Tafsir Surah Hadid Ayat 24 – 26 (Guna besi untuk perang)

Hadid Ayat 24: Allah ﷻ sambung cerita sifat orang yang khayal dan sombong itu. Ayat ini menyuruh kita pelihara diri daripada sifat bakhil. Hati kita ini kalau tidak dilatih untuk menjadi murah hati untuk keluarkan infak, maka hati itu akan terus menjadi kedekut.

Ini kerana kedekut adalah sifat manusia. Lihatlah sifat kebiasaan anak-anak kecil, memang asal sifat mereka adalah kedekut. Mereka tidak mahu berkongsi barang permainan mereka dengan orang lain. Ternyata memang sifat manusia itu telah diisi dengan sifat kedekut sebenarnya. Kita yang kena ubah sifat semulajadi itu. Kena latih dan didik anak kita dan diri kita untuk menjadi pemurah.

Maka untuk menggalakkan diri untuk mudah memberi infak, sebenarnya kena ada latihan. Ia bukanlah datang sendiri dan tidaklah boleh tunggu sifat itu datang. Kalau tunggu, memang tidak datang. Maka kena ikhtiar untuk mendapatkan sifat pemurah ini.

Kalau tidak dilatih, maka akan terus bakhil sampai bila-bila. Sifat bakhil itu kalau teruk sangat, barang yang tiada harga pun boleh timbul rasa kedekut untuk diberi kepada orang lain padahal barang itu dia sendiri pun tidak gunakan.

الَّذينَ يَبخَلونَ وَيَأمُرونَ النّاسَ بِالبُخلِ ۗ وَمَن يَتَوَلَّ فَإِنَّ اللهَ هُوَ الغَنِيُّ الحَميدُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Those] who are stingy and enjoin upon people stinginess. And whoever turns away¹ – then indeed, Allāh is the Free of need, the Praiseworthy.

  • Refusing to spend for Allāh’s cause or refusing obedience to Him.

(MELAYU)

(iaitu) orang-orang yang kikir dan menyuruh manusia berbuat kikir. Dan barangsiapa yang berpaling (dari perintah-perintah Allah) maka sesungguhnya Allah Dialah Yang Maha Kaya lagi Maha Terpuji.

 

 

الَّذينَ يَبخَلونَ

orang-orang yang kikir 

Surah ini sudah menyebut tentang infak sebelum ini. Sekarang disebut bagaimana pula dengan mereka yang tidak mahu mengeluarkan harta dan usaha mereka ke arah Islam. Mereka itu dinamakan sebagai ‘bakhil’.

Asalnya bakhil ini adalah kerana ‘cinta dunia’. Sebelum ini telah disebut tentang penipuan dunia. Maka Allah ﷻ latih dengan mewajibkan pembayaran zakat. Sedekah adalah sunat, tetapi zakat itu adalah wajib yang tidak dapat tidak, perlu dilakukan. Bila sudah biasa keluarkan zakat yang wajib, maka mudah ringan tangan untuk mengeluarkan sedekah dan infak pula. Inilah latihan yang dimaksudkan.

Kemudian kita kena berlatih sendiri untuk mula beri sedikit demi sedikit. Saya teringat kisah seorang yang meletakkan banyak gula-gula dalam poketnya dan beri kepada sesiapa yang dia jumpa. Dia kata itulah latihan untuk dirinya menjadi seorang yang pemurah. Biasakan beri yang kecil-kecil, dan upgrade kepada perkara yang lebih berharga.

Dalam ayat sebelum ini disebut tentang orang yang suka membangga diri. Salah satu sebab yang menjadikan seseorang itu bangga adalah kerana kekayaannya. Maka orang-orang yang sebegitu tentulah tidak mahu mengeluarkan harta dunia kerana ia akan merasa diri dia rendah kalau hartanya kurang.

Maka dia akan berusaha untuk menambah hartanya sebanyak mungkin dan tidak akan suka kalau melakukan sesuatu yang menyebabkan kurang hartanya. Biasanya orang yang sebegini ada masalah dengan hati dia. Dia perlu mendidik hatinya menjadi lembut untuk memberi. Dia kena sedar hakikat dunia dan hakikat harta yang tidak kekal.

 

 

وَيَأمُرونَ النّاسَ بِالبُخلِ

dan menyuruh manusia berbuat kikir.

Bukan sahaja mereka bakhil tetapi mereka juga mengajak orang lain menjadi bakhil juga seperti mereka. Kenapa pula begitu? Kenapa tidak bakhil sendirian sahaja?

Ini adalah kerana jikalau semua orang lain mengeluarkan harta pada jalan agama dan mereka sahaja yang tidak melakukannya maka tentulah mereka malu. Tentulah nampak mereka lain daripada orang lain.

Maka mereka akan membisikkan kepada orang lain supaya jangan sedekah. Supaya tidaklah nampak mereka sahaja yang tidak sedekah. Mereka akan bagi hujah yang mereka kena simpan wang untuk masa susah, simpan untuk anak di masa hadapan dan macam-macam lagi alasan.

Dia sendiri memang tidak akan keluarkan infak tetapi sekarang dia mengajak orang lain pun jangan infak dengan beri hujah-hujah sebegitu. Dia bagi orang terfikir dua kali untuk infak kerana takut susah, takut anak susah, takut dengan keadaan ekonomi di masa hadapan dan lain-lain lagi.

Maka ayat ini adalah tanda orang munafik: Mereka sendiri memang sudah bakhil dan simpan harta mereka daripada memberi kepada orang lain; dan mereka juga akan mengajak orang lain menjadi bakhil. Oleh itu janganlah kita ada sifat ini dalam diri kita.

Dengan cara ini juga kita dapat kenal siapakah golongan munafik itu. Ini kerana kita tidak dapat membaca hati manusia. Kita tidak tahu dengan tepat siapakah yang munafik tetapi kita hanya boleh tahu dengan sifat-sifat mereka seperti yang disebut dalam Al-Qur’an. Ini kerana kalau kita lihat ada sesiapa yang ada sifat munafik dalam diri dia, maka kita kena berhati-hati dengan mereka kerana mereka itu bahaya.

Mereka akan melemahkan umat Islam dari dalam kalau tidak dikenali. Maka kita kena dakwah kepadanya dan mengajaknya ke arah pelajaran wahyu. Kena jelaskan kepadanya tentang infak, tentang harta, dan tentang dunia.

 

 

وَمَن يَتَوَلَّ فَإِنَّ اللهَ هُوَ الغَنِيُّ الحَميدُ

Dan barangsiapa yang berpaling (daripada perintah-perintah Allah) maka sesungguhnya Allah Dialah Yang Maha Kaya lagi Maha Terpuji.

Sekiranya ada manusia yang kedekut dan tidak mahu mengeluarkan harta mereka ke arah kebaikan, maka Allah ﷻ beritahu yang Dia tidak memerlukan harta mereka. Ini adalah kerana Allah ﷻ Maha Kaya dan Allah ﷻ tidak memerlukan sesiapa pun. Allah ﷻ juga tidak perlu kepada ibadah kita, tidak perlu kepada harta kita dan infak kita. Segala ibadah dan infak kita adalah untuk diri kita sendiri.

Allah ﷻ juga tidak perlu kepada pujian kita kerana dia sudah Maha Terpuji. Sama ada ada yang puji ﷻ Allah atau tidak, Allah ﷻ tetap terpuji. Akan tetapi bila kita puji Allah ﷻ, maka Allah ﷻ amat suka dan balas dengan kebaikan.

Habis bahagian pertama iaitu tentang infak. Selepas ini akan masuk tentang jihad pula.


 

Hadid Ayat 25: Kita sekarang masuk ke Bahagian Kedua surah ini. Ayat 25 – 29 adalah Perenggan Makro Kelima dan terakhir. Ia mengajar kita untuk menegakkan keadilan.

Kita akan berbincang tentang jihad dan susah payah perjuangan untuk menegakkan tauhid. Ia adalah proses yang bermula daripada susah payah belajar tauhid dan kemudian tabligh (sampaikan) kepada orang lain. Kemuncaknya adalah apabila jihad qital (jihad perang).

Oleh itu kita kena faham yang jihad itu ada yang bil lisaan (dengan lisan kata-kata) atau bil sinaan (dengan senjata). Maka jangan sempitkan maksud jihad itu kepada perang sahaja. Maknanya, semua orang boleh berjihad sebenarnya, iaitu dengan jihad lisan.

Akan tetapi jangan pula dimatikan konsep jihad perang ini kerana jihad ini penting kerana kalau tidak bersedia untuk jihad dan menghadapi susah payah, ditakuti ada sifat munafik dalam diri. Sememangnya golongan munafik tidak suka menyertai jihad, sama ada lisan ataupun qital.

Maka kena ada niat untuk menyertai peperangan apabila ia diperlukan. Memang sekarang tengah tidak ada jihad, tetapi kena sematkan niat dalam hati kita untuk berjihad jika perlu. Sekarang memang tidak ada jihad lagi kerana masa tidak sesuai atau belum sampai lagi, tetapi niat kena ada.

Oleh itu, sekarang kita akan sentuh ayat-ayat tentang jihad. Surah Hadid ini mula menyentuh tentang jihad kerana ia diturunkan di awal waktu Madaniyyah dan klimaks tentang perang nanti disentuh dalam Surah Tawbah yang merupakan surah tentang perang.

Dalam ayat 25 & 26 ini memberitahu kita yang Kitab Al-Qur’an ini diturunkan supaya isinya dapat dijadikan neraca keadilan.

لَقَد أَرسَلنا رُسُلَنا بِالبَيِّنٰتِ وَأَنزَلنا مَعَهُمُ الكِتٰبَ وَالميزانَ لِيَقومَ النّاسُ بِالقِسطِ ۖ وَأَنزَلنَا الحَديدَ فيهِ بَأسٌ شَديدٌ وَمَنٰفِعُ لِلنّاسِ وَلِيَعلَمَ اللهُ مَن يَنصُرُهُ وَرُسُلَهُ بِالغَيبِ ۚ إِنَّ اللهَ قَوِيٌّ عَزيزٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

We have already sent Our messengers with clear evidences and sent down with them the Scripture and the balance that the people may maintain [their affairs] in justice. And We sent down iron, wherein is great military might and benefits for the people, and so that Allāh may make evident those who support Him and His messengers unseen. Indeed, Allāh is Powerful and Exalted in Might.

(MELAYU)

Sesungguhnya Kami telah mengutus rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti yang nyata dan telah Kami turunkan bersama mereka Al Kitab dan neraca (keadilan) supaya manusia dapat melaksanakan keadilan. Dan Kami ciptakan besi yang padanya terdapat kekuatan yang hebat dan berbagai manfaat bagi manusia, (supaya mereka mempergunakan besi itu) dan supaya Allah mengetahui siapa yang menolong (agama)Nya dan rasul-rasul-Nya padahal Allah tidak dilihatnya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa.

 

 

لَقَد أَرسَلنا رُسُلَنا بِالبَيِّنٰتِ

Sesungguhnya Kami telah mengutus rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti yang nyata

Allah ﷻ yang mengangkat para Rasul sepanjang zaman untuk membawa risalah daripada Allah ﷻ. Rasul dibekalkan dengan bukti-bukti nyata iaitu dalam bentuk wahyu dan mukjizat.

Mereka kena sampaikan wahyu kepada manusia dan disebarkan kepada umat. Dan kerana perkara yang mereka sampaikan itu adalah perkara besar, maka mereka juga dibekalkan dengan mukjizat-mukjizat sebagai bukti yang mereka itu memang Nabi dan Rasul.

Nabi-nabi adalah pejuang maka kena lihat kepada mereka dan jadikan mereka sebagai contoh. Kerana itu ada banyak ayat-ayat Al-Qur’an yang menceritakan tentang perjalanan hidup mereka dan perjuangan mereka. Banyak yang kita boleh belajar daripada kisah mereka. Kisah mereka disentuh secara ringkas sahaja dalam Al-Qur’an dan ditambah dengan hadith-hadith Nabi dan huraian daripada para ulama’.

 

 

وَأَنزَلنا مَعَهُمُ الكِتٰبَ

dan telah Kami turunkan bersama mereka Al Kitab

Kalimah ‘al-kitab’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah ‘hukum-hukum agama’. Tidaklah semua para Nabi mendapat kitab wahyu tetapi mereka ada bawa hukum yang disampaikan kepada umat. Dan para Nabi dan Rasul pasti akan menegakkan hukum Allah ﷻ. Mereka mengajar apakah kehendak Allah ﷻ kepada kita dan bagaimana cara kita menjalani kehidupan kita semasa di dunia.

Ada yang keliru dengan ayat ini dan sangka setiap Nabi mendapat kitab, cuma yang diketahui adalah 4 sahaja. Sebenarnya tidak. Ayat tidak bermaksud bahawa semua nabi mendapat kitab secara khusus. Para ulama tafsir menjelaskan bahawa maksud “kitab” di sini adalah dalam bentuk umum (isim jins), iaitu merujuk kepada jenis kitab yang diturunkan kepada para rasul, bukan bermakna setiap nabi atau rasul mendapat kitab tersendiri.

Ibn ‘Uthaymin menyatakan: “﴾وَأَنزَلْنَا مَعَهُمُ الْكِتَابَ﴿; di sini ‘kitab’ adalah isim mufrad yang dimaksudkan ‘jenis’ (jins), maka ia merangkumi semua kitab. Setiap Rasul ada kitab, tetapi tidak semestinya setiap Nabi. Ada yang menafsirkan bahawa ‘bersama mereka’ bermaksud bersama sebahagian Rasul, bukan semua, tetapi zahir ayat menunjukkan setiap Rasul ada kitab. Namun, tidak semua Nabi adalah Rasul, dan tidak semua Nabi menerima kitab baru. Ada yang hanya mengikuti kitab sebelumnya”. Contohnya, ramai Nabi Bani Israil yang diutus selepas Nabi Musa, mereka tidak membawa kitab baru tetapi berdakwah berdasarkan kitab Taurat.

Tafsir al-Baydawi pula menyebut: “Kitab di sini untuk menjelaskan kebenaran dan membezakan amalan yang betul. Ia juga boleh bermaksud Allah menurunkan kitab kepada setiap rasul yang diutuskan, tetapi tidak semua nabi mendapat kitab, kerana ada nabi yang hanya mengikuti kitab sebelumnya”.

Penggunaan perkataan “bersama mereka” (ma’ahum) menunjukkan bahawa setiap rasul dibekalkan dengan autoriti wahyu. Walaupun Nabi tersebut tidak menerima naskhah kitab yang baru, mereka membawa “kitab” (iaitu hukum-hakam dan syariat Allah) yang terkandung dalam wahyu untuk ditegakkan dalam masyarakat.

Jadi yang menerima kitab hanyalah para Rasul. Khilaf adakah semua Rasul mendapat kitab atau tidak, tapi yang penting, hanya Rasul sahaja dapat kitab. Jadi ada berapa kitab semua sekali? Yang pasti kita tahu ada 4 kitab yang besar. Tapi bilangan yang sebenarnya kita tidak tahu. Memang ada hadis tentang hal ini,

قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، كَمْ كِتَابًا أَنْزَلَ اللَّهُ؟ قَالَ: «مِائَةَ كِتَابٍ وَأَرْبَعَةَ كُتُبٍ، أَنْزَلَ اللَّهُ عَلَى شِيثَ خَمْسِينَ صُحُفًا، وَعَلَى إِدْرِيسَ ثَلَاثِينَ صُحُفًا، وَعَلَى إِبْرَاهِيمَ عَشْرَ صُحُفٍ، وَأَنْزَلَ عَلَى مُوسَى قَبْلَ التَّوْرَاةِ عَشْرَ صُحُفٍ، وَأَنْزَلَ التَّوْرَاةَ، وَالْإِنْجِيلَ، وَالزَّبُورَ، وَالْفُرْقَانَ»
“Aku (Abu Dzar) bertanya: ‘Wahai Rasulullah, berapakah jumlah kitab yang Allah turunkan?’ Baginda menjawab: ‘Seratus empat buah kitab. Allah menurunkan kepada Syith lima puluh suhuf, kepada Idris tiga puluh suhuf, kepada Ibrahim sepuluh suhuf, kepada Musa sebelum Taurat sepuluh suhuf, dan Allah menurunkan Taurat, Injil, Zabur, dan al-Furqan (al-Quran).'”

Penjelasan hadis: Penting untuk diketahui bahawa hadith ini diriwayatkan oleh Ibnu Hibban (dalam Sahih beliau), Abu Nu’aym, dan al-Tabarani. Namun, para ulama hadith mempunyai pandangan berbeza mengenai status kekuatannya:

    1. Dhaif (Lemah): Ramai ulama hadith (termasuk Imam al-Zahabi dan Ibnu Kathir) menilai hadith panjang riwayat Abu Dzar ini sebagai Dhaif Jiddan (Sangat Lemah) atau ada perawi yang dipertikaikan dalam sanadnya (seperti Ibrahim bin Hisyam al-Ghassani).

    2. Kandungan: Walaupun sanadnya lemah, kandungannya sering dipetik dalam kitab-kitab tafsir dan sirah sebagai maklumat tambahan (fadhail) mengenai jumlah suhuf yang diberikan kepada Nabi-nabi terdahulu.

    3. Al-Qur’an sebagai Pegangan Utama: Di dalam Al-Qur’an, hanya Suhuf Ibrahim dan Musa yang disebut secara jelas (Surah Al-A’la), manakala jumlah terperinci seperti “50 suhuf untuk Nabi Syith” hanya ditemui dalam riwayat hadis seperti di atas.

Allah ﷻ yang menjadikan kita, maka Allah ﷻ tahu bagaimana kita patut hidup. Hukum-hukum yang Allah ﷻ tetapkan kepada kita adalah untuk kebaikan kita. Bukanlah hukum itu untuk menyusahkan kita, tetapi sebenarnya untuk menyenangkan kita. Kerana kalau tiada hukum, maka porak perandalah manusia kerana manusia tidak akan tahu bagaimana hendak menjalani kehidupan dan bermasyarakat dengan baik.

 

وَالميزانَ

dan neraca 

Kalimah ‘mizan’ membawa maksud ‘neraca keadilan’. Ia adalah tafsir kepada al-kitab. Kerana al-kitab adalah hukum dan hukum itu adalah untuk menegakkan keadilan.

Kerana dalam wahyu ada mizan yang mengajar kita prinsip-prinsip keadilan. Untuk menegakkan keadilan di atas muka bumi ini kita kena rujuk kepada wahyu yang Allah ﷻ sampaikan kerana kalau tidak, kita tidak akan tahu kerana akal kita tidak akan dapat mencapai tahap keadilan yang dikehendaki.

Keadilan ini amat penting terutama sekali menegakkan keadilan ‘kalimah tauhid’. Itulah keadilan yang utama kita kena tegakkan. Kerana kalau kita sembah dan mengabdikan diri kepada selain Allah ﷻ, itu adalah ketidakadilan peringkat tertinggi.

Juga mizan boleh bermaksud sebagai ‘penilai’ antara benar dan salah; antara syirik dan tauhid. Dengan adanya mizan ini kita boleh buat keputusan di antara pilihan yang ada (baik atau buruk). Maka barulah kita tahu manakah cara dan jalan yang patut diikuti.

 

 

لِيَقومَ النّاسُ بِالقِسطِ

supaya manusia dapat menegakkan keadilan.

Kedua-dua perkara di atas (al-kitab dan al-mizan) kena ada di dalam masyarakat yang aman. Maka keadilan tidak akan wujud kalau masyarakat itu tidak berpegang kepada agama iaitu berpegang kepada al-kitab. Ini kerana mereka yang berpegang kepada agama sahaja yang sanggup untuk menegakkan keadilan.

Ini kerana mereka takut kepada Allah ﷻ dan apa yang Allah ﷻ akan lakukan kepada mereka kalau mereka tidak menegakkan keadilan. Kalau setakat takut kepada manusia sahaja, tidak cukup.

Ayat ini memberitahu kita yang kita bukan sahaja membawa kebenaran dalam amalan individu tetapi dalam hal masyarakat majmuk pula. Maka jangan hendak selamatkan diri dan melakukan ibadat berseorangan sahaja, tetapi kita hendaklah bermasyarakat dengan cara yang adil.

 

 

وَأَنزَلنَا الحَديدَ

Dan Kami ciptakan besi 

Allah ﷻ bukan sahaja menurunkan wahyu tetapi Allah ﷻ beritahu yang Dia juga yang ‘menurunkan’ besi. ‘Turun’ dalam ayat ini bermaksud ‘menjadikan’. Ini kerana besi itu adalah nikmat dan nikmat itu ‘diturunkan’ daripada Allah ﷻ. Semua nikmat daripada Allah ﷻ. Dan ini juga seperti yang Allah ﷻ sebut dalam Zumar: 6

وَأَنزَلَ لَكُم مِّنَ الأَنعٰمِ ثَمٰنِيَةَ أَزوٰجٍ
dan Dia mengadakan untuk kamu binatang-binatang ternak lapan ekor

Sebenarnya, penggunaan kalimah ‘diturunkan’ juga adalah salah satu daripada mukjizat Al-Qur’an yang hanya diketahui apabila kajian moden semakin mendalam. Ini adalah kerana memang besi itu bukannya berasal dari bumi tetapi memang diturunkan dari langit. Ini boleh dibaca dalam http://www.miracles-of-quran.com/iron.htm

Maka ini adalah satu lagi bukti kehebatan Al-Qur’an yang disahkan oleh penemuan sains. Kerana perkara sebeginilah yang menyebabkan ramai ahli sains dan mereka yang membuka hati mereka kepada kebenaran telah masuk ke dalam agama Islam.

Ia juga adalah bukti kebenaran Al-Qur’an. Apa sahaja yang disampaikan di dalamnya adalah kebenaran. Telah terbukti bahawa lebih kurang 80% daripada maklumat sains yang disampaikan di dalam Al-Qur’an adalah 100% benar, maka ini sudah cukup tinggi untuk menjadi dalil bahawa keseluruhan Al-Qur’an itu benar.

Ini kerana yang tidak dapat disahkan adalah perkara-perkara ghaib seperti syurga, neraka, jin, malaikat dan seumpamanya. Akan tetapi, kalau perkara yang dapat dibuktikan dengan sains semuanya benar, takkan yang 20% lagi itu tidak benar, bukan?

Kenapa pula besi tiba-tiba ada di dalam hal agama?

 

 

فيهِ بَأسٌ شَديدٌ

yang padanya terdapat kekuatan yang hebat

Ia adalah satu kekuatan yang sangat hebat terutama sekali kepada para pejuang jihad. Ia digunakan untuk pertahanan diri dan alat senjata untuk berjihad. Umat Islam mesti gunakan dalam jihad.

Ini juga adalah dalil mukjizat Al-Qur’an. Kerana ia memang logam yang mempunyai ikatan yang paling kuat dalam dunia. Ini boleh dibaca pada http://www.miracles-of-quran.com/iron.htm.

Besi memberi isyarat kepada peperangan. Untuk menegakkan keadilan di Tanah Arab itu Rasulullah ﷺ perlu berperang untuk mencapai keadilan. Kerana itu besi itu adalah hadiah daripada Allah ﷻ untuk dibuat pedang, tombak dan juga perisai.

Semuanya itu digunakan untuk sebagai alatan perang. Kita telah beritahu sebelum ini bahawa Surah Hadid bahagian kedua ini adalah tentang jihad dan sekarang sudah diberi isyarat tentang jihad dengan menyebut besi.

Sememangnya baginda harus menggunakan peperangan untuk menegakkan keadilan dan mendirikan negara Islam. Ini kerana baginda mesti menunjukkan satu contoh bagaimana keadilan itu dipraktikkan di dalam negara Islam yang aman. Jikalau ia tidak ditunjukkan maka keadilan itu hanya menjadi satu idea sahaja dan Al-Qur’an ini juga menjadi satu kitab teori sahaja.

وَقَدْ رَوَى الْإِمَامُ أَحْمَدُ وَأَبُو دَاوُدَ، مِنْ حَدِيثِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ ثَابِتِ بْنِ ثَوْبَانَ، عَنْ حَسَّانَ بْنِ عَطِيَّةَ، عَنْ أَبِي الْمُنِيبِ الْجُرَشِيِّ الشَّامِيِّ، عَنِ ابْنِ عُمَرَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “بُعِثتُ بِالسَّيْفِ بَيْنَ يَدَي السَّاعَةِ حَتَّى يُعبَد اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وجُعِل رِزْقِي تَحْتَ ظِلّ رُمْحي، وَجَعَلَ الذِّلَّةُ والصِّغار عَلَى مَنْ خَالَفَ أَمْرِي، وَمَنْ تَشبَّه بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ”
Imam Ahmad telah meriwayatkan —juga Abu Daud— melalui hadith Abdur Rahman ibnu Sabit ibnu Sauban, daripada Hasan ibnu Atiyyah, daripada Abul Munib Al-Jarasyi Asy-Syami, daripada Ibnu Umar yang mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda: Aku diutus dengan membawa pedang sebelum hari kiamat, hingga hanya Allah semata sajalah yang disembah tiada sekutu bagi-Nya. Dan Allah menjadikan rezekiku berada di bawah bayangan tombakku, dan menjadikan kehinaan dan kerendahan bagi orang yang menentang perintahku; dan barang siapa yang menyerupai suatu kaum, maka dia termasuk daripada  mereka.

(Musnad Ahmad no. 5114, sanadnya sahih menurut Syeikh Ahmad Syakir)

Maknanya untuk menegakkan keadilan di muka bumi kena ada kuasa pemerintahan untuk menegakkan undang-undang dan menghukum mereka yang tidak ikut undang-undang. Kadangkala untuk mendapatkan kuasa memerintah ini memerlukan peperangan.

 

 

وَمَنٰفِعُ لِلنّاسِ

dan berbagai manfaat bagi manusia, 

Besi itu juga boleh digunakan untuk membuat barang-barang yang lain dan bukan sahaja senjata. Kita pun memang menggunakan besi dalam banyak kehidupan kita. Kerana besi itu dapat dijadikan kegunaan untuk pekerjaan manusia seperti cangkul, kapak, gergaji, pahat, alat untuk membajak tanah, dan peralatan lainnya yang digunakan untuk keperluan pertanian, pertukangan serta alat-alat lainnya yang diperlukan oleh manusia.

Ini mengajar kita yang alat peperangan itu hanya dibuat jikalau ada perang dan juga waktu aman, kita gunakan teknologi dan material yang ada untuk kegunaan dalam kehidupan yang lain.

Masalah terjadi apabila industri yang membuat alat peperangan ini hendak terus menjadi kaya raya. Mereka mendapat keuntungan yang melampau kerana peperangan dan kerana itu mereka telah menyebabkan ada keperluan kepada peralatan perang.

Apakah pula yang terjadi apabila perang tiada? Apabila perang tiada maka perniagaan mereka terbantut dan mereka tidak mendapat kekayaan lagi. Maka syarikat industri peperangan ini melobi supaya perang berterusan dan supaya ada keperluan kepada industri mereka yang telah menjadikan mereka kaya raya.

Maka kerana itu perang nampaknya tidak berhenti-henti kerana syarikat gergasi yang menggunakan kuasa lobi mereka supaya perang di dunia ini berterusan. Mereka mengadu domba para pemimpin dan rakyat yang mudah terpengaruh supaya bibit-bibit perang tercetus. Tempat yang aman mereka telah kacau supaya perang meletus di situ.

 

 

وَلِيَعلَمَ اللهُ مَن يَنصُرُهُ وَرُسُلَهُ بِالغَيبِ

dan supaya Allah mengetahui siapa yang menolong (agama)-Nya dan rasul-rasul-Nya padahal Allah tidak dilihatnya. 

Jihad menjadi kayu pengukur kepada iman umat Islam. Apabila para sahabat berdiri di sebelah Nabi ﷺ untuk berperang menegakkan agama, mereka itu bukan sahaja beriman dengan Allah ﷻ dan Nabi Muhammad ﷺ tetapi mereka juga beriman dengan para rasul yang sudah tidak ada iaitu mereka itu ghaib (kerana sudah tidak ada lagi). Kerana mereka percaya dengan ajaran para rasul itu yang tugas mereka menegakkan agama sama ada dengan cara aman ataupun dengan cara perang.

Oleh itu, Allah ﷻ mahu menzahirkan siapa yang sanggup bantu Allah ﷻ dengan menggunakan besi. Allah ﷻ sudah tahu siapa yang akan bantu kerana Allah ﷻ tahu isihati manusia. Cuma Allah ﷻ mahu menzahirkan sahaja kepada umat Islam yang lain. Allah ﷻ mahu menzahirkan siapakah yang akan bantu rasul.

Kerana itu kalau ingin tahu siapakah orang munafik, tanda mereka adalah mereka tidak akan sanggup untuk berjihad. Mereka akan mencari pelbagai alasan untuk tidak berjihad. Kerana sifat mereka memang malas susah dan takut mati.

 

 

إِنَّ اللهَ قَوِيٌّ عَزيزٌ

Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa.

Allah ﷻ yang Maha Gagah dan Maha Perkasa. Walaupun ayat ini menyebut tentang besi dan alat peperangan tetapi yang sebenar-benar berkuasa hanyalah Allah ﷻ. Berperang itu hanyalah sebagai alat untuk mencapai kemenangan sahaja tetapi kemenangan yang sebenarnya diberikan oleh Allah ﷻ.

Allah ﷻ sendiri tidak memerlukan besi dan peperangan untuk menegakkan agama kerana Allah ﷻ boleh sebarkan agama begitu sahaja. Allah ﷻ boleh sahaja membuka hati semua manusia untuk menerima Islam. Namun Allah ﷻ beri peluang kepada kita untuk berdakwah kepada yang belum Muslim. Maka Allah ﷻ ciptakan besi supaya boleh digunakan untuk menegakkan agama.

Allah ﷻ tidak memerlukan pertolongan kita untuk menegakkan agama-Nya. Allah ﷻ boleh sahaja mengubah hati manusia untuk menerima hidayah begitu sahaja. Akan tetapi Allah ﷻ beri peluang kepada Rasul dan manusia untuk berjuang menegakkan agama-Nya. Maka dengan berjuang itu manusia dapat peluang untuk mengumpul pahala dengan banyak.

Maka kena faham dengan ayat ini. Janganlah menjadi orang sesat yang menggunakan ayat ini untuk azimat pula. Kerana ada fahaman yang kata, bila beli kereta kena baca ayat ini pada air dan curahkan air itu pada kereta kerana kereta itu akan terjaga kerana kereta itu dijadikan daripada besi. Memang mengarut fahaman manusia kalau tidak belajar wahyu dengan benar.

Habis Ruku 3 daripada 4 ruku’ dalam surah ini.


 

Hadid Ayat 26: Dalam ayat sebelum ini telah disebut Rasul secara ijmali (umum) sahaja. Sekarang disebut secara tafsili (khusus) di mana disebut nama beberapa Rasul.

وَلَقَد أَرسَلنا نوحًا وَإِبرٰهيمَ وَجَعَلنا في ذُرِّيَّتِهِمَا النُّبُوَّةَ وَالكِتٰبَ ۖ فَمِنهُم مُّهتَدٍ ۖ وَكَثيرٌ مِّنهُم فٰسِقونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We have already sent Noah and Abraham and placed in their descendants prophethood and scripture; and among them is he who is guided, but many of them are defiantly disobedient.

(MELAYU)

Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Nuh dan Ibrahim dan Kami jadikan kepada keturunan keduanya kenabian dan Al Kitab, maka di antara mereka ada yang menerima petunjuk dan banyak di antara mereka fasik.

 

 

وَلَقَد أَرسَلنا نوحًا وَإِبرٰهيمَ

Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Nuh dan Ibrahim

Selepas disebut tentang rasul-rasul secara umum, maka sekarang disebut dua Rasul yang penting. Mereka ini menjadi contoh pejuang dalam agama. Kena baca kisah mereka dalam Al-Qur’an dan dalam hadis\th. Jadikan perjuangan mereka sebagai motivasi kepada kita.

 

 

وَجَعَلنا في ذُرِّيَّتِهِمَا النُّبُوَّةَ وَالكِتٰبَ

dan Kami jadikan kepada keturunan keduanya kenabian dan Al Kitab, 

Dua Rasul ini amat besar kepada manusia kerana daripada keturunan mereka keluar keturunan manusia dan banyak para nabi.

Selepas banjir besar keturunan manusia bermula dan bersambung daripada Nabi Nuh عليه السلام sahaja kerana tidak ada manusia lahir yang daripada zuriat yang lain. Maka kita ini semua adalah zuriat Nabi Nuh عليه السلام dan kerana itu Nabi Nuh عليه السلام digelar ‘Adam Kedua’.

Daripada keturunan baginda iaitu Sam bin Nuh (kemudian menjadi golongan semitic) adalah Nabi Ibrahim عليه السلام dan daripada keturunan baginda lahirnya keturunan para Rasul yang banyak.

 

 

فَمِنهُم مُّهتَدٍ

maka di antara mereka ada yang menerima petunjuk

Ada dalam kalangan umat-umat mereka yang terpimpin dan mengikut kebenaran dan menerima wahyu. Namun hanyalah segelintir sahaja.

 

 

وَكَثيرٌ مِّنهُم فٰسِقونَ

dan banyak di antara mereka fasik.

‘Fasik’ di dalam ayat ini bermaksud ‘kafir’. Ini yang ramai (majoriti) dalam kalangan keturunan mereka yang memilih jalan sesat. Walaupun mereka itu keturunan Nabi, tetapi tetap mereka itu lari jauh daripada ajaran wahyu.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 30 Disember 2025

Ringkasan Peta Minda Surah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Hadid Ayat 21 – 23 (Kenapa Allah ﷻ beri musibah kepada kita?)

Ayat 21: Sebelum ini telah disebut tentang penyakit dunia dan sekarang Allah ﷻ beri ubat kepada penyakit dunia itu. Ayat 21 – 24 adalah Perenggan Makro Keempat di mana Allah ﷻ menganjurkan kita untuk segera melakukan kebajikan. Dalam ayat 21 ini Allah ﷻ suruh kita segera mohon keampunan dan syurga.

سابِقوا إِلىٰ مَغفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُم وَجَنَّةٍ عَرضُها كَعَرضِ السَّماءِ وَالأَرضِ أُعِدَّت لِلَّذينَ ءآمَنوا بِاللهِ وَرُسُلِهِ ۚ ذٰلِكَ فَضلُ اللهِ يُؤتيهِ مَن يَشاءُ ۚ وَاللهُ ذُو الفَضلِ العَظيمِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Race [i.e., compete] toward forgiveness from your Lord and a Garden whose width is like the width of the heavens and earth, prepared for those who believed in Allāh and His messengers. That is the bounty of Allāh which He gives to whom He wills, and Allāh is the possessor of great bounty.

(MELAYU)

Berlumba-lumbalah kamu kepada (mendapatkan) ampunan dari Tuhanmu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasul-Nya. Itulah kurnia Allah, diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah mempunyai kurnia yang besar.

 

 

سابِقوا إِلىٰ مَغفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُم

Berlumba-lumbalah kamu kepada (mendapatkan) ampunan daripada Tuhanmu

Kita semua haruslah berlumba-lumba untuk mendapatkan akhirat. Inilah sifat ahli syurga. Mereka bersungguh-sungguh di dalam beramal dan membuat persediaan untuk akhirat. Mereka ingin maju di hadapan dalam hal agama dan tidak berasa cukup dengan apa yang telah mereka lakukan. Mereka akan mencuba untuk memperbaiki amalan mereka dan sentiasa menambah ilmu mereka.

Salah satu amalan yang sangat dianjurkan untuk berlumba adalah dalam perkara infak. Ini kerana telah disebut yang kalau berinfak, akan mendapat pengampunan daripada Allah ﷻ, bukan? Oleh sebab itu kalau tahu ada orang lain yang memberi, maka kita harus mempunyai sifat untuk mahu memberi dengan lebih banyak lagi. Tentunya haruslah mengikut kemampuan kita juga tetapi keinginan itu mestilah ada.

Berhentilah daripada berlumba-lumba dengan manusia lain dalam pengumpulan harta, pengumpulan anak, kejayaan dan perkara-perkara lain. Sebaliknya berlumba-lumbalah untuk mendapatkan pengampunan dan keredhaan daripada Allah ﷻ. Berlumba-lumbalah dalam memberi infak yang lebih.

Sememangnya dalam sejarah telah terbukti para sahabat berlumba-lumba di dalam hal agama dan mengumpul pahala, sebagaimana yang telah dikemukakan dalam hadith sahih yang menyebutkan:

أَنَّ فُقَرَاءَ الْمُهَاجِرِينَ قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، ذَهَبَ أَهْلُ الدُّثور بِالدَّرَجَاتِ الْعُلَى وَالنَّعِيمِ الْمُقِيمِ. قَالَ: “وَمَا ذَاكَ؟ “. قَالُوا: يُصلُّون كَمَا نُصَلِّي، وَيَصُومُونَ كَمَا نَصُومُ، وَيَتَصَدَّقُونَ وَلَا نَتَصَدَّقُ، ويُعتقون وَلَا نُعْتِق. قَالَ: “أَفَلَا أَدُلُّكُمْ عَلَى شَيْءٍ إِذَا فَعَلْتُمُوهُ سَبَقْتُمْ مَنْ بَعْدَكُمْ، وَلَا يَكُونُ أَحَدٌ أَفْضَلَ مِنْكُمْ إِلَّا مَنْ صَنَعَ مِثْلَ مَا صَنَعْتُمْ: تُسَبِّحُونَ وَتُكَبِّرُونَ وَتَحْمَدُونَ دُبُر كُلِّ صَلَاةٍ ثَلَاثًا وَثَلَاثِينَ”. قَالَ: فَرَجَعُوا فَقَالُوا: سَمِعَ إِخْوَانُنَا أَهْلُ الْأَمْوَالِ مَا فَعَلْنَا، فَفَعَلُوا مِثْلَهُ! فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “ذَلِكَ فَضْلُ اللَّهِ يؤتيه من يشاء”
Bahawa orang-orang fakir dalam kalangan muhajirin berkata, “Wahai Rasulullah, orang-orang yang hartawan telah memborong semua pahala dan darjat yang tinggi serta kenikmatan yang abadi.” Rasulullah ﷺ bertanya, “Mengapa demikian?” Mereka menjawab, “Mereka salat seperti kami salat, dan mereka puasa seperti kami puasa. Mereka berzakat, sedangkan kami tidak dapat berzakat. Mereka memerdekakan budak, sedangkan kami tidak dapat memerdekakan budak.” Maka Rasulullah ﷺ bersabda: Mahukah kalian kutunjukkan kepada suatu hal yang apabila kalian mengerjakannya dapat mendahului orang-orang yang sesudah kalian, dan tidak ada seorang pun yang lebih utama daripada kalian kecuali orang yang melakukan hal yang sama dengan kalian. Iaitu hendaknya kalian bertasbih, bertakbir, dan bertahmid setiap selesai daripada salat kalian sebanyak tiga puluh tiga kali. Tetapi tidak berapa lama mereka kembali lagi kepada Rasulullah ﷺ dan berkata, “Saudara-saudara kami yang hartawan telah mendengar apa yang kami kerjakan, lalu mereka mengerjakan hal yang semisal dengan kami.” Maka Rasulullah ﷺ bersabda: Itu merupakan kurnia Allah yang diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya.

 

 

وَجَنَّةٍ عَرضُها كَعَرضِ السَّماءِ وَالأَرضِ

dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, 

Kejar pengampunan daripada Allah ﷻ dan juga kena kejar syurga. Dalam ayat sebelum ini Allah ﷻ menyebut tentang manusia yang mengejar-ngejar kehidupan dunia. Allah ﷻ hendak memberitahu di dalam ayat ini bahawa sepatutnya manusia berlumba-lumba untuk mendapatkan syurga di akhirat. Kerana syurga itu kekal dan lebih hebat daripada dunia yang fana ini.

Di dalam surah sebelum ini telah disebut golongan yang mula-mula beriman dan beramal soleh, maka mereka diberikan dengan kelebihan yang amat tinggi dan sekarang Allah ﷻ memberitahu apa yang mereka akan dapat lagi, iaitu syurga yang kekal abadi.

Mereka akan diberi dengan taman-taman syurga. Taman disebut sebab sebelum ini telah disebut tentang petani (yang suka apabila hujan turun). Kemudian Allah ﷻ sebut tentang kebesaran syurga itu untuk menarik minta kita yang membaca Al-Qur’an ini. Lebar syurga itu sangat luas.

Orang Arab tahu langit dan bumi sahaja maka Allah ﷻ menggunakan langit dan bumi sebagai perumpamaan kepada isyarat luasnya syurga itu. Ia untuk memberi isyarat kepada mereka supaya mereka boleh faham. Tentulah kita tidak tahu keluasan syurga yang tepat.

Daripada ayat ini ia memberi isyarat yang keseluruhan syurga itu nanti seluas langit dan bumi dan mungkin lebih luas lagi. Dan keseluruhan syurga itu tempat ahli syurga. Dia boleh pergi ke mana-mana sahaja dia pergi. Macam sekarang, kalau kita hendak pergi ke bulan pun sangat payah, bukan? Akan tetapi nanti di akhirat ahli syurga boleh pergi ke mana-mana sahaja dia hendak pergi.

 

 

أُعِدَّت لِلَّذينَ ءآمَنوا بِاللهِ وَرُسُلِهِ

yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasul-Nya.

Syurga itu memang telah ada dan sekarang sedang menunggu tuannya untuk masuk. Ini adalah dalil bahawa syurga itu memang telah ada bukan baru dijadikan selepas Kiamat nanti.

Bagaimanakah cara untuk kita dapat masuk ke dalam syurga? Satu fahaman orang Islam adalah jikalau kita buat A, kemudian B, dan C, maka kita akan dapat masuk ke dalam syurga. Ini cara amal secara kuantitatif sahaja. Namun surah ini menjelaskan tentang amalan kualitatif iaitu amalan yang berkualiti daripada kita.

Kita jangan lihat secara kuantitatif sahaja. Sepertimana kalau kita hendak menjadi warganegara sesuatu negara maka kita kena lakukan beberapa perkara tertentu dan tinggalkan beberapa perkara. Iaitu kena taat kepada undang-undang negara. Namun tidaklah itu bermaksud kita menjadi warganegara yang berkhidmat kepada masyarakat. Islam tidak mahu kita buat ‘cukup-cukup makan’, kerana Allah ﷻ mahu kita buat lebih lagi.

Islam tidak mahu kita hanya menyelamatkan diri kita sahaja tetapi kita hendaklah berkhidmat kepada masyarakat dan memudahkan kehidupan orang lain juga. Kalau kita lihat kisah-kisah para rasul di dalam Al-Qur’an, kita boleh lihat mereka itu bukan sahaja mengajak manusia kepada Allah ﷻ dan juga menyembah Allah ﷻ tetapi mereka juga menegur tentang kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh masyarakat mereka di dalam hal keduniaan.

Ini sebagaimana Nabi Syu’aib عليه السلام yang menegur cara perniagaan kaum baginda dan juga Nabi Luth عليه السلام yang menegur amalan homoseksual umatnya. Manakala Nabi Musa عليه السلام pula menegur tentang keburukan perhambaan. Maksudnya, mereka juga melihat kepada realiti kehidupan masyarakat yang mesti dibaiki. Mereka bukan mahu melepaskan diri mereka sahaja, tetapi mereka mahu masyarakat juga selamat.

Agama Islam adalah agama yang lengkap yang bukan hanya menyebut tentang Tuhan tetapi juga memberi kebaikan kepada kehidupan manusia sejagat. Maka kita kena sampaikan ajaran agama ini supaya ia boleh diterapkan di dalam segenap kehidupan manusia. Kerana ia memang boleh memberi kebaikan kepada semua.

Walaupun ayat ini menyebut tentang iman kepada Allah ﷻ dan Rasul, kita tetap kena lihat lebih daripada itu lagi. Ini kerana makna beriman dengan Allah ﷻ dan Rasul itu amat luas. Jangan sangka “Aku sudah beriman”, itu sudah cukup. Kena buat kerja. Kena jadi khalifah di dunia.

 

 

ذٰلِكَ فَضلُ اللهِ

Itulah kurnia Allah, 

Sekiranya kita menjalankan tugas kita sebagai khalifah di muka bumi maka Allah ﷻ akan beri kurniaan yang amat luas.

Kalimah فَضلُ bermaksud pemberian balasan yang lebih daripada yang sepatutnya. Memang Allah ﷻ akan beri berganda-ganda lebih. Bayangkan kita sekejap sahaja beramal dan berkhidmat di dunia, tetapi Allah ﷻ balas dengan syurga yang berkekalan.

 

 

يُؤتيهِ مَن يَشاءُ

diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya.

Allah ﷻ yang pilih siapa yang akan mendapat kurniaan yang besar itu. Akan tetapi pemberian Allah ﷻ berdasarkan siapa yang hendak. Maka kena ada kehendak dalam diri manusia itu terlebih dahulu. Bila sudah ada kehendak, maka dia akan menjalankan kerja dan kerana usahanya itu, Allah ﷻ balas dengan memberikan Rahmat yang besar.

 

 

وَاللهُ ذُو الفَضلِ العَظيمِ

Dan Allah mempunyai kurnia yang besar.

Allah ﷻ mampu untuk memberi balasan rahmat yang amat besar. Tuhan yang menjadikan alam ini tentu mempunyai kemampuan untuk beri segala yang dijanjikan-Nya. Semua janji dalam Al-Qur’an ini bukan janji kosong. Ia pasti akan ditepati.


 

Ayat 22: Ini adalah sebab infak yang ke-lima. Semasa harta itu ada di tangan kamu, maka hendaklah kamu infakkan kerana jika tidak, ia akan musnah begitu sahaja.

Kerana yang akan terjadi adalah salah satu daripada dua: sama ada harta itu musnah dahulu ataupun kamu dulu yang musnah kerana mati.

Semasa di dunia kita akan menerima musibah. Musibah itu pasti akan kena kepada kita, sama ada dalam bentuk hukuman atau dalam bentuk ujian. Cuma kita kena ingat yang di sebalik musibah itu boleh menjadi ada pahala. Maka ayat 22 & 23 ini mengajak kita bersabar di atas kerugian harta dan nyawa.

Kenapa disebut tentang musibah dalam ayat tentang infak? Kerana infak adalah sedikit musibah disebabkan harta akan berkurang namun ini adalah ujian. Akan tetapi tetap ada pahala di sebaliknya kerana Allah ﷻ akan menggantikan semula sekurang-kurangnya 10 kali ganda. Asalkan kita redha dengan ujian itu.

ما أَصابَ مِن مُّصيبَةٍ فِي الأَرضِ وَلا في أَنفُسِكُم إِلّا في كِتٰبٍ مِّن قَبلِ أَن نَّبرَأَها ۚ إِنَّ ذٰلِكَ عَلَى اللهِ يَسيرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

No disaster strikes upon the earth or among yourselves except that it is in a register¹ before We bring it into being – indeed that, for Allāh, is easy –

  • i.e., the Preserved Slate (al-Lawḥ al-Maḥfūth).

(MELAYU)

Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauhul Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.

 

 

ما أَصابَ مِن مُّصيبَةٍ فِي الأَرضِ

Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi

Oleh kerana surah ini berkenaan infak, maka kita tafsir musibah ini pertamanya dalam bentuk infak harta. Ramai yang tidak mahu infak harta kerana mereka takut harta berkurang. Pada mereka, kurang harta itu adalah musibah. Maka Allah ﷻ mahu mengingatkan yang jangan takut dengan musibah kurang harta.

Jangan takut untuk keluarkan infak kerana kita telah belajar yang kalau harta itu musnah sebelum kita sempat untuk keluarkan infak maka kita telah hilang peluang untuk menjadikan ia sebagai harta kita yang kekal.

Musibah itu juga ada dalam bentuk yang lain. Sekiranya kita sudah berusaha untuk menegakkan agama Allah ﷻ ini maka kita akan menemui beberapa masalah dan gangguan. Maka Allah ﷻ sentuh tentang perkara itu di dalam ayat ini.

‘Musibah’ dari segi bahasa bermaksud anak panah yang tepat kena sasarannya. Maka musibah itu bermaksud sesuatu yang memang telah ditentukan oleh Allah ﷻ akan kena kepada kita. Ia bukanlah sesuatu yang tidak sengaja tetapi apa yang Allah ﷻ telah takdirkan. Memang kita tidak akan dapat elak. Maka kena redha sahaja.

 

 

وَلا في أَنفُسِكُم

dan (tidak pula) pada dirimu sendiri 

Musibah itu boleh jadi pada luaran atau pada tubuh badan kita sendiri. Ia telah ditentukan oleh Allah ﷻ.

Kepada diri itu adalah musibah berupa rasa sakit dan penyakit. Namun kita sebagai Muslim harus sentiasa diingatkan bahawa segala musibah itu adalah pengampun dosa walaupun sekecil mana musibah itu sebagaimana hadith:

مَا مِنْ مُصِيْبَةٍ تُصِيْبُ الْمُسْلِمِ إِلاَّ كَفَّرَ اللهُ بِهَا عَنْهُ حَتَّى الشَّوْكَةِ يُشَاكُهَ

“Tidaklah suatu musibah menimpa seorang muslim, bahkan sekadar duri yang menusuknya sekalipun, melainkan Allah akan menghapus kesalahannya.”

(HR. Bukhari no. 5640 dan Muslim 2572)

 

Maka musibah yang Allah ﷻ kenakan kepada kita itu memang Allah ﷻ telah takdirkan jadi kita kena terima dan redha yang ia menjadi ujian bagi kita. Mungkin ia adalah kifarah kepada dosa yang kita telah lakukan. Dan kalau kita berjaya melepasi ujian dan musibah itu maka ia akan menjadi pahala tambahan buat kita.

 

 

إِلّا في كِتٰبٍ مِّن قَبلِ أَن نَّبرَأَها

melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauhul Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya.

Yakni ia telah sedia tertulis sebelum Allah ﷻ ciptakan manusia dan makhluk lainnya. Sebelum Allah ﷻ keluarkan ke alam nyata, takdir telah ditentukan. Ini kerana kalimah نبرأ adalah daripada katadasar ب ر أ yang bermaksud menjadi nyata, penciptaan, pengeluaran, pembentukan.

Sebahagian ulama’ tafsir mengatakan bahawa dhamir yang terdapat pada lafaz nabra-aha merujuk kepada nufus (yakni anfusikum – diri kamu). Sebelum nafs kita dijadikan, takdir kita telah ditentukan.

Menurut pendapat yang lain, ia kembali kepada musibah. Musibah itu memang telah ditakdirkan akan terjadi. Akan tetapi pendapat yang terbaik ialah yang mengatakan ia kembali kepada makhluk dan manusia, kerana konteks pembicaraan berkaitan dengannya. Sebelum Allah ﷻ menjadikan manusia, Allah ﷻ sudah tentukan nasib dirinya.

Mana-mana musibah pun sudah ada dalam ilmu Allah ﷻ. Allah ﷻ yang menentukan ia akan terjadi. Jangan kita mempersoalkan kenapa Allah ﷻ beri musibah kepada kita. Kita sebagai seorang mukmin kena terima ketentuan daripada Allah ﷻ. Inilah baru dipanggil sebagai hamba yang sejati.

Kalau kita dapat menerima perkara ini, Allah ﷻ akan menjadikan kita seorang yang ada personaliti yang kukuh. Apa-apa sahaja yang terjadi, kita dapat terima dan tidak mengeluh. Bila tidak mengeluh maka kita sentiasa memandang ke hadapan dan tidaklah kita asyik bertanya: “Kenapalah musibah ini terjadi kepada aku?”. Sebaliknya kita redha dan ambil pengajaran daripada apa yang terjadi.

 

 

إِنَّ ذٰلِكَ عَلَى اللهِ يَسيرٌ

Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.

Mudah sahaja bagi Allah ﷻ untuk menjadikan apa-apa dan mengenakan apa-apa musibah kepada manusia. Allah ﷻ telah tetapkan qadha’ itu 50 ribu tahun sebelum Allah ﷻ menjadikan alam ini termasuk kita, seperti yang disebut dalam hadith:

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا أَبُو عَبْدِ الرَّحْمَنِ، حَدَّثَنَا حَيْوَةُ وَابْنُ لَهِيعة قَالَا حَدَّثَنَا أَبُو هَانِئٍ الْخَوْلَانِيُّ: أَنَّهُ سَمِعَ أَبَا عَبْدِ الرَّحْمَنِ الحُبُلي يَقُولُ: سَمِعْتُ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمرو بْنِ الْعَاصِ يَقُولُ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: “قدَّر الله المقادير قَبْلَ أَنْ يَخْلُقَ السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضَ بِخَمْسِينَ أَلْفَ سَنَةٍ”.

Imam Ahmad رحمه الله mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abu Abdur Rahman, telah menceritakan kepada kami Haiwah dan Ibnu Lahi’ah. Keduanya mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abu Hani’ Al-Khaulani, bahawa dia pernah mendengar Abu Abdur Rahman Al-Habli mengatakan bahawa dia pernah mendengar Abdullah ibnu Amr ibnul As mengatakan bahawa dia pernah mendengar Rasulullah ﷺ bersabda: Allah telah menetapkan ukuran-ukuran (semua makhluk-Nya) sebelum menciptakan langit dan bumi dalam jarak lima puluh ribu tahun. Imam Muslim رحمه الله meriwayatkannya di dalam kitab sahihnya melalui hadith Abdullah ibnu Wahb dan Haiwah ibnu Syuraih dan Nafi’ ibnu Yazid, ketiganya daripada Abu Hani’ dengan sanad yang sama.

 

Bukannya Allah ﷻ kenakan musibah dan ujian kepada kita kerana Dia benci kepada kita. Allah ﷻ beri musibah sama ada antara dua perkara:

1. Untuk beri peringatan kepada kita kerana ada kesalahan yang kita telah lakukan. Maka ini adalah peringatan yang baik kerana kalau tidak ada peringatan, kita semakin hanyut.

2. Sebagai peluang untuk mendapat pahala. Kerana dengan ada musibah dan kita redha dan sabar dengan musibah itu, maka kita akan dapat pahala. Ini adalah pahala ‘bonus’. Kerana tidak perlu buat apa-apa sudah mendapat pahala. Dengan sabar sahaja dah dapat pahala, bukan?


 

Ayat 23: Kita sudah membincangkan bab takdir. Mungkin timbul soalan: kenapa Allah ﷻ ceritakan tentang takdir? Ia adalah perkara ghaib dan hanya Allah ﷻ sahaja yang tahu. Maka Allah ﷻ beritahu hikmah musibah itu, Allah ﷻ sahaja tahu takdir dan kenapa ia dijadikan, dan kita tidak tahu. Dan sekarang Allah ﷻ sebut tentang pemberitahuan itu secara umum.

لِّكَيلا تَأسَوا عَلىٰ ما فاتَكُم وَلا تَفرَحوا بِما ءآتٰكُم ۗ وَاللهُ لا يُحِبُّ كُلَّ مُختالٍ فَخورٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

In order that you not despair over what has eluded you and not exult [in pride] over what He has given you. And Allāh does not like everyone self-deluded and boastful –

(MELAYU)

(Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berduka cita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri,

 

 

لِّكَيلا تَأسَوا عَلىٰ ما فاتَكُم

supaya kamu jangan berdukacita terhadap apa yang luput daripada kamu,

Tujuan Allah ﷻ memberi musibah kepada kita adalah supaya kita menjadi orang yang tetap teguh dan tidak terkesan sangat dengan apa yang berlaku di sekeliling kita. Kita boleh tenang-tenang sahaja dengan apa yang terjadi kepada kita.

Pada masa ayat ini diturunkan, keadaan umat Islam waktu itu masih lagi lemah dan memerlukan pengorbanan daripada semua umat Islam. Mereka masih lagi berperang menentang kufar. Mereka masih lagi dilanda bahaya diserang pada bila-bila masa oleh musuh, bukan sahaja daripada Musyrikin Mekah tetapi juga dari sekitar tanah Arab yang berpihak kepada Mekah. Musuh juga berseteru dengan pihak musuh dalaman seperti Yahudi dan Nasara yang tidak menyukai umat Islam.

Maka tentulah umat Islam waktu itu lelah dan rasa, tidakkah Allah ﷻ mahu membantu mereka? Allah ﷻ beritahu yang bukannya Allah ﷻ tidak tahu apa yang mereka lalui, tetapi semua itu adalah ujian daripada Allah ﷻ untuk memberi kekuatan dan ketabahan kepada mereka.

Oleh itu jikalau kita dikenakan dengan sesuatu perkara yang malang, maka kita tidaklah bersedih sangat kerana kita sudah tahu yang itu adalah suratan takdir daripada Allah ﷻ yang Allah ﷻ telah tentukan dari dulu lagi. Kita sebut inna lillah sahaja dan kerana itu kita akan mendapat pahala kerana kita serahkan urusan kita kepada Allah ﷻ.

Maksud inna lillah adalah ‘kita ini milik Allah’ belaka. Dan bila kita milik Allah ﷻ, Allah ﷻ boleh buat apa sahaja kepada kita. Macam kita ada harta, maka ikut kitalah hendak buat apa dengan harta itu, bukan?

Maka kalau kita terima kita adalah hamba dan milik Allah ﷻ, maka mudah untuk kita menerima apa sahaja yang dikenakan kepada kita. Inilah ‘maqam hamba’ (peringkat hamba) yang patut kita sematkan dalam diri kita. Kena sedar yang kita ini hamba dan Allah ﷻ itu Tuhan. Jangan sekali-kali mempersoalkan apa yang Allah ﷻ buat kepada kita.

Bukan para sahabat sahaja yang dikenakan ujian, kita turut diuji sentiasa dalam segala usaha kita. Jangan kita berasa putus asa atau lemah semangat dan bersedih kalau apa yang kita usahakan tidak terjadi.

Sebagai contoh, kita mungkin berusaha hendak membina sebuah masjid untuk kegunaan masyarakat tetapi tidak berjaya kerana dihalang Majlis Daerah. Kalau kita sedar yang kita sudah usaha sebaik mungkin untuk Allah ﷻ, apa yang tidak menjadi tidaklah menyedihkan kita sangat. Janganlah kita persoalkan: “Kenapalah Allah tak benarkan aku buat masjid ni, bukankah ia benda baik?”

Kenalah terima yang projek buat masjid itu bukanlah keseluruhan Islam tetapi salah satu cara sahaja untuk menegakkan agama. Walaupun masjid itu tidak berjaya dibina, namun iman kita tetap ada. Bila kita faham perkara ini, tidaklah kita putus semangat untuk terus berusaha lagi. Kita boleh terus buat perkara bermanfaat yang lain pula. Allah ﷻ tidak takdirkan kita berjaya dalam perkara ini, maka kita usaha bab lain.

Sebagai contoh lagi, katakanlah pergerakan dakwah kita ada masalah. Mulanya baik-baik sahaja, namun lama kelamaan ada masalah kerana syaitan sudah cucuk jarum bagi ahli dalam persatuan berkelahi sesama sendiri. Jangan pula kita putus semangat untuk menyertai persatuan dakwah yang lain.

Maknanya, jangan kerana satu usaha tidak berjaya, kita terus tidak mahu terlibat lagi. Itu putus semangat dan putus asa namanya dan ini adalah bisikan daripada syaitan. Ini adalah fahaman yang salah dan maknanya dia telah terkesan dengan keadaan dan tidak tahu maksud ayat ini.

 

 

وَلا تَفرَحوا بِما ءآتٰكُم

dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. 

Sementara di sebaliknya pula, Allah ﷻ hendak mengingatkan kita supaya jangan bergembira sangat jikalau kita berjaya menjalankan projek kita. Kerana kejayaan projek itu bukanlah bermaksud yang kita sendiri sudah selamat kerana iman kita itu tidak bersangkutan dengan projek itu sahaja. Allah ﷻ sudah takdirkan pun yang ia akan berjaya dan beri peluang kepada kita untuk terlibat sahaja dapat pahala kerana kita ada usaha.

Memang kita ada usaha, tetapi kita jangan gembira sangat atau bangga sampai kata kerana kitalah usaha itu berjaya. Kerana segala apa yang terjadi adalah atas kehendak dan kebenaran Allah ﷻ. Sekiranya Allah ﷻ tidak izinkan dan tidak membantu kita, usaha itu tidak akan berjaya. Maka kalau berjaya, maka kita kena pulangkan semula kepada Allah . Kita kena kata: “Alhamdulillah, Allah takdirkan usaha ini berjaya… semua ini adalah izin-Nya juga…”.

Allah ﷻ mengingatkan kita yang kita ini semua dalam takluk Dia dan usaha kita tidak memberi kesan kecuali dengan izin-Nya. Maka kerana itu sekali sekala Allah ﷻ berikan kejayaan dan sekali sekala Allah ﷻ berikan pula kesusahan kepada kita. Semua ini supaya kita tidaklah terlalu terkesan dengan apa yang berlaku. Apa sahaja yang berlaku, kita tetap ingat kepada Allah ﷻ.

Kalaulah semua usaha kita berjaya, tentu kita akan rasa kita ada kuasa pula untuk menjadikan apa sahaja dan lupa takdir Allah ﷻ; dan kalau Allah ﷻ beri kegagalan sahaja, tentu kita akan rasa malas untuk membuat apa-apa lagi dan takut untuk berusaha. Maka sekali sekala Allah  beri kejayaan dan sekali sekala Allah ﷻ beri kegagalan.

Formulanya adalah: Kita kena ada dua S: sabar dan syukur. Maka ingat SS ini. Kehidupan kita adalah di antara dua perkara ini sahaja. Terapkan dua konsep ini ke dalam kehidupan kita seharian.

Bila tidak berjaya: sabar
Bila berjaya: syukur

 

 

وَاللهُ لا يُحِبُّ كُلَّ مُختالٍ فَخورٍ

Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri,

Kalimah مُختالٍ berasal daripada katadasar خ ي ل dan daripada katadasar yang sama, maka kalimah ‘khayal’ yang kita semua faham rasanya. Allah ﷻ tidak suka mereka yang khayal dengan diri mereka yang dipanggil mukhtal. Iaitu mereka yang sangka diri mereka hebat, sedangkan itu adalah khayalan dan perasan sahaja.

Ternyata itulah yang terjadi kalau tidak berhati-hati dengan hati kita. Katakanlah sebagai contoh ada projek dan usaha dakwah yang berjaya, mungkin ada yang cakap dalam hati dia: “Sebab akulah yang buat, maka kerana itulah projek dakwah kita terjadi”. Mereka sangka sebab merekalah yang sesuatu projek agama itu berjaya. Itu adalah khayalan sahaja.

Mereka berasa mereka hebat dan kerana itu masjid itu terdiri, madrasah itu berjalan, street dakwah itu berjalan, ramai orang masuk Islam kerana dia, dan lain-lain lagi. Mereka khayal dan sombong dengan kelebihan dalaman. Mereka lupa yang perkara itu berjaya kerana Allah ﷻ yang beri kejayaan itu.

Kalimah فَخورٍ daripada katadasar ف خ ر yang bermaksud bangga diri dan rasa diri hebat. Kalau مُختالٍ itu bermaksud berbangga dengan ‘kelebihan dalaman’, kalimah فَخورٍ pula bermaksud berbangga dengan ‘kelebihan luaran’. Sebagai contoh, kalau bangga dengan rupa paras, ini termasuk فَخورٍ. Ini termasuk berbangga dengan apa yang kita miliki seperti rumah dan kereta.

Kedua-dua sifat مُختالٍ dan فَخورٍ adalah ujian kepada manusia. Memang perasaan itu datang sendiri tanpa kita usaha pun, tanpa kita paksa. Ia datang sendiri tetapi bila ia datang, kita kenalah tolak. Ini biasa sahaja kerana memang hamba sentiasa dalam ujian. Dan salah satu ujian yang berat adalah apabila datang perasaan-perasaan sebegini.

Kedua-dua kalimah مُختالٍ dan فَخورٍ  itu bermaksud berbangga, tetapi satu berbangga dengan kelebihan yang ada pada diri dan keduanya berbangga dengan perkara luaran yang didapati daripada ikhtiar. Kalau kita sudah tahu tentang perkara ini, maka senanglah kita sedar bila ia datang (dan tidak perasan).

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 4 Mac 2021

Ringkasan Peta Minda Surah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Hadid Ayat 19 – 20 (Penipuan dunia)

Ayat 19:

وَالَّذينَ ءآمَنوا بِاللهِ وَرُسُلِهِ أُولٰئِكَ هُمُ الصِّدّيقونَ ۖ وَالشُّهَداءُ عِندَ رَبِّهِم لَهُم أَجرُهُم وَنورُهُم ۖ وَالَّذينَ كَفَروا وَكَذَّبوا بِئآيٰتِنا أُولٰئِكَ أَصحٰبُ الجَحيمِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And those who have believed in Allāh and His messengers – those are [in the ranks of] the supporters of truth and the martyrs, with their Lord. For them is their reward and their light.¹ But those who have disbelieved and denied Our verses – those are the companions of Hellfire.

  • Another accepted meaning is “And those who have believed in Allāh and His messengers – they are the supporters of truth. And the martyrs, with their Lord, will have their reward and their light.”

(MELAYU)

Dan orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, mereka itu orang-orang Shiddiqien dan orang-orang yang menjadi saksi di sisi Tuhan mereka. Bagi mereka pahala dan cahaya mereka. Dan orang-orang yang kafir dan mendustakan ayat-ayat Kami, mereka itulah penghuni-penghuni neraka.

 

 

وَالَّذينَ ءآمَنوا بِاللهِ وَرُسُلِهِ أُولٰئِكَ هُمُ الصِّدّيقونَ

Dan orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, mereka itu orang-orang Siddiqeen

Golongan الصِّدّيقونَ bermaksud mereka yang ‘membenarkan agama’. Ia adalah kalimah mubalaghah (bersangatan) yang berasal daripada ص د ق yang bermaksud ‘membenarkan’. Kebenaran yang Allah ﷻ sampaikan, mereka terima dan mereka amalkan. Kerana itu Abu Bakr رضي الله عنه digelar As-Siddiq kerana beliau membenarkan segala apa yang disampaikan oleh Rasulullah ﷺ.

Sifat mereka juga ‘benar’ iaitu apa yang mereka cakap dan lakukan adalah sama. Tidaklah cakap di mulut lain tetapi di hati lain dan perbuatan pula lain, seperti orang munafik. Golongan munafik bercakap perkara yang benar, namun di hati mereka tersimpan sifat yang tidak percaya kepada agama.

Mereka yang siddiq itu beriman sepenuhnya dengan Allah dan sangat teguh sifat benar mereka. Mereka sangat jujur dan tidak berbohong. Mereka yang sebegini telah diterima iman mereka. Mereka telah berada di peringkat iman yang tinggi.

Mereka ini dibandingkan dengan golongan munafik yang lemah iman yang tidak berkhidmat untuk agama dan berinfak untuk agama. Golongan mukmin yang sebenar akan berlumba-lumba untuk berkhidmat kepada agama. Mereka akan ringan tangan untuk mengeluarkan infak.

Bukan sahaja mesti beriman dengan Allah tetapi mestilah beriman dengan Rasul dan bukan Nabi Muhammad ﷺ sahaja tetapi semua Rasul. Sebelum ini telah disebut tentang golongan Ahli Kitab supaya jangan jadi seperti mereka. Ini adalah kerana masalah dengan Ahli Kitab adalah mereka tidak menerima semua Rasul. Mereka pilih-pilih Rasul yang mereka hendak terima dan mereka tidak menerima kerasulan Nabi Muhammad ﷺ.

Sebagai contoh, Yahudi terima semua Nabi kecuali Nabi Isa عليه السلام dan Nabi Muhammad ﷺ, manakala Nasara terima semua Nabi kecuali Nabi Muhammad ﷺ. Maka beriman dengan para Rasul itu adalah membenarkan kerasulan mereka. Jangan dibeza-bezakan antara mereka. Iaitu tanpa tafriq seperti yang disebut dalam Baqarah: 285.

 

وَرُسُلِهِ لا نُفَرِّقُ بَينَ أَحَدٍ مِّن رُّسُلِهِ

dan Rasul-rasulNya. (Mereka berkata): “Kami tidak membezakan antara seorang dengan yang lain Rasul-rasulnya

 

 

وَالشُّهَداءُ عِندَ رَبِّهِم

dan orang-orang yang menjadi saksi di sisi Tuhan mereka. 

Potongan ayat ini ada dua tafsiran, bergantung sama ada potongan kalimah الشُّهَداءُ ini adalah sambungan daripada yang sebelumnya atau permulaan kepada perkara yang baru.

1. Kalau ia adalah sambungan daripada potongan sebelumnya, maka ia adalah sambungan kepada sifat orang siddiqeen itu. Mereka bersaksi di atas ketaatan dan keimanan mereka.

Dan mereka juga menjadi saksi kepada umat lain. Mereka akan bersaksi bahawa para Rasul semua sudah menyampaikan ajaran kepada umat mereka; umat mereka sahaja yang tidak mahu terima. Ini seperti yang disebut dalam Hajj: 78

 

وَتَكونوا شُهَداءَ عَلَى النّاسِ

dan supaya kamu semua menjadi saksi atas segenap manusia

 

2. Pendapat yang kedua mengatakan ini adalah permulaan ayat yang baru dan ia menceritakan tentang golongan yang diberi kelebihan mati syahid di medan perang. Ini adalah kerana mereka beriman sungguh-sungguh dengan Allah ﷻ dan para Rasul. Ini pun sesuai juga kerana surah ini memang berkenaan jihad juga.

Maknanya ayat ini menyebut tentang golongan Siddiqeen dan golongan Syahideen. Dan memang di ayat Nisa: 69 pun ada pembahagian ini disebut.

 

وَمَن يُطِعِ اللَهَ وَالرَّسولَ فَأُولٰئِكَ مَعَ الَّذينَ أَنعَمَ اللَهُ عَلَيهِم مِنَ النَّبِيّينَ وَالصِّدّيقينَ وَالشُّهَداءِ وَالصّالِحينَ ۚ وَحَسُنَ أُولٰئِكَ رَفيقًا

Dan barang siapa yang mentaati Allah dan Rasul-Nya, mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah, iaitu nabi-nabi, para siddiqeen, orang-orang yang mati syahid, dan orang-orang saleh. 

 

Dari sini kita dapat tahu yang ada beza antara dua golongan ini dan golongan siddiqeen itu lebih tinggal dari golongan syahideen.

 

لَهُم أَجرُهُم

Bagi mereka pahala mereka

Mereka yang siddiq dan syahid itu akan mendapat balasan pahala daripada Allah ﷻ. Segala amal ibadat dan infak mereka akan dibalas dengan pahala. Pahala itu pula telah disebut sebelum ini: amat banyak dan berganda-ganda dari segi kuantiti dan kualiti.

Seperti yang disebutkan di dalam kitab Sahihain:

 

“إِنَّ أَرْوَاحَ الشُّهَدَاءِ فِي حَوَاصِلِ طَيْرٍ خُضْر تَسْرَحُ فِي الْجَنَّةِ حَيْثُ شَاءَتْ، ثُمَّ تَأْوِي إِلَى تِلْكَ الْقَنَادِيلِ، فَاطَّلَعَ عَلَيْهِمْ رَبُّكَ اطِّلَاعَةً فَقَالَ: مَاذَا تُرِيدُونَ؟ فَقَالُوا: نُحِبُّ أَنْ تَرُدَّنَا إِلَى الدَّارِ الدُّنْيَا فَنُقَاتِلَ فِيكَ فَنَقْتُلَ كَمَا قُتِلنا أَوَّلَ مَرَّةٍ. فَقَالَ إِنِّي قَضَيْتُ أَنَّهُمْ إِلَيْهَا لَا يَرْجِعُونَ”

Sesungguhnya arwah para syuhada’ berada di dalam perut burung hijau yang terbang bebas di dalam syurga sekehendak hatinya, kemudian hinggap pada lentera-lentera itu. Maka Tuhanmu menjenguk mereka, lalu berfirman, ‘Apakah yang kamu kehendaki?” Mereka menjawab, “Kami menginginkan agar Engkau mengembalikan kami ke dunia, maka kami akan berperang lagi di jalan-Mu sampai gugur sebagaimana keadaan kami yang pertama kali.” Allah berfirman, “Sesungguhnya Aku telah memutuskan bahawa mereka tidak dapat kembali lagi ke dunia.”

 

وَنورُهُم

dan cahaya mereka.

Dan mereka akan mendapat cahaya yang amat diperlukan di akhirat kelak. Iaitu telah disebut cahaya semasa melintas Titian Sirat di mana cahaya di hadapan mereka dan di kanan mereka. Waktu itu keadaan amat gelap sekali dan semua orang memerlukan cahaya. Semua Muslim akan diberi cahaya tetapi cahaya orang munafik akan dimatikan.

 

 

وَالَّذينَ كَفَروا وَكَذَّبوا بِئآيٰتِنا

Dan orang-orang yang kufur dan mendustakan ayat-ayat Kami, 

Kita telah sebutkan bagaimana iman itu ada dua jenis, dari segi kuantiti dan dari segi kualiti. Ada yang hanya mengucapkan dua kalimah syahadah sahaja dan ada yang memang benar-benar beriman.

Sebagaimana iman ada dua jenis, maka kufur juga ada dua jenis: ada jenis kufur yang jelas kerana kufur itu di lidah di mana orang itu menyatakan kekufurannya. Ini jenis tidak berselindung.

Dan ada pula jenis kufur di hati seperti tidak bersyukur dengan nikmat yang Allah ﷻ telah berikan.

Begitu juga takzib (pendustaan) ada dua jenis. Ada yang menolak wahyu dengan menyatakan tidak percaya. Tetapi ada juga yang tidak kata begitu di lidah, tetapi mereka tidak mengamalkan wahyu, maka dari segi praktikal, mereka juga mendustakan wahyu itu. Kerana apabila tidak amalkan wahyu, itu bermakna yang mereka tidak percaya dengan apa yang disampaikan. Memanglah mereka tidak sebut tetapi mereka tunjuk dari segi perbuatan dan sikap mereka.

Tafsir ini bersesuaian dengan tema surah ini di mana ia bukan di antara orang Islam dan orang kafir tetapi ia membincangkan perbezaan antara orang yang Muslim sejati dan juga orang Islam yang lemah imannya (ini adalah sifat munafik). Kalau tidak percaya sungguh-sungguh dengan wahyu, maka itu adalah sifat orang kufur dan sifat orang yang takzib.

 

 

أُولٰئِكَ أَصحٰبُ الجَحيمِ

mereka itulah penghuni-penghuni neraka.

Maka orang Islam jangan berasa selamat jikalau mereka sudah bernama Muslim dan mereka mengamalkan ibadah-ibadah di dalam Islam. Kerana jikalau mereka tidak mengamalkan Islam dengan benar, maka ditakuti mereka termasuk ke dalam golongan munafik dan orang munafik itu akan dimasukkan ke dalam neraka seperti yang telah disebut-sebut sebelum ini.

Dan kalau kesalahan dosa itu adalah dosa syirik, maka kalau pun orang itu Muslim, dia akan tetap juga kekal dalam neraka. Ini kerana dosa syirik tidak ada ampunnya. Kenyataan ini amat menakutkan sekali. Kalaulah kita tidak belajar ilmu wahyu, maka kita tidak tahu mana yang tauhid dan mana yang syirik. Bukannya orang itu sengaja hendak melakukan perkara syirik tetapi dia lakukan kerana jahil agama dan jahil wahyu.

Habis Ruku 2 daripada 4 ruku’ dalam surah ini.


 

Ayat 20: Sekarang Allah ﷻ beritahu apakah penyebab kepada lemahnya iman. Iaitu kerana tertipu dengan keindahan dunia.

Maka kita kena perhatikan betul-betul. Allah ﷻ beritahu yang kebanyakan manusia hanya ingin bermain-main sahaja di dunia ini. Kemudian Allah ﷻ sebut tentang roda kehidupan manusia. Dalam ayat ini Allah ﷻ memberitahu hakikat dunia dan akhirat.

Ini juga adalah sebab infak yang keempat. Iaitu dunia ini tidak kekal. Maka tidak perlu untuk berlebih sangat dengan dunia. Untuk kekalkan harta kita, maka hendaklah kita infak di jalan Allah ﷻ.

اعلَموا أَنَّمَا الحَيَوٰةُ الدُّنيا لَعِبٌ وَلَهوٌ وَزينَةٌ وَتَفاخُرٌ بَينَكُم وَتَكاثُرٌ فِي الأَموٰلِ وَالأَولٰدِ ۖ كَمَثَلِ غَيثٍ أَعجَبَ الكُفّارَ نَباتُهُ ثُمَّ يَهيجُ فَتَرٰهُ مُصفَرًّا ثُمَّ يَكونُ حُطٰمًا ۖ وَفِي الآخِرَةِ عَذابٌ شَديدٌ وَمَغفِرَةٌ مِنَ اللهِ وَرِضوٰنٌ ۚ وَمَا الحَيَوٰةُ الدُّنيا إِلّا مَتٰعُ الغُرورِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Know that the life of this world is but amusement and diversion and adornment and boasting to one another and competition in increase of wealth and children – like the example of a rain whose [resulting] plant growth pleases the tillers; then it dries and you see it turned yellow; then it becomes [scattered] debris. And in the Hereafter is severe punishment and forgiveness from Allāh and approval. And what is the worldly life except the enjoyment of delusion.

(MELAYU)

Ketahuilah, bahawa sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga-banggaan tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani; kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keridhaan-Nya. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu.

 

 

اعلَموا

Ketahuilah, 

Orang Islam kena faham perkara yang hendak disampaikan ini. Maka ini mengajar yang kita kena ada ilmu. Untuk mendapatkan ilmu kenalah belajar dan luangkan masa. Ilmu tidak datang sendiri melainkan kena ada usaha untuk mendapatkannya. Tidaklah berzikir berjam-jam sepanjang hari seperti yang dilakukan oleh golongan tarekat yang telah tertipu dengan talbis iblis itu.

Apakah penting sangat yang perlu diketahui sampaikan Allah ﷻ siap suruh kita kena tahu juga perkara ini. Selalunya Allah ﷻ terus beritahu sahaja, bukan? Maknanya ia penting sangat.

 

 

أَنَّمَا الحَيَوٰةُ الدُّنيا لَعِبٌ

bahawa sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah permainan 

Kalimah ‘dunia’ dari segi bahasa pun sudah bermaksud ‘rendah’ dan tidak bernilai sebenarnya. Kerana ia tidak bernilai kalau dibandingkan dengan akhirat. Malangnya manusia melebihkan dunia daripada akhirat walaupun ia bernilai rendah.

Walaupun dunia ini rendah, tetapi jikalau kita gunakan apa yang kita ada (seperti harta) untuk infak, maka ia akan menjadi tinggi nilainya dan menjadi harta kita yang kekal.

Allah ﷻ hendak memastikan kita tahu bahawa dunia ini hanyalah ‘permainan’ sahaja. ‘Permainan’ ini selalunya dikaitkan dengan kanak-kanak kerana itulah sahaja yang mereka ingat dalam kehidupan mereka. Mereka tidak fikirkan tentang makan, tentang kerja, tentang tugas, kerana mereka hanya hendak bermain saja. Dan kanak-kanak itu beriya-iya sangat main permainannya, sampai masanya dia tinggalkan sahaja. Maknanya ia tidak penting dan tidak bernilai, bukan?

Maka takkanlah kita mahu menjadi seperti kanak-kanak pula? Adakah kita masih kanak-kanak lagi yang masih tidak tahu tanggungjawab sebagai seorang insan, sebagai seorang hamba Allah ﷻ? Kalau kita kata seseorang itu berperangai macam ‘budak-budak’ pun, tentu dia akan marah, bukan?

Oleh itu, kenalah ada kematangan dalam diri kita. Kalau semasa kecil dan membesar dulu, bolehlah mahu bermain-main dalam kehidupan. Akan tetapi orang dewasa sepatutnya tahu tugas dan tanggungjawabnya di dunia ini sebagai hamba Allah ﷻ.

 

وَلَهوٌ

dan suatu yang melalaikan,

Dan apabila kanak-kanak itu sudah semakin besar, maka mereka akan berjumpa dengan ‘hiburan’ pula seperti kartun, lagu, dan benda-benda lain. Maknanya mereka sudah naik taraf kepada benda lain yang melalaikan mereka. Permainan pun sudah mula menjadi mahal. Dulu main pasir sahaja tetapi sekarang sudah menggunakan handphone canggih.

Semua itu menjadi perkara yang melalaikan mereka. Asyik melihat handphone sahaja, asyik chatting dengan kawan sahaja, hantar gambar sana sini, tengok game, tengok movie di handphone dan sebagainya. Semua itu melalaikan mereka daripada pelajaran, daripada keluarga, dan tugasan harian.

Maka janganlah kita termasuk golongan yang lalai. Iaitu mereka lalai daripada memikirkan tentang akhirat. Lalai daripada membuat persediaan untuk akhirat, lalai untuk belajar, untuk beramal dan untuk infak. Mereka tidak terfikir untuk mencari peluang untuk bantu orang lain, berkhidmat untuk kebaikan orang lain.

Dunia ini memang melalaikan dan ini tidak dapat dinafikan. Ada sahaja perkara yang menyebabkan kita akan terpesona. Kalau kita biarkan sahaja fikiran kita ‘dicuri’ oleh dunia, maka kita akan terus lalai dan hanyut. Kita kena sedar sifat dunia yang melalaikan ini supaya kita dapat bersedia dan tidak dihanyutkan olehnya.

 

 

وَزينَةٌ

dan perhiasan

Dan setelah mereka semakin besar dan dewasa, mereka mula risau tentang penampilan diri mereka pula. Maka mereka akan menjaga badan daripada menjadi gemuk dan risau tentang perhiasan dan tentang jenama baju yang mereka pakai. Rambut pun mesti ada fesyen tertentu. Ramai yang pergi gym kerana mahu menunjuk otot-otot yang besar.

Ramai yang pakai tudung tetapi bukan tudung biasa, kena berfesyen juga. Bukannya hendak menutup aurat tetapi untuk kelihatan cantik dan menarik perhatian orang pula.

Maknanya pada peringkat ini, ramai yang sibuk untuk menjaga imej dan penampilan diri di mata masyarakat. Tidak mahu kalah dari segi rumah, kereta, jenama handphone, jam dan sebagainya. Mereka suka menghias diri mereka supaya nampak berketerampilan di dalam masyarakat. Mereka amat menjaga penampilan diri mereka.

 

 

وَتَفاخُرٌ بَينَكُم

dan bermegah-megah antara kamu

Daripada asal menjaga penampilan diri, maka lama kelamaan perasaan itu akan dinaik taraf kepada perasaan ingin menunjuk-nunjuk kepada orang lain apa yang dia ada.

Orang itu akan berbangga dari universiti mana dia belajar, atau di mana dia bekerja. Ke mana dia melancong dan di mana dia selalu lepak. Sudah ada perasaan mahu orang lain nampak apa yang dia ada dan kedudukan dia di mata dunia. Dia suka membanding-bandingkan dengan orang lain. Bila pergi mana-mana, dia akan post dalam FB dan Instagram.

Kalau dia kaya, mulalah dia mengejar pangkat Datuk, Tan Sri dan sebagainya. Inilah sahaja masanya disibukkan seharian. Mahu mencapai itu dan ini sampaikan tidak membuat persediaan untuk menghadapi akhirat.

 

 

وَتَكاثُرٌ فِي الأَموٰلِ وَالأَولٰدِ

serta (berbangga-banggaan) tentang banyaknya harta dan anak,

Kemudian mereka akan naik taraf lagi untuk mengumpul harta dan juga anak. Kehidupan mereka akan berlegar-legar di antara harta dan anak dan itulah sahaja yang mereka fikirkan. Mereka kira-kira berapa banyak wang dalam bank, berapa banyak tanah dan rumah yang mereka ada.

Mereka mahu ramai anak yang berjaya. Hantar anak ke universiti dalam kursus yang mereka sangka boleh beri kejayaan dunia kepada mereka. Kemudian mereka berbangga-bangga di mana anak mereka belajar. Kemudian di mana anak mereka bekerja, kahwin dengan siapa, pangkat apa dalam kerajaan dan macam-macam lagi.

Mereka sibukkan diri dengan fikirkan tentang duit tuisyen anak, pakaian anak, kawan-kawan anak, ke mana mereka hendak pergi semasa cuti sekolah, dan macam-macam lagi. Sibuk sahaja mereka dengan hal dunia sampaikan hal akhirat dilupakan. Kelas agama tidak pergi, ilmu tidak didapati.

Sesungguhnya kesimpulan daripada kehidupan dunia bagi para pemiliknya adalah hal-hal tersebut, sebagaimana yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

 

{زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ الشَّهَوَاتِ مِنَ النِّسَاءِ وَالْبَنِينَ وَالْقَنَاطِيرِ الْمُقَنْطَرَةِ مِنَ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ وَالْخَيْلِ الْمُسَوَّمَةِ وَالأنْعَامِ وَالْحَرْثِ ذَلِكَ مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَاللهُ عِنْدَهُ حُسْنُ الْمَآبِ}

Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak daripada jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak, dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia; dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (syurga). (Ali Imran: 14)

 

 

كَمَثَلِ غَيثٍ أَعجَبَ الكُفّارَ نَباتُهُ

seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani dengan penumbuhannya; 

Maka itulah sahaja perkara-perkara yang mereka fikirkan. Allah ﷻ beri perumpamaan kehidupan dunia itu seperti غَيثٍ (hujan yang turun tepat pada masanya). Ini adalah perumpamaan seorang petani.

Hujan itu banyak turun semasa mereka memerlukannya dan akan menakjubkan dan menggembirakan para petani. Kalimah الكُفّارَ dalam ayat ini bermaksud ‘petani’ kerana mereka menanam benih di dalam tanah dan kemudian menutup (kambus) tanah itu. Kalimah ك ف ر bermaksud ‘menutup’.

Bukanlah ia bermaksud ‘orang kafir’ seperti yang kita selalu gunakan. Orang kafir digelar begitu kerana mereka menutup iman mereka. Tapi asalnya ia digunakan untuk para petani (yang menutup tanah).

Mereka memang memerlukan hujan kerana mereka menuai hanya sekali setahun sahaja dan jikalau hujan tidak ada maka tidak ada hasil pada tahun itu. Kegembiraan para petani ini semasa menuai ditunjukkan di dalam amalan perayaan mereka yang berkenaan dengan tuaian kerana mereka gembira sangat. Kerana itu masyarakat kita ada perayaan ‘Semangat Padi’ dan seumpamanya.

Mereka sangat gembira apabila hujan turun kerana mereka sudah hampir nampak apa yang mereka mahukan akan terjadi. Mereka seperti kanak-kanak yang dibawa ke kedai permainan dan dia nampak permainan yang dia mahu. Seperti juga orang muda yang dipanggil untuk temuduga kali kedua. Seperti juga orang yang hendak membeli rumah dan pinjaman rumahnya diluluskan. Belum dapat lagi hasil tetapi bayangnya sudah nampak. Begitulah perumpamaan yang digunakan dalam ayat ini.

Balaghah: Selalunya Allah ﷻ menggunakan kalimah ماء untuk menyebut air hujan dalam keadaan normal, iaitu apabila menceritakan rahmat Allah ﷻ dalam bentuk hujan yang diberikan kepada manusia. Akan tetapi kadangkala Allah ﷻ menggunakan kalimah lain seperti dalam ayat ini.

Penggunaan kalimah غيث di dalam ayat ini memberi konotasi lebih kuat kepada hujan. Iaitu tentang hujan yang diperlukan oleh manusia untuk menyuburkan tanaman dan memberikan kehidupan.

 

 

ثُمَّ يَهيجُ فَتَرٰهُ مُصفَرًّا

kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning

Namun bayangkan kalau tanaman yang mereka banggakan itu menjadi kuning, tidak seperti yang mereka harapkan. Sepatutnya menjadi hijau tetapi menjadi kuning dan layu pula. Dan kalau ia menjadi kuning maka petani itu tidak suka lagi dan tidak akan tuai tanaman itu.

Begitulah manusia dengan keindahan dunia. Suka sangat kepada sesuatu permainan sehinggalah dia nampak permainan lain yang lebih menarik; pemilik kereta amat sayangkan keretanya yang hebat, sehinggalah dia tengok kereta yang lebih hebat lagi daripada keretanya; Pemilik rumah akan berbangga dengan rumahnya sehinggalah dia pergi ke rumah orang lain yang lebih hebat, maka mulalah dia nampak rumah dia hodoh sahaja.

 

 

ثُمَّ يَكونُ حُطٰمًا

kemudian menjadi hancur. 

Tanaman yang mereka banggakan dan tunggu-tunggu itu menjadi hancur. Atau harta yang mereka suka menjadi rosak atau hilang. Memang begitulah sifat dunia, tidak kekal.

Demikian jugalah manusia yang pada permulaan usianya dan usia mudanya, dia kelihatan segar, padat, berisi, serta penampilannya hebat. Kemudian secara beransur-ansur mulai menua dan semua wataknya berubah dan merasa kehilangan sebahagian daripada kekuatannya. Lalu jadilah dia manusia yang lanjut usia dan lemah kekuatannya, sedikit sahaja tinggal geraknya dan tidak mampu mengerjakan sedikit pekerjaan pun.

Allah ﷻ hendak memberitahu yang harta dunia ini tidak kekal. Dunia ini sendiri tidak akan kekal. Maka kalau ada yang meletakkan pengharapan kepada dunia, mereka akan menyesal; kalau terlalu cinta kepada dunia, maka dunia itu pasti akan meninggalkannya, atau dia sendiri akan mati dan meninggalkan harta itu.

 

 

وَفِي الآخِرَةِ عَذابٌ شَديدٌ

Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras

Kalau mereka hanya mementingkan dunia sahaja dan tidak bersedia untuk akhirat dengan iman dan amal, maka mereka akan menerima azab di akhirat kelak.

Ini kerana kalau tidak mempelajari agama maka tentulah ada amalan yang salah dan fahaman yang salah. Amalan dan fahaman salah akan menyebabkan seseorang itu dimasukkan ke dalam neraka.

 

 

وَمَغفِرَةٌ مِنَ اللهِ وَرِضوٰنٌ

Dan ampunan dari Allah serta keredhaan-Nya. 

Bagi yang boleh taat kepada Allah ﷻ, Rasul dan agama dan sanggup infak, mereka akan dapat keampunan yang besar daripada Allah. Keampunan ini amat diperlukan oleh kita kerana kalau tidak, maka kita akan menanggung dosa dan dosa itu mesti dicuci di neraka.

Maka ini menyebabkan seorang Muslim dimasukkan ke dalam neraka dahulu sebelum dikeluarkan dan dimasukkan pula ke dalam syurga. Tentu kita tidak mahu masuk ke neraka walau sesaat, bukan? Maka kenalah kita ambil perhatian. Selalunya kita kena mengharap kepada pengampunan dosa daripada Allah ﷻ.

 

 

وَمَا الحَيَوٰةُ الدُّنيا إِلّا مَتٰعُ الغُرورِ

Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu.

Allah ﷻ hendak memberitahu bahawa kehidupan dunia ini tidak akan memuaskan kerana akan ada sahaja kekurangan. Akan tetapi penghuni syurga akan puas dengan apa yang ada di dalam syurga dan dia tidak akan mahu perkara lain. Kerana tidak ada apa lagi yang dia rasa tidak cukup bila di dalam syurga nanti.

Maka jangan tertipu dan terpedaya dengan dunia kerana dunia hanyalah menipu manusia. Memang di dunia ini kesenangan yang sedikit tetapi yang bahayanya kerana ia menipu. Dibentangkan kepada kita dengan segala kesenangan dan nikmat, sampaikan kalau kita tidak berhati-hati kita akan terpedaya.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 25 Februari 2021

Ringkasan Peta Minda Surah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Hadid Ayat 15 – 18 (Jangan jadi Ahli Kitab)

Ayat 15:

فَاليَومَ لا يُؤخَذُ مِنكُم فِديَةٌ وَلا مِنَ الَّذينَ كَفَروا ۚ مَأوٰكُمُ النّارُ ۖ هِيَ مَولٰكُم ۖ وَبِئسَ المَصيرُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So today no ransom will be taken from you or from those who disbelieved. Your refuge is the Fire. It is most worthy of you, and wretched is the destination.”

(MELAYU)

Maka pada hari ini tidak diterima tebusan dari kamu dan tidak pula dari orang-orang kafir. Tempat kamu ialah neraka. Dialah tempat berlindungmu. Dan dia adalah sejahat-jahat tempat kembali”.

 

 

فَاليَومَ لا يُؤخَذُ مِنكُم فِديَةٌ

Maka pada hari ini tidak diterima tebusan daripada kamu

Di akhirat nanti orang-orang munafik itu akan cuba untuk menebus diri mereka tetapi tidak akan diterima. Lagipun pada waktu itu bukanlah sesiapa ada harta. Akan tetapi kalau ada harta pun, tidak akan diterima tebusan.

Ini disebut kerana mungkin ada yang sangka boleh memberi rasuah di akhirat seperti semasa mereka biasa lakukan ketika di dunia untuk melepaskan diri. Namun jangan harap boleh buat perkara yang sama di akhirat kelak. Memang tidak akan ada harapan untuk melepaskan diri.

Dalam ayat daripada surah yang lain, ada disebut bagaimana orang berdosa itu cuba untuk menggadai ahli keluarga dan kenalan mereka supaya mereka diselamatkan. Ini kerana masing-masing tidak ada harta di sana. Malangnya percubaan mereka itu tidak akan diterima.

 

 

وَلا مِنَ الَّذينَ كَفَروا

dan tidak pula daripada orang-orang kafir.

Dan juga tidak akan diterima tebusan daripada orang kafir. Mereka pun akan cuba untuk menyelamatkan diri namun tidak akan ada peluang.

Ini amat menakutkan kerana seolah-olah orang munafik itu dimasukkan sama dalam golongan orang-orang kafir. Mereka disebut bersebelahan dalam ayat ini. Ini adalah dalil bahawa orang munafik akan mendapat balasan yang sama dengan orang kafir. Semoga kita diselamatkan dari[ada termasuk ke dalam dua golongan ini.

 

 

مَأوٰكُمُ النّارُ

Tempat kamu ialah neraka.

Akan dikatakan kepada mereka yang tempat tinggal mereka yang kekal adalah di neraka. Kalimah مأو dari segi bahasa bermaksud tempat berlindung, tempat berehat, tempat berteduh. Maka ini adalah kata-kata perli daripada Allah ﷻ – berlindunglah kamu dalam neraka.

 

هِيَ مَولٰكُم

itulah tempat berlindungmu.

Mawla mereka adalah neraka, bukan Allah ﷻ. Mawla adalah seseorang yang boleh memberi pertolongan kepada seseorang. Sepatutnya mereka menjadikan Allah ﷻ sebagai mawla, tetapi kerana mereka tidak buat begitu, maka nerakalah mawla mereka sekarang.

Ini adalah ejekan kerana mawla adalah orang yang sanggup memberikan perlindungan kepada kita. Dan Allah ﷻ mengejek dengan mengatakan neraka sahaja yang sanggup beri perlindungan kepada mereka. Namun apakah yang boleh diharap dari neraka melainkan azab sengsara sahaja?

 

 

وَبِئسَ المَصيرُ

Dan dia adalah sejahat-jahat tempat kembali”.

Tiada tempat lain yang lebih buruk dari neraka. Sepanjang masa akan dikenakan dengan azab yang amat menakutkan dan menyakitkan. Tiada masa rehat langsung bagi penghuni neraka itu.


 

Ayat 16: Ayat 16 & 17 adalah Perenggan Makro Kedua dan ia mengandungi teguran Allah ﷻ supaya jangan keras hati seperti golongan Ahli Kitab.  Maka ayat 16 ini adalah zajrun tentang Ahli Kitab.

Buat amalan hati kena ada hubungan hati dengan Allah ﷻ. Hati tidak boleh lalai dengan Allah ﷻ terutama dengan wahyu Allah ﷻ. Kerana itu sahabat tetap belajar wahyu dengan Nabi ﷺ. Sahabat mukmin tekun belajar dengan Nabi ﷺ. Yang munafik sahaja yang sentiasa mengelak duduk dalam majlis dengan Nabi . Mereka malas belajar. Maka sekiranya orang kita malas belajar agama, maka itu ada sifat-sifat orang munafik.

Jelaslah di sini Allah ﷻ tegur golongan Muslim yang jauh daripada peringatan. Mereka tidak mendekatkan diri mereka dengan wahyu Allah ﷻ. Allah ﷻ bandingkan mereka dengan ahli kitab.

۞ أَلَم يَأنِ لِلَّذينَ ءآمَنوا أَن تَخشَعَ قُلوبُهُم لِذِكرِ اللهِ وَما نَزَلَ مِنَ الحَقِّ وَلا يَكونوا كَالَّذينَ أوتُوا الكِتٰبَ مِن قَبلُ فَطالَ عَلَيهِمُ الأَمَدُ فَقَسَت قُلوبُهُم ۖ وَكَثيرٌ مِّنهُم فٰسِقونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Has the time not come for those who have believed that their hearts should become humbly submissive at the remembrance of Allāh and what has come down of the truth? And let them not be like those who were given the Scripture before, and a long period passed over them, so their hearts hardened; and many of them are defiantly disobedient.

(MELAYU)

Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk tunduk hati mereka mengingat Allah dan kepada kebenaran yang telah turun (kepada mereka), dan janganlah mereka seperti orang-orang yang sebelumnya telah diturunkan Al Kitab kepadanya, kemudian berlalulah masa yang panjang atas mereka lalu hati mereka menjadi keras. Dan kebanyakan di antara mereka adalah orang-orang yang fasik.

 

 

أَلَم يَأنِ

Belumkah datang waktunya

Allah ﷻ kata: “Bukankah masa telah lepas?” Terjemah itu jadi begini kerana Allah ﷻ menggunakan kalimah لم  dan bukan لا. Kalimah لم digunakan untuk sesuatu yang telah berlalu. Ini menunjukkan bahawa memang sudah terlambat sangat.

Atau boleh juga terjemahkan begini: “Belum sampai masa lagikah? Tidakkah kamu tahu masa kamu sudah terlambat? Tidakkah kamu mahu ambil sisa masa ini untuk memperbaiki diri kamu? Hendak tunggu apa lagi kamu wahai umat Islam?”

 

 

لِلَّذينَ ءآمَنوا أَن تَخشَعَ قُلوبُهُم لِذِكرِ اللهِ

bagi orang-orang yang beriman, untuk tunduk hati mereka mengingat Allah

Ayat ini sebenarnya ditujukan kepada golongan munafik, bukannya golongan mukmin yang sebenar. Tidakkah masa sudah terlambat untuk orang-orang yang ‘mengaku mereka beriman’ untuk rasa takjub dan terpegun dengan Allah ﷻ? Mereka sepatutnya tunduk khusyuk kepada Allah ﷻ tetapi tidak mereka lakukan. Ini kerana kalau ada perasaan itu barulah boleh menyebabkan mereka mahu mengingat kepada Allah ﷻ.

Mereka sepatutnya takut kerana selama ini mereka tidak berzikir dan memenuhi hati mereka dengan zikir kepada Allah ﷻ. Mereka buat tidak kisah dengan Allah ﷻ. Ternyata terlalu banyak ayat yang Allah ﷻ telah berikan untuk menegur mereka yang kita telah baca.

Mereka tidak takut kepada Allah ﷻ dan kerana itu mereka tidak terpanggil untuk menyahut seruan Allah ﷻ untuk membantu menegakkan agama Islam. Mereka nampak bagaimana susah payahnya golongan Muhajirin yang terpaksa lari meninggalkan Mekah kerana hendak menegakkan agama. Mereka pun tidak mahu susah begitu kerana mereka hendak hidup senang lenang sahaja.

Golongan muhajirin itu memerlukan bantuan kewangan dan lain-lain lagi, tetapi golongan munafik itu tidak kisah pun untuk membantu. Mereka tidak percaya kepada janji-janji Allah ﷻ yang akan membalas pemberian infak mereka. Malah pada mereka, golongan Muhajirin itu golongan pendatang yang menyusahkan mereka sahaja.

 

 

وَما نَزَلَ مِنَ الحَقِّ

dan kepada kebenaran yang telah turun

Yang dimaksudkan adalah Al-Qur’an. Selain daripada Allah ﷻ, mereka kena tunduk kepada wahyu. Tidakkah mereka sudah terlambat untuk mengisi diri mereka dengan takjub kepada Al-Qur’an? Kalau bukan sekarang, bila lagi?

Tidakkah mereka terkesan dengan janji yang telah termaktub dalam Al-Qur’an tentang balasan bagi mereka yang infak di jalan Allah ﷻ?

Mereka juga hendaklah memahami pengajaran dalam Al-Qur’an. Tidakkah patut mereka rasa mereka telah rugi serugi-ruginya kerana mereka belum memenuhi diri mereka dengan pemahaman Al-Qur’an? Ayat ini memberi isyarat bahawa orang-orang Islam waktu itu sudah tidak menghiraukan Al-Qur’an lagi. Maka bagaimanakah agaknya dengan orang kita sekarang yang memang langsung tidak pernah menghiraukan Al-Qur’an? Ramai yang tahu baca sahaja tetapi tidak tahu apa yang dibaca.

Maka kena wujudkan masa dalam hidup kita untuk mempelajari tafsir Al-Qur’an dan selepas itu luangkan masa setiap hari untuk tadabbur Al-Qur’an. Jangan berlalu satu hari pun di mana anda tidak membaca dan belajar ayat-ayat Al-Qur’an dalam kehidupan anda. Jangan tunggu ‘masa luang’ kerana memang tidak akan datang. Kita yang kena wujudkan masa itu.

 

وَلا يَكونوا كَالَّذينَ أوتُوا الكِتٰبَ مِن قَبلُ

dan janganlah mereka seperti orang-orang yang sebelumnya telah diturunkan Al Kitab kepadanya,

Dan tidakkah telah sampai masa untuk mereka berhenti menjadi seperti orang yang telah diberikan dengan kitab sebelum mereka? Allah ﷻ beri contoh apa yang telah berlaku dulu kepada golongan Ahli Kitab. Mereka juga telah diberikan dengan kitab wahyu tetapi mereka tidak menghiraukannya dan hanya membacanya sebagai adat sahaja.

Allah ﷻ melarang orang-orang mukmin menyerupai orang-orang yang telah diberikan kepada mereka Al-Kitab sebelum kaum mukmin, dalam kalangan orang-orang Yahudi dan Nasrani. Setelah masa berlalu cukup panjang atas mereka, lalu mereka mengganti Kitabullah yang ada di tangan mereka dan menukarnya dengan harga yang sedikit, dan mencampakkannya ke belakang punggung mereka.

Dan sebagai gantinya mereka menerima berbagai pendapat yang beraneka ragam dan yang dibuat-buat, serta berpegang kepada pendapat manusia dalam agama Allah, dan mereka menjadikan pendeta-pendeta dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan-tuhan (pembuat hukum baru) selain Allah. Maka pada saat itulah hati mereka menjadi keras dan tidak mahu menerima pelajaran serta tidak mahu lunak dengan janji mahupun ancaman.

Ini sama sahaja dengan orang-orang Islam kita sekarang yang hanya membaca Al-Qur’an tetapi tidak memahami dan mengambil pelajaran daripadanya. Mereka sangka dengan mereka baca Al-Qur’an hari-hari (atau di bulan Ramadhan), mereka telah memenuhi sifat mereka sebagai seorang Muslim? Ini amat rugi kerana mereka ada Al-Qur’an di tangan mereka tetapi mereka tidak mempelajari apakah ajaran di dalamnya. Dan kerana itu mereka melanggar sahaja apa yang mereka baca.

Ramai yang tidak menggunakan wahyu Al-Qur’an dan hadith tetapi semata-mata hanya mengikut pendapat guru-guru mereka, ustaz-ustaz mereka, pendapat orang-orang tua, tok nenek mereka dan kawan-kawan mereka sahaja yang jahil. Hukum-hukum baru dan amalan-amalan baru telah direka oleh manusia (mengambil tugas Allah ﷻ dan Nabi) dan diamalkan oleh ramai orang. Maka samalah sahaja dengan golongan Ahli Kitab dulu. Kalau Ahli Kitab dengan pendeta mereka; orang kita ikut sahaja apa yang ustaz mereka ajar (tanpa usul periksa).

Dan nanti itu akan menyebabkan mereka masuk ke dalam neraka. Begitulah yang terjadi kepada golongan Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) dulu. Lama mereka duduk dalam agama, sampai mereka telah melupakan wahyu asal. Wahyu asal mereka tidak pelajari dan kerana itu syaitan senang ambil peluang untuk menipu mereka.

 

 

فَطالَ عَلَيهِمُ الأَمَدُ فَقَسَت قُلوبُهُم

kemudian berlalulah masa yang panjang atas mereka lalu hati mereka menjadi keras. 

Masa telah berlalu lama bagi Ahli Kitab itu sampaikan keras hati mereka daripada tunduk kepada kitab wahyu. Mereka jadi sudah biasa ada agama dan mereka buat tidak kisah, terutama sekali dengan ilmu wahyu. Mereka hanya membaca kitab wahyu mereka tetapi mereka tidak faham apa yang mereka baca. Mereka tidak menjadikan kitab wahyu mereka itu sebagai sesuatu yang dapat melembutkan hati mereka.

Begitulah, apabila berjauhan dengan wahyu dan nasihat Nabi ﷺ, maka hati akan menjadi keras. Apabila diberi nasihat, mereka tidak tersentuh. Mereka hanya lakukan apa yang mereka hendak sahaja, tanpa menghiraukan tempat mereka di akhirat kelak.

Ahli Kitab telah lama ditinggalkan oleh Rasul mereka, maka kerana itu mereka telah lupa kepada ajaran wahyu. Akan tetapi kamu, wahai golongan munafik, masih lagi ada Rasul dalam kalangan kamu, tetapi kamu sudah tidak hiraukan baginda? Kamu lagi teruk daripada mereka!

 

 

وَكَثيرٌ مِّنهُم فٰسِقونَ

Dan kebanyakan di antara mereka adalah orang-orang yang fasiq.

Kalimah fasiq dalam ayat ini bermaksud ‘kafir’. Ramai atau majoriti dalam kalangan Ahli Kitab itu menjadi kafir kerana menolak wahyu yang disampaikan kepada mereka.

Malangnya begitulah yang terjadi kepada umat Islam sekarang. Pemahaman mereka kepada Al-Qur’an ini amatlah lemah. Mereka tetap sayang kepada Al-Qur’an tetapi mereka tidak tahu menggunakan Al-Qur’an itu sebagai panduan hidup.

Dan kerana itu sekarang orang-orang kita yang jahil wahyu ini apabila ada masalah baru mereka hendak tahu mana ayat yang hendak dibaca dan dijadikan sebagai ‘azimat’. Sebagai contoh, mereka tanya kalau demam hendak baca surah mana, ayat mana, berapa kali? Bila nak kahwin mulalah tanya ayat mana perlu baca, doa pengasih untuk suami ayat mana boleh diamalkan, bila hendak bersalin ayat mana pula, dan sebagainya.

Maknanya mereka menggunakan Al-Qur’an untuk perkara-perkara tertentu sahaja dan bukan untuk mengambil pengajaran di dalamnya. Mereka inginkan murah rezeki, mahu jadikan sebagai pendinding, sebagai pengubat penyakit. Adakah itu sahaja gunanya Al-Qur’an yang mulia ini?

Dan ada yang hanya menjadikan ayat-ayat Al-Qur’an sebagai khat hiasan di rumah? Adakah mereka hanya menggantung ayat Al-Qur’an itu pada kereta? Untuk hafal dan dibaca sahaja tanpa difahami? Kalau begitulah sahaja mereka anggap Al-Qur’an yang mulia ini, maka ada yang tidak kena.

Kenapa kita tidak diajar dengan ilmu wahyu ini dari awal? Kenapa tidak ramai yang ajar kepentingan Al-Qur’an ini semenjak kita kecil lagi? Kalau zaman sahabat dulu, mereka tidak benarkan anak-anak mereka belajar perkara lain sebelum belajar tafsir Al-Qur’an. Sebaliknya kita ini sampai ke tua ramai yang tidak tahu pasal Al-Qur’an lagi.

Maknanya, ada masalah pembelajaran agama dalam masyarakat kita. Perkara yang amat penting sekali tidak diajar, sampaikan ia menjadi asing bagi kita. Tidakkah tafsir Al-Qur’an ini asalnya asing bagi anda? Padahal anda orang Islam, bukan?

Maka perkara ini hendaklah diperbaiki bermula sekarang. Jangan lagi masyarakat kita jahil tentang Al-Qur’an. Maka pembelajaran tafsir ini mesti dipertingkatkan. Andalah sekarang yang menjadi pemangkinnya. Segala usaha perlu digembleng untuk menyampaikan ajaran tafsir Al-Qur’an ini di mana-mana sahaja. Sebarkan ilmu tafsir ini ke mana-mana sahaja.


 

Ayat 17: Oleh kerana pentingnya Al-Qur’an ini, maka Allah ﷻ sekarang menyebut tentang nilai wahyu ini. Oleh itu, ayat ini adalah tentang Risalah dan Hidayah.

اعلَموا أَنَّ اللهَ يُحيِي الأَرضَ بَعدَ مَوتِها ۚ قَد بَيَّنّا لَكُمُ الآيٰتِ لَعَلَّكُم تَعقِلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Know that Allāh gives life to the earth after its lifelessness. We have made clear to you the signs; perhaps you will understand.¹

  • That similarly, Allāh (subḥānahu wa ta‘ālā) can soften a heart after its hardness and guide one who had previously been astray.

(MELAYU)

Ketahuilah olehmu bahawa sesungguhnya Allah menghidupkan bumi sesudah matinya. Sesungguhnya Kami telah menjelaskan kepadamu tanda-tanda kebesaran (Kami) supaya kamu memikirkannya.

 

 

اعلَموا أَنَّ اللهَ يُحيِي الأَرضَ بَعدَ مَوتِها

Ketahuilah olehmu bahawa sesungguhnya Allah menghidupkan bumi sesudah matinya.

Allah ﷻ masih lagi memberi peluang kepada manusia untuk berubah ke arah kebaikan. Sekarang Allah ﷻ membandingkan hati sama saja dengan tanah dan tanah yang mati itu ibarat seperti hati yang mati. Allah ﷻ boleh menghidupkan tanah yang mati itu dengan memberikan air hujan kepada tanah itu.

Allah ﷻ boleh menghidupkan hati manusia yang mati dengan mengisikannya dengan wahyu Al-Qur’an. Kerana itulah makanan roh dan kerana itu kita kena hidupkan roh kita dengan wahyu. Kalau jauh daripada wahyu Al-Qur’an, maka hati kita akan menjadi seperti tanah yang mati. Namun begitun seperti tanah yang mati boleh dihidupkan, maka hati yang mati juga boleh dihidupkan kembali.

Maka kita kena sayangkan Al-Qur’an ini dan dekatkan hati kita dengannya. Salah satu caranya adalah dengan menghafal dan membacanya di dalam solat kita. Kerana solat adalah satu masa yang kita tidak ada kerja lain pada waktu itu, melainkan untuk mengadap Allah ﷻ dan mendengar sendiri bacaan ayat-ayat Al-Qur’an. Ketika itu kita tidak diganggu dengan perkara-perkara lain kerana sepatutnya kita kena fokus pada solat kita itu.

Maka ayat-ayat Al-Qur’an yang dibaca sepatutnya lebih meresap ke dalam jiwa kita. Akan tetapi kenalah faham dulu apa yang dibaca. Kenalah belajar tafsir dahulu, supaya ayat-ayat yang dibaca itu lebih bermakna.

Pada waktu itulah kita baca Al-Qur’an dengan penuh makna. Maka kenalah kita hafal Al-Qur’an sebanyak yang mungkin supaya kita boleh membacanya di dalam solat. Bukankah kita mahu memasukkan Al-Qur’an ini yang asalnya berada di Lauh Mahfuz dan sekarang berada di dalam hati kita?

 

 

قَد بَيَّنّا لَكُمُ الآيٰتِ لَعَلَّكُم تَعقِلونَ

Sesungguhnya Kami telah menjelaskan kepadamu tanda-tanda kebesaran (Kami) supaya kamu memikirkannya.

Tanda-tanda kebenaran Al-Qur’an itu ada di sekeliling kita. Allah ﷻ telah menceritakan di dalam Al-Qur’an apa yang terjadi di luar sana. Maka ini adalah sebab terbesar untuk kita yakin kepada Al-Qur’an. Kita boleh lihat benda yang disebut dalam Al-Qur’an ini berlaku di hadapan mata kita setiap hari.

Buktinya, kisah-kisah sains dalam dunia ini telah ada dalam Al-Qur’an. Sebagai contoh kejadian kita di dalam perut ibu kita. Tidak mungkin ia adalah rekaan daripada manusia yang duduk di padang pasir beribu tahun dulu dapat tahu apa yang terjadi dalam perut? Nabi ﷺ hanya menyampaikan maklumat itu daripada Allah ﷻ yang menjadikan kita yang tahu segala-galanya.


 

Ayat 18: Sekarang ayat Al-Qur’an kembali kepada menceritakan targhib (ajakan) kepada infak. Ayat 18 – 20 adalah Perenggan Makro Ketiga dan Allah ﷻ memberitahu pahala infak. Allah ﷻ menjanjikan balasan yang banyak kepada mereka yang sanggup mengeluarkan infak pada jalan Allah ﷻ.

إِنَّ المُصَّدِّقينَ وَالمُصَّدِّقٰتِ وَأَقرَضُوا اللهَ قَرضًا حَسَنًا يُضٰعَفُ لَهُم وَلَهُم أَجرٌ كَريمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, the men who practice charity and the women who practice charity and [they who] have loaned Allāh a goodly loan – it will be multiplied for them, and they will have a noble reward.

(MELAYU)

Sesungguhnya orang-orang yang bersedekah (Allah dan Rasul-Nya) baik laki-laki mahupun perempuan dan meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, nescaya akan dilipatgandakan (pembayarannya) kepada mereka; dan bagi mereka pahala yang banyak.

 

 

إِنَّ المُصَّدِّقينَ وَالمُصَّدِّقٰتِ

Sesungguhnya orang-orang yang bersedekah (Allah dan Rasul-Nya) baik laki-laki mahupun perempuan

Yang dipuji dalam ayat ini adalah orang-orang yang mengeluarkan sedekah. Kalimah ‘sedekah’ itu berasal daripada ص د ق yang bermaksud ‘membenarkan’. Ini kerana orang-orang yang bersedekah itu ‘membenarkan’ janji-janji Allah ﷻ yang hendak memberi balasan yang baik kepada mereka yang bersedekah.

Kedua-dua kalimah المُصَّدِّقينَ وَالمُصَّدِّقٰتِ itu di dalam bentuk ada tasydid iaitu mubalaghah, maka ia bermaksud orang lelaki dan orang perempuan yang banyak bersedekah.

Maka kerana itu mereka ringan tangan untuk menghulurkan harta, diri dan masa mereka kepada jalan Allah ﷻ kerana mereka percaya dengan janji Allah ﷻ. Mereka membenarkan janji itu dengan melakukan sedekah.

Disebut lelaki dan wanita yang bersedekah di dalam ayat ini kerana kedua-duanya boleh bersedekah. Bukan lelaki sahaja yang layak dan boleh bersedekah tetapi perempuan juga. Maka perempuan juga kena ambil peluang ini.

 

 

وَأَقرَضُوا اللهَ قَرضًا حَسَنًا

dan meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, 

Mereka yang percaya kepada janji Allah ﷻ bersedia untuk memberi pinjaman yang baik kepada Allah ﷻ. Kita kena tahu yang syarat qardun hasan adalah kena beri dengan ikhlas. Jangan berharap kepada selain balasan daripada Allah ﷻ.

Apakah balasan kepada mereka yang sanggup sedekah dan memberikan pinjaman yang baik kepada Allah ﷻ?

 

 

يُضٰعَفُ لَهُم

nescaya akan dilipatgandakan (pembayarannya) kepada mereka; 

Allah ﷻ akan membalas pemberian mereka itu dengan berlipat kali ganda. Ini adalah gandaan dari segi kuantiti. Allah ﷻ membalas dengan balasan yang berganda-ganda. Disebut dalam ayat yang lain, balasan itu boleh naik kepada 700 kali ganda malah Allah ﷻ boleh beri lebih lagi.

 

 

وَلَهُم أَجرٌ كَريمٌ

dan bagi mereka pahala yang banyak.

Kalimah kareem pula maksudnya dari segi nilai atau kualiti. Allah ﷻ akan beri balasan yang bernilai lebih tinggi daripada apa yang kita beri. Berapa sangatlah kita beri sebagai infak kita, bukan? Akan tetapi balasan Allah ﷻ adalah syurga yang tidak terkata hebatnya. Maka kalimah ‘pahala yang banyak’ dalam ayat ini boleh bermaksud syurga.

Atau kalimah kareem ini bermaksud keampunan daripada Allah ﷻ. Dan kita amat memerlukan pengampunan Allah ﷻ kerana kita manusia yang banyak dosa. Dosa dapat dihapuskan dengan bersedekah. Bila dosa kita dihapuskan, maka tentulah tinggal amal ibadat kita sahaja yang dinilai. Maka ini amat untung sekali. Keuntungan sahaja yang ada, rugi tidak ada. Tidakkah anda mahu perniagaan yang tidak ada rugi, hanya ada keuntungan sahaja?

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 25 Februari 2021

Ringkasan Peta Minda Surah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Hadid Ayat 12 – 14 (Keadaan munafik di akhirat)

Ayat 12: Ayat tabshir (berita gembira) kepada orang mukmin. Nanti akan disebut pula bagaimana keadaan orang munafik. Maka ayat 13 – 15 menceritakan perihal orang munafik tetapi Allah ﷻ mulakan dengan menyebut keadaan orang mukmin dahulu dalam ayat 12 ini.

يَومَ تَرَى المُؤمِنينَ وَالمُؤمِنٰتِ يَسعىٰ نورُهُم بَينَ أَيديهِم وَبِأَيمٰنِهِم بُشرٰكُمُ اليَومَ جَنّٰتٌ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ خٰلِدينَ فيها ۚ ذٰلِكَ هُوَ الفَوزُ العَظيمُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

On the Day you see the believing men and believing women, their light proceeding before them and on their right, [it will be said], “Your good tidings today are [of] gardens beneath which rivers flow, wherein you will abide eternally.” That is what is the great attainment.

(MELAYU)

Pada hari kamu melihat orang mukmin laki-laki dan perempuan, sedang cahaya mereka bersinar di hadapan dan di sebelah kanan mereka, (dikatakan kepada mereka): “Pada hari ini ada berita gembira untukmu, (iaitu) syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, yang kamu kekal di dalamnya. Itulah keberuntungan yang besar”.

 

يَومَ تَرَى المُؤمِنينَ وَالمُؤمِنٰتِ

pada hari kamu melihat orang mukmin laki-laki dan perempuan, 

Ini adalah berita baik kepada mukmin lelaki dan perempuan. Selalunya kalau Allah ﷻ sebut mukmineen, itu sudah termasuk mukminaat sekali. Tetapi apabila Allah ﷻ membezakan dan sebut kedua-duanya sekali, ini kerana Allah ﷻ hendak tekankan yang lelaki dan perempuan kedua-dua ada peluang untuk mendapatkan janji Allah ﷻ.

Wanita dimuliakan kerana usaha mereka pun berharga. Maka Allah ﷻ sebut khusus juga bagi mereka dalam ayat ini. Tidaklah mereka itu golongan bawahan kepada lelaki. Mereka juga ada hak untuk mendapat janji Allah ﷻ, asalkan mereka juga berusaha.

 

يَسعىٰ نورُهُم بَينَ أَيديهِم وَبِأَيمٰنِهِم

sedang cahaya mereka bersinar di hadapan dan di sebelah kanan mereka, 

Mereka bergerak dengan laju di akhirat kelak semasa melintasi Titian Sirat dan kemudian menuju ke syurga. Maka dalam ayat ini Allah ﷻ membayangkan keadaan mereka semasa sedang menuju ke syurga dengan laju dan kerana itu kalimah يسعى digunakan.

Allah ﷻ juga beritahu di sini, semasa mereka sedang menuju ke syurga itu, akan keluar cahaya daripada diri mereka sendiri. Dan cahaya itu ada di depan mereka dan dari sebelah kanan mereka. Kenapa ada cahaya di kanan pula disebut? Kerana cahaya di sebelah kanan itu adalah nisbah kepada amal baik mereka yang mereka telah lakukan.

Suasana di akhirat nanti adalah amat gelap maka semua perlu kepada cahaya untuk bergerak. Waktu itu iman yang akan menjadi cahaya di hadapan dan cahaya di sebelah kanan bermaksud cahaya daripada amal-amal kebaikan. Dua-dua kena ada.

Allah ﷻ hendak memberi isyarat yang cahaya ini ada kerana mereka telah infak di jalan Allah ﷻ. Ada cahaya yang jauh nampak sampai ke hadapan dan ada yang nampak pada kaki sahaja. Ini bergantung kepada banyak mana mereka telah infak dan seperti yang telah disebut tentang kualiti infak itu.

Kalau dia infak di awal Islam, maka cahaya itu lebih berkualiti. Kalau lebih banyak dia beri, maka lebih jauh lagi cahaya itu. Kalau ikhlas lebih, maka lebih lagi cahaya itu. Ia relatif kepada amalan infak mereka kerana cara dan niat manusia infak tidak sama.

Hal itu sesuai dengan amal perbuatan mereka masing-masing. Mereka berjalan di atas sirat, di antara mereka ada yang nur-nya seperti gunung, ada yang nur-nya seperti pohon kurma, dan ada yang nur-nya seperti seorang lelaki yang berdiri, dan orang yang paling rendah nur-nya daripada mereka adalah yang sebesar ibu jarinya, yang kadangkala menyala dan kadangkala padam. Ini diriwayatkan oleh Ibnu Abu Hatim dan Ibnu Jarir.

يُجْمَعُ الناسُ يومَ القيامةِ إلى ، أن قال : فيُعْطَوْنَ نُورَهم على قَدْرِ أعمالِهم ، وقال : فمنهم مَن يُعْطَى نُورَه مِثْلَ الجبلِ بينَ يَدَيْهِ ، ومنهم مَن يُعْطَى نُورَه فوقَ ذلك ، ومنهم مَن يُعْطَى نُورَه مِثْلَ النخلةِ بيمينِهِ ، ومنهم مَن يُعْطَى دون ذلك بيمينِه ، حتى يكونَ آخِرُ مَن يُعْطَى نُورَه على إبهامِ قَدِمِه ، يُضِيءُ مَرَّةً ويُطْفِئُ مَرَّةً ، وإذا أضاء قَدَّمَ قَدَمَه ، وإذا طَفِئَ قام ، قال فيَمُرُّ ويَمُرُّونَ على الصراطِ ، والصراطُ كحَدِّ السَّيْفِ ، دَحْضٌ ، مَزَلَّةٌ ، فيُقالُ لهم ، امْضُوا على قَدْرِ نورِكم ، فمنهم مَن يَمُرُّ كانْقِضاضِ الكوكبِ ، ومنهم مَن يَمُرُّ كالرِّيحِ ، ومنهم مَن يَمُرُّ كالطَّرْفِ ، ومنهم مَن يَمُرُّ كشَدِّ الرَّحْلِ ، يَرْمُلُ رَمَلًا ، فيَمُرُّونَ على قَدْرِ أعمالِهِم ، حتى يَمُرَّ الذي نورُه على إبهامِ قَدَمِه ، تَخِرُّ يَدٌ ، وتَعْلَقُ يَدٌ ، وتَخِرُّ رِجْلٌ ، وتَعْلَقُ رِجْلٌ ، وتُصِيبُ جوانبَه النارُ فيَخْلُصُونَ ، فإذا خَلَصُوا قالوا : الحمدُ للهِ الذي نَجَّانا منكِ بعدَ أن أَرَانَاكِ ، لقد أعطانا اللهُ ما لم يُعْطَ أَحَدٌ.

Takhrij

الراوي: عبدالله بن مسعود
المحدث: الألباني
المصدر: شرح الطحاوية
الصفحة أو الرقم: 415
خلاصة حكم المحدث: صحيح

Penjelasan

Orang mukmin ketika menyeberangi As-Sirath Allah akan diberikan cahaya yang menyinarinya. Cahaya yang dimiliki orang mukmin ini sesuai dengan amal masing-masing. Ada cahaya di antara mereka yang menyinari antara Madinah dan `Aden, ada yang setinggi gunung, dan ada yang hanya sebesar ibu jari kakinya. Ada yang di antara cahaya mereka kadang hidup kadang padam, mereka akan jalan ketika cahaya mereka hidup. (Tafsir Ibu Katsir, 8/15).

Hadith ini diriwayatkan daripada Ibnu Mas’ûd رضي الله عنه‎ dalam menafsirkan firman Allâh ﷻ :

يَوْمَ تَرَى الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ يَسْعَى نُورُهُمْ بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَبِأَيْمَانِهِمْ

Pada hari itu, engkau melihat orang-orang mukmin cahaya mereka menerangi di hadapan dan disebelah kanan mereka [al-Hadîd/57:12]

Ibnu Mas’ud رضي الله عنه berkata, “Mereka melewati sirâth sesuai dengan tingkat amalan mereka. Di antara mereka ada cahayanya seperti gunung, ada cahayanya yang seperti pohon, ada cahayanya setinggi orang berdiri, yang paling sedikit cahayanya sebatas menerangi ibu jari kakinya, sesekali nyala sesekali padam” (HR. At-Thabarani no. 9763 dan Daruquthni no. 163, disahihkan oleh al-Albani di dalam Sahih Targhib no. 3704)

Adh-Dhahak berkata,

ليس أحد إِلَّا يُعْطَى نُورًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ، فَإِذَا انْتَهَوْا إِلَى الصِّرَاطِ طُفِئَ نُورُ الْمُنَافِقِينَ، فَلَمَّا رَأَى ذَلِكَ الْمُؤْمِنُونَ أَشْفَقُوا أَنْ يُطْفَأَ نُورُهُمْ كَمَا طُفِئَ نُورُ الْمُنَافِقِينَ فَقَالُوا: رَبَّنَا أَتْمِمْ لَنَا نورنا

“Tidak ada seorang pun, melainkan (pasti) diberikan cahaya pada hari kiamat. Maka ketika mereka sampai ke sirath, padamlah cahaya yang dimiliki oleh orang-orang munafik. Maka ketika orang-orang mukmin melihat hal itu, mereka khuatir kalau cahaya mereka juga ikut padam sebagaimana cahaya orang-orang munafik. Orang-orang mukmin pun berdoa, *’Wahai Rabb kami, sempurnakanlah cahaya kami.” (Tafsir Ibnu Katsir, 8/15)

Rujukan

Syarahus Sunnah, karya Imam Barbahari, perkara 21, beriman kepada titian sirath (Oleh Ustaz Idris Sulaiman 31 Mac 2017).

Syarah Al-‘Aqidah Ath-Thahawiyyah, 2/736 karya Syaikh Shalih Alu Syaikh.

 

بُشرٰكُمُ اليَومَ جَنّٰتٌ

“Pada hari ini ada berita gembira untukmu, (iaitu) taman-taman syurga 

Setelah orang mukmin itu berjaya melepasi neraka dengan melalui Titian Sirat, maka mereka akan bertemu dengan taman-taman syurga yang telah disediakan untuk mereka. Mereka bukan sahaja mendapat satu taman tetapi dari segi bahasa yang digunakan, ada banyak taman-taman untuk mereka dan mereka boleh melihat semua taman-taman itu.

Apabila mereka sampai, mereka terus disambut dengan berita gembira. Mereka diraikan dan disambut dengan mesra sangat.

 

تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ

yang mengalir di bawahnya sungai-sungai,

Allah ﷻ beri semangat dan motivasi kepada pembaca Al-Qur’an dengan mengatakan taman-taman syurga itu ada air yang mengalir di bawahnya. Sifat manusia memang suka kepada air dan suka kepada kawasan penempatan yang ada air seperti kolam, laut dan air terjun. Kerana itu ada yang buat air terjun buatan dan juga kolam di dalam rumah.

Dan kita amat memerlukan air. Sekali air dicatu oleh Jabatan Bekalan Air pun kita sudah kelam kabut. Maka apabila disebut air di taman-taman syurga, itu adalah untuk menarik perhatian pembaca Al-Qur’an supaya semakin berminat kepada syurga. Supaya mereka jadi lebih ringan untuk berusaha mendapatkannya.

Tambahan pula ayat ini pertama kali diberikan kepada penduduk Mekah yang tempat mereka tidak ada banyak air. Maka apabila disebut air yang banyak, tentulah ia menarik perhatian mereka.

 

خٰلِدينَ فيها

yang kamu kekal di dalamnya. 

Kalau duduk sekejap sahaja, tentu tidak menarik. Kalau dapat duduk di hotel paling mahal pun, akhirnya akan kena keluar juga. Maka memang manusia suka kepada tempat tinggal yang kekal. Kerana itu manusia tidak suka kalau menyewa rumah dan kerana itu ramai akan berusaha untuk mendapatkan rumah sendiri.

Maka Allah ﷻ beritahu hal itu jangan ditakuti lagi. Kalau dapat masuk syurga, maka penghuni syurga akan kekal di dalamnya, tidak akan keluar sampai bila-bila.

 

ذٰلِكَ هُوَ الفَوزُ العَظيمُ

Itulah keberuntungan yang besar”.

Inilah kejayaan yang mesti kita kejar. Dan ini adalah kejayaan jenis الفَوزُ iaitu jenis selamat daripada bahaya. Dan bahaya apakah yang dimaksudkan?

Itulah bahaya api neraka. Bukankah sebelum ini telah disebut mereka melalui Titian Sirat? Itulah bahaya yang paling besar dan apabila telah dapat melepasinya, maka kejayaan itu adalah kejayaan yang amat-amat besar dan العَظيمُ.


Ayat 13: Kalau ayat sebelum ini tentang orang Mukmin, sekarang tentang orang munafik pula pada waktu itu. Allah ﷻ hendak membezakan keadaan dua golongan itu. Kerana amalan dan fahaman tidak sama, maka keadaan mereka di akhirat juga tidaklah sama.

يَومَ يَقولُ المُنٰفِقونَ وَالمُنٰفِقٰتُ لِلَّذينَ ءآمَنُوا انظُرونا نَقتَبِس مِن نّورِكُم قيلَ ارجِعوا وَراءَكُم فَالتَمِسوا نورًا فَضُرِبَ بَينَهُم بِسورٍ لَّهُ بابٌ باطِنُهُ فيهِ الرَّحمَةُ وَظٰهِرُهُ مِن قِبَلِهِ العَذابُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

On the [same] Day the hypocrite men and hypocrite women will say to those who believed, “Wait for us that we may acquire some of your light.” It will be said, “Go back behind you¹ and seek light.” And a wall will be placed between them with a door, its interior containing mercy, but on the outside of it is torment.

  • To where light was acquired, i.e., in the worldly life.

(MELAYU)

Pada hari ketika orang-orang munafik laki-laki dan perempuan berkata kepada orang-orang yang beriman: “Tunggulah kami supaya kami dapat mengambil sebahagian dari cahayamu”. Dikatakan (kepada mereka): “Kembalilah kamu ke belakang dan carilah sendiri cahaya (untukmu)”. Lalu diadakan di antara mereka dinding yang mempunyai pintu. Di sebelah dalamnya ada rahmat dan di sebelah luarnya dari situ ada seksa.

 

يَومَ يَقولُ المُنٰفِقونَ وَالمُنٰفِقٰتُ لِلَّذينَ ءآمَنُوا

Pada hari ketika orang-orang munafik laki-laki dan perempuan berkata kepada orang-orang yang beriman:

Sekarang kita bercakap tentang golongan orang-orang munafik. Dan kita memang kena berhati-hati supaya jangan terjerumus ke dalam golongan ini. Maka kita kena belajar tentang mereka dan sifat-sifat mereka supaya kita tidak jadi seperti mereka.

Ada tiga peringkat iman yang kita kena faham:

1. iman yang bagus

2. iman yang lemah

3. golongan munafik.

Kalau iman kita lemah dan kita tidak melakukan sesuatu untuk menaikkan kembali iman itu, maka tangga yang seterusnya adalah menjadi seorang yang munafik. Lama kelamaan iman akan menurun kalau tidak dilakukan sesuatu untuk menaikkannya. Mulanya iman lemah sahaja, namun akhirnya jadi munafik. Dan nanti kita akan baca bagaimana keadaan orang munafik di akhirat kelak – adakah kita mahu jadi seperti mereka?

Ada iltifad (penukaran) dalam dua ayat ini. Kalau dalam ayat tentang orang mukmin sebelum ini, dikatakan Nabi ﷺ dapat melihat mereka يَومَ تَرَى (hari yang engkau melihat). Tetapi kali ini disebut sahaja apa golongan munafik itu kata – يَومَ يَقولُ المُنٰفِقونَ (hari berkata orang-orang munafik). Ini adalah kerana Nabi ﷺ tidak dapat lihat mereka dan mereka tidak layak dilihat oleh baginda.

Disebut dalam ayat ini golongan ‘munafik wanita’ kerana munafik mereka berlainan dengan munafik lelaki. Dulu mereka duduk sama dalam masyarakat Islam. Cara pakaian dan apa yang mereka sampaikan di mulut mereka mungkin sama sahaja, tetapi dalaman mereka berlainan.

Ayat tentang keadaan mereka ini dikatakan peringkat kedua selepas Mahsyar di mana orang-orang kafir memang telah dimasukkan ke dalam neraka dan sekarang tinggal orang-orang Islam sahaja. Namun dalam kalangan orang Islam ini, ada orang yang beriman dan ada orang yang munafik.

Apakah kata-kata orang munafik itu kepada orang mukmin?

 

انظُرونا

“Tunggulah kami

Perjalanan di akhirat menuju ke syurga itu panjang, dalam keadaan gelap pula. Dan waktu itu mereka nampak golongan mukmin laju sahaja berjalan kerana mereka ada cahaya. Golongan munafik itu akan terhegeh-hegeh tidak dapat bergerak laju kerana mereka tidak ada cahaya langsung.

Ad-Dahhak mengatakan bahawa tiada seorang pun dalam kalangan mereka yang akan diberi cahaya kelak di hari kiamat. Dan apabila mereka sampai di pinggir sirat, maka padamlah cahaya orang-orang munafik. Ketika orang-orang mukmin menyaksikan hal itu, mereka merasa takut cahayanya padam seperti yang terjadi pada orang-orang munafik. Maka berkatalah mereka, “Ya Tuhan kamu, sempurnakanlah bagi kami cahaya kami.”

Maka golongan munafik cuba mengejar tetapi ditinggalkan oleh golongan mukmin itu. Ini kerana orang beriman sudah tahu yang mereka sedang menuju kepada syurga dan mereka mahu bergerak segera kerana mereka mahu segera sampai ke syurga dan tidak ada masa mereka untuk menunggu orang lain. Maka waktu itulah mereka minta golongan mukmin itu tunggu.

Kenapa mereka beriya-iya minta orang mukmin tunggu mereka?

 

نَقتَبِس مِن نّورِكُم

supaya kami dapat mengambil sebahagian daripada cahayamu”. 

Golongan munafik itu minta golongan mukmin tunggu kerana ingin meminjam cahaya orang mukmin. Perbuatan ini dinamakan iqtibas iaitu apabila seorang mengambil api daripada jamung (cahaya suluh) orang lain. Mereka minta kerana pada mereka kalau orang mukmin itu beri sedikit api pun tidak mengurangkan api mereka, bukan?

Apakah mereka berjaya?

 

قيلَ ارجِعوا وَراءَكُم فَالتَمِسوا نورًا

Dikatakan (kepada mereka): “Kembalilah kamu ke belakang dan carilah sendiri cahaya (untukmu)”.

Walaupun mereka merayu untuk mendapatkan cahaya, tetapi tidak diberikan langsung kepada mereka. Penolakan itu akan dikatakan kepada mereka oleh malaikat yang berada di situ. Tidak diberitahu siapakah yang akan berkata kepada orang munafik itu dan berkemungkinan besar ia dikatakan oleh para malaikat kerana orang beriman sudah tidak kisah tentang mereka. Orang mukmin sudah berjalan laju di hadapan.

Malaikat suruh golongan munafik itu balik ke dunia dan cari cahaya yang mereka perlukan itu di sana. Ini tentunya dalam bentuk perli sahaja kerana dunia sudah tidak ada lagi, lalu hendak ke mana lagi? Dulu golongan munafik itu hanya kisah tentang dunia sahaja dan pengharapan mereka pun kepada dunia sahaja, maka carilah apa yang mereka hendak itu di dunia.

Pergilah balik ke dunia semula untuk ambil cahaya kerana mereka yang dapat cahaya itu telah mengumpul cahaya itu semasa di dunia. Iaitu mereka dapat cahaya itu dengan jalan infak. Mereka bukannya cari cahaya itu di akhirat.

Akan tetapi waktu itu tentu mustahil untuk mendapatkannya maka ini adalah ayat peringatan dan ancaman. Beringatlah untuk mendapat cahaya itu semasa di dunia lagi, janganlah hendak meminta kepada orang lain semasa di akhirat pula.

 

فَضُرِبَ بَينَهُم بِسورٍ

Lalu diadakan di antara mereka dinding 

Golongan munafik sudah tahu yang mereka tidak boleh kembali ke dunia maka orang munafik itu akan berkejaran ke hadapan untuk cuba mendapatkan cahaya daripada golongan mukmin juga dan pada waktu itulah dinding akan diadakan di antara mereka. Ada dinding yang akan dijatuhkan nanti.

Maka diadakan سورٍ di antara antara golongan munafik dan golongan mukmin iaitu satu dinding besar yang digunakan untuk mendindingi kota. Daripada kata dasar yang sama inilah kita menggunakan kalimah ‘surah’ (ini kerana dalam satu surah itu ada berbagai-bagai perkara yang disampaikan, seolah-olah berbagai perkara yang ada di dalam kota yang didindingi dengan dinding kota). Jadi dinding ini memang besar dan tidak dapat ditembusi dan juga dipanjat.

Ada pendapat yang mengatakan inilah dinding A’raf seperti yang disebut dalam A’raf:46.

 

لَّهُ بابٌ

yang mempunyai pintu. 

Akan tetapi dinding itu walaupun besar dan tidak dapat ditembusi, ia ada pintu. Kerana golongan munafik itu mungkin dimasukkan ke dalam neraka untuk mencuci dosa mereka dan apabila sudah selesai dalam neraka, maka ada yang dapat masuk syurga akhirnya. Sebab itu ada pintu untuk membenarkan mereka masuk. Kalau orang kafir terus, tidak ada harapan untuk mereka.

Kena faham yang golongan munafik ada dua jenis: ada jenis yang memang kufur terus dan ada jenis yang lemah iman sahaja. Kepada mereka yang lemah iman inilah yang ada peluang untuk masuk syurga juga akhirnya (setelah duduk dalam neraka).

 

 

باطِنُهُ فيهِ الرَّحمَةُ

Di sebelah dalamnya ada rahmat 

Bahagian dalam yang mengandungi golongan mukmin itu tentunya ada rahmah. Iaitu syurga. Mereka itu golongan yang selamat, setelah mendapat rahmah daripada Allah ﷻ yang memasukkan mereka ke dalam syurga. Ini adalah kerana yang masuk syurga itu kerana rahmah daripada Allah ﷻ semata-mata.

 

 

وَظٰهِرُهُ مِن قِبَلِهِ العَذابُ

dan di sebelah luarnya dari situ ada seksa.

Kalimah ظهر bermaksud ‘bahagian luar’. Di sebalik dinding itu iaitu di bahagian golongan munafik itu adalah neraka. Ia قبل (mengadap) kepada azab. Maknanya, mereka akan ditunjukkan dengan azab neraka.


Ayat 14: Apakah laungan golongan munafik selepas mereka didindingi?

يُنادونَهُم أَلَم نَكُن مَّعَكُم ۖ قالوا بَلىٰ وَلٰكِنَّكُم فَتَنتُم أَنفُسَكُم وَتَرَبَّصتُم وَارتَبتُم وَغَرَّتكُمُ الأَمانِيُّ حَتّىٰ جاءَ أَمرُ اللهِ وَغَرَّكُم بِاللهِ الغَرورُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They [i.e., the hypocrites] will call to them [i.e., the believers], “Were we not with you?” They will say, “Yes, but you afflicted yourselves¹ and awaited [misfortune for us] and doubted, and wishful thinking deluded you until there came the command of Allāh. And the Deceiver [i.e., Satan] deceived you concerning Allāh.

  • By hypocrisy or by falling into temptations.

(MELAYU)

Orang-orang munafik itu memanggil mereka (orang-orang mukmin) seraya berkata: “Bukankah kami dahulu bersama-sama dengan kamu?” Mereka menjawab: “Benar, tetapi kamu mencelakakan dirimu sendiri dan menunggu (kehancuran kami) dan kamu ragu-ragu serta ditipu oleh angan-angan kosong sehingga datanglah ketetapan Allah; dan kamu telah ditipu terhadap Allah oleh (syaitan) yang amat penipu.

 

يُنادونَهُم أَلَم نَكُن مَّعَكُم

Orang-orang munafik itu memanggil mereka (orang-orang mukmin) seraya berkata: “Bukankah kami dahulu bersama-sama dengan kamu?” 

Orang-orang munafik itu berterusan memanggil-manggil lagi kepada orang-orang mukmin yang selamat di sebelah dinding itu. Mereka meminta pertolongan dengan mengatakan yang mereka dulu hidup bersama-sama dengan orang-orang mukmin itu. Mereka dulu makan bersama, tinggal bersama, solat bersama dan macam-macam lagi. Oleh kerana dulu semasa di dunia duduk bersama, takkan tak boleh tolong?

 

قالوا بَلىٰ

Mereka menjawab: “Benar, 

Orang-orang mukmin itu menjawab yang memang mereka dulu hidup bersama sama. Ini tidak dinafikan. Macam zaman sekarang pun, kita tidak tahu siapa yang munafik dan siapa yang sebenarnya mukmin. Kerana kalau dilihat dari segi penampilan, mungkin sama sahaja. Dari segi zahir tidak dapat dibezakan.

 

وَلٰكِنَّكُم فَتَنتُم أَنفُسَكُم

tetapi kamu mencelakakan dirimu sendiri 

Memang duduk dan bergaul bersama, tetapi orang-orang munafik itu meletakkan diri mereka di dalam keadaan bahaya. Mereka sendiri yang meletakkan diri mereka dalam keadaan itu. Akan disebut mereka itu ada 4 masalah dan kita kena tahu supaya kita boleh elakkan.

1. Dalam ayat ini disebut yang mereka telah membinasakan diri mereka sendiri. Kerana akidah mereka yang tidak betul kerana mereka tidak belajar wahyu dan kerana itu mereka tidak percaya dengan sebenar-benarnya. Iman dan akidah mereka kucar kacir. Dalam erti kata lain, mereka tidak yakin kepada Allah ﷻ.

Mereka selalu pergi kepada majlis yang tidak patut. Mereka melakukan perkara-perkara yang tidak patut dilakukan oleh orang yang benar beriman. Sebagai contoh, kalau budak-budak muda sekarang mereka selalunya akan pergi ke parti-parti yang liar, hisap dadah, kacau orang dan lain-lain lagi. Mereka bercampur gaul dengan wanita-wanita ajnabi dan duduk dengan orang-orang yang tidak mengamalkan agama dengan benar. Mereka sendiri yang meletakkan diri mereka dalam keadaan bahaya.

 

وَتَرَبَّصتُم

dan menunggu 

2. Mereka walaupun duduk sekali dengan orang mukmin, tetapi mereka tidak suka kepada orang mukmin sebenarnya. Mereka menunggu musibah menimpa orang mukmin. Mereka tidak suka kepada mukmin yang mengikut Nabi ﷺ dan dalam Baqarah: 13 telah disebut yang orang munafik memanggil golongan mukmin itu sebagai sufaha’ (orang bodoh).

Dalam Surah Fath juga telah diberitahu bagaimana mereka berharap orang-orang mukmin itu mati apabila pergi mengerjakan Umrah bersama Nabi ﷺ. Dan dalam ayat-ayat yang lain disebut mereka berharap supaya orang mukmin mati apabila pergi berperang jihad.

Maknanya mereka tidak suka kepada golongan yang benar-benar mengikut Nabi Muhammad ﷺ. Kalau zaman sekarang, orang munafik ini tidak suka orang yang ikut agama yang sebenar, yang rajin beribadah, yang mahu menjaga agamanya, yang mahu ikut ajaran Sunnah.

Golongan munafik itu melakukan tabarrus. Iaitu mereka menunggu dan melihat pihak manakah yang akan menang. Mereka tidak iklankan kekafiran mereka terang-terangan. Mereka menunggu mana yang untung. Kalau orang Islam yang menang, maka waktu itu mereka akan mengaku Muslim. Kalau orang kafir yang menang, maka mereka akan pergi dan minta habuan daripada orang kafir pula.

Macam orang munafik sekarang, mereka akan lihat sama ada amalkan agama dapat untung atau tidak. Kalau ada kelebihan dan kepentingan kepada mereka, mereka akan pergi. Kalau tidak dapat apa-apa dan mereka rasa menyusahkan mereka, maka mereka akan tinggalkan.

Dan mereka juga melengah-lengah untuk buat perkara yang baik walaupun mereka tahu yang itu adalah perkara yang perlu dilakukan. Mereka kata tunggulah bila mereka sudah tua, tunggulah bila mereka ada kelapangan, tunggulah dulu kerana mereka hendak menikmati kehidupan muda dahulu dan sebagainya. Akhirnya tunggu punya tunggu, mereka pun mati tidak bersedia dengan amal untuk akhirat.

Maka ini mengajar kita untuk membanyakkan diri kita dengan ilmu. Kita sebagai seorang Islam seumpama pokok. Daripada benih bercambah menjadi pokok kecil dan kemudian membesar sampai boleh mengeluarkan buah. Buah itu boleh dimanfaatkan oleh orang lain. Sepanjang masa pokok itu perlu dijaga dan juga diberi benih supaya ia boleh mengeluarkan buah yang baik.

Apabila kita ada ilmu, kita akan beramal dengan baik dan bukan untuk diri kita sahaja tetapi bermanfaat kepada orang yang lain. Sebagaimana manusia dan binatang boleh makan daripada buah yang masak, begitu juga orang lain boleh mendapat ilmu daripada orang yang ada ilmu.

Ada yang sanggup untuk buat perkara haram untuk mendapatkan rezeki dan mereka kata bila mereka sudah cukup duit nanti mereka akan berniaga perkara yang halal. Mereka melengahkan taubat dan meninggalkan perbuatan haram kerana mereka sangka mereka ada masa untuk berubah. Ini pemahaman yang bahaya. Jangan begitu kerana kalau rezeki haram maka makanan halal yang dimakan pun menjadi haram.

Manalah mereka tahu yang mereka akan sempat bertaubat sebelum mati? Kalau Allah ﷻ matikan mereka semasa mereka sedang melakukan perkara yang haram, bagaimana?

 

وَارتَبتُم

dan kamu ragu-ragu

3. Golongan munafik itu ragu-ragu dengan agama dan ragu-ragu dengan ilmu. Mereka tidak meningkatkan fahaman mereka dalam agama. Mereka redha sahaja dengan kejahilan mereka.

Kalau munafik zaman Nabi, mereka itu ragu-ragu dengan wahyu dan kerasulan Nabi Muhammad ﷺ. Mereka ragu-ragu sama ada Islam akan menang.

Kalau zaman sekarang, golongan munafik atau yang lemah iman itu ragu-ragu sama ada Islam ini agama yang benar atau tidak. Mereka ragu-ragu dengan janji Allah ﷻ akan beri balasan kalau buat amalan baik dan sebagainya. Mereka ragu-ragu kerana mereka tidak berusaha untuk belajar.

Begitulah jikalau kita tidak menambah ilmu kita untuk menguatkan iman kita maka lama-lama kita menjadi ragu dengan agama Islam. Kerana akan ada sahaja bisikan daripada syaitan yang mengganggu fikiran kita dan kita tidak dapat menolak was-was itu kerana kita tidak ada ilmu. Amat bahaya sekali jikalau orang Islam sendiri meragui agama.

 

وَغَرَّتكُمُ الأَمانِيُّ

serta kamu ditipu oleh angan-angan kosong 

4. Dan mereka membenarkan diri mereka ditipu oleh syaitan dengan angan-angan kosong. Syaitan akan membisikkan mereka dengan angan-angan dunia. Syaitan akan suruh mereka buat itu dan ini untuk berjaya dalam kehidupan; pergi ke sana sini berjalan sakan; mereka buat semua itu sampaikan mereka tidak ada masa untuk bersedia dalam kehidupan akhirat.

Dalam kehidupan dunia mereka hendak berjaya dan hendak buat itu dan ini;  hendak pergi ke sana sini dan hendak memiliki itu dan ini. Mereka sangka itulah kejayaan yang sebenar dan jikalau Allah ﷻ beri kejayaan itu kepada mereka itu menjadi tanda bahawa mereka adalah ‘insan terpilih’ (disayangi Allah ﷻ) dan tentunya mereka akan selamat juga di akhirat, kononnya.

Bagi mereka yang mendapat rezeki yang haram maka mereka mengisi angan-angan kosong di dalam diri mereka yang apabila mereka memberi derma kepada Ustaz dan juga kepada masjid, mereka sangka dengan pemberian mereka itu dapat membersihkan harta dan diri mereka.

Begitu juga kepada artis-artis yang sekali sekala pergi mengerjakan umrah dan mereka sangka dosa-dosa mereka dibersihkan buat sementara waktu. Pada mereka, Umrah dan Haji itu untuk cuci dosa sahaja dan kemudian buat dosa balik.

Dalam hal agama pula mereka dijanjikan dengan amalan dan pahala yang tidak ada dalil. Ini dipanggil amaaniy (angan-angan kosong). Ini berkenaan mereka yang belajar dengan guru yang salah dan beramal dengan amalan yang salah. Mereka dijanjikan dengan pahala yang hebat, maqam itu dan ini. Semua itu adalah berita dan janji kelebihan yang palsu yang bukan bersumber daripada Nabi. Inilah amalan-amalan bid’ah dan sesat dalam agama.

 

حَتّىٰ جاءَ أَمرُ اللهِ

sehingga datanglah ketetapan Allah;

Mereka penuhi diri mereka dengan angan-angan kosong dan amalan-amalan yang tidak baik itu hinggalah tiba-tiba sampai kematian kepada mereka. Mati akan datang secara tiba-tiba dan mereka tidak sempat untuk bertaubat dan untuk perbaiki amalan-amalan mereka.

Dulu mereka kata apabila mereka sudah senang maka mereka akan belajar agama. Mereka kata apabila mereka kaya nanti mereka akan buat perniagaan yang halal. Mereka ada cita-cita untuk beriman kononnya tapi mereka tangguhkan cita-cita itu sampai tiba-tiba datang kematian kepada mereka. Inilah salah satu daripada talbis iblis (belitan Iblis) iaitu taswif (melengah-lengahkan kebaikan).

 

وَغَرَّكُم بِاللهِ الغَرورُ

dan kamu telah ditipu terhadap Allah oleh (syaitan) yang amat penipu.

Maka syaitan telah berjaya menyesatkan mereka dan memasukkan mereka ke dalam neraka bersama dengan syaitan. Mereka telah kalah dengan syaitan dan mereka sekarang menjadi sebahagian daripada golongan syaitan di dalam neraka.

Syaitan tipu mereka ‘tentang Allah ﷻ’ dengan kata: Allah itu kan Maha Pengampun? Maka mereka boleh buat apa sahaja yang mereka hendak, nanti Allah akan ampunkan sahaja semua dosa-dosa itu. Begitulah syaitan sangat licik dalam menipu mereka yang jahil agama, terutama sekali jahil wahyu.

Syaitan juga tipu dalam hal amalan bidaah yang mereka lakukan. Contohnya syaitan akan kata: “Allah pasti terima amalan ini kalau ikhlas….” begitulah ramai yang buat amalan bid’ah tetapi perasan Allah ﷻ terima dan beri pahala kepada amalan mereka itu. Amalan itu tidak ada dalil, tetapi mereka tetap juga buat kerana mereka sangka Allah ﷻ tetap akan terima (kerana kononnya mereka ikhlas). Mereka selalunya akan gunakan alasan: ‘Apa salahnya, benda baik kan?’.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 1 Mei 2020

Ringkasan Peta Minda Surah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi