Tafsir Surah Baqarah Ayat 185 (Ramadhan Bulan Al-Qur’an)

Ayat 185: Ayat berkenaan Puasa dalam bulan Ramadhan. Kita sudah masuk ke dalam bahagian hukum-hakam yang ada dalam Surah Baqarah.

شَهرُ رَمَضانَ الَّذي أُنزِلَ فيهِ ٱلقُرءَانُ هُدًى لِّلنّاسِ وَبَيِّنَـٰتٍ مِّنَ الهُدىٰ وَالفُرقانِ ۚ فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ الشَّهرَ فَليَصُمهُ ۖ وَمَن كانَ مَريضًا أَو عَلىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّن أَيّامٍ أُخَرَ ۗ يُريدُ اللَّهُ بِكُمُ اليُسرَ وَلا يُريدُ بِكُمُ العُسرَ وَلِتُكمِلُوا العِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلىٰ ما هَدَٮٰكُم وَلَعَلَّكُم تَشكُرونَ

Sahih International

The month of Ramadhan [is that] in which was revealed the Qur’an, a guidance for the people and clear proofs of guidance and criterion. So whoever sights [the new moon of] the month, let him fast it; and whoever is ill or on a journey – then an equal number of other days. Allah intends for you ease and does not intend for you hardship and [wants] for you to complete the period and to glorify Allah for that [to] which He has guided you; and perhaps you will be grateful.

 

Malay

(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Qur’an, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka, Kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.

 

شَهْرُ رَمَضَانَ

Bulan Ramadhan itu

Ini adalah penjelasan tentang lafaz أَيَّامًا مَعْدُودَاتٍ (beberapa hari yang ditentukan) dalam ayat sebelum ini. Jadi, hari-hari yang dimaksudkan adalah sebulan Ramadhan.

Bulan yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah bulan Qamariah (lunar month) – yang orang kita selalu sebut ‘bulan Islam’ (a misnomer kerana ia bukanlah bulan untuk umat Islam sahaja sebenarnya). Dari perkataan syahru itu datangnya perkataan isytihar, iaitu isytihar masuk bulan yang baru. Masuk bulan yang baru akan dapat diketahui dengan melihat kepada ‘anak bulan’ – dinamakan Hilal.

Itulah sebabnya setiap kali hendak memulakan bulan puasa dan hari raya, akan ada petugas yang akan meneropong melihat anak bulan dan di negara ini, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja akan mengumumkan/isytihar bilakah masuk Ramadhan dan bilakah Hari Raya.

Ramadhan adalah bulan ke-sembilan dalam kalendar Qamariah. Ia adalah satu-satunya nama bulan yang disebut dalam Al-Qur’an. Bulan-bulan lain tidak disebut. Itulah salah satu dari keistimewaan bulan Ramadhan ini.

Daripada segi makna, Ramadhan bermaksud ‘cuaca yang panas’, ‘panggang’, ‘tanah yang panas’. Mungkin semasa bangsa Arab memberi nama kepada nama-nama bulan, dan waktu nama bulan Ramadhan diberi, waktu itu adalah waktu yang amat panas. Daripada segi hikmahnya, dikatakan apabila bulan Ramadhan, dosa orang yang berpuasa ‘dipanggang’ – atau dibakar hingga tiada lagi dosanya.

 

الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ ٱلقُرءَانُ

adalah bulan yang diturunkan padanya Al-Qur’an;

Iaitu dikatakan pada 17 Ramadhan. Namun ini pun tidaklah ulama’ sepakat tentang tarikhnya.

Allah ‎ﷻ mengingatkan kita tentang Al-Qur’an dalam Ramadhan. Kita kena ingat bahawa Ramadhan adalah ‘bulan Al-Qur’an’. Sebab itu Allah ‎ﷻ banyak menceritakan tentang Al-Qur’an dalam ayat-ayat tentang Ramadhan ini.

Al-Qur’an diturunkan dalam bulan Ramadhan. Oleh sebab itulah kita berpuasa dalam bulan Ramadhan untuk meraikannya. Ini menunjukkan kepentingan Al-Qur’an itu.

Apakah yang dimaksudkan ‘diturunkan Al-Qur’an dalam bulan Ramadhan’? Satu pendapat mengatakan, ia adalah hari diturunkan Al-Qur’an dari Lauh Mahfuz ke Baitul Izzah. Pendapat kedua mengatakan, bulan Ramadhan itu adalah permulaan proses diturunkan Al-Qur’an yang berperingkat-peringkat itu.

Proses penurunan Al-Qur’an itu mengambil masa hampir 23 tahun. Bermula pada hari Nabi ﷺ berada di Gua Hira’ dan waktu itu adalah bulan Ramadhan. Waktu itu tidak ada syariat berpuasa dalam bulan Ramadhan lagi. Oleh kerana ia bermula dari bulan Ramadhan, maka sebab itulah kita berpuasa dalam bulan Ramadhan.

Oleh kerana itu, bulan Ramadhan adalah bulan untuk kita melipatgandakan usaha untuk membaca dan mempelajari Al-Qur’an. Hendaklah kita banyak baca Al-Qur’an dan belajar tafsir. Hendaklah kita mentadabbur ayat-ayat Al-Qur’an. Kalau luar Ramadhan pun memang sudah kena belajar, malah dalam bulan Ramadhan kena banyak lagi membaca dan mentadabbur Al-Qur’an.

Sebab itu kita boleh lihat banyak umat Islam akan baca Al-Qur’an bulan Ramadhan ini. Memang lagi senang hendak baca Al-Qur’an dalam bulan Ramadhan kerana syaitan pun tidak ada (diikat). Rasa macam senang sahaja hendak baca Al-Qur’an dalam bulan puasa, bukan?

Selalunya, masyarakat Islam akan mengambil peluang bulan Ramadhan ini untuk khatam satu Al-Qur’an. Mereka akan baca satu juz Al-Qur’an sehari. Namun kita hendak sampaikan di sini, bukan hanya baca sahaja Al-Qur’an, tetapi hendaklah kita memahami apa yang hendak disampaikan Allah ‎ﷻ dalam Al-Qur’an itu. Maka, hendaklah belajar tafsir Al-Qur’an juga. Jangan kita baca-baca kosong sahaja.

 

هُدًى لِّلنَّاسِ

Ianya adalah petunjuk bagi semua manusia;

Al-Qur’an itu adalah petunjuk kepada semua manusia, tidak kira sama ada orang kafir atau orang Islam. Namun orang Islam sahaja yang hendak mengambil pengajaran.

Ini adalah satu tempelak lagi kepada bangsa Yahudi. Pada mereka, kalam Allah ‎ﷻ (Taurat) hanya untuk mereka tetapi kita lihat dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ memberikan Al-Qur’an kepada seluruh manusia.

Apabila dikatakan bahawa Al-Qur’an itu adalah untuk ‘semua manusia’, maka ia menjadi tanggungjawab kita untuk menyampaikan Al-Qur’an kepada mereka. Hendaklah kita berdakwah kepada orang bukan Islam pun. Hendaklah kita menyampaikan ayat-ayat Allah ‎ﷻ ini kepada mereka.

Inilah wadah dakwah yang patut digunakan. Namun, malangnya kita tidak melakukan begitu. Macam-macam dakwah kita lakukan, tetapi bukan dengan menggunakan Al-Qur’an. Macam kita malu pula hendak sampaikan Al-Qur’an kepada orang bukan Islam.

Al-Qur’an itu bermanfaat juga kepada orang kafir sekalipun. Contohnya, ada yang belajar Al-Qur’an walaupun mereka orang kafir. Contohnya pelajar universiti yang belajar Pengajian Islam tetapi mereka tidak mendapat manfaat keseluruhannya. Mereka belajar hanya untuk mendapatkan sijil sahaja.

Ada juga manusia yang sudah mendapat هُدًى – petunjuk, tetapi mereka tidak mendapat ‘taufiq’. Taufiq ialah kekuatan yang diberikan oleh Allah ‎ﷻ untuk menjalankan atau mengamalkan hidayah yang mereka telah terima. Berapa ramai yang telah mendapat hidayah, tetapi mereka tidak beramal dengannya?

Sebab itulah kita selalu mendengar orang yang berdoa: ‘semoga kita mendapat taufiq dan hidayah’. Ini kerana tidak cukup sebenarnya dengan mendapat hidayah sahaja. Kita kena juga mendapat dan mengharap taufiq dari Allah ‎ﷻ juga.

 

وَبَيِّنَـٰتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ

dan berbagai-bagai contoh petunjuk di dalamnya yang jelas;

Al-Qur’an ini adalah kitab yang ada hidayah bagi sesiapa yang mengamalkannya.

Perkataan بَيِّنَاتٍ juga bermaksud ‘bukti’. Banyak pengajaran dan ilmu yang disampaikan dalam Al-Qur’an itu. Itu semua adalah hidayah dari Allah ‎ﷻ. Selain daripada itu, Al-Qur’an juga memberikan bukti-bukti kebenaran.

Seperti juga kalau kita menyampaikan sesuatu, orang akan minta bukti kepada kita. Maka, begitu juga Al-Qur’an. Tidak hanya Al-Qur’an menyampaikan ilmu, tetapi diberikan juga bukti di dalamnya. Untuk menjelaskan lagi kebenaran itu.

 

وَالْفُرْقَانِ

dan pembeza;

Al-Qur’an membezakan yang haq dan batil. Kalau ustaz yang mengajar tidak tahu membezakan yang haq dan batil, maka itu adalah satu kerugian dalam agama. Seorang yang mengajar agama itu sepatutnya kena tahu apa yang boleh dibuat dan yang tidak boleh dibuat. Dia kena beritahu yang boleh dibuat dan yang tidak boleh dibuat kepada masyarakat dan anak muridnya.

Namun malangnya, banyak guru agama hanya ceritakan tentang apa yang elok dibuat sahaja. Apabila cerita tentang syirik, mereka beri contoh sembah berhala sahaja. Kalau macam itu, ramai kalangan umat Islam tidak terasa pun kena batang hidung mereka sendiri. Mereka akan rasa bahawa mereka terselamat daripada mengamalkan syirik.

Namun pada hakikatnya, banyak orang kita yang mengamalkan syirik tanpa disedari. Itu adalah kerana mereka tidak diberitahu bahawa perbuatan yang mereka buat itu ada yang syirik. Mereka tidak tahu kerana tidak disampaikan oleh guru agama mereka.

Apabila kita tidak memberitahu kepada anak murid tentang apakah yang salah, ia tidak cukup. Ia seperti mengajar seseorang bagaimana memandu kereta tapi tidak mengajar apa perkara yang tidak boleh dibuat di jalanan. Tidak diajar kepada mereka tentang jalan sehala, “no entry”, lampu kuning, lampu merah dan sebagainya. Oleh sebab itu, mereka tahu bawa kereta tetapi mereka akan kemalangan tidak lama lagi sebab tidak diberi ilmu lengkap kepada mereka.

Tetapi, ustaz-ustaz, pendakwah-pendakwah, ulama’-ulama’ takut hendak beritahu kesalahan yang dilakukan oleh masyarakat. Kerana mereka takut anak murid dan pendengar ceramah mereka marah dengan mereka. Apabila mereka marah, mereka sudah tidak datang kuliah mereka. Mereka sudah tidak mempunyai ramai pengikut. Bila sudah tidak ramai pengikut, mereka tidak dapat habuan sumbangan anak-anak murid itu.

Itu sebenarnya yang mereka takut. Maka, berterusanlah anak-anak murid dan masyarakat dalam membuat kesalahan-kesalahan setiap hari. Dalam negara ini, senang sangat ajaran sesat hendak masuk. Sebab ajaran sesat tidak halang, tidak tegur perbuatan salah masyarakat. Mereka cuma ‘tambah’ sahaja amalan yang baru.

Namun, apabila puak sunnah tegur kesalahan yang dilakukan masyarakat, maka melentinglah mereka. Sebab pada mereka, cakaplah apa sahaja, tetapi jangan tegur kesalahan mereka. Maka, kalau cakap Majlis Tahlil itu salah, talqin itu tidak ada dalam Islam, Salat Hajat berjama’ah itu pun tidak ada, dan macam-macam lagi, maka akan marahlah masyarakat.

Perkataan الْفُرْقَانِ itu bermaksud membezakan yang hak dan yang batil. Bezakan antara yang benar dan yang salah. Apabila belajar tafsir Al-Qur’an dan faham Al-Qur’an, seseorang itu sudah dapat membezakan mana yang salah dan mana yang benar. Lihatlah bagaimana perkataan الْفُرْقَانِ ini disebut selepas disebut ‘hidayah’. Oleh itu, kita dapat tahu, untuk mendapat الْفُرْقَانِ , kita kena mendapat hidayah terlebih dahulu.

Tidak perlu Al-Qur’an beritahu semua sekali kerana tidak cukup satu naskah Al-Qur’an kalau hendak cerita semua kesalahan yang manusia lakukan. Maka, Al-Qur’an memberikan ‘formula’ mana yang salah dan mana yang benar. Supaya mereka yang faham, dapat menggunakan formula itu untuk menilai sama ada amalan atau sesuatu fahaman itu betul atau salah.

Sebagai contoh, dalam Al-Qur’an, disuruh kita berbuat baik kepada ibubapa, dan tidak berkata buruk kepada mereka, walau dengan kata: “uff”. Namun tidak disebut jangan pukul mereka, jangan tengking mereka. Itu semua walaupun tidak disebut, tetapi daripada apa yang sedikit yang telah diberitahu dalam Al-Qur’an, kita sudah dapat membezakan mana yang elok dibuat dan mana yang elok ditinggalkan. Semua ini akan dapat diketahui kalau belajar tafsir Al-Qur’an dan belajar Sunnah dengan cara yang betul.

Sebagai contoh lagi, kalau sudah mula belajar tafsir Al-Qur’an, seseorang itu sudah dapat menilai apakah yang disampaikan oleh ustaz-ustaz yang mengajar sekarang. Mereka sudah mula dapat rasa ada yang ‘tidak kena’ dengan apa yang disampaikan itu. Tetapi oleh kerana baru belajar, mungkin mereka tidak pasti manakah yang salah. Namun mereka sudah dapat rasa ada yang tidak kena. Maka, mereka akan senang untuk mencari jawapan kepada apa yang dimusykilkan itu.

 

Mendekatkan diri dengan Al-Qur’an:

Ayat tentang Al-Qur’an ini disampaikan kepada umat Islam. Tentulah mereka sudah tahu bahawa Al-Qur’an itu:

– penyampai hidayah

– bukti yang nyata

– pembeza antara hak dan batil.

Tetapi Allah ‎ﷻ sebut juga dalam Al-Qur’an ini sebagai peringatan kepada umat Islam kerana Allah ‎ﷻ hendak kita melihat Al-Qur’an itu sebagai satu yang baru. Setiap tahun, apabila datang bulan Ramadhan, kita memperbaharui pemahaman kita tentang Al-Qur’an. Kita lihat Al-Qur’an dengan kaca mata yang lain. Yang lebih lagi daripada tahun-tahun yang lepas. In Sha Allah.

 

فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ

Maka sesiapa di antara kamu yang menyaksikan anak bulan

Sebelum ini hanya diwajibkan tiga hari sahaja berpuasa dalam sebulan. Kali ini, bilangan hari yang diwajibkan adalah sebulan. Bulan Ramadhan itu dimulakan dengan melihat anak bulan. Apabila nampak anak bulan itu, maka itu adalah tanda bahawa bulan Ramadhan sudah bermula.

Nampak anak bulan itu pun kepada sesiapa yang berada di mukimnya. Kita tidak boleh ikut negara lain yang jauh daripada kita kerana seperti juga waktu salat tidak sama antara satu tempat dengan tempat yang lain, begitu juga dengan permulaan bulan Ramadhan.

Sebagai contoh, kalau di negara Jepun sudah nampak anak bulan, belum tentu satu dunia sudah boleh mula puasa. Kena lihat sama ada anak bulan nampak di kawasannya juga. Kerana perbezaan inilah yang menyebabkan kadangkala kita puasa tidak sama dengan Arab Saudi, contohnya.

 

فَلْيَصُمْهُ

maka hendaklah dia berpuasa (pada bulan itu);

Nampak anak bulan adalah tanda untuk memulakan puasa pada bulan Ramadhan. Ada satu hadith di mana sahabat-sahabat tidak nampak anak bulan. Kemudian datang seorang lelaki yang kata dia nampak anak bulan. Nabi ﷺ tidak mengenal lelaki itu tetapi Nabi ﷺ tanya sama ada dia Muslim atau tidak. Apabila lelaki itu telah bersyahadah sebagai tanda dia seorang Muslim, maka Nabi ﷺ menyuruh semua sahabat berpuasa.

 

وَمَنْ كَانَ مَرِيضًا

Dan sesiapa antara kamu yang sakit;

Diulang kembali rukhsah yang diberikan dalam ayat sebelumnya. Kalau sakit, tidak perlu puasa.

 

أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ

atau dalam musafir,

Diulang kembali rukhsah yang diberikan dalam ayat sebelumnya. Kalau dalam perjalanan, tidak perlu puasa.

Allah ‎ﷻ tidak sebut pun yang mereka tidak berpuasa kerana mereka sakit atau dalam musafir. Tetapi kita faham kerana Al-Qur’an menggunakan kaedah ‘iijaaz’ – Allah ‎ﷻ sebut pendek sahaja maka kita boleh faham. Ini adalah salah satu daripada keindahan Al-Qur’an.

 

فَعدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ

maka gantilah puasa itu pada hari lain;

Maknanya, orang sakit dan orang musafir boleh meninggalkan puasa tetapi kena ganti pada hari yang lain. Kena عِدَّةٌ (yang bermaksud ‘kira’) berapa hari yang tinggal dan kena ganti berapa hari yang tinggal.

Allah ‎ﷻ tidak sebut dengan penuh pun kerana kalau dilihat secara literal, terjemahan ayat ini adalah: “maka bilangan dari hari yang lain”. Namun kita faham kerana Al-Qur’an menggunakan kaedah ‘iijaaz’ lagi dalam ayat ini.

Sebelum ini diberikan pilihan kepada umat Islam untuk membayar fidyah kalau mereka tidak berpuasa. Tetapi dalam ayat ini, mereka disuruh untuk menggantikan puasa kalau mereka tidak berpuasa kerana sakit atau dalam perjalanan. Hukum sudah bertukar. Sudah tidak ada pilihan untuk bayar fidyah kalau tidak mahu puasa.

Nampak macam lagi susah daripada hukum yang lama kerana sudah tidak ada pilihan untuk tidak berpuasa. Tetapi tidak sebenarnya.

 

يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ

Allah ingin memberikan kemudahan kepada kamu

Bagaimana pula Allah ‎ﷻ kata bahawa Dia hendak memudahkan kita? Padahal, kalau kita lihat, puasa dahulu hanya tiga hari sahaja, sekarang sudah jadi sebulan penuh.

Kalau dahulu, ada pilihan untuk bayar fidyah kalau tidak mahu berpuasa, sekarang tidak ada pilihan itu, kena ganti puasa kalau tidak dapat berpuasa. Begitu juga, kalau kita fikirkan ibadat puasa ini, ia adalah sesuatu yang payah untuk dilakukan. Jadi kenapa Allah ‎ﷻ kata Dia hendak memudahkan kita?

Ini adalah kerana Allah ‎ﷻ hendak menjadikan kita orang yang bertaqwa. Dengan berpuasa, akan meningkatkan taqwa kita. Dengan taqwa, senang mendapat hidayah. Allah ‎ﷻ hendakkan supaya kita ‘senang’ mendapat hidayah.

Ini dapat didapati dengan siang berpuasa, dan malam membaca Al-Qur’an. Sesiapa yang mendapat hidayah, akan mudah di dunia dan di akhirat. Itulah yang dimaksudkan Allah ‎ﷻ hendak memberi ‘kemudahan’ kepada kita.

Allah ‎ﷻ beri amalan puasa kerana hendak memudahkan untuk kita ikut syariat seterusnya. Dengan berkat mengamalkan puasa ini akan memudahkan kita mengamalkan hukum-hukum dan ibadat yang lain. Memang bukan Allah‎ ﷻ hendak susahkan kita. Lihatlah bagaimana kalau kita dalam keadaan susah, sama ada sakit atau dalam musafir, kita boleh buka puasa.

Kemudahan itu juga bermaksud kemudahan di akhirat kelak. Itulah kemudahan yang lebih penting. Kalau kita susah di dunia ini, tetapi kita senang di akhirat kelak, itu sudah satu nikmat yang amat besar. Apabila kita di akhirat kelak, kita tidak ingat lagi tentang dunia. Kalau kita masuk syurga, kita tidak ingat kesusahan yang kita alami semasa di dunia dulu.

Allah ‎ﷻ juga telah mudahkan kita berpuasa dengan Allah ‎ﷻ mengikat syaitan-syaitan daripada mengganggu kita. Supaya iman kita boleh menang dalam bulan Ramadhan ini. Kalau syaitan ada dalam bulan Ramadhan juga, entah berapa hari sahaja kita dapat puasa agaknya. Itu adalah satu makna ‘mudah’ juga.

 

وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ

dan Dia tidak mahu menimpakan kesusahan ke atas kamu;

Memang pada mulanya agak susah sedikit untuk berpuasa kerana pada zaman Nabi ﷺ dahulu, kalau tertinggal waktu buka puasa tetapi tidak berbuka, mereka tidak boleh makan sampailah ke waktu sahur pula. Bermakna, mereka kena berbuka waktu maghrib itu juga.

Sampaikan ada sahabat yang lemah, sampai dia pengsan di siang harinya, kerana dia terpaksa meneruskan puasa untuk jangkamasa yang lama. Kemudian telah turun ayat tentang boleh makan dan minum hingga masuk waktu subuh.

Sebelum potongan ayat ini, Allah ‎ﷻ telah menyebut yang Dia hendak memberi kemudahan kepada kita. Dalam ayat ini, disebut pula Allah ‎ﷻ tidak mahu menyusahkan kita. Kenapa ada pengulangan? Kalau kita kata sesuatu benda itu hitam, bermakna ia tidak putih dengan secara automatik. Tidak perlu kita hendak kata: “Kasut ini warnanya hitam, tidak putih”.

Allah ‎ﷻ tambah dengan menyebut Dia tidak mahu menyusahkan kita kerana hendak memberi penekanan. Lebih-lebih lagi kepada mereka yang tidak percaya. Tambahan pula, ada yang susah untuk terima bahawa ibadat puasa itu lebih menyenangkan.

Bayangkan, kalau dahulu ada pilihan untuk tidak puasa, boleh bayar fidyah, sekarang tidak lagi. Kalau dahulu, puasa tidak lebih daripada sepuluh hari, tetapi sekarang sudah jadi 29 atau 30 hari sebulan penuh. Mana yang senangnya?

Senangnya nanti adalah di akhirat kelak. Iaitu apabila kita terselamat daripada kesusahan yang amat besar, iaitu selamat daripada memasuki neraka. Kalau kita selamat daripada memasuki neraka, maka kita sudah selamat dari kesusahan yang besar.

 

وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ

dan supaya kamu cukupkan bilangan puasa;

Perkataan لِتُكْمِلُوا dari kata dasar ك م ل yang bermaksud sempurna. Allah ‎ﷻ hendak kita menyempurnakan ibadat puasa itu selama sebulan. Sempurna bermaksud bukan hanya menahan diri daripada lapar dan dahaga tetapi daripada perkara-perkara dosa dan perkara-perkara lagha yang lain – perkara yang sia-sia.

Maka kita kena latih diri kita untuk jauhkan diri daripada perbuatan dosa-dosa lain. Jauhkan diri daripada membuat perkara-perkara tidak berfaedah.

Kita kena penuhkan sebulan puasa dalam bulan Ramadhan itu dengan kebaikan. Kita kena penuhkan ‘latihan’ kita ini. Tidak boleh buat sedikit-sedikit. Kalau kita baru masuk kerja pun, kita kena menjalani latihan juga. Jadi, puasa adalah latihan untuk kita.

Walaupun Allah ‎ﷻ hendak memudahkan kita, tapi kita mesti memenuhkan puasa dalam sebulan. Allah ‎ﷻ tahu apakah yang kita mampu lakukan. Allah ‎ﷻ tidak menyusahkan makhluk-Nya dengan memerintahkan kita buat perkara yang kita tidak mampu.

Penuhkan Ramadhan dengan berbuat amal ibadat. Jangan jadikan Ramadhan ini sebagai ‘bulan pesta makan’. Amat menyedihkan apabila umat Islam hanya mementingkan makan sahaja. Mereka menahan makan sepanjang siang, tetapi pada waktu malam mereka habiskan dengan makan sahaja. Mereka akan beli bermacam-macam juadah yang dijual di Pasar Ramadhan (PaRam) dan mereka selalunya akan membazir kerana mereka sedang membeli dalam keadaan lapar.

Apabila berbuka pula, mereka akan makan dengan banyak kerana kononnya hendak menggantikan makanan yang tidak dimakan siang hari tadi. Tapi sebenarnya mereka makan lebih banyak dan kerana itu kalau mengikut statistik, import makanan bulan Ramadhan lagi banyak daripada bulan-bulan lain. Padahal, sepatutnya bulan ini adalah bulan dikurangkan makanan, namun yang sebaliknya pula yang terjadi.

Ingatlah, suri rumahtangga jangan habiskan masa dengan memasak sahaja. Yang selalu terjadi, mereka akan mula masak dari awal petang lagi. Bukannya hendak meluangkan masa dengan beribadah, tetapi mereka akan sibuk dengan hal masak memasak. Masak pula banyak sampai membazir sebab bukannya larat hendak makan semua pun.

Sepatutnya kita jadikan Ramadhan ini sebagai bulan ibadah. Perbanyakkan ibadah dalam bulan ini. Ia adalah sebagai latihan kepada kita untuk melakukan ibadah. Amat senang untuk melakukan ibadah dalam Ramadhan kalau dibandingkan dengan bulan-bulan yang lain kerana tidak ada syaitan yang mengganggu. Selepas habis Ramadhan, kita hendaklah meneruskan amalan ibadah itu. Bukan setakat Ramadhan sahaja.

Jadikan bulan ini sebagai bulan Al-Qur’an. Hafal ayat Al-Qur’an sebanyak mungkin. Jadikan satu projek untuk hafal satu-satu surah supaya kita dapat manfaat daripada bulan Ramadhan ini. Jangan pula ambil peluang tiada kerja bulan Ramadhan ini kita habiskan masa dengan menonton wayang, habiskan siri drama Korea yang tidak sempat habis dalam bulan lain. Itu adalah perkara yang lagha sahaja.

 

وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ

dan supaya kamu mengagungkan Allah

Apabila kita telah selesai menjalani ‘latihan’ dalam bulan Ramadhan, maka kita akan raikan kejayaan kita itu dengan berhari raya. Bukankah semasa hari raya itu, kita meraikannya dengan bertakbir?

Bertakbir di Hari Raya adalah membesarkan Allah ‎ﷻ dengan percakapan mulut kita. Dan kita juga kena membesarkan Allah ‎ﷻ dengan amal kita dan bukanlah setakat ucapan mulut sahaja. Apabila kita membesarkan Allah ‎ﷻ, bermakna kita mengecilkan diri kita.

Kita kena rasa diri kita amat kerdil kalau dibandingkan dengan Allah ‎ﷻ. Apabila kita rasa kerdil, baru senang kita hendak mengikut perintah Allah ‎ﷻ. Apa sahaja suruhan Allah ‎ﷻ kita akan ikut. Orang yang rasa besar diri yang susah hendak mengikut suruhan Allah ‎ﷻ.

Selalunya, kalau kita telah melakukan kebaikan, kita akan puji diri kita. Kita kata kita sudah habis baca Al-Qur’an 30 juzuk sepanjang bulan Ramadhan, kita tidak tinggalkan puasa, tidak tinggal salat terawih tiap-tiap malam. Adakah itu yang Allah ‎ﷻ suruh? Tidak.

Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ suruh membesarkan Allah ‎ﷻ, bukannya membesarkan diri kita! Kerana Dia lah yang memberikan peluang kepada kita. Dia juga yang memberikan kita kekuatan dan taufiq untuk menjalankan semua ibadat itu. Kalau bukan kerana Allah ‎ﷻ, tentulah kita pun tidak mampu hendak melakukannya.

Maka kita hendaklah membesarkan Allah ‎ﷻ kerana Allah ‎ﷻ telah beri taufiq kepada kita untuk menunaikan hukum puasa.

 

عَلَىٰ مَا هَدَٮٰكُم

atas apa yang Allah telah beri hidayah kepada kamu;

Hidayah yang paling besar adalah Dia telah memasukkan kita ke dalam Islam. Jadi puasa adalah kerana hendak balas nikmat Allah ‎ﷻ yang telah masukkan kita ke dalam Islam.

Hidayah yang besar yang Allah ‎ﷻ telah berikan kepada kita adalah pemberian Al-Qur’an itu yang diberikan di bulan Ramadhan. Sebab itulah kita puasa dalam bulan Ramadhan – kerana bulan inilah diturunkan Al-Qur’an. Sebagai meraikan penurunan Al-Qur’an itu yang diturunkan dalam bulan Ramadhan, maka Allah‎ ﷻ pilih Ramadhan sebagai bulan yang disuruh kita puasa di dalamnya.

Potongan ayat ini juga mengingatkan kita supaya mengikut apa yang Allah ‎ﷻ suruh kita buat. Bukannya memandai-mandai reka perkara baru dalam agama. Oleh itu, jangan kita buat amalan yang bid’ah. Hendaklah kita memastikan amalan yang kita buat itu datangnya dari nas yang sah. Kalau tidak pasti, tinggalkan terlebih dahulu.

Sebagai contoh, dalam Ramadhan masyarakat kita akan semangat untuk buat salat Terawih. Itu adalah amalan yang baik. Namun kenapa antara dua raka’at dalam salat itu, ada laungan selawat kepada Nabi ﷺ? Siapa yang ajar? Adakah ia baik? Kalau ia baik, tentulah para sahabat sudah buat semenjak dahulu lagi.

Tetapi mereka tidak buat perkara ini. Ia datang kemudian dari mereka. Tidak diketahui dari mana dan siapa yang memulakannya. Yang pasti, tidak ada dalil sahih mengenainya. Maka, kalau ada ada dalam salat Terawih yang sebegitu, jangan anda termasuk orang yang melaungkan selawat itu juga.

Maka kita kena senyap sahaja di antara solat-solat itu. Biarlah mereka yang bersemangat itu laungkan. Biarkan mereka menjawab di hadapan Allah ‎ﷻ nanti kenapa mereka lakukan perkara itu.

 

وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

dan supaya kamu bersyukur;

Maknanya, kita berpuasa itu adalah sebagai tanda syukur kita kepada Allah ‎ﷻ di atas nikmat yang telah diberi-Nya kepada kita. Semoga kita bersyukur atas hidayah yang Allah ‎ﷻ berikan kepada kita. Haji pun macam itu juga di mana kita mengerjakan Haji kerana Allah ‎ﷻ telah memberi hidayah Islam dan Iman kepada kita.

Kita disuruh syukur kepada Allah ‎ﷻ kerana telah diberikan kita satu ibadah yang besar, satu bulan penuh dalam Ramadhan. Kita juga bersyukur kepada Allah ‎ﷻ kerana telah memberikan kita kekuatan dan taufiq untuk menjalankan ibadat itu. Juga supaya kita bersyukur atas nikmat Al-Qur’an yang diberikan kepada kita.

Ada mufassir berkata, dengan berpuasa, kita akan lebih menghargai nikmat makan yang Allah ‎ﷻ telah berikan kepada kita. Apabila kita tidak dapat makan untuk beberapa lama, maka kita akan terkenangkan betapa ramai orang tidak dapat makan kerana miskin dan sebagainya. Selalunya kita akan dapat merasakan kenikmatan sesuatu perkara itu selepas kita kehilangannya.

Kalau kita sentiasa sahaja dapat makan, kita tidak terasa nikmat makan itu. Jadi, dengan berpuasa, kita akan rasa bersyukur kerana Allah ‎ﷻ telah memberikan makanan kepada kita selama ini kerana kita sudah mula dapat menghargai nikmat makanan.

Sama juga kalau kita sihat. Kalau kita sihat sentiasa, kita tidak mensyukuri nikmat sihat itu. Sekali-sekala Allah ‎ﷻ beri kita sakit supaya kita bersyukur dengan nikmat kesihatan yang Allah ‎ﷻ berikan. Jadi Allah ‎ﷻ tarik sekejap nikmat makan supaya kita bersyukur apabila kita dapat makan.

Namun ada pula mufassir yang mengatakan bahawa yang perlu kita syukuri dalam bulan Ramadhan adalah nikmat kita telah mendapat Al-Qur’an kerana seperti telah disebut sebelum ini, Ramadhan adalah bulan Al-Qur’an. Dengan Al-Qur’an, kita mendapat hidayah. Bersyukurlah kepada Allah ‎ﷻ yang telah menyelamatkan kita dengan memberikan Al-Qur’an ini kepada kita.

Bersyukur kerana Allah ‎ﷻ telah merantai syaitan pada bulan Ramadhan, kerana merekalah antara yang menghalang kita mendapat hidayah. Itu pun kita kena syukur juga.

Kita juga bersyukur kerana kita mendapat kelebihan puasa di bulan Ramadhan ini. Bayangkan, tidak semua umat Islam yang dapat berpuasa dalam bulan Ramadhan. Orang-orang yang Islam di awal Islam, dan mati sebelum ayat ini diturunkan, tidak sempat mendapat arahan berpuasa dalam bulan Ramadhan ini kerana ia belum difardhukan lagi.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 23 Januari 2020


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s