Tafsir Surah Ash-Shu’araa Ayat 10 – 19 (Firaun mengungkit)

Shu’araa Ayat 10: Sekarang masuk kepada bahagian baru di mana Allah memberi contoh kehidupan Nabi Musa as. Ini adalah sambungan daripada kisah Nabi Musa yang banyak telah disebut di dalam Surah Taha.

Dari ayat ini sehinggalah ke ayat 68 adalah Perenggan Makro Ketiga. Ia mengandungi kisah Nabi Musa dan Firaun.

Banyak diberitahu tentang kisah Nabi Musa dalam Al-Qur’an kerana perjuangan baginda hampir sama dengan perjuangan Nabi Muhammad dan para sahabat. Maka Allah beri banyak contoh kehidupan dan perjuangan baginda supaya kita boleh ambil pengajaran.

Jadi ini adalah ayat Dalil Naqli.

وَإِذ نادىٰ رَبُّكَ موسىٰ أَنِ ائتِ القَومَ الظّالِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [mention] when your Lord called Moses, [saying], “Go to the wrongdoing people –

(MELAYU)

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu menyeru Musa (dengan firman-Nya): “Datangilah kaum yang zalim itu,

 

وَإِذ نادىٰ رَبُّكَ موسىٰ

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu menyeru Musa

Kisah ini terus bermula dengan arahan yang diberikan kepada Nabi Musa untuk pergi berdakwah kepada bangsa Qibti semua sekali. Allah menceritakan dengan ringkas ketika Dia menyeru Nabi Musa dari sisi kanan Bukit Thur; ketika itu Allah berbicara langsung dengan baginda dan telah mengangkatnya menjadi seorang Rasul.

Ayat lain dalam surah lain baginda disuruh untuk berdakwah kepada Firaun sahaja. Dan ada ayat kata dakwah kepada Firaun, Haman dan Qarun. Jadi maknanya, baginda kena dakwah kepada semua sekali.

 

أَنِ ائتِ القَومَ الظّالِمينَ

“Datangilah kaum yang zalim itu,

Allah beritahu yang bangsa Qibti itu termasuk Firaun adalah zalim. Ini adalah kerana mereka memperhambakan Bani Israil. Ini adalah kerana Bani Israil adalah kaum pendatang ke Mesir dan lama kelamaan mereka dijadikan sebagai bangsa kelas ketiga dan akhirnya jadi hamba.

Dan maksud ‘zalim’ itu juga adalah kerana mereka telah menyembah selain Allah. Iaitu zalim dalam ertikata beriman dengan fahaman syirik.

Kepada mereka yang zalim itulah Nabi Musa kena sampaikan dakwah ajak kepada tauhid dan cara kehidupan yang baik. Sepertimana Nabi Musa diarahkan untuk berdakwah kepada bangsa yang zalim, maka begitu juga Nabi Muhammad sallAllahu alaihi wassalam diarahkan untuk berdakwah kepada kaum Quraisy yang juga zalim.

Memang tugas para Nabi itu adalah berat. Jadi kalau kita susah nak dakwah kerana bangsa kita pun susah nak terima ajaran tauhid ini, maka bayangkan kesusahan para Nabi yang memang berdakwah kepada kaum yang jauh lebih zalim. Seteruk mana pun bangsa kita, tidaklah lebih zalim dari bangsa Qibti dan Quraisy itu.


 

Shu’araa Ayat 11:

قَومَ فِرعَونَ ۚ أَلا يَتَّقونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

The people of Pharaoh. Will they not fear Allāh?”

(MELAYU)

(iaitu) kaum Fir’aun. Mengapa mereka tidak bertakwa?”

 

قَومَ فِرعَونَ

(iaitu) kaum Firaun.

Allah terus memberitahu siapakah kaum yang dimaksudkan itu. Ada banyak lagi kaum-kaum yang tidak beriman waktu itu, tetapi baginda dihantar kepada pusat negara kerana Firaun memerintah di Mesir dan menguasai kawasan-kawasan sekitarnya.

Ini menyambung berita yang Allah berikan kepada kita yang para Rasul itu memang dihantar kepada ibu negara atau ke pusat syirik. Kena betulkan dari pusat dan dari pusat nantilah manusia di kawasan pedalaman akan ikut.

 

أَلا يَتَّقونَ

Mengapa mereka tidak bertakwa?”

Allah suruh ajak mereka kepada iman. Mereka telah lama mengamalkan ajaran syirik, maka tanya mereka adakah mereka nak bertaqwa?

Atau Allah mengeluh: kenapakah mereka tidak mahu beriman?

Taqwa itu takut kepada Allah dan kerana takut kepada Allah, maka orang yang bertaqwa akan jaga perbuatan mereka supaya sesuai dengan kehendak Allah.


 

Shu’araa Ayat 12: Apakah jawapan Nabi Musa as setelah baginda menerima arahan itu?

قالَ رَبِّ إِنّي أَخافُ أَن يُكَذِّبونِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He said, “My Lord, indeed I fear that they will deny me

(MELAYU)

Berkata Musa: “Ya Tuhanku, sesungguhnya aku takut bahawa mereka akan mendustakan aku.

 

Nabi Musa terus memberitahu kerisauan hati baginda. Baginda rasa yang kalaupun baginda berdakwah kepada mereka, mereka itu tidak akan beriman. Baginda sudah dapat rasa yang mereka akan memotong percakapan baginda sebelum sempat habis beri penjelasan.

Kerana Nabi Musa kenal mereka itu memang kaum ganas. Bukan boleh diajak berbincang pun. Nabi Musa sudah tahu yang kaum itu akan mengatakan baginda berdusta.

Dan itulah juga kerisauan yang dialami oleh Rasulullah kerana kaum Quraisy itu kebanyakannya tidak mahu beriman dan Allah memberitahu bahawa bukan baginda Rasul yang pertama yang mengalami masalah yang sama. Semasa Nabi Muhammad mula menerima wahyu pun baginda sudah tahu yang tugas baginda amat berat.


 

Shu’araa Ayat 13:

وَيَضيقُ صَدري وَلا يَنطَلِقُ لِساني فَأَرسِل إِلىٰ هٰرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And that my breast will tighten and my tongue will not be fluent, so send for Aaron.

(MELAYU)

Dan (kerananya) sempitlah dadaku dan tidak lancar lidahku maka utuslah (Jibril) kepada Harun.

 

وَيَضيقُ صَدري وَلا يَنطَلِقُ لِساني

Dan (kerananya) sempitlah dadaku dan tidak lancar lidahku

Baginda rasa dada baginda akan jadi sempit jikalau dakwah baginda ditolak. Dan begitu jugalah kita rasa kalau dakwah yang kita sampaikan kepada manusia itu ditolak, bukan? Kita rasa sentap sahaja jantung ini kalau ditolak, bukan? Maka jangan hairanlah, para Rasul pun rasa macam itu juga. Tapi mereka tetap berdakwah.

Dan baginda takut jikalau dada baginda sempit maka baginda tidak dapat nak cakap dengan lancar dan mengganggu baginda menyampaikan apa yang sepatutnya disampaikan. Kerana kalau dada sempit, lidah pun boleh jadi kelu, bukan?

Dan jikalau dada baginda sempit, maka lidah baginda akan kelu dan susah untuk baginda bercakap selepas itu. Baginda risau kerana baginda prihatin nak sampaikan dakwah kepada mereka dan baginda takut dakwah terganggu pula. Memang kebiasaan kita kalau sedang marah, maka lidah kita akan kelu. Kerana itu di dalam perdebatan, salah satu teknik adalah menyebabkan pihak lawan kita marah. (Ini bukanlah cara debat islam, tapi teknik biasa yang digunakan dalam debat).

Maka Nabi Musa sudah tahu yang baginda akan marah bila bertembung dengan puak Qibti itu. Tambahan pula baginda seorang yang senang marah.

Dan baginda memang ada masalah gagap. Kalau asal memang sudah jenis gagap, maka senang sahaja lidah baginda jadi kelu nanti.

 

فَأَرسِل إِلىٰ هٰرونَ

maka utuslah kepada Harun.

Maka baginda minta supaya wahyu juga diberikan kepada abangnya Harun. Hantar jugalah Jibrail kepada Harun itu. Jadikanlah dia juga sebagai Nabi.

Nabi Musa minta kerana baginda mementingkan tugas itu. Maka baginda harap ia dapat dijalankan dengan baik. Dan baginda takut yang baginda tidak dapat menjalankannya sendirian. Ini menunjukkan yang Nabi Musa mementingkan mesej itu dan bukannya kerana baginda takut keseorangan.

Baginda minta Allah hantar sendiri wahyu kepada Nabi Harun supaya dia sendiri tahu dia juga seorang Nabi. Tidaklah perlu Nabi Musa sendiri jumpa Harun dan beritahu tentang perkara itu.

Dalam Surah Taha telah banyak disebut tentang Nabi Harun. Dan dalam Surah Qasas nanti akan disebut kenapakah Nabi Musa meminta nabi Harun juga diangkat menjadi Nabi.


 

Shu’araa Ayat 14: Nabi Musa ada lagi kerisauan lain.

وَلَهُم عَلَيَّ ذَنبٌ فَأَخافُ أَن يَقتُلونِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they have upon me a [claim due to] sin, so I fear that they will kill me.”

(MELAYU)

Dan aku berdosa terhadap mereka, maka aku takut mereka akan membunuhku”.

 

وَلَهُم عَلَيَّ ذَنبٌ

Dan mereka ada dakwaan dosa ke atas aku,

Dan baginda mengaku yang baginda ada rekod jenayah di Mesir kerana baginda pernah terbunuh seorang lelaki Qibti. Kisah ini ada disebut dalam Surah Qasas. Oleh kerana kejadian itu, maka ada waran tangkap terhadap baginda. Kerana itulah baginda telah melakukan diri ke Madyan.

Kalimah ذَنبٌ bermaksud sesuatu perkara yang kita malu dan tidak semestinya ia adalah dosa. Kerana kita sedar yang akidah kita terhadap para rasul itu ialah mereka itu tidak melakukan dosa. Mereka maksum dari melakukan dosa. Dan nanti apabila baca Surah Qasas kita akan tahu bagaimana kejadian itu sebenarnya memang bukan dosa Nabi Musa kerana baginda tidak sengaja.

Ia juga boleh jadi perkara yang mempunyai penyelesaian atau kesan yang buruk. Kerana kejadian Nabi Musa menumbuk lelaki itu mungkin benar, tetapi kesannya yang buruk iaitu lelaki itu mati. Baginda tidak sengaja hendak membunuh, tapi kesan dari kejadian itu buruk bagi baginda.

Dan baginda terpaksa lari dari Mesir dan nama baginda buruk kerana dikatakan telah membunuh satu jiwa. Dan kalau nama baginda buruk, macam mana baginda nak dakwah kerana orang ramai tentu tidak percaya kepada baginda, bukan?

 

فَأَخافُ أَن يَقتُلونِ

maka aku takut mereka akan membunuhku”.

Nabi Musa takut jikalau baginda pergi ke Mesir kembali dan memperkenalkan dirinya semula, maka baginda akan dibunuh. Kerajaan Firaun bukan akan bagi peluang untuk dia mempertahankan dirinya pun nanti, akan terus bunuh sahaja.

Jadi baginda pun takut yang baginda akan kena bunuh. Tapi tengok bagaimana hal nyawanya sendiri disebut di akhir sekali menunjukkan yang perkara ini tidak penting kalau dibandingkan dengan perkara-perkara yang lain. Yang baginda lebih pentingkan adalah dakwah itu. Baginda mahu dakwah dapat dijalankan dengan baik.

Memang logik apabila Nabi Musa takut yang baginda akan dibunuh kerana baginda tahu yang undang-undang negara itu bukan kira yang dia dulu bukan sengaja membunuh tetapi terbunuh sahaja. Mereka bukan kisah dia bunuh tanpa niat. Baginda tahu yang mereka tidak akan kira.

Baginda tahu yang undang-undang negara Mesir itu bukan akan adakan perbicaraan kerana apabila telah bunuh sahaja kaum mereka, maka balasannya adalah bunuh. Kerana undang-undang di tangan Firaun dan bukannya di mahkamah. Sampai sekarang ada negara yang undang-undang mereka tidak adil. Ada yang ditahan tanpa bicara dan tidak didengari lagi sampai bila-bila.

Jadi dari sini kita tahu yang Nabi Musa ada sejarah baginda di masa lampau. Begitulah kita kadang-kadang bukannya baik sangat di kampung dulu masa kecil. Baru sekarang sahaja telah belajar tafsir Al-Qur’an, barulah tahu tentang agama.

Dan setelah tahu tentang wahyu, sudah hendak berdakwah kepada orang kampung maka tentulah kita rasa risau. Mulalah kita terfikir yang kita dulu bukannya baik sangat. Ada kes curi lembu, mengorat anak dara orang dan sebagainya.

Tapi itu semua adalah kisah dahulu. Agama tak hiraukan apa yang dilakukan dahulu asalkan sudah menyesal dan minta ampun. Kalau curi lembu orang, kena pulangkan dan apa-apa sahaja balasan yang kena dilakukan. Yang penting adalah sekarang. Masa silam bukan penghalang untuk berdakwah. Mana ada orang yang rekod baik sahaja dari kecil dahulu?


 

Shu’araa Ayat 15: Nabi Musa telah sampaikan kerisauan baginda. Itu bukanlah alasan dari baginda untuk tidak buat kerja dakwah atau tolak jawatan Rasul. Tapi baginda mengadu kepada Allah supaya semua halangan-halang itu diselesaikan dari diri baginda.

Maka apakah jawapan Allah?

قالَ كَلّا ۖ فَاذهَبا بِئايٰتِنا ۖ إِنّا مَعَكُم مُّستَمِعونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Allāh] said, “No. Go both of you with Our signs; indeed, We are with you, listening.

(MELAYU)

Allah berfirman: “Jangan takut (mereka tidak akan dapat membunuhmu), maka pergilah kamu berdua dengan membawa ayat-ayat Kami (mukjizat-mukjizat); sesungguhnya Kami bersamamu mendengarkan (apa-apa yang mereka katakan),

 

قالَ كَلّا ۖ

Allah berfirman: “Jangan takut

Allah berfirman: Tidak. Jangan risau tentang perkara yang baginda telah sebutkan tadi. Jangan risaukan kata-kata mereka, takut lidahnya jadi kendur dan baginda tidak akan ditangkap dan dibunuh. Semuanya dalam perancangan dan takdir Allah dan Allah tidak akan benarkan perkara itu berlaku. Allah beritahu yang baginda pasti akan selamat.

Maka Allah selesaikan masalah baginda satu persatu. Kita kena sedar yang baginda bukannya nak menolak jawatan itu. Dalam ayat lain disebut bagaimana Nabi Musa berdoa kepada Allah untuk menyelesaikan kerisauan baginda. Ini Seperti pengertian yang terdapat di dalam firman-Nya Surah Taha, iaitu:

{قَالَ رَبِّ اشْرَحْ لِي صَدْرِي * وَيَسِّرْ لِي أَمْرِي * وَاحْلُلْ عُقْدَةً مِنْ لِسَانِي * يَفْقَهُوا قَوْلِي * وَاجْعَلْ لِي وَزِيرًا مِنْ أَهْلِي * هَارُونَ أَخِي * اشْدُدْ بِهِ أَزْرِي * وَأَشْرِكْهُ فِي أَمْرِي * كَيْ نُسَبِّحَكَ كَثِيرًا * وَنَذْكُرَكَ كَثِيرًا * إِنَّكَ كُنْتَ بِنَا بَصِيرًا * قَالَ قَدْ أُوتِيتَ سُؤْلَكَ يَا مُوسَى}

berkata Musa: “Ya Tuhanku, lapangkanlah untukku dadaku, dan mudahkanlah untukku urusanku, dan lepaskanlah kekakuan dari lidahku, supaya mereka mengerti perkataanku, dan jadikanlah untukku seorang pembantu dari keluargaku, (iaitu) Harun, saudaraku, teguhkanlah dengan dia kekuatanku, dan jadikankanlah dia sekutu dalam urusanku, supaya kami banyak bertasbih kepada Engkau, dan banyak mengingat Engkau. Sesungguhnya Engkau adalah Maha melihat (keadaan) kami”. Allah berfirman: “Sesungguhnya telah diperkenankan permintaanmu, Hai Musa.”  (Taha: 25-36)

 

فَاذهَبا بِئايٰتِنا

maka pergilah kamu berdua dengan membawa ayat-ayat Kami 

Jangan risaukan semua perkara itu tetapi hendaklah mereka berdua (Nabi Musa dan Harun) pergi juga untuk berdakwah. Arahan itu diberikan kepada dua orang yang bermaksud permintaan Nabi Musa yang mencadangkan Nabi Harun jadi Nabi itu telah diperkenankan. Sekarang mereka berdua kena bergandingan bahu untuk menyampaikan wahyu Allah kepada manusia.

Mereka kena pergi berdakwah dengan bawa ayat-ayat dari Allah. Allah akan beri ayat (tanda) kepada mereka. Tanda-tanda yang banyak akan diberikan supaya manusia boleh percaya. Maksudnya baginda akan dapat banyak mukjizat.

 

إِنّا مَعَكُم مُّستَمِعونَ

sesungguhnya Kami bersamamu mendengarkan 

Allah kata Dia akan mendengar apa yang terjadi selepas itu. Kalimah مُستَمِعونَ bermaksud mendengar dengan rapat. Maka kalau Allah sendiri kata yang Dia ada dengar bersama, maka tentulah hilang rasa takut. Ayat ini semakna dengan apa yang disebutkan oleh firman-Nya:

{إِنَّنِي مَعَكُمَا أَسْمَعُ وَأَرَى}

sesungguhnya Aku berserta kamu berdua, Aku mendengar dan melihat. (Taha: 46)

Maka kita pun kena dengar surah ini dengan rapat. Beri perhatian kepada apa yang kita dengar dan baca ini.


 

Shu’araa Ayat 16:

فَأتِيا فِرعَونَ فَقولا إِنّا رَسولُ رَبِّ العٰلَمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Go to Pharaoh and say, ‘We are the messengers¹ of the Lord of the worlds,

  • The singular form in Arabic indicates that both were sent with a single message.

(MELAYU)

Maka datanglah kamu berdua kepada Fir’aun dan katakanlah olehmu: “Sesungguhnya Kami adalah Rasul Tuhan semesta alam,

 

Digunakan kalimah فَأتِيا yang bermaksud datang dengan mudah tanpa masalah. Bukan kalimah جاء yang digunakan yang lebih berat. Maksudnya Allah memberitahu yang baginda akan mudah sahaja untuk berjumpa dengan Firaun.

Akan tetapi, bukankah Firaun itu duduknya di istana? Bukankah itu bermaksud yang Firaun itu akan dikawal rapi dan susah untuk berjumpa dengannya? Tidak mengapa kerana Allah akan mudahkan.

Bayangkan betapa beratnya kalimah dakwah mereka ini. Bukankah Firaun itu sendiri sudah mengaku yang dia adalah tuhan? Dan sekarang Nabi Musa dan Nabi Harun kena datang bertemu dengan Firaun dan memberitahu yang mereka berdua itu datang dari Tuhan yang sebenar iaitu Allah. Tidakkah ini berat? Tentu Firaun marah dan terasa, bukan? Kalau memalukan raja, apa akan jadi? Tambahan pula kalau raja yang zalim macam Firaun?

Jadi pertama sekali mereka kena isytihar yang mereka itu adalah para Rasul yang menyampaikan ajaran dan wahyu dari Allah. Dan sebagai Rasul, mereka kena ditaati oleh Firaun, dan semua rakyat.

Kalimah رَسولُ digunakan di dalam ayat ini yang bermaksud seorang Rasul sedangkan mereka itu berdua. Ini memberi isyarat bahawa mereka kena datang bersama-sama dan tidak boleh dipisahkan kerana mereka itu satu suara.


 

Shu’araa Ayat 17: Apa lagi yang mereka kena cakap kepada Firaun?

أَن أَرسِل مَعَنا بَني إِسرٰءيلَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Commanded to say], “Send with us the Children of Israel.”‘ “

(MELAYU)

lepaskanlah Bani Israil (pergi) berserta kami”.

 

Seterusnya Nabi Musa dan Nabi Harun kena minta Firaun melepaskan Bani Israil yang telah mereka jadikan sebagai hamba sekian lama. Mereka itu kaum yang mulia dan tidak patut dijadikan sebagai hamba.

Bayangkan Firaun ada satu kaum sebagai hamba. Waktu itu dikatakan mereka ada lebih kurang 600 ribu semua sekali. Itu semua adalah buruh percuma mereka. Memang tak dapat dibayangkan kerana mana ada orang ada satu kaum sebagai hamba. Tapi Firaun dan bangsa Qibti ada hamba sebanyak itu. Agak-agak senang Firaun nak lepaskan?

Dan bayangkan juga yang Firaun itu telah membunuh anak lelaki yang baru lahir, dua tahun sekali (selang setahun) tetapi Bani Israil itu tidak berani pun untuk memberontak kepada Firaun. Maknanya Firaun ini memang berkuasa benar dan tidak dapat dilawan langsung oleh Bani Israil. Tiba-tiba ada dua orang dari kalangan mereka yang datang nak minta mereka semua dilepaskan?

Adakah Firaun akan lepaskan begitu sahaja? Takkan kerana selama ini Bani Israil itu dijadikan sebagai tenaga kerja percuma Firaun dan bangsanya tetapi tiba-tiba akan kehilangan mereka.

Maka tentunya kita dapat bayangkan yang Firaun tidak akan setuju untuk melepaskan mereka kerana padanya, mereka itu semua adalah hamba-hambanya dan banyak kerja lagi yang dia hendak lakukan.


 

Shu’araa Ayat 18: Sekarang kita lihat apakah maklum balas dan jawapan dari Firaun setelah Nabi Musa berdakwah kepadanya. Dia ungkit kisah lama.

قالَ أَلَم نُرَبِّكَ فينا وَليدًا وَلَبِثتَ فينا مِن عُمُرِكَ سِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Pharaoh] said, “Did we not raise you among us as a child, and you remained among us for years of your life?

(MELAYU)

Fir’aun menjawab: “Bukankah kami telah mengasuhmu di antara (keluarga) kami, waktu kamu masih kanak-kanak dan kamu tinggal bersama kami beberapa tahun dari umurmu.

 

قالَ أَلَم نُرَبِّكَ فينا وَليدًا

Firaun menjawab: “Bukankah kami telah mengasuhmu di antara (keluarga) kami, waktu kamu masih kanak-kanak

Ayat sebelum ini menyebut arahan Allah kepada Nabi Musa dan Nabi Harun. Tidak disebut bagaimanakah cara mereka sampaikan permintaan itu kepada Firaun. Allah terus potong pendek kisah itu. Kisah yang tidak penting tidak dimasukkan dalam Al-Qur’an.

Sekarang tiba-tiba kita sampai dalam keadaan Nabi Musa dan Nabi Harun telah berada di dalam istana Firaun. Kisah perjalanan baginda berdua itu tidak disebut pun kerana ianya akan membosankan kerana panjang sangat. Kita pun tidak tahu dengan pasti apakah reaksi Firaun apabila Nabi Musa cakap permintaannya itu. Maka kena isikan tempat kosong yang tidak disebut dalam ayat Al-Qur’an.

Kalau dalam filem zaman sekarang pun, tidaklah pengarah filem akan tunjuk satu persatu perjalanan kisah itu. Kerana itu akan membosankan, bukan? Maka dalam Al-Qur’an pun begitu juga. Allah sebut perkara-perkara yang penting sahaja.

Lihat bagaimana jawapan daripada Firaun ini yang tidak menjawab apa yang diminta oleh Nabi Musa. Setakat ini ada dua mesej utama yang disampaikan oleh baginda iaitu baginda adalah Rasul dan baginda mahu diberikan Bani Israil untuk dibebaskan.

Tetapi Firaun balas dengan mengingatkan Nabi Musa yang dia dahulu yang menjaga Nabi Musa dari kecil (tarbiyah). Pertama, Firaun hendak menukar topik dan keduanya hendak menyebabkan Nabi Musa rasa bersalah dan terhutang budi dengannya.

Ini adalah cara manipulasi yang banyak digunakan oleh manusia untuk menang dalam hujah. Sebagai contoh, kadangkala ada orang yang tidak suka kita melakukan kebaikan maka mereka akan menggunakan logik akal yang tidak berapa logik. Sebagai contoh, apabila ada dari kalangan keluarga mereka yang mahu masuk ke dalam agama Islam mereka berhujah seolah-olah agama Islam itu adalah agama musuh tradisi mereka.

Mereka berhujah: “sanggup kamu nak tinggalkan agama nenek moyang kamu!!! Sanggup kami masuk ke dalam agama yang telah menindas tok nenek kita dahulu??!” Kalau kita kaji, hujah ini tidak ada kena mengena pun. Tidak ada guna kalau nak terus berada dalam agama nenek moyang kalau agama itu salah; dan apakah bukti yang mengatakan agama Islam itu pernah menindas bangsa mereka dahulu? Tapi cara hujah ini digunakan untuk bagi orang lain rasa bersalah.

Maka hujah pertama Firaun adalah dengan ingatkan Nabi Musa yang dia telah mengasuh baginda dari kecil.

Ada mukjizat Al-Qur’an tentang nama Nabi Musa ini. Dari manakah asalnya nama Nabi Musa dan apakah maknanya? Golongan Yahudi mengatakan nama Musa itu dari bahasa Ibrani (Hebrew) tapi bukankah yang menamakan baginda bukan orang Yahudi? (Kerana Musa dijaga oleh isteri Firaun, bangsa Koptik).

Kajian pakar yang berkenaan bahasa Koptik mendapati, kalau ada ms ia ada kena mengena dengan kelahiran. Jadi Musa itu kalau diterjemahkan boleh bermaksud ‘baru lahir’ (newborn). Dan maksud inilah yang digunakan oleh Firaun di dalam ayat ini apabila dia kata أَلَم نُرَبِّكَ فينا وَليدًا dan kalimah وَليدًا itu bermaksud ‘newborn’. Al-Qur’an menyebut terjemahan yang tepat bagi nama ‘Musa’. Tapi ilmu bahasa mereka ini adalah ilmu moden. Nabi Muhammad tidak tahu, bangsa Yahudi juga tidak tahu. Yang tahu hanyalah Allah sahaja dan kerana itu ini adalah salah satu dari mukjizat Al-Qur’an.

 

وَلَبِثتَ فينا مِن عُمُرِكَ سِنينَ

dan kamu tinggal bersama kami beberapa tahun dari umurmu.

Dan Firaun tambah lagi dengan mengingatkan yang Nabi Musa telah lama tinggal di istananya. Maknanya dulu makan minum dan pakai Nabi Musa diberikan olehnya.

Dalam riwayat ada disebut yang baginda tinggal di istana Firaun itu selama 18 tahun jadi bukan sekejap. Jadi dia nak kata Nabi Musa tak kenang budi dia.


 

Shu’araa Ayat 19: Hujah Firaun seterusnya.

وَفَعَلتَ فَعلَتَكَ الَّتي فَعَلتَ وَأَنتَ مِنَ الكٰفِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [then] you did your deed which you did,¹ and you were of the ungrateful.”

  • i.e., striking the Copt, who died as a result.

(MELAYU)

dan kamu telah berbuat suatu perbuatan yang telah kamu lakukan itu dan kamu termasuk golongan orang-orang yang tidak membalas guna.

 

وَفَعَلتَ فَعلَتَكَ الَّتي فَعَلتَ

dan kamu telah berbuat suatu perbuatan yang telah kamu lakukan itu

Dan Firaun mengingatkan Nabi Musa tentang perbuatannya dulu dan tidak disebut di dalam ayat ini tetapi yang dimaksudkan adalah pembunuhan seorang lelaki oleh Nabi Musa.

Dalam ayat ini Firaun tidak menyebut apakah perbuatan itu seolah-olah Firaun sedang mempertahankan rahsia Nabi Musa supaya tidak diketahui oleh orang lain dan seolah-olah dia sekarang sedang jaga nama baik Nabi Musa. Dia bagi isyarat sahaja.

Dan juga seolah-olah kata jikalau Nabi Musa tidak berhenti berdakwah maka Firaun akan beritahu rahsia itu kepada semua orang.

 

وَأَنتَ مِنَ الكٰفِرينَ

dan kamu termasuk golongan orang-orang yang tidak membalas budi.

Firaun menuduh Nabi Musa ‘kafir’ yang bermaksud tidak mengaku yang dia pernah membunuh lelaki itu.

Kafir juga bermaksud tidak bersyukur dan dia maksudkan Nabi Musa tidak bersyukur atas segala jasa dan nikmat yang telah diberikan olehnya.

Ingat kembali mesej Nabi Musa ada dua sahaja iaitu dia seorang Rasul dan berikan Bani Israil kepada baginda untuk dibebaskan, tetapi setakat ini Firaun tidak menjawab pun dua perkara itu malah menarik perhatian kepada perkara lain. Begitulah liciknya seorang lelaki yang bernama Firaun. Kerana dia liciklah yang Allah cerita balik kata-kata dia kerana ada manusia zaman sekarang pun pandai memanipulasi maklumat.

Lihat bagaimana Firaun mengalih perhatian daripada mesej Islam kepada serangan individu dan perkara ini banyak dilakukan oleh penentang agama dan penentang jalan sunnah. Mereka bukan berlawan hujah tapi sebut perkara-perkara lain.

Contohnya, apabila diberikan hujah, ada golongan yang mempertikaikan kelayakan orang yang beri hujah itu. Bukannya nak jawab hujah, tapi nak jatuhkan status pemberi dalil itu.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 18 Jun 2023


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah Ash-Shu’araa Ayat 1 – 9 (Nabi risau sampai sakit)

Pengenalan:

Nama surah ini diambil daripada kalimah yang ada di hujung surah ini. Dinamakan Asy-Syu’araa (kata jamak dari Asy-Syaa’ir yang bererti penyair) diambil dari kata Asy Syuaraa’ yang terdapat pada ayat 224, iaitu pada bahagian terakhir surah ini, di kala Allah s.w.t. secara khusus menyebutkan kedudukan para penyair Arab di zaman jahiliyah.

Nama-nama yang dijadikan sebagai pengenalan surah itu membawa maksud tertentu kerana ada sesuatu yang hendak ditekankan sebagai perkara yang penting di dalam sesuatu surah itu dan kerana itu kita kena beri perhatian kepada nama-nama surah.

Surah ini banyak bercerita menggunakan Dalil Naqli. Surah ini membicarakan ‘tauhid dalam berkat’. Ia menyambung tema yang sama dalam Surah Furqan. Banyak surah memperkatakan tentang berkat ini kerana salah faham manusia yang banyak sampaikan mereka telah melakukan syirik tanpa sedar.

Ada 7 Dalil Naqli yang dibawa dan surah ini mengandungi banyak Dalil Naqli kerana awal surah ini telah sebut kalimah mubeen. Maka ini memberi isyarat yang surah ini ada banyak Dalil Naqli. Banyak kisah-kisah disampaikan dalam surah ini untuk menyedarkan manusia tentang tauhid.

Surah ini diturunkan di Mekah pada peringkat ketiga. Iaitu di tahun 6 – 10 Kenabian di Mekah. Lebih kurang sama masanya dengan Surah Furqan.


 

Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 10 Perenggan Makro dan Ayat 1 sehingga ke ayat 6 adalah Perenggan Makro Pertama. Ia mengandungi Dalil Tauhid Rububiyyah.

طسم

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Ash-Shu‘arā’: The Poets.

Ṭā, Seen, Meem.1

  • See footnote to 2:1.

(MELAYU)

Thaa Siim Miim

 

Menariknya apabila surah ini dimulai dengan huruf ط ia mengandungi kisah tentang Nabi Musa dan juga melibatkan ular. Ini sebagai satu pemerhatian sahaja dan bukanlah sebagai tafsir kepada Huruf Muqatta’ah ini.

Seperti selalu disebut, kita tidak tahu apa maksud bagi Huruf Miqatta’ah ini kerana Allah dan Nabi Muhammad tidak beritahu maknanya kepada kita. Maka kita kena terima yang kita tidak tahu dan jangan cuba untuk menafsirnya. Kita sudah bincangkan di tempat yang lain, antaranya di dalam Ghafir:1.


 

Ayat 2: Targhib kepada Al-Qur’an.

تِلكَ ءآياتُ الكِتٰبِ المُبينِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

These are the verses of the clear Book.

(MELAYU)

Inilah ayat-ayat Al Qur’an yang menerangkan.

 

Apabila digunakan kalimah الكِتٰبِ ia bermaksud sesuatu yang ditulis di dalam bahasa Arab. Tetapi sewaktu surah ini diturunkan di Mekah, para sahabat tidak melihat pun Al-Qur’an ini di dalam bentuk kitab lagi. Jadi ia merujuk kepada kitab Al-Qur’an di sisi Allah yang telah tertulis dan kerana itulah digunakan kalimah الكِتٰبِ.

Bila digunakan kalimah المُبينِ di awal surah, maka ini memberi isyarat yang surah ini ada banyak Dalil Naqli. Dalil Naqli ini berbentuk kisah-kisah para Nabi dan sejarah umat-umat terdahulu sebagai pengajaran untuk kita. Ia bukan sebagai cerita sahaja tetapi cerita yang mengandungi pengajaran. Maka kita kena beri perhatian kepada kisah-kisah itu.


 

Ayat 3:

لَعَلَّكَ بٰخِعٌ نَّفسَكَ أَلّا يَكونوا مُؤمِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Perhaps, [O Muḥammad], you would kill yourself with grief that they will not be believers.

(MELAYU)

Boleh jadi kamu (Muhammad) akan membinasakan dirimu, kerana mereka tidak beriman.

 

Ayat ini ditujukan kepada Nabi Muhammad: Adakah engkau berasa terlalu sedih sampai boleh mematikan dirimu? Ini adalah sakit jenis phychosomatic. Ada manusia yang boleh mati atau jatuh sakit kerana tekanan perasaan. Baginda rasa terlalu sedih sampai memberi kesan kepada baginda. Ini juga disebut dalam firman Allah Swt.:

{فَلَعَلَّكَ بَاخِعٌ نَفْسَكَ عَلَى آثَارِهِمْ إِنْ لَمْ يُؤْمِنُوا }

Maka (apakah) barangkali kamu akan membunuh dirimu kerana bersedih hati sesudah mereka berpaling. (Al-Kahfi: 6), hingga akhir ayat.

Kalau zaman sekarang kita boleh tahu bagaimana emosi yang terlalu terganggu sampai boleh menyebabkan kita jatuh sakit maka begitulah Nabi Muhammad berasa terlalu sedih sampaikan boleh menyebabkan baginda mati.

Baginda merasa sedih kerana baginda lihat ramai dari kalangan Musyrikin Mekah itu tidak akan menjadi orang-orang yang beriman. Baginda rasa tertekan dan sedih sangat kerana baginda amat prihatin kepada kaum baginda dan amat mementingkan keselamatan mereka.

Allah mengatakan yang Al-Qur’an itu memang sudah cukup untuk dijadikan sebagai panduan untuk menjadikan manusia beriman tetapi jikalau mereka tidak beriman, itu adalah kerana masalah pada diri mereka dan surah ini banyak menyentuh tentang perkara ini.


 

Ayat 4:

إِن نَّشَأ نُنَزِّل عَلَيهِم مِّنَ السَّماءِ ءآيَةً فَظَلَّت أَعنٰقُهُم لَها خٰضِعينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

If We willed, We could send down to them from the sky a sign for which their necks would remain humbled.¹

  • i.e., they would be compelled to believe.

(MELAYU)

Jika Kami kehendaki nescaya Kami menurunkan kepada mereka mukjizat dari langit, maka tentulah tengkuk-tengkuk mereka akan tunduk kepadanya.

 

إِن نَّشَأ نُنَزِّل عَلَيهِم مِّنَ السَّماءِ ءآيَةً

Jika Kami kehendaki nescaya Kami menurunkan kepada mereka mukjizat dari langit, 

Allah beritahu yang jika Dia mahu, Dia boleh beri lagi tanda-tanda kepada mereka itu yang lebih daripada Al-Qur’an. Maksudnya Allah boleh turunkan Mukjizat dari langit. Kerana begitulah yang mereka minta. Mereka minta sesuatu yang mereka boleh lihat, barulah mereka kata mereka nak beriman. Allah beritahu yang bukannya Allah tak boleh buat.

 

فَظَلَّت أَعنٰقُهُم لَها خٰضِعينَ

maka tentulah tengkuk-tengkuk mereka akan tunduk kepadanya.

Dan kalau Allah turunkan tanda itu maka pasti mereka akan tunduk merendah diri kepadaNya dan ini menunjukkan bahawa Musyrikin Mekah itu tidak menundukkan diri kepada Al-Qur’an.

Sebagai contoh, Allah boleh sahaja turunkan malaikat berbondong-bondong supaya mereka boleh lihat sendiri malaikat itu di depan mereka dan barulah waktu itu mereka hendak menundukkan diri.

Maka Allah memang boleh buat sebagaimana Allah telah mengangkat Bukit Thur di atas kepala Bani Israil sampai mereka terpaksa beriman tetapi Allah tidak mahu melakukan begitu kerana imam dengan paksaan bukanlah ujian. Memang Allah boleh buat, tapi Allah tak mahu buat begitu. Dalam ayat yang lain disebutkan melalui firman-Nya:

{وَلَوْ شَاءَ رَبُّكَ لآمَنَ مَنْ فِي الأرْضِ كُلُّهُمْ جَمِيعًا أَفَأَنْتَ تُكْرِهُ النَّاسَ حَتَّى يَكُونُوا مُؤْمِنِينَ}

Dan jikalau Tuhanmu menghendaki, tentulah beriman semua orang yang di muka bumi seluruhnya. Maka apakah kamu (hendak) memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman semuanya ? (Yunus: 99)


 

Ayat 5: Ayat zajrun.

وَما يَأتيهِم مِّن ذِكرٍ مِّنَ الرَّحمٰنِ مُحدَثٍ إِلّا كانوا عَنهُ مُعرِضينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And no mention [i.e., revelation] comes to them anew from the Most Merciful except that they turn away from it.

(MELAYU)

Dan sekali-kali tidak datang kepada mereka suatu peringatan baru dari Tuhan Yang Maha Pemurah, melainkan mereka selalu berpaling daripadanya.

 

وَما يَأتيهِم مِّن ذِكرٍ مِّنَ الرَّحمٰنِ مُحدَثٍ

Dan sekali-kali tidak datang kepada mereka suatu peringatan baru dari Tuhan Yang Maha Pemurah,

Tidak turun hujah yang baru kepada mereka yang degil itu, melainkan mereka akan berpaling daripadanya. Yang dimaksudkan peringatan baru itu adalah wahyu. Maknanya Allah telah menurunkan berbagai-bagai ayat yang baru untuk menceritakan perkara yang sama kerana hendak memberi mereka faham tentang tauhid dan tentang agama ini.

Allah buat begitu kerana hendak memberi manusia faham sebagaimana seorang guru yang baik akan mengajar dengan cara yang lain kepada anak-anak muridnya yang tidak faham sesuatu pelajaran itu. Guru itu akan ajar dengan berbagai-bagai cara.

Tetapi jikalau guru itu telah meluangkan masa dan tenaganya untuk memberi pelajaran yang berbagai-bagai cara kepada anak murid itu tetapi anak boleh itu masih juga tidak faham, maka siapakah yang bersalah di dalam hal ini? Sedangkan orang-orang lain sudah faham lama lagi.

Dan sekarang bayangkan bagaimana Allah telah beri peluang mengajar orang Mekah itu selama 13 tahun untuk memberi mereka faham tentang tauhid tetapi mereka masih juga tidak faham-faham. Bayangkan mereka telah diberikan dengan kurikulum yang terbaik iaitu Al-Qur’an dan telah diberikan dengan tenaga pengajar yang terbaik iaitu Rasulullah sendiri, tetapi mereka masih tidak faham.

Apa yang diajarkan kepada mereka itu memang sudah mudah sangat iaitu tentang risalah tauhid dan juga tentang akhirat dan sepatutnya orang yang menggunakan akal telah lama faham tetapi jikalau tidak faham itu adalah kerana mereka degil sahaja.

Jadi Allah menggunakan SifatNya Rahman di dalam ayat ini untuk menunjukkan bagaimana Allah telah bermurah hati untuk mengajar kepada mereka sekian lama dengan berbagai-bagai cara. Dengan sifat itu juga Allah beri peluang yang lama kepada mereka.

Wahyu yang segar itu bermaksud wahyu yang baru kalau dibandingkan dengan wahyu-wahyu sebelum itu. Sebagaimana kalau kita menjual barang maka kita akan mencuba memperbaharui penampilan barang itu supaya manusia terus berminat. Kerana itu untuk menarik minat manusia maka Allah menjadikan berbagai-bagai jenis ayat. Juga diberikan dengan berbagai-bagai bentuk kalau dibandingkan antara satu surah dengan surah yang lain.

 

إِلّا كانوا عَنهُ مُعرِضينَ

melainkan mereka selalu berpaling daripadanya.

Tetapi mereka yang degil itu akan tetap juga tidak beriman kepada wahyu. Semua surah mereka tidak mahu terima. Yang lama dan yang baru sama sahaja bagi mereka, tetap mereka tolak.


 

Ayat 6: Ayat takhwif duniawi

فَقَد كَذَّبوا فَسَيَأتيهِم أَنبؤا ما كانوا بِهِ يَستَهزِءونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

For they have already denied, but there will come to them the news of that which they used to ridicule.

(MELAYU)

Sungguh mereka telah mendustakan (Al Qur’an), maka kelak akan datang kepada mereka (kenyataan dari) berita-berita yang selalu mereka perolok-olokkan.

 

فَقَد كَذَّبوا

Sungguh mereka telah mendustakan (Al Qur’an),

Tetapi walaupun telah diberikan kepada manusia itu dengan berbagai-bagai pengajaran mereka tetap juga engkar. Mereka tidak pakai ajaran dalam Al-Qur’an itu. Maka itu sudah dikira sebagai mendustakan.

Maksud ‘mendustakan’ adalah mengatakan sesuatu itu dusta. Dan kalau sudah dianggap dusta, maka tidak boleh dipakailah, bukan?

Jadi bagaimana dengan orang Islam yang tidak memakai ajaran dalam Al-Qur’an ini? Adakah mereka menolak Al-Qur’an? Adakah mereka juga telah dikira mendustakan Al-Qur’an?

Mereka memang tidak pernah kata mereka tolak Al-Qur’an. Malah kalau ada sesiapa hina Al-Qur’an, maka mereka jugalah yang akan awal-awal bangkit. Tapi kalau mereka sendiri tidak pakai ajaran dalam Al-Qur’an itu, bagaimana? Apakah mereka tidak sama sahaja dengan orang-orang kafir yang juga tidak pakai Al-Qur’an dan mengatakan Al-Qur’an itu dusta?

 

فَسَيَأتيهِم أَنبؤا ما كانوا بِهِ يَستَهزِءونَ

maka kelak akan datang kepada mereka (kenyataan dari) berita-berita yang selalu mereka perolok-olokkan.

Dan nanti mereka yang degil itu akan diberikan dan ditunjukkan dengan azab-azab yang mereka telah ejek dulu semasa mereka di dunia. Mereka dulu tidak percaya tapi nanti azab itu akan ada depan mata mereka.

Sebagai contoh, apabila kita beritahu yang kalau amalkan syirik akan kena azab, Musyrikin Mekah mengejek-ngejek Rasulullah. Antaranya mereka kata: “mana dia azab itu? Bawalah ke mari!” Nanti mereka pasti akan dikenakan dengan azab yang mereka tidak percaya itu.

Dan bagaimana dengan orang Islam yang tidak percaya apabila kita katakan yang tawasul dengan roh Nabi, wali dan malaikat itu syirik dan akan dimasukkan ke dalam neraka? Bukankah ramai yang tidak percaya? Maka mereka juga nanti akan dikenakan dengan azab itu.


 

Ayat 7: Dari ayat ini sehingga ke ayat 9 adalah Perenggan Makro Kedua. Ia mengandungi Dalil Aqli tentang Allah. Allah suruh kita lihat kepada tumbuh-tumbuhan. Senang sahaja Allah gunakan alam untuk mengajar kita tentang tauhid.

أَوَلَم يَرَوا إِلَى الأَرضِ كَم أَنبَتنا فيها مِن كُلِّ زَوجٍ كَريمٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Did they not look at the earth – how much We have produced therein from every noble kind?

(MELAYU)

Dan apakah mereka tidak memperhatikan bumi, berapakah banyaknya Kami tumbuhkan di bumi itu pelbagai macam tumbuh-tumbuhan yang baik?

 

أَوَلَم يَرَوا إِلَى الأَرضِ

Dan apakah mereka tidak memperhatikan bumi,

Manusia yang engkar itu meminta kepada Rasul untuk menunjukkan kepada mereka mukjizat-mukjizat supaya dengan melihat mukjizat itu kononnya mereka dapat beriman. Tetapi di dalam surah yang lain kita telah belajar bagaimana Allah tidak memberikan apa yang mereka minta kerana jikalau diberikan juga mukjizat yang mereka minta itu dan mereka kemudiannya engkar juga, itu akan menyebabkan kehancuran mereka.

Tetapi Allah tarik perhatian mereka kepada alam ini yang memang telah hebat. Lihatlah kepada tanam-tanaman yang baik-baik itu yang hidup dengan subur dan memberi kebaikan kepada mereka.

 

كَم أَنبَتنا فيها مِن كُلِّ زَوجٍ كَريمٍ

berapakah banyaknya Kami tumbuhkan di bumi itu pelbagai macam tumbuh-tumbuhan yang baik?

Dalam ayat ini Allah memberitahu yang tumbuh-tumbuhan itu زَوجٍ (berpasangan) kerana Allah hendak mengajar bahawa Allah sentiasa menjadikan pada setiap sesuatu itu ada pasangannya masing-masing.

Banyak lagi ayat-ayat di dalam Al-Qur’an yang menceritakan bagaimana semua makhluk itu ada pasangannya masing-masing dan hanya Allah sahaja yang tidak ada pasangan. Dan kalau setiap perkara itu ada pasangannya maka apakah pasangan bagi alam ini kalau bukan alam akhirat? Maka hendaklah bersedia untuk alam akhirat itu kerana ia pasti akan ada.


 

Ayat 8:

إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيَةً ۖ وَما كانَ أَكثَرُهُم مُّؤمِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed in that is a sign, but most of them were not to be believers.

(MELAYU)

Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat suatu tanda kekuasaan Allah. Dan kebanyakan mereka tidak beriman.

 

إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيَةً

Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat suatu tanda

Kepada mereka yang menggunakan akal mereka yang Allah telah berikan maka tentu mereka akan dapat melihat kebenaran dengan hanya melihat kepada alam tumbuhan dan alam dunia sahaja. Allah telah menjadikannya dengan baik sekali. Takkan ianya terjadi sendiri.

Tentu ada kuasa yang Maha Besar yang menjadikannya. Kalau alam ini sendiri hebat, maka tentu yang menjadikannya lebih hebat, bukan? Maka kena carilah Siapa yang menjadikannya.

 

وَما كانَ أَكثَرُهُم مُّؤمِنينَ

Dan kebanyakan mereka tidak beriman.

Tetapi Allah beritahu yang kebanyakan dari manusia tidak akan beriman. Memang begitulah kebanyakan manusia di dunia ini tidak beriman. Maka kerana itu kita tidak majoriti dari manusia.

Allah memberi isyarat di dalam ayat ini bahawa ayat-ayat Allah itu bukan sahaja ayat wahyu seperti Al-Qur’an sahaja tetapi ayat-ayat itu juga adalah tanda-tanda yang ada pada alam ini. Sepatutnya dengan melihat alam ini manusia sudah boleh mengerti bahawa ada Pencipta Yang Maha Agung yang perlu dicari.


 

Ayat 9:

وَإِنَّ رَبَّكَ لَهُوَ العَزيزُ الرَّحيمُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And indeed, your Lord – He is the Exalted in Might, the Merciful.

(MELAYU)

Dan sesungguhnya Tuhanmu benar-benar Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Penyayang.

 

Kali ini Allah menggunakan kombinasi sifat Aziz dan juga Rahim dan berlainan dari kombinasi-kombinasi yang digunakan di dalam surah-surah yang lain. Selalunya selepas Allah menyebut sifat al-Aziz, Allah akan sebut sifat al-Hakim kerana hendak memberi isyarat bahawa kebanyakan daripada makhluk walaupun mereka ada kuasa tetapi tidak semestinya mereka ada kebijaksanaan.

Dan di dalam surah ini banyak digunakan kombinasi al-Aziz dan ar-Rahim. Ini memberi isyarat kepada kita bahawa walaupun Allah bersifat al-Aziz di mana Dia boleh buat apa sahaja yang dikehendaki tetapi Allah tidak menggunakan kuasaNya itu untuk terus menghukum manusia kerana Allah mempunyai sifat ar-Rahim. Maka ini adalah kunci kepada pemahaman surah ini.

Maksudnya Allah maha berkuasa dan Allah boleh hukum bila-bila masa. Akan tetapi Allah tidak terus hukum dan Allah memberi tangguh kepada manusia untuk bertaubat atas sifat belas kasihanNya.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 3 Jun 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah Furqan Ayat 72 – 77 (Keluarga yang menyejukkan mata)

Ayat 72: Ini pula adalah sifat keenam Hamba Allah yang baik yang kita kena ikut sifat mereka ini.

وَالَّذينَ لا يَشهَدونَ الزّورَ وَإِذا مَرّوا بِاللَّغوِ مَرّوا كِرامًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [they are] those who do not testify to falsehood, and when they pass near ill speech, they pass by with dignity.

(MELAYU)

Dan orang-orang yang tidak memberikan persaksian palsu, dan apabila mereka bertemu dengan (orang-orang) yang mengerjakan perbuatan-perbuatan yang tidak berfaedah, mereka lalui (saja) dengan menjaga kehormatan dirinya.

 

وَالَّذينَ لا يَشهَدونَ الزّورَ

Dan orang-orang yang tidak memberikan persaksian palsu,

Dan mereka tentunya tidak akan bersaksi palsu. Kerana saksi ini adalah elemen penting di dalam penghakiman dan keputusan qadi (hakim) berdasarkan kepada persaksian dari mereka yang melihat.

Jadi kalau saksi beri persaksian palsu, maka keputusan itu akan jadi salah dan akan menyebabkan ada orang yang dizalimi. Ini amat buruk sekali kerana kita tidak boleh zalimi sesiapa pun.

Dan satu lagi mereka tidak mahu terlibat jikalau ada orang yang bersaksi palsu. Mereka tidak akan tengok dan biarkan perkara itu berlaku. Kalau mereka tahu, mereka akan tegakkan keadilan. Mereka akan mempertahankan orang yang telah dizalimi.

Maknanya jikalau kita lihat kezaliman berlaku dan kita tidak melakukan buat apa-apa, maka kita pun ada masalah juga dengan Allah.

 

وَإِذا مَرّوا بِاللَّغوِ مَرّوا كِرامًا

dan apabila mereka bertemu dengan (orang-orang) yang mengerjakan perbuatan-perbuatan yang tidak berfaedah, mereka lalui (saja) dengan menjaga kehormatan dirinya.

Dan jikalau mereka lalu atau bertemu dengan kumpulan yang sedang melakukan perkara-perkara yang lagha (buang masa dan tidak berfaedah) maka mereka akan meninggalkan golongan itu.

Mereka lalu ke tempat itu pun dengan tidak sengaja kerana mereka tidak buat benda-benda itu. Kalau mereka tahu tempat itu tempat orang buat lagha, mereka pun tidak pergi ke tempat itu dari asal lagi.

Maka ini adalah tentang orang yang tersilap sampai ke tempat itu. Kalau begitu, dia akan berundur keluar dan meninggalkan mereka. Tapi tidaklah dia keluar dengan menghina mereka ataupun menyakitkan hati mereka tetapi dia akan keluar dengan cara yang mulia. Iaitu orang yang menjaga dirinya dari duduk bersama dengan orang-orang yang lalai leka itu. Kerana kalau duduk-duduk dengan mereka pun, takut jadi macam mereka juga.

Dan sudah tentunya dia tidak bercampur gaul dan terlibat dengan orang yang sedang melakukan perkara seperti itu kerana itu akan menjatuhkan kemuliaan dirinya.

Oleh itu, kita kalau pendakwah dan juga ustaz yang mengajar, cuba jangan duduk selalu dengan mereka yang seperti itu. Takut nanti orang boleh tuduh pula yang kita ini jenis macam mereka. Lainlah kalau kita memang berniat ke situ untuk berdakwah. Dan dakwah kepada golongan itu amatlah mulia dan orang berani sahaja yang mampu melakukannya.

Tapi kadang-kadang kita nak dakwah orang-orang sebegitu, kenalah duduk dengan mereka, bukan? Maka itu dibenarkan kerana ada sebab kita duduk dengan mereka. Tapi jangan terminat pula buat apa benda yang puak-puak lagha itu buat.


 

Ayat 73: Ini sifat ketujuh. Ini pula apabila mereka diberi peringatan.

وَالَّذينَ إِذا ذُكِّروا بِئآيٰتِ رَبِّهِم لَم يَخِرّوا عَلَيها صُمًّا وَعُميانًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And those who, when reminded of the verses of their Lord, do not fall upon them deaf and blind.

(MELAYU)

Dan orang-orang yang apabila diberi peringatan dengan ayat-ayat Tuhan mereka, mereka tidaklah menghadapinya sebagai orang-orang yang tuli dan buta.

 

وَالَّذينَ إِذا ذُكِّروا بِئآيٰتِ رَبِّهِم

Dan orang-orang yang apabila diberi peringatan dengan ayat-ayat Tuhan mereka,

Ini adalah jika mereka dibacakan dengan ayat-ayat Al-Qur’an dan diterangkan maksud ayat-ayat Al-Qur’an itu. Mereka tidaklah tolak ayat itu maksudnya mereka memberi perhatian dan tidaklah buat sambil lewa saja. Mereka akan fokus kepada penerangan yang diberikan.

 

لَم يَخِرّوا عَلَيها صُمًّا وَعُميانًا

mereka tidaklah menghadapinya sebagai orang-orang yang tuli dan buta.

Dan mereka tidaklah buta dengan pemahaman Al-Qur’an itu. Maksudnya selepas mereka mendengar dan memahami penjelasan daripada ayat-ayat Al-Qur’an itu, maka pandangan mereka tentang alam dan kehidupan ini berubah sesuai dengan ayat-ayat yang dibacakan kepada mereka.

Ini seperti disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

{الَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ اللهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ آيَاتُهُ زَادَتْهُمْ إِيمَانًا وَعَلَى رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ}

mereka yang apabila disebut nama Allah, gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, bertambahlah iman mereka (kerananya) dan kepada Tuhanlah mereka bertawakal. (Al-Anfal: 2)

Mungkin sebelum itu mereka tidak faham kerana mereka tidak belajar lagi, tapi mereka sanggup untuk dengar dan beri perhatian.

Begitulah, di negara kita ini, masih lagi pengajaran tafsir Al-Qur’an tidak banyak dilakukan. Dan memang kebanyakan manusia tidak mahir dengan tafsir Al-Qur’an dan tidak tahu pun apa yang mereka baca. Ramai yang sangka, kalau mereka ‘baca’ Al-Qur’an setiap hari, itu sudah cukup baik. Tapi berkali-kali kita sebutkan bahawa baca sahaja tidak cukup, kena faham apa yang dibaca.

Ada kalangan orang kita yang apabila dibacakan ayat-ayat Al-Qur’an dan diterangkan tafsirnya, mereka terkesan sampai ada yang menangis. Kemudian mereka akan terus belajar supaya faham ayat-ayat yang lain lagi. Hasilnya mereka jadi orang yang menyebarkan pula ayat-ayat Al-Qur’an dan tafsirnya kepada manusia.

Tapi ada yang buat tak kisah sahaja. Mereka dengar, tapi mereka tidak beri perhatian dan macam masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri. Ada juga yang membantah tanpa ilmu dan ada juga yang tolak tidak, terima pun tidak.

Memang manusia ada jenis-jenisnya. Mereka yang buat tidak kisah dan terkesan dengan wahyu ini adalah jenis orang kafir atau orang munafik. Seperti yang disebutkan oleh firman-Nya dalam ayat yang lain:

{وَإِذَا مَا أُنزلَتْ سُورَةٌ فَمِنْهُمْ مَنْ يَقُولُ أَيُّكُمْ زَادَتْهُ هَذِهِ إِيمَانًا فَأَمَّا الَّذِينَ آمَنُوا فَزَادَتْهُمْ إِيمَانًا وَهُمْ يَسْتَبْشِرُونَ. وَأَمَّا الَّذِينَ فِي قُلُوبِهِمْ مَرَضٌ فَزَادَتْهُمْ رِجْسًا إِلَى رِجْسِهِمْ}

Dan apabila diturunkan suatu surat, maka di antara mereka (orang-orang munafik) ada yang berkata, “Siapakah di antara kalian yang bertambah imannya dengan (turunnya) surat ini?” Adapun orang-orang yang beriman, maka surat ini menambah imannya, sedangkan mereka merasa gembira. Dan adapun orang-orang yang di dalam hati mereka ada penyakit, maka dengan surat itu bertambah kekafiran mereka di samping kekafirannya (yang telah ada). (At-Taubah:124-125)


 

Ayat 74: Ini pula adalah sifat kelapan dan terakhir. Ini adalah doa yang amat molek untuk diamalkan.

وَالَّذينَ يَقولونَ رَبَّنا هَب لَنا مِن أَزوٰجِنا وَذُرِّيّٰتِنا قُرَّةَ أَعيُنٍ وَاجعَلنا لِلمُتَّقينَ إِمامًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And those who say, “Our Lord, grant us from among our wives and offspring comfort to our eyes¹ and make us a leader [i.e., example] for the righteous.”

  • i.e., a source of happiness due to their righteousness.

(MELAYU)

Dan orang orang yang berkata: “Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa.

 

وَالَّذينَ يَقولونَ رَبَّنا هَب لَنا مِن أَزوٰجِنا وَذُرِّيّٰتِنا قُرَّةَ أَعيُنٍ

Dan orang orang yang berkata: “Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyejuk mata (kami),

Mereka juga orang yang mahu mendapat kebaikan dan pahala dengan keluarga mereka dan keturunan mereka. Mereka nak jadikan ahli keluarga mereka sebagai penyebab mereka dapat pahala. Bukan nak sikit-sikit, tapi banyak yang mereka minta. Jadi ini doa minta darjat yang tinggi.

Mereka minta Allah beri ketenangan kepada mereka melalui keluarga mereka. Iaitu membebaskan mereka daripada keresahan apabila berada di luar rumah dengan melihat segala kebodohan, ketidakadilan dan segala kefasikan yang berada di luar rumah.

Mereka minta supaya apabila mereka balik ke rumah mereka, mereka dapat melihat ahli keluarga mereka yang menyenangkan hati mereka sampai menyebabkan mereka mengeluarkan air mata kegembiraan. Maksudnya sejuklah mata mereka melihat ahli keluarga mereka yang menyenangkan hati mereka dan membanggakan mereka.

Dan kegembiraan yang tinggi adalah apabila melihat anak-anak kita suka kepada agama, suka untuk mengerjakan ibadah seperti solat dan suka untuk membaca Al-Qur’an tanpa dipaksa. Alangkah indahnya kalau lihat anak-anak kita buka Al-Qur’an senyap-senyap dan baca tanpa disuruh?

Ini adalah doa yang dikeluarkan oleh hati orang yang baik. Kerana orang ibaadur rahman ini pentingkan agama. Maka kalau mereka lihat anak isteri mereka pun suka kepada agama, maka gembiralah hati mereka. Bukan hal dunia yang mereka tengokkan dan dambakan, tapi mereka suka kalau agama isteri dan anak-anak mereka baik.

Mempunyai keturunan yang baik adalah satu perkara yang amat-amat menguntungkan. Kerana itulah disebutkan di dalam Sahih Muslim melalui hadis Abu Hurairah r.a. yang telah mengatakan bahawa Rasulullah Saw. pernah bersabda:

“إِذَا مَاتَ ابْنُ آدَمَ انْقَطَعَ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثٍ: وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ، أَوْ عَلَمٍ يَنْتَفِعُ بِهِ مَنْ بَعْدَهُ، أَوْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ”

Apabila anak Adam meninggal dunia, terputuslah amalnya kecuali tiga perkara, iaitu anak saleh yang mendoakan (orang tua)nya, atau ilmu yang bermanfaat sesudah dia tiada, atau sedekah jariyah.

Ketepatan bahasa yang digunakan dalam Al-Qur’an: kalimah عين asalnya bermaksud ‘mata’ dan ia juga digunakan untuk mata air (sesuatu yang indah dipandang mata).

Jamak bagi عين adalah أعيُن dan عُيُون dan digunakan di dalam Bahasa Arab untuk jamak bagi mata dan juga mata air. Ia boleh bertukar-tukar penggunaannya. Akan tetapi Al-Qur’an sentiasa menggunakan penggunaan yang tepat. Kalimah أعيُن sentiasa digunakan bagi mata dan kalimah عُيُون sentiasa digunakan bagi mata air.

 

وَاجعَلنا لِلمُتَّقينَ إِمامًا

dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa.

Ayat ini memberitahu bahawa setiap keluarga itu adalah satu unit dan ketua keluarga itu adalah imam kepada keluarga itu. Dan dia ada tanggungjawab terhadap ahli keluarganya dan dia akan ditanya dengan tugas-tugas yang telah dilakukannya atau tidak dilakukan.

Jadi, menjaga keluarga dan memberi tarbiyah kepada mereka adalah satu kerja yang memerlukan usaha bersungguh-sungguh daripada kita terutama sekali pada zaman teknologi sekarang dimana senang sangat nak dapat informasi yang salah dan teruk.  Sampaikan kita kena berlawan dengan maklumat yang sampai kepada anak-anak kita.

Kalau kita tidak prihatin, entah apalah maklumat yang mereka dapat. Maka kita kena selalu luangkan masa dengan mereka dan tanya apakah pandangan mereka tentang dunia, tentang agama dan sebagainya. Kerana kalau tidak, entah mereka sudah ada pandangan yang salah tentang agama.

Satu lagi tafsir untuk potongan akhir ayat doa ini adalah mengandungi muqaddar. Iaitu ia bermaksud: “jadikanlah kami orang-orang yang layak menjadi ikutan”. Maknanya mereka sudah jadi baik sampaikan boleh dijadikan ikutan (imam) kepada orang lain. Kerana imam itu duduk di depan dan menjadi ikutan kepada makmum di belakang, bukan?

Orang-orang yang berdoa seperti ini maka tentu sekali mereka akan mendapat apa yang mereka minta itu. Asalkan tahu makna apakah yang kita minta. Jangan kita sebut sahaja tapi tidak tahu apa yang kita minta. Kerana doa ini masyhur, tapi adakah mereka yang membacanya faham apa yang dibaca?

Maka janganlah kita jadi seperti mereka. Belajarlah maksud doa-doa yang kita selalu baca. Supaya kalau kita baca dalam faham, maka kita lebih tawajjuh (fokus) dan lebih ikhlas lagi dalam doa kita. Dan kalau kita ikhlas dalam doa, Allah akan makbulkan. Allah tidak menerima doa dari hati yang lalai.


 

Ayat 75: Sudah habis diterangkan senarai sifat-sifat ibaadur Rahman itu. Sekarang diberikan khulasah kepada sifat-sifat itu.

أُولٰئِكَ يُجزَونَ الغُرفَةَ بِما صَبَروا وَيُلَقَّونَ فيها تَحِيَّةً وَسَلٰمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Those will be awarded the Chamber¹ for what they patiently endured, and they will be received therein with greetings and [words of] peace,

  • The most elevated portion of Paradise.

(MELAYU)

Mereka itulah orang yang dibalasi dengan martabat yang tinggi (dalam syurga) kerana kesabaran mereka dan mereka disambut dengan penghormatan dan ucapan selamat di dalamnya,

 

أُولٰئِكَ يُجزَونَ الغُرفَةَ بِما صَبَروا

Mereka itulah orang yang dibalasi dengan martabat yang tinggi (dalam syurga) kerana kesabaran mereka

Mereka yang dapat mempraktikkan sifat-sifat yang disebut di atas itulah yang akan diberikan dengan bilik yang luas dan selesa di syurga kelak. Dari segi terjemahan yang digunakan, الغُرفَةَ itu bukan bilik biasa sahaja, tetapi maksudnya adalah bilik yang istimewa sepertimana di dalam hotel ada bilik-bilik yang istimewa (presidential suite, penthouse dan sebagainya).

Mereka diberikan dengan balasan yang hebat itu kerana sabarnya mereka di dalam menghayati agama. Ini adalah kerana dalam dunia ini kena selalu sabar. Ada banyak dugaan dalam kehidupan ini. Orang yang sabar akan mendapat balasannya kelak di akhirat.

Dan bukan dalam kehidupan sahaja kena sabar, dalam beragama juga kena sabar. Nak buat ibadat kena sabar, nak belajar pun kena sabar dan nak dakwah pun kena sabar.

Kerana apabila kita ajak orang, tentu ada yang menentang dan mereka akan tuduh dan serang kita, maka ini pun memerlukan kesabaran, malah kesabaran yang lebih tinggi lagi dari biasa.

 

وَيُلَقَّونَ فيها تَحِيَّةً وَسَلٰمًا

dan mereka disambut dengan penghormatan dan ucapan selamat di dalamnya,

Maksudnya, di dalam syurga mereka disambut oleh para malaikat yang berebutan menyambut kedatangan mereka dengan mengucapkan penghormatan dan selamat. Mereka memperoleh penghormatan serta pengagungan, dan keselamatan terlimpah kepada mereka semua dan kepada para malaikat yang menyambut mereka.

Sesungguhnya para malaikat masuk menemui mereka dari setiap pintu syurga seraya mengucapkan, “Keselamatan atas kalian kerana kesabaran kalian. Maka syurga adalah sebaik-baik tempat tinggal di akhirat.” Mereka akan disambut di mana-mana sahaja mereka pergi nanti dalam syurga dengan ucapan yang baik dan salam.

Ada dua kalimah disebut dalam ayat ini – tahiyyah dan salam. Tahiyyah adalah ucapan sambutan. Ini kerana sebelum Islam, kalimah sambutan yang diberikan sesama orang Arab adalah mendoakan hayat berpanjangan sesama mereka. Dari kalimah hayyah (semoga Allah panjangkan hayat kamu) itu, dijadikan kata sambutan sebagai ‘tahiyyat’.

Tapi selepas Islam datang, maka ucapan panjang hayat itu telah diganti dengan ucapan salam. Maka dalam ayat ini, disebut kalimah yang digunakan sebelum Islam dan selepas Islam.

Dan di syurga nanti, ahli syurga akan dapat berjalan-jalan berjumpa dengan orang yang baik-baik di sana yang mungkin semasa di dunia dulu orang tidak kenal mereka. Tetapi mereka itulah orang yang telah berkorban untuk agama.

Maka alangkah menariknya kalau kita dapat jumpa orang yang mula sampaikan agama ini ke negara kita, tok nenek kita yang mula-mula masuk Islam dan sebagainya. Tentu menarik sekali dan kita boleh bersembang dengan mereka dan bertukar-tukar pengalaman.


 

Ayat 76:

خٰلِدينَ فيها ۚ حَسُنَت مُستَقَرًّا وَمُقامًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Abiding eternally therein. Good is the settlement and residence.

(MELAYU)

mereka kekal di dalamnya. Syurga itu sebaik-baik tempat menetap dan tempat kediaman.

 

خٰلِدينَ فيها

mereka kekal di dalamnya.

Ahli syurga akan kekal selama-lamanya di dalam syurga. Mereka tidak akan keluar. Kalau duduk dalam neraka, ada juga yang boleh keluar darinya. Tapi kalau duduk dalam syurga, memang akan kekal. Kekal menikmati segala nikmat di dalamnya yang bertambah-tambah mengikut masa. Tidak berkurangan, malah bertambah.

Ini juga adalah nikmat kerana tahu yang kita akan kekal di dalamnya. Kalau tak kekal, tentu akan berkurangan rasa nikmat itu. Macam kita dapat duduk di hotel paling mewah di dunia, memang menarik duduk sementara di situ tapi kita tahu dalam hati kita, yang kita duduk sekejap sahaja dan dalam beberapa hari akan keluar juga dari bilik itu.

Tapi kalau kita tahu yang kita akan kekal di dalamnya, bagaimana? Tentu kita rasa selesa dan tenang sahaja. Dan kerana itulah, hampir semua manusia mahukan rumahnya sendiri, tidak suka menumpang atau menyewa kerana memang perasaan manusia mahukan tempat tinggal yang tetap.

 

حَسُنَت مُستَقَرًّا وَمُقامًا

Syurga itu sebaik-baik tempat menetap dan tempat kediaman.

Apakah yang dimaksudkan dengan مُستَقَرًّا yang bermaksud tempat tinggal sementara? Bukankah kita telah katakan yang mereka yang duduk di syurga akan kekal?

Jangan takut. Ini juga satu nikmat iaitu apabila ahli syurga itu telah tinggal di istananya dan kemudian Allah beritahu yang dia akan berpindah ke istana yang lebih baik lagi. Ini kerana Allah akan meningkatkan lagi kelebihan yang diberikan kepada ahli syurga. Jadi ini adalah berita baik, bukan?

Juga bermaksud jikalau kita berada di tingkatan rendah dalam syurga dan ada ahli keluarga kita yang duduk di tingkat atas, maka kita boleh dinaikkan taraf ke atas. Ini juga berita baik. Kerana itulah anak-anak dan keluarga kita adalah ‘saham’ kita. Kerana kalau mereka dapat masuk ke tingkatan tinggi dalam syurga, mereka boleh minta untuk naikkan kita ke atas.


 

Ayat 77: Takhwif Ukhrawi. Ada sesetengah orang yang rasa mereka itu istimewa di sisi Allah.

قُل ما يَعبَؤُ بِكُم رَبّي لَولا دُعاؤُكُم ۖ فَقَد كَذَّبتُم فَسَوفَ يَكونُ لِزامًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, “What would my Lord care for you if not for your supplication?”¹ For you [disbelievers] have denied, so it [i.e., your denial] is going to be adherent.²

  • i.e., faith and worship. An alternative meaning is “What would my Lord do with you…”
  • It will remain with them, causing punishment to be required and imperative upon them.

(MELAYU)

Katakanlah (kepada orang-orang musyrik): “Tuhanku tidak mengendahkan kamu, melainkan kalau ada ibadatmu. (Tetapi bagaimana kamu beribadat kepada-Nya), padahal kamu sungguh telah mendustakan-Nya? Kerana itu kelak (azab) pasti (menimpamu)”.

 

قُل ما يَعبَؤُ بِكُم رَبّي لَولا دُعاؤُكُم

Katakanlah (kepada orang-orang musyrik): “Tuhanku tidak mengendahkan kamu, melainkan kalau ada ibadatmu.

Beritahu kepada mereka yang degil itu, yang Allah sebenarnya tidak mengendahkan mereka pun. Mereka sahaja berlagak yang mereka itu makhluk istimewa tapi sebenarnya Allah tak kisah dan tak pandang mereka pun.

Ini ditujukan asalnya kepada Musyrikin Mekah yang sangka mereka itu hebat kerana mereka mendapat segala nikmat termasuk kedudukan sebagai penjaga Kaabah. Jadi mereka sangka mereka itu insan pilihan Allah, dan mereka sangka Allah sayang kepada mereka dan mereka akan selamat sahaja. Tetapi Allah memberitahu bahawa Allah tidak mengendahkan sesiapa pun yang tidak berdoa kepadaNya.

Mereka sangka mereka sudah benar dan apabila mereka berlawan dengan Nabi Muhammad, mereka sangka mereka sebenarnya menentang kaum yang murtad dari agama Ibrahim. Mereka sangka merekalah yang mengamalkan agama Nabi Ibrahim dan Nabi Muhammad dan para sahabat itu sesat belaka.

Ini sama sahaja dengan golongan manusia Muslim sekarang yang mengamalkan amalan bidaah tapi mereka sangka mereka itu yang mengamalkan agama Islam yang sebenarnya. Dan mereka kata puak yang hendak mengamalkan Sunnah pula yang sesat sampaikan kata kita ini golongan Wahabi dan sebagainya.

Ini juga boleh dikenakan kepada mereka yang sangka mereka insan terpilih: keturunan Nabi, Habib, keturunan Syed/Syarifah. Konon mereka sangka mereka sudah selamat kerana keturunan orang baik-baik seperti keturunan ulama, ustaz dan sebagainya.

Jadi jangan sangka yang kalau ada kelebihan di dunia, itu sebagai petanda yang kamu selamat. Belum tentu lagi. Jangan sangka juga yang kalau kamu banyak amalan, kamu sudah selamat. Ini kerana Allah tidak kisah kepada makhluk yang tidak menyembahNya sebagaimana yang sepatutnya. Jadi kena doa kepada Allah dengan cara yang betul.

Jangan gunakan cara yang salah seperti Musyrikin Mekah itu. Kerana cara doa mereka adalah cara doa yang salah – mereka mengamalkan tawasul kepada roh-roh Nabi, wali dan malaikat dan ini adalah cara yang syirik. Ini adalah tafsiran yang pertama.

Tafsiran yang kedua: ~ Kalaulah tidak kerana doa kamu, Allah tentu sudah azab kamu~. Musyrikin Mekah itu masih selamat kerana mereka ada juga berdoa terus kepada Allah. Dalam banyak-banyak doa mereka dengan cara syirik, ada juga yang mereka doa terus kepada Allah sebagaimana yang sepatutnya.

Maknanya, orang Mekah itu ada juga yang istighfar kepada Allah. Maknanya doa mereka memberi kesan juga kepada Allah. Kalau Allah tidak endahkan mereka, tentu mereka sudah lama kena hancur.

 

فَقَد كَذَّبتُم فَسَوفَ يَكونُ لِزامًا

padahal kamu sungguh telah mendustakan-Nya? Kerana itu kelak (azab) pasti (menimpamu)”.

Allah tegur mereka kerana mereka berterusan menolak. Kalau tak ubah perangai mereka dan mula menerima, mereka boleh terus ditetapkan dalam keadaan mereka dan Allah boleh tutup terus hati mereka dari terima hidayah.

Walaupun mereka telah menolak dan menentang Rasulullah, tapi Allah tidak terus menghukum mereka walaupun mereka telah melakukan kesalahan. Ini adalah kerana Allah masih lagi memberi peluang kepada manusia untuk mengubah perangai mereka.

Akan tetapi jikalau mereka tetap dalam perangai itu, lama kelamaan Allah tarik peluang itu dengan tidak hiraukan mereka langsung. Maksudnya kalau begitu, Allah telah tutup pintu hidayah dari mereka.

Puak Musyrikin Mekah itu telah diberi peluang oleh Allah untuk terima dakwah daripada Nabi Muhammad selama 13 tahun. Tetapi apabila mereka tetap tidak mahu mendengar dan menerima ajakan tauhid, maka Allah telah buat keputusan untuk tutup hati mereka. Ini dinamakan Khatmul Qalbi (penutupan hati) kerana mereka terus menerus menolak dan menentang.

Tetapi bukankah kaum Nabi Nuh diberi masa selama 950 tahun baru Allah buat keputusan untuk menghancurkan mereka? Kenapa dengan Musyrikin Mekah ini mereka hanya diberi lebih kurang 13 tahun sahaja?

Ini sebenarnya menunjukkan kehebatan Al-Qur’an kerana apa yang disampaikan di dalam Al-Qur’an itu walaupun dalam masa yang singkat selama lebih kurang 13 tahun sahaja tetapi ianya sudah bersamaan dengan 950 tahun jika tanpa Al-Qur’an.

Maka kalau dengan 13 tahun dengan Al-Qur’an pun mereka tidak mahu terima, maknanya kalau dengan 950 tahun pun, mereka takkan terima juga. Maka tidak perlu nak tunggu 950 tahun untuk tutup hati mereka.

Allahu a’lam. Sekian tamat tafsir Surah Furqan. Semoga Allah beri kefahaman kepada kita semua dan taufik untuk mengamalkan suruhan Allah dalam surah ini. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah Asy-Shu’araa.

Kemaskini: 3 Jun 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah Furqan Ayat 68 – 71 (Kelebihan taubat)

Ayat 68: Sambungan dengan sifat kelima ibaadur Rahman.

وَالَّذينَ لا يَدعونَ مَعَ اللهِ إِلٰهًا ءآخَرَ وَلا يَقتُلونَ النَّفسَ الَّتي حَرَّمَ اللهُ إِلّا بِالحَقِّ وَلا يَزنونَ ۚ وَمَن يَفعَل ذٰلِكَ يَلقَ أَثامًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And those who do not invoke with Allāh another deity or kill the soul which Allāh has forbidden [to be killed], except by right, and do not commit unlawful sexual intercourse. And whoever should do that will meet a penalty.

(MELAYU)

Dan orang-orang yang tidak menyembah tuhan yang lain berserta Allah dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) kecuali dengan (alasan) yang benar, dan tidak berzina, barang siapa yang melakukan yang demikian itu, nescaya dia mendapat (pembalasan) dosa(nya),

 

وَالَّذينَ لا يَدعونَ مَعَ اللهِ إِلٰهًا ءآخَرَ

Dan orang-orang yang tidak berdoa kepada ilah yang lain berserta Allah

Sekarang ini adalah perkara yang amat penting kerana ia melibatkan tauhid. Hamba-hamba Allah yang baik itu tidak menyeru selain dari Allah. Mereka tidak berdoa kepada wasilah-wasilah seperti roh Nabi, wali dan malaikat. Mereka tahu yang itu semua adalah syirik dan mereka tidak lakukan.

Mereka juga tidak sebut nama-nama selain Allah dalam ibadat mereka, tidak seru nama Rasulullah atau nama-nama Nabi lain. Mereka tidak beri salam, sedekah Fatihah atau ibadat-ibadat lain kepada Nabi, wali atau malaikat.

Apabila buat ibadat, kenalah ikut cara yang diajar oleh Nabi Muhammad sendiri. Jangan reka cara ibadat lain; jangan ikut amalan ibadat yang tidak ada contohnya dalam Sunnah dan amalan sahabat.

 

وَلا يَقتُلونَ النَّفسَ الَّتي حَرَّمَ اللهُ إِلّا بِالحَقِّ

dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) kecuali dengan (alasan) yang benar,

Dan mereka tentunya menjauhkan diri mereka dari dosa-dosa besar seperti membunuh.

Tapi kenapa Allah sebut tentang dosa yang amat besar ini sedangkan sebelum ini ianya tentang solat dan tentunya orang yang solat tidak akan membunuh orang lain. Allah hendak memberitahu bahawa kita kena mulakan dengan menjaga dosa-dosa besar dahulu.

Lagi satu, memang kalau di negara kita sekarang, pada zaman sekarang, kita tidak terfikir pun untuk membunuh orang. Tapi kita tidak tahu di negara lain dan waktu lain. Kerana ada zaman-zaman dahulu yang pembunuhan biasa sahaja terjadi hari-hari. Dan zaman sekarang pun ada negara yang pembunuhan pun sudah jadi perkara biasa sahaja. Bayangkan ghetto di Amerika, sentiasa sahaja terjadi pembunuhan. Nyawa amat murah di sana.

Ayat ini juga memberitahu kita bahawa walaupun telah tinggi spiritualnya seseorang itu tetapi dia tetap tertakluk kepada hukum-hukum Allah. Tidak ada sesiapa yang terlepas dari tertakluk dalam hukum Allah.

Ada pembunuhan yang dibenarkan. Ini seperti membunuh seseorang yang telah tsabit kesalahannya dalam mahkamah. Juga membunuh dalam peperangan.

 

وَلا يَزنونَ

dan tidak berzina,

Dan mereka juga tidak melakukan zina. Ini satu lagi dosa besar yang rasanya jarang dilakukan oleh Muslim, dan tentulah oleh orang-orang yang baik.

Memang dosa zina adalah dosa besar dan tidak selalu dilakukan oleh orang Islam. Tapi ada tempat dalam dunia ini yang penzinaan adalah perkara biasa sahaja. Dan kadang-kadang sampai budak-budak belasan tahun di sekolah pun sudah berzina. Dan ada juga terjadi di kalangan anak-anak kita pun di bandar.

Perkara ini amat menakutkan tapi ia memang terjadi. Maka mereka yang dapat menjaga dari melakukan perkara ini dalam masyarakat yang mengamalkannya, maka ia adalah sesuatu yang hebat.

مَنْصُورٍ، عَنْ هِلَالِ بْنِ يَسَاف، عَنْ سَلَمَةَ بْنِ قَيْسٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وسلم في حِجَّةِ الْوَدَاعِ: “أَلَا إِنَّمَا هِيَ أَرْبَعٌ -فَمَا أَنَا بِأَشَحَّ عَلَيْهِنَّ مِنِّي مُنْذُ سَمِعْتُهُنَّ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ -: لا تُشْرِكُوا بِاللَّهِ شَيْئًا، وَلَا تَقْتُلُوا النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ، وَلَا تَزْنُوا، وَلَا تَسْرِقُوا”

Imam Nasai mengatakan, telah menceritakan kepada kami Qutaibah ibnu Sa’id, telah menceritakan kepada kami Jarir, dari Mansur, dari Hilal ibnu Yusaf, dari Salamah ibnu Qais yang mengatakan bahawa Rasulullah Saw. bersabda dalam haji wada’-nya, “Ingatlah, sesungguhnya dosa yang terbesar itu ada empat macam.” Salamah ibnu Qais mengatakan bahawa sejak dia mendengar hal tersebut dari Rasulullah Saw., dia sangat membenci ke-empat perbuatan itu, iaitu: Janganlah kalian mempersekutukan Allah dengan sesuatu pun, dan janganlah kalian membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah (membunuhnya) kecuali dengan (alasan) yang hak, dan janganlah kalian berzina, serta janganlah kalian mencuri.

Jadi ada tiga dosa besar yang disebut di dalam ayat ini iaitu syirik, bunuh dan zina. (dosa curi disebut dalam ayat yang lain).

Allah sebutkan dosa bunuh dan zina bersama, sedangkan di dalam surah Isra’ sebelum ini disebut juga dua dosa besar ini tetapi disebut dahulu ‘zina’ dan kemudian baru ‘bunuh’. Jadi diubah-ubah kedudukan begitu untuk menunjukkan yang kedua-duanya adalah dosa yang sama besar dan kerana itu boleh di tukar-tukar susunannya.

Selalunya susunan kalimah yang ada dalam Al-Qur’an membawa maksud tertentu – antaranya yang utama akan disebut dahulu. Jadi kalau sekejap disebut zina dahulu dan sekejap disebut bunuh dahulu, maka ia menunjukkan ianya sama sahaja dari segi dosa.

Maka kalau kita tidak sanggup bunuh orang, maka kita juga kena rasa tidak sanggup untuk melakukan zina.

 

وَمَن يَفعَل ذٰلِكَ يَلقَ أَثامًا

barang siapa yang melakukan yang demikian itu, nescaya dia mendapat (pembalasan) dosa(nya),

Sesiapa yang melakukan juga tiga perkara itu maka mereka telah bertemu dengan dosa yang serius. Dia akan bertemu dengan pembalasan kepada dosa itu. Dia akan bertemu dengan azab yang Allah janjikan. Waktu itu mereka akan menyesal yang sangat.


 

Ayat 69: Takhwif Ukhrawi. Allah beri penjelasan lanjut sambungan dari ayat sebelum ini.

يُضٰعَف لَهُ العَذابُ يَومَ القِيٰمَةِ وَيَخلُد فيهِ مُهانًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Multiplied for him is the punishment on the Day of Resurrection, and he will abide therein humiliated –

(MELAYU)

(yakni) akan dilipat gandakan azab untuknya pada hari kiamat dan dia akan kekal dalam azab itu, dalam keadaan terhina,

 

يُضٰعَف لَهُ العَذابُ يَومَ القِيٰمَةِ

(yakni) akan dilipat gandakan azab untuknya pada hari kiamat

Mereka akan mendapat azab yang berat. Apakah maksud ‘digandakan’? Satu pendapat mengatakan maksud ayat ini adalah orang orang yang melakukan perkara itu akan dikenakan azab di dalam alam Barzah atau alam kubur lagi dan apabila di akhirat kelak akan digandakan azab itu kalau dibandingkan dengan azab di dalam kubur.

 

وَيَخلُد فيهِ مُهانًا

dan dia akan kekal dalam azab itu, dalam keadaan terhina,

Kenapa mereka digandakan azab itu? Kerana mereka itu telah kenal Allah tetapi masih lagi melakukan syirik dan kemudian mereka melakukan tiga dosa yang besar maka balasan kepada mereka tidak sama dengan orang lain.


 

Ayat 70: Tapi masih ada harapan lagi.

إِلّا مَن تابَ وَءآمَنَ وَعَمِلَ عَمَلًا صٰلِحًا فَأُولٰئِكَ يُبَدِّلُ اللهُ سَيِّئَاتِهِم حَسَنٰتٍ ۗ وَكانَ اللهُ غَفورًا رَّحيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Except for those who repent, believe and do righteous work. For them Allāh will replace their evil deeds with good. And ever is Allāh Forgiving and Merciful.

(MELAYU)

kecuali orang-orang yang bertaubat, beriman dan mengerjakan amal saleh; maka itu kejahatan mereka diganti Allah dengan kebajikan. Dan adalah Allah maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

 

إِلّا مَن تابَ وَءآمَنَ وَعَمِلَ عَمَلًا صٰلِحًا

kecuali orang-orang yang bertaubat, beriman dan mengerjakan amal saleh;

Kecuali mereka yang sanggup untuk kembali bertaubat kepada Allah. Asalkan taubat itu dilakukan semasa di dunia lagi, sebelum terlambat. Tetapi tiga dosa yang disebut sebelum ini adalah dosa yang besar-besar iaitu syirik, membunuh dan juga zina, bukan?

Tetapi walaupun dosa-dosa itu amat besar tetapi Allah beritahu yang itu pun Allah sanggup ampunkan. Ini kerana Allah sanggup terima taubat hambaNya asalkan mereka sanggup meninggalkan kesalahan itu dan benar-benar menyesal.

Dan mereka bukan sahaja bertaubat tetapi mereka juga memperbaiki amalan dirinya dan sekarang melakukan amalan-amalan yang baik-baik sahaja. Maknanya bukan bertaubat sahaja, tapi kena ubah diri ke arah kebaikan.

 

فَأُولٰئِكَ يُبَدِّلُ اللهُ سَيِّئَاتِهِم حَسَنٰتٍ

maka itu kejahatan mereka diganti Allah dengan kebajikan.

Dan kemudian Allah kata jikalau mereka sanggup untuk bertaubat dan mengubah perbuatan mereka kepada perbuatan yang baik, maka Allah akan tukarkan dosa-dosa mereka itu kepada pahala.

Ini sesuatu yang amat hebat sekali kerana bayangkan jikalau dia ada segunung dosa dan jikalau dia bertaubat dan mengubah perbuatannya, maka segunung dosa itu akan ditukar menjadi segunung pahala.

عَنْ أَبِي ذَرٍّ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “إِنِّي لَأَعْرِفُ آخِرَ أَهْلِ النَّارِ خُرُوجًا مِنَ النَّارِ، وَآخِرَ أَهْلِ الْجَنَّةِ دُخُولًا إِلَى الْجَنَّةِ: يُؤْتَى بِرَجُلٍ فَيَقُولُ: نَحّوا كِبَارَ ذُنُوبِهِ وَسَلُوهُ عَنْ صِغَارِهَا، قَالَ: فَيُقَالُ لَهُ: عَمِلْتَ يَوْمَ كَذَا وَكَذَا كَذَا، وَعَمِلْتَ يَوْمَ كَذَا وَكَذَا كَذَا؟ فَيَقُولُ: نَعَمْ -لَا يستطيع أن ينكر من ذلك شيئا – فَيُقَالُ: فَإِنَّ لَكَ بِكُلِّ سَيِّئَةٍ حَسَنَةً. فَيَقُولُ: يَا رَبِّ، عَمِلْتُ أَشْيَاءَ لَا أَرَاهَا هَاهُنَا”. قَالَ: فَضَحِكَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَتَّى بَدَتْ نَوَاجِذُهُ.

Diriwayatkan oleh Abu Zar r.a. bahawa Rasulullah Saw. pernah bersabda, “Sesungguhnya aku benar-benar mengetahui seorang ahli neraka yang paling akhir keluarnya dari neraka, dan seorang ahli syurga yang paling akhir masuknya ke syurga. Didatangkan seorang lelaki, lalu ditanyai tentang sejumlah dosa besarnya, juga tentang dosa-dosa kecilnya. Maka dikatakan kepadanya, ‘Pada hari anu engkau telah mengerjakan dosa anu dan anu, dan kamu telah melakukan dosa anu dan anu pada hari anu.’ Maka lelaki itu menjawab, ‘Ya,’ dia tidak mampu mengingkari sesuatu pun dari hal tersebut. Maka dikatakan kepadanya, ‘Sesungguhnya kini bagimu untuk setiap keburukan diganti dengan satu kebaikan.’ Lelaki itu bertanya, ‘Wahai Tuhanku, aku telah melakukan banyak dosa, tetapi aku tidak melihatnya di sini‘.” Rasulullah Saw. mengucapkan sabdanya ini seraya tertawa sehingga gigi serinya kelihatan.

Hadith diriwayatkan oleh Imam Muslim secara munfarid.

Kalau dia ditangkap maka dia memang kena hukuman di dunia ini tetapi hukuman akhirat itu satu perkara lain.

Maka jangan kita terus mengutuk orang-orang yang melakukan dosa dahulu kerana mungkin dulu dia banyak melakukan dosa tetapi jikalau dia telah bertaubat maka Allah telah ubah dosa mereka itu menjadi pahala dan entah-entah pahala mereka lebih banyak daripada kita.

Kerana kalau taubat bukan sahaja membersihkan daripada dosa tetapi dosa-dosa yang dulu pernah dilakukan akan ditukar statusnya.

قَالَ الْحَافِظُ أَبُو الْقَاسِمِ الطَّبَرَانِيُّ: حَدَّثَنَا هَاشِمُ بْنُ يَزِيدَ، حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ إِسْمَاعِيلَ، حَدَّثَنِي أَبِي، حَدَّثَنِي ضَمْضَم بْنُ زُرْعَةَ، عَنْ شُرَيْح بْنِ عُبَيْدٍ عَنْ أَبِي مَالِكٍ الْأَشْعَرِيِّ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وسلم: “إِذَا نَامَ ابْنُ آدَمَ قَالَ الْمَلِكُ لِلشَّيْطَانِ: أَعْطِنِي صَحِيفَتَكَ. فَيُعْطِيهِ إِيَّاهَا، فَمَا وَجَدَ فِي صَحِيفَتِهِ مِنْ حَسَنَةٍ مَحَا بِهَا عَشْرَ سَيِّئَاتٍ مِنْ صَحِيفَةِ الشَّيْطَانِ، وَكَتَبَهُنَّ حَسَنَاتٍ، فَإِذَا أَرَادَ أَنْ يَنَامَ أَحَدُكُمْ فَلْيُكَبِّرْ ثَلَاثًا وَثَلَاثِينَ تَكْبِيرَةً، وَيَحْمَدْ أَرْبَعًا وَثَلَاثِينَ تَحْمِيدَةً، وَيُسَبِّحْ ثَلَاثًا وَثَلَاثِينَ تَسْبِيحَةً، فَتِلْكَ مِائَةٌ”

Al-Hafiz Abul Qasim At-Tabrani mengatakan, telah menceritakan kepada kami Hasyim ibnu Yazid, telah menceritakan kepada kami Muhammad ibnu Ismail, telah menceritakan kepadaku Damdam ibnu Zur’ah, dari Syuraih ibnu Ubaid, dari Abu Malik Al-Asy’ari yang mengatakan bahawa Rasulullah Saw. pernah bersabda: Apabila anak Adam tidur, maka malaikat berkata kepada syaitan, “Berikanlah kepadaku lembaran catatanmu.” Maka syaitan memberikan catatannya kepada malaikat, lalu kebaikan apa saja yang ia jumpai di dalam catatannya ia gunakan untuk menghapus sepuluh keburukan yang ada di dalam catatan syaitan, kemudian menggantinya dengan sepuluh kebaikan. Maka apabila seseorang di antara kalian hendak tidur, bertakbirlah sebanyak tiga puluh tiga kali, bertahmid sebanyak tiga puluh empat kali, dan bertasbih sebanyak tiga puluh tiga kali, sehingga jumlahnya genap seratus.

 

وَكانَ اللهُ غَفورًا رَّحيمًا

Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Hebat sekali tawaran yang Allah berikan ini. Ini adalah kerana Allah suka hamba yang bertaubat.

Dan Allah sanggup menerima taubat hamba itu kerana SifatNya yang Penyayang kepada makhlukNya.


 

Ayat 71: Ayat tadi berkenaan taubat dari segi Syirik dan sekarang berkenaan taubat dari segi Maksiat pula.

Atau ayat sebelum tadi adalah tentang mereka yang berdosa mengerjakan syirik, bunuh dan zina. Sekarang ini adalah taubat yang diterima dari orang lain secara umum untuk dosa-dosa yang lain pula.

وَمَن تابَ وَعَمِلَ صٰلِحًا فَإِنَّهُ يَتوبُ إِلَى اللهِ مَتابًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And he who repents and does righteousness does indeed turn to Allāh with [accepted] repentance.

(MELAYU)

Dan orang-orang yang bertaubat dan mengerjakan amal saleh, maka sesungguhnya dia bertaubat kepada Allah dengan taubat yang sebenar-benarnya.

 

Dia bertaubat daripada maksiat yang pernah dilakukannya.

Amal soleh di dalam ayat ini bermaksud sentiasa menjaga dirinya daripada melakukan maksiat.

Kalimah مَتابًا adalah dalam bentuk masdar mimi maksudnya taubat mereka bukan taubat kecil. Mereka bukan taubat dan kemudian buat balik. Itu jenis orang yang tak ubah sifat mereka.

Kepada mereka yang sebegitu, Allah tidak terima taubat mereka kerana mereka bukannya menyesal betul-betul. Tapi kepada mereka yang benar-benar menyesal dan berubah, maka Allah puji mereka.

Maka dengan ayat-ayat ini, mengajar kita untuk bertaubat kepada Allah. Jangan takut atau putus asa kalau dosa kita amat banyak, kerana Allah sanggup untuk bersihkan segala dosa itu. Ingatlah juga firman Allah Swt. yang lain:

{قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَى أَنْفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِنْ رَحْمَةِ اللَّهِ}

Katakanlah “Hai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kalian berputus asa dari rahmat Allah.” (Az-Zumar: 53), hingga akhir ayat.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 3 Jun 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah Furqan Ayat 61 – 67 (Sifat hamba yang baik)

Ayat 61: Ayat ulangan tentang berkat Allah ﷻ. Hanya Allah ﷻ sahaja ada berkat dan boleh beri berkat kepada makhluk. Kerana pentingnya perkara ini, maka Allah ulang semula. Ini adalah kali ketiga ia disebut dalam surah ini.

تَبارَكَ الَّذي جَعَلَ فِي السَّماءِ بُروجًا وَجَعَلَ فيها سِرٰجًا وَقَمَرًا مُّنيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Blessed is He who has placed in the sky great stars and placed therein a [burning] lamp and luminous moon.

(MELAYU)

Maha Berkat Allah yang menjadikan di langit gugusan-gugusan bintang dan Dia menjadikan juga padanya lampu dan bulan yang bercahaya.

 

تَبارَكَ الَّذي جَعَلَ فِي السَّماءِ بُروجًا

Maha Berkat Allah yang menjadikan di langit gugusan-gugusan bintang

Ayat ini dimulakan sama seperti ayat yang pertama surah ini. Ini adalah penekanan sekali lagi bahawa berkat itu hak milik Allah sahaja.

Jangan kita nak ambil dan minta berkat dari selain Allah. Ini perkara yang amat penting kerana ada manusia yang minta berkat kepada Nabi, kepada benda, kepada tok guru dan lain-lain lagi. Ini adalah salah faham tentang tabarruk. Dan mereka tidak sedar yang mereka sedang melakukan ‘syirik dalam berkat.’

Allah memberitahu yang Dia yang Maha Berkat di mana keberkatan itu adalah milikNya dan Dia sahaja yang menentukan siapa yang mendapat berkat. Allahlah ‘pemberi berkat’ dan kita makhluk adalah ‘penerima berkat’ sahaja. Tidak ada yang boleh beri berkat termasuklah Nabi sendiri pun.

Salah faham tentang perkara ini menyebabkan ada golongan seperti tarekat yang sujud, cium, ambil bekas ludah guru-guru mereka kerana mengharapkan berkat. Guru mereka pun sesat juga kerana biarkan sahaja anak murid buat macam itu. Sama-sama jahil bab akidah.

Kalimah بروج bermaksud ‘kubu yang cantik’ dan kerana itu perempuan yang pakai mekap tebal sangat dipanggil tabarruj. Dari segi hukum, tidak boleh perempuan tabarruj kalau di luar rumah.

Ia juga bermaksud ‘gugusan bintang’. Allahlah yang menjadikan gugusan bintang itu yang boleh dilihat di malam hari. Orang Arab memang suka lihat bintang kerana mereka tidak ada televisyen jadi mereka mengisi masa malam mereka sambil melihat keindahan bintang.

Mereka memang terpesona dengan apa yang mereka lihat di langit itu, maka kerana itu Allah gunakan buruj bintang-bintang itu sebagai penanda dan peringatan. Apabila mereka lihat bintang-bintang itu, kena ingatlah yang Allahlah yang menjadikannya.

Kerana Allah sahaja yang jadikan gugusan bintang itu, maka kena minta berkat dari Allah sahaja. Makhluk Allah yang lain tidak boleh jadikan buruj bintang, maka mereka tidak ada berkat untuk diberikan.

 

وَجَعَلَ فيها سِرٰجًا

dan Dia menjadikan juga padanya lampu

‘Lampu’ yang berada di langit itu adalah matahari yang lampunya bersifat bercahaya. Ia mengeluarkan cahaya. Kita pasang lampu di rumah kita tapi Allah letak lampu di langit. Mana lagi hebat?

 

وَقَمَرًا مُّنيرًا

dan bulan yang bercahaya.

Bulan itu bercahaya kerana ia memantulkan cahaya daripada matahari. Ini juga adalah satu ketepatan sains. Lihat Allah tidak gunakan kalimah yang sama untuk ‘cahaya’ pada matahari dan bulan. Ini kerana bulan tidak ada cahaya sendiri seperti matahari.

Beberapa ribu tahun dahulu, manusia menyangka bahawa bulan mempunyai cahayanya sendiri. Hanya kajian sains astronomi yang baru sahaja dapat tahu yang bulan tidak ada cahaya sendiri. Tapi Al-Qur’an sudah memberikan maklumat yang tepat 1,400 tahun yang dahulu! Inilah mukjizat Al-Qur’an dan menjadi dalil bahawa Al-Qur’an itu memang dari Allah. Kerana takkan Nabi Muhammad boleh tahu perkara ini.

Pada matahari, digunakan kalimah سراج untuk cahayanya dan pada bulan digunakan kalimah منير. Ini adalah kerana cahaya bulan itu bukan dari dirinya tapi cahaya matahari memang darinya sendiri. Bulan hanya mendapat pantulan cahaya dari matahari sahaja.

Bulan hanya memantulkan cahaya matahari sahaja. Dan ini hanya diketahui apabila manusia tinggi ilmu kaji alamnya. Pada zaman Nabi Muhammad, tentu perkara ini tidak diketahui lagi. Tapi kerana Al-Qur’an ini dari Allah, maka ilmu sains di dalam Al-Qur’an itu adalah tepat. Al-Qur’an tidak berlawanan dengan sains.

Kerana itu cahaya matahari dan bulan tidak pernah sama disebut dalam Al-Qur’an. Sebagai contoh seperti yang disebutkan oleh Allah Swt. dalam firman-Nya yang lain:

{هُوَ الَّذِي جَعَلَ الشَّمْسَ ضِيَاءً وَالْقَمَرَ نُورًا}

Dialah Yang menjadikan matahari bersinar dan bulan bercahaya. (Yunus: 5)


 

Ayat 62: Dalil lagi kenapa hanya Allah sahaja pemberi berkat.

وَهُوَ الَّذي جَعَلَ اللَّيلَ وَالنَّهارَ خِلفَةً لِّمَن أَرادَ أَن يَذَّكَّرَ أَو أَرادَ شُكورًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And it is He who has made the night and the day in succession for whoever desires to remember or desires gratitude.

(MELAYU)

Dan Dia yang menjadikan malam dan siang silih berganti bagi orang yang ingin mengambil pelajaran atau orang yang ingin bersyukur.

 

وَهُوَ الَّذي جَعَلَ اللَّيلَ وَالنَّهارَ خِلفَةً

Dan Dia yang menjadikan malam dan siang silih berganti

Dan Allah juga yang menjadikan siang dan malam itu silih berganti. Kalimah خلف bermaksud ‘ganti’ dan begitulah keadaan malam dan siang silih berganti. Apabila habis malam, datang siang menggantinya; apabila habis siang, datang malam mengganti siang.

Allah sahaja yang boleh menentukan bila datang malam dan siang. Walaupun kita lihat siang dan malam silih berganti dan tidak pernah bertukar lagi, tapi setiap hari matahari meminta kebenaran dari Allah sama ada keluar atau tidak.

Tidak ada entiti lain yang boleh buat perkara ini. Tidak ada ilah-ilah selain Allah yang dijadikan sembahan manusia oleh Allah yang boleh melakukan perkara ini.

 

لِّمَن أَرادَ أَن يَذَّكَّرَ

bagi orang yang ingin mengambil pelajaran

Malam dan siang itu menjadi pengajaran kepada manusia bahawa malam dan juga siang itu dijadikan oleh Allah. Ia bukan terjadi sendiri kerana Allah tak takdirkan ia terjadi, ia tidak akan terjadi.

Siang dan juga malam itu menjadi sebab untuk mereka yang mahu mengingati Allah untuk melakukan ibadat kerana ada ibadat yang dilakukan di siang hari dan ada ibadat yang dilakukan di malam hari.

Memang masa yang digunakan dalam ibadat kita ini berkait rapat dengan alam. Lihatlah masa-masa solat, bila masuk Hari Raya dan puasa. Semua itu dikira dengan melihat alam. Tak perlu pakai kalender pun boleh. Kerana masa ibadah kita dikira dengan melihat kepada alam.

Perubahan hari juga dikira dengan tenggelamnya matahari. Tidak perlu nak kena pakai jam seperti yang digunakan pada zaman moden sekarang. Kalau waktu solat pun kena tengok alam sebenarnya. Kalau tak pakai jam pun boleh tahu waktu solat dengan lihat pada alam.

Kalau keluar cahaya matahari (fajar sadiq) maka tahulah kita yang waktu solat subuh sudah masuk; kalau keluar matahari, maka tahulah kita yang waktu solat subuh sudah habis; bila matahari tergelincir tahulah kita waktu Zuhur sudah masuk; dan sebagainya. Maka kita boleh lihat bagaimana amalan ibadah kita amat berkait dengan alam.

Ali ibnu Abu Talhah telah meriwayatkan dari Ibnu Abbas sehubungan dengan makna ayat, bahawa barang siapa yang meninggalkan sesuatu amalan di malam hari, maka dia boleh mengerjakannya di siang hari, atau barang siapa yang meninggalkan sesuatu amalan di siang hari, maka dia dapat mengerjakannya di malam hari. Hal yang sama dikatakan oleh Ikrimah, Sa’id ibnu Jubair, dan Al-Hasan.

 

أَو أَرادَ شُكورًا

atau orang yang ingin bersyukur.

Dan di awal setiap hari ada manusia yang bersyukur kepada Allah kerana menghidupkan mereka sehari lagi untuk memberi peluang mereka beribadat dan meminta ampun kepadaNya.

Pertukaran siang dan malam itu memudahkan hidup kita. Tidaklah siang sahaja sepanjang masa dan tidaklah malam sahaja sepanjang masa. Susah kita kalau begitu. Maka kenalah bersyukur kepada Allah yang telah menjadikan malam dan siang dan memberi peluang kepada kita untuk beribadat kerana tidaklah Allah jadikan malam sahaja ataupun siang sahaja.

Kalau Allah jadikan siang sahaja, tentu letih badan dan otak kita kerana tidak rehat. Kalau Allah jadikan malam sahaja, susah pula kita untuk bekerja.

Ayat-ayat ini menceritakan tentang kehebatan Allah Ta’ala dan apabila kita sedar dan menerima yang Allah Ta’ala itu hebat, maka kita secara automatik akan merendahkan diri kita kepada Allah.

Kita juga akan bergantung kepada Allah sahaja. Dan kita akan berharap kepada berkat dari Allah sahaja. Tidaklah nak minta berkat dari manusia dan benda seperti yang dilakukan oleh orang yang jahil.


 

Ayat 63: Dari ayat ini sehingga ke ayat 77 adalah Perenggan Makro Keenam. Ia mengandungi seruan ke arah menjadi ‘ibaadur Rahman’. Akan disenaraikan beberapa sifat dan amalan untuk layak menjadi hamba Allah ﷻ  yang baik dan penghuni syurga.

Sekarang Allah ﷻ bandingkan pula sifat hamba yang baik dan berlawanan dengan sifat-sifat manusia yang disebut sebelum ini. Kita kena belajar sifat-sifat ini dan cuba terapkan dalam diri kita setiap hari. Ini adalah sifat yang pertama.

وَعِبادُ الرَّحمٰنِ الَّذينَ يَمشونَ عَلَى الأَرضِ هَونًا وَإِذا خاطَبَهُمُ الجٰهِلونَ قالوا سَلٰمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the servants of the Most Merciful are those who walk upon the earth easily,¹ and when the ignorant address them [harshly], they say [words of] peace,²

  • i.e., gently, with dignity but without arrogance.
  • Or “safety,” i.e., words free from fault or evil.

(MELAYU)

Dan hamba-hamba Tuhan yang Maha Penyayang itu (ialah) orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah diri dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata (yang mengandung) keselamatan.

 

وَعِبادُ الرَّحمٰنِ

Dan hamba-hamba Tuhan yang Maha Penyayang itu

Allah ﷻ menceritakan lapan sifat hamba yang rapat dengan Tuhan Rahman. Mereka ini adalah hamba Allah ﷻ yang khas yang mempunyai alamat (tanda-tanda) kejayaan yang akan mendapat kejayaan di akhirat kelak.

Semua manusia adalah hamba Allah ﷻ, tetapi ibaadur rahman adalah hamba yang khas, yang baik.

 

الَّذينَ يَمشونَ عَلَى الأَرضِ هَونًا

orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah diri

Sifat pertama: Hamba-hamba Allah ﷻ yang baik ini berjalan di muka bumi ini dengan lembut dan tidak berlagak. Mereka merendahkan diri mereka di muka bumi kerana mereka tahu mereka itu tidak hebat sangat.

Lihatlah cara jalan kita pun hendaklah kita jaga supaya tidaklah kita berjalan seperti berjalannya orang yang membesarkan diri. Kita pun boleh agak bagaimana cara jalan mereka itu – sebagai contoh, mereka mendepangkan dada mereka. Allah ﷻ telah firmankan dalam ayat yang lain:

{وَلا تَمْشِ فِي الأرْضِ مَرَحًا}

Dan janganlah kamu berjalan di muka bumi ini dengan sombong. (Al-Isra: 37), hingga akhir ayat.

Ini kita kena jaga betul-betul. Kalau kita rendahkan diri kita, cara jalan kita pun akan berubah. Kadangkala susah juga hendak jaga perkara ini. Kerana kadang-kadang apabila kita berseorangan kita boleh merendahkan diri tetapi bila kita ramai dengan kawan-kawan, kita boleh menyebabkan berlagak pula. Ini dinamakan ‘crowd mentality’ – kalau seorang berperangai lain, tetapi apabila dengan geng-geng sendiri, jadi lain pula. Jadi kita kena tengok diri kita.

Untuk dapat merendahkan diri kita, kita kena terima sungguh-sungguh dan yakin bahawa kita ini hamba Allah ﷺ, hamba Tuhan ar-Rahman, tidak lebih dari itu. Kerana apabila kita rendahkan diri kita, maka kita bersedia untuk ikut arahan Tuhan ﷻ.

Orang yang rasa tinggi diri, susah hendak terima hukum dari Allah ﷻ, susah hendak terima nasihat orang yang ajak kepada Allah ﷻ. Kerana mereka rasa diri mereka bagus sangat. Ketahuilah yang diri kita ini tidak hebat mana. Walaupun kita mungkin guru agama, mungkin orang yang dihormati, tetapi tidaklah itu membenarkan kita menjadi sombong.

Dan perasaan ini adalah perasaan dalaman dan bukannya boleh ditunjukkan dengan cara berjalan kerana mungkin cara berjalannya biasa sahaja. Kalau kita berlagak, mungkin kita boleh kawal cara jalan kita, tetapi yang penting adalah apa yang ada dalam diri kita.

Jangan pula kita salah faham dengan ayat ini. Bukannya hendak suruh kita jalan dengan lembik pula. Sebahagian ulama Salaf memakruhkan berjalan dengan langkah yang lemah dan dibuat-buat, sehingga diriwayatkan dari Umar رضي الله عنه bahawa dia melihat seorang pemuda berjalan perlahan-lahan. Maka dia bertanya, “Mengapa kamu berjalan perlahan? Apakah kamu sedang sakit?” Pemuda itu menjawab, “Tidak, wahai Amirul Mu-minin.” Maka Umar رضي الله عنه memukulnya dengan cambuk dan memerintahkan kepadanya agar berjalan dengan langkah yang kuat.

Makna yang dimaksudkan dengan haunan dalam ayat ini ialah rendah hati dan anggun, seperti yang disebutkan dalam sabda Rasulullah ﷺ:

“إِذَا أَتَيْتُمُ الصَّلَاةَ فَلَا تَأْتُوهَا وَأَنْتُمْ تَسْعَوْنَ، وَأْتُوهَا وَعَلَيْكُمُ السِّكِينَةُ، فَمَا أَدْرَكْتُمْ فَصَلَّوْا، وَمَا فَاتَكُمْ فَأَتِمُّوا”

Apabila kalian mendatangi (tempat) solat (masjid), janganlah kalian mendatanginya dengan berlari kecil, tetapi berjalanlah dengan langkah yang tenang. Apa yang kalian jumpai dari solat itu, kerjakanlah; dan apa yang kamu tertinggal darinya, maka sempurnakanlah.

Maka kita sudah tahu sekarang yang kita kena merendahkan diri. Tetapi apakah cara untuk tahu yang kita sudah merendah diri? Disebut selepas ini:

 

وَإِذا خاطَبَهُمُ الجٰهِلونَ قالوا سَلٰمًا

dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata (yang mengandung) keselamatan.

Lawan kepada sifat hamba kepada Tuhan ar-Rahman adalah orang jahil; dan jahil ini adalah sifat yang tidak baik dan mereka yang jahil tidak ada peluang untuk masuk ke dalam syurga. Kerana di dalam Al-Qur’an apabila Allah ﷻ sebut tentang orang yang jahil, itu bermaksud mereka itu tidak selamat. Jahil yang dimaksudkan adalah jahil agama.

Kerana kita pun tahu bahawa tidak sama antara orang yang jahil dan orang yang alim (berilmu), maka kita kenalah cuba untuk menjadi orang yang alim dan tidak berterusan menjadi orang yang jahil kerana jahil ini adalah sifat yang memalukan. Kenalah berusaha untuk belajar agama dan janganlah terus duduk dalam kejahilan.

Kadang-kadang ada orang yang berbangga pula jadi ‘orang awam’ yang ikut sahaja apa kata manusia lain. Sedangkan mereka berkemampuan untuk belajar, untuk berfikir dan untuk melihat dalil dalam Al-Qur’an dan hadis. Tetapi mereka pilih untuk terus jadi jahil. Mereka rasa mereka tidak perlu belajar dan menimba ilmu.

Dari segi bahasa, kalimah ‘jahil’ bermaksud orang yang tidak dapat menggunakan akal mereka untuk kawal nafsu mereka. Iaitu mereka yang ikut perasaan mereka sahaja. Kita memang sentiasa ada emosi seperti marah dan benci, tetapi orang yang ada akal, akan dapat kawal emosi dia tidak terikut-ikut dengan emosi.

Dan ‘khitab’ pula bermaksud bercakap dengan kuat. Sifat orang jahil adalah mereka tidak bercakap dengan perlahan tetapi mereka akan bercakap kuat dengan sombong. Mereka cakap ikut perasaan mereka sahaja. Bila mereka buka mulut sahaja, orang sudah tahu yang mereka itu orang jahil. Ini adalah kerana mereka bercakap dalam tidak dapat mengawal emosi mereka.

Dan kerana mereka tidak dapat mengawal hati dan nafsu mereka, jadi apabila mereka bercakap, mereka terus cakap apa yang timbul dalam kepala mereka yang bodoh itu tanpa ditapis.

Kadang-kadang orang yang bodoh itu berkata perkara yang kotor dan bodoh kerana hendak memuaskan hati kawan-kawan mereka sahaja yang juga orang orang yang bodoh. Ini juga dipanggil mob mentality.

Contohnya, budak-budak yang hendak ada ramai kawan, jadi mereka rasa mereka terpaksa buat apa yang kawan-kawan mereka buat, walaupun sebenarnya mereka tidak mahu buat. Beginilah yang terjadi dalam kumpulan gengster. Begitulah juga yang terjadi kepada budak-budak pembuli di sekolah. Dan perkara ini kadang-kadang terbawa apabila mereka sudah dewasa. Kerana akal mereka masih lagi kanak-kanak (tidak berkembang).

Jadi orang yang jahil itu cara cakap mereka memang tidak beradab. Dan kita boleh lihat perkara ini apabila kita berdakwah mengajak kepada tauhid dan sunnah, dan ada golongan yang masih berpegang kepada ajaran lama. Mereka ini tidak ada dalil, tetapi mereka hendak melawan juga.

Jadi apa yang mereka lakukan, mereka akan menggunakan kata-kata kesat dan buruk. Kerana mereka hendak lawan juga, tetapi dalil tiada, maka kekasaran yang mereka gunakan. Maka kalau kita lihat manusia menggunakan kata-kata kesat, mereka itu sebenarnya tidak ada dalil.

Maka kita jangan jadi macam mereka juga – teruskan guna bahasa yang lembut dan berhemah – jangan jadi bodoh macam mereka pula. Inilah maksud ‘salaama’ dalam ayat ini. Ianya dalam bentuk mafhul hal iaitu dalam ‘keadaan aman’. Kalau mereka hendak gunakan kata-kata kesat, biarkan, kita tidak rugi pun. Kita tidak perlu gunakan kata-kata kesat kerana kita ada hujah dan dalil yang kuat. Kita tetap bercakap baik dengan mereka.

Oleh itu, termasuk mereka yang jahil adalah mereka yang bercakap tentang hal agama ikut akal mereka sendiri sahaja tanpa ada dalil dan mereka sangka mereka benar. Ini selalu kita jumpa dalam masyarakat sekarang. Tetapi ini biasa sahaja, kerana pengetahuan agama masyarakat kita rata-ratanya masih baharu lagi. Jadi lebih ramai yang tidak tahu agama dari yang tahu. Maka kita kena sabar dalam berdakwah.

Jadi bagaimana cara untuk kita menghadapi orang-orang yang sebegini? Allah ﷻ tahu apa yang kita akan hadapi dan kerana itu diajarNya kita di dalam ayat ini. Kita tidak perlu melayan mereka kerana kalau kita berdebat ataupun menegur dan bercakap dengan mereka, mungkin mereka boleh jadi lagi teruk lagi.

Kita jangan ikut perangai mereka dan jangan layan mereka sangat. Kita tetap bercakap baik dengan mereka. Bukanlah kita bacakan ayat ini untuk berhujah dengan mereka kerana ini pun salah juga kerana kita tidak boleh panggil mereka ‘jahil’ di depan muka mereka. Ini kerana yang boleh berkata begitu adalah Allah ﷻ, bukannya kita.

Kalau kita buat begitu maka kita ada pemahaman yang salah tentang ayat ini kerana ayat ini bukanlah untuk digunakan untuk berdebat dengan mereka. Janganlah kita kata kepada mereka: “kamu ini orang jahil rupanya, dan ayat Furqan:63 kata aku tak perlu layan engkau….”. Janganlah sampai berkata begitu. Bukan begitu caranya.

Jadi kita jangan berkelahi dengan mereka tetapi bercakaplah dengan baik kerana ‘salam’ bermaksud ‘aman’ dimana kita tidak memanjangkan perkara itu sampai boleh menyebabkan kemarahan mereka bertambah. Kerana waktu itu mereka jahil dan jahil itu bermaksud mereka berfikir dengan emosi mereka dan bukanlah dengan akal mereka. Jadi kita bukannya boleh berhujah dengan mereka secara intelek sangat kerana waktu itu mereka tidak ada intelek.

Maka kita kena pandai melihat situasi. Kena pandai menilai suasana dan mengawal keadaan dan jangan bagi keadaan jadi lagi teruk. Dan kerana itu jikalau kita lihat suami ataupun isteri kita di dalam emosi yang tidak terkawal, mungkin kerana dia marah sangat atau kerana dia ada masalah yang besar, maka jangan kita tingkatkan lagi emosi dia tetapi cubalah untuk menenangkan keadaan itu dan salah satunya dengan cara senyap saja.

Sebagai contoh, kalau kita terlibat dalam kemalangan, ada orang gesel kereta kita, atau ada pembuli di jalanan, maka jangan kita berkata kasar dengan mereka. Jangan kita lawan kata-kata mereka yang jahil dan ikut perasaan itu.

Kita juga akan lawan balik kata-kata orang yang tidak suka apabila kita dakwah kepada mereka. Kerana kadangkala ada yang hendak menentang kita dan melawan kata-kata kita. Maka cakaplah baik-baik dengan mereka. Jangan ikut kasar seperti mereka.

Kalimah سَلٰمًا adalah percakapan yang menyelamatkan diri kita daripada dosa. Dalam kitab tafsir disebut mereka yang berpaling itu bermaksud tidak terus melayan dan minta maaf. Dia tidak akan memanjangkan perbalahan itu sampai menyebabkan dosa.

Kerana kalau diteruskan juga mungkin kita tidak dapat menjaga perasaan kita sampaikan kita tercakap benda-benda yang kita tidak sepatutnya cakap. Kalau kita mendiamkan diri pun sudah bagus. Kerana kalau kita dengar bantahan mereka dan kutukan mereka kepada kita tanpa menjawab balik, maka itu sudah memberi pahala kepada kita.

Ia juga boleh bermaksud kita tinggalkan mereka, tidak terus berada di situ lagi. Kerana kalimah ‘salam’ juga boleh bermaksud meninggalkan. Kerana apabila kita tinggalkan orang, kita beri salam, bukan? Ini sama seperti yang disebut dalam ayat yang lain:

{وَإِذَا سَمِعُوا اللَّغْوَ أَعْرَضُوا عَنْهُ}

Dan apabila mereka mendengar perkataan yang tidak bermanfaat, mereka berpaling darinya. (Al-Qasas: 55)

Maka kita minta maaf dengan mereka kerana kita kena tinggalkan mereka dan tidak mahu meneruskan perbincangan itu lagi kerana ianya buang masa sahaja. Kerana kita nampak ianya tidak akan bawa ke mana, tidak membawa kepada kebaikan.


 

Ayat 64: Ini adalah sifat ibaadur rahman (hamba yang baik) yang kedua.

Apakah yang boleh memberi kekuatan kepada orang mukmin itu? Kalau tadi berkenaan hubungan mereka dengan masyarakat dan sekarang Al-Qur’an beralih kepada hubungan mereka dengan Allah ﷻ.

Dengan mendekatkan diri kepada Allah ﷻ, kita akan jadi kuat. Siang hari mereka berurusan dengan manusia dan malam hari mereka berurusan dengan Allah ﷻ.

وَالَّذينَ يَبيتونَ لِرَبِّهِم سُجَّدًا وَقِيٰمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And those who spend [part of] the night to their Lord prostrating and standing [in prayer]

(MELAYU)

Dan orang yang melalui malam hari dengan bersujud dan berdiri untuk Tuhan mereka.

 

Kalimah يَبيتونَ bermaksud melalui malam hari. Di malam hari mereka sujud dan berdiri di hadapan Tuhan ﷻ. Mereka dapat berbuat begitu kerana mereka dapat merasa kemanisan beribadat kepada Allah ﷻ, kerana jika tidak begitu, mereka tidak akan sanggup untuk melakukannya.

Kerana kita pun tahu, bukan senang untuk meninggalkan keselesaan katil dan tilam. Dan mereka mendapat kemanisan itu kerana mereka telah melatih diri mereka dengan melakukan solat-solat fardhu dan sunat. Jadi mereka memang suka bermunajat kepada Allah ﷻ. Bila ada rasa manis dalam beribadat, maka senanglah mereka hendak melakukannya.

Jadi satu lagi sifat ibaadur rahman ini, mereka menambah Solat Fardhu mereka dengan melakukan solat sunat malam. Ini banyak disebut dalam ayat-ayat lain antaranya:

تَتَجَافَى جُنُوبُهُمْ عَنِ الْمَضَاجِعِ

Lambung mereka jauh dari tempat tidurnya. (As-Sajdah: 16), hingga akhir ayat.

Dan firman Allah Swt.:

{أَمَّنْ هُوَ قَانِتٌ آنَاءَ اللَّيْلِ سَاجِدًا وَقَائِمًا يَحْذَرُ الآخِرَةَ وَيَرْجُو رَحْمَةَ رَبِّهِ}

ataukah orang yang beribadah di waktu-waktu malam dengan sujud dan berdiri, sedangkan dia takut kepada (azab) akhirat dan mengharapkan rahmat Tuhannya? (Az-Zumar: 9), hingga akhir ayat.

‘Sujud’ disebut dahulu sebelum qiyam, kerana ia berkenaan kerendahan hati dan ia paling banyak di dalam sujud. Kerana itu walaupun tentunya dalam solat, qiyam itu dilakukan dahulu, tetapi disebut perkara yang lebih penting dahulu, iaitu sujud.

Sujud menunjukkan seseorang yang mahu tunduk kepada Allah ﷻ. Ini adalah sifat yang penting, sebagaimana disebut dalam ayat sebelum ini tentang sifat mereka yang merendahkan diri. Apabila mereka sudah ada rasa kerendahan diri itu, mereka bawa perasaan itu dalam solat mereka.


 

Ayat 65: Ini adalah sifat ibaadur rahman yang ketiga.

وَالَّذينَ يَقولونَ رَبَّنَا اصرِف عَنّا عَذابَ جَهَنَّمَ ۖ إِنَّ عَذابَها كانَ غَرامًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And those who say, “Our Lord, avert from us the punishment of Hell. Indeed, its punishment is ever adhering;

(MELAYU)

Dan orang-orang yang berkata: “Ya Tuhan kami, jauhkan azab jahannam dari kami, sesungguhnya azabnya itu adalah kebinasaan yang kekal”.

 

وَالَّذينَ يَقولونَ رَبَّنَا اصرِف عَنّا عَذابَ جَهَنَّمَ

Dan orang-orang yang berkata: “Ya Tuhan kami, jauhkan azab jahannam dari kami,

Dalam mereka telah banyak melakukan ibadat sunat di malam hari, mereka masih tetap berdoa kepada Allah ﷻ untuk menyelamatkan mereka daripada azab neraka.

Ini kerana mereka tahu yang neraka itu amat teruk sekali dan mereka tidak sanggup melaluinya. Dan walaupun mereka itu orang yang baik dan banyak melakukan ibadat termasuk ibadat sunat, mereka tetap berdoa kepada Allah ﷻ.

Kerana mereka tahu yang boleh menyelamatkan mereka dari azab itu adalah Allah ﷻ, bukannya ibadat mereka. Jadi mereka ini bertaubat dalam taat. Bukannya mereka tidak taat, tapi mereka tetap juga bermohon keselamatan dari Allah ﷻ.

Ini mengajar kita supaya jangan ‘rasa selamat’. Kerana kalau rasa selamat itulah yang tidak selamat.

 

إِنَّ عَذابَها كانَ غَرامًا

sesungguhnya azabnya itu adalah kebinasaan yang kekal”.

Kalimah عزام adalah sesuatu yang melekat dan tidak pergi ke mana-mana. Kerana apabila dikenakan dengan azab neraka itu ianya akan melekat tidak putus-putus.

Tidak ada rehat di neraka dari dikenakan dengan seksaan. Seksaan dan azab akan dikenakan dari mula masuk sampailah ke waktu terakhir penghuni neraka itu di dalam neraka. Dan kalau mereka itu kekal dalam neraka, maka memang tidak ada ada rehat untuk mereka selama-lamanya.

Maka kerana ibaadur rahman itu tahu tentang perkara ini, maka mereka amat takut sekali dan mereka selalu berdoa semoga mereka diselamatkan dari neraka. Kerana mereka tidak tahu akhir mereka di mana. Mereka sentiasa berharap yang Allah ﷻ akan memberikan mereka kematian yang baik iaitu kematian di dalam iman.

Dan ini adalah kerana mereka tahu tentang neraka dari wahyu yang mereka telah belajar. Orang yang tidak tahu tentang neraka, mereka tidak ada rasa takut kepada neraka. Begitulah orang yang tidak kenal dengan bahaya, mereka tidak takut kepada bahaya. Ini amat malang sekali kerana nanti kalau mereka dimasukkan ke dalam neraka tentulah mereka amat terkejut.

Dan Allah ﷻ selalu ingatkan tentang neraka di dalam Al-Qur’an – tapi kalau manusia tidak baca Al-Qur’an selalu, bagaimana mereka nak dapat peringatan dari Allah ﷻ ini? Amat malang sekali kalau begitu, amat malang.


 

Ayat 66: Masih lagi tentang neraka. Ini adalah sambungan dari doa ibaadur rahman itu.

إِنَّها ساءَت مُستَقَرًّا وَمُقامًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, it is evil as a settlement and residence.”

(MELAYU)

Sesungguhnya jahannam itu seburuk-buruk tempat menetap dan tempat kediaman.

 

Azab neraka itu tidak baik dan sangat buruk walaupun untuk مُستَقَرًّا (waktu yang sekejap) dan lebih-lebih lagi jikalau مُقامًا (berkekalan).

Ayat ini penting kerana orang Islam pun ada pemahaman yang kalau mereka masuk ke dalam neraka pun, ia hanya untuk waktu yang sekejap sahaja dan akhirnya akan dimasukkan ke dalam syurga.

Ini adalah fahaman dan harapan yang amat bodoh sekali! Apa mereka sangka masuk neraka itu macam masuk penjara sahaja? Mereka sangka mereka boleh tahan neraka itu? Alangkah bodohnya!

Jadi golongan ibaadur rahman itu faham bahawa azab neraka itu bukan sesuatu yang main-main dan kita kena menjauhkan dari dari masuk neraka itu walau sesaat pun. Kena haba neraka yang sejuk (bukan azab penuh) pun kita tidak mahu. Dengar dan hidu bau neraka dari jauh pun kita tidak mahu.

Kalau duduk di neraka itu sekejap pun dan kemudian dimasukkan ke dalam syurga pun sudah berat. Apatah lagi kalau duduk selama-lamanya. Semoga kita dijauhkan dari azab neraka. Semoga kita bukanlah ahli neraka, walaupun sekejap.


 

Ayat 67: Ini adalah sifat ibaadur rahman yang keempat.

وَالَّذينَ إِذا أَنفَقوا لَم يُسرِفوا وَلَم يَقتُروا وَكانَ بَينَ ذٰلِكَ قَوامًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [they are] those who, when they spend, do so not excessively or sparingly but are ever, between that, [justly] moderate

(MELAYU)

Dan orang-orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebihan, dan tidak (pula) kedekut, dan adalah (pembelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian.

 

وَالَّذينَ إِذا أَنفَقوا لَم يُسرِفوا وَلَم يَقتُروا

Dan orang-orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebihan, dan tidak (pula) kedekut,

Sekarang Allah ﷻ bercakap tentang sifat mereka di dalam berbelanja iaitu mereka tidak berlebih-lebihan (israf) di dalam mengeluarkan duit dalam berbelanja. Walaupun mereka ada duit dan mereka mampu, tetapi mereka beli benda yang sama tetapi lebih murah di tempat lain.

Israf terjadi apabila benda yang kita beli itu memang perlu, tetapi kita beli jenis yang mahal punya dan berlebih-lebihan. Ini berbeza dengan ‘pembaziran’ kerana bazir itu beli benda yang memang tidak perlu.

Jadi israf adalah apabila membeli benda yang perlu, tapi mahal dan berlebihan. Contohnya seperti baju yang memang kita perlukan tetapi kita beli yang mahal dengan jenama yang terkenal. Ini pun tidak boleh. Bukan sifat ibaadur rahman kalau begitu.

Dan dalam masa yang sama mereka tidak mengecutkan perbelanjaan. Ia terjadi apabila perkara itu memang diperlukan tetapi mereka tidak mahu mengeluarkan duit. Duit ada tetapi barang keperluan kehidupan seperti keperluan rumah dan untuk belanja isteri dan anak-anak pun tidak mahu dikeluarkan.

Ada juga orang yang sebegitu. Dalam filem Melayu, keburukan masyarakat ini telah dibentangkan dalam Filem Haji Bakhil. Kerana teruk sangat perangai dia dan ada orang yang sebegitu, maka kisah itu disampaikan kepada umum.

 

وَكانَ بَينَ ذٰلِكَ قَوامًا

dan adalah (perbelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian.

Jadi ayat ini menyebut tentang dua ekstrem iaitu satu golongan yang berbelanja berlebihan dan satu golongan pula yang tidak mahu berbelanja langsung walaupun untuk keperluan hidup.

Jadi hamba Allah ﷻ yang baik akan mencari jalan pertengahan antara kedua-dua perkara ini. Begitulah Islam ini, ianya duduk di tengah antara dua ekstrem. Kerana itulah kita ini dinamakan umat pertengahan. Ini juga disebut dalam ayat yang lain:

{وَلا تَجْعَلْ يَدَكَ مَغْلُولَةً إِلَى عُنُقِكَ وَلا تَبْسُطْهَا}

Dan janganlah kamu jadikan tanganmu terbelenggu pada lehermu dan janganlah kamu terlalu mengulurkannya. (Al-Isra: 29), hingga akhir ayat.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 3 Jun 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir