Tafsir Surah Hud Ayat 5 – 6 (Jangan risau sangat tentang Rezeki)

MENYEMBUNYIKAN KEKUFURAN

Hud Ayat 5: Ini adalah akidah sesetengah orang kafir yang salah dan Allah ﷻ hendak memperbetulkan akidah mereka itu. Maka ini adalah Dakwa Kedua Surah ini: Ilmu yang sempurna hanya ada pada Allah ﷻ sahaja.

أَلا إِنَّهُم يَثنونَ صُدورَهُم لِيَستَخفوا مِنهُ ۚ أَلا حينَ يَستَغشونَ ثِيابَهُم يَعلَمُ ما يُسِرّونَ وَما يُعلِنونَ ۚ إِنَّهُ عَليمٌ بِذاتِ الصُّدورِ

Sahih International

Unquestionably, they the disbelievers turn away their breasts to hide themselves from Him. Unquestionably, [even] when they cover themselves in their clothing, Allah knows what they conceal and what they declare. Indeed, He is Knowing of that within the breasts.

Malay

Ketahuilah! Sesungguhnya mereka yang ingkar itu membongkokkan badan mereka untuk menyembunyikan (perasaan buruk yang ada dalam dada mereka) daripada Allah. Ketahuilah! Semasa mereka berselubung dengan pakaian mereka sekalipun, Allah mengetahui apa yang mereka sembunyikan dan apa yang mereka zahirkan; sesungguhnya Dia Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada.

 

أَلَا إِنَّهُمْ يَثْنُونَ صُدُورَهُمْ

Ketahuilah! Sesungguhnya mereka yang ingkar itu membongkokkan dada-dada mereka;

Ayat ini banyak pentafsiran yang dilakukan oleh mufassir. Kita cuba beritahu beberapa di sini.

Yang dimaksudkan dalam ini adalah Musyrikin Mekah yang membongkokkan dada mereka. Perkataan يَثْنُونَ daripada katadasar ث ن ي yang bermaksud ‘melipat sesuatu’. Yang dimaksudkan adalah, mereka ‘melipat dada’ mereka. Dalam erti kata lain, mereka membongkokkan badan atau dada mereka.

Mereka bongkok itu kerana kononnya hendak menyembunyikan apa yang ada dalam hati mereka. Mereka sangka dengan buat begitu, mereka boleh menyembunyikan apa yang ada dalam dada mereka daripada Allah ﷻ. Mereka sebenarnya tahu bahawa Islam itu benar, tetapi mereka tidak mahu terima juga. Mereka tidak mahu terima kerana tidak kena dengan nafsu mereka, kerana sombong dan kerana tidak mahu menukar apa yang mereka telah biasa buat.

Kenapa mereka sangka mereka boleh menyorok apa yang ada dalam hati mereka daripada Allah ﷻ? Kerana mereka ini telah lama terpesong pemahaman mereka tentang Allah ﷻ. Mereka memang kenal Allah ﷻ sebagai Tuhan dan pencipta alam ini, tetapi mereka sudah tidak ada maklumat tepat tentang agama melainkan apa yang disampaikan turun temurun.

Maka mereka ada fahaman yang salah tentang Allah ﷻ. Sebagai contoh, mereka sangka, kalau mereka bercakap perlahan, Allah ﷻ tidak dengar apa yang mereka katakan; begitu jugalah dalam ayat ini, mereka sangka kalau mereka bongkokkan diri mereka, Allah ﷻ tidak tahu tentang mereka.

Makna kedua, mereka membongkok itu kerana hendak menyorok daripada Nabi ﷺ. Mereka pusingkan badan sebab tidak mahu berjumpa Nabi ﷺ. Kalau mereka nampak sahaja Nabi Muhammad ﷺ datang, mereka akan cuba kecilkan diri mereka dengan membongkok. Kalau Nabi ﷺ datang juga bercakap dengan mereka, mereka akan bongkokkan badan juga. Sebab mereka tidak mahu mendengar dakwah Nabi ﷺ.

Mereka tidak mahu dengar apa yang hendak disampaikan oleh Nabi Muhammad ﷺ. Macam pelajar sekolah sekarang, kalau guru sekolah datang masa mereka sedang melepak, mereka akan cuba buat-buat tunduk supaya guru tidak nampak mereka yang sedang bersidai itu.

Ini adalah satu perbuatan yang amat kurang ajar. Bukan Nabi Muhammad ﷺ sahaja yang diperlakukan begini. Dalam Nuh:7, telah diceritakan bagaimana Nabi Nuh عليه السلام pun telah menerima nasib yang serupa:

وَإِنِّي كُلَّمَا دَعَوْتُهُمْ لِتَغْفِرَ لَهُمْ جَعَلُوا أَصَابِعَهُمْ فِي آذَانِهِمْ وَاسْتَغْشَوْا ثِيَابَهُمْ وَأَصَرُّوا وَاسْتَكْبَرُوا اسْتِكْبَارًا
“Dan sesungguhnya aku, tiap-tiap kali menyeru mereka (beriman) supaya Engkau mengampunkan dosa-dosa mereka, – mereka menyumbatkan telinganya dengan jari masing-masing, dan berselubung dengan pakaiannya, serta berdegil dengan keingkarannya, dan berlaku sombong takbur dengan melampau.

لِيَسْتَخْفُوا مِنْهُ

untuk menyembunyikan daripada-Nya;

Mereka sangka mereka boleh menyembunyikan perkataan mereka dan isihati mereka daripada Allah ﷻ. Mereka bercakap-cakap dengan perlahan supaya Allah ﷻ tidak dengar. Musyrikin Mekah yang buat begini kerana mereka sangka Allah ﷻ tidak dengar. Maka akidah yang mengatakan Allah ﷻ tidak mendengar adalah kufur.

Kita kena yakin yang Allah ﷻ itu Maha Mendengar. Bukan sahaja apa yang kita cakap, sama ada dengan cara kuat atau bisikan, tetapi apa yang ada dalam hati kita juga Allah ﷻ tahu. Mana mungkin kita dapat menyembunyikan apa-apa daripada Allah ﷻ. Ini adalah makna pertama, iaitu mereka hendak menyembunyikan daripada Allah ﷻ. Ini telah disebut juga di dalam Mulk: 12-14

إِنَّ الَّذينَ يَخشَونَ رَبَّهُم بِالغَيبِ لَهُم مَّغفِرَةٌ وَأَجرٌ كَبيرٌ
Sesungguhnya orang-orang yang takut Tuhannya semasa mereka tidak dilihat orang dan semasa mereka tidak melihat azab Tuhan, mereka beroleh keampunan dan pahala yang besar.

وَأَسِرّوا قَولَكُم أَوِ اجهَروا بِهِ ۖ إِنَّهُ عَليمٌ بِذاتِ الصُّدورِ
Dan tuturkanlah perkataan kamu dengan perlahan atau dengan nyaring, (sama sahaja keadaannya kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada.

أَلا يَعلَمُ مَن خَلَقَ وَهُوَ اللَّطيفُ الخَبيرُ
Tidakkah Allah yang menciptakan sekalian makhluk itu mengetahui (segala-galanya)? Sedang Dia Maha Halus urusan Pentadbiran-Nya, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya!

Makna kedua yang dikatakan oleh mufassir, dhomir مِنْهُ itu merujuk kepada Nabi Muhammad ﷺ. Iaitu mereka hendak menyembunyikan diri mereka daripada baginda. Allahu a’lam.

 

أَلَا حِينَ يَسْتَغْشُونَ ثِيَابَهُمْ

Ketahuilah! Semasa mereka berselubung dengan pakaian mereka sekalipun,

Bagaimana lagi mereka hendak melarikan diri mereka? Mereka sangka kalau mereka selubungkan diri mereka dengan pakaian mereka, mereka boleh larikan diri daripada Allah ﷻ? Mereka boleh hilangkan diri mereka daripada dilihat oleh Nabi ﷺ? Tentulah itu tidak masuk akal.

Allah ﷻ menyebut tentang pakaian kerana manusia selalu bersembunyi di sebalik pakaian mereka. Mereka mungkin memakai pakaian kebesaran, kemuliaan, yang berpangkat untuk mengelabui mata manusia. Maka dengan pakaian itu mereka nampak gah, nampak alim, nampak pandai. Namun kebenaran tidak dapat ditutup dengan pakaian. Pakaian bukan boleh dipakai sentiasa, sewaktu mandi dibuka, sewaktu tidur akan diganti juga dengan pakaian tidur. Maka tidak ke mana pun pakaian kebesaran dan kedudukan mereka itu. Akhirnya akan terbongkar juga pekung mereka.

 

يَعْلَمُ مَا يُسِرُّونَ

Allah mengetahui apa yang mereka sembunyikan

Kerana Allah ﷻ tahu segalanya, maka Allah ﷻ tahu ikhlasnya hati manusia. Allah ﷻ tahu apa yang ada dalam hati kita.

Allah ﷻ juga tahu apabila kita melakukan satu-satu ibadat atau amalan itu, sama ada kita buat kerana-Nya, atau kerana orang lain. Allah ﷻ tahu bagaimana kufurnya hati manusia. Kita mungkin tunjukkan di luar bagaimana kita mengamalkan amalan orang Islam, namun hati kita belum tentu lagi. Ada kemungkinan kita ada simpan akidah-akidah yang kufur kepada Allah ﷻ. Manusia lain tidak tahu, tetapi Allah ﷻ Maha Mengetahui.

Daripada ayat ini, kita diingatkan bahawa hanya Allah ﷻ yang Maha Mengetahui. Namun ada masyarakat kita yang sangka ada tok guru yang tahu isi hati kita. Maka, apabila mereka hendak berjumpa dengan tok guru mereka, mereka takut kerana mereka risau kalau-kalau tok guru tahu niat jahat mereka kerana pada mereka, tok guru mereka itu hebat sangat, sampaikan boleh baca apa yang ada dalam hati mereka.

Mereka akan memperbetulkan niat mereka sebelum berjumpa dengan guru. Maka ketahuilah, itu adalah akidah syirik kerana mereka memberikan sifat yang hanya ada pada Allah ﷻ kepada manusia. Kita mungkin sangka yang perkara ini kecil sahaja, tetapi sebenarnya, ia adalah besar. Ia adalah perkara yang melibatkan akidah.

 

وَمَا يُعْلِنُونَ

dan apa yang mereka zahirkan;

Allah ﷻ tahu apa yang mereka sembunyikan dan apa yang mereka zahirkan. Sama sahaja pada Allah ﷻ kerana Allah ﷻ Maha Mendengar, Maha Melihat dan Maha Mengetahui.

Asbabun Nuzul ayat ini:

مُحَمَّدُ بْنُ عَبَّادِ بْنِ جَعْفَرٍ أَنَّهُ سَمِعَ ابْنَ عَبَّاسٍ يَقْرَأُ أَلَا إِنَّهُمْ تَثْنَوْنِي صُدُورُهُمْ قَالَ سَأَلْتُهُ عَنْهَا فَقَالَ أُنَاسٌ كَانُوا يَسْتَحْيُونَ أَنْ يَتَخَلَّوْا فَيُفْضُوا إِلَى السَّمَاءِ وَأَنْ يُجَامِعُوا نِسَاءَهُمْ فَيُفْضُوا إِلَى السَّمَاءِ فَنَزَلَ ذَلِكَ فِيهِمْ
[Muhammad bin ‘Abbad bin Ja’far] berkata: bahawasanya aku mendengar [Ibnu Abbas] membaca; ‘Ketahuilah, sesungguhnya mereka memalingkan dada mereka (Hud:5).’ Ibnu Ja’far berkata; Aku bertanya kepadanya mengenai ayat tersebut. Maka Ibnu Abbas menjawab; beberapa dalam kalangan orang-orang munafik merasa malu ketika membuang hajat mereka dalam keadaan telanjang dan ketika mereka bersetubuh dengan isteri-isteri mereka. Maka ayat ini turun kepada mereka.
(Sahih Bukhari (4313))

 

إِنَّهُ عَلِيمٌ بِذَاتِ الصُّدُورِ

sesungguhnya Dia Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada.

Allah ﷻ tahu semua yang ada dalam dada dan hati kita. Ada perkara yang kita beritahu orang lain pun, tetapi Allah ﷻ tahu. Allah ﷻ maha tahu sampai ke dalam ‘lipatan’ hati kita. Sampaikan perkara yang kita tidak cakap dalam dalam hati kita pun. Namun ia ada dalam hati, itu pun Allah ﷻ tahu juga.

Allah ﷻ maha mengetahui sampaikan perkara yang dalam ‘sub-concious mind’ kita pun Allah tahu juga. Sub-concious mind itu adalah perkara di bawah sedar kita, yang kadang-kadang kita sendiri tidak tahu, namun yakinlah bahawa Allah ﷻ tahu.

Maka ini mengajar kita untuk menjaga percakapan kita dan jaga hati kita kerana semua itu akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah ﷻ nanti seperti disebut dalam Baqarah:284

وَإِن تُبدوا ما في أَنفُسِكُم أَو تُخفوهُ يُحاسِبكُم بِهِ اللَّهُ
Dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hati kamu atau kamu menyembunyikannya, nescaya Allah akan menghitung dan menyatakannya kepada kamu.


 

KEKUASAAN ALLAH ﷻ

Hud Ayat 6: Ilmu Allah ﷻ amat luas dan merangkumi segala-galanya. 

۞ وَما مِن دابَّةٍ فِي الأَرضِ إِلّا عَلَى اللَّهِ رِزقُها وَيَعلَمُ مُستَقَرَّها وَمُستَودَعَها ۚ كُلٌّ في كِتٰبٍ مُّبينٍ

Sahih International

And there is no creature on earth but that upon Allah is its provision, and He knows its place of dwelling and place of storage. All is in a clear register.

Malay

Dan tiadalah sesuatu pun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Lauh Mahfuz) yang nyata.

 

وَمَا مِن دَابَّةٍ فِي الْأَرْضِ

Dan tiadalah dari binatang-binatang yang bergerak di bumi

Allah ﷻ bukan sahaja menguruskan manusia, namun Allah ﷻ menguruskan semua makhluk yang hidup dan bergerak di alam ini. Perkataan دَابَّةٍ bermaksud ‘yang bergerak’. Sama ada melata di bumi ataupun terbang di langit kerana burung yang terbang pun sarangnya di bumi. Ikan dalam laut pun ada juga tanah tempat menakung air itu. Maka semua binatang termasuk dan begitu juga manusia. Daripada sekecil-kecil bakteria hingga kepada sebesar-besar makhluk ciptaan-Nya. Bilangannya pun kita tidak tahu.

 

إِلَّا عَلَى اللَّهِ رِزْقُهَا

melainkan Allah jualah yang memberi rezeki mereka;

Bayangkan, semua makhluk yang entah berapa banyak, entah berapa jenis itu, semuanya Allah ﷻ yang berikan rezeki kepada mereka. Apabila digunakan kalimah عَلَى اللَّهِ maka ia bermakna Allah ﷻ mewajibkan ke atas Diri-Nya kerana Dia yang menjadikan makhluk itu, maka Dia jugalah yang akan beri rezeki. Kejamlah kalau Allah ﷻ jadikan makhluk kemudian biarkan sahaja tanpa sumber kehidupan. Ke mana sahaja binatang itu pergi, makanannya telah ada di situ. Makanan itu telah menunggunya di situ. Begitu juga manusia, pagi makan di kedai itu dan petang di kedai lain pula. Semuanya telah ditetapkan.

عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ يَقُولُ إِنَّهُ سَمِعَ نَبِيَّ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَوْ أَنَّكُمْ تَتَوَكَّلُونَ عَلَى اللَّهِ حَقَّ تَوَكُّلِهِ لَرَزَقَكُمْ كَمَا يَرْزُقُ الطَّيْرَ تَغْدُو خِمَاصًا وَتَرُوحُ بِطَانًا
[Umar Bin Al Khathab] menerangkan bahawa dia mendengar Nabiyullah ﷺ bersabda: “Jika kalian bertawakal kepada Allah ﷻ dengan sebenar-benarnya tawakal, nescaya Dia akan memberikan rezeki kepada kalian, sebagaimana Dia telah memberikan rezeki kepada burung yang berangkat di pagi hari dalam keadaan kosong dan kembali dalam keadaan kenyang.”
(Sunan Ibn Majah (200))
Status: Hasan

Allah ﷻ yang beri, bukannya berhala-berhala, pujaan-pujaan kamu selain Allah ﷻ, bukan Nabi, bukan wali, bukan mana-mana malaikat. Semua makhluk yang ada di muka bumi diberi rezeki oleh Allah ﷻ termasuklah kamu dapat rezeki itu pun daripada Allah ﷻ juga.

Kenapa sebut tentang rezeki pula dalam ayat ini? Allah ﷻ beritahu bahawa tidak perlu tunggu pun hari pembalasan untuk Allah ﷻ beri azab kepada mereka yang menolak ajakan dakwah kerana Allah ﷻ yang memberi rezeki, dan kalau Allah ﷻ menahan rezeki-Nya daripada sampai kepada mereka, mereka sudah mendapat seksa di dunia lagi. Janganlah mereka berlagak sombong dengan Allah ﷻ, padahal segala rezeki yang mereka ada dan mereka dapat makan, pakai dan segalanya diberi oleh Allah ﷻ.

Maka, janganlah sombong dengan Allah ﷻ. Allah ﷻ boleh menahan rezeki yang diberinya itu dengan tiba-tiba sahaja. Siapa lagi yang boleh beri rezeki kepada kita kalau Allah ﷻ sudah tahan?

Ia juga hendak menceritakan kekuasaan Allah ﷻ, bagaimana Allah ﷻ itu maha berkuasa dan kita amat berharap kepada Allah ﷻ. Tidak ada yang selain Allah ﷻ yang boleh beri rezeki kepada makhluk.

Mungkin timbul persoalan: kalau Allah ﷻ telah mewajibkan memberi rezeki ke atas Diri-Nya, kenapa ada juga yang mati kebuluran? Yang mati kebuluran itu kerana rezeki yang ditetapkan untuknya telah habis dimakan. Selagi belum habis rezeki yang telah ditakdirkan untuk kita, kita tidak akan mati sebagaimana diriwayatkan Abdullah bin Mas’ud رضي الله عنه berkata, Rasulullah ﷺ bersabda:

إِنَّهُ لَيْسَ شَيْءٌ يُقَرِّبُكُمْ مِنَ الْجَنَّةِ, وَيُبَاعِدُكُمْ مِنَ النَّارِ إِلَّا قَدْ أَمَرْتُكُمْ بِهِ, وَلَيْسَ شَيْءٌ يُقَرِّبُكُمْ مِنَ النَّارِ, وَيُبَاعِدُكُمْ مِنَ الْجَنَّةِ إِلَّا قَدْ نَهَيْتُكُمْ عَنْهُ, وَأَنَّ الرُّوحَ الْأَمِينَ نَفَثَ فِي رُوعِيَ أَنَّهُ لَنْ تَمُوتَ نَفْسٌ حَتَّى تَسْتَوْفِيَ رِزْقَهَا, فَاتَّقُوا اللهَ وَأَجْمِلُوا فِي الطَّلَبِ, وَلَا يَحْمِلَنَّكُمُ اسْتِبْطَاءُ الرِّزْقِ أَنْ تَطْلُبُوهُ بِمَعَاصِي اللهِ, فَإِنَّهُ لَا يُدْرَكُ مَا عِنْدَ اللهِ إِلَّا بِطَاعَتِهِ
“Sungguh tidak ada satu pun yang mendekatkan kalian ke syurga dan menjauhkan kalian dari neraka kecuali aku telah memerintahkannya kepada kalian, dan tidak ada satu pun yang mendekatkan kalian ke neraka dan menjauhkan kalian dari syurga kecuali aku telah melarangnya atas kalian.
Dan sungguh ar-ruhul amin (malaikat Jibril yang terpercaya) telah menyampaikan kepadaku bahawa tidak akan mati satu jiwa sampai dia menyempurnakan rezekinya, maka bertaqwalah kepada Allah dan perbaguslah dalam mencari rezeki, dan sekali-kali janganlah lambatnya rezeki menjadikan kalian mencarinya dengan bermaksiat kepada Allah, kerana sesungguhnya tidak akan diraih apa yang ada di sisi Allah kecuali dengan mentaati-Nya.”
(Riwayat Al Baihaqi di dalam Sya’bul Iman No. 9891 dengan sanad yang sahih)

Pengajaran kepada kita adalah rezeki itu pasti kita akan dapat. Maka sepatutnya bab rezeki ini kita tidak perlulah risau sangat kerana rezeki telah ditentukan. Selagi kita masih lagi bernyawa, maka rezeki kita akan sampai kepada kita walau di mana pun kita berada. Malangnya ramai manusia yang risau sangat bab rezeki kerana tidak yakin dengan Allah ﷻ. Mungkin dia tahu tentang rezeki, tetapi tidak sampai ke tahap yakin. Maka keluh kesahlah hidupnya di dunia. Takut sana dan takut sini apabila melibatkan bab rezeki. Kalaulah kita dapat sampai ke tahap yakin tentang rezeki ini, kita akan dapat kehidupan yang tenang dan bening sahaja. Alangkah hebatnya perasaan itu!

Sekiranya kita hendak melebihkan rezeki kita, sekurang-kurangnya gunalah cara yang Nabi ﷺ sendiri ajar kepada kita seperti disebut di dalam sebuah hadith:

مَنْ أَحَبَّ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ، وَيُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ، فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ
“Barangsiapa yang ingin diluaskan rezekinya serta dipanjangkan usianya, maka hendaklah dia menyambung pertalian silaturrahim.”
(Riwayat Bukhari (5986) dan Muslim (2557))

Syarah: Imam Nawawi رحمه الله dalam menjelaskan hadith ini berkata: Yang dimaksudkan dengan ‘أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ’ adalah diluaskan dan dijadikan banyak hartanya. Menurut pendapat yang lain, maksudnya diberi keberkatan harta. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 16/114).

Pendapat yang mengatakan diberkati rezeki itu lebih menarik kerana banyak mana rezeki kita sudah ditentukan, maka yang membezakan adalah berkat atau tidak rezeki itu. Kita sebenarnya bukan mahu harta yang banyak, kerana tidak berguna pun harta banyak tanpa berkat. Kita sebenarnya mahu biarlah harta kita sedikit, tetapi berkat.

Maka tenang-tenang sahaja dalam rezeki ini. Yang lebih penting kita bertaqwa dan percaya dengan Allah ﷻ seperti disebut dalam hadith,

عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا اللَّهَ وَأَجْمِلُوا فِي الطَّلَبِ فَإِنَّ نَفْسًا لَنْ تَمُوتَ حَتَّى تَسْتَوْفِيَ رِزْقَهَا وَإِنْ أَبْطَأَ عَنْهَا فَاتَّقُوا اللَّهَ وَأَجْمِلُوا فِي الطَّلَبِ خُذُوا مَا حَلَّ وَدَعُوا مَا حَرُمَ
Daripada [Jabir bin Abdullah] ia berkata, “Rasulullah ﷺ bersabda: “Wahai manusia, bertaqwalah kepada Allah dan carilah yang baik dalam mencari dunia. Sesungguhnya sebuah jiwa tidak akan mati hingga terpenuhi rezekinya meskipun lewat. Bertaqwalah kepada Allah, carilah yang baik dalam mencari dunia, ambillah yang halal dan tinggalkan yang haram.”
(Sunan Ibn Majah (2135))
Status: Sahih

Allah ﷻ mengingatkan kita di dalam Ankabut:56 bahawa bumi Allah ﷻ ini luas maka jangan takut tentang rezeki. Kalau satu tempat tidak ada rezeki, boleh cari di tempat yang lain. Kalau tempat kerja kita tidak baik bagi agama kita, maka tukarlah kerja lain kerana bukan di situ sahaja rezeki kamu.

يٰعبادِيَ الَّذينَ ءآمَنوا إِنَّ أَرضي وٰسِعَةٌ فَإِيّٰيَ فَاعبُدونِ
Hai hamba-hamba-Ku yang beriman, sesungguhnya bumi-Ku luas, maka sembahlah Aku sahaja.

Jangan kita gadaikan agama kita kerana takut rezeki. Ada orang yang telah beriman dengan Nabi ﷺ di Mekah tetapi mereka takut untuk berhijrah ke Madinah kerana takut tidak ada rezeki tempat yang baru. Maka Allah ﷻ tegur mereka di dalam ayat Ankabut ini. Sekali lagi disebut dengan lebih keras di dalam Nisa’: 97

إِنَّ الَّذينَ تَوَفّٰهُمُ المَلىٰئِكَةُ ظالِمي أَنفُسِهِم قالوا فيمَ كُنتُم ۖ قالوا كُنّا مُستَضعَفينَ فِي الأَرضِ ۚ قالوا أَلَم تَكُن أَرضُ اللَّهِ وٰسِعَةً فَتُهاجِروا فيها ۚ فَأُولٰئِكَ مَأوىٰهُم جَهَنَّمُ ۖ وَساءَت مَصيرًا
Sesungguhnya orang-orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas oleh kaum kafir musyrik), mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata: “Apakah yang kamu telah lakukan mengenai ugama kamu?” Mereka menjawab: “Kami dahulu adalah orang-orang yang tertindas di bumi”. Malaikat bertanya lagi: “Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya?” Maka orang-orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka jahanam, dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.

Lihatlah pengakhiran buruk bagi mereka. Maka kita pun tidak boleh takut tentang rezeki sampai menggadaikan agama kita. Sebagai contoh jikalau tempat tinggal kita tidak memungkinkan kita mengamalkan agama dengan sempurna, maka kita mesti tinggalkan tempat itu berhijrah ke tempat yang lebih baik. Mungkin ada yang tinggal di negara kafir yang menindas umat Islam dan tidak membenarkan umat Islam mengamalkan kewajipan seperti menutup aurat. Maka tidak boleh lagi tinggal di negara itu lagi dan kena pindah ke negara Islam.

Jangan takut tidak dapat rezeki kerana Allah ﷻ akan memberikan rezeki itu di mana sahaja kita berada. Ingatlah kisah Hajar apabila beliau ditinggalkan di Mekah yang tandus. Mari kita lihat potongan hadith ini,

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ لَمَّا كَانَ بَيْنَ إِبْرَاهِيمَ وَبَيْنَ أَهْلِهِ مَا كَانَ خَرَجَ بِإِسْمَاعِيلَ وَأُمِّ إِسْمَاعِيلَ وَمَعَهُمْ شَنَّةٌ فِيهَا مَاءٌ فَجَعَلَتْ أُمُّ إِسْمَاعِيلَ تَشْرَبُ مِنْ الشَّنَّةِ فَيَدِرُّ لَبَنُهَا عَلَى صَبِيِّهَا حَتَّى قَدِمَ مَكَّةَ فَوَضَعَهَا تَحْتَ دَوْحَةٍ ثُمَّ رَجَعَ إِبْرَاهِيمُ إِلَى أَهْلِهِ فَاتَّبَعَتْهُ أُمُّ إِسْمَاعِيلَ حَتَّى لَمَّا بَلَغُوا كَدَاءً نَادَتْهُ مِنْ وَرَائِهِ يَا إِبْرَاهِيمُ إِلَى مَنْ تَتْرُكُنَا قَالَ إِلَى اللَّهِ قَالَتْ رَضِيتُ بِاللَّهِ قَالَ فَرَجَعَتْ فَجَعَلَتْ تَشْرَبُ مِنْ الشَّنَّةِ وَيَدِرُّ لَبَنُهَا عَلَى صَبِيِّهَا حَتَّى لَمَّا فَنِيَ الْمَاءُ قَالَتْ لَوْ ذَهَبْتُ فَنَظَرْتُ لَعَلِّي أُحِسُّ أَحَدًا قَالَ فَذَهَبَتْ فَصَعِدَتْ الصَّفَا فَنَظَرَتْ وَنَظَرَتْ هَلْ تُحِسُّ أَحَدًا فَلَمْ تُحِسَّ أَحَدًا فَلَمَّا بَلَغَتْ الْوَادِيَ سَعَتْ وَأَتَتْ الْمَرْوَةَ فَفَعَلَتْ ذَلِكَ أَشْوَاطًا ثُمَّ قَالَتْ لَوْ ذَهَبْتُ فَنَظَرْتُ مَا فَعَلَ تَعْنِي الصَّبِيَّ فَذَهَبَتْ فَنَظَرَتْ فَإِذَا هُوَ عَلَى حَالِهِ كَأَنَّهُ يَنْشَغُ لِلْمَوْتِ فَلَمْ تُقِرَّهَا نَفْسُهَا فَقَالَتْ لَوْ ذَهَبْتُ فَنَظَرْتُ لَعَلِّي أُحِسُّ أَحَدًا فَذَهَبَتْ فَصَعِدَتْ الصَّفَا فَنَظَرَتْ وَنَظَرَتْ فَلَمْ تُحِسَّ أَحَدًا حَتَّى أَتَمَّتْ سَبْعًا ثُمَّ قَالَتْ لَوْ ذَهَبْتُ فَنَظَرْتُ مَا فَعَلَ فَإِذَا هِيَ بِصَوْتٍ فَقَالَتْ أَغِثْ إِنْ كَانَ عِنْدَكَ خَيْرٌ فَإِذَا جِبْرِيلُ قَالَ فَقَالَ بِعَقِبِهِ هَكَذَا وَغَمَزَ عَقِبَهُ عَلَى الْأَرْضِ قَالَ فَانْبَثَقَ الْمَاءُ فَدَهَشَتْ أُمُّ إِسْمَاعِيلَ فَجَعَلَتْ تَحْفِزُ قَالَ فَقَالَ أَبُو الْقَاسِمِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَوْ تَرَكَتْهُ كَانَ الْمَاءُ ظَاهِرًا قَالَ فَجَعَلَتْ تَشْرَبُ مِنْ الْمَاءِ وَيَدِرُّ لَبَنُهَا عَلَى صَبِيِّهَا قَالَ فَمَرَّ نَاسٌ مِنْ جُرْهُمَ بِبَطْنِ الْوَادِي فَإِذَا هُمْ بِطَيْرٍ كَأَنَّهُمْ أَنْكَرُوا ذَاكَ وَقَالُوا مَا يَكُونُ الطَّيْرُ إِلَّا عَلَى مَاءٍ فَبَعَثُوا رَسُولَهُمْ فَنَظَرَ فَإِذَا هُمْ بِالْمَاءِ فَأَتَاهُمْ فَأَخْبَرَهُمْ فَأَتَوْا إِلَيْهَا فَقَالُوا يَا أُمَّ إِسْمَاعِيلَ أَتَأْذَنِينَ لَنَا أَنْ نَكُونَ مَعَكِ أَوْ نَسْكُنَ مَعَكِ فَبَلَغَ ابْنُهَا فَنَكَحَ فِيهِمْ امْرَأَةً
Daripada [Ibnu ‘Abbas رضي الله عنهما] berkata; “Ketika Ibrahim keluar berkelana bersama Isma’il dan ibu Isma’il, mereka membawa geriba (kantung empat air) yang berisi air, ibu Isma’il minum daripada persediaan air dalam geriba tersebut sehingga dia dapat menyusui bayinya. Ketika tiba di Makkah, Ibrahim menempatkan keduanya di bawah sebuah pondok. Tatkala Ibrahim hendak kembali kepada keluarganya, ibu Isma’il mengikutinya di belakang hingga ketika sampai di dataran yang agak tinggi, ibu Isma’il memanggilnya dari belakang; “Wahai Ibrahim, kepada siapa engkau meninggalkan kami?”. Ibrahim menjawab; “Kepada Allah”. Hajar berkata; “Kalau begitu, Aku telah redha kepada Allah”. Perawi berkata; “Lalu Hajar kembali (ke tempat semula dia dan minum geriba kunonya dan boleh menyusui bayinya hingga ketika air persediaan habis dia berkata; “Sebaiknya aku pergi dan melihat-lihat barangkali ada orang”. Perawi berkata; “Maka dia pergi dan naik ke atas bukit Safaa lalu melihat-lihat apakah ada orang namun dia tidak merasakan ada seorang pun. Ketika sampai di lembah dia lari-lari kecil dan mendatangi Marwa, dia lakukan yang demikian berkali-kali. Kemudian dia berkata; “Sebaiknya aku pergi dan melihatnya, yang dimaksudnya adalah bayinya. Maka dia pergi mendatangi bayinya yang ternyata keadaannya seperti ketika ditinggalkan seolah-olah menghisap nafas-nafas kematian sehingga hati Hajar tidak tenang. Dia berkata; “Sebaiknya aku pergi dan melihat-lihat barangkali ada orang”. Maka dia pergi untuk mendaki bukit Safaa lalu melihat-lihat namun tidak ada seorang pun yang ditemuinya hingga ketika dia telah melakukan upaya itu sebanyak tujuh kali (antara bukit Safaa dan Marwah) dia berkata; “Sebaiknya aku pergi dan melihat apa yang terjadi dengan bayiku”, ternyata dia mendengar suara, maka dia berkata; “Tolonglah (aku) jika memang kamu baik”. Ternyata (suara itu) adalah malaikat Jibril عليه السلام. Perawi berkata; Lalu Jibril عليه السلام berbuat dengan tumitnya begini. Dia mengais-ngais tanah dengan tumitnya”. Perawi berkata; “Maka memancarlah air dan ibu Ism’ail menjadi terperanjat dan segera menampungnya”. Perawi berkata; Berkata Abu Al Qasim ﷺ: “Seandainya Hajar membiarkannya pasti air akan mengalir”. Perawi berkata; “Maka Hajar minum air (zamzam) itu sehingga dapat menyusui bayinya”. Kemudian serombongan orang daripada suku Jurhum melalui di dasar lembah dan mereka melihat ada seekor burung, seakan mereka tidak percaya, Mereka berkata: “Tidak akan ada burung melainkan pasti kerana ada air”. Akhirnya mereka mengutuskan seorang utusan mereka untuk melihatnya yang ternyata mereka memang berada di kawasan yang ada air. Utusan itu kemudian kembali kepada mereka dan mengabarkan (apa yang dilihatnya). Kemudian mereka menemui Hajar dan berkata; “Wahai Ibu Isma’il, apakah kamu mengizinkan kami untuk tinggal bersama kamu atau kami hidup bertetangga bersama kamu?”. Kemudian anaknya (Isma’il) tumbuh menjadi seorang pemuda lalu menikah dengan seorang wanita”.
(Sahih Bukhari (3114))

Keyakinan Hajar kepada Allah ﷻ di dalam hadith ini menjadi pengajaran kepada kita. Oleh kerana keyakinannya itu, Allah ﷻ telah memberikan air Zam-Zam kepada mereka sampai ke hari ini. Kemudian tempat yang tandus itu berubah menjadi maju dan bermasyarakat dengan datangnya puak Jurhum yang akhirnya telah menjadi perintis tok nenek kepada bangsa Arab sekarang.

 

وَيَعْلَمُ مُسْتَقَرَّهَا

dan Dia mengetahui tempat tinggalnya

Bagaimana Allah ﷻ boleh beri rezeki kepada semua makhluk yang hidup di langit dan di bumi yang entah berapa ramai itu? Allah ﷻ boleh beri rezeki kerana Allah ﷻ tahu di mana kita duduk dan tinggal. Ini sama seperti kata-kata ‘rezeki tidak pernah salah alamat’. Ya memang benar. Kita kalau anak ramai lapan orang pun sudah menggelabah untuk beri makan kepada mereka, tetapi mudah sahaja bagi Allah ﷻ.

Kerana Allah ﷻ Maha Tahu di manakah tempat kediaman, tempat bermastautin semua makhluk-Nya, termasuklah kita. Perkataan مُسْتَقَرَّهَا diambil daripada katadasar ق ر ر yang bermaksud ‘sejuk’ atau ‘tidak bergerak’. Selalunya, kita boleh lihat bagaimana apabila sesuatu benda itu sejuk, maka ia tidak bergerak. Seperti kita lihat salji, ia tidak bergerak ke mana-mana pun.

Maka perkataan مُسْتَقَرَّ bermaksud tempat tinggal, tempat bermastautin yang tetap. Iaitu tempat yang kita tinggal lama. Untuk manusia, bermaksud rumahnya. Allah ﷻ tahu di mana kita tinggal, walaupun kita hendak menyorok bagaimana cara sekalipun.

 

وَمُسْتَوْدَعَهَا

dan tempat ia disimpan.

Ini pula bermaksud tempat tinggal yang sekejap sahaja. Kadang-kadang kita pergi ke merata tempat, tetapi kita akan pulang juga ke tempat tinggal kita yang tetap, ke kampung halaman kita. Allah ﷻ tahu segala-galanya. Allah ﷻ tahu di mana kita berada pada setiap ketika, tidak kira untuk masa yang lama ataupun sekejap sahaja.

Perkataan مُسْتَوْدَعَ daripada katadasar و ض ع yang bermaksud ‘meninggalkan sesuatu’. Sebagai contoh, apabila kita meninggalkan sesuatu barang dengan seseorang untuk disimpan sebagai amanah. Oleh itu, مُسْتَوْدَعَ bermaksud tempat barang-barang yang diamanahkan itu ditinggalkan. Sebagai contoh, kita simpan duit di bank atau locker tempat kita tinggalkan baju-baju kita kalau kita pergi gym. Barang-barang itu bukan ditinggalkan lama di situ tetapi untuk sementara waktu sahaja.

Allah ﷻ tahu di mana sahaja kita tinggal sebelum kita berpindah-randah. Bukan sahaja kita, tetapi segala makhluk-makhluk-Nya yang kecil ataupun besar. Kalau kita jenis orang yang berpindah-randah pun, tentu kita lupa di mana kita tinggal dahulu tetapi ﷻ Allah tahu. Tempat tempat dan tempat kita pernah singgah di dalam hidup kita pun kita tidak ingat, tetapi Allah ﷻ tahu ke mana-mana sahaja tempat yang kita pernah pergi.

Kalaulah makhluk yang memberikan rezeki kepada kita, tentulah kita kena beritahu dia ke mana kita pergi sekian-sekian waktu. Kalau tidak, dia bawa makanan dan lihat kita tidak ada. Tapi kerana Allah ﷻ yang memberikan rezeki kepada kita, tidak kira di mana kita, rezeki yang telah ditakdirkan untuk kita itu pasti akan sampai.

Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa مُسْتَوْدَعَ bermaksud ‘kubur’ kerana kita akan tinggal sekejap sahaja di dalam kubur itu. Selepas mengalami alam kubur sekian lama, nanti akan Kiamat dan akan dibicarakan di akhirat kelak.

 

كُلٌّ فِي كِتٰبٍ مُّبِينٍ

Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Lauh mahfuz) yang nyata.

Rezeki yang telah ditakdirkan untuk kita itu sebenarnya telah ditulis oleh Allah ﷻ di dalam Lauh Mahfuz. Ia mengandungi segala perkara yang akan terjadi dari mula alam ini dicipta sehinggalah alam ini Kiamat nanti. Maka jangan takut tentang rezeki. Tentang takdir kita telah disebut di dalam sebuah hadith:

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرِو بْنِ الْعَاصِ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ كَتَبَ اللَّهُ مَقَادِيرَ الْخَلَائِقِ قَبْلَ أَنْ يَخْلُقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ بِخَمْسِينَ أَلْفَ سَنَةٍ قَالَ وَعَرْشُهُ عَلَى الْمَاءِ
Daripada [‘Abdullah bin ‘Amru bin Al ‘Ash] dia berkata; “Saya pernah mendengar Rasulullah ﷺ bersabda: “Allah ﷻ telah menentukan takdir bagi semua makhluk lima puluh ribu tahun sebelum Allah ﷻ menciptakan langit dan bumi.’ Rasulullah menambahkan: ‘Dan arsy Allah ﷻ itu berada di atas air.”
(Sahih Muslim (4797))

Ayat ini mengingatkan kepada kita tentang ilmu Allah ﷻ yang Maha Luas. Dalam ayat sebelum ini telah disebut bagaimana Musyrikin Mekah cuba menyembunyikan apa yang ada di dalam hati mereka daripada diketahui Allah ﷻ. Mana mungkin mereka boleh menyembunyikannya sedangkan Allah ﷻ tahu segala-galanya.

Allah ﷻ juga maha mengetahui segalanya tentang makhluk-Nya termasuk di mana mereka tinggal dan tempat mereka akan mati. Semua mendapat rezeki masing-masing dan tidak ketinggalan walau satu pun. Ini seperti firman Allah ﷻ dalam An’am:38

وَما مِن دابَّةٍ فِي الأَرضِ وَلا طٰئِرٍ يَطيرُ بِجَناحَيهِ إِلّا أُمَمٌ أَمثالُكُم ۚ مّا فَرَّطنا فِي الكِتٰبِ مِن شَيءٍ
Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu juga. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab;

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 3 Ogos 2023

Ringkasan Surah Hud


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Tafsir Surah Hud Ayat 3 – 4 (Anjuran Istighfar dan Taubat)

Hud Ayat 3: Dalam ayat sebelum ini, telah diingatkan kepada kita bahawa kita mesti menghambakan diri kepada Allah ﷻ sahaja, tidak boleh kepada yang lain. Ini telah disebut dalam ayat sebelum ini. Itu adalah perkara dan pengajaran yang paling penting sekali. Selepas itu, apa pula?

وَأَنِ استَغفِروا رَبَّكُم ثُمَّ توبوا إِلَيهِ يُمَتِّعكُم مَّتٰعًا حَسَنًا إِلىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى وَيُؤتِ كُلَّ ذي فَضلٍ فَضلَهُ ۖ وَإِن تَوَلَّوا فَإِنّي أَخافُ عَلَيكُم عَذابَ يَومٍ كَبيرٍ

Sahih International

And [saying], “Seek forgiveness of your Lord and repent to Him, [and] He will let you enjoy a good provision for a specified term and give every doer of favor his favor. But if you turn away, then indeed, I fear for you the punishment of a great Day.

Malay

Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu (dari perbuatan syirik), kemudian hendaklah kamu rujuk kembali taat kepadaNya; supaya Dia memberi kamu nikmat kesenangan hidup yang baik (di dunia) hingga ke suatu masa yang tertentu, dan (di akhirat pula) Dia akan memberi kepada tiap-tiap seorang yang mempunyai kelebihan (dalam sebarang amal yang soleh) akan pahala kelebihannya itu; dan jika kamu berpaling (membelakangkan tiga perkara itu), maka sesungguhnya aku bimbang kamu akan beroleh azab hari kiamat yang besar (huru-haranya).

 

وَأَنِ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ

Dan hendaklah kamu sentiasa meminta ampun kepada Tuhan kamu;

Ini adalah peringatan seterusnya dalam ayat ini: hendaklah sentiasa meminta ampun daripada perbuatan syirik, bid’ah, dosa besar dan kecil yang kita pernah buat. Kadang-kadang kita tahu perbuatan salah yang kita lakukan dan kadang kita tidak tahu. Kita tidak tahu itu mungkin kerana kita tidak belajar lagi dan oleh kerana itu kita tidak tahu manakah kesalahan yang kita telah lakukan. Kita hendaklah meminta ampun segalanya sekali.

‘Istighfar’ bermaksud kita meminta ampun kepada kesalahan ‘telah lalu‘ yang kita telah lakukan. Yang masa depan kita tidak tahu lagi, tetapi kita minta ampun daripada kesalahan lalu yang telah dilakukan. Kena menyesal atas perbuatan dosa kita sebelum ini.

Di dalam ayat sebelum ini telah disebut untuk beribadat kepada Allah ﷻ. Sekarang disuruh untuk meminta ampun atas kesalahan dosa kita yang lalu. Ini adalah kerana dosa adalah penghalang kepada ibadah. Kalau ada banyak dosa, kita akan susah untuk melakukan ibadah kerana ada titik-titik hitam dalam diri kita. Ini disebut dalam hadith yang masyhur,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ الْمُؤْمِنَ إِذَا أَذْنَبَ كَانَتْ نُكْتَةٌ سَوْدَاءُ فِي قَلْبِهِ فَإِنْ تَابَ وَنَزَعَ وَاسْتَغْفَرَ صُقِلَ قَلْبُهُ فَإِنْ زَادَ زَادَتْ فَذَلِكَ الرَّانُ الَّذِي ذَكَرَهُ اللَّهُ فِي كِتَابِهِ { كَلَّا بَلْ رَانَ عَلَى قُلُوبِهِمْ مَا كَانُوا يَكْسِبُونَ }
Daripada [Abu Hurairah رضي الله عنه] bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Sesungguhnya apabila seorang mukmin berbuat dosa, maka akan ada titik hitam di dalam hatinya, jika dia bertaubat, meninggalkannya serta meminta ampun maka hatinya akan kembali putih, namun jika dia menambah (dosanya) maka akan bertambah (titik hitam), maka itulah penutup (hati) yang disebutkan dalam firman Allah dalam kitab-Nya; “Sekali-kali tidak (demikian), Sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutupi hati mereka.” (Muthafifin:14).
(Sunan Ibn Majah (4234))
Status: Hasan


Sekiranya ada dosa syirik lagi, maka amalan ibadah apa pun tidak berguna kerana tidak diberikan pahala kepada pelakunya. Maka kena minta ampun atas dosa syirik supaya pahala-pahala dapat dikumpul.

 

ثُمَّ تُوبُوا إِلَيْهِ

kemudian hendaklah kamu bertaubat kepada-Nya;

Bertaubat itu pula bermaksud sedar tentang kesalahan yang ‘sedang’ kita lakukan dan berazam untuk tidak akan membuat lagi dosa yang kita telah buat. Bukan itu sahaja, kita hendaklah mengubah cara hidup kita selepas bertaubat itu. Ini adalah kerana, daripada lafaz ‘taubat’ itu, ia membawa maksud ‘kembali’. Iaitu kembali ke pangkal jalan. Katakanlah kita sedang memandu, dan kita perasan yang kita sedang melalui jalan yang salah. Maka dalam hal itu, kita kena ‘kembali’ ke jalan yang benar. Begitu jugalah dengan ‘taubat’. Rasulullah ﷺ bersabda:

كُلُّ بَنِي آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ
Kesemua anak Adam itu melakukan kesilapan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan itu adalah mereka yang bertaubat.
(Riwayat Ibn Majah (4392))
Status: Hasan

Selalu kita sangka ‘istighfar’ dan ‘taubat’ adalah perkara yang sama. Akan tetapi Allah ﷻ letak kedua-duanya dalam ayat ini, yang bermaksud yang keduanya berbeza. Ini adalah salah satu daripada undang-undang Al-Qur’an: jikalau Allah ﷻ letakkan dua perkataan itu sekali dalam satu ayat, bermaksud ia adalah tidak sama. Tentu ada perbezaan antara keduanya.

Dalam ayat ini, Allah ﷻ sebut ‘istighfar’ dulu sebelum ‘taubat’. Maka, ini memberi isyarat bahawa kita kena istighfar dulu. Berapa kali kita kena bertaubat? Lakukanlah sebanyak mungkin, akan tetapi sekurang-kurangnya seratus kali sehari. Ini kerana Ibnu Umar رضي الله عنهما berkata: Rasulullah ﷺ bersabda:

«يَا أَيُّهَا النَّاسُ تُوبُوا إِلَى اللهِ، فَإِنِّي أَتُوبُ، فِي الْيَوْمِ إِلَيْهِ مِائَةَ، مَرَّةٍ»
Wahai manusia, bertaubatlah kepada Allah. Sesungguhnya aku juga bertaubat kepada-Nya, di dalam satu hari sebanyak 100 kali.
(Sahih Muslim No. 2702)

Kenapa pula Rasulullah ﷺ bertaubat sedangkan baginda tidak ada dosa? Kerana hendak menjadi contoh bagi kita kerana bukanlah baginda itu contoh bagi kita?

‘Istighfar’ itu adalah kita sedar bahawa kita sudah bersalah, kita sudah banyak buat dosa. Kita menyesal dengan perbuatan salah yang kita telah buat selama ini. Kemudian, setelah kita istighfar, barulah kita bertaubat – kembali kepada Allah ﷻ. Maksud kembali ini adalah azam yang kuat untuk tidak melakukan lagi apa dosa yang kita telah buat. Maka istighfar adalah untuk dosa masa lalu dan taubat adalah azam untuk masa depan.

Oleh itu, jikalau kita istighfar sahaja tanpa ada niat untuk meninggalkan dosa itu, ia bukanlah istighfar yang benar dan tidak akan diterima. Tidak diterima kerana tidak cukup syaratnya. Itu istighfar main-main sahaja.

 

يُمَتِّعْكُم مَّتٰعًا حَسَنًا

nescaya Dia memberi kamu nikmat kesenangan hidup yang baik;

Selepas istighfar dan bertaubat, apa yang kita akan dapat? Allah ﷻ terangkan di sini kerana tahu manusia dalam buat apa-apa mesti ada sebab, mesti ada imbuhan. Kalau tidak, mungkin tiada motivasi untuk kita melakukannya, bukan? Maka ini mengajar kita di dalam berdakwah, beritahu kepada mad’u apakah balasan baik yang kita akan dapat supaya mereka segera melakukannya.

Allah ﷻ beritahu yang kalau kita buat perkara-perkara yang telah disebut di atas, iaitu istighfar dan taubat, Allah ﷻ akan memberi nikmat hidup kepada kita semasa di dunia lagi. Kenapa nikmat yang besar diberikan kepada mereka yang istighfar dan taubat, sedangkan bukankah mereka itu telah melakukan kesalahan?

Jawapan: Ini adalah kerana mereka yang istighfar dan taubat itu adalah mereka yang mengaku mereka telah melakukan kesalahan. Ini adalah satu perkara yang susah hendak dilakukan. Ramai yang buat salah, tetapi mereka tidak mahu mengaku. Mereka hendak juga mengatakan yang mereka tidak melakukan kesalahan. Kalau ditegur, mereka akan beri berbagai-bagai alasan untuk menjustifikasikan kesalahan yang mereka telah lakukan.

Oleh itu, mengaku bersalah bukanlah satu perkara yang mudah. Oleh kerana ia memang susah, maka itulah sebabnya Allah ﷻ memberikan balasan yang baik kepada mereka yang sebegitu. Allah ﷻ memang suka orang yang mengaku kesalahan mereka.

Kebaikan yang Allah ﷻ berikan itu, bukan perlu tunggu di Akhirat nanti baru dibalas. Di dunia lagi, Allah ﷻ akan balas perbuatan istighfar dan taubat mereka itu. Maknanya, mereka akan mendapat kebaikan di dunia, dan juga kebaikan di akhirat. Allah ﷻ telah berfirman di dalam Nahl:97 tentang hal ini:

مَن عَمِلَ صالِحًا مِن ذَكَرٍ أَو أُنثىٰ وَهُوَ مُؤمِنٌ فَلَنُحيِيَنَّهُ حَياةً طَيِّبَةً ۖ وَلَنَجزِيَنَّهُم أَجرَهُم بِأَحسَنِ ما كانوا يَعمَلونَ
Barangsiapa yang mengerjakan amal soleh, baik laki-laki mahu pun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang telah mereka kerjakan.

Berbagai maksud ‘nikmat’ itu. Mungkin dalam bentuk harta benda dan mungkin tidak. Kita sering fikir nikmat dalam bentuk harta benda serta fizikal material sahaja, tetapi ada nikmat yang lebih besar daripada itu sebenarnya. Mungkin mereka akan mendapat lebih lagi daripada harta kekayaan.

Contohnya, mereka tidak akan berasa kosong dalam hidupnya. Mereka akan berpuas hati dengan apa yang Allah ﷻ berikan kepada mereka. Ini adalah lebih besar daripada harta kerana berapa ramai yang melimpah ruah harta mereka, tetapi mereka rasa ‘kosong’ sahaja hidup mereka.

Atau seseorang itu tidak berasa dukacita sangat dengan musibah yang menimpanya. Ada orang yang walaupun kita lihat dari segi harta, mereka kurang dari segi kebendaan, namun dari segi emosi mereka, mereka berasa cukup dan selesa. Kita lihat mereka tenang sahaja dalam hidup mereka.

Sebagai contoh, Nabi ﷺ hidup dalam serba kekurangan namun baginda puas hati. Begitu juga dengan para sahabat. Nabi ﷺ sebenarnya mendapat banyak harta tetapi baginda sentiasa sedekah sampaikan baginda tidak ada harta pada tangan baginda. Dapat sahaja harta, terus infak.

Maka, mereka yang diberikan nikmat oleh Allah ﷻ itu mungkin tidak ada harta yang mereka simpan. Namun mereka rasa cukup sahaja dengan apa yang mereka ada dan tidak mendambakan benda yang mereka tidak ada. Alangkah nikmatnya jikalau kita dapat mencapai perasaan sebegini. Berapa ramai yang kita lihat banyak hartanya, tetapi mereka tidak tenang sahaja. Ada sahaja masalah mereka yang tidak selesai. Walaupun hidup mereka mewah, tetapi kita lihat mereka tidak senang, tidak gembira dan tidak tenang.

Ada orang yang kaya tetapi jiwanya kosong. Kena pergi ke sana sini mencari ketenangan. Sudah beli barang banyak pun beli lagi. Bukan dia guna pun barang-barang itu. Beli barang yang mahal-mahal pula. Mereka kadangkala buat begitu hanya kerana hendak mencari ketenangan dan mengisi kekosongan hatinya. Namun masih lagi ada kekosongan. Masalah mereka pun banyak walaupun mereka kaya raya. Contohnya seperti masalah keluarga yang menyesakkan hati mereka.

Semua manusia memang menghadapi dugaan dalam hidup. Memang itulah lumrah alam ini kerana alam dunia ini adalah tempat ujian. Sama ada beriman atau tidak. Namun bezanya, mereka yang mengharap balasan daripada Allah ﷻ, akan ada rasa lega sedikit kerana mereka tahu, kalau pun mereka susah di dunia ini, mereka akan senang di akhirat kelak. Biarlah rumah kecil, namun hati tenang dan redha. Begitulah yang Rasulullah ﷺ ajar kita,

عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ قَالَ دَخَلْتُ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ عَلَى حَصِيرٍ قَالَ فَجَلَسْتُ فَإِذَا عَلَيْهِ إِزَارٌ وَلَيْسَ عَلَيْهِ غَيْرُهُ وَإِذَا الْحَصِيرُ قَدْ أَثَّرَ فِي جَنْبهِ وَإِذَا أَنَا بِقَبْضَةٍ مِنْ شَعِيرٍ نَحْوِ الصَّاعِ وَقَرَظٍ فِي نَاحِيَةٍ فِي الْغُرْفَةِ وَإِذَا إِهَابٌ مُعَلَّقٌ فَابْتَدَرَتْ عَيْنَايَ فَقَالَ مَا يُبْكِيكَ يَا ابْنَ الْخَطَّابِ فَقُلْتُ يَا نَبِيَّ اللَّهِ وَمَالِي لَا أَبْكِي وَهَذَا الْحَصِيرُ قَدْ أَثَّرَ فِي جَنْبِكَ وَهَذِهِ خِزَانَتُكَ لَا أَرَى فِيهَا إِلَّا مَا أَرَى وَذَلِكَ كِسْرَى وَقَيْصَرُ فِي الثِّمَارِ وَالْأَنْهَارِ وَأَنْتَ نَبِيُّ اللَّهِ وَصَفْوَتُهُ وَهَذِهِ خِزَانَتُكَ قَالَ يَا ابْنَ الْخَطَّابِ أَلَا تَرْضَى أَنْ تَكُونَ لَنَا الْآخِرَةُ وَلَهُمْ الدُّنْيَا قُلْتُ بَلَى
[Umar bin Khattab رضي الله عنه] beliau berkata, “Saya pernah menemui Rasulullah ﷺ saat baginda berada di atas tikar.” Umar رضي الله عنه melanjutkan, “Lalu aku duduk, ternyata saya dapati baginda hanya mengenakan selembar kain dan tidak ada kain lain selain yang dipakainya, sementara tikar itu telah membekas pada sisi baginda. Saya juga (melihat) segenggam gandum sekitar satu sha’ dan daun yang dipergunakan untuk menyamak yang terletak di sudut kamar dan kulit yang menggantung. Tidak terasa kedua mataku berlinang air mata. Baginda bertanya: “Apa yang membuatmu menangis wahai Ibnul Khattab?” Saya menjawab, “Wahai Nabi Allah, bagaimana saya tidak menitiskan air mata, sementara tikar ini membekas di sisimu, dan aku tidak melihat dalam ruanganmu kecuali apa aku lihat. Sedangkan raja Kisra dan Kaisar Romawi dipenuhi buah-buahan dan sungai-sungai, engkau adalah Nabi Allah dan pilihan-Nya, namun ruanganmu hanya seperti ini! “Baginda menjawab: “Wahai Ibnul Khattab, tidakkah kamu redha kita mendapatkan akhirat dan mereka mendapatkan dunia?” Aku menjawab, “Tentu.”
(Sunan Ibn Majah (4243))
Status: Sahih

Mereka tahu yang hidup dan kesusahan yang dialami di dunia ini bersifat sementara sahaja. Mereka yakin dengan janji Allah ﷻ untuk memberi kebaikan di akhirat kelak, maka mereka tidak kisah sangat dengan kesusahan di dunia ini.

Kita tidak tolak yang nikmat yang dimaksudkan itu boleh sahaja bermaksud nikmat dari segi harta. Allah ﷻ beri harta yang berlimpah ruah kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya. Allah ﷻ boleh beri rezeki dari tempat yang tidak disangka-sangka. Inilah kelebihan istighfar seperti disebut di dalam Nuh: 10-12

فَقُلتُ استَغفِروا رَبَّكُم إِنَّهُ كانَ غَفّارًا
“Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Dia Maha Pengampun.

يُرسِلِ السَّماءَ عَلَيكُم مِدرارًا
“(Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu;

وَيُمدِدكُم بِأَموالٍ وَبَنينَ وَيَجعَل لَكُم جَنّاتٍ وَيَجعَل لَكُم أَنهارًا
“Dan Dia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).

Ada satu kisah tentang Hasan al-Basri رحمه الله. Diceritakan pada satu hari, seorang lelaki telah datang mengadu kepadanya kerana berdepan masalah kelaparan. Beliau dengan penuh hikmah menjawab, “Istighfarlah kepada Allah.”

Seterusnya beliau didatangi seorang yang menceritakan masalah yang dilaluinya kerana ketiadaan zuriat. Sekali lagi Imam Hasan رحمه الله menjawab, “Istighfarlah kepada Allah.”

Kemudian datang pula seorang lelaki merintih mengenai kebunnya kekeringan kerana musim kemarau. Jawapan sama diulangi dengan penuh hikmah, “Beristighfarlah kepada Allah.”

Jawapan Hasan al-Basri رحمه الله menghairankan masyarakat sekitarnya. Salah seorang daripada penduduk itu bertanya, “Beberapa orang lelaki datang dan mengadu pelbagai masalah, tetapi tuan hanya menyuruh mereka semua untuk melafazkan istighfar.”

Hasan al-Basri رحمه الله menjawab: “Aku sama sekali tidak mengatakan apapun daripada diriku sendiri. Sesungguhnya Allah ﷻ berfirman seperti itu.” Firman Allah ﷻ yang dimaksudkan oleh Hasan رحمه الله adalah Surah Nuh ayat 10-12.

Penghalang kepada nikmat dan rahmat adalah dosa. Allah ﷻ tahan daripada memberi rahmat kepada kita kalau kita banyak melakukan dosa. Maka musibah dan azab yang kita sedang hadapi di dunia adalah kerana dosa kita maka mohonlah ampun ke atas dosa-dosa kita. Allah ﷻ telah berfirman di dalam Rum:41

ظَهَرَ الفَسادُ فِي البَرِّ وَالبَحرِ بِما كَسَبَت أَيدِي النّاسِ لِيُذيقَهُم بَعضَ الَّذي عَمِلوا لَعَلَّهُم يَرجِعونَ
Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).

Jelas dari sini kita dapat tahu yang Allah ﷻ timpakan musibah kepada kita supaya kita beringat (apa dosa yang telah dilakukan) dan kembali kepada Allah ﷻ.

 

إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى

hingga ke suatu masa yang tertentu,

Nikmat dunia itu bukanlah berterusan sampai bila-bila. Ia hanyalah setakat kita hidup di dunia sahaja. Kita pun tahu yang kita tidak akan hidup berterusan di dunia. Apabila tiba ajal kita, maka kita akan meninggalkan dunia ini.

Akan tetapi, apabila di akhirat kelak, apakah yang mereka akan terima?

 

وَيُؤْتِ كُلَّ ذِي فَضْلٍ فَضْلَهُ

Dia akan memberi kepada tiap-tiap seorang yang mempunyai kelebihan akan mendapat kurniaNya;

Di dunia, mereka telah mendapat kesenangan hidup. Kemudian, di Akhirat, mereka akan mendapat balasan yang baik juga lagi, malah lebih lagi daripada yang mereka terima semasa di dunia. Ini kerana kalimah فَضْلٍ bermaksud pemberian yang lebih lagi daripada apa yang patut diberikan. Begitulah apabila Allah ﷻ membalas, Dia akan membalas berganda-ganda seperti yang disebut dalam Baqarah:245

مَّن ذَا الَّذي يُقرِضُ اللَّهَ قَرضًا حَسَنًا فَيُضٰعِفَهُ لَهُ أَضعافًا كَثيرَةً
Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya?

Qatadah رضي الله عنه mengatakan ini adalah tentang pemberian di akhirat pula. Ayat ini menyebut bahawa sesiapa yang melakukan apa yang disuruh di atas, Allah ﷻ akan memberi apakah yang mereka layak terima di Syurga nanti. Tentunya balasan itu adalah syurga dan segala nikmat di dalamnya. Ini adalah kerana mereka ذِي فَضْلٍ (mempunyai keutamaan) iaitu mereka mempunyai amal sebagai bekal mereka.

Maknanya, di akhirat pun akan memperoleh nikmat juga. Pemilik nikmat itu adalah mereka yang melakukan lebih banyak perkara baik. Mereka melakukan lebih daripada perkara yang wajib. Iaitu mereka yang melakukan perkara-perkara sunat. Mereka yang buat lebih, akan dapat lebih lagi.

Kalimah فَضْلٍ juga dikatakan peluang untuk melakukan lebih banyak kebaikan. Apabila mereka telah mula melakukan kebaikan, Allah ﷻ akan buka lagi peluang kepada mereka untuk melakukan kebaikan lagi. Maka, pahala mereka akan bertambah-tambah dan mereka akan mendapat lebih banyak kebaikan lagi.

Lihatlah bagaimana kalau kita sudah mula melakukan perkara-perkara yang wajib, kemudian kita terus melakukan perkara-perkara yang sunat sebagai tambahan, lama kelamaan kita lebih senang untuk melakukan kebaikan lagi. Namun, kenalah dimulakan dengan perkara yang sedikit dahulu. Kemudian tambah sedikit demi sedikit.

Kita akan mendapat ‘kelazatan’ dalam melakukan amalan kebaikan itu. Itu adalah taufik daripada Allah ﷻ. Allah ﷻ yang gerakkan hati kita untuk suka membuat amalan baik kerana Allah ﷻ hendak beri balasan kepada kita.

 

وَإِن تَوَلَّوْا

dan jika kamu berpaling;

Sekarang ayat ancaman pula. Iaitu mereka yang berpaling daripada mengesakan Allah ﷻ, daripada berbuat perkara yang baik di dunia. Kalau terus melakukan dosa, kemudian tidak mahu istighfar dan taubat, maka Allah ﷻ boleh kenakan azab kerana perbuatan dosa boleh menyebabkan kita dikenakan azab di dunia lagi dan terlebih lagi di akhirat.

 

فَإِنِّي أَخَافُ عَلَيْكُمْ

maka sesungguhnya aku bimbang akan menimpa ke atas kamu

Mereka sendiri memang tidak takut kerana mereka tidak percaya, tetapi Nabi Muhammad ﷺ yang takut untuk diri mereka. Ini kerana Nabi ﷺ mahu mereka selamat tetapi mereka tidak mahu terima. Kita telah belajar di hujung Surah Tawbah betapa prihatinnya Rasulullah ﷺ terhadap umat baginda. Baginda lebih takut tentang umatnya daripada umat itu sendiri. Sama sahaja seperti orang kita yang macam tidak kisah sahaja dengan nasib mereka di akhirat kelak.

Mereka macam tidak percaya ada hari kebangkitan selepas kematian. Mereka buat apa yang mereka suka sahaja. Kita yang tahu ini, risau nasib mereka nanti kerana mereka ahli keluarga kita, kawan-kawan kita dan saudara seislam kita. Kita yang melihat ini pula yang berasa risau, tetapi mereka tidak risau pun… pelik.

 

عَذَابَ يَوْمٍ كَبِيرٍ

akan beroleh azab hari yang besar.

Yang dimaksudkan adalah Hari Kiamat kerana kejadian pada hari itu adalah kejadian yang besar-besar belaka. Ia hari yang amat menakutkan, antaranya Allah ﷻ telah berfirman dalam Ghafir: 16

يَومَ هُم بٰرِزونَ ۖ لا يَخفىٰ عَلَى اللهِ مِنهُم شَيءٌ ۚ لِّمَنِ المُلكُ اليَومَ ۖ ِللهِ الوٰحِدِ القَهّارِ
Iaitu hari mereka keluar (dari kubur masing-masing) dengan jelas nyata; tidak akan tersembunyi kepada Allah sesuatu pun daripada hal keadaan mereka. (Pada saat itu Allah berfirman): “Siapakah yang menguasai kerajaan pada hari ini? “Dikuasai oleh Allah Yang Maha Esa, lagi Yang Mengatasi kekuasaan-Nya segala-galanya!

Maka, dalam ayat ini ada targhib dan tarhib. Bahagian pertama ayat ke 3 ini adalah targhib (motivasi) dan bahagian keduanya adalah tarhib (halangan). Targhib adalah sebagai motivasi kepada kita untuk melakukan sesuatu yang baik. Kalau kita buat baik, kita akan dibalas baik. Tarhib pula adalah ancaman. Kalau kita buat kejahatan, akan dibalas dengan buruk pula.

Atau dalam kata lain, dalam pengenalan kepada Sudah Hud ini, ada ‘berita ancaman’ dan ‘berita gembira’ kerana itulah dua tugas yang perlu dilakukan oleh Rasul. Begitu juga dengan kita. Kita juga perlu menyampaikan kedua-dua berita ini kepada manusia kerana kita diwajibkan menjalankan kerja dakwah kepada manusia.


 

Hud Ayat 4: Allah ﷻ ingatkan ke mana tujuan akhir kita.

إِلَى اللَّهِ مَرجِعُكُم ۖ وَهُوَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

Sahih International

To Allah is your return, and He is over all things competent.”

Malay

Kepada Allah jualah kembalinya kamu, dan Dia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu”.

 

إِلَى اللَّهِ مَرْجِعُكُمْ

Kepada Allah jualah kembalinya kamu,

Tidak kira apa sahaja kita buat semasa di dunia, kita akan kembali bertemu Allah ﷻ. Maka insaflah tuan-tuan. Hidup ini ada penghujungnya yang datang dengan tiba-tiba. Sama ada kita kaya atau miskin; sama ada kita buat ibadat atau tidak, kita akan kembali kepada Allah ﷻ. Sama ada kita suka atau tidak, itulah yang akan berlaku. Sama ada kita bersedia atau tidak, kita tetap kena kembali mengadap Allah ﷻ. Maka jangan abaikan peluang masa kita hidup di dunia ini.

Oleh kerana itu, kita kenalah fikirkan, apakah yang kita akan bawa bekal apabila bertemu dengan Allah ﷻ nanti? Adakah kita hendak bawa dosa kita yang tinggi menggunung, atau kita hendak bawa pahala amalan-amalan yang kita lakukan semasa kita di dunia?

 

وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

dan Dia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu”.

Allah ﷻ berkuasa dalam setiap perkara. Allah ﷻ berkuasa hendak menjadikan Hari Kiamat itu. Allah ﷻ berkuasa untuk menghukum kita atau memberi nikmat kepada kita. Kita tidak boleh menghalang Allah ﷻ, kita tidak akan mampu melawan kehendak Allah ﷻ.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 28 Julai 2023

Ringkasan Surah Hud


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Tafsir Surah Hud Ayat 1 – 2 (Peringatan tentang Tauhid Ilahiyah)

Pengenalan

Surah ini adalah pertalian dengan Surah Yunus, iaitu surah sebelumnya kerana Nabi ﷺ pernah memberitahu akan hal ini. Surah Hud ini menambah apa yang telah disentuh dalam Surah Yunus. Ia diturunkan selepas Surah Yunus dari segi kronologi (dan disusun begitu juga di dalam mushaf). Sebelum itu telah diturunkan Suruh Isra’, sebelum itu Surah Furqan. Semua surah-surah ini tentang akidah.

Surah Hud ini juga hendak menafikan Syafa’at Qahriyyah yang telah disentuh sebelum ini di dalam Surah Yunus maka ada kesinambungan di situ. Maksudnya tidak ada sesiapa yang boleh mendesak Allah ﷻ untuk menolong sesiapa walaupun Allah ﷻ benci orang itu kerana dia kufur.

Surah ini diturunkan di hujung-hujung waktu baginda dan sahabat berada di Mekah sebelum berhijrah ke Madinah. Waktu surah ini diturunkan, ia adalah waktu kesukaran baginda dan sahabat dalam berdakwah kepada Musyrikin Mekah. Baginda terpaksa menghadapi mereka yang menentang baginda dengan keras sekali. Tahun itu dinamakan Tahun Dukacita kerana isterinya Khadijah رضي الله عنها meninggal dunia dan tidak lama selepas itu matilah pula bapa saudaranya Abu Thalib yang selama ini menjadi penaung kepada baginda. Ternyata dua tongkat Nabi ﷺ telah patah.

Oleh kerana penduduk Mekah tidak mahu menerima dakwah baginda, maka baginda membuat keputusan untuk berdakwah kepada penduduk Taif pula. Kita sudah tahu bagaimana kisah baginda di sana. Pulangnya baginda ke Mekah tidak disambut dengan baik tambahan pula baginda sudah tidak ada penaung, maka keadaan semakin sukar buat baginda. Baginda telah dihalang daripada memasuki Mekah ketika itu. Baginda meminta tolong kepada ketua-ketua kabilah untuk menolong baginda akan tetapi tidak ada yang mahu membantu kecuali Al-Mut’im bin Adi. Mut’im adalah seorang kafir akan tetapi kafir yang baik. (Peristiwa ini menjadi dalil bahawa boleh meminta bantuan orang kafir). Oleh itu jelas sekali berat sungguh dugaan baginda. Waktu inilah diturunkan Surah Hud ini.

Surah ini adalah tafsir bagi إِيَّاكَ نَعۡبُدُ وَإِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ dalam Surah Fatihah. Ia juga adalah tafsir bagi surah Az-Zumar dan surah-surah Ha Mim yang tujuh.

Nama Surah Hud sempena mengambil nama Nabi Hud عليه السلام, Nabi bagi Kaum Aad. Surah ini hanya ada nama ini sahaja. Aad, Tsamud, Madyan adalah bangsa-bangsa Arab purbakala yang telah pupus daripada sejarah dan bumi. Kisah Nabi Hud عليه السلام hanya disebut sebanyak 10 ayat sahaja tetapi ini tidaklah pelik kerana Surah Yunus hanya ada satu ayat sahaja tentang Nabi Yunus عليه السلام. Selainnya terdapat banyak kisah-kisah para Nabi yang lain untuk memujuk hati Rasulullah ﷺ.

Apa yang disampaikan dalam surah ini adalah amat berat bagi Nabi Muhammad ﷺ, sampaikan rambut baginda telah beruban kerana mengenangkan berita yang disampaikan dalam surah ini. Ini ada disebut dalam sebuah hadith riwayat Tirmidhi:

– عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ قَالَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَدْ شِبْتَ قَالَ شَيَّبَتْنِي هُودٌ وَالْوَاقِعَةُ وَالْمُرْسَلَاتُ وَعَمَّ يَتَسَاءَلُونَ وَإِذَا الشَّمْسُ كُوِّرَتْ قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ غَرِيبٌ
Daripada Ibnu Abbas رضي الله عنهما, dia berkata; Abu Bakr رضي الله عنه berkata; ‘Wahai Rasulullah, aku telah beruban. Baginda bersabda: “Aku telah dibuat beruban oleh Surat Hud, Al Waqi’ah, Al Mursalat, ‘Amma yatasaa aluun, serta idzasysyamsu kuwwirat.” Abu Isa berkata; hadith ini adalah hadith hasan gharib.
(Jami’ Tirmidzi (3297))
Status: Sahih

Syarah: Hadith ini memberitahu kepada kita, antara surah yang menyebabkan baginda rasa berat untuk membawanya adalah Surah Hud ini kerana penekanan dan arahan yang diberikan di dalamnya amatlah berat. Juga kerana menyebut tentang azab yang dikenakan kepada umat-umat terdahulu.

Kalau kita baca tidak ada apa-apa kesan pun, bukan? Sebab kita bukanlah Rasulullah ﷺ. Baginda sangat terkesan kerana sangat cintanya baginda kepada umat baginda dan resahnya hati baginda terhadap kaum baginda yang tidak mahu beriman. Ini telah disebut di hujung ayat Surah Tawbah sebelum ini di dalam ayat 128:

عَزيزٌ عَلَيهِ ما عَنِتُّم
berat terasa olehnya penderitaanmu

Sebelum kita masuk ke dalam tafsir ayat satu persatu, di sini adalah beberapa perkara utama yang disentuh di dalam surah ini:

1. Menyebut kebesaran dan keutamaan Al-Quran yang secara jelas membuktikan ia adalah daripada Allah ﷻ

2. Allah ﷻ sentiasa memerhati segala rahsia hamba-hambaNya.

3. Allah ﷻ menjamin rezeki hamba-hamba-Nya termasuklah semua makhluk-Nya yang lain.

4. Menceritakan tentang hari kebangkitan dan pembalasan

5. Menghiburkan hati Nabi ﷺ dan meneguhkan pendiriannya dalam menghadapi tekanan dan sekatan Musyrikin Mekah.

6. Menceritakan sebahagian besar kisah-kisah para nabi dan balasan yang menimpa kaum mereka.

7. Surah ditutup dengan perintah agar bertawakal sepenuhnya hanya kepada Allah ﷻ dalam semua keadaan.


 

MESEJ DARI AL-QUR’AN

Hud Ayat 1: Ayat pertama sehingga ke ayat 24 adalah Perenggan Makro yang Pertama. Ia adalah muqaddimah di mana Allah ﷻ menceritakan tentang Tauhid Uluhiyyah.

الر ۚ كِتٰبٌ أُحكِمَت ءآيٰتُهُ ثُمَّ فُصِّلَت مِن لَّدُن حَكيمٍ خَبيرٍ

Sahih International

Alif, Lam, Ra. [This is] a Book whose verses are perfected and then presented in detail from [one who is] Wise and Acquainted.

Malay

Alif, Laam, Raa’. Al-Qur’an sebuah Kitab yang tersusun ayat-ayatnya dengan tetap teguh, kemudian dijelaskan pula kandungannya satu persatu. (Susunan dan penjelasan itu) adalah dari sisi Allah Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mendalam pengetahuanNya.

 

الر

Alif, Laam, Raa’.

Hanya Allah ﷻ yang tahu maknanya. Allah ﷻ tidak beritahu maksudnya kepada kita. Maknanya ada ayat-ayat dalam surah ini yang kalau ditanya, ada yang kita tidak tahu kerana Allah ﷻ tidak beritahu kepada kita. Permulaan yang sama juga ada dalam surah Yunus.

Huruf-huruf sebegini dipanggil huruf-huruf Muqattaah. Telah dibincangkan dalam surah-surah sebelum ini. Antaranya dalam Surah Yaasin. Boleh dirujuk di situ untuk pemahaman yang lebih lanjut lagi.

 

كِتٰبٌ أُحْكِمَتْ ءآيٰتُهُ

Al-Qur’an sebuah Kitab yang tersusun ayat-ayatnya dengan tetap teguh,

Ada beberapa tafsir maksud kalimat ini:

1. Ayat-ayat Al-Qur’an itu kukuh dan tersusun rapi. Ia dilakukan sebegitu supaya manusia faham maksud yang hendak disampaikan oleh Al-Qur’an. Ia akan dapat difahami oleh mereka yang belajar tafsir. Lebih-lebih lagi kepada mereka yang belajar bahasa Arab dan nahu bahasa Arab.

Mereka yang ada pengetahuan itu, lebih memahami bagaimana susunan ayat-ayat dalam Al-Qur’an itu membawa makna yang amat hebat. Kita mungkin tidak dapat faham keseluruhannya, namun sekurang-kurangnya kita cuba untuk memahami setakat yang kita boleh.

2. Perkataan أُحْكِمَتْ juga boleh bermaksud ‘menyempurnakan sesuatu’. Iaitu menjadikan sesuatu itu kuat, tiada kekurangan di dalamnya. Sebagaimana binaan yang tidak ada ruang kosong antara batu bata itu kerana kalau ada bahagian yang kosong, ia akan melemahkan binaan bangunan itu. Maka Al-Qur’an itu sempurna dalam segala segi, tidak ada cacat dan tidak ada keraguan padanya. Allah ﷻ berfirman dalam Nisa’:82

أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْءآنَ وَلَوْ كَانَ مِنْ عِندِ غَيْرِ اللهِ لَوَجَدُوا فِيهِ اخْتِلٰفًا كَثِيرًا
Apakah mereka tidak mahu memikirkan isi Al-Quran? Kalaulah Al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya.

3. Perkataan أُحْكِمَتْ juga bermaksud ia tidak dimansukhkan oleh kitab lain. Ini adalah pendapat Ibn Abbas رضي الله عنهما. Al-Qur’an adalah Kitab Kalam Allah yang terakhir sekali diturunkan dan tidak akan ada lagi kitab-kitab lain selepasnya. Tidak sama dengan kitab-kitab yang sebelumnya. Sebagaimana Kitab Taurat, Injil dan Zabur telah dimansukhkan dengan turunnya Al-Qur’an. Ada pun tentang pemansukhan ayat-ayat Al-Qur’an dengan ayat Al-Qur’an sendiri, ini boleh berlaku.

Akan tetapi tidak ada lagi kitab wahyu lain selepas ini. Oleh kerana ini adalah wahyu terakhir, maka inilah pegangan agama kita, kita kena ikut apa yang disampaikan dalam Al-Qur’an ini. Maka kena ada usaha untuk memahaminya. Apabila kita sudah mulakan usaha, Allah ﷻ akan buka ilmu Al-Qur’an kepada kita.

Walaupun ayat-ayat Al-Qur’an itu pendek-pendek sahaja, namun pengajaran di dalamnya amat padat sekali. Ia tersusun dengan amat indah sekali. Ia membawa maksud kesempurnaan, bijaksana.

4. Perkataan أُحْكِمَتْ itu daripada katadasar ح ك م، digunakan juga untuk perkataan ‘hakim’. Bukankah hakim itu seorang yang bijaksana? Dia perlu menyampaikan keputusannya dalam kata-kata yang jelas dan padat. Begitulah juga bahasa Al-Qur’an adalah bahasa yang tepat. Tidak berpusing-pusing sampai mengelirukan. Senang untuk difahami oleh banyak peringkat umur, hampir semua peringkat pendidikan. Boleh difahami oleh orang biasa, dan boleh difahami oleh seorang profesor. Malah jin pun boleh faham seperti disebut di dalam Jin: 1

قُل أوحِيَ إِلَيَّ أَنَّهُ استَمَعَ نَفَرٌ مِّنَ الجِنِّ فَقالوا إِنّا سَمِعنا قُرءآنًا عَجَبًا
Katakanlah (wahai Muhammad): “Telah diwahyukan kepadaku, bahawa sesungguhnya: satu rombongan jin telah mendengar (Al-Quran yang aku bacakan), lalu mereka (menyampaikan hal itu kepada kaumnya dengan) berkata: `Sesungguhnya kami telah mendengar Al-Qur’an (sebuah Kitab Suci) yang susunannya dan kandungannya sungguh menakjubkan!

5. Satu lagi maksud أُحْكِمَتْ ءآيٰتُهُ adalah telah dihukumkan ayat-ayat Al-Qur’an ini mengandungi hikmah. Oleh itu, bagi sesiapa yang mahu hikmah, maka dapatkan daripada Al-Qur’an ini yang mengandungi hikmah yang banyak.

Itulah kehebatan Al-Qur’an. Bayangkan, kalau tulisan ilmiah yang lain, semakin susah sesuatu topik yang diperkatakan, semakin susah untuk disampaikan mesej itu, dan orang yang faham sahaja yang boleh tahu. Apabila peringkat ilmu berlainan dicapai, maka peringkat pemahaman pun berbeza. Bagi orang yang berilmu, lagi banyak maklumat yang dia boleh ambil daripada Al-Qur’an.

Kalau seorang profesor yang tinggi ilmunya, susah untuk dia bercakap dan menyampaikan maklumat kepada orang kampung yang tidak berpelajaran tinggi. Ini adalah kerana perbezaan bahasa yang ketara. Akan tetapi tidak begitu dengan Al-Qur’an. Ia senang untuk difahami, asalkan mahu belajar sahaja.

Itulah sebabnya tulisan kita ini disampaikan dalam bentuk yang mudah difahami oleh semua peringkat umur. Al-Qur’an sebenarnya mudah difahami, sampaikan apabila ahli falsafah Greek membaca Al-Qur’an, mereka tidak suka. Sebab mereka lihat bahasanya tidak berpusing-pusing. Dalam bidang falsafah, pemikiran mereka berpusing-pusing sebabnya mereka sendiri yang suka yang berpusing-pusing.

 

ثُمَّ فُصِّلَتْ

kemudian dijelaskan pula kandungannya satu persatu;

Kalimah فُصِّلَتْ daripada katadasar ف ص ل yang bermaksud ‘memisah’. Untuk memperjelaskan sesuatu perkara yang besar dan rumit, sesuatu topik itu perlu dipisahkan satu persatu, supaya dapat difahami.

Sebagai contoh, untuk memahami biologi tubuh manusia, pembelajaran biologi di sekolah akan dipecahkan atau dibahagikan tubuh badan manusia mengikut bahagian-bahagian tubuh manusia – kepala, tangan, kaki dan sebagainya. Kemudian diperbincangkan tentang kepala, kemudian tangan dan kemudian baru kaki.

Lihatlah juga bagaimana Al-Qur’an itu dipecahkan mengikut ayat-ayat dan surah-surah yang membincangkan sesuatu topik utama. Topik-topik itu pula bersangkutan antara satu sama lain. Untuk mengetahuinya, kenalah belajar. Kalau mana-mana ayat yang kita tidak faham, maka telah ada penjelasannya daripada Rasulullah ﷺ. Sebagai contoh di dalam Al-Qur’an terdapat arahan untuk mengerjakan solat. Kemudian cara solat itu telah diterangkan dengan panjang lebar oleh baginda.

Ayat-ayat Al-Qur’an bukan sahaja indah dibaca, tetapi setiap ayatnya menjelaskan sesuatu. Ia jelas kepada mereka yang belajar dan mahu memahami. Kalau tidak belajar, dia akan baca kosong sahaja, tidak tahu apakah mesej yang hendak disampaikan.

Penyampaiannya juga adalah tepat. Ia menjelaskan apakah yang baik dan tidak, apa yang patut dilakukan dan apa yang patut ditinggalkan. Apa sahaja yang Allah ﷻ hendak sampaikan kepada manusia sebagai hidayah telah dijelaskan dalam 30 juzuk Al-Qur’an ini.

Diperjelaskan ayat-ayat Al-Qur’an itu secara terperinci. Yang belajar sahaja akan jelas maknanya. Mula-mula belajar pun tidak jelas juga, namun lama kelamaan kita akan faham. Kalau kita meluangkan masa untuk meneliti ayat-ayat Al-Qur’an itu (tadabbur) dan hati kita memang mahu untuk memahaminya.

Oleh itu, perkataan فُصِّلَتْ bermaksud Allah ﷻ telah pecahkan ayat-ayat itu satu persatu dan menjelaskan satu persatu. Namun ada juga tempat yang kita tidak akan tahu, seperti ayat tentang mutashabihat.

Satu lagi tafsir adalah Al-Qur’an ini adalah salinan daripada Kitab yang ada di Lauh Mahfuz. Ia telah lengkap di sana dan diturunkan sedikit demi sedikit kepada Rasulullah ﷺ dan para sahabat supaya mereka senang mempelajarinya dan mengamalkannya. Ini berbeza kalau ia diturunkan sekaligus dengan lengkap yang akan memberatkan mereka.

 

مِن لَّدُنْ حَكِيمٍ خَبِيرٍ

dari sisi Allah Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mendalam pengetahuanNya.

Allah ﷻ mengingatkan siapakah yang menurunkan Al-Qur’an ini. Ia daripada Allah ﷻ. Bukanlah ia daripada Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula kerana Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ hanya menyampaikannya.

Kalau ia daripada Allah ﷻ, maka tentu ia amat penting. Kalau kita dapat surat daripada orang besar-besar, daripada PM contohnya, tentu kita akan buka dan baca surat itu berkali-kali, bukan? Kita akan baca kerana ia penting kerana datang daripada orang penting kita. Bagaimana pula dengan Al-Qur’an ini? Sepatutnya kita kena beri perhatian kepadanya. Jikalau surat itu di dalam bahasa yang kita tidak faham, tentu kita akan cari orang yang boleh terangkan maknanya kepada kita, bukan? Kalau surat penting kita boleh buat begitu, maka takkan dengan Al-Qur’an yang terlebih penting ini kita buat tidak tahu sahaja?

Ayat-ayat Al-Qur’an adalah jelas kerana ia daripada Allah ﷻ yang Maha Bijaksana (حَكِيمٍ) dan mendalam pengetahuan-Nya. Dia amat tahu dengan makhluk-Nya. Allah ﷻ tahu luar dan dalam tentang kita. Dia tahu apa yang telah berlaku dan apa yang akan berlaku. Oleh itu, Allah ﷻ tahu apa yang kita perlukan, dan Allah ﷻ tahu bagaimana hendak menyampaikannya kepada kita.

Satu lagi sifat Allah ﷻ adalah خَبِيرٍ yang bermaksud pengetahuan Allah ﷻ amat mendalam, Dia tahu kedudukan keseluruhan sesuatu perkara dan Dia tahu kesudahan sesuatu perkara itu. Oleh itu, siapakah lagi yang lebih layak untuk memberitahu sesuatu perkara itu kepada kita kalau bukan Allah ﷻ? Terutama sekali perkara ghaib, kerana kalau bukan diberitahu tentang perkara ghaib daripada wahyu, kita tentu pasti tidak akan dapat tahu.

Ayat-ayat awal dalam Surah Hud ini memberitahu kita tentang apakah yang Allah ﷻ akan sebut dengan lebih mendalam dalam ayat-ayat seterusnya, iaitu akan menerangkan dengan sejelas-jelasnya. Sebagaimana dalam penulisan thesis, permulaan thesis itu akan menerangkan pengenalan dan objektif thesis itu.

Begitulah juga dengan permulaan ayat-ayat dari Surah Hud ini. Ia akan memberikan penerangan ringkas, dan kemudian akan diberikan penerangan yang lebih jelas dalam ayat-ayat seterusnya.


 

Hud Ayat 2: Apakah objektif utama yang Allah ﷻ hendak sampaikan dalam Al-Qur’an? Tentang Tauhid. Iaitu hendaklah kita hanya menyembah Allah ﷻ sahaja. Jangan sembah yang lain. Maka ini adalah Dakwa Pertama Surah ini – Sembah Allah ﷻ sahaja.

أَلّا تَعبُدوا إِلَّا اللَّهَ ۚ إِنَّني لَكُم مِّنهُ نَذيرٌ وَبَشيرٌ

Sahih International

[Through a messenger, saying], “Do not worship except Allah . Indeed, I am to you from Him a warner and a bringer of good tidings,”

Malay

(Al-Quran yang demikian sifatnya diturunkan oleh Allah) supaya janganlah kamu menyembah sesuatu pun melainkan Allah. (Katakanlah wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku diutus oleh Allah kepada kamu, sebagai pemberi amaran (kepada orang-orang yang (ingkar), dan pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang (beriman).

 

أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا اللَّهَ

janganlah kamu menyembah sesuatu pun melainkan Allah.

Inilah Maksud/Dakwa surah ini – iaitu hendaklah kita hanya menyembah Allah ﷻ sahaja. Iaitu kita hendaklah menghambakan diri kepada Allah ﷻ semata-mata. Maka ini adalah berkenaan Tauhid Uluhiyyah atau dinamakan Tauhid dalam Ibadat. Jangan buat ibadat kepada selain kepada Allah ﷻ.

Ada nafi dan ithbat di sini seperti kalimah la ilaaha illallah juga iaitu menafikan dahulu ibadat kemudian ditetapkan hanya ibadah kepada Allah ﷻ.

Semua Nabi-nabi dan rasul-rasul membawa mesej yang sama: iaitu hanya menyembah Allah ﷻ sahaja; Berdoa pun hanya kepada Allah ﷻ sahaja. Ia juga bermaksud tidak boleh menggunakan perantaraan (wasilah) dalam doa kita. Begitu ramai yang tidak faham, maka mereka akan menggunakan perantaraan untuk menyampaikan doa mereka kepada Allah ﷻ.

Mereka beranggapan Allah ﷻ tidak akan mendengar doa mereka kerana mereka orang yang berdosa. Itu adalah fahaman yang salah. Fahaman itu juga ada dalam agama-agama lain seperti Hindu, Buddha, Kristian dan Syiah. Maka, kalau ada pemahaman kita yang sama dengan agama lain, itu adalah tidak benar.

Apakah lagi maksud tidak ‘menyembah’ selain Allah ﷻ? Kita jangan hanya sangka yang ‘sembah’ itu hanya bermaksud ‘sujud’ sahaja. Kalau kita taat kepada seseorang yang berlawanan dengan taat kepada Allah ﷻ, itu sudah bermaksud ‘sembah’ atau mengabdikan diri kepada selain Allah ﷻ.

Pemujaan dan ibadat juga hanya kepada Allah ﷻ sahaja. Jangan buat ibadat kepada yang selain Allah ﷻ. Jangan berzikir kepada selain Allah ﷻ kerana zikir adalah juga satu ibadat, maka tidaklah boleh kita berzikir melainkan nama Allah ﷻ sahaja.

Selain daripada itu, kita mestilah hanya taat kepada Allah ﷻ sahaja. Berharap kepada Allah ﷻ sahaja. Takut hanya kepada Allah ﷻ sahaja kerana tujuan kita dijadikan adalah untuk menyembah dan memperhambakan diri kepada-Nya sahaja seperti disebut dalam Dzariyat:56

وَما خَلَقتُ الجِنَّ وَالإِنسَ إِلّا لِيَعبُدونِ
Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku.

Apakah maksud ibadah kepada-Nya? Adapun maksud ibadah secara istilah syari’at, para ulama memberikan beberapa definisi yang beraneka ragam. Di antara definisi terbaik dan terlengkap adalah yang disampaikan oleh Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah رحمه الله:

Beliau mengatakan, “Ibadah adalah suatu istilah yang mencakup segala sesuatu yang dicintai Allah dan diredhai-Nya, baik berupa perkataan mahupun perbuatan, yang tersembunyi (batin) mahupun yang nampak (lahir). Maka solat, zakat, puasa, haji, berbicara jujur, menunaikan amanah, berbakti kepada kedua orang tua, menyambung tali kekerabatan, menepati janji, memerintahkan yang ma’ruf, melarang daripada yang munkar, berjihad melawan orang-orang kafir dan munafiq, berbuat baik kepada tetangga, anak yatim, orang miskin, ibnu sabil (orang yang kehabisan bekal di perjalanan), berbuat baik kepada orang atau haiwan yang dijadikan sebagai pekerja, memanjatkan do’a, berzikir, membaca Al Qur’an dan lain sebagainya adalah termasuk bahagian daripada ibadah.
Begitu pula rasa cinta kepada Allah dan Rasul-Nya, takut kepada Allah, inabah (kembali taat) kepada-Nya, memurnikan agama (amal ketaatan) hanya untuk-Nya, bersabar terhadap keputusan (takdir)-Nya, bersyukur atas nikmat-nikmat-Nya, merasa redha terhadap qadha/takdir-Nya, tawakal kepada-Nya, mengharapkan rahmat (kasih sayang)-Nya, merasa takut daripada seksa-Nya dan lain sebagainya itu semua juga termasuk bahagian daripada ibadah kepada Allah.” (Al ‘Ubudiyah, cet. Maktabah Darul Balagh hal. 6).

Kalau dilihat daripada definisi ibadah di atas, maka ada banyak perkara yang dikira sebagai ibadah. Jikalau kita rasa solat, puasa, zakat dan seumpamanya sahaja sebagai ibadah, maka kita sudah tersilap sebenarnya. Ibadah ini boleh dilakukan sepanjang masa, bukan hanya ketika solat, ketika haji sahaja. Maka kita kena reset minda kita ini dan jangan sangka ibadah itu terhad sahaja. Bayangkan, kalau berjimak dengan isteri pun mendapat pahala juga seperti disebut di dalam satu hadith, yang diriwayatkan oleh Abu Zarr al-Ghifari رضي الله عنه:

وَبُضْعُ أَحَدِكُمْ صَدَقَةٌ، قِيلَ‏:‏ فِي شَهْوَتِهِ صَدَقَةٌ‏؟‏ قَالَ‏:‏ لَوْ وُضِعَ فِي الْحَرَامِ، أَلَيْسَ كَانَ عَلَيْهِ وِزْرٌ‏؟‏ ذَلِكَ إِنْ وَضَعَهَا فِي الْحَلاَلِ كَانَ لَهُ أَجْرٌ
Dan kemaluan salah seorang kamu juga ada sedekah. Ditanyakan: Pada syahwat seseorang juga terdapat sedekah ? Baginda menjawab: Kalau diletakkan syahwat pada tempat yang haram (berzina) tidakkah seseorang itu mendapat dosa? Begitulah juga apabila syahwat diletakkan di tempat yang halal (persetubuhan suami isteri) maka dia mendapat pahala.
(Riwayat Bukhari dalam Al-Adab al-Mufrad (227))

 

إِنَّنِي لَكُم مِّنْهُ نَذِيرٌ وَبَشِيرٌ

Sesungguhnya aku kepada kamu, dari Allah, sebagai pemberi amaran dan pembawa berita gembira.

Rasulullah ﷺ disuruh memberitahu yang baginda adalah utusan Allah ﷻ sahaja. Tugas baginda adalah menyampaikan wahyu dan berita daripada Allah ﷻ. Bukanlah berita itu daripada Rasulullah ﷺ. Maka janganlah ambil mudah dan buat tidak tahu sahaja dengan apa yang disampaikan oleh baginda.

Sesiapa yang ingkar, kita kena beri ancaman kepada mereka. Kita kena beritahu kalau ada perbuatan mereka yang syirik. Jangan kita buat tidak tahu sahaja. Jangan kita takut hendak memberitahu mereka. Hendaklah kita memberitahu bahawa mereka akan masuk neraka disebabkan oleh perbuatan mereka. Kita beri peringatan itu adalah kerana kita kisah tentang mereka. Kita tidak mahu mereka terjerumus ke dalam neraka.

Kalimah نَذِيرٌ ini bermaksud meletakkan ketakutan kepada seseorang namun ini bukanlah tentang takut kepada mara bahaya seperti harimau, gempa bumi dan sebagainya, tetapi tentang hal agama. Ia diberikan kerana sifat kasih sayang kepada orang yang diberi peringatan itu. Iaitu tidak mahu orang yang diberi peringatan itu gagal di dunia dan akhirat.

Selain daripada memberi ancaman, Nabi ﷺ juga ditugaskan untuk memberi berita gembira bahawa perbuatan baik akan dibalas dengan baik.

Oleh itu, tugas utama Nabi ﷺ ada dua: memberi peringatan dan memberi berita gembira. Dalam ayat ini, apabila نَذِيرٌ (peringatan) disebut sebelum بَشِيرٌ (berita gembira), bermaksud surah Hud ini akan ada lebih banyak tentang ancaman berbanding berita gembira. Kerana itulah surah ini banyak mengandungi kisah-kisah tentang umat terdahulu yang telah dihancurkan disebabkan mereka menolak ajakan dakwah daripada Nabi-Nabi mereka. Kisah-kisah itu untuk memberi ancaman kepada kita.

Pengajaran kepada kita adalah kepentingan untuk memberi peringatan kepada manusia. Kalau ia telah ditugaskan kepada Nabi Muhammad ﷺ, maka kita sebagai umatnya juga ditugaskan untuk memikul tugas baginda setelah ketiadaan baginda. Namun adakah kita telah menjalankannya? Ini yang menakutkan kita. Adakah kita sampaikan ajaran wahyu ini kepada manusia?

Ya mungkin ada. Mungkin kita mengajar, mungkin kita menulis di blog, di FB dan sebagainya. Adakah kita pergi kepada orang-orang yang tidak terfikir pun tentang agama dan mengingatkan mereka? Ini kerana kalau yang sudah datang kelas, itu menandakan mereka sudah mahu kepada agama, tinggal diajar sahaja; kalau yang baca post anda di FB, adakah itu sudah cukup memberi kesan kepada mereka? Akan tetapi bagaimana orang yang jauh daripada agama, atau orang yang tidak mendapat akses kepada maklumat agama? Siapa yang akan sampaikan kepada mereka? Allahu Akbar!

Dalam ayat-ayat seterusnya, akan diberikan dengan lebih banyak lagi tentang ancaman-ancaman dan berita gembira yang dimaksudkan. Maknanya, ayat ini masih lagi ayat pengenalan tentang apakah yang akan disampaikan seterusnya dalam surah Hud ini nanti.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 28 Julai 2023

Ringkasan Surah Hud


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Abdul Muien

Tafsir Surah Jathiya Ayat 33 – 37 (Sombong untuk belajar tafsir)

Ayat 33: Sambungan Takhwif Ukhrawi. Ayat sebelum ini adalah tentang mereka yang tidak percaya dengan Hari Kiamat. Bila manusia tidak yakin benar-benar dengan adanya Hari Kiamat, mereka tidak takut melakukan dosa.

Maka, apa yang akan terjadi pada Hari Kiamat itu nanti? Allah ﷻ ceritakan keadaan di neraka kelak untuk menakutkan kita. Kalau kita dapat selami ayat ini, maka kita akan takut untuk masuk neraka dan akan takut untuk buat dosa.

وَبَدا لَهُم سَيِّئَاتُ ما عَمِلوا وَحاقَ بِهِم مّا كانوا بِهِ يَستَهزِءونَ

Sahih International

And the evil consequences of what they did will appear to them, and they will be enveloped by what they used to ridicule.

Malay

Dan (pada ketika itu) ternyatalah kepada mereka kejahatan-kejahatan yang mereka telah lakukan, serta mereka diliputi oleh azab yang mereka ejek-ejek itu!

وَبَدَا لَهُمْ سَيِّئَاتُ مَا عَمِلُوا

Dan nyatalah kepada mereka kejahatan-kejahatan yang mereka telah lakukan,

Dosa-dosa yang manusia telah lakukan semasa di dunia akan menjelma di hadapan mata mereka dalam bentuk fizikal, boleh nampak manakah dosa mereka.

Maknanya, dosa mereka semasa di dunia sudah menjadi azab neraka. Semasa mereka buat dosa itu di dunia, nampak macam tidak ada apa-apa tetapi kesannya akan menjelma di akhirat kelak. Bayangkan betapa terkejutnya nanti!

 

وَحَاقَ بِهِم مَّا كَانُوا بِهِ يَسْتَهْزِءونَ

serta mereka diliputi oleh azab yang mereka ejek-ejek itu!

Dulu mereka ejek-ejek tidak percaya kepada Hari Akhirat, sekarang sudah nampak di depan mata mereka. Azab itu pun akan meliputi mereka, sampai tidak boleh lari lagi! Na’uzubillah min zalik!

Mereka juga dulu tidak percaya kepada azab-azab yang dijanjikan kepada mereka, malah dijadikan sebagai bahan ejekan sahaja. Sebagai contoh, mereka kata: “Ah, kami tak kisah kalau makan buah Zaqqum tu, sedap kot buah tu!”. Nah, di akhirat nanti mereka akan diseliputi dengan azab-azab itu.


 

Ayat 34: Sambungan takhwif ukhrawi.

وَقيلَ اليَومَ نَنسٰكُم كَما نَسيتُم لِقاءَ يَومِكُم هٰذا وَمَأوٰكُمُ النّارُ وَما لَكُم مِّن نّٰصِرينَ

Sahih International

And it will be said, “Today We will forget you as you forgot the meeting of this Day of yours, and your refuge is the Fire, and for you there are no helpers.

Malay

Dan dikatakan (kepada mereka): “Pada hari ini Kami tidak hiraukan kamu (menderita di dalam azab seksa) sebagaimana kamu tidak hiraukan persediaan untuk menemui hari kamu ini; dan tempat kamu ialah neraka, dan kamu tidak akan beroleh sesiapa pun yang dapat memberikan pertolongan.

وَقِيلَ الْيَوْمَ نَنسٰكُمْ

Dan dikatakan: “Pada hari ini Kami lupakan kamu

Inilah kata-kata Allah ﷻ kepada mereka yang berdosa itu. Allah ﷻ kata yang Dia ‘lupakan’ mereka iaitu bermaksud Allah ﷻ tidak hiraukan mereka yang menderita di dalam azab seksa.

Allah ﷻ sengaja ‘lupa’ hendak masukkan mereka ke dalam syurga. Inilah bahasa kiasan yang Allah ﷻ gunakan. Ini kerana bukanlah Allah ﷻ pelupa, takkan Allah ﷻ boleh lupa, cuma Allah tidak layan sahaja. Meraung meronta macam mana pun, Allah ﷻ buat tidak kisah sahaja.

 

كَمَا نَسِيتُمْ لِقَاءَ يَوْمِكُمْ هَٰذَا

sebagaimana kamu lupakan persediaan untuk menemui hari kamu ini;

Sebab dulu mereka buat tidak kisah kepada Hari Kiamat dan tidak bersedia pun menghadapi hari itu. Malah mereka juga tidak takut kerana tidak percaya. Mereka leka dengan keindahan dan kesenangan di dunia sampai tidak beramal dengan amalan yang soleh.

Mereka sibuk ke sana dan ke sini sampai tidak luangkan masa untuk belajar agama dengan benar. Maka balasannya Allah lupakan mereka untuk diberi rahmatNya.

 

وَمَأْوٰكُمُ النَّارُ

dan tempat kamu ialah neraka,

Kalimah مَأْوٰ adalah tempat tinggal yang kekal sampai bila-bila. Kekal mereka di dalam neraka, bergantung kepada dosa yang telah dilakukan. Kalau dosa syirik, mereka tidak akan ada peluang untuk keluar dari Neraka itu.

Kalau mereka beriman dan tidak melakukan syirik, tetapi ada melakukan dosa, mereka akan dimasukkan ke dalam neraka untuk waktu yang tertentu – tidak tahu berapa lama. Kemudian mereka akan dimasukkan ke dalam syurga.

 

وَمَا لَكُم مِّن نّٰصِرِينَ

dan kamu tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memberikan pertolongan.

Selalunya dalam dunia, ada sahaja sesiapa yang boleh tolong kita; keluarga kita, kawan-kawan kita dan sebagainya. Namun, tidak ada sesiapa yang dapat menolong mereka di Neraka itu.


 

Ayat 35: Kenapa mereka mendapat balasan seteruk itu? Ini akan diberitahu kepada mereka sebagai takzib rohani. Sebagai azab kepada jiwa mereka.

ذٰلِكُم بِأَنَّكُمُ اتَّخَذتُم ءآيٰتِ اللهِ هُزُوًا وَغَرَّتكُمُ الحَيَوٰةُ الدُّنيا ۚ فَاليَومَ لا يُخرَجونَ مِنها وَلا هُم يُستَعتَبونَ

Sahih International

That is because you took the verses of Allah in ridicule, and worldly life deluded you.” So that Day they will not be removed from it, nor will they be asked to appease [ Allah ].

Malay

“(Balasan buruk) yang demikian ini ialah kerana kamu telah menjadikan ayat-ayat keterangan Allah sebagai ejek-ejekan, dan kerana kamu telah membiarkan diri kamu diperdayakan oleh kehidupan dunia”. Maka pada hari itu mereka tidak akan dikeluarkan dari neraka, dan mereka tidak diberi peluang untuk bertaubat (memperbaiki kesalahannya).

ذَٰلِكُم بِأَنَّكُمُ اتَّخَذْتُمْ ءآيٰتِ اللهِ هُزُوًا

“Yang demikian ini ialah kerana kamu telah mengambil ayat-ayat Allah sebagai ejek-ejekan,

Mereka jadikan ayat-ayat Al-Qur’an itu sebagai mainan sahaja. Macam-macam cara mereka mengejek ayat-ayat Allah ﷻ itu. Mereka ambil kisah-kisah yang pada mereka tidak masuk akal, dan mereka kutuk ayat-ayat itu. Mereka kata kenapalah orang-orang Islam bodoh sangat sampai boleh percaya.

Bukan orang bukan Islam sahaja yang mengejek ayat-ayat Allah ﷻ sebagai ejekan, yang orang Islam pun begitu juga. Apabila mereka tidak belajar, dan kita katakan ayat ini membawa maksud yang tertentu, mereka kata kita yang salah, mereka buat ejek-ejekan pula.

Atau mereka kata kepada mereka yang berdakwah dengan menggunakan ayat Al-Qur’an: “Tak habis-habis dengan Al-Qur’an, tidak ada benda lain lagi kah?”.

Bagaimana pula dengan mereka yang tidak belajar langsung? Apabila kita ajak mereka belajar Tafsir Al-Qur’an, mereka kata tidak perlu belajar, sebab sudah faham Al-Qur’an. Ada yang lebih karut kata Al-Qur’an sudah ada dalam dada mereka, kerana mereka ada ilmu ‘sedut’ Al-Qur’an. Ini selalunya difahami oleh golongan tarekat yang karut.

Begitulah macam-macam lagi alasan yang mereka berikan. Ingatlah, tidak belajar Tafsir Al-Qur’an pun sudah dikira main-main sebab tidak menghiraukan ayat Allah ﷻ. Mereka merendahkan kepentingan memahami Al-Qur’an. Amat ramai yang begini.

 

وَغَرَّتْكُمُ الْحَيَوٰةُ الدُّنْيَا

dan kamu diperdayakan oleh kehidupan dunia”.

Maksudnya mereka telah terpedaya dengan dunia. Mereka telah disibukkan dengan keinginan berlebihan kepada dunia. Sibuk macam-macam hal – kerja, persatuan, anak dan isteri, rukun tetangga dan sebagainya hingga hendak belajar pun susah. Kalau diajak untuk belajar, ada sahaja masalah mereka – tidak senang, anak sakit, anak kena hantar ke tuisyen dan macam-macam lagi.

Mereka terpesona dengan segala keindahan dunia. Mereka hendak buat itu dan ini, pergi main golf, jalan-jalan ke tempat pelancongan, pergi gym dan sebagainya.

Mereka juga hendak keindahan dan gemerlapan dunia. Ini seperti barang kemas, jam yang cantik, kereta yang cantik, rumah yang cantik, isteri yang cantik dan macam-macam lagi. Jadi, untuk mendapatkan semua itu, mereka kena bekerja keras, berniaga dengan tekun.

Kerja dan berniaga tidaklah salah tetapi kalau sampai ia menyebabkan lupa kepada agama, sibuk sangat sampai tidak belajar agama, maka itulah yang jadi salahnya. Ini kerana apabila tidak belajar, maka mereka jadi jahil dan apabila jahil, ada benda salah yang mereka lakukan. Syaitan pun senang hendak menipu mereka.

Ingatlah bahawa agama ini kena nombor 1. Ia kena duduk di atas dalam prioriti kehidupan kita. Bukanlah belajar agama ini kalau ‘ada masa lapang’, ‘bila senang’, ‘bila tidak ada apa-apa hendak buat’, bukan. Memang kena cari masa untuk belajar agama dan tinggalkan perkara lain kalau terpaksa. Janganlah sampai hendakkan dunia sangat sampaikan lupa tentang agama.

Ini kerana kalau untuk belajar, kena tunggu bila masa percuma, tidak akan ada, kerana kita akan disibukkan sentiasa dengan masalah dunia. Syaitan akan pastikan ada sahaja alasan untuk tidak belajar. Maka kena kuatkan semangat.

 

فَالْيَوْمَ لَا يُخْرَجُونَ مِنْهَا

Maka pada hari itu mereka tidak akan dikeluarkan dari neraka,

Kalau mereka telah melakukan syirik atau ada fahaman syirik, mereka akan tinggal selama-lamanya di dalam neraka. Tidak akan ada peluang untuk keluar. Inilah yang amat menakutkan sekali.

 

وَلَا هُمْ يُسْتَعْتَبُونَ

dan mereka tidak diberi peluang untuk menyelamatkan diri.

Kalimah يُسْتَعْتَبُونَ adalah apabila seseorang mengurangkan marah orang lain dengan meminta maaf, minta ampun, bertaubat, minta tolong. Di akhirat kelak, mereka tidak dibenarkan minta maaf pun. Seperti disebut dalam Zukhruf:77

وَنَادَوْا يَا مَالِكُ لِيَقْضِ عَلَيْنَا رَبُّكَ قَالَ إِنَّكُم مَّاكِثُونَ

Dan mereka menyeru (ketua malaikat penjaga neraka, dengan berkata): “Wahai Malik! Biarlah hendaknya Tuhanmu mematikan kami (kerana kami tidak tahan menderita)!” Maalik menjawab: “Sesungguhnya kamu tetap kekal di dalam azab!”

Apa sahaja yang mereka minta di Neraka nanti tidak akan dilayan. Zaman untuk bertaubat sudah terlepas. Masa untuk merayu sudah tiada lagi. Mereka tidak akan diberi peluang pun untuk merayu. Jangan kata rayuan diluluskan, didengarkan pun tidak.


 

Ayat 36: Ayat 36 & 37 adalah Perenggan Makro Ketujuh dan terakhir. Ia mengandungi puji-pujian kepada Tuhan yang AzizulHakim. Ayat 36 ini adalah Dalil Aqli. Siapakah Allah ﷻ? Allah ﷻ memberitahu sifat-sifat-Nya dalam ayat ini. Maka kerana itu penting untuk belajar kenal Allah dari ayat-ayat Al-Qur’an kerana Allah memperkenalkan DiriNya dalam Al-Qur’an.

فَلِلَّهِ الحَمدُ رَبِّ السَّمٰوٰتِ وَرَبِّ الأَرضِ رَبِّ العٰلَمينَ

Sahih International

Then, to Allah belongs [all] praise – Lord of the heavens and Lord of the earth, Lord of the worlds.

Malay

(Demikianlah ajaran dan peringatan Allah Yang Maha Adil) maka bagi Allah jualah tertentu segala pujian, Tuhan yang mentadbirkan langit, dan Tuhan yang mentadbirkan bumi, – Tuhan sekalian alam.

فَلِلَّهِ الْحَمْدُ

maka hanya bagi Allah jualah segala pujian dan penghargaan,

Segala pujian itu milik Allah ﷻ. Satu puji, dua puji dan segala puji. Perkataan ini telah dibincangkan dengan panjang lebar dalam perbahasan Surah Fatihah.

Namun, ada sedikit perbezaan dalam penggunaan kata alhamdu dalam Surah Fatihah dan surah ini. Apabila diterbalikkan dengan didahulukan kalimah فَلِلَّهِ itu, ia bermaksud *hanya* iaitu dalam bentuk eksklusif.

Dalam Fatihah tidak disebut ‘hanya’ Allah ﷻ sahaja yang terpuji. Kenapa ada penambahan dan penekanan dalam ayat ini? Sebab ada manusia yang menyembah selain dari Allah ﷻ. Allah ﷻ menekankan bahawa itu tidak boleh, yang sepatutnya kita lakukan adalah *hanya* sembah Allah ﷻ sahaja.

Allah ﷻ tekankan dalam ayat ini kerana ada jenis manusia yang menyembah dan memuja juga kepada selain Allah ﷻ. Jadi Allah ﷻ memperbetulkan pemahaman mereka. Namun, di dalam Surah Fatihah, itu adalah pemberitahuan tentang sifat Allah ﷻ sahaja dan bukannya untuk menidakkan salah faham golongan-golongan yang musyrik.

Maka susunan dalam ayat Fatihah itu adalah dalam bentuk normal sahaja.

 

رَبِّ السَّمٰوٰتِ

Tuhan yang mentadbirkan langit,

Allah ﷻ lah yang menjadikan dan mentadbir langit itu. Bukan sahaja Allah ﷻ menjadikan langit itu dari tiada kepada ada, tetapi selepas Allah ﷻ jadikan, Allah ﷻ  mentadbir langit itu. Allah ﷻ tidak membiarkan sahaja alam ini bergerak sendiri tetapi Allah ﷻ yang menjaga dan urus segala perkara.

 

وَرَبِّ الْأَرْضِ

dan Tuhan yang mentadbirkan bumi, –

Allah ﷻ lah yang menjadikan dan mentadbir bumi ini. Bukan sahaja Allah ﷻ menjadikan bumi ini dari tiada kepada ada, tetapi selepas Allah ﷻ jadikan, Allah ﷻ  mentadbir bumi ini.

 

رَبِّ الْعٰلَمِينَ

Tuhan sekalian alam.

Bukan sahaja langit dan bumi, tetapi seluruh alam. Allah ﷻ sebutkan langit dan bumi dahulu kerana itulah yang kita tahu dan kita nampak. Ada lagi alam lain yang kita tidak nampak dan kita tidak tahu.

Inilah juga kata-kata yang terdapat dalam Surah Fatihah juga. Terdapat persamaan dan perbezaan antara ayat ini dan ayat dalam Fatihah nampaknya.


 

Ayat 37: Oleh kerana Allah ﷻ sahaja yang ada sifat sebegitu, maka hendaklah kita sembah dan seru doa kepada Allah ﷻ sahaja.

وَلَهُ الكِبرِياءُ فِي السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ ۖ وَهُوَ العَزيزُ الحَكيمُ

Sahih International

And to Him belongs [all] grandeur within the heavens and the earth, and He is the Exalted in Might, the Wise.

Malay

Dan bagiNyalah keagungan dan kekuasaan di langit dan di bumi; dan Dia lah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

وَلَهُ الْكِبْرِيَاءُ فِي السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضِ

Dan bagiNyalah kebesaran di langit dan di bumi;

Kehebatan dan kekuasaan hanya milik Allah ﷻ. Allah ﷻ menekankan dalam ayat ini kerana ada manusia yang sombong. Allah ﷻ hendak kata, apalah yang hendak disombongkan sangat, padahal mereka itu bukan besar mana pun. Allah ﷻ yang paling besar dan tidak ada yang lebih besar dari Allah ﷻ.

Maka oleh kerana Dialah yang paling besar, maka kepada-Nya sahajalah kita sembah dan seru dalam doa. Jangan sembah dan buat ibadat kepada selain Allah ﷻ dan berdoa kepada yang selain Allah ﷻ. Selain itu jangan gunakan entiti mana-mana sebagai wasilah dalam amalan tawasul.

 

وَهُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ

dan Dia lah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Allah ﷻ berkuasa untuk melakukan apa sahaja yang Dia hendak. Allah ﷻ boleh menghukum hamba-Nya bila-bila masa sahaja yang Dia mahu.

Namun, walaupun Allah Maha Berkuasa, Allah ﷻ mentadbir alam ini dengan Sifat-Nya yang Maha Bijaksana. Dua sifat ini telah disebut di awal surah ini dan sekarang di hujungnya disebut lagi. Nanti di awal surah seterusnya, Surah Ahqaf pun akan disebut lagi dua sifat Allah ini.

Allah ﷻ boleh seksa dan azab makhluk-Nya bila-bila masa, tetapi dengan kebijaksanaan-Nya, Dia tangguhkan seksaan itu sehingga ke waktu yang tertentu. Ini memberi peluang kepada manusia untuk bertaubat. Tidaklah kita terus diberi balasan azab setiap kali kita melakukan dosa.

Allahu a’lam. Sekian terjemah Surah Jathiya ini. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah Ahqaf.

Kemaskini: 30 Julai 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah Jathiya Ayat 28 – 32 (Duduk melutut)

Ayat 28: Takhwif Ukhrawi. Dari perkataan جاثِيَةً inilah diambil nama surah ini.

وَتَرىٰ كُلَّ أُمَّةٍ جاثِيَةً ۚ كُلُّ أُمَّةٍ تُدعىٰ إِلىٰ كِتٰبِهَا اليَومَ تُجزَونَ ما كُنتُم تَعمَلونَ

Sahih International

And you will see every nation kneeling [from fear]. Every nation will be called to its record [and told], “Today you will be recompensed for what you used to do.

Malay

Dan (pada hari kiamat) engkau akan melihat tiap-tiap umat berlutut (dalam keadaan cemas dan menunggu panggilan); tiap-tiap umat diseru untuk menerima kitab suratan amalnya (serta dikatakan kepada mereka): “Pada hari ini kamu akan dibalas menurut apa yang kamu telah kerjakan!

وَتَرَىٰ كُلَّ أُمَّةٍ جَاثِيَةً

Dan (pada hari kiamat) engkau akan melihat tiap-tiap umat berlutut;

Kalimah كُلَّ أُمَّةٍ bermaksud setiap manusia, dari setiap umat. Setiap umat yang bathil akan melutut dalam keadaan takut dan malu. Atau, ketakutan hari akhirat ini menyebabkan semua manusia akan takut termasuklah yang beriman dan tidak beriman sekali. Maknanya, semua akan takut. Kerana ia adalah hari yang amat menakutkan semua orang.

Kalimah جَاثِيَةً bermaksud jatuh atas lutut kita. Duduk melutut dengan punggung kita di atas tumit. Inilah nama yang dipilih untuk surah ini. Kedudukan ini menunjukkan kerendahan dan rasa malu kita di hadapan Allah ﷻ. Kita semua akan duduk berlutut dalam keadaan tangan di atas paha dan menunggu di dalam ketakutan dan kecemasan.

Semuanya pula di dalam keadaan berbogel. Iaitu kita semua dikembalikan kepada keadaan asal kita. Bukankah kita dulu dilahirkan dalam keadaan bogel? Maka kita akan dihadapkan dalam keadaan bogel juga nanti.

Kalau sudah takut macam tu, adakah berani hendak berhujah dengan Allah ﷻ lagi? Jangan kata hendak bercakap, hendak angkat muka pun tidak berani. Kalau di dunia, bila kita tanya manusia kenapa buat amalan bidaah dan syirik, mereka pandai sahaja jawab begini dan begitu. Kalau Allah ﷻ sendiri tanya, macam mana?

 

كُلُّ أُمَّةٍ تُدْعَىٰ إِلَىٰ كِتٰبِهَا

tiap-tiap umat diseru kepada kitabnya

Ada yang mengatakan كِتَابِهَا bermaksud Kitab Wahyu yang diberikan kepada Rasul umat-umat itu iaitu akan diseru: “Mana dia pengikut Kitab Taurat?”, “Mana dia pengikut Kitab Injil?” dan sebagainya iaitu umat manusia akan dipecahkan mengikut kitab pegangan mereka.

Pendapat lain mengatakan كِتَابِهَا bermaksud ‘Kitab Amal‘ mereka. Ini lebih kuat pendapatnya kerana sambungan ayat selepas ini adalah tentang amalan manusia yang dilakukan semasa di dunia. Mereka akan diberikan dengan Kitab Amalan semasa di dunia.

Mereka yang berdosa akan takut untuk melihat kitab amalan mereka. Ini kerana mereka sudah dapat agak apa yang ada dalam Kitab itu bukanlah sesuatu yang baik untuk mereka. Maka mereka akan melarikan diri daripada kitab amalan mereka sambil dikejar oleh kitab amalan itu. Semasa dia berlari-lari itu, kitab itu dapat mengejarnya dan terus melekat kepada tangan kiri mereka.

Maka, kitab itu telah diterimanya dengan tangan kiri. Sesiapa yang menerima Kitab Amalan mereka dengan tangan kiri bermakna mereka akan masuk ke dalam neraka. Ini disebut dalam Surah Waqiah.

Maknanya, mereka yang menerima Kitab Amalan dengan tangan kiri tidak diberi kitab macam yang disangka-sangka. Kalau yang terima dengan tangan kanan, mereka akan dapat dari depan. Namun yang terima dengan tangan kiri akan dikejar oleh kitab amalannya sendiri dan mereka sebenarnya menerima kitab itu dari belakang.

Maka kita akan membaca sendiri kitab kita itu seperti yang disebut dalam Isra’:14. Tidak boleh hendak menipu waktu membaca itu. Pandai buat dosa, maka pandailah baca sendiri apa yang telah dilakukan. Tidakkah kita akan malu nanti? Semua makhluk boleh dengar apa yang telah kita lakukan. Maka kita kenalah beringat dari sekarang supaya kita tidak jadi macam itu nanti. Allah ﷻ boleh buat supaya kejadian itu disaksikan oleh semua makhluk.

Sedangkan kalau ahli syurga, mereka akan berbangga dengan Kitab Amalan mereka dan mereka pula yang akan suruh orang lain baca kitabnya kerana dia berbangga dengan apa yang tertulis di dalamnya.

Namun, harapnya kita tidak perlu dibicarakan di Mahsyar nanti. Kerana dari ayat-ayat Al-Qur’an dan hadis yang kita baca, ia adalah sesuatu yang amat-amat menakutkan dan memenatkan. Semoga terus masuk sahaja ke syurga, tanpa hisab, in sha Allah, aameen.

Waktu di Mahsyar itu, akan dikatakan kepada mereka:

 

الْيَوْمَ تُجْزَوْنَ مَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ

“Pada hari ini kamu akan dibalas menurut apa yang kamu telah kerjakan!”

Manusia akan dibalas mengikut apa yang mereka lakukan sahaja. Sama ada dosa ataupun pahala. Ini memberitahu kepada kita bahawa kita tidak akan tanggung dosa orang lain.

Ia juga bermaksud tidak ada amalan sedekah pahala untuk diberikan kepada sesiapa sahaja. Tidak akan terjumpa di dalam kitab amalan mereka itu pahala-pahala yang dikirimkan kepada mereka oleh mereka yang hidup. Tidak ada mukasurat ‘amalan sendiri’ dan mukasurat lain, ‘amalan sedekah dari orang lain’. Cuma yang ada hanyalah pahala-pahala dari amalan mereka sendiri.

Maka di manakah dalil amalan sedekah pahala yang sedang diamalkan oleh masyarakat Islam kita? Tidak ada. Ia memang tidak ada dalam hadis-hadis dan amalan para sahabat. Maka kita kena berharap dengan amalan kita sahaja. Jangan berharap dari pahala sedekah dari orang lain. Kerana belum tentu lagi ia akan diterima.


 

Ayat 29: Sambungan Takhwif Ukhrawi

هٰذا كِتٰبُنا يَنطِقُ عَلَيكُم بِالحَقِّ ۚ إِنّا كُنّا نَستَنسِخُ ما كُنتُم تَعمَلونَ

Sahih International

This, Our record, speaks about you in truth. Indeed, We were having transcribed whatever you used to do.”

Malay

“Inilah surat (tulisan malaikat) Kami, ia memberi keterangan terhadap kamu dengan yang benar, kerana sesungguhnya Kami telah (perintahkan malaikat) menulis segala yang kamu telah lakukan (di dunia dahulu)!”

هَٰذَا كِتٰبُنَا

“Inilah Kitab Kami,

Inilah kata Allah ﷻ yang merujuk kepada Kitab Amalan setiap makhluk. Allah ﷻ yang menjadikan kitab itu dan kerana itu Allah ﷻ kata: ‘Kitab Kami’. Allah ﷻ yang arahkan para malaikat untuk menulis segala perbuatan manusia di dalam Kitab Amalannya.

 

يَنطِقُ عَلَيْكُم بِالْحَقِّ

ia memperkatakan terhadap kamu dengan yang benar,

Allah ﷻ menggunakan perkataan يَنطِقُ dalam ayat ini. Ia memberi isyarat bahawa Kitab itu akan berkata-kata. Jadi ini bukanlah kitab biasa.

Dan ia hanya mengatakan perkara yang benar sahaja. Tiada yang kurang dan tidak akan ditambah dari yang dilakukan oleh makhluk. Seperti disebut dalam Kahf:49

وَوُضِعَ الْكِتَابُ فَتَرَى الْمُجْرِمِينَ مُشْفِقِينَ مِمَّا فِيهِ وَيَقُولُونَ يَا وَيْلَتَنَا مَالِ هَٰذَا الْكِتَابِ لَا يُغَادِرُ صَغِيرَةً وَلَا كَبِيرَةً إِلَّا أَحْصَاهَا وَوَجَدُوا مَا عَمِلُوا حَاضِرًا وَلَا يَظْلِمُ رَبُّكَ أَحَدًا

Dan “Kitab-kitab Amal” juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka akan berkata:” Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya!” Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya); dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorang pun.

 

إِنَّا كُنَّا نَسْتَنسِخُ مَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ

sesungguhnya Kami telah menulis segala yang kamu telah lakukan!”

Kalimah نَسْتَنسِخُ dari katadasar ن س خ yang bermaksud ‘menghapuskan sesuatu’ atau ‘memansuhkan sesuatu’. Namun apabila digunakan dalam wazan إستِنسَخ, ia membawa maksud menulis, menyalin seperti perkataan nuskhah yang bermaksud salinan kitab. Seperti kita salin dari sesuatu kitab yang lain.

Oleh itu ia bermaksud, semasa kita melakukan sesuatu, malaikat ‘menyalin’ apa kita lakukan. Bayangkan, apa sahaja yang kita tulis dalam SMS, dalam Whatsapp, dalam twitter dan Facebook, malaikat pun salin apa yang kita tulis itu. Maka, ingatlah semasa kita menulis semua itu, malaikat sedang menyalin apa yang kita tulis itu.

Kita sangka perkara sesuatu perkara yang kita lakukan itu kecil sahaja, tetapi itu pun ditulis oleh malaikat. Kadang-kadang perkara kecil itulah yang menyebabkan orang sakit hati, orang marah, orang berkelahi kerananya. Kita sahaja yang sangka ianya tidak ada apa, tapi orang lain rasa ia besar. Maka, kita akan lihat bagaimana perkara yang kita sangkakan kecil, rupanya besar di mata Allah ﷻ .

Namun malaikat hanya mencatat sahaja. Mereka tidak tahu kita ikhlas atau tidak. Sebab itu ada amalan yang memang kita telah lakukan, tetapi Allah ﷻ suruh buang sahaja, kerana Allah ﷻ tahu yang kita tidak ikhlas semasa melakukannya.


 

Ayat 30: Tabshir Ukhrawi.

فَأَمَّا الَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحاتِ فَيُدخِلُهُم رَبُّهُم في رَحمَتِهِ ۚ ذٰلِكَ هُوَ الفَوزُ المُبينُ

Sahih International

So as for those who believed and did righteous deeds, their Lord will admit them into His mercy. That is what is the clear attainment.

Malay

Adapun orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka akan dimasukkan oleh Tuhan mereka ke dalam rahmat-Nya; yang demikian itu ialah kemenangan yang besar.

فَأَمَّا الَّذِينَ ءآمَنُوا

Adapun orang-orang yang beriman

Iaitu orang-orang yang beriman sempurna, tidak melakukan syirik. Mereka itu tahu apakah tauhid dan apakah syirik. Oleh kerana itu mereka meninggalkan syirik dan mengamalkan ajaran tauhid sahaja dalam kehidupan mereka.

 

وَعَمِلُوا الصّٰلِحَاتِ

dan beramal soleh,

Bukan sahaja mereka itu beriman, tetapi mereka juga menunjukkan iman mereka dengan mengerjakan amalan-amalan ibadat. Amalan ibadat yang mereka lakukan itu adalah mengikut amalan ajaran Nabi sahaja dan tidak melakukan amalan bidaah. Amalan yang bidaah, tidak dinamakan ‘amalan soleh’. Amalan bidaah adalah amalan sia-sia.

 

فَيُدْخِلُهُمْ رَبُّهُمْ فِي رَحْمَتِهِ

maka mereka akan dimasukkan oleh Tuhan mereka ke dalam rahmatNya;

Apabila Allah ﷻ berfirman yang mereka itu dimasukkan ke dalam ‘rahmat-Nya’, itu bermaksud Allah ﷻ akan selamatkan mereka dari neraka dan masukkan ke dalam syurga. Ini kerana kita tidak akan dapat masuk ke dalam syurga melainkan dengan rahmat Allah ﷻ.

Ini juga sebagai dalil bahawa kita masuk syurga atas rahmat Allah ﷻ. Ini kerana kalau dengan amalan kita sepanjang hidup walau bagaimana baik pun, tidak cukup lagi kalau dibandingkan dengan nikmat syurga yang amat besar itu. Tidak cukup ‘tambang tiket’ hendak masuk ke dalam syurga dengan amalan kita sahaja. Hanya kerana rahmat Allah ﷻ lah sahaja kita dapat masuk syurga.

Jadi kena berharap yang Allah ﷻ merahmati kita dan untuk dapat rahmat Allah ﷻ itu, kenalah pula beramal. Maknanya, tidak dapat lari dari amal juga. Walaupun amal kita tidak cukup, tetapi kita kena beramal sebanyak yang mungkin kerana kita berharap Allah ﷻ akan merahmati kita dengan amal kita yang sedikit itu.

 

ذَٰلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْمُبِينُ

yang demikian itu ialah kemenangan yang jelas.

Lafaz الْفَوْزُ bermaksud kemenangan selepas selamat dari bahaya. Mereka yang dapat masuk syurga itu bermaksud mereka juga telah terlepas dari azab neraka, dan itu adalah kemenangan yang amat besar.

Kalau dapat masuk ke dalam syurga, barulah boleh dikatakan kemenangan yang jelas. Kalau setakat menang hujah di dunia, tetapi di akhirat nanti akan memasukkan mereka ke dalam neraka, itu bukanlah kemenangan namanya. Ramai golongan ahli bidaah di negara ini yang berkedudukan tinggi, pandai berhujah menggunakan akal mereka untuk membolehkan amalan bidaah mereka.

Maka ramailah yang tertipu dengan hujah mereka kerana mereka pandai berkata-kata. Memang mereka mungkin menang kalau dalam dunia tetapi adakah mereka akan menang di akhirat kelak? Bolehkah mereka berhujah dengan Allah ﷻ?


 

Ayat 31: Takhwif Ukhrawi. Bagaimana pula dengan nasib orang yang engkar?

وَأَمَّا الَّذينَ كَفَروا أَفَلَم تَكُن ءآيٰتي تُتلىٰ عَلَيكُم فَاستَكبَرتُم وَكُنتُم قَومًا مُّجرِمينَ

Sahih International

But as for those who disbelieved, [it will be said], “Were not Our verses recited to you, but you were arrogant and became a people of criminals?

Malay

Adapun orang-orang yang kafir, (maka mereka akan ditempelak dengan dikatakan kepada mereka): “Bukankah ayat-ayatKu telah disampaikan dan dibacakan kepada kamu, lalu kamu berlaku sombong takbur (mengingkarinya), serta menjadi kaum yang sentiasa melakukan kesalahan?

وَأَمَّا الَّذِينَ كَفَرُوا

Adapun orang-orang yang engkar,

Dalam ayat ini dikatakan orang ‘kafir’, tetapi kita terjemahkan sebagai orang yang ‘engkar’. Ini kerana sebenarnya, orang yang kafir itu adalah orang yang engkar.

Maka kalau kita beragama Islam, tetapi engkar dengan arahan Allah ﷻ, adakah kita masih boleh mengaku kita orang Islam? Mungkin dalam mata manusia, kita masih lagi digelar Muslim, tetapi apakah pula pandangan Allah ﷻ kepada kita? Itu yang kita kena fikirkan.

 

أَفَلَمْ تَكُنْ ءآيٰتِي تُتْلَىٰ عَلَيْكُمْ

“Bukankah ayat-ayatKu telah dibacakan ke atas kamu,

Ada jumlah muqaddar dalam ayat ini. Tidak diberitahu siapakah yang berkata-kata. Yang berkata-kata itu adalah Allah ﷻ.

Soalan ini ditanya sebelum mereka dihumban ke dalam neraka. Allah ﷻ sendiri berkata dalam ayat ini; Allah ﷻ bertanya kepada mereka, tidakkah ayat Al-Qur’an pernah dibacakan kepada mereka? Tentulah ada. Agaknya, apakah jawapan mereka yang dalam keadaan berlutut dan menundukkan kepala itu? Adakah mereka boleh menjawab kepada Allah ﷻ? Adakah kita sanggup hendak kata kepada Allah ﷻ waktu itu: “Maaf Allah ﷻ, aku tidak sempat hendak belajar, aku sibuk dengan kerja, aku sibuk dengan keluarga….”.

Ayat ini mengajar kita bahawa kita kena dakwah manusia dengan Al-Qur’an. Kita kena bacakan ayat Al-Qur’an kepada manusia. Lebih-lebih lagi kita kena bacakan ayat tauhid. Lihatlah bagaimana soalan yang Allah ﷻ tanya kepada mereka adalah tentang Al-Qur’an. Menunjukkan betapa pentingnya Al-Qur’an itu. Dan mereka yang masuk ke dalam neraka itu kerana mereka tidak menghiraukan Al-Qur’anlah.

Kita kena baca Al-Qur’an itu dan tadabbur selalu dan kena fahamkan serta mengamalkan apa yang disampaikan dalam Al-Qur’an itu. Tidak dapat tidak, kita kena belajar keseluruhan 30 juzuk Al-Qur’an itu. Nak masuk syurga kena belajar tafsir Al-Qur’an dan amalkan ajaran dalam Al-Qur’an.

 

فَاسْتَكْبَرْتُمْ

lalu kamu berlaku sombong,

Iaitu, mereka sombong hendak belajar dan mendengar penjelasan pendakwah tentang agama dan tentang Al-Qur’an. Mereka juga sombong hendak ikut arahan-arahan Allah ﷻ dalam Al-Qur’an itu walaupun ia telah jelas. Mereka tidak jelas itu adalah kerana tidak mahu belajar, mendengar dan membuka hati mereka kepada kebenaran.

Maknanya, mereka bukannya tidak tahu langsung berkenaan Al-Qur’an, tetapi mereka sombong. Sikap sombong hendak mendengar, ikuti dan menerima kerana mereka rasa diri sudah besar, berasa hebat dan tahu banyak pasal agama. Selain itu mereka juga berasa selamat dan pasti masuk syurga. Adakah begitu? Tentu tidak, bukan?

Kadang-kadang manusia membuat kesilapan dengan melihat siapakah yang memberi nasihat itu. Kalau nampak macam orang yang tidak penting atau tidak ada kedudukan, mereka buat tidak layan sebab mereka sombong. Mereka rasa mereka lebih bagus dari orang yang memberi nasihat kepada mereka. Ini kerana mereka lihat diri lebih tinggi kedudukan dan kekayaan dari mereka yang memberi nasihat itu. Sepatutnya mereka melihat apakah nasihat yang disampaikan, bukannya melihat siapakah yang menyampaikannya.

Hanya kerana sombong, kadang-kadang manusia marah kalau kita beri nasihat kepada mereka. Mereka melenting balik kalau diberi nasihat. Mereka rasa kita macam merendahkan diri mereka dengan beri nasihat sebegitu. Padahal, kita memberi nasihat sebagai peringatan sahaja. Mereka pun boleh beri nasihat kepada kita balik, apa salahnya?

 

وَكُنتُمْ قَوْمًا مُّجْرِمِينَ

serta kamu menjadi kaum yang sentiasa melakukan kesalahan?

Oleh kerana mereka tidak mahu belajar dan memahami Al-Qur’an, maka mereka tidak tahu manakah yang salah dan manakah yang benar. Mereka hanya ikut apa yang disampaikan kepada mereka oleh guru-guru yang tidak semestinya benar.

Kalau mereka belajar Tafsir Al-Qur’an, mereka akan tahu bahawa ada perkara yang dilakukan selama hari ini adalah salah. Mereka dapat bandingkan ajaran manusia dan ajaran dari Al-Qur’an. Namun, kerana tidak mahu belajar, maka mereka terus melakukan kesilapan itu tanpa henti.

Sebagai contoh, banyak amalan bidaah yang mereka lakukan. Mereka sangka sedang buat perkara baik dan mendapat pahala, tetapi sebenarnya mereka sedang mengumpul dosa.


 

Ayat 32: Sambungan kata-kata Allah ﷻ dari ayat sebelum ini. Allah ﷻ mengingatkan kembali apa kata-kata mereka semasa di dunia. Allah ﷻ memberitahu yang sebab kedua mereka masuk ke dalam neraka adalah kerana menolak adanya akhirat.

وَإِذا قيلَ إِنَّ وَعدَ اللهِ حَقٌّ وَالسّاعَةُ لا رَيبَ فيها قُلتُم مّا نَدري مَا السّاعَةُ إِن نَّظُنُّ إِلّا ظَنًّا وَما نَحنُ بِمُستَيقِنينَ

Sahih International

And when it was said, ‘Indeed, the promise of Allah is truth and the Hour [is coming] – no doubt about it,’ you said, ‘We know not what is the Hour. We assume only assumption, and we are not convinced.’ “

Malay

“Dan apabila dikatakan (kepada kamu): `Sesungguhnya janji Allah (membalas amal kamu) adalah benar, dan hari kiamat tidak ada sebarang syak tentang kedatangannya’, kamu berkata: ` Kami tidak mengetahui apa dia hari kiamat itu; kami hanya mengira (kemungkinannya) sebagai sangkaan jua, dan kami tidak sekali-kali menyakininya ‘.”

وَإِذَا قِيلَ

“Dan apabila dikatakan

Allah ﷻ mengingatkan bagaimana mereka dulu pernah juga diberi dakwah. Pernah juga dikatakan kepada mereka tentang agama dan lebih-lebih lagi tentang Kiamat semasa di dunia. Bukannya tidak datang pemberi dakwah dan penyebar tauhid kepada mereka semasa di dunia dulu.

 

إِنَّ وَعْدَ اللهِ حَقٌّ

Sesungguhnya janji Allah adalah benar,

Telah diberitahu kepada mereka bahawa janji Allah ﷻ itu benar iaitu janji Allah ﷻ untuk memasukkan mereka yang engkar ke dalam neraka. Manakala yang beriman dan membuat amalan yang soleh akan dimasukkan ke dalam syurga.

 

وَالسَّاعَةُ لَا رَيْبَ فِيهَا

dan Hari Kiamat tidak ada sebarang syak tentang kedatangannya ‘,

Iaitu Hari Kiamat pasti akan terjadi, Allah ﷻ pasti akan buat. Cuma bila terjadinya, tidak ada sesiapa pun yang tahu melainkan Allah ﷻ sahaja. Telah diberitahu berkali-kali tentang perkara ini kepada mereka.

Apabila telah diberitahu perkara-perkara di atas, apakah jawapan balasan dari mereka?

 

قُلْتُم مَّا نَدْرِي مَا السَّاعَةُ

kamu semua berkata: `Kami tidak mengetahui apa dia Hari Kiamat itu;

Lihatlah apa kata mereka apabila Hari Kiamat diingatkan kepada mereka. Mereka tidak mengaku yang mereka tahu tentang Hari Kiamat. Maknanya, mereka tidak percaya. Mereka buat-buat tidak tahu.

 

إِن نَّظُنُّ إِلَّا ظَنًّا

kami mengira ianya hanya sebagai sangkaan sahaja,

Mereka ini adalah jenis orang yang dipanggil agnostik. Mereka itu selalunya ahli saintis. Jadi kononnya semua perkara kena dibuktikan dengan sains. Kalau sains tidak dapat buktikan, mereka tidak mahu menerima.

Mereka sangka mereka pandai kerana berpendidikan tinggi dan ada buat banyak kajian. Namun, sebenarnya mereka amat bodoh. Mereka kata kejadian hari kiamat itu hanya sangkaan-sangkaan manusia yang bodoh sahaja, tetapi sebenarnya merekalah yang bodoh. Mereka tidak mahu percaya kepada perkara yang mereka tidak nampak. Jadi mereka tolak mentah-mentah. Mereka tidak mahu mendengar hujah-hujah yang ada dalam Al-Qur’an.

Terdapat pula manusia yang tidak berapa yakin dengan akhirat itu. Mereka rasa macam ada akhirat itu, tetapi kadangkala mereka rasa mungkin tidak ada. Ini pun manusia yang ada masalah.

 

وَمَا نَحْنُ بِمُسْتَيْقِنِينَ

dan kami tidak sekali-kali menyakininya ‘.”

Mereka tidak yakin tentang akan datangnya Hari Kiamat itu. Mereka kata ia hanya syak orang-orang yang bodoh sahaja. Pada mereka, Kiamat itu tidak benar. Mereka pun jenis tidak mahu mencari kebenaran dan tidak kisah.

Sebab kalau mereka jenis yang hendak mencari kebenaran, tentu akan terjumpa bukti-bukti dan hujah-hujah yang mengatakan Hari Kiamat itu pasti terjadi. Amat banyak sekali kita berjumpa di dalam pembelajaran tafsir Al-Qur’an. Namun, kerana mereka sendiri tidak mahu Hari Kiamat itu terjadi, jadi hati mereka telah berat kepada mengatakan Hari Kiamat itu tidak akan terjadi.

Oleh kerana tidak percaya kepada akhiratlah yang menyebabkan manusia melakukan banyak kesalahan dan dosa. Akhirnya, mereka akan masuk ke Neraka dan akan rasa amat rugi sekali. Waktu itu sudah terlambat. Namun, apa lagi yang mereka boleh buat?

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 30 Julai 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani