Tafsir Surah Yusuf Ayat 25 – 26 (Baju koyak di mana?)

Yusuf Ayat 25: Apa yang berlaku ini adalah ujian daripada Allah ‎ﷻ. Ujian Allah ‎ﷻ menzahirkan sama ada orang itu beriman atau tidak. Memang Allah ‎ﷻ tahu Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ beriman, akan tetapi jikalau tidak diuji, maka tidaklah zahirnya iman itu. Maka banyak yang kita belajar daripada kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini. Supaya kita tahu yang orang beriman pun akan diuji juga. Kadang kita jaga syariat, tidak kacau orang, namun ada sahaja orang kacau kita, bukan? Ini kerana ujian Allah ﷻ.

وَٱستَبَقَا ٱلبَابَ وَقَدَّت قَمِيصَهُ ۥ مِن دُبُرٍ وَأَلفَيَا سَيِّدَهَا لَدَا ٱلبَابِ‌ۚ قَالَت مَا جَزَآءُ مَن أَرَادَ بِأَهلِكَ سُوٓءًا إِلَّآ أَن يُسجَنَ أَو عَذَابٌ أَلِيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they both raced to the door, and she tore his shirt from the back, and they found her husband at the door. She said, “What is the recompense of one who intended evil for your wife but that he be imprisoned or a painful punishment?”

(MALAY)

Dan keduanya berlumba-lumba menuju pintu dan wanita itu menarik baju Yusuf dari belakang hingga koyak dan kedua-duanya mendapati suami wanita itu di muka pintu. Wanita itu berkata: “Apakah pembalasan terhadap orang yang bermaksud berbuat serong dengan isterimu, selain dipenjarakan atau (dihukum) dengan azab yang pedih?”

 

وَاستَبَقَا البَابَ

Dan mereka berdua berlumba-lumba menuju pintu

Kalimah استَبَقَا bermaksud mereka berdua sama-sama berlumba tetapi tidaklah disebut berlumba apa. Jadi kita andaikan yang mereka dua-dua berlari ke arah pintu. Sebenarnya Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang berlari ke arah pintu untuk membukanya sedangkan wanita itu berlari ke arah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk menahannya. Akan tetapi Allah ﷻ ringkasnya sahaja di dalam ayat ini dengan sebut kedua-duanya berlari ke arah pintu. Atau mungkin juga wanita itu pun berlari ke arah pintu kerana hendak memastikan ia tetap tertutup. Ini kerana sebelum ini dia telah menutupnya.

Di dalam ayat 23 digunakan kalimah ٱلأَبوٰبَ (pintu-pintu) sedangkan di dalam ayat ini digunakan kalimah البَابَ (satu pintu) sahaja. Ini kerana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak berjaya membuka pintu-pintu yang banyak itu dan sekarang ia merujuk kepada satu pintu yang terakhir itu. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ hendak membuka pintu dan melarikan dirinya daripada wanita itu, manakala wanita itu berlumba kerana hendak mengejar Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang menjauhkan diri. Sama-sama berlumba ke arah pintu tetapi bukan untuk tujuan yang sama.

Ini menunjukkan yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bukan sebut sahaja tidak mahu melakukan perkara keji, tetapi baginda juga telah mengambil tindakan. Baginda melarikan diri dan itulah usaha baginda. Perbuatan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini menjadi contoh tauladan kalau ia terjadi kepada kita juga. Maka kita pun jangan pandai cakap sahaja tanpa ambil langkah menyelamatkan diri daripada dosa. Sebagai contoh kalau kita tiba-tiba berada di tempat maksiat, teruslah lari keluar. Janganlah tengok-tengok pula apa yang ada di dalam tempat itu.

Namun bukankah pintu telah dikunci oleh wanita itu? Dan kunci itu mungkin di tangan wanita itu. Jadi kenapa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ buat perkara yang nampaknya sia-sia? Maka ini mengajar kita yang kita kena usaha sahaja dan selebihnya serah kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Mungkin Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak dapat membuka pintu itu kerana dikunci akan tetapi dia masih boleh cuba pecahkan atau dia mungkin boleh ketuk pintu itu dengan kuat supaya ada orang luar yang akan dengar. Yang pastinya, kena lakukan sesuatu dan tidak putus asa dan tunggu sahaja. Ada kisah seorang lelaki mukmin yang dipenjara. Setiap hari Jumaat dia akan mandi dan bersiap untuk solat Jumaat dan dia akan pergi ke pintu penjaranya dan berkata: “Ya Allah, ini sahaja yang mampu aku lakukan, selebihnya aku serahkan kepada-Mu”. Maka ini mengajar kita untuk lakukan apa sahaja usaha setakat kemampuan kita. Semoga Allah ‎ﷻ balas usaha kita itu dengan pahala walaupun tujuan akhirnya tidak tercapai. Usahalah setakat kemampuan kita dan berharap supaya Allah ‎ﷻ beri jalan keluar. Percayalah dengan janji Allah ‎ﷻ di dalam Talaq:2

وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجعَل لَّهُ مَخرَجًا
Barangsiapa bertaqwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar.

 

وَقَدَّت قَمِيصَهُ ۥ مِن دُبُرٍ

dan wanita itu mengoyak baju Yusuf dari belakang 

Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang ke hadapan dahulu dan wanita itu menarik baju Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dari arah belakang sampai baju baginda terkoyak. Kalimah قَدَّت bermaksud koyak ke bawah. Tujuan ditariknya adalah supaya Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak lari. Ini adalah kali kedua baju Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ disebut di dalam surah ini. Kali pertama baju baginda digunakan oleh abang-abangnya konon sebagai bukti baginda telah dimakan serigala.

Baju adalah lambang kepada maruah. Begitulah maruah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dicalar pertama oleh abang-abangnya apabila baju baginda diambil. Sekarang sekali kali maruah baginda dicalar apabila baju baginda dikoyakkan dari belakang. Begitulah ujian yang diberikan kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Kedua-dua golongan itu yang sepatutnya diharapkan oleh baginda untuk menjaganya, akan tetapi merekalah yang mencalar maruah baginda.

 

وَأَلفَيَا سَيِّدَهَا لَدَى البَابِ

dan kedua-duanya mendapati tuan wanita itu di muka pintu. 

Kalimah أَلفَيا (mereka berdua mendapati) bermaksud mereka mendapati sesuatu yang tidak dicari dan tidak disangka-sangka. Ia tidak sama dengan kalimah وَجَدَ yang digunakan untuk menjumpai sesuatu yang dicari-cari. Maknanya mereka tidak sangka tuan rumah (suami wanita) itu akan ada di rumah. Apabila pintu dibuka, di situ telah berada Al-Aziz, suami wanita itu. Mereka tidak menyangka akan bertemu tuan rumah di pintu itu kerana mungkin dia berada di tempat lain dan lambat lagi baru balik. Kerana itulah wanita itu berani hendak buat apa yang dia buat dengan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Namun Allah ‎ﷻ takdirkan menteri itu pulang awal dari biasa. Mungkin dia ada barang tertinggal atau apa-apa sebab kerana ia di dalam percaturan Allah ﷻ dan Allah ﷻ yang mahukan ia terjadi.

Soalan: siapa yang menteri itu nampak dahulu? Sudah tentu dia nampak Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana baginda yang berada di hadapan dan baginda yang sedang membuka pintu. Sudah sepatutnya menteri itu sudah nampak yang Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang mahu lari. Sila ingat fakta ini kerana ia maklumat yang penting nanti.

Penduduk atau rakyat Mesir pada ketika itu (Coptic Christian) memanggil suami mereka dengan panggilan سيّد (setelah diterjemah ke dalam Bahasa Arab). Perkataan سيّد disebut SEKALI SAHAJA di dalam seluruh Al-Qur’an, iaitu pada Surah Yusuf. Ini bermaksud Al-Qur’an begitu tepat sehinggakan panggilan secara adat semasa juga direkod dalam teknik penceritaan di mana tidak mungkin diketahui oleh Arab pada ketika itu. Ini kerana kalimah سيّد tidak digunakan sebagai istilah yang merujuk kepada suami di dalam dunia Arab. Kalimah سيّد asalnya bermaksud ‘tuan’ dan Ibn Asyur berpendapat perkahwinan di Mesir ketika itu menjurus kepada pemilikan suami ke atas isterinya.

Perhatikan juga kalimah yang digunakan adalah سَيِّدَها (tuan wanita itu) kerana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak dianggap sebagai hamba. Menurut al-Biqa‘i, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah seorang merdeka yang tidak pernah diperbudak. Baginda adalah seorang muslim, dan seorang muslim tidak dimiliki oleh siapa pun kecuali oleh Allah ‎ﷻ.

 

قَالَت مَا جَزَآءُ مَن أَرَادَ بِأَهلِكَ سُوٓءًا

Wanita itu berkata: “Apakah pembalasan terhadap orang yang bermaksud berbuat serong dengan isterimu,

Perhatikan dalam keadaan sudah terkantoi sebegitu rupa pun, wanita itu tenang sahaja; tanpa malu dan tanpa ditanya dia pandai berkata-kata untuk menyelamatkan dirinya. Dia cepat-cepat bercakap dahulu untuk membersihkan namanya. Inilah salah satu daripada kelicikan wanita yang Allah ‎ﷻ sebut dalam Al-Qur’an. Walaupun yang sebenarnya dia yang dari awal telah menggoda Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tapi dia pula bertindak ‘play victim’ (acah-acah menjadi mangsa). Dia terus tanya suaminya apa yang suaminya akan buat untuk menghukum Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ? Namun kalimah yang digunakan adalah جَزَآءُ iaitu kalimah yang digunakan untuk balasan baik seperti kita ucap terima kasih جَزَاكَ اللَّهُ خَيْرًا (Semoga Allah membalasmu dengan kebaikan). Jadi dia sedang perli suaminya yang sayang kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ jadi ia seolah-olah cakap: “Ha sekarang ‘balasan baik’ apa untuk dia ni? Kau sayang sangat dia kan? Sekarang tengok apa dia buat!”

Perhatikan dia menggunakan istilah بِأَهلِكَ (dengan isterimu) seolah-olah mencabar kelelakian suaminya itu. Selalu orang lelaki akan jadi marah kalau keluarganya diganggu dan mereka tidak dapat tahan sabar lagi. Ironinya sebelum itu dia tidak bertindak pun sebagai isteri suaminya apabila hendak berselingkuh dengan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tetapi kali ini dia gunakan istilah isteri pula.

Soalan dia kepada suaminya itu seolah-olah dia yang teraniaya dan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula yang bersalah. Dia telah menggunakan teknik mengawal minda. Sebagai contoh, seseorang bertanya kepada orang lain: “Kenapa kau rasa dia buat perkara itu?” Dalam soalan ini, orang yang bertanya itu telah menutup kebarangkalian orang itu tidak buat pun perkara itu. Dia terus buat andaian yang orang itu memang telah membuat perkara itu, cuma sekarang ditanya ‘kenapa’ sahaja. Boleh nampak betapa liciknya soalan wanita ini?

 

إِلَّآ أَن يُسجَنَ أَو عَذَابٌ أَلِيمٌ

selain dipenjarakan atau (dihukum) dengan seksaan yang pedih?”

Malah lebih hebat lagi, dia siap bagi cadangan lagi kepada suaminya itu untuk terus menghukum Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ: sama ada penjarakan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ atau beri hukuman yang menyakitkan baginda. Dia ada dua tujuan: (1) memesongkan kesalahan daripada dirinya kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan (2) mengajar Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang telah menolaknya. Jadi wanita ini adalah wanita yang jahat, bukannya baik. Maka tidak perlulah hendak letakkan nama anak sebagai Zulaikha untuk nisbahkan kepadanya. Dia bukannya hendakkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ masuk penjara tetapi dia gunakan gertakan sahaja supaya Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ikut cakapnya. Buktinya nanti kita akan lihat bagaimana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ lebih rela memasuki penjara.

Wanita itu memang sayang kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan kerana itu dia dahulukan cadangan dipenjarakan sahaja sebelum disebut azab. Kerana dia mahu Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dipenjarakan bukannya lama tetapi sekejap sahaja kerana kalimat yang digunakan adalah يُسجَنَ sahaja. Kalau dia hendak Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dipenjarakan lama, maka kalimat lain yang digunakan seperti kata-kata Firaun di dalam Syua’ra:29 yang hendak memenjarakan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ,

قالَ لَئِنِ اتَّخَذتَ إِلٰهًا غَيري لَأَجعَلَنَّكَ مِنَ المَسجونين
Fir’aun berkata: “Sungguh jika kamu menyembah Tuhan selain aku, benar-benar aku akan menjadikan kamu salah seorang yang dipenjarakan”.


 

SAKSI

Yusuf Ayat 26: Sambungan kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ digoda oleh isteri tuannya. Tadi wanita itu yang terus berkata, sekarang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sedang mempertahankan dirinya. Baginda harus mempertahankan dirinya kerana tentu tidak ada sesiapa yang akan pertahankan. Sekiranya ada orang lain yang tahu kisah sebenar, mereka pun tidak berani hendak mempertahankan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana takut hilang kerja atau hilang terus kepala.

قَالَ هِىَ رٰوَدَتنِى عَن نَّفسِى‌ۚ وَشَهِدَ شَاهِدٌ مِّن أَهلِهَآ إِن كَانَ قَمِيصُهُ ۥ قُدَّ مِن قُبُلٍ فَصَدَقَت وَهُوَ مِنَ ٱلكَـٰذِبِينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Joseph] said, “It was she who sought to seduce me.” And a witness from her family testified, “If his shirt is torn from the front, then she has told the truth, and he is of the liars.

(MALAY)

Yusuf berkata: “Dia menggodaku untuk menundukkan diriku (kepadanya)”, dan seorang saksi daripada keluarga wanita itu memberikan kesaksiannya: “Jika bajunya koyak di hadapan, maka wanita itu benar dan Yusuf termasuk orang-orang yang dusta.

 

قالَ هِيَ رٰوَدَتني عَن نَّفسي

Yusuf berkata: “Dia menggodaku untuk menundukkan diriku

Setelah isteri tuan rumah itu menuduhnya hendak merogolnya, maka Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menjelaskan keadaan. Memang tuduhan kenalah ada bukti dan sekarang tidak ada bukti yang baginda hendak merogol wanita itu. Perhatikan jawapan yang ringkas dan kita baca pun tenang sahaja dari Nabi Yusuf ini. Bandingkan kalau kita baca tuduhan wanita sebelum ini. Kalau kita baca dengan tajwid yang betul, panjang berjela bunyi ayat قَالَت مَا جَزَآءُ مَن أَرَادَ بِأَهلِكَ سُوٓءًا إِلَّآ أَن يُسجَنَ أَو عَذَابٌ أَلِيمٌ. Perhatikan ada banyak tanda mad di dalam ayat itu.

Maka baginda mesti mempertahankan diri baginda, tidak buat senyap sahaja. Jadi ini mengajar kita yang kita mestilah pertahankan diri dan kemudian serah diri kepada Allah ‎ﷻ dan yakin bantuan daripada Allah ‎ﷻ. Begitulah kita dapat belajar melalui sejarah para ulama’ bagaimana mereka mempertahankan diri mereka walaupun mereka telah dituduh oleh kerajaan sendiri. Tidaklah mereka berdiam diri sahaja. Sebagai contoh kita lihat kisah Ibnu Taimiyyah رَحِمَهُ اللَّهُ. Beliau adalah seorang ulama yang sentiasa berhadapan dengan fitnah dan tuduhan, bukan sahaja daripada penguasa, tetapi juga daripada ulama sezamannya yang tidak bersetuju dengan pandangan beliau. Beliau dituduh sesat dan dihalang untuk mengajar. Ibnu Taimiyyah رَحِمَهُ اللَّهُ tidaklah berdiam diri dan berserah kepada takdir sahaja sebaliknya beliau mempertahankan dirinya dengan hujah dan dalil yang kukuh daripada Al-Qur’an dan As-Sunnah. Beliau menulis banyak kitab untuk membantah tuduhan yang dilemparkan kepadanya, seperti kitab “Minhaj as-Sunnah an-Nabawiyyah”.

Ketika Imam Asy-Syafie رَحِمَهُ اللَّهُ berada di Baghdad, beliau dituduh cenderung kepada akidah Syiah. Tuduhan ini dibawa ke hadapan Khalifah Harun Ar-Rasyid. Imam Asy-Syafie رَحِمَهُ اللَّهُ membela dirinya dengan hujah yang sangat kuat dan logik di hadapan Khalifah. Beliau menjelaskan kesucian akidahnya dan membantah segala tuduhan tersebut. Berkat kepintaran dan keteguhannya, beliau dilepaskan dan tuduhan itu terbatal. Kisah Imam Asy-Syafie رَحِمَهُ اللَّهُ mengajar kita pentingnya ilmu, kefasihan, dan keberanian dalam mempertahankan diri daripada fitnah dan salah faham.

Mempertahankan diri penting bagi pendakwah kerana mereka akan buat kerja dakwah dan mengajar nanti. Kalau imej mereka tercabar, maka nanti kerja dakwah dan pengajaran ilmu mereka akan terganggu. Ada kisah menarik tentang Imam Bukhari رَحِمَهُ اللَّهُ dalam hal ini.

Pada suatu masa, ketika Imam Al-Bukhari رَحِمَهُ اللَّهُ dalam perjalanan untuk menuntut ilmu hadith, beliau membawa bersama sejumlah wang yang banyak iaitu seribu dinar. Wang tersebut dikumpulnya hasil daripada harta yang ditinggalkan oleh bapanya. Beliau menyimpannya dengan baik. Sewaktu dalam perjalanannya, Imam Al-Bukhari رَحِمَهُ اللَّهُ telah berkenalan dengan beberapa orang yang turut sama menuntut ilmu. Salah seorang daripada mereka sebenarnya seorang pencuri. Apabila si pencuri itu menyedari bahawa Imam Al-Bukhari رَحِمَهُ اللَّهُ mempunyai sejumlah wang, dia merancang untuk mencuri wang itu. Namun, dia tidak menemui sebarang wang di dalam beg Imam Al-Bukhari رَحِمَهُ اللَّهُ. Setelah gagal, si pencuri itu cuba menipu. Dia mula menjerit dan menuduh Imam Al-Bukhari رَحِمَهُ اللَّهُ sebagai pencuri dan mengatakan Imam Al-Bukhari رَحِمَهُ اللَّهُ telah mencuri wang miliknya. Apabila dia terus menjerit dan membuat kekecohan, para penumpang lain di dalam kenderaan mereka mula curiga. Imam Al-Bukhari رَحِمَهُ اللَّهُ yang terkenal dengan ketenangan dan kebijaksanaannya, dengan tenang menjawab tuduhan itu. Beliau berkata: “Aku bukan seorang pencuri. Aku tidak pernah mengambil harta sesiapapun.” Namun, si pencuri itu terus berbohong dan menuduh. Untuk membuktikan dirinya jujur, Imam Al-Bukhari رَحِمَهُ اللَّهُ meminta agar beg dan pakaian mereka diperiksa. Apabila beg Imam Al-Bukhari رَحِمَهُ اللَّهُ diperiksa, tiada apa-apa ditemui di dalamnya. Beg si pencuri itu juga diperiksa dan tiada apa-apa ditemui. Pada saat ini, si pencuri itu terkejut. Dia tidak faham bagaimana Imam Al-Bukhari رَحِمَهُ اللَّهُ boleh menyimpan wangnya dengan begitu selamat. Si pencuri itu membuat tuduhan palsu. Apabila Imam Bukhari رَحِمَهُ اللَّهُ disoal siasat oleh rombongan, beliau tahu bahawa wang itu akan ditemui jika beliau membuka pakaiannya. Untuk menjaga nama baik dan integriti beliau sebagai penuntut ilmu hadith, Imam Al-Bukhari رَحِمَهُ اللَّهُ membuat satu keputusan yang sukar. Beliau membuka pakaiannya dan mengambil wang itu, lalu membuangnya ke dalam sungai yang mengalir di bawah mereka. Walaupun wang itu hilang, Imam Al-Bukhari رَحِمَهُ اللَّهُ selamat daripada tuduhan dan maruahnya sebagai seorang ulama tidak tercalar. Tindakan ini menunjukkan bahawa bagi beliau, menjaga nama baik dan kredibiliti dalam menyampaikan hadith Nabi ﷺ adalah jauh lebih penting daripada harta dunia.

Maka begitulah yang dilakukan oleh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Baginda mesti mempertahankan diri baginda supaya nama baik baginda tidak tercalar kerana nanti baginda akan menjadi seorang Nabi dan mengajar agama Islam. Tentu tidak bagus kalau ada suara-suara yang mengatakan baginda dulu ada melakukan maksiat, bukan? Jadi baginda tekankan yang bukan baginda yang hendak merogol wanita itu sebaliknya isteri tuan rumah itu yang hendak mengubah pendirian baginda untuk berzina dengannya dan kerana itulah baginda lari. Tambahan pula, sudah jelas semasa tuan rumah itu di pintu, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang berada di hadapan, bukannya wanita itu.

 

وَشَهِدَ شاهِدٌ مِّن أَهلِها

dan seorang saksi daripada keluarga wanita itu memberikan kesaksiannya:

Selepas diberikan dengan dua kisah yang berlainan, maka tuan rumah itu kebingungan. Tidak ada yang berani mempertahankan baginda. Tiba-tiba ada seorang yang menjadi saksi dari dalam rumah. Perhatikan Allah ‎ﷻ sebut saksi itu مِن أَهلِها iaitu daripada belah keluarga wanita itu. Kalau daripada sebelah pihak Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, tentu tidak akan diterima persaksiannya; akan tetapi apabila datang daripada sebelah wanita itu sendiri, maka ia adalah saksi yang kuat. Allah ‎ﷻ beri bantuan kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan mendatangkan seseorang yang dapat memberikan idea siapakah yang bercakap benar.

Mungkin ramai yang tertanya-tanya: Siapakah saksi ini? Di dalam Al-Qur’an dan hadith tidak disebut siapakah orang itu. Maka siapakah dia tidak perlu dikisahkan. Banyak kisah sampaikan ada riwayat yang mengatakan ia adalah seorang kanak-kanak yang masih dalam buaian. Berdasarkan hadith dan riwayat-riwayat yang sahih, terdapat beberapa bayi yang telah berkata-kata ketika mereka masih di dalam buaian. Ini adalah mukjizat yang menunjukkan kebesaran Allah ‎ﷻ dan kebenaran ajaran para Nabi. Ada yang mengatakan ada empat bayi yang telah berkata-kata itu adalah:

1. Bayi yang Menyaksikan Kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Ini adalah kisah yang paling relevan dengan perbincangan kita di sini. Dalam ayat ini, kisah ini tidak disebutkan secara jelas, tetapi ia ada disebut di dalam kitab tafsir. Akan tetapi kisah ini tidak ada di dalam hadith yang sahih.

2. Bayi Juraij

Juraij adalah seorang abid (ahli ibadah) dalam kalangan Bani Israil yang bertekad untuk menjadi seorang rahib. Suatu hari, seorang wanita yang dituduh melahirkan anak zina menuduh Juraij sebagai ayah kepada bayinya. Orang ramai marah dan merobohkan tempat ibadah Juraij. Untuk membersihkan namanya, Juraij bertanya kepada bayi itu: “Siapakah ayahmu, wahai bayi?” Bayi itu menjawab dengan izin Allah: “Ayahku ialah seorang penggembala kambing!” Dengan itu, kebenaran terbongkar dan Juraij dibersihkan namanya.

3. Bayi yang Mati Syahid

Ini adalah kisah daripada hadith tentang pemuda yang beriman dan Raja yang zalim (Ashab al-Ukhdud). Seorang wanita solehah yang menggendong bayinya ditangkap oleh raja yang zalim kerana beriman kepada Allah ‎ﷻ. Raja itu menyuruh wanita itu membuang bayinya ke dalam api. Wanita itu pada mulanya ragu-ragu. Tiba-tiba, bayi di dalam gendongannya itu berkata: “Wahai ibuku, bersabarlah! Sesungguhnya engkau berada di atas kebenaran.” Mendengar kata-kata itu, wanita tersebut menjadi berani dan membuang dirinya bersama bayinya ke dalam api, lalu mati syahid.

4. Bayi Firaun (Ibnu Masyitah)

Ini adalah kisah yang terkenal, di mana seorang tukang sikat rambut (Masyitah bukan nama tetapi ia bermaksud ‘tukang sikat) isteri Firaun beriman kepada Allah ‎ﷻ. Apabila keimanannya terbongkar, Firaun mengancam untuk membunuh semua anaknya dengan merebus mereka dalam minyak yang mendidih. Ketika anaknya yang paling kecil hampir dicampak, ibunya ragu-ragu. Pada saat itu, bayi yang masih kecil itu berkata: “Wahai ibu, bersabarlah! Sesungguhnya azab dunia lebih ringan daripada azab akhirat.” Mendengar kata-kata anaknya, wanita tersebut menjadi kuat imannya dan mati syahid bersama anak-anaknya.

Keempat-empat kisah ini adalah mukjizat yang menunjukkan bahawa Allah ‎ﷻ mampu menjadikan sesuatu yang mustahil menjadi mungkin, dan ia menjadi bukti kebenaran agama Islam. Walau bagaimanapun kisah saksi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu tidak dapat dipastikan kerana hadith yang sahih hanya menyebut tiga yang lain. Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, daripada Nabi Muhammad ﷺ:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ: قَالَ النَّبِيُّ ﷺ : “لَمْ يَتَكَلَّمْ فِي المَهْدِ إِلَّا ثَلَاثَةٌ: عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ، وَصَاحِبُ جُرَيْجٍ، وَكَانَ فِي بَنِي إِسْرَائِيلَ رَجُلٌ يُقَالُ لَهُ جُرَيْجٌ… وَالْغُلَامُ.”
“Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, beliau berkata: Nabi ﷺ bersabda: ‘Tiada yang berkata-kata dalam buaian melainkan tiga orang: Isa bin Maryam, bayi yang bersama Juraij, dan seorang bayi lagi.'”

(Riwayat Al-Bukhari No. 3436, 5068; Riwayat Muslim No. 2550)

Syarah: Hadith ini tidak memperincikan siapakah bayi ketiga. Namun begitu, dalam riwayat lain yang disahihkan oleh Al-Albani رَحِمَهُ اللَّهُ, bayi tersebut dipercayai adalah anak tukang sisir rambut isteri Firaun (anak Masyitah) yang berkata-kata untuk menguatkan iman ibunya. Jadi walaupun saksi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu ada yang sebut seorang bayi yang masih dalam buaian, tetapi tidak dapat dipastikan. Yang pasti, beliau adalah seseorang yang dihormati dan dipercayai dan datang daripada keluarga isteri itu sendiri.

Ada lagi tafsiran lain. Mujahid رَحِمَهُ اللَّهُ mendapat suatu tafsiran bahawa saksi itu bukan manusia, melainkan jin. Asy-Syaukani رَحِمَهُ اللَّهُ membantah keterangan ini dalam Tafsirnya, dengan katanya: “Beliau rupanya lupa memperhatikan bahawa di hujung kata itu di dalam ayat diterangkan bahawa saksi itu ialah keluarga terdekat perempuan itu.

Suatu riwayat daripada Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا mengatakan: “Saksi itu adalah orang yang bijaksana.” Ditambah oleh Ikrimah رَحِمَهُ اللَّهُ: “Dia bukan anak kecil, tetapi seorang yang bijaksana.” Abu Ja’far an-Nahhas رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan: “Yang lebih dekat ertinya ialah bahawa saksi ini adalah seorang ahli akal yang bijaksana, diajak musyawarat oleh Raja Muda/Menteri, lalu memberikan buah pendapatnya.” Al-Qurthubi رَحِمَهُ اللَّهُ menguatkan tafsiran an-Nahhas ini. Beliau menulis dalam Tafsirnya: “Saksi itu ialah seorang yang bijak. Ahli Hikmat dan berakal budi tinggi, yang selalu diajak musyawarat oleh Raja Muda/Menteri itu dalam hal-hal yang penting, dan dia termasuk keluarga juga oleh isterinya.”

Dari segi bahasa, kalimah شاهِدٌ digunakan bagi saksi yang nampak kejadian yang berlaku. Akan tetapi lelaki ini (sama ada bayi atau tidak), tidaklah berada di dalam bilik ketika kejadian itu. Akan tetapi beliau telah memberikan cadangan yang bernas bagaimana boleh menentukan siapakah yang bercakap benar. Yang kesannya sama seperti seorang yang melihat sendiri kejadian itu. Maka dengan ini, di dalam mahkamah pengadilan, شاهِدٌ itu tidaklah semestinya seorang yang nampak kejadian yang berlaku akan tetapi boleh sahaja bermaksud seseorang yang boleh memberi cadangan untuk sampai kepada kebenaran. Kerana kalau kita hendak juga cari saksi yang melihat di dalam setiap kes, tentu susah kerana banyak kejadian tidak ada pihak ketiga yang menyaksikannya.

 

إِن كَانَ قَمِيصُهُ ۥ قُدَّ مِن قُبُلٍ فَصَدَقَت

“Jika bajunya dikoyak di hadapan, maka dia (wanita) itu benar

Senang sahaja beliau berkata untuk tahu siapakah yang benar: ‘Lihatlah baju itu koyak di bahagian mana? Kalau koyak di bahagian hadapan, maka wanita itu yang berkata benar. Ini kerana tentu kalau Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang menyerang wanita itu, dan wanita itu melawan, maka tentulah baju itu koyak di bahagian hadapan.

Kali kedua baju Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ digunakan sebagai bukti di dalam kisah baginda. Dahulu abang-abangnya menjadikan baju sebagai bukti kepada ayah mereka. Waktu itu baju itu tidak terkoyak (salah satu tafsiran) dan ia menjadi bukti Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak dimakan serigala. Kali ini memang benar baju Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ terkoyak dan kali ini ia menjadi bukti lagi yang baginda tidak bersalah.

 

وَهُوَ مِنَ الكٰذِبينَ

dan dia (Yusuf) termasuk orang-orang yang berdusta.

Kalau benar baju itu koyak di bahagian hadapan, maka Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang menipu dan wanita itu yang benar. Namun kalimat yang digunakan di sini bukanlah إنه يكذب (sesungguhnya dia menipu) akan tetapi مِنَ الكٰذِبينَ (termasuk orang-orang yang berdusta) yang bermaksud dia bukannya menipu kali ini sahaja tetapi memang jenis selalu menipu. Jadi kalau begitu, baginda tidak boleh dipercayai dengan apa-apa pun selepas ini kerana memang tidak boleh dipercayai langsung.

Dramatik juga kata-kata lelaki ini, tidaklah terus dia kata: “Tengoklah baju koyak kat mana, maknanya bukan dia menipu ni!” sebaliknya dia cakap agak panjang juga. Mungkin kerana suasana tengah tegang sekarang, jadi dengan bercakap panjang, boleh menenangkan keadaan.

 

Kuiz (10 Soalan Pendek)

Sila jawab setiap soalan dalam 2-3 ayat.

  1. Apakah maksud kalimah “استَبَقَا” dalam konteks Ayat 25 dan apakah tujuan berbeza Nabi Yusuf A.S. dan wanita itu berlari ke pintu?
  2. Bagaimana Al-Qur’an membezakan kalimah ٱلأَبوٰبَ (pintu-pintu) dan البَابَ (satu pintu) dalam Surah Yusuf ini, dan apa yang ia tunjukkan?
  3. Mengapakah Nabi Yusuf A.S. cuba membuka pintu yang mungkin terkunci, dan apakah pengajaran yang boleh diambil dari tindakan baginda?
  4. Apakah simbolisme baju yang terkoyak dalam kisah Nabi Yusuf ini, dan bagaimana ia telah digunakan dua kali dalam surah ini?
  5. Apakah maksud kalimah أَلفَيا dan bagaimana ia berbeza dengan وَجَدَ dalam Ayat 25?
  6. Bagaimanakah isteri Al-Aziz cuba memanipulasi suaminya sebaik sahaja mereka bertemu di pintu, dan apakah niat tersembunyi di sebalik cadangan hukumannya?
  7. Mengapakah penting bagi Nabi Yusuf A.S. untuk mempertahankan dirinya daripada tuduhan, dan berikan satu contoh dari sejarah ulama yang melakukan perkara yang serupa?
  8. Siapakah saksi yang dimaksudkan dalam Ayat 26, dan mengapa kesaksiannya dianggap kuat walaupun datang dari keluarga wanita itu?
  9. Jelaskan bagaimana cadangan saksi mengenai koyakan baju dapat menentukan siapa yang benar dan siapa yang dusta.
  10. Apakah yang dimaksudkan dengan “qarinah” (bukti keadaan) dan bagaimana kisah ini menjadi dalil penggunaannya dalam perundangan Islam?

Glosari Istilah Penting

  • Al-Aziz: Gelaran bagi menteri atau bangsawan tertinggi di Mesir pada zaman Nabi Yusuf A.S., juga suami kepada wanita yang menggoda Nabi Yusuf A.S.
  • جَزَآءُ (Jaza’): Kalimah Arab yang bermaksud “balasan”, boleh merujuk kepada balasan baik atau buruk.
  • شَاهِدٌ (Shahid): Kalimah Arab yang bermaksud “saksi”.
  • Qarinah: Bukti keadaan atau bukti tidak langsung, petunjuk yang bersandar pada keadaan sekeliling untuk menyimpulkan kebenaran sesuatu perkara.
  • Mukjizat: Peristiwa luar biasa yang terjadi melalui para nabi dan rasul sebagai bukti kebenaran kenabian mereka.
  • Ibn Taimiyyah: Seorang ulama besar Islam yang terkenal dengan ketegasannya dalam mempertahankan akidah dan menolak bid’ah.
  • Imam Asy-Syafie: Salah seorang daripada empat imam mazhab fiqh yang terkenal dalam Islam.
  • Imam Al-Bukhari: Salah seorang ahli hadis terkemuka yang menyusun kitab hadis Sahih al-Bukhari.
  • Ashab al-Ukhdud: Kisah dalam Al-Qur’an tentang orang-orang beriman yang dibunuh dengan dilemparkan ke dalam parit api.
  • Masyitah: Tukang sikat rambut isteri Firaun yang beriman kepada Allah, kisahnya menjadi teladan kesabaran dan keimanan.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 3 September 2025

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Tafsir Surah Yusuf Ayat 24 (Mengawal kehendak nafsu)

Yusuf Ayat 24: Ini adalah ayat jumlah mu’taridah. Allah ‎ﷻ berhenti di tengah-tengah kisah mereka untuk memberi penjelasan. Maknanya ia adalah sesuatu yang penting yang kita kena fikirkan dan ambil pengajaran. Sekarang kita masuk dalam kisah antara Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan isteri Al-Aziz yang rasanya ramai sudah tahu. Apa yang berlaku kita sudah tahu tetapi apa yang di dalam hati mereka, Allah ‎ﷻ sahaja boleh beritahu kita. Maka sekarang Allah ‎ﷻ beritahu apa yang bermain di dalam hati mereka berdua. Cuma ayat ini agak kompleks dan sensitif kerana ia melibatkan kedudukan para Nabi yang maksum. Jadi akan ada banyak pendapat tentang pentafsiran ayat ini.

وَلَقَد هَمَّت بِهِۦ‌ۖ وَهَمَّ بِهَا لَولَآ أَن رَّءَا بُرهَـٰنَ رَبِّهِۦ‌ۚ ڪَذٰلِكَ لِنَصرِفَ عَنهُ ٱلسُّوٓءَ وَٱلفَحشَآءَ‌ۚ إِنَّهُ ۥ مِن عِبَادِنَا ٱلمُخلَصِينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And she certainly determined [to seduce] him, and he would have inclined to her had he not seen the proof [i.e., sign] of his Lord. And thus [it was] that We should avert from him evil and immorality. Indeed, he was of Our chosen servants.

(MALAY)

Sesungguhnya wanita itu telah bersungguh dengan Yusuf, dan Yusuf pun bermaksud (melakukan pula) dengan wanita itu andaikata dia tidak melihat tanda (daripada) Tuhannya. Demikianlah, Kami memalingkan daripadanya kemungkaran dan kekejian. Sesungguhnya Yusuf itu termasuk hamba-hamba Kami yang terpilih.

 

وَلَقَد هَمَّت بِهِ

Sesungguhnya benar-benar wanita itu telah bersungguh minat dengan dengannya (Nabi Yusuf),

Keinginan isteri menteri itu amat tinggi untuk bersama dengan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Kalimah هَمَّت (bagi wanita) dan هَمَّ (bagi lelaki) daripada kata dasar ه م م yang bermaksud bimbang; berkenaan; penjagaan; prihatin; renungkan sesuatu dalam fikiran; keinginan; meditasi; fikirkan sesuatu; reka bentuk; cemas; rancangan untuk menentang; berniat; tujuan; membuat keputusan; berniat; dijaga. Kalimah هَمَّ di sini bermaksud keinginan yang kuat.

Agaknya kenapa wanita itu mahu sangat kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ? Adakah kerana baginda seorang yang teramat tampan seperti yang selalu disebut-sebut? Sebenarnya bukan kerana baginda tampan sahaja tetapi kerana akhlak baginda sekali. Baginda seorang yang baik dan selalu menemani wanita itu. Sementara suaminya pula selalu tidak ada di rumah dan dia selalu lihat Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di rumah itu. Maka timbullah rasa sayang terhadap Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Jadi ini Allah ‎ﷻ bongkarkan apa yang ada di dalam hati wanita itu. Ini mengajar kita supaya berhati-hati dengan ikhtilat (percampuran lelaki dan wanita). Jangan hendak ada adik angkat apa bagai; jangan hendak dakwah dan mengajar agama ‘one-to-one’ dengan wanita yang bukan mahram kita; jangan melayan chatting di media sosial dan lain-lain.

Begitulah yang terjadi apabila suami selalu tidak ada di rumah. Kalau tidak kuat iman, mulalah hendak mencari orang lain, bukan? Perkara ini biasa kerana seorang wanita memerlukan perhatian daripada seorang lelaki. Kalau tidak diberikan perhatian oleh lelaki yang sepatutnya, mereka akan mencari orang lain. Sebab itulah seorang isteri hendaklah diberikan perhatian oleh suaminya; seorang anak perempuan kecil juga harus diberi perhatian oleh bapanya – kalau tidak, mereka akan isikan kekosongan itu dengan lelaki lain – sebab itulah kita boleh lihat bagaimana budak-budak perempuan sekarang kecil lagi sudah ada teman lelaki di sekolah. Ini adalah kerana bapa mereka tidak memberikan perhatian kepada mereka sampaikan mereka mencari-cari perhatian daripada lelaki lain – tidak kisahlah kalau yang mengisinya adalah budak hingusan lagi. Asalkan ada lelaki yang beri perhatian kepada mereka, mereka akan tertarik dan rasa selamat.

Suami pun kena faham perkara ini. Jangan sibuk dengan kerja dan hobi main bola dan memancing sahaja. Sekali sekala kena beri perhatian kepada isteri. Ini kerana kalau mereka tidak mendapat cukup perhatian daripada suami, akan ada masalah nanti. Ada kemungkinan, mereka akan mencari perhatian daripada orang lain. Maka kena luangkan masa dengan isteri sebelum mereka berasa bosan. Apabila sudah jadi begitu, mereka akan mula buat perangai. Maka ketahuilah yang para isteri memerlukan masa dan perhatian daripada suami mereka. Jika kita berada di rumah, tanyalah tentang diri mereka, apa mereka buat, apa yang mereka hendak dan sebagainya – janganlah sibuk dengan komputer buat kerja dan main “handphone” sahaja. Sekali sekala bawa mereka jalan berkelah dan berkelana.

Begitulah pengajaran yang kita boleh ambil daripada kisah ini kerana kisah ini menyentuh juga tentang psikologi manusia. Al-Qur’an bukan sahaja sentuh tentang hukum tetapi juga sentuh tentang kehidupan dan pemikiran manusia. Ini adalah kerana Al-Qur’an memang hebat dan kita akan dapat tahu kalau kita belajar tafsir dan tadabbur Al-Qur’an selalu.

وَهَمَّ بِهَا

dan (Nabi Yusuf) pun berkeinginan dengan wanita itu

Bahagian inilah yang menjadi kontroversi dalam bidang tafsir. Kalimat وَهَمَّ بِها (dan dia pun berkeinginan kepada wanita itu) memberitahu kita yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun ada perasaan juga terhadap wanita itu. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah seorang lelaki yang normal dan wanita itu pun memang mahukan baginda. Tentulah baginda ada nafsu juga kerana baginda juga seorang lelaki, bukan? Keinginan yang timbul di dalam hati memang bukan dalam kawalan kita, jadi kalau ada, ia tidaklah bersalah. Ini seperti kita rasa lapar ketika berpuasa, adakah kita bersalah dan berdosa kerana lapar dan dahaga? Tentu tidak. Akan tetapi tafsiran itu agak tidak diterima oleh sebahagian ahli tafsir kerana ia seolah-olah nampak mencalarkan imej Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Yang pasti, walaupun Allah ‎ﷻ menggunakan istilah yang sama mereka iaitu هَمَّ, akan tetapi tidak sama هَمَّ yang ada pada wanita itu dan هَمَّ pada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Kerana هَمَّ pada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu adalah lintasan hati sahaja, sama seperti kalau kita melihat air sejuk ketika berpuasa, tentu rasa teringin hendak minum. Seperti kita telah sebut tadi, adakah kita bersalah atau berdosa kalau tiba-tiba rasa dahaga dan terliur apabila melihat air? Tentulah tidak kerana ia involuntary (tidak dalam kawalan). Rasa itu memanglah ada, akan tetapi tidaklah kita pergi minum pula kerana kita dapat kawal. Yang menjadi kesalahan adalah kalau kita ikut kehendak tubuh kita yang dahaga itu dan pergi minum atau makan. Kalau kita tahan rasa lapar dan dahaga itu malah kita akan dapat pahala kerana sabar dengan kesusahan itu. Ini seperti pandangan yang tidak disengajakan seperti disebut dalam hadith yang diriwayatkan daripada Jarir bin Abdillah al-Bajali رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا:

سَأَلْتُ رَسُولَ اللَّهِ ﷺ عَنْ نَظْرَةِ الْفُجَاءَةِ، فَأَمَرَنِي أَنْ أَصْرِفَ بَصَرِي
“Aku bertanya kepada Rasulullah ﷺ tentang pandangan yang tidak disengajakan (fuj’ah). Maka baginda memerintahkan aku agar memalingkan pandanganku.”

(Riwayat Muslim No. 2159)

Yang menjadi dosa adalah kalau kita bertindak seterusnya yang melanggar syariat.

يَا عَلِيُّ لَا تُتْبِعِ النَّظْرَةَ النَّظْرَةَ، فَإِنَّ لَكَ الْأُولَى وَلَيْسَتْ لَكَ الْآخِرَةُ
“Wahai Ali, janganlah engkau ikuti satu pandangan dengan pandangan yang lain, kerana sesungguhnya bagi engkau pandangan yang pertama (dimaafkan), tetapi bukan yang terakhir (yang kedua).”

(Riwayat At-Tirmizi No. 2777) Status: Imam At-Tirmizi menyatakan hadith ini sebagai Hasan Gharib (baik dan diriwayatkan secara tunggal); (Riwayat Abu Daud No. 2149) Syaikh Al-Albani, dalam kitab “Sahih Sunan Abi Daud”, menilai hadith ini sebagai sahih.

Dalam hal ini memang kita perlu ada sabar. Sabar ketika berpuasa itu senang sahaja kerana kita tahu kita tidak boleh makan; sabar kalau kereta kita dilanggar mat rempit pun agak mudah kerana memang kita tidak boleh buat apa-apa kerana kereta sudah kena langgar, bukan? Akan tetapi sabar daripada melakukan maksiat di depan mata yang kalau kita buat, ada kemungkinan selamat, amatlah sukar. Namun sabar sebeginilah yang lebih tinggi pahalanya.

Jadi هَمَّ pada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu lintasan hati yang sekejap sahaja dan tidak diteruskan oleh baginda. Kerana itulah ayat ini begini: وَلَقَد هَمَّت بِهِ وَهَمَّ بِها. Kalau هَمَّ mereka sama, maka tentu ayat itu jadi begini: وَلَقَد هَمَّا (mereka berdua berkeinginan). Akan tetapi Allah ‎ﷻ bezakan antara mereka berdua kerana tidak sama perasaan mereka. Mankala penekanan (taukid) pada هَمَّ wanita itu dilebihkan kerana ada tambahan kalimah لَقَد. Maknanya memang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun ada keinginan tetapi ia hanya sedetik sahaja. Yang sangat-sangat berkehendak itu adalah wanita itu sahaja. Tambahan pula kehendak manusia tidak sama; bagi wanita itu kehendak dia sudah sampai pada tekad yang tinggi dan siap buat rancangan; sedangkan bagi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ia hanya kehendak yang sedetik sahaja sebagai lintasan hati sahaja. Sebelum menjadi tekad pun ada ada tingkatan di dalam hati:

1. Al-Hawajis (الهواجس) – Lintasan Hati
2. Al-Khatir (الخاطر) – Fikiran yang Berjalan (hendak buat atau tidak)
3. Hadisun Nafs (حديث النفس) – Bisikan Jiwa
4. Al-Hamm (الهمّ) – Keinginan
5. Al-Azam (العزم) – Tekad yang Kuat. Ini baru niat.

Oleh itu, daripada ayat ini kita dapat tahu yang baginda pun ada keingingan terhadap wanita itu, dan ini adalah normal, maka jangan kita mengutuk Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula. Baginda bukannya malaikat yang tidak ada nafsu; dan baginda normal bukannya suka kepada jantina sejenis. Sekarang kita fikirkan situasi ketika itu. Rumah itu selamat seandainya baginda ingin melakukan perkara terkutuk itu kerana tiada orang lain yang memandang dan semua pintu telah dikunci. Oleh itu, semua keadaan untuk membolehkan penzinaan itu berlaku telah ada. Akan tetapi, baginda tetap juga melarikan diri dan cuba untuk menyelamatkan diri baginda daripada melakukan maksiat itu. Ini kerana baginda ada iman dan dengan iman itu dapat mengekang nafsunya. Namun kita kena terima hakikat yang kita sebagai manusia biasa yang ada nafsu, memang susah untuk menjaga perkara ini. Oleh kerana itu kita mestilah bina iman kita. Malah orang yang dapat menjaga hal ini diberikan ganjaran lebih daripada Allah ‎ﷻ iaitu dinaungi di Mahsyar nanti seperti disebut di dalam hadith,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: «سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمُ اللَّهُ فِي ظِلِّهِ يَوْمَ لَا ظِلَّ إِلَّا ظِلُّهُ: إِمَامٌ عَادِلٌ، وَشَابٌّ نَشَأَ فِي عِبَادَةِ رَبِّهِ، وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي الْمَسَاجِدِ، وَرَجُلَانِ تَحَابَّا فِي اللَّهِ اجْتَمَعَا عَلَيْهِ وَتَفَرَّقَا عَلَيْهِ، وَرَجُلٌ دَعَتْهُ امْرَأَةٌ ذَاتُ مَنْصِبٍ وَجَمَالٍ فَقَالَ: إِنِّي أَخَافُ اللَّهَ، وَرَجُلٌ تَصَدَّقَ بِصَدَقَةٍ فَأَخْفَاهَا حَتَّى لَا تَعْلَمَ شِمَالُهُ مَا تُنْفِقُ يَمِينُهُ، وَرَجُلٌ ذَكَرَ اللَّهَ خَالِيًا فَفَاضَتْ عَيْنَاهُ»
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, daripada Nabi ﷺ, Baginda bersabda: “Tujuh golongan (manusia) yang Allah akan beri naungan kepada mereka pada hari yang tiada naungan melainkan naungan-Nya:
1. Imam (pemimpin) yang adil.
 2. Pemuda yang membesar dalam ibadah kepada Tuhannya.
 3. Lelaki yang hatinya sentiasa terpaut dengan masjid. 
4. Dua orang lelaki yang saling mencintai kerana Allah, mereka berkumpul kerana-Nya dan berpisah kerana-Nya.
 5. Lelaki yang diajak (berzina) oleh wanita berkedudukan dan cantik, lalu dia berkata: ‘Sesungguhnya aku takut kepada Allah.’ 
6. Lelaki yang bersedekah dengan satu sedekah, lalu dia menyembunyikannya sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfakkan oleh tangan kanannya. 
7. Lelaki yang mengingati Allah dalam keadaan bersendirian, lalu mengalir air matanya.”

Sahih Al-Bukhari (No. 660, 1423, 6806); Sahih Muslim (No. 1031)

Jika hendak menahan diri daripada melakukan perkara keji, kena ingat kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Iaitu lebih takut kepada Allah ‎ﷻ daripada sukakan nikmat yang sementara. Kerana itu sahajalah yang boleh menghalang kita daripada membuat perkara salah dan dosa keji. Kalau tidak ingat kepada Allah‎ ﷻ dan balasan buruk di akhirat kelak, nafsu kita akan membisikkan keinginannya kepada kita yang akan menyebabkan kita tergelincir. Inilah yang banyak terjadi dalam kalangan masyarakat sekarang. Jangan kata orang muda, yang tua pun boleh terbabas juga. Tidak payah kita panjangkan kerana teramat banyak dalam berita di media sosial sebagai bukti. Semua sudah tahu yang perkara ini selalu sahaja berlaku. Malah Rasulullah ﷺ pun sudah beritahu kita yang fitnah paling dahsyat bagi lelaki adalah wanita. Hadith ini diriwayatkan daripada Usamah bin Zaid رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa Nabi ﷺ bersabda:

“مَا تَرَكْتُ بَعْدِي فِتْنَةً هِيَ أَضَرُّ عَلَى الرِّجَالِ مِنَ النِّسَاءِ.”
“Tidaklah aku tinggalkan setelahku satu fitnah (ujian) yang lebih berbahaya kepada kaum lelaki daripada wanita.”

(Riwayat Al-Bukhari No. 5096)

Syarah: Hadith ini bukanlah bertujuan untuk merendahkan wanita. Sebaliknya, ia adalah peringatan dan fakta tentang cabaran terbesar yang dihadapi oleh kaum lelaki. Wanita adalah ujian kerana mereka adalah objek syahwat bagi lelaki. Apabila syahwat tidak dikawal, ia boleh membawa kepada maksiat, dosa, dan keruntuhan akhlak. Hadith ini mengajar kaum lelaki untuk sentiasa berhati-hati, menjaga pandangan, dan mengawal hawa nafsu mereka agar tidak terjerumus ke dalam perkara yang diharamkan. Pada masa yang sama, hadith ini secara tidak langsung mengingatkan kaum wanita tentang peranan mereka dalam menjaga diri dan maruah agar tidak menjadi punca fitnah kepada kaum lelaki. Ini termasuk menjaga aurat, adab pergaulan, dan tingkah laku.

Seperti yang kita telah sebut, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ juga tertarik kepada wanita itu. Walaupun memang ada terjemahan yang berlainan kerana hendak menjaga status Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan mengatakan yang baginda tidak teringin dengan perempuan itu. Akan tetapi dari segi bahasa yang tertulis di sini, ia tidak begitu – memang baginda tertarik juga sebenarnya. Maka kita terima apa yang Al-Qur’an sendiri telah sebut.

Namun begitu baginda setakat ada keinginan sahaja dan tidaklah baginda meneruskan keinginan baginda itu. Ini adalah adalah kerana kalimah هَمَّ walaupun bermaksud ‘mahu’, tetapi mempunyai dua peringkat. Pertama, ada kemahuan yang diteruskan dan kedua, ada keinginan yang belum diteruskan lagi. Perempuan itu berkeinginan dan dia meneruskan keinginannya itu – sedangkan keinginan baginda adalah keinginan normal tetapi tidak diteruskan oleh baginda. Ia cuma berdetik sahaja di dalam hati baginda. Kita kena sedar, ada keinginan sahaja tidak salah lagi, yang salah adalah kalau terus menjalankannya. Ini adalah sebagaimana ketika kita berpuasa – rasa dahaga tidak berdosa – tetapi kalau diteruskan dengan minum air akan menyebabkan berdosa. Keinginan tidak salah kerana keinginan ini Allah ‎ﷻ yang letak ke dalam diri manusia – semua manusia yang normal ada nafsu.

Begitu jugalah kita, setinggi mana pun ilmu kita, masih ada nafsu lagi. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ juga ada nafsu tetapi baginda juga diberi dengan kekuatan iman untuk mengawalnya. Seandainya kita ada keinginan untuk melakukan suatu perkara jahat dan kita tidak meneruskannya kerana takut kepada Allah ‎ﷻ, maka kita ada mendapat pahala, sepertimana disebut dalam hadith Abdur Razzaq, daripada Ma’mar, daripada Hammam, daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ yang mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda:

“يَقُولُ اللَّهُ تَعَالَى: إِذَا هَمّ عَبْدِي بِحَسَنَةٍ فَاكْتُبُوهَا لَهُ حَسَنَةً ، فَإِنَّ عَمِلَهَا فَاكْتُبُوهَا لَهُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا، وَإِنْ هَمَّ بِسَيِّئَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا فَاكْتُبُوهَا حَسَنَةً، فَإِنَّمَا تَرَكَهَا مِنْ جَرّائي، فَإِنْ عَمَلِهَا فَاكْتُبُوهَا بِمِثْلِهَا”
Allah ‎ﷻ berfirman, “Apabila hamba-Ku berniat melakukan suatu amal kebaikan, maka catatlah untuknya pahala satu amal kebaikan. Jika dia mengerjakannya, maka catatkanlah baginya sepuluh kali lipat amal kebaikannya. Dan jika dia berniat hendak melakukan suatu perbuatan buruk (dosa), lalu dia tidak mengerjakannya, maka catatkanlah satu kebaikan. Kerana sesungguhnya dia meninggalkannya sebab (takut kepada)-Ku, dan jika dia mengerjakannya, maka catatkanlah satu amal keburukan.

(Sahih Bukhari no. 7501, Sahih Muslim no. 128, Tirmidzi no. 3073, Sunan an-Nasaie no. 11181, Musnad Ahmad no. 7296)

Akan tetapi kita tidak nafikan ada tafsiran yang hendak menjaga kemaksuman Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Tafsiran itu sampaikan menidakkan keinginan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kepada wanita itu. Saya naqalkan di sini pendapat itu:

Susunan ayat ini termasuk dalam bab mendahulukan dan mengemudiankan ayat. Susunan hakiki bagi ayat ini ialah (maksudnya) sekiranya baginda (Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ) tidak melihat bukti-bukti daripada Tuhannya nescaya baginda akan berkeinginan kepada perempuan itu. Allah ‎ﷻ berfirman ( وَهَمَّ بِها) sebagai jawab kepada (لَوۡلَآ) yang diletakkan di hadapan. Memang makruf di dalam Bahasa Arab bahawa (لَوۡلَآ) adalah huruf yang menunjukkan jawabnya tidak berlaku kerana telah ada syarat. Maka dengan itu, keinginan adalah terhalang kerana telah melihat bukti-bukti yang telah dijadikan oleh Allah ‎ﷻ di dalam dirinya. Didahulukan sama ada jawab syarat atau dalil bagi syarat yang diperselisihkan oleh dua aliran nahu. Yang dimaksudkan dengan بُرهانَ ialah bukti Allah ‎ﷻ yang zahir dan menunjukkan kekejian zina. Ia merupakan sesuatu yang telah dipahat di dalam jiwa para nabi. Bagi mereka, mengetahui bukti-bukti itu telah mencapai tahap ainul yakin. Bukti itu ialah yang kita ungkap dengan sifat maksum iaitu sifat yang menghalang para Rasul daripada melakukan maksiat. Moga-moga Allah ‎ﷻ merahmati Imam Jaafar bin Muhammad al-Sadiq رَحِمَهُ اللَّهُ di mana beliau berkata: “Burhan ialah sifat kenabian yang dikurniakan oleh Allah ﷻ di dalam dada Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang telah menghalangnya daripada melakukan sesuatu yang dimurkai oleh Allah ﷻ.”

Nota: maksud pendapat ini, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak ada rasa berahi pun kepada wanita itu kerana telah dibantu oleh Allah ﷻ dengan بُرهانَ yang disebut di dalam potongan ayat selepas ini.

Di dalam masa yang sama, terdapat juga tafsiran yang jelek yang mengatakan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sudah bertindak hendak berzina dengan wanita itu. Iaitu sampai sudah dibuka seluarnya dan ‘pedang sudah hampir masuk ke sarangnya’. Ini adalah tafsiran daripada kisah-kisah Israiliyyat yang tidak boleh dipertanggungjawabkan dan mesti ditolak. Golongan Israil memang telah memburukkan Nabi-nabi mereka (dengan sengaja atau tidak, kita tidak tahu), maka janganlah kita tersangkut dan terbelit dengan hal ini pula. Malangnya tafsiran sebegitu telah masuk ke dalam kitab-kitab tafsir. Maka kitalah yang kena pandai memilih mana yang hendak diterima dan mana yang hendak ditolak.

Ada lagi satu tafsiran lain yang hendak menjaga nama baik Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Tafsiran ini adalah daripada ulama seperti Qurtubi رَحِمَهُ اللَّهُ. Ia mengatakan bahawa هَمَّ di dalam ayat ini bukanlah keinginan kuat untuk melakukan zina, akan tetapi lain. Jadi هَمَّ bagi wanita itu adalah keinginan untuk membalas dendam kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana menolak ajakannya; dan هَمَّ bagi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula adalah keinginan kuat untuk membela diri atau memukul wanita itu. Cuma pendapat ini tidak disertai dengan dalil yang kuat dan ia berlawanan dengan susunan ayat Al-Qur’an dan bahasa Arab. Seperti yang kita telah sebut, tujuan pendapat sebegini adalah untuk menjaga nama baik seorang Nabi. Akan tetapi kita telah jelaskan di atas tadi, tidaklah menjadi kesalahan bagi seorang Nabi pun untuk ada berahi kepada wanita. Ia tidak menjadi aib pun. Malah Nabi Muhammad ﷺ pun pernah ketika bersama para sahabat telah ternampak seorang wanita dan baginda terus naik berahi. Hadith ini diriwayatkan oleh Jabir bin Abdillah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ ﷺ رَأَى امْرَأَةً، فَأَتَى امْرَأَتَهُ زَيْنَبَ، وَهِيَ تَمْعَسُ مَنِيئَةً لَهَا، فَقَضَى حَاجَتَهُ، ثُمَّ خَرَجَ إِلَى أَصْحَابِهِ فَقَالَ: “إِنَّ الْمَرْأَةَ تُقْبِلُ فِي صُورَةِ شَيْطَانٍ وَتُدْبِرُ فِي صُورَةِ شَيْطَانٍ، فَإِذَا رَأَى أَحَدُكُمُ امْرَأَةً فَأَعْجَبَتْهُ، فَلْيَأْتِ أَهْلَهُ، فَإِنَّ ذَلِكَ يَرُدُّ مَا فِي نَفْسِهِ.”
“Sesungguhnya Rasulullah ﷺ melihat seorang wanita, lalu baginda datang kepada isterinya Zainab yang sedang menyamak kulit. Maka baginda menunaikan hajatnya (bersama isterinya). Kemudian baginda keluar kepada para sahabatnya dan bersabda: ‘Sesungguhnya wanita itu datang dalam rupa syaitan dan pergi dalam rupa syaitan. Apabila salah seorang daripada kamu melihat seorang wanita, lalu dia tertarik kepadanya, maka hendaklah dia datang kepada isterinya, kerana itu akan mengembalikan apa yang ada dalam dirinya (meredakan nafsunya).'”

(Riwayat Muslim No. 1403)

 

لَولَآ أَن رَّءَا بُرهَـٰنَ رَبِّهِ

andaikata dia tidak melihat tanda (daripada) Tuhannya.

Allah ‎ﷻ memberitahu kita, kalaulah baginda tidak nampak ‘tanda’ daripada Allah ‎ﷻ, tentu baginda pun akan tergelincir juga. Kita telah katakan tadi yang baginda pun ada timbul rasa keinginan itu akan tetapi ia seketika sahaja kerana baginda telah diberi بُرهانَ oleh Allah ﷻ. Dalam Al-Qur’an, istilah “burhan” (برهان) dan “ayat” (آية) mempunyai perbezaan makna dan penggunaan yang penting, walaupun kedua-duanya merujuk kepada tanda atau bukti kebenaran. ‘Ayat’ adalah bukti yang bersifat umum, yang boleh dilihat, dirasa, dan difikirkan oleh semua manusia. Istilah “بُرهانَ” lebih spesifik dan merujuk kepada hujah atau bukti yang jelas dan tidak dapat disangkal. Ia adalah dalil yang kuat dan terang yang mengakhiri segala keraguan.

Ada muqaddar dalam ayat ini: “Kalau baginda tidak nampak tanda itu, tentu baginda sudah berzina dengan perempuan itu”. Allah ‎ ﷻ tidak sebut dalam matan ayat ini untuk memelihara nama baginda.

Kalimah بُرهانَ (tanda) dalam ayat ini, tidak dapat dipastikan dengan pasti apakah tanda yang dimaksudkan. Kalau dibaca dalam tafsir, memang ada banyak kisah pula tentangnya. Sebagai contoh, ada yang kata baginda nampak wajah bapanya terpampang di dinding rumah; ada yang kata bapanya menampar baginda; ada yang kata wajah Al-Aziz itu yang menjelma kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, ada kata baginda dapat wahyu waktu itu (dalam bentuk tangan yang ada tulisan ayat); ada yang kata baginda nampak ayat Al-Qur’an tentang jangan dekati zina, ada kata pintu semua tertutup sendiri dan sebagainya. Tafsiran sebegini timbul kerana kalimah yang رّءَا digunakan yang seolah-olah baginda melihat sesuatu. Lalu diadakan benda yang baginda boleh nampak. Akan tetapi kalimah رّءَا tidak semestinya nampak benda yang fizikal, malah boleh digunakan yang membawa maksud melihat dengan mata hati sahaja dan bukanlah dengan mata fizikal. Jadi ia boleh membawa maksud menyedari atau mengetahui.

Kerana itu ada pendapat yang kata wanita itu sebelum mengajak Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berselingkuh, telah menutup berhalanya kerana malu kepada tuhannya; dan ketika melihat perbuatan wanita itu, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ teringat tentang Allah ‎ﷻ yang tidak boleh ditutup pandangan-Nya, maka kerana itu baginda tersedar yang apa sahaja perbuatannya akan diketahui oleh Allah ‎ﷻ; memang ada banyak kisah tetapi itu semua tidak kemas hujah dan dalilnya, maka tidak dapat dipastikan yang itu semua adalah benar.

Ada yang kata, بُرهانَ itu merujuk kepada sifat maksum yang Allah ‎ﷻ berikan kepada baginda. Maknanya apabila digunakan kalimah بُرهانَ dalam ayat ini, ia sebenarnya merujuk kepada bukti dengan hati, bukannya zahir. Ini kerana baginda telah tahu hukum mana yang salah dan betul dan baginda teringat tentang perkara itu. Dengan hati baginda, baginda teringat larangan Allah ﷻ berbuat dosa. Kalau kepada Nabi, ia dipanggil ‘maksum’ dan kalau kepada orang biasa, ia dipanggil ‘ismah’ iaitu takut derhaka kepada Allah ‎ﷻ. Ini penting kerana kalau kita katakan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mendapat بُرهانَ dalam bentuk bapanya menjelma, bapanya tampar, pintu tertutup dan sebagainya, itu seolah-olah baginda sahaja yang boleh selamat daripada berbuat zina. Nanti orang yang membuat zina berkata: “Bolehlah Nabi Yusuf selamat, sebab baginda dapat petunjuk macam itu dan ini… kita manusia biasa mana nak dapat?” Maka بُرهانَ adalah tanda dalam hati kita yang semua manusia boleh ada, tidak hanya terhad kepada para Nabi sahaja.

Kalimah بُرهانَ memberi isyarat kepada sesuatu yang boleh dilihat. Namun begitu, tidaklah semestinya ia dilihat dengan mata kepala tetapi dengan mata hati juga. Iaitu melihat sesuatu yang orang lain tidak nampak. Di ketika orang nampak sesuatu itu sebagai nikmat, kita nampak ia sebagai jalan ke neraka; di dalam orang nampak sesuatu itu sebagai membinasakan, kita nampak ia sebagai jalan ke syurga. Sebagai contoh, ketika umat Islam di Madinah menghadapi musuh dari Mekah yang lebih banyak dan lebih lengkap daripada mereka di Medan Uhud, Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Ali Imran:133

وَسارِعوا إِلىٰ مَغفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُم وَجَنَّةٍ
Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga

Ketika itu mata orang-orang munafik nampak seperti pergi membunuh diri akan tetapi Allah ‎ﷻ mengajar orang mukmin untuk melihat jihad itu sebagai jalan menuju syurga. Maka begitulah juga dengan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang memandang tawaran wanita itu yang nampak indah pada mulanya akan tetapi ia membawa kepada neraka dan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sahaja yang nampak perkara itu. Ini kerana wanita itu tidak nampak بُرهانَ itu.

Akhir sekali, perhatikan ayat أَن رَّءَا بُرهَـٰنَ رَبِّهِ yang bermakna Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang nampak بُرهانَ itu. Bukannya Allah ‎ﷻ tunjukkan kepada baginda. Ini bermaksud kita kena ada usaha untuk melihatnya. Bukanlah kita berharap Allah ‎ﷻ sahaja yang akan selamatkan kita. Sebaliknya kita sendiri kena ada usaha juga, jangan serahkan segalanya kepada Allah ‎ﷻ. Kemudian nanti salahlah Allah ‎ﷻ pula!

 

كَذٰلِكَ لِنَصرِفَ عَنهُ السُّوءَ وَالفَحشَاءَ

Demikianlah, Kami memalingkan daripadanya kemungkaran dan kekejian. 

Allah ‎ﷻ beritahu yang Dialah yang menghilangkan kejahatan daripada baginda. Allah ‎ﷻ tidak kata Allah ‎ﷻ hilangkan nafsu dan kehendak baginda kerana kita telah beritahu ia tidak bersalah. Sebaliknya jauhkan daripada kemungkaran dan kekejian. Perhatikan Allah ‎ﷻ tidak berkata Dia jauhkan baginda daripada kejahatan (tetapi jauhkan kejahatan daripada baginda). Kalau kita hendak bayangkan, seolah-olah kejahatan hendak melekat pada diri baginda dan Allah ‎ﷻ buang jauh-jauh. Ini kerana baginda tidak ada kejahatan pada diri baginda, cuma kejahatan yang cuba mendekat. Maknanya, Allah ‎ﷻ menjaga nama baik Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ lagi kerana Allah ‎ﷻ membezakan antara Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan kejahatan itu. Kejahatan itulah yang hendak mendekati Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang mulia – baginda bukanlah seorang yang jahat. Bukanlah baginda yang hendak mendekati kejahatan itu.

Semua yang buruk adalah السّوءَ. Di sini kita diberitahu yang Allah ‎ﷻ menjaga baginda daripada السّوءَ. Baginda sudah lama menjaga diri baginda dan sebagaimana seorang yang selalu berlatih lari, kakinya sudah ada otot yang kuat, maka begitulah kekuatan iman baginda sudah mencapai tahap yang tinggi. Baginda menjaga diri baginda daripada melakukan dosa dari dahulu lagi maka sekarang iman bagindalah yang menyelamatkan baginda. Begitulah juga dengan kita, kenalah jaga daripada membuat dosa apa pun sahaja. Ini kerana kalau sudah mula membuat dosa dalam satu perkara, maka lebih mudah untuk membuat dosa di tempat lain pula. Ini kerana kita sudah tidak sensitif dengan dosa. Ini mungkin kerana ketika kita sering membuat dosa tersebut dan berasa bagaikan tiada kesan buruk pun, maka kita tidak rasa bersalah untuk membuat dosa-dosa yang lain. Kita sudah lali membuat dosa dan ini amat bahaya.

Kalimah الفَحشاءَ termasuk dalam dosa juga, tetapi itu lebih khusus kepada dosa yang melibatkan nafsu seks. Contohnya zina, liwat, melihat pornografi, bercakap lucah dan sebagainya. Ada pendapat yang mengatakan السّوءَ merujuk kepada dosa kecil dan الفَحشاءَ merujuk kepada dosa besar. Ini bermakna Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diselamatkan daripada dosa kecil dan besar. Kenapa Allah ‎ﷻ sebut الفَحشاءَ sedangkan di dalam السّوءَ pun sudah ada dosa الفَحشاءَ? Ini kerana Allah ‎ﷻ hendak tekankan bahaya الفَحشاءَ. Biasa sahaja Allah ﷻ berikan pengkhususan di dalam Al-Qur’an. Sebagai contoh di dalam ayat Naba’:38

يَومَ يَقومُ الرّوحُ وَالمَلائِكَةُ صَفًّا
Pada masa Jibril dan malaikat-malaikat yang lain berdiri bersaf-saf (menunggu perintah Tuhan), 

Perhatikan di sini walaupun disebut para malaikat akan tetapi disebut juga Malaikat Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ (di dalam ayat ini disebut sebagai الرّوحُ) sebagai penekanan kepada kedudukan beliau. Maka di dalam ayat ini walaupun telah disebut السّوءَ sebagai dosa di dalam bentuk yang umum, diberi pengkhususan akan dosa الفَحشاءَ. Ini kerana dalam banyak-banyak dosa, dosa الفَحشاءَ ini senang manusia buat. Sebagai contoh, ada tak kemungkinan kita bunuh orang? Agak jauh, bukan? Akan tetapi kemungkinan kita melakukan zina agak lebih tinggi kerana itulah ia seringkali berlaku di dalam masyarakat kita. Begitu juga di dalam kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang kita sedang baca sekarang, dosa yang dibincangkan adalah jenis الفَحشاءَ iaitu zina.

 

إِنَّهُ ۥ مِن عِبَادِنَا ٱلمُخلَصِينَ

Sesungguhnya Yusuf itu termasuk hamba-hamba Kami yang telah dipersucikan.

Kalimah المُخلَصينَ bermaksud seseorang yang dijadikan bersifat ikhlas. Ia adalah isim maf’ul, bukannya isim fa’il (bukan ‘mukhlis’). Maksudnya ‘dijadikan’ sebagai seorang yang mukhlis. Maknanya, Allah ‎ﷻ yang menjadikan baginda dalam keadaan begitu, bukannya Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ‎jadi sendiri sebagai seorang yang mukhlis. Kerana itulah banyak terjemahan menterjemahkan kalimah ٱلمُخلَصِينَ sebagai ‘hamba-hamba yang terpilih’.

Orang yang mukhlis adalah orang yang beribadat kepada Allah ﷻ dengan ikhlas. Begitulah kalau sesiapa jadi baik dan menjaga hati mereka, menjadi seorang yang mukhlis, beriman, itu semua adalah kurniaan Allah ‎ﷻ. Bukan kita boleh jadi beriman dengan sendiri. Allah ‎ﷻ yang berikan kelebihan itu kepada manusia. Maka, kita kena berharap kepada Allah ‎ﷻ untuk Dia berikan kita dengan sifat itu. Orang yang ada sifat ini akan diselamatkan dari bisikan syaitan yang boleh menyesatkan mereka seperti disebut di dalam Hijr:39-40

قَالَ رَبِّ بِمَآ أَغۡوَيۡتَنِى لَأُزَيِّنَنَّ لَهُمۡ فِى ٱلۡأَرۡضِ وَلَأُغۡوِيَنَّہُمۡ أَجۡمَعِينَ (٣٩) إِلَّا عِبَادَكَ مِنۡہُمُ ٱلۡمُخۡلَصِينَ (٤٠)
Iblis berkata: Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini dan aku akan menyesatkan mereka semuanya, (39) Kecuali di antara zuriat-zuriat Adam itu hamba-hambaMu yang dibersihkan dari sebarang syirik. (40)

Kita boleh berusaha, tetapi kalau dengan usaha kita sahaja, tidak akan berjaya. Usaha memang kita kena buat, tetapi kerana Allah ‎ﷻ hendak melihat kita ada keinginan sahaja – tidaklah usaha dengan kekuatan dan semangat kita sahaja yang akan membolehkan kita menjadi orang yang beriman – kita kena usaha dan yang paling penting, kita kena doa dan doa. Kena minta Allah ﷻ jadikan kita orang yang ikhlas.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 28 Ogos 2025

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Tafsir Surah Yusuf Ayat 23 (Berlindung dengan Allah ‎ﷻ) Part 2

2. Kontrak Sosial 

Kontrak antara seorang lelaki dan wanita yang sudah bernikah bukan sahaja antara mereka berdua sahaja tetapi ia juga diakui dan patut dihormati oleh masyarakat sekeliling. Kerana itulah adanya majlis kenduri walimah dengan tujuan untuk mengisytiharkan perkahwinan mereka berdua. Maka sekarang mereka dikenali sebagai satu pasangan, walaupun belum beranak lagi. Masyarakat akan menghormati perhubungan antara mereka dan mereka tidak diganggu. Malah orang luar tidak boleh menggoda atau melakukan sesuatu yang boleh memisahkan mereka. Hubungan mereka perlu dihormati. Rasulullah ﷺ telah bersabda, riwayat daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata: Rasulullah ﷺ bersabda:

“لَيْسَ مِنَّا مَنْ خَبَّبَ امْرَأَةً عَلَى زَوْجِهَا أَوْ عَبْدًا عَلَى سَيِّدِهِ.”
“Bukanlah daripada kalangan kami (umatku) sesiapa yang merosakkan (hubungan) seorang isteri dengan suaminya atau seorang hamba dengan tuannya.”

(Riwayat Abu Daud No. 2175) Status: Sahih.

Perbuatan ini dikenali dengan istilah “takhtib” atau “takhbib” (تخبيب). Maka lelaki jangan mengorat isteri orang; wanita jangan hendak menyondol suami orang. Kalau tahu seseorang itu sudah bernikah, maka jarakkan diri daripada mereka. Ini kerana hubungan suami isteri adalah hubungan yang perlu dijaga, bukan oleh pasangan itu sahaja akan tetapi seluruh masyarakat. Ini kerana melalui pasangan itu akan lahir anak yang menjadi keluarga – daripada keluarga menjadi satu keluarga yang besar – yang membentuk masyarakat setempat – yang membentuk satu negeri – kemudian satu negara – akhir sekali satu dunia. Kalau diganggu gugat ekosistem ini, maka ia memberi kesan kepada keseluruhan masyarakat. Kalau suami isteri bergaduh berpecah belah, anak jadi tidak elok pembesarannya, jadi orang yang tidak belajar dengan baik, jadi orang yang bermasalah, mungkin jadi penagih dadah, mungkin jadi perompak dan nanti dirompaknya rumah kita pula. Siapa yang susah? Maka setiap daripada kita hendaklah menjaga hubungan pasangan orang lain walaupun mereka itu tidak kena mengena dengan kita kerana apa yang terjadi kepada mereka memberi kesan juga sedikit sebanyak kepada kita. Inilah yang dipanggil butterfly effect.

Kerana itulah hukuman bagi penzina sangat keras di dalam undang-undang Islam. Ini kerana bukan pasangan itu sahaja yang terkesan akan tetapi kesannya sampai merebak ke tempat yang lain dan mengganggu masyarakat. Ia bukan sahaja terjadi di waktu ini sahaja akan tetapi kesannya berpanjangan. Jangan kerana hendak sedap seketika sahaja, menyesal selama-lamanya.

 

3. Hubungan suci yang dimeterai oleh Allah ‎ﷻ

Pernikahan adalah hubungan suami isteri yang diajar oleh Allah ‎ﷻ dan dibenarkan oleh-Nya. Ia adalah perjanjian yang amat kuat dan dipanggil sebagai مِيثٰقًا غَلِيظًا (perjanjian yang kuat) seperti disebut di dalam Nisa’:21

وَقَدْ أَفْضَىٰ بَعْضُكُمْ إِلَىٰ بَعْضٍ وَأَخَذْنَ مِنكُم مِّيثٰقًا غَلِيظًا
padahal kasih mesra kamu telah terjalin antara satu dengan yang lain, dan mereka pula (isteri-isteri kamu itu) telah pun mengambil perjanjian yang kuat daripada kamu?

Untuk bayangkan kekuatan perjanjian مِيثٰقًا غَلِيظًا ini, bayangkan istilah yang sama Allah ‎ﷻ gunakan untuk perjanjian antara-Nya dan para Nabi! Perhatikan contohnya di dalam Ahzab:7

وَإِذ أَخَذنا مِنَ النَّبِيّينَ ميثٰقَهُم وَمِنكَ وَمِن نّوحٍ وَإِبرٰهيمَ وَموسىٰ وَعيسَى ابنِ مَريَمَ ۖ وَأَخَذنا مِنهُم مّيثٰقًا غَليظًا
Dan (ingatlah) ketika Kami mengambil perjanjian daripada nabi-nabi dan daripada kamu (sendiri) dan daripada Nuh, Ibrahim, Musa dan Isa putera Maryam, dan Kami telah mengambil daripada mereka perjanjian yang teguh.

Jadi hubungan suami isteri adalah ikatan suci yang keramat yang dimeterai oleh Allah ‎ﷻ sendiri. Menikah adalah ibadah, sunnah Rasulullah ﷺ dan malah ada yang berpendapat ia adalah wajib. Kerana ia sangat sucilah yang menyebabkan iblis amat suka kalau ikatan ini diputuskan oleh tentera syaitannya. Ini kita tahu daripada hadith yang diriwayatkan daripada Jabir bin Abdillah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

إِنَّ إِبْلِيسَ يَضَعُ عَرْشَهُ عَلَى الْمَاءِ، ثُمَّ يَبْعَثُ سَرَايَاهُ، فَأَدْنَاهُمْ مِنْهُ مَنْزِلَةً أَعْظَمُهُمْ فِتْنَةً، يَجِيءُ أَحَدُهُمْ فَيَقُولُ: مَا فَعَلْتُ كَذَا وَكَذَا. فَيَقُولُ: مَا صَنَعْتُ شَيْئًا. ثُمَّ يَجِيءُ أَحَدُهُمْ فَيَقُولُ: مَا تَرَكْتُهُ حَتَّى فَرَّقْتُ بَيْنَهُ وَبَيْنَ امْرَأَتِهِ. فَيُدْنِيهِ مِنْهُ وَيَقُولُ: نِعْمَ أَنْتَ.”
“Sesungguhnya iblis meletakkan singgahsananya di atas air, kemudian ia mengutus tentera-tenteranya. Maka syaitan yang paling dekat kedudukannya dengannya ialah yang paling besar fitnahnya. Datanglah salah seorang daripada mereka (syaitan) lalu berkata: ‘Aku telah melakukan demikian dan demikian.’ Iblis menjawab: ‘Kamu tidak melakukan apa-apa.’ Kemudian datang seorang yang lain lalu berkata: ‘Aku tidak meninggalkannya (seorang manusia) sehingga aku berjaya memisahkan antara dia dengan isterinya.’ Maka iblis pun mendekatkannya kepada dirinya (menghargainya) dan berkata: ‘Sebaik-baik kamu adalah kamu (kerana perbuatanmu itu).'”

(Riwayat Muslim No. 2813)

Maka menjadi tanggungjawab kita menjaga hubungan suami isteri ini. Kalau kita memutuskan ikatan ini, maka kita bukan sahaja melanggar perjanjian peribadi antara suami dan isteri, kontrak sosial, malah ia juga melanggar kehendak Allah ‎ﷻ! Allah ‎ﷻ suruh kita menikah dan jaga pernikahan itu, kita pergi buat sesuatu yang merosakkannya seperti berselingkuh dengan orang lain yang bukan pasangan kita.

 

Nasihat Perkahwinan yang percuma

Jadi apa yang perlu dilakukan oleh pasangan kalau tidak mendapat hak? Yang pertama kena ingat, jangan langgar hukum Allah. Macam rumah, kita boleh susun perabot hendak letak di mana sahaja, tapi tiang seri rumah jangan dikacau. Maka di dalam hidup kita, yang tak boleh dikacau adalah hukum Allah. Jangan buat dosa seperti yang kita sebut, pergi cari rakan selingkuh.

1. Pertamanya, cuba berkomunikasi dengan pasangan. Kadang-kadang kita ini bongok, ingatkan pasangan kita boleh baca fikiran kita, tahu yang kita tak puas hati. Kita lupa dia pun manusia juga, tidak boleh baca fikiran orang lain. Jadi kena diberitahu apa yang terbuku di hati. Kalau simpan sendiri, buat sakit sahaja, bukan? Jadi daripada tidak cakap, lebih baik cakap sahaja, biar dia faham. Ilmu komunikasi kenalah ada sikit, jangan sembur bila cakap kepada pasangan kita. Boleh cakap dengan serius, tetapi dalam keadaan tenang.

Namun begitu kita faham, orang kita bukannya biasa berterus terang. Adat dan budaya kita simpan sahaja dalam hati. Biarlah ia memakan diri, janji jangan cakap. Ini memang fahaman kuno dan ‘outdated’ dan sepatutnya tidak terpakai lagi zaman moden. Namun sekiranya pasangan kita sebegitu, mungkin tidak sesuai. Takut dia jadi ‘hulk hijau’ pula kerana marah sebab kita berani cakap begitu dengannya.

2. Maka kenalah gunakan khidmat orang tengah untuk sampaikan kepada dia. Penyelesaian ini ada disebut di dalam Nisa’:35 cuma orang kita sahaja tidak tahu kerana hanya pandai baca sahaja Al-Qur’an tetapi tidak mengambil pengajaran daripadanya,

‎وَإِنْ خِفْتُمْ شِقَاقَ بَيْنِهِمَا فَابْعَثُوا حَكَمًا مِّنْ أَهْلِهِ وَحَكَمًا مِّنْ أَهْلِهَا إِن يُرِيدَا إِصْلٰحًا يُوَفِّقِ اللهُ بَيْنَهُمَا إِنَّ اللهَ كَانَ عَلِيمًا خَبِيرًا
Dan jika kamu bimbangkan perpecahan di antara mereka berdua (suami isteri) maka lantiklah “orang tengah” (untuk mendamaikan mereka, iaitu), seorang daripada keluarga lelaki dan seorang daripada keluarga perempuan. Jika kedua-dua “orang tengah” itu (dengan ikhlas) bertujuan hendak mendamaikan, nescaya Allah akan menjadikan kedua (suami isteri itu) berpakat baik. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui, lagi Amat mendalam pengetahuan-Nya.

Semoga ada dalam kalangan wakil keluarga yang boleh menjadi wakil dan mereka itu orang terpelajar dan berakhlak. Kerana jika tersalah pilih pun masalah juga.

3. Akan tetapi kalau ini pun tidak selesai, maka jalan seterusnya adalah berpisahlah dengan baik. Islam memang membenarkan hal ini. Jangan disimpan perasaan yang tidak puas hati itu kerana syaitan akan mengambil peluang untuk menimbulkan jalan untuk mencari ‘makan luar’. Inilah tiang seri yang kita dilarang daripada ditukar iaitu melanggar hukum Allah. Ini adalah jalan paling buruk sekali. Maka bercerai itu lebih baik daripada berterusan dalam melakukan maksiat kepada Allah ‎ﷻ. Tidak ada apa-apa alasan yang boleh diberikan kalau kita telah melanggar hukum Allah. Jangan beri hujah: ‘Kau tak tahu apa aku rasa….aku tertekan….’ dan sebagainya. Itu semua adalah alasan daripada syaitan. Iblis semasa dia melanggar arahan Allah ‎ﷻ untuk sujud kepada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun dia ada beri alasan. Jadi alasan apa-apa sahaja tidak terpakai kalau sudah melanggar hukum Allah. Alasan itu hanya laku dalam kepala kita sahaja tetapi ia tidak bernilai dalam agama. Semua orang akan ada alasan kenapa mereka melakukan sesuatu, tetapi tidak semestinya alasan itu sah.

Jadi daripada berterusan memikirkan alasan-alasan yang tidak akan diterima, maka baik ambil jalan untuk bercerai sahaja daripada duduk di dalam perkahwinan yang toksik. Masalahnya di sini orang kita takut sangat hendak cerai. Ini kerana ada stigma dalam masyarakat terhadap orang bercerai itu sendiri. Macam-macam mereka takut dengan pandangan orang lain. Padahal orang lain bukan faham pun hal kita, orang lain bukan tanggung pun susah payah kita. Jadi pelik kenapa kita hendak hirau dengan kata-kata makcik bawang. Makcik bawang itu SPM pun belum tentu lulus, jadi buat tidak tahu sahaja kata-kata mereka.

 

وَغَلَّقَتِ الأَبوٰبَ

dan dia menutup pintu-pintu,

Sekarang kita kembali kepada kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan isteri Al-Aziz itu. Setelah wanita itu nekad untuk menjalankan rancangannya, maka pada suatu hari dia telah menutup pintu segala pintu-pintu (kerana الأَبوابَ dalam bentuk jamak). Kalau banyak pintu, kita boleh bayangkan betapa besarnya rumah itu. Ada yang mengatakan ada tujuh pintu dan kuncinya tetapi bilangan itu tidak penting dan tidak kisahlah berapa banyak pintu. Sudahlah mereka tinggal berdua sahaja pada waktu itu, sekarang segala pintu ditutup pula.

Kalimah غَلَّقَ bermaksud mengunci-ngunci – maksudnya banyak pintu yang dikuncinya, bukan satu sahaja – oleh itu, bukan senang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ hendak lari, kalau baginda hendak melarikan diri. Ini kerana mungkin ada yang fikir, baginda muda, kenapa tidak lari sahaja? Maka kita tahu melalui ayat ini yang memang baginda muda tetapi ada masalah kalau hendak lari kerana pintu sudah dikunci. Ada juga yang mungkin berkata, takkan semasa wanita itu menguncikan pintu, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tengok begitu sahaja tidak berbuat apa-apa? Jadi jangan bayangkan begitu. Memang wanita menguncikan semua pintu tetapi boleh jadi dia kuncikan semua pintu tanpa pengetahuan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Cuma pintu terakhir sahaja yang dikunci setelah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ masuk menyebabkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak sempat berbuat apa-apa.

Dia juga mengunci pintu untuk memujuk Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Kerana dia agak tentu Yusuf ini akan takut hendak buat sesuatu kalau ada orang lain nampak, jadi aku akan kunci siap-siap dan kata kepada Yusuf: “Jangan takut, aku dah kunci dah semua pintu. Hanya kita berdua sahaja sekarang.”

Jikalau ia bermaksud mengunci, maka ini bermakna pada zaman itu sudah ada kunci. Peristiwa ini telah berlaku 6 ribu tahun yang lepas. Pengkritik Al-Qur’an mengatakan Al-Qur’an silap kerana pada mereka, kunci hanya dicipta dan digunapakai oleh golongan Yunani dan Rom seribu tahun Sebelum Masihi. Namun di sini kita dimaklumkan yang pada zaman Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ iaitu 3 ribu tahun sebelum itu pun telah ada kunci. Ini dibuktikan dengan kajian Mesir Purba (Egyptology) yang mendapati bukti ada konsep kunci yang telah digunakan. Namun kemudian ia telah ditambahbaik oleh Yunani dan Rom. Maka Al-Qur’an telah sekali lagi membuktikan yang ia adalah Kalamullah yang lebih tahu sejarah daripada manusia. Inilah mukjizat Al-Qur’an yang tidak dapat disangkal lagi.

 

وَقالَت هَيتَ لَكَ

seraya berkata: “Mari ke sini dengan segera, aku bersedia untukmu”. 

Kalimat هَيتَ bermaksud “datang ke mari” tetapi daripada kalimah yang digunakan, ia memberi isyarat bahawa wanita itu tegas dengan arahannya itu. Kalau sebelum ini dia memujuk-mujuk, maka sekarang dia sudah jadi tegas. Ada yang berpendapat kalimah ini bermaksud dia berteriak memanggil. Maknanya dia mengarahkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk segera datang kepadanya tanpa berlengah lagi. Kalimah لَكَ bahawa dia menyerahkan dirinya kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk berbuat sekehendaknya.

Ini pun adalah satu kesusahan kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ juga, kerana selalunya baginda akan taat kepada wanita itu semenjak kecil lagi. Maka serba salah jadinya Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di dalam keadaan ini.

 

قالَ مَعاذَ اللهِ

Yusuf berkata: “Perlindungan Allah,

Kalimat مَعاذَ اللَّهِ adalah kalimah menyatakan bergantung kepada Allah ‎ﷻ. Kalimah مَعاذَ adalah isim dzarf (masa dan tempat). Oleh itu, baginda bukan sahaja meminta perlindungan daripada Allah ‎ﷻ pada masa itu, tetapi baginda minta Allah ﷻ berikan tempat yang selamat untuk baginda. Baginda minta tempat menyorok, tempat yang selamat. Di sini kita boleh lihat yang baginda tidak hanya bergantung dengan kekuatan dirinya sahaja akan tetapi memohon pertolongan Allah ﷻ. Memang kita memerlukan bantuan daripada Allah ﷻ. Walaupun baginda seorang Nabi, tetapi baginda sedar yang baginda tidak boleh buat apa-apa tanpa bantuan daripada Allah ﷻ.

Kita kena sedar yang kita tidak mampu melawan kehendak tubuh kita kalau tanpa bantuan daripada Allah ﷻ. Sebagai contoh, kalau kita berpuasa di bulan Ramadhan, kita tetap lapar, bukan? Kerana lapar itu adalah satu sifat fizikal. Kita tidak boleh suruh tubuh kita supaya jangan lapar. Tubuh hendak lapar, dia terus lapar sahaja. Begitu juga dengan kehendak fizikal kepada syahwat kepada berlainan jantina. Ia adalah sesuatu yang kita tidak boleh kawal. Kita tidak boleh hilangkan nafsu kita. Yang kita boleh kawal adalah tindakan kita. Untuk kuat mengawal ini memerlukan bantuan daripada Allah ﷻ kerana kita mungkin tidak boleh hendak mengawal tindakan kita.

Maka kita belajar supaya berharap dan berdoa minta bantuan daripada Allah ﷻ daripada melakukan perkara yang salah. Kita mungkin tidak biasa dengan kalimah مَعاذَ اللَّهِ ini akan tetapi tentu kita semua biasa dengan kalimah أَعُوذُ بِاللَّهِ (Aku berlindung dengan Allah). Kalimah أَعُوذُ dan مَعاذَ daripada kata dasar yang sama, cuma dalam bentuk yang berlainan. Mari kita kupaskan: ia daripada kata dasar ع و ذ yang bermaksud mendapatkan atau mengambil perlindungan; perlindungan; seterusnya; (Allah) melarang; Ia juga digunakan di dalam Bahasa Arab untuk merujuk kepada tumbuhan yang melekat kepada batang pokok besar. Juga merujuk kepada daging yang melekat di tulang dan tidak boleh dibuang dengan mudah. Jadi apabila kita أَعُوذُ dengan Allah ﷻ, ia bermaksud kita melekat, melekap, berpegang dengan Allah ﷻ dan tidak akan lepaskan. Oleh itu apabila Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berkata مَعاذَ اللَّهِ ia bermaksud baginda akan berpegang dengan sentiasa ingat kepada Allah ﷻ.

Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diberikan dengan kepandaian menta’bir bukan mimpi sahaja tetapi kata-kata dan juga kejadian yang berlaku. Maka baginda sudah tahu yang ini bukan panggilan seperti biasa tetapi ada udang di sebalik batu. Maka baginda terus minta berlindung dengan Allah ﷻ. Ada muqaddar dalam ayat ini: “Aku meminta perlindungan kepada Allah ‎daripada keinginan nafsumu terhadapku.”

Maka kita lihat yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ‎keluarkan nama Allah ﷻ kerana baginda seorang yang beriman. Maka kepada kita juga, hendaklah selalu menyebut nama Allah ‎ﷻ di dalam setiap ketika. Lazimkan kalimah Allah ‎ ﷻ di bibir kita. Jika selalu menyebut nama Allah ‎ﷻ maka itu tanda yang kita rapat dengan Allah ‎ﷻ. Kerana itulah kalau kita baca hadith, sahabat sentiasa sahaja sebut nama Allah ‎ﷻ dalam setiap keadaan.

Ujian yang dihadapi oleh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dalam situasi ini lebih teruk daripada ujian ketika baginda ditinggalkan di dalam telaga oleh abang-abangnya. Ini kerana ketika itu, baginda tidak ada pilihan lain selain sabar sahaja dengan apa yang berlaku. Akan tetapi apabila digoda oleh wanita yang menjadi tuan kepada tempat tinggalnya, seandainya baginda mahu, boleh sahaja baginda melayan kehendak wanita itu. Mereka pun duduk di rumah yang sama, jauh daripada orang lain dan pintu pun telah dikunci. Baginda pun bukannya duduk di kampung sendiri dan orang tidak kenal pun baginda, jadi kuranglah malu kalau baginda meneruskan hajat wanita itu. Isteri Al-Aziz itu tentulah pula seorang yang cantik kerana menikah dengan seorang menteri, bukan? Selalunya orang lelaki yang mengejar wanita tetapi kali ini wanita pula yang mengejar! Namun begitu, iman baginda menghalang baginda daripada melakukannya.

 

إِنَّهُ ۥ رَبِّىٓ أَحسَنَ مَثوَاىَ‌

sungguh tuanku telah memberikan aku tempat tinggal yang baik”.

Kalimah رَبّ dalam ayat ini boleh jadi merujuk kepada Allah ﷻ ataupun tuan rumah itu. Mungkin Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menggunakan kalimah itu dalam bentuk yang umum kerana asal maksud ‘rabb’ adalah ‘tuan’. Pada waktu itu boleh lagi memanggil tuan sebagai rabb. Sekarang tidak boleh lagi seperti disebut di dalam hadith, kerana ia boleh membawa kepada syirik. Jadi Rabb hanya boleh digunakan untuk Allah ‎ﷻ sahaja.

لاَ يَقُولَنَّ أَحَدُكُمْ لِمَمْلُوكِهِ: رَبِّي وَرَبَّتِي، وَلَكِنْ لِيَقُلْ: سَيِّدِي وَسَيِّدَتِي، وَلَا يَقُلْ الْمَمْلُوكُ: سَيِّدِي، وَلَا سَيِّدَتِي، وَلَكِنْ لِيَقُلْ: يَا مَوْلَايَ وَيَا مَوْلَاتِي
“Janganlah salah seorang daripada kamu memanggil tuannya: ‘Rabb-ku’ (Tuhan/Tuan-ku) dan ‘Rabb-ku’. Tetapi hendaklah dia berkata: ‘Sayyidi’ (Tuanku) dan ‘Sayyidati’ (Puan-ku). Dan jangan pula hamba sahaya berkata: ‘Sayyidi’ atau ‘Sayyidati’. Tetapi hendaklah dia berkata: ‘Wahai Maulaya’ (Tuan-ku) atau ‘Wahai Maulati’ (Puan-ku).”

(Riwayat Muslim No. 2249)

Zaman dahulu pun memang syirik telah dilarang akan tetapi jalan-jalan yang boleh membawa kepada syirik belum lagi dilarang. Jadi apa istilah yang digunakan oleh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidaklah salah.

Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengingatkan wanita itu tuannya (suami wanita itu) telah menjaga dirinya (dan juga wanita itu) dengan baik selama hari ini. Baginda mengingatkan kembali bagaimana tuannya itu memberikan tempat tinggal yang baik dan layanan yang baik. Seperti telah disebut sebelum ini, kalimah مَثوَى bermaksud tempat tinggal generasi demi generasi. Ia adalah tempat tinggal yang diwarisi. Maknanya, tempat tinggal yang lama. Maknanya Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menghargai tuan itu telah memberinya tempat tinggal untuk tinggal lama, yang bukannya tinggal sementara. Tidaklah patut kalau setelah mendapat nikmat itu, baginda tidur sekatil dengan isteri orang lain, terutama sekali dengan isteri orang yang telah berjasa kepadanya. Baru-baru ini pun ada berita seorang lelaki telah membunuh lelaki yang berselingkuh dengan isterinya kerana perkara ini tidak mungkin seorang suami  yang normal dapat menerimanya.

Namun mungkin susah juga untuk kita terima baginda telah diberikan tempat tinggal yang baik, bukan? Kerana baginda bukannya duduk di rumah sendiri tetapi di rumah orang lain, bekerja pula sebagai hamba abdi orang itu. Jadi apa yang baiknya? Ini kerana baginda tahu yang keberadaan baginda di rumah itu adalah takdir daripada Allah ‎ﷻ. Baginda tahu yang Allah ‎ﷻ tidak akan tinggalkan dan apa sahaja ujian yang Allah ‎ﷻ berikan kepada baginda, ia adalah sebagai pelajaran bagi baginda.

Begitulah sekali lagi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah dikhianati dan diuji. Semasa kecil, baginda dikhianati oleh abang-abangnya yang sepatutnya menjaga baginda, tetapi mereka yang buang baginda. Sekarang, isteri itu sepatutnya menjaga baginda dan memberikan tempat tinggal yang baik, tetapi dia pula yang hendak mencabul baginda. Bukankah Al-Aziz telah suruh isterinya itu menjaga baginda seperti disebut di dalam ayat 21?

أَكرِمي مَثوىٰهُ
“Muliakanlah tempat tinggalnya,

Satu lagi tafsir, apabila Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengucapkan إِنَّهُ رَبّي, ia boleh jadi juga baginda merujuk kepada Allah ‎ﷻ. Kerana memang Allah ‎ﷻlah yang memberikan tempat tinggal yang baik kepada baginda dan memberi segala nikmat kepada baginda. Ada pendapat yang mengatakan pandangan yang mengatakan ia merujuk kepada Allah ‎ﷻ lebih kuat.

Namun bagaimana kalau kita gabungkan kedua-duanya sekali? Iaitu bagi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, apabila baginda menyebut رَبّي, mungkin baginda maksudkan Allah ‎ﷻ. Akan tetapi di dalam masa yang sama, apabila baginda menyebut رَبّي kepada wanita itu, mungkin yang wanita itu anggap ia merujuk kepada suaminya, tuan kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu.

Walaupun kebaikan itu diberikan kepada diri baginda, tetapi baginda cakap dengan kuat kerana hendak mengingatkan kepada wanita itu (kerana tentu wanita itu pun dapat kebaikan daripada suaminya juga). Tidak patut kalau orang yang baik kita buat begitu. Tidak patut Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berhubungan dengan isteri tuannya, dan tidak patut isteri itu berlaku curang kepada suaminya yang baik itu.

 

إِنَّهُ ۥ لَا يُفلِحُ ٱلظَّـٰلِمُونَ

Sesungguhnya orang-orang yang zalim tiada akan berjaya.

Baginda juga mengingatkan yang orang zalim tidak akan berjaya. Kalimah إفلاح digunakan untuk petani yang berjaya menuai hasil tanaman mereka setelah lama berusaha bercucuk tanam, mungkin setelah setahun. Itulah masanya mereka meraih kejayaan daripada hasil usaha mereka. Jadi orang yang zalim tidak akan mendapat hasil yang baik yang mereka harapkan.

Allah ‎ﷻ menggunakan ‘zalim’ dalam ayat ini kerana mereka yang melakukan fahsya’ (seperti yang dilakukan oleh wanita itu) sebenarnya mereka melakukan kezaliman terhadap Allah ‎ﷻ. Kena ingat yang khianat kepada orang yang baik juga adalah satu kezaliman dan orang yang zalim tidak akan selamat. Maka kita kena jaga tingkah laku kita. Jangan kita buat perkara mengikut kehendak kita sahaja tanpa memikirkan sama ada ia menjadi kezaliman kepada orang lain ataupun tidak.

 

Kuiz (10 Soalan Pendek)

Sila jawab soalan-soalan berikut dalam 2-3 ayat setiap satu.

  1. Apakah konsep “kontrak sosial” dalam konteks perkahwinan menurut sumber?
  2. Mengapakah majlis kenduri walimah penting dalam Islam berkaitan dengan kontrak sosial?
  3. Jelaskan maksud dan kepentingan larangan “takhbib” dalam menjaga hubungan suami isteri.
  4. Apakah makna istilah “مِيثٰقًا غَلِيظًا” dan mengapa ia digunakan untuk menggambarkan ikatan perkahwinan?
  5. Mengapakah iblis amat gembira jika ikatan pernikahan diputuskan?
  6. Menurut sumber, apakah langkah pertama yang perlu dilakukan oleh pasangan yang menghadapi masalah dalam perkahwinan?
  7. Mengapakah Al-Qur’an disebut sebagai “Kalamullah” yang lebih tahu sejarah, terutamanya berkaitan dengan kewujudan kunci pada zaman Nabi Yusuf?
  8. Bagaimana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menunjukkan pergantungan kepada Allah SWT apabila digoda oleh isteri Al-Aziz?
  9. Jelaskan dua kemungkinan tafsiran bagi kalimah “رَبّي” yang diucapkan oleh Nabi Yusuf, dan mana yang lebih kuat menurut sesetengah pendapat?
  10. Apakah maksud amaran “Sesungguhnya orang-orang yang zalim tiada akan berjaya” dalam konteks kisah ini?

Glosari Istilah Utama

  • Takhbib (تخبيب): Perbuatan merosakkan hubungan seorang isteri dengan suaminya atau seorang hamba dengan tuannya.
  • Walimah: Majlis kenduri kahwin yang diadakan untuk mengisytiharkan perkahwinan kepada masyarakat.
  • Butterfly Effect: Kesan rantaian di mana tindakan kecil (seperti mengganggu ikatan perkahwinan) boleh membawa akibat yang besar dan meluas.
  • Fahsya’: Perbuatan keji, maksiat, atau dosa besar, terutamanya yang berkaitan dengan perbuatan zina.
  • رَبّ (Rabb): Tuan atau Tuhan; pada zaman dahulu boleh merujuk kepada tuan manusia, tetapi dalam Islam kini hanya boleh digunakan untuk Allah SWT.
  • مَثوَى (Mathwa): Tempat tinggal, terutamanya tempat tinggal yang kekal atau diwarisi dari generasi ke generasi.
  • إفلاح (Ifah): Kejayaan; istilah yang digunakan untuk petani yang berjaya menuai hasil tanaman mereka setelah berusaha lama, melambangkan kejayaan yang baik dan berpanjangan.
  • Zalim (ظالم): Orang yang melakukan kezaliman, iaitu melanggar hak Allah atau hak sesama manusia.
  • Kalamullah: Firman Allah; merujuk kepada Al-Qur’an.
  • Egyptology: Kajian tentang tamadun Mesir Purba.
  • Makcik Bawang: Istilah slanga tempatan yang merujuk kepada orang yang suka bergosip atau campur tangan dalam hal orang lain tanpa pengetahuan penuh.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 23 Ogos 2025

Ringkasan Surah Yusuf

Keseluruhan Surah Yusuf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Tafsir Surah Yusuf Ayat 23 (Ujian digoda wanita) Part 1

GODAAN

Yusuf Ayat 23: Sambungan keadaan ke 5 iaitu kita akan mendengar kisah bagaimana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ digoda oleh isteri tuannya. Maka ini adalah ujian bagi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang seterusnya. Ternyata baginda dapat ujian demi ujian. Begitulah syaitan tidak melepaskan peluang untuk menyesatkan manusia.

Di dalam kisah yang kita baca ini nanti, mungkin ada yang tidak sesuai dijelaskan kepada anak-anak lagi. Ini kerana ia tentang perkara ‘dalam kelambu’ yang mereka tidak tahu menahu lagi. Al-Qur’an memang untuk semua lapisan masyarakat dan tidak ada perkara yang kita perlu malu dengan ayat-ayat Al-Qur’an dan kalimat yang digunakan adalah tidak lucah pun. Akan tetapi apabila memberikan penjelasan, kita kena lihat kepada siapa yang kita sampaikan. Kalau kita rasa anak kita itu pun sudah terbiasa dengan perkara ini di sekolah, maka bolehlah kita ambil peluang untuk mengajar mereka dengan cara yang terbaik menggunakan ayat-ayat Al-Qur’an.

وَرٰوَدَتهُ ٱلَّتِى هُوَ فِى بَيتِهَا عَن نَّفسِهِۦ وَغَلَّقَتِ ٱلأَبوٰبَ وَقَالَت هَيتَ لَكَ‌ۚ قَالَ مَعَاذَ ٱللَّهِ‌ۖ إِنَّهُ ۥ رَبِّىٓ أَحسَنَ مَثوَاىَ‌ۖ إِنَّهُ ۥ لَا يُفلِحُ ٱلظَّـٰلِمُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And she, in whose house he was, sought to seduce him. She closed the doors and said, “Come, you.” He said, “[I seek] the refuge of Allāh. Indeed, he¹ is my master, who has made good my residence. Indeed, wrongdoers will not succeed.”

  • Her husband, al-‘Azeez.

(MALAY)

Dan wanita  yang Yusuf tinggal di rumahnya menggoda Yusuf untuk menundukkan dirinya (kepadanya) dan dia menutup pintu-pintu, seraya berkata: “Marilah ke sini”. Yusuf berkata: “Aku berlindung kepada Allah, sungguh tuanku telah memperlakukan aku dengan baik”. Sesungguhnya orang-orang yang zalim tiada akan berjaya.

 

وَرٰوَدَتهُ ٱلَّتِى هُوَ فِى بَيتِهَا عَن نَّفسِهِۦ

Dan wanita yang Yusuf tinggal di rumahnya hendak menggoda Yusuf untuk menundukkan dirinya

Harf و di sini menjadi tanda sekarang masuk kepada tajuk kisah yang baru atau babak yang baru. Isteri menteri itu telah jatuh hati kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Selalunya lelaki yang menggoda wanita tetapi kali ini terbalik pula. Jikalau wanita yang menggoda, tentulah payah bagi lelaki untuk menolak melainkan ada iman yang kuat. Tidak dinafikan, kita mungkin selalu sahaja nampak orang yang kita berkenan, tetapi kita tidak buat apa-apa pun. Yang menjadi masalah adalah apabila kita melakukan sesuatu yang meneruskan kehendak hati kita itu. Kerana inilah penting untuk kita mengelak daripada percampuran antara jantina yang berlawanan kerana syaitan akan mengambil peluang.

Bagaimana wanita itu sampai sanggup melakukan perkara yang terkutuk ini? Kalau kita cuba untuk menggali psikologi wanita itu, bolehlah kita buat spekulasi dan boleh mengambil pengajaran dengan suasana hidup kita sekarang. Pertamanya, kita pun tahu yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah seorang yang kacak dan kadangkala terlalu kacak sangat pun bahaya juga kerana ramai wanita yang minat. Ayat sebelum ini pun kita telah diberitahu yang baginda telah sampai ke tahap umur yang matang jadi tentulah baginda ganteng sekali waktu itu.

Sememangnya ada pendapat yang mengatakan suaminya pun mungkin tidak dapat memuaskannya lagi dari segi fizikal. Atau kalau dia tidak ada masalah dari segi fizikal pun, mungkin kerana dia terlalu sibuk, maka isteri itu rasa kurang kasih sayang. Sampaikan mencari kasih sayang dari tempat lain pula. Mungkin isteri itu melihat Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sangat molek perangainya selain rupanya yang kacak. Selama ini Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ selalu melayannya dan apatah lagi mereka selalu berada di rumah bersama sedangkan suaminya Al-Aziz itu entah ke mana. Ini mengajar para suami di luar sana, jangan abaikan kehendak isteri. Isteri memerlukan kasih sayang dan perhatian daripada suaminya. Memang kadangkala ia payah, namun suami kena tahu hal ini. Kadang-kadang kita penat balik dari kerja, sudah kena dengar mereka membebel hal mereka pula yang pada kita tidak penting pun. Namun percayalah, kena juga dengar dan buat-buat ambil tahu. Isteri cuma hendak kita dengar sahaja, itu pun sudah puas bagi mereka. Dalam hal ini, Rasulullah ﷺ menjadi contoh tauladan buat kita. Baginda melayan para isteri baginda dengan baik sekali, walaupun semua ada 9 orang. Kita dengan isteri seorang sahaja pun takkan payah? Rasulullah ﷺ mengajar kita,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ: “أَكْمَلُ الْمُؤْمِنِينَ إِيمَانًا أَحْسَنُهُمْ خُلُقًا، وَخِيَارُكُمْ خِيَارُكُمْ لِنِسَائِهِمْ.”
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Rasulullah ﷺ bersabda: “Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang paling baik akhlaknya, dan yang paling baik di antara kamu ialah yang paling baik terhadap isteri-isterinya.”

Diriwayatkan dalam Musnad Imam Ahmad (no 7356). Syaikh Syu’aib al-Arnaut mengesahkan hadith ini sebagai sahih li ghairihi 

Luangkan masa bersama dengan mereka dan jangan buat keras sahaja di rumah, sebaliknya ringankanlah tangan itu membantu isteri. Siapa anda hebat sangat sampai tidak boleh tolong di rumah sedangkan Rasulullah ﷺ pun membantu juga?

عَنِ الْأَسْوَدِ، قَالَ: سَأَلْتُ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا: “مَا كَانَ النَّبِيُّ ﷺ يَصْنَعُ فِي بَيْتِهِ؟” قَالَتْ: “كَانَ يَكُونُ فِي مِهْنَةِ أَهْلِهِ، فَإِذَا حَضَرَتِ الصَّلَاةُ خَرَجَ إِلَى الصَّلَاةِ.”
Daripada Al-Aswad, beliau berkata: “Aku bertanya kepada Aisyah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا: ‘Apa yang Nabi ﷺ lakukan di dalam rumahnya?'” Beliau menjawab: “Baginda adalah seorang manusia biasa; baginda melayan (membantu) urusan ahli keluarganya, dan apabila tiba waktu solat, baginda keluar untuk menunaikan solat.”

(Riwayat Al-Bukhari No 676)

Malah baginda walaupun mempunyai 9 orang isteri namun baginda menziarahi mereka setiap hari (cuma tidak bermalam kecuali di rumah giliran isterinya pada hari itu). Ini disebut di dalam hadith yang diriwayatkan daripada Aisyah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا.

“كَانَ إِذَا صَلَّى الْعَصْرَ دَارَ عَلَى نِسَائِهِ، فَيَدْنُو مِنْهُنَّ.”
“Ketika Baginda selesai menunaikan solat Asar, baginda akan melawat semua isteri-isterinya lalu mendekati mereka.”

(Riwayat Al-Bukhari No. 4793)

Maka banyak perkara yang kita boleh belajar dengan urusan hidup baginda. Baginda memakai banyak topi sebagai pemerintah, pendakwah, panglima perang, dan juga suami dan bapa. Jadi memang tepat sangat kalau kita boleh belajar dengan baginda, tambahan pula baginda adalah suami yang terbaik,

خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لِأَهْلِهِ وَأَنَا خَيْرُكُمْ لِأَهْلِي
“Orang yang terbaik di antara kamu adalah yang terbaik terhadap ahli keluarganya, dan aku adalah orang yang terbaik terhadap ahli keluargaku.”

(Riwayat At-Tirmidzi. No. 3895) 

Maka sang isteri Aziz itu sentiasa sahaja mencari peluang untuk menggoda dan mengambil kesempatan ke atas Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Dia selalu memuji-muji kelebihan yang ada pada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, rambut cantik, mata cantik apa bagai. Akan tetapi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak layan dan buat tidak tahu sahaja.

Siapakah isteri Al-Aziz itu? Kalau kita cari dalam Al-Qur’an dan juga hadith, Allah ‎ﷻ tidak disebut pun nama wanita ini. Akan tetapi ramai sahaja kata namanya Zulaikha dan ini tidak benar kerana tidak ada dalil yang sahih tentang nama itu. Oleh itu, nama dia tidak perlu diketahui kerana Allah ‎ ﷻ tidak sebut pun (maknanya tidak penting), kerana yang penting hendak disampaikan adalah sifatnya yang buruk. Ya, kisahnya buruk dalam sejarah agama kita, bukannya kemudian dia berubah menjadi baik, kemudian Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula terkejar-kejarkan dia dan kemudian mereka berkahwin. Ini semua tidak ada dalam sejarah yang sahih dan kita boleh katakan ia direka-reka bagi sedap cerita sahaja.

Kalimah راوَدَت adalah satu perkataan yang agak kompleks. Ia daripada kata dasar ر و د yang bermaksud mencari, mahu, mendamba, keinginan, menggoda, meminta dengan lembut, mencari (seperti mencari makanan), kehendak. Ia menjadi راود yang bermaksud meminta dengan lembut kerana orang yang diminta tidak mahu memberinya, maka diminta berkali-kali. Jadi kalimah راوَدَت adalah keinginan yang telah menjadi satu keputusan yang mantap untuk melakukan sesuatu setelah berfikir lama, sampaikan seseorang itu berjalan mundar mandir memikirkannya. Maknanya lama sudah difikirkan rancangan itu dan bermain di dalam kepalanya. Dia tidak boleh hilangkan perasaan itu kerana dia mahu dan teringin sangat. Malah usaha ini bukanlah sekali sahaja dilakukan tetapi berkali-kali kerana ia di dalam wazan راوَدَ – فاعل. Cuma di dalam kisah ini, ia yang paling keras sebab selalu diminta tetapi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak layan, jadi kali ini dia bertindak ekstrem terus. Selama ini dia meminta dengan lembut sahaja. Wazan راوَدَ juga memberi maksud ada dua pihak yang terlibat. Di dalam kes ini, wanita ini meminta dan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menolak ajakan wanita itu.

Kalimah هُوَ في بَيتِها (baginda tinggal di rumah perempuan itu) bermaksud Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tinggal di rumah itu. Allah ‎ ﷻ tidak sebut ‘isteri lelaki itu’, tetapi Allah ‎ﷻ sebut ‘dia di rumah wanita’ itu. Allah ‎ ﷻ hendak menekankan yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tinggal di bawah bumbung wanita itu. Ini adalah kerana Allah ‎ ﷻ hendak beritahu dilema yang dihadapi oleh baginda. Amat susah keadaan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ketika ini kerana wanita itu yang selalu berada di rumah. Wanita itulah yang menjaga rumah itu kerana suaminya selalu tidak ada di rumah. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula dikira menumpang di rumah wanita itu sebagai hamba. Maka, bayangkanlah bukan senang baginda hendak menolak apa yang diminta oleh wanita itu. Tambahan pula ada pendapat dikatakan yang adat wanita pada zaman itu dibolehkan mempunyai gundik lelaki juga. Maknanya mereka biasa tidur dengan hamba lelaki (sebagaimana seorang tuan boleh tidur dengan hamba wanitanya). Akan tetapi pendapat ini agak lemah kerana nanti kita akan jumpa di hujung kisah ini bagaimana wanita itu dikecam oleh suaminya dan para wanita di kota itu pun mengutuk wanita itu kerana perbuatannya itu. Ini menunjukkan ia bukanlah kebiasaan bagi mereka.

Mungkin ada yang berkata: apa yang hendak dihairankan sangat? Wanita itu bukanlah seorang Muslim pun dan mereka bukan jaga pun perkara dalam kelambu ini? Itu salah kerana hubungan suami isteri dan menjaga kesucian rumahtangga bukan hanya di dalam Islam tetapi di dalam semua agama dan tamadun yang ada moral. Tidak ada mana-mana suami yang waras akan membenarkan isterinya berkongsi katil dengan lelaki lain.

Mungkin ada yang berkata oleh kerana cinta wanita itu menyebabkan dia tidak dapat mengawal dirinya. Namun kita kena sedar dan faham yang ini adalah cinta yang bengkok, cinta yang toksik. Cinta jenis ini bukanlah cinta sejati kerana kalau kita benar-benar cintakan seseorang, kita tidak mahu menjatuhkan orang itu, memalukan orang itu, merosakkan orang yang kita kata kita cintakan itu. Kadang cinta memerlukan kita duduk jauh daripada orang itu kerana kalau diteruskan akan menyebabkan bahana. Jadi jangan kata ini cinta tetapi ini adalah penyakit hati sebenarnya.

Kenapa Allah ‎ﷻ menggunakan istilah هُوَ في بَيتِها sedangkan karektor ini telah pernah diperkenalkan sebelum ini? Boleh sahaja digunakan kalimah هي (dia) dan kita tahu siapa yang dimaksudkan. Kenapa disebut rumah wanita itu, bukankah itu rumah menteri itu? Ini membuka berbagai spekulasi. Mungkin ini kerana menteri ini kaya sangat, sampai dia ada rumah dia dan isterinya ada rumah yang lain. Mungkin dia ada banyak isteri dan wanita dalam kisah ini adalah salah seorang isteri yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berkhidmat di rumahnya. Atau mungkin kerana menteri itu jarang ada di rumah, maka rumah itu diurus oleh isterinya itu sepenuhnya. Semua hamba di bawah jagaannya dan dialah ‘mem’ besar di rumah itu dan semua kena ikut kata dia. Termasuk yang kena ikut perintah wanita itu adalah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Kenapa tidak disebut ‘isteri Al-Aziz’ sedangkan kita sudah baca interaksi antara mereka sebelum ini? Seolah-olah istilah ‘isteri’ tidak layak digunakan untuknya lagi kerana sudah ada suami pun tetapi masih lagi mencari lelaki lain.

Jadi isteri Al-Aziz itu selalulah lihat dan bersama dengan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di rumah itu. Pi mai pi mai mereka selalu terserempak. Lalu dari mata turunlah ke hati perasaan teringin kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu. Maka ini mengajar kita bahaya kalau seorang lelaki duduk di rumah yang sama dengan wanita yang bukan mahram. Contohnya seorang lelaki yang ada pembantu rumah wanita atau seorang wanita ada tukang kebun lelaki. Ini pun tidak boleh. Kerana itulah Islam amat menjaga perkara ini. Malah kalau dengan ipar duai pun tidak boleh. Ini seperti disebut di dalam sebuah hadith yang menjadi tajuk satu filem Indonesia,

عَنْ عُقْبَةَ بْنِ عَامِرٍ الْجُهَنِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ ﷺ قَالَ: “إِيَّاكُمْ وَالدُّخُولَ عَلَى النِّسَاءِ.” فَقَالَ رَجُلٌ مِنَ الْأَنْصَارِ: “يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَفَرَأَيْتَ الْحَمْوَ؟” قَالَ: “الْحَمْوُ الْمَوْتُ.”
Daripada Uqbah bin ‘Amir al-Juhani رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Berhati-hatilah kamu daripada masuk (berduaan) menemui wanita-wanita.” Lalu seorang lelaki daripada golongan Ansar bertanya, “Wahai Rasulullah, bagaimana pula dengan al-hamwu (ipar)?” Baginda menjawab: “Al-hamwu itu adalah al-maut.”

(Riwayat Bukhari No. 5232 dan  Muslim No. 2172)

Syarah: Frasa “maut” di sini bermaksud kehancuran agama dan kehormatan. Hubungan yang tidak terkawal dengan ipar boleh membawa kepada fitnah, syak wasangka, dan kemusnahan rumah tangga. Ia diibaratkan seperti maut kerana kesannya yang fatal dan menghancurkan, bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat. Hadith ini memberi amaran bahawa bahaya berduaan dengan ipar lebih besar daripada berduaan dengan orang asing. Ini kerana hubungan kekeluargaan sering kali membuatkan orang merasa selamat dan tidak curiga. Keadaan ini membuka ruang yang lebih luas untuk syaitan memainkan peranan, lari daripada pengawasan, dan akhirnya terjerumus ke dalam maksiat.

Maka janganlah berkhalwat dengan lawan jenis. Jangan ambil ringan tentang perkara ini kerana syaitan akan ambil peluang seperti disebut di dalam hadith,

عَنْ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ ﷺ قَالَ: “لَا يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلَّا كَانَ ثَالِثَهُمَا الشَّيْطَانُ.”
“Janganlah seorang lelaki berdua-duaan (khalwat) dengan seorang wanita, melainkan syaitan adalah orang yang ketiga (dalam hubungan itu).

(Riwayat At-Tirmizi No. 2165) Status: Imam At-Tirmizi menyatakan hadis ini Hasan Sahih; (Riwayat Imam Ahmad No.177) Status: Diriwayatkan juga dalam Musnad Imam Ahmad dan dinilai Sahih oleh para pentahkik hadith.

Sekarang kita perhatikan kalimat عَن نَفسِهِ (daripada dirinya – Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ). Di dalam ayat sebelum ini, telah disebut yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ‎kuat berpegang pada prinsipnya. Sekarang kita dapat tahu bahawa perempuan ini hendak baginda meninggalkan prinsipnya dengan menggodanya. Jadi kalimah عَن نَفسِهِ (tentang dirinya) maksudnya perempuan itu hendak baginda mengubah pegangannya dengan menarik buang prinsip itu daripada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Dia tahu yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah seorang yang mempunyai prinsip dan seorang yang baik. Akan tetapi wanita itu mahu Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menggugurkan pegangannya itu. Ia juga bermaksud wanita itu hendak mengambil diri (نَفسِ) Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, bukan tubuh badannya sahaja. Dia hendak Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menjadi miliknya jiwa dan raga sekali. Dia hendak Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun mahu kepadanya. Seperti kita telah sebut di atas, mungkin kerana suaminya sendiri tidak memberi perhatian kepada dirinya. Kalimah بَيتِها juga memberi isyarat yang mereka duduk berasingan.

Maka kerana itu wanita itu kesunyian dan mahukan belaian kasih daripada orang lain. Kita boleh faham perkara itu. Namun kita tidaklah membenarkan kerana yang salah tetap salah. Cuma kita boleh ada kefahaman kenapa dia jadi sebegitu. Bandingkan pula dengan isteri Firaun yang tentunya tidak bahagia dengan Firaun. Akan tetapi beliau tidaklah pula melakukan perkara seperti isteri Al-Aziz ini. Maka ini mengajar para isteri jangan ikut apa yang dilakukannya. Kalau suami tidak layan, suami zalim, suami kaki pukul, kaki arak, tinggalkan sahaja, bercerai dengan baik. Islam memberi ruang ini dan tidak mengutuk pun sesiapa yang bercerai. Jangan kerana suami tidak indah di mata, berselingkuh pula dengan orang lain seperti yang dilakukan oleh isteri Al-Aziz ini. Kenapa dia tidak tinggalkan suaminya? Mungkin kerana malu, kerana takut miskin dan sebagainya; dan begitulah juga ramai wanita yang tetap di dalam pernikahan yang toksik hanya kerana takut malu, takut tidak ada duit dan sebagainya. Ini salah! Jangan begitu kerana pernikahan adalah seperti syurga dunia, jangan kita biarkan perkara ini tanpa melakukan apa-apa.

Apa pengajaran besar bagi kita? Di dalam kisah ini ada dua pihak: (1) seorang wanita yang sudah bersuami, (2) seorang lelaki yang menjaga imannya. Pengajarannya adalah kita hendaklah sentiasa berhati-hati dan menjaga mata dan segalanya kerana wanita yang bersuami pun tidak selamat daripada zina (oleh kerana apa-apa sebab) dan seorang lelaki baik pun, tidak mencari masalah, pun boleh diuji dengan hal zina ini. Terutama sekali kalau lelaki segak bergaya, atau pandai bercakap, atau seorang guru agama (ustaz). Kalau ustaz pun boleh hanyut dalam melayan pelajar wanita. Kerana itulah kita selalu sangat dengar tentang perselingkuhan yang berlaku dalam kalangan orang Islam sekali pun termasuklah guru agama. Betapa ia senang sangat terjadi. Selepas ini kita akan baca usaha yang dilakukan oleh wanita itu untuk menggoda Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ; tetapi dalam zaman kita sekarang, senang sahaja ia terjadi. Dalam bilik hotel boleh, dalam kereta pun ada yang buat. Kalau jadi ustaz, jangan melayan sangat soalan peribadi daripada wanita, suruh sahaja mereka tanya di dalam kelas. Juga jangan ambil tahu hal peribadi pelajar wanita itu. Kalau mereka ada masalah, suruh mereka selesaikan dengan orang di sekeliling mereka sahaja.

 

Hubungan Suami Isteri

Ada kemungkinan isteri Al-Aziz itu ada masalah dengan suaminya. Maka mari kita ambil peluang untuk berbincang tentang hubungan suami isteri ini. Ia bukan perkara yang kecil. Semenjak kita lahir, kita akan terus ada hubungan dengan ibu bapa kita. Akan tetapi hubungan pertama manusia dalam dunia adalah hubungan suami isteri (Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Hawwa’). Bayangkan Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sudah duduk dalam syurga yang ada segala-galanya, akan tetapi masih lagi tidak cukup, sehinggakan baginda meminta seorang pasangan buat baginda! Ini menunjukkan betapa pentingnya hubungan ini.

Apabila melihat kepada hubungan suami isteri ini, ia ada 3 dimensi sekurang-kurangnya:

1. Ia adalah perjanjian antara seorang lelaki dengan seorang wanita. Jadi ia adalah perjanjian peribadi.

2. Ia adalah kontrak sosial juga.

3. Ia adalah hubungan suci yang dimeterai oleh Allah ‎ﷻ.

1. Hubungan suami isteri dalam bentuk perjanjian peribadi

Allah ‎ﷻ telah menjadikan manusia kena hidup berpasangan. Allah ‎ﷻ telah berfirman di dalam Rum:21

وَمِن ءآيٰتِهِ أَن خَلَقَ لَكُم مِّن أَنفُسِكُم أَزوٰجًا لِّتَسكُنوا إِلَيها وَجَعَلَ بَينَكُم مَّوَدَّةً وَرَحمَةً ۚ إِنَّ في ذٰلِكَ لَأيٰتٍ لِّقَومٍ يَتَفَكَّرونَ
Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.

Ayat ini memberitahu kita yang kita memerlukan pasangan hidup. Jarang yang hidup sebatang kara. Ini kerana kita hanya akan rasa lengkap apabila kita ada pasangan hidup yang sentiasa bersama dengan kita. Kita sebagai الإنسان yang daripada kata dasar ا ن س yang bermaksud perasaan yang mesra; kasih sayang dan cinta; pergaulan; bersikap mesra; biasa dengan seseorang; menggembirakan dengan adab yang baik; melihat sesuatu dari jauh. Jadi kita sebagai insan adalah makhluk yang memerlukan hubungan sosial dan memerlukan kasih sayang.

Perhatikan ayat daripada Surah Rum itu, Allah ‎ﷻ menyebut لِتَسكُنوا إِلَيها وَجَعَلَ بَينَكُم مَّوَدَّةً وَرَحمَةً (supaya kamu merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang). Allah ‎ﷻ menyebut tentang perasaan tenteram, bukannya sebut tentang hubungan seks. Jadi menikah bukan kerana seks tetapi kerana hendak mendapatkan ketenangan. Ya, memang ada hubungan kelamin akan tetapi tujuan akhirnya adalah untuk mendapatkan ketenangan juga.

Sementara di dalam Baqarah:187 Allah ‎ﷻ menyebut pasangan kita adalah ‘pakaian’ kita.

هُنَّ لِباسٌ لَّكُم وَأَنتُم لِباسٌ لَّهُنَّ
Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka

Kenapa Allah ‎ﷻ sebut pasangan sebagai ‘pakaian’? Ini adalah kerana

1. pakaian adalah perlambangan kepada kemuliaan. Orang yang memakai pakaian itu mulia kalau dibandingkan dengan orang yang tidak ada pakaian. Kalau zaman dahulu, orang yang bangsawan sahaja ada pakaian. Untuk zaman sekarang, pakaian pun berbeza daripada satu golongan ke satu golongan.

2. Kita memakai baju untuk menutup tubuh kita. Akan tetapi dengan isteri kita, kita boleh tunjukkan semua sekali tubuh kita tanpa ada aurat. Begitulah juga dengan diri kita, kita tidak tunjukkan segalanya kepada manusia lain. Ada yang kita simpan sebagaimana kita memakai baju untuk menutup tubuh kita. Akan tetapi dengan isteri kita, tidak ada rahsia; isteri kita boleh tahu segala-galanya tentang diri kita.

3. Pakaian yang kita kenakan pada tubuh kita melambang siapa kita, status kita, sifat kita. Maka begitu jugalah dengan isteri kita. Orang menilai kita dengan melihat siapakah pasangan kita. Maka sebagaimana kita kena berhati-hati dalam memilih pakaian kerana ia melambangkan kita, maka begitu jugalah dengan pemilihan pasangan. Jangan kita hanya pilih sahaja asal ada sahaja kerana isteri kita dan juga suami kita akan sentiasa bersama dengan kita.

4. Kalau pakaian kita koyak sedikit, kita tidak buang, bukan? Kita akan jahit semula, tampal semula. Maka begitulah dengan pasangan kita, kita tidak terus buang mereka (cerai atau minta dicerai). Ini kerana masih ada ruang untuk baiki diri dan hubungan suami isteri.

Apabila ada hubungan dan perjanjian antara suami dan isteri, masing-masing ada hak ke atas pasangan. Ini seperti disebut di dalam Baqarah:228

وَلَهُنَّ مِثلُ الَّذي عَلَيهِنَّ بِالمَعروفِ
Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak);

Akan tetapi bagaimana kalau ada hak yang tidak dipenuhi? Kalau sedikit sahaja dan sekali sekala sahaja, mungkin boleh dipejamkan mata sahaja. Namun bagaimana kalau hak-hak itu tidak dipenuhi selama berbulan-bulan malah bertahun-tahun? Kira macam tidak adalah. Hak-hak itu sama ada dalam bentuk fizikal atau emosi. Hendak dilupakan begitu sahaja tentulah memakan diri. Sebagai contoh, tidak disentuh isteri itu atau isteri itu tidak melayan kehendak suaminya. Atau tidak diberi perhatian sehinggakan tidak ditegur sapa sekian lama. Apakah tindakan yang pasangan itu ada?

Sebelum diberitahu apakah tindakan yang sepatutnya dilakukan, mari kita lihat apa yang selalu dilakukan oleh pasangan itu? Kalau zaman sekarang ramai akan pergi ke media sosial dan mulalah bersembang dengan orang lain yang bukan mahram. Mulalah mengadu dengan orang yang baru dikenalinya itu, menceritakan segalanya dan mengadu tentang nasib dalam hidupnya tidak dihiraukan pasangan. Akan ada sahaja yang rajin mendengar dan melayan kalau di media sosial itu. Sebab itulah namanya so’sial’. Perkara yang patut dibincangkan dengan pasangan sendiri, sekarang sedang dibincangkan dengan orang lain. Kalau kita tegur, ada sahaja alasan yang akan diberikan: “Alaaahhh, sembang jer takde apa pun….; aku tak bolehlah lupakan dia… dia pandailah layan aku…. dia faham perasaan aku… masalah dia sama macam masalah aku….” Ketahuilah ini adalah langkah-langkah syaitan. Memang engkau kata ia tidak ada apa-apa sekarang, tetapi syaitan akan menghasut sampailah nanti ‘check-in’ ke hotel dan berselingkuh. Engkau kata ia tidak ada apa-apa, tetapi sebenarnya itu sudah zina! Ya zina, kerana zina ada banyak peringkat, seperti disebut dalam hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

“إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ عَلَى ابْنِ آدَمَ حَظَّهُ مِنَ الزِّنَا، أَدْرَكَ ذَلِكَ لاَ مَحَالَةَ، فَزِنَا الْعَيْنِ النَّظَرُ، وَزِنَا اللِّسَانِ الْمَنْطِقُ، وَالنَّفْسُ تَمَنَّى وَتَشْتَهِي، وَالْفَرْجُ يُصَدِّقُ ذَلِكَ أَوْ يُكَذِّبُهُ.”
“Sesungguhnya Allah telah menetapkan ke atas anak Adam bahagiannya daripada zina yang pasti akan ditemuinya. Zina mata ialah pandangan, zina lisan ialah perkataan, zina hati ialah keinginan dan nafsu, dan faraj (kemaluan) pula yang membenarkan atau mendustakannya.”

Dalam riwayat lain, hadith ini juga menyebutkan:

“Zina kedua telinga ialah mendengar (yang haram), zina kedua tangan ialah menyentuh, dan zina kedua kaki ialah melangkah (ke tempat maksiat).”

(Riwayat Bukhari No. 6243 dan Muslim No. 2657)

 

Kuiz (10 Soalan Pendek)

Jawab soalan-soalan berikut dalam 2-3 ayat setiap satu.

  1. Apakah ujian utama yang dihadapi Nabi Yusuf رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dalam Ayat 23 ini?
  2. Mengapakah Al-Qur’an tidak menyebut nama isteri Al-Aziz, dan apakah pelajaran yang boleh diambil daripadanya?
  3. Jelaskan maksud perkataan Arab “راوَدَت” dan implikasinya terhadap usaha menggoda Nabi Yusuf رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ.
  4. Mengapakah Allah ‎ﷻ menggunakan frasa “هُوَ في بَيتِها” (dia tinggal di rumah wanita itu) dan bukannya “isteri lelaki itu”?
  5. Menurut tafsiran, mengapakah bahaya khalwat (berdua-duaan dengan bukan mahram) lebih besar dengan ipar duai berbanding orang asing?
  6. Apakah definisi “cinta yang bengkok” atau “cinta toksik” seperti yang dijelaskan dalam konteks isteri Al-Aziz?
  7. Sebutkan tiga dimensi utama dalam hubungan suami isteri menurut panduan ini.
  8. Terangkan dua sebab mengapa pasangan disebut sebagai “pakaian” dalam Al-Qur’an Surah Baqarah:187.
  9. Nyatakan tiga jenis “zina” yang disebut dalam hadis mengenai zina mata, lisan, dan hati.
  10. Apakah langkah pertama syaitan dalam menghasut pasangan yang tidak bahagia dalam hubungan mereka, terutamanya pada zaman moden?

Glosari Istilah Penting

  • Al-Aziz: Gelaran bagi seorang menteri atau pembesar di Mesir pada zaman Nabi Yusuf رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ; suaminya.
  • Khalwat: Berdua-duaan antara seorang lelaki dan seorang wanita yang bukan mahram di tempat sunyi, di mana tiada orang lain yang boleh melihat atau mendengar mereka.
  • Bukan Mahram: Individu yang tidak mempunyai hubungan kekeluargaan yang mengharamkan perkahwinan antara mereka, dan oleh itu tidak dibenarkan berduaan atau bersentuhan.
  • Ipar Duai (Al-Hamwu): Saudara-mara suami atau isteri. Hadis mengibaratkan khalwat dengan ipar sebagai “maut” kerana bahaya fitnah dan kehancuran rumah tangga.
  • Zina: Perbuatan persetubuhan haram antara lelaki dan wanita. Dalam Islam, ia juga merangkumi peringkat-peringkat awal seperti zina mata, lisan, hati, tangan, telinga, dan kaki.
  • Zina Mata: Pandangan yang bernafsu kepada bukan mahram.
  • Zina Lisan: Perkataan atau percakapan yang mengghairahkan atau mengarah kepada maksiat dengan bukan mahram.
  • Zina Hati: Keinginan dan nafsu dalam hati terhadap bukan mahram.
  • Pernikahan Toksik: Hubungan perkahwinan yang tidak sihat, penuh dengan penderaan (fizikal atau emosi), kekurangan kasih sayang, dan memberi kesan negatif yang berpanjangan kepada salah satu atau kedua-dua pasangan.

Allahu a’lam. Sambung ke bahagian yang seterusnya

Kemaskini: 23 Ogos 2025

Ringkasan Surah Yusuf

Keseluruhan Surah Yusuf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Tafsir Surah Yusuf Ayat 22 (Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sudah bersedia)

Yusuf Ayat 22: Ini adalah keadaan ke 5. Setelah menerima ujian yang besar dan diletakkan di dalam rumah menteri, sekarang baginda diuji dalam rumah pula. Walaupun dari segi penempatan sudah senang, tetapi baginda diuji juga dengan hal nafsu pula. Walaupun baginda dilayan dengan baik oleh keluarga barunya, tetapi baginda tetap dikenakan dengan ujian.

وَلَمَّا بَلَغَ أَشُدَّهُ ۥۤ ءَاتَينَـٰهُ حُكمًا وَعِلمًا‌ۚ وَكَذٰلِكَ نَجزِى ٱلمُحسِنِينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when he [i.e., Joseph] reached maturity, We gave him judgement and knowledge. And thus We reward the doers of good.

(MALAY)

Dan tatkala dia cukup dewasa Kami berikan kepadanya hikmah dan ilmu. Demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik.

 

وَلَمَّا بَلَغَ أَشُدَّهُ ۥۤ

Dan tatkala dia mencapai kedewasaannya

Iaitu apabila Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ‎telah mencapai usia baligh. Kalimah أَشُدَّ daripada kalimah شِدَّةٌ yang bermaksud kesempurnaan kekuatan. Ia adalah jangka umur daripada umur 20 tahun sehinggalah 40 tahun. Perhatikan Ahqaf:15

حَتّىٰ إِذا بَلَغَ أَشُدَّهُ وَبَلَغَ أَربَعينَ سَنَةً
Setelah dia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun

Maka had umur ini adalah 40 tahun manusia boleh sahaja mencapai tahap itu sebelum masuk 40 tahun. Jadi tidak pasti berapa umur Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pada waktu itu. Memang ada banyak pendapat tentang perkara ini. Yang pasti, baginda telah dewasa dan matang. Ini kerana pada peringkat inilah baru baginda boleh menggalas tugas kenabian. Bolehlah kita katakan mungkin umurnya 33 tahun ataupun kurang lagi. Menurut Ibn Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا, Mujahid رَحِمَهُ اللَّهُ dan Qatadah رَحِمَهُ اللَّهُ, umur baginda ketika itu adalah 33 tahun. Dahhak رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan umurnya ketika itu 20 tahun sedangkan Hasan al-Basri رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan 40 tahun. Ada lagi pendapat lain tentang umur baginda, yang pasti kita tahu baginda telah dewasa dan matang. Kebiasaannya pada peringkat umur inilah hormon lelaki sedang menggelodak dan berbagai penyimpangan boleh berlaku oleh seorang lelaki jikalau tidak ada bimbingan agama.

 

ءَاتَينَـٰهُ حُكمًا وَعِلمًا‌

Kami berikan kepadanya hikmah dan ilmu.

Majoriti para ulama’ mengatakan ketika inilah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diberikan pangkat kenabian. Jadi semasa baginda mendapat wahyu di dalam telaga, itu bukanlah wahyu sebagai seorang Nabi tetapi ia merupakan suatu ilham sahaja. Baginda tidaklah diberikan pangkat kenabian sebaik sahaja masuk ke rumah Al-Aziz tetapi setelah duduk di rumah itu berkhidmat dan belajar menimba ilmu dan pengalaman sekian lama.

Ketika baginda sudah dewasalah baru Allah ‎ﷻ berikan hikmah dan juga ilmu. Selama beberapa tahun di rumah menteri itu baginda telah belajar banyak perkara. Apabila berada di rumah pemimpin, baginda dapat menyaksikan sendiri bagaimana cara menguruskan kerajaan. Baginda bukan hanya melihat keputusan rasmi yang dikeluarkan di buletin utama, tetapi baginda melihat perbincangan dalaman antara menteri-menteri yang dilakukan secara tertutup di dalam rumah menteri besar. Baginda juga melihat dan menganalisa hubungan di antara pemimpin, isteri-isteri pemimpin, orang bawahan mereka, pekerja mereka, hamba-hamba mereka dan lain-lain lagi. Ini kerana tentu banyak aktiviti di rumah itu.

Di dalam ayat ini disebut dua perkara: hukman dan ilman. Ahli tafsir menafsirkan dua perkara ini kerana ia diletakkan bersama. Menurut para ulama tafsir, kalimah حُكْمًا di sini boleh merujuk kepada:

1. Kebijaksanaan (الحِكْمَة – Al-Hikmah)

Ini adalah makna yang paling utama. حُكْمًا di sini bermaksud kebijaksanaan atau pemahaman yang mendalam tentang kebenaran dan hikmah di sebalik segala sesuatu. Ia bukan hanya ilmu pengetahuan biasa, tetapi kemampuan untuk menggunakan ilmu itu dengan cara yang benar, adil, dan penuh hikmah. Kebijaksanaan ini adalah kurniaan yang membantu Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ membuat keputusan yang tepat dalam setiap situasi yang mencabar.

2. Kemampuan Menghukum dan Mengadili

Makna ini merujuk kepada kemampuan untuk membuat keputusan yang adil dan benar. Ia juga boleh bermaksud kemampuan menjadi hakim atau penguasa, yang mana ini adalah petanda awal bagi peranan besar Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di kemudian hari sebagai orang yang berkuasa di Mesir yang menguruskan urusan rakyat dan perbendaharaan negara.

3. Kenabian (النُّبُوَّة – An-Nubuwwah)

Sesetengah ulama juga menafsirkan حُكْمًا di sini sebagai kurniaan kenabian. Pada usia dewasa, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ secara rasmi dilantik oleh Allah ‎ﷻ sebagai seorang Nabi, yang mana jawatan ini merangkumi kebijaksanaan (hikmah), ilmu, dan kemampuan untuk memimpin dan memberikan petunjuk.

Secara ringkasnya, Allah ‎ﷻ memberikan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bukan hanya ilmu (ilmu pengetahuan), tetapi juga hukm (kebijaksanaan dan kemampuan membuat keputusan yang adil). Gabungan kedua-dua kurniaan ini adalah ganjaran daripada Allah ‎ﷻ atas keikhlasan dan kesabaran Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, yang merupakan contoh bagi setiap “muhsinin” (orang yang berbuat kebaikan).

Secara bahasa, kalimah عِلمًا bermaksud ilmu atau pengetahuan. Dalam konteks Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, ia merujuk kurniaan Allah ‎ﷻ kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang mencakupi beberapa perkara:

1. Ilmu Agama dan Syariat: Pengetahuan tentang agama dan hukum-hukum Allah yang menjadi bekal penting bagi seorang Nabi. Ini termasuk pemahaman tentang tauhid dan ajaran-ajaran yang benar.

2. Ilmu Hikmah dan Kebijaksanaan: Kalimah ‘ilman’ ini sering disebut beriringan dengan hukman (kebijaksanaan). Ini menunjukkan bahawa ilmu yang diberikan bukan sekadar pengetahuan biasa, tetapi pengetahuan yang mendalam yang membolehkannya membuat keputusan yang tepat dan bijak dalam pelbagai situasi.

3. Ilmu Tafsir Mimpi: Ini adalah jenis ilmu khusus yang paling terkenal yang dikurniakan kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ilmu ini adalah kurniaan langsung daripada Allah ﷻ yang membezakannya daripada manusia lain. Ia membolehkan baginda menafsirkan mimpi orang lain, yang kemudian menjadi kunci utama dalam jalan ceritanya, termasuk ketika baginda menafsirkan mimpi raja Mesir.

4. Ilmu Pentadbiran dan Strategi: Di kemudian hari, ilmu ini membolehkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menguruskan sumber daya negara Mesir dengan sangat efisien, menyelamatkan rakyat daripada kebuluran yang dahsyat. Ini menunjukkan ilmu yang diberikan kepadanya tidak hanya bersifat spiritual, tetapi juga praktikal dan strategik. Maka ini mengajar kita yang ilmu keduniaan juga penting. Jangan kita pandang rendah seolah-olah buang masa belajar ilmu yang untuk digunakan di dunia. Kalau ia tidak penting, tentu Allah ﷻ tidak ajar. Malahan, semua ilmu adalah daripada Allah ﷻ, bukan?

Secara keseluruhannya, ‘ilman’ dalam ayat ini merujuk kepada himpunan pengetahuan yang menyeluruh, baik dari segi agama, hikmah, mahupun praktikal, yang merupakan hadiah dan persediaan daripada Allah ﷻ untuk mengangkat Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebagai seorang nabi dan pemimpin yang ulung. Jadi ilmu yang Allah ﷻ berikan ini adalah sebahagian daripada hikmah yang Allah ﷻ berikan juga kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah mendapat ilmu agama daripada bapanya ketika baginda kecil lagi; dan sekarang baginda mendapat ilmu keduniaan terutama ilmu mentadbir dan memerintah daripada Al-Aziz.

Kalau kita lihat susunan ini: حُكمًا وَعِلمًا di dalam ayat-ayat lain, selalunya terbalik, bukan? Selalunya disebut penerimaan ilmu dahulu dan ilmu itu diuruskan dengan hikmah. Sebagai contoh disebut tentang Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di dalam Ali Imran:48

وَيُعَلِّمُهُ الكِتٰبَ وَالحِكمَةَ وَٱلتَّورَٮٰةَ وَالإِنجيلَ
Dan Allah akan mengajarnya ilmu menulis, dan hukum-hukum aturan ugama, dan juga kandungan kitab-kitab Taurat dan Injil.

Akan tetapi Allah ‎ﷻ menyusun secara berlainan di dalam ayat ini dan ini adalah kerana Allah ﷻ memberi ‘hikmah’ dahulu kepada baginda. Begitu juga apabila menyebut tentang Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di dalam Qasas:14

وَلَمّا بَلَغَ أَشُدَّهُ وَاستَوىٰ ءآتَينٰهُ حُكمًا وَعِلمًا ۚ وَكَذٰلِكَ نَجزِي المُحسِنينَ
Dan setelah Musa cukup umur dan sempurna akalnya, Kami berikan kepadanya hikmah (kenabian) dan pengetahuan. Dan demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik.

Penyebutan tentang diberikan hikmah sebelum disebut ilmu mungkin bermaksud walaupun baginda (dan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ) tidak banyak ilmu lagi, tetapi baginda sudah pandai membuat keputusan yang baik hanya melalui pemerhatian baginda. Begitulah kadang-kadang kita lihat, ada orang yang pandai dari segi ilmu pengetahuannya dan juga bijak dalam membuat keputusan, bukan? Maknanya, orang ini ada kedua-duanya sekali. Manakala, ada yang pandai dari segi ilmu pengetahuan, tetapi tidak bijak – sebagai contoh ada orang pandai ekonomi tetapi diri sendiri tidak pandai untuk berniaga. Maka, pandai ataupun tidak, tidak semestinya pandai membuat keputusan.

Begitulah juga ada orang yang tidak belajar secara formal, tetapi dia lebih pandai daripada orang yang ada sijil atau ijazah kerana dia ada pengalaman. Sebagai contoh, dulu adik saya hendak mengambil kursus membaiki kereta. Oleh kerana saya bimbang dia tidak mampu, jadi, saya mencadangkan dia belajar membaiki motor sahajalah. Dia jawab: “Membaiki motor? Itu tak belajar pun dah tahu!” Barulah saya faham bahawa ada orang yang tidak perlu belajar secara formal pun; dia sudah ada pengetahuan dan sudah hebat. Di sini juga mengajar kita, ada orang yang memiliki sijil, ijazah dan diploma, tetapi tidak boleh melakukan kerja pun kerana apa yang mereka ada itu hanyalah pembelajaran teori sahaja. Apa yang mereka belajar di universiti dan kolej itu tidak terpakai pun kerana ia tidak sesuai di dunia nyata. Sebab itu ramai majikan takut hendak mengambil budak graduan baru, kerana tahu mereka tidak ada pengalaman. Sudah jadi satu kerja pula untuk menyediakan latihan dan ‘hand-holding’ mereka ketika mereka mula bekerja kerana hampir semua benda kena ajar mereka.

Begitulah dengan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, baginda tidak mendapat ilmu agama yang banyak melainkan apa yang baginda dapat daripada bapanya ketika kecil itu sahaja. Akan tetapi baginda menjadi pandai kerana pemerhatian baginda terhadap apa yang terjadi di hadapan baginda. Kemudian setelah dilantik menjadi Nabi, barulah baginda diberikan dengan ilmu wahyu yang kita boleh kata sebagai ilmu formal. Oleh itu, kita kena belajar daripada ayat ini dan amalkan iaitu kita kena pandai menilai segala sesuatu dan mengambil nota dan pengajaran. Ini kerana ia boleh membantu kita membuat keputusan di kemudian hari. Jangan kelam kabut dalam membuat keputusan. Kena perhatikan apa yang terjadi dan cuba buat penilaian berdasarkan akal yang waras, bukan berpandukan emosi. Kena gunakan segala pengalaman hidup yang ada untuk sampai kepada keputusan yang terbaik.

 

وَكَذٰلِكَ نَجزِي المُحسِنينَ

Demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik.

Begitulah kurniaan Allah ‎ ﷻ kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Maknanya kerana baginda mempunyai sifat muhsin, maka hadiahnya baginda diberikan dengan hikmah dan ilmu. Namun kalimah yang digunakan adalah المُحسِنينَ (orang-orang yang baik). Ia bukan khusus kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sahaja kalau begitu. Maka apa yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dapat itu bukan untuk baginda sahaja malah kita pun boleh dapat kelebihan itu kalau kita berusaha. Mungkinlah tidak sampai ke tahap Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tetapi mungkin akan menjadi lebih baik lagi daripada diri kita sebelum ini. Ini kerana حُكمًا وَعِلمًا yang diberikan kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu tahap Nabi dapat, akan tetapi manusia selain Nabi boleh juga dapat yang tahap kurang sikit daripada itu.

Akan tetapi siapakah yang dimaksudkan muhsin itu? Mereka ini adalah orang yang berbuat baik dan sentiasa berbuat baik. Mereka sentiasa cuba membaiki dan menambahbaik diri mereka. Mereka itu berbuat baik dengan Allah ﷻ malah bukan dengan Allah ﷻ sahaja, tetapi sesama makhluk juga. Kena ada dua-dua barulah dikira bersifat muhsin. Sebagai contohnya kita membantu manusia adalah dengan menghilangkan kejahilan mereka dalam agama. Maka yang perbuatan terbaik adalah berdakwah dan mengajar manusia. Manakala ihsan paling tinggi adalah berbuat baik kepada orang yang berbuat jahat kepada kita.

Bagaimana maksudnya berbuat baik dengan Allah ﷻ? Dalam sebuah hadith popular yang dikenali dengan nama ‘Hadith Jibril’, di mana Rasulullah ﷺ menjelaskan makna ihsan sebagai berikut,

أَنْ تَعْبُدَ اللهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ
“Hendaklah Engkau beribadah kepada Allah seakan-akan Engkau melihat-Nya. Kalaupun Engkau tidak melihat-Nya, sesungguhnya Dia melihatmu”

(Hadith Riwayat Muslim No. 8)

Melalui hadith ini kita dapat tahu yang berbuat ihsan dalam ibadah ada dua maqam.

  1. Maqam muraqabah adalah menyakini bahawa Allah ﷻ melihat kita. Inilah maqam bagi kebanyakan manusia.
  2. Maqam musyahadah bererti kita beribadah kepada Allah ﷻ seakan-akan melihat-Nya, iaitu melihat nama dan sifat Allah ﷻ serta pengaruhnya, bukan melihat zat Allah ﷻ secara langsung seperti diyakini oleh kaum sufi. Maqam ini lebih tinggi dibandingkan dengan maqam muraqabah.

Sifat-sifat muhsin itu ada juga ditafsirkan di dalam ayat-ayat yang lain. Ia menjadi hujah dan dalil bahawa sifat ihsan itu adalah ihsan kepada Allah ﷻ dan ihsan kepada manusia kerana dua-duanya disebut di dalam Dzariyat: 16 – 19

إِنَّهُم كانوا قَبلَ ذٰلِكَ مُحسِنينَ
Sesungguhnya mereka sebelum itu di dunia adalah orang-orang yang berbuat kebaikan.

كانوا قَليلًا مِّنَ اللَّيلِ ما يَهجَعونَ
Dulu mereka sedikit sekali tidur di waktu malam.

وَبِالأَسحارِ هُم يَستَغفِرونَ
Dan selalu memohonkan ampunan di waktu pagi sebelum fajar (waktu sahur)

Di sini disebut dua sifat muhsin iaitu kuat melakukan solat sunat di malam hari dan kemudian mereka beristighfar kepada Allah ﷻ di waktu sahur. Ini adalah contoh ihsan kepada Allah ﷻ. Selepas itu disambung dengan ihsan kepada manusia. Ini kerana kita telah sebut ihsan itu bukan dengan Allah ﷻ sahaja tetapi sesama makhluk, tidak kira manusia atau binatang.

وَفي أَموٰلِهِم حَقٌّ لِّلسّائِلِ وَالمَحرومِ
Dan pada harta-harta mereka ada hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang tidak mendapat bahagian

Namun bagaimanakah ihsan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ? Dengan Allah ﷻ, kita perhatikan baginda bersangka baik dengan Allah ﷻ dan redha dengan Allah ﷻ walaupun baginda ditakdirkan ditinggalkan oleh abang-abang sendiri dalam telaga; kepada manusia, nanti kita akan baca baginda memaafkan mereka dan memuliakan mereka. Ini adalah tingkatan ihsan paling tinggi, iaitu berbuat baik kepada orang yang berbuat jahat kepada kita.

Jadi, kita telah katakan bagi manusia yang berbuat ihsan, Allah ﷻ akan beri حُكمًا وَعِلمًا sebagai habuannya. Akan tetapi timbul persoalan, bagaimana boleh menjadi seorang yang المُحسِنينَ tanpa حُكمًا وَعِلمًا? Ini seperti situasi Catch-22 pula. Hendak dapat حُكمًا وَعِلمًا kena ada sifat المُحسِنينَ sedangkan untuk dapat sifat المُحسِنينَ, kena ada حُكمًا وَعِلمًا. Atau, mana dulu, telur atau ayam?

Hikmah adalah kebolehan dan kekuatan untuk membuat keputusan yang benar. Kalau kita tahu sesuatu itu benar, kita akan lakukan; kalau kita tahu sesuatu itu salah, maka kita akan elak. Ini bukan tahap ilmu sahaja tetapi tahap hikmah. Kerana ada orang yang sudah ada ilmu, tetapi hikmah tidak ada. Ilmu sahaja banyak, tetapi dia tidak dapat mengawal nafsunya. Maka hikmah itu juga adalah kekuatan untuk mengawal nafsu dan tidak ikut sahaja kehendak nafsu. Kerana nafsu itu macam-macam dia hendak, selalunya berlawanan dengan syarak. Maka hikmah, ilmu dan ihsan ini adalah bertahap. Setakat mana ilmu yang kita ada, amalkanlah dan kuatkan hikmah itu. Maka kita telah mengamalkan ihsan, dan semakin tinggi ihsan kita, semakin banyak ilmu dan hikmah yang Allah ﷻ beri. Kerana Allah ﷻ tidak terus beri ilmu dan hikmah tahap tinggi punya terus begitu sahaja. Ia memerlukan latihan.

Ini sebagaimana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ juga dilatih. Di hujung kisah ini (spoiler alert) Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akan diberi keupayaan untuk mengawal kerajaan dan manusia. Akan tetapi baginda diuji dahulu dengan ujian untuk mengawal dirinya. Kerana itu selepas ini kita akan baca kisah baginda dan isteri tuannya dan bagaimana baginda telah diuji dengan godaan wanita dan baginda (spoiler alert lagi) telah dapat melepasinya. Baginda mengamalkan ilmu yang baginda tahu dan baginda telah menggunakan hikmah. Ini memerlukan didikan jiwa yang berterusan. Ini kerana untuk mendapatkan ilmu itu agak lebih mudah daripada hikmah. Orang muda senang belajar akan tetapi hikmah selalunya memerlukan usia yang lebih kerana manusia belajar hikmah dengan masa. Namun begitu, sekiranya orang muda pun sudah ada hikmah, ini adalah satu kehebatan.

Jadi manusia kena ada ilmu dan hikmah. Jangan ada ilmu sampai PHD tetapi tidak beradab dengan jiran, dengan keluarga, dengan orang lain. Jangan ada ilmu tetapi buat perkara yang melanggar syariat dan memalukan diri sendiri dan agama. Jangan setakat ada ilmu tetapi tidak ada moral sampai menyusahkan manusia lain. Ada orang yang ada kepakaran dalam perubatan, maka ada yang gunakan untuk buat ubat, tetapi ada juga yang gunakan ilmu itu untuk mencipta virus (supaya dia boleh cipta vaksin). Ada orang yang ada ilmu agama, tetapi dengan ilmu itulah dia menunggang agama dan menipu manusia. Kita kena ingat bahawa yang boleh menipu dalam hal agama bukanlah tukang kayu dan tukang kasut tetapi orang agama juga kerana mereka tahu selok belok di mana hendak menipu dan jargon/istilah yang perlu digunakan.

Pengajaran paling penting bagi kita adalah perlunya untuk mengamalkan setakat mana ilmu yang ada. Sebagai contoh, bayangkan seorang yang baru masuk Islam, belum belajar banyak hukum agama. Sekarang keluarga dan kawan-kawannya belum lagi Muslim dan mereka mengajak dia minum arak. Dia tidak tahu banyak lagi ilmu agama, tetapi dia tahu arak itu haram. Maka dia tidak minum langsung walaupun dia sendiri tahu dia akan dipandang serong oleh kebanyakan manusia yang tidak menghormati keputusan orang lain. Namun dia tetap berpegang dengan apa yang dia tahu. Ini hikmah. Dengan hikmah ini dan ilmu yang sedikit ini, Allah ‎ﷻ akan tambah lagi ilmu dan hikmah dia. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Baqarah:269

يُؤتِي الحِكمَةَ مَن يَشاءُ ۚ وَمَن يُؤتَ الحِكمَةَ فَقَد أوتِيَ خَيرًا كَثيرًا ۗ وَما يَذَّكَّرُ إِلّا أُولُو الأَلبٰبِ
Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan yang ditentukan-Nya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya dia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.

Perhatikan juga Baqarah:282

وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ وَيُعَلِّمُكُمُ اللَّهُ
Oleh itu hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah; dan (ingatlah), Allah (dengan keterangan ini) mengajar kamu;

Mungkin ada yang kata senanglah Nabi Yusuf, dia kan Nabi! Kita pula hidup di dalam dunia yang penuh dengan dugaan dan cabaran. Kita hidup dalam kalangan orang-orang yang jahat, yang tidak menjaga agama, bagaimana hendak jadi baik? Kita kena faham yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun ada ujian suasana juga, hidup dalam kalangan orang kafir dan sebagai hamba abdi yang tidak mempunyai kebebasan sendiri. Dugaan bagi para Nabi memang Allah ‎ﷻ beri berkali-kali ganda daripada ujian kita. Ini kerana Allah ‎ﷻ hendak jadikan mereka sebagai contoh tauladan. Kalau mereka pun boleh hadapi ujian setinggi itu, takkan kita tidak boleh?

Dan siapa kata kita tidak boleh menjaga agama dan iman kita walaupun di dalam suasana yang buruk? Di dalam Nur:35 Allah ‎ﷻ menyifatkan roh manusia sebagai cahaya.

نّورٌ عَلىٰ نورٍ ۗ يَهدِي اللهُ لِنورِهِ مَن يَشاءُ ۚ وَيَضرِبُ اللهُ الأَمثٰلَ لِلنّاسِ ۗ وَاللهُ بِكُلِّ شَيءٍ عَليمٌ
Cahaya di atas cahaya (berlapis-lapis), Allah membimbing kepada cahaya-Nya siapa yang Dia kehendaki, dan Allah memperbuat perumpamaan-perumpamaan bagi manusia, dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.

Sekarang bayangkan cahaya, adakah cahaya itu boleh nampak kalau tiada kegelapan? Tidak! Cahaya semakin jelas apabila suasana gelap, bukan? Maka begitulah diri kita hanya akan berguna jika berada di dalam suasana yang gelap. Kita tidak sepatutnya terkesan dengan suasana tetapi hendaklah kita yang melangkauinya. Jangan kita menjadi termometer yang sikit-sikit terkesan dengan suhu sekitar, tetapi jadilah termostat yang mengawal suhu sekitar. Kita tidak perlu suasana islamik sebaliknya diri kita yang kena menjadi islamik. Kita tidak perlu hendak ikut orang sekeliling, tetapi kita yang sepatutnya menjadi contoh mereka. Kenapa hendak ikut orang? Kena ada jati diri dan ya ini perlu dipupuk. Kita mestilah mengamalkan apa yang kita tahu, kemudian Allah ‎ﷻ akan balas dengan beri kekuatan kepada kita. Sampai satu ketika, kita tidak hairran pun dengan orang lain dan persekitaran kita kerana iman kita telah mantap dan tidak boleh digoyah lagi.

Bayangkan para Nabi dan pengikut mereka semuanya di dalam golongan yang minoriti tetapi mereka tetap berjaya menjaga agama mereka dan iman mereka. Yang penting adalah jangan jadi hamba kepada nafsu dan menuhankan nafsu. Ini seperti disebut di dalam Jatsiyah:23

أَفَرَءيتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلٰهَهُ هَوىٰهُ وَأَضَلَّهُ اللَّهُ عَلىٰ عِلمٍ وَخَتَمَ عَلىٰ سَمعِهِ وَقَلبِهِ وَجَعَلَ عَلىٰ بَصَرِهِ غِشٰوَةً فَمَن يَهديهِ مِن بَعدِ اللهِ ۚ أَفَلا تَذَكَّرونَ
Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipatuhinya, dan dia pula disesatkan oleh Allah atas ilmu, dan dimeterikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu (wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf?

Sekian bahagian yang menceritakan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dinaikkan pangkat secara tidak rasmi. Ini adalah kerana baginda telah dimasukkan ke rumah menteri Al-Aziz itu.

Kuiz (10 Soalan Jawab Pendek)

Jawab setiap soalan dalam 2-3 ayat.

  1. Apakah jenis ujian yang dihadapi oleh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pada “keadaan ke-5” ini setelah beliau ditempatkan di rumah menteri?
  2. Menurut majoriti ulama, bilakah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diberikan pangkat kenabian? Adakah ia berlaku semasa baginda di dalam telaga?
  3. Berikan dua makna yang berbeza bagi kalimah حُكْمًا (hikmah) seperti yang dijelaskan dalam teks.
  4. Apakah ilmu khusus yang paling terkenal yang dikurniakan kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, dan mengapa ia penting dalam jalan ceritanya?
  5. Mengapa teks menyatakan bahawa hikmah disebut sebelum ilmu dalam ayat ini mengenai Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ (dan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ), berbanding ayat lain yang menyebut ilmu dahulu?
  6. Terangkan secara ringkas maksud muhsinin seperti yang dijelaskan dalam hadith Jibril.
  7. Sebutkan dua contoh ihsan kepada Allah ‎ﷻ yang disebutkan dalam Surah Adz-Dzariyat ayat 16-19.
  8. Bagaimanakah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menunjukkan tingkatan ihsan yang paling tinggi kepada manusia, seperti yang diisyaratkan pada akhir kisah beliau?
  9. Jelaskan konsep “Catch-22” berkaitan dengan hikmah, ilmu, dan ihsan, dan bagaimana ia diselesaikan dalam konteks teks ini.
  10. Apakah perumpamaan “termometer dan termostat” ingin sampaikan tentang bagaimana kita seharusnya berinteraksi dengan persekitaran yang buruk?

Glosari Istilah Utama

  • Ihsan: Tingkatan tertinggi dalam agama, yang bermaksud berbuat baik dengan kesempurnaan dan kesedaran penuh. Ia melibatkan melakukan ibadah seolah-olah melihat Allah ‎ﷻ (musyahadah) atau menyakini Allah ‎ﷻ melihat kita (muraqabah), dan juga berbuat baik kepada sesama manusia (termasuk memaafkan musuh).
  • An-Nubuwwah (النُّبُوَّة): Kenabian, iaitu pangkat dan kedudukan sebagai seorang Nabi yang menerima wahyu daripada Allah ‎ﷻ.
  • Catch-22: Situasi dilema di mana untuk mendapatkan sesuatu, seseorang perlu memiliki sesuatu yang hanya boleh diperolehi setelah mencapai perkara pertama itu, atau sebaliknya. Dalam konteks ini, ia merujuk kepada hubungan hikmah, ilmu, dan ihsan.
  • Termometer: Perumpamaan untuk seseorang yang mudah terkesan atau terpengaruh oleh keadaan atau persekitaran sekeliling.
  • Termostat: Perumpamaan untuk seseorang yang mampu mengawal atau mempengaruhi keadaan persekitaran, tidak mudah terpengaruh, dan berpegang pada prinsip diri.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 20 Ogos 2025

Ringkasan Surah Yusuf

Keseluruhan Surah Yusuf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)