Tafsir Surah al-An’am Ayat 133 – 135 (Buatlah sesuka hatimu)

An’am Ayat 133:

وَرَبُّكَ ٱلغَنِىُّ ذُو ٱلرَّحمَةِ‌ۚ إِن يَشَأ يُذهِبڪُم وَيَستَخلِف مِنۢ بَعدِڪُم مَّا يَشَآءُ كَمَآ أَنشَأَڪُم مِّن ذُرِّيَّةِ قَومٍ ءَاخَرِينَ

Sahih International

And your Lord is Free of need, the possessor of mercy. If He wills, he can do away with you and give succession after you to whomever He wills, just as He produced you from the descendants of another people.

Malay

Dan Tuhanmu Maha Kaya, lagi Melimpah-limpah rahmatNya. Jika Dia kehendaki, nescaya Dia binasakan kamu dan menggantikan sesudah (binasanya) kamu dengan sesiapa yang dikehendakiNya, sebagaimana Dia telah menjadikan kamu dari keturunan kaum yang lain.

 

وَرَبُّكَ الْغَنِيُّ

Dan Tuhanmu Maha Kaya

Maksud ‘kaya’ adalah ‘tidak memerlukan apa-apa lagi’. Oleh itu, Maksud Allah Maha Kaya dalam ayat ini adalah: Allah ‎ﷻ tidak memerlukan ibadah kita. Tidaklah Allah ‎ﷻ hilang kuasa-Nya jika kita tidak menyembah-Nya kerana Allah ‎ﷻ maha sempurna dan ibadah makhluk tidak menambah kesempurnaan Allah ‎ﷻ. Tidaklah juga Allah ‎ﷻ terkesan dengan perbuatan dosa yang kita lakukan. Dalam ayat-ayat sebelum ini telah disebut tentang Allah ‎ﷻ memberikan wahyu dan penyebar tauhid kepada manusia. Namun di sini juga Allah ‎ﷻ hendak beritahu yang bukanlah Allah ‎ﷻ memerlukan ketaatan kita.

Oleh itu jangan kita sangka yang Allah ‎ﷻ membalas usaha kita dengan pahala kerana dia memerlukan ibadah kita. Allah ‎ﷻ balas ibadah yang kita buat kerana sifat Rahmah-Nya.

Allah ‎ﷻlah yang sebenar-benar kaya. Kalau ada orang kaya dalam dunia ini pun, mereka mereka masih lagi memerlukan orang lain untuk hidup. Dia tidak boleh hidup sendiri. Namun Allah ‎ﷻ langsung tidak memerlukan sesiapa pun.

Maka, Allah ‎ﷻ tidak memerlukan ibadah kita tetapi Allah ‎ﷻ telah menetapkan kita untuk melakukan ibadat kepada-Nya dan meninggalkan segala perbuatan yang buruk. Itu adalah arahan daripada Allah ‎ﷻ. Namun begitu, jangan kita ingat yang Allah ‎ﷻ tidak memerlukan ibadah kita, maka kita tidak buat pula ibadah itu.

 

ذُو الرَّحْمَةِ

lagi mempunyai rahmat.

Allah ‎ﷻ bukan sahaja bersifat kaya tetapi Allah ‎ﷻ bersifat Rahmah. Selalunya dua sifat ini tidak duduk bersama-sama pada makhluk kerana kalau kita lihat manusia yang kaya, selalunya mereka tidak bersifat belas kasihan kepada orang lain. Namun begitu, dua sifat ini ada pada Allah ‎ﷻ.

Tidak terkira betapa banyaknya Rahmah yang telah Allah ‎ﷻ berikan kepada kita. Kita hidup ini pun kita tidak pernah meminta tetapi Allah ‎ﷻ yang memberikan nyawa kepada kita, bukan? Kita tidak akan dapat membalas Allah ‎ﷻ di atas segala nikmat yang telah diberikan-Nya kepada kita. Dan tidaklah Allah ‎ﷻ suruh kita beribadat sepanjang kita hidup sehari semalam. Kalaulah kita kira, berapa lama kita beribadah kepada Allah ‎ﷻ dalam sehari semalam, tentulah kita akan dapati bahawa ibadah kita itu mungkin tidak sampai sejam pun dalam sehari.

Terlalu sedikit jika hendak dibandingkan dengan segala pemberian Allah ‎ﷻ kepada kita. Namun begitu, daripada amalan soleh yang sedikit yang kita lakukan itu kerana mengikut arahan-Nya, apa yang Allah ‎ﷻ akan balas kepada kita? Bukankah Dia akan membalas kita dengan syurga yang kita akan kekal di dalamnya? Sebab itulah benar sekali hadith Nabi ﷺ yang mengatakan bahawa kita tidak masuk syurga kerana amalan kita, tetapi kerana Rahmat daripada Allah ‎ﷻ semata-mata.

Ada lagi rahmat daripada Allah ‎ﷻ: Kalau kita berbuat satu dosa, kita akan dibalas dengan satu dosa juga. Namun jikalau kita berbuat satu kebaikan, kita akan dibayar dengan gandaan 10 kali ganda sekurang-kurangnya. Dan Allah ‎ﷻ boleh menggandakan lagi 100 kali atau lebih lagi untuk dibalas-Nya kepada kita. Itu semua terpulang kepada Allah ‎ﷻ.

Dan rahmah Allah ‎ﷻ ini amat besar sampaikan Allah ‎ﷻ boleh membalas berdasarkan ‘usaha’ kita sahaja. Kita mungkin tidak mendapat kejayaan daripada usaha kita itu, tetapi Allah sudah membalasnya. Sebagai contoh, Allah ‎ﷻ akan membalas dengan pahala di atas usaha dakwah yang kita lakukan, walaupun tidak ada yang ikut kita.

Satu lagi sifat Rahmah Allah ‎ﷻ yang boleh kita sebutkan di sini adalah bagaimana Allah ‎ﷻ membenarkan kita untuk terus hidup di dunia ini sepanjang hayat kita walaupun kita telah melakukan banyak dosa. Allah ‎ﷻ memberikan peluang kepada kita untuk bertaubat dan melakukan amal ibadat sepanjang kita hidup ini. Mungkin kita ada membuat salah dan dosa dalam kehidupan kita. Jika umur kita panjang, ada kemungkinan kita sempat bertaubat. Namun kalau kita dimatikan awal, tentu kita akan mendapat nasib yang malang sekali.

Akan tetapi tidaklah ini berterusan. Akan sampai satu masa yang Allah ‎ﷻ tidak berikan rahmah lagi. Sama ada Allah ‎ﷻ memmatikan orang itu atau Allah ‎ﷻ menutup pintu hati dia untuk menerima hidayah.

Satu lagi sifat rahmah Allah ‎ﷻ adalah Dia menjadikan kita tidak kaya di mana kita memerlukan orang lain. Tidak ada sesiapa pun dalam dunia yang boleh berdiri dan hidup sendiri. Tetap dia memerlukan bantuan daripada makhluk yang lain. Kenapa? Kerana kalau makhluk itu rasa dia tidak memerlukan sesiapa, maka dia akan menjadi sangat ingkar. Oleh kerana itulah salah satu rahmah Allah ‎ﷻ, dijadikan kita ini bergantung kepada orang lain dalam kehidupan kita.

 

إِن يَشَأْ يُذْهِبْكُمْ

Jika Dia menghendaki nescaya Dia memusnahkan kamu

Allah ‎ﷻ memang tidak memerlukan kita dan kerana itu Dia boleh sahaja jika Dia mahu, memusnahkan semua sekali makhluk yang melakukan dosa dan berbuat kufur kepada-Nya. Allah ‎ﷻ boleh menjadikan bencana seperti wabak untuk memusnahkan kita semua. Memang Allah boleh ‎ﷻ membuatnya dan Allah ‎ﷻ pun sudah pernah buat kepada kaum-kaum yang terdahulu. Lihatlah apa yang terjadi kepada kaum Aad dan Tsamud.

 

وَيَسْتَخْلِفْ مِن بَعْدِكُم مَّا يَشَاءُ

dan menggantimu dengan siapa yang dikehendaki-Nya setelah kamu (musnah),

Dan kalau Allah ‎ﷻ takdirkan untuk memusnahkan semua makhluk, boleh sahaja membangkitkan makhluk yang lain untuk mengganti kita. Tidak ada masalah bagi Allah ‎ﷻ untuk berbuat begitu. Allah ‎ﷻ boleh sahaja musnahkan kita dan kemudian menggantikan dengan kaum lain.

Perkataan وَيَسْتَخْلِفْ diambil daripada katadasar خ ل ف yang bermaksud ‘belakang’. Iaitu bermaksud datang di belakang atau ‘kemudian’. Perkataan ‘khalifah’ juga diambil daripada kata dasar ini. Kerana ‘khalifah’ bermaksud menggantikan khalifah yang sebelumnya. Dan kita juga dinamakan ‘Khalifah di bumi’ kerana kita mengganti generasi yang terdahulu sebelum kita. Umat Nabi Adam عليه السلام juga dikatakan sebagai khalifah kerana kita menggantikan golongan jin. Dan kita akan menggantikan generasi yang sebelum kita.

Tidak ada masalah untuk Allah ‎ﷻ memusnahkan kita dan menggantikan dengan golongan yang lain. Sebagai contoh, lihatlah bagaimana negeri Acheh yang telah musnah dilanda Tsunami itu dahulu. Memang waktu itu kita lihat, hancur terus negeri Acheh itu. Namun jika sekarang ini kita pergi ke Acheh, kita akan lihat negeri itu seperti tidak pernah dilanda malapetaka sahaja. Maknanya Allah ‎ﷻ boleh menggantikan sesuatu yang musnah dengan benda yang baharu dan tidak ada masalah bagi Allah ‎ﷻ.

 

كَمَا أَنشَأَكُم مِّن ذُرِّيَّةِ قَوْمٍ ءآخَرِينَ

sebagaimana Dia telah menjadikan kamu daripada keturunan orang-orang lain.

Allah ‎ﷻ telah menceritakan tentang kaum-kaum terdahulu seperti Aad dan Tsamud. Orang Arab telah menggantikan mereka dalam kehidupan selepas mereka. Kita pun sekarang ini menggantikan keturunan-keturunan tok nenek kita yang dahulu. Mereka sekarang sudah tiada.

Kita nanti pun akan mati dan kita akan digantikan dengan keturunan-keturunan selepas kita. Inilah pusingan kehidupan. Tidak ada sesiapa pun yang akan hidup di dunia ini selama lamanya. Maknanya, Allah ‎ﷻ boleh menggantikan kita dengan kaum lain jika Allah ‎ﷻ mahu. Sebagaimana juga Allah ‎ﷻ menggantikan kaum dulu dengan kita.

Ini mengingatkan kita bahawa kita hanya hidup di dunia ini untuk waktu yang singkat sahaja. Oleh itu kita hendaklah mengambil peluang ini untuk melakukan amal ibadah yang soleh sebanyak-banyaknya supaya kita boleh mendapat darjat yang tinggi di akhirat kelak. Jika tidak kita hanya membuang masa yang singkat ini sahaja.


 

An’am Ayat 134: Ayat takhwif ukhrawi.

إِنَّ مَا تُوعَدُونَ لَأَتٍ وَمَآ أَنتُم بِمُعجِزِينَ

Sahih International

Indeed, what you are promised is coming, and you will not cause failure [to Allah].

Malay

Sesungguhnya apa yang dijanjikan kepada kamu (hari kiamat dan balasannya) tetap akan datang, dan kamu tidak akan dapat melepaskan diri (dari balasan itu).

 

إِنَّ مَا تُوعَدُونَ لَأَتٍ

Sesungguhnya apa yang dijanjikan kepadamu pasti datang,

Banyak janji Allah ‎ﷻ yang telah diberikan dalam Al-Qur’an dan daripada hadith Nabi ﷺ. Antaranya adalah kematian kita. Semua makhluk akan mati. Juga Hari Kiamat, kebangkitan semula, Mahsyar dan lain-lain lagi. Dan janji Allah ‎ﷻ bukan seperti janji kita; kalau Allah ‎ﷻ berjanji, pasti Dia akan menunaikannya.

Kena ingatkan diri kita tentang hari kebangkitan ataupun hari kiamat. Itulah hari di mana kita semua akan dibalas dengan perbuatan kita semasa di dunia. Malah banyak lagi perkara perkara yang dijanjikan oleh Allah ‎ﷻ.

Segala yang dijanjikan itu pasti akan datang. Yang berjanji dengan kita adalah Allah ‎ﷻ. Dia pasti akan menjadikannya kenyataan. Kalau manusia yang menjanjikan sesuatu, belum tentu lagi ia akan terjadi.

Perkataan لَآتٍ bermaksud yang akhirnya pasti datang dan ia akan datang tidak lama lagi.

 

وَمَا أَنتُم بِمُعْجِزِينَ

dan kamu sekali-kali tidak sanggup melepaskan diri.

Kalimah مُعْجِزِينَ berasal daripada ع ج ز yang bermaksud ‘lemah tidak mampu untuk melawan’. Tidak mampu untuk mencapai sesuatu. Ia juga digunakan untuk bermaksud seseorang yang telah dilumpuhkan daripada berbuat sesuatu. Daripada katadasar yang sama juga digunakan kepada ‘mukjizat’ kerana mukjizat ini mengalahkan apa-apa sahaja usaha manusia untuk menentangnya.

Oleh itu, بِمُعْجِزِينَ bermaksud melemahkan seseorang daripada melakukan sesuatu. Atau bermaksud menghalang seseorang daripada melakukan sesuatu. Oleh itu, ayat ini bermaksud, kita tidak boleh menghalang Allah ‎ﷻ daripada melakukan apa yang Allah ‎ﷻ hendak lakukan. Ini bermaksud, kita tidak boleh melarikan diri daripada apa yang Allah ‎ﷻ telah janjikan  kepada kita.

Jika di dunia ini, penjenayah-penjenayah masih boleh lagi melarikan diri daripada ditangkap polis tetapi di akhirat nanti mereka tidak boleh melarikan diri daripada hukuman Allah ‎ﷻ.


 

An’am Ayat 135: Ini kalau masih dengan penjelasan yang sudah bertalu-talu. Maka ini adalah kenyataan penamat.

قُل يَـٰقَومِ ٱعمَلُواْ عَلَىٰ مَكَانَتِڪُم إِنِّى عَامِلٌ۬‌ۖ فَسَوفَ تَعلَمُونَ مَن تَكُونُ لَهُ ۥ عَـٰقِبَةُ ٱلدَّارِ‌ۗ إِنَّهُ ۥ لَا يُفلِحُ ٱلظَّـٰلِمُونَ

Sahih International

Say, “O my people, work according to your position; [for] indeed, I am working. And you are going to know who will have succession in the home. Indeed, the wrongdoers will not succeed.

Malay

Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai kaumku (yang masih kafir), buatlah sedaya upaya kamu (untuk menentang Islam), sesungguhnya aku juga tetap beramal (berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mempertahankan Islam); kemudian kamu akan ketahui siapakah yang akan beroleh kebaikan dan kejayaan di negeri. Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu tidak akan berjaya.

 

قُل يَـٰقَومِ

Katakanlah: “Hai kaumku, 

Nabi ﷺ disuruh memberitahu kepada kaumnya yang mengamalkan akidah syirik dan kufur itu. Setelah diberikan dakwah dan segala hujah-hujah,  mereka masih lagi tidak mahu menerima Islam. Maka, sekarang ancaman diberikan kepada mereka.

 

ٱعمَلُواْ عَلَىٰ مَكَانَتِڪُم

berbuatlah di atas kedudukanmu, 

Perkataan  مَكَانَتِ  bermaksud kedudukan atau keadaan. Ia bermaksud mereka disuruh untuk melakukan sesuatu mengikut apa yang boleh dan mengikut kemampuan mereka dan apa sahaja kedudukan dan pangkat yang mereka ada. Kalau degil sangat, maka buatlah apa yang kamu hendak buat.

Nabi ﷺ disuruh memberitahu mereka untuk berbuat apa yang mereka hendak buat. Kalau kamu mahu membuat syirik, buatlah syirik kamu itu. Kalau kamu hendak amalkan pantang yang mengharamkan yang halal, buatlah ikut suka kamu. Kalau mahu mengamalkan bid’ah juga, maka buatlah ikut suka kamu.

Namun kenalah kita tahu yang ini bukanlah suruhan. Ia bukan bermaksud Allah ‎ﷻ redha dengan apa yang mereka lakukan itu. Ini adalah ayat berbentuk ancaman. Sebagai contoh, ada anak kita ingin bermain sungai semasa hari hujan lebat. Kita pun kata: “Ha pergilah kamu nak main sangat! Pergilah! Pergilah!”. Ini bukan suruh pergi sebenarnya, dan kalau anak itu bengong dan tetap pergi juga maka dia akan kena sebat.

Ayat ini memberitahu kepada kita bahawa semasa kita di dunia, kita boleh membuat apa sahaja yang kita suka. Kalau kita mahu kepada kesesatan, Allah ‎ﷻ boleh sahaja membiarkan kita berada di dalam kesesatan itu. Tetapi apabila mati kelak, Allah ‎ﷻ akan balas perbuatan sesat kita itu dengan azab yang pedih.

Oleh itu, jikalau perbuatan kita yang salah itu menjadi, tidaklah bermakna bahawa ia adalah benar. Contohnya ada orang yang mengamalkan ilmu kebal. Tidaklah bermakna ilmu kebal itu benar walaupun ia menjadi; begitu juga, ramai yang kata Selawat Syifa’ itu mujarab. Tidaklah kerana ia mujarab boleh dijadikan sebagai dalil yang ia adalah amalan yang benar. Selawat Syifa’ tetap mengandungi unsur syirik di dalamnya dan hendaklah ditinggalkan.

Dan janganlah kita sangka Allah  tidak beri azab kepada kita atas perbuatan kita bermaksud perbuatan kita itu benar. Sebagai contoh, apabila satu stadium meraikan majlis Ya Hanana, yang memuja-muja Nabi Muhammad ﷺ, tidaklah Allah ‎ﷻ turunkan petir ataupun hujan kepada mereka. Namun itu tidaklah bermaksud bahawa perbuatan mereka itu diredhai Allah ‎ﷻ. Ia tetap majlis bid’ah.

Oleh kerana tidak faham perkara inilah maka ada yang berkata: “Kami buat benda ini Allah tak turun bala pun kepada kami”. Ataupun mereka berkata: “Kalau Allah benarkan kita buat perkara ini, tentulah perkara ini betul”. Itu semua dan banyak lagi hujah-hujah yang sebegitu adalah kerana kejahilan mereka dengan Al-Qur’an. Mereka tidak dapat membezakan di antara kebenaran daripada Allah ‎ﷻ dan keredhaan daripada Allah ‎ﷻ.

 

إِنِّي عَامِلٌ

sesungguhnya aku pun berbuat (juga). 

Biarkan mereka berbuat dengan amalan kufur dan syirik mereka. Biarkan mereka dengan amalan bid’ah mereka. Kita pun akan beramal juga. Tetapi amalan kita adalah mengikut apa yang Nabi ﷺ telah ajar berdasarkan kepada dalil yang sahih.

Daripada ayat ini kita disuruh untuk terus mengamalkan amal ibadat yang soleh. Kita perlu menguatkan usaha kita dan tetap di dalam melakukan amal yang baik. Ini kerana dalam ayat ini kita diajar bahawa dalam kita melihat orang lain melakukan amalan syirik dan bid’ah, maka kita perlu menetapkan usaha kita dan meningkatkan diri kita untuk melakukan amal yang soleh. Janganlah kita putus harap dalam kita melihat ramai daripada masyarakat kita yang mengamalkan amalan yang salah.

Sebagai contoh, kalau kita lihat di sekeliling kita, kita akan lihat ramai sangat yang berbuat amalan yang bukan daripada sunnah. Mereka tentunya lebih ramai daripada kita dan suara mereka lebih kuat daripada suara kita. Kita tidak dapat menghalang mereka daripada melakukan amalan mereka itu tetapi kita boleh menjaga amalan kita.

 

فَسَوْفَ تَعْلَمُونَ

Kelak kamu akan mengetahui, 

Ini adalah peringatan dan ancaman untuk mereka. Kita semua akan mengetahui apakah kesan daripada perbuatan amalan kita itu apabila sudah mati nanti. Kalau kita berbuat amalan baik, akan dibalas baik. Namun kalau kita berbuat amalan yang salah, yang kufur, yang syirik dan bid’ah, maka amat malang nasib kita. Pada waktu itu, kita tidak dapat berbuat apa-apa lagi kerana pintu taubat sudah tertutup.

 

مَن تَكُونُ لَهُ ۥ عَـٰقِبَةُ ٱلدَّارِ‌ۗ

siapakah (di antara kita) yang akan memperoleh hasil yang baik di akhirat. 

Perkataan عَاقِبَةُ diambil daripada katadasar ع ق ب yang bermaksud ‘tumit’. Oleh itu, perkataan عَاقِبَةُ bermaksud hujung kepada sesuatu sepertimana tumit adalah hujung kepada kaki kita. Oleh itu, عَاقِبَةُ adalah penghujung daripada perbuatan kita. Kita turut menggunapakai perkataan ini dalam bahasa Melayu kita: akibat.

Kebenaran sesuatu perkara itu kadang-kadang kita tidak nampak di dunia ini. Allah ‎ﷻ tidak membalas di dunia tetapi Allah ‎ﷻ tunggu untuk balas di akhirat kelak. Dunia ini bukanlah tempat untuk ditunjukkan akibat kepada sesuatu. Jika kita lihat ramai yang membuat amalan ibadah yang bukan sunnah ataupun tidak ada tuntunan daripada Nabi ﷺ, itu bukanlah tanda bahawa mereka itu benar. Majoriti tidak menentukan yang ia adalah benar.

 

إِنَّهُ ۥ لَا يُفلِحُ ٱلظَّـٰلِمُونَ

Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu tidak akan mendapatkan keberuntungan.

Orang yang zalim tidak akan mendapat kemenangan. Mungkin di akhirat, atau mungkin di dunia lagi mereka akan diberi kekalahan. Seperti yang kita tahu Islam telah menang di Tanah Arab dan kemusyrikan telah dihapuskan semasa hidup Nabi ﷺ lagi.

Ingatlah bahawa kejayaan menanti kita di akhirat kelak. Walaupun mungkin kita nampak bahawa puak Sunnah ini sedikit sangat sekarang tetapi yakinlah bahawa kita akan mendapat kemenangan di akhirat kelak dan itulah kemenangan yang lebih penting.

Kejayaan sesuatu fahaman itu bukanlah dilihat dengan ramainya orang yang mengikutinya. Oleh kerana itu jangan kita terpesona dengan ramainya orang yang melakukan amalan bid’ah dan amalan-amalan yang syirik.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 10 April 2022


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Maariful Qur’an

Tafsir Surah al-An’am Ayat 130 – 132 (Tidak datangkah peringatan?)

An’am Ayat 130:

يَـٰمَعشَرَ ٱلجِنِّ وَٱلإِنسِ أَلَم يَأتِكُم رُسُلٌ مِّنكُم يَقُصُّونَ عَلَيڪُم ءَايَـٰتِى وَيُنذِرُونَكُم لِقَآءَ يَومِكُم هَـٰذَا‌ۚ قَالُواْ شَہِدنَا عَلَىٰٓ أَنفُسِنَا‌ۖ وَغَرَّتهُمُ ٱلحَيَوٰةُ ٱلدُّنيَا وَشَہِدُواْ عَلَىٰٓ أَنفُسِہِم أَنَّهُم كَانُواْ ڪَـٰفِرِينَ

Sahih International

“O company of jinn and mankind, did there not come to you messengers from among you, relating to you My verses and warning you of the meeting of this Day of yours?” They will say, “We bear witness against ourselves”; and the worldly life had deluded them, and they will bear witness against themselves that they were disbelievers.

Malay

Wahai sekalian jin dan manusia! Bukankah telah datang kepada kamu Rasul-rasul dari kalangan kamu sendiri, yang menyampaikan kepada kamu ayat-ayatKu (perintah-perintahKu), dan yang memberikan amaran kepada kamu tentang pertemuan kamu dengan hari (kiamat) ini? Mereka menjawab: “Kami menjadi saksi mengakui akan (kesalahan) diri kami sendiri (mendustakan Rasul-rasul itu)”. Dan (sebabnya ialah) mereka telah diperdayakan oleh (kemewahan) hidup di dunia dan (kerana itulah) mereka menjadi saksi (pada hari akhirat) terhadap diri mereka sendiri: (bahawa) sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang mengingkari (apa yang telah disampaikan oleh Rasul-rasul itu).

 

يٰمَعْشَرَ الْجِنِّ وَالْإِنسِ

Hai golongan jin dan manusia,

Allah ‎ﷻ berkata lagi kepada golongan jin dan manusia yang telah melakukan dosa itu:

 

أَلَمْ يَأْتِكُمْ رُسُلٌ مِّنكُمْ

tidakkah datang kepadamu rasul-rasul daripada golongan kamu sendiri,

Kenapa kamu buat begitu? Tidak adakah yang beri nasihat kepada kamu? Kalimah مِّنكُمْ bermaksud ‘dalam kalangan kamu’. Maka untuk manusia ada pendakwah dalam kalangan manusia dan untuk jin ada pendakwah dalam kalangan jin.

Allah ‎ﷻ bertanya begitu untuk mengingatkan kepada mereka bahawa semasa di dunia dahulu, mereka telah diberikan dengan peringatan. Tidaklah Allah ‎ﷻ membiarkan mereka sahaja tanpa diberikan dengan peringatan dan tunjuk ajar. Maka jangan salahkan Allah ‎ﷻ pula kerana Allah ‎ﷻ sudah beri peringatan. Tidak patut kalau jin dan manusia dipertanggungjawabkan dengan ibadat tetapi tidak diajar.

Terdapat pendapat yang kuat mengatakan jin tidak ada rasul dalam kalangan mereka. Walaupun begitu, ada khilaf tentang pendapat ini. Ada yang kata memang ada rasul dalam kalangan  jin, tetapi mereka itu hanya ada sebelum kedatangan manusia. Apabila manusia sudah dilantik menjadi khalifah di muka bumi menggantikan jin, maka tidak ada lagi rasul dalam kalangan mereka.

Maka memang ada pendapat yang mengatakan bahawa Allah ‎ﷻ menghantar juga rasul dalam kalangan mereka. Kita boleh rujuk ayat Isra’:95

قُلْ لَوْ كَانَ فِي الْأَرْضِ مَلَائِكَةٌ يَمْشُونَ مُطْمَئِنِّينَ لَنَزَّلْنَا عَلَيْهِمْ مِنَ السَّمَاءِ مَلَكًا رَسُولًا

Katakanlah: “Kalau seandainya ada malaikat-malaikat yang berjalan-jalan sebagai penghuni di bumi, nescaya Kami turunkan dari langit kepada mereka seorang malaikat menjadi rasul”.

Ayat ini mengatakan, kalau malaikat hidup di bumi, Allah ‎ﷻ pasti akan menghantar rasul dalam kalangan mereka juga. Asbabun Nuzul ayat ini kerana Musyrikin Mekah telah bertanya, kenapa malaikat tidak dijadikan rasul? Kononnya, kalau malaikat yang menjadi Rasul menyampaikan dakwah, tentulah mereka akan terima dakwah itu. Jawabnya, Allah ‎ﷻ tidak menghantar malaikat sebagai rasul kerana malaikat tidak tinggal di dunia. Kalau malaikat hidup di dunia sebagai khalifah, maka Allah ‎ﷻ pasti akan memberikan rasul dalam kalangan mereka juga.

Ini menunjukkan bahawa Allah ‎ﷻ akan menurunkan rasul yang sama jenis dengan makhluk itu. Tidak patut kalau Allaph ‎ﷻ memberikan rasul yang lain jenis daripada mereka kerana itu akan menyebabkan susah untuk mereka menerima dakwah daripada rasul yang jenis lain daripada mereka. Tentulah kita lebih senang untuk terima nasihat daripada spesis manusia yang sama dengan kita.

Namun begitu, selepas kedatangan manusia, tidak ada lagi rasul dalam kalangan jin, maka Rasul-rasul dalam kalangan manusia adalah juga Rasul kepada golongan Jin. Sudah tidak ada lagi rasul dan Nabi dalam kalangan jin. Lihatlah bagaimana di dalam surah Jin, kita tahu bahawa segolongan jin telah mendengar bacaan Al-Qur’an daripada Nabi ﷺ dan mereka telah beriman. Jin: 1-2.

قُلْ أُوحِيَ إِلَيَّ أَنَّهُ اسْتَمَعَ نَفَرٌ مِّنَ الْجِنِّ فَقَالُوا إِنَّا سَمِعْنَا قُرْآنًا عَجَبًا

Katakanlah (hai Muhammad): “Telah diwahyukan kepadamu bahwasanya: telah mendengarkan sekumpulan jin (akan Al Quran), lalu mereka berkata: Sesungguhnya kami telah mendengarkan Al Quran yang menakjubkan.

يَهْدِي إِلَى الرُّشْدِ فَآمَنَّا بِهِ وَلَن نُّشْرِكَ بِرَبِّنَا أَحَدًا

(yang) memberi petunjuk kepada jalan yang benar, lalu kami beriman kepadanya. Dan kami sekali-kali tidak akan mempersekutukan seseorang pun dengan Tuhan kami,

Dan ada juga pendapat yang mengatakan jin itu memang ada Rasul dalam kalangan mereka, cuma apabila Nabi Muhammad ﷺ diangkat menjadi Rasul, maka diberikan kelebihan baginda menjadi Rasul kepada manusia dan juga jin. Ini bermakna, jin juga kena beriman dengan Al-Qur’an. Oleh itu, sebelum Nabi Muhammad ﷺ, masih ada Rasul dalam kalangan jin untuk umat mereka. Allahu a’lam.

Dalam masa yang sama, ada juga Ulama’ tafsir yang mengatakan bahawa golongan jin tidak pernah ada rasul dalam kalangan mereka. Mereka merujuk kepada ayat Yusuf: 109

وَمَا أَرْسَلْنَا مِن قَبْلِكَ إِلَّا رِجَالًا نُّوحِي إِلَيْهِم مِّنْ أَهْلِ الْقُرَىٰ أَفَلَمْ يَسِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَيَنظُرُوا كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ وَلَدَارُ الْآخِرَةِ خَيْرٌ لِّلَّذِينَ اتَّقَوْا أَفَلَا تَعْقِلُونَ

Kami tidak mengutus sebelum kamu, melainkan orang laki-laki yang Kami berikan wahyu kepadanya di antara penduduk negeri. Maka tidakkah mereka berpergian di muka bumi lalu melihat bagaimana kesudahan orang-orang sebelum mereka (yang mendustakan rasul) dan sesungguhnya kampung akhirat adalah lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Maka tidakkah kamu memikirkannya?

Dalam ayat ini, mereka berhujah bahawa sebelum kedatangan Nabi Muhammad ﷺ, Rasul-Rasul yang dihantar adalah lelaki dalam kalangan manusia sahaja kerana perkataan ‘رِجَالًا ‘ di dalam ayat itu merujuk kepada lelaki dalam kalangan manusia sahaja dan tidak termasuk golongan jin.

Ayat ini memberitahu kepada kita bahawa Allah ‎ﷻ pasti menghantar penyebar tauhid kepada setiap kaum. Sama ada mereka diberikan dengan penyebar tauhid berbentuk Rasul ataupun yang bukan Rasul. Sebagaimana kita pada zaman sekarang, tidak mempunyai rasul lagi. Yang ada pada kita adalah penyebar tauhid dalam kalangan manusia sahaja.

Namun kalau kita umumkan maksud ‘rasul’ sebagai pembawa mesej tauhid, maka kita boleh katakan memang ada ‘rasul’ dalam kalangan jin iaitu ada dalam kalangan mereka yang mendengar ajaran daripada Rasul dalam kalangan manusia dan sampaikan kepada umat mereka. Ini seperti disebut dalam Ahqaf: 29

فَلَمّا قُضِيَ وَلَّوا إِلىٰ قَومِهِم مُّنذِرينَ

Kemudian setelah selesai bacaan itu, kembalilah mereka kepada kaumnya (menyiarkan ajaran Al-Qur’an itu dengan) memberi peringatan dan amaran.

Dan dalam Jin: 1

فَقالوا إِنّا سَمِعنا قُرءآنًا عَجَبًا

lalu mereka (menyampaikan hal itu kepada kaumnya dengan) berkata: `Sesungguhnya kami telah mendengar Al-Qur’an (sebuah Kitab Suci) yang susunannya dan kandungannya sungguh menakjubkan!

 

يَقُصُّونَ عَلَيْكُمْ ءآيٰتِي

yang menyampaikan kepadamu ayat-ayat-Ku

Tujuan Rasul dan penyebar tauhid itu adalah menyampaikan kalam Allah ‎ﷻ kepada manusia. Ini mengajar kita bahawa kita perlu menyampaikan ajaran daripada Al-Qur’an kepada manusia. Inilah ajaran pertama yang harus disampaikan kepada manusia. namun begitu kalau kita lihat, jarang masyarakat Islam kita belajar tafsir Al-Qur’an, bukan?

 

وَيُنذِرُونَكُمْ لِقَاءَ يَوْمِكُمْ هَٰذَا

dan memberi peringatan kepadamu terhadap pertemuanmu dengan hari ini?

Perkara utama yang perlu disampaikan adalah tentang Hari Kiamat dan Akhirat kepada manusia kerana pengetahuan ini amat-amat penting untuk disematkan dalam hati dan akal manusia.

Ayat ini mengajar kepada kita kepentingan untuk memberi peringatan kepada manusia yang lain kerana manusia ini kalau tidak diberi peringatan, mereka akan menjurus kepada melakukan dosa dan syirik. Walaupun masih ada lagi penyebar-penyebar tauhid dalam kalangan kita tetapi lihatlah bagaimana ramai lagi manusia yang melakukan syirik.

Ada banyak tempat dalam negara ini di mana manusia melakukan syirik seperti Tasik Dayang Bunting, Telaga Hang Tuah, Pulau Besar dan lain-lain lagi. Itu semua adalah tempat manusia berbuat syirik tetapi kita semua seperti tidak kisah sahaja. Bayangkan kalau tidak ada langsung penyebar tauhid memberikan peringatan? Tentu di mana-mana sahaja akan ada orang yang melakukan syirik terang-terangan.

Oleh itu janganlah kita hanya belajar tetapi tidak kita sampaikan apa kita belajar itu kepada orang lain. Kalau kita tidak tahu bagaimana untuk bercakap dengan manusia kerana kita tidak pandai lagi, sekurang-kurangnya kita bawa mereka maklumat-maklumat yang baik.

Sebaiknya kita ajak mereka pergi ke tempat pengajian kita. Sebagai contoh, bukankah senang sahaja untuk kita sampaikan tulisan ini kepada orang lain? Dan susah sangatkah kalau kita hendak mengajak orang lain ke kelas pengajian kita?

 

قَالُوا شَهِدْنَا عَلَىٰ أَنفُسِنَا

Mereka berkata: “Kami menjadi saksi atas diri kami sendiri”,

Inilah jawapan mereka apabila ditanya kepada mereka tidakkah ada penyebar tauhid yang sampai kepada mereka? Mereka mengaku bahawa memang telah sampai kepada mereka rasul atau penyebar tauhid.

Mereka akan menjadi saksi ke atas diri mereka sendiri. Ini kerana kalau manusia yang beriman, Nabi mereka yang jadi saksi. Namun oleh kerana mereka dalam ayat ini adalah tentang mereka yang tidak beriman, maka mereka terpaksa menjadi saksi kepada diri mereka sendiri. Mereka ini tidak ada saksi kerana syaitan dan iblis pun tidak mahu menjadi saksi untuk mereka.

Dari sini kita dapat tahu bahawa di akhirat kelak, manusia-manusia dan jin-jin yang telah melakukan syirik dan bersekongkol bersama mereka akan mengaku di hadapan Allah ‎ﷻ. Mereka tidak boleh menipu lagi pada waktu itu. Mereka tidak ada alasan lagi kerana mereka sedar bahawa semasa mereka di dunia, mereka telah mendapat peringatan dan ancaman daripada penyebar tauhid. Mereka sahaja yang tidak mahu dengar. Maka mereka tidak ada alasan lagi dan terpaksa mengaku.

Kejadian Inilah juga yang terdapat di dalam ayat Mulk: 8-9

تَكَادُ تَمَيَّزُ مِنَ الْغَيْظِ كُلَّمَا أُلْقِيَ فِيهَا فَوْجٌ سَأَلَهُمْ خَزَنَتُهَا أَلَمْ يَأْتِكُمْ نَذِيرٌ

hampir-hampir (neraka) itu terpecah-pecah lantaran marah. Setiap kali dilemparkan ke dalamnya sekumpulan (orang-orang kafir), penjaga-penjaga (neraka itu) bertanya kepada mereka: “Apakah belum pernah datang kepada kamu (di dunia) seorang pemberi peringatan?”

قَالُوا بَلَىٰ قَدْ جَاءَنَا نَذِيرٌ فَكَذَّبْنَا وَقُلْنَا مَا نَزَّلَ اللَّهُ مِن شَيْءٍ إِنْ أَنتُمْ إِلَّا فِي ضَلَالٍ كَبِيرٍ

Mereka menjawab: “Benar ada”, sesungguhnya telah datang kepada kami seorang pemberi peringatan, maka kami mendustakan(nya) dan kami katakan: “Allah tidak menurunkan sesuatu pun; kamu tidak lain hanyalah di dalam kesesatan yang besar”.

Ini bermakna mereka bukan saja mengaku bahawa mereka telah diberikan peringatan oleh penyebar tauhid, tetapi mereka juga mengaku tentang apa yang mereka katakan kepada pendakwah-pendakwah itu.

 

وَغَرَّتْهُمُ ٱلحَيَوٰةُ الدُّنْيَا

dan kehidupan dunia telah menipu mereka,

Telah datang peringatan kepada mereka, akan tetapi mereka telah tertipu dengan dunia, keindahan dunia penipuan dunia yang fana ini. Oleh kerana tertipu, mereka terus melakukan dosa bersekongkol dengan jin itu kerana mereka boleh mendapat ganjaran dunia. Mereka mendapat upah daripada manusia lain, untuk berubat, untuk susahkan orang lain, hantar santau, dan sebagainya, atau mereka mendapat kedudukan yang tinggi. Mereka sangka dunia ini penting sangat dan dunia inilah segala-galanya. Mereka telah ditipu oleh dunia.

Ini memberi tahu kepada kita bahawa salah satu sebab manusia menolak ajaran tauhid dan ajaran Rasul adalah kerana mereka mementingkan kehidupan dunia ini. Mereka telah tertipu dengan keindahan dunia ini. Mereka terlalu sayang dengan dunia ini sampai mereka tidak menghiraukan nasib mereka di akhirat kelak. Ini adalah kerana akhirat itu ghaib, tidak dapat dilihat sekarang, sementara dunia pula ada di depan mata mereka.

Maka ini juga mengajar kepada kita, penipuan daripada jin adalah tentang dunia. Jin tidak mengajar dan mengajak kepada akhirat, akan tetapi jin menipu manusia dalam hal keduniaan.

 

وَشَہِدُواْ عَلَىٰٓ أَنفُسِہِم أَنَّهُم كَانُواْ ڪَـٰفِرِينَ

dan mereka menjadi saksi atas diri mereka sendiri, bahawa mereka adalah orang-orang yang ingkar.

Mereka mengaku bersalah namun sudah tidak berguna pun kesaksian mereka pada waktu itu. Penyesalan hanya berguna semasa masih hidup di dunia.

Mereka sendiri mengaku yang mereka ingkar dengan ajakan tauhid daripada penyebar tauhid itu. Mereka tidak menerima ajakan kepada akidah yang benar.

Timbul persoalan di sini kerana ada juga ayat-ayat lain yang menyebut orang kafir musyrik berhujah yang mereka tidak buat syirik, tidak kufur. Maka, bagaimana dalam ayat ini mereka mengaku pula? Penjelasan: Memang pada peringkat awal mereka tidak mengaku. Akan tetapi setelah dibawakan saksi dan hujah ke atas mereka, maka mereka tidak ada alasan lain lagi melainkan terpaksa mengaku.


 

An’am Ayat 131:

ذٰلِكَ أَن لَّم يَكُن رَّبُّكَ مُهلِكَ ٱلقُرَىٰ بِظُلمٍ وَأَهلُهَا غَـٰفِلُونَ

Sahih International

That is because your Lord would not destroy the cities for wrongdoing while their people were unaware.

Malay

Yang demikian (kedatangan Rasul-rasul itu ialah), kerana Tuhanmu tidak membinasakan negeri-negeri secara zalim sedang penduduknya leka lalai.

 

ذَٰلِكَ أَن لَّمْ يَكُن رَّبُّكَ مُهْلِكَ الْقُرَىٰ بِظُلْمٍ

Yang demikian itu adalah kerana Tuhanmu tidaklah membinasakan kota-kota secara aniaya,

Perkataan الْقُرَىٰ berasal daripada ق ر ي yang bermaksud sekumpulan manusia yang duduk di sesuatu tempat – populasi. Digunakan juga dalam bahasa kita sebagai ‘kariah’.

Tidaklah Allah ‎ﷻ bersifat zalim kepada makhluk-Nya. Allah ‎ﷻ tidak menghukum dan memberikan azab kehancuran itu kepada sesuatu kaum kerana Allah ‎ﷻ zalim. Allah‎ ﷻ tidak pernah zalim dan tidak akan zalim.

 

وَأَهْلُهَا غٰفِلُونَ

sedang penduduknya dalam keadaan lalai.

Lalai itu maksudnya tidak diberikan ilmu agama. Allah ‎ﷻ tidak mengazab kaum melainkan telah diberikan dengan penyeru tauhid kepada mereka. Jika Allah ‎ﷻ menghukum sesuatu kaum itu tanpa diberikan dengan penyeru tauhid dan ajaran daripada wahyu, maka itu adalah zalim. Dan Allah ‎ﷻ tidak zalim. Telah sampai ajaran wahyu kepada mereka, cuma mereka sahaja yang tidak ambil peduli.

Allah ‎ﷻ akan sentiasa memberi peringatan kepada manusia. Lihatlah ayat Fathir:24

إِنَّا أَرْسَلْنَاكَ بِالْحَقِّ بَشِيرًا وَنَذِيرًا وَإِن مِّنْ أُمَّةٍ إِلَّا خَلَا فِيهَا نَذِيرٌ

Sesungguhnya Kami mengutus kamu dengan membawa kebenaran sebagai pembawa berita gembira dan sebagai pemberi peringatan. Dan tidak ada suatu umat pun melainkan telah ada padanya seorang pemberi peringatan.

Hanya apabila manusia ingkar dengan peringatan itu maka layaklah untuk Allah ‎ﷻ menghukum mereka.

Ayat ini lebih kurang sama dengan ayat Isra: 15

مَّنِ اهْتَدَىٰ فَإِنَّمَا يَهْتَدِي لِنَفْسِهِ وَمَن ضَلَّ فَإِنَّمَا يَضِلُّ عَلَيْهَا وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَىٰ وَمَا كُنَّا مُعَذِّبِينَ حَتَّىٰ نَبْعَثَ رَسُولًا

Barangsiapa yang berbuat sesuai dengan hidayah (Allah), maka sesungguhnya dia berbuat itu untuk (keselamatan) dirinya sendiri; dan barangsiapa yang sesat maka sesungguhnya dia tersesat bagi (kerugian) dirinya sendiri. Dan seorang yang berdosa tidak dapat memikul dosa orang lain, dan Kami tidak akan mengazab sebelum Kami mengutus seorang rasul.

Ayat ini mempunyai dua maksud:

Maksud yang pertama: Allah ‎ﷻ tidak berlaku zalim dengan menghukum makhluk tanpa diberikan dengan peringatan kepada mereka. Ini bermaksud perkataan zalim itu dinisbahkan kepada Allah ‎ﷻ iaitu Allah ‎ﷻ tidak zalim.

Maksud yang kedua: perkataan ‘zalim’ itu dinisbahkan kepada makhluk. iaitu Allah ‎ﷻ tidak menghukum sesuatu kaum yang melakukan zalim tanpa mereka ketahui bahawa perbuatan mereka itu adalah perbuatan yang zalim. Ini bermakna Allah ‎ﷻ hanya menghukum mereka yang berlaku zalim setelah mereka memang tahu bahawa perbuatan mereka itu zalim.

Oleh itu Allah ‎ﷻ akan memberikan pengajaran kepada mereka bahawa apa yang mereka lakukan itu adalah satu kezaliman. Sebab itu Allah ‎ﷻ menurunkan pemberi peringatan kepada setiap kaum.


 

An’am Ayat 132:

وَلِڪُلٍّ دَرَجَـٰتٌ مِّمَّا عَمِلُواْ‌ۚ وَمَا رَبُّكَ بِغَـٰفِلٍ عَمَّا يَعمَلُونَ

Sahih International

And for all are degrees from what they have done. And your Lord is not unaware of what they do.

Malay

Dan bagi tiap-tiap seorang (dari manusia atau jin), beberapa darjat (tingkatan balasan) disebabkan (amal baik atau jahat) yang mereka telah kerjakan; dan (ingatlah) Tuhanmu tiadalah lalai dari apa yang mereka lakukan.

 

وَلِكُلٍّ دَرَجٰتٌ مِّمَّا عَمِلُوا

Dan masing-masing memperoleh darjat-darjat daripada apa yang dikerjakannya.

Kalimah  لِكُلٍّ (kepada setiap) itu walaupun bermaksud ‘semua sekali’ dari segi bahasa, tetapi dalam ayat ini, ia bermaksud ‘setiap jin dan manusia’. Kenapa hanya jin dan manusia sahaja? Kerana manusia dan jin telah dipertanggungjawabkan dengan syari’at yang mesti mereka ikuti. Jin dan manusia akan ditanya nanti di akhirat kelak tentang segala perbuatan mereka semasa mereka di dunia. Adakah mereka beramal yang benar atau tidak?

Ayat ini memberitahu kita bahawa setiap manusia dan jin akan diberikan dengan kedudukan masing-masing berdasarkan kepada amalan mereka. Ia akan menentukan sama ada mereka tinggal di Syurga atau di Neraka. Jikalau semasa mereka di dunia, banyak amalan baik yang mereka lakukan, maka mereka akan mendapat kedudukan yang tinggi di Syurga kelak. Jikalau semasa mereka di dunia terdapat banyak perbuatan dosa yang mereka lakukan, maka mereka akan mendapat kedudukan yang hina semasa di Neraka kelak.

Semuanya ada darjat atau kedudukan masing-masing. Dan darjat-darjat itu ada banyak tingkatan. Kalau dalam neraka, kedudukan mereka tidak sama, ada yang lagi teruk daripada yang lain. Setiap kali melakukan perbuatan syirik, sama ada orang itu Islam ataupun orang kafir, mereka akan menambah keburukan yang mereka akan dapat di Neraka nanti.

Sebagai contoh, ada orang kafir yang menyembah berhala sekali sahaja, tetapi selepas itu mereka buat tidak kisah dengan agama mereka, maka dia akan duduk di Neraka tapi tidaklah seteruk kalau dibandingkan dengan orang lain yang setiap hari menyembah berhala bertahun-tahun lamanya.

Sama juga dengan orang Islam yang mengamalkan amalan syirik. Ada yang menjadi guru dan mengajar kepada orang lain maka mereka akan mendapat keburukan yang bertimpa-timpa. Yang mengajar amalan syirik itu tidak sama dengan yang mengamalkannya kerana yang mengajar akan mendapat tambahan dosa yang bertimpa-timpa disebabkan ramai pula yang mengajar kemudian daripada ajarannya itu.

Begitu juga kedudukan ahli syurga di akhirat nanti, tidaklah sama semuanya. Ada yang mempunyai kedudukan yang lebih tinggi daripada orang lain walaupun mereka semuanya sudah di dalam syurga. Lihatlah ayat Isra: 21

انظُرْ كَيْفَ فَضَّلْنَا بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ وَلَلْآخِرَةُ أَكْبَرُ دَرَجَاتٍ وَأَكْبَرُ تَفْضِيلًا

Perhatikanlah bagaimana Kami lebihkan sebahagian daripada mereka atas sebahagian (yang lain). Dan pasti kehidupan akhirat lebih tinggi tingkatnya dan lebih besar keutamaannya.

Ayat ini memberitahu kepada kita, bahawa dalam dunia ini pun sudah ada tingkatan antara manusia. Ada yang lagi tinggi daripada yang lain. Ada yang lebih pandai, lebih kaya, lebih kuat dan sebagainya. Namun darjat di syurga nanti akan lebih lagi kerana perbezaan darjat di dunia tidak kekal, namun sebaliknya di syurga kelak.

Tambahan lagi, perbezaan di dunia tidaklah besar sangat sebenarnya kerana manusia sama sahaja sebenarnya, semuanya kena makan, kena tidur dan sebagainya tetapi perbezaan darjat di syurga nanti amatlah besar.

Dalam ayat Surah al-An’am ini, perkataan مِّمَّا عَمِلُوا (daripada apa yang mereka amalkan) mengingatkan kepada kita bahawa kita perlu berusaha beramal untuk mendapatkan darjat yang tinggi di akhirat kelak. Seperti juga kita perlu berusaha semasa kita di dunia untuk mendapatkan kedudukan di dunia, maka begitulah juga kita perlu beramal dengan amalan yang soleh yang banyak untuk mendapatkan kedudukan yang tinggi di akhirat.

Sebagai contoh, kalau kita hendak menjadi doktor, maka hendaklah kita belajar bersungguh-sungguh. Kalau hendak mendapat kedudukan di Syurga Firdaus, maka hendaklah kita beramal dengan amalan ahli Syurga Firdaus.

Ini menunjukkan keadilan Allah ‎ﷻ di mana Allah ‎ﷻ membalas manusia berdasarkan kepada ‘usaha’ mereka. Dan Allah ‎ﷻ tidak memberi hukuman kepada manusia melainkan apa yang mereka lakukan sahaja.

Oleh itu, kalau di dalam dunia kita berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan kedudukan yang tinggi, mendapat gaji yang besar, rumah yang indah, kenapa kita tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan kedudukan yang tinggi di akhirat? Bukankah kedudukan di akhirat nanti lebih penting kerana kita tidak tetap di dunia, tetapi kita akan kekal di akhirat.

Oleh itu, tingkatkanlah usaha dan amalan kita dalam dunia ini untuk mendapatkan balasan akhirat. Sebagai contoh, di dalam salat kita bacalah surah-surah yang panjang sedikit dan janganlah hanya membaca surah-surah yang pendek sahaja.

 

وَمَا رَبُّكَ بِغٰفِلٍ عَمَّا يَعْمَلُونَ

Dan Tuhanmu tidak lengah daripada apa yang mereka kerjakan.

Manusia lalai leka, akan tetapi Allah ‎ﷻ tidak sekali-kali lalai leka. Allah ‎ﷻ maha tahu tentang apa yang kita lakukan maka sebab itulah Allah ‎ﷻ layak untuk memberikan kedudukan darjat yang sesuai dengan amalan kita. Kalau dibandingkan dengan kehidupan di dunia, tentulah tidak sama.

Sebagai contoh, katakanlah kita ada seorang pekerja yang amat rajin. Kadang-kadang kita tidak tahu apa yang dia buat kerana perbuatannya itu bukan di hadapan kita, maka kita tidak dapat memberikan balasan yang setimpal. Kalau pun dia berada di hadapan kita, kita tidak mempunyai pengetahuan yang lengkap untuk membalasnya dengan balasan yang setimpal.

Contohnya, kita mungkin nampak dia buat kerja dengan rajin, tetapi kita tidak tahu sama ada pekerjaan yang dilakukan itu akan membawa hasil ataupun tidak kerana pengetahuan kita amatlah terhad. Tetapi Allah ‎ﷻ maha mengetahui segala-galanya, maka apa sahaja kedudukan yang Allah ‎ﷻ berikan kepada makhluk-Nya di akhirat nanti adalah apa yang layak untuk dia dapat.

Maksud ‘Allah tidak lengah’ juga bermakna, tidaklah Allah ‎ﷻ sibuk sangat, sampai Allah ‎ﷻ leka dan lalai daripada apa sahaja perbuatan yang manusia dan jin lakukan. Dalam ayat Kursi telah disebut bagaimana walaupun Allah ‎ﷻ mengurus alam ini semuanya, tetapi Allah ‎ﷻ tidak lelah dalam mengurusnya. Allah ‎ﷻ tahu semuanya tentang setiap perkara yang berlaku dalam alam ini termasuklah apa yang jin dan manusia lakukan.

Maksud Allah ‎ﷻ memberitahu bahawa Dia tidak leka adalah untuk beritahu kita bahawa semua perbuatan kita akan dibalas. Perbuatan baik akan dibalas baik dan perbuatan jahat akan dibalas dengan buruk. Ini menolak fahaman Musyrikin Mekah yang tidak dapat menerima yang Allah ‎ﷻ tahu segala-gala apa yang mereka lakukan.

Ayat ini juga memberi tahu kepada kita bahawa Allah ‎ﷻ membalas ‘usaha’ yang kita telah lakukan. Balasan Allah ‎ﷻ tidak sama seperti balasan yang kita dapat di dunia. Sebagai contoh, kadang-kadang kita telah berusaha bersungguh-sungguh di dunia, tetapi hasil yang kita dapat tidak setimpal dengan usaha kita.

Sebagai contoh, mungkin kita berusaha dengan membaca dan mengulang kaji pelajaran untuk menghadapi peperiksaan. Namun malangnya, mungkin semasa peperiksaan kita tidak dapat menjawab dengan baik. Dan kerana itu, kita akan mendapat markah yang rendah. Ini adalah kerana tukang periksa peperiksaan hanya memberi markah berdasarkan kepada apa yang kita jawab. Dia tidak tahu apakah usaha yang banyak yang telah kita lakukan.

Namun Allah ‎ﷻ yang Maha Tahu tahu apa usaha yang kita telah lakukan dan Allah ‎ﷻ akan membalas berdasarkan kepada usaha itu dan tidak semestinya berdasarkan kepada kejayaan semata-mata.

Sebagai contoh, mungkin kita telah melakukan banyak usaha dakwah tetapi tidak ramai yang mengikuti dan menerima ajakan kita. Walaupun tidak ramai yang ikut kita, tetapi Allah ‎ﷻ akan membalas dan memberi pahala kepada kita berdasarkan usaha dakwah kita itu. Inilah salah satu daripada rahmat Allah ‎ﷻ.

 

Allahu a’lam. Sambung kepada ayat yang seterusnya

Kemaskini: 2 April 2022


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Maariful Qur’an

Tafsir Surah al-An’am Ayat 128 – 129 (Minta tolong jin)

An’am Ayat 128: Sekarang kita lihat salah satu daripada kesesatan masyarakat Arab dahulu. Mereka takut dengan jin dan mereka bimbang jika tidak ada hubungan baik dengan jin, maka jin boleh memudaratkan mereka. Daripada syair-syair Arab Jahiliyah ada banyak menyebut tentang salahfaham mereka tentang jin ini.

Mereka terlalu percayakan kelebihan jin sehngga mereka sanggup mengadakan upacara tertentu dengan jin. Dan kalau mereka pergi ke tempat yang baru mereka sampai, mereka akan minta pertolongan kepada jin tempat itu. Mereka ini telah memuja jin dan perkara ini perlu diperbetulkan maka Allah ‎ﷻ menegur tentang perkara ini. Oleh itu, ini adalah ayat jenis Takhwif Ukhrawi.

وَيَومَ يَحشُرُهُم جَمِيعًا يَـٰمَعشَرَ ٱلجِنِّ قَدِ ٱستَكثَرتُم مِّنَ ٱلإِنسِ‌ۖ وَقَالَ أَولِيَآؤُهُم مِّنَ ٱلإِنسِ رَبَّنَا ٱستَمتَعَ بَعضُنَا بِبَعضٍ وَبَلَغنَآ أَجَلَنَا ٱلَّذِىٓ أَجَّلتَ لَنَا‌ۚ قَالَ ٱلنَّارُ مَثوَٮٰكُم خَـٰلِدِينَ فِيهَآ إِلَّا مَا شَآءَ ٱللَّهُ‌ۗ إِنَّ رَبَّكَ حَكِيمٌ عَلِيمٌ

Sahih International

And [mention, O Muhammad], the Day when He will gather them together [and say], “O company of jinn, you have [misled] many of mankind.” And their allies among mankind will say, “Our Lord, some of us made use of others, and we have [now] reached our term, which you appointed for us.” He will say, “The Fire is your residence, wherein you will abide eternally, except for what Allah wills. Indeed, your Lord is Wise and Knowing.”

Malay

Dan (ingatlah) hari (kiamat yang padanya) Allah akan himpunkan mereka semua, (lalu berfirman): “Wahai sekalian jin (Syaitan-syaitan)! Sesungguhnya kamu telah banyak pengikut-pengikut dari manusia”. Dan berkatalah pula pengikut-pengikut mereka dari golongan manusia: “Wahai Tuhan kami, sebahagian kami (manusia) telah bersenang-senang (mendapat kemudahan) dengan sebahagian yang lain (Syaitan-syaitan), dan kami telah sampailah kepada masa kami (hari kiamat) yang Engkau telah tentukan bagi kami”. (Allah berfirman): “Nerakalah tempat kediaman kamu, kekal kamu di dalamnya, kecuali apa yang dikehendaki Allah”. Sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad) Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui.

وَيَوْمَ يَحْشُرُهُمْ جَمِيعًا

Dan (ingatlah) hari di waktu Allah menghimpunkan mereka semuanya

Sekarang Allah ‎ﷻ menceritakan keadaan di akhirat kelak iaitu keadaan di Mahsyar. Waktu itu, semua sekali makhluk dikumpulkan di hadapan Allah ‎ﷻ. Tidak ada yang tertinggal, sama ada makhluk itu beriman ataupun tidak. Ini adalah kerana perkataan جَمِيعًا digunakan dalam ayat ini, yang bermaksud ‘semua sekali’.

يَا مَعْشَرَ الْجِنِّ

(dan Allah berfirman): “Hai golongan jin,

Lihatlah, tadi dikatakan Allah ‎ﷻ mengumpulkan semua makhluk, tetapi sekarang disebut Allah ‎ﷻ bercakap dengan golongan jin sahaja. Lebih tepat lagi, bukan hanya golongan jin sahaja, tetapi maksud مَعْشَرَ الْجِنِّ adalah jin dan mereka yang bersekongkol dengan jin. Itulah mereka yang berkawan dengan jin, meminta pertolongan dengan jin, berlindung dengan jin dan sebagainya.

Perkataan مَعْشَرَ itu berasal daripada katadasar ع ش ر yang bermaksud ‘sepuluh’. Ia adalah nombor yang besar, yang banyak. Maka, perkataan مَعْشَرَ bermaksud ‘kumpulan yang ramai’. Tetapi tidaklah ahli kumpulan itu hanya sepuluh sahaja. Ia telah menjadi maksud sekumpulan makhluk yang ramai.

Bukanlah semua jin yang akan dimarahi dalam situasi ini kerana ada juga jin Islam yang baik-baik dan tidak campur urusan manusia. Jin yang disebut di dalam ayat ini adalah jin yang berperangai syaitan.

Dalam ayat ini kata-kata Allah ‎ﷻ adalah dalam bentuk kutukan, marah dan hendak ajar kita kesalahan yang mereka lakukan semasa di dunia.  Kenapa Allah ‎ﷻ fokus kepada mereka sahaja? Kerana mereka ada buat salah yang amat besar. Apakah kesalahan mereka itu?

قَدِ اسْتَكْثَرْتُم مِّنَ الْإِنسِ

sesungguhnya kamu telah banyak menyesatkan manusia”,

Jin-jin yang jahat telah banyak menyesatkan manusia dan pada hari akhirat itu mereka akan membawa bersama mereka golongan-golongan manusia yang telah diperdayakan itu. Mereka telah berjaya menangkap ramai golongan manusia untuk ikut sesat seperti mereka. Mereka ajar fahaman sesat, amalan dan wirid-wirid sesat sehinggalah mereka semuanya dimasukkan ke dalam neraka. Dan sekarang mereka dikumpulkan bersama untuk menerima nasib yang sama.

Memang bahaya mengamalkan wirid ajaran jin ini sampaikan jika sudah sebati dalam diri, boleh jadi gila. Sebab itu ada yang gila dan ada yang sakit dan ia memang susah diubati. Memang tunggu mati sahaja sebab sudah tidak boleh buat apa-apa lagi. Sebab itu janganlah dibuat dari awal lagi.

Ada dua makna yang kita boleh faham daripada perkataan اسْتَكْثَرْتُم itu. Perkataan itu berasal daripada katadasar ك ث ر yang bermaksud ‘banyak’. Pertama, ini bermaksud telah banyak golongan manusia yang disesatkan oleh jin itu.

Keduanya, ia bermaksud yang golongan jin itu telah melakukan banyak perkara untuk menyesatkan manusia. Macam-macam cara yang telah mereka gunakan dan ramai manusia telah tertipu dan terpedaya mengikuti golongan jin itu.

Cara syaitan menyesatkan manusia adalah dengan memberi ajaran yang salah kepada tok-tok guru dan kemudian guru-guru itu akan menyampaikan ajaran salah itu kepada anak murid mereka. Anak murid itu pula akan menyampaikan kepada orang lain pula. Cara mereka mengajar itu adalah dengan memberi bisikan ilham kepada golongan guru itu, atau mereka akan bisikkan terus ke telinga tok guru itu.

Atau dengan cara merasuk orang lain dan bercakap terus kepada manusia (melalui mulut orang yang dirasuk itu). Dia akan ajar itu dan ini dan beritahu ajaran-ajaran yang salah. Ini kita boleh lihat bagaimana perawat-perawat yang konon ‘Perawat Islam’ bercakap-cakap dengan jin. Hidup-hidup mereka telah ditipu oleh jin sehinggakan jin kata wahabi sesat pun ada golongan jahil yang percaya.

Telah ramai yang menceritakan bagaimana mereka dengar dengan nyata bisikan jin itu di telinga mereka. Mereka dengar-dengar sahaja tetapi tidaklah jelas seperti manusia yang bisik pula. Kalau tok guru itu tidak belajar ajaran tauhid, mereka akan kata yang berbisik kepada mereka itu adalah ‘wali Allah’. Mereka pun terlonjak suka kerana mereka sangka maqam mereka sudah tinggi sampai wali sendiri berbisik ke telinga mereka. Ini kerana yang datang kepada mereka itu datang berupa pakaian orang alim, pakai jubah serban dan sebagainya.

Padahal, yang datang itu sebenarnya jin yang mengelabui mata orang itu. Orang itu, selalunya jenis yang kuat beribadat. Ini kerana mereka diajar untuk berbuat banyak ibadat, tetapi mereka tidak disuruh untuk menuntut ilmu dengan banyak. Ibadat yang mereka amalkan pun selalunya adalah amalan-amalan bid’ah.

Ini adalah salah faham yang besar dalam kalangan masyarakat kita. Mereka sangka, dengan beramal banyak, (selalunya yang diamalkan adalah zikir-zikir ajaran daripada guru mereka), mereka akan mendapat ilmu, selamat di akhirat dan sebagainya. Namun, yang sebenarnya, orang yang banyak ibadat tanpa ilmu itu adalah yang senang ditipu.

Maka ini adalah amat bahaya sekali. Kerana itulah kita tekankan kepentingan ilmu dalam beramal. Jangan hanya amal sahaja apa-apa yang diberi. Oleh itu, hendaklah diajar masyarakat kita tentang hal ini, sebagaimana para sahabat yang dahulunya duduk dalam jahiliyah dan mengamalkan berbagai ajaran karut, mereka tinggalkannya setelah masuk Islam. Kita pula terbalik, sudah lahir-lahir dalam Islam pun, ada lagi hendak mengamalkan ajaran karut marut daripada jin.

Satu cara lagi adalah di mana syaitan akan mencari sesiapa yang ada kualiti tertentu dan akan diajarkan kepadanya amalan sesat kepada orang itu melalui mimpi. Itulah sebabnya ramai orang yang tiba-tiba daripada orang biasa tiba-tiba boleh menjadi ‘alim’ katanya. Malah ada yang menjadi bomoh dan boleh mengubat orang. Padahal kita pun tahu daripada mudanya dia tidak belajar agama dan tidak belajar bagaimana untuk mengubat orang. Kalau tidak percaya, tanyalah mereka bagaimana mereka boleh mengubat, boleh mengurut dan sebagainya. Mereka akan jawab mereka dapat daripada mimpi.

Kalau kita tanya kepada mereka siapakah yang datang dalam mimpi itu mereka akan jawab yang datang itu adalah ‘wali’. Dan kalau kita tanya siapakah nama wali itu, mereka pun tidak dapat jawab. Yang sebenarnya, yang datang dalam mimpi itu adalah jin.

Ataupun, ayat ini bermakna syaitan akan mencantikkan perbuatan-perbuatan dosa kepada manusia sampaikan manusia suka untuk berbuat dosa itu. Jin itu akan mengelabui mata orang itu. Maka ada orang yang tidak nampak pun kesalahan dosa bid’ah yang dilakukan. Mereka boleh bagi alasan kenapa perbuatan mereka itu tidak salah. Sebagai contoh, seorang penyanyi yang menggunakan kebolehan menyanyi itu untuk mencari rezeki.

Ataupun, syaitan akan mencantikkan kehidupan dunia kepada manusia sampaikan manusia leka untuk berbuat amal persediaan untuk akhirat, dek kerana leka dengan kesenangan dan keindahan dunia.

Malah banyak lagi cara dan helah yang digunakan oleh syaitan untuk menipu manusia. Ini boleh dipelajari dalam kitab Talbis Iblis. Jin itu adalah makhluk yang hidup lama, maka banyak perkara mereka tahu. Mereka boleh nampak kita, kita sahaja yang tidak nampak mereka. Oleh sebab itu, mereka dapat mengkaji kehidupan kita. Dan mereka tahu manakah titik kelemahan kita, maka mudah untuk mereka masuk menyesatkan kita.

Mereka tahu bab mana yang kita lemah dan senang ditipu dan diheret ke arah kehinaan. Maka, kita kena tahu bagaimana cara Iblis dan syaitan bekerja supaya kita dapat mengelakkan diri daripada terus ditipu oleh mereka.  Ini kerana cara mereka itu amat licik. Orang yang baik pun boleh tertipu dengan mereka.

Yang mereka sesatkan adalah manusia. Kalimah الْإِنسِ merujuk kepada manusia secara keseluruhan. Akan tetapi kalau perasan, bukan الْإِنسِ sahaja yang digunakan untuk merujuk kepada manusia. Kalau kalimah الْإِنسِ yang digunakan, Al-Qur’an hendak merujuk kepada perbincangan aspek sosial manusia. Kalau kalimah بَني ءآدَمَ yang digunakan, seperti di dalam A’raf:172, perbincangan adalah berkenaan aspek sejarah.

وَإِذ أَخَذَ رَبُّكَ مِن بَني ءآدَمَ مِن ظُهورِهِم ذُرِّيَّتَهُم

Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka,

Dan jikalau kalimah yang digunakan adalah بَشَرٌ seperti di dalam Ali Imran:47, kandungan perbincangan adalah mengenai aspek semulajadi dan fizikal manusia.

قالَت رَبِّ أَنّىٰ يَكونُ لي وَلَدٌ وَلَم يَمسَسني بَشَرٌ

Maryam berkata:” Wahai Tuhanku! Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak, padahal aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun?”

وَقَالَ أَوْلِيَاؤُهُم مِّنَ الْإِنسِ

lalu berkatalah kawan-kawan rapat mereka daripada golongan manusia:

Allah ‎ﷻ bercakap kepada jin tetapi kenapa manusia pula yang jawab? Kerana ayat-ayat ini hendak mengajar golongan manusia. Maka tidak perlu jawapan daripada jin. Allah‎ ﷻ sebut tentang perbuatan manusia yang salah faham tentang jin yang mengambil manfaat daripada golongan jin itu. Pendapat daripada penulis kitab Ruh al Ma’ani pula mengatakan mereka itu hilang punca untuk menjawab, maka mereka senyap sahaja.

Golongan manusia yang dimaksudkan itu adalah tok-tok guru, dukun, bomoh, pawang, guru silat dan lain-lain lagi termasuk guru-guru syeikh-syeikh tarekat. Tidak kira golongan mana asalkan ada hubungan rapat dengan jin. Mereka itu ramai yang telah disesatkan.

Namun bagaimana pula boleh berkawan dan rapat dengan jin? Jika dengan manusia, kita boleh nampak bagaimana rapatnya mereka dengan duduk sekali dan makan sekali. Tetapi bagaimana rapat dan ada hubungan dengan jin? Caranya adalah dengan mengikut ajaran daripada jin. Tidak perlu duduk dan makan bersama untuk ada hubungan dengan jin.

Mereka menjadi sesat kerana mereka mengamalkan ilmu yang salah yang diajar oleh golongan jin itu. Yang selalu terjadi adalah mereka mengamalkan tawasul. Dalam amalan mereka, selalunya mereka mesti akan bertawasul kepada seseorang. Sebelum mereka membaca zikir mereka, mereka akan bertawasul dahulu. Itulah yang bahayanya, kerana setiap kali mereka bertawasul, mereka mendapat seekor jin. Dalil bagi perkara ini ada dalam ayat Saba: 40.

Kadang-kadang, yang mengamalkan amalan salah itu pun tidak tahu yang mereka sebenarnya memanggil jin. Mereka senang ditipu (kerana tiada ilmu), mereka sangka mereka memanggil malaikat ataupun wali-wali. Namun sebenarnya yang berupa sebagai wali itu adalah jin. Mereka sahaja yang tidak tahu kerana mereka percaya dengan guru mereka yang telah mengajar mereka dahulu.

Guru mereka pun tidak tahu. Semuanya telah ditipu oleh jin. Sebab itu kalau kita beritahu mereka yang mereka telah memanggil dan berkawan dengan jin, mereka tidak mengaku kerana mereka tidak ada niat pun hendak berkawan dengan jin.

Beginilah kalau tidak tahu tentang jin. Ramai masyarakat kita salah faham dan takut sangat dengan jin. Ini kerana dengar-dengar cerita dongeng dan membaca tulisan-tulisan karut seperti novel ‘Bercakap dengan Jin’ tulisan Tamar Jalis itu. Apabila takut dengan jin, maka jin akan mengambil peluang untuk menipu orang itu. Begitu juga kalau sangka jin itu hebat boleh buat itu dan ini, maka dia pun akan ditipu oleh jin. Oleh kerana itulah ramai yang berkawan dan meminta pertolongan dengan jin.

Kita tidak boleh takut dengan jin dan jenis takut sebegini adalah takut yang syirik. Apabila takutlah yang menjadikan mereka meminta pertolongan kepada jin. Bukanlah semua jenis takut itu syirik. Kalau takut dengan orang yang hendak pukul kita, itu biasa sahaja. Tetapi kalau takut kepada jin, ia adalah syirik kerana ia takut kepada satu kuasa yang kita samakan dengan takut kepada Allah ‎ﷻ.

Nanti mereka akan menyesal kerana berkawan dengan jin. Maka, apa mereka kata di akhirat kelak?

رَبَّنَا اسْتَمْتَعَ بَعْضُنَا بِبَعْضٍ

“Ya Tuhan kami, sesungguhnya sebahagian daripada kami telah dapat kesenangan daripada sebahagian (yang lain)

Mereka mengaku yang semasa mereka di dunia, dengan mereka berkawan dengan jin itu, mereka telah dapat macam-macam. Antaranya, mereka sudah boleh tangkap jin. Apabila ada orang kena rasuk, kena kacau, kena sawan dan sebagainya, mereka inilah yang dipanggil untuk mengeluarkan jin itu. Ada yang letak dalam botol, ada yang panah jin, ada yang tempek jin pada dinding, buang jin ke langit ketujuh dan macam-macam lagi.

Mereka jawab begini kerana mereka tidak sangka mereka buat amalan salah. Mereka rasa mereka tidaklah derhaka kepada Allah ‎ﷻ. Mereka pun mendapat kebaikan mereka kata. Ini sama dengan kata-kata orang kita yang mengamalkan bid’ah dalam agama: ‘Benda baik, apa salahnya?’

Mereka kata mereka dapat manfaat. Kalau dengan Arab Jahiliyah itu, apabila mereka mengamalkan seruan tertentu, maka mereka percaya yang mereka telah selamat daripada diganggu. Mereka kata mereka selamat duduk di padang pasir sebab sudah merayu kepada ketua jin tempat itu supaya halang anak buahnya membuat kacau kepada mereka.

Mereka sangka mereka dapat buat begitu, padahal mereka bukan pun tahu sama ada mereka benar-benar tangkap jin itu kerana jin itu makhluk yang ghaib. Jin yang sudah merasuk kepada orang yang kena rasuk itu, pandailah dia buat-buat bunyi mengerang dan sebagainya.

Amalan-amalan itu adalah amalan yang salah. Macam-macam kesalahan yang mereka telah lakukan semasa melakukan amalan buang jin itu. Terlalu banyak untuk kita tuliskan di sini. Ia adalah satu penulisan khas pula tentangnya. Apabila kita tegur, mereka pula yang marah kita. Mereka kata kononnya kita yang tidak tahu. Mereka kata amalan mereka itu ada dalam ‘kitab’. Memang ada, teapi bolehkah ‘kitab’ itu dipercayai?

Selain daripada itu, mereka mendapat upah yang banyak dengan mereka berkawan dengan jin itu. Antaranya mereka menjadi tukang ‘buang sial’, pulih semangat, buat tangkal pelaris dan sebagainya.

Mereka juga mendapat kedudukan yang tinggi dalam masyarakat kerana kepandaian mereka itu. Mereka ada yang dilantik sebagai pemimpin, mereka dihormati oleh masyarakat kerana masyarakat rasa mereka diperlukan. Mereka berbangga kerana apabila ada masalah dalam masyarakat, mereka akan dipanggil untuk menyelesaikan masalah itu.

Ada juga yang pandai meramal kononnya. Mereka meramal menggunakan maklumat yang dibekalkan oleh jin itu. Dengan jin itulah juga, ramai yang boleh mencari barang atau orang yang hilang. Mereka sangka mereka buat benda yang baik. Mereka tidak tahu bahawa apa yang mereka buat itu adalah sihir. Mereka tidak tahu kerana mereka tidak belajar ilmu wahyu yang benar.

Mereka hanya rajin beramal, tetapi mereka tidak meluangkan masa untuk belajar wahyu. Yang mereka belajar hanyalah amalan-amalan karut itu. Ketahuilah yang untuk belajar sihir, memerlukan jin. Dengan menggunakan jin itulah, ramai yang sihir orang lain. Mereka menyusahkan hidup orang lain menggunakan sihir itu. Oleh kerana itulah, ahli sihir adalah manusia yang paling jahat. Mereka sanggup melakukan perkara yang jahat dan salah.

Ayat ini memberitahu bahawa manusia dan jin bersekongkol dan mereka mendapat kesenangan sesama mereka. Ini bermakna jin pun ada mendapat sesuatu dengan perhubungan mereka dengan manusia. Apakah yang jin dapat? Jin dapat sesatkan manusia. Dapat meramaikan golongan pengikut mereka. Ramailah yang ikut ajaran mereka dan mereka pun suka kalau begitu.

Itulah tujuan mereka. Memang sudah sumpah Iblis hendak menyesatkan manusia. Selain itu, mereka mendapat kebanggaan bila manusia merendahkan diri kepada mereka. Mereka itu sebenarnya hina jika dibandingkan dengan kita manusia, tetapi sukalah jin jika kita sanjung dan minta tolong kepada mereka.

Dalam ayat ini, manusia yang berkata itu mengaku kesalahan yang mereka telah lakukan dan mereka menyesal dengan perbuatan mereka itu. Tetapi, penyesalan waktu itu sudah terlambat. Tidak boleh buat apa-apa lagi.

وَبَلَغْنَا أَجَلَنَا الَّذِي أَجَّلْتَ لَنَا

dan kami telah sampai kepada waktu yang telah Engkau tentukan bagi kami”.

Mereka mengatakan, semasa mereka sedang bergelumang dalam dosa itu, telah sampai ajal mereka yang telah ditetapkan oleh Allah ‎ﷻ. Mereka hendak beritahu yang mereka tidak sempat untuk bertaubat sebab Allah ‎ﷻ sudah matikan mereka.

Sekarang mereka merasa amat menyesal tetapi sudah terlambat. Sekarang baru mereka tahu yang perbuatan mereka itu salah (semasa di dunia jahil tidak tahu). Mereka hendak kata kononnya jika mereka dipanjangkan lagi hidup, tentu mereka sudah bertaubat. Itu adalah alasan dan kata-kata kosong sahaja.

قَالَ ٱلنَّارُ مَثوَٮٰكُم

Allah berfirman: “Neraka itulah tempat diam kamu,

Inilah jawapan daripada Allah ‎ﷻ kepada kata-kata mereka sebelum ini. Walaupun apa yang mereka kata itu, tidak dapat menyelamatkan mereka langsung. Tempat mereka adalah di neraka.

Kalimah مَثوَى dari katadasar ث و ي yang bermaksud menetap di suatu tempat, berhenti, menetap di suatu tempat, menahan sesiapa sahaja (di suatu tempat), penginapan, tempat tinggal, resort, tempat berehat, penghuni. Kalimah مَثوَى bermaksud tempat tinggal generasi demi generasi. Ia adalah tempat tinggal yang diwarisi. Maknanya, tempat tinggal yang lama.

Semasa di dunia ini, ada jin dan manusia yang bersekongkol bersama-sama maka di akhirat nanti mereka akan bersama-sama duduk di dalam neraka. Itulah balasan kepada mereka.

Ayat ini memberitahu kepada kita yang kita tidak boleh menggunakan jin. Jangan berkawan dengan mereka, minta tolong kepada tolong kepada mereka. Lihatlah, balasannya adalah neraka. Langsung tidak boleh menggunakan khidmat mereka, sama ada digunakan untuk kebaikan atau tidak. Sama ada hendak memusnahkan orang lain atau hendak tolong pun.

Menggunakan khidmat jin untuk berubat pun tidak boleh. Guna jin untuk lawan jin pun tidak boleh. Bahasa yang digunakan dalam ayat ini adalah dalam bentuk umum. Tidak disebut untuk keburukan sahaja. Maknanya menggunakan jin adalah satu kesalahan sama ada untuk kebaikan ataupun tidak. Ini penting diberitahu, kerana ramai dalam masyarakat kita yang kata “Apa salahnya pakai jin untuk kebaikan?”.

Dan ada pula ustaz yang kata kononnya dalam Mazhab Syafi’iy boleh ‘bela’ jin. Ini adalah fahaman yang keliru. Memang ada ulama’ yang membincangkan boleh menggunakan khidmat jin (bukan bela jin macam bela anak pula) tetapi itu bukanlah membenarkannya pula. Perbincangannya panjang dan akhirnya memang bukan jin itu untuk dibela dan digunakan.

Bagaimana kita boleh menggunakan jin itu sedangkan jin tu ghaib? Kita tidak tahu mereka itu Islam ataupun tidak (mereka bukannya ada IC untuk kita periksa Muslim atau tidak). Mereka adalah makhluk yang suka dan pandai menipu. Maka jangan terlibat langsung dengan jin. Gunalah cara lain untuk selesaikan masalah kita. Kalau kena rasuk dengan jin pun, ada cara-cara lain yang telah diajar dalam agama untuk menyelesaikannya.

Ketahuilah yang tidak ada hubungan langsung antara jin dan manusia. Kali terakhir adalah semasa zaman Nabi Sulaiman  عليه السلامsahaja. Itu adalah kerana memang Nabi Sulaiman عليه السلام  telah diberikan mukjizat untuk mengawal jin.

خٰلِدِينَ فِيهَا

kamu kekal di dalamnya,

Itulah balasan kepada mereka yang  menggunakan jin – kekal dalam neraka! Adakah berbaloi menggunakan jin dalam dunia dan balasannya kekal dalam neraka?

إِلَّا مَا شَاءَ اللَّهُ

kecuali kalau Allah menghendaki (yang lain)”.

Daripada lafaz ayat ini, seperti membawa maksud bahawa boleh jika Allah ‎ﷻ mahu mengeluarkan mereka dari neraka itu. Tetapi adakah ini yang dimaksudkan dalam ayat ini? Ada berbagai pendapat tentang perkara ini yang dibincangkan oleh mufassir.

Satu pendapat adalah: ‘mungkin’ itu bermaksud keluar daripada api sahaja tetapi masuk tempat lain dalam neraka kerana Neraka itu bukanlah azabnya api sahaja. Ada lagi azab-azab yang lain.

Dan ada pendapat lain yang kata Allah ‎ﷻ tidak berkehendak untuk mengeluarkan mereka dari Neraka pun. Memang Allah ‎ﷻ kata boleh Allah ‎ﷻ hendak keluarkan, tetapi Allah ‎ﷻ tidak berniat untuk mengeluarkan mereka. Ayat pun kata: ‘kalau Allah hendak’ dan jawapannya Allah ‎ﷻ tidak hendak. Sebab dalam potongan ayat selepas ini tidak disebut sifat Allah al-Ghafir (pengampun). Ini memberi isyarat bahawa taubat mereka tidak diterima. Lagi pun Allah ‎ﷻsudah berjanji di dalam ayat yang lain yang Allah ‎ﷻ tidak akan mengampunkan dosa syirik.

إِنَّ رَبَّكَ حَكِيمٌ عَلِيمٌ

Sesungguhnya Tuhanmu Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui.

Oleh kerana tidak digunakan asma’ sifat Allah al-Ghafir, maka ini memberi isyarat kepada kita yang Allah ‎ﷻ tidak menerima taubat mereka. Mereka akan kekal di dalam neraka.

Allah‎ ﷻ hendak memberitahu yang Dia Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui apa yang berlaku. Allah ‎ﷻ tahu isi hati manusia dan apakah akidah mereka. Maka hukuman yang Allah ‎ﷻ berikan kepada mereka di akhirat kelak adalah tepat dan mereka memang patut kena.


An’am Ayat 129: Ini adalah jumlah ta’liliyah, Allah ‎ﷻ beritahu kenapa ada manusia boleh mendapat faedah daripada golongan jin. Allah ‎ﷻ membenarkannya kerana mereka sendiri sudah zalim dan sudah menolak kebenaran.

وَكَذٰلِكَ نُوَلِّى بَعضَ ٱلظَّـٰلِمِينَ بَعضَۢا بِمَا كَانُواْ يَكسِبُونَ

Sahih International

And thus will We make some of the wrongdoers allies of others for what they used to earn.

Malay

Dan demikianlah Kami jadikan sebahagian dari orang-orang yang zalim itu kawan rapat dengan sebahagian yang lain, disebabkan apa yang mereka telah usahakan (dari perbuatan-perbuatan kufur dan maksiat itu).

وَكَذَٰلِكَ نُوَلِّي بَعْضَ الظَّالِمِينَ بَعْضًا

Dan demikianlah Kami jadikan sebahagian orang-orang yang zalim itu menjadi teman bagi sebahagian yang lain

Kalimah وَكَذَٰلِكَ (dan demikian itu) merujuk kepada situasi jin dan manusia yang bersekongkol yang telah disebutkan dalam ayat sebelum ini. Oleh kerana mereka ramai bersekongkol dan bekerjasama antara satu sama lain, maka ramailah yang menjadi teman rapat masing-masing.

Kalimah نُوَلِّي berasal daripada perkataan و ل ي yang ada banyak maksud. Ia boleh membawa maksud perkataan ‘wilayah’ yang bererti ‘kepimpinan’. Ini bermaksud yang zalim menjadikan yang zalim juga sebagai pemimpin mereka. Atau, sesiapa yang berbuat zalim, Allah ‎ﷻ akan meletakkan orang zalim sebagai pemimpin mereka. Ini kerana Allah ‎ﷻ akan berikan pemimpin yang zalim sebagai balasan kepada orang zalim iaitu orang zalim akan diberikan azab dengan azab daripada tangan orang zalim yang lain.

Imam Razi رحمه الله berkata rakyat yang zalim akan diberikan dengan pemerintah yang zalim. Oleh itu, untuk tidak mendapat pemimpin yang zalim, maka rakyat hendaklah berlaku adil. Di dalam kitab Ruh al Ma’ani ada disebut yang ayat ini menjadi dalil yang jika manusia meninggalkan ajaran wahyu, Allah ‎ﷻ akan melantik pemimpin yang zalim ke atas mereka sebagai balasan kepada mereka.

Satu lagi maksud adalah Allah ‎ﷻ memberikan kuasa satu pihak kepada pihak yang lain, iaitu jin menguasai akal fikiran dan menundukkan manusia yang menjadi golongannya. Sebab itu kita boleh lihat ada golongan yang kalau kita beri hujah atau dalil apa sahaja, mereka tetap hendak beramal dengan amalan sesat mereka. Ini kerana syaitan sudah menguasai akal mereka dan hidayah tidak dapat masuk.

Kalimah نُوَلِّي juga boleh bermaksud ‘kawan rapat’. Mereka berkawan dan sentiasa saling membantu sesama mereka. Ini bermaksud, yang zalim akan berkawan dengan yang zalim. Begitulah dalam dunia ini, sifat yang sama akan tertarik sesama sendiri. Maka bertambahlah sifat zalim mereka kerana mereka akan menggalakkan kezaliman sesama sendiri. Kita tentu akan mengikut perangai kawan kita juga.

Satu lagi tafsir adalah manusia dan jin akan dikumpulkan bersama dengan golongan mereka. Waktu di Mahsyar nanti pengumpulan bukanlah berdasarkan kepada bangsa dan negara, tetapi berdasarkan akidah dan amalan. Bagi yang berakidah dan beramalan yang syirik, mereka akan dikumpulkan bersama nanti.

Ada pula golongan yang mengatakan boleh untuk kita menggunakan jin untuk berkhidmat dengan kita kerana kononnya mereka menggunakan dalil sebagaimana Nabi Sulaiman عليه السلام pun ada menggunakan khidmat jin di dalam kerajaan baginda.

Itu adalah hujah yang salah kerana Nabi Sulaiman عليه السلام telah berdoa kepada Allah ‎ﷻ supaya kelebihan yang ada pada baginda itu tidak diberikan kepada orang lain. Ini bermakna kebolehan untuk mengawal jin untuk menjadikan mereka sebagai hamba hanyalah ada pada Nabi Sulaiman عليه السلام sahaja. Sebab itu pada satu hari, apabila seekor jin telah mengganggu Nabi Muhammad ﷺ, baginda telah menangkap jin itu tetapi apabila baginda teringat akan doa Nabi Sulaiman عليه السلام maka baginda telah melepaskan jin itu.

Ini menunjukkan kebolehan untuk menggunakan jin sebagai hamba dan pekerja kita sudah tiada lagi. Ia telah berhenti pada Nabi Sulaiman عليه السلام sahaja. Kalau Nabi Muhammad ﷺ pun tidak menggunakan jin, lalu bagaimana kita boleh kata yang kita boleh mengawal jin?

Dalam Al-Qur’an, perkataan ‘zalim’ selalu digunakan untuk bermaksud ‘syirik’. Oleh itu, ini bermakna, orang yang mengamalkan syirik juga akan mempunyai sahabat dan kawan dalam kalangan yang berbuat syirik juga. Maka, kita kena ajar kepada masyarakat supaya menerima dan mengamalkan tauhid supaya mereka tidak terjerumus dalam keadaan ini. Jangan biarkan mereka terus berkawan dengan orang yang mengamalkan syirik.

بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

disebabkan apa yang mereka usahakan.

Mereka terjerumus dalam keadaan yang teruk ini kerana perbuatan mereka yang salah. Antaranya, mereka mengamalkan ajaran yang salah yang diajar oleh guru-guru mereka. Mereka juga selalu melakukan tawasul dalam doa-doa mereka dan amalan-amalan mereka.

Allah ‎ﷻ membalas perbuatan salah mereka itu dengan diberikan dengan teman rapat yang menjerumuskan mereka semakin dalam ke lembah kehinaan. Maka balasan yang dikenakan kepada mereka itu adalah kerana kesalahan mereka sendiri. Mereka yang salah memilih amalan dan ilmu yang dipelajari.

Habis Ruku’ 15 daripada 20 ruku’ dalam surah ini.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 18 September 2023

Ringkasan Surah An’am


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Maariful Qur’an

Tafsir Surah al-An’am Ayat 125 – 127 (Yang disempitkan dadanya)

ِAn’am Ayat 125:

فَمَن يُرِدِ ٱللَّهُ أَن يَهدِيَهُ ۥ يَشرَح صَدرَهُ ۥ لِلإِسلَـٰمِ‌ۖ وَمَن يُرِد أَن يُضِلَّهُ ۥ يَجعَل صَدرَهُ ۥ ضَيِّقًا حَرَجًا ڪَأَنَّمَا يَصَّعَّدُ فِى ٱلسَّمَآءِ‌ۚ ڪَذٰلِكَ يَجعَلُ ٱللَّهُ ٱلرِّجسَ عَلَى ٱلَّذِينَ لَا يُؤمِنُونَ

Sahih International

So whoever Allah wants to guide – He expands his breast to [contain] Islam; and whoever He wants to misguide – He makes his breast tight and constricted as though he were climbing into the sky. Thus does Allah place defilement upon those who do not believe.

Malay

Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya Dia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam; dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Dia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah dia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya). Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang-orang yang tidak beriman.

 

فَمَن يُرِدِ اللَّهُ أَن يَهْدِيَهُ

Barangsiapa yang Allah menghendaki akan memberikan kepadanya petunjuk,

Hidayah adalah satu perkara yang tidak mungkin untuk kita dapat melainkan dengan keinginan Allah ‎ﷻ. Kita amat berharap semoga kita termasuk dalam golongan mereka yang diberikan hidayah oleh Allah ‎ﷻ. Kalau Allah ‎ﷻ tidak mahu beri hidayah kepada kita, tentulah kita antara mereka yang amat malang sekali.

Hidayah ini bukan boleh diberi dengan kehendak kita. Sebagai contoh, tentu kita sayangkan ahli keluarga kita, dan kita ingin sangat agar mereka mendapat hidayah. Namun, hidayah tidak boleh dipaksa dan diberikan kepada mereka. Kita hanya boleh menyampaikan sahaja ajakan dakwah tauhid ini kepada mereka. Namun begitu, sama ada mereka terima atau tolak, bukanlah kita yang dapat mengawalnya.

Oleh itu, bagaimana kita boleh mendapat hidayah? Iaitu dengan adanya sifat ‘inaabah’; sifat inginkan kebenaran, di mana dalam hati kecil kita, kita hendak tahu apakah yang benar dan berharap Allah ‎ﷻ bimbing kita. Bagi orang yang ada sifat inaabah inilah yang Allah ‎ﷻ akan tarik dia kepada kebenaran (hidayah).

 

يَشْرَحْ صَدْرَهُ لِلْإِسْلَامِ

nescaya Dia melapangkan dadanya untuk terima Islam.

Inilah tanda orang yang ada inaabah dalam dirinya. Kalimah يَشْرَحْ berasal daripada katadasar  ش ر ح yang asalnya bermaksud ‘membelah untuk membuka’. Seperti kita belah perut ayam dan membuka ayam itu. Oleh itu, kalau dalam bahasa Arab, شرح bermaksud lapah kulit binatang kerana apabila dilapah kulit binatang itu, akan nampak bahagian binatang itu bahagian yang boleh dimakan. Kalau dalam bahasa kita, kalau diberi ‘syarah’, ia bermaksud memberi pencerahan.

Orang yang Allah ‎ﷻ hendak beri agama, akan dibuka dadanya kepada Islam. Allah ‎ﷻ akan tarik dia kepada punca agama, iaitu Al-Qur’an dan Sunnah. Allah ‎ﷻ akan anugerahkan dirinya kemudahan untuk faham dua rujukan ini. Allah ‎ﷻlah yang membuka dan melapangkan dada manusia untuk menerima Islam sebagaimana Allah ‎ﷻ telah melapangkan dada Nabi Muhammad ﷺ seperti yang disebut dalam Sharh:1

أَلَمْ نَشْرَحْ لَكَ صَدْرَكَ
Bukankah Kami telah melapangkan untukmu dadamu?,

 

Ayat ini bermaksud Allah ‎ﷻ melapangkan dada mereka yang Allah ‎ﷻ kehendaki untuk faham Islam dan untuk menerima ajaran Islam. Apabila dia faham Islam, maka mudah untuk dia menerimanya. Apabila dia sudah terima, maka, dia senang untuk melakukan suruhan Allah ‎ﷻ. Senang sahaja untuk membuat amal ibadat. Ringan sahaja badannya untuk salat dan ringan juga mulutnya untuk berzikir. Sebab itu kita ada lihat ada orang yang kuat sahaja dia beramal, bukan?

Kalau tidak dilapangkan, memang payah sangat. Begitulah yang terjadi pada orang yang tidak faham agama. Kalau main sukan senang sahaja, tetapi untuk bangun salat, amatlah payah kepada mereka yang tidak dilapangkan dadanya kepada Islam.

Apabila digunakan perkataan لِلْإِسْلَامِ, ia bermaksud mereka mudah untuk menyerahkan diri mereka untuk agama Islam kerana perkataan Islam pun sudah bermaksud ‘serah diri’.

‘Serah diri’ itu bermaksud taat sepenuhnya. Apa sahaja yang Allah ‎ﷻ suruh buat, dia akan senang untuk buat. Tidaklah dia tertanya-tanya kenapa Allah ‎ﷻ suruh dia salat, kenapa perlu buat haji, kenapa tidak boleh makan babi dan minum arak dan sebagainya. Yang banyak bertanya itu adalah mereka yang belum serah diri lagi kepada Islam. Itulah sebabnya mereka banyak bertanya.

Islam juga bermaksud ‘selamat’. Apabila Allah ‎ﷻ telah membuka hati seseorang itu kepada Islam maka dia akan rasa selamat dan selesa dengan agama Islam sebagai agamanya. Dia tahu bahawa apa yang Islam suruh buat itu adalah untuk kebaikan dirinya dan agamanya. Maka dia juga akan selamat di dunia dan di akhirat kelak. Maka kita kena tanya diri kita: [Aku ini bagaimana? Adakah senang hendak terima agama?]

Apabila ada amalan yang dibuat tetapi tidak bertepatan dengan nas syarak, mereka akan senang untuk tolak – tidak berdalih-dalih dan memberi alasan lagi. Tidaklah mereka berat hati untuk terima ajaran dalam Al-Qur’an. Malangnya, kebanyakan masyarakat Islam kita tidak dapat terima. Apabila diberikan dengan dalil daripada Al-Qur’an dan hadith, mereka tidak dapat terima. Sebaliknya mereka lebih mahu terima apa yang telah diajar oleh guru dan ustaz mereka dan apa yang banyak diamalkan oleh masyarakat setempat.

Sebab itulah apabila dikatakan tidak boleh buat Salat Hajat berjemaah, Majlis Tahlil, Doa Selamat dan sebagainya, mereka tidak dapat terima. Mereka hendak juga buat walaupun ia berlawanan dengan apa yang disebut dalam Al-Qur’an dan Hadith. Mereka hendak juga buat perkara ibadah yang tidak ada contohnya daripada Rasulullah ﷺ dan para sahabat.

Apabila Nabi ﷺ membacakan ayat ini kepada para sahabat, mereka bertanya kepada baginda apakah tanda-tanda yang menunjukkan bahawa hati mereka telah dibuka untuk Islam. Maka baginda menjawab bahawa tanda mereka adalah mereka sentiasa memikirkan bagaimana kehidupan mereka di akhirat nanti. Dan mereka lebih mementingkan kehidupan akhirat daripada kehidupan dunia. Mereka bersedia untuk mati sebelum mati itu datang. Itulah tanda-tandanya. Adakah kita begitu?

 

وَمَن يُرِدْ أَن يُضِلَّهُ

Dan barangsiapa yang dikehendaki Allah kesesatannya,

Ini pula adalah zajrun dan ia adalah keterbalikan daripada kehendak Allah ‎ﷻ untuk memberikan hidayah kepada manusia. Kenapa pula Allah ‎ﷻ mengkehendaki manusia itu menjadi sesat? Takkan Allah ‎ﷻ suka makhluk menjadi sesat pula?

Allah ‎ﷻ bawa mereka kepada kesesatan kerana mereka  degil untuk menerima ajakan tauhid. Setelah berkali-kali mereka diajak untuk menerima tauhid, mereka menolak. Apabila telah banyak kali menolak ajakan tauhid, maka Allah ‎ﷻ akan kunci mati hati mereka daripada menerima iman dan Allah ‎ﷻ akan bawa mereka kepada kesesatan. Allah ‎ﷻ sudah tidak inginkan iman mereka lagi, Allah ‎ﷻ biarkan sahaja mereka sesat. Nanti bila mereka mati dan dalam kubur, Allah ‎ﷻ akan mula seksa mereka sampailah mereka masuk ke dalam neraka!

 

يَجْعَلْ صَدْرَهُ ضَيِّقًا حَرَجًا

nescaya Allah menjadikan dadanya sesak lagi sempit,

Kalimah ضَيِّقًا bermaksud ‘sempit’. Bayangkan keadaan bilik yang banyak sangat barang, sampaikan hendak memasukkan barang lain pun tidak tahu hendak letak di mana.

Kalimah حَرَجًا pula bermaksud perasaan tidak selesa yang timbul apabila seseorang itu berada di tempat yang sempit. Bayangkan kalau kita masuk bilik tidur yang terlalu sempit, barang banyak bertimbun-timbun, kita pun sesak kepala juga tengok,  bukan?

Apabila dua perkataan ضَيِّقًا حَرَجًا digunakan bersama, bermakna ia sangat-sangat sempit. Lemas rasanya kalau duduk di tempat sebegitu. Untuk memahami ضَيِّقًا حَرَجًا cuba bayangkan seumpama meletakkan barang semua sekali dalam satu tempat. Seperti kalau kita letak perabot rumah kita dalam garaj. Semua perabot yang ada dalam rumah, kita longgokkan ke dalam garaj yang sempit. Tentulah penuh dan tidak muat untuk dimasukkan kereta lagi, bukan?

Orang yang telah disempitkan dadanya, susah untuk belajar agama. Mereka mungkin datang juga belajar tetapi mereka tidak faham. Berat untuk mereka menerima apa yang telah diajar. Mereka ada sahaja alasan untuk tidak datang belajar. Kalau mereka dalam kelas pembelajaran agama, mereka rasa tidak selesa. Mereka rasa hendak keluar sahaja dari kelas itu.

Mereka ini kalau kita lihat, tidak dapat meluangkan masa untuk beribadat kerana mereka telah penuhkan masa mereka dengan hal-hal keduniaan yang melekakan. Hatinya telah penuh dengan kecintaan kepada dunia. Itulah sebabnya hati mereka sempit. Kalau hati telah penuh dengan keduniaan, bagaimana lagi hendak masukkan hal dan peringatan tentang akhirat?

 

كَأَنَّمَا يَصَّعَّدُ فِي السَّمَاءِ

seolah-olah dia sedang mendaki langit.

Allah ‎ﷻ berikan perumpamaan kepada kita supaya kita lebih faham. Kepayahan yang mereka rasai itu amat susah bagaikan seseorang yang sedang mendaki tempat yang tinggi.

Kalimah يَصَّعَّدُ bermaksud satu pendakian yang sukar. Ada shaddah (sabdu) dalam perkataan itu untuk menunjukkan kesangatan dalam kepayahan itu. Lihatlah juga perkataan itu, hendak disebut perkataan itu pun susah, membayangkan bagaimana kesusahan mendaki tempat yang tinggi. Bukanlah seperti mendaki anak tangga di rumah sahaja. Bayangkan kalau seseorang yang sedang mendaki bukit yang tinggi tentunya mereka akan susah untuk bernafas kerana tercungap-cungap.

Dan dari segi sains juga kalau kita naik ke tempat yang tinggi, kita pun akan susah untuk bernafas kerana oksigen sudah berkurangan. Apabila oksigen kurang, dada kita merasa sempit, dan susah untuk bernafas.

Dalam keadaan dada mereka yang sempit dan rasa susah untuk bernafas, maka tentu mereka akan melarikan diri. Itulah sebabnya kadang-kadang kita boleh lihat bagaimana kalau kita menceritakan tentang agama kepada seseorang mereka akan rasa tidak sedap duduk dan mereka akan mencari alasan untuk melarikan diri.

Ini adalah kerana mereka rasa tidak selesa sangat dengan apa yang disampaikan. Kalau kita bersembang hal lain, mereka tidak kisah, asalkan jangan bercerita tentang agama. Ini kerana dalam penerangan itu mengandungi teguran kepada amalan mereka. Tentulah tidak sedap duduk, bukan?

 

ڪَذٰلِكَ يَجعَلُ ٱللَّهُ ٱلرِّجسَ عَلَى ٱلَّذِينَ لَا يُؤمِنُونَ

Begitulah Allah menimpakan kekotoran ke atas orang-orang yang tidak beriman.

‘Kekotoran’ yang dimaksudkan di dalam potongan ayat ini adalah kekotoran dalam hati. Apabila sudah ada kekotoran dalam hati, ia akan membawa kepada kekotoran di dalam minda dan juga kekotoran di dalam perbuatan mereka.

Maka, kalau kita jumpa orang-orang yang sebegini, kita boleh tahu bahawa mereka itu sebenarnya tidak beriman. Kita tidak tahu apa yang dalam hati manusia, tetapi tanda-tanda sudah ada yang kita boleh lihat di hadapan mata kita.


 

An’am Ayat 126: Ayat tabshir.

وَهَـٰذَا صِرَٰطُ رَبِّكَ مُستَقِيمًا‌ۗ قد فَصَّلنَا ٱلأَيَـٰتِ لِقَومٍ يَذَّكَّرُونَ

Sahih International

And this is the path of your Lord, [leading] straight. We have detailed the verses for a people who remember.

Malay

Dan inilah jalan Tuhanmu (ugama Islam) yang betul lurus. Sesungguhnya Kami telah menjelaskan ayat-ayat keterangan (Kami) satu persatu, bagi kaum yang mahu beringat – insaf.

 

وَهَٰذَا صِرٰطُ رَبِّكَ

Dan inilah jalan Tuhanmu;

Inilah agama Islam yang diajar dalam wahyu Al-Qur’an. Abdullah ibn Mas’ud رضي الله عنه memberitahu kalimah هذا (ini) merujuk kepada Al-Qur’an sedangkan Abdullah ibn Abbas رضي الله عنهما mengatakan ia merujuk kepada Islam. Ia tidaklah berlawanan kerana Islam itu Al-Qur’an dan Al-Qur’an itu jugalah Islam.

Inilah sahaja jalan yang ada, iaitu jalan yang telah ditunjuk oleh Nabi ﷺ kita. Nabi ﷺ mendapat ajaran daripada Al-Qur’an dan baginda mempraktikkannya kepada kita supaya kita dapat faham untuk diamalkan. Oleh sebab itu, kita mestilah belajar bagaimana cara Nabi ﷺ mengamalkan Al-Qur’an dalam kehidupan baginda. Jangan kita menggunakan andaian kita sendiri sahaja. Kita mestilah belajar juga hadith-hadith baginda yang sahih.

Disebabkan keliru tentang hal inilah, berlakunya banyak kesesatan dalam masyarakat. Ada yang sampai telah sebut: “Kalau Nabi ikut kanan tapi guru ikut kiri… aku tetap akan ikut kiri…”. Inilah kekarutan yang amat sangat kerana tidak faham ambilan agama kita. Dia menggunapakai hujah daripada akal fikiran sendiri sahaja tanpa mengambil dalil daripada wahyu Ilahi.

 

مُسْتَقِيمًا

(jalan) yang tegak lurus.

Jalan agama Islamlah yang tegak lurus. Ia adalah jalan yang tidak ada syirik dan bid’ah. Malangnya, berapa ramai yang mengaku mereka beragama Islam, tetapi dalam masa yang sama, mereka mengamalkan amalan syirik dan bid’ah yang bukan daripada agama.

Jika mendengar ajaran mereka yang bukan daripada Sunnah, berbelit-belit fahaman mereka. Entah datang dari manalah fahaman itu, kita pun tidak tahu. Sampai menjadikan agama ini sukar hendak diamalkan dan sukar hendak difahami. Amat hairan kenapa hendak ambil jalan yang bengkok sedangkan sudah ada jalan yang lurus?

 

قد فَصَّلنَا ٱلأَيَـٰتِ

Sesungguhnya Kami telah menjelaskan ayat-ayat

Ayat-ayat daripada Allah ‎ﷻ telah jelas di hadapan mata kita. Maksud kalimah فصل dijelaskan dalam Fussilat: 3. Yang nampak jelas itu hanyalah mereka yang mahu mengenal agamanya. Dan untuk mengenal agama Islam, kenalah tahu apakah yang hendak disampaikan oleh Allah ‎ﷻ.

Allah ‎ﷻ telah memberi kita Kitab panduan, iaitu Kitab Al-Qur’an ini. Maka untuk memahaminya, kenalah belajar tafsir Al-Qur’an kerana kita tidak akan dapat faham Al-Qur’an ini kalau kita tidak belajar tafsir. Carilah guru yang boleh mengajar tafsir ini. Zaman sekarang sudah mudah untuk mencari guru yang boleh mengajar tafsir Al-Qur’an ini. Sekiranya ada kekangan masa, kita masih boleh mempelajarinya secara online sahaja. Maka, sudah tidak alasan lagi.

 

لِقَوْمٍ يَذَّكَّرُونَ

kepada orang-orang yang mahu mengambil pelajaran.

Ayat-ayat itu diberikan kepada semua manusia tetapi yang mahu menerimanya adalah mereka yang mahu mengambil pelajaran sahaja, iaitu mereka yang mahu mencari jalan kebenaran. Kita telah sebutkan sebelum ini, mereka inilah yang mempunyai sifat inaabah; sifat yang condong kepada kebenaran. Hati mereka mahu tahu dan mahu ikut yang benar daripada Allah ‎ﷻ sahaja.

Kepada mereka yang tidak mahu, tidak memikirkan tentang kebenaran, mereka tidak akan terkesan dengan ayat-ayat Al-Qur’an yang mereka baca. Sebab itulah ramai yang baca Al-Qur’an setiap hari, tetapi mereka tidak faham. Mereka masih lagi mengamalkan amalan syirik dan bid’ah. Inilah golongan yang ramai dalam Malaysia ini.

Begitulah kalau tidak membuka minda. Begitulah kalau sudah taksub dengan guru. Begitulah kalau tidak rajin belajar dan berfikir. Begitulah kalau tidak bergaul dengan golongan yang bijak pandai. Amat pedih untuk disebut, namun itulah realitinya.


 

An’am Ayat 127: Apakah balasan kepada mereka yang mahu beriman?

لَهُم دَارُ ٱلسَّلَـٰمِ عِندَ رَبِّہِم وَهُوَ وَلِيُّهُم بِمَا كَانُواْ يَعمَلُونَ

Sahih International

For them will be the Home of Peace with their Lord. And He will be their protecting friend because of what they used to do.

Malay

Bagi mereka Syurga Darus-Salaam (tempat tinggal yang aman sejahtera) di sisi Tuhan mereka, dan Dia lah Penolong mereka, disebabkan amal-amal (yang baik) yang mereka telah kerjakan.

 

لَهُمْ دَارُ السَّلَامِ

Bagi mereka (disediakan) darussalam (syurga)

Darussalam adalah salah satu daripada nama-nama syurga. Maksudnya adalah ‘Negeri yang sejahtera’.

Dalam ayat sebelum ini telah di sebut tentang orang yang Allah ‎ﷻ telah bukakan hatinya untuk Islam dan apabila hatinya telah dibuka untuk Islam, maka dia akan mendapat tempat di Darussalam. (Ini bukan Brunei Darussalam pula ya).

Ia adalah tempat yang kita akan rasa selamat dan kita berasa aman. Ia dinamakan ‘Darussalam’ kerana penghuni syurga tidak akan ada perasaan takut. Tidak ada kerisauan tentang apa yang mereka akan hadapi. Tidak ada sesiapa yang akan mengganggu mereka. Tidak ada bunyi-bunyi yang tidak enak untuk didengar. Tidak ada kata-kata marah dan tidak ada kata-kata yang sia-sia. Tidak ada takut yang mereka akan dikeluarkan setelah dimasukkan ke dalam syurga. Tidak ada sakit dan lelah dalam syurga. Semuanya indah-indah belaka. Mati pun tidak ada lagi. Manakah tidak, tua pun tidak ada lagi.

Berbeza sangat dengan keadaan di dunia kerana tidak kira betapa tinggi kedudukan kita, kita tidak terlepas daripada merasa segala kerisauan itu semua. Akan ada sahaja rasa takut dan gundah gulana tentang keselamatan kita dan sebagainya. Akan tetapi bagi orang yang mendambakan janji Allah ‎ﷻ dengan Daarussalam ini, dan mereka yakin sungguh, maka mereka tidak terasa sangat dengan kesusahan di dunia ini. Mereka tahu yang ia hanya sementara sahaja.

Maknanya mereka memandang jauh ke hadapan. Bayangkan seperti kita bukannya suka sangat pergi kerja setiap hari, bukan? Akan tetapi kita tahu yang di penghujung bulan kita akan mendapat gaji. Maka kita sanggup hadapi kesukaran bekerja itu kerana kita tahu yang kita akan mendapat hasilnya.

 

عِندَ رَبِّهِمْ

pada sisi Tuhannya

Ini adalah satu nikmat yang amat besar sekali! Mereka akan duduk di tempat yang berdekatan dengan Allah ‎ﷻ. Bukan sahaja mereka dapat duduk di rumah yang indah dan aman tetapi mereka juga duduk di kawasan yang berdekatan dengan Tuhan.

Ini adalah satu perkara yang penting. Bayangkan kalau kita duduk di rumah yang cantik, tetapi rumah kita itu berdekatan dengan lalu lintas yang sibuk contohnya, atau tempat yang tidak baik, tentulah ia tidak menggembirakan, walaupun rumah kita sudah cantik sangat.

Apakah yang dimaksudkan kita tinggal berdekatan dengan Allah ‎ﷻ? Sebagaimana kita pun telah tahu, tingkatan Syurga Firdaus itu berada betul-betul di bawah Arasy Allah ‎ﷻ. Itulah yang dimaksudkan kita ‘berdekatan’ dengan Tuhan.

Dan penghuni Syurga akan mempunyai satu kelebihan – mereka akan dapat melihat Allah ‎ﷻ di akhirat kelak. Allah ‎ﷻ akan datang ke Syurga untuk bertemu dengan penghuni Syurga. Oleh itu, kalau hendak melihat Allah ‎ﷻ yang telah menjadikan kita, maka berusahalah untuk masuk ke dalam Syurga.

 

وَهُوَ وَلِيُّهُم

dan Dialah Pelindung mereka

Wali bermaksud ‘pelindung’. Juga bermaksud ‘teman rapat’. Juga bermaksud ‘penjamin’. Maknanya Allah ‎ﷻ rapat dengan kita dan memberi bantuan kepada kita.

Maka Allah ‎ﷻlah pelindung yang sebenar kepada orang mukmin. Oleh itu jikalau kita mahukan perlindungan, maka hendaklah kita minta kepada Allah ‎ﷻ dan berharap kepada Allah ‎ﷻ. Tidak perlu minta kepada selain Allah ‎ﷻ. Berhentilah meminta perlindungan daripada Jin, Malaikat dan sebagainya. Itu semua adalah ajaran-ajaran sesat sahaja. Hendaklah kita minta terus perlindungan dengan Allah ‎ﷻ.

Tidak perlu cari wali di dunia ini. Ramai daripada orang kita yang suka sangat lantik wali itu dan ini. Ada yang mengaku dia wali, ada pula yang kata orang itu dan orang ini wali! Sampaikan orang tidak berilmu pun dipanggil wali; malah orang gila pun dikatakan wali! Ini adalah kekarutan tahap tertinggi.

Kita bukan tidak percaya kewujudan wali. Akan tetapi siapa yang wali itu adalah rahsia Allah ‎ﷻ. Bukannya ada majlis pelantikan wali di dunia ini. Jadi kita memang tidak tahu. Kalau dilantik dalam mimpi, maka teruskan tinggalkan dalam mimpi sahaja (berangan mimpi jadi wali). Janganlah dibawa ke dunia nyata pula. Teruskan sahaja tidur tanpa menyesatkan orang lain.

 

بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

disebabkan amal-amal soleh yang selalu mereka kerjakan.

Ayat ini mengajar kita bahawa untuk masuk syurga, kita hendaklah melakukan amal ibadat yang soleh. Kita hendaklah berusaha untuk mendapatkannya dan bukan hanya dengan goyang kaki sahaja. Tidaklah dikatakan kita beriman tetapi tidak melakukan amal ibadat yang soleh.

Kalau kita duduk di dunia pun dan ingin mendapat rumah yang cantik, maka kita hendaklah juga membayar harganya. Kena belajar tinggi-tinggi dan bekerja keras untuk mendapat cukup wang untuk membeli rumah besar dan cantik itu. Begitulah juga untuk mendapat rumah di Syurga, hendaklah kita berusaha dengan melakukan amal-amal ibadat.

Dan amal ibadat itu adalah amal ibadat yang soleh, iaitu amal ibadat yang tidak bid’ah. Tinggalkan amal ibadat yang tidak jelas daripada nas syarak. Banyak lagi amal ibadat yang telah diajar oleh Nabi ﷺ kita. Kenapa kita perlu lagi hendak buat amal ibadat yang tidak tentu puncanya? Kenapa keliru sangat bab bid’ah ini? Kenapalah susah hendak faham? Kenapa hendak dipertahankan amalan-amalan yang tidak ada dalilnya dalam sunnah?

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 18 Mac 2022


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Maariful Qur’an