Tafsir Surah Mujaadilah Ayat 9 – 11 (Adab dalam majlis)

PERCAKAPAN RAHSIA YANG DIBENARKAN DAN DIGALAKKAN

Mujaadilah Ayat 9: Dalam ayat sebelum ini telah disebut larangan dan bahaya kalau ada najwa (perhimpunan rahsia). Namun begitu kadangkala ada keperluan untuk melakukannya. Maka Allah ﷻ beri nasihat kalau perlu untuk melakukannya.

Ada perkara baik yang mesti diiklankan seperti perkahwinan dan kelas pengajian. Akan tetapi kalau ada perkara yang buruk dan memalukan itu perlulah dirahsiakan dan diselesaikan dengan cara rahsia. Ini demi untuk menjaga nama baik orang.

Katakanlah seseorang itu telah mengambil duit tabung masjid kerana terpaksa dan dia memang mengaku dan minta tangguh untuk bayar balik. Maka tidak perlu kita canangkan dan kita cuba selesaikan dalam kalangan AJK masjid sahaja.

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا إِذا تَنٰجَيتُم فَلا تَتَنٰجَوا بِالإِثمِ وَالعُدوٰنِ وَمَعصِيَتِ الرَّسولِ وَتَنٰجَوا بِالبِرِّ وَالتَّقوىٰ ۖ وَاتَّقُوا اللهَ الَّذي إِلَيهِ تُحشَرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, when you converse privately, do not converse about sin and aggression and disobedience to the Messenger but converse about righteousness and piety. And fear Allāh, to whom you will be gathered.

(MELAYU)

Hai orang-orang beriman, apabila kamu mengadakan pembicaraan rahsia, janganlah kamu membicarakan tentang membuat dosa, permusuhan dan berbuat durhaka kepada Rasul. Dan bicarakanlah tentang membuat kebajikan dan takwa. Dan bertakwalah kepada Allah yang kepada-Nya kamu akan dikembalikan.

 

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا

Hai orang-orang beriman,

Ditujukan kepada umat Islam secara keseluruhan, sama ada yang mukmin, yang lemah iman dan munafik sekali. Kalau mengaku beriman, kena dengarlah nasihat ini.

 

إِذا تَنٰجَيتُم فَلا تَتَنٰجَوا بِالإِثمِ

apabila kamu mengadakan pembicaraan rahsia, janganlah kamu membicarakan tentang membuat dosa,

Orang-orang Islam diingatkan yang jikalau mereka mahu mengadakan perjumpaan rahsia, janganlah perjumpaan itu kerana tujuan merosakkan agama. Jangan buat rancangan yang tidak baik.

 

وَالعُدوٰنِ

dan permusuhan

Dan jangan buat perjumpaan rahsia kerana untuk merosakkan hubungan sesama umat Islam yang lain. Jangan buat perancangan untuk menjatuhkan sesiapa.

 

 

وَمَعصِيَتِ الرَّسولِ

dan berbuat derhaka kepada Rasul. 

Dan jangan buat perjumpaan rahsia untuk melawan dan menentang Rasulullah ﷺ. Juga jangan buat perjumpaan untuk menentang agama.

Ini bukan sahaja perjumpaan rahsia tetapi mana-mana perjumpaan yang tidak berapa rahsia pun kerana selalunya apabila kita berbincang sesama kita dan kita tidak menjaga hati kita, maka ia akan membawa kepada perbincangan yang tidak produktif.

Ini mengajar kita untuk menjaga mulut kita dan jangan selalu duduk-duduk bersama dan komen tentang orang lain. Tidaklah semua perkara yang kita fikirkan di dalam hati kita perlu diberitahu kepada orang lain kerana kadang-kadang ia tidak membawa kepada kebaikan pun.

Sebagai contoh, mungkin ada yang sama-sama mendengar ceramah agama dan kemudian ada yang bercerita tentang ceramah itu dan mempersoalkan kata-kata penceramah itu. Ini boleh membawa kepada perkara yang tidak baik kerana mungkin ada yang sangsi pula kepada penceramah itu, dan sebagainya. Tahanlah mulut itu daripada hendak komen tentang orang lain.

Kadang-kadang perkara itu kecil sahaja, tetapi apabila ia disebut dan dibincangkan maka ia boleh menjadi perkara yang besar pula. Akan ada sahaja orang lain yang ingin menambah perkara yang dia juga tidak puas hati. Lama-lama daripada perkara kecil menjadi perkara yang besar dan di luar kawalan pula.

Maka daripada ayat ini kita dapat tahu ada najwa yang buruk dan ada juga najwa yang baik. Maka apakah najwa yang baik itu? Iaitu jika kita berjumpa dengan kenalan kita dan kita memberi nasihat kepada dia dari hati yang ikhlas untuk kebaikan bersama. Kalau najwa jenis begini, maka tentulah ia baik.

Kita kadangkala ingin menasihati orang lain, kena nasihat dengan rahsia untuk tidak memalukan dia. Barulah dia hendak mendengar nasihat kita. Kalau kita nasihat depan orang lain, dia akan berasa malu dan terasa hati dan dia mungkin akan membenci kita dan marahkan kita pula kerana telah memalukan dirinya. Nasihat kita entah ke mana pula kerana perasaan benci kepada kita itu yang lebih menguasai dirinya, bukan?

Maka boleh kalau ingin menasihati secara rahsia kerana ini adalah nasihat dari hati yang manis. Apabila kita memberi nasihat kepada orang, maka ada baiknya jika kita minta nasihat daripada orang itu juga. Kerana diri kita pun memerlukan nasihat daripada orang lain. Kita kata begini pada dia: “Saya ada hadiah nak bagi kat awak…. boleh? Tapi dengan syarat, awak kena bagi balik hadiah kepada saya….”

Kemudian sama-sama nasihat menasihati. Dia pun akan lebih terbuka kerana dia pun ada peluang untuk menegur kita – sama-sama nasihat menasihati. Kadangkala perkara ini perlu dilakukan dengan rahsia untuk tidak memalukan sesiapa. Ini adalah jenis najwa untuk meningkatkan taqwa.

 

وَتَنٰجَوا بِالبِرِّ وَالتَّقوىٰ

Dan bicarakanlah tentang membuat kebajikan dan taqwa.

Dan ada juga najwa yang baik yang untuk kebaikan di mana mungkin telah diadakan mesyuarat dan telah ada persetujuan untuk membina masjid di kampung itu.

Maka boleh kalau ada perjumpaan rahsia antara orang-orang yang kaya untuk memulakan beri duit untuk membina masjid itu. Maknanya rancangan untuk melakukan sesuatu di dalam mesyuarat telah diputuskan dan perjumpaan rahsia ini bukanlah untuk mengubah keputusan itu tetapi untuk menjayakannya. Najwa sebegini amat bagus sekali.

Juga mungkin ada perjumpaan rahsia untuk menyelamatkan nama baik seseorang yang telah dijatuhkan. Mungkin juga perjumpaan rahsia itu untuk membincangkan dan mendamaikan pertelingkahan antara dua kawan baik.

 

وَاتَّقُوا اللهَ الَّذي إِلَيهِ تُحشَرونَ

Dan bertaqwalah kepada Allah yang kepada-Nya kamu akan dikembalikan.

Yang penting, kita kena ada taqwa dalam hati kita. Kalau kita ada taqwa, maka kita akan tahu mana satu najwa yang bagus dan mana yang tidak. Gerak hati kita sendiri pun sudah boleh digunakan untuk menilai.

Ingatlah yang kita akan dikembalikan kepada Allah ﷻ dan Allah ﷻ sudah tahu apa yang kita lakukan dan apa niat kita semasa melakukannya. Kita tahu yang kita akan dipersoalkan kelak tentang perkara ini. Maka kenalah takut untuk melakukan perkara-perkara yang salah.


 

Mujaadilah Ayat 10:

إِنَّمَا النَّجوىٰ مِنَ الشَّيطٰنِ لِيَحزُنَ الَّذينَ ءآمَنوا وَلَيسَ بِضارِّهِم شَيئًا إِلّا بِإِذنِ اللهِ ۚ وَعَلَى اللهِ فَليَتَوَكَّلِ المُؤمِنونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Private conversation is only from Satan that he may grieve those who have believed,¹ but he will not harm them at all except by permission of Allāh. And upon Allāh let the believers rely.

  • The reference may be to the sinful type of conversation, as mentioned in the previous verses, or to the practice of two persons speaking in confidence in the presence of a third, which might lead him to assume that he is the subject of their conversation. Such behavior was prohibited by the Prophet (ṣ) in narrations of al-Bukhārī and Muslim.

(MELAYU)

Sesungguhnya pembicaraan rahsia itu adalah dari syaitan, supaya orang-orang yang beriman itu berduka cita, sedang pembicaraan itu tiadalah memberi mudharat sedikit pun kepada mereka, kecuali dengan izin Allah dan kepada Allah-lah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakkal.

 

إِنَّمَا النَّجوىٰ مِنَ الشَّيطٰنِ

Sesungguhnya pembicaraan rahsia itu adalah daripada syaitan,

Bisikan-bisikan yang kita jelaskan sebagai ‘najwa’ yang dilakukan oleh puak-puak munafik (dan juga daripada golongan Yahudi) itu sebenarnya adalah daripada syaitan. Syaitan yang bisikkan kepada mereka untuk melakukannya dan mereka telah termakan dengan bisikan syaitan itu.

 

لِيَحزُنَ الَّذينَ ءآمَنوا

supaya orang-orang yang beriman itu berdukacita, 

Najwa yang digerakkan oleh syaitan itu akan menyebabkan orang-orang beriman menjadi sedih. Kerana mereka yang melakukan najwa itu bercakap sesama mereka tetapi sambil memandang orang mukmin yang menyebabkan orang mukmin boleh sangka yang dialah subjek perbincangan rahsia mereka itu.

Kadang-kadang kita ternampak perbincangan rahsia di tempat tersembunyi seperti di tempat parkir atau di sudut belakang bangunan dan sebagainya yang kita tahu perbincangan mereka itu tidak baik dan kita sedih dengan apa yang kita lihat itu. Kita sudah boleh agak apa yang mereka katakan itu. Walaupun kita mungkin tersilap andaian (mungkin dia sembang tentang kebaikan), tetapi cara perbuatan mereka itu telah menyebabkan kita terasa.

Oleh kerana itu kalau bertiga, tidak boleh kalau dua orang di antara mereka bercakap dalam bahasa yang tidak difahami oleh orang ketiga. Lebih buruk lagi kalau semasa dua orang itu bercakap, mereka menunjuk-nunjuk kepada orang ketiga itu:

 

وَعَنْ عَبْدِ اللَّهِ ابْنِ مَسْعُوْدٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ: قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «إِذَا كُنْتُمْ ثَلاَثَةً، فَلاَ يَتَنَاجَى اثْنَانِ دُونَ الآخَرِ حَتَّى تَخْتَلِطُوا بِالنَّاسِ، مِنْ أَجْلِ أَنَّ ذَلِكَ يُحْزِنَهُ» متفق عليه، وهذا لفظ مسلم

Daripada Abdullah bin Mas’ud رضي الله عنه, Nabi Muhammad ﷺ bersabda: “Apabila kalian bertiga, maka janganlah dua orang berbisik-bisik tanpa menghiraukan yang lain, sehingga kalian bergaul dengan orang-orang, kerana hal tersebut akan membuatnya sedih.” (Muttafaqqun ‘alaih) dan ini adalah lafaz Imam Muslim.

(Sahih Bukhari no. 6.290 dan Sahih Muslim no. 2.184)

 

 

Kalau ada keperluan untuk bercakap secara rahsia berdua sahaja, atau untuk bercakap dalam bahasa lain daripada yang boleh difahami oleh orang ketiga itu, maka kenalah meminta maaf daripadanya.

 

عَنِ ابْنِ عُمَرَرضي الله عنهما، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «إِذَا كُنْتُمْ ثَلَاثَةً فَلَا يَتَنَاجَى اثْنَانِ دُونَ الثَّالِثِ، إِلَّا بِإِذْنِهِ فَإِنَّ ذَلِكَ يُحْزِنُهُ» رواه أحمد

“Daripada Ibnu Umar رضي الله عنهما beliau berkata: Rasulullah ﷺ bersabda: Apabila kalian bertiga, maka janganlah berbisik-bisik dengan membiarkan yang seorang lagi, kecuali dengan seizinnya, kerana hal tersebut boleh membuatnya sedih.”

(HR Ahmad, no. 6.338)

 

وَلَيسَ بِضارِّهِم شَيئًا إِلّا بِإِذنِ اللهِ

sedang pembicaraan itu tiadalah memberi mudharat sedikit pun kepada mereka, kecuali dengan izin Allah 

Tetapi Allah ﷻ hendak memberitahu bahawa rancangan jahat manusia tidak berjaya jikalau Allah ﷻ tidak membenarkannya. Begitu ramai manusia yang berniat untuk melakukan kerosakan, tetapi Allah ﷻ tidak benarkan.

Maka kerana itu puak munafik zaman Nabi ﷺ itu telah mencuba berbagai-bagai cara, malah sehingga ada cubaan untuk membunuh Rasulullah ﷺ, namun mereka tidak berjaya. Maka kalau ada perancangan daripada golongan munafik zaman ini pun, maka tidak perlu hairan kerana memang mereka itu dipimpin oleh syaitan. Dan serahkan sahaja kepada Allah ﷻ.

 

وَعَلَى اللهِ فَليَتَوَكَّلِ المُؤمِنونَ

dan kepada Allah-lah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakkal.

Maka hendaklah orang-orang yang mengaku beriman bertawakal kepada Allah ﷻ dan serahkan apa saja yang berlaku selepas itu kepada Allah ﷻ. Kita tidak boleh menghalang perbincangan rahsia orang jahat; kita tidak dapat menghalang usaha mereka. Maka kita berserah sahaja kepada Allah ﷻ.

Sekiranya orang mukmin dapat menerima hal ini, maka tidaklah mereka risau sangat kalau nampak orang tidak baik bercakap-cakap sesama mereka. Kerana dia tahu yang mereka itu tidak dapat buat apa-apa tanpa izin Allah ﷻ. Kalau tidak tawakal, dia akan asyik fikirkan tentang mereka dalam kerisauan sampai tidak boleh hendak buat kerja lain pula nanti. Jadi, jangan fikirkan dan biarkan sahaja mereka.


 

ADAB DI DALAM PERHIMPUNAN

Mujaadilah Ayat 11: Allah ﷻ ajar bagaimana cara untuk menghalang perkara buruk daripada terjadi.

Salah satu cara orang yang ada niat jahat gunakan adalah dengan mengganggu mesyuarat dengan datang lambat ataupun bercakap kuat dalam mesyuarat itu atau bercakap benda yang tidak berfaedah. Mereka membuat bunyi bising dan mereka berbisik-bisik sesama mereka dan ini mengganggu perjalanan mesyuarat.

Bagaimana hendak menangani perkara itu kalau terjadi dalam mesyuarat kita? Maka Allah ﷻ memberi jalan penyelesaian untuk masalah ini.

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا إِذا قيلَ لَكُم تَفَسَّحوا فِي المَجٰلِسِ فَافسَحوا يَفسَحِ اللهُ لَكُم ۖ وَإِذا قيلَ انشُزوا فَانشُزوا يَرفَعِ اللهُ الَّذينَ ءآمَنوا مِنكُم وَالَّذينَ أوتُوا العِلمَ دَرَجٰتٍ ۚ وَاللهُ بِما تَعمَلونَ خَبيرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, when you are told, “Space yourselves” in assemblies, then make space; Allāh will make space for you.¹ And when you are told, “Arise,”² then arise; Allāh will raise those who have believed among you and those who were given knowledge, by degrees. And Allāh is Acquainted with what you do.

  • In His mercy, in Paradise, or in everything good.
  • To prayer, to battle, or to good deeds.

(MELAYU)

Hai orang-orang beriman apabila dikatakan kepadamu: “Berlapang-lapanglah dalam majlis”, maka lapangkanlah nescaya Allah akan memberi kelapangan untukmu. Dan apabila dikatakan: “Berdirilah kamu”, maka berdirilah, nescaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa derajat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.

 

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا

Hai orang-orang beriman

Allah ﷻ beri arahan kepada orang mukmin dalam ayat ini. Ini adalah pengajaran tentang adab di dalam majlis terutama dalam majlis ilmu. Para sahabat رضي الله عنهم memang suka berada dalam majlis ilmu dengan Rasulullah ﷺ dan begitu juga diteruskan oleh golongan selepas mereka.

Maka kita pun kenalah ikut. Kena perbanyakkan majlis ilmu dalam kalangan kita. Kena teruskan pengajian ilmu dan biasakan dengan majlis ilmu. Kalau anak-anak kita degil pun, kena biasakan mereka datang ke majlis ilmu. Semoga mereka mendapat ilmu yang bermanfaat dan mengubah sikap mereka daripada buruk kepada sikap yang baik.

 

إِذا قيلَ لَكُم تَفَسَّحوا فِي المَجٰلِسِ فَافسَحوا

apabila dikatakan kepadamu: “Berlapang-lapanglah dalam majlis”, maka lapangkanlah

Golongan munafik selalu mengambil peluang untuk duduk berdekatan dengan Rasulullah ﷺ, sampai menyebabkan orang lain tidak dapat duduk dekat dengan baginda ﷺ. Ini adalah kerana mereka hendak menunjuk-nunjuk yang mereka kononnya rapat dengan Nabi ﷺ. Baginda tidaklah menegur mereka tetapi sekarang Allah ﷻ yang menegur perbuatan mereka itu.

Nabi ﷺ tidak menegur kerana Nabi ﷺ malu untuk berkata apa-apa. Inilah sifat baginda ﷺ yang pemalu, sebagaimana juga baginda malu untuk menghalau orang yang duduk-duduk dalam rumah baginda selepas selesai kenduri di rumah baginda (telah disebut dalam surah yang lain). Dalam kes itu pun Allah ﷻ yang menegur perbuatan para sahabat رضي الله عنهم yang terus melepak walaupun sudah lewat.

Selalunya apabila Rasulullah ﷺ bercakap dan memberi ceramah agama, maka para sahabat akan berkumpul dekat-dekat baginda. Tetapi kali ini di dalam mesyuarat mereka disuruh untuk duduk berpecah-pecah. Jangan duduk sekelompok. Kenapa pula begitu?

Golongan mukmin disuruh untuk duduk berpecah kerana jikalau ada orang yang busuk hatinya datang, mereka tidak boleh duduk bersama kawan-kawan mereka yang jahat juga. Bila tempat kosong itu jarang, maka mereka kena duduk di antara orang-orang yang beriman. Maka mereka tidak boleh membuat rancangan berbisik-bisik sesama mereka dan membuat bunyi-bunyi yang tidak patut. Ini kerana mereka tidak duduk dengan geng mereka lagi. Mereka sudah menjadi terpencil.

Biasalah, bila kawan duduk sekali, mereka boleh buat rancangan. Macam dalam kelas budak sekolah – kalau duduk dengan geng, mulalah mereka buat kacau. Tetapi kalau mereka duduk berseorangan, mereka pun senyap juga.

Ayat ini juga ada ditafsirkan secara umum. Ia bukan untuk majlis yang ada Nabi Muhammad ﷺ sahaja, tetapi mana-mana majlis perjumpaan pun. Kalau tempat itu sesak, maka hendaklah lapangkan tempat duduk untuk bagi orang baru sampai pun boleh duduk. Berilah ruang kepada orang yang baru datang. Mereka pun boleh juga mengambil manfaat dari majlis itu, terutama kalau majlis itu adalah majlis ilmu.

Tidaklah boleh orang baru tiba suruh orang yang sudah ada di situ untuk bangun supaya dia boleh mengambil tempatnya; tetapi yang diajar adalah untuk beri ruang. Kerana mungkin sudah nampak sesak, tetapi masih boleh lagi untuk susun lagi kedudukannya itu. Ini berdasarkan dalil sebuah hadith:

عَنِ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا ، قَالَ : قَال رَسُوْلُ اللهِ – صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – : (( لاَ يُقِيْمَنَّ أَحَدُكُمْ رَجُلاً مِنْ مَجْلِسِهِ ثُمَّ يَجْلِسُ فِيهِ ، وَلكِنْ تَوَسَّعُوْا وَتَفَسَّحُوْا )) وَكَانَ ابْنُ عُمَرَ إِذَا قَامَ لَهُ رَجُلٌ مِنْ مَجْلِسِهِ لَمْ يَجْلِسْ فِيهِ . مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ .

Daripada Ibnu Umar رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا, ia berkata bahwa Rasulullah ﷺ bersabda, “Janganlah seorang di antara kalian menyuruh berdiri lainnya dari tempat duduknya kemudian ia sendiri duduk di situ. Tetapi berikanlah keluasan tempat serta kelapangan (pada orang lain yang baru datang).” Ibnu Umar رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا apabila ada seorang yang berdiri dari tempat duduknya kerana menghormatinya, ia tidak suka duduk di tempat orang tadi itu. (Muttafaq ‘alaih) (HR. Bukhari, no. 6270 dan Muslim, no. 2177)

 

Kadang-kadang yang sampai lambat itu adalah para sahabat yang besar yang tugas mereka memang menyampaikan maklumat kepada orang lain. Maka mereka itulah yang patut duduk di hadapan.

Begitu juga kalau zaman sekarang, kalau kita tahu bahawa ada orang yang penting baru datang, maka berilah ruang kepada mereka untuk masuk. Ini bukanlah sebab ada kasta rendah dan kasta tinggi pula, tetapi mesti dilihat kepada keperluan.

 

يَفسَحِ اللهُ لَكُم

nescaya Allah akan memberi kelapangan untukmu. 

Semoga dengan melakukan arahan Allah ﷻ ini, maka umat Islam akan berjaya dan salah satu maksudnya adalah dibukakan tanah-tanah untuk umat Islam. Ini kerana perancangan dapat berjalan dengan lancar tanpa gangguan puak munafik. Maka rancangan untuk meluaskan dakwah Islam dapat dijalankan dengan lebih baik. Mesyuarat dapat mencapai kata putus yang membawa kepada kejayaan umat Islam.

Kalau dalam majlis sekarang seperti majlis ilmu contohnya, Allah ﷻ menghargai pengorbanan orang yang memberi ruang kepada orang lain. Allah ﷻ akan balas dengan memberinya kelebihan di tempat lain. Ini adalah kerana mereka telah taat kepada arahan ketua.

 

وَإِذا قيلَ انشُزوا فَانشُزوا

Dan apabila dikatakan: “Berdirilah kamu”, maka berdirilah, 

Kalimah نشز dalam ayat ini bermaksud bangkit daripada mesyuarat/perjumpaan dengan segera. Selepas sudah habis mesyuarat (syura) sahaja, teruslah pulang ke rumah masing-masing.

Ini kerana bahaya jikalau duduk-duduk selepas mesyuarat kerana waktu itulah ahli mesyuarat itu akan bersembang dan berbincang-bincang pula sesama kumpulan kecil mereka. Biasanya kalau sudah mula bersembang, maka akan timbullah perkara lain pula.

Maka Allah ﷻ mengajar bahawa selepas bermesyuarat untuk membuat rancangan untuk menjalankan kerja dakwah, maka bagus selepas syura itu semua terus bangkit dan keluar daripada bilik mesyuarat itu dan tidak bercakap-cakap lagi. Jangan duduk-duduk atau sambung mesyuarat kecil sambil minum teh tarik pula.

Golongan mukmin disuruh untuk pulang sahaja ke rumah kerana jikalau mereka berkumpul dengan beberapa orang selepas itu, tentu percakapan antara mereka adalah apa yang dibincangkan di dalam mesyuarat tadi. Itulah yang akan menjadi ‘najwa’ kemudiannya.

Ayat ini juga ada ditafsirkan begini: di zaman Nabi ﷺ, ada yang duduk bersama Nabi ﷺ  sehingga selesai majlis baginda. Ini menyebabkan orang baru tidak dapat duduk mendengar ajaran baginda. Maka Allah ﷻ turunkan ayat ini memberi jalan keluar: kalau Nabi ﷺ suruh seseorang itu bangun untuk tinggalkan majlis, maka bangunlah dan berilah peluang kepada orang lain pula. Janganlah terasa kerana ini memang arahan daripada Allah ﷻ.

Tersebutlah pula bahawa kebiasaan Rasulullah ﷺ ialah memuliakan orang-orang yang ikut dalam Perang Badr, baik dalam kalangan Muhajirin mahupun dalam kalangan Ansar. Kemudian satu waktu datanglah sejumlah orang dalam kalangan ahli Perang Badr, sedangkan orang-orang selain mereka telah mengambil tempat duduk mereka berdekatan Rasulullah ﷺ.

Maka mereka yang baru datang berdiri menghadap kepada Rasulullah ﷺ dan berkata, “Semoga kesejahteraan terlimpahkan kepada engkau, hai Nabi Allah, dan juga keberkahan-Nya.” Lalu Nabi ﷺ menjawab salam mereka. Setelah itu mereka mengucapkan salam pula kepada kaum yang telah hadir, dan kaum yang hadir pun menjawab salam mereka.

Maka mereka hanya dapat berdiri saja menunggu diberikan keluasan bagi mereka untuk duduk di majlis itu. Nabi ﷺ mengetahui penyebab yang membuat mereka tetap berdiri, iaitu kerana tidak diberikan keluasan bagi mereka di majlis itu.

Melihat hal itu Nabi ﷺ merasa tidak enak, maka baginda bersabda kepada orang-orang yang ada di sekelilingnya dalam kalangan Muhajirin dan Ansar yang bukan daripada kalangan Ahli Badar, “Hai Fulan, berdirilah kamu. Juga kamu, hai Fulan.” Dan Nabi ﷺ mempersilakan duduk beberapa orang yang tadinya hanya berdiri di hadapannya dalam kalangan Muhajirin dan Ansar Ahli Badar.

Perlakuan itu membuat tidak senang orang-orang yang disuruh bangkit dari tempat duduknya, dan Nabi ﷺ mengetahui keadaan ini daripada riak muka mereka yang disuruh beranjak dari tempat duduk mereka. Maka orang-orang munafik memberikan tanggapan mereka, “Bukankah kalian menganggap teman kalian ini berlaku adil di antara sesama manusia? Demi Allah ﷻ, kami memandangnya tidak adil terhadap mereka. Sesungguhnya suatu kaum telah mengambil tempat duduk mereka dekat nabi mereka kerana mereka suka berada di dekat nabinya. Tetapi nabi ﷺ mereka menyuruh mereka beranjak dari tempat duduknya, dan mempersilakan duduk di tempat mereka orang-orang yang datang lambat.” Maka telah sampai kepada kami suatu berita bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

“رَحِمَ اللهُ رَجُلًا فَسَح لِأَخِيهِ”

Semoga Allah mengasihani seseorang yang memberikan keluasan tempat duduk bagi saudaranya.

Maka sejak itu mereka bergegas meluaskan tempat duduk buat saudara mereka, dan turunnya ayat ini di hari Jumaat. Demikianlah menurut riwayat Ibnu Abu Hatim رحمه الله.

Maka kita kena pandai aplikasikan keadaan ini dalam zaman kita. Kadangkala dalam sesuatu majlis ilmu, memang tidak ada ruang untuk orang lain menyelit masuk. Maka dalam keadaan begini, kenalah ada orang yang sanggup untuk berdiri dan memberikan tempatnya kepada orang yang baru sampai. Ini adalah kerana orang yang baru sampai itu mungkin orang yang penting.

Memang ini nampak seakan zalim pula, akan tetapi ini adalah keperluan semasa. Sebagai contoh, mungkin yang baru datang itu adalah ahli panel atau tetamu kehormat, maka kenalah beri tempat duduk kepada mereka. Atau orang yang baru hendak belajar (kita mungkin sudah lama belajar dan sudah tahu apa yang hendak disampaikan). Dan mungkin ini bermaksud kena tinggalkan terus tempat duduk di hadapan.

 

يَرفَعِ اللهُ الَّذينَ ءآمَنوا مِنكُم

nescaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu

Kepada mereka yang beriman dan sanggup untuk taat kepada arahan Allah ﷻ ini, Allah ﷻ akan tinggikan kedudukan mereka di dunia dan akhirat. Ini adalah kerana mereka taat kepada arahan ketua.

Allah ﷻ memberi ganjaran meninggikan darjat mereka kalau dapat buat begitu kerana bukan senang untuk terus tinggalkan mesyuarat ataupun majlis seperti majlis ilmu. Ini kerana mungkin ada rakan-rakan kita yang kita hanya berjumpa di tempat mesyuarat saja. Rasa macam rugi pula kalau tidak melepak dengan dia.

Juga ayat ini hendak memberitahu yang kedudukan darjat yang tinggi bukanlah kerana dapat duduk rapat dengan Nabi Muhammad ﷺ dan berterusan bersama baginda ﷺ dari mula sampai habis. Kedudukan darjat yang tinggi adalah bertaut dengan iman. Kalau iman tinggi, maka darjat di sisi Allah ﷻ pun tinggi.

 

وَالَّذينَ أوتُوا العِلمَ دَرَجٰتٍ

dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. 

Allah ﷻ hendak memberitahu juga yang darjat tinggi itu diberikan kepada orang yang berilmu, bukannya kepada mereka yang nampak duduk rapat dengan Rasulullah ﷺ. Telah banyak dalil lain bagi hujah mengatakan memang golongan berilmu diberikan dengan darjat yang tinggi.

Ada golongan yang mahu dipandang tinggi, mereka cepat-cepat mendapatkan kedudukan rapat dengan baginda ﷺ di majlis baginda – supaya orang lain nampak yang dia rapat dengan Nabi lah kononnya. Maka ini adalah fahaman dan cara yang salah untuk mendapatkan darjat yang tinggi. Ini selalunya dilakukan oleh golongan munafik.

Apabila orang-orang munafik itu duduk berdekatan dengan menghimpit kepada Nabi ﷺ, maka ada sahabat-sahabat yang besar yang penting untuk baginda berbincang dengan mereka tidak dapat berbincang kerana ada para sahabat yang penting dalam menjalankan tugas dakwah. Akan tetapi kalau yang menghimpit baginda ﷺ itu adalah golongan munafik yang bukan hendak buat kerja pun, maka mereka itu buang masa sahaja.

Maka kerana itu Allah ﷻ mengajar Nabi ﷺ untuk suruh mereka bangun dan beri ruang kepada orang lain. Kalau duduk dekat dan lama dengan Nabi ﷺ tetapi menyusahkan baginda, ini lagi tidak patut. Maka ayat ini mengajar adab-adab di dalam majlis.

Dalam zaman sekarang pun, kita kena hormati orang yang berilmu kerana darjat mereka memang lebih daripada orang biasa. Mungkin kita kena beri tempat duduk kepada mereka kerana Allah ﷻ telah memuliakan mereka, maka kita pun kena muliakan mereka juga.

Kesimpulannya ayat ini adalah tentang majlis ilmu. Dari sini kita dapat juga mengambil pengajaran yang majlis ilmu lah yang meninggikan darjat manusia. Di dunia ini lagi darjat itu sudah dinaikkan di mana manusia akan memberi penghormatan kepada mereka. Ini terbukti daripada banyak sekali dalil daripada Rasulullah ﷺ sendiri. Sebagai contoh, apabila hendak mengebumikan jenazah para sahabat yang syahid, Nabi ﷺ tanya siapakah yang paling banyak menghafal Al-Qur’an. Yang banyak hafal Al-Qur’anlah yang dimasukkan ke dalam kubur dahulu.

Majlis ilmu yang terutama sekali adalah majlis ilmu wahyu kerana manusia kena faham wahyu, terutama sekali wahyu Al-Qur’an. Kalaulah masyarakat kita sedar tentang perkara ini, maka cepatlah naik darjat orang Islam kembali. Masalahnya sekarang umat Islam amat jauh daripada wahyu dan kerana itu kedudukan kita amat rendah sekarang.

 

وَاللهُ بِما تَعمَلونَ خَبيرٌ

Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.

Allah ﷻ tahu apa yang mereka lakukan dan apa yang mereka niat di dalam hati. Maka kena berhati-hati dengan perlakuan kita dan niat kita. Mungkin kita rasa manusia tidak tahu, tetapi ingatlah yang Allah ﷻ mengetahui apa yang ada dalam hati kita.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 17 November 2020

Ringkasan Peta Minda Surah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Mujaadilah Ayat 7 – 8 (Perjumpaan Rahsia)

ILMU ALLAH YANG MENDALAM

Mujaadilah Ayat 7: Sekarang kita akan membincangkan tentang ‘najwa’. Sebelum ini telah dibincangkan tentang hal rumahtangga, iaitu perkara privasi yang berlaku di antara suami isteri. Najwa ini juga bab privasi juga, tetapi dalam bentuk yang lain.

Ayat-ayat selepas ini banyak berkenaan golongan munafik dan apa yang mereka lakukan.

أَلَم تَرَ أَنَّ اللهَ يَعلَمُ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ ۖ ما يَكونُ مِن نَّجوىٰ ثَلٰثَةٍ إِلّا هُوَ رابِعُهُم وَلا خَمسَةٍ إِلّا هُوَ سادِسُهُم وَلا أَدنىٰ مِن ذٰلِكَ وَلا أَكثَرَ إِلّا هُوَ مَعَهُم أَينَ ما كانوا ۖ ثُمَّ يُنَبِّئُهُم بِما عَمِلوا يَومَ القِيٰمَةِ ۚ إِنَّ اللهَ بِكُلِّ شَيءٍ عَليمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Have you not considered that Allāh knows what is in the heavens and what is on the earth? There is in no private conversation three but that He is the fourth of them,1 nor are there five but that He is the sixth of them – and no less than that and no more except that He is with them [in knowledge] wherever they are. Then He will inform them of what they did, on the Day of Resurrection. Indeed Allāh is, of all things, Knowing.

  • Through His knowledge of them and their secrets.

(MELAYU)

Tidakkah kamu perhatikan, bahawa sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ada di langit dan di bumi? Tiada pembicaraan rahsia antara tiga orang, melainkan Dialah keempatnya. Dan tiada (pembicaraan antara) lima orang, melainkan Dialah keenamnya. Dan tiada (pula) pembicaraan antara jumlah yang kurang dari itu atau lebih banyak, melainkan Dia berada bersama mereka di mana pun mereka berada. Kemudian Dia akan memberitahukan kepada mereka pada hari kiamat apa yang telah mereka kerjakan. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui segala sesuatu.

 

أَلَم تَرَ أَنَّ اللهَ يَعلَمُ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ

Tidakkah kamu perhatikan, bahawa sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ada di langit dan di bumi?

‘Najwa’ adalah lawan kepada syura (mesyuarat, perbincangan dalam kumpulan). Di dalam syura, semua pihak yang terlibat akan berbincang dan memberi pendapat masing-masing ataupun memberi komen mereka supaya akhirnya akan mencapai keputusan yang baik hasil daripada mesyuarat itu.

Nabi ﷺ pun biasa mengadakan syura untuk mendengar pendapat para sahabat dan ini telah dibincangkan dengan panjang lebar dalam Surah Syura. Sedangkan di dalam najwa, perbincangan yang diadakan adalah dalam bentuk rahsia. Allah ﷻ hendak beritahu yang tidak ada rahsia pada Allah ﷻ. Maka kenalah berhati-hati dalam bercakap. Jangan sangka Allah ﷻ tidak tahu.

 

ما يَكونُ مِن نَّجوىٰ ثَلٰثَةٍ إِلّا هُوَ رابِعُهُم

Tiada pembicaraan rahsia antara tiga orang, melainkan Dia-lah keempatnya.

Najwa terjadi apabila beberapa orang daripada kumpulan yang di dalam mesyuarat mengadakan mesyuarat yang lain pula sesama mereka (mesyuarat di dalam mesyuarat). Masa di dalam mesyuarat mereka tidak sebut ketidakpuasan hati mereka tetapi apabila mereka buat perjumpaan yang lain, macam-macam akan keluar. Waktu itu mereka akan senang sahaja untuk bercakap sesama mereka kerana mereka sekarang berada dalam kumpulan yang sekepala dengan mereka.

Najwa ini perjumpaan rahsia beberapa orang, paling sedikit seorang dengan seorang yang lain. Kerana itu kalau ada permintaan untuk mengajukan pertanyaan bersendirian dengan Nabi Muhammad ﷺ, maka ini dipanggil ‘munajat’. Begitu juga kalau ‘doa munajat’ itu antara kita dan Allah ﷻ sahaja.

Mereka ini juga boleh mengubah sesuatu perkara itu kerana mereka mampu untuk sabotaj rancangan yang telah dilakukan. Katakanlah keputusan untuk melakukan sesuatu telah dicapai dalam mesyuarat utama, tetapi mereka yang sekepala ini buat keputusan lain pula – sebagai contoh mereka tidak akan menjalankan rancangan yang telah dipersetujui. Mereka akan memberikan pelbagai alasan untuk menyelamatkan diri mereka.

Perkara ini pernah berlaku pada zaman Nabi ﷺ. Iaitu perbincangan dalaman dalam kalangan orang-orang munafik. Golongan munafik itu boleh menggunakan najwa ini untuk merosakkan rancangan umat Islam. Mereka selalu mengadakan perjumpaan rahsia untuk membuat rancangan menjatuhkan Islam. Kerana itulah mereka ini bahaya kalau ada dalam umat Islam.

Sebagai contoh, mungkin ada sahabat yang baru masuk Islam dan tidak tahu apa-apa dan mereka diracuni fikiran mereka oleh golongan munafik. Golongan munafik akan pergi senyap-senyap kepada golongan baru itu dan cakap begitu dan begini. Golongan munafik itu akan menghasut.

 

وَلا خَمسَةٍ إِلّا هُوَ سادِسُهُم

Dan tiada (pembicaraan antara) lima orang, melainkan Dia-lah keenamnya.

Perbincangan najwa ini selalunya kecil sahaja kerana kalau ramai, mungkin rahsia akan pecah ke telinga orang lain. Akan tetapi Allah ﷻ hendak beritahu kalau mereka itu buat perbincangan rahsia sebanyak lima orang, Allah ﷻ tahu apa sahaja yang mereka perkatakan.

Bukanlah Allah ﷻ ada dalam mesyuarat rahsia itu tetapi Allah ﷻ tahu dari segi ilmu Dia.

Kenapa disebut 3 orang melakukan najwa, kemudian disebut 5 orang pula? Ulama’ tafsir mengatakan ini untuk meneruskan keindahan bahasa yang digunakan. Supaya kalau kita baca, ada nombor 3, 4, 5 dan 6 yang berturutan.

 

وَلا أَدنىٰ مِن ذٰلِكَ

Dan tiada (pula) pembicaraan antara jumlah yang kurang daripada itu

Kalau mereka kurang sedikit daripada lima orang pun, Allah ﷻ tetap tahu. Allah ﷻ tidak perlu ada orang yang bocorkan rahsia percakapan mereka kerana Allah ﷻ memang sudah tahu.

Jumlah yang kurang daripada tiga adalah dua. Ini adakah kerana 2 orang adalah bilangan paling sedikit untuk percakapan rahsia.

 

وَلا أَكثَرَ إِلّا هُوَ مَعَهُم أَينَ ما كانوا

atau lebih banyak, melainkan Dia berada bersama mereka di mana pun mereka berada. 

Sikit atau banyak, Allah ﷻ tetap tahu apa yang mereka perkatakan dan apa yang mereka rancangkan. Maka di sini Allah ﷻ hendak memberitahu yang najwa ini adalah perkara yang bahaya dan disebut sekali lagi di dalam Nisa: 114.

 

ثُمَّ يُنَبِّئُهُم بِما عَمِلوا يَومَ القِيٰمَةِ ۚ

Kemudian Dia akan memberitahukan kepada mereka pada hari kiamat apa yang telah mereka kerjakan.

Allah ﷻ telah memberitahu bahawa Dia tahu perkara yang di langit dan juga di bumi maka apa-apa saja pertemuan yang manusia lakukan sesama mereka itu semuanya diketahui oleh Allah ﷻ.

Kelak di akhirat Allah ﷻ akan beritahu semula apa yang mereka perkatakan dulu. Ini dinamakan muhasabah kamilah (hisab yang sempurna). Semua manusia dan jin akan dipertanggungjawabkan dengan perkataan dan rancangan mereka. Semua sekali akan dikeluarkan kembali dan dinilai, tidak ada yang akan ketinggalan.

 

إِنَّ اللهَ بِكُلِّ شَيءٍ عَليمٌ

Sesungguhnya Allah Maha mengetahui segala sesuatu.

Mereka sangka mereka buat perjumpaan rahsia itu, pada waktu yang rahsia, di tempat yang rahsia, tidak ada orang yang tahu. Akan tetapi Allah ﷻ memberitahu tidak kisah pada bila-bila masa dan di mana sahaja, Allah ﷻ tahu apa yang mereka bincangkan. Tidak ada yang tersembunyi daripada Allah ﷻ walau sedikit pun.

Selain daripada itu para malaikat yang telah ditugaskan oleh-Nya mencatat semua yang mereka rahsiakan, walaupun Allah ﷻ mengetahuinya dan mendengarnya. Sebagaimana yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

{أَلَمْ يَعْلَمُوا أَنَّ اللهَ يَعْلَمُ سِرَّهُمْ وَنَجْوَاهُمْ وَأَنَّ اللهَ عَلامُ الْغُيُوبِ}

Tidakkah mereka tahu bahawasanya Allah mengetahui rahsia dan bisikan mereka, dan bahawasanya Allah amat mengetahui segala yang ghaib? (At-Tawbah: 78)

 


 

BAHAYANYA PERCAKAPAN-PERCAKAPAN RAHSIA

Mujaadilah Ayat 8: Ini adalah teguran kedua kepada puak munafik. Dalam ayat 7 teguran diberikan kepada mereka yang tidak tahu yang najwa itu salah. Sekarang diberitahu kepada mereka yang sudah tahu bahawa najwa itu salah. Maka teguran dalam ayat 8 ini adalah lebih keras.

أَلَم تَرَ إِلَى الَّذينَ نُهوا عَنِ النَّجوىٰ ثُمَّ يَعودونَ لِما نُهوا عَنهُ وَيَتَنٰجَونَ بِالإِثمِ وَالعُدوٰنِ وَمَعصِيَتِ الرَّسولِ وَإِذا جاءوكَ حَيَّوكَ بِما لَم يُحَيِّكَ بِهِ اللهُ وَيَقولونَ في أَنفُسِهِم لَولا يُعَذِّبُنَا اللهُ بِما نَقولُ ۚ حَسبُهُم جَهَنَّمُ يَصلَونَها ۖ فَبِئسَ المَصيرُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Have you not considered those who were forbidden from private conversation [i.e., ridicule and conspiracy] and then return to that which they were forbidden and converse among themselves about sin and aggression and disobedience to the Messenger? And when they come to you, they greet you with that [word] by which Allāh does not greet you¹ and say among themselves, “Why does Allāh not punish us for what we say?” Sufficient for them is Hell, which they will [enter to] burn, and wretched is the destination.

  • This is in reference to the Jews who would greet the Muslims with the words “Death be upon you,” rather than “Peace.”

(MELAYU)

Apakah tidak kamu perhatikan orang-orang yang telah dilarang mengadakan pembicaraan rahsia, kemudian mereka kembali (mengerjakan) larangan itu dan mereka mengadakan pembicaraan rahsia untuk berbuat dosa, permusuhan dan durhaka kepada Rasul. Dan apabila mereka datang kepadamu, mereka mengucapkan salam kepadamu dengan memberi salam yang bukan sebagai yang ditentukan Allah untukmu. Dan mereka mengatakan kepada diri mereka sendiri: “Mengapa Allah tidak menyeksa kita disebabkan apa yang kita katakan itu?” Cukuplah bagi mereka Jahannam yang akan mereka masuki. Dan neraka itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.

 

أَلَم تَرَ إِلَى الَّذينَ نُهوا عَنِ النَّجوىٰ

Apakah tidak kamu perhatikan orang-orang yang telah dilarang mengadakan pembicaraan rahsia,

“Tidakkah kau perhatikan..” atau.. “tidakkah kau tahu?” Apabila sahabat sudah tahu larangan najwa, maka mereka boleh kenal siapakah yang munafik kerana golongan munafik ini yang melakukan najwa.

Yang dimaksudkan adalah ayat tentang larangan najwa yang telah disebut di dalam Surah An-Nisa tetapi mereka masih lagi melakukannya. Surah An-Nisa itu adalah Surah Madaniyah yang awal. Maka umat Islam sebenarnya telah diingatkan supaya tidak mengadakan perbincangan rahsia kerana ia amat bahaya bagi kesatuan umat Islam.

Ataupun memang Nabi ﷺ ada beri penerangan dan larangan kepada umat Islam dari melakukan najwa, tetapi mereka tetap juga melakukannya.

Atau larangan itu telah diberikan kepada puak Yahudi kerana telah nampak mereka berbisik-bisik dalam kalangan mereka apabila nampak golongan mukmin sampai golongan terasa takut dengan mereka.

 

ثُمَّ يَعودونَ لِما نُهوا عَنهُ

kemudian mereka kembali (mengerjakan) perbuatan yang mereka dilarang untuk melakukannya

Orang munafik itu hendak menyakiti para sahabat yang mukmin. Mereka sengaja mengadakan perjumpaan rahsia sesama mereka. Atau yang dimaksudkan adalah golongan Yahudi.

Ini pun kita kena jaga sebenarnya supaya kita tidak melakukannya. Sebenarnya jikalau dalam perjumpaan bertiga dan ada dua orang hendak bercakap perkara yang rahsia, maka dia kena minta kebenaran daripada orang yang ketiga itu kerana jika tidak, ia akan menjadi dosa. Kerana kalau dia tidak beritahu, maka orang ketiga itu akan ada rasa sangsi dan sangka mereka bercakap tentang dia atau sedang merancang untuk melakukan keburukan.

Orang munafik itu sengaja duduk di dalam kumpulan mereka sambil bercakap perlahan-lahan dan menunjuk-nunjuk kepada orang-orang mukmin yang lain. Mereka sengaja mahu menyakiti hati orang mukmin.

 

وَيَتَنٰجَونَ بِالإِثمِ وَالعُدوٰنِ وَمَعصِيَتِ الرَّسولِ

dan mereka mengadakan pembicaraan rahsia untuk berbuat dosa, permusuhan dan derhaka kepada Rasul.

Golongan munafik mengadakan najwa kerana hendak melakukan الإِثمِ. Dan الإِثمِ ini perbuatan yang berkenaan masalah spritual (dalaman). Ia adalah tentang perhubungan antara mereka dan Allah ﷻ. Orang munafik itu ada masalah iman dengan Allah ﷻ kerana iman mereka lemah atau tidak ada langsung. Ada perjumpaan rahsia yang merosakkan iman kerana ia merosakkan agama dan kerana itu akan melemahkan iman mereka.

Kalimah العُدوٰنِ pula adalah berkenaan masalah sosial, iaitu perhubungan sesama manusia. Dengan melakukan najwa itu, mereka telah mengadakan permusuhan dengan para sahabat yang lain. Mereka mungkin telah melakukan adu domba yang merosakkan hubungan sesama sahabat.

Atau ia merujuk kepada golongan Yahudi yang berbisik-bisik sesama mereka apabila lalu di hadapan mereka orang-orang mukmin. Sampaikan menyebabkan golongan mukmin itu takut ketika berada di perkampungan orang Yahudi.

Kalimah العُدوٰنِ berasal daripada ع د و iaitu sesuatu yang menyebabkan permusuhan sesama manusia. Ini adalah kerana ada perjumpaan-perjumpaan rahsia yang dilakukan kerana hendak melawan orang lain dan ini akan menyebabkan permusuhan dan kacau-bilau di dalam sesuatu persatuan itu.

Maka lihatlah bagaimana Allah ﷻ mengajar kita bermasyarakat dan mengadakan mesyuarat di mana jangan ada kumpulan-kumpulan kecil yang menjadi serpihan daripada kumpulan yang besar. Dan ingatlah supaya jangan bincangkan perkara yang sudah dibincangkan di dalam mesyuarat besar.

Allah ﷻ menegur para sahabat yang mengadakan mesyuarat berasingan dan kerana itu mereka telah melakukan maksiat (tidak taat, langgar arahan) berkenaan Rasulullah ﷺ kerana Rasul sedang memegang jawatan sebagai pemerintah kepada umat Islam ketika itu. Mereka tidak suka kepada kepimpinan yang ada maka mereka mengajukan perjumpaan rahsia. Mereka tidak sedar yang mereka tidak puas hati itu adalah Rasul ﷺ mereka sendiri.

Untuk zaman sekarang pula, mereka ini adalah yang melakukan perjumpaan rahsia untuk menderhakai pemimpin.

 

وَإِذا جاءوكَ حَيَّوكَ بِما لَم يُحَيِّكَ بِهِ اللهُ

Dan apabila mereka datang kepadamu, mereka mengucapkan salam kepadamu dengan memberi salam yang bukan sebagai yang ditentukan Allah untukmu. 

Mereka tidak suka kepada Rasulullah ﷺ tetapi bila mereka datang kepada baginda, mereka datang dengan muka yang manis. Mereka memberi salam kepada Nabi ﷺ dengan salam yang kosong dan tidak ikhlas ataupun mereka memberi salam dengan nada menghina Nabi ﷺ.

Yang dimaksudkan adalah kalimah “As-sam alaika ya abul-Qasim. ” (semoga kematian ke atas kamu Wahai Abu Qasim) yang diucapkan oleh golongan munafik kepada baginda ﷺ. Bukan ini cara salam yang diajar oleh Allah ﷻ dan Rasul. Cara ini diajar oleh Yahudi dan diikuti oleh puak Munafik juga.

 

حَدَّثَنَا أَبُو كُرَيْبٍ حَدَّثَنَا أَبُو مُعَاوِيَةَ عَنْ الْأَعْمَشِ عَنْ مُسْلِمٍ عَنْ مَسْرُوقٍ عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أُنَاسٌ مِنْ الْيَهُودِ فَقَالُوا السَّامُ عَلَيْكَ يَا أَبَا الْقَاسِمِ قَالَ وَعَلَيْكُمْ قَالَتْ عَائِشَةُ قُلْتُ بَلْ عَلَيْكُمْ السَّامُ وَالذَّامُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَا عَائِشَةُ لَا تَكُونِي فَاحِشَةً فَقَالَتْ مَا سَمِعْتَ مَا قَالُوا فَقَالَ أَوَلَيْسَ قَدْ رَدَدْتُ عَلَيْهِمْ الَّذِي قَالُوا قُلْتُ وَعَلَيْكُمْ حَدَّثَنَاه إِسْحَقُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ أَخْبَرَنَا يَعْلَى بْنُ عُبَيْدٍ حَدَّثَنَا الْأَعْمَشُ بِهَذَا الْإِسْنَادِ غَيْرَ أَنَّهُ قَالَ فَفَطِنَتْ بِهِمْ عَائِشَةُ فَسَبَّتْهُمْ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَهْ يَا عَائِشَةُ فَإِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْفُحْشَ وَالتَّفَحُّشَ وَزَادَ فَأَنْزَلَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ { وَإِذَا جَاءُوكَ حَيَّوْكَ بِمَا لَمْ يُحَيِّكَ بِهِ اللَّهُ } إِلَى آخِرِ الْآيَةِ

Telah menceritakan kepada kami [Abu Kuraib]; Telah menceritakan kepada kami [Abu Mu’awiyah] daripada [Al A’masy] daripada [Muslim] daripada [Masruq] daripada [‘Aisyah رضی اللہ عنھا] beliau berkata; “Serombongan orang-orang Yahudi menemui Rasulullah ﷺ, lalu mereka mengucapkan: Assaamu ‘alaika (kematian bagimu) wahai Abu Al Qasim.” Nabi ﷺ menjawab; ‘Wa Alaikum.’ ‘Aisyah رضی اللہ عنھا menjawab; ‘Bal ‘alaikumus saam wal la’nah (bahkan kematian bagi kalian dan kehinaan).’ Maka Rasulullah ﷺ berkata; ‘Ya, ‘Aisyah! Kamu jangan mengucapkan perkataan yang jelek.’ ‘Aisyah رضی اللہ عنھا menjawab; ‘Tidakkah Anda mendengar ucapan mereka? ‘ Jawab baginda: ‘Bukankah aku telah menjawabnya atas apa yang mereka ucapkan, aku katakan kepada mereka; Wa Alaikum.’ Telah menceritakannya kepada kami [Ishaq bin Ibrahim]; Telah mengabarkan kepada kami [Ya’la bin ‘Ubaid]; Telah menceritakan kepada kami [Al A’masy] melalui sanad ini. Tapi dia berkata dengan sedikit tambahan; ‘Maka dengan cerdasnya Aisyah رضی اللہ عنھا langsung mengerti apa yang mereka ucapkan dan langsung membalas celaan mereka. Kemudian Rasulullah ﷺ berkata; ‘Cukup Aisyah! Sesungguhnya Allah tidak menyukai keburukan dibalas dengan keburukan.’ Juga dia menambahkan; maka Allah menurunkan ayat; ‘Dan Apabila mereka mendatangimu dan mengucapkan ucapan selamat dengan sesuatu yang tidak Allah perintahkan….dan seterusnya hingga akhir ayat. (QS. Al Mujaadalah: 8).

(HR. Muslim no. 4028)

 

Menurut riwayat yang lain, Aisyah berkata kepada mereka, “Semoga kalianlah yang tertimpa kebinasaan, celaan, dan laknat,” dan bahawa Rasulullah Saw. bersabda:

“إِنَّهُ يُسْتَجَابُ لَنَا فِيهِمْ، وَلَا يُسْتَجَابُ لَهُمْ فِينَا”

Sesungguhnya diperkenankanlah bagi kita terhadap mereka, dan tidak diperkenankanlah bagi mereka terhadap kita.

(HR. Bukhari no. 6401, Tafsir Ibnu Katsir 4/346, sanadnya disahihkan oleh Syeikh al-Albani dalam Silsilah Hadith Sahih 6/492)

 

 

Itu adalah perbuatan yang amat buruk sekali kerana Allah ﷻ sendiri memberi ucapan yang baik kepada Rasulullah ﷺ, maka jikalau manusia tidak memberi ucapan yang baik kepada Rasulullah ﷺ, maka itu sudah perbuatan yang buruk.

Apabila Allah ﷻ beritahu dalam Al-Qur’an, ini bermaksud ada sahaja orang yang jenis begini. Di hadapan orang mereka bermanis muka, tetapi di belakang, mereka buat bermacam-macam rancangan. Sampai kiamat akan ada orang yang sebegini.

 

وَيَقولونَ في أَنفُسِهِم لَولا يُعَذِّبُنَا اللهُ بِما نَقولُ

Dan mereka mengatakan kepada diri mereka sendiri: “Mengapa Allah tidak menyeksa kita disebabkan apa yang kita katakan itu?” 

Ini adalah ayat Syikayah (rungutan) di mana Allah ﷻ mengulang kata-kata mereka yang tidak beriman itu. Allah ﷻ menyebut apa yang mereka fikirkan di dalam hati mereka ketika mereka mempunyai iman yang lemah.

Mereka tertanya-tanya kenapa mereka masih selamat lagi sedangkan mereka telah ingkar kepada arahan Nabi ﷺ. Mereka fikir jikalau mereka buat perkara yang buruk pun, tidak ada apa-apa terjadi kepada mereka; maka mereka sudah tidak hormat kepada baginda ﷺ dan sudah tidak percaya kepada Allah ﷻ seolah-olah Allah ﷻ atau Nabi Muhammad ﷺ tidak cukup kuat untuk menghukum mereka. Mereka kata: “Tak jadi apa-apa pun….!”

Mereka juga jadikan ini sebagai hujah mengatakan Nabi Muhammad ﷺ itu bukan Nabi. Mereka menghina baginda ﷺ siang dan malam tetapi tidak ada kesan pun kepada mereka. Kata mereka, patutnya kalau baginda ﷺ itu benar seorang Nabi, tentu mereka sudah dikenakan dengan azab.

Padahal, mereka tidak terus dikenakan dengan azab itu adalah kerana Allah ﷻ menangguhkan azab kepada mereka. Allah ﷻ beri peluang kepada mereka untuk bertaubat dan membaiki diri mereka. Kalau mereka terus dikenakan dengan azab, tentu lagi teruk mereka.

 

حَسبُهُم جَهَنَّمُ يَصلَونَها

Cukuplah bagi mereka Jahannam yang akan mereka masuki. 

Allah ﷻ beritahu yang Allah ﷻ tidak memerlukan mereka di dunia kerana mereka akan dimasukkan ke dalam neraka. Neraka adalah tempat yang amat sesuai bagi mereka. Mereka pasti akan masuk ke dalamnya kerana perbuatan mereka itu. Cukuplah mereka nanti dengan dikenakan azab neraka sahaja.

 

فَبِئسَ المَصيرُ

Dan seburuk-buruk tempat kembali.

Nanti bila mereka masuk, mereka akan tahu yang neraka itu adalah tempat yang paling buruk dan mereka tidak akan sanggup untuk menerima azab dalam neraka itu. Itulah tempat yang layak bagi mereka sebagai balasan kepada kesalahan mereka semasa di dunia.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 29 April 2021

Ringkasan Peta Minda Surah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Mujaadilah Ayat 4 – 6 (Tolak hukum Allah ﷻ)

Mujaadilah Ayat 4: Sambungan tentang kifarah kepada orang yang melakukan zihar. Sebelum ini telah disebut kena memerdekakan hamba. Bagaimana kalau tiada hamba?

فَمَن لَّم يَجِد فَصِيامُ شَهرَينِ مُتَتابِعَينِ مِن قَبلِ أَن يَتَماسّا ۖ فَمَن لَّم يَستَطِع فَإِطعامُ سِتّينَ مِسكينًا ۚ ذٰلِكَ لِتُؤمِنوا بِاللهِ وَرَسولِهِ ۚ وَتِلكَ حُدودُ اللهِ ۗ وَلِلكٰفِرينَ عَذابٌ أَليمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And he who does not find [a slave] – then a fast for two months consecutively before they touch one another; and he who is unable – then the feeding of sixty poor persons. That is for you to believe [completely] in Allāh and His Messenger; and those are the limits [set by] Allāh. And for the disbelievers is a painful punishment.

(MELAYU)

Barangsiapa yang tidak mendapatkan (budak), maka (wajib atasnya) berpuasa dua bulan berturut-turut sebelum keduanya bercampur. Maka siapa yang tidak kuasa, (wajiblah atasnya) memberi makan enam puluh orang miskin. Demikianlah supaya kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan itulah hukum-hukum Allah, dan bagi orang kafir ada seksaan yang sangat pedih.

 

 

فَمَن لَّم يَجِد فَصِيامُ شَهرَينِ مُتَتابِعَينِ

Barangsiapa yang tidak mendapatkan (budak), maka (wajib atasnya) berpuasa dua bulan berturut-turut 

Ini pula adalah jalan keluar bagi mereka yang tidak ada hamba. Mungkin juga mereka tidak ada kemampuan untuk membebaskan hamba kerana mereka tidak ada hamba. Atau jikalau pada zaman sekarang memang tidak ada hamba maka jalan keluar telah diberikan oleh Allah ﷻ.

Kifarah itu adalah lelaki itu hendaklah berpuasa selama dua bulan ‘berturut-turut’. Maksudnya dia tidak boleh putus selama dua bulan itu dan jikalau putus satu hari pun maka dia dikehendaki mengulang semula dari mula. Maka ini bukanlah puasa yang biasa.

 

 

مِن قَبلِ أَن يَتَماسّا

sebelum keduanya bercampur. 

Selain itu, dia juga tidak boleh bersetubuh dengan isterinya itu sehinggalah cukup dua bulan puasa berturut-turut. Jangan kata sudah mula puasa maka malam hari hendak bersetubuh dengan isteri pula. Kena habiskan dua bulan penuh terlebih dahulu.

Bagaimana pula kalau zihar itu ada jangkamasa? Contohnya semasa dia sebut zihar itu, dia kata untuk sebulan sahaja? Ulama’ ada yang mengatakan apabila ada had masa, maka kalau suami tidak mendatangi isteri dalam masa itu, maka tidak ada kifarah. Kemudian selepas habis jangkamasa itu, zihar itu akan automatik tamat. Ini kerana pada zaman Nabi, seorang lelaki bernama Salamah bin Sakhr Bayadi telah menzihar isterinya selama bulan Ramadhan sahaja dan Nabi ﷺ tidak menegur pun perbuatan Salamah itu.

Cuma Imam Malik رحمه الله berpendapat zihar itu tiada had sebenarnya apabila disebut oleh sang suami dan suami itu tetap kena melakukan kifarah.

Kalau seorang lelaki ada ramai isteri dan semua isteri itu diziharnya, maka dia mestilah melakukan kifarah bagi setiap satu isterinya. Maka ini amat berat sekali. Ini adalah penghalang bagi suami untuk melakukan zihar lagi. Janganlah diamalkan zihar ini dengan sengaja.

Bagaimana pula kalau berpuasa dua bulan berturut-turut pun tidak mampu?

 

 

فَمَن لَّم يَستَطِع فَإِطعامُ سِتّينَ مِسكينًا

Maka siapa yang tidak kuasa (wajiblah atasnya) memberi makan enam puluh orang miskin. 

Jikalau lelaki itu tidak mampu untuk berpuasa berturut-turut kerana mungkin dia sakit ataupun dia orang yang sudah tua, maka Allah ﷻ memberikan jalan keluar lagi. Iaitu dengan memberi makan seramai 60 orang miskin. Ini tidak ada had. Maknanya, boleh buat sekali harung atau sedikit demi sedikit. Kalau dia beri makan 60 orang sehari, maka hari itu juga dia sudah melunaskan kifarahnya. Dia kemudiannya sudah boleh mendatangi isterinya.

Dia juga harus memberi makan daripada jenis makanan yang dia sendiri biasa makan. Makanan itu pula mestilah diberikan kepada orang miskin maka jangan bawa makanan kepada kawan yang kaya. Selain itu orang miskin itu mestilah bukan di bawah tanggungan pelaku zihar itu.

Harus diingatkan kifarah berpuasa 60 hari dan memberi makan 60 orang mestilah dilakukan secara berasingan dan dipilih di antara salah satu sahaja. Bukanlah boleh digabungkan kedua-dua kifarah tersebut.

Kalau ketiga-tiga perkara ini seorang lelaki itu tidak mampu melakukannya, maka dia kena tunggu sehingga dia mampu. Barulah dia boleh mendekati isterinya kembali. Namun begitu agama tidak melarang kalau orang lain membantu orang ini dalam kifarah jenis ketiga itu. Sebagaimana Nabi ﷺ dan sahabat membantu suami Khaulah.

 

 

ذٰلِكَ لِتُؤمِنوا بِاللهِ وَرَسولِهِ

Demikianlah supaya kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya.

Sesiapa yang taat kepada hukum Allah ﷻ, maka kena lakukan kifarah ini setelah membuat salah dalam hal zihar itu agar dia selamat di akhirat kelak. Kifarah ini sebenarnya akan menambah iman seseorang itu. Maka tidak patut kalau seseorang yang mengaku beriman dengan Allah ﷻ dan Rasul, tetapi ingkar untuk mengikut undang-undang ini.

 

 

وَتِلكَ حُدودُ اللهِ

Dan itulah hukum-hukum Allah, 

Ini adalah ‘hudud’ Allah ﷻ. Ini adalah salah satu daripada Hukum Hudud. Peringatan sudah diberikan supaya tidak membuat hukum sendiri sebelum ini. Hudud adalah jamak bagi ‘had’ maka kena taat kepada had-had yang Allah ﷻ telah tetapkan. Jangan langgar hukum had Allah ﷻ ini.

Orang kita selalu faham ‘hudud’ ini tentang potong tangan sahaja. Akan tetapi sebenarnya ada banyak lagi perkara yang termasuk dalam perkara hudud. Banyak sekali disebut dalam Al-Qur’an tentang hudud Allah ﷻ. Maka kena belajar semua sekali dan jangan hadkan pemahaman kepada hukum jenayah sahaja.

 

 

وَلِلكٰفِرينَ عَذابٌ أَليمٌ

dan bagi orang kafir ada seksaan yang sangat pedih.

Ayat ini bukan tentang orang kafir kerana surah ini adalah Surah Madaniyyah dan ia diberikan kepada orang-orang yang beriman, maka kenapa disebut tentang orang kafir pula?

Kerana ayat ini bukan tentang orang bukan Islam, tetapi tentang orang Islam yang ‘kufur’ kepada hukum Allah ﷻ. Iaitu mereka yang ingkar kepada ketaatan untuk mengikut hukum yang Allah ﷻ dan Rasul ﷺ telah tetapkan. Jangan sangka orang Muslim tidak melakukan kufur terhadap Allah ﷻ.

Berkemungkinan ramai yang akan buat tidak tahu dengan hukum ini kerana mungkin apa yang mereka lakukan itu berlaku di dalam rumah sahaja dan orang lain tidak tahu. Maka mungkin dia tidak mahu bebaskan hamba atau berpuasa ataupun beri orang makan kerana semua itu perkara yang berat juga. Maka Allah ﷻ mengingatkan yang memang manusia lain tidak tahu apa yang telah berlaku, tetapi Allah ﷻ tahu dan mengancam akan memberi balasan azab yang pedih kepada mereka.

Dari sini kita boleh tahu bahawa ‘kafir’ itu bukan sahaja dari segi orang-orang bukan Islam sahaja, tetapi ia juga boleh kena kepada orang-orang Islam yang ingkar kepada hukum Allah ﷻ. Begitulah penggunaan kalimah kafara dalam Al-Qur’an. Akan tetapi orang yang tidak belajar tafsir Al-Qur’an tidak tahu perkara ini. Mereka sangka mereka sudah bernama Muslim sahaja maka mereka tidak kufur. Ini fahaman yang salah.

Habis sudah tentang hukum Zihar. Maka besar sekali hal Zihar ini sampaikan Allah ﷻ berikan 4 ayat Al-Qur’an berkenaannya. Allah ﷻ berikan ayat-ayat ini untuk mengajar manusia supaya jangan terlepas cakap. Sebelum bercakap, kena fikir terlebih dahulu. Janganlah berlaku kejam kepada para isteri sendiri.


 

NASIB MEREKA YANG DEGIL

Mujaadilah Ayat 5: Ayat zajrun. Ramai yang masih terikat lagi dengan adat resam dan apabila hukum ini diberikan kepada mereka, ada yang mempersenda-sendakannya. Ada yang kata karut sungguh hukum agama Islam dan ada yang berpendapat adat resam itu seolah-olah lebih kuat daripada syariat. Ini banyak dilakukan oleh orang munafik dan yang lemah iman.

Maka ayat 5 – 13 adalah Perenggan Makro Kedua. Ia memberitahu bahawa perbuatan golongan Munafik membahayakan keselamatan Kaum Muslimin. Memang ayat-ayat Madaniyyah banyak menyentuh tentang golongan munafik kerana golongan munafik itu ada dalam kalangan orang Islam di Madinah.

إِنَّ الَّذينَ يُحادّونَ اللهَ وَرَسولَهُ كُبِتوا كَما كُبِتَ الَّذينَ مِن قَبلِهِم ۚ وَقَد أَنزَلنا ءآيٰتٍ بَيِّنٰتٍ ۚ وَلِلكٰفِرينَ عَذابٌ مُّهينٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, those who oppose Allāh and His Messenger are abased as those before them were abased. And We have certainly sent down verses of clear evidence. And for the disbelievers is a humiliating punishment

(MELAYU)

Sesungguhnya orang-orang yang yang menentang Allah dan Rasul-Nya, pasti mendapat kehinaan sebagaimana orang-orang yang sebelum mereka telah mendapat kehinaan. Sesungguhnya Kami telah menurunkan bukti-bukti nyata. Dan bagi orang-orang kafir ada seksa yang menghinakan.

 

إِنَّ الَّذينَ يُحادّونَ اللهَ وَرَسولَهُ

Sesungguhnya orang-orang yang yang menentang Allah dan Rasul-Nya,

Kalimah يُحادّونَ berasal daripada kata dasar ح د د yang daripadanya juga menjadi ‘hudud’ dalam ayat sebelum ini. Ia bermaksud menentang dengan tentangan yang kuat yang melebihi had. Daripada kalimah ini juga menjadi hadid (besi) dan bukankah besi itu keras? Maka ia bermaksud menentang dengan keras. Ini menarik kerana surah sebelum ini adalah Surah Hadid.

Salah satu cara orang itu menentang Allah ﷻ dan Rasul-Nya adalah dengan menghina undang-undang Islam. Mereka tidak mahu ikut dan mereka memperlekehkan hukum yang Allah ﷻ berikan. Bukan undang-undang tentang zihar ini sahaja, tetapi termasuk dalam perkara yang lain. Ini termasuk pemimpin yang menolak hukum yang Allah ﷻ telah berikan dan menggunakan hukum dan undang-undang lain.

Apa yang akan terjadi kepada mereka?

 

 

كُبِتوا كَما كُبِتَ الَّذينَ مِن قَبلِهِم

pasti mendapat kehinaan sebagaimana orang-orang yang sebelum mereka telah mendapat kehinaan. 

Kalimah كُبِتَ daripada kata dasar ك ب ت yang bermaksud menghina, menjatuhkan, menahan, membuka aib, merendahkan martabat. Mereka yang menentang hukum dan undang-undang Allah ﷻ akan dimalukan dan kemudian akan dimusnahkan. Di dunia lagi mereka boleh dikenakan hukuman pancung kerana menghina undang-undang Islam.

Bukan mereka sahaja yang pernah menentang hukum Allah ﷻ, tetapi umat terdahulu pun pernah juga melakukan begitu, maka mereka telah dihinakan di dunia. Maka Allah ﷻ boleh kenakan nasib yang sama kepada mereka seperti dihinakan golongan ingkar yang lain.

Maka ayat ini memberi isyarat yang kalau undang-undang Islam tidak digunapakai, di dunia lagi sudah ada masalah. Negara tidak mendapat berkat, rakyat akan menjadi kacau bilau, maksiat bermaharajalela, moral lemah dan banyak lagi perkara buruk akan terjadi. Bukankah ini satu kehinaan?

 

وَقَد أَنزَلنا ءآيٰتٍ بَيِّنٰتٍ

Sesungguhnya Kami telah menurunkan bukti-bukti nyata. 

Allah ﷻ sudah memberikan ayat-ayat Al-Qur’an sebagai bukti nyata. Ia menjadi tanda dan pegangan bagi mereka yang taat. Yang taat dengan ayat Allah ﷻ akan selamat. Yang menentangnya hanyalah mereka yang kafir, derhaka dan sombong sahaja.

 

 

وَلِلكٰفِرينَ عَذابٌ مُّهينٌ

Dan bagi orang-orang kafir ada seksa yang menghinakan.

Kepada mereka yang ingkar pula (termasuk orang Islam pun) akan mendapat balasan yang amat teruk iaitu neraka. Ini adalah balasan di akhirat pula. Bilakah balasan itu akan diberi?


 

Mujaadilah Ayat 6:

يَومَ يَبعَثُهُمُ اللهُ جَميعًا فَيُنَبِّئُهُم بِما عَمِلوا ۚ أَحصٰهُ اللهُ وَنَسوهُ ۚ وَاللهُ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ شَهيدٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

On the Day when Allāh will resurrect them all and inform them of what they did. Allāh had enumerated it, while they forgot it; and Allāh is, over all things, Witness.

(MELAYU)

Pada hari ketika mereka dibangkitkan Allah semuanya, lalu diberitakan-Nya kepada mereka apa yang telah mereka kerjakan. Allah mengumpulkan (mencatat) amal perbuatan itu, padahal mereka telah melupakannya. Dan Allah Maha Menyaksikan segala sesuatu.

 

 

يَومَ يَبعَثُهُمُ اللهُ جَميعًا

Pada hari ketika mereka dibangkitkan Allah semuanya,

Balasan akan mula diberikan apabila makhluk dibangkitkan pada hari Kiamat nanti. Tidak ada yang akan selamat dan terus mati sahaja. Mereka tetap akan dibangkitkan dan akan dipertanggungjawabkan dan tidak ada yang terkecuali. Semua akan dikumpulkan di Mahsyar kelak.

Di dunia mungkin mereka selamat, tidak dikenakan dengan hukuman, tetapi mereka tidak akan selamat di akhirat kelak.

 

فَيُنَبِّئُهُم بِما عَمِلوا

lalu diberitakan-Nya kepada mereka apa yang telah mereka kerjakan. 

Akan diberitahu semua sekali apa yang mereka kerjakan kerana wazan itu adalah dalam bentuk wazan mubalaghah (extreme). Tidak akan ada apa-apa yang tersembunyi. Tidak akan ada apa-apa perbuatan yang tidak dikira. Yang kecil besar semua akan ditayangkan dan akan ditanya.

 

 

أَحصٰهُ اللهُ وَنَسوهُ

Allah mengumpulkan (mencatat) amal perbuatan itu, padahal mereka telah melupakannya.

Memang kebanyakan manusia lupa apa yang mereka telah lakukan dan apa yang mereka telah cakap, tetapi ketahuilah dan ingatlah yang Allah ﷻ pasti ingat dan rekod apa sahaja yang kita telah lakukan.

Kerana itu kalimah yang digunakan adalah أَحصٰ yang bermaksud kira menggunakan batu kerana apabila mengira guna batu, tidak ada kesalahan. Bukan kira melalui congak sahaja. Maknanya nanti audit yang dikenakan adalah tepat.

Maka kalau kita kaitkan dengan ayat sebelum ini, orang yang tidak mengamalkan hukum Allah ﷻ di dunia ini mungkin rasa yang itu adalah perkara ringan sahaja. Namun ia adalah berat di mata Allah ﷻ dan Allah ﷻ tidak maafkan. Allah ﷻ mengira semua sekali dan akan mengingatkan semula dan Allah ﷻ akan beri penghakiman nanti di akhirat.

 

 

وَاللهُ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ شَهيدٌ

Dan Allah Maha Menyaksikan segala sesuatu.

Allah ﷻ boleh keluarkan dan bentangkan semula semua yang manusia telah lakukan kerana setiap apa yang kita lakukan dilihat (disaksikan) oleh Allah ﷻ. Hendak sembunyi macam mana lagi?

Maka kalau kita dapat ingat dan semat perkara ini ke dalam hati kita, maka tentu kita akan risau untuk buat kesalahan apa-apa sahaja. Bayangkan kalau polis atau ayah kita sedang melihat semua yang kita sedang lakukan. Tentu kita takut untuk buat salah, bukan?

Sekian Ruku’ 1 daripada 3 ruku’ dalam surah ini.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 18 May 2020

Ringkasan Peta Minda Surah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Mujaadilah Ayat 1 – 3 (Hukum Zihar)

Pengenalan kepada Surah Mujaadilah

Surah ini mempunyai ciri unik berbeza daripada surah-surah lain dalam Al-Qur’an. Ia merupakan satu-satu surah yang mengandungi lafaz Jalallah (lafaz ALLAH اللّه) dalam setiap ayat. Dalam satu ayat ada yang mengandungi satu lafaz Jalallah, ada yang dua, atau tiga, bahkan ada yang lima lafaz, seperti pada ayat 22 dalam surah ini.

Secara keseluruhannya terdapat sebanyak 40 kali nama اللّه disebutkan dalam surah ini. Pastilah tidak boleh dibandingkan dengan bilangan lafaz Jalallah dalam Al-Anfal (75 ayat) yang mengandungi 73 nama اللّه. Ini menunjukkan unsur اللّه sangat diberikan penekanan dalam surah ini. Bayangkan dalam ayat pertama sahaja yang pendek, ada 4 kali nama اللّه yang berulang. Dalam ayat terakhir pula, berulang sebanyak 5 kali dan ayatnya sedikit panjang.

Keempat nama الله dalam ayat pertama mempunyai kedudukan yang berbeza.

1- Ia adalah sebagai pelaku atau fa’il.
2- Ia adalah sebagai majrur.
3- Ia adalah sebagai mubtada’.
4- Ia adalah sebagai isim inna.

Tiga kali lafaz الله dikaitkan dengan sifat mendengar.

1- Fi’`il madhi قَدۡ سَمِعَ ٱللَّهُ.
2- Fi’`il mudhari` وَٱللَّهُ يَسۡمَعُ.
3- Sifat musyabbahah إِنَّ ٱللَّهَ سَمِيعُۢ.

Dalam surah ini dan juga surah-surah yang lain banyak kali Allah ﷻ menyebut tentang hal-hal kekeluargaan dan juga iman kerana kedua-dua perkara itu berkait rapat. Jelas sekali kita tidak boleh menjaga iman kita sahaja tanpa menjaga iman ahli keluarga kita.

Surah ini seperti juga hujung  Surah  Hadid adalah berkenaan perang. Akan disambung perbincangan tentang jihad di dalam surah ini. Dan surah ini adalah surah kedua daripada rentetan sepuluh surah yang membincangkan dua perkara iaitu infak dan jihad. Ringkasannya:

1. Hadid – Infak & Jihad
2. Mujadilah – Jihad
3. Hashr – Jihad
4. Mumtahanah – Jihad
5. Saff – Jihad
6. Jumuah – Infak
7. Munafiqun – Infak
8. Taghabun – Infak
9. Talaq – Infak
10. Tahreem – Jihad & Infak

Dimulakan surah ini  dengan kisah seorang isteri yang mengadu tentang suaminya kepada Nabi Muhammad ﷺ.  Maka ini adalah isu hubungan keluarga yang disentuh. Pertelingkahan antara suami dan isteri adalah perkara yang biasa terjadi dan ia perlu ditangani dengan baik.

Kadangkala apabila kita marah kepada pasangan kita, ada kemungkinan yang kita akan mengeluarkan kata-kata yang tidak baik dan akan menyebabkan patah hati pasangan kita itu. Maka kenalah jaga perkara ini.

Ayat pertama surah ini adalah berkenaan seorang suami yang terlalu marah kepada  isterinya sampaikan dia telah menzihar isterinya. Zihar adalah satu perbuatan apabila seorang suami tidak mahu kepada isterinya lagi dan dia kata isterinya seperti ‘belakang’ ibunya.

Apabila dia berkata begitu maka isterinya itu sudah haram untuk digauli olehnya. Kerana seorang lelaki tidak boleh mengadakan hubungan seks dengan ibunya sendiri. Memang hukum ini sudah ada dalam masyarakat Arab Jahiliah lagi.

Zihar ini bukan hanya terjadi kalau disamakan dengan isteri sahaja, tetapi kalau disamakan dengan wanita yang haram dikahwini seperti anak dan juga kakak.

Zihar itu terjadi jikalau seorang suami menyamakan tubuh badan yang haram dipandang oleh lelaki itu. Maka kalau samakan dengan kepala, kaki dan tangan, tidaklah termasuk Zihar. Akan tetapi kita ingatkan yang mestilah perkataan Zihar itu terjadi kerana ada niat untuk menzihar isteri. Kalau tersilap cakap sahaja, itu tidaklah jatuh hukum zihar itu.

Ini adalah kisah seorang wanita yang bernama Khaulah bint Tha`labah yang telah mengadu kepada Nabi Muhammad ﷺ apabila suaminya melakukan zihar kepadanya. Dia risau kerana dia ada anak-anak kecil dan dia tidak tahu apa yang perlu dilakukan.

Keberaniannya mengadukan halnya kepada baginda ﷺ telah menyebabkan kedudukannya tinggi dalam kalangan sahabat. Pernah sekali Khalifah Umar رضي الله عنه ditahan oleh Khaulah di tengah jalan dan beliau mendengar apa yang dikatakan oleh Khaulah itu. Orang lain hairan kenapa Umar رضي الله عنه berikan perhatian kepada seorang perempuan tua. Maka Umar رضي الله عنه memberitahu yang itu adalah Khaulah, yang kata-katanya didengar di Langit Ke-Tujuh.

وَقَالَ ابْنُ أَبِي حَاتِمٍ: حَدَّثَنَا أَبِي، حَدَّثَنَا مُوسَى بْنُ إِسْمَاعِيلَ أَبُو سَلَمَةَ، حَدَّثَنَا جَرِيرٌ -يَعْنِي ابْنَ حَازِمٍ- قَالَ: سَمِعْتُ أَبَا يَزِيدَ يُحَدِّثُ قَالَ: لَقِيَتِ امْرَأَةٌ عُمَرَ -يُقَالُ لَهَا :خَوْلَةُ بِنْتُ ثَعْلَبَةَ- وَهُوَ يَسِيرُ مَعَ النَّاسِ، فَاسْتَوْقَفَتْهُ، فَوَقَفَ لَهَا، وَدَنَا مِنْهَا، وَأَصْغَى إِلَيْهَا رَأْسَهُ، وَوَضَعَ يَدَيْهِ عَلَى مَنْكِبَيْهَا حَتَّى قَضَتْ حَاجَتَهَا وَانْصَرَفَتْ. فَقَالَ لَهُ رَجُلٌ: يَا أَمِيرَ الْمُؤْمِنِينَ، حَبَسْتَ رِجَالَاتِ قُرَيْشٍ عَلَى هَذِهِ الْعَجُوزِ؟ قَالَ: وَيْحَكَ! وَتَدْرِي مَنْ هَذِهِ؟ قَالَ: لَا. قَالَ: هَذِهِ امْرَأَةٌ سَمِعَ اللَّهُ شَكْوَاهَا مِنْ فَوْقِ سَبْعِ سَمَاوَاتٍ، هَذِهِ خَوْلَةُ بِنْتُ ثَعْلَبَةَ، وَاللَّهِ لَوْ لَمْ تَنْصَرِفْ عَنِّي إِلَى اللَّيْلِ مَا انْصَرَفْتُ عَنْهَا حَتَّى تَقْضِيَ حَاجَتَهَا إِلَى أَنْ تَحْضُرَ صَلَاةٌ فَأُصَلِّيَهَا ، ثُمَّ أَرْجِعَ إِلَيْهَا حَتَّى تَقْضِيَ حَاجَتَهَا
 
Dan Ibn Abi Hatim berkata: telah bercerita kepada kami ayahku, telah bercerita kepada kami Musa bin Isma’il Abu Salamah, telah bercerita kepada kami Jarir, yakni Ibn Hazim, dia berkata: aku mendengar Abu Yazid (al-Madani) meriwayatkan, dia berkata:
Seorang perempuan yang disebut Khaulah binti Tsa’labah menemui ‘Umar رضي الله عنه yang sedang berjalan bersama orang-orang. Perempuan itu menghentikan ‘Umar رضي الله عنه, maka ‘Umar رضي الله عنه pun berhenti untuknya. ‘Umar رضي الله عنه mendekati perempuan itu seraya mendoyongkan kepala untuk menyimak ucapan yang disampaikan oleh perempuan itu. ‘Umar رضي الله عنه menyimpan kedua tangannya di atas kedua bahunya sendiri hingga perempuan itu selesai dan pergi. Lalu seorang lelaki berkata kepada ‘Umar رضي الله عنه, “Wahai Amir al-Mu’minin, kau menghentikan perjalanan para lelaki Quraisy kerana perempuan tua itu?” ‘Umar رضي الله عنه berkata, “Celaka kau! Tahukah kau siapa perempuan itu?” Lelaki itu menjawab, “Tidak.” ‘Umar رضي الله عنه berkata, “Dialah perempuan yang Allah mendengarkan keluhannya dari atas tujuh petala langit. Dialah Khaulah binti Tsa’labah. Demi Allah, seandainya dia belum berpaling daripadaku hingga malam hari, nescaya aku pun tidak akan berpaling daripadanya hingga dia selesai daripada urusannya denganku. Jika waktu solat tiba, aku akan melaksanakan solat dulu, kemudian kembali kepadanya sampai dia selesai.” 
 
Atsar ini dha’if (lemah) kerana munqathi’ (terputus), Abu Yazid al-Madani tidak bertemu dengan ‘Umar bin al-Khaththab رضي الله عنه
 
Ibn Katsir berkata:
 
هذا منقطع بين أبي يزيد وعمر بن الخطاب
 
“Ini terputus di antara Abu Yazid dengan ‘Umar bin al-Khaththab.”

(Tafsir Ibnu Katsir 8/35)

 

Apabila dizihar, Khaulah tiada jalan keluar kerana adat resam pada waktu itu jikalau telah berlaku zihar maka ia adalah seperti talaq. Akan tetapi tidaklah tepat seperti talaq kerana perceraian tidak terjadi. Ia seolah-olah ‘gantung tidak bertali’. Seorang isteri yang dizihar dibiarkan begitu sahaja dengan tidak disentuh dan dalam masa yang sama tidak bebas untuk berkahwin dengan orang lain. Kalau benar-benar ditalaq, bolehlah dia menikah dengan lelaki lain, tetapi kalau zihar, ia bukan talaq.

Walaupun aduan telah dibuat, tetapi Nabi Muhammad ﷺ hanya diam sahaja kerana baginda tidak tahu jawapan sebelum diberikan wahyu oleh Allah ﷻ. Baginda pun tiada jalan keluar bagi Khaulah. Memang selalunya baginda akan menunggu wahyu daripada Allah ﷻ untuk memberi hukum atau jalan penyelesaian.

Bukanlah Nabi Muhammad ﷺ sentiasa sahaja diam jikalau ditanya pendapat baginda. Ia bergantung kepada wahyu kepada baginda ﷺ. Kerana kadangkala wahyu sampai kepada baginda untuk tidak menjawab kerana wahyu akan diberikan kemudian.

Namun ada juga ketikanya yang Nabi Muhammad ﷺ terus memberi keputusan dan ayat-ayat Al-Qur’an datang kemudian untuk membenarkannya atau kadang kala menegur baginda kerana kesilapan dalam keputusan.

Sebagai contoh, dalam hal peperangan di mana ada orang Islam yang datang kepada baginda untuk meminta kebenaran untuk tidak pergi berperang maka baginda beri kebenaran kepada mereka. Akan tetapi kemudian datang ayat Al-Qur’an yang menegur baginda di atas perbuatan baginda itu. Ini kerana baginda tidak sepatutnya memberi keizinan kepada mereka.

Semua ini terjadi dalam takdir Allah ﷻ kerana Allah ﷻ hendak mengajar manusia dengan berbagai-bagai cara. Ayat Al-Qur’an memang telah ada di Lauh Mahfuz dan jawapan baginda ﷺ itu tidak tepat dan kemudian diperbetulkan oleh Allah ﷻ itu memang tepat seperti yang dikehendaki oleh Allah. Allah ﷻ memang sudah rancang semenjak dahulu lagi. Bukannya Allah ﷻ tidak tahu apa yang akan disebut oleh Nabi ﷺ.


 

KES SEORANG SAHABIAH BERNAMA KHAWLAH

Mujaadilah Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 3 perenggan makro. Ayat 1 – 4 adalah Perenggan Makro Pertama dan ia mengajar hukum Allah ﷻ yang wajib dijaga bila berlaku Zihar.

قَد سَمِعَ اللهُ قَولَ الَّتي تُجٰدِلُكَ في زَوجِها وَتَشتَكي إِلَى اللهِ وَاللهُ يَسمَعُ تَحاوُرَكُما ۚ إِنَّ اللهَ سَميعٌ بَصيرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Al-Mujādilah: The Arguing (or Pleading) Woman.

Certainly has Allāh heard the speech of the one who argues [i.e., pleads] with you, [O Muḥammad], concerning her husband and directs her complaint to Allāh. And Allāh hears your dialogue; indeed, Allāh is Hearing and Seeing.

(MELAYU)

Sesungguhnya Allah telah mendengar perkataan wanita yang bersoal jawab denganmu tentang suaminya, dan mengadukan (halnya) kepada Allah. Dan Allah mendengar soal jawab antara kamu berdua. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

 

قَد سَمِعَ اللهُ قَولَ الَّتي تُجٰدِلُكَ في زَوجِها

Sesungguhnya Allah telah mendengar perkataan wanita yang bersoal jawab denganmu tentang suaminya, 

Apabila Khaulah mengadu kepada Nabi Muhammad ﷺ maka baginda hanya boleh memberitahu bahawa kena ikut adat resam Arab ketika itu kerana itulah yang telah dipakai selama ini. Khaulah tidak berpuas hati dan telah merayu lagi kepada baginda dan mengadu lagi kepada Nabi ﷺ maka jawapan itu sahaja yang ada pada Nabi ﷺ.

عن عروة بن الزبير قال قَالَتْ عَائِشَةُ تَبَارَكَ الَّذِي وَسِعَ سَمْعُهُ كُلَّ شَيْءٍ إِنِّي لَأَسْمَعُ كَلَامَ خَوْلَةَ بِنْتِ ثَعْلَبَةَ وَيَخْفَى عَلَيَّ بَعْضُهُ وَهِيَ تَشْتَكِي زَوْجَهَا إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهِيَ تَقُولُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَكَلَ شَبَابِي وَنَثَرْتُ لَهُ بَطْنِي حَتَّى إِذَا كَبِرَتْ سِنِّي وَانْقَطَعَ وَلَدِي ظَاهَرَ مِنِّي اللَّهُمَّ إِنِّي أَشْكُو إِلَيْكَ فَمَا بَرِحَتْ حَتَّى نَزَلَ جِبْرَائِيلُ بِهَؤُلَاءِ الْآيَاتِ قَدْ سَمِعَ اللَّهُ قَوْلَ الَّتِي تُجَادِلُكَ فِي زَوْجِهَا وَتَشْتَكِي إِلَى اللَّهِ
 
Daripada ‘Urwah bin az-Zubair, dia berkata: ‘Aisyah رضی اللہ عنھا berkata:
Maha Suci Allah yang pendengaran-Nya meliputi segala sesuatu. Sesungguhnya aku pernah mendengar ucapan Khaulah binti Tsa’labah –hanya saja sebahagiannya tidak terdengar olehku- ketika dia mengeluhkan suaminya kepada Rasulullah ﷺ. Saat itu beliau berkata, “Wahai Rasulullah, suamiku telah memakan masa mudaku dan aku menaburkan perutku untuknya (yakni melahirkan banyak anak daripadanya -pent). Akan tetapi, ketika umurku semakin tua dan tidak mampu lagi melahirkan anak, dia pun menziharku. Ya Allah, aku mengadu kepada-Mu.” Terus-menerus Khaulah binti Tsa’labah mengadukan suaminya hingga turun Jibril عليه السلام dengan ayat-ayat tersebut, “Sesungguhnya Allah telah mendengar perkataan wanita yang mengajukan gugatan kepadamu tentang suaminya, dan mengadukan pula perihalnya kepada Allah.” 

(HR. Ibn Majah no. 2063, disahihkan oleh Syaikh al-Albani)

 

Saidatina Aisyah رضي الله عنها mengatakan bahawa suami Khaulah adalah Aus ibnus Samit.

Allah ﷻ memberitahu dalam ayat ini bahawa Dia mendengar aduan Khaulah kepada Nabi Muhammad ﷺ yang mendesak keputusan daripada baginda. Tetapi baginda senyap sahaja kerana baginda ﷺ menunggu wahyu tentang perkara itu.

 

وَتَشتَكي إِلَى اللهِ

dan dia mengadukan (halnya) kepada Allah.

Apabila Nabi Muhammad ﷺ tidak dapat memberi keputusan maka Khaulah telah berpaling dan mengadu kepada Allah ﷻ untuk beri bantuan. Kalimah تَشتَكي berasal daripada kata dasar ش ك و yang antara lain bermaksud mengadu, mendengar rayuan, membuang penyebab rayuan (menyelesaikan masalah yang diadu).

 

وَاللهُ يَسمَعُ تَحاوُرَكُما

Dan Allah mendengar soal jawab antara kamu berdua. 

Kalimah تَحاوُرَكُما berasal daripada kata dasar ح و ر bermaksud ‘dialog’. Ia di dalam wazan تفاعل (wazan ada timbal balik) bermakna mereka berdua bertukar-tukar percakapan kerana Nabi ﷺ melayan apa yang disampaikan oleh wanita itu.

Dari segi bahasa yang digunakan juga bermaksud yang pertukaran kata-kata mereka itu di dalam keadaan yang aman. Bukanlah ada perkelahian antara mereka berdua. Kerana Khaulah tentu hormat kepada Nabi ﷺ. Dan tentunya Nabi ﷺ melayan beliau dengan baik.

Allah ﷻ hendak memberitahu yang aduan wanita itu amat penting sampaikan Allah ﷻ memasukkan aduan itu di dalam Al-Qur’an dan menjadi ajaran kepada manusia sehingga hari kiamat. Maka ini menunjukkan yang isu yang dibangkitkan oleh wanita itu adalah isu yang amat penting dan perlu diketahui oleh semua manusia. Ia adalah tentang kedudukan seorang wanita dan isteri yang dijaga kedudukan dan hak mereka oleh Allah ﷻ.

 

إِنَّ اللهَ سَميعٌ بَصيرٌ

Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

Allah ﷻ tetap mendengar segala percakapan manusia termasuk di dalam hati. Maka jangan sangka Allah ﷻ tidak mendengar rintihan hati kita. Cuma kadangkala bukan masa lagi untuk Allah ﷻ beri keputusan dan pertolongan. Maka teruskan berdoa kepada Allah ﷻ tanpa rasa putus asa.

Segala yang berlaku dalam pemerhatian Allah ﷻ. Allah ﷻ tidaklah bersama kita (secara fizikal) tetapi Allah ﷻ tahu dengan ilmu-Nya yang amat luas. Tidak ada perkara yang Allah ﷻ tidak tahu. Maka selalulah mengadukan hal kita dan masalah kita kepada Allah ﷻ dengan tawaduk dan berharap. Kena sedar yang apabila kita mengadu itu, Allah ﷻ sedang mendengar.


 

HUKUM ZIHAR

Mujaadilah Ayat 2: Sekarang Allah ﷻ beri peraturan apabila seorang suami telah melafaz zihar terhadap isterinya. Kadang-kadang ada yang terlepas cakap dan kemudian menyesal. Lalu bagaimana cara keluar daripada masalah itu?

الَّذينَ يُظٰهِرونَ مِنكُم مِّن نِسائِهِم مّا هُنَّ أُمَّهٰتِهِم ۖ إِن أُمَّهٰتُهُم إِلَّا اللّٰئي وَلَدنَهُم ۚ وَإِنَّهُم لَيَقولونَ مُنكَرًا مِّنَ القَولِ وَزورًا ۚ وَإِنَّ اللهَ لَعَفُوٌّ غَفورٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Those who pronounce thihār¹ among you [to separate] from their wives – they are not [consequently] their mothers. Their mothers are none but those who gave birth to them. And indeed, they are saying an objectionable statement and a falsehood. But indeed, Allāh is Pardoning and Forgiving.

  • The saying by a husband to his wife, “You are to me like the back of my mother,” meaning unlawful to approach. This was a type of divorce practiced by the Arabs before the prophethood of Muḥammad (ṣ).

(MELAYU)

Orang-orang yang menzhihar isterinya di antara kamu, (menganggap isterinya sebagai ibunya, padahal) tiadalah isteri mereka itu ibu mereka. Ibu-ibu mereka tidak lain hanyalah wanita yang melahirkan mereka. Dan sesungguhnya mereka sungguh-sungguh mengucapkan suatu perkataan mungkar dan dusta. Dan sesungguhnya Allah Maha Pemaaf lagi Maha Pengampun.

 

الَّذينَ يُظٰهِرونَ مِنكُم مِّن نِسائِهِم

Orang-orang yang menzihar isterinya di antara kamu, 

Sebenarnya Allah ﷻ menegur adat resam bangsa Arab waktu itu yang teruk. Mereka mengamalkan apa yang dipanggil sebagai ‘zihar’. Sepatutnya tidak ada amalan zihar ini kerana ia menyeksa wanita. Sudahlah isteri itu tidak disentuh selepas itu, mereka tidak dilepaskan terus (cerai) dan mereka kerana itu mereka tidak dapat berkahwin dengan orang lain.

Zihar ini merupaka amalan adat orang Arab. Orang kita tidak ada amalan zihar ini. Maka kalau ada lelaki kata kepada isteri dia: “Jari awak ni sama betullah dengan jari emak saya….” : tidaklah ia menjadi zihar kerana suami itu tidak ada niat untuk menzihar isterinya.

Kalimah يُظٰهِرونَ daripada katadasar ظ ه ر yang antara lain bermaksud ‘belakang’. Ini adalah kerana masyarakat Arab apabila hendak menzihar isterinya, dia akan kata: “Belakang kamu macam belakang emak aku”.

Mereka buat begitu kerana sudah tidak mahukan isterinya lagi, tetapi dalam masa yang sama, tidak lepaskan terus dengan talak supaya boleh menikah dengan orang lain. Maknanya, mereka betul-betul menyeksa jiwa dan raga wanita itu. Maka di sini Allah ﷻ hendak perbetulkan ketidakadilan ini.

 

مّا هُنَّ أُمَّهٰتِهِم

tiadalah isteri mereka itu ibu mereka. 

Allah ﷻ mengingatkan yang walaupun mereka telah sebut menyamakan belakang atau mana-mana bahagian isteri mereka dengan emak mereka, tidaklah isteri mereka menjadi emak mereka. Emak tetap emak dan isteri mereka tetap isteri mereka.

Maka kalau begini, selesailah masalah. Isteri-isteri itu tetap menjadi isteri kamu dan tidak menjadi ibu kamu pun. Status perkahwinan antara suami dan isteri itu tidak putus. Tidaklah sampai tidak boleh bersama lagi sampai bila-bila.

Maknanya, kalau kita panggil isteri kita itu dengan panggilan apa-apa sahaja, ia tetap tidak akan mengubah status mereka. Panggilan tidak akan mengubah apa-apa. Macam kita kata: “besi itu emas” – cakaplah berjuta kali pun, besi itu tidak akan berubah menjadi emas.

Maka, kita kena ingat yang ini sama juga dengan ajnabi. Kalau seorang lelaki ada kawan perempuan, maka walaupun dia kata perempuan itu seperti ‘adiknya’ atau dia anggap sebagai ‘adik angkat’, mereka tetap ajnabi. Maka jangan sangka yang kata-kata kamu itu boleh mengubah hukum Allah ﷻ. Jangan kata: “tidak ada apa-apa ustaz.. saya anggap dia macam adik jer…”. Banyak punya cantik muka kau.

Ini juga sama dengan sepupu berlainan jantina. Jangan tidak tahu pula yang sepupu itu boleh dikahwini. Maka kena layan mereka seperti ajnabi. Jangan naik basikal bersama pula. Jangan kata itu ‘adik’ kamu pula kerana dia adalah sepupu dan masih tetap ajnabi kamu. Jangan tidak tahu kedudukan sepupu (memang boleh menikah).

Maka, dalam ayat ini Allah ﷻ menegur perbuatan para suami yang menzihar isterinya. Ada banyak lagi cara lain untuk mereka menyampaikan kemarahan (bukan marah, tetapi nasihat) mereka kepada isteri dan cara zihar ini ada cara yang paling buruk. Tegur dan nasihatlah dengan cara yang baik.

Jangan terikut sangat dengan perasaan sampai terkeluar kata-kata bodoh daripada mulut anda yang akan menyebabkan anda sendiri yang akan menyesal. Jangan jadi manusia yang bercakap tanpa berfikir, kemudian bila sudah reda kemarahan, menyesal tidak sudah pula. Ketika itu mulalah sibuk cari ustaz dan tanya: “Ustaz, dah jatuh ke talak tu ustaz saya cakap macam tu?”. Waktu itu anda gigitlah jari, bantal atau tombol pintu, talaq sudah pun jatuh.

 

 

إِن أُمَّهٰتُهُم إِلَّا اللّٰئي وَلَدنَهُم

Ibu-ibu mereka tidak lain hanyalah wanita yang melahirkan mereka. 

Takkanlah isteri kita boleh menjadi ibu kita pula, sedangkan ibu kita adalah insan yang melahirkan kita, menyusukan kita, menjaga kita semasa kecil. Bila masa pula isteri kita pernah buat benda-benda itu semua kepada kita?

وَإِنَّهُم لَيَقولونَ مُنكَرًا مِّنَ القَولِ وَزورًا

Dan sesungguhnya mereka sungguh-sungguh mengucapkan suatu perkataan mungkar dan dusta. 

Allah ﷻ katakan perbuatan Zihar itu adalah perbuatan yang munkar. Kalimah munkar berasal daripada kata dasar ن ك ر yang bermaksud ‘sesuatu yang tidak diketahui’. Maknanya zihar ini adalah satu perbuatan yang tidak diketahui dilakukan oleh orang yang baik, sama ada mereka itu orang Islam ataupun tidak. Orang baik-baik tidak buat perkara ini.

Untuk tahu kebaikan dan juga keburukan sesuatu perkara itu tidak perlu orang Islam sahaja yang tahu. Sebagai contoh, orang bukan Islam pun tahu pukul orang, mencuri, menipu itu adalah perbuatan buruk. Ada perbuatan yang ia teruk sangat sampai tidak perlu diajar pun orang tahu yang ia adalah salah. Orang tidak ada agama pun tahu yang ia adalah tidak baik.

Maknanya kalimah dan amalan zihar itu adalah perkataan yang tidak dikenali di dalam masyarakat yang baik. Sebagaimana mereka yang dibesarkan dalam keluarga yang baik maka apabila mereka mendengar kata-kata yang lucah, mereka tidak kenal.

Dari segi bahasa, Zihar diambil daripada kata dasar ظ ه ر yang bermaksud ‘belakang’. Seperti belakang unta atau kuda. Maka orang yang menzihar isterinya akan berkata: “Engkau seperti belakang ibuku”. Maknanya dia telah menyamakan isterinya itu dengan ibunya.

Orang Arab Jahiliah berpendapat ini lebih berat daripada cerai. Kerana selepas cerai masih boleh rujuk lagi, tetapi kalau sudah menyamakan dengan ibu sendiri dan mereka pun tahu hukum haram untuk menjimak ibu sendiri, maka pasangan itu tidak boleh berhubungan lagi sampai bila-bila.

Kalimah زور pula adalah tuduhan tipu untuk menyakitkan seseorang. Sebagai contoh, saksi palsu pun dipanggil زور juga.

 

وَإِنَّ اللهَ لَعَفُوٌّ غَفورٌ

Dan sesungguhnya Allah Maha Pemaaf lagi Maha Pengampun.

Akan tetapi walaupun mereka telah melakukan kesalahan yang berat, Allah ﷻ masih sanggup untuk memberi keampunan kepada mereka. Maka mereka hendaklah bertaubat, istighfar dan jangan melakukannya lagi.

Dalam kes Zihar, mereka kena bayar Kifarah (akan disebut nanti dalam ayat seterusnya). Ini adalah kerana pernyataan zihar adalah satu dosa dan mesti dikenakan dengan hukuman. Walau bagaimana oleh kerana sifat Pengampun Allah ﷻ, Allah ﷻ tidaklah mengenakan hukuman yang berat tetapi ringan sahaja, walaupun sebenarnya hukuman yang patut dikenakan adalah lebih berat daripada itu.

Maka kerana itu hukuman yang dikenakan adalah dalam bentuk ibadah dan melakukan kebaikan.

Allah ﷻ memaafkan kesalahan mereka itu, tidaklah mereka terus terpisah sampai bila-bila (seperti adat resam masyarakat Arab dahulu). Mereka masih lagi boleh mengadakan hubungan semula selepas membayar kifarah itu.


 

Mujaadilah Ayat 3: Sekarang Allah ﷻ beri cara penyelesaian kalau sudah terlanjur menzihar isteri.

وَالَّذينَ يُظٰهِرونَ مِن نِّسائِهِم ثُمَّ يَعودونَ لِما قالوا فَتَحريرُ رَقَبَةٍ مِّن قَبلِ أَن يَتَماسّا ۚ ذٰلِكُم توعَظونَ بِهِ ۚ وَاللهُ بِما تَعمَلونَ خَبيرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And those who pronounce thihār from their wives and then [wish to] go back on what they said – then [there must be] the freeing of a slave before they touch one another. That is what you are admonished thereby; and Allāh is Acquainted with what you do.

(MELAYU)

Orang-orang yang menzihar isteri mereka, kemudian mereka hendak menarik kembali apa yang mereka ucapkan, maka (wajib atasnya) memerdekakan seorang budak sebelum kedua suami isteri itu bercampur. Demikianlah yang diajarkan kepada kamu, dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.

 

 

وَالَّذينَ يُظٰهِرونَ مِن نِّسائِهِم ثُمَّ يَعودونَ لِما قالوا

Orang-orang yang menzihar isteri mereka, kemudian mereka hendak menarik kembali apa yang mereka ucapkan,

Ini adalah hukum kepada lelaki yang telah menzihar isterinya tetapi mahu menarik balik kata-katanya itu. Masa cakap zihar itu dia marah tetapi selepas itu menyesal. Ini macam gila talak jugalah.

Memang manusia kalau sedang marah, sudah tidak dapat berfikir dengan baik. Mereka sanggup lepaskan kata-kata yang kesat. Namun selalunya tidak lama kemudian mereka akan menyesal dan mahu mencari jalan penyelesaian. Maka dalam kes zihar ini, ada jalan penyelesaian.

 

 

فَتَحريرُ رَقَبَةٍ مِّن قَبلِ أَن يَتَماسّا

maka (wajib atasnya) memerdekakan seorang budak sebelum kedua suami isteri itu bercampur. 

Kifarah yang dikenakan kepada lelaki yang menzihar itu adalah dia mesti membebaskan hamba sebelum dia kembali bersetubuh dengan isterinya itu. Membebaskan hamba adalah satu cara untuk melepaskan diri daripada perbuatan zihar.

Ia memang satu hukum yang mahal. Bayangkan hamba yang boleh menjadi pembantu setiap masa dan sehingga mati, tetapi kena dibebaskan. Sudah hilang satu pekerja yang percuma.

Hukuman membebaskan hamba apabila buat kesalahan adalah salah satu cara Allah ﷻ menghapuskan amalan perhambaan. Kerana Allah ﷻ mahu manusia menjadi merdeka. Islam bukanlah yang memulakan sistem perhambaan. Namun kerana ia memang sudah ada dalam masyarakat, maka ia diteruskan (dengan syarat-syarat yang ketat).

Akan tetapi dalam masa yang sama, Islam menggunakan pendekatan yang halus untuk menghapuskan perhambaan. Sebagai contoh, banyak kesalahan dalam Islam dikenakan dengan kifarah bebaskan hamba. Dengan cara itu, lama kelamaan tidak ada hamba lagi.

Hamba yang dibebaskan itu boleh sama ada lelaki atau perempuan. Namun ulama’ khilaf sama ada hamba yang dimerdekakan mesti hamba Muslim atau tidak. Hanafiah dan Zahiriah berpendapat asalkan hamba, tidak kira Muslim atau tidak, diterima. Tetapi bagi bagi Shafiiyah, Malikiah dan Ahmadiah, hamba itu mestilah hamba yang Muslim kerana qiyas kepada pemerdekaan dalam kifarah yang lain semuanya dimestikan hamba yang Muslim.

Ada hadith yang panjang menceritakan asbabun nuzul ayat ini:

عن خُويلةَ بنتِ ثعلبةَ قالت فيَّ واللَّهِ وفي أوسِ بنِ الصَّامتِ أنزلَ اللَّهُ سورةَ المُجادِلةِ قالت كنتُ عندَهُ وكان شيخًا كبيرًا قد ساءَ خلُقُهُ قالت فدخلَ عليَّ يومًا فراجعتُهُ بشيءٍ فغضِبَ وقالَ أنتِ عليَّ كظهرِ أمِّي قالت ثمَّ خرجَ فجلسَ في نادي قومِهِ ساعةً ثُمَّ دخلَ عليَّ فإذا هو يريدُني عَن نفسي قالت فقلتُ كلَّا والَّذي نفسُ خُويلةَ بيدِهِ لا تخلُصُ إليَّ وقد قلتَ ما قلتَ حتَّى يحكُمَ اللَّهُ ورسولُهُ فينا بحكمِهِ قالت فواثَبَني وامتنعتُ منهُ فغلبتُهُ بما تغلِبُ بهِ المرأةُ الشيخَ الضَّعيفَ فألقيتُهُ عنِّي ثمَّ خرجتُ إلى بعض جاراتي فاستعرتُ منها ثيابَها ثمَّ خرجتُ حتَّى جئتُ رسولَ اللَّهِ صلَّى اللَّهُ عليهِ وسلَّمَ فجلَستُ بينَ يديهِ فذَكرْتُ لهُ ما لقيتُ منهُ فجعلتُ أشكو إليهِ ما ألقى من سوءِ خُلقِهِ قالت فجعلَ يقولُ يا خُويلةُ ابنُ عمِّكِ شيخٌ كبيرٌ فاتَّقي اللَّهَ فيهِ قالت فواللَّهِ ما برِحتُ حتّى نزلَ القرآنُ فتغشَّى رسولُ اللَّهِ صلَّى اللَّهُ عليهِ وسلَّمَ ما كانَ يتغشَّاهُ ثمَّ سُرِّيَ عنهُ وذَكرَتِ الحديثَ في نزولِ { قَدْ سَمِعَ اللَّهُ قَوْلَ الَّتِي تُجَادِلُكَ فِي زَوْجِهَا}- الآيةَ قالَ رسولُ اللَّهِ صلَّى اللَّهُ عليهِ وسلَّمَ فليعتِقْ رقبةً قالت لا يَجدُ قال فيصومُ شهرينِ مُتَتابعينِ فقالت يا رسولَ اللَّهِ إنهُ شيخٌ كبيرٌ ما بهِ من صيام قالَ فليطعِم ستِّينَ مسكينًا قالت ما عندَهُ من شيءٍ يتصدَّقُ بهِ قالَ فإنِّي سأعينُهُ بعِرقٍ من تمرٍ وقالت يا رسولَ اللَّهِ إنِّي أعينُهُ بعرقٍ آخرَ قالَ قد أحسنتِ اذهبي فأطعمي بها عنهُ ستِّينَ مسكينًا وارجِعي إلى ابنِ عمِّكِ

Daripada Khuwailah binti Sa’labah, dia berkata tentang aku, ‘Demi Allah, dan tentang Aws bin Al-Samit, Allah menurunkan Surat Al-Mujaadilah’, dia berkata: Aku bersamanya dan dia adalah seorang tua yang buruk akhlaknya. Dan dia berkata, “Engkau seperti punggung ibuku.” Kemudian dia keluar dan duduk di tempat perkumpulan kaumnya selama satu jam. Kemudian dia masuk kepadaku, dan tiba-tiba, dia menghendaki aku. Maka aku berkata, ‘Tidak, demi Dzat yang di tangannya ada jiwa yang dipercayai, ia tidak akan sampai kepadaku, dan aku mengatakan apa yang aku katakan sehingga Allah dan Rasul-Nya, hukumlah kita dengan penghakiman-Nya.’ “Aku bertaubat, dan aku menjauhinya, maka aku mengalahkannya dengan cara seorang perempuan mengalahkan lelaki tua yang lemah itu, lalu aku menolaknya daripadaku, kemudian aku keluar menemui beberapa tetangga perempuanku, dan aku meminjam pakaiannya daripada mereka. Setelah sampai di hadapan baginda ﷺ, aku duduk dan menceritakan kepada baginda apa yang telah kualami dengan suamiku, dan aku mengadu kepada baginda tentang perangainya yang buruk.” Rasulullah ﷺ hanya menjawab, “Hai Khuwailah, anak pakcikmu (suamimu) itu telah lanjut usia, maka bertaqwalah kepada Allah terhadapnya.” Khuwailah melanjutkan kisahnya, “Demi Allah, belum lagi aku beranjak, maka turunlah ayat Al-Qur’an mengenai diriku, dan Rasulullah ﷺ kelihatan seperti orang yang tertutup (tidak sedarkan diri) sebagaimana biasanya bila wahyu sedang turun kepadanya. Setelah wahyu selesai, keadaan baginda kembali seperti semula, lalu bersabda kepadaku, ‘Hai Khuwailah, sesungguhnya Allah telah menurunkan wahyu-Nya berkenaan dengan masalahmu dan suamimu.’ Maka Rasulullah ﷺ bersabda kepadaku, ‘Perintahkanlah kepada suamimu untuk memerdekakan seorang budak.’ Aku menjawab, ‘Wahai Rasulullah, dia tidak memiliki harta untuk memerdekakan budak.’ Rasulullah ﷺ bersabda, ‘Maka hendaklah dia berpuasa selama dua bulan berturut-turut.’ Aku berkata, ‘Demi Allah, sesungguhnya dia benar-benar seorang yang sudah lanjut usianya, dia tidak kuat mengerjakan puasa.’ Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Maka hendaklah dia memberi makan enam puluh orang miskin sebanyak satu wasaq kurma.’ Aku berkata, ‘Demi Allah, ya Rasulullah, dia tidak memiliki makanan sebanyak itu.’ Maka Rasulullah ﷺ bersabda, ‘Kami akan membantunya dengan satu faraq kurma.’ Aku berkata, ‘Wahai Rasulullah, aku pun akan membantunya dengan satu faraq kurma lainnya.’ Baginda bersabda, “Engkau telah berbuat baik, pergilah dan beri makan enam puluh orang miskin dengannya untuknya, dan baliklah kepada sepupu kamu.”

Ibnu Katsir رحمه الله berkata dalam Irsyad al-Fiqhiyyah 2/207: Sanadnya masyhur dan mempunyai jalan-jalan lain yang saling menguatkan.

ذٰلِكُم توعَظونَ بِهِ

Demikianlah yang diajarkan kepada kamu,

Itulah nasihat Allah ﷻ kepada umat manusia dan sekarang telah sampai kepada kita. Jangan mudah-mudah menzihar isteri selepas itu. Jangan lakukan sekali lagi. Bila ada hukuman maka manusia akan ingat dan berjaga-jaga. Begitulah cara Allah ﷻ mendidik manusia.

 

وَاللهُ بِما تَعمَلونَ خَبيرٌ

dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.

Allah ﷻ tahu jika kamu melakukan zihar terhadap isterimu. Walaupun orang lain tidak tahu, tetapi Allah ﷻ tahu. Maka jangan buat senyap sahaja, kenalah bayar kifarah itu.

Juga bermaksud Allah ﷻ tahu jikalau kamu telah menyebut zihar terhadap isterimu tetapi senyap-senyap menyambung perhubungan dengan isteri tanpa menjalani kifarah itu.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 18 Mei 2020

Ringkasan Peta Minda Surah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Ustaz Dzulkhairi

Tafsir Surah Hadid Ayat 27 – 29 (Persamaan Rahib dan Ahli Sufi)

Ayat 27: Ayat ini mengajar kita supaya jangan jadi Rahbaniyah yang seperti Ahli Kitab. Mereka itu ghuluw (berlebihan) dalam satu perkara tetapi mendustakan perkara yang lain. Rahbaniyyah memang bagus, tetapi jangan ghuluw.

ثُمَّ قَفَّينا عَلىٰ ءآثٰرِهِم بِرُسُلِنا وَقَفَّينا بِعيسَى ابنِ مَريَمَ وَءآتَينٰهُ الإِنجيلَ وَجَعَلنا في قُلوبِ الَّذينَ اتَّبَعوهُ رَأفَةً وَرَحمَةً وَرَهبانِيَّةً ابتَدَعوها ما كَتَبنٰها عَلَيهِم إِلَّا ابتِغاءَ رِضوٰنِ اللهِ فَما رَعَوها حَقَّ رِعايَتِها ۖ فَئآتَينَا الَّذينَ ءآمَنوا مِنهُم أَجرَهُم ۖ وَكَثيرٌ مِّنهُم فٰسِقونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then We sent following their footsteps [i.e., traditions] Our messengers and followed [them] with Jesus, the son of Mary, and gave him the Gospel. And We placed in the hearts of those who followed him compassion and mercy and monasticism, which they innovated; We did not prescribe it for them except [that they did so] seeking the approval of Allāh. But they did not observe it with due observance. So We gave the ones who believed among them their reward, but many of them are defiantly disobedient.

(MELAYU)

Kemudian Kami iringi di belakang mereka dengan rasul-rasul Kami dan Kami iringi (pula) dengan Isa putra Maryam; dan Kami berikan kepadanya Injil dan Kami jadikan dalam hati orang-orang yang mengikutinya rasa santun dan kasih sayang. Dan mereka mengada-adakan rahbaniyyah padahal kami tidak mewajibkannya kepada mereka tetapi (mereka sendirilah yang mengada-adakannya) untuk mencari keredhaan Allah, lalu mereka tidak memeliharanya dengan pemeliharaan yang semestinya. Maka Kami berikan kepada orang-orang yang beriman di antara mereka pahalanya dan banyak di antara mereka orang-orang fasik.

 

 

ثُمَّ قَفَّينا عَلىٰ ءآثٰرِهِم بِرُسُلِنا

Kemudian Kami iringi di belakang mereka dengan rasul-rasul Kami

Kalimah ق ف ف  bermaksud ikut dengan rapat di belakang. Maksudnya Allah ﷻ susuli Nabi Nuh عليه السلام dan Nabi Ibrahim عليه السلام itu dengan Nabi-nabi yang lain. Memang Bani Israil telah diberikan dengan ramai para Nabi yang tidak terkira banyaknya.

 

 

وَقَفَّينا بِعيسَى ابنِ مَريَمَ

dan Kami iringi (pula) dengan Isa putra Maryam; 

Salah seorang daripada Rasul yang utama adalah Nabi Isa عليه السلام. Baginda disebut secara khusus kerana baginda adalah Rasul utama sebelum Muhammad ﷺ. Jarak waktu antara baginda dan Nabi Muhammad ﷺ adalah dalam sekitar 600 tahun. Allah ﷻ mahu menegur pengikut Nabi Isa عليه السلام yang mereka itu memang dekat dengan umat Islam. Memang berkongsi Nabi pun.

 

 

وَءآتَينٰهُ الإِنجيلَ

dan Kami berikan kepadanya Injil

Nabi Isa عليه السلام telah diberikan dengan Kitab Injil. Kitab Injil adalah penjelasan tambahan kepada Kitab Taurat. Hukum hakam mereka masih menggunakan lagi Kitab Taurat tetapi ada penambahan dan pembaikan dalam Kitab Injil.

 

 

وَجَعَلنا في قُلوبِ الَّذينَ اتَّبَعوهُ رَأفَةً وَرَحمَةً

dan Kami jadikan dalam hati orang-orang yang mengikutinya rasa santun dan kasih sayang. 

Allah ﷻ menjadikan dalam hati mereka yang percaya kepada Nabi Isa عليه السلام dan Injil dengan perasaan sayang dan kasihan belas sesama mereka. Dan mereka juga agak rapat dengan umat Islam. Mereka ini lebih rapat dengan umat Islam berbanding dengan golongan Yahudi. Ini adalah perasaan yang Allah ﷻ campakkan ke dalam hati mereka yang mengikut Nabi Isa عليه السلام.

Ini adalah pujian bagi golongan Nasrani yang benar. Tentunya yang beriman dengan benar. Sebagai contoh, golongan Hawariyyun yang membantu Nabi Isa عليه السلام dan beriman dengan baginda. Kalau zaman sekarang, belum tentu lagi kerana mereka itu tidak beriman dengan benar.

Atau ia boleh menjadi pujian kepada puak Nasrani. Kalimah رَأفَةً dan رَحمَةً mempunyai maksud yang lebih kurang sahaja. Akan tetapi apabila ia diletakkan bersebelahan, maknanya Allah ﷻ hendak menekankan ada perbezaan yang halus di antara keduanya.

Kalimah رَأفَةً adalah perasaan yang timbul apabila melihat seseorang dalam kesusahan. Orang yang ada رَأفَةً akan senang tersentuh apabila melihat kesedihan dan kesusahan orang lain.

Kalimah رَحمَةً pula kesinambungan daripada sifat رَأفَةً tadi. Orang yang ada sifat رَحمَةً akan berusaha untuk memberi bantuan, tidaklah dia melihat sahaja.

Mereka yang beragama Kristian memang ada berperasaan begini kerana mereka ini adalah pengikut Nabi Isa عليه السلام dan Nabi Isa عليه السلام memang begitu sifatnya dengan manusia. Maka pengikutnya pun begitu juga. Maka Allah ﷻ puji orang Nasrani dalam ayat ini.

 

 

وَرَهبانِيَّةً ابتَدَعوها

Dan mereka mengada-adakan rahbaniyyah 

Allah ﷻ menceritakan salah satu daripada sifat orang Nasrani ini. Mereka ada satu golongan yang digelar sebagai ‘Rahib’. Rahib adalah pengikut Nabi Isa عليه السلام yang hidup menyendiri dan memakai pakaian yang tidak selesa. Dalam bahasa lain mereka ini dipanggil Monk.

Kalimah رَهبانِيَّةً berasal daripada katadasar ر ه ب yang bermaksud ‘takut’. Ini jenis takut sama ada takut kepada orang lain sampai lari, atau takut kepada kelemahan diri sendiri, atau takut kepada Tuhan.

Para rahib itu adalah golongan yang menolak dunia. Mereka memilih untuk tidak berkahwin, tidak berkawan dengan orang dan mereka menjauhi bermewah dengan dunia. Itulah tiga ciri konsep rahbaniyyah.

Nota: potongan ayat ini adalah termasuk dalam hukum tajwid ‘Iltiqa’ Sakinain’ dan jarang diketahui oleh kita. Boleh rujuk ilmu tajwid untuk maklumat lanjut. Maka ayat ini dibaca: وَرَهبانِيَّتَنِ ابتَدَعوها warahbaaniyyatanibtadauuha. Maksudnya kena ada penambahan huruf ن dalam ayat ini.

 

 

ما كَتَبنٰها عَلَيهِم

padahal kami tidak mewajibkannya kepada mereka

Konsep rahbaniyyah itu adalah rekaan mereka sahaja dan Allah ﷻ tidak pernah mengajar dan tidak pernah suruh mereka buat begitu. Mereka sahaja yang memandai reka dan ini adalah amalan bid’ah pengikut Nabi Isa عليه السلام.

Mereka lihat Nabi Isa عليه السلام tidak berkahwin maka mereka mahu mengikut keadaan baginda itu. Padahal Nabi Isa عليه السلام tidak pernah ajar pun dan hanya suruh mereka ikut apa yang baginda telah lakukan dalam hal agama sahaja. Maka ini adalah hanya daripada andaian mereka sahaja. Kalau pun Nabi Isa عليه السلام tidak menikah, tidaklah mereka kena ikut pula.

Perbuatan ini adalah seperti golongan sufi dan tarekat yang juga kononnya hendak menolak keduniaan. Mereka juga telah reka konsep baru dalam agama Islam yang tidak ada (bid’ah). Dan memang ada kajian yang menunjukkan mereka yang memulakan konsep kesufian ini mengambil contoh daripada amalan golongan rahib itu.

 

 

إِلَّا ابتِغاءَ رِضوٰنِ اللهِ

tetapi (mereka sendirilah yang mengada-adakannya) untuk mencari keredhaan Allah,

Niat mereka memang baik. Ini kerana mereka hendak mencari redha Allah ﷻ untuk beribadat sepenuhnya kepada Allah ﷻ. Mereka rasa kalau mereka terikat dengan dunia maka itu akan memesongkan mereka daripada agama dan Tuhan. Maka mereka sangka mereka telah mengikut Nabi mereka. Akan tetapi hakikat sebenarnya apa yang mereka lakukan ini sudah melampau dan sudah termasuk dalam bid’ah agama.

Surah ini berkenaan sifat kerohanian dan kita kena ambil contoh sifat kerohanian daripada para sahabat. Mereka menjaga iman mereka dan di dalam masa yang sama mereka memberi manfaat kepada masyarakat. Kalau mereka menyendiri daripada masyarakat, bagaimana mereka mahu berkhidmat dan membantu beri manfaat kepada masyarakat?

Maka yang diamalkan oleh golongan sufi dan tarekat itu bukanlah daripada agama Islam sebenarnya. Mereka itu mengaku sahaja mengamalkan Islam namun disebabkan kerana jahil, mereka telah tertipu. Dan ramai daripada masyarakat kita pun tertipu dengan perkara ini.

 

 

فَما رَعَوها حَقَّ رِعايَتِها

lalu mereka tidak memeliharanya dengan pemeliharaan yang semestinya.

Mereka konon hendak menolak dunia, tetapi mereka takkan dapat jaga. Mereka tidak akan berjaya kerana mereka telah reka kehidupan yang menyempitkan dan jiwa mereka sendiri akan menentang mereka. Ini adalah kerana manusia dijadikan mempunyai keperluan untuk berkahwin, perlu berkawan dengan manusia lain dan menggunakan harta. Maka perkara itu semua memang diperlukan dan lama-kelamaan mereka akan langgar juga akhirnya.

Kerana kita sebagai manusia tidak boleh menolak fitrah keinginan kita. Sebagaimana kita tidak boleh menolak keinginan untuk makan, maka begitu jugalah dengan yang lain. Kerana itulah kita selalu mendengar banyak kisah paderi Kristian meliwat budak-budak koir mereka kerana memang tidak dapat menahan nafsu seks daripada dilepaskan.

Kita kena duduk di antara dua keadaan, jangan terlalu lemah dan jangan terlalu ekstrim. Kalau  ini tidak dijaga maka akan ada masalah.

1. Pertama, kalau terlalu lemah, maka hati manusia akan menjadi keras.

2. Dan kalau hanya menjaga iman sendiri iaitu hidup sendiri dan tidak bercampur gaul dengan masyarakat, maka akan ada masalah lain. Golongan rahib itu menolak dunia dan tidak berkahwin. Kononnya mereka kata untuk mendampingkan diri sepenuhnya dengan Tuhan. Sepatutnya mereka bergaul dengan masyarakat dan mendidik masyarakat yang memerlukan bimbingan. Kalau mereka menyendiri daripada masyarakat, bagaimana mereka hendak menasihati masyarakat?

Apabila Allah ﷻ mengatakan perkara ini telah terjadi kepada golongan Kristian itu, maka perkara ini juga ada terjadi kepada orang Islam juga. Iaitu ada golongan yang sibuk dengan berzikir dan meningkatkan kerohanian diri sahaja tetapi tidak berdakwah kepada masyarakat dan tidak membantu mereka dengan tidak mengerjakan amar ma’ruf dan nahi mungkar. Akhirnya masyarakat akan terpesong jauh daripada agama.

Walaupun tidak disuruh, tetapi mereka buat juga perkara itu kerana mereka hendak mendapatkan redha Allah ﷻ. Akan tetapi mereka tidak berjaya untuk melakukannya kerana itulah sejarah dalam gereja amat memalukan kerana merekalah yang meliwat budak-budak muda. Kemudian ada skandal di antara paderi dan biarawanita (nun) mereka.

Mereka tahan diri mereka daripada berkahwin tetapi mereka bodoh kerana mereka seolah-olah tidak tahu bahawa nafsu itu bukan boleh ditahan-tahan. Allah ﷻ memberikan nafsu kepada manusia untuk mengadakan hubungan seks, dan ini tidak salah. Cuma ia perlu dilakukan dengan cara yang baik, dengan pernikahan yang benar.

Namun golongan Kristian yang bodoh itu terus cuba menutup nafsu dan ia adalah usaha yang tidak akan berjaya. Ia seperti menahan laluan sungai yang laju, tetapi laluan itu tetap juga akan bergerak dan kalau ditahan juga maka ia akan keluar dengan cara yang salah. Sepertimana sungai itu akan melimpah-limpah keluar ke tebing dan merosakkan tanaman.

Pada waktu mereka mula mengamalkan konsep Rabbaniyyah itu (golongan yang awal) sebenarnya mereka sedang ditindas oleh golongan pemerintah pada waktu itu. Golongan Yahudi yang berkuasa (atau bersekongkol dengan pemerintah) telah mengadu dan menipu kepada pemerintah dengan mengatakan bahawa golongan Nasrani ini hendak mengambil alih kerajaan.

Maka daripada hasutan puak Yahudi itu, puak Nasrani ditangkap beramai-ramai. Maka ketika itu untuk menjaga agama mereka maka mereka terpaksa mengasingkan diri ke tempat yang jauh dan tidak bercampur gaul dengan masyarakat.

Oleh itu ternyata mereka yang mula-mula melakukannya ada sebab kenapa mereka melakukannya. Akan tetapi orang-orang kemudian telah meniru perbuatan mereka yang awal itu, walaupun tiada masalah bagi mereka untuk mengamalkan agama dengan bebas selepas itu. Mereka meniru golongan yang awal itu kerana mereka melihat orang-orang yang telah melakukan pengasingan itu mendapat kelebihan-kelebihan tertentu. Mereka seronok beribadat dan mereka sangka begitulah cara terbaik untuk jaga Kitab Injil.

Maka ramai yang mengikut tanpa usul periksa. Itulah bahayanya kalau melakukan sesuatu tanpa melihat kenapakah ia pertama kali dilakukan. Kerana itu kita selalu tekankan kena ada ilmu dalam melakukan sesuatu. Jangan hanya buat sahaja.

Mereka juga tidak menjaga kitab dengan sepatutnya kerana di dalam Kitab Injil itu pun tidak mengajar untuk mengasingkan diri dan tidak berkahwin. Sebaliknya kitab itu mengajar mereka untuk menyampaikan dakwah agama kepada masyarakat. Namun malangnya mereka hanya duduk beramal mengasingkan diri sampai mati.

Ada golongan yang salah faham dengan ayat ini. Mereka kata memang Allah ﷻ suka amalan kerahiban ini, cuma yang salah pada Nasrani itu adalah kerana mereka tidak mengamalkan sepenuhnya, gagal di tengah jalan.

Ini adalah fahaman yang salah. Yang selalu kata begini adalah golongan sufi tarekat. Kita mahu tekankan yang amalan kerahiban ini dan meninggalkan keduniaan seperti yang dilakukan oleh golongan sufi itu tidak ada dalam Islam. Tidak patut ia dilakukan. Seperti yang disebut dalam hadith:

 

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا يعمُر، حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ، أَخْبَرَنَا سُفْيَانُ، عَنْ زَيْدٍ العَمِّي، عَنْ أَبِي إِيَاسٍ، عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: “لِكُلِّ نَبِيٍّ رَهْبَانِيَّةٌ، وَرَهْبَانِيَّةُ هَذِهِ الْأُمَّةِ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ”

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ma’mar telah menceritakan kepada kami Abdullah, telah menceritakan kepada kami Sufyan, dari Zaid yang tuna netra, daripada Abu Iyas, dari Iyas ibnu Malik, bahawa Nabi ﷺ pernah bersabda: Bagi tiap-tiap nabi ada rahbaniyyahnya sendiri dan rahbaniyyah umat ini adalah berjihad di jalan Allah ﷻ.

Imam Ahmad meriwayatkan hadith ini secara munfarid(tunggal), hanya Allah-lah Yang Maha Mengetahui.

 

Ini mengajar kita bahawa yang perlu kita lakukan adalah berjihad di jalan Allah, bukannya duduk berzikir bersendirian tanpa berkhidmat kepada agama.

Juga Rasulullah ﷺ telah bersabda:

 

“لَا تُشَدِّدُوا عَلَى أَنْفُسِكُمْ فَيُشَدَّدَ عَلَيْكُمْ، فَإِنَّ قَوْمًا شَدَّدُوا عَلَى أَنْفُسِهِمْ فَشُدِّدَ عَلَيْهِمْ، فَتِلْكَ بَقَايَاهُمْ فِي الصَّوَامِعِ وَالدِّيَارَاتِ، رَهْبَانِيَّةً ابْتَدَعُوهَا مَا كَتَبْنَاهَا عَلَيْهِمْ”

Janganlah kamu memperberat dirimu sendiri, maka akibatnya kamu akan diperberat. Kerana sesungguhnya pernah ada suatu kaum yang memperberat terhadap dirinya sendiri, maka akibatnya mereka diperberat. Dan itulah sisa-sisa mereka berada di biara-biara dan gereja-gereja; mereka telah mengada-adakan rahbaniyyah, padahal Kami tidak mewajibkannya kepada mereka.

Imam Ahmad meriwayatkan hadith ini secara munfarid(tunggal), hanya Allah-lah Yang Maha Mengetahui.

 

 

فَئآتَينَا الَّذينَ ءآمَنوا مِنهُم أَجرَهُم

Maka Kami berikan kepada orang-orang yang beriman di antara mereka pahalanya

Yang buat amalan agama dengan betul, Allah ﷻ beri pahala mereka. Ini adalah sebelum Nabi Muhammad ﷺ diangkat menjadi Rasul. Maka memang agama Nasara waktu itu adalah agama Islam.

Mereka yang mengikut ajaran wahyu dengan benar, tidak melakukan syirik, tidak menambah perkara baru dalam agama, tidak menukar kitab wahyu itu, tentu sekali mereka mendapat ganjaran mereka. Maknanya tidaklah mereka itu semuanya salah belaka. Ada juga yang benar dalam kalangan mereka.

 

 

وَكَثيرٌ مِّنهُم فٰسِقونَ

dan banyak di antara mereka orang-orang fasik.

Akan tetapi yang mengikut ajaran yang benar itu bukanlah yang majoriti. Maka kerana itu yang majoriti dalam kalangan mereka adalah fasik – terkeluar daripada agama yang sebenar.


 

Ayat 28: Ayat targhib (galakan) kepada mengikut ajaran kitab wahyu. Ayat 28 – 29 ini mengajak kita untuk bertaqwa kepada Allah ﷻ supaya mendapat Rahmat-Nya. Rahmat-Nya tidak mengira bangsa atau keturunan.

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنُوا اتَّقُوا اللهَ وَءآمِنوا بِرَسولِهِ يُؤتِكُم كِفلَينِ مِن رَّحمَتِهِ وَيَجعَل لَّكُم نورًا تَمشونَ بِهِ وَيَغفِر لَكُم ۚ وَاللهُ غَفورٌ رَّحيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, fear Allāh and believe in His Messenger; He will [then] give you a double portion of His mercy and make for you a light by which you will walk and forgive you; and Allāh is Forgiving and Merciful.

(MELAYU)

Hai orang-orang yang beriman (kepada para rasul), bertakwalah kepada Allah dan berimanlah kepada Rasul-Nya, nescaya Allah memberikan rahmat-Nya kepadamu dua bahagian, dan menjadikan untukmu cahaya yang dengan cahaya itu kamu dapat berjalan dan Dia mengampuni kamu. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

 

 

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنُوا اتَّقُوا اللهَ وَءآمِنوا بِرَسولِهِ

Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan berimanlah kepada Rasul-Nya,

Wahai yang beriman dengan Nabi Isa عليه السلام, hendaklah kamu sekarang beriman dengan Nabi Muhammad ﷺ. Berimanlah dengan sebenar-benar iman kepada Allah ﷻ dan sekarang kena ikut ajaran Nabi Muhammad ﷺ.

Ada pendapat kedua yang mengatakan khitab ayat ini kepada orang yang sudah Muslim dan mengaku beriman, tetapi iman mereka lemah. Mereka diingatkan supaya jangan cakap sahaja beriman tetapi tidak beriman dengan sebenarnya.

Allah ﷻ mengingatkan kita untuk bertaqwa dan takut kepada Allah ﷻ dan jangan reka cara-cara baru di dalam agama Islam seperti yang telah dilakukan oleh golongan Nasara. Inilah maksudnya ikut dan beriman kepada Rasul. Iaitu ikut ajaran yang dibawa oleh Rasulullah ﷺ. Rekaan cara-cara baru dalam agama itu adalah salah walaupun dibuat kerana niat ikhlas untuk Allah ﷻ. Niat tidak menghalalkan cara.

Berimanlah dengan Rasul dan ikut syariat agama dan amalan agama yang telah diajar oleh Nabi ﷺ. Malangnya ramai dalam kalangan orang kita perasan mereka beriman, tetapi mereka telah reka ajaran baru dalam agama.

Ada yang reka dan ada yang ikut-ikut sahaja tanpa ilmu. Kerana itulah kita hendaklah berdakwah dan mengajak umat Islam kembali kepada ajaran yang tulen. Jangan amalkan amalan bid’ah.

 

 

يُؤتِكُم كِفلَينِ مِن رَّحمَتِهِ

nescaya Allah memberikan rahmat-Nya kepadamu dua bahagian, 

Jikalau orang Nasara itu mahu beriman kepada Nabi Muhammad ﷺ maka mereka akan mendapat dua kali ganda pahala. Ini adalah kerana pahala pertama adalah kerana mereka beriman dengan Nabi Isa عليه السلام dan pahala kedua kerana mereka beriman dengan Nabi Muhammad ﷺ.

Kelebihan ini hanya diberikan kepada golongan ahli kitab sahaja. Kita yang lahir sudah di dalam agama Islam tidak mendapat kelebihan ini. Pendapat ini disokong oleh ayat Qasas:54

 

أُولٰئِكَ يُؤتَونَ أَجرَهُم مَّرَّتَينِ بِما صَبَروا

Mereka itu diberi pahala dua kali disebabkan kesabaran mereka,

 

Dan juga ada hadith yang berkenaan perkara ini di mana Rasulullah ﷺ pernah bersabda:

عن أبي موسى الأشعري رضي الله عنه مرفوعاً: «ثلاثة لهم أجْرَان: رجُلٌ من أهل الكتاب آمن بِنَبِيِّه، وآمَن بمحمد، والعَبْد المملوك إذا أَدَّى حَقَّ الله، وحَقَّ مَوَالِيه، ورجل كانت له أمَة فأدَّبَها فأحسن تَأدِيبَها، وَعَلَّمَهَا فأحسن تَعْلِيمَهَا، ثم أعْتَقَها فتزوجها؛ فله أجران» صحيح] – [رواه البخاري

Daripada Abu Musa Al-Asy’ari -رضي الله عنه- secara marfu’, “Ada tiga orang yang mendapatkan dua pahala: (1) seorang Ahli Kitab yang beriman kepada nabinya dan beriman kepada Muhammad(2) budak apabila menunaikan hak Allah dan hak tuannya. (3) seseorang yang memiliki hamba sahaya wanita lalu ia mendidiknya dengan baik dan mengajarinya dengan sebaik-baik pengajaran, memerdekakannya kemudian menikahinya. Baginya dua pahala.”

(HR Bukhari)

 

Kalau kita terima pendapat yang mengatakan khitab ayat ini kepada orang yang sudah Muslim, maka mereka juga mendapat dua pahala: pahala pertama kerana telah masuk Islam dan pahala kedua kerana benar-benar beriman dan mengamalkan syariat dengan sebenarnya. Pendapat ini disokong oleh ayat Saba’: 37

 

وَما أَموٰلُكُم وَلا أَولٰدُكُم بِالَّتي تُقَرِّبُكُم عِندَنا زُلفىٰ إِلّا مَن ءآمَنَ وَعَمِلَ صٰلِحًا فَأُولٰئِكَ لَهُم جَزاءُ الضِّعفِ بِما عَمِلوا وَهُم فِي الغُرُفٰتِ ءآمِنونَ

Dan sekali-kali bukanlah harta dan bukan (pula) anak-anak kamu yang mendekatkan kamu kepada Kami sedikit pun; tetapi orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal (saleh), mereka itulah yang memperoleh balasan yang berlipat ganda disebabkan apa yang telah mereka kerjakan; dan mereka aman sentosa di tempat-tempat yang tinggi (dalam syurga).

Imam Bukhari dan Imam Muslim telah mengetengahkan pula hadith ini di dalam kitab sahih masing-masing.

 

Maka walaupun kedua-duanya kuat dari segi dalil, tetapi pendapat yang kedua ini lebih kuat rasanya kerana Surah Hadid ini ditujukan kepada orang Islam sebenarnya. Inilah yang kita lihat dari mula surah ini lagi. Allahu a’lam.

 

 

وَيَجعَل لَّكُم نورًا تَمشونَ بِهِ

dan menjadikan untukmu cahaya yang dengan cahaya itu kamu dapat berjalan 

Bila beriman, maka Allah ﷻ janji mereka akan mendapat cahaya petunjuk semasa di dunia. Mereka akan diberi hidayah untuk menjalani kehidupan di dunia. Sebagaimana kita memerlukan cahaya untuk melihat semasa berjalan, maka kita juga memerlukan cahaya wahyu untuk menjalani kehidupan beragama.

Atau, cahaya yang dimaksudkan adalah cahaya di akhirat semasa berjalan di Sirat menuju ke syurga. Ini merujuk kepada ayat 12 di awal surah ini di mana cahaya orang munafik akan dipadamkan dan mereka akan terpinga-pinga. Maka kepada yang beriman sempurna akan diberikan dengan cahaya di akhirat kelak.

Ayat ini mungkin ditujukan kepada golongan Nasrani atau mungkin ia dalam bentuk umum ditujukan kepada umat akhir zaman iaitu kita semua.

Kalau begitu, kita pun boleh dapat dua jenis rahmat seperti yang disebut dalam ayat ini. Walaupun kita tidak pernah jadi umat Nabi Isa عليه السلام tetapi kerana sanggup terima semua Nabi lain, maka Allah ﷻ bermurah hati beri pahala tambahan kepada kita semua.

 

 

وَيَغفِر لَكُم

dan Dia mengampuni kamu.

Dan yang lebih penting, Allah ﷻ akan beri pengampunan daripada segala dosa. Ini adalah amat penting kerana kalau tiada dosa, maka akan terus masuk ke dalam syurga. Sebagai manusia tentulah kita ada dosa, maka dosa-dosa yang kita tidak sengaja dan dilakukan sewaktu lemah itu akan diampunkan oleh Allah ﷻ.

Ini juga termasuk dosa-dosa yang dilakukan semasa jahiliah dulu. (Bukan para sahabat sahaja ada zaman jahiliah mereka, kita pun ada ‘zaman jahiliah’ kita juga, bukan?)

 

 

وَاللهُ غَفورٌ رَّحيمٌ

Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Allah ﷻ Maha Mengampuni. Allahﷻ  sanggup ampunkan semua dosa orang beriman kerana Allah ﷻ bersifat رَحيمٌ. Dan seperti kita patut tahu, sifat رَحيمٌ ini hanya diberikan kepada orang yang beriman sahaja di akhirat kelak. Kalau sifat Rahman diberikan kepada semua, sifat رَّحيمٌ hanya kepada umat Islam beriman sahaja.


 

Ayat 29: Ayat ini juga ada beberapa tafsiran.

لِّئَلّا يَعلَمَ أَهلُ الكِتٰبِ أَلّا يَقدِرونَ عَلىٰ شَيءٍ مِّن فَضلِ اللهِ ۙ وَأَنَّ الفَضلَ بِيَدِ اللهِ يُؤتيهِ مَن يَشاءُ ۚ وَاللهُ ذُو الفَضلِ العَظيمِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[This is] so that the People of the Scripture may know that they are not able [to obtain] anything from the bounty of Allāh¹ and that [all] bounty is in the hand² of Allāh; He gives it to whom He wills. And Allāh is the possessor of great bounty.

  • As long as they refuse to believe in the message of Allāh which was conveyed through Muḥammad (ṣ).
  • See footnote to 2:19.

(MELAYU)

(Kami terangkan yang demikian itu) supaya ahli Kitab mengetahui bahawa mereka tiada mendapat sedikit pun akan kurnia Allah (jika mereka tidak beriman kepada Muhammad), dan bahawasanya kurnia itu adalah di tangan Allah. Dia berikan kurnia itu kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah mempunyai kurnia yang besar.

 

 

لِّئَلّا يَعلَمَ أَهلُ الكِتٰبِ

supaya ahli Kitab mengetahui 

Allah ﷻ telah beritahu yang jikalau bantu agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad ﷺ itu, pasti Allah ﷻ akan beri kejayaan. Allah ﷻ telah beri kekuasaan kepada umat Islam seperti yang telah dijanjikan oleh Rasulullah ﷺ. Baginda pernah berkata yang kerajaan Rom dan Parsi akan jatuh ke tangan umat Islam. Walaupun ia tidak terjadi kepada zaman Rasulullah ﷺ, tetapi ia telah terjadi pada hayat para sahabat.

Itulah kejayaan yang diberikan kepada umat Islam. Maka ada perkara yang Allah ﷻ hendak sampaikan kepada golongan Nasrani. Apakah ia?

 

 

أَلّا يَقدِرونَ عَلىٰ شَيءٍ مِّن فَضلِ اللهِ

bahawa mereka tiada mendapat sedikit pun akan kurnia Allah

1. Ini adalah tafsir pertama, di mana kalimah لا dalam ayat ini dipakai dalam bentu la zaidah (penambahan sahaja). Allah ﷻ hendak golongan Ahli Kitab memahami bahawa mereka tidak ada kuasa untuk memilih Nabi. Ini adalah kerana golongan Ahli Kitab itu tidak suka apabila Nabi akhir zaman itu diangkat daripada bangsa Arab, bukan daripada bangsa mereka (Bani Israil).

Mereka kena sedar yang mereka tidak ada kuasa memilih dan mempertikaikan pilihan Allah ﷻ. Allah ﷻ sudah memilih Nabi Muhammad ﷺ sebagai Nabi akhir zaman dan bukan Nabi Isa عليه السلام, maka bagindalah yang terbaik dan umat bagindalah yang terbaik. Ini adalah dugaan bagi mereka untuk menerima keputusan daripada Allah ﷻ. Mereka kena sedar kedudukan mereka sebagai hamba.

2. Ayat ini ada juga ditafsirkan secara negatif. Iaitu baca لا itu dengan maksud ‘la haqiqi’: supaya tidak.

Maka apabila dibaca dengan cara negatif ia bermaksud: supaya orang Kristian itu tahu yang mereka tidak ada lagi harapan untuk mendapat redha Allah ﷻ. Mereka hanya terpedaya dan perasan sahaja yang mereka hebat tetapi perasaan itu sebenarnya tanpa bukti. Ini adalah enyakit syok sendiri.

Mereka sangka mereka itu insan terpilih padahal tiada wahyu yang kata mereka umat akhir zaman dan terpilih dibandingkan dengan umat-umat lain. Maka Allah ﷻ mahu menyedarkan mereka daripada dilamun perasaan yang tidak benar.

Oleh itu, umat Islam jangan pedulikan mereka. Mereka itu tidak tahu dan perasan sahaja.

3. Ada juga yang mentafsirkan dengan cara yang positif: maksudnya baca لا dalam bentuk positif. Allah ﷻ hendak memberitahu kepada orang Kristian itu yang mereka ada lagi harapan untuk diterima oleh Allah ﷻ jikalau mereka masuk ke dalam Islam.

Maka kita sebagai orang Islam kena tunjukkan kebaikan Islam kepada mereka. Kita kena sampaikan ajaran wahyu kepada mereka. Kita kena tunjukkan contoh yang baik kepada mereka. Kita yang kena beri semangat kepada mereka.

 

 

وَأَنَّ الفَضلَ بِيَدِ اللهِ

dan bahawasanya kurnia itu adalah di tangan Allah. 

Mereka kena tahu bahawa Allah ﷻ yang mempunyai banyak lagi kurnia dan Allah ﷻ yang menentukan siapa yang boleh dapat kurnia itu. Maka apabila Allah ﷻ telah melantik Nabi Muhammad ﷺ sebagai Rasul terakhir, mereka kena terima kerana itu adalah haq Allah ﷻ untuk memilih sesiapa sahaja.

Kemudian sampaikan wahyu kepada mereka supaya mereka tahu yang kurnia itu semuanya di tangan Allah ﷻ. Maka kena berharap kepada Allah ﷻ. Kalau tidak taat kepada Allah ﷻ, bagaimana hendak berharap kepada kurnia Allah ﷻ?

 

 

يُؤتيهِ مَن يَشاءُ

Dia berikan kurnia itu kepada siapa yang dikehendaki-Nya.

Allah ﷻ yang mempunyai haq untuk menentukan siapakah yang dapat status kenabian dan kerasulan. Dulu Musyrikin Mekah tidak dapat menerima Nabi Muhammad ﷺ sebagai Nabi. Kemudian di Madinah, baginda juga tidak diterima oleh golongan Ahli Kitab juga.

Golongan Musyrikin Mekah pelik kenapa manusia dalam kalangan mereka yang mendapat wahyu sedangkan Muhammad ﷺ itu bukannya kaya dan berpengaruh.

Ahli Kitab pula tidak dapat terima Nabi Muhammad ﷺ sebagai Nabi kerana baginda daripada keturunan Arab dan bukan daripada bangsa mereka.

 

 

وَاللهُ ذُو الفَضلِ العَظيمِ

Dan Allah mempunyai kurnia yang besar.

Allah ﷻ ada banyak kurnia lagi yang boleh diberikan kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya. Akan tetapi untuk mendapat kurnia Allah ﷻ, kenalah berharap dan taat kepada Allah ﷻ. Barulah ada peluang untuk dapat kurnia daripada Allah ﷻ.

AKHIR JUZ 27.

Allahu a’lam. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah al-Mujaadilah.

Tarikh: 12 Mac 2021

Ringkasan Peta Minda Surah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi