Tafsir Surah Kahfi Ayat 33 – 38 (Bahaya fahaman materialisme)

Kahfi Ayat 33:

كِلتَا الجَنَّتَينِ ءآتَت أُكُلَها وَلَم تَظلِم مِّنهُ شَيئًا ۚ وَفَجَّرنا خِلٰلَهُما نَهَرًا

Sahih International

Each of the two gardens produced its fruit and did not fall short thereof in anything. And We caused to gush forth within them a river.

Malay

Kedua-dua kebun itu mengeluarkan hasilnya, dan tiada mengurangi sedikit pun dari hasil itu; dan kami juga mengalirkan di antara keduanya sebatang sungai.

 

كِلْتَا الْجَنَّتَيْنِ ءآتَتْ أُكُلَهَا

Setiap dari dua kebun itu mengeluarkan hasilnya; 

Dua kebun yang dimaksudkan adalah kebun anggur dan kebun kurmanya. Sebagai petani, mereka tidak semestinya dapat mengaut hasil tanaman setelah mereka menanam tanaman itu. Adakalanya tanaman itu tidak menjadi. Sudahlah kena jaga untuk waktu yang lama, dapat hasil pun setahun sekali – bukan macam kerja makan gaji yang sudah pasti dapat gaji bulanan.

Namun begitu, sebaliknya nikmat yang Allah ﷻ berikan kepada lelaki ini adalah kebun-kebunnya itu semuanya membuahkan hasil. Tidak ada yang rosak.

Apabila perkataan كِلْتَا digunakan, ia bermaksud setiap dahan membuahkan hasil – penghasilan adalah 100%. Ini adalah amat hebat sekali dan selalunya para petani tidak dapat kelebihan ini kerana selalunya mesti ada kurang.

 

وَلَمْ تَظْلِمْ مِّنْهُ شَيْئًا

dan ia tidak kurangkan sedikit pun daripada hasil itu;

Kadang-kadang tuaian seorang petani tidak dapat 100% hasilnya. Ada yang hanya 70%, mungkin lebih banyak sedikit atau lagi kurang. Namun Allah ﷻ mengatakan dalam ayat ini, tanaman lelaki itu membuahkan hasil 100%. Tidak kurang daripada itu.

Kalimah لَمْ تَظْلِمْ pada mulanya bermaksud ‘tidak menganiaya’. Pada ayat ini ia difahami dalam erti tidak mengurangi hasil bagi pemiliknya. Ini kerana pemilik kebun sebelum menuai telah mengharapkan keberhasilan kebun-kebunnya dan menganggarkan jumlah yang dapat dituainya. Target tersebut telah melekat dalam benaknya sehingga dia merasa bahawa itu adalah miliknya. Ini bererti jika hasil kebun itu kurang daripada apa yang diperkirakannya, maka dia merasa bagaikan dizalimi. Nah, ayat ini menyatakan bahawa dia tidak dizalimi. Dia dapat apa yang dia kehendaki.

Perlu diingatkan bahawa kalimah لَمْ تَظْلِمْ pelakunya adalah kebun itu kerana ia adalah تَظْلِمْ, bukannya يَظْلِمْ. Pengajaran di sini adalah kebun itu tidak berlaku zalim terhadap pemiliknya, tetapi pemilik kebun itu berbuat zalim kepada Allah ﷻ bahkan kepada dirinya sendiri.

 

وَفَجَّرْنَا خِلٰلَهُمَا نَهَرًا

dan Kami pancarkan sungai di antara kebun-kebun itu;

Ini disebut lagi nikmat lain yang diberikan kepada lelaki itu. Di celah kebun-kebun itu ada sungai pula. Bermakna, kebunnya itu adalah kebun yang amat hebat. Bagi kebun orang lain, mungkin harus berusaha lebih sebab terpaksa mengambil air dari tempat lain, akan tetapi lelaki ini telah diberikan sungai di tengah-tengah kebun-kebunnya untuk memudahkan dia mendapat air. Bayangkan betapa mudahnya kerjanya. Ini bermakna, kebunnya mendapat air secukupnya dan mewah sekali.

Kalau Allah ﷻ sudah cerita tentang kebun yang sebegini hebat dalam Al-Qur’an, bermakna tidak akan ada kebun seperti ini. Sebagaimana juga Firaun, tidak ada lagi kerajaan seperti kerajaannya. Begitu juga dengan kerajaan Nabi Sulaiman عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ – tidak ada kerajaan yang seperti kerajaannya lagi.

Kalau kita lihat ayat ini dari mula penceritaan, Allah ﷻ menggunakan perkataan ‘Kami’. Iaitu Allah ﷻlah memberikan nikmat semua itu kepada lelaki itu. Bukanlah lelaki itu mendapat semua kelebihan itu daripada usahanya sendiri. Kalau Allah ﷻ tidak berikan semua itu, dia tidak akan mendapat apa-apa pun.

Ada riwayat menyatakan dua lelaki di dalam kisah ini adalah dua orang bersaudara daripada Bani Israil, yang orang tuanya meninggal dan mewariskan harta kepada mereka. Yang satu membeli dua petak kebun dan yang lain bersedekah dengan harta warisannya.

Ada lagi yang menyebut bahawa kedua orang yang dimaksudkan adalah dua orang bersaudara yang tinggal di Mekah. Yang pertama seorang mukmin bernama Abu Salamah Ibn ‘Abdullah Ibn Asad, sedang saudaranya yang bernama al-Aswad Ibn ‘Abdullah adalah seorang kafir.

Masih ada banyak lagi nama-nama yang disebut, namun perlu diketahui bahawa ayat ini turun berkenaan orang-orang tertentu yang diketahui atau tidak diketahui namanya, seperti pendapat sesetengah ulama di atas, mahupun ia merupakan kisah simbolik, seperti pendapat ulama lain. Apa yang pasti, yang perlu diperhatikan adalah pengajaran yang harus dipetik daripada tamsil yang dipaparkan ayat ini, iaitu mereka yang mengabaikan nilai-nilai Ilahi akan menyesal dan celaka, sedangkan yang memperhatikan dan mengamalkannya —walau hidupnya di dunia sederhana dan miskin —akan memperolehi kebahagiaan abadi.


 

Kahf Ayat 34:

وَكَانَ لَهُ ۥ ثَمَرٌ فَقَالَ لِصَـٰحِبِهِۦ وَهُوَ يُحَاوِرُهُ ۥۤ أَنَا۟ أَكثَرُ مِنكَ مَالاً وَأَعَزُّ نَفَرًا

Sahih International

And he had fruit, so he said to his companion while he was conversing with him, “I am greater than you in wealth and mightier in [numbers of] men.”

Malay

Tuan kebun itu pula ada mempunyai harta (yang lain); lalu berkatalah dia kepada rakannya, semasa dia berbincang dengannya: “Aku lebih banyak harta daripadamu, dan lebih berpengaruh dengan pengikut-pengikutku yang ramai”.

 

وَكَانَ لَهُ ۥ ثَمَرٌ

Dan adalah baginya buah-buahan;

Asal perkataan ثَمَرٌ dalam ayat ini jamak kepada ثمرة yang bermaksud ‘buah’, namun begitu maknanya yang hendak disampaikan adalah ‘kekayaan’. Ini kerana melalui penjualan hasil dari ladangnya itu dia telah mendapat kekayaan yang melimpah ruah. Maksudnya dia bukan sahaja kaya dengan buah-buahan, akan tetapi dia dapat memiliki emas dan perak juga.

Ini menunjukkan betapa kayanya dia. Malah dengan kekayaan itu dia dapat memiliki pelbagai kekayaan lain dan kumpulkan. Begitulah kebanyakan manusia yang kaya akan gemar mengumpul harta mereka sebanyak mungkin.

 

فَقَالَ لِصَـٰحِبِهِۦ وَهُوَ يُحَاوِرُهُ ۥۤ

Maka dia berkata kepada sahabatnya semasa mereka sedang bercakap-cakap;

Sekarang kita masuk kepada percakapan antara dua orang lelaki dalam kisah ini. Seorang kaya dan seorang lagi miskin. Dia amat berbangga dengan kekayaan yang dia ada, maka dia bercerita kepada kawannya itu.

Apa yang dia cakap kepada lelaki ini tentang kelebihannya itu, bukanlah dia terus cakap sahaja. Tidak ada orang yang tiba-tiba terus kata dia ada lebih daripada orang lain. Bermakna, mereka mulanya bersembang tentang hal-hal lain. Itulah maksud يُحَاوِرُهُ – mereka bercakap-cakap.

Melalui perkataan itu, kita tahu yang dialah yang memulakan perbualan mereka itu. Mungkin dia yang pergi ke rumah lelaki yang mukmin itu. Asalnya mereka bersembang tentang perkara biasa-biasa sahaja. Mungkin tentang cuaca, tentang anak-anak dan sebagainya.

Akan tetapi dalam mereka bercakap-cakap tentang perkara biasa itu, dia selitkan sedikit tentang kelebihan yang banyak padanya. Macam kita juga dalam dunia ini. Ada yang dalam sembang-sembang biasa, mereka akan selitkan kelebihan mereka. Mereka kata mereka ada itu, ada ini.

Entah kenapa, dalam dunia ini, kalau seseorang itu kaya, mereka akan selalunya suka hendak menceritakan kekayaan mereka kepada orang lain. Mereka kata mereka ada itu, ada ini. Mereka pergi sana, mereka pergi sini. Jarang yang merendah diri dengan apa yang mereka ada. Nampak macam mereka bukanlah hendak mendabik dada, tetapi sebenarnya, ya.

Mereka tunjukkan seolah-olah mereka bukan mahu bercakap besar, namun begitulah sebenarnya buat mereka. Mereka akan ‘melapik’ percakapan mereka. Dalam masa yang sama, secara sedar atau tidak, mereka merendahkan perasaan orang yang tidak ada harta. Contohnya, kalau kita kata kita ada kereta besar, dalam masa yang sama, kita juga mengatakan bahawa orang yang kita bersembang dengannya itu, tidak ada kereta besar.

 

أَنَاْ أَكْثَرُ مِنْكَ مَالًا

Aku lebih banyak harta dari kamu;

Maka lelaki yang kaya ini menyelit dalam perbualannya itu yang dia memiliki banyak harta daripada sahabatnya itu. Tidaklah dia kata “Aku ada banyak harta, tau!” tetapi dia selit dalam percakapan mereka itu. Sementara sahabatnya yang mukmin itu adalah seorang miskin. Tidak perlu disebut dalam ayat ini kerana kalau tidak cakap dia ada macam-macam pun tidak perlu, sebab semua orang sudah tahu.

Dalam Allah ﷻ menyebut tentang kelebihan yang telah diberikan kepada lelaki yang pertama itu, Allah ﷻ tidak sebut langsung tentang apakah yang diberi kepada lelaki kedua yang mukmin itu. Ini adalah kerana apa yang lelaki kedua itu ada, tidak setanding langsung dengan apa yang ada pada lelaki pertama, sampai Allah ﷻ tidak sebut pun.

 

وَأَعَزُّ نَفَرًا

Dan aku lebih hebat dengan pengikut yang ramai;

Kalimah نَفَرًا daripada katadasar ن ف ر yang bermaksud bangkit dengan penuh semangat menuju sesuatu. Kata ini biasa digunakan untuk merujuk kepada keluarga, kerana merekalah yang pertama kali bangkit dengan penuh semangat membela anggota keluarganya. Sesetengah ulama berpendapat bahawa yang dimaksudkan dengan kata tersebut di sini adalah anak-anak. Memang masyarakat pada masa turunnya Al-Qur’an seringkali berbangga-bangga tentang banyaknya harta dan anak-anak, lebih-lebih lagi anak-anak lelaki.

Selain daripada anak-anak, ia juga boleh merujuk kepada pekerja. Maknanya lelaki kaya ini mempunyai ramai anak-anak lelaki atau pekerja-pekerja untuk menguruskan hartanya yang banyak itu. Maka, dia berasa dia seorang yang berpengaruh. Dia sekarang telah meninggi diri. Itulah sahaja yang dikehendaki oleh orang yang lupa diri: kekayaan yang banyak dan pengikut yang ramai.

Lihatlah cara dia bercakap itu. Bermakna dia adalah seorang yang kaya lagi sombong dan suka menunjuk-nunjukkan kekayaannya itu dengan menunjukkan kesombongannya itu. Memang harta kekayaan dan kesenangan hidup di dunia menjadi satu punca yang utama menyebabkan manusia lalai leka dan lupa akhirat dan lupa Allah ﷻ. Maka pengajaran bagi kita adalah jangan jadi seperti orang ini. Kalau ada harta pun, jangan ditunjukkan kepada orang lain dan jangan sombong.

Lelaki ini berbangga dengan kejayaan yang dia ada dan dia sangka semuanya itu atas hasil usaha dan kepandaiannya sahaja. Dia lupa Allah ﷻ telah memberi rahmat itu kepadanya sebagai ujian, dan apabila dia berbangga dan lupa Allah ﷻ, dia telah gagal. Ini sama seperti Qarun seperti yang disebut dalam Qasas: 78

قالَ إِنَّما أوتيتُهُ عَلىٰ عِلمٍ عِندي
Qarun berkata: “Sesungguhnya aku hanya diberi harta itu, kerana ilmu yang ada padaku”.


 

Kahf Ayat 35:

وَدَخَلَ جَنَّتَهُ ۥ وَهُوَ ظَالِمٌ لِّنَفسِهِۦ قَالَ مَآ أَظُنُّ أَن تَبِيدَ هَـٰذِهِۦۤ أَبَدًا

Sahih International

And he entered his garden while he was unjust to himself. He said, “I do not think that this will perish – ever.

Malay

Dan dia pun masuk ke kebunnya (bersama-sama rakannya), sedang dia berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan sebab kufurnya), sambil dia berkata: “Aku tidak fikir, kebun ini akan binasa selama-lamanya.

 

وَدَخَلَ جَنَّتَهُ ۥ وَهُوَ ظَالِمٌ لِّنَفسِهِۦ

Dan dia pun masuk kebunnya sedangkan dia menzalimi dirinya sendiri;

Allah ﷻ tidak berkata lelaki kaya itu menzalimi sahabatnya yang miskin itu. Namun Allah ﷻ kata dia menzalimi ‘diri’nya sendiri. Apakah maksudnya? Dia telah menzalimi dirinya dengan melakukan syirik kepada Allah ﷻ. Dia memasuki kebunnya itu dengan angkuh dan riak. Riak itu adalah salah satu daripada syirik khafi (syirik kecil), tetapi kalau selalu dibuat, ia akan menjadi syirik besar.

Manusia selalu tidak perasan yang mereka sedang menzalimi diri mereka. Mereka sangka yang dizalimi adalah orang lain apabila mereka melakukan dosa. Mereka tidak nampak yang kesan daripada dosa itu akan menyebabkan mereka sendiri yang susah. Kezaliman mereka itu akan dipertanggungjawabkan nanti di Akhirat. Maka Allah ﷻ hendak ubah paradigma manusia: apa-apa kesalahan yang kamu sedang lakukan, kamu sebenarnya sedang menzalimi diri kamu dan kamu akan mendapat susah kerananya nanti.

Namun bukan itu Sahaja kerana perkataan ظَالِمٌ (zalim) bermaksud ‘melakukan syirik’. Akan tetapi apakah syirik yang dilakukannya? Ada dalam sambungan pada ayat ini. Memang dia ada buat perbuatan yang syirik. Apa yang dia buat itu, banyak juga dilakukan oleh orang sekarang.

Dia menzalimi dirinya kerana dia merasakan apa yang semua dia ada itu adalah hasil usahanya sendiri. Ini adalah Syirik fi tawakkul. Dia lupa yang semua itu telah diberi oleh Allah ﷻ kepadanya. Semuanya adalah kurniaan Allah ﷻ. Dia lupa untuk mengaitkan kekayaan yang dia ada itu datang daripada Allah ﷻ.

Ayat ini adalah tentang apa yang dia cakap dengan kawannya yang miskin itu. Mungkin dia ajak kawannya itu berjalan-jalan dalam kebunnya. Sambil itu dia menunjuk-nunjuk kelebihan kebunnya itu.

قَالَ مَآ أَظُنُّ أَن تَبِيدَ هَـٰذِهِۦۤ أَبَدًا

Aku tidak rasa kebun aku ini akan binasa sampai bila-bila;

Kalimahتَبِيدَ daripada katadasar ب ي د yang bermaksud kehancuran dan kebinasaan. Dia yakin kebunnya itu akan kekal sampai bila-bila. Maknanya dia nafikan kuasa Tuhan. Dia merasakan dengan dia pandai mengusaha kebun-kebunnya itu, dengan menggunakan pekerja yang ramai dengan susunan tanamannya, kebunnya itu akan kekal. Dia sangka dengan ada kebun tamarnya yang menjadi pendinding kepada kebun anggurnya, kebun anggurnya itu akan selamat. Dia lupa Allah ﷻ boleh musnahkan kebunnya itu bila-bila sahaja.

Dia merasakan dia yang menyebabkan kebunnya boleh subur dan mewah begitu walhal dia lupa bahawa Tuhan yang menjadikan begitu. Allah ﷻ telah sebut berkali-kali dalam ayat-ayat sebelum ini. Sekarang ni pun ramai yang berperasaan sebegitu. Mereka rasa merekalah yang menyebabkan kejayaan mereka sendiri. Mereka sangka sebab mereka pandai dan sebab mereka telah berusaha kuat, mereka memperolehi kejayaan.

Mereka lupa tentang kuasa Allah ﷻ yang menyebabkan mereka berjaya. Berapa ramai orang yang pandai dan bijaksana, dan mereka juga telah gigih berusaha, tetapi mereka tidak berjaya? Ingatlah bahawa mereka yang berjaya itu adalah kerana Allah ﷻlah yang memberikan kejayaan kepada mereka. Kalau Allah ﷻ tidak takdirkan kejayaan bagi dia, tidak kira berapa banyak usaha dia, tidak akan berjaya juga.

Satu lagi sifat golongan yang terbelit dengan materialisme adalah mereka rasa apa yang mereka ada itu kekal sampai bila-bila. Mereka terlupa langsung yang tidak ada yang kekal, melainkan Allah ﷻ. Mereka sayang sangat harta mereka itu sampai mereka tidak dapat menerima yang ia akan musnah satu hari nanti.


 

Kahf Ayat 36:

وَما أَظُنُّ السّاعَةَ قائِمَةً وَلَئِن رُّدِدتُ إِلىٰ رَبّي لَأَجِدَنَّ خَيرًا مِّنها مُنقَلَبًا

Sahih International

And I do not think the Hour will occur. And even if I should be brought back to my Lord, I will surely find better than this as a return.”

Malay

Dan aku tidak fikir hari kiamat akan berlaku; dan kalaulah aku dikembalikan kepada Tuhanku (sebagaimana kepercayaanmu), tentulah aku akan mendapat tempat kembali yang lebih baik daripada ini.

 

وَمَا أَظُنُّ السَّاعَةَ قَائِمَةً

Dan tidaklah aku yakin kiamat itu akan datang;

Dia sudah sampai rasa Kiamat tidak akan terjadi sebab hatinya sudah tertakluk kepada dunia. Dia terlalu mementingkan dunia sahaja. Dia sudah tidak nampak akan ada lagi kehidupan selepas kehidupan di dunia ini. Ini kerana dia sayang sangat kepada dunia kerana dia dapat kelebihan yang banyak.

Itulah bahayanya pemahaman materialisme yang dianjurkan oleh orang-orang kafir. Mereka ajar untuk fokus hanya kepada dunia dan kebendaan sahaja. Padahal dunia ini tidak akan kekal. Yang pasti akhirat pasti akan terjadi.

 

وَلَئِنْ رُّدِدْتُ إِلَىٰ رَبِّي

dan sekiranya aku dikembalikan kepada Tuhanku;

Dia mahu berkata sekiranya betul-betul Hari Kiamat akan berlaku dan dia dikembalikan kepada Tuhan (sebagaimana yang dikatakan oleh kawannya yang mukmin itu), dia pasti akan selamat. Dia kata kalau-kalau kiamat terjadi juga. Dia sebenarnya tidak rasa kiamat akan terjadi, tetapi kalaulah terjadi, katanya:

 

لَأَجِدَنَّ خَيْرًا مِّنْهَا مُنْقَلَبًا

pasti aku akan mendapat kebaikan yang lebih baik daripada ini sebagai tempat kembalian;

Dia rasa sekiranya ada Kiamat dan kehidupan selepas mati sekalipun, dia pasti akan mendapat kelebihan juga. Ini merupakan satu masalah besar bagi golongan materialistik.

Begitulah ramai yang sangka mereka akan selamat di akhirat. Mereka rasa mereka akan selamat kerana mereka rasa mereka telah banyak membuat kebaikan. Ini kerana selalunya orang-orang kaya itu selalu juga menderma. Kita ambil contoh seorang wakil rakyat. Ketika musim pilihanraya, dia akan banyak menderma. Mereka akan tolong orang sana sini. Mereka akan tanya apakah lagi yang mereka tidak bantu lagi?

Mereka sebenarnya bukan ikhlas, tetapi mereka mengharap mereka dapat memancing hati pengundi. Namun begitu, selepas dia kalah dan bukan menjadi wakil rakyat atau pemimpin, dia akan berhenti dari berbuat kebajikan. Maknanya, dia hanya membuat kebajikan itu kerana hendak meraih undi semata-mata. Bukan kerana mahu menolong orang sangat, dan bukan kerana ikhlas kepada Allah ﷻ.

Maknanya, mereka yang kaya itu jangan kita kata mereka tidak menderma, sebab mereka memang menderma. Cuma niat mereka menderma itu kita tidak tahu. Mereka sangka perbuatan menderma mereka itu akan dibalas dengan pahala besar daripada Tuhan. Mereka sangka mereka akan mendapat balasan yang baik daripada Tuhan, kalaulah ada hari kiamat nanti. Namun sebenarnya mereka buat itu bukan kerana Tuhan tetapi kerana hendakkan sesuatu seperti undi daripada masyarakat sahaja. Maka tidak ada pahala untuk mereka sebenarnya.

Sama seperti lelaki kaya itu sangka dengan dia banyak memberi pertolongan kepada orang miskin, dia rasa dia akan mendapat balasan yang baik daripada Tuhan. Tidak sama sekali. Ini kerana Allah ﷻ hanya mengira dan membalas berdasarkan nilai keikhlasan seseorang. Sekiranya dia memberi itu kerana ikhlas, dia akan mendapat balasan baik. Sebaliknya kalau tidak ikhlas, ia tidak akan dikira sebagai pahala.

Ataupun, kalau dia ikhlas pun bahagian sedekah itu, belum tentu dia akan selamat tentang perkara lain lagi.

Satu lagi tafsir: manusia yang sebegitu sangka kerana mereka telah diberi dengan kelebihan-kelebihan yang banyak di dunia, maka mereka sangka mereka akan mendapat kebaikan juga di akhirat nanti. Sebab mereka rasa mereka mendapat kekayaan dan kelebihan semasa di dunia ini, kerana mereka adalah manusia terpilih oleh Allah ﷻ.

Mereka sangka mereka disayangi oleh Allah ﷻ, sebab itu mereka mendapat kebaikan yang banyak di dunia. Bagi mereka kalau Tuhan sayang mereka semasa di dunia lagi, tentulah mereka akan dapat kelebihan juga di akhirat kelak.

Inilah salah faham kebanyakan manusia. Inilah juga fahaman Kristian yang baru – mereka kata carilah kekayaan yang banyak semasa di dunia. Sebab ketua agama mereka kata tanda Tuhan sayang seseorang itu adalah dengan memberi kekayaan di dunia.

Tidak begitu sebenarnya. Nikmat yang Allah ﷻ berikan di dunia ini bukan sebagai tanda bahawa Allah ﷻ sayang lebih kepada kita berbanding orang lain. Kekayaan dan kemiskinan sama sahaja – dua-dua adalah dugaan daripada Allah ﷻ. Kadang-kadang kekayaan adalah satu dugaan yang lebih berat daripada kemiskinan. Ini kerana kalau kita miskin, selalunya kita akan selalu mengharap kepada Allah ﷻ. Akan tetapi selalunya, kalau sudah kaya dalam keadaan senang-lenang, kita mudah sahaja lupa kepada Allah ﷻ.

Semua yang kita hadapi dalam dunia ini adalah ujian. Semua yang kita ada dalam dunia ini adalah ujian. Miskin itu ujian, kaya itu ujian. Sakit itu adalah ujian, sihat juga ujian. Dilahirkan sebagai perempuan adalah ujian, juga kalau dilahirkan sebagai lelaki. Yang penting, bagaimana kita menghadapi ujian yang diberikan kepada kita itu. Adakah sebagai apa yang Allah ﷻ kehendaki atau sebaliknya?


 

HUJAH BANTAHAN

Kahf Ayat 37: Apakah balasan jawab dari sahabatnya yang mukmin itu? Mari kita dengar pula.

قَالَ لَهُ ۥ صَاحِبُهُ ۥ وَهُوَ يُحَاوِرُهُ ۥۤ أَكَفَرتَ بِٱلَّذِى خَلَقَكَ مِن تُرَابٍ ثُمَّ مِن نُّطفَةٍ ثُمَّ سَوَّٮٰكَ رَجُلاً

Sahih International

His companion said to him while he was conversing with him, “Have you disbelieved in He who created you from dust and then from a sperm-drop and then proportioned you [as] a man?

Malay

berkatalah rakannya kepadanya, semasa dia berbincang dengannya: “Patutkah engkau kufur engkar kepada Allah yang menciptakan engkau dari tanah, kemudian dari air benih, kemudian Dia membentukmu dengan sempurna sebagai seorang lelaki?

 

قَالَ لَهُ ۥ صَاحِبُهُ ۥ وَهُوَ يُحَاوِرُهُ ۥۤ

Berkata sahabatnya yang mukmin itu kepadanya, semasa mereka sedang berbicara;

Kalau kita lihat ayat-ayat sebelum ini, iaitu semasa orang yang kafir itu menyatakan kelebihan dirinya dan kekurangan sahabatnya itu, sahabatnya tidak berkata apa-apa – iaitu Allah ﷻ tidak sebut tentang jawapan dia pun. Begitulah, kadang-kadang bila kita direndahkan oleh orang lain, tidak boleh hendak jawab apa-apa. Boleh tundukkan muka sahaja. Oleh itu, kalau ada orang yang cakap begitu kepada kita, angguk sahajalah kepala.

Namun begitu, apabila sahabatnya itu telah cakap pemahaman yang salah, dia sebagai seorang yang mukmin tidak boleh bertahan lagi. Dia perlu bercakap sesuatu untuk memperbetulkan akidah lelaki itu.

Maka semasa lelaki kaya itu membanggakan dirinya, dialah yang memulakan percakapan itu. Kali ini, kita diberitahu bahawa lelaki miskin yang mukmin itu pula yang memulakan percakapan antara mereka, kerana ada kalimah يُحَاوِرُهُ juga di dalam ayat ini. Seperti telah disebut sebelum ini, bukanlah bermakna, dia terus pergi dan menegur lelaki kaya itu. Mungkin perbualan mereka tentang perkara biasa-biasa sahaja – tentang cuaca, tentang keadaan semasa. Kalimah يُحَاوِرُهُ daripada kata حار – يحور yang bermaksud mengembalikan. Ia bermaksud terjadi pengembalian kata-kata antara mereka. Lelaki pertama bercakap dengan angkuh dan sombong, dan sekarang lelaki kedua menjawabnya dengan peringatan dan nasihat.

Di dalam sembang biasa itu, dia menyelitkan nasihat yang dia hendak sampaikan kepada lelaki kaya itu. Beginilah yang sepatutnya kita cakap kepada orang yang seperti orang kaya itu tadi.

Cuma di dalam ayat ini digunakan kalimah صَاحِبُهُ yang kita terjemahkan sahabatnya. Akan tetapi kalimah صَاحِبُ tidak semestinya bermaksud sahabat kental yang selalu bersama. Maka kita boleh katakan ia bermaksud sekadar menemani sahaja. Kerana orang yang mukmin tidak elok bersahabat dengan orang kafir, kerana takut terikut-ikut pula dengan pemahaman mereka. Sekadar kawan biasa sahaja bolehlah.

 

أَكَفَرْتَ بِالَّذِي خَلَقَكَ مِن تُرَابٍ

“Patutkah kamu engkar dengan Tuhan yang menciptakan kamu dari tanah?”;

Sesakli tidak patut ingkar kepada Allah ﷻ yang telah menjadikan kita. Sedarlah kita ini dijadikan daripada tanah yang hina, iaitu manusia yang pertama adalah Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, dan Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dijadikan daripada tanah. Tanah tidak ada nilai asalnya, maka kenapa kita mahu sombong sangat dan merasakan diri itu hebat dan istimewa?

 

ثُمَّ مِن نُّطْفَةٍ

“Kemudian mencipta kamu dari sperma.”; 

Allah ﷻ telah mencipta manusia (yang lahir selepas Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ) daripada air mani yang hina. Daripada tidak ada apa-apa kepada mempunyai segala apa yang dia ada. Ini kerana air mani itu pun hina juga. Kalau jatuh ke tanah, ayam tidak patut dan itik pun tidak mahu sudu.

Di sini digunakan kalimah ثُمَّ yang bermaksud kemudian, tetapi jangka jarak masa yang jauh dan lama. Di sini ia mengisyaratkan betapa jauh jarak antara dan tanah dan sperma serta tahap-tahap penciptaan manusia sesudahnya.

 

ثُمَّ سَوَّىٰكَ رَجُلًا

“Kemudian Dia sempurnakan kamu menjadi manusia yang sempurna”;

Adakah patut setelah Allah ﷻ menjadikan kamu pandai berkata-kata dan sempurna sebagai manusia, kamu kufur pula kepada Allah ﷻ? ‘Kufur’ itu boleh bermaksud tidak bersyukur kepada Allah ﷻ. Apabila sangka kelebihan yang didapati adalah daripada hasil usaha sendiri sahaja, maka itu sudah tidak bersyukur kepada Allah ﷻ. Ia dinamakan sebagai ‘kufur nikmat’. Iaitu lupa bahawa apa sahaja yang kita ada ini adalah daripada Allah ﷻ.

Lelaki yang seorang lagi ini menolak pemahaman orang kaya yang salah itu dan dalam waktu yang sama dia mengagungkan Allah ﷻ. Begitulah, apa-apa pun kita kena kembalikan kepada Allah ﷻ.


 

Kahf Ayat 38:

لٰكِنّاْ هُوَ اللهُ رَبّي وَلا أُشرِكُ بِرَبّي أَحَدًا

Sahih International

But as for me, He is Allah, my Lord, and I do not associate with my Lord anyone.

Malay

Tetapi aku sendiri percaya dan yakin dengan sepenuhnya bahawa Dia lah Allah, Tuhanku, dan aku tidak sekutukan sesuatu pun dengan Tuhanku.

 

ْلَٰكِنَّا

“Akan tetapi aku percaya dan yakin bahawa”;

Ini adalah kata-kata dakwah kawannya yang Mukmin itu. Dia beritahu apa yang dia yakin. Kerana dia yakin, maka dia boleh sampaikan. Maka kita pun kena yakin dengan ilmu kita. Kena belajar sampai jadi yakin.

 

هُوَ اللهُ رَبِّي

“Dialah Allah, Tuhan yang mencipta, memiliki dan memelihara aku”;

Makna ‘Rabb’ itu bukan hanya ‘Tuhan’ sahaja, tetapi yang mencipta, memiliki, memelihara dan menjaga. Kita tidaklah dijadikan oleh Allah ﷻ dan kemudian Allah ﷻ biarkan kita menjalani kehidupan kita begitu sahaja. Namun Allah ﷻ sentiasa memelihara kita dan mentadbir kehidupan kita.

Lelaki itu bercakap dengan berakhlak sekali. Dia tidak kata Allah ﷻ itu “Tuhan engkau”, tetapi dia kata “Tuhan aku”.

 

وَلَا أُشْرِكُ بِرَبِّي أَحَدًا

“dan aku sekali-kali tidak akan menyekutu dengan Tuhan yang menciptakan aku dengan satu apa pun.”; 

Dia bercakap tentang dirinya. Maknanya sambil dia mengingatkan kawannya yang kaya itu, dia juga mengingatkan dirinya sendiri. Namun dalam masa yang sama, sebenarnya dia hendak menasihati kawannya yang kaya itu kerana kawannya itu telah rosak akidahnya akibat terlalu mementingkan kebendaan.

Kenapa Allah ﷻ kata lelaki kaya itu telah rosak akidahnya? Padahal dalam ayat sebelum ini, dia seperti percaya kepada Hari Akhirat. Dia pun tidak dikatakan menyembah berhala atau tuhan selain Allah ﷻ. Namun, Allah ﷻ masih kata dia telah rosak akidah.

Akidahnya telah rosak kerana dia tidak bergantung kepada Allah ﷻ. Dia hanya bergantung kepada ladang-ladang dan hartanya sahaja. Kita hendaklah berhati-hati juga dalam hal ini. Pergantungan kita hendaklah kepada Allah ﷻ. Kadang-kadang kita mungkin terlalu percaya kepada benda juga.

Contohnya, kita percaya kepada pembuat kereta yang menyebabkan kereta kita berjalan lancar. Padahal, ia dapat berjalan dengan selamat adalah kerana Allah ﷻ yang benarkan; kalau kita makan ubat dan sembuh, kadang-kadang kita kata ubat itu yang menyembuhkan, sampai lupa sebut bahawa Allah ﷻlah yang sebenarnya menyembuhkan kita; begitulah kejadian seharian kita. Kita lupa untuk pulangkan segala nikmat yang kita ada ini kepada Allah ﷻ.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 4 Jun 2024

Ringkasan Surah Kahf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solahudin

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Waqiah Ayat 14 – 27 (Nikmat dalam syurga)

Ayat 14: Maka bukanlah kelebihan jadi muqarraboon ini kepada orang dahulu sahaja. Kita masih ada peluang lagi. Tapi tidak ramailah.

وَقَليلٌ مِّنَ الآخِرينَ

Sahih International

And a few of the later peoples,

Malay

Dan sebilangan kecil dari orang-orang yang datang kemudian.

 

Tidak ramai dari golongan  yang datang selepas golongan yang awal. Antara mereka itu adalah orang-orang yang menyebar agama. Kerja sebar ugama bukan kerja ustaz, guru dan kerajaan sahaja. Tapi kerja dakwah ini adalah kerja semua orang. Kena beritahu kepada orang lain, termasuklah orang-orang kafir.

Nabi bersabda: “Masih akan terus ada sekelompok orang dari ummatku yang menegakkan kebenaran, mereka tidak akan dicelakakan oleh orang yang menghinakan mereka dan tidak juga orang yang menentang mereka sampai hari Kiamat.”

Ini bermakna, akan sentiasa ada golongan umat Islam ini yang sentiasa berada atas jalan yang benar, walaupun sedikit. Maka kita kenalah buka mata kita dan cari siapakah mereka. Bila sudah jumpa, maka bergabunglah dengan mereka dan tolong mereka untuk menyampaikan dakwah.

Dan memang mereka itu memang golongan yang sedikit. Dalam ayat ini dan banyak ayat-ayat lain memberitahu kita yang mereka ini tidak ramai. Semoga kita termasuk dalam golongan itu.

Dari dua ayat ini, ulama’ berbeza pendapat tentang penafsirannya:

1. ‘Golongan dahulu’ adalah umat semua para Nabi sebelum Nabi Muhammad. Dan umat kemudian adalah umat Nabi Muhammad sampai ke kiamat.

2. Golongan awal dan kemudian itu dari kalangan umat Nabi Muhammad semuanya. Maknanya ayat ini hendak menyatakan tentang umat Nabi Muhammad sahaja. Golongan awal yang rapat dengan Allah iaitu para sahabat itu lebih ramai dari golongan kemudian.

Dan ini pun boleh diterima kerana semakin lama manusia, semakin lemah iman mereka. Peratusan golongan awal ini lebih tinggi dari golongan sekarang. Memang kita lebih ramai dari mereka (dari segi kuantiti) tapi tidak tinggi dari segi kualiti.

3. Ayat ini merujuk kepada golongan awal dan golongan yang kemudian dari ‘setiap’ Rasul. Maksudnya ramai bilangan orang yang muqarraboon itu semasa awalnya. Tetapi lama kelamaan umat mereka pun jauh dari agama dan sikit sahaja yang rapat dengan Allah. Samalah juga dengan umat Nabi Muhammad.

Ketiga-tiga pendapat ini tidaklah banyak bezanya maka ketiga-tiganya boleh diterima pakai.


 

Ayat 15: Setelah masuk syurga, Allah terangkan pula keadaan dalam syurga itu.

عَلىٰ سُرُرٍ مَّوضونَةٍ

Sahih International

On thrones woven [with ornament],

Malay

(Mereka duduk di dalam Syurga itu) di atas takhta-takhta kebesaran yang bertatahkan permata;

 

Iaitu tempat duduk (kita panggil pelamin sahajalah kerana tidak ada nama dalam bahasa Melayu) yang bertatahkan emas dan permata. Ianya ditenun dengan emas. Maknanya ianya adalah tilam yang indah sekali.

Dan ianya tilam yang dibuat dengan kemas dan sedap untuk ditiduri. Tak sakit badan kalau tidur di atasnya. Kalau di dunia, entah tilam kita tidak sedap, jadi sakit badan selepas tidur, bukan? Ia tidak akan terjadi di syurga nanti.

Mereka duduk melepak sahaja di atas tempat duduk itu sambil melihat segala keindahan syurga itu. Kerana syurga itu semua dia yang punya. Dia duduk sambil menikmati keindahan, sambil makan dan sambil memuaskan nafsu seks dia, dan apa-apa sahaja yang dia hendak buat. Kerana tidak ada ibadat lagi, tidak ada kerja yang perlu dilakukan. Maka duduk-duduk sahajalah kerjanya.


 

Ayat 16: 

مُتَّكِئينَ عَلَيها مُتَقٰبِلينَ

Sahih International

Reclining on them, facing each other.

Malay

Sambil berbaring di atasnya dengan berhadap-hadapan.

 

Mereka duduk di barisan hadapan. Iaitu tidak duduk di belakang orang lain. Iaitu wajah sebahagian dari mereka berhadapan dengan wajah sebahagian yang lain, tiada seorang pun yang berada di belakang yang lainnya. Kerana kalau ada orang di hadapan kita, sudah tidak nampak jelas pula apa yang berlaku di hadapan.

Mereka juga duduk berhadapan dengan pelayan-pelayannya. Semua yang ada di depannya adalah rakyat dia semuanya. Apa sahaja yang dia tengok, itu adalah haknya. Dia cuma bagi arahan sahaja. Kalau di dunia, banyak yang kita tengok bukan hak kita belaka.


 

Ayat 17: Penjelasan dari Allah lagi tentang keadaan di syurga yang diberikan kepada golongan Muqarraboon itu.

يَطوفُ عَلَيهِم وِلدٰنٌ مُّخَلَّدونَ

Sahih International

There will circulate among them young boys made eternal

Malay

Mereka dilayani oleh anak-anak muda lelaki yang tetap kekal (dalam keadaan mudanya), yang sentiasa beredar di sekitar mereka, –

 

Pelayan-pelayan itu akan kekal umur mereka dalam belasan tahun, tidak meningkat umur mereka. Mereka tidak akan jadi tua-tua. Kalau sekarang di dunia, selalunya pelayan adalah orang-orang muda dan tugas mereka adalah jadi valet di hotel-hotel dan sebagainya.

Mereka muda dan kerana itu mereka bersemangat untuk bekerja. Dan kita pun senang nak arah-arahkan mereka kerana mereka muda. Kalau tua, tentu kita agak segan nak beri arahan kerana ada rasa hormat di hati, bukan?

Memang umur penghuni syurga tidak akan berubah-ubah. Tetap pada satu umur sahaja. Kalau perempuan akan sentiasa berumur 28 tahun dan lelaki akan sentiasa berumur 33 tahun. Begitu juga para pelayan itu tidak meningkat usia mereka. Kerana kalau pelayan di hotel atau di restoran, apabila mereka telah tua, mereka diganti dengan orang muda yang lain. Sedangkan pelayan-pelayan di syurga akan kekal tidak ditukar-tukar.

Ada yang kata bahawa pemuda-pemuda itu adalah anak orang kafir yang mati kecil. Ada yang kata Tuhan cipta mereka secara khas.

Ada pula pendapat yang kata mereka itu anak-anak Muslim yang mati sebelum baligh. Maka mereka tidak ada pahala untuk dibalas dengan syurga dan dosa untuk dibalas dengan neraka. Maka mereka ditugaskan jadi pelayan di syurga sahaja.

Maka mereka berkhidmat kepada ahli syurga sahaja. Tapi ini agak lemah kerana dalam ayat Tur:21 telah disebut yang anak-anak orang mukmin akan dimasukkan sekali dengan ibu bapanya dalam syurga. Kerana itu lebih sesuai kalau kita katakan mereka itu adalah anak-anak orang kafir yang mati sebelum baligh. Allahu a’lam.

Mereka itu ramai menjadi pelayan tuan syurga, mungkin ada beribu dalam satu-satu istana. Seorang penghuni syurga pula ada banyak istana.

Nota: Ada juga golongan gay yang kata, pelayan-pelayan lelaki ini untuk memuaskan nafsu golongan gay yang masuk ke syurga. Mereka kata Allah maha pemurah, golongan gay pun Allah ada bagi layanan untuk memuaskan nafsu seks! Ma sha Allah, sudahlah buruk perangai, mereka itu jahil dan bodoh sangat! Mana pula golongan gay akan masuk syurga? Golongan gay masuk neraka!

Begitulah antara cara manusia memusing dan mengatakan benda yang tidak benar tentang Al-Qur’an. Ini jenis syaitan sudah kawal mereka sampai mereka boleh kata begitu.


 

Ayat 18: Apa tugas pelayan-pelayan itu? Apa yang mereka bawa?

بِأَكوابٍ وَأَباريقَ وَكَأسٍ مِّن مَّعينٍ

Sahih International

With vessels, pitchers and a cup [of wine] from a flowing spring –

Malay

Dengan membawa piala-piala minuman dan teko-teko serta piala atau gelas yang berisi arak (yang diambil) dari sungainya yang mengalir.

 

بِأَكْوَابٍ

Dengan gelas-gelas;

Pelayan-pelayan dalam syurga itu akan berpusing dalam syurga membawa air minuman untuk tuannya. Gelas itu nampak macam kaca, tapi diperbuat dari emas.

Kalimah أكواب digunakan untuk gelas jenis tidak ada pemegang. Ini memudahkan untuk digunakan kerana boleh pegang mana-mana bahagian sahaja.

 

وَأَبَارِيقَ

dan teko-teko;

Dan teko-teko itu juga diperbuat dari emas. Atau dipanggil kendi. Ianya ada pemegang kalau dibandingkan dengan أكواب. Ianya tentulah jenis yang layak untuk syurga. Tidaklah dapat kita nak bayangkan. Tentulah amat hebat sekali.

 

وَكَأْسٍ مِنْ مَعِينٍ

dan piala-piala dipenuhi dengan air arak;

Kalimah كأس adalah bekas minuman yang dipenuhi dengan air. Piala itu dipenuhi dengan arak kerana bagi orang Arab, kalau digunakan kalimah كأس memang ia jenis untuk diisi arak.

Memang semasa kita di dunia kita tidak boleh minum arak. Tapi di syurga, arak boleh diminum. Seperti juga lelaki tidak boleh pakai sutera semasa di dunia, tapi di syurga akan dipakaikan dengan sutera yang berkualiti tinggi.

Ada berbagai jenis arak dan minuman yang ada dalam syurga. Arak itu adalah cairan arak yang tulen. Kerana di dunia ini hanya tiruan sahaja. Dan arak itu jauh lebih sedap dari arak di dunia. Arak di dunia sebenarnya bukan sedap sangat. Orang minum kerana nak pening-pening sahaja. Kerana nak dapat pening itu, mereka minum juga arak yang tidak sedap dan masam itu. Lama kelamaan, mereka sudah biasa dengan rasa yang tidak sedap itu.

Dan arak itu boleh diambil dari sungai yang mengalir dalam rumahnya sahaja. Kalimah مَعِينٍ dari ع ي ن yang bermaksud mata air dan مَعِينٍ bermaksud mata air yang mengalir. Kerana dalam istananya, ada empat batang sungai, dari madu, susu, arak dan air.


 

Ayat 19: Apakah minuman yang diberi itu?

لّا يُصَدَّعونَ عَنها وَلا يُنزِفونَ

Sahih International

No headache will they have therefrom, nor will they be intoxicated –

Malay

Mereka tidak merasa pening kepala dan tidak pula mabuk dengan sebab menikmatinya.

 

لَا يُصَدَّعُونَ عَنْهَا

Tidak memeningkan kepala kerana meminumnya,

Sudahlah arak itu sedap, ia tidak memeningkan pula seperti arak yang di dunia sekarang. Selalunya kalau malam minum arak, esoknya akan pening sepanjang hari (hangover). Nak buat kerja atau pergi ke mana-mana pun tidak boleh. Ada cahaya cerah pun sudah sakit mata, kalau ada bunyi bising, sakit lagi.

Jadi pening itu tidak bagus kerana kalau minum arak dan pening, itu bukan perkara baik. Kalau sudah pening, takkan nak minum lagi? Jadi tidak dapat nak minum banyak kalau begitu. Kalau tidak boleh minum banyak, itu sudah bukan nikmat namanya.

 

وَلَا يُنْزِفُونَ

dan tidak menyebabkan mabuk;

Bukan sahaja arak itu tidak memeningkan, ia juga tidak memabukkan. Kerana mabuk itu bukan sifat yang baik, bukan? Kerana kalau sudah mabuk, sudah tak tentu arah dan buat perkara yang tidak patut, cakap benda kurang ajar dan lucah. Kalau mereka nampak diri mereka semasa mereka mabuk, mereka pun akan malu.

Air itu diambil dari sungai-sungai yang mengalir di dalam istananya. Pelayan-pelayan itu akan mencedok dari sungai itulah. Penghuni syurga minum arak itu bukan kerana dahaga. Kerana sesiapa yang masuk syurga, tidak akan dahaga dan tidak akan lapar sampai bila-bila.

Tapi kenapa makan dan minum juga? Kerana nak menikmati makanan dan minuman itu. Dan cara makan mereka adalah cara makan orang yang tidak lapar. Makan dengan tenang untuk menikmati makanan syurga yang memang sedap.

Khamr di dunia terdapat empat hal: mabuk, menyebabkan kepala pusing, menyebabkan muntah dan kencing banyak. Tapi khamr di syurga nanti tidak ada semua itu.


 

Ayat 20: Tadi disebut tentang minuman, bagaimana pula dengan makanan?

وَفٰكِهَةٍ مِّمّا يَتَخَيَّرونَ

Sahih International

And fruit of what they select

Malay

Dan juga (dibawakan kepada mereka) buah-buahan dari jenis-jenis yang mereka pilih,

 

Mereka akan dapat apa yang mereka hendak. Mereka boleh pilih mana yang mereka suka. Kerana kalimah يَتَخَيَّرونَ bermaksud mereka pilih, iaitu ambil masa untuk pilih. Maknanya mereka akan dipersembahkan dengan banyak sekali makanan dan mereka boleh pilih ikut suka mereka, tidak kelam kabut. 

Buah-buah semua jenis, termasuklah Durian Musang King atau apa sahaja (sebagai contoh sahaja kerana memang ada buah-buahan yang ada di dunia yang akan diberi di syurga). Ada makanan yang manusia itu tahu ada di dunia, tapi dia tidak berpeluang rasa semasa di dunia.

Buah-buahan itu ada yang diperbuat dari emas. Nampak macam durian, tapi diperbuat dari emas. Ada yang diperbuat dari perak. Bagaimana pula boleh makan emas pula? Rupanya memang semasa di dunia ini lagi sudah ada makanan yang diperbuat dari emas. Kalau zaman dulu kita tidak pernah tengok, tapi zaman sekarang sudah ada. Ini dilakukan oleh mereka yang kaya sangat sampai tidak tahu apa yang mereka nak buat dengan duit mereka. 

Bata jongkong bina istana diperbuat dari jongkong emas dan plaster dari kasturi. Antara dinding ke dinding 63 batu jaraknya. Tidak ada tandas dan bilik air kerana tidak perlu kerana ahli syurga tidak buang najis.

Walaupun mereka makan banyak, tapi tak buang najis pun. Mereka makan banyak sekali sama dengan kadar seribu orang makan, tapi tidak berak dan kencing. Makanan yang mereka makan itu akan keluar ikut liang peluh yang ianya berbau wangi.

Tidak ada malam dalam syurga. Siang sentiasa supaya penghuninya dapat menikmati kenikmatan sepanjang masa. Kerana kalau ada malam, maka ada tidur. Bila tidur, sudah kurang masa untuk nikmat pula dan ini rugi. Maka tidak ada malam di syurga. 


 

Ayat 21: 

وَلَحمِ طَيرٍ مِّمّا يَشتَهونَ

Sahih International

And the meat of fowl, from whatever they desire.

Malay

Serta daging burung dari jenis-jenis yang mereka ingini.

 

وَلَحْمِ طَيْرٍ

Dan daging burung; 

Dalam riwayat dikatakan burung itu sebesar unta. Ini berdasarkan Sabda Nabi:

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا سَيَّارُ بْنُ حَاتِمٍ، حَدَّثَنَا جَعْفَرُ بْنُ سُلَيْمَانَ الضَّبُعِيُّ، حَدَّثَنَا ثَابِتٍ، عَنْ أَنَسٍ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “إِنَّ طَيْرَ الْجَنَّةِ كَأَمْثَالِ الْبُخْتِ، يَرْعَى فِي شَجَرِ الْجَنَّةِ”. فَقَالَ أَبُو بَكْرٍ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنَّ هَذِهِ لَطَيْرٌ نَاعِمَةٌ فَقَالَ: “أَكَلَتُهَا أَنْعَمُ مِنْهَا -قَالَهَا ثَلَاثًا-وَإِنِّي لَأَرْجُو أَنْ تَكُونَ مِمَّنْ يَأْكُلُ مِنْهَا”

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Sayyar ibnu Hatim, telah menceritakan kepada kami Ja’far ibnu Sulaiman Ad-Dab’i, telah menceritakan kepada kami Sabit, dari Anas yang menceritakan bahawa Rasulullah Saw. telah bersabda: Sesungguhnya burung syurga itu besarnya seperti unta, burung-burung itu terbang dengan bebasnya di pohon-pohon syurga. Maka Abu Bakar r.a. berkata, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya burung syurga itu benar-benar burung yang hidupnya senang.” Rasulullah Saw. bersabda: Aku akan memakannya dan merasa lebih senang darinya —sebanyak tiga kali—. Dan sesungguhnya aku berharap semoga engkau termasuk salah seorang yang memakannya.

Berjenis-jenis burung dan jenis daging yang akan diberikan kepada ahli syurga. Memang bahagian makanan tidak perlu risau.

 

مِمَّا يَشْتَهُونَ

daripada apa yang mereka ingini;

Kalimah dari ش ه و yang darinya dijadikan kalimah ‘syahwat’, iaitu keinginan. Mereka akan dapat resipi apa sahaja yang mereka minta. Ikut keinginan selera mereka nak makan jenis apa hari itu. Kerana orang lain suka cara masak yang lain.

Contohnya mereka minta hidangan itu dalam cara masakan negeri Perak. Tapi lagi sedap dari apa yang kita rasa dalam dunia. Itu masakan yang dia tahu. Dia juga akan diberi dengan apa yang dia tidak pernah tahu wujud sebelum itu. Contohnya, kita tak tahu macam mana masakan syurga.


 

Ayat 22: Bagaimana pula pasangan mereka? Kalau nikmat banyak tapi tidak ada pasangan pun tidak menarik, bukan?

وَحورٌ عينٌ

Sahih International

And [for them are] fair women with large, [beautiful] eyes,

Malay

Dan (mereka dilayani) bidadari-bidadari yang cantik parasnya,

 

Kalimah حورٌ nisbah kepada kulitnya yang cantik. Dan kalimah عينٌ pula nisbah kepada matanya yang cantik. Kalimah عينٌ bermaksud mata, dan ia juga bermaksud mereka cantik dipandang. Maknanya, mata mereka cantik dan mereka juga cantik dipandang.

Ini adalah dua kecantikan yang selalunya menarik perhatian lelaki, bukan? Maka Allah berikan kecantikan jenis ini kepada mereka. Dan tentulah perkara-perkara yang lain tentang mereka pun serba serbi cantik.

Seperti yang kita selalu dengar, pasangan syurga akan diberikan dengan bidadari. Dan mata mereka itu bukan sahaja cantik tapi ‘bermata jeli’. Maksudnya mereka bermata kuyu, mata yang hendak ‘dicampuri’, hendak digauli. Kalau di dunia, kadang-kadang suami kena merayu isteri untuk ‘bersama’, tapi di syurga, bidadari itu yang mahukan kita.

Mata mereka juga akan terjaga. Mereka akan tengok pasangannya sahaja, tak tengok lain. Kalau kita bawa isteri kita di dunia dulu jalan-jalan, mata mereka rambang hendakkan macam-macam yang ada di kedai-kedai. “abang, abang… cantik kan beg tangan tu bang, kan? Kalau pakai dengan baju raya tahun ni… aduhaiiiiii…..” Tapi bidadari ini tidak memandang kepada yang lain, tetapi kepada kita sahaja. Kerana pada mereka, tuan merekalah yang paling kacak dan paling hebat.

Jadi bidadari itu memang cantik. Tapi kriteria kecantikan di syurga tidak sama dengan kriteria kecantikan di dunia. Kerana mereka makhluk jenis lain dan penghuni syurga pun sudah jadi makhluk lain juga. Fizikal kita sudah lain dan keinginan pun mungkin sudah lain dari keinginan di dunia. Dan kalau kita baca hadis tentang bidadari di syurga itu, dikatakan kita boleh nampak urat darah mereka.

Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Rombongan yang pertama masuk syurga adalah dengan wajah bercahaya bak rembulan di malam purnama. Rombongan berikutnya adalah dengan wajah bercahaya seperti bintang-bintang yang berkemilau di langit. Masing-masing orang di antara mereka mempunyai dua isteri, dimana sum-sum tulang betisnya kelihatan dari balik dagingnya. Di dalam syurga nanti tidak ada bujangan.” (HR. Bukhari dan Muslim)

Kalau di dunia, boleh nampak tulang sum-sum, bagaimana itu cantik, bukan? Agaknya kita lari dari orang sebegitu, tapi ia akan menjadi cantik untuk kita nanti. Jadi jangan nilai keadaan di akhirat dengan keadaan di dunia sekarang.


 

Ayat 23:

كَأَمثٰلِ اللُّؤلُؤِ المَكنونِ

Sahih International

The likenesses of pearls well-protected,

Malay

Seperti mutiara yang tersimpan dengan sebaik-baiknya.

 

Mereka seolah-olah seperti mutiara yang tersimpan. Kalau mutiara di dunia, tentu kita simpan dengan baik, bukan? Kita letak dalam kotak supaya tidak berdebu.

Di dalam hadis disebut bidadari itu sebelum dipertemukan dengan pasangan ahli syurganya, mereka duduk dalam mutiara yang jin dan manusia lain tidak pernah tengok. Ini adalah kerana bidadari itu dicipta secara langsung oleh Allah untuk melayan penghuni syurga. Mereka tidak ada kehidupan lain sebelum itu. Mereka tidak ada emak ayah dan tidak ada bekerja sebelum itu. Mereka duduk tunggu penghuni syurga datang sahaja. Mereka tuan mereka datang sahaja.

Dan jangan tak tahu yang ketua bagi bidadari itu semua adalah isteri yang dari kalangan manusia dunia. Kalau bidadari itu cantik, isteri dia akan lebih cantik dari bidadari. Kerana bidadari tidak pernah ada ujian, tidak pernah buat ibadat. Tapi isterinya ada amalan semasa di dunia, telah lulus ujian di dunia. Jadi maqamnya tentulah lebih tinggi dari bidadari itu. Maka tentulah mereka akan dijadikan lebih cantik lagi dari bidadari itu. Takkan bidadari lagi cantik dari mereka pula.

Syaikh Ibnu Utsaimin menjelaskan,

المرأة الصالحة في الدنيايعني: الزوجةتكون خيراً من الحور العين في الآخرة ، وأطيب وأرغب لزوجها ، فإن النبي صلى الله عليه وعلى آله وسلم أخبر أن أول زمرة تدخل الجنة على مثل صورة القمر ليلة البدر

Wanita solihah di dunia – iaitu para isteri – lebih baik dibandingkan bidadari di akhirat. Mereka lebih indah dan lebih dicintai suaminya. Kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam menyebutkan bahawa  kelompok pertama yang masuk syurga itu seperti cahaya bulan di malam purnama. (Fatawa Nur ‘ala ad-Darb, 12/58)

Itu kalau isterinya masuk syurga sekali. Kalau tidak masuk sekali, dia akan diberi dengan wanita dari dunia yang lain yang juga telah lulus ujian semasa di dunia. Termasuk juga kalau isteri masuk syurga, tapi suami masuk neraka. Isteri itu akan diberikan dengan suami yang lain.

Maka jangan takut kalau anda tidak pernah ada pasangan di dunia. Kerana anda pasti akan diberikan dengan pasangan lain di syurga nanti yang anda pasti akan redha dengan mereka.


 

Ayat 24:

جَزاءً بِما كانوا يَعمَلونَ

Sahih International

As reward for what they used to do.

Malay

(Semuanya itu) sebagai balasan bagi (amal-amal baik) yang mereka telah kerjakan.

 

Allah berikan segala kesenangan dan nikmat itu kerana perbuatan baik manusia dan jin itu semasa di dunia. Kerana mereka taat kepada Allah dan menjalankan segala perintah dan menjauhkan diri dari laranganNya, maka balasannya adalah syurga yang mereka akan kekal di dalamnya.

Perbuatan amal kebaikan kita tidak layak untuk mendapatkan tiket untuk masuk ke syurga sebenarnya. Ini adalah kerana syurga itu amat mahal. Tak mampu kita nak membayar harga masuk syurga itu. Tapi Allah dengan rahmatNya, menerima amalan kita yang sedikit itu dan dibalas dengan syurga yang jauh berkali-kali ganda lebih baik dari amalan kita.

Jadi, kita tidak boleh kata amalan kita akan memasukkan kita ke dalam syurga. Kerana amalan kita takkan cukup. Cuma Allah sahaja yang sanggup terima amalan kita yang sedikit itu dan balas dengan syurga yang jauh lebih hebat.

Kita pun selalu dengar: kita tidak masuk syurga dengan amalan kita, tapi dengan rahmat Allah. Dan inilah rahmat Allah: Allah terima amalan kita yang sedikit itu dan balas dengan syurga yang berjuta kali ganda lebih hebat.


 

Ayat 25: 

لا يَسمَعونَ فيها لَغوًا وَلا تَأثيمًا

Sahih International

They will not hear therein ill speech or commission of sin –

Malay

Mereka tidak akan mendengar dalam Syurga itu perkataan yang sia-sia dan tiada pula sesuatu yang menyebabkan dosa; –

 

لَا يَسْمَعُونَ فِيهَا لَغْوًا

Tidaklah mereka akan mendengar di dalam syurga itu perkataan yang sia-sia;

Di syurga nanti tidak ada cakap-cakap kosong, lucah, cemburu dan sebagainya. Semua itu hanya memudarkan nikmat sahaja kerana tidak menggembirakan langsung. Semua perasaan buruk itu telah dicabut semua sekali. Maknanya, ada perasaan gembira sahaja di di syurga nanti.

Termasuk perasaan yang dicabut adalah perasaan teringat dan sayang kepada orang-orang yang dulunya dia sayang di dunia, tapi mereka itu masuk dalam neraka.

Contohnya, katakanlah anaknya dimasukkan ke dalam neraka. Allah akan cabutkan perasaan sayang dan teringat kepada anaknya itu. Termasuk juga ibu bapa, adik beradik, suami dan isteri atau sesiapa sahaja. Kerana kalau dia teringat, tentulah dia akan bersedih mengenangkan orang yang dia sayang dulu. Dan sedih bukanlah perasaan yang boleh ada di syurga. Kalau dia teringat pun, pada peringkat awal di syurga sahaja.

Jadi tidak ada kata-kata yang sia-sia. Antara contoh cakap kosong adalah, kalau kita nampak kereta cantik, kita kata “eh, cantiknya kereta tu.” Selepas itu sambung macam-macam. Itu adalah contoh cerita perkara-perkara yang tidak mendatangkan faedah apa-apa pun. Dan kita memang suka buat perkara ini, bukan? Kalau bersembang dari satu topik ke satu topik tak habis-habis.

Akan tetapi, orang beriman kalau dengar orang bercakap kosong, dia kena lari dan tidak campur dengan mereka. Ini kerana bercakap kosong itu pun sudah tidak bagus dan merbahaya kerana boleh bawa kepada perkara yang berdosa.

 

وَلَا تَأْثِيمًا

dan tidak ada dosa;

Sudah tidak ada dosa lagi dalam syurga. Bukan sahaja tidak ada dosa, tapi perkara yang membawa kepada dosa pun tidak ada. Kerana kalimah إثم itu adalah dosa tapi kalimah تأثيم adalah perkara yang membawa kepada dosa.

Sebagai contoh, kadangkala kita nak bercakap sembang biasa sahaja tapi lama kelamaan bercakap kepada perkara yang membawa kepada dosa. Iaitu bersembang dengan kawan kita tapi lama kelamaan mulalah bercerita tentang orang itu dan ini dan akhirnya jadi mengumpat, bukan? Jadi ini adalah contoh satu perkara dari percakapan. Itu pun tidak ada di syurga nanti.

Dan sudah tidak ada ibadat. Maknanya tidak ada solat, puasa dan apa sahaja ibadat yang diwajibkan ke atas penghuninya. Ini kerana mereka itu tinggal dalam syurga untuk menikmati kehidupan sahaja. Sampai bila? Selama-lamanya.

Dan nikmat yang paling besar adalah dapat berjumpa Tuhan. Ada hamba Allah yang dapat jumpa Tuhan, pagi sekali dan petang sekali. Tidakkah kita mahu untuk jumpa Tuhan? Tapi Tuhan hanya berjumpa dengan penghuni syurga sahaja. Iaitu Allah akan masuk dalam syurga dan beri salam kepada penghuninya.

Waktu itu Allah akan bercakap-cakap dengan makhlukNya. Alangkah nikmatnya kalau dapat hidup sebegitu. Banyak hadis yang menceritakan tentang Allah berkata-kata dengan makhluknya dalam syurga. Maka ini adalah akidah ahli Sunnah. Yang tidak menerimanya adalah mereka yang tidak faham.


 

Ayat 26: 

إِلّا قيلًا سَلٰمًا سَلٰمًا

Sahih International

Only a saying: “Peace, peace.”

Malay

Mereka hanya mendengar ucapan: ” Selamat! Selamat! ” (dari satu kepada yang lain).

 

Apabila berjumpa penghuni syurga yang lain, mereka menceritakan tentang kenikmatan yang mereka dapati. Mereka akan beri salam sesama mereka. Mereka amat suka dengan apa yang mereka dapat, maka mereka tidak berhenti menceritakan kelebihan-kelebihan yang mereka dapat itu.

Maknanya juga mereka bercakap dengan aman. Tidak takut tersalah cakap. Kalau di dunia, kita kena berhati-hati kalau bercakap, bukan? Kalau orang yang sudah berkahwin, mereka akan tahu perkara ini. Kadangkala nak cakap sesuatu, tapi tercakap benda yang lain dan tergurislah hati pasangan kita, bukan? Tapi di syurga nanti, bersembang lama pun tapi tidak menyebabkan sesiapa pun akan terasa dan terguris hati.

Maknanya, mereka dalam keadaan yang gembira dan senang. Tidak ada yang akan sebut mereka ada masalah atau tidak tenang hati. Segalanya baik-baik sahaja di syurga. Semua penghuni syurga akan hidup dalam keadaan sejahtera, aman, sihat dan teramat suka. Di dunia tidak akan terjadi perkara ini.

Semuanya akan gembira, maka itu pun penting juga. Kerana kalau kita sekarang gembira semasa di dunia, tapi bila dengar orang lain ada masalah, kita pun serabut juga fikiran kita, bukan? Tapi di syurga nanti, semua akan sebut berita baik sahaja. Semua menceritakan nikmat yang mereka terima dari Allah sahaja.


 

Ayat 27: Ini adalah golongan kedua pula. Ayat 27 – 40 adalah Perenggan Makro Ketiga dan ia berkenaan Ashabul Yamin.

Sebelum ini telah disebut tentang golongan yang Muqarraboon (rapat) dengan Allah. Sekarang golongan yang lain pula iaitu yang menerima Kitab Amalan mereka dari tangan kanan. Mereka ini masih lagi golongan orang Mukmin tapi kedudukan mereka di bawah kedudukan golongan yang pertama tadi.

وَأَصحٰبُ اليَمينِ ما أَصحٰبُ اليَمينِ

Sahih International

The companions of the right – what are the companions of the right?

Malay

Dan puak kanan, – alangkah bahagianya keadaan puak kanan itu!

 

وَأَصْحَابُ الْيَمِينِ

Dan golongan kanan;

Kebanyakan dari orang mukmin tak dapat masuk golongan pertama. Kerana golongan itu bukanlah golongan yang majoriti. Mereka itu adalah golongan yang teramat istimewa. Kita berharap, kalau kita tidak dapat menjadi golongan pertama itu, harapnya kita dapat masuk dalam golongan yang kedua ini.

 

مَا أَصْحَابُ الْيَمِينِ

Siapakah golongan kanan itu;

Allah buat pertanyaan dalam ayat ini sebagai penarik perhatian kepada pembaca Al-Qur’an. Macam kita apabila bercerita dengan orang lain, kita tanya: “nak tahu? nak tahu tak?” Jadi ini sebagai penarik perhatian manusia.

Ataupun kalimah ini dalam bentuk ta’jub: alangkah beruntungnya mereka itu!

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 7 Mei 2020


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Kahfi Ayat 29 – 32 (Kisah Orang Kaya dan Miskin)

AMARAN KEPADA ORANG KAFIR

Kahf Ayat 29:

وَقُلِ الحَقُّ مِن رَّبِّكُم ۖ فَمَن شاءَ فَليُؤمِن وَمَن شاءَ فَليَكفُر ۚ إِنّا أَعتَدنا لِلظّٰلِمينَ نارًا أَحاطَ بِهِم سُرادِقُها ۚ وَإِن يَستَغيثوا يُغاثوا بِماءٍ كَالمُهلِ يَشوِي الوُجوهَ ۚ بِئسَ الشَّرابُ وَساءَت مُرتَفَقًا

 Sahih International

And say, “The truth is from your Lord, so whoever wills – let him believe; and whoever wills – let him disbelieve.” Indeed, We have prepared for the wrongdoers a fire whose walls will surround them. And if they call for relief, they will be relieved with water like murky oil, which scalds [their] faces. Wretched is the drink, and evil is the resting place.

Malay

Dan katakanlah (wahai Muhammad): “Kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah dia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya”. Kerana Kami telah menyediakan bagi orang-orang yang berlaku zalim itu api neraka, yang meliputi mereka laksana khemah; dan jika mereka meminta pertolongan kerana dahaga, mereka diberi pertolongan dengan air yang seperti tembaga cair yang membakar muka; amatlah buruknya minuman itu, dan amatlah buruknya neraka sebagai tempat bersenang-senang.

 

وَقُلِ الْحَقُّ مِنْ رَّبِّكُمْ

Dan katakanlah kebenaran itu datang daripada Tuhan kamu;

Nilai-nilai yang disebut sebelum ini tidak boleh diubah atau diabaikan. Dari segi bahasa ٱلحَقُّ adalah sesuatu yang tetap dan mantap tidak berubah-ubah. Ini seperti Allah ﷻ itu satu, azab kubur, syurga neraka dan lain-lain perkara yang telah disebut di dalam wahyu. Sedangkan ٱلبَـٰطِلُ‌ pula adalah lawan kepada ٱلحَقُّ iaitu sesuatu yang sentiasa berubah-ubah. Perkara yang bathil seperti syirik dan bid’ah sentiasa berubah-ubah. Lihatlah fahaman syirik dan bid’ah yang tidak tetap. Sekejap mereka buat begini, kemudian mereka tukar pula kepada amalan yang lain, bukan?

Firman-firman-Nya pun adalah haq yakni tidak berubah-ubah. Kebenaran yang tidak bersumber daripada Allah ﷻ, sifatnya relatif, boleh jadi hari ini benar dan esok boleh jadi salah. Boleh jadi juga sebahagian kandungannya benar dan sebahagian lainnya keliru. Sesuatu yang diragukan tidaklah bersifat haq, kerana ia tidak mantap di hati, demikian juga kebatilan, kerana kebatilan pasti lenyap, cepat atau lambat.

Kebenaran itu bukan datang daripada kita tetapi daripada Allah ﷻ. Apabila Nabi ﷺ menolak permintaan mereka (Pendeta Yahudi dan Pemuka Quraish) supaya Nabi ﷺ hanya melayan mereka sahaja, lalu Nabi ﷺ disuruh memberitahu bahawa kebenaran itu daripada Allah ﷻ. Nabi ﷺ tidak memerlukan mereka. Islam tidak memerlukan sokongan dan harta mereka. Maka sebutkan dan sampaikan sahaja kebenaran daripada Allah ﷻ itu. Terpulang siapa yang mahu ikut atau tidak kerana kebenaran bukan hanya milik orang kaya sahaja, malah sesiapa sahaja layak untuk mendapat kebenaran.

 

فَمَنْ شَاءَ فَلْيُؤْمِنْ

Maka sesiapa yang hendak beriman, berimanlah.

Manusia telah diberikan pilihan untuk memilih jalan sendiri. Manusia bukan seperti malaikat yang tidak ada pilihan untuk tidak taat. Maka sekiranya manusia hendak memilih jalan yang salah, memang boleh. Kalau mereka hendak beriman, maka bagus bagi mereka. Allah ﷻ tidak memaksa iman ke atas manusia dan jin.

 

وَمَنْ شَاءَ فَلْيَكْفُرْ

dan sesiapa yang ingin kafir, maka kafirlah; 

Akan tetapi kalau manusia memilih hendak menjadi ingkar, maka silakan. Namun jangan salah faham pula. Ayat ini sebenarnya adalah ancaman keras. Bukan untuk memberi kebenaran kepada manusia untuk menjadi kafir pula. Ini adalah ayat dalam bentuk sindiran. Kalau tidak mahu beriman, terpulang kepada kamulah. Nanti hadaplah azab di akhirat kelak.

Ini seperti anak yang hendak bermain di luar rumah dalam hujan. Ayahnya tidak benarkan tetapi dia mahu juga. Maka ayahnya pun berkata: “Nak pergi sangat, pergilah!” Ini bukan kebenaran sebenarnya, tetapi ancaman. Kalau anak itu pergi juga, siaplah dia.

 

إِنَّا أَعْتَدْنَا لِلظَّٰلِمِينَ نَارًا

Sesungguhnya Kami sediakan api Neraka kepada orang yang buat syirik itu;

Ini adalah Takhwif ukhrawi (Penakutan dengan azab akhirat). Memang manusia boleh memilih untuk menjadi kafir, tetapi ada ancamannya. Kalau kamu kufur, maka tempat kamu adalah di neraka.

Dalam ayat ini digunakan kalimah ‘zalim’. Zalim dalam ayat ini bermaksud melakukan syirik. Ini adalah kerana syirik adalah kezaliman yang paling besar.

Bukan Allah ﷻ ‘akan sediakan’ neraka itu tetapi Allah ﷻ sudah sediakan siap-siap api neraka itu. Maknanya neraka memang sudah ada. Ini adalah dalil yang syurga neraka sudah ada.

Lihatlah bagaimana mereka yang ingkar diancam dengan api neraka. Allah ﷻ sahaja yang boleh buat begini. Kalau kita berniaga, dan pelanggan hampir meninggalkan kita, kita akan tawar dia bermacam-macam perkara tambahan untuk dia terus membeli, bukan? Takkan kita mahu marah dia pula, bukan? Namun lihatlah bagaimana Allah ﷻ melayan mereka. Allah ﷻ tidak perlu tawarkan kebaikan kepada mereka, sebaliknya Allah ﷻ ancam mereka kalau mereka tidak terima. Ini kerana agama ini bukanlah barang murah yang boleh ditawar-tawar lagi. Kalau kamu tidak mahu, maka inilah ancamannya.

Ayat seterusnya menerangkan apakah api neraka itu.

 

أَحَاطَ بِهِمْ سُرَادِقُهَا

yang gelegaknya akan meliputinya seperti dinding;

Allah ﷻ menceritakan kedahsyatan neraka itu. Ia dipenuhi dengan api sahaja. Di atas, bawah dan tepi mereka akan diliputi oleh api neraka. Dindingnya, atap dan bawahnya adalah daripada api. Maka tidak ada tempat untuk lari dan selamatkan diri. Kemudian orang itu dibakar dengan api pula. Semuanya api belaka. Ini kerana kalimah سُرَادِقُ bermaksud khemah yang tidak ada atap.

Kalimah سُرَادِقُ berasal daripada bahasa Parsi (ya ada kalimat di dalam Al-Qur’an menggunakan bahasa Parsi). Selain daripada khemah, ia juga bermaksud penghalang yang menghalang orang daripada memasuki rumah atau khemah. Dalam kes neraka ini, ia menghalang penghuni neraka daripada keluar dan juga menghalang sesiapa untuk membantu. Biasanya rumah-rumah yang سُرَادِقُ adalah kepunyaan orang kaya-kaya. Maka terdapat sindiran kepada orang kaya yang menentang kebenaran di sini.

 

وَإِنْ يَسْتَغِيثُوا

Dan jika mereka minta minum;

Ahli neraka akan dahaga sentiasa semenjak mereka masuk ke dalam neraka dan kehausan mereka itu tidak akan hilang sampai bila-bila. Maka tentulah mereka akan meminta air kerana mereka dahaga sangat. Mereka terpaksa minta air itu selama seribu tahun barulah malaikat penjaga Neraka menoleh tanya apa yang mereka hendak.

 

يُغَاثُوا بِمَاءٍ كَالْمُهْلِ

mereka diberi minum dengan air yang seperti besi cair yang mendidih;

Mereka akan diberi minum tetapi bukan dengan air yang dapat menghilangkan dahaga. Mereka akan diberikan dengan air menggelegak atau tembaga cair yang mendidih. Adakah mereka sanggup meminumnya? Air itu kelihatan seperti kerak minyak besi. Maknanya air minuman pun menjadi azab juga buat mereka!

 

يَشْوِي الْوُجُوهَ

yang menghancurkan muka;

Ia terlampau panas sampai hangus muka sesiapa yang hendak meminumnya. Ini belum masuk ke dalam mulut lagi. Padahal kulit muka di neraka itu bukan seperti kulit muka kita yang di dunia ini. Sebelum masuk neraka, kulit telah dinaiktaraf setebal 42 hasta. Sudah tebal sebegitu pun boleh hancur lagi bila diberi minum dengan tembaga mendidih itu.

 

بِئْسَ الشَّرَابُ

Alangkah buruknya minuman itu;

Maka cubalah fikirkan dan bayangkan. Ini bukan air biasa tetapi air minuman yang paling teruk Allah ﷻ beri. Air itu bukannya mereka minum dengan senang hati, dengan rela, akan tetapi akan dipaksakan ke atas mereka kerana mereka sendiri yang asalnya meminta air, bukan? Nah inilah airnya!

 

وَسَاءَتْ مُرْتَفَقًا

Dan seburuk-buruk tempat berehat;

Kalimah مُرْتَفَقًا sebenarnya bermaksud tempat rehat. Allah ﷻ perli dengan sebut neraka itu adalah ‘tempat rehat’. Padahal, bukan. Sindiran ini seperti untuk banduan masuk penjara dan warden penjaga kata: “Ha masuklah bilik hotel 5 bintang kau ni….”. Mana mungkin ia menjadi tempat rehat kerana ahli neraka akan diseksa sejak mula masuk tanpa henti.


 

GANJARAN KEPADA ORANG BERIMAN

Kahf Ayat 30: Tabshir Ukhrawi (beri gembira dengan akhirat). Setelah diceritakan tentang ahli neraka, Allah ﷻ cerita tentang ahli syurga pula. Begitulah keseimbangan yang ada di dalam Al-Qur’an. Kalau hanya cerita tentang keburukan dan perkara yang menakutkan sahaja, maka hilanglah rahmat di dalam dakwah.

إِنَّ الَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ إِنّا لا نُضيعُ أَجرَ مَن أَحسَنَ عَمَلًا

 Sahih International

Indeed, those who have believed and done righteous deeds – indeed, We will not allow to be lost the reward of any who did well in deeds.

Malay

Sebenarnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh sudah tetap Kami tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki amalnya.

 

إِنَّ الَّذِينَ ءآمَنُوا

Sesungguhnya orang-orang yang beriman sempurna;

Orang yang ‘beriman sempurna’ adalah mereka yang tidak melakukan syirik. Tidak cukup dengan ‘beriman’ Sahaja kerana ada orang yang percaya dengan perkara-perkara yang perlu dipercayai seperti Allah, Rasul, Kitab dan sebagainya. Namun begitu dalam masa yang sama, mereka percaya pula kepada kuasa wali, boleh tawasul dengan mereka dan sebagainya. Maka ini adalah kepercayaan yang salah dan tidak beriman dengan ‘sempurna’.

Orang yang beriman sempurna akan menolak salah faham syirik ini daripada kehidupan mereka. Mereka tahu apa yang perlu diimani dan apa yang tidak perlu.

 

وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ

dan beramal soleh;

Iman bukan hanya di dalam hati dan cakap kosong sahaja, tetapi hendaklah ditunjukkan dengan amalan. Amalan itu mestilah amalan yang soleh (baik). Iaitu mereka melakukan amal ibadat yang betul-betul seperti yang Nabi ﷺ ajar. Kalau selain itu, itu adalah amal ibadat bid’ah dan amalan itu ditolak. Bukan sahaja sia-sia amalan itu, malah akan dimasukkan ke neraka kerana mengamalkan amalan ibadat yang salah. Ramai masyarakat kita senang sekali dengan jahilnya mengamalkan amalan-amalan bid’ah yang tidak ada dalil sandaran daripada Rasulullah ﷺ dan para sahabat.

 

إِنّا لا نُضيعُ أَجرَ مَن أَحسَنَ عَمَلًا

Sesungguhnya Kami tidak akan menyia-nyiakan pahala kepada orang yang berbuat baik;

Maknanya, Allah ﷻ akan balas amalan baik manusia. Tidaklah amalan baik kita ini percuma sahaja, melainkan akan dibalas dengan kebaikan. Pahala yang diberi adalah lebih baik daripada ibadat yang dibuat. Satu ibadat akan dibalas dengan sekurang-kurangnya sepuluh kali ganda. Atau lebih lagi sampai tidak terkira banyaknya.


 

Kahf Ayat 31: Sambungan tabshir ukhrawi.

أُولٰئِكَ لَهُم جَنّٰتُ عَدنٍ تَجري مِن تَحتِهِمُ الأَنهٰرُ يُحَلَّونَ فيها مِن أَساوِرَ مِن ذَهَبٍ وَيَلبَسونَ ثِيابًا خُضرًا مِّن سُندُسٍ وَإِستَبرَقٍ مُّتَّكِئينَ فيها عَلَى الأَرائِكِ ۚ نِعمَ الثَّوابُ وَحَسُنَت مُرتَفَقًا

 Sahih International

Those will have gardens of perpetual residence; beneath them rivers will flow. They will be adorned therein with bracelets of gold and will wear green garments of fine silk and brocade, reclining therein on adorned couches. Excellent is the reward, and good is the resting place.

Malay

Mereka itu, disediakan baginya syurga yang kekal, yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; mereka dihiaskan di dalamnya dengan gelang-gelang tangan emas, dan memakai pakaian hijau dari sutera yang nipis dan sutera tebal yang bersulam; mereka berehat di dalamnya dengan berbaring di atas pelamin-pelamin (yang berhias). Demikian itulah balasan yang sebaik-baiknya dan demikian itulah Syurga tempat berehat yang semolek-moleknya.

 

أُولَٰئِكَ

Orang-orang yang seperti ini

Iaitu orang-orang yang mempunyai sifat-sifat seperti yang disebut sebelum ini. Mereka itu orang yang beriman sebenar dan beramal dengan amalan yang soleh. Semoga kita termasuk di dalam golongan ini.

 

لَهُمْ جَنّٰتُ عَدْنٍ

bagi mereka adalah syurga Ad’nin

Mereka akan mendapat nikmat dimasukkan ke dalam Syurga Ad’nin. Syurga ini disebut dalam bahasa Inggeris sebagai Eden. Maksudnya syurga yang kekal abadi.

 

تَجْرِي مِنْ تَحْتِهِمُ الْأَنْهٰرُ

yang mengalir di bawahnya anak-anak sungai;

Oleh kerana manusia suka kepada air, maka Allah ﷻ berikan suasana rumah yang ada air sungai di bawahnya. Ini tentunya hebat kerana orang Arab tidak ada sungai di tempat mereka. Apabila ada istana yang ada sungai, tentulah mereka amat suka sekali. Kalau kita hidup di Malaysia yang banyak sungai ini pun, bukannya senang hendak main sungai. Kena memandu pula ke kawasan yang jauh kerana selalunya sungai tempat orang berkelah duduknya di dalam hutan.

Maksud ‘di bawah’ mereka itu juga boleh bermaksud yang sungai-sungai itu (kalimah الْأَنْهٰرُ adalah dalam bentuk jamak, maka bukan hanya ada satu sungai sahaja, tetapi banyak) ‘di bawah perintah’. Maknanya penghuni syurga boleh memerintahkan sungai itu untuk lalu ikut laluan yang dia suka. Ini tentu tidak dapat dilakukan di dunia kerana sungai di dunia sudah tetap. Begitulah Allah ﷻ benarkan penghuni syurga untuk menghias sendiri sungainya. Maka penghuni syurga boleh mengarahkan sungai itu sama ada ikut laluan bawah, ikut laluan atas dan sebagainya.

Syurga itu adalah taman yang terlalu indah dan bukan hanya dipenuhi dengan pokok-pokok sahaja, malah ada sungai-sungai. Sungai-sungai itu pula mengalir di dalam syurga itu. Terlalu indah tidak dapat dibayang dek akal kita yang cetek ini. Tambahan pula kepada bangsa Arab waktu itu yang jarang dapat melihat sungai kerana tempat mereka hanya ada padang pasir sahaja. Maka ini sangat menarik perhatian mereka dan dapat memberi motivasi yang amat tinggi kepada mereka.

Allah ﷻ banyak kali menyebut tentang sungai-sungai di dalam Al-Qur’an untuk memberitahu motivasi kepada kita untuk beriman dan beramal. Ini kerana manusia memang sukakan air seperti sungai. Ramai yang suka berkelah di sungai tetapi kena pergi jauh sebab sungai selalunya jauh dari tempat tinggal kita. Apatah lagi orang Arab yang mungkin tidak pernah melihat sungai pun, dengar cerita sahaja. Maka Allah ﷻ hendak menarik perhatian manusia.

Di sini tidak disebut apakah jenis sungai itu tetapi disebut di dalam ayat yang lain iaitu Muhammad: 15

فيها أَنهارٌ مِّن مّاءٍ غَيرِ ءآسِنٍ وَأَنهٰرٌ مِّن لَّبَنٍ لَّم يَتَغَيَّر طَعمُهُ وَأَنهٰرٌ مِّن خَمرٍ لَّذَّةٍ لِّلشّٰرِبينَ وَأَنهٰرٌ مِّن عَسَلٍ مُّصَفًّى
ada sungai-sungai daripada air yang tiada berubah rasa dan baunya, sungai-sungai daripada air susu yang tidak berubah rasanya, sungai-sungai daripada khamr yang lazat rasanya bagi peminumnya dan sungai-sungai daripada madu yang disaring

Cerita tentang sungai ini pun sudah hebat kerana ia tidak sama dengan sungai di dunia ini. Ini semua untuk menaikkan semangat kita untuk memasuki syurga.

 

يُحَلَّوْنَ فِيهَا مِنْ أَسَاوِرَ مِنْ ذَهَبٍ

Mereka akan dipakaikan dengan perhiasan daripada gelang-gelang emas;

Setelah Allah ﷻ menceritakan tentang istana dan kawasan sekitar, Allah ﷻ sebut tentang perhiasan bagi penghuni syurga itu. Mereka akan diberikan dengan أَسَاوِرَ (jamak bagi سِوَارٌ) iaitu gelang perhiasan yang amat-amat indah. Kalimah yang digunakan adalah يُحَلَّوْنَ bermaksud mereka akan dipakaikan, bukan pakai sendiri. Bidadari akan pakaikan sebagai tanda kehebatan, bagaikan raja yang dipakaikan perhiasan oleh pelayan mereka. Maka Allah ﷻ beritahu yang mereka itu akan dihiaskan dengan emas, iaitu emas dari syurga. Apabila digunakan kalimah jamak, bermaksud mereka memakai banyak gelang dan berbagai jenis.

Ini bukanlah emas dunia kerana kualitinya tidak sama dengan emas di dunia. Emas dunia hanyalah tiruan emas syurga sahaja. Begitu juga dengan sutera di dunia, hanya tiruan dari syurga sahaja. Maknanya, yang dari syurga itu lebih baik lagi. Di dalam ayat ini disebut gelang daripada emas, sedangkan di dalam Insan: 21 disebut gelang daripada perak pula. Begitulah keadaan penghuni syurga yang dapat memakai gelang dan perhiasan daripada jenis emas dan juga perak.

وَحُلّوا أَساوِرَ مِن فِضَّةٍ
dan dipakaikan kepada mereka gelang terbuat daripada perak

Mungkin ada yang berhujah, dia lelaki maka tidak memakai pun perhiasan gelang-gelang ini semua. Malah kalau dia pakai perhiasan sebegitu sekarang, ia akan nampak pelik sangat dan tidak sesuai pula bagi lelaki untuk memakai perhiasan sebegitu. Malah dilarang oleh agama, bukan? Jawapannya, itu semua adalah untuk situasi di dunia, belum lagi di dalam syurga. Pemakaian perhiasan bergantung kepada tempat dan juga kepada masa. Dalam syurga nanti memang tidak buat kerja, memang berhias dan melepak sahaja. Manakala perhiasan pun tidak sama dengan perhiasan di dunia. Dengan segala istana dan kemewahan di syurga, pemakaian perhiasan gelang sebegitu adalah amat sesuai. Waktu itu dia akan suka untuk memakai perhiasan daripada gelang emas. Di syurga nanti, larangan di dunia sudah tidak ada. Kerana itulah juga lelaki boleh memakai pakaian barangan emas dan juga memakai pakaian sutera.

 

وَيَلْبَسُونَ ثِيَابًا خُضْرًا مِّنْ سُنْدُسٍ

Dan mereka akan memakai pakaian warna hijau daripada sutera halus

Ahli syurga akan diberikan pakaian daripada sutera. Pakaian sebegini selalunya di dunia akan dipakai oleh raja-raja sahaja. Di syurga nanti, semua penghuni syurga akan dilayan seperti raja, malah lebih lagi. Pakaian daripada sutera memberi isyarat yang ahli syurga tidak bekerja kerana hanya orang tidak bekerja sahaja yang memakai sutera. Ini kerana tidak ada lagi kerja di syurga, malah tidak ada amal ibadat pun lagi yang perlu dilakukan.

Sutera itu pula berwarna hijau kerana memang fitrah manusia sukakan warna hijau. Sebab itu tumbuhan banyaknya warna hijau. Sila perhatikan, kalau kita melalui kawasan yang menghijau, hati dan mata kita pasti akan tenang.

 

وَإِسْتَبْرَقٍ

dan daripada sutera tebal;

Mereka akan diberikan persalinan sutera sebanyak 70 helai. Tadi disebut sutera halus dan sekarang disebut sutera tebal pula. Maksudnya bahagian dalam pakaian mereka adalah daripada sutera tebal dan bahagian luar dipakaikan dengan sutera halus.

Atau, ia boleh bermaksud sutera tebal digunakan untuk seluar dan sutera halus untuk baju. Sebagaimana di dunia pun sekarang kita pakai untuk seluar dengan kain yang kasar sedikit dan untuk baju pula menggunakan kain yang lembut supaya sesuai dengan badan.

 

مُّتَّكِئِينَ فِيهَا عَلَى الْأَرَائِكِ

Mereka bersandar di dalam syurga itu, di atas pelamin-pelamin;

Tadi telah disebut pakaian, sekarang disebut cara duduk ahli syurga pula. Ahli syurga akan berehat di atas tempat duduk mereka dalam keadaan duduk bersenggeng. Maksudnya duduk berehat dengan senang lenang kerana tidak ada kerja dan ibadat lagi. Mereka hanya duduk menikmati segala nikmat dalam syurga sampai melihat segala harta mereka dalam syurga. Mereka duduk dengan tenang sahaja.

 

نِعْمَ الثَّوَابُ

Sebaik-baik balasan yang diberi; 

Itulah sebaik-baik pemberian balasan yang Allah ﷻ berikan kepada penghuni syurga di atas usaha dan amal mereka semasa di dunia. Mereka memang layak mendapatnya.

 

وَحَسُنَتْ مُرْتَفَقًا

Seindah-indah tempat berehat;

Ini barulah benar-benar tempat berehat. Bandingkan dengan neraka yang bukan tempat berehat. Memang di syurga dapat rehat dengan serehat-rehatnya. Tidak ada kerja dan tidak ada ibadat lagi. Ini juga memberi isyarat yang semasa kita di dunia, kita kena bekerja. Waktu berehat nanti akan ada di syurga. Sebaik-baik pekerjaan kita di dunia adalah sebagai pendakwah. Kalau kerja lain, sampai masanya akan pencen, tetapi kerja sebagai pendakwah tidak ada pencen.

Habis bahagian pertama Surah Kahfi ini berkenaan Pemuda Kahfi. Ada 4 cerita dalam surah ini dan kita sudah habiskan cerita yang pertama.

Sekian Ruku’ 4 daripada 12 ruku’ surah ini.


 

KISAH 2: DUA ORANG PEMILIK KEBUN

Kahf Ayat 32: Sekarang kita masuk dalam kisah yang kedua. Semua sekali ada 4 kisah besar dalam surah ini. Ini adalah kisah tentang satu orang kafir yang menjadi kaya raya hasil daripada bertani dan berniaga. Kekayaan yang didapati oleh lelaki yang disebut dalam ayat ini adalah hebat.

Bermula ayat ini sehingga ke ayat 59 adalah Perenggan Makro Ketiga. Ia memberi contoh perbezaan sikap di antara dua orang yang ada iman dan seorang lagi tidak ada iman. Allah ﷻ juga hendak bezakan dengan orang yang tidak berharta dan tentang harta yang diusahakan.

Sebelum ini telah disampaikan tentang penghuni neraka dan penghuni syurga. Sekarang Allah ﷻ memberi contoh apa yang berlaku dalam dunia ini sekarang. Allah ﷻ hendak memberitahu yang manusia rosak akidah kerana cintakan dunia.

۞ وَاضرِب لَهُم مَّثَلًا رَّجُلَينِ جَعَلنا لِأَحَدِهِما جَنَّتَينِ مِن أَعنٰبٍ وَحَفَفنٰهُما بِنَخلٍ وَجَعَلنا بَينَهُما زَرعًا

Sahih International

And present to them an example of two men: We granted to one of them two gardens of grapevines, and We bordered them with palm trees and placed between them [fields of] crops.

Malay

Dan berikanlah kepada mereka satu contoh: Dua orang lelaki, Kami adakan bagi salah seorang di antaranya, dua buah kebun anggur; dan Kami kelilingi kebun-kebun itu dengan pohon-pohon tamar, serta Kami jadikan di antara keduanya, jenis-jenis tanaman yang lain.

 

وَاضْرِبْ لَهُمْ مَّثَلًا

Dan buatlah satu contoh bandingan kepada mereka;

Satu contoh bandingan mestilah sesuatu yang boleh dikaitkan dengan keadaan semasa. Apa yang Allah ﷻ sampaikan ini adalah perkara yang terjadi pada zaman dulu tETapi boleh dikaitkan dengan zaman sekarang. Mereka yang dimaksudkan di dalam ayat ini pertamanya adalah golongan Arab Mekah. Al-Qur’an memberikan pengajaran yang relevan dengan keadaan semasa. Tidaklah Al-Qur’an ini sesuatu yang jumud walaupun ia telah diturunkan lebih daripada seribu tahun dahulu. Maka jangan kata Al-Qur’an ini tidak sesuai untuk zaman sekarang.

Salah satu cara pengajaran Al-Qur’an adalah menggunakan perumpamaan kerana dengan bentuk perumpamaan, manusia akan lebih faham sesuatu penerangan. Oleh itu memang sedih dan bahaya kalau tidak tahu misalan yang Allah ﷻ berikan dalam Al-Qur’an. Sebahagian ulama Salaf mengatakan, “Apabila aku membaca suatu masal (perumpamaan) dari Al-Qur’an, lalu aku tidak memahaminya, maka aku menangisi diriku sendiri, kerana Allah ﷻ telah berfirman: ‘dan tiada yang memahaminya kecuali orang-orang yang berilmu.’ (Ankabut: 43).”

وَتِلكَ الأَمثٰلُ نَضرِبُها لِلنّاسِ ۖ وَما يَعقِلُها إِلَّا العٰلِمونَ
Dan perumpamaan-perumpamaan ini Kami buat untuk manusia; dan tiada yang memahaminya kecuali orang-orang yang berilmu.

Malangnya orang kita rata-ratanya tidak kisah pun. Jangankan perumpamaan, ayat-ayat yang muhkam tanpa perumpamaan pun mereka tidak faham. Ramai yang baca sahaja tanpa faham sebutir habuk pun apa yang ada dalam Al-Qur’an itu. Lalu bagaimanakah hendak mengambil hidayah daripadanya?

Dunia memandang kejayaan seseorang manusia itu daripada kekayaan mereka. Begitulah dunia dulu dan sekarang pun. Kalau orang ada harta, kita pandang tinggi padanya. Kalau seseorang itu kaya, kadang-kadang ada yang bangga diri. Sampai mereka memandang rendah kepada orang lain. Padahal, apa yang mereka ada itu, semuanya daripada Allah ﷻ.

 

رَّجُلَيْنِ

Tentang dua orang lelaki;

Allah ﷻ menceritakan tentang situasi ini dengan memberikan perumpamaan dua orang lelaki yang berjiran. Seorang kaya dan seorang miskin. Seorang yang kufur dan seorang lagi seorang mukmin. Ada juga yang kata dua-dua orang itu adalah Muslim. Cuma seorang yang baik, seorang tidak.

 

جَعَلْنَا لِأَحَدِهِمَا

Kami jadikan bagi salah seorang dari keduanya;

Sekarang Allah ﷻ sampaikan kisah lelaki pertama. Iaitu salah seorang daripada dua orang lelaki yang disebut dalam kisah ini. Lelaki ini bukan seorang yang beriman.

Dalam ayat ini, digunakan perkataan جَعَلْنَا (Kami jadikan) – bermakna, Allah ﷻ kata Dia yang jadikan. Allah ﷻ mengaitkan Diri-Nya yang menjadikan kebun-kebun itu. Kalau Allah ﷻ yang menjadikan, tentulah kebun-kebun itu adalah hebat sekali.

 

جَنَّتَيْنِ مِنْ أَعْنٰبٍ

dua buah kebun anggur;

Apabila Allah ﷻ kata Dia berikan dua kebun, mengikut riwayatnya, dalam kebun itu ada 70 jenis anggur pula. Ini adalah satu nikmat daripada Allah ﷻ yang besar. Sebab kebun anggur adalah susah untuk dijaga. Kalau di negara barat sekarang, dipanggil vineyard – dan jenis ladang ini adalah yang paling mahal sekali. Ini kerana anggur adalah buah yang boleh dijadikan makanan dan juga minuman. Ia boleh dimakan masa kering dan basah juga.

Oleh kerana menjaganya susah, maka memerlukan pekerja yang ramai. Bermakna, lelaki itu mempunyai banyak pekerja di bawahnya untuk menguruskan tanaman anggurnya itu. Maknanya, bukan sahaja dia mempunyai harta yang banyak, tetapi dia juga ada orang bawahan yang ramai.

Dalam ayat ini, Allah ﷻ hanya menyebut tentang apa yang telah diberikan kepada yang kaya sahaja. Bermakna yang seorang lagi itu hartanya tidak bernilai sampai tidak layak disebut pun.

 

وَحَفَفْنٰهُمَا بِنَخْلٍ

dan Kami kelilingkan dua kebun anggur itu dengan kebun-kebun kurma;

Sudahlah orang itu ada kebun anggur dengan 70 jenis anggur, sekarang Allah ﷻ sebut kebun anggur itu dikelilingi pula dengan kebun kurma. Kurma itu pun ada 70 jenis juga. Kurma juga buah yang hebat, yang boleh menjadi makanan ruji. Ini kerana kurma adalah makanan yang mengenyangkan. Ia boleh dimakan masa kering dan basah juga.

Maknanya, besar sangatlah kebunnya itu. Kebun kurma itu menutupi kebun anggurnya kerana tanaman anggur itu senang musnah, maka kebun kurma itu dijadikan sebagai pendinding daripada ditiup angin kuat. Malah kebun-kebun kurma itu pula boleh juga membuahkan hasil – bukan dijadikan sebagai pendinding sahaja. Sudahlah dia ada kebun anggur, Allah ﷻ jadikan ‘Security System’ lagi untuknya.

Sekali lagi ayat menyebut bahawa Dialah حَفَفْنَاهُمَا yang mengelilingkan kebun itu dengan kebun-kebun kurma. Maksudnya Allah ﷻ mahu mengingatkan yang Dia yang memberi nikmat itu. Bukannya orang itu dapat sendiri.

 

وَجَعَلْنَا بَيْنَهُمَا زَرْعًا

Dan Kami jadikan di antara dua kebun anggur dan kurma itu, tanaman lain;

Sudah disebut dua jenis tanaman yang orang itu ada dan sekarang Allah ﷻ sebut dia ada tanaman lain lagi. Ada yang kata tanaman yang dimaksudkan adalah ladang gandum atau jagung. Ladang itu pun tentunya membuahkan hasil bagi tuannya ini. Atau, tanaman dalam ladang ini menjadi makanan bagi ladang kurma dan anggurnya. Bayangkan betapa banyak hasil dia telah dapat.

Sekali lagi Allah ﷻ kata جَعَلْنَا ‘Kami yang menjadikan’. Allah ﷻ mengingatkan bahawa Dialah yang menjadikan. Maka ini mengingatkan kita yang apa sahaja nikmat harta yang kita ada, semuanya itu adalah pemberian daripada Allah ﷻ. Akan tetapi apabila kalimah جعل yang digunakan, bukan خلق, maka ia bermaksud ada keterlibatan usaha daripada makhluk juga.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 3 Jun 2024

Ringkasan Surah Kahf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solahudin

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Surah Waqiah Ayat 1 – 13 (Tiga golongan di Akhirat)

Pengenalan:

Surah ke 56 ini mengandungi 96 ayat. Ianya telah diturunkan di Mekah. Ramai yang mengamalkannya kerana dikatakan bahawa ianya akan memurahkan rezeki kita.

Sebenarnya tiada hadis sahih yang mengatakan fadhilat membaca Surah al-Waaqiah ini akan memurahkan rezeki. Maka hendaklah kita baca surah ini kerana hendakkan pahala dan untuk memahami ajaran dari Allah untuk kita, bukannya untuk rezeki.

Hadis palsu fadhilat surah waqiah
Fadhilat umum membaca Quran memang banyak. Tetapi fadhilat-fadhilat khusus sesuatu surah kebanyakannya hanya rekaan pemalsu hadis sahaja.

Surah ini adalah berkenaan tauhid fil akhirah. Iaitu tentang mengesakan Allah dalam penciptaan Hari Pembalasan. Iaitu kita hendaklah beriman kepada Hari Kiamat, Tiupan Sangkakala, Padang Mahsyar, Kebangkitan Semula, Syurga dan juga Neraka.

Tidak patut kalau kita tidak tahu tentang perkara-perkara ini. Kerana Allah telah menceritakannya dengan panjang lebar dalam Al-Qur’an. Kalau kita tidak tahu, bermakna kitalah yang tidak belajar Al-Qur’an.

Selalunya, orang kita hanya tahu serba sedikit sahaja. Tapi tidak tahu dengan secara mendalam. Ini kerana kebanyakan dari orang kita amat jauh dengan Al-Qur’an. Kalau ada pun, mereka setakat membaca sahaja, tapi tidak faham apa yang mereka baca. Ini adalah amat malang sekali kalau berlaku kerana mereka tidak mengambil rahmat dari Al-Qur’an.

Maksud Surah ini adalah tentang tauhid. Ini disebut di akhir surah ini. Setelah memberitahu segala perkara maka di hujung surah, Allah berfirman: فَسَبِّح (bertasbihlah). Maksudnya membersihkan Allah dari fahaman-fahaman syirik terhadapNya. Fahaman-fahaman syirik itu semuanya kena ditolak. Kena sembah, doa dan sujud kepada Allah sahaja; ikut Allah sahaja, jangan campur aduk dari ajaran-ajaran yang datang bukan dari Islam.

Allah juga hendak memberitahu balasan di akhirat akan ikut amalan semasa di dunia. Sebagaimana pelbagai jenis amalan di dunia, maka di akhirat juga ada pelbagai balasan bagi manusia.

Surah ini berkait rapat dengan surah sebelum ini iaitu Surah Rahman. Cuma ada keterbalikan dalam surah ini kalau dibandingkan dengan Surah Rahman. Surah Rahman dimulai dengan menceritakan kemuliaan Al-Qur’an dan ini disebut di bahagian akhir Surah Waqiah pula.

Seperti Surah Rahman terdapat banyak soalan dan dalam Surah Waqiah ini juga ada soalan, tapi dalam bentuk yang lain.

Dalam Surah Rahman di bahagian akhir disebut tentang golongan yang rapat dengan Allah dan dalam surah Waqiah ini nanti akan sebut tentang mereka dahulu di bahagian awal.


 

Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 7 perenggan makro. Ayat 1 – 9 adalah Perenggan Makro Pertama. Ia memberi gambaran Hari Kiamat di mana manusia akan dibahagikan kepada tiga kelompok/darjat.

Allah mulakan surah ini dengan mengingatkan kita tentang Kiamat.

إِذا وَقَعَتِ الواقِعَةُ

Sahih International

When the Occurrence occurs,

Malay

Apabila berlaku hari kiamat itu,

 

Kalimah ‘waqiah’ bererti peristiwa besar. ‘Peristiwa Besar’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Hari Kiamat. Kalimah al-Waqiah yang digunakan sebagai nama surah ini adalah salah satu dari banyak-banyak nama Hari Kiamat.

Kalimah الواقِعَةُ diambil dari kalimah asal و ق ع yang bermaksud ‘berlaku’, ‘pasti’. Ianya digunakan sebagai nama lain bagi Hari Kiamat kerana hari Kiamat itu pasti terjadi dan pasti ada. Tidak dapat tidak, ia pasti akan berlaku. Cuma kita sahaja tidak tahu bilakah masanya ia akan berlaku.

Apabila ada huruf ة (ta’ marbootah) pada kalimah الواقِعَةُ itu, ia menunjukkan yang ia adalah sesuatu yang besar.


 

Ayat 2: 

لَيسَ لِوَقعَتِها كاذِبَةٌ

Sahih International

There is, at its occurrence, no denial.

Malay

Tiada sesiapa pun yang dapat mendustakan kejadiannya.

 

Apabila berlaku tsunami, ada yang kata sudah hendak kiamat, tapi tidak juga. Kemudian, ada gempa bumi, tidak kiamat juga lagi. Bermakna, apabila berlaku kejadian seperti itu, ada yang boleh lagi kata: “ini bukan kiamat lagi”. Tapi, apabila Kiamat benar-benar datang nanti, tidak ada sesiapa yang boleh mendustakannya. Semua akan terima yakin yang ini memang hari kiamat.

Apabila Nabi Muhammad memberitahu bahawa akan ada hari Kiamat dan kebangkitan semula di mana semua manusia akan dipertanggungjawabkan dengan perbuatan mereka di dunia, maka Musyrikin Mekah menolak baginda. Mereka tak percaya ianya akan terjadi kerana pada mereka ianya mustahil.

Tapi nanti apabila berlaku kiamat yang sebenar, tidak ada sesiapa lagi yang berkata itu bukan Kiamat. Kerana tidak sama musibah dan malapetaka alam kalau dibandingkan dengan Kiamat nanti. Semua orang akan tahu, itulah Kiamat yang selalu disebut-sebut.

Maksud kedua, orang yang tolak akan berlakunya Kiamat, waktu itu mereka tidak dapat nak tolak lagi. Nak tolak macam mana lagi, sedangkan ia sedang berlaku di depan mata mereka?

Dan kalimah كاذِبَةٌ juga boleh bermaksud ‘penolakan’. Bila ia sudah mula berlaku, ia tidak akan dapat ditahan lagi. Ia pasti akan terus berlaku.

Dan tanda-tanda Kiamat pun sudah ada berlaku waktu itu. Antaranya, matahari telah naik dari barat. Tapi ianya berlaku selama 12 jam sahaja. Kemudian turun balik dan akan naik balik dari sebelah timur. Dikatakan bahawa selepas kejadian itu, kiamat akan berlaku dalam masa 120 tahun. Tapi kejadian itu berlaku dengan tidak ada orang Islam seorang pun.

Dan apabila berlaku kiamat, langit terbelah dan akan keluar api dari langit. Bila tengok itu sahaja, tak sempat nak buat apa-apa lagi. Nak beri pesan kepada sesiapa pun tidak sempat langsung. Orang yang mengandung sangat terkejut semasa kejadian itu, dia akan gugurkan anak dalam kandungannya.

Orang yang sedang menyusu anak, akan membaling anaknya kerana terkejut dan takut sangat dengan kejadian kiamat. Maka akan mati semua makhluk tujuh langit dan tujuh bumi melainkan yang dikehendaki oleh Allah. Kejadian-kejadian ini banyak disebut dalam Al-Qur’an dan kita kena baca semua ayat Al-Qur’an itu mendapatkan kesemua cerita dengan lengkap. Dan tambahan maklumat kena baca dan belajar dari Hadis Sahih.

Apabila ditiup sangkakala, maka akan mati semua makhluk. Melainkan yang dikehendaki Allah, iaitu malaikat seramai 12 orang. Kemudian, malaikat itu semuanya akan dimatikan satu persatu dan akhirnya akan tinggal Malaikat Israfil sahaja. Waktu itu Allah akan tanya Israfil: “Siapa lagi yang ada, wahai Israfil?” Israfil akan jawab: “Hanya aku dan Kamu ya Allah”. Maka Tuhan akan kata: “Mati kamu wahai Israfil!”.

Jadi makhluk mati dengan tiga cara:

Pertama, dengan perantaraan Malaikat Maut.
Kedua, dengan tiupan sangkakala.
Ketiga, dengan perintah Tuhan.

Jadi, apabila berlakunya kiamat, semua orang akan tahu bahawa itu memang Kiamat. Semua orang tidak boleh menidakkan kiamat sedang berlaku. Tapi waktu itu mereka tak sempat nak pesan kepada sesiapa pun. Bila berlaku sahaja Kiamat, dia pun akan terus mati.


 

Ayat 3: Apakah tujuan Hari Kiamat itu?

خافِضَةٌ رّافِعَةٌ

Sahih International

It will bring down [some] and raise up [others].

Malay

Kejadian hari kiamat itu merendahkan (golongan yang ingkar), dan meninggikan (golongan yang taat).

 

خَافِضَةٌ

Merendahkan;

Allah hendak memberi balasan kepada mereka yang engkar semasa hidup di dunia. Iaitu mereka yang engkar kepada perintah Allah. Mereka ini akan dimasukkan ke dalam neraka dan kedudukan mereka akan direndahkan dengan serendah-rendahnya.

Ada yang akan dimasukkan sehingga ke bahagian paling bawah neraka. Walaupun mereka dulu di dunia adalah orang-orang yang berkedudukan tinggi dan terhormat.

Ia juga bermaksud yang benda yang asalnya tinggi akan direndahkan, seperti gunung-gunung, bukit bukau akan direndahkan. Bintang-bintang juga akan jatuh. Begitu juga bangunan-bangunan tinggi akan jatuh dan macam-macam lagi benda tinggi akan jatuh.

 

رَافِعَةٌ

Meninggikan;

Dan ada puak yang lain yang akan diangkat kedudukan mereka supaya dimasukkan ke dalam syurga. Mereka itu boleh dinaikkan tinggi sampai ke tingkatan Syurga Naim walaupun dulu mereka semasa di dunia adalah orang-orang yang rendah miskin hina dina. Ini adalah kerana mereka taat kepada perintah Allah dan mengamalkan ajaran dan fahaman tauhid.

Dan begitu juga ia membawa maksud yang benda-benda rendah akan dinaikkan. Contohnya air laut akan naik dan melimpah. Manusia yang telah ditanam rendah akan dikeluarkan.


 

Ayat 4: Allah menceritakan keadaan semasa Kiamat itu kelak. Cubalah bayang-bayangkan keadaan itu untuk beri takut kepada diri kita. Kerana kalau kita dapat sematkan rasa takut dalam hati kita, tentu kita takut untuk buat dosa.

إِذا رُجَّتِ الأَرضُ رَجًّا

Sahih International

When the earth is shaken with convulsion

Malay

(Ia berlaku) semasa bumi digoncang dengan sebenar-benar goncangan.

 

Pertamanya, Kiamat itu nanti akan menyebabkan bumi ini bergoncang dengan kuat sekali. Sampaikan manusia yang ada waktu itu hendak berdiri pun tidak boleh kerana kuat sangat goncangan itu. Mereka akan jatuh seperti orang mabuk jatuh.

Kalau sekarang di dunia, memang kadangkala ada gempa bumi. Tapi ianya berlaku di satu-satu kawasan sahaja. Tapi pada hari Kiamat nanti, ianya berlaku di seluruh dunia. Tambahan pula, goncangan gempa bumi beberapa saat sahaja dan berhenti; goncangan Kiamat ini tidak akan berhenti. Ini tidak pernah terjadi lagi dalam sejarah.

Dan goncangan itu sampai menyebabkan air laut akan melimpah. Kalau kita letak air dalam besen dan kita goncang besen itu, tentulah air akan berkocak dan melimpah keluar. Apabila bumi digoncang, air lautan akan sampai ke daratan. Melompat air itu ke kawasan yang makhluk tinggal (kawasan darat) dan akan melemaskan mereka.

Waktu itu, tidak ada tempat yang akan selamat. Kalau kejadian Tsunami dulu, sebahagian tempat sahaja yang kena, tapi apabila Kiamat nanti, semua tempat akan tenggelam.


 

Ayat 5: Apa yang akan terjadi kepada gunung ganang yang kukuh itu?

وَبُسَّتِ الجِبالُ بَسًّا

 Sahih International

And the mountains are broken down, crumbling

Malay

Dan gunung-ganang dihancur leburkan dengan selebur-leburnya,

 

Kalimah ب س س digunakan juga apabila tepung diuli. Ini memberi isyarat yang nanti akan sampai masanya gunung terpecah dan hancur jadi debu. Kita telah sebut bagaimana benda yang dari bawah naik ke atas dan yang atas akan jatuh ke bawah. Begitulah yang akan terjadi kepada gunung nanti.

Zaman sekarang, manusia melihat gunung ganang itu amat kukuh. Orang Arab pun memang terpesona dengan gunung ganang itu. Kerana itu Allah selalu gunakan gunung sebagai contoh. Allah nak beritahu, gunung yang mereka lihat kukuh itu nanti akan hancur sehancur-hancurnya.


 

Ayat 6: Kemudian apa jadi kepada gunung ganang itu?

فَكانَت هَباءً مُّنبَثًّا

Sahih International

And become dust dispersing.

Malay

Lalu menjadilah ia debu yang bertebaran,

 

فَكَانَتْ هَبَاءً

Maka terjadilah ia seperti debu

Gunung itu akan hancur sampai jadi debu. Ianya akan pecah dan bukan sahaja pecah, tapi jadi sampai debu. Maknanya, memang teruk dan kuat sekali goncangan Kiamat nanti sampai gunung pun boleh jadi debu.

 

مُنْبَثًّا

berterbangan;

Dan debu-debu itu akan berterbangan ke merata arah. Gunung-ganang akan tercabut dari paksinya dan hancur jadi debu. Hancur jadi debu dan diterbangkan dan dihamburkan oleh angin. Bagai kapas yang diterpa angin. Begitulah gambaran betapa teruknya Kiamat nanti.


 

Ayat 7: Apa yang akan terjadi selepas itu? Setelah bumi ini hancur, maka tinggal akhirat sahaja. Tempat tinggal asal kita di dunia tidak ada lagi.

وَكُنتُم أَزوٰجًا ثَلٰثَةً

Sahih International

And you become [of] three kinds:

Malay

Dan kamu pula menjadi tiga puak (yang berlainan keadaannya);

 

Dipendekkan cerita, selepas semuanya mati, semua makhluk akan hancur semuanya. Dan setelah berlalu sekian masa yang lama, makhluk akan dibangunkan dari kubur-kubur mereka.

Kalimah زوج selalunya digunakan untuk ‘pasangan’ atau kelompok. Iaitu mereka yang memerlukan satu sama lain. Macam di dunia sekarang, ada kumpulan yang besar yang memerlukan pertolongan sesama mereka. Sebagai contoh, orang-orang politik memerlukan sesama sendiri untuk terus berkuasa.

Semua golongan itu akan bangkit serentak. Dan semua akan dibawa ke Mahsyar berduyun-duyun untuk mengadap Allah. Dan semua manusia dan jin akan dibahagikan kepada tiga golongan besar. Ada banyak jenis pembahagian manusia nanti, tapi secara umumnya, akan terbahagi kepada tiga golongan sahaja.


 

Ayat 8: Allah menceritakan satu persatu golongan besar itu. Ingat, ada tiga golongan semua sekali. Ini adalah golongan yang pertama.

فَأَصحٰبُ المَيمَنَةِ ما أَصحٰبُ المَيمَنَةِ

Sahih International

Then the companions of the right – what are the companions of the right?

Malay

Iaitu puak pihak kanan; alangkah bahagianya keadaan puak pihak kanan itu?

 

فَأَصْحٰبُ الْمَيْمَنَةِ

Satu puak golongan kanan;

Mereka ini adalah yang menerima buku amalannya dengan tangan kanan di Mahsyar. Kitab itu dalam bentuk skrol. Apabila mereka menerima kitab amalan mereka itu dengan tangan kanan mereka, maka bergembiralah mereka.

‘Kanan’ selalu dikaitkan dengan kebaikan dan golongan yang baik dan benar, di dunia ini lagi. Sebagai contoh, ada golongan yang dipanggil ‘golongan kanan’. Itu memberi maksud yang golongan itu adalah golongan yang diiktiraf oleh kerajaan.

Dan ini digunakan seantero dunia, tidak kira kerajaan Islam atau tidak. Memang kanan menjadi sesuatu yang dihormati. Orang Arab pun faham sebegini dan kalau ada tetamu yang mereka hendak muliakan, maka mereka akan letakkan orang itu di sebelah kanan.

Dan kanan juga amat penting dalam Islam. Kerana itu sunat untuk memulakan sesuatu yang baik dari sebelah kanan dahulu seperti wuduk, makan, melangkah masuk masjid dan sebagainya. Kanan memang ada kelebihan dalam agama Islam pun.

 

مَا أَصْحٰبُ الْمَيْمَنَةِ

Siapakah mereka yang dalam golongan kanan itu.

Kalimah ما ini boleh jadi ma istifham (pertanyaan). Allah tanya pembaca Al-Qur’an soalan ini kerana Allah hendak memberitahu kepada kita.

Ini adalah cara Allah menarik minat manusia iaitu dengan tanya kepada kita, pembaca Al-Qur’an ini. Sebagaimana kalau kita mengajar orang lain, kita kata: “Nak tahu tak? Nak tahu tak?”. Dengan menarik perhatian mereka dahulu, mereka lebih suka hendak tahu apa yang kita hendak sampaikan. Maka sekarang Allah tanya: hendakkah kita tahu siapakah ‘golongan kanan’ itu?

Atau kalimah ما dalam ayat ini boleh menjadi ma ta’jub. Alangkah bertuahnya mereka yang dapat Kitab Amalan dari tangan kanannya. Allah juga hendak menceritakan bagaimana dia pun suka apabila dia dapat kitab amalan di tangan kanannya. Dan dalam ayat lain disebut yang dia akan bagi orang lain tengok dan baca Kitab Amalannya kerana dia bangga dengan keputusan di dalam kitab itu.


 

Ayat 9: Golongan kedua pula adalah Golongan Kiri.

وَأَصحٰبُ المَشئَمَةِ ما أَصحٰبُ المَشئَمَةِ

Sahih International

And the companions of the left – what are the companions of the left?

Malay

Dan puak pihak kiri; – alangkah seksanya keadaan puak pihak kiri itu?

 

وَأَصْحٰبُ الْمَشْئَمَةِ

Dan golongan kiri;

Mereka ini nanti akan lari dari kitab amal mereka. Ini adalah kerana mereka sendiri takut untuk membaca apa yang tertulis dalam kitab itu kerana mereka tahu yang mereka telah banyak melakukan kesilapan dan dosa semasa di dunia. Maka mereka pun nak lari jauh-jauh dari kitab amalan mereka sendiri.

Akan tetapi semasa mereka lari itu, kitab itu akan mengejar mereka dan semasa tangan mereka di belakang, dia akan tertangkap kitab amalan itu dengan tangan kirinya.

 

مَا أَصْحٰبُ الْمَشْئَمَةِ

Siapakah golongan kiri ini?

Mereka ini adalah golongan yang celaka. Dan mereka golongan yang tidak selamat. Memang dari di dunia ini pun ‘kiri’ selalu dikaitkan dengan perkara yang negatif. Sampaikan golongan penentang kerajaan di mana-mana pun akan dipanggil ‘golongan haluan kiri’.

Masyarakat Arab juga tidak suka kepada kiri kerana ia dianggap sebagai sial. Ada amalan khurafat yang mereka lakukan, iaitu apabila hendak bermusafir mereka akan lepaskan burung. Kalau burung terbang ke kanan maka itu tanda perjalanan itu akan jadi baik; tapi kalau terbang ke kiri, maka itu isyarat yang musafir itu akan menemui bala. Maka mereka mengaitkan kiri dengan perkara buruk dan sial.

Dan kalau seseorang tetamu diletakkan di bahagian kiri, maka itu adalah satu penghinaan kepada mereka.

Dan bahagian kiri juga tidak molek dalam Islam. Kerana itu kita makan dengan tangan kanan, tapi untuk membasuh najis kita disuruh menggunakan tangan kiri, bukan? Ini pun sudah memberi isyarat yang kiri itu tidak baik.

Kalimah ما dalam ayat ini adalah ma ta’jub. Alangkah celaka dan hinanya mereka ini. Di Mahsyar nanti, mereka akan duduk di sebelah kiri.

Juga boleh bermaksud Allah bertanya kepada pembaca Al-Qur’an untuk menarik perhatian kepada siapakah golongan Kiri itu dan apakah ciri-ciri mereka.


 

Ayat 10: Ini pula adalah golongan ketiga. Ayat 10 – 26 adalah Perenggan Makro Kedua dan memberi pengenalan kepada kelompok as-Sabiqun. Mari kita belajar siapakah mereka dan semoga kita boleh menjadi golongan ini.

وَالسّٰبِقونَ السّٰبِقونَ

Sahih International

And the forerunners, the forerunners –

Malay

Dan orang-orang yang telah mendahului, yang akan mendahului;

 

Kalimah السّٰبِقونَ yang pertama adalah mubtada’ dan kalimah السّٰبِقونَ yang kedua adalah khabar. Kalimah السّٰبِقونَ dari katadasar س ب ق yang bermaksud ‘awal’. Mereka ini adalah Golongan Awal. Sebelum orang lain beriman, mereka sudah beriman. Oleh kerana itu di Mahsyar nanti, mereka akan duduk paling dekat dengan Allah.

Dari segi bahasa, سابق adalah isim bagi mereka yang menang pertandingan. Yang memang telah menang. Maknanya Allah hendak memberi isyarat yang golongan itu telah menang. Ini adalah kerana mereka ini yang selalu bersegera dalam hal kebaikan. Mereka yang mula-mula beriman, mula menawarkan diri untuk berjihad, untuk infak dan sebagainya. Mereka berlumba-lumba dalam membuat kebaikan.

Mereka ini adalah golongan Islam kelas pertama. Pada zaman Nabi, merekalah golongan Muhajirin dan Ansar. Golongan Muhajirin sanggup tinggalkan semua sekali harta mereka di Mekah apabila mereka berpindah ke Madinah. Mereka hanya bawa apa sahaja yang mereka boleh bawa atas unta sahaja (atau di belakang tubuh mereka sahaja). Harta yang mereka tinggalkan kerana tak boleh bawa, semuanya diambil oleh Musyrikin Mekah.

Dan Puak Ansar pula telah menyambut golongan Muhajirun itu. Diberikan sebahagian harta mereka kepada golongan Muhajirun itu. Yang isteri ramai, akan memberikan isterinya kepada mereka juga.

Setiap dari mereka digandingkan dengan sahabat dari Mekah itu supaya dapat membantu apa yang patut. Kerana Muhajirin datang dengan tidak ada apa-apa, jadi mereka memerlukan bantuan dalam kehidupan mereka. Itulah sahabat Nabi yang amat mulia dan mereka mendapat pujian dari Allah sendiri kerana pengorbanan mereka itu.

Tak ramai lagi sahabat masa itu. Semasa Perang Badr pada tahun 2 Hijrah, sahabat Nabi yang berperang hanya seramai 313 orang sahaja. Semasa tahun 7 Hijrah, iaitu semasa Perang Khandak, perang yang ada kisah gali parit keliling Madinah itu, sahabat Nabi hanya seramai tiga ribu orang sahaja. Itu bermakna, wahyu telah turun selama 20 tahun kalau ditambah dengan 13 tahun Nabi di Mekah.

Semasa Perang Ahzab, di mana semua orang kafir bergabung memerangi orang Islam Madinah, mereka hanya tiga ribu orang sahaja dan mereka menentang 12 ribu orang kafir. Keadaan masa itu amat genting sekali tapi tidak pernah pun Nabi buat solat Hajat berjemaah waktu itu sebelum perang.

Nabi hanya berdoa: “Kalau Kamu tidak bantu kami ya Allah, maka tidak akan ada orang yang akan sebut namaMu ya Allah.” Maka Tuhan bawa turun angin ribut menentang orang kafir. Maka kerana itu kita tekankan yang Solat Hajat berjemaah bukan dari syariat kita sebenarnya. Ianya adalah amalan bidaah rekaan sahaja.

Selepas itu, semasa terjadinya Perjanjian Hudaybiah, sahabat Nabi hanya seramai lebih 1,400 sahaja yang pergi hendak mengerjakan Umrah di Mekah. Tapi apabila Penaklukan Mekah, waktu itu sudah berpuluh ribu yang masuk Islam. Kemudian selepas itu yang datang buat Haji bersama dengan Nabi pun sudah ramai, seratus ribu lebih yang datang sekali.

Bermakna, dalam mengambil jalan sunnah ini, pada permulaannya memang susah, tapi lama kelamaan, orang akan dapat menerima kebenaran agama ini dan ramai lagi yang akan masuk.

Tapi ianya hendaklah dimulai oleh golongan yang awal. Kalau zaman Nabi, mereka itu adalah para sahabat di Mekah dan golongan Ansar di Madinah. Maka semoga kita termasuk golongan yang awal ini. Maka kena sabarlah dahulu untuk menyampaikan dakwah sunnah ini.

Jadi kebanyakan dari mereka adalah dari golongan Islam yang awal. Golongan zaman sekarang yang termasuk dalam golongan awal ini adalah mereka yang mula-mula menerima ajaran tauhid yang disampaikan oleh guru yang mengajar mengikut sunnah.

Memang awalnya tidak ramai golongan Sunnah ini, sampaikan ada yang ditindas oleh pihak yang ada kedudukan. Tapi jangan kita bagi haru hati kita. Sebagaimana pihak awal zaman Nabi mendapat kelebihan, maka kita sebagai golongan awal ini juga akan dapat kelebihan berganda-ganda juga.

Mereka inilah yang akan mula-mula masuk syurga. Ini adalah kerana mereka yang mula-mula beriman dari setiap umat. Maknanya ada umat yang beriman dengan Nabi Muhammad, Nabi Musa dan Nabi-nabi lain. Kita tidak ada Nabi lagi, tapi kita yang mula-mula beriman dengan ajaran Sunnah di negara kita.

Boleh juga bermaksud, mereka yang pertama sekali pergi ke masjid dan yang pertama sekali pergi berjuang di jalan Allah. Dan orang yang bersegera berbuat kebaikan seperti yang diperintahkan kepada mereka. Mereka tidaklah tunggu orang lain dan ikut orang lain. Mereka terus buat sahaja.

Dan kerana mereka telah melakukannya, ramai yang mengikuti mereka. Kerana ada orang yang ikut mereka, maka pahala orang yang mengikut itu juga akan diberikan kepada orang yang mula-mula buat. Maka pahala mereka akan berganda-ganda kerana dalam saham dari pahala orang lain.

Oleh itu, sesiapa yang di dunia ini berlumba-lumba menuju kebaikan, maka di akhirat kelak akan termasuk orang-orang yang paling dulu mendapatkan kemuliaan. Semoga kita termasuk dalam golongan ini.


 

Ayat 11: Penerangan tentang Golongan Muqarraboon ini. Jadi mereka juga dikenali dengan nama ‘muqarraboon’ selain dari ‘musaabiqoon’.

أُولٰئِكَ المُقَرَّبونَ

Sahih International

Those are the ones brought near [to Allah ]

Malay

Mereka itulah orang-orang yang didampingkan (di sisi Allah),

 

Apakah kelebihan golongan awal itu? Mereka juga akan didekatkan dengan Allah. Di Mahsyar nanti, mereka duduk dekat dengan Allah sebagai penghormatan untuk mereka.

Sepatutnya ayat ini jadi أُولٰئِكَ هُمُ المُقَرَّبونَ baru jadi lengkap tapi kerana balaghah, dibuangkan kalimah هُمُ kerana Allah hendak mendekatkan lagi kedudukan mereka. Seolah-olah tidak ada lagi penghalang antara mereka dan Allah. Dalam ayat ini sahaja sudah tunjuk kedekatan mereka itu.

Ini adalah satu kelebihan, bukan? Kerana kalau kita duduk dekat dengan orang besar dalam kerajaan pun kedudukan kita sudah tinggi. Apatah lagi kalau dekat itu dengan Allah pula!

Kalau kalimah مُقرَب digunakan, ia bermaksud terus didekatkan. Tapi kalimah مُقَرَّب dalam wazan yang lain bermaksud seseorang yang didekatkan sedikit demi sedikit. Di Mahsyar nanti mereka akan didekatkan sedikit demi sedikit.

Ini memberi isyarat bahawa mereka juga sudah begitu semasa di dunia. Iaitu mereka melalui proses untuk mendekatkan diri kepada Allah. Kerana mendekatkan diri dengan Allah bukannya segera tapi memerlukan usaha dari kita. Kena belajar sikit-sikit dan kadangkala jatuh sekejap tapi naik kembali. Ini biasa sahaja.

Maka mereka itu adalah golongan yang mengamalkan tauhid dan ajaran Sunnah. Akan tetapi guru yang ajar ajaran salah mengatakan mereka yang muqarraboon itu adalah golongan yang baca wirid dengan banyak pula. Kononnya kalau wirid banyak, akan didekatkan dengan Allah. Kalau wirid dan zikir itu yang sunnah, tidak mengapalah. Tapi malangnya mereka diajar mengamalkan wirid dan zikir yang salah.

Jadi sebenarnya bukanlah begitu. Yang hampir dengan Allah adalah orang yang mula-mula percaya kepada ajaran Tauhid. Semasa orang lain tidak mahu terima lagi, mereka dulu yang terima.

Kalau anda baca dan terima penulisan ini, besar kemungkinan anda juga termasuk ke dalam golongan ini. Kerana ia bukanlah hanya terbuka kepada orang-orang yang dahulu, tapi kita di zaman sekarang pun boleh dapat juga kelebihan ini.

Ini kerana kalau kita ambil jalan tauhid ini, memang mengalami banyak rintangan dan tentangan dari manusia lain. Termasuk dari orang yang beragama Islam pun. Oleh kerana ada kesusahan dan dugaan yang besar dan sanggup sabar, maka Allah balas dengan beri kedudukan tinggi.

Maka kerana susahnya pegangan ini, maka Allah berikan kelebihan yang amat besar kepada mereka yang sabar dan terus istiqamah dalam mengamalkan tauhid. Dan bukanlah hanya mengamalkannya sahaja, tapi kena sampaikan juga kepada orang lain. Jangan simpan sendiri sahaja.


 

Ayat 12: Kemudian Allah terangkan terus apakah kelebihan yang akan didapati oleh golongan Muqarraboon itu.

في جَنّٰتِ النَّعيمِ

Sahih International

In the Gardens of Pleasure,

Malay

(Tinggal menetap) di dalam Syurga-syurga yang penuh nikmat.

 

Mereka akan ditempatkan di dalam kebun-kebun syurga yang penuh nikmat di dalamnya. Syurga adalah tempat untuk menikmati pemberian Allah sahaja. Dan kalimah النَّعيمِ bermaksud ianya adalah nikmat yang sempurna. Ianya adalah tempat rehat, bukan tempat buat kerja. Tidak ada ibadat lagi di syurga.

Di dunia kita kena tahan nafsu kita, tidak boleh itu dan ini. Tapi di syurga nanti, ianya tempat untuk memuaskan nafsu kita ikut sekehendak kita. Ini adalah balasan bagi mereka yang menahan nafsu mereka semasa di dunia.

Sebagai contoh, kalau di dunia mereka menahan diri mereka dari berzina, maka di syurga nanti mereka akan diberikan pasangan dan bidadari untuk memuaskan nafsu mereka sepuas-puasnya. Dan kekuatan lelaki di syurga tidak sama dengan kekuatan di dunia. Kekuatan seorang lelaki adalah seperti kekuatan seratus orang lelaki!


 

Ayat 13: Golongan Muqarraboon ini memang tidak ramai.

ثُلَّةٌ مِّنَ الأَوَّلينَ

Sahih International

A [large] company of the former peoples

Malay

(Di antaranya) sekumpulan besar dari umat-umat manusia yang terdahulu;

 

Peratusan mereka yang termasuk dalam golongan muqarraboon ini tidak banyak. Dari bilangan yang tidak banyak itu pula, sebahagian besarnya dari golongan terdahulu.

Kalimah ثُلَّةٌ ini dari segi bahasa bermakna 1/3 sahaja. Tapi kalau dibandingkan secara keseluruhan, mereka itu lebih ramai. Ini kerana bilangan mereka ramai. Jadi peratusan dari bilangan yang ramai, adalah tinggi.

Memang mereka itu tidak ramai. Bayangkan, yang hijrah bersama Nabi ke Madinah dalam 80 orang sahaja. Semasa Perang Badr, orang Islam dalam 400 orang sahaja. Itulah kelebihan mereka dan Nabi pernah bersabda: “Sebaik-baik kurun adalah kurunku, kemudian kurun setelahnya, dan kemudian kurun setelahnya,”

Siapakah antara kita yang hendak masuk dalam golongan ini? Kalau kita yang dahulu menerima tauhid ini, in sha Allah kita juga akan dikira sebagai termasuk dalam golongan orang yang awal.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 6 Mei 2020


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Kahfi Ayat 25 – 28 (Berapa tahun mereka tidur?)

BERAPA LAMA TINGGAL DI DALAM GUA

Kahf Ayat 25: Kembali kepada kisah Ashabul Kahfi.

وَلَبِثوا في كَهفِهِم ثَلٰثَ مِاْئَةٍ سِنينَ وَازدادوا تِسعًا

 Sahih International

And they remained in their cave for three hundred years and exceeded by nine.

Malay

Dan mereka telah tinggal tidur dalam gua mereka: Tiga ratus tahun dengan tambah sembilan lagi (dengan kiraan kamu).

 

وَلَبِثُوا فِي كَهْفِهِمْ ثَلٰثَ مِاْئَةٍ سِنِينَ

Dan mereka tinggal dalam gua itu selama 300 tahun;

Dalam hadith, diceritakan apabila Allah ﷻ beritahu 300 tahun pemuda Kahfi itu tinggal dalam gua, para sahabat bertanya, 300 tahun tepatkah? Maka Allah ﷻ tambah ayat seterusnya.

 

وَازْدَادُوا تِسْعًا

dan tambah sembilan tahun;

Maknanya 309 tahun mereka tinggal di gua itu. Jumlah 309 tahun itu adalah Tahun Qamari (yang dipanggil bulan Islam – kalendar yang mengikut kiraan perjalanan bulan). Sementara 300 Syamsiah (Gregorian Calender – kalendar yang mengikut perjalanan matahari). Setiap seratus tahun syamsiah, ditambah tiga tahun jikalau menggunakan kalendar qamari.

Maka dalam ayat ini, Allah ﷻ memberikan jumlah tahun jika menggunakan kalendar Islam dan juga kalendar yang biasa kita guna itu. Bermakna, Allah ﷻ iktiraf juga penggunaan kalendar Gregorian itu (kalendar yang kita biasa guna). Ia juga adalah salah satu daripada mukjizat sejarah Al-Qur’an kerana menyebut tentang kalendar yang berlandaskan matahari yang telah lama digunakan oleh manusia.

Apabila diberitahu dalam ayat ini mereka tinggal selama 309 tahun, puak Yahudi kehairanan kerana setahu mereka dalam hikayat mereka, Pemuda Kahfi tinggal di gua itu selama 300 tahun sahaja. Memanglah kalau zaman Pemuda Kahfi itu dikira 300 tahun kerana mereka menggunakan kiraan Tahun Syamsiah tetapi orang Arab menggunakan kaedah lain.

Allah ﷻ lebih mengetahui berapa lamakah mereka tinggal di dalam gua itu. Maka, apabila mereka tanya kenapa tdiambah 9 tahun lagi itu, Allah ﷻ jawab dalam ayat seterusnya:


 

Kahf Ayat 26: Bagaimana kalau ada yang membantah tentang maklumat di atas?

قُلِ ٱللَّهُ أَعلَمُ بِمَا لَبِثُواْ‌ۖ لَهُ ۥ غَيبُ ٱلسَّمَـٰوٰتِ وَٱلأَرضِ‌ۖ أَبصِر بِهِۦ وَأَسمِع مَا لَهُم مِّن دُونِهِۦ مِن وَلِىٍّ وَلَا يُشرِكُ فِى حُكمِهِۦۤ أَحَدًا

 Sahih International

Say, ” Allah is most knowing of how long they remained. He has [knowledge of] the unseen [aspects] of the heavens and the earth. How Seeing is He and how Hearing! They have not besides Him any protector, and He shares not His legislation with anyone.”

Malay

Katakanlah (wahai Muhammad): “Allah jua yang mengetahui tentang masa mereka tidur; bagiNya lah ilmu pengetahuan segala rahsia langit dan bumi; terang sungguh penglihatanNya (terhadap segala-galanya)! Tidak ada bagi penduduk langit dan bumi pengurus selain daripadaNya dan Dia tidak menjadikan sesiapapun masuk campur dalam hukumNya.

 

قُلِ اللهُ أَعْلَمُ بِمَا لَبِثُوا

Katakanlah: Allah lah yang paling tahu berapa lama mereka tinggal;

Allah ﷻ sahaja yang tahu masa yang tepat. Maka jangan persoalkan kalau Allah ﷻ sudah beritahu mereka tinggal selama 309 tahun dalam gua itu. Allah ﷻ tahu dengan tepat berapa hari, berapa jam, berapa bulan, tetapi Allah ﷻ tidak beritahu kepada kita. Masa itu tidak penting untuk diketahui. Yang penting adalah pengajaran yang boleh diambil.

 

لَهُ ۥ غَيبُ ٱلسَّمَـٰوٰتِ وَٱلأَرضِ‌ۖ

MilikNya lah sahaja ilmu ghaib langit dan bumi;

Allah ﷻ tahu segala maklumat kerana Allah ﷻ sahaja yang tahu tentang perkara yang ghaib. Kita tidak akan tahu apa-apa melainkan diberitahu oleh Allah ﷻ. Kita tahu sedikit pun atas izin Allah ﷻ semata. Maka, kalau ada orang yang kata guru mereka tahu tentang perkara ghaib, maka itu adalah tidak benar.

Ini selalu terjadi kepada golongan tarekat. Pada mereka, guru mereka tahu macam-macam. Akan tetapi memang ahli tarekat senang untuk ditipu oleh guru-guru mereka dan senang untuk ditipu oleh syaitan kerana mereka tidak ada ilmu wahyu. Selalunya yang termasuk dalam ajaran tarekat ini adalah golongan yang jahil agama.

Ini terjadi juga kepada puak Syiah sekarang. Mereka meletakkan imam-imam mereka sampai kepada taraf Allah ﷻ, kerana mereka kata imam-imam itu tahu segala apa yang terjadi di alam ini.

 

أَبْصِرْ بِهِ

Alangkah tajam penglihatan Allah

Allah ﷻ Maha Melihat apakah yang terjadi dalam alam ini. Khusus dalam ayat ini berkenaan kisah pemuda Kahf ini, Allah ﷻ sahaja yang tahu apakah yang terjadi semasa mereka di dalam gua itu. Allah ﷻ telah menghalang orang lain daripada memasuki gua itu, maka Dia sahaja yang tahu apa yang akan terjadi.

 

وَأَسْمِعْ

dan alangkah tajam pendengaran Allah;

Allah ﷻ tahu segala-galanya tentang makhluk Dia. Dia Maha Tahu segala-galanya yang terjadi dalam alam ini. Khusus kepada kisah pemuda Kahf ini, Allah ﷻ sahaja yang tahu apakah percakapan pemuda Kahf itu sesama mereka.

Tentu banyak percakapan antara mereka, tetapi Allah ﷻ hanya memberitahu kepada kita sedikit Sahaja kerana yang sedikit itu sahaja yang penting untuk kita ambil pengajaran.

 

مَا لَهُم مِّن دُونِهِۦ مِن وَلِىٍّ

Tidak ada bagi mereka selain daripada-Nya sebarang pelindung pun

Keselamatan Pemuda Kahfi itu adalah dalam tangan Allah ﷻ. Allah ﷻlah yang menyelamatkan mereka semasa mereka di dalam gua itu dan Allah ﷻlah juga yang menyelamatkan mereka semasa mereka lari ke gua itu dan selepas mereka keluar dari gua itu. Tidak ada pun yang menyelamatkan mereka selain Allah ﷻ.

Oleh itu apabila ada manusia yang bertawasul dan mengambil berkat daripada Pemuda-pemuda Kahfi itu, amatlah mengarut sekali kerana mereka sendiri tidak memiliki kuasa. Mereka sendiri pun berharap kepada Allah ﷻ, maka bagaimana mereka hendak membantu orang lain?

 

وَلَا يُشرِكُ فِى حُكمِهِۦۤ أَحَدًا

dan Dia tidak berkongsi dengan sesiapa pun dalam membuat keputusan;

Apabila Allah ﷻ berkeinginan membuat sesuatu, Dia tidak perlu bertanya kepada sesiapa pun. Dia buat terus sahaja dan ia akan terjadi. Tidaklah Allah ﷻ perlu bermesyuarat dengan sesiapa, minta pendapat sesiapa. Ini adalah seperti pendapat sesat yang mengatakan Allah ﷻ ada melantik para wali yang mengurus alam ini. Ini adalah pandangan syirik (syirk fi tasarruf – mengurus). Maka kalau kita perlukan apa-apa, maka berdoa teruslah kepada Allah ﷻ kerana semua keputusan di tangan Allah ﷻ. Kalau kita perlukan bantuan apa-apa pun, Allah ﷻ sahaja yang boleh bantu.

Sekian, habis kisah Para Pemuda Kahfi itu.


 

NASIHAT KEPADA RASULULLAH

Kahf Ayat 27: Dalil Wahyi (arahan daripada Allah ﷻ).

وَٱتلُ مَآ أُوحِىَ إِلَيكَ مِن ڪِتَابِ رَبِّكَ‌ۖ لَا مُبَدِّلَ لِكَلِمَـٰتِهِۦ وَلَن تَجِدَ مِن دُونِهِۦ مُلتَحَدًا

 Sahih International

And recite, [O Muhammad], what has been revealed to you of the Book of your Lord. There is no changer of His words, and never will you find in other than Him a refuge.

Malay

Dan bacakanlah apa yang diwahyukan kepadamu daripada kitab Tuhanmu; tiada sesiapa yang dapat mengubah kalimah-kalimah-Nya; dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat tempat perlindungan selain daripada-Nya.

 

وَٱتلُ مَآ أُوحِىَ إِلَيكَ مِن ڪِتَابِ رَبِّكَ‌ۖ

Dan bacakanlah apa yang telah diwahyukan kepada kamu daripada kitab Tuhanmu;

Ini adalah ayat perintah. Allah ﷻ mengarahkan Nabi ﷺ untuk terus membacakan ayat-ayat Al-Qur’an kepada manusia. Bukan Nabi ﷺ baru sekarang disuruh untuk baca, tetapi baginda disuruh untuk teruskan membaca, terus lakukan apa yang baginda telah lakukan.

Termasuk juga kena bacakan kepada Ahli Kitab. Mereka tidak berpuas hati kerana Nabi ﷺ tidak memberikan maklumat seperti yang mereka mahukan. Mereka adalah satu bangsa yang suka maklumat-maklumat yang terperinci. Maklumat-maklumat itu semua tidak penting tetapi mereka mahu tahu juga.

Oleh itu jangan jadi seperti mereka yang ingin tahu segala perkara kerana kalau ada maklumat yang tidak disebut oleh Allah ﷻ, itu bermakna maklumat itu tidak penting untuk diketahui. Maka kita kena rasa cukup dengan maklumat yang diberikan oleh Allah ﷻ.

Allah ﷻ juga memerintah Nabi ﷺ membacakan ayat-ayat Al-Qur’an dan menyampaikannya kepada manusia. Maknanya, dalam berdakwah, kita kena bacakan kepada manusia ayat-ayat Al-Qur’an. Itulah cara dakwah yang sebenarnya. Semasa Nabi ﷺ berdakwah dulu, baginda juga berdakwah dengan membacakan ayat Al-Qur’an kepada manusia. Tidaklah baginda menyanyikan nasyid dan qasidah pula.

Terdapat hikmah yang tinggi dalam ayat-ayat Al-Qur’an yang dapat membuka hati manusia. Itulah yang kita kena ajarkan kepada manusia. Selepas mereka telah menerima Al-Qur’an, boleh kita teruskan dengan mengajar hadith kepada mereka. Hadith itu boleh dibacakan kepada mereka yang telah menerima tauhid.

Kalau mereka belum terima tauhid, mereka akan tanya bermacam-macam perkara sampai kita sendiri susah hendak menjawabnya. Ini kerana hadith itu ada yang sahih, ada yang lemah dan ada yang palsu. Mereka akan menimbulkan banyak persoalan tentang hadith. Ini adalah kerana hati mereka belum menerima tauhid. Akan tetapi tentang ayat-ayat Al-Qur’an, tidak ada sesiapa yang berani mempersoalkan kerana ia memang mutawatir daripada Allah ﷻ.

Setelah dibacakan ayat-ayat wahyu, maka mestilah diikuti. Bukannya seperti orang kita yang hanya baca sahaja tanpa faham (kalau tidak faham, bagaimana hendak ikut?). Ini kerana kalimah اتْلُ ada membawa maksud ‘ikut’ seperti yang digunakan di dalam Syams: 2

وَٱلقَمَرِ إِذَا تَلَٮٰهَا
dan bulan apabila mengikutinya,

Untuk mengharap rahmat daripada Allah ﷻ, hendaklah kita ikuti ajaran di dalam Al-Qur’an dengan sebaik-baiknya. Allah ﷻ telah berfirman di dalam Fatir: 29

إِنَّ الَّذينَ يَتلونَ كِتٰبَ اللهِ وَأَقامُوا الصَّلَوٰةَ وَأَنفَقوا مِمّا رَزَقنٰهُم سِرًّا وَعَلانِيَةً يَرجونَ تِجٰرَةً لَّن تَبورَ
Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca kitab Allah dan mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian daripada rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka dengan diam-diam dan terang-terangan, mereka itu mengharapkan perniagaan yang tidak akan merugi,

Lihatlah di dalam Fatir: 29 ini Allah ﷻ sebut amalan yang dilakukan setelah membawa kitab. Maknanya bukan setakat baca sahaja, tetapi mestilah beramal. Begitulah yang dimaksudkan dengan ‘sebenar-sebenar bacaan’ seperti disebut di dalam Baqarah: 121

الَّذينَ ءَاتَينَـٰهُمُ ٱلكِتَـٰبَ يَتلونَهُ حَقَّ تِلاوَتِهِ أُولٰئِكَ يُؤمِنونَ بِهِ
Orang-orang yang Kami berikan Kitab kepada mereka, sedang mereka membacanya dengan sebenar-benar bacaan, mereka itulah orang-orang yang beriman kepadanya;

 

لَا مُبَدِّلَ لِكَلِمَـٰتِهِۦ

Tidak ada sesiapapun yang boleh merubah kalimah-kalimahNya;

Ini bermaksud tidak ada sesiapa yang boleh mengubah ayat-ayat Al-Qur’an. Mungkin ada yang hendak menambah maklumat-maklumat yang ada dalam Al-Qur’an tetapi mereka tidak boleh langsung.

Ayat ini juga hendak menempelak golongan Ahli Kitab yang telah mengubah kandungan kitab mereka. Allah ﷻ mengingatkan kepada orang Islam supaya jangan mengubah ayat-ayat Al-Qur’an. Sebenarnya, kalau mereka hendak ubah pun, memang tidak boleh. Ini kerana Allah ﷻ telah mengatakan dalam ayat ini dan ayat-ayat lain bahawa tidak ada sesiapa yang boleh ubah Al-Qur’an. Allah ﷻ akan menjaga kandungan Al-Qur’an sampai bila-bila.

Selain itu, ia juga bermaksud kita tidak boleh mengubah mana-mana keputusan Allah ﷻ. Allah ﷻ telah tetapkan sesuatu itu terjadi. Contohnya, kalau Allah ﷻ sudah tetapkan seseorang itu mati sebagai kafir, kita tidak boleh berbuat apa-apa pun. Kita kena terima bahawa Allah ﷻ itu adalah Maha Adil. Jangan kita sekali-kali kita kata Allah ﷻ tidak berlaku adil bila-bila masa pun.

 

وَلَن تَجِدَ مِن دُونِهِۦ مُلتَحَدًا

Dan kamu tidak akan dapat selain daripada Allah tempat berlindung;

Nanti di Padang Mahsyar tidak ada tempat untuk berlindung daripada Allah ﷻ. Bukan di akhirat sahaja, di dunia lagi tidak dapat lari daripada ketentuan Allah ﷻ. Perkataan مُلْتَحَدًا diambil daripada katadasar ل ح د (lahad) yang bermaksud suatu tempat yang longgar yang kita dapat bergerak di dalamnya. Allah ﷻ berkata bahawa di akhirat kelak tidak ada tempat keluar dan tidak ada ruang untuk melarikan diri. Kita semua akan berada dalam pegangan-Nya.

Ada yang menafsirkan bahawa maksud ayat ini adalah: jikalau Nabi ﷺ tidak membacakan ayat Al-Qur’an kepada manusia, tidak ada tempat berlindung bagi Nabi Muhammad ﷺ daripada Allah ﷻ kerana baginda tidak menjalankan tugas baginda. Ini selari dengan ayat lain iaitu Jin: 22

قُل إِنّي لَن يُجيرَني مِنَ اللهِ أَحَدٌ وَلَن أَجِدَ مِن دونِهِ مُلتَحَدًا
Katakanlah lagi; “Sesungguhnya aku, tidak sekali-kali akan dapat diberi perlindungan oleh sesiapa pun daripada (azab) Allah (jika aku menderhaka kepada-Nya), dan aku tidak sekali-kali akan mendapat tempat perlindungan selain daripada-Nya,


 

Kahf Ayat 28: Tasliah (pujukan) kepada Nabi Muhammad ﷺ.

وَٱصبِر نَفسَكَ مَعَ ٱلَّذِينَ يَدعُونَ رَبَّہُم بِٱلغَدَوٰةِ وَٱلعَشِىِّ يُرِيدُونَ وَجهَهُ ۥ‌ۖ وَلَا تَعدُ عَينَاكَ عَنہُم تُرِيدُ زِينَةَ ٱلحَيَوٰةِ ٱلدُّنيَا‌ۖ وَلَا تُطِع مَن أَغفَلنَا قَلبَهُ ۥ عَن ذِكرِنَا وَٱتَّبَعَ هَوَٮٰهُ وَكَانَ أَمرُهُ ۥ فُرُطًا

 Sahih International

And keep yourself patient [by being] with those who call upon their Lord in the morning and the evening, seeking His countenance. And let not your eyes pass beyond them, desiring adornments of the worldly life, and do not obey one whose heart We have made heedless of Our remembrance and who follows his desire and whose affair is ever [in] neglect.

Malay

Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Qur’an, serta dia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran.

 

وَاصْبِرْ نَفْسَكَ مَعَ الَّذِينَ يَدْعُونَ رَبَّهُمْ

Dan bersabarlah diri kamu bersama dengan orang yang menyeru Tuhan mereka

Maksud وَاصْبِرْ adalah ‘sabarkanlah’, tabahlah. Allah ﷻ suruh Nabi ﷺ bersabar iaitu berasa cukup dengan pengikut-pengikut Nabi ﷺ yang telah ada sekarang iaitu sahabat-sahabat baginda. Ia bukan sahaja bermaksud duduk bersama mereka, akan tetapi hidup bersama mereka, bermuamalah bersama mereka, tanya pendapat mereka, bekerja dengan mereka.

Sebab mereka itulah orang yang telah menerima kebenaran, yang telah beriman dan yakin, yang telah mengorbankan segala-galanya buat Tuhan. Mereka telah meninggalkan jahiliyah dan hidup bersama Nabi ﷺ dalam Islam. Setia dalam senang dan susah, dan telah memutuskan ikatan dengan kaum keluarga mereka yang masih menyembah berhala. Bersedia mengikuti Nabi ﷺ ke mana pun baginda berpindah (muhajirin) dan bersedia menyambut dan membela baginda dengan harta dan jiwa (Ansar).

Ada di antara mereka yang dahulu kaya, sekarang telah kehabisan harta bendanya. Ada di antara mereka pemuda, yang telah terputus hubungan dengan orang tuanya. Ada di antara mereka merupakan bekas hamba, yang telah mendapat kembali harga diri kerana iman. Pagi dan petang mereka menyembah Allah ﷻ dengan tekun. Mereka yang berbagai corak itu telah bersatu dalam satu ikatan, iaitu ikatan Islam. Hendaklah engkau wahai utusan-Ku – demikian firman Allah ﷻ – tahan dan sabar hidup bersama mereka memimpin mereka.

 

بِالْغَدَوٰةِ وَالْعَشِيِّ

pagi-pagi dan petang-petang

Para sahabat beribadat kepada Allah ﷻ walaupun di waktu-waktu yang sibuk. Ini kerana waktu pagi dan petang itu merupakan waktu-waktu yang manusia lain menghabiskan masa dengan dunia. Namun begitu para sahabat itu meninggalkan waktu yang sibuk itu untuk beribadat kepada Allah ﷻ. Ada waktu yang kena solat iaitu waktu-waktu yang telah ditetapkan. Ini juga menjadi dalil bagi saranan untuk melakukan zikir pagi dan petang.

Juga bila disebut pagi dan petang, ini adalah isyarat kepada sepanjang masa. Begitulah yang dilakukan oleh para Sahabat. Mereka sentiasa ingat kepada Allah ﷻ dan kita pun sepatutnya begitulah hendaknya. Maknanya, dalam buat kerja seharian, ingatlah kepada Allah ﷻ juga. Bukan waktu ibadat sahaja kita kena ingat Allah ﷻ tetapi sepanjang masa.

Apabila mereka sentiasa ingat kepada Allah ﷻ, maka ini akan mengundang bantuan daripada Allah ﷻ. Oleh kerana itu Rasulullah ﷺ kena bersama dengan mereka kerana baginda juga tentunya berharap bantuan daripada Allah ﷻ.

 

يُرِيدُونَ وَجْهَهُ

Mereka ingin keredhaan Allah semata-mata; 

Maksud ‘mahu Wajah Allah’ bermaksud mahu keredhaan Allah ﷻ semata. Para sahabat Nabi ﷺ itu ikhlas dalam amal ibadat mereka. Segala amalan yang mereka buat itu adalah kerana mengharapkan redha Allah ﷻ semata-mata. Mereka bukannya berharap kepada kebendaan duniawi walaupun mereka itu orang yang rata-ratanya orang miskin belaka.

Namun begitu tidaklah mereka berharap kosong sahaja tetapi mereka berharap dengan melakukan amal kebaikan dan amal ibadah. Jangan kita tidak berbuat apa-apa tetapi dalam masa yang sama, hendak berharap.

Kata وَجْهَهُ wajah-Nya menjadi bahan pembicaraan para agamawan. Pening pula golongan yang kepalanya mahu membayangkan wajah Allah, maka mereka pun mulalah takwil maksud ‘wajah’ di sini. Dapat dipastikan bahawa yang dimaksudkan dengan ‘wajah’ di sini bukanlah wajah sebagaimana wajah makhluk, kerana Allah ﷻ tidak menyerupai sesiapa pun. Iaitu Allah ﷻ ada mempunyai wajah, akan tetapi tidaklah kita kata wajah-Nya sama seperti wajah makhluk pula. Sebagai contoh, pintu pun ada wajah juga, tetapi tidaklah sama dengan wajah kita, bukan?

Bagi makhluk, wajah adalah bahagian yang paling menonjol dari sisi luarnya serta paling jelas menggambarkan identitinya. Jika suatu susuk tertutup wajahnya, maka tidak mudah mengenal siapa dia. Sebaliknya jika seluruh sisi luarnya tertutup, kecuali wajahnya, maka dia masih dapat dibezakan daripada susuk yang lain, bahkan tanpa kesulitan dia dapat dikenali. Demikian wajah menjadi pertanda identiti. Dari sini dapat difahami pendapat sesetengah ulama yang memahami kata wajah yang digunakan bagi Allah ﷻ dalam erti sifat-sifat-Nya yang tercakup dalam al-Asma’al-Husna, kerana nama-nama itu menjelaskan sifat-sifat Allah ﷻ dan dengannya dapat terungkap sedikit lagi, sesuai dengan kemampuan manusia, siapa Tuhan Yang Maha Esa itu.

Seseorang yang menghadap Allah ﷻ dengan menyeru salah satu nama-Nya – katakanlah menyeru ar-Rahman, maka dia pada hakikatnya memohon sebahagian daripada rahmat kasih sayang-Nya tercurah kepadanya. Demikianlah sehingga dengan menyebut nama-Nya itu si pemohon mengharapkan wajah-Nya, yang dalam hal ini adalah percikan daripada rahmat- Nya yang merupakan salah satu daripada sifat-sifat-Nya yang Maha Sempurna dan indah itu. Begitu juga dengan menyeru sifat-sifat-Nya yang lain, sehingga pada akhirnya kita dapat berkata, siapa yang mengharapkan wajah-Nya maka dia mengharap curahan daripada sifat-sifat-Nya yang indah itu, dengan jalan menempatkan diri pada posisi yang menjadikan dia dapat memperoleh anugerah. Ini sama seperti dengan seseorang yang menghadapkan wajahnya kepada orang lain agar dia dapat dilihat dan diberikan anugerah.

Dapat juga dikatakan bahawa mengharap wajah-Nya bererti mengharap redha-Nya, kerana seseorang yang diredhai tidak akan dibelakangi, tetapi akan dilihat dengan penuh kasih sayang, dan ini menuntut terarahnya wajah kepada yang disukai/diredhai itu.

Ada yang mengatakan bahawa ayat ini diturunkan berkenaan dengan Pemuka-pemuka Quraish yang mahu supaya Nabi ﷺ membuat sebuah majlis khas untuk mereka, supaya tidak dicampuri oleh orang-orang yang miskin dan lemah, antaranya Bilal, Ammar dan Ibn Mas’ud رضي الله عنهم. Mereka tidak mahu menyertai majlis Nabi ﷺ kerana majlis Nabi ﷺ dipenuhi dengan orang-orang yang miskin dan lemah. Mereka merasakan mereka berkedudukan tinggi dan tidak layak bercampur dengan golongan lemah dan miskin. Ini seperti disebut juga di dalam Syuara’: 111

قالوا أَنُؤمِنُ لَكَ وَاتَّبَعَكَ الأَرذَلونَ
Mereka berkata: “Apakah kami akan beriman kepadamu, padahal yang mengikuti kamu ialah orang-orang yang hina?”.

Maknanya mereka rasa terhina pula kalau duduk-duduk bersama dengan orang-orang yang miskin dan tidak berpengaruh. Allahﷻ melarang ikut permintaan mereka dengan menurunkan ayat yang kita sedang pelajari ini. Allah ﷻ tidak benarkan baginda menghalau para sahabat yang ikhlas itu. Memang mereka lemah dan rendah dalam masyarakat. Namun, mereka yang miskin dan lemah itu telah memberikan segalanya untuk bersama dengan Nabi ﷺ. Hati mereka ikhlas untuk mendapatkan keredhaan Allah ﷻ. Larangan ini juga ada disebut di dalam An’am: 52

وَلا تَطرُدِ الَّذينَ يَدعونَ رَبَّهُم بِالغَدوٰةِ وَالعَشِيِّ يُريدونَ وَجهَهُ ۖ ما عَلَيكَ مِن حِسابِهِم مِّن شَيءٍ وَما مِن حِسابِكَ عَلَيهِم مِّن شَيءٍ فَتَطرُدَهُم فَتَكونَ مِنَ الظّٰلِمينَ
Dan janganlah engkau usir orang-orang yang beribadat dan berdoa kepada Tuhan mereka pagi dan petang, sedang mereka menghendaki keredaan-Nya semata-mata. Tiadalah engkau bertanggungjawab sesuatu pun mengenai hitungan amal mereka, dan mereka juga tidak bertanggungjawab sesuatu pun mengenai hitungan amalmu. Maka (sekiranya) engkau usir mereka, nescaya menjadilah engkau daripada orang-orang yang zalim.

 

وَلَا تَعْدُ عَيْنَاكَ عَنْهُمْ

dan jangan sekali-kali kamu palingkan kedua mata kamu daripada mereka;

Maka baginda dilarang daripada meninggalkan para sahabat. Baginda tidak boleh tidak memandang mereka. Baginda tidak boleh tidak menghiraukan mereka. Baginda kena tetapkan hubungan dengan mereka. Lihatlah mereka dengan pandangan rahmah, pandangan kasih sayang.

Ini juga adalah dugaan kepada guru. Bila sudah mula mengajar manusia, dan yang belajar itu sudah boleh terima, guru itu hendaklah sentiasa mengajar mereka. Tidak boleh tinggalkan mereka. Hendaklah mengajar anak murid itu secara berterusan. Guru tidak boleh tidak memperdulikan anak-anak murid dia yang dia telah mula ajar itu. Kena sentiasa tanya khabar dan terus mengajar mereka. Jangan bila ada anak murid yang kaya, beri lebih perhatian kepada anak murid yang kaya pula.

Allah ﷻ menasihati Nabi ﷺ kerana baginda rasa kalau orang-orang yang elit itu mahu beriman dan mendengar kata baginda, mereka akan menguatkan lagi Islam. Tentu kalau mereka masuk Islam, lebih ramai lagi manusia akan mengikuti mereka dan masuk Islam. Oleh itu baginda rasa kalau baginda boleh buat majlis khas untuk mereka, itu akan memberikan harapan yang baik kepada Islam secara keseluruhan. Harapan Nabi ﷺ itu suci, akan tetapi Allah ﷻ lebih mengetahui apa yang lebih baik.

Ada dua golongan pada zaman itu yang Nabi ﷺ mengharapkan sangat mereka itu akan beriman. Pertama adalah golongan ‘elit dalam masyarakat’ seperti puak Quraish. Keduanya adalah golongan yang ‘elit dalam ilmu agama’ iaitu pendeta-pendeta Yahudi. Dua golongan ini Nabi ﷺ rasa kalau mereka beriman, mereka akan dapat membawa masuk lebih ramai lagi pengikut-pengikut mereka ke dalam Islam.

Islam telah mengubah bagaimana cara kriteria manusia dinilai. Sekarang bukan lagi dikira status mereka dalam masyarakat. Yang penting dalam Islam adalah mereka yang bertaqwa. Mereka yang bertaqwa itu lebih tinggi statusnya dalam Islam. Sekiranya Nabi ﷺ memberi perhatian kepada orang yang berkedudukan dalam masyarakat, hanya kerana mereka kaya atau berpengaruh, itu akan menyebabkan patah hati dalam kalangan sahabat-sahabat yang lain.

Bukanlah Nabi ﷺ mahukan kedudukan dan kekayaan kalau bergaul dengan golongan kaya dan berpengaruh itu tetapi tujuan Nabi ﷺ adalah supaya dakwah Islam dapat diperkembangkan lagi. Pada baginda, kalau golongan berpengaruh itu terima Islam, maka akan menyebabkan semakin ramai lagi manusia yang masuk Islam. Walaupun tujuan baginda itu baik, tetapi itu pun tidak dibenarkan oleh Allah ﷻ. Nabi ﷺ pernah ditegur dalam Surah Abasa berkenaan perkara ini.

Dalam Islam, kita tidak boleh ada rasa kita lebih baik atau hebat daripada orang lain berdasarkan kepada status kita. Kita memang disuruh menghormati orang lain kerana umur mereka dan ilmu mereka. Akan tetapi jangan berlebihan sangat. Jangan kita mengharap orang menghormati kita disebabkan oleh kedudukan kita.

Nabi ﷺ pernah memberikan pangkat panglima kepada seorang yang berusia muda iaitu Saad bin Abi Waqqas رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ walaupun ada lebih ramai lagi sahabat yang lebih tua. Ini adalah untuk mengajar sahabat bahawa kedudukan dalam masyarakat bukanlah kerana kedudukan dalam masyarakat atau kerana telah lama dalam Islam. Nabi ﷺ pernah melantik Amr al As رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ menjadi panglima perang walaupun beliau baru sahaja memeluk Islam selama tiga bulan. Pada waktu itu Amr رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ mengetuai sahabat yang besar seperti Abu Bakr dan Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا. Namun begitu sahabat lain taat kepada Amr رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ walaupun beliau baru sahaja memeluk Islam.

Kita juga kena ambil pengajaran daripada ayat ini. Katakanlah kita dijemput untuk beri ceramah tetapi penganjur pun ada juga menjemput orang lain yang lebih muda. Jangan kita melenting jikalau slot yang diberikan kepada kita kurang daripada yang diberikan kepada orang muda itu. Jangan kita meninggi diri.

 

تُرِيدُ زِينَةَ الْحَيَوٰةِ الدُّنْيَا

hanya kerana hendakkan kehidupan di dunia;

Jangan guru itu tinggalkan mana-mana anak muridnya jika dia sudah ada anak murid yang lebih berharta. Walaupun ada anak-anak murid lain yang lebih kaya atau lebih ramai, jangan dia lupakan anak murid yang lama. Itu tidak boleh.

Bukanlah maksud ayat ini Nabi ﷺ mahukan kesenangan dunia pula. Tidaklah begitu maksudnya. Akan tetapi baginda memikirkan bagaimana hendak menyebarkan agama dengan lebih meluas lagi. Maka baginda berharap yang orang-orang kaya dan berpengaruh di Mekah itu mahu beriman dengan agama Islam kerana kalau mereka beriman, tentu lebih ramai lagi akan masuk beriman juga.

Memang tujuan dan niat baginda itu baik, tetapi Allah ﷻ ingatkan baginda jangan lupakan sahabat baginda yang ikhlas dalam beragama itu kerana mahukan kepada orang kaya dan berpengaruh. Jangan berharap kepada mereka.

Kita sekarang pun ada dugaan ini juga. Katakanlah kita AJK masjid. Kalau ada seorang yang menghulurkan derma lebih sedikit daripada orang lain, kita sudah mula melayannya lain macam. Padahal, bukan tentu dia seorang yang rajin datang ke masjid pun. Ada lagi orang lain yang berjasa kepada masjid maka mereka itu jangan dilupakan.

 

وَلَا تُطِع مَن أَغفَلنَا قَلبَهُ ۥ عَن ذِكرِنَا

Dan jangan kamu taat kepada orang yang telah Kami lalaikan hati mereka dari mengingati Kami;

Pernah orang kaya mahu bercakap dengan Nabi Muhammad ﷺ dan kononnya hendak belajar. Akan tetapi mereka beri syarat: kalau mahukan mereka bercakap dengan baginda, maka kena asingkan mereka daripada orang-orang yang miskin dan hina (pada pandangan mereka itu). Maka terdetik juga di hati baginda untuk mengadakan majlis asing khas untuk orang-orang kaya itu. Maka Allah ﷻ telah menegur baginda supaya jangan buat begitu.

Ini kerana orang-orang seperti itu tidak dapat dijadikan kawan. Sebab hati mereka telah tertutup daripada mengingati Allah ﷻ. Petang dan pagi mereka hanya memperturutkan hawa nafsu. Yang mereka cari siang malam hanyalah harta benda, isi alam yang dijadikan Tuhan, sesuatu yang tidak kekal. Segala usaha dan kerjanya tidak lagi mengenal batas-batas, halal dan haram.

Cuma di dalam ayat ini Allah ﷻ beritahu Dia yang lalaikan hati mereka. Adakah Allah ﷻ yang membuat keputusan begitu? Kalau begitu, mereka itu tidaklah salah kerana Allah ﷻ yang membuat keputusan begitu, bukan? Ini adalah fahaman yang salah. Ayat sebegini mestilah dibaca dengan ayat-ayat yang lain. Seperti ayat Saf: 5. Daripada pemahaman melalui ayat-ayat itu, kita dapat faham yang Allah ﷻ lalaikan hati-hati mereka kerana mereka yang memalingkan hati mereka daripada Allah ﷻ pada asalnya.

فَلَمّا زاغوا أَزاغَ اللَّهُ قُلوبَهُم
Maka tatkala mereka berpaling (daripada kebenaran), Allah memalingkan hati mereka

Jangan kita ikut hawa nafsu dan kehendak mereka yang lalai dalam agama. Kadang-kadang kita rasa orang kaya yang kita mengajar itu lebih baik sebab dia memiliki banyak duit dan kita rasa dengan duit itu kita boleh lebih banyak tolong orang lain. Padahal mereka tidak pedulikan Al-Qur’an dan Allah ﷻ. Mereka mungkin jemput kita kerana mereka mahu menampakkan diri mereka islamik sahaja. Maka kita kena pandai nilaikan sendiri.

Mungkin ada yang berhujah: apa salahnya kalau Nabi ﷺ mengadakan majlis yang khusus untuk golongan yang kaya dan berpengaruh itu? Bukannya lama pun, sekejap sahaja. Ia tidaklah bermakna yang baginda tinggalkan para sahabat baginda yang miskin itu, bukan? Itu hanya hujah akal yang lemah sahaja. Kalaulah Nabi ﷺ buat begitu, maka ia memberi kedudukan yang tinggi kepada orang lain dan akan menyebabkan para sahabat akan terasa hati. Islam tidak mengamalkan sistem diskriminasi dalam dakwah dan pengajian ilmu. Semua manusia sama sahaja di mata Allah ﷻ, kaya atau miskin. Yang membezakan manusia adalah tingkatan taqwa mereka.

 

وَاتَّبَعَ هَوَىٰهُ

dan mereka itu mengikuti hawa nafsunya;

Tidak boleh ikut mereka kerana mereka hanya mengikut hawa nafsu mereka sahaja. Begitulah sikap orang yang jauh daripada wahyu. Apabila kita ajak mereka untuk belajar tafsir Al-Qur’an, mereka beralasan sahaja. Ada sahaja masalah dan halangan bagi mereka mereka. Mereka tolak dengan kata ‘tapi’. Kata kita betul, tapi…… Itulah sahaja alasan mereka.

 

وَكَانَ أَمرُهُ ۥ فُرُطًا

dan tingkah-laku mereka melampaui batas

Oleh kerana mereka mengikut hawa nafsu mereka, maka tindakan mereka melampaui batas yang ditetapkan dalam agama. Mereka sudah tidak kisah akan batas-batas dalam agama.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 29 Mei 2024

Ringkasan Surah Kahf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solahudin

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah