Tafsir Surah Ankabut Ayat 11 – 14 (Tidak boleh tanggung dosa orang lain)

Ankabut Ayat 11:

وَلَيَعلَمَنَّ اللهُ الَّذينَ ءآمَنوا وَلَيَعلَمَنَّ المُنٰفِقينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And Allāh will surely make evident those who believe, and He will surely make evident the hypocrites.

(MELAYU)

Dan sesungguhnya Allah benar-benar mengetahui orang-orang yang beriman; dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang munafik.

 

وَلَيَعلَمَنَّ اللهُ الَّذينَ ءآمَنوا

Dan sesungguhnya Allah benar-benar mengetahui orang-orang yang beriman;

Dalam permulaan surah sebelum ini Allah telah memberitahu yang ujian yang dikenakan kepada manusia adalah untuk  menguji siapakah yang beriman. Mereka yang benar-benar beriman akan benar-benar sanggup untuk menerima dugaan itu. Dan Allah maha mengetahui jadi Allah sudah tahu siapa yang sebenarnya beriman.

 

وَلَيَعلَمَنَّ المُنٰفِقينَ

dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang munafik.

Dan Allah kenal sangat siapakah yang munafik. Kita manusia tidak boleh baca hati manusia, tapi Allah boleh baca.

Dan orang-orang munafik tidak akan tahan dengan ujian dari Allah. Maka untuk mengeluarkan mereka, dan membuka pekung mereka, maka Allah akan jadikan suasana dugaan untuk menguji mereka. Yang tahan adalah orang beriman dan yang tidak tahan adalah orang munafik. Allah sebut dalam Ali Imran: 179 tentang perkara ini juga.

ما كانَ اللهُ لِيَذَرَ المُؤمِنينَ عَلىٰ ما أَنتُم عَلَيهِ حَتّىٰ يَميزَ الخَبيثَ مِنَ الطَّيِّبِ

Allah sekali-kali tidak akan membiarkan orang-orang yang beriman dalam keadaan kamu sekarang ini, sehingga Dia menyisihkan yang buruk (munafik) dari yang baik (mukmin).

Dalam ayat ini Allah menyebut tentang ‘munafik’, tetapi ayat ini adalah ayat Makkiyah, bukan? Maka ini menunjukkan yang di Mekah juga sudah ada golongan munafik tetapi satu-satunya ayat berkenaan mereka ini adalah di sini sahaja. Kerana ayat-ayat tentang munafik banyak di dalam surah-surah Madaniyyah.

Tapi tidak sama kriteria munafik di Mekah dan juga munafik di Madinah, kerana munafik Mekah adalah mereka yang memang beriman tetapi tidak sanggup apabila keadaan menjadi susah.

Sedangkan golongan munafik di Madinah itu adalah orang yang masuk Islam kerana mahukan sesuatu sahaja dan mereka tidaklah yakin dengan Islam sebenarnya. Mereka masuk Islam kerana mereka hendakkan kelebihan yang dibawa oleh Islam waktu itu. Hati mereka sebenarnya tidak beriman langsung. Mereka menyembunyikan sahaja kekafiran mereka.


 

Ankabut Ayat 12: Ayat syikayah dan takhwif ukhrawi.

Semua sekali ada tiga jenis dugaan yang dihadapi oleh umat Islam di Mekah. Telah disebut dua dugaan yang pertama sebelum ini: iaitu seksaan kepada fizikal dan kemudian disebut seksaan kepada emosi apabila ahli keluarga sendiri tidak suka apabila mereka beriman.

Dugaan yang ketiga adalah dari segi sosial dan disebut di dalam ayat ini.

وَقالَ الَّذينَ كَفَروا لِلَّذينَ ءآمَنُوا اتَّبِعوا سَبيلَنا وَلنَحمِل خَطٰيٰكُم وَما هُم بِحٰمِلينَ مِن خَطٰيٰهُم مِّن شَيءٍ ۖ إِنَّهُم لَكٰذِبونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And those who disbelieve say to those who believe, “Follow our way, and we will carry your sins.”¹ But they will not carry anything of their sins. Indeed, they are liars.

  • The phrase may also read: “and let us carry your sins,” i.e., the responsibility for your sins.

(MELAYU)

Dan berkatalah orang-orang kafir kepada orang-orang yang beriman: “Ikutilah jalan kami, dan nanti kami akan memikul dosa-dosamu”, dan mereka sedikit pun tidak memikul dosa-dosa mereka. Sesungguhnya mereka adalah benar-benar orang pendusta.

 

وَقالَ الَّذينَ كَفَروا لِلَّذينَ ءآمَنُوا

Dan berkatalah orang-orang kafir kepada orang-orang yang beriman:

Mereka itu adalah golongan yang berkedudukan dalam masyarakat. Ada golongan-golongan tua yang memang telah lama dihormati di Mekah dan mereka memberi nasihat kepada anak-anak muda yang mahu beriman dengan ajaran Nabi Muhammad itu.

Golongan kafir itu memberitahu yang ajaran Nabi Muhammad itu tidak benar dan mereka ajak anak-anak muda itu kembali kepada ajaran mereka yang lama. Ini adalah tekanan sosial kerana golongan itu adalah golongan ternama dan dihormati di Mekah. Kata-kata mereka itu didengar kerana mereka orang tua dan banyak pengalaman kononnya.

 

اتَّبِعوا سَبيلَنا وَلنَحمِل خَطٰيٰكُم

“Ikutilah jalan kami, dan nanti kami akan memikul dosa-dosamu”, 

Mereka pujuk anak-anak muda itu yang jikalau mereka takutkan dosa kerana meninggalkan Islam, maka jangan takut kerana mereka boleh tanggung dosa anak-anak muda itu. Pertamanya, mereka memang tidak percaya kepada akhirat. Tapi mereka kata, kalau benarlah ada akhirat itu, jangan takut, mereka akan tanggung dosa orang-orang muda itu.

Ada kisah yang mengatakan, apabila Saidina Umar masuk Islam, Abu Sufyan dan Harab bin Umayyah bin Khalaf telah datang kepadanya dan mengeluarkan kata-kata ini.

Kenapa sampai berani pula mereka nak tanggung dosa orang lain? Ini kerana mereka itu adalah penjaga Kaabah. Mereka rasa kedudukan mereka itu amat tinggi kerana sudah lama berkhidmat menjaga Kaabah. Mereka kata mereka akan menjadi penjamin antara anak muda itu dan Allah dan akan menjelaskan kepada Allah kenapa dia melakukan itu dan ini. Mereka rasa kata-kata mereka akan didengar oleh Allah kerana mereka itu penjaga Kaabah.

Mereka sanggup berkata kalimat yang bodoh itu kerana mereka sangka mereka itu orang istimewa dan dapat menyelamatkan orang lain; ataupun mereka rasa mereka sudah banyak pahala sampai boleh tanggung dosa orang lain. Ini adalah amat karut sekali.

Zaman sekarang ada juga orang yang ajar seorang yang baik untuk melakukan dosa dan apabila yang baik itu tidak mahu melakukannya, dia kata: “tak apalah aku akan tanggung dosa kamu itu nanti”.

 

وَما هُم بِحٰمِلينَ مِن خَطٰيٰهُم مِّن شَيءٍ

dan mereka sedikit pun tidak memikul dosa-dosa mereka. 

Jadi Allah menutup kata-kata mereka itu dengan mengatakan mereka itu tidak akan boleh menanggung dosa orang lain. Ini juga disebut dalam Najm:38

أَلّا تَزِرُ وازِرَةٌ وِزرَ أُخرىٰ

bahawasanya seorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain,

Maksudnya tidak ada sesiapa yang boleh pikul dosa orang lain sampai habis licin. Memang kalau ada orang yang menganjurkan buat dosa, orang yang menganjurkan itu juga akan tanggung dosa orang yang melakukan juga. Ini kerana dia yang bertanggungjawab mengajak orang itu buat dosa.

Tapi tidaklah dia ambil semua dosa itu sampai habis licin. Kerana orang yang melakukan dosa itu juga akan pikul dosanya sendiri kerana dia telah ikut ajaran yang salah. Tidaklah dia boleh buat alasan: ”kami ikut sahaja…”. Alasan ini tidak laku di hadapan Allah.

 

إِنَّهُم لَكٰذِبونَ

Sesungguhnya mereka adalah benar-benar orang pendusta.

Yang kata boleh pikul dan tanggung dosa orang lain itu hanyalah bohong sahaja. Mereka tidak pasti yang mereka boleh tanggung dosa orang lain kerana tidak ada dalil. Mereka cakap bohong sahaja.

Dan katakanlah mereka benar-benar boleh tanggung dosa orang lain, bagaimanakah keputusan mereka nanti apabila mereka nampak neraka? Adakah mereka masih nak tanggung dosa orang yang mereka sesatkan itu? Adakah mereka sanggup nak tanggung dosa seperti yang mereka janjikan dulu semasa di dunia? Tentu tidak sama sekali.


 

Ankabut Ayat 13:

وَلَيَحمِلُنَّ أَثقالَهُم وَأَثقالًا مَّعَ أَثقالِهِم ۖ وَلَيُسأَلُنَّ يَومَ القِيٰمَةِ عَمّا كانوا يَفتَرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But they will surely carry their [own] burdens and [other] burdens along with their burdens,¹ and they will surely be questioned on the Day of Resurrection about what they used to invent.

  • Besides their own sins, they will carry those of the people they misled, although it will not lessen the burden of the latter.

(MELAYU)

Dan sesungguhnya mereka akan memikul beban (dosa) mereka, dan beban-beban (dosa yang lain) di samping beban-beban mereka sendiri, dan sesungguhnya mereka akan ditanya pada hari kiamat tentang apa yang selalu mereka ada-adakan.

 

وَلَيَحمِلُنَّ أَثقالَهُم وَأَثقالًا مَّعَ أَثقالِهِم

Dan sesungguhnya mereka akan memikul beban (dosa) mereka, dan beban-beban (dosa yang lain) di samping beban-beban mereka sendiri, 

Kalimah ثقل bermaksud beban yang amat berat. Allah beritahu yang mereka akan dipaksa untuk memikul sendiri beban dosa mereka yang amat berat.

Dan mereka juga akan menanggung dosa orang lain yang mereka tawarkan itu tadi. Ianya akan ditimpa ke atas dosa-dosa yang mereka sendiri kena tanggung. Jadi ini bermaksud orang yang menyusahkan orang lain akan mendukung juga dosa orang-orang yang disesatkan itu.

Perumpamaannya begini: katakanlah seorang lelaki mengajar lelaki lain untuk ikut dia mencuri. Kalau mereka kena tangkap, adakah lelaki yang diajak itu tadi boleh lepas kalau dia kata: “maafkan saya yang arif, saya mencuri ini kerana dia ajak sahaja….”. Tentu tidak lepas.

Dan bagaimana pula dengan lelaki yang mengajak tadi? Dia akan kena dua kali ganda hukuman: satu kerana dia mencuri dan satu lagi kerana dia mengajak orang lain mencuri. Ini disebut dalam ayat yang lain iaitu Nahl:25

لِيَحمِلوا أَوزارَهُم كامِلَةً يَومَ القِيامَةِ ۙ وَمِن أَوزارِ الَّذينَ يُضِلّونَهُم بِغَيرِ عِلمٍ ۗ أَلا ساءَ ما يَزِرونَ

menyebabkan mereka memikul dosa-dosanya dengan sepenuh-penuhnya pada hari kiamat, dan sebahagian dosa-dosa orang yang mereka sesatkan yang tidak mengetahui sedikit pun (bahawa mereka disesatkan). Ingatlah, amat buruklah dosa yang mereka pikul itu.

Kerana kita menanggung juga dosa orang lain dan juga pahala. Sebagai contoh, kalau kita tunjuk arah ke masjid maka kita akan dapat pahala solat orang itu, tetapi jika kita menunjuk jalan ke pusat hiburan, maka kita pun dapat dosa orang yang pergi ke pusat hiburan itu. Di dalam kitab sahih disebutkan sebuah hadis yang mengatakan:

“مَنْ دَعَا إِلَى هَدْيٍ كَانَ لَهُ مِنَ الْأَجْرِ مِثْلُ أُجُورِ مَنِ اتَّبَعَهُ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ، مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْقُصَ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْئًا، وَمَنْ دَعَا إِلَى ضَلَالَةٍ كَانَ عَلَيْهِ مِنَ الْإِثْمِ مِثْلُ آثَامِ مَنِ اتَّبَعَهُ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ، مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْقُصَ مِنْ آثَامِهِمْ شَيْئًا”

Barang siapa yang menyeru kepada jalan petunjuk, maka baginya pahala yang semisal dengan pahala-orang-orang yang mengikutinya sampai hari kiamat tanpa mengurangi pahala mereka barang sedikit pun. Dan barang siapa yang menyeru kepada kesesatan, maka baginya dosa yang semisal dengan dosa-dosa orang-orang yang mengikutinya sampai hari kiamat tanpa mengurangi dosa-dosa mereka barang sedikit pun.

Tapi ini tidaklah bermakna yang orang yang disesatkan itu habis dosanya ditanggung orang lain. Kerana dosa itu akan ditanggung oleh yang disesatkan dan yang menyesatkan itu juga kena tanggung.

 

وَلَيُسأَلُنَّ يَومَ القِيٰمَةِ عَمّا كانوا يَفتَرونَ

dan sesungguhnya mereka akan ditanya pada hari kiamat tentang apa yang selalu mereka ada-adakan.

Dan paling teruk sekali mereka akan ditanya tentang perkara dan amalan yang mereka reka-rekakan.

Juga mereka akan ditanya atas perbuatan mereka menyusahkan orang-orang yang beriman. Mereka reka benda-benda baru dan dugaan-dugaan baru dan tohmahan-tohmahan baru yang menyusahkan orang-orang beriman dan mereka akan ditanya kenapa mereka lakukan perkara itu satu persatu.

Jadi kalau ada yang menentang sunnah dengan disusahkan, ditohmah, diganggu semasa mengajar, dituduh dengan berbagai-bagai tuduhan rekaan tanpa asas, maka nanti yang buat perkara itu akan kena jawab di akhirat. Maka janganlah kita berani sangat nak susahkan gerakan dakwah sunnah ini.


 

Ankabut Ayat 14: Jadi di dalam ayat-ayat sebelum ini menceritakan kesusahan dan dugaan yang dihadapi oleh umat Islam di Mekah. Pengajaran yang kita boleh ambil dari mereka adalah: kena bersabar dalam menegakkan agama dan menyampaikan agama ini. Ini adalah Dakwa yang pertama.

Ayat 14 dan 15 adalah Perenggan Makro 3a iaitu tentang ujian kepada Nabi Nuh a.s. Maka sekarang Allah hendak menceritakan satu manusia yang menjadi lambang kesabaran dalam menegakkan agama dan menyampaikan agama iaitu Nabi Nuh a.s.

Dan ia juga mengandungi hujah Dakwa Kedua surah ini: mereka yang menentang akan dikenakan dengan balasan azab yang setimpal. Ini kerana penentang Nabi Nuh a.s. itu telah dikenakan dengan azab semasa di dunia lagi.

وَلَقَد أَرسَلنا نوحًا إِلىٰ قَومِهِ فَلَبِثَ فيهِم أَلفَ سَنَةٍ إِلّا خَمسينَ عامًا فَأَخَذَهُمُ الطّوفانُ وَهُم ظٰلِمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We certainly sent Noah to his people, and he remained among them a thousand years minus fifty years, and the flood seized them while they were wrongdoers.

(MELAYU)

Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Nuh kepada kaumnya, maka dia tinggal di antara mereka seribu tahun kurang lima puluh tahun. Maka mereka ditimpa banjir besar, dan mereka adalah orang-orang yang zalim.

 

وَلَقَد أَرسَلنا نوحًا إِلىٰ قَومِهِ

Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Nuh kepada kaumnya,

Nabi Nuh telah dilantik menjadi Rasul kepada kaumnya. Telah banyak kisah tentang baginda disebut dalam Al-Qur’an. Jadi ini adalah penambahan kepada kisah-kisah tersebut dan pengulangan maklumat. Ada satu maklumat tambahan dalam ayat ini tentang baginda: berapa lama baginda tinggal dan berdakwah kepada mereka?

 

فَلَبِثَ فيهِم أَلفَ سَنَةٍ إِلّا خَمسينَ عامًا

maka dia tinggal di antara mereka seribu tahun kurang lima puluh tahun. 

Baginda kekal bersama kaumnya itu selama 1,000 tahun ‘yang susah’. Kita katakan ‘tahun yang susah’ kerana kalimah سَنَةٍ yang digunakan kerana jikalau tahun yang senang kalimah عام yang digunakan (digunakan juga dalam ayat ini). Jadi baginda tinggal bersama mereka selama 1,000 tahun dan hanya 50 tahun sahaja yang senang bersama dengan mereka. Maka Allah nak kata, bukan senang duduk dengan mereka.

Ayat ini memberitahu yang baginda ‘tinggal’ dengan mereka selama 950 tahun. Ini tidaklah bermakna yang baginda umur setakat 950 tahun sahaja. Kerana maksud 950 itu adalah jangka masa baginda berdakwah kepada mereka. Maka tentulah baginda mula berdakwah setelah umur baginda cukup untuk menjadi seorang Rasul.

Dan selepas Banjir Besar itu, tentu baginda masih hidup lagi dengan umat baginda yang telah beriman. Maka kita tidak pasti berapa umur baginda, tapi tentulah tidak 950 sahaja.

Hammad ibnu Salamah telah meriwayatkan dari Ali ibnu Zaid, dari Yusuf ibnu Mahik, dari Ibnu Abbas yang mengatakan bahawa Nuh diutus oleh Allah sejak usia empat puluh tahun, dan tinggal di kalangan kaumnya selama sembilan ratus lima puluh tahun, serta hidup sesudah masa banjir besar selama enam puluh tahun, hingga manusia bertambah populasi (jumlah)nya dan menyebar.

Ayat ini juga sebagai tasliah kepada Nabi dan para sahabat yang sedang ditindas. Mereka telah ditindas selama beberapa tahun, tapi Allah hendak beritahu yang itu bukanlah jangka masa yang lama. Kerana Nabi Nuh berdakwah dan ditentang lagi lama, jauh lebih lama. Maka bersabarlah, kerana Nabi Nuh juga bersabar.

 

فَأَخَذَهُمُ الطّوفانُ

Maka mereka ditimpa banjir besar,

Maksudnya azab banjir telah dikenakan kepada mereka semasa mereka masih melakukan kezaliman. Kalaulah mereka sempat beriman sebelum banjir itu terjadi, maka tentulah azab itu tidak dikenakan kepada mereka.

Baginda telah berdakwah sekian lama dengan mereka tapi mereka tidak juga mahu beriman. Dan akhirnya kerana mereka tidak mahu beriman dengan tauhid, maka mereka telah dikenakan dengan Banjir Besar dan waktu itu mereka tetap juga dalam kezaliman.

 

وَهُم ظٰلِمونَ

dan mereka adalah orang-orang yang zalim.

Allah hendak mengingatkan kepada Musyrikin Mekah yang akhirnya umat Nabi Nuh yang menentang baginda telah dikenakan dengan azab banjir, maka jikalau Musyrikin Mekah itu sendiri tidak juga mahu beriman dengan Nabi Muhammad, mereka juga boleh dikenakan dengan azab.

Zalim yang dimaksudkan adalah syirik. Kerana inilah perkara yang menyebabkan mereka dilemaskan dalam banjir besar.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat seterusnya.

Kemaskini: 15 Jun 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Ankabut Ayat 7 – 10 (Munafik Mekah)

Ayat 7: Ayat tabshir.

وَالَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحاتِ لَنُكَفِّرَنَّ عَنهُم سَيِّئَاتِهِم وَلَنَجزِيَنَّهُم أَحسَنَ الَّذي كانوا يَعمَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And those who believe and do righteous deeds – We will surely remove from them their misdeeds and will surely reward them according to the best of what they used to do.

(MELAYU)

Dan orang-orang yang beriman dan beramal soleh, benar-benar akan Kami hapuskan dari mereka dosa-dosa mereka dan benar-benar akan Kami beri mereka balasan yang lebih baik dari apa yang mereka kerjakan.

 

وَالَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحاتِ

Dan orang-orang yang beriman dan beramal soleh,

Surah ini adalah Surah Makkiyyah jadi amalan-amalan seperti solat, zakat dan juga Haji belum ada lagi. Banyak hukum dan undang-undang agama disampaikan di Madinah. Maka apakah yang dimaksudkan dengan ‘amal-amal soleh’ di dalam ayat ini?

Yang dimaksudkan adalah amal kesabaran mereka menerima dugaan untuk menyampaikan agama tauhid bersama-sama dengan Rasulullah.

Para sahabat diingatkan untuk beriman. Dan beriman itu hendaklah ‘iman sempurna’ iaitu tidak ada fahaman dan amalan yang syirik. Kena belajar wahyu baru tahu mana tauhid dan mana syirik. Malangnya ramai yang tidak belajar wahyu Al-Qur’an dan kerana itu tidak tahu perkara ini.

Kemudian memang selalu disebut amal yang soleh selepas disebut akidah. Amal yang soleh itu mestilah amal yang ada kaitan dengan sunnah Rasulullah dan para sahabat. Jangan pula amalkan amalan bidaah pula. Kena belajarlah mana amalan bidaah. Ini pun ramai lagi yang masih tidak faham. Maka kena belajar hadith untuk tahu mana satu bidaah dan mana yang tidak.

Amal pula bukanlah amalan fizikal sahaja, tapi dengan hati, akal dan lidah juga. Amal hati dan akal adalah dengan mempunyai niat yang baik dan fahaman yang benar ikut sunnah. Amal lidah pula adalah dengan berdakwah dan dengan berkata dengan benar dan tidak menipu langsung.

Apakah kesannya kalau melakukan semua perkara itu?
 

لَنُكَفِّرَنَّ عَنهُم سَيِّئَاتِهِم

benar-benar akan Kami hapuskan dari mereka dosa-dosa mereka 

Kepada mereka yang beriman dan beramal soleh, segala perbuatan buruk dan dosa yang mereka lakukan sebelum itu akan ditanam dan dihilangkan. Akan dikambus semula sekali, maksudnya akan diampunkan.

Kita memang amat berharap pengampunan ini kerana kita akan dapat masuk syurga kalau segala dosa kita diampunkan. Kerana kita masuk neraka kerana kita ada dosa sahaja. Kalau semua dosa kita diampunkan, maka tidak ada keperluan lagi kita masuk neraka.

 

وَلَنَجزِيَنَّهُم أَحسَنَ الَّذي كانوا يَعمَلونَ

dan benar-benar akan Kami beri mereka balasan yang lebih baik dari apa yang mereka kerjakan.

Dan mereka akan dibalas dengan amalan mereka yang paling baik. Atau balasan yang lebih baik dari amalan mereka. Bayangkan, amalan manusia bukannya banyak, tapi Allah balas berlipat kali ganda.

Ia juga boleh bermaksud Allah akan balas segala amal baiknya berdasarkan kepada amalnya yang ‘terbaik’. Contohnya, segala solatnya akan dibalas mengikut markah satu solatnya paling baik.


 

Ayat 8: Ayat 8 dan 9 adalah Perenggan Makro 2a. Ia mengajar kita berbuat baik dengan ibubapa tetapi jangan tunduk kepada kesyirikan mereka. Baik dengan mereka tidak semestinya ikut amalan dan fahaman syirik mereka.

Para sahabat bukan sahaja menerima dugaan fizikal tetapi mereka juga menerima dugaan dari sudut psikologi. Sebagai contoh, ada seorang sahabat yang bernama Sa’ad bin Abi Waqqas yang telah masuk Islam di Mekah. Waktu itu beliau beliau berumur 18 atau 19 tahun. Ibunya bernama Hamnah, anak Sufyan bin Umayyah (sepupu Abu Sufyan). Sa’ad amat rapat dengan ibunya tetapi apabila ibunya tahu yang dia telah masuk Islam, ibunya tidak redha dan telah mengancam untuk tidak makan kerana dia tidak suka dengan perbuatan Sa’ad itu.

Oleh kerana sangat sayang kepada ibunya maka perbuatan ibunya itu amat menyentuh hatinya kerana walaupun ibunya itu seorang musyrik, tetapi dia amat sayang kepada ibunya itu dan ibunya memang layak untuk menerima penghormatan darinya. Kerana walaupun ibu seorang kafir, tapi tetap layak mendapat penghormatan dan kasih sayang dari anaknya walaupun anak itu seorang Muslim. Orang yang masuk Islam kena faham perkara ini.

Oleh itu, kadang-kadang kita juga mengalami masalah seperti ini, dimana ada konflik antara taat kepada Allah dan taat kepada ibu bapa. Maka sekarang Allah menurunkan ayat berkenaan dengan ibu bapa.

وَوَصَّينَا الإِنسٰنَ بِوٰلِدَيهِ حُسنًا ۖ وَإِن جٰهَداكَ لِتُشرِكَ بي ما لَيسَ لَكَ بِهِ عِلمٌ فَلا تُطِعهُما ۚ إِلَيَّ مَرجِعُكُم فَأُنَبِّئُكُم بِما كُنتُم تَعمَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We have enjoined upon man goodness to parents. But if they endeavor to make you associate with Me that of which you have no knowledge,¹ do not obey them. To Me is your return, and I will inform you about what you used to do.

  • i.e., no knowledge of its divinity. There can be no knowledge about something which is non-existent or untrue.

(MELAYU)

Dan Kami wajibkan manusia (berbuat) kebaikan kepada dua orang ibu-bapanya. Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan Aku dengan sesuatu yang tidak ada pengetahuanmu tentang itu, maka janganlah kamu mengikuti keduanya. Hanya kepada-Ku-lah kembalimu, lalu Aku khabarkan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.

 

وَوَصَّينَا الإِنسٰنَ بِوٰلِدَيهِ حُسنًا

Dan Kami wajibkan manusia (berbuat) kebaikan kepada dua orang ibu-bapanya.

Allah telah berikan wasiat yang penting untuk berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Banyak sekali ayat-ayat sebegini menunjukkan kepentingannya yang amat besar.

Dan selalunya Allah sebut kebaikan kepada ibubapa itu selepas sebut tentang tauhid. Maknanya, selepas taat kepada Allah, yang keduanya kena taat kepada ibubapa pula. Tapi taat itu ada hadnya. Bukan sentiasa kena taat.

 

وَإِن جٰهَداكَ لِتُشرِكَ بي ما لَيسَ لَكَ بِهِ عِلمٌ فَلا تُطِعهُما

Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan Aku dengan sesuatu yang tidak ada pengetahuanmu tentang itu, maka janganlah kamu mengikuti keduanya.

Tetapi jikalau ibu bapa itu ber’jihad’ (berusaha bersungguh-sungguh) dengan menyuruh bersungguh-sungguh kepada kita untuk melakukan amalan syirik yang memang tiada dalil  untuk melakukannya, maka kita tidak boleh taat kepada ibu bapa. Kena kembali kepada taat yang pertama iaitu taat kepada Allah. Dan Allah telah larang dari buat syirik.

Jadi ini adalah masalah yang dihadapi dari dulu lagi, kerana kadang-kadang ibu bapa suruh anaknya buat perkara-perkara yang tidak patut. Mereka suruh buat benda salah, tetapi mereka kata kita kena taat juga kepada mereka.

Seperti contohnya kena tolong ibu bapa di kedai jual arak. Ini bukan syirik dalam ibadah tetapi syirik di dalam taat di mana mereka suruh kita taat kepada mereka walaupun sebenarnya kita kena taat kepada Allah yang utama. Maka tidak boleh dalam maksiat kepada Allah. Tidak boleh syirik kerana ibubapa dan tidak boleh buat dosa kerana ibubapa.

Kadang-kadang ibu bapa menyuruh kita untuk melakukan perkara-perkara yang melibatkan riba dan sebagainya. Dan di dalam masa yang sama, mereka memang pandai menggunakan kata-kata kerana mereka ibu bapa kita dan tahu di mana tempat-tempat yang kita lemah.

Contohnya mereka kata: “itulah… kamu dah tak mahu nak dengar cakap aku lagi… dah lupa gamaknya aku yang lahirkan kamu dulu….”. Begitulah yang dilakukan oleh ibu Saad bin Abi Waqqas seperti yang disebut dalam satu hadis:

Imam Turmuzi mengatakan sehubungan dengan tafsir ayat ini, bahawa telah menceritakan kepada kami Muhammad ibnu Basysyar, telah menceritakan kepada kami Muhammad ibnul Musanna, telah menceritakan kepada kami Muhammad ibnu Ja’far, telah menceritakan kepada kami Syu’bah, dari Sammak ibnu Harb yang mengatakan bahawa dia pernah mendengar Mus’ab ibnu Sa’d menceritakan hadis berikut dari ayahnya (iaitu Sa’d) yang mengatakan, telah diturunkan empat buah ayat berkenaan dengan peristiwa yang dialaminya, lalu dia menceritakan kisahnya. Antara lain dia menceritakan bahawa ibunya (iaitu Ummu Sa’d) pernah berkata kepadanya, “Bukankah Allah telah memerintahkan kepadamu untuk berbakti kepada ibumu? Demi Allah, aku tidak akan makan dan juga tidak akan minum hingga aku mati atau kamu mahu kafir.”

Sa’d melanjutkan kisahnya, bahawa keluarganya bila hendak memberi makan ibunya terpaksa harus membukakan mulutnya dengan paksa. Maka Allah menurunkan firman-Nya: Dan Kami wajibkan manusia (berbuat) kebaikan kepada dua orang ibu bapanya. Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan Aku dengan sesuatu yang tidak ada pengetahuanmu tentang itu, maka janganlah kamu mengikuti keduanya. (Al-‘Ankabut: 8), hingga akhir ayat.

Hadis ini diriwayatkan pula oleh Imam Muslim, Imam Ahmad, Imam Abu Daud, dan Imam Nasai; Imam Turmuzi mengatakan bahawa hadis ini hasan sahih.

Jadi ibu Sa’ad pandai menggunakan hujah. Dia kata, kalau Sa’ad tidak taat kepadanya, maka Sa’ad tidak taat kepada Allahlah kerana Allah juga suruh seorang anak taat kepada ibubapa. Kerana itulah Sa’ad kebingungan dan beliau mengadu kepada Rasulullah dan kerana itulah ayat ini diturunkan.

Itu adalah hujah yang salah dan tidak boleh diikuti. Maka, dalam maksiat dan dosa, tidak boleh taat kepada arahan ibubapa. Tetapi di awal ayat ini, Allah telah suruh kita berbuat baik dengan mereka. Jadi ini amat susah kerana kita tidak boleh taat kepada suruhan mereka yang salah itu, tetapi kita tetap kena berbuat baik dengan mereka.

Kenapa susah pula? Kerana kalau kita boleh tolak arahan mereka begitu sahaja maka senanglah, seperti kita tolak suruhan dan ajakan kawan-kawan kita. Tetapi jikalau ibu bapa yang suruh, maka kita memang susah hati. Kerana kita kena tolak dalam masa yang sama kena tetap menjaga hati mereka.

Tetapi kita masih tetap kena lakukannya kerana suruhan dan larangan Allah lebih utama daripada suruhan ibu bapa. Tapi kita tetap kena bercakap dengan baik dan lemah lembut dengan mereka walaupun dalam menolak.

Allah juga telah beritahu bagaimana Nabi Ibrahim itu walaupun ayahnya pembuat berhala tetapi baginda masih tetap bercakap dengan baik kepada bapanya itu.

Maka, kalau ajaran salah ibubapa sendiri pun tidak boleh ikut, apatah lagi kalau fahaman orang lain. Maka, janganlah kita nak jaga hubungan kita dengan kawan-kawan, dengan masyarakat, sampai kita sanggup nak tinggalkan ajaran yang benar.

Maka, janganlah berat hati sangat kalau kena pulau kalau kita tidak pergi ke Kenduri Arwah atau Majlis Tahlilan atau Selamatan orang lain. Memang kita kena jaga juga hubungan dengan keluarga, kawan dan masyarakat, tapi tidaklah sampai menggadaikan agama.

 

إِلَيَّ مَرجِعُكُم

Hanya kepada-Ku-lah kembalimu,

Dan Allah ingatkan yang kita akan datang mengadapNya nanti. Hidup kamu bukan di dunia sahaja. Ingatlah nanti yang kamu akan mati dan kena mengadap Allah. Pertalian kamu dengan ibubapamu akan putus, tapi pertalian kamu dengan Allah tidak akan putus.

 

فَأُنَبِّئُكُم بِما كُنتُم تَعمَلونَ

lalu Aku khabarkan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.

Dan bila berjumpa dengan Allah nanti, Allah akan tanya bagaimana kita menangani perkara ini dan jikalau kita taat kepada ibu bapa dan tidak taat kepada Allah, bagaimana kita akan jawab kepadaNya nanti?

Jadi walaupun susah nak tolak permintaan dan arahan dari ibubapa, maka ingatlah yang nak jawab kepada Allah nanti lagi susah.


 

Ayat 9: Ayat tabshir. Apakah balasan bagi mereka yang sanggup taat kepada Allah dan melebihi taat kepada ibubapa mereka?

وَالَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ لَنُدخِلَنَّهُم فِي الصّٰلِحينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And those who believe and do righteous deeds – We will surely admit them among the righteous [into Paradise].

(MELAYU)

Dan orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh benar-benar akan Kami masukkan mereka ke dalam (golongan) orang-orang yang soleh.

 

وَالَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ

Dan orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh

Jadi apabila kita sudah mula kenal kepada Islam dan hendak mengamalkan ajaran-ajaran Islam, maka satu masalah yang kita akan hadapi adalah orang akan pelik melihat kita. Boleh jadi kawan-kawan kita yang kita sudah kenal daripada kecil lagi atau ia juga boleh jadi ahli keluarga kita sendiri.

Ini kerana kita sudah lain dari dulu. Kita sudah beriman dan beramal soleh. Kita mula jaga solat dan mula simpan janggut dan mereka akan hairan dan pelik melihat kita. Tetapi kita masih tetap kena mengamalkan agama Islam dan mengamalkan amalan yang soleh.

Apakah balasannya?

 

لَنُدخِلَنَّهُم فِي الصّٰلِحينَ

benar-benar akan Kami masukkan mereka ke dalam (golongan) orang-orang yang soleh.

Allah janjikan kepada mereka yang tetap menjaga agamanya dan mengamalkan amalan yang soleh, Dia akan masukkan ke dalam golongan orang-orang yang soleh. Akan diberikan kawan-kawan yang boleh bawa kita ke dalam jalan yang benar.

Ada kadang kita jumpa mereka itu di tempat pengajian, di masjid dan sebagainya. Baru sahaja berjumpa terus boleh jadi kawan rapat kerana sama pegangan dan firqah. Maka ini adalah satu nikmat kalau dapat berkawan dengan orang yang soleh.

Kalau kita lihat ayat-ayat lain selalunya Allah kata mereka ini akan dimasukkan ke dalam syurga, bukan? Tetapi di dalam ayat ini Allah kata akan dimasukkan ke dalam golongan orang-orang soleh pula, dan ini lain daripada biasa.

Ini adalah kerana kelebihan ayat ini adalah ianya untuk dunia dan juga akhirat, kerana kalau syurga itu untuk akhirat sahaja. Maksudnya Allah akan beri kawan-kawan baru kepada kita kerana kawan-kawan lama kita yang tidak dapat menerima kita sudah tidak mahu berkawan dengan kita lagi. Tapi jangan takut kerana kita akan dapat kawan-kawan yang lain.


 

Ayat 10: Ayat 10 – 13 adalah Perenggan Makro 2b. Ia mengajar umat Islam jangan menurut arahan para pemimpin secara buta. Kalau sebelum ini jangan taat kepada ibubapa dengan buta, sekarang dengan pemimpin pula.

Ayat 10 ini adalah ayat zajrun. Iaitu teguran kepada orang yang berkata mereka telah beriman tetapi mereka tidak sabar. Ini tidak boleh kerana jikalau kita mengharapkan janji daripada Allah maka hendaklah kita bersabar. Mereka yang tidak sabar itu adalah munafik. Jadi ini adalah tentang orang-orang munafik.

وَمِنَ النّاسِ مَن يَقولُ ءآمَنّا بِاللهِ فَإِذا أوذِيَ فِي اللهِ جَعَلَ فِتنَةَ النّاسِ كَعَذابِ اللهِ وَلَئِن جاءَ نَصرٌ مِّن رَّبِّكَ لَيَقولُنَّ إِنّا كُنّا مَعَكُم ۚ أَوَلَيسَ اللهُ بِأَعلَمَ بِما في صُدورِ العٰلَمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And of the people are some who say, “We believe in Allāh,” but when one [of them] is harmed for [the cause of] Allāh, they consider the trial [i.e., harm] of the people as [if it were] the punishment of Allāh. But if victory comes from your Lord, they say, “Indeed, We were with you.” Is not Allāh most knowing of what is within the breasts of the worlds [i.e., all creatures]?

(MELAYU)

Dan di antara manusia ada orang yang berkata: “Kami beriman kepada Allah”, maka apabila dia disakiti (kerana ia beriman) kepada Allah, dia menganggap fitnah manusia itu sebagai azab Allah. Dan sungguh jika datang pertolongan dari Tuhanmu, mereka pasti akan berkata: “Sesungguhnya kami adalah bersertamu”. Bukankah Allah lebih mengetahui apa yang ada dalam dada semua manusia?

 

وَمِنَ النّاسِ مَن يَقولُ ءآمَنّا بِاللهِ

Dan di antara manusia ada orang yang berkata: “Kami beriman kepada Allah”,

Ada manusia yang kata beriman kepada Allah dengan mulut mereka. Mereka itu bercakap dengan mulut sahaja, tapi tidak masuk ke dalam hati mereka. Iman tidak masuk ke dalam hati mereka. Tapi mereka sudah mengaku yang mereka beriman ke merata tempat.

Dari segi bahasa, ada sesuatu yang boleh kita lihat. Yang berkata itu seorang sahaja, tapi dia menggunakan kalimah ‘kami’, kerana dia hendak memasukkan dirinya ke dalam golongan orang-orang beriman. Dia hendak mewujudkan semangat kekitaan dengan orang yang benar-benar beriman. Seolah-olah dia nak berkata bagi pihak orang beriman: “kita ini beriman kan?”.

 

فَإِذا أوذِيَ فِي اللهِ

dan apabila dia disakiti (kerana dia beriman) kepada Allah,

Apabila mereka sudah mengaku yang mereka beriman, maka ada pihak yang menyakiti mereka. Kalau semasa di Mekah itu, mereka telah dikenakan dengan seksaan. Sama ada seksaan dalam bentuk fizikal atau mental. Di awal surah ini telah disebut yang orang beriman akan diuji, bukan?

Begitu juga dalam zaman sekarang, kalau mengaku golongan Sunnah, kena teruk juga. Kena kutuk, kena tohmah dan kena pulau. Ini juga dugaan kepada kita yang hendak mengamalkan sunnah di dalam masyarakat yang mengamalkan ajaran bidaah.

 

جَعَلَ فِتنَةَ النّاسِ كَعَذابِ اللهِ

dia menganggap fitnah manusia itu sebagai azab Allah. 

Apabila mereka kena seksa, mereka membuat sangkaan yang salah, iaitu mereka kata azab yang mereka kena itu adalah azab dari Allah.

Atau, mereka sangka, azab yang mereka dapat dari manusia itu seolah-olah sudah tahap azab Allah. Padahal azab Allah lagi teruk dari apa yang dikenakan oleh manusia itu. Tapi orang munafik itu tidak dapat bezakan. Takut sangat dengan cacian dari manusia.

Golongan munafik itu tidak tahan dengan serangan yang dikenakan kepada mereka. Dan kerana itu mereka kata ini bukanlah agama yang baik. Mereka sangka yang jikalau agama Islam ini benar, maka tentulah selepas mereka mengucap Syahadah kehidupan mereka akan berubah menjadi lebih senang, lebih mudah dan lebih bahagia.

Itu sangkaan dan andaian mereka sahaja. Tetapi seperti yang disebut di awal surah ini, ujian tetap akan dikenakan kepada mereka yang beriman.

Begitulah ujian daripada Allah untuk membuktikan keimanan kita di mana kadang-kadang ada yang ditinggalkan isteri, ada yang kehilangan keluarga dan ada yang kehilangan perniagaan dan sebagainya. Semua ujian ini adalah untuk melihat sama ada mereka benar-benar beriman ataupun tidak. Kerana iman ini bukan murah dan perlu melalui ujian untuk mendapatkannya. Takkan nak senang sahaja, bukan?

 

وَلَئِن جاءَ نَصرٌ مِّن رَّبِّكَ لَيَقولُنَّ إِنّا كُنّا مَعَكُم

Dan sungguh jika datang pertolongan dari Tuhanmu, mereka pasti akan berkata: “Sesungguhnya kami adalah besertamu”. 

Dan apabila orang Islam mendapat kemenangan dan kesenangan, maka golongan munafik itu akan kata yang mereka bersama-sama dengan orang mukmin yang lain. Maknanya, mereka beriman semasa senang sahaja. Bila nampak ada kelebihan dan ada untung, baru nak mengaku beriman.

Ingatlah yang surah ini adalah Surah Makkiyyah. Ini menunjukkan bahawa ada juga dari kalangan orang-orang Islam di Mekah itu yang lemah iman mereka dan melihat kepada keadaan juga. Kalau keadaan senang, mereka nak jadi Muslim. Bila keadaan susah, mereka tidak mahu beriman.

Jadi maknanya di Mekah juga sudah ada golongan munafik. Iaitu mereka yang masuk Islam tetapi tidak sanggup untuk bersama-sama menerima dugaan. Ramai dari kalangan kita yang sangka, golongan munafik itu di Madinah sahaja. Tapi rupanya di Mekah lagi sudah ada.

 

أَوَلَيسَ اللهُ بِأَعلَمَ بِما في صُدورِ العٰلَمينَ

Bukankah Allah lebih mengetahui apa yang ada dalam dada semua semua alam?

Semua alam yang dimaksudkan adalah manusia dan jin. Ini adalah kerana dua jenis makhluk ini yang dikenakan dengan tanggungjawab syariat.

Allah mengingatkan manusia bahawa Dia tahu apa yang berada di dalam dada manusia. Tak payah nak mengaku dengan mulut sahaja beriman, kerana Allah tahu apa yang sebenarnya dalam dada manusia. Allah tahu sebenarnya kita beriman atau tidak.

Ini penting difahami kerana iman dan juga sifat nifak ini adalah perkara dalam hati dan hanya Allah sahaja yang tahu. Maka, jangan kata seseorang itu mukmin atau seseorang itu munafik. Kerana kita tidak tahu apa yang ada dalam hati manusia. Malangnya, ada yang pandai-pandai melabelkan orang lain. Macamlah mereka dapat baca apa yang dalam hati manusia.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 15 Jun 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Ankabut Ayat 1 – 6 (Dugaan sahabat di Mekah)

Pengenalan: 

Dalam surah Qasas sebelum ini telah diberitahu bahawa untuk menegakkan agama Islam, kena berani dakwah dan kena berkorban. Tetapi dalam surah itu ianya ditujukan kepada pemimpin. Sedangkan di dalam Surah Ankabut ini ia memberi peringatan yang sama kepada seluruh umat Islam. Maknanya, semua umat Islam kena bersedia untuk berkorban.

Apabila umat Islam hendak menegakkan agama, maka akan datang dua perkara kepadanya; dan yang pertama adalah musibah. Tidak ada orang yang membawa ajaran tauhid ini yang tidak didatangi dengan musibah. Itu adalah ujian dari Allah.

Kalau tak ajar dan tidak dakwah ajaran agama yang benar, tentu tiada orang kacau dia. Ramai yang sudah tahu kebenaran, tapi tidak sebarkan dan tidak sampaikan kepada orang lain, maka mereka selamat sahaja. Tapi mereka tidak menjalankan tugas mereka sebagai seorang yang berilmu.

Yang keduanya, Allah hendak memberitahu yang semua golongan penentang akhirnya akan binasa. Bukan di awal tapi di akhirnya. Maknanya, mereka mungkin nampak kuat dan berpengaruh, mereka nampak dapat mengalahkan, tapi mereka akan binasa akhirnya.

Jadi, itulah dua Dakwa yang ada dalam surah ini. Kedua-dua Dakwa ini dalam bab Risalah (Dakwa ada tiga – sama ada Tauhid, Risalah dan Akhirat). Allah hendak memberitahu dalam surah ini yang Nabi yang menyampaikan risalah ini akan kena uji dan mereka yang mengikut jejak langkah baginda juga akan menerima musibah ujian itu.

Surah ini terbahagi kepada dua bahagian:

Bahagian pertama surah ini dari ayat 1 hingga ayat 40: mengandungi dua Dakwa. Ada tujuh peristiwa kisah para Nabi di dalam bahagian pertama ini. Tiga kisah pertama adalah untuk Dakwa pertama dan empat kisah yang seterusnya adalah untuk Dakwa yang kedua.

Bahagian kedua surah ini dari ayat 41 hingga akhir surah membawa Dakwa Tauhid pula, iaitu kehebatan tauhid dan kelemahan pegangan syirik. Ayat Dakwa ini terdapat pada ayat yang mengandungi kalimah ‘ankabut’ (nama surah ini yang bermaksud labah-labah). Allah hendak memberitahu yang akidah selain akidah tauhid seperti sarang labah-labah sahaja (tidak kukuh).

Dalam Surah Qasas sebelum ini telah diberi isyarat yang Nabi Muhammad akan meninggalkan Mekah sebagaimana Nabi Musa meninggalkan Mesir dan kembali. Ini juga sebagaimana Nabi Muhammad juga akan dapat kembali ke Mekah. Surah ini pula menceritakan kepada kita kenapa Rasulullah perlu meninggalkan Mekah itu. Begitulah ada sambungan dan kaitan antara surah-surah yang bersebelahan.

Apabila Nabi Muhammad mula menyampaikan dakwah baginda, maka penduduk Mekah merasakan yang ini adalah ajaran yang pelik. Mereka menolak baginda tapi lama kelamaan mereka melihat yang Nabi Muhammad tetap terus menjalankan dakwahnya dan sudah mula ramai orang yang masuk Islam dan berpihak kepada baginda.

Penentang baginda kemudiannya telah melakukan berbagai-bagai perkara untuk menjatuhkan nama baginda tetapi tidak berjaya. Akhir sekali mereka telah mengajak baginda berkompromi tetapi itu pun tidak diterima oleh baginda. Akhirnya mereka sudah sampai kepada tahap di mana mereka menindas orang-orang yang mahu mengamalkan Islam. Maka surah ini diturunkan pada masa ini di mana keadaan sudah teruk kepada Nabi dan para sahabat. Ia diturunkan pada Peringkat ketiga di Mekah iaitu antara tahun 6-10 Kenabian.

Mungkin ramai yang sangka bahawa kejayaan pertama umat Islam adalah semasa Perang Badr di mana umat Islam telah menang di dalam peperangan dengan Musyrikin Mekah. Tetapi kejayaan umat Islam sebenarnya telah bermula di Mekah lagi dan akan disebut di dalam surah ini. Waktu ini ramai para sahabat yang ditindas dan diseksa sampai menyebabkan nyawa mereka terbunuh seperti Bilal, Yasir dan Khabbab. Maka memang mereka menerima ancaman yang teruk dan para sahabat kehairanan kenapa mereka dilayan sebegitu dan mereka berjumpa Rasul mengadukan hal mereka dan surah ini diturunkan.


 

Ayat 1: Surah ini mengandungi 8 Perenggan Makro dan Perenggan Makro Pertama adalah dari ayat 1 – 7. Ia mengajar kita yang ujian pasti datang ke atas orang beriman. Ini adalah untuk membezakan siapa yang benar dan siapa yang berdusta.

الم

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Al-‘Ankabūt: The Spider.

Alif, Lām, Meem.¹

  • See footnote to 2:1.

(MELAYU)

Alif laam miim

 

Ini adalah Ayat Mutashabihat dan kita telah bincangkan dalam surah-surah yang lain. Kita tidak tahu apakah maksudnya kerana tiada dalil tentang perkara ini. Maka kita hanya dapat tafsir ayat-ayat selepas ini sahaja. Boleh lihat perbincangan dalam Surah Ghafir.


 

Ayat 2: Ini adalah ayat Dakwa Pertama iaitu umat Islam yang ikut ajaran Nabi dengan benar juga akan turut menderita. Ini adalah ujian dari Allah kepada mereka.

أَحَسِبَ النّاسُ أَن يُترَكوا أَن يَقولوا ءآمَنّا وَهُم لا يُفتَنونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Do the people think that they will be left to say, “We believe” and they will not be tried?

(MELAYU)

Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (sahaja) mengatakan: “Kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji lagi?

 

Istifham atau kata tanya dalam ayat ini menunjukkan makna sanggahan. Adakah manusia sangka bahawa mereka cukup dengan hanya berkata mereka sudah beriman dan mereka tidak dikenakan dengan ujian?

Adakah umat Islam sangka senang sahaja untuk mereka masuk ke dalam syurga? Hanya dengan cakap: “aku sudah beriman, aku sudah masuk Islam”? Harga iman dan harga syurga itu amat mahal, tidak murah. Tidak cukup dengan mengaku beriman dengan mulut sahaja, sudah pasti dapat masuk syurga.

Kena bersedia untuk menerima ujian sebagai orang beriman. Ayat ini semakna dengan apa yang disebutkan oleh firman-Nya:

{أَمْ حَسِبْتُمْ أَنْ تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ وَلَمَّا يَعْلَمِ اللَّهُ الَّذِينَ جَاهَدُوا مِنْكُمْ وَيَعْلَمَ الصَّابِرِينَ}

Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum nyata bagi Allah orang-orang yang berjihad di antaramu dan belum nyata orang-orang yang sabar? (Ali Imran: 142)

Kalimah يُفتَنونَ adalah dari فتن iaitu satu proses dimana emas dibakar untuk mengasingkan kekotoran daripada emas itu. Ini adalah supaya kita dapat emas yang benar-benar tulen tidak bercampur dengan bahan asing.

Amat tepat sekali kalimah ini digunakan kerana sesiapa sahaja yang mahu beriman akan pasti diuji (seperti dibakar itu) dan mereka akan dibalas di atas kesabaran mereka itu (mendapat emas yang tulen). Dan memang kadang-kadang ujian itu dirasakan seperti api, sepertimana emas sedang dibakar.

Kalau Muslim di Mekah pada zaman itu seorang hamba abdi, maka dia akan diseksa. Kalau dia seorang peniaga, maka dia akan dipulau dan dilarang orang dari pergi ke kedainya. Kalau dia orang bangsawan pun, kaumnya sendiri akan kutuk dan kacau dia. Memang amat susah sekali hidup seorang Muslim waktu itu.

Jadi Allah memberitahu kepada para sahabat yang sedang diseksa itu dan yang sedang menerima penindasan, bahawa itu adalah ujian daripada Allah kerana tidak cukup mereka mengatakan mereka beriman sahaja, tanpa diuji.

Maknanya, mereka kena sabar dengan ujian-ujian yang dikenakan kepada mereka. Memang dugaan pasti akan ada seperti telah disebutkan di dalam hadis sahih yang mengatakan:

“أَشَدُّ النَّاسِ بَلَاءً الْأَنْبِيَاءُ ثُمَّ الصَّالِحُونَ، ثُمَّ الْأَمْثَلُ فَالْأَمْثَلُ، يُبْتَلَى الرَّجُلُ عَلَى حَسَبِ دِينِهِ، فَإِنْ كَانَ فِي دِينِهِ صَلَابَةٌ زِيدَ فِي الْبَلَاءِ”

Manusia yang paling berat cubaannya ialah para nabi, kemudian orang-orang soleh, lalu orang yang terkemuka. Seseorang akan diuji sesuai dengan kadar agamanya; jika agamanya kuat, maka ujiannya diperberat pula.

Apabila para sahabat berkata mereka beriman, itu maksudnya dalam hati mereka sendiri mereka hendak ikut apa sahaja yang disampaikan oleh Nabi. Jangan bercakap sahaja dalam hati tapi tidak ditunjukkan dengan amalan seharian.

Sudahlah ujian yang dikenakan kepada mereka itu amat teruk, dan ia lebih menekan lagi kerana mereka tidak boleh membalas kepada penindas mereka kerana tidak mendapat kebenaran daripada Allah untuk balas lagi. Ia tidak sama dengan Perang Badr di mana waktu itu umat Islam telah diberi kebenaran dan mereka boleh balas dendam. Tapi waktu penindasan di Mekah, para sahabat tidak boleh balas langsung.

Umat Islam waktu itu meminta supaya mereka diberi kebenaran untuk mempertahankan diri mereka dan balas balik tetapi ia tidak dibenarkan kerana waktu ini memerlukan konsep Passive Revolution. Kerana waktu itu mereka masih lemah dan tidak dapat balas lagi dan jikalau mereka balas dengan kekerasan juga, maka ia akan merosakkan nama Islam waktu itu.

Kalau mereka gunakan kekerasan, nanti orang akan kata mereka itu puak yang ganas (pengganas). Kerana jikalau mereka balas juga, maka pemuka-pemuka Quraisy akan menuduh yang pengikut Nabi Muhammad itu adalah golongan pemberontak dan hendak membuat kerosakan. Oleh itu, ramai-ramai dari kalangan orang Mekah ada terus menentang umat Islam waktu itu.

Sedangkan, apabila mereka tidak melawan, maka akan ada hati yang lembut terhadap umat Islam waktu itu. Mereka akan perasan yang umat Islam itu tidak ada salah apa-apa pun, baik sahaja. Kerana itulah nanti apabila Pembukaan Mekah, ramai sekali manusia masuk Islam berbondong-bondong kerana mereka memang tidak ada masalah dengan umat Islam.

Tapi waktu itu, mereka yang tidak sanggup untuk menerima tekanan dan penindasan itu, mereka tidak sanggup untuk beriman dengan Nabi Muhammad walaupun waktu itu pun mereka telah sedar dalam hati mereka yang apa yang disampaikan oleh baginda itu adalah benar dan baginda benar-benar seorang Rasul.

Bukan Muslim zaman Mekah dan Madinah sahaja yang kena ujian. Kita umat Islam zaman sekarang pun dikenakan ujian. Kalau hendak mengamalkan agama yang benar, memang akan ada ujian. Kerana itu kalau kita hendak mengamalkan Sunnah, memang payah dan selalu dikutuk. Ramai penentang dan benci kepada kita. Antaranya mereka akan pulau kita dan beri gelaran wahabi kepada kita.


 

Ayat 3: Ayat Tasliah.

وَلَقَد فَتَنَّا الَّذينَ مِن قَبلِهِم ۖ فَلَيَعلَمَنَّ اللهُ الَّذينَ صَدَقوا وَلَيَعلَمَنَّ الكٰذِبينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But We have certainly tried those before them, and Allāh will surely make evident those who are truthful, and He will surely make evident the liars.

(MELAYU)

Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.

 

وَلَقَد فَتَنَّا الَّذينَ مِن قَبلِهِم

Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka,

Bukan para sahabat di Mekah itu sahaja yang dikenakan dengan ujian yang berat, tetapi Allah memberitahu bahawa kaum-kaum sebelum mereka juga telah dikenakan dengan dugaan-dugaan yang besar.

Ini adalah tasliah (pujukan). Ini adalah kerana apabila kita tahu ada orang yang lain yang kena musibah sama macam kita kena, maka tentulah kita akan melegakan kita sedikit. Tidaklah kita rasa kita sahaja yang kena. Maka inilah yang dinamakan tasliah (pujukan) dari Allah.

Hal yang sama disebutkan di dalam Surah Taubah, dan di dalam Surah Al-Baqarah disebutkan oleh firman-Nya:

{أَمْ حَسِبْتُمْ أَنْ تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ وَلَمَّا يَأْتِكُمْ مَثَلُ الَّذِينَ خَلَوْا مِنْ قَبْلِكُمْ مَسَّتْهُمُ الْبَأْسَاءُ وَالضَّرَّاءُ وَزُلْزِلُوا حَتَّى يَقُولَ الرَّسُولُ وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ مَتَى نَصْرُ اللَّهِ أَلا إِنَّ نَصْرَ اللَّهِ قَرِيبٌ}

Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya, “Bilakah datangnya pertolongan Allah?” Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat. (Al-Baqarah: 214)

Umat Islam di Mekah itu kena membuktikan keimanan mereka dengan melalui dugaan-dugaan yang amat berat. Bayangkan kesusahan yang mereka alami kerana cubaan kepada mereka itu adalah dalam bentuk fizikal. Sampai ada yang mati kerana diseksa.

Jadi kalau kita kena kutuk ataupun kena tuduh dan tohmah, itu tidaklah sama kalau dibandingkan dengan perkara yang lebih teruk yang telah dikenakan kepada para sahabat waktu itu. Jadi kalau dituduh sebagai ‘wahabi’, senyum sahajalah. Anggap sahaja mereka yang menggelar itu jahil dan belum tahu kebenaran lagi. Sudah jadi tugas kita untuk mengajar mereka.

Dan bukanlah dugaan itu dikenakan kepada orang-orang di Mekah sahaja. Tapi para sahabat di Madinah juga menerima dugaan juga apabila mereka kena berdepan dengan Yahudi dan penentang di Madinah; mereka juga menerima ujian di medan perang seperti di Badr dan di Uhud. Allah ingatkan yang orang-orang sebelum mereka juga telah diuji iaitu para sahabat di Mekah.

Dan kita juga, apabila baca ayat ini, ingatlah tentang kesusahan dan ujian yang telah dihadapi oleh umat Islam sebelum kita. Takkan mereka susah, kita pula hidup senang lenang sahaja untuk mengamalkan Islam ini?

 

فَلَيَعلَمَنَّ اللهُ الَّذينَ صَدَقوا

maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar

Dengan cara dikenakan dengan ujian itu, bolehlah dizahirkan siapakah yang benar-benar beriman. Dalam ayat ini, seolah-olah dengan cara ujian itu, barulah Allah tahu siapakah yang benar-benar beriman. Ini adalah fahaman yang salah.

Kita kena sedar yang Allah memang sudah tahu apa yang di dalam hati manusia dan kerana itu Allah tidak perlu buat ujian pun untuk tahu siapakah yang benar-benar beriman. Tapi Allah beri ujian itu bukanlah untuk tahu siapakah yang beriman sebenar dan tidak, tetapi untuk zahirkan kepada manusia yang lain sahaja.

 

وَلَيَعلَمَنَّ الكٰذِبينَ

dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.

Dan dengan dugaan itu akan menzahirkan siapa yang hanya berdusta sahaja dengan mengucap Syahadah tetapi sebenarnya mereka tidaklah benar-benar beriman. Kerana ada orang yang suka-suka sahaja masuk ke dalam Islam kerana ada kelebihan yang mereka nampak. Tetapi kalau ada ujian, mereka tidak sanggup dan akan meninggalkan Islam begitu sahaja.

Lagi satu tafsir, Allah memang tahu apa yang dalam diri manusia itu. Allah telah tahu potensi yang ada dalam diri manusia itu. Tapi orang itu kena keluarkan potensi itu sendiri. Dia kena buktikan. Setelah dibuktikan, baru dia layak untuk menerima syurga. Dan potensi itu boleh dikeluarkan dengan melalui ujian yang menguji keimanannya. Bila sudah lepas, maka imannya akan bertambah kuat.

Dan Allah juga tahu potensi yang ada dalam diri seorang yang jahat. Tapi selagi orang itu tidak keluarkan, maka dia tidak boleh lagi dihukum di neraka. Maka kalau dia sudah kena ujian dan dia telah gagal, barulah jelas nanti apabila dia kena azab di akhirat. Kerana memang dia telah buat kesalahan semasa di dunia.


 

Ayat 4: Ini adalah Dakwa yang kedua di mana Allah hendak memberitahu, orang yang menentang tauhid ini jangan sangka yang mereka akan dibiarkan begitu sahaja. Mereka akhirnya akan binasa walaupun pada awalnya mereka itu mungkin orang besar dan berkuasa. Apabila mereka sudah hampir mati nanti mereka akan menemui kehancuran.

أَم حَسِبَ الَّذينَ يَعمَلونَ السَّيِّئَاتِ أَن يَسبِقونا ۚ ساءَ ما يَحكُمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Or do those who do evil deeds think they can outrun [i.e., escape] Us? Evil is what they judge.

(MELAYU)

Ataukah orang-orang yang mengerjakan kejahatan itu mengira bahawa mereka akan luput (dari azab) Kami? Amatlah buruk apa yang mereka sangkakan itu.

 

أَم حَسِبَ الَّذينَ يَعمَلونَ السَّيِّئَاتِ أَن يَسبِقونا

Ataukah orang-orang yang mengerjakan kejahatan itu mengira bahawa mereka akan luput (dari azab) Kami? 

Apabila orang Islam ditindas, maka mereka rasa ketidakadilan di mana seolah-olah orang-orang kafir yang melakukan penindasan itu lepas begitu sahaja. Dan begitu juga kalau zaman sekarang kita lihat bagaimana orang kafir menentang Islam dan nampak seperti mereka tidak kena apa pun. Maka ada orang Islam yang mempersoalkan keadilan Allah Taala.

Allah beritahu dalam ayat ini, adakah orang yang melakukan penindasan itu sangka yang mereka boleh lepas dari Allah? Kalimah سبق bermaksud mendahului di dalam lumba lari dan membawa maksud ‘melepaskan diri’. Maknanya tidak dapat lari dari azab Allah. Mana nak lari lagi?

Atau, adakah mereka sangka mereka boleh mengalahkan kehendak Allah untuk memenangkan agamaNya?

 

ساءَ ما يَحكُمونَ

Amatlah buruk apa yang mereka sangkakan itu.

Buruk sekali sangkaan mereka yang sangka mereka akan terlepas begitu sahaja. Kalau mereka sangka yang mereka boleh selamat, maka sangkaan mereka itu amat buruk sekali. Akan terkejutlah mereka nanti apabila mereka dikenakan dengan azab yang teruk nanti.


 

Ayat 5: Ayat ini ada hubungan dengan Dakwa yang pertama (iman akan diuji).

مَن كانَ يَرجو لِقاءَ اللهِ فَإِنَّ أَجَلَ اللهِ لَآتٍ ۚ وَهُوَ السَّميعُ العَليمُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Whoever should hope for the meeting with Allāh – indeed, the term [decreed by] Allāh is coming. And He is the Hearing, the Knowing.

(MELAYU)

Barangsiapa yang mengharap pertemuan dengan Allah, maka sesungguhnya waktu (yang dijanjikan) Allah itu, pasti datang. Dan Dialah Yang Maha mendengar lagi Maha Mengetahui.

 

مَن كانَ يَرجو لِقاءَ اللهِ فَإِنَّ أَجَلَ اللهِ لَآتٍ

Barangsiapa yang mengharap pertemuan dengan Allah, maka sesungguhnya waktu (yang dijanjikan) Allah itu, pasti datang.

Allah hendak memberitahu kepada umat Islam bahawa tidak perlu fikirkan untuk balas dendam kerana Allah sendiri marah dengan apa yang dilakukan oleh orang-orang kafir itu dan Allah sendiri yang akan balas.

Sebaliknya Allah suruh umat Islam fokus kepada pertemuan dengan Allah Ta’ala di hari akhirat kelak dan Allah memberitahu yang pertemuan itu pasti. Pertemuan itu sangat dekat di mana hanya tunggu mati sahaja.

Pertemuan dengan Allah ini adalah sesuatu yang kita perlu harapkan kerana semua manusia akan mati tetapi ada manusia yang malang yang Allah tidak mahu untuk bertemu pun tetapi kepada orang yang beriman Allah akan berjumpa dengan mereka dengan kasih sayang.

Nikmat bertemu dengan Allah adalah satu nikmat yang amat amat besar di mana ia lebih lagi daripada segala nikmat-nikmat yang manusia akan dapat di syurga kelak. Maka walaupun kehidupan di dunia ini agak susah kerana ditindas, dihina dan dicemuh, maka janganlah risau sangat kerana sekejap sahaja musibah di dunia ini. Tak lama lagi akan bertemu dengan Allah.

Ia juga bermaksud, jangan tangguh untuk melakukan kebaikan. Kerana masa untuk bertemu dengan Allah tidak lama lagi, tidak ada masa nak tunggu, nak tangguh. Kalau tangguh, maka memang akan rugi. Jangan sangka yang kita ada masa yang lama untuk buat itu dan buat ini. Masa kita di dunia ini sekejap sahaja.

 

وَهُوَ السَّميعُ العَليمُ

Dan Dia Yang Maha mendengar lagi Maha Mengetahui.

Allah dengar doa-doa yang disampaikan oleh mereka yang dizalimi itu, bukannya Allah tidak tahu. Allah dengar juga kata-kata jahat dari penentang Islam itu.

Allah melihat apa perkara yang berlaku dan apa yang dikenakan kepada orang-orang Islam yang hendak menegakkan agamaNya. Allah lihat apa sahaja perbuatan Musyrikin Mekah yang menindas umat Islam itu.

Allah lihat dan Allah nampak, bukannya Allah biarkan begitu sahaja. Segala kesusahan dan kesabaran yang dilalui oleh kita itu akan menerima balasan yang baik nanti, bukannya percuma sahaja.


 

Ayat 6:

وَمَن جٰهَدَ فَإِنَّما يُجٰهِدُ لِنَفسِهِ ۚ إِنَّ اللهَ لَغَنِيٌّ عَنِ العٰلَمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And whoever strives only strives for [the benefit of] himself. Indeed, Allāh is Free from need of the worlds.

(MELAYU)

Dan barangsiapa yang berjihad, maka sesungguhnya jihadnya itu adalah untuk dirinya sendiri. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari semesta alam.

 

وَمَن جٰهَدَ فَإِنَّما يُجٰهِدُ لِنَفسِهِ

Dan barangsiapa yang berjihad, maka sesungguhnya jihadnya itu adalah untuk dirinya sendiri.

Ini adalah ‘jihad sabar’ dimana para sahabat semasa di Mekah itu telah ditindas tetapi mereka sabar menerimanya dan tidak balas balik. Dan Allah kata ini juga sebagai satu jihad. Maka jangan kita sangka yang jihad itu dalam bentuk berperang sahaja kerana umat Islam waktu di Mekah itu tidak dibenarkan lagi untuk berperang. Mereka terus berdakwah dan mereka terus sabar ditindas.

Dan tentunya jihad jenis ini lebih susah lagi untuk diamalkan. Tapi para sahabat telah melakukannya. Bayangkan, jikalau para sahabat tidak sabar semasa mereka di Mekah, maka Islam tidak dapat berkembang dan tidak ada jihad perang yang akan diberikan kepada mereka nanti semasa Badr dan peperangan-peperangan yang seterusnya.

Apakah kepentingan sabar mereka itu? Oleh kerana para sahabat tidak balas balik penindasan yang dikenakan kepada mereka, maka ada ramai penyokong umat Islam waktu itu kerana mereka melihat dengan mata mereka sendiri bagaimana orang-orang Muslim itu tidak ada salahnya pada mereka; dan mereka tidak nampak kenapa umat Islam waktu itu ditindas.

Mereka juga nampak bahawa apa yang disampaikan oleh umat Islam waktu itu memang perkara-perkara yang baik belaka. Walaupun mereka mungkin tidak masuk Islam lagi waktu itu, tetapi kebanyakan daripada puak Quraisy itu tidak mengganggu umat Islam pun.

Mereka berada di atas pagar sahaja. Jadi mereka sudah ada perasaan lembut terhadap umat Islam dan ini akan memudahkan dakwah Islam kepada mereka nanti.

Jadi Allah beritahu di dalam ayat ini bahawa mereka yang berjihad dengan sabar, tidak balas dendam, mereka akan mendapat pahala kelebihan untuk diri mereka sendiri. Kebaikan itu adalah untuk mereka sendiri. Mereka yang akan dapat habuannya. Bukannya kelebihan itu untuk Allah kerana Allah tidak perlukan apa-apa dari kita.

Satu lagi pendapat melihat kepada maksud ‘jihad’ itu sebagai melawan sesuatu dengan bersungguh-sungguh. Dan apabila tidak disebut siapakah yang kena dilawan, maka ia bermaksud banyak sekali benda yang kena lawan.

Dan inilah yang dialami oleh seorang mukmin. Dia bukan sahaja kena lawan syaitan, tapi nafsunya juga. Dia bukan sahaja kena lawan dirinya, tapi orang lain juga yang hendak mengajaknya kepada kejahatan. Dia kena lawan dengan pihak berkuasa yang menindas dan menjauhkannya dari agama.

Dan jihad ini bukan sekejap sahaja, tapi seluruh hidupnya. Maka ini adalah jihad yang amat besar. Mungkin kita tidak pernah atau tidak akan pegang pedang atau senapang, tapi kita sentiasa berjihad sebenarnya.

 

إِنَّ اللهَ لَغَنِيٌّ عَنِ العٰلَمينَ

Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari semesta alam.

Para sahabat di Mekah itu itu hero para Muslim. Nama mereka disebut-sebut sampai sekarang dan sampai Kiamat nanti. Kerana mereka imannya amat hebat. Tidak ada kelebihan masuk Islam dari segi keduniaan waktu itu, tapi mereka sanggup masuk Islam dan sanggup terima kebenaran.

Tak sama dengan keadaan di Madinah. Kerana di Madinah nanti, ada kelebihan kalau masuk Islam kerana Islam kuat di Madinah. Tak masuk Islam di Madinah yang nampak pelik. Tapi semasa di Mekah, masuk Islam adalah membahayakan.

Tapi hebat macam mana pun, apa yang mereka lakukan dan sabar itu bukannya untuk Allah kerana Allah tidak perlukan iman mereka. Ianya tetap kelebihan untuk diri mereka sendiri.

Mereka sendiri yang akan mendapat kelebihan daripada kesabaran itu dimana iman mereka akan meningkat dan redha mereka semakin tinggi dan mereka akan mendapat segala balasan yang dijanjikan oleh Allah di syurga nanti.

Dalam keadaan kita sekarang kesabaran itu mungkin bermakna sabar di dalam menyampaikan agama Allah ini. Zaman sekarang pun susah juga untuk sampaikan ajaran Islam yang benar kerana banyak tentangan. Orang yang hendak kepada ajaran Al-Qur’an dan Sunnah pula yang dilihat sebagai pelik dan asing dari masyarakat.

Paling mudah sekali, mereka yang jahil mengatakan kita ini golongan ‘Wahabi’. Ini amat pelik sekali kerana dari mana datangnya istilah itu pun kita tidak dapat pastikan. Mereka kata begitu kerana jahil sahaja dan kita kena sabar dengan kata-kata mereka.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 15 Jun 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Thur Ayat 41 – 49 (Tasbih Kaffarah)

Ayat 41: Apa lagi yang Allah ﷻ perli mereka? Adakah mereka tahu hal-hal ghaib?

أَم عِندَهُمُ الغَيبُ فَهُم يَكتُبونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Or have they [knowledge of] the unseen, so they write [it] down?

(MELAYU)

Apakah ada pada sisi mereka pengetahuan tentang yang ghaib lalu mereka menuliskannya?

 

Adakah pada mereka ada ilmu ghaib selain daripada yang disampaikan oleh Nabi Muhammad ﷺ dan mereka boleh tulis ilmu-ilmu itu dan tidak payah pakai Al-Qur’an?

Adakah mereka boleh mengaku yang mereka dapat maklumat ghaib selain dari yang disampaikan oleh Nabi Muhammad ﷺ itu? Adakah mereka dapat maklumat yang kebangkitan semula tidak ada, syurga neraka tidak ada, ilah-ilah lain itu memang ada, yang para malaikat itu memang anak-anak perempuan Allah ﷻ? Kalau ada, bawa mari keluar dalam bentuk tulisan.

Tentunya tidak ada. Semua mereka tahu yang fahaman sesat mereka di atas itu bukanlah datang dari mana-mana kitab dan ajaran wahyu, tapi rekaan mereka sahaja. Iaitu mereka dapat dari tok nenek mereka dan mereka pun tak tahu tok nenek mereka dapat dari mana. Mereka terus terima sahaja (mereka sangka baik sahaja dan orang dulu mesti betul).

Macam masyarakat kita jugalah, banyak maklumat agama diterima dari tok nenek tetapi tidak dipastikan kesahihannya, terus terima sahaja. Ini kerana memang ada perangai Musyrikin Mekah dalam diri masyarakat Muslim kita yang jahil dengan ilmu wahyu. Ramai yang jadi Muslim kerana keturunan sahaja. Maka mereka itu ‘Muslim Keturunan’ sahaja sebenarnya, bukan Muslim sebenar.


 

Ayat 42: Siapa yang akan terkena tipu daya?

أَم يُريدونَ كَيدًا ۖ فَالَّذينَ كَفَروا هُمُ المَكيدونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Or do they intend a plan? But those who disbelieve – they are the object of a plan.

(MELAYU)

Ataukah mereka hendak melakukan tipu daya? Maka orang-orang yang kafir itu merekalah yang kena tipu daya.

 

أَم يُريدونَ كَيدًا

Ataukah mereka hendak membuat rancangan?

Adakah mereka hendak membuat rancangan? Ia bermaksud rancangan itu belum dibuat lagi kerana ini masih lagi pada peringkat awal di Mekah, tetapi sudah ada bibit-bibit dalam hati mereka untuk buat rancangan. Iaitu rancangan untuk bunuh Nabi Muhammad ﷺ.

Semasa rancangan itu dalam hati mereka lagi Allah ﷻ sudah sebut dalam Al-Qur’an. Waktu itu mereka sudah mula sembang-sembang sesama mereka. Tetapi waktu itu masih baru lagi, maka mereka sangka takkanlah mereka akan dikalahkan. Kerana waktu itu mereka yang kuat.

Cuma nanti akhir sekali mereka akan buat rancangan untuk bunuh Nabi Muhammad ﷺ di hujung-hujung hayat baginda di Mekah. Kerana itulah Nabi Muhammad ﷺ diarahkan berhijrah ke Madinah.

 

فَالَّذينَ كَفَروا هُمُ المَكيدونَ

Maka orang-orang yang kafir itu merekalah yang kena rancangan.

Tetapi sebenarnya Allah ﷻ yang menguasai mereka dan merekalah yang menjadi objek dari perancangan Allah ﷻ sebenarnya. Mereka hanya boleh buat rancangan sahaja tetapi setakat buat rancangan sahaja kerana mereka tidak ada apa-apa kuasa.

Mereka sangka mereka sahaja yang boleh buat rancangan? Allah ﷻ juga buat rancangan dan rancangan Allah ﷻ pasti akan berjaya. Allah ﷻ akan kenakan mereka balik. Apa mereka fikir rancangan mereka sahaja?


 

Ayat 43: Adakah Tuhan lain bersama Allah ﷻ?

أَم لَهُم إِلٰهٌ غَيرُ اللهِ ۚ سُبحٰنَ اللهِ عَمّا يُشرِكونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Or have they a deity other than Allāh? Exalted is Allāh above whatever they associate with Him.

(MELAYU)

Ataukah mereka mempunyai ilah selain Allah? Maha Suci Allah dari apa yang mereka persekutukan.

 

أَم لَهُم إِلٰهٌ غَيرُ اللهِ

Ataukah mereka mempunyai ilah selain Allah?

Adakah mereka sangka ada ilah-ilah lain selain Allah ﷻ? Mereka memang ada fahaman sesat mengambil ilah-ilah lain selain Allah ﷻ. Mereka sangka ilah-ilah itu boleh membantu mereka dan menjadi perantara mereka dalam doa dan menjadi peguam mereka untuk menyelamatkan mereka. Tetapi itu adalah fahaman yang amat jauh dari kebenaran.

 

سُبحٰنَ اللهِ عَمّا يُشرِكونَ

Maha Suci Allah dari apa yang mereka persekutukan.

Sebutlah kalimah Subahanallah kerana Allah ﷻ tidak ada yang setara denganNya kerana hanya Dia sahaja ilah.

Maka sebutan subhanallah ini adalah menolak fahaman syirik manusia. Maka amat malang sekali kalau ada orang Islam yang berzikir subhanallah tetapi dalam masa yang sama, mereka mengamalkan syirik. Antaranya mereka mengamalkan tawasul dalam doa kepada Allah ﷻ. Mereka tidak sedar yang mereka mengamalkan syirik sebenarnya kerana mereka jahil ilmu wahyu.


 

Ayat 44: Ayat 44 – 49 adalah Perenggan Makro Ketiga dan terakhir. Allah ﷻ menyuruh kita tunggu hari yang dijanjikan itu dengan melakukan tabligh (menyampaikan dakwah) dan beramal.

وَإِن يَرَوا كِسفًا مِّنَ السَّماءِ ساقِطًا يَقولوا سَحابٌ مَّركومٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And if they were to see a fragment from the sky falling,¹ they would say, “[It is merely] clouds heaped up.”

  • Marking the onset of Allāh’s punishment, as they had requested.

(MELAYU)

Jika mereka melihat sebahagian dari langit gugur, mereka akan mengatakan: “Itu adalah awan yang bertindih-tindih”.

 

وَإِن يَرَوا كِسفًا مِّنَ السَّماءِ ساقِطًا

Dan jika mereka melihat kepingan dari langit gugur,

Iaitu apabila langit gugur ke atas mereka. Kalimah ساقطا dari katadasar س ق ط yang bermaksud jatuh ke bawah, rebah. Ini seperti kaum Aad yang apabila mereka nampak awan yang akan memusnahkan mereka, mereka sangka yang itu adalah awan yang membawa hujan untuk kebaikan mereka.

 

يَقولوا سَحابٌ مَّركومٌ

mereka akan mengatakan: “Itu adalah awan yang bertindih-tindih”.

Allah ﷻ kata begitulah mereka nanti – apabila mereka dikenakan azab mereka tidak sangka itu adalah azab dan mereka sangka itu adalah kebaikan untuk mereka. Mereka sangka itu adalah awan-awan tersusun yang membawa hujan untuk mereka. Kalimah مركوم dari katadasar ر ك م yang bermaksud berkumpul berlonggok, berlapis-lapis.

Allah ﷻ juga hendak memberitahu kepada para sahabat waktu itu di Mekah – tidak ada gunanya tunjuk mukjizat kepada Musyrikin Mekah itu kerana mereka takkan faham. Ini adalah kerana para sahabat sangka, kalaulah Allah ﷻ turunkan mukjizat yang boleh dilihat dengan mata kepala para penentang itu, tentu mereka akan beriman.

Maka Allah ﷻ beritahu, kalau kepingan langit turun kepada mereka pun, mereka akan pusing supaya tidak percaya juga. Mereka itu memang puak yang amat degil. Datang azab depan mata mereka pun mereka tidak faham-faham.


 

Ayat 45: Ayat 45 – 49 adalah pesanan kepada penyebar wahyu.

فَذَرهُم حَتّىٰ يُلٰقوا يَومَهُمُ الَّذي فيهِ يُصعَقونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So leave them until they meet their Day in which they will be struck insensible –

(MELAYU)

Maka biarkanlah mereka hingga mereka menemui hari (yang dijanjikan kepada) mereka yang pada hari itu mereka dibinasakan,

 

فَذَرهُم

Maka biarkanlah mereka

Allah ﷻ suruh Nabi Muhammad ﷺ biarkan sahaja mereka. Jangan hiraukan apa yang mereka kata itu. Teruskan dakwah kepada mereka. Jangan ambil pusing sangat dengan kata-kata mereka itu.

 

حَتّىٰ يُلٰقوا يَومَهُمُ الَّذي فيهِ يُصعَقونَ

hingga mereka menemui hari (yang dijanjikan kepada) mereka yang pada hari itu mereka dibinasakan,

Biarkanlah mereka itu sehingga mereka bertemu dengan hari yang dijanjikan – iaitu pada hari mereka dikenakan dengan kilat ataupun tempikan yang kuat yang akan mematikan mereka.


 

Ayat 46:

يَومَ لا يُغني عَنهُم كَيدُهُم شَيئًا وَلا هُم يُنصَرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

The Day their plan will not avail them at all, nor will they be helped.

(MELAYU)

(iaitu) hari ketika tidak berguna bagi mereka sedikit pun tipu daya mereka dan mereka tidak ditolong.

 

يَومَ لا يُغني عَنهُم كَيدُهُم شَيئًا

(yaitu) hari ketika tidak berguna bagi mereka sedikit pun rancangan mereka

Mereka sudah buat rancangan, tetapi apabila Allah ﷻ telah buat rancangan terhadap mereka, segala rancangan mereka tidak akan berjaya. Allah ﷻ hendak hapuskan harapan mereka, mereka tidak akan berjaya.

 

وَلا هُم يُنصَرونَ

dan mereka tidak ditolong.

Rancangan mereka takkan dapat menyelamatkan mereka. Tidak mungkin rancangan mereka dapat mengalahkan rancangan Allah ﷻ.


 

Ayat 47: Takhwif duniawi.

وَإِنَّ لِلَّذينَ ظَلَموا عَذابًا دونَ ذٰلِكَ وَلٰكِنَّ أَكثَرَهُم لا يَعلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And indeed, for those who have wronged is a punishment¹ before that, but most of them do not know.

  • If not in this world, in the grave.

(MELAYU)

Dan sesungguhnya untuk orang-orang yang zalim ada azab selain daripada itu. Tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.

 

وَإِنَّ لِلَّذينَ ظَلَموا عَذابًا دونَ ذٰلِكَ

Dan sesungguhnya untuk orang-orang yang zalim ada azab selain daripada itu.

Mereka akan dikenakan dengan azab di dunia sebelum mereka akan dikenakan dengan azab akhirat yang lebih teruk. Semakna dengan apa yang disebutkan oleh firman Allah ﷻ:

 

{وَلَنُذِيقَنَّهُمْ مِنَ الْعَذَابِ الأدْنَى دُونَ الْعَذَابِ الأكْبَرِ لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ}

Dan sesungguhnya Kami merasakan kepada mereka sebahagian azab yang dekat (di dunia) sebelum azab yang lebih besar (di akhirat); mudah-mudahan mereka kembali (ke jalan yang benar). (As-Sajdah:21)

Tetapi jangan mereka sangka yang itu sahaja azab yang akan dikenakan kepada mereka. Nanti akan ada azab akhirat lagi, kalau mereka tidak mengubah fahaman dan amalan mereka.

 

وَلٰكِنَّ أَكثَرَهُم لا يَعلَمونَ

Tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.

Mereka tidak mahu menggunakan akal mereka untuk memikirkan bahawa musibah dan bala yang dikenakan kepada mereka itu adalah sebagai peringatan kepada mereka. Dan kerana itulah mereka tidak mahu mengubah amalan dan cara hidup mereka. Mereka terus bergelumang dalam dosa dan dalam fahaman syirik. Ini akan menyebabkan mereka diazab juga di akhirat kelak.


 

Ayat 48: Ayat tasliah.

وَاصبِر لِحُكمِ رَبِّكَ فَإِنَّكَ بِأَعيُنِنا ۖ وَسَبِّح بِحَمدِ رَبِّكَ حينَ تَقومُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And be patient, [O Muḥammad], for the decision of your Lord, for indeed, you are in Our eyes [i.e., sight]. And exalt [Allāh] with praise of your Lord when you arise

(MELAYU)

Dan bersabarlah dalam menunggu ketetapan Tuhanmu, maka sesungguhnya kamu berada dalam penglihatan Kami, dan bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu ketika kamu bangun berdiri,

 

وَاصبِر لِحُكمِ رَبِّكَ

Dan bersabarlah dalam menunggu ketetapan Tuhanmu,

Sabarlah menunggu keputusan dari Allah ﷻ. Jangan layan dan ambil hati sangat dengan apa yang dikatakan oleh para penentang itu. Jangan putus asa dengan janji Allah ﷻ. Allah ﷻ pasti akan beri pertolongan kepada mereka yang menjalankan ketaatan kepadaNya dan menjalankan kerja dakwah.

 

فَإِنَّكَ بِأَعيُنِنا

maka sesungguhnya kamu berada dalam penglihatan Kami, 

Allah ﷻ sentiasa melihat apa yang dilakukan oleh hambaNya. Maksudnya, bukanlah Allah ﷻ biarkan sahaja Nabi ﷺ dan para sahabat itu tanpa bantuan, tetapi Allah ﷻ sentiasa memerhatikan dan menjaga Nabi ﷺ dan tidaklah baginda keseorangan. Segala usaha dakwah mereka itu akan dibalas.

Ketepatan bahasa yang digunakan dalam Al-Qur’an: kalimah عين asalnya bermaksud ‘mata’ dan ia juga digunakan untuk mata air (sesuatu yang indah dipandang mata).

Jamak bagi عين adalah أعيُن dan عُيُون dan digunakan di dalam Bahasa Arab untuk jamak bagi mata dan juga mata air. Ia boleh bertukar-tukar penggunaannya. Akan tetapi Al-Qur’an sentiasa menggunakan penggunaan yang tepat. Kalimah أعيُن sentiasa digunakan bagi mata dan kalimah عُيُون sentiasa digunakan bagi mata air.

 

وَسَبِّح بِحَمدِ رَبِّكَ حينَ تَقومُ

dan bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu ketika kamu bangun berdiri,

Hendaklah baginda berserah kepada Allah ﷻ dan melakukan ketaatan kepada Allah ﷻ. Apabila bangun dari mereka yang tidak mahu dengar dakwah, bertasbih sahaja.

Maka begitu juga kita dianjurkan untuk melakukan Tasbih Kifarah bila kita tinggalkan majlis dakwah dan juga majlis pengajian. Bertasbihlah walaupun selepas dakwah yang kita berikan tidak diterima. Ini seperti yang disebut dalam hadis:

عَنْ أَبِي بَرْزَةَ الْأَسْلَمِيِّ قَالَ لَمَّا كَانَ بِآخِرَةٍ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا جَلَسَ فِي الْمَجْلِسِ فَأَرَادَ أَنْ يَقُومَ قَالَ : سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ، أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوبُ إِلَيْكَ فَقَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّكَ تَقُولُ الْآنَ كَلَامًا مَا كُنْتَ تَقُولُهُ فِيمَا خَلَا قَالَ هَذَا كَفَّارَةُ مَا يَكُونُ فِي الْمَجْلِسِ.”

Dari Abu Barzah Al Aslamy bahwa setiap akhir kali Rasulullah bermajlis dan beliau hendak berdiri beliau berucap: “subhanaka allahumma wabihamdika asyhadu alla ilaaha illa anta astaghfiruka wa atuubu ilaik (Maha suci engkau ya Allah, syukur pada-Mu aku bersaksi bahwa tiada Illah kecuali engkau, aku bermohon ampunan dan bertaubat padamu) Lalu mereka berkata: “Wahai Rasulullah, engkau telah mengatakan suatu ucapan yang engkau belum katakan sebelumnya.” Beliau menjawab: “Itu adalah kafarat (penebus dosa) kalian dalam majelis.”

[Musnad Ahmad no. 18973 dengan lafaz ini. Isnad sahih mengikut Syaikh Syu’aib al-Arnauth. An-Nasa’i no. 1327 dan dinilai sahih oleh Syaikh al-Albani]

Ia dinamakan sebagai Tasbih Kaffarah kerana ia menghapuskan dosa-dosa yang dilakukan di dalam majlis itu. Seperti riwayat Ibnu Juraij, dari Suhail ibnu Abu Saleh dari ayahnya, dari Abu Hurairah, dia berkata Nabi ﷺ yang telah bersabda:

مَنْ جَلَسَ فِي مَجْلِسٍ فَكَثُرَ فِيهِ لَغَطُهُ فَقَالَ قَبْلَ أَنْ يَقُومَ مِنْ مَجْلِسِهِ: سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ، أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوبُ إِلَيْكَ، إِلَّا غُفِرَ لَهُ مَا كَانَ فِي مَجْلِسِهِ ذَلِكَ”.

“Barang siapa yang duduk di sebuah majlis dan banyak keributan (kericuhan) padanya kemudian sebelum berdiri ia mengucapkan: SUBHAANAKALLAAHUMMA WA BIHAMDIKA ASYHADU ANLAA ILAAHA ILLAA ANTA ASTAGHFIRUKA WA ATUUBU ILAIKA (Maha Suci Engkau wahai Allah, dan dengan memujiMu, aku bersaksi bahwa tidak ada tuhan yang berhak di sembah melainkan Engkau, aku meminta ampun dan bertaubat kepadaMu) melainkan diampuni dosanya selama di majlisnya itu.”

[Sunan at-Tirmizi no. 3355 dengan lafaz ini. Dinilai sahih oleh Syaikh al-Albani. an-Nasa’i no. 10230 dalam Sunan al-Kubra]

Ataupun ia bermaksud bertasbih kepada Allah ﷻ apabila bangun di malam hari untuk mengerjakan solat tahajud. Ini adalah kerana selalu ‘tasbih’ itu dimaksudkan adalah ‘solat’ kerana dalam solat ada tasbih kepada Allah ﷻ. Oleh itu, jalankan dakwah di siang hari dan solat malam di malam hari.

Ini adalah kerana kerja dakwah itu memerlukan tenaga dan kekuatan itu didapati dengan merapatkan diri dengan Allah ﷻ dengan melakukan solat malam. Inilah kepentingan solat malam yang mungkin tidak diketahui oleh ramai orang.

Ataupun, ketika bangun berdiri untuk berdakwah atau untuk mengajar, mulakan dengan tasbih kepada Allah dan memuji-muji Allah ﷻ.

Dan oleh kerana ini adalah ayat tasliah, maka Allah ﷻ anjurkan untuk jangan ambil pusing dengan kata-kata penentang, sebaliknya sibukkan diri dengan buat amal. Kerana dengan buat amal kebaikan (antaranya dengan bertasbih) maka fikiran kita tidak fikir sangat dengan kata-kata nista dari para penentang.


 

Ayat 49:

وَمِنَ اللَّيلِ فَسَبِّحهُ وَإِدبٰرَ النُّجومِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And in a part of the night exalt Him and after [the setting of] the stars.

(MELAYU)

dan bertasbihlah kepada-Nya pada beberapa waktu di malam hari dan di waktu terbenam bintang-bintang (di waktu fajar).

 

وَمِنَ اللَّيلِ فَسَبِّحهُ

dan bertasbihlah kepada-Nya pada beberapa waktu di malam hari

Yang ini pula memang bertepatan dengan pemahaman berdiri mengadap Allah ﷻ semasa mengerjakan solat tahajud  (Bangun malam). Ayat ini semakna dengan apa yang disebutkan di dalam ayat lain melalui firman-Nya:

{وَمِنَ اللَّيْلِ فَتَهَجَّدْ بِهِ نَافِلَةً لَكَ عَسَى أَنْ يَبْعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامًا مَحْمُودًا}

Dan pada sebahagian malam, solat tahajudlah kamu sebagai suatu ibadah tambahan bagimu; mudah-mudahan Tuhanmu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji. (Al-Isra: 79)

 

وَإِدبٰرَ النُّجومِ

dan di waktu terbenam bintang-bintang (di waktu fajar).

Terutama sekali apabila bintang-bintang ‘menunjukkan ekornya’ (dubur yang bermaksud ‘belakang’) iaitu bermaksud apabila bintang sudah mula hendak pergi. Maksudnya bertasbih di waktu fajar. Iaitu mengerjakan tahajjud di waktu sahur.

Surah ini ditutup dengan bintang menghilang dan surah selepas ini tentang bintang pula. Amat hebat sekali bagaimana Allah ﷻ menghabiskan satu surah dan terus sambung dengan surah lain dengan ada kaitan di antara keduanya. Ini menunjukkan ada persambungan dalam surah-surah yang dipanggil robtus suwaar.

 

Allahu a’lam. Sekian tafsir Surah Thur ini. Sambung ke surah seterusnya, Surah an-Najm.

Kemaskini: 30 April 2020


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah Thur Ayat 32 – 40 (Tidak minta upah dalam mengajar Agama)

Ayat 32:

أَم تَأمُرُهُم أَحلٰمُهُم بِهٰذا ۚ أَم هُم قَومٌ طاغونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Or do their minds¹ command them to [say] this, or are they a transgressing people?

  • In this expression is also a subtle allusion to the leaders of the Quraysh, who considered themselves to be great minds.

(MELAYU)

Apakah mereka diperintah oleh fikiran-fikiran mereka untuk mengucapkan tuduhan-tuduhan ini ataukah mereka kaum yang melampaui batas?

 

أَم تَأمُرُهُم أَحلٰمُهُم بِهٰذا

Apakah mereka diperintah oleh fikiran-fikiran mereka untuk mengucapkan tuduhan-tuduhan ini?

Kalimah أَحلٰمُهُم dari kata dasar ح ل م yang mempunyai banyak maksud. Salah satunya adalah akal atau intelek. Pemuka Quraisy sangka mereka orang yang bijak dan berpengetahuan tinggi. Jadi Allah ﷻ perli mereka dalam potongan ayat ini: adakah intelek mereka yang menyuruh mereka melakukan dosa-dosa itu? Adakah mereka rasa mereka pandai sangat sampai mereka menolak perkara yang sudah jelas benarnya?

Dan kalau mereka pandai sangat, kenapa tuduhan mereka terhadap Nabi Muhammad ﷺ itu bertukar-tukar dan tidak tetap? Sekejap kata baginda ahli sihir, sekejap kata orang gila, sekejap kata penyair, sekejap kata kaahin. Takkan semuanya sama? Semua itu sifat-sifat yang berbeza. Orang gila tidak boleh jadi penyair, begitu juga sifat kaahin lain dengan seorang ahli sihir. Jadi mana satu? Kata pandai sangat?

Hilm juga bermaksud kelembutan terhadap orang lain. Jadi hilm itu adalah mereka yang mahu mencari kebaikan pada orang lain. Jadi pemuka-pemuka Quraisy itu mengatakan atas kelembutan mereka itulah maka mereka hanya mengatakan yang Nabi Muhammad ﷺ itu seorang penyair sahaja dan biarkan sahaja baginda dahulu nak buat apa (mereka hendak tengok dulu). Allah ﷻ perli mereka: adakah mereka sangka mereka baik sangat?

 

أَم هُم قَومٌ طاغونَ

ataukah mereka kaum yang melampaui batas?

Tetapi di dalam mereka memberikan keputusan yang lembut (kononnya) kepada baginda mereka langsung tidak mendengar apa yang disampaikan oleh baginda dan kerana itu mereka telah melakukan kelampauan. Allah ﷻ mengatakan yang mereka itu memang kaum yang degil dan melampau.

Mereka sangka mereka baik sebab tidak buat apa-apa lagi kepada baginda, tetapi Allah ﷻ hendak beritahu apa yang mereka lakukan itu bukanlah dari tuntutan akal yang normal kerana fitrah manusia itu menerima wahyu. Hati manusia memang sepatutnya ke arah kebenaran dan senang menerima kebenaran. Jadi apabila mereka tolak kebenaran, sebenarnya mereka menentang kehendak hati mereka sendiri.


 

Ayat 33: Apa lagi tuduhan mereka terhadap Rasulullah ﷺ?

أَم يَقولونَ تَقَوَّلَهُ ۚ بَل لّا يُؤمِنونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Or do they say, “He has made it up”? Rather, they do not believe.

(MELAYU)

Ataukah mereka mengatakan: “Dia (Muhammad) membuat-buatnya”. Sebenarnya mereka tidak beriman.

 

أَم يَقولونَ تَقَوَّلَهُ

Ataukah mereka mengatakan: “Dia (Muhammad) membuat-buatnya”.

Satu lagi tuduhan yang mereka berikan kepada Nabi Muhammad ﷺ adalah baginda telah mereka-reka sendiri Al-Qur’an yang baginda sampaikan itu.

Kalimah تَقَوَّلَهُ bermaksud memaksa diri sendiri untuk mengatakan sesuatu dan bukan hanya berkata biasa sahaja. Ini kita boleh bayangkan apabila seseorang itu berkata dengan pelik dan kita pun tahu yang dia memang bukan selalu berkata begitu. Selalu dia cakap biasa sahaja, tetapi sekali tiba-tiba dia cakap berpuitis; ini dinamakan sebagai تَقَوَّلَهُ. Sebab bukan senang nak cakap puitis, bukan? Jadi kena paksa diri.

Jadi para pemuka Quraisy itu mengatakan Al-Qur’an yang disampaikan oleh baginda itu bukanlah seperti kalimah-kalimah yang biasa baginda tuturkan (dalam kehidupan biasa) jadi ia hanyalah kalimah-kalimah yang baginda paksa diri baginda untuk keluarkan dari mulutnya.

Sebenarnya mereka pun tahu yang ayat-ayat Al-Qur’an itu bukannya kata-kata biasa, dan Nabi ﷺ biasanya tidak bercakap begitu (baginda pun orang normal juga, jadi cakap pun guna bahasa biasa sahaja). Maka sekarang mereka tuduh Nabi ﷺ sengaja reka kata-kata itu.

 

بَل لّا يُؤمِنونَ

Sebenarnya mereka tidak beriman.

Yang sebenarnya mereka itu beri tuduhan dan alasan begitu hanyalah kerana mereka tidak mahu beriman sahaja. Mereka tidak dapat menerima larangan dan suruhan dalam agama Islam maka mereka berusaha sedaya upaya untuk menolaknya.

Maka mereka telah reka dan cipta berbagai-bagai alasan dan semua itu kerana hendak tolak sahaja. Dan mereka tolak itu kerana mereka degil sahaja.


 

Ayat 34: Ini cabaran kepada mereka kerana alasan mereka sebelum ini yang kata Rasulullah ﷺ buat sendiri ayat-ayat Al-Qur’an itu.

فَليَأتوا بِحَديثٍ مِّثلِهِ إِن كانوا صٰدِقينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then let them produce a statement like it, if they should be truthful.

(MELAYU)

Maka hendaklah mereka mendatangkan kalimat yang semisal Al-Qur’an itu jika mereka orang-orang yang benar.

 

Kalau mereka kata yang Nabi Muhammad ﷺ itu reka sahaja Al-Qur’an itu, maka tentulah mereka pun boleh juga buat Al-Qur’an yang semacam itu juga, bukan? Kerana mereka pun rasa mereka lagi bijak, bukan? Bukankah mereka lagi pandai berbahasa? Maka kalau begitu bawakanlah kalimah-kalimah yang seperti Al-Qur’an itu.

Cabaran ini telah diberikan banyak kali di dalam Al-Qur’an dan bukan sahaja diberikan kepada Quraish Mekah tetapi sesiapa sahaja. Lihatlah ayat-ayat Yunus: 38, Hud: 13, Bani Isra’il: 88, Al-Baqarah: 23.

Tetapi syaratnya kena datangkan kalimah-kalimah yang sama hebat macam Al-Qur’an jugalah. Mereka pun tahu kehebatan Al-Qur’an itu kerana mereka pun pandai bahasa. Maka bawa kalimah-kalimah yang sama standard juga. Memang ada sahaja cubaan untuk buat Al-Qur’an, tetapi tidaklah sama hebat macam Al-Qur’an.

Memang tidak akan mampu hendak buat kalimat yang sama, kerana kehebatan Al-Qur’an itu teramat tinggi, kerana ianya bukannya ciptaan makhluk, tapi kalam dari Allah ﷻ.

Antara kehebatan Al-Qur’an secara ringkas:

1. Bahasa Al-Qur’an adalah bahasa yang paling hebat. Sesuatu perkara yang disampaikan itu menggunakan bahasa yang amat sesuai, tepat dan indah. Orang yang tidak tahu bahasa Arab dan kenal Al-Qur’an pun dapat merasakan keindahannya.

Bahasa yang digunakan masih lagi segar walaupun sudah 1,400 tahun ianya berlalu. Bahasa Arab masih dipertuturkan manusia sampai sekarang. Kalau bahasa kitab wahyu lain, sudah lama tidak dipakai lagi, sesudah melalui masa yang begitu lama. Tetapi bahasa Al-Qur’an tidak begitu.

2. Al-Qur’an ini telah mengubah manusia zaman berzaman. Asalnya ia telah mengubah kedudukan satu bangsa (bangsa Arab) tetapi kemudian ia telah menjadi hak satu dunia. Dan kaum demi kaum telah berubah keadaan mereka disebabkan oleh Al-Qur’an.

Perubahan mendadak kepada manusia masih dapat dilihat kesannya. Dan ia masih lagi menjadi pemangkin kepada perubahan manusia. Tidak ada kitab atau buku yang seperti ini dalam dunia.

3. Topik yang disentuh oleh Al-Qur’an adalah menyeluruh, merangkumi kehidupan dunia dan juga akhirat. Ianya lengkap sampai boleh dijadikan sebagai panduan hidup untuk individu atau kerajaan, yang miskin atau yang kaya, yang susah atau yang senang, lelaki atau perempuan.

Malahan topik-topiknya tentang sains, sejarah, psikologi, sosial, kemasyarakatan dan lain-lain lagi amat tepat. Ianya dikaji satu persatu dan tidak ada satu yang bersalahan. Semuanya tepat dan dapat digunakan oleh semua peringkat kehidupan.

4. Al-Qur’an ini bukannya diturunkan sekaligus tetapi ianya diturunkan sedikit demi sedikit selama 23 tahun. Dalam jangkamasa itu tidak ada perubahan pada ayat-ayat Al-Qur’an itu – tidak ada penambahbaikan, tidak ada pembetulan. Dan ayat yang mula-mula turun tidak bersalahan dengan ayat yang akhir sekali turun.

Ianya adalah satu buku yang lengkap dan harmonis cuma diturunkan sedikit demi sedikit. Kalaulah ianya tulisan manusia, tentulah ianya akan berubah-ubah dan tidak harmonis antara satu sama lain kerana jangkamasa yang sangat lama. Kerana pada peringkat awal, cabarannya lain dan pada peringkat kemenangan Islam, tentu cabarannya lain.

Tetapi kita lihat bagaimana ayat-ayat itu tidak kira sama ada diturunkan di awal Islam atau pun di hujung hayat Rasulullah ﷺ, masih terpakai lagi pada setiap zaman.

5. Rasulullah ﷺ yang menyampaikan ayat-ayat Al-Qur’an ini adalah seorang manusia dan baginda juga ada bercakap. Tetapi kalau kita lihat bahasa yang baginda gunakan dalam percakapan harian baginda (ini kita boleh lihat dari dalam hadis) dan bahasa yang digunakan oleh Al-Qur’an itu amat berbeza. Jadi Al-Qur’an itu bukan dari bahasa kalam baginda.

Baginda juga bukanlah asing dari masyarakat dan mereka kenal baginda dan bagaimana cara percakapan baginda. Adakah mungkin baginda dapat menipu dengan reka ayat-ayat Al-Qur’an ini selama 23 tahun dan tidak pernah tersilap? Jadi ini menjadi hujah yang baginda bukanlah penulis Al-Qur’an itu tetapi ianya dari Allah ﷻ.

6. Nabi Muhammad ﷺ adalah manusia yang melalui berbagai-bagai fasa dalam kehidupannya. Ada masa baginda ditindas, ada masa baginda berjaya; ada masa baginda mengalami kesedihan kerana kematian ahli keluarga baginda; ada masa baginda berperang dan kadang kalah dan kadang menang.

Semua itu tentu memberi kesan kepada emosi baginda, tetapi kalau kita kaji Al-Qur’an, tidak ada elemen-elemen emosi dalam ayat-ayat Al-Qur’an itu. Tidaklah baginda maki sesiapa, atau nampak kesedihan yang amat sangat. Ini kerana Al-Qur’an bukannya tulisan Muhammad ﷺ!

7. Manusia ada yang bijak pandai dalam bidang masing-masing – ada yang pakar ekonomi, ada yang pakai dalam psikologi dan ada yang pakar dalam bidang sosiologi dan lain-lain lagi. Begitu banyak bidang dalam dunia ini dan semuanya ada disentuh dalam Al-Qur’an dengan tepat sekali.

Al-Qur’an memberi jalan kepada permasalahan manusia dan juga memberi jalan bagaimana mencapai kejayaan. Adakah mungkin satu manusia yang hidup lebih seribu tahun dulu telah mengkaji segala bidang ilmu itu dan beri jalan penyelesaian kepadanya? Tentu tidak sama sekali.


 

Ayat 35: Ayat zajrun. Allah ﷻ tegur tentang fahaman salah manusia. Ayat 35 & 36 ini Allah ﷻ suruh kita memikirkan: Siapakah yang mencipta dan dicipta?

أَم خُلِقوا مِن غَيرِ شَيءٍ أَم هُمُ الخٰلِقونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Or were they created by nothing, or were they the creators [of themselves]?

(MELAYU)

Apakah mereka diciptakan tanpa sesuatu pun ataukah mereka yang menciptakan (diri mereka sendiri)?

 

أَم خُلِقوا مِن غَيرِ شَيءٍ

Apakah mereka diciptakan tanpa sesuatu pun

Dalam surah sebelum ini Allah ﷻ memberitahu yang kita semua dijadikan untuk menjadi hamba kepada Allah ﷻ (Dzariyaat:56). Maka sekarang timbullah soalan: bagaimanakah cara untuk kita mengetahui yang kita dijadikan oleh Allah ﷻ?

Ada manusia yang tidak mahu terima kewujudan Tuhan. Maka mereka ditanya dengan ‘soalan maut’ ini: adakah kamu sangka kamu tidak tidak dicipta oleh Tuhan? Adakah kamu sangka kamu terjadi sendiri?

Ini kerana fahaman atheist yang kata tiada tuhan yang menjadikan alam ini, alam ini terjadi sendiri. Fahaman cetek apakah ini? Alam dengan segala hebat ini terjadi sendiri?

 

أَم هُمُ الخٰلِقونَ

ataukah mereka yang menciptakan?

Kita boleh tengok dengan mata kita sendiri yang alam ini, termasuk dengan diri kita ini amat hebat sekali. Hanya ada dua pilihan sahaja kalau kita melihat kejadian diri kita ini: iaitu sama ada kita dijadikan oleh sesuatu atau kitalah yang menjadikan diri kita sendiri. Mana satu?

Maka soalan ini patut diberikan kepada mereka yang tidak percaya kepada kewujudan Tuhan, iaitu golongan atheist kerana mereka kena jelaskan bagaimana mereka boleh terjadi dengan sendiri.

Ada yang kata, kita ini terjadi kerana ‘kemalangan’. Kononnya ada perlanggaran/percampuran antara elemen dalam dunia ini dan perlanggaran itu menjadikan alam ini. Kemudian ada proses evolusi sampailah ada manusia. Maka kalau begitu, cubalah buat balik ‘kemalangan’ itu. Ambillah bahan apa-apa sahaja dan baling pada satu tempat, tengok apa yang terjadi.

Ini adalah pandangan yang amat karut sekali. Seolah-olah mereka hendak kata: ambil lidi-lidi kayu dan baling ke udara dan bila jatuh ke tanah, kapalterbang akan terjadi. Kalau mereka hendak cuba buat, buatlah eksperimen balik, pakailah berapa banyak lidi pun, tambahlah apa yang mereka hendak tambah bahan lagi, balinglah berapa juta kali pun… tengok jadi tak kapalterbang?

Atau ayat ini bermaksud: adakah mereka sangka yang mereka dijadikan itu tidak ada sebab apa-apa dan mereka hidup dan mati begitu sahaja?


 

Ayat 36: Baik, kalau mereka tidak boleh hendak cipta diri mereka sendiri, adakah mereka cipta alam ini?

أَم خَلَقُوا السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ ۚ بَل لّا يوقِنونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Or did they create the heavens and the earth? Rather, they are not certain.

(MELAYU)

Ataukah mereka telah menciptakan langit dan bumi itu?; sebenarnya mereka tidak menyakini (apa yang mereka katakan).

 

أَم خَلَقُوا السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ

Ataukah mereka telah menciptakan langit dan bumi itu?;

Atau adakah mereka yang menjadikan langit dan bumi yang hebat itu? Kalau mereka boleh cipta langit dan bumi itu, maka layaklah kalau mereka tidak mahu dengar dan ikut arahan Nabi ﷺ dan juga arahan Allah ﷻ. Silalah buat langit dan bumi yang baru dan tinggal di sana.

 

بَل لّا يوقِنونَ

sebenarnya mereka tidak meyakini

Tentu tidak boleh sama sekali mereka mencipta alam lain. Akan tetapi mereka itu mencari-cari sahaja alasan untuk menolak kebenaran. Ini kerana mereka tidak mahu yakin dengan apa yang disampaikan oleh Allah ﷻ. Kerana kalau mereka terima ada Pencipta, maka mereka kena terima hakikat yang mereka kena ikut kehendak Pencipta itu. Dan hati mereka memang tidak mahu. Hati mereka hendak buat apa sahaja yang mereka hendak lakukan.

Dua ayat ini adalah tempelak yang amat besar kepada Quraish Mekah. Apa hujah mereka untuk menentang Rasulullah ﷺ dan mengatakan baginda membawa ajaran sesat? Baginda hanya suruh mereka menyembah Allah ﷻ sahaja kerana Allah ﷻ lah Pencipta alam ini. Kemudian baginda ajak mereka berbuat baik, jangan zalim. Salahkah baginda mengajak begitu?

Arab Mekah pun sudah terima yang Pencipta alam ini adalah Allah ﷻ (ini dinamakan Tauhid Rububiyah). Jadi kenapa mereka hendak marah sangat? Kalau mereka yang mencipta diri mereka dan alam ini, maka bolehlah mereka hendak tuduh Nabi Muhammad ﷺ bawa ajaran palsu. Tapi mereka sendiri pun sudah terima yang alam ini dijadikan oleh Allah ﷻ.

Dan kalau sudah terima fakta itu, maka teruskanlah dengan menghambakan diri kepada Allah ﷻ sahaja. Kerana Dia yang menjadikan alam ini, bukan? Kenapa hendak sembah selainNya pula? Jadi dua ayat ini juga adalah termasuk dalam Dalil Aqli I’tirafi juga (iktiraf tauhid rububiyah Musyrikin Mekah).


 

Ayat 37: Tempelak untuk mereka lagi. Allah ﷻ tanya lagi: Siapa yang memiliki perbendaharaan alam dan kuasa yang maha luas?

أَم عِندَهُم خَزائِنُ رَبِّكَ أَم هُمُ المُصَيطِرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Or have they the depositories [containing the provision] of your Lord? Or are they the controllers [of them]?

(MELAYU)

Ataukah di sisi mereka ada perbendaharaan Tuhanmu atau merekakah yang berkuasa?

 

أَم عِندَهُم خَزائِنُ رَبِّكَ

Ataukah di sisi mereka ada perbendaharaan Tuhanmu

Musyrikin Mekah ada juga mempersoalkan kenapa Nabi Muhammad ﷺ yang dipilih menjadi Rasul dan bukannya mereka, ataupun orang-orang lain yang mereka rasa lebih hebat lagi dari Nabi Muhammad ﷺ? Ini adalah kerana mereka rasa Nabi Muhammad  ﷺ itu tidak layak kerana baginda miskin, anak yatim dan tidak berpengaruh dalam masyarakat. Ini ada disebut dalam ayat-ayat lain.

Maka Allah ﷻ tanya balik: “adakah mereka yang menguruskan khazanah Allah?” Kalimah ‘khazanah’ dalam ayat ini bermaksud wahyu daripada Allah ﷻ. Adakah mereka rasa Allah ﷻ salah bagi pangkat kenabian kepada Nabi Muhammad ﷺ? Adakah mereka rasa Allah ﷻ tidak patut berikan kepada baginda?

 

أَم هُمُ المُصَيطِرونَ

atau merekakah yang berkuasa?

Kalimah المُصَيطِرونَ dari س ط ر (kalimah س ditukar menjadi ص) yang antara lain bermaksud ‘tulis’, ‘mengurus’ dan ‘menguasai’. Yang mereka sibuk-sibuk mempersoalkan tentang tidak patut Nabi Muhammad ﷺ menerima wahyu itu adakah mereka yang ditugaskan untuk membahagi-bahagikan khazanah Allah ﷻ itu? Adakah mereka lagi pandai dalam memilih orang yang lebih layak?

Ada juga orang yang mempersoalkan kenapa kalau Allah ﷻ hendak beritahu sesuatu benda penting, Allah ﷻ tidak bercakap terus dengan dia? Kenapa hendak pakai perantaraan seorang Nabi ﷺ pula?

Maka kita kena beritahu yang kedudukan Allah ﷻ itu amat tinggi dan manusia itu amat rendah dan tidak layak untuk Allah ﷻ berkata-kata dengan mereka secara terus. Mereka sangka mereka siapa? Allah ﷻ tidak berkomunikasi dengan manusia biasa melainkan melalui orang terpilih yang Allah ﷻ sendiri pilih. Maka tidak layak untuk kita mendesak Allah ﷻ untuk memberi apa yang tidak patut kita mendapatnya.


 

Ayat 38: Mereka ada cara lainkah untuk dapatkan maklumat agama? Siapa yang tahu rahsia di langit?

أَم لَهُم سُلَّمٌ يَستَمِعونَ فيهِ ۖ فَليَأتِ مُستَمِعُهُم بِسُلطٰنٍ مُّبينٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Or have they a stairway [into the heaven] upon which they listen? Then let their listener produce a clear authority [i.e., proof].

(MELAYU)

Ataukah mereka mempunyai tangga (ke langit) untuk mendengarkan padanya (hal-hal yang ghaib)? Maka hendaklah orang yang mendengarkan di antara mereka mendatangkan suatu keterangan yang nyata.

 

أَم لَهُم سُلَّمٌ يَستَمِعونَ فيهِ

Ataukah mereka mempunyai tangga (ke langit) untuk mendengarkan padanya

Atau, Allah ﷻ tanya mereka lagi: adakah mereka ada tangga yang boleh bawa mereka sendiri ke langit untuk mendapatkan wahyu yang lain dari Al-Qur’an itu?

Kalau mereka tidak mahu menerima apa yang disampaikan oleh Nabi Muhammad ﷺ itu, adakah mereka cara lain lagi untuk mendapat maklumat dari langit? Mereka ada tangga yang tinggi yang membolehkan mereka naik ke langit kah? Kalau ada, panjatlah tangga itu!

 

فَليَأتِ مُستَمِعُهُم بِسُلطٰنٍ مُّبينٍ

Maka hendaklah orang yang mendengarkan di antara mereka mendatangkan suatu keterangan yang nyata.

Kalau ada yang boleh naik ke langit untuk mendengar sendiri maklumat langit, maka bawalah mari hujah yang sangat jelas. Biar seorang pergi dulu dan kemudian orang yang mendengar sendiri wahyu itu boleh memberitahu ajaran yang lain pula kepada manusia. Biar dia pula jadi Nabi, tidak perlu pakai ajaran dari Nabi Muhammad ﷺ.

Adakah mereka tangga itu? Tunjuk dululah tangga itu.


 

Ayat 39: Mereka sebenarnya sudah ada fahaman akidah yang salah dan Allah ﷻ tempelak fahaman salah mereka itu. Adakah mereka hendak kata Allah ﷻ punya anak?

أَم لَهُ البَنٰتُ وَلَكُمُ البَنونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Or has He daughters while you have sons?

(MELAYU)

Ataukah untuk Allah anak-anak perempuan dan untuk kamu anak-anak laki-laki?

 

Mereka sudahlah tidak ada kitab, tidak ada ajaran wahyu, tetapi mereka hendak mereka-reka fahaman tentang Allah ﷻ. Mereka kata para malaikat itu adalah ‘anak-anak perempuan’ Allah ﷻ.

Dalam ayat sebelum ini telah disebut yang mereka tidak ada cara untuk mendapatkan maklumat dari langit, iaitu dari Allah ﷻ; maka macam mana mereka tahu yang para malaikat itu ‘anak-anak’ Allah ﷻ?

Bukan sahaja mereka kata malaikat itu ‘anak Allah’, mereka kata para malaikat itu ‘anak perempuan’ pula. Mana mereka dapat maklumat yang begini punya spesifik? Kalau tidak ada bukti, maka tidak syak lagi, itu adalah rekaan mereka sahaja. Mereka pandai-pandai sahaja kata begitu tanpa hujah atau dalil bukti.

Dan mereka sangka kalau para malaikat itu anak-anak Allah ﷻ, maka tentu anak-anak itu boleh jadi perantara tolong bawa doa mereka kepada Allah ﷻ. Maka mereka puja para malaikat dan menjadikan para malaikat sebagai perantara mereka dan Allah ﷻ.

Allah ﷻ tempelak fahaman sesat ini: adakah patut mereka memberikan anak-anak perempuan untuk Allah ﷻ sedangkan mereka pula ambil anak-anak lelaki? Kerana mereka sendiri tidak suka anak-anak perempuan. Kerana pada mereka anak perempuan memalukan dan tidak berguna kepada mereka. Maka kalau mereka dapat anak perempuan, mereka akan malu. Sampaikan ada yang bunuh anak perempuan mereka sebaik sahaja lahir.

Memang ada puak dari kabilah Arab itu yang bawa isteri mereka yang mengandung ke padang pasir dan mereka siap-siap gali lubang. Kalau yang keluar dari isterinya itu anak perempuan, maka terus sahaja anak itu diletakkan di dalam lubang itu dan dikambus. Amat teruk sekali perangai mereka. Tidaklah semua kaum Arab itu buat begitu. Tetapi secara umum, mereka sendiri tidak suka kepada anak perempuan.

Maka, Allah ﷻ tanya balik: adakah patut kamu tidak suka kepada anak perempuan yang lemah, tetapi Allah ﷻ yang hebat itu kamu bagi anak perempuan? Nampak tak karutnya fahaman itu?


 

Ayat 40: Apa lagi alasan mereka untuk tolak ajaran dari Rasulullah ﷺ itu? Allah ﷻ tanya: Adakah Rasul meminta upah hingga kaumnya dibebani hutang?

أَم تَسأَلُهُم أَجرًا فَهُم مِّن مَّغرَمٍ مُّثقَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Or do you, [O Muḥammad], ask of them a payment, so they are by debt burdened down?

(MELAYU)

Ataukah kamu meminta upah kepada mereka sehingga mereka dibebani dengan hutang?

 

أَم تَسأَلُهُم أَجرًا

Ataukah kamu meminta upah kepada mereka

Sekarang Nabi Muhammad ﷺ ditanya pula (sebagai tempelak kepada Musyrikin Mekah itu): adakah baginda minta apa-apa upah kepada mereka dalam menyampaikan ajaran Islam ini? Ada tak baginda kata: “kalau nak belajar dengan baginda, maka kena bayar yuran”?

 

فَهُم مِّن مَّغرَمٍ مُّثقَلونَ

sehingga mereka dibebani dengan hutang?

Kalau betul baginda ada minta upah, maka mereka tentu sudah banyak hutang dengan baginda kerana tak pernah bayar lagi. Dan adakah kerana hutang dengan baginda itu menyebabkan mereka tidak dapat membayar kepada baginda dan kerana itu mereka terpaksa menolak untuk menerima ajaran baginda?

Kerana kalau betul Nabi Muhammad ﷺ ada minta upah, mereka boleh beri alasan: “kami tak mampu nak bayar kepada Muhammad ni, jadi kami tak mahu terimalah apa yang dia bawa.”

Atau, mereka malu nak berjumpa dengan baginda kerana telah ada banyak hutang!

Namun semua tahu yang Nabi ﷺ tidak pernah minta upah kepada mereka dalam beri ajaran. Dan kerana itu juga, kita yang tahu agama tidak boleh minta upah atau yuran dari manusia yang hendak belajar agama. Kerana kalau minta upah, itu sudah menjadi satu alasan bagi manusia untuk menolak belajar agama. Kerana mereka boleh kata: “kami tidak dapat belajar agama kerana kami miskin dan tidak mampu nak bayar yuran.”

Allah ﷻ tidak terima alasan ini dan kerana itulah ajaran agama ini hendaklah diberikan secara percuma. Allah ﷻ janjikan balasan yang lebih besar kepada manusia yang mengajar agama dan kepada mereka yang berdakwah, sampai tidak perlu hendak dapatkan upah yang sedikit dari manusia.

Maka agama ini bukanlah untuk diperdagangkan, bukan untuk menjadi sumber pendapatan atau kekayaan oleh pengamalnya dan pengajarnya. Maka jangan jadikan agama sebagai penyebab kekayaan. Jangan jadikan ilmu agama sebagai punca rezeki.

Malangnya, ramai yang ‘jual’ agama. Maka kita boleh lihat bagaimana banyak pemuka agama-agama dalam dunia ini jadi kaya raya kerana mereka menggunakan agama sebagai sumber pendapatan. Dalam Islam tidak ada begitu.

Jadi, kita hairan kenapa guru-guru tarekat sufi dalam dunia ini boleh jadi kaya raya pula dengan ajaran mereka. Sudah tentu ada yang tidak kena kalau begitu. Lihatlah bagaimana mewahnya guru-guru tarekat dan bagaimana anak-anak murid mereka membiayai kekayaan guru-guru mereka itu? Sudahlah ajaran salah diberikan, ambil duit dari anak murid pula. Anak murid pun bodoh – sudahlah tidak periksa ajaran yang disampaikan, sanggup pula bayar upah mahal-mahal kepada tuan guru? Memang layak mereka ditipu dan diambil wang mereka!

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 26 Mac 2020


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir