Tafsir Surah an-Nisa Ayat 38 – 41 (Nabi menangis)

Ayat 38: Dalam ayat sebelum ini, disebut tentang mereka yang bakhil tidak mahu infak. Sekarang disebut tentang mereka yang infak, tapi bukan kerana Allah tapi kerana hendak menunjuk kepada manusia – ini yang dinamakan riak.

Sebelum ini telah disebut tentang bakhil (kedekut). Sekarang Allah sebut satu lagi yang lebih parah dari bakhir itu – riya’.

وَالَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوٰلَهُمْ رِئَاءَ النَّاسِ وَلَا يُؤْمِنُونَ بِاللهِ وَلَا بِالْيَوْمِ الْآخِرِ وَمَن يَكُنِ الشَّيْطٰنُ لَهُ قَرِينًا فَسَاءَ قَرِينًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [also] those who spend of their wealth to be seen by the people and believe not in Allāh nor in the Last Day. And he to whom Satan is a companion – then evil is he as a companion.

MALAY

Dan juga orang-orang yang membelanjakan hartanya dengan menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan mereka tidak pula beriman kepada Allah dan tidak juga beriman kepada hari akhirat. Dan sesiapa yang (mengambil) Syaitan itu menjadi kawannya, maka seburuk-buruk kawan ialah syaitan.

 

وَالَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوٰلَهُمْ رِئَاءَ النَّاسِ

Dan juga orang-orang yang membelanjakan hartanya dengan menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak),

Ada juga golongan manusia yang mereka infak juga, tapi kerana riak. Mereka mahu manusia tahu berapa banyak mereka berikan, mereka itu selalu sedekah dan sebagainya.

Sedangkan kita sudah belajar dalam Surah Baqarah dalam bab infak, sedekah dan infak itu hendaklah diberikan secara rahsia supaya menjaga keikhlasan hati kita dalam infak itu. Melainkan dengan sebab-sebab tertentu. Boleh rujuk kepada perbincangan dalam Surah Baqarah.

Mereka yang infak kerana ingin menunjuk kepada manusia akan dimasukkan ke dalam neraka awal-awal lagi. Sebelum orang lain masuk neraka, mereka sudah dimasukkan ke dalam neraka!

Telah mengabarkan kepada kami Yahya bin Habib Al-Haritsi, dia berkata, telah mengabarkan kepada kami Khalid bin Al-Haritsi, dia berkata, telah mengabarkan kepada kami Ibnu Juraij, dia berkata, telah mengabarkan kepadaku Yunus bin Yusuf, dari Sulaiman bin Yasaar, dia (Sulaiman bin Yasaar) berkata, “Ketika orang-orang telah meninggalkan Abu Hurairah, maka berkatalah Naatil bin Qais al Hizamy Asy-Syamiy (seorang penduduk Palestina dan beliau adalah seorang tabiin), ‘Wahai Syaikh, ceritakanlah kepadaku suatu hadits yang engkau telah dengar dari Rasulullah Shallallahu’alaihi wa sallam.’ ‘Ya, aku akan ceritakan,’ jawab Abu Hurairah.

Abu Hurairah berkata: Aku telah mendengar Rasulullah Shallallahu’alaihi wassalam bersabda, “Sesungguhnya manusia pertama yang diadili pada hari kiamat adalah orang yang mati syahid di jalan Allah. Dia didatangkan dan diperlihatkan kepadanya kenikmatan-kenikmatan (yang diberikan di dunia), lalu dia pun mengenalinya. Allah bertanya kepadanya, ‘Amal apakah yang engkau lakukan dengan nikmat-nikmat itu?’ Dia menjawab, ‘Aku berperang semata-mata kerana Engkau sehingga aku mati syahid.’ Allah berkata, ‘Engkau dusta! Engkau berperang supaya dikatakan seorang yang gagah berani. Memang demikianlah yang telah dikatakan (tentang dirimu).’ Kemudian diperintahkan (malaikat) agar menyeret orang itu atas mukanya (tertelungkup), lalu dilemparkan ke dalam neraka.’

Selanjutnya Rasulullah Sahallahu alaihi wa sallam melanjutkan sabdanya, “Berikutnya orang (yang diadili) adalah seorang yang menuntut ilmu dan mengajarkannya serta membaca al-Qur-an. Dia didatangkan dan diperlihatkan kepadanya kenikmatan-kenikmatannya, maka dia pun mengakuinya. Kemudian Allah menanyakannya, ‘Amal apakah yang telah engkau lakukan dengan kenikmatan-kenikmatan itu?’ Ia menjawab, ‘Aku menuntut ilmu dan mengajarkannya serta aku membaca al-Qur-an hanyalah kerana Engkau.’ Allah berkata, ‘Engkau dusta! Engkau menuntut ilmu agar dikatakan seorang ‘alim (yang berilmu) dan engkau membaca al-Qur-an supaya dikatakan seorang qari’ (pembaca al-Qur-an yang baik). Memang begitulah yang dikatakan (tentang dirimu).’ Kemudian diperintahkan (malaikat) agar menyeret atas mukanya dan melemparkannya ke dalam neraka.’

Rasulullah Sahallahu alaihi wa sallam menceritakan orang selanjutnya yang pertama kali masuk neraka, “Berikutnya (yang diadili) adalah orang yang diberikan kelapangan rezeki dan berbagai macam harta benda. Dia didatangkan dan diperlihatkan kepadanya kenikmatan-kenikmatannya, maka dia pun mengenalinya (mengakuinya). Allah bertanya, ‘Apa yang engkau telah lakukan dengan nikmat-nikmat itu?’ Dia menjawab, ‘Aku tidak pernah meninggalkan sadaqah dan infaq pada jalan yang Engkau cintai, melainkan pasti aku melakukannya semata-mata kerana Engkau.’ Allah berkata, ‘Engkau dusta! Engkau berbuat yang demikian itu supaya dikatakan seorang dermawan (murah hati) dan memang begitulah yang dikatakan (tentang dirimu).’ Kemudian diperintahkan (malaikat) agar menyeretnya atas mukanya dan melemparkannya ke dalam neraka’,” (Hadits ini diriwayatkan oleh Muslim, dan darjatnya Shohih).

Lihatlah betapa malangnya mereka yang sengaja hendak menunjuk. Sengaja saya bawakan hadis yang penuh kerana ketiga-tiga perkara ini adalah amat penting. Maka, hendaklah kita menjaga hati kita dari tidak ikhlas.

Riak adalah salah satu dari syirik kecil yang disebut oleh Nabi Muhammad. Maksud Hadis Nabi SAW:

“Suatu yang paling aku khuatirkan kamu ialah syirik kecil, lalu ditanya oleh sahabat: Apakah syirik kecil itu ya Rasulullah? Kemudian baginda bersabda, iaitu riak.”  (HR Ahmad dan Baihaqi)

Ini adalah kerana kita sepatutnya mengharapkan pujian dari Allah sahaja. Tapi apabila kita riak, kita mengharapkan pujian dari manusia pula. Kita sudah menyamakan kedudukan Allah dengan manusia pula.

 

وَلَا يُؤْمِنُونَ بِاللهِ وَلَا بِالْيَوْمِ الْآخِرِ

dan mereka tidak pula beriman kepada Allah dan tidak juga beriman kepada hari akhirat.

Mereka jadi begitu kerana mereka tidak yakin kepada janji Allah dan janji kepada balasan di akhirat. Kerana mereka tidak percaya kepada janji Allah akan balasan baik akhirat kalau mereka infak. Mereka baca, tapi mereka tidak percaya.

Oleh kerana itu, mereka hendak juga dapatkan balasan semasa di dunia, dengan mendapat pujian dari manusia. Sedangkan Allah suruh kita infak dengan ikhlas dan Allah akan balas infak yang ikhlas itu di akhirat.

 

وَمَن يَكُنِ الشَّيْطٰنُ لَهُ قَرِينًا

Dan sesiapa yang (mengambil) Syaitan itu menjadi kawannya,

Mereka yang jadi begitu kerana syaitan telah menjadi qarin dia. Ini adalah jumlah ta’liliyah – Allah memberitahu kenapa mereka jadi begitu. Qarin maksudnya sesuatu yang duduk sentiasa dengan seseorang, jadi teman rapat, jadi personal assistant.

Apabila syaitan sudah jadi qarin manusia, syaitan itu bisik kepadanya: boleh kalau nak sedekah, tapi pastikan ada orang nampak. Kalau bagi banyak, pastikan ada replika cek besar dan ada reporter yang hadhir supaya apa yang kamu berikan itu akan masuk suratkhabar. Kemudian syaitan tu puji pula dia. Dia pun akan rasa bangga.

 

فَسَاءَ قَرِينًا

maka seburuk-buruk kawan ialah syaitan.

Kerana syaitan itu akan menjerumuskan mereka ke dalam neraka dengan buat perkara yang salah dan berdosa.


 

Ayat 39: Sekarang Allah mengajak pula manusia kepada beriman dan infak keranaNya.

وَمَاذَا عَلَيْهِمْ لَوْ ءآمَنُوا بِاللهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَأَنفَقُوا مِمَّا رَزَقَهُمُ اللهُ وَكَانَ اللهُ بِهِمْ عَلِيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And what [harm would come] upon them if they believed in Allāh and the Last Day and spent out of what Allāh provided for them? And Allāh is ever, about them, Knowing.

MALAY

Dan apakah (kerugian) yang akan menimpa mereka jika mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat, serta mereka mendermakan sebahagian dari apa yang telah dikurniakan Allah kepada mereka? Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mengetahui akan keadaan mereka.

 

وَمَاذَا عَلَيْهِمْ

Dan apakah (kerugian) yang akan menimpa mereka

Kenapalah mereka tidak ikhlas dalam amalan infak mereka itu? Apa susah sangat nak infak? Kalau mereka infak dalam riak dan tidak ikhlas, harta itu akan habis keluar juga. Habis kenapa tidak infak kerana Allah? Ayat ini adalah seperti keluhan.

 

لَوْ ءآمَنُوا بِاللهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ

jika mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat, 

Jika mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat, tentu lebih baik bagi mereka.

 

وَأَنفَقُوا مِمَّا رَزَقَهُمُ اللهُ

serta mereka infak sebahagian dari apa yang telah dikurniakan Allah kepada mereka

Selepas mereka beriman, mereka infak pula dari harta yang Allah berikan kepada mereka. Allah ingatkan sekali lagi bahawa harta dan kekayaan yang kita miliki ini semua datangnya dari Allah.

 

وَكَانَ اللهُ بِهِمْ عَلِيمًا

Allah sentiasa Mengetahui akan keadaan mereka.

Allah akan tahu apa yang kamu beri. Dia yang penting untuk tahu apa yang kita lakukan kerana Dia yang akan beri pahala dan beri balasan, bukannya manusia.

Apakah bebanan yang mereka akan tanggung kalau mereka beriman? Ada rugi apa-apakah? Ada bala jatuh atas mereka kah? Tentu tidak ada. Semua ini kerana qarin mereka membisikkan kepada mereka yang mereka akan rugi kalau mereka infak.

Allah Maha Tahu siapakah yang mahu beriman dan beramal dengan kebaikan. Dia tahu siapakah yang mahu kepada kebenaran.


 

Ayat 40: Ayat tabshir

إِنَّ اللهَ لَا يَظْلِمُ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ وَإِن تَكُ حَسَنَةً يُضٰعِفْهَا وَيُؤْتِ مِن لَّدُنْهُ أَجْرًا عَظِيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, Allāh does not do injustice, [even] as much as an atom’s weight; while if there is a good deed, He multiplies it and gives from Himself a great reward.

MALAY

Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menganiaya (seseorang) sekalipun seberat zarah (debu). Dan kalaulah (amal yang seberat zarrah) itu amal kebajikan, nescaya akan menggandakannya dan akan memberi, dari sisiNya, pahala yang amat besar.

 

إِنَّ اللهَ لَا يَظْلِمُ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ

Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menganiaya (seseorang) sekalipun seberat zarah (debu). 

Baik atau buruk, Allah akan balas. Allah takkan zalim dengan tidak balas. Kalau buat kebaikan, Allah akan balas. Kalau Allah tidak balas, barulah boleh dikatakan Allah zalim, tapi Allah tidak pernah zalim.

Dan dalam ayat yang lain Allah Swt. telah berfirman:

{يَوْمَئِذٍ يَصْدُرُ النَّاسُ أَشْتَاتًا لِيُرَوْا أَعْمَالَهُمْ. فَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ. وَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُ}

Pada hari itu manusia keluar dari kuburannya dalam keadaan yang bermacam-macam, supaya diperlihatkan kepada mereka (balasan) pekerjaan mereka. Barang siapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarrah pun, niscaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarrah pun, niscaya dia akan melihat (balasan)nya pula. (Az-Zalzalah: 6-8)

Maka infaklah harta kita kepada orang yang memerlukan, kerana memang tidak rugi pun. Sekecil infak pun Allah akan kira. Satu lagi terjemahan zarrah dalam ayat ini adalah semut merah yang kecil yang selalu digunakan membawa maksud benda kecil dalam bahasa Arab. Kalau infak sekecil itu pun Allah akan balas.

 

وَإِن تَكُ حَسَنَةً يُضٰعِفْهَا

Dan kalaulah (amal yang seberat zarrah) itu amal kebajikan, nescaya akan menggandakannya

Kalau kita melakukan kebaikan yang sebesar zarah, Allah akan gandakan kebaikan itu di akhirat.

 

وَيُؤْتِ مِن لَّدُنْهُ أَجْرًا عَظِيمًا

dan akan memberi, dari sisiNya, pahala yang amat besar.

Dan Allah akan balas kebaikan itu dengan pahala dan pahala itu dari sisiNya. Apabila dikatakan dari sisiNya, tentunya ia adalah sesuatu yang besar dan istimewa sekali. Oleh kerana itu, ada yang berpendapat yang dimaksud pahala yang besar adalah syurga.

Dan pemahaman dari ayat-ayat yang lain, kita tahu yang pembalasan yang baik akan diberikan kepada pembuatnya sekiranya mereka melakukannya dengan ikhlas. Oleh itu, hendaklah kita infak dengan hati yang ikhlas. Kerana kalau tidak ikhlas, akan sia-sia sahaja.


 

Ayat 41: Takhwif Ukhrawi

فَكَيْفَ إِذَا جِئْنَا مِن كُلِّ أُمَّةٍ بِشَهِيدٍ وَجِئْنَا بِكَ عَلَىٰ هَٰؤُلَاءِ شَهِيدًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So how [will it be] when We bring from every nation a witness and We bring you, [O Muḥammad], against these [people] as a witness?

MALAY

Maka bagaimanakah (keadaan orang-orang kafir pada hari akhirat kelak), apabila Kami datangkan dari tiap-tiap umat seorang saksi (iaitu Rasul mereka sendiri menjadi saksi terhadap perbuatan mereka), dan Kami juga datangkan engkau (wahai Muhammad) sebagai saksi terhadap umatmu ini?

 

فَكَيْفَ إِذَا جِئْنَا مِن كُلِّ أُمَّةٍ بِشَهِيدٍ

Maka bagaimanakah, apabila Kami datangkan dari tiap-tiap umat seorang saksi 

Bagaimana nanti keadaan orang-orang kafir itu pada waktu itu? Waktu dunia sudah hancur dan manusia waktu itu berhajat sangat kepada pahala amal kebaikan mereka dulu. Tapi bagaimana kalau semua umat dikumpulkan bersama Nabi mereka masing-masing, Allah akan tanya Nabi mereka adakah mereka telah dakwah kepada umat mereka?

Ini seperti pengertian yang terkandung di dalam ayat lain, yaitu firman-Nya:

وَأَشْرَقَتِ الْأَرْضُ بِنُورِ رَبِّها وَوُضِعَ الْكِتابُ وَجِيءَ بِالنَّبِيِّينَ وَالشُّهَداءِ

Dan terang benderanglah bumi (padang mahsyar) dengan cahaya (keadilan) Tuhannya; dan diberikanlah buku (perhitungan perbuatan masing-masing) dan didatangkanlah para nabi dan saksi-saksi. (Az-Zumar: 69), hingga akhir ayat.

Tentu para Rasul itu akan kata yang mereka sudah sampaikan. Waktu itu apakah alasan mereka lagi?

Dalam riwayat, ada disebut bagaimana umat-umat yang kufur degil itu akan berbohong dengan mengatakan yang Nabi dan rasul-rasul itu tidak sampaikan pun. Kemudian para Nabi dan rasul itu akan mengatakan yang hujah mereka ada pada umat Nabi Muhammad.

 

وَجِئْنَا بِكَ عَلَىٰ هَٰؤُلَاءِ شَهِيدًا

dan Kami juga datangkan engkau (wahai Muhammad) sebagai saksi terhadap umatmu ini?

Dan Nabi Muhammad pun akan jadi saksi tapi baginda akan menjadi saksi kepada seluruh umat baginda. Ada yang mengatakan kalimah هَٰؤُلَاءِ (mereka) itu bermaksud manusia yang ada pada zaman Nabi Muhammad. Tapi ada juga yang mengatakan umat baginda hingga akhir zaman. Ini adalah kerana akan ditunjukkan amal ibadat umat baginda kepada baginda nanti.

Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam pernah menangis dan mengatakan pada Ibnu Mas’ud ‘cukup, cukup’ saat membaca ayat ini.

Dari Ibnu Mas’ud radhiyallahu ‘anhu, dia berkata,

قَالَ لِى النَّبِىُّ – صلى الله عليه وسلم – « اقْرَأْ عَلَىَّ » .قُلْتُ آقْرَأُ عَلَيْكَ وَعَلَيْكَ أُنْزِلَ قَالَ « فَإِنِّى أُحِبُّ أَنْ أَسْمَعَهُ مِنْ غَيْرِى » . فَقَرَأْتُ عَلَيْهِ سُورَةَ النِّسَاءِ حَتَّى بَلَغْتُ

( فَكَيْفَ إِذَا جِئْنَا مِنْ كُلِّ أُمَّةٍ بِشَهِيدٍ وَجِئْنَا بِكَ عَلَى هَؤُلاَءِ شَهِيدًا )

قَالَ « أَمْسِكْ » . فَإِذَا عَيْنَاهُ تَذْرِفَانِ

“Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam berkata kepadaku,

“Bacalah Al Qur’an untukku.”

Maka aku menjawab, “Wahai Rasulullah, bagaimana aku membacakan Al Qur’an untukmu, bukankah Al Qur’an diturunkan kepadamu?”

Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Aku suka mendengarnya dari selainku.”

Lalu aku membacakan untuknya surat An Nisaa’ hingga sampai pada ayat (yang artinya), “Maka bagaimanakah (halnya orang kafir nanti), apabila Kami mendatangkan seseorang saksi (rasul) dari tiap-tiap umat dan Kami mendatangkan kamu (Muhammad) sebagai saksi atas mereka itu (sebagai umatmu)” (QS. An Nisa’: 41).

Beliau berkata, “Cukup.”

Maka aku menoleh kepada beliau, ternyata kedua mata beliau dalam keadaan bercucur air mata.” (HR. Bukhari no. 4582 dan Muslim no. 800).

Nabi Muhammad menangis semasa dibacakan ayat ini kerana ia sangat menyentuh hati baginda kerana ada sangkut dengan baginda. Baginda terkenang yang baginda akan menjadi saksi terhadap mereka. Nabi akan jadi saksi samada kita menegakkan dakwah Nabi.

Dalam hadis ada disebut bagaimana Nabi sebut yang baginda akan jawap sebagaimana Nabi Isa jawap. Iaitu baginda boleh jadi saksi semasa hidup di kalangan mereka sahaja. Selepas baginda mati, Allah sahaja yang mengawasi mereka.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 16 Ogos 2018

Ringkasan Surah Nisa’


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah an-Nisa Ayat 36 – 37 (Buat baik dengan siapa?)

Nisa’ Ayat 36: Allah sudahi ayat-ayat hukum dengan diberikan ayat tentang tauhid. Keutamaan tujuan utama hidup adalah kenal Allah dan mentauhidkan Allah.

Selepas sebut tentang berbaik antara suami isteri, sekarang disebut tentang berbuat baik dengan orang luar pula.

Surah Nisa’ ini bukan sahaja menceritakan tentang hak anak yatim, kanak-kanak dan para wanita sahaja, tapi juga menyentuh hak-hak orang lain juga. Jadi Surah Nisa’ ini banyak menyentuh tentang hak manusia. Kita kenalah jaga hak-hak mereka.

‎وَاعْبُدُوا اللهَ وَلَا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا وَبِالْوٰلِدَيْنِ إِحْسٰنًا وَبِذِي الْقُرْبَىٰ وَالْيَتٰمَىٰ وَالْمَسٰكِينِ وَالْجَارِ ذِي الْقُرْبَىٰ وَالْجَارِ الْجُنُبِ وَالصَّاحِبِ بِالْجَنبِ وَابْنِ السَّبِيلِ وَمَا مَلَكَتْ أَيْمٰنُكُمْ إِنَّ اللهَ لَا يُحِبُّ مَن كَانَ مُخْتَالًا فَخُورًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Worship Allāh and associate nothing with Him, and to parents do good, and to relatives, orphans, the needy, the near neighbor, the neighbor farther away, the companion at your side,¹ the traveler, and those whom your right hands possess. Indeed, Allāh does not like those who are self-deluding and boastful,

  • i.e., those whose acquaintance you have made. Also interpreted as the wife.

MALAY

Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri;

 

وَاعْبُدُوا اللهَ وَلَا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا

Dan hendaklah kamu menghambakan diri kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua;

Allah mulakan ayat ini dengan suruhan kena hambakan diri kepada Allah. Kalimat اعْبُدُوا اللهَ itu adalah satu perintah dan perintah dari Allah adalah wajib. Menyembah Allah adalah perintah Tauhid.

Selepas suruhan, ada pula perintah larangan iaitu لَا تُشْرِكُوا بِهِ Ini adalah perintah larangan. Jangan lakukan syirik kepada Allah. Ini adalah kerana syirik adalah dosa yang paling besar sekali dan boleh menyebabkan seseorang itu kekal dalam neraka.

Kalimah تُشْرِكُوا berasal dari اشراك yang bermaksud menyekutukan, menjadikan sesuatu itu sekutu, bandingan dan tandingan. Dari sudut syarak, menjadikan tandingan/sekutu bagi Allah dalam ibadah.

Dan kemudian ditambah dengan kalimah شَيْئًا. Ia adalah kemuncak kalimah nakirah (bentuk umum). Ia bermaksud apa-apa sahaja. Dan apabila kalimah nakirah datang dalam bentuk larangan, ia adalah larangan syirik yang meliputi:

1. apa yang disyirikkan Allah dengannya, yakni apa sahaja tidak boleh disyirikkan dengan Allah. Sama ada benda itu baik atau tidak baik, kecil atau besar, bernyawa atau tidak, wujud atau tidak. Sebagai contoh benda tidak wujud adalah dewa orang Hindu yang kepala gajah dan tangan ada lapan. Hanya rekaan khayalan sahaja.

2. jenis perlakuan syirik apa pun sama ada kecil atau besar.

Setiap yang Tuhan larang maka hukumnya haram. Apabila Allah larang syirik selepas disebut tentang kewajipan Tauhid, ini bermakna yang Tauhid tidak dapat ditegakkan tanpa menolak syirik. Keharaman syirik juga tidak akan dapat terlaksana tanpa kewajipan Tauhid.

Malangnya apa yang dimaksudkan dengan syirik itu tidak banyak diajar kepada masyarakat kita, sampaikan mereka tidak sedar yang mereka telah melakukan syirik. Sedangkan mereka kononnya ada belajar ‘ilmu Tauhid’ katanya, tapi malangnya tidak diajar pula kebalikan kepada Tauhid itu, iaitu syirik. Sedangkan tidak melakukan syirik ini penting kerana ia akan menyelamatkan kita. Seperti yang disebutkan di dalam sabda Nabi kepada Mu’az ibnu Jabal:

“أتَدْرِي مَا حَقُّ اللَّهِ عَلَى الْعِبَادِ ؟ ” قَالَ: اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ. قَالَ: “أَنْ يَعْبدُوهُ ولا  يُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا”، ثُمَّ قَالَ: “أتَدْري مَا حَقُّ العبادِ عَلَى اللهِ إِذَا فَعَلُوا ذَلِكَ؟ أَلَّا يُعَذِّبَهُم”

“Tahukah kamu, apakah hak Allah atas hamba-hamba-Nya?” Mu’az menjawab, “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.” Nabi Saw. bersabda, “Hendaknya mereka menyembah-Nya dan tidak mempersekutukan-Nya dengan sesuatu pun.” Antara lain Nabi Saw. bersabda pula: Tahukah kamu, apakah hak hamba-hamba Allah atas Allah, apabila mereka mengerjakan hal tersebut? Iaitu Dia tidak akan mengazab mereka.

Ayat-ayat sebelum ini banyak mengandungi suruhan dan hukum-hukum tentang bermasyarakat, tentang hubungan dengan keluarga, suami isteri dan sebagainya. Segala hukum-hukum itu hanya akan dapat dijalankan oleh mereka yang beriman dan takut kepada Allah. Kalau hak dengan Allah pun orang itu tidak jaga, maka apatah lagi kalau hak orang lain?

Kalau dengan Tuhan pun mereka tidak takut, tentu mereka tidak takut nak langgar hukum-hukum yang telah diberikan itu. Maka, kerana itu tauhid diletakkan di awal-awal ayat ini.

Tapi, untuk mengetahui apakah yang dimaksudkan dengan syirik, kenalah belajar tentang apakah yang dimaksudkan dengan syirik itu. Tidak akan faham syirik kalau tidak tahu tentang maksud tauhid. Ramai orang Islam yang melakukan syirik tapi mereka tidak tahu yang mereka sedang melakukan syirik. Ini adalah kerana mereka tidak tahu.

 

وَبِالْوٰلِدَيْنِ إِحْسٰنًا

dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa,

Selepas sebut tentang syirik, Allah terus sebut tentang ibubapa. Ini menunjukkan kepentingan berbuat baik kepada ibubapa. Selalu Allah buat begini dan dari segi balaghah, ini adalah amat penting.

Dan lihatlah bagaimana Allah menggunakan lafaz yang lengkap apabila menyebut tentang berbuat baik kepada ibubapa. Sedangkan kalau kita baca orang-orang yang kita buat baik selepas ini, disebut dengan ringkas sahaja. Ini juga menunjukkan kepentingan dan ketinggian budi berbuat baik dengan ibubapa.

Tentunya kasih sayang yang paling tinggi adalah dari Allah – Allah beri kita kasih sayang dan macam-macam kepada kita. Tapi selepas Allah, siapakah yang paling berjasa dan paling sayang kepada kita? Tentunya ibubapa bukan? Kerana itulah selepas disebut tentang tauhid kepada Allah, terus disebut berbuat baik kepada ibubapa.

Ayat ini memberitahu berbuat baik kepada ibubapa? Apakah maksudnya? Tentu banyak perkara yang perlu kita lakukan dan susah untuk kita senaraikan semuanya. Secara dasarnya, kita hendaklah menggembirakan hati mereka. Kalau perkara itu menggembirakan hati mereka, maka kenalah kita lakukan asalkan tidak melanggar syariat. Termasuk dalam perkara ini tentulah tidak menyakitkan hati mereka.

Walaupun mereka tidak menjalankan tugas mereka sebagai ibubapa dengan baik, kita sebagai anak masih tetap kena berbuat baik kepada mereka. Kalau begitu pun kita kena buat baik kepada mereka, apatah lagi kalau mereka telah menjalankan tugas mereka dengan baik?

 

وَبِذِي الْقُرْبَىٰ

dan kaum kerabat,

Kena berbuat baik dengan ahli keluarga kita. Kena bercakap baik dengan mereka, bertanya khabar tentang mereka dan sebagainya. Kalau ada masalah, kena tolong mereka. Dan merekalah yang pertama sekali kita kena tolong. Dan tidak sama kalau kita tolong mereka kalau dibandingkan dengan tolong orang lain. Seperti yang disebutkan di dalam sebuah hadis:

«الصَّدَقَةُ عَلَى الْمِسْكِينِ صَدَقَةٌ، وَعَلَى ذِي الرَّحِمِ صَدَقَةٌ وَصِلَةٌ»

Bersedekah kepada orang miskin adalah sedekah, tetapi kepada kerabat adalah sedekah dan silaturahmi.

Malangnya, kadang-kadang orang kita kalau dengan orang lain, mereka boleh berbuat baik, tapi kalau dengan keluarga sendiri kadang-kadang bergaduh sampai tidak mengaku keluarga pun ada.

 

وَالْيَتٰمَىٰ

dan anak-anak yatim,

Selalu anak-anak yatim disebut dalam ayat Qur’an dan terutama sekali dalam surah ini. Ini adalah kerana mereka perlu dijaga kerana mereka telah kehilangan tempat bergantung, maka Islam menganjurkan kita untuk membantu mereka. Perkara ini telah disentuh dalam ayat-ayat lain dan diulang dengan ringkas sahaja di sini.

Tapi, kalau kita tidak tahu siapakah anak yatim dari kalangan masyarakat kita, macam mana kita nak bantu mereka? Adakah kita hanya bantu mereka semasa bulan Ramadhan dan semasa Hari Raya sahaja dengan beri mereka makan buka puasa dan belikan baju raya sahaja?

Bagaimana dengan hari-hari yang lain? Maka, kerana itu kita kenalah tahu siapakah anak-anak yatim dalam masyarakat kita, barulah boleh nak bantu mereka.

 

وَالْمَسٰكِينِ

dan orang-orang miskin, 

Kadang-kadang kita tidak kenal pun orang miskin dalam masyarakat kita. Ini adalah kerana kita tidak bercampur dengan masyarakat sekeliling. Kita sampai tidak tahu siapakah yang memerlukan pertolongan.

Kerana mungkin ada orang miskin yang segan untuk meminta, maka kitalah yang kena tahu siapakah mereka dan apa masalah mereka dan tolong mereka tanpa mereka meminta kepada kita.

 

وَالْجَارِ ذِي الْقُرْبَىٰ

dan jiran tetangga yang dekat,

Lihatlah betapa indahnya Islam. Kepada jiran tetangga pun kita kena berbuat baik. Ini adalah jiran yang duduk betul-betul di sebelah rumah kita.

Ali ibnu Abu Talhah pula meriwayatkan dari Ibnu Abbas, yang dimaksud dengan jari dzil qurba ialah tetangga yang antara kamu dan dia ada hubungan kerabat.

 

وَالْجَارِ الْجُنُبِ

dan jiran tetangga yang jauh,

Bukan sahaja jiran yang dekat, tapi dengan jiran yang jauh juga kita kena berbuat baik. Ini jiran yang duduk jauh sedikit.

Ibn Abbas mengatakan, وَالْجَارِ ذِي الْقُرْبَىٰ adalah jiran yang juga kaum kerabat kita dan وَالْجَارِ الْجُنُبِ adalah jiran yang bukan kaum kerabat kita. Begitu pentingnya jiran tetangga sampai Nabi pernah bersabda:

مَا زَالَ جِبْرِيْلُ يُوْصِيْنِى بِالجَار حَتَّى ظَنَنْتُ أَنَّهُ سَيُوَرّثَهُ

“Jibril sentiasa mengingatkan kepadaku supaya berbuat baik kepada jiran sehinggalah aku merasakan jiran itu akan layak mewarisi dariku.” Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim

Ada juga pendapat yang mengatakan ‘jiran yang dekat’ adalah jiran yang muslim dan ‘jiran yang jauh’ adalah jiran yang bukan Islam. Kalau begitu, jiran yang bukan Islam pun berhak mendapat layanan yang baik dari kita juga. Janganlah kerana mereka itu kafir, kita tidak layan mereka dengan baik.

Hadith Rasulullah SAW juga ada menyebut bahawa terdapat beberapa kategori jiran di dalam hadith Baginda SAW iaitu:

اَلْجِيْرَانُ ثَلاَثَةٌ جَارٌلَهُ حَقٌ وَاحِدٌ وَجَارٌلَهُ حَقًانِ وَجَارٌلَهُ ثَلَاثَةٌ حُقُوْقِ فَااَلْجَارُلَهُ ثَلَاثَةُ حُقُوقٍ اَلْجَارُ اَلْمُسْلِمُ ذُو اَلْرَّحِمِ فَلَهُ حَقُّ اَلْجَوَارِ وَحَقَّ اَلاءِسْلَامِ وَحَقُّ اَلْرَّحِمِ وَأَمَّا اَلّذِى لَهُ حَقَّانِ فَالْجَارُ اَلْمُسْلِمُ فَلَهُ حَقُّ اَلْجَوَارِ وَحَقُّ اَلاءِسْلَامِ وَأَمَّا الَّذِى لهُ حَقٌ وَاحَدٌ فَالْجَارُ اَلْمُشْرِكُ

Maksudnya: “Jiran itu ada tiga golongan, ada jiran yang hanya mempunyai satu hak dan ada jiran yang mempunyai dua hak dan ada jiran yang mempunyai tiga hak. Jiran yang mempunyai tiga hak itu ialah jiran yang Muslim dan yang mempunyai hubungan kekeluargaan. Maka dia mempunyai hak sebagai jiran, hak sebagai Muslim dan hak sebagai keluarga. Jiran yang mempunyai dua hak ialah jiran yang Muslim. Dia mempunyai hak sebagai seorang Muslim. Jiran yang mempunyai satu hak ialah jiran yang musyrik” Hadith Riwayat: Abu Na’im dan Ibnu ‘Adiy

 

وَالصَّاحِبِ بِالْجَنبِ

dan rakan sejawat

Ini adalah kawan seperjalanan kita. Atau sahabat sama dalam pekerjaan atau sama-sama belajar dengan kita. Termasuk juga pasangan hidup yang hidup dengan kita. Mereka itu rapat dengan kita kerana mereka sentiasa bersama dengan kita untuk jangka masa yang lama.

Termasuk juga dalam perkara ini adalah mereka yang bermusafir bersama dengan kita. Mungkin untuk musafir yang lama berhari-hari atau sekejap seperti mereka yang duduk dalam bas dan LRT dengan kita. Hendaklah kita bersopan santun kepada mereka dan buat apa yang patut.

Layan mereka dengan baik, jangan susahkan mereka dan bagi mereka benci. Antaranya jangan langgar mereka, jangan hisap rokok sebelah mereka, jangan cakap kuat-kuat sampai mereka terganggu tidur dan sebagainya. Terlalu banyak hendak disebutkan di sini tapi rasanya kita semua sudah faham apakah yang dimaksudkan.

Lihatlah bagaimana indahnya Islam menganjurkan berbuat baik dengan orang-orang itu. Bayangkan bagaimana masyarakat kita akan jadi kalau semua buat macam ni. Tidakkah nanti akan aman dan harmoni masyarakat kita?

 

وَابْنِ السَّبِيلِ

dan orang musafir, 

Kena bantu orang musafir yang putus bekal. Disebut musafir yang putus bekal kerana ada musafir yang banyak bekal mereka. Tapi ada yang tidak cukup bekalan atau bekalan mereka hilang atau kena curi. Maka itulah yang kita kena tolong.

Jadi kena tahu siapakah mereka ini. Kalau kita bercampur gaul dengan masyarakat di sekeliling kita, kita akan tahu siapakah yang musafir kerana kita tidak kenal mereka. Kalau tidak kenal mereka, ada kemungkinan mereka adalah musafir.

 

وَمَا مَلَكَتْ أَيْمٰنُكُمْ

dan juga hamba yang kamu miliki.

Lihatlah bagaimana dengan hamba sahaya pun kita disuruh buat baik dengan mereka. Jangan hina mereka, jangan seksa mereka, jangan salah guna mereka. Zaman sekarang memang tidak ada hamba sahaya lagi tapi kita bukankah ada orang gaji?

Disebutkan dari sahabat Abu Hurairah r.a., dari Nabi Saw. yang telah bersabda:

«لِلْمَمْلُوكِ طَعَامُهُ وَكِسْوَتُهُ، وَلَا يُكَلَّفُ مِنَ الْعَمَلِ إِلَّا مَا يُطِيقُ»

Hamba sahaya berhak mendapatkan makanan dan pakaiannya, dan tidak boleh dibebani dengan pekerjaan melainkan sebatas kemampuannya.

Berbuat baiklah dengan mereka. Jangan suruh mereka buat kerja yang tidak patut-patut, jangan pandang mereka sebagai orang yang kelas bawahan dari kita.

Dari Abu Zar r.a., dari Nabi Saw. yang telah bersabda:

«هُمْ إِخْوَانُكُمْ خَوَلُكُمْ جَعَلَهُمُ اللَّهُ تَحْتَ أَيْدِيكُمْ، فَمَنْ كَانَ أَخُوهُ تَحْتَ يَدِهِ فَلْيُطْعِمْهُ مِمَّا يَأْكُلُ، وَلْيُلْبِسْهُ مِمَّا يَلْبَسُ، وَلَا تُكَلِّفُوهُمْ مَا يَغْلِبُهُمْ، فَإِنْ كَلَّفْتُمُوهُمْ فَأَعِينُوهُمْ »

Mereka (para pelayan) adalah saudara-saudara kalian lagi budak-budak kalian, Allah telah menjadikan mereka di bawah kekuasaan kalian. Maka barang siapa yang saudaranya berada di bawah kekuasaannya, hendaklah dia memberinya makan dari apa yang dia makan, dan hendaklah dia memberinya pakaian dari apa yang dia pakai, dan janganlah kalian membebani mereka pekerjaan yang tidak mampu mereka lakukan; dan jika kalian terpaksa membebani mereka (dengan pekerjaan berat), maka bantulah mereka.
Hadis diketengahkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim.

Dari Abu Hurairah r.a. pula, dari Nabi Saw. Disebutkan bahawa. Nabi Saw. pernah bersabda:

«إِذَا أَتَى أَحَدَكُمْ خَادِمُهُ بِطَعَامِهِ فَإِنْ لَمْ يُجْلِسْهُ مَعَهُ فَلْيُنَاوِلْهُ لُقْمَةً أَوْ لُقْمَتَيْنِ، أَوْ أَكْلَةً أَوْ أَكْلَتَيْنِ، فَإِنَّهُ وَلِيَ حَرَّهُ وَعِلَاجَهُ»

Apabila pelayan seseorang di antara kalian datang menyuguhkan makanan, lalu dia tidak mahu mempersilakan pelayan untuk makan bersamanya, maka hendaklah dia memberikan kepadanya sesuap atau dua suap makanan, sepiring atau dua piring makanan, kerana sesungguhnya pelayanlah yang memasak dan yang menghidangkannya. Hadis diketengahkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim.

 

إِنَّ اللهَ لَا يُحِبُّ مَن كَانَ مُخْتَالًا فَخُورًا

Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong dan membangga-banggakan diri;

Ingatlah yang Allah tidak suka orang yang sombong lagi bangga diri. Kalau tidak berbaik dengan orang lain, itu tanda yang orang itu sombong sebenarnya. Telah disebut banyak perkara yang perlu dipenuhi di atas dan orang yang tak mahu menjalankannya adalah orang yang sombong dan bongkak.

Kalimah مُخْتَالًا ada kena mengena dengan khayal – dia sahaja yang khayal dia tinggi dari orang lain. Tak benar pun kerana pada Allah sama sahaja semua makhluk. Jadi kena sedar siapakah diri kita dulu baru boleh rendahkan diri.

Kadang-kadang kita mendapat kedudukan yang tinggi sedikit dari orang lain pun kerana kita dilahirkan dalam keluarga yang kaya, atau Allah telah bantu kita mendapatkan kelebihan-kelebihan itu. Maknanya, bukan kita hebat pun.

Kalimah ‎فَخُورًا adalah bangga yang terlebih. Dia sudah capai sesuatu dan dia rasa sombong. Terlebih bangga dari yang sepatutnya (bangga yang dibenarkan). Kerana bangga sikit-sikit itu tidak mengapa. Sebagai contoh, kita bangga dengan anak-anak kita yang berjaya dalam kehidupan mereka. Ini tidak salah.

Allah sebut dua sifat ini kerana dua sifat inilah yang menyebabkan orang boleh pandang rendah kepada orang lain. Nabi pernah bersabda:

لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ قَالَ رَجُلٌ إِنَّ الرَّجُلَ يُحِبُّ أَنْ يَكُونَ ثَوْبُهُ حَسَنًا وَنَعْلُهُ حَسَنَةً قَالَ إِنَّ اللَّهَ جَمِيلٌ يُحِبُّ الْجَمَالَ الْكِبْرُ بَطَرُ الْحَقِّ وَغَمْطُ النَّاسِ

“Tidak akan masuk syurga seseorang yang di dalam hatinya terdapat kesombongan sebesar biji sawi.” Ada seseorang yang bertanya, “Bagaimana dengan seorang yang suka memakai baju dan sandal yang bagus?” Beliau menjawab, “Sesungguhnya Allah itu indah dan menyukai keindahan. Sombong adalah menolak kebenaran dan meremehkan orang lain. 

(HR. Muslim no. 91)

Sampai setakat ayat ini, Allah telah mengajar kita ‘Amalan Tiga Serangkai’. Ada tiga perkara yang perlu dilakukan oleh manusia untuk menyelamatkan diri dari azab akhirat.

      1. Jangan berbuat zalim (disebut dalam ayat 1 – 35)
      2. Jangan melakukan syirik (disebut dalam ayat 36 ini)
      3. Berbuat baik kepada yang lain (disebut dalam ayat 36 ini juga).

 

Nisa’ Ayat 37: Ayat zajrun mengenai infak. Sambungan sifat orang yang sombong di hujung ayat tadi. Dalam ayat sebelum ini, disebut berbuat baik kepada berbagai-bagai jenis golongan.

Antara perkara yang perlu dilakukan untuk berbuat baik kepada mereka adalah dengan memberikan bantuan kewangan kepada mereka. Tapi orang-orang yang sombong itu, sudahlah mereka sombong, tapi mereka kedekut pula untuk membantu orang lain.

‎الَّذِينَ يَبْخَلُونَ وَيَأْمُرُونَ النَّاسَ بِالْبُخْلِ وَيَكْتُمُونَ مَا ءآتٰهُمُ اللهُ مِن فَضْلِهِ وَأَعْتَدْنَا لِلْكٰفِرِينَ عَذَابًا مُّهِينًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Who are stingy and enjoin upon [other] people stinginess and conceal what Allāh has given them of His bounty – and We have prepared for the disbelievers a humiliating punishment –

MALAY

Iaitu orang-orang yang bakhil dan menyuruh manusia supaya bakhil serta menyembunyikan apa-apa jua yang Allah berikan kepada mereka dari limpah kurniaNya. Dan (sebenarnya) Kami telah sediakan bagi orang-orang kafir itu azab seksa yang amat menghina;

 

الَّذِينَ يَبْخَلُونَ

Iaitu orang-orang yang bakhil

Inilah sambungan kepada sifat orang yang sombong dan membanggakan diri. Ini adalah sifat tambahan untuk mereka. Mereka bakhil untuk mengeluarkan infak. Padahal mereka ada harta dan memang mampu untuk infak. Mereka sombong dan bangga diri itu pun sebab mereka ada hartalah.

 

وَيَأْمُرُونَ النَّاسَ بِالْبُخْلِ

dan menyuruh manusia supaya bakhil

Sudahlah dia bakhil, dia galakkan orang lain pun jadi kedekut juga dengan lidah dan perbuatan mereka. Kenapa mereka nak orang lain pun bakhil juga? Sebab kalau orang lain beri infak, nampaklah mereka sahaja yang tak beri. Kalau semua orang tak beri, tidaklah nampak buruk perangai dia.

Jadi dia kena tahan orang lain dari beri infak kepada masyarakat. Maka dia beri nasihat kepada orang lain supaya berjimat, kena simpan duit, ekonomi tak berapa bagus sekarang dan macam-macam lagi. Yang sebenarnya, dia yang bakhil.

 

وَيَكْتُمُونَ مَا ءآتٰهُمُ اللهُ مِن فَضْلِهِ

serta menyembunyikan apa-apa yang Allah berikan kepada mereka dari limpah kurniaNya. 

Bila ada orang datang meminta kepadanya, dia sorok harta yang dia ada, tak bagi nampak dia ada banyak harta. Sebab dia takut kalau orang tahu dia ada duit, nanti akan datang meminta lagi. Maka, dia pun buat ceritalah yang dia pun ada masalah sekarang, anak sakit, isteri sakit, rumah nak kena baiki dan macam-macam lagi.

Juga bermaksud orang yang tidak menampakkan pemberian Allah kepadanya. Dia dapat banyak wang dan harta, tapi cara hidup dia macam dia miskin. Dia simpan sahaja pemberian Allah itu. Pakai baju compang camping; kalau ada orang minta sedekah, dia tak mengaku dia ada duit; bila anak minta nak beli makanan, dia tak belikan; pakaian isteri pun bertahun tak bertukar.

Di dalam sebuah hadis disebutkan:

“إِنَّ اللَّهَ إِذَا أَنْعَمَ نِعْمَةً عَلَى عبدٍ أحبَّ أَنْ يَظْهَرَ أثرُها عَلَيْهِ”

Sesungguhnya Allah apabila memberikan suatu nikmat kepada seorang hamba, Dia suka bila si hamba menampakkan pengaruh dari nikmat itu pada dirinya.

Tidak patut dia menyorok pemberian yang Allah telah berikan kepadanya. Allah suka ditunjukkan segala pemberianNya.

 

وَأَعْتَدْنَا لِلْكٰفِرِينَ عَذَابًا مُّهِينًا

Dan Kami telah sediakan bagi orang-orang kafir itu azab seksa yang amat menghina;

Apakah balasan yang akan disediakan untuk mereka? Mereka akan dikenakan dengan azab yang menghinakan mereka. Mereka dikatakan ‘kafir’ kerana mereka kufur nikmat. Perkataan ‘kufr’ dari segi bahasa bermaksud ‘tutup’.

Mereka tutup nikmat yang Allah beri kepada mereka, tak bagi orang lain nampak. Sepatutnya dengan nikmat yang Allah berikan kepada mereka itu, mereka kena infakkan, tapi mereka sorok.

Manusia bukan dikira kedekut dari segi harta sahaja, tapi kalau tidak sampaikan ilmu juga dikira kedekut. Ada ulama mengatakan ayat ini berkenaan orang Yahudi yang menyembunyikan ilmu tentang kedatangan Nabi Muhammad dari masyarakat.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 3 April 2023

Ringkasan Surah Nisa’


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Mutiara al-Qur’an.

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah an-Nisa Ayat 34 – 35 (Isteri yang nusyuz)

Ayat 34: Allah lebihkan satu golongan terhadap golongan lain kerana sifat-sifat tertentu. Itu atas kejadian yang Allah jadikan tidak sama antara lelaki dan wanita. Allah dah jadikan lelaki dan wanita tidak sama maka kita tidak boleh persoalkan perbezaan itu.

Macam sudu dan garpu; kita tidak boleh gunakan garpu untuk buat kerja sudu, bukan?

‎الرِّجَالُ قَوّٰمُونَ عَلَى النِّسَاءِ بِمَا فَضَّلَ اللهُ بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ وَبِمَا أَنفَقُوا مِنْ أَمْوٰلِهِمْ فَالصّٰلِحٰتُ قٰنِتٰتٌ حٰفِظٰتٌ لِّلْغَيْبِ بِمَا حَفِظَ اللهُ وَاللّٰتِي تَخَافُونَ نُشُوزَهُنَّ فَعِظُوهُنَّ وَاهْجُرُوهُنَّ فِي الْمَضَاجِعِ وَاضْرِبُوهُنَّ فَإِنْ أَطَعْنَكُمْ فَلَا تَبْغُوا عَلَيْهِنَّ سَبِيلًا إِنَّ اللهَ كَانَ عَلِيًّا كَبِيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Men are in charge of women¹ by [right of] what Allāh has given one over the other and what they spend [for maintenance] from their wealth. So righteous women are devoutly obedient, guarding in [the husband’s] absence what Allāh would have them guard.² But those [wives] from whom you fear arrogance – [first] advise them; [then if they persist], forsake them in bed; and [finally], strike them.³ But if they obey you [once more], seek no means against them. Indeed, Allāh is ever Exalted and Grand.

  • This applies primarily to the husband-wife relationship.
  • i.e., their husbands’ property and their own chastity.
  • As a last resort. It is unlawful to strike the face or to cause bodily injury.

MALAY

Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolonganNya. Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukulah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar.

 

الرِّجَالُ قَوّٰمُونَ عَلَى النِّسَاءِ

Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, 

Lelaki adalah ketua yang bertanggungjawab dalam keluarga. Mereka sebagai pelindung dan pemimpin.

Maksud lafaz قَوَّامُونَ adalah mereka yang bertanggungjawab dalam sesuatu perkara samada individu atau kumpulan. Merekalah yang kena jaga, kena buat keputusan dan memastikan semuanya berjalan dengan lancar. Merekalah juga yang memberi keperluan kepada individu atau kumpulan itu.

Setiap organisasi memerlukan ketua kerana kalau tidak, tentu akan kacau bilau organisasi atau negara itu. Dan begitu juga dalam keluarga, ianya adalah ‘organisasi kecil’ dalam masyarakat. Dan Allah telah lantik lelaki yang menjadi ketua.

Dan bukan sahaja dalam keluarga, dalam mana-mana organisasi pun secara umum, ketua yang dilantik mestilah dari lelaki. Sampai kepada ketua negara pun kenalah lelaki. Kerana ini memang tugas dan di dalam keupayaan lelaki. Allah telah berfirman dalam Baqarah:228

وَلِلرِّجالِ عَلَيهِنَّ دَرَجَةٌ

lelaki mempunyai satu tingkat kelebihan

Jadi ketua keluarga adalah suami. Tapi, ini bukanlah dalil untuk suami mengambil kesempatan atas isteri. Kenalah ada perbincangan antara mereka dan pergaulan yang mesra. Allah telah sebut dah dalam Nisa:19

وَعاشِروهُنَّ بِالمَعروفِ

Dan bergaullah dengan mereka secara patut.

Dan Allah telah sebut dalam Baqarah:233

عَن تَراضٍ مِنهُما وَتَشاوُرٍ

dengan kerelaan keduanya dan selepas bermesyuarat

Maknanya, bukanlah suami kena buat keputusan sendiri sahaja, sebagai suami yang bijak, suami itu kenalah rujuk juga kepada pendapat isteri. Walaupun tidak semestinya cadangan isteri itu diterima, tetapi sekurangnya dengar dan timbangkan.

Mungkin ada wanita tidak puas hati dengan kedudukan yang Allah telah berikan ini. Maka Allah dengan segala rahmahNya memberikan dua sebab sebagai penjelasan kenapa lelaki layak menjadi pemimpin dalam rumahtangga.

 

بِمَا فَضَّلَ اللهُ بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ

oleh kerana Allah telah melebihkan (orang-orang lelaki) (dengan beberapa keistimewaan) atas (orang-orang perempuan),

Allah jadikan setiap manusia tidak sama. Kita sendiri pun boleh lihat ada beza antara lelaki dan wanita. Lelaki telah dilebihkan dalam beberapa perkara yang melebihi dari wanita. Oleh kerana kelebihan itu, mereka yang layak menjadi pemimpin. Kerana itu pangkat kenabian hanya diberikan kepada lelaki sahaja.

Ini adalah kedudukan yang Allah sendiri pilih dan Allah telah buat keputusan untuk melebihkan lelaki ke atas wanita. Sebagaimana juga Allah telah pilih Mekah untuk menjadi Tanah Haram dan tempat yang mulia di atas mukabumi.

Tapi lihatlah bagaimana Allah menggunakan bahasa yang lembut dalam ayat ini. Allah tidak kata: lelaki lebih dari wanita. Tapi Allah kata: Allah melebihkan satu golongan ke atas golongan yang lain. Ini kerana Allah hendak mengingatkan lelaki dan wanita yang mereka itu datang dari Nabi Adam a.s. juga. Satu golongan dari golongan yang lain juga. Asalnya sama-sama manusia, tapi Allah yang lebihkan lelaki atas wanita.

Maka, dalam Allah menaikkan kedudukan lelaki, tidaklah Allah merendahkan kedudukan wanita. Sebagaimana kepala duduknya di atas, tapi tidaklah kepentingan kaki menjadi kurang kerana ia juga ada kerja penting. Cuma kebolehan dan kegunaan tidak sama. Begitu juga lelaki dan wanita tidak sama dari segi fizikal dan biologi.

Oleh kerana Allah ciptakan wanita sedemikian rupa, mereka tidak sesuai menjadi pemimpin. Sebagai contoh, mereka tidak boleh keluar ke khalayak ramai tanpa ditemani oleh mahram atau wali mereka. Oleh kerana itu, tentu susah kalau mereka yang jadi pemimpin. Nabi telah bersabda:

«لَنْ يُفْلِحَ قَوْمٌ وَلَّوْا أَمْرَهُمُ امْرَأَةً»

Tidak akan beruntung suatu kaum yang urusan mereka dipegang oleh seorang wanita.

Dan Allah telah jadikan fizikal mereka lemah, jadi mereka tidak boleh bekerja berat. Allah juga telah jadikan hati wanita ini lembut dan kerana itu mereka susah untuk buat keputusan tanpa emosi. Oleh itu, tugas para wanita itu memang sesuai sangat di rumah sahaja.

Ulama ada lagi membincangkan kalimat yang Allah gunakan: satu golongan lebih dari golongan yang lain. Ini meletakkan kedudukan tinggi itu ke atas golongan lelaki secara keseluruhan. Bukanlah setiap lelaki lebih dari setiap orang perempuan. Kerana ada kemungkinan seorang wanita lebih pandai, lebih kuat dari seseorang lelaki. Ini mungkin sahaja terjadi, tapi dari segi golongan secara keseluruhan, golongan lelaki tetap lebih dari golongan perempuan.

Dengan sebab Allah telah lebihkan lelaki atas wanita, maka sebab itulah lelaki yang layak menjadi pemimpin. Kita kena ingat yang kedudukan ini Allah yang pilih. Allah dah lantik sebegitu. Maka, kita kenalah terima. Kita kena ingat yang taat kepada suami itu kerana taat kepada Allah.

Tetapi pada zaman sekarang, dengan kerja bukan lagi berat (duduk di ofis sahaja) dan kerana itu wanita pun sudah ramai yang bekerja dan mendapat pendapatan dari kerja mereka, mungkin ada yang berkata ayat sebegini tidak layak lagi.

Tapi, walaupun mereka boleh bekerja dan menyara hidup, mereka masih lagi tertakluk dengan kekurangan-kekurangan yang lain. Antaranya mereka tidak sesuai keluar rumah bersendirian, hati mereka tetap lembut, fizikal mereka tetap tidak boleh buat kerja keras dan berat.

 

وَبِمَا أَنفَقُوا مِنْ أَمْوٰلِهِمْ

dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. 

Lelaki wajib beri nafkah kepada mereka yang di bawah tanggungannya. Ayat ini menceritakan tanggung jawab lelaki, bukan hendak menceritakan sangat tentang kelebihan lelaki atas wanita sampai boleh suruh suruh isteri buat macam-macam. Kalau tidak belajarlah akan nampak satu perkara sahaja, tapi tak nampak perkara yang lain.

Jangan lupa yang suami itu kena beri nafkah kepada isteri. Ramai suami yang lupa perkara ini. Tambahan pula isteri sudah bekerja, maka mereka sudah lupa tanggungjawab sebagai suami dan bapa. Ramai yang menggunakan isteri sebagai pencari rezeki dan dia goyang kaki di rumah atau berpeleseran di luar. Ini sudah terbalik dan amat jauh dari adab manusia normal, lebih-lebih lagi berlawanan dengan Qur’an.

Ramai yang salahguna ayat ini sebagai dalil untuk menindas wanita. Manusia kena ingat, kuasa yang diberikan kepada lelaki dalam keluarga atau dalam pemerintahan negara bukanlah kuasa yang penuh, bukan kuasa yang mutlak. Kenalah ada musyawarah untuk membuat sebarang keputusan. Samada musyawarah dalam keluarga atau dalam organisasi mana-mana pun.

Dalam organisasi memang kena ada ketua tapi tidaklah ketua itu ada kuasa mutlak. Kalau dia salahguna kuasa, tentulah dia akan dijatuhkan atau orang akan tinggalkan organisasi itu. Kalau tidak ada ketua yang jelas, sudah pasti akan ada kepincangan dalam keluarga atau organisasi itu. Dan ketua itu kenalah dilantik dari lelaki.

Dan dengan sebab harta yang lelaki gunakan untuk memberi nafkah dan itulah juga sebab yang membolehkan mereka menjadi pemimpin kepada wanita dalam keluarga mereka. Ini kerana merekalah yang memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak. Oleh kerana nafkah datangnya dari mereka, mereka yang kena kerja lebih, maka layaklah mereka yang menjadi pemimpin.

Memang itulah yang sepatutnya dilakukan oleh lelaki. Dari nak kahwin pun dah kena beri mahr. Selepas kahwin, kena tanggung nafkah isteri. Begitu juga selepas dapat anak. Merekalah yang kena beri nafkah, baiki rumah, beri pakaian dan sebagainya. Maka mereka diberi dengan bahagian yang lebih besar dalam pembahagian harta faraid kerana kedudukan mereka sebagai penjaga keluarga.

Kita telah belajar pembahagian Faraid sebelum ini. Sekarang kita nampak kenapa mereka dapat bahagian yang lebih. Kerana mereka kena gunakan bahagian itu untuk memberi nafkah kepada orang lain. Sedangkan bahagian wanita itu untuk mereka sendiri sahaja. Ini adalah kerana mereka tidak ada tanggungjawab untuk beri nafkah kepada sesiapa pun. Maka bahagian Faraid yang mereka dapat itu adalah untuk mereka semata-mata.

Kita kena tahu yang kalau wanita belum berkahwin, mereka di bawah tanggungan ayah mereka dan apabila mereka berkahwin, tanggungjawab itu jatuh ke bahu suaminya pula. Dan kalau mereka kehilangan suami atau memang tidak berkahwin, wali mereka jatuh kepada lelaki dalam keluarga seperti abang, pakcik dan sebagainya. Islam memang menjaga kedudukan wanita sampaikan wanita tidak perlu bekerja pun sebenarnya. Maka siapa kata wanita ditindas dalam Islam?

Sudah mendapat kelebihan ini, maka wanita kenalah jaga diri mereka:

 

فَالصّٰلِحٰتُ قٰنِتٰتٌ حٰفِظٰتٌ لِّلْغَيْبِ بِمَا حَفِظَ اللهُ

Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat, dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemeliharaan Allah dan pertolonganNya. 

Maka jadilah wanita yang soleh. Wanita-wanita soleh (الصَّالِحَاتُ), pertamanya mereka akan taat (قَانِتَاتٌ) kepada perintah Allah. Dan antara yang mereka kena taat kepada perintah Allah ada topik yang telah disebut sebelum ini: kedudukan lelaki atas wanita. Wanita yang soleh akan redha dengan penetapan ini dan tidak ada penolakan dari dirinya.

Rentetan dari taat kepada Allah, kena taat kepada suami pula. Apabila sudah taat kepada Allah, maka seorang wanita yang soleh akan tahu bahawa Allah suruh wanita taat kepada suami.

Bila pula wanita setuju dengan kedudukan yang Allah tetapkan ini? Ia termaktub apabila seorang wanita bersetuju untuk dinikahi oleh seorang lelaki. Apabila dia sudah bersetuju untuk menikah, maka dia juga telah bersetuju untuk taat kepada suaminya itu dan menerima kedudukan suami di atas dirinya. Jangan pula kata dia tidak pernah ‘setuju’ kerana apabila dia menikah sahaja, dia sudah setuju sebenarnya.

Seterusnya mereka akan jaga maruah suami dan harta suami semasa suami tidak ada di rumah. Memang kalau suami ada di rumah pun mereka kena jaga juga, tapi yang menjadi dugaan adalah kalau suami tiada di rumah. Maka kerana itu Allah sebut secara khusus: apabila suami tiada di rumah.

Maka jangan cerita tentang keburukan suami kepada sesiapa pun. Ini penting kerana memang isteri tahu rahsia suami, luar dan dalam kerana mereka tinggal bersama dan suami akan menunjukkan dirinya yang sebenar dengan isteri. Malangnya, wanita sekarang kebanyakannya tidak begitu. Selalu kalau ada peluang jumpa jiran sebelah rumah atau kawan sekolah dulu, mulalah mereka bergebang tentang suami masing-masing.

Kalau dapat duduk bersama dengan isteri-isteri yang lain, antara yang mereka akan cakap adalah tentang keburukan suami mereka dan ketidakpuasan hati mereka. Masing-masing akan bertukar-tukar cerita.

Ayat ini juga bermaksud isteri jangan tayang diri depan orang. Kecantikan dan keindahan isteri itu untuk suami dia sahaja. Malangnya, sekarang, kalau isteri keluar rumah, pakai cantik dan pakai mekap. Tapi di rumah selalunya berkemban sahaja dan pakai baju lusuh sahaja.

Wanita yang solehah hendaklah menjaga hukum yang Allah telah tetapkan untuk mereka jaga. Dalam ayat ini disentuh tentang menjaga maruah suami, harta suami dan diri mereka dari pandangan umum. Dengan taufik yang Allah beri kepada mereka, mereka akan dapat jaga. Maka isteri kenalah belajar apakah yang perlu dijaga dan berdoa supaya Allah beri taufik kepada mereka. Janganlah ikut emosi sangat tapi kenalah ikut iman yang Allah telah berikan.

Apabila suami jaga isteri, maka isteri itu pula kenalah jaga maruah dan harta suami. Jadi, kalau hendak menjadi isteri yang solehah, kenalah tahu apakah ciri-ciri mereka. Antara sabda Nabi tentang isteri yang baik adalah:

خَيْرُ النِّسَاءِ امْرَأَةٌ إِذَا نَظَرْتَ إِلَيْهَا سَرَّتْكَ، وَإِذَا أَمَرْتَهَا أَطَاعَتْكَ، وَإِذَا غِبْتَ عَنْهَا حَفِظَتْكَ فِي نَفْسِهَا وَمَالِك

“Isteri yang terbaik ialah isteri yang menyenangkanmu apabila engkau melihatnya, mematuhimu apabila engkau menyuruhnya dan menjaga dirinya dan hartamu apabila engkau tidak ada di sampingnya.” (Hadis Riwayat an-Nasa’i:3179)

Tapi kadangkala ramai isteri tidak mampu melakukan perkara ini. Mereka rasa susah sangat nak serahkan ketaatan kepada suami mereka. Mungkin suami mereka pun ada masalah, tapi suami mana yang tidak ada masalah, bukan? Tapi ingatlah bahawa ketaatan kepada suami itu adalah tiket untuk ke syurga.

Kena ingat yang Allah yang beri kurnia kelebihan ini (فَضَّلَ اللهُ) kepada lelaki. Maka ketaatan yang pertama adalah kepada Allah. Kalau suami suruh buat perkara yang haram, maka isteri tidak boleh ikut. Tapi kalau suami larang buat perkara sunat, maka boleh lagi isteri nak taat. Kerana itulah apabila isteri hendak puasa sunat, dia kena minta izin suaminya.

Oleh kerana susah untuk menjaga kehormatan diri, taat kepada suami dan menjaga maruah dan harta ketika suami tiada, maka Allah beri bantuan kepada mereka yang mahu menjaganya dengan disebutkan بِمَا حَفِظَ اللهُ (dengan pemeliharaan Allah dan pertolonganNya). Maknanya Allah memberi taufiq kepada mereka supaya mudah untuk melakukan perkara ini.

Sebenarnya senang sahaja untuk isteri masuk syurga.

إِذَا صَلَّتِ الْمَرْأَةُ خَمْسَهَا، وَصَامَتْ شَهْرَهَا، وَحَفِظَتْ فَرْجَهَا، وَأَطَاعَتْ زَوْجَهَا، قِيلَ لَهَا: ادْخُلِي الْجَنَّةَ مِنْ أَيِّ الْأَبْوَابِ شِئْت
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : “Apabila seorang wanita (isteri) itu telah melakukan sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadhan, menjaga maruahnya dan mentaati perintah suaminya, maka dia dijemput di akhirat supaya masuk Syurga mengikut pintunya mana yang dia suka (mengikut pilihannya).” (Hadis Riwayat Ahmad, Ibnu Hibban dan Thabrani)

Bayangkan, isteri itu boleh pilih mana-mana pintu yang dia suka! Sedangkan seorang lelaki ada banyak lagi tugas dan tanggungjawab yang dia kena penuhi. Dan lelaki itu akan ditanya satu persatu dari tanggungjawab itu. Sedangkan lihatlah betapa senangnya wanita nak masuk syurga!

Kelebihan pilih pintu syurga untuk dimasuki ini setahu kita diberikan kepada Abu Bakr sahaja, tapi semua wanita ada peluang sebegitu. Tak payah buat kerja macam Abu Bakr pun dapat kelebihan seperti Abu Bakr!

 

وَاللّٰتِي تَخَافُونَ نُشُوزَهُنَّ فَعِظُوهُنَّ

Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, 

Kadang-kadang, biasalah berlaku perselisihan dalam perkahwinan. Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri yang hidup setiap hari bersama-sama.

‘Nusyuz’ adalah bila isteri sudah buat perbuatan melampau. An-Nusyuz ertinya tinggi diri; wanita yang nusyuz ialah wanita yang bersikap sombong terhadap suaminya, tidak mahu melakukan perintah suaminya, berpaling darinya, dan membenci suaminya. Kalau marah-marah biasa sahaja, itu biasa dan suami biarkanlah sahaja. Tapi kalau dah sampai tahap baling-baling pinggan mangkuk, pukul suami dengan penyapu, itu sudah nusyuz dah.

Imam Nawawi ada memberikan contoh-contoh perkara nusyuz dalam Kitab al-Majmu’:

1. Menolak ajakan suami untuk bersetubuh
2. Isteri benci kepada suami
3. Tidak melakukan apa yang disuruh suami yang tidak bertentangan dengan syara’, walaupun menolak untuk membuat air kopi atau teh
4. Isteri menengking suami dengan nada suara tinggi
5. Isteri keluar rumah tanpa izin
6. Isteri melawan kata-kata suami
7. Menjauhkan diri dari suaminya / tak mahu layan suaminya
8. Meminta cerai kerana suami telah / ingin berkahwin lain
9. Isteri berkata kesat pada suami
10. Menceritakan keaiban suami kepada orang lain
11. Tidak membenarkan suami menyentuh dirinya ketika suami mahu
12. Isteri enggan berpindah ikut suami ke rumah lain di tempat lain
13. Isteri bermasam muka dengan suami
14. Membenarkan seseorang yang suami tidak suka masuk ke dalam rumah
15. Tidak mengendahkan panggilan suami
16. Mempunyai hubungan rahsia dengan lelaki lain

nota: isteri yang nusyuz tidak layak mendapat nafkah.

Jika suami bimbang wujud sifat nusyuz di kalangan isteri, iaitu boleh dilihat dari kata mereka atau tingkah laku mereka, maka diajar dalam ayat ini untuk فَعِظُوهُنَّ: kena beri nasihat mereka. Ingatkan kembali kepada isteri tanggungjawab isteri untuk taat kepada suami. Kalau taat kepada Allah, maka kenalah taat juga kepada suami.

Ada masalah besar kepada isteri itu kalau dia tidak taat kepada suaminya. Kena ingatkan kepada isteri itu kewajipannya sebagai isteri. Banyak sekali dalil suruhan supaya taat kepada suami. Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam, beliau bersabda:

لَوْ كُنْتُ آمِرًا لِأَحَدٍ أَنْ يَسْجُدَ لِأَحَدٍ لَأَمَرْتُ الْمَرْأَةَ أَنْ تَسْجُدَ لِزَوْجِهَا

Seandainya aku boleh memerintahkan seseorang untuk sujud kepada orang lain niscaya aku akan memerintahkan isteri untuk sujud kepada suaminya.” Hadits ini diriwayatkan oleh At-Tirmidzi dan dia berkata, “Hadits ini hasan.

 

Dari Thalaq bin Ali, dia berkata, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

أَيُّمَا رَجُلٍ دَعَا زَوْجَتَهُ لِحَاجَتِهِ فَلْتَأْتِهِ وَلَوْ كَانَتْ عَلَى التَّنُّوْرِ

Suami mana saja yang memanggil isterinya untuk memenuhi hajatnya, maka si isteri harus/wajib mendatanginya (memenuhi panggilannya) walaupun ia sedang memanggang roti di atas tungku api.”

 

Dalam kitab Shahih (Al-Bukhari) dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, ia berkata, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

إِذَا دَعَا الرَّجُلُ امْرَأَتَهُ إِلَى فِرَاشِهِ فَأَبَتْ أَنْ تَجِيْئَ، فَبَاتَ غَضْبَانَ عَلَيْهَا، لَعَنَتْهَا الْمَلاَئِكَةُ حَتَّى تُصْبِحَ

Apabila seorang suami memanggil isterinya ke tempat tidurnya, namun si isteri menolak untuk datang, lalu si suami bermalam (tidur) dalam keadaan marah kepada isterinya tersebut, nescaya para malaikat melaknat si isteri sampai dia berada di pagi hari.” Diriwayatkan oleh Abu Hatim dalam Shahih-nya dan At-Tirmidzi, dia berkata, “Hadits ini hasan

Jadi itu adalah cara pertama yang perlu dilakukan dahulu (فَعِظُوهُنَّ). Mungkin kena nasihat banyak kali. Jangan dah nasihat sekali, tapi isteri tak dengar, terus nak pergi ke peringkat kedua pula. Dan untuk nasihat, seorang suami itu kenalah pandai juga kerana kalau cara nasihat pun tak kena, tak sampai kepada isteri.

Wanita tidak sama dengan lelaki, maka cara nasihat pun kenalah lain sedikit. Malangnya, lelaki banyak yang tak berapa pandai, nak nasihat orang pun tak pandai. Jadi, kenalah banyak membaca, perhati perangai orang dan isteri kita, tahu apa yang mereka suka dan sebagainya. Kenalah pergi ke kelas kerana kadangkala akan diajar cara bagaimana menangani para isteri. Ini adalah ilmu-ilmu yang penting sebagai seorang suami dan seorang bapa.

Janganlah hanya tahu nak kahwin sahaja, tapi tak tahu nak menjaga perkahwinan. Kahwin itu susah, tapi menjaga perkahwinan lagi susah. Sebagaimana membeli kereta itu susah, tapi menjaga kereta lagi susah. Nak kena jaga tayar, jaga enjin, isi minyak itu dan ini. Maka begitulah juga isteri, ada perkara yang suami perlu lakukan untuk ‘beli’ jiwa isteri.

 

وَاهْجُرُوهُنَّ فِي الْمَضَاجِعِ

dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur,

Jika si isteri masih tidak mahu dengar nasihat, walaupun sudah diberi banyak kali nasihat dengan berbagai-bagai cara, tapi masih tidak berhenti juga dari derhaka, maka langkah seterusnya adalah dengan mengasingkan tempat tidur dari mereka.

Maknanya tidak tidur sekatil dengan dia. Tapi pastikan masih dalam rumah yang sama. Jangan pergi duduk di hotel atau lari rumah kawan pula. Jangan juga hantar isteri balik kampung rumah amak ayah dia. Sebab itu kalimah yang digunakan dalam ayat ini adalah الْمَضَاجِعِ (katil) sahaja. Kena tetap duduk dalam rumah yang sama.

Kerana kalau isteri kita terkesan dengan cara ini, nak pujuk kita balik, macam mana dia nak cari kita kalau kita tiada? Selalunya bila berjauhan, lagilah bertambah kemarahan si isteri itu. Atau dia berjumpa dengan orang yang menambahkan lagi idea untuk marah kepada kita.

Ada juga pendapat yang mengatakan maksud ayat ini:

  • tidak mengadakan hubungan kelamin dengan mereka,
  • berbaring dengan mereka di atas katil yang sama, tapi membelakangi mereka
  • tidak bercakap langsung dengan mereka.

Ini sebenarnya adalah langkah yang sudah semakin keras dari beri nasihat sahaja dan dilakukan untuk tunjuk yang suami itu sudah marah. Sepatutnya isteri dah boleh fikirkan kelakuan dia. Kalau selalunya suaminya akan tetap tidur di sebelahnya sudah bertahun-tahun, tentulah kalau sekali tidak tidur sekali bersama, sepatutnya dia sudah terasa rindu dan rasa lain macam. Maka, carilah suami itu dan mintalah maaf kepadanya.

 

وَاضْرِبُوهُنَّ

dan pukullah mereka 

Kalau masih juga tidak berubah, maka bolehlah pukul mereka. Dan apabila kita nak pukul, kena ikut syariat – tidak boleh lebih dari tiga kali dan pada tempat tertentu sahaja. Kita kena ingat yang pukulan itu untuk mendidik sahaja, bukan untuk menyakiti mereka. Dan pukulan itu adalah pukulan yang ringan. Bukan untuk menyakitkan wanita itu.

Ramai yang salah guna ayat ini. Mereka yang bodoh menggunakan ayat ini untuk mengatakan mereka boleh tampar isteri mereka, tendang dan sebagainya. Itulah bahaya kalau orang bodoh yang baca Qur’an kerana mereka tidak faham.

Sebenarnya, kalau kita tidak pernah angkat tangan kepada isteri kita, sekali kita tampar lengan dia dengan dua jari sahaja, itu pun sepatutnya sudah memberi kesan kepada isteri itu. Sepatutnya dia sudah terasa yang suaminya itu bukan main-main, ini sudah sampai peringkat ketiga dah ni. Kalau peringkat seterusnya adalah cerai, jadi jangan nak mengada-ngada lagi.

Memang memukul wanita tidak digalakkan dalam mana-mana masyarakat pun. Dan kebenaran ini diberikan sebagai langkah terakhir sahaja. Dan mestilah digunakan dengan mengikut syariat. Kerana itu ulama meletakkan syarat dalam memukul itu pula:

1. Tidak menyebabkan luka dan patah (atau kerosakan organ dalaman)
2. Tidak berterusan dan bertalu-talu
3. Tidak pukul pada satu tempat sahaja berulang-ulang
4. Tidak pukul bahagian mukanya dan kemaluannya
5. Tidak menggunakan benda keras, seperti rotan atau kayu atau besi atau kuali.

Dilarang memukul isteri jika tidak menepati syarat-syarat ini, sebagaimana hadis:

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Adakah patut seseorang kamu memukul isterinya seperti memukul seorang hamba, kemudian dia meniduri isterinya di waktu malamnya?” [Riwayat Bukhari dan Muslim]

Ini adalah cara yang terakhir untuk menasihati mereka dan perlulah diikuti selepas diberi nasihat dan ditinggalkan tempat tidur dari mereka. Janganlah tiba-tiba sahaja terus pukul isteri itu. Semua proses ini mengambil masa yang lama, bukan buat dalam sehari sahaja.

 

فَإِنْ أَطَعْنَكُمْ فَلَا تَبْغُوا عَلَيْهِنَّ سَبِيلًا

Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. 

Sekiranya selepas itu mereka berubah dan telah taat, jangan sengaja cari alasan untuk menyusahkan isteri itu pula. Kena layan dan gauli mereka dengan baik. Yang sudah lepas itu biarlah sahaja.

Begitu juga, kalau mereka itu seorang isteri yang taat kepada suami, suami tidak ada hak untuk melayan mereka dengan buruk, untuk pukul mereka atau tidak melayan mereka langsung.

 

إِنَّ اللهَ كَانَ عَلِيًّا كَبِيرًا

Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar.

Jangan salahguna kuasa yang Allah telah berikan kepada lelaki. Dan ingatlah bahawa kuasa yang paling tinggi adalah Allah. Jangan rasa kuasa lelaki sebagai suami itu tinggi sangat sampai boleh langgar syarak.

Kena tahu apa yang boleh buat dan apa yang tak boleh buat. Segala perbuatan kita kena ikut syariat. Tapi kalau tidak belajar, bagaimana nak tahu mana yang boleh?


 

Ayat 35: Ini adalah Hukum ke 15: Kita akan belajar bahawa dalam mendamaikan suami isteri perlu ikut tertib mahkamah.

Dalam ayat sebelumnya, telah diberitahu langkah-langkah yang boleh diambil sekiranya ada masalah dengan isteri. Sepatutnya masalah itu diselesaikan di rumah sahaja, jangan sampai keluar dari rumah dan jangan sampai orang luar tahu.

Tapi, kadang-kadang masalah tidak dapat diselesaikan antara suami isteri sahaja. Kadang-kadang masalah bukan pada isteri, tapi pada suami. Kadang-kadang suami sahaja yang buat-buat tidak nampak apa salahnya. Mentang-mentang dia lelaki, dia nak menang sahaja. Jangan sangka dia sebagai ketua keluarga, dia tidak ada masalah. Kadang-kadang si isteri marah itu kerana perangai suami atau perbuatan suami yang salah dan dia tidak setuju.

Oleh itu, sekiranya pertengkaran itu berlanjutan, walaupun suami tak lepaskan (cerai) tapi kita boleh agak yang sudah lama keluarga itu tidak harmoni. Tambahan pula kalau ada anak-anak, tentunya mereka yang akan merasa kesan dari pertengkaran ibu dan bapa mereka. Mereka pun sudah tidak tahu nak duduk sebelah siapa.

Maka, dalam syariat ada diajar untuk lantik pendamai. Ini boleh dilakukan kerana mereka sesama sendiri tidak dapat nak selesai. Suami kena lantik wakil yang sesuai dan isteri pun kena lantik wakil yang sesuai. Luahkan perasaan tentang apa yang tak kena. Kadang-kadang nak cakap terus kepada suami atau kepada isteri tak sampai, tapi kalau dengan orang lain, boleh diberitahu.

Kadang-kadang, apabila pertelingkahan berlanjutan, keluarga kedua-dua belah pihak pun sudah tahu. Selalunya, mereka yang masuk campur dengan berlebihan. Mulalah hendak menyalahkan ahli keluarga yang sebelah sana. Ini banyak sangat terjadi sampaikan tidaklah perlu kita jelaskan di sini. Kadang-kadang kerana keluargalah yang menyebabkan pasangan itu porak peranda dari asalnya. Jadi, Islam mengajar cara bagaimana menyelesaikan masalah ini.

‎وَإِنْ خِفْتُمْ شِقَاقَ بَيْنِهِمَا فَابْعَثُوا حَكَمًا مِّنْ أَهْلِهِ وَحَكَمًا مِّنْ أَهْلِهَا إِن يُرِيدَا إِصْلٰحًا يُوَفِّقِ اللهُ بَيْنَهُمَا إِنَّ اللهَ كَانَ عَلِيمًا خَبِيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And if you fear dissension between the two, send an arbitrator from his people and an arbitrator from her people. If they both desire reconciliation, Allāh will cause it between them. Indeed, Allāh is ever Knowing and Acquainted [with all things].

MALAY

Dan jika kamu bimbangkan perpecahan di antara mereka berdua (suami isteri) maka lantiklah “orang tengah” (untuk mendamaikan mereka, iaitu), seorang dari keluarga lelaki dan seorang dari keluarga perempuan. Jika kedua-dua “orang tengah” itu (dengan ikhlas) bertujuan hendak mendamaikan, nescaya Allah akan menjadikan kedua (suami isteri itu) berpakat baik. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui, lagi Amat mendalam pengetahuanNya.

 

وَإِنْ خِفْتُمْ شِقَاقَ بَيْنِهِمَا

Dan jika kamu bimbangkan perpecahan di antara mereka berdua

Orang luar yang rapat dengan pasangan itu kadangkala dah tahu kalau ada perkelahian antara suami isteri itu. Mereka mungkin bimbang ianya akan berlanjutan. Terutama kalau mereka yang menjadi wali bagi pasangan itu. Mereka pun boleh agak samada pertelingkahan itu akan berpanjangan atau tidak.

Mungkin pada permulaannya, pertelingkahan hanya antara suami dan isteri. Tapi kalau tidak diselesaikan, maka lama kelamaan ia akan keluar dan melibatkan ahli keluarga yang lain. Lambat laun, pihak keluarga pun akan terlibat sama. Nanti ada yang berpihak kepada suami dan ada yang berpihak kepada isteri. Maka baiklah perkara ini ditangani secara waras daripada ikut emosi. Maka tidak salah kalau ahli keluarga masuk campur.

Kalau mereka yang prihatin, mereka tidak akan berdiam diri. Mereka akan cari jalan untuk mendamaikan mereka. Beginilah yang sepatutnya dilakukan oleh orang luar. Kita memang tidak masuk campur dalam kehidupan orang lain, tapi kita kena bantu mana yang boleh.

 

فَابْعَثُوا حَكَمًا مِّنْ أَهْلِهِ وَحَكَمًا مِّنْ أَهْلِهَا

maka lantiklah pendamai dari keluarga lelaki dan seorang pendamai dari keluarga perempuan. 

Maka kalau masalah pasangan itu tidak selesai juga, boleh lantik pendamai untuk mewakili mereka. Wakil itu dilantik untuk bercakap bagi pihak mereka. Suami dan isteri akan beritahu apakah yang tersemat di hati mereka kepada pendamai masing-masing. Kadang-kadang perkara ini kena sampai bawa ke mahkamah. Dan mahkamah yang lantik siapakah pendamai itu. Atau pun boleh dilakukan dalam keluarga sahaja.

Selalunya, suami isteri sayang sama sendiri tapi kadangkala mereka tak pandai nak berurusan atau bercakap. Ini termasuk dalam masalah komunikasi. Jadi pendamai kena pandai. Lantiklah pendamai yang berwibawa dan boleh faham apakah tugas-tugas mereka.

Ulama mengatakan, pendamai itu mestilah dipilih dari kalangan orang yang soleh dari keluarga suami dan keluarga isteri. Lafaz yang digunakan dalam ayat ini juga adalah حَكَمًا – bermaksud seseorang yang ada ‘kebijaksaan’. Oleh itu, kenalah pandai pilih wakil. Janganlah pilih yang kaki tuduh atau kaki marah sahaja. Pilihlah yang ada pengetahuan agama sikit.

 

إِن يُرِيدَا إِصْلٰحًا يُوَفِّقِ اللهُ بَيْنَهُمَا

Jika kedua-dua pendamai bertujuan hendak mendamaikan, nescaya Allah akan menjadikan keduanya berpakat baik.

Jika kedua pendamai itu mahu mendamaikan dua pasangan itu, Allah akan bantu menjadikan pasangan itu berbaik semua. Juga boleh bermaksud ‘kedua-dua pasangan’ itu. Kalau mereka mahu mencari perdamaian, Allah akan buka jalan antara mereka berdua dengan memberi taufik. Dengan syarat suami isteri itu mahu dengar nasihat dari pendamai yang telah dilantik itu.

Allah tahu maksud hati pendamai. Maka pendamai kena ada niat yang betul. Ini penting kerana kadang-kadang orang luar yang bersangkutan kekeluargaan dengan mereka atau yang baik dengan mereka, mungkin tidak mahu mereka berbaik balik. Mungkin ada yang rasa, lebih baik mereka berpisah sahaja.

Sebagai contoh, mungkin ada ibubapa lelaki yang rasa anak lelaki mereka lebih sesuai kalau kahwin dengan orang lain. Kadang-kadang memang ahli keluarga pandang sesuatu perkara itu lain dari apa yang dilihat oleh pasangan itu. Tapi walaupun ibubapa nampak perkahwinan itu tidak akan berjaya, hati pasangan itu kita tidak tahu. Mungkin mereka asyik berkelahi sahaja, tapi entah ada rasa sayang lagi antara mereka.

Jadi, tujuan asal kedua pendamai itu adalah untuk menyelamatkan rumahtangga itu. Tapi dari riwayat yang sampai dari Saidina Ali, beliau pernah melantik pendamai yang menyuruh pasangan suami isteri itu untuk memberi kuasa kepada kedua pendamai itu untuk membuat keputusan samada perkahwinan itu patut diteruskan atau tidak.

Kerana ada kemungkinan apabila pendamai itu mengetahui kedudukan sebenar masalah yang dihadapi oleh kedua pasangan itu, mungkin mereka nampak tidak ada jalan keluar melainkan perpisahan sahaja. Kedua-kedua pendamai itu kenalah setuju atas satu keputusan.

Hakam dari kedua-kedua pasangan itu diberikan kuasa untuk menjatuhkan talaq kalau perlu. Inilah yang terjadi apabila pertelingkahan suami isteri dibawa ke hadapan Uthman dan juga Ali. Mereka lantik hakam dari keluarga dan mereka diberitahu yang hakam boleh buat keputusan samada untuk teruskan perkahwinan itu adalah pisahkan pasangan itu dengan talaq.

Abdur Razzaq mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ma’mar, dari Ibnu Tawus, dari Ikrimah ibnu Khalid, dari Ibnu Abbas yang mengatakan, “Aku dan Mu’awiyah pernah diutus sebagai hakam.” Ma’mar melanjutkan kisahnya, bahawa yang mengutus keduanya adalah Khalifah Usman. Khalifah Usman berkata kepada keduanya, “Jika kamu berdua berpendapat sebaiknya pasangan suami isteri itu dikumpulkan kembali, kamu berdua boleh menghimpunnya kembali. Jika kamu berdua berpendapat sebaiknya keduanya dipisahkan, maka kamu berdua boleh memisahkan keduanya.”

 

إِنَّ اللهَ كَانَ عَلِيمًا خَبِيرًا

Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui, lagi Amat mendalam pengetahuanNya.

Allah Maha Tahu niat masing-masing. Allah tahu samada pendamai yang dilantik itu mahu untuk mendamaikan mereka ataupun hendak memisahkan mereka. Maka mereka hendaklah jaga hati mereka dan niat untuk mendamaikan kena ada. Kerana nanti mereka akan mengadap Allah SWT yang tahu yang di dalam hati mereka.

nota: ulama ada juga yang berpendapat bahawa penggunaan pendamai ini bukan sahaja untuk menyelesaikan masalah antara suami dan isteri tetapi boleh digunakan dalam pertelingkahan lain juga. Lebih-lebih lagi kalau pertelingkahan antara ahli keluarga. Seeloknya, pertelingkahan itu diselesaikan dalam ahli keluarga juga, tanpa dibawa ke mahkamah. Allahu a’lam.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 28 Julai 2018

Ringkasan Surah Nisa’


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Mutiara al-Qur’an.

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah an-Nisa Ayat 31 – 33 (Tinggalkan dosa besar)

Ayat 31: Dalam Qur’an, Allah ada memberitahu kita bahawa ada dua jenis dosa. Ada dosa syirik dan kufur yang tidak akan dimaafkan oleh Allah. Dan ada dosa yang Allah boleh ampunkan kalau Dia mahu. Ayat ini adalah tentang dosa yang Allah boleh ampunkan. Walaupun dosa itu adalah jenis dosa besar sekalipun.

Ini adalah satu konsep tentang dosa dalam Qur’an dan perkara ini disebut tiga kali dalam Qur’an. Kita adalah manusia biasa dan kadang-kadang tidak dapat elak dari buat dosa kecil. Kadang-kadang kita tercakap benda yang salah, terambil barang orang, ambil wuduk sekali sekala tidak sempurna kerana nak cepat, solat tak khusyuk dan macam-macam lagi.

Yang penting diajar dalam ayat ini adalah kita kena jaga diri dari melakukan dosa-dosa besar, jangan langsung buat, kemudian baru jaga diri kita setiap hari dari melakukan dosa-dosa kecil. Bila kita tak tahu nak bezakan mana dosa yang besar dan mana dosa yang kecil, maka kita akan kerugian yang amat sangat.

Sebab itu ada orang yang jaga solat, marah orang lain kalau orang lain buat salah, tapi dalam masa yang sama, dia buat benda syirik tanpa disedari. Ini adalah kerana dia adalah seorang yang jahil sekali. Jahilnya itu adalah kerana tidak belajar.

إِن تَجْتَنِبُوا كَبَائِرَ مَا تُنْهَوْنَ عَنْهُ نُكَفِّرْ عَنكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَنُدْخِلْكُم مُّدْخَلًا كَرِيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

If you avoid the major sins which you are forbidden, We will remove from you your lesser sins and admit you to a noble entrance [into Paradise].

MALAY

Jika kamu menjauhkan dosa-dosa besar yang dilarang kamu melakukannya, Kami akan ampunkan kesalahan-kesalahan (dosa kecil) kamu, dan Kami akan masukkan kamu ke tempat yang mulia (syurga).

 

إِن تَجْتَنِبُوا كَبَائِرَ مَا تُنْهَوْنَ عَنْهُ

Jika kamu menjauhkan dosa-dosa besar yang dilarang kamu melakukannya,

Kita memang dilarang dan ditegah dari melakukan dosa. Dan kita pun tahu yang dosa ada jenis dosa yang ‘kecil’ dan ada dosa yang ‘besar’. Tentunya dosa besar itu dikelaskan sebagai ‘besar’ kerana ianya adalah kesalahan yang amat berat sekali. Itu yang pertama sekali kita kena tinggalkan.

Semua dosa kena tinggalkan, tapi dosa-dosa besar itu jangan sekali-kali buat dan kalau sudah terbuat, kena tinggalkan dengan segera. Dosa yang paling besar adalah dosa syirik. Nabi Muhammad ﷺ telah bersabda dalam satu hadis riwayat Bukhari dan Muslim:

عن أبي هريرة رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال‏:‏ “أجتنبوا السبع الموبقات” قالوا‏:‏ يا رسول الله وما هن‏؟‏ قال‏:‏ ‏”‏الشرك بالله، والسحر، وقتل النفس التى حرم الله إلا بالحق، وأكل الربا، وأكل مال اليتيم، والتولي يوم الزحف، وقذف المحصنات الغافلات” ‏(‏‏(‏متفق عليه‏)‏‏)‏‏.‏

Nabi Muhammad ﷺ bersabda, “Jauhilah oleh kalian tujuh dosa yang membinasakan”. Para sahabat bertanya, “Apa itu?”. Beliau menjawab, “Menyekutukan Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah kecuali dengan benar, memakan harta anak yatim, memakan riba, melarikan diri dari peperangan, menuduh berzina wanita-wanita mukminah yang suci.” (HR. Bukhari dan Muslim)

Ini adalah salah satu hadis sahaja yang menyebut tentang dosa-dosa besar itu. Ulama tidak ada kata putus tentang senarai dosa-dosa besar itu. Daripada hadis-hadis yang dibaca, kita boleh tahu bahawa bukanlah tujuh sahaja dosa besar, tapi ada banyak lagi. Ini boleh diketahui apabila kita semakin banyak belajar hadis-hadis Nabi.

Antara yang boleh ditambah di sini – tidak taat kepada ibubapa, jadi saksi palsu, bunuh anak kerana takut anak itu makan rezeki kita, berzina dengan isteri jiran, menyeru selain dari Allah, memaki hamun ibubapa, memaki muslim yang lain dan sebagainya.

Ulama sampai menulis kitab untuk menjelaskan perbezaan antara dosa besar dan dosa kecil. Jadi, kita cuma dapat membincangkan dengan ringkas sahaja di sini. Antara ciri-ciri yang dikatakan dosa besar itu:

  • Dosa-dosa yang telah ada hukum hudud untuknya, contohnya zina.
  • Dosa-dosa yang Allah melaknat atas pelakunya
  • Dosa-dosa yang dijanjikan neraka bagi mereka yang melakukannya
  • Dosa yang kesannya sama dengan dosa besar yang lain
  • Dosa yang sengaja dengan perasaan sengaja nak lawan hukum. Contohnya, kita sudah tahu yang sesuatu perbuatan itu berdosa, tapi sengaja kita buat sebab nak lawan hukum itu.
  • Dosa kecil yang dilakukan berterusan.

Ada orang yang berkata kepada Ibn Abbas, adakah besar dosa besar ada tujuh? Ibn Abbas jawap, bukan 7 tapi dalam tujuh ratus. Ada seorang ulama yang bernama Imam Ibn Hajr al-Makki telah menyenaraikan dosa-dosa besar dan memasukkannya ke dalam kitabnya Al-Zawajir, dan senarainya sampai 467 jenis dosa.

Ada juga ulama yang membahagikan dosa-dosa besar itu kepada tiga jenis:

1. Menzalimi hak – samada kecil atau besar. Semakin besar hak orang itu ke atas kita, maka semakin besarlah dosa itu. Kerana itulah dosa kezaliman yang paling besar adalah syirik, kerana syirik itu menzalimi hak Allah.

2. Tidak takut kepada Allah, atau tidak cukup takut kepada Allah. Kerana apabila tidak ada takut kepada Allah, maka manusia berani untuk melakukan maksiat kepada Allah.

3. Memutuskan pertalian perhubungan. Semakin penting perhubungan itu, semakin berat dosa itu. Jadi darjah dosa itu mengikut kepada kepentingan perhubungan itu.

Sebagai contoh, kita boleh lihat kepada zina. Zina adalah pemutus kepada perhubungan kekeluargaan, tapi darjah dosa zina ini tidak sama, bergantung kepada keadaan. Kalau zina itu dilakukan dengan lelaki/wanita yang sudah berkahwin, ia lebih berat dari perlakuan zina dengan orang bujang (kerana itu tidak sama hukuman zina kepada orang bujang dan orang sudah berkahwin).

Zina dengan jiran lagi teruk dari zina dengan orang lain. Zina dengan ahli keluarga (mahram) lagi teruk dari zina dengan orang lain. Begitu juga kalau zina itu kalau dilakukan di masjid lagi teruk kalau dilakukan di tempat lain walaupun ia juga zina, tapi kerana tempat tidak sama, maka ia menjadi beza dosanya.

Perlu diingat bahawa antara menjaga dari melakukan dosa besar adalah dengan mengerjakan kewajiban fardhu dan wajib yang telah ditetapkan oleh Allah dan RasulNya. Ini adalah kerana meninggalkan kefardhuan adalah dosa besar. Jangan ayat ini bukan hanya suruh ‘tinggalkan’ sahaja, tapi ada memberi isyarat kepada perkara yang perlu ‘dibuat’.

 

نُكَفِّرْ عَنكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ

Kami akan ampunkan kesalahan-kesalahan (dosa kecil) kamu, 

Inilah yang dinamakan ‘Kaffarah’. Kalau kamu boleh menjauhi dosa besar, yang jenis syirik dan kufur, dan juga dosa-dosa besar yang lain, nescaya Allah boleh ampunkan dosa-dosa kecil yang kita lakukan. Dosa-dosa kecil itu memang susah untuk kita elakkan.

Allah bukannya penghukum yang hendak mengazab hambaNya sahaja. Kalau kita boleh jaga diri kita dari melakukan dosa-dosa besar, maka Allah sanggup nak ampunkan dosa-dosa kecil kita.

Kita pun sebagai manusia, tentu tidak sunyi dari melakukan dosa. Kadang-kadang kita tak perasan pun kita buat dosa-dosa itu. Ataupun kita tidak tahu pun yang ianya adalah satu dosa dan kita lakukan tanpa kita sedari yang ianya adalah dosa (kecil).

Tapi, kalau kita jaga diri kita dari melakukan dosa-dosa besar, Allah akan ampunkan dosa-dosa yang kecil itu. Dosa-dosa itu mudah diampunkan. Sebagai contoh, dengan ambil wudhuk, dosa kecil akan gugur; bila solat juga dosa kecil akan gugur; bila puasa, dosa akan gugur juga dan berbagai-bagai amal kebaikan yang kita lakukan akan menggugurkan dosa-dosa itu.

Tapi kita kena ingat yang dosa yang dihapuskan dengan cara ini adalah dosa-dosa kecil sahaja.

Dan seperti yang telah disebut, kena penuhi syaratnya, iaitu tidak dilakukan dosa-dosa yang besar. Jadi, kalau kita masih lagi melakukan dosa-dosa besar, kalau kita wudhuk, solat, puasa dan sebagainya, dosa-dosa kecil itu tidak akan diampunkan. Jadi, kita hadhir ke akhirat nanti, dengan bawa dosa besar kita dan dosa-dosa kecil kita juga. Ini tidak dapat dibayangkan sama sekali!

Bukanlah dosa-dosa besar tidak boleh diampunkan terus. Tapi dosa besar kena ada tawbah dengan syarat-syarat yang perlu dipenuhi.

Ada banyak cara Allah mengampunkan dosa-dosa kecil manusia. Antaranya:

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا هُشَيم عَنْ مُغِيرة، عَنْ أَبِي مَعْشَر، عَنْ إِبْرَاهِيمَ، عَنْ قَرْثَع الضَّبِّي، عَنْ سَلْمَانَ الْفَارِسِيِّ قَالَ: قَالَ لِيَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “أَتَدْرِي مَا يَوْمُ الْجُمُعَةِ؟ ” قُلْتُ: هُوَ الْيَوْمَ الَّذِي جَمَعَ اللَّهُ فِيهِ أَبَاكُمْ. قَالَ: “لَكِنْ أدْرِي مَا يَوْمُ الجُمُعَةِ، لَا يَتَطَهَّرُ الرَّجُلُ فيُحسِنُ طُهُوره، ثُمَّ يَأْتِي الجُمُعة فيُنصِت حَتَّى يَقْضِيَ الْإِمَامُ صَلَاتَهُ، إِلَّا كَانَ كَفَّارَةً لَهُ مَا بَيْنَهُ وَبَيْنَ الْجُمُعَةِ الْمُقْبِلَةِ، مَا اجْتُنبت الْمَقْتَلَةُ

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Hassyim, dari Mugirah, dari Abu Ma’syar, dari Ibrahim, dari Marba’ Ad-Dabbi, dari Salman Al-Farisi yang menceritakan bahawa Nabi ﷺ pernah bersabda kepadanya, “Tahukah kamu, apakah hari Jumaat itu?” Salman Al-Farisi menjawab, “Hari Jumaat adalah hari Allah menghimpun nenek moyangmu (yakni hari kiamat terjadi pada hari Jumaat).” Nabi ﷺ bersabda: Tetapi aku mengetahui apakah hari Jumaat itu. Tidak sekali-kali seorang lelaki bersuci dan dia melakukannya dengan baik, lalu dia mendatangi salat Jumaat dan diam mendengarkan khutbah hingga imam menyelesaikan solatnya, melainkan hari Jumaat itu merupakan penghapus bagi dosa-dosa (kecil)nya antara Jumaat itu sampai Jumaat berikutnya selagi dosa-dosa yang membinasakan (dosa besar) dijauhi (nya).

 

وَنُدْخِلْكُم مُّدْخَلًا كَرِيمًا

dan Kami akan masukkan kamu ke tempat yang mulia

Tempat masuk yang mulia adalah Syurga. Inilah nikmat yang kita harap-harapkan. Itulah tujuan hidup kita. Kita hidup di dunia ini untuk mencari bekal untuk masuk ke syurga dan menikmati segala nikmat yang Allah janji untuk beri kepada kita. Semoga kita dimasukkan ke dalam syurga, ameen.


 

Ayat 32: Sekarang kita sambung kepada hukum mengenai Harta Pusaka. Ini adalah kesan yang mungkin timbul kalau hukum Allah tidak dijaga.

Dalam pembahagian Harta Pusaka seperti yang kita sudah belajar, ada yang dapat lebih dan ada yang dapat kurang. Allah nak ajar supaya jangan ada irihati kalau dapat bahagian kurang dari orang lain. Jangan persoal pembahagian yang Allah yang telah tetapkan.

Ayat ini juga boleh digunakan secara umum untuk menerangkan perbezaan nasib yang telah ditentukan oleh Allah.

وَلَا تَتَمَنَّوْا مَا فَضَّلَ اللهُ بِهِ بَعْضَكُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ لِّّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا اكْتَسَبُوا وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِّمَّا اكْتَسَبْنَ وَسْئلُوا اللهَ مِن فَضْلِهِ إِنَّ اللهَ كَانَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And do not wish for that by which Allāh has made some of you exceed others. For men is a share of what they have earned, and for women is a share of¹ what they have earned. And ask Allāh of His bounty. Indeed Allāh is ever, of all things, Knowing.

  • This may refer to shares of inheritance, wages and reward in the Hereafter.

MALAY

Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (Kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurniaNya. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

 

وَلَا تَتَمَنَّوْا مَا فَضَّلَ اللهُ بِهِ بَعْضَكُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ

Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (melebihi sebahagian yang lain)

Ini adalah sambungan tentang bahagian dari harta pusaka yang Allah telah tetapkan. Allah yang tetapkan bahagian itu, jadi kita tidak ada hak nak persoal pembahagian itu. Berdosa kalau tak puas hati dengan keputusan Allah. Maka kena terima sahaja cara pembahagian itu dengan rela.

Ayat ini juga boleh diaplikasi dalam kehidupan secara umum. Ia mengajar kita jangan bandingkan apa yang kita dapat dengan orang lain. Pemberian yang Allah berikan kepada orang tidak sama. Ada yang dapat lebih, ada yang diberi kurang.

Bukan sahaja pemberian Allah itu dari segi harta sahaja. Kadang-kadang ada yang pandai, tapi tak cantik; ada yang sihat tubuh badan, ada yang lemah; ada yang lahir dalam keluarga kaya dan ada yang lain dalam keluarga miskin; dan macam-macam lagi yang kita lebih dan kurang dari orang lain. Tapi ingatlah yang kalau kita kurang pada satu bahagian, kita lebih pada bahagian yang lain pula.

Tapi memang manusia ramai yang tidak puas hati dengan nasib mereka yang telah ditentukan oleh Allah. Mereka tidak senang untuk redha. Ini adalah penyakit dalam emosi manusia. Ramai yang selalu banding-bandingkan diri mereka dengan orang lain. Akhirnya mereka sendiri yang tak puas hati.

Ini bahaya kerana selalunya ada perkara yang kita memang tidak boleh nak ubah. Sebagai contoh, ada orang yang dilahirkan semulajadi cantik dan ada yang tidak. Kalau nak ubah macam mana pun, tidak akan jadi cantik. Dan bahayanya pula, kalau dia tidak dapat cantik, dia berharap supaya orang yang cantik itu ditarik kecantikannya supaya jadi sama dengan dia pula. Ini adalah dengki dan ini bahaya sekali. Jangan dilayan perasaan begini. Kerana endah apa yang orang dengki boleh lakukan untuk menjadikan keinginannya terlaksana.

Padahal segala apa yang orang itu ada, Allah yang beri, bukan? Kalau merungut dan bandingkan kekurangan yang ada pada diri kita, itu maknanya kita tak bersyukur dengan pemberian Allah. Sedangkan Allah selalu ingatkan kita untuk bersyukur kepadaNya.

Tetapi, ini tidaklah melarang kita untuk cuba mencapai tahap kebaikan seperti yang ada pada orang lain. Kalau kita nampak seseorang itu pandai dan berilmu, kita boleh cuba untuk jadi macam dia dengan belajar dan berusaha untuk mencapai tahap kepandaian orang itu. Kalau nak kaya macam orang lain, maka berusahalah untuk mencari rezeki yang halal.

Ini telah disebutkan di dalam sebuah hadis sahih, yaitu:

“لَا حَسَد إِلَّا فِي اثْنَتَيْنِ: رَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ مَالًا فسَلَّطَه عَلَى هَلَكَتِهِ فِي الْحَقِّ، فَيَقُولُ رَجُلٌ: لَوْ أَنَّ لِي مِثْلَ مَا لِفُلَانٍ لعَمِلْتُ مِثْلَهُ. فَهُمَا فِي الْأَجْرِ سَوَاءٌ”

Tidak boleh dengki kecuali dalam dua hal, yaitu (terhadap) seorang lelaki yang dianugerahi oleh Allah harta yang banyak, lalu dia menginfakkan (membelanjakan)nya di jalan yang hak, dan ada lelaki lain mengatakan, “Seandainya aku mempunyai apa yang semisal dengan yang dipunyai oleh si Fulan, niscaya aku akan mengamalkan hal yang sama,” kedua-duanya beroleh pahala yang sama.

Syarah: kita bukan disuruh dengki dan berhenti di situ sahaja. Akan tetapi apabila kita lihat ada orang buat kebaikan, maka kita pun berusaha nak buat kebaikan juga seperti dia, malah nak buat lebih baik lagi. Itulah baru ‘dengki’ yang baik.

 

لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا اكْتَسَبُوا

orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan,

Lelaki dan perempuan telah ditentukan bahagian penerimaan harta pusaka seperti yang telah disebut dalam ayat 11 dan 12 surah ini.

Selain dari harta pusaka, seorang lelaki ada bahagian yang mereka boleh ikhtiar sendiri untuk dapat lebih. Kalau nak dapat lebih, kenalah usaha lebih. Sebagai contoh, kalau nak pandai, kenalah belajar lebih lagi; kalau nak dapat rezeki lebih, kena usaha cari pendapatan.

Begitu juga, seorang lelaki boleh melakukan usaha untuk mendapatkan lebih banyak pahala. Kita telah diajar untuk berlumba-lumba dalam perkara kebaikan. Para sahabat berlumba-lumba untuk dapat lebih pahala dari sahabat yang lain.

Maka ayat ini mengajar kita bahawa kita kena usaha untuk mendapatkan sesuatu. Samada dari segi keduniaan atau dari segi pahala dan agama. Maka janganlah berharap orang sedekah pahala kepada kita bila kita dah mati, tapi hendaklah kita usaha untuk kumpul pahala kita sendiri. Kalau buat sikit, dapatlah sikit; kalau buat banyak, dapatlah banyak. Allah balas berdasarkan usaha kita.

 

وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِّمَّا اكْتَسَبْنَ

dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan; 

Perempuan pun boleh ikhtiar juga. Tidaklah mereka itu kurang dari lelaki kerana mereka pun ada peluang juga. Semua ada usaha masing-masing yang boleh dilakukan dalam rangka ‘ikhtiar’. Allah mahu kita ada usaha dalam hidup, tidaklah tunggu sahaja rezeki atau kepandaian datang sendiri.

Daripada fikir apa yang kurang pada diri sendiri, lihatlah apa yang kita boleh buat dan jalankan usaha dan ikhtiar itu.

Perempuan janganlah rasa rugi dilahirkan sebagai perempuan pula. Ada yang rasa susah jadi perempuan kerana pada mereka, banyak benda yang mereka tak boleh buat kerana mereka dilahirkan lemah.

Sebagai contoh, mereka tidak dapat pergi ke medan perang dan mereka tidak ada solat berjemaah di masjid. Janganlah keluh kesah kerana mereka ada kelebihan sendiri. Sebagai contoh, lelaki tidak boleh lahirkan anak, bukan? Maka lihatlah bagaimana Allah beri kepada setiap jantina peluang untuk buat pahala asalkan mereka mahu berusaha.

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Sufyan, dari ibnu Abu Nujaih dan dari Mujahid yang menceritakan bahawa Ummu Salamah r.a. pernah berkata, “Wahai Rasulullah, kaum lelaki dapat ikut berperang, sedangkan kami (kaum wanita) tidak dapat ikut berperang, dan bagi kami hanya separuh warisan (yang diterima lelaki).” Maka Allah Swt. menurunkan firman-Nya: Dan janganlah kalian iri hati terhadap apa yang dikurniakan Allah kepada sebagian kalian lebih banyak dari sebagian yang lain. (An-Nisa: 32)

Kesimpulannya manusia boleh usaha untuk dapat rezeki lebih, dapat anugerah yang lebih, dapat pahala yang lebih, tapi dalam hal harta pusaka, tidak ada usaha untuk mendapatkan lebih lagi dari bahagian harta pusaka itu kerana telah ditetapkan oleh Allah bahagian masing-masing.

 

وَسْئلُوا اللهَ مِن فَضْلِهِ

dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurniaNya. 

Kita semua kena minta kepada Allah untuk dapat rezeki yang lebih, kepandaian yang lebih, atau apa-apa sahaja. Itu dalam hal lain, cuma dalam bahagian faraid ini telah ditetapkan.

Tetapi sebaiknya, kita tidak perlu meminta sesuatu yang khusus. Seeloknya, kita hanya meminta supaya Allah beri ‘keberkatan’ kepada kita. Kerana kita tidak tahu manakah yang baik untuk diri kita. Sebagai contoh, kalau kita minta supaya Dia beri kita jadi orang yang kaya, kita pun tidak tahu samada kekayaan itu menjadi kebaikan untuk kita atau bahana untuk kita.

Maka mintalah doa kepada Allah supaya memberikan kurniaNya kepada kita. Kerana Allah ada banyak kurnia dan Allah suka kalau kita meminta. Doalah banyak-banyak dengan berharap kepada Allah.

Imam Turmuzi dan Ibnu Murdawaih meriwayatkan melalui hadis Hammad ibnu Waqid, bahawa dia pernah mendengar Israil menceritakan hadis berikut dari Abu Ishaq, dari Abul Ahwas, dari Abdullah ibnu Mas’ud r.a. yang menceritakan bahwa Rasulullah ﷺ pernah bersabda:

“سلُوا اللَّهَ مِنْ فَضْلِه؛ فَإِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ أَنْ يُسْأَلَ وَإِنَّ أَفْضَلَ الْعِبَادَةِ انْتِظَارُ الْفَرَجِ”.

Mohonlah kalian kepada Allah sebagian dari kurnia-Nya, kerana sesungguhnya Allah suka bila diminta. Dan sesungguhnya ibadah yang paling afdal (utama) ialah menunggu jalan keluar.

 

إِنَّ اللهَ كَانَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمًا

Sesungguhnya Allah Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

Allah Maha Tahu siapakah yang layak dapat apa dalam dunia ini; Allah tahu siapa yang layak dapat harta yang banyak; Allah tahu siapa yang layak dapat pahala yang banyak; Allah tahu siapa yang layak masuk syurga dan siapa yang layak masuk neraka.

Allah dengan segala kebijaksaan dan ilmuNya, tahu apa yang kita perlukan. Kita kena percaya bahawa apa yang Allah telah berikan kepada kita adalah apa yang sesuai untuk kita. Kita tidak patut rasa kurang atau rasa tidak cukup dengan apa yang kita ada. Belajarlah untuk redha dengan pemberian Allah.


 

Ayat 33:

وَلِكُلٍّ جَعَلْنَا مَوٰلِيَ مِمَّا تَرَكَ الْوٰلِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ وَالَّذِينَ عَقَدَتْ أَيْمٰنُكُمْ فَئآتُوهُمْ نَصِيبَهُمْ إِنَّ اللهَ كَانَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ شَهِيدًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And for all, We have made heirs to what is left by parents and relatives. And to those whom your oaths have bound [to you] – give them their share.¹ Indeed Allāh is ever, over all things, a Witness.

  • By bequest, as only those relatives mentioned in verses 11 and 12 inherit fixed shares.

MALAY

Dan bagi tiap-tiap (lelaki dan perempuan yang telah mati), Kami telah tetapkan orang-orang yang berhak mewarisi peninggalannya iaitu ibu bapa dan kerabat yang dekat. Dan mana-mana orang yang kamu telah membuat ikatan setia dengan mereka (untuk bantu-membantu dalam masa kecemasan dan kesusahan) maka berikanlah kepada mereka bahagiannya. Sesungguhnya Allah sentiasa Menyaksikan tiap-tiap sesuatu.

 

وَلِكُلٍّ جَعَلْنَا مَوٰلِيَ مِمَّا تَرَكَ الْوٰلِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ

Dan untuk semua, Kami telah tetapkan orang-orang yang berhak mewarisi peninggalannya iaitu ibu bapa dan kerabat yang dekat.

Masing-masing manusia telah ditetapkan pewaris-pewaris. Ada bahagian masing-masing dari harta pusaka yang ditinggalkan. Apa sahaja yang ditinggalkan oleh manusia, akan ada yang akan mewarisinya.

 

وَالَّذِينَ عَقَدَتْ أَيْمٰنُكُمْ فَئآتُوهُمْ نَصِيبَهُمْ

Dan mana-mana orang yang kamu telah membuat ikatan setia dengan mereka maka berikanlah kepada mereka bahagiannya. 

Jika telah berlaku sumpah setia untuk tolong menolong, boleh kalau mahu wasiatkan sebahagian dari harta kita kepada mereka. Semasa Zaman Jahiliyah, seseorang itu boleh duduk dalam kabilah yang bukan dia dilahirkan. Kadang-kadang mereka duduk dalam kabilah isteri atau kabilah suami. Sampai adakalanya mereka tukar nama mereka dan ambil nama kabilah suami atau isteri.

Ini adalah sistem masyarakat Arab. Apabila mereka masuk ke dalam kabilah yang lain, akan ada sumpah setia untuk duduk dalam kabilah itu dan perjanjian untuk sama-sama duduk dan sama-sama tolong menolong.

Dalam keadaan macam itu, boleh beri kepada orang kabilah itu, bahagian dari harta sebagai bantuan dan pertolongan. Tapi ia bukan dari bahagian faraid. Ini adalah kerana harta pusaka kita tidak boleh sampai kepada mereka walaupun kita duduk dalam kabilah mereka. Ini adalah kerana mereka bukan ada talian darah dan perkahwinan dengan mereka. Perjanjian setia itu telah dimansukhkan oleh ayat Ahzab:6. Oleh itu kalau nak beri, kenalah dengan cara wasiat dan wasiat dibenarkan sampai 1/3 dari bahagian harta.

Ini terjadi kepada kaum Muhajirin dan Ansar. Dahulu kaum Muhajirin ketika tiba di Madinah; seorang Muhajir dapat mewarisi harta seorang Ansar, kerana berkat persaudaraan yang dicanangkan oleh Rasulullah Saw. di antara mereka. Ketika diturunkan firman-Nya: Bagi tiap-tiap harta peninggalan dari harta yang ditinggalkan ibu bapak dan karib kerabatnya, Kami jadikan pewaris-pewarisnya. (An-Nisa: 33) maka ketentuan tersebut dimansukh, kemudian Ibnu Abbas membacakan firman-Nya: Dan (jika ada) orang-orang yang kalian telah bersumpah setia dengan mereka, maka berilah kepada mereka bagiannya. (An-Nisa: 33)

Syarah: maka tidak ada janji setia sesama manusia yang seorang akan mewarisi dari seorang yang lain. Kalau nak beri sesuatu bahagian kepada orang selain dari penerima harta pusaka, maka boleh dilakukan dengan cara wasiat.

 

إِنَّ اللهَ كَانَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ شَهِيدًا

Sesungguhnya Allah sentiasa Menyaksikan tiap-tiap sesuatu.

Allah sentiasa melihat apa yang kita lakukan. Dan Dia akan membalas segala kesalahan kita. Maknanya, kalau kita mewariskan harta kita kepada mereka yang tidak patut mendapatnya, Allah melihat apa yang kita lakukan.

Habis Ruku’ ke 5 dari 24 ruku’ dalam surah ini.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 26 Julai 2018

Ringkasan Surah Nisa’


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah an-Nisa Ayat 27 – 30 (Syariat Allah itu mudah)

Ayat 27: Masih lagi kepentingan syariat yang Allah telah berikan kepada kita.

وَاللهُ يُرِيدُ أَن يَتُوبَ عَلَيْكُمْ وَيُرِيدُ الَّذِينَ يَتَّبِعُونَ الشَّهَوٰتِ أَن تَمِيلُوا مَيْلًا عَظِيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Allāh wants to accept your repentance, but those who follow [their] passions want you to digress [into] a great deviation.

MALAY

Dan Allah hendak (membersihkan kamu dari dosa dengan) menerima taubat kamu, sedang orang-orang (yang fasik) yang menurut keinginan hawa nafsu (yang diharamkan oleh Allah itu) hendak mendorong kamu supaya kamu menyeleweng (dari kebenaran) dengan penyelewengan yang besar bahayanya.

 

وَاللهُ يُرِيدُ أَن يَتُوبَ عَلَيْكُمْ

Dan Allah hendak menerima taubat kamu, 

Allah ulang lagi tentang hal taubat. Kali ini dalam jumlah ismiah pula dimana dalam susunan ayat ini, Allah meletakkan NamaNya di hadapan. Ini menunjukkan penekanan – Allah benar-benar hendak menerima taubat kita.

Allah mahu menerima taubat kita, asalkan kita ikut syariatNya yang telah diberikan. Kita telah banyak belajar hukum-hukum syariat yang telah disampaikan dalam surah ini dan surah-surah yang lain. Maka amalkan dengan baik, dan Allah akan menerima taubat kita.

 

وَيُرِيدُ الَّذِينَ يَتَّبِعُونَ الشَّهَوٰتِ أَن تَمِيلُوا مَيْلًا عَظِيمًا

sedang orang-orang yang menurut keinginan syahwat hendak mendorong kamu supaya kamu menyeleweng dengan penyelewengan yang besar.

Allah mahu menerima taubat kita, tapi mereka yang ikut syahwat, ingin kita berpaling jauh dari syariat. Kalimah الشَّهَوَاتِ bermaksud keinginan nafsu yang kuat kalau dibandingkan dengan ‘hawa’ sahaja.

‘Hawa’ hanyalah keinginan biasa sahaja. Mereka yang ada kejahatan dalam dirinya ingin umat Islam condong jauh dari kebenaran. Mereka tak puas hati kalau kita buat sesuatu yang ikut syariat agama kita. Padahal kita bukan kacau mereka pun. Tapi ada rasa dengki dan tidak puas hati kalau kita nak amal agama. Allah nak bezakan keinginan Allah dan keinginan mereka yang ikut syahwat. Kalau tak ikut syariat, maka maknanya akan ikut syahwatlah.

Kalau dulu, ini merujuk kepada golongan munafik dan juga golongan Ahli Kitab. Mereka tidak suka dengan syariat yang dibawa oleh Nabi Muhammad ﷺ. Mereka telah lama berpegang dengan satu pegangan agama dan sekarang Nabi Muhammad ﷺ datang dan membawa syariat baru pula. Maka mereka tak suka cara hidup mereka diganggu-gugat.

Memang hati mereka seleweng kalau menolak syariat Allah. Ini kerana terdapat berbagai pembaharuan syariat yang menyenangkan manusia. Walaupun ia berlawanan dengan kebiasaan mereka, tapi ianya baik. Sebagai contoh:

  • Kanak-kanak dan perempuan sudah layak menerima harta pusaka.
  • Wanita yang menjadi janda boleh menentukan hak mereka untuk berkahwin lagi dan tidak lagi tertakluk dengan kehendak keluarga bekas suaminya.
  • Tidak boleh berkahwin dengan adik beradik dalam satu masa lagi.
  • Anak angkat tidak lagi layak menerima harta pusaka.
  • Perkahwinan dengan janda anak angkat dibenarkan.

Perkara di atas adalah berlainan dengan amalan penduduk Tanah Arab dari dahulu lagi. Mereka sudah biasa dengan cara hidup dan undang-undang begitu dan mereka tidak suka apabila ada perubahan. Ini macam orang kita juga yang tidak suka amalan-amalan lama dikatakan sebagai bidaah dan khurafat.

Maka mereka yang tidak suka dengan syariat baru ini mula mengata-ngata perubahan yang dilakukan dalam Islam. Sebagai contoh, mereka mengejek dengan mengatakan mereka yang lahir dari perkahwinan yang ada adik beradik dalam satu perkahwinan itu, sebagai haram. Padahal, mereka tidak bersalah kerana perkahwinan sebegitu tidak diharamkan lagi pada masa dulu. Tapi mereka yang ada kejahatan dalam hati mereka itu sengaja nak menyakitkan hati orang lain dan nak mengajak mereka menentang syariat. Mereka kata: “apa punya karut la hukum baru ini…”

Begitulah juga yang ada dalam hati orang kafir yang jahat. Maka mereka akan kata macam-macam untuk memesongkan kita kepada kesesatan. Sebagai contoh, mereka kata agama Islam ini tindas wanita, wanita tidak boleh kerja, wanita tidak boleh pandu kereta, wanita sepatutnya tidak perlu pakai tudung dan sebagainya.

Kita kena berhati-hati dengan diayah mereka. Kita mungkin terselamat, tapi bagaimana dengan keluarga kita? Anak-anak kita sekarang hidup membesar dalam suasana dimana mereka boleh mendapat maklumat yang salah dari macam-macam arah. Kalau kita kita jaga apa yang sampai kepada anak kita, kita takut mereka akan hanyut nanti jadinya.

Golongan Yahudi lain pula kisah mereka. Mereka pun tidak setuju dengan syariat baru yang disampaikan oleh Rasulullah. Mereka telah lama beragama dan mereka telah menambah-nambah dalam agama mereka. Benda yang tidak haram, mereka telah kata haram. Jadi bila Qur’an datang dan tidak iktiraf undang-undang yang mereka telah reka, maka tentulah mereka marah.

Sebagai contoh, mereka telah mengubah hukum dengan mengatakan perempuan yang dalam haidh tidak suci. Jadi wanita yang dalam haidh bukan sahaja tidak boleh digauli, tapi makanan masakan mereka tidak boleh dimakan, mereka tidak boleh duduk sekali makan di meja makan, sentuh pun tidak boleh.

Tapi Islam datang dan mengatakan wanita itu memang tidak suci pada waktu itu tapi mereka tidak boleh dijimak sahaja. Bukannya tidak boleh duduk sekali dan makan masakan mereka. Tidaklah wanita hina sangat sampai begitu sekali. Jadi apabila Islam tidak iktiraf apa yang mereka reka itu, mereka pun marah dan tidak mahu nak ikut Qur’an. Mereka kata hukum baru ini adalah rekaan Muhammad sahaja.

Begitulah juga yang terjadi dengan ahli bidaah dalam masyarakat kita. Telah ada banyak perkara yang mereka tambah dalam agama dan mereka marah apabila kita kata apa yang mereka katakan itu tidak ada. Sebagai contoh, ada golongan ustaz yang jahil mengatakan bila nak istinja’, kena korek lubang dubur itu dan cuci dengan jari sampai ke dalam.

Ini adalah tambahan dalam agama dan menyusahkan manusia. Jadi bila kata mereka salah dan ajar ajaran salah kepada masyarakat, maka marahlah mereka. Dan mereka menolak golongan Sunnah dengan mengatakan kita sebagai ‘wahabi’ dan golongan sesat sampai tidak membenarkan kita mengajar di masjid dan surau yang mereka mengajar.


 

Ayat 28: Ini adalah kesimpulan dari penerangan tentang syariat yang telah disebut sebelum ini.

يُرِيدُ اللهُ أَن يُخَفِّفَ عَنكُمْ وَخُلِقَ الْإِنسٰنُ ضَعِيفًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And Allāh wants to lighten for you [your difficulties]; and mankind was created weak.

MALAY

Allah (sentiasa) hendak meringankan (beban hukumnya) daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah.

 

يُرِيدُ اللهُ أَن يُخَفِّفَ عَنكُمْ

Allah hendak meringankan beban daripada kamu, 

Allah jadikan undang-undang syariat untuk meringankan kita. Kita mungkin sangka yang undang-undang ini menyusahkan kita, bukan? Tapi sebenarnya Allah nak ringankan beban kita. Ringan beban di dunia dan juga di akhirat.

Ada hukum-hukum adat resam masyarakat jahiliah dan yang diajar oleh Ahli Kitab itu berat dan menyusahkan. Maka Allah beri penerangan bahawa ada yang diamalkan itu salah. Dengan itu meringankan kehidupan manusia. Antaranya yang kita sudah belajar, boleh kahwini hamba kalau tidak mampu mengahwini wanita merdeka.

Kalau kita buat sesuatu ikut syariat, hidup kita akan mudah sebenarnya. Kerana hukum syariat yang diwajibkan kepada kita itu adalah sesuai untuk kita sebenarnya. Kalau kita rasa berat, maknanya kita yang ada masalah, bukan hukum itu.

Sebagai contoh, lihat cara perkahwinan kita. Mana yang senang, cara sunnah atau cara adat Melayu yang menyusahkan? Dengan wang belanja yang mahal, kena uruskan kenduri yang besar, hantaran yang berjenis-jenis, pakaian yang melampau, pelamin yang syirik, bunga manggar, adat yang tidak bertepatan dengan syariat dan macam-macam lagi. Bukankah itu menyusahkan?

Ikut cara yang Allah telah jadikanlah yang mudah. Kita pun sepatutnya tidak ada rasa nak kena ikut manusia yang kaya. Sepatutnya kita kena ikut kata Allah sahaja.

 

وَخُلِقَ الْإِنسٰنُ ضَعِيفًا

dan manusia itu dijadikan berkeadaan lemah.

Manusia memang dilahirkan dalam keadaan lemah. Manusia tidak mampu mengurus hidup kalau tidak ada syariat dan peraturan hidup. Kerana itu Allah mudahkan kita dengan beri siap-siap apa yang perlu kita ikut. Tak payah pening kepala nak fikir-fikirkan lagi mana yang elok untuk kita.

Kita tidak akan mampu nak reka sendiri hukum yang terbaik. Ini kerana akal kita lemah untuk memikirkan mana yang baik dan mana yang buruk. Maka ikutlah sahaja apa yang Allah telah syariatkan.

Dengan ikut hukum Allah ini dapat menguatkan kita yang lemah. Sebagai contoh, lelaki memang tidak dapat nak menghalang dirinya dari wanita kerana memang sifat lelaki memerlukan wanita. Maka Allah bukan sahaja benarkan tapi malah menganjurkan manusia untuk bernikah. Dengan bernikah, pasangan suami isteri itu dapat memuaskan diri mereka sesama sendiri dan tidaklah mencari-cari perhubungan yang tidak halal. Selagi tidak berkahwin, maka kemungkinan berzina itu lagi tinggi.

Dan hukum yang Allah berikan adalah mudah dan boleh diamalkan. Kerana Allah tahu kita lemah dan tidak mampu buat yang lebih berat. Jadi syariat untuk kita ini memang sudah sesuai sangat untuk kita.

Musa عليه السلام berkata kepada Nabi kita Muhammad ﷺ. ketika beliau menjalani isra dan bersua dengannya di saat baru kembali dari Sidratul Muntaha, “Apakah yang telah difardukan atas kalian?” Nabi ﷺ menjawab, “Allah memerintahkan kepadaku mengerjakan solat lima puluh kali setiap sehari semalam.” Nabi Musa عليه السلام berkata, “Kembalilah kepada Tuhanmu, dan mintalah keringanan kepada-Nya, kerana sesungguhnya umatmu pasti tidak akan mampu melakukan hal tersebut. Sesungguhnya aku telah menguji manusia dengan tugas yang lebih ringan dari itu, tetapi ternyata mereka tidak mampu; dan sesungguhnya umatmu memiliki pendengaran, penglihatan, dan kalbu yang lebih lemah (daripada umatku).”
Maka Nabi ﷺ kembali, dan diringankan sebanyak sepuluh kali, lalu Nabi ﷺ kembali lagi kepada Musa عليه السلام. Hal tersebut terus-menerus terjadi hingga pada akhirnya tinggal salat lima waktu.


 

Ayat 29: Ini adalah hukum ke 14. Sekarang tentang Hukum Pencarian Harta. Harta ini penting kerana ianya menjadi sumber pendapatan manusia dan kalau ada ketidakpuasan hati, akan menyebabkan kekecohan, malah boleh sampai terjadi pembunuhan.

Maka, Allah mengajar apakah yang perlu dijaga dan dipatuhi di dalam berurusan dengan harta. Selepas perkahwinan, lelaki yang bertanggungjawab akan mencari nafkah untuk anak isterinya dan hendaklah dia melakukannya melalui cara yang halal.

يٰأَيُّهَا الَّذِينَ ءآمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوٰلَكُم بَيْنَكُم بِالْبٰطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجٰرَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ وَلَا تَقْتُلُوا أَنفُسَكُمْ إِنَّ اللهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, do not consume one another’s wealth unjustly¹ but only [in lawful] business by mutual consent. And do not kill yourselves [or one another]. Indeed, Allāh is to you ever Merciful.

  • i.e., unlawfully or under false pretense.

MALAY

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.

 

يٰأَيُّهَا الَّذِينَ ءآمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوٰلَكُم بَيْنَكُم بِالْبٰطِلِ

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah

Perkataan ‘makan’ dalam ayat ini bermaksud ‘ambil’. Dan ia juga termasuk juga makan dan minum. Jangan urus, ambil, guna, makan harta orang lain dengan cara yang salah. Cara yang salah itu boleh jadi macam-macam – curi, tipu, rampas, rasuah, riba, cara peniagaan yang salah, gharar (ketidakpastian) dan sebagainya. Semua itu termasuk dalam cara-cara yang salah, cara ‘bathil’.

Malangnya, ramai yang menipu orang lain dan menggunakan bermacam-macam cara yang salah untuk mendapatkan duit. Sebagai contoh, zaman sekarang, banyak menggunakan kontrak dalam setiap perkara. Kalau kita lihat dalam kontrak, mereka akan menggunakan tulisan kecil dan banyak sangat, sampai orang awam tak tahu apa yang ditulis. Dan mereka pun tidak sempat nak baca atau malas nak baca. Maka mereka akan setuju sahaja.

Tapi apabila ada masalah dengan urusan sesama mereka, penjual akan mengeluarkan kontrak atau terms of agreement, dan mereka kata: “ini semua sudah ada dalam kontrak, dan encik pun sudah tandatangan, jadi kami tidak boleh buat apa.” Maka, yang si pembeli pun terpaksalah gigit jari dan terima sahaja, kerana kalau ke mahkamah pun mereka akan kalah dan buang masa sahaja.

Banyak lagi cara urusan perniagaan dan harta yang batil yang diberitahu oleh Nabi Muhammad ﷺ dalam sunnah. Ianya disebut secara ringkas sahaja dalam ayat ini, diperjelaskan dengan lebih terperinci oleh Nabi Muhammad ﷺ. Sebab itu penting untuk kita belajar juga hadis.

Selain dari memakan harta orang lain dengan batil, ayat ini juga melarang manusia memakan hartanya sendiri dengan batil. Ini jikalau kita meluaskan makna ‘harta-harta kamu’ itu kepada harta kita sendiri. Maksudnya jangan menghabiskan harta kepada perkara yang haram dan juga membazir tidak tentu hala.

 

إِلَّا أَن تَكُونَ تِجٰرَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ

kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu,

Yang dibenarkan kita berurusan dan mengambil harta orang lain adalah dengan cara perniagaan. Kerana perniagaan melibatkan pertukaran barangan atau pertukaran wang sesama pihak yang terlibat. Dan semua pihak terlibat rela untuk melakukan transaksi itu.

Dan kalimah تِجٰرَةً bermaksud perniagaan yang ada tukar milik dengan wang. Maka kalau rasuah, beli saham yang barangnya tiada, perjudian, spekulasi matawang dan beli barang yang belum siap lagi, itu tidaklah termasuk dalam تِجٰرَةً. Ini perlu dipelajar khusus bab muamalat.

Dan perniagaan itu mestilah dengan syarat ada aqad persetujuan bersama. Kena dua-dua pihak setuju dan tahu apa yang mereka lakukan. Sama-sama setuju dan sama-sama mendapat kepentingan masing-masing. Ulama mengatakan dalam perniagaan dan pertukaran barangan itu, kena ada lafaz aqad dan lafaz qabul sebagai bukti kedua-dua pihak itu setuju.

Begitulah Islam begitu menjaga perkara ini supaya manusia dapat hidup dengan harmoni dan tidak ada penipuan. Akan tetapi tidaklah akad itu kena disebut sentiasa. Asalkan boleh difahami ada persetujuan antara kedua belah pihak. Sebagai contoh, kalau pekedai memang sudah jual barangan dia, tidaklah perlu untuk berkata: “saya beli” dan dia kena sebut: “saya jual”.

Memang pandangan Mazhab Syafie dalam hal ini agak keras, tapi ada lagi pendapat mazhab-mazhab lain yang kita kira lebih sesuai kalau untuk diamalkan zaman sekarang. Bayangkan susahnya kita nak amalkan kaedah Mazhab Syafie kalau kita hendak membeli di supermarket, beli dengan mesin atau membeli secara online.

Perniagaan adalah bantu membantu sebenarnya. Satu pihak ada wang untuk diberikan dan memerlukan barang, dan satu pihak lagi ada barang untuk dijual. Kalau tidak ada syariat yang menetapkan perkara ini, tentu yang akan terjadi adalah rampas merampas.

Rampas merampas itu tidak ada seorang pun yang suka dan ia sampai boleh membawa kepada perbunuhan kerana tidak puas hati. Sebab tidak ada yang rela orang ambil harta dia.

Perniagaan itu juga mestilah satu pihak redha dengan pihak yang lain. Kalau ada elemen paksaan, itu juga termasuk perkara yang dilarang. Sebagai contoh, kalau kita paksa seseorang beli barang dari kita, itu adalah paksaan, walaupun kita beri barang kepadanya dan dia pun beri wang kepada kita; atau kalau kita monopoli semua barangan dapur, sampai semua kena beli dengan kita, mahu tak mahu. Itu pun tidak dikira sebagai redha kerana mereka terpaksa beli dengan kita, kalau tidak mereka akan mati kebuluran.

Perniagaan bukanlah satu-satunya cara yang halal untuk mendapatkan harta atau pendapatan. Ada lagi banyak cara-cara lain. Antaranya, dengan mendapat hadiah. Dalam pemberian hadiah, hanya satu pihak sahaja yang memberi. Pemberian hadiah dibenarkan malah digalakkan dalam Islam.

Tapi hanya disebut perniagaan dalam ayat ini kerana ianya adalah cara yang selalu digunakan dan ianya adalah cara yang paling baik untuk mendapatkan harta yang banyak.

Dan menjadi penjual dan peniaga yang jujur boleh menjadi asbab untuk dimasukkan ke dalam syurga dan duduk di tingkatan yang tinggi:

عن عبد الله بن عمر رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه و سلم: « التَّاجِرُ الأَمِينُ الصَّدُوقُ الْمُسْلِمُ مَعَ الشُّهَدَاءِ – وفي رواية: مع النبيين و الصديقين و الشهداء –  يَوْمَ الْقِيَامَةِ » رواه ابن ماجه والحاكم والدارقطني وغيرهم

Dari ‘Abdullah bin ‘Umar radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah ﷺ bersabda, “Seorang pedagang muslim yang jujur dan amanah (terpercaya) akan (dikumpulkan) bersama para Nabi, orang-orang shiddiq dan orang-orang yang mati syahid pada hari kiamat (nanti).” HR Ibnu Majah (no. 2139), al-Hakim (no. 2142) dan ad-Daraquthni (no. 17), dalam sanadnya ada kelemahan, akan tetapi ada hadits lain yang menguatkannya, dari Abu Sa’id al-Khudri radhiallahu ‘anhu, HR at-Tirmidzi (no. 1209) dan lain-lain. Oleh kerana itu, hadits dinyatakan baik sanadnya oleh imam adz-Dzahabi dan syaikh al-Albani.

Nota: ‘Kerelaan’ bukanlah tanda yang ianya dibenarkan. Ada orang yang bertukar harta dan sama-sama rela. Tapi kalau ianya tidak halal seperti pemberian rasuah, maka ia tetap tidak halal. Atau kalau perniagaan itu barang yang haram, ia tetap haram walaupun kedua-dua belah pihak bersetuju untuk bertukar wang dan barang. Yang haram tetap haram.

 

وَلَا تَقْتُلُوا أَنفُسَكُمْ

dan janganlah kamu bunuh diri kamu.

Potongan ayat ini boleh berdiri sendiri atau sambung dari bahagian awal tadi tentang perniagaan.

Kalau ia bersambung dari awal, ia hendak menceritakan bahaya kalau tidak diikuti hukum Allah sebelum ini. Apabila perniagaan tidak dijalankan dengan jujur, ekonomi masyarakat akan jadi kacau bilau. Ini kerana akan ada yang terlebih kaya dan ada yang terlebih miskin.

Apabila ketidakpuasan semakin tinggi, kadar jenayah akan meningkat. Maka boleh jadi manusia berbunuhan sesama sendiri. Ini kerana korupsi akan bermaharajalela. Memang mereka bunuh orang lain, tapi itu pun dikira bunuh diri sendiri kerana orang lain dikira sebagai sebahagian dari kita juga.

Maka kalau perniagaan tidak dikawal dan pembahagian harta dijaga supaya semua puas hati, maka akhirnya keadaan akan menjadi teruk dan akhirnya akan terjadi perbunuhan sesama sendiri jikalau benda ini tidak dikawal dengan baik. Sebagai contoh, ada yang benci sangat kepada golongan kaya, dan mereka akan memberontak. Ini telah banyak kita lihat di negara-negara yang mengamalkan sistem pembahagian harta yang tidak terkawal.

Atau kalau ada yang terasa dia telah ditipu dalam perniagaan atau hak dia, maka dia mungkin buat keputusan untuk bunuh orang yang telah menipunya.

Kalau ayat ini berdiri sendiri, maka ini adalah larangan untuk membunuh. Samada bunuh orang lain atau bunuh diri sendiri. Ayat ini adalah sebagai satu dalil yang kita tidak boleh bunuh diri kita sendiri. Nyawa kita telah diberi oleh Allah dan kita tidak berhak untuk mengambilnya dengan tangan kita sendiri kerana kita tidak layak. Hanya Allah sahaja yang layak mengambil nyawa kita.

Ada banyak hadis dari Nabi ﷺ yang melarang membunuh diri. Ini adalah salah satu darinya:

من قتل نفسه بحديدة فحديدته فى يده يتوجأ بها فى بطنه فى نار جهنمخالدا مخلدا فيها أبدا ومن شرب سما فقتل نفسه فهو يتحساه فى نار جهنم خالدا مخلدافيها أبدا ومن تردى من جبل فقتل نفسه فهو يتردى فى نار جهنم خالدا مخلدا فيها أبدا

[ Barangsiapa bunuh diri dengan menggunakan besi, maka tangannya akan melukai perutnya sendiri dengan besi itu di neraka jahanam dan dia kekal di dalamnya selama-lamanya. Barangsiapa bunuh diri dengan cara minum racun, maka dia akan terus meminumnya di neraka jahanam dan dia kekal di dalamnya selama-lamanya. Dan barangsiapa melompat dari tebing untuk bunuh diri, maka dia akan terus terjatuh di neraka jahanam dan dia kekal di dalamnya selama-lamanya ] [ HR. Muslim ; 313 ]

Oleh itu, kita tidak boleh bunuh diri kita, dan kita tidak boleh bunuh orang lain. Ini jelas dan sekarang kita sudah tahu dalilnya.

Dalam satu ayat ini, ada disebut penjagaan harta dan penjagaan nyawa. Kenapa didahulukan penjagaan harta sebelum penjagaan nyawa, sedangkan tentu nyawa itu lebih penting? Ditakdimkan penjagaan harta kerana salahguna atau penipuan dalam hal harta itu lebih kerap terjadi dari pembunuhan diri atau pembunuhan orang lain.

Penggunaan ayat ini amat luas. Seorang sahabat telah menggunakan ayat ini dengan luas sekali:

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا حَسَنُ بْنُ مُوسَى، حَدَّثَنَا ابْنُ لَهِيعة، حَدَّثَنَا يَزِيدُ بْنُ أَبِي حَبِيبٍ، عَنْ عمْران بْنِ أَبِي أَنَسٍ، عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ جُبَير، عَنْ عَمْرِو بْنِ الْعَاصِ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، أَنَّهُ قَالَ لَمَّا بَعَثَهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَامَ ذَاتِ السَّلَاسِلِ قَالَ: احْتَلَمْتُ فِي لَيْلَةٍ بَارِدَةٍ شَدِيدَةِ الْبَرْدِ فَأَشْفَقْتُ إِنِ اغْتَسَلْتُ أَنْ أَهْلِكَ، فَتَيَمَّمْتُ ثُمَّ صَلَّيْتُ بِأَصْحَابِي صَلَاةَ الصُّبْحِ، قَالَ: فَلَمَّا قدمتُ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَكَرْتُ ذَلِكَ لَهُ، فَقَالَ: “يَا عَمْرُو صَلَّيت بِأَصْحَابِكَ وَأَنْتَ جُنُبٌ! ” قَالَ: قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّي احْتَلَمْتُ فِي لَيْلَةٍ بَارِدَةٍ شَدِيدَةِ الْبَرْدِ، فَأَشْفَقْتُ إِنِ اغْتَسَلْتُ أَنْ أهلكَ، فَذَكَرْتُ قَوْلَ اللَّهِ [عز وَجَلَّ] {وَلا تَقْتُلُوا أَنْفُسَكُمْ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا} فَتَيَمَّمْتُ ثُمَّ صَلَّيْتُ. فَضَحِكَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَلَمْ يَقُلْ شَيْئًا.

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Hasan ibnu Musa, telah menceritakan kepada kami Ibnu Luhai’ah, telah menceritakan kepada kami Yazid ibnu Abu Habib, dari Imran ibnu Abu Anas, dari Abdur Rahman ibnu Jubair, dari Amr ibnul As r.a. yang menceritakan bahawa ketika Nabi ﷺ mengutusnya dalam Perang Zatus Salasil, di suatu malam yang sangat dingin dia bermimpi mengeluarkan air mani. Ia merasa khawatir bila mandi jinabah, nanti akan binasa. Akhirnya dia terpaksa bertayamum, lalu salat Subuh bersama teman-temannya. Amr ibnul As melanjutkan kisahnya, “Ketika kami kembali kepada Rasulullah ﷺ, maka aku ceritakan hal tersebut kepadanya. Beliau bersabda, ‘Hai Amr, apakah kamu salat dengan teman-temanmu, sedangkan kamu mempunyai jinabah?’. Aku (Amr) menjawab, ‘Wahai Rasulullah ﷺ, sesungguhnya aku bermimpi mengeluarkan air mani di suatu malam yang sangat dingin, hingga aku merasa khawatir bila mandi akan binasa, kemudian aku teringat kepada firman Allah Swt. yang mengatakan: Dan janganlah kalian  membunuh diri kalian,  sesungguhnya Allah adalah Maha Penyayang kepada kalian. (An-Nisa: 29) Kerana itu, lalu aku bertayamum dan salat.’ Maka Rasulullah ﷺ tertawa dan tidak mengatakan sepatah kata pun.”

 

إِنَّ اللهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا

Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.

Allah amat kasih kepada hambaNya dan sebab itu Dia beri syariat untuk mengawal transaksi antara manusia. Syariat itu untuk kebaikan kita supaya perjalanan sosial dan ekonomi manusia jadi teratur, semua puas hati dan tidak berlaku kacau bilau dan perbunuhan.

Kalau Allah tak kasih, Allah boleh sahaja cipta kita tapi biarkan kita apa yang kita hendak buat. Tentulah kalau begitu, akan jadi kacau bilau, bukan?


 

Ayat 30: Takhwif Ukhrawi.

وَمَن يَفْعَلْ ذَٰلِكَ عُدْوٰنًا وَظُلْمًا فَسَوْفَ نُصْلِيهِ نَارًا وَكَانَ ذَٰلِكَ عَلَى اللهِ يَسِيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And whoever does that in aggression and injustice – then We will drive him into a Fire. And that, for Allāh, is [always] easy.

MALAY

Dan sesiapa berbuat demikian dengan menceroboh dan aniaya, maka Kami akan masukkan dia ke dalam api neraka, dan balasan yang sedemikian itu adalah mudah bagi Allah, (tidak ada sesiapapun yang dapat menghalangnya).

 

وَمَن يَفْعَلْ ذَٰلِكَ عُدْوٰنًا وَظُلْمًا فَسَوْفَ نُصْلِيهِ نَارًا

Dan sesiapa berbuat demikian dengan menceroboh dan aniaya, maka Kami akan masukkan dia ke dalam api neraka, 

Sesiapa yang yang melanggar hukum Allah, Allah akan masukkan dia ke dalam neraka. Ini adalah ancaman dari Allah yang amat keras. Setelah mengetahui hukum-hukum yang telah disebutkan, maka hendaklah kita berjaga-jaga dan menunaikan tanggungjawab yang dikehendaki oleh hukum itu.

Dalam ayat ini, digunakan perkataan عُدْوَانًا وَظُلْمًا (menceroboh dan zalim), memberi isyarat bahawa yang akan dimasukkan ke dalam neraka adalah mereka yang sengaja melakukan kesalahan itu. Sengaja hendak melawan hukum Allah. Kalau tidak sengaja, atau dia tahu ia salah tapi tak mampu lagi untuk tidak melakukannya, maka tidak termasuk dalam ancaman ayat ini.

Tapi ada yang kurang ajar, sengaja nak melanggar hukum Allah. Mereka itu yang termasuk dalam ayat ini.

 

وَكَانَ ذَٰلِكَ عَلَى اللهِ يَسِيرًا

dan balasan yang sedemikian itu adalah mudah bagi Allah, 

Senang sahaja Allah nak masukkan sesiapa sahaja yang dikehendakiNya ke dalam neraka. Kerana Allah Maha Berkuasa untuk melakukan apa sahaja yang Dia hendak. Dan Dia tidak kisah sama sekali dengan reaksi dari sesiapa pun.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusya.

Kemaskini: 25 Julai 2018

Ringkasan Surah Nisa’


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani