Tafsir Surah Ghafir Ayat 1 – 3 (Qur’an dari Allah)

Mukaddimah

Kita semua kena wajib taat kepada ajaran Nabi Muhammad. Ini banyak disebut dalam ayat-ayat dalam Al-Qur’an dan hadis Nabi. Apa sahaja doa yang kita buat, perlu ikhlas seperti yang Nabi kita ajar. Kalau tak, tak diterima doa itu.

Yang paling penting, tidak boleh menggunakan perantaraan makhluk dalam berdoa. Seperti yang disebut di dalam Ayat ke 60 Surah al-Ghafir ini. Itulah dalil yang mengatakan kita kena doa terus kepada Allah sahaja. Bukan melalui perantaraan. Kalau ada yang kata boleh berdoa guna perantaraan, maka kenalah bawa bukti yang Nabi ajar menggunakan perantaraan makhluk dalam berdoa. Allah berfirman dalam ayat 60:

وَقالَ رَبُّكُمُ ادعوني أَستَجِب لَكُم ۚ إِنَّ الَّذينَ يَستَكبِرونَ عَن عِبادَتي سَيَدخُلونَ جَهَنَّمَ داخِرينَ

Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.

Cara-cara berdoa

Mudah sahaja cara-cara untuk berdoa. Lafaz doa itu dalam bahasa Melayu pun boleh, sebab Tuhan kita ini pandai cakap Melayu. Semua bahasa Allah faham kerana Allah Maha Mengetahui. Maka, kerana kita fasih bahasa Melayu, maka baca doa dalam bahasa Melayu sahaja supaya doa kita lebih khusyuk dan kita pun faham apa yang kita minta.

Mulakan dengan memuji Allah, cara yang mudah adalah: ‘Alhamdulillahi rabbil alamin’. Atau boleh juga kalau baca al-Fatihah. Sampai kepada ayat ‘maaliki yaumiddin’. Kemudian baca selawat. Dan berdoalah lebih kurang seperti ini:

“Ya Allah ya Tuhanku, Kamulah yang mencipta tujuh langit dan tujuh bumi. Dan Kau jugalah yang mencipta diriku. Engkau memberi makan kepada semua makhluk termasuk diriku sendiri. Ya Allah yang Tuhanku, aku ni banyak berdosa ya Allah. Dan sekarang aku ada masalah besar.”

Kalau nak minta sesuatu, tak sesuai kalau nak minta terus apa yang kita hajatkan. Kenalah kita minta ampun atas segala dosa kita dahulu. Contohnya, kalau anak kita ada salah besar dengan kita, tapi terus minta duit. Takkan kita sebagai ayah nak bagi terus, bukan? Tapi kalau dia datang dengan mengaku salah dan dengan minta maaf, tentulah kita lembut hati untuk bagi sedikit wang kepadanya.

Macam itulah juga perumpamaan kita dengan Tuhan. Dosa kita sudahlah banyak, tapi nak minta macam-macam dengan Allah. Agak-agak Tuhan nak bagi tak? Padahal dosa bertimbun-timbun. Ketahuilah, doa itu payah nak diperkenankan sebab kita tak minta ampun dulu dari segala kesalahan dan dosa kita. Maka, eloklah kita puji Allah dulu dan kemudian itu kita minta ampun. Mengakulah segala dosa-dosa kita dan minta Allah ampunkan semuanya sekali.

Sambung doa: “Masalah aku yang besar ya Allah, janganlah masukkan aku ke dalam nerakaMu ya Allah.”

Sebab masalah yang paling besar adalah apabila tiba akhirat. Kita tidak tahu apakah nasib kita nanti. Apa-apa sahaja masalah kita di dunia tidak sama dengan masalah di akhirat kalau kita masuk neraka. Jadi, itulah yang nak diselesaikan dulu.

“Jadi aku minta Kau ampunkan semua sekali dosaku, dan masukkan aku ke dalam syurgaMu, ya Allah. Tapi aku juga ada masalah di dunia ini, Tuhanku. Masalah aku adalah ini dan ini….kalau Kamu makbulkan doa aku, Engkaulah Tuhan. Kalau Kamu tak mahu makbulkan, Kau masih Tuhanku. Tapi kalau Kau tak makbulkan doaku, kepada siapa lagi aku nak berdoa?”

Lihatlah begitu mudahnya doa. Kita boleh susun sendiri ayat itu dengan kata-kata yang kita faham. Yang penting, kita terus doa sendiri sahaja, tidak minta tolong atau upah sesiapa untuk doakan untuk diri kita. Maka kita perlu berhenti minta tolong kepada guru, tok imam, orang-orang masjid dan sebagainya.

Dan jangan cebur diri menyertai pasukan yang melakukan majlis doa itu. Selalunya kita akan pergi sebagai penyempurna doa – tukang aminkan. Kemudian makan kenduri Majlis Tahlilan atau Majlis Selamatan. Kedua-dua majlis itu majlis bidaah. Maka cukup sudah kita terlibat dalam perbuatan sebegitu. Itu bukanlah amalan dalam Islam tapi rekaan dan bidaah dalam agama.

Semua itu terjadi dalam masyarakat kita kerana ramai yang tidak faham tentang ‘tauhid dalam berdoa’. Kalau kita sudah buat selama hari ini, mengaku apa sahaja dosa tersebut dan minta selamat dari neraka. Itu yang paling penting. Tidak pernah Nabi melakukan doa sepertimana yang dilakukan oleh masyarakat kita hari ini.

Dalam sejarah Islam, Nabi pernah berjihad perang sebanyak 25 kali yang baginda pergi sendiri. Tidak ada satu pun Nabi melakukan majlis Solat Hajat Perdana beramai-ramai atau majlis Doa Selamat. Ada jihad yang Nabi tak pergi, di mana sahabat sahaja pergi. Dan semua sekali dalam seratus peperangan yang Nabi dan sahabat pergi. Sama ada jihad yang Nabi pergi, atau sahabat pergi, tidak pernah sekali mereka buat solat hajat.

Solat hajat perdana bidaah
Zaman sekarang ni setiap tahun ibu-bapa diminta hadir sekolah untuk solat hajat beramai-ramai semata-mata anak mengambil pepereksaan.

Dan semasa orang nak bunuh Nabi, tidak juga baginda panggil sahabat-sahabat semua untuk berdoa ramai-ramai. Tapi sekarang, kita buat Solat Hajat berjemaah hampir setiap kali selepas Solat Jumaat. Padahal perkara seperti ini, Nabi tak pernah buat.

Bayangkan apabila di Madinah, pun Nabi dan para sahabat tidak melakukan Solat Hajat untuk menentang pendeta Yahudi atau sesiapa jua pun. Itulah akidah Nabi kita. Jadi kalau kita buat, maknanya kita telah buat perkara baru dalam agama yang tidak datang dari Nabi.

Jadi belajarlah cara untuk berdoa dengan betul. Jangan malu dan sombong untuk minta terus dengan Tuhan. Mintalah apa yang nak minta. Kita semua ada masalah dan kita semua ada hajat keperluan dalam kehidupan kita. Apabila ada masalah dan keperluan, kitalah sendiri minta Tuhan selesaikan. Kirim doa kepada orang lain tak boleh.

Tapi Nabi pernah cakap kepada Umar semasa Umar nak pergi umrah. “Ingatlah kami dalam doa kamu.” Nabi tak cakap doa untuk apa. Ikut apa yang Umar nak doakan. Kalau macam itu dibolehkan kerana tidak khusus minta apa. Jangan beritahu maksud doa kita. Ini adalah kerana orang musafir adalah makbul doanya. Kalau cara begini, dibolehkan.

Kita perlulah mengikut apa yang telah diajar oleh Allah dan Nabi kita. Tidak boleh kita buat amalan agama yang Nabi tidak beri contoh. Sebagai contoh, katakanlah kita ini rajin ibadat, dan kita nak solat wajib buat dua kali pun tidak boleh. Kerana memang tidak pernah diajar begitu. Kalau solat sunat pula, nak buat berapa banyak pun boleh.

Jadi, nak buat ibadat kena ikut apa yang Nabi ajar. Mesti kena ikut sunnah Nabi. Orang yang buat amal soleh, barulah dinamakan ‘orang soleh’. Dan amalan yang soleh itu adalah amalan yang ada contoh dari Nabi. Kalau ibadat tidak seperti yang Nabi ajar, ibadat itu tidak diterima oleh Allah. Contohnya, Majlis Tahlil tidak ada dalam syariat kerana Nabi tak pernah ajar buat sebegitu.

Apabila Siti Khadijah mati, anak-anak baginda seperti Ibrahim, Qasim, Ruqyah mati, pun baginda tak buat Majlis Tahlil. Ianya adalah amalan yang sia-sia. Tidak ada pahala langsung yang boleh diharap dalam amalan bidaah sebegini. Kalau kita kata dapat pahala kalau buat amalan bidaah, itu bermakna kita telah dusta atas nama agama. Dan ini adalah masalah besar, bukan masalah kecil seperti yang banyak dianggap oleh masyarakat kita.

Imam Malik tentang bidaah nampak baik.
Kalau kita kata kita buat amalan tambahan ni nak bagi nampak lebih kemas, molek maka kita dah anggap kerja Nabi tak sempurna. Nabi ajar tak habis, benarkah begitu?

Jadi, majlis ibadat apa sahaja yang kita buat, mesti ada sunnah dari Nabi. Barulah kita boleh dipanggil ahli sunnah wal jamaah. Semua empat mazhab tak buat Majlis Tahlil. Mazhab Syafie di negara lain pun tak buat juga.

Ada pula orang yang berhujah, kalau amalan bidaah itu ikhlas, Allah akan beri pahala. Ini adalah anggapan yang salah. Belajarlah bagaimana Nabi Adam telah dikeluarkan dari Syurga. Syaitan telah pujuk Nabi Adam untuk makan buah yang dilarang. Dia perdaya Nabi Adam dengan kata, Allah cuma tak bagi ‘datang dekat’ sahaja kepada pokok larangan itu, tapi Allah tak larang dari ‘makan’. Dan kalau Nabi Adam makan, Nabi Adam akan kekal di syurga.

Oleh kerana terpedaya dengan helah syaitan itu, maka Nabi Adam telah memakan dari pokok larangan itu. Maka, perbuatan Nabi Adam memakan pokok itu bukanlah kerana dia hendak engkar kepada Allah, tapi kerana dia hendak mendekatkan dirinya dengan Allah. Dia makan sebab ikhlas nak terus duduk dalam syurga. Bukan dia makan untuk menentang larangan Allah.

Jadi, orang kita buat semua amalan bidaah itu, sebenarnya memang nak buat ibadat. Mereka sangka itu adalah cara untuk mendekatkan diri kepada Allah. Niat mereka pun semua baik. Tapi malangnya, ramai telah ditipu oleh syaitan. Macam Nabi Adam juga yang telah ditipu oleh syaitan.

Jadi apa alternatif kita untuk menolong orang-orang yang telah tiada? Yang perlu dibuat, sepertimana yang telah disebut di dalam hadis, adalah mendoakan mereka. Darjat mereka akan naik daripada ada dosa-dosa dengan sebab dipohonkan keampunan anak dosa-dosa itu dihapuskan. Selepas penghapusan dosa dinaikkan pula darjat.

doa anak kepada ibu bapa meninggal dunia
Dua hadis sahih tentang doa anak kepada ibubapa yang telah meninggal dunia. Doa anak-anak dapat membantu ibu-bapa di alam barzakh bukan sebab kenduri arwah atau haul atau kiriman kenduri tahlil.

Hadith lain pula: Bila meninggal anak Adam, terputuslah amalannya kecuali tiga perkara. Pertama, sedekah jariah termasuk amal soleh, kedua, Ilmu yang berguna. Akhir sekali adalah anak soleh yang doa kepada kita.

Sekarang, fikirkan: Orang masuk neraka sebab apa? Kerana mereka banyak dosa, bukan? Kenapa pula boleh masuk syurga? Kerana rahmat Allah taala. Ingatlah bahawa bukan kerana pahala kita kita dapat masuk syurga. Rahmat pula datang melalui amal soleh dan hati yang ikhlas murni. Masuk neraka kerana dosa.

Sesiapa yang mati dan kita tak nak dia masuk neraka, kita minta Allah ampunkan dosa dia semuanya. Tapi kita sekarang buat terbalik. Kita kirim pahala pula. Padahal yang masalah dia adalah dosa dia. Kalau dosa semua sudah diampun, tinggal pahala sahaja pada dia. Maka syurgalah tempatnya.

Tanggungjawab anak kepada mak ayah adalah dari mak ayah dia hidup sehinggalah mereka mati. Selepas mereka mati, maka tanggungjawab kita untuk mendoakan mereka. Cumanya kita tak tahu doa kita diterima atau tidak, jadi kita kena sentiasa minta. Cara nak suruh makbul doa adalah: istighfar daripada dosa kita dulu. Dan doalah kepada Allah: “Kesianlah mak bapak aku. Ampunkan dosa mereka semua sekali.”

Katakanlah kita dapat darjat tinggi dalam syurga nanti, tapi mak ayah darjah rendah sikit, kita boleh ajak mereka naik ke tingkatan kita. Bapa pun boleh heret anak naik darjat. Allah benarkan untuk ahli keluarga duduk sekali bersama-sama dalam syurga. Tapi, kalau dari neraka, tak boleh minta keluar.

Ahli syurga pun sudah tak ingat keluarga dia yang dalam neraka. Kalau Allah benarkan dia ingat, dia akan sedih. Oleh kerana dalam syurga bukan tempat untuk bersedih, jadi Allah akan lupakan dari mengingati keluarganya yang tidak masuk syurga.

Maka kita boleh tolong doakan orang yang telah mati asalkan orang yang kita hendak tolong itu tak buat syirik. Kalau buat syirik, tak boleh tolong. Seperti Nabi tak boleh tolong mak dan ayah baginda sendiri.

Kisah Nabi meminta Umar al Khattab untuk berdoa untuknya. Siapa Umar? Nabi pangkat tinggi suruh Umar yang rendah pangkat dari baginda untuk berdoa. Maknanya tidak ada kepentingan dan pengharapan dari Nabi kepada doa Umar itu. Tapi kita pula rasa tak kuat kalau doa sendiri. Kita tidak rasa bahawa doa kita diterima oleh Allah, maka kita minta orang lain yang kita rasa lebih alim dan lebih soleh dari kita untuk mendoakan untuk kita. Ini adalah cara yang salah.

Ada beberapa tempat yang telah disebut sebagai waktu mustajab untuk berdoa. Semasa kita bermusafir contohnya. Di Mekah di hadapan Kaabah; dalam majlis ilmu, selepas majlis ilmu; antara azan dan iqamah; di masjid; selepas solat jemaah lima waktu. Maknanya lima kali sehari makbul doa kita; doa seorang isteri selepas melayan suaminya; sewaktu jumpa orang sakit. Lepas ziarah, contohnya selepas ziarah keluarga mati.

Itu semua adalah antara tempat dan makbul doa dan lain-lain lagi yang tsabit dari hadis. Tapi sebab tak belajar, kita minta tok guru doakan untuk kita kerana kita tidak tahu perkara-perkara itu. Padahal Tuhan sudah buka seluas-luasnya peluang untuk berdoa.

 

Pengenalan kepada Surah Ghafir

Surah ini juga dinamakan sebagai Surah Mu’min kerana ada kisah tentang lelaki mukmin dalam surah ini. Lelaki itu adalah dalam kalangan pembesar Firaun tapi beliau beriman dan menyembunyikan keimanannya. Tidak ramai yang tahu tentang kisah itu dan in sha Allah kita akan memperkenalkan beliau dalam tafsir surah ini.

Dari surah Ghafir ini sampailah kepada Surah Ahqaf nanti, semuanya dimulakan dengan huruf muqattaah ‘ha mim’. Oleh kerana itu, ketujuh-tujuh surah ini dikenali sebagai ‘sab’u hawamiim‘ – tujuh ha mim’. Juga dikenali sebagai hawaameem atau hamimaat.

Ada kelebihan kepada surah-surah yang dimulakan dengan ha mim ini. Ianya mengandungi bacaan yang indah-indah dan mengandungi peringatan yang amat penting. Banyak sekali riwayat-riwayat tentang kepentingan surah-surah yang dimulai dengan ‘ha mim’ ini.

Dan selepas disebut ‘ha mim’ itu, Allah terus menyebut tentang Al-Qur’an. Ini kerana hendak menekankan kepentingan Al-Qur’an itu. Allah menarik perhatian manusia kepada Al-Qur’an dengan menggunakan huruf-huruf Muqatta’ah itu.

Surah Ghafir ini diturunkan selepas Surah Zumar. Tujuan utama Surah Ghafir ini adalah untuk menjelaskan Tauhid dalam berdoa. Ia menafsirkan ayat إِيّاكَ نَستَعينُ dalam Surah Fatihah. Ada tujuh surah hendak menjelaskan potongan ayat itu sahaja, kerana penting sangat perkara itu. Allah nak bagi kita faham supaya tidak ada kekeliruan lagi.

Kenapa sampai ada tujuh surah? Surah Ghafir ini menjelaskan tentang tauhid dalam berdoa dan enam surah lagi menyentuh tentang kekeliruan yang mungkin timbul dalam bab doa itu. Maknanya, sampai tidak ada ruang untuk mengatakan boleh syirik dalam berdoa.

Itulah kepentingan tahu dengan jelas makna إِيّاكَ نَستَعينُ. Kena faham betul-betul perkara ini. Inilah perkara paling penting dalam hawamim tujuh ini. Sampaikan untuk beri faham, Allah sampai bawa tujuh surah. Sedangkan إِيّاكَ نَعبُدُ, Allah hanya bawa satu surah sahaja iaitu Surah Zumar.

Kalau nak mula mengajar tafsir Al-Qur’an, kalau boleh hendaklah mengajar hamim tujuh ini dahulu kepada anak murid. Inilah cara sahabat Nabi belajar dahulu, dimana mereka mendahulukan mana yang lebih penting. Ajar perkara yang penting dahulu biar betul-betul meresap dalam hati.

Kita teruskan dengan menjelaskan tentang doa dahulu. Manusia tidak lepas dari dua perkara:

  1. Hajat. Berbagai-bagai keperluan dan keinginan kita di dalam hidup ini dan mengharapkan ianya diberikan kepada kita.
  2. Penyelesaian kepada masalah dan musibah. Sebagai manusia, tentu ada banyak masalah yang kita akan hadapi. Apabila kita menghadapi perkara itu, kita berharap semoga ianya dapat diselesaikan.

Dalam kedua-dua perkara ini, kita bergantung kepada Allah. Kalau Allah tak beri, tentu kita tidak dapat apa yang kita hajati dan masalah tentu tidak dapat diselesaikan atau diselamatkan langsung. Tidak kira sama ada perkara itu kecil atau besar.

Jangan kita sangka yang perkara besar sahaja kita minta kepada Allah, tapi ingatlah kena minta kepada Allah dalam semua perkara. Sebab itu Nabi ajar doa dalam perkara yang remeh temeh pun kena minta kepada Allah. Sebab itu kita kena minta kepada Allah dulu sebelum minta kepada orang lain.

Mintalah kepada Allah walau pun putus tali selipar. Jangan ada ruang dalam hidup kita yang kita tidak bergantung kepada Allah. Sentiasalah doa kepada Allah dalam setiap keadaan. Kena dekat dengan Allah. Jangan dalam hajat besar sahaja kita harap kepada Allah.

Inilah tauhid dalam berdoa. Kita kena hadapkan doa kita kepada Allah dalam setiap perkara. Kalau kita tidak lafazkan, sekurang-sekurangnya minta dalam hati. Kena tawajuh semasa meminta. Jangan lafaz dengan lidah tapi hati tidak tawajuh. Ingatlah yang Allah tidak terima doa dari hati yang lalai leka.

Ini berdasarkan sebuah hadis daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ادْعُوا اللَّهَ وَأَنْتُمْ مُوقِنُونَ بِالإِجَابَةِ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ لاَ يَسْتَجِيبُ دُعَاءً مِنْ قَلْبٍ غَافِلٍ لاَهٍ

Berdoalah kepada Allah dalam keadaan kamu yakin bahawa ianya akan dimustajabkan. Dan ketahuilah kamu bahawa Allah SWT tidak akan memustajabkan doa yang datang daripada hati yang lalai lagi alpa. Riwayat al-Tirmizi (No. 3479)

Dakwa surah adalah dalam ayat 14.

Dakwa maksud surah ghafir
Tema atau maksud utama Surah Ghafir

فَادعُوا اللهَ مُخلِصينَ لَهُ الدّينَ وَلَو كَرِهَ الكافِرونَ

Oleh itu maka serulah Allah dengan mengikhlaskan doa kepadaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak menyukai.

Dakwa Surah Ghafir ini sama seperti ayat إِيّاكَ نَستَعينُ. Huruf فَ dalam ayat ini dipanggil fa fasilah. Ianya digunakan selepas diberikan hujah-hujah. Maksudnya, apabila semua dalil telah diberikan sebagai hujah kena doa hanya kepada Allah, maka kenalah doa kepada Allah sahaja.

Lafaz الدّينَ dalam ayat ini bermaksud ‘doa’. Kerana surah ini berkenaan dengan doa dan seperti yang kita telah belajar sebelum ini, lafaz الدّينَ boleh membawa maksud kepada empat perkara, bukan hanya ‘agama’ sahaja.

Begitu pentingnya Dakwa dalam ayat ini, sampaikan semua surah-surah hamim yang lain pun Dakwanya adalah ayat 14 ini sahaja. Semua surah hamim yang lain adalah penjelasan bagi kesamaran dalam hati hamba dalam hal berdoa.

Setiap satu ada kesamaran yang hendak diperbetulkan. Supaya setelah habis hamim tujuh, tidak ada langsung kemusykilan tentang doa ini. Ini adalah kelainan dalam surah hamim tujuh ini kerana selalunya satu surah akan ada Dakwanya yang khusus. Tapi dalam hamim tujuh ini, tujuh surah berkongsi satu Dakwa.

Satu lagi tema surah Ghafir ini adalah dakwah kepada Allah. Kita disuruh mengajak manusia kepada Allah. Allah mengajar kita kepentingan mengajak dan mengajar manusia kepada Allah dalam surah ini.

Dan dalam surah ini juga, Allah mengajar manusia bagaimana cara untuk berdakwah. Antara perkara yang diingatkan dalam surah ini adalah, dalam berdakwah, kita kena serahkan urusan kita kepada Allah.

 

Ringkasan Surah:

Dimulai surah ini dengan empat tajuk penting sebagai muqaddimah kepada surah ini. Kemudian ada ayat targhib kepada maksud penting. Jadi kena tahu dulu susunan tajuk-tajuk itu:

Ayat 2-3: Tajuk pertama. Nak beritahu bahawa arahan kepada tauhid dalam berdoa itu adalah dari Allah sendiri. Allah sendiri yang ajar dan tuntut dari kita. Maka hendaklah kita ikut dan patuh.

Ayat 4-6: Tajuk Kedua. Hendak memberitahu kepada kita bahawa tidaklah menentang tauhid dalam doa itu kecuali mereka yang ‘kafir degil’ sahaja.

Ayat 7-9: Tajuk Ketiga. Hamba yang boleh menerima tuntutan tauhid dalam berdoa, mereka akan mendapat doa daripada malaikat. Inilah kelebihan mereka yang faham dan taat kepada tuntutan Tauhid fi Dua’.

Ayat 10-12: Tajuk Keempat. Orang yang mati dalam menolak tauhid dalam berdoa, penyesalan dan taubat mereka di akhirat tidak akan dapat membantu mereka dari azab Allah sedikit pun.

Selepas itu ayat, 13-14 adalah targhib untuk fokus kepada perkara-perkara penting itu dan ayat 14 itu sendiri adalah Dakwa surah.


 

Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 5 perenggan makro. Ayat 1 – 22 adalah Perenggan Makro Pertama. Ia menyuruh manusia untuk menerima dan jangan membantah seruan tauhid, risalah dan hari akhirat.

حم

Haa Miiim.

Tuhan sahaja yang tahu makna huruf-huruf ini. Kita hanya dapat tahu tafsir ayat-ayat selepas ini. Kita tidak tahu apa makna ayat ini. Ayat-ayat jenis ini dinamakan ayat-ayat Muqattaah. Kita hanya boleh tafsir ayat yang selepas ayat muqattaah ini sahaja.

Ini menyedarkan kita bahawa, kalau Allah tidak memberitahu apa-apa kepada kita, kita tidak akan tahu apa-apa. Bukanlah huruf-huruf Muqattaah ini tidak ada makna. Ada maknanya, cuma kita sahaja yang tak tahu. Kerana Allah tidak memberitahu kepada kita. Nabi Muhammad pun tidak pernah menceritakan apakah maknanya.

Kita tahu tidak ada maklumat tentangnya, kerana tidak ada hadis yang Nabi memberitahu maknanya. Ada perkara yang Allah tak beritahu kepada kita, termasuklah kepada Nabi Muhammad. Kalau Nabi Muhammad tahu maknanya, maka wajib bagi baginda untuk memberitahu kepada kita kerana tugas Nabi adalah menafsir Al-Qur’an kepada kita.

Ini adalah satu ujian kepada orang yang alim – (orang berilmu). Ujian untuk lihat sama ada mereka boleh kata mereka ‘tidak tahu’. Untuk melihat sama ada mereka boleh mengaku kepada manusia bahawa mereka tidak tahu. Kerana mereka mungkin rasa malu untuk mengaku tidak tahu kalau ditanya. Takut orang hairan kenapa mereka tidak tahu, takut malu dikata begitu.

Masalahnya, ada orang alim yang walaupun mereka tidak tahu dengan pasti, mereka akan jawab juga mengikut agak-agak mereka, walaupun mereka tahu maklumat itu tidak tepat. Ini mengingatkan kita kepada kisah bagaimana pernah satu rombongan dari jauh datang bertemu Imam Malik dengan membawa 18 soalan. Imam Malik hanya menjawap 3 sahaja soalan-soalan itu dan selainnya, Imam Malik jawap: ‘tidak tahu’.

Kepada kita yang tidak berilmu ini, ayat ini mengajar kita untuk mula belajar dengan ‘tidak tahu’. Dengan mempunyai fikiran yang kosong, bersedia untuk menerima ilmu. Kalau kita mulakan belajar sesuatu dengan idea lain yang sudah ada dalam fikiran kita, itu akan jadi satu gangguan kepada pemahaman kita.

Satu lagi, huruf-huruf Muqattaah ini mungkin diletakkan sebegitu rupa untuk menarik perhatian orang yang mendengar. Bangsa Arab adalah satu bangsa yang amat berbangga dengan penguasaan bahasa mereka. Penggunaan huruf Muqattaah ini tidak pernah mereka dengar. Jadi, apabila Al-Qur’an menggunakan perkataan sebegini, mereka kehairanan dan mereka akan tertanya-tanya apakah yang hendak dibawa oleh ayat-ayat Al-Qur’an itu. Oleh itu, mereka akan memberi perhatian kepada ayat-ayat yang seterusnya.

Oleh itu, kalimah Ha Mim ini adalah kalimah untuk tawajuh. Orang yang tahu bahasa Arab, apabila jumpa benda pelik sebegini yang tidak biasa dengar, dia akan tawajuh.

Kita kena ingat bahawa, walaupun bahasa Al-Qur’an menggunakan bahasa Arab, tapi apabila ia telah menjadi kalam Allah, sudah jadi lain dan tidak sama dari bahasa Arab yang asal. Bahasa Al-Qur’an adalah mukjizat dan bukanlah bahasa Arab yang biasa.

Kepada kita, walaupun kita tidak menguasai bahasa Arab, tetapi apabila kita baca huruf-huruf Muqattaah ini, ianya adalah satu penggunaan bahasa yang amat menarik perhatian kita. Kita akan rasa terpanggil untuk terus membaca ayat-ayat seterusnya. Begitulah keindahan Al-Qur’an yang Allah telah jadikan untuk kita.


 

Ayat 2: Ini adalah Dalil Wahyi. Untuk memberitahu kepada kita bahawa apa yang disampaikan oleh Allah tentang Tauhid dalam Berdoa ini bukanlah rekaan dari Nabi Muhammad, tapi ianya ada titah suruhan dari Allah dalam Al-Qur’an sendiri.

Dalil Wahyi mengajar kita untuk menggunakan dalil dalam berhujah. Kalau kita katakan sesuatu tentang agama, kenalah diberikan dalil dari nas.

تَنزيلُ الكِتٰبِ مِنَ اللهِ العَزيزِ العَليمِ

Sahih International

The revelation of the Book is from Allah , the Exalted in Might, the Knowing.

Malay

Turunnya Al-Qur’an ini dari Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui;

تَنْزِيلُ الْكِتٰبِ مِنَ اللهِ

Turunnya Kitab (Al-Qur’an) ini adalah dari Allah

Ayat ini mengingatkan kita bahawa Al-Qur’an ini DARI Allah. Bukan dari yang selain Allah. Tidak ada perkataan yang lebih utama selain dari kalam Allah. Maka, kenalah terima Al-Qur’an ini. Kalau orang lain kata ada lagi Kalam Tuhan selain dari Al-Qur’an ini, maka kenalah bawakan supaya kita pun boleh tengok dan bandingkan sama-sama sama ada boleh pakai atau tidak.

Penurunan Al-Qur’an mengambil masa selama 23 tahun. Bukan sekaligus macam kitab-kitab sebelum itu. Sebagai contoh, Kitab Taurat turun siap bertulis. Injil turun terus dan masuk ke dalam hati Nabi Isa lengkap semua kali.

 

الْعَزِيزِ

yang Maha Gagah Perkasa 

Allah memperkenalkan DiriNya dalam ayat ini. Al-Aziz bermaksud yang Maha Perkasa, yang tidak boleh dikalahkan. Dia menguasai segala-galanya.

الْعَلِيمِ

dan Maha Mengetahui.

Allah juga Maha Mengetahui. Hanya Dia sahaja yang mengetahui segala-galanya. Tidak sama ilmu Allah kalau dibandingkan dengan makhlukNya. Ilmu Allah lengkap dan merangkumi segala-galanya. Kita pun ada ilmu juga, tapi ilmu kita amat terhad.

Oleh kerana Al-Qur’an itu diturunkan dari Allah yang Maha Perkasa dan IlmuNya meliputi segala-galanya, maka berikan keutamaan kepada Al-Qur’an ini. Ianya bukan buku biasa. Jangan kita buat tak tahu sahaja. Jangan kita letak sahaja di pejabat dan di rak buku di rumah. Jadikanlah ia sebagai sumber rujukan kehidupan kita.

Ada dua sifat disebut dalam ayat ini. Dua sifat ini adalah kunci kepada sifat-sifat yang lain. Kalau dapat menjiwai dua sifat ini, maka akan mudah untuk menerima sifat-sifat yang lain. Dua sifat ini adalah tentang ‘kuasa’ dan tentang ‘ilmu’.

  1. Setiap hari kita ada hajat dan musibah. Kita pun mengadu kepada Allah yang memang tahu pun masalah itu kerana Dia maha mengetahui. Allah sahaja yang tahu sama ada ianya baik untuk kita atau tidak. Maka kita serahkan kepada Allah samada molek untuk kita atau tidak.
  2. Dan Allah sahaja yang berkuasa penuh boleh selesaikan masalah itu. Hanya Allah sahaja yang boleh menunaikan hajat kita.

Jadi dua sifat ini adalah dua sifat utama dalam berdoa. Kalau kita faham dua sifat ini, maka kita tidak ada masalah untuk berdoa hanya kepada Allah kerana kita tahu, Dia lah tempat pengharapan yang paling sesuai kerana dua sifat itu.

Malangnya, orang yang ada fahaman syirik dalam diri mereka, mereka rasa macam ada lagi ilah selain Allah yang ada kuasa dan ada ilmu. Maka, sebab itu mereka seru dan minta doa kepada entiti-entiti itu – sama ada Nabi, wali atau malaikat atau apa sahaja.


 

Ayat 3: Allah terus memperkenalkan DiriNya dalam ayat ini.

Ada 3 Sifat jenis Jamaliah dan 1 Sifat jenis Jalaliah. Kalau kenal Sifat-sifat ini, manusia tidak akan lari lagi dari Allah. Mereka akan menerima Allah sebagai yang sepatutnya. Kerana dari Sifat-sifat ini, kita akan kenal Allah, akan takut dengan Allah.

Tapi takut kepada Allah berbeza dengan takut kepada makhluk. Kerana kalau takut kepada makhluk, kita akan lari, macam kita lari dari harimau. Tapi, berlainan kalau dengan Allah. Semakin kita takut kepada Allah, semakin kita akan mendekat dengan Allah. 

Sifat Jamaliah: Sifat yang membawa kebaikan kepada hamba. Ini adalah sifat yang dicari oleh setiap hamba.

Sifat Jalaliah: Sifat yang membawa keburukan kepada hamba. Ini adalah sifat yang amat ditakuti oleh makhluk.

غافِرِ الذَّنبِ وَقابِلِ التَّوبِ شَديدِ العِقابِ ذِي الطَّولِ ۖ لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ ۖ إِلَيهِ المَصيرُ

Sahih International

The forgiver of sin, acceptor of repentance, severe in punishment, owner of abundance. There is no deity except Him; to Him is the destination.

Malay

Yang Mengampunkan dosa, dan Yang Menerima taubat; Yang Berat azabNya; Yang Melimpah-limpah kurniaNya; tiada Tuhan melainkan Dia; kepadaNyalah tempat kembali.

غَافِرِ الذَّنبِ

Yang mengampun dosa.

Allahlah yang mampu mengampun dosa makhlukNya. Apabila digunakan perkataan غافر dalam ayat ini dalam bentuk begitu, itu bermaksud yang Allah berterusan mengampun dosa hambaNya. Mungkin hamba itu melakukan dosa, kemudian telah bertaubat. Kemudian hamba itu melakukan lagi dosa yang sama dan bertaubat. Allah telah menerima taubat hambaNya itu kerana Allah bersifat al-Ghaafir.

Ini adalah Sifat Jamaliah Allah. Sifat Jamaliah ialah sifat indah, lemah lembut, cinta dan mengandungi segala yang baik. Allah boleh menutup segala dosa-dosa yang kita lakukan kalau Dia mahu. Apabila Allah tutup dosa kita, orang lain tidak tahu lagi tentang dosa kita, maka tidaklah kita malu di hadapan manusia dan makhluk yang lain. Kerana kalau orang lain tahu, tentulah kita malu.

Apabila kita menutup sesuatu, bermakna kita juga menjaganya, bukan? Sebagai contoh, kalau kita tutup kepala kita dengan helmet, bukan sahaja kepala ditutup, tapi kepala itu juga dilindungi. Begitu juga, apabila Allah tutup dosa kita, Dia melindungi diri kita dari ‘kesan’ dosa itu.

Kerana dosa memberi kesan yang tidak elok kepada diri kita sebenarnya. Maka, kita memang mengharap semoga Allah menutup dosa kita dan melindungi kita dari kesan buruk dosa itu. Kerana kita tidak mahu menerima kesan buruk dari dosa itu.

Perkataan الذَّنبِ bermaksud segala jenis dosa.

Sesiapa sahaja yang meminta ampun kepadaNya, Dia akan mengampunkan dosa kita. Seperti yang Allah sebut dalam Zumar:53

۞ قُل يا عِبادِيَ الَّذينَ أَسرَفوا عَلىٰ أَنفُسِهِم لا تَقنَطوا مِن رَحمَةِ اللهِ ۚ إِنَّ اللهَ يَغفِرُ الذُّنوبَ جَميعًا ۚ إِنَّهُ هُوَ الغَفورُ الرَّحيمُ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Dalam ayat Surah Zumar ini, apabila Allah menggunakan perkataan يا عِبادِيَ , itu merujuk kepada semua hambaNya, tidak kira yang beriman atau tidak. Begitu juga, Allah telah sebut dalam Nisa:110,

وَمَن يَعمَل سوءًا أَو يَظلِم نَفسَهُ ثُمَّ يَستَغفِرِ اللهَ يَجِدِ اللهَ غَفورًا رَحيمًا

Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri (dengan melakukan maksiat) kemudian dia memohon ampun kepada Allah, nescaya dia akan mendapati Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Allah gunakan perkataan مَن dalam ayat ini yang bermaksud ‘sesiapa sahaja’. Ini termasuklah kalau orang itu orang yang kafir pun. Kerana Allah telah berfirman dalam Anfal:38

قُل لِلَّذينَ كَفَروا إِن يَنتَهوا يُغفَر لَهُم ما قَد سَلَفَ وَإِن يَعودوا فَقَد مَضَت سُنَّتُ الأَوَّلينَ

Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang kafir itu, jika mereka berhenti (dari kekufurannya), nescaya akan diampunkan dosa mereka yang telah lalu, dan jika mereka kembali lagi (ingkar maka Kami akan menyeksa mereka), kerana sesungguhnya telah berlakulah kebinasaan orang-orang (yang kufur ingkar) dahulu kala.

Oleh itu, kalau orang kufur pun bertaubat, Allah akan terima taubat mereka.

Allah memang mudah memberi ampun. Kalau orang beriman tidak meminta ampun pun, tapi mereka melakukan perbuatan yang baik, Allah akan bersihkan dosanya itu. Seperti yang Allah firman dalam Hud:114

إِنَّ الحَسَناتِ يُذهِبنَ السَّيِّئَاتِ

Sesungguhnya amal-amal kebajikan itu menghapuskan kejahatan.

 

وَقَابِلِ التَّوْبِ

Dan Penerima Taubat. 

Satu lagi Sifat Jamaliah.

Perkataan التَّوْبِ bermaksud ‘pulang’ dari segi bahasa. Rujuk balik ke tempat asal. Oleh itu, ‘taubat’ bermaksud pulang dari melakukan maksiat dan kembali kepada mengikut arahan Allah. Dalam bahasa yang lain, ianya boleh diumpamakan seperti kita buat U-turn di jalan raya.

Apabila kita sedang memandu dan kita sudah tahu yang kita sudah silap jalan, kita akan U-turn dan kembali kepada jalan yang betul, bukan? Begitulah dengan bertaubat kepada Allah. Apabila kita sedar yang kita telah melakukan kesilapan dan dosa, maka berhentilah dan ubahlah jalan kita.

Allah menerima taubat hambaNya. Walaupun dosa yang dilakukan itu adalah dosa syirik. Syirik adalah dosa yang terbesar. Tapi dosa sebesar itu pun Allah boleh maafkan dan terima taubat hambaNya. Asalkan taubat itu memenuhi syarat-syaratnya:

1. Taubat itu mestilah jujur dengan hati yang ikhlas. Dia rasa bersalah dengan kesalahan yang dilakukannya, dan dia rasa menyesal akan kesalahannya itu.

2. Tinggalkan dosa yang dilakukannya. Janganlah bertaubat, tapi lepas bertaubat, buat lagi. Itu tidak patut dilakukan dan kurang ajar dengan Allah.

3. Memohon ampun kepada Allah.

4. Berikrar dan tetapkan dalam hati tidak mahu melakukan kesalahan itu lagi. Kalau dia rasa macam nak buat lagi, maka itu bermaksud dia tidak rasa menyesal lagi atas kesalahan itu. Ingatlah kalau seseorang itu berikrar tidak mahu melakukan mana-mana kesalahan lagi, Allah akan membantunya untuk meninggalkannya.

5. Kalau kesalahan itu melibatkan orang lain, dia kena perbaiki kesalahan itu dan sekurang-kurangnya dia kena minta maaf kepada orang itu.

6. Dilakukan dalam masa yang betul. Iaitu sebelum kita mati, sebelum Malaikat Maut datang menjemput. Bila sudah mati, sudah tidak diterima taubatnya itu. Dan taubat itu sepatutnya dilakukan sebaik-baik sahaja dia sedar kesalahannya itu.

7. Kalau kesalahan itu melibatkan hukum Hudud, maka Hudud perlu dijalankan.

Perkataan ‘taubat’ banyak digunakan dalam Al-Qur’an dalam berbagai-bagai cara. Dalam ayat ini, digunakan perkataan التَّوْبِ. Ianya adalah bentuk taubat yang paling lemah sekali. Ada berbagai-bagai peringkat taubat manusia, ada yang biasa sahaja, dan ada yang bersungguh-sungguh. Oleh itu, Allah hendak memberitahu kita dalam ayat ini, kalau kita taubat paling lemah pun, Allah akan terima juga.

 

شَدِيدِ الْعِقَابِ

Yang Maha Keras azabNya

Allah bersifat keras bagi sesiapa yang tak mahu minta ampun dan bertaubat. Ini pula adalah Sifat Jalaliah Allah. Ini adalah sifat yang keras. Sifat Jalal ialah sifat penyeksa, pemusnah, penghukum dan segala yang menakutkan kita dan menggerunkan.

Sebelum ini telah disebut sifat Allah yang Maha Pengampun dan Penerima Taubat. Kalau kita baca dua itu sahaja, kita tentu sudah ada perasaan senang dengan Allah. Tapi jangan setakat baca itu sahaja. Jangan kita rasa Allah akan mengampun sahaja.

Dalam masa yang sama, kita kena ingat yang Allah juga keras SifatNya. Apabila Allah berikan hukuman kepada mereka yang patut dapat hukuman, azab itu amat keras. Itulah mereka yang tidak meminta ampun dan taubat, tidak melakukan amalan yang baik, hanya melakukan dosa sahaja – merekalah yang patut menerima azab itu.

Kalau Allah nak kenakan kita dengan azabNya, kita tak boleh lari ke mana-mana lagi. Maka ini adalah ayat amaran.

Jangan kita sangka yang azab itu diberikan kepada orang kufur sahaja. Sepertimana Allah menerima ampun dan taubat dari semua makhlukNya sama ada beriman atau tidak, Allah juga boleh mengenakan azabNya yang keras kepada orang kafir dan orang Islam juga.

Maka, jangan kita sangka yang kita akan selamat hanya kerana kita sudah jadi seorang Muslim. Kerana kalau kita buat salah, kita pun boleh kena azab juga.

 

ذِي الطَّوْلِ

Yang mempunyai kurnia yang luas. 

Ini adalah Sifat Jamaliah sekali lagi. Perkataan الطَّوْلِ asalnya bermaksud ‘panjang’. Bermaksud seseorang yang boleh menjangkau jauh. Ditafsir dalam ayat ini sebagai ‘mempunyai kurniaan yang banyak’. Bukan sahaja Dia banyak kelebihan, tetapi Dia juga banyak memberi kelebihan dan kurniaan itu kepada manusia.

Tidaklah Allah simpan sahaja sebaliknya Allah amat banyak memberi. Lihatlah sekeliling kita, betapa banyaknya nikmat yang Allah telah berikan kepada makhlukNya. Dari kita lahir sampai hujung hayat kita, entah berapa banyak nikmat dan rezeki yang Allah telah berikan.

Nikmat yang paling besar yang Allah telah berikan kepada kita adalah hidayah yang ada dalam Al-Qur’an ini.

Dalam ayat ini disebut empat sifat Tuhan. Tiga sifat lembut mengatasi satu sifat yang keras. Sifat Jaliliah dikepung oleh sifat Jamaliah. Maka, sifat belas kasihan Allah itu mengatasi sifat kerasNya. Seperti satu hadis:

Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Tatkala Allah menciptakan para makhluk, Dia menulis dalam kitab-Nya, yang kitab itu terletak di sisi-Nya di atas ‘Arsy, “Sesungguhnya rahmat-Ku lebih mengalahkan kemurkaan-Ku.” (HR. Bukhari no. 6855 dan Muslim no. 2751

Oleh itu, wahai hamba Allah, kenapa lagi lari dari Allah? Dekatilah Allah dengan sebaik-baiknya.

 

لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُو

Tiada ilah lagi melainkan Dia.

Sepertimana yang telah diberitahu dalam Usul Tafsir, ilah adalah tempat harapan hati hamba, tempat tumpangan hati hamba dalam pengharapan. Tidak ada pengharapan yang khas melainkan kepada Allah sahaja.

Maka jangan jadikan keris, cincin, burung hantu dan lain-lain sebagai ilah. Selalunya, kita hanya kata berhala sahaja ilah. Tapi ilah itu boleh juga dalam bentuk tok guru, tok wali, malaikat, Nabi dan sebagainya.

Ini adalah suruhan kepada tauhid. Dan oleh kerana surah ini adalah tentang Tauhid dalam Doa, maka Tauhid yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Tauhid dalam Doa. Doa tidak boleh ditujukan kepada selain Allah kerana doa terutama dalam perkara luar asbab, hanya boleh diminta kepada Allah sahaja.

Sebagai contoh, dalam meminta berkat, hanya boleh minta kepada Allah sahaja, kerana berkat adalah adalah perkara luar asbab. Dan kerana berkat itu milik Allah sahaja. Dia yang membahagikan berkat kepada makhlukNya.

Hanya ikhtiar sahaja yang boleh dikira perkara dalam asbab, tapi itu pun tidak boleh bergantung harap kepada asbab itu. Sebagai contoh, kita boleh minta doktor tolong sembuhkan penyakit kita, tapi kita tidak boleh berharap kepada doktor itu, kerana dia hanya boleh usaha sahaja, sedangkan kesembuhan datangnya dari Allah.

 

إِلَيْهِ الْمَصِيرُ

Kepada Dialah kembalian kamu.

Sama ada kamu puja Allah atau tidak, sama ada sembah atau tidak, sama ada minta ampun kepadaNya ataupun tidak, semua kita akan kembali kepadaNya nanti. Maknanya, kita tidak boleh lari ke mana dah selepas kita mati, pasti akan bertemu dengan Allah dan mengadap Allah sahaja.

Hanya kepadaNya sahaja kita akan kembali. Kita tidak bertemu dengan tuhan-tuhan yang lain. Orang kafir sangka, apabila mereka mati nanti, mereka akan dibawa bertemu dengan tuhan mereka – Buddha, Siva, Jesus dan sebagainya. Tidak. Kita semua akan dikembalikan terus kepada Allah.

Golongan sesat pula, ada yang sangka pujaan mereka seperti Imam Husein, Syeikh Abdul Qadir Jalani dan sebagainya akan suruh mereka duduk belakang mereka dan mereka akan memberi syafaat kepada mereka, tapi tidak sama sekali. Semua kita akan mengadap Allah dan kena jawab atas segala perbuatan kita.

Kalau di akhirat nanti, kita akan dikembalikan kepada Allah, maka dalam dunia ini, kenalah kita selalu merujuk kepada Allah. Kalau kita ada persoalan dalam hal agama, lihatlah apa yang Allah telah sebut dalam Al-Qur’an dan apa yang Nabi telah terangkan dalam hadis yang sahih.

Kalau kita hendak buat keputusan, mintalah pertolongan Allah untuk menolong kita di dalam buat keputusan. Kalau kita ada masalah, maka mohonlah pertolongan kepada Allah. Hadapkan wajahmu kepada Allah. Maknanya, bukan di akhirat sahaja kita pergi kepada Allah, dalam dunia pun kita kena rujuk kepada Allah.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 9 Jun 2020


 

Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Surah an-Nisa Ayat 131 – 134 (Allah tidak memerlukan manusia)

Ayat 131: Takhwif ukhrawi.

وَِللهِ مَا فِي السَّمٰوٰتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ وَلَقَدْ وَصَّيْنَا الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتٰبَ مِن قَبْلِكُمْ وَإِيَّاكُمْ أَنِ اتَّقُوا اللَّهَ وَإِن تَكْفُرُوا فَإِنَّ ِللهِ مَا فِي السَّمٰوٰتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ وَكَانَ اللهُ غَنِيًّا حَمِيدًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And to Allāh belongs whatever is in the heavens and whatever is on the earth. And We have instructed those who were given the Scripture before you and yourselves to fear Allāh. But if you disbelieve – then to Allāh belongs whatever is in the heavens and whatever is on the earth. And ever is Allāh Free of need and Praiseworthy.

MALAY

Dan bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi; dan demi sesungguhnya, Kami telah perintahkan orang-orang yang diberi Kitab dahulu daripada kamu, dan juga (perintahkan) kamu, iaitu hendaklah bertaqwa kepada Allah; dan jika kamu kufur ingkar, maka (ketahuilah) sesungguhnya Allah jualah yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi; dan (ingatlah) adalah Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.

 

وَِللهِ مَا فِي السَّمٰوٰتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ

Dan bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi;

Allah ‎ﷻ yang mencipta segala apa yang ada di langit dan di bumi. Maka kerana itu, semua yang di langit dan di bumi adalah milikNya. Apabila Allah ‎ﷻ memiliki segalanya, maka hendaklah taat kepada Allah ‎ﷻ sahaja, ibadah kepada Dia sahaja dan doa kepada Dia sahaja.

Dengan segala hukuman dan nasihat yang telah diberikanNya dalam ayat-ayat sebelum ini, kalaulah kita tidak mahu mengikutiNya pun, maka tidak ada beza bagiNya. Ini kerana Dia tidak memerlukan ketaatan kita.

Dan kalaulah kita pula taat kepada suruhan dan nasihat yang telah diberikan, Allah ‎ﷻ boleh memberikan apa sahaja kepada kita kalau Dia mahu, kerana Dia memiliki segala-galanya.

Banyak sudah hukum-hukum dan undang-undang yang Allah ‎ﷻ telah sampaikan. Allah ‎ﷻ mengingatkan manusia untuk taat kepada segala perintahNya. Tapi kalau tidak taat, ia tidak memberi kesan kepada Allah ‎ﷻ kerana Allah ‎ﷻ tidak memerlukan kita. Allah ‎ﷻ sudah mempunyai segala-galanya. Maka kitalah yang memerlukan Allah ‎ﷻ dan kerana itulah kita yang mesti mentaatiNya.

Potongan ayat ini akan diulang dua kali lagi sebentar lagi. Semuanya memberikan isyarat kepada maksud yang berlainan. Dalam yang pertama ini, Allah ‎ﷻ hendak mengingatkan kepada KuasaNya yang mencipta segala-galanya.

 

وَلَقَدْ وَصَّيْنَا الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتٰبَ مِن قَبْلِكُمْ

dan demi sesungguhnya, Kami telah wasiatkan kepada orang-orang yang diberi Kitab dahulu daripada kamu, 

Wasiat adalah kata-kata perintah yang penting. Umat-umat terdahulu telah diberikan dengan wasiat yang akan disebut ini. Bukan kita sahaja dipertanggungjawabkan dengan syariat. Tidak pernah Allah membiarkan mana-mana umat tanpa panduan hidup.

 

وَإِيَّاكُمْ

dan juga kamu,

Umat Nabi Muhammad ﷺ juga mendapat perintah yang sama. Sama sahaja ajaran tentang tauhid dari dahulu sampai sekarang dan sampai ke Kiamat nanti. Apakah wasiatnya?

 

أَنِ اتَّقُوا اللَّهَ

iaitu hendaklah bertaqwa kepada Allah;

Hendaklah semua bertaqwa dan takut kepada Allah  ‎ﷻ dengan menjaga hukum. Inilah maksud taqwa yang diulang-ulang dalam Qur’an: hendaklah bertaqwa dan hendaklah bertaqwa. Kerana inilah yang diperlukan oleh manusia untuk masuk ke dalam syurga. Itulah sebabnya Allah ‎ﷻ mengingatkan berkali- kali kepada kita.

 

وَإِن تَكْفُرُوا فَإِنَّ ِللهِ مَا فِي السَّمٰوٰتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ

dan jika kamu kufur ingkar, maka (ketahuilah) sesungguhnya Allah jualah yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi;

Sekali lagi diulang potongan ayat ini. Kali ini Allah  ‎ﷻ hendak menekankan yang Dia tidak memerlukan kita. Kalau kamu kufur engkar, Allah ‎ﷻ tidak memerlukan kamu, kerana semuanya dalam alam ini adalah milikNya. Jangan langsung ada perasaan yang Allah ‎ﷻ memerlukan kita dalam apa bentuk sekali pun. Kita yang memerlukan Allah ‎ﷻ dan tidak sebaliknya.

Perbuatan kita tidak memberi kesan kepada Allah  ‎ﷻ langsung. Dalam ayat-ayat sebelum ini telah disebut tentang perceraian. Allah ‎ﷻ tidak terkesan dengan perceraian kita langsung. Oleh itu, janganlah kecoh sangat, atau bersedih sangat kalau ditakdirkan kamu bercerai dengan pasangan kamu. Jangan persoalkan kenapa jadi begitu. Arasy Allah juga tidak bergegar hanya disebabkan perceraian suami isteri. Itu hanya diayah palsu hadis rekaan. Tidak mungkin perceraian kamu itu akan menyebabkan ArasyNya yang hebat itu bergegar pula?

Allah ‎ﷻ boleh berbuat apa sahaja yang Dia kehendaki kerana semua yang ada di dalam alam ini adalah hakNya. Isteri kita bukan hak kita. Suami kita bukan hak kita. Semuanya hak Allah semata-mata.

 

وَكَانَ اللَّهُ غَنِيًّا حَمِيدًا

dan (ingatlah) adalah Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.

Maksudnya Allah Maha Kaya dari memerlukan kita. Allah ‎ﷻ tidak memerlukan ketaatan kita. Ketaatan kita kepadaNya itu adalah untuk kebaikan kita sebenarnya.


 

Ayat 132:

وَِللهِ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ ۚ وَكَفىٰ بِاللهِ وَكيلًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And to Allāh belongs whatever is in the heavens and whatever is on the earth. And sufficient is Allāh as Disposer of affairs.

MALAY

Dan bagi Allah jualah apa yang ada di langit dan yang ada di bumi; dan cukuplah Allah sebagai Pengawal (yang mentadbirkan dan menguasai segala-galanya).

 

وَِللهِ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ

Dan bagi Allah jualah apa yang ada di langit dan yang ada di bumi;

Potongan ayat ini telah disebut dua kali sebelum ini. Sekarang Allah ‎ﷻ mengulanginya lagi untuk memberi isyarat yang langit dan bumi dan segala di dalam alam ini adalah sepenuhnya milikNya. Allah ‎ﷻ boleh berbuat apa sahaja. Termasuklah mentakdirkan sesuatu untuk kita. Kalau kita taat kepada Allah ‎ﷻ dan meminta kepadaNya, Allah ‎ﷻ boleh sahaja memberikan apa yang kita kehendaki.

Ringkasan kepada potongan ayat ini yang disebut sebanyak tiga kali:
1. Kehebatan kuasa Allah ‎ﷻ dalam mencipta.
2. Allah ‎ﷻ memiliki alam ini, maka Allah ‎ﷻ tidak memerlukan ketaatan kita pun.
3. Dia boleh berikan apa yang kita inginkan kalau Dia kehendaki kerana Dia yang menguasai alam ini.

 

وَكَفىٰ بِاللهِ وَكيلًا

dan cukuplah Allah sebagai Pengawal

Cukuplah Allah ‎ﷻ yang menjaga kita. Kita hanya perlu bertawakal kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Kalau sesuatu terjadi, seperti perceraian, maka serahkan diri kita kepada Allah‎ ﷻ .

Harus difahami maksud tawakal iaitu berserah kepada Allah ‎ﷻ selepas kita sudah berusaha.


 

Ayat 133: Allah ‎ﷻ tidak berkehendak kepada ibadat dari kita. Arahan Allah ‎ﷻ untuk kita beribadat adalah untuk kebaikan kita sendiri.

إِن يَشَأ يُذهِبكُم أَيُّهَا النّاسُ وَيَأتِ بِئآخَرينَ ۚ وَكانَ اللَّهُ عَلىٰ ذٰلِكَ قَديرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

If He wills, He can do away with you, O people, and bring others [in your place]. And ever is Allāh competent to do that.

MALAY

Jika Allah menghendaki, nescaya Ia musnahkan kamu wahai umat manusia dan Dia datangkan gantinya dengan umat-umat yang lain. Dan adalah Allah Maha Kuasa melakukan yang demikian itu.

 

إِن يَشَأ يُذهِبكُم أَيُّهَا النّاسُ

Jika Allah menghendaki, nescaya Dia musnahkan kamu wahai umat manusia

Allah ‎ﷻ menyambung lagi dengan menceritakan betapa Dia tidak memerlukan kita. Kalau Allah ‎ﷻ mahu, Dia boleh sahaja memusnahkan kita semua. Habis semua pupus tidak akan tinggal seorang pun. Ini menguatkan lagi hujah yang Dia tidak memerlukan ketaatan kita.

 

وَيَأتِ بِئآخَرينَ

dan Dia datangkan gantinya dengan umat-umat yang lain.

Dan selepas memusnahkan kita semua, Dia boleh menggantikan dengan makhluk yang lain. Maka, jangan kita rasa kita hebat sangat ataupun penting sangat. Allah ‎ﷻ boleh sahaja menghilangkan kita begitu sahaja. Allah ‎ﷻ bagi kita hidup lagi sebab untuk memberi kan peluang kepada kita sahaja.

 

وَكانَ اللهُ عَلىٰ ذٰلِكَ قَديرًا

Dan adalah Allah Maha Kuasa melakukan yang demikian itu.

Jangan berkata Allah ‎ﷻ tidak mampu melakukan apa yang Dia cakap. Dia boleh berbuat apa sahaja.


 

Ayat 134: Kalau hendak tinggal di dunia maka haruslah taat dan mengikuti segala perintah Allah ‎ﷻ. Janganlah hanya hendakkan dunia sahaja, sampai melupakan akhirat. Seseorang yang hanya ingin balasan dunia sahaja menunjukkan ia mempunyai fikiran yang rosak. Maka pohonlah kebaikan dunia dan akhirat sekali.

مَن كانَ يُريدُ ثَوابَ الدُّنيا فَعِندَ اللهِ ثَوابُ الدُّنيا وَالآخِرَةِ ۚ وَكانَ اللَهُ سَميعًا بَصيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Whoever desires the reward of this world – then with Allāh is the reward of this world and the Hereafter. And ever is Allāh Hearing and Seeing.

MALAY

Sesiapa yang mahukan pahala (balasan) dunia sahaja (maka rugilah ia), kerana di sisi Allah disediakan pahala (balasan) dunia dan akhirat. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.

 

مَن كانَ يُريدُ ثَوابَ الدُّنيا

Sesiapa yang mahukan balasan dunia sahaja

Ada jumlah muqaddar (lafaz yang tidak disebut) di sini. Sesiapa yang hendakkan balasan dunia sahaja, maka dia adalah seorang yang bodoh. Itu menandakan otaknya yang sudah rosak.

Allah ‎ﷻ telah menyebut sebelum ini yang Dia memiliki dunia dan akhirat. Kedua-duanya Dia boleh bagi kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Tapi mestilah memohon kepadaNya. Amat malang kalau memohon keduniaan sahaja daripada Allah ‎ﷻ.

Kalau meminta keduniaan, Allah ‎ﷻ boleh sahaja memberikannya. Tapi tidaklah ada bahagian kepada orang itu dari bahagian akhirat. Alangkah ruginya.

 

فَعِندَ اللهِ ثَوابُ الدُّنيا وَالآخِرَةِ ۚ

kerana di sisi Allah disediakan balasan dunia dan akhirat.

Kenapa dikatakan kalau seseorang itu hanya mahukan dunia sahaja, dia dikatakan bodoh? Kerana Allah memiliki dunia dan akhirat yang disediakan untuk manusia, asalkan mereka mahu berusaha.

Maka mintalah kedua-duanya. Janganlah minta dunia sahaja. Boleh minta kebaikan untuk kedua-duanya, tapi  jika diminta satu sahaja, itu adalah amat rugi sekali. Lihatlah ayat Baqarah:200 yang kita telah belajar bagaimana Allah ‎ﷻ mengajar kita cara untuk berdoa meminta kebaikan dunia dan akhirat sekali. Dalam ayat yang lain Allah telah berfirman:

مَنْ كانَ يُرِيدُ حَرْثَ الْآخِرَةِ نَزِدْ لَهُ فِي حَرْثِهِ

Barang siapa yang menghendaki keuntungan di akhirat akan Kami tambahkan keuntungan itu baginya. (Asy-Syura: 20), hingga akhir ayat.

Maka mintalah akhirat kerana Allah ‎ﷻ akan memberikannya jikalau kita minta.

Janganlah berusaha untuk mendapatkan dunia sahaja tapi hendaklah berusaha untuk akhirat sekali. Malangnya ramai yang hanya nampak dunia sahaja kerana dunia di depan mata.

 

وَكانَ اللَهُ سَميعًا بَصيرًا

Dan Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.

Allah ‎ﷻ mendengar permintaan makhluk sama ada inginkan dunia sahaja ataupun inginkan dunia dan akhirat sekali. Maka berhati-hatilah ketika berdoa.

Allah ‎ﷻ bukan hanya mendengar, tapi dalam ayat ini Dia berkata yang Dia بَصيرًا (melihat) juga. Maksudnya, kalau inginkan dunia dan akhirat, harus ada usaha kerana Allah ‎ﷻ hendak melihat usaha kita. Jangan cakap inginkan akhirat tapi amalan tidak menunjukkan sebegitu.

Bukan setakat cakap sahaja, tapi mesti menjalankan apa yang kita mampu. Dunia adalah ujian dan seperti juga dalam peperiksaan dunia, kalau inginkan lulus di dalam peperiksaan, mestilah belajar sehingga faham. Dan pelajaran yang terpenting sekali adalah mempelajari maksud ayat-ayat Qur’an.

Oleh kerana Allah ‎ﷻ mendengar dan melihat perbuatan kita, maka pembalasan Allah ﷻ adalah sangat tepat. Tidaklah Allah ‎ﷻ seperti para pemimpin atau raja yang hanya memberikan kurniaan kepada rakyat yang pandai memuji sahaja tapi tidak membuat sebarang kerja pun.

Habis Ruku’ ke 19 dari 24 ruku’ dalam surah ini.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 26 Disember 2018

Ringkasan Surah Nisa’


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah an-Nisa Ayat 128 – 130 (Kalau suami nusyuz)

Ayat 128: Ayat ini adalah penjelasan tentang hukum yang telah disebut dalam ayat 35. Ia adalah berkenaan tindakan yang boleh diambil jikalau suami isteri tidak boleh berdamai. Apabila tidak boleh berdamai, anjuran agama adalah untuk melantik hakam dari pihak suami dan pihak isteri.

Dan kemudian telah disebut sebelum ini tentang apa yang perlu dilakukan oleh suami jika isterinya nusyuz. Dalam ayat ini pula membincangkan apa yang perlu isteri lakukan jika suami pula yang nusyuz.

Islam amat menjaga institusi perkahwinan. Ini kerana jika terdapat masalah di antara suami dan isteri, kesannya buruk dan selalunya bukan membabitkan mereka sahaja malah orang-orang di sekeliling mereka juga. Kesannya mungkin sehingga menyebabkan perkelahian dengan ahli keluarga yang lain atau boleh sampai ke tahap membunuh orang lain.

Jika asas institusi kekeluargaan sendiri tidak harmoni, bagaimanakah agama hendak ditegakkan? Bagaimana agama hendak diamalkan dengan baik kalau masalah suami isteri menghantui fikiran? Bagaimana untuk berdakwah kalau ada masalah di rumah?

Maka Islam telah mengajar umatnya bagaimana cara untuk melayari bahtera perkahwinan. Kalau dijalani dengan saksama, maka perkahwinan akan menjadi syurga dunia. Tetapi ada waktunya perbezaan pendapat dan pertelingkahan mungkin terjadi, maka Islam juga memberikan jalan penyelesaian. Kalau diikuti dengan betul, in sha Allah segala permasalahan akan selesai.

وَإِنِ امْرَأَةٌ خَافَتْ مِن بَعْلِهَا نُشُوزًا أَوْ إِعْرَاضًا فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا أَن يُصْلِحَا بَيْنَهُمَا صُلْحًا وَالصُّلْحُ خَيْرٌ وَأُحْضِرَتِ الْأَنفُسُ الشُّحَّ وَإِن تُحْسِنُوا وَتَتَّقُوا فَإِنَّ اللَّهَ كَانَ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And if a woman fears from her husband contempt or evasion, there is no sin upon them if they make terms of settlement between them – and settlement is best. And present in [human] souls is stinginess.¹ But if you do good and fear Allāh – then indeed Allāh is ever, with what you do, Acquainted.

  • i.e., holding on to self-interests.

MALAY

Dan jika seorang perempuan bimbang akan timbul dari suaminya “nusyuz”, atau tidak melayaninya, maka tiadalah salah bagi mereka (suami isteri) membuat perdamaian di antara mereka berdua (secara yang sebaik-baiknya), kerana perdamaian itu lebih baik (bagi mereka daripada bercerai-berai); sedang sifat bakhil kedekut (tidak suka memberi atau bertolak ansur) itu memang tabiat semula jadi yang ada pada manusia. Dan jika kamu berlaku baik (dalam pergaulan), dan mencegah diri (daripada melakukan kezaliman), maka sesungguhnya Allah Maha Mendalam PengetahuanNya akan apa yang kamu lakukan.

 

وَإِنِ امْرَأَةٌ خَافَتْ مِن بَعْلِهَا نُشُوزًا

Dan jika seorang perempuan bimbang akan timbul dari suaminya “nusyuz”

Apakah maksud suami yang ‘nusyuz’? Maksudnya kalau suaminya itu kasar, menghina dengan kata-kata yang kasar dan juga bersikap kasar di dalam pergaulan dengan isterinya. Ini tidak patut terjadi kerana suruhan Allah kepada suami adalah untuk bergaul dengan baik dan mesti memberi nafkah yang sepatutnya. Tapi ada suami yang kurang memberi sedangkan dia mampu.

Selalu sahaja kita dengar ‘nusyuz’ ini pada isteri sahaja, padahal suami pun boleh juga berlaku ‘nusyuz’. Kalimah ‘nusyuz’ dari segi bahasa, maksudnya ‘dataran tinggi’. Apabila isteri nusyuz, seolah-olah membayangkan dirinya berada di dataran tinggi yakni ego dan engkar dan melawan suaminya.

Apabila si suami pula nusyuz, itu bermaksud dia berada di dataran tinggi yakni ego dan kasar dengan memukul, maki hamun, tidak menunaikan kewajipan sebagai suami. Ini pun tidak patut. Tidak ada sesiapa patut nusyuz kepada sesiapa pun.

 

أَوْ إِعْرَاضًا

atau tidak melayaninya, 

Atau jikalau suami itu tidak mempedulikan langsung isterinya. Mungkin si suami itu mempunyai isteri yang ramai. Atau pada zaman sekarang, terdapat suami yang mempunyai ramai “girlfriends”. Atau sibuk sangat dengan kerja sampai buat tidak kisah dengan isterinya.

Ada pula suami yang berakal pendek, atau akal belum cukup berkembang (umur dewasa tetapi perangai masih kebudak-budakan), membuang masa dengan bermain “game” atau melayari internet dan media sosial sahaja. Tidak dilayani isterinya dan apabila pulang ke rumah terus sahaja memegang “console game” nya.

Seorang suami janganlah menyeksa batin seorang isteri. Kalau memang dia tidak sukakannya lagi atau tidak berselera lagi dengan isterinya, maka hendaklah dia menceraikan isterinya itu. Jangan dilayaninya seperti orang yang tidak penting di dalam rumahnya. Islam membenarkan perceraian dalam Baqarah:229. Daripada tidak melayani isterinya langsung, baik sahaja melepaskannya.

Kadangkala, seorang isteri tentu bimbang dengan keadaan sebegini dan mereka tertanya-tanya diri mereka sendiri: “Sampai bila nak jadi macam ni?” Kalau ini terjadi, ada jalan penyelesaian yang telah digariskan oleh Islam.

 

فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا أَن يُصْلِحَا بَيْنَهُمَا صُلْحًا

maka tiadalah salah bagi mereka (suami isteri) membuat perdamaian di antara mereka berdua

Kalau suami sudah menjadi seperti yang disebut di atas, maka bolehlah membuat perdamaian dengan cara yang baik. Seorang suami mesti memberikan apa yang baik kepada isterinya. Kalau dia tidak tahu, maka dia mesti berusaha untuk belajar. Tidaklah si isteri disuruh bersabar sahaja sehingga bertahun-tahun. Maka boleh bawakan perkara itu ke mahkamah atau pejabat agama supaya suami itu boleh dinasihati.

Malangnya, di negara kita tidak diajar perkara sebegini. Si isteri selalunya disuruh untuk bersabar bertahun-tahun lamanya, kadangkala seperti digantung tidak bertali. Ini adalah kerana mereka jahil dengan saranan yang terdapat di dalam Qur’an. Qur’an hanya diletakkan di rak buku dan dijadikan perhiasan ataupun mereka hanya membaca Qur’an tanpa memahaminya langsung.

Begitu juga yang berlaku di beberapa pejabat agama. Mereka sepatutnya memberikan nasihat dan menyelesaikan masalah wanita yang datang kepada mereka. Namun, malang sekali, terdapat banyak juga yang kita dengar, wanita itu hanya disuruh pulang ke rumah dan bersabar sahaja. Ini bukanlah nasihat yang  disarankan oleh Islam. Sia-sia sahaja kalau bekerja di pejabat agama tetapi tidak dapat menegakkan agama.

Ayat ini juga memberi satu ruang perbincangan dan perdamaian di antara suami dan isteri. Kadangkala, perkahwinan tidaklah selalunya indah seperti yang diharapkan. Antaranya, mungkin terdapat kekurangan pada pihak isteri.

Mungkin dia sudah sakit dan tidak dapat menjalankan tugasnya sebagai isteri dengan sempurna. Lelaki itu pula mengetahui akan tanggungjawabnya sebagai manusia dan tidaklah melepaskan isterinya itu (dengan menceraikannya). Maka kalimah صُلْحًا boleh bermaksud ‘kompromi’. Bawalah berbincang dengan baik.

Maka setelah berbincang, maka si suami pun boleh berkahwin lain. Dalam hal ini, timbul satu persoalan, adakah suami itu patut menceraikan isterinya, atau terus mengekalkan isterinya, tapi tidak memberikan hak isteri itu seperti yang diberikan kepada isteri yang biasa? Maka waktu ini bolehlah suami isteri berbincang tentang apakah perkara yang mereka boleh lakukan. Mungkin isteri membenarkan suaminya berkahwin lain dan diberikan hak giliran bermalamnya kepada isteri  yang baru.

Dalam hal ini, terdapat sunnah dari Nabi Muhammad ﷺ. Di dalam kitab Sahihain disebut melalui hadis Hisyam ibnu Urwah رضي الله عنه, dari ayahnya, dari Aisyah رضي الله عنها yang menceritakan,

“Ketika usia Saudah binti Zam’ah sudah lanjut, dia menghadiahkan hari gilirannya kepada Aisyah رضي الله عنها. Sejak saat itu Nabi  menggilir Siti Aisyah  رضي الله عنها selama dua hari; satu hari milik Siti Aisyah رضي الله عنها, sedangkan hari yang lain hadiah dari Saudah.”

Nabi Muhammad ﷺ telah melakukan perkara ini sebagai satu langkah yang boleh diambil contoh oleh umatnya. Ini menunjukkan yang perjanjian boleh dilakukan di antara isteri dan suami. Suami tidak akan melepaskan isterinya itu dan si isteri itu pula menawarkan sesuatu kepada suaminya yang berupa hadiah, atau dalam kes Nabi ﷺ ini, Saudah telah memberikan gilirannya kepada Aisyah رضي الله عنها.

Nota: kisah Saudah memberikan haknya kepada Aisyah رضي الله عنها itu menjadi punca kepada penikahan Misyar. Kita tidak mahu panjangkan di sini kerana nikah cara begini ada masalahnya. Tapi bolehlah dibuat kajian kalau berminat.

 

وَالصُّلْحُ خَيْرٌ

kerana perdamaian itu lebih baik

Ini kerana berdamai itu tentunya lebih baik dari bercerai. Sudah bersusah payah untuk berkahwin, sudah mempunyai anak, maka eloklah kalau boleh menyelamatkan perkahwinan itu. Manusia kalau diberi kan nasihat yang sesuai, masih ada yang boleh menerimanya. Kalau tidak boleh terima, dan rasa perlu bercerai juga, maka bercerailah, tetapi seelok-eloknya ambillah jalan penyelesaian dengan cuba berdamai terlebih dahulu.

Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud dan Ibnu Majah, keduanya dari Kasir ibnu Ubaid, dari Muhammad ibnu Khalid, dari Ma’ruf ibnu Wasil, dari Muharib ibnu Disar, dari Abdullah ibnu Umar رضي الله عنهم yang mengatakan bahawa Rasulullah  ﷺ pernah bersabda:

“أَبْغَضُ الْحَلَالِ إِلَى اللهِ الطَّلَاقُ”

Perkara halal yang paling dimurkai oleh Allah ialah talak.

Kalau sampai perlu bercerai, ini juga terdapat di dalam agama Islam yang telah meletakkan syarat-syaratnya. Ia bukanlah perkara yang perlu dimalukan sangat. Kalau memang tidak boleh bersama lagi, lebih baik bercerai dari asyik makan hati dalam perkahwinan yang tidak disukai dan membahagiakan.

Cuma haruslah bertaqwa dan janganlah bersikap busuk hati terhadap orang lain. Peraturan untuk bercerai telah digariskan agar tidak ada yang dizalimi supaya walaupun pasangan tersebut terpaksa berpisah, tapi mereka berpisah dengan cara baik.

 

وَأُحْضِرَتِ الْأَنفُسُ الشُّحَّ

sedang sifat bakhil kedekut itu memang tabiat semula jadi yang ada pada manusia.

Puncanya adalah kerana tamakkan dunia, sehinggakan kepada isteri pun tidak mahu diberikan apa yang sepatutnya sama ada dalam bentuk wang ataupun masa. Ini menunjukkan sikap suami itu yang kedekut.

Atau mereka lebih gemar meluangkan masa untuk mencari harta dunia sehinggakan tidak ada masa untuk bersama isteri dan anak-ana. Itu sememangnya kerja yang bodoh, sebab dia mencari duit yang banyak pun untuk isteri dan anak-anaknya, bukan? Keluarga sebenarnya memerlukan masa dari si suami, bukan hanya untuk menanggung kehidupan sahaja. Namun, kebiasaannya manusia sememangnya mempunyai sifat sebegitu. Maka, dari perasaan tamak boleh membawa kepada sikap kedekut.

‘Tamak’ yang disebut dalam ayat ini juga boleh membawa maksud tamak oleh si isteri itu. Walaupun dia mengetahui yang dialah punca suaminya tidak melayaninya lagi (kerana sakit atau sebagainya) tetapi dia tetap mahu bersama dengan suaminya. Mungkin sebagai pemberi rezeki kepadanya. Ini tidaklah salah. Janganlah  kita hanya melihat tamak itu sebagai perkara yang negatif sahaja.

 

وَإِن تُحْسِنُوا وَتَتَّقُوا

Dan jika kamu berlaku baik (dalam pergaulan), dan mencegah diri 

Perkara ini hanya boleh diselesaikan jika suami sanggup berubah sikap. Haruslah berubah sikap perangai dari  yang buruk kepada perangai yang lebih baik. Mesti menghilangkan sikap tamak itu daripada dirinya. Mesti juga mempunyai rasa taqwa di dalam dirinya, baru senang untuk berbuat baik sesama manusia.

Memang Allah ‎ﷻ telah menjadikan manusia dengan sikap tamak dan kedekut. Kita boleh melihat sikap azali  kanak-kanak yang susah untuk berkongsi barang permainannya dengan orang lain. Maka ada orang yang lebih tamak dan lebih kedekut dari yang lain. Kalau Allah ‎ﷻ jadikan sesuatu sifat buruk dalam diri manusia itu, bukanlah dia harus berterusan dengan sifat itu.

Segala sifat buruk yang Allah ‎ﷻ telah jadikan semulajadi dalam diri manusia adalah sebagai ujian untuk manusia itu untuk memperbaiki dirinya. Kalau sari lahir sudah menjadi baik sahaja semua manusia, maka tiadalah ujian lagi. Oleh itu, kalau belajar dan faham ayat ini, akan senang untuk membuat kebaikan dan mudah untuk memperbaiki diri sendiri.

 

فَإِنَّ اللَّهَ كَانَ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرًا

sesungguhnya Allah Maha Mendalam PengetahuanNya akan apa yang kamu lakukan.

Haruslah diingatkan yang Allah ‎ﷻ sentiasa sahaja memerhatikan segala tingkah laku kita. Allah ‎ﷻ melihat sahaja sama ada seorang suami itu berbuat baik ataupun tidak. Semua itu akan dikira di akhirat kelak. Jadi, berbuat baik dengan isteri adalah suruhan agama. Orang mukmin sepatutnya menjaga akan perkara ini.

Malangnya, terdapat mereka yang tidak meninggalkan solat, malah menjadi imam di masjid dan surau, tapi pada masa yang sama melayani isteri dan anak-anak dengan teruk sekali.  Mereka sebenarnya tidak memahami agama. Mereka sangkakan agama ini hanya perlu menjalankan ibadat khusus seperti solat sahaja agaknya.

Ini kerana pengajaran Qur’an sudah tidak diajar di negara ini dengan menyeluruh, maka ramai yang jahil Qur’an dan jahil agama. Mereka yang mengajar di masjid dan surau pun tidak mengetahui tafsir Qur’an kerana tidak pernah belajar, apatah lagi orang awam yang menjadi pengikut sahaja.

Penghujung ayat ini memberi isyarat yang kalau seorang suami itu terus memberikan hak seorang isteri, walaupun mungkin ada kekurangan pada isteri itu, maka itu lebih baik baginya. Kenangilah jasa si isteri itu yang telah bersamanya setelah sekian lama.

Maka janganlah dibiarkan sahaja isterinya itu. Mungkin isterinya sudah sakit sekarang atau sudah tidak dapat melayaninya di katil, tapi dulu dia telah melakukan segalanya untuk kamu, bukan? Kenangilah segala pengorbanannya terdahulu.


 

Ayat 129: Hak manusia yang kita boleh tunaikan adalah dari segi zahir sahaja. Kalau perkara dalam hati seperti kasih sayang, ia amatlah payah untuk diberikan sama rata. Ini adalah kenyataan yang harus kita terima.

Ayat ini adalah kepada mereka yang berkahwin lebih daripada seorang isteri. Lihat balik perbincangan dalam ayat 3 surah ini. Allah ‎ﷻ telah mengajar lelaki yang hendak berpoligami, mereka mestilah berlaku adil terhadap semua isterinya.

Namun begitu, memanglah susah untuk berlaku samarata di dalam semua hal kepada para isteri. Oleh itu, agama tidak mewajibkan sama rata dari segi perasaan, tetapi dari segi masa dan harta, haruslah adil. Suami haruslah bersikap adil di antara isteri-isterinya di dalam perkara yang boleh dikira.

وَلَن تَسْتَطِيعُوا أَن تَعْدِلُوا بَيْنَ النِّسَاءِ وَلَوْ حَرَصْتُمْ فَلَا تَمِيلُوا كُلَّ الْمَيْلِ فَتَذَرُوهَا كَالْمُعَلَّقَةِ وَإِن تُصْلِحُوا وَتَتَّقُوا فَإِنَّ اللَهَ كَانَ غَفُورًا رَّحِيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And you will never be able to be equal [in feeling] between wives, even if you should strive [to do so]. So do not incline completely [toward one] and leave another hanging.¹ And if you amend [your affairs] and fear Allāh – then indeed, Allāh is ever Forgiving and Merciful.

  • Neither divorced nor enjoying the rights of marriage.

MALAY

Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya); oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awan-awan); dan jika kamu memperbaiki (keadaan yang pincang itu), dan memelihara diri (daripada perbuatan yang zalim), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

 

وَلَن تَسْتَطِيعُوا أَن تَعْدِلُوا بَيْنَ النِّسَاءِ وَلَوْ حَرَصْتُمْ

Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh

Seorang suami tidak akan mampu untuk kasih kepada isteri-isterinya secara sama rata, walaupun dia teringin sangat untuk berbuat begitu. Perasaan adalah perkara di dalam hati dan ini adalah kehendak Allah ‎ﷻ. Hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang dapat mengawal hati kita.

Oleh itu, sememangnya terdapat seorang isteri yang kita sayang lebih dari yang lain. Nabi Muhammad ﷺ pun tidak terkecuali. Kasih sayang baginda terhadap isteri-isterinya adalah tidak sama. Umum mengetahui bahawa baginda lebih menyayangi Aisyah رضي الله عنها berbanding dengan yang lain.

Seperti yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan para pemilik kitab sunan melalui hadis Hammad ibnu Salamah, dari Ayyub, dari Abu Qilabah, dari Abdullah ibnu Yazid رضي الله عنهم, dari Aisyah رضي الله عنها yang menceritakan bahawa Rasulullah ﷺ membahagikan gilirannya di antara isteri-isterinya dengan cara yang adil. Kemudian Nabi ﷺ bersabda:

«اللَّهُمَّ هَذَا قَسْمِي فِيمَا أَمْلِكُ، فَلَا تَلُمْنِي فِيمَا تَمْلِكُ وَلَا أملك»

Ya Allah, inilah pembahagianku terhadap apa yang aku miliki, tetapi janganlah Engkau mencelaku terhadap apa yang Engkau miliki, sedangkan aku tidak memilikinya.

Yang baginda maksudkan ialah kecenderungan hati. Baginda ﷺ tidak dapat mengawal hatinya sendiri kerana Allah ‎ﷻ yang memiliki hati kita. Ini kerana perasaan kita bukanlah di dalam kawalan kita kerana Allah ‎ﷻ yang membolak-balikkan hati. Demikianlah menurut lafaz hadis yang diketengahkan oleh Imam Abu Daud رضي الله عنه, dan hadis ini sanadnya sahih.

 

فَلَا تَمِيلُوا كُلَّ الْمَيْلِ فَتَذَرُوهَا كَالْمُعَلَّقَةِ

oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung

Tapi jangan tumpukan sangat kepada isteri yang disayangi lebih itu, sehingga mengabaikan isteri-isteri yang lain pula. Kita harus berlaku adil di dalam perkara yang zahir. Jangan sampai mereka itu seumpama ‘tergantung’.

Peribahasa Melayu berkata “gantung tidak bertali” — mereka ini tidak dicerai dan tidak juga didatangi (tidak disentuh). Mereka tidak mendapat kasih sayang suami dan mereka tidak diceraikan pula. Kalau diceraikan, adalah kemungkinan untuk isteri itu boleh berkahwin dengan lelaki lain.

Nota: Terdapat golongan yang tidak mahir dengan tafsir mengatakan Qur’an sendiri telah memansukhkan kebenaran berpoligami dalam ayat 3 surah ini. Mereka berkata: Lihatlah Allah ‎ﷻ berkata yang memang lelaki tidak dapat berlaku adil, sedangkan dalam ayat 3 disuruh adil kalau berpoligami dan sekarang Allah ‎ﷻ berkata tidak mungkin boleh berlaku adil.

Itu adalah tafsiran yang salah kerana Allah ‎ﷻ tidak berhenti berfirman lelaki tidak mungkin boleh berlaku adil, tapi Allah‎ ﷻ menambah dengan berkata jangan ‘cenderung melampau’ kepada salah satu isteri. Maknanya, Allah ‎ﷻ memberitahu yang lelaki memang tidak boleh berlaku adil, tapi janganlah melampau sangat  dengan hanya menunjukkan kasih sayang terhadap seorang isteri sahaja.

Ini bermakna, Allah ‎ﷻ membenarkan poligami tetapi hendaklah berhati-hati dalam melayani para isteri itu. Janganlah melampau sangat kepada salah seorang sahaja.

 

وَإِن تُصْلِحُوا وَتَتَّقُوا فَإِنَّ اللَهَ كَانَ غَفُورًا رَّحِيمًا

dan jika kamu memperbaiki, dan bertaqwa, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Allah ‎ﷻ menyuruh suami yang sebegitu untuk memperbaiki balik mana yang salah. Dan bertaqwa itu maksudnya harus dijaga hukum untuk masa hadapan. Yang sudah lepas tidak boleh diubah lagi, tetapi ingat-ingatlah bagaimana untuk bergaul dengan mereka di masa hadapan nanti.

Allah ‎ﷻ Maha Pengampun terhadap kesalahan kita yang melebihkan perasaan terhadap isteri yang kita sayangi melebihi daripada isteri-isteri yang lain, asalkan kita berlaku adil terhadap perkara-perkara yang zahir.

Khulasahnya, haruslah berhati-hati dalam perkara poligami ini kerana boleh mengundang banyak masalah. Ingatlah bagaimana kisah Saidina Ali رضي الله عنه hendak berkahwin lain dan memadukan isterinya Fatimah رضي الله عنها. Fatimah رضي الله عنها telah mengadu kepada Nabi Muhammad ﷺ dan Nabi ﷺ telah berjumpa dengan Ali رضي الله عنه dan menasihatinya, kalau Ali رضي الله عنه menyakiti hati Fatimah رضي الله عنها, itu tentunya akan menyakiti hati baginda ﷺ. Dan menyakiti hati baginda  ﷺ tidak sama dengan menyakiti hati orang lain.


Hadis palsu tentang cerai perceraian
Jika perceraian adalah satu jalan keluar maka ia perlu dilakukan sebagai pelan damai. Tiada kaitan langsung dengan Arasy Allah akan goncang bergegar.

 

Ayat 130: Ini pula kalau tidak boleh berdamai juga dan keputusan telah diambil untuk bercerai. Allah ‎ﷻ mengajar supaya suami atau isteri janganlah bermulut celupar apabila bercerai. Janganlah sampai perceraian mereka itu membawa mereka ke neraka.

وَإِن يَتَفَرَّقَا يُغْنِ اللَّهُ كُلًّا مِّن سَعَتِهِ وَكَانَ اللَّهُ وٰسِعًا حَكِيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But if they separate [by divorce], Allāh will enrich each [of them] from His abundance. And ever is Allāh Encompassing and Wise.

MALAY

Dan jika keduanya bercerai, maka Allah akan cukupkan (keperluan) masing-masing dari limpah kurniaNya. Dan (ingatlah) Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Maha Bijaksana.

 

وَإِن يَتَفَرَّقَا

Dan jika keduanya bercerai,

Kalau telah dijalankan perbincangan dan nasihat telah diberikan, tapi pasangan itu berasakan yang tidak ada jalan keluar melainkan bercerai sahaja. Kita mestilah menerima bahawa perkara ini selalu berlaku dan sememangnya ia adalah salah satu dari jalan penyelesaian. Islam bukanlah agama yang mengharamkan perceraian.

Ada agama seperti Kristian Catholic yang mengharamkan perceraian sampaikan pasangan terpaksa duduk di dalam perkahwinan yang mereka sama-sama tidak mahukan.

Selalunya pasangan terus berputus asa kalau mereka bercerai. Memanglah, tidak ada yang ingin memasuki alam gerbang perkahwinan dengan perceraian sebagai pengakhiran. Tentunya ia akan mengejutkan ramai pihak. Oleh sebab itu, kadangkala ramai yang tidak dapat menerima hakikat ini.

Mulalah ada yang tidak lalu makan, dan ada pula yang kesedihan yang  berpanjangan. Apakah nasihat dari Allah ‎ﷻ?

 

يُغْنِ اللهُ كُلًّا مِّن سَعَتِهِ

maka Allah akan cukupkan (keperluan) masing-masing dari limpah kurniaNya.

Allah ‎ﷻ memberitahu yang Dia akan cukupkan keperluan masing-masing dari kurniaNya yang maha luas. Kita tidak tahu bagaimana caranya Allah ‎ﷻ melakukan perluasan ini tapi kita harus yakin dengan Allah ‎ﷻ. Janganlah sangsi dengan janji Allah ‎ﷻ.

Mungkin kita tidak nampak bagaimana Allah  ‎ﷻ me’luas’kan untuk mereka. Mungkin masing-masing akan dapat pasangan yang lebih sesuai untuk mereka selepas bercerai. Berapa ramai yang sudah melalui perkara ini: mereka bercerai dan mendapat pasangan yang lebih baik dari pasangan sebelumnya. Ada ramai yang selepas berkahwin lain, mereka berasa lebih tenang dan beruntung.

 

وَكَانَ اللَّهُ وٰسِعًا حَكِيمًا

Dan (ingatlah) Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Maha Bijaksana.

Kurniaan dari Allah ‎ﷻ adalah tidak terhitung banyaknya. Mungkin kita tidak mendapat satu bahagian, tapi akan diberikan oleh Allah ‎ﷻ bahagian yang lain pula.

Yang penting, kita tahu yang semua yang terjadi adalah dalam perancangan Allah ‎ﷻ. Sudah tentu ada hikmah dalam apa yang dilalui dalam perceraian itu. Sama ada kita nampak atau tidak sahaja. Ingatlah yang Allah ‎ﷻ tidak pernah zalim terhadap makhlukNya.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 24 Julai 2018

Ringkasan Surah Nisa’


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah an-Nisa Ayat 125 – 127 (Akidah Nabi Ibrahim)

Ayat 125: Allah ‎ﷻ memberitahu kita di dalam ayat ini yang akidah yang sebenar-benarnya adalah akidah Nabi Ibrahim عليه السلام.

وَمَنْ أَحْسَنُ دِينًا مِّمَّنْ أَسْلَمَ وَجْهَهُ ِللهِ وَهُوَ مُحْسِنٌ وَاتَّبَعَ مِلَّةَ إِبْرٰهِيمَ حَنِيفًا وَاتَّخَذَ اللَهُ إِبْرٰهِيمَ خَلِيلًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And who is better in religion than one who submits himself to Allāh while being a doer of good and follows the religion of Abraham, inclining toward truth? And Allāh took Abraham as an intimate friend.

MALAY

Dan tidak ada yang lebih baik agamanya daripada orang yang menyerahkan dirinya kepada Allah (dengan ikhlas), sedang ia berusaha mengerjakan kebaikan, dan ia pula mengikut agama Nabi Ibrahim yang lurus (yang tetap di atas dasar tauhid); dan (kerana itulah) Allah menjadikan Nabi Ibrahim kesayanganNya.

 

وَمَنْ أَحْسَنُ دِينًا مِّمَّنْ أَسْلَمَ وَجْهَهُ ِللهِ

Dan tidak ada yang lebih baik agamanya daripada orang yang menyerahkan dirinya kepada Allah

Siapakah yang lebih elok pegangan dan amalannya berbanding dengan mereka yang menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah? Dialah yang mengikut akidah dan amalan sepenuhnya seperti yang telah Allah ‎ﷻ tetapkan dan kehendaki.

 

وَهُوَ مُحْسِنٌ

sedang dia berusaha mengerjakan kebaikan,

Dan semasa dia melakukan amal kebaikan itu, dia benar-benar ikhlas serta tiada sikap menunjuk-nunjuk.  Sikap menunjuk-menunjuk adalah sikap golongan munafik.

Ihsan adalah kedudukan yang tertinggi. Iaitu mereka yang merasakan bahawa Allah ‎ﷻ sentiasa memerhatikan tindak tanduk mereka. Apabila sudah merasai Allah ‎ﷻ sentiasa memerhatikan, tentulah seseorang itu tidak berani lagi untuk berbuat kesalahan secara sengaja.

 

وَاتَّبَعَ مِلَّةَ إِبْرٰهِيمَ حَنِيفًا

dan ia pula mengikut agama Nabi Ibrahim yang lurus

Dan dia mengikuti agama yang pernah dibawa oleh Nabi Ibrahim عليه السلام yang tiada langsung mempunyai ciri-ciri syirik. Hanif bermaksud fokus kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Itulah tauhid yang sebenar-benarnya.

 

 

وَاتَّخَذَ اللهُ إِبْرٰهِيمَ خَلِيلًا

Allah menjadikan Nabi Ibrahim kesayanganNya.

Hebatnya Nabi Ibrahim عليه السلام, Allah ‎ﷻ telah menjadikan baginda sebagai kekasihNya. Ini adalah kerana baginda adalah seorang imam yang diikuti, kerana baginda telah mencapai puncak tingkatan taqarrub seorang hamba kepada Allah ‎ﷻ. Sesungguhnya baginda telah mencapai kedudukan tingkatan khullah (kekasih) yang merupakan kedudukan mahabbah yang tertinggi. Baginda telah mendapat kedudukan yang tinggi ini kerana ketaatannya kepada Allah ‎ﷻ .

Allah ‎ﷻ telah berfirman:

وَإِذِ ابْتَلى إِبْراهِيمَ رَبُّهُ بِكَلِماتٍ فَأَتَمَّهُنَّ

Dan (ingatlah) ketika Ibrahim diuji Tuhannya dengan beberapa kalimat (perintah dan larangan), lalu Ibrahim menunaikannya (secara sempurna). (Al-Baqarah: 124), hingga akhir ayat.

Maka kita mestilah mengikuti akidah Nabi Ibrahim. Akidah Nabi Ibrahim adalah akidah tauhid. Kita mesti belajar bagaimana cara baginda menjalankan agama. Terdapat banyak di dalam ayat-ayat Qur’an yang menceritakan tentang kisah Nabi Ibrahim عليه السلام.

Dan siapakah yang mengikut jalan Nabi Ibrahim عليه السلام itu? Allah ‎ﷻ telah berfirman dalam Ali Imran:68 bahawa Nabi Muhammad ﷺ adalah yang paling hampir dengan ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام. Maka kita hendaklah mengamalkan ajaran seperti Nabi Muhammad ﷺ juga.

Bukan Nabi Ibrahim عليه السلام sahaja yang dijadikan khaleel oleh Allah ‎ﷻ. Melalui jalur Jundub ibnu Abdullah Al-Bajali, Abdullah ibnu Amr ibnul As, dan Abdullah ibnu Mas’ud, dari Nabi ﷺ., disebutkan bahawa Nabi ﷺ telah bersabda:

«إِنَّ اللَّهَ اتَّخَذَنِي خَلِيلًا، كَمَا اتَّخَذَ إِبْرَاهِيمَ خَلِيلًا»

Sesungguhnya Allah menjadikan diriku sebagai kesayangan-(Nya), sebagaimana Dia menjadikan Ibrahim sebagai kesayangan(Nya).


 

Ayat 126: Ini adalah khulasah (ringkasan) bagi agama Nabi Ibrahim عليه السلام.

وَِللهِ مَا فِي السَّمٰوٰتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ وَكَانَ اللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ مُّحِيطًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And to Allāh belongs whatever is in the heavens and whatever is on the earth. And ever is Allāh, of all things, encompassing.

MALAY

Dan bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi; dan Allah sentiasa Meliputi (pengetahuanNya dan kekuasaanNya) akan tiap-tiap sesuatu.

 

وَِللهِ مَا فِي السَّمٰوٰتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ

Dan bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi;

Segala apa yang ada di langit dan di bumi ini adalah milik Allah belaka. Kalau semua milikNya, maka kita haruslah beribadat dan berdoa semata-mata kepadaNya. Janganlah lagi beribadat dan menyeru serta meminta dari para Nabi, Wali dan Malaikat.

Allah ‎ﷻ tidak memerlukan ibadat kita, kerana segala yang di langit dan di bumi adalah sepenuhnya hakmilikNya. Tetapi Dia menginginkan kita melakukan ibadat dan taat kepadaNya adalah untuk kebaikan diri kita sendiri sebenarnya.

 

وَكَانَ اللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ مُّحِيطًا

dan Allah sentiasa Meliputi akan tiap-tiap sesuatu.

Maksudnya, ilmu Allah ‎ﷻ meliputi segala sesuatu. Dia tahu apa yang berlaku. Dia tahu apa yang kita perlukan, maka kepadaNya sahajalah kita berdoa dan bergantung harap. Maka serulah dan beribadatlah hanya kepadaNya sahaja. Berharap dan berdoa kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Inilah maqam ihsan.

Selesai sudah Ruku’ ke 18 dari 24 ruku’ dalam surah ini.


 

Ayat 127: Ayat ini menjawab kesamaran yang mungkin terdapat di dalam ayat 3 surah ini. Ianya tentang mengahwini gadis dari kalangan anak yatim. Ini merujuk kepada adat resam jahiliyah di mana anak-anak yatim yang cantik dikahwini untuk mendapatkan harta mereka.

Manakala anak yatim yang tidak cantik dibiarkan tidak berkahwin, dengan harapan apabila dia meninggal dunia nanti hartanya dapat dikuasai. Kalau dibiarkan berkahwin, nanti harta itu diwariskan ke tempat lain pula, maka penjaganya tidak membenarkan anak yatim itu berkahwin.

Ayat itu telah memberitahu, jika bimbang tidak dapat berlaku adil kepada anak-anak yatim apabila mengahwini mereka, maka berkahwinlah dengan yang bukan anak yatim. Di sini menjelaskan kekeliruan di mana mungkin ada yang silap faham menyatakan anak yatim tidak boleh dikahwini langsung.

Oleh itu, dijawab dalam ayat ini bahawa boleh berkahwin dengan mereka, asalkan jangan berlaku zalim. Jadi ayat ini adalah jenis Umur Munazimah. Ianya adalah perintah berlaku adil terhadap anak yatim yang lemah, tidak kira lelaki atau perempuan.

وَيَسْتَفْتُونَكَ فِي النِّسَاءِ قُلِ اللَّهُ يُفْتِيكُمْ فِيهِنَّ وَمَا يُتْلَىٰ عَلَيْكُمْ فِي الْكِتٰبِ فِي يَتٰمَى النِّسَاءِ اللّٰتِي لَا تُؤْتُونَهُنَّ مَا كُتِبَ لَهُنَّ وَتَرْغَبُونَ أَن تَنكِحُوهُنَّ وَالْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الْوِلْدٰنِ وَأَن تَقُومُوا لِلْيَتٰمَىٰ بِالْقِسْطِ وَمَا تَفْعَلُوا مِنْ خَيْرٍ فَإِنَّ اللَّهَ كَانَ بِهِ عَلِيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they request from you, [O Muḥammad], a [legal] ruling concerning women. Say, “Allāh gives you a ruling about them and [about] what has been recited to you in the Book concerning the orphan girls to whom you do not give what is decreed for them¹ – and [yet] you desire to marry them – and concerning the oppressed among children and that you maintain for orphans [their rights] in justice.” And whatever you do of good – indeed, Allāh is ever Knowing of it.

  • i.e., their rights, in general, and their mahr, specifically.

MALAY

Dan mereka meminta fatwa kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hak dan kewajipan) kaum perempuan. Katakanlah olehmu: “Allah akan memberi keterangan (fatwa) kepada kamu mengenai mereka dan juga (ada difatwakan dalam) apa yang selalu dibacakan kepada kamu dalam Kitab (Al-Qur’an) ini mengenai perempuan-perempuan yatim yang kamu tidak memberi kepadanya apa yang telah ditetapkan menjadi hak mereka, dan yang kamu suka berkahwin dengan mereka; dan juga mengenai anak-anak yang lemah (yang masih kecil lagi). Dan (kamu juga diwajibkan) supaya menguruskan (hak dan keperluan) anak-anak yatim dengan adil. Dan (ingatlah) apa jua kebaikan yang kamu lakukan (kepada mereka), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahuinya.”

 

وَيَسْتَفْتُونَكَ فِي النِّسَاءِ

Dan mereka meminta fatwa kepadamu (wahai Muhammad), mengenai kaum perempuan.

Terdapat orang Islam yang keliru sama ada bolehkah berkahwin dengan perempuan anak yatim.

 

قُلِ اللَّهُ يُفْتِيكُمْ فِيهِنَّ

Katakanlah olehmu: “Allah akan memberi keterangan (fatwa) kepada kamu mengenai mereka

Allah ‎ﷻ akan  memberikan penjelasan.

 

وَمَا يُتْلَىٰ عَلَيْكُمْ فِي الْكِتٰبِ فِي يَتٰمَى

dan juga yang dibacakan kepada kamu dalam Kitab (Al-Qur’an) ini mengenai perempuan-perempuan yatim

Dan Allah ‎ﷻ akan menjelaskan apa yang telah diturunkan sebelum ini iaitu dalam ayat 3 surah ini.

Ibnu Abu Hatim mengatakan bahawa dia pernah belajar kepada Muhammad ibnu Abdullah ibnul Hakam yang mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ibnu Wahb, telah menceritakan kepadaku Yunus, dari Ibnu Syihab, telah menceritakan kepadaku Urwah ibnuz Zubair yang mengatakan bahwa Siti Aisyah mengatakan, “Orang-orang meminta fatwa kepada Rasulullah Saw. mengenai masalah yang menyangkut mereka. Maka Allah menurunkan firman-Nya: Dan mereka minta fatwa kepadamu tentang para wanita. Kata-kanlah, ‘Allah memberi fatwa kepada kalian tentang mereka, dan apa yang dibacakan kepada kalian dalam Al-Qur’an (juga memfatwakan)’ (An-Nisa: 127), hingga akhir ayat.” Siti Aisyah mengatakan, “Yang dimaksud dengan apa yang disebutkan oleh Allah di dalam Al-Qur’an ialah ayat yang ada pada permulaan surat, yaitu firman-Nya: ‘Dan jika kalian takut tidak akan dapat berbuat adil terhadap (hak-hak) perempuan yang yatim (bilamana kalian mengawini-nya), maka kawinilah wanita-wanita (lain) yang kalian senangi’ (An-Nisa: 3).”

 

اللّٰتِي لَا تُؤْتُونَهُنَّ مَا كُتِبَ لَهُنَّ

yang kamu tidak memberi kepadanya apa yang telah ditetapkan menjadi hak mereka, 

Selalunya mereka tidak mendapat hak mereka. Contohnya seperti hak mahr yang tidak diberikan kepada mereka. Pada zaman Jahiliah, terdapat anak yatim yang dikahwini tetapi mereka tidak diberikan dengan mahr seperti yang sepatutnya.

 

وَتَرْغَبُونَ أَن تَنكِحُوهُنَّ

dan yang kamu suka berkahwin dengan mereka; 

Sedangkan kamu berminat untuk mengahwini mereka hanya kerana menginginkan harta mereka.

Imam Bukhari mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ubaidillah ibnu Ismail, telah menceritakan kepada kami Abu Usamah yang mengatakan bahwa telah menceritakan kepada kami Hisyam ibnu Urwah, dari ayahnya, dari Siti Aisyah r.a. sehubungan dengan firman-Nya: Dan mereka minta fatwa kepadamu tentang para wanita. Katakanlah, “Allah memberi fatwa kepada kalian tentang mereka.” (An-Nisa: 127) sampai dengan firman-Nya: sedangkan kalian ingin mengawini mereka. (An-Nisa: 127); Maka Siti Aisyah mengatakan, “Hal ini berkenaan seorang lelaki yang memelihara anak yatim perempuan, sedangkan dia sebagai wali dan ahli warisnya sekaligus. Kerana itu, anak yatim berkongsi dengannya dalam harta benda sampai dalam pokoknya. Maka dia berminat untuk mengahwininya dan tidak suka bila anak yatim itu dikahwini oleh lelaki lain yang akibatnya lelaki lain itu akan ikut berkongsi dengannya dalam harta bendanya, lalu dia bersikap mempersulit anak yatim itu. Maka turunlah ayat ini.”

Allah ‎ﷻ melarang seorang penjaga anak yatim untuk mengahwini perempuan anak yatim hanya kerana harta mereka. Ini adalah amalan Jahiliah. Mereka akan mengahwini anak yatim itu dan mengambil harta mereka.

Dan terdapat juga di dalam amalan Jahiliah, di mana mereka tidak berminat untuk mengahwini anak yatim di bawah jagaan mereka tetapi pada masa yang sama, mereka juga tidak membenarkan anak yatim itu berkahwin dengan lelaki lain. Ini kerana mereka takut  akan kehilangan hak ke atas harta anak yatim tersebut.

Ibnu Abbas mengatakan bahawa terdapat tradisi di zaman Jahiliah, apabila seseorang lelaki memelihara anak yatim perempuan, lalu dia melemparkan kain kepadanya, bererti tidak ada seorang lelaki pun yang akan dibenarkan mengahwininya untuk selamanya. Jika anak yatim tersebut cantik, lalu dia mengahwininya serta memakan hartanya. Jika si anak yatim itu tidak cantik, maka dia melarangnya dari berkahwin dengan lelaki lain buat selama-lamanya. Apabila si anak yatim meninggal dunia, maka dia pula mewarisi hartanya. Tradisi seperti ini telah diharamkan oleh Allah ‎ﷻ.

 

وَالْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الْوِلْدٰنِ

dan juga mengenai anak-anak kecil yang lemah

Bukan sahaja ayat ini membicarakan tentang perempuan anak yatim sahaja tapi ada juga mengenai tentang golongan lemah dari kanak kanak dan lain. Allah ‎ﷻ  telah mengajar kita untuk menguruskan mereka dengan adil.

 

وَأَن تَقُومُوا لِلْيَتٰمَىٰ بِالْقِسْطِ

Dan (kamu juga diwajibkan) supaya menguruskan (hak dan keperluan) anak-anak yatim dengan adil.

Jangan berlaku zalim terhadap mereka. Pada zaman Jahiliah, mereka tidak memberikan harta kepada anak-anak yatim yang lemah. Malah mereka akan merampas harta anak-anak yatim itu pula. Bagi mereka anak-anak yatim tidak bermanfaat langsung kerana mereka golongan yang lemah yang tidak dapat bekerja atau menyertai peperangan.

Dan penjahat-penjahat itu tidak takut untuk mengambil harta anak  yatim itu kerana mereka itu lemah dan tidak mampu untuk mempertahankan hak mereka. Maka Islam melarang keras perbuatan itu. Allah ‎ﷻ memerintahkan semua manusia untuk memberikan hak-hak mereka.

 

وَمَا تَفْعَلُوا مِنْ خَيْرٍ فَإِنَّ اللَّهَ كَانَ بِهِ عَلِيمًا

Dan (ingatlah) apa jua kebaikan yang kamu lakukan (kepada mereka), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahuinya.”

Yang penting, haruslah diingatkan yang Allah ‎ﷻ sentiasa melihat apa yang kita lakukan. Jika kita melakukan kebaikan dengan menjaga hak-hak anak yatim, maka Allah ‎ﷻ mengetahuinya dan akan membalasnya dengan kebaikan. Begitulah juga jika kita melakukan keburukan terhadap mereka.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 16 Julai 2018

Ringkasan Surah Nisa’


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah an-Nisa Ayat 122 – 124 (Fadhail Amal)

Ayat 122: Ini adalah ayat tabshir.

وَالَّذِينَ ءآمَنُوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ سَنُدْخِلُهُمْ جَنّٰتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهٰرُ خٰلِدِينَ فِيهَا أَبَدًا وَعْدَ اللهِ حَقًّا وَمَنْ أَصْدَقُ مِنَ اللهِ قِيلًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But the ones who believe and do righteous deeds – We will admit them to gardens beneath which rivers flow, wherein they will abide forever. [It is] the promise of Allāh, [which is] truth, and who is more truthful than Allāh in statement.

MALAY

Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, Kami akan masukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya, sebagai janji Allah yang benar. Dan siapakah yang lebih benar perkataannya daripada Allah?

 

وَالَّذِينَ ءآمَنُوا

Dan orang-orang yang beriman

Iaitu orang yang beriman dengan sempurna yang juga membawa maksud mereka yang tidak melakukan syirik. Ini kerana kalau setakat beriman sahaja, ramai yang percaya dengan Allah ‎ﷻ , tetapi dalam masa yang sama, mereka masih juga percaya kepada ilah yang lain.

 

وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ

serta beramal soleh,

Bukan hanya sekadar beriman, tetapi iman itu juga perlu ditunjukkan dengan beramal. Syarat beramal itu mestilah amal yang soleh. Amal soleh adalah amalan yang menepati sunnah, dan bukan bidaah. Walaupun banyak beramal, tetapi jika amalan itu amalan bidaah, ia tidak memberikan apa-apa kebaikan pun, malah akan mendatangkan akibat yang buruk kepada pengamalnya.

 

سَنُدْخِلُهُمْ جَنّٰتٍ

Kami akan masukkan mereka ke dalam Syurga

Mereka yang beriman sempurna serta beramal soleh, akan dimasukkan ke dalam taman-taman syurga. Ini adalah nikmat yang amat mulia sekali. Syurga adalah tempat penuh dengan nikmat.

 

تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهٰرُ

yang mengalir di bawahnya beberapa sungai,

Syurga tidak dapat digambarkan sepenuhnya kerana ianya tidak ada persamaan dengan dunia langsung. Tetapi terdapat beberapa persamaan yang telah Allah ‎ﷻ  berikan, supaya kita mendapat sedikit bayangan bagaimanakah keindahan syurga itu.

Air adalah sesuatu yang menjadi nikmat kepada masyarakat Arab yang kekurangan air. Juga kepada bangsa lain, air adalah suatu yang hebat. Contohnya seperti di tempat-tempat peranginan, manusia gemar untuk berehat dan menghabiskan masa di tempat seperti tepi laut atau sungai dan air terjun kerana air memberi ketenangan kepada manusia.

Maka Allah ‎ﷻ mengatakan yang di dalam syurga itu nanti, terdapat beberapa sungai yang mengalir. Sungai itu pelbagai jenis dan di bawah kawalan kita. Kalau kita inginkan sungai itu bergerak mengikut laluan mana pun boleh.

Ayat ini juga boleh membawa maksud: Sungai-sungai itu ‘di bawah’ kawalan mereka. Maka mereka boleh mengarahkan ke mana sahaja laluan sungai itu seperti hendak lalu  di atas atau pusing mengikut dinding dan sebagainya.

 

خٰلِدِينَ فِي هَا أَبَدًا

mereka kekal di dalamnya selama-lamanya,

Jika sudah dapat tinggal di tempat yang amat baik, tetapi tidak kekal di situ, maka itu bukanlah nikmat yang sebenar. Apabila kita mengetahui yang kita akan meninggalkan tempat yang indah itu,  ia akan menyebabkan kita berasa sedih. Jadi, Allah ‎ﷻ  memberitahu bahawa penghuni syurga itu akan kekal di dalam syurga.

 

وَعْدَ اللهِ حَقًّا

janji Allah yang benar

Apa yang Allah  ‎ﷻ  katakan akan benar-benar terjadi. 

 

وَمَنْ أَصْدَقُ مِنَ اللهِ قِيلًا

Dan siapakah yang lebih benar perkataannya daripada Allah?

Tidak ada kata yang lebih boleh dipercayai selain daripada kata-kata Allah ‎ﷻ. Bandingkan dengan bisikan syaitan di dalam ayat-ayat sebelum ini yang menjanjikan benda yang tidak benar.

Realisasi syurga adalah pasti benar dan bukan harapan kosong sahaja. Sedangkan syaitan menjanjikan dengan harapan kosong, tetapi Allah ‎ﷻ menjanjikan sesuatu dengan kebenaran. Kalam Allah adalah kalam yang paling benar sekali. Nabi ﷺ selalu berkhutbah di dalam khutbahnya, dengan bersabda:

إِنَّ أَصْدَقَ الْحَدِيثِ كَلَامُ اللهِ، وَخَيْرَ الْهَدْيِ هَدْيُ مُحَمَّدٍصلى الله عليه وسلّم، وَشَرَّ الْأُمُورِ مُحْدَثَاتُهَا، وَكُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ، وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلَالَةٌ، وَكُلَّ ضَلَالَةٍ فِي النَّار

“Sesungguhnya perkataan yang paling benar itu ialah kitab Allah dan sesungguhnya semulia-mulia petunjuk itu adalah petunjuk Muhammad dan seburuk-buruk perkara itu ialah yang diada-adakan dan setiap yang diada-adakan itu adalah bidaah dan setiap bidaah itu sesat dan setiap kesesatan itu adalah di dalam neraka.”

[H.R. Muslim]


 

Ayat 123: Ini adalah ayat takhwif ukhrawi. Di dalam ayat sebelum ini telah disebut bagaimana syaitan menjanjikan balasan-balasan yang tidak ada dalil. Mereka akan membisikkan kepada manusia: “Kalau buat begitu, dapat begini”.

Di dalam syarak, kelebihan melakukan sesuatu amal dinamakan ‘fadhail amal’. Cuma kita perlu  ingat, fadhail amal itu hendaklah berdasarkan amal yang sahih. Bukannya berdasarkan angan-angan semata-mata. Saya jelaskan:

Seperti yang kita telah ketahui, ada hadis yang dhaif dan ada hadis yang sahih. Kalau tentang fadhail amal, memang boleh menggunakan hadis dhaif tetapi mesti ada sandaran dari hadis sahih tentang amalan itu.

Sebagai contoh, untuk mengatakan kelebihan Solat Istikharah, mestilah ada dalil dari hadis yang sahih tentang adanya Solat Istikharah itu. Kalau ada hadis sahih tentang amalan Solat Istikharah, tetapi hadis tentang fadhail amal Solat Istikharah itu dhaif, maka masih boleh diterima lagi. Sebaliknya,  jika tidak ada hadis sahih tentang amalannya, maka tidak boleh digunakan lagi hadis tentang fadhail amalnya itu.

Sebagai contoh, ramai orang kita mengamalkan Solat Hajat tetapi tidak ada dalil sahih tentang Solat Hajat. Maka, kalau ada hadis tentang kelebihan amal itu, maka ia tidak boleh digunakan.

Untuk memahami dengan lebih mendalam lagi, perlulah belajar ilmu hadis. Itu adalah satu bidang yang lain dan tidak mampu dimasukkan ke dalam penulisan ini. Hendaklah bertanya kepada mereka yang belajar hadis dan pakar di dalam bidang ini. Ini adalah kerana mereka telah belajar yang manakah hadis yang sahih dan manakah yang tidak. Selain dari belajar tafsir Quran, anda juga harus belajar hadis juga.

لَّيْسَ بِأَمَانِيِّكُمْ وَلَا أَمَانِيِّ أَهْلِ الْكِتٰبِ مَن يَعْمَلْ سُوءًا يُجْزَ بِهِ وَلَا يَجِدْ لَهُ مِن دُونِ اللهِ وَلِيًّا وَلَا نَصِيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

It [i.e., Paradise] is not [obtained] by your wishful thinking nor by that of the People of the Scripture. Whoever does a wrong will be recompensed for it, and he will not find besides Allāh a protector or a helper.

MALAY

(Balasan yang baik yang dijanjikan oleh Allah itu) tidak akan didapati hanya dengan angan-angan kamu semata-mata, dan tidak pula dengan angan-angan ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani). Sesiapa yang melakukan kejahatan, ia akan dibalas dengan kejahatan itu, dan ia pula tidak akan mendapat – selain dari Allah – seorang pun yang akan melindunginya, dan tidak ada juga yang dapat menolongnya.

 

لَّيْسَ بِأَمَانِيِّكُمْ

tidak akan didapati hanya dengan angan-angan kamu semata-mata,

Sememangnya manusia amat berminat untuk mengetahui apakah kelebihan di dalam amalan-amalan mereka. Barulah ada semangat untuk melakukannya. Di dalam ayat ini, Allah  ‎ﷻ  memberitahu yang kelebihan-kelebihan dari amalan bukanlah dari angan-angan kosong sahaja tetapi mestilah dari dalil yang kuat.

Agama bukanlah dari kelebihan-kelebihan yang direka sendiri oleh manusia atau khayalan guru. Contoh yang paling banyak kita lihat adalah di dalam ajaran Tarekat. Mereka paling banyak menyebut tentang kelebihan-kelebihan amal mereka. Ajaran-ajaran itu pula ada yang sampai kepada masyarakat umum dan mereka pun beramal juga berdasarkan dari dalil yang sebenarnya tidak wujud.

Ayat ini juga mengajar kita bahawa, agama bukanlah dari angan-angan. Janganlah berangan yang kita akan mendapat kelebihan hanya kerana kedudukan kita, sebab kita orang Islam, sebab kita anak ulama’ atau apa-apa sahaja. Tetapi balasan kita adalah bergantung kepada amalan kita.

 

وَلَا أَمَانِيِّ أَهْلِ الْكِتٰبِ

dan tidak pula dengan angan-angan ahli Kitab

Bukan juga dari kelebihan yang diajar oleh ahli kitab. Ajaran agama dari mereka tidak boleh digunakan kerana agama mereka telah diresapi dengan pelbagai ajaran yang salah.

Begitu juga, ayat ini hendak memberitahu golongan Ahli Kitab, janganlah mereka berangan yang mereka adalah insan terpilih oleh Tuhan kerana keturunan mereka dari Ahli Kitab dan dari para Nabi. Itu adalah angan-angan kosong sahaja.

Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir yang bersumber dari Masruq: bahawa kaum Nashara saling menyombongkan diri dengan kaum Muslimin, dengan berkata: “Kami lebih mulia daripada kalian”. Kaum Muslimin berkata: “Kami lebih mulia daripada kalian”. Lalu Allah menurunkan ayat ini (An-Nisa ayat 123) yang menegaskan bahawa keutamaan itu tidaklah menurut angan-angan mereka, akan tetapi selaras dengan amalnya yang akan dibalas oleh Allah سبحانه و تعالى .

 

مَن يَعْمَلْ سُوءًا يُجْزَ بِهِ

Sesiapa yang melakukan kejahatan, dia akan dibalas dengan kejahatan itu, 

Sesiapa yang melakukan dosa akan dibalas di akhirat kelak. Ibn Abbas berkata yang dimaksudkan itu adalah ‘dosa syirik’.

Para sahabat, apabila mendengar ayat ini, mereka ketakutan kerana mereka mengetahui yang mereka juga ada melakukan kesalahan. Kalau setiap kesalahan diberikan balasan, tentulah mereka semua akan dikenakan azab. Tetapi Allah ‎ﷻ membalas dengan mengatakan bahawa setiap musibah yang menimpa mereka, akan menghapuskan kesalahan mereka.

Telah diriwayatkan bahawa ketika ayat ini diturunkan, hal ini terasa berat di kalangan kebanyakan sahabat.

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ نُمَيْر، حَدَّثَنَا إِسْمَاعِيلُ، عَنْ أَبِي بَكْرِ بْنِ أَبِي زُهَيْرٍ قَالَ: أخْبرْتُ أَنَّ أَبَا بَكْرٍ قَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، كَيْفَ الصَّلَاحُ بَعْدَ هذه الآية: {لَيْسَ بِأَمَانِيِّكُمْ وَلا أَمَانِيِّ أَهْلِ الْكِتَابِ مَنْ يَعْمَلْ سُوءًا يُجْزَ بِهِ} فَكُل سُوءٍ عَمِلْنَاهُ جُزِينَا بِهِ؟ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “غَفَر اللَّهُ لكَ يَا أَبَا بَكْرٍ، ألستَ تَمْرضُ؟ ألستَ تَنْصَب؟ أَلَسْتَ تَحْزَن؟ أَلَسْتَ تُصيبك اللَّأْوَاءُ ؟ ” قَالَ: بَلَى. قَالَ: “فهو ما تُجْزَوْنَ به”.

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abdullah ibnu Numair, telah menceritakan kepada kami Ismail, dari Abu Bakar ibnu Abu Zuhair yang menceritakan, “Aku mendapat berita bahwa Abu Bakar رضي الله عنه pernah bertanya, ‘Wahai Rasulullah, bagaimanakah keberuntungan itu sesudah ayat ini,’ yaitu: (Pahala dari Allah) itu bukanlah menurut angan-angan kalian yang kosong, dan tidak (pula) menurut angan-angan Ahli Kitab. Barang siapa yang mengerjakan kejahatan, niscaya akan diberi pembalasan dengan kejahatan itu. (An-Nisa: 123) Sedangkan semua perbuatan buruk (jahat) yang kami lakukan, maka kami mendapat balasannya?” Maka Nabi ﷺ bersabda: “Hai Abu Bakar, semoga Allah memberikan keampunan kepadamu, bukankah kamu pernah sakit, bukankah kamu pernah mengalami kepayahan, bukankah kamu pernah mengalami kesedihan, bukankah kamu pernah tertimpa musibah?” Abu Bakar menjawab, “Memang benar.” Nabi  ﷺ. bersabda, “Itu termasuk balasan yang ditimpakan kepadamu.”

 

وَلَا يَجِدْ لَهُ مِن دُونِ اللهِ وَلِيًّا وَلَا نَصِيرًا

dan dia pula tidak akan mendapat – selain dari Allah – seorang pun yang akan melindunginya, dan tidak ada juga yang dapat menolongnya.

Kalau Allah  ‎ﷻ  sudah membalas perbuatan dosa itu dengan azab di akhirat, tidak ada sesiapa pun yang dapat menolong atau memberi perlindungan.

Ayat ini semakna dengan ayat lain, iaitu firman-Nya:

{فَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ. وَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُ}

Barang siapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarrah pun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarrah pun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya. (Az-Zalzalah: 7-8)


Ayat 124: Ini adalah targhib kepada Dakwa surah ini. Apabila Allah ‎ﷻ menolak kelebihan-kelebihan yang palsu, maka Dia memberitahu yang Dia hanya menerima amal yang soleh sahaja.

وَمَن يَعْمَلْ مِنَ الصّٰلِحٰتِ مِن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَىٰ وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَأُولَٰئِكَ يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ وَلَا يُظْلَمُونَ نَقِيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And whoever does righteous deeds, whether male or female, while being a believer – those will enter Paradise and will not be wronged, [even as much as] the speck on a date seed.

MALAY

Dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka mereka itu akan masuk Syurga, dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasannya) sedikitpun.

 

وَمَن يَعْمَلْ مِنَ الصّٰلِحٰتِ مِن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَىٰ

Dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh, dari lelaki atau perempuan,

Seperti yang kita selalu tekankan, amal soleh adalah amalan yang tsabit perbuatannya dari Sunnah Nabi ﷺ. Di dalam mana-mana kitab pun yang menyebut tentang sesuatu amal, hendaklah diberikan dalil yang sahih. Jikalau setakat menyebut sahaja amalan itu tanpa diberikan dalilnya, maka patut ditinggalkan sahaja.

Ada yang berpandangan salah dengan mengatakan jika kita mengamalkan sesuatu amalan dengan hati yang ikhlas, maka Allah ‎ﷻ akan menerimanya. Ini adalah fahaman yang salah. Kalau hendak dikatakan amalan ikhlas akan diterima, penganut agama lain pun beramal juga, mereka pun ikhlas juga, dan malah amalan mereka lebih baik daripada kita.

Sebagai contoh, paderi atau sami yang tinggal di gereja dan kuil dan beramal sepanjang hidup mereka. Jikalau mereka tidak ikhlas, tentu mereka tidak sanggup hendak melakukannya. Tetapi adakah amalan mereka itu diterima? Tentulah tidak, kerana ianya bukanlah dari ajaran agama.

 

وَهُوَ مُؤْمِنٌ

sedang ia beriman, 

Sesuatu amalan hanya diterima daripada mereka yang beriman sempurna, iaitu tidak melakukan syirik. Jika pengamal syirik membuat amal ibadat, walaupun amal ibadat itu menepati sunnah, dia tetap tidak diberikan pahala.

Sebagai contoh, solat sunat ada di dalam syarak. Tetapi kalau orang yang mengamalkannya ada fahaman syirik, maka dia tidak akan mendapat pahala dari amalan solat sunatnya itu.

Ia juga bermakna, amalan itu mestilah dilakukan dalam keadaan ikhlas. Ikhlas itu maksudnya mengharapkan pahala dari Allah ‎ﷻ sahaja, bukan kerana sebab lain seperti kerana dipaksa atau ada sifat ingin menunjuk-nunjuk dan sebagainya.

Oleh itu, ada dua syarat untuk amalan diterima: amal mestilah soleh, dan ikhlas dilakukan dengan iman yang sempurna.

Jadi, ini menunjukkan walaupun ahli agama lain ada membuat amal kebaikan, tetapi oleh kerana akidah mereka tidak benar, maka mereka tidak mendapat pahala dari Allah ‎ﷻ. Oleh sebab itulah kita amat mementingkan akidah.

 

فَأُولَٰئِكَ يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ

maka mereka itu akan masuk Syurga, 

Balasan kepada mereka yang beriman dan melakukan amal soleh, Allah ‎ﷻ menjanjikan syurga untuk mereka.

 

وَلَا يُظْلَمُونَ نَقِيرًا

dan mereka pula tidak akan dianiaya sedikitpun.

Balasan kepada mereka tidak dikurangkan walau sedikitpun. Kalimah نَقِيرًا maksud asalnya adalah titik pada biji tamar. Titik itu tentunya sangat kecil, hendak tengok pun susah — maknanya, manusia tidak dianiaya sebanyak itu, ataupun tiada langsung.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 16 Julai 2018

Ringkasan Surah Nisa’


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani