Anfal Ayat 73: Dalam ayat sebelum ini, disebut bagaimana Puak Muhajirin dan Ansar adalah wali di antara satu sama lain. Bagaimana pula dengan orang kafir?
وَالَّذينَ كَفَروا بَعضُهُم أَولِياءُ بَعضٍ ۚ إِلّا تَفعَلوهُ تَكُن فِتنَةٌ فِي الأَرضِ وَفَسادٌ كَبيرٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And those who disbelieved are allies of one another. If you do not do so [i.e., ally yourselves with other believers], there will be fitnah [i.e., disbelief and oppression] on earth and great corruption.
(MALAY)
Adapun orang-orang yang kafir, sebahagian mereka menjadi pelindung bagi sebahagian yang lain. Jika kamu (hai para muslimin) tidak melaksanakan apa yang telah diperintahkan Allah itu, nescaya akan terjadi kekacauan di muka bumi dan kerosakan yang besar.
وَالَّذينَ كَفَروا بَعضُهُم أَولِياءُ بَعضٍ
Adapun orang-orang yang kafir, sebahagian mereka menjadi pelindung bagi sebahagian yang lain.
Orang kafir pun turut saling tolong menolong sesama mereka kerana mereka ada satu matlamat. Walaupun mereka ada yang berlainan fahaman agama, tetapi kerana mereka itu kufur, maka pandangan mereka terhadap Islam adalah sama sahaja. Iaitu mereka sama-sama benci kepada Islam dan berusaha untuk menjatuhkan negara Islam.
Di sini Allah ﷻ perli kita sebagai orang Islam. Lihatlah orang kafir pun tolong menolong sesama sendiri untuk tujuan keagamaan mereka. Maka jikalau kita sendiri tidak bertolongan dalam hal agama, maka teruk sangatlah.
Daripada ayat lain kita tahu yang orang kafir ini sesama mereka bergaduh juga. Akan tetapi apabila dalam hal menentang Islam, mereka akan bersatu. Maka jangan kita berkasih sayang dengan mereka pula. Orang Islam tidak akan rapat sangat dengan orang kafir (yang menentang Islam) seperti disebut di dalam [Mujadilah: 22] walaupun mereka itu ada pertalian darah.
لّا تَجِدُ قَومًا يُؤمِنونَ بِاللهِ وَاليَومِ الآخِرِ يُوادّونَ مَن حادَّ اللهَ وَرَسولَهُ وَلَو كانوا ءآباءَهُم أَو أَبناءَهُم أَو إِخوٰنَهُم أَو عَشيرَتَهُم
Kamu tidak akan mendapati kaum yang beriman pada Allah dan hari akhirat, saling berkasih-sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang-orang itu bapa-bapa, atau anak-anak atau saudara-saudara ataupun keluarga mereka.
Oleh itu kena ada wala’ dan bara’. Wala’ adalah cinta dan bara’ adalah benci. Itu yang kita boleh ambil daripada fahaman ‘wali’ yang kita sedang banyak sebut ini. Kita sayang kepada yang perlu kita sayang (kerana Allah ﷻ) dan benci kepada orang yang patut kita benci.
Al-Wala’ diambil daripada kalimah Arab iaitu اَلْوَلْيُ – اَلْوَلِيُّ – اَلْمَوْلَى atau lebih tepat diertikan sebagai: Pembelaan, mengagungkan, membesarkan, memuliakan dengan penuh setia dan cinta atau berkasih sayang kepada yang dicintai oleh Allah ﷻ secara lahir dan batin. Wala’ juga bermaksud kecintaan kepada Allah Azza wa-Jalla, Rasulullah ﷺ dan sekian orang mukmin.
Al-Bara’ pula adalah lawan kepada al-Wala’ yang bermaksud benci dan berlepas diri daripada musuh-musuh Allah ﷻ seperti Yahudi, Nasrani, Majusi dan setiap orang kafir yang memusuhi Allah ﷻ, Rasul-Nya dan orang yang beriman.
Satu lagi maksud ayat 73 ini adalah tentang wilayah di antara orang kafir. Ini bukan wilayah daerah ya. Ia bermaksud orang kafir itu mewarisi sesama mereka. Maka orang Muslim tidak boleh mewarisi harta daripada orang kafir walaupun daripada ayah atau anaknya kerana telah terputus wilayah di antara mereka.
Begitulah dalam mazhab al-Syafi’iy, perwarisan harta daripada orang bukan Islam kepada waris yang Islam adalah tidak dibenarkan. Ini berdasarkan kepada hadith daripada Usamah bin Zaid رضي الله عنهما bahawa Nabi ﷺ pernah bersabda:
لاَ يَرِثُ المُسْلِمُ الكَافِرَ وَلاَ الكَافِرُ المُسْلِمَ
Tidak mewarisi seorang Muslim daripada seorang kafir dan tidak mewarisi seorang kafir daripada seorang Muslim. (Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Namun begitu, terdapat pandangan yang berbeza dalam kalangan ulama’ berkenaan orang Islam mewarisi daripada orang kafir. Sebahagian ulama’ membenarkan manakala sebahagian yang lain tidak membenarkan. Cuma jika harta tersebut dihadiahkan sebagai pemberian (atau wasiat) maka dibenarkan mengambil harta pusaka tersebut.
Oleh itu, hukum yang kita belajar di sini adalah perwarisan dalam kalangan orang kafir sesama mereka. Mereka boleh menggunakan cara perwarisan di dalam agama mereka. Selain daripada itu, hak penjagaan (wilayah) keluarga mereka juga mengikut agama mereka. Ini jikalau mereka duduk di bawah kerajaan Islam. Islam tidak memaksa mereka menggunakan cara pembahagian harta dan hak penjagaan Islam ke atas mereka. Ini adalah kerana ia termasuk di dalam perkara undang-undang peribadi (personal law).
إِلّا تَفعَلوهُ تَكُن فِتنَةٌ فِي الأَرضِ
Jika kamu (hai para muslimin) tidak melaksanakan apa yang telah diperintahkan, nescaya akan terjadi kekacauan di muka bumi
Ini merujuk kepada arahan Allah ﷻ di dalam ayat sebelum ini. Oleh itu, kalau umat Islam tidak tolong menolong sesama Muslim, akan berlaku fitnah dan musibah besar di muka bumi. Manusia akan berpegang dengan agama selain Islam kerana agama lain lebih nampak menarik kepada nafsu mereka. Akidah syirik akan berleluasa di muka bumi dan kita hanya mampu melihat sahaja.
Oleh kerana itu, kena ada orang yang sanggup berhijrah menjadi Muhajirin untuk menegakkan dakwah Islamiah dan kena ada yang sanggup memberi tempat di kawasannya untuk membantu umat Islam yang hendak berjuang. Maka kena Muhajirin dan kena ada golongan Ansar. Kemudian hendaklah mereka tolong-menolong sesama sendiri.
Sekiranya kita tidak melakukan perkara ini, maka akan terjadilah fitnah. Fitnah bukanlah seperti pemahaman orang kita. Fitnah maksud asalnya adalah ‘ujian’. Fitnah yang dimaksudkan di sini adalah orang kafir akan menjadi kuat kalau kita tidak bersatu dan berbaik dengan mereka. Ini adalah kerana tidak nampak perbezaan antara Muslim dan kafir dan ini akan melemahkan Islam. Orang luar atau umat Islam sendiri tidak dapat membezakan antara keduanya kerana sudah duduk berbaik bersama.
Cuma kena lihat juga ayat lain tentang perkara ini. Kita bukannya disuruh bermusuh dengan semua orang. Kita tidak dilarang untuk berkawan dengan orang kafir yang tidak menentang Islam. Ini seperti disebut dalam [Mumtahanah: 8 – 9]
لّا يَنهٰكُمُ اللهُ عَنِ الَّذينَ لَم يُقٰتِلوكُم فِي الدّينِ وَلَم يُخرِجوكُم مِّن دِيٰرِكُم أَن تَبَرّوهُم وَتُقسِطوا إِلَيهِم ۚ إِنَّ اللهَ يُحِبُّ المُقسِطينَ
Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.
إِنَّما يَنهٰكُمُ اللهُ عَنِ الَّذينَ قٰتَلوكُم فِي الدّينِ وَأَخرَجوكُم مِّن دِيارِكُم وَظٰهَروا عَلىٰ إِخراجِكُم أَن تَوَلَّوهُم ۚ وَمَن يَتَوَلَّهُم فَأُولٰئِكَ هُمُ الظّٰلِمونَ
Sesungguhnya Allah hanya melarang kamu menjadikan sebagai kawanmu orang-orang yang memerangimu kerana agama dan mengusir kamu dari negerimu, dan membantu (orang lain) untuk mengusirmu. Dan barangsiapa menjadikan mereka sebagai kawan, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.
Maknanya, boleh sahaja kita berkawan dengan orang kafir, tetapi janganlah rapat sangat. Tidaklah sampai menjadi kawan akrab kita pula.
وَفَسادٌ كَبيرٌ
dan kerosakan yang besar.
Jika fitnah di atas bermaksud kekuatan orang kafir, فَسادٌ كَبيرٌ pula bermaksud kelemahan Islam. Apabila orang kafir kuat, maka dengan sendirinya umat Islam pula yang menjadi lemah.
Kita menjadi lemah sampaikan tidak dapat membantu sesama Muslim. Sebagai contoh, apabila ada orang dari negara kafir yang masuk Islam tetapi akhirnya mereka terpaksa meninggalkan Islam kerana mendapat tentangan daripada musuh Islam (seperti penindasan), namun tidak mendapat pertolongan dari negara Islam. Orang menjadi takut untuk masuk Islam kerana tidak mendapat sokongan. Akhirnya lebih ramai orang kafir yang dengan bebas membuat kerosakan di atas muka bumi.
Maka kena sedar yang mereka yang baru masuk Islam memerlukan sokongan daripada kita, tetapi kerana kita tidak menjalankan tugas kita, maka mereka tergantung sendirian. Amatlah sedih kalau mereka sudah masuk Islam namun terpaksa meninggalkannya kerana berat bagi mereka untuk menanggungnya.
Selain daripada umat Islam kena bantu membantu, ada lagi perkara yang perlu dijaga. Iaitu muhajir dan ghairu muhajir (yang berhijrah dan tidak berhijrah) tidak boleh mewarisi daripada sesama sendiri. Juga undang-undang peribadi antara semasa orang kafir tidak boleh diganggu gugat. Lagi satu, perjanjian yang telah dimeterai tidak boleh dipecahkan kerana ia boleh menyebabkan kekacauan.
Anfal Ayat 74: Ini adalah ayat tabshir (berita gembira) bagi Muhajirin dan Ansar. Ini juga adalah satu lagi penjelasan siapakah yang dimaksudkan dengan Mukmin sejati. Di awal surah ini telah diberikan penerangan yang awal, sekarang ditambah lagi dengan sifat-sifat ini pula.
وَالَّذينَ ءآمَنوا وَهاجَروا وَجٰهَدوا في سَبيلِ اللَّهِ وَالَّذينَ ءآوَوا وَّنَصَروا أُولٰئِكَ هُمُ المُؤمِنونَ حَقًّا ۚ لَّهُم مَّغفِرَةٌ وَرِزقٌ كَريمٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
But those who have believed and emigrated and fought in the cause of Allāh and those who gave shelter and aided – it is they who are the believers, truly. For them is forgiveness and noble provision.
(MALAY)
Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah, dan orang-orang yang memberi tempat kediaman dan memberi pertolongan (kepada orang-orang muhajirin), mereka itulah orang-orang yang benar-benar beriman. Mereka memperoleh ampunan dan rezeki (nikmat) yang mulia.
وَالَّذينَ ءآمَنوا وَهاجَروا وَجٰهَدوا في سَبيلِ اللَّهِ
Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah,
Asal ayat ini adalah tentang puak Muhajirin yang telah beriman dan sanggup berhijrah dari Mekah ke Madinah. Untuk zaman sekarang, ia merujuk mereka yang sanggup meninggalkan kampung halaman mereka untuk mendapatkan tempat tinggal yang sesuai supaya mereka dapat mengamalkan Islam dengan sebaiknya. Kemudian mereka sanggup menjalankan dakwah dan mengembangkan agama Islam.
Ditekankan di sini bahawa perang jihad itu mestilah kerana fisabilillah. Sekiranya ada niat yang lain, maka ia tidak akan memberi manfaat kepada pelakunya. Ini seperti disebut di dalam sebuah hadith:
عن أبي هريرة -رضي الله عنه- قال: سمعت رسول الله -صلى الله عليه وسلم- يقول: «إن أول الناس يُقضى يوم القيامة عليه رجُل اسْتُشْهِدَ، فأُتي به، فعرَّفه نِعمته، فعرَفَها، قال: فما عَمِلت فيها؟ قال: قَاتَلْتُ فيك حتى اسْتُشْهِدْتُ. قال: كَذبْتَ، ولكنك قَاتَلْتَ لأن يقال: جَرِيء! فقد قيل، ثم أُمِرَ به فَسُحِب على وجهه حتى أُلقي في النار
Abu Hurairah رضي الله عنه, sebagaimana diriwayatkan Muslim dan Ahmad, berkata bahawa Nabi ﷺ bersabda: sesungguhnya orang pertama yang akan diputuskan pada hari kiamat kelak adalah seorang yang mati syahid. Maka, dihadapkan kepada Allah ﷻ dan diingatkan kepadanya akan nikmat-nikmat yang telah diberikan kepadanya, dan hal itu diakuinya. Kemudian ditanya oleh Allah ﷻ, ”Lalu, apakah amalanmu dalam nikmat itu?”
Jawabnya, ”Aku telah berperang untuk-Mu hingga mati syahid.” Maka Allah ﷻ berfirman: ”Dusta kamu, tetapi kamu berperang untuk dikenal sebagai pahlawan yang gagah berani.” Lalu ia diseret oleh malaikat dan diperintahkan untuk dilempar ke dalam neraka. (Sahih Muslim)
Maka apakah maksud fisabilillah (di jalan Allah ﷻ)? Kenapa ia dinamakan Jalan Allah ﷻ? Pertama, ia mestilah jalan yang dibuat oleh Allah ﷻ dan ditentukan oleh Allah ﷻ. Kedua, ia dinamakan demikian kerana apabila berada di jalan itu, pasti membawa kepada Allah ﷻ dan mendapat nikmat daripada-Nya.
وَالَّذينَ ءآوَوا وَّنَصَروا
dan orang-orang yang memberi tempat kediaman dan memberi pertolongan
Asal ayat ini bermaksud Puak Ansar yang tinggal di Madinah dan sanggup menerima puak Muhajirin yang datang ke Madinah. Mereka telah memberikan tempat kediaman kepada saudara mereka dari Mekah dan memberi bantuan kepada mereka dalam segala hal. Merekalah golongan Ansar yang pertama.
Untuk zaman sekarang, ia merujuk kepada mereka yang sanggup tolong-menolong kepada puak Islam yang datang ke tempat mereka. Mereka sanggup memberikan tempat tinggal, kerakyatan, pekerjaan kepada golongan pendatang Muslim itu.
أُولٰئِكَ هُمُ المُؤمِنونَ حَقًّا
mereka itulah orang-orang yang benar-benar beriman.
Berita gembira diberikan kepada dua golongan itu (Muhajirin dan Ansar). Allah ﷻ telah sahkan kemukminan mereka. Golongan yang seperti yang disebutkan inilah yang sebenar-benar orang Mukmin.
Apabila ditambah kalimah هم (mereka) di dalam ayat ini walaupun telah disebut أُولٰئِكَ (mereka) maka ia memberi isyarat kepada penekanan. Hanya mereka yang ada sifat begitu yang dikira sebagai mukmin sebenar. Maka kita kena perhatikan diri kita adakah layak dikira sebagai orang mukmin?
Di sini ada isyarat tentang golongan yang masuk Islam tetapi tidak berhijrah ke Madinah (apabila ia diwajibkan). Mereka itu belum dikira sebagai mukmin sejati lagi kerana ada kemungkinan mereka itu ada kemunafikan di dalam hati mereka.
Oleh itu, ayat ini amatlah berat kerana ia menyebut kriteria seorang Mukmin yang sebenar itu mesti ada tiga sifat: iaitu kena ada iman, sanggup berhijrah dan berjihad. Adakah pada diri kita tiga-tiga perkara ini?
لَّهُم مَّغفِرَةٌ وَرِزقٌ كَريمٌ
Untuk mereka, ampunan dan rezeki (nikmat) yang mulia.
Merekalah yang akan mendapat pengampunan daripada Allah ﷻ. Kita amat memerlukan pengampunan dosa daripada Allah ﷻ kerana kalau kita mukmin sekali pun, tidaklah kita terlepas daripada melakukan dosa. Jika kita berdosa, kita amat-amat memerlukan pengampunan daripada Allah ﷻ supaya tidak dimasukkan ke dalam neraka untuk mencuci dosa-dosa kita.
Allah ﷻ juga menjanjikan rezeki yang baik untuk orang Mukmin itu, iaitu rezeki yang berlimpah, yakni rezeki yang baik, mulia, dan terus-menerus selama-lamanya, tidak pernah terputus dan tidak pernah habis serta tidak pernah membosankan kerana kebaikan dan keanekaragamannya. Itulah balasan yang mereka akan dapat di syurga kelak.
Oleh itu kalimat رِزقٌ كَريمٌ tafsirnya adalah syurga kerana di situlah akan mendapat rezeki yang mulia. Di situlah nanti orang mukmin akan dimuliakan. Begitulah yang telah diterima oleh Habib an Najar di dalam [Yaasin: 26-27]
قيلَ ادخُلِ الجَنَّةَ ۖ قالَ يٰلَيتَ قَومى يَعلَمونَ
Dikatakan (kepadanya): “Masuklah ke syurga”. Dia berkata: “Alangkah baiknya sekiranya kaumku mengetahui.
بِما غَفَرَ لي رَبّي وَجَعَلَني مِنَ المُكرَمينَ
Apa yang menyebabkan Tuhanku memberi ampun kepadaku dan menjadikan aku termasuk orang-orang yang dimuliakan”.
Habib telah dimuliakan di dalam syurga. Bagi orang mulia disediakan segalanya bagi mereka. Di dunia ini sudah begitu, tambahan pula di syurga nanti. Nikmat yang diberikan kepada mereka amatlah banyak. Teringat sahaja, sudah disediakan bagi mereka. Maka inilah yang kita kena harapkan seperti disebut di dalam Baqarah:218
إِنَّ الَّذينَ ءآمَنوا وَالَّذينَ هاجَروا وَجٰهَدوا في سَبيلِ اللَّهِ أُولٰئِكَ يَرجونَ رَحمَتَ اللَّهِ ۚ وَاللَّهُ غَفورٌ رَّحيمٌ
Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan ugama Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Di dunia lagi mereka telah mendapat balasan yang baik. Lihatlah sekarang ini kita sedang belajar tentang mereka dan nama mereka disebut-sebut hingga akhir zaman.
Di dalam ayat 72 sebelum ini memberitahu yang orang mukmin hendaklah berkasih sayang sesama sendiri dan di dalam ayat 74 ini Allah ﷻ memberitahu balasan yang disediakan kepada mereka jikalau mereka berbuat begitu.
Anfal Ayat 75:
وَالَّذينَ ءآمَنوا مِن بَعدُ وَهاجَروا وَجٰهَدوا مَعَكُم فَأُولٰئِكَ مِنكُم ۚ وَأُولُو الأَرحامِ بَعضُهُم أَولىٰ بِبَعضٍ في كِتٰبِ اللَّهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ بِكُلِّ شَيءٍ عَليمٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And those who believed after [the initial emigration] and emigrated and fought with you – they are of you. But those of [blood] relationship are more entitled [to inheritance] in the decree of Allāh.¹ Indeed, Allāh is Knowing of all things.
- This applies to Muslim relatives only. Others may be given by bequest. See 4:11.
(MALAY)
Dan orang-orang yang beriman sesudah itu kemudian berhijrah serta berjihad bersamamu maka orang-orang itu termasuk golonganmu (juga). Orang-orang yang mempunyai hubungan kerabat itu sebahagiannya lebih berhak terhadap sesamanya (daripada yang bukan kerabat) di dalam kitab Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.
وَالَّذينَ ءآمَنوا مِن بَعدُ
Dan orang-orang yang beriman sesudah itu
Iaitu orang-orang yang datang selepas puak Muhajirin dan Ansar ketika zaman Nabi ﷺ itu. Bukanlah mereka yang hidup pada zaman Nabi ﷺ sahaja yang dikira sebagai mukmin. Orang-orang selepas mereka juga mendapat peluang yang sama. Ini adalah kerana mereka juga sanggup beriman dan menjalankan sifat-sifat orang Mukmin yang disebut dalam surah ini.
وَهاجَروا
dan berhijrah
Ini adalah orang-orang yang berhijrah semasa zaman Nabi ﷺ hijrah dulu (dari Mekah ke Madinah). Juga bagi mereka yang berhijrah setelah telah berlalu hukum wajib hijrah ke Madinah. Hijrah dari Mekah ke Madinah tidak ada lagi selepas Pembukaan Mekah. Akan tetapi masih ada lagi hijrah daripada keburukan kepada kebaikan.
Termasuk dalam perkara ini adalah meninggalkan negara yang menindas umat Islam. Tidak perlu lagi duduk di negara sebegitu kerana akan menyusahkan diri untuk beramal dengan agama Islam dengan sempurna.
وَجٰهَدوا مَعَكُم
serta berjihad bersamamu
Ini adalah orang-orang yang berjihad. Kita kena ingat yang kewajipan jihad masih ada lagi. Jihad itu bukan hanya terpakai ketika zaman Nabi ﷺ dan sahabat sahaja.
Untuk zaman sekarang, jihad qital nampaknya tidak ada buat masa ini kerana perjanjian antara negara yang telah lama diadakan. Namun begitu jangan lupa masih ada lagi jihad bila perlu. Sebagai contoh, sekiranya negara umat Islam diserang. Maka hukum jihad perang ini adalah tergantung sahaja, tidak dimansukhkan.
Jika tidak ada jihad perang pun, masih ada lagi jihad lisan di mana kita semua diwajibkan untuk menyampaikan agama kepada manusia. Inilah yang kita kena tumpukan perhatian kita.
فَأُولٰئِكَ مِنكُم
maka orang-orang itu termasuk golonganmu
Orang-orang yang seperti itu, mereka pun dikira dalam kalangan orang mukmin juga dari segi darjat. Mereka akan duduk bersama-sama dengan Muhajirin dan Ansar di akhirat kelak. Cuma tidaklah sama darjat mereka ini dengan golongan muhajirin dan mujahidin ketika zaman Nabi ﷺ.
وَأُولُو الأَرحامِ بَعضُهُم أَولىٰ بِبَعضٍ في كِتٰبِ اللَّهِ
Orang-orang yang mempunyai hubungan kerabat itu sebahagiannya lebih berhak terhadap sesamanya di dalam kitab Allah.
Walaupun Nabi Muhammad ﷺ telah mempersaudarakan antara puak Ansar dan Muhajirin, tetapi hubungan kekeluargaan darah itu lebih kuat lagi. Ini untuk mengingatkan mereka supaya jangan terlebih dalam bersaudara. Maksudnya mereka tidaklah sampai boleh memusakai harta satu sama lain. Untuk setakat wasiat boleh lagi. Allah ﷻ kena beritahu para sahabat kerana mereka memang sanggup untuk buat sampai begitu. Maka Allah ﷻ kena hentikan mereka.
Kaum kerabat yang terdekat merupakan pihak yang lebih hampir dengan seseorang dan berhak mendapat harta pusaka. Dalam Al-Qur’an (Kitab Allah ﷻ) sudah disebut tentang perkara ini iaitu di dalam Surah Nisa’ berkenaan harta pusaka. Puak Ansar memang membantu atas dasar keagamaan tetapi bukan atas dasar keluarga yang sebenar. Dulu golongan Muhajirin dan Ansar boleh mempusakai harta daripada masing-masing seperti yang telah disebut sebelum ini. Akan tetapi dengan ayat ini ia telah memansukhkan hukum itu.
Maka berakhirlah tafsir surah ini. Surah Anfal ini bermula dengan puak Muslim bertelagah sesama sendiri tentang pembahagian harta rampasan perang dan diakhiri dengan persaudaraan sesama Muslim. Memang hebat sekali bagaimana Allah ﷻ susun ayat-ayat dalam Al-Qur’an.
إِنَّ اللَّهَ بِكُلِّ شَيءٍ عَليمٌ
Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.
Tentunya Allah ﷻ mengetahui semua sekali yang berlaku. Maka ketentuan daripada syariat Allah ﷻ ini adalah di atas ilmu Allah ﷻ yang amat luas.
Allahu a’lam. Sambung kepada Surah yang seterusnya, Surah Tawbah.
Kemaskini: 17 Februari 2023
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan