Story Night: ‘Jatuh’ Bahagian 3

 JATUH
OLEH NOUMAN ALI KHAN

BAHAGIAN 3

Kemudian Allah berfirman, فَاَزَلَّهُمَا الشَّيْطٰنُ عَنْهَا Lalu syaitan memperdayakan keduanya dari syurga. Perhatikan yang Allah telah mempertanggungjawabkan ke atas kedua-duanya sekali. Dari segi ketaatan kepada Allah, kedua-duanya mempunyai tanggungjawab yang sama. Kisah ini berbeza dengan kisah dalam penceritaan Kristian, kerana mereka berpegang bahawa Hawa lah yang telah menggoda Adam untuk makan daripada pohon tersebut. Maka ibu kita Hawa dipersalahkan. Amat melampau sekali sehingga mereka membuat tuduhan yang punca segala kejahatan berpunca daripada Hawa (kalimah ‘evil’ diambil dari ‘Eve’). Namun tidak begitu pegangan kita di dalam Islam. Kita percaya kedua-dua mereka sama-sama dipertanggungjawabkan di atas kesalahan tersebut.

Sekarang, Allah berfirman: وَقُلْنَا اهْبِطُوْا بَعْضُكُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ ۚ Dan Kami berfirman, “Turunlah kamu! Sebahagian kamu menjadi musuh bagi yang lain. Mereka telah diturunkan ke bumi. Adakah itu tempat yang paling rendah? Sudah tentu tidak kerana tempat paling rendah adalah Neraka. Maka, ini bermaksud terdapat dua peringkat penurunan. Yang mereka telah diturunkan ke peringkat pertengahan (bumi). Jika ini adalah hukuman, maka peringkat terendah yang patut mereka diturunkan adalah Jahannam. Akan tetapi, tidak begitu, bukan?

Dan jika anda diturunkan ke peringkat pertengahan, maka anda mungkin boleh naik ke peringkat atas lagi, atau turun terus ke peringkat lagi bawah. Perhatikan juga di dalam ayat ini telah disebut yang Allah telah menurunkan Nabi Adam dan Hawa tetapi Dia telah menggunakan kalimah اهْبِطُوْا yang menunjukkan jamak. Siapakah yang dimaksudkan di sini? Sebahagian ulama berpendapat ia ditujukan kepada Adam, Hawa dan Iblis.

Dan kemudian ia telah ditambah بَعْضُكُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ Sebahagian kamu menjadi musuh bagi yang lain. Maksudnya, mereka akan bermusuhan di antara satu sama lain. Akan tetapi, jika anda telah menumpukan fikiran dari mula, anda akan ingat yang ketika Allah memperkenalkan manusia kepada para malaikat, bukan sahaja Nabi Adam yang berada di situ. Kita turut berada di situ, bukan?

Oleh itu, apabila Allah berfirman اهْبِطُوْا (turunlah kamu semua), ia sebenarnya ditujukan kepada kita semua. Dan ternyata kita akan bermusuhan di antara satu sama lain, bukan? Lelaki bermusuhan sesama sendiri, manakala wanita juga begitu dan juga syaitan. Syaitan akan mencetuskan permusuhan di antara darah daging. Ingatkah pertumpahan darah yang pertama yang berlaku di dunia? Wanita akan bermusuhan di antara satu sama lain apabila timbulnya perasaan benci. Walaupun mereka mempunyai tali persaudaraan. (Atau mungkin kerana tali persaudaraan itulah penyebab kebencian) Akibat kebencian, penindasan turut berlaku.

Malang sekali, pencetus utama penindasan ini adalah syaitan. Terdapat segolongan manusia yang menggunakan nama Islam tetapi telah mengeluarkan kata-kata paling kesat berbaur syaitan. Sesetengah daripada mereka menindas wanita atas nama Islam. Sudah pasti mereka telah menyalahgunakan nama agama untuk mencapai tujuan mereka ini. Mereka telah memutarbelitkan hukum hakam agama sehingga menjadi bertentangan dengan sunnah Rasulullah. Ini adalah tragedi ummah. Propaganda terburuk terhadap Islam sebenarnya telah dilakukan oleh tangan-tangan Muslim sendiri secara sedar atau tidak. Kenyataan ini amat memeritkan. Lihatlah sekarang bagaimana kita saling bermusuhan di antara satu sama lain.

Siapakah yang memberikan anda lesen untuk menghakimi hati dalaman seseorang? Lebih memburukkan keadaan apabila ia dilakukan oleh mereka yang alim dan kononnya berpengetahuan tinggi dalam bidang agama dalam masyarakat.

Maka, apabila Allah berfirman yang kamu akan saling bermusuhan di antara satu sama lain, jangan sangka yang permusuhan ini adalah hanya di antara golongan mukmin dan kafir sahaja. Ia lebih daripada itu kerana kita hidup dalam keadaan di mana manusia ada yang menggunakan nama Islam untuk menyatakan segala kata-kata yang amat buruk sekali. Akibatnya, ini menyebabkan manusia semakin jauh daripada Islam. Mereka telah mengaitkan Allah dan Rasulullah dengan perkara yang amat terpesong sekali.

Dan ini adalah perjuangan kita. Untuk menuntut semula Kitab Allah ini dan mencari keadilan yang sebenarnya di atas segala Sunnah Rasulullah. Perjuangan untuk merampas semula daripada mereka yang telah menzalimi dan menindas di atas nama Allah dan Rasulullah. Betapa beraninya mereka? Inilah yang sedang berlaku di sekeliling kita, mereka telah menyembunyikan kebenaran.

Dan Allah sambung lagi وَلَكُمْ فِى الْاَرْضِ مُسْتَقَرٌّ وَّمَتَاعٌ اِلٰى حِيْنٍ Dan bagi kamu ada tempat tinggal dan kesenangan di bumi sampai waktu yang ditentukan.” Kalimah istiqrar bermaksud untuk tinggal dan tinggal di dalam ketenteraman. Ia juga bermaksud kedinginan. Dalam bahasa mudah, sebagai manusia yang telah diturunkan ke bumi, anda akan mendapati yang bumi ini adalah tempat untuk berseronok. Dan anda akan akan menemui segala kesenangan dan kemudahan. Semuanya diberikan sehingga waktu tertentu.

Maka, kita akan dapati terdapat perkara yang menyeronokkan dan menyenangkan di bumi ini. Namun semua itu tidak kekal. Malang sekali, ada yang berpendapat yang wang ringgit dapat membuatkan mereka hidup kekal. Sebagaimana firman Allah dalam Al-Humazah: 3 يَحْسَبُ اَنَّ مَالَهٗٓ اَخْلَدَهٗۚ dia (manusia) mengira bahawa hartanya itu dapat mengekalkannya. Bukanlah Allah mahu manusia mencerca kehidupan dunia ini, jangan salah anggap pula.

Terdapat sesetengah Muslim yang telah menyalah anggap dengan berfikir yang kita tidak boleh menikmati dunia pula. Apa yang Allah tekankan adalah jangan keterlaluan dalam menikmati dunia sehingga lupa akan akhirat, itu sahaja. Jangan lupa yang dunia ini adalah sementara. Cuba kaji sejarah hidup Nabi kita. Baginda hidup di Madinah ketika zaman perang. Walaupun begitu, Baginda tidak menegur atau menghina sahabat-sahabatnya yang menikmati dunia ini. Baginda berjuang namun dalam masa yang sama baginda menikmati dunia ini juga. Siapakah anda yang mahu berlebihan pula melebihi para sahabah itu? Kita harus ingat yang Allah telah menganugerahi kehidupan dunia ini untuk kita nikmati dan mensyukuri kepadaNya. Bagaimana mungkin kita mampu bersyukur jika kita tidak menikmati segala pemberianNya?

Ingatkah peristiwa ketika ada tetamu yang mengunjungi Nabi Ibrahim? Bukankah baginda telah menjamu mereka dengan hidangan mewah berupa lemak daging? Bukankah itu merupakan nikmat dunia? Oleh sebab itu, kita tidak sepatutnya mengutuk dan mencerca dunia ini, cuma kita harus hidup secara sederhana, seimbang dunia dan akhirat. Itu sahaja. Allah mahukan kebahagiaan untuk hamba-hambaNya yang beriman dunia dan akhirat. Maka, hargailah kurniaan Allah ini kepada kita. Kita harus ingat, yang keindahan dunia yang Allah ciptakan ini merupakan kebanggaan buat Allah.

Sebab itulah Adam telah diperintahkan untuk menggunakan مَتَاعٌ di dunia ini. Baginda bukanlah dihukum. Namun Adam telah melihat Jannah. Kesenangan dunia ini tiada apa-apa jika dibandingkan dengan Jannah. Tak dapat kita bayangkan kesedihan yang baginda alami.

Maka, Allah berfirman فَتَلَقّٰٓى اٰدَمُ مِنْ رَّبِّهٖ كَلِمٰتٍ Kemudian Adam menerima beberapa kalimat dari Tuhannya,. Nabi Adam telah diajar oleh Allah kalimat-Nya. Lihatlah bagaimana cara Allah menggunakan kalimah-Nya di sini. Allah boleh sahaja menggunakan kalimah ‘mengwahyukan’ kalimat-Nya tetapi sebaliknya Allah menggunakan kalimah:تَلَقّٰٓى. Kalimah ini bermaksud ‘tersadung’, ‘terserempak’, atau erti kata lain membawa maksud mendapat nikmat tanpa sengaja; kebiasaannya digunakan dalam bahasa Arab apabila seseorang terserempak  dengan sesuatu yang amat bernilai. Apakah kalimat-kalimat tersebut yang dimaksudkan?

Kalimat tersebut ada disebut di dalam Al-A’raf: 23 رَبَّنَا ظَلَمْنَآ اَنْفُسَنَا وَاِنْ لَّمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُوْنَنَّ مِنَ الْخٰسِرِيْنَ “Ya Tuhan kami, kami telah menzalimi diri kami sendiri. Jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, niscaya kami termasuk orang-orang yang rugi.” Allah sendiri telah mengajar Nabi Adam kalimat-kalimat ini, dan apabila baginda menyebutnya, maka Allah telah menerima taubat baginda.

Allah nyatakan di sini yang jika kita mengakui kesilapan dan menerimanya sebagai tanggungjawab kita, dan seterusnya bertaubat, maka Allah akan menghampiri kita. Ini kerana selepas Nabi Adam mengeluarkan kata-kata tersebut, Allah membalas (Al-Baqarah: 37): فَتَابَ عَلَيْهِ ۗ اِنَّهٗ هُوَ التَّوَّابُ الرَّحِيْمُ lalu Dia pun menerima taubatnya. Sungguh, Allah Maha Penerima taubat, Maha Penyayang. Allah nyatakan di sini yang walaupun kamu telah melakukan kesilapan besar sehingga menyebabkan engkau diusir dari Jannah, bukanlah bermaksud Allah tidak menyayangi dirimu lagi. Tidak ada manusia yang Allah hilangkan rahmah-Nya. Selagi kamu masih hidup di dunia ini, Allah masih menerima taubatmu.

Kemudian Allah berfirman lagi: قُلْنَا اهْبِطُوْا مِنْهَا جَمِيْعًا Kami berfirman, “Turunlah kamu semua dari syurga! Namun Dia juga menambah: فَاِمَّا يَأْتِيَنَّكُمْ مِّنِّيْ هُدًى Kemudian jika benar-benar datang petunjuk-Ku kepadamu,. Yang bermaksud ‘Sekiranya, dan apabila’  mereka menerima petunjuk daripada Allah. Siapakah ‘mereka’ itu? Mereka adalah Nabi Adam dan keturunannya (iaitu kita). فَمَنْ تَبِعَ هُدَايَ فَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُوْنَ maka barangsiapa mengikuti petunjuk-Ku, tidak ada rasa takut pada mereka dan mereka tidak bersedih hati.” Sudah tentu Nabi Adam benar-benar takut dan bersedih dengan kesilapan yang telah baginda lakukan itu. Tetapi Allah nyatakan di sini yang Dia akan menghilangkan ketakutan dan kesedihan itu asalkan baginda dan keturunannya benar-benar mengikut petunjuk daripada Allah.

Terdapat 2 perkara yang Allah akan hilangkan: ketakutan dan kesedihan. Itulah janji Allah. Oleh sebab itu, jika kita tidak mahu ketakutan dan kesedihan dalam kehidupan kita ini, maka apakah yang harus kita lakukan? Sudah tentu kita harus mengikut petunjuk daripada Allah. Dalam kes kita ini, haruslah kita merujuk kepada Qur’an. Qur’an merupakan penawar daripada Allah untuk ketakutan dan kesedihan. Dan harus diingatkan bahawa janji ini telah Allah berikan kepada Adam dan Allah telah mengabulkan janji-Nya itu di melalui penurunan Qur’an.

Bagaimanakah bentuk keindahan Jannah itu? Keindahannya melebihi segala-galanya, di mana ia dapat menghilangkan ketakutan dan kesedihan. Kesedihan adalah sesuatu yang telah berlaku manakala ketakutan pula sesuatu yang belum lagi berlaku tetapi mungkin berlaku di masa depan. Kedua-dua perasaan ini akan dihilangkan di Jannah. Keindahan ini yang boleh didapati di Jannah boleh sahaja Allah turunkan di bumi ini tetapi hanya boleh dicapai jika kita mengikut petunjuk daripada Allah. Ini bermaksud kita boleh mencapainya di dalam perjalanan kita menuju Jannah. Inilah janji Allah kepada kita, dan alangkah indahnya janji ini.

Bagaimana pula dengan rasa takut kepada Allah? Perasaan ini seharusnya timbul juga di dalam diri kita. Dan kita seharusnya turut merasa sedih di atas perbuatan dosa yang telah kita lakukan. Maka, kenapakah pula Allah mengatakan yang Dia akan menghilangkan kedua-dua perasaan ini jika perasaan ini seharusnya ada untuk diri-Nya? Para ulama’ berkata ia bermaksud walaupun kita berasa sedih dan takut tetapi tidaklah ia memakan diri kita. Tidak akan mendatangkan kesusahan kepada diri kita. Allah akan memberikan kekuatan untuk kita menghadapi kedua-dua perasaan ini.

Oleh sebab itu, tidaklah salah pula jika kita merasa takut untuk anak-anak, ibubapa, untuk akhirah atau merasa sedih dengan apa yang telah terjadi di dalam hidup kita. Allah tidak akan membiarkan kita hanyut di dalam kesedihan itu. Terlalu hanyut dalam kesedihan akan melumpuhkan kehidupan kita. Allah akan memberikan ketenangan jiwa kepada kita walaupun dalam kesedihan. Dan bagaimanakah mencapainya? Ia ada di dalam Kitab-Nya.

Namun malangnya, terdapat antara kita yang begitu marah, akibatnya mentafsir ayat-ayat Qur’an dalam kemarahan, manakala ada pula yang terlalu tenang dan senang maka mereka mentafsir ayat-ayat Qur’an dengan cara itu. Dan juga terdapat mereka yang berperasaan terlalu takut, maka mereka mentafsir dengan cara itu juga. Adalah tidak benar cara begini. Sebaliknya, kita harus mendatangi ayat-ayat Allah dengan penuh tunduk dan tawaduk. Jika kita mendatanginya dengan sikap berat sebelah, maka hasilnya kita akan berprasangka pula dengan ayat-ayat Qur’an.

Ingatlah, Qur’an akan berikan apa yang anda inginkan dengannya. Jika anda inginkan petunjuk, maka ia akan memberikan petunjuk. Jika anda mendatanginya dengan perasaan prasangka, maka itulah yang anda dapat. Harus diingatkan, kita harus mengikut petunjuk bukanlah petunjuk itu yang mengikut kita pula.

Kemudian Allah berfirman وَالَّذِيْنَ كَفَرُوْا وَكَذَّبُوْا بِاٰيٰتِنَآ اُولٰۤىِٕكَ اَصْحٰبُ النَّارِ ۚ هُمْ فِيْهَا خٰلِدُوْنَ Adapun orang-orang yang kafir dan mendustakan ayat-ayat Kami, mereka itu penghuni neraka. Mereka kekal di dalamnya. Allah memberikan amaran-Nya di sini: satu-satu jalan selamat kita adalah dengan mengikut petunjuk Allah. Jika kita menafikannya atau ragu-ragu, maka tiada apa yang dapat menolong kita nanti.

Apakah yang paling penting di sini? Kisah yang sedang kita baca ini adalah daripada Surah al-Baqarah, iaitu satu surah yang panjang dan ia bukanlah menceritakan tentang Adam semata. Dan apabila kita membaca tafsir surah yang panjang ini apa yang kita nampak ia seolah-olah membincangkan pelbagai subjek secara rawak, bukan? Ia beralih daripada satu subjek kepada subjek yang lain berbeza. Namun sebenarnya, semua subjek tersebut berkait di antara satu sama lain. Semua di dalam Qur’an ini berkait rapat dan kita akan dapat memahami secara berasingan. Ada tujuannya Allah telah menyusunkan semua ayat-ayatNya ini.

Tugas kita adalah mengenalpasti apakah tujuannya kisah Adam berada di dalam Surah al-Baqarah ini. Apakah kaitannya? Apakah kelebihannya? Dalam pengajian ilmu tafsir, proses mengenalpasti ini dipanggil ‘Ilmu al-Bayan’. Salah satu perkara yang harus dipelajari adalah memahami penyusunan ayat-ayat Qur’an.

Untuk memahami ini, marilah kita lihat gambaran keseluruhan Surah al-Baqarah ini secara ringkas. Bahagian 1 surah membincangkan tentang perbandingan di antara orang beriman dengan kafir dan munafik. Apabila kita tiba ke penghujung surah (Bahagian 9), terdapat doa memohon perlindungan untuk orang beriman agar tidak terjatuh dalam kemunafikan serta membantu mereka menghadapi puak kafir. Bolehkah anda nampak kaitan di antara awal dan akhir surah?

Bahagian 2 pula membincangkan kisah Adam (kisah yang sedang kita pelajari ini). Intipati kisah ini adalah tentang Adam yang telah diberikan Jannah tetapi telah disingkirkan darinya kerana terhasut dengan sifat tamak yang telah dibisikkan oleh Iblis. Baginda telah diberikan segala-galanya di dalam Jannah itu kecuali pohon larangan itu sahaja. Namun oleh kerana termakan dengan hasutan Iblis untuk tinggal selama-lamanya di dalam Jannah, maka baginda telah terbabas dan mengingkari perintah Allah. Sikap tamak dan mahu hidup selama-lamanya adalah dua perkara yang saling terkait rapat, sebagaimana kita lihat sebelum ini: Al-Humazah: 3 يَحْسَبُ اَنَّ مَالَهٗٓ اَخْلَدَهٗۚ dia (manusia) mengira bahawa hartanya itu dapat mengekalkannya. Maka Bahagian 2 ini adalah tentang Adam dan bagaimana sikap tamaklah yang menghancurkan kemanusiaan dan menjauhkan kita dari Jannah.

Dan jika kita selusuri Bahagian 8 surah ini, ia bermula dengan ayat membelanjakan harta di jalan Allah. Kemudian diceritakan pula ayat mengenai riba’. Maka Bahagian 8 ini menceritakan tentang perkara terbaik yang boleh kita lakukan dengan harta kita (membelanjakannya di jalan ALlah) dan jalan terburuk adalah dengan mengamalkan riba’. Ia kemudian diikuti ayat tentang perniagaan. Oleh sebab itu, Bahagian 8 ini adalah ayat-ayat yang mengajar kita cara untuk mengawal sikap tamak. Sekali lagi, dapatkah anda melihat kaitannya? Ayat 268 sekali lagi mengaitkan dengan syaitan: اَلشَّيْطٰنُ يَعِدُكُمُ الْفَقْرَ وَيَأْمُرُكُمْ بِالْفَحْشَاۤءِ Syaitan menjanjikan (menakut-nakuti) kemiskinan kepadamu dan menyuruh kamu berbuat keji (kikir),. Inilah yang telah dia lakukan terhadap Adam. Dia menakut-nakutan Adam dengan kemiskinan dan penyingkiran dari Jannah, jika baginda enggan mengikut ‘nasihat’nya itu. Sebaik sahaja Adam melakukan kesalahan itu dan pakaiannya dilucutkan, Syaitan bersumpah membawa seluruh manusia ke lembah kehinaan bersama-sama dengannya.

Maka Bahagian 2 dan 8 adalah saling berkait rapat. Boleh anda ikut setakat ini?

Seterusnya, Bahagian 3 surah pula adalah mengenai hukum Allah berikan kepada Bani Israel dan bagaimana mereka terus menerus melanggarinya. Sekarang, bandingkan pula dengan Bahagian 7 surah ini. Ia mengandungi senarai hukum Allah berikan kepada umat Muslim. Daripada hukum mengerjakan Haji sehingga hukum nikah cerai, halal haram pemakanan dan sebagainya. Satu bahagian tentang hukum kepada Bani Israel manakala satu bahagian lagi tentang hukum kepada kaum Muslimin.

Bahagian 4 mengisahkan tentang kisah Nabi Ibrahim yang telah berjaya melepasi ujian daripada Allah. Bahagian 6 pula menceritakan bagaimana ummah kita tidak akan terlepas daripada ujian. Maka, kedua-dua bahagian ini menceritakan tentang ujian. Satu ujian untuk bangsa yahudi, manakala satu lagi untuk kita.

Bahagian apakah lagi yang tinggal? Kita telah melihat secara keseluruhannya semua bahagian 1, 2, 3, 4, 6, 7, 8, dan 9 Surah Baqarah ini. Di pertengahan surah ini iaitu Bahagian 5 adalah di mana Allah memberitahu tentang penukaran arah Kiblat. Kiblat adalah pusat Islam dan seluruh kemanusiaan dan pusat Surah Baqarah adalah tentang Kiblat. Kiblat telah bertukar arah daripada Bani Israel kepada Umat Nabi Muhammad. Sama seperti di awal surah yang menceritakan tentang Bani Israel dan kemudiannya menceritakan tentang umat Nabi Muhammad. Dan di pertengahannya adalah tentang Kiblat.

Maka, ini adalah gambaran keseluruhan Surah Baqarah secara ringkas. Mari kita kembali kepada perbincangan asal penulisan ini.

Tafsir Surah Anfal Ayat 73 – 75 (Golongan yang hijrah)

Anfal Ayat 73: Dalam ayat sebelum ini, disebut bagaimana Puak Muhajirin dan Ansar adalah wali di antara satu sama lain. Bagaimana pula dengan orang kafir?

وَالَّذينَ كَفَروا بَعضُهُم أَولِياءُ بَعضٍ ۚ إِلّا تَفعَلوهُ تَكُن فِتنَةٌ فِي الأَرضِ وَفَسادٌ كَبيرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And those who disbelieved are allies of one another. If you do not do so [i.e., ally yourselves with other believers], there will be fitnah [i.e., disbelief and oppression] on earth and great corruption.

(MALAY)

Adapun orang-orang yang kafir, sebahagian mereka menjadi pelindung bagi sebahagian yang lain. Jika kamu (hai para muslimin) tidak melaksanakan apa yang telah diperintahkan Allah itu, nescaya akan terjadi kekacauan di muka bumi dan kerosakan yang besar.

 

وَالَّذينَ كَفَروا بَعضُهُم أَولِياءُ بَعضٍ

Adapun orang-orang yang kafir, sebahagian mereka menjadi pelindung bagi sebahagian yang lain.

Orang kafir pun turut saling tolong menolong sesama mereka kerana mereka ada satu matlamat. Walaupun mereka ada yang berlainan fahaman agama, tetapi kerana mereka itu kufur, maka pandangan mereka terhadap Islam adalah sama sahaja. Iaitu mereka sama-sama benci kepada Islam dan berusaha untuk menjatuhkan negara Islam.

Di sini Allah perli kita sebagai orang Islam. Lihatlah orang kafir pun tolong menolong sesama sendiri untuk tujuan keagamaan mereka. Maka jikalau kita sendiri tidak bertolongan dalam hal agama, maka teruk sangatlah.

Daripada ayat lain kita tahu yang orang kafir ini sesama mereka bergaduh juga. Akan tetapi apabila dalam hal menentang Islam, mereka akan bersatu. Maka jangan kita berkasih sayang dengan mereka pula. Orang Islam tidak akan rapat sangat dengan orang kafir (yang menentang Islam) seperti disebut di dalam [Mujadilah: 22] walaupun mereka itu ada pertalian darah.

لّا تَجِدُ قَومًا يُؤمِنونَ بِاللهِ وَاليَومِ الآخِرِ يُوادّونَ مَن حادَّ اللهَ وَرَسولَهُ وَلَو كانوا ءآباءَهُم أَو أَبناءَهُم أَو إِخوٰنَهُم أَو عَشيرَتَهُم

Kamu tidak akan mendapati kaum yang beriman pada Allah dan hari akhirat, saling berkasih-sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang-orang itu bapa-bapa, atau anak-anak atau saudara-saudara ataupun keluarga mereka.

Oleh itu kena ada wala’ dan bara’. Wala’ adalah cinta dan bara’ adalah benci. Itu yang kita boleh ambil daripada fahaman ‘wali’ yang kita sedang banyak sebut ini. Kita sayang kepada yang perlu kita sayang (kerana Allah ) dan benci kepada orang yang patut kita benci.

Al-Wala’ diambil daripada kalimah Arab iaitu اَلْوَلْيُ – اَلْوَلِيُّ – اَلْمَوْلَى atau lebih tepat diertikan sebagai: Pembelaan, mengagungkan, membesarkan, memuliakan dengan penuh setia dan cinta atau berkasih sayang kepada yang dicintai oleh Allah secara lahir dan batin. Wala’ juga bermaksud kecintaan kepada Allah Azza wa-Jalla, Rasulullah ﷺ dan sekian orang mukmin.

Al-Bara’ pula adalah lawan kepada al-Wala’ yang bermaksud benci dan berlepas diri daripada musuh-musuh Allah seperti Yahudi, Nasrani, Majusi dan setiap orang kafir yang memusuhi Allah , Rasul-Nya dan orang yang beriman.

Satu lagi maksud ayat 73 ini adalah tentang wilayah di antara orang kafir. Ini bukan wilayah daerah ya. Ia bermaksud orang kafir itu mewarisi sesama mereka. Maka orang Muslim tidak boleh mewarisi harta daripada orang kafir walaupun daripada ayah atau anaknya kerana telah terputus wilayah di antara mereka.

Begitulah dalam mazhab al-Syafi’iy, perwarisan harta daripada orang bukan Islam kepada waris yang Islam adalah tidak dibenarkan. Ini berdasarkan kepada hadith daripada Usamah bin Zaid رضي الله عنهما bahawa Nabi ﷺ pernah bersabda:

لاَ يَرِثُ المُسْلِمُ الكَافِرَ وَلاَ الكَافِرُ المُسْلِمَ

Tidak mewarisi seorang Muslim daripada seorang kafir dan tidak mewarisi seorang kafir daripada seorang Muslim. (Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Namun begitu, terdapat pandangan yang berbeza dalam kalangan ulama’ berkenaan orang Islam mewarisi daripada orang kafir. Sebahagian ulama’ membenarkan manakala sebahagian yang lain tidak membenarkan. Cuma jika harta tersebut dihadiahkan sebagai pemberian (atau wasiat) maka dibenarkan mengambil harta pusaka tersebut.

Oleh itu, hukum yang kita belajar di sini adalah perwarisan dalam kalangan orang kafir sesama mereka. Mereka boleh menggunakan cara perwarisan di dalam agama mereka. Selain daripada itu, hak penjagaan (wilayah) keluarga mereka juga mengikut agama mereka. Ini jikalau mereka duduk di bawah kerajaan Islam. Islam tidak memaksa mereka menggunakan cara pembahagian harta dan hak penjagaan Islam ke atas mereka. Ini adalah kerana ia termasuk di dalam perkara undang-undang peribadi (personal law).

 

 إِلّا تَفعَلوهُ تَكُن فِتنَةٌ فِي الأَرضِ

Jika kamu (hai para muslimin) tidak melaksanakan apa yang telah diperintahkan, nescaya akan terjadi kekacauan di muka bumi

Ini merujuk kepada arahan Allah di dalam ayat sebelum ini. Oleh itu, kalau umat Islam tidak tolong menolong sesama Muslim, akan berlaku fitnah dan musibah besar di muka bumi. Manusia akan berpegang dengan agama selain Islam kerana agama lain lebih nampak menarik kepada nafsu mereka. Akidah syirik akan berleluasa di muka bumi dan kita hanya mampu melihat sahaja.

Oleh kerana itu, kena ada orang yang sanggup berhijrah menjadi Muhajirin untuk menegakkan dakwah Islamiah dan kena ada yang sanggup memberi tempat di kawasannya untuk membantu umat Islam yang hendak berjuang. Maka kena Muhajirin dan kena ada golongan Ansar. Kemudian hendaklah mereka tolong-menolong sesama sendiri.

Sekiranya kita tidak melakukan perkara ini, maka akan terjadilah fitnah. Fitnah bukanlah seperti pemahaman orang kita. Fitnah maksud asalnya adalah ‘ujian’. Fitnah yang dimaksudkan di sini adalah orang kafir akan menjadi kuat kalau kita tidak bersatu dan berbaik dengan mereka. Ini adalah kerana tidak nampak perbezaan antara Muslim dan kafir dan ini akan melemahkan Islam. Orang luar atau umat Islam sendiri tidak dapat membezakan antara keduanya kerana sudah duduk berbaik bersama.

Cuma kena lihat juga ayat lain tentang perkara ini. Kita bukannya disuruh bermusuh dengan semua orang. Kita tidak dilarang untuk berkawan dengan orang kafir yang tidak menentang Islam. Ini seperti disebut dalam [Mumtahanah: 8 – 9]

لّا يَنهٰكُمُ اللهُ عَنِ الَّذينَ لَم يُقٰتِلوكُم فِي الدّينِ وَلَم يُخرِجوكُم مِّن دِيٰرِكُم أَن تَبَرّوهُم وَتُقسِطوا إِلَيهِم ۚ إِنَّ اللهَ يُحِبُّ المُقسِطينَ

Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.

إِنَّما يَنهٰكُمُ اللهُ عَنِ الَّذينَ قٰتَلوكُم فِي الدّينِ وَأَخرَجوكُم مِّن دِيارِكُم وَظٰهَروا عَلىٰ إِخراجِكُم أَن تَوَلَّوهُم ۚ وَمَن يَتَوَلَّهُم فَأُولٰئِكَ هُمُ الظّٰلِمونَ

Sesungguhnya Allah hanya melarang kamu menjadikan sebagai kawanmu orang-orang yang memerangimu kerana agama dan mengusir kamu dari negerimu, dan membantu (orang lain) untuk mengusirmu. Dan barangsiapa menjadikan mereka sebagai kawan, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.

Maknanya, boleh sahaja kita berkawan dengan orang kafir, tetapi janganlah rapat sangat. Tidaklah sampai menjadi kawan akrab kita pula.

 

وَفَسادٌ كَبيرٌ

dan kerosakan yang besar.

Jika fitnah di atas bermaksud kekuatan orang kafir, فَسادٌ كَبيرٌ pula bermaksud kelemahan Islam. Apabila orang kafir kuat, maka dengan sendirinya umat Islam pula yang menjadi lemah.

Kita menjadi lemah sampaikan tidak dapat membantu sesama Muslim. Sebagai contoh, apabila ada orang dari negara kafir yang masuk Islam tetapi akhirnya mereka terpaksa meninggalkan Islam kerana mendapat tentangan daripada musuh Islam (seperti penindasan), namun tidak mendapat pertolongan dari negara Islam. Orang menjadi takut untuk masuk Islam kerana tidak mendapat sokongan. Akhirnya lebih ramai orang kafir yang dengan bebas membuat kerosakan di atas muka bumi.

Maka kena sedar yang mereka yang baru masuk Islam memerlukan sokongan daripada kita, tetapi kerana kita tidak menjalankan tugas kita, maka mereka tergantung sendirian. Amatlah sedih kalau mereka sudah masuk Islam namun terpaksa meninggalkannya kerana berat bagi mereka untuk menanggungnya.

Selain daripada umat Islam kena bantu membantu, ada lagi perkara yang perlu dijaga. Iaitu muhajir dan ghairu muhajir (yang berhijrah dan tidak berhijrah) tidak boleh mewarisi daripada sesama sendiri. Juga undang-undang peribadi antara semasa orang kafir tidak boleh diganggu gugat. Lagi satu, perjanjian yang telah dimeterai tidak boleh dipecahkan kerana ia boleh menyebabkan kekacauan.


 

Anfal Ayat 74: Ini adalah ayat tabshir (berita gembira) bagi Muhajirin dan Ansar. Ini juga adalah satu lagi penjelasan siapakah yang dimaksudkan dengan Mukmin sejati. Di awal surah ini telah diberikan penerangan yang awal, sekarang ditambah lagi dengan sifat-sifat ini pula.

وَالَّذينَ ءآمَنوا وَهاجَروا وَجٰهَدوا في سَبيلِ اللَّهِ وَالَّذينَ ءآوَوا وَّنَصَروا أُولٰئِكَ هُمُ المُؤمِنونَ حَقًّا ۚ لَّهُم مَّغفِرَةٌ وَرِزقٌ كَريمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But those who have believed and emigrated and fought in the cause of Allāh and those who gave shelter and aided – it is they who are the believers, truly. For them is forgiveness and noble provision.

(MALAY)

Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah, dan orang-orang yang memberi tempat kediaman dan memberi pertolongan (kepada orang-orang muhajirin), mereka itulah orang-orang yang benar-benar beriman. Mereka memperoleh ampunan dan rezeki (nikmat) yang mulia.

 

وَالَّذينَ ءآمَنوا وَهاجَروا وَجٰهَدوا في سَبيلِ اللَّهِ

Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah, 

Asal ayat ini adalah tentang puak Muhajirin yang telah beriman dan sanggup berhijrah dari Mekah ke Madinah. Untuk zaman sekarang, ia merujuk mereka yang sanggup meninggalkan kampung halaman mereka untuk mendapatkan tempat tinggal yang sesuai supaya mereka dapat mengamalkan Islam dengan sebaiknya. Kemudian mereka sanggup menjalankan dakwah dan mengembangkan agama Islam.

Ditekankan di sini bahawa perang jihad itu mestilah kerana fisabilillah. Sekiranya ada niat yang lain, maka ia tidak akan memberi manfaat kepada pelakunya. Ini seperti disebut di dalam sebuah hadith:

عن أبي هريرة -رضي الله عنه- قال: سمعت رسول الله -صلى الله عليه وسلم- يقول: «إن أول الناس يُقضى يوم القيامة عليه رجُل اسْتُشْهِدَ، فأُتي به، فعرَّفه نِعمته، فعرَفَها، قال: فما عَمِلت فيها؟ قال: قَاتَلْتُ فيك حتى اسْتُشْهِدْتُ. قال: كَذبْتَ، ولكنك قَاتَلْتَ لأن يقال: جَرِيء! فقد قيل، ثم أُمِرَ به فَسُحِب على وجهه حتى أُلقي في النار

Abu Hurairah رضي الله عنه, sebagaimana diriwayatkan Muslim dan Ahmad, berkata bahawa Nabi ﷺ bersabda: sesungguhnya orang pertama yang akan diputuskan pada hari kiamat kelak adalah seorang yang mati syahid. Maka, dihadapkan kepada Allah dan diingatkan kepadanya akan nikmat-nikmat yang telah diberikan kepadanya, dan hal itu diakuinya. Kemudian ditanya oleh Allah , ”Lalu, apakah amalanmu dalam nikmat itu?”

Jawabnya, ”Aku telah berperang untuk-Mu hingga mati syahid.” Maka Allah berfirman: ”Dusta kamu, tetapi kamu berperang untuk dikenal sebagai pahlawan yang gagah berani.” Lalu ia diseret oleh malaikat dan diperintahkan untuk dilempar ke dalam neraka. (Sahih Muslim)

Maka apakah maksud fisabilillah (di jalan Allah )? Kenapa ia dinamakan Jalan Allah ? Pertama, ia mestilah jalan yang dibuat oleh Allah dan ditentukan oleh Allah . Kedua, ia dinamakan demikian kerana apabila berada di jalan itu, pasti membawa kepada Allah dan mendapat nikmat daripada-Nya.

 

وَالَّذينَ ءآوَوا وَّنَصَروا

dan orang-orang yang memberi tempat kediaman dan memberi pertolongan

Asal ayat ini bermaksud Puak Ansar yang tinggal di Madinah dan sanggup menerima puak Muhajirin yang datang ke Madinah. Mereka telah memberikan tempat kediaman kepada saudara mereka dari Mekah dan memberi bantuan kepada mereka dalam segala hal. Merekalah golongan Ansar yang pertama.

Untuk zaman sekarang, ia merujuk kepada mereka yang sanggup tolong-menolong kepada puak Islam yang datang ke tempat mereka. Mereka sanggup memberikan tempat tinggal, kerakyatan, pekerjaan kepada golongan pendatang Muslim itu.

 

أُولٰئِكَ هُمُ المُؤمِنونَ حَقًّا

mereka itulah orang-orang yang benar-benar beriman.

Berita gembira diberikan kepada dua golongan itu (Muhajirin dan Ansar). Allah telah sahkan kemukminan mereka. Golongan yang seperti yang disebutkan inilah yang sebenar-benar orang Mukmin.

Apabila ditambah kalimah هم (mereka) di dalam ayat ini walaupun telah disebut أُولٰئِكَ (mereka) maka ia memberi isyarat kepada penekanan. Hanya mereka yang ada sifat begitu yang dikira sebagai mukmin sebenar. Maka kita kena perhatikan diri kita adakah layak dikira sebagai orang mukmin?

Di sini ada isyarat tentang golongan yang masuk Islam tetapi tidak berhijrah ke Madinah (apabila ia diwajibkan). Mereka itu belum dikira sebagai mukmin sejati lagi kerana ada kemungkinan mereka itu ada kemunafikan di dalam hati mereka.

Oleh itu, ayat ini amatlah berat kerana ia menyebut kriteria seorang Mukmin yang sebenar itu mesti ada tiga sifat: iaitu kena ada iman, sanggup berhijrah dan berjihad. Adakah pada diri kita tiga-tiga perkara ini?

 

لَّهُم مَّغفِرَةٌ وَرِزقٌ كَريمٌ

Untuk mereka, ampunan dan rezeki (nikmat) yang mulia.

Merekalah yang akan mendapat pengampunan daripada Allah . Kita amat memerlukan pengampunan dosa daripada Allah kerana kalau kita mukmin sekali pun, tidaklah kita terlepas daripada melakukan dosa. Jika kita berdosa, kita amat-amat memerlukan pengampunan daripada Allah supaya tidak dimasukkan ke dalam neraka untuk mencuci dosa-dosa kita.

Allah juga menjanjikan rezeki yang baik untuk orang Mukmin itu, iaitu rezeki yang berlimpah, yakni rezeki yang baik, mulia, dan terus-menerus selama-lamanya, tidak pernah terputus dan tidak pernah habis serta tidak pernah membosankan kerana kebaikan dan keanekaragamannya. Itulah balasan yang mereka akan dapat di syurga kelak.

Oleh itu kalimat رِزقٌ كَريمٌ tafsirnya adalah syurga kerana di situlah akan mendapat rezeki yang mulia. Di situlah nanti orang mukmin akan dimuliakan. Begitulah yang telah diterima oleh Habib an Najar di dalam [Yaasin: 26-27]

قيلَ ادخُلِ الجَنَّةَ ۖ قالَ يٰلَيتَ قَومى يَعلَمونَ

Dikatakan (kepadanya): “Masuklah ke syurga”. Dia berkata: “Alangkah baiknya sekiranya kaumku mengetahui. 

بِما غَفَرَ لي رَبّي وَجَعَلَني مِنَ المُكرَمينَ

Apa yang menyebabkan Tuhanku memberi ampun kepadaku dan menjadikan aku termasuk orang-orang yang dimuliakan”.

Habib telah dimuliakan di dalam syurga. Bagi orang mulia disediakan segalanya bagi mereka. Di dunia ini sudah begitu, tambahan pula di syurga nanti. Nikmat yang diberikan kepada mereka amatlah banyak. Teringat sahaja, sudah disediakan bagi mereka. Maka inilah yang kita kena harapkan seperti disebut di dalam Baqarah:218

إِنَّ الَّذينَ ءآمَنوا وَالَّذينَ هاجَروا وَجٰهَدوا في سَبيلِ اللَّهِ أُولٰئِكَ يَرجونَ رَحمَتَ اللَّهِ ۚ وَاللَّهُ غَفورٌ رَّحيمٌ

Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan ugama Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Di dunia lagi mereka telah mendapat balasan yang baik. Lihatlah sekarang ini kita sedang belajar tentang mereka dan nama mereka disebut-sebut hingga akhir zaman.

Di dalam ayat 72 sebelum ini memberitahu yang orang mukmin hendaklah berkasih sayang sesama sendiri dan di dalam ayat 74 ini Allah memberitahu balasan yang disediakan kepada mereka jikalau mereka berbuat begitu.


 

Anfal Ayat 75:

وَالَّذينَ ءآمَنوا مِن بَعدُ وَهاجَروا وَجٰهَدوا مَعَكُم فَأُولٰئِكَ مِنكُم ۚ وَأُولُو الأَرحامِ بَعضُهُم أَولىٰ بِبَعضٍ في كِتٰبِ اللَّهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ بِكُلِّ شَيءٍ عَليمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And those who believed after [the initial emigration] and emigrated and fought with you – they are of you. But those of [blood] relationship are more entitled [to inheritance] in the decree of Allāh.¹ Indeed, Allāh is Knowing of all things.

  • This applies to Muslim relatives only. Others may be given by bequest. See 4:11.

(MALAY)

Dan orang-orang yang beriman sesudah itu kemudian berhijrah serta berjihad bersamamu maka orang-orang itu termasuk golonganmu (juga). Orang-orang yang mempunyai hubungan kerabat itu sebahagiannya lebih berhak terhadap sesamanya (daripada yang bukan kerabat) di dalam kitab Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.

 

وَالَّذينَ ءآمَنوا مِن بَعدُ

Dan orang-orang yang beriman sesudah itu

Iaitu orang-orang yang datang selepas puak Muhajirin dan Ansar ketika zaman Nabi itu. Bukanlah mereka yang hidup pada zaman Nabi sahaja yang dikira sebagai mukmin. Orang-orang selepas mereka juga mendapat peluang yang sama. Ini adalah kerana mereka juga sanggup beriman dan menjalankan sifat-sifat orang Mukmin yang disebut dalam surah ini.

 

وَهاجَروا

dan berhijrah

Ini adalah orang-orang yang berhijrah semasa zaman Nabi hijrah dulu (dari Mekah ke Madinah). Juga bagi mereka yang berhijrah setelah telah berlalu hukum wajib hijrah ke Madinah. Hijrah dari Mekah ke Madinah tidak ada lagi selepas Pembukaan Mekah. Akan tetapi masih ada lagi hijrah daripada keburukan kepada kebaikan.

Termasuk dalam perkara ini adalah meninggalkan negara yang menindas umat Islam. Tidak perlu lagi duduk di negara sebegitu kerana akan menyusahkan diri untuk beramal dengan agama Islam dengan sempurna.

 

وَجٰهَدوا مَعَكُم

serta berjihad bersamamu

Ini adalah orang-orang yang berjihad. Kita kena ingat yang kewajipan jihad masih ada lagi. Jihad itu bukan hanya terpakai ketika zaman Nabi dan sahabat sahaja.

Untuk zaman sekarang, jihad qital nampaknya tidak ada buat masa ini kerana perjanjian antara negara yang telah lama diadakan. Namun begitu jangan lupa masih ada lagi jihad bila perlu. Sebagai contoh, sekiranya negara umat Islam diserang. Maka hukum jihad perang ini adalah tergantung sahaja, tidak dimansukhkan.

Jika tidak ada jihad perang pun, masih ada lagi jihad lisan di mana kita semua diwajibkan untuk menyampaikan agama kepada manusia. Inilah yang kita kena tumpukan perhatian kita.

 

فَأُولٰئِكَ مِنكُم

maka orang-orang itu termasuk golonganmu

Orang-orang yang seperti itu, mereka pun dikira dalam kalangan orang mukmin juga dari segi darjat. Mereka akan duduk bersama-sama dengan Muhajirin dan Ansar di akhirat kelak. Cuma tidaklah sama darjat mereka ini dengan golongan muhajirin dan mujahidin ketika zaman Nabi .

وَأُولُو الأَرحامِ بَعضُهُم أَولىٰ بِبَعضٍ في كِتٰبِ اللَّهِ

Orang-orang yang mempunyai hubungan kerabat itu sebahagiannya lebih berhak terhadap sesamanya di dalam kitab Allah.

Walaupun Nabi Muhammad telah mempersaudarakan antara puak Ansar dan Muhajirin, tetapi hubungan kekeluargaan darah itu lebih kuat lagi. Ini untuk mengingatkan mereka supaya jangan terlebih dalam bersaudara. Maksudnya mereka tidaklah sampai boleh memusakai harta satu sama lain. Untuk setakat wasiat boleh lagi. Allah kena beritahu para sahabat kerana mereka memang sanggup untuk buat sampai begitu. Maka Allah kena hentikan mereka.

Kaum kerabat yang terdekat merupakan pihak yang lebih hampir dengan seseorang dan berhak mendapat harta pusaka. Dalam Al-Qur’an (Kitab Allah ) sudah disebut tentang perkara ini iaitu di dalam Surah Nisa’ berkenaan harta pusaka. Puak Ansar memang membantu atas dasar keagamaan tetapi bukan atas dasar keluarga yang sebenar. Dulu golongan Muhajirin dan Ansar boleh mempusakai harta daripada masing-masing seperti yang telah disebut sebelum ini. Akan tetapi dengan ayat ini ia telah memansukhkan hukum itu.

Maka berakhirlah tafsir surah ini. Surah Anfal ini bermula dengan puak Muslim bertelagah sesama sendiri tentang pembahagian harta rampasan perang dan diakhiri dengan persaudaraan sesama Muslim. Memang hebat sekali bagaimana Allah susun ayat-ayat dalam Al-Qur’an.

 

إِنَّ اللَّهَ بِكُلِّ شَيءٍ عَليمٌ

Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.

Tentunya Allah mengetahui semua sekali yang berlaku. Maka ketentuan daripada syariat Allah ini adalah di atas ilmu Allah yang amat luas.

 

Allahu a’lam. Sambung kepada Surah yang seterusnya, Surah Tawbah.

Kemaskini: 17 Februari 2023

Ringkasan Surah Anfal


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien

Maariful Qur’an

Tafsir Surah Mulk Ayat 26 – 27 (Penyesalan yang tidak sudah)

Mulk Ayat 26: Ini pula jawapan kepada syikayah (persoalan) dalam ayat sebelum ini iaitu tentang bilakah Hari Kiamat itu. Bagaimana hendak menjawab soalan yang mereka berikan itu? Allah ‎ﷻ mengajar kita bagaimana hendak menjawab kalau ada soalan-soalan seperti itu. Sebelum menjawab, kita hendaklah melihat soalan dan cara soalan itu disampaikan.

قُل إِنَّمَا العِلمُ عِندَ اللهِ وَإِنَّما أَنا نَذيرٌ مُّبينٌ

Sahih International

Say, “The knowledge is only with Allah , and I am only a clear warner.”

Malay

Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya ilmu pengetahuan (tentang masa kedatangannya) hanya ada pada sisi Allah, dan sesungguhnya aku hanyalah seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran yang terang nyata”.

 

قُلْ

Katakanlah kepada mereka:

Allah ‎ﷻ menyuruh Nabi ﷺ menjawab mereka. Allah ‎ﷻ mengajar Nabi ﷺ dan kita juga bagaimanakah cara menjawab soalan mereka kalau ditanya dengan cara sebegini?

 

إِنَّمَا الْعِلْمُ عِنْدَ اللهِ

Sesungguhnya ilmu adalah hanya di sisi Allah;

Jawab begini: ‘Kami sendiri tak tahu bilakah akan terjadinya kiamat itu. Kami pun tidak tahu bilakah akan dikenakan azab yang dijanjikan itu. Maklumat itu hanya Allah sahaja yang tahu’.

Ini adalah jawapan yang benar. Kerana Nabi ﷺ sendiri memang tidak tahu. Nabi ﷺ hanya tahu apa sahaja yang Allah ﷻ beritahu kepada baginda. Ini adalah dalil bahawa Nabi Muhammad ﷺ sendiri tidak tahu perkara ghaib kerana bilakah Hari Kiamat dan azab itu adalah termasuk dalam perkara ghaib. Di dalam hadith pun Rasulullah ﷺ memberitahu kita tidak ada sesiapa pun yang tahu,

قَالَ , فَأَخْبِرْنِي عَنِ السَّاعَةِ , قَالَ ” مَا المَسْئُوْلُ بِأَعْلَمَ مِنَ السَّائِلِ
Orang itu berkata lagi, “Beritahukan kepadaku tentang kiamat.” Rasulullah ﷺ menjawab,” Orang yang ditanya itu tidak lebih tahu daripada yang bertanya.”
(Sahih Muslim No. 8)

Syarah: yang bertanya itu adalah Malaikat Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Rasulullah ﷺ beritahu baginda tidak tahu, malah yang bertanya (Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ) juga tidak tahu bilakah ia akan berlaku.

Pengajaran pertama daripada ayat ini adalah: Kalau kita tak tahu, kena cakap tidak tahu. Jangan malu untuk mengaku tidak tahu. Jangan pandai-pandai memberi jawapan kerana malu mengaku tidak tahu.

Perhatikan ayat ini, Allah ‎ﷻ berfirman: قُل إِنَّمَا العِلمُ عِندَ اللهِ dan bukannya قُل إِنَّمَا العِلمُه عِندَ اللهِ. Jadi ia bukan bermaksud ilmu tentang bila Hari Kiamat sahaja, akan tetapi semua ilmu. Semua ilmu ada pada Allah ‎ﷻ dan apa sahaja yang Rasulullah ﷺ dan kita tahu, itu daripada Allah ‎ﷻ sebenarnya. Ayat ini juga menunjukkan bahawa Nabi Muhammad ﷺ tidak mempunyai Ilmu Ladunni. Apa sahaja maklumat yang Nabi ﷺ ada, datangnya daripada Allah ‎ﷻ. Lalu, bagaimana dengan fahaman sesetengah ajaran yang mengatakan guru mereka dapat Ilmu Ladunni itu? Yang selalu ada fahaman sesat ini adalah golongan tarekat dan sufi. Mereka telah tertipu oleh guru-guru mereka. Manakala guru-guru mereka itu telah ditipu oleh syaitan. Syaitan telah memberikan ilmu-ilmu yang bukan daripada ajaran Islam. Mereka sangka mereka dapat ilmu yang khas dari sisi Allah ‎ﷻ, namun sebenarnya ilmu itu adalah daripada syaitan. Kenapa kita berani cakap begitu? Kerana apa yang kononnya guru mereka itu ada, lebih tinggi lagi daripada apa yang Nabi ﷺ kita ada. Adakah masuk akal kalau begitu? Adakah lagi manusia yang lebih mulia dan lebih berilmu daripada Nabi Muhammad ﷺ? Kita tahu apakah fahaman mereka kerana dulu kita pun berkecimpung dengan jalan tarekat dan kesufian juga.

Walaupun Nabi ﷺ berhadapan dengan orang kafir, baginda tidak malu untuk mengatakan bahawa baginda tidak tahu. Begitulah yang sepatutnya. Kalau orang bertanya kepada kita, dan kita memang tidak tahu, maka hendaklah kita kata kita tidak tahu. Orang akan lebih percayakan kita apabila kita beritahu perkara yang kita tahu nanti kerana mereka akan tahu bahawa kita bersikap jujur dengan mengaku tidak tahu sebelum itu.

Apabila digunakan perkataan إِنَّمَا, itu bermakna, *hanya* Allah ‎ﷻ sahaja yang tahu bilakah terjadinya hari Kiamat itu. Perkataan إِنَّمَا bukan sahaja bermaksud ‘sesungguhnya’, tetapi ia juga bermaksud menolak yang selain daripadanya. Maksudnya, apabila dikatakan dalam ayat ini bahawa sesungguhnya Allah ‎ﷻ mempunyai pengetahuan tentang bilakah terjadinya Hari Kiamat itu, bermakna tidak ada entiti lain yang tahu.

Jadi, kalau ada yang kata Kiamat akan terjadi pada sekian-sekian tarikh, maka itu adalah satu pembohongan yang besar. Kita sudah selalu sangat dengar manusia yang cuba memberitahu kepada masyarakat bilakah terjadinya Kiamat itu. Mereka kononnya akan buat kira-kira dan tanda-tanda kemudian dakwah kiamat akan berlaku sekian dan sekian tahun. Hari yang mereka katakan akan terjadi Kiamat itu datang dan pergi begitu sahaja. Kita tidak pelik sangat kalau orang kafir cakap mereka tahu Hari Kiamat itu, tetapi yang peliknya, orang yang mengaku Islam pun ada juga yang boleh tahu bila hari Kiamat itu. Yang peliknya lagi, ada juga yang percaya.

Apakah lagi yang kita boleh belajar daripada cara jawapan ini? Untuk menjawab, kita hendaklah tahu apakah tujuan pertanyaan mereka itu. Terdapat perbezaan antara soalan yang memang ikhlas hendak tahu dan soalan yang hendak mengejek-ngejek sahaja. Apabila kita dapat soalan yang mengejek itu, maka hendaklah kita bersabar dan menjawab dengan tenang. Lihatlah jawapan yang diberikan oleh Allah ‎ﷻ ini. Ia adalah satu jawapan yang tenang dan tidak melatah kerana kalau kita melatah, maka kita akan kalah. Mereka yang bertanya dengan cara mengejek itu pun memang hendak melihat kita melatah dan hilang kawalan akal sahaja sebenarnya.

Kita juga tidak perlu menjawab dengan tepat apakah soalan mereka itu. Lihatlah soalan mereka itu: bila? Namun tidak dijawab pun bila akan terjadinya kiamat itu. Kerana mereka tanya pun bukannya hendak tahu sangatpun, tetapi hendak mengejek sahaja. Maka kita kenalah kawal keadaan. Kalau kita jawab lebih-lebih, nanti mereka akan ada peluang untuk tanya soalan perangkap lagi. Maka, berhati-hatilah.

Walau bagaimanapun kita hendaklah jawab dengan yakin. Lihatlah dalam ayat yang digunakan ini. Antara soalan dan jawapan tidak ada ayat tambahan. Ini kerana kadang-kadang dalam bahasa Arab, ada tambah perkataan ثُمٌَ atau ف. Namun tidak ada dalam penggunaan ayat ini. Maknanya, jawapan yang diberikan adalah terus sahaja. Tidak ada teragak-agak kerana kalau ada teragak-agak, menunjukkan kita tidak yakin. Maka, kita hendaklah ada ilmu pengetahuan yang tinggi. Untuk mendapatkannya, kena belajar lagi.

Perhatikan yang Allah ‎ﷻ tidak menjawab soalan tentang bilakah Kiamat itu. Di sini kita belajar bahawa bukan semua maklumat Allah ‎ﷻ beritahu kita. Kalau kita perlu tahu, maka tentu Allah ‎ﷻ akan beritahu. Bukan semua maklumat kita perlu ada. Kita kena rendahkan diri kita dan sedar bahawa kita ini hanya hamba sahaja. Yang kita minta daripada Allah ‎ﷻ adalah ilmu-ilmu bermanfaat sahaja. Doa yang diajar kepada kita pun adalah

اللَّهُمَّ إِنِّى أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا وَرِزْقًا طَيِّبًا وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Ya Allah, aku memohon pada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang thoyyib dan amalan yang diterima”
(Riwayat Ibnu Majah no. 925, sahih)

Jadi ini mengajar kita supaya tidak perlu tanya perkara-perkara yang kita tidak perlu tahu. Kadang-kadang ada orang suka bertanya bermacam-macam perkara dan apabila ditanya kenapa hendak tahu, jawapan mereka, “Saja…. nak tahu jer…”. Buat apa kita perlu tahu perkara itu kalau ia tidak memberi manfaat kepada kita? Oleh itu, sekiranya ada perkara yang tidak dapat dijawab oleh ustaz atau ulama’, terimalah sahaja.

Sebenarnya kita tidak perlu tahu pun bilakah Kiamat itu. Ia pasti datang. Yang terlebih penting adalah apakah persediaan untuk menghadapinya? Lihatlah hadith ini,

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ مَتَى السَّاعَةُ قَالَ وَمَا أَعْدَدْتَ لِلسَّاعَةِ قَالَ حُبَّ اللَّهِ وَرَسُولِهِ قَالَ فَإِنَّكَ مَعَ مَنْ أَحْبَبْتَ قَالَ أَنَسٌ فَمَا فَرِحْنَا بَعْدَ الْإِسْلَامِ فَرَحًا أَشَدَّ مِنْ قَوْلِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَإِنَّكَ مَعَ مَنْ أَحْبَبْتَ قَالَ أَنَسٌ فَأَنَا أُحِبُّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَأَبَا بَكْرٍ وَعُمَرَ فَأَرْجُو أَنْ أَكُونَ مَعَهُمْ وَإِنْ لَمْ أَعْمَلْ بِأَعْمَالِهِمْ
Daripada Anas bin Malik رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dia berkata; “Pada suatu hari seorang laki-laki datang kepada Rasulullah ﷺ seraya bertanya; ‘Ya Rasulullah, bilakah kiamat itu akan datang?’ Mendengar pertanyaan laki-laki itu, Rasulullah ﷺ bertanya semula: ‘Apa yang telah engkau siapkan untuk menghadapi kiamat? ‘ Laki-laki itu menjawab; ‘Kecintaan kepada Allah dan Rasul-Nya.’ Kemudian Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Sesungguhnya engkau akan bersama orang yang engkau cintai.’ Anas رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata; ‘Tidak ada yang lebih menyenangkan hati kami setelah masuk Islam selain sabda Rasulullah ﷺ yang berbunyi: ‘Sesungguhnya engkau akan bersama orang yang engkau cintai.’ Anas رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata; ‘Kerana saya mencintai Allah, Rasulullah, Abu Bakar, dan Umar, maka saya berharap kelak akan bersama mereka meskipun saya tidak dapat beramal seperti mereka.’
(Sahih Muslim No. 4777)

Namun yang kita tahu, ia sudah dekat seperti sabda Rasulullah ﷺ,

بُعِثْتُ أَنَا وَالسَّاعَةُ كَهَاتَيْنِ، وَيُشِيْرُ بِإِصْبَعَيْهِ فَيَمُدُّ بِهِمَا
“Jarak diutusnya aku dan hari Kiamat seperti dua (jari) ini.” Baginda berisyarat dengan kedua jarinya (jari telunjuk dan jari tengah), lalu merenggangkannya.” (Sahih Bukhari No. 6022)

 

 

وَإِنَّمَا أَنَا نَذِيرٌ مُّبِينٌ

Dan sesungguhnya aku tidak lain dan tidak bukan adalah pemberi peringatan yang terang nyata;

Nabi ﷺ hanya disuruh untuk menyampaikan bahawa janji-janji itu pasti akan terjadi. Apa yang baginda dapat daripada Allah ‎ﷻ, maka baginda terus sampaikan kepada umat dan itu pun telah Nabi ﷺ sampaikan kepada umatnya. Tidak ada yang baginda simpan sendiri atau sorok. Baginda tetap akan sampaikan walaupun perkara itu pedih dan berat, sama ada boleh diterima oleh manusia atau tidak, baginda tetap sampaikan.

Sekali lagi digunakan perkataan إِنَّمَا dalam ayat ini. Maksudnya, tugas Nabi ‎ﷺ hanyalah sebagai penyampai peringatan sahaja. Baginda tidak boleh sampaikan perkara yang baginda tidak tahu dan baginda memang tidak buat begitu pun.

Perhatikan di dalam ayat ini Allah ﷻ menyebut tugas Nabi ﷺ adalah وَإِنَّمَا أَنَا نَذِيرٌ مُّبِينٌ sedangkan di dalam ayat lain seperti A’raf: 188, ada dua tugas baginda,

إِن أَناْ إِلّا نَذيرٌ وَبَشيرٌ لِّقَومٍ يُؤمِنونَ
Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh Allah) yang memberi amaran (bagi orang-orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman”

Di sini hanya disebut tugas baginda sebagai نَذِيرٌ sahaja kerana ayat-ayat ini tentang penentang kebenaran. Bagi mereka hanya ada ancaman sahaja mereka tidak layak mendapat berita gembira. Ini kerana berita gembira لِقَومٍ يُؤمِنونَ. Hanya orang beriman sahaja layak dapat berita gembira.

Perkataan نَذِيرٌ adalah bermaksud ‘peringatan’. Yang memberi peringatan itu adalah kerana mereka sayang kepada orang yang diberi peringatan itu. Sebab itu mereka ingatkan kepada orang yang lalai. Kalau tidak kisah kepada umat, tentunya Nabi ﷺ buat tidak kisah sahaja. Kalimah نَذِيرٌ bermaksud memberi peringatan yang mengandungi ancaman. Kalau tidak ada ancaman, maka ia bukanlah نَذِيرٌ. Namun bukanlah tugas نَذِيرٌ itu hanya menakut-nakutkan sahaja dengan janji azab. Kerana kalau begitu, orang akan hanya takut sahaja kepada Allah ‎ﷻ, tetapi tidak ada rasa sayang kepada Allah ‎ﷻ. Oleh itu, apabila kita berdakwah, hendaklah kita memberitahu dan mengingatkan kepada manusia tentang siapakah Allah ‎ﷻ itu, dan bagaimana Allah ‎ﷻ telah memberikan segala nikmat kepada kita selama ini. Janganlah takutkan manusia sahaja dengan kata: Ini dosa, itu dosa. Kamu akan masuk neraka, kena azab kubur dan sebagainya sahaja. Kena ada imbangan antara memberi khabar gembira dan memberi khabar buruk. Cuma di dalam ayat ini ianya ditujukan kepada golongan yang menentang, maka selayaknya mereka mendapat ancaman sahaja.

Nabi ﷺ bukan sahaja memberi peringatan, tetapi baginda juga ditugaskan untuk memberi penjelasan – مُبِينٌ menjelaskan dengan sejelas-jelasnya. Sebagai contoh, kalau kita kata kepada orang lain: “Berhati-hati yer…”, tentu orang itu akan tanya berhati-hati dengan apa? Maka, kita pun beritahulah berhati-hati sebab lantai itu basah, takut terjatuh. Begitu juga, Nabi Muhammad ﷺ telah menjelaskan dengan panjang lebar tentang perkara yang perlu kita beri perhatian. Malah telah diberikan dengan jelas – tidak berbelit-belit macam sesetengah ilmu yang diajar oleh guru.

Segalanya telah disampaikan oleh Nabi ﷺ. Segala ajaran Nabi ﷺ telah sampaikan, tidak ada tertinggal. Kalau kita rasa ada tertinggal, itu bermakna, kita mengatakan Nabi ﷺ tidak habis ajar kepada umatnya. Kita seolah menuduh Nabi ﷺ khianat dengan ilmu sampaikan ada ilmu yang tidak disampaikan. Begitulah yang dikatakan oleh ajaran tarekat (mereka kata ada ilmu rahsia yang Allah ‎ﷻ ajar kepada sahabat tertentu sahaja).

Lalu, bagaimana pula dengan ada amalan-amalan baru yang masyarakat kita buat? Majlis Solat Hajat, talqin, Majlis Tahlil, makan bubur Asyura dan sebagainya? Siapa yang pandai-pandai buat amalan yang Nabi ﷺ tidak pernah buat ini? Adakah Nabi ﷺ terlupa untuk beritahu amalan itu? Atau, memang amalan itu tidak ada dalam Islam, dan masyarakat kita buat hanya kerana ikut-ikut sahaja kata orang dulu-dulu? La hawla wala quwwata illa billah, ingatlah bahawa Nabi ﷺ telah sampaikan Islam ini kepada kita semua dengan selengkapnya. Apa sahaja amalan yang bagus, Nabi ﷺ sudah ajar. Kenapa hendak dibuat amalan yang baru pula? Yang kita sibuk buat amalan yang Nabi ﷺ tidak ajar ini, adakah kita sudah habis buat amalan yang Nabi ﷺ ajar?

Atau tidak buat kerana tidak belajar hadith Nabi? Asyik belajar kitab karangan manusia sahaja? Belajarlah tafsir Al-Qur’an dan Hadith Nabi yang sahih. Berhentilah daripada belajar dengan guru yang tidak belajar pun lagi tafsir Al-Qur’an dan Hadith Nabi. Tanya kepada mereka: “Ustaz, maaf, saya nak tanya, jangan marah pula. Ustaz dah habis belajar tafsir Quran 30 juz? Ustaz dah habis belajar Kitab Hadith? Kerana kalau ustaz sudah belajar, saya nak belajar dengan ustaz…” Adakah salah kalau kita tanya begitu? Adakah tidak penting soalan ini? Kerana kalau dia sendiri tidak belajar, lalu bagaimana kita tahu bahawa apa yang diajarnya itu betul? Dua sumber yang wajib diketahui pun dia belum belajar lagi? Kadang kala, jangan kata belum habis, tidak pernah mula belajar pun!

Lihatlah jawapan yang diajar oleh Allah ‎ﷻ kepada Nabi ﷺ itu. Jawapan itu mengajar tentang merendah diri. Apabila kita mengatakan kita hanya menyampaikan sahaja, menunjukkan kita tidak meninggi diri. Ada lagi yang lebih tinggi daripada kita. Iaitu Allah ‎ﷻ. Apa yang kita bawa dalam dakwah kita bukanlah daripada kita, tetapi daripada Allah ‎ﷻ. Maka, dalam masa yang sama, kita mengatakan kepada mereka, bahawa apa yang mereka tentang itu bukanlah tentangan kepada kita, tetapi kepada Allah ‎ﷻ sendiri.

Maka, fikirlah apa yang mereka katakan itu. Mereka menolak Allah ‎ﷻ, bukan menolak kita. Kalau pendapat kita sebagai manusia, tidak mengapa lagi, boleh ditolak, tetapi kalau ia datang daripada Allah ‎ﷻ, bagaimana nanti nasib kamu?


 

Mulk Ayat 27: Ayat jenis Takhwif Ukhrawi (penakutan dengan kejadian di akhirat).

فَلَمّا رَأَوهُ زُلفَةً سيئَت وُجوهُ الَّذينَ كَفَروا وَقيلَ هٰذَا الَّذي كُنتُم بِهِ تَدَّعونَ

Sahih International

But when they see it approaching, the faces of those who disbelieve will be distressed, and it will be said, “This is that for which you used to call.”

Malay

Kemudian apabila (datang kiamat dan) mereka melihat (azab) yang dijanjikan itu secara dekat, muramlah muka orang-orang yang kafir itu, serta dikatakan (kepada mereka): “Inilah dia yang dahulu kamu kerap kali minta disegerakan kedatangannya!”.

 

فَلَمَّا رَأَوْهُ زُلْفَةً

Dan tatkala mereka melihatnya (azab api neraka itu) sudah dekat;

Yang dilihat mendekat itu adalah azab neraka. Azab api neraka itu adalah di masa hadapan. Namun perkataan yang digunakan adalah رَأَوْ – yang bermaksud ‘telah melihat’. Nampak seperti ia telah berlaku sedangkan ini adalah peristiwa yang akan berlaku di akhirat kelak. Ini adalah salah satu daripada ciri keunikan bahasa Arab. Ia digunakan untuk menyatakan bahawa ia *pasti* akan berlaku. Ini kerana kalau digunakan dalam bentuk future tense, ia adalah hanya satu kebarangkalian sahaja – mungkin terjadi, mungkin tidak. Namun begitu apabila digunakan perkataan past tense, ia menunjukkan bahawa ia PASTI akan berlaku. Akan tetapi kita tahu ia merujuk kepada masa hadapan kerana ada perkataan فَلَمَّا – apabila/tatkala. Digunakan perkataan فَلَمَّا yang bermaksud ‘apabila’, bukan ‘jikalau’. Maknanya, mereka pasti akan melihat azab api neraka itu.

Huruf هُ dalam رَأَوْهُ (melihatnya) itu merujuk kepada janji-janji kejadian di akhirat kelak. Antaranya adalah azab api neraka.

Perkataan زُلْفَةً pula merujuk kepada sesuatu yang datang mendekat dan semakin mendekat. Contohnya seperti kita menunggu LRT, kita akan nampak ia akan datang mendekat dan mendekat. Tidak datang terus tetapi datang secara beransur-ansur. Bermakna, mereka akan melihat janji-janji hari akhirat itu satu persatu. Mula-mula dengan kedatangan Malaikat Maut yang datang mencabut nyawa mereka. Kemudian mereka akan dibawakan ke dalam kubur dan mereka akan melalui alam barzakh. Kemudian mereka akan melalui Hari Kiamat. Kemudian mereka akan dibawa ke Mahsyar. Kemudian mereka akan dibicarakan. Kemudian mereka akan melalui Titian Sirat. Kemudian mereka akan melihat neraka dan akhirnya akan dimasukkan ke dalam neraka. Semua itu akan dilalui satu persatu. Perkara yang disebut-sebut dalam Al-Qur’an dan hadith akan berlaku satu persatu. Mereka dulu semasa di dunia tidak percaya, namun di akhirat nanti mereka akan melihatnya berlaku betul-betul depan mata mereka.

Setiap satu kejadian itu adalah dalam jangkamasa yang lama, entah berapa lama. Maksudnya mereka tidak terus dimasukkan ke dalam neraka. Mereka akan melihat bahawa janji kehidupan selepas mati itu pasti ada. Semua yang disebut dalam Al-Qur’an dan dalam hadith itu pasti akan berlaku dan mereka akan melaluinya satu persatu. Waktu itu barulah mereka akan menyesali apakah yang mereka lakukan di dunia dulu. Namun tidak ada gunanya lagi kalau waktu itu baru mereka hendak menyesal. Mereka tidak akan ada peluang untuk menyelamatkan diri lagi. Tidak akan ada peluang untuk kembali ke dunia untuk membuat kebaikan semula. Maka penyesalan mereka tiada penghujungnya.

 

سِيئَتْ وُجُوهُ الَّذِينَ كَفَرُوا

jadi jeleklah muka-muka orang-orang kafir;

Telah disebut penolakan golongan kafir tentang janji-janji akhirat sebagai ancaman kepada mereka. Begitulah mereka yang tidak percaya, tetapi nanti apabila benar-benar terjadi nanti tengoklah mereka. Apabila mereka melihat semua perkara akhirat yang berlaku itu, muka mereka bertukar jadi hodoh sebab terlalu takut kepada api neraka. Malah bermula dari saat mereka mati lagi sudah menjadi hodoh. Kerana mereka sudah mula nampak kebenaran kata-kata para pendakwah semasa di dunia. Muka mereka menjadi suram kerana mereka sudah tahu apa yang mereka akan alami selepas itu adalah keburukan dan penderitaan. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Zumar: 48

وَبَدا لَهُم سَيِّئَاتُ ما كَسَبوا وَحاقَ بِهِم مّا كانوا بِهِ يَستَهزِئونَ
Dan sudah tentu akan nyata kepada mereka keburukan perkara-perkara yang mereka telah usahakan, dan mereka akan diliputi oleh azab yang mereka telah ejek-ejek itu.

Perkataan سِيئَتْ adalah bermaksud jelek, buruk, berlawanan dengan kebaikan. سِيئَتْ وُجُوهُ adalah muka yang sudah tiada seri. Kita pun boleh bayangkan sedikit sebanyak. Kadang-kadang seseorang yang mendapat panggilan telefon yang menceritakan perkara tidak gembira kepadanya – seperti contoh, ada orang kesayangannya baru kematian – kita boleh lihat bagaimana rupanya selepas mendapat berita itu. Lain daripada wajahnya yang sebelumnya. Seri daripada mukanya telah hilang.

Mufassir mengatakan سِيئَتْ وُجُوهُ mengisyaratkan kepada muka mereka yang sedang dibawa kepada hukuman kematian. Cuba bayangkan muka orang yang sedang dibawa ke tali gantung. Itulah lebih kurang wajah mereka, malah lebih buruk lagi apabila mereka melihat kepada kebenaran hari akhirat yang mereka dustakan selama ini. Allah ‎ﷻ berfirman tentang situasi ini di dalam Zumar: 47-48

وَبَدا لَهُمْ مِنَ اللَّهِ مَا لَمْ يَكُونُوا يَحْتَسِبُونَ وَبَدا لَهُمْ سَيِّئاتُ مَا كَسَبُوا وَحاقَ بِهِمْ ما كانُوا بِهِ يَسْتَهْزِؤُنَ
Dan jelaslah bagi mereka azab daripada Allah yang belum pernah mereka perkirakan. Dan (jelaslah) bagi mereka akibat buruk daripada apa yang telah mereka perbuat dan mereka diliputi oleh pembalasan yang mereka dahulu selalu memperolok-olokkannya.

 

وَقِيلَ

Dan dikatakan

Dikatakan kepada mereka. Yang berkata itu mungkin Malaikat Penjaga Neraka – Malaikat Zabaniah. Ia tidak disebut secara jelas di sini jadi kita tidak tahu dengan pasti. Ia tidak disebut kerana ia tidak penting dan yang penting adalah apa yang dikatakan. Kata-kata ini adalah untuk menyakitkan hati mereka sebagai azab emosi. Tubuh mereka akan diseksa dan Allah ‎ﷻ tambah lagi sakit jiwa mereka itu.

 

هَٰذَا الَّذِي كُنْتُمْ بِهِ تَدَّعُونَ

Inilah dia hari yang mana kamu dulu meminta-minta; 

Dahulu kalian yang minta supaya azab ini disegerakan. Kamu asyik bertanya mana dia, mana dia? Nah sekarang, rasakanlah.

Kita boleh lihat ada shaddah dalam perkataan تَدَّعُونَ itu. Ini bermaksud, bukan sekali sahaja mereka ejek kepada Nabi ﷺ dan para sahabat رضي الله عنهم bilakah akan terjadi hari akhirat dan bala ke atas mereka, tetapi berkali-kali dan dengan agresif sekali. Ini kita boleh lihat dalam banyak ayat-ayat Al-Qur’an. Mereka yang tidak mempercayai dakwah tauhid, kejadian akhirat dan balasan di akhirat, mereka selalu kata: “Mana dia azab yang kau janjikan itu?” Mereka katakan begitu kepada Rasul dan juga pendakwah. Bukan sekali dua tetapi banyak kali. Nah sekarang ia sudah ada di depan mata, amacam?

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemas kini: 5 April 2025

Ringkasan Surah Mulk


Rujukan:

Maulana Hadi

Kuliah tafsir Surah al-Mulk oleh Sheikh (Dr) Haitham Al-Haddad

Kuliah tafsir Surah al-Mulk oleh Sheikh Abdul Nasir Jangda

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Nouman Ali Khan

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah

Bab 3: Keutamaan Ilmu Tentang Asma’ Allah ‎ﷻ dan Sifat Allah (2)

Bab 3: Keutamaan Ilmu Tentang Asma’ Allah ‎ﷻ dan Sifat-Nya (Sambungan)

Sesungguhnya mengenal Allah ‎ﷻ, mengenal nama-nama-Nya yang baik dan sifat-sifat-Nya yang mulia merupakan cita-cita tertinggi manusia. Ia merupakan ilmu yang paling mulia dan paling tinggi serta merupakan puncak ilmu yang manusia selalu berlumba-lumba meraihnya dan hati yang baik selalu rindu kepadanya. Dengannya, manusia boleh menggapai kehidupan yang tenteram, kerana kehidupan manusia ini tergantung kepada kehidupan hati dan ruhnya.

[Oleh kerana Allah ‎ﷻ itu paling utama, maka ilmu mengenai-Nya naik menjadi ilmu yang paling utama. Maka ia sepatutnya menaikkan semangat kita untuk belajar Asma’ul Husna ini kerana kita akan kenal Allah ‎ﷻ dengan lebih baik lagi. Maka kenalah ada cita-cita untuk belajar tentang Asma’ul Husna ini. Kecintaan kita kepada Allah ‎ﷻ pun akan bertambah kerana ‘kalau tak kenal, maka tak cinta’. Bila sudah kenal, tentulah semakin cinta.]

Tidak ada kebaikan pada kehidupan hati, melainkan dengan mengenali penciptanya, mencintai dan beribadah kepada-Nya sahaja, bertaubat, berzikir dan selalu mendekatkan diri kepada-Nya. Barangsiapa yang kehilangan kehidupan seperti ini, maka dia telah kehilangan semua kebaikan.

Seandainya hal itu diganti dengan semua kenikmatan dunia tidak akan mungkin boleh terganti. Bahkan dunia dan seisinya tidak boleh dibandingkan dengan kehidupan tersebut. Segala sesuatu yang terlewatkan masih ada penggantinya, tetapi jika dia kehilangan Allah ‎ﷻ, tidak ada sesuatu pun yang boleh menggantikannya.

[Maknanya, kalau tidak kenal Allah ‎ﷻ (melalui mempelajar Asma’ul Husna ini), seolah-olah sia-sialah hidup.]

Gejala yang aneh dari kebanyakan manusia, “Bagaimana waktu terus berlalu, usia terus berjalan, sedangkan hati tertutup (dari mengenali Allah ‎ﷻ), tidak mencium sedikit pun baunya, dan dia keluar dari dunia sebagaimana dia masuk ke dalamnya, tidak merasakan kehidupan yang sejahtera. Bahkan hidupnya di dunia seperti kehidupan binatang ternak, kemudian dia berpindah ke alam kerugian. Hidupnya di dunia merana, kematiannya terseksa, dan hari akhiratnya sengsara.

[Penulis membandingkan manusia yang tidak kenal Allah ‎ﷻ seperti binatang kerana tidak mempelajari perkara yang perlu dipelajari. Maka bila tidak kenal Allah ‎ﷻ, maka seperti binatang yang tidak ada tanggungjawab mengenal Allah‎ ﷻ dan mempelajari tentang Allah‎ ﷻ.]

Dia keluar dari dunia ini dalam keadaan tidak merasakan kebahagiaan sedikit pun, dan dia meninggalkan dunia ini dalam keadaan terhalang daripada kenikmatannya, kerana kenikmatan dan kelazatan serta kebahagiaan yang sempurna hanya ada pada ma’rifatullah (mengenal Allah ‎ﷻ), bertauhid, dekat dan rindu kepada perjumpaan dengan Rabbnya.

Sedangkan hidup yang paling sengsara adalah kehidupan hati yang tercerai berai, jiwa yang terobek-robek, yang tidak memiliki tujuan yang benar serta jalan yang jelas hingga dia boleh menuju kepadanya.

[Ini adalah orang yang amat malang sekali kerana tidak kenal Allah ‎ﷻ. Dia tidak berusaha untuk belajar Asma’ul Husna. Maka dia tidak merasa kemanisan beragama kerana tidak kenal Allah ‎ﷻ sama sekali. Dia kenal begitu-begitu sahaja tanpa mendalam. ]

Jalannya bercabang, banyak bengkoknya, di setiap jalan terdapat onak dan duri, dia pun kebingungan di atas muka bumi, tidak mengetahui ke mana dia harus melangkah.

Seandainya berpindah, dia tidak akan mampu, dan hatinya tidak akan mendapatkan ketenangan, ketenteraman, tidak ada yang dapat menyejukkan pandangan matanya hingga dia menuju kepada sesembahan, Rabb dan penciptanya yang tidak ada sekutu bagi-Nya.

[Hati orang yang tidak kenal Allah ‎ﷻ dengan sebenar-benarnya akan keluh kesah kerana dia tidak meletakkan pengharapan kepada Allah ‎ﷻ. Mana mungkin dia boleh letakkan pengharapan kepada Allah ‎ﷻ kalau dia tidak kenal Allah ‎ﷻ?

Sebagai contoh, dia kehilangan kerja. Adakah dia yakin dengan sebenar-benarnya yakin yang Allah ‎ﷻlah yang memberikan rezeki kepada makhluk?

Kalau dia ada masalah pula, adakah dia boleh bertawakal kepada Allah ‎ﷻ yang boleh menyelesaikan segala masalahnya?]

Dia pun selalu memerlukan pertolongan-Nya setiap saat. Sebagaimana yang dikatakan oleh seorang penyair:

➿ Palingkan hati ke mana engkau suka dari cinta

➿ Tidaklah cinta itu akan berpaling melainkan pada cinta pertama

➿ Berapa banyak rumah di atas bumi ini yang ditempati oleh seorang anak manusia

➿ Akan tetapi, kerinduannya selama-lamanya pada rumahnya pertama

[Adakah hatinya sentiasa mendambakan Allah ‎ﷻ? Adakah dia meletakkan hatinya sentiasa kepada Allah ‎ﷻ? Adakah dia dapat sedar yang Allah ‎ﷻ sentiasa memerhatikan segala apa yang dia lakukan?

Ini dapat diperolehi apabila sudah belajar sifat-sifat Allah ‎ﷻ dan menyakininya.]

Barangsiapa yang bersemangat untuk menjadikan tujuan utamanya hanya satu saja, iaitu Allah ‎ﷻ dan langkah satu-satunya adalah keredhaan-Nya, maka dia akan meraih puncak harapannya dan menggapai semua bentuk kebahagiaan.

Akan tetapi, kebanyakan manusia hidupnya jauh dari harapan ini, sebagaimana yang dikatakan oleh sebahagian salaf, “Sungguh merugi, orang yang hidup di dunia kemudian keluar darinya, tetapi tidak merasakan kelazatan di dalamnya.”

Kemudian dia ditanya, “Apa kelazatan di dalamnya?’ Dia berkata, “Mengenal Allah, mencintai, selalu dekat dan rindu kepada-Nya.”

[Keindahan dan kelazatan dunia dapat dicapai dengan mengenal Allah ‎ﷻ. Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah رحمه الله pernah berkata lebih kurang begini maksudnya: tidak akan masuk ke syurga orang yang tidak merasa syurga dunia.

Salah satu syurga dunia adalah mengenal Allah ‎ﷻ]

Mengenal Allah‎ ﷻ, mencintai dan selalu rindu kepada-Nya merupakan jalan keselamatan dan keberuntungan bagi para pejalan serta pencarinya.

“Berjalan menuju kepada Allah ‎ﷻ melalui jalan nama dan sifat-Nya adalah perkara yang luar biasa. Orang yang melakukannya telah mendapatkan kebahagiaan, meski dia hanya berbaring di atas pembaringan tanpa lelah dan letih.”

Dia senantiasa naik ke darjat yang lebih tinggi dan terus berjalan di jalan ini hingga tingkat yang paling tinggi.

[Perjalanan mengenal Allah ‎ﷻ adalah perjalanan yang indah. Ia tidak melelahkan malah memberi kekuatan kepada insan.

Maka jalannya adalah dengan belajar asma’ul Husna]

Jalan mengenal Allah‎ ﷻ ini dilakukan dengan memahami makna nama-nama Allah ‎ﷻ yang baik dan menanamkannya dalam hati hingga berpengaruh nampak dan konsekuensinya di hati dan dipenuhi hati tersebut dengan ilmu yang sangat mulia.

Contoh, nama Allah‎ ﷻ yang menunjukkan akan keagungan, kebesaran, kemuliaan, dan kehormatan akan memenuhi hati dengan pengagungan dan pemuliaan kepada Allah ‎ﷻ.

[Apabila kita belajar asma’ul Husna, ia bukan setakat ilmu sahaja tetapi hendaklah sampai memberi kesan kepada hati. Apabila kita kenal Allah ‎ﷻ, maka sepatutnya kita berharap kepada-Nya kerana kita tahu Dialah tempat pengharapan.]

Nama-nama Allah ‎ﷻ yang menunjukkan keindahan, kebaikan, keutamaan, kasih sayang, kedermawanan akan memenuhi hati dengan kecintaan kepada Allah ‎ﷻ dan puji syukur serta rindu kepada-Nya.

[Ada pula nama-nama yang menaikkan cinta dan sayang kepada-Nya].

Nama-nama Allah‎ ﷻ yang menunjukkan kemuliaan, kebijaksanaan, ilmu, dan kekuasaan akan memenuhi hati dengan ketundukan, kekhusyukan, ketakutan kepada-Nya.

[Ada pula nama-nama Allah ‎ﷻ yang menyebabkan kita takjub kepada-Nya].

Nama-nama Allah ‎ﷻ yang menunjukkan keilmuan, pengawasan, peliputan, dan persaksian akan memenuhi hati dengan perasaan selalu diawasi Allah ‎ﷻ dalam setiap gerak-geri dan diamnya, serta menjaga fikiran dari hal-hal yang jahat serta keinginan yang negatif.

[Ada nama-nama yang menyebabkan kita takut hendak berbuat dosa kerana kita yakin dengan sebenar-benarnya yakin yang Allah ‎ﷻ sedang memerhatikan kita. Takkan berani hendak buat salah depan ayah, bukan? Apatah lagi dengan Allah ‎ﷻ?]

Nama-nama Allah ‎ﷻ yang menunjukkan kekayaan dan kelembutan akan memenuhi hati dengan sikap selalu memerlukan, memasrahkan, dan menyerahkan diri kepada-Nya di setiap waktu dan keadaan.

[Terdapat juga nama-nama yang menyebabkan kita berharap sepenuhnya kepada Allah‎ ﷻ dalam menangani masalah dan musibah kita].

Pemahaman hati seperti ini merupakan hasil pengenalan hamba tentang nama, sifat, dan ibadahnya kepada Allah ‎ﷻ. Seorang hamba ketika di dunia tidak akan mampu mendapatkan hal yang lebih mulia dan utama serta sempurna daripada mengenal Allah‎ﷻ. Itulah anugerah termulia daripada Allah ‎ﷻkepada hamba-Nya, dan itulah inti tauhid dan sumbernya. Barangsiapa yang dibukakan baginya pintu ilmu ini, maka terbukalah pintu tauhid yang murni dan iman yang sempurna.

[Kefahaman hati yang dimaksudkan adalah, seorang Muslim itu apabila sudah kenal dengan nama-nama Allah ‎ﷻ dan sifat-Nya, ada kesan pada diri mereka. Tidaklah mereka tahu sahaja, tetapi ada kaitan dengan hati mereka, sama ada takjub, berharap, tawakal dan sebagainya. Inilah tujuan kita belajar Asma’ul Husna ini.]

Di sini perlu untuk diketahui bahawa mengenal Allah ‎ﷻ ada dua macam, iaitu pertama, sekadar mengenal, yang hal ini sama antara manusia, yang baik, yang jelek, yang taat dan yang berbuat maksiat.

Kedua, pengenalan yang menimbulkan rasa malu, cinta, bergantungnya hati, rindu, takut, bertaubat, selalu dekat, dan sentiasa menghadap kepada-Nya.

[Kita bukan hendak kenal Allah ‎ﷻ sahaja. Ini semua orang boleh belajar dan boleh tahu. Profesor di universiti luar negara seperti Oxford pun boleh senaraikan sifat-sifat Allah ‎ﷻ dan boleh bagi kelas tentang Allah‎ﷻ. Tetapi yang lebih penting adalah kesan pada hati. Kesan itu yang kita hendak. Kita hendak didik hati kita lekat dengan Allah‎ ﷻ, terkesan dengan Allah‎ ﷻ.]

Pengenalan seperti ini merupakan sumber segala bentuk kebaikan dan mata air bagi setiap keutamaan. Oleh kerana itu, metode Al-Qur’an dalam berdakwah kepada kebenaran, pentunjuk dan memperingatkan dari segala mara bahaya dan kebinasaan didasari oleh pengenalan terhadap ilmu yang mulia ini.

Di dalam Al-Qur’an, Allah ‎ﷻ menyebutkan sifat kesempurnaan-Nya, ketinggian-Nya di atas Arsy, sifat bicara dan dialog-Nya, keluasan ilmu, dan perwujudan kehendak-Nya, yang dapat membawa seorang hamba kepada keikhlasan, pengesaan, dan kebencian kepada kesyirikan.

[Senarai Asma’ul Husna ini diambil dari Al-Qur’an kerana di situlah Allah‎ ﷻ memperkenalkan Diri-Nya. Kalau anda perasan, banyak ayat-ayat Al-Qur’an yang diakhiri dengan menyebut sifat-sifat Allah‎ ﷻ. Tetapi kena belajar tafsir baru faham apakah yang hendak disampaikan.

Akan tetapi, memang dalam kitab-kitab tafsir pun tidak dijelaskan sangat tentang Asma’ul Husna ini. Maka kerana itu kita bincangkan khusus di sini supaya penekanan lebih mendalam dapat diberikan.]

Allah‎ ﷻ menyebutkan kepada mereka sifat kesempurnaan dan kemuliaan-Nya yang dapat menggiring hati mereka untuk bersegera kepada seruan-Nya dan bergegas untuk menaati-Nya, dan berlumba-lumba dalam mendekatkan diri kepada-Nya serta untuk selalu mengingat, bersyukur, dan beribadah kepada-Nya dengan sebaik-baiknya.

Allah ‎ﷻ juga menyebutkan sifat-sifat-Nya ketika Dia memberikan khabar gembira dan memperingatkan hamba-Nya untuk memperkenalkan kepada hati, siapa yang berhak untuk ditakuti dan diharapkan.

[Begitu tinggi tujuan kita mengenal Allah‎ ﷻ ini. Perkara yang disebut-sebut ini sepatutnya memang kena ada dalam hati. Maka ia dapat dipenuhi dengan kita kenal Allah ‎ﷻ melalui Asmaul Husna ini.]

Dia menyebutkan sifat-sifat-Nya juga ketika menjelaskan hukum-hukum, perintah-perintah, dan larangan-larangan-Nya agar hamba benar-benar mengagungkan perintah-Nya serta menjalankan syariat-Nya. Sedikit sekali anda mendapatkan ayat yang berkaitan dengan hukum, kecuali diakhiri dengan salah satu atau sebahagian sifat Allah ‎ﷻ. Terkadang disebutkan dahulu sifat-Nya pada permulaan ayat atau pertengahan atau pada akhirnya. Seperti firman Allah ‎ﷻ,

قَد سَمِعَ اللهُ قَولَ الَّتي تُجٰدِلُكَ في زَوجِها وَتَشتَكي إِلَى اللهِ وَاللهُ يَسمَعُ تَحاوُرَكُما ۚ إِنَّ اللهَ سَميعٌ بَصيرٌ

Sesungguhnya Allah telah mendengar perkataan wanita yang bersoal jawab denganmu tentang suaminya, dan mengadukan (halnya) kepada Allah. Dan Allah mendengar soal jawab antara kamu berdua. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

[Al-Mujadilah: 1]

[Allah ‎ﷻ mengingatkan sifat-Nya kepada kita apabila menyebut tentang hukum supaya kita menjaga benar-benar hukum itu. Sebagai contoh dalam ayat ini, disebut sifat Allah‎ ﷻ yang maha mendengar, supaya kita sedar yang apa sahaja yang kita katakan, Allah ‎ﷻ mendengar sahaja setiap butir.

Allah ‎ﷻ juga beritahu Dia maha melihat segala perbuatan kita. Supaya kita sedar yang kalau kita tidak menjaga sesuatu hal atau hukum itu, Allah‎ ﷻ sedang melihat dan kita akan ditanya dan dibalas dengan perbuatan kita itu.]

Allah ‎ﷻ juga menyebutkan sifat-sifat-Nya ketika seorang hamba bertanya kepda Rasul-Nya tentang-Nya. Dia juga menyebutkan sifat-sifat-Nya ketika mereka bertanya kepada-Nya tentang hukum-hukum-Nya. Hukum-hukum Allah‎ ﷻ, semuanya ditegakkan untuk mengingat nama-nama Allah ‎ﷻ dan sifat-sifat-Nya, bahkan salat tidak dikerjakan, kecuali dengan menyebut nama Allah‎ ﷻ dan sifat-Nya.

Menyebut nama dan sifat-sifat-Nya merupakan inti dan rahsia di sebalik ibadah salat, yang selalu mengiringinya daripada pertama hingga terakhir. Sesungguhnya Allah ‎ﷻ memerintahkan untuk ditegakkannya salat dengan tujuan untuk disebut nama dan sitat-Nya. Demikianlah semua ketaatan dan ibadah, mengenal nama dan sifat-Nya merupakan dasar bagi kebahagiaan dan pintu bagi semua kebaikan, dan hidayah hanya di tangan Allah ‎ﷻ.

[Hati kita kena sentiasa tertaut dengan Allah ﷻ sepanjang masa. Sekurang-kurangnya kita ingat kepada Allah‎ ﷻ semasa melakukan ibadah. Maka kerana itu dalam ibadah, banyak disebut-sebut nama-Nya dan sifat-Nya. Maka alangkah baik kalau semasa kita sebut nama-nama-Nya itu, kita faham apakah maksud nama-nama itu? Tentu lebih memberi khusyuk kepada salat kita, bukan?]

Sambung ke bab yang seterusnya

Rujukan: Kuliah Ustaz Adli Saad

Bab 2: Keutamaan Ilmu Tentang Asma’ Allah ﷻ dan Sifat Allah (1).

Bab 2: Keutamaan Ilmu Tentang Asma’ Allah ﷻ dan Sifat-Nya.

Tidak diragukan lagi bahawa ilmu tentang nama Allah ﷻ dan sifat-sifat-Nya merupakan semulia-mulianya ilmu syar’i dan semurni-murninya tujuan yang agung kerana berkaitan dengan semulia-mulianya Dzat iaitu Allah ﷻ.

Mengenal Allah ﷻ, nama-nama dan sifat-sifat serta perbuatan-perbuatan-Nya merupakan semulia-mulianya ilmu agama. Mengharapkan wajah Allah ﷻ merupakan semulia-mulianya tujuan. Beribadah kepada-Nya merupakan sebaik-baiknya amal perbuatan dan memuji Allah ﷻ melalui nama dan sifat-Nya merupakan semulia-mulianya ucapan.

Itulah landasan agama yang lurus iaitu agama Nabi Ibrahim عليه السلام, yang telah disepakati oleh semua nabi. Dakwah serta ajaran mereka bersatu di atasnya dan nasihat serta penjelasan mereka terfokus padanya. Bahkan hal tersebut merupakan salah satu bahagian yang agung daripada fokus dakwah mereka dari yang pertama sampai yang terakhir iaitu Muhammad ﷺ.

Mereka diutus untuk berdakwah kepada Tauhidulllah (mengesakan Allah ﷻ), menjelaskan jalan yang menyampaikan kepada-Nya dan balasan bagi orang yang mengikutinya. Inilah tiga landasan utama bagi setiap ajaran para nabi.

Dari sinilah Imam Ibnu Al-Qayyim رحمه الله berkata, “Sesungguhnya dakwah para rasul berkisar pada tiga hal, iaitu memperkenalkan Allah ﷻ kepada manusia melalui nama dan sifat serta perbuatan-Nya. Kedua: menjelaskan jalan yang boleh menyampaikan kepada-Nya. Ketiga: menerangkan balasan bagi mereka di syurga dan kenikmatan di dalamnya dan yang paling mulia dan utama adalah redha-Nya serta melihat kepada Wajah-Nya yang Maha Mulia serta ucapan salam serta berdialog dengan-Nya.

[Maka ilmu Asma’ul Husna ini adalah untuk kenal Allah ﷻ. Inilah yang pertama sekali kita kena tahu. Bagaimana kita hendak beribadat kepada-Nya dan menyayangi-Nya kalau kita tidak kenal Allah ﷻ?

Allah ‎ﷻ memperkenalkan Diri-Nya kepada kita dengan memberitahu nama-nama-Nya kepada kita di dalam Al-Qur’an. Kemudian Nabi ﷺ memperjelaskan lagi dalam penerangan hadith-hadith daripada baginda. Maka itulah tujuan para Nabi ﷺ dan begitulah juga kerja para guru dan pendakwah.]

Beliau juga (Ibn Qayyim) juga berkata tentang dakwah Rasul ﷺ terakhir yang berkaitan hal ini: “Baginda memperkenalkan kepada manusia Rabb mereka dan sembahan mereka sesuai kadar kemampuan mereka dalam memahami penjelasan. Kadangkala baginda menjelaskan, mengulangi, meringkas, dan terkadang memperluas penjelasan tentang nama, sifat dan perbuatan-Nya, hingga jelas pengenalan terhadap-Nya dalam hati para hamba-Nya yang beriman dan tersingkaplah keraguan dari pengenalan terhadap-Nya sebagaimana jelasnya rembulan di kala purnama.

Baginda tidak meninggalkan bagi umatnya sedikit pun penjelasan tentang hal ini untuk orang sebelum dan sesudah baginda, bahkan baginda telah mencukupi mereka,

أَوَلَم يَكفِهِم أَنّا أَنزَلنا عَلَيكَ الكِتٰبَ يُتلىٰ عَلَيهِم ۚ إِنَّ في ذٰلِكَ لَرَحمَةً وَذِكرىٰ لِقَومٍ يُؤمِنونَ

Dan apakah tidak cukup bagi mereka bahawasanya Kami telah menurunkan kepadamu Al Kitab (Al Qur’an) sedang dia dibacakan kepada mereka? Sesungguhnya dalam (Al Qur’an) itu terdapat rahmat yang besar dan pelajaran bagi orang-orang yang beriman.

[Rasulullah telah mengambil masa selama 23 tahun mengajar agama kepada manusia. Maka kita yang prihatin terhadap diri sendiri dan ke mana dia akan pergi (ke syurga atau neraka) akan mendalami ilmu yang baginda sampaikan. Maka pembelajaran perlu dijalankan.

Antara perkara penting yang kita kena belajar adalah tentang nama-nama Allah ‎ﷻ yang memberi penerangan yang lebih tentang Allah ‎ﷻ kerana kita tidak akan kenal Allah ‎ﷻdengan diri sendiri. Fikir banyak kali pun, takut sesat pula.]

Bagaimana tidak, sedangkan baginda telah bersabda:

قَدْ تَرَكْتُكُمْ عَلَى الْبَيْضَاءِ لَيْلُهَا كَنَهَارِهَا لَا يَزِيغُ عَنْهَا بَعْدِي إِلَّا هَالِكٌ

“Sungguh aku telah meninggalkan kalian di atas (Islam) yang putih bersih, siang dan malamnya sama terangnya. Siapa saja yang menyimpang darinya (dari jalan putih bersih yang para sahabat berada di atasnya), pasti (dia) binasa. (Riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)

[Agama Islam ini telah jelas. Iaitu agama yang mengikut dalil daripada wahyu. Maka kerana itu kita kena periksa pemahaman kita dengan wahyu yang Allah ‎ﷻ telah berikan.]

Rasulullah ﷺ juga telah bersabda,

إنه لم يكن نبي قبلي إلا كان حقا عليه أن يدل أمته على خير ما يعلمه لهم، وينذرهم شر ما يعلمه لهم

“Sesungguhnya tidak ada seorang Nabi pun sebelumku, melainkan wajib baginya untuk menunjukkan kepada umatnya kebaikan yang ia ketahui untuk mereka, serta memperingatkan mereka dari keburukan yang diketahui bagi mereka.” (HR. Muslim 1844)

[Maka Nabi Muhamamad telah lengkap sampaikan agama ini kepada kita, tinggal kita untuk belajar sahaja. Maka jangan kita hendak reka ajaran agama yang baru. Kena belajar apa yang baginda telah ajarkan.]

Lihat hadith ini:

عَنْ أَبِى ذَرٍّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: تَرَكَنَا رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَمَا طَائِرٌ يُقَلِّبُ جَنَاحَيْهِ فِي الْهَوَاءِ إِلاَّ وَهُوَ يَذْكُرُنَا مِنْهُ عِلْمًا. قَالَ: فَقَالَ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : مَا بَقِيَ شَيْءٌ يُقَرِّبُ مِنَ الْجَنَّةِ وَيُبَاعِدُ مِنَ النَّارِ إِلاَّ وَ قَدْ بُيِّنَ لَكُمْ.

Dari Sahabat Abu Dzarr رضي الله عنه, beliau berkata, “Rasulullah ﷺ telah pergi meninggalkan kami (wafat), dan tidaklah seekor burung yang terbang membalik-balikkan kedua sayapnya di udara melainkan baginda ﷺ telah menerangkan ilmunya kepada kami.” Berkata Abu Dzarr رضي الله عنه, “Rasulullah ﷺ telah bersabda, ‘Tidaklah tertinggal sesuatu pun yang mendekatkan ke Syurga dan menjauhkan dari Neraka melainkan telah dijelaskan semuanya kepada kalian.’”

(HR. At-Thabrani dalam Mu’jamul Kabir (II/155-156 no. 1647) dan Ibnu Hibban (no. 65) dengan ringkas dari Sahabat Abu Dzarr رضي الله عنه. Lihat Silsilah al-Ahaadits ash-Shahihah no.1803).

[Maknanya Nabi Muhammad ﷺ telah menjalankan tugas baginda untuk menyampaikan ajaran agama. Semua yang perlu sudah diajar. Jadi apabila ada golongan seperti golongan tarekat yang reka fahaman dan amalan baru, itu sudah tidak adil kepada baginda. Seolah-olah baginda ada tertinggal ajaran kepada kita pula. Mereka juga seolah-olah hendak mengatakan mereka lebih pandai daripada Nabi ﷺ pula. Ini tentulah tidak patut, bukan?

Maka kita kena belajar dengan tekun apakah yang Nabi Muhammad ﷺ telah ajar kepada kita. Ambil dengan kemas dan jangan tinggalkan. Kalau ada yang ajar perkara baru, jangan terima. Kena tanya dari manakah amalan agama itu diambil. Yang mengajar kena berikan dalil dari Al-Qur’an atau dari Sunnah Nabi Muhammad ﷺ.]

Selain itu, mustahil bagi Nabi ﷺ yang telah mengajarkan kepada umatnya tatacara buang hajat, makan dan minum, masuk dan keluar (rumah) dengan terperinci lalu meninggalkan mereka tanpa mengajarkan apa yang harus mereka katakan dengan lisan mereka dan apa yang mereka yakini dengan hati mereka tentang Rabb dan sesembahan mereka.

[Lihatlah, kencing berak pun Nabi Muhammad ﷺ sudah ajar kepada umatnya. Takkan benda-benda penting dalam agama tidak diajar? Sebagai contoh, zaman baginda juga telah ramai orang yang mati. Adakah mereka buat Kenduri Arwah? Majlis Tahlilan? Tentu tidak ada kerana tidak sampai kepada kita. Kita ikut siapakah sebenarnya?]

Pengetahuan tentang-Nya merupakan semulia-mulianya ilmu dan perjalanan kepada-Nya merupakan semulia-mulianya tujuan serta seutama-utamanya pemberian. Bagaimana mungkin baginda tidak menjelaskannya, padahal keperluan manusia kepadanya lebih mendesak daripada semua keperluan kerana tidak ada kebahagiaan, kejayaan, kebaikan, kenikmatan, dan ketenteraman bagi manusia, kecuali dengan mengenal Rabb dan sesembahan mereka serta beribadah kepada-Nya. Sehingga Dia-lah satu-satunya yang diharapkan dan tempat mereka bergantung. Mengingat dan mendekatkan diri kepada-Nya merupakan penyejuk mata dan penghidup bagi hati.

Apabila mereka kehilangan semua itu, maka keadaannya jauh lebih buruk daripada binatang ternak, sebagaimana Allah ﷻ berfirman,

إِن هُم إِلّا كَالأَنعٰمِ ۖ بَل هُم أَضَلُّ سَبيلًا

“Mereka itu tidak lain, hanyalah seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat jalannya dari binatang ternak itu.” (QS. Al-Furqan: 44)

[Ilmu yang terpenting adalah mengenal Allah ﷻ. Inilah yang dinamakan ‘makrifat’ (kenal). Iaitu kenal Allah ﷻ. Inilah ilmu yang amat penting sekali. Kalau kita tidak kenal siapa Allah ﷻ, kepada siapa sebenarnya kita sembah dan menghambakan diri?

Kalau kita tidak kenal Allah ﷻ, maka amatlah malangnya hidup ini. Sia-sia kita dilahirkan ke dunia kerana tidak kenal Allah ﷻ. Ia lebih teruk lagi daripada tidak kenal siapa ibu bapa kita sendiri, bukan?

Untuk kenal Allah ‎ﷻ hendaklah diambil ilmunya daripada Al-Qur’an dan Nabi Muhammad ﷺ. Nabi Muhammad ﷺ sudah ajar dan tidak perlu kita hendak reka fahaman baru. Tidak perlu kita hendak fikir-fikir guna akal kita dan cuba agak-agak Allah ‎ﷻ itu bagaimana kehendak-Nya.]

Apabila seorang hamba mengenal Rabbnya, cinta dan selalu beribadah kepada-Nya, menjalankan perintah dan menjauhi-larangan-Nya, maka akan terealisasi pada dirinya dengan mengenal (ilmu ini) dan peribadahannya, yang keduanya merupakan tujuan penciptaan dan perkaranya, maka akan teraih kesempurnaan seorang manusia dan ketinggian darjatnya.

[Jadi ada dua tujuan utama belajar tentang Asma’ul Husna ini:
1. Kenal Allah ‎ﷻ
2. Selepas kenal, maka ada kesan dalam kehidupan

Maknanya, setiap nama-nama itu bukan untuk diketahui sahaja, tetapi ada kesannya. Contohnya, apabila kita kenal Allah‎ ﷻ itu Yang Maha Mendengar, maka tentulah kita takut untuk cakap merapu dalam kehidupan kita.

Contoh lagi: Apabila kita sudah tahu Allah‎ ﷻ itu Maha Pemurah, maka ia akan menggerakkan kita untuk lebih banyak berharap dan berdoa kepada-Nya]

Bahkan, “Tidak ada keperluan roh manusia yang melebihi daripada keperluannya kepada pengenalan terhadap Rabbnya dan penciptanya, cinta, menyebut, bergantung dan mendekatkan diri kepada-Nya. Tidak ada jalan menuju kepada hal ini, melainkan dengan mengenal sifat dan nama-Nya.

[Diri kita memang sudah kenal Allah ‎ﷻ dari alam roh lagi. Tetapi kita sudah lupa. Maka kita kena belajar balik. Keinginan kita untuk kenal Allah ‎ﷻ memang sentiasa sahaja ada. Ia sudah ada dalam fitrah kita, “sub conscious mind” kita. Kita sudah terima dalam diri kita, adanya Tuhan yang menjadikan kita, yang lebih besar daripada kita, yang mengurus kehidupan kita. Sekarang kita hendak tahu dengan lebih lagi tentang apakah sifat Tuhan yang Satu itu. Maka inilah kita belajar tentang Allah ‎ﷻ dengan Asma’ul Husna.]

Barangsiapa yang lebih mengetahui ilmu ini, maka dia lebih mengenal Allah‎ ﷻ, lebih mengharap, dan dekat kepada-Nya. Barangsiapa yang lebih banyak tidak mengetahui tentang ilmu ini, maka dia adalah seorang yang paling jahil tentang Allah ‎ﷻ, benci dan jauh dari-Nya.

[Beza kita dalam ilmu Asma’ul Husna ini adalah daripada segi pemahaman. Lagi banyak faham, lagi banyak kita kenal Allah ‎ﷻ. Namun harus diingatkan yang pemahaman itu Allah‎ ﷻ yang beri, maka usaha kita belajar sahaja.

Tetapi kalau kita dapat tahu sedikit sebanyak pun, lebih baik daripada tidak tahu langsung. Kita akan diberi pemahaman setakat kemampuan kita sahaja.]

Al-Hafiz Ibnu Kathir رحمه الله berkata dalam tafsirnya tentang firman Allah ‎ﷻ:

إِنَّما يَخشَى اللهَ مِن عِبادِهِ العُلَماءُ

“Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah ulama’.” [Fathir: 28]

Kata Ibnu Kathir رحمه الله: ”Sesungguhnya yang paling takut dengan sebenarnya kepada Allah ‎ﷻ adalah para ulama’ yang mengenal diri-Nya kerana jika dia mengenal Allah ‎ﷻ Yang Maha Agung lagi Maha Mengetahui, yang tersifati dengan sifat-sifat sempurna dan yang dinamai dengan nama-nama yang mulia, maka jika pengenalan terhadap diri-Nya lebih sempurna dan ilmu tentang-Nya lebih banyak, maka rasa takut kepada-Nya lebih besar dan lebih banyak.”

[Ulama’ itu bermaksud orang yang ada ilmu. Bukanlah pangkat ulama’, kerana kalau begitu, seolah-olah kita yang bukan ulama’ ini tidak perlu takut kepada Allah ‎ﷻ pula. Kita pun boleh jadi orang alim juga, bukan? Kalau kita ada ilmu agama, maka kita jadi orang alim lah juga.

Tidak kenal maka tidak cinta. Begitu juga dengan Allah ‎ﷻ, tidak kenal, maka kita tidak takut kerana kita tidak sedar tentang kehebatan Allah ‎ﷻ, maka kita anggap biasa sahaja. Seolah-olah Allah‎ ﷻ tidak ada kuasa hendak menghukum kita, memasukkan kita ke dalam neraka dan sebagainya.

Analoginya seperti kita duduk sebelah ketua gengster. Kalau kita tidak kenal dia ketua gengster, tentu kita tidak takut. Kita mungkin anggap dia pakcik biasa sahaja, boleh bergelak ketawa makan kuaci dengan dia. Tetapi katakanlah tiba-tiba kita tahu dia ketua gengster, perasaan kita pun sudah lain. Hendak cakap sepatah perkataan pun tidak berani agaknya.]

Mengenal Allah ‎ﷻ dapat memperkuatkan rasa takut, merasa diawasi, harapan kepada-Nya, menambah iman hamba, membuahkan berbagai-bagai macam ibadah. Selain itu, dengannya, hati akan lebih cepat berjalan menuju kepada Rabbnya dan langkahnya lebih cepat dalam meraih redha-Nya melebihi kecepatan angin yang berhembus, dia tidak akan menoleh ke kanan maupun ke kiri. Hidayah hanya di tangan Allah ‎ﷻ, tidak ada daya dan kekuatan, kecuali dengan pertolongan dari-Nya.

[Inilah harapan kita dengan belajar fiqh Asma’ul Husna ini. Supaya kita rasa lain macam dengan Allah ‎ﷻ. Yang Allah ‎ﷻ itu bukan ‘biasyer-biasyer’ sahaja. Dengan belajar, ia memberi kesan kepada jiwa kita.

Pertamanya, kita takut kerana Allah ‎ﷻ berkuasa hendak berbuat apa-apa sahaja kepada kita dan kita tidak dapat menghalang-Nya.

Takut ini dipupuk dengan kesedaran yang Allah ‎ﷻ sedang memerhatikan kita. Kita sudah tahu dari segi ilmu, tetapi dari segi amali, adakah kita sedar? Kalau sedar, tentu kita tidak berani hendak membuat dosa, bukan?

Apabila kita kenal Allah ‎ﷻ, maka iman kita kepada-Nya akan bertambah kerana kita yakin dengan sebenar-benar yakin, yang memang Allah ‎ﷻlah layak diimani dan tempat kita menyerahkan ketaatan dan harapan.

Kita akan semakin berharap kepada-Nya kerana kita tahu Dia dengar permintaan kita, Dia Pemurah dan sanggup layan kehendak kita, Dia mempunyai segala perbendaharaan langit dan bumi maka Dia boleh beri apa sahaja yang kita minta. Ini antara perasaan yang timbul daripada pengenalan kita kepada Asma’ul Husna ini.

Tentunya hanya Allah‎ ﷻ sahaja yang boleh beri pemahaman tentang Diri-Nya kepada kita. Kita hanya boleh berusaha belajar sahaja. Semoga Allah‎ ﷻ beri pemahaman kepada kita.]

Sambung ke bab yang seterusnya


Rujukan: Kuliah Ustaz Adli Saad syarahan kitab Fikih Asma’ul Husna