena kuat, bukan lemah. Lemah semangat bukan sifat seorang mukmin.

وَلا تَحزَنوا

dan janganlah kamu berdukacita

Dan jangan bersedih dengan apa yang terjadi. Ayat ini diturunkan selepas Perang Uhud. Ramai sahabat yang terbunuh dalam peperangan itu. Oleh kerana itu, ramai yang menangis kesedihan yang amat sangat. Nabi Muhammad ﷺ turut bersedih kerana bapa saudaranya Hamzah telah terbunuh.

 

وَأَنتُمُ الأَعلَونَ إِن كُنتُم مُّؤمِنينَ

padahal kamulah orang-orang yang lebih tinggi jika kamu orang-orang yang beriman.

Umat Islam akan sentiasa dikira tinggi dibandingkan dengan orang lain kalau kita menjadi mukmin sebenar. Kita diingatkan dalam ayat ini yang iman yang lebih penting, bukan kalah atau menang dalam perang. Kalau kita mukmin, kita akan tetap berada di atas berbanding orang-orang kafir.

Walaupun kita mungkin lemah di dunia dengan keadaan umat Islam berpecah belah dan kita diperkotak katikkan oleh orang kafir, ayat ini memberi ketenangan kepada kita. Di akhirat, kita akan berada di atas, kalau kita benar-benar seorang mukmin. Bukankah yang lebih penting adalah nasib kita di akhirat, bukan di dunia ini?

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 10 Januari 2021

Ringkasan Surah Ali Imran


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan