Tafsir Surah Ibrahim Ayat 22 (Khutbah iblis)

iblis MENYAMPAIKAN KATA-KATANYA

Ibrahim Ayat 22: Setelah ahli neraka gagal mendapat pertolongan daripada para pemimpin mereka seperti disebut dalam ayat sebelum ini, maka mereka mencari Iblis dan menyalahkannya pula. Ini adalah penyebab utama ramai manusia ikut semasa di dunia sampai tersesat, adalah syaitan. Maka penghasut sebenarnya adalah syaitan. Mereka membisikkan perkara yang jahat dan mengajar ilmu-ilmu yang salah. Ahli neraka marah dan hendak menyalahkan iblis dan syaitan kerana semasa di dunia, mereka menjanjikan macam-macam kepada manusia yang lalai, tetapi lihatlah apa yang syaitan akan syarah nanti.

وَقالَ الشَّيطٰنُ لَمّا قُضِيَ الأَمرُ إِنَّ اللهَ وَعَدَكُم وَعدَ الحَقِّ وَوَعَدتُكُم فَأَخلَفتُكُم ۖ وَما كانَ لِيَ عَلَيكُم مِّن سُلطٰنٍ إِلّا أَن دَعَوتُكُم فَاستَجَبتُم لي ۖ فَلا تَلوموني وَلوموا أَنفُسَكُم ۖ ما أَناْ بِمُصرِخِكُم وَما أَنتُم بِمُصرِخِيَّ ۖ إِنّي كَفَرتُ بِما أَشرَكتُمونِ مِن قَبلُ ۗ إِنَّ الظّٰلِمينَ لَهُم عَذابٌ أَليمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And Satan will say when the matter has been concluded, “Indeed, Allāh had promised you the promise of truth. And I promised you, but I betrayed you. But I had no authority over you except that I invited you, and you responded to me. So do not blame me; but blame yourselves. I cannot be called to your aid, nor can you be called to my aid. Indeed, I deny your association of me [with Allāh] before.¹ Indeed, for the wrongdoers is a painful punishment.”

  • By your obedience to me instead of Him during life on earth.

(MELAYU)

Dan berkatalah syaitan tatkala perkara (hisab) telah diselesaikan: “Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kepadamu janji yang benar, dan aku pun telah menjanjikan kepadamu tetapi aku menyalahinya. Sekali-kali tidak ada kekuasaan bagiku terhadapmu, melainkan (sekadar) aku menyeru kamu lalu kamu mematuhi seruanku, oleh sebab itu janganlah kamu mencerca aku akan tetapi cercalah dirimu sendiri. Aku sekali-kali tidak dapat menolongmu dan kamu pun sekali-kali tidak dapat menolongku. Sesungguhnya aku tidak membenarkan perbuatanmu mempersekutukan aku (dengan Allah) sejak dahulu”. Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu mendapat seksaan yang pedih.

 

وَقالَ الشَّيطٰنُ لَمّا قُضِيَ الأَمرُ

Dan berkatalah syaitan tatkala perkara (hisab) telah diselesaikan:

Kejadian ini berlaku di akhirat. Yang dimaksudkan berkata ini adalah syaitan yang asal iaitu kita kenali sebagai Iblis. Syaitan akan beri ucaptama setelah selesai hisab dijalankan. Ini setelah Allah ﷻ membuat keputusan untuk menghumban mereka semua ke dalam neraka. Maknanya, syaitan sedang bercakap dengan ahli neraka. Dia hendak menjelaskan apa yang telah terjadi.

Syaitan/Syaithan berasal daripada bahasa Arab yang didasarkan kepada ش ط ن yang bermaksud keras kepala; songsang; jauh daripada kebenaran dan rahmat Tuhan; memberontak; syaitan. Bukan sahaja mereka jauh daripada rahmat Allah ﷻ, mereka juga hendak menjauhkan manusia dan jin daripada Allah ﷻ. Sebenarnya aspek terjemahan kalimah syaitan ini amat meluas. Antara lain syaitan membawa maksud “terbakar“, “kesulitan“, “hancur terbakar” dan pelbagai lagi erti syaitan menurut bahasa.

Dari segi istilah pula, syaitan bermaksud “segala yang buruk dan jahat“. Sebenarnya kalimah Syaitan bukanlah mutlak berasal daripada kalimah bahasa Arab kerana di dalam bahasa Ibrani, syaitan disebut sebagai Satan [satanot – jamak] yang turut merujuk kepada “kejahatan” dan terma satan banyak digunakan di dalam kitab-kitab agama Yahudi sejak beribu tahun dahulu.

Oleh itu, kalimah ‘Syaitan’ sebenarnya adalah kata sifat yang dinaqalkan kepada sesuatu yang buruk sifatnya tidak kira sama ada manusia, jin, haiwan, penyakit atau sesuatu yang berkaitan dengannya. Namun terma syaitan lebih utama digunakan terhadap jin dan manusia.

Ramai yang tidak tahu dan pelik apabila kita beritahu hal ini kerana mereka sangka syaitan ini satu jenis bangsa makhluk pula. Mereka sangka ada manusia, malaikat, jin dan juga syaitan. Tidak sebenarnya, kerana makhluk yang ada akal hanya tiga sahaja iaitu jin, manusia, malaikat. Maka ‘syaitan’ ini boleh jadi dalam kalangan jin dan juga kalangan manusia. Benar, jangan pelik manusia pun ada yang mempunyai sifat syaitan itu. Dalilnya daripada ayat yang kita selalu baca, iaitu Nas: 6

مِنَ الجِنَّةِ وَالنّاسِ
“(Iaitu pembisik dan penghasut) dalam kalangan jin dan manusia”.

Maknanya ayat ini memberitahu kita bahawa ada syaitan jin dan juga ada syaitan manusia. Bukan itu sahaja, ada lagi dalil-dalil lain seperti ayat Baqarah: 36

فَأَزَلَّهُمَا الشَّيطٰنُ عَنها
Setelah itu maka Syaitan menggelincirkan mereka berdua dari syurga itu

Di dalam ayat Baqarah ini, ia adalah kisah Iblis menghasut Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Hawwa. Pada peringkat awal, disebut namanya sebagai Iblis. Akan tetapi di ayat 36 disebut ia sebagai ‘syaitan’ sedangkan ia adalah entiti yang sama. Kita pun tahu bahawa Iblis adalah daripada bangsa jin. Di dalam ayat Baqarah: 14 pula para pendita Yahudi juga menggunakan istilah syaitan bagi mereka:

وَإِذا لَقُوا الَّذينَ ءآمَنوا قالوا ءآمَنّا وَإِذا خَلَوا إِلىٰ شَيٰطينِهِم قالوا إِنّا مَعَكُم إِنَّما نَحنُ مُستَهزِءونَ
Dan apabila mereka bertemu dengan orang-orang yang beriman, mereka berkata: ” Kami telah beriman “, dan manakala mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka, mereka berkata pula:” Sesungguhnya kami tetap bersama kamu, sebenarnya kami hanya memperolok-olok (akan orang-orang yang beriman)”.

Kalau sifat mereka itu jauh daripada Allah ﷻ dan menjauhkan orang lain daripada Allah ﷻ, maka mereka sebenarnya adalah ‘syaitan’. Maka jangan pelik sangat apabila kita katakan yang ‘syaitan’ itu sebenarnya sifat. Akan tetapi itu adalah penerangan secara umum apakah yang dimaksudkan dengan ‘syaitan’. Hendaklah dilihat konteks ayat untuk melihat Allah ﷻ merujuk kepada siapa. Di dalam ayat yang kita sedang baca ini, ia merujuk kepada bapak syaitan iaitu Iblis Laknatullah. Itu ada seekor sahaja.

Bilakah syaitan menyampaikan khutbahnya ini? Allah ﷻ sebut لَمّا قُضِيَ الأَمرُ (tatkala perkara (hisab) telah diselesaikan). Ini bermaksud kejadian ini terjadi setelah Allah ﷻ telah menetapkan keputusan di antara hamba-hamba-Nya, di mana Allah ﷻ telah memasukkan orang-orang mukmin ke dalam syurga serta menempatkan orang-orang kafir di dalam lapisan bawah neraka. Mungkin juga bermaksud setelah orang yang ada di dalam neraka hanyalah mereka yang kekal sahaja (yang layak masuk syurga telah dimasukkan ke dalam syurga setelah duduk sekian waktu di dalam neraka).

Maka pada hari itu berdirilah iblis dalam kalangan ahli neraka seraya berkhutbah kepada mereka untuk menambah kesedihan di atas kesedihan yang sedang mereka alami, menambahkan kerugian di atas kerugian, dan kekecewaan di atas kekecewaan. Maka, ini adalah dikira sebagai ‘azab rohani’. Ini kerana akan disebut apa yang telah berlaku semasa di dunia dan ahli neraka akan sedar yang mereka langsung tidak ada harapan lagi.

 

إِنَّ اللهَ وَعَدَكُم وَعدَ الحَقِّ

“Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kepadamu janji yang benar,

Syaitan mengingatkan mereka yang telah ditetapkan masuk neraka itu kepada janji Allah ﷻ. Syaitan kata Tuhan sudah berjanji untuk beri balasan mengikut apa yang dilakukan oleh manusia. Kalau taat kepada-Nya, akan dibalas dengan syurga dan kalau tidak taat, akan dibalas dengan neraka. Janji ini ada dalam kitab wahyu, ada dalam Al-Qur’an dan janji ini dibawa oleh para Rasul.

Janji itu disampaikan melalui lisan rasul-rasul-Nya, dan Dia menjanjikan kepada kalian apabila kalian mengikuti para Rasul, Dia akan menyelamatkan dan menyejahterakan kalian; dan janji Allah ﷻ itu dipenuhi-Nya, kerana janji-Nya adalah benar dan beritanya benar pula. Ini seperti firman Allah ﷻ di dalam Ali Imran: 94

رَبَّنَا وَءآتِنَا مَا وَعَدتَّنَا عَلَىٰ رُسُلِكَ وَلَا تُخْزِنَا يَوْمَ ٱلْقِيَٰمَةِ إِنَّكَ لَا تُخْلِفُ الْمِيعَادَ
Wahai Tuhan kami! Berikanlah kepada kami pahala yang telah Engkau janjikan kepada kami melalui Rasul-rasul-Mu, dan janganlah Engkau hinakan kami pada hari kiamat; sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji”.

Maknanya kita kena pastikan janji itu daripada Allah ﷻ seperti disebut di dalam wahyu sama ada Al-Qur’an ataupun hadith. Bukannya ikut kata-kata tok guru yang menjanjikan berbagai-bagai pahala tetapi dalilnya tidak ada. Banyak bukan amalan rekaan daripada manusia tetapi mereka menjanjikan pahala sekian dan sekian. Memandai sahaja mereka letak ganjaran pahala itu dan ini. Maknanya itu bukan daripada wahyu tetapi daripada syaitan!

Lihatlah bagaimana syaitan pun tahu bahawa janji Allah ﷻ itu benar dan Allah ﷻ tidak menipu. Apa yang dijanjikan-Nya pasti ditepati. Ini kerana syaitan bukannya tidak kenal Allah ﷻ. Malah Iblis itu lebih kenal Allah ﷻ daripada kita. Akan tetapi masalahnya adalah dia degil.

 

وَوَعَدتُكُم فَأَخلَفتُكُم

dan aku pun telah menjanjikan kepadamu tetapi aku menyalahinya. 

Syaitan kata dia pun ada berjanji juga. Macam-macam dijanjikan syaitan kalau ikuti dia. Dia janjikan pahala, kedudukan, kesenangan dan macam-macam lagi. Semua itu dijanjikan kalau buat amalan yang syirik dan bid’ah kerana ajaran syirik dan bid’ah adalah daripada janji syaitan sebenarnya. Kerana Allah ﷻ dan Nabi tidak pun ada berjanji untuk beri pahala kalau buat benda-benda itu. Yang menjanjikan akan dapat pahala adalah syaitan.

Syaitan kata memang dia ada janjikan, tetapi dia mengaku yang dia tidak penuhi janjinya itu. Dia cuma menipu sahaja kita hidup-hidup. Allah ﷻ berjanji benar, tetapi janji syaitan adalah sebaliknya. Ini kita tahu melalui firman-Nya:

يَعِدُهُمْ وَيُمَنِّيهِمْ وَمَا يَعِدُهُمُ الشَّيْطَانُ إِلا غُرُورًا
Syaitan itu memberikan janji-janji kepada mereka dan membangkitkan angan-angan kosong pada mereka, padahal syaitan itu tidak menjanjikan kepada mereka selain daripada tipuan belaka.
(An-Nisa: 120)

 

وَما كانَ لِيَ عَلَيكُم مِّن سُلطٰنٍ

Sekali-kali tidak ada kekuasaan bagiku terhadapmu,

Akan tetapi syaitan akan kata yang dia tidak pernah ada kuasa untuk memaksa mereka mengikutinya. Allah ﷻ pun tidak paksa manusia ikut kerana Allah ﷻ beri pilihan kepada manusia sama ada hendak taat atau tidak. Kalau taat, akan dibalas baik dan kalau ingkar akan dimasukkan ke dalam neraka.

Kalimah سُلطٰنٍ juga boleh ditafsirkan sebagai dalil. Maknanya apabila syaitan memberikan angan-angan kosong, dia tidak beri dalil pun. Begitulah kemudian disampaikan oleh guru-guru yang ambil ilmu dengan cara yang salah (bukan dengan jalan wahyu). Yang mengikutnya adalah orang-orang yang jahil sahaja. Kalau seseorang itu pandai, dia akan minta dalil bagi mana-mana amalan.

Oleh kerana itu banyak kali Allah ﷻ mengingatkan kita supaya jangan tertipu dengan syaitan. Jangan ikut langkah syaitan kerana syaitan akan menyesatkan kita. Antara caranya adalah seperti disebut dalam Baqarah: 168-169

يَـٰٓأَيُّهَا النّاسُ كُلوا مِمّا فِي الأَرضِ حَلٰلًا طَيِّبًا وَلا تَتَّبِعوا خُطُوٰتِ الشَّيطٰنِ ۚ إِنَّهُ لَكُم عَدُوٌّ مُّبينٌ
Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.

إِنَّما يَأمُرُكُم بِالسّوءِ وَالفَحشاءِ وَأَن تَقولوا عَلَى اللَّهِ ما لا تَعلَمونَ
Ia hanya menyuruh kamu melakukan kejahatan dan perkara-perkara yang keji, dan (menyuruh) supaya kamu berkata (dusta) terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui (salah benarnya).

Di sini kita tahu yang syaitan sentiasa mengajar untuk melakukan perbuatan dosa dan keji. Dia akan mereka-reka fahaman tentang Allah ﷻ yang tidak ada dalil. Maka kerana itulah ramai yang tertipu dengan amalan-amalan bid’ah, kononnya Allah ﷻ suka kalau kita melakukannya. Padahal amalan bid’ah tidak ada dalil, bukan? Semuanya adalah hanya berdasarkan angan-angan Mat Jenin sahaja. Allah ﷻ juga berfirman di dalam Baqarah: 268

الشَّيطٰنُ يَعِدُكُمُ الفَقرَ وَيَأمُرُكُم بِالفَحشاءِ ۖ وَاللَّهُ يَعِدُكُم مَّغفِرَةً مِّنهُ وَفَضلًا
Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma), dan dia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil kedekut); sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripada-Nya serta kelebihan kurnia-Nya.

Di dalam ayat ini syaitan telah mengaku yang dia tidak ada سُلطٰنٍ. Akan tetapi kalau kita perhatikan di dalam Nahl: 100 disebut dia ada سُلطٰنٍ pula ke atas manusia. Bagaimana kita hendak menjamakkan pemahaman kedua-dua ayat ini kerana nampak berlawanan pula?

إِنَّما سُلطانُهُ عَلَى الَّذينَ يَتَوَلَّونَهُ وَالَّذينَ هُم بِهِ مُشرِكونَ
Sesungguhnya kekuasaannya (syaitan) hanyalah atas orang-orang yang mengambilnya menjadi pemimpin dan atas orang-orang yang mempersekutukannya dengan Allah.

Pertamanya, syaitan tidak ada kuasa untuk memaksa. Nanti dia akan cakap yang dia hanya boleh ajak sahaja. Namun di dalam masa yang sama, dia ada kuasa juga untuk menipu orang-orang yang jahil. Itulah maksudnya kuasa atau سُلطٰنٍ. Iaitu kuasa untuk menghiasi amalan buruk agar nampak baik. Ini mereka boleh lakukan terhadap orang yang jahil iaitu jenis yang tidak peka tentang kepentingan dalil dalam beramal. Begitulah Allah ﷻ sebut dalam Ra’d: 33

بَل زُيِّنَ لِلَّذينَ كَفَروا مَكرُهُم
Sebenarnya orang-orang kafir itu dijadikan (oleh syaitan) memandang baik tipu daya mereka

 

إِلّا أَن دَعَوتُكُم فَاستَجَبتُم لي

melainkan (sekadar) aku menyeru kamu lalu kamu mematuhi seruanku, 

Syaitan kata dia cuma ajak mereka sahaja. Allah ﷻ hantar Nabi sebagai utusan kepada manusia dengan segala dalil dan hujah, sedangkan dia hanya ajak sahaja tanpa beri apa-apa dalil pun. Lalu syaitan salahkan kembali kepada ahli neraka – dia ajak sahaja tetapi mereka yang ikut ajakan itu. Mereka yang sengaja ikut dan dengan ikhtiar mereka sendiri. Tidak ada sesiapa yang paksa mereka buat amal syirik dan amal bid’ah itu. Mereka yang bodoh sebab ikut ajaran tanpa dalil.

Syaitan menipu manusia melalui perantaraan tok guru-guru sesat. Macam-macam mereka ajak tetapi satu habuk dalil pun tidak diberikan. Maka ramai yang jahil pakat ikut beramai-ramai. Sedih apabila kita lihat ramai sungguh pengikut ajaran-ajaran sesat ini seperti Tarekat, Persilatan, Habaib, Ayah Pin, ajaran Si Hulk dan lain-lain lagi.

Yang lebih menakjubkan adalah kalimah فَاستَجَبتُم (lalu kamu terus mengikuti). Cepat sangat terima, cepat sangat ikut kerana harf ف itu bermaksud terus melakukannya. Begitulah kita lihat betapa mudahnya orang jahil mengikut ajaran tok guru sesat kerana perawakan tok guru itu yang seperti alim, warak dek kerana pakaian dan kata-kata sahaja. Apabila dibawa ajaran Al-Qur’an dan Sunnah, banyak pula songel tanya itu dan ini kerana ragu, sebaliknya dengan fahaman dan amalan sesat, cepat pula mereka terus terima.

Oleh itu, syaitan hanya boleh menghasut sahaja. Akan tetapi hasutan mereka ini sangatlah hebat kerana mereka kenal manusia dan kelemahan manusia. Oleh itu kita kena tahu bagaimana cara mereka menipu manusia dengan tipu helah yang amat licik. Kerana itu sebuah kitab yang disarankan untuk dipelajari adalah Talbis Iblis karangan Imam Ibn Qayyim al-Jawziyya رَحِمَهُ اللَّهُ. Cuma sebagai ringkasan di sini, kita beri di sini tahap-tahap bagaimana cara syaitan menghasut manusia.

1. Paling utama syaitan mahu manusia syirik kepada Allah ﷻ kerana ini adalah dosa terbesar dan Allah ﷻ tidak akan ampunkan. Maka mereka akan cuba menghasut manusia ke arah syirik dahulu supaya manusia itu kekal dalam neraka.

2. Kalau gagal menjadikan manusia itu syirik, maka syaitan akan cuba supaya manusia melakukan perkara bid’ah, iaitu menambah perkara baru dalam agama dan amalan kerana ini adalah perbuatan yang sesat. Syaitan tahu yang orang yang suka membuat bid’ah paling susah untuk bertaubat kerana mereka sangka mereka melakukan perkara yang baik. Kalau orang buat maksiat, mereka tahu yang mereka sedang melakukan dosa. Namun pelaku bid’ah tidak sangka mereka sedang melakukan dosa, maka mereka tidak akan bertaubat daripadanya.

3. Kalau manusia tidak melakukan bid’ah, maka syaitan akan cuba menghasut manusia melakukan dosa besar. Ini pun masalah juga. Bayangkan kalau kaki masjid tetapi derhaka kepada ibu bapa; solat tidak tinggal tetapi dalam masa yang sama dia juga berzina; ada yang terlibat dengan rasuah; kaki mengumpat dan sebagainya.

4. Kalau itu pun gagal, sekurang-kurangnya syaitan akan cuba menghasut manusia untuk melakukan dosa-dosa kecil kerana dosa-dosa kecil boleh membawa kepada dosa besar juga akhirnya. Ini seperti pembaziran masa, makanan dan sebagainya; bercakap perkara yang sia-sia dan sebagainya.

5. Kalau itu pun tidak berjaya, syaitan akan suruh manusia melakukan perkara yang harus dan meninggalkan perkara yang wajib. Maknanya dia tidaklah membuat amalan haram, tetapi kerana perbuatannya itu, sampai terciduk amalan yang wajib pula. Contohnya jaga anak sampai lewat solat atau tertinggal solat; berkebun itu harus tetapi terlalu sibuk sampai meninggalkan mempelajari Al-Qur’an.

6. Akhir sekali cubaan syaitan adalah menghasut manusia buat benda yang baik, tetapi meninggalkan benda yang lebih baik. Contohnya syaitan suruh manusia solat malam lama-lama, tetapi kerana penat solat sunat itu sampai tertinggal solat Subuh; syaitan suruh manusia betulkan bacaan Al-Qur’an tetapi halang manusia daripada belajar memahami tafsir Al-Qur’an.

 

فَلا تَلوموني وَلوموا أَنفُسَكُم

oleh sebab itu janganlah kamu mencela aku akan tetapi celalah dirimu sendiri.

Oleh itu, syaitan kata jangan salahkan dia tetapi salahkan diri mereka sendiri. Tidak payahlah cela dia tetapi celalah diri sendiri. Kerana memang sudah kerja dia menyesatkan manusia. Kalimah تَلوموني dan لوموا daripada katadasar ل و م yang bermaksud menyalahkan seseorang; teguran; orang yang mencari kesalahan; seseorang yang sentiasa menyalahkan orang lain atau menyalahkan diri sendiri; mencela diri sendiri; menyalahkan diri sendiri. Daripada katadasar inilah juga terbentuk kalimah Nafsu Lawwamah.

Syaitan mengejek mereka supaya tidak payahlah sibuk hendak salahkan dia pula. Mereka yang salah sebenarnya kerana lemah sangat dan mudah mengikut ajakan. Sedangkan Allah ﷻ dan Nabi sudah ajar manusia supaya kenal syaitan dan bagaimana syaitan buat kerja agar tidak tertipu.

 

ما أَناْ بِمُصرِخِكُم وَما أَنتُم بِمُصرِخِيَّ

Aku sekali-kali tidak dapat menolongmu dan kamu pun sekali-kali tidak dapat menolongku.

Kalimah صرخ bermaksud menjerit minta tolong. Kalimah مصرخ bermaksud orang yang menjawab jeritan meminta tolong itu (orang yang dapat tolong). Ia daripada katadasar ص ر خ yang bermaksud penolong; memanggil atau menangis meminta pertolongan; menangis dengan kuat.

Syaitan beritahu yang dia tidak boleh membantu mereka yang sudah masuk neraka itu dan mereka pun tidak boleh membantunya. Oleh itu, jangan buang masa untuk meminta tolong dan merayu lagi. Sama-sama sudah masuk dalam neraka. Tidak perlulah cari dia untuk minta tolong kerana dia memang tidak dapat tolong dan berbuat apa-apa melainkan menyakitkan hati mereka sahaja. Maka menyesallah semampu kamu kerana kamu tidak akan dapat keluar dari neraka ini.

 

إِنّي كَفَرتُ بِما أَشرَكتُمونِ مِن قَبلُ

Sesungguhnya aku tidak membenarkan perbuatanmu mempersekutukan aku (dengan Allah) sejak dahulu”. 

Syaitan menarik diri (berlepas diri) daripada akidah mereka yang masuk neraka itu – dia kata dia tidak ada kena mengena dengan perbuatan syirik yang mereka lakukan dulu. Dia sendiri tolak akidah syirik mereka. Lihatlah bagaimana dia pun tidak setuju dengan akidah mereka itu. Akan tetapi dia suka kerana dia mahu mereka masuk neraka bersama dengannya. Sedangkan syaitan sendiri tidak berani dengan akidah yang syirik.

Begitulah syaitan. Ia akan hasut manusia untuk melakukan kufur dan kemudian setelah manusia melakukannya, ia akan tarik diri. Ini seperti telah disebut di dalam Hashr: 16

كَمَثَلِ الشَّيطٰنِ إِذ قالَ لِلإِنسٰنِ اكفُر فَلَمّا كَفَرَ قالَ إِنّي بَريءٌ مِّنكَ إِنّي أَخافُ اللهَ رَبَّ العٰلَمينَ
(Pujukan orang-orang munafik itu adalah) seperti (pujukan) syaitan ketika dia berkata kepada manusia: “Kafirlah kamu”, maka tatkala manusia itu telah kafir, maka ia berkata: “Sesungguhnya aku berlepas diri daripada kamu, kerana sesungguhnya aku takut kepada Allah, Rabb semesta Alam”.

 

 

إِنَّ الظّٰلِمينَ لَهُم عَذابٌ أَليمٌ

Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu mendapat seksaan yang pedih.

Akhirnya, syaitan menutup syarahannya dengan memberitahu yang orang yang zalim memang akan dikenakan azab.

Kalimah الظَّالِمِينَ mempunyai banyak makna. Secara umum, ia merujuk kepada mereka yang berbuat jahat. Orang kita sangka, buat amalan bid’ah itu kecil sahaja, namun sebenarnya ia adalah amat besar sekali. Mereka sanggup buat kerana mereka tidak belajar dan sangka itu perkara kecil sahaja, yang menyebabkan mereka tidak segan silu melakukan amalan bid’ah itu. Mereka dikatakan zalim kerana tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya. Amalan ibadat patutnya diajar oleh Allah ﷻ dan disampaikan oleh Rasulullah ﷺ. Akan tetapi mereka ambil pula rekaan amalan daripada manusia pula.

Mereka pula pandai berhujah (hujah bathil): “Takkan salah apa yang ustaz-ustaz itu buat”, “walaupun Nabi tak buat, tapi kalau benda baik, tak salah kalau kita buat”, “kalau niat kita ikhlas, Allah akan terima,” “takkan berdosa pula kalau aku buat begini?” dan entah berapa banyak lagi contoh-contoh hujah bathil yang mereka akan beri lagi.

Kezaliman yang paling besar adalah melakukan syirik. Bid’ah itu adalah sesuatu yang amat luas. Antara perkara bid’ah yang dilakukan dalam agama boleh termasuk dalam perkara berdosa, ada yang berdosa besar, malah ada juga yang termasuk dalam perkara syirik pun. Maka, ia ada banyak peringkat. Kalau bid’ah yang mereka buat itu dalam hal akidah, maka boleh menjadi syirik; kalau dalam hal amalan, maka ia berdosa.

Kezaliman yang paling besar, ialah kezaliman syirik. Ini seperti disebut dalam Luqman: 13

إِنَّ الشِّركَ لَظُلمٌ عَظيمٌ
sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar

Secara umumnya, zalim itu ada tiga jenis:

1. Zalim Akbar iaitu Syirik seperti ayat Luqman: 13 di atas.

2. Zalim kepada orang lain dengan tidak memberi haq mereka, atau menindas mereka dan sebagainya.

3. Zalim kepada diri sendiri dengan tidak mengikut arahan agama seperti disebut dalam Fatir: 32

فَمِنهُم ظالِمٌ لِّنَفسِهِ
lalu di antara mereka ada yang menganiaya diri mereka sendiri

Janganlah kita melakukan mana-mana kezaliman pun kerana ia akan menyusahkan diri kita sendiri di akhirat kelak, lebih-lebih lagi Zalim Akbar.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 9 Oktober 2023

Ringkasan Surah Ibrahim


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Abdul Muien

Ustaz Solahuddin

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment