Tafsir Surah al-Fajr Ayat 6 – 14 (Jangan perasan hebat)

Fajr Ayat 6: Ayat 6 – 14 adalah Perenggan Makro Kedua surah ini. Ia mengandungi dalil sejarah kaum yang telah diberi balasan buruk: Aad, Tsamud dan Firaun.

Dalam Surah Al-Ghasyiyah sebelum ini, Allah ﷻ telah memberi ancaman kepada manusia yang degil dengan apa yang mereka akan dapat di neraka kelak kalau mereka masih menentang tauhid.

Tetapi ramai lagi yang masih tidak mahu mengubah diri mereka. Ini adalah kerana perkara yang diancam kepada mereka itu hanya akan berlaku di neraka kelak (azab api, minuman air panas, buah berduri dan sebagainya), jadi mereka tidak nampak lagi.

Maka, kalau begitu, Allah ﷻ mengajak marilah tengok apa yang kamu sendiri boleh tengok di dunia ini lagi. Lihatlah apa yang terjadi kepada kaum-kaum terdahulu yang menentang Rasul mereka. Kamu boleh nampak bukan peninggalan-peninggalan mereka?

أَلَم تَرَ كَيفَ فَعَلَ رَبُّكَ بِعادٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Have you not considered how your Lord dealt with ‘Aad –

(MALAY)

Apakah kamu tidak memperhatikan bagaimana Tuhanmu berbuat terhadap kaum ‘Aad?

 

Tidakkah kau melihat bagaimana Allah ﷻ telah melakukan terhadap kaum Aad? Walaupun Allah ﷻ khitab ayat kepada Nabi ﷺ, tetapi semasa Nabi ﷺ membaca, siapa yang mendengar? Tentulah semua orang termasuk Musyrikin Mekah itu.

Kalimah تَرَ digunakan yang diambil dari katadasar ر أ ي (rukya). Kalimah ini lain dengan kalimah نظر yang bermaksud lihat betul-betul dengan mata. Akan tetapi apabila digunakan rukya, ia tidak semestinya dengan mata kepala sahaja, tetapi melihat dengan fikiran sekali.

Sebab itu kadang-kadang kalau orang beritahu sesuatu perkara kepada kita, bila kita faham, kita kata: “baik, aku ‘nampak’ dah apa kau cakap”. Padahal, tidak nampak apa pun dengan mata, tetapi dengan akal. Oleh itu maksud rukya adalah faham. Ianya adalah perbuatan hati, bukan perbuatan fizikal.

Kaum Aad ini adalah kaum yang tak jauh lamanya dari Nabi Nuh عليه السلام. Mereka adalah kaum ‘Ad pertama, iaitu keturunan dari ‘Ad ibnu Iram ibnu ‘ Aus ibnu Sam ibnu Nuh عليه السلام. Nabi yang dihantar kepada mereka adalah Nabi Hud عليه السلام. Aad itu adalah kaum yang kuat tubuh badan mereka sampai orang lain tidak berani hendak lawan mereka. Maka mereka telah melawan hukum Allah ﷻ kerana mereka berlagak sangat.

Tetapi Allah ﷻ akhirnya telah menghancurkan mereka. Kerana mereka tidak menerima dakwah daripada Nabi Hud عليه السلام, maka Allah ﷻ telah memusnahkan mereka. Telah datang angin yang kuat kepada mereka yang kuatnya sampai mengangkat mereka ke udara dan menjatuhkan mereka ke tanah sampai leper.

Dan kaum Quraish Mekah memang dapat melihat peninggalan kaum Aad ini kerana mereka ada melalui kawasan peninggalan mereka dalam safar mereka. Walaupun mereka kuat, senang sahaja bagi Allah ﷻ untuk menghancurkan mereka.

Maka Allah ﷻ suruh puak Musyrikin Mekah itu berfikir tentang perkara itu. Allah ﷻ hendak mengingatkan kepada kaum Quraisy bahawa Allah ﷻ boleh memusnahkan mereka juga seperti Allah ﷻ telah musnahkan Kaum Aad itu. Janganlah mereka menyangka bahawa mereka itu gagah dan dapat melawan Allah ﷻ dan rasulNya. Mereka itu tidak sekuat Kaum Aad pun.

Allah ﷻ juga beritahu kepada Nabi ﷺ, jangan takut dengan kekuatan Quraisy itu. Allah ﷻ menguasai mereka dan kalau Allah ﷻ mahu, senang sahaja Allah ﷻ hendak musnahkan mereka.

Ayat ini juga pengajaran bagi kita: jangan rasa hebat sangat sampai rasa boleh menentang ajaran Rasulullah ﷺ. Mudah sahaja bagi Allah ﷻ untuk memusnahkan kita. Kalau tidak dimusnahkan di dunia ini, pasti akan diazab di akhirat kelak. Jadi jangan sangka ayat-ayat ini untuk Musyrikin Mekah sahaja.

Kita telah banyak membaca tentang Kaum Aad dalam Al-Qur’an, dan surah ini adalah kali terakhir akan disebut tentang kaum Aad. Jadi Allah ﷻ hendak beri peringatan terakhir tentang mereka.


 

Fajr Ayat 7: Keturunan awal Aad adalah Iram. Ini adalah athaf bayan untuk menambah keterangan tentang Kaum Aad itu.

إِرَمَ ذاتِ العِمادِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[With] Iram¹ – who had lofty pillars,²

  • Another name for the first people of ‘Aad, to whom Prophet Hūd was sent.
  • Supporting their tents or buildings.

(MALAY)

(iaitu) penduduk Iram yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi,

 

Ada pendapat yang kata Iram adalah keturunan awal kepada kaum Aad dan Tsamud. Ada yang kata Iram itu nama orang yang mula-mula sekali dari bangsa mereka yang telah membina tamadun mereka. Tetapi tiada kepastian tentang perkara ini kerana ianya adalah kisah lama, jadi macam-macam pendapat yang dikeluarkan.

Mufassirin juga ada mengatakan yang Iram adalah nama tempat di mana kaum Aad ini tinggal. Mereka adalah amat besar sekali tubuh badannya. Setinggi 70-80 kaki tingginya. Mereka amat gagah sampai boleh menebuk dan menjadikan gunung-gunung sebagai rumah tempat tinggal mereka. Jadi apabila mereka gagah dan kuat, mereka telah menjadi sombong. Begitulah manusia, apabila gagah, mereka akan sombong.

Penduduk Iram mempunyai bangunan yang tinggi tiangnya. Mereka boleh buat kerana mereka ada kekuatan dan kepandaian untuk buat tiang yang besar-besar. Hal ini disebutkan oleh Allah ﷻ dalam ayat yang lain melalui firman-Nya:

{وَاذْكُرُوا إِذْ جَعَلَكُمْ خُلَفَاءَ مِنْ بَعْدِ قَوْمِ نُوحٍ وَزَادَكُمْ فِي الْخَلْقِ بَسْطَةً فَاذْكُرُوا آلاءَ اللَّهِ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ } 

Dan ingatlah oleh kamu sekalian di waktu Allah menjadikan kamu sebagai pengganti-pengganti (yang berkuasa) sesudah lenyapnya kaum Nuh, dan Tuhan telah melebihkan kekuatan tubuh dan perawakanmu (daripada kaum Nuh itu). Maka ingatlah nikmat-nikmat Allah supaya kamu mendapat keberuntungan. (Al-A’raf: 69)

Mereka ini memang hebat dari segi fizikal. Ini adalah satu lagi bangsa yang diketahui oleh Quraisy. Bangsa lain tidak dapat kelebihan boleh melihat bagaimana kaum lain telah dimusnahkan oleh Allah ﷻ. Kaum lain, apabila mereka diingatkan dengan Nabi mereka, kaumnya kata mereka tidak pernah nampak kemusnahan yang dikenakan kepada kaum sebelum mereka.

Tetapi bangsa Arab ini, apabila Nabi Muhammad ﷺ mengancam mereka, mereka memang boleh lihat kesan apa yang terjadi kepada kaum sebelum mereka. Kerana mereka boleh lihat peninggalan kaum-kaum itu. Ini sepatutnya menguatkan mereka untuk menerima Islam dan takut dengan ancaman yang Allah ﷻ berikan kepada mereka kerana memang boleh nampak.

Dan mereka memang kenal Iram kerana ada puisi tentang Iram dalam puisi lama bangsa Arab. Mereka ini adalah satu lagi bangsa yang kuat yang mempunyai kehidupan yang hebat tetapi mereka juga telah melawan Nabi mereka dan Allah ﷻ telah memusnahkan mereka.


 

Fajr Ayat 8: Hebat sekali apa yang mereka ada.

الَّتي لَم يُخلَق مِثلُها فِي البِلٰدِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

The likes of whom had never been created in the land?

(MALAY)

yang belum pernah dibangunkan (suatu kota) seperti itu, di negeri-negeri lain,

 

Tamadun yang mereka ada itu belum pernah diciptakan sepertinya di seluruh negeri di zaman itu. Sebelum itu tidak pernah ada lagi kekuatan, tamadun seperti yang ada pada mereka. Maknanya, mereka itu hebat sampai ke satu tahap yang tidak pernah dicapai oleh golongan sebelum mereka. Akan tetapi mereka dihancurkan juga.

Kalimah البِلادِ bermaksud negeri yang mempunyai sempadan yang memang adalah satu negeri yang rakyatnya akan mempertahankan negeri itu kalau diserang. Ini lain kalau dibandingkan dengan kalimah ‘madinah’ yang tidak ada sempadan yang jelas. Kalimah مصر pula adalah pekan yang ada pagar/parit di sekelilingnya.


 

Fajr Ayat 9: Kemudian disebut kaum yang selepas Aad, iaitu Tsamud.

وَثَمودَ الَّذينَ جابُوا الصَّخرَ بِالوادِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [with] Thamūd, who carved out the rocks in the valley?

(MALAY)

dan kaum Tsamud yang memotong batu-batu besar di lembah,

 

Dan kaum Thamud yang memahat الصَّخرَ yang bermaksud batu-batu besar di lembah. Ianya adalah batu besar, bukan batu biasa sahaja (حجر).

Kaum Thamud adalah kaum Nabi Salih عليه السلام yang terkenal kisah unta betinanya. Kaum ini juga sangat kuat dan hebat sampaikan mereka boleh memahat batu-batu untuk dijadikan tempat tinggal mereka. Bukan setakat buat tanda pahat pada batu itu sahaja tetapi mereka جابُوا yang mereka boleh drill dan jadikan satu bentuk binaan yang besar.

Maknanya mereka itu memang hebat. Mereka itu boleh dikatakan sebagai ‘pakar batu’. Memang hebatlah sebab waktu itu bukan ada alat elektrik kan? Tentu tidak ada, jadi bagaimana mereka lakukan? Mereka buat dengan kederat kekuatan mereka kerana mereka itu orang yang kuat-kuat.

Kalimah الوادِ pula adalah tempat yang mempunyai takungan air (kita panggil wadi). Bila ada air, maka mereka adalah kaum yang mewah kerana kalau tinggal dekat dengan sumber air, itu menandakan mereka itu kaum yang mewah kerana tanaman dapat hidup subur.

Mereka sangat kurang ajar dengan Allah ﷻ dan Nabi Saleh عليه السلام sampai mereka mencabar baginda untuk mengeluarkan unta daripada batu.  Maka dengan izin Allah ﷻ, seekor unta betina telah dikeluarkan daripada batu seperti yang mereka sendiri minta. Dan selepas unta dikeluarkan, maka telah ada perjanjian Nabi Saleh عليه السلام dengan penduduk itu.

Iaitu mereka akan berkongsi telaga mata air dengan unta itu. Selang-selang menggunakan air itu, satu hari untuk kaum itu, dan satu hari lagi untuk unta dan mereka tidak boleh kacau kalau itu adalah hari unta itu meminum air itu kerana unta itu besar dan dia akan minum dengan banyak. Tetapi pada suatu hari, orang-orang kaya hendak makan di kedai makan, tetapi air tidak ada kerana itu adalah hari unta itu. Dipendekkan cerita, mereka suruh juga ambil air dan mereka telah membunuh unta itu kerana marah dengan unta itu.


 

Fajr Ayat 10: Selepas disebut tentang Aad dan Tsamud, sekarang adalah kisah kemuncak iaitu kisah tentang Firaun.

وَفِرعَونَ ذِي الأَوتادِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [with] Pharaoh, owner of the stakes?¹ –

  • By which he tortured people.

(MALAY)

dan kaum Fir’aun yang mempunyai pasak-pasak (tentera yang banyak),

 

Dalam ayat ini disebut Firaun yang mempunyai pasak-pasak. Apakah yang dimaksudkan dengan pasak ini? Ada tiga pendapat yang kita akan sebut tentang maksud الأَوتادِ ini.

Pertama, ia adalah pasak kepada khemah. Iaitu tentang tentera yang berhenti di sesuatu kawasan dan mereka akan mendirikan khemah dengan banyak sekali. Kalau tengok dari jauh, maka akan nampak banyak sekali tentera, dan tentera Firaun memang banyak sekali. Akan nampaklah kekuatan tentera itu dari jauh.

Dan bahagian khemah yang penting sekali adalah pasak itu. Jadi ‘pasak’ dikatakan sebagai isyarat kepada pasak pada khemah itu dan isyarat kepada kekuatan tentera yang ramai.

Kedua, ia merujuk kepada cara Firaun menyeksa salah satunya adalah dengan memasak mereka yang dihukum pada pokok seperti yang disebut dalam Taha:71 وَلَأُصَلِّبَنَّكُمْ فِي جُذُوعِ النَّخْلِ. Firaun memang seorang yang ganas dan paling teruk dalam menyeksa orang ramai.

Ketiga, ia merujuk kepada binaan mereka yang hebat yang boleh dilihat dalam gambar hieroglyphs. Dalam gambar-gambar itu, ada ditunjukkan bangunan-bangunan yang dibina oleh orang Mesir itu di bawah pemerintahan Firaun.

Sebelum ini telah disebut tentang kaum Aad, Tsamud dan sekarang ini Firaun, ketiga-tiga kriteria tentang ketiga-tiga golongan ini adalah binaan. Mereka mempunyai binaan yang besar dan hebat. Dan perkara ini disebut dan diingatkan kepada Musyrikin Mekah kerana mereka itu sendiri bukan pembina.

Orang Mekah tidak ada bangunan besar, tetapi duduk dalam khemah sahaja dan rumah mereka pun dari tanah liat sahaja. Maknanya dhaif sangat tamadun mereka itu kalau dibandingkan dengan tiga kaum yang telah disebut tadi. Allah ﷻ hendak ingatkan mereka itu yang mereka itu lagi rendah kedudukan dari kaum sebelum mereka. Tengoklah diri kamu wahai orang Arab dan janganlah berlagak sangat. Yang lagi hebat dari kamu pun sudah pernah Allah ﷻ musnahkan.


 

Fajr Ayat 11: Allah ﷻ  jawab kenapa Allah ﷻ musnahkan mereka.

الَّذينَ طَغَوا فِي البِلٰدِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[All of] whom oppressed within the lands

(MALAY)

yang berbuat sewenang-wenang dalam negeri,

 

Mereka melakukan tughyan (melampaui batas) di bumi Allah ﷻ. Ada yang melampau batas sahaja, tetapi yang lebih teruk adalah mereka yang sengaja hendak melawan. Iaitu mereka melawan Allah ﷻ dan rasul mereka. Mentang-mentanglah rasul mereka tidak ada tentera, maka mereka buat perkara tidak senonoh terhadap rasul dan Allah ﷻ. Ini menunjukkan yang mereka itu amat sombong dan bongkak sekali.

Akan tetapi Allah ﷻ kata mereka melampau dan memberontak di negara mereka. Ini adalah kerana kesan buruk itu nampak pada tanah itu. Ini kerana hukum Allah ﷻ adalah untuk kebaikan mereka sendiri, dan kalau tidak ikut, negaralah yang kacau bilau. Kesan buruk adalah kepada diri mereka sendiri.

Allah ﷻ tidak ada terkesan apa apa pun. Dan rasul mereka pun tidak terkesan. Jadi, kita kena sedar yang undang-undang dan hukum dari Allah ﷻ adalah untuk kebaikan manusia. Ianya baik kepada orang Islam dan orang bukan Islam pun. Kerana banyak perkara yang baik untuk semua, seperti arahan jangan menipu dalam perniagaan, jangan berlaku zalim, jangan menipu, mencuri dan sebagainya. Itu semua baik untuk negara. Dan kalau tidak ikut undang-undang hudud yang Allah ﷻ berikan untuk mengawal manusia, memang tunggu sahaja kerosakan yang akan melanda.


 

Fajr Ayat 12: Ini pula adalah kesan dari perbuatan mereka itu.

فَأَكثَروا فيهَا الفَسادَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And increased therein the corruption.

(MALAY)

lalu mereka berbuat banyak kerosakan dalam negeri itu,

 

Oleh itu kerana perangai pemimpin mereka yang teruk, maka banyaklah kerosakan di dalam negara dan masyarakat mereka. Amat banyak kerosakan dalam negara walaupun prasarana negara sudah maju dan tamadun sudah gemilang. Kalau negara hebat, tetapi apa gunanya kalau masyarakat rosak? Apabila melampaui batas, maka kesannya adalah begitu.

Kerosakan itu bukan hanya masa itu sahaja, tetapi sekarang pun begitu juga. Kita boleh lihat bagaimana negara cantik dengan bangunan yang besar dan indah, taman-taman yang cantik, kemudahan kemanusiaan yang merata-rata. Akan tetapi dalam masyarakat ada rasis, gelandangan merempat di sana-sini, kezaliman merata-rata, pencurian dan aktiviti rompak merata-rata.

Maknanya keadaan tidak aman langsung. Sampaikan ada tempat yang orang tidak berani hendak masuk kerana masyarakat itu teruk sangat. Orang panggil itu ‘tempat hitam’ kerana kalau pergi ke sana, berkemungkinan besar akan kena rompak.


 

Fajr Ayat 13: Maka apa yang Allah ﷻ lakukan terhadap mereka? Allah ﷻ hancurkan mereka.

فَصَبَّ عَلَيهِم رَبُّكَ سَوطَ عَذابٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So your Lord poured upon them a scourge of punishment.

(MALAY)

kerana itu Tuhanmu menimpakan kepada mereka cemeti azab,

 

Maka Allah ﷻ mencurahkan atas mereka satu pukulan azab yang amat hebat. صَبَّ dari segi bahasa bermaksud curahan air yang banyak, dan dituang sekali tuang sahaja. Ada satu lagi kalimah untuk ‘tuang’, iaitu فرغ, tetapi ini lain dengan صَبَّ. صَبَّ adalah curahan air yang banyak dan dituang sekali harung, sedangkan فرغ maksudnya tuang sedikit demi sedikit.

Kalimah صَبَّ ini amat sesuai sekali kalau menerangkan apa yang terjadi kepada Firaun kerana dia dan tenteranya telah dikenakan dengan pukulan air laut yang melemaskan mereka. Mereka waktu itu sedang bergerak di antara belahan lautan yang tinggi di sebelah kiri dan kanan, dan kemudian apabila Allah ﷻ sambungkan balik laut itu, air itu menghempap mereka dan mematikan mereka dan akhirnya melemaskan mereka.

Kemudian kalimah سَوطَ pula bermaksud satu pukulan cemeti kulit yang amat kuat. Kalau digunakan kalimah جلد yang bermaksud pukul juga, tetapi pukulan banyak kali. Kalau pukulan banyak kali, kurang sedikit sakitnya. Tetapi kalau dipukul sekali dengan kuat, itu adalah pukulan yang amat menyeksakan.

Allah ﷻ kata Dia beri pukulan sekali harung sahaja kerana ada kalimah صَبَّ tadi dan sekarang digunakan pula kalimah سَوطَ. Pukulan cemeti digunakan sebagai isyarat dalam ayat ini kerana dikatakan ia adalah seksaan yang paling sakit kerana ia sakit pada kulit. Ia tidak menyebabkan luka dalaman, tetapi sakit pada kulit. Dan kulitlah tempat rasa sakit yang kuat sekali kerana deria rasa itu di kulit. Kulit tidak rosak, tetapi sakit yang amat sangat.

Begitulah perumpamaan azab yang Allah ﷻ berikan sebagai peringatan kepada orang Mekah yang menentang Nabi ﷺ. Allah ﷻ ingatkan mereka bagaimana Dia telah memusnahkan kaum yang menentang RasulNya. Allah ﷻ bantu RasulNya dan balas perbuatan salah mereka terhadap rasul mereka dengan beri azab kepada mereka. Kepada kamu, wahai Musyrikin Mekah, Tuhan kamu pun boleh buat begitu juga.

Memang mereka kena sekali pukul sahaja di dunia, sampai menghancurkan mereka, tetapi ingat, bahawa mereka akan kena lagi di akhirat kelak. Azab mereka bukan di dunia sahaja.


 

Fajr Ayat 14: Allah ﷻ telah sebut tentang azab yang dikenakan kepada umat terdahulu. Bagaimana pula tentang Musyrikin Mekah? Allah ﷻ beritahu yang mereka sedang diawasi. Maka mereka kena berhati-hati.

إِنَّ رَبَّكَ لَبِالمِرصادِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, your Lord is in observation.

(MALAY)

sesungguhnya Tuhanmu benar-benar mengawasi.

 

Sesungguhnya Tuhanmu tetap mengawasi melihat apa yang mereka sedang lakukan. مِرصادِ maksudnya menunggu untuk menyerang seseorang. Allah ﷻ sedang memberi ancaman dengan memberitahu yang Dia sedang mengawasi apa yang mereka lakukan dan sudah sedia hendak serang mereka.

Dan Allah ﷻ boleh serang mereka bila-bila sahaja. Ayat ini sepatutnya menakutkan mereka yang melakukan pelampauan batas kepada Allah ﷻ dan kepada RasulNya. Ini adalah amaran berat dari Allah ﷻ.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 2 Oktober 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah al-Ghasyiyah Ayat 17 – 26 (Lihat kepada unta)

Ayat 17: Ayat 17 – 20 adalah Perenggan Makro Ketiga. Ia mengandungi Dalil Afaqi tentang kebenaran Hari Akhirat.

Kalau sebelum ini telah disebut yang ada dari golongan Musyrikin Mekah itu mengejek kata unta-unta mereka boleh makan tumbuhan berduri itu bukan? Mereka kata kalau unta boleh makan, maka mereka pun bolehlah makan makanan dalam neraka itu kalau mereka dimasukkan. Jadi sekarang Allah ﷻ sebut tentang unta pula.

أَفَلا يَنظُرونَ إِلَى الإِبِلِ كَيفَ خُلِقَت

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then do they not look at the camels – how they are created?

(MALAY)

Maka apakah mereka tidak memperhatikan unta bagaimana ia diciptakan,

 

Apakah mereka tidak يَنظُرونَ (merenung dengan teliti) bagaimana unta telah dijadikan? الإِبِلِ adalah kalimah yang selalu digunakan untuk unta. Orang kerana unta itu satu benda yang biasa di tanah Arab, maka mereka ada banyak kalimah untuk unta, tetapi الإِبِلِ adalah yang paling biasa.

Allah ﷻ suruh kita tengoklah bagaimana amat berguna sekali unta itu. Unta itu amat sesuai untuk digunakan di padang pasir. Unta kurang minum air dan makanan dan memang patut sebab di padang pasir tidak ada makanan dan air. Unta boleh simpan makanan sendiri di pundaknya dan kerana itu unta boleh bergerak lama di padang pasir tanpa makanan.

Selain dari itu, unta juga boleh beri susu kepada pemiliknya dan susunya menjadi sumber minuman. Sudahlah unta tidak banyak makan dan minum, boleh pula lagi beri minuman kepada tuannya.

Berkenderaan dengan unta juga selesa di atasnya kerana ia tinggi dan jauh dari percikan pasir dari bawah. Ia tegap berjalan di padang pasir kerana tapak kakinya besar dan sesuai berjalan di padang pasir. Daging unta juga boleh dimakan dan bulunya juga dapat dimanfaatkan.

Begitulah kelebihan unta dan macam-macam lagi kelebihan unta itu. Allah ﷻ jadikan unta amat sesuai untuk hidup dan berkhidmat kepada manusia yang hidup di padang pasir. Di tempat yang ada banyak padang pasir, Allah ﷻ letak binatang seperti unta untuk berkhidmat di sana. Memang berguna sungguh unta itu, tidaklah macam Musyrikin Mekah itu.

Sebelum ini telah disebut ada orang kafir mengatakan bahawa kalau unta pun boleh makan daun-daun pokok dan buah berduri untuk hidup, maka mereka pun boleh juga hidup dalam neraka macam itu. Allah ﷻ hendak beritahu, mereka tidak sama dengan unta-unta itu. Tubuh unta itu bolehlah hendak makan benda-benda pelik, tetapi perut manusia bukan boleh begitu. Jangan perasan hendak jadi unta pula.

Selain itu, Allah ﷻ memberi perbandingan bagaimana unta yang besar itu pun mengikut kata tuannya. Unta lagi kuat dari manusia pun tetapi kita boleh duduk di atasnya dan ikut arahan. Arahan pula berat – berjalan di padang pasir yang panas dan susah. Tidak macam orang kafir yang degil untuk ikut arahan Allah ﷻ.

Unta adalah binatang yang taat sampaikan budak pun boleh kawal unta itu. Dan kalau hendak naik atas unta pun senang kerana unta akan turun ke bawah tidak macam kuda yang tegak sahaja berdiri dan kita yang susah untuk naik kuda. Itulah perangai yang perlu diikuti oleh seorang mukmin – mendengar dan mengikut kata Tuannya (Allah ﷻ). Allah ﷻ tunjukkan kepada kita bagaimana hendak menjadi hamba yang baik dengan cara melihat unta itu.

Begitu juga, unta itu bersifat sederhana tetapi boleh ikut ke mana tuan dia arah. Unta itu tenang-tenang sahaja – tidaklah laju susah hendak kawal macam kuda, tidaklah perlahan sangat macam kura-kura, tidaklah bising macam keldai. Memang sesuai betul unta itu. Maka begitulah juga manusia, kena sederhanalah dalam dunia. Jangan berfikir hendak hidup mewah sahaja.


 

Ayat 18: Seorang manusia kena berfikir perkara-perkara yang tinggi, tidak fikir tentang dunia sahaja. Jangan fikir setakat mati sahaja, tetapi kena fikir macam mana hendak buat semasa dalam dunia sehingga boleh duduk senang dalam syurga, di kedudukan syurga yang paling tinggi sekali iaitu Jannatul Firdaus dan dapat jumpa Allah ﷻ. Oleh itu, Allah ﷻ suruh kita lihat kepada langit yang tinggi.

وَإِلَى السَّماءِ كَيفَ رُفِعَت

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And at the sky – how it is raised?

(MALAY)

Dan langit, bagaimana ia ditinggikan?

 

Ayat sebelum ini Allah ﷻ suruh renung-renungkan kepada unta dan sekarang disuruh renung kepada langit pula: tidakkah mereka melihat langit dan bagaimana ianya telah ditinggikan? Ada banyak pengajaran dari langit.

Sudah banyak ayat tentang langit dalam surah-surah sebelum ini dan sekali lagi disebut dalam surah ini. Semasa atas unta itu, dalam perjalanan yang jauh di padang pasir, maka tengoklah langit itu dan fikirkan bagaimana ia akan hancur nanti apabila sampai masa kiamat.

Ingatlah: langit yang besar dan indah itu juga akan hancur, kita juga akan hancur satu hari nanti. Lalu apakah persediaan kita kepada hari yang pasti datang itu? Takkan hendak fikirkan tentang kehidupan dunia sahaja? Kita dan dunia tidak kekal. Tetapi dunia dan langit tidak ada tanggungjawab syari’at dan tidak kena soal di akhirat kelak; tetapi kita yang akan kena soal. Macam mana hendak jawab nanti?


 

Ayat 19: Selepas disuruh tengok langit, kita disuruh pula untuk tengok gunung.

وَإِلَى الجِبالِ كَيفَ نُصِبَت

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And at the mountains – how they are erected?

(MALAY)

Dan gunung-gunung bagaimana ia ditegakkan?

 

Orang Arab yang paling awal menerima wahyu Al-Qur’an ini, mereka hidup di kawasan pergunungan. Jadi mereka amat rapat dengan gunung ganang dan mereka memang terpesona dengan kebesaran gunung ganang itu. Kerana itu Allah ﷻ suruh mereka merenung gunung ganang dan lihat bagaimana gunung ganang itu ditegakkan. Tidakkah gunung ganang itu nampak kukuh? Siapakah yang menjadikannya begitu? Tentulah Allah ﷻ.

Gunung ganang itu sekarang mungkin mereka tegak kukuh tetapi pada hari kiamat, ia akan bergoyang teruk dan kemudian hancur. Jadi kalimah نُصِبَ digunakan untuk keadaan sekarang (tegak) dan akan sampai satu masa nanti yang ia akan bergoyang.

Allah ﷻ juga suruh kita fikir-fikirkan sifat gunung ganang itu. Sifat gunung itu juga teguh dan tetap istiqamah. Maka ini juga sebagai isyarat kepada manusia untuk istiqamah dalam akidah dan amalan yang benar. Jangan goyang-goyang dan senang ditiup angin ke sana dan ke sini. Bila sudah pegang ajaran Tauhid dan ajaran Sunnah, kena terus tetap teguh. Tidak kisah orang kata apa, teruskan sahaja.


 

Ayat 20: Selepas tengok gunung, kena tengok bumi pula.

وَإِلَى الأَرضِ كَيفَ سُطِحَت

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And at the earth – how it is spread out?

(MALAY)

Dan bumi bagaimana ia dihamparkan?

 

Dan lihatlah bumi bagaimana ia dihamparkan? Apabila dihamparkan seolah-olah permaidani buat kita, maka senanglah kita untuk hidup di atas bumi ini, untuk bergerak di dalamnya.

Kalimah سطح bermaksud ‘hamparan untuk bumbung’. Kenapa pula bumi ini dikaitkan dengan bumbung? Ini adalah kerana bumi akan menjadi bumbung kita nanti apabila kita mati dan duduk dalam tanah nanti. Sekarang memang bumi ada di bawah kita, tetapi nanti kita akan duduk di bawah pula.

Oleh itu lihatlah penggunaan ayat yang amat tepat sekali. Allah ﷻ hendak mengingatkan kita ke mana kita akan pergi nanti, iaitu akan masuk dalam kubur juga. Maka bersedialah untuk masuk ke dalam kubur nanti. Jadi ayat ini ada peringatan kepada kematian juga.

Dalam ayat ini ada isyarat kepada sifat bumi itu: lihatlah kepada bumi itu, orang pijak pun dia masih tetap rendah diri. Itulah sifat bumi yang merendah diri ini adalah sifat yang kena ada pada manusia. Dalam dunia tidak boleh meninggi diri. Kita hidup bukan untuk menongkat langit.


 

Ayat 21: Ayat 21 – 26 adalah Perenggan Makro Keempat dan terakhir surah ini. Allah ﷻ suruh kita terus beri peringatan dengan menggunakan Al-Qur’an.

Selepas diberitahu tentang segala perkara itu, maka sampailah kepada apa yang perlu dilakukan. Sekarang Allah ﷻ suruh Nabi ﷺ beri peringatan dengan perantaraan wahyu. Ayat ini sebenarnya adalah tasliah kepada Nabi ﷺ kerana Nabi ﷺ diingatkan yang baginda hanya sebagai pemberi peringatan sahaja. Iaitu baginda tidak bertanggungjawab atas iman orang lain. Kalau mereka tidak beriman, ia bukan salah baginda.

فَذَكِّر إِنَّما أَنتَ مُذَكِّرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So remind, [O Muḥammad]; you are only a reminder.

(MALAY)

Maka berilah peringatan, kerana sesungguhnya kamu hanyalah orang yang memberi peringatan.

 

Ayat ini adalah sambungan dari Surah A’la (Ayat 9) فَذَكِّر إِن نَفَعَتِ الذِّكرى. Maka sekarang Nabi Muhammad ﷺ dan kita umat baginda diingatkan untuk berilah peringatan kepada manusia.

Kemudian Allah ﷻ kata yang baginda sesungguhnya hanyalah pemberi peringatan sahaja. Baginda tidak ada kuasa boleh ubah hati manusia untuk ikut apa yang baginda sampaikan dan ajak itu.

Ini adalah ringkasan tugas Nabi ﷺ sebagai pemberi peringatan. Seperti kita telah sebut sebelum ini, Nabi ﷺ itu ada dua perkara utama yang baginda lakukan: sama ada Nabi ﷺ beribadah atau berdakwah sahaja sepanjang hidup baginda sebagai Rasul.

Sekali lagi tidak disebut objek apa yang perlu diingatkan, juga tidak disebut siapa yang perlu diingatkan. Maka yang paling penting kena ingatkan manusia kepada ajaran dalam Al-Qur’an. Dan ia juga adalah isyarat supaya terus beri peringatan sahaja kepada semua orang. Tidak perlu pilih-pilih siapa yang patut kita dakwah. Ingatkan sahaja, sama ada yang diingatkan itu suka atau tidak, mereka hendak buat atau tidak, mereka berubah sekarang atau lambat lagi, ia bukan dalam kuasa kita.

Maka kita diingatkan untuk tetap beri peringatan sahaja. Dan peringatan yang diberikan itu tidak terhad, maka ingatkan mereka tentang agama, tentang tauhid, tentang fitrah mereka yang telah kenal Allah  ﷻ sebelum lahir lagi. Tetapi yang paling penting, kena mulakan dengan ingatkan mereka kepada ajaran Al-Qur’an.

Kadang-kadang kita kena ingatkan kepada orang yang sudah tahu pun. Ini kerana mereka tahu, kita pun tahu, tetapi kadang-kadang kita semua malas, bukan? Macam pelajar, dia tahu dia kena belajar, kena ulangkaji, tetapi dia malas. Oleh kerana bukan dia tidak tahu, tetapi dia malas, maka kenalah ada orang yang nasihat dia, beri semangat kepada dia, tegur dia dan ingatkan dia apa yang dia kena buat.

Maka kita tidak perlu hendak pilih siapa yang kita hendak kena ingatkan. Jangan kata: “eh tak perlulah aku ingatkan dia… dia memang sudah tahu… ” Ini kita tidak perlu hendak kisah sangat. Kalau dia sudah tahu, maka ini adalah peringatan kepada dia. Kita bukannya tahu dia tahu atau tidak, bukan?

Lagi satu, kalau ada orang nasihatkan kita, beri peringatan kepada kita, janganlah berlagak sangat dengan berkata: “ala…. aku tahulah benda ni.. tak payahlah nak ingatkan aku… “. Janganlah berlagak sangat. Allah ﷻ sudah hantar orang ingatkan kamu, sudah cukup baik. Terima sahajalah dan ucapkan terima kasih kerana ingatkan. Entah-entah Allah ﷻ hantar peringatan dari orang lain kerana kita sudah lupa dan lalai.

Ingat peringatan dari unta-unta tadi? Allah ﷻ beri isyarat untuk kita rendahkan diri kita. Kalau ada orang beri peringatan, rendahkan diri, terima nasihat dari dia. Tidak kiralah, dari orang baru belajarkah, dari budakkah, dari anak murid sendirikah… tidak kisah peringatan itu dari siapa. Anggapkan sahaja ia adalah peringatan dari Allah ﷻ.


 

Ayat 22: Nabi ﷺ hanya boleh beri peringatan sahaja, bukan baginda boleh paksa orang lain untuk beriman.

لَستَ عَلَيهِم بِمُصَيطِرٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

You are not over them a controller.

(MALAY)

Kamu bukanlah orang yang berkuasa atas mereka,

 

Dalam surah sebelum ini telah disebut mereka yang boleh menerima adalah mereka yang takut sahaja. A’la: 9 سَيَذَّكَّرُ مَن يَخشىٰ

Kalimah مُصَيطِرٍ adalah seorang yang berkuasa atas seseorang dan boleh kawal apa yang dilakukan oleh seseorang itu. Ia dari katadasar س ط ر (dalam mushaf huruf س ditukar menjadi ص) yang bermaksud menulis, melukis, bersihkan, menguruskan, memerintah, memantau. Ini macam warden dalam penjara yang mengawal banduan dalam jagaannya.

Allah ﷻ beritahu Nabi ﷺ yang baginda bukanlah berkuasa atas mereka seperti seorang diktator yang boleh memaksa mereka beriman. Kenapa baginda tidak boleh berkuasa? Ini kita boleh faham dengan adanya huruf ب pada kalimah بِمُصَيطِرٍ di dalam ayat ini. Huruf ب di dalam بِسَبَبٍ adalah jenis Ba’ Al-Ilsāq (باء الإلصاق). Secara ringkas, Bā’ Al-Ilsāq bermaksud “Ba’ yang menunjukkan perlekatan atau persambungan.” Ilsāq (الإلصاق) secara bahasa bermaksud melekat, melekatkan, menyambungkan, atau menyentuh. Allah menidakkan yang Nabi ada kuasa yang melekat pada diri baginda. Ia bukanlah kepunyaan baginda untuk memaksa sesiapa sahaja. Hanya Allah sahaja yang ada kuasa itu.

Ini adalah satu dalil bahawa tidak ada paksaan dalam Islam. Kita hanya boleh sampaikan sahaja dakwah kepada manusia dan tidak boleh hendak paksa orang lain beriman. Maka kerana itu kita tidak boleh kata agama Islam dikembangkan dengan mata pedang kerana memang Islam bukanlah agama paksaan. Allah ﷻ tidak mahu orang masuk Islam kerana terpaksa.

Ayat ini bukan untuk  merendahkan Nabi ﷺ tetapi sebagai tasliah (pujukan) kepada baginda kerana baginda mahu sangat kalau boleh menarik umatnya kepada Islam, kerana baginda sayang mereka. Tetapi Allah ﷻ kata, baginda memang tidak boleh paksa kerana baginda tidak berkuasa atas mereka. Jadi jangan baginda risaukan pasal mereka, terus buat kerja baginda sebagai pemberi peringatan sahaja.


 

Ayat 23: Begitulah, walaupun Nabi ﷺ telah beri peringatan dengan berbagai-bagai cara, tetapi  masih ramai juga yang menolak.

إِلّا مَن تَوَلّىٰ وَكَفَرَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

However, he who turns away and disbelieves –

(MALAY)

tetapi orang yang berpaling dan kafir,

 

Ini tentang mereka yang telah diberi peringatan tetapi mereka berpaling engkar. Akan ada sahaja yang akan menolak dakwah yang disampaikan. Dari dahulu sampai sekarang dan bila-bila pun. Jadi kita tidak perlu hairan sangat kalau ada orang tolak dakwah Tauhid dan Sunnah kita.

Tetapi kalimah إِلّا dalam ayat ini memusykilkan sedikit. Selalunya kalimah إِلّا bermaksud ‘melainkan’. Jadi ada tafsiran lain bagi ayat ini: ayat ini adalah pengecualian dari ayat sebelum ini. Memang Nabi Muhammad ﷺ tidak ada kuasa pada hari itu, tetapi akan sampai masa di mana Nabi  ﷺ akan ada kuasa, iaitu semasa Pembukaan Mekah. Apabila baginda telah menawan Mekah, baginda ada kuasa untuk melakukan apa sahaja terhadap penduduk Mekah yang dulu tidak menerima dakwah baginda dan ada yang menentang, tetapi baginda akhirnya lepaskan sahaja mereka.


 

Ayat 24: Apa yang akan jadi kepada mereka yang engkar itu?

فَيُعَذِّبُهُ اللَّهُ العَذابَ الأَكبَرَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then Allāh will punish him with the greatest punishment.

(MALAY)

maka Allah akan mengazabnya dengan azab yang besar.

 

Allah ﷻ akan menyeksa mereka yang engkar itu dengan azab yang besar. Lihatlah bagaimana Allah ﷻ menggunakan namaNya dalam ayat ini. Maknanya ada penekanan dalam ayat ini. Allah ﷻ hendak beritahu yang Dia sendiri yang akan azab mereka. Ma sha Allah! Amat menakutkan!

Selain dari itu, kita tahu yang Allah ﷻ tekankan beratnya azab dalam ayat ini: Allah ﷻ gunakan kalimah فَيُعَذِّبُهُ yang bermaksud ‘Dia akan azab orang itu’. Ini sudah disebut tentang ‘azab’. Tetapi kemudian diulang sekali lagi perkataan العَذابَ itu!

Bukan itu sahaja, kemudian ditambah lagi kalimah الأَكبَرَ (amat besar). Ada sampai tiga kali penekanan tentang azab yang disebut dalam ayat ini sahaja! Maksudnya ini bukan azab biasa tetapi azab yang ‘besar’. Ini menunjukkan teruk sangat apa yang mereka akan kena itu.

Mereka kena azab itu adalah kerana mereka berpaling dari peringatan. Ada orang beri peringatan, tetapi mereka berpaling dan tidak mahu dengar. Ini kita dapat tahu dari huruf ف dalam kalimah فَيُعَذِّبُهُ itu. Menunjukkan kerana mereka berpaling dan kufur dari peringatan itulah yang menyebabkan mereka kena azab العَذابَ الأَكبَرَ.


 

Ayat 25: Mereka degil macam mana pun, akan bertemu Allah ﷻ juga akhirnya.

إِنَّ إِلَينا إِيابَهُم

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, to Us is their return.

(MALAY)

Sesungguhnya kepada Kami-lah kembali mereka,

 

Allah ﷻ beri peringatan dan penekanan dalam ayat ini. Ingatlah yang sesungguhnya kepada Allah ﷻlah mereka (dan kita juga) akan pulang. Perkataan إِيابَ bermaksud pulang yang terakhir. Ia dari katadasar  أ و ب yang bermaksud pulang, taubat, ulang.

Kalau kalimah رجع yang digunakan, itu bermaksud pulang berulang kali, sudah pulang tetapi boleh keluar lagi. Namun apabila digunakan إِيابَ, tidak ada keluar pergi mana lagi selepas itu.


 

Ayat 26: Apa akan jadi apabila mereka bertemu Allah ﷻ?

ثُمَّ إِنَّ عَلَينا حِسابَهُم

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then indeed, upon Us is their account.

(MALAY)

kemudian sesungguhnya kewajipan Kami-lah menghisab mereka.

 

Dan jangan mereka sangka mereka akan pulang begitu sahaja, tetapi mereka kena tahu yang mereka akan dihakimi atas segala amalan mereka semasa di dunia dahulu.

Sesungguhnya atas tanggungan Allah ﷻlah untuk mengira timbangan amal mereka. Kalau Allah ﷻ yang buat kiraan, habislah. Kerana ini bukan jenis pengiraan yang mudah. Ini bermaksud yang mereka akan ditanya atas amalan mereka dan bila ditanya, itu tandanya memang ada masalah.

Kerana kalau pengiraan yang senang seperti yang disebut dalam Inshiqaq:8 فَسَوفَ يُحاسَبُ حِسابًا يَسيرًا, itu adalah pengiraan dengan malaikat sahaja. Iaitu kita baca sahaja dan tidak ditanya tentang sesuatu amalan itu. Kerana kalau ditanya sahaja, itu maknanya adalah masalah.

Allahu a’lam. Sambung ke surah seterusnya, Surah al-Fajr

Kemaskini: 27 November 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah al-Fajr Ayat 1 – 5 (Apakah 10 malam itu?)

Pengenalan:

Di hujung Surah al-Ghasyiyah terdapat ancaman dari Allah ﷻ yang akan menghisab segala apa yang dilakukan oleh manusia (ثُمَّ إِنَّ عَلَينا حِسابَهُم). Maknanya, kalau Allah ﷻ tanya sahaja, kenapa begini dan begitu, maka itu adalah bahaya kerana itu tanda tidak selamat. Yang selamat kalau dibaca sahaja seperti yang disebut dalam Insyiqaq:8.

Mereka yang mendapat hisab yang teruk adalah mereka yang ada masalah semasa di dunia, tidak taat dan tidak beriman sempurna. Allah ﷻ beritahu yang masalah dengan manusia berkenaan agama ini adalah kerana hubbud-dunya (cinta dunia). Dan Allah ﷻ akan memberitahu penyelesaian kepada masalah itu, iaitu dengan cara mendampingkan diri dengan Allah ﷻ.

Oleh itu, di permulaan surah ini mengajar tentang rawatan kepada penyakit cinta dunia, iaitu luangkan masa dengan amalan untuk rapatkan diri dengan Allah ﷻ dan jangan lalai leka dengan dunia. Jadilah seperti Abd Rahman bin Auf dan Saidina Umar رضي الله عنهما, walaupun mereka kaya dan berkuasa, tetapi mereka selamat kerana mereka tidak putus hubungan dengan Allah ﷻ. Mereka bukan tidak menggunakan harta, tetapi mereka menggunakan dunia mengikut peraturan syari’at, jadi dapat dunia banyak pun tidak mengapa.


 

Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 6 perenggan makro. Ayat 1 – 5 adalah Perenggan Makro Pertama. Allah ﷻ memberitahu yang orang berakal boleh faham dalil adanya Hari Pembalasan.

Ayat 1 ini adalah sumpah pertama dari Allah ﷻ dalam surah ini.

وَالفَجرِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Al-Fajr: The Dawn.

By the dawn

(MALAY)

Demi fajar,

 

Allah ﷻ bersumpah dengan waktu fajr. Sekali lagi kita lihat secara ringkas kenapa Allah ﷻ bersumpah dalam Al-Qur’an:

    1. Untuk mengambil perhatian mereka yang tidak mahu mendengar. Allah ﷻ hendak beritahu apa yang akan disampaikan adalah penting, maka kena dengar.
    2. Allah ﷻ hendak kita memikirkan tentang perkara yang dijadikan sebagai sumpah itu. Ianya sebagai pembuka kepada apa yang akan disebutkan selepas ini yang ada kena mengena dengan apa yang digunakan sebagai sumpah. Oleh itu, apabila Allah ﷻ bersumpah dengan fajr, Allah ﷻ hendak suruh kita berfikir tentang fajr.

Kalimah فجر asalnya bermaksud sesuatu yang mengoyak, dan waktu fajar itu dinamakan al-fajr kerana ia mengoyak kegelapan malam dengan kedatangan cahaya siang. Seperti yang kita tahu, di waktu ini ada Solat Subuh. Ia adalah waktu yang hanya orang Muslim beriman sahaja yang bangun untuk mengadap Tuhannya. Sedangkan ramai yang gagal untuk bangun Solat Subuh waktu ini.

Inilah waktu yang paling bening bagi seorang Muslim untuk beribadat dan bermunajat kepada Tuhannya (selain dari waktu sahur). Kalau tidak beriman sungguh, susah untuk bangun melakukan fardhu yang satu ini. Dalam hal ini kita lemah dari binatang kerana kita boleh lihat bagaimana binatang pun akan bangun kerana itu adalah fitrah mereka. Mereka tidak mempunyai pilihan. Tetapi manusia yang Allah ﷻ beri akal dan nafsu, susah pula untuk bangun.

Fajar adalah penting kerana ianya adalah permulaan kepada hari itu. Waktu itulah manusia dan binatang akan mula bangun untuk memulakan hari mereka. Manusia dengan cara mereka dan binatang dengan cara mereka. Dan pada waktu itu sudah bermulalah bunyi kesibukan termasuk bunyi binatang dan ketahuilah yang bunyi binatang itu juga adalah tasbih mereka kepada Allah ﷻ. Cuma kita sahaja yang tidak tahu kerana kita tidak tahu bahasa mereka.

Mufassirin cuba untuk menjelaskan kenapakah Allah ﷻ bersumpah dengan waktu fajar ini, apakah kelebihan waktu ini dan apakah isyarat yang hendak disampaikan?

Ada yang kata Allah ﷻ bersumpah dengan waktu fajar kerana ia membawa isyarat kepada hidup sesudah mati. Kerana tidur adalah satu bentuk kematian sebenarnya dan Allah ﷻ hidupkan kita balik pada waktu fajar. Maka setiap kali kita bangun selepas kita tidur, itu adalah isyarat kepada kehidupan semula selepas mati nanti yang akan dialami oleh semua orang.

Allah ﷻ mengingatkan kita kepada kematian setiap malam dengan adanya tidur. Memang kita sebenarnya ‘mati’ semasa kita tidur dan kerana itu ada doa yang Nabi ﷺ ajar bagaimana bersyukur kepada Allah ﷻ yang menghidupkan kita sesudah mati.

اَلْحَمْدُ ِللهِ الَّذِى أَحْيَانَا بَعْدَمَا أَمَاتَنَا وَإِلَيْهِ النُّشُورُ
Segala puji bagi Allah yang menghidupkan aku kembali setelah mematikan aku dan kepada Allah akan bangkit.
[HR. Bukhari dalam Fathul Bari no. 11/113 dan Muslim no. 4/2083]
Catatan: Doa ini terdapat dalam buku Hisnul Muslim: Dr. Saied Ali Wahf al-Qahthani

Lihatlah bagaimana dalam doa itu pun kita kata kita ‘mati’ waktu tidur itu. Kerana doa itu bukan: syukur kepada Allah ﷻ kerana ‘menjagakan’ aku kembali selepas tidur. Tidaklah digunakan begitu, malah digunakan kalimah yang kita mati semasa kita tidur malam tadi. Kita waktu itu mati kerana Allah ﷻ telah tarik sebahagian dari roh kita dari tubuh. Dan apabila sampai waktu untuk bangun, Allah ﷻ pulangkan balik roh itu ke tubuh kita.

Fajr juga adalah sebagai isyarat kepada cahaya kebenaran yang akan sampai kepada umat Islam. Seperti yang kita tahu, surah ini diturunkan di Mekah dan Allah ﷻ hendak memberitahu bahawa dakwah Islam ini akan tersebar ke seluruh dunia sebagaimana cahaya matahari tersebar ke segenap pelusuk dunia.

Ada juga mufassirin mengatakan bahawa pagi di dalam ayat ini adalah pagi Yaumun Nahr iaitu pagi pada 10 Dzulhijjah (Hari Raya Haji). Hari itu jemaah haji melontar Jamrah, iaitu sebahagian dari amalan ibadah Haji. Ini berkaitan dengan ayat seterusnya selepas ini.

Ada juga yang kata, ini adalah waktu fajr pada setiap 10 hari awal dari bulan Dzulhijjah. Ini dikuatkan dengan hadis di dalam kitab Sahih Bukhari di mana telah disebutkan dari Ibnu Abbas رضي الله عنهما secara marfu’:

مَا مِنْ أَيَّامٍ العَمَلُ الصَّالِحُ فِيْهِنَّ أَحَبُّ إِلَىْ اللَّهِ مِنْ هَذِهِ الأَيَّامِ العَشْرِ»، فَقَالُوا: يَا رَسُوْلَ اللَّهِ، وَلَا الجِهَادُ فِيْ سَبِيْلِ اللَّهِ؟ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “وَلَا الجِهَادُ فِي سَبِيْلِ اللَّهِ، إِلَّا رَجُلٌ خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ فَلَمْ يَرْجِعْ مِنْ ذَلِكَ بِشَيْءٍ”.

“Tidak ada hari-hari untuk melakukan amalan soleh padanya lebih disukai oleh Allah berbanding pada sepuluh hari ini”. Maka mereka bertanya: “Wahai Rasulullah, sekalipun jihad di jalan Allah?” Maka Rasulullah ﷺ bersabda: “Tidak juga jihad di jalan Allah melainkan seorang lelaki keluar dengan dirinya, hartanya kemudian dia tidak lagi kembali dengan membawa apa-apa daripada itu”.

[HR at-Tirmizi no. 688, Abu Daud no. 2082 dan Ibn Majah no. 1717; Ibnu Hibban no. 3853. Dinilai sahih oleh Syaikh al-Albani]

Imam at-Tirmizi mengatakan hadis ini hasan sahih gharib. Manakala Ibnu Hibban pula meriwayatkan lafaz dari jalur Jabir bin Abdillah رضي الله عنهما. Lafaz-lafaz ini menguatkan lagi lafaz sahih Imam al-Bukhari (no. 969) pada hadis ” مَا الْعَمَلُ فِي أَيَّامٍ أَفْضَلَ “.

Catatan: “Sepuluh hari”  yang dimaksudkan dalam hadis yang dibawakan di atas adalah hari 1-10 Dzulhijjah.

Yang penting pada waktu fajr dalam hari-hari itu (sama ada hari ke 10 atau setiap dari 10 hari itu), itulah waktu yang doa makbul. Maka carilah peluang untuk berdoa waktu itu. Mereka yang berilmu, akan peka untuk mencari waktu-waktu untuk mendekatkan diri dengan Allah ﷻ. Mereka terkesan dengan waktu-waktu itu kerana ianya berkenaan agama dan nasib mereka di akhirat, dan tidaklah mereka asyik memikirkan tentang dunia sahaja.


 

Ayat 2: Sumpah yang kedua.

وَلَيالٍ عَشرٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [by] ten nights¹

  • Usually interpreted as the first ten nights of the month of Dhul-Ḥijjah.

(MALAY)

dan malam yang sepuluh,

 

Dan demi 10 malam. Tidak ada ال makrifah dalam ayat ini jadi tidak ditetapkan mana satu set sepuluh malam yang tertentu. Oleh itu ada dua pendapat utama tentang malam yang sepuluh itu. Dua pendapat yang jumhur mengatakan yang ianya adalah 10 malam terakhir dari Ramadhan dan satu lagi pendapat: sepuluh malam pertama dari DzulHijjah.

Walaupun begitu, ada juga pendapat-pendapat lain seperti pendapat yang mengatakan ianya adalah sepuluh malam pertama dan sepuluh malam yang terakhir setiap bulan kerana waktu itu nampak bulan dengan jelas. Kenapa ada banyak pendapat pula? Kenapa tidak ada satu kata putus? Ulama membenarkan perkara ini kerana tidak ada ال makrifah pada kalimah لَيالٍ yang menyebabkan ianya terbuka.

Malam-malam ini adalah penting sebab Allah ﷻ bersumpah dengannya. Sangatlah penting dan berkat sekali untuk berbuat ibadat di hari-hari yang sepuluh ini. Rasulullah ﷺ berpuasa pada hari-hari itu (dari bulan DzulHijjah). Ini adalah hari-hari yang Allah ﷻ suka jikalau hambaNya memperbanyakkan ibadat.

Kita telah sebutkan dua pendapat jumhur tentang 10 malam itu (dari Ramadhan dan dari DzulHijjah). Mufassir memikirkan pula kenapakah malam-malam itu penting? Ada yang mengatakan kerana malam dari Ramadhan itu adalah salah satu hari dari Lailatul Qadr dan waktu itulah turunnya Al-Qur’an. Dan permulaan turun Al-Qur’an itu adalah misi permulaan dakwah tauhid dari Rasulullah ﷺ. Jadi ada kelebihan sejarah juga di situ.

Sementara itu, pendapat kedua yang mengatakan ianya adalah sepuluh malam pertama dari DzulHijjah pula, mengatakan kepentingan sejarah dari bulan DzulHijjah itu adalah kerana Mekah telah dibuka pada permulaan bulan Haji itu. Dari Pembukaan Mekah itulah Islam mula tersebar luas kalau dibandingkan dengan waktu-waktu lain.

Oleh itu, pendapat pertama merujuk kepada permulaan dakwah baginda dan yang pendapat kedua merujuk kepada penyempurnaan dakwah baginda apabila ramai penduduk Makkah dan masyarakat Arab masuk Islam selepas Pembukaan Mekah.


 

Ayat 3: Sumpah yang ketiga.

وَالشَّفعِ وَالوَترِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [by] the even [number] and the odd

(MALAY)

dan demi yang genap dan yang ganjil,

 

Dan demi yang genap dan yang ganjil. Kalimah شَّفعِ bermaksud ada bersama dengan orang lain (berpasang). Kalimah yang biasa kita dengar adalah syafa’at, sebab itu orang yang memberi syafa’at itu bermohon supaya Allah ﷻ beri belas kasihan kepada orang lain dengan mengatakan ‘orang ini dengan aku’.

Semua ciptaan Allah ﷻ adalah berpasangan (kanan dan kiri, malam dan siang, lelaki dan perempuan dan sebagainya). Oleh itu, kalimah الشَّفعِ dikatakan merujuk kepada seluruh makhluk, kerana semua makhluk dicipta berpasangan.

Dan kalau yang genap merujuk kepada semua makhluk, maka ‘yang ganjil’ merujuk kepada Allah ﷻ yang hanya satu tidak ada pasangan. Ini adalah pendapat para sahabat, dan walaupun begitu, ada banyak pendapat lain lagi.

Allah ﷻ memang ganjil dan kerana itu Allah ﷻ suka nombor yang ganjil. Di dalam kitab Sahihain disebutkan melalui riwayat Abu Hurairah, dari Rasulullah ﷺ yang telah bersabda:

  عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رِوَايَةً قَالَ لِلَّهِ تِسْعَةٌ وَتِسْعُونَ اسْمًا مِائَةٌ إِلَّا وَاحِدًا لَا يَحْفَظُهَا أَحَدٌ إِلَّا دَخَلَ الْجَنَّةَ وَهُوَ وَتْرٌ يُحِبُّ الْوَتْرَ

Abu Hurairah secara periwayatan, dia berkata; “Allah memiliki sembilan puluh sembilan nama, seratus kurang satu, tidaklah seseorang menghafalnya melainkan ia akan masuk surga, dan Dia adalah Witir dan menyukai yang ganjil.”

[Sahih Bukhari no. 5931, Sahih Muslim no. 2677]

Memang ada lagi pendapat lain. Sebagai contoh, mufassirin ada yang mengatakan yang genap adalah hari kesepuluh bulan DzulHijjah dan yang ganjil adalah hari kesembilan, iaitu hari wuquf di Arafah. Pendapat ini adalah kesinambungan dari pendapat yang mengatakan sepuluh malam yang dimaksudkan adalah sepuluh hari dari bulan DzulHijjah.

Kita tidak akan dapat menghargai sesuatu yang ganjil tanpa dibandingkan dengan pasangannya. Setiap yang genap ada pasangan, dan yang ganjil adalah satu dari pasangan itu, kerana setiap pasangan terdiri dari dua yang ganjil, bukan?

Sebagai contoh, bulan adalah pasangan matahari, tetapi matahari itu sendiri sudah hebat dan ada kelebihannya, bukan? Lelaki dan wanita adalah pasangan tetapi lelaki juga ada kelebihan dan wanita pun ada kelebihan juga. Kita tidak akan dapat memahami matahari kalau tidak dibandingkan dengan bulan; dan kita tidak dapat memahami lelaki kalau tidak dibandingkan dengan wanita. Maka, kena lihat kepada keduanya sekali.

Apakah kaitan sumpah ini dengan sumpah-sumpah yang lainnya? Kalau kita lihat dalam surah-surah sebelum ini, telah disebut bagaimana manusia tidak percaya dengan adanya Hari Kebangkitan. Ini adalah kerana mereka lihat satu dari pasangan sahaja, iaitu mereka lihat dunia sahaja tanpa melihat pasangannya, akhirat. Oleh kerana itu, mereka sibuk dengan urusan dunia, tetapi tidak beramal untuk persediaan kepada akhirat.

Begitulah juga masalah dengan golongan atheist atau Freethinker. Masalah dengan atheist yang tidak mempercayai kewujudan Tuhan, mereka susah hendak percaya kerana mereka nampak banyak ketidakadilan dalam dunia ini.

Sebagai contoh, bagaimana dengan pembunuh yang kejam? Dia bunuh banyak orang, tetapi dia kalau dia ditangkap oleh kerajaan, paling banyak dia hanya dibalas bunuh sekali sahaja. Tentunya ini tidak adil, bukan? Dan bagaimana dengan orang baik di dunia, tetapi mereka tidak mendapat balasan baik di dunia ini – hidup mereka susah, mereka mungkin kena bunuh, ada yang kena caci, ada yang miskin, mereka tidak ada kuasa dan berbagai lagi kekurangan yang mereka hadapi.

Ini pun nampak macam tidak adil – bagaimana mereka mendapat nasib yang malang sedangkan mereka itu orang yang baik-baik? Maka ini adalah persoalan yang ada di benak sesetengah manusia.

Maka jawapannya adalah hari akhirat nanti. Kerana di akhirat nanti, akan diberikan keadilan dengan sepenuhnya. Kerana Allah ﷻ Maha Adil dan Dia pasti akan tegakkan keadilan. Cuma keadilan sempurna akan tertegak di akhirat sahaja. Di sana nanti, yang jahat akan dibalas dengan apa yang mereka layak dapat – kalau seorang pembunuh itu, dia akan dibunuh berkali-kali (tetapi dia tidak akan mati).

Dan mereka yang baik akan dibalas dengan segala kebaikan yang mereka lakukan selama mereka di dunia. Maka kita kena percaya kepada akhirat juga, jangan lihat kepada dunia yang di depan mata kita sahaja. Kerana takkan Allah ﷻ tidak adil. Kalau kehidupan di dunia ini habis begitu sahaja, maka ini boleh dijadikan hujah yang Allah ﷻ tidak adil pula, sedangkan Allah ﷻ Maha Adil.

Akhir sekali, terdapat satu lagi tafsir bagi maksud yang genap dan ganjil ini: ia merujuk kepada doa selepas sembahyang yang genap dan sembahyang yang ganjil. Jadi, pendapat ini mengatakan yang ‘genap dan ganjil’ itu merujuk kepada solat. Kerana ada solat yang genap seperti Subuh, Zuhur, Asar dan Isyak dan ada solat yang ganjil, iaitu Solat Maghrib. Maka ini mengajar kita untuk mengambil peluang untuk berdoa selepas setiap kali solat. Ini adalah kerana doa selepas solat adalah makbul.

Maka, jangan lepaskan peluang untuk berdoa selepas solat (juga di dalam solat). Cuma doa selepas solat itu hendaklah dilakukan sendirian sahaja. Kerana doa beramai-ramai selepas solat tidak pernah dilakukan oleh Nabi ﷺ dan para sahabat (tidak ada dalil hadis yang sahih atau pun dhaif).

Maka amalan imam dan makmum masyarakat kita yang berdoa selepas solat beramai-ramai itu adalah amalan bidaah. Memandai sahaja dilakukan oleh orang kita. Ini kerana mereka beramal tanpa ikut dalil, tetapi ikut akal mereka sahaja.

Maka mereka tidak mengambil peluang berdoa seperti yang dikehendaki. Ini adalah kerana setiap manusia ada keperluan sendiri. Ada yang sakit, ada yang ada masalah tidak ada anak, dan macam-macam lagi masalah masing-masing. Sedangkan imam itu kalau dia doa, tentulah dia doa yang standard sahaja. Tidaklah ada disebut keperluan-keperluan makmum yang lain.


 

Ayat 4: Ini adalah sumpah yang terakhir dalam surah ini.

وَاللَّيلِ إِذا يَسرِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [by] the night when it passes,

(MALAY)

dan malam bila berlalu.

 

Dan malam, apabila ia berlalu sedikit demi sedikit. Kalimah يَسرِ bermaksud ‘berjalan di malam hari’. Sebenarnya malam tidak berjalan, tetapi orang yang berjalan di malam hari. Akan tetapi malam itu seolah-olah akan berlalu pergi apabila sampainya waktu fajar.

Walau apapun yang kita buat, malam itu tetap juga akan berlalu dan siang pasti akan datang. Ini adalah kerana manusia tidak berkuasa langsung kepada masa kerana hanya Allah ﷻ yang berkuasa ke atas masa. Kalau tidak percaya, cubalah tahan masa itu kalau boleh.

Perjalanan masa yang berlalu pergi ini sebagai isyarat akan kedatangan Hari Kiamat. Masa akan berlalu dan kita semakin hampir kepada Hari Kiamat itu. Maka kenalah kita bersedia dengan segala persediaan yang kita boleh buat. Janganlah leka sahaja dengan perkara-perkara dunia sampai lupa kepada akhirat pula.

Oleh itu, ayat ini berkaitan dengan masa dan ia berpasangan dengan ayat pertama yang juga berkaitan dengan masa (waktu Fajr). Sedangkan ayat 2 dan 3 pula berkait sesama sendiri (kerana ada hari yang ganjil dan genap). Kaitan ayat pertama dan ayat ke 4 ini amat berkait rapat kerana apabila malam berjalan dan berlalu pergi, maka kita tahu tidak lama lagi adalah waktu fajar. Dan setiap hari akan berlaku perkara ini, sampailah kepada hari kiamat nanti.

Mufassirin juga mengatakan bahawa ini adalah malam kesepuluh dari bulan Dzulhijjah di mana malam itu akan berlalu dan jemaah haji juga akan bergerak menuju ke Muzdalifah pada malam itu.

Ada juga yang mengatakan yang ini merujuk kepada hujung malam, iaitu waktu sahur. Waktu ini juga adalah waktu yang makbul doa. Sampaikan ada hadis yang mengatakan bagaimana Allah ﷻ turun ke langit dunia pada waktu ini untuk memakbulkan doa sesiapa sahaja yang berdoa.

Rasulullahu bersabda,

يَنْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَى كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا حِينَ يَبْقَى ثُلُثُ اللَّيْلِ الآخِرُ فَيَقُولُ مَنْ يَدْعُونِى فَأَسْتَجِيبَ لَهُ مَنْ يَسْأَلُنِى فَأُعْطِيَهُ مَنْ يَسْتَغْفِرُنِى فَأَغْفِرَ لَهُ

Rabb kita tabaraka wa ta’ala turun ke langit dunia ketika tersisa sepertiga malam terakhir. Lantas Allah berfirman, “Siapa saja yang berdoa kepada-Ku, maka akan Aku kabulkan. Siapa yang meminta kepada-Ku, maka Aku beri. Siapa yang meminta ampunan kepada-Ku, maka akan Aku ampuni.

[Sahih Bukhari no. 6940 dan Muslim no. 2/175].

Maka apabila kita tahu tentang perkara ini, maka ambillah segala kesempatan yang disebut dalam ayat-ayat ini. Cari waktu-waktu yang makbul doa. Tidaklah perlu pergi sampai ke Mekah baru hendak berdoa sedangkan masa makbul doa ini ada sahaja setiap hari dan setiap tahun. Mereka yang bijak dalam agama, akan mengambil peluang-peluang itu.

Balaghah: ya’ mahzoofah (huruf ya’ yang dihazafkan).

Sepatutnya ada ya dalam kalimah يَسرِ menjadi يسري dan bukannya يَسرِ sahaja. Ini adalah kerana ya’ di dalamnya adalah ya’ asli, memang patut ada. Tetapi apabila hazf (dihilangkan), ia bermaksud ‘berterusan’.

Jadi ini adalah malam yang tidak akan datang semula, terus habis dan hilang. Jadi ‘malam’ yang dimaksudkan dalam ayat ini bukanlah malam biasa seperti pada masa sekarang yang datang dan pergi. Ia memberi isyarat kepada akhirat. Kerana apabila sudah bermula akhirat nanti, sudah tidak ada malam lagi di syurga.

Kenapa tidak ada malam di syurga nanti? Kerana bukankah malam masa rehat? Oleh kerana ahli syurga hanya kena menikmati nikmat sahaja, maka tidak perlu tidur. Kalau ada malam kena tidur, sudah rugi satu waktu untuk menerima nikmat di syurga pula.

Malam memang diperlukan sekarang semasa di dunia kerana kita kena rehat dari penat. Tetapi ahli syurga tidak penat-penat. Sudahlah tidak penat, kalau tidur, sudah rugi masa pula beberapa lama tidak menikmati nikmat. Maka tidak ada tidur.

Sedangkan, untuk ahli neraka pun tidak ada siang kerana tidak ada rehat dari seksa. Tidak ada cahaya di neraka, keadaan sentiasa gelap sahaja. Maka tidak ada waktu untuk ada rehat dari seksaan. Kerana kalau ada tidur, ada rehat dari kena seksa pula. Sedangkan Allah ﷻ hendak seksa mereka sepanjang waktu.

Jadi kalimah اللَّيْلِ dalam ayat ini bukan malam dunia, tetapi malam di akhirat kelak. Maknanya ikut pendapat ini, Allah ﷻ bersumpah dengan hari kiamat.

Nota tambahan : ‘Sakinah’ (ketenangan) itu ada apabila ada malam, keluarga dan rumah. Jadi kalau hendak tenang sempurna, kena berkumpul tiga perkara itu pada satu masa. Maka kena duduk di rumah dan cari bahagia dan ketenangan di rumah bersama keluarga, bukan cari bahagia di luar rumah. Jadi jangan melepak malam-malam di kedai mamak bersembang dengan kawan hingga larut malam. Sepatutnya kena duduk di rumah dengan keluarga.


 

Ayat 5: Ayat ini adalah penutup kepada sumpah-sumpah di atas. Memang sumpah-sumpah itu adalah sumpahan yang besar. Ianya berkenaan waktu-waktu di mana doa-doa akan makbul. Semasa kita berdoa pada waktu-waktu itu, kita kena yakin dengan doa itu dan kena yakin yang doa itu diterima oleh Allah ﷻ.

Kita kena tahu yang Allah ﷻ sudah bersedia untuk menerima doa itu kerana kalau tidak, Allah ﷻ tidak beri taufik untuk kita berdoa pun. Jadi, apabila kita berdoa waktu itu, memang Allah ﷻlah yang menggerakkan kita untuk berdoa. Kalau Dia yang sudah gerakkan hati kita untuk berdoa, maka tentulah Dia sudah bersedia untuk memakbulkannya.

Maka, selepas Allah ﷻ sebut sumpah-sumpah itu, apa Allah ﷻ kata tentang sumpah-sumpah itu?

هَل في ذٰلِكَ قَسَمٌ لِّّذي حِجرٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Is there [not] in [all] that an oath [sufficient] for one of perception?¹

  • Based upon the following verses, what has been sworn to by Allāh is that He will certainly punish the disbelievers.

(MALAY)

Pada yang demikian itu terdapat sumpah (yang dapat diterima) oleh orang-orang yang berakal.

 

Ini terjemahan yang senang sikit faham: Apakah tidak cukup di dalam semua sumpah itu, keterangan yang boleh diakui oleh mereka yang teguh akalnya?

Allah ﷻ menggunakan perkataan حِجرٍ yang asalnya bermaksud batu, kerana batu melambangkan keteguhan. Selain itu, orang Arab juga menggunakannya untuk merujuk kepada akal, kerana akal adalah penahan diri kita dari melakukan perkara yang salah, dari melakukan perkara yang bodoh. Orang yang buat benda teruk itu sebenarnya tidak berakal. Otak sahaja ada, tetapi ‘akal’ tidak ada.

Untuk menghalang kita dari melakukan perkara yang buruk, memerlukan sesuatu yang kukuh dan teguh (batu). Kita memang memerlukan akal yang teguh, kerana kalau kita tidak ada akal, tentu kita sudah lama pegang api yang akan menyakitkan dan merosakkan kita. Akan tetapi kita tidak akan buat perkara itu kalau kita waras, kerana akal akan menahan kita dari buat benda bodoh macam itu.

Begitu juga, akal yang sihat dan baik akan dapat menahan kehendak hati yang buruk. Kerana nafsu akan sentiasa sahaja mahukan berbagai-bagai perkara dan ada masanya perkara yang dikehendaki oleh nafsu itu adalah perkara yang buruk dan salah di sisi agama.

Maka akallah yang dapat menahan nafsu itu seperti batu yang menahan kenderaan di jalanan. Ia adalah keteguhan yang menghalang mereka dari melakukan kesalahan. Iaitu tidak ikut emosi sahaja, tetapi berupaya berfikir sebelum melakukan sesuatu.

Maka, telah banyak sumpahan yang diberi di atas dan sumpah-sumpah di atas itu tidak cukupkah lagi untuk mereka yang ada akal yang waras? Maknanya, Allah ﷻ suruh kita berfikir tentang sumpah-sumpah itu. Fikirkan tentang apa yang Allah ﷻ telah sebut dalam sumpah itu dan carilah maksud yang tersirat. Kalau orang yang ada akal, tentu dia akan faham.

Sebenarnya, jarang Allah ﷻ suruh kita memikirkan sumpah-sumpah melainkan Allah ﷻ sebut sahaja. Allah ﷻ sebut sahaja sebelum masuk kepada perkara-perkara yang lain. Tetapi kali ini Allah ﷻ menarik perhatian kita semula kepada sumpah-sumpah yang telah diberi.

Maknanya, ada kepentingan dalam sumpah-sumpah itu yang kita kena ambil perhatian sangat. Mereka yang ada akal yang teguh sahaja akan dapat memahami tentang sumpah-sumpah itu. Memang ayat-ayat itu pendek sahaja tetapi ada banyak pengajaran di dalamnya.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 2 Oktober 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah al-Ghasyiyah Ayat 8 – 16 (Gambaran syurga)

Ayat 8: Ayat 8 – 16 adalah Perenggan Makro Kedua. Ia memberitahu balasan baik kepada mereka yang bersedia untuk Hari Akhirat. Selepas disebut tentang keadaan orang-orang di neraka, sekarang iltifat (perubahan) kepada kisah orang mukmin pula. Jadi ini adalah ayat-ayat tabshir (ayat-ayat yang menggembirakan).

وُجوهٌ يَومَئِذٍ ناعِمَةٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Other] faces, that Day, will show pleasure.

(MALAY)

Banyak muka pada hari itu berseri-seri,

 

Wajah orang mukmin pada hari itu akan berseri-seri segar. ناعِمَ bermaksud muka yang gembira apabila menerima hadiah. Wajahnya berseri segar kerana gembira sangat waktu itu. Semoga kita termasuk dalam kalangan mereka.

Orang mukmin banyak yang menghadapi banyak dugaan semasa hidup mereka di dunia. Tetapi di akhirat nanti wajah mereka akan bergembira. Dan untuk dapat nikmat itu, kenalah berusaha semasa di dunia lagi. Orang mukmin kena buat amalan yang sunnah, jangan jadi macam mereka yang sibuk buat amalan bidaah tetapi akhirnya kena masuk neraka juga. Biarlah kita berusaha sedikit tetapi berusaha dalam amalan yang sunnah sahaja.


 

Ayat 9: Allah ﷻ beritahu kenapa mereka gembira.

لِسَعيِها راضِيَةٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

With their effort [they are] satisfied

(MALAY)

merasa senang kerana usahanya,

 

Kepada amalan mereka, mereka akan redha dan suka. Mereka dulu bersusah payah melakukan ibadat yang sunnah semasa di dunia dan sekarang mereka berbangga dan redha dengan apa yang mereka telah lakukan.

Antara yang mereka lakukan adalah berdakwah ajaran tauhid dan sunnah kepada manusia. Mungkin semasa berdakwah mereka telah dicerca tetapi pada hari kebangkitan, mereka akan suka dengan apa yang telah mereka lakukan. Allah ﷻ telah memberi mereka peluang untuk menjalankan kerja-kerjaNya.

Kalimah سَعيِ bermakna berjalan laju. Maksudnya mereka sibuk dalam melakukan amal kebaikan sesuatu kerana masa hidup mereka terhad. Mereka berusaha dan beriya-iya menjalankan sesuatu kerja kerana hendak menyiapkan kerja itu dengan segera.

Semasa di dunia, macam-macam kerja yang mereka lakukan, termasuk perkara selain dari hal agama, tetapi bukan perkara itu yang dimaksudkan dalam ayat ini. Mereka gembira kerana melihat usaha mereka yang menyebabkan mereka masuk syurga itu – usaha itu sahaja. Bukan semua perbuatan mereka di dunia.

Kerana ada banyak juga perkara yang tidak penting yang mereka lakukan semasa di dunia. Maka hendaklah kita memperbanyakkan perkara yang akan menyebabkan kita gembira di akhirat nanti. Kerana nanti di akhirat apabila manusia melihat amalan mereka, yang baik dan tidak baik, mereka akan berharap semoga semua amalan dan perbuatan mereka di dunia itu adalah perbuatan baik-baik belaka.

Dia akan menyesal kalau dia melihat dia dulu membuang masa semasa di dunia dengan perkara-perkara yang tidak penting. Mungkin dia tidak buat salah, tetapi dia akan rasa sia-sia kerana masa banyak tidak digunakan untuk kebaikan. Dia akan menyesal kerana sepatutnya dia sibuk (سَعيِ) dengan amalan kebaikan dan kerja-kerja yang menambah pahala bagi dirinya.

Mereka akan menyesal kerana peluang itu tidak datang lagi kerana kita hidup sekali sahaja di dunia. Jadi, ini mengingatkan kita untuk memilih apa yang kita hendak buat di dunia ini; jangan buat perkara buang masa macam main Pokeman Go, walaupun tidak jelas keharaman perkara itu, tetapi kita ada peluang buat benda baik, kenapalah hendak buat benda buang masa?

Kadang-kadang memang kena paksa diri kita untuk buat kebaikan; kerana tidak sama perasaan semasa buat perkara yang buang masa macam tengok wayang dan sebagainya kalau dibandingkan dengan amal kebaikan. Rasanya lebih senang hendak buang masa dari buat perkara kebaikan, bukan?

Begitu juga dengan derma: kalau sepuluh ringgit untuk derma, rasa rugi sahaja, tetapi kalau untuk beli barang di supermarket, tidak kisah pun kalau habis sepuluh ringgit malah lagi banyak pun dari itu. Ini kerana penilaian kita sudah tidak sama.

Oleh itu, maka memang kena paksa diri kita untuk buat kebaikan kerana kita akan bergembira nanti dengan apa yang kita lakukan. Maka jangan kita ikut perasaan sangat untuk buat benda yang tidak berfaedah. Jangan tunggu perasaan buat kebaikan ada, baru hendak buat. Kerana takut perasaan tidak datang-datang. Maka kena buat dulu perkara kebaikan itu dan minat itu akan datang kemudian. Kerana kalau kita ikut perasaan kita, kita akan buat perkara buang masa sahaja kerana itulah yang nafsu mahukan.

Alangkah baiknya kalau hati kita memang suka untuk buat perkara yang baik; salah satu usaha yang kita boleh lakukan adalah dengan membersihkan diri dari perkara-perkara buruk. Jangan fikirkan tentang perkara buang masa, perkara lagha, perkara yang syubhat. Apabila hati sudah bersih, maka dia akan rasa suka untuk buat amal kebaikan.

Waktu itu baru rasa kemanisan iman. Maka, jangan semakkan fikiran kita dengan perkara-perkara lagha. Antaranya jangan buang masa tengok filem-filem dan rancangan TV yang tidak berfaedah kerana perkara itu lama-lama akan merosakkan fikiran kita.

Kalau bahasa Arab biasa, selalunya huruf ب (dengan) digunakan, bukan ل (dipanggil lam ta’liliyah) seperti dalam ayat ini. Kalau begitu, kalimah بسَعيِها yang digunakan, bukan لِسَعيِها. Tetapi apabila digunakan huruf ل yang digunakan, ini menunjukkan mereka gembira ‘kerana’ Allah ﷻ beri peluang untuk mereka lakukan kebaikan.

Ini kerana mereka sedar yang segala kebaikan yang kita lakukan adalah kerana mendapat taufik dari Allah ﷻ. Kerana kalau bukan Allah ﷻ yang beri peluang kepada kita, gerakkan kita, kita tidak akan berjaya untuk buat kebaikan itu.


 

Ayat 10: Di manakah mereka akan tinggal?

في جَنَّةٍ عالِيَةٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

In an elevated garden,

(MALAY)

dalam syurga yang tinggi,

 

Mereka tinggal di dalam taman syurga yang tinggi. Kenapa Allah ﷻ sebut sifat syurga itu terletak pada tempat yang tinggi? Ini kerana dalam dunia lagi, tempat tinggi adalah tempat yang lebih berharga dan mulia. Kita pun memang suka tempat yang tinggi.

Sebagai contoh, kita suka pergi bercuti ke tempat yang tinggi seperti Cameron Highlands. Dan kalau pergi konvoi di perjalanan yang jauh, kalau sampai ke tempat yang tinggi di lebuhraya, ada yang akan berhenti kerana hendak melihat pemandangan dari tempat yang tinggi kerana kita memang suka tempat yang tinggi kerana pemandangan cantik dari tempat yang tinggi.

Dan kalau duduk hotel mewah, bilik yang paling mewah dan mahal adalah bilik yang paling tinggi – dipanggil penthouse; kalau orang-orang kaya, mereka suka buat rumah di tempat yang tinggi kerana kalau tempat itu ditimpa banjir, kawasan rumah mereka akan terselamat.

Jadi memang sifat manusia suka kepada tempat yang tinggi. Oleh itu di syurga juga akan begitu. Semakin tinggi tingkatan syurga itu, semakin hebat balasan di dalamnya. Sedangkan penghuni neraka pula akan tinggal di bawah sekali. Semakin bawah neraka itu, semakin teruk azab di dalamnya.


 

Ayat 11: Apakah nikmat yang diberikan?

لا تَسمَعُ فيها لاغِيَةً

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Wherein they will hear no unsuitable speech.¹

  • i.e., any insult, falsehood, immorality, idle or vain talk, etc.

(MALAY)

tidak kamu dengar di dalamnya perkataan yang tidak berguna.

 

Mereka akan diselamatkan dari perkataan-perkataan yang merepek dan menyesakkan hati. Percakapan di syurga nanti tenang-tenang sahaja. Ayat ini semakna dengan apa yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

لَا يَسْمَعُونَ فِيها لَغْواً وَلا تَأْثِيماً إِلَّا قِيلًا سَلاماً سَلاماً

Mereka tidak mendengar di dalamnya perkataan yang sia-sia dan tidak pula perkataan yang menimbulkan dosa, akan tetapi mereka mendengar ucapan salam. (Al-Waqi’ah: 25-26)

Kalimah لاغِيَةً (lagha) adalah kata-kata yang sia-sia. Huruf تَ dalam تَسمَعُ bermaksud ‘kamu’ yang merujuk kepada Nabi Muhammad ﷺ. Ini adalah kerana Nabi Muhammad ﷺlah yang pertama dijanjikan dengan syurga.

Ahli syurga tidak akan mendengar kata-kata yang sia-sia, yang buruk-buruk di syurga nanti. Termasuk dalam perkara ini adalah kata-kata yang buang masa, tidak bernilai, kurang ajar dan sebagainya. Sebaliknya semuanya perkataan yang baik-baik sahaja nanti yang akan diucapkan dalam syurga, perkataan yang sedap didengari.

Di dunia ini Nabi ﷺ banyak terpaksa mendengar kaum musyrik memakinya dan mengatakan yang tidak baik terhadap baginda dan begitu juga dengan para sahabat. Selalu baginda kena ejek, kena cemuh, kena kutuk, keji dan sebagainya. Di syurga baginda tidak akan dengar lagi perkara begitu.

Ini juga sebagai berita gembira kepada kita (kalau kita dapat masuk syurga nanti). Memang kata-kata buruk dan keji adalah perkara yang menyakitkan hati lebih-lebih lagi kalau ditujukan kepada kita. Dan kita yang melakukan dakwah dan memberi nasihat tentang sunnah memang selalu menerima kata-kata begini. Sedangkan kita hendak beri nasihat, mahukan kebaikan untuk mereka yang dinasihati itu, tetapi macam-macam orang keji kita dan sebagainya. Antara yang banyak terjadi, mereka panggil kita puak Wahabi.

Memang sakit hati juga dengar perkara sebegitu tetapi Allah ﷻ sampaikan ayat ini sebagai tasliah kepada kita kerana perkataan manusia selalu memberi kesan kepada kita. Mungkin kita kata kita tidak kisah dengan apa yang orang kata, tetapi sebenarnya kita terasa juga. Kerana kita juga ada hati dan perasaan (dalam hati ada taman juga).

Dan kerana itu kalau orang kata tidak elok tentang kita, kita akan marah juga. sampaikan kita suka kalau kita dapat duduk di tempat yang sunyi dan tidak kecoh seperti di tepi pantai, di dalam hutan belantara, di tempat yang tinggi jauh dari orang dan sebagainya. Ini kita suka kalau dapat duduk bersendirian.

Dan kadang-kadang kita mahu bercuti jauh dari manusia lain. Kerana itu ada yang suka kalau dapat masuk hutan dan bersendirian sahaja. Kerana kita tahu kalau selalu sahaja duduk dengan manusia, banyak perkara merepek juga dari mereka yang menyesakkan hati kita.


 

Ayat 12: Apakah yang ada dalam syurga itu?

فيها عَينٌ جارِيَةٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Within it is a flowing spring.

(MALAY)

Di dalamnya ada mata air yang mengalir.

 

Sudahlah syurga itu di tempat tinggi, ada mata air pula. Di situ terdapat mata air yang sentiasa mengalir. Ini adalah pemandangan yang tentunya amat hebat.

Sekali lagi diberi bayangan syurga kepada kita untuk menunjukkan betapa hebatnya keadaan dalam syurga itu. Air yang جارِيَةٌ maksudnya mengalir dan ini bermakna air itu tidak busuk, air itu segar sentiasa. Kerana air yang mengalir lagi bagus dari air yang tidak mengalir.

Air adalah sesuatu yang disukai manusia sebab itu kalau kita pergi ke hotel yang mahal, ada air pancut yang mahal, yang besar. Air memberi ketenangan kepada manusia kerana manusia memang suka air. Sampaikan ada orang yang buat air terjun buatan dan juga air pancut buatan kerana hendak meniru aliran air yang segar.


 

Ayat 13: Apa lagi yang ada di syurga itu?

فيها سُرُرٌ مَرفوعَةٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Within it are couches raised high

(MALAY)

Di dalamnya ada takhta-takhta yang ditinggikan,

 

Kalimah سُرُرٌ kalau zaman sekarang adalah ‘katil’ tetapi dalam bahasa Arab Klasik, ia adalah sofa, atau ada yang terjemah sebagai tahta atau pelamin. Di syurga penghuni syurga duduk bersenggeng atas pelamin-pelamin yang ditinggikan.

Kalau dalam dunia, orang kaya sahaja yang buat macam ini. Tambahan pula kepada Bangsa Arab yang selalunya duduk atas lantai sebab mereka nomad yang selalu berpindah randah, mana hendak boleh ada kerusi dan sofa pula. Tetapi kalau mereka yang hidup stabil dan kaya, tidak perlu berpindah randah, akan ada sofa macam itu. Jadi, pada orang Arab, apabila disebut سُرُرٌ, mereka akan bayangkan sesuatu yang amat mewah yang mereka jarang ada.

Begitulah di syurga, penghuninya sudah rehat sahaja, tidak perlu pergi ke mana-mana lagi. Tidak perlu kerja lagi kerana kerja mereka adalah untuk berehat sahaja. Tempat tinggal mereka telah tetap ada dalam syurga yang mereka tidak akan keluar sampai bila-bila di dalamnya. Maknanya Allah ﷻ menawarkan kestabilan syurga kepada penghuninya.

Mereka akan duduk bersenggeng di tempat yang mewah untuk melihat harta dalam syurganya. Kalau di dunia, segala harta hendak kena jaga, tetapi di syurga, tengok sahaja kerana tidak perlu risau ianya akan hilang. Mereka sudah tidak perlu kerja lagi. Ini tidak sama dengan manusia yang kaya yang selalu sibuk untuk mengumpul kekayaan sampai mereka tidak ada masa untuk menikmati kekayaan yang mereka ada pun. Kemudian hendak kena jaga pula harta itu.

Tetapi di syurga nanti adalah tempat untuk bergembira dan menikmati kekayaan sahaja. Mereka akan duduk-duduk bersenggeng sambil melihat segala keindahan syurga yang menjadi miliknya. Dari tempat duduknya itu dia boleh lihat segala hartanya. Kerana itulah kedudukan سُرُرٌ itu مَرفوعَةٌ (ditinggikan). Alangkah indahnya.

Lagi satu, apabila digunakan kalimah مَرفوعَةٌ (ditinggikan) bermaksud Allah ﷻ yang buatkan tempat itu tinggi untuk kita. Ianya ditinggikan oleh Allah ﷻ. Maknanya, Allah ﷻlah pereka syurga ini. Nak apa lagi?


 

Ayat 14: Ahli neraka minum air menggelegak, ahli syurga minum macam mana?

وَأَكوابٌ مَوضوعَةٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And cups put in place

(MALAY)

dan gelas-gelas yang terletak (di dekatnya),

 

Dan di syurga itu terdapat piala minuman yang direndahkan untuk senang ambil. مَوضوعَةٌ maksudnya bekas minuman itu telah diletakkan dengan mudah untuk senang diambil. Ahli syurga tidak payah bangun pun untuk ambil. Bukan sekali sahaja tetapi boleh berkali-kali. Habis minum sahaja, akan diberi lagi.

Kalimah أَكوابٌ adalah merujuk kepada gelas yang bukan gelas biasa tetapi bekas yang macam piala. Dan kalau sudah pakai piala sebegitu, maknanya air yang diminum itu bukanlah air biasa, tentunya air yang hebat.

Dan piala itu pula tidak ada  pemegang. Ini untuk memudahkan ahli syurga meminum dari mana-mana bahagian. Kerana kalau ada pemegang, sudah kena minum dari satu bahagian sahaja, maka sudah menyusahkan ahli syurga itu pula. Maknanya memang segala perkara diambil kira untuk memudahkan ahli syurga itu untuk menikmati hidup di dalam syurga.


 

Ayat 15: 

وَنَمارِقُ مَصفوفَةٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And cushions lined up

(MALAY)

dan bantal-bantal sandaran yang tersusun,

 

Dan dalam syurga mereka ada alas, bantal-bantal kusyen kecil yang teratur. Banyak bantal bantal yang berbaris baris. Bantal-bantal kecil untuk bagi lagi selesa kalau duduk-duduk rehat. Ianya sebagai lambang kemewahan. Ini menjadi kebiasaan orang Arab. Kita orang Melayu pun suka letak bantal-bantal kecil merata-rata dalam rumah, bukan?


 

Ayat 16: Gambaran lagi keadaan dalam syurga.

وَزَرابِيُّ مَبثوثَةٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And carpets spread around.

(MALAY)

dan permadani-permadani yang terhampar.

 

Dan hamparan-hamparan permaidani yang terbentang sejauh mata memandang. Daripada material yang elok sekali yang lembut dan halus. Dihamparkan مَبثوثَةٌ (Sepanjang mata memandang). Inilah yang manusia di dunia mahukan. Juga sebagai lambang kemewahan. Sampai ada sanggup beli permaidani Turki dan kerana itu kita tengok tempat-tempat yang terkenal memang dihiasi dengan permaidani indah dari dinding ke dinding.

Dan kita boleh lihat bagaimana Allah ﷻ memberi perumpamaan apa yang ada di syurga dengan apa yang ada di dunia. Sebagai contoh, di dunia pun ada kedai yang jual karpet yang mahal-mahal dan indah. Ini adalah supaya kita dapat bayangan keadaan di syurga itu tetapi tentulah ada banyak lagi keindahan dan nikmat di syurga itu yang tidak terdapat pun di dunia.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 27 November 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah al-Ghasyiyah Ayat 1 – 7 (Penat buat bidaah)

Pengenalan:

Di dalam surah sebelum ini (Surah al-A’la) telah disebut tentang dua golongan, iaitu golongan yang baik dan golongan kufur. Surah itu diakhiri dengan golongan yang akan masuk ke dalam neraka kerana mereka melebihkan dunia dari akhirat. Dan mereka inilah yang disebut pada awal surah ini.


 

Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 4 perenggan makro. Ayat 1 – 7 adalah Perenggan Makro Pertama. Ia memberitahu akibat buruk kepada mereka yang mendustakan Hari Pembalasan.

Ayat 1 ini adalah khitab (ditujukan) kepada Nabi Muhammad ﷺ. Ia mengandungi takhwif ukhrawi kerana disebut tentang Hari Kiamat.

هَل أَتاكَ حَديثُ الغاشِيَةِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Al-Ghāshiyah: The Overwhelming, one of the names of the Resurrection.

Has there reached you the report of the Overwhelming [event]?

(MALAY)

Sudah datangkah kepadamu berita (tentang) hari pembalasan?

 

Kalimah الغاشِيَةِ yang dijadikan nama surah ini adalah salah satu dari nama Hari Kiamat. Memang banyak nama yang Allah ﷻ berikan untuk hari kiamat sebagai penerangan kepada sifat-sifat hari kiamat itu.

Kita tahu yang ayat ini adalah khitab kepada Nabi Muhammad ﷺ kerana kalimah أَتاكَ (telah sampai kepada engkau). Kalau sebelum ini dalam surah al-A’la (بَل تُؤثِرونَ الحَياةَ الدُّنيا (Tetapi kamu (orang-orang kafir) memilih kehidupan duniawi.) Ayat 16), Allah ﷻ terus bercakap kepada mereka yang melebihkan dunia dan sekarang ada iltifat (perubahan) kepada khitab kepada Nabi Muhammad ﷺ pula. Ini adalah kerana Allah ﷻ sudah tidak mahu bercakap dengan mereka.

Kalimat هَل أَتاكَ (Sudah datangkah kepadamu) ada lagi dalam ayat-ayat lain seperti dalam Surah Taha, Burooj dan banyak lagi surah-surah lain. أَتى bermaksud ‘datang’, tetapi begitu juga dengan kalimah جاء. Jadi kenapa digunakan kalimah أَتى dalam ayat ini?

Ini adalah kerana kalimah جاء digunakan untuk benda yang besar, yang susah dan yang kecil sedikit digunakan kalimah أَتى sahaja. Oleh itu, apabila surah itu menceritakan tentang kejadian Hari Kiamat yang tentunya menceritakan tentang kejadian yang besar-besar, digunakan kalimah جاء. Akan tetapi apabila hanya disebut tentang berita sahaja seperti dalam ayat ini, maka kalimah أَتى digunakan.

Kenapa Allah ﷻ tanya Nabi Muhammad ﷺ pula sama ada berita itu telah sampai kepada baginda? Untuk memahaminya, kita kena bayangkan situasi dalam kelas yang pelajarnya telah gagal dalam peperiksaan mereka. Maka guru besar telah datang jumpa guru kelas itu semasa di dalam kelas. Guru kelas itu memang sudah ajar anak murid dia, tetapi anak murid dia sahaja yang malas.

Maka guru besar datang dan tanya guru kelas itu di hadapan pelajarnya: “bukan cikgu sudah ajarkah mereka ini?” Soalan itu bukanlah untuk menegur guru itu tetapi sebenarnya hendak menegur pelajar-pelajarnya, bukan? Begitulah Allah ﷻ menegur mereka yang gagal dalam kehidupan mereka, masih lagi hendak melebihkan dunia dari akhirat.

Padahal maklumat tentang akhirat telah disampaikan dalam suhuf-suhuf Nabi Ibrahim dan Nabi Musa عليهما السلام. Mereka sepatutnya sudah tahu tentang perkara itu, tetapi mereka masih lagi tidak ambil pengajaran?

Kenapa pula Allah ﷻ gunakan kalimah حَديثُ dalam ayat ini? Kalimah ini telah banyak kali kita bertemu. Selalunya ianya digunakan untuk perkara yang baru; ataupun perkara lama, tetapi kerana telah lama terjadi dulu, sampaikan manusia sudah lupa, maka ianya seperti perkara baru apabila disampaikan kembali kepada manusia. Tujuan Allah ﷻ adalah kerana hendak suruh manusia lihat kembali perkara itu dengan mata yang baru, dengan nafas yang baru.

Kalimah الغاشِيَةِ dari kalimah غشي telah digunakan dalam Yunus:27. Ia bermaksud meliputi sesuatu dengan sepenuhnya. Kalimah ini digunakan dalam ayat ini sebagai merujuk kepada keadaan Hari Kiamat kerana pada hari itu, ia akan meliputi seluruh alam. Kiamat akan bermula dari langit dan langit itu meliputi dunia dan apabila Hari Kiamat berlaku, segala kejadian itu akan meliputi bumi dan seluruh alam ini. Tidak akan ada tempat yang terselamat dari kejadian itu. Ianya adalah satu keadaan yang menakutkan sekali. Jadi, jangan diambil ringan.

Allah ﷻ hendak memberitahu, walaupun manusia sibuk dengan dunia, tetapi bila datangnya hari kiamat nanti, kejadian itu akan meliputi mereka. Mereka sibuk dengan dunia, tetapi segala itu tidak bermakna lagi apabila kiamat datang kerana kiamat itu hebat dan besar sekali sampai manusia akan terlupa tentang perkara-perkara lain. Mereka akan lupakan perkara lain kerana fikiran mereka akan terpanggil untuk menangani keadaan di hari kiamat nanti, kerana ianya tidak boleh dipinggirkan.

Bila Allah ﷻ tanya tentang الغاشِيَةِ dalam ayat ini, ia adalah pemberitahuan yang memang telah datang sebelum ini. Seperti apabila kita tanya seseorang: “bukan kamu sudah tahukah tentang perkara ini?” Jadi soalan itu bukan soalan, tetapi soalan retorik sahaja kerana hendak ingatkan sahaja yang memang perkara itu telah disampaikan sebelum itu. Maknanya, persoalan ini adalah: Bukankah perkara ini telah disampaikan kepada kamu dulu?

Dan memang berita tentang ghasyiyah itu telah disampaikan dulu, dan sekarang akan diberitahu lagi supaya diingatkan balik dalam nafas yang baru. Al-Qur’an selalu mengulang-ngulang perkara yang sama untuk beri peringatan kepada manusia.


 

Ayat 2: Allah ﷻ beritahu apa yang akan terjadi pada hari itu.

وُجوهٌ يَومَئِذٍ خاشِعَةٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Some] faces, that Day, will be humbled,

(MALAY)

Banyak muka pada hari itu tunduk terhina,

 

Ramai wajah-wajah akan tunduk takut (khusyuk) pada hari itu. Bukan semua wajah, tetapi ramai. Ini memberi isyarat bahawa ada kumpulan lain yang tidak tunduk takut. Dan nanti memang kita akan bertemu dengan ayat tentang ahli syurga pula. Cuma dalam ayat ini, ianya tentang ahli neraka. Wajah mereka akan tunduk takut, terhina kerana malu sangat.

Kalimah خاشِعَةٌ bermaksud takutkan sesuatu sampai otot-otot menjadi lumpuh, jadi lemah. Iaitu takut yang sampai kesannya terbawa kepada tubuh badan. Takut itu bukan sahaja pada hati tetapi sampai membawa kepada tubuh. Ini lebih tinggi lagi lagi dari kalimah يَخشىٰ yang dipakai dalam Surah al-A’la (ayat 10) sebelum ini.

Khusyuk inilah yang sepatutnya kita rasa apabila sembahyang, rasa takut sampai kepada tubuh badan kita sekali berdiri dalam keadaan tunduk kepada Allah ﷻ kerana takut. Kalau kita sedar yang kita sedang mengadap Allah ﷻ, dan kita pun faham apa yang kita lafazkan dalam solat, in sha Allah kita akan dapat perasaan khusyuk itu. Tubuh kita akan keras kaku dan tidak bergerak-gerak melainkan pergerakan solat sahaja.

Orang kafir tidak khusyuk tunduk kepada Allah ﷻ semasa mereka di dunia, maka di akhirat nanti mereka akan khusyuk juga akhirnya. Mereka tidak takut kepada Allah ﷻ semasa di dunia, maka mereka akan takut yang amat sangat nanti di akhirat. Orang mukmin takut kepada Allah ﷻ semasa di dunia lagi dan kerana itu mereka akan selamat di akhirat.


 

Ayat 3:

عامِلَةٌ ناصِبَةٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Working [hard] and exhausted.¹

  • Another accepted meaning is “They were working hard and exhausted,” i.e., doing deeds during worldly life which did not benefit them since they were not accompanied by faith or done for the acceptance of Allāh (subḥānahu wa ta‘ālā).

(MALAY)

bekerja keras lagi kepayahan,

 

Ramai manusia bekerja keras sampai penat lelah. Kalimah ناصِبَةٌ itu bermaksud penat sangat sampai nampak penat itu pada muka. Kalau kita lihat orang yang baru bekerja lama, kerja keras, kita tahu yang mereka penat kerana nampak pada muka mereka, bukan?

Ayat ini memberitahu keadaan ahli neraka semasa di dunia. Mereka sibuk mencari dunia semata-mata. Mereka bekerja keras untuk naik pangkat, dapat projek lebih banyak lagi, supaya perniagaan bertambah maju, anak isteri hidup dengan mewah dan sebagainya.

Malangnya, mereka itu sepanjang masa mereka sibuk tentang kerja mereka sampaikan keluarga mereka terabai, kesihatan mereka terabai, dan yang lebih teruk lagi, agama mereka terabai. Penat sahaja mereka bekerja tetapi tidak ada gunanya kerana bukan itu perkara yang paling penting. Segala apa yang mereka cari itu adalah untuk dunia yang sementara sahaja sedangkan mereka lupakan akhirat yang lebih penting.

Atau mereka buat kerja keras dalam amal ibadat semasa di dunia, tetapi untuk amal ibadat yang bukan disuruh oleh agama Islam. Maknanya beribadat penat lelah sampai muka mereka pun sudah nampak penat. Mereka ke sana ke sini buat amalan bidaah. Berzikir dengan zikir yang tidak ada dalam syari’at, sampai beribu malah berjuta.

Macam sekarang yang paling popular dan jelas adalah mereka yang berqasidah di stadium melalak-lalak; kalau tarekat pula, mereka luangkan masa bersuluk di dalam hutan, dalam kubur, dalam kelambu; mereka buat solat yang tidak ada dalam agama; mereka buat amal ibadat bidaah yang lain. Amalan bidaah itu memenatkan mereka sahaja, buang masa dan harta mereka sahaja, tetapi tidak ada nilai pahala di sisi Allah ﷻ kerana ia termasuk dalam perkara yang mereka agama.

Atau, mereka sibuk dengan amalan yang baik dan yang sunnah, tetapi mereka tidak kemas dalam hal tauhid, sampaikan mereka melakukan perkara yang berlawanan dengan tauhid. Mereka buat perkara-perkara yang syirik kerana mereka tidak tahu bahawa itu adalah syirik kerana mereka tidak mempelajari tentang tauhid.

Mereka belajar tentang amal ibadat sahaja, tetapi dalam masa yang sama, mereka buat perkara yang salah dalam agama. Mereka berdoa kepada selain Allah ﷻ, mereka menyembah atau buat ibadat kepada ilah yang lain, mereka bertawassul kepada Nabi ﷺ, wali dan malaikat; dan macam-macam lagi.

Kerana itu ramai yang kita berjumpa orang yang dulu sudah banyak belajar hadis-hadis Nabi ﷺ. Maka bab ibadah mereka sudah kemas, tidak buat amalan bidaah lagi. Tetapi malangnya mereka tidak belajar tafsir Al-Qur’an lagi. Maka mereka tidak kemas ilmu tauhidnya. Bila mereka baru belajar tafsir Al-Qur’an, barulah mereka tahu betapa banyak yang mereka tidak tahu sebelum itu.


 

Ayat 4: Mereka buat banyak amal, tetapi akhirnya masuk neraka juga.

تَصلىٰ نارًا حامِيَةً

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They will [enter to] burn in an intensely hot Fire.

(MALAY)

memasuki api yang sangat panas (neraka),

 

Mereka akan ‘memasukkan’ diri mereka ke dalam neraka yang panas membakar, bukan mereka ‘dimasukkan’. Ini adalah kerana kalimah تَصلىٰ adalah dalam bentuk aktif. Mereka masuk sendiri ke dalam neraka.

Ini adalah sebagai penghinaan kepada mereka, kerana mereka masuk sendiri. Bagaimana mereka masuk sendiri? Kerana tubuh mereka tidak ikut cakap mereka lagi tetapi ikut perintah Allah ﷻ dan Allah ﷻ akan suruh mereka masuk ke dalam Neraka.

Kalimah تَصلىٰ adalah athaf kepada وُجوهٌ (dalam bentuk jamak taksir) dalam ayat 2 sebelumnya. Oleh itu wajah-wajah mereka akan masuk sendiri ke dalam neraka. Kenapa wajah yang masuk dahulu? Ini adalah kerana selalunya kalau jadi sesuatu, mukalah yang kita akan jaga dahulu, bukan?

Sebagai contoh, kalau ada orang hendak pukul kita, selalunya kita akan tahan muka kita dulu, bukan? Ini adalah kerana tabiat manusia akan menjaga muka mereka dahulu. Walaupun tabiat manusia akan menjaga wajah, tetapi mereka tetap akan masukkan muka mereka dahulu ke dalam neraka. Begitulah keadaan mereka di akhirat kelak.

Kalimah حامِيَةً dari kalimah حمي yang bermaksud ‘menahan sesuatu dari terjadi’. Digunakan dalam ayat ini sebagai sifat api dalam neraka itu. Walaupun api itu sangat panas tetapi api itu ‘ditahan’ dari membakar terus sampai hangus tubuh badan. Hangus juga tubuh itu tetapi tidaklah sampai mati ahli neraka itu.

Ini adalah kerana Allah ﷻ hendak terus menyeksa ahli neraka dengan api itu. Kalau badan mereka terbakar dan hancur, tidaklah rasa sakit lagi sedangkan deria rasa ada pada kulit. Jadi kulit tidak rosak, tetapi ia akan merasa kepanasan api yang sangat panas itu.

Oleh itu, mereka yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah mereka yang sangka mereka telah selesai kerja beramal di dunia, mereka sangka akan dapat balasan yang baik, tetapi sebenarnya mereka masuk ke dalam neraka kerana mereka melakukan perkara yang syirik dan mereka juga melakukan perkara-perkara bidaah.

Atau mereka yang sibuk bekerja di dunia sampai penat, tetapi pekerjaan dan usaha mereka itu tentang dunia sahaja dan mereka tidak bersedia dengan amalan untuk dibawa ke akhirat.

Begitulah pernah Saidina Umar رضي الله عنه tengok orang Kristian yang sibuk beramal dan beliau menangis; apabila ditanya kenapa, beliau jawab kerana beliau lihat mereka susah payah buat amalan tetapi mereka akan dimasukkan ke dalam neraka.

Maka, kita kenalah berhati-hati dengan amalan kita. Jangan kita buat banyak amalan, tetapi amalan yang bidaah sahaja yang banyak. Cubalah untuk tidak buat langsung amalan bidaah. Tinggalkan dan jangan campur dengan mereka yang mengamalkan amalan bidaah itu. Ini kena dipelajari dan jangan hanya ikut sahaja amalan masyarakat.

Jangan terus terima ajaran dari para ustaz, tetapi hendaklah tanya juga mereka, dari mana amalan itu datang? Ini kerana para ustaz juga keliru tentang perkara ini. Merekalah sekarang yang mengajar amalan-amalan bidaah dalam masyarakat sampaikan masyarakat tidak rasa bersalah buat amalan bidaah. Kerana mereka kata: “eh, ini ustaz yang ajar aku, takkan salah kot?”.


 

Ayat 5: Apakah sudah masuk neraka, apakah makan minum mereka di sana?

تُسقىٰ مِن عَينٍ آنِيَةٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They will be given drink from a boiling spring.

(MALAY)

diberi minum (dengan air) dari sumber yang sangat panas.

 

Masih lagi athaf kepada wajah. Maknanya, muka yang akan diberi minum. Allah ﷻ gunakan kalimah muka, kerana segala perasaan manusia ternampak dari muka sama ada takut, marah, sombong dan sebagainya. Dan kalau diberi minum pun, ia akan diberi kepada mulut. Mulut mereka akan dimasukkan dengan air yang menggelegak.

Kalimah عَينٍ bermaksud ‘mata air’. Mata air yang selalunya keluar dari tanah. Mata air ini menjadi kesukaan orang Arab kerana mereka kekurangan air, jadi kalau jumpa mata air, mereka teramatlah sukanya. عَينٍ juga digunakan untuk mata kerana mata mengeluarkan air, bukan? Dan yang cantik pada mata pun dipanggil عَينٍ juga.

Tetapi mata air yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah air yang keluar dari neraka. Tidaklah seperti yang kita selalu lihat di dunia ini. Jadi Allah ﷻ gunakan perkara yang selalunya untuk perkara yang kita suka, tetapi Allah ﷻ jadikan dalam bentuk yang amat buruk sekali sebagai azab dan sebagai ejekan bagi mereka.

Allah ﷻ pastikan yang ini bukanlah mata air yang baik kerana Allah ﷻ tambah dengan kalimah آنِيَةٍ yang bermaksud air yang sedang menggelegak. Bayangkan mereka diberi minum dengan air yang menggelegak. Dan bukan menggelegak di dunia, tetapi di neraka nanti! Tentulah tidak sama dengan air menggelegak di dunia (itu pun sudah teruk kalau minum air menggelegak).

Tidak dapat dibayangkan bagaimana panasnya air itu. Kalau air menggelegak di dunia pun kita sudah tidak tahan, apatah lagi air di neraka nanti. Dalam surah yang lain, ada disebut bagaimana ahli neraka akan diberi air yang apabila air itu dekat dengan muka sahaja, bibir akan terkiat kerana panasnya air itu (belum kena lagi). Ini macam plastik yang kena haba panas, ia akan berubah bentuk.


 

Ayat 6: Selepas disebut tentang minuman, disebut tentang makanan pula. Apa pula makanan ahli neraka itu?

لَيسَ لَهُم طَعامٌ إِلّا مِن ضَريعٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

For them there will be no food except from a poisonous, thorny plant

(MALAY)

Mereka tiada memperoleh makanan selain dari pohon yang berduri,

 

Tidak ada makanan bagi mereka kecuali pokok-pokok yang berduri. Ini bukan penjara dunia yang ada makanan yang boleh dimakan. Kalau duduk di penjara dunia, masih dapat makanan yang boleh dimakan (walaupun tidaklah sedap mana). Makanan yang ada di neraka itu amat buruk sekali.

Memang makanan tidak boleh dimakan akan tetapi mereka akan berasa lapar sangat dan mereka akan mencari makanan. Tetapi makanan yang ada hanyalah dari pokok yang berduri. ضَريعٍ asalnya adalah rumpai laut yang mentah atau sejenis tumbuhan berduri di Tanah Arab yang sering dikenali sebagai asy-Syibriq. Tumbuhan itu berduri dan juga beracun.

Manusia dan binatang tidak boleh memakannya kecuali unta sahaja kerana bibir dan mulutnya yang tebal. Binatang-binatang lain tidak datang dekat pun. Selain dari ضَريعٍ, makanan lain yang disebut dalam Neraka adalah Zaqqum. Memang tidak menarik makanan-makanan itu akan tetapi mereka akan mencari makanan itu juga kerana mereka lapar sangat. Bila mereka cari, mereka cuma nampak tumbuhan itu sahaja, maka mereka kena juga makan.

Sampai makanan dalam neraka pun disebut kerana ini adalah satu peringatan yang keras kepada mereka yang masih degil. Kalau dibandingkan, Surah al-A’la sebelum ini adalah sedikit lembut dan Surah Ghasyiya ini keras sikit.


 

Ayat 7: Apabila diberitahu tentang makanan dalam neraka, mereka yang degil itu kata dengan mengejek: kalau macam itu, tidaklah teruk sangat, unta pun boleh makan… kami pun bolehlah makan juga.. Maka Allah ﷻ jawab dalam ayat ini.

لا يُسمِنُ وَلا يُغني مِن جوعٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Which neither nourishes nor avails against hunger.

(MALAY)

yang tidak menggemukkan dan tidak pula menghilangkan lapar.

 

Allah ﷻ beritahu yang makanan yang disebut dalam ayat sebelum ini tidak يُسمِنُ, iaitu tidak akan menggemukkan mereka. Ini adalah kerana makanan itu tidak ada khasiat langsung. Ia bukan makanan pun.

Mungkin ada orang yang tidak kisah kalau makan tidak menggemukkan, tidak ada zat kerana kalau di dunia pun memang sudah ramai orang makan makanan macam itu. Maka Allah ﷻ tambah lagi, makanan itu tidak akan menghilangkan rasa lapar. Makan banyak mana pun tidak menghilangkan lapar, maka mereka akan tetap makan dan tetap makan.

Selalunya kita kalau sudah makan dan kenyang, tengok makanan pun tidak mahu. Tetapi bayangkan mereka makan itu, mereka masih makan lagi kerana tidak hilang rasa lapar. Sedangkan itu adalah makanan berduri dan apabila mereka memakannya, ia menambah azab kepada mereka yang bertambah-tambah.

Maka ini pun azab juga (iaitu makan dan tetap makan). Maka kena kenanglah, adakah hendak hidup macam ini atau hidup senang di syurga? Adakah berbaloi kesenangan di dunia ini yang sementara kalau kekal dalam neraka yang penuh dengan azab?

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 27 November 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir