Tafsir Surah Yunus Ayat 29 – 31 (Musyrikin Mekah kenal Allah ﷻ)

Yunus Ayat 29:

فَكَفىٰ بِاللَّهِ شَهيدًا بَينَنا وَبَينَكُم إِن كُنّا عَن عِبادَتِكُم لَغٰفِلينَ

Sahih International

And sufficient is Allah as a witness between us and you that we were of your worship unaware.”

Malay

“(Allah mengetahui apa yang sebenarnya); oleh itu, cukuplah Allah sebagai saksi antara kami dengan kamu, bahawa sesungguhnya kami tidak menyedari pujaan atau penyembahan kamu (kepada kami)”.

 

فَكَفَىٰ بِاللَّهِ شَهِيدًا بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ

oleh itu, cukuplah Allah sebagai saksi antara kami dengan kamu,

Inilah kata-kata mereka yang disembah. Mereka menamakan Allah ﷻ sebagai saksi mereka kerana yang menyembah akan membuat bermacam alasan. Di akhirat kelak mereka tidak mengaku pula yang mereka ada menyembah selain Allah ﷻ. Maka yang menjadi saksi sebenar adalah Allah ﷻ. Hanya Allah  ﷻ sahaja yang boleh menjadi saksi kepada mereka yang disembah itu kerana mereka sudah tidak ada lagi apabila mereka disembah.

Mereka sudah lama mati dan tidak tahu pun siapa yang menyembah dan menyeru mereka. Sama seperti Nabi Muhammad ﷺ sekarang dipuja dan manusia melakukan ibadat kepada baginda, padahal baginda telah lama wafat. Begitu juga dengan Nabi Isa عليه السلام dan Nabi-Nabi yang lain. Sama juga dengan para wali seperti Syeikh Abdul Qadir Jalani, Imam Bukhari, Imam Shafie dan sebagainya. Tidak ada dalil yang mengatakan mereka boleh mendengar. Yang mendakwa orang mati boleh mendengar itu adalah golongan sesat sahaja.

Yang disembah itu tidak boleh menghalang orang yang buat ibadat kepada mereka kerana mereka sudah lama mati. Orang yang mati tidak dapat mendengar dan menegur sesiapa lagi. Mereka sudah hidup dalam alam lain yang jauh dari alam kita.

 

إِن كُنَّا عَنْ عِبَادَتِكُمْ لَغٰفِلِينَ

bahawa sesungguhnya kami tidak menyedari pujaan atau penyembahan kamu (kepada kami)”.

Ayat ini memberitahu kita bahawa mereka yang disembah itu tidak mendengar langsung seruan dan doa daripada penyembah-penyembah musyrik itu. Mereka tidak tahu pun yang mereka disembah kerana mereka tidak pernah suruh diri mereka disembah. Lihatlah Fatir: 14

إِن تَدعوهُم لا يَسمَعوا دُعاءَكُم وَلَو سَمِعوا مَا استَجابوا لَكُم ۖ وَيَومَ القِيٰمَةِ يَكفُرونَ بِشِركِكُم

Jika kamu menyeru mereka, mereka tiada mendengar seruanmu; dan kalau mereka mendengar, mereka tidak dapat memperkenankan permintaanmu. Dan di hari kiamat mereka akan mengingkari kemusyirikanmu

Di sini ditambah satu lagi maklumat: sekiranya mereka boleh mendengar pun, tidaklah mereka mampu untuk membantu apa-apa. Sia-sia sahaja penyembah itu menyeru dan memuja. Begitulah para Nabi, wali dan malaikat yang disembah akan mengatakan sedemikian. Antara kesesatan masyarakat kita adalah sedekah Fatihah kepada Nabi. Padahal Fatihah yang dihadiahkan kepada mereka, tidak sampai pun kepada mereka. Mereka tidak tahu pun ada orang hadiah Fatihah kepada mereka. Begitu juga dengan salam-salam yang diberikan kepada mereka, mereka tidak dapat mendengar langsung. Mereka sudah tidak ada kemampuan untuk berkomunikasi dengan manusia yang hidup lagi.

Dalam Ahqaf: 5 juga disebut tentang perkara ini

وَمَنْ أَضَلُّ مِمَّن يَدْعُو مِن دُونِ اللَّهِ مَن لَّا يَسْتَجِيبُ لَهُ إِلَىٰ يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَهُمْ عَن دُعَائِهِمْ غَافِلُونَ

Dan tidak ada yang lebih sesat daripada orang yang memanggil sesuatu yang lain daripada Allah, yang tidak dapat menyahut atau memberikan sebarang pertolongan kepadanya (dari dunia) hinggalah ke hari kiamat, sedang makhluk-makhluk yang mereka sembah itu tidak menyedari seruan mereka itu.

Mereka yang disembah itu tidak mendengar dan tidak dapat menyahut pun seruan yang diberikan kepada mereka. Apatah lagi untuk membantu mereka. Disambung dalam ayat 6:

وَإِذَا حُشِرَ النَّاسُ كَانُوا لَهُمْ أَعْدَاءً وَكَانُوا بِعِبَادَتِهِمْ كَافِرِينَ

Dan apabila manusia dihimpunkan (untuk dihitung amalnya pada hari akhirat), menjadilah segala yang disembah itu musuh kepada orang-orang yang menyembahnya, dan segala yang disembah itu juga tidak mengakui serta mendustakan penyembahan mereka kepadanya.

Nabi, wali dan malaikat yang disembah, dipuja, diberi salam dan dihadiahkan Fatihah itu akan menjadi musuh pula kepada yang menyembah mereka. Yang menyembah dan sedekah Fatihah itu sangka mereka akan ditolong, tetapi apa yang terjadi adalah sebaliknya.

Bayangkan dalam mahkamah, kita sangka orang yang kita selalu tegur dan berbuat baik akan menjadi saksi menyebelahi pihak kita, namun rupa-rupanya dia menjadi saksi untuk pihak pendakwaraya yang menuduh kita pula. Alangkah terkejutnya kita pada waktu itu. Itulah nanti perasaan orang-orang musyrik nanti.

Oleh itu, siapakah yang sebenarnya yang disembah? Ini diberitahu dalam Saba: 41

قَالُوا سُبْحَانَكَ أَنتَ وَلِيُّنَا مِن دُونِهِم بَلْ كَانُوا يَعْبُدُونَ الْجِنَّ أَكْثَرُهُم بِهِم مُّؤْمِنُونَ

Malaikat menjawab: “Maha Suci Engkau (daripada adanya sebarang sekutu denganMu). Engkaulah (yang kami hubungi sebagai Pemimpin dan) Pelindung kami, bukan mereka. (Tidak ada hubungan daripada pihak kami dengan mereka mengenai penyembahan mereka kepada kami), bahkan mereka adalah menyembah Jin Syaitan; kebanyakan mereka pula percaya kepada Jin Syaitan itu (sebagai sekutu Tuhan yang dipuja dan dipatuhi)”.

Malaikat digunakan sebagai contoh dalam ayat ini, kerana malaikat adalah antara golongan yang disembah selain Allah ﷻ. Rupanya yang disembah itu adalah jin syaitan rupanya. Setiap kali mereka sedekah Fatihah kepada Nabi, wali dan malaikat itu, seekor jin akan datang berdamping dengan mereka.

Apabila amalan itu berulang-ulang dilakukan, maka jin yang mendampingi mereka itu akan bertambah-tambah dan beranak pinak. Oleh itu tidak hairanlah mereka yang membuat amalan salah itu boleh melakukan dan nampak perkara-perkara pelik sehingga sesetengah dapat berdialog terus pula dengan jin. Ini semua kesan kehadiran entah berapa ratus jin ada di dalam tubuh badan mereka.

Antaranya perkara pelik yang mereka boleh buat adalah ‘scan’ jin. Tentulah mereka boleh merasai kehadiran jin kerana mereka sudah ada banyak jin dalam diri mereka. Mereka menyangka kebolehan mereka ‘scan’ itu adalah suatu kelebihan, malangnya tanpa mereka sedari yang sebenarnya itu adalah keburukan yang jelas bagi mereka. Sekiranya diperiksa amalan mereka, mesti ada banyak amalan bid’ah yang menyeru selain Allah ﷻ.


Yunus Ayat 30:

هُنالِكَ تَبلو كُلُّ نَفسٍ مّا أَسلَفَت ۚ وَرُدّوا إِلَى اللَّهِ مَولىٰهُمُ الحَقِّ ۖ وَضَلَّ عَنهُم مّا كانوا يَفتَرونَ

Sahih International

There, [on that Day], every soul will be put to trial for what it did previously, and they will be returned to Allah , their master, the Truth, and lost from them is whatever they used to invent.

Malay

Pada masa itu tiap-tiap diri dapatlah mengetahui (dan merasai) akan apa yang telah dikerjakan dan mereka dikembalikan kepada Allah Tuhan mereka yang sebenar-benarnya (yang akan membalas dengan adilnya); dan (dengan itu) hilang lenyaplah dari mereka apa yang mereka ada-adakan.

 

هُنَالِكَ تَبْلُو كُلُّ نَفْسٍ مَّا أَسْلَفَتْ

Pada masa itu tiap-tiap diri akan dihakimi akan apa yang telah dikerjakan

Kalimah هُنَالِكَ bermaksud pada ‘waktu’ itu dan pada ‘tempat’ itu. Ia merujuk kepada Hari di Mahsyar. Ia adalah hari yang amat menakutkan kerana kita tidak tahu nasib kita bagaimana. Entahkan selamat, entahkan tidak.

Kalimah تَبْلُو berasal daripada katadasar ب ل و yang antaranya bermaksud cuba, ujian. Maksudnya mereka ‘akan diadili’. Namun sebenarnya, dari segi nahu bahasa Arab, perkataan تَبْلُو itu bukanlah bermaksud ‘dia akan diadili’, tetapi bermaksud ‘dia akan mengadili sendiri’. Ini bermakna, tuan empunya Kitab Amalan akan membaca dan mengadili sendiri kedudukannya berdasarkan Kitab Amalan itu. Ini dijelaskan dalam Isra’: 13-14

وَكُلَّ إِنسَانٍ أَلْزَمْنَاهُ طَائِرَهُ فِي عُنُقِهِ وَنُخْرِجُ لَهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ كِتَابًا يَلْقَاهُ مَنشُورًا

Dan tiap-tiap seorang manusia Kami kalungkan bahagian nasibnya di lehernya, dan pada hari kiamat kelak Kami akan keluarkan kepadanya kitab (suratan amalnya) yang akan didapatinya terbuka (untuk di tatapnya).

اقْرَأْ كِتَابَكَ كَفَىٰ بِنَفْسِكَ الْيَوْمَ عَلَيْكَ حَسِيبًا

(Lalu Kami perintahkan kepadanya): “Bacalah Kitab (suratan amalmu), cukuplah engkau sendiri pada hari ini menjadi penghitung terhadap dirimu (tentang segala yang telah engkau lakukan)”.

Allah ﷻ suruh hamba itu membaca sendiri untuk menzahirkan keadilan-Nya. Maknanya tidak akan ada penipuan (kalau orang lain baca, mungkin dia dakwa yang baca itu salah baca). Dia sendiri akan nampak apakah amalan-amalan yang telah dilakukannya dan dia akan tahu bahawa banyak daripada amalannya yang salah. Dia akan nampak semua sekali yang telah dilakukannya. Ini seumpama anak kita melihat sendiri Kad Laporan sekolahnya banyak ditanda merah sahaja. Tentu dia sudah tahu yang dia akan gagal peperiksaan kalau begitu banyak merah, bukan?

SEMUA sekali perbuatannya semasa di dunia akan direkod. Sampai dia akan terkejut sangat seperti yang telah difirmankan oleh Allah ﷻ dalam Kahf: 49

وَوُضِعَ الْكِتَابُ فَتَرَى الْمُجْرِمِينَ مُشْفِقِينَ مِمَّا فِيهِ وَيَقُولُونَ يَا وَيْلَتَنَا مَالِ هَٰذَا الْكِتَابِ لَا يُغَادِرُ صَغِيرَةً وَلَا كَبِيرَةً إِلَّا أَحْصَاهَا وَوَجَدُوا مَا عَمِلُوا حَاضِرًا وَلَا يَظْلِمُ رَبُّكَ أَحَدًا

Dan “Kitab-kitab Amal” akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka akan berkata:” Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya!” Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya); dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorang pun.

Mereka akan kehairanan kerana perkara-perkara kecil pun tertulis juga. Kalau yang besar-besar, mungkin mereka boleh terima, namun kalau yang kecil pun ada juga, mereka berasa sungguh hairan sekali. Begitu terperinci sekali Kitab Amalan itu! Begitu terperinci sekali malaikat yang menulis amalan kita meletakkan segala perbuatan kita.

Tidak akan apapun yang akan tersembunyi pada hari itu. Seperti Allah ﷻ telah firmankan dalam Tariq: 9

يَوْمَ تُبْلَى السَّرَائِرُ

Pada hari didedahkan segala yang dirahsiakan,

Kalimah أَسْلَفَتْ bermaksud ‘yang telah dilakukan dahulu’. Ia merujuk kepada amal-amal perbuatan kita semasa di dunia. Semuanya dicatit dan tidak akan ada sedikit pun yang tertinggal.

 

وَرُدُّوا إِلَى اللَّهِ

dan mereka dikembalikan kepada Allah

Kita semua akan dikembalikan kepada Allah ﷻ untuk diadili dan kemudian proses penghakiman akan dijalankan ke atas kita semua. Tidak ada tempat transit untuk bertemu pemberi-pemberi Syafaat langsung. Ini bersalahan dengan fahaman seperti Kristian yang menyangka Nabi Isa عليه السلام akan bantu selamatkan mereka, juga para ahli tarekat yang menyangka wali atau tok guru mereka akan menjadi peguam bagi mereka untuk mempertahankan mereka. Ingatlah yang tidak ada yang akan memberi pertolongan dan perlindungan kepada kita. Semuanya akan mengadap Allah ﷻ dan kena jawab di atas segala perbuatan semasa di dunia.

 

مَوْلىٰهُمُ الْحَقِّ

Pelindung mereka yang sebenar-benarnya

Kita sepatutnya mengharap kepada Allah ﷻ sahaja kerana Dialah wali kita yang sebenarnya. Dialah sahaja yang boleh melindungi kita. Tidaklah perlu terkinja-kinja dan melambai-lambai kepada Nabi ﷺ dalam majlis Ya Hanana di stadium untuk meminta Syafaat daripada Nabi Muhammad. Sekiranya kita layak mendapat Syafaat, Allah ﷻ yang akan berikan kepada kita. Mungkin Nabi ﷺ yang akan sampaikan kepada kita, tetapi tetap keputusan itu ditentukan oleh Allah ﷻ.

Sebaliknya sekiranya tidak layak, lompatlah setinggi mana sekalipun untuk meminta kepada Nabi ﷺ yang sudah wafat itu, kita tidak akan dapat juga kerana pelindung sebenar adalah Allah ﷻ. Pemberi Syafaat adalah Allah ﷻ. Bukannya Nabi Muhammad ﷺ seperti sangkaan kebanyakan orang kita. Nabi Muhammad ﷺ hanya menyampaikan sahaja Syafaat itu.

Oleh kerana masyarakat kita jahil tentang Syafaat, maka ada golongan Habib yang mengambil peluang mengaut keuntungan dengan mengadakan majlis Selawat Perdana kononnya untuk mendapat Syafaat daripada Nabi ﷺ. Entah berapa ribu ringgit diberikan kepada mereka untuk menjadi tekong majlis bid’ah dan syirik itu.

Syirik itu adalah kerana mereka meminta Syafaat daripada Nabi ﷺ padahal yang mempunyai Syafaat mutlak adalah Allah ﷻ. Jika kita beriktikad yang Nabi Muhammad ﷺ juga mempunyai kuasa untuk menentukan siapa yang boleh diberi Syafaat, itu bermaksud kita telah meletakkan Nabi sama kedudukannya dengan Allah ﷻ dan itu adalah syirik. Sepatutnya, Allah ﷻ sahaja yang boleh menentukan siapa yang dapat syafaat, tetapi ada pula yang kata Nabi ﷺ pun mempunyai kuasa itu.

Ini semua berlaku kerana salah faham tentang wali. Mereka bermudah sahaja untuk memberi gelaran wali kepada manusia. Padahal di sini Allah ﷻ berkata Dialah wali yang sebenar. Kamu perasan sahaja ‘wali’ yang kamu lantik itu boleh membantu kamu itu dan ini, padahal entah dia pun belum tentu selamat lagi. Kalau betul dia wali pun, bukannya dia boleh menolong kamu kerana pelindung yang kamu boleh harapkan adalah Allah ﷻ semata-mata.

Kebodohan manusia pula memang tiada hadnya. Terdapat golongan di Malaysia ini, percaya pula ada wali Melayu yang menjaga Ka’bah duduk di setiap empat penjuru itu. Entah saja-saja mahu menunjukkan orang Melayu ini nampak hebat agaknya, Melayu Boleh! agaknya. Lebih melucukan lagi, puak sesat negara lain pula mendakwa tok syeikh mereka yang menjaga Ka’bah. Adakah mereka anggap wali-wali ini berebut tempat untuk menjaga Ka’bah?!

Kepercayaan ini ternyata lebih bodoh daripada Musyrikin Mekah, sebab Musyrikin Mekah yang bertahap jahiliyyah itu pun tahu yang Ka’bah itu Allah ﷻ yang jaga. Sebab itu mereka tidak hairan bila tentera Abrahah datang, sebab mereka tahu Allah ﷻ yang menjaga sendiri Ka’bah itu. Mereka pun tidaklah melantik wali mereka untuk menjaga Ka’bah (semenjak dahulu lagi mereka panggil Ka’bah sebagai Baitullah (rumah Allah)). Begitulah bodoh sangat orang kita; bila diminta dalil, dengan penuh tawaduknya mereka boleh pula cakap: “Semua ini dengan izin Allah”. Alahai, itu sahajakah hujah mereka?

Mereka sangka mereka boleh mendapat perlindungan daripada sembahan mereka itu tetapi mereka salah. Mereka tidak ada pelindung sebenarnya seperti yang Allah  ﷻ sebut dalam Muhammad: 11. Semenjak di dunia lagi Allah ﷻ tidak mahu menjadi pelindung mereka.

ذٰلِكَ بِأَنَّ اللهَ مَولَى الَّذينَ ءآمَنوا وَأَنَّ الكٰفِرينَ لا مَولىٰ لَهُم

Yang demikian itu kerana sesungguhnya Allah adalah pelindung orang-orang yang beriman dan sesungguhnya orang-orang kafir itu tidak mempunyai pelindung.

Dalam ayat ini disebut مَوْلىٰهُم (pelindung mereka). Ini bukanlah bermakna Allah ﷻ akan melindungi mereka. Namun ia bermaksud Allah ﷻ akan jadi pemilik mereka. Allah ﷻ boleh berbuat apa sahaja kepada mereka.

 

وَضَلَّ عَنْهُم مَّا كَانُوا يَفْتَرُونَ

dan (dengan itu) hilang lenyaplah dari mereka apa yang mereka ada-adakan.

Amalan-amalan bid’ah sesat yang diada-adakan oleh manusia seperti ya Hanana, sedekah pahala, beri salam, selawat rekaan, zikir rekaan dan sebagainya itu hilang lenyap. Yang disembah tidak munculkan diri untuk membantu mereka. Segala amalan mereka itu tidak ada nilai dari segi pahala. Tidak memberi manfaat kepada mereka langsung malah menjadi penyesalan kepada mereka.

Begitulah nasib malang yang mereka akan terima. Yang dipuja-puja semasa di dunia pun tidak akan membantu mereka. Sia-sia sahaja segala penat lelah mereka menyembah selain Allah ﷻ. Selesai sudah kisah di Akhirat kelak. Bagaimana nasib mereka? Allah ﷻ sebut dalam Isra’: 97

وَنَحشُرُهُم يَومَ القِيامَةِ عَلىٰ وُجوهِهِم عُميًا وَبُكمًا وَصُمًّا ۖ مَأواهُم جَهَنَّمُ ۖ كُلَّما خَبَت زِدناهُم سَعيرًا

Dan Kami akan mengumpulkan mereka pada hari kiamat (diseret) atas muka mereka dalam keadaan buta, bisu dan pekak. Tempat kediaman mereka adalah neraka jahannam. Tiap-tiap kali nyala api Jahannam itu akan padam, Kami tambah lagi bagi mereka nyalanya.

Habis Ruku’ 3 daripada 11 surah ini.


 

SOALAN KEPADA MUSYRIKIN 1: SIAPAKAH YANG MEMBERI NIKMAT?

Yunus Ayat 31: Ayat Dalil Aqli I’tirafi. Allah ﷻ mengiktiraf akidah yang benar/betul puak Musyrikin Mekah itu. Allah ﷻ bertanya tentang perkara yang memang mereka terima pun kerana memang mereka kenal Allah ﷻ sebagai Tuhan.

قُل مَن يَرزُقُكُم مِّنَ السَّماءِ وَالأَرضِ أَمَّن يَملِكُ السَّمعَ وَالأَبصٰرَ وَمَن يُخرِجُ الحَيَّ مِنَ المَيِّتِ وَيُخرِجُ المَيِّتَ مِنَ الحَيِّ وَمَن يُدَبِّرُ الأَمرَ ۚ فَسَيَقولونَ اللَّهُ ۚ فَقُل أَفَلا تَتَّقونَ

Sahih International

Say, “Who provides for you from the heaven and the earth? Or who controls hearing and sight and who brings the living out of the dead and brings the dead out of the living and who arranges [every] matter?” They will say, ” Allah ,” so say, “Then will you not fear Him?”

Malay

Bertanyalah kepada mereka (yang musyrik itu): “Siapakah Yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi? Atau siapakah yang menguasai pendengaran dan penglihatan? Dan siapakah yang mengeluarkan makhluk yang hidup dari benda yang mati, dan mengeluarkan benda yang mati dari makhluk yang hidup? Dan siapakah pula yang mentadbirkan urusan sekalian alam? “(Dengan pertanyaan-pertanyaan itu) maka mereka (yang musyrik) tetap akan menjawab (mengakui) dengan berkata: “Allah jualah yang menguasai segala-galanya! “Oleh itu, katakanlah: “(Jika kamu mengakui yang demikian), maka mengapa kamu tidak mahu bertaqwa?

قُلْ مَن يَرْزُقُكُم مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ

Bertanyalah kepada mereka: “Siapakah yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi?

‘Mereka’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah golongan Musyrikin Mekah kerana ayat ini mula-mula diberikan kepada Musyrikin Mekah. Akan tetapi sekarang ia ditujukan kepada mana-mana musyrik termasuklah musyrik yang mengaku beragama Islam. Jangan kita sangka kita terselamat kerana kita orang Islam.

Rezeki dari langit adalah seperti air hujan dan cahaya matahari. Manakala rezeki dari bumi adalah seperti makanan daripada tumbuh-tumbuhan dan sebagainya. Kita memerlukan rezeki dari langit dan bumi ini untuk hidup. kedua-dua kita perlukan. Sebagai contoh, air hujan turun ke tanah dan kemudian naik ke atas dalam kitaran yang berterusan. Tumbuhan memerlukan air hujan dan cahaya matahari untuk membuat makanan, memerlukan simbiosi yang tetap.

Ini adalah sebagai dalil bahawa Tuhan itu satu sahaja, tidak ramai. Ini kerana kalau ada lebih daripada satu Tuhan sebagai contoh, kalau Tuhan di langit lain dan Tuhan di bumi lain, tentulah kacau bilau jadinya. Katakanlah yang di bumi memerlukan hujan, tetapi tuhan langit pula lambat beri air hujan, maka sudah tidak boleh untuk menumbuhkan tumbuhan. Maka nyatalah wujudnya hanya satu Tuhan sahaja yang dapat menjalankan sebuah simboisis yang mantap dan tersusun sekali. Hanya satu Tuhan yang sama sahaja yang mampu melakukan semua ini tanpa kacau bilau.

Maka, siapakah yang menurunkan rezeki dari langit dan mengeluarkan rezeki dari bumi? Jawabnya tentulah Allah ﷻ. Allah ﷻ meningatkan lagi di dalam Fatir: 3

يٰأَيُّهَا النّاسُ اذكُروا نِعمَتَ اللهِ عَلَيكُم ۚ هَل مِن خٰلِقٍ غَيرُ اللهِ يَرزُقُكُم مِّنَ السَّماءِ وَالأَرضِ ۚ لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ ۖ فَأَنّىٰ تُؤفَكونَ

Hai manusia, ingatlah akan nikmat Allah kepadamu. Adakah pencipta selain Allah yang dapat memberikan rezeki kepada kamu dari langit dan bumi? Tidak ada ilah selain Dia; maka mengapakah kamu berpaling?

Dan lagi di dalam Mulk: 21

أَمَّن هٰذَا الَّذي يَرزُقُكُم إِن أَمسَكَ رِزقَهُ ۚ بَل لَّجّوا في عُتُوٍّ وَنُفورٍ

Atau siapa dia yang dapat memberi rezeki kepada kamu jika Allah menahan rezeki-Nya? (Tidak ada sesiapapun), bahkan mereka (yang musyrik itu) kekal terus dalam keadaan sombong angkuh serta melarikan diri (daripada kebenaran).

أَمَّن يَمْلِكُ السَّمْعَ وَالْأَبْصٰرَ

Atau siapakah yang memiliki pendengaran dan penglihatan?

Siapakah yang menciptakan pendengaran dan penglihatan? Yang memberikan keduanya kepada makhluk? Jika Dia mampu beri, tentulah Dia juga boleh mengambilnya semula kerana yang menciptanya juga memilikinya. Siapakahitu? Tentu Allah ﷻ!

Kita sebagai makhluk amat memerlukan kedua-dua deria itu untuk hidup dengan sempurna. Kalau kurang satu atau keduanya, memang boleh hidup, tetapi akan banyak bergantung kepada orang lain.

Kalau diperhatikan, kalimah الْأَبْصٰرَ jamak dan kalimah السَّمْعَ dalam bentuk mufrad sahaja. Mengapa dalam Al-Quran sebutan perkataan ‘pendengaran/telinga’ adalah tunggal sedangkan ‘penglihatan’ adalah jamak/banyak? Mengapa tidak disebut ‘pendengaran-pendengaran dan penglihatan-penglihatan’, atau ‘pendengaran dan penglihatan’? Allah ﷻ Yang Maha Kuasa, dengan ekspresi yang jitu menjelaskan kepada kita akan ketepatan Al-Qur’an.

Deria penglihatan boleh dikawal oleh manusia, kerana ia boleh memilih sama ada mahu melihat atau tidak. Manusia dapat memejamkan matanya untuk hal-hal yang dia tidak suka untuk melihatnya. Namun ia tidak boleh melakukan hal yang sama dengan deria pendengaran, kerana ia tidak mempunyai kawalan ke atas telinga apakah ia ingin mendengar atau tidak.

Dengan kata lain, ketika seseorang berada di sebuah bilik di mana sepuluh orang bercakap, suara mereka akan sampai ke telinganya, sama ada dia mahu mendengar atau tidak. Deria penglihatan berbeza di antara seseorang dengan yang lain; satu orang melihat sesuatu sementara yang lain melihat sesuatu yang lain kerana kelainan yang berbeza penglihatan/ pandangan, sementara orang lain menutup mata dan tidak melihat apa-apa. Untuk pendengaran, kita semua akan berkongsi mendengar suara yang sama jika kita berkumpul di satu tempat.

Oleh kerana itu mata bervariasi pandangan /penglihatan tetapi telinga tetap tunggal.

Anggota badan dan pancaindera kita ada banyak, tetapi Allah ﷻ banyak sebut tentang pendengaran dan penglihatan sahaja. Kenapa? Kerana ia adalah dua anggota dan pancaindera yang paling hebat. Dengan mata ini kita boleh lihat macam-macam; kita boleh agak orang itu jauh atau dekat, betul manusia atau tidak, suka atau gembira daripada raut wajahnya dan bermacam-macam lagi. Artificial Intelligence (AI) pun tidak mampu membuat lagi benda ini. Begitu juga dengan pendengaran, sekali dengar kita boleh agak itu bunyi apa, yang bercakap itu lelaki atau perempuan, tua atau muda dan macam-macam lagi.

Allah ﷻ hendak menunjukkan hebatnya kedua-dua pancaindera yang Dia cipta untuk kita gunakan. Selain daripada hebatnya dua pancaindera ini, ia menjadi dua saluran utama kita belajar dan mendapat ilmu. Maka gunakanlah ia dengan baik. Nikmat Allah ﷻ sudah beri, maka kena manfaatkan ke arah kebaikan.

Juga ia bermaksud Allah ﷻ memiliki pendengaran dan penglihatan untuk Diri-Nya. Yang boleh memberi pendengaran dan penglihatan kepada makhluk mestilah Diri-Nya sendiri pun mempunyai pendengaran dan penglihatan. Allah ﷻ memiliki kedua-daunnya. Bandingkan dengan tuhan berhala musyrikin Mekah. Berhala-berhala itu tidak boleh mendengar dan tidak boleh melihat. Kalau mereka pun tidak boleh mendengar dan melihat, bagaimanakah mereka boleh memberi pendengaran dan penglihatan kepada makhluk yang menyembahnya? Ini adalah sesuatu yang tidak masuk akal. Maka, siapakah yang memiliki pendengaran dan penglihatan, boleh memberinya kepada makhluk dan menguasai kedua-duanya? Jawabnya tentulah Allah ﷻ!

وَمَن يُخْرِجُ الْحَيَّ مِنَ الْمَيِّتِ

Dan siapakah yang mengeluarkan makhluk yang hidup daripada benda yang mati,

Allah ﷻlah yang menghidupkan dengan cara mengeluarkan yang hidup daripada yang mati. Contohnya mengeluarkan anak ayam daripada telur yang mati. Begitu juga biji benih yang nampaknya mati tetapi bila ditanam boleh mengeluarkan tumbuh tumbuhan yang hidup.

وَيُخْرِجُ الْمَيِّتَ مِنَ الْحَيِّ

dan mengeluarkan benda yang mati daripada makhluk yang hidup?

Contohnya mengeluarkan telur ayam daripada ibu ayam. Ia adalah sebahagian daripada kitaran kehidupan. Yang hidup (ayam) mengeluarkan benda mati (telur) kemudian telur itu mengeluarkan benda hidup (anak ayam) yang membesar dan akhirnya mati.

Begitu juga seperti yang kita tahu, semua yang hidup akan mati termasuklah kita. Siapakah yang menentukan kematian? Adakah berhala yang mereka sembah boleh memberikan kehidupan dan boleh mematikan yang hidup? Tentu tidak. Siapakah yang boleh buat begitu? Jawabnya tentulah Allah ﷻ!

وَمَن يُدَبِّرُ الْأَمْرَ

Dan siapakah pula yang mentadbirkan urusan sekalian alam? “

Siapakah yang menguruskan segala perkara dalam alam ini daripada yang sekecil-kecilnya hingga ke yang sebesar-besarnya? Allah ﷻ tanya ini kepada Musyrikin Mekah itu. Mereka tahu jawapannya.

Perkataan الْأَمْرَ dengan huruf ال bermaksud SEMUA perkara. Allah ﷻ menguruskan kehidupan kita dan juga kehidupan makhluk yang lain dan segala yang hidup mahupun yang mati. Tidak ada selain Allah ﷻ yang uruskan. Allah ﷻ tidak serahkan tugas itu kepada sesiapa, baik Nabi, malaikat atau wali.

فَسَيَقُولُونَ اللَّهُ

maka mereka (yang musyrik) akan menjawab (mengakui) dengan berkata: “Allah jualah yang menguasai segala-galanya! “

Musyrikin Mekah pasti akan jawab semua soalan di atas adalah Allah ﷻ belaka. Mereka memang kenal Allah ﷻ sebagai Tuhan. Malah semua orang musyrik di dunia ini tahu akan perkara ini. Mereka jelas tentang Tauhid Rububiyyah. Namun bagaimana pula penganut agama yang kufur boleh jawab begitu? Sebenarnya kebanyakan agama kafir di dunia ini percaya kepada kewujudan ‘Tuhan yang satu’. Cuma sahaja mereka tidak sebut sebagai ‘Allah’.

Mereka sebenarnya tahu ada Tuhan yang bersifat seperti sifat yang telah disebut di atas. Tetapi dalam masa yang sama, mereka menyembah juga sembahan-sembahan yang lain. Ini disebut dalam Yusuf: 106

وَمَا يُؤْمِنُ أَكْثَرُهُم بِاللَّهِ إِلَّا وَهُم مُّشْرِكُونَ

Dan kebanyakan mereka tidak beriman kepada Allah melainkan mereka mempersekutukannya juga dengan yang lain.

Malah Musyrikin Mekah yang kita sering kutuk dan panggil mereka golongan Jahiliyyah itu pun kenal Allah ﷻ sebagai Tuhan sebagaimana disebut dalam Luqman: 25

وَلَئِن سَأَلتَهُم مَّن خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ لَيَقولُنَّ اللهُ ۚ قُلِ الحَمدُ ِللهِ ۚ بَل أَكثَرُهُم لا يَعلَمونَ

Dan sesungguhnya jika kamu tanyakan kepada mereka: “Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?” Tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Katakanlah: “Segala puji bagi Allah”; tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.

Ayat ini bermaksud ramai dalam kalangan manusia yang percaya kepada kewujudan Allah ﷻ dan beriman kepada Allah ﷻ, namun dalam masa yang sama mereka juga menyembah selain Allah ﷻ. Tauhid Rububiyyah mereka ada, tetapi mereka ada masalah dengan Tauhid Uluhiyyah. Inilah yang banyak terjadi kepada masyarakat kita. Mereka percaya bahawa Allah ﷻ itu Tuhan yang memberi rezeki dan Allah ﷻ itu yang menguruskan segala-galanya tetapi di dalam masa yang sama mereka sembah, puja dan berdoa kepada makhluk yang lain.

Selalunya mereka sembah kepada Nabi, wali dan malaikat. Mereka buat ibadat kepada mereka dengan beri salam kepada mereka dan hadiah Fatihah kepada mereka, dan macam-macam lagi. Tujuannya adalah supaya entiti-entiti itu kenal mereka, bantu mereka, menyampaikan hajat mereka kepada Allah ﷻ. Ini adalah kerana mereka jahil dengan wahyu Al-Qur’an dan tidak belajar tafsir supaya mereka dapat faham.

فَقُلْ أَفَلَا تَتَّقُونَ

Oleh itu, katakanlah: “(Jika kamu mengakui yang demikian), maka mengapa kamu tidak mahu bertaqwa?

Sekarang Allah ﷻ menempelak mereka. Kalau mereka sudah tahu yang Allah ﷻ berkuasa penuh, tanya kepada mereka mengapa mereka tidak takut kepada-Nya sahaja dan menjaga hukum yang telah diberikan oleh-Nya?

Musyrikin Mekah percaya kepada ketuhanan Allah ﷻ. Mereka tahu bahawa Allah ﷻlah yang memberi rezeki, Allah ﷻlah yang mencipta dan mengurus segala-galanya. Namun mereka menjadi musyrik kerana selain daripada menyembah Allah ﷻ, mereka juga menyembah entiti-entiti lain yang mereka anggap seperti ilah. Inilah masalah zaman berzaman.

Maka Allah ﷻ mengingatkan mereka dengan berbagai-bagai nikmat yang telah diberikan kepada manusia untuk mengingatkan mereka untuk sembah Dia sahaja. Kerana selain daripada-Nya tidak boleh buat apa-apa pun. Allah ﷻ mengingatkan perkara ini dalam Luqman: 10-11

خَلَقَ السَّمٰوٰتِ بِغَيرِ عَمَدٍ تَرَونَها ۖ وَأَلقىٰ فِي الأَرضِ رَوٰسِيَ أَن تَميدَ بِكُم وَبَثَّ فيها مِن كُلِّ دابَّةٍ ۚ وَأَنزَلنا مِنَ السَّماءِ ماءً فَأَنبَتنا فيها مِن كُلِّ زَوجٍ كَريمٍ

Dia menciptakan langit tanpa tiang yang kamu melihatnya dan Dia meletakkan gunung-gunung (di permukaan) bumi supaya bumi itu tidak menggoyangkan kamu; dan memperkembang biakkan padanya segala macam jenis binatang. Dan Kami turunkan air hujan dari langit, lalu Kami tumbuhkan padanya segala macam tumbuh-tumbuhan yang baik.

هٰذا خَلقُ اللهِ فَأَروني ماذا خَلَقَ الَّذينَ مِن دونِهِ ۚ بَلِ الظّٰلِمونَ في ضَلٰلٍ مُّبينٍ

Inilah ciptaan Allah, maka perlihatkanlah olehmu kepadaKu apa yang telah diciptakan oleh sembahan-sembahan(mu) selain Allah. Sebenarnya orang-orang yang zalim itu berada di dalam kesesatan yang nyata.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 7 Jun 2023

Ringkasan Surah Yunus


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment