Tafsir Surah Baqarah Ayat 187 (Boleh setubuh di malam hari)

BERHUBUNGAN BADAN DI MALAM RAMADHAN

Baqarah Ayat 187: Pada zaman Nabi ﷺ, Yahudi berpuasa bermula dari malam hari. Tidak boleh makan, sampailah esoknya. Maknanya, mereka berpuasa hampir 24 jam. Sekali sahaja makan dalam sehari semasa berpuasa. Mereka juga tidak boleh berjimak dengan isteri mereka semasa mereka berpuasa. Tidak diketahui sama ada itu memang adalah syari’at mereka yang ditetapkan oleh Allah ﷻ, atau hukum yang mereka telah ubah daripada asalnya. Maka, sekarang Allah ‎ﷻ memberitahu kepada umat Islam bahawa ada perubahan daripada apa yang mereka amalkan dengan apa yang Allah ‎ﷻ suruh kita buat. Sebelum ini banyak yang Allah ‎ﷻ telah bezakan amalan kita dengan Ahli Kitab. Kali ini tentang ibadat puasa pula.

أُحِلَّ لَكُم لَيلَةَ الصِّيامِ الرَّفَثُ إِلىٰ نِسائِكُم ۚ هُنَّ لِباسٌ لَّكُم وَأَنتُم لِباسٌ لَّهُنَّ ۗ عَلِمَ اللَّهُ أَنَّكُم كُنتُم تَختانونَ أَنفُسَكُم فَتابَ عَلَيكُم وَعَفا عَنكُم ۖ فَٱلـَٔـٰنَ بَـٰشِرُوهُنَّ وَابتَغوا ما كَتَبَ اللَّهُ لَكُم ۚ وَكُلوا وَاشرَبوا حَتّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الخَيطُ الأَبيَضُ مِنَ الخَيطِ الأَسوَدِ مِنَ الفَجرِ ۖ ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيامَ إِلَى اللَّيلِ ۚ وَلا تُبَـٰشِرُوهُنَّ وَأَنتُم عَـٰكِفُونَ فِى ٱلمَسَـٰجِدِ‌ ۗ تِلكَ حُدودُ اللَّهِ فَلا تَقرَبوها ۗ كَذٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ ءَايَـٰتِهِۦ لِلنّاسِ لَعَلَّهُم يَتَّقونَ

Sahih International

It has been made permissible for you the night preceding fasting to go to your wives [for sexual relations]. They are clothing for you and you are clothing for them. Allah knows that you used to deceive yourselves, so He accepted your repentance and forgave you. So now, have relations with them and seek that which Allah has decreed for you. And eat and drink until the white thread of dawn becomes distinct to you from the black thread [of night]. Then complete the fast until the sunset. And do not have relations with them as long as you are staying for worship in the mosques. These are the limits [set by] Allah , so do not approach them. Thus does Allah make clear His ordinances to the people that they may become righteous.

Malay

Dihalalkan bagi kamu, pada malam hari puasa, bercampur (bersetubuh) dengan isteri-isteri kamu. Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu mengkhianati diri sendiri, lalu Dia menerima taubat kamu dan memaafkan kamu. Maka sekarang setubuhilah isteri-isteri kamu dan carilah apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu; dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib); dan janganlah kamu setubuhi isteri-isteri kamu ketika kamu sedang beriktikaf di masjid. Itulah batas-batas larangan Allah, maka janganlah kamu menghampirinya. Demikian Allah menerangkan ayat-ayat hukum-Nya kepada sekalian manusia supaya mereka bertaqwa.

 

أُحِلَّ لَكُم لَيلَةَ الصِّيامِ الرَّفَثُ إِلىٰ نِسائِكُم

Dihalalkan kepada kamu pada malam puasa itu untuk kamu bersetubuh dengan isteri-isteri kamu;

Perkataan ‘halal’ dari segi bahasa bermaksud merungkaikan sesuatu yang terikat sebelum itu. Apabila digunakan lafaz أُحِلَّ, ini menunjukkan bahawa sebelum ini ia adalah terlarang. Ini bermakna larangan sebelum itu telah dilepaskan. Sekarang sudah boleh buat.

Malam yang dimaksudkan adalah pada malam hari berpuasa iaitu sebelum esok siangnya berpuasa. Apa yang dihalalkan? Perkataan الرَّفَثُ  berasal daripada kata dasar: ر ف ث yang bermaksud hubungan seks, baring dengan tujuan untuk mengadakan hubungan seks, melakukan perbuatan lucah, kata-kata yang lucah, seksual, kekejian. Asalnya ia bermaksud ‘tidak berbaju’. Perkataan ini membawa maksud hubungan seksual (jimak) antara suami isteri. Ia adalah apa-apa sahaja yang boleh dilakukan di antara suami dan isteri di dalam bilik tidur mereka dan ia sesuatu yang tidak dilakukan di khalayak ramai. Ia adalah bahasa kiasan kerana Allah ﷻ tidak gunakan kalimah ‘jimak’ di sini. Allah ‎ﷻ tidak sebut setubuh atau ‘seks’ di dalam Al-Qur’an kerana ini adalah adab dan kerana itu Al-Qur’an ini boleh dibaca di mana-mana sahaja kerana ia tidak memalukan. Malah kanak-kanak baca pun boleh.

Hukum ini berlainan dengan semasa melakukan kerja-kerja Haji. Selama melakukan kerja Haji, tidak boleh melakukan hubungan seksual walaupun pada malam hari.

Hukum berpuasa sebelum turunnya ayat ini adalah berlainan. Ada perubahan hukum selepas masa berlalu. Hukum dahulu: selepas solat Isyak, tidak boleh makan dan minum dan tidak boleh melakukan hubungan seksual suami isteri. Ada juga pendapat yang mengatakan ia tidak boleh dilakukan setelah tidur selepas berbuka. Kalau mereka terlepas makan, maka mereka kena tahan (makan dan berhubungan badan) sampailah ke waktu Maghrib esoknya. Ini tentunya sesuatu yang susah. Itulah sebabnya sebelum itu, diberikan pilihan kepada mereka yang mampu, untuk tidak berpuasa – mereka boleh terus bayar fidyah kerana puasa waktu itu adalah sesuatu yang amat sukar kalau dibandingkan dengan sekarang. Sekarang baru kita faham kenapa pilihan itu diberikan kepada umat waktu itu. Apabila puasa dimudahkan, pilihan fidyah itu tidak diberikan lagi.

Satu lagi sebab: memandangkan ibadat puasa merupakan suatu perkara yang besar kerana ia sesuatu yang bercanggah dengan naluri manusia yang suka makan dan minum, Allah ﷻ telah menjadikan pensyariatannya secara dua peringkat. Ini supaya manusia tidak terlalu terkejut menerimanya. Peringkat pertama: ada pilihan untuk puasa atau bayar fidyah; peringkat kedua: puasa wajib kecuali kepada mereka yang tidak mampu.

Seorang sahabat yang bernama Qais bin Sirmah al-Ansari رضي الله عنه telah berpuasa pada suatu hari dan setelah tiba waktu berbuka, beliau balik ke rumahnya dan bertanya kepada isterinya, apa yang ada untuk dimakan. Isterinya menjawab tiada makanan lagi, tetapi beliau (si isteri) akan keluar untuk mencari makanan untuk suaminya. Qais رضي الله عنه yang telah bekerja seharian sangat kepenatan, dalam menunggu kepulangan isterinya beliau tertidur. Apabila isterinya pulang, beliau terkejut dan berasa sangat kasihan terhadap Qais رضي الله عنه yang terpaksa meneruskan puasanya sehingga keesokan harinya. Pada tengah hari esoknya Qais رضي الله عنه yang kelaparan dan keletihan telah jatuh pengsan. Peristiwa ini telah diadukan kepada Rasulullah ﷺ.

عَنْ الْبَرَاءِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ كَانَ أَصْحَابُ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا كَانَ الرَّجُلُ صَائِمًا فَحَضَرَ الْإِفْطَارُ فَنَامَ قَبْلَ أَنْ يُفْطِرَ لَمْ يَأْكُلْ لَيْلَتَهُ وَلَا يَوْمَهُ حَتَّى يُمْسِيَ وَإِنَّ قَيْسَ بْنَ صِرْمَةَ الْأَنْصَارِيَّ كَانَ صَائِمًا فَلَمَّا حَضَرَ الْإِفْطَارُ أَتَى امْرَأَتَهُ فَقَالَ لَهَا أَعِنْدَكِ طَعَامٌ قَالَتْ لَا وَلَكِنْ أَنْطَلِقُ فَأَطْلُبُ لَكَ وَكَانَ يَوْمَهُ يَعْمَلُ فَغَلَبَتْهُ عَيْنَاهُ فَجَاءَتْهُ امْرَأَتُهُ فَلَمَّا رَأَتْهُ قَالَتْ خَيْبَةً لَكَ فَلَمَّا انْتَصَفَ النَّهَارُ غُشِيَ عَلَيْهِ فَذُكِرَ ذَلِكَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَنَزَلَتْ هَذِهِ الْآيَةُ { أُحِلَّ لَكُمْ لَيْلَةَ الصِّيَامِ الرَّفَثُ إِلَى نِسَائِكُمْ } فَفَرِحُوا بِهَا فَرَحًا شَدِيدًا وَنَزَلَتْ { وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَكُمْ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنْ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ }
Daripada Al Bara’ رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata; “Di antara para sahabat Muhammad ﷺ ada seseorang apabila sedang puasa lalu tiba waktu berbuka dia pergi tidur sebelum berbuka sehingga dia tidak memakan sesuatu pada malam dan siang hari hingga petang hari. Dan pada suatu ketika Qais bin Shirmah Al Anshariy رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ ketika sedang melaksanakan shaum lalu tiba waktu berbuka dia mendatangi isterinya seraya berkata, kepada isterinya: “Apakah kamu punya makanan?” Isterinya berkata: “Tidak, namun aku akan keluar mencari makanan buatmu”. Kemudian di siang harinya dia bekerja keras hingga mengantuk lalu tertidur. Kemudian isterinya datang. Ketika isterinya melihat dia (sedang tertidur), isterinya berkata: “Rugilah kamu”. Kemudian pada tengah harinya Qais رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ jatuh pengsan. Lalu persoalan ini diadukan kepada Nabi ﷺ, maka turunlah firman Allah Ta’ala QS Al Baqarah ayat 187 yang ertinya: (“Dihalalkan bagi kalian pada malam bulan puasa bercampur dengan isteri-isteri kalian”). Dengan turunnya ayat ini para sahabat merasa sangat senang, hingga kemudian turun sambungan ayatnya: (“Dan makan minumlah kalian hingga terang bagi kalian benang putih dari benang hitam iaitu di waktu fajar”).
(Sahih Bukhari No. 1782)

Ada satu lagi kisah Saidina Umar رضي الله عنه. Beliau memberitahu kepada Nabi ﷺ bahawa beliau pulang ke rumah untuk menyetubuhi isterinya tetapi isterinya telah tidur dan itu menyusahkan beliau. Maka, ada lagi sahabat-sahabat lain yang menyuarakan perkara yang sama. Maka, hukum yang baru ini telah diturunkan.

Ada juga pendapat yang mengatakan, tidak ada pun syariat yang mengharamkan berjimak bagi umat Islam. Cuma umat Islam pada waktu itu mengikut cara-cara Yahudi, maka di dalam ayat ini Allah ‎ﷻ berikan penjelasan tentang sebenarnya boleh sahaja untuk bersama dengan isteri di malam hari Ramadhan. Allahu a’lam.

Sepanjang siang ketika berpuasa, hendaklah menjaga kemaluan kita supaya tidak terlajak bersetubuh kerana hukumnya amat berat. Dalilnya seperti disebut di dalam hadith,

أَنَّ أَبَا هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ بَيْنَمَا نَحْنُ جُلُوسٌ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذْ جَاءَهُ رَجُلٌ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ هَلَكْتُ قَالَ مَا لَكَ قَالَ وَقَعْتُ عَلَى امْرَأَتِي وَأَنَا صَائِمٌ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ هَلْ تَجِدُ رَقَبَةً تُعْتِقُهَا قَالَ لَا قَالَ فَهَلْ تَسْتَطِيعُ أَنْ تَصُومَ شَهْرَيْنِ مُتَتَابِعَيْنِ قَالَ لَا فَقَالَ فَهَلْ تَجِدُ إِطْعَامَ سِتِّينَ مِسْكِينًا قَالَ لَا قَالَ فَمَكَثَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَبَيْنَا نَحْنُ عَلَى ذَلِكَ أُتِيَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِعَرَقٍ فِيهَا تَمْرٌ وَالْعَرَقُ الْمِكْتَلُ قَالَ أَيْنَ السَّائِلُ فَقَالَ أَنَا قَالَ خُذْهَا فَتَصَدَّقْ بِهِ فَقَالَ الرَّجُلُ أَعَلَى أَفْقَرَ مِنِّي يَا رَسُولَ اللَّهِ فَوَاللَّهِ مَا بَيْنَ لَابَتَيْهَا يُرِيدُ الْحَرَّتَيْنِ أَهْلُ بَيْتٍ أَفْقَرُ مِنْ أَهْلِ بَيْتِي فَضَحِكَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَتَّى بَدَتْ أَنْيَابُهُ ثُمَّ قَالَ أَطْعِمْهُ أَهْلَكَ
Bahawa Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata: “Ketika kami sedang duduk bersama Nabi ﷺ tiba-tiba datang seorang laki-laki lalu berkata: “Wahai Rasulullah, binasalah aku”. Baginda bertanya: “Ada apa denganmu?”. Orang itu menjawab: “Aku telah berhubungan dengan isteriku sedangkan aku sedang berpuasa”. Maka Rasulullah ﷺ bertanya: “Apakah kamu memiliki budak, sehingga kamu harus membebaskannya?”. Orang itu menjawab: “Tidak”. Lalu baginda bertanya lagi: “Apakah kamu sanggup berpuasa selama dua bulan berturut-turut?”. Orang itu menjawab: “Tidak”. Lalu baginda bertanya lagi: “Apakah kamu memiliki makanan untuk diberikan kepada enam puluh orang miskin?”. Orang itu menjawab: “Tidak”. Sejenak Nabi ﷺ terdiam. Ketika kami masih dalam keadaan tadi, Nabi ﷺ diberikan satu keranjang berisi kurma, lalu baginda bertanya: “Mana orang yang bertanya tadi?”. Orang itu menjawab: “Aku”. Maka baginda berkata: “Ambillah kurma ini lalu bersadaqahlah dengannya”. Orang itu berkata: “Apakah ada orang yang lebih faqir daripadaku, wahai Rasulullah. Demi Allah, tidak ada keluarga yang tinggal di antara dua perbatasan, yang dia maksud adalah dua gurun pasir, yang lebih faqir daripada keluargaku”. Mendengar itu Nabi ﷺ tertawa hingga tampak gigi seri baginda. Kemudian baginda berkata: “Kalau begitu berilah makan keluargamu dengan kurma ini”.
(Sahih Bukhari No. 1800)

 

هُنَّ لِبَاسٌ لَّكُمْ

Isteri-isteri kamu itu pakaian bagi kamu

Lelaki dibenarkan untuk bersetubuh dengan isterinya. Ini adalah keperluan hakiki bagi lelaki dan wanita. Apakah dimaksudkan yang isteri-isteri itu sebagai ‘pakaian’ untuk suami mereka?

 

وَأَنْتُمْ لِبَاسٌ لَّهُنَّ

dan kamu adalah juga pakaian bagi isteri kamu;

Apakah yang dimaksudkan dengan ‘pakaian’? Apa yang menjadikan kita cantik dan sampai membolehkan keluar rumah adalah pakaian kita. Memang pakaian adalah perhiasan bagi kita seperti disebut di dalam A’raf: 26

يٰبَني ءآدَمَ قَد أَنزَلنا عَلَيكُم لِباسًا يُوٰري سَوءٰتِكُم وَريشًا
Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutup auratmu dan untuk perhiasan.

Maka pasangan sesama sendiri mencantikkan pasangannya. Ia adalah juga satu kegunaan untuk memberikan kita keselesaan. Kalau sejuk, tentunya kita memerlukan pakaian. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Nahl: 81 tentang hal ini,

وَجَعَلَ لَكُم سَرٰبيلَ تَقيكُمُ الحَرَّ وَسَرابيلَ تَقيكُم بَأسَكُم ۚ كَذٰلِكَ يُتِمُّ نِعمَتَهُ عَلَيكُم لَعَلَّكُم تُسلِمونَ
dan Dia jadikan bagimu pakaian yang memeliharamu daripada panas dan pakaian (baju besi) yang memelihara kamu dalam peperangan. Demikianlah Allah menyempurnakan nikmat-Nya atasmu agar kamu berserah diri (kepada-Nya).

Maka pakaian memberi keselesaan kepada kita. Pakaian juga menutup aurat kita, menutup malu kita. Pakaian juga rapat sangat dengan kita. Begitu juga dengan pasangan kita. Pasangan kita melengkapkan kita dan amat rapat dengan kita. Mereka menjadi sebahagian daripada kita. Oleh itu, pasangan kita sepatutnya mencantikkan akhlak kita dan memelihara kita daripada perkara yang buruk.

Kita juga boleh rasa ketenangan apabila kita sudah berkahwin. Kita sudah tidak nakal lagi. Kalau kita nampak orang lain yang merangsang nafsu kita, tidak ada masalah kerana kita boleh menyelesaikan keinginan itu dengan suami isteri kita. Banyak nikmat apabila kita sudah berkahwin, bukan ini sahaja. Sebab itulah Nabi ﷺ menyuruh umatnya berkahwin segera.

Pakaian juga menutup kekurangan dan keburukan tubuh badan kita. Begitu juga suami isteri kena menjaga nama baik pasangan masing-masing. Janganlah jadi seperti orang perempuan yang apabila mereka bersama-sama dengan kawan-kawan mereka berborak, mereka menceritakan tentang keburukan suami mereka bersama rakan-rakan mereka. Ini adalah amat salah sekali. Sepatutnya mereka menutup keburukan itu daripada dinampakkan kepada khalayak ramai, tetapi mereka pula yang menceritakan kepada orang lain. Itu sudah terbalik. Itu sudah memalukan suami mereka. Sama juga dengan suami, tidak boleh buat begitu berkenaan isteri-isteri mereka. Bayangkan kalau ada orang yang mengata baju yang kita pakai itu buruk, tentunya kita marah dan akan terasa. Kita pun tidak suka. Sebab itulah kita keluar dengan memastikan pakaian kita kemas, kita seterika pakaian kita kerana pakaian itu adalah imej kita. Begitulah juga dengan pasangan kita, mereka membayangkan imej kita sebenarnya. Sama juga, jangan cakap buruk tentang suami isteri kita depan anak-anak kita. Kalau kita buat begitu, maka anak-anak itu akan membesar dengan tidak suka kepada ayah atau ibu mereka. Itu sudah memburukkan keadaan keluarga mereka sendiri.

Mempunyai pakaian adalah kelebihan yang diberikan kepada manusia. Binatang tidak memerlukan pakaian, tetapi manusia memerlukan pakaian. Kita tidak boleh hidup tanpa pakaian. Oleh itu, sama sahaja, seorang manusia memerlukan pasangan hidup. Jangan kata kita boleh hidup sendiri. Ada ramai yang berfikiran salah begitu. Inilah keindahan Islam kerana Islam meletakkan perkahwinan sebagai satu keperluan dalam agama dan ia amat digalakkan (walaupun tidaklah wajib). Tidak seperti agama lain seperti Kristian dan Hindu yang menyuruh ahli-ahli agama mereka untuk tidak berkahwin.

Seperti juga kita menjaga pakaian kita, kita kena pandai menjaga pasangan kita. Supaya pakaian itu tahan lama, kita kena tahu cara hendak jaga pakaian itu. Sama juga dengan pasangan kita. Untuk kekal lama berpasangan, kita kena jaga perhubungan itu. Seperti juga kita kena pandai memilih pakaian kita sebelum kita pakai, kita juga kena pandai memilih pasangan yang sesuai untuk kita sebelum kita kahwini mereka.

Oleh itu, suami dan isteri itu amat rapat antara satu sama lain. Mereka tinggal bersama dan makan bersama dan bermacam-macam lagi. Oleh itu, amat susah kalau sepanjang bulan puasa itu mereka tidak boleh mengadakan hubungan seksual. Kalau sentiasa bersama, tiba-tiba tersentuh, susah pula nanti.

Lihatlah bagaimana ayat ini pendek sahaja, namun banyak sekali pengajaran yang kita boleh ambil daripadanya. Itulah pentingnya belajar tafsir supaya kita mendapat pengajaran-pengajaran seperti ini.

 

عَلِمَ اللَّهُ أَنَّكُمْ كُنْتُمْ تَخْتَانُونَ أَنْفُسَكُمْ

Allah Maha Mengetahui bahawasanya kamu telah mengkhianati diri-diri kamu;

Perkataan تَخْتَانُونَ diambil daripada katadasar خ و ن  yang bermaksud ‘khianat’, menipu. Apabila ada huruf ت yang berada di tengah perkataan تَخْتَانُونَ  itu, ia membawa maksud ‘sangat-sangat khianat’. Iaitu apabila seseorang telah memberikan amanah kepada kita, tetapi kita tidak menjaganya dengan baik di mana kita telah menipu dalam menjaga amanah itu. Ia merujuk kepada tidak melakukan tugas yang telah diamanahkan.

Ada sahabat yang tidak dapat menahan nafsu, mereka berpuasa pada siang hari, tetapi pada waktu malam puasa pun mereka telah melakukan hubungan kelamin dengan isteri mereka. Mereka dahulu mengamalkan puasa seperti Yahudi juga – tidak boleh mencampuri isteri di malam hari. Namun dek kerana tidak dapat tahan, maka mereka buat juga. Maknanya, mereka melanggar hukum (khianat kepada diri sendiri).

عَنْ أَبِي إِسْحَاقَ قَالَ سَمِعْتُ الْبَرَاءَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ لَمَّا نَزَلَ صَوْمُ رَمَضَانَ كَانُوا لَا يَقْرَبُونَ النِّسَاءَ رَمَضَانَ كُلَّهُ وَكَانَ رِجَالٌ يَخُونُونَ أَنْفُسَهُمْ فَأَنْزَلَ اللَّهُ { عَلِمَ اللَّهُ أَنَّكُمْ كُنْتُمْ تَخْتَانُونَ أَنْفُسَكُمْ فَتَابَ عَلَيْكُمْ وَعَفَا عَنْكُمْ }
Daripada Abu Ishaq dia berkata; Aku mendengar Al Barra رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, -tatkala diperintahkan puasa Ramadan, orang-orang tidak mahu mendekati para wanita sepanjang bulan Ramadan tersebut. Dan ada beberapa orang yang mengkhianati dirinya sendiri. Maka Allah menurunkan ayat; “Allah mengetahui bahawa kalian tidak dapat menahan diri kalian sendiri. Maka Dia menerima taubat kalian dan memaafkan kalian.”
(Sahih Bukhari No. 4148)

Selalunya orang yang melakukan khianat itu akan kata perkara yang mereka lakukan itu tidak salah. Mereka memperkecilkan kesalahan yang mereka lakukan. Allah ‎ﷻ kata Allah ‎ﷻ tahu apa yang manusia buat walaupun mereka buat dalam senyap atau di malam hari. Apa sahaja yang kita lakukan pasti diketahui oleh Allah ‎ﷻ.

Allah ‎ﷻ kata mereka mengkhianati ‘diri’ mereka sendiri. Mereka sangka mereka mengkhianati Allah ‎ﷻ, namun sebenarnya mereka mengkhianati diri mereka sendiri. Mereka menipu orang lain dengan menunjukkan diri mereka baik. Depan orang lain, mereka berlakon baik tetapi sebenarnya mereka menipu diri mereka sendiri kerana mereka tidak perasan bahawa mereka yang akan menerima akibatnya, bukan orang lain.

 

فَتَابَ عَلَيْكُمْ

maka Allah terima taubat kamu

Allah ‎ﷻ telah menerima taubat mereka dan kemudian Allah ‎ﷻ membenarkan mereka mencampuri isteri-isteri mereka pada malam hari. Allah ‎ﷻ telah menukar hukum yang sebelum itu dengan memberi hukum yang baru.

Rasulullah ﷺ yang memandang bahawa kalau sudah berpuasa hendaklah pada malam harinya juga berpuasa daripada mendekati isteri. Bahkan ada juga para sahabat yang mencuba puasa wishal, terus-menerus puasa dengan tidak berbuka dan tidak sahur. Seorang sahabat Rasulullah ﷺ yang besar, iaitu Umar bin Khathab رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ yang berfikiran tajam itu merasa dalam hatinya bahawa tidak mungkin agama memberati sedemikian rupa, sehingga nafsu kelamin juga mesti dihentikan malam hari. Meskipun sahabat-sahabat yang lain banyak yang benar-benar menjauhi isteri pada malam hari puasa itu, namun beliau sendiri merasa hal yang sedemikian rupa tidaklah kehendak Agama Islam. Meskipun syariat puasa ini telah disyariatkan juga kepada umat yang terdahulu, sehingga pendeta-pendeta Kristian ada yang menjauhi perkahwinan sama sekali, beliau Umar bin Khathab رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ merasakan kehendak Islam tidak sampai sedemikian. Sebab itu di satu malam beliau lakukanlah apa yang dilakukan suami terhadap isteri. Pada siangnya untuk menghilangkan keraguan, beliau menemui Rasulullah ﷺ dan menyatakan keadaan yang sebenarnya. Menurut riwayat yang dirawikan oleh Ibnu Jarir dan Ibnu Abi Hatim daripada Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا, maka Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ pun datanglah meminta penjelasan kepada Rasulullah ﷺ. Maka turunlah ayat ini.

 

وَعَفَا عَنْكُمْ

dan memaafkan kamu;

Allah ‎ﷻ memaafkan kesalahan mereka dahulu. Maka oleh kerana perbuatan sahabat itu, sampai sekarang kita dibenarkan untuk menggauli isteri kita pada malam hari puasa itu. Namun kita kena sedar, jangan kata teruk sangat sahabat itu kerana bukan semua sahabat buat begitu. Hanya beberapa orang sahaja. Kita juga kena ingat bahawa apa yang mereka lalui itu adalah perkara yang susah, kalau kita pun lagi tidak tahan. Jangan kita sangka para sahabat itu adalah orang yang teruk. Janganlah ada perasaan begitu. Kita kena sedar bahawa mereka itu adalah insan terpilih yang Allah ‎ﷻ telah pilih untuk menjadi sahabat Nabi ﷺ. Apa yang mereka lakukan menjadi contoh bagi kita. Kalau mereka tidak buat salah langsung, bagaimana kita akan tahu apakah kesalahan-kesalahan dalam Islam?

Jangan lupa yang Allah ‎ﷻ telah memaafkan mereka. Ada pendapat yang mengatakan tidak ada kesalahan pun kalau bersama dengan isteri di malam hari. Ia hanya direka oleh orang Yahudi. Jadi kalau begitu, kenapa Allah ‎ﷻ memaafkan mereka yang mencampuri isteri mereka di malam hari padahal bukan buat salah pun? Yang tidak membenarkan mencampuri isteri di malam hari adalah Yahudi dan bukan benar pun apa hukum yang mereka tetapkan itu. Namun begitu Allah ‎ﷻ kata Dia telah memaafkan kerana pada mereka, mereka telah buat salah. Jadi mereka rasa bersalah. Pada diri mereka, mereka telah menipu. Perasaan mereka walaupun salah, Allah ‎ﷻ sudah maafkan. Sudahlah Allah ‎ﷻ ampunkan, tetapi Allah ‎ﷻ maafkan lagi. عَفَا bermaksud memaafkan dalam sifat kasih sayang.

 

فَٱلـَٔـٰنَ بَـٰشِرُوهُنَّ

Maka sekarang ini, campurilah mereka;

Apa-apa pun sebabnya, sama ada memang telah ada syariat asal atau umat Islam waktu itu mengikut cara puasa umat Yahudi, sekarang sudah ada hukum yang jelas di dalam Islam. Maka, bermula dari hari itu, bolehlah bersetubuh pada malam hari. Jangan risau untuk bersama dengan isteri, memang tidak salah pun. Untuk membantu anda, saya belanja doa untuk dibaca ketika bersetubuh,

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ يَبْلُغُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَوْ أَنَّ أَحَدَكُمْ إِذَا أَتَى أَهْلَهُ قَالَ بِاسْمِ اللَّهِ اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا الشَّيْطَانَ وَجَنِّبْ الشَّيْطَانَ مَا رَزَقْتَنَا فَقُضِيَ بَيْنَهُمَا وَلَدٌ لَمْ يَضُرُّهُ
Daripada Ibnu ‘Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا dan sampai kepada Nabi ﷺ, baginda bersabda: “Jika salah seorang daripada kalian ingin mendatangi isterinya (untuk bersetubuh), maka hendaklah dia membaca; ‘اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا الشَّيْطَانَ وَجَنِّبْ الشَّيْطَانَ مَا رَزَقْتَنَا (Ya Allah, jauhkanlah kami daripada syaitan dan jauhkanlah syaitan daripada apa yang Engkau rezekikan kepada kami) ‘. Jika dikurniakan anak daripada hubungan keduanya maka syaitan tidak akan dapat mencelakakan anak itu.”
(Sahih Bukhari No. 138)

Perkataan بَاشِرُوهُنَّ itu daripada katadasar ب ش ر yang bermaksud ‘manusia’, berita gembira, kulit manusia. Kulit manusia berbeza dengan kulit binatang lain. Jadi, perkataan بَاشِرُ bermaksud kulit yang bersentuhan, yang membawa maksud bersetubuh antara lelaki dan perempuan. Ini juga adalah bahasa kiasan yang Allah ‎ﷻ gunakan kerana beradab. Sekali lagi perhatikan Allah ﷻ tidak menggunakan kalimah ‘jimak’.

 

وَابْتَغُوا مَا كَتَبَ اللَّهُ لَكُمْ

dan carilah apa yang Allah telah kurniakan untuk kamu;

Carilah kurnia Allah ‎ﷻ dalam bentuk pahala yang banyak pada malam puasa. Perbuatan hubungan suami isteri adalah satu ibadah kerana Allah ‎ﷻ telah membenarkan kita melakukannya. Eh, jimak boleh jadi ibadah? Ya, begitulah apabila ini diberitahu kepada para sahabat, mereka pun kehairanan seperti anda juga. Mereka hairan bagaimana perbuatan untuk memuaskan nafsu boleh mendapat pahala pula? Maka, Nabi ﷺ kata, kalau seseorang itu memuaskan nafsunya dengan jalan yang salah, bukankah dia akan mendapat dosa? Lalu, bagaimana kalau dia melakukannya dengan cara yang halal? Tentulah dapat pahala pula.

Daripada Abu Dzar Al-Ghifari رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Nabi ﷺ bersabda,

وَفِى بُضْعِ أَحَدِكُمْ صَدَقَةٌ ». قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيَأْتِى أَحَدُنَا شَهْوَتَهُ وَيَكُونُ لَهُ فِيهَا أَجْرٌ قَالَ « أَرَأَيْتُمْ لَوْ وَضَعَهَا فِى حَرَامٍ أَكَانَ عَلَيْهِ فِيهَا وِزْرٌ فَكَذَلِكَ إِذَا وَضَعَهَا فِى الْحَلاَلِ كَانَ لَهُ أَجْرٌ »
“Hubungan badan antara kalian (dengan isteri atau hamba sahaya kalian) adalah sedekah. Para sahabat lantas ada yang bertanya pada Rasul ﷺ, ‘Wahai Rasulullah, apakah dengan kami mendatangi isteri kami dengan syahwat itu mendapatkan pahala?’ Baginda menjawab, ‘Bukankah jika kalian bersetubuh pada yang haram, kalian mendapatkan dosa. Oleh kerananya jika kalian bersetubuh pada yang halal, tentu kalian akan mendapatkan pahala.’” (Sahih Muslim No. 1006)

Jadi, perbuatan biasa kita seharian juga boleh mendatangkan pahala apabila kita melakukannya dengan cara yang halal. Iaitu dengan cara yang Allah ‎ﷻ telah benarkan. Kadang-kadang dalam perkahwinan, ada suami atau isteri yang tidak ada semangat untuk ‘bersama’. Kadang-kadang tengah penat atau tidak berapa sihat. Ini tidak mengapa, tetapi ada sahaja alasan diberikan kerana malas hendak basahkan rambut pagi esok (mandi junub). Maka ayat ini mengajar kita bahawa walaupun mereka tidak suka, tetapi mereka kena tahu bahawa perbuatan itu adalah halal dan boleh mendatangkan pahala kepada mereka. Mereka kena tahu bahawa ia adalah satu ibadah juga. Perhubungan kelamin antara suami isteri adalah satu perbuatan yang amat indah. Ia dapat mengeratkan hubungan suami isteri. Kalau sudah lama tidak ‘bersama’, akan ada masalah antara suami isteri itu.

Para isteri jangan culas pula untuk melayan kehendak suami kerana suami ini mereka akan keluar dan melihat berbagai-bagai jenis wanita di luar sana. Sementelah wanita sekarang bukannya tutup aurat sangat pun. Jadi mereka mungkin terangsang apabila melihat wanita lain. Ini biasa sahaja bagi seorang lelaki yang normal. Yang penting, mereka ada isteri di rumah. Apa yang wanita dia lihat itu ada, isterinya di rumah pun ada. Jadi dia boleh pulang ke rumah dan memuaskan nafsunya yang sudah terangsang itu dengan isterinya. Isterinya pula janganlah tanya balik: “Eh ini apa hal ni? Orang ada kerja ni!” Senario yang saya sampaikan ini sudah ada petunjuk daripada Rasulullah ﷺ dan isteri baginda pun seperti disebut di dalam hadith yang diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا, katanya:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ ﷺ رَأَى امْرَأَةً، فَأَتَى امْرَأَتَهُ زَيْنَبَ، وَهِيَ تَمْعَسُ مَنِيئَةً لَهَا، فَقَضَى حَاجَتَهُ، ثُمَّ خَرَجَ إِلَى أَصْحَابِهِ، فَقَالَ: إِنَّ المَرْأَةَ تُقْبِلُ فِي صُورَةِ شَيْطَانٍ، وَتُدْبِرُ فِي صُورَةِ شَيْطَانٍ، فَإِذَا أَبْصَرَ أَحَدُكُمُ امْرَأَةً فَلْيَأْتِ أَهْلَهُ، فَإِنَّ ذَلِكَ يَرُدُّ مَا فِي نَفْسِهِ
“Rasulullah ﷺ melihat seorang wanita, lalu baginda mendatangi Zainab رضي الله عنها isteri baginda ketika dia (Zainab رضي الله عنها) sedang menyamak kulit. Baginda menunaikan hajatnya, kemudian keluar kepada para sahabatnya seraya bersabda, “Sesungguhnya wanita itu datang dalam bentuk syaitan dan pergi dalam bentuk syaitan. Jika salah seorang kamu melihat seorang wanita, maka hendaknya dia mendatangi isterinya. Kerana itu dapat menolak perasaan yang muncul pada jiwanya.”
(Riwayat Muslim No. 1403)

Syarah: Ibn al-‘Arabi رَحِمَهُ اللَّهُ ketika menghuraikan hadith di atas berkata: “Ini merupakan hadith yang ganjil maknanya kerana yang berlaku kepada Nabi ﷺ merupakan perkara rahsia yang tidak diketahui melainkan oleh Allah ‎ﷻ, tetapi Baginda menghebahkannya daripada dirinya sendiri sebagai berita gembira bagi makhluk dan pengajaran kepada mereka. Sesungguhnya Baginda itu manusia yang mempunyai syahwat tetapi Baginda maksum daripada tergelincir. Apa yang berlaku dalam jiwanya ketika terlihat perempuan itu perkara yang tidak dipersalahkan pada syara‘ dan tidak mengurangkan kedudukannya. Ini kerana baginda mendapati dirinya berasa takjub dengan wanita itu adalah perkara fitrah manusia yang tetap sifatnya tetapi baginda mengalahkannya dengan kemaksuman maka ia terpadam dan Baginda pergi kepada isterinya supaya dapat melunaskan rasa takjubnya dan syahwat manusianya dengan kemaksuman dan penjagaan maruahnya.” (Lihat ‘Aridhat al-Ahwazi, 1/94)

Imam al-Qurtubi ‎رَحِمَهُ اللَّهُ juga menyebutkan bahawa, jangan disangka bahawa Rasulullah ﷺ melakukan perkara itu kerana kecenderungan nafsu atau tewas dengan syahwat, alangkah jauhnya Baginda daripada semua itu. Sebaliknya Baginda melakukan perkara tersebut supaya Baginda dapat mensyariatkan hukum, diikuti (oleh umat yang mengalami syahwat akibat terlihat wanita) dan untuk memutuskan sesuatu yang dijangkakan berlaku ke atas dirinya. (Lihat al-Mufhim Syarh Sahih Muslim, 5/453)

‘Cari kurnia Allah’ di sini adalah juga bermaksud cari untuk mendapatkan anak. Ini bermaksud tujuan berhubungan kelamin itu adalah untuk mendapatkan anak selain daripada mendapatkan kepuasan nafsu. Kita kena tahu bahawa keinginan untuk mendapatkan anak telah ditanam dalam diri setiap manusia. Sekarang banyak manusia yang kata mereka tidak mahu anak. Itu bermaksud mereka telah menentang keinginan naluri semulajadi yang telah diletakkan dalam diri mereka. Maka, kita jangan jadi begitu, kita kena ada niat dan berkeinginan untuk mendapatkan anak. Jangan kita berkahwin semata-mata untuk melampiaskan nafsu sahaja kerana ada yang berkahwin, tetapi mereka membuat keputusan bersama untuk tidak mendapatkan anak. Ini adalah salah.

 

Allahu a’lam. Sambung ke bahagian yang seterusnya

Kemaskini: 6 Januari 2025

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafsir Surah Baqarah Ayat 186 (Berdoa dalam Bulan Ramadhan)

ALLAH ﷻ SENTIASA DEKAT DENGAN KITA

Baqarah Ayat 186: Ini adalah ‘bonus’ yang diberikan Allah ‎ﷻ dalam bulan Ramadhan. Ia adalah jenis Jumlah Mu’taridah iaitu Allah ﷻ selit tentang hal lain sebagai penekanan kepada kita di mana dalam topik tentang puasa, tiba-tiba tentang doa pula. Banyak manusia yang salah faham tentang perkara ‘doa’ ini maka kita kena betulkan pemahaman mereka. Ia sebenarnya tidak lari jauh daripada topik puasa pun kerana Allah ﷻ hendak kita mengambil peluang ketika sedang berpuasa. Oleh itu ayat ini ada hubungan kita dengan puasa tetapi di dalamnya tidak disebutkan tentang puasa.

وَإِذا سَأَلَكَ عِبادي عَنّي فَإِنّي قَريبٌ ۖ أُجيبُ دَعوَةَ الدّاعِ إِذا دَعانِ ۖ فَليَستَجيبوا لي وَليُؤمِنوا بي لَعَلَّهُم يَرشُدونَ

Sahih International

And when My servants ask you, [O Muhammad], concerning Me – indeed I am near. I respond to the invocation of the supplicant when he calls upon Me. So let them respond to Me [by obedience] and believe in Me that they may be [rightly] guided.

 

Malay

Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul.

 

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي

Dan apabila ditanya kepada kamu oleh hamba-hamba-Ku tentang diri-Ku;

Allah ‎ﷻ menggunakan kalimah إِذَا yang bermakna ‘apabila’. Allah ‎ﷻ tidak menggunakan perkataan ‘jika’. Ini bermakna, Allah ‎ﷻ sudah berharap yang hamba-Nya akan bertanya tentang Diri-Nya.

Allah ‎ﷻ mengatakan kita ini adalah عِبَادِي (hamba-Ku) yang bermaksud kita ini semua hamba-Nya. Semua makhluk adalah hamba-Nya sama ada mereka mengaku atau tidak. Namun ayat ini memberi penghormatan kepada mereka yang mengaku sebagai hamba-Nya. Allah ‎ﷻ menggelar mereka: ‘hamba-Ku’. Iaitu mereka yang beriman dengan-Nya. Ini adalah kedudukan yang terpuji. Ini kita dapat tahu kerana kalimah yang digunakan adalah عِباد iaitu jamak kepada عَبدٌ (hamba). Ada jamak lain iaitu عَبيد akan tetapi ia tidak sama dengan عِباد kerana عِباد bermaksud hamba-hamba yang taat sedangkan عَبيد bermaksud hamba-hamba yang bergelumang dengan dosa.

Apakah yang dimaksudkan ‘bertanyamu tentang Aku’? Ada ulama’ yang mengatakan pertanyaan ini adalah: Di manakah Allah ‎ﷻ?

Ada juga yang kata ia adalah: tentang Allah ‎ﷻ. “Adakah Allah ‎ﷻ dekat dengan kita atau jauh? Adakah Allah ‎ﷻ dekat, jadi kita hanya berbisik sahaja? Atau adakah Allah ‎ﷻ jauh sampaikan bila kita hendak bercakap dengan-Nya kita kena bercakap dengan kuat?”

Ada yang kata, ini adalah soalan daripada seorang Badwi kepada Nabi Muhammad ﷺ tentang perkara itu. Jawapan yang diberikan adalah dalam bahagian selepas ini, iaitu Allah ‎ﷻ jawab yang Dia adalah dekat.

Maka di sini Allah ﷻ mengajar kita yang Allah ﷻ akan iktiraf seseorang itu sebagai عِباد (hamba-hamba yang baik) kalau bertanya tentang Allah, hendak tahu tentang Allah. Maka kita kena belajar tentang Allah. Terutama sekali dalam bab doa kerana sudah tentu kita hendak doa kita dimakbulkan. Persoalannya, bagaimanakah caranya? Maknanya mereka tanya kepada sumber yang sahih iaitu kepada Rasulullah ﷺ sendiri tentang Allah ﷻ dan tentang cara berdoa. Bukannya tanya tok guru dan tok syeikh yang merapu.

 

فَإِنِّي قَرِيبٌ

Sesungguhnya Aku dekat;

Tidak perlu bimbang tentang adakah Allah ‎ﷻ dengar atau tidak doa kita itu. Kita hanya perlu doa sahaja. Allah ‎ﷻ itu lebih dekat daripada manusia yang kita sangka boleh tolong kita. Janji kita minta sahaja kepada Allah ‎ﷻ dan Allah ‎ﷻ pasti dengar dan akan sahut.

Jawapan ini penting, kerana apabila kita minta pertolongan, mestilah dengan orang yang dekat, bukan? Sekarang, adakah kita dekat dengan Allah ﷻ? Kalau jauh, nanti Allah ﷻ tidak dengar pula doa kita, bukan? Mulalah timbul akidah hendak mendekatkan diri dengan Allah ﷻ menggunakan perantaraan pula (tawassul) seperti yang dilakukan oleh Musyrikin Mekah itu. Allah ﷻ sebut pemahaman cetek mereka di dalam Zumar: 3

وَالَّذينَ اتَّخَذوا مِن دونِهِ أَولِياءَ ما نَعبُدُهُم إِلّا لِيُقَرِّبونا إِلَى اللهِ زُلفىٰ
Dan orang-orang yang mengambil selain daripada Allah pelindung dan penolong (wali-wali): “Kami tidak menyembah (atau memujanya) melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya”,

Jadi kita boleh perhatikan bahawa golongan Musyrikin Mekah itu berniat baik, iaitu hendak mendekatkan diri dengan Allah ﷻ. Akan tetapi Allah ﷻ tetap tegur mereka dan gelar mereka sebagai golongan jahiliyyah kerana cara mendekatkan diri itu salah. Maka begitulah juga golongan safih (kurang akal) di dalam umat Islam pun, mereka sangka Allah ﷻ jauh dan cara untuk mendekatkan diri dengan Allah ﷻ adalah dengan menggunakan perantara (wasilah) atau kita boleh katakan sebagai ejen, broker dan orang tengah. Nah, sekarang di dalam ayat Baqarah ini Allah ﷻ sebut yang Dia dekat sebenarnya, jadi apa perlu lagi kepada ejen dan broker?

Lihatlah Allah ‎ﷻ jawab sendiri pertanyaan itu. Allah ‎ﷻ tidak tambah perkataan قُلْ (katakanlah) di awal jawapan-Nya itu. Kalau ada perkataan قُلْ, bermakna Allah ‎ﷻ suruh Nabi ﷺ yang jawab. Memang ada ketikanya dalam Al-Qur’an, Allah ‎ﷻ suruh Nabi ﷺ yang jawab. Namun apabila Allah ‎ﷻ sendiri yang jawab, bermakna ia adalah lebih istimewa kerana Allah ‎ﷻ sendiri hendak jawab kepada kita. Ini juga adalah isyarat tidak ada tawassul (perantaraan) dalam doa kepada Allah ‎ﷻ kerana Allah ‎ﷻ jawab sendiri, Allah ‎ﷻ tidak suruh Nabi Muhammad ﷺ yang jawabkan. Maknanya, ada talian terus dengan Allah ‎ﷻ dalam doa. Allah ﷻ beritahu Dia dekat, jadi apa perlunya lagi menggunakan perantara?

Allah ‎ﷻ memberitahu kepada kita dalam ayat ini bahawa Dia sangat hampir dengan kita. Maksud ‘dekat’ itu adalah dari segi ‘pengetahuan’ dan ‘pendengaran’-Nya. Bukanlah bermaksud Allah ‎ﷻ dekat dari segi fizikal dengan kita. Tidaklah Allah ﷻ duduk di sebelah kita dan tidaklah Allah ﷻ berada di mana-mana seperti fahaman sesat. Kalau sekarang kita boleh bandingkan dengan kita hendak bercakap dengan seseorang melalui telefon. Tidak kira jauhnya di mana, tetapi kita boleh bercakap-cakap dengannya seolah-olah dia dekat sahaja, bukan? Allah ﷻ juga telah berfirman di dalam Waqiah: 85

وَنَحنُ أَقرَبُ إِلَيهِ مِنكُم وَلٰكِن لّا تُبصِرونَ
Dan Kami lebih dekat kepadanya daripada kamu, tetapi kamu tidak melihat,

Oleh itu, tidak perlu bercakap kuat dengan Allah ‎ﷻ. Tidak perlu doa dengan suara yang kuat, menggunakan speaker dan sebagainya. Tidak perlu hendak menjerit-jerit dalam doa dan zikir. Kalau sesiapa yang berjinak dengan tarekat, guru tarekat akan beritahu yang kita kena berzikir dengan kuat kerana kita jauh daripada Allah ‎ﷻ. Itu sudah berlawanan dengan ayat Allah ‎ﷻ ini. Ajaran tarekat memang pandai reka fahaman baru.

Ada sebuah hadith dalam Sahih Bukhari tentang perkara ini:

عَنْ أَبِي مُوسَى الْأَشْعَرِيِّ قَالَ أَخَذَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي عَقَبَةٍ أَوْ قَالَ فِي ثَنِيَّةٍ قَالَ فَلَمَّا عَلَا عَلَيْهَا رَجُلٌ نَادَى فَرَفَعَ صَوْتَهُ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ قَالَ وَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى بَغْلَتِهِ قَالَ فَإِنَّكُمْ لَا تَدْعُونَ أَصَمَّ وَلَا غَائِبًا ثُمَّ قَالَ يَا أَبَا مُوسَى أَوْ يَا عَبْدَ اللَّهِ أَلَا أَدُلُّكَ عَلَى كَلِمَةٍ مِنْ كَنْزِ الْجَنَّةِ قُلْتُ بَلَى قَالَ لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ
Daripada Abu Musa Al Asy’ari رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ beliau berkata; “Nabi ﷺ pernah lalu di suatu bukit atau berkata; di suatu lembah, tatkala (keadaan jalan) agak naik, salah seorang berseru sambil mengangkat suaranya; “لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ (Tidak ada Tuhan yang berhak disembah kecuali Allah, Allah Maha Besar).” Abu Musa رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ melanjutkan; ‘Ketika itu Rasulullah ﷺ tengah berada di atas haiwan tunggangannya, lalu baginda bersabda: ‘Sesungguhnya kalian tidak berdoa kepada Dzat yang tuli dan jauh.’ Kemudian baginda bersabda: ‘Wahai Abu Musa, -atau- wahai Abdullah, mahukah aku tunjukkan kepadamu suatu kalimat yang termasuk daripada perbendaharaan syurga? ‘Aku menjawab; ‘Tentu.’ Baginda bersabda: katakanlah ‘لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ’ Tiada daya dan upaya kecuali dengan pertolongan Allah.’
(Sahih Bukhari No. 5390)

 

Maka berdoalah dengan beradab dan suara yang lembut dan perlahan kerana Allah ﷻ tidak jauh pun. Begitulah firman Allah ﷻ di dalam A’raf: 55

ادعوا رَبَّكُم تَضَرُّعًا وَخُفيَةً ۚ إِنَّهُ لا يُحِبُّ المُعتَدينَ
Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.

Lihatlah bagaimana cara doa Nabi Zakariya عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ apabila baginda berdoa (dan doa baginda dimakbulkan, bukan?) di dalam Maryam: 3

إِذ نادىٰ رَبَّهُ نِداءً خَفِيًّا
(Ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhannya dengan doa permohonan secara perlahan.

Ayat Baqarah:186 ini juga memberitahu kita bahawa kita boleh berdoa terus dengan Allah ‎ﷻ. Tidak memerlukan perantaraan atau yang dinamakan ‘tawassul’. Ini adalah salah satu salah faham manusia. Mereka sangka Allah ‎ﷻ jauh, maka perlukan wasilah dalam berdoa. Malah yang lebih penting lagi, jangan istighasah kepada selain Allah ﷻ. Ini adalah kesesatan nyata yang ramai umat Islam sedangkan lakukan kerana jahil wahyu. Sedangkan Allah ﷻ suruh kita berdoa terus kepadanya seperti disebut di Ghafir: 60

وَقالَ رَبُّكُمُ ادعوني أَستَجِب لَكُم ۚ إِنَّ الَّذينَ يَستَكبِرونَ عَن عِبادَتي سَيَدخُلونَ جَهَنَّمَ داخِرينَ
Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.

Kenapa kita tidak mahu terus sahaja berdoa kepada Allah ﷻ? Sedangkan Allah ‎ﷻ tahu segala-galanya tentang kita. Apa yang kita cakap, dalam sebutan atau dalam hati kita pun. Kalau kita tidak sebut pun Allah ‎ﷻ tahu apa yang kita kehendaki tetapi Allah ‎ﷻ suka kalau kita cakap sendiri dan mengadu kepada-Nya.

Allah ‎ﷻ memasukkan pemberitahuan tentang doa ini dalam ayat berkenaan Ramadhan. Ini menunjukkan kita paling hampir dengan Allah ‎ﷻ dalam bulan Ramadhan. Jadi ayat ini tentang doa kepada Allah ‎ﷻ dan jikalau seseorang itu dekat, senang untuk kita bercakap dengannya. Oleh itu, hendaklah kita memperbanyakkan doa kepada-Nya dalam bulan Ramadhan.

Kalau kita lihat bahagian pertama, Allah ‎ﷻ dekat apabila kita ‘bertanyakan’ tentang Diri’-Nya. Bermakna, apabila kita hendak ambil tahu tentang Allah ‎ﷻ, Allah ‎ﷻ akan mendekatkan Diri-Nya dengan kita. Maka ini memberitahu kepada kita yang kita kena belajar untuk mengenal Allah ‎ﷻ. Untuk mengenal Allah ‎ﷻ, kenalah dengan belajar Sifat-sifat Allah ‎ﷻ yang disebutnya dalam Al-Qur’an, bukannya dengan belajar Sifat 20 (yang memeningkan). Yang kita kena belajar adalah Asmaul Husna, bukannya belajar Sifat 20. Maka ayat ini bukan hanya tentang doa sahaja. Namun ia juga adalah penerangan tentang Allah ‎ﷻ. Dalam soalan ini, soalan itu bukan ‘di mana Allah ‎ﷻ?’, tetapi ‘tentang‘ Allah ‎ﷻ. Jadi, jawapan yang Allah ‎ﷻ berikan adalah Dia dekat.

Kerana itu penting untuk berusaha mendapatkan taqwa. Sebab kita masih dalam isu taqwa lagi. Surah Baqarah banyak menyebut tentang taqwa. Kalau kita tahu Allah ‎ﷻ dekat, kita takut atau malu untuk berbuat salah. Jadi kita sentiasa ingat bahawa Allah ‎ﷻ sentiasa dekat. Apabila dekat, maknanya tentulah Allah ‎ﷻ sentiasa melihat apa sahaja yang kita lakukan, bukan?

Ada satu penjelasan yang perlu diulang di sini. Apabila dikatakan Allah ‎ﷻ itu ‘dekat’, bukanlah Allah ‎ﷻ itu dekat dari segi fizikal, tetapi dari segi Ilmu Allah ‎ﷻ – Allah ‎ﷻ mendengar dan melihat apa yang kita lakukan. Ini hendak menolak pemahaman puak yang sesat yang mengatakan Allah ‎ﷻ ada di mana-mana. Ini adalah fahaman yang tersasar jauh daripada pemahaman salafussoleh.

Allah ﷻ sudah kata Dia dekat, maka apa yang kita kena lakukan adalah dengan mendekatkan lagi diri kita dengan-Nya.

 

أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ

Aku menyahut doa orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku;

Allah ‎ﷻlah sahaja yang layak dan mampu untuk terima doa makhluk-Nya. Allah ‎ﷻ sahaja yang boleh menyempurnakan doa. Tidak ada entiti lain lagi selain daripada-Nya. Allah ﷻ kata دَعَانِ (berdoa kepada-Ku) jadi jangan doa kepada selain-Nya, sama ada dalam bentuk tawasul atau dalam bentuk istighasah. Kita boleh faham dengan penggunaan kalimah دَعَانِ yang bermaksud berdoa kepada-Ku. Maknanya hanya kepada Allah ﷻ sahaja, tidak ada bersangkut dengan pihak yang lain. Allah ﷻ tidak guna kalimah دعانا yang memberi isyarat ada keterlibatan lain. Maka mengarut sahaja penggunaan tawasul dan istighasah kepada selain Allah ﷻ kerana itu adalah doa yang berkongsi antara doa kepada Allah ﷻ dan permintaan kepada selain Allah ﷻ. Yang Allah ﷻ suruh doa terus dan hanya kepada-Nya sahaja, namun malang sekali golongan sesat memang tidak faham perkara ini. Begitulah apabila sudah jauh daripada ajaran wahyu.

Kalau belajar tafsir Al-Qur’an, kita akan lebih prihatin tentang penggunaan bahasa oleh Allah ﷻ di dalam Al-Qur’an. Ada ketika Allah ﷻ gunakan istilah ‘Kami’ dan ada ketika Allah ﷻ gunakan istilah ‘Aku’. Istilah ‘Aku’ digunakan apabila hanya Allah ﷻ sahaja yang melakukannya seperti digunakan di dalam Sad: 75 tentang penciptaan Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang Allah ﷻ sendiri jadikan.

قالَ يٰإِبليسُ ما مَنَعَكَ أَن تَسجُدَ لِما خَلَقتُ بِيَدَيَّ
Allah berfirman: “Hai iblis, apakah yang menghalangi kamu sujud kepada yang telah Ku-ciptakan dengan kedua tangan-Ku.

Perkataan أُجِيبُ (Aku menjawab) yang digunakan dalam ayat ini bermaksud Allah ‎ﷻ menyahut dengan segera, terus menyahut doa kita. Awal-awal lagi Allah ‎ﷻ sudah sebut yang Dia akan jawab dengan segera. Allah ‎ﷻ tidak kata yang Dia ‘akan’ jawab – kerana itu menunjukkan mungkin lama lagi Allah ‎ﷻ akan jawab. Tidak begitu. Allah ‎ﷻ kata Dia jawab terus. Apabila kita berdoa, kita berharap semoga Allah ‎ﷻ dengar doa kita. Nah, sekarang Allah ‎ﷻ sudah beritahu bahawa Dia memang dengar dan akan terus terus menjawab doa kita itu. Oleh itu, yakinlah yang Allah ‎ﷻ mendengar segala doa kita. Kita kena yakin yang Allah ‎ﷻ mendengar doa kita, kalau kita tidak ada keyakinan itu, doa itu tidak akan makbul. Ini seperti disebut di dalam satu hadith,

ادْعُوا اللَّهَ وَأَنْتُمْ مُوقِنُونَ بِالإِجَابَةِ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ لاَ يَسْتَجِيبُ دُعَاءً مِنْ قَلْبٍ غَافِلٍ لاَهٍ
“Berdoalah kepada Allah dalam keadaan yakin akan dikabulkan, dan ketahuilah bahawa Allah tidak mengabulkan doa dari hati yang lalai.”
(Jami’ Tirmidzi No. 3479, daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ) Syaikh Al Albani رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan bahawa hadith ini hasan

Apabila Allah ‎ﷻ tambah إِذَا دَعَانِ (apabila dia berdoa), itu bermaksud tiada had masa. Bila-bila sahaja Allah ‎ﷻ akan jawab. ‘Apabila’ kita berdoa sahaja, Allah‎ ﷻ akan menyahut. Tidak perlu melalui proses-proses tertentu, upacara tertentu macam kena buat Majlis Doa Selamat, Solat Hajat dan sebagainya. Itu semua adalah bid’ah sahaja. Itu adalah rekaan puak-puak yang hendak minta upah daripada orang yang hendak buat majlis itu. Itu semua buang duit sahaja. Kalau kita ada hajat, maka teruslah berdoa terus kepada Allah ‎ﷻ. Tidak perlu tunggu apa-apa lagi.

Allah ‎ﷻ menggunakan perkataan الدَّاعِ yang mengandungi huruf alif lam. Apabila ada alif lam, ini menunjukkan sesuatu perkataan itu adalah khusus. Ini menunjukkan orang yang berdoa itu adalah orang yang dianggap istimewa oleh Allah. الدَّاعِ adalah sesiapa sahaja yang berdoa kepada Allah ‎ﷻ. Ramai orang yang tidak berdoa dengan Allah ‎ﷻ, tetapi mereka yang berdoa terus kepada Allah ‎ﷻ adalah istimewa sekali.

Hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang boleh terima doa, tidak ada entiti lain yang boleh buat sebegitu. Oleh itu tidak boleh berdoa melalui perantaraan seperti Solat Hajat berjama’ah yang selalu dibuat masyarakat kita itu. Sikit-sikit Solat Hajat. Itu semua adalah perbuatan salah sangka kepada Allah ‎ﷻ – kerana mereka rasa Allah ‎ﷻ tidak menerima doa mereka kalau tidak buat Solat Hajat. Padahal dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ kata Dia dekat dengan kita. Oleh itu ketahuilah yang tidak ada amalan Solat Hajat berjama’ah dalam Islam. Kalau hendak berdoa, lepas solat yang biasa kita buat, sama ada solat fardhu atau solat sunat, boleh terus berdoa kepada Allah ‎ﷻ. Tidak perlu diberi nama ‘Solat Hajat’ pun boleh berdoa juga kerana apabila diberikan nama kepada solat itu, manusia akan mereka-reka apakah amalan yang termasuk dalam solat itu. Iaitu mulalah mereka akan tanya apakah surah untuk dibaca dalam raka’at pertama, raka’at kedua dan apakah doa yang hendak dibaca dan sebagainya. Itu semua adalah rekaan sahaja kerana Nabi ﷺ tidak mengajar Solat Hajat kepada umatnya. Nabi ﷺ suruh kita berdoa dalam solat dan tidak kira solat apa-apa pun. Dalil-dalil yang diberi untuk menghalalkan Solat Hajat itu adalah amat lemah sekali. Maka dalil-dalil itu tidak boleh dipakai. Yang ada hanya solat sunat biasa sahaja.

Kita kenalah berdoa terus kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Kenapa hendak berdoa melalui perantaraan lain lagi, sedangkan Allah ‎ﷻ sendiri sebut dalam ayat ini bahawa Dia adalah dekat dan Dia akan jawab sendiri doa-doa kita? Tidak ada Nabi, tidak ada wali dan tidak ada Malaikat yang boleh sahut doa. Betapa malang ada ajaran sesat yang mengajar bermacam-macam ajaran salah, sampai ada sekolah tahfiz mengajar anak muridnya untuk beri salam kepada Tok Kenali supaya dengan berkat Tok Kenali, mudah hafal Al-Qur’an. Itu adalah syirik kepada Allah ‎ﷻ; dan ada yang jual air yang telah didoakan supaya apabila pelajar minum, boleh jadi cerdik. Itu semua daripada ajaran sesat belaka. Pelajar bukan Islam tidak minum pun air penerang hati tok guru dan mereka lebih pandai pula daripada orang kita. Tidak pelikkah begitu?

Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ kata kalau berdoa kepada-Nya, Allah ‎ﷻ akan jawab setiap kali manusia meminta. Tidak kira siang atau malam. Bukan macam manusia – kadang kalau kita telefon orang, belum tentu mereka akan jawab panggilan kita. Ini menunjukkan Allah ‎ﷻ meluangkan masa untuk kita. Alangkah hebatnya dan alangkah sayangnya Allah ‎ﷻ kepada kita. Bandingkan kalau di dunia ini: Katakanlah kita ada ketua syarikat. Semakin tinggi kedudukan bos itu dan semakin rendah kedudukan kita, semakin kurang peluang untuk dapat bercakap-cakap dengan bos besar kita itu. Namun tidak dengan Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ boleh menyahut panggilan kita pada bila-bila masa sahaja. Dengan Allah ‎ﷻ, iaitu Dzat yang paling tinggi boleh berkomunikasi dengan yang paling rendah. Walaupun Allah ‎ﷻ yang paling tinggi dan kita yang berpangkat hamba sahaja.

Mintalah apa sahaja yang kita hendak minta. Jangan malu hendak minta kepada Allah ‎ﷻ. Ada orang yang malu hendak minta syurga kepada Allah ‎ﷻ kerana mereka rasa mereka banyak dosa dan mereka rasa mereka tidak layak masuk syurga. Jangan begitu, kenalah kita minta masuk syurga dan kena minta masuk syurga yang paling tinggi sekali – Syurga Firdaus.

Allah ‎ﷻ menggunakan perkataan دَعْوَةَ yang dari segi nahu bermaksud ‘satu doa’ sahaja. Tidak perlu banyak kali doa, sekali doa sahaja Allah ‎ﷻ sudah boleh jawab. Tambahan pula kalau banyak kali. Ini juga bermaksud, tidak ada syarat untuk Allah ‎ﷻ membalas doa kita. Katakanlah kita ini orang yang banyak dosa, pun Allah ‎ﷻ tidak tolak doa kita itu. Allah ‎ﷻ masih lagi akan jawab doa kita. Tidak perlu kita menggunakan perantaraan dalam doa kita kerana kita takut Allah ‎ﷻ tidak dengar doa kita. Ketahuilah, Allah ‎ﷻ dengar doa kita. Dia hendak sangat kita doa kepada-Nya.

Satu lagi maksud perkataan الدَّاعِ adalah ‘pendoa’. Bermaksud sesiapa sahaja yang berdoa. Tidak semestinya orang yang berdoa itu orang alim, orang yang kuat ibadat, orang yang selalu solat, orang yang selalu ke masjid, tidak. Sebab salah faham beginilah yang menyebabkan orang kita apabila hendak doa, mereka akan minta orang lain doakan. Mereka akan minta ‘orang surau’ datang berdoa. Maka, mereka buat majlis ‘Doa Selamat’ di rumah mereka dan panggil orang surau datang untuk mendoakan untuk mereka. Itu semua adalah salah faham dengan konsep doa. Jangan kita sangka doa kita tidak didengari oleh Allah ‎ﷻ kalau kita doa sendiri. Jangan begitu, jangan kita buruk sangka dengan Allah ‎ﷻ. Itu adalah buruk sangka kerana Allah ‎ﷻ tidak pernah kata Dia akan tolak doa kita kalau kita banyak dosa. Itu adalah salah sangka kita sahaja kepada Allah ‎ﷻ dan kerana telah diajar oleh guru-guru yang sesat. Merekalah yang memandai kata Allah ‎ﷻ tidak dengar doa orang yang berdosa. Mereka ajar begitu supaya kita minta mereka doakan untuk kita dan mereka akan minta upah untuk doakan bagi pihak kita. Mereka hendakkan habuan dunia sebenarnya. Semua berkenaan duit juga, akhirnya. Mereka sendiri agaknya tidak kenal Allah ‎ﷻ, sampaikan mereka boleh ajar benda-benda begitu. Maka kita sebenarnya tidak perlu pun cari ‘orang soleh’ untuk mendoakan bagi pihak kita. Berdoalah sendiri kerana doa kita lebih ikhlas daripada sesiapa yang lain pun.

Perhatikan susunan potongan ayat ini: Allah ﷻ sebut أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ (Aku menyahut doa pendoa) dahulu sebelum sebut إِذَا دَعَانِ (apabila dia berdoa kepada-Ku). Maknanya Allah ﷻ sebut dulu yang Dia dengar doa sebelum disebut tentang perbuatan doa. Ini memberi isyarat sebelum kita berdoa lagi Allah ﷻ telah sudi mendengar doa kita, sedang menunggu-nunggu doa kita. Kesudian Allah ﷻ lebih cepat daripada perbuatan kita sendiri. Hebat, bukan?

Ayat ini dengan jelas menceritakan tentang doa dan bagaimana Allah ‎ﷻ akan menjawab doa itu. Ada beberapa syarat yang perlu dipenuhi berdasarkan ayat ini untuk Allah ‎ﷻ mendengar dan menjawab doa kita.

1. Doa itu perlu ikhlas. Hanya kepada Allah ‎ﷻ sahaja.

2. Doa dilakukan dengan sedar. Faham apa yang kita doa.

3. Doa dengan merendahkan diri. Mengharap sangat dengan Allah ‎ﷻ. Kita kena kecilkan diri kita.

4. Berdoa dalam keadaan takut dengan Allah ‎ﷻ dan juga dalam keadaan hormat kepada Allah ‎ﷻ. Kadang-kadang kita minta dengan orang, kita tidak hormat kepada mereka. Jangan kita buat begitu dengan Allah ‎ﷻ. Jangan kata: “Ya Allah, kami sudah banyak solat, berilah apa yang kami minta ini.”

5. Doa yang sesuai. Janganlah seorang perempuan berdoa minta hendak jadi Perdana Menteri pula. Itu tidak sesuai. Doa itu juga bukanlah perkara untuk berbuat dosa.

 

فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي

maka hendaklah mereka cuba untuk menyahut-Ku;

Hendaklah mereka cuba menyahut seruan iman daripada Allah ‎ﷻ. Ikutlah apa sahaja yang Allah ‎ﷻ suruh kita buat. Taatlah kepada Allah ‎ﷻ. Taat itu mesti hanya kepada Allah ﷻ kerana kalimah yang digunakan di sini adalah لي yang boleh bermaksud ‘milik-Ku sahaja’, atau ‘hanya kepada-Ku’. Kalau kita mahu Allah ‎ﷻ menyahut doa kita, maka hendaklah kita menyahut seruan Allah ‎ﷻ, arahan Allah ‎ﷻ. Bukannya pergi cari syeikh itu dan ini, kubur itu dan ini, wali itu dan ini, orang soleh itu dan ini dan minta kita doakan bagi pihak kita. Sebaliknya kita sendiri kena perbaiki amalan kita sendiri.  Sayidina Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dia berkata:

ثُمَّ ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ يَا رَبِّ يَا رَبِّ وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ ‏…
Kemudian dia (Nabi ﷺ) menceritakan tentang seorang lelaki yang telah menempuh perjalanan jauh (musafir), sehingga rambutnya kusut, masai dan berdebu. Orang itu mengangkat tangannya ke langit seraya berdoa: “Wahai Tuhanku, wahai Tuhanku.” Padahal, makanannya daripada barang yang haram, minumannya daripada yang haram, pakaiannya daripada yang haram dan diberi makan daripada yang haram, maka bagaimanakah Allah akan memperkenankan doanya?” 


(Sahih Muslim No. 1015)

Lihatlah bagaimana ayat ini menggunakan pilihan perkataan. Apabila Allah ‎ﷻ menyebut Dia jawab, Dia gunakan perkataan أُجِيبُ, yang bermaksud Dia akan terus jawab. Namun apabila menyebut tentang kita, Allah ‎ﷻ menggunakan perkataan فَلْيَسْتَجِيبُوا, yang bermaksud dari segi nahwu, ‘cubalah’ untuk menyahut seruan-Nya. Allah ‎ﷻ suruh kita buat seboleh mungkin sahaja kerana Allah ‎ﷻ tahu betapa lemahnya kita.

Oleh yang demikian, ayat ini adalah antara cara-cara berdoa yang diajar sendiri oleh Allah ‎ﷻ. Memang banyak disebut tentang adab-adab doa ini, antaranya [Anbiya’: 90 ]

إِنَّهُم كانوا يُسٰرِعونَ فِي الخَيرٰتِ وَيَدعونَنا رَغَبًا وَرَهَبًا ۖ وَكانوا لَنا خٰشِعينَ
Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang selalu bersegera dalam (mengerjakan) perbuatan-perbuatan yang baik dan mereka berdoa kepada Kami dengan harap dan cemas. Dan mereka adalah orang-orang yang khusyu’ kepada Kami.

Maknanya inilah tawassul yang dibenarkan iaitu dengan menggunakan amal kebaikan yang kita lakukan. Sebagai contoh, sedekah dan kemudian berdoa dan begitulah contoh yang diajar di dalam Al-Qur’an dan hadith Nabi. Maka ambil peluang di bulan Ramadhan ini untuk memperbanyakkan doa kerana siang hari kita berpuasa dan di malam hari kita beribadah lagi seperti Solat Terawih.

 

وَلْيُؤْمِنُوا بِي

dan hendaklah beriman kepada-Ku;

Ayat ini bermakna hendaklah kita yakin bahawa Allah ‎ﷻlah sahaja yang boleh memperkenankan doa kita. Ayat ini juga bermaksud, hendaklah mereka yakin bahawa Allah ‎ﷻ telah mendengar doa mereka. Percaya yang Allah ﷻ akan memilih yang terbaik bagi kita. Maka kadangkala Allah ﷻ tidak beri apa yang kita minta sebaliknya Dia akan beri yang lebih baik untuk kita. Inilah iman yang perlu ada. Perumpamaannya seperti seorang ayah yang bijak dan sayangkan anak-anaknya. Ayah tidak memberi apa sahaja yang diminta oleh anaknya walaupun didesak jikalau permintaan anak itu tidak sesuai, bukan?

Lagi satu, kita kena tingkatkan iman kita. Maka kena percaya yang doa hanya untuk Allah ﷻ sahaja, jangan dicampur-campur dengan permintaan kepada selain Allah ﷻ. Itu adalah perbuatan syirik dan ia dilakukan oleh manusia yang tidak ada iman yang sempurna.

Satu perkara penting berkenaan doa yang hendak disampaikan di sini. Berapa ramai yang kita dengar, apabila kita nasihatkan mereka untuk berdoa kepada Allah ‎ﷻ, mereka jawab: “Dah doa dah, tapi tak dapat lagi…”. Mereka sangka doa kepada Allah ‎ﷻ itu macam “order” pizza, agaknya. Bila “order”, tidak lama lagi sampai. Tidaklah begitu dan jangan kita ada pemahaman begitu dan cakap begitu. Allah ‎ﷻ Maha Tahu apa yang kita perlukan. Allah ‎ﷻ akan memberi kepada kita mengikut keperluan kita. Bukan ikut apa yang kita hendak. Kita kena percaya kepada Allah ‎ﷻ yang Allah ‎ﷻ akan memberi yang terbaik untuk kita.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏ “‏ يُسْتَجَابُ لأَحَدِكُمْ مَا لَمْ يَعْجَلْ يَقُولُ دَعَوْتُ فَلَمْ يُسْتَجَبْ لِي ‏‏
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dia berkata: Sesungguhnya Rasulullah ﷺ telah bersabda: “Akan dikabulkan permintaan seseorang di antara kamu, selagi tidak tergesa-gesa, iaitu mengatakan: Saya telah berdoa tetapi belum dikabulkan”.
(Sahih Al-Bukhari No. 6340)

Itulah sebabnya dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ suruh kita ‘beriman kepada-Nya’. Maksudnya adalah percaya bahawa Allah ‎ﷻ akan memberi kepada kita apa yang kita perlukan. Allah ﷻ akan beri yang terbaik. Oleh itu, jangan kita segan untuk doa dan jangan kita berputus asa untuk berdoa. Allah ‎ﷻ pasti mendengar doa kita, tetapi Allah ‎ﷻ membalas doa kita itu dengan tiga macam:

1. Allah ‎ﷻ akan beri apa yang kita hendak dan diberi semasa di dunia lagi. Contohnya, kita doa supaya diberikan pasangan hidup, maka Allah ‎ﷻ beri pasangan hidup untuk kita.

2. Allah ‎ﷻ beri lain daripada apa yang kita hendak. Kita minta pasangan hidup, tetapi Allah ‎ﷻ tidak beri. Allah ‎ﷻ berikan benda lain, contohnya, Allah ‎ﷻ berikan keselamatan untuk kita kerana kita lebih memerlukan keselamatan itu.

Iaitu Allah ‎ﷻ jauhkan keburukan daripada kita. Kita pun tidak tahu apakah yang Allah ‎ﷻ telah selamatkan kita. Tentunya sudah banyak perkara yang Allah‎ ﷻ telah berikan kepada kita, tetapi kita tidak sedar pun.

3. Allah ‎ﷻ tidak beri di dunia, tetapi Allah ‎ﷻ akan balas di akhirat kelak. Akan diganti dalam bentuk pahala dan balasan yang lebih baik lagi. Allah ‎ﷻ simpan dan balas di akhirat. Malah balasan di akhirat itu nanti akan berlipat kali ganda daripada apa yang kita minta dahulu.

Oleh itu, ada riwayat yang mengatakan bagaimana apabila ahli syurga melihat balasan yang Allah ‎ﷻ ganti daripada doa mereka semasa di dunia dulu. Mereka suka sangat dengan balasan itu, sampaikan mereka berkata: “Alangkah baiknya kalau tidak ada satu pun doa kita semasa di dunia dulu dimakbulkan, supaya kita akan mendapat balasnya di akhirat ini”. Itu adalah kerana apa yang mereka dapat di akhirat itu berlipat kali ganda daripada apa yang mereka dapat di dunia jikalau Allah ‎ﷻ tidak makbulkan semasa di dunia.

ما مِنْ مُسْلِمٍ يَدْعُو بِدَعْوَةٍ لَيْسَ فِيهَا إِثْمٌ وَلاَ قَطِيعَةُ رَحِمٍ إِلاَّ أَعْطَاهُ اللَّهُ بِهَا إِحْدَى ثَلاَثٍ إِمَّا أَنْ تُعَجَّلَ لَهُ دَعْوَتُهُ وَإِمَّا أَنْ يَدَّخِرَهَا لَهُ فِى الآخِرَةِ وَإِمَّا أَنُْ يَصْرِفَ عَنْهُ مِنَ السُّوءِ مِثْلَهَا. قَالُوا إِذاً نُكْثِرُ. قَالَ  اللَّهُ أَكْثَرُ
“Tidaklah seorang muslim memanjatkan doa pada Allah selama tidak mengandung dosa dan memutuskan silaturahmi (antar kerabat, pen) melainkan Allah akan beri padanya tiga hal: [1] Allah akan segera mengabulkan doanya, [2] Allah akan menyimpannya baginya di akhirat kelak, dan [3] Allah akan menghindarkan daripadanya kejelekan yang semisal.” Para sahabat رضي الله عنهم lantas mengatakan, “Kalau begitu kami akan memperbanyak berdoa.” Nabi ﷺ lantas bersabda, “Allah nanti yang memperbanyak mengabulkan doa-doa kalian.”
[Musnad Ahmad 3/18, daripada Abu Sa’id رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ]. Syaikh Syu’aib Al Arnauth رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan bahwa sanadnya jayyid

Ini mengajar kita suatu perkara yang amat penting tentang doa. Kita wajib berdoa kepada Allah ﷻ tetapi hukumnya harus sahaja bagi Allah ﷻ untuk beri atau tidak. Tidak semestinya Allah ﷻ terus beri apa yang kita minta. Kadang-kadang kita fikir, apabila Allah ﷻ makbulkan dengan segera, itu tanda Allah ﷻ sayang. Akan tetapi, adakah begitu? Ada pendapat yang mengatakan kalau permintaan kita tidak terus dijawab itulah tanda Allah ﷻ sayang. Kerana Allah ﷻ suka mendengar doa hamba yang disayangi-Nya itu, maka tidak terus dimakbulkan. Sedangkan hamba yang tidak disayangi pula terus dimakbulkan kerana Allah ﷻ tidak mahu mendengar doanya lagi.

Oleh itu, jangan berputus asa dalam berdoa kepada Allah ‎ﷻ, tetapi hendaklah kita beriman kepada Allah ‎ﷻ dan percaya bahawa Allah‎ ﷻ akan memberi mengikut keperluan kita, bukan kehendak kita. Tidak kira berapa banyak doa kita, Allah ‎ﷻ boleh balas semuanya sekali. Ingatlah yang kita WAJIB berdoa kepada Allah ‎ﷻ; tetapi Allah ‎ﷻ HARUS sahaja untuk beri apa yang kita minta. Kita boleh lihat contoh Maryam. Betapa makbulnya doanya sampaikan mendapat makanan terus daripada Allah ﷻ seperti disebut di dalam Ali Imran: 37

كُلَّما دَخَلَ عَلَيها زَكَرِيَّا المِحرابَ وَجَدَ عِندَها رِزقًا ۖ قالَ يٰمَريَمُ أَنّىٰ لَكِ هٰذا ۖ قالَت هُوَ مِن عِندِ اللَّهِ ۖ إِنَّ اللَّهَ يَرزُقُ مَن يَشاءُ بِغَيرِ حِسابٍ
Tiap-tiap kali Nabi Zakaria masuk untuk menemui Maryam di Mihrab, dia dapati rezeki (buah-buahanan yang luar biasa) di sisinya. Nabi Zakaria bertanya:” Wahai Maryam dari mana engkau dapati (buah-buahan) ini?” Maryam menjawab; “Ia daripada Allah, sesungguhnya Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dengan tidak dikira”.

Akan tetapi ada doa beliau yang tidak dimakbulkan iaitu doanya yang diulang di dalam Maryam: 23

فَأَجاءَهَا المَخاضُ إِلىٰ جِذعِ النَّخلَةِ قالَت يَـٰلَيتَنِى مِتُّ قَبلَ هٰذا وَكُنتُ نَسيًا مَّنسِيًّا|
(Ketika dia hendak bersalin) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar (kurma); dia berkata alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang!

Jadi kalau doa Maryam pun ada yang Allahﷻ  tidak makbulkan di dunia, maka jangan peliklah kalau banyak doa-doa kita tidak dimakbulkan. Jangan risau kerana balasan kepada doa kita itu akan menanti di syurga kelak!

 

لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ

Mudah-mudahan mereka mendapat petunjuk.

Apakah beza ‘hidayah’ dan رشد? Kedua-duanya ada elemen ‘petunjuk’ di dalamnya. Ulama’ mengatakan رشد bermaksud ‘mengamalkan’ hidayah yang telah diterima itu. Amal dan terus mengamalkannya. Kadang-kadang kita telah tahu apa yang hendak dibuat, tetapi kita tidak amalkan. Ataupun kita buat sedikit sahaja, sekejap sahaja. Itu bukanlah ‘رشد’. Jadi, kita boleh tahu bahawa رشد adalah istiqamah dalam beramal kebaikan. Ini adalah satu dugaan yang perlu dilakukan.

Oleh itu, berdasarkan ayat ini, kalau kita beriman dan taat kepada Allah ‎ﷻ, itu adalah jalan untuk mendapat petunjuk – رشد. Orang yang mendapat رشد akan menjalani kehidupan ini dengan baik, dengan sempurna. Selalu dalam kehidupan ini, banyak dugaan yang kita akan hadapi. Kita kena berperang dengan syaitan dan juga nafsu kita sendiri. Untuk menghadapinya, hendaklah kita berharap dan memohon pertolongan kepada Allah ‎ﷻ. Maka, kenalah kita berdoa kepada Allah ‎ﷻ untuk mendapatkan perkara ini kerana perkara ini disebut dalam ayat tentang doa. Allah ‎ﷻ sahaja yang boleh memimpin kita. Kita minta kepada Allah ‎ﷻ untuk pimpin kita dalam segenap perjalanan hidup kita kerana kadang-kadang kita tidak tahu apakah perkara yang terbaik yang patut kita lakukan dalam satu-satu pekerjaan kita. Maka, dalam hal itu, kita mintalah petunjuk kepada Allah ‎ﷻ.

Ayat ini masih lagi dalam bahagian Puasa. Maka, kita kena ambil peluang berdoa dalam bulan Puasa ini. Doa itu termakbul selepas kita melakukan ibadah. Maka, selepas sepanjang hari kita berpuasa, maka ambillah peluang untuk berdoa. Semasa kita tunggu untuk berbuka, ambillah masa untuk berdoa. Jangan sibuk dengan hendak sediakan makanan, sibuk hendak makan sahaja. Kalau kita kisah makan sahaja, maka kita akan terlepas peluang keemasan itu. Terdapat beberapa dalil tentang mustajabnya doa setelah berpuasa.

Daripada Abdullah bin ‘Amr رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا berkata bahawa Nabi ﷺ bersabda:

إِنَّ لِلصَّائِمِ عِنْدَ فِطْرِهِ لَدَعْوَةً مَا تُرَدُّ
“Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu ketika dia berbuka doa yang tidak akan ditolak”.
(Riwayat Ibn Majah No. 1753) [Syeikh Syuaib al-Arna’outh رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan sanad hadith ini adalah hasan]

Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata bahawa Nabi ﷺ bersabda:

ثَلَاثَةٌ لَا تُرَدُّ دَعْوَتُهُمْ: الْإِمَامُ الْعَادِلُ، وَالصَّائِمُ حَتَّى يُفْطِرَ، وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ
“Tiga golongan doa mereka tidak akan ditolak: Imam yang adil, orang yang berpuasa sehingga dia berbuka dan doa orang yang dizalimi”.
(Riwayat Ibn Majah No. 1752) [Syeikh Syuaib al-Arna’outh رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan hadith ini adalah hasan]

Daripada Abdullah bin ‘Amr رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا berkata bahawa beliau mendengar Nabi ﷺ bersabda:

لِلصَّائِمِ عِنْدَ إِفْطَارِهِ دَعْوَةٌ مُسْتَجَابَةٌ
“Bagi orang yang berpuasa ketika dia berbuka doa yang mustajab”.
[Lihat: Musnad Abi Daud al-Thoyalisi (2376)]

Kenapa doa orang berpuasa tidak ditolak? Kerana puasa itu kita telah sebutkan sebelum ini adalah latihan hati. Apabila hati telah dididik dan menerima latihan, maka orang itu akan semakin dekat dengan Allah ‎ﷻ. Semakin dekat dengan Allah ‎ﷻ menjadikan Allah ‎ﷻ sayang kepada orang itu dan memakbulkan doanya.

 

Cadangan cara berdoa:

1. Mengucap dua kalimat Syahadah; sebab takut kita ada buat kufur sebelum ini. Maka, kita perbaharui iman dan Islam kita.

2. Istighfar; bacalah banyak-banyak sehingga kita jemu. Sebab kita banyak buat dosa. Selalunya kita hanya minta macam-macam kepada Allah ‎ﷻ, tetapi kita lupa dosa kita amat banyak dengan Allah ‎ﷻ.

Bayangkan, kalau anak yang banyak buat salah minta wang kepada ayahnya, tentu ayahnya berat hati hendak bagi. Akan tetapi, kalau anak itu datang kepada ayahnya mengaku kesalahan yang dia telah buat, dan dia kata dia tidak akan buat lagi kesalahan itu, tentu ayah itu akan lembut hati dan baru lega hati hendak beri wang kepada anak itu.

3. Taubat; rukun taubat salah satunya adalah berazam untuk tidak buat dosa yang telah kita buat. Minta ampun atas dosa yang telah kita lakukan dan azam untuk tidak buat lagi. Mintalah ampun atas dosa kita, dosa dua ibubapa kita dan dosa seluruh umat Islam.

4. Tasbih kepada Allah ‎ﷻ berulang-ulang. Bertasbihlah sampai kita rasa sudah banyak dan rasa jemu. Tidak ada bilangan tertentu yang ditetapkan.

5. Solat sunat dua rakaat; sebagai tanda hendak minta doa kepada Allah‎ ﷻ. Solat adalah ibadat yang paling besar sekali. Akan tetapi ini bukan Solat Hajat. Bukan juga Solat Taubat. Sebenarnya tidak ada solat Hajat dan Solat Taubat dalam Islam. Itu hanyalah rekaan sahaja.

Ia sebenarnya hanya solat sunat mutlak dan mudah sahaja untuk dilakukan. Bacalah surah apa-apa sahaja. Tidak ada ketetapan apa-apa dalam solat ini melainkan cara solat sahaja.

6. Selawat kepada Nabi ﷺ. Bukan kerana Nabi ﷺ akan menyampaikan doa itu tetapi kerana Nabi ﷺlah yang telah menyampaikan ajaran agama kepada kita supaya kita selamat. Maka, kita hargai usaha Nabi ﷺ itu dengan berdoa kepada Allah ‎ﷻ supaya memberi kebaikan kepada Nabi ﷺ.

7. Mulakan doa dengan mengaku bahawa Allah ‎ﷻ adalah Tuhan kita; Ini amat jarang sekali orang buat. Katakanlah bahawa Allah ‎ﷻ yang menjadikan alam ini dan kita semua sekali. Kena bodek Allah ‎ﷻ dengan mengaku yang hanya Dia sahaja yang boleh tolong dan boleh selesaikan masalah kita.

Sebutkan Sifat-sifat Allah ‎ﷻ yang disebut dalam Al-Qur’an. Atau ikut cara Nabi ﷺ ajar bagaimana hendak bodek Allah ‎ﷻ. Sebutkan kalimah-kalimah yang Nabi ﷺ telah ajar kita. Cara yang Nabi ﷺ ajar adalah yang terbaik sekali. Kalau kita tahu cara yang Nabi ﷺ ajar, baik kita ikuti. Akan tetapi kalau kita tidak tahu atau belum berjumpa lagi, bolehlah kita gunakan sahaja bahasa yang datang dari kita sendiri.

8. Mintalah apa sahaja yang kita hendak minta. Katakan juga: Kalau Allah ‎ﷻ kabulkan doa ini, Allah ‎ﷻlah Tuhan. Kalau Allah ‎ﷻ tidak makbulkan, Allah ‎ﷻ jua Tuhan kita tetapi kalau bukan kepada Allah ‎ﷻ kita meminta, kepada siapa lagi yang kita boleh minta tolong?

9. Selepas berdoa, hendaklah kita pohon supaya Allah ‎ﷻ perkenankan doa kita. Sekurang-kurangnya sebutlah aameen.

10. Jangan kita putus asa dengan Allah ‎ﷻ. Kita kena yakin yang Allah ‎ﷻ akan terima doa kita. Terus berdoa lagi dan lagi.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 3 Januari 2025

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Baqarah Ayat 185 (Ramadhan Bulan Al-Qur’an)

KEUTAMAAN BULAN RAMADHAN

Baqarah Ayat 185: Setelah disebut sebelum ini tentang puasa, sekarang disebut bulan di mana puasa itu diwajibkan iaitu bulan Ramadhan. Sebelum ini telah disebut أَيّامًا مَعدودٰتٍ dan sekarang dijelaskan berapa hari.

شَهرُ رَمَضانَ الَّذي أُنزِلَ فيهِ ٱلقُرءَانُ هُدًى لِّلنّاسِ وَبَيِّنَـٰتٍ مِّنَ الهُدىٰ وَالفُرقانِ ۚ فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ الشَّهرَ فَليَصُمهُ ۖ وَمَن كانَ مَريضًا أَو عَلىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّن أَيّامٍ أُخَرَ ۗ يُريدُ اللَّهُ بِكُمُ اليُسرَ وَلا يُريدُ بِكُمُ العُسرَ وَلِتُكمِلُوا العِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلىٰ ما هَدَٮٰكُم وَلَعَلَّكُم تَشكُرونَ

Sahih International

The month of Ramadhan [is that] in which was revealed the Qur’an, a guidance for the people and clear proofs of guidance and criterion. So whoever sights [the new moon of] the month, let him fast it; and whoever is ill or on a journey – then an equal number of other days. Allah intends for you ease and does not intend for you hardship and [wants] for you to complete the period and to glorify Allah for that [to] which He has guided you; and perhaps you will be grateful.

 

Malay

(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Qur’an, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka, Kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur.

 

شَهْرُ رَمَضَانَ

Bulan Ramadhan itu

Ini adalah penjelasan tentang lafaz أَيَّامًا مَعْدُودَاتٍ (beberapa hari yang ditentukan) dalam ayat sebelum ini. Jadi, hari-hari yang dimaksudkan adalah sebulan Ramadhan. Bulan yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah bulan Qamariah (lunar month) – yang orang kita selalu sebut ‘bulan Islam’ (a misnomer kerana ia bukanlah bulan untuk umat Islam sahaja sebenarnya). Daripada perkataan syahru itu datangnya perkataan isytihar, iaitu isytihar masuk bulan yang baru. Masuk bulan yang baru akan dapat diketahui dengan melihat kepada ‘anak bulan’ – dinamakan Hilal. Itulah sebabnya setiap kali hendak memulakan bulan puasa dan hari raya, akan ada petugas yang akan meneropong melihat anak bulan dan di negara ini, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja akan mengumumkan/isytihar bilakah masuk Ramadhan dan bilakah Hari Raya.

Ramadhan adalah bulan ke-sembilan dalam kalendar Qamariah. Ia adalah satu-satunya nama bulan yang disebut dalam Al-Qur’an. Itulah salah satu daripada keistimewaan bulan Ramadhan ini.

Dari segi makna, Ramadhan bermaksud ‘cuaca yang panas terik’, ‘panggang’, ‘tanah yang panas’. Mungkin semasa bangsa Arab memberi nama kepada nama-nama bulan, dan waktu nama bulan Ramadhan diberi, waktu itu adalah waktu yang amat panas. Kalau zaman sekarang, tidaklah bulan Ramadhan itu sentiasa panas, kerana ada sahaja jatuh di dalam musim sejuk.

Untuk nama bulan ini, sebahagian juga telah menyenaraikan makna lain, seperti Ramadhan berasal daripada “Ramadh al-Sa’im”«رَمَض الصائم», yang bermaksud masa di mana bahagian dalam badan orang yang berpuasa menjadi panas oleh kerana kehausan yang sangat.

Sebahagian yang lain percaya bahawa Ramadhan diambil dari kata «ارماض» Armad yang bermaksud “menangkap api”, kerana dosa di bulan ini terbakar dan hilang dengan amal soleh. Dari segi hikmahnya, dikatakan apabila bulan Ramadhan, dosa orang yang berpuasa ‘dipanggang’ – atau dibakar hingga tiada lagi dosanya.

Sebahagian yang lain menyatakan bahawa Ramadhan itu daripada Ramadhaa «رمضاء», yang bermaksud “batu panas”, kerana hati manusia menjadi luluh kerana didakwah dan kemudian memikirkan akhirat, seperti pasir dan batu yang dipanggang oleh matahari.

Ada pula yang mengatakan bahawa Ramadhan berasal daripada “Ramadhat al-Nasl” «رمضت النصل», yang bermaksud “mengasah bilah pedang” dengan mengasahnya di antara dua batu. Oleh sebab itu, bulan ini dinamakan Ramadhan, di mana orang Arab mengasah senjata mereka kerana mereka selalunya berperang pada bulan Syawal. Nama bulan ini disebut-sebut pada zaman Jahiliyah, dan orang Arab Jahiliyah juga menghormatinya.

 

الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ ٱلقُرءَانُ

adalah bulan yang diturunkan di dalamnya Al-Qur’an;

Iaitu dikatakan pada 17 Ramadhan. Penurunan pada hari nuzul Al-Qur’an atau pada tanggal 17 Ramadhan adalah merupakan penurunan wahyu pertama yang diturunkan ke gua Hira’ yang mana ia melibatkan permulaan surah al-‘Alaq sekali gus bermulanya penurunan wahyu secara beransur-ansur dari Baitul ‘izzah kepada Rasulullah ﷺ. Perkara ini telah dijelaskan oleh Ibn Kathir رَحِمَهُ اللَّهُ dengan menukilkan riwayat Abu Jaafar al-Baqi

كَانَ ابْتِدَاءُ الْوَحْيِ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وسلَّم يوم الِاثْنَيْنِ، لِسَبْعَ عَشْرَةَ لَيْلَةً خَلَتْ مِنْ رَمَضَانَ
“Permulaan wahyu bagi Rasulullah ﷺ pada hari Isnin bersamaan malam 17 dari bulan Ramadan.”
(Rujuk al-Bidayah wa al-Nihayat: 3/11)

Namun ini pun tidaklah ulama’ sepakat tentang tarikhnya. Yang pasti kita tahu yang turunnya pada Malam Qadar sepertimana yang telah dirakamkan oleh Allah ‎ﷻ dalam Qadr: 1:

إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ
Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatulqadar

Malam Qadr itu sebelum diturunkan Al-Qur’an padanya adalah sama seperti malam-malam yang lain tetapi ia menjadi malam yang istimewa sampaikan digandakan pahala kalau beribadat pada malam itu kerana turunnya Al-Qur’an. Ini sama seperti Nabi Muhammad ﷺ sendiri yang sebelum mendapat wahyu Al-Qur’an adalah sama seperti manusia yang lain. Yang memuliakan baginda di dunia dan akhirat adalah kerana Al-Qur’an. Maka kerana itulah yang terbaik di antara kita adalah yang belajar Al-Qur’an dan mengajarkannya. Bukan setakat baca, bukan setakat hafal, malah bukan setakat belajar sahaja tetapi hendaklah diajar kembali kepada orang lain.  Daripada Uthman bin Affan رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa Nabi ﷺ bersabda:

خَيْرُكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ القُرْآنَ وَعَلَّمَهُ
“Sebaik-baik kamu adalah orang mempelajari Al-Qur’an dan mengajarkannya”. Riwayat al-Bukhari No. 5027)

Di dalam ayat ini Allah ‎ﷻ mengingatkan kita tentang Al-Qur’an dalam bulan Ramadhan. Kita kena ingat bahawa Ramadhan adalah ‘bulan Al-Qur’an’. Sebab itu Allah ‎ﷻ banyak menceritakan tentang Al-Qur’an dalam ayat-ayat tentang Ramadhan ini kerana Al-Qur’an itu sendiri diturunkan dalam bulan Ramadhan. Oleh sebab itulah kita berpuasa dalam bulan Ramadhan untuk meraikannya. Ini menunjukkan kepentingan Al-Qur’an itu.

Apakah yang dimaksudkan ‘diturunkan Al-Qur’an dalam bulan Ramadhan’? Pendapat Ibn Abbas mengatakan, ia adalah hari diturunkan Al-Qur’an dari Lauh Mahfuz ke Baitul Izzah. Kemudian diturunkan sedikit demi sedikit kepada Rasulullah. Pendapat kedua mengatakan, bulan Ramadhan itu adalah permulaan proses diturunkan Al-Qur’an yang berperingkat-peringkat itu. Proses penurunan Al-Qur’an itu mengambil masa hampir 23 tahun. Bermula pada hari Nabi ﷺ berada di Gua Hira’ dan waktu itu adalah bulan Ramadhan. Waktu itu tidak ada syariat berpuasa dalam bulan Ramadhan lagi. Oleh kerana ia bermula dari bulan Ramadhan, maka sebab itulah kita berpuasa dalam bulan Ramadhan.

Oleh kerana Al-Qur’an diturunkan di bulan ini, maka bulan Ramadhan adalah bulan untuk kita melipatgandakan usaha untuk membaca dan mempelajari Al-Qur’an. Hendaklah kita banyak baca Al-Qur’an dan belajar tafsir. Kemudian hendaklah kita mentadabbur ayat-ayat Al-Qur’an. Tafsir itu belajar makna ayat-ayat dan tadabbur adalah memikirkan ayat-ayat itu untuk diaplikasikan makna-makna itu di dalam kehidupan kita seharian. Kalau luar Ramadhan pun memang sudah kena belajar, malah dalam bulan Ramadhan kena lebih banyak lagi membaca dan mentadabburi Al-Qur’an.

Sebab itu kita boleh lihat banyak umat Islam akan baca Al-Qur’an bulan Ramadhan ini. Memang lagi senang hendak baca Al-Qur’an dalam bulan Ramadhan kerana syaitan pun tidak ada (diikat). Rasa macam senang sahaja hendak baca Al-Qur’an dalam bulan puasa, bukan? Selalunya, masyarakat Islam akan mengambil peluang bulan Ramadhan ini untuk khatam seluruh kitab Al-Qur’an. Mereka akan baca satu juz Al-Qur’an sehari. Namun kita hendak sampaikan di sini, bukan hanya baca sahaja Al-Qur’an, tetapi hendaklah kita memahami apa yang hendak disampaikan Allah ‎ﷻ dalam Al-Qur’an itu. Maka, hendaklah belajar tafsir Al-Qur’an juga. Jangan kita baca-baca kosong sahaja.

Kenapa Allah ﷻ gunakan kalimah أُنْزِلَ (diturunkan)? Kerana Al-Qur’an adalah kalamullah dan Allah ﷻ di atas langit. Maka ini adalah antara satu lagi hujah yang mengatakan Allah ﷻ di atas langit, bukan di mana-mana, bukan juga wujud tanpa tempat.

 

هُدًى لِّلنَّاسِ

sebagai petunjuk bagi semua manusia;

Al-Qur’an itu adalah petunjuk kepada semua manusia, tidak kira sama ada orang kafir atau orang Islam. Namun orang Islam sahaja yang hendak mengambil pengajaran. Ini adalah satu tempelak lagi kepada bangsa Yahudi. Pada mereka, kalam Allah ‎(Taurat) hanya untuk mereka tetapi kita lihat dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ memberikan Al-Qur’an kepada seluruh manusia. Apabila dikatakan bahawa Al-Qur’an itu adalah untuk ‘semua manusia’, maka ia menjadi tanggungjawab kita untuk menyampaikan Al-Qur’an kepada mereka. Hendaklah kita berdakwah kepada orang bukan Islam pun. Hendaklah kita menyampaikan ayat-ayat Allah ‎ﷻ ini kepada mereka.

Al-Qur’an adalah wadah dakwah yang patut digunakan. Namun, malangnya kita tidak melakukan begitu. Bermacam-macam dakwah kita lakukan, namun malang sekali bukan dengan menggunakan Al-Qur’an. Bagaikan kita malu pula hendak sampaikan Al-Qur’an kepada orang bukan Islam.

Sebenarnya Al-Qur’an itu bermanfaat juga kepada orang kafir sekalipun. Ada yang belajar Al-Qur’an walaupun mereka orang kafir. Ada juga pelajar universiti yang belajar Pengajian Islam tetapi mereka tidak mendapat manfaat keseluruhannya. Mereka belajar hanya untuk mendapatkan sijil sahaja. Ini kerana ada juga manusia yang sudah mendapat هُدًى – petunjuk, tetapi mereka tidak mendapat ‘taufiq’. Taufiq ialah kekuatan yang diberikan oleh Allah ‎ﷻ untuk menjalankan atau mengamalkan hidayah yang mereka telah terima. Berapa ramai yang telah mendapat hidayah, tetapi mereka tidak beramal dengannya? Sebab itulah kita selalu mendengar orang yang berdoa: ‘Semoga kita mendapat taufiq dan hidayah’. Ini kerana tidak cukup sebenarnya dengan mendapat hidayah sahaja. Kita kena juga mendapat dan mengharap taufiq daripada Allah ‎ﷻ juga.

 

وَبَيِّنَـٰتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ

dan berbagai-bagai contoh petunjuk di dalamnya yang jelas;

Al-Qur’an ini adalah kitab yang ada hidayah bagi sesiapa yang mengamalkannya. Perkataan بَيِّنَاتٍ juga bermaksud ‘bukti yang jelas’. Banyak pengajaran dan ilmu yang disampaikan dalam Al-Qur’an itu. Itu semua adalah hidayah daripada Allah ‎ﷻ. Selain daripada itu, Al-Qur’an juga memberikan bukti-bukti kebenaran. Seperti juga kalau kita menyampaikan sesuatu, orang akan minta bukti kepada kita. Maka, begitu juga Al-Qur’an. Tidak hanya Al-Qur’an menyampaikan ilmu, tetapi diberikan juga bukti di dalamnya untuk menjelaskan lagi kebenaran itu.

Hidayah ini ada dua jenis: hidayah ilmu dan hidayah amal. Semua orang boleh mendapat hidayah ilmu tetapi bukan semua dapat hidayah amal. Hidayah amal ini adalah taufiq iaitu kekuatan untuk mengamalkan apa yang kita tahu. Tentang ilmu, semua orang boleh dapat; contohnya ayat-ayat Al-Qur’an, semua manusia sudah dengar sedikit sebanyak. Akan tetapi bukan semua mengamalkannya. Dalil semua manusia boleh dapat hidayah ilmu adalah ayat Fussilat: 17

وَأَمّا ثَمودُ فَهَدَينٰهُم فَاستَحَبُّوا العَمىٰ عَلَى الهُدىٰ
Adapun kaum Tsamud, maka Kami beri petunjuk kepadanya, lalu mereka mengutamakan kesesatan daripada hidayah petunjuk;

Lihatlah bagaimana contoh kaum Tsamud dikatakan mereka telah diberikan dengan petunjuk. Petunjuk inilah hidayah ilmu, di mana dakwah telah disampaikan kepada mereka. Akan tetapi mereka tidak mahu mengamalkannya (hidayah amal). Jadi ini mengajar kita yang kita bukannya setakat cukup dengan tahu itu dan ini sahaja. Kalau tidak mengamalkannya, maka ia langsung tidak bermakna.

 

وَالْفُرْقَانِ

dan sebagai pembeza;

Al-Qur’an membezakan yang haq dan batil. Ia merujuk kepada Al-Qur’an yang diturunkan kepada Nabi Muhammad, supaya baginda sampaikan kepada umat manusia. Ini seperti disebut di dalam Furqan: 1

تَبارَكَ الَّذي نَزَّلَ الفُرقانَ عَلىٰ عَبدِهِ لِيَكونَ لِلعٰلَمينَ نَذيرًا
Maha berkat Allah yang telah menurunkan Al Furqaan (Al Qur’an) kepada hamba-Nya, agar ia menjadi pemberi peringatan kepada seluruh alam,

Maka tugas menyampaikan kepada umat itu telah diteruskan oleh para sahabat dan seterusnya dan seterusnya sampailah kepada agamawan dan para ustaz. Akan tetapi kalau ustaz yang mengajar tidak tahu membezakan yang haq dan batil, maka itu adalah satu kerugian dalam agama. Seorang yang mengajar agama itu sepatutnya kena tahu apa yang boleh dibuat dan yang tidak boleh dibuat. Dia kena beritahu yang boleh dibuat dan yang tidak boleh dibuat kepada masyarakat dan anak muridnya. Ia mestilah berdasarkan ilmu wahyu, bukannya datang daripada kata-kata manusia dan akalnya sendiri. Namun malangnya, banyak guru agama hanya ceritakan tentang apa yang elok dibuat sahaja. Apabila cerita tentang syirik, mereka beri contoh sembah berhala sahaja. Kalau macam itu, ramai kalangan umat Islam tidak terasa pun, langsung tidak terkena batang hidung mereka sendiri. Mereka akan rasa bahawa mereka terselamat daripada mengamalkan syirik. Namun pada hakikatnya, banyak orang kita yang mengamalkan syirik tanpa sedar. Itu adalah kerana mereka tidak diberitahu bahawa perbuatan yang mereka buat itu ada yang syirik. Mereka tidak tahu kerana tidak disampaikan oleh guru agama mereka.

Apabila kita tidak memberitahu kepada anak murid tentang apakah yang salah, ia tidak cukup. Ia seperti mengajar seseorang bagaimana memandu kereta tetapi tidak diajar apa perkara yang tidak boleh dibuat di jalanan. Tidak diajar kepada mereka tentang jalan sehala, “no entry”, lampu kuning, lampu merah dan sebagainya. Akibatnya, mereka tahu pandu kereta tetapi mereka akan mengalami kemalangan tidak lama lagi sebab tidak diberi ilmu lengkap kepada mereka. Sebaliknya, ustaz-ustaz kita, pendakwah-pendakwah, ulama’-ulama’ takut hendak beritahu kesalahan yang dilakukan oleh masyarakat. Kerana mereka takut anak murid dan pendengar ceramah mereka marah dengan mereka. Apabila mereka marah, mereka sudah tidak datang kuliah mereka. Mereka sudah tidak mempunyai ramai pengikut. Bila sudah tidak ramai pengikut, mereka tidak akan memperolehi habuan sumbangan anak-anak murid itu. Itu sebenarnya yang mereka benar-benar takutkan. Maka, berterusanlah anak-anak murid dan masyarakat dalam membuat kesalahan-kesalahan setiap hari. Dalam negara ini, senang sangat ajaran sesat hendak masuk kerana ajaran sesat tidak dihalang, tidak ditegur pula perbuatan salah masyarakat. Mereka cuma ‘tambah’ sahaja amalan yang baru.

Sepatutnya teguran kena sentiasa diberikan kepada masyarakat. Namun, apabila puak sunnah tegur kesalahan yang dilakukan masyarakat, maka melentinglah mereka. Sebab pada mereka, cakaplah apa sahaja, tetapi jangan tegur kesalahan mereka. Maka, kalau cakap Majlis Tahlil itu salah, talqin itu tidak ada dalam Islam, Solat Hajat berjemaah itu pun tidak ada, dan macam-macam lagi, maka akan marahlah masyarakat.

Perkataan الْفُرْقَانِ itu bermaksud membezakan yang haq dan yang batil. Bezakan antara yang benar dan yang salah. Apabila belajar tafsir Al-Qur’an dan faham Al-Qur’an, seseorang itu sudah dapat membezakan mana yang salah dan mana yang benar. Lihatlah bagaimana perkataan الْفُرْقَانِ ini disebut selepas disebut ‘hidayah’. Oleh itu, kita dapat tahu, untuk mendapat الْفُرْقَانِ , kita kena mendapat hidayah terlebih dahulu.

Tidak perlu Al-Qur’an beritahu semua sekali kerana tidak cukup satu naskah Al-Qur’an kalau hendak cerita semua kesalahan yang manusia lakukan. Maka, Al-Qur’an memberikan ‘formula’ mana yang salah dan mana yang benar. Supaya mereka yang faham, dapat menggunakan formula itu untuk menilai sama ada amalan atau sesuatu fahaman itu betul atau salah. Sebagai contoh, dalam Al-Qur’an, disuruh kita berbuat baik kepada ibubapa, dan tidak berkata buruk kepada mereka, walau dengan kata: “uff”. Namun tidak disebut jangan pukul mereka, jangan tengking mereka. Itu semua walaupun tidak disebut, tetapi daripada apa yang sedikit yang telah diberitahu dalam Al-Qur’an, kita sudah dapat membezakan mana yang elok dibuat dan mana yang elok ditinggalkan. Semua ini akan dapat diketahui kalau belajar tafsir Al-Qur’an dan belajar Sunnah dengan cara yang betul.

Sebagai contoh lagi, kalau sudah mula belajar tafsir Al-Qur’an, seseorang itu sudah dapat menilai apakah yang disampaikan oleh ustaz-ustaz yang mengajar sekarang. Mereka sudah mula dapat rasa ada yang ‘tidak kena’ dengan apa yang disampaikan itu. Namun oleh kerana baru belajar, mungkin mereka tidak pasti manakah yang salah. Namun mereka sudah dapat rasakan ada yang tidak kena. Maka, mereka akan senang untuk mencari jawapan kepada apa yang dimusykilkan itu.

 

Mendekatkan diri dengan Al-Qur’an:

Ayat tentang Al-Qur’an ini disampaikan kepada umat Islam. Tentulah mereka sudah tahu bahawa Al-Qur’an itu:

– penyampai hidayah

– bukti yang nyata

– pembeza antara haq dan batil.

Allah ‎ﷻ sebut juga dalam Al-Qur’an ini sebagai peringatan kepada umat Islam kerana Allah ‎ﷻ hendak kita melihat Al-Qur’an itu sebagai satu elemen yang baru. Setiap tahun, apabila datang bulan Ramadhan, kita memperbaharui pemahaman kita tentang Al-Qur’an. Kita lihat Al-Qur’an dengan kaca mata yang lain; iaitu pemahaman yang lebih lagi daripada tahun-tahun yang lepas. Kita boleh lihat Rasulullah ﷺ sendiri mengulang bacaan Al-Qur’an kepada Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ setiap kali bulan Ramadhan seperti disebut di dalam hadith,

أَنَّ ابْنَ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَجْوَدَ النَّاسِ بِالْخَيْرِ وَكَانَ أَجْوَدُ مَا يَكُونُ فِي رَمَضَانَ حِينَ يَلْقَاهُ جِبْرِيلُ وَكَانَ جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلَام يَلْقَاهُ كُلَّ لَيْلَةٍ فِي رَمَضَانَ حَتَّى يَنْسَلِخَ يَعْرِضُ عَلَيْهِ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْقُرْآنَ فَإِذَا لَقِيَهُ جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلَام كَانَ أَجْوَدَ بِالْخَيْرِ مِنْ الرِّيحِ الْمُرْسَلَةِ
Bahawa Ibnu ‘Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا berkata: “Nabi ﷺ adalah orang yang paling lembut (dermawan) dalam segala kebaikan. Dan kelembutan baginda yang paling baik adalah saat bulan Ramadhan ketika Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ datang menemui baginda. Dan Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ datang menemui baginda pada setiap malam di bulan Ramadhan (untuk membacakan Al Qur’an) hingga Al-Qur’an selesai dibacakan untuk Nabi ﷺ. Apabila Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ datang menemui baginda, maka baginda adalah orang yang paling lembut dalam segala kebaikan melebihi lembutnya angin yang berhembus”.
(Sahih Bukhari No. 1769)

 

فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ الشَّهرَ فَليَصُمهُ

Maka sesiapa di antara kamu yang menyaksikan anak bulan maka hendaklah dia berpuasa (pada bulan itu);

Sebelum ini hanya diwajibkan tiga hari sahaja berpuasa dalam sebulan. Kali ini, bilangan hari yang diwajibkan adalah sebulan. Bulan Ramadhan itu dimulakan dengan melihat anak bulan (hilal). Apabila nampak anak bulan itu, maka itu adalah tanda bahawa bulan Ramadhan sudah bermula. Rasulullah ﷺ telah bersabda,

أَنَّ ابْنَ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّه صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِذَا رَأَيْتُمُوهُ فَصُومُوا وَإِذَا رَأَيْتُمُوهُ فَأَفْطِرُوا فَإِنْ غُمَّ عَلَيْكُمْ فَاقْدُرُوا لَهُ وَقَالَ غَيْرُهُ عَنْ اللَّيْثِ حَدَّثَنِي عُقَيْلٌ وَيُونُسُ لِهِلَالِ رَمَضَانَ
Bahawa Ibnu’Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا berkata; Aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda: “Jika kamu melihatnya maka berpuasalah dan jika kamu melihatnya lagi maka berbukalah. Apabila kalian terhalang oleh awan maka kirakanlah jumlahnya (jumlah hari disempurnakan)”. Dan berkata, [selainnya] daripada [Al Laits] telah menceritakan kepada saya [‘Uqail] dan [Yunus]: “Ini maksudnya untuk hilal bulan Ramadhan”.
(Sahih Bukhari No. 1767)

Nampak anak bulan itu pun kepada sesiapa yang berada di mukimnya. Kita tidak boleh ikut negara lain yang jauh daripada kita kerana seperti juga waktu solat tidak sama antara satu tempat dengan tempat yang lain, begitu juga dengan permulaan bulan Ramadhan. Sebagai contoh, kalau di negara Jepun sudah nampak anak bulan, belum tentu satu dunia sudah boleh mula puasa. Kena lihat sama ada anak bulan nampak di kawasannya juga. Kerana perbezaan inilah yang menyebabkan kadangkala kita puasa tidak sama dengan Arab Saudi, contohnya.

Nampak anak bulan adalah tanda untuk memulakan puasa pada bulan Ramadhan. Ada satu hadith di mana sahabat-sahabat tidak nampak anak bulan. Kemudian datang seorang lelaki yang kata dia nampak anak bulan. Nabi ﷺ tidak mengenal lelaki itu tetapi Nabi ﷺ tanya sama ada dia Muslim atau tidak. Apabila lelaki itu telah bersyahadah sebagai tanda dia seorang Muslim, maka Nabi ﷺ menyuruh semua sahabat berpuasa.

Daripada Ibnu ‘Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا, dia berkata,

تراءَى الناسُ الهلالَ فأخبرتُ رسول الله صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ أني رأيتُه، فصام وأمر بالصيامِه
“Manusia sedang memperhatikan hilal. Lalu aku mengabarkan kepada Rasulullah ﷺ bahawa aku telah melihat hilal. Kemudian baginda berpuasa dan memerintahkan kaum muslimin untuk berpuasa.”
(HR. Abu Daud, no. 2342; Ibnu Hibban, 8:231; Al-Hakim, 1:423. Hadith ini dinilai sahih oleh Ibnu Hazm dalam Al-Muhalla, 6:236, Imam An-Nawawi dalam Al-Majmu’, 6:276; 4:16. Lihat Minhah Al-‘Allam, 5:15).

Daripada Ibnu ‘Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا bahawa seorang Arab Badwi datang menemui Nabi ﷺ, dia pun berkata,

إني رأيت الهلال، فقال: أتشهد أن لا إله إلا الله؟ قال: نعم. قال: أتشهد أن محمدا رسول الله؟ قال: نعم. قال فأذن في الناس يا بلال أن يصوموا غدا
“Aku telah melihat hilal.” Nabi ﷺ bertanya, “Apakah engkau bersaksi bahwa tiada sesembahan yang berhak disembah selain Allah?” Dia menjawab, “Ya.” “Apakah engkau bersaksi bahawa Muhammad adalah utusan Allah?“, Nabi ﷺ kembali bertanya. Dia pun menjawab, “Ya.” Nabi ﷺ pun memerintah, “Suruhlah manusia wahai Bilal, agar mereka esok berpuasa.”
(HR. Abu Daud dalam Bab “Persaksian Satu Orang untuk Rukyat Hilal Ramadhan”; Tirmidzi, no. 691; An-Nasai, 4:132; Ibnu Majah, no. 1452; Ibnu Khuzaimah, no. 1923; Ibnu Hibban, 8:229-230. Syaikh ‘Abdullah Al-Fauzan mengatakan bahawa hadith ini dikuatkan oleh hadith Ibnu ‘Umar sebelumnya yang sahih sehingga menjadi kuatlah hadith mursal ini).

Mengapa gunakan istilah bulan, bukan matahari? Manusia tidak dapat mengetahui bilangan hari hanya dengan melihat matahari, kerana titik pusat matahari yang berupa bola dan memancarkan cahaya itu tidak memberi tanda-tanda tentang hari-hari yang berlalu atau yang sedang dan akan dialami manusia. Setiap hari, matahari muncul dan terlihat dalam bentuk dan keadaan sama, yang berbeza dengan bulan. Matahari hanya menunjukkan perjalanan sehari; jika ia terbit, maka itu tanda hari sudah pagi, jika telah naik sepenggalahan, maka ia menjelang tengah hari, dan bila terbenam, maka sehari telah berlalu, atau malam telah tiba. Kita tidak dapat mengetahui keadaan siang melalui bulan, kerana ia tampak di waktu malam, sebaliknya kita dapat mengetahui awal kehadiran bulan dengan melihatnya seperti sabit, selanjutnya kita mengetahui hari-hari pertama bila melihatnya dalam bentuk yang lebih besar, sedang pertengahan bulan diketahui dengan melihatnya dalam bentuk purnama sempurna. Itu — kata Al-Qur’an yang juga diakui oleh ilmuwan – kerana bulan memiliki manzilah-manzilah (kedudukan), dan setelah sampai ke manzilah terakhir dalam bentuk purnama la kembali terlihat mengecil dan mengecil hingga menjadi dalam pandangan seperti tandang kering yang tua melengkung seperti disebut di dalam Yaasin: 39

وَالقَمَرَ قَدَّرنٰهُ مَنازِلَ حَتّىٰ عادَ كَالعُرجونِ القَديمِ
Dan telah Kami tetapkan bagi bulan manzilah-manzilah, sehingga (setelah dia sampai ke manzilah yang terakhir) kembalilah dia sebagai bentuk tandan yang tua.

Cuma kalimah شَهِدَ ini tidaklah boleh dikatakan hanya bermaksud melihat sahaja kerana kebanyakan daripada kita bukannya melihat pun anak bulan itu. Beberapa orang sahaja yang ditugaskan untuk melihat anak bulan sahaja yang nampak. Jadi kalau syaratnya kena nampak anak bulan, maka mereka sahajalah yang kena berpuasa. Oleh itu, kalimah شَهِدَ itu boleh juga diterjemahkan sebagai ‘hadhir’ di tempat orang yang melihat anak bulan itu. Asalkan seorang sahaja yang nampak, maka sesiapa sahaja yang hadhir di kawasan itu kenalah berpuasa juga.

 

وَمَنْ كَانَ مَرِيضًا

Dan sesiapa antara kamu yang sakit;

Diulang kembali rukhsah yang diberikan dalam ayat sebelumnya. Kalau sakit, tidak perlu puasa.

 

أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ

atau dalam musafir,

Diulang kembali rukhsah yang diberikan dalam ayat sebelumnya. Kalau dalam perjalanan, tidak perlu puasa. Allah ‎ﷻ tidak sebut pun yang mereka tidak berpuasa kerana mereka sakit atau dalam musafir tetapi kita faham kerana Al-Qur’an menggunakan kaedah ‘iijaaz’ – Allah ‎ﷻ sebut pendek sahaja maka kita boleh faham. Ini adalah salah satu daripada keindahan Al-Qur’an.

Dua rukhsah ini diulang (dan ditolak tentang fidyah) kerana seperti kita telah beritahu hukum memilih fidyah sudah tidak ada. Jadi ditakuti bab sakit dan musafir pun dimansukhkan, maka diulang di sini untuk menegaskan yang ia masih ada lagi.

 

فَعدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ

maka bilangan puasa itu pada hari lain;

Maknanya, orang sakit dan orang musafir boleh meninggalkan puasa tetapi hendaklah diganti pada hari yang lain. Kena عِدَّةٌ (yang bermaksud ‘kira’) berapa hari yang tinggal dan mesti diganti berapa hari yang tinggal. Allah ‎ﷻ tidak sebut dengan penuh pun kerana kalau dilihat secara literal, terjemahan ayat ini adalah: “maka bilangan dari hari yang lain”. Namun kita faham kerana Al-Qur’an menggunakan kaedah ‘iijaaz’ lagi dalam ayat ini.

Sebelum ini diberikan pilihan kepada umat Islam untuk membayar fidyah kalau mereka tidak berpuasa. Akan tetapi dalam ayat ini, mereka disuruh untuk menggantikan puasa kalau mereka tidak berpuasa kerana sakit atau dalam perjalanan. Hukum sudah bertukar. Sudah tidak ada pilihan untuk bayar fidyah kalau tidak mahu puasa. Nampak seolah-olah lebih susah daripada hukum yang lama kerana sudah tidak ada pilihan untuk tidak berpuasa. Namun tidak sebenarnya.

 

يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ

Allah ingin memberikan kemudahan kepada kamu

Begitulah rukhsah yang Allah ‎ﷻ telah berikan kepada orang yang tidak mampu berpuasa kerana sakit dan juga di dalam perjalanan. Syariat Islam bukan hendak memberatkan umatnya. Ungkapan ini diterjemahkan daripada salah satu kaedah umum dalam Islam iaitu المشقة تجلب التيسر – al-masyaqqah tajlibu at-taisir. Ia membawa maksud kesukaran yang dihadapi itu menjadi sebab kepada keringanan dan dipermudahkan urusan tersebut.

Kalimah يُرِيدُ (ingin) di dalam ayat ini juga bermaksud يحب (suka). Contohnya kalau orang kata dia ingin makan sesuatu, ia juga bermakna ia suka makan benda itu, bukan? Maka begitulah juga dengan Allah ‎ﷻ. Dia bukan sahaja hendak/ingin kita mudah, akan tetapi dia juga suka kita mendapat kemudahan.

Bagaimana pula Allah ‎ﷻ kata bahawa Dia hendak memudahkan kita? Padahal, kalau kita lihat, puasa dahulu hanya tiga hari sahaja, sekarang sudah jadi sebulan penuh. Kalau dahulu, ada pilihan untuk bayar fidyah kalau tidak mahu berpuasa, sekarang tidak ada pilihan itu, kena ganti puasa kalau tidak dapat berpuasa. Begitu juga, kalau kita fikirkan ibadat puasa ini, ia adalah sesuatu yang payah untuk dilakukan. Jadi kenapa Allah ‎ﷻ kata Dia hendak memudahkan kita?

Ini adalah kerana Allah ‎ﷻ hendak menjadikan kita orang yang bertaqwa. Dengan berpuasa, akan meningkatkan taqwa kita. Dengan taqwa, senang mendapat hidayah. Allah ‎ﷻ hendakkan supaya kita ‘senang’ mendapat hidayah. Ini dapat didapati dengan siang berpuasa, dan malam membaca Al-Qur’an. Sesiapa yang mendapat hidayah, akan mudah di dunia dan di akhirat. Itulah yang dimaksudkan Allah ‎ﷻ hendak memberi ‘kemudahan’ kepada kita.

Maka kita kena faham mudah itu apa maksudnya. Allah ‎ﷻ beri amalan puasa kerana hendak memudahkan untuk kita ikut syariat seterusnya. Dengan berkat mengamalkan puasa ini akan memudahkan kita mengamalkan hukum-hukum dan ibadat yang lain. Memang bukan Allah‎ ﷻ hendak susahkan kita. Lihatlah bagaimana kalau kita dalam keadaan susah, sama ada sakit atau dalam musafir, kita boleh buka puasa. Kemudahan itu juga bermaksud kemudahan di akhirat kelak. Itulah kemudahan yang lebih penting. Kalau kita susah di dunia ini, tetapi kita senang di akhirat kelak, itu sudah satu nikmat yang amat besar. Apabila kita di akhirat kelak, kita tidak ingat lagi tentang dunia. Kalau kita masuk syurga, kita tidak ingat kesusahan yang kita alami semasa di dunia dulu.

Allah ‎ﷻ juga telah mudahkan kita berpuasa dengan Allah ‎ﷻ mengikat syaitan-syaitan daripada mengganggu kita. Supaya iman kita boleh menang dalam bulan Ramadhan ini. Kalau syaitan ada dalam bulan Ramadhan juga, entah berapa hari sahaja kita dapat puasa agaknya. Itu adalah satu makna ‘mudah’ juga.

 

وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ

dan Dia tidak mahu menimpakan kesusahan ke atas kamu;

Memang pada mulanya agak susah sedikit untuk berpuasa kerana pada zaman Nabi ﷺ dahulu, kalau tertinggal waktu buka puasa tetapi tidak berbuka, mereka tidak boleh makan sampailah ke waktu sahur pula. Bermakna, mereka kena berbuka waktu maghrib itu juga. Sampaikan ada sahabat yang lemah, sampai dia pengsan di siang harinya, kerana dia terpaksa meneruskan puasa untuk jangkamasa yang lama. Kemudian telah turun ayat tentang boleh makan dan minum hingga masuk waktu subuh.

Sebelum potongan ayat ini, Allah ‎ﷻ telah menyebut yang Dia hendak memberi kemudahan kepada kita. Dalam ayat ini, disebut pula Allah ‎ﷻ tidak mahu menyusahkan kita. Kenapa ada pengulangan? Kalau kita kata sesuatu benda itu hitam, bermakna ia tidak putih dengan secara automatik. Tidak perlu kita hendak kata: “Kasut ini warnanya hitam, tidak putih”. Allah ‎ﷻ tambah dengan menyebut Dia tidak mahu menyusahkan kita kerana hendak memberi penekanan. Lebih-lebih lagi kepada mereka yang tidak percaya. Tambahan pula, ada yang susah untuk terima bahawa ibadat puasa itu lebih menyenangkan.

Bayangkan, kalau dahulu ada pilihan untuk tidak puasa, boleh bayar fidyah, sekarang tidak lagi. Kalau dahulu, puasa tidak lebih daripada sepuluh hari, tetapi sekarang sudah jadi 29 atau 30 hari sebulan penuh. Mana yang senangnya? Senangnya nanti adalah di akhirat kelak iaitu apabila kita terselamat daripada kesusahan yang amat besar, iaitu selamat daripada memasuki neraka. Kalau kita selamat daripada memasuki neraka, maka kita sudah selamat daripada kesusahan yang besar.

Ini mengajar kita yang agama ini tidaklah sukar. Segala syariat yang Allah ‎ﷻ berikan kepada manusia itu boleh diamalkan. Ini terbukti dengan hadith Nabi,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ الدِّينَ يُسْرٌ وَلَنْ يُشَادَّ الدِّينَ أَحَدٌ إِلَّا غَلَبَهُ فَسَدِّدُوا وَقَارِبُوا وَأَبْشِرُوا وَاسْتَعِينُوا بِالْغَدْوَةِ وَالرَّوْحَةِ وَشَيْءٍ مِنْ الدُّلْجَةِ
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ bahawa Nabi ﷺ bersabda: “Sesungguhnya agama itu mudah, dan tidaklah seseorang mempersulitkan urusan agama kecuali dia akan dikalahkan (semakin berat dan sulit). Maka hendaklah kamu betul dan bersederhana  serta hendaklah kamu bergembira. Hendaklah kamu mendapatkan pertolongan di waktu pagi dan petang serta sebahagian daripada waktu malam yang berlalu.
(Sahih Bukhari No. 38)

Yang sengaja suruh berat-berat ini adalah golongan pelampau yang tidak faham agama. Antaranya mereka ajar puasa sepanjang tahun sedangkan Nabi ﷺ tidak pernah benarkan pun puasa sepanjang tahun. Mereka inilah golongan yang mempersulitkan dan mereka akan gagal. Daripada Abdillah bin Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa Nabi ﷺ bersabda sebanyak tiga kali:

هَلَكَ الْمُتَنَطِّعُونَ
“’Musnahlah golongan yang melampau”.
(Riwayat Muslim No. 2670)

Perhatikanlah yang kita kena ikut adalah Sunnah Nabi. Maka kita kena faham bagaimana Nabi ﷺ beragama. Jangan reka-reka ikut fahaman sendiri. Bagaimana langkah Nabi ﷺ dalam beragama disampaikan oleh Saidatina Aisyah رضي الله عنها yang berkata:

مَا خُيِّرَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَيْنَ أَمْرَيْنِ، أَحَدُهُمَا أَيْسَرُ مِنَ الْآخَرِ، إِلَّا اخْتَارَ أَيْسَرَهُمَا، مَا لَمْ يَكُنْ إِثْمًا، فَإِنْ كَانَ إِثْمًا، كَانَ أَبْعَدَ النَّاسِ مِنْهُ
“Apabila Rasulullah ﷺ disuruh memilih di antara dua perkara, nescaya Baginda akan memilih yang lebih mudah di antara keduanya selama mana  ia tidak berdosa. Adapun jika ia adalah berdosa, maka Baginda adalah orang yang paling utama meninggalkannya”.
(Riwayat Muslim No. 2327)

وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ

dan supaya kamu cukupkan bilangan puasa;

Perkataan لِتُكْمِلُوا daripada kata dasar ك م ل yang bermaksud sempurna. Allah ‎ﷻ hendak kita menyempurnakan ibadat puasa itu selama sebulan. Sempurna bermaksud bukan hanya menahan diri daripada lapar dan dahaga tetapi daripada perkara-perkara dosa dan perkara-perkara lagha yang lain – perkara yang sia-sia. Maka kita kena latih diri kita untuk jauhkan diri daripada perbuatan dosa-dosa lain. Jauhkan diri daripada membuat perkara-perkara tidak berfaedah. Kita kena penuhkan sebulan puasa dalam bulan Ramadhan itu dengan kebaikan. Kita kena penuhkan ‘latihan’ kita ini. Tidak boleh buat sedikit-sedikit. Kalau kita baru masuk kerja pun, kita kena menjalani latihan juga. Jadi, puasa adalah latihan untuk kita.

Walaupun Allah ‎ﷻ hendak memudahkan kita, tetapi kita mesti memenuhkan puasa dalam sebulan. Allah ‎ﷻ tahu apakah yang kita mampu lakukan. Allah ‎ﷻ tidak menyusahkan makhluk-Nya dengan memerintahkan kita buat perkara yang kita tidak mampu.

Jadi nasihat kepada kita sekarang adalah untuk penuhkan Ramadhan dengan berbuat amal ibadat. Jangan jadikan Ramadhan ini sebagai ‘bulan pesta makan’. Amat menyedihkan apabila umat Islam hanya mementingkan makan sahaja. Mereka menahan makan sepanjang siang, tetapi pada waktu malam mereka habiskan dengan makan sahaja. Mereka akan beli bermacam-macam juadah yang dijual di Pasar Ramadhan (PaRam) dan mereka selalunya akan membazir kerana mereka sedang membeli dalam keadaan lapar. Apabila berbuka pula, mereka akan makan dengan banyak kerana kononnya hendak menggantikan makanan yang tidak dimakan siang hari tadi. Namun sebenarnya mereka makan lebih banyak (berbanding bulan-bulan lain) dan kerana itu kalau mengikut statistik, import makanan bulan Ramadhan lagi banyak daripada bulan-bulan lain. Padahal, sepatutnya bulan ini adalah bulan dikurangkan makanan, namun yang sebaliknya pula yang terjadi.

Ingatlah, wahai para suri rumahtangga jangan habiskan masa dengan memasak sahaja. Yang selalu terjadi, mereka akan mula masak dari awal petang lagi. Bukannya hendak meluangkan masa dengan beribadah, tetapi mereka akan sibuk dengan hal masak memasak. Masak pula banyak sampai membazir sebab bukannya larat hendak makan semua pun. Sepatutnya kita jadikan Ramadhan ini sebagai bulan ibadah. Perbanyakkan ibadah dalam bulan ini. Ia adalah sebagai latihan kepada kita untuk melakukan ibadah. Amat senang untuk melakukan ibadah dalam Ramadhan kalau dibandingkan dengan bulan-bulan yang lain kerana tidak ada syaitan yang mengganggu. Selepas habis Ramadhan, kita hendaklah meneruskan amalan ibadah itu. Bukan setakat Ramadhan sahaja.

Jadikan bulan ini sebagai bulan Al-Qur’an. Hafal ayat Al-Qur’an sebanyak mungkin. Jadikan satu projek untuk hafal satu-satu surah supaya kita dapat manfaat daripada bulan Ramadhan ini. Jangan pula ambil peluang tiada kerja bulan Ramadhan ini kita habiskan masa dengan menonton wayang, habiskan siri drama Korea yang tidak sempat habis dalam bulan lain. Itu adalah perkara yang lagha sahaja.

 

وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ

dan supaya kamu mengagungkan Allah

Apabila kita telah selesai menjalani ‘latihan’ dalam bulan Ramadhan, maka kita akan raikan kejayaan kita itu dengan berhari raya. Bukankah semasa hari raya itu, kita meraikannya dengan bertakbir? Bertakbir di Hari Raya adalah membesarkan Allah ‎ﷻ dengan percakapan mulut kita. Kita juga kena membesarkan Allah ‎ﷻ dengan amal kita dan bukanlah setakat ucapan mulut sahaja. Apabila kita membesarkan Allah ‎ﷻ, bermakna kita mengecilkan diri kita. Kita kena rasa diri kita amat kerdil dibandingkan dengan Allah ‎ﷻ. Apabila kita rasa kerdil, baru senang kita hendak mengikut perintah Allah ‎ﷻ. Apa sahaja suruhan Allah ‎ﷻ kita akan ikut. Orang yang rasa besar diri yang susah hendak mengikut suruhan Allah ‎ﷻ.

Selalunya, kalau kita telah melakukan kebaikan, kita akan puji diri kita. Kita kata kita sudah habis baca Al-Qur’an 30 juzuk sepanjang bulan Ramadhan, kita tidak tinggalkan puasa, tidak tinggal solat terawih tiap-tiap malam, zikir sekian-sekian banyak. Adakah itu yang Allah ‎ﷻ suruh? Tidak. Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ suruh membesarkan Allah ‎ﷻ, bukannya membesarkan diri kita! Kerana Dia lah yang memberikan peluang kepada kita. Dia juga yang memberikan kita kekuatan dan taufiq untuk menjalankan semua ibadat itu. Kalau bukan kerana Allah ‎ﷻ, tentulah kita pun tidak mampu hendak melakukannya. Maka kita hendaklah membesarkan Allah ‎ﷻ kerana Allah ‎ﷻ telah beri taufiq kepada kita untuk menunaikan hukum puasa.

 

عَلَىٰ مَا هَدَٮٰكُم

atas apa yang Allah telah beri hidayah kepada kamu;

Hidayah yang paling besar adalah Dia telah beri hidayah dan telah memasukkan kita ke dalam Islam. Jadi puasa adalah kerana hendak balas nikmat Allah ‎ﷻ yang telah masukkan kita ke dalam Islam.

Hidayah yang besar yang Allah ‎ﷻ telah berikan kepada kita adalah pemberian Al-Qur’an itu yang diberikan di bulan Ramadhan. Sebab itulah kita puasa dalam bulan Ramadhan – kerana bulan inilah diturunkan Al-Qur’an. Sebagai meraikan penurunan Al-Qur’an itu yang diturunkan dalam bulan Ramadhan, maka Allah‎ ﷻ pilih Ramadhan sebagai bulan yang disuruh kita puasa di dalamnya.

Potongan ayat ini juga mengingatkan kita supaya mengikut apa yang Allah ‎ﷻ suruh kita buat. Bukannya memandai-mandai reka perkara baru dalam agama. Oleh itu, jangan kita buat amalan yang bid’ah. Hendaklah kita memastikan amalan yang kita buat itu datangnya daripada nas yang sah. Kena ikut panduan petunjuk wahyu apabila hendak mengamalkan sesuatu. Kalau tidak pasti, tinggalkan terlebih dahulu. Sebagai contoh, dalam Ramadhan masyarakat kita akan bersemangat untuk buat Solat Terawih. Itu adalah amalan yang baik. Namun kenapa antara dua raka’at dalam solat itu, ada laungan selawat kepada Nabi ﷺ? Siapa yang ajar? Adakah ia baik? Kalau ia baik, tentulah para sahabat sudah buat semenjak dahulu lagi. Namun kita pun tahu yang mereka tidak buat perkara ini. Ia datang kemudian selepas mereka. Tidak diketahui dari mana dan siapa yang memulakannya. Yang pasti, tidak ada dalil sahih mengenainya. Maka, kalau ada ada dalam Solat Terawih yang sebegitu, jangan anda termasuk orang yang melaungkan selawat itu juga. Maka kita kena senyap sahaja di antara solat-solat itu. Biarlah mereka yang bersemangat itu laungkan. Biarkan mereka menjawab di hadapan Allah ‎ﷻ nanti kenapa mereka lakukan perkara itu.

 

وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

dan supaya kamu bersyukur;

Maknanya, kita berpuasa itu adalah sebagai tanda syukur kita kepada Allah ‎ﷻ di atas nikmat yang telah diberi-Nya kepada kita. Semoga kita bersyukur atas hidayah yang Allah ‎ﷻ berikan kepada kita. Haji pun begitu juga di mana kita mengerjakan Haji kerana Allah ‎ﷻ telah memberi hidayah Islam dan Iman kepada kita.

Kita disuruh syukur kepada Allah ‎ﷻ kerana telah diberikan kita satu ibadah yang besar, satu bulan penuh dalam Ramadhan. Kita juga bersyukur kepada Allah ‎ﷻ kerana telah memberikan kita kekuatan dan taufiq untuk menjalankan ibadat itu. Juga supaya kita bersyukur atas nikmat Al-Qur’an yang diberikan kepada kita.

Ada mufassir berkata, dengan berpuasa, kita akan lebih menghargai nikmat makan yang Allah ‎ﷻ telah berikan kepada kita. Apabila kita tidak dapat makan untuk beberapa lama, maka kita akan terkenangkan betapa ramai orang tidak dapat makan kerana miskin dan sebagainya. Selalunya kita akan dapat merasakan kenikmatan sesuatu perkara itu selepas kita kehilangannya. Kalau kita sentiasa sahaja dapat makan, kita tidak terasa nikmat makan itu. Jadi, dengan berpuasa, kita akan rasa bersyukur kerana Allah ‎ﷻ telah memberikan makanan kepada kita selama ini kerana kita sudah mula dapat menghargai nikmat makanan. Sama juga kalau kita sihat. Kalau kita sihat sentiasa, kita tidak mensyukuri nikmat sihat itu. Sekali-sekala Allah ‎ﷻ beri kita sakit supaya kita bersyukur dengan nikmat kesihatan yang Allah ‎ﷻ berikan. Jadi Allah ‎ﷻ tarik sekejap nikmat makan supaya kita bersyukur apabila kita dapat makan.

Namun ada pula mufassir yang mengatakan bahawa yang perlu kita syukuri dalam bulan Ramadhan adalah nikmat kita telah mendapat Al-Qur’an kerana seperti telah disebut sebelum ini, Ramadhan adalah bulan Al-Qur’an. Dengan Al-Qur’an, kita mendapat hidayah. Bersyukurlah kepada Allah ‎ﷻ yang telah menyelamatkan kita dengan memberikan Al-Qur’an ini kepada kita.

Bersyukur juga kepada Allah kerana Allah ‎ﷻ telah merantai syaitan pada bulan Ramadhan, kerana merekalah antara yang menghalang kita mendapat hidayah. Itu pun kita kena syukur juga.

Kita juga bersyukur kerana kita mendapat kelebihan puasa di bulan Ramadhan ini. Bayangkan, tidak semua umat Islam yang dapat berpuasa dalam bulan Ramadhan. Orang-orang yang Islam di awal Islam, dan mati sebelum ayat ini diturunkan, tidak sempat mendapat arahan berpuasa dalam bulan Ramadhan ini kerana ia belum difardhukan lagi. Dan berapa orang yang mengaku Muslim tetapi tidak berpuasa? Jadi kena ingat yang kita ini adalah insan yang terpilih sebenarnya.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 10 Mac 2025

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Baqarah Ayat 184 (Jikalau tidak dapat berpuasa)

Baqarah Ayat 184:

أَيّامًا مَّعدودٰتٍ ۚ فَمَن كانَ مِنكُم مَّريضًا أَو عَلىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّن أَيّامٍ أُخَرَ ۚ وَعَلَى الَّذينَ يُطيقونَهُ فِديَةٌ طَعامُ مِسكينٍ ۖ فَمَن تَطَوَّعَ خَيرًا فَهُوَ خَيرٌ لَّهُ ۚ وَأَن تَصوموا خَيرٌ لَّكُم ۖ إِن كُنتُم تَعلَمونَ

Sahih International

[Fasting for] a limited number of days. So whoever among you is ill or on a journey [during them] – then an equal number of days [are to be made up]. And upon those who are able [to fast, but with hardship] – a ransom [as substitute] of feeding a poor person [each day]. And whoever volunteers excess – it is better for him. But to fast is best for you, if you only knew.

Malay

(Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah dia berbuka), kemudian wajiblah dia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.

 

أَيَّامًا مَّعْدُودٰتٍ

Iaitu beberapa hari yang telah ditentukan;

Seperti kita telah sebut tentang puasa sebelum ini, ia adalah satu latihan bagi umat Islam. Maka kalau latihan, tidak bolehlah kalau sehari dua sahaja, bukan? Maka yang ditetapkan adalah sebulan iaitu puasa itu perlu dilakukan selama sebulan Ramadhan. Ia boleh jadi 29 hari atau 30 hari.

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الشَّهْرُ تِسْعٌ وَعِشْرُونَ لَيْلَةً فَلَا تَصُومُوا حَتَّى تَرَوْهُ فَإِنْ غُمَّ عَلَيْكُمْ فَأَكْمِلُوا الْعِدَّةَ ثَلَاثِينَ
Daripada ‘Abdullah bin ‘Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Satu bulan itu berjumlah dua puluh sembilan malam (hari) maka janganlah kalian berpuasa hingga kalian melihatnya. Apabila kalian terhalang oleh awan maka sempurnakanlah jumlahnya menjadi tiga puluh”.
(Sahih Bukhari No. 1774)

Bulan Ramadhan boleh jadi 29 atau 30 hari. Malah Rasulullah ﷺ lebih banyak berpuasa di bulan Ramadhan yang 29 hari daripada 30 hari.

عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ آلَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ نِسَائِهِ وَكَانَتْ انْفَكَّتْ رِجْلُهُ فَأَقَامَ فِي مَشْرُبَةٍ تِسْعًا وَعِشْرِينَ لَيْلَةً ثُمَّ نَزَلَ فَقَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ آلَيْتَ شَهْرًا فَقَالَ إِنَّ الشَّهْرَ يَكُونُ تِسْعًا وَعِشْرِينَ
Daripada Anas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ berkata: Rasulullah ﷺ pernah bersumpah untuk tidak mendatangi para isteri baginda dan kaki baginda telah mengalami keletihan maka baginda tinggal di tempat yang tinggi selama dua puluh sembilan hari lalu turun. Orang-orang berkata: “Wahai Rasulullah, anda telah bersumpah selama satu bulan. Maka baginda bersabda: “Satu bulan itu boleh jadi berjumlah dua puluh sembilan hari”.
(Sahih Bukhari No. 1778)

Non-Muslim melihat puasa selama sebulan ini adalah sesuatu yang amat berat. Malah ada yang berminat dengan falsafah agama Islam tetapi berat untuk mereka masuk Islam kerana ibadah wajibnya agak berat seperti solat sampai lima kali sehari dan puasa sampai sebulan. Bagaimana kita hendak menjawab perkara ini? Kita katakan ia tidaklah berat. Kerana kalau berat, tidaklah umat Islam rata-ratanya mampu buat lebih daripada yang wajib. Ramai yang solat sunat tambahan, puasa pun mereka tambah pada setiap bulan bukan Ramadhan sahaja. Ini adalah kerana ia memang mampu dilakukan dan apabila kita yakin dengan Allah ‎ﷻ dan ganjaran yang dijanjikan, maka ia menjadi ringan.

Berbalik kepada kalimah مَعْدُودٰتٍ yang digunakan di dalam ayat ini. Kalimah مَعْدُودٰتٍ adalah di dalam bentuk jamak tetapi bukanlah jamak yang besar, hanya jamak kecil sahaja iaitu kurang daripada sepuluh. Bagaimana pula begitu? Ada yang kata, ini merujuk kepada hukum awal berpuasa, iaitu beberapa hari sahaja dalam sebulan. Ada yang kata tiga hari dalam sebulan. Ini kita boleh faham daripada nahu bahasa Arab yang digunakan – ia adalah jamak, tetapi bilangan tidak melebihi daripada sepuluh. Ada juga yang mengatakan ia adalah sembilan hari atau sepuluh hari kerana mengikut bilangan hari yang Bani Israil diwajibkan berpuasa. Ini kerana apabila Nabi Muhammad ﷺ diangkat menjadi Nabi, umat Islam masih lagi mengikut amalan Bani Israil yang mengikut undang-undang daripada Taurat. Ketika itu, undang-undang Islam untuk umat Nabi Muhammad ﷺ belum sempurna lagi.

Sememangnya Bani Israil dahulunya merupakan orang Islam pada waktu itu sebelum mereka dialih daripada tampuk keislaman. Maka, tidaklah salah kalau umat Nabi Muhammad ﷺ awalnya mengikut mereka. Contohnya, di awal Islam, solat masih lagi mengadap kiblat Bani Israil iaitu Baitul Maqdis. Undang-undang syariat dalam Islam memang berubah sedikit demi sedikit. Tidaklah apabila Nabi Muhammad ﷺ naik menjadi Nabi, terus lengkap syariat Islam diberi. Allah ‎ﷻ menurunkan ayat Al-Qur’an dan undang-undang syariat yang baru sedikit demi sedikit.

Kenapa Allah ‎ﷻ kata ‘hari-hari yang tertentu’? Untuk memberi kelegaan kepada kita. Supaya kita tahu bahawa puasa yang diwajibkan itu adalah terhad. Tidaklah sepanjang tahun. Hanya beberapa hari sahaja. Kalau zaman dahulu, mungkin sepuluh hari tetapi dalam syariat Nabi Muhammad ﷺ, hanya sebulan sahaja. Maka, tidaklah kita lemas dalam kerisauan yang puasa kita lama. Macam kalau makan ubat, kita akan tanya doktor, berapa lama perlu dimakan ubat ini? Doktor akan kata, kena makan ubat itu untuk seminggu, dua minggu atau sebagainya. Tidaklah kena makan ubat sepanjang hidup.

Bagaimana puasa ini boleh menjadi latihan kepada umat Islam? Seperti kita tahu, di dalam syariat, ada banyak suruhan dan banyak larangan. Larangan itu adalah memang perbuatan itu buruk seperti mencuri, berzina dan sebagainya. Ini kita boleh faham kenapa ia dilarang. Untuk taat kepada larangan itu, Allah ‎ﷻ melatih kita dengan meninggalkan perkara yang memang halal dilakukan di waktu-waktu yang lain seperti makan minum dan hubungan kelamin bagi suami isteri yang sah. Kalau kita boleh taat di dalam perkara yang halal dilakukan, maka sepatutnya kita boleh meninggalkan perkara yang Allah ‎ﷻ larang yang lainnya.

Secara umum, semua ibadat yang Allah ‎ﷻ wajibkan ke atas kita adalah sebagai latihan kepada kita. Ada jenis yang dilakukan oleh badan sahaja seperti solat, ada yang melibatkan harta sahaja seperti zakat dan sedekah; dan ada yang melibatkan kedua-duanya seperti mengerjakan Haji. Itu semua adalah dalam perbuatan akan tetapi puasa ini istimewa kerana ia adalah ibadah menahan diri.

 

فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَّرِيضًا

Maka barangsiapa yang ada di antara kamu sakit

Iaitu, sakit yang menyebabkan dia tidak boleh puasa. Tidak disebut sakit jenis apa, jadi orang itu kena periksa dengan doktor sakit apa yang memudaratkan jikalau dia puasa juga. Ia adalah jenis sakit yang kalau dia puasa juga, akan memudaratkan dirinya. Maka ia adalah antara orang itu dengan Allah ‎ﷻ. Kerana itu puasa ini adalah untuk orang beriman, kerana kalau tidak ada iman, tidak sakit pun dia tidak puasa.

Jelaslah ini adalah keringanan yang diberikan oleh Allah ‎ﷻ. Ingatlah yang Islam itu tidak menyusahkan penganutnya. Ada banyak kemudahan yang diberikan kepada umat Islam yang dipanggil rukhsah. Maka kena belajar ilmu feqah supaya dapat memahami kemudahan-kemudahan yang Allah ﷻ telah berikan.

 

أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ

atau dalam musafir

Perkataan سَفَر asalnya bermakna ‘mendedahkan sesuatu’. Apakah yang ‘didedahkan’ dan apakah kaitannya dengan musafir? Seperti yang kita tahu, musafir adalah perjalanan yang jauh. Apabila seseorang bersama dalam satu perjalanan yang jauh, perangai sebenar seseorang individu itu akan terserlah, terdedah. Perangai yang diselindunginya selama hari ini akan terserlah dan terbongkar. Itulah yang dimaksudkan ‘mendedahkan’ itu. Diri sebenar seseorang akan terdedah. Kita akan tahu dia itu seorang penyabar atau tidak, kedekut atau tidak, seorang yang beriman atau tidak.

Orang yang di dalam perjalanan dibenarkan untuk tidak berpuasa. Tidak disebut jauh mana perjalanan itu dan sekali lagi orang beriman kena buat andaian sendiri. Asalkan dinamakan musafir, maka sudah boleh berbuka. Akan tetapi penambahan kalimah على memberi indikasi yang ini adalah perjalanan yang agak jauh, bukannya perjalanan pendek setakat 5KM dan sebagainya. Ini kerana mungkin perjalanan itu terlalu berat bagi mereka dan kalau mereka berpuasa juga akan menyebabkan kepayahan dan bahaya bagi mereka. Pendapat mazhab ada menetapkan berapa jauh baru dianggap musafir seperti mazhab Syafie mengatakan dua marhalah baru dianggap musafir. Jangan memudaratkan diri untuk berpuasa jikalau tidak mampu. Pernah ada sahabat yang buat begitu dan menyebabkan Rasulullah ﷺ menegur perbuatannya itu.

عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ قَالَ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي سَفَرٍ فَرَأَى زِحَامًا وَرَجُلًا قَدْ ظُلِّلَ عَلَيْهِ فَقَالَ مَا هَذَا فَقَالُوا صَائِمٌ فَقَالَ لَيْسَ مِنْ الْبِرِّ الصَّوْمُ فِي السَّفَرِ
Daripada Jabir bin ‘Abdullah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا berkata; Rasulullah ﷺ sedang dalam perjalanan dan melihat sekumpulan manusia, dan seorang lelaki sedang dikerumuni (oleh mereka). Baginda bertanya, “Kenapa dengan (sahabat kamu) ini?” Mereka berkata, “Dia (lelaki itu) sedang berpuasa.” Nabi ﷺ bersabda, “Bukan satu kebajikan jika kamu berpuasa dalam perjalanan.”
(Sahih Bukhari No. 1810)

 

فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ

maka hendaklah beberapa hari pada hari yang lain;

Bagi mereka yang sakit dan dalam musafir, mereka boleh berbuka kerana waktu sakit itu badan lemah dan memerlukan makanan untuk sihat. Juga dalam permusafiran juga memenatkan dan memerlukan tenaga. Maka boleh berbuka kalau dalam musafir. Kena kira berapa hari yang ditinggal, dan kena ganti (qadha) ikut bilangan itu. Gantilah apabila telah sihat dan bermukim. Tidak semestinya kena ganti terus. Boleh diganti apabila dia ada kelapangan. Kerana itu tidak disebut hari mana dia perlu ganti jadi boleh pilih dari 2 Syawal sampailah 30 Sya’ban.

Kalau terlepas tahun itu, masih boleh lagi diganti pada tahun hadapan. Ada pendapat yang dikeluarkan, kalau berganti tahun, maka hari yang diganti itu berganda dan ditambah dengan bayar fidyah lagi. Ini adalah pendapat yang tidak ada di dalam Sunnah, jadi ia mungkin ijtihad ulama’ kerana memandangkan masyarakat meringankan menggantikan puasa, maka diberatkan hukum supaya bersegera umat menggantikan puasa. Akan tetapi yang asalnya tidak ada gandaan dan tidak ada fidyah jikalau berganjak kepada tahun seterusnya.

Memang ada pendapat yang jika cuai dan tidak mengqadha’nya sehinggalah tiba bulan Ramadhan yang berikutnya, dia berdosa dan wajib membayar fidyah, iaitu memberi makan golongan fakir sehari secupak makanan kebiasaan penduduk negeri setempat dan hendaklah menggandakan fidyah tersebut mengikut bilangan tahun yang dilangkaunya. Hal ini adalah berdasarkan kepada athar daripada Ibnu Abbas, Ibnu Umar dan Abu Hurairah رضي الله عنهم bahawasanya mereka telah berkata :

فيمَنْ عليهِ صومٌ فَلم يَصُمْهُ حتّى أدركهُ رمضانُ آخَرُ، يُطعِمُ عنِ الأوَّلِ
“Sesiapa yang ada puasa ganti, tetapi dia tidak menggantikannya lagi sehinggalah tiba bulan Ramadhan yang berikutnya, hendaklah dia beri makan (fidyah) bagi yang awal (Ramadhan yang lepas)”
[Dr. Muhammad al-Zuhaili menyatakan bahawa athar-athar ini telah diriwayatkan oleh al-Darqutni dengan sanad yang sahih]

Jadi kalau kita perhatikan di sini, qadha puasa hanya untuk mereka yang sakit dan di dalam musafir, bukannya kalau sengaja tinggal. Kalau umur sudah 60 tahun baru hendak ganti puasa yang sengaja ditinggalkan, ia tidak termasuk. Jadi orang yang sengaja tinggalkan puasa hendak bertaubat bersungguh-sungguh dan banyakkan amalan-amalan sunat seperti puasa sunat. Ini kerana puasa yang sengaja ditinggalkan tiada gantinya.

Cuma, memang ada pendapat yang mengatakan puasa yang sengaja ditinggalkan pun hendaklah diganti. Dalil yang digunakan adalah sabda Nabi ﷺ:

مَنْ ذَرَعَهُ قَىْءٌ وَهُوَ صَائِمٌ فَلَيْسَ عَلَيْهِ قَضَاءٌ وَإِنِ اسْتَقَاءَ فَلْيَقْضِ
“Barang siapa yang tidak dapat menahan muntah, maka dia masih berpuasa dan tidak wajib ke atasnya qada. Manakala jika dia muntah dengan sengaja maka wajib qadha’ (batal puasanya).”
(Sunan Abi Daud No 2380)

Hal ini kerana mereka yang meninggalkan puasa dengan keuzuran seperti sakit dan musafir pun diwajibkan ke atas mereka menggantikannya semula, maka lebih-lebih lagilah (min bab al-aula) bagi mereka yang sengaja berbuka puasa tanpa sebarang keuzuran.

 

وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ

Dan ke atas orang yang mampu, maka ke atasnya fidyah;

Oleh kerana kalimah يُطِيقُونَ boleh diterjemahkan di dalam dua bentuk yang berbeza, maka ada dua tafsiran bagi ayat ini.

Kalimah فِدْيَةٌ daripada kata dasar : ع د د yang bermaksud mengira, bilangan, jangkaan, persediaan. Ia adalah bagi orang-orang yang يُطِيقُونَهُ yang diambil daripada kata dasar ط و ق yang bermaksud berkeupayaan; berada dalam kedudukan untuk melakukan sesuatu; keupayaan; kuasa; kekuatan; untuk memutar kolar; memakai belenggu pada leher; mengenakan tugas yang sukar kepada seseorang; membolehkan; gantung di leher; mengenakan; berbaring di atas sesuatu; melakukan sesuatu dengan susah payah. Jadi ia bermaksud sesuatu yang payah bagi seseorang.

Maka hukumnya di sini, kalau memang tidak mampu hendak puasa langsung, atau boleh tapi di dalam keadaan yang amat payah, maka bagi mereka boleh ambil pilihan untuk bayar fidyah. Mungkin seseorang itu tua atau pun muda. Tidak semestinya orang tua sahaja yang tidak boleh berpuasa. Ada juga orang muda yang memang tidak boleh puasa. Contohnya, memang dia ada penyakit gastrik yang kalau puasa juga, akan memudaratkan dirinya. Namun begitu sesiapa yang boleh gagahkan untuk berpuasa juga, itu lebih baik. Atau dia seorang yang kerjanya keras seperti pekerja binaan, setiap bulan memang dia kena bekerja, maka bagi orang sebegini, dia boleh terus bayar fidyah sahaja. Kerana bila lagi dia boleh menggantikannya? Takkan tunggu pencen baru ganti? Jadi bagi mereka, boleh terus bayar fidyah. Ini adalah tafsiran yang pertama.

Untuk tafsiran yang kedua, kena telusuri permulaan Islam. Hukum asal puasa, kalau seseorang itu tidak mahu berpuasa, dia boleh terus bayar fidyah. Namun selepas itu tidak boleh lagi buat begini. Seperti yang kita telah sebut sebelum ini, ayat ini diturunkan di awal Islam. Maka, syariat belum ditetapkan lagi seperti sekarang. Terdapat perubahan dari segi syarak dari masa ke semasa. Maka, waktu itu, umat Islam masih lagi boleh memilih sama ada hendak berpuasa, atau membayar fidyah. Ini adalah kerana kewajipan itu masih baru lagi, maka ia terus diwajibkan tetapi masih diberi pilihan.

Maka pada waktu itu, kalau orang yang kaya dan mampu untuk berpuasa, tetapi memilih untuk tidak berpuasa, mereka boleh sahaja membayar fidyah. Ini adalah pendapat yang kukuh kerana disokong oleh hadith daripada riwayat para sahabat yang mengatakan sedemikian. Namun, itu adalah syariat dahulu, bukannya sekarang. Oleh itu, ulama’ mengatakan ini adalah salah satu ayat yang telah dimansukhkan. Hukum boleh menggantikan puasa dengan bayar fidyah ini sudah tiada. Ini termasuk dalam perkara nasikh mansukh. Iaitu ada ayat-ayat dalam Al-Qur’an yang telah dimansukhkan – hukumnya tidak terpakai lagi. Ini seperti pendapat Ibnu Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا,

عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّهُ قَرَأَ { فِدْيَةٌ طَعَامُ مَسَاكِينَ } قَالَ هِيَ مَنْسُوخَةٌ
Daripada Ibnu Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا bahawa dia membaca ayat: ‘wajib membayar fidyah dengan memberi maka kepada orang miskin’. Ibnu Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا berkata; Ayat ini telah dimansukh.’
(Sahih Bukhari No. 4146)

Begitu juga disebut di dalam hadith yang lain,

حَدَّثَنَا قُتَيْبَةُ حَدَّثَنَا بَكْرُ بْنُ مُضَرَ عَنْ عَمْرِو بْنِ الْحَارِثِ عَنْ بُكَيْرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ عَنْ يَزِيدَ مَوْلَى سَلَمَةَ بْنِ الْأَكْوَعِ عَنْ سَلَمَةَ قَالَ لَمَّا نَزَلَتْ { وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ } كَانَ مَنْ أَرَادَ أَنْ يُفْطِرَ وَيَفْتَدِيَ حَتَّى نَزَلَتْ الْآيَةُ الَّتِي بَعْدَهَا فَنَسَخَتْهَا
Daripada Yazid budak yang dimerdekakan Salamah bin Al Akwa’ daripada Salamah dia berkata; ‘Tatkala turun ayat; “Dan bagi orang-orang yang berat menjalankannya maka wajib membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin, ” adalah barang siapa yang ingin berbuka maka hendaklah membayar fidyah, hingga turunlah ayat setelahnya yang menasakh (menghapus) ayat tersebut.
(Sahih Bukhari No. 4147)

Ayat apakah yang memansukhkan pilihan itu? Ia adalah ayat selepasnya iaitu فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ الشَّهرَ فَليَصُمهُ (Oleh itu, sesiapa daripada antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu).

Ini adalah satu perkara yang banyak dibincangkan oleh mufassir dan ahli agama. Ada yang terima banyak ayat-ayat Al-Qur’an telah dimansukhkan. Ada yang terima ada ayat Al-Qur’an memang ada dimansukhkan tetapi mereka berbeza pendapat tentang bilangan ayat yang dimansukhkan. Dalam masa yang sama, ada juga yang berpendapat tidak ada ayat-ayat yang dimansukhkan. Jikalau ada pertukaran syariat pun, ayat itu masih lagi boleh dipakai. Antaranya termasuklah ayat ini. Seperti kita telah sebut sebelum ini, hukum ayat ini adalah di awal Islam iaitu boleh untuk seorang Muslim untuk memilih sama ada hendak puasa atau membayar fidyah sahaja. Akan tetapi ada yang berpendapat bahawa hukum ayat ini masih lagi boleh dipakai dalam keadaan-keadaan tertentu. Mereka mengatakan, maksud يُطِيقُونَهُ diambil daripada kata dasar tawwaqa yang bermaksud meletakkan kolar besi di tengkuk. Apabila ada kolar itu, maka akan menyusahkan orang yang kena itu untuk bergerak. Maka, yang diambil dari sini adalah, يُطِيقُونَهُ adalah mereka yang berat untuk berpuasa. Mungkin kerana kerja, kerana tua, kerana penyakit yang mereka rasa tidak akan sembuh, atau mereka yang menyusukan anak, atau mungkin boleh digunakan dalam keadaan-keadaan lain yang tidak terhad kepada perkara yang tersebut ini. Ini seperti yang diberitahu oleh Ibn Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا,

ابْنَ عَبَّاسٍ يَقْرَأُ وَعَلَى الَّذِينَ يُطَوَّقُونَهُ فَلَا يُطِيقُونَهُ { فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ } قَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ لَيْسَتْ بِمَنْسُوخَةٍ هُوَ الشَّيْخُ الْكَبِيرُ وَالْمَرْأَةُ الْكَبِيرَةُ لَا يَسْتَطِيعَانِ أَنْ يَصُومَا فَيُطْعِمَانِ مَكَانَ كُلِّ يَوْمٍ مِسْكِينًا
Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا membaca ayat; “Dan bagi orang-orang yang berat menjalankannya maka wajib membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin, “(Al-Baqarah:184), Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا berkata; Ayat ini tidak dimanshukh, namun ayat ini hanya untuk orang yang sudah sangat tua dan nenek tua, yang tidak mampu menjalankannya, maka hendaklah mereka memberi makan setiap hari kepada orang miskin.’
(Sahih Bukhari No. 4145)

Tambahan pula, ada hadith yang menguatkan pendapat ini:

إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ وَضَعَ عَنِ الْمُسَافِرِ شَطْرَ الصَّلَاةِ، وَعَنِ الْمُسَافِرِ وَالْحَامِلِ وَالْمُرْضِعِ الصَّوْمَ، أَوِ الصِّيَام
“Sesungguhnya Allah meringankan daripada orang yang musafir dengan separuh solat dan meringankan daripada  puasa bagi perempuan hamil dan menyusukan anaknya.”
(Riwayat al-Tirmidzi (715), al-Nasaie (2775) dan Ibn Majah (1667))

Mereka hanya perlu membayar fidyah sahaja, seperti disebut di dalam hadith Nabi Muhammad ﷺ:

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ أنَّهُ قَالَ أُثْبِتَ لِلْحُبْلَى وَالْمُرْضِعِ أَنْ يُفْطِرَا وَ يُطْعِمَا فِيْ كُلِّ يَوْمٍ مِسْكِيْنًا [رواه أبو داود].
“Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا bahawa dia berkata: Ditetapkan bagi wanita yang mengandung dan menyusu berbuka (tidak berpuasa) dan sebagai gantinya memberi makan kepada orang miskin setiap harinya.”
(Sunan Abu Dawud No. 2317) 

 

طَعَامُ مِسْكِينٍ

dengan beri makan kepada orang miskin;

Ini adalah cara membayar fidyah iaitu memberi makan satu cupak makanan untuk ganti satu hari tidak berpuasa. Ia diberikan kepada orang miskin dan secara tidak langsung, Allah ‎ﷻ melatih kita supaya sayang dan prihatin kepada orang miskin. Jadi ia adalah rahmat kepada orang miskin itu. Secupak bersamaan seraup atau (1 1/3) kati Baghdad, iaitu kira-kira 600 gram makanan. Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan telah menetapkan bahawa kadar bayaran fidyah bagi satu hari puasa yang ditinggalkan ialah satu cupak beras yang boleh dibuat zakat fitrah (1/4 gantang Baghdad). Dalam bentuk nilaian matawang adalah berdasarkan kepada kadar yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan sehingga tahun 2019, secupak beras bersamaan dengan 600 gram dinilai dengan kadar RM 4.00.

Yang ada hanyalah fidyah puasa, sedangkan fidyah sembahyang tidak ada. Namun ada yang bayar RM 3,000 sebulan untuk fidyah sebulan sembahyang untuk mak dan ayah mereka. Itu adalah satu bid’ah dalam Islam. Sembahyang yang tertinggal, tidak perlu diganti, hanya perlu minta ampun. Maka bertaubatlah dengan Allah ‎ﷻ atas segala solat yang kita pernah tinggalkan dulu. Bukan untuk solat yang kita tinggalkan itu sahaja yang kita minta ampun, tetapi kenalah minta ampun atas segala dosa-dosa kita termasuk perbuatan syirik yang kita buat dulu. Kerana kalau kita buat syirik, ibadat kita tidak diterima atau terbatal terus.

Kalau ada yang sakit, sampai mati dan ada puasa yang tertinggal, yang terbaiknya adalah anak beranak dia ganti puasa untuk mak atau ayah dia. Kemudian, kena minta ampun kepada Allah ﷻ untuk mak dan ayah dia. Ini berdasarkan sebuah hadith

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ مَاتَ وَعَلَيْهِ صِيَامٌ صَامَ عَنْهُ وَلِيُّهُ
Daripada ‘Aisyah رضي الله عنها bahawa Nabi ﷺ bersabda: “Barangsiapa meninggal dunia dan memiliki hutang puasa maka walinya (boleh) berpuasa untuknya”. 
(Sahih Bukhari No. 1816)

Perkataan ‘fidyah’ itu adalah memberi makan kepada fakir miskin. Fidyah itu bermaksud: makanan yang lengkap. Kita sepatutnya kena beri makanan yang lengkap kepada orang miskin. Iaitu, kalau kita beri makanan, kena beri dengan minuman sekali. Kita boleh beri makan sama ada makan pagi, tengahari atau malam. Boleh pilih daripada salah satunya. Inilah yang terbaik. Akan tetapi dalam fiqh, juga membenarkan diberi beras sahaja atau boleh juga berikan wang.

Siapakah orang miskin itu? Mereka adalah orang yang tidak cukup keperluan mereka. Sebagai contoh, katakanlah keperluan hidup di Kuala Lumpur ini memerlukan RM100 sehari untuk hidup tetapi orang miskin itu tidak cukup, mereka hanya ada RM70 sahaja.

Orang fakir pula? Mereka lebih teruk keadaannya. Mereka hanya ada sebanyak RM50 sahaja atau kurang. Maka, hendaklah kita cari mereka ini untuk diberikan makanan. Seeloknya kita cari sendiri kerana kalau kita beri kepada BaitulMal atau Pusat Pungutan Zakat, belum tentu lagi mereka akan beri kepada fakir miskin itu.

Minta maaf kita cakap begini, namun begitulah realitinya. Sepatutnya BaitulMal atau Pusat Pungutan Zakat yang bertanggungjawab menyalurkan kepada orang-orang miskin dan fakir. Akan tetapi apa yang kita lihat, tidaklah begini. Amatlah susah untuk mendapatkan bantuan daripada pusat-pusat itu. Terdapat pelbagai prosedur yang mesti ditempuhi sebelum menerima bantuan. Mereka terpaksa merayu, isi borang, kena temuduga lagi dan sebagainya. Padahal, sepatutnya, pusat-pusat itu yang cari mereka, bukan mereka yang kena pergi ke pusat-pusat itu. Sepatutnya tidaklah disusahkan untuk menerima wang itu. Zaman Nabi, apabila ada yang minta sahaja, Nabi ﷺ akan terus sahaja memberinya. Tidaklah Nabi ﷺ temuduga mereka untuk memastikan mereka itu benar-benar miskin.

Cara terbaik yang kita nampak, boleh belanja makan kepada rumah-rumah anak yatim. Atau di madrasah-madrasah pengajian agama yang tidak mengenakan bayaran kepada pelajar mereka. Maknanya boleh beri makan sekaligus. Contohilah sahabat Anas bin Malik رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, di tahun beliau wafat sudah lemah untuk mengerjakan puasa. Maka disediakan olehnya makanan roti satu periuk besar, lalu diberinya makan 30 orang miskin.

 

فَمَن تَطَوَّعَ خَيرًا فَهُوَ خَيرٌ لَّهُ

Maka sesiapa yang boleh melebihkan daripada kebaikan itu maka itu lebih baik baginya.

Sebagai contohnya, mereka mahu beri lebih fidyah itu, mahu beri lebih daripada secupak itu. Yang wajibnya beri sekali makan, tetapi dia mahu beri lebih daripada sekali makan. Yang wajibnya beri makan seorang sahaja untuk sehari tidak puasa, tetapi dia mahu beri lebih ramai lagi makan – maka itu semua dianjurkan. Islam menganjurkan untuk berlebih dalam perkara yang baik. Begitulah kalau kita beribadah dalam keadaan yang susah sedikit, pahala yang kita dapat akan lebih lagi. Kalau kita beri lebih, Allah ‎ﷻ akan balas dengan beri lebih lagi pahala kepadanya.

 

وَأَن تَصوموا خَيرٌ لَّكُم ۖ إِن كُنتُم تَعلَمونَ

Dan sesiapa yang boleh gagahkan juga puasa, itu adalah lebih baik bagi kamu semua sekiranya kamu mengetahui;

Ada pendapat yang mengatakan walaupun dia sakit, tetapi dia mahu juga berpuasa, maka dia kuatkan dirinya untuk berpuasa juga. Selagi tidak memudaratkan dirinya, ini dibolehkan. Namun kena ingat, kalau dengan puasa itu lebih mendatangkan keburukan, maka tidak boleh untuk puasa. Kita kena pandai nilai. Kita sendiri yang tahu keadaan dan kemampuan diri kita.

Ataupun dia dalam perjalanan, tetapi dia mahu berpuasa juga – itu pun boleh. Sebab kalau perjalanan itu pendek, dekat sahaja, naik kereta atau kapal terbang, elok sahaja untuk dia puasa. Sebaliknya jikalau dengan dia puasa dan terpaksa memandu kereta misalnya, dan dia menjadi penat dan mengantuk kerana lapar, maka tidak sesuai kalau dia mahu berpuasa. Ia terpulang kepada individu itu sendiri seperti disebut di dalam sebuah hadith,

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا زَوْجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّ حَمْزَةَ بْنَ عَمْرٍو الْأَسْلَمِيَّ قَالَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَأَصُومُ فِي السَّفَرِ وَكَانَ كَثِيرَ الصِّيَامِ فَقَالَ إِنْ شِئْتَ فَصُمْ وَإِنْ شِئْتَ فَأَفْطِرْ
Daripada ‘Aisyah رضي الله عنها, isteri Nabi ﷺ, bahawa Hamzah bin ‘Amru Al Aslamiy رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata, kepada Nabi ﷺ: “Apakah aku boleh berpuasa ketika bermusafir? Dia adalah orang yang banyak berpuasa”. Maka baginda menjawab: “Jika kamu mahu berpuasalah dan jika kamu mahu berbukalah”.
(Sahih Bukhari No.1807)

Lebih afdhal berpuasa daripada membayar fidyah. Kalau kita beribadah dalam keadaan yang susah sedikit, pahala yang kita dapat akan lebih lagi. Namun ingat, jangan sampai memudaratkan diri. Ia adalah pilihan yang diberikan dan terpulang kepada individu. Jangan merendahkan sesiapa yang tidak berpuasa dan jangan juga merendahkan sesiapa yang tetap mahu berpuasa.

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ كُنَّا نُسَافِرُ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَلَمْ يَعِبْ الصَّائِمُ عَلَى الْمُفْطِرِ وَلَا الْمُفْطِرُ عَلَى الصَّائِمِ
Daripada Anas bin Malik رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata; “Kami pernah bepergian bersama Nabi ﷺ, yang berpuasa tidak mencela yang berbuka dan yang berbuka juga tidak mencela yang berpuasa”.
(Sahih Bukhari No. 1811)

Manakah yang sunnah? Kedua-dua adalah sunnah kerana Nabi ﷺpernah berpuasa di dalam safar dan pernah juga tidak puasa.

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ خَرَجَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ الْمَدِينَةِ إِلَى مَكَّةَ فَصَامَ حَتَّى بَلَغَ عُسْفَانَ ثُمَّ دَعَا بِمَاءٍ فَرَفَعَهُ إِلَى يَدَيْهِ لِيُرِيَهُ النَّاسَ فَأَفْطَرَ حَتَّى قَدِمَ مَكَّةَ وَذَلِكَ فِي رَمَضَانَ فَكَانَ ابْنُ عَبَّاسٍ يَقُولُ قَدْ صَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَفْطَرَ فَمَنْ شَاءَ صَامَ وَمَنْ شَاءَ أَفْطَرَ
Daripada Ibnu’ Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا berkata; “Rasulullah ﷺ berangkat dari Madinah menuju Makkah dalam keadaan berpuasa sehingga ketika sampai di daerah ‘Usfan, Baginda meminta air lalu baginda mengangkat air itu dengan tangan baginda agar dilihat oleh orang banyak, lalu baginda berbuka hingga tiba di Makkah. Kejadian ini di bulan Ramadhan”. Dan Ibnu ‘Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا juga berkata: “Dan Rasulullah ﷺ juga pernah berpuasa dalam suatu perjalanan baginda dan juga pernah berbuka. Maka siapa yang mahu silakan berpuasa dan siapa yang mahu silakan berbuka”.
(Sahih Bukhari No. 1812)

Ada juga pendapat yang mengatakan potongan ayat ini bukanlah berkenaan golongan yang diberi rukhsah akan tetapi ia kembali mengingatkan kepentingan puasa itu. Seperti telah disebut sebelum ini, hukum awal berpuasa boleh diganti dengan fidyah. Orang yang tidak mahu berpuasa boleh memilih untuk membayar fidyah sahaja. Ini pada awal Islam kerana hendak membiasakan umat dengan syariat puasa. Jadi, Allah ‎ﷻ tekankan yang kalau berpuasa lebih baik.

Ketiganya, di dalam bentuk yang umum, Allah ‎ﷻ mengingatkan kepentingan puasa kepada umat Islam. Jangan kita fikirkan lapar dan dahaga sahaja akan tetapi ingatkanlah yang ia adalah suruhan daripada Allah ‎ﷻ dan apabila Allah ‎ﷻ suruh, tentulah ada kebaikan padanya. Sekiranya kita mengetahui nilai puasa, maka kita akan menjaga puasa Ramadhan dan akan memperbanyakkan puasa-puasa sunat di bulan-bulan yang lain. Pahala puasa dalam Ramadhan itu amatlah tinggi sekali. Melebihi lagi daripada amalan ibadat yang lain. Nabi ﷺ telah bersabda:

كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ يُضَاعَفُ الْحَسَنَةُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا إِلَى سَبْعِمِائَةِ ضِعْفٍ قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ إِلاَّ الصَّوْمَ فَإِنَّهُ لِى وَأَنَا أَجْزِى بِهِ يَدَعُ شَهْوَتَهُ وَطَعَامَهُ مِنْ أَجْلِى لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ فَرْحَةٌ عِنْدَ فِطْرِهِ وَفَرْحَةٌ عِنْدَ لِقَاءِ رَبِّهِ. وَلَخُلُوفُ فِيهِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللَّهِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ
“Setiap amalan kebaikan yang dilakukan oleh manusia akan dilipatgandakan dengan sepuluh kebaikan yang semisal hingga tujuh ratus kali lipat. Allah berfirman: Kecuali amalan puasa. Amalan puasa tersebut adalah untuk-Ku. Aku sendiri yang akan membalasnya. Disebabkan dia telah meninggalkan syahwat dan makanan kerana-Ku. Bagi orang yang berpuasa akan mendapatkan dua kebahagiaan iaitu kebahagiaan ketika dia berbuka dan kebahagiaan ketika berjumpa dengan Rabbnya. Sungguh bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau minyak kasturi
Sahih Bukhari no. 1904, 5927 dan Muslim no. 1151)

Namun begitu, kita sebagai manusia biasa, tidak dapat tahu dengan sepenuhnya apakah kelebihan puasa itu. Hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang tahu. Maka kita kena percaya sahaja dan hendaklah kita jaga sungguh-sungguh ibadat puasa ini.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 10 Mac 2025

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah

Tafsir Surah Baqarah Ayat 183 (Puasa)

HUKUM PUASA

Baqarah Ayat 183: Ayat ini adalah tentang hubungan dengan Allah ‎ﷻ pula. Ayat-ayat sebelum ini sentiasa menyentuh tentang taqwa. Sekarang Allah ‎ﷻ memberikan jalan-jalan bagaimana cara untuk mencapai taqwa. Oleh itu ayat-ayat yang seterusnya ini adalah tentang puasa. Ia kembali menceritakan tentang pemeliharaan jiwa dengan mengerjakan puasa. Semua perkara tentang puasa dimasukkan di dalam kumpulan ayat yang berterusan ini. Kemudian tidak dimasukkan di mana-mana lagi. Ini adalah sesuatu yang aneh sebenarnya. Selalunya, hukum sesuatu perkara tidak dimasukkan oleh Allah ‎ﷻ sebegini. Selalunya hukum sesuatu perkara itu ada dalam satu surah, kemudian dimasukkan dalam surah yang lain. Maknanya ia berselerak dalam Al-Qur’an namun tidak begitu dengan hukum puasa ini. Semuanya ada dalam lima ayat ini sahaja.

Amalan puasa ini adalah untuk memperbaiki hubungan hamba dan Allah ‎ﷻ. Kalau hubungan hamba dan Allah ‎ﷻ baik, tentu hubungan hamba dan hamba yang lain akan menjadi baik juga. Kalau hubungan dengan Allah ‎ﷻ tidak baik, nescaya tidak akan dapat dijaga hubungan baik dengan makhluk yang lain.

Puasa adalah satu daripada arahan jenis Umur Muslihah. Apabila kita berpuasa, kita sanggup untuk tidak makan kerana ia adalah hukum daripada Allah ‎ﷻ. Kita sabar untuk tidak makan selama sebulan pada siang harinya, dari pagi hingga ke malam. Maka hasilnya, Allah ‎ﷻ memberi kekuatan untuk orang yang berpuasa untuk menjaga diri mereka daripada memakan daripada sumber yang haram. Inilah kebaikan puasa. Sebab itu ayat puasa ini diletakkan di celah-celah ayat-ayat tentang pengurusan harta. Sebelum ini telah disebut ayat-ayat tentang wasiat. Pengurusan harta adalah amat penting kerana dengan sebab harta boleh menjadi punca manusia masuk neraka.

Selepas ayat puasa ini, ada pula ayat tentang larangan memakan harta sesama kita dengan cara bathil. Ini memberi isyarat kepada kita, bahawa harta tidak dapat dijaga dengan baik kalau hubungan dengan Allah ‎ﷻ dari segi puasa ini tidak betul. Ini kerana puasa mengajar kita taqwa iaitu takut dengan hukum Allah ‎ﷻ.

Doa juga makbul semasa puasa. Termasuk semasa kita melakukan puasa sunat. Maka ambillah kesempatan untuk berdoa semasa puasa. Yakinlah yang doa itu akan makbul. Oleh itu, dalam ayat-ayat puasa ini nanti, kita akan bertemu dengan ayat-ayat tentang doa.

Kita semua tentunya sudah faham dan mahir tentang puasa ini sebab semenjak kecil sudah mengamalkannya. Walau bagaimana pun, semua orang mempunyai tafsiran mereka sendiri tentang puasa. Kepada kanak-kanak, mereka faham puasa itu tidak boleh makan dan minum sahaja. Kepada orang dewasa, mungkin lain pula pemahaman mereka (lebih banyak faham). Tentulah tidak sama pemahaman seorang yang berilmu dan seorang yang jahil – ada yang puasa hanya kerana orang lain pun puasa juga. Maka, pemahaman tidak sama tentang apakah maksud ‘puasa’ itu. Maka, sekarang kita hendak melihat apakah maksud puasa yang dimaksudkan sendiri oleh Allah ‎ﷻ dalam ayat Al-Qur’an. Tentunya kita hanya akan mendapat maklumat itu dengan membaca dan memahami ayat-ayat-Nya. Mari kita teruskan.

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيكُمُ الصِّيامُ كَما كُتِبَ عَلَى الَّذينَ مِن قَبلِكُم لَعَلَّكُم تَتَّقونَ

Sahih International

O you who have believed, decreed upon you is fasting as it was decreed upon those before you that you may become righteous –

 

Malay

Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.

 

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ

Wahai orang-orang yang beriman

Ayat ini ditujukan kepada orang-orang yang beriman. Maka, ia ditujukan kepada kita juga yang mengaku beriman ini. Bayangkan yang Allah ‎ﷻ sedang bercakap terus dengan kita. Banyak ayat-ayat yang dimulai dengan kata-kata ini. Memang seeloknya, apabila kita membaca Al-Qur’an, kita qasadkan dalam hati kita yang Allah ‎ﷻ sedang bercakap-cakap dengan kita. Ini akan lebih menjadikan kita dapat menjiwai ayat-ayat Al-Qur’an yang dibaca.

Sahabat Nabi kita, salah seorang ahli tafsir yang terkenal Abdullah bin Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ pernah mengatakan, bahawa apabila sesuatu yang dimulai dengan panggilan kepada orang yang percaya, sebelum sampai ke akhirnya kita sudah tahu bahawa ayat ini akan mengandungi suatu perihal yang penting ataupun suatu larangan yang berat. Sebab Tuhan Yang Maha Tahu itu telah memperhitungkan terlebih dahulu bahawa yang bersedia menggalangkan bahu buat memikul perintah Allah ‎ﷻ itu hanya orang yang beriman.

Allah ‎ﷻ sebut ‘mereka yang beriman’. Jadi, siapakah mereka yang beriman itu? Itulah mereka yang beriman dengan perkara-perkara yang patut diimani. Rukun iman adalah asas kepada perkara yang perlu diimani – beriman kepada Allah ‎ﷻ, kepada malaikat, kepada Kitab dan seterusnya. Namun ada banyak lagi perkara yang perlu diimani. Itu kena belajar baru dapat tahu.

 

كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ

difardhukan ke atas kamu puasa

Ayat ini diturunkan pada bulan Sya’ban Tahun Kedua Hijrah. Iaitu sebelum bulan Ramadhan dan pada Ramadhan itulah terjadinya Perang Badr. Maknanya para sahabat Ahli Badr ketika berperang ketika bulan puasa.

Perkataan كُتِبَ asalnya diambil daripada kalimah ‘kitab’ yang bermaksud ‘buku’. Namun apabila diikuti dengan perkataan عَلَيْ, hingga menjadikan perkataan sebegini: كُتِبَ عَلَيْ, maka ia bermaksud ‘difardhukan’, atau ‘diwajibkan’. Kita boleh faham sebegini: apabila undang-undang itu telah dibukukan dan digazetkan, bermakna ia wajib diikuti. Yang dimaksudkan ada puasa dalam bulan Ramadhan. Puasa termasuk di dalam Rukun Islam seperti disebut di dalam hadith,

عَنْ طَلْحَةَ بْنِ عُبَيْدِ اللَّهِ أَنَّ أَعْرَابِيًّا جَاءَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثَائِرَ الرَّأْسِ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَخْبِرْنِي مَاذَا فَرَضَ اللَّهُ عَلَيَّ مِنْ الصَّلَاةِ فَقَالَ الصَّلَوَاتِ الْخَمْسَ إِلَّا أَنْ تَطَّوَّعَ شَيْئًا فَقَالَ أَخْبِرْنِي مَا فَرَضَ اللَّهُ عَلَيَّ مِنْ الصِّيَامِ فَقَالَ شَهْرَ رَمَضَانَ إِلَّا أَنْ تَطَّوَّعَ شَيْئًا فَقَالَ أَخْبِرْنِي بِمَا فَرَضَ اللَّهُ عَلَيَّ مِنْ الزَّكَاةِ فَقَالَ فَأَخْبَرَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ شَرَائِعَ الْإِسْلَامِ قَالَ وَالَّذِي أَكْرَمَكَ لَا أَتَطَوَّعُ شَيْئًا وَلَا أَنْقُصُ مِمَّا فَرَضَ اللَّهُ عَلَيَّ شَيْئًا فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَفْلَحَ إِنْ صَدَقَ أَوْ دَخَلَ الْجَنَّةَ إِنْ صَدَقَ
Daripada Tholhah bin ‘Ubaidullah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ; Ada seorang ‘Arab Badwi datang kepada Rasulullah ﷺ dalam keadaan kepalanya penuh debu lalu berkata; “Wahai Rasulullah, khabarkan kepadaku apa yang telah Allah wajibkan buatku tentang solat?”. Maka baginda ﷺ menjawab: “Solat lima kali kecuali bila kamu mahu menambah dengan yang tathowwu’ (sunnat) “. Orang itu bertanya lagi: “Lalu khabarkan kepadaku apa yang telah Allah wajibkan buatku tentang shaum (puasa)?”. Maka baginda menjawab: “Shaum di bulan Ramadhan kecuali bila kamu mahu menambah dengan yang tathowwu’ (sunnat) “.”Dan shiyam (puasa) Ramadhan”. Orang itu bertanya lagi: “Lalu khabarkan kepadaku apa yang telah Allah wajibkan buatku tentang zakat?”. Berkata Tholhah bin ‘Ubaidullah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ: Maka Rasulullah ﷺ menjelaskan kepada orang itu tentang syariat-syariat Islam. Kemudian orang itu berkata: “Demi Dzat yang telah memuliakan anda, aku tidak akan mengerjakan yang sunat sekalipun, namun aku pun tidak akan mengurangi satupun daripada apa yang telah Allah wajibkan buatku”. Maka Rasulullah ﷺ berkata: “Dia akan beruntung jika jujur menepatinya atau dia akan masuk syurga jika jujur menepatinya “.
(Sahih Bukhari No. 1758)

Sebelum itu para sahabat telah biasa berpuasa pada hari Asyura, jadi apabila telah adanya puasa Ramadhan ini, maka ia menjadi sunat sahaja.

عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ كَانَ عَاشُورَاءُ يَصُومُهُ أَهْلُ الْجَاهِلِيَّةِ فَلَمَّا نَزَلَ رَمَضَانُ قَالَ مَنْ شَاءَ صَامَهُ وَمَنْ شَاءَ لَمْ يَصُمْهُ
Daripada Ibnu Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا dia berkata; “Dahulu hari Asyura’ adalah hari yang orang-orang jahilliyah berpuasa, tatkala turun bulan Ramadhan, baginda bersabda: “Barang siapa yang ingin berpuasa Asyura’ hendaklah dia berpuasa, dan bagi yang tidak ingin, silakan dia tinggalkan.”
(Sahih Bukhari No. 4141)

Kalimah الصِّيَامُ asalnya bermaksud ‘menahan diri daripada sesuatu’ iaitu yang nafsu mahu lakukan. Ini seperti makan, minum, bercakap, hubungan suami isteri dan banyak lagi. Kalau perkara itu bukan nafsu yang mahu – contohnya menahan diri daripada terjun bangunan contohnya, itu tidak dikira الصِّيَامُ kerana ia bukanlah sesuatu yang diingini oleh nafsu. Di dalam Al-Qur’an, penggunaan kalimah صوم bukan hanya bermaksud menahan diri daripada makan sahaja seperti disebut dalam Maryam: 26

إِنّي نَذَرتُ لِلرَّحمٰنِ صَومًا فَلَن أُكَلِّمَ اليَومَ إِنسِيًّا
Sesungguhnya aku bernazar diam membisu kerana (Allah) Ar-Rahman; (setelah aku menyatakan yang demikian) maka aku tidak akan berkata-kata kepada sesiapapun dalam kalangan manusia pada hari ini”.

Di dalam ayat daripada Surah Maryam itu, ia bermakna menahan diri daripada berkata-kata iaitu kebiasaan yang kita lakukan. Cuma dari segi hukum syarak, yang dimaksudkan dalam ayat Surah Baqarah ini adalah: ‘menahan diri daripada makan, minum dan hubungan seks untuk beberapa waktu yang tertentu’.

Dalam Bulan Puasa, iman dapat melawan nafsu. Nafsu hendak makan dan hendak minum tentunya, tetapi kerana iman kita, kita dapat menahan diri kita daripada makan dan minum kerana ia adalah arahan daripada Allah ﷻ. Sebenarnya, keseluruhan hidup kita adalah menahan nafsu kerana kalau kita ikut sahaja semua kehendak nafsu tanpa kekangan, maka hidup kita akan musnah. Macam-macam nafsu kita mahukan. Sentiasa sahaja kita hendak itu dan ini. Ada yang baik seperti makan dan minum, dan ada yang tidak baik seperti hendak menipu, hendak mencuri, hendak itu dan ini. Namun kita harus menahan nafsu kita daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh syarak. Bukanlah kena tahan semua nafsu itu, kerana mana-mana keinginan nafsu yang dibolehkan oleh syarak, ia dibenarkan. Sebagai contoh, melakukan persetubuhan adalah haram tetapi dibenarkan apabila sudah menikah dengan isteri kita.

Oleh itu, keseluruhan hidup kita sebenarnya adalah puasa sebenarnya. Mungkin ramai tidak nampak perkara ini. Memang jalan ke syurga itu susah. Kena berterusan istiqamah dalam berperang dengan nafsu. Dalam bulan Ramadhan, kekuatan iman kita dilatih untuk menundukkan nafsu dengan bantuan daripada Allah ‎ﷻ. Apabila kita selalu berjaya menundukkan nafsu, maka iman kita semakin kuat dan nafsu kita akan semakin mudah untuk menurut iman.

Dalam ayat ini, perkataan yang digunakan adalah ‘difardhukan ke atas kamu’. Tidak disebut siapakah yang memfardhukannya. Tentunya Allah ‎ﷻ yang memfardhukan puasa kepada kita. Namun tidak disebut dalam potongan ayat ini. Ini adalah kerana Allah ‎ﷻ hendak menekankan kepada kita, ‘Siapakah pembuat ibadah puasa itu?’ Itulah cara penggunaan bahasa dalam ayat ini.

 

Kelebihan berpuasa

Apabila Allah ‎ﷻ memfardhukan puasa kepada kita, bukanlah bermakna Allah ‎ﷻ perlukan kepada ibadat puasa kita itu. Tidak berubah sifat dan kedudukan Allah ‎ﷻ sama ada kita berpuasa atau tidak. Namun, puasa itu adalah satu kelebihan untuk kita sebenarnya. Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dia berkata,

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
“Barangsiapa berpuasa Ramadhan atas dasar iman dan mengharap pahala daripada Allah, maka dosanya yang telah lalu akan diampuni.”
(Sahih Bukhari No. 38 dan Muslim No. 760)

Terdapat banyak kelebihan dalam puasa itu. Dunia perubatan pun telah membuat kajian dan sepakat mengatakan bahawa terdapat kelebihan dalam bentuk kesihatan kepada mereka yang berpuasa. Kita menghabiskan kebanyakan daripada kehidupan kita dengan makan sepanjang hari. Proses penghadaman dalam badan kita sebenarnya memenatkan dan badan kita sebenarnya memerlukan rehat. Kita mendapat rehat itu ketika berpuasa. Namun begitu, janganlah pula kita niat berpuasa itu untuk kesihatan kerana kita puasa kerana ia adalah arahan Allah ‎ﷻ. Kita lakukan ibadat ikhlas kerana Allah ‎ﷻ. Cuma kita tahu, di sebalik segala suruhan Allah ‎ﷻ itu, ada kebaikannya sebagai bonus untuk kita. Sama ada kita dapat tahu kelebihan itu atau tidak sahaja. Kadang-kadang daripada kajian moden, kita dapat tahu apakah hikmah sesuatu amalan itu. Namun sebenarnya tidak penting sama ada kita tahu atau tidak. Yang penting, kita kena lakukan sahaja segala arahan daripada Allah ‎ﷻ. Yakinlah yang tentu sahaja ada kebaikan di dalamnya.

Apabila kita tidak makan dan minum, fikiran dan badan kita boleh fokus kepada perkara selain daripada menghadamkan makan. Ini kerana apabila makan, tenaga yang diperlukan untuk menghadamkan makanan akan banyak disalurkan kepada proses menghadam makanan. Apabila sudah tidak makan, maka fikiran dan badan boleh fokus tenaga kepada ibadat, kepada memikirkan perkara-perkara yang baik. Antaranya kita akan dapat solat dengan lebih khusyuk, membaca Al-Qur’an dengan lebih tenang, dan memikirkan makna yang hendak disampaikan oleh Al-Qur’an. Kemudian, amalan ini sepatutnya diteruskan lagi dalam bulan-bulan yang lain supaya kita tetap dapat manfaat ini.

Puasa ini adalah seperti sejenis ubat untuk kita. Sekiranya seorang pesakit datang kepada doktor, doktor akan berikan ubat kepada pesakit itu. Doktor itu akan memastikan yang dia akan beri ubat yang sesuai untuk pesakit itu. Kalau sakit yang dihadapi oleh pesakit itu berat, maka ubat yang diberikan adalah jenis yang kuat. Sebagai contoh, kalau sakit itu kanser, kadang-kadang doktor akan suruh pesakit kanser itu menjalani kemoterapi – satu jenis perubatan yang amat berat sampaikan mereka yang menjalaninya akan gugur habis rambutnya. Itu adalah kerana doktor hendak mematikan sel-sel kanser yang ada pada pesakit itu.

Pertamanya, kita kena terima bahawa kita memerlukan ubat iaitu ubat untuk iman dan roh kita. Kadang-kadang ubat yang kita kena makan adalah ubat yang kuat, ubat yang drastik. Memang, puasa adalah satu langkah yang drastik kalau kita fikirkan. Bayangkan kita terpaksa menahan makan dan minum sepanjang hari selama sebulan. Bagi orang bukan Muslim yang melihat kita, pasti mereka memang menggelengkan kepada dan mereka kata mereka tidak sanggup lakukan sebegini. Jadi, jangan kita sangka apa yang kita lakukan ini adalah perkara senang. Mungkin kita sudah biasa kerana kita sudah biasa puasa semenjak kecil lagi.

Kita dikenakan dengan ubat yang drastik ini adalah kerana iman kita mengalami gangguan yang amat teruk sampaikan kita memerlukan langkah perubatan yang ketara. Sebagai contoh, kalau seseorang itu sakit jantung, sampai jantungnya berhenti, doktor akan memberikan kejutan elektrik untuk menghidupkan jantungnya semula. Kadang-kadang ubat yang diberikan juga tidak sedap – amat pahit tetapi ia adalah baik untuk kita. Namun kita menelannya juga, kerana kita hendak sihat dan kita tahu yang ia memang ubat. Maka kita kena sedar dulu yang Puasa adalah ubat sebenarnya.

 

Persediaan Perang

Terdapat isyarat berperang juga dalam ayat ini kerana perkataan الصِّيَامُ itu membawa satu makna ‘peperangan’ juga kepada orang Arab. Ini kerana apabila mereka hendak berperang, ada yang menggunakan kuda. Namun kuda tidak tahan dahaga. Kuda tidak seperti unta yang boleh tahan tidak minum air untuk waktu yang panjang. Namun begitu, mereka tidak boleh membawa unta untuk berperang kerana unta pergerakannya perlahan. Maka, untuk mereka menggunakan kuda juga untuk peperangan, mereka hendaklah melatih kuda itu untuk menahan lapar dan dahaga. Oleh itu mereka akan menahan kuda daripada makan dan minum untuk beberapa lama sebagai persediaan perang. Aktiviti ini dinamakan الصِّيَامُ. Maka, apabila disebut الصِّيَامُ, orang-orang Arab akan terus teringat kepada peperangan.

Kenapa pembaca Al-Qur’an diingatkan kepada peperangan? Ini kerana para sahabat akan disuruh berperang nanti untuk mendapatkan kembali Tanah Haram dan Kaabah daripada orang kafir musyrik. Surah ini memang diturunkan tidak lama sebelum arahan berperang dikeluarkan.

 

كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ

sepertimana yang telah difardhukan kepada orang-orang sebelum kamu

Ini adalah hukum awal berpuasa. Kita diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas ahli Kitab sebelum itu. Sekarang kita dapat satu maklumat penting yang kita tidak akan dapat tahu sendiri: Ahli Kitab telah diwajibkan juga berpuasa ke atas mereka. Namun mereka telah menukar syariat yang telah diberikan kepada mereka. Orang Yahudi contohnya, telah menukar sebulan puasa kepada beberapa hari sahaja. Orang Kristian pula telah menukar puasa mereka ke bulan yang lain daripada bulan Ramadhan dan kemudiannya mereka telah menambah bilangan hari berpuasa itu. Kemudiannya, mereka pun tidak melakukan puasa juga akhirnya.

‘Orang-orang sebelum kamu’ juga termasuklah umat-umat dahulu, seperti umat Nabi Nuh عليه السلام dan umat-umat lain. Mereka juga diwajibkan puasa. Kita tidak pasti bagaimanakah cara puasa mereka – berapa lama, berapa hari, apakah mereka tidak boleh makan sahaja, tidak boleh minum sahaja – kita tidak pasti. Namun disebutkan puasa juga telah diwajibkan kepada mereka supaya kita tahu bahawa bukan umat Nabi Muhammad ﷺ sahaja yang diwajibkan puasa tetapi umat-umat terdahulu. Supaya senang hati kita, barulah kita tahu bahawa walaupun arahan yang diberikan kepada kita ini berat, tetapi kita tenangkan diri kerana umat-umat Islam dahulu pun sudah dikenakan arahan yang sama juga, bukan kita sahaja. Kalau kita tahu orang lain pun kena juga, maka kita dapat terima dengan mudah.

Sampai sekarang pun agama lain ada yang mengamalkan puasa, walaupun tidaklah sama seperti agama Islam. Antaranya:

– Puasa dalam Kristian. Waktu: Tempoh 40 hari sebelum Hari Paskah (Easter), dikenali sebagai Lent. Cara Berpuasa: Tidak ada aturan khusus untuk semua denominasi. Sebahagian umat Kristian, terutama Katolik, menghindari makanan tertentu seperti daging atau berpuasa penuh pada hari tertentu (misalnya, Ash Wednesday dan Good Friday).

– Puasa dalam Yahudi. Waktu: Terdapat hari-hari tertentu untuk berpuasa, seperti Yom Kippur (Hari Pendamaian) dan Tisha B’Av (memperingati kehancuran Bait Suci di Yerusalem). Cara Berpuasa: Umat Yahudi menahan diri daripada makan, minum, dan aktiviti tertentu selama 24 jam penuh pada hari-hari puasa wajib. Pada puasa minor (seperti Tzom Gedaliah), mereka berpuasa dari matahari terbit hingga terbenam.

– Puasa dalam Hindu (Upavasa) Waktu: Biasanya dilakukan pada hari-hari tertentu dalam kalender Hindu, seperti Ekadashi (hari ke-11 setiap bulan lunar), Navaratri, atau Mahashivratri. Cara Berpuasa: Tidak makan sepenuhnya atau hanya makan makanan tertentu (misalnya, buah-buahan, susu, atau makanan tanpa garam). Dalam beberapa tradisi, puasa boleh melibatkan pantang makanan seperti daging atau produk tertentu.

– Puasa dalam Buddha. Waktu: Tidak ada kewajipan berpuasa, tetapi para biksu dan biksuni sering berpuasa secara sukarela pada hari-hari tertentu, seperti Uposatha (hari suci dalam kalendar Buddha). Cara Berpuasa: Biasanya, mereka tidak makan setelah tengah hari hingga matahari terbit keesokan harinya. Praktik ini membantu memfokuskan diri pada kehidupan rohani.

– Puasa dalam Taoisme. Cara Berpuasa: Biasanya melibatkan pantang makanan berat, alkohol, dan keinginan duniawi. Praktik ini sering dikaitkan dengan meditasi dan latihan pernafasan.

Seandainya kita meneruskan analogi puasa itu sebagai ‘ubat’, kita juga mendapat manfaat dengan mengetahui bahawa ia telah diberikan kepada orang-orang yang terdahulu. Bayangkan seorang doktor menyuruh kita makan sejenis ubat. Ubat itu pula adalah ubat yang kuat. Tentulah kita akan tanya kepada doktor itu sama ada ia pernah digunakan sebelum ini. Adakah pernah diberi kepada orang lain? Adakah ia berkesan kepada orang itu? Maka, Allah ‎ﷻ telah beri kita ketenangan fikiran dengan menyatakan bahawa ibadah puasa ini juga pernah diberikan kepada orang-orang terdahulu dan mereka telah berjaya melakukannya. Mereka juga telah mendapat manfaat daripadanya iaitu sebelum mereka meninggalkan agama mereka dan tidak melakukan puasa lagi.

 

لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

mudah-mudahan kamu mendapat taqwa

Sekarang kita dapat tahu daripada ayat ini bahawa tujuan puasa diwajibkan adalah untuk menjadikan kita orang yang bertaqwa. Namun, lihatlah kepada perkataan لَعَلَّكُمْ (mudah-mudahan, kamu) yang digunakan dalam ayat ini. Maksud ayat ini adalah ‘mudah-mudahan’. ‘Mudah-mudahan’ bermaksud sesuatu yang tidak pasti. Ia adalah satu harapan – harap-harap dengan menjalankan ibadah puasa ini, kita boleh mendapat ketaqwaan. Belum tentu dapat taqwa lagi.

Maka ayat ini bukanlah satu janji yang kalau berpuasa, akan dapat mencapai taqwa, tetapi ia adalah sebagai satu pengharapan, satu usaha. Satu pemberitahuan bahawa untuk mendapat taqwa, hendaklah berpuasa seperti yang disuruh oleh Allah ‎ﷻ. Ini memberi kita satu motivasi kepada kita untuk berpuasa.

Perkataan تَتَّقُونَ  (kamu bertaqwa) juga memberi isyarat dari segi bahasa bahawa ia adalah satu kebarangkalian kerana ia dalam fiil mudhari’ (present tense). Apabila digunakan fiil mudhari’, ia menunjukkan satu isyarat kebarangkalian. Kalau Al-Qur’an hendak menyatakan kepastian, fiil mardhi (past tense) akan digunakan.

Kenapakah ia sebagai satu kebarangkalian sahaja? Ini kerana berapa ramai yang berpuasa tetapi tidak menghayati kepentingan puasa itu. Berapa ramai yang puasa tetapi mereka hanya mendapat lapar dan dahaga sahaja? Berapa ramai yang berpuasa daripada makan dan minum tetapi mereka masih lagi melakukan dosa-dosa yang ditegah? Mereka masih lagi berbalah, berbuat dosa dan sebagainya. Malah, ada yang berpuasa, tetapi mereka tidak solat pun. Adakah mereka yang sebegitu boleh mendapat taqwa? Tentulah tidak.

Namun, untuk mencapai taqwa, hendaklah menjalankan ibadah puasa itu dengan sebaik-baiknya. Hendaklah kita berusaha untuk menghayatinya. Kalau tidak berpuasa, sudah tentu tidak akan mendapat tingkatan taqwa yang kita harap-harapkan. Kalau doktor suruh kita makan ubat, dan kita tidak makan ubat itu dengan betul, tentunya kita tidak mendapat manfaat. Katakanlah doktor suruh kita makan ubat selama dua minggu, tiap-tiap hari makan tiga kali tetapi kita tidak makan tiap-tiap hari, kita cuma makan ikut suka kita sahaja. Kemudian apabila kita datang jumpa doktor dan mengadu kata penyakit kita tidak sembuh, agak-agak apa doktor itu akan cakap? Tentu dia marah kita kerana tidak makan ubat mengikut sukatan dan arahan yang diberikan, bukan? Begitulah juga dengan puasa. Kita kenalah mengamalkannya dengan baik, dengan cara yang telah Allah ‎ﷻ tetapkan kepada kita.

Ayat sebelum ini adalah tentang harta dan selepas ayat-ayat puasa ini, akan bertemu lagi ayat tentang sumber pendapatan. Maka, apabila disebut tentang taqwa, salah satu taqwa yang kita perlu ada adalah dalam pengurusan harta dan sumber pendapatan. Kalau kita melakukan puasa, kita akan bertaqwa, lebih-lebih lagi dalam hal pengurusan harta.

 

Maksud taqwa

Maksud taqwa itu adalah amat luas sekali. Ia boleh disimpulkan sebegini: kita menjaga diri kita daripada mengecewakan diri kita dan Allah ‎ﷻ. Kita menjaga hukum yang diberikan oleh Allah ‎ﷻ. Dalam setiap perkara yang kita lakukan, kita sedar Allah ‎ﷻ sedang memandang kita dan menilai apakah yang kita lakukan.

Kita sentiasa memikirkan apakah yang Allah ‎ﷻ kehendaki dalam keadaan itu. Sebagai contoh, ada makanan yang diberikan kepada kita, maka kalau kita seorang yang bertaqwa, kita akan memikirkan apakah hukum memakan makanan itu. Tidaklah kita terus makan sahaja. Apabila berpuasa, kita akan merasa lapar. Tentu ada peperangan yang berlaku antara nafsu dan fizikal apabila kita berpuasa. Selalunya, apabila ada pertentangan antara fizikal dan nafsu, nafsu akan menang, bukan? Namun apabila kita berpuasa, iman yang akan menang daripada nafsu itu. Walaupun kita nampak makanan yang sedap-sedap dan air yang menyegarkan, iman kita akan menahan fizikal kita dan nafsu kita daripada makan.

Iman yang menang kali ini. Setiap hari kita akan menang dalam bulan Ramadhan. Apa yang akan terjadi kalau iman selalu menang? Iman akan jadi semakin kuat. Seperti juga kalau kita selalu menang dalam pertandingan sukan contohnya – ia akan memberi kekuatan dan keteguhan kepada semangat kita. Begitu jugalah apabila kita berpuasa. Maka kerana itulah Rasulullah ﷺ pernah mengatakan yang puasa itu sebagai perisai,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الصِّيَامُ جُنَّةٌ فَلَا يَرْفُثْ وَلَا يَجْهَلْ وَإِنْ امْرُؤٌ قَاتَلَهُ أَوْ شَاتَمَهُ فَلْيَقُلْ إِنِّي صَائِمٌ مَرَّتَيْنِ وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَخُلُوفُ فَمِ الصَّائِمِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللَّهِ تَعَالَى مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ يَتْرُكُ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ وَشَهْوَتَهُ مِنْ أَجْلِي الصِّيَامُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ وَالْحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ; Bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Puasa itu perisai, maka (orang yang melaksanakannya) janganlah berbuat kotor (rafats) dan jangan pula berbuat bodoh. Apabila ada orang yang mengajaknya berkelahi atau menghinanya maka katakanlah ‘aku sedang berpuasa’ (baginda mengulang ucapannya dua kali). Dan demi Dzat yang jiwaku berada di tangan-Nya, sungguh bau mulut orang yang sedang berpuasa lebih harum di sisi Allah Ta’ala daripada harumnya minyak misk, kerana dia meninggalkan makanannya, minuman dan nafsu syahwatnya kerana Aku. Puasa itu untuk Aku dan Aku sendiri yang akan membalasnya dan setiap satu kebaikan dibalas dengan sepuluh kebaikan yang serupa”.
(Sahih Bukhari No. 1761)

Puasa sebagai latihan

Maka, puasa itu adalah satu latihan kepada iman kita. Apabila kita berlatih, selalunya kita akan berlatih dalam suasana yang mudah. Sebagai contoh, kalau askar, mereka akan berlatih menembak di tempat menembak sahaja – tidaklah tempat tembak itu akan menembaknya semula. Ini dilakukan supaya mereka akan mendapat keyakinan dalam menembak setelah berlatih sekian lama. Begitu jugalah kalau kita berlatih dalam bulan puasa – syaitan yang membisikkan perkara buruk kepada kita diikat dalam bulan puasa. Allah ﷻ bantu dengan mengikat mereka supaya iman kita dapat selalu menang. Itulah rahmat yang Allah ‎ﷻ berikan kepada diri kita. Dalil syaitan diikat,

أَبَا هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ يَقُولُ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ شَهْرُ رَمَضَانَ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ السَّمَاءِ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ جَهَنَّمَ وَسُلْسِلَتْ الشَّيَاطِينُ
Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata, Rasulullah ﷺ bersabda: “Apabila bulan Ramadhan datang, maka pintu-pintu langit dibuka sedangkan pintu-pintu jahannam ditutup dan syaitan-syaitan dibelenggu”.
(Sahih Bukhari No. 1766)

Bayangkan – Allah ‎ﷻ beri kita 30 hari dalam setahun untuk melatih iman kita. Itu adalah satu peluang dan satu hadiah kepada kita. Kenapa syaitan diikat? Bayangkan kalau syaitan masih berkeliaran dan tidak diikat di bulan Ramadhan. Agaknya, kita tidak tahan puasa tiga hari pun. Sebab itu, kalau kita perhatikan, amat sukar untuk kita berpuasa di bulan lain selain di bulan Ramadhan. Sebaliknya amatlah mudah untuk berpuasa di dalam bulan Ramadhan. Kerana itu ada hadith yang menyebut pintu syurga dibuka pada bulan Ramadhan memberi isyarat jalan-jalan ke syurga dimudahkan pada bulan Ramadhan,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا جَاءَ رَمَضَانُ فُتِحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Apabila bulan Ramadhan datang, maka pintu-pintu syurga dibuka”.
(Sahih Bukhari No. 1765)

 

Peralihan dan Sambutan

Surah Baqarah ini ada berkait dengan Bani Israil. Banyak yang diperkatakan tentang mereka dalam surah ini dan kita pun telah membacanya dan membincangkannya dengan panjang lebar bermula daripada ayat 40 sampailah ayat 123.

Kita disuruh untuk melihat kepada umat Islam yang terdahulu sebelum kita. Ini kerana pada zaman mereka, merekalah umat Islam waktu itu. Mereka adalah umat pilihan pada waktu itu. Namun lihatlah bagaimana mereka telah menyalahgunakan kedudukan mereka dan telah tersalah langkah dalam kehidupan mereka. Maka mereka sudah tidak layak digelar Muslim lagi. Apabila mereka telah tidak layak lagi menjadi umat pilihan, kelebihan itu telah diambil daripada mereka dan diberikan kepada umat Nabi Muhammad ﷺ. Ia seperti ‘peralihan kuasa’. Namun kali ini, peralihan daripada satu umat kepada umat yang lain. Umat Nabi Muhammad ﷺlah sekarang yang memegang tampuk ‘Islam’, bukan lagi umat Bani Israil.

Apabila sesuatu kerajaan itu mengambil alih kuasa, maka mereka akan mengadakan sambutan dan mereka akan ada satu hari khas untuk mengingati peralihan kuasa itu. Seperti juga di Malaysia ini, kita menyambut ‘Hari Kemerdekaan’ kita. Lalu apakah sambutan kita apabila kita mengambil alih daripada Bani Israil? Allah ‎ﷻ telah beri kita Bulan Ramadhan sebagai bulan sambutan untuk kita meraikan peralihan tampuk umat Islam daripada Bani Israil kepada umat Nabi Muhammad ﷺ. Oleh itu, kita boleh lihat di sini, Ramadhan itu adalah bulan sambutan sebenarnya. Kalau Hari Merdeka, sehari sahaja perayaan. Namun Allah ‎ﷻ berikan kita sebulan penuh untuk meraikan peralihan ini kerana peralihan ini adalah satu perkara yang amat besar sekali. Ia layak diraikan selama sebulan. Maka jangan kita ambil mudah dengan Bulan Ramadhan ini.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 31 Disember 2024

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah