Tafsir Surah Baqarah Ayat 270 – 271 (Nazar)

SEDEKAH RAHSIA ATAU TERBUKA

Baqarah Ayat 270:

وَما أَنفَقتُم مِّن نَّفَقَةٍ أَو نَذَرتُم مِّن نَّذرٍ فَإِنَّ اللَّهَ يَعلَمُهُ ۗ وَما لِلظّٰلِمينَ مِن أَنصارٍ

SAHIH INTERNATIONAL
And whatever you spend of expenditures or make of vows – indeed, Allah knows of it. And for the wrongdoers there are no helpers.

MALAY
Dan (ketahuilah), apa sahaja yang kamu belanjakan (dermakan) atau apa sahaja yang kamu nazarkan maka sesungguhnya Allah mengetahui-Nya dan (ingatlah), orang-orang yang zalim itu tidak ada sesiapa pun yang dapat menolongnya.

 

وَما أَنفَقتُم مِّن نَّفَقَةٍ

Dan (ketahuilah), apa sahaja yang kamu belanjakan daripada infak

Tidak disebut infak apa dalam ayat ini. Kalimah نَفَقَةٍ adalah di dalam bentuk nakirah (umum) jadi ia boleh merujuk kepada mana-mana infak sama ada untuk jalan Allah ‎ﷻ atau infak kepada maksiat. Ia termasuk infak yang ikut syarat-syarat atau yang melanggari syarat. Maknanya semua jenis infak termasuk.

 

أَو نَذَرتُم مِّن نَّذرٍ

atau apa sahaja yang kalian nazarkan

Nazar disebut dalam ayat ini sebab nazar pun adik beradik infak juga. Ini kerana ada nazar yang melibatkan janji untuk sedekah. Kalimah نَّذرٍ daripada kata dasar ن ذ ر yang bermaksud memberi amaran; berbakti; berikrar; berhati-hati; janji; tawaran; hadir. Kita biasa lihat kalimah إنذَرَ yang juga daripada kata dasar yang sama. Nazar adalah satu janji untuk melakukan sesuatu sama ada jikalau sesuatu terjadi atau pun tanpa syarat. Sebagai contoh, kita bernazar untuk infak kepada sekolah agama kalau anak kita mendapat keputusan yang baik. Ramai juga orang kita yang bernazar sebegini. Akan tetapi ada juga nazar yang baik yang akan ada perbincangan tentang hal ini. Ini kerana kalimah نَذرٍ juga di dalam bentuk nakirah jadi ia boleh merujuk kepada semua nazar.

Nazar sudah ada sebelum Islam lagi, diamalkan oleh semua agama, termasuk Hindu (sebagai contoh, nazar membawa kavadi). Zaman Jahiliyah pun sudah ada perbuatan Nazar, sebagai contoh Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ pernah bernazar untuk i’tikaf di Ka’bah. Apabila beliau masuk Islam, beliau bertanya Rasulullah ﷺ perlukah diteruskan nazarnya itu. Hadith ini diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا, daripada bapanya Umar bin Khattab رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, beliau berkata:

قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّي نَذَرْتُ فِي الْجَاهِلِيَّةِ أَنْ أَعْتَكِفَ لَيْلَةً فِي الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ.‏ فَقَالَ ‏”‏أَوْفِ بِنَذْرِكَ‏”
Aku (Umar) berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku pernah bernazar pada zaman Jahiliyah untuk beriktikaf satu malam di Masjidil Haram.” Maka Rasulullah ﷺ bersabda: “Tunaikanlah nazarmu.”

(Hadith Riwayat Bukhari, Kitab Al-I’tikaf, No. Hadith: 2032; Muslim, Kitab An-Nuzur, No. Hadith: 1656)

Apabila Islam datang, maka nazar dibahagi dua:

Nazar Mu’allaq atau nazar meraih manfaat daripada Tuhan dengan menawarkan ‘ibadah rasuah’. Ini seperti rasuah kepada Tuhan. Jika Tuhan beri apa yang dipinta, maka barulah hamba itu akan melakukan ketaatan. Contoh: “Jika aku dapat 10A dalam SPM, maka wajiblah aku bernazar puasa 5 hari.” Maksudnya dia ‘rasuah’ Tuhan dengan ibadah puasa, jika Tuhan menunaikan hajatnya, barulah dia akan melakukan ibadah.

Di dalam fiqh, ini tidak disukai dan ada seperti larangan daripada Rasulullah ﷺ. Cuma apabila larangan daripada Rasulullah ﷺ, ia boleh dikira makruh, tidak semestinya haram. Akan tetapi jika Allah ‎ﷻ yang larang, ia terus dikira haram. Ini kaedah emas yang mesti dipegang.

Maka nazar seperti ini tidak disukai dan hukumnya makruh, malah ada yang berpendapat ia haram. Dalilnya adalah hadith:

نَهَى النَّبِىُّ – صلى الله عليه وسلم – عَنِ النَّذْرِ قَالَ « إِنَّهُ لاَ يَرُدُّ شَيْئًا ، وَإِنَّمَا يُسْتَخْرَجُ بِهِ مِنَ الْبَخِيلِ »
“Nabi ﷺ melarang untuk bernazar, baginda bersabda: ‘Nazar sama sekali tidak mampu menolak sesuatu. Nazar hanyalah dikeluarkan daripada orang yang bakhil’.”
(Sahih Bukhari No. 6693 dan Muslim No. 1639 dari sanad Ibn Umar)

Jadi nazar jenis ini adalah kedekut dengan Allah ‎ﷻ sedangkan Allah ‎ﷻ telah beri segalanya kepada kita. Namun kita pula hanya hendak buat ibadah kalau Allah ‎ﷻ beri sesuatu kepada kita? Tidakkah itu kurang ajar? Bayangkan kita cakap dengan ayah kita, “Kalau ayah tolong saya, saya akan bagi bagi hadiah kepada ayah.” Bayangkan ayah yang telah banyak berbakti itu pun kita berkira untuk beri hadiah kepadanya?

Namun begitu, harus diingatkan walaupun nazar ini tidak bagus, akan tetapi kalau sudah bernazar ia hendaklah dipenuhi. Nazar menyebabkan sesuatu ibadah sunat yang asalnya sunat terus menjadi wajib apabila kita bernazar. Maka kena ada ilmu tentang nazar dan jangan senang-senang hendak bernazar. Ramai orang kita jahil tentang hal ini. Mungkin ada mana-mana ustaz yang ajar orang itu untuk bernazar tetapi tidak diajar habis tentang nazar. Mungkin ustaz itu pun tidak tahu agaknya. Kemudian orang yang di dalam kepayahan mungkin akan buat apa sahaja cara untuk selesaikan masalahnya itu.

Namun kalau ada ilmu, seseorang itu tidak mudah-mudah bernazar. Kita boleh tahu orang yang ada ilmu atau tidak apabila seseorang itu bertanya kepada para ustaz adakah mereka kena penuhi nazar atau tidak. Maknanya semasa bernazar itu mereka tidak fikir pun masak-masak apa yang mereka cakap; apabila sudah Allah ‎ﷻ beri apa yang mereka kehendaki, mulalah terfikir rupanya tidak berapa mampu pula untuk buat apa yang mereka janjikan. Maka kelam kabutlah pergi tanya kepada ustaz apa yang hendak dibuat. Masa hendak bernazar itu tidak tanya pula.

Kalau seseorang yang telah bernazar tetapi tidak mampu untuk menunaikannya, maka dia kena bayar kaffarah sumpah kerana nazar termasuk jenis sumpah juga. Kaffarah sumpah disebut disebut di dalam Maidah: 89

لا يُؤاخِذُكُمُ اللهُ بِاللَّغوِ في أَيمٰنِكُم وَلٰكِن يُؤاخِذُكُم بِما عَقَّدتُمُ الأَيمٰنَ ۖ فَكَفّٰرَتُهُ إِطعامُ عَشَرَةِ مَسٰكينَ مِن أَوسَطِ ما تُطعِمونَ أَهليكُم أَو كِسوَتُهُم أَو تَحريرُ رَقَبَةٍ ۖ فَمَن لَّم يَجِد فَصِيامُ ثَلٰثَةِ أَيّامٍ ۚ ذٰلِكَ كَفّٰرَةُ أَيمٰنِكُم إِذا حَلَفتُم ۚ وَاحفَظوا أَيمٰنَكُم ۚ كَذٰلِكَ يُبَيِّنُ اللهُ لَكُم ءآيٰتِهِ لَعَلَّكُم تَشكُرونَ
Allah tidak menghukum kamu disebabkan sumpah-sumpahmu yang tidak dimaksud (untuk bersumpah), tetapi Dia menghukum kamu disebabkan sumpah-sumpah yang kamu sengaja, maka kaffarat (melanggar) sumpah itu, ialah memberi makan sepuluh orang miskin, iaitu daripada makanan yang biasa kamu berikan kepada keluargamu, atau memberi pakaian kepada mereka atau memerdekakan seorang budak. Barang siapa tidak sanggup melakukan yang demikian, maka kaffaratnya puasa selama tiga hari. Yang demikian itu adalah kaffarat sumpah-sumpahmu bila kamu bersumpah (dan kamu langgar). Dan jagalah sumpahmu. Demikianlah Allah menerangkan kepadamu hukum-hukum-Nya agar kamu bersyukur (kepada-Nya).

Maka penjelasannya, iaitu:

    • Memberi makan sepuluh orang miskin dengan makanan yang layak.
    • Memberi pakaian kepada sepuluh orang miskin.
    • Memerdekakan seorang budak (jika ada).
    • Jika tidak mampu melakukan salah satu dari tiga pilihan di atas, maka wajib berpuasa tiga hari.

Jadi itu tentang nazar. Akan tetapi ada sebahagian ulama seperti daripada Mazhab Maliki dan Syafi’iy yang mengatakan nazar adalah sunnah. Kita pun boleh lihat dalam ayat Surah Baqarah yang kita bincangkan ini. Jadi bagaimana pula? Kita kena faham yang maksud nazar yang sunnah itu ialah jenis ‘Nazar Mutlak‘. Iaitu janji kepada Allah ‎ﷻ, tanpa memberi syarat kepada Allah ‎ﷻ. Contoh: “Aku bernazar untuk berpuasa 10 hari di bulan Rejab”.

Nazar yang sebegini adalah sunnah sebab tidak diikat dengan apa-apa syarat. Ia berbeza dengan nazar bersyarat (نذر معلق) yang mengikat ibadah dengan tercapainya suatu syarat (contoh: “Jika aku lulus ujian, aku akan berpuasa tiga hari”). Walaupun bentuknya berbeza, hukum asalnya tetap sama: jika nazar itu baik dan bukan maksiat, ia wajib ditunaikan. Dalil wajibnya menunaikan nazar adalah firman Allah ‎ﷻ dalam Hajj:29

وَلْيُوفُوا نُذُورَهُمْ
“Dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazar mereka.”

Di dalam Maryam:26 juga ada disebut nazar Maryam,

فَكُلِي وَاشْرَبِي وَقَرِّي عَيْنًا ۖ فَإِمَّا تَرَيِنَّ مِنَ الْبَشَرِ أَحَدًا فَقُولِي إِنِّي نَذَرْتُ لِلرَّحْمَٰنِ صَوْمًا فَلَن أُكَلِّمَ الْيَوْمَ إِنسِيًّا
“Maka makanlah dan minumlah serta bersenang hatilah engkau dengan anakmu. Kemudian jika engkau melihat seseorang manusia, maka katakanlah: ‘Sesungguhnya aku bernazar untuk Ar-Rahman (Allah) berpuasa (daripada berbicara), maka aku tidak akan berbicara dengan seorang pun pada hari ini.'” 

Malah, di dalam Al-Qur’an Ali Imran:35 ada disebut nazar ibu Maryam sendiri.

إِذْ قَالَتِ امْرَأَتُ عِمْرَانَ رَبِّ إِنِّي نَذَرْتُ لَكَ مَا فِي بَطْنِي مُحَرَّرًا فَتَقَبَّلْ مِنِّي ۖ إِنَّكَ أَنتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ
“(Ingatlah) ketika isteri Imran berkata: ‘Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku bernazar kepada-Mu, anak yang dalam kandunganku ini menjadi seorang yang bebas (dari segala urusan dunia untuk berkhidmat kepada-Mu semata-mata), maka terimalah nazar daripadaku; sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.'”

Di dalam Insan:5-7 juga ada disebut golongan al-Abrar yang menyempurnakan nazar mereka,

إِنَّ الْأَبْرَارَ يَشْرَبُونَ مِن كَأْسٍ كَانَ مِزَاجُهَا كَافُورًا (5) عَيْنًا يَشْرَبُ بِهَا عِبَادُ اللَّهِ يُفَجِّرُونَهَا تَفْجِيرًا (6) يُوفُونَ بِالنَّذْرِ وَيَخَافُونَ يَوْمًا كَانَ شَرُّهُ مُسْتَطِيرًا (7)
“Sesungguhnya orang-orang yang berbakti (Al-Abrar) akan meminum daripada piala: sejenis minuman yang bercampur dengan ‘Kafur’, (5) Iaitu sebuah mata air (di syurga) yang diminum daripadanya oleh hamba-hamba Allah, mereka dapat mengalirkannya (sesuka hati) dengan aliran yang deras. (6) (Mereka dikurniakan kesenangan itu kerana) mereka menyempurnakan nazar mereka (apatah lagi yang diwajibkan Tuhan kepadanya), serta mereka takutkan hari (akhirat) yang azab seksanya merebak di sana sini.”

Selain daripada itu, kita telah kongsikan hadith riwayat Ibnu Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا tentang nazar bapanya. Ada hadith lain yang menjadi dalil,

مَنْ نَذَرَ أَنْ يُطِيعَ اللَّهَ فَلْيُطِعْهُ ، وَمَنْ نَذَرَ أَنْ يَعْصِيَ اللَّهَ فَلَا يَعْصِهِ
“Sesiapa yang bernazar untuk mentaati Allah, maka hendaklah dia mentaati-Nya. Dan sesiapa yang bernazar untuk melakukan maksiat kepada Allah, maka janganlah dia melakukan maksiat itu.”

(Hadith Riwayat Bukhari, Kitab Al-Ayman wa An-Nuzur, No. Hadith: 6696)

Hadith ini juga menjelaskan ada dua kategori utama nazar:

    1. Nazar Ketaatan: Jika seseorang bernazar untuk melakukan ibadah atau kebaikan yang diredhai Allah ‎ﷻ (contohnya puasa, solat, sedekah, haji, iktikaf), maka nazar itu menjadi wajib untuk ditunaikan.
    2. Nazar Maksiat: Jika seseorang bernazar untuk melakukan sesuatu yang haram atau maksiat (contohnya mencuri, minum arak, tidak solat), maka nazar itu haram untuk ditunaikan. Dalam kes ini, tidak boleh menunaikan nazar tersebut, dan sebahagian ulama berpendapat wajib membayar kafarat sumpah.

Jadi kalau kita perhatikan contoh nazar di atas, ia berkenaan janji untuk beribadah. Bagaimana kalau bernazar kalau pasukan bolasepaknya menang, dia akan berjalan kaki dari stadium Johor ke stadium KL? Itu nazar bangang, bukannya ibadah, jadi lupakan sahaja. Ini termasuk juga kalau parti politik menang, dia akan botakkan kepala, pun tidak perlu ditunaikan kerana membotakkan kepala bukan ibadah.

 

فَإِنَّ اللَّهَ يَعلَمُهُ

sesungguhnya Allah mengetahui-Nya

Allah ‎ﷻ hendak beritahu yang apa sahaja yang kita infakkan untuk kebaikan, Allah ‎ﷻ tahu, maka tidak payah sibuk beritahu kepada orang kerana kita harap pahala daripada Allah ‎ﷻ sahaja. Allah ‎ﷻ hendak mengingatkan yang kalau kita infak atau nazar kepada keburukan, pun Allah ‎ﷻ tahu juga. Apabila Allah ‎ﷻ tahu, maknanya Allah ‎ﷻ akan balas dengan balasan yang berganda-ganda kebaikannya.

Allah ‎ﷻ tahu sama ada kamu infak, sedekah atau nazar itu kerana Allah ‎ﷻ atau kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia. Kena ingat yang Allah ‎ﷻ tahu zahir dan batin. Perbuatan kamu dan juga isi hati kamu pun Allah ‎ﷻ tahu juga dengan sepenuhnya.

 

وَما لِلظّٰلِمينَ مِن أَنصارٍ

orang-orang yang zalim itu tidak ada sesiapa pun yang dapat menolongnya.

Allah ‎ﷻ hendak mengingatkan yang kalau sesiapa infak kepada perkara keburukan, Allah ‎ﷻ akan beri balasan azab dan tidak akan ada sesiapa yang dapat menyelamatkan dia. Kalimat مِن أَنصارٍ itu di dalam bentuk nakirah, maka ia bermaksud mereka tidak akan dapat apa-apa jenis bantuan, dari sesiapa dan apa pun.

Di sini Allah ‎ﷻ juga hendak memberitahu bahawa infak yang tidak syariat juga adalah zalim. Begitu juga dengan nazar yang ikut syariat dan yang tidak ikut syariat, disempurnakan atau tidak, Allah ‎ﷻ tahu dan akan balas seadanya.


 

Baqarah Ayat 271: Sekarang diajar pula cara memberi infak itu. Sebelum ini telah disebut infak itu jangan ada riya’. Jadi adakah tidak boleh langsung kita menzahirkan infak kita itu? Maka di sini diajar yang infak itu ada dua cara: sama ada dengan terang-terangan atau dengan cara tersembunyi.

Kadang-kadang kerana tuntutan semasa, kita kena zahirkan sedekah kita. Terutama kalau zakat wajib. Ini pun bagus juga supaya orang kaya lain pun ikut keluarkan zakat sebab ikut kita. Sampai ulama’ kata sunat untuk menzahirkan zakat wajib. Namun begitu jika ‘sedekah sunat’, digalakkan untuk merahsiakannya untuk menjaga keikhlasan kerana takut ada timbul suka dalam hati kita kalau ada orang nampak atau disebut-sebut.

إِن تُبدُوا الصَّدَقٰتِ فَنِعِمّا هِيَ ۖ وَإِن تُخفوها وَتُؤتوهَا الفُقَراءَ فَهُوَ خَيرٌ لَّكُم ۚ وَيُكَفِّرُ عَنكُم مِّن سَيِّئَاتِكُم ۗ وَاللَّهُ بِما تَعمَلونَ خَبيرٌ

SAHIH INTERNATIONAL
If you disclose your charitable expenditures, they are good; but if you conceal them and give them to the poor, it is better for you, and He will remove from you some of your misdeeds [thereby]. And Allah , with what you do, is [fully] acquainted.

MALAY
Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu; dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian daripada kesalahan-kesalahan kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan.

 

إِن تُبدُوا الصَّدَقٰتِ فَنِعِمّا هِيَ

Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik

Ayat ini memberi hukum bahawa boleh untuk kita zahirkan sedekah kita. Kadang-kadang itu adalah sebaik-baik cara tetapi kena tengok keadaan juga. Ini kerana kadang-kadang ada suasana yang apabila kita mula keluarkan sedekah, orang lain ada ikut. Maka sedekah dengan cara itu bagus kerana ia memberi motivasi kepada orang lain.

Ada satu hadith bagaimana semasa Nabi ﷺ di dalam satu majlis dengan para sahabat, telah datang seorang peminta sedekah. Nabi ﷺ suruh mereka membantu peminta sedekah itu tetapi tidak ada sesiapa pun yang bangun membantu pada mulanya. Namun kemudian seorang sahabat telah bangun dan memberi sedekah kepada lelaki itu. Melihat perbuatan sahabat yang pertama itu, para sahabat yang lain pun mula bangun dan memberi sedekah kepada lelaki itu. Maka Rasulullah ﷺ memberitahu yang sahabat yang mula buat itu dapat pahala sedekah sahabat-sahabat yang lain juga. Ini disebut di dalam sebuah hadith yang selalu disalahguna oleh pengamal bid’ah (kerana mereka tidak belajar syarah hadith ini).

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ دَعَا إِلَى هُدًى كَانَ لَهُ مِنْ الْأَجْرِ مِثْلُ أُجُورِ مَنْ تَبِعَهُ لَا يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْئًا وَمَنْ دَعَا إِلَى ضَلَالَةٍ كَانَ عَلَيْهِ مِنْ الْإِثْمِ مِثْلُ آثَامِ مَنْ تَبِعَهُ لَا يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ آثَامِهِمْ شَيْئًا
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ bahawasanya Rasulullah ﷺ telah bersabda: “Barang siapa mengajak kepada kebaikan, maka dia akan mendapat pahala sebanyak pahala yang diperoleh orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangi pahala mereka sedikit pun. Sebaliknya, barang siapa mengajak kepada kesesatan, maka dia akan mendapat dosa sebanyak yang diperoleh orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangi dosa mereka sedikit pun.”

(Sahih Muslim No. 4831)

Maka di sini mengajar kita bahawa boleh kalau kita menzahirkan infak kita itu. Akan tetapi hendaklah pandai menjaga hati kita supaya jangan ada rasa riya’. Jangan kita suka pula dengan pandangan dan kata-kata manusia yang memuji. Ketahuilah dan pandangan mereka dan kata-kata mereka tidak bermakna dan tidak bernilai. Yang bernilai hanyalah apa yang Allah ‎ﷻ pandang.

Tapi kalau kita tidak pandai menjaga hati, ada sikit rasa suka kalau orang nampak dan puji, maka dari mula lagi janganlah zahirkan infak itu.

 

وَإِن تُخفوها وَتُؤتوهَا الفُقَراءَ فَهُوَ خَيرٌ لَّكُم

Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah lebih baik bagi kamu;

Namun kalau kita sembunyikan sedekah itu dan berikan pada tempat yang betul iaitu kepada yang memerlukan (terutama sekali orang fakir miskin), itu lebih baik kerana hati kita terjaga daripada sifat riak dan ujub. Kita sudah selalu berikan hadith tentang tujuh golongan yang diberi naungan di Mahsyar nanti,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: «سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمُ اللَّهُ فِي ظِلِّهِ يَوْمَ لَا ظِلَّ إِلَّا ظِلُّهُ: إِمَامٌ عَادِلٌ، وَشَابٌّ نَشَأَ فِي عِبَادَةِ رَبِّهِ، وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي الْمَسَاجِدِ، وَرَجُلَانِ تَحَابَّا فِي اللَّهِ اجْتَمَعَا عَلَيْهِ وَتَفَرَّقَا عَلَيْهِ، وَرَجُلٌ دَعَتْهُ امْرَأَةٌ ذَاتُ مَنْصِبٍ وَجَمَالٍ فَقَالَ: إِنِّي أَخَافُ اللَّهَ، وَرَجُلٌ تَصَدَّقَ بِصَدَقَةٍ فَأَخْفَاهَا حَتَّى لَا تَعْلَمَ شِمَالُهُ مَا تُنْفِقُ يَمِينُهُ، وَرَجُلٌ ذَكَرَ اللَّهَ خَالِيًا فَفَاضَتْ عَيْنَاهُ»
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, daripada Nabi ﷺ, Baginda bersabda: “Tujuh golongan (manusia) yang Allah akan beri naungan kepada mereka pada hari yang tiada naungan melainkan naungan-Nya:

1. Imam (pemimpin) yang adil.
 2. Pemuda yang membesar dalam ibadah kepada Tuhannya.
 3. Lelaki yang hatinya sentiasa terpaut dengan masjid.
 4. Dua orang lelaki yang saling mencintai kerana Allah, mereka berkumpul kerana-Nya dan berpisah kerana-Nya.
 5. Lelaki yang diajak (berzina) oleh wanita berkedudukan dan cantik, lalu dia berkata: ‘Sesungguhnya aku takut kepada Allah.’
 6. Lelaki yang bersedekah dengan satu sedekah, lalu dia menyembunyikannya sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfakkan oleh tangan kanannya.
 7. Lelaki yang mengingati Allah dalam keadaan bersendirian, lalu mengalir air matanya.”

Sahih Al-Bukhari (No. 660, 1423, 6806); Sahih Muslim (No. 1031)

Apabila menyebut tentang pemberian secara zahir, Allah ‎ﷻ gunakan kalimah نِعِمّا (baik). Akan tetapi apabila sebut pemberian dengan cara rahsia, Allah ‎ﷻ sebut خَيرٌ (lebih baik). Maka kalau kita bijak, tentulah kita akan pilih cara yang lebih baik, bukan? Allah ‎ﷻ sendiri kata cara itu lebih baik.

Perhatikan apabila menyebut tentang pemberian yang zahir, Allah ‎ﷻtidak sebut penerimanya. Akan tetapi apabila disebut tentang pemberian yang rahsia, Allah ‎ﷻ penerimanya iaitu الفُقَراءَ. Maka ini mengajar kita apabila memberi kepada fakir miskin, sepatutnya kita rahsiakan. Kerana kita menjaga identiti mereka supaya tidak diketahui orang ramai dan menjaga air muka dan maruah mereka. Maka merahsiakan pemberian ini memberi kebaikan kepada pemberi dan juga kepada yang menerima. Kepada pemberi, menjaga hatinya daripada riya’; kepada penerima, menjaga air mukanya. Maka kalau beri sumbangan, tak perlulah beriya ambil gambar mereka, kerana mungkin mereka malu dan maruah mereka tercalar.

Memberi pada tempat yang betul adalah lebih baik. Ini penting kerana kadang-kadang manusia beri kepada tempat yang tidak kena. Maka, kita bukan sahaja kena sedekah, tetapi kena pandai memilih tempat pemberian yang sesuai. Dalam ayat ini disebut fakir miskin, kerana mereka antara golongan yang amat memerlukan bantuan daripada orang lain. Kita kena ada cinta kepada fakir miskin malah ada doa yang dipanjatkan oleh Rasulullah ﷺ sendiri:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ فِعْلَ الْخَيْرَاتِ وَتَرْكَ الْمُنْكَرَاتِ وَحُبَّ الْمَسَاكِينِ وَأَنْ تَغْفِرَ لِي وَتَرْحَمَنِي وَإِذَا أَرَدْتَ فِتْنَةَ قَوْمٍ فَتَوَفَّنِي غَيْرَ مَفْتُونٍ أَسْأَلُكَ حُبَّكَ وَحُبَّ مَنْ يُحِبُّكَ وَحُبَّ عَمَلٍ يُقَرِّبُنِي إِلَى حُبِّكَ
“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu untuk melakukan kebaikan, meninggalkan kemungkaran, dan kecintaan kepada orang-orang miskin. Aku memohon kepada-Mu agar Engkau mengampuniku dan merahmati aku. Jika Engkau menghendaki suatu fitnah bagi suatu kaum, maka wafatkanlah aku dalam keadaan tidak terfitnah. Aku memohon kepada-Mu kecintaan-Mu, kecintaan orang-orang yang mencintai-Mu, dan kecintaan amalan yang mendekatkan diriku kepada kecintaan-Mu.”

(Riwayat At-Tirmidzi, Ahmad. Hadith ini disahihkan oleh Al-Albani)

Maka jangan pandang mereka dengan pandangan hina sebaliknya pandanglah mereka dengan pandangan kasih sayang. Mereka itu ada peranan mereka di dalam masyarakat dan sebenarnya memberi keberkatan kepada kita. Ada hadith-hadith yang menyebut peranan penting orang-orang lemah dalam masyarakat dan bagaimana membantu mereka membawa keberkatan:

هَلْ تُنْصَرُونَ وَتُرْزَقُونَ إِلاَّ بِضُعَفَائِكُمْ
“Kalian hanyalah mendapat pertolongan dan rezeki dengan sebab adanya orang-orang lemah dalam kalangan kalian.”

(Riwayat Bukhari No. 2896)

Dalam riwayat lain ada disebut:

إِنَّمَا يَنْصُرُ اللَّهُ هَذِهِ الْأُمَّةَ بِضَعِيفِهَا بِدَعْوَتِهِمْ وَصَلَاتِهِمْ وَإِخْلَاصِهِمْ
“Sesungguhnya Allah menolong umat ini dengan sebab orang-orang lemah mereka, iaitu dengan doa, solat, dan keikhlasan mereka.”

(Riwayat An-Nasa’i No. 3179, disahihkan oleh Al-Albani)

Malah ada hadith yang menyebut doa Nabi ﷺ supaya dihidupkan dan dimatikan dalam keadaan miskin,

اللَّهُمَّ أَحْيِنِي مِسْكِينًا وَتَوَفَّنِي مِسْكِينًا وَاحْشُرْنِي فِي زُمْرَةِ الْمَسَاكِينِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
“Ya Allah, hidupkanlah aku dalam keadaan miskin, wafatkanlah aku dalam keadaan miskin, dan kumpulkanlah aku pada Hari Kiamat bersama golongan orang-orang miskin.”

(Riwayat At-Tirmidzi No. 2352, disahihkan oleh Al-Albani)

Penjelasan: Doa ini bukan bermaksud Nabi ﷺ memohon kefakiran yang membawa kepada kekufuran, tetapi ia menunjukkan kecintaan baginda terhadap akhlak dan kerendahan hati orang miskin, serta menjauhi sifat-sifat sombong dan tamak yang mungkin timbul dari kekayaan. Ia juga isyarat keinginan baginda untuk bersama dengan golongan yang sabar dan bersyukur di antara orang miskin, yang mungkin lebih dahulu masuk syurga.

Jangan lupa ada ancaman bagi mereka yang menghalau orang miskin yang disebut di dalam Ma’un:1-3

أَرَأَيْتَ الَّذِي يُكَذِّبُ بِالدِّينِ (1) فَذَٰلِكَ الَّذِي يَدُعُّ الْيَتِيمَ (2) وَلَا يَحُضُّ عَلَىٰ طَعَامِ الْمِسْكِينِ (3)
“Tahukah kamu orang yang mendustakan agama (hari pembalasan)? (1) Itulah orang yang menghalau anak yatim, (2) Dan tidak menganjurkan untuk memberi makan orang miskin.” 

Ada yang membahagikan dua cara ini (zahir dan tersembunyi) ikut keadaan. Apabila infak itu untuk kegunaan umum seperti bina asrama agama, bina masjid, pemberian kepada persatuan dakwah, maka elok dizahirkan supaya lebih ramai lagi melakukannya. Akan tetapi apabila pemberian itu berbentuk kepada orang perseorangan, elok dirahsiakan. Kerana ia boleh menjaga air muka dan maruah orang yang diberi. Kerana dia pun tentu tidak suka kesusahannya itu diwar-warkan. Maka kita telah sebut sebelum ini tentang ambil gambar semasa memberi sedekah yang tidak patut dilakukan. Infak sebegitu sepatutnya dirahsiakan sahaja.

Maka yang terbaik adalah kita cari sendiri orang yang susah-susah dan kita beri sendiri dengan tangan kita. Ini supaya identiti mereka terpelihara. Kalau beri kepada mana-mana badan, entah mereka akan ambil gambar dan letak di media massa maka malulah mereka. Tambahan pula kalau gunakan NGO, selalunya mereka akan ambil sebahagian daripada wang itu. Takpun ada yang sakau terus duit itu semua, tidak sampai kepada orang yang memerlukan. Lagi pun kalau kita jumpa sendiri, kita boleh beramah mesra dengan orang miskin itu dan tahu dengan lebih lanjur masalah dan keperluan mereka.

Begitulah infak, atau bersedekah di jalan Allah, adalah amalan yang sangat ditekankan dalam Islam. Namun, bukan semua infak itu sama. Ada ciri-ciri tertentu yang menjadikan sesuatu infak itu lebih utama dan lebih besar pahalanya di sisi Allah ‎ﷻ. Berdasarkan ajaran Al-Qur’an dan Sunnah, tiga ciri infak yang terbaik adalah:

1. Dipercepatkan (Tidak Menangguhkan Infak): Istilah yang paling tepat untuk ini ialah تَعْجِيلُ الصَّدَقَةِ (mempercepatkan sedekah). Maka jangan ditangguh-tangguh kerana orang yang memerlukan itu mungkin sudah terdesak. Kita pula jangan tangguh, takut kalau disimpan-simpan nanti dibuat beli benda lain pula.

2. Dirahsiakan (Tidak Menunjuk-nunjuk): Istilah ini dikenali sebagai إِخْفَاءُ الصَّدَقَةِ (menyembunyikan sedekah) atau الصَّدَقَةُ السِّرُّ (sedekah rahsia).

3. Menganggapnya Sedikit (Tidak Merasa Banyak): Prinsip ini lebih kepada aspek kerendahan hati dan tidak takjub dengan amalan sendiri. Istilah yang berkaitan ialah عَدَمُ الْإِعْجَابِ بِالْعَمَلِ (tidak takjub/kagum dengan amalan) atau التَّقْلِيلُ مِنَ الْعَمَلِ (menganggap sedikit amalan yang dilakukan). Ini adalah lawan kepada ‘Ujub (العُجْبُ) yang bermaksud takjub diri.

 

وَيُكَفِّرُ عَنكُم مِّن سَيِّئَاتِكُم

dan Allah akan menghapuskan daripada kamu sebahagian daripada kesalahan-kesalahan kamu.

Berkat daripada amalan infak (sama ada secara zahir atau tersembunyi), Allah ‎ﷻ akan tutup dosa-dosa kita. Inilah yang termasuk iringi perbuatan dosa dengan melakukan kebaikan seperti disebut di dalam hadith,

عَنْ أَبِيْ ذَرٍّ جُنْدُبِ بنِ جُنَادَةَ وَأَبِي عَبْدِ الرَّحْمَنِ مُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا عَنْ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: (اتَّقِ اللهَ حَيْثُمَا كُنْتَ، وَأَتْبِعِ السَّيِّئَةَ الحَسَنَةَ تَمْحُهَا، وَخَالِقِ النَّاسَ بِخُلُقٍ حَسَنٍ) رَوَاهُ التِّرْمِذِي وَقَالَ: حَدِيْثٌ حَسَنٌ. وَفِي بَعْضِ النُّسَخِ: حَسَنٌ صَحِيْحٌ
Daripada Abu Dzarr Jundub bin Junadah dan Abu ‘Abdirrahman Mu’adz bin Jabal رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا, dari Rasulullah ﷺ, baginda bersabda, “Bertaqwalah kepada Allah di mana pun engkau berada; iringilah perbuatan buruk dengan perbuatan baik, maka kebaikan akan menghapuskan keburukan itu; dan pergaulilah manusia dengan akhlak yang baik.”

(Jami’ Tirmidzi, no. 1987. Beliau mengatakan hadithnya ini hasan, dalam sebahagian naskah disebutkan bahawa hadith ini hasan sahih) Al-Hafizh Abu Thahir mengatakan bahawa hadith ini hasan

Allah ‎ﷻ sebut dalam ayat ini, ‘sebahagian’ daripada dosa-dosa kita. Maknanya, bukan semua dosa akan ditutup. Kalau dosa kecil, Allah ‎ﷻ ampunkan terus. Namun kalau dosa besar, Allah ‎ﷻ akan gerakkan hati kita untuk bertaubat. Ini adalah kerana perkataan من maksudnya ‘sebahagian’ dan bukan semua. Dosa-dosa yang besar hendaklah kita minta ampun secara khusus.

 

وَاللَّهُ بِما تَعمَلونَ خَبيرٌ

Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan.

Sama ada kita beri secara zahir atau kita sembunyikan sedekah kita itu, Allah ‎ﷻ tahu. Allah ﷻ tahu sama ada kita ikhlas atau pun. Ikhlas itu antara kita dengan Allah ﷻ. Maka orang lain yang melihat perbuatan itu, jangan pula memandai kata: “Eleh, itu riya’ lah tu!”. Siapa kita yang tahu hati orang?

Apabila Allah ﷻ tahu akan perbuatan kita, maka Dia akan balas dengan secukupnya, malah berlebihan lagi. Maka janganlah kita risau sama ada Allah ‎ﷻ balas atau tidak. Tidak perlu kita hendak beritahu kepada orang lain, yang penting Allah ‎ﷻ sudah tahu dan yang kita pentingkan adalah Allah ‎ﷻ sedar apa yang kita lakukan, bukan?

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 15 Mei 2026

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Baqarah Ayat 269 (Maksud Hikmah)

BUKAN SEMUA MENDAPAT HIKMAH

Baqarah Ayat 269: Ayat yang lalu menjelaskan dua jalan terbentang, jalan Allah dan jalan syaitan. Sungguh berbahagia lagi bijaksana yang mengetahui dan menerapkan yang baik dan benar. Akal yang sihat menetapkan bahawa jalan yang baik dan benar adalah jalan Allah, kerana yang menelusurinya mendapat ketenteraman serta meraih peningkatan. Itulah pilihan yang bijaksana; sayang tidak semua orang menelusurinya. Memang hanya yang dianugerahi hikmah yang dapat memahami dan mengambil pilihan yang tepat.

يُؤتِي الحِكمَةَ مَن يَشاءُ ۚ وَمَن يُؤتَ الحِكمَةَ فَقَد أوتِيَ خَيرًا كَثيرًا ۗ وَما يَذَّكَّرُ إِلّا أُولُو الأَلبٰبِ

SAHIH INTERNATIONAL
He gives wisdom to whom He wills, and whoever has been given wisdom has certainly been given much good. And none will remember except those of understanding.

MALAY
Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan yang ditentukan-Nya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya dia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.

 

يُؤتِي الحِكمَةَ مَن يَشاءُ

Dia (Allah) memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya

Setelah disebut banyak ayat-ayat tentang infak, sekarang Allah ﷻ sebut tentang hikmah pula. Mungkin tidak terus nampak kaitan antara rahmat dan infak tetapi sebenarnya ada. Apakah kaitan hikmah dengan infak? Di sini kita diberitahu bahawa orang yang memberi infak sebenarnya telah diberi hikmah. Kalau tidak ada hikmah maka kita akan buat benda-benda yang bodoh seperti infak kepada madrasah yang mengajar ilmu bid’ah dan rekaan; juga seperti orang yang cetak buku Yaasin dan beri kepada ramai orang. Orang bukan baca pun buku Yaasin dan ia hanya menghadkan umat Bani Melayu ini tahu baca Yaasin sahaja.

Namun apakah hikmah itu? Ada banyak sekali pendapat tentangnya. Kalimah Hikmah daripada kata dasar ح ك م, yang pada mulanya bererti menghalangi. Orang yang ada hikmah akan menghalanginya daripada melakukan kesalahan dan keburukan. Jadi hikmah adalah sesuatu yang fungsinya membawa kepada yang baik dan menghindarkan daripada yang buruk. Untuk mencapai maksud tersebut diperlukan pengetahuan dan kemampuan untuk menerapkannya.

1. Syaikh Muhammad Abduh رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan hikmah adalah kefahaman agama yang benar. Iaitu ilmu agama yang benar, yang boleh dipertanggungjawabkan. Kerana ramai orang belajar agama tetapi belum tentu lagi ia adalah fahaman yang benar. Banyak fahaman sesat, menyimpang dan bid’ah yang dipelajari oleh masyarakat kita. Amatlah malang apabila ilmu yang mereka dapat itu bukannya hikmah.

Antara yang diberi adalah kefahaman yang betul tentang infak iaitu kita faham kenapa kita kena infak. Mereka yang ada hikmah sahaja yang akan melakukan infak dengan betul. Ayat Baqarah:269 ini berperanan sebagai penjelasan puncak dan prasyarat rohani untuk memahami dan melaksanakan perintah-perintah infak yang dibincangkan sebelumnya. Ia menekankan bahawa untuk benar-benar mendapat manfaat dan pahala dari infak, seseorang memerlukan hikmah — kebijaksanaan untuk beramal dengan ikhlas, memahami tujuan syariat, dan membuat pilihan yang tepat dalam pengeluaran hartanya. Tanpa hikmah, infak mungkin hanya menjadi sekadar ritual tanpa nilai di sisi Allah ‎ﷻ, sepertimana perumpamaan kebun yang musnah oleh puting beliung berapi dalam ayat 266.

Kefahaman (ilmu) ini amat penting kerana ramai yang tidak tahu apakah kelebihan dan kepentingan infak dalam Islam. Ini adalah kerana mereka tidak belajar. Apabila tidak belajar, mereka akan terkesan dengan bisikan syaitan yang menjanjikan kemiskinan kepada mereka kalau mereka infak. Maka ramai yang tidak infak.

Maka kerana itu kita hendaklah berdoa minta supaya diberikan hikmah, seperti diajar Allah di dalam Syu’ara’:83

رَبِّ هَب لي حُكمًا وَأَلحِقني بِالصّٰلِحينَ
(Ibrahim berdoa): “Ya Tuhanku, berikanlah kepadaku hikmah dan masukkanlah aku ke dalam golongan orang-orang yang soleh,

2. Hikmah adalah ilmu bermanfaat yang diamalkan. Kalau setakat tahu ilmu sahaja tetapi tidak buat, itu bukan hikmah, itu setakat ilmu sahaja. Sebagai contoh, banyak orang sudah tahu mereka tidak patut membazir tetapi bila dapat gaji, membazir juga. Bukannya mereka tidak tahu membazir itu tidak elok, tetapi mereka buat juga. Apabila gaji mereka bazirkan, maka mereka sudah tidak ada duit untuk infak sebab sudah dihabiskan ke tempat yang tidak berfaedah.

Maka sebenarnya ‘ilmu’ dan ‘hikmah’ tidak sama sebenarnya. Dalam konteks Islam, ilmu dan hikmah adalah dua konsep yang saling berkaitan rapat namun mempunyai perbezaan yang ketara dari segi makna, skop, dan aplikasinya. Ilmu secara asasnya bermaksud pengetahuan, pemahaman, atau maklumat yang diperoleh melalui pembelajaran, kajian, pengalaman, atau wahyu. Ia merujuk kepada segala bentuk pengetahuan yang sahih dan benar tentang sesuatu perkara.

Ciri-ciri Ilmu:

    • Pengumpulan Data/Fakta: Ilmu melibatkan pengumpulan fakta, teori, dan data.
    • Pemahaman Konsep: Ia adalah tentang memahami “apa”, “bagaimana”, dan “mengapa” sesuatu itu berlaku, sama ada dalam bidang agama, sains, sejarah, atau lain-lain.
    • Objektif: Ilmu boleh bersifat objektif dan boleh dipelajari, diajar, dan diukur.
    • Sumber: Sumber ilmu dalam Islam sangat luas, termasuk Al-Quran, Sunnah, akal, pancaindera, dan intuisi.
    • Tujuan: Tujuan ilmu adalah untuk mengenal kebenaran, mengenal Allah SWT, dan juga untuk memudahkan kehidupan manusia di dunia.

Contoh Ilmu:

    • Mengetahui hukum-hakam solat.
    • Memahami teori graviti.
    • Mempelajari sejarah sesuatu bangsa.
    • Menghafal Al-Qur’an dan maknanya.

Hikmah pula lebih daripada sekadar pengetahuan. Ia adalah kebijaksanaan, pemahaman yang mendalam, keupayaan untuk meletakkan sesuatu pada tempatnya yang betul (kebenaran dalam perkataan dan perbuatan), dan membuat keputusan yang tepat berdasarkan ilmu yang ada serta pemahaman tentang rahsia di sebalik sesuatu perkara. Hikmah lebih luas daripada ilmu, bahkan hujung daripada ilmu adalah permulaan daripada hikmah. Hikmah boleh juga diertikan sebagai mengetahui yang tersirat di belakang yang tersurat, menilik yang ghaib daripada melihat yang nyata, mengetahui akan kepastian hujung kerana telah melihat pangkal. Hikmah seringkali dianggap sebagai aplikasi praktikal ilmu dengan cara yang paling efektif dan bijaksana, serta disertai dengan ketajaman hati dan pandangan jauh.

Ciri-ciri Hikmah:

    • Aplikasi & Tindakan: Hikmah adalah tentang bagaimana menggunakan ilmu yang ada untuk bertindak dengan betul dan bijaksana dalam situasi kehidupan sebenar.
    • Kearifan & Ketajaman Hati: Ia melibatkan kemampuan untuk melihat jauh ke hadapan, memahami implikasi, dan membuat keputusan yang membawa manfaat.
    • Integriti & Keadilan: Orang yang berhikmah akan bertindak adil, jujur, dan berpegang pada prinsip kebenaran.
    • Anugerah Ilahi: Dalam Al-Qur’an, hikmah sering digambarkan sebagai anugerah besar daripada Allah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, seperti firman Allah dalam Baqarah:269 yang kita sedang bincangkan ini.
    • Keseimbangan: Hikmah juga bermaksud mencapai keseimbangan antara dunia dan akhirat, antara hak individu dan hak masyarakat.

Contoh Hikmah:

    • Memilih diam ketika marah atau difitnah untuk mengelakkan konflik yang lebih besar.
    • Menyampaikan nasihat dengan cara yang lembut, empati, dan sesuai dengan keadaan penerima agar mesej sampai.
    • Menggunakan ilmu agama untuk menyelesaikan masalah kehidupan dengan bijak, bukan sekadar mengetahui hukumnya tetapi memahami roh dan tujuannya.
    • Mengatur kewangan dengan bijak, menabung, dan menyiapkan dana darurat — ini bukan hanya pengetahuan (ilmu) tentang pengurusan kewangan, tetapi aplikasi kebijaksanaan dalam hidup.

3. Apakah ilmu yang paling penting? Itulah kefahaman Al-Qur’an. Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا mengatakan,

الحكمة هو الفقه في القرءان
Hikmah itu adalah kefahaman mendalam tentang Al-Qur’an.

Ertinya apabila seseorang sudah dapat memahamkan dari dalam Al-Qur’an mana yang hudan (petunjuk) dan mana yang hukum, mana yang disuruh (wajib) dan apa sebab wajibnya dan mana yang ditegah (haram) dan apa sebab ditegah, lalu dapat membandingkan atau mengqiyaskan yang furu'(cabang) kepada yang ushul (pokok), itulah orang yang diberi hikmah.

4. Hikmah juga bermaksud kenabian di tempatnya yang sesuai. Ini seperti diberikan kepada Nabi Daud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ seperti disebut di dalam Baqarah:251. Di dalam ayat 269 ini tentulah bukan ini yang dimaksudkan.

وَءَاتَٮٰهُ اللَّهُ المُلكَ وَالحِكمَةَ وَعَلَّمَهُ مِمّا يَشاءُ
Dan (sesudah itu) Allah memberikan kepadanya (Nabi Daud) kuasa pemerintahan, dan hikmat (pangkat kenabian) serta diajarkannya apa yang dikehendaki-Nya.

Kenapa hikmah dikaitkan dengan kenabian? Ini kerana menurut Tafsir al-Bahar al-Muhit, hikmah itu adalah meletakkan sesuatu pada tempatnya. Para Nabi melakukan hal ini dengan kesempurnaan. Maka kerana itu pangkat kenabian diberi dengan hikmah kerana apa yang mereka lakukan adalah sebagaimana yang sepatutnya.

5. Hikmah juga bermaksud takut kepada Allah ‎ﷻ. Ini kerana kalau tidak ada takut kepada Allah ‎ﷻ, kita sebagai manusia akan senang sahaja buat dosa dan zalim kepada orang lain. Konsep ini bukan takut seperti rasa takut kepada makhluk, tetapi lebih kepada rasa kagum, hormat, tunduk, dan menyedari keagungan serta kekuasaan Allah ‎ﷻ, yang mendorong seseorang untuk menjauhi larangan-Nya dan melaksanakan perintah-Nya. Rasa takut inilah yang akan membimbing kepada kebijaksanaan sejati. Dalilnya disebut di dalam Fathir:28

إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ ۗ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ غَفُورٌ
“Sesungguhnya yang benar-benar takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya hanyalah para ulama (orang-orang yang berilmu). Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.”

6. Kalimah Hikmah juga bermaksud Hadith dan Sunnah. Terlebih utama lagi adalah pemahaman kepada maksud hadith dan sunnah yang perlu dipelajari. Allah ‎ﷻ telah berfirman di dalam Ali Imran:164

لَقَد مَنَّ اللَّهُ عَلَى المُؤمِنينَ إِذ بَعَثَ فيهِم رَسولًا مِّن أَنفُسِهِم يَتلو عَلَيهِم ءَايَٰتِهِۦ وَيُزَكّيهِم وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلْكِتَٰبَ وَالحِكمَةَ
Sesungguhnya Allah telah mengurniakan (rahmatNya) kepada orang-orang yang beriman, setelah Dia mengutuskan dalam kalangan mereka seorang Rasul daripada bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (kandungan Al-Qur’an yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajar mereka Kitab Allah (Al-Qur’an) dan Hikmah.

Jadi kefahaman kepada Hadith dan Sunnah adalah kefahaman mendalam tentang agama. Daripada Mu’awiyah bin Abi Sufyan رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa Nabi ﷺ bersabda:

مَنْ يُرِدِ اللهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّينِ
“Barangsiapa yang Allah kehendaki padanya kebaikan, maka Allah akan memberinya kefahaman di dalam agama.

7. Hikmah juga merujuk kepada ketepatan dan kebenaran dalam perkataan dan tindakan. Ini bermakna seseorang yang memiliki hikmah akan berbicara dengan kata-kata yang bermanfaat, tepat pada waktunya, dan sesuai dengan keadaan. Begitu juga, setiap tindakannya akan didasari oleh pertimbangan yang matang, keadilan, dan membawa maslahah (kebaikan). Dalil: Firman Allah ‎ﷻ dalam Nahl:125

“ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ ۖ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ ۚ…”
“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik, dan bantahlah mereka dengan cara yang lebih baik…”

Ayat ini memerintahkan dakwah dilakukan dengan hikmah, iaitu dengan cara yang bijaksana, berstrategi, dan sesuai dengan penerima dakwah, sehingga mesej dapat disampaikan dengan efektif.

 

وَمَن يُؤتَ الحِكمَةَ فَقَد أوتِيَ خَيرًا كَثيرًا

Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya dia telah diberikan kebaikan yang banyak. 

Amat beruntung sekali mereka yang diberikan dengan hikmah itu. Oleh kerana mereka dapat kefahaman yang betul, maka mereka akan infak dengan banyak dan hasilnya, mereka akan jadi kaya raya di akhirat. Malah di dunia lagi mereka akan mendapat balasan baik.

Siapakah yang disebut di dalam Al-Qur’an telah diberi hikmah? Tentu anda pernah mendengar nama Luqman dan malah namanya menjadi salah satu daripada nama surah Al-Qur’an. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Luqman:12

وَلَقَدْ آتَيْنَا لُقْمَانَ الْحِكْمَةَ أَنِ اشْكُرْ لِلَّهِ ۚ وَمَن يَشْكُرْ فَإِنَّمَا يَشْكُرُ لِنَفْسِهِ ۖ وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ حَمِيدٌ
“Dan sesungguhnya Kami telah memberikan hikmah kepada Luqman, (iaitu): ‘Bersyukurlah kepada Allah.’ Dan barangsiapa yang bersyukur (kepada Allah), maka sesungguhnya dia bersyukur untuk dirinya sendiri; dan barangsiapa yang ingkar (tidak bersyukur), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji.”

Maka untuk memahami apa yang Luqman ada, maka kita kena pelajari Surah Luqman dan ikut langkah beliau. Di dalam kisah Luqman itu kita akan banyak dengar nasihat beliau kepada anaknya yang juga menjadi nasihat bagi kita. Maka kita kena ubah paradigma kita tentang infak. Kita mungkin sangka pemberian itu hanya di dalam bentuk wang sahaja, tetapi apakah yang umat perlukan melebihi wang?

Ilmu agama, manusia lebih memerlukan ilmu agama. Begitulah para Nabi tidaklah meninggalkan harta kepada pengikut mereka tetapi meninggalkan agama. Kejahilan agama sekarang amatlah menakutkan kerana dengan kejahilan itu, entah berapa banyak kesesatan yang dilakukan manusia. Ada yang menggunakan nama agama untuk menyampaikan kesesatan mereka. Mereka ajar benda yang sesat, tetapi kata itulah agama Islam. Ini kerana manusia sudah jauh daripada ajaran wahyu. Mereka belajar agama, tetapi bukannya berlandaskan kepada wahyu. Jadi manusia memerlukan ilmu agama lebih lagi dari wang dan harta. Wang hanya selamatkan manusia di dunia sahaja, tetapi ajaran agama yang benar menyelamatkan manusia dunia dan akhirat sekali.

Maka dakwah dan pengajaran agama amatlah diperlukan sangat. Antara infak yang kita boleh berikan adalah dengan menyampaikan ilmu. Kerana itulah blog ini dibina untuk sampaikan wahyu kepada umat. Kita berharap supaya penulisan ini dapat memudahkan manusia untuk faham tafsir Al-Qur’an dan tadabbur. Malangnya, ada juga yang menentangnya kerana kejahilan. Sebagai contoh, lihat ini,

Pertamanya, tahulah mereka siapa Wahabi itu? Dan apakah firqah Mu’tazilah? Kalau ditanya kembali kepada mereka apa itu Wahabi dan apa itu Mu’tazilah, rasa gagap mereka hendak menjawabnya. Sudahlah tidak tahu definisi, tetapi pandai pula meletakkan label itu kepada orang lain, hanya kerana berbeza fahaman dengan mereka.

Keduanya, bila masa pula kita mengkafirkan orang? Kita yang berpegang dengan wahyu hanya sampaikan wahyu sahaja dan tahu bahawa haram mengkafirkan orang. Jadi tidak pernah kita mengkafirkan orang Islam. Sebaliknya kumpulan sana yang bermudah-mudah mengkafirkan orang yang berpegang dengan wahyu dan berakidah dengan akidah Salafi. Mereka menuduh, sebaliknya mereka sendiri yang buat.

Perhatikan satu lagi masalah masyarakat kita,

Masyarakat kita rajin belajar agama. Segala macam kitab mereka pelajari. Namun soalan kita adalah: bila masa pula hendak pelajari Kitab Kalam Allah ini? Tidakkah patut sebelum dipelajari segala kitab itu dipelajari dahulu apa kata dan kehendak Allah ‎ﷻ? Maka tugas kita masih jauh lagi untuk menyampaikan dakwah wahyu kepada umat Islam di negara kita.

Semoga kita diberikan dengan hikmah, maka hendaklah berdoa kepada Allah ‎ﷻ sebagaimana Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sendiri memohon hikmah kepada Allah ‎ﷻ, menunjukkan betapa pentingnya kurniaan ini seperti disebut di dalam Syu’ara:83:

رَبِّ هَبْ لِي حُكْمًا وَأَلْحِقْنِي بِالصَّالِحِينَ
“Ya Tuhanku, berikanlah kepadaku hikmah dan pertemukanlah aku dengan orang-orang soleh.” 

Juga berdoalah seperti doa Ashabul Kahf seperti disebut di dalam Kahf:10

رَبَّنَا آتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا
“Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisi-Mu, dan persiapkanlah bagi kami daripada urusan kami petunjuk yang lurus (kebijaksanaan).”

Ataupun, boleh juga baca doa ini,

اَللَّهُمَّ افْتَحْ عَلَيْنَا حِكْمَتَكَ وَانْشُرْ عَلَيْنَا مِنْ خَزَائِنِ رَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ
“Ya Allah, bukakanlah ke atas kami hikmah-Mu, dan limpahkanlah ke atas kami daripada khazanah rahmat-Mu, wahai Yang Maha Mengasihani daripada segala yang mengasihani.”

 

وَما يَذَّكَّرُ إِلّا أُولُو الأَلبٰبِ

Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.

Kalimah الأَلبٰبِ adalah daripada kata dasar ل ب ب yang bermaksud pintar; baik hati; hati; bahagian tengah; teras; pulpa buah; fikiran; tulen; tahan karat; saripati; berbakat dengan pertimbangan yang wajar. Maka Ulul Albaab adalah orang yang ada isi, ada akal. Oleh itu, sebenarnya Allah ﷻ hendak memberitahu bahawa orang yang tidak yakin dengan ajaran wahyu itu adalah mereka yang bodoh sekali. Allah ﷻ sebut ciri-ciri mereka di dalam Ali Imran:190-194

إِنَّ فِي خَلْقِ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَالْأَرْضِ وَٱخْتِلَٰفِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ لَأَيَـٰتٍ لِّأُولِي ٱلأَلبَـٰبِ
Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, adalah tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal;

الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَـٰمًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَالْأَرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَٰذَا بَٰطِلًا سُبْحَٰنَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.

رَبَّنَا إِنَّكَ مَن تُدْخِلِ النَّارَ فَقَدْ أَخْزَيْتَهُ وَمَا لِلظَّٰلِمِينَ مِنْ أَنصَارٍ
Wahai Tuhan kami! Sebenarnya sesiapa yang Engkau masukkan ke dalam neraka maka sesungguhnya Engkau telah menghinakannya, dan orang-orang yang zalim tidak akan beroleh seorang penolong pun;

رَّبَّنَا إِنَّنَا سَمِعْنَا مُنَادِيًا يُنَادِي لِلْإِيمَٰنِ أَنْ ءآمِنُوا بِرَبِّكُمْ فَـَٔامَنَّا رَبَّنَا فَاغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَا وَكَفِّرْ عَنَّا سَيِّئَاتِنَا وَتَوَفَّنَا مَعَ الْأَبْرَارِ
Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah mendengar seorang Penyeru (Rasul) yang menyeru kepada iman, katanya: `Berimanlah kamu kepada Tuhan kamu’, maka kami pun beriman. Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami, dan hapuskanlah daripada kami kesalahan-kesalahan kami, dan matikanlah kami bersama orang-orang yang berbakti;

رَبَّنَا وَءآتِنَا مَا وَعَدتَّنَا عَلَىٰ رُسُلِكَ وَلَا تُخْزِنَا يَوْمَ ٱلْقِيَٰمَةِ إِنَّكَ لَا تُخْلِفُ الْمِيعَادَ
Wahai Tuhan kami! Berikanlah kepada kami pahala yang telah Engkau janjikan kepada kami melalui Rasul-rasulMu, dan janganlah Engkau hinakan kami pada hari kiamat; sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji”.

Jelas bahawa di dalam Islam, yang mendapat pujian adalah golongan yang bijak, berilmu dan juga pintar. Tidak ada tempat bagi orang yang bodoh dan jahil agama. Maka ini mengajar kita, orang yang jahil agama tidak selamat. Namun malangnya, begitu ramai sekali dalam kalangan masyarakat kita berasa tenang sahaja walaupun mereka tidak mahir hal agama. Mereka rasa tidak ada salahnya kalau tidak belajar agama. Mereka banyaknya serahkan sahaja kepada orang lain untuk belajar. Sebagai contoh, ada ibubapa yang hantar anak mereka ke kelas agama, kelas tahfiz dan kelas-kelas agama lain, tetapi mereka sendiri tidak belajar; atau, ada yang suami hantar isteri ke masjid/surau untuk belajar agama, tetapi mereka tidak ikut pun. Mereka hantar dan kemudian pulang balik ke rumah tengok TV.

Bagi mereka yang memang tidak mahu mencari kebenaran, memang mereka tidak akan terima. Namun ada dalam kalangan manusia yang memang ada sifat ulul albaab ini. Oleh kerana itu apabila kita sampaikan ayat-ayat Allah ﷻ yang jelas nyata itu, mereka boleh terima kerana ia bersamaan dengan akal yang sihat.

Apalagi ciri-ciri Ulul Albaab ini? Allah ‎ﷻ sebut di dalam Ra’d:19 – 22

۞ أَفَمَن يَعلَمُ أَنَّما أُنزِلَ إِلَيكَ مِن رَّبِّكَ الحَقُّ كَمَن هُوَ أَعمىٰ ۚ إِنَّما يَتَذَكَّرُ أُولُو الأَلبٰبِ
Adakah orang yang mengetahui bahawasanya apa yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu itu benar sama dengan orang yang buta? Hanyalah orang-orang yang berakal saja yang dapat mengambil pelajaran,

الَّذِيْنَ يُوْفُوْنَ بِعَهْدِ اللّٰهِ وَلَا يَنْقُضُوْنَ الْمِيْثَاقَۙ
(iaitu) orang-orang yang memenuhi janji Allah dan tidak merosak perjanjian,

وَالَّذِيْنَ يَصِلُوْنَ مَآ اَمَرَ اللّٰهُ بِهٖٓ اَنْ يُّوْصَلَ وَيَخْشَوْنَ رَبَّهُمْ وَيَخَافُوْنَ سُوْۤءَ الْحِسَابِ ۗ
dan orang-orang yang menghubungkan apa-apa yang Allah perintahkan supaya dihubungkan, dan mereka takut kepada Tuhannya dan takut kepada hisab yang buruk.

وَالَّذِيْنَ صَبَرُوا ابْتِغَاۤءَ وَجْهِ رَبِّهِمْ وَاَقَامُوا الصَّلٰوةَ وَاَنْفَقُوْا مِمَّا رَزَقْنٰهُمْ سِرًّا وَّعَلَانِيَةً وَّيَدْرَءُوْنَ بِالْحَسَنَةِ السَّيِّئَةَ اُولٰۤىِٕكَ لَهُمْ عُقْبَى الدَّارِۙ
Dan orang-orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat, dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan serta menolak kejahatan dengan kebaikan; orang-orang itulah yang mendapat tempat kesudahan (yang baik)

Kita pun boleh jadi ulul albab kalau kita tahu dan kita berusaha untuk mencapai darjat itu. Janganlah kita sangka yang ia adalah kedudukan yang tidak boleh dicapai.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 12 Julai 2025

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Baqarah Ayat 267 – 268 (Infak yang diterima)

SEDEKAH YANG BERKUALITI

Baqarah Ayat 267: Sekarang Allah ﷻ menjelaskan cara bersedekah dengan memberitahu kita apakah barang yang patut kita pilih untuk disedekahkan. Orang yang beriman hendaklah menggunakan hati budinya sendiri supaya bukanlah hanya diberi sahaja apa yang boleh diberi tanpa diperhatikan akan barangan itu.

يَـٰٓأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا أَنفِقوا مِن طَيِّبٰتِ ما كَسَبتُم وَمِمّا أَخرَجنا لَكُم مِّنَ الأَرضِ ۖ وَلا تَيَمَّمُوا الخَبيثَ مِنهُ تُنفِقونَ وَلَستُم بِآخِذيهِ إِلّا أَن تُغمِضوا فيهِ ۚ وَاعلَموا أَنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ حَميدٌ

SAHIH INTERNATIONAL
O you who have believed, spend from the good things which you have earned and from that which We have produced for you from the earth. And do not aim toward the defective therefrom, spending [from that] while you would not take it [yourself] except with closed eyes. And know that Allah is Free of need and Praiseworthy.

MALAY
Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji.

 

يَـٰٓأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا

Wahai orang-orang yang beriman!

Dengarlah wahai orang-orang yang beriman. Ini adalah ajaran daripada Allah ‎ﷻ tentang cara infak. Allah ﷻ telah memanggil kita dengan panggilan yang mulia dan mesra, maka dengarlah. Apabila Allah ﷻ menyeru begini, maka tentu ada perkara yang penting yang hendak disampaikan; sama ada suruhan, atau larangan.

 

أَنفِقوا مِن طَيِّبٰتِ ما كَسَبتُم

Belanjakanlah sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik-baik, 

Ini syarat yang kena ada. Barang yang kita infak itu mestilah barang yang baik-baik. Barang yang boleh digunakan dan masih boleh dipakai lagi. Boleh digunakan oleh orang yang diberi. Ia juga kenalah sesuai dengan orang yang diberi. Jangan beri baju perempuan kepada orang lelaki, contohnya.

Apabila digunakan kalimah طَيِّبٰتِ, ia juga bermaksud harta yang halal dan baik. Cara mendapatkan harta itu dan penghasilannya mestilah dengan cara yang halal. Maknanya jangan berikan infak daripada harta yang haram, contohnya hartanya yang didapati dengan cara yang haram. Rasulullah ﷺ telah bersabda,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنَّ اللهَ طَيِّبٌ لاَ يَقْبَلُ إِلاَّ طَيِّباً
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللهُ عَنْهُ beliau berkata: Rasulullah ﷺ telah bersabda: Sesungguhnya Allah itu baik, Dia tidak menerima kecuali perkara yang baik.

(Riwayat Muslim No. 1015)

Di dalam hadith yang lain, Rasulullah ﷺ bersabda,

لاَ يَتَصَدَّقُ أَحَدٌ بِتَمْرَةٍ مِنْ كَسْبٍ طَيِّبٍ إِلاَّ أَخَذَهَا اللَّهُ بِيَمِينِهِ فَيُرَبِّيهَا كَمَا يُرَبِّى أَحَدُكُمْ فَلُوَّهُ أَوْ قَلُوْصَهُ حَتَّى تَكُوْنَ مِثْلَ الْجَبَلِ أَوْ أَعْظَمَ
“Tidaklah seseorang bersedekah dengan sebutir kurma daripada hasil kerjanya yang halal melainkan Allah akan mengambil sedekah tersebut dengan tangan kanan-Nya lalu Dia membesarkannya sebagaimana seseorang dari kamu membesarkan anak kuda atau anak unta betinanya hingga (sedekah itu) sampai semisal gunung atau lebih besar dari itu.”

(Sahih Muslim No. 1014)

Malangnya, dalam masyarakat, ada yang dapatkan harta dengan cara haram dan konon hendak bersihkan harta itu, mereka derma sedikit supaya nampak mereka menderma. Ada juga orang Islam (di negara lain) yang jual arak, selamba sahaja dan sekali sekala mereka akan derma dan sedekah kepada masjid. Sepatutnya tidak boleh diterima infak itu kalau kita tahu dari mana sumbernya.

Namun bagaimana kalau kita ada harta yang daripada sumber yang haram? Contohnya kita sudah bertaubat tetapi duit haram ada banyak. Juga kita simpan duit dalam bank dan dapat banyak riba di dalamnya. Kita tahu yang haram untuk kita menggunakan duit itu, tetapi bagaimana kita hendak lakukan? Pertama, memang kita tidak boleh sedekah, kerana ia tidak layak dijadikan sebagai sedekah. Akan tetapi keduanya, kita kena lupuskan wang itu. Daripada kita lupus dan beri ke tempat yang tidak berfaedah, baik kita berikan kepada yang memerlukan. Boleh kita beri kepada masjid untuk kegunaan awam atau pun kepada individu yang boleh guna benda itu. Cuma kita tidak boleh berniat sedekah, cuma niat hendak lupuskan wang haram itu dengan cara yang baik. Kita tidak dapat pahala daripada sedekah itu tetapi kita akan mendapat pahala daripada taubat kita itu. Yang mendapat wang itu dengan cara haram tidak boleh guna wang itu tetapi orang yang menerima daripada pemberi itu boleh kerana dia menerima sebagai sedekah atau hadiah.

Jadi Allah ‎ﷻ suruh belanjakan di jalan Allah, harta hasil usaha dan kerja kita. Pengajaran pertama yang kita dapat daripada ayat ini ialah bahawa orang yang beriman itu tentu suka berusaha dan bekerja. Orang yang beriman tidaklah akan mahu menganggur membuang waktu dan mengharapkan pemberian daripada orang lain. Segala macam usaha yang halal termasuklah ke dalamnya, termasuk juga bercucuk-tanam dan bertani, bersawah dan berladang. Tidak kiralah apa pun pekerjaan tetapi bekerja yang halal yang mendapat upah atau gaji. Tidaklah berharap emak ayah tanggung atau isteri pula yang kena tanggung. Ada juga kita dengar orang yang bawa perawakan agama tetapi tidak bekerja, isteri yang tanggung. Kononnya mereka itu berdakwah, belajar atau mengajar, maka isteri yang kena tanggung. Ini tidak benar. Seorang suami yang ada ilmu agama, pasti kena ada tanggungjawab untuk menyara anak isteri.

Daripada kerja dan usaha kita itu, hendaklah sebahagian daripadanya kita infak. Memang ia hasil usaha kita, berpenat lelah kita buat kerja, namun bukanlah pendapatan itu hanya untuk kita sahaja. Jangan kita memandang ringan kedudukan orang yang lemah. Jangan lupakan mereka kerana mereka itu penting. Perhatikan hadith,

عَنْ سَعْدِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ الرَّجُلُ يَكُونُ حَامِيَةَ الْقَوْمِ أَيَكُونُ سَهْمُهُ وَسَهْمُ غَيْرِهِ سَوَاءً؟ قَالَ ثَكِلَتْكَ أُمُّكَ يَا ابْنَ أُمِّ سَعْدٍ وَهَلْ تُرْزَقُونَ وَتُنْصَرُونَ إِلَّا بِضُعَفَائِكُمْ
Daripada Sa’d bin Malik (Sa’d bin Abi Waqqas) RA, beliau berkata: Aku bertanya:”Wahai Rasulullah, seorang lelaki (pahlawan) yang menjadi pelindung/benteng bagi kaumnya (dalam peperangan), adakah bahagian (ghanimah/harta rampasan) miliknya dan bahagian orang lain (yang lemah) itu sama sahaja?” Rasulullah ﷺ menjawab: “Semoga ibumu kehilanganmu wahai anak Ummu Sa’d! Bukankah tidaklah kamu diberikan rezeki dan diberikan kemenangan melainkan dengan adanya orang-orang yang lemah (doa dan keberadaan) di kalangan kamu?”

(Riwayat Ahmad, An-Nasa’i, dan Sahih menurut Al-Albani)

Syarah Hadis: Hadis ini muncul apabila ada sebahagian sahabat yang merasa bahawa orang yang berjuang di baris hadapan, yang gagah berani, dan yang banyak memberi sumbangan material/fizikal seharusnya mendapat habuan yang lebih besar berbanding orang yang lemah atau tidak berdaya. Rasulullah ﷺ memperbetulkan cara pandang ini dengan menegaskan bahawa kemenangan dalam peperangan atau kejayaan dalam kehidupan bukan hanya bergantung kepada kekuatan otot, strategi pahlawan, atau harta si kaya semata-mata.

Ulama menjelaskan beberapa sebab mengapa orang lemah (Dhu’afa) menjadi kunci kekuatan:

  • Keikhlasan Doa: Orang yang lemah (miskin, sakit, tua) biasanya mempunyai hati yang lebih tulus apabila berdoa kepada Allah kerana mereka tidak mempunyai sandaran duniawi. Doa mereka lebih mustajab kerana mereka lebih berharap kepada Allah dan kerana itu doa mereka lebih ikhlas. Doa yang ikhlas lebih diterima oleh Allah.
  • Keberkatan: Keberadaan golongan lemah dalam sebuah kumpulan menarik rahmat Allah. Jika kumpulan itu menjaga kebajikan orang lemah, Allah akan menjaga kumpulan tersebut.
  • Keseimbangan Sosial: Sebuah masyarakat yang kuat adalah masyarakat yang saling melengkapi. Pahlawan melindungi dengan pedang, manakala golongan lemah “melindungi” dengan doa dan spiritual.

Jika kita sedar bahawa rezeki kita datang melalui “asbab” orang lemah tersebut, kita tidak akan tergamak memberi mereka barang yang buruk. Kita akan memberikan yang terbaik (seperti tuntutan ayat 267) sebagai tanda syukur kerana mereka telah menjadi “asbab” kemenangan dan kelimpahan rezeki kita.

Di dalam hadith yang lain,

أَبَا الدَّرْدَاءِ يَقُولُ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ ابْغُونِي الضُّعَفَاءَ فَإِنَّمَا تُرْزَقُونَ وَتُنْصَرُونَ بِضُعَفَائِكُمْ
Abu Darda`  رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata; aku mendengar Rasulullah ﷺ berkata: “Carikan orang-orang lemah untukku, sesungguhnya kalian diberi rezeki dan diberi kemenangan kerana orang-orang lemah kalian.”

(Sunan Nasa’i (2227) disahihkan oleh Darussalam)

 

وَمِمّا أَخرَجنا لَكُم مِّنَ الأَرضِ

dan sebahagian daripada apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kalian.

Berikanlah daripada sumber rezeki yang Allah ‎ﷻ sendiri yang telah beri kepada kita. Allah ‎ﷻ berikan rezeki yang banyak kepada kita supaya kita dapat salurkan kepada orang lain yang memerlukan. Di sini perhatikan Allah ﷻ kata أَخرَجنا لَكُ (Kami keluarkan untuk kamu) sedangkan sebelum ini disebut usaha manusia (ما كَسَبتُم). Jadi Allah ﷻ hendak tekankan, ada rezeki itu hasil usaha kita juga, tetapi ada yang Allah ﷻ beri kepada kita. Kerana dalam hal tanaman, kita tanam benih sahaja tetapi yang jadikan benih itu subur berkembang adalah Allah ﷻ. Bukannya kita boleh picit-picit benih itu bagi cepat tumbuh.

Berkenaan hasil tanaman, ada hukum zakat yang kita perlu perhatikan. Zakat Ushr (زكاة العشر) adalah salah satu jenis zakat yang wajib dikeluarkan daripada hasil pertanian dan buah-buahan. Perkataan “Ushr” itu sendiri berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud “satu persepuluh” (1/10). Zakat Ushr wajib dikeluarkan segera setelah hasil pertanian dituai dan telah dibersihkan daripada kotoran atau kulit yang tidak dimakan. Ini merujuk kepada frasa “pada hari memetik hasilnya” dalam An’am:141

ڪُلُواْ مِن ثَمَرِهِۦۤ إِذَآ أَثمَرَ وَءَاتُواْ حَقَّهُ ۥ يَومَ حَصَادِهِۦ‌
Makanlah dari buahnya ketika ia berbuah, dan keluarkanlah haknya (zakatnya) pada hari memetik atau menuainya;

 

وَلا تَيَمَّمُوا الخَبيثَ مِنهُ تُنفِقونَ

Dan janganlah kalian sengaja memilih yang buruk daripadanya lalu kalian infakkan

Jangan sengaja memilih yang buruk daripada barang yang hendak diberi itu. Perhatikan kalimah تَيَمَّمُوا yang memberi maksud sengaja. Contohnya, sengaja pilih kambing yang buruk-buruk daripada banyak-banyak kambing. Atau sengaja pilih baju yang buruk-buruk yang kita memang hendak buang pun, yang tidak boleh dipakai lagi. Jadi kalau kita beri banyak barang dan termasuk di dalam barang itu ada termasuk barang buruk dan rosak, bukanlah disengajakan, maka itu dimaafkan. Bukannya termasuk di dalam perkara yang sengaja kita lakukan.

Syarat ini bagi orang yang ada barang yang baik. Kalau seseorang itu pun tidak ada barang yang baik, sebagai contoh, mungkin dia pun ada baju buruk sahaja dan dia sendiri memakai baju buruk, maka bolehlah dia berikan baju buruk kepada orang lain. Syarat yang disebut di dalam ayat ini adalah orang yang ada barang yang baik-baik, tetapi sengaja pilih yang buruk-buruk untuk diberi kepada orang lain.

Bukanlah kita kena pilih yang terbaik daripada barang yang kita ada. Kerana kadang-kadang ada barang yang kita sayang, kalau kita simpan sendiri pun tidak bersalah. Asalkan kita jangan beri barang yang buruk. Perhatikan apabila Nabi Muhammad ﷺ beri arahan kepada Muaz bin Jabal رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ mengambil zakat, baginda bersabda jangan diambil yang terbaik daripada mereka. Hadith ini diriwayatkan oleh Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَعَثَ مُعَاذًا رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ إِلَى الْيَمَنِ فَقَالَ: “إِنَّكَ تَأْتِي قَوْمًا أَهْلَ كِتَابٍ، فَلْيَكُنْ أَوَّلَ مَا تَدْعُوهُمْ إِلَيْهِ شَهَادَةُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ، فَإِنْ هُمْ أَطَاعُوا لَكَ بِذَلِكَ فَأَعْلِمْهُمْ أَنَّ اللَّهَ قَدِ افْتَرَضَ عَلَيْهِمْ خَمْسَ صَلَوَاتٍ فِي كُلِّ يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ، فَإِنْ هُمْ أَطَاعُوا لَكَ بِذَلِكَ فَأَعْلِمْهُمْ أَنَّ اللَّهَ قَدِ افْتَرَضَ عَلَيْهِمْ صَدَقَةً تُؤْخَذُ مِنْ أَغْنِيَائِهِمْ فَتُرَدُّ عَلَى فُقَرَائِهِمْ. فَإِنْ هُمْ أَطَاعُوا لَكَ بِذَلِكَ فَإِيَّاكَ وَكَرَائِمَ أَمْوَالِهِمْ، وَاتَّقِ دَعْوَةَ الْمَظْلُومِ فَإِنَّهُ لَيْسَ بَيْنَهَا وَبَيْنَ اللَّهِ حِجَابٌ.”
Daripada Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا berkata: Nabi ﷺ mengutus Muaz رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ ke Yaman, lalu Baginda bersabda kepadanya: “Sesungguhnya engkau akan mendatangi suatu kaum daripada Ahli Kitab. Maka hendaklah perkara pertama yang kamu seru mereka kepadanya adalah syahadah bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan sesungguhnya Muhammad itu utusan Allah. Jika mereka mentaatimu dalam hal itu, maka beritahukanlah kepada mereka bahawa Allah telah mewajibkan ke atas mereka solat lima waktu pada setiap siang dan malam. Jika mereka mentaatimu dalam hal itu, maka beritahukanlah kepada mereka bahawa Allah telah mewajibkan ke atas mereka sedekah (zakat) yang diambil daripada orang-orang kaya dalam kalangan mereka, lalu diberikan kepada orang-orang fakir dalam kalangan mereka. Jika mereka mentaatimu dalam hal itu, maka janganlah kamu mengambil harta-harta mereka yang paling baik (kerana ia adalah hak mereka), dan berhati-hatilah dengan doa orang yang dizalimi, kerana sesungguhnya tiada hijab antara doanya dengan Allah.”

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

 

وَلَستُم بِآخِذيهِ إِلّا أَن تُغمِضوا فيهِ

padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu, kecuali dengan memejamkan mata padanya.

Apakah kriteria barang yang baik-baik itu? Sekarang Allah ‎ﷻ ajar menggunakan diri kita sendiri sebagai kayu ukur. Bayangkan kalau kita sendiri diberi dengan benda itu? Jangan beri barang yang kita sendiri pun tidak mahu terima kalau diberi oleh orang. Yang kalau kita terima pun dengan pejam mata kerana tidak suka dengan apa yang diberi. Kalimah تُغمِضُواْ adalah dalam bentuk fi’il mudhari’ dan ia bermaksud ‘kamu memejamkan’. Ia dari kata dasar: غ م ض yang bermaksud tidak jelas, tidak disedari, tertutup, rendah, buruk.

Maksudnya, barang itu kalau diberikan kepada kita pun, kita sebenarnya tidak mahu terima, tetapi ambil sahaja sebab orang sudah beri dan tidak mahu nampak sombong dan memalukan pemberi.

Atau, pejam mata itu adalah daripada pihak yang memberi kerana dia sendiri malu kepada pemberi. Dia malu sebab dia sendiri tahu barang yang dia beri itu tidak ada nilai. Namun jangan kata: “Tapi aku bagi orang itu ambik!” Kena faham yang orang yang diberi itu kadangkala ambil juga sebab orang sudah beri, ambil jugalah. Itulah maksudnya. Maknanya, buruk sangat benda yang diberikan itu tetapi ambil kerana jaga hati orang yang memberi sahaja.

Maka ini mengajar kita untuk meletakkan diri di tempat orang lain. Kalau orang lain buat begitu kepada kita, bagaimana? Kalau kita boleh ada rasa empati ini, maka senanglah kita faham. Kerana itu Rasulullah ﷺ mengajar kita supaya suka kalau orang ada apa yang kita suka. Hadith ini masyhur akan tetapi selalunya disalah terjemahkan,

عَنْ أَبِي حَمْزَةَ أَنَسٍ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ – خَادِمِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: ” لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيْهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ ” رَوَاهُ البُخَارِيُّ وَمُسْلِمٌ
Daripada Abu Hamzah Anas bin Malik رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, pembantu Rasulullah ﷺ, daripada Nabi ﷺ bersabda, “Salah seorang di antara kalian tidaklah beriman (dengan iman sempurna) sampai dia mencintai untuk saudaranya sebagaimana dia mencintai untuk dirinya sendiri.”

(Sahih Bukhari No. 13 dan Muslim No. 45)

Syarah: hadith ini selalu diterjemahkan dengan kurang tepat begini: sayangilah saudara kamu seperti kamu menyayangi diri kamu sendiri. Ini kurang tepat dan bagi kita, terjemahan yang betul adalah seperti yang kita kongsikan di atas. Iaitu kita suka saudara kita dapat apa yang kita juga suka. Sebagai contoh, kita dapat ilmu agama yang kita suka, maka kita pun mahu orang yang kita kenal dan sayang pun dapat begitu juga. Apakah kaitan dengan ayat ini? Kalau kita pun tidak suka dengan barang itu, takkan kita hendak beri kepada orang lain pula?

 

Asbabun Nuzul (Sebab Turun) Ayat Al-Baqarah: 267

Menurut riwayat Ibnu Jarir yang diterimanya daripada al-Bara’ bin Azib, dan suatu riwayat pula daripada al-Hasan, pada waktu itu ada beberapa orang di antara mereka yang ketika hasil ladang mereka telah keluar, mereka pisah-pisahkan hasil-hasil yang bagus-bagus dengan yang buruk-buruk. Nanti setelah amil zakat datang, mereka serahkan hasil yang buruk-buruk itu. Inilah asal mula turun ayat; perbuatan yang demikian amat dicela, tidak patut dan tidak seirama dengan jiwa orang yang beriman.

Ayat ini diturunkan untuk menegur amalan sebahagian orang (termasuk dalam kalangan sahabat) yang bersedekah atau mengeluarkan zakat daripada harta benda yang berkualiti rendah atau tidak elok, sedangkan mereka sendiri tidak akan menerima atau menggunakan harta tersebut melainkan dengan rasa jijik atau terpaksa. Terdapat beberapa riwayat mengenai sebab turunnya ayat ini, yang saling melengkapi dan menguatkan makna yang sama:

  1. Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا: Ayat ini diturunkan berkaitan dengan amalan bersedekah daripada kurma yang berkualiti rendah atau rosak (kurma hasysyaf atau jaiyid). Pada masa itu, orang ramai kadang-kadang mengasingkan kurma yang baik untuk diri mereka, dan kemudian mengumpulkan kurma yang buruk atau tidak layak untuk dimakan lalu menjadikannya sedekah atau zakat.
  2. Diriwayatkan daripada Al-Barra’ bin Azib رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ: Ayat ini diturunkan mengenai golongan Ansar. Apabila musim menuai kurma tiba, setiap pemilik kebun akan membawa hasil kurma mereka ke masjid Nabi ﷺ. Kemudian, ada di antara mereka yang sengaja memilih kurma yang sudah kering dan tidak elok, atau yang kurang matang, untuk disedekahkan atau digantung di antara dua tiang masjid. Ini adalah kurma yang mereka sendiri tidak suka memakannya. Allah ‎ﷻ menegur perbuatan ini melalui ayat ini.
  3. Diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا: Beliau menceritakan tentang perlakuan orang-orang yang berhutang atau yang mempunyai janji untuk memberi sedekah. Mereka mencari-cari harta atau hasil pertanian yang paling rendah kualitinya untuk ditunaikan hak orang lain atau sedekah. Padahal, jika harta itu untuk diri mereka, mereka tidak akan memilih yang buruk sedemikian rupa.

Selalu orang bersedekah kepada madrasah atau rumah anak yatim. Malangnya keluhan yang kita dengar, selalunya barang makanan itu sudah basi pun. Contohnya makanan dari jualan kedai yang tidak habis, atau kenduri yang tidak habis. Tapi apabila ia sampai kepada madrasah atau rumah anak yatim itu, mungkin kerana jarak masa, ia sudah tidak boleh dimakan lagi. Jadi kena perhatikan perkara ini. Jangan pakai bagi dan sedap hati sebab sudah ‘bersedekah’ kononnya.

 

وَاعلَموا أَنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ حَميدٌ

Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji.

Sifat Allah غَنِيٌّ

Allah ‎ﷻ Maha Kaya dan tidak perlukan infak kita itu, bukan Allah ‎ﷻ hendak menggunakannya pun. Allah ‎ﷻ suruh infak itu bukan kerana Dia yang mahu dan perlukan harta kita. Kalau seorang guru agama ajar tentang infak entah dia sebenarnya berharapkan sumbangan dari anak muridnya, tetapi Allah ﷻ tidak perlukan apa-apa daripada kita. Allah‎ ﷻ hendak beri peluang kepada kita untuk buat dan kumpul pahala. Allah ﷻ yang sebenarnya kaya dan Dia telah beri segala macam nikmat kepada kita, maka kongsilah dengan orang lain juga.

Allah Maha Kaya, jadi Dia tidak terima pemberian yang buruk-buruk. Ini berbeza dengan manusia yang mungkin kerana terlalu dhaif, maka pemberian buruk pun mereka terpaksa juga.

Lagi satu maksud Allah Maha Kaya adalah Allah ﷻ boleh beri pahala tanpa batasan. Kalau ramai orang infak maka tidaklah Allah ﷻ jadi susah pula untuk balas dengan pahala kerana kekayaan Allah ﷻ tidak terhad.

 

Sifat Allah حَميدٌ

Allah ‎ﷻ sudah sempurna dan tidak perlukan ibadat kita. Kalau kita tidak buat amal ibadah pun Allah ‎ﷻ tetap mulia dan sudah terpuji. Allah ﷻ terpuji kerana telah memberikan segala nikmat kepada kita maka kita pun kenalah buat perkara yang terpuji juga, iaitu beri barangan yang boleh dipakai. Allah‎ ﷻ beri peluang kepada kita untuk infak untuk kebaikan kita sebenarnya. Maka, ambillah peluang itu.

Di sini juga ada maksud Allah ﷻ memuji orang-orang yang baik yang melakukan infak.

 

Gabungan غَنِيٌّ dan حَميدٌ

Gabungan Kaya dan Terpuji ini membezakan antara Allah ﷻ dan makhluk. Manusia apabila kaya, selalunya mereka tidak terpuji. Ramai orang kaya melakukan perkara yang salah sampaikan mereka dipandang buruk oleh orang-orang lain. Namun Allah dengan segala kekayaan-Nya, tidaklah melakukan apa-apa perkara buruk.


 

SYAITAN MENGHALANG MANUSIA BERSEDEKAH

Baqarah Ayat 268: Ayat ini memberitahu kita yang kalau tidak infak, termasuk dalam golongan syaitan. Ia juga mengajar kita yang untuk menjalankan infak, ada satu cabaran besar yang kena dihadapi iaitu bisikan syaitan. Maka ini adalah salah satu penghalang infak. Di dalam ayat sebelum ini kita disuruh untuk beri barang yang baik, sekarang disebut kenapa ada manusia beri barang yang buruk kerana bisikan syaitan.

الشَّيطٰنُ يَعِدُكُمُ الفَقرَ وَيَأمُرُكُم بِالفَحشاءِ ۖ وَاللَّهُ يَعِدُكُم مَّغفِرَةً مِّنهُ وَفَضلًا ۗ وَاللَّهُ وٰسِعٌ عَليمٌ

SAHIH INTERNATIONAL
Satan threatens you with poverty and orders you to immorality, while Allah promises you forgiveness from Him and bounty. And Allah is all-Encompassing and Knowing.

MALAY
Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma), dan dia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil kedekut); sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripada-Nya serta kelebihan kurnia-Nya. Dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmat-Nya, lagi sentiasa Meliputi Pengetahuan-Nya.

 

الشَّيطٰنُ يَعِدُكُمُ الفَقرَ

Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan

Setiap kali kita hendak infak, syaitan akan bisik kepada kita supaya jangan infak seperti bisikan:

[jangan bagi yang baik punya, kau bagi jer yang kau dah tak mahu pakai];

[kalau kita beri sedekah, infak, derma, nanti duit kita akan habis. Keadaan ekonomi susah sekarang, baik simpan duit. Jangan tolong orang sangat… bukan orang tolong kita pun….],

[jangan bagi banyak-banyak, nanti engkau nak makan apa?],

[itu datang lagi orang hendak minta duit lagi, hari tu dah minta, ini datang lagi? Kau duduk senyap jer dalam rumah!]

Dan macam-macam lagi hasutan daripada syaitan supaya kita tidak infak.

Kalimah يَعِدُكُمُ di dalam bentuk present and continuous tense, maka ia bermaksud ia akan berterusan berlaku sampai bila-bila. Akan ada sahaja syaitan yang akan membisikkan perkara ini dan menghasut manusia lain.

Kalimah الفَقرَ daripada kata dasar ف ق ر yang bermaksud miskin, melarat, memerlukan, dikenakan dengan kesusahan sampai boleh mematahkan tulang belakangnya, kesakitan pada tulang belakang. Jadi ia ada dikaitkan dengan tulang belakang yang menjadi kekuatan kepada seseorang. Apabila tulang belakang pun sudah ada masalah, maka ini menandakan kesusahan yang amat teruk. Syaitan akan hasut kita supaya tidak beri barang yang baik kepada penerima. Syaitan kata kita akan jatuh fakir miskin kalau buat begitu.

Begitulah syaitan sentiasa membisikkan halangan kepada manusia supaya tidak buat benda yang baik. Contohnya, ada syaitan yang menghasut manusia supaya jangan belajar agama atau hantar anak belajar agama, kerana mereka kata nanti bila keluar nanti tidak ada kerja dan jadi papa kedana berharap kepada pemberian orang. Kalau kita percaya dengan hasutan syaitan ini, maka kita telah bersangka buruk dengan Allah ﷻ, iaitu kita kata Allah ﷻ tidak akan beri rezeki kepada kita.

Susunan ayat ini berlainan daripada kebiasaan bahasa Arab. Kalimah الشَّيطٰنُ diletakkan di awal ayat. Ini adalah sebagai penekanan untuk kita terus fokus kepada syaitan dan apa yang dilakukannya itu.

Kita telah bincang dan jelaskan di dalam Baqarah:36 siapakah syaitan itu. Ia adalah sifat dan ia boleh jadi jin atau manusia. Sifat itu adalah menjauhkan dari kebenaran. Jadi kalau manusia yang melakukannya, maka manusia itu juga adalah syaitan. Jadi kadang-kadang cadangan supaya jangan infak itu bukannya bisikan dari jin, tetapi kata-kata daripada manusia yang mungkin kawan atau keluarga kita sendiri. Ketahuilah yang ketika itu mereka menjadi syaitan.

Mutawalli asy-Sya’rawi رَحِمَهُ اللَّهُ mengemukakan, dalam bukunya yang berjudul asy-Syithan wa al-lnsan, lebih kurang sebagai berikut, “Kita harus tahu bahawa ada syaitan-syaitan daripada jenis jin dan syaitan-syaitan daripada jenis manusia. Kedua jenis itu dihimpun oleh sifat yang sama dan juga tugas yang sama, iaitu menyebarluaskan kedurhakaan dan kerosakan di bumi. Syaitan-syaitan jin adalah mereka yang derhaka daripada jenis jin yang membendung kebenaran dan mengajak kepada kekufuran. Syaitan-syaitan jenis manusia melaksanakan tugas yang sama. ” Apa yang dikemukakan ini berdasarkan firman Allah ‎ﷻ di dalam An‘am:112

وَكَذٰلِكَ جَعَلنَا لِكُلِّ نَبِىٍّ عَدُوًّا شَيَـٰطِينَ ٱلإِنسِ وَٱلجِنِّ يُوحِى بَعضُهُم إِلَىٰ بَعضٍ زُخرُفَ ٱلقَولِ غُرُورًا‌
Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh daripada Syaitan-syaitan manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada setengahnya yang lain kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya.

Orang yang berilmu dan tinggi imannya tentu tidak termakan dengan kata-kata hasutan daripada syaitan ini. Kerana itulah ada banyak ayat Al-Qur’an dan hadith tentang kelebihan infak. Orang mukmin yakin bahawa berapa banyak pun dia beri, ia tidak akan mengurangkan hartanya, malah hartanya akan bertambah lagi. Mereka berpegang dengan hadith ini,

“مَا نَقَصَ مَالٌ مِنْ صَدَقَةٍ، وَمَا زَادَ اللهُ عَبْدًا بِعَفْوٍ إِلَّا عِزًّا وَمَنْ تَوَاضَعَ ِللهِ رَفَعَهُ اللهُ”
Tiada harta benda yang berkurang kerana bersedekah, dan tidak sekali-kali Allah menambahkan kepada orang yang berin­fak melainkan kemuliaannya. Dan barang siapa yang merendah diri kerana Allah, Allah pasti mengangkatnya (meninggikannya).

(Sahih Muslim No. 4689)

Bagaimana mungkin orang berinfak itu akan kerugian, sedangkan para malaikat berdoa kepada Allah ‎ﷻ untuk beri balasan kepada orang yang berinfak,

“مَا مِنْ يَوْمٍ يُصْبِحُ الْعِبَادُ فِيهِ إِلَّا وَمَلَكَانِ يَنْزِلَانِ مِنَ السَّمَاءِ يَقُولُ أَحَدُهُمَا: اللَّهُمَّ أَعْطِ مُنْفِقًا خَلَفًا، وَيَقُولُ الْآخَرُ: اللَّهُمَّ أَعْطِ مُمْسِكًا تَلَفًا”
Tiada suatu hari pun yang padanya hamba-hamba Allah berpagi hari melainkan terdapat dua malaikat yang turun dari langit. Salah seorang yang mengatakan, “Ya Allah, berikanlah ganti kepada orang yang berinfak.” Sedangkan malaikat yang lain­nya mengatakan, “Ya Allah, berikanlah kehancuran bagi orang yang kikir.”

(Sahih Bukhari No. 1442)

Nota: Orang kita buat pandai pula dengan reka satu amalan yang dinamakan ‘Sedekah Subuh’ setelah dengar hadith ini. Pada mereka, hadith ini beri gambaran kepada sedekah subuh. Maka adalah yang buat tabung di rumah dan waktu subuh dia masukkan sedikit duit. Entah bila dia hendak hantar ke tempat yang sepatutnya. Kalau betul hendak sedekah waktu subuh, kenalah cari orang untuk diberi waktu subuh itu juga! Setelah diteliti, sebenarnya tidak terdapat sebarang petunjuk yang jelas yang mengkhususkan perbuatan bersedekah di situ dilakukan pada waktu subuh. Bahkan, yang jelas adalah dua malaikat itu turun pada waktu subuh, dan salah satunya mendoakan gantian yang baik daripada Allah ‎ﷻ kepada orang yang bersedekah. Ini sebenarnya meliputi orang yang bersedekah pada bila-bila masa, baik subuh, petang, atau malam. Doa ini tidak terkhusus kepada mereka yang melakukan sedekah pada waktu subuh sahaja.

Ini juga dapat difahami, dengan melihat kepada doa yang berikutnya. Apakah mereka yang menahan hartanya daripada sedekah pada waktu subuh sahaja yang termasuk dalam doa malaikat agar Allah ‎ﷻ binasakan hartanya? Atau mereka yang menahan hartanya pada waktu-waktu yang lain turut termasuk dalam doa tersebut? Tentulah termasuk juga. Ini menunjukkan bahawa kedekut dan bakhil dengan harta tidak dianggap mempunyai keburukan yang lebih pada waktu subuh berbanding waktu-waktu lain. Sama keadaannya bersedekah dengan harta tidak dianggap mempunyai keutamaan yang lebih pada waktu subuh berbanding waktu-waktu lain. Bahkan sebenarnya dalam sebahagian riwayat, Rasulullah ﷺ bukan sekadar menyebutkan dua malaikat itu turun pada waktu subuh. Bahkan juga turut turun pada waktu Maghrib. Ini berdasarkan sabda Rasulullah ﷺ:

وَلَا غَرَبَتْ إِلَّا بِجَنْبَتَيْهَا مَلَكَانِ يُنَادِيَانِ اللَّهُمَّ أَعْطِ مُنْفِقًا خَلَفًا وَأَعْطِ مُمْسِكًا تَلَفًا
Dan tidak terbenam matahari melainkan pada dua sudutnya terdapat dua malaikat yang menyeru : Ya Allah, berikanlah gantian kepada orang yang menginfaqkan (hartanya). Dan berikanlah kebinasaan kepada orang yang menahan hartanya (kedekut dan bakhil).

(Riwayat Ibn Hibban dalam Sahih Ibn Hibban No. 3329)

Tidaklah pula orang kita ada yang buat satu istilah baharu pula: ‘Sedekah Maghrib’. Mungkin kerana belum menemui hadith ini agaknya. Kesimpulannya, bersedekah itu merupakan suatu kebaikan yang besar. Ia boleh dilakukan pada bila-bila masa. Baik subuh, petang, mahupun malam. Tidak ada waktu yang mengatasi fadhilat waktu yang lain dari sudut ini.

 

وَيَأمُرُكُم بِالفَحشاءِ

dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji

Syaitan hanya menyuruh kepada melakukan perbuatan dosa dan perkara yang memalukan. Ada yang mengatakan yang dimaksudkan di dalam ayat ini bermaksud ‘kedekut’ kerana memang kedekut adalah satu sifat yang memalukan. Ini kerana ia suatu sifat yang tidak patut ada pada orang yang baik. Satu dunia tahu yang kedekut adalah sifat yang buruk, hatta orang kafir pun tahu. Ulama’ mengatakan apabila kalimah الفَحشاءِ digunakan di dalam Al-Qur’an, ia bermaksud dosa-dosa yang berkenaan seks seperti zina dan yang membawa kepadanya; kecuali di dalam ayat ini yang membawa maksud bakhil atau kedekut.

Akan tetapi ini telah menyempitkan maksud الفَحشاءِ yang lebih luas lagi. Kalau setakat kedekut, ia telah diberi maksudnya di atas apabila syaitan menyuruh manusia jangan infak. Kerana orang yang tidak infak, automatik akan menjadi kedekut. Jadi الفَحشاءِ adalah segala sesuatu yang dihimpun oleh apa yang dianggap sangat buruk oleh akal yang sihat, agama, budaya, dan naluri manusia. Ia merangkumi banyak sekali dosa-dosa dan bukan hanya kedekut sahaja.

Lihatlah dalam ayat ini, disebut syaitan ‘menyuruh’ يَأمُرُ, maknanya memberi arahan kepada manusia. Maknanya, Syaitan sudah boleh beri arahan kepada orang itu. Mula-mula dia hanya boleh bisikkan sahaja tetapi kalau sudah selalu sangat ikut bisikan dan saranan syaitan, sampai satu masa syaitan sudah boleh beri arahan terus.

 

وَاللَّهُ يَعِدُكُم مَّغفِرَةً مِّنهُ

sedangkan Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripada-Nya

Di sini kita dapat tahu yang Allah ‎ﷻ akan beri keampunan kepada kita apabila kita infak. Kita tentunya banyak dosa, maka infak itu dapat membersihkan dosa-dosa kita. Ini dikuatkan lagi dengan ayat Tawbah:104

أَلَم يَعلَموا أَنَّ اللَّهَ هُوَ يَقبَلُ التَّوبَةَ عَن عِبادِهِ وَيَأخُذُ الصَّدَقٰتِ وَأَنَّ اللَّهَ هُوَ التَّوّابُ الرَّحيمُ
Tidaklah mereka mengetahui, bahawasanya Allah menerima taubat daripada hamba-hamba-Nya dan menerima zakat dan bahawasanya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang?

Ayat Tawbah:104 ini disebut oleh Allah ﷻ setelah menyebut tentang sedekah dan zakat. Maka ada kaitan yang amat rapat antara sedekah dan pengampunan daripada Allah ﷻ.

Mungkin ada tidak nampak kepentingan pengampunan ini kerana mereka hendak juga balasan di dunia lagi. Maka jangan kita pandang rendah janji Allah ﷻ ini kerana pengampunan dosa akan menambah rezeki kita seperti disebut dalam Nuh:10-12. Ini kerana rezeki kita sempit adalah kerana dosa yang banyak.

فَقُلۡتُ ٱسۡتَغۡفِرُواْ رَبَّكُمۡ إِنَّهُ ۥ كَانَ غَفَّارًا (١٠) يُرۡسِلِ ٱلسَّمَآءَ عَلَيۡكُم مِّدۡرَارًا (١١) وَيُمۡدِدۡكُم بِأَمۡوَٲلٍ وَبَنِينَ وَيَجۡعَل لَّكُمۡ جَنَّـٰتٍ وَيَجۡعَل لَّكُمۡ أَنۡہَـٰرًا (١٢)
Sehingga aku (Nabi Nuh) berkata: Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Dia Maha Pengampun. (10) (Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah kepada kamu; (11) Dan Dia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya). (12)

Begitulah kalau kita taat kepada Allah ﷻ, Allah ﷻ akan berikan kekayaan yang melimpah ruah kepada kita seperti disebut di dalam A’raf:96

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ 
Dan sekiranya penduduk negeri-negeri itu beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membukakan kepada mereka (pintu-pintu) keberkatan dari langit dan bumi. 

Di dalam ayat ini Allah ﷻ tekankan keampunan daripada Dia مَغفِرَةً مِّنهُ. Keampunan daripada Allah ﷻ tentulah tidak sama dengan pemaafan daripada manusia. Kalau manusia ampunkan, dia tidak beri hadiah sebagaimana Allah ﷻ berikan kepada kita.

Malah yang lebih penting, apabila di akhirat pula dosa kita tiada dan mendapat rahmat Allah ﷻ untuk masuk syurga. Ini kerana punca kita dimasukkan ke dalam neraka adalah kerana dosa. Maka kita kena berharap dan minta ampun banyak-banyak daripada Allah ﷻ. Sekarang kita diberitahu yang kalau infak, Allah ﷻ akan beri pengampunan.

 

وَفَضلًا

serta kurnian-(Nya).

Maksud فَضلًا pula adalah rezeki yang tidak disangka-sangka sebagai kurniaan daripada Allah ﷻ.

Atau ia boleh jadi Allah ﷻ jauhkan kita daripada musibah. Mungkin tidak nampak duit yang banyak tetapi apabila jauh daripada musibah itu kadangkala lebih bagus kerana duit kita selamat. Apa guna kalau gaji tinggi dan harta banyak kalau sikit-sikit ada musibah yang menyebabkan wang kita habis begitu sahaja. Perhatikan entah berapa ramai sakit dan habis duit mereka bayar kepada hospital sahaja. Jadi kalau Allah ﷻ berikan فَضلًا bermaksud Allah ﷻ selamatkan.

Atau ia bermakna Allah ﷻ beri keberkatan pada duit kita yang ada. Apabila ada keberkatan pada harta dan pendapatan, walaupun sedikit tetapi nampak cukup sahaja. Kerana itu ramai kita lihat orang yang gaji kecil sahaja tetapi kita tidak lihat pun mereka ada masalah untuk makan dan pakai dan menjalani kehidupan mereka.

Dari segi agama, Allah ‎ﷻ akan beri taufik kepada kita untuk mengerjakan amal ibadat. Taufik adalah kekuatan untuk melakukan perkara yang Allah ‎ﷻ suruh. Kadang-kadang ada manusia yang hidayah sudah sampai kepada dia – dia tahu dia kena buat amal ibadat, tetapi dia tidak buat kerana dia tidak dapat taufik. Tidak ada kekuatan pada diri dia.

 

وَاللَّهُ وٰسِعٌ عَليمٌ

Dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmat-Nya, lagi sentiasa Meliputi Pengetahuan-Nya.

Allah ‎ﷻ akan balas dengan beri tambahan ganjaran di akhirat. Dia Maha Tahu siapakah yang beri infak dan Dia akan balas infak itu dengan pahala yang lebih baik daripada infak yang kita beri itu. Allah ‎ﷻ boleh beri ganjaran yang berganda-ganda kerana rahmat-Nya amat luas.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 1 Jun 2026

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Baqarah Ayat 265 – 266 (Infak yang berganda-ganda)

PERUMPAMAAN: SEDEKAH YANG DITERIMA

Baqarah Ayat 265: Masih lagi membicarakan tentang syarat-syarat dalam mengeluarkan infak.

وَمَثَلُ الَّذينَ يُنفِقونَ أَموٰلَهُمُ ابتِغاءَ مَرضاتِ اللَّهِ وَتَثبيتًا مِّن أَنفُسِهِم كَمَثَلِ جَنَّةٍ بِرَبوَةٍ أَصابَها وابِلٌ فَآتَت أُكُلَها ضِعفَينِ فَإِن لَّم يُصِبها وابِلٌ فَطَلٌّ ۗ وَاللَّهُ بِما تَعمَلونَ بَصيرٌ

SAHIH INTERNATIONAL
And the example of those who spend their wealth seeking means to the approval of Allah and assuring [reward for] themselves is like a garden on high ground which is hit by a downpour – so it yields its fruits in double. And [even] if it is not hit by a downpour, then a drizzle [is sufficient]. And Allah , of what you do, is Seeing.

MALAY
Dan bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredhaan Allah dan kerana meneguhkan (iman dan perasaan ikhlas) yang timbul daripada jiwa mereka, adalah seperti sebuah kebun di tempat yang tinggi, yang ditimpa hujan lebat, lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda. Kalau ia tidak ditimpa hujan lebat maka hujan renyai-renyai pun (cukup untuk menyiraminya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat akan apa yang kamu lakukan.

 

وَمَثَلُ الَّذينَ يُنفِقونَ أَموٰلَهُمُ ابتِغاءَ مَرضاتِ اللَّهِ

Dan bandingan orang-orang yang membelanjakan harta-hartanya kerana mencari keredhaan Allah

Masih lagi di dalam bab infak. Banyak Allah ‎ﷻ berikan anjuran tentang infak dan syarat-syarat di dalam infak kerana ia adalah satu ibadah yang sukar dilakukan. Ini kerana kalau ibadah badan, ia tidak memerlukan modal seperti solat sunat, puasa sunat dan sebagainya. Akan tetapi kalau infak, kita kena beri harta kita yang kita selalu anggap sebagai hasil usaha kita.

Allah ‎ﷻ hendak memberitahu perumpamaan mereka yang infak itu. Daripada ayat ini, kita tahu yang infak itu mesti kerana hendak mencari redha ilahi. Maksudnya tujuan infak itu antara lain adalah untuk menggembirakan Allah ‎ﷻ. Mendapatkan redha Allah ‎ﷻ adalah puncak segala tujuan dalam kehidupan seorang Muslim. Ia bukan sekadar konsep keagamaan, tetapi intipati kejayaan sebenar di dunia dan akhirat. Kepentingannya sangat besar sehingga ia menjadi motivasi utama setiap ibadah dan perbuatan baik.

Kenapa perlu cari redha Allah ‎ﷻ? Redha Allah ‎ﷻ adalah sumber kebahagiaan yang hakiki. Di dunia, orang yang diredhai Allah ‎ﷻ akan merasa ketenangan jiwa, kepuasan hati, dan keberkatan dalam setiap aspek kehidupannya, meskipun menghadapi ujian. Hatinya tidak akan bergantung pada material atau pujian manusia, sebaliknya sentiasa bersandar sepenuhnya pada Allah ‎ﷻ.

Di akhirat pula, redha Allah ‎ﷻ adalah tiket utama untuk memasuki Syurga, tempat kenikmatan abadi yang tidak pernah dilihat mata, tidak pernah didengar telinga, dan tidak pernah terlintas di hati manusia. Allah ‎ﷻ berfirman dalam Surah Fajr:27-30:

“يَا أَيَّتُهَا النَّفْسُ الْمُطْمَئِنَّةُ ارْجِعِي إِلَىٰ رَبِّكِ رَاضِيَةً مَّرْضِيَّةً فَادْخُلِي فِي عِبَادِي وَادْخُلِي جَنَّتِي”
“Wahai jiwa yang tenang! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha lagi diredhai. Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hamba-Ku, dan masuklah ke dalam Syurga-Ku.”

Jadi redha Allah ‎ﷻ itu amat-amat penting maka kita kena ada keinginan untuk mendapatnya. Ini termasuk di dalam perkara niat. Oleh itu, niat semasa mengeluarkan infak itu kenalah betul. Ia mesti ikhlas kerana Allah ‎ﷻ. Jangan sebab hendak menunjuk-nunjuk kepada orang lain dan niat-niat lain yang salah.

 

وَتَثبيتًا مِّن أَنفُسِهِم

dan kerana meneguhkan (iman dan perasaan ikhlas) yang timbul daripada jiwa mereka, 

Di sini kita diberitahu yang infak itu boleh meneguhkan hati. Orang yang mengeluarkan infak itu adalah kerana mereka yakin yang akhirat itu ada dan mereka yakin yang infak mereka itu akan dapat balasannya di akhirat kelak. Maka mereka mendapat latihan hati setiap kali mereka infak. Setiap kali mereka infak, mereka yakin yang Allah ‎ﷻ akan balas dan lama kelamaan keyakinan ini semakin jitu dan mereka akan tetap yakin dengannya dan hati mereka menjadi mantap dengan Allah ‎ﷻ. Orang yang tetap hatinya akan mudah untuk melakukan ibadah dan imannya akan tetap kuat dan tidak mudah disesatkan.

Apabila telah teguh hati pemberi infak itu dengan janji Allah ‎ﷻ, maka dia dengan senang hati akan senang untuk infakkan hartanya. Tidaklah dia fikir-fikirkan lagi tentang wang yang telah dibelanjakan. Tidaklah dia rasa menyesal walaupun selepas itu timbul keperluan yang mendesak kepada dirinya. Tidaklah dia cakap: “Ish, kalaulah aku tak bagi kat orang itu hari itu!”. Tidak, seorang yang sudah teguh hatinya tidak akan berkata begitu.

Jadi kena latih diri kita untuk dapat keyakinan ini. Mungkin pada awalnya, kita tidak dapat rasa begitu. Namun lama kelamaan, kita terus infak, perasaan itu akan datang. Mungkin kita mulakan dengan infak yang sedikit, dan Allah‎ ﷻ akan kuatkan jiwa kita. Lama kelamaan kita akan biasa untuk infak yang besar-besar.

Apabila kita yakin yang kita akan dapat balasan di akhirat kelak, maka kesannya, kita akan rasa senang hati untuk mengeluarkan infak. Oleh itu, kesimpulannya, kita keluarkan infak itu supaya hati teguh dengan agama. Dengan sebab infak, Allah ‎ﷻ akan kuatkan jiwa kita atas agama.

 

كَمَثَلِ جَنَّةٍ بِرَبوَةٍ أَصابَها وابِلٌ

adalah seperti sebuah kebun di tempat yang tinggi, yang ditimpa hujan lebat,

Perumpamaan yang Allah ‎ﷻ beri: bayangkan sebidang tanah kebun yang berada di kawasan tanah tinggi. Jadi sifat pertama yang disebut adalah بِرَبوَةٍ iaitu tanah yang tinggi. Ia daripada kata dasar: ر ب و yang bermaksud bertambah, transaksi riba, berlebihan, menjadi tinggi, bengkak, tercungap-cungap, memutuskan. Tanah tinggi selalunya subur untuk pertanian atas beberapa sebab utama yang berkaitan dengan ciri-ciri geografi, iklim, dan geologi. Faktor-faktor ini bergabung untuk menghasilkan persekitaran yang kondusif bagi pertumbuhan tanaman tertentu.

Apabila ia tinggi, ia tidak ditenggelami air kerana banjir hanya terjadi di tanah rendah sahaja. Kerana itu ia akan selamat. Kalau kita perhatikan, selalunya tumbuhan yang baik-baik datang dari tempat-tempat yang tinggi seperti Cameron Highlands itu. Ketinggian meningkatkan altitud, yang secara amnya menyebabkan suhu lebih rendah berbanding tanah rendah. Suhu yang lebih sejuk ini sangat sesuai untuk tanaman yang tidak tahan panas melampau, seperti teh, kopi, strawberi, dan beberapa jenis sayur-sayuran berdaun. Perbezaan suhu yang ketara antara siang dan malam di tanah tinggi (siang panas, malam sejuk) membantu dalam perkembangan aroma dan rasa yang lebih kaya pada buah-buahan dan sayur-sayuran. Suhu yang lebih sejuk di tanah tinggi tidak sesuai untuk pembiakan dan kelangsungan hidup banyak jenis perosak dan serangga pembawa penyakit tanaman. Ini mengurangkan keperluan penggunaan racun perosak, membolehkan pertanian yang lebih lestari dan sihat. Sesetengah penyakit kulat juga kurang merebak dalam keadaan suhu yang lebih sejuk.

Di tanah tinggi juga akan mendapat cahaya matahari yang terus tanpa dihalang oleh benda-benda lain seperti bukit. Ia juga akan mendapat peredaran udara yang berterusan kerana tidak dihalang. Maka pendebungaan dapat berjalan dengan banyak di kawasan itu kerana banyak angin yang membawa benih. Di kawasan hutan tanah tinggi yang masih asli, lapisan atas tanah (topsoil) yang kaya dengan bahan organik cenderung lebih terpelihara daripada hakisan berbanding kawasan tanah rendah yang lebih terdedah kepada aktiviti manusia dan air larian permukaan yang kuat.

Maka ia adalah tanah yang sudah sedia subur, dan Allah ‎ﷻ beri pula hujan lebat وابِلٌ yang akan menyuburkan tanah itu lagi. Tanaman memang memerlukan air dan walaupun dapat hujan yang lebat, ia tidak membahayakan kerana air yang berlebihan akan turun ke bawah. Jadi tidak ada banjir atau air berlebihan yang boleh merosakkan tanaman itu. Tanah tinggi yang tidak kontang dan sentiasa dilimpahkan dengan hujan lebat memang menjadi tanah yang sangat subur.

Allah berikan perumpamaan dalam bentuk visual supaya kita dapat bayangkan
Allah ‎ﷻ berikan perumpamaan dalam bentuk visual supaya kita dapat bayangkan

 

فَآتَت أُكُلَها ضِعفَينِ

lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda

Tanah itu kerana amat subur, akan mengeluarkan hasil yang berganda kerana tanahnya subur dan memperolehi air hujan yang banyak. Begitulah Allah ‎ﷻ menggunakan perumpamaan tanaman untuk kita bayangkan kesuburan infak dan ini meneruskan perumpamaan tumbuhan di dalam Baqarah:261

مَثَلُ الَّذينَ يُنفِقونَ أَموٰلَهُم في سَبيلِ اللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَت سَبعَ سَنابِلَ في كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّائَةُ حَبَّةٍ ۗ وَاللَّهُ يُضٰعِفُ لِمَن يَشاءُ ۗ وَاللَّهُ وٰسِعٌ عَليمٌ
Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi Meliputi ilmu pengetahuan-Nya.

 

فَإِن لَّم يُصِبها وابِلٌ فَطَلٌّ

Kalau ia tidak ditimpa hujan lebat maka hujan renyai-renyai pun cukup

Kalau tidak dapat hujan lebat pun, cukup dengan hujan renyai-renyai kerana tanah memang sudah subur. Kalimah طَلٌّ‌ bermaksud ‘hujan renyai’ dan ia daripada kata dasar: ط ل ل yang bermaksud embun, basah yang ringan, pancutan.

Tidaklah dapat tuaian yang berganda, tetapi tetap ada juga. Maknanya kalau amalan dibuat kerana Allah ‎ﷻ dan hati gembira semasa melakukannya, infak sedikit pun sudah dapat pahala yang banyak dan kalau buat lebih banyak, lebih-lebih lagi. Maka jangan kita pandang rendah infak yang sedikit.

 

وَاللَّهُ بِما تَعمَلونَ بَصيرٌ

Dan Allah sentiasa Melihat akan apa yang kamu lakukan.

Ayat ini diakhiri dengan lafaz تَعْمَلُونَ dahulu. Selalu تَعْمَلُونَ digandingkan dengan kalimah بَصِيرٌ. Akan tetapi susunannya berubah-ubah. Kadang-kadang Allah ‎ﷻ dahulukan lafaz بَصِيرٌ sebelum lafaz تَعْمَلُونَ. Apabila kita kaji, kita nampak apabila ayat itu berkenaan dengan amal perbuatan manusia, potongan ayat itu akan dimulakan dengan perkataan تَعْمَلُونَ (yang kamu perbuat) kerana perbuatan itu adalah amalan fizikal. Macam ayat ini, ia adalah tentang infak, dan infak adalah perbuatan fizikal, maka dimulakan dengan perkataan تَعْمَلُونَ.

Akan tetapi jikalau ayat itu adalah tentang amalan hati, Allah ‎ﷻ akan mulakan dengan perkataan بَصِيرٌ sebelum تَعْمَلُونَ kerana Allah ‎ﷻ hendak memberitahu bahawa Dia nampak apakah niat hati kita dahulu. Ma sha Allah…. Senang bila tahu untuk kita hafal Al-Qur’an. Sebab kadang-kadang bertukar dan kalau tidak tahu formula ini, kalau sedang membaca Al-Qur’an daripada hafalan, ada masa akan tersangkut kerana kita terlupa susunan. Dengan tahu formula ini, kalau ayat itu sedang memperkatakan amalan fizikal, maka kita tahu susunannya seperti susunan dalam ayat ini.


 

SEDEKAH YANG TIDAK DITERIMA

Baqarah Ayat 266: Ini pula keterbalikan daripada orang sebelum ini. Sekali lagi Allah ‎ﷻ berikan perumpamaan. Allah ‎ﷻ hendak menceritakan jenis orang yang tidak ada ikhlas semasa melakukan infak. Ini juga adalah ayat perumpamaan.

أَيَوَدُّ أَحَدُڪُم أَن تَكُونَ لَهُ ۥ جَنَّةٌ مِّن نَّخِيلٍ وَأَعنَابٍ تَجرِى مِن تَحتِهَا ٱلأَنهَـٰرُ لَهُ ۥ فِيهَا مِن ڪُلِّ ٱلثَّمَرٰتِ وَأَصَابَهُ ٱلكِبَرُ وَلَهُ ۥ ذُرِّيَّةٌ ضُعَفَآءُ فَأَصَابَهَآ إِعصَارٌ فِيهِ نَارٌ فَاحتَرَقَت ۗ كَذٰلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَڪُمُ ٱلأَيَـٰتِ لَعَلَّكُم تَتَفَكَّرُونَ

SAHIH INTERNATIONAL
Would one of you like to have a garden of palm trees and grapevines underneath which rivers flow in which he has from every fruit? But he is afflicted with old age and has weak offspring, and it is hit by a whirlwind containing fire and is burned. Thus does Allah make clear to you [His] verses that you might give thought.

MALAY
Adakah seseorang di antara kamu suka mempunyai sebuah kebun daripada pokok tamar (kurma) dan anggur, yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, dia juga mempunyai dalam kebun itu segala jenis buah-buahan, sedang dia sudah tua dan mempunyai banyak anak cucu yang masih kecil, lalu kebun itu diserang oleh angin taufan yang membawa api sehingga terbakarlah ia? Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu keterangan-keterangan, supaya kamu berfikir (dan mengambil iktibar).

 

أَيَوَدُّ أَحَدُكُم أَن تَكونَ لَهُ جَنَّةٌ مِّن نَّخيلٍ وَأَعنابٍ

Adakah seseorang di antara kamu suka mempunyai sebuah kebun daripada pokok-pokok tamar dan buah-buah anggur,

Allah ‎ﷻ beri perumpamaan lagi. Bayangkan seseorang yang mempunyai kebun kurma dan juga kebun anggur. Allah ‎ﷻ beri contoh tamar dan anggur dalam ayat ini kerana itu adalah tanaman yang biasa dikenali di tanah Arab. Kalau Allah ‎ﷻ sebut rambutan, tentulah susah untuk terangkan tentang rambutan pula kepada mereka. Namun kenapa kurma dan anggur?

Kurma – adalah sumber makanan bangsa Arab yang utama.

Anggur – adalah contoh makanan yang mewah. Kalau sebut kebun tamar, itu biasa sahaja kerana tamar adalah makanan ruji mereka. Namun apabila disebut kebun anggur, itu dikira sebagai hebat. Allah ‎ﷻ suruh kita bayangkan seorang lelaki yang mempunyai kebun tamar dan anggur. Bukan satu kebun, tetapi dua kebun dia ada.

Maknanya, Allah ‎ﷻ bukan sahaja menumbuhkan tanaman sebagai sumber tanaman tetapi juga makanan yang mewah kepada manusia. Kurma adalah makan ruji bagi orang Arab pada waktu itu kerana ia bukan sahaja buah akan tetapi ia merupakan makanan yang boleh mengenyangkan dan mengandungi zat yang banyak. Kurma mengandungi karbohidrat, serat, vitamin (seperti B6, K), dan bahan galian seperti kalium, magnesium, dan zat besi. Ia boleh memberi tenaga segera kerana kandungan gula semula jadi yang tinggi (glukosa, fruktosa). Oleh itu kurma adalah sumber tenaga cepat yang bagus untuk mengembalikan stamina, terutama selepas berpuasa. Salah satu hadith yang paling masyhur mengenai perkara ini diriwayatkan oleh Anas bin Malik رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, beliau berkata:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُفْطِرُ قَبْلَ أَنْ يُصَلِّيَ عَلَى رُطَبَاتٍ، فَإِنْ لَمْ تَكُنْ رُطَبَاتٌ فَتُمَيْرَاتٌ، فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تُمَيْرَاتٌ حَسَا حَسَوَاتٍ مِنْ مَاءٍ
“Adalah Rasulullah ﷺ berbuka puasa sebelum solat (Maghrib) dengan beberapa biji kurma basah (rutab). Sekiranya tidak ada kurma basah, maka Baginda berbuka dengan beberapa biji kurma kering (tamr). Dan sekiranya tidak ada kurma kering, maka Baginda meneguk beberapa teguk air.”

(Riwayat At-Tirmizi, Abu Daud, dan Ahmad. At-Tirmizi menyatakan hadith ini Hasan Gharib.)

Malah ada kelebihan lain bagi kurma ajwa,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رضي الله عنه قَالَ:
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ: “مَنْ تَصَبَّحَ بِسَبْعِ تَمَرَاتٍ عَجْوَةٍ لَمْ يَضُرَّهُ ذَلِكَ الْيَوْمَ سُمٌّ وَلَا سِحْرٌ.”
“Barangsiapa yang memulai paginya dengan memakan tujuh butir kurma ajwa, maka pada hari itu tidak akan membahayakannya racun mahupun sihir.”

(Riwayat Bukhari No. 5440, Muslim No. 2049)

Anggur juga sering disebut di dalam Al-Qur’an. Walaupun Al-Qur’an bukan kitab sains, fakta kesihatan moden membuktikan anggur kaya dengan antioksidan, terutamanya resveratrol yang baik untuk jantung. Ia juga mengandungi vitamin C, K, dan serat yang baik untuk pencernaan dan imun. Air anggur juga bermanfaat sebagai penambah tenaga. Dalam Al-Qur’an, buah anggur disebut dalam konteks kurniaan rezeki dan pertanian. Ia menggambarkan hasil bumi yang subur dan kehidupan yang makmur. Anggur disebut dalam al-Qur’an sebagai lambang nikmat Allah ‎ﷻ di dunia dan akhirat, mengingatkan manusia akan keindahan ciptaan-Nya, dan mendorong kita untuk bersyukur dan mengambil manfaat daripadanya.

Kurma dan anggur selalu disebutkan bergandingan kerana ada persamaan antara keduanya.

    • Kedua-duanya boleh dimakan dalam keadaan basah dan kering.
    • Kedua-duanya boleh dimakan tanpa perlu proses, tanpa perlu dikopek pun kulit seperti pisang dan durian. Boleh petik dan terus makan sahaja.
    • Kalau dikeringkan, ia boleh disimpan lama. Kalau dibandingkan dengan epal contohnya, tidak boleh dikeringkan dan disimpan sebegitu.
    • Tambahan pula kedua-dua buahan ini senang dipetik kerana pokoknya rendah sahaja.

Macam kurma itu ada tiga peringkat (بَلَح – masih mentah dan belum manis, رُطَب – Kurma mulai lembut, basah, dan sangat manis dan تَمْر – telah kering secara semula jadi, menjadi lebih kecil dan gelap). Ketiga-tiga peringkat ini boleh dimakan dengan khasiat yang tersendiri. Memang banyaklah kalau hendak diceritakan tentang kurma ini tetapi takut orang kata kita jadi promoter untuk Yusuf Taiyob pula.

Akhir sekali, perhatikan penggunaan kalimah di dalam ayat ini. Kalau نَّخيلٍ sebenarnya adalah merujuk kepada pokok-pokok kurma. Tapi bila disebut anggur, digunakan kalimah أَعنابٍ yang merujuk kepada buahnya sahaja. Kenapa disebut pokok kurma? Ia bukan sekadar tanaman, tetapi menjadi tulang belakang kehidupan, ekonomi, dan budaya di rantau gurun. Ia tidak sama dengan anggur kerana anggur hanya dimakan buahnya sahaja. Namun sebaliknya hampir setiap bahagian pokok kurma boleh digunakan:

    • Batang Pokok: Kayu daripada batang pokok kurma, walaupun agak ringan dan tidak setahan kayu balak lain, ia boleh digunakan untuk membina rumah, pondok, jambatan kecil, dan struktur lain terutamanya di kawasan oasis. Ia juga boleh digunakan sebagai bahan bakar.
    • Pelepah Daun: Pelepah kurma yang kuat digunakan untuk membuat perabot, peti, pagar, dan alat-alat pertanian.
    • Daun: Daun-daunnya yang panjang dan liat dianyam menjadi tikar, bakul, kipas, payung, dan pelbagai jenis kraf tangan. Ia juga digunakan untuk membuat atap dan dinding teratak atau pondok.
    • Serat Pelepah/Batang: Serat ini boleh dijadikan tali, jaring, dan bahan pengikat.

 

تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ

yang mengalir di bawahnya beberapa sungai,

Kebun itu ada anak sungai pula yang boleh beri air kepada kebun itu. Ini adalah sesuatu yang amat hebat kerana ayat ini mula diturunkan di Tanah Arab yang bukan mudah untuk mendapatkan air. Namun kebun yang disebut dalam ayat ini ada sistem pengairannya yang tersendiri. Jadi ini bukan kebun biasa-biasa. Inilah idaman dan cita-cita orang di sana.

 

لَهُ فيها مِن كُلِّ الثَّمَرٰتِ

dia juga mempunyai dalam kebun itu segala jenis buah-buahan,

Selain kurma dan anggur, ada pula tanaman buah-buahan lain. Itu adalah tanaman sampingan yang boleh tambah pendapatan kepada tuan punya kebun itu. Jadi, secara ringkasnya, hebatlah kebun itu.

Itulah perumpamaan kepada infak yang kita telah keluarkan. Ia adalah sesuatu yang amat hebat, yang akan memberi hasil kepada kita di masa kita tua nanti. Balasan dan hasil berganda-ganda.

 

وَأَصابَهُ الكِبَرُ وَلَهُ ذُرِّيَّةٌ ضُعَفاءُ

sedang dia sudah tua dan mempunyai zuriat yang masih kecil,

Sekarang bayangkan apabila telah sampai masa tuanya, dan dia ada anak tetapi mereka masih lagi kecil-kecil. Dia sudah lama mengusahakan kebunnya itu. Sekarang dia sudah tua dan anak-anaknya tidak dapat diharapkan lagi kerana masih kecil. Mereka pun belum besar lagi jadi mereka bergantung kepadanya. Inilah sahaja peninggalan untuk anak cucunya nanti. Jadi dia memang amat mengharapkan hasil daripada kebunnya itu untuk kelangsungan hidupnya dan zuriatnya. Jadi ada tiga hal yang disebut di sini yang menekankan kepentingan kebun itu kepada lelaki itu:

1. Orang itu sendiri sudah tua. Kalau dia muda, dia boleh lagi mengusahakan kebun lain.
2. Dia ada anak pinak. Kalau tidak anak, dia pun tidak kisah mana sebab kalau hidup seorang diri, tidaklah banyak mana pun keperluan untuk hidup.
3. Bukan sahaja ada anak, tetapi anak-anak itu masih kecil. Kalau ada anak yang sudah dewasa, pandai-pandailah mereka cari punca kehidupan sendiri, bukan?

 

فَأَصابَها إِعصارٌ فيهِ نارٌ فَاحتَرَقَت

lalu kebun itu diserang oleh angin taufan yang membawa api sehingga terbakarlah ia

Jadi apabila ada tiga kondisi yang disebut di atas, lelaki ini sangat memerlukan hasil daripada kebunnya itu. Tiba-tiba kebun itu ditimpa taufan. Ia adalah angin kuat yang ada api yang dipanggil ‘Taufan Belati’. Habis semuanya dilanggar dan dihancurkan kalau ia datang. Ini bukan sekadar puting beliung biasa atau api biasa, tetapi gabungan dua elemen pemusnah yang paling dahsyat: angin kencang yang memusnahkan struktur dan api yang membakar habis segalanya. Ia melambangkan kemusnahan yang menyeluruh, pantas, dan tidak meninggalkan apa-apa, dalam sekelip mata. Sama ada puting beliung itu ada api di dalamnya, atau ia panas seolah-olah berapi, atau ia angin sahaja tetapi apabila sudah ada api di kebun itu, ia akan memarakkan lagi api itu.

Maka hasil kebun lelaki yang dijadikan perumpamaan ini, kebun yang hebat itu sudah tiada lagi. Tanah pun sudah hancur kiranya. Dia pula sudah tua dan tidak mampu hendak bercucuk tanam lagi seperti semasa dia muda-muda dahulu. Dia sangka dia boleh makan hasil kebun dia di masa tua, tetapi sekarang sudah habis semuanya. Apa yang dibayangkan oleh Allah ‎ﷻ ini boleh sahaja terjadi apabila datang musim kering. Selalu kita dengar kebakaran hutan yang melanda di kawasan yang besar sampaikan musnah habis segala tanaman. Hendak dibendung sangatlah sukar kerana kawasan yang tersangat luas.

Begitulah perumpamaan keadaan pahala infaknya di akhirat nanti. Segala infaknya di dunia itu tidak ada nilai, kerana sudah batal. Dia sangka dia infak sudah banyak dan boleh banyak pahala menantinya di akhirat, namun tidak ada langsung.

Ayat ini juga sebagai isyarat bahawa kalau harta dunia tidak pasti akan kekal selama-lamanya, tetapi infak kita akan kekal di akhirat. Maka jangan harap sangat kepada harta dunia. Jangan sangka apa yang kita ada itu akan kekal. Jangan berharap sangat dengan dunia, kerana Allah ‎ﷻ boleh tarik bila-bila masa sahaja.

Ayat ini telah pernah ditafsirkan oleh Saidina Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dan Ibn Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا,

عَنْ عُبَيْدِ بْنِ عُمَيْرٍ قَالَ قَالَ عُمَرُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ يَوْمًا لِأَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِيمَ تَرَوْنَ هَذِهِ الْآيَةَ نَزَلَتْ { أَيَوَدُّ أَحَدُكُمْ أَنْ تَكُونَ لَهُ جَنَّةٌ } قَالُوا اللَّهُ أَعْلَمُ فَغَضِبَ عُمَرُ فَقَالَ قُولُوا نَعْلَمُ أَوْ لَا نَعْلَمُ فَقَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ فِي نَفْسِي مِنْهَا شَيْءٌ يَا أَمِيرَ الْمُؤْمِنِينَ قَالَ عُمَرُ يَا ابْنَ أَخِي قُلْ وَلَا تَحْقِرْ نَفْسَكَ قَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ ضُرِبَتْ مَثَلًا لِعَمَلٍ قَالَ عُمَرُ أَيُّ عَمَلٍ قَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ لِعَمَلٍ قَالَ عُمَرُ لِرَجُلٍ غَنِيٍّ يَعْمَلُ بِطَاعَةِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ ثُمَّ بَعَثَ اللَّهُ لَهُ الشَّيْطَانَ فَعَمِلَ بِالْمَعَاصِي حَتَّى أَغْرَقَ أَعْمَالَهُ
Daripada Ubaid bin Umair رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dia berkata; Pada suatu hari Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata kepada para sahabat Nabi ﷺ; Menurut kalian berkenaan dengan apakah ayat ini; “Adakah salah seorang daripada kalian yang ingin memiliki kebun…. (Baqarah:266). Para sahabat menjawab; ‘Allahu a’lam.’ Maka Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ pun marah, seraya berkata; “Katakan kami tahu atau kami tidak tahu”. Kemudian Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا berkata; ‘aku mengerti sedikit tentang ayat itu ya Amirul Mukminin. Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata; Wahai anak saudaraku, katakanlah! Jangan kamu cela dirimu sendiri. Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا berkata; ayat itu membuat sebuah perumpamaan tentang suatu amalan. Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata; Amalan apakah? Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا menjawab; tentang suatu amalan. Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ melanjutkan; iaitu tentang seorang laki-laki yang kaya, lalu dia beramal dengan mentaati Allah Azza Wa Jalla. Kemudian Allah mengutus syaitan kepadanya. Maka dia pun melakukan maksiat hingga dia tenggelamkan amalan kebaikan yang telah dilakukannya.

(Sahih Bukhari No. 4174)

 

كَذٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمُ الآيٰتِ لَعَلَّكُم تَتَفَكَّرونَ

Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu keterangan-keterangan, supaya kamu berfikir

Allah ‎ﷻ beri contoh bandingan yang mudah difahami dan mudah dibayang-bayangkan oleh akal, supaya manusia boleh faham. Semoga manusia boleh berfikir apakah jenis infak yang Allah ‎ﷻ hendak daripada kita supaya kita senang ambil pengajaran dan didik hati kita ke arah kebaikan.

Allah ﷻ menggunakan kalimah تَتَفَكَّرونَ supaya kita menggunakan akal kita. Dalam agama ini memang kena fikir, bukannya pakai ambil muat sahaja. Ini penting kerana banyak orang Islam hanya menerima sahaja apa yang disampaikan oleh para ustaz walaupun ia mengarut kalau difikirkan. Banyak penceramah agama membawakan kisah-kisah pelik tentang guru mereka, wali mereka dan sebagainya. Kisah itu tidak masuk akal pun, tetapi ramai ternganga mulut percaya kerana mereka tidak menggunakan akal yang logik. Kerana itu penting ilmu agama disampaikan dari mula lagi kepada anak-anak. Paling penting untuk diingatkan kepada orang awam supaya gunakanlah akal itu sedikit, takkan kisah kartun pun hendak terima begitu sahaja? Pentingnya ilmu untuk memahami agama seperti memahami perumpamaan yang Allah ﷻ banyak beri termasuk di dalam ayat ini. Allah ﷻ berfirman di dalam Ankabut:43

وَتِلكَ الأَمثٰلُ نَضرِبُها لِلنّاسِ ۖ وَما يَعقِلُها إِلَّا العٰلِمونَ
Dan perumpamaan-perumpamaan ini Kami buat untuk manusia; dan tiada yang memahaminya kecuali orang-orang yang berilmu.

Jadi apakah ringkasan bagi ayat-ayat yang kita telah baca ini? Untuk sesuatu infak atau sedekah atau derma itu diterima, ia mestilah memenuhi beberapa syarat:

1. Mestilah daripada harta yang halal.
2. Diberikan ikut cara yang sunnah (cara yang baik). Contohnya jadi mengabaikan keperluan keluarga dan diri sendiri. Janganlah diinfakkan kesemua harta sampaikan diri sendiri habis kena meminta kepada orang lain pula.
3. Diberikan kepada tempat yang sesuai. Contohnya jangan beri kepada madrasah yang ajar amalan bid’ah dan khurafat; jangan bagi kepada orang yang akan gunakan pemberian itu kepada perkara yang lagha dan sia-sia.
4. Jangan diungkit pemberian itu.
5. Jangan menghina atau menyakitkan hati penerima.
6. Diberikan dengan ikhlas.

Sekian Ruku’ 36 daripada 40 surah ini

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 10 Julai 2025

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Baqarah Ayat 263 – 264 (Jangan batalkan pahala infak)

Baqarah Ayat 263: Kalau tidak boleh beri, apakah yang sekurang-kurangnya kita boleh lakukan?

۞ قَولٌ مَّعروفٌ وَمَغفِرَةٌ خَيرٌ مِّن صَدَقَةٍ يَتبَعُهآ أَذًى ۗ وَاللَّهُ غَنِيٌّ حَليمٌ

SAHIH INTERNATIONAL
Kind speech and forgiveness are better than charity followed by injury. And Allah is Free of need and Forbearing.

MALAY
(Menolak peminta-peminta sedekah) dengan perkataan yang baik dan memaafkan (kesilapan mereka) adalah lebih baik daripada sedekah (pemberian) yang diiringi (dengan perbuatan atau perkataan yang) menyakitkan hati. Dan (ingatlah), Allah Maha Kaya, lagi Maha Penyabar.

 

قَولٌ مَّعروفٌ وَمَغفِرَةٌ خَيرٌ مِّن صَدَقَةٍ يَتبَعُها أَذًى

Perkataan yang baik dan kemaafan adalah lebih baik daripada sedekah yang diiringi (dengan perbuatan atau perkataan yang) menyakitkan hati. 

Berkata baik قَولٌ مَّعروفٌ lebih baik daripada beri infak tetapi diiringi dengan kata-kata nista yang menghina kepada orang yang meminta. Walaupun di dalam ayat ini hanya disebut أَذًى sahaja tetapi ia juga termasuk dengan مَنَّ. Ada orang yang tidak ada duit hendak beri. Mungkin dia tiada langsung barang untuk diberikan. Dia sendiri pun sedang di dalam kesusahan, mungkin. Maka sekurang-kurangnya beri ucapan baik yang boleh mendatangkan pahala. Kalimah قَولٌ مَّعروفٌ juga termasuklah juga mendoakan orang yang kita minta itu kerana doa juga termasuk قَولٌ مَّعروفٌ. Doakanlah Allah ‎ﷻ tambah rezeki orang itu dan mudahkan urusan dia.

Atau dia katakan sebegini: ‘Minta maaf sebab saya tak boleh beri sekarang, nanti kalau ada, saya beri yer…. Saya doakan supaya masalah awak selesai segera…. Cuba awak minta kepada si fulan di rumah itu… entah-entah dia boleh tolong sebab dia pun suka tolong orang.” Maknanya yang diminta itu pula yang kena minta maaf (مَغفِرَةٌ) kepada yang meminta. Katakan dengan perkataan sebegitu dan yang sebagainya. Orang yang terdesak itu pun sejuk hati sedikit mendengarnya walaupun tidak dapat apa yang dia perlukan daripada kita. Maknanya, kita kena minta maaf kepada orang yang kita tidak dapat beri itu, walaupun dia yang datang kepada kita untuk meminta. Sesetengah orang mungkin rasa orang meminta itu menyusahkan, namun janganlah begitu.

Satu lagi maksud مَغفِرَةٌ adalah kalau yang meminta itu meminta dengan cara yang menyebabkan kita rasa marah, maka lebih baik memaafkan orang itu daripada memberi tetapi dengan rasa marah dan mengeluarkan kata-kata yang menghina orang itu. Ada bukan orang yang meminta itu mendesak-desak atau merengek dalam meminta. Ada juga orang yang setelah dapat, ucap terima kasih pun tidak. Maka maafkanlah dan tidak perlu sebut: “Eh eh eh dia ni… ucap terima kasih pun tidak?!!” Lagi pun kita apabila memberi jangan berharap pun dengan balasan dan ucapan terima kasih sekali pun. Ini seperti disebut di dalam Insan:8-9

وَيُطْعِمُونَ الطَّعَامَ عَلَىٰ حُبِّهِ مِسْكِينًا وَيَتِيمًا وَأَسِيرًا إِنَّمَا نُطْعِمُكُمْ لِوَجْهِ اللَّهِ لَا نُرِيدُ مِنكُمْ جَزَاءً وَلَا شُكُورًا
“Dan mereka memberikan makanan yang disukainya kepada orang miskin, anak yatim dan orang yang ditawan, (Sambil berkata): ‘Sesungguhnya kami memberi makanan kepada kamu hanyalah kerana mengharapkan keredhaan Allah semata-mata; kami tidak menghendaki balasan daripada kamu dan tidak pula ucapan terima kasih.’

Maka di sini Allah ‎ﷻ ajar supaya jangan marah atau sakiti hati orang yang meminta. Ada bukan orang yang marah? Mungkin dia berkata: “Apa mintak-minta? Kau tak tahu ke aku pun tengah susah jugak!? Engkau ni kan… dari dulu lagi asyik nak menyusahkan orang jer… kerja tak mahu, asyik nak mintak jer!” Inilah kata-kata yang menyakitkan hati, bayangkan orang yang datang meminta itu entah berapa kali dia menimbang untuk minta atau tidak kepada awak. Setelah dia kuatkan hatinya tetapi awak buat begitu pula kepadanya?

Kepada siapa kita kena jaga perkara ini? Terhadap semua orang termasuk keluarga kita sendiri pun. Sama ada isteri, anak-anak, ibu bapa atau keluarga kita. Ini kita kena ingatkan kerana mereka ini rapat dengan kita dan kadangkala kita tidak jaga sangat kata-kata kita dengan orang yang dekat dengan kita. Bayangkan kalau kita ungkit dengan isteri kita, segala pahala pemberian kita dari kita mula menikah dengan dia itu hilang begitu sahaja! Allahu Akbar! Kadang-kadang dengan kawan-kawan kita pun kita tidak menjaga perkara ini. Mungkin ada kawan minta kita belanja dan dengan tidak berfikir dahulu kita pun cakap: “Eh asyik aku jer kena belanja ni… korang bila lagi nak belanja aku pulak!?” Dengan tidak sengaja kita telah mengungkit pemberian kita yang dahulu.

Maka begitulah adab yang diajar kepada kita termasuk ketika bersedekah. Memang Islam mengajar kita berbaik dengan orang lain adalah termasuk akhlak yang baik dan perlu dijaga. Ini kerana kata-kata yang kasar dan kesan mengganggu hati orang lain dan menyebabkan kemarahan. Apabila marah, maka sudah tidak harmoni lagi. Kerana itu salah satu sifat orang Mukmin adalah orang lain selamat daripada lidahnya, seperti disebut di dalam hadith yang diriwayatkan daripada Abu Musa Al-Asy’ari رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dia berkata:

قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ أَىُّ الإِسْلاَمِ أَفْضَلُ قَالَ ‏”‏ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ ‏”‏
Mereka bertanya, “Wahai Rasulullah, Islam yang manakah yang paling utama?” Beliau menjawab, “Orang yang kaum Muslimin selamat daripada (gangguan) lidahnya dan tangannya.”
(Sahih Al-Bukhari No. 10 dan Muslim No. 40)

Satu lagi, jangan kita sibuk canangkan kepada orang lain pula. Kerana mungkin orang yang meminta itu segan dan malu kalau orang lain tahu. Dia mungkin tidak kisah kita tahu sebab dia kenal kita dan tahu kita tidak memalukan dia. Namun belum tentu orang lain begitu juga kerana ada orang yang memandang rendah terhadap orang lain yang susah dan meminta tolong kepada orang lain.

Bagaimanakah caranya kita dapat beradab dengan orang yang meminta? Iaitu kita kena ubah paradigma kita. Jangan kita anggap kita lebih baik daripada dia, malah kita kena anggap dia telah membantu kita sebenarnya. Dengan dia datang meminta dengan kita, memberi peluang kepada kita untuk infak kepada orang yang betul-betul memerlukan. Ia membuka peluang kepada kita untuk dapat pahala berganda. Ia juga dapat membersihkan diri dan harta kita seperti disebut di dalam Tawbah:103

خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا 
“Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka dan menyucikan mereka,”

Memanglah ada hadith yang mengatakan tangan yang memberi itu lebih baik daripada tangan yang menerima,

عَنِ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: “الْيَدُ الْعُلْيَا خَيْرٌ مِنَ الْيَدِ السُّفْلَى، وَالْيَدُ الْعُلْيَا هِيَ الْمُنْفِقَةُ، وَالسُّفْلَى هِيَ السَّائِلَةُ”
Daripada Ibnu Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا, daripada Nabi ﷺ bersabda:”Tangan di atas lebih baik daripada tangan di bawah. Tangan di atas ialah tangan yang memberi nafkah (memberi), manakala tangan di bawah ialah tangan yang meminta.”

: Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Bukhari dalam Sahihnya (Kitab Zakat, Bab: Tangan di atas lebih baik daripada tangan di bawah, no. Hadith 1429) dan juga oleh Imam Muslim dalam Sahihnya (Kitab Zakat, Bab: Tangan di atas lebih baik daripada tangan di bawah, no. Hadith 1033). Memang hadith ini sahih namun tidaklah ia bermaksud kita boleh menghina mereka yang meminta daripada kita. Hadith ini sebagai galakan untuk kita memberi dan tidak menganjurkan kita meminta-minta.

Islam mengajar kita untuk berbaik dengan semua orang. Kalau bercakap, cakaplah dengan baik; kalau memandang orang, pandanglah dengan pandangan rahmah. Muka kena ada selalu senyum kepada semua orang, tidak perlu pun buat muka bengis sangat. Kalau memberi nasihat adalah kerana kita sayang dan prihatin kepada orang yang kita nasihati, bukannya kerana kita lebih pandai dan lebih baik. Ingatlah hadith,

عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “الرَّاحِمُونَ يَرْحَمُهُمُ الرَّحْمَنُ، ارْحَمُوا مَنْ فِي الْأَرْضِ يَرْحَمْكُمْ مَنْ فِي السَّمَاءِ.”
Daripada Abdullah bin Amr رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا, Rasulullah ﷺ bersabda:
“Orang-orang yang penyayang akan disayangi oleh Ar-Rahman (Allah Yang Maha Pengasih). Sayangilah makhluk-makhluk yang ada di bumi, nescaya kamu akan disayangi oleh yang berada di langit.”

Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi dalam Sunannya (Kitab Al-Birr wa As-Silah, no. Hadis 1924) dan beliau mengatakannya sebagai Hadith Hasan Sahih. Ia juga diriwayatkan oleh Imam Abu Daud dan lain-lain.

 

وَاللَّهُ غَنِيٌّ حَليمٌ

Dan (ingatlah), Allah Maha Kaya, lagi Maha Penyabar.

Penutup ayat dengan sifat Allah “غَنِيٌّ حَلِيمٌ” adalah sangat mendalam dan penuh hikmah, mengandungi beberapa isyarat penting:

1. وَاللَّهُ غَنِيٌّ (Dan Allah Maha Kaya)

Sifat “Al-Ghaniy” (Maha Kaya) di sini mengisyaratkan:

    • Allah ‎ﷻ Tidak Memerlukan Sedekah Kita: Allah ‎ﷻ tidak memerlukan sedekah dan pemberian kita. Dia Maha Kaya daripada segala sesuatu, termasuk amal ibadah dan infak hamba-hamba-Nya. Jika kita bersedekah, itu adalah untuk kebaikan diri kita sendiri, bukan untuk menambah kekayaan atau kemuliaan Allah ‎ﷻ.
    • Keikhlasan Adalah Kunci: Oleh kerana Allah ‎ﷻ tidak memerlukan apa-apa daripada kita, maka yang paling penting bagi-Nya adalah niat yang ikhlas dan kualiti perbuatan. Sedekah yang diikuti dengan menyakitkan hati penerima menunjukkan kekurangan ikhlas atau adab, yang tidak bernilai di sisi Allah yang Maha Kaya. Allah ‎ﷻ lebih melihat kebersihan hati dan niat, bukan hanya jumlah harta yang diberikan.
    • Amaran kepada Pemberi Sedekah: Ini adalah peringatan bagi orang yang bersedekah agar tidak merasa sombong, mengungkit-ungkit, atau menyakiti perasaan penerima. Jika dia berbuat demikian, sedekahnya tidak akan diterima oleh Allah ‎ﷻ yang Maha Kaya dan tidak memerlukan perbuatan yang tidak ikhlas.

2. حَلِيمٌ (Maha Penyantun / Maha Sabar / Maha Lembut)

Sifat “Al-Halim” (Maha Penyantun/Maha Sabar/Maha Lembut) di sini pula mengandungi makna:

    • Tidak Segera Mengazab: Allah ‎ﷻ tidak segera menghukum orang yang bersedekah tetapi menyakiti hati penerimanya. Dia Maha Penyantun, memberikan peluang kepada hamba-Nya untuk bertaubat, memperbaiki niat, dan mengubah sikap. Ini adalah rahmat daripada Allah ‎ﷻ.
    • Memberi Peluang Bertaubat: Walaupun perbuatan mengungkit-ungkit itu buruk, Allah ‎ﷻ dengan sifat Al-Halim-Nya tidak terus-menerus menahan rezeki atau mengazab mereka yang melakukan hal itu. Allah ‎ﷻ memberi mereka kesempatan untuk sedar dan kembali kepada adab yang baik dalam bersedekah.
    • Mengajar Kesabaran dan Kelembutan: Sifat Al-Halim ini juga mengajar kita untuk bersabar dan berlembut hati, terutamanya dalam berinteraksi dengan orang yang memerlukan. Jika Allah ‎ﷻ yang Maha Berkuasa pun bersifat Halim, apatah lagi kita sebagai manusia yang lemah, perlu berlapang dada dan berlemah lembut.
    • Menjaga Maruah Manusia: Sifat Halim Allah ‎ﷻ juga tercermin dalam syariat-Nya yang menganjurkan kita menjaga maruah orang lain, terutamanya orang miskin. Apabila sedekah diberikan dengan perkataan yang baik dan kemaafan (jika ada kesalahan dari penerima), ini adalah manifestasi sifat Halim yang diajarkan oleh Allah ‎ﷻ kepada hamba-Nya.

Gabungan kedua-dua sifat “Al-Ghaniy” dan “Al-Halim” di akhir ayat ini adalah penutup yang sempurna bagi arahan tentang adab bersedekah. Ia mengingatkan kita:

    1. Sedekah yang bernilai di sisi Allah ‎ﷻ adalah sedekah yang ikhlas dan beradab. Allah ‎ﷻ tidak memerlukan sedekah fizikal kita, tetapi Dia memerlukan hati yang bersih dan niat yang luhur.
    2. Allah ‎ﷻ itu Maha Pemurah dan Pemaaf, bahkan kepada mereka yang lalai atau melakukan kesalahan dalam beramal. Dia tidak tergesa-gesa menghukum, malah memberi peluang untuk memperbaiki diri.
    3. Kita harus mencontohi sifat Allah: Jika Allah ‎ﷻ Maha Kaya dan Maha Penyantun, kita juga perlu bersedekah dengan kemurahan hati (seperti orang kaya) dan dengan penuh kesabaran serta kelembutan (seperti orang yang penyantun), tanpa menyakiti perasaan penerima.

Ini adalah ajaran yang mendalam tentang bagaimana amalan ibadah perlu diiringi dengan akhlak yang mulia. Ada pepatah Arab yang mengatakan:

آدَابُ المَرْءِ خَيْرٌ مِنْ ذَهَبِهِ
Adab seseorang itu lebih baik (lebih berharga) daripada emasnya.


 

PERUMPAMAAN SEDEKAH YANG BATAL

Baqarah Ayat 264: Sekarang disebut syarat kena beriman dan jangan riak.

يَـٰٓأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تُبطِلوا صَدَقٰتِكُم بِالمَنِّ وَالأَذىٰ كَالَّذي يُنفِقُ مالَهُ رِئَآءَ النّاسِ وَلا يُؤمِنُ بِاللَّهِ وَاليَومِ الآخِرِ ۖ فَمَثَلُهُ ۥ كَمَثَلِ صَفوانٍ عَلَيهِ تُرابٌ فَأَصَابَهُ ۥ وابِلٌ فَتَرَڪَهُ ۥ صَلدًا ۖ لّا يَقدِرونَ عَلىٰ شَيءٍ مِّمّا كَسَبوا ۗ وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الكٰفِرينَ

SAHIH INTERNATIONAL
O you who have believed, do not invalidate your charities with reminders or injury as does one who spends his wealth [only] to be seen by the people and does not believe in Allah and the Last Day. His example is like that of a [large] smooth stone upon which is dust and is hit by a downpour that leaves it bare. They are unable [to keep] anything of what they have earned. And Allah does not guide the disbelieving people.

MALAY
Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan dia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah juga halnya orang-orang yang kafir dan riak itu) mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun dari apa yang mereka usahakan. Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir.

 

يَـٰٓأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا

Wahai orang-orang yang beriman!

Apabila Allah ‎ﷻ menyeru orang-orang beriman, maka ada beberapa perkara:

Pertama, ia adalah sebagai kebanggaan kerana Allah ‎ﷻ panggil dan hendak bercakap dengan orang beriman. Maka bertuahlah kalau kita termasuk di dalam golongan ini.

Kedua, ia tentunya sesuatu yang penting kerana Allah ‎ﷻ mulakan dengan menyeru orang beriman. Tentu ada arahan sama ada untuk kita buat atau kita tinggalkan.

Ketiga, kena dengar baik-baik kalau kita anggap diri kita orang yang beriman dan kalau hendak jadi orang yang benar-benar beriman. Kena dengar sekarang syarat lain untuk infak diterima.

 

لا تُبطِلوا صَدَقٰتِكُم بِالمَنِّ وَالأَذىٰ

Jangan batalkan (pahala amal) sedekah-sedekah kalian dengan perkataan mengungkit dan (kelakuan yang) menyakiti,

Jangan batalkan pahala sedekah dengan mengungkit dan perbuatan yang boleh menyakitkan hati seperti yang telah dijelaskan sebelum ini. ‘Batal’ itu bermaksud tidak ada pahala; tidak dikira lagi ia sebagai sedekah dan rugilah kita. Duit pun habis, pahala pun tidak dapat. Dapat puas hati sahaja kerana dipandang orang dan dapat menyakiti hati orang lain. Namun untuk apa?

Maka mengungkit pemberian adalah sangat buruk sekali sampaikan ada hadith yang Allah ‎ﷻ tidak akan bercakap dengan mereka yang mengungkit ini,

عَنْ أَبِي ذَرٍّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: “ثَلَاثَةٌ لَا يُكَلِّمُهُمُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، وَلَا يَنْظُرُ إِلَيْهِمْ، وَلَا يُزَكِّيهِمْ، وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ.” قَالَ أَبُو ذَرٍّ: خَابُوا وَخَسِرُوا، مَنْ هُمْ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ قَالَ: الْمَنَّانُ الَّذِي لَا يُعْطِي شَيْئًا إِلَّا مَنَّهُ، وَالْمُسْبِلُ إِزَارَهُ، وَالْمُنْفِقُ سِلْعَتَهُ بِالْحَلِفِ الْكَاذِب
Daripada Abu Dzar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, daripada Nabi ﷺ bersabda: “Ada tiga golongan yang Allah tidak akan berbicara dengan mereka pada hari Kiamat, tidak akan melihat mereka, tidak akan membersihkan (dosa) mereka, dan bagi mereka azab yang pedih.” Abu Dzar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata: “Mereka sungguh rugi dan celaka, siapakah mereka, wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Orang yang mengungkit-ungkit pemberiannya (sedekahnya) yang tidak memberi sesuatu kecuali dia mengungkit-ungkitnya, orang yang melabuhkan pakaiannya (isbal), dan orang yang menjual barang dagangannya dengan sumpah palsu.”

(Sahih Muslim, Kitab al-Iman, No. 106)

 

كَالَّذي يُنفِقُ مالَهُ رِئَاءَ النّاسِ

seperti orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak)

Sekarang Allah ‎ﷻ tunjukkan perbandingan iaitu kalau kita ungkit dan sakiti hati orang yang diberi infak itu, ia adalah sama dengan riak menunjuk-nunjuk kepada orang lain. Iaitu kalau apabila beri sedekah, ia dibuat supaya orang lain nampak apa yang kita beri dan berapa banyak yang kita beri. Ia pun akan membatalkan pahala bagi sedekah itu.

Riak termasuk dalam jenis syirik kecil (syirik asghar). Walaupun ia adalah kategori syirik kecil, tetapi ia adalah dosa besar, jangan kita sangka ia dosa kecil pula. Begitulah kadang-kadang kita boleh lihat sikit punya besar cek replika yang ditayangkan, sudah lebih besar daripada skrin TV lagi. Memang hebatlah di mata manusia namun tidak ada nilai di mata Allah ﷻ. Kalau riak, pahala tidak sampai kerana ia bukan dilakukan kerana hendak membantu dan kerana Allah ﷻ tetapi kerana hendak mendapat nama dan kedudukan sahaja; maka begitulah juga kalau ungkit dan menyakiti pun tidak sampai pahala kepada orang yang memberi.

Maka orang sebegini telah ditipu oleh syaitan. Dalam hal infak sedekah ini, tugas syaitan ada tiga peringkat:

1. Mulanya syaitan akan hasut supaya kita tidak infak. Ia akan bagi kita takut hendak sedekah kerana takut miskin, nanti nak makan apa, ekonomi zaman Madani sekarang sudah tenat jadi kena simpan jangan bagi orang, sia-sia bagi orang itu bukan dia boleh bantu engkau pun, dan macam-macam lagi. Ini memang langsung tidak pahala sebab tidak bagi apa-apa.

2. Kalau yang dihasut itu boleh melawan bisikan syaitan dan juga hawa nafsu dia, maka syaitan akan bisikkan supaya diwar-warkan pemberian itu menjadi riya’. Syaitan kata buat apa bagi senyap-senyap, orang tidak tahu dan nama engkau tidak naik di mata manusia. Maka syaitan hasut supaya bolehlah bagi, tetapi bagi kosong sahaja, mestilah dapat pujian daripada manusia. Pemberian sebegini tidak ada pahala pun kerana tidak cukup syarat atau ia telah rosak kerana ada niat yang lain.

3. Kalau yang dihasut itu berjaya memberi dengan ikhlas, dengan senyap tanpa mengharap apa-apa balasan, maka adalah pahala buatnya. Akan tetapi jangan gembira lagi kerana pahala itu tergantung-gantung lagi. Ia terus menjadi pahala kalau tidak batal atau dirosakkan. Syaitan akan terus menghasut. Mungkin ketika memberi si pemberi ikhlas dan tidak menyakiti hati penerima tetapi entah berapa tahun di hadapan kelak, tiba-tiba dia sebut pula, atau dia sakiti pula hati penerima, maka pahala yang asalnya ada tadi, hilang lenyap begitu sahaja.

 

وَلا يُؤمِنُ بِاللَّهِ وَاليَومِ الآخِرِ

dan dia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat.

Kalau orang yang beri infak itu pun ada amalan dan fahaman syirik pun, pahala infak dan sedekah dia tidak ada. Itulah sebabnya kalau orang kafir banyak sedekah, ia tidak memberi pahala kepada mereka di akhirat kelak. Di akhirat mereka mencari-carilah kebaikan yang mereka lakukan semasa di dunia dahulu, namun malang sekali tidak akan berjumpa kerana memang tidak cukup syarat menjadi pahala. Ini kerana syarat utama adalah mestilah seorang Muslim yang beriman.

Memang kita pun tahu yang ramai orang kafir yang baik-baik dan mereka banyak menderma ke arah kebaikan. Allah ‎ﷻ akan balas perbuatan baik mereka itu di dunia lagi, tetapi mereka tidak ada bahagian di akhirat. Nanti di akhirat kalau mereka tanya manakah pahala infak dan sedekah mereka, Allah ‎ﷻ akan beritahu yang Dia telah balas semuanya di dunia lagi. Sebab itulah kalau kita lihat orang kafir yang banyak derma, mereka akan mendapat banyak lagi rezeki. Semakin banyak mereka derma dan tolong orang, semakin banyak rezeki mereka. Ini kerana Allah ‎ﷻ balas terus derma mereka semasa di dunia lagi. Maka mereka terus menderma kerana mereka perasan, lagi banyak mereka beri, lagi banyak keuntungan mereka dapat.

Memang infak orang kafir tidak ada pahala. Namun kalaulah mereka masuk Islam di kemudian hari, sedekah mereka yang terdahulu itu akan diangkat menjadi sedekah dan mereka akan terus mendapat pahala yang selayaknya bagi mereka. Jadi ia tidaklah hilang begitu sahaja. Ini jelas disebut di dalam hadith,

عَنْ حَكِيمِ بْنِ حِزَامٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَرَأَيْتَ أُمُورًا كُنْتُ أَتَحَنَّثُ بِهَا فِي الْجَاهِلِيَّةِ، هَلْ لِي فِيهَا مِنْ أَجْرٍ؟ فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «أَسْلَمْتَ عَلَى مَا سَلَفَ مِنْ خَيْرٍ»
Daripada Hakim bin Hizam رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dia berkata: “Aku bertanya, ‘Wahai Rasulullah, bagaimana pandanganmu tentang beberapa perkara yang aku lakukan untuk beribadah di masa Jahiliyah (sebelum Islam), seperti bersedekah, membebaskan hamba, dan menyambung silaturahim. Adakah bagiku pahala di dalamnya?’ Maka Rasulullah ﷺ bersabda kepadanya: ‘Engkau telah masuk Islam bersama (dicatatkan bagimu) kebaikan-kebaikan yang telah lalu.'”

(Sahih Al-Bukhari: No. 1436 (Kitab Az-Zakah), 2220 (Kitab Al-Itq), 2538 (Kitab Al-Itq), 5992 (Kitab Al-Adab), Sahih Muslim: No. 123 (Kitab Al-Iman))

 

فَمَثَلُهُ كَمَثَلِ صَفوانٍ عَلَيهِ تُرابٌ

Maka bandingan orang itu ialah seperti batu besar yang licin yang ada tanah di atasnya, 

Allah ‎ﷻ berikan perumpamaan batu besar yang licin. Atas batu itu pula ada pasir. Apabila batu itu licin, mudah pasir itu hendak hilang. Begitulah pahala orang yang infak tetapi tidak cukup syarat. Pahala mereka akan hilang begitu sahaja. Kalau batu itu ada retak, bolehlah sedikit tanah duduk di situ, tetapi kalau licin langsung, sedikit pun tidak dapat menanggung tanah.

Allah ﷻ beri perumpamaan di dalam banyak ayat-ayat Al-Qur’an untuk beri pemahaman kepada manusia. Sebab kita tidak dapat bayangkan bagaimana rupa pahala itu maka Allah ﷻ beri sedikit gambaran supaya kita dapat bayangkan dan faham. Kita kena belajar untuk faham perumpamaan yang Allah ﷻ berikan kerana ada sebab yang hendak disampaikan oleh Allah ﷻ. Kadang-kadang perumpamaan itu tidak jelas kepada yang tidak belajar. Akan tetapi walaupun seorang mukmin itu tidak faham apakah maksud perumpamaan Allah ﷻ itu, namun dia tetap terima bahawa itu adalah daripada Allah ﷻ. Dia akan terima seadanya.

Inilah permulaan kepada kefahaman (kena terima dahulu). Kemudian kenalah berusaha untuk memahaminya. Ia bermula dengan terima yang Allah ﷻ pasti tidak akan melakukan sesuatu secara sia-sia seperti disebut di dalam Ali Imran:191

الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَـٰمًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَالْأَرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَٰذَا بَٰطِلًا
(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia,

Memang sedih dan bahaya kalau tidak tahu misalan yang Allah ﷻ berikan dalam Al-Qur’an. Sebahagian ulama Salaf mengatakan, “Apabila aku membaca suatu masal (perumpamaan) dari Al-Qur’an, lalu aku tidak memahaminya, maka aku menangisi diriku sendiri, kerana Allah ﷻ telah berfirman: ‘dan tiada yang memahaminya kecuali orang-orang yang berilmu.’ (Ankabut:43).”

وَتِلكَ الأَمثٰلُ نَضرِبُها لِلنّاسِ ۖ وَما يَعقِلُها إِلَّا العٰلِمونَ
Dan perumpamaan-perumpamaan ini Kami buat untuk manusia; dan tiada yang memahaminya kecuali orang-orang yang berilmu.

 

فَأَصابَهُ وابِلٌ فَتَرَكَهُ صَلدًا

kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin

Sudahlah batu itu licin dan senang pasir itu untuk hilang, hujan lebat pula menimpa batu itu. Maka akan kosonglah batu itu. Ini kerana apabila di atas batu yang licin itu tanah sahaja, maka tanah itu tidak melekat kepada batu itu. Tidak ada akar yang dapat masuk ke dalam batu maka kerana itu ia senang diterbangkan angin atau dibawa air.

Allah ‎ﷻ berikan perumpamaan dengan mudah supaya manusia boleh faham. Tidak ada langsung pahala untuk orang yang tidak menepati syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh Allah‎ ﷻ seperti yang telah disebut sebelum ini. Orang lain nampak banyak dia infak, tetapi sebenarnya sudah hilang segala pahala.

 

لّا يَقدِرونَ عَلىٰ شَيءٍ مِّمّا كَسَبوا

mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun daripada apa yang mereka usahakan. 

Mereka tidak mampu ambil balasan kerana semuanya telah batal. Kalau dia derma lagi, dan dia buat lagi perangai yang sama dan hilang lagi pahalanya itu. Maka tidak sempat hendak buat apa-apa kalau tanah yang sebegitu. Dia tidak akan mampu untuk ambil pahala balik pahala yang telah hilang itu.

Balaghah (Taqdim wa Ta’khir): Di dalam ayat ini, Allah mendahulukan kalimah شَيءٍ sebelum كَسَبوا, sedangkan di dalam Ibrahim:18, susunan itu diterbalikkan,

مَّثَلُ الَّذينَ كَفَروا بِرَبِّهِم ۖ أَعمٰلُهُم كَرَمادٍ اشتَدَّت بِهِ الرّيحُ في يَومٍ عاصِفٍ ۖ لّا يَقدِرونَ مِمّا كَسَبوا عَلىٰ شَيءٍ ۚ ذٰلِكَ هُوَ الضَّلٰلُ البَعيدُ
Orang-orang yang kafir kepada Tuhannya, amalan-amalan mereka adalah seperti abu yang ditiup angin dengan keras pada suatu hari yang berangin kencang. Mereka tidak dapat mengambil manfaat sedikit pun dari apa yang telah mereka usahakan (di dunia). Yang demikian itu adalah kesesatan yang jauh.

Ini adalah kerana konteks ayat Surah Baqarah itu adalah tentang infak dan pemberi. Orang yang memberi, bukanlah pencari kerja, pencari harta, maka kerana itu sesuai diakhirkan kalimah tentang ‘usaha’. Sedangkan di dalam Surah Ibrahim, konteks ayat adalah tentang amal perbuatan, orang yang melakukan usaha, maka kerana itulah sesuai didahulukan kalimah ‘usaha’

 

وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الكٰفِرينَ

Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir.

Mereka tidak akan mendapat hidayah (petunjuk) daripada Allah ﷻ. Hidayah ada dua jenis iaitu Hidayah Ilmu (Irsyad) atau Hidayah Amal (Taufiq). Hidayah yang tidak diberi kepada orang kafir di sini adalah Hidayah Amal atau Taufiq itu. Ini kerana Hidayah Ilmu selalunya ramai orang ada. Cuma mereka tidak ada kekuatan untuk beramal dengannya. Jadi orang-orang sebegini walaupun mereka ada pengetahuan, tetapi mereka tidak ikut apa yang mereka tahu.

Di dalam ayat ini Allah ‎ﷻ beri isyarat bahawa perbuatan mereka yang mengungkit dan menyakiti di dalam infak ini adalah kufur. Walaupun mereka infak tetapi mereka tidak mengikut syarat yang Allah ‎ﷻ berikan. Mereka sebenarnya menidakkan Allah ‎ﷻ yang berikan rezeki kepada mereka. Kerana itulah mereka dikatakan kufur.

Kita kena sedar yang ‘kufur’ adalah satu sifat sebenarnya. Walaupun seseorang itu mengaku Muslim, tetapi kalau buat sesuatu tidak mengikut syarat, menidakkan kehendak Allah ‎ﷻ, maka itu adalah perbuatan kufur. Tidaklah dia terus kafir, tetapi dia telah melakukan perbuatan kufur.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 3 Jun 2026

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah