Tafsir Surah Hadid Ayat 8 – 11 (Qardhun Hasan)

Hadid Ayat 8: Ayat ini adalah tahkik (penekanan) kepada makna ayat 7 sebelum ini.

وَما لَكُم لا تُؤمِنونَ بِاللهِ ۙ وَالرَّسولُ يَدعوكُم لِتُؤمِنوا بِرَبِّكُم وَقَد أَخَذَ ميثٰقَكُم إِن كُنتُم مُّؤمِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And why do you not believe in Allāh while the Messenger invites you to believe in your Lord and He has taken your covenant, if you should [truly] be believers?

(MELAYU)

Dan mengapa kamu tidak beriman kepada Allah padahal Rasul menyeru kamu supaya kamu beriman kepada Tuhanmu. Dan sesungguhnya Dia telah mengambil perjanjianmu jika kamu adalah orang-orang yang beriman.

 

وَما لَكُم لا تُؤمِنونَ بِاللهِ

Dan mengapa kamu tidak beriman kepada Allah

Allah ﷻ beri teguran kepada manusia di dalam ayat ini: kenapa dengan kamu?!

Ini amat menakutkan kerana ayat ini ditujukan kepada orang-orang Islam. Allah ﷻ memberi teguran yang agak keras dalam ayat ini. Maka kalau hati kita lembut, tentu kita akan tersentuh dengan teguran Allah ﷻ dalam ayat ini.

Allah ﷻ tegur: “Kenapa kamu masih tidak beriman dan percaya dengan janji-janji Allah, terutama tentang infak?”

Mungkin kita sangka kita sudah beriman kerana kita mengaku kita seorang Muslim dan kita sangka kita sudah beriman tetapi adakah Allah ﷻ terima iman kita? Inilah persoalannya.

Mungkin pada satu peringkat kita semua sudah beriman dengan Allah ﷻ, iaitu kita percaya yang Allah ﷻ itu Tuhan kita yang menjadikan kita dan juga alam ini. Akan tetapi pada satu peringkat yang lain, kita juga kena percaya dengan apa yang Allah ﷻ janjikan kepada kita.

Berbagai-bagai perkara yang Allah ﷻ suruh kita lakukan dan Allah ﷻ berjanji akan memberi balasan yang baik kepada kita atas pengorbanan kita itu. Akan tetapi kita kena tanya diri kita semula sama ada kita percaya janji Allah ﷻ ini atau tidak? Allah ﷻ janji akan balas infak kita, namun bila kita tidak infak, bermakna kita seolah-olah tidak percaya dengan janji Allah ﷻ itu, bukan?

 

وَالرَّسولُ يَدعوكُم لِتُؤمِنوا بِرَبِّكُم

padahal Rasul menyeru kamu supaya kamu beriman kepada Tuhanmu.

Kenapa kamu tidak mahu beriman penuh dengan Allah ﷻ, sedangkan Rasulullah ﷺ sudah mengajak kamu untuk beriman dengan sepenuhnya. Adakah kamu tidak percaya dengan janji Rasulullah ﷺ?

Teguran ini lebih teruk kepada para sahabat yang berada bersama Nabi ﷺ kerana mereka duduk dalam kalangan Nabi ﷺ. Mereka mendapat terus suruhan dan ajakan daripada baginda.

Maka kita yang tidak dapat bersama dengan Rasulullah ﷺ ini mendapat kedudukan yang berlainan daripada mereka seperti yang disebut dalam permulaan Syarah Kitabul Iman daripada kitab Sahih Bukhari, bahawa pada suatu hari Rasulullah ﷺ telah bersabda kepada para sahabatnya:

“أيُّ الْمُؤْمِنِينَ أَعْجَبُ إِلَيْكُمْ إِيمَانًا؟ ” قَالُوا: الْمَلَائِكَةُ. قَالَ: “وَمَا لَهُمْ لَا يُؤْمِنُونَ وَهُمْ عِنْدَ رَبِّهِمْ؟ ” قَالُوا: فَالْأَنْبِيَاءُ. قَالَ: “وَمَا لَهُمْ لَا يُؤْمِنُونَ وَالْوَحْيُ يَنْزِلُ عَلَيْهِمْ؟ “. قَالُوا: فَنَحْنُ؟ قَالَ: “وَمَا لَكَمَ لَا تُؤْمِنُونَ وَأَنَا بَيْنَ أَظْهُرِكُمْ؟ وَلَكِنْ أَعْجَبُ الْمُؤْمِنِينَ إِيمَانًا قَوْمٌ يجيؤون بَعْدِكُمْ يَجِدُونَ صُحُفًا يُؤْمِنُونَ بِمَا فِيهَا”
“Orang mukmin manakah yang imannya paling kalian kagumi?” Mereka menjawab, “Para malaikat.” Nabi ﷺ bersabda, “Dan mengapa mereka tidak beriman, sedangkan mereka berada di sisi Tuhan mereka.” Mereka berkata, “Kalau begitu, para nabi.” Nabi ﷺ menjawab, “Mengapa mereka tidak beriman, sedangkan wahyu diturunkan kepada mereka?” Mereka berkata, “Kalau begitu, kami.” Nabi ﷺ bersabda, “Mengapa kamu tidak beriman, sedangkan aku berada di antara kalian? Tetapi orang mukmin yang paling menakjubkan keimanannya ialah suatu kaum yang datang sesudah kalian; mereka hanya menjumpai lembaran-lembaran (mushaf), lalu mereka beriman dengan semua yang terkandung di dalamnya.”

 

وَقَد أَخَذَ ميثٰقَكُم

Dan sesungguhnya Dia telah mengambil perjanjianmu

Ini adalah tentang Janji Setia setelah masuk Islam. Iaitu berjanji untuk ikut ajaran Islam. Ini adalah baiah Nabi ﷺ dengan para sahabat. Janji untuk taat setia dengan Islam sampai bila-bila.

Ini telah pernah dilakukan tetapi sekarang menjadi asing bagi kita. Padahal zaman Nabi ﷺ biasa sahaja dilakukan baiah yang sebegitu. Sepatutnya ia masih ada dalam Islam kerana baiah yang sebegini akan memberi kekuatan untuk menegakkan agama Islam.

Memang Rasulullah ﷺ yang mengajar kamu tentang janji setia itu, tetapi adakah ini perkara yang baru? Bukankah kamu sudah pun berjanji di dalam Syahadah kamu untuk hanya beriman kepada Allah ﷻ dan hanya mengikut ajaran Nabi Muhammad ﷺ. Itu pun sudah janji setia juga dan kita semua umat Islam telah menzahirkan janji setia itu sama ada kita sedar ataupun tidak. Yang tidak sedar itu adalah kerana jahil agama sahaja.

Ulama’ ada juga mengatakan yang perjanjian yang dimaksudkan adalah perjanjian semua Muslim apabila mereka masuk ke dalam Islam seperti yang disebut dalam Maidah: 7

وَاذْكُرُوا نِعْمَةَ اللهِ عَلَيْكُمْ وَمِيثٰقَهُ الَّذِي وَاثَقَكُم بِهِ إِذْ قُلْتُمْ سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا وَاتَّقُوا اللَهَ إِنَّ اللهَ عَلِيمٌ بِذَاتِ الصُّدُورِ

Dan ingatlah nikmat Allah kepadamu dan perjanjian-Nya yang telah diikat-Nya dengan kamu, ketika kamu mengatakan: “Kami dengar dan kami taati”. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengetahui isi hati(mu).

 

Namun begitu Ibnu Jarir رحمه الله mempunyai pendapat bahawa makna yang dimaksudkan dengan perjanjian ini adalah yang diambil daripada mereka saat mereka masih berada di dalam sulbi Adam; dan ini juga menurut pendapat Mujahid, hanya Allah ﷻlah Yang Maha Mengetahui. Ayat ini disebut dalam A’raf: 172

وَإِذ أَخَذَ رَبُّكَ مِن بَني آدَمَ مِن ظُهورِهِم ذُرِّيَّتَهُم وَأَشهَدَهُم عَلىٰ أَنفُسِهِم أَلَستُ بِرَبِّكُم ۖ قالوا بَلىٰ ۛ شَهِدنا ۛ أَن تَقولوا يَومَ القِيامَةِ إِنّا كُنّا عَن هٰذا غافِلينَ

Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) daripada (tulang) belakang mereka, dan Dia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Dia bertanya dengan firman-Nya): “Bukankah Aku tuhan kamu?” Mereka semua menjawab: “Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi”. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: “Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini”.

إِن كُنتُم مُّؤمِنينَ

jika kamu adalah orang-orang yang beriman.

Ada muqaddar dalam ayat ini: Maka infaklah harta dan masa kita sekiranya kita orang yang benar-benar beriman. Kalau rasa kamu sudah beriman, maka buatlah apa yang disuruh dalam surah ini.


 

Hadid Ayat 9: Ayat targhib (ajakan) kepada infak. Allah ﷻ hendakkan kebaikan bagi hamba dengan memberi agama kepada kita. Bukanlah Allah ﷻ hendak menyusahkan kita tetapi sebenarnya Allah ﷻ hendak kita menjadi baik.

Untuk kita senang infak, ia mestilah ada keinginan. Namun keinginan inilah yang menjadi ujian besar. Ini kerana Allah ﷻ tidak memaksa kita dan Allah ﷻ telah memberikan manusia kebebasan untuk memilih sama ada mahu memilih jalan syurga atau tidak. Mereka yang pilih selamat adalah mereka yang berjaya.

هُوَ الَّذي يُنَزِّلُ عَلىٰ عَبدِهِ ءآيٰتٍ بَيِّنٰتٍ لِيُخرِجَكُم مِّنَ الظُّلُمٰتِ إِلَى النّورِ ۚ وَإِنَّ اللهَ بِكُم لَرَءوفٌ رَّحيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

It is He who sends down upon His Servant [Muḥammad (ṣ)] verses of clear evidence that He may bring you out from darknesses into the light. And indeed, Allāh is to you Kind and Merciful.

(MELAYU)

Dialah yang menurunkan kepada hamba-Nya ayat-ayat yang terang (Al-Qur’an) supaya Dia mengeluarkan kamu dari kegelapan kepada cahaya. Dan sesungguhnya Allah benar-benar Maha Penyantun lagi Maha Penyayang terhadapmu.

 

هُوَ الَّذي يُنَزِّلُ عَلىٰ عَبدِهِ ءآيٰتٍ بَيِّنٰتٍ

Dialah yang menurunkan kepada hamba-Nya ayat-ayat yang terang

Telah disebut bahawa iman umat Islam sudah lemah sebelum ini. Lalu jikalau iman sudah lemah, maka bagaimanakah cara untuk boleh mendapatkan iman itu kembali? Allah ﷻ beritahu di dalam ayat ini bahawa untuk mendapatkan kembali iman adalah dengan kita membaca dan memahami Al-Qur’an dan mengamalkannya.

Maka kenalah ikut wahyu yang jelas nyata itu. Allah ﷻ yang turunkan kepada hamba-Nya untuk menjadi panduan bagi hamba. Ayat-ayatnya tidak tersembunyi dan mudah didapati dan senang difahami. Senang sahaja untuk mencari dan membaca Al-Qur’an kerana semua rumah sudah ada mushaf Al-Qur’an, bukan? Sekarang hanya perlu mencari guru tafsir sahaja.

Dan sebenarnya untuk memahami Al-Qur’an ini adalah mudah sahaja setelah dipelajari. Memanglah kalau baca sendiri susah untuk faham (atau tidak boleh faham langsung). Namun kalau sanggup meluangkan masa untuk belajar tafsir, ia memang boleh difahami. Kerana kalau kena kaedahnya, ia senang difahami. Kerana itulah kita mengajak semua belajar tafsir Al-Qur’an.

 

لِيُخرِجَكُم مِّنَ الظُّلُمٰتِ إِلَى النّورِ

supaya Dia mengeluarkan kamu daripada kegelapan kepada cahaya. 

Apakah tujuan Allah ﷻ memberi wahyu Al-Qur’an itu? Dengan Al-Qur’an itu dapat mengeluarkan pembacanya (dan pengamalnya) daripada kegelapan kepada cahaya. Sebagaimana kita memerlukan cahaya untuk melihat jalan di dalam dunia, maka jalan ke akhirat memerlukan cahaya dan cahaya itu ada dalam Al-Qur’an. Asalkan kita baca dengan faham dan kemudian mengamalkannya.

Allah ﷻ menggunakan kalimah ‘gelap’ sebagai nisbah kepada semua perkara yang buruk. Ada banyak perkara buruk dalam dunia ini tidak terkira. Ia merangkumi juga kejahilan agama dan terutama sekali kejahilan tentang syirik. Keburukan itu sangat banyak sampai sukar untuk dijelaskan satu persatu, kita pun tidak tahu di mana nak mula.

Namun cahaya ada satu sahaja, iaitu wahyu. Dengannya dapat kita dapat keluar daripada segala kegelapan itu tidak kira berapa banyaknya. Banyak masalah tetapi ubatnya satu sahaja. Dengan mempelajari wahyu Al-Qur’an akan dapat membawa insan kepada ilmu. Dan dengan ilmu itu dapat mengeluarkan daripada keburukan dan membawa kepada kebaikan.

Ayat ini juga amat menakutkan kerana mereka yang berada di dalam kegelapan itu telah disebut di dalam surah Al-Baqarah sebagai orang-orang kafir. Namun sekarang ayat ini ditujukan kepada orang-orang Islam pula. Maka kegelapan iman yang dimaksudkan itu adalah orang munafik yang juga orang Islam tetapi sebenarnya lemah imannya.

 

وَإِنَّ اللهَ بِكُم لَرَءوفٌ رَّحيمٌ

Dan sesungguhnya Allah benar-benar Maha Penyantun lagi Maha Penyayang terhadapmu.

Kalimah لَرَءوفٌ itu bermaksud Allah ﷻ sayang dan tidak mahu manusia dalam bahaya. Allah ﷻ memberitahu yang Dia prihatin terhadap hamba-Nya. Allah ﷻ sedar apa yang kita lalui dan mahu ajar cara bagaimana untuk keluar daripada bahaya itu.

Allah ﷻ mahu menyelamatkan hamba-Nya kerana Allah ﷻ juga bersifat رَحيمٌ iaitu Allah ﷻ amat sayang kepada Hamba-Nya. Allah ﷻ menurunkan wahyu dan para Nabi yang mengajar wahyu itu kerana Allah ﷻ mahu menyelamatkan hamba-Nya.

Cara Allah ﷻ menunjukkan prihatin itu adalah dengan memberikan Al-Qur’an kepada kita untuk menaikkan kembali iman kita. Jikalau ada orang yang berasa imannya lemah, maka kita boleh tahu bahawa itu adalah kerana hubungan mereka dengan Al-Qur’an juga adalah lemah.

Malangnya kebanyakan umat Islam sekarang amat jauh daripada Al-Qur’an. Mereka tidak menghiraukan sangat untuk memahami Al-Qur’an. Kebanyakan mereka yang baik pun, mereka cuma membaca sahaja Al-Qur’an itu tanpa memahami apa yang mereka baca. Kalau mereka tidak faham, bagaimana mereka hendak amalkan agama kerana ambilan agama ini daripada Al-Qur’an?

Habis Ruku 1 daripada 4 ruku’ dalam surah ini.


Ayat 10: Ayat ini adalah sebab infak yang kedua. Infak dapat membezakan antara munafik dan mukmin sebenar. Ini dapat dilakukan apabila ada jihad. Maka ayat 10 – 11 mengandungi seruan untuk sertai jihad.

وَما لَكُم أَلّا تُنفِقوا في سَبيلِ اللهِ وَِلِلهِ ميرٰثُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ ۚ لا يَستَوي مِّنكُم مَّن أَنفَقَ مِن قَبلِ الفَتحِ وَقٰتَلَ ۚ أُولٰئِكَ أَعظَمُ دَرَجَةً مِّنَ الَّذينَ أَنفَقوا مِن بَعدُ وَقٰتَلوا ۚ وَكُلًّا وَعَدَ اللهُ الحُسنىٰ ۚ وَاللهُ بِما تَعمَلونَ خَبيرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And why do you not spend in the cause of Allāh while to Allāh belongs the heritage of the heavens and the earth? Not equal among you are those who spent before the conquest [of Makkah] and fought [and those who did so after it]. Those are greater in degree than they who spent afterwards and fought. But to all Allāh has promised the best [reward]. And Allāh, with what you do, is Acquainted.

(MELAYU)

Dan mengapa kamu tidak menafkahkan (sebahagian hartamu) pada jalan Allah, padahal Allah-lah yang mempusakai (mempunyai) langit dan bumi? Tidak sama di antara kamu orang yang menafkahkan (hartanya) dan berperang sebelum penaklukan (Mekah). Mereka lebih tingi darjatnya daripada orang-orang yang menafkahkan (hartanya) dan berperang sesudah itu. Allah menjanjikan kepada masing-masing mereka (balasan) yang lebih baik. Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.

 

وَما لَكُم أَلّا تُنفِقوا في سَبيلِ اللهِ

Dan mengapa kamu tidak menafkahkan pada jalan Allah, 

Allah ﷻ tegur lagi umat Islam dalam ayat ini. Allah ﷻ mempersoalkan kenapa mereka tidak infak di jalan Allah ﷻ. Infak yang dimaksudkan adalah ‘infak di jalan Allah ﷻ’. Kerana maksud ‘infak’ adalah ‘keluarkan harta’ sahaja dari segi bahasa. Kalau keluarkan duit untuk beli barang di pasar pun sebenarnya adalah infak juga.

Maka Allah ﷻ menjelaskan dalam ayat ini yang infak yang dimaksudkan adalah ‘infak di jalan Allah ﷻ’. Maksudnya untuk menegakkan agama Allah ﷻ.

 

وَِلِلهِ ميرٰثُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ

padahal Allah-lah yang mempusakai (mempunyai) langit dan bumi?

Apabila Allah ﷻ sebut tentang mempusakai langit dan bumi, itu bermaksud bahawa tidak ada sesiapa lagi di atas dunia yang akan mempusakai alam ini. Kerana akhirnya nanti tidak ada makhluk yang akan hidup apabila Kiamat berlaku.

Maksudnya Allah ﷻ hendak memberitahu bahawa alam ini akan hancur dan yang akan mempusakainya adalah Allah ﷻ sahaja kerana tidak ada sesiapa lagi yang masih hidup pada waktu itu.

Maka kenapa kedekut sangat mahu simpan sangat harta itu kerana apa yang kamu ada itu akan kamu tinggalkan sahaja. Sedangkan harta itu milik kita untuk sementara sahaja. Maka gunakan infak di jalan Allah ﷻ untuk menjadikan harta itu sebagai milik sempurna kita. Kalau tidak, akhirnya Allah ﷻ sahaja yang ambil. Peluang akan habis kalau kita tidak gunakan semasa harta itu di tangan kita.

Oleh itu, sebab yang kedua kita kena infak adalah untuk menjadikan harta itu ‘milik kekal’ kita. Sebab jikalau kita tidak infak, maka harta itu jadi milik kita sementara sahaja dan akhirnya akan dimiliki oleh Allah ﷻ. Maka untuk menjadikan harta itu milik kekal kita maka hendaklah kita infak semasa kita masih hidup lagi.

Maka Allah ﷻ suruh kita fikirkan: “Apakah yang kamu lakukan untuk agama?” Kenapa nak fikirkan tentang kehidupan dunia sahaja? Jangan jadikan dunia sebagai satu-satunya sahaja tujuan hidup kita. Kerana kita tidak tinggal tetap di dunia ini. Lambat laun kita pasti akan mati dan kerana itu kita kena bersedia untuk mati. Salah satu persediaan adalah dengan infak sebanyak mungkin.

Dalam ayat ini juga sebenarnya Allah ﷻ hendak memberitahu bahawa kiamat itu sebenarnya sudah dekat. Kita sahaja yang sangka ia macam jauh sahaja namun tanda-tandanya sudah banyak, bukan?

Pertamanya, Nabi Muhammad ﷺ sudah lahir, dan kalam wahyu yang terakhir dalam bentuk Al-Qur’an sudah turun; maka peristiwa besar yang akan berlaku selepas ini hanyalah kiamat sahaja, tidak ada wahyu lain dan Nabi lain.

Maka apakah yang kamu tunggu lagi dengan tidak infak? Adakah kamu sangka masa kamu lama lagikah? Kalau pun Kiamat Besar itu lambat lagi, Kiamat Kecil (iaitu mati) bagi kamu tidak lama lagi. Entah esok lusa kamu boleh mati. Peluang kamu hidup yang entah berapa lama sahaja ini perlu digunakan sepenuhnya.

 

لا يَستَوي مِّنكُم مَّن أَنفَقَ مِن قَبلِ الفَتحِ وَقٰتَلَ

Tidak sama di antara kamu orang yang menafkahkan (hartanya) dan berperang sebelum penaklukan (Mekah).

Infak ada dua jenis: ada yang dapat pahala besar dan dapat pahala biasa. Infak semasa tiada harta dan semasa ada banyak harta, tidak sama. Allah ﷺ lihat kepada kualiti. Allah ﷺ lihat kepada tahap pengorbanan kita pada waktu infak itu.

Kalimah الفَتحِ (pembukaan atau kemenangan) itu boleh merujuk kepada Pembukaan Mekah atau Perjanjian Hudaibiyah. Ulama’ khilaf tentang perkara ini. Jumhur mengatakan ia merujuk kepada Pembukaan Mekah; tetapi ada dalil yang kuat mengatakan ia berkenaan Perjanjian Hudaibiyah seperti hadith ini yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad رحمه الله  iaitu:

حَدَّثَنَا أَحْمَدُ بْنُ عَبْدِ الْمَلِكِ، حَدَّثَنَا زُهَير، حَدَّثَنَا حُمَيد الطَّوِيلُ، عَنْ أَنَسٍ قَالَ: كَانَ بَيْنَ خَالِدِ بْنِ الْوَلِيدِ وَبَيْنَ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ عَوْفٍ كَلَامٌ، فَقَالَ خَالِدٌ لِعَبْدِ الرَّحْمَنِ: تَسْتَطِيلُونَ عَلَيْنَا بِأَيَّامٍ سَبَقْتُمُونَا بِهَا؟ فَبَلَغَنَا أَنَّ ذَلِكَ ذُكر لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: ” دَعُوا لِي أَصْحَابِي فَوَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، لَوْ أَنْفَقْتُمْ مِثْلَ أُحُدٍ-أَوْ مِثْلَ الْجِبَالِ-ذَهَبًا، مَا بَلَغْتُمْ أَعْمَالَهُمْ”

Telah menceritakan kepada kami Ahmad ibnu Abdul Malik, telah menceritakan kepada kami Zuhair, telah menceritakan kepada kami Humaid At-Tawil, dari Anas yang mengatakan bahawa pernah terjadi perdebatan antara Khalid ibnul Walid dan Abdur Rahman ibnu Auf. Khalid berkata kepada Abdur Rahman, “Kamu mempunyai pengaruh atas kami berkat hari-hari yang kamu lebih mendahuluinya daripada kami.” Kemudian hal tersebut diceritakan kepada Nabi ﷺ. Maka baginda ﷺ bersabda: Biarkanlah aku dan sahabat-sahabatku, demi Tuhan yang jiwaku berada di dalam genggaman-Nya, seandainya kamu berinfak sebanyak seperti Bukit Uhud atau seperti gunung berupa emas, maka kamu tetap masih belum dapat mencapai amal perbuatan mereka (para sahabatku yang terdahulu masuk Islamnya).

HR. Ahmad no. 13812, Ibnu Asakir dalam Tarikh Dimasyq 35/270, sanadnya sahih menurut Syeikh al-Arnauth

 

Syarah: Dan telah dimaklumi bahawa masuk Islamnya Khalid رضي الله عنه yang menjadi lawan bicara hadith ini adalah di masa antara Perjanjian Hudaibiyah dan sebelum penaklukan kota Mekah. Maka tentu yang dia maksudkan adalah Perjanjian Hudaibiyah.

Allah ﷻ memberitahu bahawa tidak sama mereka yang berjuang sebelum Islam sudah menang. Ini merujuk kepada infak para sahabat yang awal kerana mereka hidup dan berjuang semasa di sekeliling mereka kekufuran bermaharajalela. Mereka menjaga iman mereka sewaktu keadaan amat susah untuk mengaku seorang Muslim. Ketika itu ramai yang menentang mereka dan perkara-perkara maksiat berleluasa dan senang untuk mereka dapat lakukan maksiat. Maka perjuangan mereka amat berat.

Infak mereka waktu itu amat berharga kerana waktu itu mereka miskin sangat. Mereka pun susah untuk makan, tetapi mereka keluarkan juga infak untuk menegakkan agama.

 

أُولٰئِكَ أَعظَمُ دَرَجَةً مِّنَ الَّذينَ أَنفَقوا مِن بَعدُ وَقٰتَلوا

Mereka lebih tinggi darjatnya daripada orang-orang yang menafkahkan (hartanya) dan berperang sesudah itu.

Tidak sama kedudukan mereka berbanding dengan orang yang infak dan berjuang selepas Islam telah kuat. Waktu itu sudah ramai orang beriman dan kekuatan Islam sudah ada. Tempat maksiat pun tidak ada dan dugaan untuk melakukan maksiat sudah kurang. Dan kerana itu lebih mudah untuk mereka menjaga iman.

Tidak sama infak dan jihad sebelum kejayaan Islam dan selepas kejayaan Islam. Kalau kita bandingkan dalam keadaan kita pada zaman sekarang, mereka yang mengeluarkan harta dan berdakwah semasa dalam keadaan susah dan semasa pergerakan Sunnah ini masih lemah, maka mereka itu akan mendapat kedudukan yang lebih tinggi daripada orang lain.

Ini kerana dakwah semasa pergerakan Sunnah masih lemah, mendapat tentangan yang amat teruk sekali. Dugaan amat tinggi dan ini adalah dugaan yang amat berat. Maka Allah ﷻ balas dugaan dan ketabahan itu dengan pahala yang amat banyak.

Infak itu bukan hanya tertakluk kepada harta dan wang sahaja. Ada banyak perkara yang kita boleh keluarkan untuk menegakkan agama seperti masa, tenaga dan juga idea kita. Maka kita akan ditanya apakah yang kita lakukan dengan masa lapang kita dan bagaimana kita menghabiskan masa muda sebelum datangnya masa tua. Maka jangan rugikan masa kita yang lapang ini. Jalankan dakwah dengan cara kita.

 

وَكُلًّا وَعَدَ اللهُ الحُسنىٰ

Allah menjanjikan kepada masing-masing mereka (balasan) yang lebih baik.

Walaupun pahala itu tidak sama jika infak diberi dahulu dan sekarang, tetapi masing-masing akan mendapat balasan baik iaitu syurga juga di atas infak mereka itu. Pahala infak tetap akan dapat, tetapi tidaklah sama tingkatan di syurga nanti. Kerana tingkatan syurga itu banyak.

Allah ﷻ tetap akan beri balasan kepada infak fi sabilillah yang dilakukan oleh sesiapa sahaja. Cuma bezanya adalah balasan itu berganda banyak atau sedikit. Namun tetap Allah ﷻ akan balas seperti yang Allah ﷻ sebut dalam Saba: 39

وَما أَنفَقتُم مِّن شَيءٍ فَهُوَ يُخلِفُهُ ۖ وَهُوَ خَيرُ الرّٰزِقينَ

Dan barang apa saja yang kamu nafkahkan, maka Allah akan menggantinya dan Dialah Pemberi rezeki yang sebaik-baiknya.

وَاللهُ بِما تَعمَلونَ خَبيرٌ

Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.

Segala apa yang diinfakkan oleh kita diketahui oleh Allah ﷻ. Sama ada kecil atau besar, Allah ﷻ tahu. Dan yang penting, Allah ﷻ akan balas segala infak itu.

Yang penting adalah ikhlas. Allah ﷻ tahu sama ada perbuatan baik yang kita lakukan itu ikhlas ataupun tidak.


 

Hadid Ayat 11: Ini adalah sebab infak yang ketiga. Infak ini dari segi hakikatnya bukan beri terus tetapi akan mendapat balasan daripada Allah ﷻ. Ia adalah seumpama kita beri pinjam kepada Allah ﷻ dan Allah ﷻ simpan. Bila Allah ﷻ simpan, itu maksudnya Allah ﷻ akan memulangkan semula berlipat kali ganda.

Allah ﷻ beri perumpamaan pinjam, kerana manusia susah untuk beri terus, tetapi kalau bagi pinjam sahaja, masih ok lagi.

مَّن ذَا الَّذي يُقرِضُ اللهَ قَرضًا حَسَنًا فَيُضٰعِفَهُ لَهُ وَلَهُ أَجرٌ كَريمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Who is it that would loan Allāh a goodly loan so He will multiply it for him and he will have a noble reward?

(MELAYU)

Siapakah yang mahu meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, maka Allah akan melipat-gandakan (balasan) pinjaman itu untuknya, dan dia akan memperoleh pahala yang banyak.

 

مَّن ذَا الَّذي يُقرِضُ اللهَ قَرضًا حَسَنًا

Siapakah yang mahu meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, 

Kalimah قَرضًا berasal daripada katadasar ق ر ض yang bermaksud potong. Kalimah قَرضًا pula adalah beri pinjaman kerana orang yang beri pinjam itu sebenarnya memotong sebahagian daripada harta dia untuk diberikan kepada orang lain. Manakala kalimat قَرضًا حَسَنًا pula bermaksud ‘pinjaman yang baik’.

Ini adalah pertanyaan Allah ﷻ: Siapakah yang di luar sana yang sanggup untuk memberi pinjaman yang baik kepada Allah ﷻ? Ada tak sesiapa yang di luar sana? Ada tak?

Ini adalah sesuatu yang pelik. Kenapa pula Allahﷻ  sampai meminta pinjaman daripada kita sedangkan Allah ﷻ memiliki segala-gala? Selalunya pinjaman ini diberikan daripada orang yang memiliki kepada yang tidak memiliki.

Maka ini sebenarnya adalah soal integriti. Bayangkan satu keadaan di mana ibu kita datang minta pinjam duit kita kerana dia ada masalah dan dia berjanji untuk membayarnya semula. Kalau ini terjadi, maka kita kena fikir semula: adakah patut ibu kita sendiri pinjam duit dengan kita? Tidakkah amat memalukan kita jikalau ibu kita ada masalah tetapi kita tidak tahu tentang masalah dia dan kita tidak membantunya terus? Kita tidak tahu masalah ibu kita sendiri pun sudah ada masalah, bukan?

Amatlah teruk sekali kita jikalau ibu kita bukan minta duit daripada kita tetapi ‘minta pinjam’. Sepatutnya sebagai ibu kita sendiri, tidak perlu untuk meminjam duit daripada kita, sebaliknya kita yang kena beri terus, bukannya beri pinjam. Ini sudah teruk kali kedua (kali pertama kerana kita tidak tahu ibu kita ada masalah kewangan).

Perkara teruk yang ketiga pula, ibu itu terpaksa kata dia berjanji yang dia akan bayar balik wang pinjaman itu. Demi untuk mendapatkan pinjaman daripada kita, ibu kita terpaksa berjanji: “Nak.. mak janji yer… nanti mak bayar balik.. tolonglah mak yer….” Kalau inilah terjadi, maknanya ibu kita sudah melihat kita sebagai teruk sangat sampaikan kena cakap yang dia akan bayar balik duit kita itu, takut kita tidak bagi duit kalau dia tidak cakap begitu.

Ya Allah… ini amat memalukan sekali kalau kena kepada kita. Bayangkan emak sendiri kena buat begitu kepada kita, sedangkan emak itulah yang melahirkan kita dan menjaga kita sampai kita besar.

Maka bayangkan ayat ini Allah ﷻ bercakap kepada orang Islam yang kedekut yang tidak mahu mengeluarkan harta sampaikan Allah ﷻ kata berilah pinjaman kepada Dia dan Dia berjanji akan membayar balik pinjaman itu. Janganlah takut tidak mendapat pulangan semula kerana yang berjanji ini adalah Allah ﷻ sendiri.

Maka ini merupakan teguran yang amat-amat pedas daripada Allah ﷻ. Dia yang beri harta itu kepada kita, Dia yang beri segala yang lain bagi kita, dan sekarang seolah-olah Allah ﷻ ‘merayu’ meminta pinjaman daripada kita!

‘Qardhan hasanan’ juga bermaksud pinjaman yang tidak ada had masa. Maknanya jikalau kita beri pinjam kepada orang dengan pinjaman ini maka kita kata kepada dia: “Jikalau ada duit maka bayarlah, kalau tidak ada wang nak bayar tidak mengapa.” Maknanya, Allah ﷻ hendak memberitahu bahawa Dia pasti akan bayar balik tetapi masanya tidak tahu lagi bila. Namun pasti Dia akan bayar balik.

Qardhan hasanan juga bermaksud pinjaman yang ikhlas di mana kita berikan dengan hati yang ikhlas, bukan kerana terpaksa. Bukan kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada orang dan bukan kerana hendakkan sesuatu.

فَيُضٰعِفَهُ لَهُ

maka Allah akan melipat-gandakan (balasan) pinjaman itu untuknya,

Sekarang Allah ﷻ berjanji yang Dia akan bayar balik ‘pinjaman’ yang kita berikan itu. Allah ﷻ berjanji yang Dia akan bayar bukan sebanyak mana yang kita beri tetapi Allah ﷻ akan balas berganda-ganda.

Tentulah kalau Allah ﷻ yang berjanji, Allah ﷻ akan tepati kerana janji Allah ﷻ boleh dipercayai. Dan di dalam ayat yang lain, Allah ﷻ sebut yang di dunia lagi Allah ﷻ sudah gandakan.

 

وَلَهُ أَجرٌ كَريمٌ

dan dia akan memperoleh pahala yang mulia.

Bukan sahaja Allah ﷻ akan balas, tetapi Allah ﷻ akan bagi pahala lagi. Ini pula di akhirat kelak.

Kalimah Kareem bermaksud balasan dari segi nilai. Allah ﷻ akan balas dengan nilai yang lebih tinggi. Seumpama kita bagi pinjam dalam bentuk wang ringgit tetapi dibalas dalam bentuk dinar. Tidak sama nilainya kerana 10 dinar lebih tinggi daripada 10 Ringgit, bukan?

Satu lagi, kalimah Kareem juga bermaksud keampunan yang besar. Diambil maksud ini daripada makna yang diambil daripada ayat lain. Oleh itu, Kareem juga boleh bermakna Maghfirah. Allah ﷻ menggugurkan dosa dan apabila Allah ﷻ gugurkan dosa, tentu yang tinggal adalah pahala.

Oleh itu, Maghfirah adalah nikmat yang amat besar. Bayangkan hutang kita seperti dosa. Kalau kita ada pahala yang banyak namun kalau dosa pun banyak, maka tinggallah sedikit sahaja pahala itu. Bagaimana kalau Allah ﷻ menggugurkan dosa? Tentu kalau Allah ﷻ gugurkan dosa, maka tinggallah pahala sahaja yang banyak.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 1 Mei 2020

Ringkasan Peta Minda Surah 


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Hadid Ayat 4 – 7 (Bagaimana mengekalkan harta?)

Ayat 4: Allah ﷻ menyambung dengan memberitahu tentang Diri-Nya.

هُوَ الَّذي خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ في سِتَّةِ أَيّامٍ ثُمَّ استَوىٰ عَلَى العَرشِ ۚ يَعلَمُ ما يَلِجُ فِي الأَرضِ وَما يَخرُجُ مِنها وَما يَنزِلُ مِنَ السَّماءِ وَما يَعرُجُ فيها ۖ وَهُوَ مَعَكُم أَينَ ما كُنتُم ۚ وَاللهُ بِما تَعمَلونَ بَصيرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

It is He who created the heavens and earth in six days and then established Himself above the Throne.¹ He knows what penetrates into the earth and what emerges from it and what descends from the heaven and what ascends therein; and He is with you² wherever you are. And Allāh, of what you do, is Seeing.

  • See footnote to 2:19.
  • In knowledge – observing and witnessing.

(MELAYU)

Dialah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa: Kemudian Dia bersemayam di atas ‘Arsy. Dia mengetahui apa yang masuk ke dalam bumi dan apa yang keluar daripadanya dan apa yang turun dari langit dan apa yang naik di dalamnya. Dan Dia bersama kamu di mana sahaja kamu berada. Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.

 

هُوَ الَّذي خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ

Dialah yang menciptakan langit dan bumi

Allah ﷻ mengingatkan kepada kita yang Dialah yang mencipta langit dan bumi. Dan Allah ﷻ ciptakan alam ini tanpa contoh, maknanya tidak ada alam sebelum alam langit dan bumi kita ini. Allah ﷻ menjadikan alam ini daripada tidak ada kepada ada. Hanya Allah ﷻ sahaja yang boleh buat alam ini dan tidak ada yang lain.

 

في سِتَّةِ أَيّامٍ

dalam enam masa

Allah ﷻ menceritakan kudrat-Nya menjadikan alam ini. Iaitu dalam enam hari sahaja, cuma kita tidak tahu berapa lamakah ‘enam hari’ itu kerana hari itu tidak semestinya sama dengan hari yang kita ada sekarang ini.

Allah ﷻ beritahu maklumat ini kerana Dia sahaja yang tahu maklumat ini kerana semasa Allah ﷻ menjadikan alam ini, tidak ada sesiapa pun lagi yang hidup yang menyaksikan kejadian langit dan bumi.

Walaupun Allah ﷻ boleh menjadikan alam ini dalam sekelip mata, tetapi di sini Allah ﷻ mengajar kita, dalam hal yang penting, elok dilakukan dengan teliti dan mengambil masa.

 

ثُمَّ استَوىٰ عَلَى العَرشِ

Kemudian Dia bersemayam di atas ‘Arsy.

Kemudian Allah ﷻ menyebut tentang Arash, makhluk Allah ﷻ yang paling besar. Allah ﷻ beritahu kerana hendak beri perumpamaan yang Arasy itu adalah seperti takhta yang dimiliki oleh Raja. Ini kerana manusia faham tentang takhta kerajaan dan Allah ﷻ hendak memberitahu Dia pun ada takhta juga, iaitu Arasy dan tentunya Arasy Allah ﷻ lebih hebat lagi.

Maksudnya Allah ﷻ itu adalah Raja segala raja. Dengan membaca ayat ini patut mengingatkan kita betapa kerdilnya kita ini kalau dibandingkan dengan Allah ﷻ. Kalau dengan raja dunia pun kita sudah rasa kecil, apatah lagi dengan Raja segala raja.

Kalimah استَوىٰ adalah satu lafaz yang tidak jelas iaitu jenis kalimah mutashabihaat. Kita tidak tahu bagaimana keadaan Allah استَوىٰ itu dan kita hanya boleh terjemahkan dengan kalimah ‘bersemayam’ kerana tidak ada dalam bahasa kita. Namun tidaklah bermaksud Allah ﷻ duduk seperti kita duduk. Golongan Sunnah selalu dipersalahkan, dituduh kita mengatakan Allah ﷻ duduk, bertimpuh, bersila dan sebagainya. Tidak pernah kita kata begitupun kerana kita tidak tahu bagaimana keadaannya.

Ia digunakan kepada yang mempunyai kuasa mentadbir. Maka apabila ada استَوىٰ, ia membawa maksud ‘tadbir’. Apabila menyebut takhta selalunya diduduki oleh raja yang memerintah. Dan Allah ﷻ memerintah alam yang lebih besar dari mana-mana kerajaan di dunia. Ini adalah maksud tafsir dengan merujuk kepada ayat-ayat lain yang lebih jelas.

Ada berbagai isu yang timbul daripada ayat sebegini kerana ramai yang suka mengkafirkan orang lain kerana mempunyai fahaman yang berlainan. Semua berpunca daripada perbincangan keberadaan Allah ﷻ (di langitkah, wujud tanpa tempat atau berada di setiap tempat). Semoga kita tidak termasuk dalam golongan yang kafir mengkafir sesama sendiri. Itu adalah perbuatan yang amat bodoh sekali.

Kita tidak mahu terbelit dengan perbincangan yang tidak berkesudahan ini. Namun kita boleh berikan jawapan ringkas: seperti dalil yang ada dalam Al-Qur’an dan hadith, Allah ﷻ memberitahu kita yang Dia berada di langit. Inilah yang patutnya kita terima tanpa perlu memikirkan bagaimana duduknya Allah ﷻ. Dalil-dalil lain yang digunakan untuk menidakkan Allah ﷻ di langit, tidak kuat dan telah diputar belit untuk menolak dalil-dalil yang sahih.

Kita tidak diberatkan untuk tahu dengan terperinci bagaimana caranya Allah ﷻ di langit itu. Ini kerana memang akal dan otak kita tidak akan mampu mencapainya. Maka tidak perlu buat perkara yang tidak perlu.

Namun begitu tidaklah mereka yang mengatakan Allah ﷻ wujud tidak bertempat atau wujud di mana-mana itu sudah terkeluar daripada Islam. Jangan kita kafirkan mereka pula. Ini adalah kerana ia adalah termasuk di dalam furu’ akidah sahaja.

Memang akidah mereka itu salah, tetapi tidaklah ke tahap akidah yang sampai mengeluarkan mereka daripada Islam. Cuma kena diajak redha dan terima dalil-dalil daripada Al-Qur’an dan hadith sahaja. Kalau boleh terima, maka mereka akan senang untuk terima Allah ﷻ di langit.

Akan tetapi kalau tidak pandang Al-Qur’an dan hadith itu sebagai rujukan utama, maka kelirulah jadinya. Sebab itu mereka lebihkan kata-kata ulama’ dan manusia yang mengatakan Allah ﷻ tidak di langit. Dalil memang tidak ada, melainkan kata-kata manusia sahaja. Akhirnya mereka jadi pening sendiri kerana memikirkan benda yang tidak perlu difikirkan. Jelaslah syaitan sibukkan mereka dengan hal-hal yang tidak perlu.

 

يَعلَمُ ما يَلِجُ فِي الأَرضِ

Dia mengetahui apa yang masuk ke dalam bumi 

Allah ﷻ Maha Tinggi di atas Arasy tetapi Allah ﷻ tahu apa yang masuk ke dalam bumi yang rendah ini. Ini kerana ilmu Allah ﷻ amat luas dan tahu segala-galanya. Allah ﷻ tidak perlu berada di bumi untuk tahu apa yang terjadi di sini.

Yang masuk ke dalam bumi adalah macam-macam benda seperti air hujan, biji benih, manusia yang telah mati dan lain-lain lagi. Tidak terkira banyaknya apa yang masuk dalam bumi ini dan keseluruhannya Allah ﷻ sahaja yang tahu. Kita tahu sedikit sahaja kerana ilmu kita tidak ada tentangnya melainkan apa yang Allah ﷻ beritahu sahaja. Walaupun kita duduk di bumi, tidaklah kita tahu segalanya yang terjadi di bumi ini.

 

وَما يَخرُجُ مِنها

dan apa yang keluar daripadanya

Dan Allah ﷻ tahu setiap apa yang keluar dari bumi ini. Itu semua dalam pengetahuan Allah ﷻ. Tidak ada yang terlepas daripada pengetahuan Allah ﷻ.

Apa yang keluar dari bumi? Dari bumi ini keluar pokok yang tumbuh daripada benih, harta-harta karun dan mineral termasuk dengan segala kekayaan lain seperti minyak dan sebagainya. Termasuk setiap titisan air laut dan tasik yang naik ke awan.

Di hari akhirat nanti semua makhluk akan dikeluarkan sekali gus. Kita yang mati dan duduk dalam kubur juga akan dikeluarkan nanti dan akan dibawa menuju ke Mahsyar. Maka ayat ini memberi isyarat kepada kematian juga, kerana kita akan ‘dimasukkan’ ke dalam tanah dan akan ‘dikeluarkan’ dari tanah juga nanti. Tidaklah kita terus duduk dalam tanah.

 

وَما يَنزِلُ مِنَ السَّماءِ

dan apa yang turun dari langit 

Allah ﷻ tahu apa yang turun ke bumi dari langit seperti rezeki dan juga air hujan untuk manusia dan makhluk yang lain. Begitu juga dengan para malaikat yang turun dari langit ke bumi setiap hari menjalankan tugas mereka. Selain itu, hukum juga turun dari langit juga kepada kita semua.

Allah ﷻ tahu semua itu kerana semua itu dalam urusan Allah ﷻ belaka. Allah ﷻ yang menguruskan segala itu terjadi, bukannya terjadi sendiri. Walaupun malaikat yang menjalankan kerja, tetapi ia adalah atas arahan Allah ﷻ. Rezeki, air hujan, malaikat dan lain-lain itu semua menjalankan arahan Allah ﷻ semata-mata.

 

وَما يَعرُجُ فيها

dan apa yang naik di dalamnya

Kalimah يَعرُجُ berasal daripada kata dasar ع ر ج yang bermaksud naik ke atas. Daripada kata dasar yang sama, menjadi mi’raj iaitu kenaikan Rasulullah ﷺ ke langit hingga ke langit ke tujuh.

Allah ﷻ tahu apa yang naik dari bumi ke langit seperti wap-wap air dan bukan itu sahaja. Ini kerana yang naik itu termasuk dengan segala amal baik dan buruk kita yang akan dipersembahkan kepada Allah ﷻ; dan juga nanti roh kita juga akan naik bertemu dengan-Nya. Begitu juga malaikat yang turun ke bumi akan naik juga kembali ke langit. Antara perkara yang mereka lakukan adalah melaporkan hal keadaan dan amalan kita.

 

وَهُوَ مَعَكُم أَينَ ما كُنتُم

Dan Dia bersama kamu di mana sahaja kamu berada.

Allah ﷻ sentiasa ‘bersama’ kita di mana sahaja kita berada. Maka ingatlah yang kita tidak berseorangan di bilik hotel dan kita tidak berseorangan semasa kita sedang memandu.

Kalau faham perkara ini, kita akan menjadi orang yang baik dan tidak berani melakukan dosa. Bukankah perangai kita akan berlainan jikalau bos kita ada di hadapan ataupun bapa kita ada bersama kita di dalam bilik kita? Maka bagaimana pula jikalau kita dapat menyakini dan mengingatkan diri kita yang Allah ﷻ sentiasa sahaja ‘bersama’ kita dan tidak pernah meninggalkan kita?

Sepatutnya jikalau kita beriman kepada ayat ini maka kita tidak berani untuk berbuat dosa ataupun melihat perkara-perkara yang kita tidak patut lihat ataupun bercakap perkara yang kita tidak patut kata.

Di dalam kitab sahih disebutkan bahawa Rasulullah ﷺ bersabda kepada Malaikat Jibril عليه السلام saat Jibril عليه السلام menanyakan kepadanya tentang ihsan:

 

“أَنْ تَعْبُدَ اللَّهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ، فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ”.

Hendaklah engkau sembah Allah seakan-akan engkau melihat-Nya; dan jika engkau tidak melihat-Nya, maka sesungguhnya Dia melihatmu.

HR Muslim, no.8

 

Maka kita kena sedar yang Allah ﷻ sentiasa memerhatikan kita. Kalau kita dapat sematkan ilmu ini dalam akal kita, maka kita akan sentiasa rasa takut untuk membuat dosa langsung.

Perbincangan tentang ayat ini juga panjang kerana Allah ﷻ kata Dia ‘bersama’ dengan kita. Bagaimanakah cara Allah ﷻ bersama dengan kita itu? Ada yang sampai mengatakan Allah ﷻ ada di mana-mana dan bukan sahaja di Arasy. Maka dari sinilah datang fahaman salah: [Allah ﷻ ada di mana-mana].

Maka kita kena faham yang Allah ﷻ ‘bersama’ dari segi ilmu, bukan secara fizikal. Allah ﷻ tidak perlu ada di sebelah kita untuk tahu apa yang kita lakukan.

Ada juga yang mengatakan ‘bersama’ itu dari segi rahmat. Maknanya rahmat Allah ﷻ ada bersama dengan kita.

Namun apa yang penting, kita kena faham yang Allah ﷻ bukan bersama kita dari segi fizikal. Kalau ada pemahaman sebegitu, maka itu adalah pemahaman yang salah kerana seolah-olah mereka yang berkata begitu boleh melihat kepada Dzat Allah ﷻ pula.

Padahal Allah ﷻ hendak memberitahu kepada kita betapa mulianya kita kerana Allah ﷻ ada ‘bersama’ dengan kita. Kerana sebelum ini telah disebut bagaimana Allah ﷻ itu tinggi dan duduk di Arasy. Tetapi dalam masa yang sama Allah ﷻ bersama kita dan tahu apa yang kita lakukan.

Bayangkan jikalau orang yang besar dan tinggi dalam kerajaan mahu duduk bersama (maksudnya ambil tahu) dengan kita. Tidakkah kita rasa dihormati? Bagaimana perasaan kita, tidakkah kita rasa bangga? Apabila kita sudah tidak rasa perkara ini lagi maka kerana itulah iman kita menjadi lemah dan lesu. Ini seperti yang terjadi kepada Muslim Madinah semasa zaman Nabi Muhammad ﷺ.

Dan bukan itu sahaja, satu pemahaman lagi yang kita boleh ambil: jikalau ada orang besar dan berkuasa duduk dekat dengan kita, tidakkah kita buat permintaan kepada dia? Maka kalau Allah ﷻ bersama dengan kita, maka hendaklah kita memberitahu segala masalah kita dan mengadu kerana mengharapkan pertolongan daripada Allah ﷻ. Kecil besar, kita semuanya minta kepada Allah ﷻ. Sebelum kita minta tolong dengan orang, kita minta tolong dengan Allah ﷻ dahulu.

Maka kalimah مع (bersama) bukan sahaja maksud bersama sahaja tetapi bersama-sama menolong dan membantu kita. Maka ini juga adalah berita baik bagi kita. Ia memberi semangat kepada kita untuk berdoa kepada Allah ﷻ.

 

وَاللهُ بِما تَعمَلونَ بَصيرٌ

Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.

Allah ﷻ mengingatkan yang Dia Maha Melihat segalanya termasuk apa yang kita sedang lakukan. Dan apabila Allah ﷻ tahu segala apa kita lakukan, maka kita kena sedar yang Allah ﷻ akan balas segala perbuatan kita. Sama ada perbuatan itu perbuatan yang baik atau buruk.


Ayat 5:

لَهُ مُلكُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ ۚ وَإِلَى اللهِ تُرجَعُ الأُمورُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

His is the dominion of the heavens and earth. And to Allāh are returned [all] matters.

(MELAYU)

Kepunyaan-Nya-lah kerajaan langit dan bumi. Dan kepada Allah-lah dikembalikan segala urusan.

 

لَهُ مُلكُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ

Kepunyaan-Nya-lah kerajaan langit dan bumi.

Allah ﷻ sudah sebut ayat ini di awal surah ini tetapi Allah ﷻ ulang lagi. Kenapa seseorang mengulang perkataan yang telah diucapkan? Kerana yang kali pertama tidak didengar oleh orang yang diberitahu. Ini pun Allah ﷻ sedang perli kita juga.

Maka kerana itu Allah ﷻ ulang lagi ayat yang sama kerana orang yang membaca Al-Qur’an tidak memasukkannya ke dalam hati dia melainkan hanya baca kosong sahaja. Maka ini adalah penekanan bagi perkara ini, maka kita kena ambil perhatian.

Allah ﷻ memberitahu sekali lagi yang Dia memiliki alam ini yang menunjukkan Dia di kedudukan yang tinggi tetapi kali ini diberitahu selepas diberitahu yang Dia ‘bersama’ dengan kita. Maka perasaan teruja kita dengan perhatian Allah ﷻ itu sepatutnya lebih meningkat lagi. Kerana Allah ﷻ yang Maha Tinggi mahu duduk dengan kita yang rendah ini. Allah ﷻ mahu ambil tahu tentang kita yang tidak ada apa-apa ini.

 

وَإِلَى اللهِ تُرجَعُ الأُمورُ

Dan kepada Allah-lah dikembalikan segala urusan.

Di dalam ayat ini ditambah dengan ancaman pula. Semua yang kamu lakukan akan pulang kepada Allah ﷻ dan Allah ﷻ akan menilai perbuatan kita itu maka kenalah berhati-hati dengan perbuatan kita. Maknanya Allah ﷻ akan balas. Allah ﷻ bukannya mahu melihat sahaja tetapi semua itu akan dibalas sama ada dengan balasan baik atau balasan buruk.

Kalimah الأُمورُ mengandungi dua maksud yang berbeza: iaitu ia boleh jadi ‘keputusan’ atau pun ia boleh jadi ‘perbuatan’. Apakah bezanya?

Pertamanya, segala keputusan itu di dalam tangan Allah ﷻ. Sebagai contoh kita mahu pergi mengerjakan Haji tetapi Allah ﷻ buat keputusan untuk mematikan kita sebelum kita sempat.

Yang kedua, kita boleh lihat keputusan itu di dalam perbuatan kita. Kerana kadang-kadang kita memang buat perkara yang baik tetapi ‘keputusan’ kenapa kita melakukan perbuatan itu iaitu ‘niat’ bukanlah dengan niat yang baik. Sebagai contoh, ada orang politik yang memberi derma tetapi niat mereka mungkin hanya untuk mendapatkan sokongan rakyat (kita tidak tahu niat di dalam hati manusia). Maka jika begitu, keputusan mereka itu tidaklah baik dan tidak layak untuk mendapat pahala.

Maka bukan sahaja perbuatan itu yang dibawa kepada Allah ﷻ tetapi ‘keputusan hati’ (niat) kita juga dibawa kepada Allah ﷻ maka Allah ﷻ yang akan menilai sama ada perbuatan baik itu ada markah ataupun tidak. Maka kalau perbuatan kita walaupun baik tetapi tidak ikhlas, maka tidak ada nilai.

Tentang ini juga kita bukan hanya melihat kepada niat yang salah tetapi kita kena juga fikirkan tentang ‘niat yang lemah’. Sebagai contoh, kadang-kadang kita berniat untuk menghafal Al-Qur’an tetapi adakah niat kita itu betul-betul kuat dan diikuti dengan azam?

Kerana jikalau niat itu lemah dan dilakukan sambil lewa sahaja maka, maka ianya tidak bernilai mana. Sebagai contoh kita kata kita hendak hafal Al-Qur’an tetapi kita tidak lakukan apa yang sepatutnya dilakukan untuk menghafal. Itu adalah ‘niat kosong’ sahaja.


Ayat 6: Allah terus memberitahu tentang Diri-Nya.

يولِجُ اللَّيلَ فِي النَّهارِ وَيولِجُ النَّهارَ فِي اللَّيلِ ۚ وَهُوَ عَليمٌ بِذاتِ الصُّدورِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He causes the night to enter the day and causes the day to enter the night, and He is Knowing of that within the breasts.

(MELAYU)

Dialah yang memasukkan malam ke dalam siang dan memasukkan siang ke dalam malam. Dan Dia Maha Mengetahui segala isi hati.

 

يولِجُ اللَّيلَ فِي النَّهارِ

Dialah yang memasukkan malam ke dalam siang

Hanya Allah ﷻ sahaja yang boleh memasukkan juzuk (bahagian) malam ke dalam siang. Maka kerana itu siang berubah menjadi malam.

 

وَيولِجُ النَّهارَ فِي اللَّيلِ

dan memasukkan siang ke dalam malam.

Hanya Allah ﷻ sahaja yang boleh memasukkan juzuk siang ke dalam malam dengan cara-Nya. Iaitu berlaku dengan perjalanan matahari. Maka jangan kata matahari yang menyebabkan siang kerana perjalanan matahari itu Allah ﷻ juga yang takdirkan. Dengan asbab perjalanan matahari itu dan zahirnya cahaya matahari itu, maka jadilah siang.

Selepas Allah ﷻ beritahu yang segala perbuatan kita akan pulang kepada Allah ﷻ maka Allah ﷻ terus sebut tentang siang dan malam. Kenapa Allah ﷻ sebut tentang siang dan malam pula?

Apabila kita sedar segala perbuatan kita akan kembali kepada Allah ﷻ, maka siang dan malam kita akan berbeza. Kita akan lakukan perkara yang baik di siang hari dan juga di malam hari. Dan apabila hari sudah berakhir kita akan menilai diri kita apakah yang kita telah lakukan pada jalan Allah ﷻ.

Siang dan malam bukan lagi pertukaran masa yang biasa sahaja lagi kerana ia sudah memberi makna kepada kita. Kita tidak sia-siakan siang dan malam lagi kerana siang semalam dan malam semalam sudah berlalu dan kita tidak akan dapat ulang semula sampai bila-bila.

Dalam ayat sebelum ini telah diberitahu bahawa segala niat dan juga amal kita akan dikembalikan kepada Allah ﷻ untuk dinilai. Masa kita dikira dengan peredaran malam dan siang yang berlaku setiap hari. Dan jikalau kita lihat kepada peredaran malam dan siang ini maka kita sepatutnya terkenang apakah yang kita lakukan dengan siang dan malam kita yang silih berganti. Adakah kita biarkan hari-hari itu berlalu tanpa kita melakukan amal-amal kebaikan?

 

وَهُوَ عَليمٌ بِذاتِ الصُّدورِ

Dan Dia Maha Mengetahui segala isi hati.

Allah ﷻ beritahu bahawa Dia tahu apa yang ada di dalam hati kita. Dan perkara yang melintas dalam hati kita ini selalunya kita tidak teruskan di dunia yang nyata. Kalau dalam dunia kita tunjukkan perkara yang baik-baik sahaja supaya dilihat baik oleh orang. Tetapi ada benda yang kita simpan di dalam hati kita dan Allah ﷻ tahu diri kita yang sebenar-benarnya. Maka tidak perlu untuk menipu Allah ﷻ kerana Allah ﷻ tahu segala-galanya.

Antara isi hati manusia ada perasaan suka dan benci. Maka tentulah ada orang yang suka kepada kita dan ada yang tidak suka. Allah ﷻ tidak kisah semua itu kerana perasaan manusia terhadap kita tidak penting. Kalau pun semua manusia sangka kamu baik, tidak semestinya Allah ﷻ suka dan terima kita sebagai baik. Ini kerana Allah ﷻ ada kehendak Dia sendiri. Maka janganlah kita hanya mencari redha manusia, tetapi carilah redha Allah ﷻ.

Oleh itu sekiranya manusia puji kita melambung-lambung, janganlah sangka begitu juga Allah ﷻ akan puji kita. Kerana ramai yang rasa begitu, bukan? Mereka sibuk mencari redha manusia dengan buat perkara yang ramai manusia suka. Malangnya mereka tidak memikirkan redha Allah ﷻ.

Maka pengetahuan Allah ﷻ terhadap hati makhluk maha luas. Bukan sahaja Allah ﷻ tahu apa yang kita fikirkan, tetapi perkara yang di dalam minda separa sedar kita pun Allah ﷻ tahu. Minda separa sedar (subconcious mind) kita pun kita sendiri tidak tahu walaupun ia ada dalam akal kita. Akan tetapi Allah ﷻ tahu.

Minda separa sedar inilah yang mengatur perbuatan kita sebenarnya. Kadang-kadang kita tidak tahu kenapa kita melalukan sesuatu perkara itu kerana ia dikawal oleh minda separa sedar.

Sebelum ini Allah ﷻ sebut tentang siang dan malam. Waktu siang semua perkara kelihatan pada kita, tetapi pada waktu malam manusia tidak tahu apa yang terjadi tetapi Allah ﷻ tahu. Begitulah maklumat terbatas kepada manusia, namun Allah ﷻ Maha Tahu. Bukan sahaja kejadian di malam hari Allah ﷻ tahu, malah dalam hati yang tersembunyi pun Allah ﷻ tahu juga.

Oleh itu, ayat ini adalah nisbah kepada ilmu Allah ﷻ yang amat luas. Pengajaran kepada kita, tidak sama ilmu kita dan ilmu Allah ﷻ. Dan kalau kita dapat faham sifat Qudrat dan Ilmu Allah ﷻ, maka mudah bagi manusia untuk kenal sifat-sifat Allah ﷻ yang lain.

Sekian penerangan sifat-sifat Allah ﷻ.


Ayat 7: Sudah banyak disebut tentang sifat-sifat Allah ﷻ untuk mengenalkan (atau, mengingatkan kembali) kita kepada-Nya. Dan apabila sudah tahu sifat-sifat Allah ﷻ tadi, maka ada perkara yang kita perlu lakukan yang akan disebut selepas ini.

Antara yang akan disebut adalah tentang infak (mengeluarkan harta). Ayat 7 – 9 mengandungi seruan beriman dan berinfak. Ada lima sebab kenapa kita kena infak. Ini adalah sebab yang pertama:

ءآمِنوا بِاللهِ وَرَسولِهِ وَأَنفِقوا مِمّا جَعَلَكُم مُّستَخلَفينَ فيهِ ۖ فَالَّذينَ ءآمَنوا مِنكُم وَأَنفَقوا لَهُم أَجرٌ كَبيرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Believe in Allāh and His Messenger and spend out of that in which He has made you successive inheritors. For those who have believed among you and spent,¹ there will be a great reward.

  • In ways pleasing to Allāh.

(MELAYU)

Berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan nafkahkanlah sebahagian dari hartamu yang Allah telah menjadikan kamu menguasainya. Maka orang-orang yang beriman di antara kamu dan menafkahkan (sebahagian) dari hartanya memperoleh pahala yang besar.

 

ءآمِنوا بِاللهِ وَرَسولِهِ

Berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya

Yang pertama sekali, apabila sudah kenal sifat-sifat Allah ﷻ seperti yang disebut di atas, maka kenalah beriman. Beriman itu maksudnya menerima semua sekali daripada Allah ﷻ dan menolak selain dari Allah ﷻ.

Ini membawa maksud ‘tauhid’. Kerana itu ada yang kata Surah Hadid ini adalah Surah Makkiyah. Akan tetapi jumhur berkata ia adalah Surah Madaniyyah. Ini adalah kerana jenis ingkar yang disentuh dalam surah ini adalah jenis suasana di Madinah iaitu yang dilakukan oleh golongan Yahudi, Nasara dan munafikin. Sedangkan kalau dikatakan Surah Makkiyah, ia ditujukan kepada Musyrikin Mekah dan tentu menyentuh jenis syirik golongan Musyrikin Mekah.

Ada pula yang kata permulaan surah ini adalah Makkiyah dan akhirnya adalah Madaniyyah. Ini kerana ia mulanya banyak menceritakan tentang Allah ﷻ dan biasanya ayat-ayat jenis itu adalah jenis Makkiyah. Namun kita telah sebutkan di awal lagi yang surah ini untuk orang Islam yang telah lemah iman mereka. Maka pendapat yang kita pilih adalah surah ini adalah Surah Madaniyyah.

Kekhilafan ini timbul kerana ayat-ayat dalam surah ini amat mengejutkan kerana ia diberikan kepada orang-orang Islam yang tentunya mereka kata mereka sudah beriman dengan Allah ﷻ dan Rasul. Namun Allah ﷻ hendak memberitahu bahawa iman mereka hanya di lidah sahaja tetapi tidak dekat dengan hati.

Atau iman mereka telah lemah maka mereka perlu diingatkan untuk memperbaharui Syahadah mereka dan mendekatkan balik diri mereka dengan Allah ﷻ dan juga Rasul. Oleh itu, ayat-ayat dalam Surah Hadid ini sepatutnya menakutkan kita dan mengarahkan kita untuk menilai iman kita: benarkah kita beriman sebenar-benarnya dengan Allah ﷻ dan Rasul? Kalau para sahabat pun ditegur sebegini rupa, bagaimana pula dengan kita?

 

وَأَنفِقوا مِمّا جَعَلَكُم مُّستَخلَفينَ فيهِ

dan nafkahkanlah sebahagian daripada hartamu yang Allah telah menjadikan kamu menguasainya.

Ini adalah ayat pertama berkenaan infak di dalam surah ini. Setelah kenal Allah ﷻ, maka hendaklah beriman dengan Allah ﷻ dan utusan-Nya. Maka orang yang telah beriman, sifatnya akan mengeluarkan harta dunia di jalan Allah ﷻ kerana ia adalah arahan daripada Allah ﷻ dan juga arahan daripada Rasul. Kalau benar-benar beriman, maka tidak ada masalah untuk melakukannya. Yang jadi masalah untuk infak adalah kalau ada masalah dengan iman.

Istikhlaf bermaksud sesuatu yang Allah ﷻ berikan kepada kita untuk suatu jangka masa sahaja, bukan selama-lamanya. Ia berasal daripada kalimah خلف yang bermaksud ‘belakang’. Iaitu apabila kita tinggalkan seseorang di belakang dan kita beri dia sesuatu untuk dia pegang.

Maksudnya Allah ﷻ tinggalkan dan biarkan orang-orang Islam untuk berjaya menguasai Mekah dan mereka akan mendapat kekayaan harta benda. Allah ﷻ menjadikan mereka sebagai khalifah di bumi. Dan khalifah ini untuk sementara waktu sahaja, bukan selama-lamanya kerana semua orang akan mati.

Maknanya kekayaan yang kita ada dan juga kesihatan kita, rumah kita, diri kita ini dan segala nikmat yang kita ada, hanya untuk sementara waktu sahaja. Harta dan diri kita ini adalah milik Allah ﷻ sepenuhnya, cuma kita uruskan sahaja buat sementara waktu. Allah ﷻ mengingatkan hakikat kesenangan yang kita ada ini tidaklah kekal pun, jadi jangan kedekut sangat.

Maka apa sahaja yang Allah ﷻ telah berikan, kena infak di jalan Allah ﷻ. Kena sedar yang sekejap sahaja Allah ﷻ beri kita pegang. Kita bukan boleh bawa mati pun dan bila mati sahaja ia sudah menjadi milik orang. Namun kalau kita infakkan, maka ia akan menjadi milik kekal kita. Memang ia asalnya milik sementara sahaja tetapi boleh menjadi milik kekal kalau kita infakkan. Maka kita kena ambil peluang ini.

Ada dua perkara penting yang memerlukan bantuan kewangan: Pertama, usaha-usaha jihad memerlukan wang untuk menjalankannya; kedua, waktu itu banyak para sahabat dari sekitar Tanah Arab yang berhijrah ke Madinah dan memerlukan bantuan kewangan kerana mereka datang tanpa harta mereka dan amat memerlukan bantuan.

Pada waktu itu memang ramai para mukmin yang memberikan bantuan kepada golongan muhajireen itu, namun ada dalam kalangan orang yang mengaku beriman tetapi tidak melakukan apa-apa pun untuk membantu. Maka, Allah ﷻ menegur mereka dalam ayat ini.

 

فَالَّذينَ ءآمَنوا مِنكُم

Maka orang-orang yang beriman di antara kamu

Ada dua peringkat iman yang kita kena tahu. Peringkat pertama adalah apabila orang itu mengucap Dua Kalimah Syahadah dan apabila kita berjumpa dengan dia dan kita beri salam kepadanya, dia akan menjawab salam itu. Dia juga telah menerima yang Allah ﷻ itu adalah Tuhan dan Nabi Muhammad ﷺ adalah Rasul. Ini adalah iman hanya pada peringkat akal sahaja.

Satu lagi peringkat iman adalah jenis iman yang turun dan naik. Kadang-kadang kita dapat rasakan yang iman kita waktu itu tinggi dan kadang-kadang kita tidak tahu iman itu pergi ke mana. Semua kita sudah mengalami perkara ini, bukan?

Untuk memudahkan fahaman, peringkat pertama itu adalah iman dalam bentuk ‘kuantiti’ dan iman yang kedua ini di dalam bentuk ‘kualiti’. Iman yang pertama itu disebut pada peringkat Muslim seperti yang disebut di dalam Surah Hujuraat dan iman yang kedua ini adalah golongan ‘Mukmin’. Tidak sama peringkat iman dalam kedua-dua itu dan Surah Hadid ini adalah berkenaan iman peringkat kedua ini.

Maka surah ini adalah berkenaan lemahnya iman orang Islam setelah sekian lama. Mereka memang sudah Muslim, tetapi tidak Mukmin. Penyelesaian untuk masalah ini telah disebut sebelum ini iaitu mengenali Allah ﷻ dan kagum kepada Allah ﷻ seperti yang sepatutnya.

 

وَأَنفَقوا لَهُم أَجرٌ كَبيرٌ

dan menafkahkan (sebahagian) daripada hartanya memperoleh pahala yang besar.

Ayat ini memberitahu pula penyelesaian kedua kepada masalah iman yang lemah, iaitu dengan infak harta. Kalau rasa iman kita lemah, maka kita kena banyakkan infak harta kita pada jalan Allah ﷻ. Allah ﷻ akan menaikkan iman kita kalau kita infakkan harta kita.

Kita selalu fikirkan infak itu sebagai pengeluaran harta dan wang sahaja, tetapi kita kena tahu bahawa bukan saja harta yang boleh dikeluarkan untuk membantu agama Islam. Jangan sempitkan pemahaman ‘infak’ ini kerana ada lagi banyak benda lain seperti masa kita, idea kita, sokongan kita, usaha kita dan macam-macam lagi.

Ini kerana bukan semua orang ada wang untuk diinfakkan, maka semua kena fikirkan bahagian manakah yang mereka boleh bantu untuk menegakkan agama Islam. Mungkin dengan ilmu, mungkin dengan bantuan kerja dan sebagainya. Semua kena berusaha dalam lingkungan yang mereka boleh beri sumbangan.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 30 April 2020

Ringkasan Peta Minda Surah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Hadid Ayat 1 – 3 (Allah ﷻ perli umat Islam)

Pengenalan: 

Ini adalah permulaan kepada rentetan surah-surah Madaniyah. Ia bermula daripada Surah Hadid ini sampailah ke Surah at-Tahrim nanti.

Rentetan 10 surah ini adalah tempat paling banyak surah-surah Madaniyah dalam Al-Qur’an. Sampai ada 10 surah dan surah-surah ini dipanggil al-musabbihaat. Ia dinamakan begitu kerana kebanyakan daripada surah-surah ini dimulai dengan Tasbih kepada Allah ﷻ (sebenarnya tidaklah semuanya dimulai dengan tasbih).

Allah ﷻ memulakan surah ini dan surah-surah yang dengan Tasbih kerana Allah ﷻ hendak menceritakan kepada kita yang semua makhluk melakukan Tasbih dengan cara mereka. Kita sahaja yang tidak tahu bagaimana cara mereka melakukan tasbih itu kerana pengetahuan kita memang terhad.

Akan tetapi banyak di dalam ayat-ayat yang lain Allah ﷻ ada memberitahu bahawa sebaik-baik makhluk adalah manusia. Jikalau manusia itu makhluk yang terbaik, maka tentunya Tasbih yang terbaik dilakukan oleh manusia. Dan orang-orang Islam bukan sahaja manusia tetapi mereka adalah ‘sebaik-baik manusia’. Sudah tentulah mereka melakukan Tasbih dengan banyak dengan cara yang terbaik, bukan?

Maka Allah ﷻ hendak menegur orang-orang Islam di dalam surah-surah ini yang mereka tidak memenuhi kedudukan mereka sebagai insan yang terbaik. Sepatutnya mereka melakukan banyak Tasbih. Dan cara Allah ﷻ menegur adalah dengan mengatakan makhluk lain melakukan Tasbih. Maka, wahai manusia, mana tasbih kamu?

Semua surah-surah al-musabihaat ini ada tema yang sama. Ia diturunkan ketika umat Islam sudah ramai tetapi iman mereka tidaklah sama seperti iman golongan Muhaajirin dan Ansar yang awal dahulu. Walaupun mereka sudah ramai dan kekuatan fizikal sudah semakin jelas, namun ketika itu iman sudah berkurangan, bukan?

Oleh itu, surah-surah al-musabbihaat ini hendak menyegarkan kembali iman umat Islam waktu itu. Allah ﷻ mahu berikan semangat kepada orang Islam yang sudah lemah iman. Termasuklah sekarang dan pada bila-bila masa. Ada orang yang sudah lama Muslim, menyebabkan lama-kelamaan dia tidak terkesan sangat dengan agama, maka kenalah dia tadabbur ayat-ayat dalam surah-surah ini.

Memang pada waktu itu suntikan semangat amat diperlukan kepada umat Islam, tambahan pula ada ramai orang munafik (atau golongan yang lemah iman). Maka rentetan surah-surah ini amat penting untuk memberi kesegaran iman kepada manusia.

Dan kita akan mendapatnya, asalkan kita mahu cuba memahami ayat-ayat Al-Qur’an. Ada dua keperluan yang kita perlu lakukan untuk cuba memahami Al-Qur’an. Yang pertama adalah dari segi akademik seperti kita belajar bahasa Arab, belajar Nahu Sorof dan pergi ke kelas belajar tafsir.

Selain daripada itu ada satu keperluan lagi yang melibatkan psikologi kita. Dan ini mungkin lebih susah lagi kerana ia melibatkan perasaan kita dan bukan otak kita. Ini melibatkan perasaan dalaman. Dan ini dapat dicapai jikalau kita selalu mengingatkan diri kita kenapa kita belajar tafsir. Iaitu kita tahu, sedar dan terima kepentingan ilmu tafsir ini.

Ia amat perlu kerana kita memerlukan bimbingan setiap masa. Setiap hari kita diberikan dengan berbagai-bagai pilihan sama ada untuk berbuat baik ataupun berbuat jahat dalam kehidupan kita. Kita manusia diberi pilihan untuk buat pilihan yang tepat, atau pilihan yang salah. Dan untuk memandu kita membuat keputusan yang benar dan betul, kita memerlukan petunjuk daripada Allah ﷻ. Dan petunjuk itu ada dalam Al-Qur’an (dan Sunnah Nabi).

Dan kalau kita benar-benar menerima Al-Qur’an ini sebagai petunjuk dalam hidup kita, maka kita kena bersedia untuk mengikut arahan yang Allah ﷻ berikan di dalam Al-Qur’an ini.

Akan tetapi setiap hari ada sahaja cabaran kerana bisikan daripada nafsu dan juga bisikan daripada syaitan. Maka kita kena selalu membaca Al-Qur’an ini dan mengingatkan diri kita apakah yang penting di dalam kehidupan kita ini. Maka jikalau kita hanya belajar tafsir sahaja tetapi kita tidak implementasi pengajaran Al-Qur’an ini di dalam kehidupan kita maka kita telah melakukan satu kesalahan besar.

Dalam surah ini Allah ﷻ beritahu dua perkara penting iaitu infak dan jihad dalam tauhid.

Ayat 1 – 24 berkenaan Infak. Infak perlu dibuat di atas lima sebab.

Ayat 25 hingga akhir pula berkenaan Jihad. Memang infak dan jihad ini berkaitan dan banyak disebut dalam ayat-ayat Al-Qur’an.

Selepas Surah Hadid ini akan datang empat buah surah yang semuanya menceritakan tentang jihad menyambung perbincangan yang telah ada dalam Surah Hadid. Dalam empat surah itu ada dua surah yang ada kalimah Tasbih dan ada dua surah pula yang tidak ada kalimah Tasbih dalamnya.

Kemudian empat surah seterusnya semuanya berkenaan infak. Tasbih di dalam empat surah ini juga berselang seli.

Tasbih di dalam surah-surah ini untuk menekankan tentang tauhid kerana Tasbih sebenarnya bermaksud tauhid. Iaitu menolak kepercayaan syirik yang ada dalam hati manusia yang lalai.

Apakah pula kaitan dengan jihad? Kenapa jihad perlu ditegakkan? Maka kita kenalah tahu bahawa jihad perlu dijalankan untuk menegakkan kalimah tauhid. Dakwah boleh dilakukan dengan lisan, tetapi kadang-kala memerlukan kita berdakwah dengan pedang.

Seterusnya surah ke sepuluh iaitu Surah Tahrim pula ada kembali dibincangkan dua-dua perkara itu balik iaitu infak dan jihad. Jadi ringkasannya:

1. Hadid – Infak & Jihad
2. Mujadilah – Jihad
3. Hashr – Jihad
4. Mumtahanah – Jihad
5. Saff – Jihad
6. Jumuah – Infak
7. Munafiqun – Infak
8. Taghabun – Infak
9. Talaq – Infak
10. Tahreem – Jihad & Infak


Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 5 perenggan makro. Ayat 1 – 15 adalah Perenggan Makro Pertama dan ia mengandungi seruan kepada Tauhid, Iman dan Infaq.

Perenggan ini dimulai dengan sifat-sifat Allah ﷻ yang disebut dalam ayat 1 – 6.

سَبَّحَ ِللهِ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ ۖ وَهُوَ العَزيزُ الحَكيمُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Al-Ḥadeed: Iron.

Whatever is in the heavens and earth exalts Allāh,¹ and He is the Exalted in Might, the Wise.

  • By praising Him and declaring Him far above and beyond any failure or imperfection.

(MELAYU)

Semua yang berada di langit dan yang berada di bumi bertasbih kepada Allah (menyatakan kebesaran Allah). Dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

 

سَبَّحَ ِللهِ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ

Semua yang berada di langit dan yang berada di bumi bertasbih kepada Allah

Semua makhluk melakukan Tasbih kepada Allah ﷻ. Akan tetapi apakah maksud ‘Tasbih’?

Salah satu daripada maksudnya adalah membesarkan Allah ﷻ. Kita berikan satu analogi untuk menjelaskan: Kita boleh tahu kemahiran pelukis hanya dengan melihat gambarnya tanpa perlu kita melihat pelukis itu sendiri, bukan? Maka kita boleh kenal kehebatan Allah ﷻ melalui melihat alam ini. Kalau alam ini sudah sangat hebat, maka tentu Allah ﷻ lebih hebat lagi. Maka kerana itu kita memuji-Nya dengan mengucapkan Tasbih.

Semua makhluk tidak kira bagaimana kejadiannya diberi dengan cara dan bahasa mereka untuk bertasbih kepada Allah ﷻ. Kita sahaja tidak faham kerana kita tidak diberi kelebihan untuk memahami mereka. Ini sebagaimana yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

 

{تُسَبِّحُ لَهُ السَّمَاوَاتُ السَّبْعُ وَالأرْضُ وَمَنْ فِيهِنَّ وَإِنْ مِنْ شَيْءٍ إِلا يُسَبِّحُ بِحَمْدِهِ وَلَكِنْ لَا تَفْقَهُونَ تَسْبِيحَهُمْ إِنَّهُ كَانَ حَلِيمًا غَفُورًا}

Langit yang tujuh, bumi, dan semua yang ada di dalamnya bertasbih kepada Allah. Dan tidak ada suatu pun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya, tetapi kamu sekalian tidak mengerti tasbih mereka. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penyantun lagi Maha Pengampun. (Al-Isra: 44)

 

Lalu apa lagi maksud ‘Tasbih’? Dari segi bahasa, Tasbih itu berasal daripada kata dasar س ب ح yang bermaksud ‘berenang’ iaitu jenis berenang yang timbul di atas air (kepala di atas air). Maka ia digunakan untuk membawa maksud yang Allah ﷻ itu tinggi dan tidak tenggelam dalam kefahaman syirik makhluk yang salah.

Oleh itu, ‘Tasbih’ membawa maksud ‘tauhid’ di mana kita diajar untuk membersihkan Allah ﷻ daripada fahaman-fahaman syirik iaitu salah satunya fahaman yang mengatakan Allah ﷻ memerlukan wakil dalam doa dan dalam pentadbiran alam. Dengan bertasbih, kita mengatakan: Allah ﷻ tidak memerlukan wakil.

Itu salah satu sahaja fahaman syirik yang ada dalam hati manusia. Tasbih menolak kesemua salah faham syirik itu.

Ayat ini memperkenalkan Allah ﷻ kepada pembaca Al-Qur’an. Akan tetapi, bukankah surah ini diturunkan empat tahun selepas Hijrah dan ia adalah Surah Madaniyyah? Maka kenapa lagi Allah ﷻ perlu memperkenalkan diri-Nya kepada umat Islam pada waktu itu sedangkan mereka semua sudah sepatutnya kenal Allah ﷻ? Maka ayat ini berbunyi seperti sifat Surah-surah Makkiyah padahal ia adalah Surah Madaniyyah. Maka ini agak pelik.

Maka tahulah kita yang ayat-ayat ini adalah teguran daripada Allah ﷻ kepada umat Islam yang telah lemah iman mereka kerana mereka sudah semakin kuat (dari segi fizikal) tetapi sudah lemah dari segi iman. Allah ﷻ mengingatkan semula kepada mereka dengan perkara-perkara asas. Perkara itu memang sepatutnya mereka sudah tahu tetapi bila Allah ﷻ mengingatkan semula, itu bermaksud mereka sudah lupa.

Apabila Allah ﷻ menyebut tentang makhluk di langit dan di bumi bertasbih kepada Allah ﷻ maka Allah ﷻ sebenarnya sedang bertanya tentang Tasbih umat-umat Islam pada waktu itu. “Mana Tasbih kamu, wahai manusia? Itu alam semua bertasbih, kamu tidak bertasbihkah?”

Maka surah ini menyentuh berkenaan kelemahan iman umat-umat Islam setelah sekian lama. Kelemahan iman umat Islam itu mungkin disebabkan oleh buta mata hati mereka daripada melihat kehebatan Allah ﷻ di dalam alam ini. Maka di dalam ayat ini sendiri Allah ﷻ sudah beri jalan penyelesaian yang pertama untuk meningkatkan iman kita iaitu dengan banyak melakukan Tasbih. Maka dianjurkan kita selalu tasbih kepada Allah ﷻ.

Namun kenalah faham maksud tasbih itu. Amatlah malang apabila dalam kalangan kita ramai yang bertasbih terutama selepas solat, tetapi tidak faham apa yang mereka sebutkan.

Kalau ayat ini, kalimah سَبَّحَ dalam bentuk fi’il madhi (past tense) dan di dalam ayat lain, menggunakan fi’il mudhari’ (present and continuous). Sekejap begini dan sekejap begini, kenapa pula? Ini membawa maksud, semua makhluk dulu, sekarang dan akan datang akan terus bertasbih kepada Allah ﷻ.

Kemudian Allah ﷻ sebut sifat-Nya lagi:

 

وَهُوَ العَزيزُ الحَكيمُ

Dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Apabila Allah ﷻ mengatakan yang Dia Maha Perkasa yang bermaksud Dia boleh melakukan apa sahaja, dan tidak ada kuasa mana-mana pun yang dapat menghalang kehendak-Nya. Maka Allah ﷻ mempersoalkan kenapa umat Islam pada waktu itu (dan bila-bila masa sahaja) tidak melihatnya sebegitu. Kenapa rasa macam Allah ﷻ lemah sahaja? Kenapa tidak bergantung kepada Allah ﷻ sahaja?

Apabila Allah ﷻ mengatakan yang dia Maha Bijaksana, maka Allah ﷻ sebenarnya sedang mempersoalkan umat Islam pada waktu itu (dan bila-bila masa sahaja) kenapa tidak mempercayai apa-apa sahaja yang dilakukan dan dihukum oleh Allah ﷻ? Kenapa mereka masih lagi mempertikaikan keputusan yang telah dibuat oleh Allah ﷻ? Kenapa tidak redha dengan keputusan dan qada’ Allah ﷻ?

Kenapa kamu tidak mempercayai bahawa apa sahaja yang Allah ﷻ suruh kamu buat itu berdasarkan kepada kebijaksanaan-Nya yang Maha Tinggi? Adakah kamu rasa Allah ﷻ telah salah buat keputusan? Adakah kamu rasa Allah ﷻ tidak bijaksana pula?

Hebat sekali teguran dan sindiran Allah ﷻ dalam ayat ini yang kita kena fikirkan dalam-dalam. Adakah kita termasuk golongan yang ditegur oleh Allah ﷻ ini? Adakah kita sudah lama dalam agama Islam sampaikan kita tidak tersentuh hati kita lagi?

Satu keindahan yang kita boleh ambil daripada dua sifat ini adalah susunannya. Selepas Allah ﷻ sebut al-Aziz, Allah ﷻ terus sebut sifat-Nya al-Hakeem. Ini penting untuk kita memahami Allah ﷻ. Allah ﷻ hendak beritahu kita yang walaupun Allah ﷻ berkuasa untuk membuat apa sahaja, tetapi perbuatan Allah ﷻ adalah bijaksana. Tidaklah seperti manusia yang ada kuasa besar dan kemudian mereka menggunakan kuasa mereka itu dengan tiada kebijaksanaan.

Kerana itulah kuasa-kuasa besar selalunya akan menyalahgunakan kuasa mereka kerana mereka tidak ada sifat hakeem ini. Untuk menyelamatkan dunia ini daripada kehancuranlah maka Allah ﷻ tidak memberikan kekuasaan penuh kepada sesiapa atau kepada mana-mana kerajaan. Kalau ada kerajaan yang naik dan buat kerosakan, akan ada sahaja kekuatan negara lain yang akan menjatuhkannya, sama ada dari luar atau dari dalam.


Ayat 2: Ayat ini tentang Qudrat Allah ﷻ.

لَهُ مُلكُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ ۖ يُحيي وَيُميتُ ۖ وَهُوَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

His is the dominion of the heavens and earth. He gives life and causes death, and He is over all things competent.

(MELAYU)

Kepunyaan-Nya-lah kerajaan langit dan bumi, Dia menghidupkan dan mematikan, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu.

 

لَهُ مُلكُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ

Kepunyaan-Nya lah kerajaan langit dan bumi, 

Para sahabat dan orang Islam pada waktu itu juga telah tahu tentang sifat-sifat Allah ﷻ ini kerana ayat-ayat ini telah banyak ada di dalam surah-surah Makkiyah. Dua pertiga daripada Al-Qur’an adalah Surah Makkiyah dan mereka tentu telah membacanya.

Dari segi akademik, para sahabat sudah tahu tentang perkara-perkara ini maka ini bukanlah berita-berita baru yang disampaikan kepada mereka. Namun kenapa Allah sebut ﷻ lagi dan mengulangnya?

Ini kerana ada sesuatu yang Allah ﷻ hendak tegur. Apabila Allah ﷻ memberitahu bahawa Dia memiliki kerajaan langit dan bumi, Allah ﷻ sedang mempersoalkan kenapa umat Islam takut kepada musuh? Kenapa takut kepada kekuatan keduniaan yang ada pada musuh itu sedangkan Allah ﷻ memiliki kekuasaan dan kerajaan langit dan bumi? Tidakkah kamu yakin wahai Muslim sekalian?

 

يُحيي وَيُميتُ

Dia menghidupkan dan mematikan, 

Ada lagi yang Allah ﷻ tegur: Kenapa kamu takut berperang dengan musuh? Adakah kerana kamu takut mati? Maka Allah ﷻ mengingatkan yang Dialah yang menghidupkan dan juga mematikan.

Kalau kamu berjuang di jalan Allah ﷻ dan kemudian kamu mati, maka itu adalah kehendak Allah ﷻ. Dan kalau kamu tidak berjuang menegakkan agama Allah ﷻ pun kamu akan mati juga kerana hidup dan mati itu di tangan Allah ﷻ.

Maka baiklah kalau kamu mati di dalam menegakkan agama Allah ﷻ kerana kalau tidak berjuang di medan perang pun, kamu akan mati juga. Akan tetapi kamu mati dalam murka Allah ﷻ kerana tidak melakukan apa-apa untuk berkhidmat kepada Allah ﷻ. Adakah kamu mahu begitu?

 

وَهُوَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu.

Teguran lagi kerana memang surah ini penuh dengan teguran: Kenapa kamu tidak menerima hakikat yang keputusan di tangan Allah ﷻ dan Allah ﷻ boleh buat apa sahaja yang Dia kehendaki? Kenapa kamu mempersoalkan keputusan yang Allah ﷻ lakukan kerana ia tidak sama dengan kehendak kamu?


Ayat 3: Sekarang ayat tentang ilmu Allah ﷻ pula.

هُوَ الأَوَّلُ وَالآخِرُ وَالظّٰهِرُ وَالباطِنُ ۖ وَهُوَ بِكُلِّ شَيءٍ عَليمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He is the First and the Last, the Ascendant¹ and the Intimate,² and He is, of all things, Knowing.

  • Nothing being above Him. Another meaning is “the Apparent,” i.e., evident through His creation and revelation.
  • Nothing being nearer than Him by way of His knowledge. Another meaning is “the Unapparent,” i.e., concealed from man’s physical senses.

(MELAYU)

Dialah Yang Awal dan Yang Akhir Yang Zhahir dan Yang Bathin; dan Dia Maha Mengetahui segala sesuatu.

 

هُوَ الأَوَّلُ وَالآخِرُ

Dialah Yang Awal dan Yang Akhir

Maksud ‘Al-Awal’: Sebelum ada apa-apa lagi wujud, Allah ﷻ sudah ada. Tidak ada yang  menjadikan Allah ﷻ.

Maksud ‘Al-Akhir’: Apabila semua sudah tiada lagi kerana hancur, Allah ﷻ tetap akan ada. Tiada yang kekal selain Allah ﷻ. Lalu bagaimana dengan ahli syurga yang dikatakan kekal dalam syurga itu? Jawapannya, mereka kekal kerana Allah ﷻ yang menjadikan mereka kekal. Bukannya mereka kekal sendiri.

Ayat ini adalah satu ayat yang berat untuk ditafsirkan dan ulama’-ulama’ tafsir telah banyak berbincang mengenainya. Juga banyak kekeliruan yang timbul daripada ayat ini sampaikan ada yang menggunakan ayat ini sebagai dalil kepada fahaman sesat ‘wahdatul wujud’ yang dipegang oleh golongan tarekat. Akan tetapi kita tidak mahu membincangkan tafsir-tafsir sebegitu kerana ia akan lebih mengelirukan sahaja.

Yang penting kita kena ambil pengajaran daripada ayat ini dan apakah yang kita boleh amalkan. Bagaimana kita boleh mengamalkan ayat ini dalam kehidupan kita? Hendaklah kita jadikan Allah ﷻ yang pertama sekali kita kena fikirkan apabila kita bangun tidur setiap hari. Dialah yang paling penting untuk kita ingatkan apabila kita memulakan hari kita.

Allah ﷻ juga yang kita kena fikirkan akhir sekali apabila kita hendak tidur di malam hari. Iaitu kita kena fikirkan:  “Apakah yang kita telah lakukan pada jalan Allah? Adakah aku telah menjalankan tugas aku sebagai seorang Muslim? Apakah aku telah melakukan kebaikan sepanjang hari ini atau banyaknya keburukan sahaja? Apakah yang aku telah lakukan untuk menegakkan agama Allah?” Kemudian berdoalah kepada Allah ﷻ dengan doa yang baik-baik.

 

وَالظّٰهِرُ وَالباطِنُ

dan Yang Zhahir dan Yang Bathin;

Maksud ‘Az-Zhohir’: Tidaklah Allah ﷻ zahir di depan mata kita tetapi kita boleh nampak hasil kerja Allah ﷻ di mana-mana. Apabila lihat alam sahaja, kita tahu itu adalah hasil dari qudrat dan perbuatan Allah ﷻ. Hasil kerja Allah ﷻ yang zahir kepada kita, bukannya Allah ﷻ.

Dialah yang paling zahir kerana apa-apa sahaja yang zahir dalam alam ini adalah kerana kehendak dan kebenaran daripada Allah. Tidaklah yang zahir itu menzahirkan dirinya sendiri tetapi Allah ﷻ yang menzahirkannya. Yang zahir itu pun nampak zahir kerana cahaya yang Allah ﷻ berikan juga, bukan?

Dalam segala perkara yang terjadi setiap hari itu, kadangkala ada perkara yang kita tidak suka. Akan tetapi kita kena ingat yang itu adalah kehendak Allah ﷻ. Kita kena tahu yang segalanya dilakukan oleh Allah ﷻ dan kita tidak boleh persoalkan apa yang Allah ﷻ hendak buat.

Maka kita kena sabar kalau ada sesuatu yang kita tidak suka. Ketahuilah yang Allah ﷻ  hendak mengajar kita sabar dengan apa yang berlaku itu. Dan ini biasa sahaja kerana dunia ini adalah tempat ujian. Kalau tidak ada ujian pula yang pelik, bukan?

Maksud ‘Al-Bathin’: Kalau kita tidak nampak Allah ﷻ, ketahuilah yang Allah ﷻ yang mengatur segalanya. Kamu sahaja tidak nampak Allah ﷻ kerana Allah ﷻ itu batin, iaitu tidak zahir pada kita. Bathin itu adalah lawan kepada zahir.

Allahﷻ  juga yang paling batin kerana bukan sahaja mata kita tidak nampak Allah ﷻ, tetapi intelek kita juga tidak dapat menggarapi hakikat Allah ﷻ. Fikir macam mana sekalipun tidak akan dapat tahu perkara itu, maka tidaklah perlu difikirkan. Kita cuma terima sahaja apa yang ada diberitahu dalam Al-Qur’an. Memang tidak dapat difikirkan dan dibayangkan lebih daripada itu.

 

وَهُوَ بِكُلِّ شَيءٍ عَليمٌ

dan Dia Maha Mengetahui segala sesuatu.

Ini tentang ilmu Allah ﷻ yang Maha Luas. Kamu tidak nampak Allah ﷻ di sisi kamu tetapi jangan sangka Allah ﷻ tidak tahu apa yang berlaku dengan kamu kerana Allah ﷻ tahu segala-galanya. Tidak ada apa yang berlaku tanpa pengetahuan Allah ﷻ kerana itu semua adalah aturan Allah ﷻ. Dan Allah ﷻ tahu apa sahaja yang kamu lakukan, sama ada orang lain tahu atau tidak; malah, sama ada engkau tahu atau tidak.

Sebagai contoh, kamu tidak tahu pun pergerakan tubuh badan dalaman kamu, tetapi Allah ﷻ tahu. Perkara di tubuh kamu sendiri pun kamu tidak tahu, tetapi Allah ﷻ tahu.

Mengenai ayat ini banyak hadith yang menerangkannya, antara lain ialah apa yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad رحمه الله. Disebutkan bahawa:

حَدَّثَنَا خَلَفُ بْنُ الْوَلِيدِ، حَدَّثَنَا ابْنُ عَيَّاشٍ، عَنْ سُهيل بْنِ أَبِي صَالِحٍ، عَنْ أَبِيهِ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَدْعُو عِنْدَ النَّوْمِ: “اللَّهُمَّ، رب السموات السَّبْعِ، وَرَبَّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ، رَبَّنَا وَرَبَّ كُلِّ شَيْءٍ، مُنْزِلَ التَّوْرَاةِ وَالْإِنْجِيلِ وَالْفُرْقَانِ، فَالِقَ الْحَبِّ وَالنَّوَى، لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ كُلِّ شَيْءٍ أَنْتَ آخِذٌ بِنَاصِيَتِهِ، أَنْتَ الْأَوَّلُ لَيْسَ قَبْلَكَ شَيْءٌ وَأَنْتَ الْآخِرُ لَيْسَ بَعْدَكَ شَيْءٌ، وَأَنْتَ الظَّاهِرُ لَيْسَ فَوْقَكَ شَيْءٌ وَأَنْتَ الْبَاطِنُ لَيْسَ دُونَكَ شَيْءٌ. اقْضِ عَنَّا الدَّيْنَ، وَأَغْنِنَا مِنَ الْفَقْرِ”

Telah menceritakan kepada kami Khalaf ibnul Walid, telah menceritakan kepada kami Ibnu Iyasy, dari Suhail ibnu Abu Saleh, dari ayahnya, dari Abu Hurairah, bahawa Rasulullah Saw. sering membaca doa ini menjelang tidurnya, iaitu: Ya Allah, Tuhan Yang Menguasai tujuh langit dan Tuhan yang menguasai ‘Arasy yang besar. Ya Tuhan kami, Tuhan segala sesuatu, Yang menurunkan Taurat, Injil, dan Al-Qur’an, Yang membelah biji dan benih, tiada Tuhan yang berhak disembah selain Engkau. Aku berlindung kepada Engkau daripada kejahatan segala sesuatu, Engkaulah yang memegang ubun-ubunnya. Engkau adalah Yang Awal, maka tiada sesuatu pun sebelum Engkau. Dan Engkau adalah Yang Akhir, maka tiada sesuatu pun sesudah Engkau. Dan Engkau Yang Zahir, maka tiada sesuatu pun di atas Engkau. Dan Engkau Yang Batin, maka tiada sesuatu pun di balik Engkau. Tunaikanlah daripada kami hutang-hutang kami, dan berilah kami kecukupan daripada kefakiran.

وَرَوَاهُ مُسْلِمٌ فِي صَحِيحِهِ: حَدَّثَنِي زُهَيْرُ بْنُ حَرْبٍ، حَدَّثَنَا جَرِيرٌ عَنْ سُهَيل قَالَ: كَانَ أَبُو صَالِحٍ يَأْمُرُنَا إِذَا أَرَادَ أَحَدُنَا أَنْ يَنَامَ: أَنْ يَضْطَجِعَ عَلَى شِقِّهِ الْأَيْمَنِ، ثُمَّ يَقُولُ: اللَّهُمَّ، ربّ السموات وَرَبَّ الْأَرْضِ وَرَبَّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ، رَبَّنَا وَرَبَّ كُلِّ شَيْءٍ، فَالِقَ الْحَبِّ وَالنَّوَى، وَمُنْزِلَ التَّوْرَاةِ وَالْإِنْجِيلِ وَالْفُرْقَانِ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ كُلِّ ذِي شَرٍّ أَنْتَ آخِذٌ بِنَاصِيَتِهِ، اللَّهُمَّ، أَنْتَ الْأَوَّلُ فَلَيْسَ قَبْلَكَ شَيْءٌ، وَأَنْتَ الْآخِرُ فَلَيْسَ بَعْدَكَ شَيْءٌ، وَأَنْتَ الظَّاهِرُ فَلَيْسَ فَوْقَكَ شَيْءٌ، وَأَنْتَ الْبَاطِنُ فَلَيْسَ دُونَكَ شَيْءٌ، اقْضِ عَنَّا الدَّيْنَ، وَأَغْنِنَا مِنَ الْفَقْرِ.
Imam Muslim meriwayatkannya di dalam kitab sahihnya, bahawa telah menceritakan kepadaku Zuhair ibnu Harb, telah menceritakan kepada kami Suhail yang mengatakan bahawa dahulu Abu Saleh menganjurkan kepada kami bahawa apabila seseorang dari kami hendak tidur, hendaklah dia berbaring pada lambung kanannya, kemudian mengucapkan doa berikut: Ya Allah, Tuhan yang menguasai langit, Tuhan yang menguasai bumi, Tuhan yang menguasai Arasy yang besar. Ya Tuhan kami dan Tuhan yang menguasai segala sesuatu, Yang membelah biji dan benih, Yang menurunkan Taurat, Injil, dan Al-Qur’an, aku berlindung kepada Engkau dari kejahatan setiap makhluk yang jahat yang ubun-ubunnya berada di genggaman-Mu. Ya Allah, Engkau adalah Yang Awal, maka tiada sesuatu pun sebelum Engkau; dan Engkau Yang Akhir, maka tiada sesuatu pun sesudah Engkau; dan Engkau Yang Zahir, maka tiada sesuatu pun di atas Engkau; dan Engkau Yang Batin, maka tiada sesuatu pun di balik Engkau. Maka tunaikanlah daripada kami hutang-hutang kami dan berilah kami kecukupan daripada kefakiran.    

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 21 Januari 2021

Ringkasan Peta Minda Surah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Sad Ayat 84 – 88 (Perangai sama dengan iblis)

Ayat 84:

قالَ فَالحَقُّ وَالحَقَّ أَقولُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Allāh] said, “The truth [is My oath], and the truth I say –

(MELAYU)

Allah berfirman: “Maka yang benar (adalah sumpah-Ku) dan hanya kebenaran itulah yang Ku-katakan”.

 

قالَ فَالحَقُّ

Allah berfirman: “Maka yang benar (adalah sumpah-Ku)

Sumpahan Allah semuanya benar. Apa yang Allah sampaikan semua adalah benar.

 

وَالحَقَّ أَقولُ

dan hanya kebenaran itulah yang Ku-katakan”.

Allah akan cakap perkara yang benar sahaja. Maka apa-apa yang Allah sampaikan kita kena beri perhatian dan tadabbur semuanya. Maka untuk beriman dan mengamalkan ayat ini kenalah kita mempelajari tafsir Al-Qur’an dan kemudian sentiasa tadabbur dan amalkan.

Kerana kalau kita tidak endahkan Al-Qur’an ini dengan tidak mempelajari tafsirnya, maka seolah-olah kita tidak menerima yang ianya benar. Kerana kalau ianya benar dan bawa al-haq, takkan kita buat tidak kisah sahaja kepadanya, bukan?


 

Ayat 85:

لَأَملَأَنَّ جَهَنَّمَ مِنكَ وَمِمَّن تَبِعَكَ مِنهُم أَجمَعينَ

SAaHEEH INTERNATIONAL)

[That] I will surely fill Hell with you and those of them that follow you all together.”

(MELAYU)

Sesungguhnya Aku pasti akan memenuhi neraka Jahannam dengan jenis kamu dan dengan orang-orang yang mengikuti kamu di antara mereka kesemuanya.

 

لَأَملَأَنَّ جَهَنَّمَ مِنكَ

Sesungguhnya Aku pasti akan memenuhi neraka Jahannam dengan jenis kamu

Iaitu sejenis dengan syaitan yang sombong itu. Iaitu golongan manusia yang ada sifat-sifat iblis itu. Mereka yang sombong untuk menerima kebenaran wahyu yang Allah telah berikan kepada mereka. Mereka akan duduk bersama-sama dalam neraka.

 

وَمِمَّن تَبِعَكَ مِنهُم أَجمَعي

dan dengan orang-orang yang mengikuti kamu di antara mereka kesemuanya.

Dan akan dimasukkan ke dalam neraka itu golongan manusia yang ikut apa yang dibisikkan dan diajak oleh iblis dan kuncunya para syaitan.

Maka kita kena jauhkan diri kita dari bisikan syaitan dan tidak ikut ajaran syaitan itu. Dan ingatlah yang kalau kita tak ikut wahyu, maka semestinya kita akan ikut iblis dan syaitan.

Maka kena rapatkan diri kita dengan wahyu Al-Qur’an dan berterusan mempelajari apakah yang disampaikan dalam Al-Qur’an ini. Kena luangkan masa untuk belajar tafsir dan kemudian luangkan masa untuk tadabbur Al-Qur’an ini. Kena baca Al-Qur’an setiap hari dan tadabbur.

Allah menempelak golongan Musyrikin Mekah yang menentang Nabi dan mereka yang bersama mereka. Allah bawa kisah iblis ini dan mengaitkan mereka dengan iblis dan syaitan. Sebagaimana iblis menolak hak Allah untuk melantik manusia menjadi khalifah di bumi, maka Musyrikin Mekah itu juga menolak hak Allah untuk melantik Nabi Muhammad menjadi Rasul. Iblis cemburu kepada Adam, dan mereka pula cemburu kepada Nabi Muhammad.

Iblis menolak arahan Allah untuk sujud kepada Nabi Adam; Musyrikin Mekah pula menolak arahan Allah untuk ikut ajaran Nabi Muhammad. Jadi ada persamaan antara mereka dan iblis.

Dan bukan sahaja persamaan sifat dan tindakan yang sama, nanti nasib mereka juga akan sama: sama-sama akan dimasukkan ke dalam neraka! Nanti mereka akan berkawan dalam neraka. Bolehlah berbincang lagi dalam neraka sama-sama!


 

Ayat 86: Ayat 86 – 88 adalah Perenggan Makro Kelapan dan ia adalah sebagai penutup surah ini.

قُل ما أَسأَلُكُم عَلَيهِ مِن أَجرٍ وَما أَنا مِنَ المُتَكَلِّفينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, [O Muḥammad], “I do not ask you for it [i.e., the Qur’ān] any payment, and I am not of the pretentious.

(MELAYU)

Katakanlah (hai Muhammad): “Aku tidak meminta upah sedikit pun padamu atas dakwahku dan bukanlah aku termasuk orang-orang yang mengada-adakan.

 

قُل ما أَسأَلُكُم عَلَيهِ مِن أَجرٍ

Katakanlah (hai Muhammad): “Aku tidak meminta upah sedikit pun padamu

Allah suruh Nabi memberitahu semua orang yang baginda tidak meminta upah dalam baginda mengajar dakwah tauhid itu. Bukanlah baginda hendakkan harta ataupun kedudukan dalam masyarakat. Baginda disuruh sebut begini kerana ada Musyrikin Mekah yang menuduh baginda mahukan sesuatu dalam baginda menyampaikan agama ‘baru’ itu.

Maka Allah suruh baginda isytihar yang baginda bukannya mahukan upah, harta atau kedudukan. Baginda tidak pernah minta apa-apa pun dari mereka. Ini disebut dalam banyak ayat-ayat Al-Qur’an yang lain.

Maka, sebagai penyebar dakwah tauhid, tidak boleh minta upah dalam mengajar dan dakwah. Upah kita semuanya dari Allah. Memang masalah kalau kita minta upah dalam mengajar kerana ia akan mengganggu keikhlasan hati kita dan akan menyebabkan kita berat nak tegur perbuatan salah dalam masyarakat. Ini kerana apabila mereka bayar upah kita, tentu kita malu alah juga menegur mereka, bukan? Maka molek guru isytihar tidak kenakan yuran dalam kelasnya.

Ini tidak sama kalau ada orang beri ‘hadiah’ kepada guru yang mengajar. Kerana kadangkala guru itu tidak ada pekerjaan lain melainkan mengajar agama sahaja. Maka memang patut mereka diberikan dengan hadiah berupa sumbangan kewangan.

Tapi kalau guru yang mengajar itu ada pendapatan lain, maka tidak perlu diberi hadiah atau upah kepadanya. Guru itu pun patut beritahu yang anak murid dia tidak perlu disediakan apa-apa bayaran langsung. Walaupun duit minyak ke kelas untuk mengajar sekali pun. Kerana itu adalah infak dari guru itu dan ia akan menjadi pahala bagi dia nanti di akhirat. Duit minyak kereta itu pun akan dibalas nanti.

 

وَما أَنا مِنَ المُتَكَلِّفينَ

dan bukanlah aku termasuk orang-orang yang mengada-adakan.

Kalimah المُتَكَلِّفينَ merujuk kepada mereka yang melakukan takalluf. Ia berasal dari katadasar ك ل ف yang bermaksud beban, tanggungjawab. Kalimah كلّف bermaksud seseorang yang menambah beban atas dirinya, sengaja buat sesuatu yang dia tidak perlu buat pun.

Jadi ia boleh bermaksud seseorang yang bercakap lebih dari kemampuan sendiri. Iaitu seseorang yang menyusahkan diri sendiri dan ini tidak patut dilakukan. Ia juga bermaksud seseorang yang tak mampu nak buat sesuatu perkara tapi nak buat juga.

Maka, Allah suruh Nabi beritahu yang baginda bukan seperti itu. Bukanlah baginda reka segala perkara yang baginda sampaikan itu. Bukanlah baginda cuba-cuba sahaja nak mengajar perkara yang baginda sendiri tidak tahu. Bukanlah baginda reka benda agama yang tidak ada dalam agama, macam golongan sesat sekarang ramai lakukan. Segala apa yang Rasulullah sampaikan itu adalah dari Allah SWT semata-mata dan bukan dari baginda sendiri.

Maknanya lagi, Nabi Muhammad tidak menambah-nambah dalam hal agama mengikut kehendak dan akalnya sendiri melainkan apa sahaja yang baginda sebut itu dari Allah. Maka ini juga mengajar kita supaya jangan menokok tambah dalam hal agama. Hanya beritahu apa yang kita tahu sahaja. Kalau ada orang tanya dan kita tidak tahu jawapannya, cuma sebut sahaja: Allahu a’lam, saya tidak tahu.

Sufyan As-Sauri telah meriwayatkan dari Al-A’masy dan Mansur, dari Abud Duha, dari Masruq yang mengatakan bahawa kami mendatangi Abdullah ibnu Mas’ud r.a. Maka dia berkata, “Hai manusia, barang siapa yang mengetahui sesuatu, hendaklah dia mengutarakannya; dan barang siapa yang tidak mengetahui, hendaklah dia mengatakan, ‘Allah lebih mengetahui.’ Kerana sesungguhnya termasuk ilmu bila seseorang tidak mengetahui sesuatu mengatakan, ‘Allah lebih Mengetahui.” Sesungguhnya Allah Swt. telah berfirman kepada Nabi kalian:

{قُلْ مَا أَسْأَلُكُمْ عَلَيْهِ مِنْ أَجْرٍ وَمَا أَنَا مِنَ الْمُتَكَلِّفِينَ}

Katakanlah, “Aku tidak meminta upah kepadamu atas dakwahku; dan bukanlah aku termasuk orang-orang yang mengada-adakan.” (Shad: 86)

Imam Bukhari dan Imam Muslim mengetengahkan athar ini melalui Al-A’masy dengan sanad yang sama.

 

Ayat 87:

إِن هُوَ إِلّا ذِكرٌ لِّلعٰلَمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

It is but a reminder to the worlds.

(MELAYU)

Al Qur’an ini tidak lain hanyalah peringatan bagi semesta alam.

 

Allah tekankan bahawa Al-Qur’an itu adalah peringatan dari Allah kepada semua, iaitu kepada manusia dan jin. Ia bukannya dari Nabi Muhammad SAW atau baginda belajar dari orang lain.

Ia adalah peringatan yang penting yang dapat menyelamatkan jin dan manusia dari kebinasaan di dunia dan akhirat. Maka hendaklah dipelajari peringatan ini. Janganlah buat tidak tahu sahaja dan ambil lewa sahaja. Kalau peringatan tidak diambil peduli, apa agaknya yang akan berlaku?

Bayangkan seorang itu dalam perjalanan menuju ke gaung dan seorang lelaki nampak dia sedang menghala ke gaung. Tentu lelaki yang nampak itu memberi amaran kepada orang itu kerana hendak menyelamatkan dia, bukan? Lalu bagaimana kalau peringatan yang diberikan itu adalah untuk menyelamatkan orang itu dari neraka Allah? Tentu lebih diperlukan, bukan?


 

Ayat 88: Tapi kalau degil tidak mahu terima juga, bagaimana?

وَلَتَعلَمُنَّ نَبَأَهُ بَعدَ حينٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And you will surely know [the truth of] its information after a time.”

(MELAYU)

Dan sesungguhnya kamu akan mengetahui (kebenaran) berita Al Qur’an setelah beberapa waktu lagi.

 

Kalau degil juga tidak mahu menerima, maka dia akan sedar sendiri nanti, tapi di akhirat. Mereka akan melihat sendiri azab yang yang dijanjikan itu dengan mata mereka sendiri. Malangnya, ia hanya berlaku di akhirat nanti dan kalau waktu itu baru sedar, sudah terlambat untuk buat apa-apa lagi. Maka amatlah malang kalau begitu.

Ia juga boleh bermaksud: mereka akan melihat kebenaran yang disampaikan oleh Rasulullah itu beberapa tahun lagi apabila Nabi Muhammad dan para sahabat akan menang dan akan masuk ke dalam Kota Mekah dan menghancurkan berhala dan syirik.

Allahu a’lam. Sambung ke surah seterusnya, Surah Zumar.

Tarikh: 13 Julai 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Sad Ayat 71 – 83 (Kisah iblis yang sombong)

Ayat 71: Dalam ayat sebelum ini telah disebut tentang perbalahan antara malaikat yang tinggi. Iaitu tentang penciptaan manusia.

Kisah ini adalah kisah terakhir dalam Al-Qur’an tentang kejadian Nabi Adam a.s. Kisah ini telah disebutkan di dalam Al-Baqarah, permulaan Al-A’raf, Al-Hijr, Al-Isra, dan Al-Kahfi. Allah ulang di dalam surah ini kerana nak ingatkan tentang kejadian asal kita.

إِذ قالَ رَبُّكَ لِلمَلٰئِكَةِ إِنّي خٰلِقٌ بَشَرًا مِّن طينٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[So mention] when your Lord said to the angels, “Indeed, I am going to create a human being from clay.

(MELAYU)

(Ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: “Sesungguhnya Aku akan menciptakan manusia dari tanah”.

 

إِذ قالَ رَبُّكَ لِلمَلٰئِكَةِ

(Ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat:

Ini adalah ketika Allah telah buat keputusan akan menjadikan manusia sebagai khalifah di bumi dan Allah beritahu tahu kepada para malaikat tentangnya. Bukanlah Allah minta pendapat mereka tapi Allah hendak memberitahu sahaja dan beri peluang kepada mereka untuk beri pendapat mereka. Ini telah disentuh dalam Baqarah:30.

 

إِنّي خٰلِقٌ بَشَرًا مِّن طينٍ

“Sesungguhnya Aku akan menciptakan manusia dari tanah”.

Dalam Baqarah:30 Allah hanya memberitahu bahawa Allah hendak menjadikan manusia sahaja. Dalam ayat ini maklumat tambahan diberikan: iaitu manusia yang akan dijadikan khalifah itu akan dijadikan dari tanah.

Kalimah بَشَرًا pula bermaksud makhluk yang ada kulit dan kulit itu tidak ditutupi oleh bulu seperti yang ada pada binatang. Maka kalimah بَشَرًا dikaitkan dengan manusia kerana kulit kita memang terdedah. Inilah asal kejadian manusia. Yang dimaksudkan adalah Nabi Adam yang dijadikan dari tanah. Sedangkan kita anak cucunya dijadikan dari sperma.


 

Ayat 72:

فَإِذا سَوَّيتُهُ وَنَفَختُ فيهِ مِن رّوحي فَقَعوا لَهُ سٰجِدينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So when I have proportioned him and breathed into him of My [created] soul,¹ then fall down to him in prostration.”

(MELAYU)

Maka apabila telah Kusempurnakan kejadiannya dan Kutiupkan kepadanya roh (ciptaan)Ku; maka hendaklah kamu tersungkur dengan bersujud kepadanya”.

 

فَإِذا سَوَّيتُهُ

Maka apabila telah Kusempurnakan kejadiannya

Apabila Allah menjadikan manusia seperti yang dikehendakiNya iaitu kejadian Nabi Adam nanti.

 

وَنَفَختُ فيهِ مِن رّوحي

dan Kutiupkan kepadanya roh (ciptaan)Ku; 

Memang Nabi Adam dijadikan dari tanah, tapi bukan tanah itu sahaja yang ada. Allah akan memasukkan roh ke dalam tubuh baginda dan roh inilah yang terpenting sekali dalam jasad manusia.

Allah beritahu dalam ayat ini yang roh itu adalah رّوحي (rohKu). Tapi itu dari segi bahasa sahaja. Tidaklah Allah mengisikan roh dari rohNya pula. Tapi maksudnya adalah roh ‘ciptaanNya’. Sebagai contoh, kalau kita kata: “itu beg aku.” Tidaklah kita maksudkan yang beg itu sebahagian dari kita, bukan? Maksudnya beg itu kepunyaanku.

Kalau tidak faham tentang perkara ini, maka tentulah banyak yang terjerumus dalam salah faham tentang perkara ini. Sampai ada yang kata kita ini sebahagian dari Allah pula. Semoga kita yang belajar ini tidaklah jadi begitu.

 

فَقَعوا لَهُ سٰجِدينَ

maka hendaklah kamu tersungkur dengan bersujud kepadanya”.

Allah memberitahu kepada para malaikat yang tinggi itu, apabila Dia telah menjadikan Nabi Adam dan telah menyempurnakan diri baginda, maka hendaklah para malaikat itu sujud kepada baginda.

‘Sujud’ ini boleh jadi dalam bentuk sujud seperti yang kita lakukan sekarang, ataupun sujud hormat sahaja. Ini juga banyaklah perbincangan manusia tentangnya. Maka kita telah bincangkan perkara ini dalam Baqarah:34. Kita telah jelaskan bahawa para malaikat itu sujud kepada Nabi Adam kerana ada kelebihan pada baginda, iaitu ilmu yang Allah telah berikan kepada baginda.


 

Ayat 73:

فَسَجَدَ المَلٰئِكَةُ كُلُّهُم أَجمَعونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So the angels prostrated – all of them entirely,

(MELAYU)

Lalu seluruh malaikat-malaikat itu bersujud semuanya,

 

Apabila Allah telah keluarkan arahan kepada para malaikat, tidak ada malaikat yang membantah, semuanya sujud kerana malaikat semua taat kepada Allah.

Apabila kalimat كُلُّهُم أَجمَعونَ digunakan, maka menunjukkan memang tidak ada malaikat yang tidak sujud. Maka apabila iblis tidak sujud, kita pun telah tahu bahawa iblis bukan malaikat.

Maka kenapa iblis pun kena sujud sekali sedangkan dia bukan malaikat? Ini adalah kerana dia pun duduk di kalangan malaikat maka apabila arahan dikeluarkan kepada malaikat, maka dia pun kena ikut juga. Tidaklah boleh dia guna alasan: “aku bukan malaikat”. Apabila Allah tanya kepada Iblis kenapa dia tidak sujud pun, tidaklah dia beri alasan: “eh, tapi aku bukan malaikat, Kau keluarkan arahan kepada malaikat sahaja….”

Sebagai contoh, katakanlah sultan lalu di satu kawasan dan semua kereta kena berhenti sebagai tanda hormat dan beri jalan kepada sultan. Katakanlah ada seorang warganegara Indonesia ada di situ. Adakah dia boleh berjalan macam biasa dan beri alasan: “itu bukan sultan aku, jadi aku tak payah berhenti…” Awak rasa polis-polis yang ada di situ tidak tangkap dia?


 

Ayat 74:

إِلّا إِبليسَ استَكبَرَ وَكانَ مِنَ الكٰفِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Except Iblees;¹ he was arrogant and became among the disbelievers.

  • See footnote to 2:34.

(MELAYU)

kecuali iblis; dia menyombongkan diri dan adalah dia termasuk orang-orang yang kafir.

 

إِلّا إِبليسَ

kecuali iblis;

Seperti yang kita telah tahu, iblis tidak mahu sujud kepada Nabi Adam a.s. Dia telah melanggar perintah Allah dan tidak taat kepada Allah.

 

استَكبَرَ

dia menyombongkan diri

Kenapa iblis tidak mahu sujud kepada Nabi Adam diberitahu di sini, iaitu kerana dia sombong. Kerana dia rasa dia besar, lagi hebat dari Nabi Adam. Tapi kalimah yang digunakan adalahاستَكبَرَ iaitu dalam wazan استفعل iaitu membawa maksud percubaan. Maknanya, iblis cuba sombong sahaja, bukan layak nak sombong pun.

 

وَكانَ مِنَ الكٰفِرينَ

dan adalah dia termasuk orang-orang yang kafir.

Dan Allah beritahu yang iblis itu telah kufur. Bukanlah dia baru kufur kerana tidak mahu sujud kepada Nabi Adam, tapi dia sudah memang kufur sebelum itu lagi kerana kalimah كانَ yang digunakan. Cuma kekufurannya itu dia sembunyikan sahaja sebelum itu. Bila tidak mahu sujud dan engkar dengan arahan Allah, baru jelas nampak kekufurannya.


 

Ayat 75:

قالَ يٰإِبليسُ ما مَنَعَكَ أَن تَسجُدَ لِما خَلَقتُ بِيَدَيَّ ۖ أَستَكبَرتَ أَم كُنتَ مِنَ العالينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Allāh] said, “O Iblees, what prevented you from prostrating to that which I created with My hands?¹ Were you arrogant [then], or were you [already] among the haughty?”

  • See footnote to 2:19.

(MELAYU)

Allah berfirman: “Hai iblis, apakah yang menghalangi kamu sujud kepada yang telah Ku-ciptakan dengan kedua tangan-Ku. Apakah kamu menyombongkan diri ataukah kamu (merasa) termasuk orang-orang yang (lebih) tinggi?”.

 

قالَ يٰإِبليسُ ما مَنَعَكَ أَن تَسجُدَ لِما خَلَقتُ بِيَدَيَّ

Allah berfirman: “Hai iblis, apakah yang menghalangi kamu sujud kepada yang telah Ku-ciptakan dengan kedua tangan-Ku. 

Allah tanya sebagai pengajaran bagi kita kerana Allah tak perlu tanya kerana Allah sudah tahu dalam hati iblis.

‘Dua tangan’ Allah disebut dalam ayat ini. Banyaknya perbincangan tentang isu ini yang tidak perlu kita panjangkan. Apabila Allah beritahu yang Dia ada dua tangan, maka kita terima sahaja.

Ada yang mengatakan maksud dua tangan ini kerana Allah jadikan manusia dalam bentuk fizikal dan juga roh. Dengan adanya roh itulah yang menjadikan manusia ini tinggi lagi dari binatang walaupun sifat fizikal manusia itu ada persamaan dengan binatang. Tapi manusia ada akal, maka ia lebih mulia dari binatang. Tanpa roh, manusia tidak ada lebihnya dari binatang itu.

Ia juga bermaksud manusia ini mulia kerana Allah berfirman yang Dia sendiri yang jadikan manusia itu. Tidaklah Allah arahkan malaikat untuk menjadikan manusia. Ini adalah satu penghormatan Allah kepada manusia.

 

أَستَكبَرتَ

Apakah kamu menyombongkan diri?

Adakah kamu cuba untuk menyombongkan diri? Ini kerana nanti dalam surah ini juga akan menyebut iblis sombong kerana dia dijadikan dari api dan Nabi Adam dijadikan dari tanah yang rendah. Allah tanya: “kamu tak sujud kerana kamu sombongkah?”

Tak layak makhluk untuk sombong kerana Allah yang jadikan makhluk. Tidak ada kelebihan pada mana-mana makhluk melainkan ianya adalah pemberian Allah sahaja. Dan salah iblis yang utama adalah dia sendiri yang memandai meninggikan kedudukannya kerana dia fikir dia dijadikan dari api. Tidak ada kelebihan api atas tanah, tapi dia sendiri yang berfikir begitu. Maknanya, dia gunakan akal dia memandai sahaja.

 

أَم كُنتَ مِنَ العالي

ataukah kamu (merasa) termasuk orang-orang yang (lebih) tinggi?”.

Allah tempelak iblis kerana sangka dirinya memang tinggi. Kenapa teruk sangat sampai tidak menghormati makhluk yang Allah cipta dengan tanganNya sendiri? Kenapa tidak muliakan apa yang Allah muliakan? Bukankah Allah telah beri arahan, kenapa nak engkar?

Iblis sangka dia lagi tinggi kerana api itu sifatnya naik ke atas dan tanah itu sifatnya di bawah. Jadi dia rasa dia tinggi lagi kedudukan dari Nabi Adam kerana Nabi Adam dijadikan dari tanah sahaja. Ini disebut dalam ayat seterusnya.


 

Ayat 76:

قالَ أَنا خَيرٌ مِّنهُ ۖ خَلَقتَني مِن نّارٍ وَخَلَقتَهُ مِن طينٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He said, “I am better than him. You created me from fire and created him from clay.”

(MELAYU)

Iblis berkata: “Aku lebih baik daripadanya, kerana Engkau ciptakan aku dari api, sedangkan dia Engkau ciptakan dari tanah”.

 

قالَ أَنا خَيرٌ مِّنهُ

Iblis berkata: “Aku lebih baik daripadanya,

Allah beritahu kepada kita jawapan dari iblis yang menyebabkan dia rasa dia lebih tinggi dan mulia dari Nabi Adam a.s. Memang dia sendiri mengaku yang dia lebih baik dari Nabi Adam a.s.

 

خَلَقتَني مِن نّارٍ

kerana Engkau ciptakan aku dari api, 

Ini adalah salah satu dari dalil yang mengatakan golongan jin asalnya dijadikan dari api. Oleh kerana itu, dia rasa kejadian dari api itu lebih mulia dari kejadian dari tanah.

 

وَخَلَقتَهُ مِن طينٍ

sedangkan dia Engkau ciptakan dari tanah”.

Dia nampak asal Nabi Adam dari tanah sahaja tapi tak nampak roh yang telah dimasukkan ke dalam badan baginda. Dia tidak lihat yang di sebalik fizikal dan yang nyata. Ini seperti ahli sains sekarang juga yang hanya melihat fizikal sahaja. Mereka tidak terima perkara yang di luar elemen fizikal. Pada mereka kalau sesuatu itu tidak dapat dikaji secara empirikal, maka ia tidak wujud.

Maka kita boleh lihat iblis tak nampak kelebihan yang ada pada manusia. Maka kalau kita tidak hormat manusia lain, ini sudah meniru cara iblis.

Iblis memang mahu manusia lupakan roh. Kerana itu iblis dan syaitan akan mengajak manusia untuk memuaskan fizikal sahaja. Syaitan akan mengajak manusia bergembira, makan itu dan ini, dengar muzik dan sebagainya – semua itu melibatkan pemuasan kepada fizikal sahaja.

Dan mereka menolak pengajaran ilmu yang melibatkan pengisian kepada roh seperti dengar wahyu, belajar agama, belajar tafsir Al-Qur’an, sibukkan diri dengan Al-Qur’an dan lain-lain lagi bab agama. Iblis mahu kita tinggalkan pengisian kepada roh dan tinggalkan agama.


 

Ayat 77:

قالَ فَاخرُج مِنها فَإِنَّكَ رَجيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Allāh] said, “Then get out of it [i.e., Paradise], for indeed, you are expelled.

(MELAYU)

Allah berfirman: “Maka keluarlah kamu dari syurga; sesungguhnya kamu adalah orang yang terkutuk,

 

قالَ فَاخرُج مِنها

Allah berfirman: “Maka keluarlah kamu darinya;

Maka kerana kesombongan iblis dan penolakan untuk taat kepada arahan terus dari Allah, maka Allah halau iblis dari duduk di langit di kalangan malaikat lagi. Dia sudah tidak layak berada di kedudukan itu lagi.

Atau, ia bermaksud keluar dari tempat kejadian dimana para malaikat disuruh untuk sujud kepada Adam. Maknanya, bukanlah kejadian itu berlaku di syurga kerana kita tidak tahu di tempat mana kejadian itu.

 

فَإِنَّكَ رَجيمٌ

sesungguhnya kamu adalah orang yang terkutuk,

Kalimah رَجيمٌ boleh jadi bermaksud ‘yang dibaling’ atau ia boleh bermaksud ‘yang dicela’. Kerana itu doa istiaazah yang kita selalu baca adalah أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ (aku berlindung dari syaitan yang direjam).

Ia juga boleh bermaksud seseorang yang dijatuhkan dari kedudukan yang tinggi. Ini seperti yang telah dikenakan kepada iblis itu.


 

Ayat 78:

وَإِنَّ عَلَيكَ لَعنَتي إِلىٰ يَومِ الدّينِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And indeed, upon you is My curse until the Day of Recompense.”

(MELAYU)

Sesungguhnya kutukan-Ku tetap atasmu sampai hari pembalasan”.

 

Sudahlah iblis direjam, dia juga mendapat laknat Allah sampai hari Kiamat. ‘Laknat’ bermaksud tidak akan ada peluang mendapat rahmat dari Allah.

Bukanlah ayat ini bermaksud iblis kena laknat sampai hari Kiamat sahaja. Nanti selepas Kiamat dan akhirat telah bermula, dia akan kena azab pula.


 

Ayat 79:

قالَ رَبِّ فَأَنظِرني إِلىٰ يَومِ يُبعَثونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He said, “My Lord, then reprieve me until the Day they are resurrected.”

(MELAYU)

Iblis berkata: “Ya Tuhanku, beri tangguhlah aku sampai hari mereka dibangkitkan”.

 

قالَ رَبِّ

Iblis berkata: “Ya Tuhanku,

Walaupun telah mendapat kutukan dari Allah, tapi iblis masih tetap hendak meminta sesuatu. Lihatlah bagaiman iblis pun berdoa terus kepada Allah. Maka kalau kita tidak doa terus kepada Allah, sebenarnya lagi teruk dari iblis. Kerana iblis pun tahu nak doa terus kepada Allah.

Maknanya, iblis juga kenal sifat ketuhanan Allah. Dia mengaku yang Allah itu Tuhan dan Allah sahaja yang mampu memakbulkan segala-galanya. Bukanlah iblis ini jenis kafir tidak kenal Allah, tapi dia ini jenis kafir yang degil dengan Allah.

 

فَأَنظِرني إِلىٰ يَومِ يُبعَثونَ

beri tangguhlah aku sampai hari mereka dibangkitkan”.

Iblis minta supaya dia tidak dimatikan sehinggalah manusia dibangkitkan di akhirat kelak. Ini adalah kerana dia hendak menggunakan masa itu untuk menipu Adam dan anak cucunya. Ini adalah kerana marah sangat dia kepada Adam dan anak keturunan Adam. Bukan Adam sahaja dia benci, tapi kita sebagai keturunan Nabi Adam pun dia benci dan akan cuba sesatkan.


 

Ayat 80:

قالَ فَإِنَّكَ مِنَ المُنظَرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Allāh] said, “So indeed, you are of those reprieved

(MELAYU)

Allah berfirman: “Sesungguhnya kamu termasuk orang-orang yang diberi tangguh,

 

Allah makbulkan permintaan iblis itu. Jadi ini adalah dalam qadar Allah. Allah sudah tahu apa yang iblis akan minta dan ada hikmahnya kenapa Allah berikan kelulusan kepada iblis ini.

Maka kita kena terima sahajalah. Jangan kita persoalkan keputusan Allah ini. Jangan kita kata: “kenapalah Allah benarkan iblis hidup sampai bila-bila, tidakkah itu menyusahkan manusia?” Ini adalah kata-kata orang yang tidak menerima takdir Allah.


 

Ayat 81:

إِلىٰ يَومِ الوَقتِ المَعلومِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Until the Day of the time well-known.”

(MELAYU)

sampai kepada hari yang telah ditentukan waktunya (hari Kiamat)”.

 

Kalimat الوَقتِ المَعلومِ (waktu yang telah diketahui) bermaksud Hari Kiamat kerana hari itu semua sudah ketahui akan terjadi. Jadi, iblis dibenarkan hidup setakat kiamat sahaja. Dia minta sampai hari manusia dibangkitkan, tapi dapat setakat Kiamat sahaja iaitu apabila semua dimatikan.

Nanti iblis akan mati sekali dengan makhluk lain yang mati pada hari Kiamat. Ini penting kerana ada yang sangka iblis hidup sampai bila-bila. Itu salah kerana jelas bahawa penangguhan kematian iblis hanya setakat hari Kiamat sahaja.


 

Ayat 82:

قالَ فَبِعِزَّتِكَ لَأُغوِيَنَّهُم أَجمَعينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Iblees] said, “By Your might, I will surely mislead them all

(MELAYU)

Iblis menjawab: “Demi kekuasaan Engkau aku akan menyesatkan mereka semuanya,

 

قالَ فَبِعِزَّتِكَ

Iblis menjawab: “Demi kekuasaan Engkau

Sekarang iblis bersumpah dengan nama Allah. Maknanya, iblis juga mengakui kekuasaan Allah taala. Maka kalau ada yang tidak mengaku kebesaran dan kekuasaan Allah, maka dia lebih teruk dari iblis.

 

لَأُغوِيَنَّهُم أَجمَعينَ

aku pasti akan menyesatkan mereka semuanya,

Inilah ikrar iblis yang akan disampaikan kepada pengikutnya nanti. Mereka akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menyesatkan manusia. Mereka telah pasti akan masuk neraka, jadi mereka hendak memastikan kita pun masuk neraka bersama-sama dengan mereka.

Dan Iblis nak sesatkan semua sekali anak cucu Nabi Adam. Tidak ada seorang pun yang dia akan lepaskan kalau boleh.

Maka kita kena tolak ajakan dan bisikan mereka. Maka kita kenalah tahu apakah cara-cara mereka untuk menyesatkan manusia. Salah satu kitab yang molek dibaca tentang ini adalah Kitab Talbis Iblis.


 

Ayat 83: Siapakah yang selamat dari diayah dan hasutan iblis? Iblis pun tahu yang dia tidak boleh nak sesatkan semua sekali. Memang kalau boleh dia nak sesatkan semua sekali, tapi dia tahu yang dia tidak mampu.

إِلّا عِبادَكَ مِنهُمُ المُخلَصينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Except, among them, Your chosen servants.”

(MELAYU)

kecuali hamba-hamba-Mu yang mukhlis di antara mereka.

 

Ramai yang akan tertipu dan termakan dengan hasutan iblis. Tapi iblis pun awal-awal lagi telah beritahu yang mereka yang ikhlas akan terselamat dari hasutannya. Maknanya mereka yang ikhlas itu akan masuk ke dalam syurga.

Kalimah المُخلَصينَ juga boleh bermaksud ‘mereka yang terpilih’. Iaitu Allah telah pilih mereka itu untuk selamat dari hasutan syaitan. Maka beruntunglah kita kalau kita termasuk dalam golongan ini. Dan untuk dapat masuk dalam golongan ini, kenalah kita berusaha dengan mengamalkan ajaran dari Allah yang disampaikan melalui NabiNya.

Sebahagian kecil sahaja yang akan selamat seperti yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

{أَرَأَيْتَكَ هَذَا الَّذِي كَرَّمْتَ عَلَيَّ لَئِنْ أَخَّرْتَنِي إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ لأحْتَنِكَنَّ ذُرِّيَّتَهُ إِلا قَلِيلا}

Terangkanlah kepadaku, inikah orangnya yang Engkau muliakan atas diriku? Sesungguhnya jika Engkau memberi tangguh kepadaku sampai hari kiamat, nescaya benar-benar akan aku sesatkan keturunannya, kecuali sebahagian kecil. (Al-Isra: 62)

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 12 Julai 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi